Pada mulanya, ketika Allah mula menciptakan alam semesta, bumi belum berbentuk dan masih kacau-bilau. Samudera yang bergelora, yang menutupi segala sesuatu, diliputi oleh kegelapan yang pekat, tetapi kuasa Allah bergerak di atas permukaan air. Allah berfirman, “Hendaklah ada cahaya,” lalu cahaya pun ada. Allah berpuas hati melihat hal itu. Kemudian Dia mengasingkan cahaya daripada kegelapan. Dia menamakan cahaya itu “Siang” dan kegelapan itu “Malam”. Setelah malam dan pagi berlalu, itulah hari yang pertama. [6-7] Kemudian Allah berfirman, “Hendaklah ada kubah untuk membahagikan air menjadi dua bahagian, dan membendungnya dalam dua tempat yang terpisah.” Lalu hal itu berlaku. Demikianlah Allah menjadikan kubah yang memisahkan air yang ada di bawah kubah itu daripada air yang ada di atasnya. *** Allah menamakan kubah itu “Langit”. Setelah malam dan pagi berlalu, itulah hari yang kedua. Kemudian Allah berfirman, “Hendaklah air yang ada di bawah langit mengalir ke satu tempat agar tanah kelihatan.” Lalu hal itu berlaku. Allah menamakan tanah itu “Darat” dan kumpulan air itu “Laut”. Allah berpuas hati melihat hal itu. Allah berfirman lagi, “Hendaklah tanah mengeluarkan segala jenis tumbuh-tumbuhan, iaitu jenis yang menghasilkan biji-bijian dan jenis yang menghasilkan buah.” Lalu hal itu berlaku. Demikianlah tanah mengeluarkan segala jenis tumbuh-tumbuhan. Allah berpuas hati melihat hal itu. Setelah malam dan pagi berlalu, itulah hari yang ketiga. Kemudian Allah berfirman, “Hendaklah ada benda-benda terang di langit untuk memisahkan siang daripada malam, dan untuk menunjukkan permulaan hari, tahun, serta perayaan agama. Benda-benda terang itu akan bersinar di langit untuk menerangi bumi.” Lalu hal itu berlaku. Demikianlah Allah menjadikan dua benda terang yang besar, iaitu matahari untuk menguasai siang dan bulan untuk menguasai malam; selain itu Dia juga menjadikan bintang-bintang. Allah menempatkan benda-benda terang itu di langit untuk menerangi bumi, untuk menguasai siang serta malam, dan untuk mengasingkan cahaya daripada kegelapan. Allah berpuas hati melihat hal itu. Setelah malam dan pagi berlalu, itulah hari yang keempat. Kemudian Allah berfirman, “Hendaklah air dipenuhi berjenis-jenis makhluk hidup, dan udara dipenuhi berjenis-jenis burung.” Demikianlah Allah menciptakan binatang raksasa laut, dan semua jenis makhluk yang hidup di dalam air, serta semua jenis burung. Allah berpuas hati melihat hal itu. Allah memberkati semuanya dan memberikan perintah kepada makhluk yang hidup di dalam air supaya membiak serta memenuhi laut, dan juga kepada semua jenis burung supaya bertambah banyak. Setelah malam dan pagi berlalu, itulah hari yang kelima. Kemudian Allah berfirman, “Hendaklah bumi mengeluarkan semua jenis binatang darat: binatang jinak, dan binatang liar yang besar mahupun yang kecil.” Lalu hal itu berlaku. Demikianlah Allah menjadikan semuanya dan Dia berpuas hati melihat hal itu. Kemudian Allah berfirman, “Sekarang Kita akan mencipta manusia yang akan menjadi seperti Kita dan menyerupai Kita. Mereka akan menguasai semua ikan, burung, serta binatang lain: binatang jinak, dan binatang liar yang besar mahupun yang kecil.” Demikianlah Allah menciptakan manusia dan menjadikan mereka seperti diri-Nya sendiri. Dia menciptakan mereka lelaki dan perempuan. Kemudian Dia memberkati mereka dan berfirman, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak, supaya keturunan kamu menduduki seluruh muka bumi dan menguasainya. Hendaklah kamu menguasai semua ikan, burung, dan binatang liar. Aku memberi kamu segala jenis tumbuh-tumbuhan yang menghasilkan biji-bijian dan buah-buahan, sebagai makanan kamu. Aku memberikan rumput dan tanaman berdaun sebagai makanan kepada semua burung dan binatang liar yang lain.” Lalu hal itu berlaku. Allah memandang semua yang sudah dijadikan-Nya dan Dia sangat berpuas hati. Setelah malam dan pagi berlalu, itulah hari yang keenam. Dengan demikian selesailah penciptaan seluruh alam semesta. Pada hari yang ketujuh, Allah menyelesaikan pekerjaan-Nya, lalu Dia berehat. Allah memberkati hari yang ketujuh dan menjadikan hari itu sebagai hari istimewa, kerana pada hari itu Allah berehat setelah menyelesaikan pekerjaan-Nya. Demikianlah riwayat penciptaan alam semesta. Pada masa TUHAN Allah menciptakan alam semesta, belum ada benih yang bercambah dan belum ada tumbuh-tumbuhan di atas bumi, kerana Allah belum menurunkan hujan dan belum ada orang yang mengusahakan tanah, tetapi air keluar dari bawah permukaan bumi dan mengairi tanah. Kemudian TUHAN Allah mengambil sedikit tanah dan membentuk manusia, lalu menghembuskan nafas yang memberi hidup ke dalam lubang hidungnya; maka hiduplah manusia itu. Selanjutnya TUHAN Allah membuat taman di Eden, di sebelah timur, lalu menempatkan manusia yang sudah dibentuk-Nya itu di situ. Di taman itu TUHAN Allah menumbuhkan segala jenis pokok yang cantik, yang menghasilkan buah-buahan baik. Di tengah-tengah taman itu tumbuh juga pokok yang memberi hidup, dan pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Sebatang sungai mengalir dari Eden dan mengairi taman itu; di luar Eden sungai itu terbahagi menjadi empat batang sungai. Sungai yang pertama bernama Pison, yang mengalir mengelilingi tanah Hawila. Di situ terdapat emas tulen, dan juga wangi-wangian yang sukar didapati, serta batu-batu permata. Sungai yang kedua bernama Gihon, yang mengalir mengelilingi tanah Kus. Sungai yang ketiga bernama Tigris, yang mengalir di sebelah timur Asyur. Sungai yang keempat bernama Efrat. Kemudian TUHAN Allah menempatkan manusia itu di Taman Eden untuk mengusahakan serta memelihara taman itu. Allah berfirman kepada manusia itu, “Engkau boleh makan buah-buahan daripada semua pokok di taman ini, kecuali buah daripada pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Engkau tidak boleh makan buah pokok itu; jika engkau memakannya, engkau pasti mati pada hari itu juga.” Kemudian TUHAN Allah berfirman, “Tidak baik manusia hidup seorang diri. Aku akan menjadikan seorang teman yang sesuai untuk menolong dia.” Oleh itu Allah mengambil sedikit tanah dan membentuk semua jenis binatang dan burung. Kemudian Allah membawa semuanya kepada manusia itu untuk mengetahui nama yang akan diberikannya kepada binatang dan burung. Demikianlah caranya tiap-tiap binatang dan burung mendapat nama. Manusia itu memberikan nama kepada semua binatang dan burung, tetapi tiada satu pun antaranya dapat menjadi teman yang sesuai untuk menolong dia. Kemudian TUHAN Allah menyebabkan manusia itu tidur dengan nyenyak. Sementara dia terlena, TUHAN mengeluarkan satu daripada tulang rusuk manusia itu, lalu menutupnya semula dengan daging. Daripada tulang rusuk itu, Allah membentuk seorang perempuan, lalu membawanya kepada lelaki itu. Kemudian lelaki itu berkata, “Inilah dia, orang yang sama dengan aku — tulang daripada tulangku, dan daging daripada dagingku. Aku namakan dia perempuan, kerana dia diambil daripada lelaki.” Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka menjadi satu. Lelaki dan perempuan itu bertelanjang, tetapi mereka tidak berasa malu. Ular ialah binatang yang paling licik antara semua binatang yang dijadikan oleh TUHAN Allah. Ular itu bertanya kepada perempuan itu, “Benarkah Allah melarang kamu makan buah daripada sebarang pokok di taman ini?” “Kami boleh makan buah daripada setiap pokok di taman ini,” jawab perempuan itu, “kecuali buah pokok yang ada di tengah-tengah taman. Allah melarang kami makan buah pokok itu ataupun menyentuhnya; jika kami berbuat demikian, kami akan mati.” Ular itu menjawab, “Itu tidak benar; kamu tidak akan mati. Allah berfirman demikian kerana Dia tahu bahawa jika kamu makan buah itu, fikiran kamu akan terbuka; kamu akan menjadi seperti Allah dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.” Perempuan itu nampak bahawa pokok itu cantik dan buahnya enak dimakan. Dia berfikir betapa baiknya jika dia menjadi bijaksana. Oleh itu dia memetik buah pokok itu dan memakannya. Dia juga memberikan buah pokok itu kepada suaminya, dan suaminya pun makan buah itu. Sebaik sahaja mereka makan buah itu, fikiran mereka terbuka dan mereka sedar bahawa mereka bertelanjang. Oleh itu mereka merangkaikan daun ara, lalu menutupi tubuh mereka dengan rangkaian daun itu. Pada petang itu, mereka mendengar TUHAN Allah berjalan di taman, lalu mereka bersembunyi di antara pokok-pokok supaya tidak dapat dilihat-Nya. Tetapi TUHAN Allah memanggil lelaki itu, “Di manakah engkau?” Lelaki itu menjawab, “Aku mendengar Engkau di taman; aku takut, lalu aku bersembunyi kerana aku bertelanjang.” “Siapa yang memberitahukan bahawa engkau bertelanjang?” tanya Allah. “Adakah engkau makan buah yang terlarang itu? Aku sudah melarang engkau makan buah itu.” Lelaki itu menjawab, “Perempuan yang Engkau jadikan temanku memberikan buah itu kepadaku, lalu aku memakannya.” TUHAN Allah bertanya kepada perempuan itu, “Mengapa engkau melakukan hal itu?” Perempuan itu menjawab, “Ular menipu aku sehingga aku makan buah itu.” Kemudian TUHAN Allah berfirman kepada ular itu, “Terkutuklah engkau kerana perbuatan itu; antara semua binatang, hanya engkau yang harus menanggung kutukan ini. Mulai sekarang engkau akan menjalar dan makan debu seumur hidupmu. Engkau dan perempuan itu akan saling membenci; keturunannya dan keturunanmu akan sentiasa bermusuhan. Keturunannya akan meremukkan kepalamu dan engkau akan mematuk tumit mereka.” TUHAN Allah berfirman kepada perempuan itu, “Aku akan menambah kesusahanmu semasa engkau hamil, dan juga kesakitanmu pada masa engkau bersalin. Walaupun demikian, engkau akan tetap berahi kepada suamimu, namun engkau akan tunduk kepadanya.” Kemudian TUHAN Allah berfirman kepada lelaki itu, “Engkau mendengarkan kata-kata isterimu, lalu makan buah yang Aku larang engkau makan. Oleh sebab perbuatanmu itu, terkutuklah tanah. Engkau mesti bekerja keras seumur hidupmu agar tanah ini dapat menghasilkan makanan yang cukup. Tanah akan menghasilkan semak dan duri; tumbuh-tumbuhan liar akan menjadi makananmu. Engkau akan bekerja keras dan berpeluh-peluh untuk membuat tanah ini menghasilkan sesuatu, sampai engkau kembali ke tanah kerana engkau dibentuk daripada tanah. Engkau dijadikan daripada tanah, dan engkau akan kembali ke tanah.” Adam menamakan isterinya Hawa, kerana perempuan itu menjadi ibu segenap umat manusia. Kemudian TUHAN Allah membuat pakaian daripada kulit binatang untuk Adam dan isterinya, lalu mengenakan pakaian itu pada mereka. TUHAN Allah berfirman, “Sekarang manusia telah menjadi seperti Kita dan mempunyai pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat. Oleh sebab itu manusia mesti dilarang makan buah daripada pokok yang memberi hidup, supaya manusia tidak hidup selama-lamanya.” Maka TUHAN Allah mengusir manusia itu keluar dari Taman Eden dan menyuruhnya mengusahakan tanah, yang daripadanya manusia dibentuk. Kemudian di sebelah timur taman itu, TUHAN Allah menempatkan kerub, dan sebilah pedang berapi yang berpusing ke segala arah, untuk mengawal jalan ke pokok yang memberi hidup. Dengan demikian seorang pun tidak dapat masuk dan menghampiri pokok itu. Kemudian Adam bersetubuh dengan isterinya, lalu isterinya hamil. Dia melahirkan seorang anak lelaki dan berkata, “Dengan pertolongan TUHAN aku sudah mendapat seorang anak lelaki.” Maka Hawa menamakan anaknya Kain. Kemudian Hawa melahirkan seorang anak lelaki lagi yang diberi nama Habel. Habel menjadi gembala domba, tetapi Kain menjadi petani. Beberapa waktu kemudian, Kain mengambil sebahagian daripada hasil tuaiannya lalu mempersembahkannya kepada TUHAN. Kemudian Habel mengambil seekor anak domba sulung dan menyembelih anak domba itu, lalu memberikan potongan-potongan yang terbaik sebagai persembahan kepada TUHAN. TUHAN berkenan kepada Habel dan persembahannya, tetapi Dia tidak berkenan kepada Kain dan persembahannya. Maka Kain naik marah dan mukanya masam. Maka TUHAN berfirman kepada Kain, “Mengapa engkau marah? Mengapa mukamu masam? Jika engkau melakukan yang benar, pasti engkau tersenyum; tetapi jika engkau melakukan yang jahat, maka dosa menunggu untuk masuk ke dalam hatimu. Dosa hendak menguasai dirimu, tetapi engkau mesti mengalahkannya.” Kemudian Kain berkata kepada Habel, adiknya, “Mari kita pergi ke padang.” Apabila mereka sampai di situ, Kain menyerang adiknya lalu membunuh dia. TUHAN bertanya kepada Kain, “Di mana Habel, adikmu?” Kain menjawab, “Aku tidak tahu. Haruskah aku menjaga adikku?” Kemudian TUHAN berfirman, “Mengapa engkau melakukan perbuatan yang dahsyat itu? Darah adikmu berseru kepada-Ku dari tanah, seperti suara yang berseru meminta pembalasan. Engkau terkutuk dan tidak boleh lagi mengusahakan tanah. Tanah itu sudah menyerap darah adikmu, seolah-olah tanah membuka mulut untuk menerima darah adikmu ketika engkau membunuh dia. Jika engkau bercucuk tanam, tanah tidak akan menghasilkan apa-apa; engkau akan menjadi pengembara yang tidak mempunyai tempat tinggal di bumi.” Kemudian Kain berkata kepada TUHAN, “Hukuman itu terlalu berat, aku tidak dapat menanggungnya. Engkau mengusir aku dari tanah ini dan dari hadirat-Mu. Aku akan menjadi pengembara yang tidak mempunyai tempat tinggal di bumi, dan aku akan dibunuh oleh sesiapa sahaja yang menjumpai aku.” Tetapi TUHAN berfirman, “Tidak. Jika engkau dibunuh, maka sebagai pembalasan, tujuh orang termasuk pembunuhmu itu akan dibunuh juga.” Kemudian TUHAN membubuhkan suatu tanda pada Kain supaya sesiapa sahaja yang menjumpai dia tidak membunuhnya. Maka Kain pergi dari hadirat TUHAN, lalu tinggal di tanah yang bernama “Pengembaraan” di sebelah timur Eden. Kain dan isterinya mempunyai seorang anak lelaki yang diberi nama Henokh. Kemudian Kain membina sebuah kota dan menamakan kota itu menurut nama anak lelakinya. Henokh mempunyai seorang anak lelaki bernama Irad. Irad bapa Mehuyael, Mehuyael bapa Metusael, dan Metusael bapa Lamekh. Lamekh mempunyai dua orang isteri, Ada dan Zila. Ada melahirkan Yabal. Keturunan Yabal ialah bangsa yang memelihara ternakan dan tinggal di khemah. Adik Yabal bernama Yubal. Keturunan Yubal ialah pemuzik yang memainkan kecapi dan seruling. Zila melahirkan Tubal-Kain. Keturunan Tubal-Kain membuat pelbagai perkakas daripada gangsa dan besi. Adik perempuan Tubal-Kain bernama Naama. Lamekh berkata kepada isterinya, “Ada dan Zila, dengarlah kataku. Aku sudah membunuh seorang pemuda kerana dia memukul aku. Jika tujuh orang dibunuh sebagai pembalasan terhadap orang yang membunuh Kain, tujuh puluh tujuh orang akan dibunuh jika aku dibunuh.” Adam dan isterinya mendapat seorang anak lelaki lagi. Hawa berkata, “Allah sudah mengurniai aku seorang anak lelaki untuk menggantikan Habel yang dibunuh oleh Kain.” Maka Hawa menamakan anaknya Set. Set mempunyai seorang anak lelaki yang diberi nama Enos. Pada zaman itulah orang mula menyebut nama TUHAN apabila beribadat. Inilah senarai keturunan Adam. (Pada masa Allah menciptakan manusia, Allah menjadikan mereka seperti diri-Nya sendiri. Dia menciptakan mereka lelaki dan perempuan. Dia memberkati mereka dan menamakan mereka “Manusia”.) Ketika Adam berumur 130 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki yang mirip dengan dia, lalu dia menamakannya Set. Selepas itu Adam hidup selama 800 tahun lagi, dan mendapat anak-anak lain. Adam meninggal ketika berumur 930 tahun. Ketika Set berumur 105 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Enos. Selepas itu Set hidup selama 807 tahun lagi, dan mendapat anak-anak lain. Set meninggal ketika berumur 912 tahun. Ketika Enos berumur 90 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Kenan. Selepas itu Enos hidup selama 815 tahun lagi, dan mendapat anak-anak lain. Enos meninggal ketika berumur 905 tahun. Ketika Kenan berumur 70 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Mahalaleel. Selepas itu Kenan hidup selama 840 tahun lagi, dan mendapat anak-anak lain. Dia meninggal ketika berumur 910 tahun. Ketika Mahalaleel berumur 65 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Yared. Selepas itu Mahalaleel hidup selama 830 tahun lagi, dan mendapat anak-anak lain. Dia meninggal ketika berumur 895 tahun. Ketika Yared berumur 162 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Henokh. Selepas itu Yared hidup selama 800 tahun lagi, dan mendapat anak-anak lain. Dia meninggal ketika berumur 962 tahun. Ketika Henokh berumur 65 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Metusalah. Selepas itu, Henokh hidup akrab dengan Allah selama 300 tahun. Henokh mendapat anak-anak lain dan mencapai umur 365 tahun. Oleh sebab Henokh selalu hidup akrab dengan Allah, dia menghilang kerana diambil oleh Allah. Ketika Metusalah berumur 187 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Lamekh. Selepas itu Metusalah hidup selama 782 tahun lagi, dan mendapat anak-anak lain. Dia meninggal ketika berumur 969 tahun. Ketika Lamekh berumur 182 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki. Lamekh berkata, “Anak ini akan memberi keringanan pada masa kita bekerja keras untuk mengusahakan tanah yang dikutuk oleh TUHAN.” Maka Lamekh menamakan anak itu Nuh. Selepas itu Lamekh hidup selama 595 tahun lagi, dan mendapat anak-anak lain. Lamekh meninggal ketika berumur 777 tahun. Ketika Nuh berumur 500 tahun, dia mendapat tiga orang anak lelaki, iaitu Sem, Yafet, dan Ham. Apabila manusia sudah bertambah banyak sehingga tercerai-cerai di seluruh dunia, dan anak-anak perempuan dilahirkan, makhluk-makhluk ilahi nampak bahawa gadis-gadis itu cantik. Makhluk-makhluk ilahi itu mengahwini gadis-gadis yang disukai oleh mereka. Kemudian TUHAN berfirman, “Aku tidak membenarkan manusia hidup selama-lamanya; mereka makhluk fana yang harus mati. Mulai sekarang umur mereka tidak akan lebih daripada 120 tahun.” Pada zaman itu, dan juga selepas zaman itu, ada raksasa di bumi. Mereka keturunan gadis-gadis manusia yang berkahwin dengan makhluk-makhluk ilahi. Raksasa-raksasa itu pahlawan handalan dan termasyhur pada zaman dahulu kala. TUHAN nampak betapa jahatnya manusia di bumi; fikiran mereka sentiasa dipenuhi kejahatan. Oleh itu TUHAN menyesal kerana sudah menjadikan manusia dan menempatkan mereka di bumi. TUHAN begitu kecewa sehingga Dia berfirman, “Aku akan membinasakan manusia yang sudah Kuciptakan itu, dan juga semua binatang serta burung, kerana Aku menyesal menciptakan semuanya.” Tetapi Nuh menyenangkan hati TUHAN. [9-10] Inilah riwayat Nuh. Dia mempunyai tiga orang anak lelaki, iaitu Sem, Yafet, dan Ham. Nuh tidak berbuat salah, dan dia satu-satunya orang yang baik pada zamannya. Dia hidup akrab dengan Allah, *** tetapi semua orang lain jahat di sisi Allah, dan kekejaman terdapat di mana-mana. Allah memandang dunia dan nampak kejahatan sahaja, kerana kehidupan semua manusia jahat. Kemudian Allah berfirman kepada Nuh, “Aku sudah mengambil keputusan untuk menamatkan hidup semua manusia. Aku akan membinasakan mereka berserta bumi, kerana bumi sudah penuh dengan kekejaman mereka. Binalah sebuah bahtera untukmu; sebuah bahtera daripada kayu keras. Buatlah bilik-bilik di dalamnya, dan lapisilah bahagian dalam dan luar bahtera itu dengan tar. Bahtera itu harus berukuran 133 meter panjang, 22 meter lebar, dan 13 meter tinggi. Buatlah bumbung pada bahtera itu, dan berilah jarak 44 sentimeter di antara bumbung dan dindingnya. Buatlah bahtera itu bertingkat tiga, dan pasanglah sebuah pintu di sisinya. Aku akan mendatangkan banjir untuk membinasakan setiap makhluk yang hidup di bumi. Segala sesuatu di bumi akan mati, tetapi Aku hendak membuat perjanjian dengan engkau. Masuklah ke dalam bahtera itu bersama-sama isterimu, anak-anakmu serta isteri-isteri mereka. [19-20] Bawalah seekor jantan dan seekor betina daripada setiap jenis burung dan binatang darat, yang kecil mahupun yang besar, supaya semua itu tidak turut binasa. *** Bawalah juga segala jenis makanan untukmu dan untuk semua binatang itu.” Nuh melakukan segala sesuatu yang diperintahkan Allah. Kemudian TUHAN berfirman kepada Nuh, “Aku mendapati engkau satu-satunya orang yang melakukan kehendak-Ku. Oleh itu masuklah ke dalam bahtera bersama-sama semua anggota keluargamu. [2-3] Bawalah tujuh pasang daripada tiap-tiap jenis burung dan binatang yang halal, tetapi hanya satu pasang daripada tiap-tiap jenis yang haram. Lakukanlah hal itu supaya daripada setiap jenis binatang dan burung ada yang terselamat, lalu dapat membiak semula di bumi. *** Tujuh hari lagi Aku akan menurunkan hujan yang tidak akan berhenti selama empat puluh hari dan empat puluh malam, supaya semua makhluk hidup yang sudah Aku ciptakan itu binasa.” Lalu Nuh melakukan segala yang diperintahkan TUHAN. Nuh berumur enam ratus tahun ketika berlaku banjir di bumi. Nuh dan isterinya, bersama dengan anak-anaknya serta isteri-isteri mereka, masuk ke dalam bahtera untuk menyelamatkan diri daripada banjir. Seekor jantan dan seekor betina daripada tiap-tiap jenis burung dan binatang, baik yang halal mahupun yang haram, masuk ke dalam bahtera bersama dengan Nuh, seperti yang diperintahkan oleh Allah. Tujuh hari kemudian banjir melanda bumi. Ketika Nuh berumur enam ratus tahun, pada hari ketujuh belas, bulan kedua, segala mata air di bawah tanah terbelah. Segala pintu air di langit terbuka, lalu hujan turun selama empat puluh hari dan empat puluh malam. Pada hari itu juga, Nuh dan isterinya masuk ke dalam bahtera bersama dengan ketiga-tiga orang anak mereka, iaitu Sem, Yafet, dan Ham, serta isteri masing-masing. Bersama-sama mereka masuk pula setiap jenis binatang, baik yang jinak mahupun yang liar, yang besar mahupun yang kecil, dan juga setiap jenis burung. Seekor jantan dan seekor betina daripada tiap-tiap makhluk hidup masuk ke dalam bahtera bersama dengan Nuh, seperti yang diperintahkan oleh Allah. Selepas semuanya masuk, TUHAN menutup pintu bahtera. Banjir terus-menerus melanda bumi selama empat puluh hari, dan air naik sehingga bahtera terapung. Air semakin naik sehingga bahtera terapung-apung pada permukaan air. Air masih naik sehingga meliputi gunung-gunung yang paling tinggi. Air terus-menerus naik sampai tujuh meter lebih tinggi daripada puncak gunung. [21-23] TUHAN membinasakan semua makhluk yang hidup di bumi: manusia, burung, dan binatang darat yang kecil mahupun yang besar. Hanya Nuh dan semua yang ada bersama-sama dia di dalam bahtera tidak binasa. *** *** Air tidak kunjung surut selama seratus lima puluh hari. Allah tidak melupakan Nuh dan semua binatang yang ada bersama-samanya di dalam bahtera. Allah membuat angin bertiup sehingga air mulai surut. Segala mata air di bawah tanah dan pintu air di langit ditutup. Hujan berhenti, lalu air semakin surut. Selepas seratus lima puluh hari, paras air tidak berapa tinggi lagi. Pada hari ketujuh belas bulan ketujuh, bahtera itu terkandas di sebuah puncak di banjaran Ararat. Air semakin surut dan pada hari pertama bulan kesepuluh, puncak-puncak gunung mula kelihatan. Selepas empat puluh hari, Nuh membuka sebuah tingkap bahtera lalu melepaskan seekor burung gagak. Burung itu tidak kembali tetapi terbang kian ke mari sehingga air banjir surut sama sekali. Sementara itu, Nuh melepaskan seekor burung merpati untuk mengetahui sama ada air sudah surut. Oleh sebab air masih meliputi seluruh muka bumi, burung merpati itu tidak mendapat tempat untuk hinggap. Burung merpati itu kembali ke bahtera; Nuh menghulurkan tangannya lalu membawa burung itu ke dalam bahtera. Nuh menunggu selama tujuh hari, kemudian melepaskan burung itu semula. Pada petang hari, burung itu kembali kepada Nuh sambil membawa sehelai daun zaitun yang segar pada paruhnya. Dengan itu Nuh mengetahui bahawa air sudah surut. Dia menunggu selama tujuh hari lagi, lalu melepaskan merpati itu sekali lagi; kali ini merpati itu tidak kembali. Ketika Nuh berumur 601 tahun, pada hari pertama bulan pertama, air telah surut sama sekali. Nuh membuka bumbung bahtera dan memandang di sekelilingnya. Dia mendapati permukaan tanah sudah mulai kering. Pada hari kedua puluh tujuh bulan kedua, bumi telah kering. Kemudian Allah berfirman kepada Nuh, “Keluarlah dari bahtera bersama-sama isterimu, anak-anakmu serta isteri-isteri mereka. Bawalah keluar semua burung dan binatang darat, yang kecil mahupun yang besar, supaya burung dan binatang itu dapat berkembang biak dan tersebar ke seluruh bumi.” Nuh keluar dari bahtera bersama dengan isterinya, anak-anaknya serta isteri masing-masing. Semua burung dan binatang darat keluar dari bahtera, tiap-tiap jenis bersama dengan kelompok sejenisnya. Nuh mendirikan sebuah mazbah untuk TUHAN. Dia mengambil seekor daripada tiap-tiap jenis burung dan binatang yang halal, lalu di atas mazbah itu, dia mempersembahkan semuanya sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Bau harum korban itu menyenangkan hati TUHAN, lalu TUHAN berfirman di dalam hati, “Aku tidak lagi mengutuk bumi kerana perbuatan manusia; Aku tahu bahawa sejak masa muda, fikiran manusia itu jahat. Aku tidak lagi membinasakan semua makhluk hidup, seperti yang telah Aku lakukan kali ini. Selagi bumi ini ada, akan ada masa menanam dan masa menuai, musim sejuk dan musim panas, musim kemarau dan musim hujan, siang dan malam.” Allah memberkati Nuh dan anak-anaknya, serta berfirman kepada mereka, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak supaya keturunan kamu mendiami seluruh bumi. Semua burung dan ikan, serta binatang lain akan takut kepada kamu; semuanya berada dalam kekuasaan kamu. Kini kamu boleh makan semuanya, serta tumbuh-tumbuhan hijau; Aku memberikan semua itu kepada kamu sebagai makanan. Hanya daging yang masih berdarah tidak boleh kamu makan, kerana nyawa itu terkandung di dalam darah. Setiap orang dan binatang yang membunuh manusia akan Kuhukum mati. Manusia diciptakan seperti Allah; oleh itu, sesiapa yang membunuh manusia akan dibunuh oleh manusia juga. Kamu harus mempunyai banyak anak cucu, supaya keturunan kamu dapat mendiami seluruh bumi.” Allah berfirman kepada Nuh dan anak-anaknya, “Sekarang Aku membuat perjanjian dengan kamu dan keturunan kamu, dan juga dengan semua makhluk hidup, iaitu burung dan binatang; semua yang keluar dari bahtera bersama dengan kamu. Inilah perjanjian-Ku dengan kamu. Aku berjanji bahawa semua makhluk hidup tidak akan dibinasakan oleh banjir lagi. Banjir tidak akan memusnahkan bumi lagi. Sebagai tanda perjanjian abadi yang Aku buat dengan kamu dan semua makhluk hidup, Aku menempatkan pelangi-Ku di langit. Pelangi menjadi tanda perjanjian-Ku dengan dunia. Tiap-tiap kali Aku meliputi langit dengan awan dan pelangi itu kelihatan, Aku akan mengingat perjanjian-Ku dengan kamu dan dengan semua makhluk hidup, bahawa banjir tidak lagi akan membinasakan semua makhluk hidup. Apabila pelangi itu kelihatan di langit, Aku akan melihatnya dan mengingat perjanjian abadi antara Aku dan semua makhluk yang hidup di bumi. Itulah tanda perjanjian yang Aku buat dengan semua makhluk yang hidup di bumi.” Anak-anak Nuh yang keluar dari bahtera itu ialah Sem, Ham, dan Yafet. (Ham ialah bapa Kanaan.) Ketiga-tiga orang anak Nuh itu ialah nenek moyang semua orang di dunia. Nuh ialah petani, dan dialah yang mula-mula menanam anggur. Setelah Nuh minum wainnya, dia menjadi mabuk. Dia menanggalkan semua pakaiannya lalu berbaring telanjang di dalam khemahnya. Apabila Ham, bapa Kanaan, melihat bapanya bertelanjang, dia keluar dan memberitahukan hal itu kepada kedua-dua orang saudaranya. Kemudian Sem dan Yafet mengambil sehelai jubah. Mereka membentangkan jubah itu pada bahu, lalu berjalan mundur masuk ke khemah dan menyelimuti bapa mereka dengan jubah itu. Mereka memalingkan muka supaya tidak nampak bapa mereka yang bertelanjang. Apabila Nuh sedar daripada mabuknya dan mengetahui perbuatan anak bongsunya, dia berkata, “Terkutuklah Kanaan! Dia akan menjadi abdi saudara-saudaranya. Pujilah TUHAN, Allah Sem! Kanaan akan menjadi abdi Sem. Semoga Allah menambahkan berkat kepada Yafet dengan meluaskan tempat tinggalnya. Semoga keturunannya tinggal bersama dengan keturunan Sem. Kanaan akan menjadi abdi Yafet.” Selepas banjir itu, Nuh hidup selama 350 tahun lagi. Nuh meninggal ketika dia berumur 950 tahun. Inilah keturunan Sem, Yafet, dan Ham, anak-anak Nuh. Selepas banjir itu, ketiga-tiga mereka mendapat anak lelaki. Inilah anak-anak Yafet: Gomer, Magog, Madai, Yawan, Tubal, Mesekh, dan Tiras. Keturunan Gomer ialah penduduk Askenas, Rifat, dan Togarma. Keturunan Yawan ialah penduduk Elisa, Sepanyol, Siprus, dan Rodes. Mereka nenek moyang orang yang tinggal di sepanjang pantai dan di pulau-pulau. Mereka semua keturunan Yafet. Setiap suku tinggal di negeri masing-masing, dan mempunyai bahasa sendiri. Inilah keturunan Ham: Kus, Mesir, Libia, dan Kanaan. Keturunan Kus ialah penduduk Seba, Hawila, Sabta, Raema, dan Sabtekha. Keturunan Raema ialah penduduk Syeba dan Dedan. Kus mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Nimrod. Nimrod menjadi seorang penakluk agung yang pertama sekali di dunia. Dengan pertolongan TUHAN, Nimrod menjadi seorang pemburu yang ulung. Oleh itu orang berkata, “Semoga TUHAN menjadikan kamu pemburu yang ulung seperti Nimrod.” Mula-mula kerajaan Nimrod meliputi Babel, Erekh, dan Akad, yang semuanya di Babilonia. Dari sana, Nimrod pergi ke Asyur lalu membina kota Niniwe, Rehobot-Ir, Kalah, dan Resen, yang terletak di antara Niniwe dan Kalah, sebuah kota yang besar. Keturunan Mesir ialah penduduk Lidia, Anamim, Lehabim, Naftuhim, Patrusim, Kasluhim, dan Kaftorim, nenek moyang bangsa Filistin. Anak Kanaan ialah Sidon yang sulung, dan Het. Kanaan juga nenek moyang orang Yebusi, Amori, Girgasi, Hewi, Arki, Sini, Arwadi, Semari, dan Hamati. Keturunan suku-suku Kanaan itu terserak jauh sampai ke sempadan negeri mereka dan meluas dari Sidon ke selatan menuju Gerar, sampai ke Gaza, dan ke timur menuju Sodom, Gomora, Adma, dan Zeboim, sampai ke Lasa. Mereka semua keturunan Ham. Setiap suku tinggal di negeri masing-masing dan mempunyai bahasa sendiri. Sem, abang Yafet, ialah nenek moyang semua orang Ibrani. Inilah anak-anak Sem: Elam, Asyur, Arpakhsad, Lud, dan Aram. Keturunan Aram ialah penduduk Us, Hul, Geter, dan Mas. Arpakhsad bapa Selah, dan Selah bapa Eber. Eber mempunyai dua orang anak lelaki; yang pertama dinamakan Peleg, kerana pada zamannya penduduk dunia terbahagi-bahagi. Anak yang kedua bernama Yoktan. Keturunan Yoktan ialah penduduk Almodad, Selef, Hazarmawet, Yerah, Hadoram, Uzal, Dikla, Obal, Abimael, Syeba, Ofir, Hawila, dan Yobab. Mereka semua keturunan Yoktan. Daerah tempat tinggal mereka meluas dari Mesa ke Sefar, kawasan pergunungan di sebelah timur. Mereka semua keturunan Sem. Setiap suku tinggal di negeri masing-masing dan mempunyai bahasa sendiri. Mereka semua keturunan Nuh, suku demi suku, menurut jurai keturunan masing-masing. Selepas banjir itu, semua orang di dunia keturunan anak-anak Nuh. Pada mulanya, orang di seluruh dunia hanya mempunyai satu bahasa dan mereka menggunakan kata-kata yang sama. Apabila mereka mengembara ke sebelah timur, mereka tiba di suatu dataran di Babilonia, lalu menetap di situ. Mereka bercakap sesama sendiri, “Mari kita membuat batu bata dan membakarnya sampai keras.” Demikianlah mereka mempunyai batu bata untuk dijadikan bahan binaan, serta tar sebagai bahan pelekat. Mereka berkata, “Mari kita bina kota dengan sebuah menara yang puncaknya sampai ke langit, supaya kita termasyhur dan tidak tercerai-cerai di seluruh bumi.” Kemudian TUHAN turun untuk melihat kota dan menara yang dibina oleh manusia. Dia berfirman, “Mereka ini satu bangsa dengan satu bahasa, dan hal ini baru permulaan rancangan mereka. Tidak lama lagi mereka akan sanggup melakukan apa sahaja yang dikehendaki mereka. Marilah Kita turun dan kacau bahasa mereka supaya mereka tidak memahami satu sama lain.” Demikianlah TUHAN mencerai-beraikan mereka ke seluruh bumi. Maka mereka berhenti membina kota itu. Kota itu dinamakan Babel kerana di situlah TUHAN mengacau bahasa manusia, dan dari situlah TUHAN mencerai-beraikan manusia ke seluruh bumi. Inilah keturunan Sem. Dua tahun selepas banjir itu, ketika Sem berumur 100 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Arpakhsad. Selepas itu, Sem hidup selama 500 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain. Ketika Arpakhsad berumur 35 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Selah. Selepas itu Arpakhsad hidup selama 403 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain. Ketika Selah berumur 30 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Eber. Selepas itu Selah hidup selama 403 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain. Ketika Eber berumur 34 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Peleg. Selepas itu Eber hidup selama 430 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain. Ketika Peleg berumur 30 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Reu. Selepas itu Peleg hidup selama 209 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain. Ketika Reu berumur 32 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Serug. Selepas itu Reu hidup selama 207 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain. Ketika Serug berumur 30 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Nahor. Selepas itu Serug hidup selama 200 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain. Ketika Nahor berumur 29 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Terah. Selepas itu Nahor hidup selama 119 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain. Ketika Terah berumur 70 tahun, dia mendapat tiga orang anak lelaki, iaitu Abram, Nahor, dan Haran. Inilah keturunan Terah. Terah ialah bapa Abram, Nahor, dan Haran. Haran mempunyai seorang anak lelaki bernama Lot. Haran meninggal di Ur, kampung halamannya di Babilonia, ketika bapanya masih hidup. Abram berkahwin dengan Sarai, dan Nahor berkahwin dengan Milka, anak perempuan Haran. Haran mempunyai anak lelaki lain bernama Yiska. Sarai tidak mempunyai anak kerana dia mandul. Terah meninggalkan kota Ur di Babilonia bersama dengan Abram anaknya, Lot cucunya, dan Sarai menantunya, iaitu isteri Abram. Terah bermaksud pergi ke negeri Kanaan tetapi setibanya di Haran, mereka menetap di sana. Di tempat itu Terah meninggal ketika berumur 205 tahun. TUHAN berfirman kepada Abram, “Tinggalkanlah negerimu, kaum keluargamu, dan rumah bapamu; pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu. Aku akan memberi engkau keturunan yang banyak dan mereka akan menjadi satu bangsa yang besar. Aku akan memberkati engkau dan menjadikan namamu termasyhur, sehingga engkau menjadi berkat bagi bangsa-bangsa. Aku akan memberkati orang yang memberkati engkau, dan mengutuk orang yang mengutuk engkau. Melalui engkau, Aku akan memberkati semua bangsa di bumi.” [4-5] Abram berumur 75 tahun ketika dia meninggalkan Haran, menurut perintah TUHAN kepadanya. Abram berangkat ke tanah Kanaan bersama-sama Sarai isterinya, Lot anak saudaranya, dan membawa semua harta benda serta hamba yang diperoleh mereka di Haran. Selepas mereka tiba di Kanaan, *** Abram menjelajahi tanah itu sehingga dia tiba di pokok keramat di More, tempat ibadat di Sikhem. (Pada masa itu orang Kanaan masih tinggal di tanah itu.) TUHAN menampakkan diri kepada Abram dan berfirman kepadanya, “Inilah negeri yang akan Kuberikan kepada keturunanmu.” Kemudian Abram membina sebuah mazbah di situ untuk TUHAN yang sudah menampakkan diri kepadanya. Selepas itu Abram meneruskan perjalanannya ke selatan, ke kawasan berbukit di sebelah timur kota Betel, lalu berkhemah di antara Betel dan kota Ai; Betel di sebelah barat dan Ai di sebelah timur. Di situ juga dia membina sebuah mazbah dan menyembah TUHAN. Kemudian Abram meneruskan perjalanan, dari satu tempat ke tempat berikutnya, menuju ke bahagian selatan tanah Kanaan. Tetapi ada kebuluran yang sangat dahsyat di negeri Kanaan, sehingga Abram pergi lebih jauh lagi ke selatan, ke negeri Mesir, lalu tinggal di sana untuk sementara waktu. Pada masa dia hendak melintasi sempadan negeri Mesir, dia berkata kepada isterinya Sarai, “Engkau perempuan cantik. Apabila orang Mesir nampak engkau, mereka akan berkata, ‘Dia ini isteri Abram’, lalu mereka akan membunuh aku dan membiarkan engkau hidup. Lebih baik engkau katakan saja bahawa engkau adikku supaya aku dibiarkan hidup dan diperlakukan dengan baik kerana engkau.” Setelah Abram melintasi sempadan negeri Mesir, orang Mesir nampak bahawa Sarai sangat cantik. Beberapa orang pegawai istana nampak Sarai, lalu memberitahu raja betapa cantiknya perempuan itu; oleh itu Sarai dibawa ke istana raja. Kerana Sarai, raja memperlakukan Abram dengan baik lalu memberikan hamba, kawanan domba dan kambing, lembu, keldai, serta unta kepadanya. Tetapi kerana raja mengambil Sarai, TUHAN mendatangkan penyakit yang dahsyat kepada baginda serta semua orang di dalam istana baginda. Oleh itu raja memanggil Abram dan bertanya kepadanya, “Apakah yang telah kamu lakukan terhadap beta? Mengapa kamu tidak memberitahu beta bahawa perempuan itu isterimu? Mengapa kamu katakan bahawa dia adikmu, dan membiarkan beta mengambilnya menjadi isteri beta? Ini dia isterimu; ambillah dia dan pergilah!” Raja memberikan perintah kepada beberapa orang pegawainya, lalu mereka menyuruh Abram pergi dari negeri itu bersama-sama isterinya dan segala miliknya. Abram meninggalkan Mesir lalu pergi ke arah utara, menuju ke bahagian selatan tanah Kanaan bersama dengan isterinya serta segala miliknya; Lot juga mengikut Abram. Abram kaya raya; dia mempunyai domba, kambing, lembu, dan juga emas serta perak. Kemudian dia meninggalkan tempat itu dan pergi dari satu tempat ke tempat yang lain, menuju ke Betel. Dia tiba di daerah di antara Betel dan Ai, tempat dia berkhemah dan mendirikan mazbah dahulu. Dia menyembah TUHAN di situ. Lot, yang mengikut Abram, juga mempunyai keluarga sendiri dan hamba, domba, kambing, serta lembu. Padang rumput di situ tidak cukup bagi mereka tinggal bersama-sama, kerana mereka mempunyai ternakan yang sangat banyak. Oleh sebab itu pertengkaran berlaku antara para gembala Abram dan para gembala Lot. (Pada masa itu orang Kanaan dan orang Feris masih tinggal di tanah itu.) Kemudian Abram berkata kepada Lot, “Kita ini bersaudara; orangmu dan orangku tidak sepatutnya bertengkar. Oleh itu sebaiknya kita berpisah. Pilihlah bahagian tanah yang kamu suka. Jika kamu pergi ke sebelah sini, aku akan pergi ke sebelah sana.” Lot memandang di sekelilingnya dan nampak bahawa seluruh Lembah Yordan, sampai ke kota Zoar mempunyai banyak air, seperti Taman TUHAN atau seperti tanah Mesir. (Begitulah keadaannya sebelum TUHAN memusnahkan kota Sodom dan Gomora.) Akhirnya Lot memilih seluruh Lembah Yordan, lalu berangkat ke sebelah timur. Demikianlah kedua-dua orang itu berpisah. Abram tetap tinggal di tanah Kanaan, sedangkan Lot tinggal di antara kota-kota di lembah itu dan berkhemah dekat Sodom. Penduduk kota Sodom sangat jahat dan berdosa terhadap TUHAN. Selepas Lot meninggalkan tempat itu, TUHAN berfirman kepada Abram, “Dari tempat engkau berdiri, pandanglah baik-baik ke segala arah; Aku akan memberikan seluruh tanah yang engkau lihat itu kepadamu dan keturunanmu. Tanah itu akan menjadi milikmu selama-lamanya. Aku akan memberi engkau keturunan yang sangat banyak, sehingga tiada sesiapa pun dapat menghitung mereka. Sebagaimana debu di tanah tidak dapat dihitung, demikian juga keturunanmu tidak akan dapat dihitung. Sekarang, jelajahilah seluruh tanah ini, kerana Aku akan memberikan tanah ini kepadamu.” Selepas itu Abram memindahkan perkhemahannya, lalu menetap berhampiran dengan pokok-pokok keramat di Mamre, dekat Hebron. Di situ dia membina sebuah mazbah untuk TUHAN. Empat orang raja, iaitu Raja Amrafel dari Babilonia, Raja Ariokh dari Elasar, Raja Kedorlaomer dari Elam, dan Raja Tideal dari Goyim, keluar berperang melawan lima orang raja lain, iaitu Raja Bera dari Sodom, Raja Birsya dari Gomora, Raja Syinab dari Adma, Raja Semeber dari Zeboim, dan raja dari Bela (atau Zoar). Kelima-lima orang raja itu bersekutu lalu mengumpulkan tentera mereka di Lembah Sidim, yang sekarang disebut Laut Mati. Mereka telah ditakluk oleh Raja Kedorlaomer selama dua belas tahun, tetapi pada tahun yang ketiga belas mereka memberontak melawan baginda. Pada tahun keempat belas, Raja Kedorlaomer dan sekutu-sekutunya datang dengan tentera mereka, lalu mengalahkan orang Refaim di Asyterot-Karnaim, orang Zuzim di Ham, orang Emim di dataran Kiryataim, dan orang Hori di pergunungan Edom, lalu mengejar mereka sejauh El-Paran di pinggir padang gurun. Kemudian raja-raja itu berpatah balik dan kembali ke En-Mispat yang sekarang disebut Kades. Mereka menaklukkan seluruh tanah orang Amalek dan mengalahkan orang Amori yang tinggal di Hazezon-Tamar. Selepas itu raja dari Sodom, Gomora, Adma, Zeboim, dan Bela mengatur barisan tentera mereka di Lembah Sidim, lalu berperang melawan raja dari Elam, Goyim, Babilonia, dan Elasar; lima orang raja melawan empat orang raja. Lembah itu penuh dengan lubang tar. Apabila raja dari Sodom dan Gomora cuba melarikan diri dari peperangan, mereka jatuh ke dalam lubang tar. Tiga orang raja yang lain berjaya melarikan diri ke pergunungan. Empat orang raja yang menang, menjarah segala sesuatu di Sodom dan Gomora, termasuk bahan makanan, lalu mereka pergi dari situ. Lot, anak saudara Abram, juga tinggal di Sodom, maka dia pun ditawan oleh musuh berserta segala harta bendanya. Tetapi seorang yang berjaya melepaskan diri melaporkan segala peristiwa itu kepada Abram, orang Ibrani itu. Abram tinggal berhampiran dengan pokok-pokok keramat, tempat ibadat kepunyaan seorang Amori yang bernama Mamre. Mamre dan saudara-saudaranya, Eskol dan Aner, ialah teman sekutu Abram. Apabila Abram mendengar bahawa anak saudaranya sudah ditawan, dia mengumpulkan semua orang yang dapat berperang di perkhemahannya, sebanyak 318 orang lalu mengejar empat orang raja itu sampai ke kota Dan. Di sana Abram membahagikan orangnya menjadi beberapa pasukan, lalu menyerang musuh pada waktu malam dan mengalahkan mereka. Dia mengejar mereka sampai ke Hoba di sebelah utara kota Damsyik. Abram berjaya merebut semula barang-barang yang sudah dirampas. Dia juga membawa kembali Lot bersama dengan segala harta bendanya, kaum wanita, serta orang tawanan yang lain. Setelah mengalahkan Raja Kedorlaomer dan raja-raja sekutunya, Abram kembali. Kemudian raja Sodom pergi menyambut Abram di Lembah Syawe yang disebut juga Lembah Raja. Raja Melkisedek, raja Salem yang juga menjadi imam Allah Yang Maha Tinggi, membawa roti dan wain untuk Abram. Kemudian baginda memberkati Abram dan bertitah, “Semoga Allah Yang Maha Tinggi, yang sudah menciptakan langit dan bumi, memberkati Abram. Terpujilah Allah Yang Maha Tinggi, yang sudah memberi kamu kemenangan melawan musuh-musuhmu.” Selepas itu Abram memberi Raja Melkisedek sepersepuluh daripada segala barang jarahan yang sudah dibawanya balik. Kemudian Raja Sodom bertitah kepada Abram, “Ambillah barang jarahan itu, tetapi sudilah kembalikan semua orang beta.” Tetapi Abram menjawab, “Hamba bersumpah di hadapan TUHAN, Allah Yang Maha Tinggi, Pencipta langit dan bumi, bahawa hamba tidak akan mengambil sesuatu pun milik tuanku, bahkan seutas benang atau tali kasut pun tidak. Dengan demikian, tuanku tidak akan dapat bertitah, ‘Betalah yang membuat Abram kaya.’ Hamba tidak mahu mengambil apa-apa pun untuk diri hamba. Hamba hanya mahu menerima apa yang sudah digunakan oleh anak buah hamba. Tetapi biarlah teman sekutu hamba, iaitu Aner, Eskol, dan Mamre mengambil bahagian mereka.” Selepas itu, Abram mendapat penglihatan dan mendengar TUHAN berfirman kepadanya, “Jangan takut, Abram. Aku akan melindungi engkau daripada bahaya dan memberikan pahala yang besar kepadamu.” Tetapi Abram berkata, “Ya TUHAN Raja, apakah gunanya pahala itu bagiku kerana aku tidak mempunyai anak? Orang yang akan mewarisi hartaku hanya Eliezer, hambaku dari Damsyik. Engkau tidak mengurniakan anak kepadaku. Oleh itu yang mewarisi hartaku hanya seorang daripada hambaku.” Kemudian Abram mendengar TUHAN berfirman lagi kepadanya, “Hamba itu tidak akan mewarisi hartamu, melainkan anak lelakimu sendiri.” TUHAN membawa Abram ke luar lalu berfirman, “Pandanglah ke langit dan cubalah hitung bintang; engkau akan mempunyai keturunan sebanyak bintang.” Abram percaya kepada TUHAN, maka TUHAN berkenan kepadanya. Kemudian TUHAN berfirman lagi kepada Abram, “Akulah TUHAN yang sudah memimpin engkau keluar dari Ur di negeri Babilonia, untuk memberikan tanah ini kepadamu supaya menjadi milikmu.” Tetapi Abram bertanya, “Ya TUHAN Raja, bagaimana aku dapat mengetahui bahawa tanah ini akan menjadi milikku?” TUHAN menjawab, “Ambillah seekor lembu betina, seekor kambing betina, dan seekor domba jantan untuk-Ku. Setiap satunya harus berumur tiga tahun, dan ambil juga seekor burung merpati, serta seekor burung tekukur.” Kemudian Abram mengambil semuanya bagi Allah. Abram membelah lembu, kambing, dan domba itu. Dia meletakkan belahan-belahan binatang itu pada dua barisan, setiap belahan menghadap satu sama lain, tetapi dia tidak membelah burung. Burung-burung pemakan bangkai hinggap atas daging binatang itu, tetapi Abram menghalau semuanya. Ketika matahari mulai terbenam, Abram tidur lena, lalu perasaan takut dan ngeri meliputi dirinya. TUHAN berfirman kepadanya, “Keturunanmu akan menjadi orang asing di negeri lain; mereka akan menjadi hamba di sana dan akan ditindas selama empat ratus tahun. Tetapi Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba keturunanmu itu. Apabila keturunanmu meninggalkan negeri itu, mereka akan membawa banyak harta benda. Engkau sendiri akan lanjut usia; engkau akan meninggal dengan tenang, lalu dikebumikan. Selepas empat generasi, keturunanmu akan kembali ke sini, kerana Aku tidak akan mengusir orang Amori sebelum mereka menjadi terlalu jahat sehingga harus dihukum.” Setelah matahari terbenam dan hari sudah gelap, tiba-tiba sebuah dapur arang yang berasap dan obor yang bernyala, lalu di antara belahan-belahan binatang itu. Pada masa itu juga TUHAN membuat perjanjian dengan Abram. TUHAN berfirman, “Aku berjanji akan memberikan seluruh tanah ini kepada keturunanmu, mulai dari sempadan negeri Mesir hingga Sungai Efrat, termasuk juga tanah orang Keni, Kenas, Kadmon, Het, Feris, Refaim, Amori, Kanaan, Girgasi, dan Yebusi.” Sarai, isteri Abram, masih belum mempunyai anak. Tetapi Sarai mempunyai seorang hamba dari Mesir, seorang gadis yang bernama Hagar. Sarai berkata kepada Abram, “TUHAN tidak membolehkan aku melahirkan anak. Oleh itu, tidurlah dengan hambaku ini. Mungkin dia dapat melahirkan seorang anak untukku.” Abram bersetuju dengan cadangan Sarai, maka Sarai memberikan Hagar kepada Abram untuk dijadikan gundik. Pada masa itu Abram sudah tinggal di Kanaan selama sepuluh tahun. Abram bersetubuh dengan Hagar, lalu perempuan itu mengandung. Tetapi apabila Hagar tahu bahawa dia mengandung, dia menjadi sombong lalu menghina Sarai. Kemudian Sarai berkata kepada Abram, “Aku sudah memberikan hambaku Hagar kepadamu, dan sejak dia tahu bahawa dia mengandung, dia menghina aku. Hal itu kesalahanmu. Semoga TUHAN mengadili siapa antara kita yang benar, engkau ataupun aku.” Abram menjawab, “Baiklah, dia hambamu dan engkau berkuasa terhadapnya; perlakukanlah dia sesuka hatimu.” Kemudian Sarai memperlakukan Hagar dengan sangat kejam sehingga Hagar melarikan diri. Malaikat TUHAN menjumpai Hagar dekat mata air di padang gurun, di jalan yang menuju ke padang gurun Syur. Malaikat itu berkata, “Hagar, hamba Sarai, engkau dari mana dan hendak ke mana?” Hagar menjawab, “Hamba melarikan diri daripada tuan hamba, Sarai.” Malaikat itu berkata, “Kembalilah kepadanya dan layanilah dia.” Kemudian malaikat itu berkata, “Aku akan memberikan keturunan yang sangat banyak kepadamu, sehingga tiada seorang pun dapat menghitung mereka. Tidak lama lagi engkau akan melahirkan seorang anak lelaki; namakanlah dia Ismael, kerana TUHAN sudah mendengar tangisanmu. Tetapi anakmu itu akan hidup seperti keldai liar; dia akan melawan setiap orang dan setiap orang pun akan melawan dia. Dia akan hidup terpisah daripada semua sanak saudaranya.” Hagar bertanya dalam hati, “Benarkah aku sudah nampak Allah dan aku masih hidup?” Oleh itu dia menyebut TUHAN yang sudah berfirman kepadanya itu “Allah Yang Melihat”. Itulah sebabnya perigi di antara Kades dan Bered itu dinamakan, “Perigi Dia Yang Hidup Yang Melihat Aku.” Kemudian Hagar melahirkan seorang anak lelaki, lalu Abram, bapa anak itu menamakan dia Ismael. Pada masa itu Abram berumur 86 tahun. Ketika Abram berumur 99 tahun, TUHAN menampakkan diri kepadanya dan berfirman, “Akulah Allah Yang Maha Kuasa. Taatilah Aku dan lakukanlah kehendak-Ku selalu. Aku akan membuat perjanjian-Ku denganmu dan memberikan keturunan yang banyak kepadamu.” Abram bersujud, lalu Allah berfirman, “Inilah perjanjian yang Aku buat dengan engkau: Aku berjanji bahawa engkau akan menjadi nenek moyang banyak bangsa. Oleh itu namamu tidak lagi disebut Abram, melainkan Abraham, kerana Aku menjadikan engkau nenek moyang banyak bangsa. Aku akan memberikan banyak anak cucu kepadamu, dan ada antara mereka yang akan menjadi raja. Engkau akan mempunyai keturunan yang sangat banyak sehingga mereka menjadi bangsa-bangsa. Aku akan menepati janji-Ku kepadamu serta keturunanmu turun-temurun, dan perjanjian itu abadi. Aku akan menjadi Allahmu dan Allah keturunanmu. Aku akan memberikan tanah ini kepadamu dan keturunanmu; tanah yang sekarang engkau diami sebagai orang asing. Seluruh tanah Kanaan akan menjadi kepunyaan keturunanmu selama-lamanya, dan Aku akan menjadi Allah mereka.” Allah berfirman lagi kepada Abraham, “Engkau juga mesti bersetuju untuk setia kepada perjanjian itu, engkau dan keturunanmu turun-temurun. Engkau dan semua keturunanmu yang lelaki mesti disunat. [11-12] Mulai hari ini engkau mesti menyunatkan setiap bayi lelaki apabila dia berumur lapan hari. Ini termasuk hamba yang lahir di dalam rumahmu dan hamba yang dibeli daripada bangsa asing. Sunat itu akan menjadi tanda perjanjian antara engkau dengan Aku. *** Tiap-tiap lelaki mesti disunat; sunat ini akan menjadi tanda jasmani yang menunjukkan bahawa perjanjian-Ku dengan engkau itu abadi. Setiap lelaki yang tidak disunat tidak dianggap anggota umat-Ku kerana dia tidak berpegang pada perjanjian itu.” Kemudian Allah berfirman kepada Abraham, “Jangan lagi panggil isterimu Sarai; mulai sekarang namanya Sara. Aku akan memberkati dia dan mengurniai engkau seorang anak lelaki yang akan dilahirkan oleh Sara. Aku akan memberkati Sara, dan dia akan menjadi ibu bangsa-bangsa. Di kalangan keturunannya akan ada raja-raja.” Abraham bersujud, tetapi dia tertawa ketika berfikir, “Mana mungkin seorang lelaki yang sudah berumur seratus tahun mendapat anak? Mana mungkin Sara melahirkan anak setelah berumur sembilan puluh tahun?” Oleh itu dia berkata kepada Allah, “Lebih baik Ismael saja yang menjadi warisku.” Tetapi Allah berfirman, “Tidak. Isterimu Sara akan melahirkan seorang anak lelaki untukmu dan engkau akan menamakan dia Ishak. Aku akan setia kepada perjanjian-Ku dengan anak itu dan dengan keturunannya selama-lamanya; perjanjian itu abadi. Aku sudah mendengar permintaanmu untuk Ismael. Oleh itu Aku akan memberkati dia dan memberi dia banyak anak dan keturunan. Dia akan menjadi nenek moyang dua belas ketua suku, dan Aku akan menjadikan keturunannya suatu bangsa yang besar. Tetapi Aku akan memegang perjanjian-Ku dengan anak lelakimu, Ishak, yang akan dilahirkan oleh Sara, kira-kira pada masa seperti ini tahun hadapan.” Setelah berfirman kepada Abraham, Allah pergi dari situ. Pada hari itu juga, Abraham mentaati Allah dengan menyunatkan anak lelakinya Ismael, serta semua kaum lelaki dalam keluarganya, termasuk hamba-hamba yang dilahirkan di rumahnya dan hamba-hamba yang dibelinya. Abraham berumur 99 tahun ketika dia disunat, dan anak lelakinya Ismael berumur 13 tahun. Mereka berdua disunat pada hari yang sama, bersama dengan semua hamba Abraham. TUHAN menampakkan diri kepada Abraham dekat pokok-pokok keramat, tempat beribadat di Mamre. Pada masa itu, hari sangat panas dan Abraham sedang duduk di pintu khemahnya. Apabila dia menjenguk, dia nampak tiga orang berdiri di situ. Abraham segera berlari untuk menyambut mereka. Dengan bersujud, dia berkata, “Hai tuan-tuan, janganlah terus lalu tanpa singgah sebentar; perkenankanlah saya melayani tuan-tuan. Biarlah saya mengambil air untuk membasuh kaki tuan-tuan. Silakan tuan-tuan melepaskan lelah di bawah pokok ini. Saya akan menghidangkan makanan sekadarnya, supaya tuan-tuan mendapat tenaga untuk meneruskan perjalanan. Tuan-tuan sudah menghormati saya dengan sudi singgah di tempat kediaman saya ini.” Mereka menjawab, “Terima kasih kerana kebaikanmu. Kami akan singgah.” Abraham segera masuk ke dalam khemah dan berkata kepada Sara, “Cepat, ambillah tepung yang terbaik dan buatlah roti.” Kemudian Abraham berlari ke tempat kawanan ternakannya dan memilih seekor anak lembu yang muda dan gemuk. Dia memberikan anak lembu itu kepada orang suruhan, yang segera menyiapkannya. Selepas itu Abraham mengambil sedikit krim, sedikit susu, dan daging yang sudah dimasak, lalu menghidangkan semua itu kepada tetamunya. Semasa mereka makan, Abraham sendiri melayani mereka di bawah pokok. Kemudian mereka bertanya kepada Abraham, “Di manakah isterimu Sara?” “Di situ, di dalam khemah,” jawab Abraham. Satu daripada mereka berkata, “Sembilan bulan lagi aku akan kembali. Pada waktu itu isterimu Sara akan mempunyai seorang anak lelaki.” Sara sedang memasang telinga di pintu khemah, di belakang tetamu itu. Abraham dan Sara sudah lanjut usia dan Sara sudah mati haid. Oleh itu Sara tertawa dalam hati dan berkata, “Aku yang sudah tua dan layu begini, mana boleh masih ingin berseketiduran dengan suamiku? Lagipun suamiku sudah tua.” Kemudian TUHAN bertanya kepada Abraham, “Mengapakah Sara tertawa dan berkata, ‘Bolehkah aku melahirkan anak sedangkan aku sudah tua?’ Adakah sesuatu yang terlalu sukar bagi TUHAN? Sebagaimana yang telah Aku firmankan, sembilan bulan lagi Aku akan kembali ke sini. Pada waktu itu Sara akan mempunyai seorang anak lelaki.” Oleh sebab Sara takut, dia menafikannya. “Saya tidak tertawa,” katanya. Tetapi TUHAN menjawab, “Engkau memang tertawa tadi.” Kemudian ketiga-tiga tetamu itu meninggalkan tempat itu, lalu pergi ke suatu tempat. Di situ mereka dapat memandang kota Sodom. Abraham mengikut mereka untuk menghantar mereka meneruskan perjalanan. TUHAN berfirman dalam hati, “Aku tidak mahu merahsiakan perkara yang akan Aku lakukan daripada Abraham. Keturunannya akan menjadi bangsa yang besar dan berkuasa, dan Aku akan memberkati semua bangsa di bumi kerana dia. Aku sudah memilih dia supaya memerintah anak-anak dan keturunannya untuk taat kepada-Ku dan melakukan hal yang benar dan adil. Jika mereka berbuat demikian, Aku akan memenuhi segala janji-Ku kepada Abraham.” Selanjutnya TUHAN berfirman kepada Abraham, “Ada tuduhan yang berat sekali terhadap penduduk Sodom dan Gomora, dan memang dosa mereka itu sangat besar. Oleh itu Aku hendak turun ke sana untuk menyiasat sama ada tuduhan yang sudah Aku dengar itu benar atau tidak.” Kemudian dua daripada tetamu itu berangkat menuju ke Sodom, tetapi TUHAN tinggal dengan Abraham. Abraham menghampiri TUHAN dan bertanya, “Benarkah Engkau mahu membinasakan orang yang tidak bersalah bersama dengan orang yang bersalah? Jika terdapat lima puluh orang yang tidak bersalah di dalam kota itu, adakah Engkau akan memusnahkan seluruh kota itu? Tidakkah Engkau mahu mengampuninya untuk menyelamatkan yang lima puluh orang itu? Tentu Engkau tidak mahu membunuh orang yang tidak bersalah bersama dengan orang yang bersalah. Tentu tidak! Engkau tidak mungkin berbuat demikian. Jika Engkau berbuat demikian, orang yang tidak bersalah akan dihukum bersama dengan orang yang bersalah. Itu tidak mungkin. Hakim bagi seluruh bumi tentu bertindak dengan adil.” TUHAN menjawab, “Jika Aku mendapati lima puluh orang yang tidak bersalah di Sodom, Aku akan mengampuni seluruh kota itu kerana mereka.” Abraham berkata lagi, “Ampunkanlah kelancanganku kerana tidak henti-henti bercakap kepada-Mu, ya Tuhan. Aku ini hanya manusia dan tidak berhak untuk mengatakan apa-apa pun. Tetapi mungkin hanya terdapat empat puluh lima orang yang tidak bersalah, dan bukan lima puluh orang. Adakah Engkau memusnahkan seluruh kota itu disebabkan kurang hanya lima orang?” TUHAN menjawab, “Aku tidak akan memusnahkan kota itu jika Aku mendapati empat puluh lima orang yang tidak bersalah.” Abraham berkata lagi, “Mungkin hanya terdapat empat puluh orang.” TUHAN menjawab, “Aku tidak akan memusnahkannya jika Aku mendapati empat puluh orang.” Abraham berkata, “Ya Tuhan, janganlah murka jika aku bercakap lagi. Bagaimana pula jika terdapat hanya tiga puluh orang?” TUHAN berfirman, “Aku tidak akan melakukannya jika Aku mendapati tiga puluh orang.” Abraham berkata, “Ampunkanlah kelancanganku kerana tidak henti-henti bercakap kepada-Mu, ya Tuhan. Bagaimana jika hanya ada dua puluh orang?” TUHAN berfirman, “Aku tidak akan memusnahkan kota itu jika Aku mendapati dua puluh orang.” Abraham berkata, “Ya Tuhan, janganlah murka. Aku akan bercakap hanya sekali lagi. Bagaimana pula jika terdapat hanya sepuluh orang?” TUHAN berfirman, “Aku tidak akan memusnahkannya jika Aku mendapati sepuluh orang.” Selepas TUHAN berfirman kepada Abraham, TUHAN pergi, lalu Abraham pulang ke rumahnya. Apabila dua malaikat itu tiba di Sodom pada petang itu, Lot sedang duduk di pintu gerbang kota. Sebaik sahaja dia nampak mereka, dia bangun dan pergi berjumpa dengan mereka. Dia bersujud di hadapan mereka dan berkata, “Tuan-tuan, sila singgah di rumah saya. Tuan-tuan dapat membasuh kaki dan bermalam di rumah saya. Jika mahu, esok tuan-tuan dapat bangun awal dan meneruskan perjalanan.” Tetapi mereka menjawab, “Terima kasih, tetapi kami akan bermalam di sini saja, di padang kota.” Lot mendesak mereka, maka akhirnya mereka masuk bersama dengan dia ke dalam rumahnya. Lot menyediakan hidangan lazat dan membakar roti secukupnya, lalu mereka makan. Sebelum para tetamu itu tidur, orang Sodom mengepung rumah itu. Semua orang lelaki di kota itu, baik yang tua mahupun yang muda berada di situ. Mereka memanggil Lot dan bertanya, “Di manakah orang yang datang bermalam di rumahmu? Serahkan mereka kepada kami, supaya kami dapat bersemburit dengan mereka!” Lot keluar dari rumahnya lalu menutup pintu. Dia berkata kepada orang Sodom di situ, “Saudara-saudara, saya mohon, janganlah lakukan perbuatan sejahat itu! Dengarlah, saya mempunyai dua orang anak perempuan yang masih dara. Biarlah saya serahkan mereka kepada kamu, dan kamu boleh melakukan apa saja terhadap mereka. Tetapi janganlah apa-apakan tetamu saya, kerana saya wajib melindungi mereka.” Tetapi mereka berkata, “Pergi! Engkau orang asing mahu mengarah kami? Pergi! Jika tidak, kami akan mengajar engkau lebih berat daripada mereka.” Kemudian mereka menolak Lot dan maju untuk memecahkan pintu. Tetapi kedua-dua tetamu itu menghulurkan tangan dan menarik Lot masuk ke dalam rumah, lalu menutup pintu. Selepas itu mereka membutakan semua orang yang berada di luar, sehingga orang ramai itu tidak dapat mencari pintu rumah. Kedua-dua tetamu itu berkata kepada Lot, “Jika kamu mempunyai anak lelaki, anak perempuan, menantu atau sanak saudara lain yang tinggal di dalam kota ini, bawalah mereka keluar dari sini, kerana kami akan memusnahkan tempat ini. TUHAN sudah mendengar tuduhan-tuduhan berat terhadap penduduk di sini dan Dia menghantar kami untuk memusnahkan kota Sodom.” Kemudian Lot memberitahu kedua-dua orang bakal menantunya, “Lekaslah keluar dari sini, kerana TUHAN akan memusnahkan tempat ini.” Tetapi mereka menyangka Lot bergurau sahaja. Pada waktu subuh, malaikat-malaikat itu mendesak Lot supaya lekas berangkat. “Cepatlah,” kata mereka. “Bawalah isterimu dan kedua-dua orang anak perempuanmu, dan pergilah dari sini, supaya kamu tidak mati apabila kota ini dimusnahkan.” Lot berlambat-lambat, tetapi TUHAN mengasihani dia; oleh itu kedua-dua tetamunya memegang tangan Lot, isterinya, serta kedua-dua orang anak perempuannya, dan membawa mereka ke luar kota. Selepas itu satu daripada malaikat itu berkata, “Larilah, selamatkanlah diri kamu! Jangan menoleh, dan jangan berhenti di lembah. Larilah ke pergunungan supaya kamu tidak terbunuh!” Tetapi Lot menjawab, “Janganlah suruh kami lari ke pergunungan. Memang tuan sudah banyak menolong saya dan menyelamatkan saya, tetapi pergunungan itu terlalu jauh. Jangan-jangan bencana akan menyusuli saya dan saya akan mati sebelum tiba di sana. Lihat, ada kota kecil yang tidak jauh dari sini. Benarkanlah saya lari ke sana supaya selamat.” Malaikat itu menjawab, “Baiklah, aku tidak akan memusnahkan kota itu. Cepat! Larilah! Aku tidak dapat berbuat apa-apa sebelum kamu sampai di sana.” Oleh sebab Lot mengatakan kota itu kecil, maka kota itu dinamakan Zoar. Matahari sedang terbit ketika Lot tiba di Zoar. Tiba-tiba TUHAN menurunkan hujan belerang yang berapi ke atas Sodom dan Gomora. Kedua-dua buah kota itu dimusnahkan, termasuk seluruh lembah dan semua tumbuh-tumbuhan serta penduduk di situ. Tetapi isteri Lot menoleh, lalu dia berubah menjadi tiang garam. Awal pagi esoknya, dengan tergesa-gesa Abraham pergi ke tempat dia berdiri di hadapan TUHAN sehari sebelumnya. Dia memandang ke arah Sodom dan Gomora serta seluruh lembah itu, lalu nampak kepulan asap naik dari kawasan itu seperti asap dari relau yang besar. Pada masa Allah memusnahkan kota-kota di lembah tempat Lot tinggal dahulu, Allah ingat akan Abraham dan menolong Lot melarikan diri. Oleh sebab Lot berasa takut tinggal di Zoar, dia bersama dengan kedua-dua orang anak perempuannya pergi ke pergunungan dan tinggal di dalam gua. Anak perempuan yang sulung berkata kepada adiknya, “Ayah semakin tua dan tiada seorang pun di seluruh negeri ini yang dapat mengahwini kita supaya kita mempunyai anak. Marilah kita membuat ayah mabuk, lalu kita tidur dengan dia supaya kita mendapat anak daripadanya.” Pada malam itu mereka memberi bapa mereka minum wain, lalu anak perempuan yang sulung berseketiduran dengan bapanya, tetapi bapanya terlalu mabuk sehingga dia tidak tahu akan apa-apa pun yang berlaku. Esoknya anak perempuan yang sulung berkata kepada adiknya, “Aku sudah tidur dengan ayah semalam. Pada malam ini kita membuat dia mabuk lagi. Kemudian engkau pergi tidur dengan dia, supaya kita masing-masing mendapat anak.” Demikianlah pada malam itu mereka membuat bapa mereka mabuk lagi, lalu anak perempuan yang bongsu pula berseketiduran dengan dia. Sekali lagi Lot menjadi terlalu mabuk sehingga dia tidak tahu akan apa-apa pun yang berlaku. Kemudian kedua-dua orang anak Lot itu mengandung kerana bapa mereka sendiri. Anak perempuan yang sulung melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakannya Moab. Dialah yang menjadi nenek moyang bangsa Moab yang ada sekarang. Anak perempuan yang bongsu juga melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakannya Ben-Ami. Dialah yang menjadi nenek moyang bangsa Amon yang ada sekarang. Abraham berpindah dari Mamre ke bahagian selatan Kanaan, lalu menetap di antara Kades dan Syur. Beberapa lama kemudian, semasa dia tinggal di Gerar, dia berkata bahawa isterinya Sara ialah adiknya. Oleh itu, Raja Abimelekh dari kota Gerar menyuruh utusannya membawa Sara kepadanya. Pada suatu malam Allah menampakkan diri kepada Raja Abimelekh dalam mimpi dan berfirman, “Engkau akan mati kerana engkau sudah mengambil wanita ini; dia sudah bersuami.” Tetapi Raja Abimelekh belum lagi menjamah wanita itu, lalu raja itu berkata, “Ya Tuhan, aku tidak bersalah! Adakah Tuhan akan membinasakan aku dan rakyatku? Abraham sendiri berkata bahawa wanita itu adiknya, dan wanita itu pun berkata bahawa Abraham abangnya. Aku melakukan hal ini dengan hati nurani yang bersih, kerana itu aku tidak bersalah.” Allah menjawab dalam mimpi itu, “Ya, Aku tahu bahawa engkau melakukannya dengan hati nurani yang bersih; oleh itu Aku sudah mencegah engkau daripada berdosa terhadap Aku dan tidak membiarkan engkau menjamah wanita itu. Tetapi sekarang, kembalikanlah wanita itu kepada suaminya. Suaminya seorang nabi, dan dia akan berdoa untukmu supaya engkau tidak mati. Tetapi jika engkau tidak mengembalikannya, ingat, engkau dan segenap rakyatmu akan mati.” Awal pagi esoknya Raja Abimelekh memanggil semua pegawainya dan memberitahu mereka segala kejadian itu. Mereka sangat ketakutan. Kemudian Raja Abimelekh memanggil Abraham dan bertanya, “Apakah yang sudah kamu lakukan terhadap kami? Apakah kesalahan yang sudah beta lakukan terhadapmu, yang menyebabkan kamu mendatangkan bencana ini kepada beta dan kerajaan beta? Tidak patut kamu berbuat demikian kepada beta. Mengapa kamu melakukannya?” Abraham menjawab, “Hamba berfikir bahawa di sini tiada sesiapa pun yang takut kepada Allah, sehingga hamba akan dibunuh oleh orang yang menginginkan isteri hamba. Sebenarnya, dia memang adik hamba. Kami satu bapa tetapi berlainan ibu; kemudian kami berkahwin. Oleh itu, apabila Allah menyuruh hamba keluar dari rumah bapa hamba, lalu mengembara ke negeri asing, hamba berkata kepada isteri hamba, ‘Tunjukkanlah kesetiaanmu kepadaku dengan berkata kepada setiap orang bahawa aku ini abangmu.’ ” Selepas itu Raja Abimelekh mengembalikan Sara kepada Abraham, dan pada masa itu juga dia memberikan hamba, domba, dan lembu kepada Abraham. Raja itu bertitah kepada Abraham, “Inilah seluruh negeri beta; tinggallah di mana saja kamu kehendaki.” Baginda bertitah kepada Sara, “Beta memberikan seribu keping perak kepada abangmu sebagai bukti kepada semua orang yang ada bersama-samamu bahawa kamu benar-benar tidak bersalah.” [17-18] TUHAN sudah membuat semua wanita di istana Raja Abimelekh mandul kerana peristiwa yang berlaku kepada Sara, isteri Abraham. Kemudian Abraham berdoa kepada Allah, lalu Allah menyembuhkan Raja Abimelekh, isterinya, dan hamba-hamba perempuannya, sehingga wanita-wanita itu dapat melahirkan anak lagi. TUHAN memberkati Sara sebagaimana yang sudah dijanjikan-Nya. Pada masa yang telah ditentukan Allah, ketika Abraham sudah tua, Sara mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Abraham menamakan anak itu Ishak. Ketika Ishak berumur lapan hari, Abraham menyunatnya, menurut perintah Allah. Abraham berumur 100 tahun ketika Ishak dilahirkan. Sara berkata, “Allah sudah membuat aku tertawa kerana gembira. Setiap orang yang mendengar hal ini akan tertawa bersama-samaku.” Kemudian dia berkata lagi, “Siapakah dahulunya dapat berkata kepada suamiku bahawa aku akan menyusui anak? Namun aku sudah melahirkan juga seorang anak lelaki untuk dia ketika umurnya sudah lanjut.” Anak itu bertambah besar, lalu pada hari dia bercerai susu, Abraham mengadakan jamuan besar. Pada suatu hari Ismael, anak Abraham dan Hagar, perempuan Mesir itu, sedang bermain dengan Ishak, anak Sara. Sara nampak hal itu lalu berkata kepada Abraham, “Usirlah hamba perempuan ini bersama dengan anak lelakinya. Anak hamba perempuan ini tidak boleh mendapat bahagian daripada hartamu yang akan diwarisi anak lelakiku, Ishak.” Hal itu sangat menyusahkan hati Abraham kerana Ismael anaknya juga. Tetapi Allah berfirman kepada Abraham, “Janganlah bersusah hati kerana hambamu Hagar dan anaknya itu. Buatlah apa yang disuruh oleh Sara kepadamu kerana melalui Ishak, engkau akan mendapat keturunan yang sudah Aku janjikan itu. Aku juga akan mengurniakan banyak anak cucu kepada anak Hagar, supaya mereka menjadi suatu bangsa, kerana dia anakmu juga.” Awal pagi esoknya, Abraham memberikan makanan dan satu kirbat kulit berisi air kepada Hagar. Dia meletakkan budak itu pada belakang Hagar dan menyuruhnya pergi dari situ. Lalu Hagar berangkat dan mengembara di padang gurun Bersyeba. Apabila air di dalam kirbat sudah habis, Hagar meletakkan anaknya di bawah belukar, lalu pergi duduk kira-kira 100 meter dari tempat itu. Dia berkata dalam hati, “Aku tidak sanggup melihat anakku mati.” Lalu dia menangis. Allah mendengar suara Ismael dan dari langit malaikat Allah berkata kepada Hagar, “Apakah yang engkau susahkan, Hagar? Janganlah takut. Allah sudah mendengar tangisan anakmu. Pergilah kepada anakmu, angkatlah dan tenangkanlah dia. Aku akan menjadikan keturunannya suatu bangsa yang besar.” Kemudian Allah membuka mata Hagar sehingga dia nampak sebuah perigi. Oleh itu dia pergi mengisi kirbat itu dengan air, kemudian dia memberikan minuman kepada anaknya. Allah menyertai Ismael. Anak itu bertambah besar; dia tinggal di padang gurun Paran dan menjadi pemburu yang mahir. Ibunya mengahwinkan dia dengan seorang wanita Mesir. Pada masa itu Raja Abimelekh dan Pikhol, panglima tenteranya, datang kepada Abraham dan berkata, “Allah menolong kamu dalam segala sesuatu yang kamu lakukan. Oleh itu bersumpahlah di sini, di hadapan Allah bahawa kamu tidak akan memperdayakan beta, anak-anak beta ataupun keturunan beta. Sebagaimana beta sudah berbaik hati kepadamu, berbuatlah begitu juga kepada beta dan kepada negeri tempat kamu tinggal.” Abraham berkata, “Baiklah, hamba bersumpah.” Tetapi kemudian Abraham bersungut kepada Raja Abimelekh tentang perigi yang sudah dirampas oleh hamba-hamba baginda. Raja Abimelekh bertitah, “Beta tidak tahu siapa yang sudah melakukan itu. Kamu belum memberitahu beta, dan inilah kali pertama beta mendengar tentang hal itu.” Kemudian Abraham memberikan beberapa ekor domba dan lembu kepada Raja Abimelekh, lalu mereka berdua membuat perjanjian. Abraham mengasingkan tujuh ekor anak domba daripada kawanan ternakannya, lalu Raja Abimelekh bertanya kepadanya, “Mengapa kamu melakukan hal itu?” Abraham menjawab, “Terimalah ketujuh-tujuh ekor anak domba ini sebagai tanda pengakuan raja bahawa hambalah yang menggali perigi ini.” Demikianlah tempat itu dinamakan Bersyeba, kerana di sanalah mereka berdua membuat satu perjanjian dengan sumpah. Setelah mereka membuat perjanjian di Bersyeba, Raja Abimelekh dan Pikhol kembali ke negeri orang Filistin. Kemudian Abraham menanam sebatang pokok di Bersyeba, lalu menyembah TUHAN, Allah yang abadi. Selepas itu Abraham tinggal lama di negeri orang Filistin. Kemudian Allah menguji kesetiaan Abraham. Allah memanggil, “Abraham!” Lalu Abraham menjawab, “Ya, aku mendengar.” Allah berfirman, “Pergilah ke tanah Moria dengan Ishak, anakmu yang tunggal, yang sangat engkau kasihi. Di situ, di sebuah gunung yang akan Kutunjukkan kepadamu, persembahkanlah anakmu sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku.” Awal pagi esoknya, Abraham membelah-belah kayu yang akan digunakan untuk membakar korban dan mengikat kayu itu pada keldainya. Dia berangkat bersama-sama Ishak dan dua orang hambanya ke tempat yang sudah diberitahukan Allah. Pada hari yang ketiga Abraham nampak tempat itu dari jauh. Kemudian dia berkata kepada hamba-hambanya, “Tinggallah di sini bersama dengan keldai ini. Aku dan anakku akan pergi ke sana untuk menyembah Tuhan; nanti kami balik kepada kamu.” Abraham menyuruh Ishak memikul kayu untuk korban yang dibakar, dan dia sendiri membawa sebilah pisau serta bara api untuk membakar kayu. Sedang mereka berjalan bersama-sama, Ishak berkata, “Ayah!” Abraham menjawab, “Ada apa, anakku?” Ishak bertanya, “Kita sudah membawa api dan kayu, tetapi di manakah anak domba untuk korban yang dibakar itu?” Abraham menjawab, “Allah sendiri akan menyediakan anak domba itu.” Mereka berdua meneruskan perjalanan. Apabila mereka tiba di tempat yang sudah diberitahukan Allah, Abraham membina sebuah mazbah dan menyusun kayu di atasnya. Lalu dia mengikat anaknya dan membaringkan dia di mazbah, di atas kayu yang disusun. Kemudian dia mengambil sebilah pisau untuk membunuh anaknya, tetapi dari langit malaikat TUHAN berseru kepadanya, “Abraham, Abraham!” Abraham menjawab, “Ya, Tuhan.” “Jangan sakiti anak itu, jangan lakukan apa-apa terhadapnya,” kata malaikat itu. “Sekarang Aku tahu bahawa engkau menghormati dan mentaati Aku, kerana engkau tidak enggan menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku.” Abraham memandang di sekelilingnya, lalu nampak seekor domba jantan yang tanduknya tersangkut pada belukar. Abraham mengambil domba itu, lalu mempersembahkannya kepada TUHAN sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bagi menggantikan anak lelakinya. Abraham menamakan tempat itu “TUHAN Menyediakan Apa Yang Diperlukan.” Sampai sekarang pun orang berkata, “Di atas gunung-Nya TUHAN menyediakan apa yang diperlukan.” Sekali lagi, dari langit malaikat TUHAN berseru kepada Abraham, “TUHAN berfirman: Aku bersumpah demi nama-Ku sendiri; kerana engkau sudah melakukan hal ini dan tidak enggan menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku, Aku berjanji akan memberkati engkau dengan berlimpah-limpah dan menjadikan keturunanmu sebanyak bintang di langit serta sebanyak pasir di pantai laut. Keturunanmu akan mengalahkan musuh mereka. Semua bangsa di dunia akan memohon kepada-Ku supaya Aku memberkati mereka sebagaimana Aku telah memberkati keturunanmu, kerana engkau sudah mentaati perintah-Ku.” Selepas itu Abraham balik kepada hamba-hambanya, lalu mereka bersama-sama pergi ke Bersyeba; Abraham menetap di sana. Abraham mempunyai abang yang bernama Nahor. Selepas kejadian itu, Abraham mendengar bahawa Milka, isteri Nahor sudah mempunyai lapan orang anak lelaki: Us yang sulung; Bus adiknya; dan Kemuel yang kemudian menjadi bapa Aram; Kesed, Hazo, Pildas, Yidlaf, dan Betuel yang kemudian menjadi bapa Ribka. Nahor mempunyai gundik yang bernama Reuma; gundiknya itu melahirkan Tebah, Gaham, Tahas, dan Maakha. Ketika Sara berumur 127 tahun, dia meninggal di Hebron di tanah Kanaan. Abraham sedih dan meratapi kematian isterinya. Selepas itu Abraham meninggalkan jenazah isterinya lalu pergi kepada orang Het, penduduk negeri itu. Dia berkata, “Saya ini orang asing yang tinggal bersama dengan saudara-saudara; izinkanlah saya membeli sebidang tanah supaya saya dapat mengebumikan isteri saya.” Mereka menjawab, “Kami menghormati tuan sebagai pemimpin yang berkuasa di kalangan kami; oleh itu kebumikanlah isteri tuan di kubur yang terbaik yang ada pada kami. Kami semua berbesar hati untuk memberikan tanah perkuburan kepada tuan, supaya tuan dapat mengebumikan isteri tuan.” Kemudian Abraham bersujud di hadapan mereka, dan berkata, “Jika saudara-saudara rela saya mengebumikan isteri saya di sini, tolonglah minta daripada Efron anak Sohar, supaya dia menjualkan Gua Makhpela yang terletak di pinggir ladangnya, kepada saya. Suruhlah dia menjual tanah itu di sini, dengan disaksikan oleh saudara-saudara. Saya akan membayar harga penuhnya supaya tanah itu menjadi milik saya.” Pada masa itu Efron sendiri sedang duduk bersama dengan orang Het yang lain, di tempat perjumpaan di pintu gerbang kota. Dengan disaksikan oleh semua orang yang ada di situ, dia menjawab, “Bangsa saya sendiri menjadi saksi bahawa tanah itu serta guanya saya berikan kepada tuan, supaya tuan dapat mengebumikan isteri tuan.” Abraham bersujud di hadapan semua orang Het itu, dan sambil didengar oleh semua orang, dia berkata kepada Efron, “Mohon dengarkan saya. Saya ingin membeli seluruh tanah itu. Terimalah wang pembayarannya supaya saya dapat mengebumikan isteri saya di situ.” Efron menjawab, “Tuan, tanah itu hanya bernilai empat ratus keping wang perak. Apakah itu antara kita berdua? Kebumikanlah isteri tuan di situ.” Abraham bersetuju dengan harga itu. Lalu dia menimbang perak sejumlah yang disebut oleh Efron di hadapan orang Het, iaitu empat ratus keping wang perak, dengan timbangan yang digunakan oleh para saudagar. Demikianlah tanah milik Efron di Makhpela, di bahagian timur Mamre, menjadi milik Abraham. Tanah itu terdiri daripada ladang dan gua serta semua pokok di situ termasuk pokok-pokok yang ada di hujung tanah itu. Semua orang Het yang hadir dalam perjumpaan di pintu gerbang kota mengakui bahawa tanah itu sekarang milik Abraham. Kemudian Abraham mengebumikan isterinya, Sara, di dalam Gua Makhpela, di tanah Kanaan. Maka tanah dan gua di situ, yang dahulu kepunyaan orang Het, sekarang menjadi milik Abraham untuk dijadikan tanah perkuburan. Abraham sudah tua dan dia diberkati TUHAN dalam segala hal. Pada suatu hari dia berkata kepada hambanya yang paling tua, yang mengurus segala harta bendanya, “Letakkanlah tanganmu di antara pangkal pahaku dan bersumpahlah. Bersumpahlah demi nama TUHAN, Allah yang menguasai langit dan bumi, bahawa kamu tidak akan mencari isteri untuk anakku Ishak, di kalangan orang di tanah Kanaan ini. Kamu harus kembali ke negeri tempat kelahiranku untuk mencari isteri baginya di kalangan saudara maraku.” Tetapi hambanya itu bertanya, “Bagaimanakah jika gadis itu enggan meninggalkan rumahnya untuk datang bersama saya ke negeri ini? Haruskah saya menghantar anak tuan itu kembali ke negeri asal tuan?” Abraham menjawab, “Jangan sekali-kali hantar anakku ke sana! TUHAN, Allah yang menguasai langit, sudah membawa aku ke sini dari rumah bapaku dan dari tanah saudara maraku. Dia sudah bersumpah kepadaku bahawa Dia akan memberikan tanah ini kepada keturunanku. Dia akan mengutus malaikat-Nya untuk menolongmu, supaya di sana kamu boleh mendapatkan seorang isteri untuk anakku. Jika gadis itu enggan mengikut kamu, maka kamu bebas daripada sumpah ini. Tetapi jangan hantar anakku ke sana walau apa pun yang terjadi.” Kemudian hamba itu meletakkan tangannya di antara pangkal paha Abraham, tuannya, lalu dia bersumpah untuk melakukan apa yang diminta oleh Abraham. Hamba yang mengurus harta benda Abraham itu, dengan sepuluh ekor unta yang mengangkut berbagai-bagai barang berharga daripada tuannya, berangkat ke kota tempat tinggal Nahor semasa hidupnya; tempat itu terletak di bahagian utara Mesopotamia. Apabila dia tiba di sana, dia menghentikan unta-unta itu supaya berehat dekat sebuah perigi di luar kota. Hari sudah petang, dan itulah waktunya para wanita datang ke perigi untuk menimba air. Kemudian hamba itu berdoa, “Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, tolonglah, supaya tugasku berjaya pada hari ini; tepatilah janji-Mu kepada tuanku Abraham. Lihatlah aku berdiri dekat perigi ini. Sebentar lagi gadis-gadis kota ini akan datang menimba air. Aku akan berkata kepada salah seorang daripada mereka, ‘Tolong turunkan buyungmu dan berilah aku minum.’ Jika dia menjawab, ‘Minumlah, dan unta-unta tuan juga akan saya beri minum,’ semoga dialah orang yang sudah Engkau pilih untuk hamba-Mu Ishak. Jika hal ini berlaku, aku akan tahu bahawa Engkau sudah menepati janji-Mu kepada tuanku Abraham.” Sebelum hamba itu selesai berdoa, Ribka tiba dengan membawa buyung air di atas bahunya. Dialah anak perempuan Betuel; ibu bapa Betuel ialah Nahor dan Milka. Nahor ialah abang Abraham. Ribka seorang gadis yang sangat cantik dan masih dara. Dia menuju ke perigi itu dan mengisi buyungnya, lalu balik. Hamba Abraham berlari untuk menemuinya lalu berkata, “Tolong, nak, berilah saya minum dari buyungmu.” Gadis itu berkata, “Minumlah, tuan,” lalu dengan cepat dia menurunkan buyung dari bahu, dan sambil memegang buyung dia memberi minum kepada hamba itu. Selepas hamba itu minum, gadis itu berkata, “Saya akan menimba air untuk unta-unta tuan juga, supaya semua binatang itu dapat minum sepuas-puasnya.” Kemudian dengan cepat dia menuang air dari buyungnya ke dalam tempat minum unta, lalu dia berlari balik ke perigi untuk mengambil lebih banyak air sehingga semua binatang itu puas minum. Sementara itu hamba Abraham masih memperhatikan gadis itu tanpa berkata sepatah pun. Dia ingin tahu sama ada TUHAN menjayakan dia untuk menjalankan tugasnya atau tidak. Setelah semua unta minum sepuas-puasnya, hamba Abraham mengambil perhiasan emas yang berharga lalu mengenakannya pada hidung gadis itu, dan menyarungkan dua gelang emas pada lengannya. Kemudian hamba itu berkata, “Tolong beritahukan saya siapa bapamu. Adakah tempat bermalam di rumahnya untuk saya dan semua orang saya?” “Bapa saya Betuel, anak Nahor dan Milka,” jawab gadis itu. “Di rumah kami ada tempat bermalam untuk tuan dan juga banyak jerami serta makanan ternak.” Kemudian hamba itu berlutut dan menyembah TUHAN. Dia berkata, “Pujilah TUHAN, Allah tuanku Abraham. TUHAN setia dan menepati janji-Nya kepada tuanku Abraham. Dia memimpin aku langsung kepada saudara mara tuanku.” Gadis itu berlari ke rumah ibunya dan menceritakan segala peristiwa itu. [29-30] Ribka mempunyai seorang abang yang bernama Laban. Dia mendengar cerita adiknya tentang apa yang dikatakan hamba itu. Dia juga nampak perhiasan pada hidung adiknya dan gelang pada lengannya. Oleh itu Laban berlari ke luar rumah untuk menemui hamba Abraham yang masih berdiri dekat perigi bersama dengan unta-untanya. *** Laban berkata, “Tuan orang yang diberkati TUHAN! Janganlah tinggal di luar. Marilah ke rumah kami. Kami sudah menyediakan bilik untuk tuan dan juga tempat bagi unta-unta tuan.” Hamba itu mengikut dia lalu masuk ke dalam rumah. Laban menurunkan beban unta, lalu memberikan jerami dan makanan kepada unta-unta itu. Kemudian dia membawa air pembasuh kaki untuk hamba Abraham dan semua orangnya. Apabila makanan dihidangkan, hamba itu berkata, “Saya tidak akan makan sebelum menyampaikan pesan yang saya bawa.” Laban berkata, “Silakan, katakanlah.” Oleh itu hamba Abraham mulai bercakap, katanya, “Saya ini hamba Abraham. TUHAN sangat memberkati tuan saya dan menjadikan dia kaya raya. TUHAN sudah memberikan kawanan domba, kambing, lembu, unta, keldai, juga perak, emas, serta hamba lelaki, dan hamba perempuan kepadanya. Sara, isteri tuan saya, telah melahirkan seorang anak lelaki ketika umurnya sudah lanjut. Tuan saya sudah mewariskan segala hartanya kepada anaknya itu. Tuan saya menyuruh saya berjanji dengan sumpah supaya mentaati perintahnya. Katanya, ‘Janganlah pilih isteri untuk anakku di kalangan gadis-gadis di tanah Kanaan ini, melainkan di kalangan saudara mara puak bapaku. Pergilah ke sana dengan segera.’ Saya bertanya kepada tuan saya, ‘Bagaimana jika gadis itu enggan mengikut saya?’ Dia menjawab, ‘TUHAN yang sentiasa kutaati akan mengutus malaikat-Nya untuk menolongmu supaya tugasmu berjaya. Kamu akan mendapatkan isteri untuk anakku daripada puakku sendiri, antara saudara mara bapaku. Hanya apabila mereka tidak menerimamu, barulah kamu bebas daripada sumpahmu.’ Ketika saya tiba di perigi hari ini, saya berdoa, ‘Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, tolonglah supaya tugasku berjaya. Aku akan tetap berdiri dekat perigi ini. Apabila seorang gadis datang untuk menimba air, aku akan minta dia memberi aku minum dari buyungnya. Jika dia mahu melakukannya dan menawarkan diri untuk memberi minum kepada unta-untaku, maka dialah yang dipilih oleh TUHAN untuk menjadi isteri anak tuanku itu.’ Sebelum saya selesai berdoa di dalam hati, Ribka pun datang sambil membawa buyung di atas bahunya, lalu dia mengambil air dari perigi. Kemudian saya berkata kepadanya, ‘Tolong beri saya minum.’ Dengan cepat dia menurunkan buyung dari bahunya dan berkata, ‘Minumlah, dan unta-unta tuan juga akan saya beri minum.’ Lalu saya minum dan setelah itu unta-unta saya juga diberinya minum. Saya bertanya kepadanya, ‘Siapakah bapamu?’ Dia menjawab, ‘Bapa saya Betuel, anak Nahor dan Milka.’ Kemudian saya mengenakan perhiasan emas pada hidungnya dan menyarungkan sepasang gelang pada lengannya. Saya sujud menyembah dan memuji TUHAN, Allah tuan saya Abraham. Dia sudah memimpin saya langsung ke sini, kepada saudara mara tuan saya sehingga saya dapat menemui gadis ini bagi anaknya. Sekarang, jika saudara-saudara bersedia memperlakukan tuan saya dengan baik dan menunaikan tanggungjawab sebagai saudaranya, tolong beritahu saya, tetapi jika tidak, katakanlah juga, supaya saya tahu apa yang harus saya buat.” Laban dan Betuel menjawab, “Oleh sebab perkara ini datang daripada TUHAN, kami tidak patut membuat keputusan. Ini dia Ribka; biarlah dia ikut dengan saudara. Biarlah dia menjadi isteri anak tuan saudara itu, seperti yang difirmankan TUHAN sendiri.” Apabila hamba Abraham mendengar kata-kata itu, dia bersujud dan menyembah TUHAN. Selepas itu dia mengeluarkan pakaian, perhiasan perak dan emas, lalu memberikan semuanya kepada Ribka. Dia juga memberikan hadiah-hadiah yang mahal kepada abang dan ibu Ribka. Kemudian hamba Abraham dan semua orang yang bersama dengan dia makan dan minum, lalu bermalam di sana. Selepas mereka bangun esok paginya, hamba itu berkata, “Izinkanlah saya pulang kepada tuan saya.” Tetapi ibu dan abang Ribka berkata, “Biarlah Ribka tinggal bersama dengan kami selama seminggu ataupun sepuluh hari lagi, selepas itu bolehlah dia pergi.” Tetapi hamba itu berkata, “Janganlah tahan saya. TUHAN sudah membuat perjalanan saya berhasil; izinkanlah saya pulang kepada tuan saya.” Mereka menjawab, “Marilah kita panggil Ribka dan tanyakan pendapatnya.” Mereka memanggil Ribka dan bertanya, “Mahukah kamu ikut orang ini?” Gadis itu menjawab, “Ya, saya mahu.” [59-60] Oleh itu mereka mengizinkan Ribka dan inang pengasuhnya pergi dengan hamba Abraham dan semua orangnya. Mereka memberkati Ribka dengan kata-kata ini, “Semoga kamu, Ribka, menjadi ibu kepada berjuta-juta orang. Semoga keturunanmu menaklukkan kota-kota musuh mereka.” *** Kemudian Ribka berserta wanita-wanita muda yang menjadi hambanya bersiap-siap, lalu menunggang unta dan berangkat bersama dengan hamba Abraham. Sementara itu Ishak sudah datang dari perigi yang disebut “Perigi Dia Yang Hidup Yang Melihat Aku” dan tinggal di bahagian selatan Kanaan. Pada suatu petang dia keluar dari khemahnya untuk berjalan-jalan di padang, lalu dia nampak unta-unta datang. Apabila Ribka nampak Ishak, dia turun dari untanya, lalu bertanya kepada hamba Abraham, “Siapakah lelaki di padang itu yang datang ke arah kita?” “Dialah tuan saya,” jawab hamba itu. Oleh itu Ribka mengambil selendangnya dan menutupi mukanya. Kemudian hamba itu menceritakan segala yang sudah dilakukannya, kepada Ishak. Ishak membawa Ribka masuk ke dalam khemah mendiang Sara, ibunya, lalu dia memperisteri Ribka. Ishak mencintai Ribka; maka terhiburlah hati Ishak yang sedih kerana kehilangan ibunya. Abraham berkahwin lagi dengan seorang perempuan yang bernama Ketura. Isterinya itu melahirkan Zimran, Yoksan, Medan, Midian, Ishbak, dan Suah. Yoksan ialah bapa Syeba dan Dedan. Keturunan Dedan ialah orang Asyur, orang Letus, dan orang Leum. Anak Midian ialah Efa, Efer, Henokh, Abida, dan Eldaa. Mereka semuanya keturunan Ketura. Walaupun Abraham mewariskan segala harta bendanya kepada Ishak, semasa Abraham masih hidup, dia memberikan hadiah kepada anak-anak yang dilahirkan oleh isteri-isterinya yang lain. Kemudian dia menyuruh anak-anaknya itu pindah ke daerah di sebelah timur Kanaan, jauh daripada Ishak, anaknya. [7-8] Abraham meninggal ketika umurnya sudah lanjut, iaitu 175 tahun. *** Anak-anaknya Ishak dan Ismael mengebumikan dia di dalam Gua Makhpela yang terletak di tanah sebelah timur Mamre. Dahulu tanah itu milik Efron anak Zohar, orang Het, tetapi sudah dibeli oleh Abraham daripada orang Het itu. Sara, isteri Abraham, juga dikebumikan di sana. Selepas Abraham meninggal, Allah memberkati Ishak, anak Abraham, yang tinggal berhampiran dengan perigi yang disebut “Perigi Dia Yang Hidup Yang Melihat Aku.” Ismael ialah anak Abraham dan Hagar, perempuan Mesir, hamba Sara. Berikut ialah nama anak-anak Ismael menurut urutan kelahiran mereka: Nebayot, Kedar, Adbeel, Mibsam, Misyma, Duma, Masa, Hadad, Tema, Yetur, Nafis, dan Kedma. Mereka menjadi nenek moyang dua belas suku; pekan dan perkhemahan mereka disebut menurut nama mereka. Ismael berumur 137 tahun ketika dia meninggal. Keturunan Ismael tinggal di kawasan di antara Hawila dan Syur, di sebelah timur Mesir ke arah Asyur. Mereka hidup terpisah daripada keturunan Abraham yang lain. Inilah kisah Ishak, anak Abraham. Ishak berumur empat puluh tahun ketika dia berkahwin dengan Ribka anak Betuel, adik Laban, seorang Aram dari Mesopotamia. Oleh sebab Ribka tidak mempunyai anak, Ishak berdoa kepada TUHAN untuk isterinya. TUHAN mengabulkan doanya sehingga Ribka mengandung. Ribka mengandung anak kembar. Sebelum anak-anak itu lahir, mereka bergelut di dalam rahim. Ribka berkata, “Mengapakah perkara seperti ini harus berlaku kepadaku?” Oleh itu dia memohon petunjuk daripada TUHAN. TUHAN berfirman kepadanya, “Dua bangsa berada di dalam kandunganmu. Engkau akan melahirkan dua bangsa yang bermusuhan. Yang seorang lebih kuat daripada yang lain; yang sulung akan melayani yang bongsu.” Masanya tiba bagi Ribka untuk bersalin, lalu dia melahirkan anak lelaki kembar. Anak yang sulung kemerah-merahan dan kulitnya seperti jubah yang berbulu, maka anak itu dinamakannya Esau. Apabila anak yang kedua dilahirkan, tangannya memegang tumit Esau, maka anak itu dinamakannya Yakub. Ishak berumur enam puluh tahun ketika anak-anak itu dilahirkan. Kedua-dua orang anak itu membesar; Esau menjadi seorang pemburu yang mahir dan suka tinggal di padang, tetapi Yakub bersifat tenang dan suka tinggal di khemah. Ishak lebih sayang kepada Esau kerana dia suka makan daging binatang buruan, tetapi Ribka lebih sayang kepada Yakub. Pada suatu hari ketika Yakub sedang memasak bubur kacang merah, Esau pulang dari berburu. Esau berasa lapar, lalu berkata kepada Yakub, “Aku kelaparan; berilah aku sedikit kacang merah itu.” (Itulah sebabnya dia disebut Edom.) Yakub menjawab, “Aku akan memberikan kacang merah itu kepadamu, jika engkau menyerahkan hakmu sebagai anak sulung kepadaku.” Esau berkata, “Peduli apa hak itu bagiku. Aku lapar setengah mati!” Yakub menjawab, “Bersumpahlah dahulu bahawa kamu akan menyerahkan hakmu kepadaku.” Esau bersumpah dan menyerahkan haknya kepada Yakub. Kemudian Yakub memberikan roti dan sebahagian bubur kacang merah itu kepadanya. Esau makan dan minum, lalu pergi. Demikianlah Esau tidak menghargai haknya sebagai anak sulung. Kebuluran berlaku lagi di negeri itu seperti yang terjadi pada zaman Abraham. Kemudian Ishak pergi menghadap Raja Abimelekh, raja orang Filistin, di Gerar. Ishak berbuat begitu kerana TUHAN sudah menampakkan diri kepadanya dan berfirman, “Janganlah pergi ke Mesir; tinggallah di negeri ini, seperti yang sudah Kuperintahkan kepadamu. Tinggallah di sini dan Aku akan melindungi serta memberkati engkau. Seluruh wilayah ini akan Kuberikan kepadamu dan keturunanmu. Aku akan menepati perjanjian yang sudah Kubuat dengan Abraham, bapamu. Aku akan mengurniai engkau keturunan sebanyak bintang di langit dan Aku akan memberikan seluruh wilayah ini kepada mereka. Semua bangsa di dunia akan memohon supaya Aku memberkati mereka sebagaimana Aku sudah memberkati keturunanmu. Aku akan memberkati engkau kerana Abraham sudah mentaati Aku dan mematuhi segala hukum serta perintah-Ku.” Oleh itu Ishak tinggal di Gerar. Apabila orang lelaki di sana bertanya tentang Ribka, dia berkata bahawa Ribka itu adiknya. Ishak tidak mahu mengaku bahawa Ribka itu isterinya, kerana dia takut orang lelaki di sana akan membunuhnya untuk mendapatkan Ribka yang sangat cantik itu. Selepas Ishak tinggal di sana beberapa lama, Raja Abimelekh memandang ke bawah dari tingkapnya dan nampak Ishak sedang bercumbu-cumbuan dengan Ribka. Maka Raja Abimelekh memanggil Ishak dan bertanya, “Bukankah wanita itu isterimu? Mengapa kamu mengatakan dia adikmu?” Ishak menjawab, “Hamba fikir hamba akan dibunuh jika mengatakan bahawa dia isteri hamba.” Raja Abimelekh bertitah, “Apakah yang sudah kamu lakukan terhadap kami? Salah seorang daripada orang beta, dengan mudahnya dapat meniduri isterimu, dan kamu akan bertanggungjawab terhadap kesalahan kami.” Kemudian Raja Abimelekh memberikan amaran kepada rakyatnya, “Sesiapa yang mengganggu orang ini ataupun isterinya akan dibunuh.” Ishak menyemai benih untuk bercucuk tanam di negeri itu, dan pada tahun itu dia mendapat hasil seratus kali ganda kerana TUHAN memberkati dia. Kekayaannya semakin bertambah dan dia menjadi kaya raya. Orang Filistin berasa iri hati terhadapnya kerana dia mempunyai banyak kawanan domba dan lembu, serta banyak hamba. Oleh itu mereka menimbusi semua perigi yang telah digali oleh hamba-hamba Abraham, semasa Abraham masih hidup. Kemudian Raja Abimelekh bertitah kepada Ishak, “Tinggalkanlah negeri kami. Kamu sudah menjadi lebih berkuasa daripada kami semua.” Oleh itu Ishak meninggalkan negeri itu dan berkhemah di Lembah Gerar. Dia tinggal di sana untuk beberapa lama. Dia menggali semula perigi-perigi yang telah digali pada zaman Abraham, dan yang telah ditimbus oleh orang Filistin selepas Abraham meninggal. Ishak menamakan perigi-perigi itu dengan nama yang diberikan oleh bapanya dahulu. Hamba-hamba Ishak menggali sebuah perigi di Lembah Gerar dan mendapati air di situ. Gembala-gembala kota Gerar bertengkar dengan gembala-gembala Ishak dan berkata, “Air ini kepunyaan kami.” Oleh itu Ishak menamakan perigi itu “Pertengkaran.” Hamba-hamba Ishak menggali sebuah perigi lagi, dan di sana juga pertengkaran berlaku tentang perigi itu. Oleh itu dia menamakan perigi itu “Permusuhan.” Kemudian dia berpindah dari situ dan menggali sebuah perigi lagi. Kali ini, pertengkaran tidak berlaku. Maka Ishak menamakan perigi itu “Kebebasan.” Dia berkata, “Kini TUHAN sudah mengurniakan kebebasan kepada kita untuk tinggal di negeri ini, dan kita akan makmur di sini.” Kemudian Ishak meninggalkan tempat itu dan tiba di Bersyeba. Pada malam itu TUHAN menampakkan diri kepada Ishak dan berfirman, “Akulah Allah bapamu Abraham. Janganlah takut; Aku akan melindungi engkau. Aku akan memberkati engkau dan mengurniai engkau keturunan yang banyak kerana janji-Ku kepada hamba-Ku Abraham.” Lalu Ishak membina sebuah mazbah dan menyembah TUHAN di situ. Kemudian dia memasang khemahnya di sana dan hamba-hambanya menggali sebuah perigi lagi. Pada suatu hari Raja Abimelekh datang dari Gerar bersama dengan Ahuzat, penasihatnya, dan juga Pikhol, panglima tenteranya, untuk berjumpa dengan Ishak. Ishak bertanya, “Mengapa tuan-tuan datang berjumpa dengan saya sekarang, padahal dahulu tuan-tuan memusuhi dan mengusir saya dari negeri tuan-tuan?” Mereka menjawab, “Sekarang kami tahu bahawa TUHAN melindungi tuan, lalu kami fikir lebih baik kita mengadakan perjanjian. Bersumpahlah bahawa tuan tidak akan berbuat jahat terhadap kami, sebagaimana kami tidak berbuat jahat terhadap tuan. Kami sudah bersikap baik terhadap tuan dan membenarkan tuan pergi dengan damai. Kini sudah nyata bahawa TUHAN memberkati tuan.” Kemudian Ishak menyediakan jamuan untuk mereka, lalu mereka pun makan dan minum. Keesokan harinya pagi-pagi lagi, mereka membuat perjanjian yang disahkan dengan sumpah. Selepas itu Ishak mengucapkan selamat jalan kepada mereka, lalu mereka berpisah sebagai sahabat. Pada hari itu juga hamba-hamba Ishak datang dan memberitahu dia tentang perigi yang telah digali. Mereka berkata, “Kami sudah menjumpai air.” Ishak menamakan perigi itu “Sumpah”. Demikianlah kota Bersyeba mendapat namanya. Ketika Esau berumur empat puluh tahun dia berkahwin dengan dua orang gadis bangsa Het, iaitu Yudit anak Beeri dan Basmat anak Elon. Kedua-dua orang perempuan itu menyusahkan hidup Ishak dan Ribka. Pada suatu hari, ketika Ishak sudah tua dan buta pula, dia memanggil Esau, anaknya yang sulung, lalu berkata kepadanya, “Hai anakku!” “Ya, ayah,” jawab Esau. Ishak berkata, “Engkau tahu bahawa aku sudah tua dan mungkin tidak hidup lama lagi. Ambillah busur dan anak panahmu; pergilah memburu seekor binatang di padang. Masaklah makanan lazat yang aku sukai, dan bawalah makanan itu kepadaku. Selepas aku memakannya, aku akan memberkati engkau sebelum aku meninggal.” Percakapan Ishak dengan Esau itu didengar oleh Ribka. Maka selepas Esau berangkat untuk pergi berburu, Ribka berkata kepada Yakub, “Aku baru saja mendengar bapamu berkata kepada Esau begini, ‘Berilah aku seekor binatang buruan dan masaklah makanan yang lazat untuk aku. Selepas aku memakannya, aku akan memberkati engkau di hadapan TUHAN, sebelum aku meninggal.’ ” Ribka berkata lagi, “Sekarang, hai anakku, dengarlah aku dan lakukanlah apa yang aku katakan ini. Pergilah ke tempat kawanan domba kita dan pilihlah dua ekor anak kambing yang gemuk supaya aku memasak makanan yang sangat disukai bapamu. Kemudian bawalah makanan itu kepadanya supaya dimakannya. Selepas itu dia akan memberkati engkau, sebelum dia meninggal.” Tetapi Yakub berkata kepada ibunya, “Mak tahu badan Esau berbulu, sedangkan badan saya tidak. Jangan-jangan ayah meraba badan saya dan tahu bahawa saya menipu dia; nanti dia tidak akan memberkati saya, sebaliknya mengutuk saya pula.” Ibunya menjawab, “Jangan khuatir, nak. Biar mak yang menanggung segala kutukannya. Buat saja apa yang mak katakan. Pergilah ambil kambing-kambing itu.” Maka Yakub pergi mengambil kambing. Dia membawa kambing-kambing itu kepada ibunya, lalu Ribka memasak makanan kesukaan Ishak. Selepas itu Ribka mengambil pakaian Esau yang terbaik, yang disimpannya di dalam khemah, lalu mengenakan pakaian itu pada Yakub. Dia menutupi lengan dan leher Yakub yang tidak berbulu dengan kulit kambing. Dia memberikan makanan yang lazat itu bersama dengan roti yang dibuatnya, kepada Yakub. Kemudian Yakub pergi kepada bapanya dan berkata, “Ayah!” “Ya”, jawab bapanya. “Siapakah engkau, Esau atau Yakub?” Yakub menjawab, “Saya Esau, anak sulung ayah; saya sudah melakukan suruhan ayah. Duduklah dan makanlah daging binatang buruan yang saya bawa ini supaya ayah dapat memberkati saya.” Ishak berkata, “Bagaimana engkau mendapatkannya dengan begitu cepat, hai anakku?” Jawab Yakub, “TUHAN, Allah yang disembah ayah telah menolong saya.” Ishak berkata kepada Yakub, “Mari dekat sedikit supaya aku dapat meraba engkau. Benarkah engkau ini Esau?” Yakub menghampiri bapanya. Bapanya meraba dia dan berkata, “Suaramu seperti suara Yakub, tetapi lenganmu seperti lengan Esau.” Ishak tidak mengenali Yakub kerana lengannya berbulu seperti lengan Esau. Ishak hampir memberkati Yakub, tetapi dia bertanya lagi, “Benarkah engkau ini Esau?” “Ya,” jawab Yakub. Ishak berkata, “Berilah aku daging itu. Selepas aku makan, aku akan memberkati engkau.” Yakub membawa makanan itu kepada bapanya, dan juga wain untuk diminum. Kemudian bapanya berkata kepadanya, “Marilah lebih dekat lagi kepadaku dan ciumlah aku, nak.” Ketika Yakub datang untuk mencium bapanya, Ishak menghidu pakaiannya, lalu memberkati dia. Ishak berkata, “Bau anakku seharum padang yang sudah diberkati TUHAN. Semoga TUHAN mengurniai engkau embun dari langit dan menjadikan ladang-ladangmu subur. Semoga Dia mengurniai engkau gandum dan wain yang berlimpah-limpah. Semoga bangsa-bangsa menjadi hambamu dan suku-suku takluk kepadamu. Semoga engkau menguasai semua saudara maramu, dan semoga keturunan ibumu sujud di hadapanmu. Terkutuklah semua orang yang mengutuk engkau, dan diberkatilah semua orang yang memberkati engkau.” Selepas Ishak memberkati Yakub, dan sebaik sahaja Yakub pergi, Esau abangnya, pulang dari berburu. Dia juga memasak makanan yang lazat dan membawa makanan itu kepada bapanya. Dia berkata, “Ayah, bangunlah, dan makanlah daging yang saya bawa untuk ayah, supaya ayah dapat memberkati saya.” “Siapakah engkau?” Ishak bertanya. Esau menjawab, “Esau, anak sulung ayah.” Seluruh tubuh Ishak gementar, lalu dia bertanya, “Jika begitu, siapakah yang sudah memburu binatang dan membawanya kepadaku tadi? Aku telah memakannya sebelum engkau tiba. Kemudian aku memberikan berkatku yang terakhir kepadanya, dan kini berkat itu menjadi miliknya selama-lamanya.” Apabila Esau mendengar hal itu, dia meraung-raung dengan penuh kepedihan, lalu berkata, “Berkatilah saya juga, ayah!” Ishak menjawab, “Adikmu sudah datang dan menipu aku. Dia sudah mengambil berkat yang sebetulnya hendak aku berikan kepadamu.” Esau berkata, “Inilah kali kedua dia menipu saya. Patutlah namanya Yakub. Dia sudah mengambil hak saya sebagai anak sulung, dan sekarang dia mengambil pula berkat yang sepatutnya untuk saya. Tidakkah ayah mempunyai berkat lain bagi saya?” Ishak menjawab, “Aku sudah menjadikan dia tuanmu, dan semua saudara maranya aku jadikan hambanya. Aku sudah memberikan gandum serta wain kepadanya. Sekarang tiada apa-apa lagi yang boleh aku lakukan untukmu, nak!” Esau terus-menerus merayu kepada bapanya, “Adakah ayah mempunyai satu berkat saja? Berkatilah saya juga, ayah!” Maka dia mula meraung-raung lagi. Kemudian Ishak berkata kepadanya, “Tiada embun dari langit bagimu, tiada ladang yang subur untukmu. Engkau akan hidup dengan pedangmu, tetapi menjadi hamba adikmu. Namun apabila engkau memberontak, engkau akan bebas daripada kuasanya.” Maka Esau membenci Yakub kerana bapanya sudah memberikan berkatnya kepada Yakub. Esau berfikir, “Tidak lama lagi ayah akan meninggal dan apabila masa berkabung selesai, aku akan membunuh Yakub!” Apabila Ribka mendengar tentang rancangan Esau, dia memanggil Yakub dan berkata, “Dengarlah, abangmu Esau merancang untuk membalas dendam dan membunuh engkau. Sekarang, hai anakku, buatlah apa yang aku katakan. Pergilah dengan segera kepada abangku Laban, di Haran. Tinggallah bersama dengan dia untuk beberapa lama, sampai kemarahan abangmu reda dan dia lupa akan perbuatanmu terhadapnya. Kemudian aku akan menghantar orang untuk membawa engkau kembali. Aku tidak mahu kehilangan kedua-dua orang anakku pada hari yang sama.” Kemudian Ribka berkata kepada Ishak, “Aku jemu dan bosan dengan isteri-isteri Esau yang berbangsa asing itu. Jika Yakub juga berkahwin dengan gadis Het, lebih baik aku mati saja.” Kemudian Ishak memanggil Yakub, lalu memberkati dia serta berkata, “Janganlah berkahwin dengan gadis Kanaan. Pergilah ke Mesopotamia, kepada keluarga datukmu Betuel, dan berkahwinlah dengan salah seorang anak perempuan Laban, bapa saudaramu. Semoga Allah Yang Maha Kuasa memberkati perkahwinanmu dan mengurniakan banyak anak kepadamu, supaya engkau menjadi bapa kepada banyak bangsa. Semoga TUHAN memberkati engkau serta keturunanmu sebagaimana Dia memberkati Abraham, dan semoga engkau memiliki tanah yang engkau diami ini, yang sudah diberikan TUHAN kepada Abraham.” Demikianlah Ishak melepaskan Yakub pergi ke Mesopotamia, kepada Laban anak Betuel, orang Aram itu. Laban ialah abang Ribka, ibu Yakub dan Esau. Esau mendengar bahawa Ishak sudah memberkati Yakub dan telah melepaskan dia pergi ke Mesopotamia untuk mendapatkan isteri di sana. Dia juga mendengar bahawa ketika Ishak memberkati Yakub, dia melarang Yakub berkahwin dengan gadis Kanaan. Selain itu, Esau mendapati Yakub mentaati kata-kata ibu bapanya dan sudah berangkat ke Mesopotamia. Maka fahamlah Esau bahawa Ishak, bapanya, tidak menyukai perempuan Kanaan. Oleh sebab itu Esau pergi berjumpa dengan Ismael anak Abraham dan mengahwini Mahalat, anak perempuannya, iaitu adik Nebayot. Yakub meninggalkan Bersyeba dan menuju ke Haran. Pada waktu matahari terbenam, dia tiba di suatu tempat yang suci, lalu bermalam di situ. Dia berbaring untuk tidur, dan kepalanya berbantalkan batu. Kemudian dia bermimpi bahawa dia nampak sebuah tangga di bumi yang hujungnya sampai ke langit, dan malaikat-malaikat turun naik tangga itu. Kemudian dia nampak TUHAN berdiri di sampingnya dan berfirman, “Akulah TUHAN, Allah yang disembah Abraham dan Ishak. Aku akan menyerahkan tanah tempat engkau berbaring ini kepadamu dan keturunanmu. Mereka akan menjadi sebanyak debu di bumi. Mereka akan meluaskan wilayah ke semua arah dan melalui engkau serta keturunanmu, Aku akan memberkati semua bangsa di bumi. Ingatlah, Aku akan melindungi engkau dan menolongmu ke mana sahaja engkau pergi, lalu Aku akan membawa engkau kembali ke negeri ini. Aku tidak akan meninggalkan engkau sehingga Aku sudah melakukan segala sesuatu yang Kujanjikan kepadamu.” Kemudian Yakub bangun dan berkata, “TUHAN ada di sini, di tempat ini, tetapi baru sekarang aku mengetahuinya!” Yakub berasa takut lalu berkata, “Alangkah seramnya tempat ini! Tentulah ini rumah Allah, pintu gerbang syurga.” Pada keesokan hari, Yakub bangun pagi-pagi lagi. Dia mengambil batu yang digunakannya sebagai bantal, lalu menegakkan batu itu menjadi batu peringatan. Kemudian dia mencurahkan minyak zaitun ke atas batu itu untuk mentahbiskannya bagi TUHAN. Dia menamakan tempat itu Betel. (Dahulu nama tempat itu Lus.) Kemudian Yakub bersumpah kepada TUHAN, “Jika Engkau melindungi dan menolong aku sepanjang perjalananku, serta memberi aku makanan dan pakaian, sehingga aku kembali ke rumah bapaku dengan selamat, Engkau akan menjadi Allahku. Batu peringatan yang sudah aku tegakkan ini akan menjadi tempat Engkau disembah dan aku akan memberi Engkau sepersepuluh daripada segala sesuatu yang Engkau berikan kepadaku.” Yakub meneruskan perjalanannya dan pergi ke negeri di sebelah timur Kanaan. Tiba-tiba dia ternampak sebuah perigi di padang. Tiga kawanan domba berbaring di sekeliling perigi itu; ternakan itu biasanya diberi minum di situ. Perigi itu ditutup dengan sebuah batu besar. Apabila semua binatang ternakan sudah berkumpul di tempat itu, para gembala menggulingkan batu itu ke samping, lalu ternakan diberi minum. Setelah itu para gembala menutup perigi itu semula. Yakub bertanya kepada para gembala yang berada di situ, “Hai sahabat-sahabat, kamu datang dari mana?” “Dari Haran,” jawab mereka. Yakub bertanya lagi, “Kenalkah kamu dengan Laban cucu Nahor?” “Ya, kami kenal,” jawab mereka. “Adakah dia sihat?” tanya Yakub. “Dia sihat,” jawab mereka. “Lihat, itu dia Rahel, anak perempuan Laban. Dia sedang menggiring ternakan bapanya.” Yakub berkata, “Hari masih siang dan belum lagi masanya untuk memasukkan ternakan ke dalam kandang. Mengapa kamu tidak memberi ternakan minum, lalu membiarkan ternakan itu meragut rumput semula?” Mereka menjawab, “Ternakan ini hanya boleh diberi minum apabila semua ternakan sudah berkumpul di sini dan batu penutup digulingkan.” Sementara Yakub bercakap-cakap dengan mereka, Rahel tiba bersama dengan ternakan bapanya. Apabila Yakub nampak Rahel menggiring ternakan itu, Yakub pergi ke perigi, menggulingkan batu penutupnya ke samping, lalu memberi ternakan itu minum. Kemudian dia mencium Rahel dan menangis kerana terharu. Dia berkata kepada Rahel, “Saya anak Ribka, saudara bapamu.” Rahel berlari untuk memberitahukan hal itu kepada bapanya. Apabila bapanya mendengar berita tentang Yakub, anak saudaranya, dia berlari untuk berjumpa dengan Yakub. Laban memeluk dan mencium dia, lalu membawa dia masuk ke rumah. Apabila Yakub memberitahu Laban segala yang sudah berlaku, Laban berkata, “Ya, memang kamu sedarah dengan aku.” Maka Yakub tinggal di situ selama satu bulan. Laban berkata kepada Yakub, “Kamu tidak seharusnya bekerja untukku tanpa mendapat apa-apa, hanya kerana kamu saudaraku. Berapakah gaji yang kamu mahu?” Laban mempunyai dua orang anak perempuan; yang sulung bernama Lea dan yang bongsu bernama Rahel. Lea mempunyai mata yang cantik; Rahel pula mempunyai bentuk badan yang menarik dan wajah yang jelita. Yakub jatuh cinta dengan Rahel. Oleh itu dia berkata, “Saya akan bekerja selama tujuh tahun untuk pak cik, jika pak cik membenarkan saya berkahwin dengan Rahel.” Laban menjawab, “Aku lebih suka dia menjadi isterimu daripada isteri orang lain; tinggallah di sini bersama dengan aku.” Yakub bekerja selama tujuh tahun untuk mendapat Rahel. Bagi Yakub tahun-tahun itu berlalu seperti beberapa hari sahaja kerana dia mencintai Rahel. Kemudian Yakub berkata kepada Laban, “Masanya sudah tiba; benarkanlah saya berkahwin dengan anak perempuan pak cik!” Maka Laban membuat jamuan perkahwinan dan menjemput semua orang. Tetapi pada malam itu, untuk menggantikan Rahel, Laban menghantar Lea kepada Yakub, lalu Yakub bersetubuh dengan Lea. ( Laban memberikan Zilpa, hamba perempuannya kepada anaknya Lea, untuk menjadi hambanya.) Pagi esoknya barulah Yakub sedar bahawa Lea yang dikahwininya. Dia pergi berjumpa dengan Laban dan berkata, “Mengapa pak cik melakukan hal ini kepada saya? Saya sudah bekerja untuk mendapat Rahel. Mengapakah pak cik menipu saya?” Laban menjawab, “Menurut adat di sini, adik tidak boleh berkahwin sebelum kakaknya berkahwin. Tunggulah sampai selesai pesta tujuh hari perkahwinanmu ini, maka aku akan menyerahkan Rahel kepadamu, jika kamu mahu bekerja untukku selama tujuh tahun lagi.” Yakub bersetuju, dan apabila selesai pesta perkahwinan itu, Laban menyerahkan Rahel kepada Yakub untuk menjadi isterinya. ( Laban menyerahkan Bilha, hamba perempuannya kepada anaknya Rahel, untuk menjadi hambanya.) Yakub juga bersetubuh dengan Rahel, dan dia mengasihi Rahel lebih daripada Lea. Kemudian Yakub bekerja untuk Laban selama tujuh tahun lagi. Apabila TUHAN nampak bahawa Lea tidak begitu dikasihi seperti Rahel, Dia mengizinkan Lea melahirkan anak tetapi Rahel tetap tidak mendapat anak. Lea mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, “TUHAN sudah melihat kesusahanku, dan kini suamiku akan mengasihi aku.” Maka dia menamakan anaknya Ruben. Dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, “TUHAN sudah mengurniakan anak ini kepadaku, kerana Dia sudah mendengar bahawa aku tidak dikasihi.” Maka dia menamakan anaknya Simeon. Lea mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, “Kini suamiku akan lebih terikat kepadaku, kerana aku sudah melahirkan tiga orang anak lelaki baginya.” Maka dia menamakan anaknya Lewi. Kemudian Lea mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, “Kali ini aku akan memuji TUHAN.” Maka dia menamakan anaknya Yehuda. Kemudian Lea tidak melahirkan anak untuk beberapa lama. Tetapi Rahel belum juga mendapat anak. Oleh itu dia iri hati terhadap kakaknya, lalu berkata kepada Yakub, “Berilah aku anak, jika tidak, aku akan mati.” Yakub marah kepada Rahel dan berkata, “Aku ini bukan Allah. Dialah yang menyebabkan engkau tidak mendapat anak.” Maka Rahel berkata, “Ini hambaku Bilha; tidurlah dengan dia supaya dia melahirkan anak untuk aku. Dengan demikian aku boleh menjadi ibu melalui dia.” Rahel memberikan Bilha kepada suaminya, lalu Yakub bersetubuh dengan hamba itu. Bilha mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Rahel berkata, “Allah sudah mengadili bagi kepentinganku. Dia sudah mendengar doaku dan memberikan seorang anak lelaki kepadaku.” Maka dia menamakan anak itu Dan. Bilha mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki. Rahel berkata, “Aku telah berjuang mati-matian melawan kakakku, dan aku sudah menang.” Maka dia menamakan anak itu Naftali. Apabila Lea sedar bahawa dia tidak mendapat anak lagi, dia memberikan hambanya Zilpa kepada Yakub, untuk menjadi isterinya. Kemudian Zilpa melahirkan seorang anak lelaki. Lea berkata, “Aku beruntung.” Maka dia menamakan anak itu Gad. Zilpa melahirkan seorang anak lelaki lagi, dan Lea berkata, “Alangkah berbahagianya aku! Sekarang semua wanita akan mengatakan aku berbahagia.” Maka dia menamakan anak itu Asyer. Pada musim menuai gandum, Ruben pergi ke ladang dan menjumpai sejenis tumbuhan ubat di sana. Dia membawa tumbuhan itu kepada Lea, ibunya. Rahel berkata kepada Lea, “Berilah aku sedikit tumbuhan ubat yang dijumpai anakmu itu.” Lea menjawab, “Belum cukupkah engkau mengambil suamiku? Tumbuhan ubat yang dijumpai anakku pun engkau hendak ambil!” Rahel berkata, “Jika engkau mahu memberi aku tumbuhan ubat yang dijumpai anakmu itu, engkau boleh tidur dengan Yakub pada malam ini.” Apabila Yakub pulang ke rumah dari ladang pada petang itu, Lea menyambutnya sambil berkata, “Engkau mesti tidur bersama-samaku malam ini kerana aku sudah membayarnya dengan tumbuhan ubat yang dijumpai anakku.” Oleh itu Yakub bersetubuh dengan Lea pada malam itu. Allah mengabulkan doa Lea, maka dia mengandung lalu melahirkan anak lelaki yang kelima. Lea berkata, “Allah sudah memberikan pahala kepadaku kerana aku telah menyerahkan Zilpa kepada suamiku.” Maka dia menamakan anak itu Isakhar. Lea mengandung lagi dan melahirkan anak lelaki yang keenam. Dia berkata, “Allah sudah mengurniakan hadiah yang indah sekali kepadaku. Sekarang suamiku akan menghargai aku kerana aku sudah melahirkan enam orang anak lelaki.” Maka dia menamakan anak itu Zebulon. Selepas itu Lea melahirkan seorang anak perempuan yang dinamakannya Dina. Kemudian Allah ingat akan Rahel; Allah mengabulkan doanya dan membolehkan dia melahirkan anak. Rahel mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Rahel berkata, “Allah sudah menghapuskan keaibanku. Semoga TUHAN memberikan seorang anak lelaki lagi kepadaku.” Maka dia menamakan anaknya itu Yusuf. Selepas Rahel melahirkan Yusuf, Yakub berkata kepada Laban, “Izinkanlah saya pulang ke negeri saya. Berilah saya anak isteri yang saya dapat dengan bekerja bagi pak cik, lalu saya akan pulang. Pak cik tahu, saya sudah bekerja keras.” Laban berkata kepadanya, “Dengar dulu. Melalui ramalan, aku tahu bahawa TUHAN sudah memberkati aku kerana kamu. Katakan saja berapa yang kamu minta dan aku akan membayarnya.” Yakub menjawab, “Pak cik sendiri tahu bahawa saya sudah bekerja keras, dan ternakan pak cik bertambah banyak di bawah jagaan saya. Sebelum saya datang, harta milik pak cik tidak seberapa, tetapi sekarang pak cik sudah kaya. TUHAN sudah memberkati pak cik kerana saya. Sekarang sudah masanya saya bekerja untuk keluarga saya sendiri.” Laban berkata, “Jika demikian apa yang harus aku berikan kepadamu?” Yakub menjawab, “Tidak usah pak cik berikan apa-apa. Saya akan tetap memelihara ternakan pak cik, asal pak cik setuju dengan cadangan saya ini. Izinkan saya berjalan antara semua kawanan kambing dan domba pak cik pada hari ini, dan mengambil setiap anak domba yang hitam, dan juga setiap kambing muda yang belang atau berbintik-bintik. Itu saja upah yang saya minta. Pada masa yang akan datang pak cik akan tahu dengan mudah sama ada saya berlaku jujur atau tidak. Manakala pak cik datang untuk memeriksa ternakan yang menjadi upah saya, dan nampak bahawa ada kambing yang tidak berbintik-bintik atau belang, atau domba yang tidak hitam, pak cik akan tahu bahawa binatang itu telah saya curi.” Laban menjawab, “Aku setuju! Kita akan melakukan apa yang kamu cadangkan itu!” Tetapi pada hari itu Laban memisahkan semua kambing jantan yang loreng atau belang dan semua kambing betina yang belang, berbintik-bintik, atau yang bernoda putih. Dia juga memisahkan semua domba yang hitam. Kemudian dia menyuruh anak-anak lelakinya mengurus ternakan itu. Anak-anak Laban itu pergi menjauhi Yakub dengan menggiring semua ternakan itu sejauh tiga hari perjalanan. Kawanan kambing dan domba yang tinggal dipelihara oleh Yakub. Kemudian Yakub mengambil cabang-cabang hijau pokok hawar, pokok badam dan pokok berangan. Dia mengupas sebahagian kulit cabang-cabang itu sehingga menjadi belang. Dia meletakkan cabang-cabang itu di hadapan kawanan kambing, di dalam tempat minuman, kerana ternakan itu suka mengawan ketika hendak minum. Kambing yang mengawan di hadapan cabang-cabang itu akan melahirkan anak kambing yang loreng atau yang belang atau yang berbintik-bintik. Kemudian Yakub memisahkan domba daripada kambing, lalu menghadapkan domba ke arah kambing yang loreng dan hitam kepunyaan Laban. Dengan cara itu dia mendapat kawanan ternakannya sendiri dan memisahkannya daripada kawanan ternakan Laban. Apabila binatang yang kuat sedang mengawan, Yakub meletakkan cabang-cabang yang dikupasnya itu di hadapan binatang itu, di dalam tempat minuman. Tetapi dia tidak meletakkan cabang-cabang itu di hadapan binatang yang lemah. Oleh itu semua binatang yang lemah menjadi kepunyaan Laban, dan semua binatang yang kuat menjadi kepunyaan Yakub. Dengan demikian Yakub menjadi kaya raya. Dia mempunyai banyak kawanan kambing dan domba, unta, keldai, serta hamba-hamba. Yakub mendengar anak-anak lelaki Laban berkata begini, “Yakub telah mengambil segala harta milik ayah kita. Dia mendapat segala kekayaannya daripada harta ayah.” Yakub juga nampak bahawa Laban tidak lagi ramah dengan dia seperti dahulu. Kemudian TUHAN berfirman kepada Yakub, “Kembalilah ke negeri bapamu dan kepada sanak saudaramu. Aku akan menyertai engkau.” Oleh itu Yakub menyuruh orang memberitahu Rahel dan Lea supaya berjumpa dengan dia di padang, di tempat ternakannya. Yakub berkata kepada mereka, “Aku nampak bahawa bapa kamu tidak lagi ramah dengan aku seperti biasanya, tetapi Allah yang disembah bapaku menyertai aku. Kamu berdua juga tahu bahawa aku telah bekerja bagi bapa kamu dengan sekuat tenaga. Meskipun begitu aku telah ditipunya dan upahku diubahnya sampai sepuluh kali. Tetapi Allah tidak membiarkan dia berbuat jahat kepadaku. Apabila bapa kamu berkata, ‘Kambing yang berbintik-bintik akan menjadi upahmu,’ maka ternakan itu melahirkan anak yang berbintik-bintik. Apabila dia berkata, ‘Kambing yang belang akan menjadi upahmu,’ maka ternakan itu melahirkan anak yang belang. Demikianlah Allah mengambil ternakan kepunyaan bapa kamu, lalu memberikannya kepadaku. Pada musim ternakan mengawan, aku bermimpi dan melihat semua kambing jantan yang sedang mengawan itu loreng, berbintik-bintik, dan belang. Malaikat Allah berkata kepadaku dalam mimpi itu, ‘Yakub!’ Aku pun menjawab, ‘Ya.’ Malaikat itu berkata lagi, ‘Lihat, semua kambing jantan yang sedang mengawan itu loreng, berbintik-bintik, dan belang. Aku sengaja mengatur hal itu bagimu kerana aku telah melihat semua yang dilakukan oleh Laban terhadapmu. Akulah Allah yang telah menampakkan diri kepadamu di Betel. Di sana engkau telah mentahbiskan sebuah batu peringatan, dengan menuang minyak zaitun di atasnya. Di sana pula engkau bersumpah kepada-Ku. Sekarang bersiaplah dan kembalilah ke negeri kelahiranmu.’ ” Kemudian Lea dan Rahel menjawab, “Tidak ada lagi bahagian daripada kekayaan bapa kami yang akan kami warisi. Dia memperlakukan kami seperti orang asing. Dia telah menjual kami, dan apa yang telah diterimanya untuk itu telah dihabiskannya juga. Segala kekayaan yang telah diambil oleh Allah daripada bapa kami, sebenarnya milik kami dan anak-anak kami. Lakukanlah apa yang diperintahkan oleh Allah kepadamu.” [17-18] Kemudian Yakub bersiap untuk pulang kepada bapanya di negeri Kanaan. Dia menaikkan semua isteri dan anaknya ke atas unta-unta, lalu dia menggiring ternakannya, dan membawa semua yang telah diperolehnya di Mesopotamia. *** Pada masa itu Laban berada di padang dan sedang menggunting bulu dombanya. Pada masa itulah Rahel mencuri patung pelindung keluarga kepunyaan bapanya. Yakub menipu Laban dengan tidak memberitahu keberangkatannya kepada Laban. Yakub mengambil segala harta miliknya lalu pergi dengan segera. Dia menyeberangi Sungai Efrat lalu menuju ke kawasan pergunungan Gilead. Tiga hari kemudian Laban diberitahu bahawa Yakub telah lari. Oleh itu Laban mengumpulkan sanak saudaranya. Kemudian dia bersama dengan mereka, mengejar Yakub selama tujuh hari sampai menyusuli dia di kawasan pergunungan Gilead. Pada malam itu Allah datang kepada Laban dalam mimpinya, dan berfirman, “Awas, jangan sekali-kali ancam Yakub dengan sepatah kata pun.” Pada masa itu Yakub telah memasang khemahnya di sebuah bukit. Kemudian di kawasan itu juga, di pergunungan Gilead, Laban dan anak buahnya memasang khemah mereka. Laban berkata kepada Yakub, “Mengapa kamu menipu aku dan membawa lari anak-anakku, seakan-akan mereka tawanan perang? Mengapa kamu menipu aku lalu pergi dengan diam-diam, tanpa minta diri? Seandainya kamu minta diri, aku tentu melepaskan kamu pergi dengan kegembiraan dan nyanyian, diiringi tamburin dan kecapi! Bahkan kamu tidak memberi aku kesempatan pun untuk mencium anak cucuku sebagai perpisahan. Bodoh betul tindakanmu itu! Aku berkuasa untuk berbuat jahat terhadapmu, tetapi malam tadi Allah yang disembah bapamu, memberikan amaran kepadaku supaya tidak sekali-kali mengancam kamu. Aku tahu bahawa kamu pergi kerana ingin sekali pulang. Tetapi mengapa kamu mencuri patung pelindung keluargaku?” Kemudian Yakub menjawab, “Saya pergi dengan diam-diam kerana takut pak cik akan menahan anak-anak pak cik. Tentang patung itu, jika pak cik menjumpai orang yang telah mencurinya, dia akan dihukum mati. Periksalah, sama ada barang-barang kepunyaan pak cik ada di sini. Jika ada, sila ambil. Semua orang kita boleh menyaksikannya.” Yakub tidak tahu bahawa patung itu dicuri oleh Rahel. Laban pergi ke khemah Yakub dan menggeledahnya; sesudah itu dia ke khemah Lea dan ke khemah kedua-dua orang hamba perempuan itu, tetapi patung itu tidak didapatinya. Akhirnya, Laban masuk ke dalam khemah Rahel. Tetapi Rahel telah mengambil patung itu dan memasukkannya ke dalam kantung pelana unta, dan Rahel duduk di atas pelana itu. Laban menggeledah seluruh khemah Rahel, tetapi tidak berjaya menjumpai patung itu. Kemudian Rahel berkata kepada bapanya, “Janganlah marah ayah; saya tidak dapat berdiri menyambut ayah kerana saya sedang datang bulan.” Laban mencari patung itu dengan teliti, tetapi tidak menjumpainya. Selepas itu Yakub marah. “Kejahatan apakah yang telah saya lakukan?” tanyanya dengan geram. “Apakah salah saya sehingga pak cik mengejar saya? Sekarang, setelah menggeledah segala barang saya, adakah pak cik menjumpai barang kepunyaan pak cik? Keluarkan dan letakkan barang itu di sini, supaya semua orang saya dan orang pak cik dapat melihatnya. Biarlah mereka buat keputusan siapa antara kita yang benar. Saya telah tinggal bersama dengan pak cik selama dua puluh tahun. Kawanan domba dan kambing pak cik berkembang biak dengan baik, dan belum pernah saya makan seekor kambing jantan pun daripada ternakan pak cik. Ternakan yang mati diterkam binatang buas tidak pernah saya bawa kepada pak cik, tetapi saya sendirilah yang menggantinya. Ternakan yang dicuri pada waktu siang mahupun malam selalu pak cik tuntut supaya saya menggantinya. Seringkali saya kepanasan pada waktu siang dan kesejukan pada waktu malam; kerap kali saya tidak dapat tidur pula. Begitulah keadaan saya ketika bekerja bagi pak cik selama dua puluh tahun penuh. Empat belas tahun lamanya saya bekerja untuk mendapat dua orang anak perempuan pak cik — dan enam tahun lagi untuk mendapat kawanan kambing dan domba. Selama itu pun pak cik mengubah upah saya sampai sepuluh kali. Seandainya saya tidak disertai oleh Allah bapa saya, Allah yang disembah oleh Abraham dan Ishak, maka pak cik tentu telah menyuruh saya pergi dengan tangan kosong. Tetapi Allah telah memperhatikan kesusahan saya dan pekerjaan yang saya lakukan, dan malam tadi Allah memberikan keputusan-Nya.” Setelah itu Laban menjawab Yakub, “Dua orang wanita itu anakku; anak mereka itu milikku dan kawanan domba itu kepunyaanku juga. Sesungguhnya, segala sesuatu yang kamu lihat di sini kepunyaanku. Tetapi aku tidak dapat berbuat apa-apa untuk menahani anak cucuku. Oleh itu marilah kita membuat perjanjian dan menimbunkan batu-batu sebagai tanda perjanjian.” Kemudian Yakub mengambil sebuah batu dan menegakkannya sebagai batu peringatan. Dia menyuruh anak buahnya mengumpulkan batu dan membuat sebuah timbunan. Kemudian mereka makan bersama dekat timbunan batu itu. Laban menamakan timbunan batu itu Yegar Sahaduta, dan Yakub menamakannya Galed. Laban berkata kepada Yakub, “Timbunan batu ini akan menjadi peringatan bagi kita berdua.” Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Galed. Laban berkata juga, “Semoga TUHAN mengawasi kita selama kita hidup berjauhan.” Itulah sebabnya tempat itu dinamakan juga Mizpa. Laban berkata lagi, “Jika kamu tidak memperlakukan anak-anakku dengan baik, atau mengahwini wanita-wanita lain, walaupun tiada yang mengetahuinya, ingatlah, bahawa Allah mengawasi kita. Inilah batu-batu yang telah aku timbun, dan ini batu peringatan. Baik timbunan ini mahupun batu peringatan ini mengingatkan kita bahawa aku tidak boleh melalui timbunan ini untuk menyerang kamu, dan kamu pun tidak boleh melalui timbunan ini dan batu peringatan ini untuk menyerang aku. Allah yang disembah Abraham dan disembah bapaku Nahor akan menjadi hakim antara kita.” Kemudian Yakub bersumpah demi Allah yang disembah oleh Ishak, bapanya, untuk memegang perjanjiannya. Dia menyembelih seekor binatang dan mempersembahkannya sebagai korban di atas bukit itu. Dia menjemput semua anak buahnya untuk makan bersama. Setelah selesai makan, mereka bermalam di bukit itu. Awal pagi esoknya, Laban memberikan ciuman perpisahan kepada anak cucunya, memberkati mereka, lalu pulang ke tempat tinggalnya. Yakub meneruskan perjalanannya. Kemudian malaikat-malaikat Allah datang berjumpa dengan dia. Apabila Yakub nampak malaikat-malaikat itu, dia berkata, “Ini perkhemahan Allah.” Oleh itu dia menamakan tempat itu Mahanaim. Selepas itu, Yakub menyuruh beberapa orang utusan berjalan mendahului dia ke negeri Edom untuk berjumpa dengan Esau, abangnya. Yakub berkata kepada mereka, “Katakanlah kepada abangku Esau begini, ‘Saya Yakub, hamba tuan. Selama ini saya telah tinggal bersama dengan Laban. Sekarang saya mempunyai lembu, keldai, domba, kambing, dan hamba. Saya mengirim khabar kepada tuan dengan harapan agar tuan akan baik hati kepada saya.’ ” Apabila para utusan kembali kepada Yakub, mereka berkata, “Kami sudah menemui Esau, abang tuan. Sekarang dia dalam perjalanan ke sini untuk berjumpa dengan tuan. Dia datang bersama dengan empat ratus orang.” Setelah mendengar khabar itu, Yakub sangat ketakutan dan khuatir. Kemudian orang yang ada bersama dengan dia dibahaginya menjadi dua kumpulan. Demikian juga yang dilakukannya dengan domba, kambing, lembu, dan untanya. Dia berfikir, “Jika Esau datang dan menyerang kumpulan yang pertama, kumpulan yang kedua mungkin sempat menyelamatkan diri.” Kemudian Yakub berdoa, “Ya Allah, yang disembah oleh datukku Abraham dan bapaku Ishak, dengarlah aku! TUHAN sudah menyuruh aku pulang ke negeriku dan sanak saudaraku. Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku. Aku tidak layak menerima segala kasih dan kesetiaan yang sudah Engkau tunjukkan kepadaku, hamba-Mu. Pada masa aku berangkat menyeberangi Sungai Yordan, aku tidak membawa apa-apa selain sebatang tongkat. Sekarang aku datang kembali bersama dengan dua kumpulan ini. Aku mohon, selamatkanlah aku daripada abangku, Esau. Aku takut jangan-jangan dia datang menyerang dan membinasakan kami semua, termasuk wanita serta anak-anak. Ingatlah bahawa Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku dan memberikan banyak keturunan kepadaku. Bilangan mereka akan sebanyak pasir di pantai, sehingga tiada seorang pun dapat menghitung mereka.” [13-15] Setelah bermalam di situ, Yakub mengambil sebilangan daripada binatang ternakannya untuk dihadiahkan kepada Esau. Hadiah itu berupa: 200 ekor kambing betina, 20 ekor kambing jantan, 200 ekor domba betina, 20 ekor domba jantan, 30 ekor unta yang sedang menyusui anak unta, 40 ekor lembu betina, 10 ekor lembu jantan, 20 ekor keldai betina, dan 10 ekor keldai jantan. *** *** Semua binatang itu dibahaginya menjadi beberapa kawanan, lalu setiap kawanan diserahkannya kepada seorang hamba. Dia berkata kepada mereka, “Berjalanlah mendahului aku, dan pastikan ada jarak di antara kawanan yang satu dengan kawanan yang berikutnya.” Yakub memberikan arahan kepada hamba yang pertama, “Jika abangku Esau bertemu denganmu, dan bertanya, ‘Siapakah tuanmu? Hendak ke mana? Siapakah pemilik ternakan yang kamu giring itu?’ Jawablah, ‘Milik Yakub, hamba tuan. Dia mengirim kawanan ini sebagai hadiah kepada Esau, tuannya. Yakub, hamba tuan, sedang menyusul kami.’ ” [19-20] Yakub memberikan arahan yang sama kepada hambanya yang kedua, ketiga, dan semua orang yang ditugaskan untuk mengurus segala kawanan binatang itu. Yakub berfikir bahawa dia dapat membujuk Esau dengan hadiah-hadiah itu, dan apabila bertemu nanti, Esau mungkin akan memaafkan dia. *** Oleh itu dia mengirimkan hadiah-hadiah itu lebih dahulu, sedangkan dia sendiri bermalam di perkhemahan. Pada malam itu juga Yakub bangun lalu membawa dua orang isterinya, dua orang gundiknya dan sebelas orang anaknya, menyeberang Sungai Yabok. Setelah Yakub menyeberangkan mereka, dia kembali dan mengirim juga segala miliknya ke seberang. Tetapi dia tinggal di situ seorang diri. Kemudian datanglah seorang lelaki bergomol dengan Yakub sampai menjelang pagi. Apabila orang itu berasa tidak akan menang dalam pergomolan itu, dia memukul pinggul Yakub sehingga sendinya terkehel. Orang itu berkata, “Lepaskanlah aku; sebentar lagi matahari akan terbit.” Yakub menjawab, “Saya tidak akan melepaskan tuan, kecuali tuan memberkati saya.” “Siapa namamu?” tanya orang itu. “Yakub,” jawabnya. Orang itu berkata, “Namamu bukan Yakub lagi. Engkau telah bergomol dengan Allah serta manusia, dan engkau sudah menang; kerana itu sekarang namamu Israel.” Yakub berkata, “Sekarang beritahulah saya nama tuan.” Tetapi orang itu menjawab, “Tidak perlu engkau mengetahui namaku!” Kemudian dia memberkati Yakub. Yakub berkata, “Aku sudah bertemu muka dengan Allah dan aku masih hidup.” Oleh itu dia menamakan tempat itu Peniel. Pada waktu matahari terbit, Yakub meninggalkan Peniel. Dia pincang kerana sendi pinggulnya terkehel. Sampai sekarang keturunan Israel tidak makan daging yang menutupi sendi pinggul binatang, kerana Yakub kena pukul pada pinggulnya. Yakub nampak Esau datang dengan empat ratus orang anak buahnya. Oleh sebab itu dia membahagikan anak-anaknya antara Lea, Rahel, dan kedua-dua orang gundiknya. Dia menempatkan dua orang gundiknya itu bersama dengan anak-anak mereka di hadapan sekali, kemudian Lea bersama dengan anak-anaknya, lalu Rahel dan Yusuf di belakang sekali. Yakub berjalan di hadapan mereka semua, dan sambil menghampiri abangnya, dia sujud sampai tujuh kali. Tetapi Esau berlari mendapatkan Yakub, lalu memeluk dan mencium dia. Kedua-dua mereka bertangis-tangisan. Ketika Esau nampak semua wanita dan anak-anak itu, dia bertanya, “Siapakah mereka yang ada bersama-samamu ini?” Yakub menjawab, “Mereka itu anak-anak yang dikurniakan Allah kepada saya.” Kemudian kedua-dua orang gundiknya maju dengan anak-anak mereka, lalu bersujud. Kemudian Lea serta anak-anaknya datang, dan akhir sekali Yusuf dan Rahel datang, lalu bersujud. Esau bertanya, “Apakah maksudmu dengan rombongan-rombongan yang saya jumpai tadi?” Yakub menjawab, “Untuk menyenangkan hati abang.” Tetapi Esau berkata, “Harta saya sudah cukup. Adik tidak perlu memberikan hadiah kepada saya.” Yakub berkata, “Jika saya menyenangkan hati abang, terimalah hadiah saya itu. Bagi saya, melihat wajah abang sama dengan melihat wajah Allah kerana abang begitu ramah kepada saya. Saya mohon, terimalah hadiah yang saya bawa itu. Allah sangat baik kepada saya dan memberikan segala sesuatu yang saya perlukan.” Yakub terus-menerus mendesaknya sampai akhirnya Esau menerima hadiah itu. Kemudian Esau berkata, “Marilah kita bersiap-siap untuk berangkat. Saya akan berjalan bersama-sama kamu.” Yakub menjawab, “Abang tahu bahawa anak-anak ini lemah, dan saya harus berhati-hati dengan semua ternakan yang sedang menyusui anak. Jika digiring dengan cepat-cepat, walaupun hanya satu hari, semua kawanan binatang itu akan mati. Berjalanlah lebih dahulu, lalu saya akan mengikut dengan perlahan-lahan. Saya akan berjalan secepat mungkin bersama dengan ternakan dan anak-anak saya, sampai dapat menyusul abang di Edom.” Esau berkata, “Jika begitu, baiklah saya tinggalkan beberapa orang anak buah saya dengan kamu.” Tetapi Yakub menjawab, “Tidak usahlah bersusah-susah. Saya hanya ingin menyenangkan hati abang.” Maka pada hari itu Esau berangkat kembali ke Edom. Tetapi Yakub pergi ke Sukot, lalu mendirikan rumahnya dan tempat berteduh bagi ternakannya. Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Sukot. Dalam perjalanannya dari Mesopotamia, Yakub sampai di kota Sikhem di negeri Kanaan dengan selamat. Di situ dia memasang khemahnya di padang dekat kota. Padang tempat perkhemahannya itu dibelinya daripada orang keturunan Hamor, bapa Sikhem, dengan harga 100 keping wang perak. Kemudian dia membina sebuah mazbah di situ dan menamakannya “Allah Israel ialah Allah”. Pada suatu hari, Dina, anak perempuan Yakub dan Lea, mengunjungi beberapa orang wanita Kanaan. Apabila Sikhem nampak Dina, dia melarikan gadis itu lalu merogolnya. Sikhem ialah anak lelaki Hamor, orang Hewi yang menjadi pemerintah di wilayah itu. Tetapi Sikhem sangat tertarik kepada Dina sehingga jatuh cinta kepadanya. Dia berusaha supaya gadis itu mencintainya pula. Sikhem berkata kepada bapanya, “Saya mohon supaya ayah berusaha mendapatkan gadis itu bagi saya. Saya ingin mengahwininya.” Yakub mendengar bahawa anak perempuannya sudah dicabul kehormatannya, tetapi anak-anak lelaki Yakub sedang menjaga ternakannya di padang. Oleh itu dia tidak dapat mengambil tindakan apa-apa sebelum mereka pulang. Hamor, bapa Sikhem, datang kepada Yakub untuk berunding dengan dia. Pada masa itu juga anak-anak lelaki Yakub pulang dari padang. Setelah mendengar peristiwa itu, mereka terkejut dan sangat marah kerana dengan merogol anak perempuan Yakub, Sikhem sudah menghina semua orang Israel. Hamor berkata kepada Yakub, “Sikhem, anak saya sudah jatuh cinta kepada anak perempuan tuan; saya mohon supaya tuan mengizinkan anak saya berkahwin dengan dia. Marilah kita membuat persetujuan bahawa bangsa tuan dan bangsa kami kahwin campur. Dengan demikian tuan boleh tinggal bersama dengan kami di negeri ini, di mana sahaja tuan suka. Tuan boleh berdagang dengan bebas dan memiliki harta benda.” Kemudian Sikhem berkata kepada bapa Dina serta abang-abangnya, “Penuhilah permintaan saya ini, maka saya akan memberikan apa yang saudara-saudara mahu. Katakanlah hadiah apa yang saudara-saudara inginkan, dan tentukanlah mas kahwinnya. Saya akan memberikan apa yang saudara-saudara minta, asal sahaja saudara-saudara membenarkan saya berkahwin dengan gadis itu.” Oleh sebab Sikhem sudah mencabul kehormatan Dina, adik mereka, anak-anak lelaki Yakub berbohong kepada Sikhem dan Hamor, bapanya. Mereka berkata kepada kedua-dua orang itu, “Kami malu membenarkan adik kami berkahwin dengan orang yang tidak bersunat. Kami hanya dapat menyetujui permintaanmu itu dengan satu syarat: kamu mesti menjadi seperti kami; semua orang lelaki di kalangan kamu mesti disunat. Setelah itu, kami akan menyetujui cadangan kamu tentang kahwin campur. Kami akan tinggal bersama dengan kamu, dan menjadi satu bangsa dengan kamu. Tetapi jika kamu tidak mahu menerima syarat kami, dan tidak mahu disunat, kami akan mengambil balik gadis itu, lalu pergi.” Hamor dan Sikhem berpendapat bahawa syarat itu berpatutan. Oleh itu Sikhem bersedia memenuhi syarat itu dengan segera kerana dia mencintai Dina. Di kalangan kaum keluarganya, Sikhemlah yang paling penting. Kemudian Hamor dan Sikhem pergi ke tempat pertemuan di pintu gerbang kota, lalu berkata kepada penduduk kota, “Orang Israel sahabat kita. Oleh itu biarlah mereka tinggal di negeri ini bersama dengan kita serta bebas pergi ke mana saja mereka suka. Negeri ini cukup luas bagi mereka juga. Kita boleh berkahwin dengan gadis-gadis mereka, dan mereka pun boleh berkahwin dengan gadis-gadis kita. Tetapi orang Israel hanya mahu tinggal bersama dengan kita dan menjadi satu bangsa dengan kita dengan satu syarat: Semua orang lelaki di kalangan kita harus disunat seperti mereka. Dengan itu semua kawanan binatang dan harta benda mereka akan menjadi kepunyaan kita. Marilah kita menyetujui permintaan mereka supaya mereka tinggal bersama dengan kita.” Semua penduduk kota yang berkumpul menyetujui cadangan Hamor dan Sikhem, lalu semua orang lelaki disunat. Tiga hari kemudian, ketika semua orang lelaki masih kesakitan kerana disunat, dua orang anak Yakub, iaitu abang Dina yang bernama Simeon dan Lewi, mengambil pedang mereka lalu dengan diam-diam masuk ke dalam kota. Mereka membunuh semua orang lelaki di situ, termasuk Hamor dan Sikhem. Kemudian mereka mengambil Dina dari rumah Sikhem, lalu pergi. Setelah pembunuhan itu, anak-anak lelaki Yakub yang lain merompak kota itu untuk membalas dendam kerana adik mereka sudah dicabul kehormatannya. Mereka merampas kawanan kambing dan domba, lembu, keldai dan segala yang ada di dalam kota dan di padang. Mereka mengambil segala barang yang berharga, menawan semua wanita dan anak-anak, serta merampas segala isi rumah di kota itu. Yakub berkata kepada Simeon dan Lewi, “Kamu menyusahkan aku. Sekarang orang Kanaan dan orang Feris serta semua penduduk negeri ini akan membenci aku. Orang kita tidak banyak; jika semua penduduk itu bersekutu untuk melawan dan menyerang aku, seluruh keluarga kita akan dibinasakan.” Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak dapat membiarkan adik kami diperlakukan sebagai seorang pelacur.” Pada suatu hari Allah berfirman kepada Yakub, “Akulah Allah yang menampakkan diri kepadamu ketika engkau lari daripada abangmu, Esau. Pergilah ke Betel dengan segera. Tinggallah di sana dan binalah sebuah mazbah bagi-Ku.” [2-3] Kemudian Yakub berkata kepada keluarganya dan kepada semua orang yang ada bersama dengan dia, “Kita akan berangkat dari sini dan pergi ke Betel. Di sana aku akan membina sebuah mazbah bagi Allah yang telah menolong aku pada masa kesukaran, dan yang menyertai aku ke mana sahaja aku pergi. Buanglah patung dewa-dewa asing yang ada pada kamu; lakukanlah upacara penyucian diri dan pakailah pakaian yang bersih.” *** Maka mereka menyerahkan semua patung dewa asing yang ada pada mereka dan juga anting-anting yang dipakai mereka, kepada Yakub. Semua benda itu ditanam oleh Yakub di bawah pokok besar dekat kota Sikhem. Pada masa Yakub dan keluarganya berangkat, Allah meliputi penduduk kota-kota di sekitar mereka dengan rasa takut, sehingga mereka tidak mengejar Yakub dan keluarganya. Kemudian mereka sampai di tanah Kanaan, di kota Betel yang dahulu bernama Lus. Di situ Yakub membina sebuah mazbah dan menamakan tempat itu Allah Betel, kerana Allah telah menampakkan diri kepadanya di situ ketika dia lari daripada abangnya. Debora, inang pengasuh Ribka, meninggal di tempat itu. Dia dikuburkan di bawah pokok besar di sebelah selatan kota itu. Itulah sebabnya pokok itu dinamakan “Pokok Besar Tangisan”. Selepas Yakub kembali dari Mesopotamia, Allah menampakkan diri lagi kepadanya dan memberkatinya. Allah berfirman kepadanya, “Namamu Yakub, tetapi mulai sekarang engkau akan disebut Israel.” Demikianlah Allah menamakan dia Israel. Allah berfirman lagi, “Akulah Allah yang Maha Kuasa. Hendaklah engkau mempunyai anak cucu yang banyak! Keturunanmu akan menjadi bangsa-bangsa dan engkau akan menjadi nenek moyang raja-raja. Negeri yang Aku berikan kepada Abraham dan Ishak akan Kuberikan kepadamu dan keturunanmu.” Selepas itu Allah meninggalkan Yakub. Yakub menegakkan sebuah batu peringatan di tempat Allah berfirman kepadanya. Kemudian Yakub mentahbiskan batu itu dengan menuang wain dan minyak zaitun di atasnya. Yakub menamakan tempat itu Betel. Kemudian Yakub dan keluarganya meninggalkan Betel. Apabila mereka masih agak jauh dari Efrata, tibalah masanya bagi Rahel untuk bersalin, tetapi dia susah sekali melahirkan anak itu. Apabila kesakitannya memuncak, bidan berkata kepadanya, “Besarkan hatimu, Rahel, anakmu lelaki lagi.” Tetapi Rahel sudah mendekati akhir hayatnya, dan ketika dia hampir menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia menamakan anak itu Ben-Oni, tetapi bapa anak itu menamakan dia Benyamin. Setelah Rahel meninggal, dia dikuburkan di pinggir jalan yang menuju ke Efrata, yang sekarang bernama Bethlehem. Yakub menegakkan sebuah batu peringatan di situ, dan sampai hari ini, kubur Rahel masih ditandai dengan batu itu. Kemudian Yakub meneruskan perjalanannya. Selepas melalui menara Eder, dia memasang khemahnya. Sementara mereka berada di tempat itu, Ruben berseketiduran dengan Bilha, gundik bapanya. Hal itu diketahui Yakub, lalu dia sangat marah. Yakub mempunyai dua belas orang anak lelaki. Anak Lea ialah Ruben (anak sulung Yakub), Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, dan Zebulon. Anak Rahel ialah Yusuf dan Benyamin. Anak Bilha, hamba Rahel ialah Dan serta Naftali. Anak Zilpa, hamba Lea ialah Gad dan Asyer. Anak-anak itu dilahirkan di Mesopotamia. Yakub pergi menemui bapanya, Ishak, di tempat tinggalnya di Mamre, dekat Hebron. Dahulu Abraham datuknya, juga tinggal di sana. [28-29] Ishak meninggal pada usia yang sangat lanjut, ketika dia berumur 180 tahun. Dia dikuburkan oleh Esau dan Yakub, anak-anaknya. Inilah keturunan Esau yang disebut juga Edom. Esau berkahwin dengan tiga orang wanita Kanaan: Ada, anak Elon orang Het; Oholibama anak Ana, cucu Zibeon orang Hewi; Basmat anak Ismael, adik Nebayot. Ada melahirkan Elifas, Basmat melahirkan Rehuel, dan Oholibama melahirkan Yeus, Yaelam, dan Korah. Semua anak lelaki Esau itu dilahirkan di negeri Kanaan. Kemudian Esau meninggalkan Yakub dan pergi ke negeri lain bersama dengan semua isterinya, anak lelakinya, anak perempuannya, serta semua orang dalam rumahnya. Dia juga membawa semua ternakan dan harta benda yang sudah diperolehinya di Kanaan. Esau berpisah daripada Yakub kerana harta mereka terlalu banyak, sehingga mereka tidak dapat tinggal bersama-sama. Lagipun negeri yang didiami mereka itu tidak cukup luas untuk ternakan mereka yang sangat banyak. Oleh itu Esau yang juga dinamakan Edom, menetap di kawasan pergunungan Seir. Inilah keturunan Esau, nenek moyang orang Edom. [10-13] Isteri Esau yang bernama Ada melahirkan seorang anak lelaki, bernama Elifas. Elifas mempunyai lima orang anak lelaki: Teman, Omar, Zefo, Gaetam, dan Kenas. Elifas mempunyai seorang gundik bernama Timna. Dia melahirkan seorang anak lelaki yang bernama Amalek. Isteri Esau yang bernama Basmat melahirkan seorang anak lelaki yang bernama Rehuel. Rehuel mempunyai empat orang anak lelaki: Nahat, Zerah, Syama, dan Miza. *** *** *** Isteri Esau yang bernama Oholibama, iaitu anak Ana dan cucu Zibeon, melahirkan tiga orang anak lelaki: Yeus, Yaelam, dan Korah. Inilah ketua-ketua suku keturunan Esau: Elifas, anak sulung Esau, ialah nenek moyang suku-suku yang berikut: Teman, Omar, Zefo, Kenas, Korah, Gaetam, dan Amalek. Mereka semua keturunan Ada, isteri Esau. Rehuel, anak Esau, ialah nenek moyang suku-suku yang berikut: Nahat, Zerah, Syama, dan Miza. Mereka semua keturunan Basmat, isteri Esau. Suku-suku berikut ialah keturunan Esau daripada isterinya yang bernama Oholibama anak Ana: Yeus, Yaelam, dan Korah. Semua suku itu keturunan Esau. [20-21] Penduduk asli tanah Edom terdiri daripada suku-suku keturunan Seir, orang Hori. Suku-suku itu ialah Lotan, Syobal, Zibeon, Ana, Disyon, Ezer, dan Disyan. *** Lotan ialah nenek moyang puak Hori dan Heman. (Lotan mempunyai saudara perempuan bernama Timna). Syobal ialah nenek moyang puak Alwan, Manahat, Ebal, Syefo, dan Onam. Zibeon mempunyai dua orang anak lelaki, Aya dan Ana. (Ana inilah yang menjumpai sumber-sumber air panas di padang gurun, ketika dia menggembalakan keldai bapanya.) [25-26] Ana ialah bapa Disyon. Disyon ialah nenek moyang puak Hemdan, Esyban, Yitran, dan Keran. Ana juga mempunyai seorang anak perempuan bernama Oholibama. *** Ezer ialah nenek moyang puak Bilhan, Zaawan, dan Akan. Disyan ialah nenek moyang puak Us dan Aran. [29-30] Inilah beberapa suku Hori di negeri Edom: Lotan, Syobal, Zibeon, Ana, Disyon, Ezer, dan Disyan. *** [31-39] Sebelum ada raja yang memerintah di Israel, raja-raja yang berikut memerintah di tanah Edom secara berturut-turut: Raja Bela anak Beor dari Dinhaba. Raja Yobab anak Zerah dari Bozra. Raja Husyam dari daerah Teman. Raja Hadad anak Bedad dari Awit (bagindalah yang mengalahkan orang Midian dalam peperangan di negeri Moab). Raja Samla dari Masreka. Raja Saul dari Rehobot di pinggir sungai. Raja Baal-Hanan anak Akhbor. Raja Hadar dari Pahu (isterinya bernama Mehetabel, anak Matred dan cucu Mezahab). *** *** *** *** *** *** *** *** [40-43] Esau ialah nenek moyang suku-suku Edom yang berikut: Timna, Alwa, Yetet, Oholibama, Ela, Pinon, Kenas, Teman, Mibzar, Magdiel, dan Iram. Daerah tempat tinggal setiap suku itu dinamakan dengan nama suku masing-masing. Yakub menetap di negeri Kanaan. Dahulu bapanya Ishak, tinggal di negeri itu sebagai orang asing. Inilah kisah keluarga Yakub. Yusuf, anak Yakub yang berumur tujuh belas tahun, menjaga kawanan kambing dan domba bersama dengan saudara-saudaranya, iaitu anak-anak Bilha dan Zilpa, gundik bapanya. Yusuf memberikan laporan kepada bapanya tentang perbuatan jahat yang dilakukan oleh saudara-saudaranya itu. Yakub lebih sayang kepada Yusuf daripada semua anaknya yang lain, kerana Yusuf dilahirkan ketika Yakub sudah tua. Pada suatu hari Yakub membuat sehelai jubah yang sangat cantik Apabila saudara-saudara Yusuf nampak bapa mereka lebih menyayangi Yusuf, mereka membenci Yusuf sehingga tidak mahu bercakap baik-baik dengan dia lagi. Pada suatu malam Yusuf bermimpi. Apabila dia menceritakan mimpinya kepada saudara-saudaranya, mereka bertambah benci akan dia. Inilah yang dikatakan Yusuf kepada mereka, “Cuba dengar mimpiku. Aku bermimpi kita semua berada di ladang dan sedang memberkas gandum, lalu berkas gandumku berdiri tegak. Kemudian berkas-berkas gandum kamu mengelilingi berkas gandumku, lalu sujud kepada berkas gandumku itu.” Lalu saudara-saudara Yusuf berkata kepadanya, “Kaufikir engkau akan menjadi raja dan berkuasa atas kami?” Oleh itu mereka semakin membenci Yusuf kerana mimpi dan kata-katanya. Kemudian Yusuf bermimpi lagi. Dia berkata kepada saudara-saudaranya, “Aku bermimpi lagi. Aku nampak matahari, bulan, dan sebelas bintang sujud kepadaku.” Mimpi itu diceritakannya pula kepada bapanya. Lalu bapanya menegur dia, “Mimpi apakah itu? Kaufikir aku, ibumu, dan saudara-saudaramu akan datang dan sujud menyembah engkau?” Saudara-saudara Yusuf iri hati kepadanya tetapi bapanya tetap memikirkan mimpi itu. Pada suatu hari saudara-saudara Yusuf pergi ke Sikhem untuk menggembala ternakan bapa mereka. Yakub berkata kepada Yusuf, “Pergilah ke Sikhem, tempat saudara-saudaramu menggembala ternakan kita.” Yusuf menjawab, “Baiklah, ayah.” Bapanya berkata, “Lihatlah bagaimana keadaan saudara-saudaramu dan ternakan itu; kemudian baliklah dan beritahulah aku.” Demikianlah Yakub menyuruh Yusuf pergi dari Lembah Hebron. Tidak lama kemudian Yusuf sampai di Sikhem. Semasa dia berjalan ke sana ke mari di padang, dia bertemu dengan seorang lelaki. Lelaki itu bertanya kepadanya, “Apakah yang kamu cari?” “Saya mencari saudara-saudara saya yang sedang menggembala ternakan,” jawab Yusuf. “Tolong beritahu saya di mana mereka berada.” Orang itu berkata, “Mereka sudah pergi dari sini. Saya mendengar mereka berkata hendak pergi ke Dotan.” Oleh itu Yusuf berangkat untuk menyusul saudara-saudaranya. Dia menjumpai mereka di Dotan. Dari jauh mereka nampak Yusuf, dan sebelum dia sampai kepada mereka, mereka berkomplot membunuh dia. Mereka berkata satu sama lain, “Itu dia si tukang mimpi datang. Marilah kita bunuh dia dan campakkan mayatnya ke dalam perigi yang kering. Nanti kita katakan dia diterkam oleh binatang buas. Kita lihatlah apa akan berlaku dengan mimpi-mimpinya itu.” Ruben mendengar rancangan mereka, lalu dia berusaha untuk menyelamatkan Yusuf. “Jangan bunuh dia,” katanya. “Campakkan dia ke dalam perigi di padang gurun ini, tetapi jangan cederakan dia.” Ruben berkata begitu kerana dia bermaksud menyelamatkan Yusuf dan menyuruh dia pulang kepada bapanya. Apabila Yusuf sampai kepada saudara-saudaranya, dengan kasar mereka menanggalkan jubah Yusuf yang sangat cantik itu. Kemudian mereka menyeret Yusuf dan mencampakkan dia ke dalam perigi yang kering. Ketika mereka sedang makan, tiba-tiba mereka nampak kafilah orang Ismael dari Gilead yang sedang dalam perjalanan ke Mesir. Unta-unta mereka mengangkut rempah-rempah dan damar. Yehuda berkata kepada saudara-saudaranya, “Apakah keuntungannya membunuh adik kita dan merahsiakan pembunuhan itu? Mari kita jual dia kepada orang Ismael itu. Tidak usah kita sakiti dia. Bagaimanapun dia tetap adik kita.” Saudara-saudaranya bersetuju. Apabila beberapa orang pedagang Midian lalu, Yusuf dikeluarkan oleh saudara-saudaranya dari perigi. Kemudian mereka menjual dia kepada orang Ismael itu dengan harga dua puluh keping wang perak. Yusuf dibawa oleh pedagang-pedagang itu ke Mesir. Apabila Ruben kembali ke perigi itu dan tidak menjumpai Yusuf di situ, dia mengoyakkan pakaiannya kerana sedih. Dia balik kepada saudara-saudaranya dan berkata, “Anak itu tiada lagi di situ! Apakah yang harus aku lakukan sekarang?” Kemudian mereka menyembelih seekor kambing dan mencelupkan jubah Yusuf ke dalam darah kambing itu. Mereka membawa jubah itu kepada bapa mereka dan berkata, “Kami menjumpai jubah ini. Adakah jubah ini kepunyaan anak ayah?” Yakub mengenali jubah itu, lalu berkata, “Benar, ini jubah anakku! Dia sudah diterkam binatang buas. Aduhai, anakku Yusuf sudah mati dicarik-carik binatang!” Yakub mengoyakkan pakaiannya kerana sedih lalu memakai kain guni. Dia meratapi anaknya itu berhari-hari lamanya. Semua anak Yakub, baik lelaki mahupun perempuan datang menghibur dia, tetapi dia tidak mahu dihibur. Yakub berkata, “Aku tidak akan berhenti berkabung bagi anakku sehingga aku mati.” Demikianlah dia terus-menerus berkabung bagi anaknya Yusuf. Sementara itu, di Mesir, orang Midian sudah menjual Yusuf kepada Potifar, seorang pegawai raja yang menjadi ketua pengawal istana. Kira-kira pada masa itu Yehuda meninggalkan saudara-saudaranya lalu tinggal bersama dengan Hira, seorang lelaki yang berasal dari kota Adulam. Di situ Yehuda berkenalan dengan seorang perempuan Kanaan. Bapa perempuan itu bernama Sua. Kemudian Yehuda mengahwini perempuan itu. Perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama Er oleh Yehuda, bapanya. Perempuan itu mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki, yang diberinya nama Onan. Perempuan itu mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki, yang diberinya nama Syela. Yehuda berada di Kezib ketika Syela dilahirkan. Yehuda mengahwinkan Er, anak sulungnya, dengan Tamar. Kelakuan Er sangat jahat sehingga TUHAN murka kepadanya, lalu membunuh dia. Kemudian Yehuda berkata kepada Onan adik Er, “Pergilah kepada balu abangmu, dan tidurlah dengan dia. Lakukanlah kewajipanmu terhadap dia kerana kamu adik suaminya; dengan demikian abangmu boleh mendapat keturunan.” Tetapi Onan tahu bahawa anaknya nanti tidak akan menjadi kepunyaannya. Oleh itu setiap kali dia bersetubuh dengan balu abangnya itu, dia membiarkan air maninya meleleh di luar supaya abangnya tidak mempunyai keturunan. Perbuatannya itu menyebabkan TUHAN murka, lalu TUHAN membunuh dia juga. Kemudian Yehuda berkata kepada Tamar, menantunya, “Baliklah ke rumah bapamu dan tinggallah di situ sebagai balu sehingga anakku Syela dewasa.” Yehuda berkata demikian kerana takut jangan-jangan Syela akan dibunuh juga, seperti kedua-dua orang abangnya. Oleh itu Tamar pulang ke rumah bapanya. Beberapa lama kemudian isteri Yehuda meninggal. Apabila masa berkabung berakhir, Yehuda mengajak Hira, temannya dari Adulam itu, pergi ke Timna, tempat menggunting bulu dombanya. Tamar mendapat khabar bahawa Yehuda, bapa mentuanya akan datang ke Timna untuk menggunting bulu dombanya. Oleh itu Tamar mengganti pakaian balunya dengan pakaian lain. Dia menutup mukanya dengan sehelai tudung, lalu duduk di pintu gerbang kota Enaim, yang terletak di jalan menuju ke Timna. Tamar tahu bahawa Syela, anak Yehuda yang bongsu sudah dewasa, tetapi dia belum juga dikahwinkan dengan pemuda itu. Apabila Yehuda melihat Tamar, dia menyangka perempuan itu seorang pelacur kerana mukanya bertudung. Oleh itu Yehuda menghampirinya di pinggir jalan dan berkata, “Berapakah yang kamu minta?” Dia tidak tahu perempuan itu menantunya sendiri. Tamar menjawab, “Apakah yang tuan mahu berikan?” Yehuda berkata lagi, “Aku akan memberikan seekor kambing muda kepadamu.” Tamar menjawab, “Boleh, asal tuan memberi saya cagaran sehingga tuan mengirimkan kambing itu.” Yehuda bertanya, “Apakah yang dapat kuberikan sebagai cagaran kepadamu?” Tamar menjawab, “Berilah saya meterai tuan dengan talinya dan juga tongkat yang tuan bawa itu.” Yehuda memberikan benda-benda itu kepadanya. Kemudian mereka bersetubuh, lalu Tamar mengandung. Tamar pulang ke rumah dan membuka tudung mukanya, lalu memakai semula pakaian balu. Beberapa lama kemudian Yehuda mengutus Hira, temannya, untuk menghantarkan kambing itu dan meminta balik benda-benda yang telah diberikannya sebagai cagaran, tetapi Hira tidak dapat menjumpai perempuan itu. Hira bertanya-tanya kepada orang di Enaim, “Di manakah pelacur yang biasanya menunggu di pinggir jalan ini?” Mereka menjawab, “Tidak pernah ada pelacur di sini.” Oleh itu Hira kembali kepada Yehuda dan berkata, “Aku tidak dapat menjumpai perempuan itu. Menurut kata orang di sana, tidak pernah ada pelacur di situ.” Yehuda berkata, “Biarlah benda-benda itu disimpannya, asal saja kita tidak mendapat malu. Aku sudah berusaha untuk membayar perempuan itu tetapi kamu tidak dapat menjumpai dia.” Kira-kira tiga bulan kemudian Yehuda mendapat khabar bahawa Tamar, menantunya, telah berlaku sebagai pelacur dan sudah mengandung. Lalu Yehuda memerintahkan, “Bawalah dia keluar dan bakarlah sampai mati!” Sementara Tamar dibawa keluar, dia mengirimkan pesan kepada bapa mentuanya, “Saya telah dihamilkan oleh pemilik benda-benda ini. Periksalah meterai ini dengan talinya, serta tongkat ini, dan lihatlah siapa pemiliknya.” Yehuda mengenali benda-benda itu dan berkata, “Perempuan itu tidak bersalah. Aku tidak melakukan kewajipanku terhadap dia; seharusnya aku mengahwinkan dia dengan anakku Syela.” Yehuda tidak bersetubuh dengan Tamar lagi. Apabila tiba masanya bagi Tamar bersalin, ternyata dia akan melahirkan anak kembar. Sedang dia bersalin, salah seorang bayi kembar itu mengeluarkan tangannya, lalu bidan memegang tangan itu dan mengikatnya dengan benang merah. Bidan berkata, “Anak ini dilahirkan lebih dahulu.” Tetapi bayi itu menarik tangannya kembali, dan bayi yang satu lagi dilahirkan lebih dahulu. Kemudian bidan berkata, “Begitu pula caramu mendesak keluar!” Lalu anak yang dilahirkan lebih dahulu itu diberi nama Peres. Selepas itu barulah adiknya, yang tangannya diikat dengan benang merah, dilahirkan. Anak itu diberi nama Zerah. Yusuf telah dibawa ke Mesir oleh orang Ismael, lalu dijual kepada Potifar, seorang pegawai raja yang menjadi ketua pengawal istana. TUHAN menolong Yusuf sehingga dia selalu berjaya dalam segala pekerjaannya. Dia tinggal di rumah tuannya, orang Mesir itu. Tuannya melihat bahawa TUHAN menolong Yusuf dan memberi dia kejayaan dalam segala yang dilakukannya. Potifar suka kepada Yusuf dan melantik dia sebagai pelayan peribadinya; lalu Potifar memberikan tugas kepada Yusuf untuk mengurus rumah tangganya dan segala kepunyaannya. Sejak itu, demi Yusuf, TUHAN memberkati rumah tangga orang Mesir itu dan segala sesuatu yang dimilikinya, baik yang di rumah mahupun yang di ladang. Segala sesuatu yang dimiliki Potifar dipercayakannya kepada Yusuf. Dengan demikian Potifar sama sekali tidak risau tentang urusan rumahnya, kecuali makanannya. Yusuf berbadan segak dan kacak. Beberapa lama kemudian, isteri Potifar mula berahi terhadap Yusuf. Lalu dia mengajak pemuda itu tidur bersama dengan dia. Yusuf tidak mahu dan berkata kepadanya, “Maaf, puan, Tuan Potifar sudah mempercayakan segala miliknya kepada saya. Dia tidak perlu memikirkan apa-apa lagi di rumah ini. Kuasa saya sama besar dengan kuasanya di dalam rumah ini. Tiada sesuatu pun yang tidak dipercayakannya kepada saya kecuali puan. Bagaimana mungkin saya melakukan perbuatan sejahat itu dan berdosa terhadap Allah?” Meskipun isteri Potifar membujuk Yusuf setiap hari, pemuda itu tetap tidak mahu tidur bersama dengan dia. Pada suatu hari, ketika Yusuf masuk ke dalam rumah untuk melakukan pekerjaannya, tiada seorang pelayan pun berada di situ. Kemudian isteri Potifar menarik jubah Yusuf dan berkata, “Marilah kita tidur bersama.” Yusuf meronta hingga dapat lepas, lalu lari ke luar, tetapi jubahnya tertinggal di tangan perempuan itu. Apabila isteri Potifar sedar bahawa Yusuf sudah lari dan jubahnya tertinggal, dia memanggil pelayan-pelayannya dan berkata, “Lihatlah! Orang Ibrani yang dibawa suamiku ke rumah ini menghina kita. Dia masuk ke dalam bilikku dan cuba merogol aku, tetapi aku menjerit. Apabila dia mendengar jeritanku, dia lari ke luar tetapi jubahnya tertinggal.” Isteri Potifar menyimpan jubah itu sehingga suaminya pulang. Apabila suaminya pulang, dia segera memberitahukan cerita yang sama kepadanya. Dia berkata, “Hamba Ibrani itu yang kaubawa ke sini, masuk ke dalam bilik untuk menghina aku. Namun apabila aku menjerit, dia lari ke luar tetapi jubahnya tertinggal.” Potifar sangat marah. Dia memerintahkan supaya Yusuf segera ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara, tempat orang tahanan raja dikurung, maka di situlah Yusuf tinggal. Tetapi TUHAN menolong Yusuf dan tetap mengasihinya, sehingga ketua penjara suka kepadanya. Dia mempercayakan orang tahanan yang lain kepada Yusuf. Dia juga memberikan tanggungjawab kepada Yusuf atas segala pekerjaan yang dilakukan di dalam penjara. Ketua penjara itu tidak lagi mengawasi segala yang dipercayakannya kepada Yusuf, kerana TUHAN menyertai Yusuf sehingga dia berjaya dalam semua pekerjaannya. Beberapa lama kemudian dua orang pelayan raja Mesir, iaitu pengurus minuman dan pengurus roti, melakukan kesalahan terhadap raja. Oleh sebab itu, raja murka terhadap kedua-dua orang pelayan itu. Mereka dimasukkan ke dalam penjara di rumah ketua pengawal istana, di tempat Yusuf ditahan. Mereka tinggal lama di penjara itu, lalu ketua pengawal istana menugaskan Yusuf untuk melayani mereka. Pada suatu malam pengurus minuman dan pengurus roti itu masing-masing bermimpi. Erti mimpi mereka itu tidak sama. Apabila Yusuf datang kepada mereka keesokan paginya, mereka kelihatan muram. Oleh itu Yusuf bertanya, “Mengapa begitu muram hari ini?” Mereka menjawab, “Kami bermimpi semalam, dan tiada sesiapa pun yang mengetahui ertinya.” Yusuf berkata, “Hanya Allah yang membolehkan orang mentafsirkan mimpi. Cuba ceritakan mimpi itu.” Pengurus minuman itu berkata, “Dalam mimpi itu aku nampak pokok anggur di hadapanku. Pokok itu bercabang tiga. Sebaik saja cabang-cabangnya mula berdaun, segera bunga-bunganya berkembang, lalu buahnya masak. Pada waktu itu aku sedang memegang cawan minuman raja; oleh itu aku mengambil buah anggur itu dan memerah airnya ke dalam cawan raja, lalu aku menghidangkannya kepada raja.” Yusuf berkata, “Inilah ertinya. Tiga cabang itu bererti tiga hari. Dalam tiga hari ini, tuan akan dibebaskan oleh raja, diampuni dan dikembalikan kepada pekerjaan yang dahulu. Tuan akan menghidangkan cawan minuman kepada raja seperti dahulu. Tetapi ingatlah akan saya apabila keadaan tuan sudah baik. Tolong sampaikan masalah saya kepada raja supaya saya dibebaskan dari penjara ini. Sebenarnya, dahulu saya diculik dari negeri orang Ibrani. Di sini, di Mesir pun, tidak pernah saya melakukan apa-apa kejahatan sampai harus dimasukkan ke dalam penjara.” Setelah pengurus roti itu tahu bahawa erti mimpi pengurus minuman itu baik, maka dia berkata kepada Yusuf, “Aku juga bermimpi. Dalam mimpi itu aku menjunjung tiga buah bakul roti. Di dalam bakul yang paling atas terdapat bermacam-macam kuih untuk raja, tetapi burung-burung datang memakan kuih-muih itu.” Yusuf menjawab, “Inilah erti mimpi itu. Tiga buah bakul itu bererti tiga hari. Dalam tiga hari ini, raja akan menyuruh orang memenggal kepala tuan lalu menggantungkan mayat tuan pada sebatang tiang, dan burung-burung akan makan daging tuan.” Tiga hari kemudian, pada hari keputeraan raja, raja mengadakan jamuan besar bagi semua pegawainya. Raja memerintahkan supaya pengurus minuman dan pengurus roti dikeluarkan dari penjara, lalu dibawa ke hadapan semua pegawai istana. Raja mengembalikan pengurus minuman kepada pekerjaannya yang dahulu, tetapi pengurus roti dihukum mati. Semua hal itu berlaku tepat seperti yang dikatakan Yusuf. Namun pengurus minuman itu tidak ingat lagi akan Yusuf. Dia sama sekali lupa akan Yusuf. Dua tahun kemudian, raja Mesir bermimpi bahawa baginda sedang berdiri di tebing Sungai Nil. Tiba-tiba tujuh ekor lembu yang gemuk dan yang kulitnya licin berkilat, keluar dari sungai, lalu mula makan rumput di tebing sungai itu. Selepas itu tujuh ekor lembu yang lain muncul pula; lembu itu kurus kering. Lembu-lembu yang kurus itu berdiri di samping lembu-lembu yang gemuk, di tebing sungai. Kemudian lembu-lembu yang kurus makan lembu-lembu yang gemuk. Selepas itu raja terjaga daripada tidurnya. Raja tertidur dan bermimpi lagi. Dalam mimpinya raja nampak tujuh bulir gandum yang berisi dan masak pada satu tangkai. Kemudian ada lagi tujuh bulir gandum lain, yang kempis dan layu kerana ditiup angin gurun. Bulir gandum yang kempis itu menelan ketujuh-tujuh bulir yang berisi. Selepas itu raja terjaga dan sedar bahawa baginda sudah bermimpi. Pagi esoknya raja berasa gelisah. Oleh itu raja memanggil semua ahli sihir dan orang berilmu di Mesir. Kemudian raja menceritakan mimpinya kepada mereka, tetapi tiada seorang pun dapat mentafsirkan mimpi itu. Kemudian pengurus minuman berkata kepada raja, “Pada hari ini hamba mesti mengaku kesalahan hamba. Dahulu tuanku murka kepada hamba dan pengurus roti, lalu hamba berdua dimasukkan ke dalam penjara di rumah ketua pengawal istana. Pada suatu malam hamba berdua bermimpi, dan mimpi itu tidak sama ertinya. Seorang pemuda Ibrani berada di sana bersama dengan hamba. Dia pelayan ketua pengawal istana. Hamba menceritakan mimpi hamba kepadanya, lalu dia mentafsirkan mimpi itu. Ternyata segalanya berlaku tepat seperti yang dikatakannya. Tuanku mengembalikan hamba kepada pekerjaan hamba, tetapi menjatuhkan hukuman mati kepada pengurus roti itu.” Oleh itu raja menyuruh orang memanggil Yusuf datang menghadap, lalu Yusuf segera dikeluarkan dari penjara. Setelah Yusuf bercukur dan berganti pakaian, dia dibawa menghadap raja. Raja bertitah kepadanya, “Beta sudah bermimpi, tetapi tiada seorang pun dapat menjelaskan erti mimpi itu. Beta sudah diberitahu bahawa kamu dapat mentafsirkan mimpi.” Yusuf menjawab, “Tuanku, bukan hamba melainkan Allah yang dapat memberikan tafsiran yang baik bagi tuanku.” Raja bertitah, “Beta bermimpi bahawa beta sedang berdiri di tebing Sungai Nil. Kemudian tujuh ekor lembu yang gemuk dan yang kulitnya licin berkilat keluar dari sungai, lalu mula makan rumput di tebing sungai itu. Selepas itu, muncul pula tujuh ekor lembu lain yang kurus kering. Beta belum pernah nampak lembu yang sedemikian kurus di seluruh Mesir. Lembu-lembu yang kurus itu memakan habis ketujuh-tujuh ekor lembu yang gemuk. Tetapi lembu-lembu yang kurus itu masih tetap kurus. Lalu beta terjaga daripada tidur. Kemudian beta tertidur dan bermimpi lagi. Beta nampak tujuh bulir gandum yang berisi dan masak pada satu tangkai. Selepas itu ada pula tujuh bulir gandum yang kempis dan layu kerana ditiup angin gurun. Bulir gandum yang kempis itu menelan bulir yang berisi. Beta sudah menceritakan kedua-dua mimpi beta itu kepada para ahli sihir, tetapi tiada seorang pun dapat mentafsirkan mimpi itu.” Kemudian Yusuf berkata kepada raja, “Kedua-dua mimpi itu mempunyai erti yang sama; Allah sudah memberitahu tuanku apa yang akan dilakukan-Nya. Tujuh ekor lembu yang gemuk itu melambangkan tujuh tahun. Tujuh bulir gandum yang berisi itu melambangkan tujuh tahun juga; kedua-duanya mempunyai erti yang sama. Tujuh ekor lembu yang kurus, yang muncul kemudian, serta tujuh bulir gandum yang kempis dan layu kerana ditiup angin gurun itu melambangkan masa kebuluran selama tujuh tahun. Sebagaimana hamba katakan kepada tuanku, Allah sudah menyatakan apa yang akan dilakukan-Nya. Seluruh negeri Mesir akan kelimpahan gandum selama tujuh tahun. [30-31] Selepas itu kebuluran akan berlaku selama tujuh tahun. Masa kelimpahan gandum itu akan dilupakan sama sekali kerana kebuluran itu sangat dahsyat sehingga negeri ini menjadi tandus. *** Tuanku bermimpi dua kali; hal itu bermakna bahawa perkara itu telah ditetapkan oleh Allah, dan Allah akan melaksanakannya dengan segera. Oleh sebab itu, sebaiknya tuanku memilih seorang yang cerdas dan bijaksana lalu memberinya kuasa untuk mengurus negeri ini. [34-35] Tuanku perlu juga melantik pegawai-pegawai lain, dan memberi mereka kuasa untuk memungut seperlima daripada segala tuaian gandum selama tujuh tahun masa kelimpahan gandum, lalu menyimpannya di kota-kota dan menjaganya. *** Gandum itu akan menjadi simpanan makanan untuk masa kebuluran selama tujuh tahun di Mesir. Dengan demikian rakyat tidak akan mati kebuluran.” Raja dan para pegawainya menyetujui cadangan Yusuf itu. Kemudian raja bertitah kepada mereka, “Tidak mungkin kita mendapatkan orang lain yang lebih sesuai daripada Yusuf, kerana dia dipimpin oleh Roh Allah.” Oleh itu raja bertitah kepada Yusuf, “Allah sudah memberitahukan segala perkara ini kepadamu, kerana itu jelaslah bahawa kamu lebih cerdas dan bijaksana daripada sesiapa pun. Beta melantik kamu menjadi gabenor, dan segenap rakyat akan mentaati perintahmu. Hanya beta yang lebih berkuasa daripadamu.” [41-42] Selepas itu raja menanggalkan cincin yang berukir meterai kerajaan dari jarinya. Raja menyarungkan cincin itu pada jari Yusuf sambil bertitah, “Dengan ini beta melantik kamu menjadi gabenor seluruh Mesir.” Kemudian raja mengenakan sehelai jubah linen yang halus pada Yusuf, dan mengalungkan seutas rantai emas pada lehernya. *** Kemudian raja memberikan kereta kuda diraja yang kedua kepada Yusuf sebagai kenderaannya, dan pengawal kehormat diraja berjalan di hadapan kereta kuda itu sambil berseru-seru, “Beri jalan! Beri jalan!” Demikianlah Yusuf dilantik menjadi gabenor seluruh Mesir. Raja bertitah kepadanya, “Betalah raja — dan beta mengumumkan bahawa tanpa izinmu tiada seorang pun di seluruh Mesir boleh melakukan apa-apa.” Raja memberikan nama Mesir kepada Yusuf, iaitu Zafnat-Paaneah. Baginda juga memberikan seorang isteri kepada Yusuf. Isterinya itu bernama Asnat, anak Potifera yang menjadi imam di kota Heliopolis. Yusuf berumur tiga puluh tahun ketika dia mula berkhidmat kepada raja Mesir. Yusuf meninggalkan istana raja lalu pergi ke seluruh negeri itu. Selama tujuh tahun masa kelimpahan gandum itu, tanah menghasilkan tuaian yang banyak sekali. Gandum itu dikumpulkan oleh Yusuf lalu disimpan di kota-kota. Di setiap kota dia menyimpan gandum hasil ladang di sekitar kota itu. Gandum yang dikumpulkan begitu banyak sehingga Yusuf berhenti menyukatnya, kerana banyaknya seperti pasir di pantai. Sebelum masa kebuluran sampai, Asnat isteri Yusuf, melahirkan dua orang anak lelaki. Yusuf berkata, “Allah sudah membuat aku lupa akan segala penderitaanku dan akan kaum keluarga bapaku.” Oleh itu dia menamakan anaknya yang sulung “Manasye”. Dia berkata lagi, “Allah sudah memberikan anak kepadaku di negeri aku mengalami kesukaran,” lalu dia menamakan anaknya yang kedua “Efraim”. Tujuh tahun masa kelimpahan gandum, yang dinikmati negeri Mesir, berakhir. Kemudian datanglah tujuh tahun masa kebuluran, tepat seperti yang dikatakan Yusuf. Di setiap negeri lain ada kebuluran, tetapi di seluruh Mesir ada makanan. Apabila rakyat Mesir mula menderita kebuluran, mereka meminta makanan daripada raja. Oleh itu raja menyuruh mereka pergi kepada Yusuf dan mentaati segala sesuatu yang diperintahkannya. Apabila kebuluran itu semakin dahsyat dan meluas ke seluruh negeri, Yusuf membuka semua gudang lalu menjual gandum kepada orang Mesir. Orang dari seluruh dunia datang ke Mesir untuk membeli gandum daripada Yusuf, kerana kebuluran itu sangat dahsyat di merata tempat. Apabila Yakub mendengar berita bahawa ada gandum di Mesir, dia berkata kepada anak-anak lelakinya, “Mengapa kamu tidak melakukan sesuatu? Aku mendengar berita bahawa ada gandum di Mesir; pergilah ke sana untuk membeli gandum supaya kita tidak mati kebuluran.” Oleh itu sepuluh orang abang tiri Yusuf pergi membeli gandum di Mesir. Tetapi Yakub tidak membenarkan Benyamin, adik kandung Yusuf, pergi bersama dengan mereka, kerana Yakub takut jangan-jangan terjadi sesuatu kecelakaan kepada anaknya itu. Anak-anak Yakub bersama dengan orang lain datang membeli gandum di Mesir, kerana ada kebuluran di negeri Kanaan. Yusuf, sebagai gabenor di Mesir, menjual gandum kepada orang dari seluruh dunia. Oleh itu saudara-saudara Yusuf datang dan sujud di hadapannya. Apabila Yusuf nampak saudara-saudaranya, dia mengenali mereka tetapi dia pura-pura tidak kenal. Dengan kasar dia bertanya kepada mereka, “Kamu dari mana?” Mereka menjawab, “Kami dari Kanaan. Kami datang untuk membeli makanan.” Meskipun Yusuf mengenali abang-abangnya, mereka tidak mengenali dia. Kemudian dia teringat akan mimpi-mimpinya tentang mereka, lalu dia berkata, “Kamu ini pengintip; kamu datang untuk menyiasat kelemahan negeri kami.” Mereka menjawab, “Tidak, tuan. Kami, hamba-hamba tuan, datang hanya untuk membeli makanan. Kami ini bersaudara, tuan. Kami orang jujur, bukan pengintip.” Yusuf berkata kepada mereka, “Tidak! Kamu datang ke sini untuk menyiasat kelemahan negeri ini.” Mereka menjawab, “Tuan, kami dua belas orang adik-beradik, anak daripada satu bapa, di negeri Kanaan. Seorang daripada kami sudah meninggal dan yang bongsu ada bersama dengan bapa kami.” Yusuf menjawab, “Memang benar seperti kataku, kamu ini pengintip. Aku mahu menguji kamu. Aku bersumpah demi nama raja bahawa kamu tidak akan meninggalkan negeri ini kecuali adik kamu yang bongsu itu datang ke sini. Seorang daripada kamu harus pulang untuk membawanya ke mari. Sementara itu, kamu yang lain akan ditahan sampai kata-kata kamu itu terbukti benar. Jika tidak, demi nama raja, kamu ini pengintip!” Kemudian mereka dimasukkan ke dalam penjara selama tiga hari. Pada hari yang ketiga Yusuf berkata kepada mereka, “Aku orang yang takut dan taat kepada Allah. Aku akan menyelamatkan kamu dengan satu syarat. Untuk membuktikan bahawa kamu ini jujur, seorang daripada kamu akan ditahan di dalam penjara; yang lain boleh pulang dan membawa gandum yang dibeli untuk keluarga kamu yang sedang menderita kebuluran. Selepas itu kamu harus membawa adik kamu yang bongsu kepadaku. Itulah buktinya nanti bahawa kata-kata kamu itu benar, dan aku tidak akan menjatuhkan hukuman mati kepada kamu.” Mereka setuju dengan keputusan gabenor itu. Kemudian mereka bercakap satu sama lain, “Sekarang kita dihukum kerana kesalahan kita terhadap adik kita dahulu; dia meminta tolong tetapi kita tidak mempedulikannya, walaupun kita nampak dia sangat menderita. Itulah sebabnya kita mengalami penderitaan ini sekarang.” Ruben berkata, “Dahulu aku melarang kamu menyakiti anak itu, tetapi kamu tidak mahu mendengar. Sekarang kita menerima balasan kerana kematiannya.” Yusuf memahami bahasa mereka tetapi mereka tidak mengetahui hal itu, kerana mereka berkata-kata dengan Yusuf melalui seorang jurubahasa. Yusuf meninggalkan mereka, lalu menangis. Apabila dia dapat berkata-kata lagi, dia kembali kepada mereka lalu memilih Simeon. Yusuf menyuruh orang mengikat Simeon di hadapan semua saudaranya. Yusuf memerintahkan supaya karung-karung yang dibawa saudara-saudaranya diisi dengan gandum, lalu wang masing-masing dimasukkan ke dalam karung-karung itu. Yusuf juga memerintahkan supaya mereka diberi bekal makanan untuk perjalanan. Perintahnya itu dilaksanakan. Selepas itu saudara-saudara Yusuf memuati keldai mereka dengan gandum yang sudah dibeli, lalu mereka berangkat. Di tempat mereka bermalam, seorang daripada mereka membuka karung gandumnya untuk memberi keldainya makanan, lalu menjumpai wangnya di atas gandum. “Wang aku dikembalikan,” serunya kepada saudara-saudaranya. “Tengoklah, wang ada di dalam karungku!” Hati mereka berdebar-debar, dan dengan takut mereka saling bertanya, “Apakah yang dilakukan Allah kepada kita?” Apabila mereka sampai di Kanaan, mereka menceritakan segala sesuatu yang dialami mereka, kepada bapa mereka. Mereka berkata, “Gabenor Mesir bercakap kasar kepada kami dan menuduh kami mengintip negerinya. Kami menjawab, ‘Kami orang jujur, bukan pengintip. Kami dua belas orang adik-beradik, anak daripada satu bapa, tetapi seorang sudah meninggal, dan yang bongsu ada bersama dengan bapa kami di Kanaan.’ Gabenor itu berkata, ‘Aku mahu menguji kamu untuk mengetahui sama ada kamu jujur. Seorang daripada kamu harus tinggal, tetapi yang lain boleh pulang dan membawa gandum kepada keluarga kamu yang sedang menderita kebuluran. Apabila kamu datang ke sini lagi, bawalah adik bongsu kamu. Dengan demikian aku akan tahu bahawa kamu bukan pengintip, melainkan orang jujur. Saudara kamu yang aku tahan itu akan kukembalikan kepada kamu, lalu kamu boleh tinggal di negeri ini dan bebas berdagang.’ ” Apabila mereka mengosongkan karung, masing-masing menjumpai kantung wangnya. Ketika mereka melihat wang itu, mereka dan bapa mereka takut. Kemudian bapa mereka berkata, “Kamu menyebabkan aku kehilangan semua anakku. Yusuf tiada lagi; Simeon pun tiada lagi; sekarang kamu mahu membawa pergi Benyamin pula. Akulah yang menderita!” Oleh itu Ruben berkata kepada bapanya, “Serahkanlah Benyamin ke bawah jagaan saya. Saya akan membawa dia kembali. Jika tidak, ayah boleh membunuh kedua-dua orang anak lelaki saya.” Tetapi Yakub berkata, “Tidak! Kamu tidak boleh membawa Benyamin. Abangnya sudah meninggal dan kini hanya dia yang tinggal. Jangan-jangan dia mendapat kecelakaan dalam perjalanan. Aku sudah tua, dan kesedihan yang kamu datangkan kepadaku akan mengakibatkan kematianku.” [1-2] Kebuluran di Kanaan bertambah buruk. Setelah keluarga Yakub menghabiskan semua gandum yang dibawa dari Mesir, Yakub berkata kepada anak-anak lelakinya, “Pergilah ke sana lagi dan belilah gandum untuk kita.” *** Yehuda berkata kepadanya, “Dengan tegas gabenor Mesir memberikan amaran kepada kami bahawa kami tidak boleh menghadap dia jika kami tidak membawa adik kami. Jika ayah membenarkan adik kami ikut, kami mahu pergi ke sana dan membeli makanan untuk ayah. Tetapi jika ayah tidak membenarkan Benyamin ikut, kami tidak mahu pergi, kerana gabenor itu sudah berkata bahawa kami tidak boleh menghadap dia jika adik kami tidak ikut.” Yakub berkata, “Mengapa kamu menyusahkan aku dengan memberitahu orang itu bahawa kamu masih mempunyai adik lelaki lain?” Mereka menjawab, “Orang itu tidak berhenti-henti bertanya tentang kami dan keluarga kita. Katanya, ‘Masih hidupkah bapa kamu? Adakah kamu mempunyai adik lelaki lain?’ Kami terpaksa menjawab segala pertanyaannya. Bagaimana kami tahu bahawa dia akan menyuruh kami membawa adik kami?” Oleh itu Yehuda berkata kepada bapanya, “Benarkanlah anak itu ikut dengan saya. Kami akan berangkat dengan segera supaya tiada seorang pun antara kita mati kebuluran. Sayalah penjaminnya. Ayah boleh mempertanggungjawabkan Benyamin kepada saya. Jika saya tidak membawa dia kembali dengan selamat, saya akan menanggung kesalahan itu selama-lamanya. Seandainya kita tidak menunggu begitu lama, pasti kami telah dua kali pulang-balik.” Kemudian bapa mereka berkata, “Jika memang harus begitu, bawalah hasil yang terbaik dari negeri ini. Masukkanlah semuanya ke dalam karung kamu dan hadiahkanlah kepada gabenor itu. Bawalah damar, madu, rempah ratus, kacang pistasio, dan buah badam. Bawalah juga wang dua kali ganda, kerana wang yang ditemukan di dalam karung kamu itu mesti dikembalikan. Mungkin itu suatu kesilapan. Bawalah juga adik kamu dan kembalilah dengan segera. Semoga Allah Yang Maha Kuasa membuat gabenor itu kasihan kepada kamu, sehingga dia mahu mengembalikan Benyamin dan Simeon. Bagi aku, jika memang aku harus kehilangan anak-anakku, apa boleh buat.” Kemudian saudara-saudara Yusuf membawa semua hadiah itu dan wang dua kali ganda, lalu berangkat ke Mesir bersama dengan Benyamin. Setelah sampai di sana, mereka menghadap Yusuf. Apabila Yusuf nampak Benyamin dan abang-abangnya, dia berkata kepada hamba yang mengurus rumah tangganya, “Bawalah semua orang itu ke rumahku. Mereka akan makan bersama dengan aku tengah hari ini. Sembelihlah seekor ternak lalu siapkanlah itu.” Hamba itu melaksanakan perintahnya dan membawa saudara-saudara Yusuf ke dalam rumah Yusuf. Ketika mereka dibawa ke dalam rumah Yusuf, mereka takut dan berfikir, “Kita dibawa ke sini kerana wang yang di dalam karung kita pada masa kita datang ke sini dahulu. Mereka akan menangkap kita dengan tiba-tiba, lalu mengambil keldai kita dan menjadikan kita abdi.” Oleh itu, di pintu rumah Yusuf, mereka berkata kepada pengurus rumah tangga itu, “Tuan, kami pernah datang ke sini untuk membeli makanan. [21-22] Dalam perjalanan pulang, ketika kami hendak bermalam, kami membuka karung kami lalu nampak semua wang pembayaran gandum kami di atas gandum. Kami tidak tahu siapa yang memasukkan wang itu. Sekarang kami membawanya kembali kepada tuan. Selain itu kami ada membawa wang lebih untuk membeli makanan lagi.” *** Dia menjawab, “Jangan takut. Jangan khuatir. Allah kamu, yang disembah bapa kamu, sudah memasukkan wang itu ke dalam karung kamu. Aku sudah menerima pembayaran kamu untuk gandum itu.” Kemudian dia membawa Simeon kepada mereka. Lalu dia menghantar mereka ke dalam rumah. Dia memberikan air kepada mereka untuk membasuh kaki, dan juga makanan untuk keldai mereka. Selepas itu mereka menyediakan hadiah untuk diberikan kepada Yusuf apabila dia datang pada waktu tengah hari, kerana mereka sudah diberitahu bahawa mereka akan makan bersama dengan Yusuf. Apabila Yusuf sampai di rumah, mereka memberikan hadiah-hadiah itu kepada Yusuf sambil bersujud. Yusuf bertanya tentang keadaan mereka, lalu berkata, “Apa khabar bapa kamu yang sudah tua itu, yang pernah kamu ceritakan kepadaku? Adakah dia masih hidup dan sihat?” Mereka menjawab, “Bapa kami, hamba tuan, masih hidup dan sihat.” Mereka pun bersujud di hadapannya. Apabila Yusuf melihat Benyamin, adiknya, dia berkata, “Inikah adik kamu yang bongsu itu, yang kamu beritahukan aku? Semoga Allah memberkati engkau, anakku.” Yusuf berasa terharu kerana rindu dan sayang akan adiknya. Dia hampir tidak dapat menahan diri, kerana itu dia pergi dari situ dengan tiba-tiba, lalu masuk ke biliknya dan menangis. Kemudian dia membasuh mukanya, lalu keluar lagi, dan dengan menahan perasaannya dia menyuruh orang menghidangkan makanan. Yusuf makan di sebuah meja tersendiri, dan saudara-saudaranya makan di meja yang lain. Orang Mesir yang ada di situ makan di meja yang lain lagi, kerana mereka berasa hina apabila makan bersama dengan orang Ibrani. Saudara-saudara Yusuf diberikan tempat duduk di meja yang berhadapan dengan Yusuf, menurut urutan umur masing-masing, mulai daripada yang sulung sampai kepada yang bongsu. Ketika mereka nampak cara mereka diberikan tempat duduk, mereka saling memandang dengan hairan. Mereka diberi makanan dari meja Yusuf, tetapi Benyamin mendapat makanan lima kali lebih banyak daripada abang-abangnya. Oleh itu mereka makan dan minum bersama-sama Yusuf, serta bersuka ria. Sementara itu Yusuf memerintah hamba yang mengurus rumah tangganya, “Isilah karung semua orang itu dengan gandum sebanyak yang dapat dibawa oleh mereka, dan letakkan wang masing-masing di atas gandum di dalam karung. Masukkan juga piala perakku ke dalam karung adik mereka yang bongsu, bersama dengan wang pembayaran gandumnya.” Hamba itu melaksanakan perintah Yusuf. Awal pagi esoknya, saudara-saudara itu berangkat pulang dengan keldai mereka. Setelah mereka pergi tidak berapa jauh dari kota itu, Yusuf berkata kepada pengurus rumah tangganya, “Cepatlah kejar mereka. Setelah kamu menyusul mereka, katakan kepada mereka, ‘Mengapa kamu membalas kebaikan dengan kejahatan? Mengapa kamu mencuri piala perak tuanku? Piala itu dipakainya untuk minum dan sebagai alat meramal. Kamu sudah melakukan jenayah besar!’ ” Apabila hamba itu sampai kepada saudara-saudara Yusuf, dia mengatakan apa yang diperintahkan Yusuf. Mereka menjawab hamba itu, “Apakah maksud tuan? Kami bersumpah tidak berbuat begitu! Tuan pun tahu bahawa wang yang kami dapati di atas gandum di dalam karung kami, sudah kami bawa dari tanah Kanaan dan kami kembalikan kepada tuan. Oleh itu tidak mungkin kami mencuri perak atau emas dari rumah gabenor! Tuan, sekiranya salah seorang daripada kami didapati mempunyai benda itu, biarlah dia dihukum mati dan kami semua menjadi abdi tuan.” Hamba itu berkata, “Baiklah, tetapi hanya orang yang didapati mempunyai piala itu akan menjadi abdiku; yang lain boleh pergi.” Oleh itu dengan cepat mereka menurunkan dan membuka karung masing-masing. Hamba Yusuf itu memeriksa karung-karung itu dengan teliti, mulai dari karung kepunyaan yang sulung sampai kepada karung kepunyaan yang bongsu. Piala itu didapati di dalam karung Benyamin. Abang-abang Benyamin sangat sedih sehingga mereka mengoyakkan pakaian. Mereka memuati semula keldai lalu kembali ke kota. Yusuf masih ada di rumah apabila Yehuda dan saudara-saudaranya sampai. Mereka bersujud di hadapannya, lalu Yusuf berkata, “Apakah yang sudah kamu lakukan? Tidak tahukah kamu bahawa orang seperti aku ini pandai meramal dan dapat mengetahui perbuatan kamu?” Yehuda menjawab, “Apakah yang dapat kami katakan, tuan? Bagaimana kami dapat membantah dan membela diri? Allah sudah mendedahkan kesalahan kami. Sekarang kami semua menjadi abdi tuan, dan bukan hanya orang yang didapati mempunyai piala itu.” Yusuf berkata, “Tidak! Aku tidak mahu berbuat begitu! Hanya orang yang didapati mempunyai piala itu akan menjadi abdiku. Kamu yang lain boleh pulang dengan selamat kepada bapa kamu.” Yehuda maju mendekati Yusuf dan berkata, “Tolonglah, tuan. Benarkanlah saya berkata lagi. Janganlah marah kepada saya; tuan seperti raja Mesir sendiri. Tuan sudah bertanya kepada kami, ‘Adakah kamu masih mempunyai bapa atau adik lelaki lain?’ Kami menjawab, ‘Bapa kami sudah tua dan adik kami dilahirkan ketika bapa kami telah lanjut usia. Abang seibu adik kami itu sudah meninggal, lalu sekarang hanya dia yang masih hidup, dan ayah sangat menyayangi dia.’ Tuan menyuruh kami membawa dia ke sini supaya tuan dapat melihatnya, lalu kami menjawab bahawa anak itu tidak dapat berpisah daripada bapanya; jika dia berpisah daripadanya, bapanya akan meninggal. Kemudian tuan berkata, ‘Kamu tidak boleh menghadap aku lagi jika tidak membawa adik bongsu kamu.’ Apabila kami kembali kepada bapa kami, kami sampaikan kata-kata tuan itu kepadanya. Kemudian bapa kami menyuruh kami datang lagi ke sini untuk membeli makanan. Kami menjawab, ‘Kami tidak dapat pergi ke sana, kerana kami tidak boleh menghadap gabenor jika adik kami yang bongsu tidak ikut. Kami hanya dapat pergi jika dia ikut bersama dengan kami.’ Kemudian bapa kami berkata, ‘Kamu tahu bahawa isteriku Rahel, hanya mempunyai dua orang anak lelaki. Seorang sudah meninggalkan aku. Dia tentu telah diterkam binatang buas, kerana sejak itu aku tidak bertemu dengan dia lagi. Jika kamu mengambil anak bongsu ini daripadaku, dan sekiranya ada sesuatu perkara berlaku kepadanya, kesedihan yang kamu datangkan kepadaku itu akan mengakibatkan kematianku, kerana aku sudah tua.’ ” [30-31] Yehuda berkata kepada Yusuf, “Oleh itu, jika saya kembali kepada bapa saya tanpa anak itu, tentu bapa saya akan meninggal. Nyawanya bergantung kepada anak itu, dan dia sudah sangat tua sehingga kesedihan yang kami datangkan kepadanya akan mengakibatkan kematiannya. *** Lagipun, saya sudah berjanji kepada bapa saya bahawa saya akan menjadi penjamin anak itu. Saya berkata kepadanya bahawa jika saya tidak membawa anak itu kembali kepadanya, sayalah yang akan menanggung kesalahan itu selama-lamanya. Oleh itu, saya mohon supaya dibenarkan tinggal di sini sebagai abdi tuan untuk menggantikan anak ini. Biarlah dia pulang bersama dengan abang-abangnya. Bagaimanakah saya dapat balik kepada bapa saya jika anak itu tidak bersama dengan saya? Saya tidak sanggup melihat malapetaka itu menimpa bapa saya.” Yusuf tidak dapat menahan perasaannya lagi di hadapan hamba-hambanya. Oleh itu dia menyuruh mereka meninggalkan bilik itu supaya dia dapat memperkenalkan diri kepada saudara-saudaranya. Kemudian Yusuf menangis dengan kuat sehingga orang Mesir mendengarnya. Lalu berita itu dibawa ke istana raja. Yusuf berkata kepada saudara-saudaranya, “Aku ini Yusuf. Adakah bapaku masih hidup?” Tetapi saudara-saudaranya sangat takut sehingga tidak dapat menjawab. Oleh itu Yusuf berkata kepada mereka, “Marilah dekat aku.” Mereka mendekati Yusuf, lalu dia berkata lagi, “Aku Yusuf, saudara kamu yang kamu jual ke Mesir. Jangan takut atau salahkan diri kerana kamu menjual aku. Sebenarnya, Allah sendiri yang menghantar aku ke sini lebih dahulu daripada kamu untuk menyelamatkan banyak orang. Sekarang baru tahun kedua masa kebuluran, dan ada lima tahun lagi orang tidak akan membajak atau menuai. Allah telah menghantar aku ke sini lebih dahulu daripada kamu untuk menyelamatkan kamu dengan cara yang menakjubkan ini, supaya kamu selamat dan keturunan kamu tidak pupus. Oleh itu, sebenarnya bukan kamu yang menyebabkan aku berada di sini, melainkan Allah. Dia sudah menjadikan aku pegawai tertinggi raja Mesir. Aku diberi kuasa mengurus segenap rumah tangganya dan seluruh negeri Mesir. Sekarang, kembalilah dengan segera kepada bapaku dan katakanlah kepadanya bahawa Yusuf, anaknya, berkata begini, ‘Allah sudah menjadikan saya penguasa seluruh Mesir; datanglah kepada saya dengan segera. Ayah dapat tinggal di daerah Gosyen, berhampiran dengan saya — ayah, bersama dengan anak cucu, domba, kambing, lembu, dan segala kepunyaan ayah. Jika ayah berada di Gosyen, saya dapat menjaga ayah. Kebuluran masih akan berlaku lima tahun lagi, dan akan saya usahakan agar ayah, keluarga, serta ternakan ayah tidak kekurangan apa-apa pun.’ ” Yusuf berkata lagi, “Sekarang kamu nampak sendiri, termasuk engkau Benyamin, bahawa aku benar-benar Yusuf. Katakanlah kepada ayah kita betapa besarnya kuasaku di sini, di Mesir, dan ceritakanlah segala yang sudah kamu nampak kepadanya. Bawalah dia ke sini dengan segera.” Yusuf memeluk adiknya Benyamin dan menangis. Benyamin juga menangis sambil memeluk abangnya. Kemudian sambil menangis, Yusuf memeluk semua saudaranya dan mencium mereka. Selepas itu mereka mula bercakap-cakap dengan dia. Apabila berita kedatangan saudara-saudara Yusuf sampai di istana raja, raja dan para pegawainya pun senang hati. Oleh itu raja bertitah kepada Yusuf, “Suruhlah saudara-saudaramu memuati keldai mereka dengan gandum, dan pulang ke Kanaan untuk membawa bapa serta keluarga mereka ke sini. Beta akan memberikan tanah yang terbaik di Mesir kepada mereka, dan mereka akan dapat hidup dengan berkecukupan daripada hasil tanah itu. Suruhlah mereka membawa beberapa buah pedati dari sini untuk isteri serta anak-anak mereka yang masih kecil, dan untuk membawa bapa mereka ke sini. Mereka tidak perlu memikirkan barang-barang yang terpaksa mereka tinggalkan, kerana yang terbaik di seluruh Mesir akan menjadi kepunyaan mereka.” Anak-anak Yakub melakukan perintah raja itu. Yusuf memberi mereka beberapa buah pedati, menurut perintah raja, dan juga bekal makanan untuk perjalanan. Yusuf memberikan sepasang pakaian baru kepada setiap saudaranya, tetapi dia memberikan tiga ratus keping perak dan lima pasang pakaian baru kepada Benyamin. Yusuf mengirim sepuluh ekor keldai yang dimuati barang-barang yang terbaik dari Mesir kepada bapanya. Selain itu Yusuf juga mengirim sepuluh ekor keldai yang dimuati gandum, roti dan makanan lain untuk bapanya dalam perjalanannya kelak. Kemudian Yusuf menghantar saudara-saudaranya sambil berkata, “Jangan bertengkar dalam perjalanan.” Mereka meninggalkan Mesir dan pulang kepada Yakub, bapa mereka di Kanaan. Mereka berkata kepadanya, “Yusuf masih hidup! Dia penguasa seluruh Mesir!” Mendengar berita itu, Yakub terperanjat dan tidak mempercayai mereka. Tetapi setelah mereka memberitahu Yakub semua yang dikatakan Yusuf kepada mereka, dan ketika Yakub nampak pedati yang dikirim oleh Yusuf untuk membawa dia ke Mesir, pulihlah semangat Yakub. Dia berkata, “Anakku Yusuf masih hidup! Itulah saja yang aku inginkan! Aku mesti pergi berjumpa dengan dia sebelum aku mati!” Yakub mengemaskan segala kepunyaannya lalu berangkat. Apabila dia sampai di Bersyeba dia mempersembahkan korban kepada Allah yang disembah oleh Ishak, bapanya. Pada waktu malam, dalam suatu penglihatan, Allah berfirman kepadanya, “Yakub, Yakub!” “Ya, aku mendengar,” jawabnya. Allah berfirman, “Aku Allah, Allah yang disembah bapamu. Jangan takut pergi ke Mesir. Aku akan menjadikan keturunanmu bangsa yang besar di sana. Aku akan menyertai engkau ke Mesir, dan membawa keturunanmu kembali ke negeri ini. Yusuf akan berada di sampingmu apabila engkau meninggal.” Kemudian Yakub berangkat dari Bersyeba. Anak-anak lelakinya menaikkan bapa serta anak isteri mereka ke atas pedati-pedati yang dikirimkan oleh raja Mesir. Mereka juga membawa ternakan dan segala harta benda yang diperoleh mereka di Kanaan, lalu berangkat ke Mesir. Yakub membawa semua keturunannya, iaitu semua anak cucunya, lelaki dan perempuan. Inilah anggota keluarga Yakub yang pergi bersama dengan dia ke Mesir: Ruben, anak lelaki yang sulung dan anak-anak lelakinya: Henokh, Palu, Hezron, dan Karmi. Simeon dan anak-anak lelakinya: Yemuel, Yamin, Ohad, Yakhin, Zohar, dan juga Syaul, anak lelaki daripada seorang perempuan Kanaan. Lewi dan anak-anak lelakinya: Gerson, Kehat, dan Merari. Yehuda dan anak-anak lelakinya: Syela, Peres, dan Zerah, tetapi anak lelaki Yehuda yang lain, Er dan Onan sudah meninggal di Kanaan. Anak-anak lelaki Peres ialah Hezron dan Hamul. Isakhar dan anak-anak lelakinya: Tola, Pua, Yasyub, dan Simron. Zebulon dan anak-anak lelakinya: Sered, Elon, dan Yahleel. Mereka semua ialah anak yang dilahirkan oleh Lea bagi Yakub di Mesopotamia, selain anak perempuannya, Dina. Semua keturunan Yakub daripada isterinya Lea berjumlah tiga puluh tiga orang. Gad dan anak-anak lelakinya: Zifyon, Hagi, Syuni, Ezbon, Eri, Arodi, dan Areli. Asyer dan anak-anak lelakinya: Yimna, Yiswa, Yiswi, Beria, dan Serah, saudara perempuan mereka. Anak-anak lelaki Beria ialah Heber dan Malkiel. Enam belas orang itu ialah keturunan Yakub dan Zilpa, hamba perempuan yang diberikan Laban kepada Lea, anak perempuannya. Rahel, isteri Yakub mempunyai dua orang anak lelaki, Yusuf dan Benyamin. Di Mesir Yusuf dan isterinya Asnat, mempunyai dua orang anak lelaki, Manasye dan Efraim. Bapa Asnat ialah Potifera, imam di Heliopolis. Benyamin dan anak-anak lelakinya: Bela, Bekher, Asybel, Gera, Naaman, Ehi, Ros, Mupim, Hupim, dan Ared. Empat belas orang itu keturunan Yakub dan isterinya Rahel. Dan serta anak lelakinya Husyim. Naftali dan anak-anak lelakinya: Yahzeel, Guni, Yezer, dan Syilem. Tujuh orang itu ialah keturunan Yakub daripada Bilha, hamba perempuan yang diberikan oleh Laban kepada Rahel, anak perempuannya. Keturunan Yakub yang pergi ke Mesir semuanya berjumlah enam puluh enam orang, tidak termasuk menantu perempuannya. Dua orang anak lelaki Yusuf yang dilahirkan di Mesir menjadikan jumlah bilangan keluarga Yakub yang berada di Mesir sebanyak tujuh puluh orang. Yakub menyuruh Yehuda pergi lebih dahulu untuk memanggil Yusuf supaya menemui mereka di Gosyen. Apabila mereka sampai di Gosyen, Yusuf menaiki kereta kudanya untuk berjumpa dengan bapanya di situ. Ketika mereka berjumpa, Yusuf memeluk bapanya dan menangis lama sekali. Yakub berkata kepada Yusuf, “Sekarang aku rela mati setelah melihat engkau dan tahu bahawa engkau masih hidup.” Oleh itu Yusuf berkata kepada saudara-saudaranya dan sanak saudaranya yang lain, “Aku harus pergi dan memberitahu raja bahawa saudara-saudaraku dan semua sanak saudaraku yang tinggal di Kanaan sudah datang. Aku akan katakan bahawa kamu gembala domba dan lembu, dan sudah membawa ternakan serta segala kepunyaan kamu. Jika raja memanggil kamu dan bertanya tentang kerja kamu, katakanlah kepada baginda bahawa kamu ini gembala ternakan sejak kecil, sama seperti nenek moyang kamu. Dengan demikian raja akan menyuruh kamu tinggal di daerah Gosyen.” Yusuf mengatakan hal itu kerana orang Mesir berasa hina untuk bergaul dengan gembala ternakan. [1-2] Kemudian Yusuf membawa lima orang daripada saudaranya, lalu menghadap raja. Yusuf berkata, “Bapa dan saudara-saudara hamba sudah datang bersama dengan kawanan kambing dan domba, lembu, dan segala kepunyaan mereka dari Kanaan. Sekarang mereka berada di daerah Gosyen.” Selepas itu, dia memperkenalkan saudara-saudaranya kepada raja. *** Raja bertanya kepada mereka, “Apakah pekerjaan kamu?” Mereka menjawab, “Hamba sekalian gembala ternakan seperti nenek moyang hamba sekalian. Hamba semua datang untuk tinggal di negeri ini kerana kebuluran di tanah Kanaan terlalu dahsyat, sehingga tiada lagi rumput untuk ternakan. Benarkanlah hamba sekalian tinggal di daerah Gosyen.” Lalu raja bertitah kepada Yusuf, “Sekarang bapa dan saudara-saudaramu telah tiba di sini. Anggaplah negeri Mesir sebagai negerimu sendiri. Biarlah mereka menetap di daerah Gosyen, daerah yang terbaik di negeri ini. Jika ada orang yang cekap antara mereka, tugaskanlah orang itu menjaga ternakan beta.” Yusuf juga membawa bapanya menghadap raja. Yakub memberkati raja, lalu raja bertanya kepadanya, “Berapakah umurmu?” Yakub menjawab, “Hamba sudah hidup seratus tiga puluh tahun sebagai pengembara. Hidup hamba ini singkat dan penuh dengan kesukaran, tidak seperti panjangnya umur nenek moyang hamba yang hidup sebagai pengembara.” Selepas itu Yakub memberkati raja, lalu meninggalkan tempat itu. Yusuf membantu bapa dan saudara-saudaranya menetap di Mesir. Dia memberi mereka tanah sebagai hak milik di kawasan yang terbaik di negeri itu, dekat kota Rameses, sebagaimana yang diperintahkan raja. Yusuf menyediakan makanan bagi bapanya, saudara-saudaranya, dan sanak saudaranya, termasuk yang paling muda. Kebuluran sangat dahsyat sehingga tiada lagi makanan di mana-mana pun. Penduduk Mesir dan Kanaan lemah, serta tidak berdaya kerana kebuluran. Setiap kali mereka membeli gandum, Yusuf mengumpulkan wang pembayar gandum, lalu menyimpannya di istana raja. Apabila wang di Mesir dan di Kanaan habis dibelanjakan, orang Mesir datang kepada Yusuf dan berkata, “Berilah kami makanan! Jangan biar kami mati. Wang kami sudah habis.” Yusuf menjawab, “Jika wang kamu sudah habis, berikanlah ternakan kamu, lalu aku akan memberikan makanan kepada kamu sebagai ganti ternakan.” Oleh itu mereka memberikan ternakan kepada Yusuf. Kemudian Yusuf memberikan makanan kepada mereka sebagai ganti kuda, domba, kambing, lembu, dan keldai. Pada tahun itu, Yusuf memberikan makanan kepada mereka dan mereka membayarnya dengan ternakan. Pada tahun yang berikut mereka datang lagi kepada Yusuf dan berkata, “Kami berterus terang kepada tuan bahawa wang kami sudah habis dan ternakan kami sudah menjadi milik tuan. Kami tidak mempunyai apa-apa lagi yang dapat diberikan kepada tuan, selain diri kami sendiri dan tanah kami. Jangan biar kami mati! Jangan biar ladang-ladang kami menjadi tandus. Belilah kami dan tanah kami dengan gandum. Kami dan tanah kami akan menjadi milik raja. Berilah kami gandum untuk menyambung hidup kami, dan juga benih untuk ditanam di ladang!” Kemudian Yusuf membeli seluruh tanah di Mesir untuk raja. Tiap-tiap orang Mesir terpaksa menjual tanahnya kerana masa kebuluran itu sangat dahsyat. Lalu seluruh tanah di Mesir menjadi milik raja. Rakyat seluruh Mesir dijadikan hamba oleh Yusuf. Hanya tanah kepunyaan para imam yang tidak dibeli oleh Yusuf. Mereka tidak perlu menjual tanah kerana raja memberi mereka elaun tetap untuk keperluan hidup. Yusuf berkata kepada rakyat, “Sekarang aku telah membeli kamu dan tanah kamu untuk raja. Oleh itu, ambillah benih ini untuk ditanam di ladang kamu. Pada waktu menuai nanti, kamu mesti memberikan seperlima daripada hasilnya kepada raja. Kamu boleh menggunakan bakinya sebagai benih, dan untuk makanan kamu serta keluarga kamu.” Mereka menjawab, “Tuan sudah berjasa kepada kami; tuan sudah menyelamatkan kami. Oleh itu kami rela menjadi hamba raja.” Kemudian Yusuf menjadikan hal itu undang-undang di negeri Mesir, iaitu seperlima daripada hasil tuaian mesti menjadi milik raja. Sampai sekarang undang-undang itu masih berlaku. Hanya tanah milik para imam yang tidak dijadikan milik raja. Demikianlah orang Israel menetap di Mesir, di daerah Gosyen. Mereka menjadi kaya dan mempunyai banyak anak cucu di situ. Yakub tinggal di Mesir selama tujuh belas tahun sehingga dia berusia seratus empat puluh tujuh tahun. Apabila hampir saatnya dia meninggal, dia memanggil Yusuf, anaknya, lalu berkata kepadanya, “Letakkanlah tanganmu di antara pangkal pahaku dan bersumpahlah bahawa engkau tidak akan mengebumikan aku di Mesir. Aku mahu dikebumikan di tempat nenek moyangku. Bawalah jenazahku keluar dari negeri ini dan kuburkanlah aku di kuburan mereka.” Yusuf menjawab, “Saya akan melakukan apa yang dikatakan ayah.” Yakub berkata, “Bersumpahlah bahawa engkau akan melakukannya.” Yusuf bersumpah, lalu Yakub mengucapkan syukur di tempat tidurnya. Beberapa lama kemudian, Yusuf diberitahu bahawa bapanya sakit tenat. Oleh itu dia bersama dengan kedua-dua orang anak lelakinya, Manasye dan Efraim, pergi menziarahi Yakub. Apabila Yakub mendengar bahawa Yusuf sudah datang, dia mengumpulkan seluruh tenaganya, lalu duduk di tempat tidur. Yakub berkata kepada Yusuf, “Allah Yang Maha Kuasa telah menampakkan diri kepadaku di Lus, di tanah Kanaan, dan Dia memberkati aku. Dia berfirman kepadaku, ‘Aku akan memberikan banyak anak cucu kepadamu supaya keturunanmu menjadi banyak bangsa. Aku akan memberikan negeri ini kepada keturunanmu sebagai milik mereka selama-lamanya.’ ” Yakub berkata lagi, “Yusuf, kedua-dua orang anakmu, Efraim dan Manasye, yang dilahirkan di Mesir sebelum aku tiba di sini, kuanggap sebagai anakku, seperti Ruben dan Simeon. Jika engkau mendapat anak lelaki lagi, mereka tidak akan kuanggap sebagai anakku melainkan tetap anakmu; mereka akan menerima warisan daripada Efraim dan Manasye. Aku melakukan hal ini kerana ibumu Rahel. Ketika aku dalam perjalanan pulang dari Mesopotamia, ibumu meninggal di tanah Kanaan, tidak jauh dari Efrata, dan aku sangat sedih. Aku mengebumikan dia di sana, di tepi jalan ke Efrata.” (Kini Efrata dikenal sebagai Betlehem.) Apabila Yakub nampak anak-anak lelaki Yusuf itu, dia bertanya, “Siapakah anak-anak ini?” Yusuf menjawab, “Inilah anak-anakku yang diberikan Allah kepadaku di sini, di Mesir.” Yakub berkata, “Bawalah mereka mendekati aku supaya aku memberkati mereka.” Yakub kabur mata kerana sudah tua, dan dia tidak dapat melihat dengan jelas. Yusuf mendekatkan anak-anak itu kepada Yakub, lalu Yakub memeluk dan mencium mereka. Kemudian Yakub berkata kepada Yusuf, “Aku tidak sangka dapat berjumpa dengan kamu lagi, tetapi kini Allah mengizinkan aku nampak anak-anakmu juga.” Selepas itu Yusuf mengambil mereka dari pangkuan Yakub, lalu Yusuf bersujud di hadapan bapanya. [13-14] Kemudian Yusuf menempatkan anak-anaknya dekat Yakub. Efraim, yang bongsu ditempatkannya di sebelah kiri, dan Manasye yang sulung di sebelah kanan. Tetapi Yakub menyilangkan lengannya dan meletakkan tangan kanannya di atas kepala Efraim, sedangkan tangan kirinya diletakkannya di atas kepala Manasye. *** Kemudian Yakub memberkati Yusuf, “Semoga Allah yang disembah oleh nenek moyangku Abraham dan Ishak, memberkati anak-anak ini. Semoga Allah yang membimbing aku sampai sekarang, memberkati mereka. Semoga malaikat yang sudah melepaskan aku daripada segala bahaya, memberkati mereka. Semoga namaku dan nama nenek moyangku, Abraham dan Ishak tetap hidup kerana anak-anak ini! Semoga mereka mempunyai anak cucu dan keturunan yang banyak di bumi ini.” Yusuf tidak suka melihat bapanya meletakkan tangan kanannya di atas kepala Efraim, lalu dia memegang tangan bapanya untuk memindahkannya dari atas kepala Efraim ke atas kepala Manasye. Dia berkata kepada bapanya, “Jangan begitu, ayah. Inilah anak yang sulung; letakkanlah tangan kanan ayah ke atas kepalanya.” Tetapi bapanya membantah dan berkata, “Aku tahu, anakku, aku tahu. Manasye juga akan berkuasa dan keturunannya pun akan menjadi bangsa yang besar. Tetapi adiknya akan lebih berkuasa daripada dia, dan keturunan adiknya akan menjadi bangsa-bangsa yang besar.” Yakub memberkati anak-anak itu pada hari itu, katanya, “Orang Israel akan menyebut nama kamu apabila mereka memberkati orang. Mereka akan berkata, ‘Semoga Allah menjadikan kamu seperti Efraim dan Manasye.’ ” Dengan demikian Yakub mendahulukan Efraim daripada Manasye. Selepas itu Yakub berkata kepada Yusuf, “Lihatlah, tidak lama lagi aku akan menghembuskan nafas yang terakhir, tetapi Allah akan menyertai kamu dan membawa kamu kembali ke negeri nenek moyang kamu. Aku memberikan Sikhem kepadamu dan bukan kepada saudara-saudaramu; kawasan yang subur yang kurebut daripada orang Amori dengan pedang dan panahku.” Kemudian Yakub memanggil anak-anak lelakinya dan berkata, “Berkumpullah di sini, dekat aku. Aku akan memberitahu kamu apa yang kamu alami pada kemudian hari. Berkumpullah, hai anak-anak Yakub, dengarlah Israel, bapa kamu. Ruben, anakku yang sulung, engkaulah kekuatanku, buah pertama keperkasaanku. Engkau paling gagah dan kuat antara semua anak lelakiku. Engkau mudah tergoncang seperti air, sehingga engkau bukan yang terutama. Oleh sebab engkau tidur dengan gundikku, engkau mencemarkan tempat tidur bapamu. Simeon dan Lewi bersaudara; senjata mereka digunakan untuk kekejaman. Aku tidak akan ikut dalam pakatan mereka, dan tidak ikut dalam kumpulan mereka. Oleh sebab mereka membunuh dalam kemarahan, dan melumpuhkan lembu jantan untuk bersuka-suka. Terkutuklah kemarahan mereka, kerana sangat dahsyat. Terkutuklah amukan mereka, kerana sangat kejam. Aku akan menyelerakkan mereka di seluruh Israel. Aku akan mencerai-beraikan mereka antara semua bangsa. Yehuda, engkau akan menerkam tengkuk musuhmu; saudara-saudaramu akan memujimu dan sujud di hadapanmu. Yehuda bagaikan singa; dia membunuh mangsanya, lalu kembali ke sarangnya; dia menggeliat lalu berbaring, dan tiada seorang pun berani mengusiknya. Yehuda akan memegang tongkat kerajaan, keturunannya akan memerintah selama-lamanya. Bangsa-bangsa akan membawakan dia ufti, dan sujud dengan taat di hadapannya. Anak keldainya diikatnya pada pokok, pada pokok anggur yang paling baik. Dia mencuci pakaiannya dengan wain, wain semerah darah. Matanya merah kerana minum wain, giginya putih kerana minum susu. Zebulon akan tinggal dekat laut; kapal-kapal akan berlabuh di pantainya; sempadan wilayahnya sampai ke Sidon. Isakhar umpama keldai kuat yang terlentang di antara kantung pelana. Dia melihat betapa baiknya tempat itu dan betapa indahnya negeri itu. Oleh itu dia membongkok untuk memikul beban, dan dipaksa bekerja sebagai hamba. Dan akan memerintah bangsanya, mereka akan menjadi seperti suku Israel yang lain. Dan bagaikan ular di pinggir jalan, ular berbisa di tepi lorong, yang mematuk tumit kuda sehingga penunggangnya tercampak. Aku menantikan penyelamatan daripada-Mu, ya TUHAN. Gad akan diserang perompak, namun dia akan berbalik dan merompak mereka. Tanah Asyer akan menghasilkan makanan lazat, dia akan menyediakan makanan bagi raja. Naftali bagaikan rusa yang pantas, yang melahirkan anak-anak yang cantik. Yusuf umpama keldai muda, keldai liar dekat mata air, berlari-lari di lereng gunung. Musuh menyerangnya dengan sengit, mengejarnya dengan busur dan panah. Tetapi lengan Yusuf tetap kuat, dan busurnya kukuh, kerana kekuatan Allah Yakub yang Berkuasa, Gembala dan Pelindung Israel. Allah bapamu menolong engkau; Allah Yang Maha Kuasa memberkati engkau dengan hujan dari langit dan air dari bawah tanah, dengan anak dan lembu, dengan gandum dan bunga, dengan gunung-gunung purba, dengan kekayaan dari bukit-bukit yang abadi. Semoga semua berkat itu dicurahkan di atas kepala Yusuf, dan pada dahinya. Dialah yang teristimewa di kalangan saudara-saudaranya. Benyamin bagaikan serigala yang ganas. Pada pagi hari dia menerkam mangsanya. Pada malam hari dia mencarik-cariknya.” Itulah dua belas suku Israel, dan kata-kata bapa mereka ketika dia memberkati setiap anak lelakinya dengan berkat yang sesuai bagi masing-masing. [29-30] Kemudian Yakub berpesan kepada anak-anak lelakinya, “Sebentar lagi aku akan meninggal seperti nenek moyangku. Kebumikanlah aku di tempat mereka dikebumikan, di dalam gua di Makhpela, di sebelah timur Mamre, di tanah Kanaan. Abraham sudah membeli gua dan ladang di sekitarnya untuk dijadikan perkuburan, daripada Efron orang Het. *** Di situlah Abraham dan Sara serta Ishak dan Ribka dikebumikan. Di situ juga aku mengebumikan Lea. Ladang dan gua yang ada di situ sudah dibeli daripada orang Het. Kebumikanlah aku di situ.” Selepas Yakub memberikan pesannya kepada anak-anak lelakinya, dia berbaring lalu meninggal. Yusuf merebahkan diri ke atas badan bapanya sambil menangis dan mencium muka bapanya. Kemudian Yusuf memberikan perintah kepada pakar pengawet jenazah untuk mengawet jenazah Yakub. Pengawetan itu memakan masa empat puluh hari, masa yang diperlukan untuk mengawetkan jenazah. Orang Mesir berkabung bagi Yakub selama tujuh puluh hari. Apabila selesai masa berkabung, Yusuf berkata kepada para pegawai raja, “Sampaikanlah pesan ini kepada raja. ‘Ketika bapa hamba hampir meninggal, beliau menyuruh hamba berjanji mengebumikan beliau di dalam kubur yang sudah disediakannya di tanah Kanaan. Oleh sebab itu, benarkanlah hamba pergi untuk mengebumikan bapa hamba. Selepas itu hamba akan kembali.’ ” Oleh itu raja bertitah, “Pergilah kebumikan bapamu seperti yang kamu janjikan.” Kemudian Yusuf pergi untuk mengebumikan bapanya. Semua pegawai raja, orang atasan istana dan semua pembesar Mesir, pergi bersama dengan Yusuf. Keluarganya, saudara-saudaranya, dan sanak saudaranya yang lain pergi juga. Hanya anak-anak kecil dan ternakan mereka ditinggalkan di daerah Gosyen. Orang yang berkereta kuda dan berkuda juga ikut, sehingga kumpulan mereka sangat besar. Apabila mereka sampai di tempat orang mengirik gandum di Atad, di sebelah timur Sungai Yordan, mereka meratap dengan sedih dan nyaring. Yusuf mengadakan upacara perkabungan selama tujuh hari. Apabila penduduk Kanaan melihat perkabungan di Atad, mereka berkata, “Betapa pilunya upacara perkabungan orang Mesir!” Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Abel-Mizraim. Demikianlah anak-anak lelaki Yakub melakukan apa yang dipesankan Yakub kepada mereka. Mereka membawa jenazah Yakub ke Kanaan dan mengebumikannya di dalam gua Makhpela, di sebelah timur Mamre, di ladang yang dibeli oleh Abraham daripada Efron orang Het, untuk dijadikan tanah perkuburan. Selepas Yusuf mengebumikan bapanya, dia kembali ke Mesir bersama dengan saudara-saudaranya, dan semua orang yang mengikuti dia untuk pengebumian bapanya. Setelah bapa mereka meninggal, saudara-saudara Yusuf berkata, “Bagaimanakah sekiranya Yusuf masih berdendam dan mahu membalas kejahatan kita dahulu?” Oleh itu mereka mengirim pesan ini kepada Yusuf, “Sebelum bapa kita meninggal, dia menyuruh kami mengatakan hal ini kepadamu, ‘Ampunkanlah kesalahan yang dahulu dilakukan saudara-saudaramu terhadapmu.’ Oleh itu, sebagai hamba-hamba Allah yang disembah oleh bapa kita, kami mohon, ampunkanlah kesalahan yang sudah kami lakukan.” Yusuf menangis ketika menerima pesan itu. Kemudian saudara-saudaranya sendiri datang dan sujud di hadapannya. Mereka berkata, “Kami ini hamba tuan.” Tetapi Yusuf berkata kepada mereka, “Jangan takut, kerana aku tidak dapat bertindak sebagai Allah. Kamu sudah bermuafakat untuk melakukan kejahatan kepadaku, tetapi Allah mengubah kejahatan itu menjadi kebaikan, supaya banyak orang dapat diselamatkan seperti yang terbukti sekarang. Jangan khuatir. Aku akan mencukupi keperluan kamu dan anak-anak kamu.” Demikianlah Yusuf menenteramkan hati mereka dengan kata-kata yang ramah, sehingga mereka terharu. Yusuf tetap tinggal di Mesir dengan sanak saudaranya; dia hidup sampai berumur seratus sepuluh tahun. Yusuf masih sempat melihat anak cucu Efraim. Yusuf sempat juga mengasuh anak-anak Makhir, iaitu cucu Manasye, sebagai anaknya sendiri. Yusuf berkata kepada saudara-saudaranya, “Aku hampir meninggal, tetapi Allah pasti akan menjaga kamu dan memimpin kamu keluar dari negeri ini, ke negeri yang telah dijanjikan-Nya dengan sumpah kepada Abraham, Ishak, dan Yakub.” Oleh itu Yusuf menyuruh semua sanak saudaranya bersumpah, katanya, “Berjanjilah kepadaku, bahawa apabila Allah memimpin kamu ke negeri itu, kamu akan membawa jenazahku juga.” Kemudian Yusuf meninggal di Mesir ketika dia berusia seratus sepuluh tahun. Mereka mengawet jenazahnya dan meletakkannya di dalam peti jenazah. Yakub yang juga dinamakan Israel, pergi ke Mesir bersama dengan anak-anaknya dan keluarga masing-masing. Anak-anak Yakub ialah Ruben, Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, Zebulon, Benyamin, Dan, Naftali, Gad, dan Asyer. Keturunan Yakub semuanya berjumlah tujuh puluh orang. Yusuf, anak Yakub, sudah berada di Mesir. Lama-kelamaan Yusuf dan saudara-saudaranya meninggal, demikian juga semua orang yang seangkatan dengan dia. Tetapi keturunan mereka, iaitu orang Israel, mempunyai anak yang banyak. Mereka beranak cucu sangat banyak, dan bilangan mereka bertambah dengan cepat sekali sehingga negeri Mesir penuh dengan mereka. Kemudian seorang raja baru, yang tidak mengenal Yusuf mula memerintah negeri Mesir. Raja itu bertitah kepada rakyat, “Orang Israel sangat berbahaya bagi kita, kerana mereka banyak sekali dan lebih kuat daripada kita. Sekiranya berlaku peperangan, ada kemungkinan mereka bergabung dengan musuh untuk menentang kita, lalu lari meninggalkan negeri ini. Kita mesti mencari jalan supaya bilangan mereka tidak bertambah lagi.” Oleh itu orang Mesir melantik beberapa orang pengerah abdi untuk menindas orang Israel dengan kerja paksa. Orang Israel dipaksa membina kota Pitom dan Raamses yang dijadikan pusat penyimpanan perbekalan bagi raja Mesir. Tetapi semakin keras orang Mesir menindas orang Israel, semakin banyak pula bilangan mereka, dan mereka tersebar luas di seluruh negeri itu, sehingga orang Mesir takut kepada mereka. Orang Mesir menindas orang Israel dengan kejam, dan menyebabkan hidup mereka menderita. Tanpa belas kasihan, orang Israel dipaksa bekerja keras di projek-projek pembinaan dan di ladang-ladang. Kemudian raja Mesir memberikan perintah kepada Sifra dan Pua, bidan-bidan yang menolong perempuan Ibrani bersalin. Raja Mesir bertitah, “Pada masa kamu menolong perempuan Ibrani bersalin, ingatlah akan hal ini: Jika bayi itu lelaki, bunuhlah dia. Jika bayi itu perempuan, biarkan dia hidup.” Tetapi bidan-bidan itu takut akan Allah. Mereka tidak mahu melaksanakan perintah raja, sebaliknya mereka membiarkan bayi lelaki hidup. Kemudian raja memanggil bidan-bidan itu dan bertanya, “Mengapa kamu melakukan hal ini? Mengapa kamu membiarkan bayi lelaki hidup?” Mereka menjawab, “Perempuan Ibrani tidak seperti perempuan Mesir; perempuan Ibrani melahirkan anak dengan mudah saja. Sebelum bidan tiba, bayi sudah dilahirkan.” [20-21] Oleh itu Allah memperlakukan bidan-bidan itu dengan baik dan mengurniakan keturunan kepada mereka, kerana mereka takut akan Allah. Orang Israel pun bertambah banyak dan kuat. *** Kemudian raja Mesir bertitah kepada segenap rakyat, “Tiap-tiap anak lelaki orang Ibrani mesti dibuang ke dalam Sungai Nil, tetapi semua anak perempuan mereka boleh dibiarkan hidup.” Pada masa itu seorang lelaki daripada suku Lewi berkahwin dengan seorang perempuan daripada suku itu juga. Kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki. Apabila dia melihat betapa comelnya bayi itu, dia menyembunyikan bayinya selama tiga bulan. Tetapi dia tidak dapat menyembunyikan bayinya lebih lama lagi. Oleh itu dia mengambil sebuah bakul yang dibuat daripada gelagah, lalu dia memakal bakul itu dengan gala-gala dan minyak tar supaya tidak dapat dimasuki air. Dia meletakkan bayinya di dalam bakul itu, lalu menaruhnya di tengah-tengah rumpun gelagah di pinggir sungai. Kakak bayi itu berdiri tidak berapa jauh dari situ untuk melihat apa yang akan berlaku kepada bayi itu. Pada masa itu puteri raja turun ke sungai untuk bersiram, sementara dayang-dayangnya berjalan-jalan di pinggir sungai. Tiba-tiba puteri raja ternampak bakul di tengah-tengah rumpun gelagah. Puteri raja menyuruh seorang hamba perempuan untuk mengambil bakul itu. Puteri raja membuka bakul itu lalu nampak seorang bayi lelaki sedang menangis. Puteri raja berasa kasihan terhadap bayi itu dan berkata, “Inilah seorang daripada bayi Ibrani.” Kemudian kakak bayi itu bertanya kepada puteri itu, “Tuan puteri, sudikah tuan puteri sekiranya hamba pergi mendapatkan seorang perempuan Ibrani untuk menyusui bayi ini?” Puteri raja menjawab, “Baik, pergilah.” Gadis itu pun pergi dan memanggil ibu bayi itu sendiri. Puteri raja berkata kepadanya, “Ambillah bayi ini dan susuilah dia untukku; aku akan mengupah kamu.” Kemudian perempuan itu mengambil bayi itu dan menyusui dia. Apabila bayi itu besar, perempuan itu membawanya kepada puteri raja, lalu puteri raja menjadikan dia anak angkatnya. Puteri raja berkata, “Aku menamakan dia Musa, kerana aku telah menarik dia keluar dari air.” Apabila Musa sudah dewasa, dia keluar untuk melawat orang Ibrani, orang sebangsanya. Dia melihat bagaimana mereka dipaksa melakukan kerja yang berat. Musa juga nampak seorang Mesir memukul seorang Ibrani, orang bangsa Musa sendiri. Musa melihat di sekeliling, dan apabila dia nampak bahawa tiada sesiapa pun yang mengawasi dia, dia membunuh orang Mesir itu lalu menyembunyikan mayatnya di dalam pasir. Pada keesokan harinya Musa pergi ke sana lagi, lalu nampak dua orang Ibrani bergaduh. Musa bertanya kepada orang yang bersalah, “Mengapa engkau memukul orang sebangsamu sendiri?” Orang itu menjawab, “Siapakah yang melantik kamu menjadi pemerintah dan hakim kami? Adakah kamu hendak membunuh aku sebagaimana kamu membunuh orang Mesir itu?” Musa berasa takut dan berfikir, “Tentu orang sudah mengetahui apa yang telah aku lakukan.” Apabila raja mendengar tentang peristiwa itu, raja cuba mencari jalan untuk membunuh Musa, tetapi Musa melarikan diri ke negeri Midian dan tinggal di sana. Pada suatu hari, Musa sedang duduk dekat sebuah perigi. Imam di Midian, yang bernama Yitro, mempunyai tujuh orang anak perempuan. Kemudian ketujuh-tujuh orang anak perempuan Yitro datang untuk menimba air, lalu mengisi bekas-bekas air untuk domba dan kambing bapa mereka. Tetapi beberapa orang gembala datang dan menghalau tujuh orang gadis itu. Kemudian Musa menolong gadis-gadis itu dan memberi minum kepada ternakan mereka. Apabila gadis-gadis itu pulang, bapa mereka bertanya, “Mengapa kamu cepat sekali pulang hari ini?” Mereka menjawab, “Seorang bangsa Mesir telah menolong kami daripada gangguan gembala-gembala lain. Dia juga menimba air untuk kami dan memberi minum kepada ternakan kita.” “Di mana orang itu sekarang?” tanya Yitro kepada anak-anaknya. “Mengapa kamu meninggalkan orang itu? Pergilah jemput dia makan bersama-sama kita.” Kemudian Musa bersetuju untuk tinggal di situ. Yitro mengahwinkan anak perempuannya, Zipora, dengan Musa. Kemudian Zipora melahirkan seorang anak lelaki. Musa berkata, “Aku orang asing di negeri ini, itulah sebabnya aku menamakan anak ini Gersom.” Bertahun-tahun kemudian raja Mesir mangkat, tetapi orang Israel masih mengeluh kerana diperhamba dan mereka berseru minta tolong. Seruan mereka sampai kepada Allah. Allah mendengar seruan orang Israel, lalu Dia ingat akan perjanjian yang dibuat-Nya dengan Abraham, Ishak, dan Yakub. Allah melihat orang Israel diperhamba dan Dia mengambil berat tentang keadaan mereka. Pada masa itu Musa menggembala kawanan domba dan kambing Yitro mentuanya, imam di negeri Midian. Ketika Musa sedang menggiring ternakan itu ke seberang padang gurun, dia tiba di Gunung Sinai, gunung yang suci. Di sana malaikat TUHAN menampakkan diri kepada Musa dalam api yang menyala di tengah semak. Musa nampak semak itu menyala, tetapi tidak terbakar. “Aneh!” fikirnya. “Mengapa semak itu tidak terbakar? Baiklah aku melihat dari dekat.” Apabila TUHAN nampak Musa menghampiri-Nya, TUHAN memanggil dia dari tengah semak itu, “Musa, Musa!” Musa menjawab, “Ya, aku di sini.” Allah berfirman, “Jangan datang dekat-dekat. Tanggalkan kasutmu kerana engkau sedang berdiri di tanah yang suci. Akulah Allah yang disembah nenek moyangmu, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub.” Oleh itu Musa menutup mukanya kerana dia takut memandang Allah. Kemudian TUHAN berfirman, “Aku telah melihat betapa kejamnya umat-Ku dianiaya di Mesir; Aku telah mendengar seruan mereka mohon dibebaskan daripada pengerah-pengerah abdi. Sesungguhnya, Aku tahu akan segala penderitaan mereka. Oleh itu Aku turun untuk membebaskan mereka daripada orang Mesir, dan membawa mereka keluar dari negeri itu ke suatu negeri yang luas, kaya, dan subur. Pada masa ini, negeri itu didiami oleh orang Kanaan, Het, Amori, Feris, Hewi, dan Yebusi. Sesungguhnya Aku telah mendengar seruan umat-Ku dan melihat bagaimana orang Mesir menindas mereka. Sekarang Aku mengutus engkau untuk menghadap raja Mesir supaya engkau dapat memimpin umat-Ku keluar dari negeri raja itu.” Tetapi Musa berkata kepada Allah, “Siapakah aku ini? Aku tidak sanggup menghadap raja dan membawa orang Israel keluar dari Mesir.” Allah berfirman, “Aku akan menyertai engkau. Apabila engkau telah membawa orang Israel keluar dari Mesir, kamu akan beribadat kepada-Ku di gunung ini. Itulah buktinya bahawa Aku telah mengutus engkau.” Tetapi Musa berkata, “Jika aku menemui orang Israel dan berkata kepada mereka, ‘Allah nenek moyang kamu telah mengutus saya kepada kamu,’ mereka akan bertanya, ‘Siapakah namanya?’ Apakah yang harus aku katakan kepada mereka?” Allah berfirman kepada Musa, “Aku adalah AKU. Inilah yang mesti engkau katakan kepada mereka, ‘Dia yang menyebut diri-Nya AKU sudah mengutus saya kepada kamu.’ Beritahulah umat Israel, bahawa AKU, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah mengutus engkau kepada mereka. Itulah nama-Ku untuk selama-lamanya; itulah nama panggilan-Ku yang harus digunakan oleh semua keturunan yang akan datang. Pergilah dan himpunkanlah para pemimpin Israel dan beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah menampakkan diri kepadamu. Beritahulah mereka bahawa Aku telah datang kepada mereka dan telah melihat apa yang dilakukan orang Mesir terhadap mereka. Aku telah mengambil keputusan untuk membawa mereka keluar dari Mesir, tempat mereka ditindas, dan membawa mereka ke suatu tanah yang kaya dan subur, iaitu negeri orang Kanaan, Het, Amori, Feris, Hewi, dan Yebusi. Umat-Ku akan mendengarkan segala katamu. Kemudian engkau mesti menghadap raja Mesir bersama dengan para pemimpin Israel dan berkata kepadanya, ‘TUHAN, Allah orang Ibrani, telah menampakkan diri kepada kami. Sekarang benarkanlah kami pergi sejauh tiga hari perjalanan ke padang gurun untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah kami.’ ” Allah berfirman lagi, “Aku tahu bahawa raja Mesir tidak akan membenarkan kamu pergi, kecuali dia dipaksa berbuat demikian. Tetapi Aku akan menggunakan kuasa-Ku dan menghukum Mesir dengan melakukan hal-hal yang menakutkan di sana. Selepas itu, dia akan membenarkan kamu pergi. Aku akan menyebabkan orang Mesir menghormati kamu supaya apabila kamu, umat-Ku meninggalkan tempat itu, kamu tidak akan pergi dengan tangan kosong. Setiap wanita Israel akan minta pakaian, serta barang perhiasan emas dan perak daripada jirannya orang Mesir dan daripada wanita Mesir yang tinggal di rumah jirannya itu. Kamu akan memakaikannya pada anak-anak kamu. Dengan cara itu kamu akan merampas harta orang Mesir.” Kemudian Musa berkata kepada TUHAN, “Bagaimana pula jika umat Israel tidak mempercayai aku dan tidak mahu mempedulikan kata-kataku? Apakah yang harus aku buat jika mereka berkata bahawa Engkau tidak menampakkan diri kepadaku?” Oleh itu TUHAN bertanya kepada Musa, “Apakah yang engkau pegang itu?” “Tongkat,” jawab Musa. TUHAN berfirman, “Campakkanlah tongkat itu ke tanah.” Apabila Musa mencampakkannya ke tanah, tongkat itu berubah menjadi ular dan Musa berundur untuk menjauhi ular itu. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Dekatilah ular itu dan peganglah ekornya.” Musa menghampirinya dan menangkap ekor ular itu, lalu ular itu berubah menjadi tongkat semula. TUHAN berfirman, “Buatlah demikian untuk membuktikan kepada bangsa Israel bahawa Aku, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah menampakkan diri kepadamu.” TUHAN berfirman lagi kepada Musa, “Masukkan tanganmu ke dalam jubahmu.” Musa berbuat begitu, dan ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya putih sekali kerana kena penyakit kulit yang mengerikan. Kemudian TUHAN berfirman, “Masukkan tanganmu ke dalam jubahmu sekali lagi.” Musa berbuat begitu, dan ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya sudah sembuh dan sihat seperti seluruh badannya. TUHAN berfirman, “Jika mereka tidak mahu percaya kepadamu, atau tidak yakin setelah melihat mukjizat yang pertama, maka mukjizat yang kedua akan meyakinkan mereka. Jika mereka masih tidak mahu percaya kepadamu walaupun sudah melihat kedua-dua mukjizat itu, dan mereka tidak mahu mempedulikan kata-katamu, ambillah sedikit air dari Sungai Nil dan curahkannya ke tanah. Air itu akan berubah menjadi darah.” Tetapi Musa berkata kepada TUHAN, “Ya Tuhan, jangan suruh aku. Aku bukan orang yang pandai berkata-kata, baik dahulu mahupun sekarang, walaupun Engkau sudah berfirman kepadaku. Aku tidak pandai berucap, aku lambat bercakap, dan tidak fasih.” Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Siapakah yang memberikan mulut kepada manusia? Siapakah yang membuat manusia bisu atau tuli? Siapakah yang membuat manusia celik atau buta? Aku, TUHAN. Sekarang, pergilah. Aku akan menolong engkau bercakap, dan memberitahu engkau apa yang harus engkau katakan.” Tetapi Musa menjawab, “Ya Tuhan, aku mohon, suruhlah orang lain.” Kemudian TUHAN murka terhadap Musa dan berfirman, “Bagaimana pula dengan saudaramu Harun, orang Lewi itu? Aku tahu bahawa dia pandai berkata-kata. Sesungguhnya, dia sedang dalam perjalanan ke sini, dan dia akan gembira berjumpa dengan engkau. Engkau dapat bercakap dengan dia, dan memberitahu dia apa yang harus dikatakannya. Aku akan menolong kamu berdua, dan memberitahu kamu apa yang harus dikatakan dan dilakukan. Dia akan berkata-kata kepada umat itu bagi pihakmu. Dia akan menjadi jurucakapmu, dan engkau menjadi seperti Allah yang memberitahu apa yang harus dikatakannya. Bawalah tongkat ini; engkau akan melakukan mukjizat-mukjizat dengan tongkat ini.” Sesudah itu Musa balik ke rumah Yitro, bapa mentuanya. Musa berkata kepadanya, “Tolong benarkan saya balik kepada saudara-mara saya di Mesir, untuk melihat sama ada mereka masih hidup.” Yitro bersetuju, lalu mengucapkan selamat jalan kepada Musa. Ketika Musa masih di Midian, TUHAN berfirman kepadanya, “Baliklah ke Mesir, kerana semua orang yang hendak membunuh engkau sudah meninggal.” Oleh itu Musa membawa isteri serta anak-anaknya dan menaikkan mereka ke atas keldai, lalu mereka berangkat ke Mesir. Musa membawa tongkatnya juga, menurut perintah Allah kepadanya. TUHAN berfirman kepada Musa lagi, “Aku sudah memberikan kuasa kepadamu untuk melakukan mukjizat-mukjizat. Oleh itu selepas engkau tiba di Mesir, lakukanlah segala mukjizat itu di hadapan raja Mesir. Tetapi Aku akan menyebabkan dia berdegil, sehingga dia tidak membenarkan umat itu pergi. Lalu katakanlah kepada raja itu bahawa Aku, TUHAN, berfirman begini, ‘Israel ialah anak sulung-Ku. Aku telah memerintahkan engkau untuk membenarkan anak-Ku itu pergi supaya dia dapat menyembah Aku, tetapi engkau menolak. Sekarang Aku akan membunuh anak lelakimu yang sulung.’ ” Di suatu tempat perkhemahan di tengah perjalanan ke Mesir, TUHAN datang kepada Musa dan cuba membunuhnya. Kemudian Zipora, isteri Musa, mengambil batu tajam dan memotong kulup anaknya, lalu menyentuh kaki Musa dengan potongan itu. Zipora berkata, “Engkau suami darah bagiku.” Zipora berkata demikian kerana upacara sunat itu. Oleh itu TUHAN tidak membunuh Musa. Sementara itu TUHAN berfirman kepada Harun, “Pergilah ke padang gurun untuk menemui Musa.” Harun pergi lalu bertemu dengan Musa di gunung suci, dan Harun mencium dia. Musa memberitahu Harun segala yang telah difirmankan TUHAN ketika dia disuruh balik ke Mesir. Musa juga memberitahu segala mukjizat yang harus dilakukannya. Kemudian Musa dan Harun pergi ke Mesir, lalu menghimpunkan semua pemimpin umat Israel. Harun memberitahu mereka segala yang difirmankan TUHAN kepada Musa, dan Musa melakukan segala mukjizat di hadapan semua orang itu. Mereka percaya, lalu sujud menyembah apabila mendengar bahawa TUHAN sudah memperhatikan mereka dan melihat segala penderitaan mereka. Kemudian Musa dan Harun pergi menghadap raja Mesir dan berkata, “Demikianlah firman TUHAN, Allah umat Israel, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi agar mereka dapat beribadat kepada-Ku di padang gurun.’ ” “Siapakah TUHAN itu?” tanya raja. “Mengapakah beta harus mendengarkan dia dan membenarkan orang Israel pergi? Beta tidak kenal akan TUHAN itu, dan beta tidak akan membenarkan orang Israel pergi.” Musa dan Harun berkata, “Allah orang Ibrani telah menampakkan diri kepada hamba berdua. Benarkanlah hamba sekalian pergi ke padang gurun sejauh tiga hari perjalanan untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah hamba semua. Jika hamba sekalian tidak melakukan hal ini, Dia akan membunuh hamba semua dengan penyakit atau peperangan.” Raja bertitah kepada Musa dan Harun, “Mengapa kamu menyebabkan semua orang itu melalaikan pekerjaan mereka? Suruhlah abdi-abdi itu bekerja! Bangsa kamu sudah lebih banyak daripada orang Mesir. Sekarang kamu mahu mereka berhenti bekerja!” Pada hari itu juga raja Mesir memberikan perintah kepada pengerah-pengerah abdi berbangsa Mesir dan mandur-mandur berbangsa Israel. Raja bertitah, “Jangan berikan jerami kepada bangsa itu untuk membuat batu bata. Biarlah mereka pergi mencarinya sendiri. Tetapi suruhlah mereka membuat batu bata sebanyak dahulu; jangan kurangkan bilangannya walau seketul pun. Mereka tidak mempunyai cukup pekerjaan, itulah sebabnya mereka minta dibenarkan pergi untuk mempersembahkan korban kepada Allah mereka. Paksalah umat itu bekerja lebih keras lagi, supaya mereka sibuk dengan pekerjaan dan tidak mempunyai masa untuk mendengar cerita-cerita bohong.” Pengerah-pengerah abdi berbangsa Mesir dan mandur-mandur berbangsa Israel keluar lalu berkata kepada orang Israel, “Raja memberikan perintah bahawa kamu tidak diberikan jerami lagi. Kamu sendiri mesti pergi mencari jerami di mana sahaja kamu boleh mendapatinya. Tetapi kamu mesti membuat batu bata sebanyak dahulu.” Oleh itu orang Israel menjelajahi seluruh negeri Mesir untuk mencari jerami. Para pengerah abdi terus mendesak agar setiap hari orang Israel membuat batu bata sebanyak yang dibuat pada masa mereka diberikan jerami dahulu. Pengerah-pengerah abdi memukul mandur-mandur berbangsa Israel yang telah ditugaskan untuk mengawasi pekerjaan itu. Mereka bertanya, “Mengapa kamu tidak membuat batu bata sebanyak dahulu?” Kemudian mandur-mandur itu pergi menghadap raja dan mengadu, “Mengapakah tuanku melakukan hal ini kepada hamba sekalian? Hamba semua tidak diberikan jerami, namun hamba sekalian dipaksa membuat batu bata. Sekarang, hamba semua dipukul pula, padahal pegawai-pegawai tuanku itulah yang bersalah.” Raja menjawab, “Kamu memang malas dan tidak mahu bekerja. Itulah sebabnya kamu minta dibenarkan pergi untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN. Sekarang pergilah bekerja lagi. Jerami tidak akan diberikan kepada kamu, tetapi kamu mesti membuat batu bata sebanyak dahulu.” Mandur-mandur itu sedar bahawa mereka dalam kesusahan apabila diberitahu bahawa setiap hari mereka mesti tetap membuat batu bata sebanyak dahulu. Apabila mandur-mandur keluar dari istana, mereka bertemu dengan Musa dan Harun, yang sedang menunggu mereka. Mandur-mandur itu berkata kepada Musa dan Harun, “TUHAN melihat apa yang telah kamu lakukan. Dia akan menghukum kamu! Kamulah yang menyebabkan raja dan pegawai-pegawainya membenci kami. Kamu telah memberi mereka alasan untuk membunuh kami.” Kemudian Musa menghadap TUHAN lagi dan berkata, “Ya Tuhan, mengapa Engkau menganiaya umat-Mu? Mengapa Engkau menghantar aku ke sini? Sejak aku menghadap raja dan berkata-kata atas nama-Mu, raja telah menganiaya umat-Mu. Engkau pula tidak melakukan sesuatu pun untuk menolong mereka!” Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa. “Sekarang engkau akan melihat apa yang akan Aku lakukan kepada raja Mesir. Aku akan memaksa dia membenarkan umat-Ku pergi. Sesungguhnya, Aku akan memaksa dia mengusir mereka keluar dari negerinya.” Allah berfirman kepada Musa, “Akulah TUHAN. Aku telah menampakkan diri kepada Abraham, Ishak, dan Yakub sebagai Allah Yang Maha Kuasa, tetapi Aku tidak memperkenalkan diri kepada mereka dengan nama-Ku yang suci, iaitu TUHAN. Aku juga telah membuat perjanjian dengan mereka. Aku berjanji untuk memberi mereka tanah Kanaan, tanah tempat mereka dahulu tinggal sebagai orang asing. Aku telah mendengar keluhan orang Israel yang diperhamba oleh bangsa Mesir, lalu Aku mengingat perjanjian-Ku itu. Oleh itu, beritahulah orang Israel bahawa Aku berfirman kepada mereka, ‘Akulah TUHAN; Aku akan membebaskan kamu daripada perhambaan orang Mesir. Aku akan menggunakan kuasa-Ku yang besar untuk menyelamatkan kamu dan untuk menjatuhkan hukuman berat ke atas bangsa Mesir. Aku akan menjadikan kamu umat-Ku sendiri, dan Aku akan menjadi Allah kamu. Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu, apabila Aku membebaskan kamu daripada perhambaan di negeri Mesir. Aku akan membawa kamu masuk ke negeri yang telah Aku janjikan dengan sumpah untuk diberikan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan memberikan tanah itu kepada kamu sebagai milik kamu sendiri. Akulah TUHAN.’ ” Musa menyampaikan semua firman itu kepada orang Israel, tetapi mereka tidak mahu mendengarkan kata-katanya, kerana perhambaan yang kejam itu telah menyebabkan mereka putus asa. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja Mesir dan katakan bahawa dia mesti membenarkan orang Israel meninggalkan negerinya.” Tetapi Musa menjawab, “Orang Israel sendiri tidak mahu mendengarkan kata-kataku, apalagi raja Mesir. Aku tidak pandai berkata-kata.” Tetapi TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Beritahulah orang Israel dan raja Mesir bahawa Aku telah memerintah engkau untuk memimpin orang Israel keluar dari Mesir.” Inilah salasilah Musa dan Harun: Ruben, anak sulung Yakub, mempunyai empat orang anak lelaki: Henokh, Palu, Hezron, dan Karmi. Merekalah nenek moyang puak-puak dalam suku Ruben. Simeon mempunyai enam orang anak lelaki: Yemuel, Yamin, Ohad, Yakhin, Zohar, dan juga Saul, anak lelaki daripada seorang perempuan Kanaan. Merekalah nenek moyang puak-puak dalam suku Simeon. Lewi mempunyai tiga orang anak lelaki: Gerson, Kehat, dan Merari. Merekalah nenek moyang puak-puak dalam suku Lewi. Lewi hidup selama 137 tahun. Gerson mempunyai dua orang anak lelaki: Libni dan Simei; mereka mempunyai keturunan yang banyak. Kehat mempunyai empat orang anak lelaki: Amram, Yizhar, Hebron, dan Uziel. Kehat hidup selama 133 tahun. Merari mempunyai dua orang anak lelaki: Mahli dan Musi. Merekalah puak-puak dalam suku Lewi dengan keturunan masing-masing. Amram berkahwin dengan Yokhebed, adik perempuan bapanya; anak mereka ialah Harun dan Musa. Amram hidup selama 137 tahun. Yizhar mempunyai tiga orang anak lelaki: Korah, Nefeg, dan Zikhri. Uziel juga mempunyai tiga orang anak lelaki: Misael, Elsafan, dan Sitri. Harun berkahwin dengan Eliseba, anak perempuan Aminadab; Eliseba juga saudara Nahason. Eliseba melahirkan Nadab, Abihu, Eleazar, dan Itamar. Korah mempunyai tiga orang anak lelaki: Asir, Elkana, dan Abiasaf. Merekalah nenek moyang keluarga-keluarga dalam puak Korah. Eleazar, anak lelaki Harun, berkahwin dengan salah seorang anak perempuan Putiel. Anak mereka ialah Pinehas. Merekalah ketua puak dan ketua keluarga dalam suku Lewi. Harun dan Musa itulah yang diperintahkan TUHAN untuk membawa orang Israel keluar dari Mesir. Mereka berdua menghadap raja Mesir dan meminta raja supaya membebaskan orang Israel. Ketika TUHAN berfirman kepada Musa di negeri Mesir, TUHAN berfirman, “Akulah TUHAN. Beritahulah raja Mesir segala sesuatu yang telah Aku firmankan kepadamu.” Tetapi Musa berkata, “Engkau tahu bahawa aku tidak pandai berkata-kata. Mana mungkin raja mahu mendengarkan kata-kataku?” TUHAN berfirman kepada Musa, “Dengarlah, Aku akan menjadikan engkau seperti Allah di hadapan raja, dan Harun, saudaramu akan bercakap kepadanya sebagai nabimu. Beritahulah Harun segala perintah-Ku kepadamu. Suruhlah dia memberitahu raja supaya membenarkan orang Israel meninggalkan negerinya. Tetapi Aku akan menyebabkan raja itu berdegil, dan dia tidak akan mendengar kata-kata kamu, sungguhpun Aku mendatangkan banyak bencana di Mesir. Kemudian Aku akan menghukum negeri itu dengan dahsyat, lalu membawa umat-Ku Israel keluar dari Mesir. Kemudian orang Mesir akan tahu bahawa Akulah TUHAN apabila Aku menghukum mereka dan membawa orang Israel keluar dari negeri Mesir.” Musa dan Harun melakukan apa yang diperintahkan oleh TUHAN. Musa berumur 80 tahun dan Harun 83 tahun ketika mereka menghadap raja Mesir. TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Jika raja minta kamu melakukan keajaiban sebagai bukti, suruhlah Harun mengambil tongkatnya dan mencampakkan tongkat itu di hadapan raja. Tongkat itu akan berubah menjadi ular.” Oleh itu Musa dan Harun pergi menghadap raja dan melakukan hal seperti yang diperintahkan TUHAN. Harun mencampakkan tongkatnya di hadapan raja dan para pegawainya, lalu tongkat itu berubah menjadi ular. Selepas itu raja memanggil orang yang berilmu dan para tukang sihir, lalu dengan ilmu sihir, mereka melakukan perkara yang sama. Mereka mencampakkan tongkat-tongkat mereka, lalu tongkat-tongkat itu berubah menjadi ular. Tetapi tongkat Harun menelan tongkat-tongkat mereka. Namun raja tetap berdegil dan tidak mahu mendengar kata-kata Musa dan Harun, seperti yang sudah difirmankan TUHAN. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Raja sangat degil; dia tidak mahu membenarkan orang Israel pergi. Oleh itu pergilah menghadap raja pada waktu pagi, ketika dia turun ke Sungai Nil. Bawalah tongkat yang pernah berubah menjadi ular, dan tunggulah dia di tebing sungai. Katakan kepada raja, ‘TUHAN, Allah orang Ibrani, mengutus hamba untuk menyampaikan firman-Nya kepada tuanku supaya membenarkan umat-Nya pergi untuk beribadat kepada-Nya di padang gurun. Tetapi sampai sekarang, tuanku masih tidak mahu mendengarkan firman itu. Maka TUHAN berfirman bahawa tuanku akan tahu siapa TUHAN itu daripada apa yang akan dilakukan-Nya. Lihatlah, hamba akan memukul air sungai dengan tongkat ini, lalu airnya akan berubah menjadi darah. Ikan akan mati, dan sungai ini akan menjadi begitu busuk sehingga orang Mesir tidak dapat meminum airnya.’ ” TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah Harun mengambil tongkatnya dan menghulurkannya ke atas segala sungai, saluran air, dan kolam di Mesir. Air akan berubah menjadi darah, dan di seluruh negeri akan terdapat darah, bahkan di dalam tong kayu dan tempayan batu.” Kemudian Musa dan Harun melakukan hal seperti yang diperintahkan TUHAN. Di hadapan raja dan para pegawainya, Harun mengangkat tongkatnya dan memukul air Sungai Nil. Maka air sungai itu berubah menjadi darah. Ikan-ikan di dalam sungai itu mati, dan baunya begitu busuk sehingga orang Mesir tidak dapat meminum air sungai itu. Darah terdapat di seluruh negeri Mesir. Kemudian tukang-tukang sihir negeri Mesir juga melakukan perkara seperti itu dengan ilmu sihir mereka, sehingga raja tetap berdegil. Seperti yang telah difirmankan TUHAN, raja tidak mahu mendengarkan kata-kata Musa dan Harun. Sebaliknya, raja pulang ke istananya tanpa menghiraukan perkara yang berlaku itu sedikit pun. Semua orang Mesir menggali lubang di sepanjang tebing sungai untuk mendapatkan air minum, kerana mereka tidak dapat meminum air sungai itu. Tujuh hari telah berlalu sejak TUHAN mengubah air sungai itu menjadi darah. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja dan beritahulah dia bahawa TUHAN berfirman, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. Jika engkau menolak, Aku akan memenuhi negerimu dengan katak sebagai hukuman. Sungai Nil akan terlalu penuh dengan katak, sehingga katak keluar dari air lalu masuk ke dalam istanamu, ke dalam bilik tidur dan ke atas katilmu, serta ke rumah para pegawaimu dan rakyatmu, bahkan ke dalam ketuhar roti dan tempat adunan roti. Katak akan melompat ke atasmu, rakyatmu, dan semua pegawaimu.’ ” TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah Harun menghulurkan tongkatnya ke atas sungai, saluran air, dan kolam, supaya katak akan muncul dan memenuhi seluruh tanah Mesir.” Harun menghulurkan tongkatnya ke atas air, maka katak-katak muncul sehingga meliputi seluruh negeri itu. Tetapi tukang-tukang sihir Mesir juga menggunakan ilmu sihir, dan menyebabkan katak-katak muncul sehingga meliputi seluruh negeri. Raja memanggil Musa dan Harun, lalu bertitah, “Berdoalah kepada TUHAN supaya Dia menghapuskan katak-katak ini, maka beta akan membenarkan bangsa kamu pergi, agar mereka dapat mempersembahkan korban kepada TUHAN.” Musa berkata kepada raja, “Hamba bersedia berdoa untuk tuanku. Tentukanlah masanya, lalu hamba akan berdoa untuk tuanku, para pegawai, dan rakyat tuanku. Tuanku akan dibebaskan daripada katak-katak itu, dan tiada lagi yang akan tinggal kecuali katak yang di dalam Sungai Nil.” Raja menjawab, “Berdoalah untuk beta esok.” Musa berkata, “Hamba akan berdoa sebagaimana tuanku minta, maka tuanku akan tahu bahawa tidak ada yang seperti TUHAN, Allah hamba semua. Katak-katak itu akan dijauhkan daripada tuanku, rumah-rumah tuanku, para pegawai, dan rakyat tuanku. Tiada lagi katak yang akan tinggal kecuali yang di dalam Sungai Nil.” Kemudian Musa dan Harun meninggalkan raja. Musa berdoa kepada TUHAN supaya menghapuskan katak-katak yang didatangkan-Nya kepada raja. TUHAN mengabulkan permintaan Musa lalu katak-katak di dalam rumah, di halaman, dan di ladang, semuanya mati. Orang Mesir mengumpulkan bangkai-bangkai katak itu sampai bertimbun-timbun, sehingga seluruh negeri berbau busuk. Apabila raja nampak bahawa semua katak sudah mati, raja menjadi degil semula. Raja tidak mahu mendengarkan kata-kata Musa dan Harun, sebagaimana yang telah difirmankan TUHAN. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah Harun memukul tanah dengan tongkatnya, dan debu akan berubah menjadi agas di seluruh negeri Mesir.” Oleh itu Harun memukul tanah dengan tongkatnya, lalu debu di seluruh negeri Mesir berubah menjadi agas yang mengerumuni manusia dan haiwan. Tukang-tukang sihir cuba menggunakan ilmu sihir mereka untuk mengadakan agas, tetapi tidak berjaya. Agas terdapat di merata tempat. Tukang-tukang sihir itu berkata kepada raja, “Allah telah melakukan hal ini!” Tetapi raja masih berdegil dan tidak mahu mendengarkan kata-kata Musa dan Harun, sebagaimana yang telah difirmankan TUHAN. TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja awal pagi esok, ketika dia pergi ke sungai. Beritahulah dia bahawa TUHAN berfirman, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi beribadat kepada-Ku. Jika engkau menolak, Aku akan mendatangkan lalat kepadamu, para pegawaimu, dan rakyatmu. Rumah-rumah orang Mesir, bahkan seluruh negeri akan diliputi lalat. Tetapi Aku akan membuat kekecualian bagi kawasan Gosyen, tempat umat-Ku tinggal. Lalat tidak akan terdapat di sana. Aku melakukan hal ini supaya engkau tahu bahawa Aku, TUHAN, berkuasa di negeri ini. Aku akan membuat perbezaan antara umat-Ku dan rakyatmu. Mukjizat ini akan berlaku pada hari esok.’ ” TUHAN mendatangkan lalat yang banyak sekali ke istana raja dan ke rumah para pegawainya. Seluruh negeri Mesir sangat menderita kerana lalat-lalat itu. Kemudian raja memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Pergilah persembahkan korban kepada Allah kamu di negeri ini.” Tetapi Musa menjawab, “Hamba sekalian tidak boleh berbuat begitu, kerana orang Mesir akan tersinggung apabila melihat hamba semua mempersembahkan binatang sebagai korban kepada TUHAN, Allah hamba semua. Jika hamba sekalian menggunakan binatang yang menyinggung perasaan mereka, hamba semua akan direjam sampai mati oleh mereka. Hamba sekalian mesti pergi ke padang gurun sejauh tiga hari perjalanan untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah hamba semua, sebagaimana yang telah diperintahkan-Nya.” Raja bertitah, “Beta akan membenarkan kamu pergi ke padang gurun untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah kamu, asal kamu tidak pergi terlalu jauh. Berdoalah untuk beta.” Musa menjawab, “Sebaik saja hamba pergi, hamba akan berdoa kepada TUHAN agar esok lalat-lalat itu meninggalkan tuanku, para pegawai, dan rakyat tuanku. Tetapi janganlah tipu hamba sekalian lagi, dan jangan halang orang Israel pergi untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN.” Musa meninggalkan raja lalu berdoa kepada TUHAN. TUHAN mengabulkan doa Musa. Lalat-lalat meninggalkan raja, para pegawai, dan rakyatnya; tiada seekor pun yang tertinggal. Tetapi kali ini pun raja berdegil, dan tidak mahu membenarkan bangsa itu pergi. TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja dan beritahulah dia bahawa TUHAN, Allah orang Ibrani berfirman, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. Jika engkau masih tidak mahu membenarkan mereka pergi, Aku akan menghukum engkau. Aku akan mendatangkan penyakit yang dahsyat kepada semua ternakanmu: kuda, keldai, unta, lembu, domba, dan kambing. Aku akan membezakan ternakan orang Israel dengan ternakan orang Mesir. Seekor pun ternakan orang Israel tidak akan mati. Aku, TUHAN telah menetapkan hari esok untuk melaksanakan hal ini.’ ” Pada keesokan harinya TUHAN melakukan seperti yang difirmankan-Nya, lalu semua ternakan orang Mesir mati, tetapi ternakan orang Israel tidak ada yang mati. Raja menanyakan apa yang telah berlaku, lalu raja diberitahu bahawa ternakan orang Israel tidak seekor pun yang mati. Namun, raja masih berdegil dan tidak mahu membenarkan orang Israel pergi. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Ambillah beberapa genggam abu dari relau. Musa harus menghamburkan abu itu ke udara di hadapan raja. Abu itu akan tersebar seperti debu halus ke seluruh tanah Mesir. Abu itu akan menimbulkan bisul yang pecah menjadi luka bernanah pada manusia dan binatang.” Oleh itu Musa dan Harun mengambil abu dari relau dan berdiri di hadapan raja. Musa menghamburkan abu itu ke udara, lalu abu itu menimbulkan bisul yang pecah menjadi luka bernanah pada manusia dan binatang. Tukang-tukang sihir tidak dapat bertemu dengan Musa kerana mereka diliputi bisul seperti orang Mesir yang lain. Tetapi TUHAN menyebabkan raja berdegil, dan sebagaimana yang telah difirmankan TUHAN, raja tidak mahu mendengarkan kata-kata Musa dan Harun. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja awal pagi esok, dan beritahulah dia bahawa TUHAN, Allah orang Ibrani berfirman, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. Kali ini Aku akan menghukum bukan hanya para pegawai dan rakyatmu, tetapi engkau juga, agar engkau tahu bahawa tiada sesiapa pun yang seperti Aku di seluruh dunia. Jika Aku telah menghukum engkau dan rakyatmu dengan penyakit, tentu kamu sudah binasa sama sekali. Tetapi Aku membiarkan engkau hidup untuk menunjukkan kuasa-Ku kepadamu, supaya nama-Ku termasyhur di seluruh dunia. Namun engkau masih angkuh dan tidak mahu membenarkan umat-Ku pergi. Kira-kira waktu ini esok, Aku akan menurunkan hujan batu yang lebat, yang belum pernah berlaku sepanjang sejarah negeri Mesir. Sekarang berikanlah perintah supaya ternakan dan segala kepunyaanmu yang berada di luar dibawa ke tempat terlindung. Semua manusia dan ternakan yang berada di luar dan tidak terlindung akan mati ditimpa hujan batu.’ ” Beberapa orang antara pegawai raja takut kerana firman TUHAN itu. Oleh itu, mereka membawa abdi dan ternakan mereka masuk ke dalam rumah supaya terlindung. Tetapi para pegawai yang lain tidak mempedulikan firman TUHAN dan membiarkan abdi serta ternakan mereka di luar. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Angkatlah tanganmu ke arah langit, lalu hujan batu akan turun di serata tanah Mesir. Hujan itu akan menimpa manusia, ternakan, dan segala tumbuhan di padang.” Oleh itu, Musa mengangkat tongkatnya ke arah langit, lalu TUHAN mendatangkan guruh dan hujan batu; kilat pun menyambar ke tanah. TUHAN menurunkan hujan batu yang lebat, dan kilat menyambar ke sana-sini. Itulah hujan batu yang paling dahsyat yang pernah berlaku sepanjang sejarah negeri Mesir. Di seluruh negeri Mesir, hujan batu memusnahkan segala sesuatu yang berada di luar, termasuk semua manusia dan ternakan. Hujan batu itu memusnahkan segala tumbuhan di padang dan menumbangkan semua pokok. Hanya kawasan Gosyen, tempat tinggal orang Israel, tidak ditimpa hujan batu. Kemudian raja memanggil Musa dan Harun, lalu bertitah, “Kali ini beta telah berdosa. TUHAN memang yang benar; beta dan rakyat beta bersalah. Berdoalah kepada TUHAN. Kami sudah cukup menderita kerana guruh dan hujan batu ini. Beta berjanji untuk membenarkan kamu pergi. Kamu tidak usah tinggal di sini lagi.” Musa berkata kepada raja, “Sebaik saja hamba keluar dari kota, hamba akan berdoa kepada TUHAN sambil mengangkat tangan. Guruh akan berhenti dan hujan batu akan reda, supaya tuanku tahu bahawa bumi ini milik TUHAN. Tetapi hamba tahu bahawa tuanku dan para pegawai tuanku belum takut akan TUHAN Allah.” Tanaman rami dan barli musnah, kerana barli sudah matang dan rami sedang berbunga, tetapi gandum tidak musnah kerana belum matang. Kemudian Musa meninggalkan raja dan pergi ke luar kota. Di situ dia berdoa kepada TUHAN dengan mengangkat tangan, lalu guruh, hujan batu, dan hujan berhenti. Apabila raja melihat apa yang telah terjadi, raja berdosa lagi. Raja dan para pegawainya tetap berdegil. Sebagaimana yang difirmankan TUHAN melalui Musa, raja tidak mahu membenarkan orang Israel pergi. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja. Aku telah menyebabkan dia dan para pegawainya berdegil, agar Aku dapat melakukan mukjizat-mukjizat ini di tengah-tengah mereka, dan supaya kamu dapat memberitahu anak cucu kamu bagaimana Aku membodohkan orang Mesir, ketika Aku melakukan mukjizat-mukjizat. Kamu semua akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” Oleh itu, Musa dan Harun pergi menghadap raja lalu berkata kepadanya, “TUHAN, Allah orang Ibrani berfirman, ‘Berapa lama lagi engkau tidak mahu tunduk kepada-Ku? Benarkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. Jika engkau masih menolak, maka esok Aku akan mendatangkan belalang ke negerimu. Seluruh permukaan tanah akan diliputi belalang yang sangat banyak. Belalang akan memakan segala tanaman dan juga pokok yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu. Belalang akan memenuhi istanamu dan rumah para pegawaimu, serta rumah segenap rakyatmu. Bencana ini akan lebih dahsyat daripada apa yang pernah dialami oleh nenek moyangmu.’ ” Kemudian Musa berpaling lalu pergi. Para pegawai raja berkata kepada raja, “Berapa lama lagi orang itu harus menyusahkan kita? Biarkanlah orang Israel pergi supaya mereka dapat beribadat kepada TUHAN, Allah mereka. Lihatlah, negeri kita ini sudah hancur!” Oleh itu Musa dan Harun dipanggil semula untuk menghadap raja. Raja bertitah kepada mereka, “Kamu boleh pergi untuk beribadat kepada TUHAN, Allah kamu. Tetapi siapakah antara kamu yang akan pergi?” Musa menjawab, “Kami semua akan pergi, termasuk anak-anak serta orang tua. Anak lelaki dan perempuan, semua domba, kambing, dan lembu akan dibawa kerana kami mesti mengadakan suatu perayaan besar untuk menghormati TUHAN.” Raja bertitah kepada mereka, “Beta bersumpah demi TUHAN bahawa beta tidak akan membenarkan kamu membawa kaum wanita dan anak-anak! Jelaslah bahawa kamu merancang pemberontakan. Tidak! Hanya kaum lelaki boleh pergi untuk beribadat kepada TUHAN, jika hal itu yang kamu mahu.” Selepas itu, Musa dan Harun diusir keluar dari istana. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Hulurkan tanganmu ke atas tanah Mesir untuk mendatangkan belalang. Belalang akan datang untuk memakan segala tumbuhan yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu.” Oleh itu Musa mengangkat tongkatnya, dan TUHAN menyebabkan angin timur bertiup ke negeri itu sepanjang hari dan sepanjang malam. Menjelang pagi, angin itu telah membawa belalang. Belalang datang dalam kawanan-kawanan yang besar sehingga meliputi seluruh negeri. Orang belum pernah melihat belalang sebegitu banyak, dan selepas itu pun hal seperti itu tidak terjadi lagi. Belalang meliputi permukaan tanah sampai tanah kelihatan hitam. Belalang memakan segala sesuatu yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu, termasuk semua buah di pokok. Di seluruh Mesir, tidak ada sesuatu pun yang hijau tertinggal pada pokok ataupun tumbuhan. Raja segera memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Beta telah berdosa terhadap TUHAN, Allah kamu dan terhadap kamu. Ampunkanlah dosa beta sekali ini saja, dan berdoalah kepada TUHAN, Allah kamu agar Dia menjauhkan hukuman yang dahsyat ini daripada beta.” Musa meninggalkan raja lalu berdoa kepada TUHAN. Oleh itu TUHAN mengubah arah angin timur sehingga menjadi angin barat yang sangat kencang. Belalang-belalang ditiup oleh angin itu dan dibawa ke Laut Gelagah, maka tiada seekor belalang pun yang tertinggal di seluruh tanah Mesir. Tetapi TUHAN menyebabkan raja tetap berdegil, dan raja tidak membenarkan umat Israel pergi. TUHAN berfirman kepada Musa, “Angkatlah tanganmu ke arah langit, maka kegelapan yang pekat akan meliputi seluruh tanah Mesir.” Musa mengangkat tangannya ke arah langit, lalu kegelapan yang pekat meliputi seluruh tanah Mesir selama tiga hari. Orang Mesir tidak dapat melihat satu sama lain, dan tiada seorang pun yang keluar dari rumah sepanjang masa itu. Tetapi tempat tinggal orang Israel tetap terang. Kemudian raja memanggil Musa dan bertitah, “Kamu boleh pergi dan beribadat kepada TUHAN. Isteri dan anak-anak kamu juga boleh pergi bersama dengan kamu, tetapi kamu tidak boleh membawa domba, kambing, dan lembu kamu.” Musa menjawab, “Jika demikian, tuanku mesti menyediakan ternakan sebagai korban yang dipersembahkan kepada TUHAN, dan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, Allah hamba sekalian. Hamba semua mesti membawa semua ternakan; seekor pun tidak boleh ditinggalkan. Hamba sekalian mesti memilih ternakan yang akan dipersembahkan kepada TUHAN, Allah hamba semua. Selepas hamba sekalian tiba di sana, barulah hamba semua tahu ternakan mana yang akan dipersembahkan.” TUHAN menyebabkan raja berdegil sehingga raja tidak mahu membenarkan orang Israel pergi. Raja bertitah kepada Musa, “Pergilah dari sini! Jangan menghadap beta lagi! Jika engkau menghadap beta lagi, engkau akan mati.” “Seperti titah perintah tuanku,” jawab Musa, “hamba tidak akan menghadap tuanku lagi.” Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku akan menjatuhkan hanya satu hukuman lagi kepada raja Mesir dan rakyatnya. Selepas itu, dia akan membenarkan kamu pergi. Malah, dia akan menghalau kamu dari sini. Oleh itu, berucaplah kepada segenap umat Israel; suruhlah mereka semua meminta barang perhiasan emas dan perak daripada jiran mereka.” TUHAN menyebabkan orang Mesir menghormati orang Israel. Para pegawai dan rakyat Mesir sangat menghormati Musa. Kemudian Musa berkata kepada raja, “Inilah yang difirmankan TUHAN, ‘Pada kira-kira tengah malam, Aku akan menjelajahi negeri Mesir. Setiap anak lelaki sulung di Mesir akan mati, mulai daripada putera sulung raja yang menjadi waris takhta, hingga kepada anak lelaki sulung abdi perempuan yang mengisar biji-bijian. Anak sulung semua ternakan juga akan mati. Tangisan yang kuat akan terdengar di seluruh Mesir; hal itu belum pernah terjadi dan tidak akan berlaku lagi. Tetapi di kalangan orang Israel, baik manusia mahupun binatang, tidak akan diganggu. Dengan itu, engkau akan tahu bahawa Aku, TUHAN, membuat perbezaan antara orang Mesir dengan orang Israel.’ ” Akhirnya Musa berkata, “Semua pegawai tuanku akan datang dan bersujud di hadapan hamba. Mereka akan memohon supaya hamba membawa seluruh bangsa hamba meninggalkan negeri ini. Selepas itu hamba akan pergi.” Lalu dengan sangat marah, Musa meninggalkan raja. TUHAN sudah berfirman kepada Musa, “Raja tidak akan mendengarkan kata-katamu, supaya Aku dapat melakukan lebih banyak mukjizat di negeri Mesir.” Musa dan Harun melakukan segala mukjizat itu di hadapan raja, tetapi TUHAN menyebabkan raja itu berdegil, sehingga raja tidak mahu membenarkan orang Israel meninggalkan negerinya. TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun di negeri Mesir, “Bulan ini menjadi bulan pertama bagi tahun kalendar kamu. Sampaikanlah perintah ini kepada segenap umat Israel: Pada hari kesepuluh bulan ini setiap orang lelaki mesti memilih seekor anak domba atau seekor anak kambing untuk dimakan bersama-sama keluarganya. Jika keluarganya terlalu kecil untuk menghabiskan seekor binatang, maka keluarga itu boleh makan binatang itu bersama-sama jiran mereka yang terdekat. Binatang itu harus dibahagi menurut jumlah orang yang makan. Kamu boleh memilih seekor domba ataupun seekor kambing, tetapi binatang itu mesti jantan yang berumur satu tahun, dan yang tidak ada cacat. Kamu harus menjaga binatang itu sehingga hari keempat belas bulan itu. Pada sebelah petang hari itu, segenap umat Israel akan menyembelih binatang-binatang itu. Mereka mesti mengambil sedikit darah binatang itu dan menyapukannya pada kedua-dua batang tiang pintu dan pada ambang pintu rumah, tempat mereka memakan binatang itu. Pada malamnya, daging binatang itu mesti dipanggang dan dimakan dengan sayur pahit serta roti tidak beragi. Binatang itu mesti dipanggang seluruhnya, lengkap dengan kepala, kaki, dan isi perutnya. Makanlah daging yang sudah dipanggang itu; jangan makan daging yang mentah atau yang direbus. Jangan tinggalkan sedikit pun daripada daging itu sehingga pagi; jika ada sisanya, daging itu mesti dibakar sampai habis. Semasa makan, kamu mesti sudah berpakaian lengkap untuk perjalanan; kamu sudah memakai kasut dan memegang tongkat. Kamu mesti makan cepat-cepat. Itulah Perayaan Paska untuk menghormati Aku, TUHAN. Pada malam itu Aku akan menjelajahi seluruh negeri Mesir, dan membunuh setiap anak lelaki sulung, serta setiap anak jantan sulung binatang. Aku akan menghukum semua dewa di Mesir; Akulah TUHAN. Darah pada tiang pintu rumah akan menjadi tanda bagi rumah tempat tinggal kamu. Apabila Aku nampak darah itu, Aku akan melalui kamu, dan tidak menghukum kamu semasa Aku menghukum orang Mesir. Kamu mesti merayakan hari itu sebagai perayaan bagi TUHAN, untuk mengingatkan kamu tentang apa yang telah Aku lakukan. Rayakanlah hari itu setiap tahun, selama-lamanya.” TUHAN berfirman, “Selama tujuh hari kamu tidak boleh makan roti yang beragi. Makanlah roti yang tidak beragi saja. Pada hari pertama kamu mesti membuang segala ragi yang terdapat di dalam rumah kamu. Jika ada seseorang yang makan roti beragi selama tujuh hari itu, dia tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Ku. Pada hari pertama, dan sekali lagi pada hari ketujuh, kamu mesti berkumpul untuk beribadat. Pada hari-hari itu kamu tidak boleh melakukan pekerjaan apa pun, tetapi kamu boleh menyiapkan makanan. Rayakanlah Perayaan Roti Tidak Beragi, kerana pada hari itu Aku membawa suku-suku kamu keluar dari Mesir. Rayakanlah hari itu sebagai perayaan pada setiap tahun untuk selama-lamanya. Kamu mesti makan roti yang tidak beragi, mulai pada malam hari yang keempat belas bulan pertama sehingga malam hari yang kedua puluh satu. [19-20] Selama tujuh hari, ragi tidak boleh disimpan di dalam rumah kamu, kerana sesiapa yang memakan roti yang beragi, baik dia orang asing ataupun orang Israel, dia tidak akan dianggap sebagai umat-Ku lagi.” *** Musa memanggil semua pemimpin Israel dan berkata kepada mereka, “Setiap orang daripada kamu harus mengambil seekor anak domba atau seekor anak kambing untuk keluarga masing-masing. Kemudian sembelihlah binatang itu supaya keluarga kamu dapat merayakan Paska. Ambillah seikat hisop dan celupkannya ke dalam mangkuk yang berisi darah binatang itu, lalu sapukan darah itu pada tiang pintu dan ambang pintu rumah kamu. Tiada seorang pun boleh keluar dari rumah sehingga pagi. Apabila TUHAN menjelajahi seluruh negeri Mesir untuk membunuh orang Mesir, TUHAN akan nampak darah pada tiang pintu dan ambang pintu rumah kamu, maka Dia akan lalu dan tidak membenarkan Malaikat Maut masuk ke dalam rumah kamu untuk membunuh kamu. Kamu dan anak-anak kamu mesti patuh kepada peraturan ini selama-lamanya. Apabila kamu masuk ke negeri yang telah dijanjikan TUHAN kepada kamu, kamu mesti mengadakan upacara ini. Apabila anak-anak kamu bertanya, ‘Apakah makna upacara ini?’ Kamu harus menjawab, ‘Inilah korban Paska untuk menghormati TUHAN, kerana Dia telah melalui rumah orang Israel di Mesir. Dia membunuh orang Mesir, tetapi Dia membiarkan kita hidup.’ ” Kemudian orang Israel bersujud menyembah. Selepas itu mereka pergi dan melakukan apa yang telah diperintahkan TUHAN kepada Musa dan Harun. Pada tengah malam itu TUHAN membunuh semua anak lelaki sulung di Mesir, mulai daripada putera raja yang menjadi waris takhta hingga kepada anak lelaki sulung orang tawanan di dalam penjara bawah tanah. Semua anak sulung binatang pun dibunuh. Pada malam itu raja dan semua pegawainya, serta semua orang Mesir terjaga. Tangisan yang kuat terdengar di seluruh negeri Mesir, kerana di setiap rumah terdapat kematian anak lelaki. Pada malam itu juga, raja memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Pergilah, kamu dan semua orang Israel! Tinggalkan negeri beta! Pergilah beribadat kepada TUHAN kamu, seperti yang kamu minta. Bawalah domba, kambing dan lembu kamu dan tinggalkan tempat ini. Mohonlah berkat untuk beta juga.” Orang Mesir mendesak orang Israel agar meninggalkan negeri mereka dengan segera. Orang Mesir berkata, “Kami semua akan mati jika kamu tidak meninggalkan tempat ini.” Oleh itu orang Israel mengisi mangkuk mereka dengan adunan roti yang tidak beragi, membungkusnya dengan kain, lalu memikul bungkusan itu. Orang Israel telah melakukan apa yang disuruh oleh Musa. Mereka telah meminta barang kemas yang dibuat daripada perak dan emas, serta pakaian daripada orang Mesir. TUHAN menyebabkan orang Mesir menghormati orang Israel sehingga orang Mesir memberikan segala permintaan orang Israel. Dengan demikian orang Israel merampas kekayaan orang Mesir. Orang Israel berangkat dengan berjalan kaki dari kota Raamses ke kota Sukot. Mereka berjumlah 600,000 orang lelaki, tidak termasuk perempuan dan anak-anak. Mereka membawa banyak lembu, domba, dan kambing. Sejumlah besar orang asing juga mengikut mereka. Mereka membakar roti yang tidak beragi daripada adunan yang dibawa dari Mesir. Mereka diusir dari situ dengan mendadak, sehingga tidak sempat menyiapkan bekal atau menyediakan roti yang beragi. Umat Israel tinggal di Mesir selama 430 tahun. Apabila genap tahun yang ke-430, semua suku daripada umat TUHAN meninggalkan negeri Mesir. Pada malam itu TUHAN terus-menerus berjaga untuk membawa mereka keluar dari negeri Mesir. Malam itu ditahbiskan bagi TUHAN untuk selama-lamanya sebagai malam ketika orang Israel pun harus berjaga. TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Inilah peraturan Perayaan Paska: Orang asing tidak boleh makan makanan Paska. Tetapi hamba yang kamu beli boleh makan makanan itu, jika dia sudah disunat. Penduduk sementara ataupun pekerja yang diupah tidak boleh makan makanan Paska. Seluruh makanan Paska itu mesti dimakan di dalam rumah, di tempat makanan itu disediakan. Makanan itu tidak boleh dibawa keluar. Jangan patahkan satu pun tulang binatang itu. Segenap umat Israel mesti merayakan perayaan ini. Orang yang tidak disunat tidak boleh makan makanan itu. Jika seorang asing tinggal bersama dengan kamu dan ingin merayakan Paska untuk menghormati TUHAN, terlebih dahulu kamu mesti menyunatkan semua orang lelaki dalam keluarga orang itu. Kemudian dia akan dianggap sebagai orang Israel asli dan boleh ikut dalam perayaan itu. Peraturan yang sama berlaku juga kepada orang Israel dan orang asing yang tinggal bersama dengan kamu.” Semua orang Israel mematuhi peraturan itu dan melakukan segala yang telah diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa dan Harun. Pada hari itu TUHAN membawa semua suku Israel keluar dari Mesir. TUHAN berfirman kepada Musa, “Tahbiskanlah semua anak lelaki sulung bagi-Ku. Setiap anak lelaki sulung orang Israel, dan setiap anak jantan sulung ternakan adalah kepunyaan-Ku.” Musa berkata kepada orang Israel, “Ingatlah hari ini, hari kamu meninggalkan Mesir, tempat kamu dijadikan hamba. Pada hari ini TUHAN membawa kamu keluar dengan kuasa-Nya yang besar; kamu tidak boleh makan roti yang beragi. Kamu meninggalkan Mesir pada hari ini, pada bulan Abib, iaitu bulan yang pertama. TUHAN telah bersumpah kepada nenek moyang kamu untuk memberi kamu tanah orang Kanaan, Het, Amori, Hewi, dan Yebusi. Tanah itu kaya dan subur. Selepas TUHAN membawa kamu ke tanah itu, kamu mesti merayakan perayaan ini tiap-tiap tahun, pada bulan yang pertama. Kamu mesti makan roti yang tidak beragi selama tujuh hari, dan pada hari yang ketujuh adakanlah perayaan untuk menghormati TUHAN. Selama tujuh hari, kamu mesti makan roti yang tidak beragi. Di seluruh negeri kamu, tidak boleh ada ragi atau apa-apa pun yang beragi. Pada permulaan perayaan itu, terangkanlah kepada anak-anak lelaki kamu bahawa kamu melakukan semuanya kerana apa yang telah dilakukan TUHAN untuk kamu, ketika kamu meninggalkan negeri Mesir. Perayaan ini akan menjadi satu peringatan, seperti tanda yang diikat pada tangan atau dahi kamu, untuk mengingatkan kamu bahawa kamu mesti terus-menerus mengucapkan dan mengkaji Taurat TUHAN, kerana TUHAN telah membawa kamu keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya yang besar. Rayakanlah perayaan ini tiap-tiap tahun, pada masa yang ditetapkan.” Musa berkata kepada orang Israel, “TUHAN akan membawa kamu ke tanah orang Kanaan, yang telah dijanjikan-Nya kepada kamu dan nenek moyang kamu. Selepas Dia memberikannya kepada kamu, kamu mesti mempersembahkan setiap anak lelaki sulung kepada TUHAN. Setiap anak jantan sulung ternakan kamu adalah kepunyaan TUHAN. Tetapi setiap anak jantan sulung keldai mesti kamu tebus daripada-Nya dengan mempersembahkan seekor anak domba sebagai ganti. Jika kamu tidak mahu menebus anak keldai itu, kamu mesti mematahkan lehernya. Kamu mesti menebus setiap anak lelaki sulung kamu. Pada masa hadapan, apabila anak lelaki kamu bertanya akan makna semuanya ini, hendaklah kamu menjawab begini, ‘Dengan kuasa yang besar, TUHAN telah membawa kita keluar dari Mesir, tempat kita dijadikan hamba. Ketika raja Mesir berdegil dan tidak mahu membenarkan kita pergi, TUHAN membunuh setiap anak lelaki sulung dan setiap anak jantan sulung ternakan di Mesir. Itulah sebabnya kita mempersembahkan setiap anak jantan sulung ternakan sebagai korban kepada TUHAN, tetapi kita menebus anak lelaki sulung kita. Perayaan ini akan menjadi satu peringatan, seperti tanda yang diikat pada tangan atau dahi kita, untuk mengingatkan kita bahawa TUHAN telah membawa kita keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya yang besar.’ ” Apabila raja Mesir membenarkan orang Israel pergi, Allah tidak memimpin mereka mengikut jalan yang melalui negeri Filistin, walaupun jalan itu yang paling pendek. Allah berfikir, “Aku tidak mahu umat ini mengubah fikiran, lalu balik ke Mesir apabila mereka tahu bahawa mereka mesti berperang.” Oleh itu Dia membawa mereka ke jalan keliling melalui padang gurun menuju Laut Gelagah. Pada masa orang Israel meninggalkan Mesir, mereka bersenjata seperti akan berperang. Musa membawa jenazah Yusuf, kerana semasa hidupnya Yusuf telah menyuruh orang Israel bersumpah untuk berbuat demikian. Yusuf berpesan, “Apabila Allah menyelamatkan kamu, kamu mesti membawa jenazahku keluar dari tempat ini.” Orang Israel meninggalkan Sukot lalu berkhemah di Etam, di pinggir padang gurun. Pada siang hari, TUHAN berada di hadapan mereka dalam tiang awan, untuk menunjukkan jalan kepada mereka; pada malam hari Dia berada di hadapan mereka dalam tiang api, untuk memberikan cahaya kepada mereka. Oleh itu mereka dapat berjalan pada siang dan malam. Sepanjang hari tiang awan berada di hadapan bangsa itu, dan sepanjang malam tiang api berada di hadapan mereka. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah orang Israel kembali dan berkhemah di hadapan kota Pi-Hahirot, di antara kota Migdol dan Laut Gelagah, dekat kota Baal-Zefon. Raja Mesir akan menyangka bahawa orang Israel sedang mengembara di negeri ini dan takut melintasi padang gurun. Aku akan menyebabkan raja Mesir berdegil sehingga dia mengejar kamu; kemenangan-Ku atas raja itu akan mendatangkan penghormatan kepada-Ku. Kemudian orang Mesir akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” Orang Israel melakukan apa yang diperintahkan kepada mereka. Apabila raja Mesir diberitahu bahawa orang Israel telah melarikan diri, raja itu bersama dengan para pegawainya mengubah fikiran, lalu berkata, “Apakah yang telah kita buat? Kita telah membiarkan orang Israel melarikan diri sehingga kita kehilangan abdi.” Raja menyiapkan kereta kudanya untuk berperang, dan juga tenteranya. Raja berangkat dengan semua kereta kudanya, termasuk enam ratus buah kereta kuda terbaik yang dikendarai oleh para panglima tentera. TUHAN menyebabkan raja berdegil, sehingga raja mengejar orang Israel yang sedang dalam perjalanan meninggalkan tempat itu dengan kemenangan. Tentera Mesir bersama dengan semua kuda, kereta kuda dan pemandu, mengejar orang Israel dan menyusul mereka di tempat perkhemahan mereka di tepi Laut Gelagah, dekat Pi-Hahirot dan Baal-Zefon. Apabila orang Israel melihat raja dan tentera Mesir mara untuk menyerang mereka, mereka takut lalu berseru kepada TUHAN meminta pertolongan. Mereka berkata kepada Musa, “Tiadakah kubur di Mesir sehingga kamu membawa kami ke padang gurun untuk mati? Lihatlah apa yang terjadi kerana kamu membawa kami keluar dari Mesir! Sebelum kita berangkat, kami telah berkata bahawa perkara ini akan berlaku. Kami telah memberitahu kamu supaya tidak mengganggu kami, dan membiarkan kami terus menjadi abdi orang Mesir. Lebih baik kami menjadi abdi di sana daripada mati di padang gurun ini.” Musa menjawab, “Jangan takut! Tabahlah! Perhatikanlah apa yang akan dilakukan oleh TUHAN untuk menyelamatkan kamu pada hari ini; kamu tidak akan melihat semua orang Mesir itu lagi. TUHAN akan berjuang untuk kamu. Kamu tidak perlu berbuat apa-apa.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Mengapa engkau berseru meminta tolong? Suruhlah orang Israel berjalan terus. Angkatlah tongkatmu dan hulurkan ke atas laut. Air laut akan terbelah, lalu orang Israel akan dapat berjalan melintasi laut di atas dasarnya yang kering. Aku akan menyebabkan orang Mesir begitu degil sehingga mereka mengejar orang Israel, bahkan ke dalam laut sekali pun. Maka kemenangan-Ku atas raja Mesir, tenteranya, kereta kudanya, dan para pemandu kereta kudanya akan mendatangkan penghormatan kepada-Ku. Apabila Aku mengalahkan mereka, orang Mesir akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” Malaikat Allah yang berada di hadapan tentera Israel berpindah ke belakang. Tiang awan yang berada di hadapan mereka juga berpindah ke antara tentera Mesir dan orang Israel. Awan itu mendatangkan kegelapan bagi orang Mesir tetapi memberikan cahaya kepada orang Israel, sehingga sepanjang malam kedua-dua pasukan itu tidak dapat menghampiri satu sama lain. Musa menghulurkan tangannya ke atas laut, dan TUHAN menyebabkan angin timur bertiup dengan kencang sehingga air laut mundur. Angin itu bertiup sepanjang malam dan mengubah laut menjadi tanah yang kering. Air laut terbelah, dan orang Israel melintasi laut di atas tanah yang kering, sedangkan air di sebelah kanan dan kiri merupakan tembok air. Orang Mesir bersama dengan kuda, kereta kuda, dan para pemandu kereta kuda, mengejar orang Israel sampai ke tengah laut. Apabila fajar menyingsing, dari tiang api dan tiang awan, TUHAN melihat tentera Mesir, lalu mengacau-bilaukan mereka. Dia menyebabkan roda-roda kereta kuda mereka tersekat sehingga susah bergerak. Orang Mesir berkata, “TUHAN memihak orang Israel untuk menentang kita. Marilah kita lari dari sini!” TUHAN berfirman kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke atas laut, maka air akan kembali lalu menimpa orang Mesir dan kereta kuda serta pemandu kereta kuda mereka.” Oleh itu Musa menghulurkan tangannya ke atas laut. Apabila fajar menyingsing, air kembali ke paras biasa. Orang Mesir cuba melarikan diri dari laut, tetapi TUHAN menenggelamkan mereka. Air kembali dan menutupi semua kereta kuda dan pemandu kereta kuda, serta segenap tentera Mesir yang mengejar orang Israel ke tengah laut; tiada seorang pun tentera Mesir yang terselamat. Tetapi orang Israel melintasi laut di atas tanah yang kering, sedangkan air di sebelah kanan dan kiri merupakan tembok air. Pada hari itu, TUHAN menyelamatkan orang Israel daripada orang Mesir. Orang Israel melihat mayat orang Mesir terdampar di pantai. Apabila orang Israel melihat TUHAN mengalahkan orang Mesir dengan kuasa yang besar, mereka takut akan TUHAN; mereka percaya kepada TUHAN dan hamba-Nya Musa. Kemudian Musa dan orang Israel menyanyikan lagu ini untuk TUHAN, “Aku hendak menyanyi untuk TUHAN kerana Dia telah mendapat kemenangan yang cemerlang; Dia telah membuang kuda dan penunggang kuda ke dalam laut. TUHAN pembelaku yang kuat; Dialah yang telah menyelamatkan aku. Dialah Allahku, dan aku akan memuji Dia; Dia Allah yang disembah bapaku, dan aku akan menyanyikan kebesaran-Nya. TUHAN ialah pahlawan; TUHAN ialah nama-Nya. Dia membuang tentera Mesir dan kereta kuda mereka ke dalam laut; para pegawai tentera yang terbaik lemas di Laut Gelagah. Laut yang dalam meliputi mereka, mereka tenggelam ke dasar laut seperti batu. Ya TUHAN, kekuatan-Mu, sungguh menakjubkan; Engkau menghancurkan musuh sehingga hancur luluh. Dengan keagungan yang hebat, Engkau menggulingkan musuh-Mu; kemurkaan-Mu menyala dan membakar mereka seperti jerami. Engkau meniup laut sehingga airnya tertompok tinggi; airnya tegak lurus seperti tembok; dasarnya yang paling dalam menjadi kering. Musuh berkata, ‘Aku akan mengejar dan menangkap mereka; aku akan membahagi-bahagikan kekayaan mereka, dan mengambil segala yang aku kehendaki; aku akan menghunus pedangku dan mengambil segala milik mereka.’ Tetapi dengan hanya satu hembusan nafas-Mu, ya TUHAN, orang Mesir tenggelam; mereka tenggelam seperti timah di dalam air yang dahsyat. Ya TUHAN, siapakah antara tuhan-tuhan yang seperti Engkau? Siapakah yang seperti Engkau, mulia dan suci? Siapakah yang dapat melakukan mukjizat dan perbuatan menakjubkan seperti yang Engkau lakukan? Engkau menghulurkan tangan kanan-Mu, lalu bumi menelan musuh-musuh kami. Engkau memimpin umat yang telah Engkau selamatkan, kerana Engkau setia kepada janji-Mu. Dengan kekuatan-Mu yang besar, Engkau memimpin mereka ke tanah-Mu yang suci. Bangsa-bangsa yang mendengar hal itu gementar ketakutan; orang Filistin dicengkam perasaan gentar. Para pemimpin orang Edom gerun; orang Moab yang perkasa gementar; orang Kanaan hilang keberanian. Ketakutan dan kengerian menimpa mereka. Mereka nampak kekuatan-Mu, ya TUHAN, mereka tidak berdaya kerana ketakutan, sehingga umat-Mu telah lalu di hadapan mereka — umat yang Engkau bebaskan daripada perhambaan. Engkau membawa mereka masuk, dan menempatkan mereka di gunung-Mu, tempat yang Engkau, ya TUHAN, pilih untuk menjadi kediaman-Mu; Rumah yang Engkau bina sendiri. Engkau, ya TUHAN, akan menjadi raja selama-lamanya.” Orang Israel melintasi laut di atas tanah yang kering. Tetapi apabila kereta kuda dan kuda orang Mesir, serta pemandu kereta kuda masuk ke dalam laut, TUHAN mengembalikan air sehingga mereka tenggelam. Kemudian Miryam, seorang nabi, iaitu kakak Harun, mengambil tamburinnya. Lalu semua wanita ikut memukul tamburin sambil menari. Miryam bernyanyi untuk mereka, “Bernyanyilah untuk TUHAN kerana Dia telah mendapat kemenangan yang cemerlang; Dia telah membuang kuda dan penunggang kuda ke dalam laut.” Kemudian Musa memimpin orang Israel meninggalkan Laut Gelagah dan masuk ke padang gurun Syur. Mereka berjalan melintasi gurun itu selama tiga hari tanpa menjumpai air. Kemudian mereka tiba di suatu tempat yang bernama Mara, tetapi air di situ sangat pahit sehingga tidak dapat diminum. Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Mara. Rakyat bersungut terhadap Musa dan bertanya, “Apakah yang hendak kami minum?” Musa berdoa dengan sungguh-sungguh kepada TUHAN, lalu TUHAN menunjukkan sebatang kayu kepadanya. Musa mencampakkan kayu itu ke dalam air, lalu air itu tidak pahit lagi sehingga dapat diminum. Di tempat itu TUHAN memberikan hukum kepada mereka, dan di situ juga Dia menguji mereka. Dia berfirman, “Jika kamu sungguh-sungguh mentaati Aku, TUHAN, Allah kamu, dengan melakukan apa yang benar di sisi-Ku, serta menurut segala perintah-Ku, Aku tidak akan menghukum kamu dengan penyakit yang Aku timpakan kepada orang Mesir. Akulah TUHAN yang menyembuhkan kamu.” Kemudian mereka tiba di Elim. Di situ terdapat dua belas mata air dan tujuh puluh pokok kurma. Mereka berkhemah dekat air di situ. Segenap umat Israel berangkat dari Elim. Pada hari kelima belas dalam bulan kedua sejak mereka meninggalkan Mesir, mereka tiba di padang gurun Sin yang terletak di antara Elim dan Sinai. Mereka semua bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun di padang gurun itu. Mereka berkata kepada Musa dan Harun, “Lebih baik sekiranya kami mati dibunuh oleh TUHAN di Mesir. Di sana sekurang-kurangnya kami dapat duduk, serta makan daging, dan seberapa banyak makanan yang kami inginkan. Tetapi kamu telah membawa kami ke padang gurun ini supaya kami semua mati kelaparan.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Sekarang Aku akan menghujani kamu semua dengan makanan dari langit. Tiap-tiap hari umat mesti keluar untuk mengumpulkan roti secukupnya bagi satu hari. Dengan cara ini Aku dapat menguji umat-Ku, supaya Aku tahu sama ada mereka mentaati perintah-Ku atau tidak. Pada hari yang keenam, mereka harus mengumpulkan makanan itu dua kali ganda banyaknya dan menyediakannya.” Oleh itu Musa dan Harun berkata kepada segenap umat Israel, “Pada petang ini kamu akan tahu bahawa TUHAN itulah yang membawa kamu keluar dari Mesir. Pada pagi hari kamu akan melihat cahaya hadirat TUHAN. Dia telah mendengar sungutan kamu terhadap-Nya; ya, terhadap-Nya, kerana kami hanya melaksanakan perintah-Nya.” Kemudian Musa berkata, “TUHAN akan memberi kamu daging untuk dimakan pada waktu petang, dan seberapa banyak roti yang kamu kehendaki pada waktu pagi, kerana Dia telah mendengar betapa seringnya kamu bersungut terhadap-Nya. Sesungguhnya, sungutan kamu bukanlah terhadap kami, tetapi terhadap TUHAN.” Musa berkata kepada Harun, “Suruhlah mereka semua datang menghadap TUHAN, kerana Dia telah mendengar sungutan mereka.” Sedang Harun berucap kepada mereka semua, mereka memandang ke hala padang gurun, dan tiba-tiba cahaya hadirat TUHAN kelihatan di dalam awan. TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku telah mendengar sungutan orang Israel. Katakan kepada mereka, bahawa pada waktu petang mereka akan mendapat daging untuk dimakan, dan pada waktu pagi mereka akan mendapat roti sebanyak yang diingini mereka. Oleh itu mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka.” Pada petang hari, banyak sekali burung puyuh datang ke perkhemahan mereka sehingga meliputi seluruh perkhemahan. Pada waktu pagi, terdapat pula lapisan embun di sekeliling perkhemahan. Setelah embun itu mengewap, sesuatu yang tipis seperti sisik dan halus seperti embun yang beku terdapat di atas padang gurun. Apabila orang Israel melihatnya, mereka tidak tahu apa benda itu. Mereka bertanya satu sama lain, “Apakah benda ini?” Musa berkata kepada mereka, “Inilah makanan yang diberi oleh TUHAN kepada kamu untuk dimakan. TUHAN telah memberikan perintah supaya tiap-tiap orang mengumpulkan makanan itu seberapa banyak yang diperlukannya, iaitu sebanyak dua liter bagi setiap anggota keluarga.” Orang Israel berbuat demikian; ada yang mengumpulkan lebih daripada dua liter dan ada pula yang mengumpulkan kurang daripada itu. Ketika mereka menakarnya, ternyata bahawa orang yang mengumpulkan banyak tidak mendapat lebih, dan orang yang mengumpulkan sedikit tidak pula kekurangan. Tiap-tiap orang mengumpulkan sebanyak yang diperlukannya. Musa berkata kepada mereka, “Tiada sesiapa yang boleh menyimpan makanan walau sedikit pun sehingga esok.” Tetapi ada di kalangan mereka yang tidak mengendahkan kata-kata Musa, lalu menyimpan sebahagian daripada makanan itu. Pagi esoknya, makanan itu berulat dan berbau busuk, lalu Musa marah kepada mereka. Setiap pagi mereka mengumpulkan makanan itu, sebanyak yang diperlukan. Apabila matahari panas terik, makanan yang tertinggal di tanah mencair. Pada hari keenam mereka mengumpulkan makanan dua kali ganda banyaknya, sebanyak empat liter bagi setiap orang. Semua pemimpin umat itu datang dan memberitahukan hal itu kepada Musa. Musa berkata kepada mereka, “TUHAN memerintahkan bahawa esok hari rehat, hari suci yang ditahbiskan bagi-Nya. Pada hari ini bakarlah apa yang hendak kamu bakar, dan rebuslah apa yang hendak kamu rebus. Yang selebihnya, hendaklah diketepikan dan disimpan untuk esok.” Sebagaimana yang telah disuruh oleh Musa, mereka menyimpan lebihan makanan itu sehingga hari berikutnya; makanan itu tidak menjadi basi dan tidak berulat. Musa berkata, “Makanlah makanan ini pada hari ini, kerana hari ini hari Sabat, hari rehat yang telah ditahbiskan bagi TUHAN. Kamu tidak akan mendapat sebarang makanan di luar perkhemahan. Kamu mesti mengumpulkan makanan selama enam hari, tetapi pada hari ketujuh, hari rehat itu, tidak ada makanan untuk dipungut.” Pada hari ketujuh beberapa orang antara umat itu keluar untuk mengumpulkan makanan, tetapi tidak mendapati apa-apa. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Berapa lama lagi kamu tidak mahu taat kepada perintah-Ku? Ingatlah bahawa Aku, TUHAN telah memberikan hari rehat kepada kamu. Itulah sebabnya, pada hari keenam Aku memberi kamu makanan yang cukup untuk dua hari. Pada hari ketujuh setiap orang mesti tinggal di tempat masing-masing, dan tidak boleh meninggalkan rumahnya.” Oleh itu mereka tidak bekerja pada hari ketujuh. Umat Israel menamakan makanan itu manna. Rupanya seperti biji-biji kecil berwarna putih dan rasanya seperti biskut yang dibuat dengan madu. Musa berkata, “TUHAN telah menyuruh kita menyimpan sedikit manna untuk keturunan kita, supaya mereka dapat melihat makanan yang diberikan TUHAN kepada kita di padang gurun, ketika Dia membawa kita keluar dari Mesir.” Musa berkata kepada Harun, “Ambillah sebuah balang dan isilah dengan dua liter manna, lalu letakkan balang itu di hadapan TUHAN, untuk disimpan bagi keturunan kita.” Harun meletakkan balang itu di hadapan Tabut Perjanjian untuk disimpan, menurut perintah TUHAN kepada Musa. Orang Israel memakan manna selama empat puluh tahun sehingga mereka tiba di tanah Kanaan, tempat mereka menetap. ( Takaran benda kering yang biasa dipakai orang pada zaman itu, berisi dua puluh liter.) Segenap umat Israel meninggalkan padang gurun Sin dan berpindah-pindah dari satu tempat ke tempat lain mengikut perintah TUHAN. Mereka berkhemah di Rafidim, tetapi mereka tidak mendapati air minum di sana. Mereka bersungut-sungut terhadap Musa dan berkata, “Berilah kami air minum.” Musa menjawab, “Mengapakah kamu bersungut-sungut? Mengapakah kamu menguji TUHAN?” Tetapi umat itu terlalu dahaga dan terus-menerus bersungut terhadap Musa. Mereka berkata, “Mengapa kamu membawa kami keluar dari Mesir? Adakah supaya kami dan anak-anak kami, serta ternakan kami mati kehausan?” Musa berdoa dengan sungguh-sungguh kepada TUHAN dan berkata, “Apakah yang harus aku lakukan terhadap umat ini? Mereka mahu merejam aku.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Panggillah beberapa orang pemimpin Israel dan berjalanlah bersama dengan mereka mendahului umat. Bawa juga tongkat yang engkau gunakan untuk memukul Sungai Nil. Aku akan berdiri di hadapan kamu di atas sebuah batu besar di Gunung Sinai. Pukullah batu itu, maka air akan memancar untuk diminum orang.” Musa melakukan hal itu di hadapan para pemimpin orang Israel. Tempat itu dinamakan Masa dan Meriba kerana orang Israel bersungut-sungut dan menguji TUHAN ketika mereka bertanya, “Adakah TUHAN menyertai kita atau tidak?” Orang Amalek datang dan menyerang orang Israel di Rafidim. Musa berkata kepada Yosua, “Pilihlah beberapa orang untuk memerangi orang Amalek esok. Aku akan berdiri di puncak bukit sambil memegang tongkat sebagaimana yang disuruh Allah.” Yosua melakukan apa yang disuruh Musa lalu keluar memerangi orang Amalek, sementara Musa, Harun, dan Hur naik ke puncak bukit. Selama Musa mengangkat tangannya, orang Israel menang, tetapi apabila dia menurunkan tangannya, orang Amalek pula mula menang. Apabila tangan Musa berasa letih, Harun dan Hur mengambil sebuah batu lalu menyuruh Musa duduk di atasnya, sementara mereka berdiri di sisinya untuk menunjang tangan Musa. Mereka menunjang tangan Musa sehingga matahari terbenam. Dengan demikian Yosua mengalahkan orang Amalek. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Tulislah peristiwa ini supaya dapat dikenang. Beritahulah Yosua bahawa orang Amalek akan Aku binasakan sama sekali.” Musa membina sebuah mazbah dan menamakannya “TUHAN Panjiku.” Musa berkata, “Kibarkanlah panji TUHAN! TUHAN akan terus-menerus berperang melawan orang Amalek hingga selama-lamanya!” Yitro, bapa mentua Musa, imam di Midian, mendengar segala yang telah dilakukan Allah bagi Musa dan orang Israel ketika TUHAN membawa mereka keluar dari Mesir. Oleh itu Yitro bersama dengan Zipora datang melawat Musa. Zipora ialah isteri Musa, yang masih tinggal di Midian. Yitro juga membawa Gersom dan Eliezer, dua orang anak lelaki Zipora. (Musa pernah berkata, “Aku seorang asing di tanah yang tidak aku kenali.” Oleh itu dia menamakan seorang daripada anak lelakinya Gersom. Dia juga berkata, “Allah yang disembah bapaku telah menolong dan menyelamatkan aku daripada dibunuh oleh raja Mesir.” Oleh itu dia menamakan anak lelakinya yang seorang lagi Eliezer.) Yitro datang bersama dengan isteri dan anak-anak lelaki Musa ke padang gurun, tempat Musa berkhemah dekat gunung suci. Yitro telah mengirim khabar kepada Musa bahawa mereka sedang datang. Oleh itu Musa keluar untuk menyambutnya. Dia bersujud di hadapan Yitro lalu menciumnya. Mereka saling bertanya tentang kesihatan masing-masing, lalu masuk ke khemah Musa. Musa memberitahu Yitro segala perbuatan TUHAN terhadap raja dan orang Mesir untuk menyelamatkan orang Israel. Dia juga memberitahu Yitro tentang kesusahan yang dihadapi mereka dalam perjalanan dan bagaimana mereka telah diselamatkan oleh TUHAN. Yitro sangat gembira apabila mendengar segala perkara itu. Dia berkata, “Pujilah TUHAN yang telah menyelamatkan kamu daripada raja dan orang Mesir. Pujilah TUHAN yang telah menyelamatkan umat-Nya daripada perhambaan! Sekarang aku tahu bahawa TUHAN lebih agung daripada semua tuhan, kerana Dia melakukan semua itu ketika orang Mesir bertindak dengan sangat angkuh terhadap orang Israel.” Kemudian Yitro membawa persembahan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan juga korban-korban lain untuk dipersembahkan kepada Allah. Harun dan semua pemimpin orang Israel pergi dengan Yitro untuk makan bersama-sama di hadirat Allah. Pada keesokan hari, Musa menyelesaikan perselisihan antara orang Israel. Oleh itu dia sibuk dari pagi hingga malam. Apabila Yitro melihat segala sesuatu yang perlu dilakukan oleh Musa, dia bertanya, “Apakah semua hal ini yang kamu lakukan untuk umat ini? Mengapa kamu melakukan tugas ini seorang diri, sehingga semua orang itu harus berdiri di sini dari pagi hingga malam untuk meminta nasihatmu?” Musa menjawab, “Saya mesti melakukan kerja ini kerana umat datang kepada saya untuk mengetahui kehendak Allah. Apabila dua orang bertengkar, mereka akan datang kepada saya dan saya memutuskan siapa antara mereka yang benar. Saya juga menyampaikan perintah dan hukum Allah kepada mereka.” Kemudian Yitro berkata kepada Musa, “Kamu tidak melakukan tugas ini dengan cara yang betul. Dengan cara ini, kamu akan meletihkan dirimu dan juga semua orang itu. Tugas ini terlalu berat untuk kamu lakukan seorang diri. Sekarang dengarlah nasihat saya, maka Allah akan menyertai kamu. Memang kamu harus mewakili umat ini di hadapan Allah dan mengemukakan perselisihan mereka kepada-Nya. Kamu harus mengajar mereka tentang perintah dan hukum Allah, serta menerangkan bagaimana mereka harus hidup dan apa yang harus dilakukan. Tetapi selain hal itu, kamu harus memilih beberapa orang lelaki yang bijaksana. Lantiklah mereka sebagai pemimpin rakyat untuk mengetuai seribu orang, seratus orang, lima puluh orang, dan sepuluh orang. Mereka mestilah orang yang takut akan Allah, yang dapat dipercayai, dan yang tidak mahu menerima rasuah. Biarlah mereka sentiasa bertugas sebagai hakim bagi umat. Mereka boleh mengemukakan segala hal yang sukar kepadamu, tetapi mereka sendiri harus memutuskan perselisihan yang kecil. Cara ini akan memudahkan pekerjaanmu, kerana mereka akan membantu memikul bebanmu. Jika kamu melakukan hal ini sebagaimana yang diperintahkan Allah, kamu tidak akan meletihkan diri, dan semua orang itu pun dapat pulang ke rumah dengan perselisihan yang sudah diselesaikan.” Musa mengikut nasihat Yitro. Musa memilih beberapa orang lelaki yang bijaksana di kalangan umat Israel, lalu melantik mereka sebagai pemimpin yang mengetuai seribu orang, seratus orang, lima puluh orang, dan sepuluh orang. Mereka sentiasa bertugas sebagai hakim orang Israel. Mereka mengemukakan hal-hal yang sukar kepada Musa, tetapi mereka sendiri menyelesaikan perselisihan yang kecil-kecil. Kemudian Musa mengucapkan selamat jalan kepada Yitro, lalu Yitro pulang ke negerinya. [1-2] Kemudian orang Israel meninggalkan Rafidim. Pada hari pertama bulan ketiga setelah mereka keluar dari Mesir, mereka sampai di padang gurun Sinai. Mereka memasang khemah di situ, di kaki Gunung Sinai. *** Musa naik ke atas gunung itu untuk bertemu dengan Allah. TUHAN memanggil Musa dari gunung itu dan menyuruh dia memberitahu orang Israel, keturunan Yakub, “Kamu telah melihat apa yang Aku lakukan kepada orang Mesir, dan bagaimana Aku membawa kamu kepada-Ku di tempat ini, seperti seekor burung helang yang membawa anaknya di atas sayapnya. Sekarang, jika kamu taat kepada-Ku dan setia kepada perjanjian-Ku, kamu akan menjadi umat-Ku sendiri. Seluruh bumi ini kepunyaan-Ku, tetapi kamu akan menjadi umat pilihan-Ku. Kamu akan menjadi umat yang ditahbiskan untuk diri-Ku sendiri, dan kamu akan mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam.” Oleh itu Musa turun, lalu memanggil para pemimpin umat supaya berkumpul. Kemudian dia memberitahu mereka segala perkara yang diperintahkan TUHAN kepadanya. Segenap umat menjawab dengan serentak, “Kami akan melakukan segala yang telah difirmankan TUHAN.” Musa melaporkan hal ini kepada TUHAN. TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku akan datang kepadamu dalam awan yang tebal agar umat dapat mendengar Aku berfirman kepadamu; mulai saat itu mereka akan sentiasa percaya kepadamu.” Musa menyampaikan jawapan umat kepada TUHAN. TUHAN berfirman kepadanya, “Pergilah menemui umat dan suruh mereka menyucikan diri pada hari ini dan esok. Mereka mesti membasuh pakaian mereka dan siap pada hari lusa. Pada hari itu Aku akan turun ke Gunung Sinai. Di situ segenap umat akan dapat melihat Aku. Buatlah sempadan di sekeliling gunung itu supaya umat tidak melintasinya. Beritahulah mereka supaya tidak naik ke gunung itu ataupun mendekatinya. Sesiapa yang melintasi sempadan itu akan dihukum mati. Orang itu mesti direjam ataupun dipanah, dan tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun. Peraturan ini berlaku kepada manusia dan binatang; semua yang melintasi sempadan itu tidak boleh dibiarkan hidup. Tetapi apabila kedengaran bunyi panjang dari trompet, umat harus mendaki gunung.” Kemudian Musa turun dari gunung dan menyuruh umat bersiap untuk beribadat. Mereka membasuh pakaian, lalu Musa berkata kepada mereka, “Bersiaplah untuk hari lusa, dan sementara ini kamu tidak boleh bersetubuh.” Pada hari yang ketiga, pada waktu pagi, ada guruh dan kilat di atas gunung. Awan yang tebal kelihatan di situ, dan bunyi trompet yang kuat sekali kedengaran. Segenap umat di perkhemahan itu gementar ketakutan. Musa membawa mereka keluar dari perkhemahan untuk bertemu dengan Allah, lalu mereka berdiri di kaki gunung. Seluruh Gunung Sinai diliputi asap kerana TUHAN telah turun ke atasnya di dalam api. Asap itu naik berkepul-kepul seperti asap relau, dan seluruh gunung itu bergoncang dengan kuat. Bunyi trompet semakin kuat. Musa berkata-kata dan Allah menjawabnya dengan guruh. TUHAN turun di atas puncak Gunung Sinai, lalu memanggil Musa ke atas gunung itu. Musa mendaki gunung, lalu TUHAN berfirman kepadanya, “Turunlah dan ingatkan umat supaya tidak melintasi sempadan itu untuk melihat Aku. Jika mereka melintasinya, banyak orang akan mati. Imam-imam sekalipun yang datang menghampiri Aku mesti menyucikan diri. Jika tidak, Aku akan menghukum mereka.” Musa berkata kepada TUHAN, “Umat tidak dapat naik ke sini, kerana Engkau telah menyuruh kami menganggap gunung ini suci dan membuat sempadan di sekelilingnya.” TUHAN menjawab, “Turunlah, lalu baliklah ke sini bersama-sama Harun. Tetapi para imam dan umat yang lain tidak boleh melintasi sempadan itu untuk datang kepada-Ku. Jika mereka melintasinya, Aku akan menghukum mereka.” Kemudian Musa turun untuk menemui umat dan memberitahu mereka apa yang telah difirmankan TUHAN. Kemudian Allah berfirman, dan inilah firman-Nya, “Akulah TUHAN, Allah kamu yang membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu dijadikan hamba. Jangan sembah tuhan-tuhan lain; sembahlah Aku sahaja. Jangan buat patung bagi diri kamu, patung yang menyerupai apa-apa pun yang ada di langit, di bumi, atau di dalam air di bawah bumi. Jangan sujud atau sembah kepada patung apa pun, kerana Akulah TUHAN, Allah kamu, dan Aku tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun. Aku menghukum orang yang membenci Aku. Aku juga menghukum keturunan mereka sehingga generasi yang ketiga dan keempat. Tetapi Aku menunjukkan kasih-Ku kepada beribu-ribu keturunan orang yang mengasihi Aku dan taat kepada hukum-Ku. Jangan sebut nama-Ku untuk maksud yang jahat kerana Aku TUHAN, Allah kamu, menghukum sesiapa sahaja yang menyalahgunakan nama-Ku. Rayakanlah hari Sabat dan hormatilah hari itu sebagai hari yang suci. Kamu mempunyai enam hari untuk bekerja, tetapi hari yang ketujuh ialah hari rehat yang ditahbiskan untuk Aku. Pada hari itu satu pun tidak boleh bekerja: sama ada kamu, anak kamu, abdi kamu, ternakan kamu, atau bangsa asing yang tinggal di negeri kamu. Dalam masa enam hari Aku, TUHAN, telah menciptakan bumi, langit, laut, dan semua yang ada di dalam segalanya itu, tetapi pada hari yang ketujuh Aku berehat. Itulah sebabnya Aku, TUHAN, memberkati hari Sabat dan mengekhaskannya bagi-Ku. Hormatilah bapa dan ibu kamu, supaya kamu panjang umur di tanah yang akan Aku berikan kepada kamu. Jangan membunuh. Jangan berzina. Jangan mencuri. Jangan berikan kesaksian palsu tentang orang lain. Jangan ingini kepunyaan orang lain: rumahnya, isterinya, abdinya, ternakannya, keldainya atau apa-apa pun miliknya.” Apabila orang Israel mendengar bunyi guruh dan trompet, serta melihat kilat dan gunung berasap, mereka gementar ketakutan lalu berdiri jauh dari situ. Mereka berkata kepada Musa, “Jika tuan bercakap kepada kami, kami akan mendengar. Tetapi jika Allah berfirman kepada kami, kami akan mati.” Musa menjawab, “Jangan takut; Allah datang hanya untuk menguji kamu, supaya kamu tetap taat kepada-Nya dan supaya kamu tidak berdosa.” Tetapi umat itu masih berdiri jauh dari situ, dan hanya Musa yang menghampiri awan gelap di tempat Allah berada. TUHAN menyuruh Musa berkata kepada orang Israel, “Kamu telah melihat bagaimana Aku, TUHAN telah berfirman kepada kamu dari langit. Jangan buat berhala bagi diri kamu — berhala daripada perak ataupun emas untuk disembah di samping Aku. Binalah mazbah daripada tanah bagi-Ku; di atasnya persembahkanlah domba dan lembu kamu sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Di setiap tempat yang Aku tentukan bagi kamu untuk beribadat kepada-Ku, Aku akan datang dan memberkati kamu. Jika kamu membina mazbah daripada batu untuk-Ku, jangan binanya daripada batu yang dipahat, kerana apabila kamu menggunakan pahat padanya, batu itu tidak lagi layak untuk-Ku. Jangan bina mazbah yang bertangga untuk-Ku, supaya tidak kelihatan bahagian badan kamu yang tidak wajar dilihat.” Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Berikanlah hukum-hukum ini kepada umat Israel: Jika kamu membeli seorang abdi bangsa Ibrani, dia harus bekerja untuk kamu selama enam tahun. Pada tahun ketujuh dia mesti dibebaskan tanpa membayar apa-apa pun kepada kamu. Jika dia masih bujang ketika dia menjadi abdi kamu, maka isterinya tidak boleh ikut apabila dia dibebaskan. Tetapi jika dia sudah berkahwin ketika dia menjadi abdi kamu, dia boleh pergi bersama dengan isterinya. Jika tuannya mengahwinkan dia dengan seorang perempuan, lalu isterinya melahirkan beberapa orang anak lelaki atau perempuan, isteri dan anak-anaknya itu milik tuannya, dan tidak boleh ikut apabila abdi itu dibebaskan. Tetapi jika abdi itu mengaku mengasihi tuannya, isterinya serta anak-anaknya, dan tidak mahu dibebaskan, tuannya harus membawa dia ke tempat ibadat. Di situ abdi itu disuruh berdiri dan bersandar pada pintu atau tiang pintu, lalu tuannya harus menindik telinga abdi itu. Dengan demikian abdi itu akan menjadi abdi tuannya seumur hidup. Jika seorang bapa menjual anak perempuannya sebagai abdi, abdi perempuan itu tidak boleh dibebaskan seperti abdi lelaki. Jika perempuan itu dijual kepada seorang lelaki dengan maksud dia menjadi isteri lelaki itu, tetapi jika lelaki itu tidak suka akan dia, maka perempuan itu mesti dijual balik kepada bapanya. Tuannya tidak boleh menjual perempuan itu kepada orang asing kerana tuannya tidak memperlakukan dia dengan adil. Jika seorang bapa membeli seorang abdi perempuan untuk dikahwinkan kepada anak lelakinya, bapa itu mesti memperlakukan abdi itu sebagai anak perempuannya sendiri. Jika anak lelaki itu berkahwin lagi, dia tetap mempunyai kewajipan untuk memberikan makanan dan pakaian serta hak seperti biasa kepada isterinya yang pertama. Jika dia tidak memenuhi tanggungjawabnya terhadap isterinya itu, dia mesti membebaskannya tanpa menerima bayaran apa-apa pun.” “Sesiapa yang memukul dan membunuh orang lain mesti dihukum mati. Tetapi jika dia tidak sengaja dan tidak berniat untuk membunuhnya, orang itu boleh melarikan diri ke suatu tempat yang akan Aku tunjukkan kepada kamu. Di situ orang itu akan mendapat perlindungan. Tetapi jika seseorang naik marah lalu dengan sengaja membunuh orang lain, dia mesti dihukum mati walaupun dia lari ke mazbah-Ku untuk mendapat perlindungan. Sesiapa yang memukul bapanya atau ibunya mesti dihukum mati. Sesiapa yang menculik orang, sama ada sudah dijual ataupun masih di rumahnya, penculik itu mesti dihukum mati. Sesiapa yang mengutuk bapanya ataupun ibunya mesti dihukum mati. Jika dalam suatu pergaduhan, seseorang memukul orang lain dengan batu atau memukul dia dengan tinju, tetapi tidak membunuhnya, orang itu tidak akan dihukum. Jika orang yang dipukul itu harus berbaring akibat pukulan itu, tetapi kemudian dapat bangun dan berjalan dengan menggunakan tongkat, orang yang memukulnya itu mesti membayar ganti rugi selama orang itu sakit, dan merawatnya sehingga sembuh. Jika seseorang memukul abdinya dengan kayu, sama ada abdi itu lelaki ataupun perempuan, lalu abdi itu mati dengan serta-merta, orang yang memukul abdi itu mesti dihukum. Tetapi jika abdi itu tidak mati selepas satu atau dua hari, tuannya tidak akan dihukum. Kehilangan abdi itu sudah merupakan hukuman baginya. Jika ada beberapa orang lelaki bergaduh lalu mencederakan seorang perempuan hamil sehingga dia keguguran, tetapi perempuan itu sendiri tidak cedera pada bahagian lain, orang yang mencederakan perempuan itu mesti didenda menurut permintaan suami perempuan itu, dengan persetujuan para hakim. Tetapi jika perempuan itu sendiri cedera, hukumannya adalah nyawa ganti nyawa, mata ganti mata, gigi ganti gigi, tangan ganti tangan, kaki ganti kaki, luka bakar ganti luka bakar, luka ganti luka, dan lebam ganti lebam. Jika seseorang memukul mata abdinya, lelaki ataupun perempuan, lalu menyebabkan mata itu buta, dia mesti membebaskan abdinya itu sebagai pembayaran ganti rugi untuk mata itu. Jika seseorang memukul abdinya sampai patah gigi abdinya, dia mesti membebaskan abdinya itu sebagai pembayaran ganti rugi untuk gigi itu.” “Jika seekor lembu jantan menanduk seseorang sehingga orang itu mati, lembu jantan itu mesti direjam dan dagingnya tidak boleh dimakan, tetapi pemiliknya tidak akan dihukum. Tetapi jika lembu jantan itu selalu menyerang orang, dan pemiliknya sudah diberikan peringatan tetapi dia tidak mengurung lembu jantan itu, lalu jika lembu jantan itu menanduk seseorang sehingga orang itu mati, lembu jantan itu mesti direjam dan pemiliknya juga mesti dihukum mati. Tetapi jika pemilik itu dibenarkan membayar denda, dia mesti membayar seberapa banyak yang diminta untuk menebus nyawanya. Jika lembu jantan itu membunuh seorang anak lelaki atau seorang anak perempuan, peraturan yang sama harus diikuti. Jika lembu jantan itu membunuh seorang abdi lelaki atau seorang abdi perempuan, pemilik lembu jantan itu mesti membayar pemilik abdi itu sebanyak tiga puluh keping wang perak, dan lembu jantan itu mesti direjam sampai mati. Jika seseorang membuka penutup perigi ataupun menggali perigi tanpa menutupnya, lalu seekor lembu jantan atau keldai jatuh ke dalam perigi itu, pemilik perigi itu mesti membayar ganti rugi kepada pemilik ternakan itu, tetapi dia boleh mengambil ternakan yang mati itu bagi dirinya. Jika lembu jantan milik seseorang membunuh lembu jantan orang lain, kedua-dua orang itu mesti menjual lembu yang hidup itu lalu membahagikan wang harganya. Mereka juga mesti membahagikan daging lembu jantan yang sudah mati itu. Tetapi jika sudah diketahui bahawa lembu jantan itu sering menanduk lembu lain dan pemiliknya tidak mengurung lembu jantan itu, dia mesti membayar ganti rugi dengan lembu jantan yang hidup, dan mengambil lembu jantan yang sudah mati itu bagi dirinya.” “Jika seseorang mencuri seekor lembu atau domba, lalu menyembelih atau menjualnya, dia mesti mengganti seekor lembu dengan lima ekor lembu, dan seekor domba dengan empat ekor domba. [2-4] Orang itu mesti mengganti apa sahaja yang dicurinya. Jika dia tidak mempunyai apa-apa, dia mesti dijual sebagai abdi untuk membayar apa yang telah dicurinya. Jika yang dicuri itu lembu, keldai, ataupun domba, dan didapati masih hidup pada orang itu, dia mesti mengganti setiap ekor binatang dengan dua ekor binatang. Jika seorang pencuri tertangkap ketika memecah masuk ke dalam rumah pada malam hari, lalu dia terbunuh, orang yang membunuh dia tidak bersalah. Tetapi jika hal ini berlaku pada siang hari, orang yang membunuh pencuri itu bersalah. *** *** Jika seseorang membiarkan ternakannya meragut rumput di ladang ataupun ladang anggur, lalu ternakan itu berkeliaran dan makan tanaman di ladang orang lain, pemilik ternakan itu mesti membayar ganti rugi dengan hasil yang terbaik dari ladang atau ladang anggurnya sendiri. Jika seseorang menyalakan api di ladangnya, lalu api itu menyambar semak-semak dan merambat ke ladang orang lain sehingga membakar gandum yang sedang tumbuh ataupun gandum yang sudah diberkas, orang yang menyalakan api itu mesti membayar ganti rugi. Jika seseorang setuju menyimpan titipan berupa wang atau barang berharga, lalu barang-barang itu dicuri dari rumahnya, pencuri itu mesti membayar dua kali ganda, jika dia kedapatan. Tetapi jika pencuri tidak kedapatan, orang yang dititipi itu mesti dibawa ke tempat ibadat, lalu bersumpah bahawa dia tidak mencuri barang yang dititipkan padanya. Bagi tiap-tiap perselisihan faham tentang harta benda, sama ada lembu, keldai, domba, pakaian, ataupun barang-barang yang hilang, kedua-dua orang yang mengaku sebagai pemiliknya mesti dibawa ke tempat ibadat. Orang yang ditunjukkan Allah sebagai orang yang bersalah, mesti membayar dua kali ganda kepada pemilik sebenar. Jika seseorang setuju memelihara keldai, lembu, domba, ataupun binatang lain kepunyaan orang lain, kemudian binatang itu mati, terluka, ataupun dirampas musuh tetapi tidak ada saksinya; dalam hal itu, orang yang memelihara binatang itu mesti pergi ke tempat ibadat lalu bersumpah demi nama TUHAN bahawa dia tidak mencuri binatang itu. Jika memang bukan dia yang mencuri binatang itu, pemilik binatang itu mesti menanggung kerugian, dan orang yang memelihara binatang itu tidak perlu membayar ganti rugi; tetapi jika binatang itu dicuri, dia mesti membayar ganti rugi kepada pemiliknya. Jika ternakan itu diterkam oleh binatang buas, orang itu mesti menunjukkan sisa-sisa tulang binatang itu sebagai bukti kepada pemiliknya. Dalam hal ini dia tidak perlu membayar ganti rugi bagi binatang itu. Jika seseorang meminjam seekor binatang, lalu binatang itu terluka atau mati ketika pemiliknya tidak ada di tempat kejadian itu, orang yang meminjamnya mesti membayar ganti rugi. Tetapi jika hal itu terjadi ketika pemiliknya ada di situ, orang itu tidak perlu membayar ganti rugi. Jika binatang itu disewa, kerugiannya sudah dibayar oleh bayaran sewa.” “Jika seorang lelaki menggoda seorang anak dara yang belum bertunang, dan bersetubuh dengannya, lelaki itu mesti membayar mas kahwin, dan berkahwin dengannya. Tetapi jika bapa anak dara itu tidak membenarkan lelaki itu mengahwini anaknya, lelaki itu mesti membayar wang sebanyak mas kahwin bagi seorang anak dara kepada bapa itu. Bunuhlah setiap perempuan yang melakukan sihir. Bunuhlah setiap orang yang melakukan hubungan jenis dengan binatang. Sesiapa yang mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain, kecuali kepada Aku, TUHAN, orang itu harus dihukum mati. Jangan berlaku kejam dan jangan tindas orang asing; ingatlah, dahulu kamu pun orang asing di negeri Mesir. Jangan berlaku kejam terhadap balu atau anak yatim piatu. Jika kamu berlaku kejam terhadap mereka, Aku, TUHAN akan mengabulkan permintaan mereka apabila mereka berseru minta tolong kepada-Ku. Aku akan murka dan membunuh kamu dalam perang. Isteri kamu akan menjadi balu dan anak-anak kamu menjadi yatim. Jika kamu meminjamkan wang kepada seorang yang miskin di kalangan umat-Ku, jangan bertindak seperti peminjam wang yang menuntut faedah wang. Jika kamu mengambil jubah seseorang sebagai jaminan hutangnya, kamu mesti mengembalikan jubah itu sebelum matahari terbenam, kerana jubah itu sahaja yang ada padanya untuk memanaskan badannya. Jika jubah itu tidak dikembalikan, tiada lagi yang dapat dipakainya sebagai selimut. Jika dia berseru minta tolong kepada-Ku, maka Aku akan mendengarkannya kerana Aku berbelas kasihan. Jangan sumpahi Allah, dan jangan kutuk pemimpin kamu. Pada waktu yang ditetapkan, persembahkanlah sebahagian daripada gandum, wain, dan minyak zaitun kamu kepada-Ku. Serahkanlah anak lelaki sulung kamu kepada-Ku. Persembahkanlah anak sulung lembu dan domba kamu kepada-Ku. Biarlah anak jantan sulung ternakan itu tinggal bersama-sama induknya selama tujuh hari, lalu pada hari yang kelapan persembahkanlah anak sulung ternakan itu kepada-Ku. Kamu umat-Ku. Oleh itu kamu tidak boleh makan daging sebarang binatang yang mati dibunuh binatang buas; berikan daging itu kepada anjing.” “Jangan sebarkan berita dusta, dan jangan tolong orang yang bersalah dengan memberikan kesaksian palsu. Jangan terikut-ikut kebanyakan orang apabila mereka melakukan kejahatan atau memutarbalikkan keadilan dengan memberikan kesaksian yang tidak benar. Jangan berat sebelah apabila seorang miskin diadili di mahkamah. Jika kebetulan kamu menjumpai lembu atau keldai musuh kamu terlepas, kembalikanlah binatang itu kepada pemiliknya. Jika keldai musuh kamu jatuh kerana bebannya berat, tolonglah dia menegakkan keldai itu; jangan pergi tanpa memberikan pertolongan. Jangan rampas keadilan daripada orang miskin yang datang mengadu di mahkamah. Jangan buat tuduhan palsu, dan jangan sebabkan orang yang tidak bersalah dihukum mati, kerana Aku akan menghukum orang yang melakukan kejahatan seperti itu. Jangan terima rasuah, kerana rasuah membutakan orang terhadap apa yang benar dan merugikan orang yang tidak bersalah. Jangan berlaku kejam terhadap orang asing; kamu tahu rasanya menjadi orang asing, kerana dahulu kamu pun orang asing di Mesir.” “Selama enam tahun kamu boleh menanami ladang dan mengumpulkan apa yang dihasilkannya. Tetapi pada tahun yang ketujuh tanah itu harus dibiarkan. Sepanjang tahun itu kamu tidak boleh mengumpulkan hasil apa sahaja yang tumbuh dengan sendirinya di ladang kamu. Biarlah orang miskin mengambilnya, dan sisanya untuk binatang liar. Buatlah hal yang sama pada ladang anggur dan pokok zaitun kamu. Bekerjalah selama enam hari dalam seminggu, tetapi pada hari yang ketujuh kamu tidak boleh bekerja, supaya abdi kamu serta orang asing yang bekerja untuk kamu, dan juga ternakan kamu dapat berehat. Dengarkanlah segala firman yang telah Aku, TUHAN sampaikan kepada kamu. Jangan berdoa kepada tuhan-tuhan lain; bahkan menyebut nama tuhan-tuhan itu pun tidak boleh.” “Tiap-tiap tahun, adakanlah tiga perayaan untuk menghormati Aku. Dalam bulan Abib, adakanlah Perayaan Roti Tidak Beragi menurut cara yang telah Aku perintahkan, kerana dalam bulan itu kamu meninggalkan Mesir. Jangan makan roti yang beragi sepanjang tujuh hari perayaan itu. Setiap kali kamu datang beribadat kepada-Ku, kamu mesti membawa persembahan. Rayakanlah Perayaan Menuai dengan mempersembahkan hasil tanaman yang mula-mula dituai. Rayakanlah Perayaan Pondok Daun pada musim luruh, apabila kamu mengumpulkan hasil ladang anggur dan hasil kebun buah-buahan. Tiap-tiap tahun, pada masa tiga perayaan itu, semua orang lelaki mesti datang beribadat kepada-Ku, TUHAN, Allah kamu. Jangan persembahkan roti yang beragi apabila kamu mempersembahkan binatang sebagai korban kepada-Ku. Lemak binatang yang dipersembahkan kepada-Ku selama perayaan-perayaan ini tidak boleh ditinggalkan sehingga esok pagi. Tiap-tiap tahun, bawalah hasil pertama yang terbaik daripada tanaman kamu, ke rumah TUHAN, Allah kamu. Jangan masak anak domba atau anak kambing di dalam air susu induknya.” “Aku akan mengutus malaikat-Ku mendahului kamu untuk melindungi kamu dalam perjalanan dan membawa kamu ke tempat yang telah Aku sediakan. Dengarkanlah dan taatilah dia. Jangan berontak terhadap dia kerana dia utusan-Ku. Dia tidak akan mengampunkan pemberontakan yang demikian. Tetapi jika kamu taat kepadanya dan melakukan segala perintah-Ku, Aku akan berperang menentang semua musuh kamu. Malaikat-Ku akan mendahului kamu serta membawa kamu ke negeri orang Amori, Het, Feris, Kanaan, Hewi, dan Yebusi; Aku akan membinasakan mereka. Jangan sujud atau sembah kepada tuhan-tuhan mereka. Jangan tiru cara mereka bersembahyang. Hancurkanlah tuhan-tuhan mereka dan patahkan tiang-tiang batu yang digunakan mereka untuk beribadat. Jika kamu menyembah Aku TUHAN, Allah kamu, Aku akan memberkati kamu dengan makanan serta minuman, dan menghapuskan segala penyakit kamu. Di negeri kamu, tiada perempuan yang akan keguguran atau mandul. Aku akan mengurniakan usia panjang kepada kamu. Aku akan menjadikan bangsa yang menentang kamu takut kepada-Ku. Aku akan mendatangkan kekeliruan antara bangsa yang kamu lawan, dan Aku akan menyebabkan semua musuh berpaling dan lari daripada kamu. Aku akan mengacau-bilaukan musuh apabila kamu mara; Aku akan mengusir orang Hewi, Kanaan, dan Het. Aku tidak akan mengusir mereka semua dalam masa satu tahun, kerana hal ini akan menjadikan tanah itu terbiar dan binatang buas akan terlalu banyak. Aku akan mengusir mereka sedikit demi sedikit sehingga kamu menjadi cukup banyak untuk mendiami tanah itu. Aku akan menetapkan sempadan negeri kamu dari Teluk Akaba ke Sungai Efrat, dan dari Laut Tengah hingga ke padang gurun. Aku akan memberi kamu kuasa terhadap penduduk negeri itu, dan kamu akan mengusir mereka apabila kamu mara. Jangan buat perjanjian dengan mereka ataupun dengan tuhan-tuhan mereka. Jangan benarkan mereka tinggal di negeri kamu, supaya kamu tidak menyembah tuhan-tuhan mereka dan berdosa terhadap Aku. Jika kamu menyembah tuhan-tuhan mereka, kamu akan jatuh ke dalam perangkap maut.” Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Naiklah ke gunung untuk menghadap Aku, engkau bersama dengan Harun, Nadab, Abihu, dan tujuh puluh orang pemimpin Israel, lalu sujudlah menyembah Aku dari jauh. Engkau seorang sahaja yang boleh menghampiri Aku; yang lain tidak boleh datang dekat-dekat, dan rakyat tidak boleh naik ke gunung ini.” Musa pergi dan memberitahu umat itu segala perintah dan peraturan TUHAN. Segenap umat menjawab dengan serentak, “Kami akan melakukan segala yang difirmankan oleh TUHAN.” Selepas itu Musa mencatatkan segala perintah TUHAN. Awal pagi esoknya, Musa membina sebuah mazbah di kaki gunung itu, lalu mendirikan dua belas buah batu; setiap batu mewakili salah satu suku Israel. Kemudian Musa mengutus beberapa orang muda untuk mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan juga mempersembahkan beberapa ekor lembu sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. Musa mengambil setengah daripada darah binatang itu lalu menuangkannya ke dalam mangkuk-mangkuk, dan yang setengah lagi dituangkannya ke atas mazbah. Selepas itu Musa mengambil kitab perjanjian yang bertuliskan perintah TUHAN, lalu dengan nyaring membacakannya kepada umat. Mereka berkata, “Kami akan mentaati TUHAN dan melakukan segala perintah-Nya.” Kemudian Musa mengambil darah yang ada di dalam mangkuk-mangkuk itu lalu menyiramkannya ke atas umat. Dia berkata, “Inilah darah yang memeteraikan perjanjian yang dibuat oleh TUHAN dengan kamu ketika Dia memberikan semua perintah ini.” Selepas itu Musa, Harun, Nadab, Abihu, dan tujuh puluh orang pemimpin itu mendaki gunung, lalu mereka nampak Allah Israel. Dia berdiri di atas sesuatu seperti lantai daripada batu nilam, yang biru seperti langit cerah. Para pemimpin Israel itu sudah nampak Allah; walaupun begitu mereka tidak dibinasakan-Nya. Selepas itu mereka makan dan minum. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Datanglah kepada-Ku di atas gunung. Di situ Aku akan memberikan dua buah batu tulis kepadamu. Batu-batu itu telah Aku tulisi dengan semua hukum-Ku. Aku memberikan semua hukum itu untuk mengajar umat.” Oleh itu Musa dan Yosua, penolongnya bersiap-siap, lalu Musa mula mendaki gunung yang suci itu. Musa telah berpesan kepada para pemimpin Israel, “Tunggulah di sini sehingga kami balik. Harun dan Hur ada bersama-sama kamu di sini. Sesiapa yang ada persoalan, boleh menemui mereka untuk mendapat penyelesaian.” Musa mendaki Gunung Sinai lalu awan meliputi gunung itu. [16-17] Cahaya hadirat TUHAN turun ke atas gunung itu. Orang Israel melihatnya seperti api yang menyala di puncak gunung. Awan itu meliputi gunung selama enam hari. Pada hari yang ketujuh, dari awan itu TUHAN memanggil Musa. *** Kemudian Musa terus mendaki gunung sehingga dia masuk ke dalam awan itu. Dia berada di situ selama empat puluh hari dan empat puluh malam. TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah umat Israel membawa persembahan kepada-Ku. Terimalah apa sahaja persembahan daripada setiap orang yang ingin memberi. Persembahan itu boleh berupa: emas, perak, dan gangsa; kain linen halus, kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah; kain daripada bulu kambing; kulit domba jantan yang dicelup merah; kulit halus; kayu akasia; minyak untuk pelita; rempah-ratus untuk minyak upacara dan untuk kemenyan yang harum; batu sardis dan berjenis-jenis permata lain untuk ditatah pada efod dan penutup dada Imam Agung. Suruhlah umat itu membina sebuah khemah suci untuk-Ku supaya Aku dapat tinggal bersama-sama mereka. Khemah itu dan semua peralatannya harus dibuat menurut pelan yang akan Aku tunjukkan kepadamu.” “Buatlah sebuah Tabut daripada kayu akasia, yang berukuran 110 sentimeter panjang, 66 sentimeter lebar dan 66 sentimeter tinggi. Bahagian dalam dan luar Tabut itu harus disaluti emas tulen dan bingkainya dibuat daripada emas. Buatlah empat gelang emas dan pasangkan gelang itu pada keempat-empat sudut Tabut; dua gelang pada satu sisi dan dua gelang pada sisi sebelah. Buatlah juga kayu pengusung daripada kayu akasia dan salutlah kayu pengusung itu dengan emas, lalu masukkan kayu pengusung itu ke dalam gelang pada setiap sisi Tabut itu. Kayu pengusung harus tetap ada dalam gelang-gelang itu, dan tidak boleh dikeluarkan. Kemudian kedua-dua batu tulis yang akan Aku berikan kepadamu harus diletakkan di dalam Tabut; batu-batu itu bertuliskan perintah itu. Buatlah penutup Tabut itu daripada emas tulen; hendaklah penutup itu berukuran 110 sentimeter panjang, dan 66 sentimeter lebar. Buatlah juga dua kerub daripada emas tempaan, satu pada setiap hujung penutup Tabut itu. Kedua-dua kerub itu harus dijadikan satu bahagian dengan penutup, dan dibuat saling berhadapan di atas penutup, dengan muka memandang ke bawah, dan dengan sayap yang terbentang untuk menutupi penutup itu. Letakkan kedua-dua batu tulis itu di dalam Tabut, lalu tutuplah Tabut itu dengan penutupnya. Aku akan bertemu dengan engkau di sana. Dari atas penutup itu, di antara dua kerub itu, Aku akan memberi engkau segala hukum-Ku untuk umat Israel.” “Buatlah sebuah meja daripada kayu akasia; meja itu hendaklah berukuran 88 sentimeter panjang, 44 sentimeter lebar dan 66 sentimeter tinggi. Salutlah meja itu dengan emas tulen dan pasang bingkai emas pada sekelilingnya. Buatlah tepi selebar 7.5 sentimeter dan buat juga bingkai emas pada sekeliling tepi itu. Buatlah empat gelang daripada emas dan pasanglah gelang-gelang itu pada keempat-empat sudut, tempat kaki meja. Gelang-gelang untuk menyangga kayu pengusung harus dipasang dekat tepi meja. Kayu pengusung itu harus dibuat daripada kayu akasia dan disaluti emas. Buatlah pinggan, cawan, kendi, dan mangkuk untuk digunakan bagi korban wain. Kesemua alat itu harus dibuat daripada emas tulen. Meja itu harus diletakkan di hadapan Tabut Perjanjian, dan di atas meja itu harus sentiasa diletakkan roti yang dipersembahkan kepada-Ku.” “Buatlah sebuah kaki pelita daripada emas tulen. Buatlah alas dan batangnya daripada emas tempaan; bunga-bunga hiasan, termasuk kuncup dan kelopaknya hendaklah seiras dengan alas dan batangnya. Enam cabang harus dibuat pada batang kaki pelita itu; tiga cabang pada setiap sisinya. Setiap cabangnya harus dihias dengan hiasan berupa tiga kuntum bunga badam dengan kuncup dan kelopaknya. Batang kaki pelita itu harus dihias dengan empat kuntum bunga hiasan yang berupa bunga badam, dengan kuncup dan kelopaknya. Satu kuncup harus dibuat di bawah setiap pasang cabang itu. Kuncup-kuncup, cabang-cabang, dan kaki pelita itu hendaklah dibuat daripada sekeping emas tempaan tulen. Buatlah tujuh buah pelita bagi kaki pelita itu dan pasanglah pelita-pelita itu dengan begitu rupa agar cahayanya memancar ke hadapan. Buatlah penyepit untuk membersihkan sumbu pelita, dan juga dulangnya daripada emas tulen. Gunakanlah 35 kilogram emas tulen untuk membuat kaki pelita itu dan segala peralatannya. Berhati-hatilah membuat semuanya menurut pelan yang telah Aku tunjukkan kepadamu di atas gunung ini.” “Buatlah bahagian dalam Khemah TUHAN dengan sepuluh helai kain linen halus yang ditenun dengan benang bulu berwarna biru, ungu, dan merah. Sulamlah kain itu dengan gambar kerub. Tiap-tiap helai harus berukuran sama, 12 meter panjang dan 2 meter lebar. Lima helai kain harus dijahit menjadi satu labuh tirai, dan lima helai yang lain pun harus dibuat demikian. Buatlah gelung daripada kain biru dan pasangkan gelung-gelung itu pada tepi bahagian luar kedua-dua labuh tirai itu. Pasanglah lima puluh utas gelung pada helai pertama bagi tirai yang pertama, dan sepadan dengan itu pasanglah lima puluh utas gelung pada helai kain terakhir bagi tirai yang kedua. Buatlah lima puluh bentuk cangkuk emas untuk menyambungkan kedua-dua labuh tirai itu. Buatlah sebelas helai kain daripada bulu kambing untuk dijadikan bumbung Khemah TUHAN. Setiap helai kain itu harus sama ukurannya, 13 meter panjang dan 2 meter lebar. Lima helai harus dijahit menjadi satu layar, dan enam helai yang lain harus dijahit begitu juga. Helai kain yang keenam harus dilipat dua untuk menutupi bahagian depan Khemah TUHAN. Pasanglah lima puluh utas gelung pada tepi helai yang terakhir bagi layar yang pertama, dan lima puluh utas gelung pada tepi layar yang kedua. Buatlah lima puluh bentuk cangkuk gangsa, lalu kaitkan cangkuk-cangkuk kepada gelung-gelung untuk menyambungkan dua layar itu, sehingga disatukan menjadi bumbung Khemah. Gantungkan separuh helai kain yang selebihnya di bahagian belakang Khemah. Lebihan kain selebar 50 sentimeter, sepanjang layar itu harus dibiarkan menutupi sisi Khemah. Buatlah dua penutup lain untuk bumbung Khemah; satu daripada kulit domba jantan yang dicelup merah, dan satu lagi daripada kulit halus sebagai penutup bahagian luar. Buatlah rangka yang tegak lurus daripada kayu akasia bagi Khemah. Setiap batang rangka berukuran 4 meter panjang dan 66 sentimeter lebar. Setiap batang rangka ada dua unjuran yang sepadan, supaya rangka-rangka itu dapat dihubungkan. Semua rangka harus mempunyai unjuran seperti itu. Untuk bahagian selatan Khemah, buatlah dua puluh batang rangka, dengan empat puluh buah alas daripada perak, dua buah alas di bawah setiap batang rangka untuk menyangga kedua-dua unjurannya. Untuk bahagian utara Khemah, buatlah dua puluh batang rangka dengan empat puluh buah alas daripada perak, dua buah alas di bawah setiap batang rangka. Untuk bahagian belakang Khemah di sebelah barat, buatlah enam batang rangka dan dua batang rangka untuk sudut-sudutnya. Rangka-rangka sudut itu harus dihubungkan pada bahagian bawah sampai ke bahagian atas, pada gelang yang pertama. Kedua-dua batang rangka yang membentuk sudutnya harus dibuat dengan cara itu. Oleh itu, semuanya ada lapan batang rangka dengan enam belas buah alas daripada perak, dua buah alas di bawah setiap batang rangka. Buatlah lima belas batang kayu lintang daripada kayu akasia, lima batang untuk rangka-rangka pada satu sisi Khemah, lima batang untuk sisi yang lain, dan lima batang lagi untuk sisi Khemah bahagian belakang di sebelah barat. Kayu lintang tengah harus dipasang setinggi setengah rangka, dari satu hujung ke hujung lain Khemah itu. Rangka Khemah dan kayu-kayu lintang itu harus disaluti emas. Gelang-gelang yang dipasang pada rangka untuk menyangga kayu-kayu lintang itu harus dibuat daripada emas. Binalah Khemah itu menurut pelan yang Aku tunjukkan kepadamu di atas gunung ini. Buatlah selabuh tirai daripada kain linen halus yang ditenun dengan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah. Sulamlah tirai itu dengan gambar kerub. Gantungkan tirai itu pada empat tiang kayu akasia yang bersalut emas, yang dipasang dengan cangkuk emas dan ditegakkan di atas empat buah alas perak. Pasangkan tirai itu di bawah deretan cangkuk pada bumbung Khemah. Letakkan Tabut Perjanjian yang mengandungi dua buah batu tulis itu di belakang tirai. Tirai itu memisahkan Bilik Suci dari Bilik Maha Suci. Letakkan penutup pada Tabut Perjanjian. Di luar Bilik Maha Suci, letakkan meja untuk persembahan di bahagian utara Khemah, dan letakkan kaki pelita di bahagian selatan Khemah. Bagi pintu masuk ke dalam Khemah, buatlah tirai daripada kain linen halus yang ditenun dengan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, yang dihias dengan sulaman. Untuk tirai ini, buatlah lima batang tiang daripada kayu akasia yang disaluti emas, dan dipasang dengan cangkuk emas. Buatlah lima buah alas daripada gangsa untuk tiang-tiang itu.” “Buatlah sebuah mazbah daripada kayu akasia. Mazbah itu harus berbentuk empat persegi, berukuran 2.2 meter panjang, 2.2 meter lebar, dan 1.3 meter tinggi. Buatlah unjuran pada keempat-empat sudutnya. Unjuran itu mesti seiras dengan mazbah dan seluruhnya disaluti gangsa. Buatlah periuk untuk abu berminyak, dan buatlah juga penyodok, mangkuk, garpu, dan perbaraan; kesemua peralatan ini mesti dibuat daripada gangsa. Buatlah juga kekisi daripada gangsa dan pasanglah empat buah gelang gangsa pada keempat-empat sudut. Tinggi kekisi itu harus setengah daripada tinggi mazbah. Kekisi itu harus dililitkan pada bahagian bawah mazbah itu. Buatlah dua batang kayu pengusung daripada kayu akasia yang disaluti gangsa. Masukkan kayu pengusung itu ke dalam gelang di kedua-dua sisi mazbah semasa mengusung mazbah itu. Buatlah mazbah itu daripada papan dan bahagian dalamnya berongga, menurut pelan yang Aku tunjukkan kepadamu di atas gunung ini.” “Buatlah pagar di sekeliling Khemah-Ku. Pagar itu berupa tirai daripada kain linen halus. Di bahagian selatan, tirai itu harus 44 meter panjang, disangga oleh dua puluh batang tiang gangsa dengan dua puluh buah alas gangsa, dan dipasang dengan cangkuk serta batang daripada perak. Buatlah seperti itu juga di bahagian utara. Di bahagian barat, tirainya 22 meter panjang, dengan sepuluh batang tiang dan sepuluh buah alas. Di bahagian timur, di pintu masuk, tirainya juga harus 22 meter panjang. [14-15] Pada tiap-tiap sisi pintu itu, harus dipasang tirai; setiap tirai panjangnya 6.6 meter, dengan tiga batang tiang dan tiga buah alas. *** Bagi pintu masuk itu, harus dipasang tirai sepanjang 9 meter; tirai itu harus dibuat daripada kain linen halus yang ditenun dengan bulu berwarna biru, ungu, dan merah, serta dihias dengan sulaman. Tirai pintu itu harus disangga oleh empat batang tiang dengan empat buah alas. Semua tiang pagar itu harus dihubungkan satu sama lain dengan batang perak, cangkuk-cangkuknya harus dibuat daripada perak dan alasnya daripada gangsa. Pagar itu harus 44 meter panjang, 22 meter lebar, dan 2.2 meter tinggi. Tirai hendaklah dibuat daripada kain linen halus dan alas daripada gangsa. Semua alat yang digunakan dalam Khemah, serta semua pasak untuk Khemah dan pagarnya mesti dibuat daripada gangsa.” “Suruhlah umat Israel memberi engkau minyak zaitun yang terbaik untuk pelita itu, supaya pelita itu dapat dinyalakan tiap-tiap malam. Harun dan anak-anak lelakinya mesti mengurus pelita itu di dalam Khemah-Ku, di luar tirai yang di hadapan Tabut Perjanjian. Di situ, di hadirat-Ku, pelita itu mesti dinyalakan dari petang hingga pagi. Perintah ini mesti dipatuhi selama-lamanya oleh umat Israel dan keturunan mereka.” “Panggillah abangmu Harun dan anak-anaknya, Nadab, Abihu, Eleazar, dan Itamar. Khususkanlah mereka dari kalangan umat Israel, supaya mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. Buatlah pakaian imam untuk abangmu Harun, supaya terhormat kelihatannya. Panggillah semua orang yang telah Aku kurniakan kemahiran, dan suruhlah mereka membuat pakaian Harun supaya dia dapat ditahbiskan untuk mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. Suruhlah mereka membuat penutup dada, efod, jubah, baju labuh bersulam, serban, dan ikat pinggang. Mereka harus membuat pakaian imam itu untuk abangmu Harun dan anak-anaknya supaya mereka dapat mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. Orang yang membuat semuanya mesti menggunakan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, benang emas, serta kain linen halus. Mereka mesti membuat efod daripada kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, benang emas, serta kain linen halus yang bersulam. Dua tali bahu sebagai pengikat harus dijahitkan pada sisi efod. Satu ikat pinggang yang ditenun halus daripada bahan yang sama harus dijahitkan pada efod supaya menjadi satu bahagian dengan efod. Ambillah dua biji batu sardis dan ukirkan nama dua belas orang anak Yakub pada batu itu, menurut urutan umur mereka; enam nama pada satu batu, dan enam lagi pada batu yang lain. Suruhlah seorang tukang batu permata yang mahir supaya mengukirkan nama anak-anak Yakub pada dua biji batu permata itu. Dia juga harus mengikat batu permata itu dengan emas, lalu memasangnya pada tali bahu efod untuk mewakili dua belas suku Israel. Dengan cara ini Harun akan membawa nama mereka di atas bahunya, supaya Aku, TUHAN, sentiasa ingat akan umat-Ku. Buatlah dua bingkai emas dan dua utas rantai emas tulen yang dipintal seperti tali, lalu pasangkan rantai ini pada bingkai emas itu.” “Buatlah sehelai penutup dada untuk Imam Agung; penutup dada itu akan dipakainya apabila hendak mengetahui kehendak Allah. Penutup dada itu harus dibuat daripada bahan-bahan yang digunakan untuk membuat efod, dan juga disulam seperti efod. Penutup dada itu mesti berbentuk empat persegi dan dilipat dua, berukuran 22 sentimeter panjang dan 22 sentimeter lebar. Pasangkan empat baris batu permata pada penutup dada itu. Pada baris pertama, pasangkan batu delima, batu topaz, dan batu garnet; pada baris kedua, pasangkan batu zamrud, batu nilam, dan batu berlian; pada baris ketiga pasangkan batu firus, batu akik, dan batu kecubung; dan pada baris keempat pasangkan batu beril, batu sardis, dan batu jasper. Semua batu permata itu mesti diikat dengan bingkai emas. Pada tiap-tiap batu permata itu mesti diukirkan salah satu nama anak-anak Yakub untuk mewakili dua belas suku Israel. Buatlah rantai daripada emas tulen yang dipintal seperti tali bagi penutup dada itu. Buatlah juga dua gelang emas dan pasangkan pada kedua-dua sudut bahagian atas penutup dada. Ikatkan rantai emas itu pada dua gelang emas. Ikatkan dua hujung lain rantai itu pada kedua-dua bingkai, supaya penutup dada itu dapat dihubungkan dengan bahagian depan tali bahu efod. Kemudian buatlah dua gelang emas dan pasangkan pada sudut bahagian bawah penutup dada itu, di tepi bahagian dalam yang kena efod. Buatlah dua gelang emas lagi dan pasangkan di bahagian bawah sebelah depan kedua-dua tali bahu efod, dekat dengan kelim dan di sebelah atas ikat pinggang yang ditenun halus. Ikatkan gelang penutup dada itu pada gelang efod dengan tali biru, supaya penutup dada itu terletak di atas ikat pinggang dan tidak terlepas. Apabila Harun masuk ke Bilik Suci, dia harus memakai penutup dada yang berukirkan nama-nama suku Israel, supaya Aku, TUHAN sentiasa ingat akan umat-Ku. Letakkan Urim dan Tumim dalam penutup dada itu supaya dapat dibawa oleh Harun apabila dia masuk ke hadirat-Ku yang suci. Pada saat-saat seperti itu dia mesti sentiasa memakai penutup dada itu untuk mengetahui kehendak-Ku bagi umat Israel.” “Jubah yang dipakai di bawah efod harus seluruhnya dibuat daripada kain bulu berwarna biru. Lubang leher jubah itu harus diperkuat dengan pita tenunan supaya tidak mudah koyak. [33-34] Pada sekeliling kelepet sebelah bawah, buatlah hiasan berbentuk buah delima daripada kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, diselang-seli dengan loceng emas. *** Jubah itu harus dipakai oleh Harun ketika dia bertugas sebagai imam. Apabila dia masuk ke hadirat-Ku di Bilik Suci, atau apabila dia meninggalkan tempat itu, bunyi loceng akan terdengar dan dia tidak akan dibunuh. Buatlah satu perhiasan daripada emas tulen dan ukirkan perkataan, ‘Ditahbiskan untuk TUHAN’ pada perhiasan itu. Ikatkan perhiasan itu pada sebelah depan serban dengan tali biru. Harun harus memakainya pada dahinya. Dengan cara ini Aku, TUHAN akan menerima segala persembahan yang diberikan oleh umat Israel kepada-Ku, walaupun mereka membuat kesalahan ketika mempersembahkan persembahan itu. Baju labuh untuk Harun harus ditenun daripada kain linen halus. Buatlah juga serban daripada kain linen halus, dan ikat pinggang yang bersulam. Buatlah baju labuh, ikat pinggang, dan ikat kepala untuk anak-anak Harun supaya mereka kelihatan terhormat. Kenakanlah pakaian itu pada Harun dan anak-anaknya. Kemudian tahbiskanlah dan khaskanlah mereka dengan menuangkan minyak zaitun pada mereka, supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. Buatlah celana pendek daripada kain linen untuk mereka. Panjang celana itu dari pinggang sampai ke paha, untuk menutupi bahagian tubuh yang tidak wajar dilihat. Harun dan anak-anaknya harus selalu memakai celana itu apabila mereka masuk ke Khemah-Ku, ataupun menghadap mazbah untuk bertugas sebagai imam di Bilik Suci, supaya mereka tidak mati kerana mendedahkan bahagian tubuh mereka yang tidak wajar dilihat. Inilah peraturan tetap untuk Harun dan keturunannya.” “Inilah yang patut engkau lakukan untuk mentahbiskan Harun dan anak-anaknya supaya mereka dapat mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. Ambillah seekor anak lembu jantan dan dua ekor domba jantan yang tidak ada kecacatan. Gunakan tepung yang terbaik, tetapi tidak beragi untuk membuat roti. Sebahagian roti itu dibuat dengan menggunakan minyak zaitun, sebahagian lagi tanpa minyak zaitun, dan sebahagian lagi dibuat roti nipis yang disapu dengan minyak. Letakkan semua roti itu di dalam bakul dan persembahkanlah semuanya kepada-Ku ketika kamu mempersembahkan lembu jantan dan dua ekor domba jantan sebagai korban. Bawalah Harun dan anak-anaknya ke pintu Khemah-Ku dan lakukan upacara pembasuhan diri bagi mereka. Kemudian kenakan pakaian imam pada Harun: baju labuh, jubah yang dipakai di bawah efod, efod, dan penutup dada dengan ikat pinggangnya. Pakaikan serban di atas kepalanya, dan sematkan perhiasan yang berukir ‘Ditahbiskan untuk TUHAN’ pada serban itu. Kemudian ambillah minyak upacara dan tuangkan ke atas kepalanya untuk mentahbiskan dia. Selepas itu, suruhlah anak-anak Harun datang dan pakaikan baju labuh pada mereka; pakaikan juga ikat pinggang pada mereka, dan kenakan ikat kepala pada mereka. Demikianlah caranya engkau mentahbiskan Harun serta anak-anaknya. Mereka dan keturunan mereka harus mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam selama-lamanya. Kemudian bawalah lembu jantan itu ke hadapan Khemah-Ku. Suruhlah Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu jantan itu. Sembelihlah lembu itu di hadirat-Ku, di hadapan pintu masuk Khemah. Ambil sedikit darah lembu jantan itu, lalu dengan jarimu sapukan darah itu pada unjuran-unjuran mazbah. Kemudian tuangkan sisa darah itu di bahagian bawah mazbah. Selepas itu, ambil semua lemak yang meliputi isi perut lembu itu, dan bahagian yang paling baik pada hati, dan dua biji buah pinggang dengan lemaknya; bakarlah semuanya di atas mazbah sebagai persembahan kepada-Ku. Tetapi bakarlah daging, kulit, dan usus lembu jantan itu di luar perkhemahan. Itulah persembahan korban untuk pengampunan dosa para imam. Ambillah seekor daripada domba jantan itu, lalu suruhlah Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala domba itu. Sembelihlah domba jantan itu, lalu ambil darahnya dan siramkan pada keempat-empat sisi mazbah. Potonglah domba itu menjadi beberapa potongan. Basuhlah isi perut dan pahanya, lalu letakkan semuanya di atas kepala domba jantan itu dan potongan-potongan yang lain. Bakarlah seluruh domba jantan itu di atas mazbah sebagai persembahan makanan. Ambillah domba jantan yang seekor lagi, iaitu domba yang digunakan untuk upacara pentahbisan. Suruh Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan ke atas kepala domba jantan itu. Sembelihlah domba jantan itu. Kemudian ambil sedikit darahnya dan sapukan darah itu pada cuping telinga kanan Harun dan anak-anaknya, dan pada ibu jari tangan kanan, serta pada ibu jari kaki kanan mereka. Siramkan sisa darah itu pada keempat-empat sisi mazbah itu. Ambil sedikit darah yang di atas mazbah dan sedikit minyak upacara, lalu renjiskan semuanya pada Harun dan pakaiannya, dan juga pada anak-anaknya serta pakaian mereka. Dengan cara ini, Harun, anak-anaknya, serta pakaian mereka akan ditahbiskan untuk-Ku. Ambillah lemak domba jantan itu, ekornya yang berlemak, lemak yang meliputi isi perut, bahagian yang paling baik pada hati, dua biji buah pinggang dengan lemaknya, serta paha kanan domba. Dari bakul roti yang telah dipersembahkan kepada-Ku, ambillah satu daripada tiap-tiap jenis roti itu: satu yang dibuat dengan minyak zaitun, satu yang dibuat tanpa minyak zaitun, dan satu roti nipis. Letakkan semua roti ini di tangan Harun dan anak-anaknya, lalu suruh mereka mempersembahkan semuanya kepada-Ku sebagai persembahan istimewa. Kemudian ambillah semua roti itu daripada mereka dan bakarlah di atas mazbah, di atas korban untuk menyenangkan hati-Ku, sebagai persembahan makanan. Ambillah dada domba jantan itu dan persembahkannya kepada-Ku sebagai persembahan istimewa. Dada domba jantan itu untukmu. Apabila seorang imam ditahbiskan, dada dan paha domba jantan yang digunakan untuk upacara pentahbisan itu harus dipersembahkan kepada-Ku sebagai persembahan istimewa, lalu diasingkan untuk para imam. Inilah keputusan-Ku yang tidak dapat diubah: Apabila umat-Ku datang untuk mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, dada dan paha binatang itu harus diberikan kepada imam-imam. Bahagian itulah persembahan daripada umat-Ku kepada Aku, TUHAN. Pakaian imam kepunyaan Harun harus diwariskan kepada anak-anaknya selepas dia meninggal, agar mereka dapat memakainya apabila ditahbiskan. Anak Harun yang menggantikan Harun sebagai imam, dan yang memasuki Khemah-Ku untuk bertugas di dalam Bilik Suci, harus memakai pakaian itu selama tujuh hari. Ambillah daging domba jantan yang digunakan untuk pentahbisan Harun dan anak-anaknya, lalu rebuslah daging itu di tempat yang suci. Harun dan anak-anaknya mesti makan daging domba itu serta sisa roti di dalam bakul, di pintu masuk Khemah hadirat-Ku. Mereka mesti makan apa yang digunakan dalam upacara pengampunan dosa pada masa pentahbisan mereka. Hanya imam yang boleh makan makanan itu kerana makanan itu suci. Jika pada keesokan paginya, masih ada daging atau roti yang tidak habis dimakan, makanan itu mesti dibakar dan tidak boleh dimakan kerana makanan itu suci. Lakukanlah upacara pentahbisan Harun dan anak-anaknya selama tujuh hari seperti yang telah Aku perintahkan kepadamu. Tiap-tiap hari engkau mesti mempersembahkan seekor lembu jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Korban ini akan menyucikan mazbah. Kemudian lumurilah mazbah itu dengan minyak zaitun untuk menyucikannya. Lakukanlah hal itu setiap hari selama tujuh hari. Maka seluruh mazbah itu akan menjadi suci, lalu apa sahaja yang kena mazbah itu harus diserahkan kepada TUHAN, dan siapa sahaja yang menyentuh mazbah itu akan mendapat celaka kerana kekuatan kesuciannya.” “Setiap hari sampai selama-lamanya, kamu harus mempersembahkan dua ekor anak domba yang berumur satu tahun sebagai korban, di atas mazbah itu. Seekor anak domba harus dipersembahkan pada waktu pagi dan seekor lagi pada waktu petang. Bersama dengan anak domba yang pertama, persembahkanlah satu kilogram tepung gandum terbaik, yang dicampuri satu liter minyak zaitun tulen. Tuangkan satu liter wain sebagai persembahan. Kemudian persembahkanlah anak domba yang kedua pada waktu petang. Bersama dengan anak domba itu, persembahkanlah tepung gandum, minyak zaitun, dan wain yang sama banyak seperti pada waktu pagi. Itulah persembahan makanan kepada-Ku, TUHAN, dan baunya menyenangkan hati-Ku. Untuk selama-lamanya, korban untuk menyenangkan hati-Ku harus dipersembahkan di hadirat-Ku di pintu Khemah-Ku. Di situlah Aku akan bertemu dengan umat-Ku dan berfirman kepadamu. Di situ Aku akan bertemu dengan umat Israel, dan cahaya yang berkilau-kilauan daripada hadirat-Ku akan menyucikan tempat itu. Aku akan menyucikan Khemah dan mazbah itu, dan Aku akan mengkhususkan Harun dan anak-anaknya untuk mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. Aku akan tinggal bersama dengan umat Israel, dan Aku akan menjadi Allah mereka. Mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka yang telah membawa mereka keluar dari Mesir, supaya Aku dapat tinggal bersama-sama mereka. Akulah TUHAN, Allah mereka.” “Buatlah sebuah mazbah daripada kayu akasia, sebagai tempat membakar kemenyan. Mazbah itu harus berbentuk empat persegi, 45 sentimeter panjang dan 45 sentimeter lebar, dan 90 sentimeter tinggi. Unjuran di keempat-empat sudutnya mesti seiras dengan mazbah itu. Salutilah bahagian atasnya, keempat-empat sisinya serta unjuran-unjurannya dengan emas tulen, dan buatlah bingkai emas di sekelilingnya. Buatlah dua gelang daripada emas, dan pasanglah gelang itu di bawah bingkai pada kedua-dua sisinya, untuk menyangga kayu pengusung mazbah. Kayu-kayu pengusung itu harus dibuat daripada kayu akasia dan disaluti emas. Letakkan mazbah ini di luar tirai yang tergantung di hadapan Tabut Perjanjian, di tempat Aku akan bertemu dengan engkau. Setiap pagi, apabila Harun menyiapkan pelita, dia mesti membakar kemenyan yang berbau harum di atas mazbah itu. Dia mesti melakukan hal yang sama apabila dia memasang pelita itu pada waktu petang. Persembahan kemenyan ini mesti dilakukan terus-menerus sepanjang masa. Di atas mazbah ini, jangan persembahkan sebarang kemenyan yang dilarang, atau korban berupa binatang, atau korban berupa bijirin; jangan curahkan sebarang korban berupa wain di atasnya. Setahun sekali Harun mesti melakukan upacara penyucian mazbah dengan menyapukan darah binatang yang dipersembahkan sebagai korban untuk mengampunkan dosa, pada keempat-empat unjuran mazbah itu. Hal ini mesti dilakukan tiap-tiap tahun selama-lamanya. Mazbah ini mesti suci seluruhnya dan ditahbiskan kepada-Ku, TUHAN.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Apabila engkau membanci umat Israel, setiap orang lelaki mesti membayar wang tebusan untuk dirinya kepada-Ku, supaya dia tidak ditimpa bencana ketika pembancian itu dijalankan. Setiap orang yang dihitung dalam pembancian itu mesti membayar jumlah wang yang ditentukan, menurut harga yang ditetapkan di Khemah-Ku. Setiap orang mesti membayar jumlah itu sebagai persembahan kepada-Ku. Setiap orang yang dihitung dalam pembancian itu, iaitu setiap orang lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas mesti membayar jumlah itu. Orang kaya tidak boleh membayar lebih dan orang miskin tidak boleh membayar kurang, apabila mereka membayar wang tebusan untuk diri mereka. Kumpulkan wang itu daripada umat Israel dan gunakannya untuk kepentingan ibadat di dalam Khemah-Ku. Semua itu adalah wang tebusan bagi diri mereka, dan Aku akan sentiasa ingat untuk melindungi mereka.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Buatlah sebuah besen daripada gangsa dengan alasnya daripada gangsa juga. Letakkan besen itu di antara Khemah dan mazbah, dan isilah besen itu dengan air. Harun dan anak-anaknya mesti menggunakan air itu untuk membasuh tangan dan kaki, sebelum masuk ke dalam Khemah atau mendekati mazbah untuk mempersembahkan persembahan makanan. Dengan demikian mereka tidak akan dibunuh. Mereka mesti membasuh tangan dan kaki supaya mereka tidak mati. Peraturan ini mesti ditaati mereka dan keturunan mereka selama-lamanya.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Ambillah rempah-rempah yang terbaik: enam kilogram mur cecair, tiga kilogram kulit kayu manis yang harum, tiga kilogram tebu yang harum, enam kilogram kayu teja (semuanya ditimbang mengikut timbangan yang digunakan di dalam Khemah-Ku), dan empat liter minyak zaitun, lalu buatlah minyak upacara yang dicampur seperti minyak wangi. Gunakanlah minyak upacara itu untuk melumuri Khemah-Ku, Tabut Perjanjian, meja dan segala peralatannya, kaki pelita dan peralatannya, mazbah tempat membakar kemenyan, mazbah tempat membakar korban serta segala peralatannya, dan besen serta alasnya. Engkau harus mentahbiskan segala barang itu dengan cara demikian, maka semuanya akan menjadi benar-benar suci. Apa sahaja yang kena alat-alat itu harus diserahkan kepada TUHAN, dan siapa sahaja yang menyentuh semua itu akan mendapat celaka kerana kekuatan kesuciannya. Tuanglah minyak upacara pada Harun dan anak-anaknya supaya mereka ditahbiskan menjadi imam untuk mengabdikan diri kepada-Ku. Beritahulah umat Israel bahawa minyak upacara yang suci itu khas untuk Aku selama-lamanya. Minyak upacara itu tidak boleh dituang pada orang biasa, dan campuran yang sama tidak boleh digunakan untuk membuat minyak lain. Minyak upacara itu suci dan mesti dianggap suci. Sesiapa yang membuat minyak seperti minyak upacara, atau yang menggunakan minyak itu bagi orang yang bukan imam, tidak lagi dianggap anggota umat-Ku.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Ambillah beberapa jenis rempah harum yang sama banyaknya: getah damar, kulit lokan, getah raksamala, dan juga kemenyan tulen. Dengan bahan-bahan itu buatlah kemenyan seperti membuat minyak wangi. Tambahlah garam untuk menjadikannya tulen dan suci. Tumbukkan sebahagian daripada bahan-bahan itu menjadi serbuk. Bawalah serbuk itu ke dalam Khemah-Ku, lalu hamburkan serbuk itu di hadapan Tabut Perjanjian. Kemenyan itu harus dianggap sebagai benda yang sangat suci. Jangan gunakan campuran itu untuk membuat sebarang kemenyan bagi dirimu sendiri. Kemenyan itu harus dianggap suci dan dikhaskan untuk Aku. Sesiapa yang menggunakan campuran itu untuk membuat minyak wangi, tidak lagi dianggap anggota umat-Ku.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku telah memilih Bezaleel anak Uri, cucu Hur, daripada suku Yehuda. Aku telah mengurniai Bezaleel kuasa-Ku. Aku telah memberi dia pengertian, kemahiran, dan kebolehan dalam segala jenis karya seni: untuk merancang rekabentuk yang memerlukan kemahiran serta membuatnya dengan menggunakan emas, perak, dan gangsa; untuk mencanai batu permata yang akan ditatah; untuk mengukir kayu dan untuk membuat segala jenis karya seni yang lain. Aku juga memilih Oholiab anak Ahisamakh daripada suku Dan, untuk bekerja dengan Bezaleel. Aku telah mengurniakan kebolehan yang luar biasa kepada semua tukang yang mahir, supaya segala yang Aku perintahkan dapat dibuat oleh mereka: Khemah TUHAN, Tabut Perjanjian dan penutupnya, semua peralatan Khemah TUHAN, meja dan peralatannya, kaki pelita daripada emas tulen dan peralatannya, mazbah tempat membakar kemenyan, mazbah tempat korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan segala peralatannya, besen dan alasnya, pakaian ibadat untuk imam, yang dipakai oleh Harun dan anak-anaknya apabila mereka bertugas sebagai imam, minyak upacara, dan kemenyan yang berbau harum untuk Bilik Suci. Mereka harus membuat semuanya tepat seperti yang telah Aku perintahkan kepadamu.” TUHAN memerintah Musa supaya memberitahu umat Israel, “Rayakanlah hari Sabat, hari yang telah Aku tetapkan sebagai hari rehat, kerana hari itu adalah suatu tanda antara Aku dan kamu selama-lamanya, untuk menunjukkan bahawa Aku, TUHAN, telah menjadikan kamu umat-Ku sendiri. Kamu mesti merayakan hari rehat itu, kerana hari itu suci. Sesiapa yang tidak merayakan hari itu, dan yang bekerja pada hari itu mesti dihukum mati. Kamu boleh bekerja selama enam hari, tetapi hari ketujuh adalah hari rehat yang suci, yang telah ditahbiskan untuk-Ku. Sesiapa yang bekerja pada hari itu mesti dihukum mati. Umat Israel mesti merayakan hari ini sebagai tanda perjanjian. Hari itu suatu tanda yang kekal antara Aku dengan umat Israel, kerana Aku, TUHAN telah menjadikan langit dan bumi dalam masa enam hari; pada hari ketujuh Aku berhenti bekerja, dan Aku berehat.” Selepas Allah berfirman kepada Musa di Gunung Sinai, Allah memberi dia dua buah batu tulis yang telah ditulisi Allah sendiri dengan perintah-Nya. Apabila orang Israel melihat bahawa Musa berada di gunung itu lama sekali, dan dia belum juga turun, mereka mengerumuni Harun dan berkata kepadanya, “Kita tidak tahu apa telah berlaku kepada si Musa, yang telah memimpin kita keluar dari Mesir; oleh itu buatlah satu tuhan bagi kami untuk memimpin kami.” Harun berkata kepada mereka, “Tanggalkanlah anting-anting emas yang dipakai oleh isteri, anak lelaki, dan anak perempuan kamu, lalu bawalah semuanya kepadaku.” Oleh itu mereka semua menanggalkan anting-anting emas dan memberikan semuanya kepada Harun. Harun mengambil anting-anting itu, meleburkan semuanya lalu mencurahkan emas itu ke dalam acuan, dan membuat sebuah patung lembu jantan. Umat itu berkata, “Hai Israel, inilah tuhan kita yang telah membawa kita keluar dari Mesir!” Kemudian Harun membina sebuah mazbah di hadapan lembu emas itu dan mengumumkan, “Esok kita akan mengadakan pesta untuk menghormati TUHAN.” Awal pagi esoknya mereka membawa beberapa ekor binatang untuk dipersembahkan sebagai korban, dan beberapa ekor lagi bagi korban untuk memohon berkat kepada TUHAN. Mereka duduk untuk makan dan minum, lalu bangkit untuk berpesta liar. TUHAN berfirman kepada Musa, “Cepatlah turun kerana umatmu yang engkau pimpin keluar dari Mesir telah berdosa dan menolak Aku. Mereka telah menyimpang daripada perintah-Ku. Mereka telah membuat sebuah patung lembu daripada emas leburan, lalu menyembahnya; mereka juga mempersembahkan korban kepadanya. Mereka berkata bahawa itulah tuhan mereka yang telah memimpin mereka keluar dari Mesir. Aku tahu betapa degilnya umat itu. Sekarang, janganlah halang Aku. Aku murka terhadap mereka dan hendak membinasakan mereka. Tetapi Aku akan menjadikan engkau dan keturunanmu satu bangsa yang besar.” Tetapi Musa merayu kepada TUHAN, Allahnya dan berkata, “Ya TUHAN, mengapakah Engkau begitu murka terhadap umat-Mu yang telah Engkau bebaskan dari Mesir, dengan kuasa dan kekuatan yang besar? Jika Engkau membinasakan mereka, orang Mesir akan berkata bahawa Engkau membawa mereka keluar dari Mesir justeru untuk membunuh mereka di pergunungan dan membinasakan mereka sama sekali. Janganlah murka lagi, ubahlah niat-Mu dan janganlah timpakan bencana ini kepada umat-Mu. Ingatlah akan hamba-Mu Abraham, Ishak, dan Yakub. Ingatlah akan janji-Mu kepada mereka untuk mengurniai mereka keturunan sebanyak bintang di langit, dan memberi mereka seluruh tanah ini untuk menjadi milik mereka selama-lamanya.” Oleh itu TUHAN mengubah niat-Nya dan tidak melaksanakan ancaman-Nya untuk menimpakan bencana kepada umat-Nya. Musa turun dari gunung sambil membawa dua buah batu tulis yang bertuliskan perintah Allah pada kedua-dua mukanya. Allah sendiri telah membuat dua buah batu tulis itu dan mengukirkan perintah-Nya di situ. Yosua mendengar orang Israel berteriak-teriak, lalu berkata kepada Musa, “Saya mendengar bunyi pertempuran di perkhemahan.” Musa berkata, “Bunyi itu bukan suara kemenangan ataupun kekalahan; bunyi itu suara orang menyanyi.” Apabila Musa menghampiri perkhemahan lalu melihat patung lembu daripada emas itu dan rakyat menari-nari, dia naik marah. Di situ, di kaki gunung, dia membanting batu-batu tulis yang dibawanya sehingga hancur berkeping-keping. Musa mengambil patung lembu daripada emas yang dibuat mereka itu, lalu melebur dan menumbuknya sehingga menjadi serbuk halus, kemudian dia mencampurnya dengan air. Selepas itu Musa menyuruh orang Israel minum air itu. Musa berkata kepada Harun, “Apakah yang telah dilakukan umat ini kepadamu sehingga engkau membiarkan mereka berdosa besar?” Harun menjawab, “Janganlah marah kepadaku. Engkau tahu betapa nekadnya umat ini untuk melakukan kejahatan. Mereka berkata kepadaku, ‘Kami tidak tahu apa telah berlaku kepada si Musa, yang memimpin kami keluar dari Mesir. Oleh itu, buatlah satu tuhan bagi kami untuk memimpin kami.’ Aku menyuruh mereka memberikan perhiasan emas kepadaku, lalu orang yang mempunyai perhiasan menanggalkannya dan memberikannya kepadaku. Aku mencampakkan perhiasan emas itu ke dalam api, lalu terbentuklah lembu ini.” Musa sedar bahawa Harun telah membiarkan orang Israel dalam keadaan yang tidak terkawal lagi, sehingga mempermalukan diri mereka sendiri di hadapan musuh. Oleh itu Musa berdiri di pintu gerbang perkhemahan dan berseru, “Tiap-tiap orang yang memihak kepada TUHAN harus datang ke mari!” Oleh itu segenap suku Lewi berhimpun mengelilingi Musa. Kemudian Musa berkata kepada mereka, “TUHAN, Allah Israel memerintahkan setiap orang menghunus pedang, dan pergi dari pintu perkhemahan ini ke pintu di sebelah sana, lalu membunuh saudara-saudara, kawan-kawan, dan jiran-jirannya.” Suku Lewi taat, lalu membunuh kira-kira tiga ribu orang pada hari itu. Musa berkata kepada suku Lewi, “Pada hari ini kamu telah mentahbiskan diri sebagai imam yang mengabdi kepada TUHAN, dengan membunuh anak lelaki kamu dan saudara-saudara kamu; maka TUHAN memberikan berkat-Nya kepada kamu.” Keesokan harinya, Musa berkata kepada orang Israel, “Kamu telah berdosa besar. Tetapi aku akan naik ke gunung itu lagi untuk menghadap TUHAN; mudah-mudahan aku boleh mendapatkan pengampunan bagi dosa kamu.” Musa kembali menghadap TUHAN dan berkata, “Umat itu telah melakukan dosa besar. Mereka telah membuat tuhan daripada emas dan menyembahnya. Ampunkanlah dosa mereka; jika tidak, hapuskanlah namaku dari kitab yang Engkau tuliskan dengan nama-nama umat-Mu.” TUHAN menjawab, “Hanya orang yang telah berdosa terhadap Aku akan Kuhapuskan namanya dari kitab-Ku itu. Pergilah sekarang, dan bawalah umat itu ke tempat yang telah Aku sebut kepadamu. Ingatlah, malaikat-Ku akan memimpin engkau, tetapi akan tiba masanya apabila Aku akan menghukum umat ini kerana dosa mereka.” Kemudian TUHAN mendatangkan penyakit kepada umat itu, kerana mereka telah memaksa Harun membuat patung lembu daripada emas. TUHAN berfirman kepada Musa, “Tinggalkanlah tempat ini bersama dengan umat yang engkau bawa keluar dari Mesir, dan pergilah ke tanah yang telah Aku janjikan kepada Abraham, Ishak, Yakub, dan keturunan mereka. Aku akan menghantar satu malaikat untuk memimpin kamu. Aku akan mengusir orang Kanaan, Amori, Het, Feris, Hewi, dan Yebusi. Kamu akan pergi ke tanah yang kaya dan subur. Tetapi Aku sendiri tidak akan pergi bersama-sama kamu, supaya kamu tidak Aku binasakan di tengah perjalanan, kerana kamu umat yang degil.” Selepas umat mendengar firman itu, mereka mula berkabung dan tidak lagi memakai barang kemas, kerana TUHAN telah menyuruh Musa menyampaikan firman-Nya kepada umat Israel, “Kamu umat yang degil. Jika Aku ikut bersama-sama kamu walau seketika pun, tentu kamu akan Kubinasakan sama sekali. Sekarang, tanggalkanlah barang kemas kamu; kemudian Aku akan menentukan apa yang Aku lakukan kepada kamu.” Oleh sebab itu, selepas orang Israel meninggalkan Gunung Sinai, mereka tidak lagi memakai barang kemas. Bila-bila sahaja orang Israel berkhemah, Musa akan mengambil Khemah lalu memasangnya di luar kawasan perkhemahan mereka, tidak berapa jauh dari perkhemahan itu. Khemah itu dinamakan Khemah TUHAN. Sesiapa yang minta nasihat TUHAN akan pergi ke Khemah itu. Setiap kali Musa pergi ke Khemah itu, segenap umat akan berdiri di pintu khemah mereka dan memperhatikan Musa sehingga dia masuk ke dalam Khemah TUHAN. Setelah Musa masuk, tiang awan turun dan berhenti di pintu Khemah itu, lalu TUHAN berfirman kepada Musa dari awan itu. Sebaik sahaja umat melihat tiang awan di pintu Khemah TUHAN, mereka bersujud. TUHAN berfirman kepada Musa dengan bersemuka, sebagaimana seseorang bercakap dengan sahabatnya. Kemudian Musa kembali ke perkhemahan, tetapi Yosua anak Nun, pemuda yang menjadi pembantu Musa, tinggal di dalam Khemah TUHAN. Musa berkata kepada TUHAN, “Memang benar Engkau telah menyuruh aku memimpin umat ini ke tanah yang telah Engkau janjikan, tetapi Engkau tidak memberitahu aku siapa yang Engkau utus untuk menyertai aku. Engkau berfirman bahawa Engkau mengenal aku dengan baik serta berkenan kepadaku. Jika hal ini benar, nyatakanlah rancangan-Mu supaya aku dapat mengabdikan diri kepada-Mu dan tetap menyenangkan hati-Mu. Ingatlah juga bahawa Engkau telah memilih umat ini menjadi milik-Mu sendiri.” TUHAN berfirman, “Aku akan ikut engkau, dan Aku akan memberikan ketenangan fikiran kepadamu.” Musa menjawab, “Jika Engkau tidak ikut kami, jangan suruh kami meninggalkan tempat ini. Bagaimanakah orang lain tahu bahawa Engkau berkenan kepada umat-Mu dan aku, jika Engkau tidak ikut kami? Hadirat-Mu di tengah-tengah kami akan membezakan kami daripada bangsa lain di bumi.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku akan melakukan seperti yang engkau minta, kerana Aku mengenal engkau dengan baik dan Aku berkenan kepadamu.” Kemudian Musa memohon, “Benarkanlah aku melihat cahaya hadirat-Mu.” TUHAN menjawab, “Aku akan lalu dengan segala keagungan-Ku di hadapanmu, sambil mengucapkan nama-Ku yang suci, iaitu TUHAN. Aku akan menunjukkan rahmat dan belas kasihan kepada orang yang Aku pilih. Engkau tidak boleh melihat wajah-Ku, kerana tiada manusia yang tetap hidup setelah melihat wajah-Ku. Berdirilah di atas bukit batu yang terletak di sebelah-Ku. Apabila cahaya hadirat-Ku lalu, Aku akan memasukkan engkau ke dalam celah bukit batu dan menghalangi penglihatanmu dengan tangan-Ku sehingga Aku telah lalu. Kemudian Aku akan mengangkat tangan-Ku dan engkau akan nampak belakang-Ku, tetapi tidak nampak wajah-Ku.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Pahatlah dua buah batu tulis seperti yang dahulu. Pada batu tulis itu, Aku akan menulis firman yang sama dengan firman yang ada pada batu tulis yang pertama, yang telah engkau pecahkan. Bersiap-siaplah esok pagi, dan naiklah ke Gunung Sinai untuk menghadap Aku di puncak gunung itu. Tiada sesiapa pun boleh naik bersama-samamu, atau kelihatan di bahagian mana pun gunung itu; domba ataupun lembu tidak boleh meragut di kaki gunung itu.” Kemudian Musa memahat dua buah batu tulis seperti yang dahulu, dan pada awal pagi esoknya dia membawa batu tulis itu, lalu naik ke Gunung Sinai, seperti yang diperintahkan TUHAN. TUHAN turun dalam awan; Dia berdiri dengan Musa di tempat itu dan menyebut nama-Nya yang suci, iaitu TUHAN. Kemudian TUHAN lalu di hadapan Musa dan berfirman, “Aku TUHAN, Allah yang penuh dengan rahmat dan belas kasihan; Aku tidak cepat murka, dan Aku menunjukkan kasih dan kesetiaan yang besar. Aku menepati janji-Ku kepada beribu-ribu keturunan, serta mengampunkan kejahatan dan dosa, tetapi Aku tidak akan membebaskan orang yang bersalah daripada hukuman. Aku juga akan menghukum anak-anak dan cucu-cicit mereka, sampai kepada generasi yang ketiga dan yang keempat, kerana dosa ibu bapa mereka.” Dengan segera Musa bersujud menyembah. Dia berkata, “Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar berkenan kepadaku, aku mohon Engkau ikut dengan kami. Umat ini degil, tetapi ampunkanlah kejahatan serta dosa kami, dan terimalah kami sebagai umat-Mu sendiri.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Sekarang Aku membuat suatu perjanjian dengan umat Israel. Di depan mata mereka, Aku akan melakukan perkara-perkara besar, yang belum pernah dilakukan antara bangsa-bangsa di seluruh bumi. Semua bangsa akan melihat apa yang dapat Aku, TUHAN lakukan, kerana Aku akan melakukan perkara yang hebat untuk kamu. Taatilah hukum yang Aku berikan kepadamu hari ini. Aku akan mengusir orang Amori, Kanaan, Het, Feris, Hewi, dan Yebusi apabila kamu pergi ke sana. Jangan buat perjanjian dengan orang di negeri yang akan kamu duduki, kerana hal itu akan menjadi perangkap yang mengakibatkan kebinasaan kamu. Robohkanlah mazbah-mazbah mereka; hancurkanlah tugu-tugu keramat mereka, dan tebanglah lambang-lambang Asyera, berhala mereka. Jangan sembah tuhan-tuhan lain, kerana Aku, TUHAN, tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun. Jangan buat perjanjian dengan orang di negeri itu, kerana apabila mereka menyembah tuhan-tuhan mereka dan mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan itu, mereka akan menjemput kamu. Maka kamu akan tergoda untuk makan makanan yang dipersembahkan mereka kepada tuhan-tuhan itu. Anak-anak lelaki kamu mungkin akan berkahwin dengan anak-anak perempuan mereka, yang akan menyebabkan anak-anak lelaki kamu tidak lagi setia kepada-Ku, dan menyembah tuhan-tuhan lain. Jangan buat tuhan-tuhan daripada logam, dan jangan sembah tuhan-tuhan itu. Rayakanlah Perayaan Roti Tidak Beragi. Sebagaimana telah Aku perintahkan, makanlah roti tidak beragi selama tujuh hari pada bulan Abib, kerana pada bulan itu kamu telah meninggalkan Mesir. Setiap anak lelaki sulung dan anak jantan sulung ternakan adalah milik-Ku. Tetapi kamu harus menebus setiap anak sulung keldai kamu dengan mempersembahkan seekor domba sebagai penggantinya. Jika kamu tidak menebus keldai itu, patahkanlah lehernya. Kamu harus menebus setiap anak lelaki sulung kamu. Tidak seorang pun boleh menghadap Aku tanpa membawa persembahan. Kamu mempunyai enam hari untuk bekerja, tetapi jangan bekerja pada hari ketujuh, walaupun pada masa membajak atau masa menuai. Rayakanlah Perayaan Menuai apabila kamu mula menuai hasil pertama gandum kamu. Rayakanlah juga Perayaan Pondok Daun pada musim luruh, apabila kamu memetik buah-buahan. Tiga kali setahun, semua orang lelaki mesti datang menyembah Aku TUHAN, Allah Israel. Setelah Aku mengusir bangsa-bangsa dari hadapan kamu dan meluaskan wilayah kamu, tiada sesiapa pun yang akan cuba menakluki negeri kamu pada waktu tiga perayaan itu. Jangan persembahkan roti yang beragi apabila kamu mempersembahkan binatang sebagai korban kepada-Ku. Sisa binatang yang disembelih pada masa Perayaan Paska tidak boleh disimpan sehingga esok pagi. Tiap-tiap tahun, bawalah hasil pertama dari tanah kamu ke rumah TUHAN, Allah kamu. Jangan masak anak domba atau anak kambing dalam air susu induknya.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Tulislah firman ini, kerana berdasarkan firman ini Aku membuat perjanjian dengan engkau dan dengan Israel.” Musa tinggal di tempat itu bersama-sama TUHAN selama empat puluh hari dan empat puluh malam, tanpa makan dan minum. Musa menulis perkataan perjanjian itu, iaitu Sepuluh Hukum, pada batu-batu tulis itu. Apabila Musa turun dari Gunung Sinai sambil membawa Sepuluh Hukum itu, mukanya bercahaya kerana dia telah bercakap dengan TUHAN, tetapi Musa sendiri tidak tahu bahawa mukanya bercahaya. Harun dan segenap umat melihat bahawa muka Musa bercahaya. Oleh itu mereka takut mendekati Musa, tetapi Musa memanggil mereka. Kemudian Harun bersama dengan para pemimpin umat mendekatinya, dan Musa berkata-kata kepada mereka. Selepas itu, segenap umat Israel berkumpul di sekeliling Musa. Lalu kepada mereka, Musa menyampaikan segala hukum yang diberikan TUHAN kepadanya di Gunung Sinai. Selepas Musa berucap kepada mereka, dia menutup mukanya dengan selubung. Setiap kali Musa masuk ke dalam Khemah TUHAN untuk bercakap dengan TUHAN, Musa membuka selubungnya. Selepas Musa keluar, dia menyampaikan segala yang diperintahkan TUHAN kepada segenap umat Israel, dan mereka nampak mukanya bercahaya. Kemudian Musa menutup mukanya semula sehingga sampai masanya dia bercakap lagi dengan TUHAN. Musa menyuruh segenap umat Israel berkumpul, lalu berkata kepada mereka, “Inilah perintah TUHAN untuk kamu: Kamu mempunyai enam hari untuk bekerja, tetapi hari yang ketujuh harus dianggap suci; hari itu hari rehat yang ditahbiskan untuk TUHAN. Sesiapa yang bekerja pada hari itu mesti dihukum mati. Pada hari Sabat kamu tidak boleh menyalakan api di rumah kamu.” Musa berkata kepada segenap umat Israel, “Inilah yang telah diperintahkan TUHAN: Bawalah persembahan kepada TUHAN. Sesiapa yang ingin memberikan persembahan harus mempersembahkan emas, perak, atau gangsa; kain linen halus; kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah; kain daripada bulu kambing; kulit domba jantan yang dicelup merah; kulit halus; kayu akasia; minyak untuk pelita; rempah-ratus untuk minyak upacara dan untuk kemenyan yang harum; batu sardis dan batu-batu permata lain yang akan ditatah pada efod dan penutup dada Imam Agung.” “Semua tukang yang mahir di kalangan kamu mesti datang dan membuat segala yang telah diperintahkan TUHAN: Khemah TUHAN, serta bumbung dan penutup bumbung, cangkuk dan rangka, kayu-kayu lintang, tiang, dan alas; Tabut Perjanjian dengan kayu pengusungnya, penutupnya, dan tirai yang menudungnya; meja dengan kayu pengusungnya, dan semua peralatannya; roti yang dipersembahkan kepada Allah; kaki pelita untuk memberikan cahaya, dan peralatannya; pelita-pelita dengan minyak; mazbah tempat membakar kemenyan dengan kayu pengusungnya; minyak upacara; kemenyan yang harum; tirai untuk pintu masuk Khemah TUHAN; mazbah tempat membakar korban, dengan kekisi gangsa, kayu pengusung dan semua peralatannya; besen dan alasnya; tirai bagi pagar, serta tiang pagar dan alas tiang; tirai untuk pintu pagar; pasak dan tali bagi Khemah TUHAN dan pagarnya; pakaian ibadat untuk imam-imam apabila mereka bertugas di Bilik Suci, dan pakaian khas untuk Imam Harun dan anak-anaknya.” Kemudian semua orang Israel yang berkumpul itu bersurai, dan setiap orang yang tergerak hatinya membawa persembahan kepada TUHAN untuk membuat Khemah TUHAN. Mereka membawa semua barang yang diperlukan untuk ibadat dan untuk membuat pakaian imam. Setiap orang yang mahu memberikan persembahan, baik lelaki mahupun perempuan, datang membawa kerongsang, anting-anting, cincin, rantai leher, dan segala jenis barang kemas daripada emas, lalu mentahbiskan semuanya untuk TUHAN. Setiap orang yang mempunyai kain linen halus; kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah; kain yang dibuat daripada bulu kambing; kulit domba jantan yang dicelup merah; atau kulit halus, mempersembahkan barang itu. Semua orang yang mampu mempersembahkan perak atau gangsa membawa persembahan mereka kepada TUHAN. Demikian juga yang dilakukan oleh semua orang yang mempunyai kayu akasia yang dapat digunakan bagi pekerjaan itu. Semua perempuan yang mahir memintal, membawa benang linen serta benang bulu berwarna biru, ungu, dan merah, yang telah dipintal mereka. Mereka juga memintal benang daripada bulu kambing. Para pemimpin membawa batu sardis dan batu permata lain untuk ditatahkan pada efod dan penutup dada. Mereka juga membawa rempah-ratus dan minyak untuk pelita, minyak upacara, dan kemenyan yang harum. Semua orang Israel yang ingin dan rela memberikan sesuatu, membawa persembahan mereka itu kepada TUHAN, untuk pekerjaan yang telah diperintahkan-Nya kepada Musa. Musa berkata kepada orang Israel, “TUHAN telah memilih Bezaleel anak Uri, cucu Hur, daripada suku Yehuda. Allah telah mengurniai Bezaleel kuasa-Nya, dan memberi dia kemahiran, kebolehan, dan pengertian dalam segala jenis karya seni, untuk merancang rekabentuk yang memerlukan kemahiran serta membuatnya dengan menggunakan emas, perak, dan gangsa; untuk mencanai batu permata yang akan ditatah; untuk mengukir kayu, dan untuk membuat segala jenis karya seni yang lain. TUHAN mengurniakan kepandaian kepada Bezaleel dan Oholiab anak Ahisamakh daripada suku Dan, untuk mengajarkan kemahiran mereka kepada orang lain. Dia telah mengurniai mereka kemahiran untuk melakukan segala jenis pekerjaan yang dilakukan oleh pengukir, perekabentuk, dan penenun kain linen halus, kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, dan kain-kain lain. Mereka dapat melakukan segala jenis pekerjaan, dan mereka juga perekabentuk yang mahir. Bezaleel, Oholiab, dan semua tukang yang telah dikurniakan kemahiran dan pengertian oleh TUHAN, iaitu mereka yang tahu cara membuat segala yang diperlukan untuk membina Khemah TUHAN, mesti melakukan segala-galanya sebagaimana yang telah diperintahkan TUHAN.” Musa memanggil Bezaleel, Oholiab, dan semua tukang lain yang telah dikurniai kebolehan oleh TUHAN, iaitu mereka yang rela menolong; lalu Musa menyuruh mereka memulakan pekerjaan itu. Musa memberi mereka segala sumbangan yang dibawa oleh orang Israel untuk pembinaan Khemah TUHAN. Tetapi orang Israel masih lagi membawa sumbangan kepada Musa tiap-tiap pagi. Oleh itu para tukang yang sedang melakukan pekerjaan itu memberikan laporan kepada Musa, “Umat telah memberikan lebih daripada apa yang diperlukan untuk pekerjaan yang diperintahkan TUHAN.” Kemudian Musa memberitahu segenap umat supaya tidak membawa sumbangan lagi untuk Khemah TUHAN; umat pun tidak memberikan apa-apa lagi. Bahan-bahan yang sudah diberikan lebih daripada cukup untuk menyelesaikan segala pekerjaan itu. Tukang-tukang yang paling mahir antara para tukang itu membina Khemah TUHAN. Mereka membuatnya daripada sepuluh helai kain linen halus yang ditenun dengan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, serta disulam dengan gambar kerub. Setiap helai berukuran sama, 12 meter panjang dan 2 meter lebar. Mereka menjahit lima helai menjadi satu labuh tirai, dan lima helai yang lain dibuat begitu juga. Mereka membuat gelung daripada kain biru pada tepi sebelah luar kedua-dua labuh tirai. Mereka membuat lima puluh utas gelung pada satu labuh tirai dan lima puluh utas gelung pada tirai yang kedua, sehingga merupakan satu pasang. Mereka membuat lima puluh bentuk cangkuk emas untuk menyambungkan kedua-dua labuh tirai itu. Kemudian mereka membuat bumbung Khemah daripada sebelas helai kain bulu kambing. Tiap-tiap helai berukuran sama, 13 meter panjang dan 2 meter lebar. Mereka menjahit lima helai menjadi satu layar dan yang enam helai lagi dibuat begitu juga. Mereka memasang lima puluh utas gelung pada tepi helai yang terakhir bagi layar yang pertama, dan lima puluh utas gelung pada tepi layar yang kedua. Mereka membuat lima puluh bentuk cangkuk gangsa untuk menyatukan dua layar itu sehingga menjadi bumbung Khemah. Mereka membuat dua lagi penutup: satu daripada kulit kambing jantan yang dicelup merah, dan satu lagi daripada kulit halus untuk dibentangkan di sebelah atas. Mereka membuat rangka tegak lurus daripada kayu akasia untuk Khemah. Tiap-tiap rangka berukuran 4 meter panjang dan 66 sentimeter lebar. Unjuran yang sepadan dibuat pada setiap batang rangka, sehingga rangka-rangka itu dapat dihubungkan. Mereka membuat dua puluh batang rangka untuk bahagian selatan, dengan empat puluh buah alas perak bagi rangka-rangka itu: dua buah alas di bawah setiap batang rangka untuk menyangga kedua-dua unjuran itu. Mereka juga membuat dua puluh batang rangka untuk bahagian utara, dengan empat puluh buah alas perak, dua buah alas di bawah setiap batang rangka. Bagi bahagian belakang Khemah TUHAN, di sebelah barat, mereka membuat enam batang rangka dan dua batang rangka untuk sudut-sudut. Rangka-rangka sudut dihubungkan di bahagian bawah sampai ke bahagian atas. Kedua-dua batang rangka yang membentuk sudutnya dibuat dengan cara itu. Oleh itu terdapat lapan batang rangka dengan enam belas buah alas perak: dua buah alas di bawah setiap batang rangka. Mereka membuat lima belas batang kayu lintang daripada kayu akasia, lima batang untuk rangka-rangka di satu sisi Khemah TUHAN, lima batang untuk rangka-rangka di bahagian lain, dan lima batang lagi untuk rangka-rangka di sebelah barat, di bahagian belakang. Kayu lintang yang ada di tengah-tengah rangka itu melintang dari satu hujung Khemah ke hujung yang lain. Mereka menyaluti rangka itu dengan emas lalu memasang gelang-gelang emas pada rangka itu untuk menyangga kayu lintang, yang juga disaluti emas. Mereka membuat tirai daripada kain linen halus yang ditenun dengan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, serta disulami gambar kerub. Mereka membuat empat batang tiang daripada kayu akasia untuk menyangga tirai itu; tiang-tiang itu disaluti emas dan dipasangkan dengan cangkuk-cangkuk emas. Kemudian mereka membuat empat buah alas perak untuk menyangga tiang-tiang itu. Untuk pintu Khemah TUHAN, mereka membuat tirai daripada kain linen halus yang ditenun dengan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah yang dihias dengan sulaman. Untuk tirai itu mereka membuat lima batang tiang yang dipasangkan dengan cangkuk-cangkuk. Mereka menyaluti bahagian atas tiang dan batang-batangnya dengan emas. Mereka membuat lima buah alas daripada gangsa untuk tiang-tiang itu. Bezaleel membuat Tabut Perjanjian daripada kayu akasia berukuran 110 sentimeter panjang, 66 sentimeter lebar, dan 66 sentimeter tinggi. Dia menyaluti bahagian dalam dan bahagian luarnya dengan emas tulen, dan membuat bingkai emas di sekelilingnya. Dia membuat empat gelang emas untuk kayu pengusungnya, dan memasang gelang-gelang itu pada keempat-empat sudut Tabut, dua gelang pada satu sisi dan dua gelang pada sisi sebelah. Dia membuat kayu-kayu pengusung daripada kayu akasia dan menyalutinya dengan emas. Dia memasukkan kayu pengusung itu ke dalam gelang-gelang pada setiap sisi Tabut. Dia membuat sebuah penutup daripada emas tulen, berukuran 110 sentimeter panjang dan 66 sentimeter lebar. [7-8] Pada kedua-dua hujung penutup itu, dia membuat dua kerub daripada emas tempaan. Dia membuat kedua-duanya itu seiras dengan penutup. *** Kerub-kerub itu saling berhadapan, dengan memandang ke bawah, dan dengan sayap yang terbentang untuk menutupi penutup Tabut. Bezaleel membuat sebuah meja daripada kayu akasia, berukuran 88 sentimeter panjang, 44 sentimeter lebar, dan 66 sentimeter tinggi. Dia menyalutinya dengan emas tulen dan memasang bingkai emas di sekelilingnya. Dia membuat tepi selebar 7.5 sentimeter di sekeliling meja itu. Tepi itu dipasangkan dengan bingkai emas di sekelilingnya. Dia membuat empat gelang emas untuk kayu pengusungnya, lalu memasangnya pada keempat-empat sudut, tempat kaki meja. Gelang-gelang untuk menyangga kayu pengusung meja itu dipasang dekat tepi meja. Dia membuat kayu pengusung itu daripada kayu akasia dan menyalutinya dengan emas. Dia juga membuat pinggan, cawan, kendi, dan mangkuk untuk digunakan bagi korban wain. Semua peralatan meja itu dibuatnya daripada emas tulen. Bezaleel membuat sebuah kaki pelita daripada emas tulen. Dia membuat alas dan batangnya daripada emas tempaan. Bunga-bunga hiasan termasuk kuncup dan kelopaknya dibuat seiras dengan batang pelita itu. Enam cabang dibuat pada batang kaki pelita itu, tiga cabang pada setiap sisinya. Setiap cabangnya dihias dengan hiasan berupa tiga kuntum bunga badam, dengan kuncup dan kelopaknya. Batang kaki pelita itu dihias dengan empat kuntum bunga hiasan, berupa bunga badam dengan kuncup dan kelopaknya. Di bawah setiap pasang cabang itu dibuat satu kuncup. Kuncup-kuncup, cabang-cabang, dan kaki pelita, semuanya dibuat daripada sekeping emas tulen tempaan. Dia membuat tujuh buah pelita untuk kaki pelita itu; dia juga membuat penyepit untuk membersihkan sumbu pelita, dan juga dulangnya daripada emas tulen. Dia menggunakan 35 kilogram emas tulen untuk membuat kaki pelita itu dan semua peralatannya. Bezaleel membuat sebuah mazbah daripada kayu akasia sebagai tempat membakar kemenyan. Bentuk mazbah itu berukuran empat persegi; 45 sentimeter panjang, 45 sentimeter lebar, dan 90 sentimeter tinggi. Unjuran pada keempat-empat sudutnya seiras dengan mazbah itu. Dia menyaluti bahagian atas mazbah itu, keempat-empat sisinya, serta unjuran-unjurannya dengan emas tulen, dan dia membuat bingkai emas di sekelilingnya. Dia juga membuat dua gelang di bawah bingkai emas pada kedua-dua sisinya untuk menyangga kayu pengusung mazbah itu. Dia membuat kayu pengusungnya daripada kayu akasia dan menyalutinya dengan emas. Bezaleel juga membuat minyak upacara yang suci, dan kemenyan yang tulen dan harum, yang dicampur seperti minyak wangi. Bezaleel membuat sebuah mazbah daripada kayu akasia sebagai tempat membakar korban. Bentuk mazbah itu empat persegi, berukuran 2.2 meter panjang, 2.2 meter lebar, dan 1.3 meter tinggi. Di bahagian atas mazbah itu, dia membuat unjuran pada keempat-empat sudutnya seiras dengan mazbah itu. Dia menyaluti seluruhnya dengan gangsa. Dia juga membuat segala peralatan untuk mazbah itu: periuk, penyodok, mangkuk, garpu, dan perbaraan. Dia membuat segala peralatan itu daripada gangsa. Dia membuat kekisi daripada gangsa dan melilitkannya pada bahagian bawah mazbah; tinggi kekisi itu setengah daripada tinggi mazbah. Dia membuat empat gelang untuk kayu pengusung pada keempat-empat sudutnya. Dia membuat kayu pengusung daripada kayu akasia dan menyalutinya dengan gangsa. Kayu pengusung itu dimasukkannya ke dalam gelang pada kedua-dua sisi mazbah. Dia membuat mazbah itu daripada papan, dan bahagian dalamnya berongga. Bezaleel membuat sebuah besen dan alasnya daripada cermin-cermin gangsa yang diberikan oleh kaum wanita yang bertugas di pintu masuk Khemah TUHAN. Bezaleel membuat pagar di sekeliling Khemah TUHAN. Pagar itu merupakan tirai daripada kain linen halus. Di bahagian selatan, panjang tirai itu 44 meter, disangga oleh dua puluh batang tiang gangsa dengan dua puluh buah alas, dan dipasang dengan cangkuk serta batang daripada perak. Di bahagian utara, pagar dibuat seperti itu juga. Di bahagian barat, tirai sepanjang 22 meter dipasang; tirai-tirai itu disangga oleh sepuluh batang tiang dan sepuluh buah alas, dengan cangkuk-cangkuk dan batang-batang daripada perak. Di bahagian timur, tempat pintu masuk, lebar tirainya 22 meter. [14-15] Pada tiap-tiap sisi pintu itu, dipasang tirai berukuran 6.6 meter panjang, dengan tiga batang tiang dan tiga buah alas. *** Semua tirai pada sepanjang pagar itu dibuat daripada kain linen halus. Alas bagi tiang dibuat daripada gangsa. Cangkuk, batang, dan penutup bahagian atas tiang-tiang itu dibuat daripada perak. Kesemua tiang pagar itu dihubungkan dengan batang-batang perak. Tirai untuk pintu pagar itu dibuat daripada kain linen halus yang ditenun dengan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, serta dihias dengan sulaman. Tirai itu berukuran 9 meter panjang dan 2 meter tinggi, sama dengan tirai-tirai pagar. Tirai pintu itu disangga oleh empat batang tiang dengan empat buah alas gangsa. Cangkuk dan penutup bahagian atas tiang-tiang itu, serta batangnya, dibuat daripada perak. Semua pasak untuk Khemah dan pagarnya dibuat daripada gangsa. Inilah senarai logam yang digunakan dalam Khemah TUHAN, tempat dua buah batu tulis yang bertuliskan Sepuluh Hukum disimpan. Senarai itu dibuat atas perintah Musa dan disusun oleh orang Lewi, yang bertugas di bawah arahan Itamar, anak Imam Harun. Bezaleel anak Uri, cucu Hur daripada suku Yehuda, membuat segala yang telah diperintahkan TUHAN. Penolongnya, Oholiab anak Ahisamakh daripada suku Dan ialah seorang pengukir, perekabentuk, dan penenun kain linen halus dan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah. Segala emas yang telah ditahbiskan untuk TUHAN bagi Khemah TUHAN itu beratnya 1,000 kilogram, ditimbang menurut timbangan yang ditetapkan di Khemah TUHAN. Perak yang didapati daripada pembancian orang Israel, beratnya 3,430 kilogram, ditimbang menurut timbangan yang ditetapkan di Khemah TUHAN. Jumlah ini sama dengan jumlah yang dibayar oleh segenap rakyat yang terdaftar dalam pembancian itu; tiap-tiap orang membayar jumlah yang ditentukan menurut timbangan yang ditetapkan di Rumah TUHAN. Semuanya 603,550 orang lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas, yang terdaftar dalam pembancian itu. Daripada perak itu, seberat 3,400 kilogram digunakan untuk membuat seratus buah alas bagi Khemah TUHAN dan tirainya, 34 kilogram untuk setiap alas. Dengan 30 kilogram perak yang lebih itu, Bezaleel membuat batang-batang, cangkuk-cangkuk tiang, dan penutup untuk bahagian atas tiang. Gangsa yang ditahbiskan kepada TUHAN seberat 2,425 kilogram. Bezaleel menggunakan gangsa itu untuk membuat alas bagi pintu Khemah TUHAN, mazbah gangsa dengan kekisinya, semua peralatan untuk mazbah itu, alas untuk pagar di sekeliling, dan juga alas untuk pintu pagar, serta semua pasak untuk Khemah TUHAN, dan pasak untuk pagar di sekelilingnya. Dengan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, mereka membuat pakaian indah untuk para imam. Para imam memakai pakaian itu apabila mereka bertugas di Bilik Suci. Mereka membuat pakaian imam untuk Harun seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Mereka membuat efod daripada kain linen halus, kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, dan benang emas. Mereka menempa kepingan emas dan menjadikannya jaluran-jaluran tipis untuk dijalin bersama kain linen halus dan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, yang dihias dengan sulaman. Selepas itu mereka membuat dua tali bahu pengikat efod, yang dijahitkan pada sisinya. Ikat pinggang yang ditenun halus daripada bahan yang sama, dijahitkan pada efod itu sehingga menjadi satu bahagian, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Mereka mencanai batu sardis lalu mengikatnya dengan bingkai emas. Dengan sangat mahir, mereka mengukir nama dua belas orang anak Yakub pada batu-batu permata itu. Kemudian batu-batu permata itu dipasang pada tali bahu efod untuk mewakili dua belas suku Israel, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Mereka membuat penutup dada dengan bahan-bahan itu juga, sama seperti yang digunakan untuk efod, dan sulamannya pun sama. Bentuknya empat persegi dan dilipat dua, 22 sentimeter panjang dan 22 sentimeter lebar. Mereka memasang empat baris batu permata pada penutup dada itu. Pada baris pertama dipasangkan batu delima, batu topaz, dan batu garnet; pada baris kedua dipasangkan batu zamrud, batu nilam, dan batu berlian; pada baris ketiga dipasangkan batu firus, batu akik, dan batu kecubung; pada baris keempat dipasangkan batu beril, batu sardis, dan batu jasper. Semua batu permata itu diikat dengan bingkai emas. Pada tiap-tiap batu permata itu diukirkan salah satu nama anak-anak Yakub untuk mewakili dua belas suku Israel. Mereka membuat rantai daripada emas tulen yang dipintal seperti tali untuk penutup dada itu. Mereka membuat dua bingkai emas dan dua gelang emas, lalu memasangkan dua gelang emas itu pada sudut sebelah atas penutup dada. Mereka mengikat dua utas rantai emas pada dua gelang emas, lalu mengikat hujung rantai emas yang satu lagi pada kedua-dua bingkai. Dengan demikian penutup dada itu dapat dihubungkan dengan bahagian depan tali bahu efod. Mereka membuat dua gelang emas dan memasangkannya pada penutup dada, di sudut bawah, di bahagian dalamnya yang kena efod. Mereka membuat dua gelang emas lagi, dan memasangkannya ke bahagian bawah di depan dua tali bahu efod, dekat dengan kelim, dan di sebelah atas ikat pinggang yang ditenun halus. Sesuai dengan perintah TUHAN kepada Musa, mereka mengikat gelang penutup dada itu pada gelang efod dengan tali biru, agar penutup dada itu terletak di atas ikat pinggang dan tidak terlepas. Jubah yang dipakai di bawah efod, seluruhnya ditenun daripada kain bulu berwarna biru. Lubang lehernya diperkuat dengan pita tenunan supaya tidak mudah koyak. [24-26] Di sekeliling kelepet sebelah bawah jubah itu, mereka membuat hiasan berupa buah delima daripada kain linen halus dan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, di selang-seli dengan loceng daripada emas tulen, menurut perintah TUHAN kepada Musa. *** *** Mereka membuat baju labuh daripada kain linen halus untuk Harun dan anak-anaknya, dan juga serban, ikat kepala, celana pendek daripada kain linen, ikat pinggang daripada kain linen halus, dan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, dihias dengan sulaman, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Mereka membuat suatu perhiasan daripada emas tulen, suatu tanda yang suci bahawa mereka sudah ditahbiskan. Pada perhiasan itu mereka mengukir perkataan ini: “Ditahbiskan untuk TUHAN.” Mereka mengikatkan perhiasan itu pada serban dengan tali biru, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Segala pekerjaan membina Khemah TUHAN itu telah selesai. Orang Israel membuat segala-galanya seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Mereka membawa Khemah TUHAN kepada Musa dengan segala peralatannya, cangkuk, rangka, kayu lintang, tiang dengan alas tiang; penutup daripada kulit domba jantan yang dicelup merah; penutup daripada kulit halus; tirai; Tabut Perjanjian yang mengandungi dua buah batu tulis, dan juga kayu pengusungnya serta penutupnya; meja dan segala peralatannya, roti yang dipersembahkan kepada Allah; kaki pelita daripada emas tulen, pelitanya, semua peralatannya, dan minyak pelita; mazbah emas; minyak upacara; kemenyan yang harum; tirai pintu Khemah TUHAN; mazbah gangsa dengan kekisinya, kayu pengusungnya dan segala peralatannya; besen dan alasnya; tirai pagar, tiang pagar dan alas tiang; tirai untuk pintu pagar dan tali-talinya; pasak-pasak Khemah TUHAN; segala peralatan yang digunakan dalam Khemah TUHAN; dan pakaian indah untuk para imam, yang dipakai semasa mereka bertugas di Bilik Suci, dan pakaian khas untuk Imam Harun, dan anak-anaknya. Orang Israel telah menyelesaikan segala pekerjaan seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Musa memeriksa segala-galanya, dan melihat bahawa mereka telah membuat semuanya tepat seperti yang diperintahkan TUHAN. Oleh itu Musa memberkati mereka. TUHAN berfirman kepada Musa, “Pada hari pertama bulan pertama, pasanglah Khemah-Ku. Letakkan Tabut Perjanjian yang mengandungi Sepuluh Hukum di dalam Khemah itu dan pasanglah tirai di depan Tabut. Bawalah meja ke dalam dan letakkan peralatan di atas meja itu. Bawalah juga kaki pelita dan letakkan pelita di atasnya. Letakkan mazbah emas tempat membakar kemenyan di hadapan Tabut Perjanjian, dan gantungkan tirai di pintu masuk Khemah. Letakkan mazbah tempat membakar korban di depan Khemah. Letakkan besen di antara Khemah dan mazbah, lalu isikan besen itu dengan air. Pasanglah pagar di sekeliling Khemah dan gantungkan tirai di pintu pagar. Kemudian tahbiskanlah Khemah itu dan segala peralatannya dengan menyapukannya dengan minyak upacara, maka Khemah itu akan menjadi suci. Selepas itu tahbiskanlah mazbah serta segala peralatannya dengan menyapukannya dengan minyak upacara, maka semuanya akan menjadi benar-benar suci. Tahbiskanlah juga besen air dan alasnya dengan cara yang sama. Kemudian bawalah Harun dan anak-anaknya ke pintu Khemah TUHAN, dan lakukan upacara pembasuhan diri bagi mereka. Kenakanlah pakaian imam pada Harun dan sapulah dia dengan minyak. Dengan cara itu, tahbiskanlah dia agar dia mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. Suruhlah anak-anak Harun maju mendekat, lalu kenakanlah baju labuh pada mereka. Kemudian sapulah mereka dengan minyak, sebagaimana engkau menyapukan bapa mereka dengan minyak, agar mereka mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. Upacara menyapukan minyak itu akan menjadikan suku mereka imam sehingga turun-temurun.” Musa melakukan segala-galanya sebagaimana yang telah diperintahkan TUHAN kepadanya. Oleh itu pada hari pertama bulan pertama, tahun kedua selepas mereka meninggalkan Mesir, Khemah TUHAN dipasang. Musa meletakkan alas-alasnya, mendirikan rangka-rangkanya, menyambung kayu-kayu lintangnya, dan menegakkan tiang-tiangnya. Dia membentangkan penutup Khemah TUHAN, lalu menutupinya dengan penutup lain, sebagaimana yang telah diperintahkan TUHAN. Kemudian Musa mengambil dua buah batu tulis itu dan meletakkannya di dalam Tabut Perjanjian. Dia memasukkan kayu pengusung Tabut ke dalam gelang-gelangnya, lalu menutup Tabut dengan penutupnya. Lalu dia meletakkan Tabut itu di dalam Khemah TUHAN dan menggantungkan tirai pelindung di depan Tabut Perjanjian, sesuai dengan perintah TUHAN kepadanya. Dia meletakkan meja di dalam Khemah TUHAN, di bahagian utara, sebelah luar tirai itu, dan meletakkan roti yang dipersembahkan kepada TUHAN di atas meja itu, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. Musa meletakkan kaki pelita di dalam Khemah TUHAN, di bahagian selatan, berhadapan dengan meja itu. Di situ, di hadirat TUHAN, dia menyalakan pelita itu, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. Dia meletakkan mazbah emas di dalam Khemah TUHAN, di hadapan tirai, lalu membakar kemenyan yang harum, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. Dia menggantungkan tirai di pintu masuk Khemah TUHAN, dan di situ, di depan tirai itu, dia meletakkan mazbah tempat membakar korban. Di atas mazbah itu dia mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, seperti yang diperintahkan TUHAN. Dia meletakkan besen di antara Khemah dan mazbah, lalu mengisinya dengan air. Musa, Harun dan anak-anaknya membasuh tangan dan kaki di situ, bila-bila sahaja mereka masuk ke dalam Khemah TUHAN atau mendekati mazbah, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. Musa memasang pagar di sekeliling Khemah TUHAN dan mazbah itu, serta menggantungkan tirai di pintu pagar. Demikianlah Musa menyelesaikan segala pekerjaan itu. Kemudian turunlah awan meliputi Khemah TUHAN, dan Khemah itu penuh dengan cahaya hadirat TUHAN. Oleh sebab itu, Musa tidak dapat masuk ke dalam Khemah TUHAN. Orang Israel memindahkan perkhemahan mereka ke tempat lain hanya apabila awan itu naik dari atas Khemah TUHAN. Selama awan itu tidak naik, mereka tidak memindahkan perkhemahan mereka. Selama pengembaraan orang Israel, mereka dapat melihat awan TUHAN di atas Khemah itu pada siang hari, dan api menyala-nyala di dalam awan itu pada malam hari. Dari dalam Khemah TUHAN, TUHAN memanggil Musa lalu memberikan peraturan kepadanya. Peraturan itu harus dipatuhi oleh orang Israel. Apabila seseorang mempersembahkan binatang sebagai korban, dia boleh mempersembahkan lembu, domba, atau kambing. Korban ini harus dibakar sampai habis di atas mazbah gangsa. Jika dia mempersembahkan salah seekor lembunya sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dia harus mempersembahkan lembu jantan yang tidak ada cacat. Dia harus membawa lembu itu ke pintu Khemah TUHAN supaya TUHAN berkenan kepada orang itu. Orang itu harus meletakkan tangannya di atas kepala lembu itu supaya persembahannya diterima oleh TUHAN sebagai korban untuk mengampunkan dosanya. Lembu jantan itu mesti disembelih di situ juga, dan imam-imam keturunan Harun harus mempersembahkan darah lembu itu kepada TUHAN, lalu menyiramkan darah itu pada keempat-empat sisi mazbah yang terletak di hadapan pintu Khemah TUHAN. Kemudian orang itu harus menguliti dan memotong lembu itu. Setelah para imam menyusun kayu api di atas mazbah serta menyalakan api, mereka harus meletakkan potongan-potongan lembu itu, termasuk juga kepala dan lemaknya di atas api. Orang itu harus mencuci isi perut dan paha lembu itu, lalu seluruh korban itu harus dibakar di atas mazbah oleh imam yang bertugas. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN. Jika orang itu mempersembahkan salah seekor domba atau kambingnya, binatang itu harus jantan dan tidak ada cacat. Binatang itu harus disembelih di sebelah utara mazbah, lalu para imam harus menyiramkan darah binatang itu pada keempat-empat sisi mazbah. Setelah orang itu memotong binatang itu, para imam harus meletakkan semua potongan itu, termasuk juga kepala dan lemaknya di atas api. Orang itu harus mencuci isi perut dan paha binatang itu. Kemudian imam harus mempersembahkan seluruh korban itu kepada TUHAN, serta membakar semuanya di atas mazbah. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN. Jika orang itu mempersembahkan seekor burung sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, burung itu harus burung tekukur atau burung merpati muda. Imam harus membawa burung itu ke mazbah, lalu memulas lehernya dan membakar kepalanya di atas mazbah. Darah burung itu harus dicurahkan di pinggir mazbah. Tembolok dan seluruh isinya harus dibuang di sebelah timur mazbah, di tempat membuang abu. Burung itu harus dicabik pada pangkal sayap, tetapi tidak boleh patah sayapnya. Kemudian burung itu harus dibakar di atas mazbah. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN. Apabila seseorang mempersembahkan korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, korban itu harus berupa tepung terbaik, yang dituangi minyak zaitun dan dibubuhi kemenyan di atasnya. Orang itu harus membawa persembahannya kepada imam-imam keturunan Harun. Imam yang mempersembahkan korban itu harus mengambil segenggam tepung serta minyak itu dan semua kemenyannya, lalu membakar semuanya di atas mazbah sebagai tanda bahawa keseluruhannya sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN. Lebihan korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN itu adalah bagi para imam. Korban ini sangat suci kerana diambil daripada makanan yang sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Jika persembahan itu roti yang dibakar di dalam ketuhar, roti itu tidak boleh dicampuri ragi. Roti itu boleh tebal, dibuat daripada tepung terbaik yang dicampuri minyak zaitun, dan boleh juga roti tipis, yang disapu dengan minyak zaitun. Jika persembahan itu roti yang dipanggang di atas pemanggang, roti itu harus dibuat daripada tepung terbaik yang dicampuri minyak zaitun tetapi tidak beragi. Roti itu harus dibelah-belah dan dituangi minyak zaitun ketika dipersembahkan. Jika persembahan itu roti yang dimasak di dalam kuali, roti itu harus dibuat daripada tepung terbaik dan minyak zaitun. Roti yang dibuat seperti ini harus dipersembahkan kepada TUHAN, dan diserahkan kepada imam yang membawanya ke mazbah. Imam itu akan mengambil sebahagian roti itu, lalu membakarnya di atas mazbah sebagai tanda bahawa keseluruhannya sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN. Lebihan korban itu untuk para imam. Korban ini sangat suci kerana diambil daripada makanan yang sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Korban untuk mengucap syukur, yang dipersembahkan kepada TUHAN tidak boleh dicampuri ragi. Jangan sekali-kali campurkan ragi atau madu ke dalam makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN. Hasil tanaman yang mula-mula kamu tuai pada setiap tahun harus dipersembahkan kepada TUHAN, tetapi persembahan itu tidak boleh dibakar di atas mazbah. Bubuhlah garam pada tiap-tiap korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, kerana garam melambangkan perjanjian antara kamu dengan Allah. Bubuhlah garam pada semua persembahan kamu. Apabila hasil tanaman yang mula-mula kamu tuai dipersembahkan kepada TUHAN, persembahkanlah biji-bijian baru yang sudah dipanggang atau yang sudah dikisar halus. Biji-bijian itu harus dituangi minyak zaitun dan dibubuhi kemenyan. Imam akan membakar sebahagian daripada tepung dan minyak zaitun, serta semua kemenyan itu, sebagai tanda bahawa keseluruhannya sudah dipersembahkan sebagai persembahan makanan kepada TUHAN. Apabila seseorang mempersembahkan salah seekor lembunya sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN, lembu itu boleh jantan atau betina, tetapi tidak boleh ada kecacatan. Orang itu harus meletakkan tangannya di atas kepala lembu itu, lalu menyembelihnya di hadapan pintu Khemah TUHAN. Imam-imam keturunan Harun akan menyiramkan darah lembu itu pada keempat-empat sisi mazbah, lalu mempersembahkan bahagian berikut daripada lembu itu sebagai persembahan makanan kepada TUHAN: semua lemak yang membungkus isi perut, buah pinggang dan lemaknya, serta bahagian yang terbaik daripada hati lembu itu. Imam-imam harus membakar semuanya di atas mazbah bersama-sama korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN. Jika yang dipersembahkan bagi korban untuk memohon berkat TUHAN itu, domba atau kambing, bolehlah binatang itu jantan atau betina, tetapi tidak boleh ada kecacatan. Jika seseorang mempersembahkan seekor domba, dia harus membawa domba itu ke Khemah TUHAN. Dia harus meletakkan tangannya di atas kepala domba itu lalu menyembelihnya di hadapan Khemah TUHAN. Imam-imam akan menyiramkan darah domba itu pada keempat-empat sisi mazbah, lalu mempersembahkan bahagian berikut daripada domba itu sebagai persembahan makanan kepada TUHAN: lemak, seluruh ekor yang berlemak dan dipotong dekat tulang belakang, lemak yang membungkus isi perut, buah pinggang serta lemaknya, dan bahagian yang terbaik daripada hati domba itu. Imam yang bertugas akan membakar semuanya di atas mazbah sebagai persembahan makanan kepada TUHAN. Jika seseorang mempersembahkan seekor kambing, dia harus membawa kambing itu ke Khemah TUHAN. Dia harus meletakkan tangannya di atas kepala kambing itu, lalu menyembelihnya di hadapan Khemah TUHAN. Imam-imam akan menyiramkan darah kambing itu pada keempat-empat sisi mazbah, lalu mempersembahkan bahagian berikut daripada kambing itu sebagai persembahan makanan kepada TUHAN: semua lemak yang membungkus isi perut, buah pinggang serta lemaknya, dan bahagian yang terbaik daripada hati kambing itu. Imam yang bertugas akan membakar semuanya di atas mazbah. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN. Semua lemak binatang adalah untuk TUHAN. Orang Israel sekali-kali tidak boleh makan lemak atau darah. Peraturan ini mesti dipatuhi oleh semua orang Israel sampai selama-lamanya, di mana sahaja mereka tinggal. TUHAN memerintah Musa supaya memberitahu orang Israel bahawa jika seseorang berdosa dan melanggar salah satu perintah TUHAN dengan tidak sengaja, orang itu harus mematuhi peraturan berikut. Jika Imam Agung yang berdosa, sehingga menyebabkan semua orang Israel bersalah, dia harus mempersembahkan seekor lembu jantan muda yang tidak ada kecacatan kepada TUHAN, supaya dosanya diampunkan. Imam Agung harus membawa lembu jantan itu ke pintu Khemah TUHAN, meletakkan tangannya di atas kepala lembu itu, lalu menyembelihnya di hadapan Khemah. Kemudian Imam Agung itu harus mengambil sebahagian daripada darah lembu jantan itu dan membawanya ke dalam Khemah. Dia harus mencelupkan jarinya ke dalam darah itu, lalu memercikkan darah itu tujuh kali di hadapan tirai yang memisahkan Bilik Suci. Kemudian dia harus menyapukan sedikit daripada darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah tempat kemenyan di dalam Khemah TUHAN. Dia harus menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah tempat membakar korban, yang terletak di hadapan pintu Khemah TUHAN. Imam Agung harus mengambil semua lemak lembu jantan itu, lemak yang membungkus isi perut, buah pinggang dan lemaknya, dan bahagian yang terbaik daripada hati lembu itu. Imam harus membakar lemak itu di atas mazbah bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, sebagaimana yang dilakukannya pada lemak binatang yang disembelih bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. Tetapi dia harus mengambil kulit lembu itu, semua daging, kepala, paha, isi perut termasuk usus lembu itu, lalu membawa semuanya ke luar perkhemahan. Di situ semuanya harus dibakar di atas kayu api di tempat membuang abu, iaitu tempat yang dikhaskan untuk hal itu. Jika segenap umat Israel berdosa dan bersalah kerana melanggar salah satu perintah TUHAN dengan tidak sengaja, maka sebaik sahaja dosa itu diketahui, segenap umat harus mempersembahkan seekor lembu jantan muda bagi korban untuk mengampunkan dosa. Mereka harus membawa lembu itu ke hadapan Khemah TUHAN. Para pemimpin umat harus meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu itu, lalu menyembelihnya di situ. Kemudian Imam Agung harus membawa sebahagian daripada darah lembu itu ke dalam Khemah TUHAN. Di situ dia harus mencelupkan jarinya ke dalam darah itu, lalu memercikkan darah itu tujuh kali di hadapan tirai yang memisahkan Bilik Suci. Dia harus menyapukan sedikit daripada darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah tempat kemenyan yang terletak di dalam Khemah TUHAN, lalu menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah tempat membakar korban, yang terletak di hadapan pintu Khemah. Selepas itu dia harus mengambil semua lemak lembu itu dan membakarnya di atas mazbah. Hal yang dilakukannya pada lembu itu sama seperti yang dilakukannya pada lembu jantan bagi korban untuk mengampunkan dosa. Dengan cara ini, Imam Agung mempersembahkan korban untuk dosa segenap umat, lalu mereka akan diampuni oleh TUHAN. Selepas itu Imam Agung harus membawa lembu itu ke luar perkhemahan dan membakarnya, sebagaimana dia membakar lembu bagi korban untuk mengampunkan dosanya sendiri. Inilah korban untuk mengampunkan dosa bagi segenap umat. Jika seorang pemimpin berdosa dan bersalah kerana melanggar salah satu perintah TUHAN dengan tidak sengaja, sebaik sahaja dia menyedari dosanya, dia harus mempersembahkan seekor kambing jantan yang tidak ada kecacatan. Dia harus meletakkan tangannya di atas kepala kambing itu, lalu menyembelihnya di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Inilah korban untuk mengampunkan dosa. Imam yang bertugas harus mencelupkan jarinya ke dalam darah kambing itu, menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah, lalu menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah. Kemudian dia harus membakar semua lemak kambing itu di atas mazbah, sebagaimana dia membakar lemak binatang yang disembelih bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. Demikianlah cara imam mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa seorang pemimpin, lalu pemimpin itu akan diampuni oleh TUHAN. Jika seorang rakyat jelata berdosa dan bersalah kerana melanggar salah satu perintah TUHAN dengan tidak sengaja, sebaik sahaja dia menyedari dosanya, dia harus mempersembahkan seekor kambing betina yang tidak ada kecacatan. Dia harus meletakkan tangannya di atas kepala kambing itu, lalu menyembelihnya di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Imam harus mencelupkan jarinya ke dalam darah kambing itu, menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah, lalu menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah. Kemudian dia harus memisahkan semua lemak kambing itu, sebagaimana dia memisahkan lemak binatang yang disembelih bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. Selepas itu, dia harus membakar lemak itu di atas mazbah. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. Demikianlah cara imam mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, lalu orang itu akan diampuni oleh TUHAN. Jika seseorang mempersembahkan seekor domba untuk mengampunkan dosanya, domba itu harus betina dan tidak ada kecacatan. Orang itu harus meletakkan tangannya di atas kepala domba itu, lalu menyembelihnya di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Imam harus mencelupkan jarinya ke dalam darah domba itu, menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah, lalu menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah. Kemudian dia harus memisahkan semua lemak domba itu, sebagaimana dia memisahkan lemak domba yang disembelih bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. Dia harus membakar lemak itu di atas mazbah bersama dengan persembahan makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN. Demikianlah cara imam mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, lalu orang itu akan diampuni oleh TUHAN. Korban untuk mengampunkan dosa perlu dipersembahkan bagi hal-hal yang berikut: Jika seseorang dengan rasminya diminta memberikan kesaksian di mahkamah, tetapi dia tidak memberikan keterangan tentang apa yang sudah dilihat atau didengarnya, maka dia harus menanggung akibatnya. Jika seseorang dengan tidak sengaja menyentuh sesuatu yang najis, misalnya bangkai binatang, dia menjadi najis dan bersalah sebaik sahaja dia sedar akan perbuatannya itu. Jika seseorang dengan tidak sengaja menyentuh apa sahaja yang najis daripada manusia, dia bersalah sebaik sahaja dia sedar akan perbuatannya itu. Jika seseorang bersumpah dengan sembarangan untuk melakukan apa sahaja, dia bersalah sebaik sahaja dia sedar akan perbuatannya itu. Apabila seseorang bersalah, dia harus mengakui dosanya. Sebagai hukuman dosanya itu, orang itu mesti mempersembahkan seekor domba betina atau seekor kambing betina kepada TUHAN. Imam harus mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu. Jika orang yang bersalah itu tidak mampu memberikan seekor domba atau seekor kambing untuk menebus dosanya, dia harus mempersembahkan dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati kepada TUHAN: seekor bagi korban untuk mengampunkan dosa, dan seekor lagi bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Dia harus memberikan burung-burung itu kepada imam. Mula-mula imam itu harus mempersembahkan burung yang ditentukan bagi korban untuk mengampunkan dosa. Imam itu harus mematahkan leher burung itu, tetapi jangan sampai kepala burung itu terputus. Kemudian sebahagian darah burung itu harus dipercikkan pada sisi mazbah. Darah selebihnya harus dituang di bahagian bawah mazbah. Korban ini adalah korban untuk mengampunkan dosa. Kemudian imam itu harus mempersembahkan burung yang seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, menurut peraturan. Dengan demikian imam mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, supaya orang itu akan diampuni oleh TUHAN. Jika orang yang bersalah itu tidak mampu memberikan dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati, dia harus mempersembahkan satu kilogram tepung sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Tepung itu tidak boleh dicampuri minyak zaitun ataupun kemenyan kerana korban itu adalah korban untuk mengampunkan dosa dan bukan korban untuk mengucap syukur. Orang itu harus membawa tepung itu kepada imam. Kemudian imam itu mengambil segenggam tepung itu lalu membakarnya di atas mazbah sebagai persembahan makanan; inilah tandanya bahawa keseluruhan tepung itu sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Persembahan itu adalah korban untuk mengampunkan dosa. Dengan demikian imam itu mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, lalu orang itu akan diampuni oleh TUHAN. Tepung yang selebihnya itu adalah bagi imam, seperti dengan korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. TUHAN memberikan peraturan ini kepada Musa. Jika seseorang dengan tidak sengaja berdosa kerana gagal memberikan persembahan yang diwajibkan untuk TUHAN, orang itu harus membawa korban untuk membayar ganti rugi, kepada TUHAN. Korban itu mestilah seekor domba jantan atau seekor kambing jantan yang tidak ada kecacatan. Harganya harus dinilai menurut harga yang ditetapkan di Khemah TUHAN. Orang itu harus membayar apa yang dahulu dilalaikannya, ditambah pula dengan dua puluh peratus. Dia harus menyerahkan binatang itu kepada imam. Kemudian imam mempersembahkan binatang itu sebagai korban untuk mengampunkan dosa orang itu, lalu orang itu akan diampuni oleh TUHAN. Jika sesiapa dengan tidak sengaja berdosa kerana melanggar salah satu perintah TUHAN, orang itu bersalah dan dia harus menanggung akibatnya. Sebagai korban untuk membayar ganti rugi, dia harus membawa seekor domba jantan atau seekor kambing jantan yang tidak ada kecacatan kepada imam. Harganya harus dinilai menurut harga yang ditetapkan di Khemah TUHAN. Imam itu harus mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, yang dilakukan orang itu dengan tidak sengaja, lalu orang itu akan diampuni oleh TUHAN. Inilah korban untuk membayar ganti rugi bagi dosa yang dilakukannya terhadap TUHAN. TUHAN memberikan peraturan ini kepada Musa. [2-3] Jika seseorang berdosa terhadap TUHAN kerana tidak mahu mengembalikan barang-barang yang dititipkan kepadanya oleh sesama orang Israel, atau kerana menipu orang, ataupun mencuri barang milik orang itu, atau kerana bersumpah tidak menjumpai sesuatu barang yang hilang, orang itu harus mempersembahkan korban kepada TUHAN. *** [4-5] Orang yang berdosa itu harus membayar segala yang telah diperolehnya dengan cara yang tidak jujur. Pada hari dia didapati bersalah, dia harus membayar harga sepenuhnya kepada si pemilik, ditambah pula dengan dua puluh peratus. *** Orang yang bersalah itu harus membawa seekor domba jantan atau seekor kambing jantan yang tidak ada cacat kepada imam sebagai korban untuk membayar ganti rugi kepada TUHAN. Harganya harus dinilai menurut apa yang ditetapkan di Khemah TUHAN. Imam harus mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, lalu orang itu akan diampuni oleh TUHAN. TUHAN memerintah Musa supaya memberi Harun dan anak-anaknya peraturan berikut tentang korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban itu harus ditinggalkan di atas mazbah sepanjang malam, dan apinya harus menyala terus. Kemudian imam yang berpakaian jubah linen dan celana pendek daripada linen, harus mengambil abu berlemak yang tertinggal di mazbah lalu menaruhnya di tepi mazbah itu. Selepas itu imam harus menukar pakaiannya lalu membawa abu itu ke luar perkhemahan, ke tempat yang dikhaskan untuk abu itu. Api di atas mazbah harus terus-menerus menyala dan tidak boleh padam. Tiap-tiap pagi imam harus meletakkan kayu api di atas mazbah, menyusun korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah, dan membakar lemak daripada korban untuk memohon berkat TUHAN. Api di atas mazbah itu harus terus-menerus menyala dan tidak boleh padam. Inilah peraturan tentang korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Seorang imam keturunan Harun harus mempersembahkan korban itu di hadapan mazbah. Imam itu harus mengambil segenggam tepung bersama dengan minyak, serta semua kemenyannya, lalu membakar semuanya di atas mazbah sebagai tanda bahawa seluruhnya sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. [16-17] Tepung yang selebihnya harus dijadikan roti tidak beragi dan dimakan oleh imam di tempat yang khas, iaitu di halaman Khemah TUHAN. TUHAN sudah memberikan roti itu kepada para imam sebagai bahagian mereka daripada persembahan makanan. Korban ini sangat suci, seperti korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk membayar ganti rugi. *** Untuk sepanjang masa, setiap orang lelaki keturunan Harun boleh memakannya sebagai bahagian mereka daripada makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN. Orang lain yang menyentuh persembahan makanan akan ditimpa celaka kerana kekuatan kesuciannya. TUHAN memberikan peraturan ini kepada Musa bagi pentahbisan imam keturunan Harun. Pada hari seorang imam ditahbiskan, dia harus mempersembahkan satu kilogram tepung yang terbaik (sama banyaknya dengan korban untuk mengucap syukur, yang dipersembahkan setiap hari) kepada TUHAN, separuh pada waktu pagi dan separuh pada waktu petang. Tepung itu harus dicampuri minyak dan dimasak di atas pemanggang, kemudian dibelah-belah dan dipersembahkan sebagai korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. Untuk sepanjang masa, korban ini harus dipersembahkan oleh tiap-tiap keturunan Harun yang menjadi Imam Agung. Korban ini mesti dibakar seluruhnya sebagai persembahan kepada TUHAN. Sedikit pun daripada korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, yang dipersembahkan oleh imam tidak boleh dimakan; seluruhnya mesti dibakar. TUHAN memerintah Musa untuk memberi Harun dan anak-anaknya peraturan berikut tentang korban untuk mengampunkan dosa. Binatang bagi korban ini harus disembelih di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban ini sangat suci. Imam yang mempersembahkan binatang itu harus memakannya di tempat yang khas, iaitu di halaman Khemah TUHAN. Seseorang atau apa pun yang terkena daging binatang itu akan ditimpa celaka kerana kekuatan kesuciannya. Pakaian yang kena percikan darah binatang itu harus dibasuh di tempat yang khas. Periuk tanah yang digunakan untuk merebus daging itu mesti dipecahkan. Jika periuk itu dibuat daripada logam, periuk itu harus digosok dan dibilas dengan air. Setiap orang lelaki daripada keluarga imam boleh makan korban ini; korban ini sangat suci. Tetapi jika ada darah binatang itu yang dibawa masuk ke dalam Khemah TUHAN lalu digunakan untuk upacara pengampunan dosa, daging binatang itu tidak boleh dimakan; binatang itu mesti dibakar. Inilah peraturan bagi korban untuk membayar ganti rugi; korban ini sangat suci. Binatang untuk korban ini harus disembelih di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan darahnya harus disiramkan pada keempat-empat sisi mazbah itu. Semua lemak binatang itu harus dipisahkan lalu dipersembahkan di atas mazbah: ekor yang berlemak, lemak yang membungkus isi perut, buah pinggang dan lemaknya, dan juga bahagian yang terbaik daripada hati binatang itu. Imam harus membakar semua lemak itu di atas mazbah sebagai persembahan makanan kepada TUHAN; korban ini ialah korban untuk membayar ganti rugi. Setiap orang lelaki daripada keluarga imam boleh makan daging korban ini, tetapi mereka mesti memakannya di tempat yang khas kerana korban ini sangat suci. Peraturan yang sama berlaku bagi korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk membayar ganti rugi: daging binatang itu menjadi milik imam yang mempersembahkan korban itu. Kulit binatang yang dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, menjadi milik imam yang mempersembahkan korban itu. Tiap-tiap korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, sama ada korban itu dibakar di dalam ketuhar, atau dimasak di dalam kuali, ataupun dimasak di atas pemanggang, menjadi milik imam yang mempersembahkan korban itu. Tetapi semua korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, iaitu korban yang belum dimasak, baik yang sudah dicampuri minyak mahupun yang kering, menjadi milik imam keturunan Harun dan mesti dibahagi sama rata antara mereka. Inilah peraturan bagi korban untuk memohon berkat TUHAN yang dipersembahkan kepada TUHAN. Jika seseorang mempersembahkannya sebagai korban kesyukuran kepada Allah, dia harus mempersembahkan roti yang tidak beragi bersama-sama binatang yang dipersembahkan itu. Roti itu boleh tebal, yang dibuat daripada tepung bercampur minyak zaitun, atau roti tipis yang disapu dengan minyak zaitun, ataupun kuih yang dibuat daripada tepung bercampur minyak zaitun. Di samping itu, dia harus mempersembahkan roti yang dibuat dengan ragi. Dia harus mempersembahkan sebahagian daripada tiap-tiap jenis roti itu sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN; semua ini akan menjadi milik imam yang mengambil darah binatang itu, lalu menyiramkannya pada mazbah. Daging binatang itu mesti dimakan pada hari binatang itu dipersembahkan; sedikit pun tidak boleh ditinggalkan sehingga esok pagi. Apabila seseorang mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, dengan maksud menunaikan nazarnya atau sebagai korban yang dipersembahkan dengan sukarela, tidak perlu seluruh korban itu dimakan pada hari korban itu dipersembahkan. Sisa korban itu boleh dimakan pada keesokan harinya. Tetapi jika ada daging yang masih tersisa sehingga hari ketiga, daging itu mesti dibakar semuanya. Jika sedikit pun daripada sisa daging itu dimakan pada hari ketiga, korban itu tidak akan diterima oleh Allah. Korban itu tidak menjadi berkat bagi orang itu, malah menjadi haram. Sesiapa sahaja yang makan sisa daging itu akan bersalah dan harus menanggung akibatnya. Daging yang terkena apa sahaja yang najis tidak boleh dimakan, tetapi mesti dibakar semuanya. Orang yang tidak najis boleh makan daging daripada korban itu. Jika seseorang makan daging itu pada masa dia najis, dia tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah. Apabila seseorang telah menyentuh sesuatu yang najis, lalu orang itu makan daging binatang yang sudah dipersembahkan itu, orang itu tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah. TUHAN memberikan peraturan berikut kepada Musa bagi umat Israel. Lemak lembu, domba, ataupun kambing tidak boleh dimakan. Lemak daripada binatang yang mati biasa ataupun yang diterkam binatang buas, tidak boleh dimakan, tetapi boleh digunakan untuk keperluan lain. Orang yang makan lemak daripada binatang yang boleh dipersembahkan sebagai persembahan makanan kepada TUHAN, tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah. Di mana sahaja orang Israel tinggal, mereka sekali-kali tidak boleh makan darah burung ataupun darah binatang. Sesiapa yang melanggar peraturan ini tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah. TUHAN memberikan peraturan berikut kepada Musa bagi umat Israel. Sesiapa yang mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, mesti mempersembahkan sebahagian daripada korban itu sebagai korban istimewa kepada TUHAN. Orang itu sendiri harus membawa korban itu sebagai persembahan makanan. Dia harus membawa lemak dan dada binatang itu, lalu mempersembahkannya sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN. Seorang imam mesti membakar lemak itu di atas mazbah, tetapi dada binatang itu akan menjadi milik para imam. Paha kanan binatang itu harus diberikan sebagai persembahan istimewa kepada imam yang mempersembahkan darah dan lemak daripada korban untuk memohon berkat TUHAN. Dada dan paha kanan binatang itu adalah persembahan istimewa yang diambil oleh TUHAN daripada umat-Nya untuk diberikan kepada para imam. Bahagian inilah yang mesti diberikan oleh umat Israel kepada imam selama-lamanya. Inilah bahagian persembahan makanan untuk TUHAN yang diberikan kepada Harun dan anak-anaknya pada hari mereka ditahbiskan menjadi imam. Pada hari itu TUHAN memerintah umat Israel supaya memberikan bahagian ini kepada para imam. Inilah peraturan yang mesti ditaati oleh umat Israel selama-lamanya. Demikianlah peraturan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, korban untuk mengampunkan dosa, korban untuk membayar ganti rugi, korban yang dipersembahkan semasa pentahbisan, dan korban untuk memohon berkat TUHAN. TUHAN memberikan perintah-perintah ini kepada Musa di atas Gunung Sinai, di padang gurun itu, pada hari Dia menyuruh umat Israel mempersembahkan korban mereka. TUHAN berfirman kepada Musa, “Bawalah Harun dan anak-anaknya ke pintu Khemah-Ku, dan bawalah juga pakaian imam, minyak upacara, lembu jantan muda bagi korban untuk mengampunkan dosa, dua ekor domba jantan, dan sebakul roti yang tidak beragi. Kumpulkanlah semua orang Israel di depan pintu Khemah-Ku.” Musa melakukan apa yang diperintahkan oleh TUHAN. Setelah segenap umat itu berkumpul, Musa berkata kepada mereka, “Apa yang aku lakukan sekarang ini adalah perintah TUHAN.” Kemudian Musa membawa Harun dan anak-anaknya ke hadapan, lalu melakukan upacara pembasuhan diri bagi mereka. Setelah itu Musa mengenakan pakaian imam pada Harun: baju labuh, jubah, dan ikat pinggang. Dia juga mengenakan efod pada Harun. Musa mengikat efod itu pada pinggang Harun dengan ikat pinggang yang ditenun halus. Musa juga mengenakan penutup dada pada Harun lalu memasukkan Urim dan Tumim ke dalam penutup dada itu. Musa mengikatkan serban pada kepala Harun, dan pada bahagian depan serban itu Musa menyematkan perhiasan emas sebagai tanda pentahbisan, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN. Kemudian Musa mengambil minyak upacara lalu melumurkannya pada Khemah TUHAN dan segala yang ada di dalamnya. Dengan cara ini dia mentahbiskan Khemah itu untuk TUHAN. Dia mengambil sebahagian daripada minyak itu lalu memercikkannya tujuh kali di atas mazbah dan peralatannya, dan juga pada besen serta alasnya, untuk mentahbiskan semuanya bagi TUHAN. Musa mentahbiskan Harun dengan menuangkan minyak upacara pada kepala Harun. Kemudian Musa membawa anak-anak Harun ke hadapan. Musa mengenakan baju labuh dan ikat pinggang pada mereka, lalu mengenakan ikat kepala pada mereka, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN. Setelah itu Musa membawa seekor lembu jantan muda bagi korban untuk mengampunkan dosa, lalu Harun serta anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu itu. Kemudian Musa menyembelih lembu itu dan mengambil sedikit darahnya. Lalu dengan jari, Musa menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah untuk mentahbiskannya. Dia menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah. Dengan cara ini Musa menyucikan mazbah itu dan mentahbiskannya bagi TUHAN. Musa mengambil semua lemak yang ada pada isi perut lembu itu, bahagian terbaik daripada hati lembu, dan buah pinggang serta lemaknya, lalu membakar semuanya di atas mazbah. Dia mengambil sisa lembu itu bersama-sama kulit, daging, dan ususnya, lalu membakar semuanya di luar perkhemahan, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN. Setelah itu Musa membawa seekor domba jantan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, lalu Harun serta anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala domba jantan itu. Musa menyembelih domba jantan itu lalu menyiramkan darahnya pada keempat-empat sisi mazbah. [20-21] Dia memotong domba jantan itu, mencuci isi perut dan paha domba itu dengan air. Kemudian dia membakar kepala, lemak, dan sisa domba jantan itu di atas mazbah, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN. Korban untuk menyenangkan hati TUHAN ini adalah persembahan makanan, dan baunya menyenangkan hati TUHAN. *** Setelah itu Musa membawa domba jantan yang seekor lagi untuk pentahbisan imam, lalu Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala domba jantan itu. Musa menyembelih domba jantan itu. Kemudian dia mengambil sedikit darah domba itu dan menyapukannya pada cuping kanan telinga Harun, dan pada ibu jari tangan kanannya, dan juga pada ibu jari kaki kanannya. Kemudian Musa membawa anak-anak Harun ke hadapan. Lalu Musa menyapukan sedikit darah domba itu pada cuping kanan telinga mereka, pada ibu jari tangan kanan mereka, dan juga pada ibu jari kaki kanan mereka. Kemudian Musa menyiramkan darah yang selebihnya pada keempat-empat sisi mazbah. Musa mengambil lemak domba itu, dan juga ekornya yang berlemak, lemak yang membungkus isi perutnya, bahagian terbaik daripada hatinya, buah pinggang serta lemaknya, dan paha kanan domba itu. Selepas itu, Musa mengambil seketul roti dari sebakul roti yang tidak beragi, yang sudah ditahbiskan untuk TUHAN, dan juga seketul roti tebal yang dibuat dengan minyak, serta sekeping roti nipis, lalu meletakkan semuanya di atas lemak dan paha kanan domba jantan itu. Dia meletakkan semua makanan itu di tangan Harun dan anak-anaknya, lalu mereka mempersembahkan semuanya sebagai persembahan istimewa bagi TUHAN. Kemudian Musa mengambil makanan itu daripada mereka dan membakarnya di atas mazbah, di atas korban untuk menyenangkan hati TUHAN, sebagai korban yang dipersembahkan semasa pentahbisan. Korban ini adalah persembahan makanan, dan baunya menyenangkan hati TUHAN. Selepas itu Musa mengambil dada domba itu dan mempersembahkannya sebagai persembahan istimewa bagi TUHAN. Itulah bahagian bagi Musa daripada domba jantan yang dipersembahkan untuk pentahbisan imam. Musa melakukan segala-galanya sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN. Musa mengambil sedikit minyak upacara dan juga sedikit darah yang di atas mazbah, lalu merenjiskannya pada Harun dan anak-anaknya serta pakaian mereka. Dengan cara ini Musa mentahbiskan mereka serta pakaian mereka bagi TUHAN. Musa berkata kepada Harun dan anak-anaknya, “Bawalah daging korban ini ke pintu Khemah TUHAN dan rebuslah daging itu di situ. Kamu harus memakannya di sana dengan roti yang dipersembahkan semasa pentahbisan, iaitu roti yang ada di dalam bakul, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN. Bakarlah semua sisa daging dan roti. Janganlah kamu keluar dari pintu Khemah itu selama tujuh hari, sehingga upacara pentahbisan kamu selesai. TUHAN memberikan perintah supaya apa yang kita lakukan hari ini, juga dilakukan seterusnya; dengan upacara ini dosa kamu diampunkan. Kamu mesti berada di pintu Khemah TUHAN siang dan malam selama tujuh hari, untuk melakukan apa yang sudah diperintahkan TUHAN. Jika tidak, kamu akan mati. Hal inilah yang diperintahkan TUHAN kepadaku.” Demikianlah Harun dan anak-anaknya melakukan segala yang diperintahkan TUHAN melalui Musa. Pada hari kelapan, Musa memanggil Harun dan anak-anaknya serta para pemimpin Israel. Musa berkata kepada Harun, “Ambillah seekor lembu jantan yang muda dan seekor domba jantan, dan kedua-duanya tidak boleh ada cacat, lalu persembahkanlah kedua-duanya sebagai korban kepada TUHAN. Lembu jantan itu bagi korban untuk mengampunkan dosa, dan domba jantan itu bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Kemudian suruhlah umat Israel mempersembahkan seekor kambing jantan bagi korban mengampunkan dosa, seekor anak lembu dan seekor anak domba yang kedua-duanya berumur satu tahun dan tidak ada cacat, bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Persembahkanlah juga seekor lembu jantan dan seekor domba jantan bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. Mereka harus mempersembahkan kedua-dua binatang itu kepada TUHAN bersama-sama korban untuk mengucap syukur, iaitu korban yang dicampuri minyak. Mereka mesti melakukan semuanya kerana pada hari ini TUHAN akan menampakkan diri kepada mereka.” Mereka membawa semua yang sudah diperintahkan oleh Musa ke hadapan Khemah TUHAN, dan segenap umat itu berkumpul di situ untuk menyembah TUHAN. Musa berkata, “TUHAN memerintah kamu untuk melakukan semua itu supaya kamu boleh nampak cahaya hadirat TUHAN.” Musa berkata kepada Harun, “Pergilah ke mazbah lalu persembahkanlah korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, supaya dosamu dan dosa semua orang ini diampunkan oleh TUHAN. Lakukanlah hal ini seperti yang diperintahkan oleh TUHAN.” Kemudian Harun pergi ke mazbah itu lalu menyembelih lembu jantan muda yang dikhaskan bagi korban untuk mengampunkan dosa bagi dirinya sendiri. Anak-anak Harun membawa darah lembu itu kepada Harun, dan dia mencelupkan jarinya ke dalam darah itu, lalu menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah itu. Dia menyiramkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah. Kemudian dia membakar lemak lembu jantan itu, buah pinggang, dan bahagian terbaik daripada hati lembu itu di atas mazbah, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN melalui Musa. Tetapi Harun membakar daging lembu jantan itu dan kulitnya di luar perkhemahan. Selepas itu Harun menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bagi dirinya sendiri. Anak-anaknya membawa darah binatang itu, lalu dia menyiramkannya pada keempat-empat sisi mazbah. Anak-anak Harun memberikan kepala dan bahagian lain binatang itu kepada Harun, lalu Harun membakarnya di atas mazbah. Kemudian dia mencuci isi perut dan paha binatang itu, lalu membakarnya di mazbah, di atas segala korban lain, iaitu korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Kemudian Harun mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa bagi umat Israel. Dia mengambil kambing yang akan dipersembahkan, menyembelihnya, lalu mempersembahkan kambing itu sebagaimana yang sudah dilakukannya pada korban untuk mengampunkan dosa bagi dirinya sendiri. Dia juga membawa binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, lalu mempersembahkannya menurut peraturan. Dia mempersembahkan korban untuk mengucap syukur, lalu mengambil segenggam tepung dan membakarnya di atas mazbah. Korban ini adalah tambahan kepada korban untuk menyenangkan hati TUHAN, yang dipersembahkan setiap hari. Harun menyembelih seekor lembu jantan dan seekor domba jantan sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN bagi umat Israel. Anak-anak Harun membawa darah binatang itu kepada Harun, lalu dia menyiramkannya pada keempat-empat sisi mazbah. Harun meletakkan bahagian yang berlemak daripada lembu dan domba itu di atas dada kedua-dua binatang itu, lalu membawa semuanya ke mazbah. Harun membakar lemak itu di atas mazbah. Dia mempersembahkan dada dan paha kanan binatang itu sebagai persembahan istimewa bagi TUHAN. Bahagian ini menjadi milik imam, sebagaimana yang diperintahkan oleh Musa. Setelah Harun mempersembahkan semua korban itu, dia mengangkat tangan ke atas umat itu dan memberkati mereka, lalu dia turun. Musa dan Harun masuk ke dalam Khemah TUHAN. Apabila mereka keluar, mereka memberkati umat itu, dan cahaya hadirat TUHAN kelihatan kepada segenap umat. Tiba-tiba TUHAN menurunkan api, dan api itu membakar semua korban untuk menyenangkan hati TUHAN, serta bahagian-bahagian berlemak yang ada di atas mazbah. Apabila umat Israel melihatnya, mereka bersorak-sorak lalu sujud menyembah TUHAN. Pada suatu hari Nadab dan Abihu, anak-anak Harun, membawa perbaraan masing-masing dan mengisinya dengan bara api. Mereka membubuh kemenyan ke atas bara api itu, lalu mempersembahkannya kepada TUHAN. Tetapi api itu tidak suci, kerana TUHAN tidak memerintahkan mereka untuk mempersembahkannya. Tiba-tiba TUHAN mengirim api, yang membakar mereka sehingga mati di situ juga, di dalam Khemah TUHAN. Kemudian Musa berkata kepada Harun, “Inilah yang dimaksudkan TUHAN ketika Dia berfirman, ‘Semua orang yang mengabdikan diri kepada-Ku harus menghormati kesucian-Ku. Aku akan menyatakan kemuliaan-Ku kepada segenap umat-Ku.’ ” Tetapi Harun diam sahaja. Kemudian Musa memanggil Misael dan Elsafan, anak-anak Uziel, bapa saudara Harun. Musa berkata kepada mereka, “Mari, bawalah jenazah saudara sepupu kamu ini keluar dari Khemah TUHAN, dan letakkan kedua-dua jenazah itu di luar perkhemahan.” Mereka datang dan mengangkat jenazah itu dengan memegang pakaian jenazah itu, lalu pergi ke luar perkhemahan, sebagaimana yang diperintahkan oleh Musa. Selepas itu Musa berkata kepada Harun dan anak-anaknya, Eleazar dan Itamar, “Jangan biarkan rambut kamu kusut, dan jangan koyakkan pakaian kamu sebagai tanda berkabung. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan mati dan TUHAN akan murka terhadap segenap umat ini. Tetapi semua orang Israel yang lain boleh berkabung untuk kematian mereka berdua; mereka mati kerana kena api yang diturunkan oleh TUHAN. Sementara ini jangan kamu keluar dari pintu Khemah TUHAN. Jika kamu keluar, kamu akan mati kerana kamu sudah ditahbiskan dengan minyak upacara untuk mengabdikan diri kepada TUHAN.” Mereka pun menurut perintah Musa itu. TUHAN berfirman kepada Harun, “Janganlah engkau dan anak-anakmu masuk ke dalam Khemah TUHAN setelah minum wain ataupun minuman keras. Jika kamu masuk, kamu akan mati. Inilah peraturan yang mesti dipatuhi oleh semua keturunanmu. Kamu mesti tahu membezakan apa yang dikhaskan untuk Allah dan apa yang tidak dikhaskan, dan apa yang tidak najis dengan apa yang najis. Kamu mesti mengajar umat Israel semua hukum yang sudah Aku berikan kepada kamu melalui Musa.” Kemudian Musa berkata kepada Harun dan kedua-dua orang anaknya yang masih hidup, Eleazar dan Itamar, “Ambillah lebihan korban untuk mengucap syukur daripada makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN, dan buatlah roti tanpa ragi daripada tepung itu. Lalu makanlah roti itu di sisi mazbah kerana korban ini sangat suci. Makanlah roti itu di tempat yang suci. Roti ini daripada makanan yang sudah dipersembahkan kepada TUHAN; roti ini menjadi bahagian kamu dan anak-anak lelaki kamu. Inilah yang diperintahkan oleh TUHAN kepadaku. Tetapi kamu dan anak-anak kamu, lelaki dan perempuan boleh makan dada binatang yang sudah dipersembahkan sebagai persembahan istimewa serta paha binatang yang dipersembahkan sebagai pemberian istimewa, kerana semua itu adalah untuk para imam. Kamu boleh memakannya di mana sahaja tempat yang tidak najis. Persembahan ini adalah bahagian daripada korban untuk memohon berkat TUHAN, yang dipersembahkan oleh umat Israel. Persembahan itu telah diberikan kepada kamu dan anak-anak kamu sebagai milik kamu. Umat Israel harus membawa paha dan dada binatang itu ketika mereka mempersembahkan lemaknya sebagai persembahan makanan kepada TUHAN. Bahagian ini menjadi hak kamu dan anak-anak kamu selama-lamanya, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN.” Apabila Musa bertanya tentang kambing bagi korban untuk mengampunkan dosa, dia mendapati bahawa kambing itu sudah dibakar. Hal itu menyebabkan Musa marah terhadap Eleazar dan Itamar. Musa berkata, “Mengapakah kamu tidak makan korban untuk mengampunkan dosa itu di tempat yang suci? Korban itu sangat suci dan TUHAN sudah memberikannya kepada kamu supaya dosa umat Israel diampunkan. Oleh sebab darah kambing itu tidak dibawa ke dalam Khemah TUHAN, kamu sepatutnya makan korban itu di tempat yang khas, menurut perintahku.” Harun menjawab, “Andaikata aku makan korban untuk mengampunkan dosa itu pada hari ini, adakah hal itu menyenangkan hati TUHAN? Umat Israel mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa mereka, kepada TUHAN pada hari ini, serta membawa korban untuk menyenangkan hati TUHAN, namun perkara yang dahsyat ini berlaku kepada diriku.” Apabila Musa mendengar jawapan itu, dia berpuas hati. TUHAN memberi Musa dan Harun peraturan-peraturan berikut bagi umat Israel. Kamu boleh makan binatang darat apa sahaja yang berkuku belah dan yang memamah biak. [4-6] Tetapi kamu tidak boleh makan unta, landak batu, atau arnab. Binatang ini mesti dianggap haram kerana walaupun memamah biak, tetapi tidak berkuku belah. *** *** Jangan makan babi. Babi mesti dianggap haram kerana walaupun berkuku belah, tetapi tidak memamah biak. Jangan makan binatang-binatang itu, dan jangan sentuh bangkainya; binatang-binatang itu haram. Kamu boleh makan semua jenis ikan yang mempunyai sirip dan sisik, tetapi apa sahaja binatang yang hidup di dalam air dan yang tidak mempunyai sirip dan sisik, tidak boleh dimakan. Binatang seperti itu mesti dianggap haram. Kamu tidak boleh memakannya ataupun menyentuh bangkainya. Kamu tidak boleh makan binatang apa sahaja yang hidup di dalam air dan yang tidak mempunyai sirip dan sisik. [13-19] Burung-burung yang berikut tidak boleh kamu makan: burung rajawali, burung hantu, semua jenis burung helang, burung nasar, burung gagak, burung unta, burung camar, burung ranggung, burung pucung, dan semua jenis burung bangau, burung undan, burung kosa, dan kelawar. *** *** *** *** *** *** Semua serangga yang bersayap adalah haram, kecuali serangga yang dapat melompat. Kamu boleh makan belalang juta, jengkerik, dan belalang. Tetapi semua serangga lain yang bersayap dan juga yang merayap mesti dianggap haram. [24-28] Seseorang yang menyentuh bangkai binatang yang berikut akan menjadi najis sehingga matahari terbenam: semua binatang yang berkuku, kecuali yang berkuku belah dan yang memamah biak, dan semua binatang yang berkaki empat dan yang mempunyai cakar. Sesiapa yang membawa bangkai binatang jenis ini mesti mencuci pakaiannya, tetapi dia tetap najis sehingga matahari terbenam. *** *** *** *** [29-30] Tikus mondok, tikus, cicak, biawak, dan semua jenis bengkarung mesti dianggap haram. *** Seseorang yang menyentuh binatang itu atau bangkainya, akan menjadi najis sehingga matahari terbenam. Jika bangkai binatang itu jatuh ke atas benda apa sahaja, benda itu pun menjadi najis; sama ada benda itu daripada kayu, kain, kulit, atau karung, tidak kira apa pun kegunaan benda-benda itu. Benda-benda itu harus dicelup ke dalam air, tetapi benda itu tetap najis sehingga matahari terbenam. Jika bangkai itu jatuh ke dalam belanga, segala yang ada di dalamnya menjadi najis, dan belanga itu mesti dipecah. Makanan apa sahaja yang biasanya boleh dimakan akan menjadi najis, jika kena air dari belanga itu, dan minuman yang di dalam belanga itu juga menjadi najis. Apa sahaja yang dijatuhi bangkai itu menjadi najis. Jika benda itu ketuhar tanah atau dapur arang, benda itu harus dipecah. Tetapi mata air dan perigi tidak menjadi najis, walaupun segala yang lain menjadi najis apabila terkena bangkai itu. Jika salah satu bangkai itu terjatuh ke atas benih yang akan ditanam, benih itu tidak menjadi najis. Tetapi jika benih itu sedang direndam di dalam air lalu salah satu bangkai itu terjatuh ke atasnya, benih itu menjadi najis. Sesiapa menyentuh bangkai binatang yang halal akan menjadi najis sehingga matahari terbenam. Sesiapa yang makan bahagian apa pun daripada bangkai binatang itu, mesti mencuci pakaiannya, tetapi dia akan tetap najis sehingga matahari terbenam. Sesiapa membawa bangkai itu mesti mencuci pakaiannya, tetapi dia akan tetap najis sehingga matahari terbenam. Kamu tidak boleh makan binatang kecil yang bergerak di atas tanah, baik binatang yang menjalar, yang berjalan dengan empat kaki, ataupun yang mempunyai banyak kaki. Jangan najiskan diri kamu dengan memakan salah satu binatang itu. Akulah TUHAN, Allah kamu; berhati-hatilah agar kamu tetap suci, kerana Aku suci. Akulah TUHAN yang membawa kamu keluar dari Mesir, supaya Aku boleh menjadi Allah kamu. Hendaklah kamu suci kerana Aku suci. Demikianlah peraturan-peraturan tentang binatang, burung, segala sesuatu yang hidup di dalam air, dan yang bergerak di atas tanah. Berhati-hatilah membezakan apa yang halal dengan apa yang haram, binatang yang boleh dimakan dengan binatang yang tidak boleh dimakan. TUHAN memberi Musa peraturan-peraturan berikut bagi umat Israel. Apabila seorang wanita melahirkan seorang anak lelaki, wanita itu najis selama tujuh hari seperti pada masa haidnya. Pada hari kelapan, anak itu harus disunat. Selepas itu, wanita itu masih najis selama tiga puluh tiga hari lagi kerana mencucurkan darah nifas. Dia tidak boleh menyentuh apa sahaja yang digunakan untuk beribadat, ataupun masuk ke dalam Khemah TUHAN sebelum habis masa penyuciannya. Apabila seorang wanita melahirkan seorang anak perempuan, wanita itu najis selama empat belas hari seperti pada masa haidnya. Selepas itu, wanita itu masih najis selama enam puluh enam hari lagi kerana mencucurkan darah nifas. Apabila habis masa penyuciannya, baik bagi kelahiran anak lelaki ataupun anak perempuan, wanita itu harus membawa seekor anak domba yang berumur satu tahun bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan seekor burung merpati atau burung tekukur bagi korban untuk mengampunkan dosa, kepada imam di pintu Khemah TUHAN. Imam itu akan mempersembahkan persembahan wanita itu kepada TUHAN dan melakukan upacara untuk menghapuskan kenajisannya. Selepas itu barulah wanita itu tahir. Inilah yang mesti dilakukan oleh seorang wanita setelah melahirkan anak. Jika wanita itu tidak mampu membeli seekor anak domba, dia harus membawa dua ekor burung merpati atau burung tekukur, seekor bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan seekor lagi bagi korban untuk mengampunkan dosa. Imam akan melakukan upacara untuk menghapuskan kenajisannya. Selepas itu barulah wanita itu tahir. TUHAN memberikan peraturan-peraturan berikut kepada Musa dan Harun. Jika seseorang mempunyai kudis, bisul, ataupun radang pada kulitnya, yang mungkin menjadi penyakit kulit yang mengerikan, dia harus dibawa menghadap imam keturunan Harun. Imam itu akan memeriksa kudis orang itu, dan jika bulu roma di situ sudah menjadi putih dan kudis itu lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, kudis itu penyakit kulit yang mengerikan. Setelah imam memeriksa orang itu, dia harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Jika kudis itu putih tetapi tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, dan bulu roma tidak menjadi putih, imam itu harus mengasingkan orang itu selama tujuh hari. Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa orang itu lagi, dan jika pada pendapat imam kudis itu masih sama keadaannya dan tidak merebak, dia harus mengasingkan orang itu selama tujuh hari lagi. Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa orang itu lagi. Jika kudisnya sudah mula sembuh dan tidak merebak, imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir. Orang itu harus mencuci pakaiannya lalu dia menjadi tahir. Kudis itu hanya kudis biasa. Tetapi jika kudis orang itu merebak setelah imam memeriksanya dan mengumumkan bahawa dia tahir, orang itu harus menghadap imam lagi. Imam itu harus memeriksa dia lagi, dan jika benar-benar kudis itu merebak, imam itu harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Kudis itu penyakit kulit yang mengerikan. Apabila seseorang menghidap penyakit kulit yang mengerikan, dia harus dibawa menghadap imam. Imam itu akan memeriksa dia. Jika imam mendapati kudis pada kulit orang itu putih, bernanah dan bulu romanya putih, kudis itu penyakit kulit yang teruk. Imam itu harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Orang itu tidak perlu diasingkan kerana sudah nyata bahawa dia najis. Jika penyakit kulit itu merebak dari kepala sampai ke kaki, imam harus memeriksa orang itu lagi. Jika imam mendapati bahawa penyakit itu sudah benar-benar meliputi seluruh badan orang itu, imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir. Jika seluruh kulitnya sudah menjadi putih, orang itu tahir. Tetapi sebaik sahaja kudis yang bernanah muncul, orang itu najis. Imam harus memeriksa dia lagi, dan jika imam mendapati kudis orang itu bernanah, imam itu harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Kudis yang bernanah adalah penyakit kulit yang mengerikan, dan orang itu najis. Tetapi jika kudis itu sembuh dan menjadi putih semula, orang itu harus menghadap imam untuk diperiksa lagi. Jika kudisnya sudah menjadi putih, orang itu tahir, dan imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir. Jika seseorang mempunyai bisul yang sudah sembuh, tetapi kemudian pada bekas bisul itu terdapat bengkak putih atau radang putih kemerah-merahan, orang itu harus menghadap imam. Imam itu akan memeriksa dia, dan jika radang itu lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, dan bulu roma di situ sudah menjadi putih, imam itu akan mengumumkan bahawa orang itu najis. Penyakitnya itu penyakit kulit yang mengerikan yang sudah bermula pada bisul itu. Tetapi jika imam memeriksa bisul itu dan mendapati bulu roma di situ tidak menjadi putih, dan bahagian itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, tetapi hanya kelihatan lebih muda warnanya, imam itu harus mengasingkan orang itu selama tujuh hari. Jika radang itu merebak, imam itu harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Orang itu menghidap penyakit kulit yang mengerikan. Tetapi jika radang itu tidak berubah dan tidak merebak, radang itu hanya bekas daripada bisul, dan imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir. Apabila kulit seseorang terbakar, lalu kulit pada luka itu menjadi putih atau putih kemerah-merahan, imam harus memeriksa dia. Jika bulu roma pada radang itu menjadi putih dan lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, penyakitnya itu penyakit kulit yang mengerikan, yang bermula daripada kulit yang terbakar. Imam harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Tetapi jika bulu roma pada radang itu tidak menjadi putih dan radang itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, tetapi hanya kelihatan lebih muda warnanya, imam harus mengasingkan orang itu selama tujuh hari. Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa orang itu lagi. Jika radang itu merebak, dia menghidap penyakit kulit yang mengerikan. Imam itu harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Tetapi jika radang itu tidak berubah dan tidak merebak, tetapi hanya kelihatan lebih muda warnanya, radang itu bukan penyakit kulit yang mengerikan. Imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir; radang itu hanya bekas luka bakar. Apabila seorang lelaki atau perempuan mempunyai kudis pada kepala atau dagunya, imam harus memeriksa dia. Jika kudis itu lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, dan rambut atau janggut pada kudis itu kekuning-kuningan dan sedikit, orang itu menghidap penyakit kulit yang mengerikan. Imam harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Jika imam yang memeriksanya mendapati kudis itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, tetapi belum ada rambut atau janggut yang sihat di situ, imam itu harus mengasingkan dia selama tujuh hari. Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa dia lagi dan jika kudis itu tidak merebak dan tidak ada rambut atau janggut yang kekuning-kuningan di situ, dan kudis itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, orang itu harus mencukur rambut atau janggutnya, kecuali pada sekeliling kudis itu, dan imam itu harus mengasingkan dia selama tujuh hari lagi. Pada hari ketujuh, imam itu harus memeriksa kudis itu sekali lagi. Jika kudis itu tidak merebak, dan tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir. Orang itu harus mencuci pakaiannya, lalu dia akan tahir. Tetapi jika kudis itu merebak setelah orang itu diumumkan tahir, imam harus memeriksa dia sekali lagi. Jika kudis itu sudah merebak, imam tidak perlu mencari rambut atau janggut yang kekuning-kuningan padanya kerana orang itu sudah nyata najis. Tetapi jika pada pendapat imam kudis itu tidak merebak, dan terdapat rambut atau janggut yang sihat pada bahagian itu, kudis itu sudah sembuh. Imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir. Apabila terdapat radang putih pada kulit seorang lelaki ataupun perempuan, imam harus memeriksa orang itu. Jika radang itu putih kabur, radang itu hanya ruam dan orang itu tahir. [40-41] Jika seseorang lelaki menjadi botak pada bahagian depan atau bahagian belakang kepalanya, orang itu tidak najis. *** Tetapi jika pada tempat yang botak itu terdapat bintik yang putih kemerah-merahan, bintik itu penyakit kulit yang mengerikan. Imam harus memeriksa orang itu, dan jika terdapat kudis yang putih kemerah-merahan, imam harus mengumumkan bahawa dia najis, kerana kudis di kepalanya itu penyakit kulit yang mengerikan. Seseorang yang menghidap penyakit kulit yang mengerikan harus memakai pakaian yang koyak dan membiarkan rambutnya kusut. Dia harus menutup bahagian bawah mukanya dan berseru, “Najis! Najis!” Dia akan tetap najis selama dia menghidap penyakit itu. Dia mesti tinggal di luar perkhemahan, terasing daripada orang lain. Jika terdapat kulapuk pada pakaian yang dibuat daripada bulu domba atau linen, ataupun pada potongan kain linen atau kain daripada bulu domba, ataupun pada kulit atau apa sahaja yang dibuat daripada kulit, dan jika warna kulapuk itu kehijau-hijauan atau kemerah-merahan, kulapuk itu jenis yang merebak, dan mesti ditunjukkan kepada imam. Imam harus memeriksanya, lalu mengasingkan benda itu selama tujuh hari. Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa benda itu lagi. Jika kulapuk itu merebak, benda itu najis. Imam harus membakar benda itu kerana kulapuk itu jenis yang merebak dan mesti dibakar. Tetapi jika menurut pemeriksaan imam, kulapuk itu tidak merebak pada benda itu, imam harus memberikan arahan supaya benda itu dicuci dan diasingkan selama tujuh hari. Selepas itu imam harus memeriksa benda itu. Jika kulapuk itu tidak berubah warna, walaupun tidak merebak, benda itu masih najis. Benda itu mesti dibakar seluruhnya, walaupun yang terkena kulapuk itu hanya di bahagian hadapan atau di bahagian belakang. Tetapi apabila imam memeriksa kulapuk itu lagi, dan mendapati kulapuk itu sudah pudar warnanya, dia harus mengoyakkan bahagian itu daripada pakaian atau benda kulit itu. Jika kulapuk itu muncul semula, hal ini bererti kulapuk merebak lagi. Pemiliknya harus membakar benda itu. Jika kulapuk itu hilang selepas dicuci, benda itu harus dicuci lagi, lalu benda itu tahir. Inilah peraturan-peraturan tentang kulapuk pada pakaian yang dibuat daripada bulu domba atau linen, ataupun pada kain linen atau kain daripada bulu domba, ataupun pada apa sahaja yang dibuat daripada kulit. Inilah caranya untuk menentukan sama ada sesuatu benda itu tahir atau najis. TUHAN memberi Musa peraturan-peraturan berikut tentang upacara penyucian bagi seseorang yang sudah sembuh daripada penyakit kulit yang mengerikan. Pada hari orang itu diumumkan tahir, dia harus dibawa kepada imam. Kemudian imam akan pergi ke luar perkhemahan lalu memeriksa orang itu. Jika penyakit itu sudah sembuh, imam akan menyuruh orang membawa dua ekor burung yang halal dan yang hidup, sepotong kayu sedar, seutas tali merah, dan setangkai hisop. Kemudian imam akan menyuruh orang supaya menyembelih seekor daripada burung itu di atas belanga yang berisi air bersih dari mata air. Dia akan mengambil burung yang seekor lagi lalu mencelupkannya ke dalam darah burung yang sudah disembelih itu, bersama-sama kayu sedar, tali merah, dan hisop itu. Imam akan memercikkan darah itu tujuh kali pada orang yang hendak disucikan daripada penyakit kulit yang mengerikan, lalu dia akan mengumumkan bahawa orang itu tahir. Kemudian imam akan melepaskan burung yang hidup itu ke padang. Orang yang sudah diumumkan tahir itu harus mencuci pakaiannya, mencukur semua rambutnya, dan mandi; lalu dia akan tahir. Dia boleh masuk ke dalam perkhemahan, tetapi dia mesti tinggal di luar khemahnya selama tujuh hari. Pada hari ketujuh, sekali lagi dia harus mencukur rambutnya, janggutnya, bulu keningnya, dan semua bulu roma yang ada pada badannya. Kemudian dia harus mencuci pakaiannya dan mandi, lalu dia akan tahir. Pada hari kelapan, dia harus membawa dua ekor anak domba jantan dan seekor anak domba betina yang berumur satu tahun, yang semuanya tidak ada cacat, dan juga tiga kilogram tepung terbaik yang bercampur minyak zaitun serta sepertiga liter minyak zaitun. Imam akan membawa orang itu dan semua persembahan itu ke pintu Khemah TUHAN. Kemudian imam akan mempersembahkan seekor daripada anak domba jantan itu dan sepertiga liter minyak zaitun itu sebagai korban untuk membayar ganti rugi. Dia akan mempersembahkan korban ini sebagai persembahan istimewa bagi TUHAN. Imam harus menyembelih anak domba itu di tempat yang suci, tempat orang menyembelih binatang bagi korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Imam mesti melakukan perkara ini kerana korban untuk membayar ganti rugi serta korban untuk mengampunkan dosa sangat suci, dan menjadi milik imam. Imam akan mengambil sedikit darah anak domba itu lalu menyapukannya pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan pada ibu jari kaki kanan orang yang akan dinyatakan tahir. Kemudian imam akan mengambil sedikit daripada minyak zaitun dan menuangkan minyak itu pada telapak tangan kirinya, lalu mencelupkan jari tangan kanannya di dalam minyak itu dan memercikkannya tujuh kali di dalam Khemah TUHAN. Imam harus mengambil sedikit minyak yang di telapak tangannya itu dan sedikit daripada darah anak domba, lalu menyapukannya pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan pada ibu jari kaki kanan orang yang akan dinyatakan tahir. Kemudian imam harus melumurkan sisa minyak yang di telapak tangannya pada kepala orang itu. Dengan cara ini imam melakukan upacara penyucian. Kemudian imam harus mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa dan melakukan upacara penyucian. Selepas itu dia harus menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan mempersembahkannya bersama-sama korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, di atas mazbah. Dengan cara ini, imam melakukan upacara penyucian, lalu orang itu tahir. Jika orang itu miskin dan tidak mampu memberikan persembahan yang ditetapkan, bagi penyuciannya dia boleh mempersembahkan hanya seekor anak domba jantan bagi korban untuk membayar ganti rugi, iaitu korban istimewa bagi TUHAN. Biarlah orang itu membawa hanya satu kilogram tepung terbaik yang bercampur minyak zaitun, dan sepertiga liter minyak zaitun bagi korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Dia juga harus membawa dua ekor burung merpati atau burung tekukur, seekor bagi korban untuk mengampunkan dosa dan seekor lagi bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Pada hari kelapan masa penyucian orang itu, dia harus membawa semua persembahan itu kepada imam di pintu Khemah TUHAN. Imam akan mengambil anak domba dan minyak zaitun itu lalu mempersembahkannya sebagai persembahan istimewa bagi TUHAN, dan bahagian ini menjadi milik imam itu. Dia akan menyembelih anak domba itu dan mengambil sedikit darahnya, lalu menyapukannya pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan pada ibu jari kaki kanan orang itu. Imam akan menuangkan sedikit minyak itu ke atas telapak tangan kirinya sendiri, lalu dengan jari tangan kanannya dia memercikkan minyak itu tujuh kali di dalam Khemah TUHAN. Imam harus menyapukan sedikit minyak itu pada tempat-tempat dia menyapukan darah itu: pada cuping telinga kanan orang itu, pada ibu jari tangan kanannya, dan pada ibu jari kaki kanannya. Imam harus menyapukan sisa minyak yang di telapak tangannya pada kepala orang itu untuk upacara penyucian dirinya di hadapan TUHAN. Kemudian imam harus mempersembahkan seekor daripada dua ekor burung merpati atau burung tekukur itu sebagai korban untuk mengampunkan dosa, dan seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bersama-sama korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Dengan cara ini imam melakukan upacara penyucian orang itu di hadapan TUHAN. Inilah peraturan bagi orang yang menghidap penyakit kulit yang mengerikan, tetapi tidak mampu membayar persembahan yang sudah ditetapkan bagi upacara penyuciannya. TUHAN memberi Musa dan Harun [34-35] peraturan-peraturan berikut tentang rumah yang kena kulapuk yang merebak. Peraturan ini mesti dipatuhi sesudah umat Israel masuk ke negeri Kanaan, yang akan diberikan TUHAN kepada mereka sebagai milik mereka. Sesiapa yang mendapati bahawa TUHAN sudah mendatangkan kulapuk di dalam rumahnya, harus memberitahukan hal itu kepada imam. *** Imam akan member1 arahan supaya segala yang ada di dalam rumah itu dikeluarkan sebelum dia memeriksa kulapuk itu. Jika tidak, segala yang ada di dalam rumah itu akan diumumkan sebagai najis. Selepas itu imam akan pergi ke rumah itu dan memeriksa kulapuk di situ. Jika imam mendapati bintik-bintik yang kehijau-hijauan atau kemerah-merahan yang kelihatannya meresap pada tembok itu, dia harus keluar dari rumah itu lalu menguncinya selama tujuh hari. Pada hari ketujuh, imam akan kembali untuk memeriksa kulapuk itu. Jika kulapuk itu merebak, dia harus memberikan arahan supaya batu-batu yang kena kulapuk itu ditanggalkan lalu dibuang di tempat yang najis di luar kota. Setelah itu seluruh tembok rumah itu mesti dikikis, lalu kikisannya dibuang ke tempat yang najis di luar kota. Batu-batu baru harus digunakan untuk menggantikan batu-batu yang sudah dibuang. Seluruh tembok rumah itu harus dilapis dengan lepa baru. Jika kulapuk itu muncul semula di dalam rumah selepas batu-batu itu sudah diganti, dan temboknya sudah dikikis serta dilepa semula, imam harus pergi memeriksanya. Jika kulapuk itu merebak, rumah itu najis. Rumah itu mesti dirobohkan, lalu batu-batunya, kayunya dan semua lepanya mesti dibawa ke luar kota, ke tempat yang najis. Sesiapa yang masuk ke dalam rumah itu ketika masih terkunci akan najis sehingga matahari terbenam. Sesiapa yang tidur atau makan di dalam rumah itu mesti mencuci pakaiannya. Tetapi apabila imam datang untuk memeriksa rumah itu, dan menurut pemeriksaannya kulapuk tidak terdapat lagi di dalam rumah yang sudah dilepa semula itu, imam harus mengumumkan bahawa rumah itu tahir kerana semua kulapuk sudah hilang. Untuk menyucikan rumah itu, imam harus membawa dua ekor burung, kayu sedar, seutas tali merah, dan setangkai hisop. Imam harus menyembelih seekor daripada burung itu di atas belanga yang berisi air bersih dari mata air. Kemudian imam harus mengambil kayu sedar, hisop, tali merah, dan burung yang hidup itu, lalu mencelupkan semuanya ke dalam darah burung yang sudah disembelih dan juga ke dalam air bersih itu; lalu dia harus memerciki rumah itu tujuh kali. Dengan cara ini imam menyucikan rumah itu dengan darah burung, air bersih, burung yang hidup, kayu sedar, hisop, dan tali merah itu. Kemudian dia harus melepaskan burung yang hidup itu di luar kota, ke padang yang terbuka. Dengan cara ini imam melakukan upacara penyucian untuk rumah itu, maka rumah itu tahir. Inilah peraturan-peraturan tentang penyakit kulit yang mengerikan; [55-56] kudis, bisul, atau radang; dan juga tentang kulapuk pada pakaian atau rumah. *** Peraturan-peraturan ini menentukan sama ada sesuatu benda itu najis atau tahir. TUHAN memberikan peraturan-peraturan berikut kepada Musa dan Harun untuk umat Israel. Apabila lelehan keluar daripada seseorang lelaki kerana penyakit kelamin, lelehan itu najis, sama ada lelehan itu mengalir ataupun tertahan, orang itu najis. Katil tempat lelaki itu duduk atau tidur juga najis. Sesiapa yang menyentuh katil lelaki yang mengeluarkan lelehan itu, ataupun duduk di atas apa sahaja yang sudah diduduki lelaki itu, mesti mencuci pakaiannya dan mandi, dan dia tetap najis sehingga matahari terbenam. Sesiapa menyentuh lelaki yang mengeluarkan lelehan, mesti mencuci pakaiannya serta mandi, dan orang itu tetap najis sehingga matahari terbenam. Jika lelaki yang mengeluarkan lelehan meludahi seseorang yang tahir, orang yang tahir itu mesti mencuci pakaiannya serta mandi, dan dia tetap najis sehingga matahari terbenam. Pelana atau apa sahaja yang diduduki lelaki yang mengeluarkan lelehan juga menjadi najis. Sesiapa yang menyentuh apa sahaja yang sudah diduduki lelaki itu, dia juga menjadi najis sehingga matahari terbenam. Sesiapa yang mengangkat apa sahaja yang sudah diduduki orang itu mesti mencuci pakaiannya serta mandi, dan dia tetap najis sehingga matahari terbenam. Jika seorang lelaki yang mengeluarkan lelehan menyentuh orang lain sebelum dia mencuci tangannya, orang yang disentuh itu mesti mencuci pakaiannya serta mandi, dan dia tetap najis sehingga matahari terbenam. Setiap belanga yang disentuh lelaki yang mengeluarkan lelehan mesti dipecahkan, dan setiap bekas daripada kayu yang disentuhnya mesti dicuci. Selepas lelaki itu sembuh, dia harus menunggu sehingga tujuh hari, lalu mencuci pakaiannya dan mandi dengan air dari mata air, barulah dia tahir. Pada hari kelapan, lelaki itu harus membawa dua ekor burung merpati atau dua ekor burung tekukur ke pintu Khemah TUHAN, lalu memberikan semuanya kepada imam. Imam akan mempersembahkan seekor daripada burung itu sebagai korban untuk mengampunkan dosa dan seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Dengan cara ini imam melakukan upacara penyucian untuk orang itu di hadapan TUHAN. Apabila mani keluar daripada seseorang lelaki, dia harus mandi, tetapi dia tetap najis sehingga matahari terbenam. Apa sahaja yang dibuat daripada kain atau kulit yang terkena mani harus dicuci, dan benda itu tetap najis sehingga matahari terbenam. Setelah bersetubuh, baik lelaki mahupun perempuan harus mandi, dan mereka tetap najis sehingga matahari terbenam. Apabila seorang perempuan sedang haid, dia najis selama tujuh hari. Sesiapa yang menyentuh dia menjadi najis sehingga matahari terbenam. Apa sahaja yang diduduki atau ditiduri perempuan itu ketika dia haid, benda itu pun menjadi najis. [21-23] Sesiapa yang menyentuh katil perempuan itu atau apa sahaja yang sudah didudukinya, orang itu mesti mencuci pakaiannya serta mandi, dan dia tetap najis sehingga matahari terbenam. *** *** Jika seorang lelaki bersetubuh perempuan yang sedang haid, lelaki itu dicemari oleh kenajisan perempuan itu, maka lelaki itu pun menjadi najis selama tujuh hari. Setiap tempat tidur yang ditiduri lelaki itu juga menjadi najis. Jika seorang perempuan mengalami pendarahan selama beberapa hari di luar masa haidnya, atau jika pendarahannya belum berhenti sesudah masa haidnya yang biasa, dia menjadi najis selama pendarahan itu, seperti pada masa dia haid. Setiap tempat tidur yang ditidurinya, atau apa sahaja yang didudukinya pada masa itu pun menjadi najis. Sesiapa yang menyentuh benda itu menjadi najis dan mesti mencuci pakaiannya dan mandi; orang itu tetap najis sehingga matahari terbenam. Setelah pendarahan perempuan itu berhenti, dia harus menunggu selama tujuh hari, barulah dia tahir. Pada hari kelapan, dia harus membawa dua ekor burung merpati atau dua ekor burung tekukur kepada imam di pintu Khemah TUHAN. Imam itu akan mempersembahkan seekor daripada burung itu sebagai korban untuk mengampunkan dosa dan seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Dengan cara ini imam melakukan upacara penyucian bagi perempuan itu. Demikianlah TUHAN menyuruh Musa memperingatkan umat Israel supaya memperhatikan masa mereka najis, supaya mereka tidak menajiskan Khemah TUHAN yang di tengah-tengah mereka. Jika mereka menajiskan Khemah TUHAN, mereka akan mati. [32-33] Demikianlah peraturan-peraturan tentang orang yang mengeluarkan lelehan kerana penyakit kelamin, dan tentang lelaki yang mengeluarkan mani, dan tentang perempuan yang sedang haid, dan tentang lelaki yang bersetubuh dengan perempuan yang najis. Selepas kedua-dua orang anak Harun meninggal kerana mempersembahkan api yang tidak dikehendaki TUHAN, TUHAN berfirman kepada Musa, “Beritahulah Harun, abangmu itu, bahawa hanya pada waktu yang telah ditentukan, dia boleh pergi ke belakang tirai, ke dalam Bilik Maha Suci, kerana di situlah Aku menampakkan diri di dalam awan di atas penutup Tabut Perjanjian. Jika Harun melanggar perintah itu, dia akan mati. Dia boleh masuk ke dalam Bilik Maha Suci hanya sesudah dia membawa seekor lembu muda bagi korban untuk mengampunkan dosa dan seekor domba jantan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN.” Kemudian Harun harus memperhatikan peraturan-peraturan yang berikut. Sebelum Harun masuk ke Bilik Maha Suci, dia harus mandi dan memakai pakaian imam: jubah, celana pendek, ikat pinggang, dan serban, yang semuanya dibuat daripada linen. Umat Israel harus memberikan dua ekor kambing jantan kepada Harun bagi korban untuk mengampunkan dosa, dan seekor domba jantan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Dia harus mempersembahkan seekor lembu jantan sebagai korban untuk menghapuskan dosanya sendiri dan dosa keluarganya. Kemudian dia harus membawa dua ekor kambing itu ke pintu Khemah TUHAN. Di situ dia harus membuang undi dengan menggunakan dua biji batu: yang satu ditandai “Untuk TUHAN” dan yang satu lagi ditandai “Untuk Azazel.” Harun akan menyembelih kambing yang terpilih untuk TUHAN, lalu mempersembahkannya sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Kambing yang dipilih untuk Azazel, harus dipersembahkan hidup-hidup kepada TUHAN, lalu dilepaskan ke padang gurun untuk Azazel supaya dosa umat Israel dihapuskan. Apabila Harun mempersembahkan lembu jantan itu sebagai korban untuk mengampunkan dosa bagi dirinya sendiri dan bagi keluarganya, dia harus membawa sebuah perbaraan yang penuh dengan bara api dari mazbah dan dua genggam kemenyan halus, lalu membawa semuanya ke dalam Bilik Maha Suci. Di sana, di hadapan Tabut Perjanjian, dia harus membakar kemenyan itu dan asap kemenyan itu akan menutupi penutup Tabut Perjanjian supaya Harun tidak nampak penutup itu; jika dia nampak penutup itu, dia akan mati. Dia harus mengambil sedikit darah lembu jantan itu, lalu dengan jarinya memercikkan darah itu di bahagian depan penutup Tabut Perjanjian dan tujuh kali di depan Tabut itu. Kemudian Harun harus menyembelih kambing itu sebagai korban untuk mengampunkan dosa bagi umat Israel. Dia harus membawa darah kambing itu ke dalam Bilik Maha Suci, lalu memercikkan darah itu di atas penutup Tabut Perjanjian dan di hadapan Tabut itu sebagaimana yang dilakukannya dengan darah lembu jantan itu. Dengan cara ini dia melakukan upacara untuk menyucikan Bilik Maha Suci daripada kenajisan umat Israel dan daripada segala dosa mereka. Dia mesti melakukan upacara ini bagi bahagian-bahagian lain Khemah TUHAN kerana Khemah itu ada di tengah-tengah perkhemahan yang najis. Tiada seorang pun boleh berada di dalam Khemah TUHAN, mulai dari saat Harun masuk ke dalam Bilik Maha Suci untuk melakukan upacara penyucian, sehingga dia keluar semula. Selepas dia melakukan upacara itu bagi dirinya sendiri, bagi keluarganya, dan bagi semua orang Israel, dia harus pergi ke mazbah tempat membakar korban untuk menyenangkan hati TUHAN, supaya menyucikan mazbah itu. Dia harus mengambil sedikit darah lembu jantan dan sedikit darah kambing, lalu menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah. Kemudian dengan jarinya dia harus memercikkan darah itu ke atas mazbah sebanyak tujuh kali. Dengan cara ini dia menyucikan mazbah itu daripada kenajisan umat Israel, dan menjadikan mazbah itu suci. Selepas Harun melakukan upacara penyucian bagi Bilik Maha Suci, bahagian-bahagian lain Khemah TUHAN dan mazbah, lalu kepada TUHAN dia harus mempersembahkan kambing jantan hidup yang dipilih bagi Azazel. Harun harus meletakkan kedua-dua belah tangannya di atas kepala kambing itu lalu mengakui segala kejahatan, dosa, dan pemberontakan umat Israel. Dengan demikian semua dosa umat Israel dipindahkan ke atas kepala kambing itu. Kemudian kambing itu harus diusir ke padang gurun oleh seorang yang sudah diberikan tugas itu. Kambing itu membawa segala dosa umat Israel jauh ke tanah tandus, yang tidak dihuni orang. Kambing itu akan dilepaskan di padang gurun. Selepas itu Harun harus masuk ke dalam Khemah TUHAN, membuka pakaian imam yang dipakainya ketika dia masuk ke Bilik Maha Suci, lalu meninggalkan pakaian itu di situ. Dia mesti mandi di satu tempat yang khas, kemudian memakai pakaiannya sendiri. Selepas itu dia harus keluar, lalu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bagi menghapuskan dosanya sendiri dan dosa umat Israel. Dia harus membakar lemak binatang yang dipersembahkan bagi korban untuk mengampunkan dosa, di atas mazbah. Orang yang melepaskan kambing jantan untuk Azazel di padang gurun, mesti mencuci pakaiannya dan mandi sebelum balik ke perkhemahan. Lembu jantan dan kambing yang dipersembahkan bagi korban untuk mengampunkan dosa, dan yang darahnya dibawa ke dalam Bilik Maha Suci untuk menghapuskan dosa, mesti dibawa ke luar perkhemahan dan dibakar. Kulit, daging, dan usus kedua-dua binatang itu mesti dibakar semuanya. Orang yang membakarnya mesti mencuci pakaiannya dan mandi sebelum balik ke perkhemahan. Peraturan-peraturan yang berikut harus dipatuhi selama-lamanya. Pada hari kesepuluh bulan ketujuh, orang Israel dan orang asing yang tinggal bersama-sama mereka, mesti berpuasa dan tidak boleh bekerja. Pada hari itu upacara harus dilakukan untuk menyucikan mereka daripada segala dosa agar mereka menjadi tahir. Hari itu adalah hari yang sangat suci, apabila orang Israel berpuasa dan tidak bekerja sama sekali. Peraturan-peraturan ini mesti dipatuhi selama-lamanya. Imam Agung yang telah ditahbiskan untuk menggantikan bapanya, dan dikhaskan bagi Allah, mesti melakukan upacara penyucian. Dia harus memakai pakaian imam, lalu melakukan upacara penyucian bagi Bilik Maha Suci, bahagian-bahagian lain Khemah TUHAN, mazbah, imam-imam, dan semua orang Israel. Peraturan-peraturan ini mesti dipatuhi selama-lamanya. Upacara ini mesti dilakukan sekali setahun untuk menyucikan orang Israel daripada segala dosa mereka. Oleh itu, semuanya dilakukan sebagaimana yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. TUHAN memerintahkan Musa supaya memberikan peraturan-peraturan berikut kepada Harun dan anak-anaknya, dan kepada segenap umat Israel. [3-4] Apabila seorang Israel mempersembahkan lembu, domba, atau kambing kepada TUHAN, binatang itu harus disembelih di depan pintu Khemah TUHAN. Jika dia menyembelih binatang itu di tempat lain, dia sudah melanggar hukum. Dia sudah menumpahkan darah dan tidak boleh lagi dianggap sebagai anggota umat Allah. *** Perintah ini bermaksud bahawa mulai masa itu, orang Israel harus membawa semua binatang yang hendak dipersembahkan ke Khemah TUHAN; dahulu binatang itu biasanya disembelih di padang. Orang Israel wajib membawa binatang itu kepada imam di hadapan pintu Khemah TUHAN, dan menyembelihnya di situ sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. Imam harus menyiramkan darah binatang itu pada sisi-sisi mazbah di hadapan pintu Khemah, lalu membakar lemak binatang itu supaya baunya menyenangkan hati TUHAN. Umat Israel mesti tetap setia kepada TUHAN, dan tidak boleh menyembelih binatang mereka di padang sebagai korban kepada syaitan-syaitan yang menyerupai kambing. Umat Israel harus mematuhi peraturan ini selama-lamanya. Apabila seorang Israel atau seorang asing yang tinggal di kalangan orang Israel mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, atau korban-korban lain kepada TUHAN, dia harus mempersembahkannya di hadapan pintu Khemah TUHAN. Jika dia mempersembahkannya di tempat lain, dia tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah. Jika orang Israel ataupun orang asing yang tinggal di kalangan mereka makan darah, orang itu akan ditentang oleh TUHAN, dan dia tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Nya. Nyawa tiap-tiap makhluk terkandung di dalam darahnya. Itulah sebabnya TUHAN memberikan perintah supaya semua darah dituangkan ke atas mazbah untuk menghapuskan dosa umat. Darah, iaitu nyawa, menghapuskan dosa. Itulah sebabnya TUHAN melarang orang Israel dan orang asing yang tinggal di kalangan mereka daripada makan darah. Orang Israel mahupun bangsa asing yang tinggal di kalangan mereka, yang menangkap seekor binatang atau burung yang halal, mesti mencurahkan darah haiwan itu ke tanah lalu menutupi darah itu dengan tanah. Nyawa tiap-tiap makhluk terkandung di dalam darahnya. Itulah sebabnya TUHAN memberitahu umat Israel bahawa mereka tidak boleh makan darah sebarang makhluk. Sesiapa yang makan darah tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah. Sesiapa sahaja, orang Israel ataupun orang asing, yang makan daging binatang yang sudah mati, sama ada yang mati biasa ataupun yang menjadi mangsa binatang buas, mesti mencuci pakaiannya serta mandi, dan menunggu sampai matahari terbenam, barulah dia menjadi tahir semula. Jika dia tidak mencuci pakaiannya dan tidak mandi, dia mesti menanggung akibatnya. TUHAN menyuruh Musa memberitahu umat Israel firman ini, “Akulah TUHAN, Allah kamu. Jangan ikut perbuatan orang di Mesir, negeri tempat kamu tinggal dahulu, dan jangan ikut perbuatan orang di Kanaan, tempat Aku sedang membawa kamu. Patuhilah segala hukum-Ku dan lakukanlah apa yang Aku perintahkan. Akulah TUHAN, Allah kamu. Turutilah segala hukum dan perintah yang Aku berikan kepada kamu. Orang yang melaksanakannya akan selamat. Akulah TUHAN.” TUHAN memberikan peraturan-peraturan berikut. Jangan bersetubuh dengan saudara mara kamu. Jangan hina bapa kamu dengan menyetubuhi ibu kamu. Jangan hina ibu kamu sendiri. Jangan hina bapa kamu dengan menyetubuhi salah seorang isterinya. Jangan bersetubuh dengan saudara perempuan kamu, sama ada saudara sekandung ataupun saudara tiri, sama ada yang dibesarkan serumah dengan kamu ataupun yang dibesarkan di rumah lain. Jangan bersetubuh dengan cucu perempuan kamu. Hal ini akan menghina diri kamu sendiri. Jangan bersetubuh dengan saudara perempuan kamu, sama ada yang sebapa lain ibu atau seibu lain bapa, kerana dia juga saudara kamu. [12-13] Jangan bersetubuh dengan mak cik kamu, sama ada saudara bapa ataupun saudara ibu kamu. *** Jangan bersetubuh dengan isteri pak cik kamu; dia juga mak cik kamu. Jangan bersetubuh dengan menantu perempuan kamu atau dengan ipar perempuan kamu. Jangan bersetubuh dengan anak perempuan atau cucu perempuan seorang wanita yang pernah bersetubuh dengan kamu. Mereka mungkin bersanak dengan kamu, dan hal itu perbuatan yang keji. Jangan kahwin dengan saudara perempuan isteri kamu selama isteri kamu masih hidup. Jangan bersetubuh dengan perempuan yang sedang haid, kerana perempuan itu najis. Jangan bersetubuh dengan isteri orang lain, perbuatan itu akan menjadikan kamu najis. Jangan serahkan salah seorang anak kamu untuk dipersembahkan sebagai korban kepada Dewa Molokh, kerana perbuatan itu menghina nama Allah kamu, iaitu TUHAN. Orang lelaki tidak boleh bersemburit. Allah membenci perbuatan itu. Lelaki mahupun perempuan, tidak boleh melakukan hubungan jenis dengan binatang. Perbuatan yang keji itu menajiskan kamu. Jangan najiskan diri kamu dengan perbuatan itu. Dengan cara itulah bangsa-bangsa yang tinggal di negeri Kanaan sebelum kamu, telah menajiskan diri mereka. Itulah sebabnya TUHAN mengusir mereka supaya kamu boleh tinggal di negeri itu. Perbuatan mereka menajiskan negeri itu. Itulah sebabnya TUHAN menghukum negeri itu kerana perbuatan keji yang dilakukan oleh penduduk negeri itu. [26-27] Mereka melakukan segala perbuatan keji serta menajiskan negeri itu, tetapi kamu tidak boleh berbuat demikian. Kamu semua, sama ada orang Israel mahupun orang asing, mesti patuh kepada hukum dan perintah TUHAN. *** Dengan demikian kamu tidak akan diusir dari negeri itu sebagaimana bangsa-bangsa yang tinggal di sana diusir dahulu. Ketahuilah, sesiapa yang melakukan perbuatan keji itu, tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah. TUHAN berfirman, “Patuhilah perintah-Ku dan jangan ikut perbuatan orang yang tinggal di negeri itu dahulu. Jangan najiskan diri kamu dengan melakukan perbuatan itu. Akulah TUHAN, Allah kamu.” TUHAN menyuruh Musa memberitahu umat Israel, “Kamu harus suci kerana Aku TUHAN, Allah kamu suci. Tiap-tiap orang harus menghormati ibu dan bapanya, serta merayakan hari Sabat sebagaimana yang sudah Aku perintahkan. Akulah TUHAN, Allah kamu. Jangan sembah berhala. Jangan buat patung berhala daripada logam dan jangan sembahnya. Akulah TUHAN, Allah kamu. Apabila kamu menyembelih binatang bagi korban untuk memohon berkat TUHAN, patuhilah peraturan yang sudah Aku berikan kepada kamu, supaya Aku menerima persembahan kamu. Dagingnya harus dimakan pada hari binatang itu disembelih atau pada hari esoknya. Daging yang tertinggal pada hari ketiga mesti dibakar, kerana daging itu haram. Jika sesiapa memakannya, persembahan itu tidak Aku terima. Sesiapa yang memakannya bersalah, kerana dia memperlakukan apa yang sudah dipersembahkan kepada-Ku itu sebagai makanan biasa; orang itu tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Ku. Apabila kamu menuai hasil tanaman, jangan tuai hasil tanaman yang tumbuh di tepi ladang. Jangan kembali ke ladang untuk menuai hasil tanaman yang tertinggal setelah dituai. Jangan kumpulkan buah anggur yang tertinggal selepas kamu memetiknya pada kali pertama; jangan pungut buah anggur yang sudah jatuh. Tinggalkanlah semua itu untuk orang miskin dan orang asing. Akulah TUHAN, Allah kamu. Jangan curi apa pun; jangan tipu sesiapa pun; jangan berdusta. Jangan berjanji demi nama-Ku jika kamu tidak bermaksud menepati janji itu. Perbuatan demikian menghina nama-Ku. Akulah TUHAN, Allah kamu. Jangan perdayakan orang, dan jangan rompak sesiapa pun. Jangan tahan upah orang yang sudah bekerja untukmu, jangan tahan upahnya walaupun untuk satu malam. Jangan kutuk orang tuli, dan jangan letakkan batu sandungan di hadapan orang buta sehingga dia jatuh. Kamu harus takut akan Aku; Akulah TUHAN, Allah kamu. Jangan berlaku curang apabila kamu mengadili perkara orang. Jangan berlaku berat sebelah, sama ada terhadap orang yang miskin ataupun yang kaya. Jangan sebarkan fitnah tentang orang lain. Apabila seseorang diadili, jangan berikan kesaksian palsu yang menyebabkan orang itu dihukum mati. Akulah TUHAN. Jangan berdendam terhadap sesiapa pun. Selesaikanlah perselisihan kamu dengan dia, supaya kamu tidak berdosa kerana orang itu. Jangan balas dendam terhadap sesiapa pun, atau terus-menerus membenci orang. Kasihilah sesama kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri. Akulah TUHAN. Patuhilah perintah-Ku. Jangan kahwinkan dua ekor binatang yang berlainan jenis. Jangan tabur dua jenis benih di ladang yang sama. Jangan pakai pakaian yang ditenun daripada dua jenis benang. Jika seorang abdi perempuan dijanjikan kepada seorang lelaki untuk menjadi gundiknya, tetapi perempuan itu belum dibayar, dan jika seorang lelaki lain bersetubuh dengan abdi itu, mereka berdua harus dihukum, tetapi tidak dihukum mati kerana perempuan itu masih abdi. Lelaki itu harus membawa seekor domba jantan ke pintu Khemah TUHAN sebagai korban untuk membayar ganti rugi. Imam akan mempersembahkan domba itu dalam upacara penyucian untuk menghapuskan dosa orang itu, maka Allah akan mengampuni dia. Apabila kamu masuk ke negeri Kanaan lalu menanam pokok buah jenis apa sahaja, anggaplah buah pokok itu haram selama tiga tahun yang pertama, dan kamu tidak boleh memakannya. Pada tahun keempat, semua buahnya harus dikhaskan sebagai persembahan untuk menyatakan kesyukuran kamu kepada-Ku, TUHAN. Pada tahun kelima, barulah kamu boleh makan buah pokok itu. Jika kamu berbuat demikian, pokok-pokok buah kamu akan berbuah lebih banyak lagi. Akulah TUHAN, Allah kamu. Jangan makan daging yang masih berdarah. Jangan lakukan ilmu sihir apa pun. Jangan gunting rambut di pelipis kamu atau gunting janggut kamu. Jangan rajah kulit kamu, atau lukai tubuh kamu sebagai tanda berkabung bagi orang mati. Akulah TUHAN. Jangan permalukan anak perempuan kamu dengan menjadikan mereka pelacur di kuil. Jika kamu berbuat demikian, negeri kamu akan tercemar dan perbuatan keji akan merajalela di situ. Rayakanlah hari Sabat dan hormatilah tempat Aku disembah. Akulah TUHAN. Jangan minta nasihat daripada orang yang berhubung dengan roh-roh orang mati. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan menjadi najis. Akulah TUHAN, Allah kamu. Seganilah dan hormatilah orang yang sudah tua. Kamu harus hormat dan takut akan Aku, kerana Akulah TUHAN. Jangan tindas orang asing yang tinggal di negeri kamu. Perlakukanlah mereka seperti kamu memperlakukan orang kamu sendiri, dan kasihilah mereka seperti kamu mengasihi diri kamu sendiri. Ingatlah bahawa kamu pun pernah hidup sebagai orang asing di negeri Mesir. Akulah TUHAN, Allah kamu. Jangan tipu sesiapa pun dengan menggunakan ukuran, timbangan, atau sukatan yang salah. Gunakanlah neraca, timbangan, dan ukuran yang betul. Akulah TUHAN, Allah kamu; Aku sudah membawa kamu keluar dari negeri Mesir. Patuhilah hukum dan perintah-Ku; Akulah TUHAN.” TUHAN menyuruh Musa memberitahu umat Israel, “Sesiapa sahaja antara kamu, atau orang asing di kalangan kamu, yang mempersembahkan anaknya sebagai korban kepada Dewa Molokh, harus direjam sampai mati oleh segenap masyarakat. Sesiapa yang mempersembahkan salah seorang anaknya kepada Dewa Molokh, menajiskan Khemah-Ku dan menghina nama-Ku yang suci. Aku akan menghukum dia dan tidak lagi menganggap dia sebagai anggota umat-Ku. Tetapi jika masyarakat menutup mata terhadap perbuatan orang itu, dan tidak menjatuhkan hukuman mati ke atas orang itu, maka Aku sendiri akan menghukum dia dan semua anggota keluarganya, dan juga semua orang yang bersama-sama dia meninggalkan Aku dan menyembah Dewa Molokh. Aku tidak lagi menganggap mereka sebagai umat-Ku. Sesiapa yang minta nasihat daripada orang yang berhubung dengan roh-roh orang mati, akan Kuhukum dan tidak lagi Aku anggap sebagai anggota umat-Ku. Jagalah supaya kamu tetap suci, kerana Akulah TUHAN, Allah kamu. Patuhilah hukum-Ku, kerana Akulah TUHAN yang mengekhaskan kamu untuk Aku.” TUHAN memberikan peraturan berikut, “Sesiapa mengutuk bapanya atau ibunya mesti dihukum mati. Orang itu mati kerana kesalahannya sendiri. Jika seorang Israel berzina dengan isteri orang sebangsanya, orang itu dan perempuan itu mesti dihukum mati. Seorang yang bersetubuh dengan salah seorang isteri bapanya, menghina bapanya; dia dan perempuan itu mesti dihukum mati. Mereka mati kerana kesalahan mereka sendiri. Jika seorang lelaki bersetubuh dengan menantu perempuannya, mereka berdua mesti dihukum mati. Mereka sudah melakukan perbuatan keji, dan mereka mati kerana kesalahan mereka sendiri. Jika seorang lelaki bersemburit dengan seorang lelaki lain, mereka melakukan perbuatan yang hina dan menjijikkan. Mereka berdua mesti dihukum mati; mereka mati kerana kesalahan mereka sendiri. Jika seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan dan dengan ibu perempuan itu juga, ketiga-tiga mereka mesti dibakar sampai mati, kerana perbuatan mereka itu keji. Perbuatan seperti itu tidak dibenarkan berlaku di kalangan kamu. Jika seorang lelaki melakukan perhubungan jenis dengan seekor binatang, dia dan binatang itu mesti dihukum mati. Jika seorang perempuan cuba melakukan perhubungan jenis dengan seekor binatang, perempuan itu dan binatang itu mesti dihukum mati. Kedua-duanya mati kerana kesalahan sendiri. Jika seorang lelaki berkahwin dengan saudara perempuannya, sama ada perempuan itu saudara seibu sebapa mahupun saudara tiri yang sebapa lain ibu atau seibu lain bapa, kedua-dua orang itu harus dipermalukan di hadapan umum dan tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Israel. Lelaki itu sudah bersetubuh dengan saudara perempuannya dan mesti menanggung akibatnya. Jika seorang lelaki bersetubuh dengan seorang perempuan yang sedang haid, kedua-duanya tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Ku. Jika seorang lelaki bersetubuh dengan mak ciknya, mereka berdua mesti menanggung akibatnya; perbuatan itu keji. Jika seorang lelaki bersetubuh dengan isteri pak ciknya, dia menghina pak ciknya. Lelaki dan perempuan itu mesti menanggung hukuman mereka sendiri; mereka berdua tidak akan mendapat anak. Jika seorang lelaki merampas isteri abangnya, mereka berdua akan mati tanpa mendapat anak. Lelaki itu sudah melakukan perbuatan yang keji, dan dia menghina abangnya.” TUHAN berfirman, “Patuhilah segala hukum dan perintah-Ku, supaya kamu tidak diusir dari negeri Kanaan, tempat Aku membawa kamu sekarang ini. Jangan ikut kebiasaan bangsa yang tinggal di situ. Aku mengusir mereka supaya kamu boleh masuk ke negeri itu. Mereka menjijikkan Aku dengan perbuatan mereka yang keji. Tetapi Aku sudah berjanji akan memberikan negeri yang kaya dan subur itu kepada kamu. Negeri itu akan menjadi milik kamu. Akulah TUHAN, Allah kamu yang sudah memisahkan kamu daripada bangsa-bangsa lain. Oleh itu, kamu mesti tahu membezakan binatang dan burung yang halal dengan binatang dan burung yang haram. Jangan makan binatang atau burung yang haram. Aku sudah menyatakan semua itu najis. Jika kamu memakannya, kamu juga menjadi najis. Kamu harus suci dan menjadi milik-Ku semata-mata, kerana Akulah TUHAN dan Aku suci. Aku sudah memisahkan kamu daripada bangsa-bangsa lain, supaya kamu menjadi milik-Ku semata-mata. Setiap lelaki atau perempuan yang berhubung dengan roh-roh orang mati mesti direjam sampai mati. Orang yang melakukan perbuatan ini mati kerana kesalahan sendiri.” TUHAN memerintah Musa menyampaikan perintah ini kepada imam-imam keturunan Harun, “Seorang imam tidak boleh menajiskan diri dengan mengikuti upacara penguburan seorang sanak saudaranya, kecuali orang yang meninggal itu ibunya, bapanya, anak lelakinya, anak perempuannya, saudara lelakinya, atau saudara perempuannya yang belum berkahwin dan tinggal serumah dengan dia. Dia tidak boleh menajiskan diri dengan mengikuti upacara penguburan saudara mara isterinya. Seorang imam tidak boleh membotakkan bahagian mana pun kepalanya, atau menggunting janggutnya, atau melukai tubuhnya untuk menunjukkan bahawa dia berkabung. Seorang imam harus suci dan tidak boleh menghina nama-Ku. Dia mempersembahkan persembahan makanan kepada-Ku, kerana itu dia harus suci. Seorang imam tidak boleh berkahwin dengan pelacur perempuan, atau perempuan yang bukan dara lagi, atau perempuan yang sudah bercerai, kerana imam dikhaskan untuk Aku. Umat Israel harus mengakui imam sebagai orang yang dikhaskan bagi-Ku kerana imam mempersembahkan persembahan makanan kepada-Ku. Akulah TUHAN; Aku ini suci dan Aku menyucikan umat-Ku. Jika anak perempuan seorang imam menjadi pelacur, dia menghina bapanya; perempuan itu mesti dibakar sampai mati. Imam Agung sudah ditahbiskan dengan menuangkan minyak upacara ke atas kepalanya, dan dengan mengenakan pakaian imam agung padanya. Oleh itu dia tidak boleh membiarkan rambutnya kusut, atau mengoyakkan pakaiannya untuk menunjukkan bahawa dia berkabung. [11-12] Dia sudah dikhaskan untuk Aku, oleh itu dia tidak boleh menajiskan diri. Dia tidak boleh meninggalkan Khemah-Ku lalu masuk ke rumah yang ada jenazah, walaupun jenazah itu jenazah bapa atau ibunya sendiri. Perbuatannya itu menajiskan Khemah-Ku. *** Imam Agung harus berkahwin dengan seorang anak dara. Dia tidak boleh berkahwin dengan seorang balu, atau perempuan yang sudah bercerai, atau perempuan bekas pelacur. Dia hanya boleh berkahwin dengan seorang anak dara daripada puaknya sendiri. Jika dia melanggar peraturan itu, anak-anaknya yang seharusnya suci, akan menjadi najis. Akulah TUHAN dan Aku sudah mengkhususkan dia sebagai Imam Agung.” TUHAN menyuruh Musa menyampaikan hal ini kepada Harun, “Sesiapa daripada keturunanmu yang mempunyai cacat tubuh, orang itu tidak boleh mempersembahkan persembahan makanan kepada-Ku. Peraturan ini berlaku selama-lamanya. Orang yang mempunyai cacat tubuh seperti yang berikut tidak boleh mempersembahkan korban: orang buta, orang tempang, orang yang cacat muka atau cacat anggota tubuhnya; orang yang lumpuh tangan atau tempang kakinya; orang yang bongkok atau orang kerdil; orang yang berpenyakit mata atau berpenyakit kulit, dan orang yang dikembiri. Setiap keturunan Imam Harun yang mempunyai cacat pada tubuhnya, tidak boleh mempersembahkan persembahan makanan kepada-Ku. Tetapi orang yang demikian boleh makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada-Ku, sama ada persembahan makanan yang suci, mahupun persembahan makanan yang sangat suci. Tetapi oleh sebab kecacatannya, dia tidak boleh mendekati tirai yang memisahkan Bilik Suci ataupun datang ke mazbah. Dia tidak boleh menajiskan benda-benda yang sudah dikhaskan untuk Aku, kerana Akulah TUHAN dan Akulah yang mengekhaskan benda-benda itu untuk Aku.” Itulah peraturan-peraturan yang disampaikan oleh Musa kepada Harun, anak-anak Harun dan segenap umat Israel. TUHAN memerintah Musa untuk menyampaikan perintah ini kepada Harun dan anak-anaknya, “Perlakukanlah dengan hormat korban-korban yang dipersembahkan oleh umat Israel khas untuk Aku, supaya kamu tidak menghina nama-Ku yang suci. Akulah TUHAN. Sesiapa sahaja daripada keturunan kamu, yang dalam keadaan najis, mendekati korban-korban yang dipersembahkan oleh umat Israel khas untuk Aku, dia tidak boleh bertugas di mazbah lagi. Peraturan ini berlaku selama-lamanya. Akulah TUHAN. Sesiapa sahaja daripada keturunan Harun yang menghidap penyakit kulit yang mengerikan, atau yang menghidap penyakit kelamin sehingga mengeluarkan lelehan, dia tidak boleh makan apa pun daripada korban yang dikhaskan itu, sebelum dia diumumkan tahir. Seseorang imam menjadi najis jika dia menyentuh sesuatu yang menjadi najis kerana terkena mayat, atau imam itu mengeluarkan mani, atau dia menyentuh binatang yang najis atau orang yang najis. Imam yang menjadi najis dengan cara apa pun, tetap najis sehingga matahari terbenam. Dia tidak boleh makan korban yang dikhaskan itu sebelum dia mandi. Selepas matahari terbenam barulah dia tahir, dan dia boleh makan korban yang dikhaskan kerana itulah makanannya. Dia tidak boleh makan daging binatang jenis apa pun yang mati biasa, atau yang diterkam binatang buas. Perbuatan itu akan menajiskan dia. Akulah TUHAN. Semua imam harus patuh kepada peraturan-peraturan yang telah Aku berikan itu. Jika tidak, mereka bersalah dan akan mati kerana melanggar peraturan-peraturan yang suci itu. Akulah TUHAN dan Aku menyucikan mereka. Cuma orang daripada keluarga imam yang boleh makan daripada korban yang dikhaskan. Orang lain tidak boleh memakannya, walaupun orang itu tinggal bersama-sama imam, ataupun orang itu orang gaji imam. Tetapi abdi yang dibeli dengan wang imam sendiri, atau yang lahir di dalam rumah imam, boleh makan makanan yang diterima oleh imam. Anak perempuan imam yang berkahwin dengan seorang yang bukan imam, tidak boleh makan korban yang dikhaskan. Tetapi anak perempuan imam yang telah menjadi balu, atau yang diceraikan dan tidak mempunyai anak, lalu kembali tinggal dengan bapanya dan menjadi tanggungan bapanya, boleh makan makanan yang diterima oleh bapanya sebagai imam. Cuma anggota keluarga imam boleh makan korban itu. Jika seorang yang bukan anggota keluarga imam, dengan tidak sengaja makan korban yang dikhaskan, dia mesti memberikan ganti yang sama banyaknya kepada imam, ditambah pula dengan dua puluh peratus. Imam tidak boleh menajiskan korban yang dikhaskan, dengan memberikannya kepada orang yang tidak layak memakannya. Hal ini akan mendatangkan kesalahan dan hukuman kepada orang yang memakannya. Akulah TUHAN dan Aku sudah menyucikan korban itu.” TUHAN memerintah Musa supaya memberikan peraturan berikut kepada Harun dan anak-anaknya, serta segenap umat Israel. Apabila seorang Israel ataupun seorang bangsa asing yang tinggal di negeri Israel mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, sama ada bagi menunaikan nazar atau pun sebagai korban yang dipersembahkan dengan sukarela, binatang itu tidak boleh ada kecacatan. Binatang itu harus binatang jantan yang tidak ada kecacatan, supaya dapat diterima. Jika kamu mempersembahkan binatang yang ada kecacatan, TUHAN tidak akan menerimanya. Apabila seseorang mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, sama ada bagi menunaikan nazar atau pun sebagai korban yang dipersembahkan dengan sukarela, binatang itu tidak boleh ada kecacatan, supaya dapat diterima. Jangan persembahkan binatang seperti ini kepada TUHAN: binatang yang buta, yang patah tulang, yang luka, yang lukanya bernanah, yang berbisul, ataupun yang berkurap. Jangan persembahkan binatang seperti ini sebagai persembahan makanan di atas mazbah. Kamu boleh mempersembahkan binatang yang tidak sempurna bentuknya sebagai korban yang dipersembahkan dengan sukarela, tetapi korban ini tidak akan diterima sebagai korban untuk menunaikan nazar. Jangan persembahkan binatang seperti ini kepada TUHAN: binatang yang buah pelirnya terjepit, atau dikerat, atau luka, ataupun dibuang. Perbuatan ini tidak dibenarkan di negeri kamu. Jangan persembahkan binatang apa pun sebagai persembahan makanan, jika binatang itu diperoleh daripada orang asing. Binatang itu dianggap cacat dan tidak dapat diterima. [26-27] Seekor anak lembu, atau anak domba, atau anak kambing yang baru lahir, tidak boleh dipisahkan daripada induknya selama tujuh hari. Selepas itu barulah binatang itu boleh dipersembahkan sebagai persembahan makanan. *** Induk lembu dan anaknya, atau induk domba dan anaknya, ataupun induk kambing dan anaknya, tidak boleh dipersembahkan sebagai korban pada hari yang sama. Apabila kamu mempersembahkan korban kesyukuran kepada TUHAN, ikutilah peraturannya supaya korban kamu itu diterima. Makanlah semua korban itu pada hari itu juga, dan jangan tinggalkan apa-apa sehingga esok pagi. TUHAN berfirman, “Taatilah perintah-perintah-Ku; Akulah TUHAN. Jangan hina nama-Ku yang suci. Segenap umat Israel mesti menyembah Aku sebagai Yang Maha Suci. Akulah TUHAN dan Aku menyucikan kamu. Aku membawa kamu keluar dari Mesir supaya Aku dapat menjadi Allah kamu. Akulah TUHAN.” TUHAN memberikan peraturan-peraturan ini kepada Musa tentang perayaan-perayaan agama yang mesti diisytiharkan sebagai masa untuk beribadat. Ada enam hari untuk kamu bekerja, tetapi ingatlah bahawa hari ketujuh, iaitu hari Sabat, adalah hari rehat. Jangan bekerja pada hari itu, tetapi berkumpullah untuk beribadat. Hari Sabat itu hari yang dikhaskan bagi TUHAN, di mana sahaja kamu tinggal. Yang berikut adalah perayaan-perayaan yang sudah ditetapkan oleh TUHAN, dan mesti diisytiharkan pada masa-masa yang ditetapkan. Perayaan Paska, yang dirayakan untuk menghormati TUHAN, bermula pada saat matahari terbenam, pada hari keempat belas bulan pertama. Pada hari kelima belas, Perayaan Roti Tidak Beragi akan bermula. Selama tujuh hari kamu tidak boleh makan roti yang beragi. Pada hari pertama perayaan itu, kamu harus berkumpul untuk beribadat, dan jangan lakukan pekerjaan harian. Selama tujuh hari, kamu harus mempersembahkan persembahan makanan kepada TUHAN. Pada hari ketujuh, sekali lagi kamu harus berkumpul untuk beribadat, dan jangan lakukan pekerjaan harian. [9-10] Apabila kamu masuk ke negeri yang diberikan oleh TUHAN kepada kamu dan menuai barli, kamu harus membawa berkas barli yang pertama kepada imam. *** Kemudian imam akan mempersembahkan barli itu kepada TUHAN sebagai persembahan istimewa, supaya TUHAN berkenan kepada kamu. Imam akan mempersembahkan barli itu pada hari selepas hari Sabat. Pada hari kamu mempersembahkan barli itu, kamu juga harus mempersembahkan seekor domba jantan yang berumur satu tahun dan yang tidak ada kecacatan, sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Bersama dengan korban itu, kamu harus mempersembahkan dua kilogram tepung terbaik yang bercampur minyak zaitun sebagai persembahan makanan. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. Bersama dengan korban itu, persembahkan juga satu liter wain. Jangan makan barli baru kamu itu, sama ada yang mentah, yang dipanggang, ataupun yang dijadikan roti, sebelum kamu mempersembahkan barli baru itu kepada Allah. Peraturan ini harus dipatuhi oleh semua keturunan kamu selama-lamanya. Mulai hari selepas Sabat, ketika kamu mempersembahkan berkas barli yang pertama kepada TUHAN, kamu harus menghitung tujuh minggu penuh. Pada hari kelima puluh, iaitu hari selepas Sabat yang ketujuh, persembahkanlah gandum baru sebagai korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Tiap-tiap keluarga harus membawa dua buku roti, sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN. Tiap-tiap buku roti harus dibuat daripada dua kilogram tepung terbaik yang bercampur ragi. Roti ini harus dipersembahkan kepada TUHAN sebagai korban daripada tuaian gandum yang pertama. Bersama dengan roti itu, umat Israel harus mempersembahkan tujuh ekor anak domba yang berumur satu tahun, seekor lembu jantan, dan dua ekor kambing jantan. Semua binatang itu tidak boleh ada kecacatan. Persembahkanlah semua itu kepada TUHAN sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bersama dengan korban untuk mengucap syukur dan korban wain. Bau persembahan itu menyenangkan hati TUHAN. Selain itu persembahkanlah seekor kambing jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa, dan dua ekor anak domba jantan yang berumur satu tahun sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. Kemudian imam akan mempersembahkan roti dan dua ekor anak domba itu sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN, dan persembahan ini menjadi milik para imam. Persembahan-persembahan ini suci. Pada hari itu jangan lakukan pekerjaan harian, tetapi berkumpullah untuk beribadat. Keturunan kamu mesti patuh kepada peraturan ini selama-lamanya, di mana sahaja mereka tinggal. Apabila kamu menuai gandum di ladang, jangan tuai gandum yang tumbuh di tepi ladang, dan jangan kembali ke ladang untuk menuai gandum yang tertinggal. Tinggalkan semua itu untuk orang miskin dan orang asing. TUHAN ialah Allah kamu. [23-24] Hari pertama bulan ketujuh harus dirayakan sebagai hari yang khas untuk berehat. Apabila trompet ditiup pada hari itu, kamu harus berkumpul untuk beribadat. *** Persembahkanlah persembahan makanan kepada TUHAN, dan jangan lakukan pekerjaan harian pada hari itu. [26-27] Hari kesepuluh bulan tujuh adalah hari untuk melakukan upacara tahunan bagi pengampunan dosa umat Israel. Pada hari itu kamu harus berpuasa dan berkumpul untuk beribadat, serta mempersembahkan persembahan makanan kepada TUHAN. *** Jangan bekerja pada hari itu, kerana hari itu adalah hari untuk melakukan upacara pengampunan dosa, supaya kamu mendapat keampunan di hadapan TUHAN, Allah kamu. Sesiapa yang makan pada hari itu tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah. Sesiapa yang bekerja pada hari itu akan dibinasakan oleh TUHAN sendiri. Peraturan ini mesti dipatuhi oleh semua keturunan kamu, di mana sahaja mereka tinggal. Mulai dari saat matahari terbenam pada hari kesembilan bulan itu, sehingga saat matahari terbenam pada hari kesepuluh bulan yang sama, kamu harus merayakannya seperti hari Sabat, hari yang khas untuk berehat. Kamu mesti berpuasa sepanjang hari itu. [33-34] Perayaan Pondok Daun bermula pada hari kelima belas bulan ketujuh dan berlangsung selama tujuh hari. *** Pada hari pertama perayaan itu, kamu harus berkumpul untuk beribadat. Jangan lakukan pekerjaan harian pada hari itu. Setiap hari selama tujuh hari, kamu harus mempersembahkan persembahan makanan. Pada hari kelapan, kamu harus berkumpul lagi untuk beribadat dan kamu harus mempersembahkan persembahan makanan. Hari itu adalah hari untuk beribadat; kamu tidak boleh melakukan pekerjaan harian pada hari itu. Inilah perayaan-perayaan agama yang ditetapkan oleh TUHAN, dan yang mesti kamu rayakan. Pada masa perayaan itu kamu mesti menghormati TUHAN dengan berkumpul bersama-sama untuk beribadat dan mempersembahkan persembahan makanan, korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban untuk mengucap syukur, korban-korban, dan korban wain, sebagaimana yang ditetapkan untuk setiap hari. Perayaan-perayaan itu adalah tambahan kepada hari-hari Sabat yang biasa, dan korban-korban itu adalah tambahan kepada persembahan yang biasa kamu berikan untuk menunaikan nazar ataupun sebagai korban yang dipersembahkan dengan sukarela kepada TUHAN. Pada hari kelima belas bulan ketujuh, sesudah kamu selesai menuai, kamu mesti merayakan perayaan itu selama tujuh hari. Hari pertama dan hari terakhir perayaan itu adalah hari yang khas untuk berehat. Pada hari yang pertama, ambillah buah yang terbaik dari pokok buah kamu, dan ambillah juga daun-daun palma, dahan-dahan pokok yang rimbun, dan pokok renek berbunga dari tebing sungai, lalu mulakanlah perayaan gembira itu untuk menghormati TUHAN, Allah kamu. Rayakanlah perayaan itu selama tujuh hari. Peraturan ini mesti dipatuhi oleh semua keturunan kamu selama-lamanya. Semua orang Israel harus tinggal di pondok-pondok daun selama tujuh hari, supaya keturunan kamu tahu bahawa TUHAN menyuruh orang Israel tinggal di pondok-pondok daun, ketika Dia membawa mereka keluar dari Mesir. Dialah TUHAN, Allah kamu. Demikianlah Musa memberi umat Israel peraturan-peraturan untuk merayakan perayaan-perayaan agama bagi menghormati TUHAN. TUHAN memberitahu Musa supaya menyampaikan perintah berikut kepada umat Israel: Bawalah minyak zaitun tulen yang terbaik bagi pelita di dalam Khemah TUHAN, supaya pelita dapat dipasang dan menyala terus-menerus. Tiap-tiap malam Harun harus memasang pelita itu dan membiarkannya menyala sehingga pagi. Pelita itu harus diletakkan di hadirat TUHAN, di luar tirai yang di hadapan Tabut Perjanjian di Bilik Maha Suci. Perintah ini mesti dipatuhi selama-lamanya. Harun mesti mengurus pelita-pelita yang diletakkan di atas kaki pelita yang dibuat daripada emas tulen, supaya semuanya selalu menyala di hadirat TUHAN. Ambillah dua puluh empat kilogram tepung yang terbaik dan buatlah dua belas buku roti; satu buku roti dibuat daripada dua kilogram tepung terbaik. Letakkan roti-roti itu dalam dua baris, enam buku roti pada setiap baris, di atas meja yang disaluti emas tulen, yang terletak di dalam Khemah TUHAN. Bubuhlah kemenyan tulen di atas tiap-tiap baris roti. Hal ini menandakan bahawa roti itu persembahan makanan untuk TUHAN. Untuk selama-lamanya, pada setiap hari Sabat, roti itu mesti diletakkan di dalam Khemah TUHAN. Inilah kewajipan umat Israel selama-lamanya. Roti itu untuk Harun dan keturunannya. Mereka mesti makan roti itu di tempat yang suci, kerana roti itu bahagian yang sangat suci daripada persembahan makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN untuk para imam. [10-11] Di perkhemahan orang Israel, ada seorang lelaki. Bapanya orang Mesir dan ibunya orang Israel yang bernama Selomit anak Dibri daripada suku Dan. Pada suatu hari orang itu berkelahi dengan seorang Israel di perkhemahan. Semasa mereka bertengkar, dia mengutuk Allah. Oleh itu orang Israel membawa dia menghadap Musa, *** dan menahan dia sementara menanti keputusan TUHAN tentang apa yang harus dilakukan terhadap orang itu. TUHAN berfirman kepada Musa, “Bawalah orang itu ke luar perkhemahan. Biarlah tiap-tiap orang yang mendengar dia mengutuk Allah, meletakkan tangan di atas kepala orang itu untuk memberikan kesaksian bahawa dia bersalah. Kemudian semua orang Israel harus merejam dia sampai mati. Selepas itu beritahulah umat Israel bahawa sesiapa yang mengutuk Allah mesti menanggung akibatnya. Orang itu mesti dihukum mati. Sesiapa sahaja yang mengutuk TUHAN, baik orang Israel mahupun orang asing yang tinggal di negeri Israel, mesti direjam sampai mati oleh semua orang Israel. Sesiapa yang membunuh orang mesti dihukum mati, dan sesiapa yang membunuh binatang orang lain mesti mengganti binatang orang itu. Dasarnya adalah nyawa ganti nyawa. Apabila seseorang menyebabkan orang lain cedera, apa sahaja yang sudah dilakukannya harus dilakukan juga terhadap dia. Jika dia mematahkan tulang orang lain, tulangnya juga mesti dipatahkan. Jika dia membutakan satu belah mata orang lain, maka satu belah matanya juga mesti dibutakan. Jika dia mematahkan satu biji gigi orang lain, maka satu biji giginya juga mesti dipatahkan. Apa sahaja yang dilakukannya sehingga orang lain cedera, mesti juga dilakukan terhadap dia sebagai pembalasan. Sesiapa yang membunuh binatang mesti mengganti binatang itu, tetapi sesiapa yang membunuh orang mesti dihukum mati. Hukum ini berlaku untuk kamu semua, baik orang Israel mahupun orang asing yang tinggal di kalangan kamu, kerana Akulah TUHAN, Allah kamu.” Setelah Musa menyampaikan firman itu kepada umat Israel, mereka membawa orang yang mengutuk Allah itu ke luar perkhemahan, lalu merejam dia sampai mati. Dengan demikian umat Israel melakukan apa yang sudah diperintahkan TUHAN kepada Musa. TUHAN berfirman kepada Musa di atas Gunung Sinai, dan memerintah dia supaya memberikan peraturan berikut kepada umat Israel. Apabila kamu masuk ke negeri yang akan diberikan oleh TUHAN kepada kamu, kamu harus menghormati TUHAN dengan cara ini: Pada setiap tahun ketujuh kamu tidak boleh mengusahakan tanah. Selama enam tahun kamu harus menanami ladang, memangkas pokok anggur, dan mengumpulkan hasil tanaman, tetapi setiap tahun ketujuh harus dikhaskan untuk TUHAN. Oleh itu sepanjang tahun itu, tanah tidak boleh diusahakan sama sekali. Jangan tanami ladang dan jangan pangkas pokok anggur kamu. Jangan tuai gandum yang tumbuh dengan sendirinya, dan jangan petik buah anggur dari pokok yang tidak dipangkas, kerana pada tahun itu tanah tidak boleh diusahakan sama sekali. Walaupun begitu, tanah yang tidak kamu usahakan pada tahun itu akan mengeluarkan hasil untuk dijadikan makanan kamu, abdi kamu, orang gaji kamu, orang asing yang tinggal dengan kamu, ternakan kamu dan binatang liar di negeri kamu. Apa sahaja yang dihasilkan tanah itu boleh dimakan. Hitunglah tujuh kali tujuh tahun, iaitu empat puluh sembilan tahun. Kemudian pada hari kesepuluh bulan ketujuh, iaitu Hari Pengampunan Dosa, suruhlah orang meniup trompet di seluruh negeri. Dengan demikian kamu mengekhaskan tahun yang kelima puluh, dan mengisytiharkan kebebasan kepada segenap penduduk negeri. Pada tahun itu, segala harta milik yang sudah dijual mesti dikembalikan kepada pemilik asal atau kepada keturunan pemilik itu. Sesiapa yang sudah dijual sebagai abdi mesti dikembalikan kepada keluarganya. Jangan tanami ladang kamu; jangan tuai gandum yang tumbuh dengan sendirinya di ladang kamu; jangan petik buah anggur dari pokok-pokok anggur yang tidak dipangkas di kebun kamu. Tahun itu tahun yang suci untuk kamu. Apa yang tumbuh dengan sendirinya di ladang kamu, dan yang kamu sendiri ambil, itu sahaja yang boleh kamu makan. Pada tahun itu, semua tanah yang sudah dijual mesti dikembalikan kepada pemilik asalnya. Oleh sebab itu apabila kamu menjual tanah kepada sesama orang Israel, atau membeli tanah daripada mereka, jangan lakukan jual beli itu dengan tidak jujur. Harga tanah itu mesti ditentukan menurut jumlah tahun tanah itu dapat mengeluarkan hasil sebelum Tahun Pengembalian yang akan datang. Jika masih lama lagi, harga tanah itu lebih mahal, tetapi jika masih tinggal beberapa tahun sahaja, harganya mesti lebih murah kerana yang dijual itu adalah jumlah hasil tanah itu. Jangan tipu sesama orang Israel, tetapi takutlah akan TUHAN, Allah kamu. Patuhilah semua hukum dan perintah TUHAN supaya kamu hidup dengan tenteram di negeri itu. Tanah negeri itu akan mengeluarkan hasil sehingga kamu mempunyai makanan yang cukup dan tinggal di sana dengan tenteram. Tetapi mungkin ada orang yang akan bertanya, “Makanan apakah yang akan ada pada tahun ketujuh itu, kerana tanah tidak akan ditanami dan hasilnya tidak dipungut?” TUHAN akan memberkati tanah itu pada tahun keenam, sehingga tanah itu menghasilkan makanan yang cukup untuk tiga tahun. Pada masa kamu menanami ladang pada tahun kelapan, kamu masih makan hasil tanaman pada tahun keenam. Kamu akan mempunyai cukup makanan sehingga sampai masanya kamu mengumpulkan hasil tanaman pada tahun itu. Tanah kamu tidak boleh dijual untuk selamanya kerana tanah itu bukan milik kamu. Tanah itu milik Allah, dan kamu seperti orang asing yang mendapat kebenaran untuk mengusahakan tanah itu. Apabila sebidang tanah dijual, hak pemilik asal tanah itu untuk menebusnya harus diakui. Jika seorang Israel jatuh miskin lalu terpaksa menjual tanahnya, sanak saudaranya yang terdekat wajib menebus tanah itu. Seseorang yang tidak mempunyai sanak untuk menebus tanahnya, mungkin pada kemudian hari menjadi kaya dan sanggup menebusnya sendiri. Jika demikian halnya, dia harus membayar pembeli tanah itu, jumlah harga yang sesuai dengan hasil yang akan diperoleh sebelum Tahun Pengembalian yang akan datang. Dengan demikian dia akan mendapat kembali tanahnya. Tetapi jika dia tidak sanggup menebusnya, tanah itu tetap menjadi hak pembeli sehingga Tahun Pengembalian yang akan datang. Pada tahun itu, tanah itu harus dikembalikan kepada pemilik asalnya. Apabila seseorang menjual sebuah rumah di dalam kota yang bertembok, dia berhak menebus rumahnya dalam jangka masa satu tahun, bermula dari tarikh penjualan rumah itu. Tetapi jika dia tidak menebusnya dalam jangka masa satu tahun, dia kehilangan haknya untuk menebus rumah itu. Rumah itu akan menjadi milik tetap orang yang membelinya, dan keturunan orang itu. Pada Tahun Pengembalian, rumah itu tidak akan dikembalikan kepada pemilik asal. Tetapi peraturan untuk rumah di pekan yang tidak bertembok, sama dengan peraturan untuk tanah. Pemilik asal berhak menebusnya, dan rumah itu harus dikembalikan kepadanya pada Tahun Pengembalian. Namun peraturan bagi orang Lewi berbeza. Pada bila-bila sahaja, mereka berhak menebus harta mereka di kota yang ditetapkan bagi mereka. Rumah di dalam salah satu kota itu, yang sudah dijual oleh seorang Lewi dan yang tidak ditebusnya, harus dikembalikan kepadanya pada Tahun Pengembalian. Hal itu demikian kerana rumah yang dimiliki orang Lewi di kota-kota itu milik tetap mereka di kalangan orang Israel. Tetapi padang rumput di sekitar kota-kota orang Lewi tidak boleh dijual. Padang rumput itu kepunyaan mereka selama-lamanya. Jika seorang sesama bangsa Israel, yang tinggal di kalangan kamu jatuh miskin dan tidak mampu menyara hidupnya, kamu harus membantu dia sebagaimana kamu membantu orang asing atau pendatang, supaya dia dapat terus tinggal di kalangan kamu. Jangan tuntut faedah atas pinjamannya, tetapi taatlah kepada Allah dan biarlah sesama orang Israel tinggal di kalangan kamu. Jangan tuntut faedah atas wang yang kamu pinjamkan kepadanya, dan jangan ambil keuntungan daripada makanan yang kamu jual kepadanya. Inilah perintah TUHAN, Allah kamu, yang membawa kamu keluar dari Mesir untuk memberikan negeri Kanaan kepada kamu, supaya Dia menjadi Allah kamu. Jika seorang sesama bangsa Israel, yang tinggal di kalangan kamu jatuh miskin lalu menjual dirinya kepada kamu sebagai abdi, jangan suruh dia melakukan pekerjaan abdi. Biarlah dia tinggal bersama-sama kamu sebagai orang gaji dan bekerja untuk kamu sehingga Tahun Pengembalian yang akan datang. Pada tahun itu, dia dan anak-anaknya boleh meninggalkan kamu lalu pulang kepada keluarganya sendiri dan ke tanah milik nenek moyangnya. Umat Israel ialah hamba TUHAN dan Dia sudah membawa mereka keluar dari Mesir; itulah sebabnya mereka tidak boleh dijual sebagai abdi. Jangan perlakukan dengan kasar orang Israel yang menjual diri mereka kepada kamu sebagai abdi, tetapi takutlah akan Allah kamu. Jika kamu memerlukan abdi, kamu boleh membeli abdi daripada orang asing yang tinggal di sekitar kamu. Kamu boleh juga membeli anak-anak orang asing yang tinggal di kalangan kamu. Anak-anak mereka yang lahir di negeri kamu boleh menjadi milik kamu. Kamu boleh menyerahkan mereka sebagai warisan kepada anak-anak lelaki kamu, untuk menjadi abdi mereka seumur hidup, tetapi kamu tidak boleh memperlakukan sesama orang Israel dengan kasar. Andaikata seorang asing yang tinggal dengan kamu menjadi kaya, sedangkan seorang Israel sesama bangsa kamu jatuh miskin, lalu menjual dirinya sebagai abdi kepada orang asing itu atau kepada salah seorang anggota keluarganya, orang Israel itu tetap mempunyai hak untuk ditebus. Salah seorang saudara lelakinya, atau pak ciknya, atau saudara sepupunya, ataupun salah seorang sanaknya yang dekat boleh menebus dia; atau jika dia mempunyai wang, dia juga boleh menebus dirinya sendiri. Dia mesti berunding dengan orang yang membelinya, dan mereka mesti menghitung jumlah tahun sejak dia menjual dirinya sebagai abdi sehingga Tahun Pengembalian yang akan datang. Harga tebusan itu harus ditentukan menurut gaji yang diberikan kepada orang gaji. [51-52] Orang itu harus mengembalikan harga pembelian dirinya sebesar jumlah gaji orang gaji selama tahun-tahun yang belum dijalaninya, *** seolah-olah dia bekerja sebagai orang gaji. Tuannya tidak boleh memperlakukan dia dengan kasar. Jika dia tidak dapat ditebus dengan salah satu cara itu, dia dan anak-anaknya mesti dibebaskan pada Tahun Pengembalian yang akan datang. Seorang Israel tidak boleh menjadi abdi selama-lamanya, oleh sebab umat Israel ialah hamba TUHAN. Dia sudah membawa mereka keluar dari Mesir; Dialah TUHAN, Allah mereka. TUHAN berfirman, “Jangan buat berhala, dan jangan dirikan patung, tugu berhala atau batu berukir untuk disembah. Akulah TUHAN, Allah kamu. Rayakanlah hari Sabat dan hormatilah tempat Aku disembah. Akulah TUHAN. Jika kamu hidup menurut hukum-Ku dan taat kepada perintah-Ku, Aku akan menurunkan hujan pada waktunya supaya tanah kamu dapat mengeluarkan hasil, dan pokok-pokok akan berbuah. Hasil tanaman kamu akan sedemikian banyak sehingga kamu masih menuai gandum apabila tiba masanya memetik buah anggur, dan kamu masih memetik buah anggur apabila tiba masanya menanam gandum. Kamu akan mendapat makanan yang cukup, dan hidup tenteram di negeri kamu. Aku akan mendatangkan keamanan di negeri kamu sehingga kamu dapat tidur tanpa berasa takut terhadap sesiapa pun. Aku akan melenyapkan binatang buas di negeri itu, dan peperangan pun tidak akan ada lagi. Kamu akan mengalahkan musuh kamu; dengan lima orang, kamu akan mengalahkan seratus orang musuh, dan dengan seratus orang kamu akan mengalahkan sepuluh ribu orang musuh. Aku akan memberkati kamu dan memberi kamu anak yang banyak. Aku akan menepati perjanjian yang Aku buat dengan kamu. Hasil tanaman kamu akan sedemikian banyak sehingga cukup untuk satu tahun. Bahkan kamu terpaksa mengeluarkan sisa tuaian yang lama supaya ada tempat untuk menyimpan tuaian yang baru. Aku akan tinggal di kalangan kamu dalam Khemah-Ku, dan Aku sekali-kali tidak akan menolak kamu. Aku akan menyertai kamu; Aku akan menjadi Allah kamu dan kamu menjadi umat-Ku. Aku TUHAN, Allah kamu, membawa kamu keluar dari Mesir supaya kamu tidak lagi menjadi abdi. Aku sudah mematahkan kekuasaan yang menindas kamu, dan menjadikan kamu orang yang merdeka.” TUHAN berfirman, “Jika kamu tidak mahu taat kepada perintah-Ku, kamu akan dihukum. Jika kamu tidak mahu patuh kepada hukum dan perintah-Ku, serta tidak menepati perjanjian yang Aku buat dengan kamu, Aku akan menghukum kamu. Aku akan mendatangkan bencana kepada kamu — penyakit yang tidak dapat disembuhkan dan demam, sehingga kamu buta dan hidup merana. Kamu akan bercucuk tanam tetapi sia-sia sahaja, kerana musuh kamu akan mengalahkan kamu dan memakan hasil tanaman kamu. Aku akan menentang kamu sehingga kamu dikalahkan musuh. Orang yang membenci kamu akan menjajah kamu, dan kamu akan menjadi begitu takut sehingga kamu akan lari walaupun tidak ada orang yang mengejar kamu. Jika setelah mengalami segala hukuman itu kamu masih tidak taat kepada-Ku, Aku akan menambah hukuman itu tujuh kali ganda. Aku akan mematahkan kekuasaan yang kamu banggakan. Hujan tidak akan turun sehingga tanah kamu menjadi kering dan keras seperti besi. Semua usaha kamu sia-sia sahaja, kerana tanah tidak akan mengeluarkan hasil dan pokok-pokok tidak akan berbuah. Jika kamu masih juga melawan Aku dan tidak mahu taat kepada-Ku, Aku akan menambah hukuman itu tujuh kali ganda lagi. Aku akan mengirim binatang buas ke tengah-tengah kamu. Binatang-binatang itu akan membunuh anak-anak kamu dan memusnahkan ternakan kamu, sehingga kamu tinggal sedikit sahaja, dan jalan-jalan kamu menjadi lengang. Jika segala hukuman itu sudah berlaku, tetapi kamu masih tidak mahu mendengarkan Aku melainkan terus juga menentang Aku, maka Aku akan melawan kamu dan menghukum kamu tujuh kali lebih dahsyat daripada yang sudah-sudah. Aku akan mendatangkan peperangan di negeri kamu untuk menghukum kamu, kerana kamu memungkiri perjanjian-Ku dengan kamu. Apabila kamu berkumpul di dalam kota untuk mencari perlindungan, Aku akan mendatangkan penyakit yang membawa maut sehingga kamu terpaksa menyerah kepada musuh. Aku tidak akan memberi kamu makanan sehingga sepuluh orang perempuan hanya memerlukan satu ketuhar roti untuk membakar semua roti yang ada. Roti itu akan dicatu, dan sesudah kamu memakannya kamu masih lapar. Jika setelah segalanya ini berlaku, dan kamu masih tetap menentang Aku dan tidak mahu taat kepada-Ku, maka dengan murka Aku akan melawan kamu dan menghukum kamu tujuh kali lebih dahsyat daripada yang sudah-sudah. Kamu akan menjadi begitu lapar sehingga kamu makan anak-anak kamu sendiri. Aku akan memusnahkan tempat-tempat pemujaan kamu di bukit-bukit, merobohkan mazbah-mazbah tempat kamu membakar kemenyan, dan melemparkan mayat kamu ke atas berhala yang sudah roboh itu. Kerana jijik, Aku akan memusnahkan kota-kota kamu dan juga tempat-tempat pemujaan kamu. Aku tidak akan menerima korban daripada kamu. Negeri kamu akan Kumusnahkan sama sekali, sehingga musuh yang menduduki negeri kamu akan terperanjat melihat betapa dahsyatnya kemusnahan itu. Aku akan mendatangkan peperangan di negeri kamu, lalu kamu akan tercerai-cerai di negeri orang. Kota-kota kamu akan hancur dan negeri kamu akan terlantar. [34-35] Pada masa itu, sementara kamu berada dalam pembuangan di negeri musuh kamu, tanah yang tidak kamu biarkan berehat semasa kamu mendiaminya, akan terlantar dan mendapat kesempatan berehat. *** Aku akan menyebabkan kamu yang dibuang di negeri orang begitu takut, sehingga bunyi daun yang ditiup angin pun menyebabkan kamu lari. Kamu akan lari seolah-olah dikejar oleh musuh dalam pertempuran, dan kamu akan jatuh walaupun tidak ada musuh dekat kamu. Kamu akan tersandung satu sama lain walaupun tiada sesiapa yang mengejar kamu. Kamu tidak akan dapat melawan musuh. Kamu akan mati dalam pembuangan, dan dikubur di negeri musuh. Sebahagian kecil daripada kamu yang masih hidup di negeri musuh akan merana kerana dosa kamu sendiri dan dosa nenek moyang kamu. Tetapi keturunan kamu akan mengakui dosa mereka dan dosa nenek moyang mereka yang melawan Aku dan memberontak terhadap Aku, sehingga menyebabkan Aku menentang mereka dan membuang mereka di negeri musuh. Akhirnya, apabila keturunan kamu merendahkan diri, dan telah menjalani hukuman kerana dosa dan pemberontakan mereka, Aku akan mengingat perjanjian-Ku dengan Yakub, Ishak, dan Abraham. Aku akan membaharui janji-Ku untuk memberikan negeri itu kepada umat-Ku. Tetapi terlebih dahulu, negeri itu mesti dikosongkan daripada penduduknya supaya sungguh-sungguh dapat berehat. Umat-Ku mesti menjalani semua hukuman, kerana tidak mahu mematuhi hukum dan perintah-Ku. Walaupun demikian, semasa mereka di negeri musuh, Aku tidak akan meninggalkan ataupun membinasakan mereka sama sekali. Jika Aku berbuat begitu, tindakan itu akan membatalkan perjanjian-Ku dengan mereka, sedangkan Aku ini TUHAN, Allah mereka. Aku akan membaharui perjanjian yang Aku buat dengan nenek moyang mereka ketika Aku membawa mereka keluar dari Mesir untuk menunjukkan kuasa-Ku kepada semua bangsa, dan supaya Aku, TUHAN, boleh menjadi Allah mereka.” Itulah semua hukum dan perintah yang diberikan oleh TUHAN kepada Musa di atas Gunung Sinai untuk umat Israel. TUHAN memberi Musa peraturan-peraturan berikut untuk umat Israel. Apabila seseorang dipersembahkan kepada TUHAN untuk menunaikan nazar, orang itu dapat ditebus dengan harga berikut, [3-7] yang ditentukan di dalam Khemah TUHAN: — 60 tahun ke atas: lelaki: 15 keping wang perak perempuan: 10 keping wang perak — antara 20-60 tahun: lelaki: 50 keping wang perak perempuan: 30 keping wang perak — antara 5-20 tahun: lelaki: 20 keping wang perak perempuan: 10 keping wang perak — di bawah 5 tahun: lelaki: 5 keping wang perak perempuan: 3 keping wang perak *** *** *** *** Jika orang yang bernazar itu tidak sanggup membayar harga yang ditentukan, dia harus membawa orang yang dipersembahkan kepada TUHAN itu kepada imam, dan imam akan menurunkan harganya menurut kesanggupan orang itu. Jika nazar itu tentang binatang yang dapat diterima sebagai korban kepada TUHAN, maka setiap persembahan yang diberikan kepada TUHAN menjadi milik TUHAN. Orang yang bernazar itu tidak boleh menukarnya dengan binatang lain. Jika dia berbuat begitu, kedua-dua ekor binatang itu menjadi milik TUHAN. Tetapi jika nazar itu tentang binatang haram yang tidak dapat diterima sebagai korban kepada TUHAN, orang yang bernazar itu harus membawa binatang itu kepada imam. Imam akan menentukan harganya menurut keadaan binatang itu, dan itulah harga mati. Jika orang itu hendak menebus binatangnya, dia mesti membayar harga itu ditambah dengan dua puluh peratus. Apabila seseorang mempersembahkan rumahnya kepada TUHAN, imam akan menentukan harganya menurut keadaan rumah itu, dan itulah harga mati. Jika orang itu hendak menebus rumahnya, dia mesti membayar harga itu ditambah dengan dua puluh peratus. Apabila seseorang mempersembahkan sebahagian daripada tanahnya kepada TUHAN, harganya ditentukan menurut jumlah benih yang dapat ditanam di tanah itu; untuk setiap 20 kilogram barli, harganya sepuluh keping wang perak. Jika orang itu mempersembahkan tanahnya sebaik sahaja Tahun Pengembalian berakhir, harganya mesti dibayar penuh. Tetapi jika tanah itu dipersembahkan selepas Tahun Pengembalian, harganya harus ditentukan oleh imam menurut bilangan tahun yang masih tinggal sebelum Tahun Pengembalian yang akan datang; harganya pun menjadi lebih murah. Jika orang yang mempersembahkan tanah itu hendak menebusnya, dia mesti membayar harga itu ditambah dengan dua puluh peratus. Jika dia menjual tanah itu kepada orang lain sebelum dia menebusnya daripada TUHAN, dia kehilangan hak untuk menebus tanah itu. Pada Tahun Pengembalian yang akan datang, tanah itu menjadi milik TUHAN selama-lamanya, dan tanah itu diberikan kepada para imam. Jika seseorang mempersembahkan tanah yang dibelinya kepada TUHAN, imam akan menentukan harganya menurut tahun yang masih tinggal sehingga Tahun Pengembalian yang akan datang. Orang itu mesti membayar harganya pada hari itu juga, dan wang itu menjadi milik TUHAN. Pada Tahun Pengembalian, tanah itu mesti dikembalikan kepada pemilik asalnya atau kepada keturunannya. Semua harga mesti ditentukan menurut harga yang ditetapkan di Khemah TUHAN. Anak sulung binatang sudah sememangnya milik TUHAN, dan tidak boleh dipersembahkan sebagai korban yang dipersembahkan dengan sukarela. Anak lembu, anak domba, atau anak kambing yang sulung menjadi milik TUHAN. Tetapi anak sulung binatang haram boleh ditebus menurut harga yang ditentukan di Khemah TUHAN, ditambah dengan dua puluh peratus. Jika tidak ditebus, binatang itu boleh dijual kepada orang lain menurut harga yang ditentukan di Khemah TUHAN. Tiada seorang pun boleh menjual ataupun menebus apa yang sudah dikhaskannya tanpa syarat untuk TUHAN, sama ada manusia, binatang, ataupun tanah. Semua itu menjadi milik TUHAN selama-lamanya. Bahkan manusia yang sudah dikhaskan tanpa syarat untuk TUHAN, tidak dapat ditebus; orang itu mesti dibunuh. Sepuluh peratus daripada segala hasil tanaman kamu, baik gandum mahupun buah-buahan menjadi milik TUHAN. Jika seseorang hendak menebus sebahagian daripada hasil itu, dia harus menebusnya menurut harga yang ditentukan di Khemah TUHAN, ditambah dengan dua puluh peratus. Seekor daripada tiap-tiap sepuluh ekor binatang ternakan adalah milik TUHAN. Apabila binatang itu dihitung, tiap-tiap yang kesepuluh menjadi milik TUHAN. Pemilik ternakan itu tidak boleh mengatur binatang itu sedemikian rupa sehingga yang kurang baik sahaja yang terpilih. Apa sahaja yang sudah terpilih tidak boleh ditukar. Jika dia menukarnya, kedua-dua ekor binatang itu menjadi milik TUHAN, dan tidak boleh ditebus. Itulah perintah-perintah yang diberikan TUHAN kepada Musa di atas Gunung Sinai untuk umat Israel. Pada hari pertama bulan kedua, dalam tahun kedua selepas umat Israel meninggalkan Mesir, TUHAN berfirman kepada Musa di dalam Khemah TUHAN di Gurun Sinai. Dia berfirman, “Engkau dan Harun harus membanci orang Israel menurut puak dan keluarga. Buatlah senarai nama semua orang lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas, yang layak menjadi askar. Mintalah seorang penghulu puak daripada tiap-tiap suku untuk menolong kamu.” [5-16] Inilah semua orang lelaki, iaitu para pemimpin dalam suku mereka, yang dipilih dari antara umat untuk melakukan tugas itu: [Suku] — [Pemimpin] Ruben — Elizur anak Syedeur Simeon — Selumiel anak Zurisyadai Yehuda — Nahason anak Aminadab Isakhar — Netaneel anak Zuar Zebulon — Eliab anak Helon Efraim — Elisama anak Amihud Manasye — Gamaliel anak Pedazur Benyamin — Abidan anak Gideoni Dan — Ahiezer anak Amisyadai Asyer — Pagiel anak Okhran Gad — Elyasaf anak Dehuel Naftali — Ahira anak Enan *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** Dengan bantuan dua belas orang itu, Musa dan Harun mengumpulkan segenap umat pada hari pertama bulan kedua. Semua orang didaftarkan menurut puak dan keluarga masing-masing. Nama setiap orang lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas didaftarkan dan dihitung, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. Musa mendaftarkan mereka di Gurun Sinai. [20-46] Nama orang lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas, yang layak menjadi askar, didaftarkan menurut puak dan keluarga, bermula dengan suku Ruben, anak lelaki sulung Yakub. Jumlah mereka adalah seperti berikut: [Suku] — [Bilangan Orang] Ruben — 46,500 Simeon — 59,300 Gad — 45,650 Yehuda — 74,600 Isakhar — 54,400 Zebulon — 57,400 Efraim — 40,500 Manasye — 32,200 Benyamin — 35,400 Dan — 62,700 Asyer — 41,500 Naftali — 53,400 Jumlah: — 603,550 *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** Orang Lewi tidak didaftarkan bersama dengan suku-suku lain, kerana TUHAN sudah berfirman kepada Musa, “Apabila engkau membanci orang lelaki yang layak menjadi askar, jangan banci suku Lewi. Tetapi suruhlah orang Lewi mengurus Khemah-Ku dan segala peralatannya. Mereka harus memikul Khemah dan peralatannya, serta bertugas di situ. Mereka juga harus berkhemah di sekeliling Khemah-Ku. Apabila kamu memindahkan perkhemahan, orang Lewi harus menggulung Khemah-Ku, dan memasangnya semula di tempat yang baru. Selain orang Lewi, sesiapa yang menghampiri Khemah-Ku mesti dihukum mati. Orang Israel lain harus berkhemah dalam kumpulan, dan setiap orang dalam kelompoknya sendiri, dan di bawah panji masing-masing. Tetapi orang Lewi harus berkhemah di sekeliling Khemah-Ku untuk mengawalnya supaya tiada sesiapa pun akan menghampirinya, lalu menyebabkan Aku murka dan menghukum umat Israel.” Maka umat Israel melakukan segala yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. TUHAN memberikan petunjuk berikut kepada Musa dan Harun. Pada masa orang Israel berkhemah, setiap orang harus berkhemah di bawah panji kumpulannya, dan di bawah lambang puaknya. Khemah-khemah harus dipasang di sekeliling Khemah TUHAN tetapi tidak terlalu dekat. [3-9] Di bahagian timur, orang di bawah panji kumpulan Yehuda harus berkhemah menurut kelompok mereka, dengan pemimpin masing-masing: [Suku] — [Pemimpin] — [Bilangan Orang] Yehuda — Nahason anak Aminadab — 74,600 Isakhar — Netaneel anak Zuar — 54,400 Zebulon — Eliab anak Helon — 57,400 — Jumlah: — 186,400 Kumpulan Yehuda adalah kumpulan pertama yang berangkat. *** *** *** *** *** *** [10-16] Di bahagian selatan, orang di bawah panji kumpulan Ruben harus berkhemah menurut kelompok mereka, dengan pemimpin masing-masing: [Suku] — [Pemimpin] — [Bilangan Orang] Ruben — Elizur anak Syedeur — 46,500 Simeon — Selumiel anak Zurisyadai — 59,300 Gad — Elyasaf anak Rehuel — 45,650 — Jumlah: — 151,450 Kumpulan Ruben adalah kumpulan kedua yang berangkat. *** *** *** *** *** *** Sesudah itu, orang Lewi yang memikul Khemah TUHAN harus berjalan di antara dua kumpulan yang pertama dan dua kumpulan yang terakhir. Tiap-tiap kumpulan harus berjalan menurut susunan semasa berkhemah; masing-masing pada tempatnya dan di bawah panjinya. [18-24] Di bahagian barat, orang di bawah panji kumpulan Efraim harus berkhemah menurut kelompok mereka, dengan pemimpin masing-masing: [Suku] — [Pemimpin] — [Bilangan Orang] Efraim — Elisama anak Amihud — 40,500 Manasye — Gamaliel anak Pedazur — 32,200 Benyamin — Abidan anak Gideoni — 35,400 — Jumlah: — 108,100 Kumpulan Efraim adalah kumpulan ketiga yang harus berangkat. *** *** *** *** *** *** [25-31] Di bahagian utara, orang di bawah panji kumpulan Dan harus berkhemah menurut kelompok mereka, dengan pemimpin masing-masing: [Suku] — [Pemimpin] — [Bilangan Orang] Dan — Ahiezer anak Amisyadai — 62,700 Asyer — Pagiel anak Okhran — 41,500 Naftali — Ahira anak Enan — 53,400 — Jumlah: — 157,600 Kumpulan Dan adalah kumpulan terakhir yang berangkat. *** *** *** *** *** *** Jumlah orang Israel yang didaftarkan di dalam kumpulan-kumpulan itu, kelompok demi kelompok, adalah 603,550 orang. Sebagaimana yang diperintahkan TUHAN kepada Musa, suku Lewi tidak didaftarkan bersama dengan orang Israel lain. Maka orang Israel melakukan semua yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Mereka berkhemah di bawah panji masing-masing, dan mereka berangkat bersama dengan puak masing-masing. Inilah keluarga Harun dan Musa ketika TUHAN berfirman kepada Musa di atas Gunung Sinai. Harun mempunyai empat orang anak lelaki: Nadab, anak yang sulung, kemudian Abihu, Eleazar, dan Itamar. Mereka ditahbiskan menjadi imam dengan upacara penuangan minyak di atas kepala. Tetapi Nadab dan Abihu meninggal di Gurun Sinai ketika mereka mempersembahkan api yang tidak diperkenankan oleh TUHAN. Mereka berdua tidak mempunyai anak. Maka sepanjang hidup Harun, Eleazar dan Itamar bertugas sebagai imam. TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah suku Lewi datang ke depan, dan lantiklah mereka menjadi pembantu Harun, imam itu. Mereka akan bertugas di Khemah-Ku, dan menjalankan tugas untuk para imam dan juga semua orang Israel. Mereka akan bertanggungjawab atas semua peralatan Khemah-Ku dan menjalankan tugas untuk semua orang Israel. Satu-satunya tanggungjawab orang Lewi adalah membantu Harun dan keturunannya. Lantiklah Harun dan anak-anaknya untuk menjalankan tugas imam. Orang lain yang cuba melakukan tugas imam mesti dihukum mati.” TUHAN berfirman kepada Musa, [12-13] “Sekarang orang Lewi menjadi milik-Ku. Ketika Aku membunuh semua anak lelaki sulung orang Mesir, Aku telah mentahbiskan semua anak lelaki sulung keluarga Israel untuk menjadi milik-Ku sendiri, dan juga tiap-tiap anak jantan sulung ternakan. Tetapi sekarang Aku mengambil orang Lewi menjadi milik-Ku sebagai pengganti semua anak lelaki sulung Israel; orang Lewi akan menjadi milik-Ku. Akulah TUHAN.” *** Di Gurun Sinai, TUHAN memberikan perintah kepada Musa untuk mendaftarkan orang Lewi menurut puak dan keluarga masing-masing; nama tiap-tiap anak lelaki yang berumur satu bulan ke atas harus didaftarkan. Musa menjalankan perintah itu. [17-20] Lewi mempunyai tiga orang anak lelaki: Gerson, Kehat, dan Merari. Mereka ialah nenek moyang semua puak yang disebut dengan nama mereka. Gerson mempunyai dua orang anak lelaki, Libni dan Simei. Kehat mempunyai empat orang anak lelaki: Amram, Yizhar, Hebron, dan Uziel. Merari mempunyai dua orang anak lelaki, Mahli dan Musi. Mereka ialah nenek moyang semua keluarga yang disebut dengan nama mereka. *** *** *** Puak Gerson terdiri daripada keluarga Libni dan keluarga Simei. Kaum lelaki mereka yang berumur satu bulan ke atas yang didaftarkan, berjumlah 7,500 orang. Puak ini harus berkhemah di sebelah barat, di belakang Khemah TUHAN. Pemimpin puak ini ialah Elyasaf anak Lael. Mereka bertanggungjawab atas Khemah TUHAN dan penutupnya, tirai pintu dan tirai halaman yang di sekeliling Khemah TUHAN dan mazbah, dan tirai pintu halaman. Mereka bertanggungjawab atas segala pekerjaan yang berkaitan dengan benda-benda itu. Puak Kehat terdiri daripada keluarga Amram, Yizhar, Hebron, dan Uziel. Kaum lelaki mereka yang berumur satu bulan ke atas yang didaftarkan, berjumlah 8,600 orang. Puak ini harus berkhemah di sebelah selatan Khemah TUHAN. Pemimpin mereka ialah Elisafan anak Uziel. Mereka bertanggungjawab atas Tabut Perjanjian, meja, kaki pelita, mazbah-mazbah, alat-alat yang digunakan oleh imam di Bilik Suci, dan tirai pintu Bilik Maha Suci. Mereka bertanggungjawab atas segala pekerjaan yang berkaitan dengan benda-benda itu. Pemimpin orang Lewi ialah Eleazar anak Imam Harun. Eleazar bertanggungjawab mengawasi orang yang menjalankan tugas di Bilik Suci. Puak Merari terdiri daripada keluarga Mahli dan keluarga Musi. Kaum lelaki mereka yang berumur satu bulan ke atas yang didaftarkan, berjumlah 6,200 orang. Puak ini harus berkhemah di sebelah utara Khemah TUHAN. Pemimpin mereka ialah Zuriel anak Abihail. Mereka bertanggungjawab atas rangka Khemah TUHAN, palang, tiang, alas, dan alat-alat tambahan. Mereka juga bertanggungjawab atas segala pekerjaan yang berkaitan dengan benda-benda itu, dan juga atas tiang, alas, pasak, dan tali untuk halaman luar. Musa, Harun, dan anak-anak Harun harus berkhemah di depan Khemah TUHAN, di sebelah timur. Mereka bertanggungjawab mengendalikan ibadat di dalam Bilik Suci bagi umat Israel. Orang lain yang cuba melakukan pekerjaan itu mesti dihukum mati. Semua orang lelaki daripada suku Lewi yang berumur satu bulan ke atas, berjumlah 22,000 orang. Musa mendaftarkan mereka menurut puak masing-masing, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. [40-41] TUHAN berfirman kepada Musa, “Semua anak lelaki sulung Israel adalah milik-Ku. Oleh itu, daftarkanlah nama setiap anak lelaki sulung Israel yang berumur satu bulan ke atas. Tetapi sebagai pengganti mereka, Aku mengambil semua orang Lewi menjadi milik-Ku. Akulah TUHAN. Aku juga mengambil ternakan orang Lewi sebagai pengganti semua anak sulung ternakan umat Israel.” *** Musa menjalankan perintah itu dan mendaftarkan semua anak lelaki sulung yang berumur satu bulan ke atas; semuanya berjumlah 22,273 orang. TUHAN berfirman kepada Musa, “Sekarang tahbiskanlah orang Lewi menjadi milik-Ku sebagai pengganti semua anak lelaki sulung umat Israel, dan tahbiskan ternakan suku Lewi untuk menggantikan anak sulung ternakan umat Israel. Oleh sebab jumlah anak lelaki sulung umat Israel melebihi jumlah orang Lewi sebanyak 273 orang, maka yang lebih itu haruslah kamu tebus. Bayarlah lima keping wang perak bagi setiap orang, menurut harga yang ditetapkan di Khemah-Ku. Berikanlah wang itu kepada Harun dan anak-anaknya.” Musa menjalankan perintah itu, lalu mengambil sebanyak 1,365 keping wang perak, dan memberikan semuanya kepada Harun dan anak-anaknya. TUHAN menyuruh Musa dan Harun supaya membanci puak Kehat daripada suku Lewi, menurut puak kecil dan keluarga masing-masing, dan supaya mendaftarkan semua orang lelaki yang berumur di antara 30 dan 50 tahun, yang layak bekerja di Khemah TUHAN. Mereka bertanggungjawab mengurus benda-benda yang sangat suci. TUHAN memberikan petunjuk berikut kepada Musa. Apabila tiba masanya untuk menggulung khemah, Harun dan anak-anak lelakinya harus masuk ke dalam Khemah TUHAN dan mengambil tirai di depan Tabut Perjanjian. Mereka harus menutup Tabut Perjanjian dengan tirai itu. Kemudian mereka harus menutupinya lagi dengan sehelai kulit halus, dan membentangkan sehelai kain biru di atasnya, lalu memasangkan kayu pengusung Tabut Perjanjian. Mereka harus membentangkan sehelai kain biru di atas meja, tempat roti yang dipersembahkan kepada TUHAN. Mereka harus meletakkan pinggan, mangkuk kemenyan, mangkuk persembahan, dan kendi untuk korban wain di atas meja itu. Persembahan roti harus sentiasa ada di atas meja itu. Mereka harus membentangkan sehelai kain merah di atas semua benda itu, dan menutup semuanya dengan sehelai kulit halus. Kemudian mereka harus memasangkan kayu pengusung meja itu. Mereka harus mengambil sehelai kain biru dan menutup kaki pelita serta pelita-pelitanya, penyepit untuk membersihkan sumbu pelita, dulang, dan semua bekas untuk minyak zaitun. Mereka harus membungkus kaki pelita itu serta peralatannya dengan sehelai kulit halus, lalu meletakkan semuanya di atas usungan. Selepas itu mereka harus membentangkan sehelai kain biru di atas mazbah emas, dan menutupnya dengan sehelai kulit halus. Kemudian mereka harus memasangkan kayu pengusung mazbah itu. Mereka harus mengambil semua alat yang digunakan di dalam Bilik Suci, dan membungkus semuanya dengan sehelai kain biru. Mereka harus menutup semuanya dengan sehelai kulit halus, lalu meletakkan semua itu di atas usungan. Mereka harus membersihkan mazbah daripada abu yang berminyak, lalu membentangkan sehelai kain ungu di atasnya. Di atas mazbah itu, mereka harus meletakkan segala alat yang digunakan dalam ibadat di mazbah: perbaraan, garpu, penyodok, dan besen. Mereka harus menutup semua itu dengan kulit halus, lalu memasangkan kayu pengusung mazbah. Pada masa menggulung khemah, puak Kehat akan mengangkat benda-benda yang suci hanya setelah Harun dan anak-anak lelakinya menutup semua benda itu serta peralatannya. Puak Kehat tidak boleh menyentuh benda-benda yang suci itu. Jika mereka menyentuhnya, mereka akan mati. Itulah tugas puak Kehat apabila Khemah TUHAN dipindahkan. Eleazar anak Imam Harun harus bertanggungjawab atas seluruh Khemah TUHAN, termasuk minyak pelita, kemenyan, korban daripada bijirin yang ditetapkan, minyak upacara, dan segala sesuatu di dalam Khemah TUHAN yang sudah dikhaskan untuk TUHAN. TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Jangan biar puak Kehat mati kerana menghampiri benda-benda yang sangat suci itu. Untuk mengelakkan hal ini berlaku, Harun dan anak-anak lelakinya harus masuk ke dalam Khemah TUHAN dan menentukan tugas tiap-tiap orang, dan juga benda yang harus dibawa oleh setiap orang. Tetapi jika orang daripada puak Kehat masuk ke dalam Khemah TUHAN dan melihat para imam menyiapkan benda-benda suci untuk dipindahkan, mereka akan mati.” TUHAN menyuruh Musa membanci puak Gerson daripada suku Lewi, menurut puak kecil dan keluarga masing-masing. Musa juga disuruh mendaftarkan semua orang lelaki yang berumur di antara 30 dan 50 tahun, yang layak bekerja di Khemah TUHAN. Mereka bertanggungjawab membawa benda-benda berikut: Khemah TUHAN dan penutupnya, serta penutupnya yang atas sekali yang dibuat daripada kulit halus, tirai pintu, tirai dan tali bagi halaman di sekeliling Khemah TUHAN dan mazbah, tirai pintu halaman, dan semua peralatan yang digunakan untuk memasangkan benda-benda itu. Mereka bertanggungjawab melakukan semua tugas yang berkaitan dengan benda-benda itu. Musa dan Harun harus mengawasi puak Gerson supaya mereka melaksanakan semua tugas itu dan membawa semua benda yang ditentukan oleh Harun dan anak-anak lelakinya. Itulah tugas puak Gerson di Khemah TUHAN. Mereka harus melaksanakannya di bawah pengawasan Itamar anak Imam Harun. TUHAN menyuruh Musa membanci puak Merari daripada suku Lewi menurut puak kecil dan keluarga masing-masing. Musa juga mendaftarkan semua orang lelaki yang berumur di antara 30 dan 50 tahun, yang layak bekerja di Khemah TUHAN. Mereka bertanggungjawab membawa rangka, palang, tiang, dan alas Khemah TUHAN, dan juga membawa tiang, alas, pasak, dan tali bagi halaman di sekeliling Khemah TUHAN, bersama dengan segala peralatan yang digunakan untuk memasangkannya. Tiap-tiap orang diberikan tugas membawa benda-benda yang ditentukan. Itulah tugas puak Merari di Khemah TUHAN. Mereka harus melaksanakan semua tugas itu di bawah pengawasan Itamar anak Imam Harun. [34-48] Musa, Harun, dan para pemimpin Israel membanci tiga puak suku Lewi, iaitu puak Kehat, Gerson, dan Merari, menurut perintah TUHAN kepada mereka. Mereka membanci puak-puak itu menurut puak kecil dan keluarga masing-masing. Mereka juga mendaftarkan semua orang lelaki yang berumur di antara 30 dan 50 tahun, yang layak bekerja di dalam Khemah TUHAN. Bilangan mereka adalah seperti berikut: [Puak] — [Bilangan Orang] Kehat — 2,750 Gerson — 2,630 Merari — 3,200 Jumlah: — 8,580 *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** Demikianlah tiap-tiap orang ditentukan tugasnya sama ada untuk melayani ataupun membawa barang-barang, menurut perintah TUHAN melalui Musa; dan tiap-tiap orang didaftarkan menurut perintah TUHAN kepada Musa. TUHAN berfirman kepada Musa, “Perintahlah umat Israel untuk mengeluarkan semua orang berikut dari perkhemahan: setiap orang yang menghidap penyakit kulit yang mengerikan, atau penyakit kelamin, dan juga setiap orang yang najis kerana menyentuh mayat. Suruhlah semua orang yang najis keluar supaya mereka tidak menajiskan perkhemahan, tempat Aku tinggal bersama-sama umat-Ku.” Umat Israel menjalankan perintah itu, lalu mengeluarkan semua orang seperti itu dari perkhemahan. TUHAN memberi Musa peraturan berikut untuk umat Israel. Apabila seseorang tidak setia kepada TUHAN dan berbuat salah terhadap orang lain, orang itu mesti mengaku dosanya dan membayar ganti rugi penuh, ditambah dengan dua puluh peratus, kepada orang yang dirugikan itu. Tetapi jika orang yang dirugikan itu sudah meninggal dan tidak mempunyai saudara dekat yang boleh menerima bayaran ganti rugi, bayaran itu harus diberikan kepada TUHAN dan menjadi milik imam. Pembayaran ganti rugi itu adalah tambahan kepada domba jantan yang biasa diberikan untuk upacara penyucian bagi orang yang bersalah. Demikian juga halnya dengan setiap sumbangan khas yang dipersembahkan oleh umat Israel kepada TUHAN; sumbangan itu menjadi milik imam yang menerimanya. Apa yang dipersembahkan seseorang kepada TUHAN, menjadi milik orang itu sendiri. Hanya apa yang diserahkannya kepada seorang imam, menjadi milik imam itu. TUHAN memerintah Musa [12-14] untuk memberikan peraturan ini kepada umat Israel. Mungkin seorang lelaki mencurigai isterinya; suami itu menyangka bahawa isterinya tidak setia kepadanya dan isterinya mencemarkan diri kerana bersetubuh dengan lelaki lain. Tetapi suami itu tidak pasti kerana perbuatan itu dilakukan dengan sembunyi-sembunyi dan tidak ada saksi, dan isterinya tidak tertangkap basah; atau mungkin seorang suami curiga, walaupun isterinya tetap setia kepadanya. *** *** Dalam kedua-dua hal itu, suami harus membawa isterinya kepada imam. Suami itu harus membawa persembahan yang ditetapkan: satu kilogram tepung barli, tetapi tidak dicampuri minyak zaitun ataupun kemenyan kerana persembahan itu daripada suami yang curiga, dan diberikan untuk menyatakan hal yang sebenar. Imam akan menyuruh perempuan itu maju dan berdiri di hadapan mazbah. Imam akan menuang air suci ke dalam sebuah mangkuk tembikar, lalu memasukkan sedikit tanah dari lantai Khemah TUHAN ke dalam mangkuk itu untuk membuat airnya pahit. Kemudian imam menguraikan rambut perempuan itu, lalu meletakkan persembahan tepung ke dalam tangan perempuan itu. Imam akan memegang mangkuk yang berisi air pahit yang mendatangkan kutuk. Kemudian imam akan mengucapkan sumpah dan menyuruh perempuan itu menyetujuinya. Imam akan berkata, “Jika engkau tidak berzina, engkau tidak akan kena kutuk yang didatangkan air ini. Tetapi jika engkau sudah berzina, biarlah TUHAN menjadikan namamu suatu kutuk antara bangsamu. Kemaluanmu akan mengecut dan perutmu mengembung. Air yang mendatangkan kutuk ini akan masuk ke dalam perutmu, dan menjadikannya kembung serta mengecutkan kemaluanmu.” Perempuan itu harus menjawab, “Saya setuju, biarlah TUHAN berbuat begitu.” Selepas itu imam harus menuliskan kutuk itu lalu memadamkannya dengan air pahit di dalam mangkuk itu. Sebelum imam menyuruh perempuan itu minum air yang akan mendatangkan rasa sakit, imam harus mengambil persembahan tepung dari tangan perempuan itu, lalu mengunjukkannya untuk dipersembahkan kepada TUHAN, kemudian meletakkannya di atas mazbah. Selepas itu imam harus mengambil segenggam tepung itu sebagai tanda bahawa semuanya dipersembahkan, lalu membakarnya di atas mazbah. Akhirnya, imam harus menyuruh perempuan itu minum air itu. Jika perempuan itu sudah berzina, air itu akan menyebabkan dia sakit sekali; perutnya akan mengembung dan kemaluannya mengecut. Namanya akan menjadi kutuk antara bangsanya. Tetapi jika dia tidak bersalah, dia tidak akan kena kutuk dan masih dapat beranak. [29-30] Itulah peraturannya apabila seorang lelaki cemburu dan curiga bahawa isterinya sudah berzina. Perempuan itu harus disuruh berdiri di hadapan mazbah dan imam harus melakukan upacara itu. *** Suami itu tidak bersalah; jika isteri itu bersalah, dia mesti menanggung akibatnya. TUHAN menyuruh Musa memberikan peraturan ini kepada umat Israel. Apabila seorang lelaki atau perempuan bernazar untuk mengekhaskan diri bagi TUHAN sebagai orang Nazir, dia tidak boleh minum wain dan minuman keras. Dia tidak boleh minum minuman apa pun yang dibuat daripada buah anggur, dan tidak boleh makan buah anggur segar ataupun kismis. Selama dia orang Nazir, dia tidak boleh makan apa pun yang berasal daripada pokok anggur, sama ada biji ataupun kulit buah anggur. Selama dia orang Nazir, dia tidak boleh menggunting rambutnya ataupun bercukur. Dia terikat oleh nazarnya sampai selesai masa dia mengekhaskan diri bagi TUHAN. Oleh itu dia mesti membiarkan rambut dan janggutnya tumbuh panjang. [6-7] Rambutnya adalah tanda bahawa dia mengekhaskan diri bagi Allah. Oleh itu dia tidak boleh menajiskan diri dengan menghampiri mayat, sekalipun mayat bapanya, ibunya, abangnya, atau kakaknya. *** Selama dia orang Nazir, dia adalah orang yang khas untuk TUHAN. Jika rambut orang Nazir menjadi najis kerana dia di sisi seorang yang tiba-tiba meninggal, orang Nazir itu harus menunggu selama tujuh hari, lalu mencukur rambut dan janggutnya. Dengan demikian dia menjadi suci. Pada hari kelapan, dia harus membawa dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati kepada imam di pintu Khemah TUHAN. Imam itu akan mempersembahkan seekor burung sebagai korban untuk mengampunkan dosa, dan seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Imam akan melakukan upacara penyucian untuk orang itu kerana dia telah menghampiri mayat. Pada hari itu juga, orang itu harus mengekhaskan rambutnya semula kepada TUHAN, dan membaharui nazarnya kepada TUHAN sebagai orang Nazir selama masa yang ditentukan. Jangka waktu yang lampau itu tidak dihitung lagi kerana rambutnya yang sudah dikhaskan telah menjadi najis. Sebagai korban untuk membayar ganti rugi, orang itu harus mempersembahkan seekor anak domba yang berumur satu tahun. Apabila seorang Nazir menyelesaikan nazarnya, dia harus melakukan upacara yang berikut. Dia harus pergi ke pintu Khemah TUHAN dan mempersembahkan tiga ekor binatang yang tidak ada cacat kepada TUHAN: seekor anak domba jantan yang berumur satu tahun bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, seekor anak domba betina berumur satu tahun sebagai korban untuk mengampunkan dosa, dan seekor domba jantan sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. Dia juga harus mempersembahkan satu bakul roti tanpa ragi: roti tebal yang dicampuri minyak zaitun, dan roti tipis yang disapu dengan minyak zaitun. Dia juga harus mempersembahkan korban untuk mengucap syukur dan korban wain, sebagaimana yang sudah ditetapkan. Imam harus mempersembahkan semua itu kepada TUHAN, dan juga korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Dia akan mempersembahkan domba jantan itu kepada TUHAN sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN, dan mempersembahkannya dengan sebakul roti; dia juga harus mempersembahkan korban untuk mengucap syukur, dan korban wain. Orang Nazir itu harus mencukur rambutnya di pintu Khemah TUHAN, lalu melemparkan rambutnya itu ke dalam api yang sedang membakar korban untuk memohon berkat TUHAN. Selepas itu, imam akan mengambil kaki depan domba jantan yang sudah direbus, seketul roti tebal dan seketul roti tipis dari bakul itu, lalu meletakkan semuanya ke dalam tangan orang Nazir itu. Kemudian imam itu harus mempersembahkan semuanya sebagai persembahan khas kepada TUHAN. Semua persembahan itu suci dan menjadi milik imam, bersama dengan dada dan paha domba jantan yang menurut peraturan, sudah sememangnya milik imam. Selepas itu, orang itu bukan orang Nazir lagi, dan dia boleh minum wain. Itulah peraturan untuk orang Nazir. Tetapi jika seorang Nazir berjanji untuk memberikan persembahan yang lebih daripada syarat-syarat nazarnya, dia mesti memenuhi semua janjinya itu. TUHAN memerintahkan Musa untuk memberitahu Harun dan anak-anak lelakinya supaya mengucapkan kata-kata ini apabila mereka memberkati umat Israel: Semoga TUHAN memberkati dan memelihara kamu. Semoga TUHAN baik hati dan murah hati terhadap kamu. Semoga TUHAN berkenan kepada kamu dan memberi kamu kesejahteraan. TUHAN berfirman, “Jika mereka mengucapkan nama-Ku sebagai berkat kepada umat Israel, Aku akan memberkati umat Israel.” Pada hari Musa selesai memasangkan Khemah TUHAN, dia mentahbiskan Khemah itu bagi TUHAN, bersama-sama semua peralatannya dengan menyapu semua itu dengan minyak upacara. Begitu juga yang dibuatnya pada mazbah serta peralatannya. Kemudian para pemimpin puak yang menjadi pemimpin dalam suku-suku Israel, iaitu orang yang bertanggungjawab atas pembancian itu, membawa persembahan mereka kepada TUHAN: enam buah kereta lembu dan dua belas ekor lembu, sebuah kereta lembu disumbangkan oleh dua orang pemimpin, dan seekor lembu disumbangkan oleh setiap pemimpin. Setelah mereka mempersembahkan semua itu, TUHAN berfirman kepada Musa, “Terimalah semua persembahan itu untuk digunakan dalam pekerjaan di Khemah-Ku. Berikanlah semuanya kepada orang Lewi, menurut tugas yang dilakukan mereka.” Oleh itu Musa memberikan semua kereta lembu dan lembu itu kepada orang Lewi. Dia memberikan dua buah kereta lembu dan empat ekor lembu kepada puak Gerson, dan empat buah kereta lembu dan lapan ekor lembu kepada puak Merari. Semua pekerjaan mereka harus dilakukan di bawah pengawasan Itamar anak Harun. Tetapi Musa tidak memberikan kereta lembu atau lembu kepada puak Kehat, kerana benda-benda suci di bawah jagaan mereka itu harus dipikul oleh mereka. Para pemimpin juga membawa pemberian untuk merayakan upacara pentahbisan mazbah. Apabila mereka sudah siap untuk mempersembahkan pemberian di atas mazbah, TUHAN berfirman kepada Musa, “Beritahulah mereka bahawa tiap-tiap hari, selama dua belas hari, seorang pemimpin harus mempersembahkan pemberiannya untuk upacara pentahbisan mazbah.” [12-83] Mereka mempersembahkan pemberian mereka menurut urutan berikut: [Hari] — [Suku] — [Pemimpin] Pertama — Yehuda — Nahason anak Aminadab Kedua — Isakhar — Netaneel anak Zuar Ketiga — Zebulon — Eliab anak Helon Keempat — Ruben — Elizur anak Syedeur Kelima — Simeon — Selumiel anak Zurisyadai Keenam — Gad — Elyasaf anak Rehuel Ketujuh — Efraim — Elisama anak Amihud Kelapan — Manasye — Gamaliel anak Pedazur Kesembilan — Benyamin — Abidan anak Gideoni Kesepuluh — Dan — Ahiezer anak Amisyadai Kesebelas — Asyer — Pagiel anak Okhran Kedua belas — Naftali — Ahira anak Enan Pemberian yang dibawa oleh tiap-tiap orang itu sama: sebuah mangkuk perak seberat 1.5 kilogram, dan sebuah besen perak seberat 800 gram, menurut timbangan yang digunakan di Khemah TUHAN. Kedua-dua buah bekas itu penuh dengan tepung yang dicampuri minyak sebagai korban untuk mengucap syukur; sebuah pinggan emas seberat 110 gram, yang penuh dengan kemenyan; seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, dan seekor anak domba yang berumur satu tahun sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN; seekor kambing sebagai korban untuk mengampunkan dosa; dua ekor lembu jantan, lima ekor domba jantan, lima ekor kambing jantan dan lima ekor anak domba yang berumur satu tahun sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** [84-88] Jumlah pemberian yang dibawa oleh dua belas orang pemimpin untuk upacara pentahbisan mazbah itu adalah seperti berikut: — 12 buah mangkuk perak dan 12 buah besen perak, semuanya seberat 27.6 kilogram, — 12 buah pinggan emas, semuanya seberat 1.32 kilogram dan diisi penuh dengan kemenyan, — 12 ekor lembu jantan, 12 ekor domba jantan, 12 ekor anak domba berumur satu tahun, sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bersama dengan korban yang ditetapkan, iaitu korban untuk mengucap syukur, - 12 ekor kambing sebagai korban untuk mengampunkan dosa, - 24 ekor lembu jantan, 60 ekor domba jantan, 60 ekor kambing, dan 60 ekor anak domba yang berumur satu tahun sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. *** *** *** *** Apabila Musa masuk ke dalam Khemah TUHAN untuk bercakap dengan TUHAN, dia mendengar TUHAN berfirman kepadanya dari atas penutup Tabut Perjanjian, di antara dua patung kerub. TUHAN berfirman kepada Musa, “Beritahulah Harun bahawa apabila dia meletakkan tujuh buah pelita pada kaki pelita, cahaya pelita-pelita harus memancar ke bahagian depan kaki pelita.” Harun mematuhi perintah itu. Dia meletakkan pelita-pelita menghadap bahagian depan kaki pelita. Kaki pelita itu dibuat daripada emas tempaan, dari alasnya sampai ke bunga-bunga hiasan yang di atas, menurut contoh yang ditunjukkan TUHAN kepada Musa. TUHAN berfirman kepada Musa, “Pisahkanlah orang Lewi daripada umat Israel yang lain dan lakukanlah upacara penyucian untuk mereka dengan cara berikut: percikkanlah mereka dengan air untuk menyucikan mereka, lalu suruhlah mereka mencukur seluruh badan dan membasuh pakaian mereka. Dengan demikian mereka menjadi suci. Kemudian orang Lewi harus mengambil seekor lembu jantan muda dan korban yang ditetapkan, iaitu korban untuk mengucap syukur, berupa tepung yang dicampuri minyak zaitun. Engkau harus mengambil seekor lembu jantan lagi sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Kemudian kumpulkan segenap umat Israel dan suruh orang Lewi berdiri di hadapan Khemah-Ku. Orang Israel harus meletakkan tangan di atas kepala orang Lewi, lalu Harun harus mentahbiskan orang Lewi sebagai pemberian khas daripada umat Israel untuk Aku, supaya orang Lewi dapat mengabdi kepada-Ku. Selepas itu orang Lewi harus meletakkan tangan di atas kepala kedua-dua ekor lembu jantan itu; seekor dipersembahkan sebagai korban untuk mengampunkan dosa dan yang seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Dengan upacara itu, orang Lewi disucikan. Tahbiskanlah orang Lewi sebagai pemberian khas untuk Aku dan suruhlah Harun dan anak-anak lelakinya menjadi pemimpin mereka. Dengan cara itu, orang Lewi dipisahkan daripada orang Israel lain supaya mereka menjadi milik-Ku. Setelah engkau menyucikan dan mentahbiskan orang Lewi, mereka akan layak bertugas di Khemah-Ku. Aku sudah menjadikan mereka pengganti semua anak lelaki sulung Israel, dan mereka menjadi milik-Ku sahaja. Ketika Aku membunuh semua anak lelaki sulung orang Mesir, Aku mentahbiskan semua anak lelaki sulung daripada setiap keluarga Israel menjadi milik-Ku, dan juga setiap anak sulung jantan ternakan. Tetapi sekarang Aku mengambil orang Lewi sebagai pengganti semua anak lelaki sulung Israel. Aku menyerahkan orang Lewi kepada Harun dan anak-anak lelakinya sebagai pemberian daripada umat Israel, supaya orang Lewi dapat bertugas untuk orang Israel di Khemah-Ku. Orang Lewi juga akan meminta pengampunan daripada-Ku bagi umat Israel supaya umat itu tidak ditimpa bencana jika mereka datang terlalu dekat dengan Bilik Suci.” Oleh itu Musa, Harun, dan segenap umat Israel mentahbiskan orang Lewi kepada TUHAN, menurut perintah TUHAN kepada Musa. Orang Lewi menyucikan diri dan membasuh pakaian mereka, lalu Harun mentahbiskan mereka sebagai pemberian khas kepada TUHAN. Harun juga melakukan upacara penyucian bagi mereka. Umat Israel melakukan semua yang diperintahkan TUHAN kepada Musa tentang orang Lewi. Dengan demikian orang Lewi layak bertugas di Khemah TUHAN di bawah pimpinan Harun dan anak-anak lelakinya. TUHAN berfirman kepada Musa, “Setiap orang Lewi yang berumur dua puluh lima tahun ke atas, harus menjalankan tugasnya di Khemah-Ku. Apabila seorang Lewi berumur lima puluh tahun, dia dibebaskan daripada tugasnya. Selepas itu dia boleh membantu sesama orang Lewi yang bertugas di Khemah-Ku, tetapi dia tidak lagi mempunyai tugas tetap. Begitulah caranya engkau mengatur tugas orang Lewi.” TUHAN berfirman kepada Musa di Gurun Sinai pada bulan pertama, dalam tahun kedua selepas umat Israel meninggalkan Mesir. TUHAN berfirman, [2-3] “Umat Israel harus merayakan Paska mulai saat matahari terbenam pada hari keempat belas bulan ini, dan menurut semua peraturan yang sudah ditetapkan bagi perayaan ini.” *** Maka Musa menyuruh umat Israel merayakan Paska. Mereka merayakannya pada hari keempat belas bulan satu, pada waktu senja di Gurun Sinai. Mereka melakukan segala sesuatu tepat seperti perintah TUHAN kepada Musa. Tetapi ada beberapa orang di kalangan mereka yang najis kerana sudah menyentuh mayat. Oleh sebab itu mereka tidak dapat merayakan Paska pada hari itu. Mereka pergi bertemu dengan Musa dan Harun, lalu berkata, “Kami najis kerana menyentuh mayat, tetapi mengapakah kami dilarang mempersembahkan korban untuk TUHAN bersama-sama orang Israel lain?” Musa menjawab, “Tunggulah sehingga aku menerima petunjuk daripada TUHAN.” TUHAN menyuruh Musa memberitahu umat Israel, “Apabila ada seseorang di kalangan kamu atau keturunan kamu yang najis kerana menyentuh mayat, atau dalam perjalanan jauh, tetapi masih mahu merayakan Paska, dia boleh merayakannya satu bulan kemudian, pada waktu senja hari keempat belas bulan kedua. Dia harus merayakannya dengan memakan domba Paska dan roti tanpa ragi serta sayuran pahit. Dia tidak boleh meninggalkan sisa makanan itu sehingga keesokan pagi, dan dia tidak boleh mematahkan satu tulang pun daripada binatang itu. Dia harus merayakan Paska menurut semua peraturannya. Seseorang yang tidak najis dan bukan dalam perjalanan jauh, tetapi tidak merayakan Paska, tidak lagi dianggap anggota umat-Ku kerana dia tidak mempersembahkan korban kepada-Ku pada waktu yang ditetapkan. Dia mesti menanggung akibat dosanya. Jika ada seorang asing yang tinggal di kalangan kamu yang mahu merayakan Paska, dia harus merayakannya menurut semua peraturan. Hukum yang sama berlaku bagi setiap orang, baik orang Israel mahupun orang asing.” [15-16] Pada hari Khemah TUHAN dipasang, awan datang menutupi Khemah itu. Pada waktu malam awan itu kelihatan seperti api. *** Tiap-tiap kali awan itu naik, umat Israel menggulung khemah lalu berangkat. Di mana sahaja awan itu turun, di tempat itulah mereka memasang khemah. Dengan perintah TUHAN, umat itu menggulung khemah, dan dengan perintah-Nya juga mereka memasang khemah. Selama awan itu berada di atas Khemah TUHAN, mereka tetap tinggal di tempat itu. Jika awan itu lama berada di atas Khemah TUHAN, mereka taat kepada TUHAN dan tidak berpindah. Ada kalanya awan itu berada di atas Khemah TUHAN selama beberapa hari sahaja. Bagaimana pun, hanya perintah TUHAN yang menentukan sama ada mereka tinggal di satu tempat ataupun berpindah. Ada kalanya awan itu berada di atas Khemah TUHAN hanya dari petang sampai pagi, dan mereka berangkat sebaik sahaja awan itu naik. Bila-bila sahaja awan itu naik, mereka berangkat. Jika awan itu berada di atas Khemah TUHAN selama dua hari, satu bulan, satu tahun, atau lebih lama daripada itu, selama itulah mereka tinggal di tempat itu. Tetapi apabila awan itu naik, mereka berangkat. Mereka tinggal di satu tempat dan berpindah ke tempat lain menurut perintah TUHAN yang disampaikan-Nya melalui Musa. TUHAN berfirman kepada Musa, “Buatlah dua buah trompet daripada perak tempaan supaya digunakan untuk memanggil umat Israel berkumpul dan untuk menyuruh mereka berangkat. Jika kedua-dua buah trompet itu ditiup panjang, semua orang Israel harus berkumpul di sekeliling engkau, di hadapan pintu Khemah-Ku. Tetapi jika hanya satu trompet yang ditiup, hanya pemimpin-pemimpin puak yang berkumpul di sekeliling engkau. Apabila trompet ditiup pendek-pendek, suku-suku yang berkhemah di bahagian timur harus berangkat. Apabila trompet ditiup pendek-pendek pada kali kedua, suku-suku di bahagian selatan harus berangkat. Trompet harus ditiup pendek-pendek sebagai tanda untuk berangkat. Trompet harus ditiup panjang sebagai tanda untuk mengumpulkan umat Israel. Trompet-trompet itu harus ditiup oleh anak-anak lelaki Harun, imam-imam itu. Peraturan berikut harus dipatuhi sepanjang masa. Apabila kamu berperang di tanah kamu untuk mempertahankan diri terhadap musuh yang menyerang kamu, tiuplah trompet-trompet itu untuk memberikan isyarat perang. Aku TUHAN, Allah kamu, akan menolong dan menyelamatkan kamu daripada musuh. Demikian juga pada masa-masa kamu bersukaria; pada perayaan Bulan Baru dan perayaan-perayaan lain, tiuplah trompet-trompet itu ketika kamu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Ku dan korban untuk memohon berkat-Ku, maka Aku akan menolong kamu. Akulah TUHAN, Allah kamu.” Pada hari kedua puluh bulan kedua, pada tahun kedua selepas umat Israel meninggalkan Mesir, awan yang berada di atas Khemah TUHAN itu naik. Lalu umat Israel berurutan berangkat meninggalkan Gurun Sinai. Kemudian awan itu berhenti di padang gurun Paran. Itulah kali pertama mereka berangkat menurut perintah TUHAN melalui Musa. Tiap-tiap kali mereka berangkat, mereka mengikut susunan yang sama. Orang yang di bawah panji kumpulan yang dipimpin oleh suku Yehuda berangkat dahulu, kelompok demi kelompok. Nahason anak Aminadab memimpin mereka. Netaneel anak Zuar memimpin suku Isakhar dan Eliab anak Helon memimpin suku Zebulon. Kemudian barulah Khemah TUHAN itu digulung; lalu puak Gerson dan Merari yang membawa Khemah itu berangkat. Selepas itu orang yang di bawah panji kumpulan yang dipimpin oleh suku Ruben berangkat, kelompok demi kelompok. Elizur anak Syedeur memimpin mereka. Selumiel anak Zurisyadai memimpin suku Simeon dan Elyasaf anak Rehuel memimpin suku Gad. Lalu puak Kehat yang memikul benda-benda suci berangkat. Apabila mereka sampai di tempat perkhemahan yang baru, Khemah TUHAN sudah dipasang. Kemudian orang yang di bawah panji kumpulan yang dipimpin oleh suku Efraim berangkat, kelompok demi kelompok. Elisama anak Amihud memimpin mereka. Gamaliel anak Pedazur memimpin suku Manasye dan Abidan anak Gideoni memimpin suku Benyamin. Akhirnya, orang yang di bawah panji kumpulan yang dipimpin oleh suku Dan berangkat, kelompok demi kelompok. Ahiezer anak Amisyadai memimpin mereka. Mereka menjadi pengawal barisan belakang bagi semua kumpulan itu. Pagiel anak Okhran memimpin suku Asyer dan Ahira anak Enan memimpin suku Naftali. Itulah susunan perbarisan orang Israel apabila mereka berangkat, kelompok demi kelompok. Musa berkata kepada iparnya, Hobab anak Yitro, orang Midian itu, “Kami akan berangkat ke tempat yang dimaksudkan TUHAN ketika Dia berfirman untuk memberikannya kepada kami. Dia sudah menjanjikan hal yang baik kepada Israel. Oleh itu ikutlah kami dan kami akan berbuat baik kepadamu.” Hobab menjawab, “Tidak, aku mahu balik ke tanah airku.” Musa berkata, “Janganlah tinggalkan kami. Engkau boleh menjadi penunjuk jalan bagi kami kerana engkau tahu tempat kita dapat berkhemah di padang gurun. Jika engkau ikut, maka segala yang baik yang dilakukan TUHAN bagi kami akan kami lakukan juga bagimu.” Apabila umat Israel meninggalkan Sinai, gunung suci itu, mereka berjalan selama tiga hari. Tabut Perjanjian TUHAN sentiasa dibawa mendahului mereka untuk mencari tempat berkhemah bagi mereka. Tiap-tiap kali mereka berangkat dari tempat perkhemahan, awan TUHAN sentiasa ada di atas mereka pada siang hari. Setiap kali Tabut Perjanjian TUHAN itu dipikul ketika berangkat, Musa berkata, “Bangkitlah, ya TUHAN, cerai-beraikanlah musuh-Mu dan biarlah orang yang membenci Engkau melarikan diri!” Setiap kali umat Israel berhenti dan menurunkan Tabut Perjanjian, Musa berkata, “Kembalilah, ya TUHAN, kepada ribuan keluarga Israel.” Pada suatu hari umat Israel mula bersungut kepada TUHAN tentang kesusahan mereka. Apabila TUHAN mendengar sungutan mereka, Dia murka lalu mendatangkan api kepada mereka. Api itu merebak di tengah-tengah mereka dan menghanguskan sebahagian daripada perkhemahan. Orang Israel berseru minta tolong kepada Musa, maka dia berdoa kepada TUHAN, lalu api itu padam. Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Tabera, kerana di situ api TUHAN merebak di tengah-tengah mereka. Dalam perjalanan umat Israel, ada juga sebilangan orang asing di kalangan mereka. Orang asing itu ingin sekali makan daging, dan umat Israel pun mula bersungut, “Alangkah baiknya jika kita dapat makan daging. Di Mesir, kita dapat makan ikan sebanyak yang kita mahu tanpa membayar apa-apa. Kita masih ingat akan timun, tembikai, bawang kucai, bawang merah, dan bawang putih di sana. Tetapi sekarang kita kehabisan tenaga kerana tidak ada makanan lain kecuali manna tiap-tiap hari.” Manna itu bentuknya seperti biji-biji kecil, berwarna putih kekuning-kuningan. [8-9] Pada waktu malam manna jatuh bersama-sama embun ke tempat perkhemahan. Pada waktu pagi, orang Israel pergi mengumpulkan manna, lalu menggiling atau menumbuknya menjadi tepung, kemudian merebusnya dan membuatnya menjadi roti tipis. Roti itu rasanya seperti roti yang dimasak dengan minyak zaitun. *** Musa mendengar semua orang itu bersungut, ketika mereka berdiri berkelompok-kelompok di depan pintu khemah mereka. Musa gelisah kerana TUHAN murka terhadap mereka. Musa berkata kepada TUHAN, “Mengapakah Engkau tidak memperlakukan aku dengan baik? Mengapakah Engkau tidak suka kepadaku? Mengapakah Engkau menyerahkan tanggungjawab atas semua orang ini kepadaku? Mereka tidak kukandung dan tidak kulahirkan. Mengapakah Engkau menyuruh aku mengasuh dan mendukung mereka seperti bayi, sepanjang perjalanan ke tanah yang Engkau janjikan kepada nenek moyang mereka? Di manakah harus aku cari daging yang cukup untuk semua orang itu? Lihatlah, mereka terus-menerus merungut dan meminta daging. Aku tidak sanggup memikul tanggungjawab atas semua orang itu; tanggungjawab ini terlalu berat bagiku! Jika Engkau memperlakukan aku begini, kasihanilah aku; bunuhlah aku dengan segera supaya aku tidak lagi menanggung penderitaan ini.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Kumpulkanlah tujuh puluh orang lelaki yang dihormati dan yang diakui sebagai pemimpin orang Israel. Bawalah mereka menghadap Aku di Khemah-Ku, dan suruhlah mereka berdiri di situ, di sampingmu. Aku akan turun dan berfirman kepadamu di tempat itu, dan mereka akan Kuberikan sebahagian daripada kuasa yang sudah Kuberikan kepadamu. Dengan demikian, mereka akan dapat membantu engkau memikul tanggungjawab atas umat ini, dan engkau tidak lagi memikulnya sendirian. Sekarang beritahulah orang Israel, ‘Sucikanlah diri kamu untuk esok, kerana kamu akan makan daging. TUHAN sudah mendengar kamu merungut dan berkata bahawa kamu ingin sekali makan daging, dan bahawa keadaan kamu lebih baik semasa di negeri Mesir. Sekarang TUHAN akan memberi kamu daging dan kamu mesti makan daging itu. Kamu mesti memakannya bukan sahaja selama satu atau dua hari, atau lima, atau sepuluh, ataupun dua puluh hari, tetapi selama satu bulan, sehingga kamu menjadi sakit dan muntah-muntah kerana daging itu. Hal itu akan terjadi kerana kamu menolak TUHAN yang ada di tengah-tengah kamu. Kamu juga bersungut kepada-Nya dengan berkata bahawa kamu tidak seharusnya meninggalkan Mesir.’ ” Musa berkata kepada TUHAN, “Sekarang aku sedang memimpin 600,000 orang. Bagaimanakah Engkau dapat berfirman bahawa Engkau akan memberi mereka daging yang cukup selama satu bulan? Cukupkah lembu dan domba untuk disembelih bagi mengenyangkan mereka? Cukupkah semua ikan di laut untuk mereka?” TUHAN berfirman, “Adakah kuasa-Ku terbatas? Engkau akan segera melihat sama ada firman-Ku itu berlaku atau tidak!” Oleh itu Musa keluar dan memberitahu umat Israel apa yang difirmankan TUHAN. Musa mengumpulkan tujuh puluh orang pemimpin dan menyuruh mereka berdiri di sekeliling Khemah TUHAN. Kemudian TUHAN turun di dalam awan dan berfirman kepada Musa. TUHAN mengambil sebahagian daripada kuasa yang sudah diberikan-Nya kepada Musa, lalu memberikan kuasa itu kepada tujuh puluh orang pemimpin itu. Ketika Roh TUHAN turun ke atas mereka, mereka mula berseru seperti nabi, tetapi tidak lama. Dua daripada tujuh puluh orang pemimpin itu, iaitu Eldad dan Medad, tinggal di perkhemahan dan tidak pergi ke Khemah TUHAN. Di perkhemahan itu, Roh turun ke atas mereka dan mereka pun mula berseru seperti nabi. Seorang pemuda lari keluar untuk memberitahu Musa tentang hal yang berlaku kepada Eldad dan Medad. Kemudian Yosua anak Nun, yang telah membantu Musa sejak masa mudanya, berkata kepada Musa, “Tuan, suruhlah mereka diam!” Musa menjawab, “Adakah engkau memikirkan hal aku? Aku sangat berharap agar TUHAN memberikan Roh-Nya kepada semua umat-Nya, dan menyebabkan mereka semua berseru seperti nabi!” Selepas itu Musa dan para pemimpin Israel itu balik ke perkhemahan. Tiba-tiba TUHAN mendatangkan angin dari laut; angin itu membawa burung-burung puyuh yang terbang rendah sekali, serendah kurang daripada satu meter dari permukaan tanah. Burung-burung itu berterbangan di atas perkhemahan dan di sekelilingnya sejauh beberapa kilometer. Sepanjang hari itu dan sepanjang malam, serta sepanjang hari berikutnya, orang asyik menangkap burung puyuh. Setiap orang menangkap tidak kurang daripada seribu kilogram burung puyuh. Mereka menjemur burung-burung yang ditangkap itu di sekeliling perkhemahan. Sementara masih banyak daging burung puyuh, TUHAN murka kepada umat itu dan mendatangkan wabak kepada mereka. Tempat itu dinamakan Kibrot-Taawa yang bererti “Kuburan Kerakusan” kerana di situlah mereka menguburkan orang yang mati kerana rakus. Dari situ umat itu berpindah ke daerah Hazerot, lalu berkhemah di tempat itu. Musa telah berkahwin dengan seorang perempuan Kus. Oleh itu Miryam dan Harun menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk mencela Musa. Mereka berkata, “Adakah TUHAN berfirman melalui Musa sahaja? Tidakkah TUHAN berfirman melalui kita juga?” TUHAN mendengar kata-kata mereka itu. Musa seorang yang rendah hati, lebih rendah hati daripada sesiapa pun di bumi. Tiba-tiba TUHAN berfirman kepada Musa, Harun, dan Miryam, “Aku mahu kamu bertiga pergi ke Khemah-Ku.” Mereka pun pergi, lalu TUHAN turun di dalam tiang awan dan berdiri di pintu Khemah TUHAN, serta berseru, “Harun! Miryam!” Kedua-dua mereka maju, lalu TUHAN berfirman, “Dengarlah firman-Ku ini. Apabila ada nabi-nabi di kalangan kamu, Aku menyatakan diri kepada mereka dalam penglihatan dan Aku berfirman kepada mereka dalam mimpi. Tetapi tidak demikian dengan hamba-Ku Musa; Aku sudah menjadikan dia pemimpin segenap umat-Ku Israel. Oleh itu Aku berfirman kepadanya berhadapan muka, secara jelas dan bukan dengan teka-teki; bahkan rupa-Ku pun sudah dilihatnya. Mengapa kamu berani melawan Musa, hamba-Ku?” TUHAN murka kepada Harun dan Miryam; oleh itu, ketika TUHAN pergi dan awan itu meninggalkan Khemah, tiba-tiba kulit Miryam kena penyakit kulit yang mengerikan. Kulitnya menjadi putih seperti salji. Apabila Harun nampak bahawa Miryam telah kena penyakit itu, Harun berkata kepada Musa, “Tolonglah tuan, janganlah biar kami diseksa kerana dosa yang kami lakukan dalam kebodohan kami. Janganlah biarkan dia menjadi seperti bayi yang lahir mati, dengan dagingnya setengah busuk.” Maka Musa berseru kepada TUHAN, “Ya Allah, sembuhkanlah dia!” TUHAN menjawab, “Andaikata bapanya meludahi mukanya, dia mesti menanggung malu selama tujuh hari. Oleh itu keluarkanlah dia dari perkhemahan selama tujuh hari. Selepas itu, dia boleh dibawa masuk semula.” Miryam dikeluarkan dari perkhemahan selama tujuh hari, dan umat Israel tidak memindahkan perkhemahan sehingga Miryam dibawa masuk semula. Kemudian mereka meninggalkan Hazerot, lalu berkhemah di padang gurun Paran. TUHAN berfirman kepada Musa, “Pilihlah seorang antara para pemimpin daripada tiap-tiap suku Israel, dan suruhlah mereka mengintip tanah Kanaan yang hendak Aku berikan kepada umat Israel.” [3-15] Musa menurut perintah itu, lalu dari padang gurun Paran dia mengutus para pemimpin berikut: [Suku] — [Pemimpin] Ruben — Syamua anak Zakur Simeon — Safat anak Hori Yehuda — Kaleb anak Yefune Isakhar — Yigal anak Yusuf Efraim — Hosea anak Nun Benyamin — Palti anak Rafu Zebulon — Gadiel anak Sodi Manasye — Gadi anak Susi Dan — Amiel anak Gemali Asyer — Setur anak Mikhael Naftali — Nahbi anak Wofsi Gad — Guel anak Makhi *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** Itulah pengintip-pengintip yang diutus oleh Musa untuk menjelajahi tanah itu. Musa menukar nama Hosea anak Nun menjadi Yosua. Ketika Musa menyuruh mereka berangkat, dia berpesan kepada mereka, “Pergilah ke arah utara, ke bahagian selatan tanah Kanaan, kemudian pergilah ke daerah berbukit. Selidikilah keadaan tanah itu, sama ada penduduknya banyak atau sedikit, dan sama ada mereka kuat atau lemah. Selidikilah sama ada tanah itu baik atau tidak, dan sama ada penduduknya tinggal di pekan-pekan yang terbuka atau di kota-kota yang bertembok. Selidikilah sama ada tanahnya subur atau tidak, dan sama ada pokok kayu di situ banyak atau tidak. Kamu harus berani, dan bawalah pulang buah-buahan dari tanah itu.” Pada waktu itu, musim anggur sudah mula. Oleh itu mereka pergi ke arah utara dan menjelajahi tanah itu, bermula dari padang gurun Zin di sebelah selatan sampai ke kota Rehob, berhampiran dengan Genting Hamat di sebelah utara. Mula-mula mereka pergi ke bahagian selatan tanah itu dan tiba di kota Hebron, tempat tinggal puak Ahiman, Sesai, dan Talmai, semuanya keturunan raksasa yang disebut Enak. Kota Hebron dibina tujuh tahun sebelum kota Soan di Mesir. Kemudian para pengintip itu sampai di Lembah Eskol. Di situ mereka memotong seranting buah anggur yang begitu berat, sehingga harus digotong dengan sebatang kayu oleh dua orang. Mereka juga membawa beberapa biji buah delima dan buah ara. Tempat itu dinamakan Lembah Eskol, kerana seranting buah anggur yang dipotong oleh orang Israel di situ. Setelah para pengintip menjelajahi tanah itu selama empat puluh hari, mereka kembali kepada Musa, Harun, dan semua orang Israel di Kades, di padang gurun Paran. Mereka melaporkan apa yang dilihat oleh mereka dan menunjukkan buah-buahan yang dibawa. Mereka berkata kepada Musa, “Kami sudah menjelajahi tanah itu dan melihat bahawa tanahnya kaya dan subur; inilah sedikit buah-buahan dari sana. Tetapi penduduk tanah itu sangat kuat; kota-kota mereka sangat besar dan bertembok. Lagi pula, kami nampak keturunan raksasa di sana. Orang Amalek tinggal di bahagian selatan tanah itu; orang Het, orang Yebusi, dan orang Amori tinggal di kawasan perbukitan; orang Kanaan tinggal di kawasan pantai Laut Tengah dan di sepanjang Sungai Yordan.” Kaleb menenangkan hati orang yang bersungut terhadap Musa, dan berkata, “Kita harus melancarkan serangan dan merebut tanah itu sekarang juga. Kita cukup kuat untuk menaklukkannya.” Tetapi orang lain yang menjelajahi tanah itu bersama-sama Kaleb berkata, “Tidak, kita tidak cukup kuat untuk menyerang mereka. Penduduknya lebih kuat daripada kita.” Oleh itu mereka menyebarkan khabar angin di kalangan orang Israel tentang tanah yang dijelajahi mereka. Mereka berkata, “Tanah itu tidak dapat mengeluarkan hasil yang cukup bahkan untuk penduduknya pun. Tiap-tiap orang yang kami nampak sangat tinggi, dan kami juga nampak raksasa, keturunan Enak di sana. Kami merasa kecil seperti belalang dan pasti begitulah anggapan mereka terhadap kami.” Sepanjang malam orang Israel menangis kerana cemas. Mereka bersungut kepada Musa dan Harun, serta berkata, “Lebih baik kami mati di Mesir atau di padang gurun ini! Mengapakah TUHAN hendak membawa kami ke tanah itu? Kami akan mati dalam peperangan, dan anak isteri kami akan ditawan. Tidakkah lebih baik kami balik ke Mesir?” Oleh itu mereka bercakap kepada satu sama lain, “Marilah kita pilih seorang pemimpin, lalu balik ke Mesir!” Kemudian Musa dan Harun bersujud di hadapan semua orang itu. Yosua anak Nun dan Kaleb anak Yefune, dua orang antara pengintip itu, mengoyakkan pakaian mereka sebagai tanda bersedih. Mereka berkata kepada umat itu, “Tanah yang kami jelajahi itu sangat baik. Jika TUHAN berkenan kepada kita, Dia akan membawa kita ke sana dan memberi kita tanah yang kaya dan subur itu. Janganlah berontak terhadap TUHAN, dan janganlah takut kepada penduduk tanah itu. Kita akan mengalahkan mereka dengan mudah. TUHAN menyertai kita, dan Dia sudah mengalahkan pelindung mereka; oleh itu janganlah takut.” Segenap umat Israel mengancam untuk merejam Yosua dan Kaleb sampai mati, tetapi tiba-tiba umat itu nampak cahaya hadirat TUHAN muncul di atas Khemah-Nya. TUHAN berfirman kepada Musa, “Berapa lama lagi umat ini melawan Aku? Sampai bilakah mereka tidak mahu percaya kepada-Ku, walaupun Aku sudah mengadakan begitu banyak mukjizat di kalangan mereka? Aku akan mendatangkan wabak dan membinasakan mereka, tetapi Aku akan menjadikan engkau bapa suatu bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada mereka!” Tetapi Musa berkata kepada TUHAN, “Ya TUHAN, Engkaulah yang sudah membawa umat ini keluar dari Mesir dengan kuasa-Mu. Apabila orang Mesir mendengar apa yang Engkau lakukan kepada umat-Mu, mereka akan memberitahukan hal itu kepada penduduk tanah ini, sedangkan mereka sudah mendengar bahawa Engkau, TUHAN, menyertai kami. Mereka sudah mendengar bahawa Engkau menampakkan diri apabila awan-Mu berhenti di atas kami, dan bahawa Engkau berjalan di hadapan kami dalam tiang awan pada siang hari, dan dalam tiang api pada malam hari. Jika Engkau membunuh segenap umat-Mu sekarang, bangsa-bangsa yang pernah mendengar tentang kemasyhuran-Mu akan berkata bahawa Engkau membunuh umat-Mu di padang gurun kerana Engkau tidak sanggup membawa mereka ke tanah yang sudah Engkau janjikan kepada mereka. Oleh itu, ya TUHAN, sekarang aku mohon, tunjukkanlah kuasa-Mu dan lakukanlah apa yang Engkau janjikan ketika Engkau berfirman, ‘Aku, TUHAN, tidak cepat murka. Aku menunjukkan kasih dan kesetiaan-Ku yang besar. Aku mengampuni orang yang berdosa dan yang melawan Aku. Biarpun begitu, dosa ibu bapa akan Kubalaskan kepada anak cucu mereka, sampai kepada generasi yang ketiga dan keempat.’ Oleh itu ya TUHAN, ampunkanlah dosa umat ini, kerana kasih-Mu besar dan tidak berubah, sebagaimana Engkau telah mengampuni mereka sejak mereka meninggalkan Mesir.” TUHAN menjawab, “Aku akan mengampuni mereka menurut permintaanmu. Tetapi Aku berjanji demi diri-Ku dan demi Aku yang hidup dan berkuasa di bumi ini, bahawa tiada seorang pun antara umat ini akan pergi ke tanah itu. Mereka sudah nampak cahaya hadirat-Ku dan mukjizat yang Aku lakukan di Mesir dan di padang gurun, namun mereka terus-menerus mencubai Aku, dan tidak mahu mentaati Aku. Mereka tidak sekali-kali akan pergi ke tanah yang Aku janjikan kepada nenek moyang mereka. Tidak seorang pun yang melawan Aku akan pergi ke sana. Tetapi sikap Kaleb, hamba-Ku itu lain; dia tetap setia kepada-Ku. Oleh itu Aku akan membawa dia ke tanah yang dijelajahinya. Keturunannya akan memiliki tanah yang kawasan lembahnya diduduki oleh orang Amalek dan orang Kanaan pada masa ini. Esok kamu harus berpatah balik dan pergi ke padang gurun ke arah Teluk Akaba.” TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Sampai bilakah umat yang jahat ini bersungut terhadap Aku? Aku sudah mendengar semua sungutan mereka! Sekarang berilah mereka jawapan begini, ‘Aku bersumpah demi Aku yang hidup, bahawa Aku akan melakukan tepat seperti yang kamu minta. Aku, TUHAN, sudah berfirman. Kamu akan mati dan mayat kamu akan berselerak di seluruh padang gurun ini. Oleh sebab kamu bersungut terhadap Aku, tiada seorang pun di kalangan kamu yang berumur dua puluh tahun ke atas akan pergi ke tanah itu. Aku sudah berjanji membenarkan kamu tinggal di tanah itu, tetapi tidak seorang pun antara kamu akan tinggal di situ kecuali Kaleb dan Yosua. Kamu berkata bahawa anak-anak kamu akan ditawan, tetapi merekalah yang akan Kubawa ke tanah yang kamu tolak. Tanah itu akan menjadi tempat tinggal mereka, tetapi kamu akan mati di padang gurun ini. Anak-anak kamu akan mengembara di padang gurun selama empat puluh tahun. Kerana kamu tidak setia, anak-anak kamu itu akan sengsara, sehingga kamu semua mati. Kamu akan menanggung akibat dosa kamu selama empat puluh tahun, satu tahun untuk setiap hari daripada empat puluh hari yang kamu gunakan untuk menjelajahi tanah itu. Barulah kamu tahu bagaimana rasanya apabila Aku menentang kamu. Aku bersumpah akan melakukan hal ini kepada kamu, umat jahat yang berkomplot untuk melawan Aku. Kamu semua akan mati di padang gurun ini. Aku, TUHAN telah berfirman.’ ” [36-37] Orang yang diutus oleh Musa untuk menjelajahi tanah itu memberikan laporan yang tidak benar, dan hal itu menyebabkan umat Israel bersungut terhadap TUHAN. Oleh itu TUHAN menghukum mereka dengan penyakit, lalu mereka meninggal. *** Hanya Yosua dan Kaleb yang masih hidup di kalangan dua belas orang pengintip itu. Setelah Musa menyampaikan firman TUHAN itu kepada umat Israel, mereka meratap dengan pilu. Keesokan harinya, awal pagi, mereka bersiap-siap untuk menyerang daerah berbukit. Mereka berkata, “Kami mengaku telah berbuat dosa. Tetapi sekarang kami sudah bersiap untuk pergi ke tempat yang ditunjukkan TUHAN.” Tetapi Musa menjawab, “Mengapakah kamu melawan perintah TUHAN sekarang? Kamu tidak akan berjaya! Jangan pergi, kerana TUHAN tidak menyertai kamu. Kamu akan dikalahkan oleh musuh. Apabila kamu menghadapi orang Amalek dan orang Kanaan, kamu akan mati dalam pertempuran. TUHAN tidak akan menyertai kamu kerana kamu tidak mahu taat kepada-Nya.” Tetapi orang Israel masih juga nekad pergi ke daerah berbukit, walaupun Tabut Perjanjian TUHAN dan Musa tidak meninggalkan perkhemahan. Kemudian orang Amalek dan orang Kanaan yang tinggal di situ menyerang mereka lalu mengalahkan mereka, dan mengejar mereka sampai ke Horma. TUHAN memberi Musa peraturan-peraturan berikut yang harus dipatuhi oleh umat Israel di tanah yang akan diberikan TUHAN kepada mereka. Sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, atau korban untuk memenuhi nazar, atau korban sukarela, atau korban pada perayaan-perayaan biasa, kamu boleh mempersembahkan binatang berikut kepada TUHAN: seekor lembu jantan, seekor domba jantan, seekor domba atau seekor kambing. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN. [4-5] Sesiapa yang mempersembahkan domba atau kambing sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, harus mempersembahkan juga satu kilogram tepung terbaik bercampur satu liter minyak zaitun sebagai korban untuk mengucap syukur, bersama dengan satu liter wain, untuk disertakan dengan setiap binatang yang dipersembahkan. *** Apabila seekor domba jantan dipersembahkan sebagai korban, maka harus dipersembahkan juga dua kilogram tepung terbaik bercampur satu liter setengah minyak zaitun sebagai korban untuk mengucap syukur, bersama dengan satu liter setengah wain. Bau asap korban itu menyenangkan hati TUHAN. Apabila seekor lembu jantan dipersembahkan kepada TUHAN sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, atau sebagai korban untuk memenuhi nazar, atau sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN, harus dipersembahkan juga tiga kilogram tepung bercampur dua liter minyak zaitun sebagai korban untuk mengucap syukur, bersama dengan dua liter wain. Bau asap dari korban-korban itu menyenangkan hati TUHAN. Itulah yang harus dipersembahkan bersama dengan setiap lembu jantan, domba jantan, domba, atau kambing. Jika yang dipersembahkan itu lebih daripada seekor, maka persembahan tepung terbaik, minyak zaitun, dan wain itu pun harus ditambah menurut kadar yang ditentukan. Hal ini mesti dilakukan oleh setiap orang Israel apabila dia mempersembahkan persembahan makanan, yang baunya menyenangkan hati TUHAN. Seorang asing yang tinggal bersama-sama kamu, baik untuk sementara atau untuk menetap, orang itu mesti mematuhi peraturan yang sama apabila dia mempersembahkan persembahan makanan, yang baunya menyenangkan hati TUHAN. Untuk sepanjang masa, peraturan yang sama berlaku bagi kamu dan bagi orang asing yang tinggal di kalangan kamu. Kamu dan mereka sama sahaja di sisi TUHAN; hukum dan peraturan yang sama berlaku bagi kamu dan mereka. TUHAN memberi Musa peraturan-peraturan berikut untuk dipatuhi oleh umat Israel di tanah yang akan diberikan TUHAN kepada mereka. Apabila kamu makan makanan yang dihasilkan tanah itu, kamu mesti mengasingkan sebahagian makanan itu sebagai pemberian khas kepada TUHAN. Daripada gandum yang mula-mula dituai, bakarlah roti daripada adunan pertama gandum itu; sebuku roti harus dipersembahkan sebagai pemberian khas kepada TUHAN. Cara mempersembahkannya sama dengan cara mempersembahkan pemberian khas daripada gandum yang mula-mula kamu irik. Untuk sepanjang masa, roti daripada adunan pertama itu harus diberikan sebagai pemberian khas kepada TUHAN. Jika seseorang dengan tidak sengaja gagal mematuhi salah satu peraturan yang sudah diberikan TUHAN kepada Musa, atau jika pada masa akan datang umat ini gagal melakukan semua yang diperintahkan TUHAN melalui Musa, dan jika kesalahan itu dibuat kerana umat tidak mengetahui peraturan, maka mereka harus mempersembahkan seekor lembu jantan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, yang bau asapnya menyenangkan hati-Nya. Bersama dengan korban itu mereka juga harus mempersembahkan korban untuk mengucap syukur dan korban wain seperti yang ditetapkan. Selain itu, mereka harus mempersembahkan seekor domba jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Imam akan melakukan upacara penyucian bagi umat. Dengan demikian mereka akan diampuni kerana kesalahan itu dibuat dengan tidak sengaja, dan korban untuk mengampunkan dosa sebagai persembahan makanan telah dipersembahkan kepada TUHAN. Segenap umat Israel dan orang asing yang tinggal di kalangan mereka akan diampuni, kerana mereka semua terlibat dalam kesalahan yang tidak disengaja itu. Apabila seorang sahaja yang berdosa dengan tidak sengaja, dia harus mempersembahkan seekor kambing betina yang berumur satu tahun sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Imam harus melakukan upacara penyucian di mazbah supaya orang itu disucikan daripada dosanya dan dia akan diampuni. Peraturan yang sama berlaku bagi semua orang yang berdosa dengan tidak sengaja, baik orang Israel mahupun orang asing yang tinggal di kalangan mereka. Tetapi sesiapa sahaja, baik orang Israel atau orang asing yang dengan sengaja berbuat dosa, orang itu menghina TUHAN. Orang itu mesti dihukum mati, kerana dia membantah firman TUHAN dan dengan sengaja melanggar salah satu perintah-Nya. Orang itu mati kerana kesalahannya sendiri. Pada suatu hari, ketika umat Israel masih di padang gurun, seorang lelaki kedapatan mengumpulkan kayu api pada hari Sabat. Orang itu dibawa menghadap Musa, Harun, dan segenap umat, lalu orang itu ditahan kerana belum jelas apa yang hendak dilakukan kepadanya. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Orang itu mesti dihukum mati. Dia harus dibawa ke luar perkhemahan dan di sana segenap umat harus merejam dia sampai mati.” Oleh itu segenap umat membawa dia ke luar perkhemahan, lalu merejam dia sampai mati, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. TUHAN memerintahkan Musa supaya memberitahu umat Israel, “Buatlah rumbai-rumbai pada hujung pakaian kamu, dan ikatkan tali biru pada setiap rumbai. Kamu harus melakukan hal ini sepanjang masa. Rumbai-rumbai itu akan menjadi peringatan, supaya tiap-tiap kali kamu melihatnya, kamu ingat akan segala perintah-Ku dan mentaatinya. Oleh itu kamu tidak akan meninggalkan Aku untuk menurut kehendak dan keinginan kamu sendiri. Rumbai-rumbai itu akan mengingatkan kamu untuk mentaati segala perintah-Ku, sehingga kamu akan menjadi milik-Ku sepenuhnya. Akulah TUHAN, Allah kamu; Aku membawa kamu keluar dari Mesir supaya Aku menjadi Allah kamu. Akulah TUHAN.” [1-2] Korah anak Yizhar, daripada puak Kehat suku Lewi, memberontak terhadap Musa. Korah disokong oleh tiga orang daripada suku Ruben, iaitu Datan dan Abiram, kedua-duanya anak Eliab, dan juga On anak Pelet, serta 250 orang pemimpin kenamaan yang dipilih oleh umat Israel. *** Mereka bersama-sama menghadap Musa dan Harun, lalu berkata, “Kamu sudah keterlaluan! Semua orang Israel milik TUHAN, dan TUHAN menyertai kita semua. Tetapi hai Musa, mengapakah engkau menganggap dirimu lebih tinggi daripada umat TUHAN?” Ketika Musa mendengar kata-kata itu, dia bersujud di tanah dan berdoa kepada TUHAN. Kemudian Musa berkata kepada Korah dan pengikut-pengikutnya, “Esok pagi, TUHAN akan menunjukkan siapa milik-Nya, iaitu orang yang dikhaskan bagi-Nya; orang yang dipilih-Nya akan diizinkan-Nya untuk menghampiri Dia di mazbah. [6-7] Esok pagi engkau dan pengikut-pengikutmu harus membawa perbaraan, mengisinya dengan bara api dan kemenyan, lalu membawanya ke mazbah. Kemudian kita akan lihat siapa antara kita yang dipilih oleh TUHAN. Kamu orang Lewi yang keterlaluan!” *** Musa berkata lagi kepada Korah, “Dengarlah, hai orang Lewi! Adakah kamu menganggap hal ini perkara kecil apabila Allah Israel mengasingkan kamu daripada orang Israel lain, supaya kamu dapat menghampiri Dia dan bertugas di Khemah-Nya, serta bekerja untuk umat Israel dan melayani mereka? TUHAN sudah memberi engkau dan semua orang Lewi kehormatan itu, tetapi sekarang engkau menuntut menjadi imam pula! Ketika engkau dan pengikutmu bersungut-sungut terhadap Harun, sebenarnya kamu melawan TUHAN.” Selepas itu Musa menyuruh orang memanggil Datan dan Abiram, tetapi Datan dan Abiram tidak mahu datang. Mereka berkata, “Belum cukupkah engkau membawa kami keluar dari Mesir, tanah yang subur itu, untuk membunuh kami di padang gurun ini? Haruskah engkau memerintah kami juga? Sudah nyata bahawa engkau tidak membawa kami ke tanah yang subur, ataupun memberi kami ladang dan kebun anggur sebagai milik kami. Sekarang engkau hendak menipu kami pula. Kami tidak mahu datang!” Musa sangat marah lalu berkata kepada TUHAN, “Janganlah terima apa-apa persembahan daripada mereka. Aku tidak pernah berbuat salah terhadap mereka; bahkan seekor keldai pun tidak pernah aku ambil daripada mereka.” Musa berkata kepada Korah, “Esok, engkau dan 250 orang pengikutmu mesti datang ke Khemah TUHAN. Harun juga akan berada di sana. Kamu semua harus membawa perbaraan masing-masing. Letaklah kemenyan di dalam perbaraan, lalu persembahkanlah itu kepada TUHAN.” Maka tiap-tiap orang membawa perbaraan, mengisinya dengan bara api dan kemenyan, lalu berdiri di pintu Khemah TUHAN bersama-sama Musa dan Harun. Kemudian Korah mengumpulkan segenap umat, lalu mereka berdiri menghadap Musa dan Harun di pintu Khemah TUHAN. Tiba-tiba cahaya hadirat TUHAN kelihatan kepada segenap umat. TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Undurlah daripada semua orang itu; Aku mahu membinasakan mereka sekarang juga.” Tetapi Musa dan Harun bersujud dan berkata, “Ya Allah, Engkaulah sumber kehidupan bagi semua yang hidup. Jika hanya seorang yang berdosa, adakah Engkau murka terhadap segenap umat?” TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah semua orang itu menjauhi khemah Korah, Datan, dan Abiram.” Kemudian Musa, disertai oleh para pemimpin Israel, pergi ke tempat Datan dan Abiram. Musa berkata kepada semua orang Israel di situ, “Jauhilah khemah semua orang yang jahat ini dan jangan sentuh apa-apa pun milik mereka. Jika kamu tidak menurut, kamu akan dibinasakan bersama-sama mereka kerana semua dosa mereka.” Maka mereka menjauhkan diri dari khemah Korah, Datan, dan Abiram. Datan dan Abiram sudah keluar dari khemah dan sedang berdiri di pintu khemah bersama-sama anak isteri mereka. Musa berkata kepada semua orang di situ, “Inilah caranya kamu tahu bahawa TUHAN yang menyuruh aku melakukan segala perkara ini, dan bahawa aku tidak melakukannya menurut kehendakku sendiri. Jika semua orang itu mati dengan cara biasa tanpa hukuman apa-apa daripada Allah, itulah tandanya TUHAN tidak mengutus aku. Tetapi jika TUHAN melakukan sesuatu yang belum pernah terjadi, dan bumi terbelah lalu menelan mereka dengan segala milik mereka, sehingga mereka hidup-hidup masuk ke dunia orang mati, maka tahulah kamu bahawa semua orang itu melawan TUHAN.” Sebaik sahaja Musa berkata demikian, tanah di bawah kaki Datan dan Abiram terbelah, lalu bumi menelan mereka serta keluarga mereka, bersama-sama semua pengikut Korah dan milik mereka. Oleh itu mereka terjatuh hidup-hidup ke dalam dunia orang mati bersama dengan semua milik mereka. Tanah yang terbelah itu tertutup semula dan mereka lenyap ditelan bumi. Semua orang Israel yang berada di situ lari apabila mendengar teriakan mereka. Lalu semua orang Israel itu berteriak, “Lari! Nanti kita juga ditelan bumi!” Selepas itu TUHAN mendatangkan api yang bernyala-nyala dan membakar 250 orang yang sudah mempersembahkan kemenyan. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah Eleazar, anak Imam Harun, mengambil semua perbaraan gangsa itu dari sisa kebakaran lalu menghamburkan arangnya di tempat lain, kerana perbaraan itu suci. Perbaraan itu suci kerana sudah dipersembahkan di mazbah TUHAN. Oleh itu ambillah perbaraan semua orang yang dihukum mati kerana dosa mereka, lalu tempalah perbaraan itu menjadi kepingan-kepingan tipis untuk dijadikan penutup mazbah. Penutup itu akan menjadi satu amaran kepada umat Israel.” Kemudian Imam Eleazar mengambil semua perbaraan itu, lalu menyuruh orang menempanya menjadi kepingan-kepingan tipis untuk dijadikan penutup mazbah. Penutup itu menjadi amaran kepada umat Israel bahawa tiada sesiapa pun kecuali keturunan Harun boleh menghampiri mazbah untuk membakar kemenyan bagi TUHAN. Orang yang melanggar peraturan itu akan dibinasakan seperti Korah dan semua pengikutnya. Semuanya dilakukan menurut perintah TUHAN kepada Eleazar dengan perantaraan Musa. Keesokan harinya, semua orang Israel bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun. Mereka berkata, “Kamu sudah membunuh sebahagian umat TUHAN.” Setelah mereka semua berkumpul untuk melawan Musa dan Harun, mereka memandang ke arah Khemah TUHAN lalu nampak awan menutupi Khemah itu, dan cahaya hadirat TUHAN pun kelihatan. Musa dan Harun pergi ke bahagian hadapan Khemah TUHAN, lalu TUHAN berfirman kepada Musa, “Undurlah daripada semua orang ini kerana Aku hendak membinasakan mereka di tempat itu juga!” Mereka berdua bersujud, lalu Musa berkata kepada Harun, “Ambillah perbaraanmu dan isilah dengan bara api dari mazbah, lalu bubuhlah kemenyan pada bara api itu. Bawalah perbaraan itu kepada umat dengan segera, dan lakukanlah upacara penyucian untuk mereka. Cepat! Kemurkaan TUHAN sudah berkobar dan wabak sudah bermula.” Harun melakukan apa yang dikatakan Musa. Harun membawa perbaraannya lalu lari ke tengah-tengah orang yang sedang berkumpul. Apabila Harun melihat bahawa wabak sudah bermula, dia membubuh kemenyan pada bara api dan melakukan upacara penyucian untuk umat. Oleh itu wabak berhenti dan Harun berdiri di tengah-tengah orang yang masih hidup dan yang sudah mati. Orang yang mati pada masa itu berjumlah 14,700 orang, tidak termasuk orang yang mati ketika pemberontakan Korah. Setelah wabak itu berhenti, Harun kembali kepada Musa di pintu Khemah TUHAN. TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah umat Israel memberi engkau dua belas batang tongkat; tongkat itu harus diserahkan oleh setiap pemimpin suku. Tulislah nama setiap pemimpin pada tongkatnya, lalu tulislah nama Harun pada tongkat yang mewakili suku Lewi. Tiap-tiap pemimpin suku harus ada sebatang tongkat. Bawalah tongkat-tongkat itu ke dalam Khemah-Ku, dan letakkan semuanya di depan Tabut Perjanjian, tempat Aku bertemu dengan engkau. Tongkat orang yang Kupilih akan bertunas. Dengan demikian Aku akan menghentikan sungutan orang Israel yang tidak putus-putus terhadap engkau.” Oleh itu Musa memberitahu umat Israel tentang perkara itu. Kemudian tiap-tiap pemimpin mereka memberikan sebatang tongkat kepada Musa, iaitu satu batang daripada tiap-tiap suku. Kesemuanya dua belas batang, termasuk tongkat Harun. Setelah itu Musa meletakkan semua tongkat itu di dalam Khemah TUHAN, di depan Tabut Perjanjian. Keesokan harinya, ketika Musa masuk ke dalam Khemah TUHAN, dia melihat bahawa tongkat Harun, tongkat yang mewakili suku Lewi, sudah bertunas. Tongkat itu sudah berkudup, berbunga, dan menghasilkan beberapa buah badam yang tua. Musa mengambil semua tongkat itu dan menunjukkannya kepada umat Israel. Mereka nampak apa yang sudah berlaku, lalu setiap pemimpin mengambil tongkat masing-masing. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Letakkanlah semula tongkat Harun di depan Tabut Perjanjian. Tongkat itu harus disimpan sebagai amaran kepada orang Israel yang suka memberontak, bahawa mereka akan mati jika mereka tidak berhenti bersungut-sungut.” Musa melakukan apa yang diperintahkan TUHAN. Kemudian orang Israel berkata kepada Musa, “Kalau begitu, celakalah kami! Kami akan binasa! Jika orang yang menghampiri Khemah TUHAN harus mati, maka tidak ada harapan lagi bagi kami!” TUHAN berfirman kepada Harun, “Engkau, anak-anak lelakimu, dan orang Lewi mesti menanggung akibat kesalahan yang berlaku, yang berkaitan dengan pekerjaan di Khemah-Ku. Tetapi cuma engkau dan anak-anak lelakimu yang menanggung kesalahan yang berkaitan dengan pekerjaan imam. Suruhlah sanak saudaramu, iaitu suku Lewi, bekerja bersama-sama kamu dan menolong kamu ketika engkau dan anak-anak lelakimu bertugas di Khemah-Ku. Orang Lewi mesti melakukan kewajipan mereka terhadap kamu dan melakukan tugas mereka di Khemah-Ku, tetapi mereka tidak boleh menghampiri mazbah atau menyentuh benda-benda suci di dalam Bilik Suci. Jika mereka melanggar peraturan itu, baik mereka mahupun kamu akan mati. Mereka harus bekerja bersama-sama kamu dan melakukan tugas-tugas yang berkaitan dengan segala pekerjaan di Khemah-Ku, tetapi orang yang tidak diberikan hak untuk melakukan tugas itu dilarang bekerja bersama-sama kamu. Hanya engkau dan anak-anak lelakimu boleh melakukan tugas di dalam Bilik Suci dan di mazbah, supaya Aku tidak murka terhadap umat Israel. Sesungguhnya, Akulah yang sudah memilih sanak saudaramu orang Lewi di kalangan umat Israel, supaya mereka menjadi pemberian bagi kamu. Mereka sudah ditahbiskan untuk Aku supaya mereka dapat melakukan tugas di Khemah-Ku. Tetapi hanya engkau dan anak-anak lelakimu yang boleh melakukan segala kewajipan imam yang berkaitan dengan mazbah dan apa-apa yang di dalam Bilik Maha Suci. Semua hal itu tanggungjawabmu, kerana Aku sudah mengurniakan tugas imam kepadamu. Sesiapa sahaja yang tidak berhak menjalankan tugas itu akan dihukum mati apabila menghampiri benda-benda suci.” TUHAN berfirman kepada Harun, “Ingatlah bahawa segala sumbangan khas yang tidak dibakar sebagai korban, yang dipersembahkan kepada-Ku, akan Kuberikan kepadamu. Aku memberikan sumbangan itu kepadamu dan keturunanmu, sebagai hak kamu yang ditetapkan selama-lamanya. Daripada persembahan-persembahan yang paling suci, yang tidak dibakar di atas mazbah, yang berikut ini adalah untukmu: korban untuk mengucap syukur, korban untuk mengampunkan dosa, dan korban untuk membayar ganti rugi. Semua korban yang dipersembahkan kepada-Ku sebagai persembahan suci menjadi milikmu dan anak-anak lelakimu. Kamu harus makan makanan itu di tempat yang suci, dan hanya lelaki yang boleh memakannya; makanan itu suci. Selain itu, segala sumbangan khas lain yang dipersembahkan oleh umat Israel kepada-Ku menjadi milikmu. Aku memberikan semuanya kepadamu, anak-anakmu lelaki dan perempuan. Peraturan ini berlaku sepanjang masa. Tiap-tiap anggota keluargamu yang tidak najis boleh memakannya. Aku memberi engkau segala hasil pertama yang terbaik, yang dipersembahkan umat Israel kepada-Ku tiap-tiap tahun: minyak zaitun, wain, dan gandum. Semua itu milikmu. Tiap-tiap anggota keluargamu yang tidak najis boleh memakannya. Segala sesuatu di tanah Israel yang sudah dikhaskan untuk Aku, menjadi milikmu. Tiap-tiap anak sulung manusia ataupun anak sulung binatang yang dipersembahkan oleh umat Israel kepada-Ku, menjadi milikmu. Tetapi tiap-tiap anak sulung manusia dan juga anak sulung binatang haram harus ditebus. Kanak-kanak harus ditebus ketika berumur satu bulan. Harga yang ditentukan untuk menebusnya adalah lima keping perak, menurut harga yang ditetapkan di Khemah-Ku. Tetapi anak sulung lembu, domba, dan kambing tidak boleh ditebus; binatang itu untuk Aku sepenuhnya dan mesti dipersembahkan sebagai korban. Siramkanlah darah binatang itu pada mazbah dan bakarlah lemaknya sebagai persembahan makanan; baunya menyenangkan hati-Ku. Daging korban itu milikmu, sama seperti dada dan paha kanan binatang yang dipersembahkan kepada-Ku sebagai persembahan istimewa. Segala sumbangan khas yang dipersembahkan umat Israel kepada-Ku, akan Kuberikan kepadamu, anak-anakmu lelaki dan perempuan sepanjang masa. Perjanjian ini tidak dapat dibatalkan; Aku sudah membuatnya dengan engkau dan keturunanmu.” TUHAN berfirman kepada Harun, “Engkau tidak akan mendapat sebarang harta sebagai warisan. Tidak ada bahagian tanah di Israel yang akan menjadi milikmu. Aku, TUHAN, adalah warisanmu.” TUHAN berfirman, “Semua persepuluhan yang dipersembahkan umat Israel kepada-Ku akan Kuberikan kepada orang Lewi. Itulah ganjaran bagi pekerjaan mereka di Khemah-Ku. Orang Israel lain tidak boleh lagi menghampiri Khemah itu. Jika mereka menghampirinya, mereka akan mendatangkan hukuman mati kepada diri mereka sendiri. Mulai sekarang, hanya orang Lewi yang boleh mengurus Khemah-Ku dan bertanggungjawab penuh atas pekerjaan itu. Peraturan ini berlaku juga bagi keturunan kamu sampai selama-lamanya. Orang Lewi tidak akan mendapat warisan tanah di Israel kerana sebagai milik mereka, Aku sudah memberi mereka persepuluhan yang dipersembahkan oleh umat Israel kepada-Ku sebagai sumbangan khas. Itulah sebabnya Aku memberitahu orang Lewi bahawa mereka tidak akan mendapat warisan tanah di Israel.” TUHAN menyuruh Musa menyampaikan perintah ini kepada orang Lewi, “Apabila kamu menerima persembahan persepuluhan daripada umat Israel, yang diberikan TUHAN sebagai milik kamu, kamu harus mempersembahkan sepersepuluh daripadanya kepada TUHAN sebagai sumbangan khas. Sumbangan khas itu dianggap sama dengan persembahan gandum baru dan wain baru yang dipersembahkan oleh petani. Dengan cara ini, kamu juga mempersembahkan sumbangan khas yang menjadi milik TUHAN daripada segala persembahan persepuluhan yang kamu terima daripada umat Israel. Kamu mesti memberikan sumbangan khas bagi TUHAN ini kepada Imam Harun. Berikanlah bahagian yang paling baik daripada segala sesuatu yang kamu terima. Setelah kamu mempersembahkan bahagian yang paling baik, kamu boleh menyimpan sisanya, sama seperti seorang petani yang mengambil apa yang tertinggal setelah dia memberikan persembahannya. Kamu dan keluarga kamu boleh makan yang tertinggal itu di mana-mana sahaja, kerana itu adalah ganjaran bagi pekerjaan kamu di Khemah TUHAN. Kamu tidak bersalah apabila kamu memakannya, asal sahaja kamu sudah mempersembahkan bahagiannya yang paling baik kepada TUHAN. Kamu tidak boleh menajiskan persembahan yang suci daripada umat Israel dengan memakan apa pun daripada persembahan itu sebelum mempersembahkan bahagian yang paling baik kepada TUHAN. Jika kamu melanggar peraturan itu, kamu akan dihukum mati.” TUHAN memerintah Musa dan Harun untuk memberi umat Israel peraturan berikut. Seekor lembu betina merah yang tidak ada cacat dan yang belum pernah digunakan untuk bekerja harus diberikan kepada Musa dan Harun. Kemudian Musa dan Harun akan menyerahkan lembu itu kepada Imam Eleazar. Lembu itu harus dibawa ke luar perkhemahan dan disembelih di hadapan Imam Eleazar. Kemudian dengan jarinya, Eleazar akan mengambil sedikit darah lembu itu, lalu memercikkannya tujuh kali ke arah Khemah TUHAN. Seluruh lembu itu, termasuk kulit, daging, darah, dan ususnya harus dibakar di hadapan imam. Selanjutnya imam itu harus mengambil sedikit kayu sedar, setangkai hisop, dan seutas tali merah, lalu melemparkan semuanya ke dalam api yang sedang membakar lembu merah itu. Kemudian imam harus mencuci pakaiannya dan mandi, barulah dia boleh masuk ke perkhemahan, tetapi dia tetap najis sehingga matahari terbenam. Orang yang membakar lembu itu mesti mencuci pakaiannya dan mandi, tetapi dia juga tetap najis sehingga matahari terbenam. Selepas itu seorang yang tidak najis harus mengumpulkan abu lembu tadi dan meletakkannya di luar perkhemahan, di suatu tempat yang tidak najis. Abu itu disimpan di situ supaya umat Israel dapat menggunakannya untuk menyediakan air bagi upacara penyucian. Upacara itu dilakukan untuk menghapuskan dosa. Orang yang mengumpulkan abu itu mesti mencuci pakaiannya, tetapi dia tetap najis sehingga matahari terbenam. Peraturan ini berlaku selama-lamanya bagi umat Israel mahupun orang asing yang tinggal di kalangan mereka. Sesiapa yang menyentuh mayat menjadi najis selama tujuh hari. Pada hari ketiga dan hari ketujuh, orang itu harus menyucikan diri dengan air upacara penyucian, barulah dia menjadi suci. Tetapi jika dia tidak menyucikan diri pada hari ketiga dan hari ketujuh, dia tetap najis. Sesiapa yang menyentuh mayat dan tidak menyucikan diri tetap najis, kerana air untuk upacara penyucian belum disiram ke atasnya. Orang itu menajiskan Khemah TUHAN, kerana itu dia tidak lagi dianggap anggota umat Allah. Apabila seseorang mati di dalam sebuah khemah, sesiapa sahaja yang berada di dalam khemah itu, atau sesiapa sahaja yang masuk ke dalamnya akan menjadi najis selama tujuh hari. Semua kendi dan periuk yang tidak bertudung di dalam khemah itu menjadi najis. Setiap orang yang menyentuh mayat orang yang mati dibunuh, atau yang mati biasa di luar rumah, menjadi najis selama tujuh hari. Begitu juga orang yang menyentuh kubur atau tulang orang mati. Untuk menyucikan orang yang najis itu, sedikit abu lembu betina merah yang dibakar untuk menghapuskan dosa, harus diambil. Abu itu mesti dimasukkan ke dalam sebuah periuk, lalu dituangi air yang diambil dari air yang mengalir. Bagi hal yang pertama, iaitu apabila ada orang yang mati di dalam khemah, seorang yang tidak najis harus mengambil setangkai hisop dan mencelupkannya ke dalam air itu, lalu memercikkannya pada khemah serta semua barang dan orang yang ada di dalam khemah. Bagi hal yang kedua, iaitu apabila seseorang menyentuh mayat, kubur atau tulang orang mati, seorang yang tidak najis harus memercikkan air itu pada orang yang najis dengan cara yang sama juga. Orang yang tidak najis harus memercikkan air itu pada orang yang najis, pada hari yang ketiga dan hari yang ketujuh. Pada hari yang ketujuh, selesailah upacara penyucian orang yang najis itu. Orang itu harus membasuh pakaiannya dan mandi. Mulai saat matahari terbenam orang itu menjadi suci. Sesiapa yang menjadi najis tetapi tidak melakukan upacara penyucian diri, akan tetap najis kerana air untuk upacara penyucian belum disiram ke atasnya. Orang itu menajiskan Khemah TUHAN dan tidak lagi dianggap anggota umat Allah. Kamu harus mematuhi peraturan ini selama-lamanya. Orang yang memercikkan air untuk upacara penyucian itu mesti membasuh pakaiannya. Sesiapa yang menyentuh air untuk upacara penyucian itu menjadi najis sehingga matahari terbenam. Apa sahaja yang disentuh oleh seorang yang najis akan menjadi najis, dan orang lain yang menyentuhnya juga menjadi najis sehingga matahari terbenam. Pada bulan yang pertama, segenap umat Israel tiba di padang gurun Zin, lalu mereka berkhemah di Kades. Di situlah Miryam meninggal dan dikebumikan. Pada suatu masa di tempat umat Israel berkhemah, tidak terdapat air. Oleh itu mereka berkumpul di sekeliling Musa dan Harun, sambil bersungut-sungut, “Lebih baik kami mati bersama dengan saudara-saudara kami di hadapan Khemah TUHAN. Mengapa kamu membawa kami ke padang gurun ini? Adakah kamu mahu kami mati di sini bersama dengan ternakan kami? Mengapa kamu membawa kami keluar dari Mesir, lalu pergi ke tempat celaka yang tidak dapat ditanami apa-apa? Di sini tidak ada gandum, buah ara, buah anggur, ataupun buah delima. Bahkan air minum pun tidak ada!” Musa dan Harun menjauhi umat itu, lalu berdiri di pintu Khemah TUHAN. Mereka bersujud, lalu cahaya hadirat TUHAN menyinari mereka. TUHAN berfirman kepada Musa, “Ambillah tongkat di depan Tabut Perjanjian itu, lalu engkau bersama-sama Harun harus mengumpulkan semua orang Israel. Di depan mereka semua, berkatalah kepada bukit batu di situ, lalu batu itu akan memancarkan air. Dengan cara itu engkau akan mengeluarkan air dari batu itu untuk orang Israel, supaya mereka dan ternakan mereka dapat minum.” Musa mengambil tongkat itu sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. Musa dan Harun mengumpulkan semua orang Israel di depan bukit batu itu. Kemudian Musa berkata, “Dengarlah, hai pemberontak! Haruskah kami mengeluarkan air dari bukit batu ini untuk kamu?” Kemudian Musa mengangkat tongkat itu dan memukulkannya dua kali pada bukit batu itu. Air memancar keluar sehingga segenap umat itu dan ternakan mereka dapat minum. Tetapi TUHAN menegur Musa dan Harun, lalu berfirman, “Kerana kamu kurang percaya kepada-Ku untuk menyatakan kuasa-Ku yang suci di hadapan umat Israel, kamu tidak akan memimpin umat itu ke tanah yang Aku janjikan kepada mereka.” Peristiwa itu terjadi di Meriba. Di tempat itu umat Israel bersungut-sungut terhadap TUHAN, dan di situ juga TUHAN menunjukkan kuasa-Nya yang suci kepada umat itu. Kemudian Musa mengutus utusan-utusan dari Kades untuk menghadap raja Edom. Para utusan itu berkata, “Hamba semua daripada suku-suku Israel yang masih ada hubungan kekeluargaan dengan tuanku. Tuanku tahu akan kesusahan yang menimpa hamba sekalian. Nenek moyang hamba pergi ke negeri Mesir dan menetap di sana bertahun-tahun lamanya. Nenek moyang hamba dan hamba sekalian dianiaya oleh bangsa Mesir, lalu hamba semua berseru meminta tolong kepada TUHAN. TUHAN mendengar seruan hamba sekalian lalu mengutus satu malaikat untuk memimpin hamba semua keluar dari Mesir. Sekarang hamba sekalian berada di Kades, sebuah kota di sempadan tanah tuanku. Benarkanlah hamba semua melalui tanah tuanku. Hamba sekalian dan ternakan hamba semua tidak akan menyimpang ke ladang atau ke kebun anggur tuanku. Hamba sekalian tidak akan minum air dari perigi tuanku. Hamba semua akan terus mengikut jalan raya sehingga hamba sekalian keluar dari tanah tuanku.” Tetapi orang Edom menjawab, “Kami tidak membenarkan kamu melalui tanah kami! Jika kamu nekad juga, kami akan menyerang kamu.” Orang Israel berkata, “Kami akan melalui jalan raya sahaja. Jika kami atau ternakan kami minum air kamu, kami akan membayarnya. Kami mahu lalu sahaja.” Orang Edom berkata lagi, “Tidak boleh!” Kemudian mereka keluar dengan tentera yang kuat untuk menyerang orang Israel. Oleh sebab orang Edom tidak membenarkan orang Israel melalui tanah mereka, orang Israel terpaksa mengambil jalan lain. Semua orang Israel meninggalkan Kades lalu tiba di Gunung Hor, di sempadan tanah Edom. Di sana TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Harun tidak akan pergi ke tanah yang Aku janjikan kepada orang Israel. Dia akan meninggal kerana kamu berdua telah membantah perintah-Ku di Meriba. Bawalah Harun dan Eleazar, anaknya, ke Gunung Hor. Tanggalkanlah jubah imam yang dipakai Harun lalu kenakan jubah itu pada Eleazar. Harun akan meninggal di tempat itu.” Musa pun mematuhi perintah TUHAN. Musa, Harun, dan Eleazar naik ke Gunung Hor sambil disaksikan oleh semua orang Israel. Kemudian Musa menanggalkan jubah Harun dan mengenakannya pada Eleazar. Di atas gunung itu Harun meninggal, lalu Musa dan Eleazar turun. Semua orang Israel mendengar bahawa Harun sudah meninggal, lalu mereka berkabung baginya selama tiga puluh hari. Arad ialah sebuah kota di bahagian selatan tanah Kanaan. Ketika raja kota itu mendengar bahawa umat Israel datang melalui jalan Atarim, raja itu pergi menyerang mereka dan menawan beberapa orang. Kemudian umat Israel bernazar kepada TUHAN. Mereka berkata, “Ya TUHAN, jika Engkau membenarkan kami mengalahkan penduduk negeri ini, kami akan memusnahkan kota-kota mereka serta penduduk kota, sebagai tanda bahawa semuanya milik-Mu.” TUHAN mengabulkan permintaan umat Israel, dan menolong mereka mengalahkan orang Kanaan. Umat Israel membinasakan semua orang Kanaan dan kota-kota mereka. Umat Israel menamakan tempat itu Horma. Kemudian umat Israel meninggalkan Gunung Hor dan mengikut jalan yang menuju ke Teluk Akaba untuk mengelilingi tanah Edom. Tetapi di tengah jalan mereka hilang sabar, lalu bersungut-sungut terhadap Allah dan Musa. Mereka berkata, “Mengapakah kamu membawa kami keluar dari Mesir untuk mati di padang gurun ini? Di sini tidak ada makanan ataupun air. Kami muak dengan makanan yang tawar ini!” Kemudian TUHAN mendatangkan ular-ular berbisa di tengah-tengah mereka dan banyak orang Israel mati dipatuk ular. Umat Israel datang kepada Musa dan berkata, “Kami berdosa ketika kami bersungut-sungut terhadap TUHAN dan terhadap kamu. Berdoalah kepada TUHAN supaya ular-ular ini dijauhkan daripada kami.” Maka Musa berdoa kepada TUHAN untuk umat itu. Setelah itu TUHAN menyuruh Musa membuat seekor ular daripada logam dan memasangnya pada sebatang tiang, supaya sesiapa yang dipatuk ular boleh memandang ular daripada logam itu, lalu sembuh. Kemudian Musa membuat seekor ular daripada gangsa lalu memasangnya pada sebatang tiang. Setiap orang yang dipatuk ular akan sembuh jika memandang ular daripada gangsa itu. Umat Israel meneruskan perjalanan lalu berkhemah di Obot. Dari Obot mereka berangkat lagi, lalu berkhemah di reruntuhan Abarim di padang gurun, di bahagian timur tanah Moab. Kemudian mereka berkhemah di Lembah Zered. Setelah itu mereka berangkat lagi dan berkhemah di utara Sungai Arnon, di padang gurun yang terbentang sampai ke negeri orang Amori. Sungai Arnon ialah sempadan Moab dan tanah orang Amori. Itulah sebabnya di dalam Kitab Peperangan TUHAN ada tertulis, “... Waheb di daerah Sufa dan lembah-lembahnya; Sungai Arnon dan lereng lembah-lembah yang terbentang sampai ke kota Ar dan ke arah sempadan tanah Moab.” Dari sana mereka pergi ke tempat yang bernama Beer, yang bermakna perigi-perigi. Di situ TUHAN berfirman kepada Musa, “Kumpulkanlah umat itu; Aku akan memberi mereka air.” Pada masa itu umat Israel menyanyikan lagu ini: “Hai perigi-perigi, pancarkanlah airmu, kami akan menyambutnya dengan lagu. Perigi yang digali oleh para penguasa dan oleh para pemimpin bangsa; digali dengan tongkat diraja, dan dengan tongkat tanda kuasa mereka.” Dari kawasan gurun mereka pergi ke Matana, dan dari sana mereka pergi ke Nahaliel, dan dari Nahaliel ke Bamot, dan dari Bamot ke lembah di tanah Moab, di bawah puncak Gunung Pisga yang menghala ke kawasan gurun. Kemudian umat Israel mengutus utusan-utusan kepada Raja Sihon, penguasa orang Amori. Para utusan itu berkata, “Benarkanlah hamba semua melalui negeri tuanku. Hamba sekalian dan ternakan hamba semua tidak akan menyimpang ke ladang atau ke kebun anggur tuanku. Hamba sekalian tidak akan minum air dari perigi tuanku. Hamba semua akan mengikut jalan raya sehingga hamba sekalian keluar dari tanah tuanku.” Tetapi Raja Sihon tidak membenarkan umat Israel melintasi tanah baginda. Raja Sihon mengumpulkan tenteranya lalu pergi ke Yahas untuk menyerang umat Israel di kawasan gurun itu. Tetapi dalam pertempuran itu umat Israel membunuh banyak askar Amori. Oleh itu umat Israel menduduki negeri mereka, dari Sungai Arnon sampai ke Sungai Yabok di utara, iaitu sempadan kawasan orang Amon, kerana pertahanan di sempadan Amon sangat kuat. Demikianlah umat Israel merebut semua kota orang Amori, termasuk Hesybon dan semua pekan di sekelilingnya, lalu mereka menetap di situ. Hesybon ialah ibu kota Raja Sihon, penguasa negeri Amori. Dia pernah mengalahkan raja Moab dan menduduki seluruh tanahnya sampai ke Sungai Arnon. Itulah sebabnya para pujangga bersyair begini, “Datanglah ke Hesybon, ke kota Raja Sihon. Kami ingin melihat kota ini dibangun dan dipulihkan. Sekali peristiwa di kota ini, tentera Raja Sihon mara bagaikan api yang menghancurkan kota Ar di Moab, dan menelan bukit-bukit di sepanjang Arnon. Hai orang Moab, alangkah malangnya kamu! Hai pemuja Kamos, binasalah kamu! Tuhan kamu membiarkan kaum lelaki menjadi pelarian, dan kaum wanita menjadi tawanan raja Amori. Tetapi kini keturunan mereka binasa, di sepanjang jalan dari Hesybon ke Dibon, dari Nasyim ke Nofah dekat Medeba.” Dengan demikian umat Israel menetap di tanah orang Amori. Musa mengutus orang mencari jalan yang terbaik untuk menyerang kota Yaezer. Umat Israel merebut kota itu serta pekan-pekan di sekelilingnya, dan mengusir orang Amori yang tinggal di situ. Kemudian umat Israel membelok lalu mengikut jalan ke Basan. Tetapi Raja Og dari Basan, berangkat dengan tenteranya dan menyerang mereka di Edrei. TUHAN berfirman kepada Musa, “Jangan takut kepadanya. Aku akan memberikan kemenangan kepadamu. Engkau akan mengalahkan raja itu, segenap rakyatnya, dan merebut tanah serta negerinya. Perlakukanlah raja itu sebagaimana engkau memperlakukan Raja Sihon, raja Amori yang memerintah di Hesybon.” Oleh itu umat Israel membunuh Raja Og, putera-puteranya, dan semua rakyatnya. Mereka tidak membiarkan seorang pun hidup. Kemudian mereka menduduki tanah itu. Umat Israel meneruskan perjalanan lalu berkhemah di dataran Moab, di sebelah timur Sungai Yordan, di seberang kota Yerikho. [2-3] Apabila raja Moab yang bernama Raja Balak anak Zipor, mendengar hal yang dilakukan umat Israel terhadap orang Amori, dan betapa besarnya bilangan umat Israel itu, raja dan rakyatnya menjadi takut. *** Orang Moab berkata kepada para pemimpin orang Midian, “Gerombolan yang besar ini akan segera melahap semua yang di sekeliling kita, seperti lembu melahap rumput di padang.” Oleh itu Raja Balak mengirim utusan untuk memanggil Bileam anak Beor, yang ketika itu tinggal di Petor dekat Sungai Efrat, di tanah Amau. Mereka disuruh menyampaikan pesan Balak ini kepada Bileam, “Satu bangsa sudah datang dari Mesir, dan sekarang umat itu berada di merata-rata tempat serta mengancam untuk merebut tanah kami. Mereka lebih kuat daripada kami. Oleh sebab itu datanglah untuk mengutuk mereka bagi beta, supaya mudah-mudahan kami dapat mengalahkan mereka dan mengusir mereka dari tanah kami. Beta tahu bahawa orang yang kamu berkati akan mendapat berkat, dan orang yang kamu kutuk akan mendapat kutuk.” Maka para pemimpin orang Moab dan orang Midian membawa upah untuk Bileam supaya dia mengutuk umat Israel. Setelah mereka datang kepada Bileam, mereka menyampaikan pesan Raja Balak kepadanya. Tetapi Bileam menjawab, “Bermalamlah di sini. Esok saya akan memberitahu kamu pesan TUHAN kepada saya.” Kemudian para pemimpin Moab itu menginap di tempat Bileam. Allah datang kepada Bileam dan bertanya, “Siapakah semua orang ini yang tinggal dengan engkau?” Bileam menjawab, “Mereka utusan Raja Balak dari tanah Moab untuk memberitahu aku bahawa satu bangsa sudah datang dari Mesir, dan sekarang bangsa itu berada di merata-rata tempat. Raja Balak meminta aku mengutuk umat itu baginya, supaya Raja Balak dapat melawan dan mengusir mereka dari tanahnya.” Allah berfirman kepada Bileam, “Jangan pergi bersama-sama mereka dan jangan kutuk umat Israel, kerana Aku sudah memberkati mereka.” Keesokan paginya, Bileam bertemu dengan para utusan Raja Balak dan berkata, “Pulanglah, TUHAN tidak membenarkan saya pergi bersama-sama kamu.” Oleh itu mereka kembali kepada Raja Balak dan memberitahunya bahawa Bileam tidak mahu datang bersama-sama mereka. Kemudian Raja Balak mengutus lebih banyak lagi pemimpin yang berpangkat lebih tinggi daripada yang diutus mula-mula. Mereka pergi kepada Bileam dan menyampaikan pesan Raja Balak ini kepadanya, “Beta mohon, datanglah dan jangan tolak jemputan beta. Beta akan memberikan upah yang banyak sekali dan mengabulkan apa sahaja yang kamu minta. Datanglah dan kutuklah umat itu bagi beta.” Tetapi Bileam menjawab, “Walaupun Raja Balak memberi saya segala perak dan emas di istananya, saya tidak dapat membantah perintah TUHAN, Allah yang saya sembah, bahkan dalam hal yang terkecil sekalipun. Tetapi baiklah kamu bermalam di sini, seperti yang dilakukan oleh para utusan dahulu. Saya ingin tahu sama ada TUHAN masih ada pesan yang hendak difirmankan-Nya kepada saya.” Pada malam itu Allah berfirman kepada Bileam, “Semua orang itu sudah datang untuk meminta engkau pergi dengan mereka. Oleh itu bersiap-siaplah untuk pergi, tetapi hanya lakukan apa yang Aku firmankan kepadamu.” Keesokan paginya Bileam memasang pelana pada keldainya, lalu pergi bersama-sama para pemimpin Moab itu. Allah murka kerana Bileam berangkat. Sementara Bileam menunggang keldainya, diiringi oleh dua orang hambanya, malaikat TUHAN berdiri di tengah jalan untuk menghalangi dia. Apabila keldai itu nampak malaikat TUHAN berdiri di situ sambil memegang sebilah pedang, keldai itu menyimpang ke ladang. Bileam memukul keldainya dan menuntunnya kembali ke jalan. Kemudian malaikat TUHAN berdiri di bahagian jalan yang sempit, di antara dua kebun anggur dengan tembok batu di sebelah-menyebelah. Apabila keldai itu nampak malaikat di situ, keldai itu minggir sehingga kaki Bileam terjepit ke tembok. Sekali lagi Bileam memukul keldainya. Malaikat TUHAN maju lagi dan berdiri di tempat yang lebih sempit, sehingga tidak ada jalan untuk menyimpang ke kanan atau ke kiri. Kali ini, ketika keldai itu nampak malaikat TUHAN, keldai itu merebahkan badan. Bileam naik marah lalu memukul keldai itu dengan tongkatnya. Kemudian TUHAN membolehkan keldai itu bercakap, lalu keldai itu berkata kepada Bileam, “Apakah kesalahan saya? Mengapakah tuan memukul saya sampai tiga kali?” Bileam menjawab, “Oleh sebab engkau mempermainkan aku! Jika aku mempunyai sebilah pedang, sudah pasti aku membunuh engkau.” Keldai itu menjawab, “Bukankah tuan menunggangi saya seumur hidup tuan? Pernahkah saya memperlakukan tuan begini?” “Tidak,” jawab Bileam. Kemudian TUHAN membolehkan Bileam melihat malaikat TUHAN yang berdiri di situ dengan pedang terhunus, lalu Bileam sujud menyembah. Malaikat itu berkata, “Mengapakah engkau memukul keldaimu sampai tiga kali? Akulah yang menghalangi perjalananmu, kerana engkau tidak seharusnya pergi. Tetapi keldaimu nampak aku dan keldai itu minggir tiga kali. Jika tidak, aku pasti membunuh engkau dan membiarkan keldaimu hidup.” Bileam menjawab, “ Saya sudah berdosa. Saya tidak tahu bahawa tuan berdiri di hadapan untuk menghalangi saya. Jika pada pendapat tuan, saya tidak seharusnya pergi, baiklah saya pulang.” Tetapi malaikat TUHAN berkata, “Pergilah bersama-sama semua orang ini, tetapi hanya katakan apa yang aku suruh engkau katakan.” Oleh itu Bileam meneruskan perjalanannya bersama-sama semua orang itu. Apabila Raja Balak mendengar bahawa Bileam datang, baginda pergi berjumpa dengan dia di Ar, kota di pinggir Sungai Arnon di sempadan tanah Moab. Raja Balak bertitah kepada Bileam, “Ketika beta memanggil kamu pada kali yang pertama, mengapakah kamu tidak datang? Adakah kamu menyangka bahawa beta tidak sanggup membayar upahmu?” Bileam menjawab, “Sekarang hamba sudah datang, tetapi hamba tidak berhak mengatakan apa pun kecuali yang diperintahkan oleh Allah.” Kemudian Bileam pergi bersama-sama Raja Balak ke kota Huzot. Di situ Raja Balak menyembelih beberapa ekor lembu dan domba sebagai korban. Raja Balak memberikan sebahagian daripada daging itu kepada Bileam dan para pemimpin yang bersama dengan baginda. Keesokan paginya Raja Balak membawa Bileam pergi ke Bamot-Baal. Di situ Bileam dapat melihat sebahagian daripada umat Israel. Bileam berkata kepada Raja Balak, “Binalah tujuh buah mazbah untuk hamba di sini, lalu sediakanlah tujuh ekor lembu jantan dan tujuh ekor domba jantan.” Raja Balak mengabulkan permintaan Bileam. Lalu Raja Balak dan Bileam mempersembahkan seekor lembu jantan dan seekor domba jantan di atas tiap-tiap mazbah. Kemudian Bileam berkata kepada Raja Balak, “Berdirilah di samping korban yang tuanku persembahkan. Sementara itu hamba akan pergi melihat sama ada TUHAN datang bertemu dengan hamba atau tidak. Hamba akan memberitahu tuanku segala sesuatu yang difirmankan TUHAN kepada hamba.” Bileam pergi seorang diri ke puncak sebuah bukit, dan Allah menemui Bileam di situ. Bileam berkata kepada Allah, “Aku sudah membina tujuh buah mazbah dan mempersembahkan seekor lembu jantan dan seekor domba jantan di atas tiap-tiap mazbah.” Kemudian TUHAN memberitahu Bileam apa yang harus dikatakannya, lalu menyuruh dia kembali kepada Raja Balak untuk menyampaikan pesan TUHAN kepada baginda. Apabila Bileam kembali, dia mendapati Raja Balak masih berdiri bersama dengan semua pemimpin Moab, di samping korban-korban yang dipersembahkannya. Kemudian Bileam mengucapkan nubuat ini, “Raja Balak, penguasa Moab sudah membawa hamba dari Siria, dari pergunungan di sebelah timur. ‘Marilah,’ titahnya, ‘berucaplah bagi beta, kutuklah umat Israel.’ Bolehkah hamba mengutuk apa yang tidak dikutuk oleh Allah, atau menghukum apa yang tidak dihukum oleh TUHAN? Dari puncak gunung aku nampak mereka, dari atas bukit aku memperhatikan mereka. Mereka suatu bangsa yang hidup tersendiri, mereka tahu, mereka diberkati lebih daripada bangsa lain. Keturunan Israel bagaikan debu tidak terbilang; mereka terlalu banyak untuk dihitung. Semoga akhir hayat hamba seperti akhir hayat salah seorang umat Allah; semoga hamba meninggal dengan tenang seperti orang jujur.” Kemudian Raja Balak berkata kepada Bileam, “Apakah yang sudah kamu lakukan kepada beta? Beta membawa kamu ke sini untuk mengutuk musuh beta, tetapi kamu memberkati mereka.” Bileam menjawab, “Hamba hanya dapat mengucapkan apa yang disuruh oleh TUHAN.” Kemudian Raja Balak bertitah kepada Bileam, “Marilah kita pergi ke tempat lain. Di sana kamu akan nampak hanya sebahagian daripada umat Israel. Dari sana, kutuklah mereka bagi beta.” Raja Balak membawa Bileam ke padang Zofim, di puncak Gunung Pisga. Di sana Raja Balak juga membina tujuh buah mazbah dan mempersembahkan seekor lembu jantan dan seekor domba jantan di atas tiap-tiap mazbah. Bileam berkata kepada Raja Balak, “Berdirilah di samping korban yang tuanku persembahkan, sementara hamba pergi menemui TUHAN di situ.” TUHAN menemui Bileam dan memberitahu dia apa yang harus dikatakannya, lalu menyuruh dia kembali kepada Raja Balak untuk menyampaikan firman itu kepada baginda. Apabila Bileam kembali, dia mendapati Raja Balak masih berdiri bersama dengan para pemimpin Moab, di samping korban-korban yang dipersembahkannya. Raja Balak bertanyakan firman TUHAN, lalu Bileam mengucapkan nubuat ini, “Hai Raja Balak anak Zipor, dengarlah kata hamba. Allah bukan manusia, Dia tidak berdusta; Allah bukan insan, Dia tidak mengubah fikiran. Apa yang dijanjikan-Nya akan dipenuhi-Nya; apa yang difirmankan-Nya pasti dilakukan-Nya. Aku disuruh memberkati; apabila Allah memberkati, aku tidak dapat membatalkannya. Tidak ada kesukaran pada masa depan Israel, tidak ada kesusahan pada masa depan mereka. TUHAN, Allah mereka menyertai mereka; Israel mengakui Dia sebagai raja. Allah sudah memimpin mereka keluar dari Mesir, Allah berperang bagi mereka seperti lembu liar. Tiada mantera ataupun ilmu sihir yang dapat menentang Israel. Orang akan berkata tentang Israel, ‘Lihatlah perbuatan Allah bagi mereka!’ Bangsa Israel bagaikan singa yang perkasa, yang tidak akan diam sehingga mangsa diterkamnya, dan darah mangsa itu diminumnya.” Kemudian Raja Balak bertitah kepada Bileam, “Sudahlah, jika kamu tidak mahu mengutuk umat Israel, setidak-tidaknya jangan berkati mereka!” Bileam menjawab, “Bukankah hamba sudah memberitahu tuanku bahawa hamba mesti melakukan apa yang diperintahkan TUHAN?” Raja Balak bertitah, “Marilah kita pergi ke tempat lain. Mungkin di sana, Allah akan membenarkan kamu mengutuk umat Israel bagi beta.” Oleh itu Raja Balak membawa Bileam ke puncak Gunung Peor yang menghadap padang gurun. Bileam berkata kepada Raja Balak, “Binalah tujuh buah mazbah bagi hamba di sini, lalu bawalah tujuh ekor lembu jantan dan tujuh ekor domba jantan.” Raja Balak mengabulkan permintaan Bileam, lalu mempersembahkan seekor lembu jantan dan seekor domba jantan di atas tiap-tiap mazbah. Pada masa itu Bileam sudah tahu bahawa TUHAN mahu dia memberkati umat Israel. Oleh sebab itu dia tidak lagi mencari petanda-petanda seperti yang dilakukannya sebelum itu. Dia melihat ke arah padang gurun, lalu nampak umat Israel berkhemah dalam kelompok menurut suku masing-masing. Roh Allah menguasai Bileam, lalu dia mengucapkan nubuat ini, “Inilah perkhabaran Bileam anak Beor, ucapan seorang yang melihat dengan jelas, seorang yang mendengar firman Allah. Hamba nampak penglihatan daripada Allah Yang Maha Kuasa, sambil rebah, namun dengan mata terbuka. Khemah-khemah Israel sungguh indah, seperti barisan panjang pokok kurma, atau seperti taman di pinggir sungai; seperti pokok gaharu yang ditanam oleh TUHAN, atau seperti pokok sedar di tepi air. Mereka akan mendapat air hujan berlimpah-limpah, dan menanam benih di ladang yang cukup air. Raja mereka lebih agung daripada Raja Agag, dan kerajaan baginda akan diluaskan. Allah membawa mereka keluar dari Mesir; Dia berperang bagi mereka seperti lembu liar. Mereka membinasakan musuh, menghancurkan tulang mereka, dan mematahkan panah mereka. Bangsa Israel bagaikan singa perkasa yang sedang berehat, apabila tidur, tidak seorang pun berani membangunkannya. Sesiapa yang memberkati Israel akan diberkati, dan sesiapa yang mengutuk Israel akan dikutuk.” Dengan sangat murka, Raja Balak menggenggam penumbuk lalu bertitah kepada Bileam, “Beta menyuruh kamu mengutuk musuh beta, tetapi kamu memberkati mereka pula sampai tiga kali. Sekarang pulanglah! Walaupun beta berjanji mengupah kamu, tetapi TUHAN tidak membenarkan kamu menerima upah.” Bileam menjawab, “Hamba sudah memberitahu para utusan tuanku bahawa walaupun tuanku memberi hamba segala perak dan emas di istana tuanku, hamba tidak dapat melawan perintah TUHAN dengan melakukan kehendak hamba sendiri. Hamba hanya mengucapkan apa yang disuruh oleh TUHAN.” Bileam berkata kepada Raja Balak, “Sekarang hamba hendak pulang kepada bangsa hamba. Tetapi sebelum hamba pergi, biarlah hamba memberitahu tuanku apa yang akan dilakukan umat Israel terhadap bangsa tuanku pada kemudian hari.” Kemudian Bileam mengucapkan nubuat ini, “Inilah perkhabaran Bileam anak Beor, ucapan seorang yang melihat dengan jelas, seorang yang mendengar firman Allah, dan menerima pengetahuan daripada Yang Maha Tinggi; seorang yang nampak penglihatan daripada Allah Yang Maha Kuasa sambil rebah, namun dengan mata terbuka. Aku melihat masa hadapan, aku nampak bangsa Israel. Daripada bangsa itu, seorang raja datang, raja itu seperti bintang cemerlang, yang muncul daripada Israel. Dia akan membinasakan para pemimpin Moab, dan menghancurkan semua orang Set. Dia akan menaklukkan musuhnya di Edom, lalu menjadikan tanah mereka miliknya, dan Israel akan terus menjadi pemenang. Bangsa Israel akan menginjak-injak mereka, dan membinasakan semua musuh yang masih hidup.” Kemudian Bileam nampak orang Amalek dalam penglihatannya, lalu dia mengucapkan nubuat ini, “Amalek ialah bangsa yang terkuat antara semua bangsa, tetapi akhirnya bangsa itu akan binasa selama-lamanya.” Dalam penglihatan itu Bileam nampak juga orang Keni, lalu dia mengucapkan nubuat ini, “Tempat kediamanmu sungguh kukuh, selamat seperti sarang burung di atas bukit batu, tetapi orang Keni akan binasa, apabila kamu ditawan oleh Asyur.” Kemudian Bileam mengucapkan nubuat ini, “Siapakah orang yang berkumpul di utara itu? Penyerbu-penyerbu akan datang dari Siprus lalu menawan Asyur dan Heber. Tetapi akhirnya mereka pun akan binasa selama-lamanya.” Kemudian Bileam bersiap-siap untuk pulang ke tempat tinggalnya, dan Raja Balak pun berangkat. Semasa umat Israel berkhemah di Lembah Sitim, kaum lelaki mereka mula bersetubuh dengan perempuan Moab yang tinggal di sana. Perempuan-perempuan itu mengajak mereka ke pesta-pesta korban untuk menghormati tuhan mereka. Orang Israel juga makan daging daripada korban itu dan menyembah tuhan orang Moab. Oleh sebab mereka menyembah Baal di Peor, TUHAN murka terhadap mereka dan berfirman kepada Musa, “Tangkaplah semua pemimpin umat dan bunuhlah mereka pada siang hari, menurut perintah-Ku, supaya Aku tidak lagi murka kepada umat ini.” Musa berkata kepada para hakim umat itu, “Kamu masing-masing mesti membunuh tiap-tiap orang daripada suku kamu yang sudah menyembah Baal di Peor.” Ketika Musa dan segenap umat sedang meratap di pintu Khemah TUHAN, mereka melihat seorang Israel membawa seorang perempuan Midian masuk ke dalam khemahnya. Apabila Pinehas anak Eleazar, iaitu cucu Imam Harun, nampak hal itu, dia bangun dan meninggalkan perhimpunan. Dia mengambil sebatang tombak, lalu menyusul lelaki dan perempuan itu ke dalam khemah; dia menikam kedua-duanya dengan tombak. Dengan demikian wabak yang sedang membinasakan orang Israel berhenti. Namun orang yang mati sudah berjumlah 24,000 orang. TUHAN berfirman kepada Musa, “Pinehas anak Eleazar, cucu Imam Harun, sudah meredakan kemurkaan-Ku terhadap Israel. Dia tidak membiarkan Israel menyembah tuhan lain kecuali Aku, sehingga kemurkaan-Ku reda dan Aku tidak membinasakan umat itu. Maka beritahulah Pinehas bahawa Aku mengadakan perjanjian dengan dia yang akan berlaku selama-lamanya. Oleh sebab dia tidak membiarkan Israel menyembah tuhan lain, dan dia juga sudah mendatangkan pengampunan dosa bagi umat itu, dia dan keturunannya akan menjadi imam selama-lamanya.” Nama orang Israel yang dibunuh bersama-sama perempuan Midian itu ialah Zimri anak Salu; dia ketua satu keluarga dalam suku Simeon. Nama perempuan itu ialah Kozbi. Zur, bapa perempuan itu, ialah penghulu sekumpulan puak orang Midian. TUHAN memberikan perintah ini kepada Musa, “Serbulah orang Midian dan kalahkanlah mereka, kerana kejahatan yang dilakukan mereka terhadap kamu ketika mereka menipu kamu di Peor, dan juga kerana Kozbi yang dibunuh di Peor pada masa wabak berlaku.” Selepas wabak itu berhenti, TUHAN berfirman kepada Musa dan Eleazar anak Harun, “Kamu harus membanci semua orang Israel menurut keluarga masing-masing. Semua orang lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas dan yang layak menjadi askar harus dibanci.” [3-4] Musa dan Eleazar mematuhi perintah TUHAN. Mereka mengumpulkan semua orang lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas. Mereka berkumpul di dataran Moab di seberang Sungai Yordan, bertentangan dengan kota Yerikho. Inilah orang Israel yang keluar dari Mesir: *** Suku Ruben, anak sulung Yakub: puak Henokh, Palu, Hezron, dan Karmi. Kaum lelaki dalam puak-puak itu berjumlah 43,730 orang. Anak Palu ialah Eliab, dan anak-anak Eliab ialah Nemuel, Datan, dan Abiram. Datan dan Abiram telah dipilih oleh puak itu sebagai pemimpin masyarakat, tetapi mereka menentang Musa dan Harun. Datan dan Abiram berpihak kepada pengikut-pengikut Korah ketika mereka memberontak terhadap TUHAN. Pada masa itu tanah terbelah dan menelan mereka. Mereka mati bersama-sama Korah dan pengikut-pengikutnya, ketika api membinasakan 250 orang lelaki, dan peristiwa itu menjadi amaran kepada umat Israel. Namun anak-anak lelaki Korah tidak terbunuh. Suku Simeon: puak Nemuel, Yamin, Yakhin, Zerah, dan Saul. Orang lelaki dalam puak-puak ini berjumlah 22,200 orang. Suku Gad: puak Zefon, Hagi, Syuni, Ozni, Eri, Arod, dan Areli. Orang lelaki dalam puak-puak ini berjumlah 40,500 orang. [19-20] Suku Yehuda: puak Syela, Peres, Zerah, *** Hezron, dan Hamul. Dua orang anak lelaki Yehuda, iaitu Er dan Onan, sudah meninggal di Kanaan. Orang lelaki dalam puak-puak ini berjumlah 76,500 orang. Suku Isakhar: puak Tola, Pua, Yasub, dan Simron. Orang lelaki dalam puak-puak ini berjumlah 64,300 orang. Suku Zebulon: puak Sered, Elon, dan Yahleel. Orang lelaki dalam puak-puak ini berjumlah 60,500 orang. Keturunan Yusuf; dia mempunyai dua orang anak lelaki, Manasye dan Efraim. Suku Manasye: Makhir anak Manasye, ialah bapa Gilead, dan puak-puak berikut ialah keturunan Gilead: puak Iezer, Helek, Asriel, Sekhem, Semida, dan Hefer. Zelafehad anak Hefer tidak mempunyai anak lelaki. Anak-anak perempuannya ialah Mahla, Noa, Hogla, Milka, dan Tirza. Kaum lelaki dalam puak-puak ini berjumlah 52,700 orang. Suku Efraim: puak Sutelah, Bekher, dan Tahan. Sutelah ialah nenek moyang puak Eran. Orang lelaki dalam puak-puak ini berjumlah 32,500 orang. Itulah puak-puak keturunan Yusuf. Suku Benyamin: puak Bela, Asybel, Ahiram, Sefufam, dan Hufam. Bela ialah nenek moyang puak Ared dan Naaman. Orang lelaki dalam puak ini berjumlah 45,600 orang. Suku Dan: puak Suham. Orang lelaki dalam puak-puak ini berjumlah 64,400 orang. Suku Asyer: puak Yimna, Yiswi, dan Beria. Beria ialah nenek moyang puak Heber dan Malkiel. Asyer mempunyai seorang anak perempuan bernama Serah. Orang lelaki dalam puak-puak itu berjumlah 53,400 orang. Suku Naftali: puak Yahzeel, Guni, Yezer, dan Syilem. Orang lelaki dalam puak-puak itu berjumlah 45,400 orang. Jumlah semua orang lelaki umat Israel yang dibanci adalah 601,730 orang. TUHAN berfirman kepada Musa, “Bahagikanlah tanah itu kepada suku-suku ini menurut bilangan mereka. [54-56] Bahagikanlah tanah itu dengan membuang undi. Berikanlah bahagian yang besar kepada suku yang besar, dan bahagian yang kecil kepada suku yang kecil.” *** *** Suku Lewi terdiri daripada puak Gerson, Kehat, dan Merari. Dalam keturunan mereka termasuk puak Libni, Hebron, Mahli, Musi, dan Korah. Kehat ialah bapa Amram. Amram berkahwin dengan Yokhebed, anak perempuan Lewi. Yokhebed lahir di Mesir. Amram dan Yokhebed mempunyai dua orang anak lelaki, Harun dan Musa, serta seorang anak perempuan bernama Miryam. Harun mempunyai empat orang anak lelaki: Nadab, Abihu, Eleazar, dan Itamar. Nadab dan Abihu meninggal ketika mereka mempersembahkan api yang tidak dikehendaki TUHAN. Orang lelaki daripada suku Lewi yang berumur satu bulan ke atas berjumlah 23,000 orang. Mereka didaftarkan berasingan dengan orang Israel lain kerana mereka tidak mendapat tanah pusaka di tanah Israel. Semua puak itu didaftarkan oleh Musa dan Eleazar ketika mereka membanci umat Israel di dataran Moab, di seberang Sungai Yordan, bertentangan dengan kota Yerikho. Antara mereka yang didaftarkan oleh Musa di Gurun Sinai, tidak seorang pun yang masih hidup. TUHAN berfirman bahawa mereka semua akan mati di padang gurun. Mereka semua telah meninggal, kecuali Kaleb anak Yefune dan Yosua anak Nun. Zelafehad mempunyai lima orang anak perempuan: Mahla, Noa, Hogla, Milka, dan Tirza. Bapa Zelafehad ialah Hefer, bapa Hefer ialah Gilead, bapa Gilead ialah Makhir, bapa Makhir ialah Manasye, bapa Manasye ialah Yusuf. Kelima-lima orang anak Zelafehad itu pergi menghadap Musa, Imam Eleazar, para pemimpin Israel, dan segenap umat yang berkumpul dekat pintu Khemah TUHAN. Mereka berkata, “Bapa kami meninggal di padang gurun tanpa mempunyai anak lelaki. Dia bukan pengikut Korah yang memberontak terhadap TUHAN. Bapa kami meninggal kerana dosanya sendiri. Tetapi mengapakah namanya lenyap daripada umat Israel hanya kerana dia tidak mempunyai anak lelaki? Berilah kami bahagian tanah bersama dengan sanak saudara bapa kami.” Musa menyampaikan perkara mereka itu kepada TUHAN, lalu TUHAN berfirman kepadanya, “Permintaan anak-anak perempuan Zelafehad itu memang wajar; berilah mereka tanah bersama dengan sanak saudara bapa mereka. Warisan Zelafehad harus diwariskan kepada semua anak perempuannya. Beritahulah umat Israel bahawa apabila seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak lelaki, tanah pusakanya harus diwariskan kepada anak perempuannya. Jika dia tidak mempunyai anak perempuan, tanah pusakanya harus diwariskan kepada saudara lelakinya. Jika dia tidak mempunyai saudara lelaki, tanah pusaka itu harus diwariskan kepada saudara lelaki bapanya. Jika dia tidak mempunyai saudara atau bapa saudara, tanah pusaka itu harus diwariskan kepada saudara mara yang terdekat kepadanya.” Umat Israel harus patuh kepada hukum itu, menurut perintah TUHAN melalui Musa. TUHAN berfirman kepada Musa, “Naiklah ke Pergunungan Abarim dan pandanglah tanah yang akan Aku berikan kepada umat Israel. Selepas memandang tanah itu, engkau akan meninggal sebagaimana Harun abangmu juga sudah meninggal, kerana kamu berdua telah melawan perintah-Ku di padang gurun Zin. Apabila segenap umat Israel bersungut-sungut terhadap-Ku di Meriba, kamu tidak menyatakan kuasa-Ku yang suci di hadapan mereka.” (Peristiwa itu terjadi di mata air Meriba di Kades, di padang gurun Zin.) Kemudian Musa berdoa, “Ya TUHAN Allah, yang memberikan kehidupan kepada semua yang hidup, aku mohon, lantiklah seorang yang dapat memimpin umat ini, seorang yang dapat mengetuai mereka ketika berperang. Jangan biarkan umat-Mu menjadi seperti kawanan domba yang tidak mempunyai gembala.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Panggillah Yosua anak Nun. Dia seorang yang berkebolehan. Letakkan tanganmu di atas kepalanya. Suruhlah dia berdiri di hadapan Imam Eleazar dan segenap umat. Di hadapan mereka semua engkau harus mengisytiharkan Yosua sebagai penggantimu. Berilah dia sebahagian daripada kekuasaanmu, supaya segenap umat Israel akan taat kepadanya. Yosua harus minta petunjuk daripada Imam Eleazar, dan Eleazar mesti menanyakan kehendak-Ku dengan menggunakan Urim dan Tumim. Dengan cara ini Eleazar akan memberikan petunjuk kepada Yosua dan segenap umat Israel dalam segala perkara yang dihadapi mereka.” Musa melaksanakan perintah TUHAN. Dia menyuruh Yosua berdiri di hadapan Imam Eleazar dan segenap umat. Kemudian Musa meletakkan tangannya di atas kepala Yosua dan mengisytiharkan Yosua sebagai penggantinya, menurut perintah TUHAN kepadanya. TUHAN menyuruh Musa menyampaikan perintah ini kepada umat Israel. Pada waktu-waktu yang ditetapkan, mereka mesti mempersembahkan persembahan makanan yang baunya menyenangkan hati TUHAN. Inilah persembahan makanan yang mesti dipersembahkan kepada TUHAN setiap hari: Bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, diperlukan dua ekor domba jantan berumur satu tahun dan yang tidak ada cacat. Persembahkanlah seekor anak domba pada pagi hari dan seekor lagi pada petang hari; tiap-tiap korban itu harus disertai satu kilogram tepung terbaik bercampur satu liter minyak zaitun yang terbaik. Itulah korban harian yang dibakar semuanya, yang mula-mula dipersembahkan di Gunung Sinai, sebagai persembahan makanan; baunya menyenangkan hati TUHAN. Bersama dengan anak domba itu harus dipersembahkan juga satu liter wain sebagai korban wain, yang dituang ke atas mazbah. Anak domba untuk korban pada petang hari, bersama dengan korban wain harus dipersembahkan dengan cara yang sama seperti korban pada pagi hari. Korban ini adalah persembahan makanan yang baunya menyenangkan hati TUHAN. Pada hari Sabat, persembahkanlah dua ekor domba jantan berumur satu tahun dan yang tidak ada cacat, serta dua kilogram tepung terbaik bercampur minyak zaitun sebagai korban untuk mengucap syukur dan juga korban wain. Korban untuk menyenangkan hati TUHAN harus dipersembahkan pada tiap-tiap hari Sabat sebagai tambahan kepada korban harian bersama dengan korban wain. Persembahkanlah korban untuk menyenangkan hati TUHAN pada hari pertama tiap-tiap bulan, yang terdiri daripada dua ekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, tujuh ekor anak domba jantan yang berumur satu tahun dan semuanya tidak ada cacat. Sebagai korban untuk mengucap syukur, persembahkanlah tepung terbaik bercampur minyak zaitun: tiga kilogram tepung terbaik bagi setiap ekor lembu jantan; dua kilogram tepung terbaik bagi domba jantan, dan satu kilogram tepung terbaik bagi setiap ekor anak domba. Korban-korban untuk menyenangkan hati TUHAN itu adalah persembahan makanan, yang baunya menyenangkan hati TUHAN. Bersama dengan korban itu harus dipersembahkan juga korban wain, sebanyak dua liter bagi setiap ekor lembu jantan, satu liter setengah bagi seekor domba jantan, dan satu liter bagi setiap ekor anak domba. Itulah peraturan tentang korban untuk menyenangkan hati TUHAN, yang harus dipersembahkan pada hari pertama setiap bulan sepanjang tahun. Di samping korban harian bersama dengan korban wain, persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Perayaan Paska bagi menghormati TUHAN harus diadakan pada hari keempat belas bulan pertama. Pada lima belas hari bulan itu, perayaan agama dimulakan dan berlangsung selama tujuh hari. Pada masa itu hanya roti yang tidak beragi boleh dimakan. Pada hari pertama perayaan itu, kamu harus berkumpul dan beribadat; jangan lakukan pekerjaan berat. Persembahkanlah korban untuk menyenangkan hati TUHAN, sebagai persembahan makanan kepada-Nya: dua ekor lembu jantan muda, seekor domba jantan dan tujuh ekor anak domba jantan yang berumur satu tahun. Semuanya tidak boleh ada cacat. Persembahkanlah korban untuk mengucap syukur menurut apa yang ditetapkan, iaitu tepung bercampur minyak zaitun: bagi setiap ekor lembu persembahkanlah tiga kilogram tepung, dua kilogram bagi domba jantan, dan satu kilogram bagi setiap ekor anak domba jantan. Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Dengan cara itu kamu melakukan upacara penyucian untuk umat itu. Semua korban itu merupakan tambahan kepada korban yang dipersembahkan pada setiap pagi, iaitu korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Dengan cara itu juga, selama tujuh hari, kamu harus mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban itu merupakan tambahan kepada korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bersama dengan korban wain, yang dipersembahkan pada setiap hari. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. Pada hari ketujuh, kamu harus berkumpul untuk beribadat; jangan lakukan pekerjaan berat. Pada hari pertama Perayaan Menuai, apabila kamu mempersembahkan gandum baru kepada TUHAN, kamu harus berkumpul untuk beribadat; jangan lakukan pekerjaan berat. Persembahkanlah korban untuk menyenangkan hati TUHAN, iaitu dua ekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, dan tujuh ekor domba jantan yang berumur satu tahun. Semuanya tidak boleh ada cacat. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. Persembahkanlah korban untuk mengucap syukur, yang berupa tepung bercampur minyak zaitun: tiga kilogram untuk setiap ekor lembu jantan, dua kilogram untuk domba jantan dan satu kilogram untuk setiap ekor anak domba. Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Dengan cara itu kamu melakukan upacara penyucian untuk umat Israel. Semua persembahan itu bersama dengan korban wain merupakan tambahan kepada korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk mengucap syukur, yang dipersembahkan setiap hari. Pada hari pertama bulan ketujuh, kamu harus berkumpul untuk beribadat; jangan lakukan pekerjaan harian. Pada hari itu trompet-trompet harus dibunyikan. Persembahkanlah korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban itu berupa seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan dan tujuh ekor domba jantan yang berumur satu tahun. Semuanya tidak boleh ada cacat. Bau asap korban itu menyenangkan hati TUHAN. Persembahkanlah juga korban untuk mengucap syukur, menurut apa yang ditetapkan, iaitu korban berupa tepung terbaik bercampur minyak zaitun: tiga kilogram tepung untuk lembu jantan, dua kilogram untuk domba jantan, dan satu kilogram untuk setiap ekor anak domba jantan. Persembahkanlah seekor kambing jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Dengan cara itu kamu melakukan upacara penyucian untuk umat. Semua korban itu merupakan tambahan kepada korban untuk menyenangkan hati TUHAN, yang dipersembahkan bersama dengan korban untuk mengucap syukur, pada hari pertama tiap-tiap bulan, dan juga tambahan kepada korban harian yang dipersembahkan bersama dengan korban untuk mengucap syukur, dan korban wain. Bau persembahan makanan ini menyenangkan hati TUHAN. Pada hari kesepuluh bulan ketujuh, kamu harus berkumpul untuk beribadat. Pada hari itu kamu harus berpuasa dan jangan lakukan pekerjaan harian. Persembahkanlah korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban itu berupa seekor lembu jantan, seekor domba jantan, dan tujuh ekor anak domba jantan yang berumur satu tahun. Semuanya tidak boleh ada cacat. Bau asap korban itu menyenangkan hati TUHAN. Persembahkanlah korban untuk mengucap syukur, menurut apa yang ditetapkan, iaitu tepung terbaik bercampur minyak zaitun: tiga kilogram untuk lembu jantan, dua kilogram untuk domba jantan, dan satu kilogram untuk setiap ekor anak domba. Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa umat, di samping kambing jantan yang dipersembahkan bagi upacara penyucian umat, dan korban harian bersama dengan korban untuk mengucap syukur dan korban wain yang dipersembahkan pada hari itu. Pada hari kelima belas bulan ketujuh, kamu harus berkumpul untuk beribadat dan jangan lakukan pekerjaan harian. Kamu harus merayakan perayaan itu selama tujuh hari untuk menghormati TUHAN. Pada hari yang pertama, persembahkanlah korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban itu berupa tiga belas ekor lembu jantan, dua ekor domba jantan dan empat belas ekor anak domba jantan yang berumur satu tahun. Semuanya tidak boleh ada cacat. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN. Persembahkanlah juga korban untuk mengucap syukur, menurut apa yang ditetapkan, iaitu korban berupa tepung terbaik bercampur minyak zaitun: tiga kilogram gandum untuk setiap ekor lembu jantan, dua kilogram untuk setiap ekor domba jantan, dan satu kilogram untuk setiap ekor anak domba jantan bersama dengan korban wain yang ditetapkan. Selain itu persembahkanlah seekor kambing jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Korban itu merupakan tambahan kepada korban harian bersama dengan korban untuk mengucap syukur, dan korban wain yang ditetapkan. Pada hari kedua, persembahkanlah dua belas ekor lembu jantan muda, dua ekor domba jantan dan empat belas ekor anak domba jantan yang berumur satu tahun. Semuanya tidak boleh ada cacat. [18-19] Persembahkanlah korban-korban itu bersama dengan segala korban lain yang ditetapkan untuk hari pertama. *** Pada hari ketiga, persembahkanlah sebelas ekor lembu jantan muda, dua ekor domba jantan dan empat belas ekor anak domba jantan yang berumur satu tahun. Semuanya tidak boleh ada cacat. [21-22] Persembahkanlah korban-korban itu bersama dengan segala korban yang ditetapkan untuk hari pertama. *** Pada hari keempat, persembahkanlah sepuluh ekor lembu jantan muda, dua ekor domba jantan, dan empat belas ekor domba jantan yang berumur satu tahun. Semuanya tidak boleh ada cacat. [24-25] Persembahkanlah korban-korban itu bersama dengan segala korban lain yang ditetapkan untuk hari pertama. *** Pada hari kelima, persembahkanlah sembilan ekor lembu jantan muda, dua ekor domba jantan, dan empat belas ekor anak domba jantan yang berumur satu tahun. Semuanya tidak boleh ada cacat. [27-28] Persembahkanlah korban-korban itu bersama dengan segala korban lain yang ditetapkan untuk hari pertama. *** Pada hari keenam, persembahkanlah lapan ekor lembu jantan muda, dua ekor domba jantan, dan empat belas ekor anak domba jantan yang berumur satu tahun. Semuanya tidak boleh ada cacat. [30-31] Persembahkanlah korban-korban itu bersama dengan segala korban lain yang ditetapkan untuk hari pertama. *** Pada hari ketujuh, persembahkanlah tujuh ekor lembu jantan muda, dua ekor domba jantan, dan empat belas ekor anak domba jantan yang berumur satu tahun. Semuanya tidak boleh ada cacat. [33-34] Persembahkanlah korban-korban itu bersama dengan segala korban lain yang ditetapkan untuk hari pertama. *** Pada hari kelapan, kamu harus berkumpul untuk beribadat dan jangan lakukan pekerjaan harian. Persembahkanlah korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban itu berupa seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, dan tujuh ekor anak domba jantan yang berumur satu tahun. Semuanya tidak boleh ada cacat. Persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN. [37-38] Persembahkanlah korban-korban itu bersama dengan segala korban lain yang ditetapkan untuk hari pertama. *** Itulah peraturan tentang korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban untuk mengucap syukur, korban wain, serta korban untuk memohon berkat TUHAN. Semua korban itu harus kamu persembahkan kepada TUHAN pada perayaan-perayaan yang sudah ditetapkan. Korban-korban itu merupakan tambahan kepada korban yang kamu persembahkan untuk memenuhi nazar atau yang kamu berikan dengan sukarela. Segala perintah TUHAN kepada Musa itu disampaikannya kepada umat Israel. Musa memberikan peraturan berikut kepada para pemimpin suku-suku Israel. Apabila seorang lelaki bernazar untuk memberikan sesuatu kepada TUHAN ataupun bersumpah tidak akan melakukan sesuatu perkara, dia tidak boleh memungkiri janjinya. Dia harus melakukan segala yang dikatakannya. Apabila seorang gadis yang masih tinggal dengan bapanya bernazar untuk memberikan sesuatu kepada TUHAN, ataupun berjanji tidak akan melakukan sesuatu perkara, dia mesti memenuhi segala nazar atau janjinya itu, kecuali bapanya melarang dia apabila bapanya mendengar perkara itu. Tetapi jika bapa gadis itu mendengar perkara itu, dan tidak menyetujuinya, maka gadis itu tidak lagi diwajibkan untuk memenuhi nazarnya. TUHAN akan mengampuni dia kerana bapanya tidak membenarkan dia memenuhi nazarnya. [6-7] Jika seorang perempuan bujang bernazar, sama ada dipertimbangkan terlebih dahulu ataupun tidak, atau dia berjanji tidak akan melakukan sesuatu perkara, dia terikat kepada nazar atau janjinya itu. Jika pada kemudian hari perempuan itu berkahwin, dia mesti memenuhi segala nazar atau janjinya itu, kecuali suaminya melarang dia apabila mendengar tentang perkara itu. *** Tetapi jika suaminya mendengar perkara itu dan tidak menyetujuinya, perempuan itu tidak lagi diwajibkan untuk memenuhi nazarnya. TUHAN akan mengampuni dia. Apabila seorang balu atau seorang perempuan yang sudah bercerai membuat nazar ataupun berjanji tidak akan melakukan sesuatu perkara, dia terikat kepada nazar atau janjinya itu, dan dia mesti memenuhinya. Jika seorang perempuan yang sudah berkahwin bernazar ataupun berjanji tidak akan melakukan sesuatu perkara, dia mesti memenuhi segala nazar atau janjinya itu, jika suaminya tidak melarang dia ketika mendengar tentang perkara itu. Tetapi jika suaminya melarang dia memenuhi nazarnya ketika mendengar perkara itu, perempuan itu tidak lagi diwajibkan untuk memenuhi nazarnya. Suaminya telah menghalang dia, maka TUHAN pun akan mengampuni perempuan itu. Suaminya berhak menyetujui ataupun membatalkan nazar atau janji apa sahaja yang sudah dibuat oleh isterinya. Tetapi jika suaminya mendengar perkara itu, dan tidak melarangnya pada waktu itu, maka isteri itu harus memenuhi segala nazar ataupun janjinya. Suami itu sudah menyetujui nazar atau janji isterinya, kerana dia tidak melarang isterinya pada hari dia mendengar perkara itu. Tetapi jika suami itu membatalkan nazar atau janji isterinya pada kemudian hari, maka suamilah yang mesti menanggung akibat pembatalan nazar itu. Itulah peraturan-peraturan yang diberikan oleh TUHAN kepada Musa tentang nazar yang dibuat oleh seorang perempuan yang sudah berkahwin atau oleh gadis yang masih tinggal dengan bapanya. TUHAN berfirman kepada Musa, “Balaslah kejahatan orang Midian terhadap umat Israel. Selepas itu engkau akan meninggal.” Kemudian Musa berkata kepada umat Israel, “Bersedialah untuk berperang. Seranglah orang Midian dan balaslah kejahatan mereka terhadap TUHAN. Tiap-tiap suku Israel harus menghantarkan seribu orang askar untuk maju berperang.” Maka seribu orang dipilih daripada tiap-tiap suku Israel, sehingga orang yang bersedia untuk berperang berjumlah 12,000 orang. Musa memerintahkan mereka pergi berperang di bawah arahan Pinehas anak Imam Eleazar. Pinehas membawa benda-benda dari Khemah TUHAN dan trompet-trompet untuk memberikan isyarat. Orang Israel menyerang orang Midian, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Mereka membunuh semua orang lelaki Midian, termasuk lima orang raja Midian: Ewi, Rekem, Zur, Hur, dan Reba. Mereka juga membunuh Bileam anak Beor. Orang Israel menawan semua orang perempuan dan anak orang Midian, merampas ternakan lembu dan domba, serta segala kekayaan orang Midian. Mereka juga membakar kota-kota serta perkhemahan-perkhemahan orang Midian. Kemudian orang Israel mengambil segala barang rampasan itu, termasuk orang tawanan dan ternakan. Mereka membawa semuanya kepada Musa, Eleazar, dan umat Israel yang sedang berkhemah di dataran Moab, di seberang Sungai Yordan, bertentangan dengan kota Yerikho. Kemudian Musa, Imam Eleazar, dan semua pemimpin umat Israel pergi ke luar perkhemahan untuk menyambut tentera Israel. Musa marah terhadap para ketua askar dan komandan pasukan yang baru kembali dari pertempuran. Dia bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu tidak membunuh semua perempuan ini? Ingatlah bahawa kaum perempuanlah yang mengikut nasihat Bileam, sehingga menyebabkan orang Israel tidak taat kepada TUHAN di Peor. Hal itulah yang mendatangkan wabak kepada umat TUHAN. Sekarang bunuhlah semua kanak-kanak lelaki dan semua perempuan yang bukan dara lagi, tetapi ambillah semua gadis dan perempuan yang masih dara bagi diri kamu sendiri. Semua orang di kalangan kamu yang sudah membunuh orang, ataupun yang sudah menyentuh mayat mesti tinggal di luar perkhemahan selama tujuh hari. Pada hari ketiga dan hari ketujuh, kamu mesti melakukan upacara penyucian diri bersama-sama semua perempuan yang sudah kamu tawan itu. Sucikanlah juga semua pakaian dan apa sahaja yang dibuat daripada kulit, bulu kambing, ataupun kayu.” Imam Eleazar berkata kepada mereka yang baru pulang dari pertempuran, “Inilah peraturan-peraturan yang diberikan TUHAN kepada Musa. [22-23] Segala sesuatu yang tahan api, seperti emas, perak, gangsa, besi, timah putih, atau timah hitam, mesti disucikan dengan melalukannya dalam api. Semua benda lain yang tidak tahan api harus disucikan dengan air upacara penyucian. *** Pada hari ketujuh, kamu harus membasuh pakaian kamu. Barulah kamu tidak najis, dan kamu boleh masuk ke dalam perkhemahan.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Engkau, Imam Eleazar, dan para pemimpin Israel yang lain, mesti menghitung semua barang jarahan, termasuk juga orang tawanan dan ternakan. Bahagikanlah barang jarahan itu menjadi dua bahagian yang sama banyaknya. Sebahagian untuk askar-askar yang berperang dan sebahagian lagi untuk orang Israel yang lain. Daripada bahagian yang diberikan kepada askar, ambillah seorang tawanan daripada tiap-tiap 500 orang tawanan, dan berilah mereka kepada Aku, TUHAN, sebagai sumbangan khas. Buatlah demikian juga dengan lembu, keldai, domba, dan kambing. Berikanlah semuanya kepada Imam Eleazar sebagai sumbangan khas untuk Aku, TUHAN. Daripada bahagian yang diberikan kepada umat Israel lain, ambillah seorang tawanan daripada tiap-tiap 50 orang tawanan. Demikian juga dengan lembu, keldai, domba, dan kambing. Berikanlah semuanya kepada orang Lewi yang mengurus Khemah-Ku.” Musa dan Eleazar melaksanakan apa yang diperintahkan TUHAN. [32-35] Inilah yang dirampas askar-askar itu, selain jarahan yang disimpan oleh mereka sendiri: 675,000 ekor domba dan kambing, 72,000 ekor lembu, 61,000 ekor keldai, dan 32,000 orang anak dara. *** *** *** [36-40] Separuh daripada jumlah itu diberikan kepada askar-askar dengan perincian berikut: 337,500 ekor domba dan kambing, dan daripada jumlah itu yang diambil sebagai sumbangan khas untuk TUHAN adalah 675 ekor; 36,000 ekor lembu, dan daripada jumlah itu 72 ekor diambil sebagai sumbangan khas untuk TUHAN; 30,500 ekor keldai, dan daripada jumlah itu 61 ekor diambil sebagai sumbangan khas untuk TUHAN; 16,000 orang anak dara, dan daripada jumlah itu 32 orang diambil sebagai sumbangan khas untuk TUHAN. *** *** *** *** Oleh itu Musa memberikan sumbangan khas itu kepada Eleazar sebagai persembahan untuk TUHAN, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. [42-46] Bahagian untuk orang Israel lain sama banyaknya dengan bahagian untuk askar: 337,500 ekor domba dan kambing, 36,000 ekor lembu, 30,500 ekor keldai, dan 16,000 orang anak dara. *** *** *** *** Daripada bahagian ini, Musa mengambil satu daripada tiap-tiap 50 orang tawanan dan ternakan, lalu memberikan semuanya kepada orang Lewi yang bertugas di Khemah TUHAN, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. Kemudian ketua-ketua yang memimpin pasukan tentera itu menghadap Musa dan berkata, “Tuan, kami sudah menghitung semua askar yang di bawah perintah kami dan tiada seorang pun yang hilang. Oleh itu kami membawa barang perhiasan emas, gelang tangan, gelang kaki, cincin, anting-anting, dan kalung yang kami masing-masing ambil. Sekarang kami menyerahkan semua ini kepada TUHAN sebagai persembahan kami, supaya Dia tetap melindungi kami.” Musa dan Eleazar menerima emas itu, yang semuanya berupa perhiasan. Persembahan para ketua askar itu hampir seberat 200 kilogram. Askar-askar lain yang bukan ketua menyimpan barang-barang jarahan bagi diri masing-masing. Setelah itu Musa dan Eleazar membawa emas itu ke dalam Khemah TUHAN, supaya TUHAN melindungi umat Israel. Suku Ruben dan suku Gad mempunyai sangat banyak ternakan. Apabila mereka melihat betapa baiknya tanah Yaezer dan Gilead untuk penternakan, mereka pergi menghadap Musa, Eleazar, dan para pemimpin Israel yang lain. Suku Ruben dan suku Gad berkata, [3-4] “Kota-kota yang diduduki umat kita dengan pertolongan TUHAN, sangat baik untuk penternakan, iaitu kota Atarot, Dibon, Yaezer, Nimra, Hesybon, Eleale, Sebam, Nebo, dan Beon. Oleh sebab kami mempunyai sangat banyak ternakan, *** berikanlah tanah itu kepada kami sebagai milik kami. Janganlah suruh kami menyeberang Sungai Yordan dan tinggal di sana.” Musa menjawab, “Adakah kamu mahu tinggal di sini, sedangkan orang sebangsa kamu pergi berperang? Mengapa kamu menawarkan hati orang Israel untuk menyeberang Sungai Yordan dan pergi ke tanah yang diberikan TUHAN kepada mereka? Itulah perkara yang dibuat oleh bapa-bapa kamu di Kades-Barnea ketika aku menyuruh mereka pergi mengintip tanah itu. Mereka pergi sampai ke Lembah Eskol lalu nampak tanah itu. Tetapi apabila mereka kembali, mereka menawarkan hati orang Israel, sehingga orang Israel takut pergi ke tanah yang diberikan TUHAN kepada mereka. Pada hari itu TUHAN murka lalu berfirman, ‘Umat itu tidak setia kepada-Ku. Oleh itu Aku bersumpah bahawa tiada seorang pun yang keluar dari Mesir, yang berumur dua puluh tahun ke atas akan pergi ke negeri yang Aku janjikan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub.’ Semua orang kena hukuman itu kecuali Kaleb anak Yefune orang Kenas itu dan Yosua anak Nun, kerana mereka berdua setia kepada TUHAN. TUHAN murka terhadap umat Israel dan membuat mereka mengembara di padang gurun selama empat puluh tahun, sehingga segenap keturunan yang memberontak terhadap TUHAN sudah meninggal. Sekarang kamu pula menjadi seperti bapa-bapa kamu, satu lagi generasi orang yang berdosa. Kamu mendatangkan lagi kemurkaan TUHAN kepada Israel. Jika kamu, suku Ruben dan suku Gad tidak setia kepada TUHAN sekarang, sekali lagi TUHAN akan meninggalkan umat Israel di padang gurun ini, dan kamulah yang menyebabkan kebinasaan mereka.” Suku Ruben dan suku Gad menghadap Musa dan berkata, “Mula-mula benarkanlah kami membina kandang bertembok batu untuk domba kami dan kota bertembok untuk anak isteri kami. Setelah itu kami bersedia mengikut sesama bangsa kami maju berperang. Kami akan memimpin serangan itu sehingga kami membantu mereka menetap di tanah yang menjadi milik mereka. Sementara itu anak isteri kami dapat tinggal di sini, di dalam kota-kota yang bertembok dan selamat daripada serangan penduduk negeri ini. Kami tidak akan kembali ke rumah sebelum semua orang Israel mempunyai tanah sebagai milik pusaka. Kami tidak akan mengambil sedikit pun daripada tanah di seberang Sungai Yordan, kerana kami sudah menerima bahagian kami di sebelah timur Sungai Yordan.” Musa menjawab, “Jika kamu sungguh-sungguh menepati janji kamu, bersedialah untuk berperang bagi TUHAN. Semua orang kamu yang dapat berperang harus menyeberang Sungai Yordan; demi perintah TUHAN, mereka harus menyerang musuh kita sehingga TUHAN mengalahkan musuh, lalu merebut tanah itu. Selepas itu kamu boleh pulang, kerana kamu sudah menunaikan kewajipan kamu terhadap TUHAN dan sesama bangsa kamu orang Israel. Oleh itu TUHAN akan mengakui bahawa tanah di sebelah timur Sungai Yordan ini milik kamu. Tetapi jika kamu tidak menepati janji, ingatlah bahawa kamu berdosa terhadap TUHAN. Sesungguhnya, kamu akan dihukum kerana dosa kamu itu. Pergilah bina kota kamu dan kandang untuk domba kamu, tetapi tepatilah janji kamu itu!” Orang daripada suku Gad dan suku Ruben berkata, “Tuan, kami akan menurut perintah tuan. Anak isteri kami serta lembu dan domba kami akan tinggal di sini, di kota-kota Gilead. Tetapi kami bersedia berperang demi perintah TUHAN. Kami akan menyeberangi Sungai Yordan dan bertempur seperti yang sudah tuan katakan.” Oleh itu Musa memberikan perintah ini kepada Imam Eleazar, Yosua, dan para pemimpin Israel yang lain, katanya, “Jika orang Gad dan orang Ruben menyeberang Sungai Yordan dan bersedia berperang demi perintah TUHAN, dan jika dengan pertolongan mereka, kamu berjaya menakluki tanah itu, berilah mereka tanah Gilead sebagai pusaka mereka. Tetapi jika mereka tidak menyeberang Sungai Yordan untuk berperang bersama-sama kamu, mereka hanya menerima bahagian tanah di Kanaan, sama seperti kamu.” Orang daripada suku Gad dan suku Ruben menjawab, “Tuan, kami akan menurut perintah TUHAN. Demi perintah TUHAN, kami akan menyeberang sungai dan pergi ke tanah Kanaan. Kami akan pergi berperang supaya tanah di sebelah timur Sungai Yordan ini tetap menjadi milik kami.” Kemudian Musa menyerahkan seluruh wilayah Raja Sihon, raja orang Amori itu dan juga wilayah Raja Og, raja negeri Basan, termasuk semua kota dan tanah di sekelilingnya kepada suku Gad serta suku Ruben, dan juga kepada separuh suku Manasye. Suku Gad membina semula kota yang bertembok: Dibon, Atarot, Aroer, Atarot-Sofan, Yaezer, Yogbeha, Bet-Nimra, dan Bet-Haran. Suku Ruben membina semula kota Hesybon, Eleale, Kiryataim, Nebo, Baal-Meon (nama ini sudah diubah), dan Sebam. Mereka memberikan nama baru kepada kota-kota yang dibina semula itu. Puak Makhir anak Manasye menyerang kota Gilead lalu mendudukinya. Mereka mengusir orang Amori yang tinggal di sana. Oleh itu Musa memberikan tanah Gilead kepada puak Makhir, lalu mereka tinggal di sana. Yair, yang juga daripada suku Manasye, menyerang dan menduduki beberapa buah pekan, lalu menamakannya “Pekan-Pekan Yair”. Nobah menyerang dan menduduki kota Kenat dan pekan-pekan di sekelilingnya. Dia menamakan kota itu Nobah, menurut namanya sendiri. Selepas umat Israel meninggalkan Mesir, dalam barisan menurut suku masing-masing di bawah pimpinan Musa dan Harun, mereka berkhemah di beberapa tempat. TUHAN memerintahkan Musa menulis nama tiap-tiap tempat mereka berkhemah. Umat Israel meninggalkan Mesir pada hari kelima belas bulan pertama, sehari selepas Paska yang pertama. Di bawah perlindungan TUHAN, umat Israel dengan penuh keyakinan meninggalkan kota Rameses sambil disaksikan oleh orang Mesir, yang ketika itu sedang menguburkan anak-anak lelaki sulung mereka yang dibunuh oleh TUHAN. Demikianlah TUHAN menunjukkan bahawa Dia lebih berkuasa daripada tuhan-tuhan orang Mesir. Umat Israel berangkat dari Rameses lalu berkhemah di Sukot. Mereka berangkat lagi lalu berkhemah di Etam, di pinggir kawasan gurun. Dari sana, mereka kembali ke Pi-Hahirot, di sebelah timur Baal-Zefon, lalu berkhemah dekat Migdol. Dari Pi-Hahirot mereka menyeberangi Laut Gelagah lalu masuk ke kawasan gurun Etam. Selepas tiga hari perjalanan, mereka berkhemah di Mara. Dari sana mereka berangkat lalu berkhemah di Elim; di situ ada dua belas mata air dan tujuh puluh pokok kurma. Kemudian mereka meninggalkan Elim dan berkhemah dekat Laut Gelagah. Selanjutnya mereka berkhemah di padang gurun Sin. Setelah itu mereka berkhemah di Dofka, lalu di Alus, dan kemudian di Rafidim, tetapi di sana tidak ada air minum. [15-37] Dalam perjalanan mereka dari Rafidim ke Gunung Hor, mereka berkhemah di tempat-tempat berikut: Gurun Sinai, Kibrot-Taawa (atau “Kuburan Kerakusan”), Hazerot, Ritma, Rimon-Peres, Libna, Risa, Kehelata, Gunung Syafer, Harada, Makhelot, Tahat, Tarah, Mitka, Hasmona, Moserot, Bene-Yaakan, Hor-Gidgad, Yotbata, Abrona, Ezion-Geber, padang gurun Zin (iaitu Kades), dan Gunung Hor di sempadan tanah Edom. *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** [38-39] Imam Harun naik ke Gunung Hor menurut perintah TUHAN. Di situ Harun meninggal ketika berumur 123 tahun, pada hari pertama bulan kelima, tahun yang keempat puluh setelah umat Israel meninggalkan Mesir. *** Sementara itu raja negeri Arad, di Tanah Negeb, di bahagian selatan Kanaan mendapat khabar bahawa umat Israel sedang menuju ke negerinya. [41-49] Inilah tempat-tempat perkhemahan umat Israel dalam perjalanan dari Gunung Hor sampai ke dataran tanah Moab: Zalmona, Funon, Obot, reruntuhan Abarim di kawasan Moab, Dibon-Gad, Almon-Diblataim, Pergunungan Abarim dekat Gunung Nebo dan di dataran tanah Moab di pinggir Sungai Yordan, bertentangan dengan kota Yerikho, di antara Bet-Yesimot dan Lembah Sitim. *** *** *** *** *** *** *** *** Di dataran Moab, di pinggir Sungai Yordan, bertentangan dengan kota Yerikho, TUHAN memberi Musa petunjuk-petunjuk ini bagi umat Israel, “Apabila kamu menyeberangi Sungai Yordan dan pergi ke tanah Kanaan, usirlah semua penduduk tanah itu. Musnahkanlah semua berhala mereka yang dibuat daripada batu dan logam; musnahkanlah juga tempat-tempat pemujaan mereka. Dudukilah tanah itu dan tinggallah di situ kerana Aku memberikannya kepada kamu. Kemudian bahagikanlah tanahnya kepada suku-suku kamu dengan membuang undi: bahagian yang besar untuk suku yang besar, dan bahagian yang kecil untuk suku yang kecil. Tetapi jika kamu tidak mengusir penduduk tanah itu, orang yang tetap tinggal di situ akan menyusahkan kamu seperti selumbar di dalam mata kamu dan duri di rusuk kamu. Kemudian mereka akan melawan kamu. Jika kamu tidak mengusir mereka, Aku akan membinasakan kamu seperti yang Aku cadangkan terhadap mereka.” TUHAN memberi Musa perintah-perintah ini untuk umat Israel, “Apabila kamu masuk ke negeri Kanaan yang hendak Aku berikan kepada kamu, sempadan tanah itu adalah sebagai berikut. Di bahagian selatan sempadan itu bermula dari padang gurun Zin dan menyusuri sempadan Edom. Di sebelah timur sempadan itu bermula dari hujung selatan Laut Mati. Dari sana sempadan itu membelok ke selatan ke arah Genting Akrabim, dan terus ke padang gurun Zin sampai ke Kades-Barnea di selatan. Kemudian sempadan itu membelok ke barat laut sampai ke Hazar-Adar dan terus ke Azmon. Di situ sempadan itu membelok ke arah lembah di sempadan negeri Mesir, lalu berakhir di Laut Tengah. Sempadan di sebelah barat adalah Laut Tengah. Di utara, sempadan itu bermula dari Laut Tengah dan menuju ke Gunung Hor, dan dari sana ke Genting Hamat, lalu terus ke Zedad dan ke Zifron, lalu berakhir di Hazar-Enan. Di timur, sempadan itu bermula dari Hazar-Enan ke Sefam. Dari sana sempadan itu turun ke Ribla di sebelah timur Ain, lalu terus ke bukit-bukit di pantai timur Tasik Galilea, kemudian ke selatan sepanjang Sungai Yordan sampai ke Laut Mati. Itulah tanah kamu dengan sempadan di sekelilingnya.” Kemudian Musa memberitahu umat Israel, “Itulah tanah yang akan kamu terima dengan membuang undi, tanah yang diberikan TUHAN kepada suku Israel yang sembilan setengah. Suku Ruben, suku Gad, dan separuh daripada suku Manasye, sudah menerima bahagian mereka, yang dibahagikan menurut keluarga mereka. Tanah pusaka mereka itu letaknya di sebelah timur Sungai Yordan, bertentangan dengan kota Yerikho.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Imam Eleazar dan Yosua anak Nun akan membahagikan tanah untuk umat Israel. Daripada tiap-tiap suku, pilihlah seorang pemimpin untuk menolong mereka membahagikan tanah itu.” [19-28] Inilah nama-nama orang yang dipilih oleh TUHAN: [Suku] — [Pemimpin] Yehuda — Kaleb anak Yefune Simeon — Samuel anak Amihud Benyamin — Elidad anak Kislon Dan — Buki anak Yogli Manasye — Haniel anak Efod Efraim — Kemuel anak Siftan Zebulon — Elisafan anak Parnah Isakhar — Paltiel anak Azan Asyer — Ahihud anak Selomi Naftali — Pedael anak Amihud *** *** *** *** *** *** *** *** *** Itulah semua orang yang ditentukan oleh TUHAN untuk membahagikan tanah pusaka kepada orang Israel di tanah Kanaan. Di dataran Moab, di pinggir Sungai Yordan, bertentangan dengan kota Yerikho, TUHAN berfirman kepada Musa, “Beritahulah umat Israel bahawa dari tanah yang diterima, mereka harus memberi orang Lewi beberapa buah kota sebagai tempat tinggal dengan padang rumput di sekitar kota. Kota-kota itu akan menjadi milik orang Lewi, dan mereka akan tinggal di sana. Padang-padang rumput itu untuk ternakan dan semua binatang lain yang dipelihara mereka. Padang-padang rumput itu harus seluas 450 meter ke segala arah, diukur dari tembok kota. Kawasan orang Lewi harus empat persegi, seluas 900 meter pada tiap-tiap segi. Kota itu harus terletak di tengah-tengah kawasan itu. Kamu harus memberi orang Lewi enam buah kota perlindungan, supaya jika ada sesiapa yang membunuh orang dengan tidak sengaja, orang itu boleh lari ke salah satu kota itu. Selain itu, berikanlah juga 42 buah kota kepada mereka, sehingga berjumlah 48 buah kota, dengan padang rumputnya. Bilangan kota yang harus diberikan kepada orang Lewi ditentukan menurut banyaknya kota dan besarnya wilayah tiap-tiap suku itu.” TUHAN berfirman kepada Musa supaya memberitahu umat Israel, “Apabila kamu menyeberang Sungai Yordan dan pergi ke tanah Kanaan, pilihlah beberapa buah kota perlindungan, supaya sesiapa yang membunuh orang dengan tidak sengaja, dapat lari ke kota itu. Di situ dia akan selamat daripada sanak saudara orang yang terbunuh, yang mahu membalas dendam. Seseorang yang dituduh membunuh orang, tidak boleh dihukum mati sehingga orang itu diadili di hadapan orang ramai. Pilihlah enam buah kota perlindungan, tiga buah di sebelah timur Sungai Yordan dan tiga buah lagi di tanah Kanaan. Kota-kota itu akan menjadi kota perlindungan bagi orang Israel dan orang asing yang menumpang ataupun yang menetap di tanah itu. Sesiapa yang sudah membunuh orang dengan tidak sengaja, boleh lari ke salah satu kota perlindungan itu. [16-18] Tetapi jika seseorang menggunakan senjata besi, atau senjata batu, atau senjata kayu untuk membunuh orang, dia bersalah dan mesti dihukum mati. *** *** Saudara terdekat orang yang mati itu bertanggungjawab untuk melaksanakan hukuman mati itu. Apabila saudara itu menemui si pembunuh, dia harus membunuh orang itu. Jika seseorang membenci seorang lain lalu membunuhnya dengan membanting dia, atau dengan melemparkan sesuatu kepadanya, ataupun dengan menumbuknya, orang itu adalah pembunuh dan mesti dihukum mati. Saudara terdekat orang yang mati itu bertanggungjawab untuk melaksanakan hukuman mati kepada pembunuh itu. Apabila saudara itu menemui si pembunuh, dia harus membunuh orang itu. Tetapi jika dengan tidak sengaja, seseorang membunuh orang yang tidak dibencinya, sama ada dengan membanting dia ataupun dengan melemparkan sesuatu kepadanya; atau jika seseorang melempar batu dengan tidak melihat, lalu batu itu membunuh seseorang, tetapi orang itu tidak bermaksud untuk membunuh, dan orang yang terbunuh itu pun bukan musuhnya, maka dalam hal itu, orang ramai harus membela orang itu, dan tidak memihak sanak saudara orang yang terbunuh, yang mahu membalas dendam. Biarlah orang ramai melindungi orang yang didakwa itu daripada sanak saudara yang mahu membalas dendam, lalu membawanya kembali ke kota perlindungan, tempat dia melarikan diri. Dia mesti tinggal di situ sehingga Imam Agung pada masa itu meninggal. Jika orang itu meninggalkan kota perlindungan, tempat dia melarikan diri, dan jika dia ditemui dan dibunuh sanak saudara orang yang sudah mati, pembalasan itu bukanlah pembunuhan. Orang yang didakwa itu mesti tinggal di dalam kota perlindungan sehingga Imam Agung meninggal, barulah dia boleh pulang ke rumahnya. Peraturan-peraturan ini berlaku bagi kamu dan keturunan kamu di mana sahaja kamu tinggal. Seseorang yang didakwa sebagai pembunuh, boleh didapati bersalah dan dihukum mati, jika hal itu dapat dibuktikan oleh dua atau lebih orang saksi. Kesaksian satu orang tidak cukup bagi perkara pembunuhan. Seorang pembunuh mesti dihukum mati, dan tidak dapat melepaskan diri daripada hukuman itu dengan membayar wang. Jika seseorang melarikan diri ke salah satu kota perlindungan, jangan benarkan dia memberikan wang supaya dia dapat kembali ke rumahnya sebelum Imam Agung meninggal. Perbuatan itu akan menajiskan tanah tempat tinggal kamu. Pembunuhan menajiskan tanah kamu, dan tidak ada jalan lain yang dapat membersihkan tanah itu kecuali dengan kematian pembunuh itu sendiri. Jangan najiskan tanah tempat tinggal kamu, kerana Akulah TUHAN, dan Aku tinggal di tengah-tengah umat Israel.” Ketua-ketua keluarga puak Gilead anak Makhir, iaitu cucu Manasye anak Yusuf, menghadap Musa dan pemimpin-pemimpin yang lain. Mereka berkata, “TUHAN sudah memerintah tuan membahagikan tanah Kanaan kepada umat Israel dengan membuang undi. TUHAN sudah memerintahkan juga supaya tuan memberikan warisan Zelafehad, saudara kami, kepada anak-anak perempuannya. Tetapi ingatlah, jika anak-anak perempuannya itu berkahwin dengan lelaki daripada suku lain, warisan mereka akan dimiliki suku lain. Oleh yang demikian, kuranglah tanah wilayah yang ditentukan bagi kami. Pada Tahun Pengembalian, pada masa seluruh harta milik yang telah dijual dikembalikan kepada pemilik yang mula-mula, tanah warisan anak-anak perempuan Zelafehad itu akan menjadi pusaka suku orang yang dikahwini mereka. Dengan demikian suku kami akan kehilangan tanah itu.” Oleh itu Musa memberi umat Israel perintah TUHAN ini. Musa berkata, “Apa yang dikatakan oleh suku Manasye itu memang benar. Inilah perintah TUHAN: Anak-anak perempuan Zelafehad berhak berkahwin dengan sesiapa pun, asal orang yang dikahwini itu daripada suku mereka sendiri. Warisan tiap-tiap orang Israel akan tetap menjadi warisan sukunya. Tiap-tiap perempuan yang sudah menerima warisan daripada sukunya, mesti berkahwin dengan lelaki daripada sukunya sendiri. Dengan jalan ini, tiap-tiap orang Israel akan mewarisi tanah pusaka nenek moyangnya, dan pusaka itu tidak akan beralih dari satu suku ke suku yang lain. Tiap-tiap suku akan terus memiliki tanah pusakanya sendiri.” [10-11] Oleh itu anak-anak perempuan Zelafehad iaitu Mahla, Tirza, Hogla, Milka, dan Noa pun melakukan apa yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Mereka berkahwin dengan saudara sepupu mereka sendiri. *** Mereka berkahwin dengan orang daripada puak-puak suku Manasye anak Yusuf. Dengan itu, tanah pusaka mereka tetap dimiliki suku bapa mereka. Itulah semua ketetapan dan peraturan yang diberikan TUHAN kepada umat Israel melalui Musa, semasa mereka di dataran Moab, di seberang Sungai Yordan, bertentangan dengan kota Yerikho. Kitab ini mengandungi kata-kata yang disampaikan oleh Musa kepada umat Israel semasa mereka di padang gurun di Lembah Yordan. Lembah itu terletak di sebelah timur Sungai Yordan, dekat kota Suf, di antara kota Paran di satu sisi dan kota Tofel, Laban, Hazerot, dan Di-Zahab di sisi lain. ( Perjalanan dari Gunung Sinai ke Kades-Barnea melalui daerah perbukitan Edom, memakan waktu sebelas hari.) Pada hari pertama bulan kesebelas dalam tahun keempat puluh selepas mereka meninggalkan Mesir, Musa memberitahu umat Israel segala yang diperintahkan TUHAN kepadanya, untuk disampaikan kepada mereka. Hal ini berlaku setelah TUHAN mengalahkan Raja Sihon, raja orang Amori, yang memerintah di kota Hesybon, dan juga Raja Og, raja Basan, yang memerintah di kota Asytarot dan Edrei. Pada masa umat Israel berada di sebelah timur Sungai Yordan di kawasan Moab, Musa mula menjelaskan hukum dan ajaran Allah. Musa berkata, “Semasa kita di Gunung Sinai, TUHAN, Allah kita berfirman, ‘Sudah cukup lama kamu tinggal di gunung ini. Sekarang bongkarlah perkhemahan kamu, dan pergilah ke kawasan perbukitan orang Amori dan ke seluruh daerah di sekitarnya: ke Lembah Yordan, ke kawasan perbukitan dan dataran rendah, ke daerah di bahagian selatan, dan ke pantai Laut Tengah. Pergilah ke tanah Kanaan dan ke Pergunungan Lebanon sampai ke Sungai Efrat, sungai yang besar itu. Aku, TUHAN, sudah berjanji untuk memberikan seluruh tanah itu kepada nenek moyang kamu Abraham, Ishak, dan Yakub, serta keturunan mereka. Pergilah dan dudukilah tanah itu.’ ” Musa berkata kepada umat itu, “Semasa kita di Gunung Sinai, aku berkata kepada kamu, ‘Tanggungjawab untuk memimpin kamu terlalu berat bagiku. Aku tidak sanggup melakukannya seorang diri. TUHAN, Allah kamu sudah menjadikan kamu sebanyak bintang di langit. Semoga TUHAN, Allah nenek moyang kamu, melipatgandakan jumlah kamu sampai seribu kali ganda, dan menjadikan kamu makmur seperti yang dijanjikan-Nya! Tetapi bagaimana mungkin aku seorang dapat memikul tanggungjawab yang berat untuk menyelesaikan pertikaian kamu? Pilihlah beberapa orang lelaki yang bijaksana, arif, dan berpengalaman daripada tiap-tiap suku, supaya aku melantik mereka menjadi pemimpin kamu.’ Kamu bersetuju bahawa hal itu baik untuk dilaksanakan. Oleh itu aku melantik beberapa orang yang bijaksana dan berpengalaman, yang sudah kamu pilih daripada tiap-tiap suku supaya menjadi pemimpin kamu. Ada beberapa orang di kalangan mereka yang bertanggungjawab atas seribu orang, yang lain atas seratus orang, atas lima puluh orang, dan juga atas sepuluh orang. Aku juga melantik pegawai-pegawai lain di kalangan suku-suku kamu. Pada masa itu aku menasihatkan mereka, ‘Dengarkanlah baik-baik pertikaian yang berlaku di kalangan bangsa kamu. Hakimilah tiap-tiap pertikaian dengan adil, baik yang berkaitan dengan bangsa kamu sendiri, mahupun dengan orang asing yang tinggal di kalangan kamu. Jangan berat sebelah apabila kamu membuat keputusan; hakimilah tiap-tiap orang dengan menggunakan dasar yang sama, tidak kira siapa orang itu. Jangan takut akan sesiapa pun, kerana keputusan yang kamu buat itu keputusan daripada Allah. Jika ada perkara yang terlalu sukar bagi kamu, serahkanlah perkara itu kepadaku; aku akan membuat keputusan bagi perkara itu.’ Pada masa itu juga aku memberikan petunjuk kepada kamu tentang segala perkara lain yang harus kamu lakukan.” “Kita melaksanakan perintah TUHAN, Allah kita. Kita meninggalkan Gunung Sinai, lalu berjalan melalui padang gurun yang luas dan menakutkan, serta menuju kawasan perbukitan negeri orang Amori. Apabila kita sampai di Kades-Barnea, [20-21] aku berkata, ‘Sekarang, kamu sudah sampai di kawasan perbukitan negeri orang Amori, tanah yang hendak diberikan kepada kita oleh TUHAN, Allah kita, Allah nenek moyang kita. Lihatlah, tanah itu terbentang di hadapan kamu. Pergilah dan dudukilah tanah itu sebagaimana yang diperintahkan Allah. Jangan bimbang ataupun takut.’ *** Tetapi kamu datang kepadaku dan berkata, ‘Marilah kita menyuruh beberapa orang mendahului kita untuk mengintip tanah itu, supaya mereka boleh memberitahu kita jalan terbaik yang harus diikuti, dan keadaan kota-kota di sana.’ Cadangan itu nampaknya baik. Oleh itu aku memilih dua belas orang, seorang daripada tiap-tiap suku. Mereka pergi ke kawasan perbukitan sampai ke Lembah Eskol, lalu menjelajahi tempat itu. Mereka membawa balik buah-buahan untuk kita, dan melaporkan bahawa tanah yang akan diberikan oleh TUHAN, Allah kita kepada kita itu sangat subur. Tetapi kamu membantah perintah TUHAN, Allah kamu, dan tidak mahu pergi ke tanah itu. Kamu bersungut-sungut sesama sendiri sambil berkata, ‘TUHAN membenci kita. Dia membawa kita keluar dari Mesir semata-mata untuk menyerahkan kita kepada orang Amori, supaya mereka membunuh kita. Mengapa kita harus pergi ke sana? Kita takut. Pengintip-pengintip yang kita kirim itu memberitahu kita bahawa orang di sana lebih kuat dan lebih tinggi daripada kita. Orang di sana tinggal di kota-kota yang temboknya setinggi langit. Pengintip-pengintip itu nampak raksasa di sana!’ Tetapi aku berkata, ‘Jangan takut kepada orang di sana. TUHAN, Allah kamu akan memimpin kamu. Dia akan berperang untuk kamu, seperti yang sudah kamu nampak sendiri di Mesir dan di padang gurun. Kamu sudah melihat cara Dia memimpin kamu dengan selamat di sepanjang perjalanan ke tempat ini, seperti seorang bapa menggendong anaknya.’ Tetapi biarpun aku berkata demikian, kamu tetap tidak mahu percaya kepada TUHAN, walaupun Dia selalu berjalan di hadapan kamu untuk mencari tempat berkhemah bagi kamu. Dia berada di hadapan kamu dalam tiang api pada waktu malam dan dalam tiang awan pada waktu siang, untuk menunjukkan jalan kepada kamu. TUHAN mendengar sungutan kamu lalu Dia murka. Dia berfirman, ‘Tidak seorang pun antara kamu daripada generasi yang jahat ini akan pergi ke tanah yang subur itu, yang sudah Aku janjikan untuk diberikan kepada nenek moyang kamu. Hanya Kaleb anak Yefune akan pergi ke sana, kerana dia tetap setia kepada-Ku. Aku akan memberi Kaleb dan keturunannya tanah yang sudah dijelajahinya.’ Oleh sebab kamu, TUHAN juga murka kepadaku lalu berfirman, ‘Musa, engkau pun tidak akan pergi ke tanah itu. Tetapi kuatkanlah hati pembantumu, Yosua anak Nun, kerana dia akan memimpin Israel untuk menduduki tanah itu.’ Kemudian TUHAN berfirman kepada kita semua, ‘Anak-anak kamu yang masih terlalu muda untuk membezakan yang benar daripada yang salah, akan pergi ke tanah itu, iaitu anak-anak yang kamu katakan akan ditangkap oleh musuh. Aku akan memberikan tanah itu kepada mereka, dan mereka akan mendudukinya. Tetapi kamu, berpalinglah dan baliklah semula ke padang gurun melalui jalan yang menuju Teluk Akaba.’ Kamu menjawab, ‘Musa, kami sudah berdosa terhadap TUHAN. Tetapi sekarang kami akan maju berperang sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN, Allah kita.’ Kemudian setiap orang di kalangan kamu bersiap untuk pergi berperang, dan berfikir bahawa mudah sahaja untuk menakluki kawasan perbukitan itu. Tetapi TUHAN berfirman kepadaku, ‘Jangan biarkan mereka pergi berperang kerana Aku tidak akan menyertai mereka, dan musuh akan mengalahkan mereka.’ Aku menyampaikan firman TUHAN itu kepada kamu, tetapi kamu tidak mengendahkannya. Kamu memberontak terhadap TUHAN, dan dengan sombong kamu pergi ke kawasan perbukitan untuk berperang. Kemudian orang Amori yang tinggal di kawasan perbukitan itu keluar menyerang kamu. Mereka bagaikan kawanan lebah yang mengusir kamu. Mereka mengejar kamu sampai ke Horma, lalu mengalahkan kamu di kawasan perbukitan negeri Edom. Kemudian kamu kembali dan berseru kepada TUHAN untuk minta tolong, tetapi Dia tidak mendengarkan ataupun memperhatikan kamu.” “Selepas itu kita tinggal di Kades lama sekali. Akhirnya, menurut perintah TUHAN, kita kembali ke padang gurun melalui jalan yang menuju ke Teluk Akaba. Lama sekali kita mengembara di kawasan perbukitan negeri Edom. Kemudian TUHAN memberitahu aku bahawa sudah cukup lama kita mengembara di perbukitan itu, dan kita harus menuju ke utara. Dia menyuruh aku memberikan petunjuk ini kepada kamu, ‘Tidak lama lagi kamu akan memasuki kawasan perbukitan negeri Edom, wilayah sanak saudara kamu, iaitu keturunan Esau. Mereka akan takut kepada kamu tetapi kamu tidak boleh berperang melawan mereka, kerana Aku tidak mahu memberi kamu satu meter persegi pun daripada bahagian tanah mereka. Aku sudah memberikan negeri Edom kepada keturunan Esau. Kamu boleh membeli makanan dan air daripada mereka.’ Ingatlah! TUHAN, Allah kamu sudah memberkati kamu dalam segala usaha kamu. Dia telah memelihara kamu selama kamu mengembara di padang gurun yang luas ini. Dia telah melindungi kamu selama empat puluh tahun dan memberikan segala sesuatu yang kamu perlukan. Kemudian kita berjalan terus, dan meninggalkan jalan yang melalui kota Elat dan Ezion-Geber, yang menghala ke Laut Mati, lalu kita belok ke arah timur laut dan menuju ke gurun di Moab. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, ‘Jangan ganggu orang Moab, keturunan Lot, ataupun berperang melawan mereka. Aku sudah memberi mereka tanah Ar, dan Aku tidak akan memberi kamu sedikit bahagian pun daripada tanah mereka.’ ( Dahulu orang Emim, satu bangsa raksasa, tinggal di Ar. Mereka setinggi orang Enak yang juga bangsa raksasa. Seperti orang Enak, orang Emim juga dikenal sebagai orang Refaim, tetapi orang Moab menamakan mereka orang Emim. Dahulu orang Hor tinggal di Edom, tetapi mereka diusir dan dibinasakan oleh keturunan Esau. Kemudian keturunan Esau menduduki tanah mereka, sama seperti umat Israel, yang pada kemudian hari mengusir musuh dari tanah yang diberikan oleh TUHAN kepada mereka.) Kemudian kita menyeberang Sungai Zered sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. Peristiwa itu berlaku tiga puluh lapan tahun selepas kita meninggalkan Kades-Barnea. Semua orang yang dapat berperang daripada generasi itu sudah meninggal, sebagaimana yang difirmankan TUHAN. TUHAN terus-menerus menentang mereka sehingga akhirnya mereka semua binasa. Selepas mereka semua meninggal, TUHAN berfirman kepada kita, ‘Pada hari ini kamu akan melalui wilayah Moab, mengikut jalan yang melintasi kota Ar. Kemudian kamu akan dekat dengan negeri orang Amon, keturunan Lot. Jangan ganggu atau serang mereka, kerana Aku tidak akan memberi kamu sedikit bahagian pun daripada tanah yang sudah Aku berikan kepada mereka.’ ( Wilayah itu juga dikenal sebagai tanah orang Refaim, menurut nama bangsa yang tinggal di sana dahulu; orang Amon menamakan bangsa itu Zamzumim. Orang Refaim berbadan tinggi seperti orang Enak. Mereka sangat kuat dan jumlah mereka banyak, tetapi TUHAN membinasakan mereka supaya orang Amon dapat menduduki tanah itu. Demikian juga yang dilakukan TUHAN untuk orang Edom, iaitu keturunan Esau, yang tinggal di kawasan perbukitan Edom. TUHAN membinasakan orang Hor supaya orang Edom dapat menduduki tanah mereka. Sampai sekarang orang Edom masih tinggal di sana. Tanah di sepanjang pantai Laut Tengah diduduki oleh orang dari pulau Kreta. Mereka sudah membinasakan orang Awi, penduduk asli tempat itu, dan merebut seluruh tanah di situ sampai ke kota Gaza, di sebelah selatan.) Selepas kita melintasi Moab, TUHAN berfirman kepada kita, ‘Sekarang berangkatlah dan seberangilah Sungai Arnon. Aku akan menyerahkan Sihon, raja Amori dari Hesybon, dan juga tanahnya, kepada kamu. Seranglah dia, dan dudukilah tanahnya. Mulai hari ini Aku akan menyebabkan bangsa-bangsa di mana sahaja, takut kepada kamu. Setiap orang akan gementar kerana ketakutan apabila mendengar nama kamu disebut.’ ” “Kemudian aku mengirim beberapa orang utusan dari padang gurun Kedemot kepada Raja Sihon di Hesybon, dengan tawaran perdamaian berikut: ‘Benarkanlah hamba semua melintasi negeri tuanku. Hamba sekalian akan berjalan terus tanpa menyimpang jalan. Hamba sekalian akan membayar makanan yang hamba semua makan dan minuman yang hamba semua minum. Hamba sekalian hanya mahu melintasi negeri tuanku, sehingga hamba semua menyeberangi Sungai Yordan untuk pergi ke tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah hamba semua kepada hamba sekalian. Keturunan Esau yang tinggal di Edom dan orang Moab yang tinggal di Ar, sudah membenarkan hamba sekalian melintasi wilayah mereka.’ Tetapi Raja Sihon tidak membenarkan kita melintasi negerinya. Oleh itu, TUHAN, Allah kamu menyebabkan Raja Sihon keras kepala dan nekad untuk menentang kita, supaya kita dapat mengalahkan baginda dan merebut wilayahnya, yang kita duduki sampai sekarang. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, ‘Lihatlah, Aku sudah menyerahkan Raja Sihon dan negerinya kepada kamu. Rebutlah dan dudukilah tanahnya.’ Raja Sihon keluar bersama dengan semua orangnya untuk menyerang kita dekat kota Yahas, tetapi TUHAN, Allah kita menyerahkan baginda kepada kita. Kita membunuh Raja Sihon, putera-putera baginda, dan semua orang baginda. Pada masa itu juga kita merebut dan memusnahkan setiap kota, dan membunuh setiap orang lelaki, perempuan, serta kanak-kanak. Kita tidak membiarkan seorang pun hidup. Kita mengambil ternakan dan menjarah kota-kota mereka. TUHAN, Allah kita menolong kita menaklukkan semua kota, dari Aroer di hujung lembah Arnon, dan kota yang di tengah lembah itu sampai ke daerah Gilead. Tiada satu kota pun mempunyai tembok yang terlalu kuat bagi kita. Tetapi kita tidak mendekati wilayah orang Amon, atau pinggir Sungai Yabok, atau kota mana pun di kawasan perbukitan atau tempat lain yang dilarang oleh TUHAN, Allah kita.” “Kemudian kita menuju ke utara, ke arah daerah Basan. Raja Og dari Basan datang dengan seluruh tenteranya untuk menyerang kita dekat kota Edrei. Tetapi TUHAN berfirman kepadaku, ‘Jangan takut akan dia. Aku akan menyerahkan dia, tenteranya, dan seluruh wilayahnya kepadamu. Perlakukanlah dia sebagaimana engkau sudah memperlakukan Sihon, raja orang Amori, yang memerintah di Hesybon.’ Oleh itu TUHAN menyerahkan Raja Og dan rakyatnya kepada kita, dan kita membunuh mereka semua. Pada masa itu juga, kita menaklukkan semua kota Raja Og, sebanyak enam puluh buah kota, iaitu seluruh daerah Argob, yang diperintah oleh Raja Og dari Basan. Tiada satu kota pun yang tidak kita rebut. Semua kota itu diperkuat dengan tembok yang tinggi, pintu gerbang, dan palang untuk mengunci pintu gerbang. Selain itu, ada juga banyak pekan yang tidak mempunyai tembok. Kita memusnahkan semua kota itu dan membunuh semua orang lelaki, perempuan, dan kanak-kanak, seperti yang kita lakukan di kota-kota milik Raja Sihon dari Hesybon. Kita mengambil ternakan dan menjarah kota-kota mereka. Pada masa itu, daerah di sebelah timur Sungai Yordan, dari Sungai Arnon sampai ke Gunung Hermon, telah kita rebut daripada dua orang raja Amori itu. ( Gunung Hermon disebut Siryon oleh orang dari kota Sidon, dan disebut Senir oleh orang Amori.) Kita merebut seluruh wilayah Raja Og dari Basan: kota-kota di dataran tinggi, daerah Gilead dan Basan, sampai ke kota Salka dan Edrei di sebelah timur.” ( Raja Og ialah orang terakhir daripada bangsa Refaim. Peti jenazahnya dibuat daripada batu, berukuran kira-kira dua meter lebar dan kira-kira empat meter panjang menurut ukuran rasmi. Sampai sekarang peti jenazah itu masih dapat dilihat di Raba, kota orang Amon.) “Selepas tanah itu menjadi milik kita, aku memberikan suku Ruben dan Gad tanah di utara kota Aroer, dekat Sungai Arnon dan sebahagian daripada perbukitan Gilead, termasuk kota-kota di situ. Aku memberikan daerah Gilead yang selebihnya kepada setengah suku Manasye, dan juga seluruh daerah Basan, tempat Raja Og memerintah dahulu, iaitu seluruh wilayah Argob.” (Basan terkenal sebagai tanah bangsa Refaim. Yair, seorang daripada suku Manasye, menduduki seluruh wilayah Argob, iaitu Basan, sampai perbatasan Gesur dan Maakha. Dia menamakan pekan-pekan di situ menurut namanya sendiri. Sampai sekarang, pekan-pekan itu masih dikenal sebagai pekan-pekan Yair.) “Aku memberikan daerah Gilead kepada puak Makhir daripada suku Manasye. Aku memberikan daerah di antara Gilead dan Sungai Arnon kepada suku Ruben dan Gad. Bahagian tengah Sungai Arnon menjadi sempadan daerah mereka di sebelah selatan. Sempadan mereka di sebelah utara ialah Sungai Yabok, yang sebahagiannya menjadi sempadan negeri orang Amon. Di sebelah barat, daerah mereka terbentang sampai ke Sungai Yordan, dari Tasik Galilea di utara sampai ke Laut Mati di selatan, dan sampai ke kaki Bukit Pisga di sebelah timur. Pada masa itu juga aku memberikan perintah ini kepada mereka, ‘TUHAN, Allah kita sudah memberi kamu tanah di sebelah timur Sungai Yordan untuk menjadi tempat tinggal kamu. Sekarang lengkapilah askar-askar kamu dengan senjata, dan suruhlah mereka pergi ke seberang Sungai Yordan, supaya mereka mendahului suku-suku Israel yang lain untuk menolong mereka menduduki tanah itu. Hanya anak isteri dan ternakan kamu yang boleh tinggal di kota-kota yang sudah aku berikan kepada kamu. Aku tahu bahawa ternakan kamu banyak. Tolonglah sesama kamu umat Israel sehingga mereka menduduki tanah yang diberikan TUHAN kepada mereka di sebelah barat Sungai Yordan, dan sehingga TUHAN mengizinkan mereka tinggal di sana dengan tenteram, sebagaimana yang sudah dilakukan-Nya untuk kamu. Selepas itu barulah kamu boleh pulang ke tanah yang sudah aku berikan kepada kamu.’ Kemudian aku berkata kepada Yosua, ‘Engkau sudah nampak segala yang dilakukan TUHAN, Allahmu terhadap Raja Sihon dan Raja Og, dua orang raja itu; Dia akan melakukan hal yang sama kepada setiap raja yang negerinya engkau serang. Jangan takut kepada mereka, kerana TUHAN, Allahmu akan berperang untukmu.’ ” “Pada masa itu aku berdoa dengan sungguh-sungguh, ‘Ya TUHAN Raja, aku tahu bahawa apa yang sudah Engkau tunjukkan kepadaku hanya permulaan perkara besar dan ajaib yang akan Engkau lakukan. Tiada tuhan lain di langit ataupun di bumi yang dapat melakukan perkara ajaib yang telah Engkau lakukan. Ya TUHAN, benarkanlah aku menyeberangi Sungai Yordan dan melihat tanah yang subur di seberang, kawasan perbukitan yang indah dan Pergunungan Lebanon.’ Tetapi kamu sudah menyebabkan TUHAN murka terhadap aku sehingga Dia tidak mahu mengabulkan permintaanku. Sebaliknya Dia berfirman, ‘Sudahlah! Jangan sebut perkara itu lagi! Pergilah ke puncak Gunung Pisga dan pandanglah ke arah utara dan selatan, ke arah timur dan barat. Perhatikanlah baik-baik apa yang engkau nampak, kerana engkau tidak akan pergi ke seberang Sungai Yordan. Berikanlah petunjuk-petunjuk kepada Yosua. Kuatkanlah hatinya, kerana dialah yang akan memimpin umat ke seberang sungai untuk menduduki tanah yang engkau nampak itu.’ Oleh itu kita tinggal di lembah, di seberang kota Bet-Peor.” Kemudian Musa berkata kepada umat itu, “Patuhilah semua hukum yang aku ajarkan kepada kamu, supaya kamu hidup dan dapat menduduki tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah nenek moyang kamu, kepada kamu. Jangan tambahkan sedikit pun dan jangan kurangkan sedikit pun kepada apa yang aku perintahkan. Taatilah perintah-perintah TUHAN, Allah kamu yang sudah aku sampaikan kepada kamu. Kamu sendiri sudah nampak apa yang dilakukan oleh TUHAN di Gunung Peor. Di sana Dia membinasakan tiap-tiap orang yang memuja Baal, tetapi kamu yang tetap setia kepada TUHAN, Allah kamu, masih hidup hingga hari ini. Aku sudah mengajar kamu segala hukum itu, seperti yang telah diperintahkan oleh TUHAN, Allahku. Patuhilah semua hukum itu di tanah yang akan kamu rebut dan duduki. Patuhilah hukum itu dengan setia. Dengan demikian, kebijaksanaan kamu akan menjadi nyata kepada bangsa lain. Apabila mereka mendengar tentang semua hukum itu, mereka akan berkata, ‘Alangkah bijaksana dan arifnya bangsa yang besar itu!’ Tidak ada bangsa mana pun, walaupun bangsa besar, yang mempunyai tuhan yang begitu dekat apabila diperlukan mereka sebagaimana TUHAN, Allah kita dekat kepada kita. Dia menjawab bila-bila sahaja kita berseru meminta pertolongan. Tidak ada bangsa mana pun, walaupun bangsa besar, yang mempunyai hukum seadil hukum yang sudah aku ajarkan kepada kamu hari ini. Berjaga-jagalah! Pastikanlah bahawa selama kamu hidup, kamu tidak sekali-kali lupa akan perkara yang sudah kamu lihat dengan mata kamu sendiri. Beritahulah anak cucu kamu tentang hari itu, ketika kamu berdiri di hadapan TUHAN, Allah kamu di Gunung Sinai. Pada masa itu Dia berfirman kepadaku, ‘Kumpulkanlah umat ini. Aku mahu mereka mendengar firman-Ku supaya mereka belajar taat kepada-Ku seumur hidup, dan supaya mereka mengajar anak-anak mereka untuk taat kepada-Ku.’ Beritahulah anak-anak kamu bagaimana kamu datang dan berdiri di kaki gunung yang diliputi oleh awan tebal daripada asap hitam, dan oleh api yang menyala sampai ke langit. Beritahulah mereka bagaimana TUHAN berfirman kepada kamu dari dalam api itu, dan bagaimana kamu mendengar suara-Nya tetapi tidak melihat Dia dalam bentuk apa pun. Dia memberitahu kamu apa yang harus kamu lakukan untuk menepati perjanjian yang sudah dibuat-Nya dengan kamu; kamu mesti mematuhi Sepuluh Hukum yang ditulis-Nya pada dua buah batu tulis. TUHAN menyuruh aku mengajar kamu semua hukum yang mesti kamu patuhi di tanah yang segera akan kamu rebut dan duduki.” “Pada masa TUHAN berfirman kepada kamu dari dalam api di Gunung Sinai, kamu tidak melihat apa-apa bentuk pun. Oleh itu, pastikanlah supaya kamu tidak berdosa dengan membuat berhala bagi diri kamu sendiri dalam bentuk apa pun, sama ada berbentuk orang lelaki atau perempuan, binatang, burung, binatang menjalar, atau ikan. Jangan tergoda untuk menyembah dan mengabdi kepada yang kelihatan di langit, iaitu matahari, bulan, dan bintang. TUHAN, Allah kamu telah memberikan benda-benda itu kepada semua bangsa lain untuk disembah. Tetapi kamu adalah bangsa yang sudah diselamatkan-Nya dari Mesir, tempat yang bagaikan relau yang menyala. Dia membawa kamu keluar dari negeri itu supaya kamu menjadi umat-Nya sendiri sebagaimana keadaan kamu hari ini. Oleh sebab kamu, TUHAN, Allah kamu murka terhadap aku, sehingga Dia bersumpah bahawa aku tidak akan menyeberangi Sungai Yordan untuk pergi ke tanah yang subur, yang akan diberikan-Nya kepada kamu. Aku akan meninggal di sini dan tidak akan menyeberangi sungai itu. Tetapi tidak lama lagi kamu akan menyeberanginya dan menduduki tanah yang subur itu. Ingatlah baik-baik! Jangan lupa akan perjanjian yang dibuat oleh TUHAN, Allah kamu dengan kamu. Taatilah perintah-Nya; jangan sekali-kali membuat berhala dalam bentuk apa pun bagi diri kamu, kerana TUHAN, Allah kamu itu bagaikan api yang menghanguskan. Dia tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun. Apabila kamu telah tinggal lama di negeri itu dan sudah beranak cucu, jangan berdosa dengan membuat berhala dalam bentuk apa pun bagi diri kamu sendiri. Perbuatan itu jahat di sisi TUHAN, dan hal itu akan menyebabkan Dia murka. Pada hari ini aku menyuruh langit dan bumi menjadi saksi terhadap kamu bahawa jika kamu tidak taat kepadaku, kamu akan segera lenyap dari tanah itu. Kamu tidak akan tinggal lama di tanah di seberang Sungai Yordan, yang segera akan kamu duduki. Kamu akan dibinasakan sama sekali. TUHAN akan mencerai-beraikan kamu antara bangsa-bangsa lain, dan hanya sedikit di kalangan kamu akan hidup. Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan yang dibuat oleh tangan manusia, tuhan-tuhan daripada kayu dan batu, yang tidak dapat melihat atau mendengar, makan atau menghidu. Di sana kelak kamu akan mencari TUHAN, Allah kamu, dan jika kamu mencari-Nya dengan segenap hati, kamu akan menemui Dia. Apabila kamu dalam kesusahan dan segala bencana itu menimpa kamu, barulah kamu akan kembali kepada TUHAN, Allah kamu dan taat kepada-Nya. TUHAN, Allah kamu ialah Allah yang berbelas kasihan. Dia tidak akan meninggalkan atau membinasakan kamu. Dia tidak akan melupakan perjanjian yang sudah dibuat-Nya sendiri dengan nenek moyang kamu. Selidikilah masa lampau, lama sebelum kamu dilahirkan, bermula dari masa Allah menciptakan manusia di bumi. Periksalah seluruh bumi ini. Pernahkah perkara sebesar ini berlaku? Pernahkah sesiapa pun mendengar kejadian seperti ini? Pernahkah ada bangsa yang tetap hidup setelah mendengar suatu tuhan bersabda dari dalam api sebagaimana yang kamu alami? Pernahkah ada suatu tuhan yang berani mengambil suatu umat daripada bangsa lain lalu menjadikan umat itu umatnya sendiri, seperti yang dilakukan oleh TUHAN, Allah kamu bagi kamu di Mesir? Di depan mata kamu sendiri Dia telah menggunakan kuasa dan kekuatan-Nya yang besar; Dia mendatangkan wabak dan peperangan, melakukan mukjizat dan keajaiban, serta menyebabkan perkara-perkara dahsyat berlaku. TUHAN telah melakukan semua perkara itu supaya kamu tahu bahawa Dia satu-satunya Allah, dan tidak ada yang lain. Dia membenarkan kamu mendengar suara-Nya dari langit supaya Dia dapat mengajar kamu; di bumi ini Dia membenarkan kamu melihat api-Nya yang suci, dan dari api itu Dia berfirman kepada kamu. Oleh sebab Dia mengasihi nenek moyang kamu, Dia memilih kamu; dengan kuasa-Nya yang besar, Dia sendiri membawa kamu keluar dari Mesir. Dia mengusir bangsa-bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu, supaya Dia boleh membawa kamu ke tanah mereka, dan memberikan tanah itu kepada kamu. Hingga sekarang tanah itu masih menjadi milik kamu. Oleh itu ingatlah hari ini dan jangan lupa bahawa TUHAN satu-satunya Allah di langit dan di bumi; tidak ada yang lain. Patuhilah semua hukum-Nya yang sudah aku berikan kepada kamu hari ini, maka kamu dan keturunan kamu akan sejahtera. Kamu akan tetap tinggal di tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu untuk menjadi milik kamu selama-lamanya.” Kemudian Musa memilih tiga buah kota di sebelah timur Sungai Yordan. Kota-kota itu menjadi tempat seseorang menyelamatkan diri, jika dengan tidak sengaja dia membunuh seorang yang bukan musuhnya. Orang yang telah membunuh itu boleh lari ke salah satu kota itu dan dia tidak akan dibunuh. Kota Bezer di dataran tinggi padang gurun diberikan sebagai kota perlindungan bagi suku Ruben. Kota Ramot di daerah Gilead diberikan sebagai kota perlindungan bagi suku Gad. Kota Golan di daerah Basan diberikan sebagai kota perlindungan bagi suku Manasye. Musa memberikan hukum dan ajaran Allah kepada umat Israel. [45-46] Musa memberi mereka hukum itu selepas mereka keluar dari Mesir, dan berada di sebelah timur Sungai Yordan, di lembah di seberang kota Bet-Peor. Daerah ini termasuk wilayah yang dahulu dimiliki Raja Sihon, raja orang Amori, yang pernah memerintah di kota Hesybon. Musa dan umat Israel mengalahkan raja itu apabila mereka keluar dari Mesir. *** Mereka menduduki tanah Raja Sihon, dan juga tanah Raja Og di Basan, seorang raja Amori lain yang tinggal di sebelah timur Sungai Yordan. Tanah yang diduduki mereka itu terbentang luas sampai ke kota Aroer di tepi Sungai Arnon, dan terus ke utara sampai ke Gunung Siryon, iaitu Gunung Hermon; dan juga termasuk seluruh daerah di sebelah timur Sungai Yordan sampai ke Laut Mati di sebelah selatan, dan ke kaki Gunung Pisga di sebelah timur. Musa mengumpulkan semua orang Israel lalu berkata kepada mereka, “Hai umat Israel, dengarlah semua hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini. Pelajarilah semua hukum ini dan taatilah semuanya dengan setia. TUHAN, Allah kita sudah membuat suatu perjanjian dengan kita di Gunung Sinai. Dia membuat perjanjian itu bukan sahaja dengan nenek moyang kita tetapi dengan kita juga, kita semua yang hidup hari ini. Di atas gunung itu, dari dalam api, TUHAN berfirman langsung dengan kamu. Pada masa itu aku menjadi pengantara bagi kamu dan TUHAN untuk menyampaikan firman-Nya kepada kamu, kerana kamu takut kepada api itu dan tidak mahu mendaki gunung. TUHAN berfirman, ‘Akulah TUHAN, Allah kamu yang membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu dijadikan hamba. Jangan sembah tuhan-tuhan lain; sembahlah Aku sahaja. Jangan buat patung berhala bagi diri kamu, patung berhala yang menyerupai apa-apa pun yang ada di langit, di bumi, atau di dalam air di bawah bumi. Jangan sujud kepada berhala apa pun, atau memujanya, kerana Akulah TUHAN, Allah kamu dan Aku tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun. Aku menghukum orang yang membenci Aku. Aku juga menghukum keturunan mereka sehingga generasi yang ketiga dan keempat. Tetapi Aku menunjukkan kasih-Ku kepada beribu-ribu generasi orang yang mengasihi Aku, dan yang taat kepada hukum-Ku. Jangan sebut nama-Ku untuk maksud yang jahat kerana Aku TUHAN, Allah kamu, menghukum sesiapa sahaja yang menyalahgunakan nama-Ku. Rayakanlah hari Sabat dan hormatilah hari itu sebagai hari yang suci, seperti yang Aku TUHAN, Allah kamu, perintahkan. Kamu mempunyai enam hari untuk bekerja, tetapi hari yang ketujuh ialah hari rehat yang ditahbiskan untuk Aku. Pada hari itu satu pun tidak boleh bekerja: sama ada kamu, anak kamu, abdi kamu, ternakan kamu, atau orang asing yang tinggal di negeri kamu. Abdi-abdi kamu mesti berehat seperti kamu. Ingatlah bahawa dahulu kamu diperhamba di negeri Mesir, dan Aku TUHAN, Allah kamu, membebaskan kamu dengan kuasa dan kekuatan-Ku yang besar. Itulah sebabnya Aku memerintah kamu untuk merayakan hari Sabat. Hormatilah bapa dan ibu kamu, sebagaimana Aku TUHAN, Allah kamu, perintahkan kamu, supaya kamu sejahtera dan panjang umur di tanah yang akan Aku beri kepada kamu. Jangan membunuh. Jangan berzina. Jangan mencuri. Jangan berikan kesaksian palsu tentang orang lain. Jangan ingini kepunyaan orang lain: isterinya, rumahnya, tanahnya, abdinya, ternakannya, keldainya, atau apa-apa pun miliknya.’ Itulah hukum-hukum yang diberikan oleh TUHAN kepada kamu semua apabila kamu berkumpul di gunung itu. Apabila Dia berfirman dengan suara yang kuat dari api dan awan yang tebal itu, Dia memberikan hukum-hukum itu sahaja. Kemudian Dia menuliskan hukum-hukum itu pada dua buah batu tulis, lalu memberinya kepadaku.” “Apabila seluruh gunung itu diliputi api, dan kamu mendengar suara dari kegelapan itu, para pemimpin suku dan penghulu masyarakat kamu datang kepadaku dan berkata, ‘TUHAN, Allah kita menyatakan kebesaran dan kemuliaan-Nya ketika kami mendengar firman-Nya dari api itu. Pada hari ini kami telah melihat bahawa seseorang boleh tetap hidup walaupun Allah sudah berfirman kepadanya. Tetapi mengapakah kami harus menyabung nyawa lagi? Api yang dahsyat itu akan membinasakan kami. Kami pasti mati jika kami mendengar TUHAN, Allah kita berfirman lagi. Pernahkah manusia tetap hidup setelah mendengar Allah yang hidup berfirman dari api? Berangkatlah, hai Musa, dan dengarlah segala yang difirmankan oleh TUHAN, Allah kita. Kemudian kembalilah dan beritahulah kami apa yang difirmankan-Nya kepadamu. Kami akan mendengar dan mentaatinya.’ Apabila TUHAN mendengar kata-kata kamu itu, Dia berfirman kepadaku, ‘Aku sudah mendengar apa yang dikatakan umat ini, dan kata-kata mereka itu benar. Alangkah baiknya jika mereka sentiasa berperasaan demikian. Alangkah baiknya jika mereka sentiasa takut akan Aku dan taat kepada segala perintah-Ku, supaya mereka dan keturunan mereka sejahtera selama-lamanya. Pergilah dan suruhlah mereka pulang ke khemah masing-masing. Tetapi engkau, Musa, harus tinggal di sini bersama dengan Aku. Aku akan memberi engkau segala hukum dan perintah-Ku. Ajarkanlah semuanya kepada umat itu supaya mereka mentaatinya di negeri yang akan Kuberikan kepada mereka.’ Hai umat Israel, pastikanlah bahawa kamu melakukan segala yang diperintahkan TUHAN, Allah kamu. Jangan langgar satu pun hukum-Nya. Patuhilah semua yang diperintahkan oleh TUHAN, Allah kamu, supaya kamu sejahtera dan panjang umur di tanah yang akan kamu duduki.” “TUHAN, Allah kamu memerintah aku mengajarkan semua hukum ini kepada kamu. Patuhilah semuanya di tanah yang segera akan kamu duduki. Seumur hidup, kamu dan keturunan kamu harus menghormati TUHAN, Allah kamu dan mematuhi segala hukum-Nya yang aku berikan kepada kamu, supaya kamu panjang umur di tanah itu. Dengarkanlah dan patuhilah hukum-hukum itu, hai umat Israel! Dengan demikian kamu akan sejahtera dan menjadi bangsa yang kuat, serta tinggal di tanah yang kaya dan subur itu, sebagaimana yang sudah dijanjikan TUHAN, Allah nenek moyang kita. Ingatlah, hai Israel! TUHAN - dan TUHAN satu-satunya - ialah Allah kita. Kasihilah TUHAN, Allah kamu dengan segenap hati: Tunjukkanlah kasih itu dalam cara hidup dan perbuatan kamu. Jangan sekali-kali lupa akan hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini. Ajarkanlah hukum itu kepada anak-anak kamu. Percakapkanlah hukum itu semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja. Ikatkan hukum itu pada lengan kamu dan ikatkannya pada dahi kamu sebagai peringatan. Tuliskanlah hukum itu pada tiang pintu rumah dan pada pintu pagar kamu.” “TUHAN, Allah kamu telah berjanji kepada nenek moyang kamu, Abraham, Ishak, dan Yakub bahawa Dia akan memberi kamu tanah yang mempunyai kota-kota besar dan makmur, yang tidak kamu bina. Rumah-rumah di situ penuh dengan barang-barang baik, yang tidak kamu simpan. Terdapat juga perigi-perigi yang tidak kamu gali, serta ladang anggur dan kebun zaitun, yang tidak kamu tanam. Apabila TUHAN membawa kamu ke tanah itu dan kamu mempunyai segala sesuatu yang kamu ingin makan, berhati-hatilah supaya kamu tidak lupa akan TUHAN yang sudah membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu diperhamba dahulu. Hormatilah TUHAN, Allah kamu dan sembahlah Dia sahaja, dan buatlah janji kamu demi nama-Nya sahaja. Jangan sembah tuhan-tuhan lain, atau tuhan mana pun yang disembah oleh bangsa-bangsa yang tinggal di sekitar kamu. Jika kamu menyembah tuhan-tuhan lain, kemurkaan TUHAN akan menimpa kamu. Kemurkaan-Nya itu seperti api, dan kamu akan dibinasakan sama sekali, kerana TUHAN, Allah kamu yang hadir di tengah-tengah kamu, tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun. Jangan cubai TUHAN, Allah kamu seperti yang kamu lakukan di Masa. Pastikanlah agar kamu mentaati segala hukum yang sudah diberikan-Nya kepada kamu. Lakukanlah apa yang baik dan adil di sisi TUHAN, maka kamu akan sejahtera. Kamu akan memiliki tanah yang subur, yang sudah dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu, dan kamu akan mengusir musuh seperti yang dijanjikan-Nya. Pada masa yang akan datang, anak-anak kamu akan bertanya, ‘Mengapakah TUHAN, Allah kita memerintah kita untuk mentaati semua hukum itu?’ Maka beritahulah mereka, ‘Dahulu kita hamba raja Mesir, tetapi TUHAN membebaskan kita dengan kuasa-Nya yang besar. Kami sendiri melihat Dia melakukan mukjizat dan perkara-perkara yang menakutkan terhadap orang Mesir, raja mereka, dan semua pegawai raja. TUHAN membebaskan kita dari Mesir untuk membawa kita ke sini, dan memberi kita tanah ini seperti yang sudah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kita. Kemudian TUHAN, Allah kita memerintah kita untuk mentaati semua hukum itu, dan untuk menghormati Dia. Jika kita berbuat demikian, Dia akan sentiasa menjaga bangsa kita dan menjadikannya makmur. Jika kita setia mentaati segala yang diperintahkan Allah kepada kita, maka Dia akan berkenan kepada kita.’ ” “TUHAN, Allah kamu akan membawa kamu ke tanah yang akan kamu duduki, dan Dia akan mengusir banyak bangsa dari tanah itu. Semasa kamu bergerak maju, Dia akan mengusir tujuh bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu: orang Het, Girgasi, Amori, Kanaan, Feris, Hewi, dan Yebusi. Apabila TUHAN, Allah kamu menyerahkan bangsa-bangsa ini kepada kamu, dan kamu mengalahkan mereka, kamu mesti membunuh mereka semua. Jangan ikat perjanjian dengan mereka, dan jangan kasihani mereka. Jangan berkahwin dengan mereka, dan jangan biar anak-anak kamu berkahwin dengan mereka, kerana mereka akan menjauhkan anak-anak kamu daripada TUHAN, sehingga anak-anak kamu itu menyembah tuhan-tuhan lain. Jika hal itu berlaku, TUHAN akan murka terhadap kamu dan membinasakan kamu dengan serta-merta. Oleh itu, robohkanlah mazbah-mazbah bangsa-bangsa itu, hancurkanlah tiang-tiang batu keramat, tumbangkanlah lambang-lambang Dewi Asyera, dan bakarlah berhala-berhala mereka. Lakukanlah hal itu, kerana kamu milik TUHAN, Allah kamu. Dari antara semua bangsa di bumi, Dia memilih kamu untuk menjadi umat-Nya yang istimewa. TUHAN mengasihi kamu, dan memilih kamu bukan kerana bilangan kamu lebih besar daripada bangsa-bangsa lain; sebenarnya kamu bangsa yang terkecil di bumi. Tetapi TUHAN mengasihi kamu, dan Dia hendak memenuhi janji yang dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu. Itulah sebabnya Dia menyelamatkan kamu dengan kuasa-Nya yang besar, dan membebaskan kamu daripada diperhambakan oleh raja Mesir. Ingatlah bahawa TUHAN, Allah kamu satu-satunya Allah, dan Dia setia. Dia akan menepati perjanjian-Nya dan sentiasa menunjukkan kasih-Nya kepada seribu generasi orang yang mengasihi Dia, dan yang taat kepada hukum-Nya, tetapi Dia tidak akan teragak-agak menghukum orang yang membenci Dia. Oleh itu, taatilah apa yang sudah diajarkan kepada kamu; patuhilah semua hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini.” “Jika kamu mendengarkan hukum ini dan melaksanakannya dengan setia, maka TUHAN, Allah kamu akan terus menepati perjanjian yang dibuat-Nya dengan kamu dan menunjukkan kasih-Nya kepada kamu, sebagaimana yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kamu. Dia akan mengasihi dan memberkati kamu, supaya bilangan kamu bertambah-tambah dan kamu beroleh banyak anak. Dia akan memberkati ladang kamu supaya kamu mendapat gandum, wain, dan minyak zaitun. Dia akan memberkati kamu dengan memberi kamu ternakan dan domba yang banyak. Dia akan memberi kamu segala berkat ini di tanah yang diberikan-Nya kepada kamu, menurut janji-Nya kepada nenek moyang kamu. Tiada bangsa mana pun di dunia ini yang akan diberkati dengan berlimpah-limpah seperti kamu. Tiada seorang pun di kalangan kamu akan mandul, dan semua ternakan kamu akan membiak. TUHAN akan melindungi kamu daripada segala penyakit. Dia tidak akan membiarkan kamu menghidap penyakit dahsyat seperti yang kamu alami di Mesir, tetapi Dia akan menimpakan penyakit itu kepada semua musuh kamu. Binasakanlah semua bangsa yang diserahkan oleh TUHAN, Allah kamu ke bawah kuasa kamu, dan jangan kasihani mereka. Jangan sembah tuhan-tuhan mereka, kerana perbuatan itu akan mendatangkan bencana. Jangan berfikir bahawa bilangan bangsa-bangsa itu lebih besar daripada kamu, dan bahawa kamu tidak dapat mengusir mereka. Jangan takut akan mereka. Ingatlah akan perbuatan TUHAN, Allah kamu terhadap raja Mesir dan semua rakyatnya. Ingatlah akan malapetaka dahsyat yang kamu nampak dengan mata sendiri, mukjizat dan perbuatan ajaib, serta kuasa besar dan keperkasaan yang digunakan oleh TUHAN, Allah kamu untuk membebaskan kamu. Sebagaimana Dia membinasakan orang Mesir dahulu, begitu juga Dia akan membinasakan semua bangsa yang kamu takuti sekarang. Dia akan menimbulkan kecemasan di kalangan mereka, dan membinasakan mereka yang melarikan diri dan pergi bersembunyi. Oleh itu, jangan takut akan bangsa-bangsa itu. TUHAN, Allah kamu menyertai kamu; Dia Allah yang agung, dan yang harus ditakuti. Sedikit demi sedikit TUHAN, Allah kamu akan mengusir bangsa-bangsa itu semasa kamu bergerak maju. Kamu tidak dapat membinasakan mereka dengan sekaligus, kerana jika kamu berbuat demikian, bilangan binatang liar akan meningkat dan menjadi ancaman kepada kamu. TUHAN akan menyerahkan musuh kepada kamu, dan Dia akan menyebabkan mereka cemas sehingga mereka dibinasakan. Dia akan menyerahkan raja-raja mereka kepada kamu. Kamu akan membunuh mereka, dan mereka akan dilupakan oleh manusia. Tiada seorang pun dapat menahan kamu; kamu akan membinasakan setiap orang. Bakarlah berhala-berhala mereka. Jangan ingini emas atau perak yang ada pada berhala mereka, dan jangan ambil benda-benda itu untuk diri kamu sendiri. Jika kamu mengambilnya, kamu akan ditimpa bencana, kerana TUHAN membenci penyembahan berhala. Jangan bawa satu pun berhala itu ke rumah kamu. Jika kamu membawanya, kutuk yang menimpa berhala-berhala itu akan menimpa kamu juga. Kamu mesti membenci dan menghina berhala, kerana berhala-berhala itu dikutuk oleh TUHAN.” “Patuhilah dengan setia semua hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini, supaya kamu tetap hidup dan bilangan kamu bertambah, dan dapat menduduki tanah yang dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu. Ingatlah bagaimana TUHAN, Allah kamu memimpin kamu dalam perjalanan jauh di padang gurun selama empat puluh tahun yang lampau; Dia mendatangkan kesukaran untuk menguji kamu supaya Dia dapat mengetahui isi hati kamu, dan mengetahui sama ada kamu akan taat kepada perintah-Nya atau tidak. Dia membiarkan kamu kelaparan lalu memberi kamu manna, iaitu sejenis makanan yang belum pernah dimakan oleh kamu atau nenek moyang kamu. Dia berbuat demikian untuk mengajar kamu bahawa manusia tidak hidup dengan roti sahaja, melainkan dengan tiap-tiap firman TUHAN. Selama empat puluh tahun itu, pakaian kamu tidak menjadi usang, dan kaki kamu tidak menjadi bengkak. Ingatlah, TUHAN, Allah kamu menegur ajar kamu sama seperti seorang bapa menegur ajar anak-anaknya. Oleh itu, patuhilah perintah TUHAN; hiduplah menurut hukum-Nya dan taatilah Dia. TUHAN, Allah kamu sedang membawa kamu ke tanah yang subur, tanah yang mempunyai sungai dan mata air, serta sungai kecil di bawah tanah yang memancur ke lembah-lembah dan bukit-bukit; tanah yang menghasilkan gandum dan barli, buah anggur, buah ara, buah delima, buah zaitun, dan madu. Di sana kamu tidak akan kelaparan atau kekurangan apa-apa. Batu di tanah itu mengandungi besi dan kamu dapat melombong tembaga di bukit-bukit. Kamu akan mendapat semua yang kamu ingin makan, dan kamu akan bersyukur kepada TUHAN, Allah kamu untuk tanah subur yang diberikan-Nya kepada kamu.” “Pastikanlah supaya kamu tidak lupa akan TUHAN, Allah kamu. Jangan gagal mentaati satu hukum pun yang aku berikan kepada kamu hari ini. Apabila kamu sudah mendapat segala yang kamu ingin makan, dan telah membina rumah-rumah baik sebagai tempat tinggal kamu; apabila lembu dan domba, emas dan perak, serta segala harta kamu yang lain sudah bertambah banyak, pastikanlah supaya kamu tidak menjadi sombong, dan tidak lupa akan TUHAN, Allah kamu yang telah membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu diperhamba dahulu. Dia telah memimpin kamu melalui padang gurun yang luas dan menakutkan itu, tempat yang dihuni ular berbisa dan kala jengking. Di tanah yang kering dan tidak berair itu, Dia memancarkan air dari bukit batu untuk kamu. Di padang gurun Dia memberi kamu manna, sejenis makanan yang tidak pernah dimakan oleh nenek moyang kamu. Dia mendatangkan kesukaran untuk menguji kamu, supaya pada akhirnya Dia dapat berbuat baik kepada kamu. Oleh itu, jangan sekali-kali berfikir bahawa kamu menjadi kaya kerana kuasa dan kekuatan kamu sendiri. Ingatlah, bahawa TUHAN, Allah kamu itulah yang menjadikan kamu kaya. Dia melakukan hal itu kerana sampai hari ini, Dia masih setia kepada perjanjian yang dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu. Jangan lupa akan TUHAN, Allah kamu, dan jangan pergi kepada tuhan-tuhan lain untuk menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan itu. Aku memberi amaran kepada kamu hari ini bahawa jika kamu melakukannya juga, kamu pasti binasa. Jika kamu tidak taat kepada TUHAN, maka kamu akan dibinasakan seperti bangsa-bangsa yang akan dibinasakan-Nya apabila kamu bergerak maju.” “Dengarlah, hai umat Israel! Pada hari ini kamu akan menyeberangi Sungai Yordan, dan menduduki tanah yang dimiliki bangsa-bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu. Kota-kota mereka besar, dan tembok kota-kota itu menjulang sampai ke langit. Orang di situ berperawakan tinggi dan kuat; mereka itu raksasa, dan kamu sudah mendengar bahawa tiada seorang pun dapat melawan mereka. Tetapi sekarang kamu akan melihat sendiri bahawa TUHAN, Allah kamu akan mendahului kamu seperti api yang menyala. Dia akan mengalahkan mereka sedang kamu bergerak maju, supaya kamu boleh mengusir dan membinasakan mereka dengan cepat, seperti yang dijanjikan-Nya. Selepas TUHAN, Allah kamu mengusir mereka bagi kamu, jangan berkata kepada diri kamu sendiri bahawa Dia membawa kamu ke tanah itu untuk memilikinya kerana kamu layak. Bukan begitu! TUHAN akan mengusir bangsa-bangsa itu bagi kamu kerana mereka jahat. TUHAN membenarkan kamu mengambil tanah mereka itu bukan kerana kamu baik dan melakukan yang benar. TUHAN mengusir mereka kerana mereka jahat, dan kerana Dia hendak memenuhi perjanjian yang dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu, Abraham, Ishak, dan Yakub. Yakinlah bahawa bukan kerana kamu layak, kamu diberikan tanah yang subur oleh TUHAN kamu. Bukan begitu! Kamu memang umat yang keras kepala. Ingatlah bagaimana kamu menyebabkan TUHAN, Allah kamu murka di padang gurun. Sejak kamu meninggalkan Mesir sampai pada hari kamu tiba di sini, kamu telah memberontak terhadap-Nya. Bahkan di Gunung Sinai pun kamu menyebabkan TUHAN sedemikian murka sehingga Dia mahu membinasakan kamu. Aku mendaki gunung itu untuk menerima dua buah batu tulis yang ditulisi perjanjian yang dibuat oleh TUHAN dengan kamu. Aku tinggal di sana selama empat puluh hari dan empat puluh malam, dan aku tidak makan atau minum apa-apa pun. Kemudian TUHAN memberikan dua buah batu tulis itu kepadaku. Dengan tangan-Nya sendiri Dia menulisi batu itu dengan apa yang sudah difirmankan-Nya kepada kamu dari api, ketika kamu berkumpul di kaki gunung. Selepas empat puluh hari dan empat puluh malam, TUHAN memberikan dua buah batu tulis itu kepadaku. Batu tulis itu ditulisi-Nya dengan perjanjian itu. Setelah itu TUHAN berfirman kepadaku, ‘Segeralah turun ke kaki gunung, kerana umat yang engkau pimpin keluar dari Mesir itu sudah berbuat jahat. Mereka sudah berpaling daripada perintah-Ku, dan sudah membuat sebuah berhala untuk mereka sendiri.’ TUHAN berfirman lagi kepadaku, ‘Aku tahu betapa degilnya umat ini. Jangan cuba halang Aku. Aku bercadang untuk membinasakan mereka supaya tidak seorang pun akan ingat pada mereka lagi. Kemudian Aku akan menjadikan engkau bapa suatu bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada mereka.’ Kemudian aku turun dari gunung itu sambil membawa dua buah batu tulis yang ditulisi perjanjian itu. Api yang bernyala-nyala kelihatan di gunung itu. Aku melihat betapa cepatnya kamu sudah melanggar hukum yang diberikan TUHAN, Allah kamu, dan aku melihat bahawa kamu sudah berdosa terhadap-Nya. Kamu sudah membuat sebuah berhala daripada logam untuk diri kamu sendiri, iaitu berhala yang berbentuk lembu. Oleh itu, di depan mata kamu, aku membanting dua buah batu tulis itu sehingga pecah berkeping-keping. Kemudian sekali lagi aku bersujud di hadapan TUHAN selama empat puluh hari dan empat puluh malam, dan aku tidak makan atau minum apa-apa pun. Aku berbuat demikian kerana kamu telah berdosa terhadap TUHAN dan menyebabkan Dia murka. Aku takut akan kemurkaan TUHAN, kerana Dia begitu murka sehingga mahu membinasakan kamu, tetapi kali ini pun TUHAN mendengarkan aku. TUHAN sangat murka kepada Harun sehingga mahu membinasakannya. Maka pada masa itu juga, aku berdoa untuk Harun. Aku mengambil benda celaka yang sudah kamu buat itu, iaitu lembu daripada logam, lalu membuangnya ke dalam api. Kemudian aku memecah-mecahkannya dan menghancurkannya menjadi debu, lalu membuangnya ke dalam sungai yang mengalir dari gunung itu. Pada masa kamu di Tabera, Masa, dan Kibrot-Taawa, kamu juga menyebabkan TUHAN, Allah kamu murka. Apabila Dia menyuruh kamu meninggalkan Kades-Barnea dengan perintah supaya menduduki tanah yang akan diberikan-Nya kepada kamu itu, kamu memberontak terhadap-Nya. Kamu tidak percaya dan tidak taat kepada-Nya. Sejak aku mengenal kamu, kamu sentiasa memberontak terhadap TUHAN. Oleh itu aku bersujud di hadapan TUHAN selama empat puluh hari dan empat puluh malam, kerana aku tahu bahawa Dia bertekad untuk membinasakan kamu. Kemudian aku berdoa kepada-Nya, ‘Ya TUHAN Raja, jangan binasakan umat-Mu, yang sudah Engkau selamatkan dan bawa keluar dari Mesir dengan kekuatan dan kuasa-Mu yang besar. Ingatlah akan hamba-Mu, Abraham, Ishak, dan Yakub. Jangan pedulikan kedegilan, kejahatan, dan dosa umat ini. Jika Engkau membinasakan mereka, orang Mesir akan berkata bahawa Engkau tidak sanggup membawa umat-Mu ke tanah yang sudah Engkau janjikan kepada mereka. Mereka akan berkata bahawa Engkau membawa umat-Mu keluar ke padang gurun untuk membunuh mereka, kerana Engkau membenci mereka. Bukankah mereka ini umat yang Engkau pilih untuk menjadi umat-Mu sendiri? Merekalah yang Engkau bawa keluar dari Mesir dengan kuasa dan kekuatan-Mu yang besar.’ ” “Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, ‘Pahatlah dua buah batu tulis seperti yang dahulu, dan buatlah sebuah tabut daripada kayu untuk menyimpan batu tulis itu. Setelah itu datanglah kepada-Ku di atas gunung; lalu pada batu tulis itu Aku akan menulis apa yang sudah Kutulis pada batu tulis yang engkau pecahkan itu. Kemudian simpanlah batu tulis itu di dalam tabut.’ Kemudian aku membuat sebuah tabut daripada kayu akasia, dan memahat dua buah batu tulis seperti yang dahulu. Aku membawa batu tulis itu ke atas gunung. Pada batu tulis itu TUHAN menuliskan apa yang ditulis-Nya pada kali pertama. Dia menuliskan Sepuluh Hukum yang diberikan-Nya kepada kamu ketika Dia berfirman kepada kamu dari api, pada hari kamu berkumpul di gunung. TUHAN memberikan batu tulis itu kepadaku, lalu aku turun dari gunung. Sebagaimana yang diperintahkan TUHAN, aku meletakkan batu tulis itu di dalam tabut yang telah aku buat. Batu tulis itu disimpan di dalam tabut sejak masa itu sampai sekarang.” ( Umat Israel meninggalkan perigi-perigi kepunyaan orang Yaakan, lalu pergi ke Mosera. Di Mosera, Harun meninggal dan dikebumikan, lalu Eleazer, anaknya menggantikan dia sebagai imam. Dari sana mereka pergi ke Gudgod, lalu ke Yotbata, tempat yang banyak airnya. Di atas gunung, TUHAN melantik orang daripada suku Lewi untuk menjaga Tabut Perjanjian, dan untuk mengabdi kepada-Nya sebagai imam, dan juga untuk mengucapkan berkat demi nama-Nya. Hingga sekarang suku Lewi masih menjalankan tugas itu. Itulah sebabnya suku Lewi tidak mendapat tanah seperti suku-suku lain, kerana mereka menerima hak istimewa untuk menjadi imam TUHAN seperti yang dijanjikan oleh TUHAN, Allah kamu.) “Aku tinggal di atas gunung itu selama empat puluh hari dan empat puluh malam seperti kali pertama dahulu. TUHAN mendengarkan aku sekali lagi dan bersetuju tidak membinasakan kamu. Kemudian Dia menyuruh aku pergi dan menjadi pemimpin kamu, supaya kamu boleh memiliki tanah yang sudah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kamu.” “Sekarang, hai umat Israel, dengarlah tuntutan TUHAN, Allah kamu daripada kamu: Hormatilah TUHAN dan laksanakanlah segala perintah-Nya. Kasihilah Dia dan mengabdilah kepada-Nya dengan segenap hati; patuhilah segala hukum-Nya. Aku memberikan hukum-hukum itu kepada kamu hari ini untuk kepentingan kamu. Langit yang tertinggi sekalipun milik TUHAN; bumi dan segala yang ada di atasnya juga milik Dia. Namun kasih TUHAN terhadap nenek moyang kamu sedemikian besar sehingga Dia memilih kamu dari antara semua bangsa, dan kamu tetap umat pilihan-Nya. Oleh itu, mulai sekarang, taatlah kepada TUHAN dan jangan keras kepala lagi. TUHAN, Allah kamu itu berkuasa atas semua tuhan lain dan semua kekuasaan. Dia agung dan berkuasa, dan Dia harus ditaati. Dia tidak berat sebelah dan tidak menerima rasuah. Dia memastikan agar anak yatim piatu dan balu diperlakukan dengan adil. Dia mengasihi orang asing yang tinggal bersama dengan bangsa kita; Dia memberi mereka makanan dan pakaian. Oleh itu, kamu harus mengasihi orang asing tersebut kerana kamu sendiri pernah menjadi orang asing di Mesir. Hormatilah TUHAN, Allah kamu, dan beribadatlah kepada Dia sahaja. Setialah kepada-Nya dan bersumpahlah demi nama-Nya sahaja. Pujilah Dia kerana Dia Allah kamu, dan dengan mata sendiri, kamu sudah menyaksikan perkara-perkara besar dan mengagumkan yang dilakukan-Nya untuk kamu. Ketika nenek moyang kamu pergi ke Mesir, bilangan mereka hanya tujuh puluh orang, tetapi sekarang TUHAN, Allah kamu sudah menjadikan kamu sebanyak bintang di langit.” “Kasihilah TUHAN, Allah kamu dan patuhi segala hukum-Nya sentiasa. Pada hari ini ingatlah akan apa yang sudah kamu ketahui tentang TUHAN melalui pengalaman kamu. Kamulah dan bukan anak-anak kamu yang mempunyai pengalaman itu. Kamu sudah melihat kebesaran TUHAN, kekuatan-Nya, kekuasaan-Nya, dan mukjizat-Nya. Kamu sudah melihat apa yang dilakukan-Nya kepada raja Mesir dan seluruh negerinya. Kamu sudah melihat bagaimana TUHAN membinasakan seluruh tentera Mesir bersama-sama kuda dan kereta kuda mereka, dengan menenggelamkan semuanya di dalam Laut Gelagah, ketika mereka mengejar kamu. Kamu tahu apa yang dilakukan TUHAN untuk kamu di padang gurun sebelum kamu sampai di tempat ini. Kamu ingat apa yang dilakukan-Nya kepada Datan dan Abiram, anak-anak Eliab daripada suku Ruben. Di depan mata semua orang, bumi menelan mereka bersama-sama keluarga, khemah, serta semua hamba dan binatang mereka. Sesungguhnya, kamulah yang sudah melihat segala perkara besar itu yang dilakukan oleh TUHAN.” “Patuhilah segala hukum yang aku sampaikan kepada kamu hari ini. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan menyeberangi sungai dan menduduki tanah yang akan kamu tuju. Kamu akan hidup lama di tanah yang kaya dan subur, yang sudah dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu dan keturunan mereka. Tanah yang akan kamu duduki itu bukan seperti negeri Mesir, tempat kamu tinggal dahulu. Apabila kamu menanam benih di Mesir, kamu harus bekerja keras untuk mengairi ladang; tetapi tanah yang akan kamu duduki itu kawasan pergunungan dan lembah, yang diairi oleh hujan. TUHAN, Allah kamu memelihara tanah itu dan menjaganya sepanjang tahun. Oleh itu taatilah hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini. Kasihilah TUHAN, Allah kamu dan mengabdilah kepada-Nya dengan segenap jiwa raga. Jika kamu berbuat demikian, Dia akan menurunkan hujan ke atas tanah kamu, apabila hujan diperlukan pada musim luruh dan pada musim bunga. Dengan demikian kamu akan mempunyai gandum, wain, minyak zaitun, dan rumput untuk ternakan kamu. Kamu akan mendapat segala makanan yang kamu kehendaki. Jangan biarkan diri kamu disesatkan sehingga berpaling daripada TUHAN, lalu menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain. Jika kamu melanggar hukum itu, TUHAN akan murka terhadap kamu. Dia akan menahan hujan, lalu tanah kamu akan menjadi kering-kersang sehingga tanaman tidak dapat tumbuh. Kemudian kamu akan segera mati di sana, walaupun tanah yang diberikan-Nya kepada kamu itu, tanah yang baik. Ingatlah dan hargailah hukum-hukum itu. Ikatkanlah hukum itu pada lengan dan juga pada dahi kamu sebagai peringatan. Ajarkanlah hukum itu kepada anak-anak kamu. Percakapkanlah hukum itu semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja. Tuliskanlah hukum itu pada tiang pintu rumah dan pada pintu gerbang kamu. Jika kamu berbuat demikian, kamu dan anak-anak kamu akan hidup lama di tanah yang dijanjikan TUHAN, Allah kamu kepada nenek moyang kamu. Kamu akan tinggal di sana selama ada langit di atas bumi. Patuhilah dengan setia semua hukum yang sudah aku berikan kepada kamu: Kasihilah TUHAN, Allah kamu, laksanakanlah segala yang diperintahkan-Nya, dan setialah kepada-Nya. Kemudian Dia akan mengusir semua bangsa itu apabila kamu bergerak maju, dan kamu akan menduduki tanah milik bangsa-bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu. Segala tanah yang kamu pijak akan menjadi milik kamu. Wilayah kamu akan terbentang luas, bermula dari padang gurun di selatan sampai ke Pergunungan Lebanon di utara, dan dari Sungai Efrat di timur sampai ke Laut Tengah di barat. Ke mana sahaja kamu pergi di tanah itu, TUHAN, Allah kamu akan menyebabkan orang takut kepada kamu seperti yang dijanjikan-Nya; tiada seorang pun akan dapat menghalangi kamu. Pada hari ini aku memberi kamu pilihan antara berkat dan kutuk - berkat, jika kamu taat kepada perintah TUHAN, Allah kamu yang aku berikan kepada kamu pada hari ini; atau kutuk, jika kamu tidak taat kepada perintah itu, dan berpaling untuk menyembah tuhan-tuhan lain yang tidak pernah kamu puja. Apabila TUHAN membawa kamu ke tanah yang akan kamu duduki itu, kamu harus mengisytiharkan berkat dari atas Gunung Gerizim dan kutuk dari atas Gunung Ebal. ( Kedua-dua gunung itu terletak di sebelah barat Sungai Yordan di wilayah orang Kanaan yang tinggal di Lembah Yordan. Gunung-gunung itu menghadap ke barat, tidak jauh dari pokok-pokok keramat di More, dekat kota Gilgal.) Tidak lama lagi kamu akan menyeberangi Sungai Yordan dan menduduki tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu. Apabila kamu sudah menduduki tanah itu dan menetap di sana, pastikanlah bahawa kamu patuh kepada segala hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini.” “Sekarang dengarlah segala hukum yang mesti dipatuhi selama kamu tinggal di tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah nenek moyang kamu. Di tanah yang akan kamu duduki itu, musnahkanlah segala tempat penyembahan dewa di atas gunung yang tinggi, di atas bukit, dan di bawah pokok hijau, tempat bangsa yang tinggal di situ menyembah tuhan-tuhan mereka. Robohkan mazbah mereka dan hancurkan tiang-tiang batu keramat. Bakarlah lambang-lambang Dewi Asyera dan hancurkanlah patung-patung berhala mereka, supaya semuanya tidak lagi disembah di tempat-tempat itu. Apabila kamu menyembah TUHAN, Allah kamu, jangan tiru cara bangsa itu menyembah tuhan-tuhan mereka. Daripada seluruh wilayah semua suku kamu, TUHAN akan memilih satu tempat supaya kamu dapat datang ke hadirat-Nya dan menyembah Dia di situ. Di tempat itu kamu harus mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan korban-korban lain, persepuluhan dan persembahan lain, pemberian yang kamu janjikan kepada TUHAN, persembahan yang dipersembahkan dengan sukarela, dan juga anak sulung lembu, serta anak sulung domba kamu. Di sana, di hadapan TUHAN, Allah kamu, yang sudah memberkati kamu, kamu bersama dengan keluarga akan makan dan menikmati segala hasil usaha kamu. Apabila masanya tiba, kamu tidak boleh melakukan hal yang kamu lakukan sekarang. Hingga sekarang kamu semua beribadat dengan sesuka hati, kerana kamu belum sampai di tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, tempat kamu dapat menetap dengan aman. Setelah kamu menyeberangi Sungai Yordan, TUHAN akan membenarkan kamu menduduki tanah itu lalu menetap di sana. Dia akan melindungi kamu daripada semua musuh supaya kamu dapat hidup dengan aman. TUHAN akan memilih satu tempat yang menjadi tempat beribadat kepada-Nya. Di sanalah kamu mesti membawa segala yang sudah aku perintahkan: korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban-korban lain, persepuluhan dan persembahan lain, dan pemberian istimewa yang kamu janjikan kepada TUHAN. Bersukacitalah di hadirat TUHAN di tempat itu, bersama dengan anak-anak kamu, hamba-hamba kamu, dan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu. Ingatlah, bahawa orang Lewi tidak akan mempunyai tanah mereka sendiri. Jangan persembahkan korban kamu di tempat yang kamu pilih sendiri; persembahkanlah korban itu hanya di satu tempat yang dipilih oleh TUHAN, di salah satu wilayah suku kamu. Hanya di sana kamu boleh mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan melakukan segala yang sudah aku perintahkan. Tetapi kamu bebas menyembelih ternakan kamu dan makan dagingnya di mana sahaja kamu tinggal. Kamu boleh makan seberapa banyak ternakan yang diberikan TUHAN kepada kamu. Baik kamu tahir ataupun najis, kamu semua boleh makan daging binatang itu sebagaimana kamu makan daging rusa atau kijang. Tetapi jangan makan darah binatang itu; curahkan darahnya ke tanah seperti air. Tiada suatu pun yang kamu persembahkan kepada TUHAN boleh dimakan di tempat tinggal kamu: baik persepuluhan gandum, wain, minyak zaitun, ataupun anak sulung lembu dan anak sulung domba, pemberian yang kamu janjikan kepada TUHAN, persembahan sukarela, ataupun persembahan lain. Kamu dan anak-anak kamu, bersama dengan hamba-hamba kamu dan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu, harus makan persembahan itu hanya di hadirat TUHAN, Allah kamu, di satu tempat ibadat yang dipilih oleh TUHAN Allah kamu. Di tempat itu kamu harus bersukacita atas segala yang sudah kamu usahakan. Jangan abaikan orang Lewi, selama kamu tinggal di tanah kamu. Apabila TUHAN meluaskan wilayah kamu seperti yang dijanjikan-Nya, kamu boleh makan daging bila-bila sahaja kamu mahu. Jika tempat ibadat itu terlalu jauh, maka bila-bila sahaja, kamu boleh menyembelih lembu atau domba yang diberikan oleh TUHAN kepada kamu. Kamu boleh makan daging binatang itu di rumah, seperti yang sudah aku katakan kepada kamu. Sesiapa sahaja, yang tahir ataupun najis, boleh makan daging itu sebagaimana dia makan daging rusa atau kijang. Tetapi jangan makan daging yang masih berdarah, kerana nyawa binatang itu terkandung di dalam darahnya. Kamu tidak boleh makan nyawa bersama dengan daging. Jangan makan darah; curahkanlah darah ke tanah seperti air. Jika kamu mematuhi hukum itu, TUHAN akan berkenan kepada kamu, dan kamu serta keturunan kamu akan sejahtera. Bawalah persembahan dan pemberian yang sudah kamu janjikan kepada TUHAN ke satu tempat ibadat itu. Di sana persembahkanlah korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah TUHAN. Persembahkan juga korban yang dagingnya kamu makan, dan curahkan darahnya ke atas mazbah. Segala perkara yang sudah aku perintahkan kepada kamu harus ditaati dengan setia. Oleh itu kamu dan keturunan kamu akan sejahtera selama-lamanya, kerana kamu melakukan apa yang benar dan berkenan kepada TUHAN, Allah kamu.” “TUHAN, Allah kamu akan membinasakan bangsa-bangsa itu apabila kamu menyerang mereka, dan Dia akan menolong kamu menduduki serta mendiami tanah mereka. Setelah TUHAN membinasakan bangsa-bangsa itu, berhati-hatilah. Jangan ikut kebiasaan agama mereka, kerana hal itu akan mendatangkan malapetaka. Jangan dapatkan maklumat tentang cara mereka menyembah tuhan-tuhan mereka dengan maksud meniru cara mereka itu. Jangan sembah TUHAN, Allah kamu dengan cara mereka menyembah tuhan-tuhan mereka, kerana apabila mereka menyembah tuhan-tuhan itu, mereka melakukan semua perkara jijik yang dibenci oleh TUHAN. Bahkan anak-anak mereka sendiri pun dibakar oleh mereka di atas mazbah sebagai korban kepada tuhan-tuhan mereka. Lakukanlah segala yang sudah aku perintahkan kepada kamu; jangan tambahkan atau kurangkan apa-apa kepada perintah itu. Mungkin seorang nabi ataupun pentafsir mimpi berjanji akan mengadakan perbuatan ajaib atau mukjizat untuk mengajak kamu menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan yang tidak pernah kamu sembah. Walaupun perkara yang dijanjikan oleh nabi itu benar-benar berlaku, jangan pedulikan kata-katanya. TUHAN, Allah kamu menggunakan dia untuk menguji kamu, supaya TUHAN tahu sama ada kamu mengasihi-Nya dengan sepenuh hati atau tidak. Ikutlah TUHAN dan hormatilah Dia. Taatilah Dia dan patuhilah perintah-Nya; sembahlah Dia dan setialah kepada-Nya. Tetapi bunuhlah nabi atau pentafsir mimpi yang menyuruh kamu memberontak terhadap TUHAN yang sudah menyelamatkan kamu dari Mesir, tempat kamu diperhamba dahulu. Orang seperti itu jahat dan cuba menyesatkan kamu daripada kehidupan yang diperkenankan oleh TUHAN. Orang itu mesti dibunuh, supaya kejahatan itu dibasmi dari kalangan kamu. Bahkan saudara kamu, atau anak lelaki kamu, atau anak perempuan kamu, atau isteri yang kamu kasihi, atau sahabat karib kamu pun, mungkin dengan diam-diam memujuk kamu untuk menyembah tuhan-tuhan lain, yang tidak pernah kamu sembah, dan yang tidak pernah disembah oleh nenek moyang kamu. Salah seorang di kalangan mereka mungkin memujuk kamu untuk menyembah tuhan-tuhan bangsa yang tinggal dekat dengan kamu, atau tuhan-tuhan bangsa yang tinggal jauh. Tetapi jangan biar orang itu memujuk kamu, dan jangan dengarkan kata-katanya. Jangan kasihani orang itu dan jangan lindungi dia. Bunuhlah dia! Biarlah kamu menjadi orang pertama yang merejam dia, lalu biarlah semua orang lain merejam dia. Rejamlah dia sampai mati! Dia cuba menjauhkan kamu daripada TUHAN, Allah kamu, yang sudah menyelamatkan kamu dari Mesir, tempat kamu diperhamba dahulu. Kemudian semua orang Israel akan mendengar hal yang berlaku, dan mereka akan takut. Seorang pun tidak akan melakukan perkara sejahat itu lagi. Apabila kamu tinggal di kota-kota yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, mungkin kamu akan mendengar bahawa beberapa orang jahat daripada bangsa kamu sudah menyesatkan penduduk kota mereka sehingga penduduk di situ menyembah tuhan-tuhan yang tidak pernah kamu sembah. Jika kamu mendengar khabar angin seperti itu, siasatlah hal itu baik-baik. Jika memang benar bahawa perkara jahat itu benar-benar berlaku, bunuhlah semua penduduk kota itu dan juga semua ternakan mereka. Musnahkan kota itu seluruhnya. Kumpulkanlah segala milik penduduk kota itu dan letakkanlah semuanya di padang kota. Kemudian bakarlah kota itu serta segala yang ada di dalamnya sebagai persembahan kepada TUHAN, Allah kamu. Kota itu mesti dibiarkan menjadi runtuhan selama-lamanya, dan tidak sekali-kali dibina semula. Jangan ambil apa-apa pun yang sudah dikutuk untuk dibinasakan, maka TUHAN akan berpaling daripada kemurkaan-Nya dan mengasihani kamu. Dia akan mengasihani kamu dan menjadikan kamu bangsa yang besar bilangannya, sebagaimana yang sudah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kamu. Dia akan melakukan hal itu jika kamu mentaati segala perintah-Nya yang sudah aku berikan kepada kamu hari ini, dan kamu melakukan apa yang dikehendaki-Nya.” “Kamulah umat TUHAN, Allah kamu. Oleh itu apabila kamu berkabung bagi orang yang sudah meninggal, jangan lukakan tubuh atau cukur rambut pada bahagian depan kepala kamu, seperti yang dilakukan oleh bangsa lain. Kamu milik TUHAN, Allah kamu; Dia sudah memilih kamu untuk menjadi umat-Nya sendiri, antara semua bangsa yang tinggal di atas bumi.” “Jangan makan apa-apa yang dinyatakan haram oleh TUHAN. Kamu boleh makan binatang ini: lembu, domba, kambing, rusa, domba hutan, kambing hutan, dan kijang. Tiap-tiap binatang yang berkuku belah dan yang memamah biak boleh dimakan. Kamu tidak boleh makan binatang yang tidak berkuku belah dan yang tidak memamah biak. Jangan makan daging unta, arnab, atau landak batu. Binatang itu haram kerana walaupun memamah biak, tetapi tidak berkuku belah. Jangan makan babi. Binatang itu haram, kerana walaupun berkuku belah tetapi binatang itu tidak memamah biak. Jangan makan binatang seperti itu, dan jangan sentuh bangkainya. Kamu boleh makan semua jenis ikan yang mempunyai sirip dan sisik, tetapi apa sahaja binatang yang hidup di dalam air dan yang tidak mempunyai sirip dan sisik, tidak boleh dimakan. Binatang seperti itu haram. Kamu boleh makan semua jenis burung yang halal. [12-18] Tetapi jenis-jenis burung yang berikut tidak boleh kamu makan: burung rajawali, burung hantu, semua jenis burung helang, burung nasar, burung gagak, burung unta, burung camar, burung ranggung, burung pucung dan semua jenis burung bangau, burung undan, burung kosa, dan kelawar. *** *** *** *** *** *** Semua serangga yang bersayap adalah haram; jangan makan serangga jenis itu. Makanlah serangga jenis yang halal. Jangan makan binatang yang mati biasa. Daging binatang itu boleh dimakan oleh orang asing yang tinggal di kalangan kamu, atau dijual kepada orang asing. Tetapi kamu milik TUHAN, Allah kamu; kamu umat-Nya. Jangan rebus anak domba atau anak kambing di dalam susu induknya.” “Sisihkanlah persembahan persepuluhan, iaitu sepersepuluh daripada segala hasil ladang kamu setiap tahun. Kemudian pergilah ke satu tempat yang dipilih oleh TUHAN, Allah kamu sebagai tempat ibadat. Di hadirat TUHAN, Allah kamu, di tempat yang dipilih-Nya itu, makanlah persembahan persepuluhan itu: biji-bijian, wain, minyak zaitun, anak sulung lembu, dan anak sulung domba kamu. Buatlah demikian supaya kamu sentiasa belajar menghormati TUHAN, Allah kamu. Jika kamu tinggal terlalu jauh dari satu tempat ibadat itu, dan susah bagi kamu membawa persembahan persepuluhan daripada hasil ladang yang diberikan oleh TUHAN, kepada kamu, maka lakukanlah hal ini: Juallah hasil ladang itu dan bawalah wang harganya ke satu tempat ibadat itu. Dengan wang itu belilah apa sahaja yang kamu mahu - lembu, domba, wain, dan minuman keras. Kemudian di tempat itu, di hadirat TUHAN, Allah kamu, kamu dan keluarga kamu harus makan dan bersukacita. Jangan abaikan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu; mereka tidak mempunyai harta milik. Pada akhir setiap tahun ketiga, bawalah persembahan persepuluhan daripada segala hasil tanaman kamu dan simpanlah semuanya di dalam kota-kota kamu. Makanan itu untuk orang Lewi kerana mereka tidak mempunyai harta milik. Makanan itu juga untuk orang asing, anak yatim piatu, dan balu yang tinggal di kota-kota kamu. Mereka boleh datang dan mengambil segala yang diperlukan mereka. Buatlah demikian, maka TUHAN, Allah kamu akan memberkati kamu dalam segala usaha kamu.” “Pada akhir setiap tahun ketujuh, hapuskanlah hutang orang yang berhutang wang kepada kamu. Beginilah caranya: Setiap orang Israel yang sudah meminjamkan wang kepada sesama orang Israel, mesti menghapuskan hutang itu. Dia tidak boleh menagih hutang itu, kerana menurut keputusan TUHAN sendiri, hutang itu sudah dihapuskan. Kamu boleh menagih wang yang dipinjam oleh orang asing, tetapi kamu tidak boleh menagih wang yang dipinjam oleh sesama bangsa kamu. TUHAN, Allah kamu akan memberkati kamu di tanah yang diberikan-Nya kepada kamu. Tidak seorang pun daripada bangsa kamu akan menjadi miskin, jika kamu taat kepada TUHAN, Allah kamu, dan dengan teliti melaksanakan segala perkara yang aku perintahkan kepada kamu hari ini. TUHAN akan memberkati kamu sebagaimana yang dijanjikan-Nya. Kamu akan meminjamkan wang kepada banyak bangsa, tetapi kamu sendiri tidak akan meminjam daripada sesiapa pun. Kamu akan menguasai banyak bangsa, tetapi tiada satu bangsa pun akan menguasai kamu. Jika ada seorang Israel yang memerlukan pertolongan di salah sebuah kota di tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, jangan pentingkan diri sendiri, dan jangan kamu enggan memberikan pertolongan kepadanya. Sebaliknya, kamu harus bermurah hati dan memberi pinjam kepada orang itu seberapa banyak yang diperlukannya. Jangan kamu enggan memberi dia pinjam sesuatu, hanya kerana tahun untuk menghapuskan hutang sudah hampir. Jangan biar fikiran sejahat itu masuk ke dalam hati kamu. Jika kamu enggan memberi pinjam, orang itu akan mengadu kepada TUHAN, dan kamu akan dinyatakan bersalah. Berilah dia apa sahaja dengan rela dan murah hati, lalu TUHAN akan memberkati kamu dalam segala usaha kamu. Di kalangan orang Israel, selalu akan terdapat beberapa orang miskin dan yang memerlukan pertolongan. Oleh itu aku memerintahkan kamu supaya bermurah hati terhadap mereka.” “Jika seorang Israel, lelaki atau perempuan, menjual dirinya sebagai abdi kepada kamu, bebaskanlah dia setelah dia bekerja bagi kamu selama enam tahun. Pada tahun yang ketujuh, kamu mesti membebaskan dia. Apabila kamu membebaskan dia, jangan biarkan dia pergi dengan tangan kosong. Dengan murah hati berilah dia apa sahaja yang dikurniakan oleh TUHAN kepada kamu, seperti domba, biji-bijian, dan wain. Ingatlah bahawa dahulu kamu dijadikan hamba di Mesir, dan TUHAN, Allah kamu telah membebaskan kamu. Itulah sebabnya aku memberikan perintah ini kepada kamu. Tetapi mungkin abdi kamu itu tidak mahu dibebaskan, kerana dia mengasihi kamu dan keluarga kamu, dan dia suka tinggal dengan kamu. Jika demikian, bawalah dia ke pintu rumah kamu, lalu di situ tindiklah telinganya. Lalu dia akan menjadi abdi kamu seumur hidupnya. Begitu juga yang harus kamu lakukan terhadap abdi perempuan kamu. Jangan berasa kesal apabila kamu membebaskan seorang abdi, kerana dia telah bekerja bagi kamu selama enam tahun, dengan separuh gaji seorang pekerja. Lakukanlah perintah itu, maka TUHAN, Allah kamu akan memberkati kamu dalam segala usaha kamu.” “Asingkanlah semua anak sulung lembu dan anak sulung domba kamu untuk TUHAN, Allah kamu. Jangan gunakan lembu itu untuk membuat kerja, dan jangan gunting bulu domba itu. Tiap-tiap tahun kamu dan keluarga kamu harus makan binatang itu di hadirat TUHAN di satu tempat ibadat yang dipilih oleh TUHAN. Jika binatang itu mempunyai kecacatan seperti tempang, buta, atau kecacatan lain yang teruk, jangan persembahkan binatang itu sebagai korban kepada TUHAN, Allah kamu. Kamu boleh makan binatang seperti itu di rumah. Baik kamu tahir ataupun najis, kamu semua boleh makan binatang itu sebagaimana kamu makan daging rusa atau kijang. Jangan makan darah binatang itu; curahkanlah darahnya ke tanah seperti air.” “Hormatilah TUHAN, Allah kamu dengan merayakan Paska pada bulan Abib kerana pada bulan itu, pada suatu malam, TUHAN, Allah kamu menyelamatkan kamu dari Mesir. Pergilah ke satu tempat ibadat itu, lalu di sana sembelihlah seekor daripada domba atau lembu kamu untuk perjamuan Paska bagi menghormati TUHAN, Allah kamu. Apabila kamu makan perjamuan itu, jangan makan roti yang beragi. Selama tujuh hari kamu harus makan roti yang tidak beragi, seperti yang kamu lakukan dahulu semasa kamu melarikan diri dengan tergesa-gesa dari Mesir. Makanlah roti yang tidak beragi - roti yang disebut roti penderitaan - supaya seumur hidup kamu, kamu ingat akan hari kamu meninggalkan Mesir, tempat penderitaan itu. Selama tujuh hari, seorang pun di tanah kamu tidak dibenarkan menyimpan ragi di dalam rumahnya; dan daging binatang yang disembelih pada malam pertama itu mesti dimakan pada malam itu juga. [5-6] Sembelihlah binatang untuk perjamuan Paska di satu tempat ibadat itu, dan bukan di mana-mana tempat lain di tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu. Sembelihlah binatang itu pada waktu matahari terbenam, seperti pada waktu kamu meninggalkan Mesir dahulu. *** Rebuslah daging itu dan makanlah di satu tempat ibadat itu, lalu pulanglah ke rumah pada keesokan paginya. Selama enam hari, kamu mesti makan roti yang tidak beragi, dan pada hari ketujuh kamu harus berkumpul untuk beribadat kepada TUHAN, Allah kamu. Jangan lakukan pekerjaan harian pada hari itu.” “Kiralah tujuh minggu mulai hari pertama kamu menuai gandum. Kemudian rayakanlah Perayaan Menuai untuk menghormati TUHAN, Allah kamu. Berikanlah persembahan sukarela kepada-Nya, menurut banyaknya berkat yang sudah diberikan-Nya kepada kamu. Bersukacitalah di hadirat TUHAN, bersama dengan anak-anak kamu, pekerja-pekerja kamu, orang Lewi, orang asing, anak yatim piatu, dan balu yang tinggal di kota-kota kamu. Lakukanlah hal ini di satu tempat ibadat itu. Taatilah perintah-perintah ini dengan setia. Ingatlah bahawa kamu diperhamba di Mesir dahulu.” “Setelah kamu menebah semua gandum dan memeras semua buah anggur, rayakanlah Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari. Bersukacitalah bersama dengan anak-anak kamu, pekerja-pekerja kamu, orang Lewi, orang bangsa asing, anak yatim piatu, dan balu yang tinggal di kota-kota kamu. Hormatilah TUHAN, Allah kamu dengan merayakan perayaan ini selama tujuh hari di satu tempat ibadat itu. Bersukacitalah kerana TUHAN sudah memberkati tuaian dan pekerjaan kamu. Semua orang lelaki bangsa kamu mesti datang untuk beribadat kepada TUHAN, Allah kamu tiga kali setahun, di satu tempat ibadat: pada Perayaan Paska, Perayaan Menuai, dan Perayaan Pondok Daun. Setiap orang lelaki harus membawa persembahan menurut kemampuannya dan menurut banyaknya berkat yang sudah diberikan TUHAN, Allah kamu kepadanya.” “Lantiklah hakim-hakim dan pegawai-pegawai lain di tiap-tiap kota yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu. Semua orang itu mesti menghakimi rakyat dengan adil. Mereka tidak boleh bersikap curang atau berat sebelah apabila menjalankan penghakiman. Mereka tidak boleh menerima rasuah kerana rasuah membutakan orang, bahkan orang bijak dan jujur sekalipun, sehingga mereka membuat keputusan yang salah. Kamu harus sentiasa adil dan tidak berat sebelah, supaya kamu boleh menduduki tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, dan kamu terus menetap di sana. Apabila kamu membina mazbah untuk TUHAN, Allah kamu, jangan tegakkan tiang kayu yang menjadi lambang Dewi Asyera di sebelah mazbah itu. Jangan dirikan tiang batu bagi penyembahan berhala di tempat itu. TUHAN Allah kamu membenci perbuatan itu. Jangan persembahkan lembu atau domba yang cacat kepada TUHAN, Allah kamu; TUHAN membenci perbuatan itu. Andaikata kamu mendengar bahawa di salah sebuah kota kamu, ada beberapa orang lelaki atau perempuan yang telah berdosa terhadap TUHAN, dan melanggar perjanjian-Nya serta perintah TUHAN kerana mereka menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain, atau kepada matahari, atau kepada bulan, atau kepada bintang-bintang. Jika kamu mendengar laporan seperti itu, kamu harus menyiasat perkara itu dengan teliti. Jika benar bahawa perkara jahat itu sudah berlaku di Israel, bawalah orang itu ke luar kota lalu rejamlah dia sampai mati. Seseorang hanya boleh direjam sampai mati jika ada dua atau tiga orang saksi yang menyalahkan dia, tetapi dia tidak boleh direjam jika hanya ada seorang saksi. Orang yang menjadi saksi itulah yang mesti melemparkan batu pertama, barulah semua orang lain melempari orang itu dengan batu. Dengan cara ini kamu membasmi kejahatan itu. Mungkin ada beberapa perkara tentang hak milik, kecederaan, ataupun soal pembunuhan sengaja, atau tidak sengaja yang terlalu sukar diadili oleh hakim setempat. Apabila ada perkara seperti itu, segeralah pergi ke satu tempat ibadat yang dipilih oleh TUHAN, Allah kamu. Di situ, ajukanlah perkara itu kepada imam-imam suku Lewi, dan kepada hakim yang bertugas pada waktu itu. Biarlah mereka mengadili perkara itu. Mereka akan memberikan keputusan tentang perkara itu, dan kamu mesti melakukan dengan teliti apa yang dikatakan mereka kepada kamu. Terimalah keputusan mereka dan laksanakanlah apa yang ditetapkan mereka sampai kepada hal-hal terperinci. Sesiapa berani membantah hakim atau imam yang bertugas mesti dihukum mati; dengan cara ini kamu membasmi kejahatan itu di Israel. Kemudian semua orang akan mendengar tentang perkara itu dan menjadi takut, sehingga tidak seorang pun akan berani bertindak seperti itu lagi.” “Setelah kamu memiliki tanah yang akan diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, dan kamu sudah menetap di sana, mungkin kamu menginginkan seorang raja seperti bangsa-bangsa di sekeliling kamu. Pastikanlah bahawa orang yang kamu pilih menjadi raja itu adalah orang yang dipilih oleh TUHAN. Raja itu mesti orang bangsa kamu sendiri. Jangan pilih orang asing menjadi raja kamu. Raja itu tidak boleh mempunyai pasukan berkuda yang besar bilangannya. Raja itu tidak boleh menghantar orang ke Mesir untuk membeli kuda, kerana TUHAN sudah berfirman bahawa umat-Nya tidak boleh balik ke Mesir. Raja itu tidak boleh mempunyai banyak isteri, kerana hal itu akan menyebabkan baginda berpaling daripada TUHAN; raja itu tidak boleh memperkaya diri dengan emas atau perak. Apabila baginda ditabalkan menjadi raja, baginda mesti diberikan sebuah kitab hukum Allah yang disalin daripada kitab asli yang disimpan oleh imam-imam suku Lewi. Kitab itu mesti selalu ada dekat raja, dan baginda mesti membaca kitab itu seumur hidupnya, supaya baginda belajar menghormati TUHAN dan dengan setia mentaati segala perintah di dalam kitab itu. Jika raja berbuat demikian, baginda tidak akan menganggap dirinya lebih baik daripada orang sebangsanya, dan baginda tidak akan melanggar perintah TUHAN dengan cara apa pun. Maka raja akan memerintah Israel untuk masa yang lama, dan keturunannya akan memerintah Israel sampai turun-temurun.” “Seluruh suku Lewi, termasuk para imam tidak boleh menerima bahagian tanah di Israel, tetapi mereka akan menerima sebahagian persembahan dan korban lain yang diberikan kepada TUHAN. Yang diterima mereka itu adalah warisan mereka, sebagaimana yang sudah dijanjikan TUHAN. Itulah sebabnya mereka tidak boleh memiliki tanah seperti suku-suku lain. Apabila lembu atau domba dipersembahkan sebagai korban, maka bahagian bahu, rahang, dan perut binatang itu harus diberikan kepada imam. Para imam harus diberikan hasil pertama daripada biji-bijian, wain, minyak zaitun, dan bulu domba. TUHAN memilih suku Lewi antara semua suku kamu untuk mengabdi kepada-Nya sebagai imam selama-lamanya. Sesiapa sahaja orang Lewi yang berasal dari kota mana pun di Israel, boleh datang ke satu tempat ibadat itu, dan boleh mengabdi kepada TUHAN, Allahnya sebagai imam, seperti orang Lewi lain yang bertugas di sana. Dia harus diberikan makanan sebanyak yang diterima oleh imam-imam lain, dan dia boleh menyimpan apa sahaja yang dikirim oleh keluarganya.” “Apabila kamu sampai ke tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu, jangan ikut perbuatan keji yang diamalkan oleh bangsa-bangsa yang tinggal di sana. Jangan persembahkan anak-anak kamu sebagai korban yang dibakar di atas mazbah. Jangan biar sesiapa pun di kalangan kamu menjadi tukang tenung, atau mencari petanda, atau menggunakan jampi atau ilmu sihir, atau mengadakan hubungan dengan roh orang mati. TUHAN, Allah kamu membenci orang yang melakukan perbuatan keji itu. Itulah sebabnya Dia mengusir bangsa-bangsa itu dari tanah itu apabila kamu datang. Kamu harus setia dengan sepenuhnya kepada TUHAN, Allah kamu.” Kemudian Musa berkata, “Bangsa-bangsa di tanah yang akan kamu duduki itu mengikut nasihat tukang tenung dan orang yang mencari petanda, tetapi TUHAN, Allah kamu tidak membenarkan kamu melakukan perkara itu. Sebaliknya TUHAN, Allah kamu akan mengutus seorang nabi kepada kamu; nabi itu akan seperti aku dan dia daripada bangsa kamu sendiri; kamu mesti taat kepadanya. Pada waktu kamu berkumpul di Gunung Sinai, kamu memohon supaya kamu tidak lagi mendengar TUHAN berfirman, atau melihat hadirat-Nya yang bernyala-nyala, kerana kamu takut mati. Oleh itu TUHAN berfirman kepadaku, ‘Permintaan mereka itu bijak. Aku akan mengutus seorang nabi kepada mereka, nabi seperti engkau, dan yang daripada bangsa mereka sendiri. Aku akan menyampaikan firman-Ku kepadanya, dan dia akan menyampaikan segala perintah-Ku kepada umat itu. Nabi itu akan berkata-kata demi nama-Ku, dan Aku akan menghukum setiap orang yang tidak mahu taat kepadanya. Tetapi jika seorang nabi berani menyampaikan perkhabaran demi nama-Ku, tetapi sebenarnya Aku tidak menyuruh dia berbuat begitu, nabi itu mesti mati. Setiap nabi yang berkata-kata demi nama tuhan-tuhan lain mesti mati.’ Mungkin kamu tertanya-tanya dalam hati, ‘Bagaimana kami tahu sama ada perkhabaran nabi itu berasal daripada TUHAN atau tidak?’ Jika seorang nabi berkata-kata demi nama TUHAN, dan yang dikatakannya itu tidak berlaku, maka perkhabaran itu bukanlah perkhabaran daripada TUHAN. Nabi itu telah berkata-kata dengan mengikut fikiran sendiri, dan kamu tidak usah takut kepada dia.” “Setelah TUHAN, Allah kamu membinasakan bangsa-bangsa, Dia akan memberikan tanah mereka kepada kamu. Selepas kamu merebut kota-kota dan rumah-rumah mereka serta tinggal di sana, [2-3] bahagikanlah tanah itu menjadi tiga wilayah. Setiap wilayah harus mempunyai sebuah kota yang mudah dicapai, supaya apabila seseorang membunuh orang lain, dia boleh lari ke salah sebuah kota itu untuk mendapat perlindungan. *** Jika dengan tidak sengaja seseorang membunuh orang yang bukan musuhnya, dia boleh lari ke salah sebuah kota itu supaya selamat. Umpamanya, jika dua orang pergi ke hutan untuk menebang kayu, dan sedang seorang menebang kayu, mata kapaknya terlepas dari gagang lalu membunuh temannya. Orang yang membunuh dengan tidak sengaja itu boleh lari ke salah sebuah kota itu supaya tidak dibunuh. Jika kota perlindungan sebuah sahaja, jarak kota itu mungkin terlalu jauh dan sanak keluarga yang bertanggungjawab untuk membalas dendam mungkin dapat menangkap orang yang sudah membunuh dengan tidak sengaja itu, lalu dengan darah panas sanak keluarga itu akan membunuh seorang yang tidak bersalah. Orang itu membunuh dengan tidak sengaja, dan lagi pun orang yang terbunuh itu bukan musuhnya. Itulah sebabnya aku memerintah kamu supaya mengasingkan tiga buah kota perlindungan. Apabila TUHAN, Allah kamu meluaskan tanah kamu sebagaimana yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kamu, serta memberikan seluruh tanah yang sudah dijanjikan-Nya kepada kamu, maka kamu harus memilih tiga buah kota lagi. (TUHAN akan memberikan seluruh tanah itu kepada kamu jika kamu melakukan segala yang aku perintahkan kepada kamu hari ini, dan jika kamu mengasihi TUHAN, Allah kamu serta hidup menurut ajaran-Nya.) Lakukan hal itu, supaya orang yang tidak bersalah tidak akan mati, dan supaya kamu tidak berdosa kerana membunuh orang yang tidak bersalah di tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu. Tetapi lain halnya jika seseorang mengadang musuhnya dan dengan sengaja serta rasa benci membunuh dia, lalu melarikan diri ke salah sebuah kota perlindungan untuk mendapat perlindungan. Dalam hal itu para pemimpin dari kota si pembunuh itu sendiri harus memanggil dia, lalu menyerahkan dia kepada sanak keluarga yang bertanggungjawab untuk membalas dendam bagi pembunuhan itu. Dengan demikian pembunuh itu boleh dihukum mati. Jangan kasihani pembunuh itu. Bebaskanlah Israel daripada pembunuh itu supaya kamu sejahtera.” “Jangan alihkan penanda sempadan tanah milik jiran kamu yang telah ditentukan sejak dahulu, di tanah yang akan diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu.” “Satu orang saksi tidak cukup untuk membuktikan kesalahan seseorang. Sekurang-kurangnya mesti ada dua orang saksi untuk membuktikan bahawa seseorang itu bersalah. Jika seseorang cuba menuduh orang lain bahawa dia melakukan jenayah, kedua-dua mereka mesti pergi ke satu tempat ibadat itu. Di situ mereka akan diadili oleh para imam dan hakim yang bertugas pada waktu itu. Para hakim mesti menyiasat perkara itu dengan teliti. Jika seseorang mendakwa sesama bangsanya dengan tuduhan palsu, dia mesti dijatuhi hukuman yang dimaksudkan untuk orang yang didakwanya. Dengan demikian kamu akan membasmi kejahatan itu. Kemudian setiap orang akan mendengar apa yang sudah berlaku. Mereka akan takut, dan tiada seorang pun akan berani melakukan perkara sejahat itu lagi. Dalam hal-hal demikian, jangan tunjukkan belas kasihan. Hukuman itu harus berupa: nyawa ganti nyawa, mata ganti mata, gigi ganti gigi, tangan ganti tangan, dan kaki ganti kaki.” “Apabila kamu keluar untuk berperang melawan musuh kamu, jangan takut ketika kamu nampak bilangan kereta kuda, kuda, dan askar musuh lebih besar daripada yang kamu punya. TUHAN, Allah kamu yang sudah menyelamatkan kamu dari Mesir akan menyertai kamu. Sebelum kamu mula berperang, seorang imam harus maju dan berkata kepada pasukan tentera, ‘Dengarlah, hai orang Israel! Hari ini kamu akan berperang. Jangan takut akan musuh, jangan hilang semangat, dan jangan cemas. TUHAN, Allah kamu akan menyertai kamu; Dia akan memberikan kemenangan kepada kamu.’ Kemudian para pegawai tentera akan berkata kepada pasukan itu, ‘Adakah sesiapa di sini yang baru membina rumah dan belum mengadakan upacara perasmiannya? Jika ada, biarlah dia pulang. Jika tidak, mungkin dia terbunuh di medan peperangan lalu orang lain akan menduduki rumahnya. Adakah sesiapa di sini yang baru mengusahakan ladang anggur dan belum pernah memetik buahnya? Jika ada, biarlah dia pulang. Jika tidak, mungkin dia terbunuh di medan peperangan lalu orang lain akan menikmati hasil ladang anggur itu. Adakah sesiapa di sini yang sudah bertunang untuk berkahwin? Jika ada, biarlah dia pulang. Jika tidak, mungkin dia terbunuh di medan peperangan lalu orang lain akan berkahwin dengan tunangnya.’ Biarlah para pegawai tentera berkata juga kepada mereka, ‘Adakah sesiapa di sini yang takut dan hilang semangat? Jika ada, biarlah dia pulang. Jika tidak, dia akan menyebabkan orang lain hilang semangat.’ Selepas para pegawai tentera berucap, pemimpin bagi setiap unit mesti dilantik. Apabila kamu menyerang sebuah kota, terlebih dahulu berilah penduduk kota itu peluang untuk menyerah diri. Jika mereka membuka pintu gerbang dan menyerah diri, mereka akan menjadi hamba kamu dan melakukan kerja paksa. Tetapi jika penduduk kota itu tidak mahu menyerah diri, dan lebih suka melawan kamu, kelilingilah kota itu dengan tentera kamu. Kemudian, apabila TUHAN, Allah kamu membolehkan kamu merebut kota itu, bunuhlah tiap-tiap orang lelaki di situ. Kamu boleh mengambil kaum wanita, anak-anak, ternakan, dan semua yang ada di dalam kota itu. Kamu boleh menggunakan semua harta musuh kamu. TUHAN sudah memberikan semuanya kepada kamu. Demikianlah harus kamu perlakukan kota-kota yang jauh dari tanah yang akan kamu duduki. Tetapi apabila kamu merebut kota-kota di negeri yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu, bunuhlah semua orang di situ. Punahkanlah semua bangsa di negeri itu: orang Het, Amori, Kanaan, Feris, Hewi, dan Yebusi, sebagaimana kamu diperintahkan oleh TUHAN, Allah kamu. Bunuhlah mereka, supaya mereka tidak menyebabkan kamu berdosa terhadap TUHAN, Allah kamu, dengan mengajar kamu melakukan perkara jijik yang dilakukan mereka apabila menyembah tuhan-tuhan mereka. Apabila kamu cuba merebut sebuah kota, jangan tebang pokok buah-buahan di situ meskipun kamu mengepung kota itu untuk waktu yang lama. Makanlah buahnya, tetapi jangan musnahkan pokok-pokok itu. Pokok itu bukan musuh kamu. Kamu boleh menebang pokok-pokok lain dan menggunakannya untuk mengepung kota, sehingga kota itu direbut.” “Andaikata seorang didapati terbunuh di padang, di tanah yang akan diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, dan kamu tidak tahu siapa yang membunuh orang itu, maka para pemimpin dan hakim kamu harus keluar untuk mengukur jarak dari tempat mayat itu ditemui ke tiap-tiap kota yang berdekatan. Kemudian para pemimpin dari kota yang terdekat dengan tempat mayat itu ditemui mesti memilih seekor lembu muda yang belum pernah digunakan untuk bekerja. Mereka harus membawa lembu itu ke suatu tempat dekat sungai kecil yang airnya tidak pernah kering, dan tanah di situ tidak pernah dibajak atau ditanami apa pun. Di situ, mereka harus mematahkan leher lembu itu. Imam-imam suku Lewi juga harus pergi ke sana, kerana mereka mesti mengadili setiap perkara yang melibatkan keganasan. TUHAN, Allah kamu sudah memilih mereka untuk mengabdi kepada-Nya dan untuk memberkati orang demi nama-Nya. Selepas itu semua pemimpin dari kota yang terdekat dengan tempat mayat itu ditemui, mesti mencuci tangan di atas lembu itu, sambil berkata, ‘Kami tidak membunuh orang ini dan kami tidak tahu siapa yang membunuh dia. Ya TUHAN, ampunilah umat-Mu Israel yang sudah Engkau selamatkan dari Mesir. Ampunilah kami dan jangan anggap kami bertanggungjawab atas pembunuhan orang yang tidak bersalah.’ Oleh itu, dengan melakukan apa yang dituntut oleh TUHAN, kamu tidak lagi bertanggungjawab atas pembunuhan itu.” “Apabila TUHAN, Allah kamu memberi kamu kemenangan dalam peperangan, lalu kamu mengambil tawanan perang, mungkin di kalangan mereka kamu melihat seorang wanita yang kamu suka, dan ingin kamu kahwini. Bawalah wanita itu ke rumah kamu. Di situ dia akan mencukur kepalanya dan memotong kukunya, serta menyalin pakaian. Wanita itu mesti tinggal di rumah kamu dan berkabung bagi ibu bapanya selama satu bulan. Selepas itu, barulah kamu boleh mengahwini dia. Jika pada kemudian hari kamu tidak mengingininya lagi, bebaskanlah dia. Kamu tidak boleh memperlakukan dia sebagai hamba atau menjual dia, kerana kamu telah memaksa dia bersetubuh dengan kamu.” “Andaikata ada seorang yang mempunyai dua orang isteri, dan kedua-dua orang isteri itu melahirkan anak lelaki, tetapi anak yang sulung bukan anak isteri kesayangannya. Apabila orang itu hendak menentukan pembahagian hartanya kepada kedua-dua orang anaknya itu, dia tidak boleh memihak kepada anak isteri kesayangannya, lalu memberi anak itu bahagian harta yang menjadi hak anak sulung. Dia mesti memberikan bahagian harta dua kali ganda kepada anak sulungnya, walaupun anak itu bukan anak isteri kesayangannya. Seorang bapa mesti mengakui anak sulungnya, dan memberi dia bahagian harta yang menjadi warisannya menurut peraturan.” “Andaikata ada seorang yang mempunyai anak yang keras kepala, suka memberontak, dan tidak mahu taat kepada ibu bapanya meskipun mereka menghukum dia. Ibu bapa anak itu harus membawa dia ke hadapan para pemimpin kota, tempat tinggal mereka, lalu minta supaya anak itu diadili. Ibu bapa itu harus berkata kepada para pemimpin, ‘Anak kami keras kepala, suka memberontak, dan tidak mahu taat kepada kami; dia juga pemboros dan pemabuk.’ Kemudian kaum lelaki di kota itu harus merejam anak itu sampai mati. Dengan demikian, kamu akan membasmi kejahatan itu. Setiap orang di Israel akan mendengar tentang peristiwa itu dan menjadi takut.” “Jika seorang telah dihukum mati kerana melakukan jenayah, dan mayatnya digantung pada tiang, maka mayat itu tidak boleh dibiarkan tergantung di situ sehingga keesokan harinya. Mayat itu mesti dikubur pada hari itu juga, kerana mayat yang dibiarkan tergantung pada tiang mendatangkan kutuk daripada Allah atas tanah itu. Kebumikanlah mayat orang itu supaya kamu tidak menajiskan tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu. Jika ada lembu atau domba yang sesat, yang dipunyai orang sebangsa kamu, dan kamu nampak binatang itu, jangan berpura-pura tidak tahu, tetapi bawalah binatang itu balik kepada pemiliknya. Jika pemiliknya tinggal jauh, atau kamu tidak tahu siapa pemiliknya, bawalah binatang itu ke rumah kamu. Apabila pemilik binatang itu datang mencarinya, berikanlah binatang itu kepadanya. Demikian juga yang harus dilakukan jika kamu menjumpai keldai, pakaian, atau apa sahaja milik orang sebangsa kamu. Jika keldai atau lembu milik orang sebangsa kamu rebah di jalan, jangan berpura-pura tidak tahu. Tolonglah dia membangunkan binatang itu semula. Orang perempuan tidak boleh memakai pakaian orang lelaki, dan orang lelaki tidak boleh memakai pakaian orang perempuan; TUHAN, Allah kamu membenci orang yang melakukan hal seperti itu. Jika kamu nampak sarang burung di atas pokok atau di atas tanah, dan induk burung sedang mengerami telurnya ataupun bersama-sama anak-anaknya, jangan tangkap induk burung itu. Kamu boleh mengambil anak-anak burung, tetapi kamu mesti melepaskan induk burung, supaya kamu panjang umur dan sejahtera. Apabila kamu membina rumah baru, kamu mesti memasang pagar di sekeliling tepi bumbung rumah itu. Dengan demikian kamu tidak dipertanggungjawabkan jika seseorang jatuh dari atas bumbung itu lalu mati. Jangan tanam benih lain di ladang anggur kamu kecuali pokok anggur. Jika kamu menanam benih lain, kamu tidak boleh mengambil hasil anggur ataupun hasil tanaman lain itu. Jangan pasangkan seekor lembu dengan seekor keldai pada satu bajak. Jangan pakai pakaian yang dibuat daripada bulu domba dan linen dalam satu tenunan. Jahitlah rumbai-rumbai pada keempat-empat hujung pakaian kamu.” “Andaikata ada seorang lelaki berkahwin dengan seorang gadis, kemudian lelaki itu tidak lagi menyukai gadis itu. Oleh itu, lelaki itu membuat tuduhan palsu bahawa isterinya bukan dara pada masa mereka berkahwin. Dalam hal itu ibu bapa wanita itu harus mengambil kain yang ada bekas darah sebagai bukti bahawa wanita itu dara pada masa perkahwinannya. Mereka harus menunjukkan kain itu kepada para pemimpin kota di tempat pengadilan. Bapa wanita itu akan berkata, ‘Saya telah mengahwinkan anak saya kepada lelaki ini, tetapi sekarang dia tidak menyukainya lagi. Dia telah mengajukan tuduhan palsu bahawa anak perempuan saya bukan dara pada masa mereka berkahwin. Tetapi lihatlah bekas darah pada kain ini; inilah bukti bahawa anak saya memang dara pada waktu itu.’ Kemudian para pemimpin kota itu harus memanggil lelaki itu dan memukul dia. Mereka juga harus mendenda lelaki itu sebanyak seratus keping wang perak. Wang itu harus diberikan kepada bapa mentuanya, kerana lelaki itu telah memalukan seorang wanita Israel. Lagi pun, wanita itu akan tetap menjadi isteri lelaki itu dan tidak boleh diceraikan seumur hidupnya. Tetapi jika tuduhan orang itu benar, dan tidak ada bukti bahawa wanita itu masih dara pada waktu dia berkahwin, maka para pemimpin kota itu harus membawa wanita itu ke pintu rumah bapanya. Kemudian orang lelaki kota itu harus merejam dia sampai mati, kerana dia telah melakukan perbuatan yang memalukan di kalangan bangsa kita. Dia telah bersetubuh sebelum berkahwin, pada waktu dia masih tinggal di rumah bapanya. Dengan demikian, kamu akan membasmi kejahatan itu. Jika seorang lelaki tertangkap basah ketika bersetubuh dengan isteri orang lain, kedua-dua mereka mesti dihukum mati. Dengan demikian, kamu akan membasmi kejahatan itu. Andaikata di suatu kota ada seorang lelaki tertangkap basah ketika bersetubuh dengan seorang gadis yang sudah bertunang dengan orang lain, kamu harus membawa mereka berdua ke luar kota dan merejam mereka sampai mati. Gadis itu mesti dihukum mati kerana dia tidak berteriak minta pertolongan walaupun dia berada di dalam kota, dan suaranya mudah didengar orang. Lelaki itu juga mesti dihukum mati kerana dia bersetubuh seorang gadis yang sudah bertunang. Dengan demikian kamu membasmi kejahatan itu. Tetapi lain halnya jika di kawasan luar kota, seorang lelaki merogol seorang gadis yang sudah bertunang dengan orang lain. Dalam hal itu hanya lelaki itu yang harus dihukum mati. Gadis itu tidak boleh dihukum, kerana dia tidak melakukan sesuatu yang menyebabkan dia dihukum mati. Hal ini sama dengan perkara seorang yang menyerang orang lain dan membunuhnya. Gadis itu dirogol di kawasan luar kota, dan meskipun dia berteriak minta pertolongan, tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya. Andaikata ada seorang lelaki tertangkap basah ketika merogol seorang gadis yang belum bertunang, maka dalam hal itu lelaki itu mesti membayar mas kahwin sejumlah lima puluh keping wang perak, kepada bapa gadis itu. Gadis itu mesti menjadi isteri lelaki itu, kerana lelaki itu telah memaksa dia bersetubuh dengannya. Selama hidup lelaki itu, dia tidak boleh menceraikan isterinya itu. Tidak seorang pun boleh mempermalukan bapanya dengan menyetubuhi salah seorang isteri bapanya.” “Orang yang sudah dikembiri atau yang dipotong zakarnya tidak boleh menjadi umat TUHAN. Orang yang lahir luar nikah dan semua keturunannya sampai kepada generasi yang kesepuluh, tidak boleh menjadi umat TUHAN. Orang Amon dan orang Moab serta keturunan mereka sampai kepada generasi yang kesepuluh, tidak boleh menjadi umat TUHAN. Mereka tidak mahu memberi kamu makanan dan air ketika kamu dalam perjalanan keluar dari Mesir. Mereka juga mengupah Bileam anak Beor, dari kota Petor di Mesopotamia, untuk mengutuk kamu. Tetapi TUHAN, Allah kamu tidak mahu mendengarkan Bileam. Sebaliknya Dia mengubah kutuk itu menjadi berkat, kerana Dia mengasihi kamu. Selama kamu hidup dan sampai selama-lamanya, jangan lakukan apa-apa untuk menolong bangsa-bangsa itu, atau menjadikan mereka makmur. Jangan hina orang Edom, kerana mereka sanak saudara kamu. Jangan hina orang Mesir, kerana dahulu kamu tinggal di negeri mereka. Generasi mereka yang ketiga dan seterusnya, boleh menjadi umat TUHAN.” “Pada waktu peperangan, ketika kamu berkhemah, jagalah diri kamu dan hindarilah apa sahaja yang akan menajiskan kamu. Apabila seseorang menjadi najis kerana mengeluarkan mani pada waktu malam, dia mesti keluar dari perkhemahan dan tinggal di sana. Menjelang petang dia harus mandi, dan apabila matahari terbenam barulah dia boleh balik ke perkhemahan. Kamu mesti menyediakan tempat di luar perkhemahan untuk membuang air besar. Apabila kamu hendak membuang air besar, bawalah juga sepotong kayu selain perlengkapan kamu untuk menggali lubang dan menutupinya pula. Jagalah supaya perkhemahan kamu tidak najis, kerana TUHAN, Allah kamu bersama-sama kamu di perkhemahan itu untuk melindungi kamu dan memberi kamu kemenangan atas musuh. Jangan lakukan apa-apa yang tidak senonoh, yang akan menyebabkan TUHAN meninggalkan kamu.” “Jika seorang hamba lari daripada tuannya lalu datang kepada kamu untuk minta perlindungan, jangan suruh dia balik. Dia boleh tinggal di bandar mana sahaja yang dipilihnya. Jangan perlakukan dia dengan kejam. Orang Israel, baik lelaki mahupun perempuan, tidak boleh menjadi pelacur di kuil-kuil berhala. Wang yang diperoleh dengan cara ini tidak boleh dibawa ke dalam Rumah TUHAN, Allah kamu untuk memenuhi nazar. Pelacur di kuil berhala dibenci oleh TUHAN. Apabila kamu meminjamkan wang, makanan, atau apa sahaja kepada sesama orang Israel, jangan minta faedah. Kamu boleh minta faedah apabila kamu meminjamkan wang kepada orang bangsa asing, tetapi kamu tidak boleh berbuat demikian apabila meminjamkan wang kepada orang sebangsa kamu. Taatilah peraturan ini, barulah TUHAN, Allah kamu akan memberkati segala yang kamu lakukan di tanah yang akan kamu duduki. Jika kamu bernazar kepada TUHAN, Allah kamu, jangan lalai menunaikan nazar itu. TUHAN akan menuntut nazar kamu itu, dan kamu berdosa jika tidak menunaikannya. Kamu tidak berdosa jika kamu tidak bernazar kepada TUHAN; tetapi jika kamu dengan sukarela bernazar kepada TUHAN, Allah kamu, tunaikan nazar kamu itu. Apabila kamu berjalan melalui ladang anggur orang lain, kamu boleh makan buah anggur seberapa banyak yang kamu suka, tetapi kamu tidak boleh mengumpulkannya di dalam bakul. Apabila kamu berjalan melalui ladang gandum orang lain, kamu boleh makan gandum yang kamu petik dengan tangan, tetapi kamu tidak boleh memotongnya dengan sabit.” “Andaikata seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan, lalu dia mendapati sesuatu yang tidak disukainya pada isterinya. Oleh itu lelaki itu memberikan surat cerai kepadanya dan mengusir dia dari rumahnya. Kemudian perempuan itu berkahwin lagi dengan seorang lelaki lain. Tetapi selepas beberapa waktu, lelaki itu juga tidak menyukainya lagi. Kemudian lelaki itu memberikan surat cerai kepadanya dan mengusir dia dari rumahnya. Atau mungkin juga lelaki yang kedua itu meninggal. Dalam kedua-dua hal itu, suami pertama perempuan itu tidak boleh berkahwin dengan dia lagi. Suami itu harus menganggapnya sebagai perempuan yang sudah dicemarkan. Jika lelaki itu berkahwin dengan perempuan itu lagi, perkara itu menjadi suatu penghinaan kepada TUHAN. Kamu tidak boleh melakukan dosa sedahsyat itu di tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu.” “Seorang lelaki yang baru sahaja berkahwin tidak boleh disuruh menjadi askar ataupun melakukan tugas wajib lain. Dia mesti diberikan kelepasan selama satu tahun supaya dia dapat mengurus rumah tangganya dan menyenangkan hati isterinya. Apabila kamu meminjamkan sesuatu kepada seseorang, kamu tidak boleh mengambil batu kisarannya yang digunakan untuk mengisar gandum, sebagai jaminan. Dengan mengambilnya kamu merampas alat yang digunakan keluarganya untuk menyediakan makanan bagi penyambung hidup. Sesiapa yang menculik sesama orang Israel, lalu menjadikan orang itu hambanya, atau menjual dia sebagai hamba, penculik itu mesti dihukum mati. Dengan demikian kamu akan membasmi kejahatan itu. Apabila kamu menghidap penyakit kulit yang mengerikan, lakukanlah dengan teliti apa yang diperintahkan imam suku Lewi kepada kamu. Turutilah petunjuk-petunjuk yang sudah aku berikan kepada mereka. Ingatlah apa yang telah dilakukan TUHAN, Allah kamu kepada Miryam dalam perjalanan kamu dari Mesir. Apabila kamu meminjamkan sesuatu kepada seseorang, jangan masuk ke dalam rumahnya untuk mengambil pakaian yang hendak diberikannya kepada kamu sebagai jaminan. Tunggulah di luar; biarlah orang itu sendiri membawanya kepada kamu. Jika orang itu miskin, jangan simpan pakaian itu sehingga keesokan hari. Kembalikanlah pakaian itu kepadanya setiap malam supaya dia dapat memakainya untuk tidur. Dengan demikian, orang itu akan berterima kasih kepada kamu, dan TUHAN, Allah kamu akan berkenan kepada kamu. Jangan tipu orang upahan yang miskin dan berkekurangan, baik dia sesama orang Israel mahupun orang asing yang tinggal di salah sebuah kota kamu. Tiap-tiap hari sebelum matahari terbenam, bayarlah upahnya untuk hari itu. Dia memerlukan upah itu dan berharap menerimanya. Jika kamu tidak memberi dia upah, dia akan mengadu kepada TUHAN tentang kamu, dan kamu akan dinyatakan berdosa. Ibu bapa tidak boleh dihukum mati kerana jenayah yang dilakukan oleh anak mereka, dan anak juga tidak boleh dihukum mati kerana jenayah yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Tiap-tiap orang hanya boleh dihukum mati kerana jenayah yang dilakukannya sendiri. Jangan rampas hak orang asing dan anak yatim piatu. Jangan ambil pakaian seorang balu sebagai jaminan hutangnya. Ingatlah, kamu pernah menjadi hamba di Mesir dan TUHAN, Allah kamu telah membebaskan kamu. Itulah sebabnya aku memberikan peraturan ini kepada kamu. Apabila kamu mengumpul hasil tuaian kamu, lalu terlupa membawa seberkas gandum, jangan balik untuk mengambilnya. Biarlah gandum itu ditinggalkan untuk orang asing, anak yatim piatu, dan balu, supaya TUHAN, Allah kamu memberkati segala usaha kamu. Setelah kamu satu kali memetik buah zaitun kamu, jangan balik untuk memetik buah yang tertinggal. Buah-buah itu untuk orang asing, anak yatim piatu, dan balu. Setelah kamu satu kali memetik buah anggur kamu, jangan balik untuk memetik buah yang tertinggal. Buah-buah itu untuk orang asing, anak yatim piatu, dan balu. Jangan sekali-kali lupa bahawa kamu pernah menjadi hamba di Mesir. Itulah sebabnya aku memberikan kamu peraturan itu. Andaikata dua orang Israel pergi ke mahkamah untuk menyelesaikan pertikaian, lalu seorang didapati tidak bersalah dan seorang lagi didapati bersalah. Jika orang yang bersalah itu dihukum sebat, hakim harus menyuruh dia meniarap lalu dia disebat. Dia akan disebat setimpal dengan jenayah yang dilakukannya. Dia boleh disebat sehingga sebanyak empat puluh kali, tetapi tidak lebih daripada itu. Jika lebih daripada itu, orang itu dihina di hadapan umum. Jangan berangus mulut lembu ketika lembu itu sedang mengirik gandum.” “Jika dua orang saudara tinggal bersama-sama, lalu seorang meninggal tanpa mempunyai anak lelaki, balunya tidak boleh berkahwin dengan orang lain di luar keluarga mendiang suaminya. Saudara orang yang sudah meninggal itu wajib mengahwini balu itu. Anak lelaki sulung mereka itu harus dianggap sebagai anak orang yang sudah meninggal, supaya dia mempunyai keturunan di kalangan bangsa Israel. Tetapi jika saudara orang yang sudah meninggal itu tidak mahu berkahwin dengan balu itu, balu itu harus pergi kepada para pemimpin kota dan berkata, ‘Saudara mendiang suami saya tidak mahu melakukan kewajipannya. Dia tidak mahu memberi saudaranya keturunan di kalangan bangsa Israel.’ Kemudian para pemimpin kota harus memanggil orang itu dan berkata-kata dengan dia. Jika dia masih enggan berkahwin dengan balu itu, maka balu itu harus menghampiri dia di hadapan para pemimpin kota. Kemudian balu itu harus menanggalkan salah satu kasut saudara mendiang suaminya itu dan meludahi mukanya, sambil berkata, ‘Inilah yang terjadi kepada orang yang tidak mahu memberikan keturunan kepada saudaranya.’ Di Israel, keluarga orang itu akan disebut ‘keluarga orang yang kasutnya ditanggalkan.’ ” “Jika dua orang lelaki berkelahi, lalu isteri salah seorang lelaki itu cuba menolong suaminya dengan meramas kemaluan lelaki lawan suaminya, potonglah tangan perempuan itu. Jangan kasihani dia. [13-14] Apabila kamu menggunakan timbangan atau ukuran, jangan tipu orang. *** Gunakanlah timbangan dan ukuran yang tepat, supaya kamu panjang umur di tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu. TUHAN, Allah kamu membenci orang yang menipu.” “Ingatlah akan apa yang dilakukan orang Amalek dalam perjalanan kamu keluar dari Mesir. Mereka tidak takut akan Allah. Mereka menyerang kamu dari belakang ketika kamu penat dan kehabisan tenaga, dan membunuh semua orang yang ketinggalan di belakang. Oleh itu, apabila TUHAN, Allah kamu telah memberikan tanah itu kepada kamu, dan memberi kamu keamanan daripada semua musuh yang tinggal di sekeliling, kamu mesti membunuh semua orang Amalek supaya tidak seorang pun ingat akan mereka lagi. Jangan lupakan hal ini!” “Selepas kamu pergi ke tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu dan telah menetap di sana, tiap-tiap orang harus mengumpulkan hasil pertama tanamannya dan memasukkannya di dalam sebuah bakul. Kemudian kamu harus membawanya ke satu tempat beribadat itu. Pergilah kepada imam yang bertugas pada waktu itu dan katakanlah kepadanya, ‘Sekarang saya mengaku kepada TUHAN, Allah saya bahawa saya sudah datang ke tanah yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kita untuk diberikan kepada kita.’ Imam itu akan mengambil bakul itu daripada kamu, lalu meletakkannya di hadapan mazbah TUHAN, Allah kamu. Kemudian, di hadapan TUHAN, Allah kamu, kamu harus mengucapkan kata-kata ini: ‘Nenek moyangku seorang Aram yang mengembara. Dia membawa keluarganya ke Mesir dan tinggal di sana sebagai orang asing. Pada waktu mereka pergi ke sana, bilangan mereka sedikit, tetapi kemudian mereka menjadi satu bangsa yang besar dan kuat. Orang Mesir memperlakukan kami dengan kejam dan memaksa kami bekerja sebagai hamba. Lalu kami berseru meminta tolong kepada TUHAN, Allah nenek moyang kami. TUHAN mendengarkan kami dan melihat penderitaan, kesusahan, serta kesengsaraan kami. Dengan kuasa dan kekuatan-Nya yang besar Dia menyelamatkan kami dari Mesir. Dia mengadakan mukjizat dan perbuatan ajaib, serta perkara-perkara yang menakutkan. Dia membawa kami ke sini dan memberi kami tanah yang kaya dan subur ini. Oleh itu, sekarang kepada TUHAN, aku mempersembahkan bahagian pertama daripada hasil tanaman yang telah diberikan-Nya kepadaku.’ Selepas itu letakkan bakul itu di hadapan TUHAN, dan beribadatlah kepada-Nya di sana. Bersyukurlah bagi segala rezeki yang sudah diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu dan keluarga kamu. Ajaklah suku Lewi dan orang asing yang tinggal di kalangan kamu ikut serta dalam perayaan itu. Tiap-tiap tahun, kamu harus memberikan persepuluhan hasil tanaman kamu kepada TUHAN. Tetapi pada setiap tahun yang ketiga, berikanlah persepuluhan hasil tanaman kamu kepada orang Lewi, orang asing, anak yatim piatu, dan balu, supaya di tiap-tiap kota kamu, mereka mendapat makanan yang diperlukan. Setelah kamu berbuat demikian, berkatalah kepada TUHAN, ‘Tidak sedikit pun persepuluhan yang harus dipersembahkan kepada-Mu tertinggal di rumahku. Aku sudah memberikan semuanya kepada orang Lewi, orang asing, anak yatim piatu, dan balu, sebagaimana Engkau perintahkan aku. Aku tidak membantah atau melupakan apa pun yang Engkau perintahkan tentang persembahan persepuluhan. Aku tidak makan sedikit pun daripada persepuluhan itu semasa aku berkabung. Aku tidak membawanya keluar dari rumah ketika aku najis. Aku tidak memberikannya sebagai persembahan bagi orang mati. Aku sudah menurut perintah-Mu, ya TUHAN. Aku sudah melakukan segala yang Engkau perintahkan tentang persembahan persepuluhan. Pandanglah ke bawah dari tempat-Mu yang suci di syurga dan berkatilah umat-Mu Israel; berkatilah juga tanah yang kaya dan subur ini, yang sudah Engkau berikan menurut janji-Mu kepada nenek moyang kami.’ ” “Pada hari ini TUHAN, Allah kamu memerintah kamu supaya taat kepada segala hukum-Nya. Oleh itu taatilah hukum-hukum itu dengan setia dan dengan segenap jiwa raga kamu. Pada hari ini kamu telah mengakui TUHAN sebagai Allah kamu. Kamu telah berjanji untuk patuh kepada-Nya, serta mentaati segala hukum dan perintah-Nya. Pada hari ini juga TUHAN telah menerima kamu sebagai umat-Nya sendiri seperti yang dijanjikan-Nya, dan Dia memerintah kamu supaya taat kepada segala hukum-Nya. Dia akan menjadikan kamu lebih termasyhur daripada semua bangsa lain yang sudah dijadikan-Nya, dan kamu akan dipuji dan dihormati. Kamu akan menjadi umat-Nya, seperti yang dijanjikan-Nya.” Kemudian Musa, bersama dengan para pemimpin bangsa Israel, berkata kepada umat itu, “Patuhilah segala perintah yang aku berikan kepada kamu hari ini. Pada hari kamu menyeberangi Sungai Yordan dan tiba di tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, kamu harus mendirikan beberapa buah batu besar dan melepakan batu-batu itu. Tuliskanlah semua hukum ini pada batu-batu itu. Apabila kamu tiba di tanah yang kaya dan subur yang dijanjikan TUHAN, Allah nenek moyang kamu kepada kamu, dan kamu berada di seberang Sungai Yordan, dirikanlah batu-batu itu di atas Gunung Ebal seperti yang aku perintahkan sekarang ini, dan lepakanlah batu-batu itu. Buatlah sebuah mazbah daripada batu-batu yang belum pernah dipahat dengan besi, kerana mazbah yang kamu buat untuk TUHAN, Allah kamu mesti dibuat daripada batu-batu yang tidak dipahat. Kamu harus mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan bakarlah semuanya di atas mazbah itu. Persembahkanlah juga korban untuk memohon berkat TUHAN, dan makanlah korban itu di situ, serta bersukacita di hadapan TUHAN, Allah kamu. Pada batu-batu yang dilepa itu, tulislah dengan jelas setiap perkataan daripada hukum Allah itu.” Selepas itu Musa, bersama dengan imam-imam Lewi, berkata kepada semua orang Israel, “Dengarlah, hai umat Israel, dan berikanlah perhatian. Pada hari ini kamu telah menjadi umat TUHAN, Allah kamu. Oleh itu taatilah TUHAN, Allah kamu dan lakukanlah segala perintah-Nya yang aku berikan kepada kamu hari ini.” Kemudian Musa berkata kepada umat Israel, “Selepas kamu menyeberangi Sungai Yordan, suku Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, Yusuf, dan Benyamin harus berdiri di atas Gunung Gerizim, apabila berkat diucapkan untuk umat Israel. Apabila kutuk diucapkan, suku Ruben, Gad, Asyer, Dan, Zebulon, dan Naftali harus berdiri di atas Gunung Ebal. Orang Lewi harus mengucapkan kata-kata berikut dengan suara kuat: ‘Terkutuklah orang yang membuat berhala daripada batu, kayu, atau logam, lalu menyembahnya dengan sembunyi-sembunyi. TUHAN membenci penyembahan berhala.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’ ‘Terkutuklah orang yang menghina ibu atau bapa mereka.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’ ‘Terkutuklah orang yang memindahkan penanda sempadan tanah jiran mereka.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’ ‘Terkutuklah orang yang menyesatkan orang buta.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’ ‘Terkutuklah orang yang merampas hak orang asing, anak yatim piatu, dan balu.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’ ‘Terkutuklah orang yang mempermalukan bapa mereka kerana menyetubuhi salah seorang isteri bapa mereka.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’ ‘Terkutuklah orang yang melakukan hubungan jenis dengan binatang.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’ ‘Terkutuklah orang yang bersetubuh dengan saudara perempuan sekandung, ataupun dengan saudara perempuan tiri.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’ ‘Terkutuklah orang yang bersetubuh dengan ibu mentua mereka.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’ ‘Terkutuklah orang yang melakukan pembunuhan dengan sembunyi-sembunyi.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’ ‘Terkutuklah orang yang menerima upah untuk membunuh orang yang tidak bersalah.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’ ‘Terkutuklah orang yang tidak mentaati hukum dan ajaran Allah.’ Semua orang akan menjawab, ‘Amin!’ ” “Jika kamu taat kepada TUHAN, Allah kamu, dan setia melakukan segala perintah-Nya yang aku berikan kepada kamu hari ini, maka Dia akan menjadikan kamu bangsa yang paling masyhur di dunia. Taatilah TUHAN, Allah kamu, maka segala berkat ini akan diberikan kepada kamu: Diberkatilah kota dan ladang kamu. Diberkatilah kamu sehingga anak kamu banyak, hasil tanaman kamu berlimpah-limpah, dan lembu serta domba kamu banyak. Diberkatilah tuaian gandum kamu, dan makanan yang kamu buat daripadanya. Diberkatilah segala usaha kamu. TUHAN akan mengalahkan musuh apabila mereka menyerang kamu. Mereka akan melancarkan serangan dengan teratur, tetapi kemudian lari bertempiaran. TUHAN, Allah kamu akan memberkati usaha kamu dan memenuhi gudang-gudang kamu dengan gandum. Dia akan memberkati kamu di tanah yang diberikan-Nya kepada kamu. Jika kamu taat kepada TUHAN, Allah kamu dan melakukan segala perintah-Nya, Dia akan menjadikan kamu umat-Nya sendiri seperti yang sudah dijanjikan-Nya. Kemudian semua bangsa di dunia akan tahu bahawa TUHAN sudah memilih kamu menjadi umat-Nya sendiri, dan mereka akan takut terhadap kamu. TUHAN akan mengurniai kamu anak yang banyak. Ternakan kamu akan banyak, dan hasil tanaman kamu berlimpah-ruah di tanah yang telah dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu untuk diberikan kepada kamu. TUHAN akan menurunkan hujan pada musimnya dari tempat-tempat penyimpanan hujan di langit; Dia akan memberkati segala usaha kamu supaya kamu dapat memberi pinjaman kepada banyak bangsa, tetapi kamu sendiri tidak usah meminjam apa-apa daripada sesiapa pun. TUHAN, Allah kamu akan menjadikan kamu pemimpin antara bangsa-bangsa dan bukan pengikut. Kamu akan sentiasa berjaya dan tidak pernah gagal, jika kamu taat dengan setia kepada segala perintah TUHAN yang aku berikan kepada kamu hari ini. Tetapi jangan sekali-kali langgar perintah itu dengan apa cara pun, dan jangan sembah tuhan-tuhan lain.” “Tetapi jika kamu tidak taat kepada TUHAN, Allah kamu dan tidak setia melakukan segala perintah dan hukum-Nya yang aku berikan kepada kamu hari ini, maka semua kutuk ini akan menimpa kamu: Terkutuklah kota dan ladang kamu. Terkutuklah tuaian gandum kamu, dan makanan yang kamu buat daripada gandum itu. Terkutuklah kamu sehingga anak kamu sedikit sahaja, hasil tanaman kamu sedikit, dan lembu serta domba kamu tidak banyak. Terkutuklah segala usaha kamu. Jika kamu berbuat jahat dan menolak TUHAN, Dia akan mendatangkan bencana, kekacauan, dan kesusahan dalam segala usaha kamu, sehingga dalam waktu yang singkat sahaja, kamu akan binasa sama sekali. Dia akan mendatangkan penyakit demi penyakit kepada kamu, sehingga tidak seorang pun di kalangan kamu tinggal di tanah yang akan kamu duduki itu. TUHAN akan menghukum kamu dengan penyakit-penyakit yang berjangkit, bengkak-bengkak, dan demam. TUHAN akan mendatangkan kemarau dan angin panas sehingga tuaian kamu rosak. Bencana-bencana itu akan terus menimpa kamu sehingga kamu mati. Hujan tidak akan turun dan tanah kamu akan menjadi keras seperti besi. TUHAN tidak akan menurunkan hujan, melainkan ribut debu dan ribut pasir sehingga kamu habis binasa. TUHAN akan membiarkan kamu dikalahkan oleh musuh. Kamu akan melancarkan serangan terhadap musuh dengan teratur, tetapi kemudian lari bertempiaran. Semua bangsa di dunia akan ngeri melihat kejadian yang menimpa kamu. Apabila kamu mati, burung dan binatang liar akan datang lalu makan mayat kamu. Tiada seorang pun akan mengusir burung dan binatang itu. TUHAN akan mendatangkan bisul pada tubuh kamu seperti yang dilakukan-Nya kepada orang Mesir dahulu. Kulit kamu akan diliputi kudis dan keruping yang gatal, tetapi tidak ada ubatnya. TUHAN akan menyebabkan kamu hilang akal, dan menjadikan kamu buta, serta bingung. Pada siang hari, kamu akan meraba-raba seperti orang buta, dan kamu tidak dapat mencari jalan. Apa pun yang kamu buat, kamu tidak akan berjaya. Kamu akan sentiasa ditindas dan dirompak, dan tiada seorang pun akan menolong kamu. Kamu akan bertunang dengan seorang gadis, tetapi orang lain akan berkahwin dengannya. Kamu akan membina rumah, tetapi kamu tidak akan mendiaminya. Kamu akan menanam pokok anggur, tetapi kamu tidak akan makan buahnya. Lembu kamu akan disembelih di depan mata kamu, tetapi kamu tidak akan makan sedikit pun dagingnya. Keldai kamu akan diseret sementara kamu memandangnya, dan keldai itu tidak akan dikembalikan kepada kamu. Domba kamu akan diberikan kepada musuh, dan tidak seorang pun dapat menolong kamu. Di depan mata kamu, anak-anak kamu, baik lelaki mahupun perempuan, akan diberikan sebagai hamba kepada orang bangsa asing. Tiap-tiap hari, mata kamu pedih mencari anak-anak kamu, tetapi usaha kamu itu sia-sia, kerana mereka tidak akan kembali. Bangsa asing akan merampas segala hasil tanaman yang sudah kamu usahakan dengan susah payah. Kamu sendiri tidak akan menerima suatu apa pun, melainkan penindasan yang terus-menerus dan kekejaman. Penderitaan akan menyebabkan kamu hilang akal. TUHAN akan meliputi kaki kamu dengan kudis yang menyakitkan, dan tidak dapat sembuh. Bisul akan meliputi kamu dari hujung kaki sampai ke hujung rambut. TUHAN akan membuang kamu dan raja kamu ke negeri asing, tempat yang tidak pernah menjadi kediaman kamu ataupun nenek moyang kamu. Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan yang dibuat daripada kayu dan batu. Di negeri-negeri tempat TUHAN mencerai-beraikan kamu, orang akan terkejut melihat perkara yang terjadi kepada kamu. Mereka akan mengolok-olok dan mempermalukan kamu. Kamu akan menanam banyak benih, tetapi menuai sedikit sahaja kerana belalang akan makan hasil tanaman kamu. Kamu akan menanam anggur dan memelihara ladang anggur itu, tetapi kamu tidak akan memetik buah anggur ataupun meminum wain, kerana ulat akan makan pokok-pokok anggur. Pokok-pokok zaitun akan tumbuh di seluruh negeri kamu, tetapi kamu tidak akan mendapat minyaknya kerana buahnya akan gugur. Kamu akan mempunyai anak lelaki dan perempuan, tetapi kamu akan kehilangan mereka kerana mereka dibawa pergi sebagai tawanan perang. Semua pokok dan tanaman kamu akan dimakan serangga. Orang bangsa asing yang tinggal di negeri kamu akan semakin berkuasa, sedangkan kamu semakin kehilangan kuasa. Mereka akan mempunyai wang untuk dipinjamkan kepada kamu, sedangkan kamu tidak mempunyai apa-apa untuk dipinjamkan kepada mereka. Akhirnya, mereka akan memerintah kamu. Segala malapetaka itu akan menimpa kamu sehingga kamu binasa, kerana kamu tidak taat kepada TUHAN, Allah kamu dan tidak mematuhi semua hukum yang diberikan-Nya kepada kamu. Bencana-bencana itu akan menjadi bukti hukuman TUHAN atas kamu dan keturunan kamu selama-lamanya. TUHAN, Allah kamu sudah memberkati kamu dalam segala hal, tetapi kamu tidak mengabdi kepada-Nya dengan hati yang suka dan gembira. Oleh itu kamu akan mengabdi kepada musuh yang akan dikirim oleh TUHAN untuk melawan kamu. Kamu akan lapar, dahaga, dan bertelanjang; kamu kekurangan segala-galanya. TUHAN akan menindas kamu dengan kejam sehingga kamu binasa. TUHAN akan mendatangkan suatu bangsa dari hujung bumi untuk melawan kamu, bangsa yang bahasanya tidak kamu fahami. Seperti burung helang, mereka akan menyambar kamu. Mereka kejam dan tidak menaruh belas kasihan terhadap sesiapa pun, baik orang tua mahupun anak-anak. Mereka akan mengambil ternakan dan hasil tanaman kamu, tetapi kamu akan mati kelaparan. Mereka tidak akan meninggalkan gandum, wain, minyak zaitun, lembu, ataupun domba bagi kamu, dan kamu akan mati. Mereka akan menyerang tiap-tiap kota di tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu, dan tembok-tembok tinggi serta kukuh yang kamu harap-harapkan itu akan roboh. Apabila musuh mengepung kota kamu, kamu akan putus asa kerana kelaparan sehingga kamu makan anak-anak yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu. [54-55] Bahkan seorang lelaki bangsawan yang paling luhur budinya, akan menjadi begitu terdesak apabila kotanya dikepung, sehingga dia makan anak-anaknya sendiri kerana tidak ada lagi makanan lain. Dia tidak mahu membahagikannya dengan saudaranya sekalipun, atau isteri yang dikasihinya, atau dengan anak-anaknya yang masih hidup. *** [56-57] Bahkan seorang wanita bangsawan yang paling luhur budinya, dan yang sangat kaya sehingga belum pernah berjalan kaki ke mana-mana tempat, akan berlaku demikian juga. Apabila musuh mengepung kotanya, dia akan menjadi begitu terdesak kerana kelaparan, sehingga dengan sembunyi-sembunyi dia akan makan bayi yang baru dilahirkannya, dan juga uri bayi itu. Dia tidak mahu membahagikannya dengan suami yang dikasihinya, atau dengan anak-anaknya yang masih hidup. *** Jika kamu tidak setia mentaati segala hukum Allah yang tertulis di dalam kitab ini, dan tidak menghormati TUHAN, Allah kamu yang agung dan menakjubkan, Dia akan mendatangkan penyakit yang tidak dapat disembuhkan dan wabak yang tidak dapat dihentikan, kepada kamu dan keturunan kamu. Dia akan menimpa kamu dengan semua penyakit dahsyat yang kamu takuti di Mesir dahulu. Kamu tidak akan sembuh daripada penyakit itu. TUHAN akan mendatangkan segala macam penyakit dan wabak yang tidak disebut di dalam kitab ini, yang mengandungi hukum dan ajaran Allah. Kemudian kamu akan dibinasakan. Meskipun kamu menjadi sebanyak bintang di langit, tetapi hanya sedikit sahaja orang di kalangan kamu akan terselamat, kerana kamu tidak taat kepada TUHAN, Allah kamu. Sebagaimana TUHAN suka menjadikan kamu makmur dan menambahkan bilangan kamu, demikian juga Dia suka membinasakan dan memusnahkan kamu. Kamu akan dicabut dari tanah yang tidak lama lagi kamu duduki. TUHAN akan mencerai-beraikan kamu di kalangan bangsa-bangsa di seluruh muka bumi. Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan yang dibuat daripada kayu dan batu, tuhan-tuhan yang tidak pernah kamu sembah atau disembah nenek moyang kamu. Di kalangan bangsa-bangsa itu, kamu tidak akan mendapat ketenteraman dan tidak ada tempat yang dapat kamu sebut milik kamu; TUHAN akan menyebabkan kamu sangat gelisah, putus asa, dan cemas. Hidup kamu akan selalu terancam bahaya. Siang malam kamu akan dipenuhi kengerian, dan kamu sentiasa takut akan kematian. Apa sahaja yang kamu lihat akan menyebabkan hati kamu berdebar-debar kerana takut. Setiap pagi kamu akan mengharapkan malam, dan setiap malam kamu akan mengharapkan pagi. TUHAN akan mengirim kamu kembali ke Mesir dengan kapal, meskipun Dia sudah berfirman bahawa kamu tidak akan ke sana lagi. Di sana kamu akan cuba menjual diri sebagai hamba kepada musuh, tetapi tidak seorang pun yang mahu membeli kamu.” Inilah syarat-syarat perjanjian yang diperintahkan TUHAN kepada Musa, untuk dibuat dengan umat Israel semasa mereka di tanah Moab. Perjanjian itu merupakan tambahan kepada perjanjian yang dibuat oleh TUHAN dengan mereka di Gunung Sinai. Musa menyuruh semua orang Israel berkumpul lalu berkata kepada mereka, “Kamu sendiri melihat apa yang sudah dilakukan TUHAN terhadap raja Mesir, pegawai-pegawainya, dan seluruh negerinya. Kamu sudah nampak wabak yang dahsyat, mukjizat, dan keajaiban yang dilakukan TUHAN. Tetapi sampai hari ini Dia masih belum membolehkan kamu memahami semua yang sudah kamu alami. Selama empat puluh tahun ketika TUHAN memimpin kamu melalui padang gurun, pakaian dan kasut kamu tidak usang. Kamu tidak mempunyai roti untuk makanan, wain atau minuman keras untuk minuman, tetapi TUHAN menyediakan segala keperluan kamu supaya kamu tahu bahawa Dialah Allah kamu. Apabila kita sampai ke tempat ini, Raja Sihon dari Hesybon dan Raja Og dari Basan datang menyerang kita, tetapi kita mengalahkan mereka dan merebut tanah mereka. Kemudian kita memberikan tanah mereka kepada suku Ruben, Gad, dan separuh suku Manasye. Patuhilah dengan setia semua syarat perjanjian ini supaya kamu berjaya dalam segala usaha kamu. Pada hari ini kamu semua berdiri di hadapan TUHAN, Allah kamu: semua pemimpin, pegawai, kaum lelaki, kaum wanita, kanak-kanak, dan orang asing yang tinggal bersama dengan kamu, yang memotong kayu serta mengambil air untuk kamu. Kamu berada di sini pada hari ini untuk mengikat perjanjian yang dibuat oleh TUHAN, Allah kamu dengan kamu, dan untuk menerima kewajipan-kewajipannya. Dengan perjanjian itu, TUHAN mengesahkan kamu menjadi umat-Nya, dan Dia menjadi Allah kamu, seperti yang dijanjikan-Nya kepada kamu dan kepada nenek moyang kamu, Abraham, Ishak, dan Yakub. TUHAN membuat perjanjian ini dengan segala tuntutannya, bukan dengan kami sahaja melainkan dengan kita semua yang berdiri di sini pada hari ini, di hadapan TUHAN, Allah kita, dan juga dengan keturunan kita pada masa hadapan.” “Kamu masih ingat akan kehidupan kamu di Mesir, dan keadaannya semasa kamu melalui negeri-negeri bangsa lain. Kamu nampak patung-patung berhala mereka yang menjijikkan, yang dibuat daripada kayu, batu, perak, dan emas. Oleh itu, jagalah supaya tidak seorang pun di sini pada hari ini, sama ada lelaki, perempuan, keluarga, ataupun suku yang berpaling daripada TUHAN, Allah kita, lalu menyembah tuhan-tuhan bangsa lain. Perbuatan itu bagaikan akar yang tumbuh menjadi tanaman pahit dan beracun. Di kalangan kamu yang mendengar tuntutan keras itu pada hari ini, jangan ada seorang pun yang berfikir bahawa dia akan tetap selamat meskipun dia berdegil dan menuruti kemahuannya sendiri. Perbuatan seperti itu akan membinasakan kamu semua, orang yang baik mahupun yang jahat. TUHAN tidak akan mengampuni orang seperti itu. Sebaliknya, kemurkaan TUHAN yang bernyala-nyala akan menghanguskan orang itu, dan segala bencana yang tertulis di dalam kitab ini akan menimpa dia sehingga TUHAN membinasakan dia sama sekali. TUHAN akan menjadikan dia satu contoh di hadapan semua suku Israel, lalu menimpa dia dengan segala kutuk yang disebut dalam perjanjian, yang tertulis di dalam kitab ini, yang mengandungi ajaran TUHAN. Pada kemudian hari, keturunan kamu dan orang asing dari negeri-negeri jauh akan melihat bencana dan penderitaan yang didatangkan TUHAN ke tanah kamu. Ladang kamu akan menjadi kersang dan tidak berguna kerana diliputi belerang dan garam. Tanahnya tidak dapat ditanami, bahkan rumput pun tidak dapat tumbuh di sana. Tanah kamu akan menjadi seperti kota Sodom, Gomora, Adma, dan Zeboim yang dimusnahkan TUHAN ketika Dia sangat murka. Pada masa itu seluruh dunia akan bertanya, ‘Mengapakah TUHAN berbuat demikian terhadap tanah mereka? Apakah yang menyebabkan Dia murka sedahsyat itu?’ Jawapannya adalah, ‘Oleh sebab umat TUHAN itu memungkiri perjanjian yang dibuat mereka dengan TUHAN, Allah nenek moyang mereka, ketika Dia membawa mereka keluar dari Mesir. Mereka mengabdi kepada tuhan-tuhan lain yang belum pernah disembah oleh mereka, padahal TUHAN melarang mereka berbuat demikian. Itulah sebabnya TUHAN murka terhadap umat-Nya dan mendatangkan segala bencana yang tertulis di dalam kitab ini ke tanah mereka. Kemurkaan TUHAN menjadi begitu dahsyat sehingga Dia mencabut umat Israel dari negeri mereka, lalu membuang mereka ke tanah asing sampai hari ini.’ Memang ada beberapa hal yang dirahsiakan oleh TUHAN, Allah kita, tetapi Dia sudah menyatakan Taurat-Nya kepada kita, dan kita serta keturunan kita mesti mematuhinya selama-lamanya.” “Aku sudah memberi kamu pilihan antara berkat dan kutuk. Apabila segala perkara ini berlaku kepada kamu, dan kamu tinggal di kalangan bangsa-bangsa tempat kamu dicerai-beraikan TUHAN, Allah kamu, maka kamu akan teringat pada pilihan yang aku berikan kepada kamu. Jika kamu dan keturunan kamu bersedia kembali kepada TUHAN, Allah kamu, dan dengan sepenuh hati kamu mentaati semua perintah-Nya yang aku berikan kepada kamu hari ini, maka TUHAN, Allah kamu akan mengasihani kamu. Dia akan membawa kamu kembali dari negeri-negeri tempat Dia mencerai-beraikan kamu, lalu menjadikan kamu makmur semula. Meskipun kamu sudah dicerai-beraikan ke seluruh dunia, TUHAN, Allah kamu akan mengumpulkan kamu dan membawa kamu kembali. Oleh itu kamu akan memiliki semula tanah yang diduduki nenek moyang kamu dahulu. Dia akan menjadikan kamu lebih makmur dan lebih besar bilangannya daripada nenek moyang kamu. TUHAN, Allah kamu akan memberi kamu dan keturunan kamu hati yang taat supaya kamu akan mengasihi Dia dengan sepenuh hati, dan dapat tinggal terus di tanah itu. Dia akan menjatuhkan segala kutuk itu kepada musuh yang membenci dan menindas kamu. Kamu akan kembali mentaati TUHAN dan menjalankan segala perintah-Nya yang aku berikan kepada kamu hari ini. TUHAN akan menjayakan segala usaha kamu. Kamu akan mempunyai banyak anak dan ternakan; ladang kamu akan mengeluarkan hasil yang berlimpah. TUHAN akan berkenan menjadikan kamu makmur sebagaimana Dia menjadikan nenek moyang kamu makmur. Tetapi kamu mesti taat kepada TUHAN, Allah kamu dan mematuhi segala hukum-Nya yang tertulis di dalam kitab ini, yang mengandungi ajaran-Nya. Kamu mesti kembali kepada-Nya dengan sepenuh hati. Perintah yang aku berikan kepada kamu hari ini tidak terlalu susah ataupun di luar jangkauan. Tempatnya bukan di langit, maka tidak usah kamu bertanya, ‘Siapakah yang akan naik ke sana dan membawanya turun supaya kami dapat mendengar dan mentaatinya?’ Tempatnya bukan juga di seberang laut. Tidak usah kamu bertanya, ‘Siapakah yang akan menyeberangi laut dan membawanya kepada kami supaya kami dapat mendengar dan mentaatinya?’ Jangan bertanya begitu kerana perintah itu ada dengan kamu. Kamu sudah mengetahuinya dan dapat menghafaznya; kamu hanya perlu melakukannya. Pada hari ini buatlah pilihan antara yang baik dan yang jahat, antara hidup dan maut. Jika kamu mematuhi perintah TUHAN, Allah kamu yang aku berikan kepada kamu hari ini, dan jika kamu mengasihi serta mentaati Dia, dan melakukan semua hukum-Nya, maka kamu akan makmur dan menjadi bangsa yang besar. TUHAN, Allah kamu akan memberkati kamu di tanah yang tidak lama lagi akan kamu duduki. Tetapi jika kamu tidak taat dan tidak mahu mendengar, dan membiarkan diri disesatkan untuk menyembah tuhan-tuhan lain, tentu kamu akan dibinasakan. Umur kamu tidak akan panjang di tanah di seberang Sungai Yordan, yang tidak lama lagi akan kamu duduki. Ingatlah! Aku memberikan amaran kepada kamu hari ini di tempat ini. Sekarang kamu boleh memilih antara hidup dan maut, antara berkat Allah dan kutuk-Nya. Aku memanggil langit dan bumi untuk menjadi saksi terhadap keputusan kamu. Pilihlah hidup. Kasihilah TUHAN, Allah kamu, taatlah dan setialah kepada-Nya, maka kamu dan keturunan kamu akan panjang umur di tanah yang dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu, Abraham, Ishak, dan Yakub.” [1-2] Musa meneruskan ucapannya kepada umat Israel, “Sekarang aku sudah berumur seratus dua puluh tahun. Aku tidak sanggup lagi menjadi pemimpin kamu. Tambahan pula TUHAN sudah berfirman kepadaku bahawa aku tidak akan menyeberangi Sungai Yordan. *** TUHAN, Allah kamu sendiri akan memimpin kamu dan membinasakan bangsa-bangsa yang tinggal di situ, supaya kamu dapat menduduki tanah mereka. Yosua akan menjadi pemimpin kamu, seperti yang sudah difirmankan TUHAN. TUHAN sendiri akan membinasakan bangsa-bangsa itu, sebagaimana Dia mengalahkan Raja Sihon dan Raja Og, raja-raja orang Amori, serta memusnahkan negeri mereka. TUHAN akan memberi kamu kemenangan atas mereka. Kamu mesti memperlakukan mereka tepat seperti yang sudah aku katakan kepada kamu. Kamu harus yakin dan berani. Jangan takut akan bangsa-bangsa itu. TUHAN, Allah kamu akan menyertai kamu. Dia tidak sekali-kali akan mengecewakan kamu ataupun meninggalkan kamu.” Selepas itu Musa memanggil Yosua dan berkata kepadanya di hadapan semua orang Israel, “Engkau harus yakin dan berani. Engkaulah yang akan memimpin bangsa ini untuk menduduki tanah yang sudah dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang mereka. TUHAN sendiri akan memimpin dan menyertai engkau. Dia tidak sekali-kali akan mengecewakan ataupun meninggalkan engkau. Oleh itu, jangan takut ataupun cemas.” Kemudian Musa menulis Taurat Allah itu dan memberikannya kepada imam-imam Lewi yang mengurus Tabut Perjanjian TUHAN dan kepada para pemimpin umat Israel. Musa memberikan perintah kepada mereka, “Pada akhir setiap tahun ketujuh, dalam tahun penghapusan hutang, bacalah Taurat ini dengan suara kuat pada Perayaan Pondok Daun. Bacalah Taurat ini bagi umat Israel apabila mereka datang untuk menyembah TUHAN, Allah kamu di satu tempat ibadat itu. Suruhlah semua orang lelaki, perempuan, kanak-kanak, dan orang asing yang tinggal di kota kamu berkumpul, supaya semua orang akan mendengar pembacaan Taurat dan belajar menghormati TUHAN, Allah kamu, serta taat kepada ajaran-Nya dengan setia. Dengan cara itu, keturunan kamu yang belum pernah mendengar Taurat TUHAN, Allah kamu itu dapat mendengarnya. Oleh itu mereka akan belajar menghormati TUHAN selama mereka hidup di tanah yang akan kamu duduki di seberang Sungai Yordan.” Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Engkau tidak akan hidup lama lagi. Panggillah Yosua dan bawalah dia ke Khemah-Ku, supaya Aku dapat memberikan petunjuk kepadanya.” Musa dan Yosua masuk ke dalam Khemah TUHAN, dan TUHAN menampakkan diri kepada mereka dalam tiang awan dekat pintu Khemah TUHAN. TUHAN berfirman kepada Musa, “Tidak lama lagi engkau akan meninggal. Setelah kepergianmu, bangsa Israel tidak akan setia kepada-Ku. Mereka akan memungkiri perjanjian yang Aku buat dengan mereka. Mereka akan meninggalkan Aku dan menyembah tuhan-tuhan yang disembah di tanah yang segera akan diduduki mereka. Apabila hal itu berlaku, Aku akan murka kepada mereka. Aku akan meninggalkan mereka dan mereka akan binasa. Banyak malapetaka dahsyat akan menimpa mereka; kemudian mereka akan sedar bahawa semua itu berlaku kepada mereka kerana Aku, Allah mereka, tidak lagi menyertai mereka. Pada masa itu Aku tidak mahu menolong mereka lagi, kerana mereka sudah berbuat jahat dan menyembah tuhan-tuhan lain. Sekarang tuliskanlah nyanyian ini dan ajarkan kepada umat Israel. Nyanyian ini akan menjadi saksi terhadap mereka. Aku akan membawa mereka ke tanah yang kaya dan subur itu seperti yang sudah Aku janjikan kepada nenek moyang mereka. Di situ mereka akan mendapat segala makanan yang diperlukan dan mereka akan hidup senang. Tetapi mereka akan berpaling daripada-Ku lalu menyembah tuhan-tuhan lain. Mereka akan menolak Aku dan memungkiri perjanjian-Ku. Banyak bencana yang dahsyat akan menimpa mereka, tetapi nyanyian ini akan tetap dinyanyikan dan menjadi saksi terhadap mereka. Bahkan sekarang pun, sebelum Aku membawa mereka ke tanah yang Aku janjikan, Aku sudah tahu fikiran mereka.” Pada hari itu juga Musa menuliskan nyanyian itu dan mengajarkannya kepada umat Israel. Kemudian TUHAN berfirman kepada Yosua anak Nun, “Engkau harus yakin dan berani. Engkau akan memimpin umat Israel ke tanah yang sudah Aku janjikan kepada mereka, dan Aku akan menyertai engkau.” Musa menuliskan Taurat Allah di dalam sebuah kitab. Dia menuliskannya dengan teliti dari permulaan sampai akhir. Setelah dia selesai menuliskannya, dia berkata kepada imam-imam Lewi yang mengurus Tabut Perjanjian TUHAN, “Ambillah kitab Taurat Allah ini dan letakkannya di sebelah Tabut Perjanjian TUHAN, Allah kamu, supaya tetap ada di sana untuk menjadi saksi terhadap umat TUHAN. Aku tahu betapa degilnya umat ini. Mereka sentiasa memberontak. Mereka telah memberontak terhadap TUHAN pada masa hidupku, dan tentu mereka akan semakin memberontak setelah aku meninggal. Sekarang suruhlah semua pemimpin suku dan pegawai untuk berkumpul di hadapanku, supaya aku dapat memberitahu mereka perkara-perkara ini. Aku akan memanggil langit dan bumi menjadi saksiku terhadap mereka. Aku tahu bahawa setelah aku meninggal, mereka akan menjadi jahat lalu menolak apa yang sudah aku ajarkan. Pada masa yang akan datang mereka akan ditimpa bencana, kerana mereka menyebabkan TUHAN murka dengan melakukan apa yang dilarang-Nya.” Kemudian Musa mengucapkan seluruh nyanyian ini sementara umat Israel mendengarkannya. “Hai langit dan bumi, dengarlah kata-kataku, dengarlah baik-baik ucapanku. Ajaranku akan turun seperti air hujan, dan menjadi seperti embun di atas bumi. Perkataanku akan turun seperti hujan yang menyirami tanaman muda, dan seperti hujan rintik-rintik yang turun ke atas rerumputan. Aku akan memuji nama TUHAN, dan umat-Nya akan memberitakan kebesaran-Nya. TUHAN pembela kamu yang perkasa, Dia sempurna dan adil dalam segala perkara; Allah kamu setia, tidak ada kecurangan pada-Nya, Dia melakukan yang baik dan yang benar. Tetapi kamu tidak setia, dan tidak layak menjadi umat-Nya; kamu bangsa yang suka menipu dan berdosa. Begitukah caranya kamu memperlakukan TUHAN, hai kamu orang bodoh, dan tidak berfikiran? Dialah Bapa kamu, Pencipta kamu, Dialah yang menjadikan kamu satu bangsa. Ingatlah akan masa lampau, zaman dahulu kala; mintalah bapa kamu menceritakannya kepada kamu; mintalah orang tua-tua menceritakan kisah yang lalu. Ketika Yang Maha Tinggi membahagi tanah kepada bangsa-bangsa, Dia menentukan wilayah tempat tinggal mereka, dengan malaikat sebagai pelindung, tetapi keturunan Yakub dipilih oleh TUHAN untuk diri-Nya sendiri. Dia menjumpai mereka mengembara di padang gurun, padang pasir yang sepi dan terdedah kepada angin. Dia melindungi dan memelihara mereka sebagaimana Dia menjaga biji mata-Nya. Sebagaimana burung helang mengajar anaknya terbang, dan menampungnya dengan sayap yang terbentang, demikianlah TUHAN menjaga Israel supaya tidak jatuh. TUHAN sendiri yang memimpin umat-Nya, tanpa dibantu oleh tuhan-tuhan lain. Dia membolehkan mereka memerintah di gunung-gunung, mereka makan hasil tanaman di ladang-ladang. Mereka mendapat madu hutan di bukit batu; pokok zaitun mereka tumbuh subur di tanah yang berbatu. Lembu dan kambing mereka menghasilkan banyak susu; mereka mempunyai domba, kambing, dan lembu yang terbaik, dan juga gandum, serta wain yang terbaik. Umat TUHAN menjadi kaya, tetapi suka memberontak, mereka kenyang dengan makanan, dan mereka gemuk. Mereka meninggalkan Allah, Pencipta mereka, dan menolak Penyelamat mereka yang perkasa. Mereka menyembah berhala, dan menjadikan TUHAN cemburu, mereka melakukan kejahatan, dan menjadikan-Nya murka. Mereka mempersembahkan korban kepada roh-roh jahat, dan bukan kepada Allah, tuhan-tuhan baru yang tidak dikenal oleh nenek moyang mereka, dewa-dewa yang tidak pernah ditaati oleh Israel. Mereka lupa akan Allah, Penyelamat yang perkasa, Dia yang memberi mereka kehidupan. Apabila TUHAN melihat hal itu, Dia murka, anak-anak-Nya lelaki dan perempuan, ditolak oleh-Nya. ‘Aku tidak mahu menolong mereka lagi,’ firman-Nya, ‘Aku hendak melihat apa yang akan berlaku kepada mereka, umat yang degil dan tidak setia. Mereka menyebabkan Aku cemburu kepada yang bukan Allah, dan murka kepada patung berhala mereka. Oleh itu Aku akan menyebabkan mereka marah terhadap yang bukan bangsa. Aku akan menyebabkan mereka cemburu terhadap bangsa yang bodoh. Kemurkaan-Ku akan bernyala-nyala seperti api, dan membakar segala sesuatu di atas bumi. Api itu akan turun ke dunia orang mati, dan menghanguskan akar gunung-gunung. Aku akan menimpakan bencana yang tidak habis-habis kepada mereka, dan membidikkan semua anak panah-Ku kepada mereka. Mereka akan mati kerana demam dan kelaparan; mereka akan mati kerana penyakit yang mengerikan. Aku akan mendatangkan binatang buas untuk menerkam mereka, dan ular berbisa untuk mematuk mereka. Peperangan akan membawa maut di jalan-jalan raya, kengerian akan menimpa orang di rumah-rumah. Orang muda, lelaki dan perempuan akan mati, bayi dan orang tua juga tidak terkecuali. Aku seharusnya membinasakan mereka semua, supaya tidak seorang pun ingat akan mereka. Tetapi Aku tidak dapat membiarkan musuh membanggakan diri, bahawa merekalah yang mengalahkan umat-Ku, sedangkan Akulah yang menghancurkan umat-Ku.’ Israel suatu bangsa yang tidak ada pengetahuan; mereka sama sekali tidak ada kebijaksanaan. Mereka tidak tahu mengapa mereka dikalahkan, mereka tidak dapat memahami apa yang sudah berlaku. Mengapakah seribu orang dikalahkan oleh seorang, dan sepuluh ribu orang dikalahkan hanya oleh dua orang? TUHAN, Allah mereka sudah meninggalkan mereka; Allah mereka yang perkasa sudah menyerahkan mereka kepada musuh. Musuh Israel tahu bahawa pelindung mereka lemah, tidak perkasa seperti Allah, Pelindung Israel. Musuh Israel jahat seperti Sodom dan Gomora, seperti pokok anggur yang pahit dan beracun buahnya, seperti wain yang dibuat daripada racun ular berbisa. TUHAN ingat akan perbuatan musuh umat-Nya; Dia menantikan masa yang tepat untuk menghukum mereka. TUHAN akan membalas dendam dan menghukum mereka; masanya akan tiba apabila mereka jatuh dan binasa, hari kehancuran mereka segera tiba. TUHAN akan menyelamatkan umat-Nya apabila Dia melihat mereka kehabisan tenaga. Dia akan mengasihani hamba-hamba-Nya, apabila Dia melihat mereka tidak berdaya. Lalu TUHAN akan bertanya kepada umat-Nya, ‘Di manakah tuhan-tuhan perkasa yang kamu percayai itu? Kamu mempersembahkan wain dan korban terbaik kepada mereka, kamu memberi mereka minum wain. Sekarang biarlah mereka menolong kamu, biarlah mereka menyelamatkan kamu. Akulah satu-satunya Allah; tiada yang lain kecuali Aku. Aku mencabut nyawa, dan Aku memberikan nyawa, Aku melukai orang, dan Aku menyembuhkan orang; tidak seorang pun dapat melawan perbuatan-Ku. Demi Aku sendiri, Allah yang hidup, Aku mengangkat tangan dan bersumpah bahawa Aku akan mengasah pedang-Ku yang berkilauan, dan menegakkan keadilan. Aku akan membalas dendam terhadap musuh-Ku, dan menghukum orang yang membenci Aku. Anak panah-Ku akan dilumuri darah mereka, dan pedang-Ku akan membunuh semua orang yang menentang Aku. Tidak seorang pun yang melawan Aku akan hidup; bahkan orang terluka dan orang tawanan pun akan mati.’ Hai bangsa-bangsa, pujilah umat TUHAN. TUHAN menghukum semua orang yang membunuh umat-Nya; Dia membalas dendam terhadap musuh-Nya, dan mengampunkan dosa umat-Nya.” Musa dan Yosua anak Nun mengucapkan nyanyian itu supaya umat Israel dapat mendengarnya. Selepas Musa menyampaikan ajaran Allah kepada umat itu, dia berkata, “Kamu mesti patuh kepada semua perintah yang aku berikan kepada kamu hari ini. Beritahukanlah semuanya kepada anak-anak kamu, supaya mereka taat dengan setia kepada segala ajaran Allah. Ajaran ini bukanlah kata-kata kosong, tetapi ajaran ini adalah nyawa kamu. Taatilah semuanya supaya kamu panjang umur di tanah di seberang Sungai Yordan, tanah yang segera akan kamu duduki.” Pada hari itu juga TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah ke Pergunungan Abarim di tanah Moab, yang bertentangan dengan kota Yerikho. Dakilah Gunung Nebo, dan pandanglah tanah Kanaan yang segera akan Aku berikan kepada umat Israel. Engkau akan meninggal di atas gunung itu seperti saudaramu Harun meninggal di atas Gunung Hor, kerana kamu berdua tidak setia kepada-Ku di hadapan umat Israel. Semasa engkau berada dekat mata air Meriba, yang berhampiran kota Kades di gurun Zin, engkau tidak menghormati Aku di hadapan umat Israel. Engkau akan memandang tanah itu dari jauh, tetapi engkau tidak akan pergi ke tanah yang akan Aku berikan kepada umat Israel.” Sebelum meninggal, Musa, hamba Allah itu, memberkati umat Israel dengan kata-kata ini: TUHAN datang dari Gunung Sinai; Dia terbit seperti matahari di atas Edom, dan dari Gunung Paran Dia menyinari umat-Nya. Beribu-ribu malaikat menyertai Dia; pada tangan kanan-Nya ada api yang bernyala-nyala. TUHAN mengasihi umat-Nya; Dia melindungi semua orang yang menjadi milik-Nya. Itulah sebabnya kita sujud di hadapan-Nya, dan mentaati perintah-Nya. Kita mematuhi Taurat yang diberikan Musa kepada kita; itulah milik bangsa kita yang paling berharga. TUHAN menjadi raja kepada Israel, umat-Nya ketika suku-suku Israel berkumpul bersama dengan para pemimpin mereka. Tentang suku Ruben, Musa berkata, “Semoga suku Ruben tidak punah, meskipun bilangan mereka sedikit sahaja.” Tentang suku Yehuda, dia berkata, “Ya TUHAN, dengarkanlah seruan mereka minta pertolongan. Persatukanlah mereka semula dengan suku-suku lain. Ya TUHAN, berperanglah bagi mereka, dan tolonglah mereka melawan musuh mereka.” Tentang suku Lewi, dia berkata, “Ya TUHAN, nyatakanlah kehendak-Mu melalui Urim dan Tumim, dengan perantaraan orang Lewi, hamba-hamba-Mu yang setia. Engkau telah menguji mereka di Masa, dan membuktikan kesetiaan mereka di mata air Meriba. Mereka telah menunjukkan kesetiaan kepada-Mu yang melebihi kesetiaan kepada ibu bapa, saudara, atau anak. Mereka mentaati perintah-Mu dan setia kepada perjanjian-Mu. Mereka akan mengajar umat-Mu mentaati Taurat-Mu; mereka akan mempersembahkan korban di atas mazbah-Mu. Ya TUHAN, tolonglah suku mereka menjadi perkasa, semoga Engkau berkenan kepada pekerjaan mereka. Hancurkanlah semua musuh mereka, biarlah musuh mereka tidak bangkit semula.” Tentang suku Benyamin, dia berkata, “Inilah suku yang dikasihi dan dilindungi oleh TUHAN; Dia menjaga mereka sepanjang masa, Dia tinggal di tengah-tengah mereka.” Tentang keturunan Yusuf, dia berkata, “Semoga TUHAN memberkati tanah mereka dengan hujan, dan dengan air dari bawah tanah. Semoga TUHAN memberkati tanah mereka dengan buah-buahan yang masak di pokok, dan memberi mereka banyak buah pada setiap musim. Semoga bukit-bukit purba mereka, diliputi buah-buahan yang istimewa baiknya. Semoga tanah mereka dipenuhi segala sesuatu yang baik, tanah yang diberkati dengan kebaikan TUHAN, Dia yang pernah berfirman dari semak yang bernyala. Semoga berkat-berkat ini dicurahkan kepada keturunan Yusuf, kerana dialah pemimpin di kalangan saudara-saudaranya. Yusuf mempunyai kekuatan lembu jantan, dan tanduk lembu jantan hutan. Tanduknya adalah keturunan Manasye yang beribu-ribu, dan keturunan Efraim yang berpuluh-puluh ribu. Dengan semua orang ini dia menanduk bangsa-bangsa, dan mengusir mereka sampai ke hujung bumi.” Tentang suku Zebulon dan Isakhar, dia berkata, “Semoga Zebulon makmur kerana perdagangan di perantauan, dan semoga kekayaan Isakhar bertambah-tambah di perkhemahan. Mereka menjemput bangsa asing ke gunung; di sana mereka mempersembahkan korban yang diperkenankan. Mereka mendapatkan kekayaan dari laut, dan dari pasir di sepanjang pantai.” Tentang suku Gad, dia berkata, “Pujilah Allah yang meluaskan kawasan mereka. Gad menunggu-nunggu seperti seekor singa, hendak mencarik-carikkan lengan atau kulit kepala. Mereka mengambil tanah yang terbaik untuk mereka sendiri. Mereka mendapat bahagian seorang pemimpin. Mereka mematuhi perintah dan hukum TUHAN, ketika para pemimpin Israel berkumpul bersama-sama.” Tentang suku Dan, dia berkata, “Dan seperti seekor singa muda yang melompat keluar dari Basan.” Tentang suku Naftali, dia berkata, “Naftali dilimpahi berkat dan kasih TUHAN; tanah mereka meluas dari Tasik Galilea ke selatan.” Tentang suku Asyer, dia berkata, “Asyer diberkati lebih daripada suku-suku lain. Semoga dia menjadi kesayangan saudara-saudaranya, semoga pokok zaitun tumbuh subur di tanahnya. Semoga kota-kotanya dilindungi oleh pintu gerbang besi, semoga hidupnya sentiasa aman dan tenteram.” “Hai umat Israel, tiada yang seperti Allah kamu, yang melintasi langit dengan kemuliaan, dan menembusi awan untuk menolong kamu. Allah yang kekal menjadi perlindungan kamu, dan tangan-Nya menunjang kamu. Apabila kamu bergerak maju, Dia mengusir musuh kamu, dan menyuruh kamu membinasakan mereka semua. Oleh itu keturunan Yakub hidup dengan tenteram; mereka aman di tanah yang penuh dengan wain dan gandum; dan tanahnya dibasahi oleh embun dari langit. Hai Israel, kamu sungguh berbahagia! Tidak ada sesiapa pun seperti kamu, bangsa yang diselamatkan oleh TUHAN. TUHAN sendirilah yang menjadi perisai dan pedang kamu, untuk membela kamu dan memberi kamu kemenangan. Musuh kamu akan datang mohon belas kasihan, dan kamu akan memijak-mijak mereka.” Kemudian Musa meninggalkan dataran Moab lalu mendaki Gunung Nebo, ke puncak Gunung Pisga di sebelah timur kota Yerikho. Di sana TUHAN menunjukkan seluruh tanah itu kepadanya: wilayah Gilead sampai kota Dan di utara; seluruh wilayah Naftali; wilayah Efraim dan Manasye; wilayah Yehuda di sebelah barat sampai ke Laut Tengah; bahagian selatan Yehuda; dan dataran dari Zoar sampai ke Yerikho, kota pokok kurma. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Itulah tanah yang Aku janjikan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub, untuk diberikan kepada keturunan mereka. Aku membenarkan engkau memandangnya tetapi Aku tidak membenarkan engkau pergi ke sana.” Kemudian Musa, hamba TUHAN itu, meninggal di tanah Moab, sebagaimana yang sudah difirmankan TUHAN. TUHAN mengebumikan dia di suatu lembah di Moab, yang bertentangan dengan kota Bet-Peor. Tetapi sampai hari ini tidak seorang pun tahu tempat kubur itu. Musa berumur seratus dua puluh tahun ketika dia meninggal. Waktu dia meninggal, badannya masih kuat dan penglihatannya masih terang. Umat Israel berkabung bagi Musa selama tiga puluh hari di dataran Moab. TUHAN mengurniakan kebijaksanaan kepada Yosua anak Nun kerana Musa telah melantik dia menjadi penggantinya. Umat Israel taat kepada Yosua serta melakukan perintah yang diberikan TUHAN kepada mereka dengan perantaraan Musa. Sejak itu, tidak ada nabi seperti Musa di Israel; TUHAN berfirman berhadapan muka dengan Musa. Tidak ada lagi nabi yang pernah melakukan mukjizat dan keajaiban seperti yang dilakukan Musa; TUHAN menyuruh Musa melakukan mukjizat dan keajaiban untuk menentang raja Mesir, pegawai-pegawai raja dan seluruh negeri itu. Tidak ada nabi lain yang melakukan perbuatan-perbuatan hebat dan dahsyat seperti yang dilakukan Musa di hadapan segenap umat Israel. Selepas kematian Musa hamba TUHAN itu, TUHAN berfirman kepada Yosua anak Nun, penolong Musa. TUHAN berfirman, “Hamba-Ku Musa sudah meninggal. Hendaklah kamu bersiap sedia, engkau dan semua umat Israel. Seberangilah Sungai Yordan dan pergilah ke tanah yang hendak Aku berikan kepada mereka. Aku telah memberitahu Musa bahawa seluruh tanah yang kamu jejaki telah Aku berikan kepadamu dan kepada semua umat-Ku. Sempadan wilayah kamu akan bermula dari gurun di sebelah selatan sampai ke Pergunungan Lebanon di sebelah utara; dari sungai yang besar, iaitu Sungai Efrat di sebelah timur dan meliputi negeri orang Het, sampai ke Laut Tengah di sebelah barat. Hai Yosua, tidak seorang pun akan dapat mengalahkan engkau selama engkau hidup. Aku akan menyertai engkau sebagaimana Aku telah menyertai Musa. Aku akan sentiasa menyertai engkau, dan tidak sekali-kali meninggalkan engkau. Hendaklah engkau yakin dan berani, kerana engkau akan menjadi pemimpin umat ini apabila mereka menakluki tanah yang Kujanjikan kepada nenek moyang mereka. Hendaklah engkau yakin dan berani, dan pastikanlah supaya engkau mentaati seluruh Taurat yang diberikan oleh hamba-Ku, Musa kepadamu. Jangan lalaikan mana-mana bahagian Taurat itu, supaya engkau berjaya ke mana pun engkau pergi. Pastikanlah supaya Kitab Taurat sentiasa dibacakan kepada umat-Ku semasa kamu beribadat. Kajilah kitab itu siang dan malam; pastikanlah supaya engkau mentaati segala yang tertulis di dalamnya. Dengan demikian engkau akan makmur dan berjaya. Ingatlah perintah-Ku kepadamu supaya engkau yakin dan berani! Jangan takut ataupun tawar hati, kerana Aku, TUHAN, Allahmu, menyertai engkau ke mana sahaja engkau pergi.” Selepas itu Yosua mengarah para pemimpin Israel supaya berkeliling di seluruh perkhemahan dan memberitahu umat itu, “Siapkanlah makanan kerana tiga hari lagi kamu akan menyeberangi Sungai Yordan untuk menakluki tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu.” Yosua berkata kepada suku-suku Ruben, Gad, dan setengah daripada suku Manasye, “Ingatlah! Musa, hamba TUHAN itu sudah memberitahu kamu bahawa TUHAN, Allah kamu akan memberikan tanah di sebelah timur Sungai Yordan untuk menjadi tempat tinggal kamu. Anak dan isteri kamu serta ternakan kamu harus tinggal di sini, tetapi askar-askar kamu harus bersedia untuk berperang. Mereka harus menyeberangi sungai lebih dahulu daripada umat Israel untuk menolong sesama bangsa kamu, sehingga mereka menakluki tanah di sebelah barat Sungai Yordan, yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada mereka. Selepas Dia memberikan keamanan kepada semua suku Israel, barulah kamu boleh kembali dan menetap di tanah kamu sendiri, tanah yang di sebelah timur Sungai Yordan, yang diberikan oleh Musa, hamba TUHAN itu kepada kamu.” Mereka berkata kepada Yosua, “Kami akan melakukan segala yang tuan katakan, dan pergi ke mana sahaja tuan suruh kami pergi. Kami akan taat kepada tuan sebagaimana kami sentiasa taat kepada Musa. Semoga TUHAN, Allah tuan menyertai tuan sebagaimana Dia telah menyertai Musa! Setiap orang yang tidak mahu tunduk kepada kekuasaan tuan atau tidak taat kepada salah satu perintah tuan akan dihukum mati. Hendaklah tuan yakin dan berani!” Kemudian Yosua mengirim dua orang pengintip dari perkhemahan di Sitim ke Kanaan. Mereka diperintah supaya menjelajah tanah Kanaan untuk menyelidikinya dengan sembunyi-sembunyi, terutama sekali kota Yerikho. Apabila mereka sampai di kota itu, mereka menginap di rumah seorang perempuan pelacur yang bernama Rahab. Raja Yerikho diberitahu bahawa beberapa orang Israel telah datang pada malam itu untuk mengintip negerinya. Maka raja itu menyuruh orang memberitahu Rahab, “Orang di rumahmu itu datang untuk mengintip seluruh negeri ini. Bawalah mereka ke luar!” [4-6] Rahab menjawab, “Memang ada beberapa orang datang ke rumah saya, tetapi saya tidak tahu dari mana mereka datang. Mereka pergi pada waktu senja, sebelum pintu gerbang kota ditutup. Saya tidak bertanya ke mana mereka pergi tetapi jika mereka dikejar dengan segera, mereka akan dapat ditangkap.” (Padahal Rahab telah menyembunyikan dua orang pengintip itu di atas bumbung rumah yang rata, di bawah timbunan batang rami, yang diletakkannya di sana.) *** *** Sebaik sahaja para utusan raja itu keluar dari kota, pintu gerbang ditutup. Mereka mencari pengintip-pengintip itu sampai ke tempat penyeberangan Sungai Yordan. Sebelum pengintip-pengintip itu tidur pada malam itu, Rahab naik ke bumbung rumah dan berkata kepada mereka, “Aku tahu bahawa TUHAN telah memberikan tanah ini kepada kamu. Semua orang di negeri ini takut kepada kamu. Kami telah mendengar bahawa TUHAN telah mengeringkan Laut Gelagah di hadapan kamu ketika kamu meninggalkan Mesir. Kami juga mendengar bahawa kamu telah membunuh Raja Sihon dan Raja Og, dua orang raja bangsa Amori di sebelah timur Sungai Yordan. Kami ketakutan sebaik saja kami mendengar hal itu. Kami sudah hilang keberanian kerana kamu. TUHAN, Allah kamu sesungguhnya Allah yang berkuasa di langit dan di bumi. Sekarang bersumpahlah demi TUHAN bahawa kamu akan memperlakukan keluargaku dengan baik sebagaimana aku telah memperlakukan kamu. Berilah aku suatu tanda jaminan supaya aku dapat mempercayai kamu. Berjanjilah kepadaku bahawa kamu akan menyelamatkan ibu bapaku dan saudara-saudaraku lelaki dan perempuan, serta semua keluarga mereka. Janganlah biarkan kami dibunuh!” Pengintip-pengintip itu berkata kepadanya, “Biarlah Allah membunuh kami jika kami tidak memenuhi janji kami. Jika engkau tidak memberitahu orang tentang kami ini, kami berjanji bahawa apabila TUHAN memberikan negeri ini kepada kami kelak, kami akan memperlakukan kamu dengan baik.” Rumah Rahab dibina pada tembok kota. Oleh itu, dengan menggunakan tali dia menurunkan pengintip-pengintip itu ke luar tembok melalui tingkap. Rahab berkata, “Pergilah ke kawasan perbukitan supaya kamu tidak dijumpai oleh para utusan raja itu. Bersembunyilah di situ selama tiga hari sehingga para utusan itu kembali. Kemudian teruskanlah perjalanan kamu.” Para pengintip itu berkata kepada Rahab, “Kami akan memenuhi janji kami ini menurut permintaanmu. Lakukanlah hal ini. Apabila kami menyerang negeri kamu, ikatkanlah tali merah ini pada tingkap tempat kamu menurunkan kami. Kumpulkanlah ibu bapamu, saudara-saudaramu dan semua sanak keluarga bapamu di rumahmu. Sesiapa antara mereka yang keluar dari rumah ini, kematiannya bukanlah tanggungjawab kami; itu kesalahannya sendiri. Tetapi jika seseorang yang berada di rumahmu cedera, kamilah yang bertanggungjawab. Sebaliknya, jika kamu memberitahu orang tentang kami, bebaslah kami daripada janji kami ini.” Rahab menyetujui hal itu lalu menyuruh mereka pergi. Setelah mereka pergi, dia mengikat tali merah itu pada tingkapnya. Pengintip-pengintip itu pergi ke kawasan perbukitan dan bersembunyi di sana. Para utusan raja mencari mereka di seluruh kawasan luar kota selama tiga hari, tetapi tidak menjumpai mereka. Oleh itu para utusan raja kembali ke kota Yerikho. Barulah pengintip-pengintip itu turun dari perbukitan, menyeberangi sungai, lalu kembali kepada Yosua. Mereka memberitahu Yosua segala yang telah berlaku kepada mereka. Kemudian mereka berkata, “Kami pasti bahawa TUHAN telah memberi kita seluruh negeri itu. Semua penduduk negeri itu takut kepada kita.” Pagi esoknya, Yosua dan semua umat Israel bangun awal. Mereka meninggalkan perkhemahan di Sitim, lalu pergi ke kawasan Sungai Yordan. Mereka berkhemah di situ sementara menunggu untuk menyeberangi sungai itu. Selepas tiga hari, para pemimpin mereka menjelajahi perkhemahan dan berkata kepada umat Israel, “Apabila kamu nampak imam-imam membawa Tabut Perjanjian TUHAN Allah kamu, berangkatlah dan ikutlah mereka. Kamu belum pernah ke sini, oleh itu mereka akan memimpin perjalanan kamu. Tetapi jangan hampiri Tabut Perjanjian. Berjalanlah kira-kira satu kilometer di belakang Tabut Perjanjian.” Yosua berkata kepada umat itu, “Sucikanlah diri kamu kerana esok TUHAN akan melakukan mukjizat di tengah-tengah kamu.” Kemudian Yosua menyuruh imam-imam mengangkat Tabut Perjanjian dan berjalan mendahului umat Israel. Imam-imam itu pun berbuat demikian. TUHAN berfirman kepada Yosua, “Apa yang Aku lakukan hari ini akan menyebabkan semua umat Israel sangat menghormati engkau. Mereka akan sedar bahawa Aku menyertai engkau sebagaimana Aku menyertai Musa. Perintahlah imam-imam yang membawa Tabut Perjanjian itu supaya masuk ke dalam sungai setibanya mereka di situ, dan berdiri dekat tebingnya.” Kemudian Yosua berkata kepada umat, “Mari, dengarlah firman TUHAN, Allah kamu. Apabila kamu maju kelak, Dia pasti akan mengusir orang Kanaan, Het, Hewi, Feris, Girgasi, Amori, dan Yebusi. Kamu akan tahu bahawa Allah yang hidup hadir di tengah-tengah kamu apabila Tabut Perjanjian TUHAN alam semesta, digotong menyeberangi Sungai Yordan, mendahului kamu. Sekarang pilihlah dua belas orang, seorang daripada tiap-tiap suku Israel. Apabila imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian TUHAN memasukkan kaki ke dalam air, Sungai Yordan akan berhenti mengalir; air yang mengalir dari hulu akan terbendung di satu tempat.” [14-15] Pada masa itu musim menuai dan seperti biasa, Sungai Yordan banjir. Apabila umat Israel meninggalkan perkhemahan untuk menyeberangi Sungai Yordan, imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian berjalan di hadapan mereka. Sebaik sahaja imam-imam itu menginjakkan kaki ke dalam air, *** sungai itu berhenti mengalir. Jauh di bahagian hulu sungai, airnya terkumpul di Adam, sebuah kota dekat Sartan. Air yang mengalir ke Laut Mati terputus sama sekali. Oleh itu umat Israel dapat menyeberangi sungai dekat kota Yerikho. Selama umat Israel berjalan di atas dasar sungai yang kering, imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian berdiri di tengah-tengah dasar sungai yang kering itu, sehingga semua umat tiba di seberang. Selepas seluruh bangsa itu menyeberangi Sungai Yordan, TUHAN berfirman kepada Yosua, “Pilihlah dua belas orang, seorang daripada tiap-tiap suku, lalu suruhlah mereka mengambil dua belas buah batu dari tengah-tengah sungai, tepat pada tempat imam-imam itu berdiri. Suruhlah mereka mengangkat batu-batu itu dan meletakkannya di tempat kamu berkhemah malam ini.” Kemudian Yosua memanggil dua belas orang yang telah dipilihnya dan berkata, “Turunlah ke sungai di depan Tabut Perjanjian TUHAN, Allah kamu. Masing-masing harus mengambil sebuah batu, sebuah batu untuk setiap suku Israel. Pikullah batu itu. Batu-batu itu akan mengingatkan umat Israel tentang perbuatan TUHAN. Pada masa yang akan datang, apabila anak-anak kamu bertanya akan erti batu-batu itu, beritahulah mereka bahawa Sungai Yordan berhenti mengalir ketika Tabut Perjanjian TUHAN digotong menyeberangi sungai itu. Batu-batu itu akan sentiasa mengingatkan umat Israel tentang peristiwa yang berlaku di sini.” Mereka menurut perintah Yosua. Sebagaimana perintah TUHAN kepada Yosua, mereka mengambil dua belas buah batu dari tengah-tengah Sungai Yordan, sebuah batu untuk setiap suku Israel. Mereka memikul batu-batu itu ke tempat perkhemahan lalu meletakkan semuanya di sana. Yosua juga menyusun dua belas buah batu di tengah-tengah Sungai Yordan, di tempat imam-imam itu berdiri. (Batu-batu itu masih ada di sana sampai sekarang.) Para imam berdiri di tengah-tengah Sungai Yordan sehingga segala yang diperintahkan TUHAN kepada Yosua telah dilakukan oleh umat itu. Itulah yang diperintahkan oleh Musa kepada Yosua. Umat Israel menyeberangi sungai dengan cepat dan apabila mereka semua sampai di seberang, imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian TUHAN berjalan di hadapan mereka. Semua orang daripada suku Ruben, Gad, dan setengah suku Manasye telah menyeberang mendahului umat Israel yang lain, dan mereka siap berperang seperti yang diperintahkan Musa. Semuanya ada kira-kira 40,000 orang lelaki yang telah siap untuk berperang. Di hadapan TUHAN, mereka menyeberang ke dataran rendah dekat kota Yerikho. Perbuatan TUHAN pada hari itu menyebabkan umat Israel menghormati Yosua sebagai orang besar. Mereka menghormati dia sepanjang hayatnya sebagaimana mereka menghormati Musa dahulu. Kemudian TUHAN menyuruh Yosua memerintah imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian keluar dari Sungai Yordan. Yosua mematuhi perintah TUHAN. Apabila imam-imam itu sampai di tebing sungai, air sungai mengalir lagi dan banjir seperti semula. Umat Israel menyeberangi sungai itu pada hari kesepuluh bulan pertama, lalu mereka berkhemah di Gilgal, di sebelah timur kota Yerikho. Di sana Yosua menyusun dua belas buah batu yang diambil dari Sungai Yordan. Dia berkata kepada umat Israel, “Pada masa akan datang, apabila anak cucu kamu bertanya tentang erti batu-batu ini, beritahulah mereka bahawa umat Israel menyeberangi Sungai Yordan di atas dasar yang kering. Beritahulah mereka bahawa TUHAN, Allah kamu mengeringkan sungai itu untuk kamu sehingga kamu menyeberanginya, sebagaimana Dia mengeringkan Laut Gelagah untuk kami sehingga kami menyeberanginya. Dengan kejadian itu, semua orang di bumi akan tahu betapa besarnya kuasa TUHAN. Oleh itu kamu akan menghormati TUHAN, Allah kamu selama-lamanya.” Semua raja orang Amori di sebelah barat Sungai Yordan dan semua raja orang Kanaan di sepanjang pantai Laut Tengah mendengar bahawa TUHAN telah mengeringkan Sungai Yordan sehingga umat Israel sudah menyeberanginya. Raja-raja itu takut dan hilang semangat kerana umat Israel. Kemudian TUHAN berfirman kepada Yosua, “Buatlah beberapa bilah pisau daripada batu dan sunatlah orang Israel.” Yosua menurut perintah TUHAN lalu menyunatkan orang Israel di tempat yang dinamakan Bukit Sunat. [4-6] Apabila umat Israel meninggalkan Mesir, semua orang lelaki mereka memang telah disunat. Tetapi selama empat puluh tahun perjalanan mereka di gurun, tiada seorang pun anak lelaki mereka disunat. Pada akhir masa empat puluh tahun itu, semua lelaki Israel yang cukup umur untuk berperang ketika mereka meninggalkan Mesir, telah meninggal kerana mereka tidak mentaati TUHAN. TUHAN telah bersumpah bahawa mereka tidak akan dibenarkan melihat tanah yang makmur dan subur, yang telah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang mereka. *** *** Anak-anak lelaki semua orang itu belum disunat. Generasi baru itulah yang disunat oleh Yosua. Setelah disunat, mereka semua tinggal di perkhemahan sehingga mereka sembuh. TUHAN berfirman kepada Yosua, “Pada hari ini Aku telah menghapuskan kehinaan kamu kerana menjadi hamba di Mesir.” Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Gilgal sampai pada hari ini. Ketika umat Israel berkhemah di Gilgal di dataran berhampiran dengan kota Yerikho, mereka merayakan Paska pada waktu senja, pada hari keempat belas bulan itu. Esok harinya, untuk kali pertama mereka makan hasil tanaman di Kanaan: biji-bijian yang dipanggang dan roti tanpa ragi. Pada masa itu manna tidak lagi jatuh ke tanah dan umat Israel tidak mendapatnya lagi. Mulai hari itu, mereka makan hasil tanaman di Kanaan. Ketika Yosua berada dekat kota Yerikho, tiba-tiba dia nampak seorang lelaki dengan pedang terhunus, berdiri di hadapannya. Yosua menghampiri dia dan bertanya, “Adakah kamu ini salah seorang askar kami atau seorang musuh?” Orang itu menjawab, “Aku bukan askar kamu dan bukan musuh. Aku panglima tentera TUHAN.” Yosua bersujud menyembah dan berkata, “Saya hamba tuan. Apakah perintah tuan kepada saya?” Panglima tentera TUHAN berkata, “Tanggalkanlah kasutmu, kerana tempat engkau berdiri itu suci.” Lalu Yosua menanggalkan kasutnya. Pintu-pintu gerbang kota Yerikho dikawal dan ditutup supaya umat Israel tidak dapat masuk. Tiada seorang pun dapat masuk ataupun keluar dari kota itu. TUHAN berfirman kepada Yosua, “Aku menyerahkan Yerikho dengan rajanya dan semua askarnya yang perkasa kepadamu. Engkau dan askar-askarmu harus berarak mengelilingi kota itu sekali sehari selama enam hari. Tujuh orang imam yang masing-masing membawa sebuah trompet harus berjalan di hadapan Tabut Perjanjian. Pada hari ketujuh, engkau dan askar-askarmu harus berarak mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali, sementara imam-imam meniup trompet. Selepas itu mereka harus meniup trompet dengan bunyi yang panjang, dan sebaik sahaja kamu mendengarnya, semua orang harus berteriak dengan kuat, lalu tembok kota itu akan roboh. Pada saat itu seluruh tenteramu harus terus memasuki kota itu.” Yosua memanggil imam-imam dan berkata kepada mereka, “Gotonglah Tabut Perjanjian, dan tujuh orang antara kamu harus berjalan di hadapannya dengan membawa trompet.” Kemudian Yosua memberikan arahan kepada askar-askarnya supaya berarak mengelilingi kota itu, didahului oleh barisan pengawal depan yang berjalan di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN. [8-9] Sebagaimana yang diperintahkan Yosua, pengawal depan berjalan di hadapan imam-imam yang meniup trompet, diikuti oleh para imam yang menggotong Tabut Perjanjian TUHAN; kemudian diakhiri oleh barisan pengawal belakang. Sepanjang masa itu trompet dibunyikan. *** Tetapi Yosua telah memerintahkan askar-askarnya supaya tidak berteriak atau berkata sepatah pun sehingga dia memberitahu mereka. Demikianlah Yosua menyuruh kumpulan orang itu mengelilingi kota itu satu kali dengan menggotong Tabut Perjanjian TUHAN, lalu mereka kembali ke perkhemahan dan bermalam di situ. [12-13] Keesokan harinya, Yosua bangun pagi-pagi, dan untuk kali kedua para imam dan askar mengelilingi kota itu mengikut susunan pada hari sebelumnya: mula-mula, pengawal depan; kemudian tujuh orang imam yang meniup trompet; lalu para imam yang menggotong Tabut Perjanjian TUHAN; dan akhir sekali pengawal belakang. Sepanjang masa itu trompet dibunyikan. *** Pada hari kedua itu, mereka berarak mengelilingi kota itu satu kali lagi, lalu kembali ke perkhemahan. Mereka berbuat demikian selama enam hari. Pada hari ketujuh, mereka bangun ketika fajar. Mereka berarak mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali dengan cara yang sama. Hanya pada hari itu, mereka berarak mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali. Pada kali ketujuh, apabila imam-imam itu hendak meniup trompet, Yosua memerintahkan orangnya berteriak, dan dia berkata, “TUHAN sudah menyerahkan kota ini kepada kamu! Kota itu dengan segala sesuatu di situ harus dimusnahkan sama sekali sebagai persembahan kepada TUHAN. Hanya Rahab, pelacur perempuan itu dan kaum keluarganya yang akan diselamatkan, kerana dia telah menyembunyikan pengintip-pengintip kita. Kamu tidak boleh mengambil apa pun yang mesti dimusnahkan. Jika kamu mengambilnya juga, kamu akan mendatangkan kesusahan dan kebinasaan kepada perkhemahan Israel. Segala benda yang dibuat daripada perak, emas, gangsa, atau besi harus diasingkan untuk TUHAN. Barang-barang itu harus dibawa ke perbendaharaan TUHAN.” Lalu imam-imam meniup trompet. Sebaik sahaja askar-askar mendengarnya, mereka berteriak dengan kuat, dan tembok kota Yerikho pun roboh. Kemudian seluruh angkatan tentera terus naik ke kota itu, lalu menyerang dan merebutnya. Dengan pedang, mereka membunuh tiap-tiap orang di dalam kota itu, lelaki dan perempuan, yang muda dan yang tua. Mereka juga membunuh lembu, domba, dan keldai. Yosua berkata kepada dua orang yang dahulu bertugas sebagai pengintip, “Pergilah ke rumah pelacur perempuan itu, lalu bawalah dia dan keluarganya keluar seperti yang kamu janjikan kepadanya.” Oleh itu mereka pergi membawa Rahab keluar bersama-sama ibu bapa, saudara-saudara, dan semua anggota keluarganya. Mereka menyelamatkan semua orang itu, kaum keluarga Rahab mahupun hamba-hambanya, lalu membawa mereka ke tempat yang selamat, berhampiran dengan perkhemahan Israel. Kemudian mereka membakar kota itu dan semua yang ada di situ sampai musnah, kecuali barang-barang yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, dan besi. Mereka mengambil semua benda itu lalu membawanya ke perbendaharaan TUHAN. Tetapi Yosua menyelamatkan Rahab, pelacur perempuan itu dan semua kaum keluarganya kerana dia telah menyembunyikan dua orang pengintip yang disuruh Yosua ke kota Yerikho. (Keturunan Rahab tinggal di negeri Israel sampai hari ini.) Pada masa itu Yosua mengumumkan amaran ini, “Sesiapa yang cuba membina kota Yerikho semula akan dikutuk oleh TUHAN. Sesiapa yang meletakkan batu asasnya akan kehilangan anak sulung. Sesiapa yang membina pintu gerbangnya akan kehilangan anak bongsu.” TUHAN menyertai Yosua dan dia menjadi masyhur di seluruh negeri itu. Firman TUHAN yang melarang orang Israel mengambil apa-apa pun dari kota Yerikho yang sepatutnya dimusnahkan, tidak dipatuhi. Seorang yang bernama Akhan anak Karmi melanggar perintah itu. Oleh itu TUHAN murka kepada umat Israel. (Akhan anak Karmi dan cucu Zabdi; dia daripada puak Zerah, sebahagian daripada suku Yehuda.) Yosua mengirim beberapa orang dari Yerikho ke Ai, sebuah kota di sebelah timur Betel, dekat Bet-Awen. Yosua menyuruh mereka menjelajahi negeri itu. Setelah mereka berbuat demikian, mereka memberikan laporan kepada Yosua, “Tidak perlu semua orang pergi menyerang kota itu. Kirimlah dua atau tiga ribu orang sahaja. Tidak perlu seluruh angkatan tentera pergi ke sana untuk berperang kerana kota Ai bukan kota yang besar.” Oleh itu hanya kira-kira tiga ribu orang Israel menyerang kota itu, tetapi mereka dipukul mundur. Orang Ai mengejar mereka dari pintu gerbang kota itu hingga ke kawasan kuari, lalu membunuh kira-kira tiga puluh enam orang Israel di lereng bukit. Oleh itu orang Israel hilang semangat dan menjadi takut. Yosua dan para pemimpin Israel mengoyak-ngoyakkan pakaian kerana dukacita, lalu sujud di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN sehingga senja. Mereka juga menghamburkan debu di atas kepala untuk menunjukkan kesedihan mereka. Yosua berkata. “Ya TUHAN Raja, mengapakah Engkau membawa kami menyeberang Sungai Yordan? Adakah Engkau hendak menyerahkan kami kepada orang Amori supaya dibinasakan oleh mereka? Mengapakah Engkau tidak membiarkan kami tinggal saja di seberang sungai itu? Ya Tuhan, apakah yang dapat aku katakan sekarang, setelah orang Israel dipukul mundur oleh musuh? Orang Kanaan dan semua orang di negeri ini akan mendengar tentang hal itu. Mereka akan mengepung kami lalu membunuh kami semua! Kemudian apakah yang akan Engkau buat untuk mempertahankan kehormatan-Mu?” TUHAN berfirman kepada Yosua, “Bangunlah! Mengapakah engkau sujud demikian? Umat Israel telah berdosa! Mereka melanggar perjanjian yang Aku suruh mereka pegang. Mereka telah mengambil sebahagian daripada barang-barang yang sepatutnya dimusnahkan. Mereka mencuri barang-barang itu lalu berdusta pula. Mereka menyimpannya bersama dengan barang-barang mereka sendiri. Itulah sebabnya orang Israel tidak dapat melawan musuh. Mereka terpaksa mundur kerana mereka sendiri telah dijatuhi hukuman untuk dibinasakan. Aku tidak akan menyertai kamu lagi kecuali kamu memusnahkan barang-barang yang tidak sepatutnya kamu simpan. Bangunlah! Sucikanlah umat dan suruhlah mereka bersedia menghadap Aku. Suruhlah mereka bersedia menghadap Aku esok kerana Aku, TUHAN dan Allah umat Israel berfirman, ‘Hai orang Israel, ada pada kamu sebahagian barang yang sepatutnya dimusnahkan menurut perintah-Ku. Kamu tidak dapat mengalahkan musuh sebelum kamu membuang barang-barang itu.’ Oleh itu beritahulah mereka bahawa pada pagi esok mereka akan dihadapkan kepada-Ku, suku demi suku. Suku yang Aku tunjuk akan tampil, puak demi puak. Puak yang Aku tunjuk akan tampil, keluarga demi keluarga. Keluarga yang Aku tunjuk akan tampil, seorang demi seorang. Orang yang didapati menyimpan barang-barang terlarang itu akan dibakar, bersama-sama keluarganya dan segala miliknya kerana dia telah mempermalukan Israel dan melanggar perjanjian-Ku.” Keesokan harinya, Yosua bangun pagi-pagi dan menghadapkan orang Israel kepada TUHAN, suku demi suku, lalu suku Yehuda yang ditunjuk. Yosua menghadapkan suku Yehuda, puak demi puak, lalu puak Zerah yang ditunjuk. Kemudian dia menghadapkan puak Zerah, keluarga demi keluarga, lalu keluarga Zabdi yang ditunjuk. Kemudian Yosua menghadapkan keluarga Zabdi, seorang demi seorang, lalu Akhan yang ditunjuk. Akhan anak Karmi dan cucu Zabdi. Yosua berkata kepadanya, “Hai anakku, katakanlah yang benar di hadapan TUHAN, Allah Israel dan mengakulah. Sekarang, beritahulah aku apa yang telah engkau lakukan. Jangan sembunyikan perkara itu daripadaku.” Akhan menjawab, “Sesungguhnya saya telah berdosa terhadap TUHAN, Allah Israel. Inilah yang saya lakukan. Saya mendapati sehelai jubah yang cantik buatan Babilonia, perak seberat hampir dua kilogram, dan sebatang emas yang beratnya lebih daripada setengah kilogram di antara barang-barang jarahan itu. Saya begitu menginginkan barang-barang itu sehingga saya mengambilnya. Barang-barang itu tertanam di tanah di dalam khemah saya; perak itu terletak di bawah sekali.” Kemudian Yosua menyuruh beberapa orang berlari ke khemah itu. Mereka mendapati barang-barang terkutuk itu benar-benar tertanam di sana, dengan perak terletak di bawah sekali. Mereka membawa barang-barang itu keluar dari khemah, lalu membawanya kepada Yosua dan semua umat Israel. Mereka meletakkan barang-barang itu di hadapan TUHAN. Yosua dan semua umat Israel menangkap Akhan, lalu mengambil perak, jubah, dan emas itu; mereka juga menangkap anak-anaknya lelaki dan perempuan dan mengambil lembu, keldai, domba, khemah, dan segala miliknya lalu membawa semuanya ke Lembah Kesusahan. Kemudian Yosua berkata, “Lihatlah kesusahan yang telah engkau datangkan kepada kami! Sekarang TUHAN pun akan mendatangkan kesusahan kepadamu!” Maka semua umat Israel merejam Akhan sehingga mati. Mereka juga merejam dan membakar anggota keluarganya dan segala miliknya. Kemudian mereka menimbuninya dengan batu sehingga menjadi satu timbunan yang besar. Timbunan batu itu masih ada di sana sampai hari ini. Itulah sebabnya tempat itu masih dinamakan Lembah Kesusahan. Selepas itu TUHAN tidak murka lagi. TUHAN berfirman kepada Yosua, “Bawalah semua askar dan pergilah ke kota Ai. Janganlah takut ataupun tawar hati. Aku akan memberi kamu kemenangan atas raja Ai; rakyat, kota, dan tanahnya akan menjadi milik kamu. Perlakukanlah kota Ai dan rajanya sebagaimana kamu memperlakukan kota Yerikho dan rajanya, tetapi kali ini kamu boleh mengambil harta benda dan ternakannya untuk diri kamu sendiri. Bersiaplah untuk menyerang kota itu secara mengejut dari belakang.” Oleh itu Yosua dan semua askarnya bersiap untuk pergi ke kota Ai. Yosua memilih 30,000 orang daripada askarnya yang terbaik dan menyuruh mereka berangkat pada waktu malam. Yosua memberi mereka arahan, “Bersembunyilah di belakang kota itu, tetapi jangan terlalu jauh. Bersiaplah untuk menyerangnya. Aku dan anak buahku akan menghampiri kota itu. Apabila orang Ai keluar untuk menyerang kami, kami akan berbalik dan lari seperti yang kita lakukan pada kali yang pertama. Mereka akan mengejar kami sehingga jauh dari kota. Mereka akan menyangka bahawa kami melarikan diri daripada mereka seperti yang kita lakukan dahulu. Pada masa itu kamu harus keluar dari persembunyian dan merebut kota itu. TUHAN, Allah kamu akan memberikan kota itu kepada kamu. Setelah kamu merebut kota itu, bakarlah kota itu sesuai dengan perintah TUHAN. Itulah perintah untuk kamu.” Kemudian Yosua menyuruh mereka berangkat; mereka pergi ke tempat persembunyian dan menunggu di situ. Tempat itu terletak di sebelah barat Ai, di antara Ai dan Betel. Yosua bermalam di perkhemahan. Keesokan harinya, Yosua bangun pagi-pagi dan memanggil askar-askar berkumpul. Kemudian Yosua dan para pemimpin umat Israel memimpin pasukan askar itu ke kota Ai. Askar-askar yang bersama dengan Yosua menuju ke pintu gerbang kota dan berkhemah di sebelah utara; ada lembah di antara mereka dan kota Ai. Yosua membawa kira-kira 5,000 orang dan menyuruh mereka bersembunyi di sebelah barat kota itu, di antara Ai dan Betel. Tentera itu diarah bertempur mengikut susunan berikut: pasukan utama berada di sebelah utara kota dan yang selebihnya di sebelah barat. Yosua sendiri bermalam di lembah itu. Ketika raja kota Ai nampak askar-askar Yosua, raja bertindak dengan segera. Raja dan semua anak buahnya berangkat ke arah Lembah Yordan untuk berperang dengan tentera Israel di tempat pertempuran dahulu. Raja tidak tahu bahawa baginda akan diserbu dari belakang. Yosua dan anak buahnya berpura-pura berundur dan lari ke arah kawasan tanah gersang. Semua orang lelaki di kota Ai telah dikumpulkan untuk mengejar Yosua dan anak buahnya. Sedang mereka mengejar Yosua, mereka bertambah jauh dari kota Ai. Semua orang lelaki dari kota Ai mengejar orang Israel, sehingga kota itu dibiarkan terbuka dan tidak dikawal. Tiada seorang pun yang membela kota itu. Kemudian TUHAN berfirman kepada Yosua, “Acungkanlah tombakmu ke arah kota Ai; Aku akan memberikan kota itu kepadamu.” Yosua pun melakukannya. Sebaik sahaja Yosua mengangkat tangannya, askar-askar yang bersembunyi segera bangkit, lalu lari ke dalam kota itu dan menyerangnya. Mereka merebut kota itu lalu terus membakarnya. Apabila orang Ai menoleh ke belakang, mereka nampak asap membumbung ke langit. Mereka tidak dapat melarikan diri kerana orang Israel yang telah lari ke arah tanah gersang tadi, berpatah balik pula dan menyerang mereka. Apabila Yosua dan anak buahnya nampak bahawa pasukan yang lain telah merebut kota itu dan membakarnya, mereka berpatah balik dan mula membunuh orang Ai. Orang Israel yang di kota itu pun datang dan turut menyerang mereka. Oleh itu orang Ai dikepung oleh orang Israel, lalu semua orang Ai dibunuh. Tiada seorang pun dapat melarikan diri dan tiada sesiapa pun terselamat kecuali raja Ai. Baginda ditangkap dan dibawa kepada Yosua. Orang Israel membunuh semua musuh yang mengejar mereka di tanah gersang. Kemudian orang Israel kembali ke kota Ai dan membunuh semua orang di sana. [25-26] Yosua terus mengacungkan tombaknya ke arah Ai dan tidak menurunkan tangannya sehingga semua orang di kota itu telah dibunuh. Semua penduduk Ai dibunuh pada hari itu; semuanya berjumlah 12,000 orang lelaki dan perempuan. *** Umat Israel menyimpan ternakan dan barang jarahan dari kota itu untuk diri mereka sendiri, menurut perintah TUHAN kepada Yosua. Yosua membakar kota Ai dan membiarkannya menjadi reruntuhan. Keadaan kota itu masih begitu sampai hari ini. Yosua menggantung raja Ai pada sebatang pokok dan mayatnya dibiarkan di situ sehingga senja. Pada waktu matahari terbenam, Yosua memerintahkan orang supaya menurunkan mayat itu dan membuangnya di hadapan pintu gerbang kota. Mereka menimbuni mayat itu dengan batu sehingga menjadi satu timbunan yang besar; batu-batu itu masih ada di situ sampai hari ini. Kemudian Yosua membina sebuah mazbah untuk TUHAN, Allah Israel, di Gunung Ebal. Dia membinanya menurut petunjuk yang diberikan oleh Musa, hamba TUHAN itu kepada umat Israel, sebagaimana yang tertulis di dalam Taurat Musa, “sebuah mazbah yang dibina daripada batu-batu yang tidak dipahat dengan alat-alat besi.” Mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN di atas mazbah itu. Di sana, di hadapan umat Israel, Yosua menulis pada batu-batu mazbah itu salinan Taurat yang ditulis oleh Musa. Umat Israel bersama dengan para pemimpin, pegawai, dan hakim mereka, serta orang asing yang tinggal di kalangan mereka, berdiri di dua sisi Tabut Perjanjian. Mereka menghadap imam-imam suku Lewi yang menggotong Tabut itu. Separuh daripada umat Israel menghadap ke arah Gunung Gerizim dan separuh lagi menghadap ke arah Gunung Ebal. Musa, hamba TUHAN, telah memberikan perintah kepada mereka untuk berbuat demikian apabila tiba masanya mereka diberkati. Kemudian Yosua membacakan seluruh Taurat itu dengan kuat, termasuk segala berkat dan kutukannya, tepat seperti yang tertulis di dalam Kitab Taurat. Tiap-tiap perintah Musa dibacakan oleh Yosua di hadapan semua umat, termasuk kaum perempuan dan kanak-kanak, serta orang asing yang tinggal di kalangan mereka. Berita tentang kemenangan orang Israel didengar oleh semua raja negeri-negeri di sebelah barat Sungai Yordan: di perbukitan, di kaki-kaki bukit, dan di sepanjang kawasan pantai Laut Tengah, sampai ke Lebanon di sebelah utara. Mereka ialah raja-raja orang Het, Amori, Kanaan, Feris, Hewi, dan Yebusi. Raja-raja itu bersepakat dan bergabung untuk menentang Yosua dan umat Israel. Tetapi penduduk Gibeon, iaitu orang Hewi, mendengar apa yang telah dilakukan Yosua terhadap kota Yerikho dan Ai. Oleh itu mereka bercadang untuk menipu Yosua. Mereka mengambil makanan dan memuat keldai-keldai mereka dengan karung-karung yang usang dan kirbat kulit yang bertampal. Mereka memakai kasut lama yang bertampal dan pakaian yang koyak-koyak. Mereka membawa roti yang kering dan berlapuk. Kemudian mereka pergi ke perkhemahan di Gilgal dan berkata kepada Yosua serta orang Israel, “Kami datang dari negeri jauh. Tolong buat perjanjian dengan kami.” Tetapi orang Israel berkata, “Mengapa kami harus membuat perjanjian dengan kamu? Mungkin kamu tinggal di sekitar sini.” Mereka berkata kepada Yosua, “Kami hamba tuan.” Yosua bertanya kepada mereka, “Siapakah kamu? Dari manakah kamu?” Kemudian mereka menceritakan kisah ini, “Tuan, kami berasal dari negeri yang sangat jauh. Kami datang kerana kami mendengar tentang TUHAN, Allah tuan. Kami telah mendengar segala sesuatu yang dilakukan-Nya di Mesir, dan apa yang dilakukan-Nya terhadap dua orang raja Amori di sebelah timur Sungai Yordan: Raja Sihon penguasa Hesybon dan Raja Og penguasa Basan yang tinggal di Asytarot. Para pemimpin kami dan semua penduduk negeri kami menyuruh kami membawa makanan dan berangkat untuk berjumpa dengan tuan. Kami disuruh menjadi hamba tuan dan meminta supaya tuan membuat perjanjian dengan kami. Lihatlah roti kami. Ketika kami berangkat untuk menghadap tuan, roti ini masih panas. Tetapi sekarang lihatlah! Roti ini sudah kering dan berkulapuk. Ketika kami mengisi kirbat-kirbat kulit ini, semuanya masih baru. Tetapi sekarang lihatlah! Semuanya sudah koyak. Pakaian dan kasut kami pun sudah buruk kerana perjalanan yang jauh.” Umat Israel menerima makanan yang diberikan oleh mereka, tetapi tidak meminta petunjuk daripada TUHAN. Yosua membuat perjanjian damai dengan semua orang Gibeon itu dan berjanji tidak akan membunuh mereka. Para pemimpin Israel bersumpah untuk memegang perjanjian itu. Tiga hari selepas perjanjian itu dibuat, orang Israel mendapat tahu bahawa semua orang itu sebenarnya tinggal tidak jauh dari situ. Oleh itu orang Israel berangkat dan tiga hari kemudian mereka sampai di kota-kota semua orang itu: kota Gibeon, Kefira, Beerot, dan Kiryat-Yearim. Tetapi orang Israel tidak boleh membunuh mereka kerana para pemimpin Israel telah bersumpah kepada mereka demi TUHAN, Allah Israel. Semua orang Israel bersungut kepada para pemimpin mereka tentang hal itu tetapi para pemimpin itu menjawab, “Kami telah bersumpah kepada mereka demi TUHAN, Allah Israel. Oleh itu kita tidak boleh mencederakan mereka. Kita mesti membiarkan mereka hidup kerana perjanjian kita itu; jika tidak, Allah akan menghukum kita. Biarlah mereka hidup tetapi mereka mesti membelah kayu dan mengangkat air untuk kita.” Demikianlah cadangan para pemimpin itu. Yosua menyuruh orang Gibeon menghadap lalu bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu menipu kami dan berkata bahawa kamu datang dari tempat yang jauh, padahal kamu tinggal di sekitar sini? Oleh sebab muslihat itu kamu dihukum oleh Allah. Orang kamu akan sentiasa menjadi abdi. Kamu mesti membelah kayu dan mengangkat air untuk rumah Allahku.” Orang Gibeon menjawab, “Tuan, kami berbuat demikian kerana kami mendengar bahawa sesungguhnya TUHAN, Allah tuan telah memerintahkan hamba-Nya, Musa untuk memberikan seluruh tanah ini kepada tuan, serta membunuh penduduknya ketika tuan maju berperang. Kami berbuat begitu kerana kami takut kepada tuan; kami takut dibunuh. Tetapi sekarang kami dalam kekuasaan tuan; perlakukanlah kami dengan sepatutnya.” Oleh itu Yosua melindungi mereka dan tidak mengizinkan umat Israel membunuh mereka. Tetapi Yosua menjadikan orang Gibeon itu abdi. Mereka mesti membelah kayu dan mengangkat air untuk umat Israel dan untuk mazbah TUHAN. Sampai hari ini mereka masih melakukan tugas itu di tempat yang dipilih oleh TUHAN sebagai tempat beribadat kepada-Nya. Raja Adoni-Zedek, penguasa Yerusalem, mendengar bahawa Yosua telah merebut Ai dan sama sekali memusnahkan kota itu, dan bahawa dia telah membunuh raja Ai seperti yang dilakukannya terhadap kota Yerikho dan rajanya. Raja itu mendengar juga bahawa orang Gibeon telah membuat perjanjian damai dengan umat Israel dan sekarang orang Gibeon tinggal bersama-sama umat Israel. Penduduk Yerusalem sangat takut kerana Gibeon adalah kota yang besar, sama besarnya dengan kota-kota lain yang mempunyai raja. Kota Gibeon lebih besar daripada kota Ai dan orang Gibeon pejuang yang handal. Oleh itu Raja Adoni-Zedek mengirim pesan berikut kepada Raja Hoham dari Hebron, Raja Piream dari Yarmut, Raja Yafia dari Lakhis, dan Raja Debir dari Eglon, “Marilah tolong beta menyerang Gibeon, kerana penduduknya telah membuat perjanjian damai dengan Yosua dan umat Israel.” Kelima-lima orang raja Amori itu, iaitu raja dari Yerusalem, Hebron, Yarmut, Lakhis, dan Eglon datang dengan semua tentera mereka, lalu mengepung dan menyerang Gibeon. Orang Gibeon mengirimkan berita ini kepada Yosua di perkhemahan di Gilgal, “Tuan, janganlah tinggalkan kami! Marilah tolong kami dengan segera! Selamatkanlah kami! Semua raja orang Amori di perbukitan telah bergabung dan menyerang kami!” Oleh itu Yosua dan seluruh tenteranya, termasuk pasukannya yang terbaik berangkat dari Gilgal. TUHAN berfirman kepada Yosua, “Janganlah takut akan mereka. Aku telah memberi engkau kemenangan. Tidak seorang pun daripada mereka akan dapat menentang engkau.” Sepanjang malam Yosua dan tenteranya berjalan dari Gilgal menuju ke Gibeon, lalu mereka menyerang orang Amori secara mendadak. TUHAN menyebabkan orang Amori cemas apabila melihat tentera Israel. Orang Israel membunuh mereka di Gibeon dan mengejar musuh yang masih hidup, ke genting gunung di Bet-Horon sampai ke Azeka dan Makeda di selatan. Ketika orang Amori lari daripada umat Israel melalui genting gunung, TUHAN menurunkan hujan batu ke atas mereka sepanjang jalan sampai ke Azeka, sehingga lebih banyak orang yang terbunuh oleh hujan batu daripada yang dibunuh oleh orang Israel. Pada hari TUHAN memberikan kemenangan kepada umat Israel terhadap orang Amori, Yosua bercakap dengan TUHAN. Di hadapan umat Israel Yosua berkata, “Hai matahari, berhentilah di atas Gibeon. Hai bulan, berhentilah di atas Lembah Ayalon.” Matahari berhenti dan bulan pun tidak bergerak sehingga umat Israel telah mengalahkan musuh mereka. Kisah ini tertulis di dalam Kitab Yasar. Matahari berhenti di tengah-tengah langit sehari suntuk, dan lama sekali barulah matahari terbenam pada hari itu. Baik pada masa lampau mahupun sejak hari itu, hal seperti itu tidak pernah berlaku apabila TUHAN menurut keinginan manusia. Pada hari itu TUHAN berperang bagi pihak umat Israel. Selepas itu Yosua dan tenteranya kembali ke perkhemahan di Gilgal. Tetapi lima orang raja Amori itu melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah gua di Makeda. Apabila mereka dijumpai, Yosua diberitahu tempat persembunyian mereka. Yosua berkata, “Gulingkanlah batu-batu besar ke mulut gua itu. Tugaskan beberapa orang pengawal di situ, tetapi jangan kamu berhenti di tempat itu. Kejarlah musuh dan seranglah mereka dari belakang. Jangan biar mereka masuk ke kota mereka! TUHAN, Allah kamu telah memberi kamu kemenangan atas mereka.” Yosua dan umat Israel membunuh orang Amori, walaupun ada beberapa orang yang berjaya menyelamatkan diri di dalam kota mereka sehingga tidak dibunuh. Selepas itu seluruh tentera Israel kembali dengan selamat kepada Yosua di Makeda. Tiada sesiapa pun di negeri itu yang berani bersuara menentang umat Israel. Kemudian Yosua berkata, “Bukalah mulut gua itu dan bawalah lima orang raja itu kepadaku.” Gua itu dibuka dan raja-raja kota Yerusalem, Hebron, Yarmut, Lakhis, dan Eglon dibawa keluar, lalu dihadapkan kepada Yosua. Kemudian Yosua memanggil semua orang Israel berkumpul, lalu memerintah para panglima yang berperang bersama-sama dia, supaya meletakkan kaki mereka pada leher raja-raja itu. Mereka pun berbuat demikian. Setelah itu Yosua berkata kepada para panglimanya, “Jangan takut ataupun tawar hati. Kamu mesti yakin dan berani kerana inilah yang akan dilakukan TUHAN kepada semua musuh kamu.” Kemudian Yosua membunuh raja-raja itu dan menggantung mayat-mayat itu pada lima batang pokok, lalu membiarkan mayat di situ sehingga senja. Pada waktu matahari terbenam, Yosua memberikan perintah untuk menurunkan mayat-mayat itu dan membuang semuanya ke dalam gua tempat raja-raja itu bersembunyi dahulu. Batu-batu besar diletakkan pada mulut gua itu; batu-batu itu masih ada di situ sampai sekarang. Yosua menyerang kota Makeda lalu merebutnya pada hari itu. Dia membunuh rajanya dan semua orang di kota itu. Tiada seorang pun yang tertinggal, semuanya dibunuh. Yosua memperlakukan raja kota Makeda seperti dia memperlakukan raja kota Yerikho. Selepas itu Yosua dan tenteranya berangkat dari Makeda lalu pergi ke Libna. Mereka menyerang kota Libna. TUHAN juga memberi umat Israel kemenangan atas kota itu dan rajanya. Mereka tidak membiarkan sesiapa pun hidup. Mereka membunuh tiap-tiap orang di dalam kota itu. Mereka memperlakukan raja itu seperti mereka memperlakukan raja kota Yerikho. Dari Libna, Yosua dan tenteranya berangkat ke Lakhis. Mereka mengepung kota itu lalu menyerangnya. Pada hari kedua pertempuran itu, TUHAN memberi mereka kemenangan atas kota itu. Mereka tidak membiarkan seorang pun hidup di Lakhis. Seperti yang dilakukan mereka di Libna, mereka membunuh semua orang di kota itu. Raja Horam dari kota Gezer datang untuk menolong Lakhis tetapi Yosua mengalahkan raja dan tenteranya, dan tiada seorang pun dibiarkan hidup. Semuanya dibunuh. Dari Lakhis, Yosua dan tenteranya berangkat pula ke Eglon. Mereka mengepung kota itu lalu menyerangnya. Mereka merebut kota itu pada hari itu juga dan membunuh semua orang di situ, seperti yang dilakukan mereka di Lakhis. Dari Eglon, Yosua dan tenteranya berangkat pula ke Hebron, di kawasan perbukitan. Mereka menyerang dan merebut kota itu. Mereka membunuh rajanya serta setiap orang di kota itu dan di kota-kota sekitarnya. Yosua memusnahkan kota itu sama sekali, sebagaimana yang dilakukannya terhadap kota Eglon. Tiada seorang pun dibiarkan hidup. Kemudian Yosua dan tenteranya kembali ke Debir dan menyerang kota itu. Dia merebut kota itu dengan rajanya dan semua kota lain yang di sekitarnya. Mereka membunuh tiap-tiap orang di situ. Yosua memperlakukan Debir dan rajanya seperti dia memperlakukan kota Hebron dan Libna, serta raja-raja di sana. Yosua menakluki seluruh tanah itu. Dia mengalahkan raja-raja di kawasan perbukitan, lereng-lereng bukit di sebelah timur, kaki-kaki bukit di sebelah barat dan juga tanah-tanah kering di sebelah selatan. Dia tidak membiarkan seorang pun hidup; dia membunuh tiap-tiap orang. Itulah perintah TUHAN, Allah Israel. Yosua mengalahkan daerah-daerah dari Kades-Barnea di selatan sampai ke Gaza dekat pantai, termasuk seluruh daerah Gosyen, sampai ke Gibeon di utara. Yosua menaklukkan semua raja itu dan negeri-negeri mereka dengan sekaligus kerana TUHAN, Allah Israel, bertempur untuk Israel. Selepas itu Yosua dan tenteranya kembali ke perkhemahan di Gilgal. Raja Yabin dari Hazor, mendengar tentang kemenangan umat Israel. Kemudian baginda mengirim pesan kepada Raja Yobab dari kota Madon dan kepada raja-raja kota Simron dan Akhsaf, dan juga kepada raja-raja dari kota-kota di perbukitan di utara, di Lembah Yordan di sebelah selatan Tasik Galilea, di kaki-kaki bukit, dan di kawasan pantai dekat kota Dor. Raja Yabin juga mengirim pesan kepada orang Kanaan di sebelah timur dan di sebelah barat Sungai Yordan, dan juga kepada orang Amori, Het, Feris; kepada orang Yebusi di perbukitan dan orang Hewi di kaki Gunung Hermon di daerah Mizpa. Raja-raja itu datang dengan angkatan tentera mereka, yang sebanyak pasir di pantai. Mereka juga mempunyai banyak kuda dan kereta kuda. Semua raja itu bergabung dan bersama-sama datang berkhemah dekat Sungai Merom untuk berperang dengan Israel. Tetapi TUHAN berfirman kepada Yosua, “Jangan takut kepada mereka! Esok, kira-kira pada waktu ini, Aku akan membunuh mereka semua dan menyerahkan mereka kepada Israel. Pada masa itu lumpuhkanlah kuda dan bakarlah kereta kuda mereka.” Oleh itu Yosua dan semua anak buahnya menyerang mereka dengan mendadak di Sungai Merom. TUHAN memberi orang Israel kemenangan atas musuh; orang Israel menyerang dan mengejar musuh sampai ke Misrefot-Maim dan Sidon di utara, dan sampai ke Lembah Mizpa di timur. Pertempuran itu berlangsung sehingga semua musuh telah dibunuh. Yosua memperlakukan musuh sesuai dengan perintah TUHAN; dia melumpuhkan kuda dan membakar kereta kuda mereka. Kemudian Yosua berbalik dan merebut Hazor, lalu membunuh raja kota itu. (Pada masa itu Hazor kota yang terkuat antara kerajaan-kerajaan itu.) Yosua dan anak buahnya membunuh semua orang di situ; mereka tidak membiarkan seorang pun hidup. Mereka juga membakar kota itu. Yosua menangkap semua raja itu dan merebut kota-kota mereka. Dia membunuh setiap orang di situ, menurut perintah Musa, hamba TUHAN. Tetapi orang Israel tidak membakar satu kota pun yang dibina di atas bukit, kecuali kota Hazor yang dibakar oleh Yosua. Umat Israel mengambil semua harta dan ternakan dari kota-kota itu, tetapi mereka membunuh semua penduduknya. Tiada seorang pun dibiarkan hidup. TUHAN telah memberikan perintah-Nya kepada hamba-Nya Musa, lalu Musa memberikannya kepada Yosua; Yosua mentaati perintah-perintah itu. Dia melakukan segala sesuatu yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Yosua merebut seluruh tanah itu - perbukitan dan kaki-kaki bukit, baik yang di utara mahupun yang di selatan, seluruh daerah Gosyen dan tanah gersang di sebelah selatan Gosyen, dan juga Lembah Yordan. [17-18] Wilayah itu terbentang luas dari Gunung Halak di selatan, dekat Edom, sampai ke Baal-Gad di utara di lembah negeri Lebanon, di sebelah selatan Gunung Hermon. Lama sekali Yosua berperang dengan raja-raja wilayah itu, tetapi dia menangkap lalu membunuh mereka semua. *** Kota satu-satunya yang berdamai dengan umat Israel ialah kota Gibeon, tempat tinggal sebahagian orang Hewi. Semua kota lain dikalahkan dalam pertempuran. TUHAN menyebabkan mereka nekad berperang dengan orang Israel, supaya mereka habis dibinasakan dan dibunuh tanpa kasihan. Itulah yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Pada masa itu Yosua membinasakan bangsa raksasa yang disebut Enak, yang tinggal di daerah perbukitan - di Hebron, Debir, Anab, dan di seluruh perbukitan Yehuda dan Israel. Yosua membunuh mereka semua dan memusnahkan kota-kota mereka. Tiada seorang pun daripada bangsa Enak yang tinggal di negeri Israel, tetapi ada beberapa orang yang masih tinggal di Gaza, Gat, dan Asdod. Yosua merebut seluruh tanah itu, menurut perintah TUHAN kepada Musa. Yosua membahagi-bahagikan tanah itu, lalu memberikan sebahagian kepada tiap-tiap suku Israel sebagai milik mereka sendiri. Umat Israel berhenti berperang dan negeri mereka aman. Umat Israel telah merebut dan menduduki wilayah di sebelah timur Sungai Yordan, dari Lembah Arnon sampai ke Lembah Yordan dan sejauh Gunung Hermon di utara. Mereka mengalahkan dua orang raja. Raja yang seorang ialah Raja Sihon, raja orang Amori yang memerintah di Hesybon. Kerajaannya meliputi separuh daripada daerah Gilead: dari Aroer (di tepi lembah Arnon) dan kota di tengah-tengah lembah itu sampai ke Sungai Yabok, iaitu sempadan Amon; termasuk juga Lembah Yordan, dari Tasik Galilea ke arah selatan sampai ke Bet-Yesimot (di sebelah timur Laut Mati) dan terus ke kaki Gunung Pisga. Mereka juga mengalahkan Raja Og dari Basan, salah seorang keturunan Refaim yang terakhir; raja itu memerintah di Asytarot dan Edrei. Kerajaannya meliputi Gunung Hermon, Salkha, dan seluruh Basan, sampai ke sempadan Gesur dan Maakha, dan juga separuh daripada Gilead, sampai ke wilayah kerajaan Raja Sihon dari Hesybon. Raja-raja itu dikalahkan oleh Musa dan umat Israel. Musa, hamba TUHAN, telah memberikan wilayah raja-raja itu kepada suku Ruben, Gad, dan setengah daripada suku Manasye sebagai milik mereka sendiri. Yosua dan umat Israel mengalahkan semua raja di wilayah sebelah barat Sungai Yordan, dari Baal-Gad di lembah negeri Lebanon sampai ke Gunung Halak di selatan, dekat Edom. Yosua membahagikan tanah itu kepada suku-suku Israel, lalu memberikannya kepada mereka sebagai tanah milik mereka. Bahagian tanah itu meliputi kawasan perbukitan, kaki-kaki bukit di sebelah barat, Lembah Yordan dengan kaki-kaki bukit di situ, lereng-lereng bukit di sebelah timur, dan tanah gersang di sebelah selatan. Kawasan itu tempat tinggal orang Het, Amori, Kanaan, Feris, Hewi, dan Yebusi dahulu. Umat Israel mengalahkan raja-raja dari kota-kota berikut: Yerikho, Ai (dekat Betel), Yerusalem, Hebron, Yarmut, Lakhis, Eglon, Gezer, Debir, Geder, Horma, Arad, Libna, Adulam, Makeda, Betel, Tapuah, Hefer, Afek, Lasaron, Madon, Hazor, Simron-Meron, Akhsaf, Taanakh, Megido, Kedes, Yokneam (di Karmel), Dor (di tepi pantai), Goyim (di Galilea) dan Tirza - kesemuanya 31 orang raja. Sekarang Yosua sudah sangat tua. TUHAN berfirman kepadanya, “Engkau sudah sangat tua, tetapi masih banyak lagi tanah yang mesti direbut: semua wilayah Filistin dan Gesur, dan juga seluruh wilayah Awi ke arah selatan. (Tanah dari Sungai Sikhor di sempadan Mesir, sampai ke sempadan Ekron di utara, dianggap sebagai tanah orang Kanaan; raja-raja orang Filistin tinggal di Gaza, Asdod, Askelon, Gat, dan Ekron.) Tanah yang masih harus direbut: seluruh negeri Kanaan dan Meara (milik orang Sidon), sampai ke Afek di sempadan negeri orang Amori; tanah orang Gebal; seluruh kawasan Lebanon ke arah timurnya, dari Baal-Gad di sebelah selatan Gunung Hermon sampai ke Genting Hamat; termasuk juga seluruh negeri orang Sidon, yang tinggal di perbukitan di antara Pergunungan Lebanon dan Misrefot-Maim. Aku akan mengusir semua orang itu apabila umat Israel menyerang mereka. Bahagikanlah dan berikanlah tanah itu kepada umat Israel sebagai milik mereka, sebagaimana yang telah Aku perintahkan kepadamu. Sekarang, bahagi-bahagikanlah tanah itu kepada sembilan suku yang lain dan setengah daripada suku Manasye supaya menjadi tanah milik mereka.” Suku Ruben, Gad, dan setengah daripada suku Manasye telah mendapat bahagian tanah yang diberikan oleh Musa, hamba TUHAN; kawasan tanah itu di sebelah timur Sungai Yordan. Wilayah mereka meliputi Aroer (di tepi lembah Sungai Arnon) dan kota yang di tengah-tengah lembah itu, termasuk semua dataran tinggi dari Medeba sampai ke Dibon. Tanah mereka terbentang luas sampai ke sempadan Amon, termasuk semua kota yang diperintah oleh Raja Sihon, raja orang Amori, yang pernah memerintah di Hesybon; termasuk juga daerah Gilead, daerah di sekitar Gesur dan Maakha, seluruh kawasan Gunung Hermon, dan seluruh daerah Basan sampai ke Salkha. Tanah mereka meliputi kerajaan Raja Og, raja yang pernah memerintah di Asytarot dan Edrei. Raja Og ialah keturunan yang terakhir sekali daripada orang Refaim. Musa telah mengalahkan semua orang itu dan mengusir mereka. Tetapi orang Israel tidak mengusir penduduk Gesur dan Maakha; mereka masih tinggal di Israel. Musa tidak memberikan tanah kepada suku Lewi kerana menurut perintah TUHAN kepada Musa, mereka diberikan bahagian daripada korban-korban yang dibakar di atas mazbah untuk TUHAN, Allah Israel. Musa telah memberikan sebahagian tanah kepada keluarga-keluarga suku Ruben sebagai milik mereka. Wilayah mereka meliputi Aroer (di tepi lembah Sungai Arnon) dan kota di tengah-tengah lembah itu, termasuk seluruh dataran tinggi di sekitar Medeba. Wilayah itu meliputi Hesybon dan semua kota di dataran tinggi: Dibon, Bamot-Baal, Bet-Baal-Meon, Yahas, Kedemot, Mefaat, Kiryataim, Sibma, Zeret-Hasahar di atas bukit di lembah itu, Bet-Peor, lereng Gunung Pisga, dan Bet-Yesimot. Wilayah itu juga meliputi semua kota di dataran tinggi dan seluruh kerajaan Raja Sihon, raja orang Amori yang pernah memerintah di Hesybon. Musa mengalahkan baginda dan penguasa-penguasa Midian: Ewi, Rekem, Zur, Hur, dan Reba. Semua orang ini pernah memerintah tanah itu bagi Raja Sihon. Antara orang yang dibunuh oleh umat Israel ialah Bileam anak Beor, tukang tilik itu. Sungai Yordan menjadi sempadan wilayah Ruben di sebelah barat. Itulah semua kota dan pekan yang diberikan kepada semua keluarga suku Ruben sebagai milik mereka. Musa juga telah memberikan sebahagian tanah kepada keluarga-keluarga suku Gad sebagai milik mereka. Wilayah mereka meliputi Yaezer, semua kota Gilead, separuh daripada tanah Amon sampai ke Aroer di sebelah timur Raba. Tanah mereka terbentang luas dari Hesybon ke Ramat-Mizpa dan Betonim, dari Mahanaim sampai ke sempadan Lodebar. Di Lembah Yordan, wilayah itu meliputi Bet-Haram, Bet-Nimra, Sukot, dan Zafon, iaitu kawasan lain kerajaan Raja Sihon dari Hesybon. Di sebelah barat, sempadan wilayah itu ialah Sungai Yordan, sampai ke Tasik Galilea di utara. Itulah semua kota dan pekan yang diberikan kepada semua keluarga suku Gad sebagai milik mereka. Musa juga telah memberikan sebahagian tanah kepada semua keluarga dalam setengah daripada suku Manasye sebagai milik mereka. Wilayah mereka meliputi Mahanaim dan seluruh Basan, iaitu seluruh kerajaan Raja Og dari Basan, termasuk enam puluh buah kampung Yair di daerah Basan. Kawasan mereka juga meliputi separuh daerah Gilead termasuk Asytarot dan Edrei, dua buah ibu kota kerajaan Raja Og di daerah Basan. Seluruh kawasan itu diberikan kepada separuh daripada keluarga-keluarga keturunan Makhir anak Manasye. Begitulah cara Musa membahagikan tanah di sebelah timur Yerikho dan Sungai Yordan ketika dia di dataran rendah Moab. Tetapi Musa tidak memberikan bahagian tanah mana pun kepada suku Lewi. Musa memberitahu mereka bahawa bahagian mereka adalah daripada korban-korban yang dipersembahkan kepada TUHAN, Allah Israel. Berikut ini ialah kisah tentang cara tanah Kanaan di sebelah barat Sungai Yordan dibahagi-bahagikan kepada umat Israel. Imam Eleazar, Yosua anak Nun, dan para pemimpin daripada keluarga-keluarga suku Israel membahagi-bahagikan tanah itu. Sebagaimana yang telah diperintahkan TUHAN kepada Musa, wilayah-wilayah di sebelah barat Sungai Yordan untuk suku-suku yang sembilan setengah itu, dibahagi-bahagikan dengan membuang undi. [3-4] Musa telah memberikan tanah di sebelah timur Sungai Yordan kepada suku-suku yang dua setengah. (Keturunan Yusuf terbahagi menjadi dua suku, iaitu Manasye dan Efraim.) Tetapi Musa tidak memberi suku Lewi tanah dari wilayah mana pun. Sebaliknya, mereka diberi kota-kota sebagai tempat tinggal dengan padang rumput untuk ternakan mereka. *** Demikianlah umat Israel membahagi-bahagikan tanah itu sebagaimana yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Pada suatu hari, beberapa orang daripada suku Yehuda menghadap Yosua di Gilgal. Kaleb anak Yefune, orang Kenas itu, berkata kepadanya, “Tuan tahu akan firman TUHAN kepada Musa, hamba Allah, tentang kita berdua semasa kita di Kades-Barnea. Ketika Musa, hamba TUHAN, mengutus saya dari Kades-Barnea untuk mengintip negeri ini, saya berumur empat puluh tahun. Saya kembali kepadanya dengan membawa laporan yang benar, sedangkan orang lain yang mengintip bersama-sama saya menakut-nakutkan umat Israel. Tetapi saya taat kepada TUHAN, Allah saya. Oleh sebab itu, Musa berjanji bahawa saya dan anak-anak saya pasti akan mendapat tanah yang telah saya pijak itu sebagai milik kami. Sekarang empat puluh lima tahun sudah berlalu sejak TUHAN berfirman kepada Musa tentang hal itu. Pada masa itu umat Israel mengembara di gurun. Sejak itu TUHAN telah menjaga saya supaya saya tetap hidup, menurut janji-Nya. Lihatlah! Sekarang saya sudah berumur lapan puluh lima tahun dan masih sekuat dahulu, ketika Musa mengutus saya. Saya masih kuat untuk berperang atau melakukan apa-apa saja. Oleh itu, berikanlah kawasan perbukitan itu kepada saya, tanah yang dijanjikan TUHAN kepada saya pada hari saya dan orang yang bersama-sama saya memberikan laporan. Pada masa itu tuan sendiri mendengar bahawa bangsa raksasa yang disebut Enak tinggal di kawasan itu di dalam kota-kota besar yang berkubu. Mungkin TUHAN akan menyertai saya, maka saya akan dapat mengusir mereka sebagaimana yang difirmankan TUHAN.” Yosua memberkati Kaleb anak Yefune dan memberi dia kota Hebron sebagai miliknya. Sampai sekarang Hebron masih dimiliki keturunan Kaleb anak Yefune, orang Kenas itu, kerana dia taat dan setia kepada TUHAN, Allah umat Israel. Sebelum itu Hebron disebut kota milik Arba. (Arba ialah orang Enak yang paling agung.) Sekarang negeri itu aman kerana tidak ada peperangan lagi. Keluarga-keluarga suku Yehuda menerima bahagian tanah yang sempadannya adalah sebagai berikut: Di sebelah selatan, tanah itu terbentang luas sampai ke hujung paling selatan padang gurun Zin, di sempadan Edom. Sempadan di sebelah selatan ini bermula dari hujung bahagian selatan Laut Mati, lalu menghala ke selatan dari Genting Akrabim sampai ke Zin. Sempadan itu melalui sebelah selatan Kades-Barnea, Hezron, lalu naik ke Adar, kemudian membelok ke arah Karka. Dari situ sempadan itu sampai ke Azmon, lalu mengikut sungai kecil di sempadan Mesir sehingga sampai di Laut Tengah. Itulah sempadan bahagian selatan negeri Yehuda. Sempadannya di sebelah timur adalah Laut Mati dan terus sampai ke teluk kecil laut itu, di muara Sungai Yordan. Sempadannya di sebelah utara bermula dari muara Sungai Yordan, lalu naik ke Bet-Hogla, sampai ke utara rabung yang menghadap Lembah Yordan. Dari situ sempadan itu naik ke Batu Bohan (Bohan ialah anak lelaki Ruben), dan dari Lembah Kesusahan naik ke Debir, lalu menghala ke utara ke arah Gilgal, yang berhadapan dengan Genting Adumim di bahagian selatan lembah itu. Dari situ sempadannya menuju ke mata air En-Semes, lalu ke En-Rogel, kemudian naik melalui Lembah Hinom di sebelah selatan bukit, tempat letaknya Yerusalem, kota orang Yebusi. Dari situ sempadan itu menuju ke puncak bukit itu, di sebelah barat Lembah Hinom, iaitu di hujung bahagian utara Lembah Refaim. Dari situ sempadan itu menuju ke mata air Neftoah, sampai ke kota-kota dekat Gunung Efron. Dari situ sempadan membelok ke arah Baala (iaitu Kiryat-Yearim), lalu mengelilingi bahagian barat Baala ke arah perbukitan Edom dan menghala ke bahagian utara Gunung Yearim (atau Gunung Kesalon), lalu turun ke Bet-Semes dan kemudian ke Timna. Dari situ sempadan itu menuju ke bukit di sebelah utara Ekron, membelok ke arah Sikron, melalui Gunung Baala sampai ke Yabneel. Sempadan itu berakhir di Laut Tengah, yang menjadi sempadan di bahagian barat. Keluarga-keluarga suku Yehuda tinggal di dalam wilayah itu. Sebagaimana yang diperintahkan TUHAN kepada Yosua, sebahagian daripada wilayah Yehuda diberikan kepada Kaleb anak Yefune. Kaleb mendapat kota Hebron, milik Arba, iaitu bapa Enak. Kaleb mengusir keturunan Enak, iaitu puak Sesai, Ahiman, dan Talmai keluar dari kota itu. Dari sana Kaleb pergi menyerang orang yang tinggal di Debir. (Dahulu kota itu disebut Kiryat-Sefer.) Kaleb berkata, “Aku akan mengahwinkan anak perempuanku, Akhsa, dengan orang yang berjaya merebut Kiryat-Sefer.” Otniel anak Kenas, iaitu anak saudara Kaleb, berjaya merebut kota itu, lalu Kaleb mengahwinkan anak perempuannya, Akhsa dengan Otniel. Pada hari perkahwinan itu, Otniel mendesak Akhsa supaya meminta sebidang tanah daripada bapanya. Akhsa turun dari keldainya, lalu Kaleb bertanya, “Apa yang engkau mahu?” Akhsa menjawab, “Saya mahu beberapa mata air. Tanah yang diberikan oleh ayah kepada saya itu terletak di kawasan tanah gersang.” Oleh itu Kaleb memberi dia mata air di sebelah hulu dan di sebelah hilir. Berikut ini ialah tanah yang diterima oleh suku Yehuda sebagai milik mereka. Kota-kota yang paling jauh di selatan, yang berhampiran sempadan Edom ialah: Kabzeel, Eder, Yagur, Kina, Dimona, Adada, Kedes, Hazor, Yitnan, Zif, Telem, Bealot, Hazor-Hadata, Keriot-Hezron (atau Hazor), Amam, Sema, Molada, Hazar-Gada, Hesmon, Bet-Pelet, Hazar-Sual, Bersyeba dan pekan-pekan di sekelilingnya, Baala, Iyim, Ezem, Eltolad, Kesil, Horma, Ziklag, Madmana, Sansana, Lebaot, Silhim, Ain, dan Rimon; semuanya 29 buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Kota-kota di kaki-kaki bukit ialah Esytaol, Zora, Asna, Zanoah, En-Ganim, Tapuah, Enam, Yarmut, Adulam, Sokho, Azeka, Saaraim, Aditaim, Gedera, dan Gederotaim; semuanya 14 buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Selain itu ada lagi kota Zenan, Hadasa, Migdal-Gad, Dilean, Mizpa, Yokteel, Lakhis, Bozkat, Eglon, Kabon, Lahmas, Kitlis, Gederot, Bet-Dagon, Naama, dan Makeda; semuanya 16 buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Selain itu ada lagi kota Libna, Eter, Asan, Yiftah, Asna, Nezib, Kehila, Akhzib, dan Maresa; semuanya sembilan buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Selain itu termasuk juga Ekron bersama dengan pekan-pekan dan kampung-kampungnya, serta semua kota dan pekan di sekitar Asdod, dari Ekron sampai ke Laut Tengah. Selain itu termasuk juga Asdod dan Gaza, bersama dengan pekan-pekan dan kampung-kampung di sekitar, sampai ke sungai kecil di sempadan Mesir dan pantai Laut Tengah. Di kawasan perbukitan terdapat kota Samir, Yatir, Sokho, Dana, Kiryat-Sana (atau Debir), Anab, Estemoa, Anim, Gosyen, Holon, dan Gilo; semuanya 11 buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Selain itu termasuk juga kota Arab, Duma, Esan, Yanum, Bet-Tapuah, Afeka, Humta, Kiryat-Arba (iaitu Hebron), dan Zior; semuanya sembilan buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Selain itu termasuk juga Maon, Karmel, Zif, Yuta, Yizreel, Yokdeam, Zanoah, Kain, Gibea, dan Timna: semuanya sepuluh buah kota, bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Selain itu termasuk juga kota Halhul, Bet-Zur, Gedor, Maarat, Bet-Anot, dan Eltekon; semuanya enam buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Selain itu termasuk juga Kiryat-Baal (atau Kiryat-Yearim) dan Raba; dua buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Di kawasan gurun terdapat Bet-Araba, Midin, Sekhakha, Nibsan, Kota Garam, dan En-Gedi; semuanya enam buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Tetapi suku Yehuda tidak dapat mengusir orang Yebusi yang tinggal di Yerusalem. Orang Yebusi masih tinggal di situ bersama-sama suku Yehuda. Sempadan di bahagian selatan tanah yang diberikan kepada keturunan Yusuf bermula dari Sungai Yordan dekat Yerikho, di satu tempat di sebelah timur mata air Yerikho, sampai ke kawasan gurun. Sempadan itu bermula dari Yerikho lalu naik ke kawasan perbukitan sampai ke Betel. Dari Betel sempadan itu menuju ke Lus melalui Atarot, tempat tinggal orang Arki. Kemudian sempadan itu menuju ke sebelah barat, ke kawasan orang Yaflet, sampai ke kawasan Bet-Horon-Hilir. Dari situ sempadan itu menuju ke Gezer, lalu berakhir di Laut Tengah. Itulah wilayah yang diterima oleh keturunan Yusuf, iaitu suku Efraim dan suku Manasye Barat, sebagai milik mereka. Berikut ialah wilayah yang diterima oleh keluarga-keluarga suku Efraim: sempadannya bermula dari Atarot-Adar, menghala ke timur sampai ke Bet-Horon-Hulu. Dari situ sempadan itu menuju ke Laut Tengah. Mikhmetat terletak di bahagian utara wilayah itu. Dari situ, di sebelah timur, sempadan membelok ke arah Taanat-Silo. Sempadan itu melalui kota Taanat-Silo di bahagian timur, lalu ke Yanoah. Kemudian sempadan itu turun dari Yanoah ke Atarot dan Naharat, sampai ke Yerikho dan berakhir di Sungai Yordan. Sempadan itu menghala ke barat bermula dari Tapuah sampai ke Sungai Kana, lalu berakhir di Laut Tengah. Itulah tanah yang diberikan kepada keluarga-keluarga suku Efraim sebagai milik mereka, bersama dengan pekan-pekan dan kampung-kampung yang terletak di dalam wilayah Manasye, tetapi yang diberikan kepada suku Efraim. Namun mereka tidak mengusir orang Kanaan yang tinggal di Gezer. Oleh itu sampai sekarang orang Kanaan masih tinggal di kalangan suku Efraim, tetapi mereka dipaksa menjadi abdi. Sebahagian daripada tanah di sebelah barat Sungai Yordan diberikan kepada beberapa keluarga keturunan Manasye, anak sulung Yusuf. Makhir, bapa Gilead, ialah anak lelaki sulung Manasye; Makhir juga seorang pahlawan. Oleh itu, daerah Gilead dan Basan di sebelah timur Sungai Yordan diberikan kepadanya. Tanah di sebelah barat Sungai Yordan diberikan kepada keluarga suku Manasye yang lain: keluarga Abiezer, Helek, Asriel, Sikhem, Hefer, dan Semida. Mereka keturunan lelaki daripada Manasye anak Yusuf, dan mereka ketua-ketua keluarga. Tetapi Zelafehad anak Hefer, cucu Gilead, (Gilead ialah anak Makhir, cucu Manasye), tidak mempunyai anak lelaki. Zelafehad cuma mempunyai anak perempuan. Nama mereka ialah Makhla, Noa, Hogla, Milka, dan Tirza. Mereka menghadap Imam Eleazar, Yosua anak Nun, serta para pemimpin Israel, dan berkata, “TUHAN memerintah Musa supaya memberi kami bahagian tanah untuk menjadi milik kami seperti sanak saudara kami yang lelaki.” Oleh itu, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN, mereka pun diberikan tanah bersama dengan beberapa orang saudara lelaki mereka. Itulah sebabnya suku Manasye mendapat sepuluh bahagian tanah, selain daerah Gilead dan Basan di sebelah timur Sungai Yordan, kerana keturunannya lelaki dan perempuan mendapat bahagian tanah. Tanah Gilead diberikan kepada keturunan Manasye yang lain. Sempadan wilayah Manasye bermula dari Asyer sampai ke Mikhmetat, di sebelah timur Sikhem. Dari sana sempadan itu menghala ke selatan, meliputi kawasan orang En-Tapuah. Tanah di sekitar Tapuah dimiliki oleh Manasye, tetapi kota Tapuah di sempadan wilayah itu dimiliki oleh keturunan Efraim. Dari situ sempadan itu turun sampai ke Sungai Kana. Kota-kota di sebelah selatan anak sungai itu dimiliki oleh Efraim, walaupun kota-kota itu di wilayah Manasye. Sempadan wilayah Manasye seterusnya mengikut pinggir bahagian utara anak sungai itu, lalu berakhir di Laut Tengah. Wilayah Efraim terletak di sebelah selatan, dan wilayah Manasye terletak di sebelah utara; Laut Tengah menjadi sempadan kedua-dua wilayah ini di sebelah barat. Wilayah Asyer terletak di barat laut dan wilayah Isakhar terletak di timur laut. Di dalam wilayah Isakhar dan Asyer, suku Manasye memiliki kota Bet-Sean dan Yibleam bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya, termasuk juga kota Dor (yang di tepi pantai), Endor, Taanakh, Megido, dan kota-kota di sekitarnya. Tetapi suku Manasye tidak dapat mengusir penduduk kota-kota itu. Oleh itu orang Kanaan masih tinggal di situ. Bahkan selepas umat Israel menjadi lebih kuat, mereka tidak mengusir semua orang Kanaan. Umat Israel cuma dapat memaksa orang Kanaan bekerja untuk mereka. Keturunan Yusuf berkata kepada Yosua, “Mengapakah tuan memberi kami satu bahagian tanah saja sebagai milik kami? Bilangan kami besar kerana kami diberkati oleh TUHAN.” Yosua menjawab, “Jika bilangan kamu besar dan perbukitan Efraim terlalu kecil bagi kamu, pergilah ke hutan di tanah orang Feris dan orang Refaim. Bukalah tanah baru di hutan mereka itu.” Keturunan Yusuf menjawab, “Perbukitan itu tidak cukup besar bagi kami, tetapi orang Kanaan di dataran mempunyai kereta kuda daripada besi - baik orang Kanaan di Bet-Sean dan di pekan-pekan di sekitarnya, mahupun penduduk Lembah Yizreel.” Yosua berkata kepada suku Efraim dan suku Manasye Barat, iaitu keturunan Yusuf, “Bilangan kamu memang besar dan kamu sangat kuat. Kamu akan mendapat lebih daripada satu bahagian. Kawasan perbukitan itu juga akan menjadi milik kamu. Walaupun kawasan itu hutan, kamu akan memiliki seluruhnya dan membuka tanahnya. Kamu akan mengusir orang Kanaan, walaupun mereka bangsa yang kuat dan mempunyai kereta kuda daripada besi.” Setelah menduduki negeri Kanaan, semua umat Israel berkumpul di Silo, lalu memasang Khemah TUHAN. Masih ada tujuh suku Israel yang belum mendapat bahagian tanah. Oleh itu Yosua berkata kepada umat Israel, “Berapa lama lagi kamu hendak menunggu sebelum mengambil tanah yang telah diberikan TUHAN, Allah nenek moyang kamu kepada kamu? Lantiklah tiga orang daripada setiap suku. Aku akan menyuruh mereka ke seluruh tanah ini untuk meninjau dan mencatat batas-batas tanah yang hendak dimiliki mereka. Selepas itu mereka harus kembali kepadaku. Tanah itu akan dibahagi menjadi tujuh bahagian: suku Yehuda akan tetap di wilayahnya di sebelah selatan dan suku Yusuf di wilayahnya di sebelah utara. Catatlah keadaan tujuh kawasan tanah itu, lalu berikannya kepadaku. Aku akan membuang undi untuk mengetahui bahagian mana yang diperuntukkan TUHAN, Allah kita bagi setiap suku. Tetapi suku Lewi tidak akan mendapat bahagian tanah bersama-sama kamu, kerana bahagian mereka adalah mengabdi kepada TUHAN sebagai imam. Suku Gad, Ruben, dan Manasye Timur sudah mendapat tanah di sebelah timur Sungai Yordan, yang diberikan Musa, hamba TUHAN, kepada mereka.” Semua orang yang dipilih itu pergi untuk mencatat keadaan tanah itu sesudah Yosua berpesan kepada mereka, “Pergilah tinjau seluruh tanah ini dan catatlah batas-batasnya, lalu kembalilah kepadaku. Kemudian aku akan membuang undi di Silo, untuk mengetahui kehendak TUHAN bagi kamu.” Kemudian semua orang yang dipilih itu menjelajahi seluruh tanah. Mereka mencatat cara pembahagian tujuh bahagian itu, dan juga membuat senarai kota-kota di situ. Selepas itu mereka kembali kepada Yosua di perkhemahan di Silo. Yosua membuang undi untuk mengetahui kehendak TUHAN bagi mereka, lalu memberikan sebahagian tanah kepada setiap suku Israel yang belum mendapat bahagian tanah. Keluarga-keluarga dalam suku Benyamin ialah suku yang pertama menerima bahagian tanah. Tanah mereka terletak di antara tanah suku Yehuda dan tanah suku Yusuf. Di utara, sempadan wilayah mereka bermula dari Sungai Yordan, lalu naik ke lereng di sebelah utara Yerikho, lalu ke barat melalui kawasan perbukitan sampai ke padang gurun Bet-Awen. Sempadan itu menuju ke lereng di sebelah selatan Lus (yang juga disebut Betel), lalu turun ke Atarot-Adar, di gunung di sebelah selatan Bet-Horon-Hilir. Kemudian sempadan itu menghala ke selatan dari sebelah barat gunung itu, lalu menuju ke kota Kiryat-Baal (atau Kiryat-Yearim). Kota ini milik suku Yehuda. Itulah sempadan barat wilayah itu. Sempadan di sebelah selatan bermula dari pinggir kota Kiryat-Yearim lalu menghala ke mata air Me-Neftoah. Sempadan itu turun ke kaki gunung yang berhadapan dengan Lembah Hinom, di hujung bahagian utara Lembah Refaim. Kemudian sempadan itu menghala ke selatan melalui Lembah Hinom sampai ke rabung di selatan di tanah orang Yebusi, lalu menghala ke mata air En-Rogel. Dari situ sempadan itu menghala ke utara, ke En-Semes, lalu ke Gelilot yang bertentangan dengan Genting Adumim. Kemudian sempadan itu turun ke Batu Bohan (Bohan ialah anak lelaki Ruben) dan melintas di sebelah utara rabung yang berhadapan dengan Lembah Yordan. Kemudian sempadan itu turun ke lembah dan melalui sebelah utara rabung Bet-Hogla, lalu berakhir di teluk kecil di bahagian utara Laut Mati, tempat Sungai Yordan bermuara. Itulah sempadan selatan wilayah itu. Sungai Yordan menjadi sempadan di sebelah timur. Itulah sempadan wilayah yang diterima sebagai milik oleh keluarga-keluarga dalam suku Benyamin. Kota-kota yang dimiliki oleh keluarga-keluarga dalam suku Benyamin ialah Yerikho, Bet-Hogla, Emek-Kezis, Bet-Araba, Zemaraim, Betel, Haawim, Para, Ofra, Kefar-Haamonai, Ofni, dan Geba; semuanya dua belas buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Selain itu termasuk juga kota Gibeon, Rama, Beerot, Mizpa, Kefira, Moza, Rekem, Yirpeel, Tarala, Zela, Elef, Yebus (atau Yerusalem), Gibea dan Kiryat-Yearim; semuanya empat belas buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Itulah tanah yang diterima sebagai milik oleh keluarga-keluarga dalam suku Benyamin. Pembahagian kedua ialah tanah untuk keluarga-keluarga dalam suku Simeon. Sempadan tanah mereka masuk ke dalam wilayah suku Yehuda. Wilayah itu meliputi kota Bersyeba, Syeba, Molada, Hazar-Sual, Bala, Ezem, Eltolad, Betul, Horma, Ziklag, Bet-Hamarkabot, Hazar-Susa, Bet-Lebaot, dan Saruhen; semuanya tiga belas buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Selain itu termasuk juga kota Ain, Rimon, Eter, dan Asan; semuanya empat buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Wilayah mereka meliputi semua pekan di sekitar kota-kota itu, sampai ke Baalat-Beer (atau Rama) di sebelah selatan. Itulah tanah yang diterima sebagai milik oleh keluarga-keluarga dalam suku Simeon. Oleh sebab wilayah Yehuda terlalu besar bagi mereka, sebahagian wilayah itu diberikan kepada suku Simeon. Pembahagian ketiga ialah tanah untuk keluarga-keluarga dalam suku Zebulon. Tanah yang diterima oleh mereka terbentang luas sampai ke kota Sarid. Dari situ sempadannya menghala ke sebelah barat menuju ke Marala, lalu menyentuh sempadan kota Dabeset dan anak sungai di sebelah timur Yokneam. Di sebelah lain kota Sarid, sempadan itu menghala ke timur ke sempadan Kislot-Tabor, lalu ke Dobrat dan naik ke Yafia. Dari situ sempadan itu menuju ke sebelah timur sampai ke Gat-Hefer dan Et-Kazin, lalu membelok ke arah Nea menuju ke Rimon. Di sebelah utara, sempadannya menuju ke Hanaton dan berakhir di Lembah Yiftah-El. Tanah mereka meliputi kota Katat, Nahalal, Simron, Yidala, dan Betlehem; semuanya dua belas buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Kota-kota dan pekan-pekan itu terletak di dalam wilayah yang diterima sebagai milik oleh keluarga-keluarga dalam suku Zebulon. Pembahagian keempat ialah tanah untuk keluarga-keluarga dalam suku Isakhar. Wilayah mereka meliputi kota Yizreel, Kesulot, Sunem, Hafaraim, Sion, Anaharat, Rabit, Kisyon, Ebes, Remet, En-Ganim, En-Hada, dan Bet-Pazes. Sempadan itu juga menyentuh sempadan kota Tabor, Sahazima, Bet-Semes dan berakhir di Sungai Yordan; semuanya enam belas buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Semua kota dan pekan-pekan itu terletak di dalam wilayah yang diterima sebagai milik oleh keluarga-keluarga dalam suku Isakhar. Pembahagian kelima ialah tanah untuk keluarga-keluarga dalam suku Asyer. Kawasan mereka meliputi kota Helkat, Hali, Beten, Akhsaf, Alamelekh, Amad, dan Misal. Di sebelah barat, sempadannya menyentuh sempadan Gunung Karmel dan Sungai Libnat. Dari situ sempadan itu membelok ke timur, menuju ke Bet-Dagon dan menyentuh sempadan Zebulon dan Lembah Yiftah-El menuju ke Bet-Emek dan Nehiel di utara. Lalu sempadan itu menghala ke utara menuju ke Kabul, Ebron, Rehob, Hamon, dan Kana, sampai ke Sidon. Dari situ sempadan itu membelok ke Rama, sampai ke kota Tirus yang berkubu; lalu membelok ke Hosa dan berakhir di Laut Tengah. Wilayah itu meliputi kota Mahalab, Akhzib, Uma, Afek, dan Rehob; semuanya dua puluh dua buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Kota-kota dan pekan-pekan itu terletak di dalam wilayah yang diterima sebagai milik oleh keluarga-keluarga dalam suku Asyer. Pembahagian keenam ialah tanah untuk keluarga-keluarga dalam suku Naftali. Sempadan wilayah mereka bermula dari Helef lalu menuju ke pokok oak di Zaananim, terus ke Adami-Nekeb dan ke Yabneel, sampai ke Lakum, lalu berakhir di Sungai Yordan. Dari situ sempadan itu membelok ke arah barat menuju ke Aznot-Tabor, lalu ke Hukok dan menyentuh sempadan Zebulon di sebelah selatan, sempadan Asyer di sebelah barat dan Sungai Yordan di sebelah timur. Kota-kota yang berkubu adalah Zidim, Zer, Hamat, Rakat, Kineret, Adama, Rama, Hazor, Kedes, Edrei, En-Hazor, Yiron, Migdal-El, Horem, Bet-Anat, dan Bet-Semes; semuanya sembilan belas buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Semua kota dan pekan-pekan itu terletak di dalam wilayah yang diterima sebagai milik oleh keluarga-keluarga dalam suku Naftali. Pembahagian ketujuh ialah tanah untuk keluarga-keluarga dalam suku Dan. Wilayah mereka meliputi kota Zora, Esytaol, Ir-Semes, Saalabin, Ayalon, Yitla, Elon, Timna, Ekron, Elteke, Gibeton, Baalat, Yehud, Beneberak, Gat-Rimon. Me-Yarkon serta Rakon, dan juga kawasan di sekitar Yope. Apabila suku Dan kehilangan tanah, mereka pergi ke Lesem dan menyerang kota itu. Mereka merebut kota itu, membunuh penduduknya, lalu menaklukinya. Mereka tinggal di situ dan menukar nama kota itu daripada Lesem menjadi Dan, menurut nama nenek moyang mereka. Semua kota itu dan pekan-pekannya terletak di dalam wilayah yang diterima sebagai milik oleh keluarga-keluarga dalam suku Dan. Apabila umat Israel selesai membahagi-bahagikan tanah itu, mereka memberi Yosua anak Nun sebahagian tanah itu sebagai miliknya sendiri. Sebagaimana yang diperintahkan TUHAN, mereka memberi Yosua kota yang dimintanya, iaitu Timnat-Serah di kawasan perbukitan Efraim. Yosua membina semula kota itu lalu menetap di sana. Demikianlah Imam Eleazar, Yosua anak Nun, dan para pemimpin daripada keluarga suku-suku Israel membahagi-bahagikan tanah itu dengan membuang undi di Silo, di pintu Khemah TUHAN untuk mengetahui kehendak TUHAN bagi mereka. Dengan demikian mereka menyelesaikan pembahagian tanah itu. Kemudian TUHAN menyuruh Yosua memberitahukan umat Israel, “Pilihlah kota-kota perlindungan; Aku telah memerintahkan Musa untuk memberitahu kamu tentang hal ini. Sesiapa yang membunuh orang dengan tidak sengaja boleh lari ke kota itu dan menyelamatkan diri daripada orang yang hendak membalas dendam. Dia boleh lari ke salah satu kota itu, lalu pergi ke tempat pengadilan di pintu kota dan menjelaskan perkara yang berlaku kepada para pemimpin. Para pemimpin itu akan membenarkan dia masuk ke dalam kota dan memberi dia tempat kediaman supaya dia dapat tinggal di situ. Jika orang yang hendak membalas dendam itu mengikut dia ke situ, penduduk kota itu tidak boleh menyerahkan dia kepada orang itu. Mereka harus melindungi dia kerana dia membunuh orang itu dengan tidak sengaja dan bukan kerana marah. Biarlah dia tinggal di kota itu sehingga dia diadili di hadapan umum dan sehingga orang yang menjadi Imam Agung pada masa itu meninggal. Kemudian bolehlah orang itu pulang ke kampung halamannya, dari tempat dia melarikan diri.” Oleh itu, di sebelah barat Sungai Yordan mereka memilih kota-kota yang berikut sebagai kota perlindungan: kota Kedes di Galilea, di kawasan perbukitan Naftali; kota Sikhem di kawasan perbukitan Efraim; dan kota Hebron di kawasan perbukitan Yehuda. Di sebelah timur Sungai Yordan, di dataran tinggi gurun sebelah timur Yerikho, mereka memilih kota Bezer di dalam wilayah Ruben; kota Ramot di daerah Gilead, di wilayah Gad; dan kota Golan di daerah Basan, di wilayah Manasye. Itulah kota-kota perlindungan yang dipilih untuk semua orang Israel dan sesiapa sahaja orang asing di kalangan mereka. Sesiapa yang telah membunuh orang dengan tidak sengaja, boleh mendapat perlindungan di salah sebuah kota itu daripada orang yang hendak membalas dendam. Dia tidak boleh dibunuh tanpa diadili di hadapan umum terlebih dahulu. Kemudian para ketua keluarga daripada suku Lewi datang menghadap Imam Eleazar, Yosua anak Nun, dan ketua-ketua keluarga semua suku Israel. Di Silo, di tanah Kanaan mereka berkata, “TUHAN memberikan perintah melalui Musa supaya kami diberikan kota-kota sebagai tempat tinggal dan padang rumput di sekeliling kota bagi ternakan kami.” Oleh itu, menurut perintah TUHAN, umat Israel memberi suku Lewi beberapa buah kota dengan padang rumput di sekelilingnya daripada wilayah mereka sendiri. Keluarga-keluarga daripada puak Kehat adalah yang pertama menerima kota-kota mereka. Keturunan Imam Harun menerima tiga belas buah kota dari wilayah Yehuda, Simeon, dan Benyamin. Puak Kehat yang lain menerima sepuluh buah kota dari wilayah Dan, Efraim, dan Manasye Barat. Puak Gerson menerima tiga belas buah kota dari wilayah Isakhar, Asyer, Naftali, dan Manasye Timur. Keluarga-keluarga daripada puak Merari menerima dua belas buah kota dari wilayah Ruben, Gad, dan Zebulon. Demikianlah dengan membuang undi, umat Israel memberikan kota-kota itu dan padang rumput di sekelilingnya kepada suku Lewi, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN dengan perantaraan Musa. Inilah nama kota-kota dari wilayah Yehuda dan Simeon yang diberikan kepada keturunan Harun, iaitu salah satu keluarga daripada puak Kehat keturunan Lewi. Mereka mendapat bahagian yang pertama. Mereka menerima kota Arba (Arba ialah bapa Enak), yang sekarang disebut Hebron, di kawasan perbukitan Yehuda, termasuk padang rumput yang di sekelilingnya. Tetapi kawasan tanah lapang dan pekan-pekan di sekitar kota itu telah diberikan kepada Kaleb anak Yefune sebagai miliknya. Selain kota Hebron (salah satu kota perlindungan), kota-kota berikut telah diberikan kepada keturunan Imam Harun: kota Libna, Yatir, Estemoa, Holon, Debir, Ain, Yuta, dan Bet-Semes bersama dengan padang rumput di sekelilingnya; semuanya sembilan buah kota daripada suku Yehuda dan Simeon. Dari wilayah Benyamin, mereka menerima empat buah kota: kota Gibeon, Geba, Anatot, dan Almon bersama dengan padang rumput di sekelilingnya. Para imam keturunan Harun menerima tiga belas buah kota bersama dengan padang rumputnya. Keluarga lain daripada puak Kehat menerima beberapa buah kota dari wilayah Efraim. Mereka menerima empat buah kota: kota Sikhem dan padang rumputnya di kawasan perbukitan Efraim (salah satu kota perlindungan), Gezer, Kibzaim, dan Bet-Horon, bersama dengan padang rumputnya. Mereka menerima empat buah kota dari wilayah Dan: kota Elteke, Gibeton, Ayalon, dan Gat-Rimon, bersama dengan padang rumputnya. Mereka menerima dua buah kota dari wilayah Manasye Barat: kota Taanakh dan Gat-Rimon, bersama dengan padang rumputnya. Keluarga-keluarga daripada puak Kehat menerima sepuluh buah kota semuanya, bersama dengan padang rumputnya. Satu lagi puak daripada suku Lewi, iaitu puak Gerson, menerima dua buah kota dari wilayah Manasye Timur: kota Golan di Basan (salah satu kota perlindungan) dan Beestera, bersama dengan padang rumputnya. Mereka menerima empat buah kota dari wilayah Isakhar: kota Kisyon, Dobrat, Yarmut, dan En-Ganim, bersama dengan padang rumputnya. Mereka menerima empat buah kota dari wilayah Asyer: kota Misal, Abdon, Helkat, dan Rehob, bersama dengan padang rumputnya. Mereka menerima tiga buah kota dari wilayah Naftali: kota Kedes di Galilea bersama dengan padang rumputnya (salah satu kota perlindungan), Hamot-Dor dan Kartan, bersama dengan padang rumputnya. Keluarga-keluarga daripada puak Gerson menerima sejumlah tiga belas buah kota bersama dengan padang rumputnya. Puak lain daripada suku Lewi, iaitu puak Merari, menerima empat buah kota dari wilayah Zebulon: kota Yokneam, Karta, Dimna, dan Nahalal, bersama dengan padang rumputnya. Mereka menerima empat buah kota dari wilayah Ruben: kota Bezer, Yahas, Kedemot, dan Mefaat, bersama dengan padang rumputnya. Mereka menerima empat buah kota dari wilayah Gad: kota Ramot di Gilead, bersama dengan padang rumputnya (salah satu kota perlindungan), Mahanaim, Hesybon, dan Yaezer, bersama dengan padang rumputnya. Dengan demikian, puak Merari menerima sejumlah dua belas buah kota. [41-42] Dari tanah yang dimiliki umat Israel, sejumlah empat puluh lapan buah kota bersama dengan padang rumputnya telah diberikan kepada suku Lewi. *** Demikianlah TUHAN memberi umat Israel seluruh tanah yang telah dijanjikan-Nya dengan sumpah kepada nenek moyang mereka. Setelah merebut tanah itu, mereka menetap di sana. TUHAN memberi mereka keamanan di seluruh tanah itu sebagaimana yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyang mereka. Tidak seorang musuh pun dapat melawan mereka, kerana TUHAN telah memberi umat Israel kemenangan atas semua musuh. TUHAN menepati tiap-tiap janji-Nya kepada umat Israel. Kemudian Yosua mengumpulkan orang daripada suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur. Dia berkata kepada mereka, “Kamu telah melakukan segala yang diperintahkan Musa, hamba TUHAN itu dan kamu telah mentaati segala perintahku. Selama ini kamu tidak membiarkan sesama umat Israel berjuang sendirian. Kamu berhati-hati mentaati perintah TUHAN, Allah kamu. Sekarang, sebagaimana yang dijanjikan-Nya, TUHAN, Allah kamu telah memberikan keamanan kepada sesama kamu umat Israel. Oleh itu, baliklah ke negeri milik kamu, tanah di sebelah timur Sungai Yordan yang diberikan oleh Musa, hamba TUHAN kepada kamu. Pastikanlah bahawa kamu taat kepada hukum yang diberikan oleh Musa: Kasihilah TUHAN, Allah kamu, laksanakanlah kehendak-Nya, patuhilah perintah-Nya, setialah kepada-Nya, dan mengabdilah kepada-Nya dengan sepenuh hati dan jiwa.” [6-8] Yosua memberkati mereka dan melepaskan mereka dengan kata-kata ini, “Kamu sekarang kaya dan kamu pulang dengan membawa banyak ternakan, perak, emas, gangsa, besi, dan pakaian. Bahagi-bahagikanlah barang jarahan yang kamu ambil daripada musuh, dengan sesama suku kamu.” Selepas itu mereka pulang. Musa telah memberikan tanah di sebelah timur Sungai Yordan kepada setengah daripada suku Manasye, dan Yosua telah memberikan tanah di sebelah barat Sungai Yordan kepada setengah lagi suku Manasye, bersama dengan suku-suku lain. *** *** Oleh itu orang daripada suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur pulang. Mereka meninggalkan umat Israel yang lain di Silo, di tanah Kanaan, lalu mereka pergi ke Gilead, ke tanah milik mereka sendiri, yang diterima mereka menurut perintah TUHAN melalui Musa. Apabila suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur tiba di Gelilot, ketika masih di sebelah barat Sungai Yordan, mereka membina sebuah mazbah yang besar dan indah di tepi sungai itu. Umat Israel yang lain diberitahu tentang hal itu, “Orang daripada suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur telah membina sebuah mazbah di Gelilot dekat Sungai Yordan, di bahagian wilayah kita!” Apabila umat Israel mendengar hal itu, mereka semua berkumpul di Silo untuk berperang dengan suku-suku Israel dari sebelah timur Sungai Yordan. Kemudian umat Israel mengutus Pinehas anak Imam Eleazar kepada suku-suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur di daerah Gilead. Sepuluh orang pemimpin pergi bersama-sama Pinehas, seorang daripada setiap suku di sebelah barat Sungai Yordan; setiap orang itu ialah ketua keluarga dalam puak masing-masing. Mereka sampai ke daerah Gilead dan bertemu dengan suku-suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur. Bagi pihak semua umat TUHAN, mereka berkata, “Mengapakah kamu melakukan perbuatan yang jahat ini terhadap Allah Israel? Dengan membina mazbah itu, kamu telah memberontak terhadap TUHAN! Kamu tidak lagi mengikut Dia! Ingatlah akan dosa kita di Peor, ketika TUHAN menghukum umat-Nya dengan wabak. Kita masih menderita akibat dosa itu. Belum cukupkah dosa itu? Adakah kamu hendak meninggalkan TUHAN sekarang? Jika hari ini kamu memberontak terhadap-Nya, esok Dia akan murka terhadap tiap-tiap orang Israel. Oleh itu, jika wilayah kamu najis dan tidak layak untuk dijadikan tempat ibadat kepada TUHAN, datanglah ke negeri TUHAN, tempat letaknya Khemah TUHAN. Mintalah tanah daripada kami, tetapi jangan berontak terhadap TUHAN ataupun kami dengan membina sebuah mazbah lagi selain mazbah TUHAN, Allah kita yang sudah didirikan. Ingatlah bagaimana Akhan anak Zerah melanggar perintah tentang barang-barang yang mesti dimusnahkan. Akibatnya, seluruh masyarakat Israel dihukum; bukan Akhan seorang saja yang mati kerana dosanya.” Orang daripada suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur menjawab, “Yang Maha Kuasa ialah Allah! Dialah TUHAN! Yang Maha Kuasa ialah Allah! Dialah TUHAN! Dia tahu mengapa kami berbuat demikian dan kami hendak kamu tahu juga! Jika kami memberontak terhadap TUHAN dan tidak percaya kepada-Nya, bunuhlah kami sekarang juga! Jika kami tidak taat kepada TUHAN dan membina mazbah kami sendiri sebagai tempat mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, ataupun untuk mempersembahkan korban untuk mengucap syukur, atau korban untuk memohon berkat TUHAN, biarlah TUHAN sendiri yang menghukum kami. Maksud kami bukanlah demikian! Kami membina mazbah ini kerana kami khuatir mungkin pada kemudian hari keturunan kamu akan berkata kepada keturunan kami, ‘Kamu tidak ada kena-mengena dengan TUHAN, Allah Israel! TUHAN telah menjadikan Sungai Yordan ini sebagai sempadan antara kami dan kamu daripada suku Ruben dan Gad. Kamu tidak ada kena-mengena dengan TUHAN.’ Dengan demikian keturunan kamu akan menyebabkan keturunan kami berhenti beribadat kepada TUHAN. Oleh itu kami membina mazbah ini bukan sebagai tempat membakar korban ataupun untuk mempersembahkan persembahan, tetapi sebagai tanda bagi kedua-dua pihak kita dan keturunan kita, bahawa sesungguhnya kami beribadat kepada TUHAN di Khemah-Nya dengan membawa korban untuk menyenangkan hati TUHAN, persembahan-persembahan, dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Dengan demikian keturunan kamu tidak dapat berkata bahawa keturunan kami tidak ada kena-mengena dengan TUHAN. Maksud kami begini: jika perkara itu berlaku, dapatlah keturunan kami berkata, ‘Lihatlah, nenek moyang kami telah membina sebuah mazbah sama seperti mazbah TUHAN. Mazbah itu bukan untuk membakar korban ataupun untuk mempersembahkan persembahan, tetapi sebagai tanda bagi kedua-dua pihak kita.’ Kami tidak sekali-kali akan memberontak terhadap TUHAN atau berhenti mengabdi kepada-Nya, dengan membina mazbah sebagai tempat mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, ataupun mempersembahkan korban untuk mengucap syukur, atau persembahan. Kami tidak sekali-kali akan membina mazbah lain; mazbah TUHAN, Allah kita sudah ada di hadapan Khemah-Nya.” Imam Pinehas dan sepuluh orang pemimpin umat Israel, ketua-ketua keluarga Israel yang menyertai Pinehas, mendengar penjelasan suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur. Mereka puas hati mendengarnya. Pinehas anak Imam Eleazar berkata kepada mereka, “Sekarang kami tahu bahawa TUHAN menyertai kita. Kamu tidak memberontak terhadap-Nya. Kamu telah menyelamatkan umat Israel daripada hukuman TUHAN.” Kemudian Pinehas dan para pemimpin itu meninggalkan suku Ruben dan Gad di daerah Gilead, lalu mereka pulang ke Kanaan dan melaporkan perkara itu kepada umat Israel. Umat Israel puas hati dan memuji Allah. Mereka tidak lagi bercadang untuk berperang melawan suku Ruben dan Gad, ataupun memusnahkan wilayah mereka. Orang daripada suku Ruben dan Gad berkata, “Mazbah ini menjadi saksi kepada kita semua bahawa TUHAN ialah Allah.” Oleh itu mereka menamakan mazbah itu “Saksi”. Lama selepas itu, TUHAN memberikan keamanan kepada umat Israel; mereka tidak lagi diganggu oleh ancaman musuh di sekitar mereka. Pada waktu itu Yosua sudah sangat tua. Maka dia mengumpulkan semua orang Israel, termasuk para pemuka, para pemimpin, para hakim, dan para pegawai, lalu Yosua berkata, “Sekarang saya sudah sangat tua. Kamu telah melihat segala yang telah dilakukan TUHAN, Allah kamu terhadap bangsa-bangsa ini untuk kamu. TUHAN, Allah kamu telah berperang untuk kamu. Saya sudah membahagi-bahagikan tanah bangsa-bangsa ini kepada suku-suku kamu sebagai milik kamu, baik tanah yang belum ditaklukkan mahupun tanah yang sudah ditaklukkan, bermula dari Sungai Yordan di sebelah timur sampai ke Laut Tengah di sebelah barat. TUHAN, Allah kamu akan menyebabkan mereka berundur dan lari daripada kamu apabila kamu memerangi mereka. Kamu akan memiliki tanah mereka sebagaimana yang telah dijanjikan oleh TUHAN, Allah kamu. Oleh itu, kamu harus bersungguh-sungguh mentaati dan melakukan segala sesuatu yang tercatat di dalam Kitab Taurat Musa. Jangan langgar satu pun daripada hukum itu. Dengan demikian kamu tidak akan bergaul dengan bangsa-bangsa yang masih di kalangan kamu; kamu tidak akan menyebut nama dewa-dewa mereka dan tidak akan menggunakan nama-nama itu untuk bersumpah; kamu tidak akan bersembahyang atau bersujud kepada dewa-dewa itu. Sebaliknya, setialah kepada TUHAN sebagaimana kamu telah setia kepada-Nya sampai sekarang. TUHAN telah mengusir bangsa-bangsa yang besar dan kuat apabila kamu memerangi mereka; tidak pernah seorang pun berjaya menentang kamu. Satu orang di kalangan kamu dapat mengalahkan seribu orang musuh, kerana TUHAN, Allah kamu berperang untuk kamu sebagaimana yang dijanjikan-Nya. Oleh itu, kamu harus bersungguh-sungguh mengasihi TUHAN, Allah kamu. Jika kamu tidak setia, dan kamu bersahabat dengan bangsa-bangsa yang masih di tengah-tengah kamu, dan kamu berkahwin dengan mereka, pasti TUHAN, Allah kamu tidak lagi akan mengusir bangsa-bangsa itu apabila kamu memerangi mereka. Bangsa-bangsa itu akan berbahaya sekali bagi kamu kerana mereka akan menjadi seperti jerat atau seperti perangkap untuk kamu. Mereka juga akan menyebabkan kamu sangat menderita kerana mereka akan menjadi seperti cambuk pada belakang kamu, atau seperti duri di dalam mata kamu. Kamu akan terus menderita sehingga tidak seorang pun tinggal di tanah baik ini yang diberikan TUHAN kepada kamu. Sekarang sudah masanya saya meninggal. Kamu masing-masing tahu betul bahawa TUHAN, Allah kamu telah memberi kamu segala yang baik, yang dijanjikan-Nya. Setiap janji-Nya telah ditepati; tiada satu pun yang dimungkiri-Nya. Tetapi sebagaimana Dia menepati setiap janji-Nya kepada kamu, demikian juga Dia akan melaksanakan setiap ancaman-Nya. Jika kamu melanggar perjanjian yang diperintahkan TUHAN, Allah kamu untuk ditaati, dan jika kamu mengabdi serta bersembahyang kepada dewa-dewa, TUHAN akan murka dan menghukum kamu. Dalam masa yang singkat kamu semua akan lenyap dari tanah yang baik ini, yang diberikan TUHAN kepada kamu.” Yosua mengumpulkan semua suku Israel di Sikhem. Dia memanggil para pemuka, pemimpin, hakim, dan pegawai Israel, lalu mereka berkumpul di hadapan Allah. Yosua berkata kepada semua orang itu, “Dengarlah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Dahulu kala nenek moyang kamu tinggal di seberang Sungai Efrat dan mereka menyembah dewa-dewa. Salah seorang daripada mereka ialah Terah, bapa Abraham dan Nahor. Kemudian Aku membawa Abraham, nenek moyang kamu itu, dari tanah di seberang Sungai Efrat dan memimpin dia menjelajah seluruh tanah Kanaan. Aku memberi dia banyak keturunan. Aku memberi dia Ishak, lalu kepada Ishak Aku berikan dua orang anak, iaitu Yakub dan Esau. Aku memberi Esau perbukitan Edom sebagai tanah miliknya, tetapi Yakub, iaitu nenek moyang kamu dan anak-anaknya pergi ke Mesir. Kemudian Aku mengutus Musa serta Harun, dan Aku mendatangkan bencana besar ke atas Mesir, tetapi Aku memimpin kamu keluar dari tempat itu. Aku membawa nenek moyang kamu keluar dari Mesir. Orang Mesir mengejar mereka dengan kereta kuda dan tentera berkuda. Tetapi apabila nenek moyang kamu tiba di Laut Gelagah, mereka berseru kepada-Ku minta tolong; Aku mendatangkan kegelapan di antara mereka dan orang Mesir. Aku menutupi orang Mesir dengan air laut sehingga mereka mati lemas. Kamu tahu apa yang Aku lakukan terhadap Mesir. Lama sekali kamu tinggal di gurun. Kemudian Aku membawa kamu ke tanah orang Amori yang tinggal di sebelah timur Sungai Yordan. Mereka berperang melawan kamu, tetapi Aku memberi kamu kemenangan atas mereka. Kamu merebut tanah mereka dan Aku membinasakan mereka apabila kamu menyerang mereka. Selepas itu, penguasa Moab, Raja Balak anak Zipor, berperang melawan Israel. Raja Balak mengutus orang kepada Bileam anak Beor dan meminta dia mengutuk kamu. Tetapi Aku tidak mengabulkan permintaan Bileam. Sebaliknya, dia memberkati kamu; Aku menyelamatkan kamu daripada Raja Balak. Kamu menyeberang Sungai Yordan dan tiba di kota Yerikho. Penduduk Yerikho berperang melawan kamu; demikian juga orang Amori, Feris, Kanaan, Het, Girgasi, Hewi, dan Yebusi. Tetapi Aku memberi kamu kemenangan atas mereka semua. Apabila kamu menyerang mereka, Aku mengacau-bilaukan mereka untuk mengusir dua orang raja Amori itu. Pedang dan panah kamu tidak menyebabkan kamu menang. Aku memberi kamu negeri yang tidak kamu usahakan dan kota-kota yang tidak kamu bina. Sekarang kamu tinggal di negeri itu dan makan buah anggur dan zaitun dari pokok-pokok yang tidak kamu tanam.’ ” “Oleh itu,” kata Yosua, “hormatilah TUHAN dan mengabdilah kepada-Nya dengan ikhlas dan setia. Buanglah tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesopotamia dan di Mesir dahulu. Mengabdilah kepada TUHAN sahaja. Jika kamu tidak mahu mengabdi kepada-Nya, tentukanlah sekarang kepada siapa kamu hendak mengabdi, kepada tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesopotamia, atau kepada tuhan-tuhan orang Amori di negeri yang kamu tinggal sekarang. Tetapi bagi aku dan keluargaku, kami hendak mengabdi kepada TUHAN.” Umat Israel menjawab, “Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan TUHAN untuk mengabdi kepada tuhan-tuhan lain! TUHAN, Allah kita telah melepaskan nenek moyang kita dan kita sendiri daripada perhambaan di Mesir, dan kita telah menyaksikan mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya. Dia telah melindungi kita dalam semua perjalanan kita melalui negeri-negeri asing. Ketika kita menyerang negeri ini, TUHAN mengusir semua orang Amori yang tinggal di sini. Oleh itu, kami juga akan mengabdi kepada TUHAN; Dialah Allah kita.” Kemudian Yosua berkata kepada umat itu, “Tetapi mungkin kamu tidak akan sanggup mengabdi kepada TUHAN. Dia Allah yang suci, dan Dia tidak akan mengampunkan dosa kamu. Dia tidak mahu ada saingan. Jika kamu meninggalkan Dia lalu mengabdi kepada tuhan-tuhan bangsa asing, Dia akan menentang kamu dan menghukum kamu. Dia akan membinasakan kamu, walaupun dahulu Dia baik terhadap kamu.” Umat itu menjawab, “Tidak. Kami akan tetap mengabdi kepada TUHAN.” Yosua berkata kepada mereka, “Kamu menjadi saksi kamu sendiri bahawa kamu telah memilih untuk mengabdi kepada TUHAN.” Mereka menjawab, “Ya. Kami menjadi saksi.” Yosua berkata lagi, “Jika demikian, buanglah tuhan-tuhan bangsa asing yang ada pada kamu dan berjanjilah untuk setia kepada TUHAN, Allah Israel.” Kemudian umat itu berkata kepada Yosua, “Kami akan mengabdi kepada TUHAN, Allah kita. Kami akan mematuhi perintah-Nya.” Maka pada hari itu, Yosua membuat satu perjanjian untuk umat itu di Sikhem. Dia memberi mereka hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Yosua menuliskan perintah-perintah itu di dalam Kitab Taurat Allah. Kemudian Yosua mengambil sebuah batu yang besar dan menegakkannya di bawah pokok oak di tempat yang khusus untuk TUHAN. Yosua berkata kepada semua orang itu, “Batu ini saksi kita. Batu ini telah mendengar segala firman TUHAN kepada kita. Oleh itu batu ini menjadi saksi terhadap kamu untuk mengingatkan kamu supaya tidak melawan Allah kamu.” Selepas itu Yosua menyuruh umat itu pulang, lalu masing-masing balik ke wilayah sendiri. Kemudian Yosua anak Nun, hamba TUHAN itu meninggal; dia berumur 110 tahun. Yosua dikebumikan di tanahnya di Timnat-Serah, di perbukitan Efraim, di sebelah utara Gunung Gaas. Selama Yosua hidup, umat Israel mengabdi kepada TUHAN. Setelah Yosua meninggal dan selama hayat para pemimpin yang melihat segala perbuatan TUHAN untuk Israel, umat itu tetap mengabdi kepada TUHAN. Jenazah Yusuf yang dibawa oleh umat Israel dari Mesir, dikebumikan di Sikhem, di tanah yang dibeli oleh Yakub daripada anak-anak Hemor, bapa Sikhem, dengan harga seratus keping wang perak. Tanah itu diwarisi oleh keturunan Yusuf. Eleazar anak Harun meninggal, lalu dikebumikan di Gibea, kota di perbukitan Efraim yang telah diberikan kepada anaknya, Pinehas. Selepas Yosua meninggal, umat Israel bertanya kepada TUHAN, “Ya TUHAN, suku yang manakah harus pertama pergi menyerang orang Kanaan?” TUHAN menjawab, “Suku Yehuda. Aku akan memberi mereka kuasa untuk merebut negeri itu.” Suku Yehuda berkata kepada suku Simeon, “Bantulah kami memerangi orang Kanaan dan menduduki wilayah yang ditentukan TUHAN untuk kami. Selepas itu kami pula akan membantu kamu menduduki wilayah yang ditentukan TUHAN untuk kamu.” Oleh itu suku Simeon pergi berperang bersama dengan suku Yehuda. TUHAN memberi mereka kemenangan atas orang Kanaan dan orang Feris. Mereka mengalahkan sepuluh ribu orang askar di Bezek. Mereka menjumpai Raja Adoni-Bezek, dan menyerang baginda. Raja Adoni-Bezek melarikan diri, tetapi mereka mengejar dan menangkap baginda. Mereka memotong ibu jari tangan dan ibu jari kakinya. Raja Adoni-Bezek bertitah, “Dahulu beta memotong ibu jari tangan dan ibu jari kaki tujuh puluh orang raja, dan mereka memungut sisa makanan di bawah meja beta. Sekarang Allah memperlakukan beta seperti beta memperlakukan mereka.” Kemudian Raja Adoni-Bezek dibawa ke Yerusalem, lalu baginda mangkat di sana. Orang Yehuda menyerang Yerusalem, lalu merebut dan membakar kota itu, serta membunuh penduduknya. Selepas itu mereka berperang dengan orang Kanaan yang tinggal di kawasan perbukitan, di kaki-kaki bukit, dan di kawasan tanah gersang di sebelah selatan. Orang Yehuda menyerang orang Kanaan yang tinggal di kota Hebron, yang dahulu dinamakan Kiryat-Arba. Di situ mereka mengalahkan puak Sesai, Ahiman, dan Talmai. Dari Hebron, orang Yehuda menyerang kota Debir, yang pada waktu itu dinamakan Kiryat-Sefer. Salah seorang daripada suku Yehuda itu, yang bernama Kaleb berkata, “Aku akan mengahwinkan anak perempuanku, Akhsa, dengan orang yang berjaya merebut Kiryat-Sefer.” Otniel, anak kepada adik lelaki Kaleb yang bernama Kenas, berjaya merebut kota itu. Oleh itu Kaleb mengahwinkan anak perempuannya, Akhsa, dengan Otniel. Pada hari perkahwinan mereka, Otniel mendesak Akhsa meminta sebidang tanah daripada bapanya. Akhsa turun dari keldainya, lalu Kaleb menanyai dia apa yang dikehendakinya. Akhsa menjawab, “Tanah yang ayah berikan kepada saya itu gersang. Berilah saya juga beberapa mata air.” Oleh itu Kaleb memberi dia mata air di sebelah hulu dan mata air di sebelah hilir. Keturunan bapa mentua Musa, iaitu orang Keni, berangkat bersama-sama suku Yehuda dari Yerikho, kota pokok kurma. Kemudian mereka pergi ke tanah gersang di sebelah selatan Arad di wilayah Yehuda. Mereka tinggal di situ di kalangan orang Amalek. Kemudian suku Yehuda bersama dengan suku Simeon pergi menyerang dan mengalahkan orang Kanaan yang tinggal di kota Zefat. Mereka mengutuk kota itu dan memusnahkannya, lalu menamakannya Horma. [18-19] TUHAN menolong suku Yehuda sehingga mereka berjaya menduduki kawasan perbukitan. Tetapi mereka tidak berjaya merebut kota Gaza, Askelon, dan Ekron, serta kawasan di sekitar semua kota itu. Suku Yehuda tidak berjaya mengusir penduduk yang tinggal di sepanjang pantai itu, kerana penduduk di sana mempunyai kereta kuda yang dibuat daripada besi. *** Sebagaimana yang diperintahkan Musa, Hebron diberikan kepada Kaleb, kerana dahulu tiga puak keturunan Enak telah diusir oleh Kaleb dari kota itu. Tetapi suku Benyamin tidak berjaya mengusir orang Yebusi dari Yerusalem. Itulah sebabnya orang Yebusi masih tinggal di sana bersama-sama orang Benyamin. [22-23] Suku Efraim dan suku Manasye menyerang kota Betel, yang ketika itu bernama Lus. TUHAN menolong mereka. Pengintip-pengintip yang diutus ke kota itu, *** berjumpa dengan seorang lelaki yang datang dari kota itu. Mereka berkata kepadanya, “Tolong tunjukkan jalan masuk ke kota ini, dan kami akan memperlakukan kamu dengan baik.” Lelaki itu menunjukkan jalan masuk ke kota itu kepada mereka. Kemudian orang daripada suku Efraim dan suku Manasye memasuki kota itu dan membunuh semua penduduknya, kecuali lelaki itu dan keluarganya. Kemudian lelaki itu berpindah ke negeri orang Het dan membina sebuah kota di sana. Dia menamakan kota itu Lus; kota itu masih bernama demikian. Suku Manasye tidak mengusir penduduk kota Bet-Sean, Taanakh, Dor, Yibleam, Megido, dan penduduk pekan-pekan di sekitarnya. Oleh itu orang Kanaan tetap tinggal di situ. Setelah umat Israel bertambah kuat, mereka memaksa orang Kanaan bekerja untuk mereka, tetapi mereka masih tidak mengusir semua orang Kanaan dari situ. Suku Efraim tidak mengusir orang Kanaan yang tinggal di kota Gezer. Oleh itu orang Kanaan masih tetap tinggal di situ bersama-sama mereka. Suku Zebulon tidak mengusir penduduk kota Kitron dan Nahalol. Oleh itu orang Kanaan masih tetap tinggal di situ bersama-sama mereka. Tetapi orang Kanaan itu dipaksa bekerja untuk mereka. Suku Asyer tidak mengusir penduduk kota Ako, Sidon, Ahlab, Akhzib, Helba, Afek, dan Rehob. Oleh itu orang Kanaan, penduduk asli negeri itu masih tinggal di situ bersama-sama suku Asyer. Suku Naftali tidak mengusir penduduk kota Bet-Semes dan Bet-Anat. Oleh itu orang Kanaan, penduduk asli negeri itu masih tinggal di situ bersama-sama suku Naftali. Tetapi mereka dipaksa bekerja untuk suku Naftali. Orang Amori mendesak suku Dan lari ke kawasan perbukitan dan tidak membiarkan mereka tinggal di kawasan dataran rendah. Orang Amori masih tetap tinggal di Ayalon, Saalbim, dan Gunung Heres. Tetapi suku Efraim dan suku Manasye menguasai orang Amori dan memaksa mereka bekerja untuk kedua-dua suku itu. Di sebelah utara Sela, sempadan wilayah orang Edom melalui Genting Akrabim. Malaikat TUHAN pergi dari Gilgal ke Bokhim, lalu berfirman kepada umat Israel, “Aku telah membawa kamu keluar dari Mesir dan memimpin kamu ke tanah yang Aku janjikan kepada nenek moyang kamu. Aku berfirman, ‘Aku tidak sekali-kali akan membatalkan perjanjian-Ku dengan kamu. Oleh itu kamu tidak boleh membuat perjanjian apa-apa pun dengan penduduk negeri itu. Kamu mesti merobohkan mazbah-mazbah mereka.’ Tetapi kamu tidak melakukan apa yang Aku perintahkan. Malah kamu melakukan yang sebaliknya! Oleh itu, sekarang dengarlah! Aku tidak akan mengusir penduduk negeri ini ketika kamu menyerang mereka. Mereka akan menjadi musuh kamu, dan kamu akan terperangkap sehingga kamu turut menyembah dewa-dewa mereka.” Setelah malaikat itu berfirman demikian, semua orang Israel menangis dengan kuat. Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Bokhim. Di situ mereka mempersembahkan korban kepada TUHAN. Selepas Yosua menyuruh umat Israel pergi, mereka pun berangkat ke tanah bahagian mereka masing-masing untuk mendudukinya. Selama Yosua hidup, umat Israel mengabdi kepada TUHAN. Setelah Yosua meninggal, umat Israel tetap mengabdi kepada TUHAN selama mereka dipimpin oleh para pemimpin Israel yang telah menyaksikan perbuatan besar TUHAN untuk umat Israel. Yosua anak Nun, hamba TUHAN itu meninggal ketika berumur seratus sepuluh tahun. Dia dikebumikan di tanah miliknya sendiri, di Timnat-Serah, di perbukitan Efraim, di sebelah utara Gunung Gaas. Kemudian semua orang Israel daripada generasi itu meninggal. Generasi yang baru tidak mengenal TUHAN kerana mereka tidak mengalami apa yang telah dilakukan oleh TUHAN untuk Israel. [11-14] Kemudian umat Israel berdosa terhadap TUHAN. Mereka tidak lagi menyembah TUHAN, Allah nenek moyang mereka, iaitu Allah yang telah membawa mereka keluar dari Mesir. Mereka mula menyembah Baal dan Asytoret serta dewa-dewa yang disembah oleh bangsa-bangsa di sekitar mereka. Oleh itu TUHAN murka kepada mereka dan membiarkan perompak menyerang serta merompak mereka. Mereka tidak berdaya menghadapi musuh di sekitar mereka. *** *** *** Tiap-tiap kali mereka pergi berperang, TUHAN menentang mereka, seperti yang sudah diperingatkan-Nya kepada mereka. Mereka mengalami kesusahan yang sangat besar. Berulang kali TUHAN memberi bangsa Israel pemimpin untuk membebaskan mereka daripada gerombolan perompak. Tetapi orang Israel tidak mempedulikan para pemimpin itu. Mereka tidak setia kepada TUHAN; mereka menyembah tuhan-tuhan lain. Nenek moyang mereka taat kepada perintah TUHAN, tetapi generasi baru itu tidak berbuat demikian. Apabila TUHAN memberi mereka seorang pemimpin, TUHAN menolong pemimpin itu dan menyelamatkan mereka daripada musuh selama pemimpin itu hidup. TUHAN mengasihani mereka apabila mereka mengeluh kerana dianiaya dan ditindas. Tetapi selepas pemimpin itu meninggal, umat Israel berkelakuan lebih jahat daripada generasi yang sebelumnya. Mereka menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain. Mereka kembali kepada kebiasaan-kebiasaan yang jahat dan tidak mahu mengubah kelakuan mereka. Oleh itu TUHAN sangat murka terhadap umat Israel dan berfirman, “Bangsa ini sudah memungkiri perjanjian yang Aku buat dengan nenek moyang mereka. Mereka memberontak terhadap Aku. Oleh itu sekarang Aku tidak lagi mengusir bangsa mana-mana pun yang masih tinggal di negeri ini ketika Yosua meninggal. Aku akan menggunakan bangsa-bangsa itu untuk menguji umat Israel, supaya Aku tahu sama ada umat Israel menurut perintah-Ku seperti nenek moyang mereka, ataupun tidak.” Itulah sebabnya TUHAN tidak memberikan kemenangan kepada Yosua atas bangsa-bangsa itu. Sebaliknya, TUHAN membiarkan mereka tinggal di negeri itu dan tidak segera mengusir mereka. TUHAN membiarkan beberapa bangsa tinggal di negeri Kanaan untuk menguji umat Israel yang belum pernah mengalami peperangan di Kanaan. Dia hendak mengajar tiap-tiap generasi orang Israel untuk berperang, terutama mereka yang belum pernah ikut berperang. Bangsa-bangsa yang masih tinggal di Kanaan ialah bangsa yang tinggal di lima buah kota Filistin, semua bangsa Kanaan, bangsa Sidon, dan bangsa Hewi yang tinggal di Pergunungan Lebanon, bermula dari Gunung Baal-Hermon sampai ke Genting Hamat. Bangsa-bangsa itu menjadi ujian bagi umat Israel, untuk mengetahui sama ada mereka taat ataupun tidak kepada perintah yang diberikan TUHAN kepada nenek moyang mereka melalui Musa. Itulah sebabnya orang Kanaan, Het, Amori, Feris, Hewi, dan Yebusi tetap tinggal di negeri itu bersama-sama umat Israel. Umat Israel berkahwin dengan bangsa-bangsa itu dan turut menyembah dewa-dewa mereka. Umat Israel lupa akan TUHAN, Allah mereka. Mereka berdosa terhadap TUHAN dan menyembah berhala-berhala Baal dan Asyera. Oleh itu TUHAN sangat murka terhadap mereka, lalu membiarkan Raja Kusyan-Risyataim dari Mesopotamia menaklukkan mereka. Mereka diperintah oleh raja itu selama lapan tahun. Kemudian umat Israel berseru minta tolong kepada TUHAN, lalu Dia mengutus seorang lelaki bernama Otniel anak Kenas untuk membebaskan mereka. Kenas ialah adik lelaki Kaleb. Roh TUHAN menguasai Otniel, dan dia menjadi pemimpin umat Israel. Otniel pergi berperang, dan TUHAN memberi dia kemenangan atas raja Mesopotamia. Negeri itu aman selama empat puluh tahun, kemudian Otniel meninggal. Umat Israel berdosa lagi terhadap TUHAN. Oleh sebab itu TUHAN menjadikan Raja Eglon dari Moab, lebih kuat daripada Israel. Raja Eglon bergabung dengan orang Amori dan orang Amalek lalu mengalahkan Israel, kemudian merebut Yerikho, kota pokok kurma. Umat Israel dijajah oleh Raja Eglon selama lapan belas tahun. Kemudian umat Israel berseru minta tolong kepada TUHAN, lalu Dia mengutus Ehud anak Gera untuk membebaskan mereka; Ehud seorang yang kidal, daripada suku Benyamin. Umat Israel mengutus Ehud untuk menghantar ufti kepada Raja Eglon dari Moab. Ehud membuat sebilah pedang yang bermata dua, yang panjangnya hampir lima puluh sentimeter. Dia mengikat pedang itu pada pinggangnya sebelah kanan, di dalam bajunya. Kemudian dia pergi menghantar ufti kepada Raja Eglon. Raja itu gemuk gedempong. Setelah Ehud menyerahkan ufti itu, dia menyuruh semua orang yang membawa ufti itu pulang. Tetapi Ehud sendiri berpatah balik ketika dia tiba di batu-batu berukir dekat Gilgal, lalu kembali kepada Raja Eglon. Ehud berkata kepada raja, “Tuanku, ada rahsia yang hendak hamba sampaikan kepada tuanku.” Raja bertitah kepada hamba-hambanya, “Tinggalkanlah kami berdua!” Lalu hamba-hamba baginda semua keluar dari situ. Pada masa itu raja duduk seorang diri di dalam bilik yang dingin di bumbung istananya. Kemudian Ehud menghampiri raja dan berkata, “Hamba ada berita daripada Allah untuk tuanku.” Mendengar kata-kata itu, raja berdiri. Kemudian dengan tangan kiri, Ehud menghunus pedang dari pinggangnya sebelah kanan dan menikam perut raja. Seluruh pedang itu terbenam ke dalam perut raja, termasuk tangkai pedang ke dalam lemak perut raja, sampai tembus ke belakang, di antara kakinya. Ehud tidak mencabut pedang itu dari perut raja. Kemudian Ehud keluar. Dia menutup pintu bilik itu dan menguncinya, lalu meninggalkan tempat itu. Ketika hamba-hamba raja datang dan nampak pintu itu terkunci, mereka menyangka raja masih di dalam dan sedang membuang air. Setelah lama menunggu, dan raja tidak juga membuka pintu, mereka mengambil anak kunci dan membuka pintu. Di dalam bilik itu mereka nampak raja mereka mati terlentang di atas lantai. Sementara hamba-hamba raja itu masih menunggu, Ehud melarikan diri. Dia melintasi batu-batu yang berukir dan lari ke Seira. Apabila Ehud tiba di kawasan perbukitan Efraim, dia meniup trompet untuk memanggil orang Israel berperang. Mereka datang, lalu dia memimpin mereka turun dari kawasan perbukitan itu. Ehud berkata, “Ikutlah saya! TUHAN telah memberi kamu kemenangan atas orang Moab, musuh kamu.” Oleh itu mereka mengikut Ehud turun dari perbukitan itu. Mereka merebut tempat penyeberangan orang Moab di Sungai Yordan. Mereka tidak membiarkan seorang musuh pun pergi ke seberang. Pada masa itu mereka membunuh kira-kira sepuluh ribu orang askar Moab yang terbaik; tiada seorang pun dapat melarikan diri. Pada hari itu umat Israel mengalahkan orang Moab, dan negeri Israel aman selama lapan puluh tahun. Pemimpin yang berikut ialah Samgar anak Anat. Dia juga berjuang dan membebaskan orang Israel. Dia membunuh enam ratus orang Filistin dengan tongkat penggiring lembu. Selepas Ehud meninggal, umat Israel berdosa lagi terhadap TUHAN. Oleh itu TUHAN membiarkan mereka dikalahkan oleh Raja Yabin, raja orang Kanaan yang memerintah di kota Hazor. Panglima tenteranya ialah Sisera, yang tinggal di Haroset-Hagoyim. Raja Yabin mempunyai sembilan ratus buah kereta kuda daripada besi. Baginda menjajah umat Israel dengan kejam dan ganas selama dua puluh tahun. Kemudian umat Israel berseru minta tolong kepada TUHAN. Pada masa itu pemimpin Israel ialah seorang nabi perempuan yang bernama Debora, isteri Lapidot. Biasanya Debora duduk di bawah sebatang pokok kurma, di antara Rama dan Betel, di kawasan perbukitan Efraim. Di situlah umat Israel datang untuk meminta nasihatnya. Pada suatu hari, Debora menyuruh orang memanggil Barak anak Abinoam dari kota Kedes di wilayah Naftali. Debora berkata kepadanya, “TUHAN, Allah Israel telah memberikan perintah ini kepadamu, ‘Kerahlah sepuluh ribu orang daripada suku Naftali dan suku Zebulon, dan pimpinlah mereka ke Gunung Tabor. Aku akan menyebabkan Sisera, panglima tentera Raja Yabin, berperang dengan engkau di Sungai Kison. Walaupun dia mempunyai kereta kuda dan tentera, Aku akan memberi engkau kemenangan.’ ” Kemudian Barak menjawab, “Saya akan pergi jika puan pergi bersama-sama saya. Tetapi jika puan tidak pergi, saya pun tidak mahu pergi.” Debora berkata, “Baiklah, saya akan pergi bersama-sama kamu, tetapi kamu tidak akan mendapat kehormatan daripada kemenangan itu, kerana TUHAN akan menyerahkan Sisera kepada seorang perempuan.” Kemudian Debora berangkat ke Kedes bersama-sama Barak. Barak menyuruh suku Zebulon dan suku Naftali supaya pergi ke Kedes. Orang yang mengikuti Barak dan Debora ketika itu sebanyak sepuluh ribu orang. Sementara itu, Heber, orang Keni telah memasang khemahnya dekat Kedes, berhampiran dengan pokok oak di Zaanaim. Heber ialah keturunan Hobab, ipar Musa, tetapi Heber telah memisahkan diri daripada kaumnya. Apabila Sisera mendengar bahawa Barak anak Abinoam telah pergi ke Gunung Tabor, dia mengumpulkan sembilan ratus buah kereta kudanya yang dibuat daripada besi, bersama dengan seluruh tenteranya, lalu dia membawa mereka dari Haroset-Hagoyim ke Sungai Kison. Kemudian Debora berkata kepada Barak, “Majulah! TUHAN menyertai kamu! Pada hari ini TUHAN telah memberi kamu kemenangan atas Sisera.” Oleh itu Barak turun dari Gunung Tabor bersama dengan sepuluh ribu orangnya. Ketika Barak dan tenteranya menyerang Sisera, TUHAN membingungkan Sisera bersama dengan seluruh tentera dan kereta kudanya. Sisera turun dari kereta kudanya, lalu melarikan diri. Barak mengejar kereta kuda dan tentera musuh sampai ke Haroset-Hagoyim. Seluruh angkatan tentera Sisera dibunuh; tiada seorang pun yang dibiarkan hidup. Sementara itu Sisera melarikan diri ke khemah Yael, isteri Heber, orang Keni itu, kerana Raja Yabin dari Hazor, bersahabat dengan keluarga Heber. Ketika Sisera tiba, Yael menyambut dia dan berkata, “Tuan, masuklah ke dalam khemah saya. Tak usah takut.” Sisera masuk, lalu Yael menyembunyikan dia di belakang tirai. Sisera berkata kepada Yael, “Tolong beri saya sedikit air minum. Saya haus.” Yael membuka kirbat kulitnya yang mengandungi susu, lalu memberi Sisera minum. Kemudian Yael menyembunyikan Sisera lagi. Setelah itu, Sisera memberitahu Yael, “Berdirilah di pintu khemah. Sekiranya ada orang datang dan bertanya jika ada sesiapa di sini, katakanlah tidak ada.” Sisera sangat letih sehingga dia tertidur lelap. Yael mengambil sebuah tukul dan sebatang pasak khemah. Kemudian dengan senyap-senyap dia menghampiri Sisera, dan dengan tukul dia memakukan pasak itu di pelipis Sisera, sehingga pasak itu tembus ke tanah. Demikianlah Yael membunuh Sisera. Apabila Barak datang mencari Sisera, Yael menemui dia dan berkata, “Mari! Saya akan menunjukkan orang yang tuan cari.” Barak masuk bersama dengan Yael, lalu nampak Sisera mati terlentang di situ, dengan pasak terpaku di pelipisnya. Pada hari itu, Allah memberi orang Israel kemenangan atas Raja Yabin, raja Kanaan. Kemudian raja itu semakin lama semakin didesak oleh orang Israel sehingga akhirnya baginda dibinasakan oleh mereka. Pada hari itu, Debora dan Barak anak Abinoam menyanyikan lagu ini: Pujilah TUHAN! Pahlawan Israel bertekad untuk berperang; rakyat rela berjuang. Dengarlah, hai raja-raja! Perhatikanlah, hai para penguasa! Aku akan bernyanyi dan bermain muzik bagi TUHAN, Allah Israel. Ya TUHAN, apabila Engkau meninggalkan pergunungan Seir, ketika Engkau keluar dari daerah Edom, bumi bergetar dan hujan turun dari langit. Air mencurah dari awan-awan. Gunung bergoncang di hadapan TUHAN, penguasa Sinai, di hadapan TUHAN, Allah umat Israel. Pada zaman Samgar anak Anat, pada zaman Yael juga, kafilah tidak lagi melintasi negeri, pengembara mengikut jalan samping. Kota-kota di Israel ditinggalkan, hai Debora, sunyi sepi sehingga engkau datang; engkau datang sebagai ibu umat Israel. Kemudian perang berlaku di dalam negeri apabila orang Israel mula menyembah dewa. Tiada satu pun senjata yang diangkat oleh empat puluh ribu orang Israel. Aku bangga dengan para panglima Israel dan dengan rakyat yang rela berjuang. Pujilah TUHAN! Isytiharkanlah hal itu, hai kamu yang menunggang keldai putih, kamu yang duduk di atas pelana, dan kamu yang berjalan kaki. Dengarlah! Orang ramai di sekeliling perigi sedang memberitakan kemenangan TUHAN, kemenangan umat Israel! Kemudian umat TUHAN berarak turun dari kota-kota mereka. Bangkitlah, hai Debora, bangkitlah! Bangkitlah, dan bernyanyilah! Bangunlah, hai Barak anak Abinoam! Giringlah orang tawananmu! Kemudian para bangsawan yang tertinggal datang kepada pemimpin mereka; umat TUHAN datang kepada-Nya, siap untuk berjuang. Mereka datang dari Efraim ke lembah, mengikuti suku Benyamin yang berjalan di hadapan. Para panglima datang dari Makhir, para pegawai tentera dari Zebulon. Para pemimpin suku Isakhar datang bersama dengan Debora, pemimpin suku Isakhar datang dan Barak pun turut serta. Mereka mengikuti dia sampai ke lembah. Tetapi suku Ruben terbahagi-bahagi, mereka tidak sepakat untuk datang. Mengapakah mereka tidak mahu ikut, dan tinggal dengan domba? Adakah untuk mendengarkan gembala memanggil domba? Sesungguhnya suku Ruben terbahagi-bahagi, mereka tidak sepakat untuk datang. Suku Gad tinggal di sebelah timur Sungai Yordan, suku Dan tinggal berhampiran kapal-kapal. Suku Asyer tinggal di sepanjang pantai; mereka tetap tinggal di situ. Tetapi suku Zebulon dan suku Naftali mempertaruhkan nyawa di medan perang. Di Taanakh, dekat sungai di Megido, raja-raja datang untuk berperang; raja-raja Kanaan berjuang, tetapi mereka tidak mengambil perak sebagai jarahan. Dari tempat peredaran bintang di angkasa, bintang turut berjuang melawan Sisera. Air deras Sungai Kison menghanyutkan musuh. Aku akan terus maju dengan kekuatan! Lalu kuda menderap dengan laju, menghentam-hentam dengan telapak. “Kutuklah Meros,” sabda malaikat TUHAN, “kutuklah, kutuklah penduduk di sana. Mereka tidak datang memberikan bantuan sebagai pahlawan yang berjuang untuk TUHAN.” Diberkatilah Yael, isteri Heber, orang Keni itu. Dialah wanita yang paling diberkati di kalangan semua wanita yang tinggal di khemah. Sisera meminta air, tetapi Yael memberi dia susu, Yael memberi dia susu pekat di dalam cawan yang cantik. Dengan sebelah tangan dia memegang pasak, dengan tangan yang sebelah lagi dia memegang tukul; Yael menukul pelipis Sisera, dia memalu dan meremukkan kepala Sisera. Sisera jatuh dan rebah terlentang; di kaki Yael dia rebah dan meninggal. Ibu Sisera menjenguk dari tingkap; dia menatap dari kisi-kisi jendela. Dia bertanya, “Mengapakah kereta kudanya belum tiba lagi? Mengapakah kudanya lambat sekali kembali?” Dayang-dayangnya yang paling bijak menjawab, demikian juga berulang-ulang dia sendiri berkata, “Mereka sedang mengambil barang jarahan untuk dibahagi-bahagikan, supaya setiap askar mendapat satu atau dua orang anak dara; Sisera mendapat kain berharga, permaisuri mendapat selendang bersulam aneka warna.” Semoga semua musuh-Mu, ya TUHAN, mati seperti Sisera; tetapi semoga sahabat-Mu megah seperti suria di angkasa! Kemudian negeri itu aman selama empat puluh tahun. Sekali lagi umat Israel berdosa terhadap TUHAN. Oleh itu TUHAN membiarkan orang Midian menjajah mereka selama tujuh tahun. Orang Midian lebih kuat daripada umat Israel. Itulah sebabnya umat Israel bersembunyi di dalam gua dan tempat lain yang selamat di bukit-bukit. Setiap kali orang Israel bercucuk tanam, orang Midian datang bersama dengan orang Amalek dan suku lain dari padang gurun, lalu menyerang orang Israel. Mereka berkhemah di negeri Israel lalu memusnahkan semua tanaman di sana sampai ke daerah di sekitar Gaza di selatan. Mereka merampas semua ternakan umat Israel - domba, lembu, dan keldai. Tidak ada sesuatu pun yang ditinggalkan sehingga umat Israel tidak mempunyai makanan sama sekali. Mereka berduyun-duyun datang dengan ternakan dan khemah mereka yang banyak sekali, umpama kawanan belalang yang besar. Mereka dan unta mereka terlalu banyak sehingga tidak dapat dihitung. Mereka datang memusnahkan negeri itu, dan umat Israel tidak berdaya menentang mereka. Kemudian umat Israel berseru meminta TUHAN menolong mereka melawan orang Midian. Oleh itu TUHAN mengutus seorang nabi kepada mereka. Nabi itu berkata, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku telah menyelamatkan kamu daripada perhambaan di Mesir. Aku telah menyelamatkan kamu daripada orang Mesir dan penduduk negeri ini yang melawan kamu. Aku mengusir mereka ketika kamu menyerang mereka, lalu Aku memberi kamu negeri mereka. Aku memberitahu kamu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu, dan bahawa kamu tidak boleh menyembah dewa-dewa orang Amori, yang negerinya kamu diami sekarang. Tetapi kamu tidak mentaati firman-Ku.’ ” Kemudian pada suatu hari malaikat TUHAN datang ke pekan Ofra dan duduk di bawah pokok oak kepunyaan Yoas, seorang daripada puak Abiezer. Anak lelaki Yoas yang bernama Gideon sedang mengirik gandum di tempat memeras anggur. Dia melakukan kerja itu dengan sembunyi-sembunyi supaya orang Midian tidak nampak dia. Malaikat TUHAN menampakkan diri kepada Gideon di situ dan berkata, “TUHAN menyertai engkau, hai pemuda yang gagah berani!” Gideon berkata kepadanya, “Benarkanlah aku bertanya. Jika TUHAN sungguh menyertai kami, mengapakah segala perkara ini berlaku kepada kami? Di manakah segala perbuatan ajaib yang pernah dilakukan TUHAN dahulu, yang diceritakan oleh nenek moyang kami tentang TUHAN mengeluarkan mereka dari Mesir? Sekarang TUHAN telah meninggalkan kami dan menyerahkan kami ke tangan orang Midian.” Kemudian TUHAN memberikan perintah ini kepada Gideon, “Dengan segenap tenagamu, pergilah bebaskan orang Israel daripada orang Midian. Akulah yang mengutus engkau.” Gideon menjawab, “Tetapi Tuhan bagaimana mungkin aku menyelamatkan umat Israel? Puakku yang paling lemah di kalangan suku Manasye. Lagi pun, akulah yang paling tidak penting dalam keluargaku.” TUHAN berfirman kepadanya, “Aku akan menolong engkau, kerana itu engkau pasti berjaya. Engkau akan mengalahkan orang Midian seolah-olah engkau berhadapan dengan satu orang sahaja.” Gideon berkata, “Jika aku betul-betul diperkenan oleh Tuhan, berilah aku bukti bahawa TUHAN yang memberikan perintah itu kepada aku. Tolong jangan pergi sebelum aku membawa persembahan untuk Tuhan.” Dia menjawab, “Aku akan menunggu sehingga engkau kembali.” Oleh itu Gideon pulang ke rumah lalu memasak seekor kambing muda. Dia juga mengambil sepuluh kilogram tepung, kemudian membuat roti yang tidak beragi. Dia meletakkan daging itu di dalam bakul dan kuahnya di dalam belanga, lalu membawa semua itu dan menghidangnya kepada malaikat yang sedang menunggu di bawah pokok oak. Malaikat TUHAN berkata kepadanya, “Letakkanlah daging dan roti itu di atas batu ini dan tuanglah kuah daging itu ke atas semuanya.” Gideon berbuat demikian. Kemudian malaikat TUHAN menghulurkan kayu yang dipegangnya, dan menyentuh daging dan roti dengan hujung kayu itu. Batu itu menyala lalu menghanguskan daging dan roti itu. Kemudian malaikat itu hilang dari pandangan. Gideon menyedari bahawa yang telah datang kepadanya itu malaikat TUHAN. Dengan takut Gideon berkata, “Ya TUHAN Raja, aku telah berhadapan muka dengan malaikat-Mu!” Tetapi TUHAN berfirman kepadanya, “Janganlah takut. Bertenanglah. Engkau tidak akan mati.” Gideon membina sebuah mazbah untuk TUHAN di sana dan menamakannya “TUHAN Sumber Kesejahteraan”. Sampai sekarang mazbah itu masih ada di Ofra, kota milik puak Abiezer. Pada malam itu TUHAN berfirman kepada Gideon, “Ambillah seekor lembu jantan milik bapamu, iaitu lembu jantan yang terbaik yang berumur tujuh tahun. Bongkarlah mazbah yang dibina oleh bapamu untuk Baal, dan robohlah tiang lambang Dewi Asyera yang di sisi mazbah itu. Binalah sebuah mazbah yang batunya disusun dengan baik di atas timbunan itu; mazbah itu bagi TUHAN, Allahmu. Kemudian ambillah lembu itu dan bakarlah seluruhnya sebagai korban. Gunakanlah tiang lambang Dewi Asyera yang telah engkau robohkan itu sebagai kayu api.” Kemudian Gideon memilih sepuluh orang hambanya, lalu pergi melakukan apa yang diperintahkan TUHAN. Oleh sebab dia takut terhadap keluarganya dan penduduk kota itu, dia tidak berani melakukannya pada siang hari. Dia melakukannya pada waktu malam. Ketika penduduk kota itu bangun esok paginya, mereka mendapati bahawa mazbah Baal dan tiang lambang Dewi Asyera telah dirobohkan. Mereka nampak juga bahawa di tempat itu telah dibina sebuah mazbah, dan lembu jantan itu telah dibakar sebagai korban. Mereka bertanya satu sama lain, “Perbuatan siapakah ini?” Mereka menyiasat lalu mengetahui bahawa Gideon anak Yoas telah melakukannya. Kemudian mereka berkata kepada Yoas, “Bawalah anakmu ke mari supaya kami dapat membunuh dia! Dia telah membongkar mazbah Baal dan merobohkan tiang lambang Dewi Asyera yang di sisi mazbah itu.” Tetapi Yoas berkata kepada semua orang yang mencabar dia, “Adakah kamu memihak Baal? Adakah kamu mahu membela dia? Sesiapa yang membela Baal akan dibunuh pada hari ini. Jika Baal itu memang tuhan, biarlah dia membela dirinya sendiri, kerana yang dibongkar itu mazbahnya.” Sejak itu orang menamakan Gideon “Yerubaal”, kerana Yoas berkata, “Biarlah Baal membela dirinya sendiri kerana yang dibongkar itu mazbahnya.” Kemudian semua orang Midian, orang Amalek, dan suku-suku lain di padang gurun berkumpul. Mereka menyeberang Sungai Yordan lalu berkhemah di Lembah Yizreel. Roh TUHAN menguasai Gideon, dan Gideon meniup trompet untuk memanggil orang daripada puak Abiezer supaya mengikut dia. Gideon juga mengirim utusan-utusan kepada kedua-dua wilayah suku Manasye untuk memanggil mereka mengikut dia. Gideon juga mengirim utusan kepada suku Asyer, Zebulon, dan Naftali. Kemudian mereka juga datang bergabung dengan Gideon. Kemudian Gideon berkata kepada Allah, “Engkau telah berfirman bahawa Engkau akan menggunakan aku untuk membebaskan umat Israel. Sekarang aku meletakkan guntingan bulu domba ini di atas tanah tempat kami mengirik gandum. Jika esok pagi embun hanya terdapat pada guntingan bulu domba ini dan tidak terdapat di atas tanah, maka itulah buktinya bahawa sesungguhnya Engkau mahu menggunakan aku untuk membebaskan umat Israel.” Esok paginya, perkara itu benar-benar terjadi. Apabila Gideon bangun pagi-pagi, dia memeras guntingan bulu domba itu dan mendapat air embun sebanyak satu cawan. Kemudian Gideon berkata kepada Allah, “Janganlah murka kepadaku; benarkanlah aku berkata satu kali lagi. Benarkanlah aku membuat satu ujian lagi dengan guntingan bulu itu. Kali ini biarlah guntingan bulu domba itu kering, tetapi tanah basah.” Pada malam itu Allah mengabulkan permintaan Gideon. Esok paginya guntingan bulu domba itu kering, tetapi tanah dibasahi embun. Pada suatu hari, Gideon dan semua anak buahnya bangun pagi-pagi. Mereka berangkat lalu berkhemah dekat mata air Harod. Orang Midian sedang berkhemah di lembah sebelah utara mereka, dekat Bukit More. TUHAN berfirman kepada Gideon, “Anak buahmu terlalu banyak. Aku tidak mahu memberi mereka kemenangan atas orang Midian. Nanti mereka akan berfikir bahawa mereka menang kerana kekuatan mereka sendiri, sehingga tidak memuliakan Aku. Oleh itu umumkanlah kepada anak buahmu, ‘Sesiapa yang berasa takut, harus segera meninggalkan Gunung Gilead dan pulang ke rumahnya!’ ” Oleh itu dua puluh dua ribu orang pulang; hanya sepuluh ribu orang yang tinggal. Kemudian TUHAN berfirman kepada Gideon, “Masih terlalu banyak anak buahmu. Bawalah mereka ke sungai. Di situ Aku akan memilih mereka bagimu. Jika Aku berfirman kepadamu, ‘Orang ini harus pergi dengan engkau,’ dia harus pergi. Tetapi jika Aku berfirman, ‘Orang ini tidak boleh pergi dengan engkau,’ dia tidak boleh pergi.” Gideon membawa semua anak buahnya ke sungai, lalu TUHAN berfirman kepada Gideon, “Orang yang menjilat air seperti anjing harus engkau pisahkan daripada orang yang berlutut untuk minum.” Sebanyak tiga ratus orang menjilat air dari tangan, sedangkan yang lain berlutut untuk minum. Kemudian TUHAN berfirman kepada Gideon, “Aku akan menyelamatkan engkau dan memberi engkau kemenangan atas orang Midian dengan tiga ratus orang yang menjilat air. Suruhlah semua orang yang lain itu pulang.” Oleh itu Gideon menyuruh semua orang Israel yang lain pulang, kecuali tiga ratus orang itu. Semua bekal dan trompet diambil daripada mereka yang pulang. Ketika itu orang Midian berkhemah di lembah, di bawah tempat orang Israel berkhemah. Pada malam itu TUHAN berfirman kepada Gideon, “Bangunlah! Pergilah serang perkhemahan orang Midian. Aku memberi engkau kemenangan atas mereka. Jika engkau takut menyerang mereka, pergilah ke perkhemahan mereka bersama dengan Pura, hambamu. Di situ engkau akan mendengar apa yang sedang dipercakapkan musuh, lalu engkau akan berani menyerang mereka.” Oleh itu Gideon dan hambanya Pura pergi ke pinggir perkhemahan musuh. Orang Midian, orang Amalek, dan suku-suku lain dari padang gurun, tersebar di seluruh lembah itu seperti kawanan belalang. Unta mereka banyak sekali, bagaikan pasir di pantai. Apabila Gideon sampai di situ, dia mendengar seseorang sedang menceritakan mimpinya kepada seorang kawan. Orang itu berkata, “Aku bermimpi ada sebuku roti barli terguling-guling masuk ke dalam perkhemahan kita. Roti itu melanggar sebuah khemah, lalu khemah itu roboh sama sekali.” Kawannya menjawab, “Itu pedang Gideon anak Yoas, orang Israel itu. Nyatalah bahawa Allah sudah memberi dia kemenangan atas orang Midian dan seluruh angkatan tentera kita!” Apabila Gideon mendengar mimpi orang itu dan maknanya, dia bersujud menyembah Allah. Kemudian dia kembali ke perkhemahan Israel dan berkata, “Bersedialah! TUHAN memberi kamu kemenangan atas angkatan tentera Midian!” Gideon membahagikan anak buahnya kepada tiga pasukan. Kemudian dia memberi tiap-tiap orang sebuah trompet dan sebuah buyung yang berisi obor. Gideon berkata kepada mereka, “Apabila aku sampai di depan perkhemahan musuh, perhatikan aku baik-baik. Lakukan apa yang aku lakukan. Apabila aku dan pasukanku meniup trompet, kamu juga harus meniup trompet kamu di sekeliling perkhemahan musuh serta berteriak, ‘Untuk TUHAN dan untuk Gideon!’ ” Menjelang tengah malam, Gideon dan seratus orang anak buahnya sampai di pinggir perkhemahan musuh. Pada waktu itu orang yang mengawal perkhemahan itu baru sahaja berganti berkawal. Kemudian Gideon dan pasukannya meniup trompet dan memecahkan buyung mereka. Kedua-dua pasukan yang lain itu pun berbuat demikian. Mereka semua mengangkat obor dengan tangan kiri, dan trompet dengan tangan kanan, lalu berteriak, “Pedang untuk TUHAN dan untuk Gideon!” Mereka semuanya tetap berdiri di tempat masing-masing di sekeliling perkhemahan itu. Kemudian seluruh angkatan tentera musuh lari sambil menjerit-jerit. Sementara anak buah Gideon meniup trompet mereka, TUHAN menyebabkan pasukan musuh menyerang sesama sendiri dengan pedang. Mereka lari ke arah Zerera sampai ke Bet-Sita dan kota Abel-Mehola, dekat Tabat. Kemudian orang daripada suku Naftali, Asyer, dan kedua-dua bahagian suku Manasye dipanggil, lalu mereka mengejar orang Midian. Gideon mengutus orang ke seluruh perbukitan Efraim untuk menyampaikan seruan ini, “Mari turun untuk memerangi orang Midian. Pertahankanlah Sungai Yordan dan semua anak sungai sampai ke Bet-Bara. Jangan biarkan orang Midian menyeberang di sana.” Suku Efraim dikerah, lalu mereka mempertahankan Sungai Yordan dan semua anak sungai sampai ke Bet-Bara. Mereka menangkap dua orang penguasa Midian, iaitu Oreb dan Zeeb. Mereka membunuh Oreb di Batu Oreb, dan membunuh Zeeb di tempat memeras anggur di Zeeb. Orang Efraim terus mengejar orang Midian, lalu membawa kepala Oreb dan Zeeb kepada Gideon di sebelah timur Sungai Yordan. Selepas itu suku Efraim berkata kepada Gideon, “Mengapa engkau tidak memanggil kami ketika engkau berperang melawan orang Midian? Mengapa engkau memperlakukan kami demikian?” Demikianlah mereka bersungut-sungut terhadap Gideon. Tetapi Gideon berkata kepada mereka, “Perbuatanku ini tidaklah seberapa penting jika dibandingkan dengan perbuatan kamu. Bahkan sedikit yang dilakukan oleh orang Efraim lebih berharga daripada segala yang dilakukan oleh seluruh puak Abiezer. Dengan kuasa Allah kamu telah membunuh dua orang penguasa Midian itu, Oreb dan Zeeb. Apalah jasaku jika dibandingkan dengan perbuatan kamu itu!” Setelah Gideon berkata begitu, mereka tidak marah lagi. Pada masa itu Gideon bersama dengan tiga ratus orang anak buahnya telah sampai ke Sungai Yordan dan telah menyeberanginya. Mereka letih sekali, tetapi mereka masih terus mengejar musuh. Kemudian mereka sampai di Sukot. Di situ Gideon berkata kepada penduduk kota Sukot, “Tolonglah beri anak buahku sedikit makanan. Mereka letih sekali, sedangkan kami masih mengejar Zebah dan Salmuna, raja-raja Midian itu.” Tetapi pemimpin-pemimpin kota Sukot berkata, “Mengapa kami harus memberi tenteramu makanan? Kamu belum lagi menangkap Zebah dan Salmuna!” Oleh itu Gideon berkata, “Baiklah! Apabila TUHAN menyerahkan Zebah dan Salmuna kepadaku, aku akan mencambuk tubuh kamu dengan duri dan onak dari padang gurun!” Kemudian Gideon meneruskan perjalanannya ke Penuel. Di Penuel dia minta tolong kepada penduduk kota itu, tetapi jawapan penduduk kota itu sama seperti jawapan orang Sukot. Oleh itu Gideon berkata kepada mereka, “Aku akan pulang dengan selamat. Pada masa itu aku akan merobohkan menara kota ini!” Pada masa itu, Zebah dan Salmuna berada di Karkor dengan seluruh tentera mereka. Daripada segenap tentera orang padang gurun itu, cuma kira-kira 15,000 orang yang masih ada; 120,000 orang telah dibunuh. Gideon menyusuri sempadan padang gurun di sebelah timur Nobah dan Yogbeha, lalu menyerang tentera musuh secara mendadak. Zebah dan Salmuna, dua orang raja Midian itu lari. Tetapi Gideon mengejar dan menangkap mereka, sehingga seluruh tentera musuh cemas. Selepas itu Gideon kembali dari peperangan melalui Genting Heres. Di tengah jalan Gideon menangkap seorang pemuda dari Sukot lalu memintanya memberikan nama para pemimpin kota itu. Pemuda itu menuliskan nama 77 orang pemimpin kota Sukot untuk Gideon. Selepas itu Gideon pergi kepada para pemimpin itu dan berkata, “Ingatkah kamu bahawa kamu tidak mahu menolong aku dahulu? Kamu tidak mahu memberikan makanan kepada askar-askarku yang letih, kerana kamu berkata aku belum menangkap Zebah dan Salmuna. Nah, inilah mereka!” Kemudian Gideon mengambil duri dan onak dari padang gurun, lalu menggunakannya untuk menghukum para pemimpin Sukot. Gideon juga merobohkan menara kota Penuel dan membunuh semua orang lelaki di kota itu. Selepas itu Gideon bertanya kepada Zebah dan Salmuna, “Bagaimanakah rupa orang yang kamu bunuh di Tabor itu?” Mereka menjawab, “Rupa mereka mirip kamu, seperti keturunan bangsawan.” Gideon berkata, “Mereka saudaraku, anak-anak ibuku. Aku bersumpah bahawa jika kamu tidak membunuh mereka, aku pun tidak akan membunuh kamu.” Kemudian Gideon berkata kepada Yeter, anak sulungnya yang lelaki, “Bunuhlah mereka!” Tetapi Yeter tidak menghunus pedangnya. Dia takut kerana dia masih muda. Zebah dan Salmuna berkata kepada Gideon, “Ayuh, kalau engkau lelaki, bunuhlah kami dengan tanganmu sendiri!” Oleh itu Gideon membunuh mereka, lalu mengambil semua perhiasan yang ada pada leher unta mereka. Selepas itu umat Israel berkata kepada Gideon, “Tuan telah menyelamatkan kami daripada kekuasaan orang Midian. Sekarang hendaklah tuan menjadi pemimpin kami - tuan dan keturunan tuan.” Gideon menjawab, “Saya tidak akan menjadi pemimpin kamu; anak saya pun tidak. TUHAN yang menjadi pemimpin kamu.” Tetapi Gideon berkata lagi, “Hanya satu permintaan saya. Hendaklah kamu memberi saya anting-anting yang telah kamu rampas daripada musuh.” (Orang Midian seperti bangsa-bangsa lain yang tinggal di padang gurun, semuanya beranting-anting emas.) Umat Israel menjawab, “Kami rela memberikannya kepada tuan.” Mereka membentangkan sehelai kain, lalu tiap-tiap orang meletakkan anting-anting yang telah dirampasnya di situ. Semua anting-anting emas yang diberikan kepada Gideon pada masa itu beratnya hampir dua puluh kilogram, tidak termasuk perhiasan-perhiasan, kalung, dan kain ungu yang dipakai oleh raja-raja Midian, serta rantai yang dikenakan pada leher unta mereka. Daripada emas itu, Gideon membuat sebuah patung berhala, lalu meletakkannya di Ofra, kampung halamannya. Segenap umat Israel pergi ke sana untuk menyembah berhala itu, sehingga mereka tidak lagi menyembah Allah. Perkara itu menjadi perangkap bagi Gideon dan keluarganya. Demikianlah orang Midian dikalahkan oleh umat Israel. Orang Midian tidak lagi menjadi ancaman kepada mereka. Negeri itu aman selama empat puluh tahun, selama Gideon masih hidup. Selepas peperangan itu, Gideon balik ke kampung halamannya dan tinggal di sana. Dia mempunyai tujuh puluh orang anak lelaki kerana isterinya banyak. Dia juga mempunyai seorang gundik di Sikhem. Gundik itu melahirkan seorang anak lelaki untuknya yang dinamakannya Abimelekh. Gideon anak Yoas meninggal ketika umurnya sangat lanjut. Dia dikebumikan di kuburan bapanya, Yoas. Kuburan itu terletak di Ofra, kota puak Abiezer. Setelah Gideon meninggal, umat Israel tidak lagi setia kepada Allah. Mereka menyembah dewa-dewa Baal dan menjadikan Baal-Berit dewa mereka. Mereka tidak lagi beribadat kepada TUHAN, Allah mereka, yang telah membebaskan mereka daripada kekuasaan semua musuh di sekeliling mereka. Mereka juga tidak membalas budi keluarga Gideon bagi segala jasa yang telah dilakukannya untuk umat Israel. Pada suatu hari, Abimelekh anak Gideon pergi ke kota Sikhem, tempat kaum keluarga ibunya. Di sana dia menyuruh mereka bertanya kepada penduduk Sikhem, “Yang manakah lebih baik? Diperintah oleh tujuh puluh orang anak lelaki Gideon atau oleh seorang saja? Ingatlah bahawa Abimelekh masih ada hubungan darah dengan kamu.” Saudara mara ibu Abimelekh merundingkan hal itu dengan penduduk Sikhem bagi Abimelekh. Kemudian penduduk Sikhem mengambil keputusan untuk mengikut Abimelekh, kerana Abimelekh masih ada hubungan darah dengan mereka. Mereka memberi Abimelekh tujuh puluh keping perak dari kuil Baal-Berit. Dengan wang itu Abimelekh mengupah segerombolan orang jahat untuk bergabung dengannya. Selepas itu dia pergi ke rumah bapanya di Ofra. Di sana, di atas sebuah batu dia membunuh tujuh puluh orang anak lelaki Gideon, saudara-saudaranya itu. Tetapi Yotam, anak bongsu Gideon, menyembunyikan diri sehingga tidak terbunuh. Kemudian penduduk Sikhem dan Bet-Milo berkumpul. Mereka pergi ke bawah pokok oak, iaitu pokok keramat di Sikhem, lalu menabalkan Abimelekh menjadi raja. Apabila Yotam mendengar hal itu, dia berdiri di puncak Gunung Gerizim lalu berseru kepada mereka, “Dengarkan perkataanku, hai penduduk Sikhem, supaya Allah pun mendengarkan kamu! Pada suatu masa, pokok-pokok berkumpul untuk memilih salah satu di kalangan mereka sebagai raja. Mereka berkata kepada pokok zaitun, ‘Jadilah raja kami.’ Pokok zaitun menjawab, ‘Aku tidak dapat berhenti menghasilkan minyak yang digunakan untuk menghormati dewa dan manusia, semata-mata untuk memerintah kamu.’ Kemudian pokok-pokok itu berkata kepada pokok ara, ‘Kamu sajalah yang menjadi raja kami.’ Tetapi pokok ara itu menjawab, ‘Aku tidak dapat berhenti menghasilkan buah yang manis, semata-mata untuk memerintah kamu.’ Oleh sebab itu, pokok-pokok itu berkata kepada pokok anggur, ‘Kamu sajalah yang menjadi raja kami.’ Tetapi pokok anggur itu menjawab, ‘Aku tidak dapat berhenti menghasilkan wain yang menyukakan hati dewa dan manusia, semata-mata untuk memerintah kamu.’ Oleh sebab itu, semua pokok itu berkata kepada semak berduri, ‘Kamu sajalah yang menjadi raja kami.’ Semak berduri menjawab, ‘Jika dengan tulus hati kamu mahu aku menjadi raja kamu, marilah berlindung di bawah naunganku. Tetapi jika tidak, api akan keluar dari cabang-cabangku yang berduri dan membakar semua pokok sedar di Lebanon.’ ” “Ingatlah baik-baik,” Yotam meneruskan lagi, “Adakah kamu tulus hati ketika kamu menabalkan Abimelekh menjadi raja? Adakah kamu menghormati Gideon dan memperlakukan keluarganya dengan sepatutnya kerana jasanya? Ingatlah bahawa bapaku telah berjuang untuk kamu. Dia telah mempertaruhkan nyawanya untuk membebaskan kamu daripada orang Midian. Tetapi sekarang kamu memberontak terhadap keluarga bapaku. Kamu membunuh tujuh puluh orang anak lelakinya di atas sebuah batu, lalu menabalkan Abimelekh semata-mata kerana dia saudara kamu. Abimelekh ialah anak bapaku daripada hamba perempuannya. Jika tindakan kamu terhadap Gideon dan keluarganya pada hari ini memang dilakukan dengan tulus dan ikhlas, bergembiralah kamu dengan Abimelekh, dan biarlah dia juga bergembira dengan kamu. Tetapi jika tidak, biarlah api keluar daripada Abimelekh lalu membakar habis penduduk Sikhem dan Bet-Milo. Begitu juga, biarlah api keluar dari penduduk Sikhem dan Bet-Milo lalu membakar habis Abimelekh.” Selepas itu Yotam lari lalu tinggal di Beer kerana dia takut terhadap Abimelekh, saudaranya itu. Abimelekh memerintah Israel selama tiga tahun. Selepas itu TUHAN menimbulkan permusuhan antara Abimelekh dengan penduduk Sikhem, sehingga mereka memberontak terhadap Abimelekh. Hal itu berlaku supaya terbalas kejahatan Abimelekh dan penduduk Sikhem yang menghasut dia membunuh tujuh puluh orang anak lelaki Gideon. Penduduk Sikhem menempatkan pengadang di puncak-puncak gunung untuk menangkap Abimelekh. Setiap orang yang lalu di situ dirompak oleh pengadang-pengadang itu. Kemudian hal itu dilapor kepada Abimelekh. Pada masa itu, Gaal anak Ebed berpindah ke Sikhem dengan saudara-saudaranya. Penduduk Sikhem percaya kepadanya. Mereka semua pergi ke ladang anggur dan memetik buah anggur. Lalu mereka memeras buah anggur itu, menyediakan wain, dan mengadakan pesta. Mereka makan minum di dalam kuil dewa mereka, sambil memperolok-olokkan Abimelekh. Gaal berkata, “Kita ini penduduk Sikhem. Tetapi siapakah Abimelekh sehingga kita mesti menjadi hambanya? Bukankah dia anak Gideon? Abimelekh dengan Zebul, wakilnya pernah diperhambakan Hemor, bapa Sikhem, nenek moyang kita. Mengapa kita mesti diperhambakan oleh Abimelekh? Setialah kepada nenek moyang kita Hemor! Andaikata saya menjadi pemimpin penduduk Sikhem, saya pasti akan melenyapkan Abimelekh! Saya akan berkata kepadanya, ‘Perkuatlah tentera kamu, dan keluarlah untuk berperang!’ ” Zebul, penguasa kota Sikhem, marah ketika dia mendengar cabaran Gaal. Zebul mengutus orang menyampaikan pesan ini kepada Abimelekh di Aruma, “Gaal anak Ebed dan saudara-saudaranya telah datang ke Sikhem. Mereka telah menghasut penduduk kota ini supaya melawan tuan. Oleh itu, hendaklah tuan dan anak buah tuan berangkat pada waktu malam lalu bersembunyi di ladang. Esok pagi, ketika fajar menyingsing, seranglah kota itu dengan mendadak. Apabila Gaal dan anak buahnya keluar melawan tuan, itulah kesempatan tuan untuk menyerang mereka dengan segenap kekuatan!” Kemudian Abimelekh dan anak buahnya bergerak pada waktu malam. Mereka berpecah menjadi empat pasukan lalu pergi bersembunyi di luar kota Sikhem. Apabila Gaal keluar dan berdiri di pintu gerbang kota, Abimelekh dan anak buahnya keluar dari tempat persembunyian. Ketika Gaal nampak mereka, dia berkata kepada Zebul, “Lihat, ada orang turun ke mari dari puncak-puncak gunung!” Tetapi Zebul berkata, “Ah, itu cuma bayang-bayang di gunung; bukan orang.” Gaal berkata lagi, “Lihatlah, orang sedang turun dari rabung gunung, dan sekumpulan orang sedang menuju ke mari dari arah pokok oak tukang tilik!” Zebul berkata kepada Gaal, “Nah, selama ini kamu pandai bercakap besar. Dahulu kamu bertanya, ‘Mengapa kita harus menjadi hamba Abimelekh?’ Inilah mereka yang kamu hina. Ayuh, majulah dan seranglah mereka.” Gaal memimpin orang Sikhem keluar untuk melawan Abimelekh. Tetapi Abimelekh menyerang Gaal sehingga dia melarikan diri. Orang yang cedera berjatuhan, sampai di depan pintu gerbang kota. Kemudian Abimelekh kembali ke Aruma, lalu menetap di sana. Zebul mengusir Gaal dan saudara-saudaranya sehingga mereka tidak dapat tinggal di Sikhem lagi. Esok harinya, Abimelekh diberitahu bahawa penduduk Sikhem bercadang untuk pergi ke ladang. Oleh itu Abimelekh membawa anak buahnya, membahagikan mereka kepada tiga pasukan, lalu bersembunyi di ladang. Apabila Abimelekh nampak penduduk kota itu meninggalkan kota, dia keluar dari tempat persembunyian lalu membunuh mereka. Abimelekh dan pasukannya cepat-cepat maju menyerbu pintu gerbang kota itu. Sementara itu dua pasukannya yang lain menyerang orang yang di ladang dan membunuh mereka semua. Abimelekh berperang dengan penduduk kota itu sepanjang hari. Dia merebut kota itu dan membunuh penduduknya. Kemudian dia menghancurkan kota itu, lalu menaburinya dengan garam. Apabila semua pemimpin di dalam kubu di Sikhem mendengar hal itu, mereka masuk ke dalam kubu di bawah kuil El-Berit untuk berlindung. Abimelekh diberitahu bahawa mereka telah berkumpul di sana. Oleh itu Abimelekh pergi ke Gunung Zalmon bersama dengan anak buahnya. Di sana dia memotong dahan-dahan kayu dengan kapak, lalu memikul dahan-dahan itu. Dia menyuruh anak buahnya cepat-cepat berbuat begitu juga. Masing-masing menebang dahan-dahan kayu, lalu mengikut Abimelekh dan menimbun dahan-dahan itu di mulut kubu kuil. Kemudian mereka membakar dahan-dahan itu ketika orang Sikhem masih di dalam kubu. Oleh itu penduduk Sikhem semuanya mati - kira-kira seribu orang lelaki dan perempuan. Kemudian Abimelekh pergi ke Tebes. Dia mengepung kota itu dan merebutnya. Di tengah-tengah kota itu ada sebuah menara yang kukuh. Semua orang lelaki dan perempuan di kota itu, termasuk para pemimpinnya, lari ke menara itu. Mereka mengunci pintunya dari dalam lalu naik ke atas. Kemudian Abimelekh tiba untuk menyerang menara itu. Apabila dia sampai ke pintu menara itu dan hendak membakarnya, seorang perempuan menjatuhkan sebuah batu kisaran ke atas kepala Abimelekh sehingga meretakkan tempurung kepalanya. Dengan segera Abimelekh memanggil pemuda yang membawa senjatanya, lalu berkata, “Hunuslah pedangmu dan bunuhlah aku. Aku tidak mahu dikatakan orang bahawa aku dibunuh oleh seorang perempuan.” Pemuda itu menikamnya, lalu Abimelekh meninggal. Apabila umat Israel nampak bahawa Abimelekh telah meninggal, mereka semua pulang. Demikianlah Allah membalas kejahatan Abimelekh terhadap bapanya kerana membunuh tujuh puluh orang saudara Abimelekh. Allah juga menyebabkan penduduk Sikhem menderita kerana kejahatan mereka, sebagaimana yang dikatakan Yotam anak Gideon ketika dia mengutuk mereka. Selepas Abimelekh meninggal, Tola anak Pua, menjadi pemimpin untuk membebaskan Israel. Tola ialah cucu Dodo daripada suku Isakhar. Tola tinggal di Samir, di perbukitan Efraim. Dia memimpin umat Israel selama dua puluh tiga tahun. Kemudian dia meninggal dan dikebumikan di Samir. Selepas Tola, bangsa Israel dipimpin oleh Yair. Dia memimpin Israel selama dua puluh dua tahun. Yair berasal dari Gilead. Tola mempunyai tiga puluh orang anak lelaki yang menunggang tiga puluh ekor keldai. Anak-anaknya itu mempunyai tiga puluh buah pekan di wilayah Gilead. Pekan-pekan itu masih disebut pekan-pekan Yair hingga sekarang. Kemudian Yair meninggal dan dikebumikan di Kamon. Sekali lagi umat Israel berdosa terhadap TUHAN. Mereka menyembah Baal dan Asytoret serta dewa-dewa bangsa Siria, Sidon, Moab, Amon, dan Filistin. Mereka meninggalkan TUHAN dan tidak lagi menyembah Dia. Oleh itu TUHAN murka terhadap umat Israel. Dia membiarkan orang Filistin dan orang Amon mengalahkan mereka. Selama lapan belas tahun mereka menindas dan menganiaya orang Israel yang tinggal di Gilead, iaitu di wilayah orang Amori di sebelah timur Sungai Yordan. Orang Amon juga menyeberang Sungai Yordan untuk memerangi suku Yehuda, Benyamin, dan Efraim sehingga umat Israel sangat menderita. Kemudian umat Israel berseru kepada TUHAN. Mereka berkata, “Kami telah berdosa terhadap-Mu, ya Allah, kerana kami meninggalkan Engkau lalu menyembah dewa-dewa Baal.” TUHAN menjawab umat Israel, “Orang Mesir, Amori, Amon, Filistin, Sidon, Amalek, dan Maon telah menindas kamu pada masa yang lalu, dan kamu telah berseru kepada-Ku. Tidakkah Aku menyelamatkan kamu daripada kuasa mereka? Tetapi meskipun begitu, kamu masih juga meninggalkan Aku dan menyembah dewa-dewa. Sekarang Aku tidak mahu menyelamatkan kamu lagi. Pergilah minta tolong kepada dewa-dewa yang telah kamu pilih itu. Biarlah dewa-dewa itu menyelamatkan kamu apabila kamu dalam kesusahan.” Tetapi umat Israel berkata kepada TUHAN, “Kami telah berdosa. Lakukanlah apa saja kepada kami, asal Engkau menolong kami hari ini.” Kemudian mereka membuang semua patung berhala, lalu menyembah TUHAN. Maka Dia pun terharu melihat kesusahan yang dialami oleh umat Israel. Pada masa itu tentera Amon sedang bersedia untuk berperang dan sedang berkhemah di Gilead. Umat Israel berkumpul lalu berkhemah di Mizpa, di Gilead. Di sana rakyat dan para pemimpin suku Israel berkata kepada satu sama lain, “Orang yang berani memimpin tentera untuk melawan orang Amon akan menjadi pemerintah semua penduduk Gilead.” Yefta, orang Gilead, ialah seorang askar yang berani. Bapanya bernama Gilead, tetapi ibunya seorang pelacur. Gilead mempunyai anak-anak lain daripada isterinya yang sah. Setelah anak-anaknya itu dewasa, mereka mengusir Yefta dari rumah. Mereka berkata, “Engkau tidak akan mewarisi apa-apa daripada ayah kami, kerana engkau anak daripada perempuan lain.” Oleh itu Yefta lari daripada saudara-saudaranya lalu tinggal di wilayah Tob. Di sana dia mengetuai segerombolan orang jahat, lalu mereka pergi merompak. Tidak berapa lama kemudian umat Israel diserang oleh orang Amon. Ketika kejadian itu berlaku, para pemimpin Gilead menjemput Yefta kembali dari wilayah Tob. Mereka berkata kepadanya, “Jadilah panglima kami supaya kami dapat melawan orang Amon.” Tetapi Yefta menjawab, “Tidakkah kamu membenci aku? Kamu mengusir aku dari rumah bapaku. Mengapakah sekarang, pada masa kesusahan, kamu datang kepadaku?” Mereka berkata kepada Yefta, “Sekarang kami datang kepadamu kerana kami mahu kamu ikut kami, dan mengetuai semua orang Gilead untuk memerangi orang Amon.” Yefta berkata kepada mereka, “Jika kamu membawa aku pulang untuk memerangi orang Amon, dan jika TUHAN menyerahkan mereka kepadaku, maka aku akan menjadi pemerintah kamu.” Mereka menjawab, “Kami setuju. TUHAN saksi kami.” Oleh itu Yefta berangkat bersama dengan para pemimpin Gilead. Kemudian mereka menjadikan dia pemerintah dan panglima. Yefta menyatakan tuntutan-tuntutannya di hadapan TUHAN, di Mizpa. Selepas itu Yefta mengutus orang kepada raja Amon untuk mengatakan begini, “Apakah kesalahan hamba sekalian? Mengapa tuanku menyerang negeri hamba sekalian?” Raja Amon menjawab utusan Yefta, “Ketika umat Israel keluar dari Mesir, mereka merebut negeri beta, bermula dari Sungai Arnon sampai ke Sungai Yabok dan Sungai Yordan. Sekarang kembalikanlah wilayah itu secara damai.” Yefta mengirim utusan-utusan lagi kepada raja Amon untuk menjawab begini, “Umat Israel tidak merebut negeri Moab ataupun negeri Amon. Ketika umat Israel keluar dari Mesir, mereka menuju ke Teluk Akaba melalui padang gurun, lalu tiba di Kades. Dari situ mereka mengutus orang untuk menghadap raja Edom, dan meminta kebenaran untuk melalui negerinya, tetapi raja Edom menolak permintaan mereka. Mereka juga meminta kebenaran daripada raja Moab, tetapi raja Moab pun menolak permintaan mereka. Oleh sebab itu umat Israel tinggal di Kades. Kemudian mereka meneruskan perjalanan melalui padang gurun, tetapi tidak melalui negeri Edom dan Moab, melainkan mengambil jalan keliling sehingga mereka tiba di sebelah timur Moab, di seberang Sungai Arnon. Mereka berkhemah di sana, tetapi tidak menyeberangi sungai itu kerana sungai itu termasuk negeri Moab. Selepas itu Israel mengutus orang kepada Raja Sihon, penguasa orang Amori di Hesybon. Mereka meminta kebenaran untuk melalui negerinya, kerana mereka dalam perjalanan ke tanah mereka sendiri. Tetapi Raja Sihon juga menolak permintaan mereka. Baginda mengumpulkan seluruh angkatan tenteranya lalu berkhemah di Yahas. Kemudian mereka menyerang umat Israel. Tetapi TUHAN, Allah Israel menyerahkan Raja Sihon dan angkatan tenteranya ke tangan orang Israel. Demikianlah umat Israel memiliki semua tanah orang Amori yang tinggal di negeri itu. Mereka menduduki seluruh wilayah orang Amori, bermula dari Arnon di sebelah selatan sampai ke Yabok di sebelah utara, dan dari padang gurun di sebelah timur sampai ke Sungai Yordan di sebelah barat. Maka TUHAN, Allah Israel itulah yang mengusir orang Amori bagi umat-Nya, orang Israel. Adakah tuanku hendak merebutnya kembali? Ambillah apa yang telah diberikan oleh Kamos, dewa tuanku. Tetapi hamba sekalian akan mempertahankan segala yang telah diberikan TUHAN, Allah hamba sekalian kepada hamba sekalian. Adakah tuanku berpendapat bahawa tuanku lebih baik daripada Raja Balak anak Zipor, penguasa Moab? Raja Balak sendiri tidak pernah berperang dengan Israel, ataupun mencabar Israel! Israel telah menduduki Hesybon, Aroer, dan pekan-pekan di sekelilingnya, serta semua kota di pinggir Sungai Arnon selama tiga ratus tahun. Mengapakah tuanku tidak merebutnya selama itu? Hamba tidak bersalah terhadap tuanku. Tuankulah yang bersalah kerana memerangi hamba. TUHAN sendirilah yang menjadi hakim. Dia akan mengadili perkara ini antara umat Israel dan orang Amon.” Tetapi raja Amon tidak menghiraukan berita yang dikirim oleh Yefta itu. Pada saat itu Roh TUHAN menguasai Yefta. Kemudian Yefta menjelajah seluruh Gilead dan Manasye, lalu kembali ke Mizpa di Gilead. Dari sana dia pergi ke Amon. Yefta berjanji kepada TUHAN, katanya, “Jika TUHAN membenarkan aku mengalahkan orang Amon, aku akan mempersembahkan orang yang pertama-tama keluar dari rumahku untuk menyambut aku, sekembalinya aku dari peperangan. Aku akan mempersembahkan orang itu kepada TUHAN sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.” Oleh itu Yefta menyeberangi sungai untuk memerangi orang Amon dan TUHAN memberi dia kemenangan. Yefta memerangi mereka habis-habisan, dari Aroer sampai ke kawasan di sekeliling Minit, semuanya dua puluh buah kota, dan sampai ke Abel-Keramim. Banyak sekali orang Amon yang terbunuh, sehingga mereka dikalahkan oleh orang Israel. Apabila Yefta kembali ke Mizpa, anak perempuannya datang menyambut dia, sambil menari dan memukul tamburin. Dia anak tunggal Yefta. Ketika Yefta nampak anaknya, dia mengoyak-ngoyakkan pakaiannya kerana dukacita. Katanya, “Aduh anakku, hancurlah hatiku! Mengapakah harus anakku yang menjadikan hatiku pedih? Aku telah bersumpah kepada TUHAN dan aku tidak dapat memungkiri janjiku!” Anaknya menjawab, “Jika ayah telah bersumpah kepada TUHAN, lakukanlah apa saja terhadap diri saya untuk memenuhi janji ayah itu. TUHAN telah memperkenankan ayah membalas dendam terhadap orang Amon, musuh ayah itu.” Anak perempuan itu berkata lagi kepada bapanya, “Saya cuma mohon satu hal: Berilah saya masa dua bulan, supaya saya dapat mengembara di pergunungan bersama dengan sahabat-sahabat saya. Di sana saya akan bersedih kerana saya mesti meninggal ketika masih dara.” Bapanya membenarkan dia pergi selama dua bulan. Dia pergi bersama dengan sahabat-sahabatnya ke pergunungan untuk bersedih di sana kerana dia akan meninggal sebelum berkahwin dan mempunyai anak. Selepas dua bulan, dia kembali kepada bapanya, lalu bapanya melakukan apa yang telah dijanjikannya kepada TUHAN. Oleh itu anak perempuannya meninggal ketika masih dara. Itulah asal usul adat di Israel, bahawa anak-anak dara pergi selama empat hari tiap-tiap tahun untuk bersedih hati mengenangkan anak perempuan Yefta dari Gilead. Pada masa itu, suku Efraim bersedia untuk berperang. Mereka menyeberangi Sungai Yordan dan menuju ke Zafon. Mereka berkata kepada Yefta, “Mengapa kamu berperang dengan orang Amon tanpa mengajak kami? Sekarang kami akan membakar kamu bersama-sama seisi rumahmu!” Yefta berkata, “Aku dan rakyatku bersengketa dengan orang Amon. Aku memanggil kamu, tetapi kamu tidak datang untuk membantu aku membebaskan diri daripada orang Amon. Apabila aku melihat bahawa kamu tidak mahu menolong, aku mempertaruhkan nyawaku. Aku pergi menyerang mereka, lalu TUHAN memberi aku kemenangan atas mereka. Mengapakah sekarang kamu hendak menyerang aku?” Kemudian Yefta mengumpulkan semua orang Gilead, lalu memerangi suku Efraim dan mengalahkan mereka. (Suku Efraim mengatakan bahawa orang Gilead yang tinggal di wilayah Efraim dan Manasye telah memisahkan diri daripada Efraim, suku mereka.) Orang Gilead merebut tempat-tempat penyeberangan Sungai Yordan, supaya suku Efraim tidak dapat menyeberanginya. Apabila seorang Efraim cuba melarikan diri dengan menyeberangi sungai itu, orang Gilead bertanya kepadanya, “Adakah engkau orang Efraim?” Jika dia menjawab, “Bukan,” mereka menyuruh dia mengucapkan kata, “Syibolet.” Tetapi orang itu akan berkata, “Sibolet” kerana dia tidak dapat mengucapkannya dengan tepat. Kemudian mereka akan menangkap dan membunuh dia di tempat penyeberangan sungai itu. Ketika itu, sebanyak 42,000 orang Efraim terbunuh. Yefta memimpin Israel selama enam tahun. Kemudian dia meninggal dan dikebumikan di kampung halamannya di Gilead. Selepas Yefta, umat Israel dipimpin oleh Ebzan. Dia berasal dari Betlehem. Dia mempunyai tiga puluh orang anak lelaki dan tiga puluh orang anak perempuan. Dia mengahwinkan anak-anak perempuannya dengan lelaki daripada puak lain, dan mengambil pula tiga puluh orang perempuan daripada puak lain untuk dikahwinkan dengan anak-anak lelakinya. Ebzan memimpin Israel selama tujuh tahun, lalu dia meninggal dan dikebumikan di Betlehem. Selepas Ebzan, umat Israel dipimpin oleh Elon daripada suku Zebulon selama sepuluh tahun. Kemudian dia meninggal dan dikebumikan di Ayalon di wilayah Zebulon. Selepas Elon, umat Israel dipimpin oleh Abdon anak Hilel yang berasal dari Piraton. Dia mempunyai empat puluh orang anak lelaki dan tiga puluh orang cucu lelaki. Mereka mempunyai tujuh puluh ekor keldai tunggangan. Abdon memimpin Israel selama lapan tahun. Kemudian dia meninggal dan dikebumikan di Piraton di wilayah Efraim, di kawasan perbukitan Amalek. Umat Israel berdosa lagi terhadap TUHAN, lalu TUHAN membiarkan orang Filistin menguasai mereka selama empat puluh tahun. Pada masa itu, ada seorang lelaki bernama Manoah, yang berasal dari kota Zora. Dia seorang daripada suku Dan. Isterinya mandul. Pada suatu hari, malaikat TUHAN menampakkan diri kepada isteri Manoah dan berkata, “Selama ini engkau tidak mempunyai anak, tetapi tidak lama lagi engkau akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Oleh itu jagalah dirimu baik-baik. Jangan minum wain atau minuman keras, dan jangan makan makanan haram. Selepas anakmu lahir, jangan sekali-kali potong rambutnya kerana sejak hari kelahirannya, anak itu akan ditahbiskan kepada Allah sebagai orang Nazir. Dia akan mula membebaskan umat Israel daripada kekuasaan orang Filistin.” Kemudian perempuan itu pergi kepada suaminya dan berkata, “Seorang utusan Allah datang kepadaku. Rupanya seperti malaikat Allah sehingga aku ketakutan. Aku tidak bertanya dari mana dia datang, dan dia pun tidak memberitahukan namanya. Tetapi dia berkata bahawa aku akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia melarang aku minum wain atau minuman keras ataupun makan makanan haram, kerana katanya, anak itu akan ditahbiskan kepada Allah sebagai orang Nazir seumur hidupnya.” Kemudian Manoah berdoa kepada TUHAN, “Ya TUHAN, semoga Engkau mengutus hamba-Mu itu datang lagi kepada kami, dan memberitahu kami apa yang mesti kami lakukan terhadap anak itu selepas dia lahir.” Allah mengabulkan permohonan Manoah. Malaikat Allah itu datang lagi kepada isteri Manoah ketika dia di ladang. Pada masa itu Manoah tidak bersama-sama isterinya. Perempuan itu lari dengan tergesa-gesa dan memberitahu suaminya, “Lihatlah, orang yang datang kepadaku dahulu sudah datang lagi.” Manoah segera mengikut isterinya. Dia mendekati orang itu dan bertanya, “Tuankah yang membawa berita kepada isteri saya dahulu?” “Ya,” jawabnya. Kemudian Manoah bertanya, “Jika apa yang tuan katakan itu berlaku kelak, apakah yang harus dilakukan oleh anak itu? Bagaimanakah cara hidupnya nanti?” Malaikat TUHAN itu menjawab, “Hendaklah isterimu memperhatikan pesanku. Dia tidak boleh makan apa-apa pun yang berasal dari pokok anggur; dia tidak boleh minum wain atau minuman keras, ataupun makan makanan haram. Dia mesti melakukan segala pesanku.” [15-16] Manoah tidak tahu bahawa yang berkata-kata dengannya itu malaikat TUHAN. Oleh itu dia berkata kepadanya, “Sudilah menunggu sebentar. Kami akan memasak kambing muda untuk tuan.” Tetapi malaikat itu berkata, “Walaupun aku menunggu di sini, aku tidak akan makan hidanganmu itu. Tetapi jika engkau hendak menyediakannya juga, persembahkan makanan itu sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.” *** Manoah berkata, “Siapakah nama tuan, supaya kami dapat menghormati tuan apabila hal yang tuan katakan itu berlaku.” Malaikat TUHAN itu bertanya, “Mengapa engkau hendak tahu namaku? Namaku itu nama yang mengagumkan.” Oleh itu Manoah mengambil seekor anak kambing dan korban untuk mengucap syukur, lalu meletakkannya di atas batu dan mempersembahkannya kepada TUHAN, iaitu TUHAN yang melakukan perkara yang mengagumkan. [20-21] Sedang nyala api naik ke atas dari mazbah itu, Manoah dan isterinya nampak malaikat TUHAN menuju ke langit di dalam nyala api itu. Barulah Manoah sedar bahawa yang dilihatnya ialah malaikat TUHAN. Kemudian dia dan isterinya sujud menyembah. Mereka tidak pernah nampak malaikat itu lagi. *** Manoah berkata kepada isterinya, “Kita pasti akan mati, kerana kita telah nampak Allah!” Tetapi isterinya menjawab, “Jika TUHAN mahu membunuh kita, tentu Dia tidak mahu menerima korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk mengucap syukur daripada kita. Dia juga tidak akan menunjukkan segala perkara ini kepada kita, ataupun memberitahunya kepada kita pada masa ini.” Beberapa bulan kemudian, perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu dinamakannya Simson. Anak itu membesar dan TUHAN memberkati dia. Kuasa TUHAN mula menguatkan dia ketika dia di Perkhemahan Dan, yang terletak di antara Zora dan Esytaol. Pada suatu hari Simson pergi ke Timna, lalu di sana dia nampak seorang gadis Filistin. Simson pulang ke rumah lalu memberitahu ibu bapanya. Katanya, “Saya tertarik kepada seorang gadis Filistin. Pinanglah dia untuk saya. Saya hendak mengahwininya.” Tetapi ibu bapa Simson berkata kepadanya, “Mengapa engkau harus memilih isteri di kalangan orang Filistin, sedangkan mereka tidak tergolong umat Allah? Tidak dapatkah engkau mencari seorang gadis daripada puak kita sendiri, atau di kalangan seluruh bangsa kita?” Simson menjawab bapanya, “Gadis Filistin itulah yang saya suka. Saya mahu ayah meminang dia untuk saya.” Ibu bapa Simson tidak tahu bahawa TUHAN yang menyebabkan Simson melakukan hal itu, kerana TUHAN sedang mencari peluang untuk memerangi orang Filistin. Pada waktu itu orang Filistin menguasai umat Israel. Maka Simson pergi ke Timna bersama dengan ibu bapanya. Apabila mereka melalui ladang anggur di situ, Simson mendengar auman seekor singa muda. Tiba-tiba Simson menjadi kuat oleh kuasa TUHAN. Lalu Simson mencabik-cabikkan singa itu dengan tangannya, seolah-olah binatang itu hanya seekor anak kambing. Simson tidak memberitahu perkara itu kepada ibu bapanya. Kemudian Simson menemui gadis itu dan bercakap-cakap dengannya. Simson suka kepadanya. Selepas beberapa waktu, Simson kembali ke tempat itu untuk mengahwini gadis itu. Di tengah jalan, Simson menyimpang hendak melihat singa yang telah dibunuhnya itu. Ketika sampai di situ dia melihat sekawanan lebah dan juga madu di dalam bangkai singa itu. Dia mengambil madu itu dengan tangannya, lalu berjalan terus sambil memakan madu itu. Dia memberikan sedikit madu kepada ibu bapanya, lalu mereka pun memakannya. Tetapi Simson tidak memberitahu mereka bahawa dia telah mengambil madu itu dari dalam bangkai seekor singa. Bapa Simson pergi ke rumah gadis itu, lalu Simson mengadakan jamuan di sana menurut adat pemuda pada masa itu. Ketika orang Filistin nampak Simson, mereka menyuruh tiga puluh orang pemuda menemani dia. Simson berkata kepada pemuda-pemuda itu, “Dengarlah teka-teki ini. Jika kamu dapat menekanya dengan tepat sebelum habis masa tujuh hari perjamuan perkahwinan ini, aku akan memberi setiap orang sehelai kain linen halus dan sepasang pakaian yang baik. Tetapi jika kamu tidak dapat menekanya, setiap orang harus memberi aku kain linen halus dan sepasang pakaian yang baik.” Pemuda-pemuda itu berkata, “Sebutkanlah teka-tekimu itu. Biarlah kami mendengarnya.” Kemudian Simson berkata, “Daripada yang memakan, terdapat makanan; Daripada yang kuat, terdapat manisan.” Selepas tiga hari, mereka masih belum dapat meneka teka-teki itu. Pada hari keempat, mereka berkata kepada isteri Simson, “Pujuklah suamimu supaya dia memberitahu kamu makna teka-teki itu. Jika tidak, kami akan membakar kamu dan rumah bapamu. Rupanya kamu berdua menjemput kami dengan maksud merompak kami!” Oleh itu isteri Simson menangis dan berkata kepada Simson, “Abang tidak mencintai saya. Abang memberikan teka-teki kepada sahabat-sahabat saya, tetapi abang tidak memberitahu saya maknanya. Abang membenci saya.” Simson berkata, “Dengar dulu! Ibu bapaku sekalipun belum kuberitahu maknanya. Mengapakah aku harus memberitahunya kepadamu?” Isteri Simson menangis terus-menerus selama tujuh hari perjamuan itu. Pada hari ketujuh, Simson memberitahu makna teka-teki itu kepadanya kerana isterinya terus merengek-rengek. Selepas itu isterinya memberitahu maknanya kepada orang Filistin. Oleh sebab itu, pada hari ketujuh itu juga, sebelum Simson masuk ke dalam bilik tidurnya, para pemuda kota itu berkata kepadanya, “Apakah yang lebih manis daripada madu? Apakah yang lebih kuat daripada singa?” Simson menjawab, “Jika kamu tidak memperalat isteriku, tentu kamu belum dapat jawapannya.” Tiba-tiba Simson menjadi kuat oleh kuasa TUHAN, lalu dia pergi ke Askelon dan membunuh tiga puluh orang lelaki di sana. Dia mengambil pakaian baik yang dipakai mereka lalu memberikannya kepada tiga puluh orang yang telah menjawab teka-tekinya itu. Selepas itu, dia pulang ke rumah dengan hati yang kesal dan marah. Kemudian isteri Simson diberikan kepada orang yang menjadi pengiring Simson pada waktu perkahwinan. Beberapa lama kemudian, pada musim menuai gandum, Simson pergi melawat isterinya. Dia membawa seekor kambing muda. Dia berkata kepada bapa mentuanya, “Saya ingin ke bilik isteri saya.” Tetapi bapa mentuanya melarang dia. Katanya kepada Simson, “Saya menyangka kamu benar-benar membenci dia. Oleh itu saya memberikan dia kepada sahabatmu. Tetapi adik perempuannya lebih cantik daripadanya. Ambillah adiknya itu.” Simson berkata, “Apa yang akan saya lakukan terhadap orang Filistin kali ini, bukanlah kesalahan saya.” Kemudian dia pergi menangkap tiga ratus ekor rubah. Dia mengikat ekor rubah-rubah itu berdua-dua. Pada simpul ikatan itu, dia menaruh sebuah suluh. Selepas itu dia menyalakan suluh-suluh itu, lalu melepaskan rubah-rubah itu di ladang orang Filistin. Oleh itu semua gandum yang telah dituai di sana terbakar; bahkan tanaman gandum, ladang anggur, dan kebun zaitun pun ikut terbakar. Orang Filistin menyiasat siapa yang telah melakukan perkara itu. Kemudian mereka diberitahukan bahawa Simson telah melakukannya kerana bapa mentuanya di Timna telah memberikan isteri Simson kepada sahabat Simson. Oleh sebab itu, orang Filistin membakar perempuan itu dan seisi rumah bapanya. Simson berkata kepada mereka, “Beginikah tindakan kamu? Aku bersumpah bahawa aku tidak akan diam sehingga aku telah membalas dendamku.” Kemudian dia menyerang semua orang itu dengan kejam dan membunuh banyak antara mereka. Selepas itu dia bersembunyi di dalam gua di bukit batu di Etam. Orang Filistin datang ke wilayah Yehuda dan berkhemah di situ. Kemudian mereka menyerang kota Lehi. Penduduk Yehuda bertanya kepada mereka, “Mengapa kamu menyerang kami?” Mereka menjawab, “Kami datang untuk menangkap Simson dan membalas perbuatannya.” Oleh itu tiga ribu orang Yehuda pergi ke gua di bukit batu di Etam. Di sana mereka berkata kepada Simson, “Tidakkah kamu tahu bahawa orang Filistin menguasai kita? Mengapa kamu melakukan perkara ini terhadap kami?” Simson menjawab, “Aku pun hanya membalas perbuatan mereka.” Mereka berkata, “Kami datang untuk mengikat kamu supaya kami dapat menyerahkan kamu kepada orang Filistin.” Simson berkata, “Berjanjilah bahawa kamu tidak akan membunuh aku.” “Baiklah,” jawab mereka. “Kami hanya ingin mengikat kamu dan menyerahkan kamu kepada mereka. Kami tidak akan membunuh kamu.” Kemudian mereka mengikat Simson dengan dua utas tali yang baru, lalu membawa dia pergi dari gua itu. Apabila mereka sampai di Lehi, orang Filistin berlari mendatangi Simson sambil berteriak kepadanya. Tiba-tiba Simson menjadi kuat oleh kuasa TUHAN, lalu dia memutuskan tali yang mengikat lengan dan tangannya, seolah-olah tali itu benang terbakar. Kemudian Simson menjumpai sebuah tulang rahang keldai yang baru mati. Dia mengambil tulang itu lalu menggunakannya untuk membunuh seribu orang. Maka bernyanyilah Simson, “Dengan tulang rahang keldai, aku membunuh seribu orang; dengan tulang rahang keldai, aku menimbunkan mayat mereka menjadi suatu timbunan.” Kemudian dia membuang tulang rahang itu. Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Ramat-Lehi. Selepas itu Simson berasa sangat dahaga, lalu dia berseru kepada TUHAN, “Engkau telah memberi aku kemenangan yang besar ini. Tetapi sekarang, haruskah aku mati kerana dahaga, sehingga ditangkap oleh orang Filistin yang tidak mengenal Engkau?” Kemudian Allah membuka satu lubang di Lehi, lalu air keluar dari situ. Simson minum, lalu menjadi segar semula. Oleh itu, mata air itu dinamakan Mata Air Hakor. Mata air itu masih ada di Lehi. Simson memimpin umat Israel selama dua puluh tahun semasa orang Filistin menguasai negeri itu. Pada suatu hari Simson pergi ke Gaza. Di sana dia berjumpa dengan seorang pelacur, lalu berseketiduran dengan perempuan itu. Penduduk Gaza mendengar bahawa Simson berada di sana. Oleh itu mereka mengepung tempat itu dan menunggu dia di pintu gerbang kota sepanjang malam. Tetapi mereka tidak berbuat apa-apa pada malam itu kerana mereka berfikir, “Nanti apabila matahari terbit, barulah kita bunuh dia.” Tetapi Simson tidak tidur sampai pagi. Pada tengah malam dia bangun lalu pergi ke pintu gerbang kota. Dia mencabut pintu itu seluruhnya dengan tiang-tiang dan palang-palangnya. Kemudian dia memikul semuanya dan membawanya ke puncak bukit yang berhadapan dengan Hebron. Selepas itu Simson jatuh cinta kepada seorang perempuan yang bernama Delila, yang tinggal di Lembah Sorek. Lima orang raja Filistin datang kepada Delila dan berkata, “Pujuklah Simson untuk memberitahu kamu rahsia kekuatannya, dan caranya untuk menghilangkan kekuatannya supaya kami dapat datang untuk mengikat dia, dan mengalahkannya. Nanti tiap-tiap orang daripada kami akan memberi kamu 1,100 keping wang perak.” Oleh sebab itu Delila berkata kepada Simson, “Simson, apa sebabnya engkau begitu kuat? Dengan apakah engkau harus diikat supaya hilang kekuatanmu? Cuba beritahukan rahsianya!” Simson menjawab, “Jika aku diikat dengan tujuh utas tali busur yang baru dan yang belum kering, aku akan menjadi lemah seperti orang biasa.” Oleh itu raja-raja Filistin itu memberi Delila tujuh utas tali busur yang baru dan yang belum kering. Delila mengikat Simson dengan tali busur itu. Sementara itu, Delila menyuruh beberapa orang Filistin menunggu di bilik yang lain. Kemudian dia berteriak, “Simson! Orang Filistin datang!” Langsung Simson memutuskan tali-tali busur itu seperti benang kena api. Mereka masih belum mengetahui rahsia kekuatan Simson. Kemudian Delila berkata kepada Simson, “Engkau telah mempermainkan aku. Engkau berdusta kepadaku. Ayuhlah, beritahu bagaimana engkau dapat diikat.” Simson berkata kepadanya, “Jika aku diikat dengan tali baru yang belum pernah digunakan, aku akan menjadi lemah seperti orang biasa.” Oleh itu Delila mengikat dia dengan beberapa utas tali yang baru, lalu Delila berteriak, “Simson! Orang Filistin datang!” Sementara itu orang Filistin sedang menunggu di bilik yang lain. Tetapi Simson memutuskan tali-tali yang mengikat tangannya seperti orang memutuskan benang. Selepas itu Delila berkata kepada Simson, “Engkau masih mempermainkan aku. Engkau berdusta kepadaku. Beritahulah aku bagaimana engkau dapat diikat.” Simson berkata kepadanya, “Jika engkau menenunkan ketujuh-tujuh jalinan rambutku pada alat tenun, lalu menguatkannya dengan pasak, aku akan menjadi lemah seperti orang biasa.” Kemudian Delila membuat Simson tidur. Delila menenun ketujuh-tujuh jalinan rambut Simson pada alat tenunnya, lalu menguatkannya dengan sebuah pasak. Kemudian Delila berteriak, “Simson! Orang Filistin datang!” Tetapi Simson bangun dan menarik rambutnya hingga terlepas dari alat tenun itu. Kemudian Delila berkata kepada Simson, “Ah, engkau kata engkau cinta kepadaku, padahal hatimu jauh daripadaku! Sudah tiga kali engkau mempermainkan aku dan sampai sekarang pun engkau tidak mahu memberitahu aku sebabnya engkau begitu kuat.” Tiap-tiap hari Delila terus-menerus merengek-rengek dan mendesak, sehingga Simson bosan mendengarnya. Akhirnya Simson menceritakan rahsianya. Katanya, “Rambutku belum pernah digunting. Sejak dari kandungan aku telah diserahkan kepada Allah untuk menjadi orang Nazir. Jika rambutku dipotong, segala kekuatanku akan hilang. Aku akan menjadi lemah seperti orang biasa.” Delila sedar bahawa Simson telah menceritakan rahsianya. Oleh itu Delila menyuruh orang memberitahu raja-raja bangsa Filistin, “Datanglah sekali ini saja. Simson telah menceritakan rahsianya.” Kemudian mereka datang sambil membawa wang untuk Delila. Delila membuat Simson tidur di pangkuannya, lalu menyuruh orang memotong tujuh jalinan rambut Simson. Kemudian Delila mula menyeksa Simson, kerana Simson telah kehilangan kekuatannya. Delila berteriak, “Simson! Orang Filistin datang!” Simson bangun dan berfikir, “Aku akan melepaskan diri seperti pada masa-masa lalu.” Simson tidak sedar bahawa TUHAN telah meninggalkan dia. Oleh itu orang Filistin menangkap Simson dan mencungkil kedua-dua biji matanya. Mereka membawa dia ke Gaza, lalu merantai dia dengan rantai gangsa. Di sana Simson dimasukkan ke dalam penjara dan dipaksa mengisar gandum. Tetapi rambut Simson mula tumbuh semula. Pada suatu hari, raja-raja Filistin berkumpul untuk berpesta dan mempersembahkan korban secara besar-besaran kepada Dagon, dewa mereka. Raja-raja bertitah, “Dewa kita telah memberi kita kemenangan atas Simson, musuh kita!” [24-25] Sementara bersukaria, raja-raja bertitah, “Panggillah Simson dan suruh dia menghibur kita!” Mereka membawa Simson keluar dari penjara lalu menyuruh dia menghibur mereka. Mereka menyuruh dia berdiri di antara dua batang tiang yang besar. Apabila orang ramai nampak Simson, mereka memuji dewa mereka dan bernyanyi, “Dewa kita telah memberi kita kemenangan atas musuh yang merosakkan negeri kita dan membunuh begitu banyak orang kita!” *** Simson berkata kepada budak lelaki yang memimpin tangannya, “Letakkanlah tanganku pada tiang-tiang yang menyangga bangunan ini. Aku hendak bersandar padanya.” Bangunan itu penuh sesak dengan lelaki dan perempuan. Kelima-lima orang raja Filistin itu berada di sana. Di bumbung bangunan itu ada kira-kira tiga ribu orang lelaki dan perempuan. Mereka semuanya menonton Simson yang menghibur mereka. Kemudian Simson berdoa, “Ya TUHAN Raja, ingatlah akan aku. Tolonglah aku hanya sekali ini, ya Allah. Berilah aku kekuatanku semula supaya dengan tindakan ini aku dapat membalas dendamku terhadap bangsa Filistin yang telah mencungkil kedua-dua biji mataku.” Selepas itu Simson memegang kedua-dua batang tiang yang menyangga bangunan itu. Sambil meletakkan tangan kirinya pada tiang yang satu dan tangan kanannya pada tiang yang lain, dia berseru, “Biarlah aku mati bersama-sama bangsa Filistin ini!” Kemudian dia menolak tiang-tiang itu dengan sekuat tenaganya, lalu bangunan itu pun roboh dan menimpa lima orang raja Filistin dan semua orang di situ. Simson juga meninggal, tetapi pada waktu kematiannya dia telah membunuh lebih banyak orang daripada masa hidupnya. Kemudian saudara-saudara lelakinya dan semua kaum keluarganya datang mengambil jenazahnya. Mereka membawa jenazahnya pulang lalu mengebumikan dia di dalam kubur Manoah, bapanya. Kubur itu terletak di antara Zora dan Esytaol. Simson menjadi pemimpin Israel selama dua puluh tahun. Ada seorang lelaki bernama Mikha yang tinggal di kawasan perbukitan Efraim. Pada suatu hari dia berkata kepada ibunya, “Ketika orang mencuri 1,100 keping wang perak mak dahulu, saya mendengar mak mengutuk pencuri itu. Sayalah yang mencuri perak itu. Saya masih menyimpannya.” Ibunya berkata, “Semoga engkau diberkati TUHAN, anakku!” Mikha mengembalikan perak itu kepada ibunya. Maka ibunya berkata lagi, “Supaya engkau, anakku tidak kena kutuk yang aku ucapkan dahulu, aku mempersembahkan perak ini kepada TUHAN. Perak ini akan digunakan untuk menyalut patung berhala daripada kayu. Aku akan mengembalikan perak itu kepadamu.” Selepas Mikha mengembalikan perak itu kepada ibunya, ibunya mengambil dua ratus keping lalu memberikannya kepada seorang tukang perak. Dia menyuruh tukang itu membuat sebuah patung berhala daripada kayu lalu menyalutnya dengan perak itu. Kemudian patung itu ditempatkan di rumah Mikha. Mikha mempunyai sebuah tempat penyembahan. Dia membuat beberapa buah patung berhala dan sehelai efod lalu melantik salah seorang anak lelakinya menjadi imam. Pada masa itu umat Israel masih belum mempunyai raja. Tiap-tiap orang melakukan apa yang dianggapnya benar. Pada masa itu juga ada seorang pemuda daripada suku Lewi. Dahulu dia tinggal di kota Betlehem di wilayah Yehuda. Tetapi kini dia telah meninggalkan kota itu dan sedang mencari tempat tinggal yang lain. Dalam perjalanannya itu dia tiba di rumah Mikha di kawasan perbukitan Efraim. Mikha bertanya kepadanya, “Saudara dari mana?” Jawabnya, “Saya seorang Lewi dari Betlehem di Yehuda. Saya sedang mencari tempat tinggal.” Mikha berkata, “Tinggallah dengan saya. Jadilah penasihat dan imam saya. Saya akan memberi saudara sepuluh keping wang perak setahun sebagai upah, dan juga pakaian serta makanan.” Pemuda daripada suku Lewi itu bersetuju tinggal dengan Mikha. Pemuda itu diperlakukan seperti anak kandung Mikha sendiri. Mikha melantik dia sebagai imamnya, lalu dia tinggal di rumah Mikha. Mikha berkata, “Sekarang aku tahu bahawa TUHAN akan berbuat baik kepadaku, kerana aku mempunyai seorang Lewi sebagai imam.” Pada masa itu belum ada raja di Israel. Suku Dan masih mencari-cari kawasan untuk dijadikan tempat tinggal, kerana mereka belum mendapat tanah seperti suku lain dalam bangsa Israel. Oleh itu suku Dan memilih lima orang yang berani antara semua puak dalam suku mereka yang tinggal di Zora dan Esytaol, lalu memberikan tugas kepada mereka untuk mengintip negeri itu. Semua orang yang dipilih itu berangkat, lalu tiba di kawasan perbukitan Efraim. Di sana mereka menginap di rumah Mikha. Ketika mereka di sana, mereka mengenali loghat pemuda suku Lewi itu. Oleh itu mereka bertanya kepadanya, “Mengapa kamu di sini? Apakah urusanmu? Siapa yang membawa kamu ke sini?” Orang Lewi itu menjawab, “Aku ada persetujuan dengan Mikha. Dia mengupah aku menjadi imamnya.” Mereka berkata kepadanya, “Tanyakanlah kepada Allah, sama ada kami akan berjaya atau tidak dalam perjalanan kami ini.” Imam itu menjawab, “Janganlah khuatir. TUHAN menyertai kamu dalam perjalanan ini.” Kemudian kelima-lima orang itu meneruskan perjalanan ke kota Lais. Mereka nampak bahawa kehidupan orang di situ tenteram seperti kehidupan orang Sidon. Penduduk Lais hidup dengan aman dan sejahtera, dan tidak bermusuhan dengan sesiapa pun; mereka mempunyai segala keperluan. Mereka tinggal jauh daripada orang Sidon dan tidak berurusan dengan bangsa mana-mana pun. Apabila lima orang itu balik ke Zora dan Esytaol, mereka diminta memberikan laporan. Mereka berkata, “Marilah kita serang Lais. Kami telah melihat kota itu. Tanahnya sangat subur. Janganlah buang masa. Cepatlah! Marilah kita rebut kota itu! Apabila kamu tiba di sana, kamu akan mendapati bahawa orang di sana tidak mencurigai suatu apa pun. Tanah itu luas; segala sesuatu yang diingini orang terdapat di situ. Kami yakin bahawa Allah telah memberi kamu tanah itu.” Kemudian enam ratus orang daripada suku Dan berangkat dari Zora dan Esytaol, siap untuk berperang. Mereka pergi ke bahagian barat Kiryat-Yearim di wilayah Yehuda lalu berkhemah di situ. Itulah sebabnya hingga sekarang tempat itu masih dinamakan Perkhemahan Dan. Dari sana mereka berjalan terus ke wilayah perbukitan Efraim sampai ke rumah Mikha. Kemudian lima orang yang telah mengintip negeri di sekitar Lais berkata kepada sahabat-sahabat mereka, “Tahukah kamu bahawa di dalam salah satu rumah ini ada sebuah patung berhala daripada kayu yang bersalut perak? Ada juga beberapa buah patung berhala lain dan sehelai efod. Cuba fikir apa yang harus kita lakukan.” Kemudian mereka masuk ke dalam rumah Mikha, tempat pemuda Lewi itu tinggal. Mereka memberikan salam kepadanya. Pada waktu itu, enam ratus orang askar suku Dan, yang telah siap untuk berperang berdiri di hadapan pintu gerbang. Kelima-lima orang pengintip itu terus masuk ke dalam rumah, lalu mengambil patung berhala daripada kayu yang bersalut perak itu, patung-patung berhala lain dan efod. Pemuda Lewi itu sedang berdiri dengan enam ratus orang askar itu di pintu gerbang. Ketika lima orang itu masuk ke dalam rumah Mikha dan mengambil efod serta patung-patung berhala itu, pemuda Lewi itu bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu berbuat begini?” Mereka menjawab, “Diamlah. Jangan bertanya apa-apa! Ikutlah kami dan jadilah imam dan penasihat kami. Bukankah lebih baik kamu menjadi imam bagi satu suku daripada menjadi imam bagi satu keluarga saja?” Pemuda Lewi itu sangat suka dengan cadangan itu. Oleh itu dia mengambil efod dan patung-patung berhala itu lalu mengikut mereka. Kemudian rombongan itu meneruskan perjalanan, didahului oleh kanak-kanak, ternakan, dan barang-barang mereka. Setelah mereka berjalan agak jauh, barulah Mikha mengajak jiran-jirannya mengejar orang suku Dan itu. Apabila sudah dekat dengan mereka, Mikha dan semua orangnya berteriak-teriak kepada mereka. Orang suku Dan berpaling lalu bertanya kepada Mikha, “Apa halnya? Mengapa kamu datang dengan begitu banyak orang?” Mikha menjawab, “Kamu telah mengambil imamku dan patung-patung yang aku buat. Aku tidak mempunyai apa-apa lagi, lalu kamu berkata, ‘Apa halnya?’ ” Orang suku Dan berkata kepadanya, “Diamlah! Jika tidak, semua orang ini akan marah dan menyerang kamu. Nanti kamu dan seluruh keluargamu akan mati.” Setelah mengatakan begitu, mereka meneruskan perjalanan. Mikha melihat bahawa orang suku Dan lebih kuat daripada dia, lalu dia pulang ke rumahnya. [27-28] Setelah orang suku Dan mendapat imam dan barangan ibadat buatan Mikha itu, mereka pergi menyerang Lais, kota orang yang aman dan sejahtera. (Kota itu terletak di lembah yang sama dengan kota Bet-Rehob.) Orang suku Dan membunuh semua penduduknya dan membakar kota itu. Tiada seorang pun yang menyelamatkan penduduk kota itu, kerana Lais terletak jauh dari Sidon dan mereka pun tidak mempunyai perhubungan dengan sesiapa pun. Kemudian orang suku Dan membina kota itu semula, lalu mereka tinggal di sana. *** Mereka menukar nama kota itu menjadi Dan, menurut nama nenek moyang mereka, Dan anak Yakub. Di kota itu mereka mendirikan patung berhala yang dibawa mereka itu. Kemudian mereka melantik Yonatan anak Gersom, cucu Musa sebagai imam mereka. Keturunan Gersom pun menjadi imam suku Dan sehingga masa umat Israel ditawan dan dibuang ke negeri lain. Patung berhala buatan Mikha itu tetap ada di Lais selama Khemah TUHAN, tempat beribadat kepada Allah, terletak di Silo. Pada masa Israel belum mempunyai raja, ada seorang Lewi yang tinggal di pedalaman kawasan perbukitan Efraim. Dia mempunyai seorang gundik yang berasal dari Betlehem di Yehuda. Tetapi kemudian gundiknya itu marah terhadapnya, lalu dia kembali ke rumah bapanya di Betlehem. Setelah perempuan itu tinggal di sana selama empat bulan, orang Lewi itu pergi menyusul gundiknya dan cuba memujuk dia kembali kepadanya. Orang Lewi itu membawa seorang hamba dan dua ekor keldai bersama-samanya. Setiba di sana, gundiknya itu membawa dia kepada bapanya. Ketika bapa perempuan itu nampak orang Lewi itu, dia menyambutnya dengan mesra, lalu mendesaknya supaya jangan pulang. Orang Lewi itu tinggal di situ selama tiga hari dan makan minum serta bermalam di situ dengan gundiknya. Pada pagi hari keempat, mereka bangun pagi-pagi hendak berangkat. Tetapi bapa perempuan itu berkata kepada orang Lewi itu, “Makanlah dahulu sebelum kamu pergi. Kamu akan berasa lebih bertenaga. Selepas itu bolehlah kamu berangkat.” Oleh itu orang Lewi itu duduk, lalu makan dan minum bersama-sama bapa perempuan itu. Kemudian bapa perempuan itu berkata, “Tinggallah semalam lagi dan bersenang-senanglah.” Orang Lewi itu bangun hendak berangkat, tetapi bapa perempuan itu mendesak supaya dia tinggal. Oleh itu orang Lewi itu tinggal semalam lagi. Pada hari kelima, orang Lewi itu bangun pagi-pagi lagi hendak berangkat. Tetapi bapa perempuan itu berkata, “Makanlah dahulu. Nantilah berangkat.” Oleh itu mereka berdua makan bersama-sama dan berlambat-lambat sampai matahari mulai terbenam. Apabila orang Lewi itu, gundiknya, dan hambanya hendak berangkat, bapa perempuan itu berkata, “Lihatlah, hari sudah hampir malam. Lebih baik kamu bermalam di sini dan bersenang-senang. Esok kamu boleh bangun pagi-pagi dan berangkat pulang.” [10-11] Tetapi orang Lewi itu tidak mahu menginap lagi. Dia dan gundiknya berangkat, bersama-sama hambanya dan dua ekor keldainya yang berpelana. Ketika hari hampir malam, mereka sampai dekat Yebus (iaitu Yerusalem). Oleh itu hambanya berkata kepadanya, “Tuan, marilah kita berhenti dan menginap di kota orang Yebusi ini.” *** [12-13] Tetapi tuannya berkata, “Tidak! Kita tidak akan berhenti di kota orang bukan Israel. Kita akan meneruskan perjalanan sedikit lagi dan menginap di Gibea atau Rama.” *** Oleh itu mereka melalui Yebus dan meneruskan perjalanan. Matahari telah terbenam ketika mereka tiba di Gibea, di wilayah suku Benyamin. Mereka singgah di kota itu kerana hendak menginap di sana. Mereka duduk di lapangan kota, tetapi tiada sesiapa pun yang menjemput mereka bermalam di rumah. Sementara mereka duduk di lapangan kota, datanglah seorang tua yang baru pulang dari pekerjaannya di ladang. Orang tua itu berasal dari perbukitan Efraim tetapi sekarang dia tinggal di Gibea. (Kebanyakan penduduk di situ orang suku Benyamin.) Apabila orang tua itu nampak orang Lewi itu di lapangan kota, dia bertanya kepadanya, “Kamu dari mana dan kamu hendak ke mana?” Orang Lewi itu menjawab, “Kami baru datang dari Betlehem di Yehuda dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di pedalaman perbukitan Efraim. Saya berasal dari sana. Tiada sesiapa pun yang hendak memberi kami penginapan di kota ini. Kami mempunyai cukup bekalan. Kami ada jerami dan makanan untuk keldai kami, dan juga roti serta wain untuk gundik dan hamba saya.” Orang tua itu berkata, “Silalah datang ke rumah saya! Saya akan memenuhi segala keperluan saudara-saudara. Janganlah bermalam di lapangan kota.” Kemudian dia membawa mereka ke rumahnya dan memberi keldai-keldai mereka makanan. Setelah tetamunya mencuci kaki, mereka makan dan minum. Sedang mereka bersuka-suka, tiba-tiba beberapa orang yang sumbang laku dari kota itu mengepung rumah itu, lalu mula memukul-mukul pintu. Mereka berkata kepada orang tua itu, “Serahkanlah lelaki yang di rumahmu itu. Kami hendak memburit dengan dia!” Orang tua itu keluar dan berkata kepada mereka, “Tolonglah, saudara-saudara. Janganlah lakukan perbuatan jahat itu! Orang ini tetamu saya. Nanti saya akan memberikan gundiknya dan anak dara saya sendiri. Ambillah mereka. Puaskanlah diri kamu dengan mereka. Tetapi janganlah lakukan perbuatan jahat itu terhadap tetamu saya!” Tetapi kerana mereka tetap mendesak, orang Lewi itu menolak gundiknya keluar untuk mereka. Kemudian mereka memperkosa perempuan itu dengan tidak henti-henti sehingga pagi. Pada waktu subuh perempuan itu kembali, tetapi di depan pintu rumah orang tua itu, tempat suaminya menginap, dia jatuh. Dia masih di situ apabila matahari terbit. Pagi itu, ketika suaminya bangun dan membuka pintu untuk berangkat, dia mendapati gundiknya tergeletak di depan pintu dengan tangannya berpegang pada pintu. “Bangunlah, mari kita berangkat,” katanya. Tetapi perempuan itu tidak menyahut. Kemudian dia mengangkat mayat perempuan itu dan meletakkannya di atas keldai lalu pulang ke rumahnya. Setibanya di rumah, dia masuk dan mengambil pisau, lalu memotong-motong mayat gundiknya, menjadi dua belas potongan. Kemudian dia mengirim potongan-potongan mayat itu kepada dua belas suku Israel, masing-masing satu potong. Tiap-tiap orang yang nampak potongan mayat itu berkata, “Belum pernah kami mendengar perkara seperti ini! Perkara ini belum pernah terjadi sejak orang Israel meninggalkan Mesir! Kita mesti berunding untuk bertindak!” Segenap umat Israel dari Dan di sebelah utara, sampai ke Bersyeba di sebelah selatan, dan juga dari Gilead di sebelah timur, menyahut panggilan itu. Mereka berkumpul sebagai satu umat di hadapan TUHAN di Mizpa. Semuanya 400,000 orang askar bersenjata yang menjadi pasukan berjalan kaki. Para pemimpin daripada setiap suku Israel turut hadir di perhimpunan umat Allah itu. Sementara itu orang suku Benyamin mendengar bahawa segenap umat Israel yang lain telah berkumpul di Mizpa. Umat Israel berkata, “Ceritakanlah bagaimana jenayah itu terjadi.” Orang Lewi yang gundiknya terbunuh itu menjawab, “Saya dengan gundik saya singgah dan bermalam di Gibea, di wilayah Benyamin. Tiba-tiba penduduk Gibea datang mencari saya pada waktu malam. Mereka mengepung rumah itu kerana hendak membunuh saya. Tetapi kemudian mereka memperkosa gundik saya sehingga dia meninggal. Saya mengambil mayatnya dan memotong-motongnya, lalu mengirimnya kepada dua belas suku Israel, masing-masing satu potong. Saya melakukan hal itu kerana orang Gibea telah melakukan perbuatan jahat dan memalukan di tengah-tengah umat Israel. Semua yang hadir di sini orang Israel. Sekarang, katakanlah apa yang harus kita lakukan.” Semua orang yang berkumpul di situ berdiri, lalu dengan serentak mereka berkata, “Tidak seorang pun daripada kita akan pulang ke khemah atau ke rumah. Inilah yang akan kita lakukan: Kita akan mengundi untuk menentukan orang yang harus menyerang Gibea. Sepuluh peratus daripada jumlah lelaki Israel harus menyediakan makanan untuk askar-askar yang pergi bertempur. Sedangkan yang lainnya harus menghukum Gibea kerana kejahatan yang telah dilakukan mereka antara umat Israel.” Demikianlah umat Israel bersatu untuk menyerang kota itu. Umat Israel mengutus beberapa orang ke seluruh wilayah Benyamin untuk menyampaikan berita ini, “Kejahatan apakah yang berlaku antara kamu? Serahkanlah semua orang yang sumbang laku dari Gibea itu supaya kami membunuh mereka dan membasmi kejahatan itu dari Israel.” Tetapi orang Benyamin tidak mempedulikan kata-kata umat Israel yang lain itu. Malah orang Benyamin datang ke Gibea dari semua kota Benyamin untuk memerangi umat Israel yang lain. [15-16] Pada hari itu orang Benyamin mengumpulkan sebanyak 26,000 orang askar dari kota-kota mereka. Penduduk Gibea pula memilih 700 orang lelaki yang kidal. Tiap-tiap orang itu cekap menghumban batu dengan menggunakan penghumban. Jika mereka menghumban, tidak pernah meleset sedikit pun walau sehelai rambut. *** Pada pihak orang Israel lain, sebanyak 400,000 orang askar yang terlatih sudah berkumpul. Umat Israel pergi ke tempat ibadat di Betel dan bertanya kepada Allah, “Suku manakah yang patut mula-mula menyerang orang Benyamin?” TUHAN menjawab, “Suku Yehuda.” Umat Israel berangkat esok paginya dan berkhemah dekat kota Gibea. Mereka pergi menyerang tentera Benyamin, dan menempatkan angkatan perang berhadapan dengan kota itu. Tentera Benyamin keluar dari kota Gibea, lalu menyerang dan membunuh 22,000 orang askar Israel pada hari itu. [22-23] Oleh sebab kekalahan itu, umat Israel pergi lagi ke tempat ibadat dan menangis di hadapan TUHAN sehingga malam. Mereka bertanya lagi kepada Allah, “Haruskah kami berperang lagi dengan orang Benyamin, saudara kami itu?” TUHAN berfirman, “Ya.” Oleh itu semangat orang Israel bangkit semula dan mereka mengatur barisan mereka seperti pada hari pertama. *** Mereka pergi menyerang tentera Benyamin untuk kali kedua. Untuk kali kedua pula orang Benyamin keluar dari Gibea lalu menyerang orang Israel. Kali ini mereka membunuh 18,000 orang askar Israel yang terlatih. Sekali lagi umat Israel pergi ke Betel dan menangis di hadapan TUHAN. Mereka berpuasa di sana sehingga malam. Mereka mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN dan korban untuk menyenangkan hati TUHAN. [27-28] Pada masa itu Tabut Perjanjian Allah terletak di Betel, dan Pinehas anak Eleazar, cucu Harun bertugas sebagai imam. Kemudian umat Israel bertanya kepada TUHAN, “Haruskah kami berperang lagi dengan suku Benyamin, saudara kami itu? Atau haruskah kami menghentikan pertempuran ini?” TUHAN menjawab, “Berperanglah! Esok Aku akan memberi kamu kemenangan atas mereka.” *** Setelah mendengar jawapan itu, umat Israel menempatkan askar-askar mereka di sekitar Gibea untuk menyerang hendap. Pada hari yang ketiga mereka menyerang tentera Benyamin, sambil mengatur barisan menghadap Gibea seperti yang dilakukan pada hari-hari sebelumnya. Orang Benyamin keluar untuk berperang dan mereka diumpan supaya menjauhi kota. Seperti yang sudah-sudah, mereka mula membunuh askar-askar Israel di kawasan terbuka di luar kota pada jalan yang menuju ke Betel dan Gibea. Mereka membunuh kira-kira tiga puluh orang Israel. Oleh itu orang Benyamin berkata, “Kami telah mengalahkan umat Israel seperti yang sudah-sudah.” Padahal umat Israel sengaja mengundurkan diri untuk mengumpan askar-askar Benyamin ke jalan-jalan di luar kota. Apabila tentera umat Israel telah undur dan berkumpul semula di Baal-Tamar, askar-askar mereka yang ditempatkan di sekitar Gibea itu tiba-tiba keluar dari tempat persembunyian di kawasan berbatu di sekeliling kota. Mereka itu askar yang terpilih dari seluruh Israel; jumlahnya 10,000 orang. Kemudian terjadilah satu pertempuran yang sengit ketika 10,000 orang itu menyerang Gibea. Orang Benyamin sama sekali tidak menyangka bahawa mereka tidak lama lagi akan kalah. TUHAN memberi umat Israel kemenangan atas tentera Benyamin. Pada hari itu umat Israel membunuh 25,100 orang askar Benyamin. Barulah orang Benyamin sedar bahawa mereka telah kalah. Sebahagian besar daripada tentera Israel dengan sengaja telah mengundurkan diri daripada tentera Benyamin. Mereka berharap kepada askar-askar di tempat-tempat persembunyian di sekitar Gibea. Askar-askar yang bersembunyi itu cepat-cepat masuk menyerang kota Gibea dan membunuh semua orang yang di dalam kota itu. Induk tentera telah bermuafakat dengan pasukan yang bersembunyi, bahawa apabila mereka nampak asap yang tebal naik dari kota itu, induk tentera harus berbalik dan menyerang musuh. Pada saat itu tentera Benyamin telah membunuh 30 orang askar Israel. Mereka berfikir, “Kami telah mengalahkan mereka seperti yang sudah-sudah.” Tetapi tiba-tiba asap yang tebal mengepul naik dari tengah-tengah kota itu. Orang Benyamin terperanjat apabila mereka menoleh ke belakang dan nampak seluruh kota mereka terbakar. Ketika itu juga tentera Israel balik menyerang mereka, lalu keadaan tentera Benyamin menjadi kacau-bilau. Mereka sedar bahawa mereka akan kalah. Mereka mengundurkan diri daripada tentera Israel lalu lari ke arah padang gurun tetapi mereka tidak dapat menyelamatkan diri. Mereka dikepung oleh induk tentera Israel dan pasukan askar yang pada saat itu sedang keluar dari kota. Orang Benyamin menderita kekalahan yang amat teruk. Tentera Israel mengepung dan mengejar tentera Benyamin terus-menerus sampai ke suatu tempat di sebelah timur Gibea. Sambil mengejar, mereka membunuh 18,000 orang askar Benyamin yang gagah perkasa. Tentera Benyamin yang lain balik lalu lari ke arah padang gurun, ke gunung-gunung batu di Rimon. Sebanyak 5,000 orang daripada mereka dibunuh di tengah jalan. Tentera Israel masih mengejar askar-askar Benyamin sampai ke Gidom dan 2,000 orang daripada mereka terbunuh. Sejumlah 25,000 orang askar Benyamin dibunuh pada hari itu, semuanya gagah berani. Tetapi 600 orang dapat melarikan diri ke padang gurun, ke gunung-gunung batu di Rimon. Mereka tinggal di sana selama empat bulan. Kemudian tentera Israel kembali lagi dan membunuh semua orang Benyamin yang lain - lelaki, perempuan, kanak-kanak, dan binatang-binatang. Mereka membakar semua kota di daerah itu. Pada waktu umat Israel berkumpul di Mizpa, mereka mengangkat sumpah. Mereka berkata, “Tiada seorang pun daripada kami akan membenarkan anak-anak perempuan kami berkahwin dengan orang Benyamin.” Sekarang umat Israel pergi ke Betel lalu duduk di hadapan Allah sehingga malam. Mereka menangis serta berseru, “Ya TUHAN, Allah Israel, mengapakah perkara ini terjadi? Mengapakah Israel harus kehilangan suku Benyamin?” Esok paginya, mereka membina sebuah mazbah di sana. Mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Kemudian mereka bertanya, “Adakah puak-puak antara segenap umat Israel yang tidak ikut beribadat kepada TUHAN di Mizpa dahulu?” (Umat Israel telah bersumpah bahawa sesiapa yang tidak pergi ke Mizpa pada masa itu mesti dihukum mati). Mereka kasihan terhadap suku Benyamin lalu berkata, “Pada hari ini umat Israel telah kehilangan satu daripada sukunya. Apakah yang harus kita lakukan untuk mendapatkan isteri bagi suku Benyamin yang tinggal itu? Kita telah bersumpah kepada TUHAN bahawa kita tidak akan membenarkan anak-anak perempuan kita berkahwin dengan mereka.” Apabila mereka bertanya sama ada masih ada puak di kalangan segenap umat Israel yang tidak ikut beribadat kepada TUHAN di Mizpa, mereka mendapati bahawa tidak seorang pun daripada puak Yabes di Gilead pergi ke Mizpa. Ketika diperiksa daftar kehadiran, maka didapati bahawa tiada seorang pun dari Yabes yang hadir. Oleh sebab itu, orang yang berkumpul di Betel itu mengirim 12,000 orang yang paling berani ke Yabes, dengan perintah, “Bunuhlah setiap orang di Yabes, termasuk kaum wanita dan kanak-kanak. Bunuhlah semua kaum lelaki dan setiap perempuan yang bukan dara.” Daripada puak yang tinggal di Yabes itu, mereka mendapati 400 orang dara yang masih muda. Mereka membawa semua anak dara itu ke perkhemahan di Silo, di tanah Kanaan. Setelah itu segenap umat Israel mengirim utusan kepada suku Benyamin yang di gunung-gunung batu di Rimon untuk menawarkan perdamaian. Dengan itu suku Benyamin pun kembali, lalu umat Israel memberi mereka anak-anak dara dari Yabes yang tidak dibunuh untuk menjadi isteri mereka. Tetapi bilangannya tidak cukup. Umat Israel kasihan terhadap suku Benyamin kerana TUHAN telah meretakkan kesatuan suku-suku Israel. Oleh sebab itu para pemimpin di perhimpunan itu berkata, “Tidak ada lagi perempuan dalam suku Benyamin. Apakah yang harus kita lakukan supaya kaum lelaki yang masih tinggal ini mendapat isteri? Jangan sampai Israel kehilangan satu pun daripada dua belas sukunya. Kita mesti mencari jalan supaya suku Benyamin dapat mempunyai keturunan dan tetap mewarisi seluruh tanahnya; tetapi kita tidak boleh membenarkan anak-anak perempuan kita berkahwin dengan mereka, kerana kita telah mengutuk sesiapa saja yang membenarkan orang Benyamin mengahwini anak perempuan kita.” Kemudian mereka teringat bahawa perayaan tahunan bagi TUHAN yang diadakan di Silo sudah hampir. (Silo terletak di sebelah utara Betel, di sebelah selatan Lebona dan di sebelah timur jalan di antara Betel dan Sikhem). Kemudian para pemimpin itu berkata kepada orang Benyamin yang tinggal itu, “Bersembunyilah di ladang-ladang anggur di Silo dan tunggulah di sana. Apabila anak-anak gadis Silo datang untuk menari pada perayaan itu, keluarlah dari ladang-ladang anggur itu, lalu masing-masing mengambil gadis-gadis itu secara paksa. Jadikanlah mereka isteri kamu dan bawalah mereka pulang ke wilayah Benyamin. Jika bapa atau saudara lelaki mereka datang dan membantah, kamu boleh mengatakan, ‘Benarkanlah kami mengambil anak-anak gadis kamu itu untuk menjadi isteri kami, kerana kami tidak merampas mereka dalam peperangan. Lagi pula kamu tidak memberikan mereka kepada kami. Dengan itu kamu tidak bersalah, kerana kamu tidak melanggar sumpah.’ ” Suku Benyamin pun berbuat demikian. Masing-masing memilih seorang isteri antara gadis-gadis yang menari di Silo, lalu membawa mereka pulang. Selepas itu mereka balik ke wilayah masing-masing dan membina semula kota-kota mereka serta tinggal di sana. Orang Israel yang lain pun pulang kepada suku serta keluarga masing-masing, dan ke tanah milik mereka. Pada zaman itu umat Israel belum mempunyai raja. Tiap-tiap orang melakukan apa yang dianggapnya benar. [1-2] Pada zaman sebelum umat Israel mempunyai raja, kebuluran berlaku di tanah Kanaan. Pada waktu itu ada seorang lelaki bernama Elimelekh. Dia daripada puak Efrata, dan tinggal di Betlehem di wilayah Yehuda. Oleh sebab kebuluran itu, dia pergi ke negeri Moab bersama dengan isterinya Naomi, serta dua orang anak lelakinya, Mahlon dan Kilyon. Mereka tinggal di Moab untuk sementara waktu. Semasa mereka di sana, *** Elimelekh meninggal, maka tinggal Naomi bersama dengan dua orang anak lelakinya. Anak-anak lelakinya itu berkahwin dengan perempuan Moab, yang bernama Orpa dan Rut. Setelah mereka tinggal di Moab selama sepuluh tahun, Mahlon dan Kilyon pula meninggal, maka tinggal Naomi seorang diri. Dia kehilangan suaminya dan kedua-dua orang anaknya. Kemudian Naomi mendengar bahawa TUHAN telah memberkati umat-Nya dengan memberikan hasil tanaman yang baik kepada mereka. Oleh itu Naomi bersiap-siap untuk meninggalkan Moab bersama dengan kedua-dua orang menantunya. Mereka berangkat bersama-sama untuk balik ke Yehuda. Tetapi dalam perjalanan, Naomi berkata kepada kedua-dua orang menantunya, “Pulanglah ke rumah ibu kamu. Semoga TUHAN berbuat baik terhadap kamu seperti kamu telah berbuat baik terhadap aku dan terhadap mereka yang telah meninggal. Semoga TUHAN berkenan memberikan jodoh kepada kamu supaya kamu berumahtangga lagi.” Setelah mengatakan demikian, Naomi mencium mereka sambil mengucapkan selamat tinggal. Tetapi Orpa dan Rut menangis tersedu-sedu. Mereka berkata kepada Naomi, “Tidak! Kami akan ikut mak balik ke bangsa mak.” Tetapi Naomi menjawab, “Lebih baik kamu pulang, anakku. Mengapa kamu hendak ikut aku? Aku tidak dapat melahirkan anak lagi untuk dikahwinkan dengan kamu! Pulanglah. Aku sudah terlalu tua untuk berkahwin lagi. Sekiranya aku masih ada harapan untuk berkahwin lagi pada malam ini juga dan mendapat anak lelaki, sanggupkah kamu menunggu sehingga mereka besar? Patutkah hal itu menghalangi kamu berkahwin dengan orang lain? Janganlah begitu, anakku. Aku sedih dengan apa yang terpaksa kamu alami kerana hukuman TUHAN terhadap aku.” Rut dan Orpa menangis lagi dengan tersedu-sedu. Kemudian Orpa mencium ibu mentuanya dan mengucapkan selamat tinggal, lalu pulang. Tetapi Rut tidak mahu meninggalkan ibu mentuanya. Naomi berkata kepadanya, “Lihatlah Rut, birasmu sudah pulang kepada bangsanya dan dewa-dewanya. Pergilah, anakku. Pulanglah seperti birasmu.” Tetapi Rut menjawab, “Janganlah suruh saya pulang. Benarkanlah saya mengikut mak. Ke mana saja mak pergi, saya akan ikut bersama. Di mana saja mak tinggal, di situ juga saya hendak tinggal. Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Allah yang disembah mak, akan saya sembah juga. Di mana saja mak meninggal, di situlah saya hendak meninggal dan dikebumikan. Biarlah TUHAN menghukum saya dengan seberat-beratnya jika saya membiarkan apa-apa pun memisahkan kita kecuali kematian.” Apabila Naomi melihat bahawa Rut berkeras hendak mengikut dia, Naomi tidak mengatakan apa-apa lagi. Mereka meneruskan perjalanan sehingga mereka sampai di Betlehem. Apabila mereka tiba, segenap penduduk kota itu heboh. Kaum perempuan di situ berkata, “Betulkah dia itu Naomi?” Naomi menjawab, “Janganlah panggil saya Naomi. Panggillah saya Mara, kerana Allah Yang Maha Kuasa telah menjadikan kehidupan saya pahit. Dahulu ketika saya meninggalkan tempat ini saya berkecukupan, tetapi sekarang TUHAN membawa saya balik dengan tidak mempunyai apa-apa. Oleh itu, janganlah panggil saya Naomi lagi, kerana TUHAN Yang Maha Kuasa telah menghukum saya dengan banyak penderitaan.” Demikianlah kisahnya Naomi pulang dari Moab bersama dengan Rut menantunya, orang Moab itu. Mereka tiba di Betlehem pada permulaan musim menuai barli. Naomi mempunyai sanak saudara daripada mendiang suaminya, Elimelekh. Seorang daripadanya bernama Boas, dan dia kaya serta dihormati. Pada suatu hari, Rut berkata kepada Naomi, “Benarkanlah saya pergi ke ladang untuk mengumpulkan barli yang terjatuh dari tangan para penuai. Tentu saya akan menemui orang yang akan membiarkan saya berbuat begitu.” Naomi menjawab, “Pergilah, anakku.” Kemudian Rut pergi ke ladang. Dia mengikut para penuai di sana, sambil memungut barli yang terjatuh. Kebetulan dia berada di ladang kepunyaan Boas, seorang daripada sanak saudara Elimelekh. Tidak berapa lama kemudian, Boas sendiri datang dari Betlehem. Dia memberikan salam kepada para pekerjanya. “Semoga TUHAN menyertai kamu!” katanya. “Semoga TUHAN memberkati tuan!” jawab mereka. Kemudian Boas bertanya kepada ketua pekerjanya, “Siapakah keluarga wanita itu?” Ketua pekerja itu menjelaskan, “Dia wanita asing yang baru datang dari Moab bersama dengan Naomi. Dia minta izin untuk mengikut para pekerja kita memungut barli yang tercicir. Sejak pagi lagi dia bekerja, dan baru saja dia berhenti untuk berehat sebentar di pondok.” Kemudian Boas berkata kepada Rut, “Dengarlah nasihat saya. Janganlah pergi memungut barli di ladang lain, kecuali ladang ini. Bekerjalah dengan para pekerja wanita di sini. Lihatlah ke mana mereka bekerja, dan ikutlah mereka. Dengan tegas saya melarang para pekerja lelaki daripada mengganggu kamu. Apabila kamu haus, minumlah air dari tempayan-tempayan yang telah diisikan oleh mereka.” Rut bersujud dan berkata kepada Boas, “Mengapakah tuan mengambil berat terhadap saya dan begitu baik terhadap saya? Saya hanya seorang bangsa asing!” Boas menjawab, “Saya telah mendengar segala sesuatu yang kamu lakukan bagi ibu mentuamu sejak suamimu meninggal. Saya tahu bahawa kamu telah meninggalkan ibu bapa dan negeri kamu untuk tinggal bersama dengan bangsa yang tidak kamu kenal. Semoga TUHAN membalas segala kebaikanmu. Semoga kamu menerima apa yang patut diberikan kepadamu oleh TUHAN, Allah Israel, kerana kamu telah datang untuk berlindung kepada-Nya!” Rut berkata, “Tuan sungguh baik hati. Tuan telah menyenangkan hati saya. Tuan telah bercakap lembut kepada saya, walaupun saya tidak setaraf dengan pekerja tuan.” Pada waktu makan tengah hari, Boas berkata kepada Rut, “Marilah makan. Celupkanlah rotimu di dalam kuahnya.” Rut duduk bersama-sama para pekerja yang lain lalu Boas menghidangkan barli panggang kepadanya. Rut makan sehingga kenyang. Setelah makan, dia menyimpan lebihan makanannya. [15-16] Apabila dia pergi lagi untuk memungut barli, Boas berkata kepada para pekerjanya, “Biarlah dia memungut barli bahkan antara yang sudah diberkas. Jangan larang dia. Cabutlah beberapa batang barli dari berkas-berkas itu dan tinggalkanlah di sana supaya dapat dipungutnya.” *** Rut memungut barli di ladang itu sehingga senja. Setelah dia mengirik barli itu, dia mendapati bahawa barli yang dikumpulkannya hampir sepuluh kilogram. Dia membawa barli itu ke kota, lalu menunjukkan kepada ibu mentuanya berapa banyak barli yang telah dikumpulkannya. Dia juga memberi ibu mentuanya lebihan makanan yang disimpannya pada waktu makan. Naomi bertanya kepadanya, “Di mana engkau mendapat semua ini? Di ladang siapa engkau bekerja? Semoga Allah memberkati orang yang berbuat baik kepadamu!” Rut menceritakan kepada Naomi bahawa dia telah bekerja di ladang seorang yang bernama Boas. “Semoga TUHAN memberkati Boas!” kata Naomi kepada Rut. “TUHAN sentiasa menepati janji-Nya, baik kepada orang yang masih hidup mahupun kepada orang yang sudah meninggal.” Katanya lagi, “Orang itu saudara dekat kita. Dialah yang patut bertanggungjawab terhadap kita.” Rut berkata, “Lagi pula, dia membenarkan saya memungut barli bersama-sama para pekerjanya sehingga mereka habis menuai seluruh ladang itu.” Naomi berkata kepada Rut, “Memang, nak. Lebih baik engkau bekerja dengan para pekerja wanita di ladang Boas. Jika engkau bekerja di ladang orang lain, mungkin engkau akan diganggu oleh orang di sana.” Maka Rut tetap mengikuti para pekerja wanita di ladang Boas. Rut memungut barli dan gandum di sana sehingga semuanya habis dituai. Selama itu Rut tinggal bersama dengan ibu mentuanya. Kemudian Naomi berkata kepada Rut, “Aku harus mendapatkan suami untukmu, supaya engkau mempunyai rumah tangga sendiri dan hidup bahagia. Ketahuilah, pemilik ladang tempat engkau bekerja dengan para pekerja wanita itu saudara dekat kita. Oleh itu, dengarlah! Senja ini dia akan mengirik barli. Mandilah sekarang dan gunalah minyak wangi dan pakailah bajumu yang tercantik. Kemudian pergilah ke tempat dia mengirik barli, tetapi jangan tunjukkan dirimu sehingga dia selesai makan dan minum. Perhatikanlah tempat dia berbaring. Setelah dia lena, bukalah selimutnya dan baringlah dekat kakinya. Kemudian dia akan memberitahu engkau apa yang harus engkau lakukan.” Rut menjawab, “Saya akan menurut segala kata mak.” Kemudian Rut pergi ke tempat mengirik barli dan melakukan seperti yang disuruh oleh ibu mentuanya. Setelah Boas makan dan minum, dia berasa gembira. Dia pergi ke tempat timbunan barli, lalu baring dan tidur. Kemudian Rut mendekatinya dengan diam-diam. Dia membuka selimut Boas lalu tidur dekat kakinya. Kira-kira pada tengah malam, Boas terjaga dan membalikkan badannya. Dia terkejut melihat seorang wanita tidur dekat kakinya. “Siapakah kamu?” tanya Boas. “Saya Rut, tuan,” jawabnya. “Sudilah tuan mengembangkan jubah untuk melindungi saya; sudilah menjadikan saya isteri tuan. Oleh sebab tuan saudara dekat kami, tuanlah yang bertanggungjawab terhadap hidup saya.” “TUHAN memberkati kamu,” kata Boas. “Dengan perbuatanmu ini, kamu menunjukkan kesetiaan yang lebih besar daripada apa yang telah kamu lakukan terhadap ibu mentuamu. Sebenarnya, kamu boleh mencari seorang pemuda, baik yang kaya ataupun yang miskin, tetapi kamu tidak berbuat demikian. Janganlah khuatir, Rut. Saya akan memenuhi segala permintaanmu. Semua orang di kota tahu bahawa kamu wanita yang baik budi pekerti. Memang benar saya ini saudara dekatmu dan bertanggungjawab terhadap hidupmu, tetapi ada lagi seorang saudaramu yang lebih dekat daripada saya. Tetapi tinggallah di sini dahulu. Esok pagi, jika saudara itu mahu bertanggungjawab terhadap hidupmu, baiklah. Jika tidak, saya berjanji demi Allah yang hidup bahawa saya akan bertanggungjawab terhadap hidupmu. Sekarang tidurlah hingga pagi.” Rut tidur dekat kaki Boas, tetapi esok pagi, Rut bangun ketika hari masih gelap. Dia tidak mahu dilihat orang, kerana Boas tidak mahu orang tahu bahawa Rut berada di situ. Boas berkata kepadanya, “Tanggalkanlah selendangmu dan bentangkanlah di sini.” Rut pun berbuat demikian. Lalu Boas menuang kira-kira dua puluh kilogram barli ke dalam selendang itu. Kemudian Boas mengangkatnya ke atas bahu Rut. Rut pulang sambil memikul barli itu. Apabila Rut tiba di rumah, ibu mentuanya bertanya kepadanya, “Apa yang terjadi, nak?” Rut menceritakan segala yang telah dilakukan Boas baginya. Rut berkata lagi, “Kata Boas, saya tidak boleh balik kepada mak dengan tangan kosong. Lalu dia memberikan semua barli ini kepada saya.” Naomi berkata kepadanya, “Bersabarlah, Rut. Engkau akan menyaksikan kesudahan segala perkara ini. Boas tidak akan berdiam diri selagi dia tidak menyelesaikan perkara ini hari ini juga.” Boas pergi ke tempat pertemuan di pintu gerbang kota dan duduk di sana. Pada masa itu orang yang disebutnya saudara terdekat kepada Elimelekh, lalu di situ. Boas memanggil orang itu. “Marilah, hai saudara,” katanya. “Duduklah.” Saudara itu datang lalu duduk di sana. Kemudian Boas meminta sepuluh orang pemimpin kota supaya duduk di sana juga. Sementara mereka duduk, Boas berkata kepada saudaranya, “Naomi telah balik dari Moab, dan dia hendak menjual tanah milik saudara kita Elimelekh. Saya berpendapat bahawa kamu mesti diberitahu. Jika kamu hendak membeli tanah itu, belilah di hadapan semua orang yang duduk di sini. Tetapi jika kamu tidak mahu membeli tanah itu, katakanlah; kerana kamulah yang pertama berhak membelinya. Kemudian barulah saya.” Orang itu berkata, “Saya hendak membeli tanah itu.” Boas berkata lagi, “Baiklah. Tetapi jika kamu membeli tanah itu daripada Naomi, ini bererti kamu mengambil Rut juga, balu yang berbangsa Moab itu. Dengan demikian tanah itu tetap menjadi milik keturunan orang yang sudah meninggal.” Orang itu menjawab, “Jika demikian, biarlah saya melepaskan hak saya untuk membeli tanah itu, kerana walaupun saya membelinya, anak-anak saya tidak akan mewarisinya. Kamulah yang membeli tanah itu, saya tidak mahu.” Pada zaman itu, untuk mengesahkan penjualan milik atau penukaran harta, telah menjadi kebiasaan bahawa si penjual menanggalkan kasutnya lalu memberikan kasut itu kepada si pembeli. Menurut hukum di Israel, dengan cara demikian, sahlah penjualan itu. Oleh yang demikian, apabila saudara itu berkata kepada Boas, “Kamulah yang membeli tanah itu,” dia menanggalkan kasutnya lalu memberikannya kepada Boas. Selepas itu Boas berkata kepada para pemimpin dan semua orang yang ada di situ, “Saudara-saudara menjadi saksi hari ini, bahawa daripada Naomi saya telah membeli segala yang dimiliki Elimelekh dan anak-anaknya, Kilyon dan Mahlon. Di samping itu pula Rut, wanita Moab, balu Mahlon itu, menjadi isteri saya sekarang. Dengan cara ini, tanah orang yang sudah meninggal akan tetap menjadi milik keturunannya. Keturunannya pun akan tetap ada di kalangan sanak saudaranya dan tinggal di kotanya. Saudara-saudaralah yang menjadi saksi hal itu pada hari ini.” Para pemimpin kota dan semua orang yang berada di situ berkata, “Baiklah, kamilah yang menjadi saksi. Semoga TUHAN membolehkan isterimu menjadi seperti Rahel dan Lea, yang melahirkan banyak anak bagi Yakub. Semoga kamu menjadi kaya antara puak Efrata dan terkenal di Betlehem. Semoga anak-anak yang akan dikurniakan TUHAN kepadamu daripada wanita muda ini menjadikan keluargamu seperti keluarga Peres, anak Yehuda dan Tamar.” Kemudian Boas membawa Rut pulang sebagai isterinya. TUHAN memberkati Rut dan dia mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Kaum perempuan di tempat itu berkata kepada Naomi, “Pujilah TUHAN! Hari ini, Dia telah memberi kamu seorang cucu untuk memelihara kamu. Semoga anak ini terkenal di Israel kelak. Menantumu yang mengasihi kamu telah memperlakukan kamu lebih baik daripada tujuh orang anak lelaki. Sekarang dia telah memberi kamu seorang cucu yang akan memberikan hidup yang baru kepadamu, dan menjamin hari tuamu.” Naomi mengambil anak itu, memeluknya serta mengasuh dia. Kaum perempuan yang berjiran dengan Naomi menamakan anak itu Obed. Mereka berkata kepada setiap orang, “Naomi mempunyai seorang anak lelaki!” Obed inilah yang kemudian menjadi bapa Isai, dan Isai menjadi bapa Daud. [18-22] Keturunan Peres sehingga Daud adalah sebagai berikut: Peres, Hezron, Ram, Aminadab, Nahason, Salmon, Boas, Obed, Isai, dan Daud. Ada seorang lelaki bernama Elkana. Dia daripada suku Efraim yang tinggal di kota Rama, di kawasan perbukitan Efraim. Elkana ialah anak Yeroham dan cucu Elihu. Elkana daripada keluarga Tohu, salah satu keluarga daripada puak Zuf. Elkana mempunyai dua orang isteri, Hana dan Penina. Penina mempunyai anak tetapi Hana tidak. Tiap-tiap tahun Elkana berangkat dari Rama dan pergi ke Silo untuk beribadat dan mempersembahkan korban kepada TUHAN Yang Maha Kuasa. Di Silo, Hofni dan Pinehas, iaitu anak-anak Eli, menjadi imam-imam TUHAN. Tiap-tiap kali Elkana mempersembahkan korban, dia memberikan satu bahagian daging korban itu kepada Penina dan satu bahagian kepada setiap anaknya. Walaupun Elkana sangat mencintai Hana, Elkana memberi dia satu bahagian daging sahaja, kerana TUHAN tidak memberikan anak kepadanya. Hana selalu disakiti hati dan dihina oleh Penina, madunya itu, kerana TUHAN tidak memberikan anak kepada Hana. Perkara itu berlangsung selama bertahun-tahun. Setiap kali mereka pergi ke rumah TUHAN, Penina selalu menyakiti hati Hana sehingga Hana menangis dan tidak mahu makan apa-apa. Setiap kali pula suaminya Elkana akan bertanya kepadanya, “Hana, mengapa menangis? Mengapa tidak mahu makan? Mengapa selalu bersedih? Bukankah aku lebih berharga bagimu daripada sepuluh orang anak lelaki?” [9-10] Pada suatu hari, setelah mereka makan di rumah TUHAN di Silo, Hana bangkit dari tempat makan. Pada masa itu Imam Eli yang juga berada di rumah TUHAN, sedang duduk di kerusinya dekat pintu. Dengan sangat sedih, Hana berdoa kepada TUHAN sambil menangis tersedu-sedu. *** Kemudian Hana mengucapkan suatu janji, katanya, “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, perhatikanlah hamba-Mu ini. Lihatlah kesusahanku, dan ingatlah akan aku. Jangan lupakan aku. Jika Engkau memberikan seorang anak lelaki kepadaku, aku berjanji akan menyerahkan dia kepada-Mu seumur hidupnya. Rambutnya tidak akan dipotong.” Lama sekali Hana berdoa kepada TUHAN, dan selama itu Eli memperhatikan mulut Hana. Hana berdoa dengan senyap; oleh itu hanya bibirnya yang bergerak tetapi suaranya tidak kedengaran. Itulah sebabnya dia disangka mabuk oleh Eli. Kemudian Eli berkata kepadanya, “Jangan mabuk di sini! Jangan minum wain lagi!” Hana menjawab, “Tuan, saya tidak mabuk. Saya tidak minum wain. Saya putus asa, dan saya sedang berdoa untuk meluahkan isi hati kepada TUHAN. Tolong jangan anggap saya sebagai perempuan hina. Saya berdoa seperti ini kerana saya sangat sedih.” Kemudian Eli berkata, “Jika begitu, pulanglah dengan sejahtera. Semoga Allah Israel mengabulkan permintaanmu.” “Semoga saya mendapat restu tuan,” kata Hana. Kemudian Hana pergi dari situ, lalu makan dan tidak sedih lagi. Pada keesokan hari, Elkana dan keluarganya bangun pagi-pagi. Setelah mereka beribadat kepada TUHAN, mereka pulang ke Rama. Elkana bersetubuh dengan isterinya Hana, dan TUHAN mengabulkan doa Hana. Hana mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hana menamakan anak itu Samuel, kerana katanya, “Aku sudah memintanya daripada TUHAN.” Kemudian tibalah masanya bagi Elkana dan keluarganya pergi ke Silo lagi untuk mempersembahkan korban tahunan kepada TUHAN. Selain itu Elkana sudah berjanji untuk mempersembahkan suatu korban khas. Tetapi kali ini Hana tidak ikut. Dia berkata kepada suaminya, “Sebaik saja Samuel bercerai susu, aku akan membawa dia ke rumah TUHAN, dan dia akan tinggal di situ seumur hidupnya.” Elkana berkata, “Baiklah, lakukanlah apa yang engkau pandang baik. Tinggallah di rumah sampai anak kita bercerai susu. Semoga TUHAN membuat janjimu menjadi kenyataan.” Maka Hana tinggal di rumah sehingga anaknya itu bercerai susu. Setelah anak itu bercerai susu, Hana membawa dia ke rumah TUHAN di Silo. Pada masa itu Samuel masih sangat kecil. Hana juga membawa seekor lembu jantan yang berumur tiga tahun, sepuluh kilogram tepung gandum, dan satu kirbat wain. Setelah mereka menyembelih lembu itu, mereka menghantar Samuel kepada Eli. Hana berkata kepada Eli, “Tuan, masih ingatkah tuan akan saya? Sayalah perempuan yang tuan nampak berdiri di sini dahulu, yang berdoa kepada TUHAN. Saya minta anak ini daripada TUHAN, dan Dia sudah mengabulkan permintaan saya. Oleh itu saya menyerahkan anak ini kepada TUHAN. Anak ini akan menjadi milik TUHAN seumur hidupnya.” Selepas itu mereka beribadat kepada TUHAN di situ. Kemudian Hana berdoa, “TUHAN menggembirakan hatiku; alangkah bahagianya aku, kerana apa yang sudah dilakukan-Nya bagiku. Sekarang aku mentertawakan musuhku; alangkah sukacitanya aku kerana Allah sudah menolong aku. Tiada sesiapa pun yang suci seperti TUHAN; Dia tidak ada tandingan; hanya Allah kita yang dapat memberikan perlindungan. Hentikanlah cakap besarmu, jangan keluarkan cakap angkuh. Oleh sebab TUHAN itu Allah Yang Maha Tahu, Dia menghakimi segala perbuatan orang. Busur askar yang perkasa sudah patah, tetapi orang yang lemah menjadi perkasa. Orang yang dahulu kenyang, sekarang harus bekerja untuk mencari makan; tetapi yang dahulu lapar, sekarang menjadi kenyang. Isteri yang mandul melahirkan tujuh orang anak, tetapi ibu yang mempunyai banyak anak, ditinggalkan dan dibiarkan merana. TUHAN mematikan manusia, Dia juga menghidupkan mereka. Dia menghantar manusia ke dunia orang mati, dan Dia juga membawa mereka kembali. TUHAN menyebabkan sebilangan orang papa, dan menjadikan yang lain kaya. Dia merendahkan sebilangan orang, dan meninggikan yang lain. Dia mengangkat orang miskin daripada penderitaan, Dia membebaskan orang hina daripada kesengsaraan. Mereka dijadikan kawan bangsawan yang berdarjat, dan diberikan tempat yang terhormat. Asas bumi adalah kepunyaan TUHAN, di atas asas itu, Dia mendirikan dunia. Dia melindungi hidup umat-Nya yang setia, tetapi orang jahat binasa dalam gelap gelita. Dengan kekuatan sendiri, manusia tidak dapat berjaya. Musuh-musuh TUHAN akan binasa; Dia akan mengguntur dari langit untuk menentang mereka. TUHAN akan menghakimi seluruh dunia; Dia akan memberikan kuasa kepada raja, Dia juga akan memberikan kemenangan kepada raja pilihan-Nya.” Selepas itu Elkana pulang ke rumahnya di Rama, tetapi Samuel, anak itu tinggal di Silo dan mengabdi kepada TUHAN di bawah pengawasan Imam Eli. Anak-anak Eli sangat jahat. Mereka tidak mengendahkan TUHAN. Mereka juga tidak mengendahkan peraturan tentang apa yang boleh diminta oleh imam daripada umat Israel. Sebaliknya, jika ada orang yang mempersembahkan korban, hamba imam akan datang sambil membawa garpu bergigi tiga. Sementara daging itu direbus, hamba itu akan menusukkan garpu ke dalam periuk, tempat daging itu dimasak. Apa sahaja yang ditariknya keluar dengan garpu itu menjadi milik imam. Semua orang Israel yang datang ke Silo untuk mempersembahkan korban diperlakukan seperti itu. Tambahan pula, hamba itu akan datang sebelum lemak binatang itu dipisahkan untuk dibakar, lalu dia berkata kepada orang yang mempersembahkan korban itu, “Berikanlah daging yang masih mentah itu kepada imam supaya dipanggangnya; dia tidak mahu menerima daging yang sudah direbus.” Jika orang itu menjawab, “Sebaiknya kita mentaati peraturan dan membakar lemak itu dahulu; selepas itu bolehlah kamu mengambil apa yang kamu suka,” maka hamba itu akan berkata, “Tidak! Serahkan daging itu kepadaku sekarang juga! Jika tidak, aku akan mengambilnya dengan paksa.” Demikianlah kedua-dua orang anak Eli itu berdosa besar di sisi TUHAN, kerana mereka meremehkan persembahan korban untuk TUHAN. Sementara itu, Samuel yang masih kanak-kanak terus mengabdi kepada TUHAN. Samuel memakai baju khas daripada kain linen, seperti baju ibadat para imam. Tiap-tiap tahun ibu Samuel membuat jubah kecil, lalu memberikan jubah itu kepada Samuel apabila ibu itu datang bersama dengan suaminya untuk mempersembahkan korban tahunan. Kemudian Eli memberkati Elkana dan isterinya, serta berkata kepada Elkana, “Semoga TUHAN mengurniai kamu anak-anak lain daripada isterimu ini, untuk menggantikan anak yang sudah kamu serahkan kepada TUHAN.” Selepas itu mereka pulang ke Rama. Hana diberkati oleh TUHAN, lalu Hana melahirkan tiga orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Samuel pun bertambah besar sementara dia mengabdi kepada TUHAN. Eli sudah sangat tua. Dia selalu mendengar aduan tentang perbuatan anak-anaknya terhadap umat Israel. Eli tahu juga bahawa anak-anaknya itu meniduri perempuan-perempuan yang bertugas di pintu Khemah TUHAN. Oleh itu Eli berkata kepada anak-anaknya, “Aku sudah diberitahu oleh setiap orang tentang kejahatan yang kamu lakukan. Mengapa kamu melakukan hal itu? Jangan berbuat begitu lagi, hai anak-anakku. Sangat buruk perkara yang dikatakan oleh umat TUHAN tentang kamu. Jika seseorang berdosa terhadap manusia, Allah dapat membelanya; tetapi jika seseorang berdosa terhadap TUHAN, siapakah yang dapat membelanya?” Tetapi anak-anak Eli itu tidak mempedulikan nasihat bapa mereka, kerana TUHAN sudah mengambil keputusan untuk membinasakan mereka. Sebaliknya Samuel, anak itu, semakin besar dan semakin disukai oleh TUHAN mahupun oleh semua orang. Pada suatu hari seorang nabi datang kepada Eli dan menyampaikan perkhabaran daripada TUHAN. Nabi itu berkata, “TUHAN berfirman, ‘Ketika nenek moyangmu Harun dan keluarganya menjadi hamba raja Mesir, Aku menampakkan diri kepada Harun. Daripada semua suku Israel, Aku memilih keluarganya menjadi imam-Ku untuk bertugas di mazbah, membakar kemenyan, dan memakai baju efod ketika meminta petunjuk daripada-Ku. Aku memberi mereka hak untuk mengambil sebahagian daripada korban yang dibakar di atas mazbah. Tetapi mengapakah engkau masih tamak melihat persembahan dan korban yang dipersembahkan oleh umat-Ku kepada-Ku? Mereka mempersembahkan semuanya kepada-Ku menurut perintah-Ku kepada mereka. Hai Eli, mengapa engkau lebih menghormati anak-anakmu daripada menghormati Aku, dan membiarkan mereka menggemukkan diri dengan bahagian terbaik daripada setiap korban yang dipersembahkan oleh umat-Ku kepada-Ku? Aku TUHAN, Allah Israel, dahulu telah berjanji bahawa keluarga dan puakmu akan mengabdi kepada-Ku sebagai imam untuk sepanjang masa. Tetapi sekarang Aku tidak menghendaki hal itu lagi! Sebaliknya, mereka yang menghormati Aku akan Kuhormati, dan mereka yang menghina Aku akan dihina. Dengarlah, akan tiba masanya Aku membunuh semua orang lelaki daripada keluarga dan puakmu, sehingga tiada seorang lelaki pun daripada keluargamu yang akan hidup sampai usia lanjut. Engkau akan sedih dan iri hati melihat segala berkat yang akan Kuberikan kepada orang lain di Israel, sedangkan dalam keluargamu sendiri semua orang akan mati muda. Namun, seorang daripada keturunanmu akan Kubiarkan hidup, dan dia akan mengabdi kepada-Ku sebagai imam. Tetapi dia akan menjadi buta dan hidup dengan putus asa. Semua keturunanmu yang lain akan dibunuh dengan kejam. Apabila kedua-dua orang anakmu, Hofni dan Pinehas, meninggal pada hari yang sama, barulah engkau sedar bahawa semua yang Aku firmankan ini akan benar-benar berlaku. Aku akan memilih seorang imam yang setia kepada-Ku dan yang melakukan segala perintah-Ku. Aku akan memberi dia keturunan yang sentiasa bertugas sebagai imam kepada raja yang Aku pilih. Setiap keturunanmu yang masih hidup akan pergi kepada imam itu untuk minta wang dan makanan. Dia akan memohon supaya dibenarkan membantu para imam untuk mendapat makanan biar hanya sesuap.’ ” Sementara itu, Samuel yang masih kanak-kanak, sedang mengabdi kepada TUHAN di bawah pengawasan Eli. Pada masa itu jarang sekali ada firman dan penglihatan daripada TUHAN. Pada suatu malam, Eli yang sudah sangat tua dan hampir buta, sedang tidur di biliknya. Pada masa itu Samuel tidur di dalam rumah TUHAN, tempat letaknya Tabut Perjanjian Allah. Sebelum fajar, ketika pelita di atas mazbah masih menyala, TUHAN memanggil Samuel. Samuel menjawab, “Ya tuan!” Kemudian dia lari kepada Eli dan berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.” Tetapi Eli menjawab, “Aku tidak memanggil engkau. Pergilah tidur.” Lalu Samuel pergi tidur semula. [6-7] Kemudian TUHAN memanggil Samuel lagi. Samuel tidak tahu bahawa yang memanggilnya itu TUHAN, kerana belum pernah TUHAN berfirman kepadanya. Oleh itu dia bangun dan pergi kepada Eli, dan berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.” Tetapi Eli menjawab, “Aku tidak memanggil engkau, anakku. Pergilah tidur.” *** TUHAN memanggil Samuel pada kali ketiga, lalu Samuel bangun dan pergi kepada Eli. Dia berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.” Kemudian Eli sedar bahawa TUHAN yang memanggil anak itu. Oleh itu Eli berkata kepada Samuel, “Pergilah tidur. Jika engkau dipanggil lagi, jawablah, ‘Berfirmanlah, ya TUHAN. Hamba-Mu mendengar.’ ” Lalu Samuel balik ke tempat tidurnya. Kemudian TUHAN datang dan berdiri di tempat itu serta memanggil dia lagi, “Samuel! Samuel!” Samuel menjawab, “Berfirmanlah, ya TUHAN. Hamba-Mu mendengar.” TUHAN berfirman kepadanya, “Aku akan melakukan suatu perkara yang dahsyat terhadap umat Israel, sehingga tiap-tiap orang yang mendengarnya akan terpegun. Pada hari itu Aku akan melaksanakan segala ancaman-Ku terhadap keluarga Eli, dari mula sampai akhir. Aku sudah memberitahu dia bahawa Aku akan menghukum keluarganya untuk selama-lamanya, kerana anak-anaknya telah menghina Aku. Eli tahu akan perbuatan mereka itu, tetapi dia tidak melarang mereka. Oleh itu Aku bersumpah kepada keluarga Eli, bahawa untuk selama-lamanya tiada korban atau persembahan apa pun yang akan dapat menghapuskan dosa yang dahsyat itu.” Selepas itu Samuel berbaring di tempat tidurnya sampai pagi. Kemudian dia bangun lalu membuka pintu-pintu rumah TUHAN. Dia takut memberitahu Eli tentang penglihatan itu, tetapi Eli memanggil dia, “Samuel, anakku!” “Ya tuan,” sahut Samuel. Eli bertanya, “Apakah yang difirmankan TUHAN kepadamu? Ceritakanlah segalanya kepadaku. Jika ada sesuatu yang engkau rahsiakan, tentu engkau akan dihukum dengan berat oleh Allah.” Oleh itu Samuel menceritakan segala-galanya. Dia tidak merahsiakan apa-apa pun. Kemudian Eli berkata, “Dialah TUHAN; biarlah Dia melakukan apa yang dianggap-Nya baik.” Samuel bertambah besar. TUHAN menyertai dia dan membuat segala yang dikatakan Samuel benar-benar berlaku. Maka segenap umat Israel dari seluruh negeri itu mengakui bahawa Samuel ialah nabi TUHAN. TUHAN terus menampakkan diri di Silo. Di situlah Dia telah menampakkan diri kepada Samuel dan berfirman kepadanya. Setiap kali Samuel berkata-kata, semua orang Israel mendengarkan dia. Pada masa itu orang Filistin mengumpulkan tentera mereka untuk menyerang Israel. Oleh itu tentera Israel pun maju ke medan peperangan. Tentera Israel berkhemah di Eben-Haezer, dan tentera Filistin berkhemah di Afek. Tentera Filistin menyerang tentera Israel, dan setelah bertempur dengan sengit, tentera Israel kalah. Kira-kira 4,000 orang Israel dibunuh oleh tentera Filistin di medan peperangan. Apabila tentera Israel yang masih hidup pulang ke perkhemahan, para pemimpin Israel berkata, “Mengapakah TUHAN membiarkan tentera Filistin mengalahkan kita hari ini? Marilah kita membawa Tabut Perjanjian TUHAN dari Silo, supaya Dia akan menyertai kita dan menyelamatkan kita daripada musuh.” Oleh itu mereka mengutus orang ke Silo untuk mengambil Tabut Perjanjian TUHAN Yang Maha Kuasa, yang bertakhta di atas kerub. Kedua-dua orang anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas pun datang bersama-sama Tabut Perjanjian itu. Apabila Tabut Perjanjian itu sampai di perkhemahan, tentera Israel bersorak dengan sangat kuat kerana gembira, sehingga bumi bergoncang. Tentera Filistin juga mendengar bunyi sorak itu lalu berkata, “Mengapakah orang Ibrani itu bersorak-sorak?” Tetapi selepas mereka mengetahui bahawa Tabut Perjanjian TUHAN sudah tiba di perkhemahan orang Ibrani, mereka menjadi takut. Mereka berkata, “Ada dewa datang ke perkhemahan mereka! Celakalah kita! Belum pernah kita mengalami perkara seperti ini! Siapakah yang dapat menyelamatkan kita daripada dewa-dewa yang kuat itu? Dewa-dewa itulah yang telah membinasakan orang Mesir di padang gurun dahulu. Jangan takut, hai tentera Filistin! Berperanglah seperti lelaki! Jika tidak, kita akan menjadi hamba orang Ibrani seperti mereka dahulu menjadi hamba kita. Oleh itu berperanglah dengan gagah berani!” Tentera Filistin berperang dengan sekuat tenaga, lalu mereka mengalahkan tentera Israel. Tentera Israel lari ke khemah masing-masing kerana mereka kalah teruk; sebanyak 30,000 orang askar Israel terbunuh. Tabut Perjanjian Allah dirampas oleh musuh, dan kedua-dua orang anak Eli, Hofni dan Pinehas terbunuh. Seorang daripada suku Benyamin lari dari medan peperangan lalu pergi ke Silo. Dia tiba di Silo pada hari itu juga. Dia sudah mengoyak-ngoyakkan pakaiannya dan menaruh tanah di atas kepala sebagai tanda berdukacita. Eli, yang sangat cemas memikirkan keselamatan Tabut Perjanjian itu sedang duduk di atas kerusi di tepi jalan, sambil termenung. Apabila orang itu menyebarkan berita kekalahan Israel di seluruh kota, semua orang menangis dengan kuat. Eli mendengar keriuhan itu, lalu bertanya, “Keriuhan apakah itu?” Sementara itu orang tadi berlari kepada Eli dan menyampaikan berita buruk itu. Pada masa itu Eli sudah berumur sembilan puluh lapan tahun dan dia hampir buta. Orang itu berkata kepada Eli, “Saya lari dari medan peperangan hari ini dan baru saja sampai.” Eli bertanya kepadanya, “Apa khabar, hai anakku?” Pembawa khabar itu menjawab, “Tentera Israel lari daripada tentera Filistin. Kita mengalami kekalahan yang teruk sekali. Banyak orang terbunuh, termasuk kedua-dua orang anak tuan, Hofni dan Pinehas. Tabut Perjanjian Allah juga dirampas musuh!” Apabila orang itu menyebut tentang Tabut Perjanjian, Eli jatuh terlentang dari kerusinya, di tepi pintu gerbang. Dia sangat tua dan gemuk, sehingga apabila dia jatuh lehernya patah. Ketika itu juga dia meninggal. Dia menjadi pemimpin Israel selama empat puluh tahun. Pada masa itu, menantu Eli, iaitu isteri Pinehas, sedang mengandung dan telah hampir masanya untuk bersalin. Apabila dia mendengar bahawa Tabut Perjanjian Allah sudah dirampas dan bapa mentuanya serta suaminya sudah meninggal, tiba-tiba dia berasa sakit beranak, lalu tidak lama kemudian dia bersalin. Apabila dia sudah hampir meninggal, wanita-wanita yang menolong dia berkata kepadanya, “Tabahlah! Anakmu lelaki!” Namun dia tidak menjawab atau memperhatikan mereka. Dia menamakan anak itu Ikabod. Katanya, “Israel sudah kehilangan kemuliaan Allah.” Dia berkata demikian kerana Tabut Perjanjian sudah dirampas dan bapa mentuanya serta suaminya sudah meninggal. Dia berkata, “Kemuliaan Allah sudah meninggalkan Israel, kerana Tabut Perjanjian Allah sudah dirampas.” Setelah orang Filistin merampas Tabut Perjanjian, mereka membawanya dari Eben-Haezer ke Asdod, kota mereka. Di kota itu, mereka membawa Tabut Perjanjian ke dalam kuil Dagon, dewa mereka. Mereka meletakkan Tabut itu di sisi patung dewa itu. Keesokan paginya, ketika penduduk Asdod pergi ke kuil itu, mereka nampak patung Dagon tertelungkup ke tanah di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN. Kemudian mereka mengangkat patung itu dan mengembalikannya ke tempatnya. Pada keesokan harinya, mereka nampak patung itu terjatuh lagi di hadapan Tabut Perjanjian. Kali ini kepala patung itu dan kedua-dua lengannya terpenggal dan terletak di ambang pintu; hanya badan patung itu yang masih utuh. ( Itulah sebabnya, hingga sekarang di Asdod para imam Dagon dan semua pemujanya melangkahi ambang pintu kuil Dagon dan tidak menginjaknya.) TUHAN menghukum penduduk Asdod dengan berat sekali, dan menakutkan mereka. Dia menghukum mereka dan penduduk di daerah sekitar dengan bengkak-bengkak pada tubuh mereka. Ketika mereka nampak apa yang sedang berlaku, mereka berkata, “Allah Israel menghukum kita dan Dagon, dewa kita. Kita tidak boleh membiarkan Tabut Perjanjian itu tinggal di sini lagi.” Oleh itu mereka menjemput kelima-lima orang raja Filistin supaya berkumpul, lalu bertanya, “Apakah yang harus kita lakukan dengan Tabut Perjanjian Allah umat Israel itu?” Raja-raja itu menjawab, “Pindahkanlah Tabut itu ke kota Gat.” Lalu Tabut itu dipindahkan ke Gat, sebuah kota Filistin yang lain. Tetapi setelah Tabut itu sampai di sana, TUHAN menghukum penduduk kota itu juga dan menimbulkan keadaan yang sangat mencemaskan. TUHAN menghukum semua penduduk dengan bengkak-bengkak pada tubuh mereka, baik orang muda mahupun orang tua. Oleh itu mereka menghantar Tabut Perjanjian ke Ekron, sebuah kota Filistin yang lain lagi. Tetapi apabila Tabut tiba di sana, penduduk kota itu berkata, “Lihatlah, mereka membawa Tabut Perjanjian Allah Israel ke mari untuk membunuh kita semua!” Oleh itu mereka memanggil semua raja Filistin berkumpul, lalu berkata, “Hantarlah Tabut Perjanjian Allah Israel itu ke tempat asalnya, supaya tidak dapat membunuh kami dan keluarga kami.” Segenap penduduk kota itu cemas kerana Allah menghukum mereka dengan sangat berat. Orang yang tidak mati, ditimpa penyakit bengkak-bengkak sehingga penduduk kota itu berteriak minta tolong kepada dewa-dewa mereka. Selepas Tabut Perjanjian TUHAN berada di negeri orang Filistin selama tujuh bulan, orang Filistin memanggil para imam dan ahli sihir, lalu bertanya, “Apakah yang harus kita lakukan dengan Tabut Perjanjian TUHAN itu? Jika Tabut itu kita kembalikan ke tempatnya, apakah benda yang patut dikirim bersama-samanya?” Mereka menjawab, “Jangan kembalikan Tabut Perjanjian Allah Israel dengan tidak menyertakan apa-apa persembahan untuk Dia. Tabut itu mesti disertai persembahan untuk menebus dosa kamu. Dengan demikian kamu akan disembuhkan, dan kamu akan mengetahui apa sebabnya Allah Israel terus-menerus menghukum kamu.” Orang Filistin bertanya lagi, “Persembahan apakah yang harus kami hantarkan?” Mereka menjawab, “Hantarkanlah lima bengkak tiruan daripada emas dan juga lima tikus tiruan daripada emas, sesuai dengan jumlah raja Filistin. Bencana yang sama sudah menimpa kamu semua, baik rakyat mahupun raja. Kamu mesti membuat tiruan daripada bengkak-bengkak dan tikus yang sedang mengganas di negeri kamu. Dengan demikian kamu memberikan penghormatan kepada Allah Israel. Mungkin Dia akan berhenti menghukum kamu, dewa, dan tanah kamu. Apa gunanya kamu berkeras kepala seperti raja Mesir dan rakyatnya dahulu? Jangan lupa cara Allah mempermainkan mereka, sampai mereka jera lalu membiarkan umat Israel meninggalkan Mesir. Oleh sebab itu, sediakanlah sebuah pedati yang baru dan dua ekor lembu yang sedang menyusui anak, dan yang belum pernah digunakan untuk menarik pedati. Tambatlah kedua-dua ekor lembu itu pada pedati itu, lalu giringlah anak-anak lembu itu kembali ke dalam kandang. Kemudian ambillah Tabut Perjanjian TUHAN, naikkannya ke atas pedati, dan di sebelahnya letakkanlah peti yang berisi benda-benda emas yang harus kamu persembahkan kepada TUHAN untuk menebus dosa kamu. Biarlah pedati dan lembu itu berjalan sendiri. Perhatikanlah ke mana lembu itu pergi; jika Tabut Perjanjian itu dibawa ke arah negeri asalnya, ke kota Bet-Semes, hal itu bererti bahawa Allah orang Israel sudah mendatangkan bencana yang dahsyat itu kepada kita. Tetapi jika pedati itu tidak menuju ke sana, kita akan tahu bahawa bencana itu bukan daripada Allah Israel, melainkan kebetulan saja.” Orang Filistin itu menurut; mereka mengambil kedua-dua ekor lembu yang sedang menyusui anak, lalu menambat kedua-dua ekor lembu itu pada pedati, sedangkan anak-anak lembu itu dikurung di dalam kandang. Kemudian Tabut Perjanjian itu dinaikkan ke atas pedati, bersama dengan peti yang berisi tikus tiruan daripada emas dan bengkak-bengkak tiruan daripada emas itu. Lembu-lembu itu berjalan menuju ke arah Bet-Semes; lembu-lembu itu menguak sambil berjalan terus, tanpa menyimpang ke kiri atau ke kanan dari jalan raya. Kelima-lima orang raja Filistin terus mengikuti lembu-lembu itu sampai ke sempadan kota Bet-Semes. Pada masa itu penduduk Bet-Semes sedang menuai gandum di lembah. Apabila mereka nampak Tabut Perjanjian itu, alangkah sukacitanya mereka! Pedati itu berhenti dekat sebuah batu besar di ladang Yosua, seorang penduduk Bet-Semes. Penduduk kota itu membelah-belah pedati kayu itu dan menyembelih dua ekor lembu itu, lalu mempersembahkan semuanya sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Kemudian orang Lewi menurunkan Tabut Perjanjian TUHAN dan peti yang berisi benda-benda emas itu. Mereka meletakkan semuanya di atas batu besar di situ. Selepas itu, penduduk Bet-Semes mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban-korban lain kepada TUHAN. Ketika kelima-lima orang raja Filistin itu nampak semua kejadian itu, mereka pulang ke Ekron pada hari itu juga. Orang Filistin mengirim lima bengkak tiruan daripada emas kepada TUHAN, sebagai persembahan penebus dosa, satu biji untuk setiap kota berikut: Asdod, Gaza, Askelon, Gat, dan Ekron. Mereka juga mengirim tikus tiruan daripada emas, satu untuk setiap kota yang diperintah oleh lima orang raja Filistin itu, baik kota yang bertembok dan pekan yang tidak bertembok. Bukti peristiwa itu adalah batu besar tempat mereka meletakkan Tabut Perjanjian TUHAN. Sampai hari ini pun batu itu masih ada di ladang Yosua, orang Bet-Semes itu. TUHAN membunuh tujuh puluh orang penduduk Bet-Semes kerana mereka melihat ke dalam Tabut Perjanjian. Oleh itu, penduduk kota berkabung kerana TUHAN menimpakan malapetaka yang sangat dahsyat kepada mereka. Penduduk Bet-Semes berkata, “Siapakah yang sanggup menghadap TUHAN, Allah yang suci? Ke manakah harus kita hantarkan Dia supaya jauh daripada kita?” Mereka mengutus beberapa orang supaya memberitahu penduduk Kiryat-Yearim, “Orang Filistin sudah mengembalikan Tabut Perjanjian TUHAN. Datanglah untuk mengambil Tabut itu.” Kemudian penduduk Kiryat-Yearim mengambil Tabut Perjanjian TUHAN dan membawanya ke rumah seorang yang bernama Abinadab; rumah itu terletak di atas bukit. Mereka mentahbiskan Eleazar anak Abinadab untuk menjaga Tabut Perjanjian. Lama juga Tabut Perjanjian TUHAN berada di Kiryat-Yearim, kira-kira dua puluh tahun. Selama itu segenap umat Israel berseru minta tolong kepada TUHAN. Samuel berkata kepada umat Israel, “Jika kamu hendak kembali kepada TUHAN dan menyembah Dia dengan sepenuh hati, buanglah semua dewa asing dan patung-patung Dewi Asytoret. Serahkanlah diri kamu sepenuhnya kepada TUHAN dan mengabdilah kepada Dia sahaja. Barulah Dia akan membebaskan kamu daripada kuasa orang Filistin.” Oleh itu umat Israel membuang patung-patung Dewa Baal dan Dewi Asytoret, lalu menyembah TUHAN sahaja. Selepas itu Samuel berkata, “Kumpulkanlah segenap umat Israel di Mizpa. Kemudian aku akan berdoa untuk kamu di situ.” Oleh itu mereka semua berkumpul di Mizpa. Mereka menimba air lalu menuangkannya sebagai persembahan untuk TUHAN. Mereka juga berpuasa sepanjang hari. Mereka berkata, “Kami sudah berdosa terhadap TUHAN.” (Di Mizpa Samuel menyelesaikan perkara-perkara perselisihan antara umat Israel). Apabila orang Filistin mendengar bahawa umat Israel sudah berkumpul di Mizpa, lima orang raja Filistin berangkat ke sana bersama dengan tentera mereka untuk menyerang umat Israel. Umat Israel menjadi takut ketika mereka mendengar hal itu. Mereka berkata kepada Samuel, “Jangan berhenti berdoa kepada TUHAN Allah kita, supaya kita diselamatkan-Nya daripada orang Filistin.” Samuel menyembelih seekor anak domba muda lalu mempersembahkannya sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Setelah itu dia berdoa minta TUHAN menolong Israel, dan TUHAN mengabulkan doanya itu. Sedang Samuel mempersembahkan korban itu, orang Filistin mula menyerang mereka. Tetapi pada saat itu juga, TUHAN mengguntur dari langit untuk melawan orang Filistin. Mereka menjadi kacau-bilau lalu lari kebingungan. Tentera Israel keluar dari Mizpa lalu mengejar orang Filistin sehingga hampir sampai di Bet-Kar, sambil membunuh mereka di sepanjang jalan. Kemudian Samuel mendirikan sebuah batu di sempadan antara Mizpa dan Sen. Dia berkata, “TUHAN sudah menolong kita dengan sepenuhnya.” Oleh itu dia menamakan batu itu “Batu Pertolongan.” Demikianlah orang Filistin dikalahkan. Selama Samuel hidup, TUHAN mencegah orang Filistin menceroboh kawasan Israel. Semua kota Israel yang telah ditaklukkan oleh orang Filistin, dari Ekron sampai Gat, dikembalikan kepada Israel. Dengan itu Israel mendapat kembali seluruh wilayah mereka. Orang Israel dan orang Amori pun hidup dengan damai. Samuel memerintah Israel seumur hidupnya. Tiap-tiap tahun dia mengadakan perjalanan keliling ke Betel, Gilgal, dan Mizpa. Di tempat itu dia menyelesaikan perkara-perkara perselisihan. Selepas itu dia selalu pulang ke rumahnya di Rama. Di sana dia juga menjadi hakim umat Israel. Di Rama, dia membina sebuah mazbah untuk TUHAN. Apabila Samuel sudah tua, dia melantik anak-anaknya menjadi hakim di Israel. Anaknya yang sulung bernama Yoel dan yang kedua bernama Abia. Kedua-duanya menjadi hakim di Bersyeba. Tetapi mereka tidak mengikuti teladan bapa mereka. Mereka hanya mencari keuntungan diri sendiri; mereka menerima rasuah dan menghakimi rakyat dengan tidak adil. Kemudian semua pemimpin Israel berkumpul lalu menghadap Samuel di Rama. Mereka berkata kepadanya, “Dengarlah tuan, tuan sudah tua dan anak-anak tuan tidak menurut teladan tuan. Oleh itu, lebih baik tuan melantik seorang raja bagi kami, supaya kami pun mempunyai seorang raja seperti bangsa-bangsa lain.” Samuel tidak suka dengan permintaan mereka itu, lalu dia berdoa kepada TUHAN. Kemudian TUHAN berfirman kepadanya, “Kabulkanlah segala permintaan mereka. Bukan engkau yang ditolak oleh mereka; sebenarnya, Akulah yang ditolak oleh mereka sebagai raja. Sejak Aku membawa mereka keluar dari Mesir, mereka sudah membelakangi Aku dan menyembah dewa-dewa. Sekarang, apa yang dilakukan mereka terhadap engkau, sudah selalu dilakukan mereka terhadap Aku juga. Oleh itu kabulkanlah permintaan mereka; tetapi berikanlah amaran yang tegas kepada mereka, dan beritahukan cara raja mereka itu akan memperlakukan mereka.” Samuel menyampaikan segala firman TUHAN itu kepada semua orang yang meminta seorang raja. Samuel menjelaskan, “Inilah caranya raja kamu akan memperlakukan kamu. Raja akan mengambil anak-anak lelaki kamu untuk dijadikan askar. Ada yang akan menjadi anggota pasukan berkereta kuda, ada pula yang akan menjadi anggota pasukan berkuda, ada lagi yang akan berlari di depan kereta kuda raja. Ada yang akan dijadikan ketua pasukan seribu orang askar, dan ada lagi ketua pasukan lima puluh orang askar. Raja itu akan memaksa anak lelaki kamu membajak ladangnya, menuai hasil tanamannya, dan membuat senjata serta perkakas bagi kereta kuda raja. Anak perempuan kamu akan disuruh membuat minyak wangi, dan bekerja sebagai tukang masak serta pembuat roti bagi raja. Raja itu akan mengambil ladang dan ladang anggur kamu, serta kebun zaitun kamu yang terbaik, lalu memberikan semuanya kepada para pegawai raja. Ladang dan ladang anggur kamu akan dikenakan cukai sepuluh peratus daripada hasilnya, lalu raja akan memberikannya kepada para pegawai dan pegawai tentera raja. Raja itu akan mengambil hamba dan ternakan kamu yang terbaik, serta keldai kamu, lalu menggunakan semuanya untuk pekerjaan raja. Raja kamu itu akan mengambil sepuluh peratus daripada semua ternakan kamu. Bahkan kamu sendiri akan menjadi hamba raja. Pada masa itu kamu akan bersungut kerana raja kamu, raja yang kamu pilih sendiri. Tetapi TUHAN tidak akan mempedulikan sungutan kamu.” Umat Israel tidak mahu menghiraukan kata-kata Samuel, malahan mereka berkata, “Biarlah! Kami tetap mahukan seorang raja. Kami mahu menjadi seperti bangsa-bangsa lain. Raja kami akan memerintah kami dan memimpin kami dalam peperangan.” Samuel mendengar segala kata-kata mereka, lalu memberitahukannya kepada TUHAN. TUHAN menjawab, “Kabulkanlah permintaan mereka. Lantiklah seorang raja bagi mereka.” Setelah itu Samuel menyuruh semua orang Israel pulang ke rumah masing-masing. Ada seorang lelaki yang kaya dan berpengaruh daripada suku Benyamin. Orang itu bernama Kish anak Abiel, cucu Zeror, daripada keluarga Bekhorat, iaitu sebahagian daripada puak Afiah. Kish mempunyai seorang anak lelaki bernama Saul, seorang pemuda yang kacak dan tegap. Saul lebih kacak daripada semua orang di Israel dan juga lebih tinggi; pada umumnya orang Israel lain hanya sampai bahu Saul. Pada suatu hari, beberapa ekor keldai kepunyaan Kish hilang. Oleh itu dia berkata kepada Saul, “Bawalah salah seorang hamba bersama-samamu dan pergilah cari keldai itu.” Kemudian Saul dan hambanya menjelajahi kawasan perbukitan Efraim dan kawasan Salisa, tetapi mereka tidak menjumpai keldai-keldai itu. Kemudian mereka meneruskan perjalanan ke daerah Sahalim, tetapi keldai-keldai itu tidak ada di sana. Mereka mencari pula di wilayah Benyamin, tetapi keldai-keldai itu masih tidak dijumpai. Apabila mereka sampai di daerah Zuf, Saul berkata kepada hambanya, “Marilah kita pulang, jangan-jangan ayah lebih cemas memikirkan kita daripada keldai-keldai itu.” Hambanya menjawab, “Tunggu dulu! Di kota ini ada seorang hamba Allah. Dia sangat dihormati orang kerana apa sahaja yang dikatakannya selalu benar-benar terjadi. Marilah kita pergi berjumpa dengan dia. Barangkali dia dapat memberitahu kita di mana keldai-keldai itu.” Saul berkata, “Jika kita pergi berjumpa dengan dia, apakah yang dapat kita berikan kepadanya? Bekal yang kita bawa sudah habis, dan kita tidak punya apa-apa untuk diberikan kepada hamba Allah itu, bukan?” Hamba itu menjawab, “Saya mempunyai sekeping wang perak. Saya boleh memberikan wang ini kepada hamba Allah itu, supaya dia dapat memberitahu kita di mana keldai-keldai itu.” [9-11] “Baiklah!” jawab Saul. “Marilah kita pergi.” Lalu mereka pergi ke kota, tempat hamba Allah itu tinggal. Ketika mereka mendaki bukit menuju ke kota itu, mereka berjumpa dengan beberapa orang gadis yang hendak menimba air di perigi. Mereka bertanya kepada gadis-gadis itu, “Adakah pelihat itu berada di kota?” (Pada zaman itu, seorang nabi disebut pelihat. Oleh itu apabila seseorang hendak menanyakan sesuatu kepada Allah, mereka berkata, “Marilah kita pergi kepada pelihat.”) *** *** [12-13] “Ada,” jawab gadis-gadis itu. “Dia baru saja berjalan mendahului kamu. Jika kamu cepat, mungkin kamu boleh menyusul dia. Sebaik saja kamu sampai di kota, kamu akan menjumpai dia. Dia baru datang ke kota kerana pada hari ini, rakyat akan mempersembahkan korban di atas mazbah di bukit. Para jemputan tidak akan makan sebelum dia datang, kerana dia mesti memberkati korban itu dahulu. Jika kamu pergi sekarang, kamu akan sempat menjumpainya sebelum dia mendaki bukit untuk makan.” *** Oleh itu Saul dan hambanya pergi ke kota. Ketika mereka masuk pintu gerbang, mereka berpapasan dengan Samuel yang sedang berjalan menuju ke tempat ibadat di bukit. Sehari sebelum itu, TUHAN telah berfirman kepada Samuel, “Esok pagi kira-kira waktu begini, Aku akan mengutus seorang lelaki daripada suku Benyamin berjumpa dengan engkau. Lumurilah kepalanya dengan minyak sebagai tanda untuk melantiknya menjadi raja umat-Ku Israel. Dia akan membebaskan umat-Ku daripada orang Filistin. Aku sudah melihat penderitaan umat-Ku, dan Aku sudah mendengar tangisan mereka minta tolong.” Apabila Samuel nampak Saul, TUHAN berfirman kepadanya, “Inilah orang yang Kukatakan itu. Dia akan memerintah umat-Ku.” Sementara itu Saul menghampiri Samuel dekat pintu gerbang, lalu bertanya, “Maaf, tuan, di manakah rumah pelihat itu?” Samuel menjawab, “Sayalah dia. Pergilah mendahului saya ke tempat ibadat di bukit, kerana pada hari ini kamu akan makan bersama-sama saya. Esok pagi, saya akan menjawab segala pertanyaan kamu. Setelah itu bolehlah kamu pulang. Jangan khuatir tentang keldai yang hilang tiga hari dahulu. Keldai-keldai itu sudah dijumpai. Lagipun, yang paling diingini oleh umat Israel ialah kamu; kamu dan keluarga bapamu.” Saul menjawab, “Saya ini daripada suku Benyamin, suku yang terkecil di Israel, dan keluarga sayalah yang paling tidak penting dalam suku itu. Mengapa tuan berkata begitu kepada saya?” Kemudian Samuel mengajak Saul dan hambanya ke dalam sebuah ruangan yang besar. Samuel memberikan tempat yang utama kepada mereka di hadapan para jemputan, yang berjumlah kira-kira tiga puluh orang. Samuel berkata kepada tukang masak, “Hidangkanlah daging yang aku berikan kepadamu, yang aku suruh kamu simpan.” Kemudian tukang masak membawa daging terbaik daripada daging paha lalu menghidangkannya kepada Saul. Samuel berkata, “Inilah bahagian yang sudah aku simpan untukmu, supaya kamu dapat makan bersama-sama para jemputan yang lain. Silalah makan.” Oleh itu Saul makan bersama-sama Samuel pada hari itu. Selepas itu mereka pergi dari tempat ibadat lalu masuk ke kota. Saul diberikan tempat tidur di atas bumbung rumah, lalu dia tidur di situ. Apabila fajar menyingsing, Samuel memanggil Saul yang berada di atas bumbung rumah, “Bangunlah,” katanya. “Saya hendak menghantar kamu pergi.” Saul bangun, lalu berangkat bersama-sama Samuel. Ketika mereka sampai di pinggir kota, Samuel berkata kepada Saul, “Suruhlah hambamu berjalan dahulu.” Kemudian hamba itu pergi, dan Samuel berkata lagi, “Berhentilah di sini sebentar. Aku hendak memberitahukan firman Allah kepadamu.” Kemudian Samuel mengambil sebuah botol berisi minyak zaitun, lalu menuang minyak itu ke atas kepala Saul. Dia mencium Saul dan berkata, “TUHAN melantik kamu menjadi raja Israel, umat-Nya. Kamu akan memerintah umat-Nya dan melindungi mereka daripada semua musuh. Inilah buktinya bahawa TUHAN sudah melantik kamu sebagai raja umat-Nya: Selepas kamu meninggalkan saya hari ini, kamu akan berjumpa dengan dua orang lelaki dekat kubur Rahel di Zelzah, di wilayah Benyamin. Mereka akan berkata kepadamu begini, ‘Keldai-keldai yang kamu cari itu sudah dijumpai. Sekarang bapamu tidak lagi khuatir tentang keldai-keldai itu, tetapi terus-menerus bertanya apa yang harus dilakukannya untuk menjumpai kamu.” Samuel berkata lagi, “Dari situ, teruskanlah perjalananmu sehingga kamu sampai ke pokok tempat ibadat di Tabor. Di sana kamu akan bertemu dengan tiga orang lelaki yang sedang pergi ke Betel untuk mempersembahkan korban kepada Allah. Seorang daripada mereka menggiring tiga ekor anak kambing, seorang lagi membawa tiga ketul roti, dan seorang lagi membawa kirbat kulit yang penuh dengan wain. Mereka akan memberikan salam kepadamu dan memberi kamu dua ketul roti yang harus kamu terima. Selepas itu pergilah ke bukit Allah di Gibea. Di sana ada perkhemahan orang Filistin. Di pintu masuk kota, kamu akan berjumpa dengan sekumpulan orang nabi yang turun dari bukit, tempat mazbah itu. Mereka bermain gambus, rebana, seruling, dan kecapi. Mereka menari-nari dan berteriak-teriak. Pada saat itu juga Roh TUHAN akan menguasai kamu, dan kamu akan diberikan sifat baru, lalu kamu akan mengikut mereka menari-nari dan berteriak-teriak. Apabila hal itu terjadi, buatlah apa saja yang kamu rasa baik, kerana Allah menyertaimu. Selepas itu kamu harus pergi ke Gilgal lebih awal daripada saya, dan tunggu di sana selama tujuh hari. Kemudian saya akan datang untuk mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan korban untuk memohon berkat TUHAN, serta memberitahu kamu apa yang harus kamu lakukan.” Sebaik sahaja Samuel meninggalkan Saul, Allah memberi Saul sifat yang baru. Segala perkara yang diberitahukan Samuel kepadanya berlaku pada hari itu juga. Ketika Saul dan hambanya tiba di Gibea, Saul ditemui oleh sekumpulan orang nabi. Pada saat itu juga Roh Allah menguasai Saul, lalu dia mengikut nabi-nabi itu menari dan berteriak. Orang yang mengenal Saul sejak dahulu, melihat kelakuannya lalu bertanya satu sama lain, “Apakah yang sudah terjadi kepada anak Kish itu? Adakah Saul juga menjadi seorang nabi?” Kemudian seorang yang tinggal di situ bertanya, “Bagaimana dengan nabi-nabi yang lain itu - pada fikiran kamu siapakah bapa mereka?” Itulah asal mulanya pepatah ini, “Adakah Saul juga menjadi seorang nabi?” Setelah Saul menari-nari dan berteriak-teriak, dia pergi ke mazbah di atas bukit. Bapa saudara Saul nampak Saul dan hambanya, lalu bertanya kepada mereka, “Dari manakah kamu?” “Kami pergi mencari keldai yang hilang,” jawab Saul. “Tetapi apabila kami tidak dapat mencarinya, kami pergi berjumpa dengan Samuel.” “Apa kata Samuel?” tanya bapa saudaranya. “Katanya, keldai-keldai itu sudah ditemui,” jawab Saul. Tetapi Saul tidak memberitahu bapa saudaranya bahawa Samuel sudah melantik Saul menjadi raja. Kemudian Samuel memanggil umat Israel berkumpul di hadapan TUHAN di Mizpa. Dia berkata kepada mereka, “Demikianlah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku sudah membawa kamu keluar dari Mesir, dan membebaskan kamu daripada bangsa itu dan bangsa-bangsa lain yang menindas kamu. Akulah Allah kamu yang melepaskan kamu daripada segala kesengsaraan dan penderitaan. Tetapi sekarang kamu telah menolak Aku, Allah kamu, kerana kamu minta Aku melantik seorang raja bagi kamu. Baiklah, berkumpullah di hadapan-Ku, TUHAN kamu, suku demi suku dan puak demi puak.’ ” Kemudian Samuel menyuruh tiap-tiap suku maju ke depan, lalu suku Benyamin yang terpilih. Samuel menyuruh semua keluarga Benyamin maju, lalu keluarga Matri yang terpilih. Apabila anggota keluarga Matri menghadap seorang demi seorang, Saul anak Kish yang terpilih. Mereka mencari Saul tetapi dia tidak ada di sana. Oleh itu mereka bertanya kepada TUHAN, “Ya TUHAN, adakah orang itu sudah di sini?” TUHAN menjawab, “Saul bersembunyi di belakang barang-barang.” Oleh itu mereka berlari dan membawa Saul ke tengah-tengah rakyat. Apabila Saul berdiri di tengah-tengah rakyat, mereka nampak bahawa dialah yang paling tinggi; orang lain hanya sampai bahunya. Kemudian Samuel berkata kepada rakyat, “Inilah orang yang dipilih oleh TUHAN. Tiada seorang pun di kalangan kita yang sama dengan dia.” Segenap umat itu bersorak, “Daulat tuanku!” Kemudian Samuel menjelaskan tentang hak dan kewajipan raja, lalu menulisnya di dalam sebuah buku. Dia menyimpan buku itu di suatu tempat yang suci. Kemudian Samuel menyuruh umat itu pulang ke rumah masing-masing. Raja Saul juga pulang ke rumahnya di Gibea, diiringi oleh beberapa orang yang gagah perkasa. TUHAN sudah menggerakkan hati mereka untuk mengiringi Raja Saul. Tetapi ada beberapa orang jahat yang berkata, “Mana mungkin orang ini akan berguna bagi kita?” Mereka menghina Raja Saul dan tidak memberikan hadiah kepadanya, tetapi Raja Saul berpura-pura tidak tahu. Kemudian Raja Nahas, raja negeri Amon, mengerah tenteranya lalu mengepung kota Yabes di kawasan Gilead. Penduduk Yabes mengajukan cadangan kepada Raja Nahas, “Buatlah perjanjian dengan hamba sekalian, maka hamba semua akan menerima raja sebagai pemerintah hamba sekalian.” Raja Nahas bertitah, “Beta akan membuat perjanjian dengan kamu dengan satu syarat: beta akan mencungkil biji mata kanan setiap orang untuk mempermalukan segenap umat Israel.” Kemudian para pemimpin kota Yabes berkata, “Berilah hamba sekalian masa tujuh hari untuk mengirim berita ke seluruh negeri Israel. Jika tiada sesiapa yang dapat menolong hamba sekalian, maka hamba semua akan menyerah kepada tuanku.” Para utusan itu sampai di Gibea, tempat tinggal Raja Saul. Apabila berita itu disampaikan, semua penduduk di situ mula menangis kerana putus asa. Pada masa itu Raja Saul baru sahaja pulang dari ladang bersama dengan lembu-lembunya. Baginda bertanya, “Ada apa? Mengapa semua orang menangis?” Dengan segera baginda diberitahu berita yang dibawa oleh para utusan dari Yabes. Ketika Raja Saul mendengar berita itu, Roh Allah menguasai baginda, lalu baginda menjadi murka. Raja Saul mengambil dua ekor lembu lalu memotong-motongnya menjadi banyak potongan. Kemudian baginda menyuruh beberapa orang membawa potongan-potongan lembu itu ke seluruh negeri Israel dengan perintah, “Sesiapa yang tidak ikut Raja Saul dan Samuel berperang, lembunya akan dipotong-potong seperti ini!” Umat Israel takut akan apa yang mungkin dilakukan TUHAN, maka semua orang, tanpa seorang pun yang terkecuali, maju bersama-sama untuk berperang. Raja Saul mengumpulkan mereka di Bezek: 300,000 orang dari Israel dan 30,000 orang dari Yehuda. Mereka berkata kepada para utusan dari Yabes itu, “Beritahulah penduduk Yabes bahawa esok, sebelum tengah hari, mereka akan mendapat pertolongan.” Ketika penduduk Yabes mendengar berita itu, mereka sangat bersukacita lalu berkata kepada Raja Nahas, “Esok hamba semua akan menyerah dan tuanku boleh memperlakukan hamba sekalian dengan sesuka hati.” Awal pagi keesokan harinya, Raja Saul membahagikan anak buahnya menjadi tiga pasukan. Kemudian, ketika fajar menyingsing, mereka menyerbu ke tengah-tengah perkhemahan orang Amon dan menyerang mereka. Sebelum tengah hari, tentera Raja Saul telah mengalahkan musuh. Orang Amon yang tidak terbunuh, tercerai-cerai sehingga tidak ada dua orang yang lari bersama-sama. Kemudian umat Israel berkata kepada Samuel, “Di manakah orang yang dahulunya berani berkata bahawa Raja Saul tidak layak menjadi raja kita? Serahkanlah mereka kepada kami. Kami akan membunuh mereka!” Tetapi Raja Saul bertitah, “Tiada seorang pun yang akan dibunuh pada hari ini, kerana pada hari ini TUHAN telah menyelamatkan Israel.” Samuel berkata kepada mereka, “Marilah kita semua pergi ke Gilgal dan sekali lagi menabalkan Raja Saul sebagai raja kita.” Oleh itu mereka semua pergi ke Gilgal, dan di sana, di tempat ibadat itu mereka menabalkan Raja Saul sebagai raja. Mereka mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, dan Raja Saul serta segenap umat Israel merayakan peristiwa itu. Selepas itu Samuel berkata kepada segenap umat Israel, “Aku sudah memenuhi segala permintaan kamu. Aku sudah melantik seorang raja untuk memerintah kamu. Mulai sekarang dialah yang akan memimpin kamu. Lihatlah, aku ini sudah tua dan beruban; anak-anakku ada bersama dengan kamu. Aku memimpin kamu lama sekali - sejak masa mudaku sampai sekarang. Sekarang ini, aku berdiri di hadapan kamu. Jika aku sudah melakukan kesalahan, tuduhlah aku di hadapan TUHAN dan raja yang dipilih-Nya. Pernahkah aku merampas lembu atau keldai orang lain? Pernahkah aku menipu atau menindas orang lain? Pernahkah aku menerima rasuah daripada orang? Katakanlah, supaya apa saja yang sudah aku ambil dapat kukembalikan.” Semua orang itu menjawab, “Tidak, tuan tidak pernah menipu ataupun menindas kami. Tuan tidak pernah mengambil apa-apa pun kepunyaan orang lain.” Oleh itu Samuel berkata, “Biarlah TUHAN dan raja yang dipilih-Nya itu menjadi saksi hari ini bahawa kamu menyatakan aku tidak bersalah sedikit pun.” “Ya, benar,” jawab mereka. “TUHAN menjadi saksi kita.” Samuel meneruskan lagi, “TUHAN telah memilih Musa dan Harun. Dia juga yang sudah membawa nenek moyang kamu keluar dari Mesir. Sekarang, jangan pergi dahulu. Aku akan menuduh kamu di hadapan TUHAN dengan mengingatkan kamu akan segala perbuatan besar yang dilakukan oleh TUHAN untuk menyelamatkan kamu dan nenek moyang kamu. Ketika Yakub dan keluarganya pergi ke Mesir, dan apabila orang Mesir menindas mereka, nenek moyang kamu berseru minta tolong kepada TUHAN. Oleh itu TUHAN mengutus Musa dan Harun untuk memimpin mereka keluar dari Mesir, serta menolong mereka menetap di negeri ini. Tetapi kemudian mereka lupa akan TUHAN, Allah mereka. Oleh sebab itu TUHAN membiarkan orang Filistin, raja negeri Moab, dan Sisera, iaitu panglima tentera kota Hazor, menyerang nenek moyang kamu dan mengalahkan mereka. Kemudian mereka berseru minta tolong kepada TUHAN, dan berkata, ‘Kami sudah berdosa kerana kami membelakangi Engkau, ya TUHAN, dan menyembah patung-patung Dewa Baal dan Asytoret. Sekarang, selamatkanlah kami daripada musuh, maka kami akan mengabdi kepada-Mu!’ Selepas itu TUHAN mengutus Gideon, kemudian Barak, lalu Yefta, dan akhir sekali aku. Kami masing-masing sudah membebaskan kamu daripada musuh, sehingga kamu dapat hidup dengan tenteram. Tetapi apabila kamu tahu bahawa Raja Nahas dari Amon itu hendak menyerang kamu, kamu menolak TUHAN sebagai raja kamu. Kamu berkata kepadaku, ‘Kami mahu seorang raja untuk memerintah kami.’ Sekarang, kamu mempunyai seorang raja pilihan kamu sendiri. Kamu minta seorang raja, dan TUHAN sudah memberikan raja kepada kamu. Berbahagialah kamu jika kamu menghormati TUHAN, mengabdi kepada-Nya, dan mendengarkan serta mentaati perintah-Nya, dan jika kamu serta raja kamu tetap setia kepada TUHAN Allah kamu. Tetapi jika kamu tidak mendengarkan TUHAN, malahan melawan perintah-Nya, tentu kamu dan raja kamu akan ditentang oleh TUHAN. Sekarang, dengarlah baik-baik! Perhatikanlah keajaiban yang akan dilakukan TUHAN di depan mata kamu. Sekarang musim kemarau, bukan? Tetapi aku akan berdoa, lalu TUHAN akan menurunkan guruh dan hujan sebagai jawapan doaku. Apabila perkara itu berlaku, kamu akan sedar betapa besarnya dosa kamu terhadap TUHAN kerana minta seorang raja.” Kemudian Samuel berdoa, dan pada hari itu juga TUHAN menurunkan guruh serta hujan. Oleh itu, segenap umat itu menjadi takut terhadap TUHAN dan Samuel. Mereka berkata kepada Samuel, “Tolonglah tuan, berdoalah kepada TUHAN Allah tuan untuk kami, supaya kami tidak mati. Sekarang kami sedar bahawa selain dosa kami yang banyak, kami sudah berdosa lagi apabila kami meminta seorang raja.” Samuel menjawab, “Jangan takut! Walaupun kamu sudah melakukan perkara yang jahat, jangan belakangi TUHAN. Tetaplah mengabdi kepada-Nya dengan sepenuh hati kamu. Jangan ikut dewa-dewa yang tidak dapat menolong ataupun menyelamatkan kamu, kerana dewa-dewa itu sebenarnya tidak wujud. TUHAN sudah bersumpah bahawa Dia tidak akan meninggalkan kamu, kerana Dia sudah mengambil keputusan untuk menjadikan kamu umat-Nya sendiri. Bagi diriku, berdosalah aku terhadap TUHAN jika aku tidak lagi berdoa untuk kamu; semoga TUHAN menghindarkan dosa itu daripadaku. Sebaliknya aku akan terus mengajar kamu hal-hal yang baik dan yang benar. Taatilah TUHAN dan abdikan diri kepada-Nya dengan setia dan dengan sepenuh hati. Ingatlah akan perbuatan besar yang sudah dilakukan-Nya untuk kamu. Tetapi jika kamu terus-menerus berdosa, kamu dan raja kamu akan binasa.” Pada suatu hari, ketika Raja Saul sudah menjadi raja, baginda memilih tiga ribu orang Israel; daripada jumlah ini, dua ribu orang tinggal bersama-samanya di Mikhmas dan di kawasan perbukitan Betel. Sebanyak seribu orang lain pergi bersama dengan Yonatan, puteranya ke Gibea, di wilayah suku Benyamin. Orang selebihnya disuruh oleh Raja Saul pulang ke rumah masing-masing. Kemudian Yonatan membunuh panglima Filistin di Geba, dan orang Filistin mendengar tentang pembunuhan itu. Lalu Raja Saul menyuruh orang meniup trompet di seluruh negeri untuk memanggil orang Ibrani supaya maju berperang. Segenap umat Israel diberitahu bahawa Raja Saul telah membunuh panglima Filistin itu, dan bahawa orang Filistin sangat benci akan umat Israel. Oleh itu rakyat menyahut panggilan untuk bergabung dengan Raja Saul di Gilgal. Sementara itu orang Filistin juga berkumpul untuk menyerang orang Israel. Orang Filistin mempunyai tiga puluh ribu buah kereta kuda, enam ribu orang berkuda dan askar sebanyak pasir di pantai. Mereka berkhemah di Mikhmas di sebelah timur Bet-Awen. Kemudian mereka melancarkan serangan sengit terhadap orang Israel, sehingga orang Israel berada dalam keadaan genting. Beberapa orang Israel bersembunyi di dalam gua dan lubang gunung, atau di dalam celah-celah batu besar, atau di dalam perigi dan lubang di tanah. Ada juga beberapa orang yang menyeberangi Sungai Yordan, lalu pergi ke wilayah Gad dan Gilead. Raja Saul masih berada di Gilgal, dan orang yang mengikuti baginda gementar ketakutan. Raja Saul menunggu Samuel selama tujuh hari, sebagaimana pesan Samuel kepada baginda, tetapi Samuel belum juga tiba di Gilgal. Kemudian orang Israel mula meninggalkan Raja Saul. Oleh itu Raja Saul bertitah kepada mereka, “Bawalah ke mari korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN.” Kemudian Raja Saul sendiri mempersembahkan korban itu, tetapi sebaik sahaja Raja Saul selesai mempersembahkannya, Samuel tiba. Raja Saul menemui Samuel untuk menyambutnya, tetapi Samuel bertanya, “Apakah yang sudah tuanku lakukan?” Raja Saul menjawab, “Beta melihat bahawa rakyat sudah mula meninggalkan beta, sedangkan tuan tidak datang pada waktu yang tuan tetapkan. Lagipun, orang Filistin sudah berkumpul di Mikhmas. Oleh itu beta berfikir, ‘Jangan-jangan tentera Filistin akan segera menyerang beta di sini, di Gilgal, padahal beta belum mohon belas kasihan TUHAN.’ Itulah sebabnya beta mengambil keputusan untuk mempersembahkan korban.” Samuel menjawab, “Perbuatan tuanku itu tindakan yang bodoh. Tuanku tidak mentaati perintah TUHAN, Allah tuanku, kepada tuanku. Jika tuanku taat, TUHAN pasti membenarkan tuanku dan keturunan tuanku memerintah Israel sampai selama-lamanya. Tetapi sekarang kerajaan tuanku tidak akan tahan lama. Oleh sebab tuanku tidak taat kepada-Nya, TUHAN akan mencari orang lain yang dikehendaki-Nya untuk dilantik menjadi raja umat-Nya.” Kemudian Samuel meninggalkan Gilgal dan meneruskan perjalanannya. Orang yang lain mengikut Raja Saul untuk bergabung dengan tentera baginda. Kemudian dari Gilgal mereka pergi ke Gibea di wilayah Benyamin. Raja Saul memeriksa pasukan baginda dan mendapati jumlahnya kira-kira enam ratus orang. Raja Saul, puteranya Yonatan, dan askar mereka berkhemah di Geba di wilayah Benyamin, sedang orang Filistin berkhemah di Mikhmas. Pada masa itu juga tiga pasukan askar Filistin berangkat dari perkhemahan Filistin untuk merompak; pasukan yang satu pergi ke arah Ofra di wilayah Syual, pasukan kedua menuju ke Bet-Horon, dan pasukan yang satu lagi menuju ke sempadan yang menghala Lembah Zeboim dan padang gurun. Pada masa itu di seluruh Israel tidak ada tukang besi, kerana orang Filistin tidak membenarkan orang Ibrani membuat pedang dan tombak. Oleh itu umat Israel terpaksa pergi kepada orang Filistin jika hendak mengasah mata bajak, cangkul, kapak, dan sabit mereka. Upahnya sekeping wang kecil untuk mengasah kapak atau membetulkan kusa lembu, dan dua keping wang kecil untuk mengasah mata bajak atau cangkul. Oleh itu, pada masa pertempuran di Mikhmas, tiada seorang pun daripada askar Israel mempunyai pedang atau tombak, kecuali Raja Saul dan Yonatan, putera baginda. Orang Filistin menempatkan satu pasukan askar untuk mempertahankan genting gunung di Mikhmas. Pada suatu hari, Yonatan berkata kepada pemuda pembawa senjatanya, “Marilah kita pergi ke perkhemahan orang Filistin.” Tetapi Yonatan tidak memberitahu ayahandanya, Raja Saul. Pada masa itu Raja Saul berada di bawah pokok delima di Migron, tidak jauh dari Gibea; ada kira-kira enam ratus orang yang bersama dengan Raja Saul. (Imam yang membawa efod pada masa itu ialah Ahiya anak Ahitub, cucu Pinehas anak Eli; Eli ialah imam TUHAN di Silo. Ahitub ialah saudara Ikabod). Tidak ada orang di situ tahu bahawa Yonatan sudah pergi dari tempat itu. Untuk pergi ke perkhemahan Filistin, Yonatan harus melalui genting gunung yang diapit oleh dua buah batu besar yang runcing, yang dinamakan Bozes dan Sene. Batu besar yang di sebelah utara menghadap ke arah Mikhmas, dan batu besar yang satu lagi, yang di sebelah selatan menghadap ke arah Geba. Yonatan berkata kepada pemuda itu, “Marilah kita pergi ke perkhemahan orang Filistin yang tidak mengenal Allah. Mungkin TUHAN akan menolong kita, kerana Dia dapat memberikan kemenangan, baik dengan banyak orang mahupun dengan sedikit orang.” Pemuda itu menjawab, “Apa saja yang hendak tuan lakukan, saya setuju.” “Baiklah,” kata Yonatan. “Pada masa kita pergi ke seberang, kita akan memperlihatkan diri kepada orang Filistin. Jika mereka menyuruh kita berhenti dan menunggu mereka datang kepada kita, maka kita akan tetap tinggal di situ dan tidak usah pergi ke seberang. Tetapi jika mereka menyuruh kita pergi kepada mereka, kita akan ke sana, kerana itulah tandanya mereka diserahkan oleh TUHAN kepada kita.” Oleh itu mereka membiarkan orang Filistin melihat mereka. Kemudian orang Filistin berkata, “Lihatlah! Ada orang Ibrani keluar dari lubang tempat mereka bersembunyi!” Kemudian mereka berseru kepada Yonatan dan hambanya, “Marilah ke sini! Ada yang hendak kami tunjukkan kepada kamu!” Yonatan berkata kepada pemuda itu, “Ikutlah aku. TUHAN sudah menyerahkan mereka kepada Israel.” Dengan diikuti pemuda itu Yonatan merangkak ke atas genting itu sehingga melaluinya. Yonatan menyerang orang Filistin lalu mereka berjatuhan kerana dipukulnya, dan pemuda itu membunuh mereka. Dalam pertempuran yang pertama itu, Yonatan dan pemuda itu membunuh kira-kira dua puluh orang di kawasan seluas satu perempat hektar. Kejadian itu menggemparkan semua orang Filistin di kawasan luar bandar; pasukan perompak dan askar Filistin di perkhemahan gementar ketakutan; bahkan bumi pun bergegar, dan terjadilah keadaan kacau-bilau. Sementara itu tentera Raja Saul yang berkawal di Gibea, di wilayah Benyamin nampak orang Filistin berlari dengan kebingungan. Oleh itu Raja Saul bertitah kepada tenteranya, “Hitunglah askar kita dan periksalah siapa yang tidak ada.” Apabila mereka berbuat demikian, mereka mendapati bahawa Yonatan dan pemuda pembawa senjatanya tidak ada di situ. Raja Saul bertitah kepada Imam Ahia, “Bawalah efod itu ke mari.” (Pada hari itu Imam Ahia membawa efod di hadapan orang Israel). Ketika Raja Saul masih bertitah kepada imam itu, keadaan di perkhemahan orang Filistin semakin gempar. Oleh itu Raja Saul bertitah kepadanya, “Kita tidak sempat lagi untuk minta petunjuk daripada TUHAN!” Kemudian Raja Saul dan tenteranya mara ke medan pertempuran. Di situ mereka nampak orang Filistin dalam keadaan kacau-bilau; mereka saling menyerang dan membunuh. Beberapa orang Ibrani yang tinggal di daerah orang Filistin dan yang sudah mengikut tentera mereka, bertukar haluan semula lalu bergabung dengan Raja Saul dan Yonatan. Orang Israel yang bersembunyi di perbukitan Efraim juga mendengar bahawa orang Filistin sudah lari, lalu mereka ikut bergabung dengan Raja Saul dan menyerang orang Filistin. Orang Israel bertempur sepanjang jalan sampai melintasi Bet-Awen. TUHAN menyelamatkan Israel pada hari itu. Pada hari itu orang Israel lemah kelaparan kerana Raja Saul sudah bersumpah demikian, “Terkutuklah orang yang makan apa pun pada hari ini, sebelum beta membalas dendam terhadap musuh.” Oleh itu tiada sesiapa pun yang makan sepanjang hari itu. Kemudian mereka semua sampai di suatu hutan dan menjumpai banyak sekali madu, tetapi tiada sesiapa pun yang makan madu itu. Mereka takut kena kutuk yang diucapkan oleh Raja Saul. Tetapi Yonatan tidak tahu bahawa ayahandanya sudah mengancam rakyat dengan kutuk itu; maka dia menghulurkan tongkat yang dibawanya, dan mencucukkannya ke dalam sarang madu, serta mengambil madu itu lalu memakannya. Segera dia berasa segar dan bertambah kuat. Kemudian seorang daripada askar itu berkata kepadanya, “Kami semua sudah tidak berdaya kerana lapar. Tetapi ayahanda tuan mengancam kami dan berkata, ‘Terkutuklah orang yang makan apa pun pada hari ini.’ ” Yonatan menjawab, “Alangkah dahsyatnya tindakan ayahandaku terhadap bangsa kita! Lihatlah, keadaanku sekarang jauh lebih baik setelah aku makan sedikit madu. Seandainya rakyat dibenarkan makan makanan yang telah dirampas ketika mengalahkan musuh pada hari ini, tentu lebih banyak orang Filistin yang dapat dibunuh mereka.” Pada hari itu orang Israel mengalahkan orang Filistin setelah bertempur sepanjang jalan dari Mikhmas sampai ke Ayalon. Pada masa itu mereka sangat lemah kerana kelaparan, sehingga mereka berebut-rebut mengambil barang jarahan yang baru dirampas daripada musuh; mereka mengambil domba dan lembu, serta menyembelih semuanya di tempat itu juga, lalu langsung makan daging yang masih berdarah. Kemudian Raja Saul diberitahu tentang perkara itu, “Tuanku, rakyat berdosa terhadap TUHAN kerana makan daging yang masih berdarah.” “Kamu pengkhianat!” teriak Raja Saul. “Gulingkanlah sebuah batu besar ke mari!” Kemudian Raja Saul memberikan satu perintah lagi, “Pergilah kepada rakyat dan suruhlah mereka semua membawa lembu dan domba ke sini. Mereka mesti menyembelih binatang di atas batu ini dan memakannya di sini. Mereka tidak patut berdosa terhadap TUHAN dengan makan daging yang masih berdarah.” Pada malam itu juga mereka membawa semua binatang rampasan dan menyembelih semuanya di situ. Selepas itu Raja Saul membina sebuah mazbah untuk TUHAN. Itulah mazbah pertama yang dibina oleh Raja Saul. Kemudian Raja Saul bertitah kepada anak buahnya, “Mari kita pergi menyerang orang Filistin pada malam ini, dan merompak mereka sehingga fajar, serta membunuh mereka semua.” Mereka menjawab, “Buatlah apa saja yang terbaik menurut pendapat tuanku.” Tetapi imam berkata, “Baiklah kita lebih dahulu memohon petunjuk daripada Allah.” Oleh itu Raja Saul bertanya kepada Allah, “Bolehkah aku menyerang orang Filistin? Adakah Engkau akan memberi Israel kemenangan?” Tetapi Allah tidak memberikan jawapan pada hari itu. Kemudian Raja Saul bertitah kepada para pemimpin rakyat, “Mari ke sini semua dan siasatlah dosa apa yang telah dilakukan hari ini. Beta berjanji demi TUHAN yang hidup, yang memberikan kemenangan kepada Israel, bahawa orang yang bersalah itu akan dihukum mati, sekalipun dia Yonatan putera beta sendiri.” Tetapi tiada seorang pun yang menjawab. Kemudian Raja Saul bertitah kepada mereka semua, “Kamu semua berdiri di sebelah sana; Yonatan dan beta akan berdiri di sebelah sini.” Mereka menjawab, “Buatlah apa saja yang terbaik menurut pendapat tuanku.” Raja Saul berkata kepada TUHAN, Allah Israel, “Ya TUHAN, Allah Israel, mengapakah Engkau tidak menjawab aku hari ini? Ya TUHAN, jawablah aku melalui batu-batu yang suci ini. Jika Yonatan atau aku yang bersalah, jawablah dengan batu Urim; tetapi jika umat Israel yang bersalah, jawablah dengan batu Tumim.” Jawapan TUHAN menunjuk kepada Yonatan dan Raja Saul; dengan demikian rakyat dinyatakan tidak bersalah. Kemudian Raja Saul berkata, “Sekarang tunjukkanlah, sama ada Yonatan atau aku yang bersalah.” Yonatan dinyatakan bersalah. Raja Saul bertanya kepada Yonatan, “Apakah yang sudah engkau lakukan?” Yonatan menjawab, “Saya telah makan sedikit madu yang saya ambil dengan hujung tongkat saya. Saya bersedia untuk mati.” Raja Saul bertitah kepadanya, “Biarlah beta dihukum Allah jika engkau tidak dihukum mati, Yonatan!” Tetapi rakyat berkata kepada Raja Saul, “Haruskah Yonatan dihukum mati? Bukankah dia yang sudah mendapat kemenangan yang besar ini? Kami berjanji demi TUHAN yang hidup, bahawa seutas rambut Yonatan pun tidak akan diusik! Dengan pertolongan TUHAN, dia telah mendapat kemenangan pada hari ini.” Demikianlah rakyat menyelamatkan Yonatan daripada hukuman mati. Selepas itu, Raja Saul berhenti mengejar orang Filistin. Orang Filistin pun pulang ke wilayah mereka sendiri. Setelah Raja Saul menjadi raja Israel, baginda berperang dengan semua musuhnya di mana-mana: orang Moab, Amon, dan Edom; raja negeri Zoba dan orang Filistin. Di mana sahaja Raja Saul berperang, baginda selalu menang. Raja Saul berperang dengan gagah berani, bahkan orang Amalek pun dikalahkannya; Raja Saul membebaskan Israel daripada perompak. Putera-putera Raja Saul ialah Yonatan, Yiswi, dan Malkisua. Puteri sulung Raja Saul bernama Merab, dan puteri yang kedua bernama Mikhal. Isteri Raja Saul ialah Ahinoam anak Ahimaas; panglima tentera Raja Saul ialah saudara sepupunya, Abner anak Ner. Ner ialah bapa saudara Raja Saul. Kish, ayahanda Raja Saul dan Ner, bapa Abner, ialah anak-anak Abiel. Seumur hidup Raja Saul, baginda berperang dengan sengit melawan orang Filistin. Oleh itu bila sahaja baginda nampak orang yang kuat atau berani, baginda akan segera menjadikan orang itu anggota tenteranya. Pada suatu hari Samuel berkata kepada Raja Saul, “TUHAN telah menyuruh hamba untuk melantik tuanku menjadi raja umat-Nya Israel. Sekarang dengarlah firman TUHAN Yang Maha Kuasa. Dia akan menghukum orang Amalek kerana nenek moyang mereka menentang umat Israel ketika umat Israel datang dari Mesir. Pergilah serang orang Amalek, binasakanlah mereka dan hancurkanlah segala yang ada pada mereka. Jangan tinggalkan sesuatu apa pun. Bunuhlah semua lelaki, perempuan, kanak-kanak, bayi, lembu, domba, unta, dan keldai.” Kemudian Raja Saul mengumpulkan tenteranya dan menghitung mereka di Telaim; ada dua ratus ribu orang askar dari Israel dan sepuluh ribu orang askar dari Yehuda. Selepas itu Raja Saul membawa tentera itu ke kota orang Amalek, dan mengadang musuh di dasar sungai yang kering. Raja Saul mengirim amaran kepada orang Keni, “Berangkatlah dan tinggalkanlah orang Amalek, supaya kamu tidak terbunuh bersama-sama mereka. Dahulu nenek moyang kamu berlaku baik terhadap umat Israel, ketika umat Israel datang dari Mesir.” Maka orang Keni meninggalkan tempat itu. Kemudian Raja Saul bertempur dengan orang Amalek dan mengalahkan mereka. Baginda bertempur di sepanjang jalan, dari Hawila sampai ke Syur di sebelah timur Mesir. Raja Saul menangkap Raja Agag, raja orang Amalek, dan membunuh semua orang Amalek, tetapi Raja Saul dan anak buahnya tidak membunuh Raja Agag. Mereka juga tidak membunuh domba dan lembu yang paling gemuk, anak lembu dan anak domba yang paling gemuk, dan segala sesuatu yang berharga; mereka hanya membinasakan apa yang tidak berguna dan tidak berharga. TUHAN berfirman kepada Samuel, “Aku menyesal telah melantik Saul sebagai raja. Dia sudah membelakangi Aku dan tidak lagi taat kepada perintah-Ku.” Samuel marah, dan sepanjang malam dia merayu kepada TUHAN. Keesokan harinya, pagi-pagi lagi, Samuel pergi mencari Raja Saul. Samuel mendengar bahawa Raja Saul sudah pergi ke kota Karmel untuk mendirikan tugu peringatan bagi dirinya di sana. Kemudian Raja Saul terus pergi ke Gilgal. Apabila Samuel menemui Raja Saul, Raja Saul bertitah kepadanya, “Semoga TUHAN memberkati Samuel. Beta sudah melaksanakan perintah TUHAN.” Samuel bertanya kepadanya, “Jika demikian, mengapa hamba mendengar lembu melenguh dan domba mengembik?” Raja Saul menjawab, “Anak buah beta merampas ternakan itu daripada orang Amalek. Domba dan lembu yang paling gemuk sudah diambil oleh anak buah beta untuk dipersembahkan sebagai korban kepada TUHAN, Allah tuan. Tetapi binatang selebihnya sudah kami binasakan sama sekali.” Mendengar hal itu Samuel berkata, “Tunggu dulu, dengarlah firman TUHAN yang disampaikan-Nya kepada hamba malam tadi.” “Katakanlah,” jawab Raja Saul. Samuel berkata, “Bukankah tuanku sudah menjadi pemimpin semua suku Israel, meskipun tuanku menganggap diri tidak penting? TUHAN sudah memilih tuanku menjadi raja Israel, dan Dia sudah memerintah tuanku untuk membunuh orang Amalek yang jahat. Tuanku disuruh-Nya berperang melawan mereka sampai mereka dibunuh semuanya. Mengapakah tuanku tidak taat kepada-Nya? Mengapa tuanku bergegas-gegas menjarah harta mereka dan melakukan yang tidak dikehendaki TUHAN?” Raja Saul menjawab, “Beta sudah mentaati perintah TUHAN, dan pergi berperang menurut perintah-Nya; Raja Agag, raja Amalek sudah beta tawan dan semua orang Amalek dibunuh. Tetapi anak buah beta tidak membunuh semua ternakan; mereka sudah memilih domba dan lembu yang paling gemuk, dan membawa semuanya ke Gilgal untuk dipersembahkan sebagai korban kepada TUHAN, Allah tuan.” Samuel berkata, “Manakah yang lebih disukai TUHAN, ketaatan atau persembahan dan korban? Lebih baik taat kepada TUHAN daripada mempersembahkan domba yang paling gemuk kepada-Nya. Memberontak terhadap TUHAN sama jahatnya dengan melakukan sihir, dan hati yang sombong sama jahatnya dengan penyembahan berhala. Oleh sebab tuanku menolak perintah TUHAN, TUHAN pun menolak tuanku sebagai raja.” Mendengar kata-kata itu Raja Saul bertitah kepada Samuel, “Memang beta sudah berdosa. Beta sudah melanggar perintah TUHAN dan mengabaikan nasihat tuan. Beta takut kepada anak buah beta, lalu beta mengabulkan permintaan mereka. Tetapi sekarang beta mohon supaya dosa beta diampunkan, dan kembalilah bersama-sama beta ke Gilgal, supaya beta dapat beribadat kepada TUHAN.” Tetapi Samuel menjawab, “Hamba tidak mahu kembali bersama-sama tuanku. Tuanku sudah menolak perintah TUHAN, dan sekarang Dia menolak tuanku sebagai raja Israel.” Selepas itu Samuel berpaling hendak pergi, tetapi Raja Saul menahan dia dengan memegang jubahnya, sehingga jubah itu koyak. Oleh itu Samuel berkata kepada Raja Saul, “Pada hari ini juga TUHAN sudah mengoyakkan kerajaan Israel daripada tuanku dan memberikannya kepada orang lain yang lebih baik daripada tuanku. Allah yang mulia, Allah Israel itu tidak berdusta dan tidak pula mengubah pendirian-Nya, kerana Dia bukan manusia.” Raja Saul menjawab, “Beta sudah berdosa. Tetapi tolonglah, kembalilah bersama-sama beta supaya beta dapat beribadat kepada TUHAN, Allah tuan. Dengan demikian tuan menghormati beta di depan para pemimpin rakyat dan semua orang Israel.” Oleh itu Samuel kembali bersama-sama Raja Saul ke Gilgal, lalu Raja Saul beribadat kepada TUHAN. Selepas itu Samuel memberikan perintah, “Bawalah Raja Agag ke mari.” Raja Agag dihadapkan kepadanya, dan Raja Agag gementar ketakutan kerana baginda berfikir, “Alangkah pahitnya kematian.” Kemudian Samuel berkata, “Seperti pedangmu sudah menyebabkan banyak ibu kehilangan anak, demikian juga ibumu akan kehilangan anaknya.” Lalu Samuel memotong-motong Raja Agag di depan mazbah di Gilgal. Kemudian Samuel pulang ke Rama dan Raja Saul pulang ke rumahnya di Gibea. Sampai akhir hidupnya, Samuel tidak pernah lagi bertemu dengan Raja Saul; tetapi Samuel sedih kerana TUHAN menyesal telah melantik Raja Saul menjadi raja Israel. Kemudian TUHAN berfirman kepada Samuel, “Berapa lama lagi engkau bersedih hati kerana Saul? Aku sudah menolak dia sebagai raja Israel. Sekarang, bawalah minyak zaitun dan pergilah ke Betlehem, kepada seorang yang bernama Isai, kerana Aku sudah memilih seorang daripada anaknya untuk menjadi raja.” Samuel bertanya, “Bagaimana mungkin aku berbuat demikian? Jika Raja Saul mendengar hal ini, tentu baginda akan membunuh aku!” TUHAN menjawab, “Bawalah seekor anak lembu dan katakanlah bahawa engkau ke sana untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN. Jemputlah Isai ke upacara mempersembahkan korban itu. Aku akan memberitahu engkau apa yang harus engkau lakukan. Orang yang Aku tunjukkan kepadamu harus engkau lantik menjadi raja.” Samuel melakukan apa yang difirmankan TUHAN kepadanya. Dia pergi ke Betlehem dan para pemimpin kota itu datang menyambutnya dengan gementar ketakutan. Mereka bertanya, “Adakah lawatan tuan membawa kesejahteraan?” “Ya,” jawab Samuel. “Saya datang untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN. Sucikanlah diri kamu dan ikutlah saya.” Dia juga menyuruh Isai dan anak-anaknya menyucikan diri, dan menjemput mereka ke upacara mempersembahkan korban itu. Apabila mereka sudah berkumpul, Samuel nampak Eliab, anak Isai. Dia berfikir, “Orang yang berdiri di hadapan TUHAN ini tentulah orang yang dipilih-Nya.” Tetapi TUHAN berfirman kepada Samuel, “Jangan perhatikan tinggi badannya atau kacak rupanya; bukan dia yang Aku kehendaki. Aku tidak menilai orang seperti cara manusia menilai orang. Manusia melihat rupa tetapi Aku melihat hati.” Selepas itu Isai memanggil anaknya Abinadab, lalu menyuruh dia menghadap Samuel. Tetapi Samuel berkata, “Dia juga tidak dipilih oleh TUHAN.” Kemudian Isai menyuruh Syama menghadap. Samuel berkata, “Dia juga tidak dipilih oleh TUHAN.” Demikianlah Isai menyuruh tujuh orang anaknya menghadap Samuel. Tetapi Samuel berkata, “Tidak seorang pun antara mereka yang dipilih oleh TUHAN.” Kemudian Samuel bertanya kepada Isai, “Hanya inikah anak lelakimu?” Isai menjawab, “Masih ada seorang lagi, yang bongsu, tetapi dia sedang menggembalakan domba.” Samuel berkata, “Suruhlah orang memanggil dia, kerana kita tidak akan makan bersama-sama sebelum dia datang.” Oleh itu Isai menyuruh orang memanggil anak bongsunya. Ternyata dia seorang pemuda yang kacak, sihat, dan matanya bersinar. TUHAN berfirman kepada Samuel, “Inilah orangnya. Lantiklah dia!” Samuel mengambil minyak zaitun, lalu melantik Daud dengan melumuri kepala Daud dengan minyak di hadapan semua abang Daud. Ketika itu juga Roh TUHAN menguasai Daud dan menyertai dia sejak hari itu. Kemudian Samuel pulang ke Rama. Roh TUHAN meninggalkan Raja Saul, dan baginda diseksa oleh roh jahat yang disuruh oleh TUHAN. Maka hamba-hamba Raja Saul berkata kepadanya, “Hamba sekalian tahu bahawa roh jahat yang disuruh oleh TUHAN menyeksa tuanku. Jika tuanku setuju, hamba semua bersedia mencari seorang yang pandai bermain kecapi. Apabila tuanku diseksa oleh roh jahat, orang itu dapat memainkan kecapinya dan tuanku akan berasa tenang lagi.” Oleh itu Raja Saul memberikan perintah, “Carilah seorang yang pandai bermain muzik, dan bawalah dia ke mari.” Mendengar hal itu salah seorang hamba raja berkata, “Isai, orang Betlehem itu mempunyai seorang anak lelaki yang pandai bermain muzik. Dia juga seorang yang berani dan askar yang baik. Lagipun dia kacak dan pandai bercakap. TUHAN menyertai dia.” Kemudian Raja Saul mengutus orang kepada Isai dengan pesan, “Suruhlah anakmu Daud, yang menggembalakan domba itu datang menghadap beta.” Kemudian Isai menyediakan seekor keldai, lalu memuatinya dengan roti dan kirbat kulit yang penuh dengan wain; dia menyediakan juga seekor anak kambing. Semuanya itu diberikannya kepada Daud untuk dipersembahkan kepada Raja Saul. Demikianlah Daud datang kepada Raja Saul dan berkhidmat kepada baginda. Raja Saul sangat suka kepada Daud, lalu memilih dia menjadi pembawa senjatanya. Kemudian Raja Saul mengirim berita kepada Isai, “Beta suka kepada Daud. Benarkanlah dia tetap tinggal di sini dan berkhidmat kepada beta.” Sejak itu, setiap kali Raja Saul dirasuki roh jahat, Daud memainkan kecapinya. Kemudian roh jahat itu meninggalkan Raja Saul, lalu Raja Saul pun menjadi tenang dan baik semula. Pada suatu masa orang Filistin mengerahkan tentera mereka untuk maju berperang, dan berkumpul di kota Sokho, di wilayah Yehuda. Mereka memasang perkhemahan di antara Sokho dan Azeka, dekat Efes-Damim. Raja Saul dan orang Israel berkumpul juga dan berkhemah di Lembah Ela; mereka bersiap-siap untuk menghadapi serangan orang Filistin. Orang Filistin berbaris di sebuah bukit, dan orang Israel berbaris di sebuah bukit yang lain, dan di antaranya ada lembah. Seorang lelaki yang bernama Goliat, dari kota Gat, keluar dari perkhemahan Filistin untuk mencabar orang Israel. Tinggi orang itu kira-kira tiga meter. Dia memakai baju gangsa seberat kira-kira 57 kilogram, dan topi gangsa. Kakinya dilindungi oleh penutup daripada gangsa dan di bahunya dia menyangkutkan sebatang lembing gangsa. Gagang tombaknya sebesar kayu pada alat tenun dan mata tombaknya seberat kira-kira tujuh kilogram. Seorang askar pembawa perisai berjalan di hadapannya. Goliat berdiri dan berteriak kepada orang Israel, “Apakah yang sedang kamu lakukan di situ? Hendak berperangkah kamu? Aku orang Filistin, hai hamba-hamba Raja Saul! Pilihlah seorang di kalangan kamu untuk melawan aku. Jika dia menang dan membunuh aku, kami akan menjadi hamba kamu. Tetapi jika aku menang dan membunuh dia, kamu akan menjadi hamba kami. Sekarang juga, aku mencabar tentera Israel; pilihlah seorang di kalangan kamu untuk melawan aku!” Apabila Raja Saul dan tenteranya mendengar cabaran itu, mereka cemas dan sangat ketakutan. Daud ialah anak Isai, orang Efrata dari Betlehem di Yehuda. Isai mempunyai lapan orang anak lelaki, dan pada masa pemerintahan Raja Saul, Isai sudah sangat tua. Ketiga-tiga orang anak lelaki Isai yang tertua sudah mengikut Raja Saul pergi berperang. Anak Isai yang sulung bernama Eliab, yang kedua Abinadab, dan yang ketiga Syama. Daud ialah anak bongsu Isai. Semasa ketiga-tiga abangnya tinggal bersama-sama Raja Saul, Daud sering meninggalkan Raja Saul, lalu pulang ke Betlehem untuk menggembalakan domba bapanya. Selama empat puluh hari, tiap-tiap pagi dan petang, Goliat menghampiri barisan tentera Israel dan mencabar mereka. Pada suatu hari Isai berkata kepada Daud, “Bawalah sepuluh kilogram biji-bijian yang dipanggang dan sepuluh buku roti, lalu hantarlah semuanya kepada abang-abangmu di perkhemahan tentera. Bawalah juga sepuluh buah keju bagi komandan pasukan. Tanyakanlah bagaimana keadaan abang-abangmu. Bawalah sesuatu untuk membuktikan bahawa engkau sudah berjumpa dengan mereka, dan mereka dalam keadaan selamat. Mereka berada di Lembah Ela bersama dengan Raja Saul dan semua orang Israel lain, yang sedang bertempur dengan orang Filistin.” Keesokan harinya, awal pagi, Daud bangun dan berkemas. Dia menyuruh orang lain menjaga domba. Kemudian dia membawa makanan itu lalu berangkat sebagaimana yang disuruh oleh Isai. Dia tiba di perkhemahan tepat ketika orang Israel sedang mengatur barisan sambil meneriakkan isyarat perang. Tentera Filistin dan tentera Israel saling berhadapan dan bersiap-siap untuk bertempur. Daud menitipkan makanan itu kepada penjaga perlengkapan tentera, lalu lari ke medan perang untuk berjumpa dengan abang-abangnya, dan menanyakan khabar mereka. Tetapi ketika dia sedang bercakap dengan mereka, Goliat tampil lalu mencabar tentera Israel seperti yang biasa dilakukannya; Daud mendengar kata-kata cabarannya itu. Apabila tentera Israel melihat Goliat, mereka lari ketakutan. “Lihatlah dia!” kata mereka sesama sendiri. “Dengarlah cabarannya! Raja Saul sudah berjanji bahawa orang yang berjaya membunuh Goliat akan diberikan hadiah yang besar. Raja juga akan mengahwinkan puterinya kepada orang itu, dan keluarga orang itu tidak perlu membayar cukai lagi.” Daud bertanya kepada askar yang berada dekatnya, “Apakah yang akan diberikan kepada orang yang dapat membunuh orang Filistin itu dan membebaskan Israel daripada penghinaan? Berani betul orang Filistin itu, orang yang tidak mengenal Allah, mencabar tentera Allah yang hidup!” Mereka memberitahu Daud akan hadiah yang diberikan kepada orang yang dapat membunuh Goliat. Eliab, abang sulung Daud, mendengar percakapan Daud dengan askar-askar itu. Dia memarahi Daud, dan berkata, “Mengapa engkau datang ke mari? Siapa yang kausuruh menjaga domba-dombamu di padang gurun itu? Aku tahu, engkau budak jahat, dan berlagak berani; kaudatang ke mari hanya untuk melihat pertempuran, bukan?” “Apakah salahku? Aku hanya bertanya,” jawab Daud. Kemudian dia pergi dan menanyakan hal yang sama kepada askar-askar lain, dan dia mendapat jawapan yang sama. Tetapi beberapa orang yang mendengar kata-kata Daud, menyampaikannya kepada Raja Saul, lalu Raja Saul memanggil Daud menghadap. Daud berkata kepada Raja Saul, “Tuanku, tidak perlu sesiapa pun takut kepada orang Filistin itu. Hamba bersedia melawan dia.” “Jangan,” jawab Raja Saul. “Bagaimana mungkin engkau dapat melawan dia? Engkau masih sangat muda, sedangkan dia telah biasa berperang sejak masa mudanya.” Tetapi Daud berkata, “Tuanku, hamba biasa menggembalakan domba bapa hamba. Apabila ada singa atau beruang datang menerkam domba, hamba mengejar dan menyerang binatang buas itu, lalu domba itu hamba selamatkan. Jika singa atau beruang itu melawan, hamba memegang lehernya, lalu memukulnya sampai mati. Hamba sudah membunuh singa mahupun beruang, dan orang Filistin yang tidak mengenal Allah itu, juga akan hamba perlakukan seperti binatang itu, kerana dia berani mencabar tentera Allah yang hidup. TUHAN sudah menyelamatkan hamba daripada singa dan beruang; Dia juga akan menyelamatkan hamba daripada orang Filistin itu.” “Baiklah,” titah Raja Saul. “Pergilah, semoga TUHAN menyertai engkau.” Raja Saul memberikan pakaian perangnya kepada Daud untuk dipakainya: sebuah topi gangsa yang dikenakannya pada kepala Daud, dan sepasang baju besi. Kemudian Daud mengikatkan pedang Raja Saul pada baju besi itu lalu cuba berjalan. Tetapi Daud tidak dapat berjalan, kerana dia tidak biasa memakai pakaian perang. “Hamba tidak dapat berjalan dengan pakaian ini,” katanya kepada Raja Saul. “Hamba tidak biasa memakainya.” Lalu Daud menanggalkan seluruh pakaian perang itu. Kemudian dia membawa tongkat gembalanya, dan mengambil lima biji batu yang bulat dari sungai, lalu menyimpan batu itu di dalam kantongnya. Dengan ali-ali siap di tangannya dia pergi menghadapi Goliat. Kemudian Goliat mula berjalan ke arah Daud, didahului oleh pembawa perisainya. Dia terus mendekati Daud, tetapi ketika dia nampak Daud dan memperhatikannya, Goliat tertawa mengejek kerana Daud masih sangat muda dan kacak. Goliat berkata kepada Daud, “Untuk apakah tongkat itu? Adakah engkau fikir aku ini anjing?” Goliat mengutuk Daud demi dewanya. “Mari,” katanya lagi untuk mencabar Daud, “Aku akan memberikan tubuhmu kepada burung dan binatang supaya dimakan!” Daud berkata, “Engkau datang melawan aku dengan pedang, tombak, dan lembing. Tetapi aku datang melawan engkau demi nama TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah tentera Israel, yang engkau hina itu. Hari ini juga TUHAN akan menyerahkan engkau ke dalam tanganku. Aku akan mengalahkan engkau dan memenggal kepalamu. Aku akan memberikan tubuh tentera Filistin kepada burung dan binatang supaya dimakan. Dengan demikian seluruh dunia akan tahu bahawa kami, bangsa Israel mempunyai Allah. Semua orang di sini akan melihat bahawa TUHAN tidak memerlukan pedang ataupun tombak untuk menyelamatkan umat-Nya. Dia sentiasa menang dalam peperangan, dan Dia akan menyerahkan kamu semua ke dalam tangan kami.” Goliat mula maju mendekati Daud, lalu Daud berlari dengan cepat ke arah barisan orang Filistin untuk melawan dia. Daud memasukkan tangan ke dalam kantongnya, lalu mengambil sebiji batu dan mengumban batu itu dengan ali-ali ke arah Goliat. Batu itu kena pada dahi Goliat sehingga pecah tengkoraknya. Ketika itu juga Goliat rebah dengan mukanya ke tanah. Demikianlah tanpa pedang, Daud mengalahkan Goliat dan membunuhnya dengan ali-ali dan batu. Daud berlari kepada Goliat dan berdiri di sisi tubuhnya. Dia menghunus pedang Goliat dari sarung lalu memancung kepala Goliat; begitulah Daud membunuh Goliat. Apabila orang Filistin nampak bahawa pahlawan mereka sudah mati, mereka lari. Orang Israel dan Yehuda bersorak, lalu mengejar mereka sampai ke Gat dan pintu gerbang Ekron. Orang Filistin yang terluka bergelimpangan sepanjang jalan ke Saaraim, sampai ke Gat dan Ekron. Setelah kembali daripada mengejar orang Filistin, orang Israel menjarah perkhemahan orang Filistin. Daud mengambil kepala Goliat dan membawanya ke Yerusalem, tetapi dia menyimpan senjata Goliat di khemahnya. Apabila Raja Saul nampak Daud pergi melawan Goliat, baginda bertanya kepada Abner, panglima tenteranya, “Abner, anak siapakah pemuda itu?” “Hamba tidak tahu, tuanku,” jawab Abner. “Pergilah dan tanyakanlah hal itu,” perintah Raja Saul. Oleh itu ketika Daud balik ke perkhemahan setelah membunuh Goliat, Abner membawanya menghadap Raja Saul. Daud masih menjinjing kepala Goliat. Raja Saul bertanya kepadanya, “Hai pemuda, anak siapakah kamu?” Daud menjawab, “Hamba anak Isai, dari Betlehem.” Raja Saul dan Daud selesai bercakap-cakap. Selepas itu, putera Raja Saul yang bernama Yonatan sangat tertarik kepada Daud, dan mula mengasihinya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Sejak hari itu, Raja Saul menyuruh Daud tinggal bersama-sama baginda, dan tidak membenarkan dia pulang ke rumah bapanya. Yonatan bersumpah untuk bersahabat dengan Daud selama-lamanya, kerana dia sangat mengasihi Daud. Yonatan menanggalkan jubah yang dipakainya lalu memberikannya kepada Daud. Dia juga memberikan pakaian perangnya, pedangnya, panahnya, dan tali pinggangnya kepada Daud. Daud berjaya dalam segala tugas yang diperintahkan oleh Raja Saul. Maka Raja Saul melantik dia menjadi pegawai tentera. Hal itu menyenangkan hati semua pegawai tentera dan anak buah Raja Saul. Apabila Daud kembali, setelah mengalahkan Goliat orang Filistin itu, dan para askar berbaris masuk ke dalam kota, kaum wanita keluar dari semua kota di Israel untuk menyambut Raja Saul. Mereka menyanyikan lagu-lagu gembira sambil menari-nari dengan memainkan tamburin dan kecapi. Sambil menari-nari para wanita menyanyi demikian, “Raja Saul membunuh beribu-ribu orang musuh, tetapi Daud membunuh berpuluh-puluh ribu orang musuh.” Raja Saul tidak suka mendengar nyanyian itu, lalu baginda menjadi murka. Raja Saul bertitah, “Daud dianggap membunuh berpuluh-puluh ribu orang musuh, sedangkan beta hanya dianggap membunuh beribu-ribu orang musuh. Tidak lama lagi mereka akan menjadikan dia raja!” Sejak hari itu Raja Saul iri hati terhadap Daud. Keesokan harinya, Raja Saul berada di dalam rumah dan sedang memegang tombak. Tiba-tiba Raja Saul dirasuki roh jahat yang disuruh Allah, sehingga baginda mengamuk seperti orang gila. Pada masa itu Daud sedang bermain kecapi seperti biasa. “Aku tancapkan dia ke tembok itu,” fikir Raja Saul, lalu baginda melemparkan tombak ke arah Daud sampai dua kali, tetapi Daud berjaya mengelakkannya. Raja Saul takut akan Daud kerana TUHAN menyertai Daud, tetapi TUHAN sudah meninggalkan Raja Saul. Maka Raja Saul memindahkan Daud dari lingkungan istana dengan melantiknya menjadi ketua pasukan seribu orang askar. Daud memimpin pasukannya dalam pertempuran, dan dia berjaya melaksanakan segala tugasnya kerana TUHAN menyertai dia. Raja Saul memperhatikan kejayaan Daud, dan hal itu menjadikannya bertambah takut akan Daud. Tetapi semua penduduk Israel dan Yehuda mengasihi Daud, kerana dia seorang pemimpin yang banyak jasa. Raja Saul merancangkan supaya Daud dibunuh oleh orang Filistin dalam pertempuran supaya bukan Raja Saul sendiri yang membunuh dia. Oleh itu, pada suatu hari Raja Saul bertitah kepada Daud, “Merab, puteri sulung beta, akan beta jodohkan dengan kamu, asal saja kamu berkhidmat kepada beta sebagai askar yang berani dan taat, serta berperang untuk TUHAN.” Daud menjawab, “Siapakah hamba ini, dan siapakah keluarga bapa hamba di Israel sehingga hamba menjadi menantu raja?” Tetapi apabila tiba masanya Merab dikahwinkan dengan Daud, Merab diserahkan kepada seorang lelaki lain yang bernama Adriel dari kota Mehola. Namun Mikhal, puteri Raja Saul yang lain, jatuh cinta kepada Daud. Apabila Raja Saul mendengar hal itu, baginda pun senang hati. Raja Saul berfikir, “Aku akan memberikan Mikhal kepada Daud supaya Daud terperangkap dan dibunuh oleh orang Filistin.” Maka untuk kali yang kedua, Raja Saul bertitah kepada Daud, “Sekarang kamu akan menjadi menantu beta.” Raja Saul menyuruh para pegawainya supaya dengan diam-diam memberitahu Daud demikian, “Raja berkenan kepadamu, dan semua pegawainya suka akan kamu; oleh itu sekaranglah masa yang tepat bagimu untuk berkahwin dengan puteri raja.” Mereka menyampaikan hal itu kepada Daud, dan dia menjawab, “Adakah kamu fikir mudah untuk menjadi menantu raja? Aku orang miskin dan tidak penting!” Para pegawai itu menyampaikan jawapan Daud kepada Raja Saul, lalu Raja Saul menyuruh para pegawai memberitahu Daud pesan ini, “Satu-satunya yang dipinta oleh raja daripadamu sebagai mas kahwin adalah seratus kulit khatan orang Filistin, untuk membelas dendam terhadap musuhnya.” (Inilah cara yang dicadangkan Raja Saul supaya Daud dibunuh oleh orang Filistin.) Para pegawai Raja Saul menyampaikan kata-kata Raja Saul kepada Daud, dan Daud gembira dengan tawaran menjadi menantu raja. Oleh itu, sebelum sampai hari perkahwinan yang sudah ditetapkan, Daud bersama-sama anak buahnya membunuh dua ratus orang Filistin; Daud mengambil kulit khatan mereka. Kemudian Daud menyerahkannya kepada raja tanpa kurang satu pun supaya dia dapat menjadi menantu raja. Oleh itu Raja Saul harus mengahwinkan puterinya Mikhal dengan Daud. Raja Saul sedar bahawa TUHAN menyertai Daud, dan Mikhal, puterinya mencintai Daud. Maka Raja Saul semakin takut akan Daud. Raja Saul memusuhi Daud sepanjang umurnya. Setiap kali tentera Filistin melancarkan serangan, Daud lebih berjaya mengalahkan mereka daripada para pegawai Raja Saul yang lain. Dengan demikian Daud menjadi semakin termasyhur. Raja Saul memberitahu Yonatan, puteranya, dan semua pegawainya bahawa baginda merancang untuk membunuh Daud. Tetapi Yonatan sangat mengasihi Daud, lalu dia berkata kepada Daud, “Bapaku berusaha untuk membunuh kamu. Esok pagi berhati-hatilah. Bersembunyilah di suatu tempat rahsia dan tinggallah di situ. Aku akan pergi ke padang bersama dengan bapaku dan berdiri dekat tempat kamu bersembunyi. Lalu aku akan bercakap dengan dia tentang maksudnya terhadapmu. Jika aku mengetahui apa-apa, aku akan memberitahu kamu.” Yonatan mengatakan hal-hal baik tentang Daud kepada Raja Saul, katanya, “Ayah, janganlah celakakan Daud, hamba ayah. Dia tidak berbuat kesalahan apa-apa terhadap ayah; sebaliknya, dia sudah berjasa banyak kepada ayah. Dia telah mempertaruhkan nyawanya ketika dia membunuh Goliat, dan TUHAN telah memberikan kemenangan yang besar kepada Israel. Ayah sendiri telah menyaksikannya, dan ayah berasa gembira pada waktu itu. Mengapakah sekarang ayah hendak menganiaya seorang yang tidak bersalah, dan mahu membunuh Daud tanpa sebab?” Raja Saul insaf setelah mendengar kata-kata Yonatan itu, lalu baginda bersumpah demi TUHAN bahawa baginda tidak akan membunuh Daud. Selepas itu Yonatan memanggil Daud dan memberitahunya semua percakapan tadi. Kemudian Yonatan membawa Daud kepada Raja Saul, lalu Daud berkhidmat kepada Raja Saul seperti dahulu. Kemudian perang dengan orang Filistin berlaku semula. Daud menyerang dan mengalahkan orang Filistin sama sekali sehingga mereka lari. Pada suatu hari Raja Saul sedang duduk sambil memegang tombak di rumah. Tiba-tiba Raja Saul dirasuk lagi oleh roh jahat yang disuruh oleh TUHAN. Pada masa itu Daud berada di situ dan sedang memainkan kecapinya. Raja Saul cuba menancapkan tombak itu kepada Daud yang berada dekat dinding, tetapi Daud mengelak, sehingga tombak itu tertancap pada dinding. Daud lari untuk menyelamatkan diri. Pada malam itu juga, Raja Saul menyuruh beberapa orang ke rumah Daud untuk mengintip Daud, lalu membunuh dia pada waktu pagi. Tetapi Mikhal, isteri Daud, memberitahu dia, “Jika engkau tidak lari malam ini juga, esok pagi engkau pasti dibunuh.” Mikhal menurunkan Daud dari jendela dan Daud lari dari tempat itu. Kemudian Mikhal mengambil patung berhala rumah tangganya dan meletakkannya di tempat tidur Daud. Dia juga meletakkan bantal yang dibuat daripada bulu kambing di bawah kepala patung itu, lalu menyelubunginya dengan selimut. Apabila anak buah Raja Saul datang untuk menangkap Daud, Mikhal berkata, “Daud sedang sakit.” Tetapi Raja Saul menyuruh mereka pergi lagi ke situ untuk melihat Daud dengan mata mereka sendiri. Baginda memberikan perintah, “Bawalah dia ke mari bersama dengan tempat tidurnya, supaya aku dapat membunuh dia.” Mereka masuk ke dalam bilik dan mendapati patung yang terletak di tempat tidur dengan bantal daripada bulu kambing di bawah kepalanya. Raja Saul bertanya kepada Mikhal, “Mengapa engkau menipu beta begini? Musuh beta telah kautolong melarikan diri!” Mikhal menjawab, “Dia mengancam untuk membunuh saya jika saya tidak menolong dia melarikan diri.” Daud lari dan pergi kepada Samuel di Rama. Daud memberitahu Samuel segala yang sudah dilakukan Raja Saul terhadapnya. Kemudian Daud dan Samuel pergi ke Nayot dan tinggal di sana. Raja Saul diberitahu bahawa Daud berada di Nayot dekat Rama. Oleh itu Raja Saul menyuruh beberapa orang ke sana untuk menangkap Daud. Di situ mereka nampak sekumpulan nabi sedang menari dan berteriak bersama, dan mereka dipimpin oleh Samuel. Para utusan Raja Saul itu dikuasai Roh Allah, lalu mereka pun mula menari dan berteriak. Apabila Raja Saul mendengar berita itu, baginda mengirim lebih banyak lagi utusan lain. Tetapi mereka pun mula menari dan berteriak. Untuk kali yang ketiga Raja Saul mengirimkan utusan, tetapi hal yang sama berlaku kepada mereka. Oleh itu Raja Saul sendiri berangkat ke Rama. Apabila baginda tiba di perigi yang besar di Sekhu, baginda bertanya di mana Samuel dan Daud berada. Orang di situ memberitahu baginda bahawa mereka berada di Nayot. Apabila Raja Saul sedang menuju ke sana, baginda juga dikuasai oleh Roh Allah, sehingga baginda menari dan berteriak sepanjang perjalanan ke Nayot. Setelah sampai di sana, Raja Saul menanggalkan pakaiannya dan menari serta berteriak di hadapan Samuel. Kemudian Raja Saul berbaring dengan bertelanjang sepanjang hari dan malam. (Itulah asal mulanya orang berkata, “Adakah Saul juga menjadi nabi?”) Kemudian Daud lari dari Nayot dekat Rama, lalu pergi berjumpa dengan Yonatan. Dia bertanya kepada Yonatan, “Apakah yang sudah aku lakukan? Apakah kesalahanku? Apakah dosaku terhadap bapamu sehingga bapamu hendak membunuh aku?” Yonatan menjawab, “Jangan berkata begitu! Demi Allah, engkau tidak akan dibunuh! Bapaku selalu memberitahu aku segala rancangannya, yang mustahak mahupun yang tidak mustahak. Dia tidak pernah merahsiakan apa pun terhadap aku. Perkara itu tidak benar!” Daud menjawab, “Bapamu tahu engkau sangat mengasihi aku. Oleh itu bapamu tidak memberitahu engkau apa yang dicadangkannya, supaya engkau tidak bersedih. Aku bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa sesungguhnya hidupku diancam maut!” Yonatan berkata, “Aku akan melakukan apa saja permintaanmu.” Daud menjawab, “Begini, esok Perayaan Bulan Baru. Seharusnya aku makan bersama-sama raja. Tetapi jika kamu setuju, aku akan pergi bersembunyi di padang sampai lusa malam. Jika bapamu menanyakan sebabnya aku tidak hadir, katakanlah kepadanya bahawa aku sudah memohon izin daripadamu untuk segera pulang ke Betlehem, kerana di sana diadakan upacara mempersembahkan korban tahunan bagi semua anggota keluargaku. Jika raja berkata, ‘Baiklah,’ maka aku akan aman, tetapi jika raja murka, ketahuilah bahawa raja sudah mengambil keputusan untuk mencelakakan aku. Aku minta pertolonganmu kerana kita sudah mengikat perjanjian di hadapan TUHAN. Namun jika aku bersalah, bunuhlah aku, tetapi jangan serahkan aku kepada bapamu.” Yonatan menjawab, “Jangan khuatir! Jika aku tahu dengan pasti bahawa bapaku sudah bertekad untuk mencelakakan engkau, tentu aku memberitahu engkau.” Kemudian Daud bertanya, “Siapakah yang akan memberitahu aku jika bapamu murka?” Yonatan berkata, “Mari kita pergi ke padang.” Mereka berdua pergi ke padang, lalu Yonatan berkata kepada Daud, “Semoga TUHAN, Allah Israel menjadi saksi kita. Esok atau lusa kira-kira pada waktu ini, aku akan berusaha untuk mengetahui isi hati bapaku. Jika dia bersikap baik terhadapmu, aku akan mengirim khabar kepadamu. Tetapi jika dia berniat untuk mencelakakan engkau, biarlah TUHAN membunuh aku jika aku tidak memberitahukan hal itu kepadamu dan menyelamatkan engkau. Semoga TUHAN menyertai engkau sebagaimana Dia menyertai bapaku dahulu! Jika aku masih hidup, ingatlah akan perjanjian kita di hadapan TUHAN dan setialah kepadaku; tetapi jika aku sudah tiada, tunjukkanlah kesetiaanmu terhadap keturunanku sampai selama-lamanya. Setelah TUHAN membinasakan semua musuhmu, semoga perjanjian antara kita berdua tetap kekal. Jika perjanjian itu dibatalkan, TUHAN akan menghukum engkau.” Itulah kali kedua Yonatan minta Daud berjanji untuk mengasihinya, kerana dia sendiri mengasihi Daud seperti dirinya sendiri. Kemudian Yonatan berkata kepadanya, “Esok Perayaan Bulan Baru. Jika engkau tidak hadir, tentu diketahui orang kerana tempatmu kosong di meja makan. Jika lusa pun engkau tidak hadir, pasti engkau dicari. Oleh itu pergilah ke tempat persembunyianmu yang dahulu, lalu bersembunyilah di belakang timbunan batu di situ. Lusa aku akan memanah tiga kali ke arah timbunan batu itu, seolah-olah timbunan itu suatu sasaran. Kemudian aku akan menyuruh hambaku mencari anak panah itu. Jika aku berkata kepadanya, ‘Lihatlah, anak panah itu lebih dekat lagi ke mari, ambillah,’ itu bermakna bahawa engkau selamat dan boleh keluar. Aku bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa engkau tidak dalam bahaya apa pun. Tetapi jika aku berkata kepada hambaku, ‘Anak panah itu lebih jauh lagi ke sana,’ itu bermakna bahawa TUHAN menyuruh engkau pergi; oleh itu pergilah. Semoga TUHAN memastikan supaya kita selamanya memegang perjanjian antara kita berdua.” Maka Daud pergi bersembunyi di padang. Pada Perayaan Bulan Baru, Raja Saul datang ke jamuan makan. Seperti biasa Raja Saul duduk dekat dinding; Yonatan mengambil tempat di hadapannya, dan Abner duduk di sebelah Raja Saul, tetapi kerusi Daud tetap kosong. Pada hari itu, Raja Saul tidak menyinggung hal itu kerana baginda berfikir, “Mungkin ada sesuatu yang terjadi kepada Daud, sehingga menyebabkan dia najis.” Keesokan harinya, sehari setelah Perayaan Bulan Baru, kerusi Daud masih kosong. Kemudian Raja Saul bertanya kepada Yonatan, “Mengapa Daud tidak hadir pada jamuan, kelmarin dan hari ini?” Yonatan menjawab, “Dia sudah minta izin kepada saya untuk pergi ke Betlehem. ‘Benarkanlah aku pergi,’ katanya, ‘kerana keluargaku sedang merayakan pesta mempersembahkan korban di Betlehem, dan aku disuruh datang oleh abangku. Oleh itu jika kamu izinkan, biarlah aku pergi untuk bertemu dengan sanak saudaraku.’ Itulah sebabnya dia tidak hadir pada jamuan ini, ayah.” Setelah mendengar hal itu Raja Saul sangat murka terhadap Yonatan. Raja Saul bertitah, “Anak haram jadah! Sekarang beta tahu bahawa engkau memihak kepada Daud. Engkau mempermalukan bondamu dan dirimu sendiri. Tidak tahukah engkau bahawa selama Daud hidup, engkau tidak mungkin menjadi raja negeri ini? Sekarang suruhlah orang mencari dia dan membawanya ke mari, kerana dia mesti mati!” Yonatan menjawab, “Mengapakah dia mesti mati? Apakah dosanya?” Ketika itu juga Raja Saul melemparkan tombak ke arah Yonatan untuk membunuh dia. Oleh itu Yonatan sedar bahawa ayahandanya sungguh-sungguh berniat untuk membunuh Daud. Dengan marah sekali Yonatan meninggalkan meja makan dan dia tidak makan apa-apa pada hari kedua Perayaan Bulan Baru itu. Dia sangat gelisah memikirkan Daud yang sudah dihina oleh Raja Saul, ayahandanya. Keesokan paginya Yonatan pergi ke padang untuk menjumpai Daud sebagaimana yang telah dirancangkan bersama. Dia membawa seorang budak lelaki, iaitu hambanya, bersama dengan dia. Yonatan berkata kepadanya, “Ayuh, carilah anak-anak panah yang akan kupanahkan.” Sedang budak itu berlari, Yonatan memanahkan sebatang anak panah melewati budak itu. Apabila budak itu sampai ke tempat anak panah itu jatuh, Yonatan berteriak kepadanya, “Anak panah itu lebih jauh lagi ke sana! Cepatlah! Jangan berdiri saja!” Dia mengambil anak panah itu lalu kembali kepada tuannya. Dia sama sekali tidak tahu maksud kata-kata Yonatan itu, hanya Yonatan dan Daud yang memahaminya. Yonatan memberikan alat pemanahnya kepada budak itu dan menyuruh dia membawanya balik ke kota. Setelah budak itu pergi, Daud keluar dari belakang timbunan batu itu, lalu bersujud tiga kali. Daud dan Yonatan menangis ketika mereka saling berciuman. Kesedihan Daud lebih besar daripada kesedihan Yonatan. Kemudian Yonatan berkata kepada Daud, “Semoga Allah menyertai engkau. TUHAN akan memastikan agar kita dan keturunan kita selalu memegang perjanjian kita berdua di hadapan-Nya.” Setelah itu Daud pergi, lalu Yonatan pulang ke kota. Kemudian Daud pergi kepada Imam Ahimelekh di Nob. Dengan gentar Ahimelekh keluar menemui Daud, dan bertanya kepadanya, “Mengapa kamu ke mari seorang diri?” Daud menjawab, “Saya diserahi tugas oleh raja dan dilarang memberitahu sesiapa pun tentang tugas itu. Oleh itu saya menyuruh anak buah saya menunggu di suatu tempat. Saya ingin bertanya, apa makanan yang ada pada tuan sekarang? Tolong beri saya lima ketul roti atau apa saja yang ada.” Imam itu menjawab, “Saya tidak mempunyai roti biasa, hanya roti persembahan yang ada. Kamu boleh mengambilnya, asal saja anak buahmu tidak melakukan persetubuhan baru-baru ini.” “Tentu tidak!” jawab Daud. “Anak buah saya sentiasa tahir, walaupun semasa menjalankan tugas biasa; apalagi kali ini apabila kami menjalankan tugas istimewa!” Kemudian imam itu memberikan roti persembahan kepada Daud, kerana roti yang ada padanya hanya roti persembahan yang sudah dipersembahkan kepada Allah. Roti itu sudah diambil dari tempat persembahan untuk digantikan dengan roti yang baru. ( Kebetulan, Doeg orang Edom, ketua gembala ternakan Raja Saul, berada di situ pada hari itu untuk memenuhi kewajipan agama.) Daud bertanya kepada Ahimelekh, “Adakah imam menyimpan tombak atau pedang yang dapat saya guna? Perintah raja sangat mendadak sehingga saya berangkat dengan sangat tergesa-gesa dan tidak sempat lagi mengambil pedang atau senjata yang lain.” Ahimelekh menjawab, “Saya menyimpan pedang Goliat, orang Filistin yang kamu bunuh di Lembah Ela. Pedang itu ada di belakang efod, dibungkus dengan kain. Jika kamu mahu pedang itu, ambillah, kerana hanya itulah senjata yang ada di sini.” Daud berkata, “Pedang itulah yang terbaik di seluruh negeri; berikanlah pedang itu kepada saya!” Pada hari itu juga, Daud melarikan diri daripada Raja Saul, lalu pergi kepada Raja Akhis di kota Gat. Para pegawai Raja Akhis berkata kepada baginda, “Bukankah dia ini Daud, raja di negerinya? Dialah yang dimaksudkan kaum wanita yang pada waktu itu menari-nari sambil bernyanyi begini, ‘Raja Saul membunuh beribu-ribu orang musuh, tetapi Daud membunuh berpuluh-puluh ribu orang musuh.’ ” Kata-kata itu mengganggu fikiran Daud, dan dia menjadi sangat takut kepada Raja Akhis. Oleh itu, di hadapan mereka Daud berpura-pura gila. Apabila mereka mencuba menahannya, dia seolah-olah kurang waras; dia menggores-gores pintu kota dan membiarkan air liurnya meleleh ke janggut. Kemudian Raja Akhis bertitah kepada para pegawainya, “Tidakkah kamu nampak bahawa orang itu gila? Mengapa kamu membawa dia ke mari? Masih kurangkah orang gila di sekeliling beta, sehingga kamu membawa seorang gila lagi ke istana beta?” Kemudian Daud meninggalkan kota Gat dan bersembunyi di gua dekat kota Adulam. Apabila abang-abangnya dan semua anggota keluarganya mendengar bahawa dia berada di situ, mereka datang kepadanya. Semua orang yang tertindas, atau yang mempunyai hutang, atau yang berasa tidak puas, juga bergabung dengan Daud, lalu Daud menjadi pemimpin mereka. Jumlah pengikut Daud ada kira-kira empat ratus orang. Dari gua itu Daud pergi ke Mizpa di negeri Moab. Dia berkata kepada raja Moab, “Tolonglah benarkan ibu bapa hamba tinggal dengan tuanku sehingga hamba tahu kehendak Allah untuk hamba.” Oleh itu Daud membawa ibu bapanya kepada raja negeri Moab, dan mereka tinggal di sana selama Daud bersembunyi di gua. Kemudian pada suatu hari seorang nabi yang bernama Gad datang kepada Daud dan berkata, “Jangan tinggal di gua ini. Pergilah dengan segera ke tanah Yehuda.” Lalu Daud meninggalkan tempat itu dan pergi ke hutan Keret. Pada suatu hari Raja Saul sedang duduk di bawah pokok tamariska di atas bukit di Gibea; baginda sedang memegang tombak dan semua pegawai berdiri di sekelilingnya. Ketika baginda mendengar bahawa tempat Daud dan anak buahnya sudah dijumpai, baginda bertitah kepada para pegawai, “Dengarlah, hai semua orang Benyamin! Adakah kamu fikir si Daud itu akan memberi kamu ladang dan ladang anggur? Adakah kamu semua akan diangkat menjadi pegawai dalam tenteranya? Itukah sebabnya kamu bersepakat melawan beta dan tidak seorang pun memberitahu beta bahawa putera beta sendiri sudah memihak kepada si Daud itu? Tiada seorang pun antara kamu memikirkan diri beta. Tiada sesiapa antara kamu memberitahu beta bahawa Daud, anak buah beta sendiri, pada masa ini sedang menunggu kesempatan untuk membunuh beta, dan bahawa Yonatan, putera beta sudah memberikan galakan kepadanya!” Doeg, ketua gembala ternakan Raja Saul, juga ada di situ dengan para pegawai raja, lalu Doeg berkata, “Hamba nampak Daud datang kepada Ahimelekh anak Ahitub, di Nob. Ahimelekh minta petunjuk daripada TUHAN tentang apa yang harus dilakukan Daud. Kemudian Ahimelekh membekali Daud dengan makanan dan memberi dia pedang Goliat, orang Filistin itu.” Oleh itu Raja Saul menyuruh orang memberitahu Imam Ahimelekh dan semua kaum keluarganya yang menjadi imam di Nob supaya datang menghadap baginda. Apabila mereka tiba, Raja Saul bertitah kepada Ahimelekh, “Dengarlah, hai anak Ahitub!” “Ya, tuanku,” jawabnya. Raja Saul bertanya kepadanya, “Mengapa kamu dan Daud bersepakat melawan beta? Mengapa kamu memberikan makanan dan pedang kepadanya? Mengapa kamu minta petunjuk daripada Allah baginya? Sekarang dia memberontak terhadap beta, dan sedang menunggu kesempatan untuk membunuh beta!” Ahimelekh menjawab, “Tetapi bukankah Daud pegawai tuanku yang paling setia? Dia menantu tuanku sendiri, ketua pengawal peribadi tuanku dan sangat dihormati oleh semua orang di istana. Memang hamba sudah bertanya kepada TUHAN baginya, tetapi itu bukanlah kali yang pertama. Tentang komplot terhadap tuanku, sekali-kali tidak! Tolong jangan tuduh hamba atau sesiapa pun anggota keluarga hamba. Hamba tidak tahu-menahu tentang hal itu!” Raja bertitah, “Ahimelekh, kamu dan semua anggota keluargamu mesti mati.” Selepas itu Raja Saul memberikan perintah kepada para pengawal yang berdiri di sisinya, “Bunuhlah imam-imam TUHAN ini! Mereka sudah berpakat dengan Daud, dan tidak memberitahu beta bahawa Daud sudah melarikan diri, walaupun mereka tahu selama ini.” Tetapi para pengawal itu tidak mahu membunuh imam-imam TUHAN itu. Oleh itu Raja Saul bertitah kepada Doeg, “Engkau bunuhlah mereka!” Lalu Doeg membunuh semua imam itu. Pada hari itu dia membunuh lapan puluh lima orang imam yang berlayak memakai efod. Raja Saul juga memerintah supaya segenap penduduk Nob, kota imam itu, dibunuh semuanya, termasuk lelaki, perempuan, kanak-kanak, bayi, dan juga lembu, keldai, serta domba. Tetapi Abyatar, salah seorang anak Ahimelekh, berjaya melarikan diri. Dia pergi kepada Daud, lalu memberitahu Daud bahawa Raja Saul telah membunuh imam-imam TUHAN. Daud berkata kepadanya, “Ketika aku nampak Doeg pada hari itu, aku tahu bahawa dia pasti akan memberitahu Raja Saul. Oleh itu, akulah yang bertanggungjawab terhadap kematian semua kaum keluargamu. Tinggallah bersama dengan aku dan janganlah takut. Raja Saul ingin membunuh kamu, tetapi baginda ingin membunuh aku juga. Oleh itu, kamu akan aman di tempatku.” Pada suatu hari Daud diberitahu bahawa orang Filistin menyerang kota Kehila dan merampas biji-bijian yang baru dituai. Oleh itu dia bertanya kepada TUHAN, “Haruskah aku pergi menyerang orang Filistin?” “Ya,” jawab TUHAN. “Seranglah mereka dan selamatkanlah penduduk Kehila.” Tetapi anak buah Daud berkata kepadanya, “Sedangkan di sini, di Yehuda, kita sudah ketakutan, apalagi kalau kita pergi ke Kehila dan menyerang orang Filistin!” Oleh itu Daud bertanya lagi kepada TUHAN, dan TUHAN menjawab, “Pergilah dan seranglah kota Kehila, kerana Aku akan memberi engkau kemenangan terhadap orang Filistin.” Kemudian Daud dan anak buahnya pergi ke Kehila lalu menyerang orang Filistin. Mereka membunuh banyak orang Filistin dan merampas ternakan mereka. Demikianlah Daud menyelamatkan penduduk kota itu. Pada masa Abyatar anak Ahimelekh lari kepada Daud, dan menyertai Daud ke Kehila, dia juga membawa efod. Raja Saul diberitahu bahawa Daud sudah pergi ke Kehila, lalu Raja Saul berkata dalam hati, “Sekarang Allah telah menyerahkan Daud ke dalam tanganku. Daud sudah terperangkap kerana masuk ke dalam kota yang bertembok dan mempunyai pintu gerbang yang berpalang.” Oleh itu Raja Saul mengerah tenteranya dan berangkat ke Kehila untuk mengepung Daud bersama dengan semua anak buahnya. Apabila Daud mendengar bahawa Raja Saul berniat untuk menyerang dia, dia berkata kepada Imam Abyatar, “Bawalah efod itu ke mari.” Kemudian Daud berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, aku sudah mendengar bahawa Raja Saul bercadang datang ke Kehila dan memusnahkan kota ini kerana aku, hamba-Mu. Adakah penduduk Kehila akan menyerahkan aku kepada Raja Saul? Benarkah Raja Saul akan datang sebagaimana yang aku dengar? Ya TUHAN, Allah Israel, aku mohon, jawablah aku!” TUHAN menjawab, “Ya, Raja Saul akan datang.” Daud bertanya lagi, “Adakah penduduk Kehila akan menyerahkan aku dan anak buahku kepada Raja Saul?” TUHAN menjawab, “Ya.” Oleh itu Daud serta anak buahnya, kira-kira enam ratus orang, segera meninggalkan Kehila dan mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain. Apabila Raja Saul mendengar bahawa Daud sudah pergi dari Kehila, baginda membatalkan rancangannya. Daud bersembunyi di tempat-tempat perlindungan di perbukitan, di padang gurun Zif. Dia selalu dikejar-kejar oleh Raja Saul, tetapi TUHAN tidak menyerahkannya kepada Raja Saul. Daud takut kerana Raja Saul bertekad untuk membunuhnya. Pada suatu masa Daud berada di Hores, di padang gurun Zif. Yonatan pergi menemuinya di situ dan menyakinkan dia bahawa Allah melindungi dia. Yonatan berkata kepadanya, “Jangan takut, engkau tidak akan jatuh ke tangan bapaku. Dia tahu betul bahawa engkaulah yang akan menjadi raja Israel dan bahawa aku akan mendapat kedudukan di bawahmu.” Kemudian Daud dan Yonatan mengikat janji persahabatan di hadapan TUHAN. Setelah itu Yonatan pulang ke rumahnya, sedangkan Daud tetap tinggal di Hores. Kemudian beberapa orang dari Zif menghadap Raja Saul di Gibea dan berkata, “Daud bersembunyi di dalam wilayah hamba sekalian di tempat-tempat perlindungan di Hores, di atas Bukit Hakhila, di bahagian selatan padang gurun Yehuda. Hamba semua tahu bahawa tuanku hendak menangkap dia. Oleh itu datanglah ke wilayah hamba sekalian. Hamba semua menjamin bahawa tuanku akan menangkap dia.” Raja Saul bertitah, “Semoga kamu diberkati TUHAN kerana berbuat baik kepada beta. Pergilah dan pastikanlah sekali lagi. Siasatlah dengan sungguh-sungguh tempat Daud berada dan siapa yang sudah nampak dia di sana. Beta mendengar bahawa dia sangat licik. Periksalah dengan teliti tempat-tempat yang menjadi persembunyiannya, lalu segeralah kembali untuk melaporkan perkara itu kepada beta. Lalu beta akan pergi bersama dengan kamu. Jika dia masih berada di kawasan itu, tentu beta akan memburunya walaupun beta harus menjelajahi seluruh Yehuda.” Kemudian mereka pulang ke Zif mendahului Raja Saul. Pada masa itu Daud dan anak buahnya berada di padang gurun Maon, di lembah yang sunyi di bahagian selatan padang gurun Yehuda. Raja Saul dan anak buahnya datang untuk mencari Daud, tetapi orang memberitahukan hal itu kepada Daud. Lalu Daud pergi ke suatu bukit berbatu di padang gurun Maon dan tinggal di situ. Apabila Raja Saul mengetahui perkara itu, baginda segera mengejar Daud. Raja Saul dan anak buahnya berjalan di pinggir satu belah gunung sedangkan Daud dan anak buahnya di pinggir belah yang lain. Daud cepat-cepat melepaskan diri daripada Raja Saul yang sudah mula mengepung mereka, dan hampir menangkap mereka. Tepat pada masa itu seorang utusan datang menghadap Raja Saul dan berkata, “Tuanku, lekaslah balik! Orang Filistin sedang menyerang negeri kita!” Oleh sebab itu Raja Saul berhenti mengejar Daud, lalu pergi berperang melawan orang Filistin. Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Bukit Pemisahan. Kemudian Daud pergi ke kawasan En-Gedi dan bersembunyi di situ. Ketika Raja Saul balik dari peperangan melawan orang Filistin, dia mendengar bahawa Daud berada di padang gurun dekat En-Gedi. Raja Saul memilih tiga ribu orang askar yang terbaik daripada seluruh Israel, lalu berangkat mencari Daud dan anak buahnya di sebelah timur Bukit Batu Kambing Hutan. Raja Saul sampai di suatu tempat dekat beberapa buah kandang domba di tepi jalan. Raja Saul masuk ke dalam gua di situ untuk membuang air besar. Kebetulan sekali Daud dan anak buahnya sedang bersembunyi di gua itu juga, lebih ke dalam lagi. Anak buah Daud berkata kepadanya, “Inilah kesempatan tuan. Bukankah TUHAN sudah berfirman kepada tuan demikian, ‘Musuhmu akan Kuserahkan kepadamu, buatlah sesuka hatimu terhadap dia.’ ” Kemudian Daud menyelinap ke tempat Raja Saul dan dengan diam-diam memotong sedikit daripada tepi jubah Raja Saul. Tetapi setelah itu, Daud berasa bersalah kerana dia telah melakukan hal itu. Dia berkata kepada anak buahnya, “Semoga TUHAN mencegah aku daripada berbuat jahat terhadap rajaku yang telah dipilih TUHAN. Aku tidak boleh menyakiti raja sedikit pun kerana raja telah dipilih TUHAN.” Demikianlah Daud menenangkan anak buahnya, dan tidak mengizinkan mereka menyerang Raja Saul. Raja Saul bangkit dan meninggalkan gua itu, lalu meneruskan perjalanan. Tetapi Daud menyusul Raja Saul ke luar gua dan berseru di belakangnya, “Tuanku!” Raja Saul menoleh, dan Daud sujud dengan hormat seraya berkata, “Mengapa tuanku mendengarkan cakap orang yang mengatakan bahawa hamba hendak mencelakakan tuanku? Sekarang tuanku mengalami sendiri bahawa di dalam gua tadi, TUHAN telah menyerahkan tuanku kepada hamba. Hamba telah disuruh oleh beberapa orang anak buah hamba untuk membunuh tuanku, tetapi hamba menolak. Hamba menjawab bahawa hamba tidak mahu menyakiti raja yang dipilih oleh TUHAN. Lihatlah, ayahanda! Lihatlah potongan jubah tuanku yang hamba pegang ini! Sebenarnya hamba dapat membunuh tuanku, tetapi hamba hanya memotong sedikit tepi jubah tuanku. Hal ini membuktikan bahawa hamba tidak bermaksud jahat ataupun derhaka. Tuanku mengejar-ngejar hamba untuk membunuh hamba, meskipun hamba tidak bersalah sedikit pun terhadap tuanku. Semoga TUHAN memutuskan siapa yang bersalah, hamba atau tuanku. Kiranya TUHAN membalas perbuatan tuanku terhadap hamba, namun hamba tidak akan menyakiti tuanku sedikit pun. Tuanku tahu pepatah lama ini, ‘Kejahatan hanya dilakukan oleh orang jahat.’ Oleh sebab itu hamba tidak akan menyakiti tuanku. Perhatikanlah hamba ini yang hendak dibunuh oleh raja Israel! Lihatlah hamba ini yang dikejar-kejar oleh tuanku! Hamba hanya seekor anjing mati, seekor kutu sahaja! TUHAN akan mengadili antara tuanku dan hamba, dan menentukan siapa yang bersalah. Semoga Dia memeriksa perkara ini, dan membela hamba serta menyelamatkan hamba daripada tuanku.” Setelah Daud mengucapkan kata-kata itu, Raja Saul bertitah, “Benarkah kamu ini Daud, anakku?” Lalu Raja Saul menangis. Kemudian Raja Saul bertitah kepada Daud, “Memang kamulah yang benar dan beta bersalah. Kamu telah berlaku begitu baik terhadap beta, walaupun beta telah berlaku jahat terhadapmu. Hari ini kamu telah membuktikan bahawa kamu bermaksud baik terhadap beta. Kamu tidak membunuh beta walaupun TUHAN telah menyerahkan beta kepadamu. Jarang sekali orang melepaskan musuh tanpa menyakitinya setelah ditemuinya musuh itu. TUHAN memberkati kamu kerana perbuatanmu yang baik terhadap beta pada hari ini! Sekarang beta yakin bahawa kamu akan menjadi raja Israel, dan bahawa kerajaan Israel akan makmur di bawah pemerintahanmu. Tetapi berjanjilah demi TUHAN bahawa kamu tidak akan membunuh keturunan beta dan tidak menghapus nama keluarga beta.” Oleh itu Daud bersumpah untuk memenuhi permintaan itu. Kemudian Raja Saul pulang ke rumah, dan Daud serta anak buahnya balik ke tempat persembunyian mereka. Kemudian Samuel meninggal. Semua orang Israel berkumpul dan meratapinya. Mereka menguburkan jenazah Samuel di rumahnya di Rama. Selepas itu Daud pergi ke padang gurun Paran. [2-3] Di kota Maon ada seorang lelaki bernama Nabal, daripada puak Kaleb. Dia mempunyai tanah dekat kota Karmel. Dia sangat kaya dan mempunyai tiga ribu ekor domba dan seribu ekor kambing. Abigail isterinya, cerdas dan cantik, tetapi Nabal bertabiat kasar dan berkelakuan buruk. Pada suatu masa Nabal sedang menggunting bulu dombanya di Karmel. *** Pada masa itu, Daud yang berada di padang gurun, mendengar hal itu. Kemudian Daud menyuruh sepuluh orang pemuda pergi ke Karmel. Daud menyuruh mereka menemui Nabal dan menyampaikan salam Daud kepadanya. Daud menyuruh mereka berkata demikian, “Daud mengirimkan salamnya kepada tuan dan keluarga tuan serta segala milik tuan. Daud mendengar bahawa tuan sedang menggunting bulu domba tuan. Ketahuilah bahawa para gembala tuan yang berada di kawasan kami tidak pernah kami ganggu, dan mereka belum pernah kehilangan apa pun selama berada di Karmel. Cubalah tanyakan hal itu kepada mereka. Tentu mereka akan mengesahkan hal itu. Oleh sebab itu, Daud berharap agar kami, anak buahnya diterima dengan baik di rumah tuan, kerana kami datang pada hari besar ini. Berikanlah apa saja menurut kerelaan tuan kepada hamba-hamba tuan ini dan juga kepada Daud, sahabat baik tuan. ” Setelah anak buah Daud tiba di Karmel, mereka menyampaikan pesan Daud itu kepada Nabal, lalu mereka menunggu di situ. Tetapi Nabal menjawab, “Daud? Siapakah dia? Siapakah anak Isai itu? Belum pernah aku mendengar tentang dia! Akhir-akhir ini, ada banyak hamba yang lari daripada majikan mereka di negeri ini! Mana boleh aku mengambil roti dan air minumku, serta daging yang sudah kusediakan bagi para penggunting bulu dombaku, lalu memberikan semuanya kepada orang yang entah dari mana!” Oleh itu anak buah Daud kembali kepada Daud dan memberitahukan kata-kata Nabal itu kepadanya. “Ikatlah pedang kamu di pinggang masing-masing!” perintah Daud. Dengan segera anak buah Daud mentaati perintahnya. Daud juga mengikat pedangnya di pinggangnya lalu berangkat bersama dengan kira-kira empat ratus orang, sedang dua ratus orang yang lain tinggal untuk menjaga barang-barang. Sementara itu salah seorang pekerja Nabal berkata kepada Abigail, isteri Nabal, “Sudahkah puan mendengar tentang hal yang terjadi? Daud menyuruh beberapa orang utusan dari padang gurun untuk menyampaikan salam kepada tuan kita. Tetapi tuan kita menghina mereka, padahal mereka sangat baik terhadap kami dan tidak pernah mengganggu kami. Pada waktu kami bersama-sama mereka di padang gurun, tiada suatu apa pun milik kami yang dicuri. Mereka melindungi kami siang dan malam selama kami menggembalakan domba dekat mereka. Oleh itu fikirlah baik-baik apa yang harus dilakukan! Perkara ini mungkin mendatangkan bencana kepada tuan kita dan seluruh keluarganya. Tuan kita sangat keras kepala sehingga tidak mahu mendengar nasihat sesiapa pun!” Dengan segera Abigail mengambil 200 ketul roti, dua buah kirbat kulit yang penuh dengan wain, lima ekor domba panggang, 17 kilogram biji-bijian yang dipanggang, 100 rangkai kismis dan 200 ketul kuih ara. Dia memuat semua itu di atas beberapa ekor keldai. Kemudian dia berkata kepada hamba-hambanya, “Kamu berangkatlah dahulu. Aku akan menyusul.” Tetapi dia tidak memberitahukan hal itu kepada suaminya. Kemudian Abigail menunggang keldainya. Apabila dia sampai pada selekoh di pinggir gunung, dia berpapasan dengan Daud dan anak buahnya yang sedang turun menuju ke arahnya. Pada masa itu Daud sedang berfikir, “Sia-sialah aku melindungi milik orang itu di padang gurun! Tiada satu pun miliknya dicuri orang, dan sekarang dia membalas kebaikanku dengan kejahatan! Biarlah Allah membunuh aku jika aku tidak membunuh tiap-tiap orang lelaki di sana sebelum matahari terbit!” Apabila Abigail nampak Daud, dia segera turun dari keldainya lalu bersujud di kaki Daud. Abigail berkata, “Tolonglah tuan, sudilah mendengar kata-kata saya. Biarlah kesalahan itu saya tanggung sendiri! Janganlah pedulikan Nabal, orang yang tidak berguna itu. Bukankah namanya sendiri bermakna bodoh? Saya tidak ada di situ ketika utusan-utusan tuan tiba. TUHAN sudah mencegah tuan membalas dendam dan membunuh musuh tuan. Sekarang saya bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa musuh tuan dan semua orang yang hendak berbuat jahat terhadap tuan akan dihukum seperti Nabal. Terimalah pemberian yang saya bawa ini untuk tuan dan anak buah tuan. Ampunkanlah kesalahan saya. Tentu TUHAN akan menjadikan tuan serta keturunan tuan raja Israel, kerana tuan berperang bagi TUHAN; tuan tidak akan melakukan apa-apa kejahatan seumur hidup. Seandainya ada seseorang yang menyerang tuan dan cuba membunuh tuan, maka tentu TUHAN Allah akan melindungi tuan seperti seorang menjaga hartanya yang sangat berharga. Tetapi musuh tuan akan dilemparkan jauh-jauh oleh TUHAN, seperti batu yang dilontarkan dengan ali-ali. TUHAN akan melakukan segala kebaikan yang dijanjikan-Nya kepada tuan, dan tidak lama lagi tuan akan dijadikan-Nya raja Israel. Pada waktu itu tuan akan ingat bahawa tuan tidak membunuh tanpa alasan atau membalas dendam. Oleh itu tuan tidak perlu berasa sedih atau menyesal. Apabila TUHAN memberkati tuan kelak, janganlah lupa akan hamba tuan ini.” Kemudian Daud berkata kepadanya, “Pujilah TUHAN, Allah umat Israel, yang sudah mengutus kamu kepadaku pada hari ini! Aku bersyukur kerana kebijaksanaanmu. Tindakanmu pada hari ini telah mencegah aku melakukan pembunuhan untuk membalas dendam. TUHAN sudah menahan aku berbuat jahat terhadapmu. Demi TUHAN, Allah Israel yang hidup, seandainya kamu tidak segera menemui aku, sudah tentu semua anak buah Nabal telah mati pada waktu matahari terbit!” Daud menerima pemberian Abigail, lalu berkata kepadanya, “Pulanglah dan janganlah khuatir. Aku akan menunaikan permintaanmu.” Ketika Abigail pulang kepada Nabal, ada jamuan besar di rumahnya, seperti jamuan raja. Oleh sebab Nabal mabuk dan bersukaria, Abigail tidak memberitahukan apa-apa pun kepadanya sehingga keesokan hari. Keesokan pagi, apabila Nabal tidak mabuk lagi, Abigail menceritakan segalanya kepada Nabal. Tiba-tiba Nabal diserang penyakit jantung sehingga seluruh badannya menjadi lumpuh. Kira-kira sepuluh hari kemudian, TUHAN mencabut nyawa Nabal. Apabila Daud mendengar bahawa Nabal sudah meninggal, dia berkata, “Pujilah TUHAN! Dia sudah membalas Nabal kerana penghinaannya terhadap aku. TUHAN sudah mencegah aku, hamba-Nya daripada melakukan kejahatan. TUHAN sendiri telah menghukum Nabal kerana kejahatannya.” Kemudian Daud mengirim utusan kepada Abigail untuk melamar dia menjadi isterinya. Para utusan Daud menemui wanita itu di Karmel, lalu berkata kepadanya, “Kami diutus oleh Daud untuk menghadap puan, kerana dia ingin melamar puan menjadi isterinya.” Abigail bangkit, lalu bersujud dan berkata, “Saya hamba Daud. Saya bersedia mencuci kaki hamba-hambanya.” Selepas itu dia segera berkemas, lalu menunggang keldainya. Diiringi oleh lima orang dayangnya, dia berangkat bersama-sama utusan Daud. Dengan demikian Abigail menjadi isteri Daud. Sebelum itu Daud telah berkahwin dengan Ahinoam dari Yizreel. Sekarang Abigail juga menjadi isteri Daud. Sementara itu Raja Saul telah mengahwinkan Mikhal puterinya, iaitu isteri Daud, kepada Palti anak Lais dari kota Galim. Pada suatu hari beberapa orang dari Zif berjumpa dengan Raja Saul di Gibea. Mereka memberitahu Raja Saul bahawa Daud bersembunyi di Bukit Hakhila, di pinggir padang gurun Yehuda. Dengan segera Raja Saul berangkat ke padang gurun Zif bersama dengan tiga ribu orang askar yang terbaik di Israel untuk mencari Daud. Raja Saul dan pasukannya berkhemah di tepi jalan di Bukit Hakhila. Pada masa itu Daud masih di padang gurun itu, lalu dia mendengar bahawa Raja Saul sudah datang mencarinya di padang gurun. Oleh itu dia mengirim beberapa orang pengintip. Lalu dia diberitahu bahawa memang benar Raja Saul berada di sana. Dengan segera Daud pergi ke perkhemahan Raja Saul, dan mendapati khemah tempat Raja Saul tidur dekat Abner anak Ner, panglima tentera. Khemah Raja Saul itu terletak di tengah-tengah dan tenteranya berkhemah di sekelilingnya. Kemudian Daud bertanya kepada Ahimelekh orang Het itu, dan kepada Abisai saudara Yoab, (ibu mereka ialah Zeruya), “Siapa yang berani masuk ke dalam perkhemahan Raja Saul bersama dengan aku?” “Saya,” jawab Abisai. Pada malam itu Daud dan Abisai menyelinap ke dalam perkhemahan Raja Saul, lalu melihat Raja Saul sedang tidur di tengah-tengah perkhemahan. Tombak Raja Saul tertancap di tanah dekat kepalanya. Abner dan pasukannya tidur di sekeliling Raja Saul. Abisai berkata kepada Daud, “Allah telah menyerahkan musuh tuan kepada tuan pada malam ini. Benarkanlah saya menancapkan tombaknya sendiri ke badannya sehingga tembus ke tanah. Saya akan membunuh dia dengan sekali tikaman saja, tidak usah sampai dua kali!” Tetapi Daud berkata, “Janganlah kauapa-apakan baginda! Tentu TUHAN akan menghukum orang yang berbuat jahat kepada raja yang dipilih-Nya. Demi TUHAN yang hidup, aku tahu bahawa TUHAN sendiri akan membunuh Raja Saul, sama ada oleh kematian biasa ketika akhir hayatnya sudah sampai, ataupun disebabkan oleh peperangan. Kiranya TUHAN mencegah aku membunuh raja yang dipilih-Nya! Kita ambil tombak dan kendinya saja, lalu pergi dari sini!” Oleh itu Daud mengambil tombak dan kendi Raja Saul yang terletak di sebelah kepalanya, lalu mereka pergi. Tiada seorang pun nampak hal itu atau mengetahui apa yang telah terjadi, ataupun terbangun, kerana TUHAN menyebabkan mereka semua tertidur dengan nyenyak. Selepas itu Daud menyeberang lembah itu ke pinggir yang lain dan naik ke puncak bukit, sehingga dia cukup jauh dari perkhemahan Raja Saul. Kemudian Daud berteriak kepada Abner dan tentera Raja Saul, “Hai Abner, dapatkah kamu mendengar suaraku?” Abner bertanya, “Siapakah kamu yang berteriak-teriak dan membangunkan raja?” Daud menjawab, “Hai Abner, bukankah kamu orang yang paling hebat di seluruh Israel? Mengapa kamu tidak melindungi raja tuanmu? Baru saja ada orang masuk ke dalam perkhemahan untuk membunuh tuanmu. Tetapi kamu tidak menjalankan tugas. Aku bersumpah demi TUHAN yang hidup, hai Abner, bahawa kamu semua tidak layak hidup. Kamu tidak melindungi tuanmu yang sudah dilantik menjadi raja oleh TUHAN. Lihatlah! Di manakah tombak raja? Di mana pula kendi yang terletak di sebelah kepalanya?” Raja Saul mengenali suara Daud, lalu dia bertanya, “Daud, kamukah itu, anakku?” “Ya, tuanku,” jawab Daud. Daud berkata lagi, “Mengapakah tuanku masih mengejar hamba tuanku ini? Apakah yang sudah hamba lakukan? Apakah kesalahan hamba? Tuanku, dengarlah kata-kata hamba. Sekiranya TUHAN yang menyuruh tuanku supaya melawan hamba, suatu persembahan korban akan dapat meredakan kemurkaan-Nya terhadap hamba. Tetapi sekiranya yang menyuruh tuanku itu manusia, semoga mereka dikutuk oleh TUHAN! Akibat perbuatan mereka itu, hamba sudah diusir dari tanah milik TUHAN dan terpaksa pergi ke negeri lain. Di sana hamba harus beribadat kepada dewa-dewa asing. Janganlah biarkan hamba mati di negeri orang, jauh daripada TUHAN. Mengapakah raja Israel hendak membunuh hamba yang sehina kutu ini? Mengapakah tuanku mahu memburu hamba seperti orang memburu ayam hutan?” Raja Saul menjawab, “Sesungguhnya beta sudah berdosa. Baliklah, hai Daud anak beta! Beta tidak akan berbuat jahat terhadapmu lagi. Malam tadi kamu telah membiarkan beta hidup. Kelakuan beta sungguh bodoh! Perbuatan beta sangat dahsyat!” Daud berkata, “Inilah tombak tuanku. Suruhlah salah seorang askar tuanku datang untuk mengambilnya. TUHAN selalu memberkati orang yang setia dan jujur. Meskipun pada hari ini Dia telah menyerahkan tuanku kepada hamba, namun hamba tidak berbuat jahat terhadap tuanku, raja yang sudah dipilih oleh TUHAN. Sebagaimana hamba sudah membiarkan tuanku hidup, semoga TUHAN juga membiarkan hamba hidup dan membebaskan hamba daripada segala kesusahan!” Raja Saul bertitah kepada Daud, “Allah memberkatimu, hai anakku! Kamu akan berjaya dalam segala usahamu!” Kemudian Daud meneruskan perjalanannya, dan Raja Saul pulang ke rumah. Daud berfikir, “Bagaimanapun juga, pada suatu hari Raja Saul akan membunuh aku. Lebih baik aku lari ke negeri orang Filistin. Kemudian Raja Saul tidak akan mencari aku lagi di Israel, dan aku pun akan aman.” Oleh itu Daud dan enam ratus orang anak buahnya segera berangkat untuk menemui Raja Akhis anak Maokh, raja kota Gat. Daud dan anak buahnya tinggal di Gat bersama dengan keluarga masing-masing. Kedua-dua orang isteri Daud, Ahinoam yang berasal dari kota Yizreel, dan Abigail, balu Nabal yang berasal dari Karmel, juga menyertai dia. Apabila Raja Saul mendengar bahawa Daud sudah melarikan diri ke Gat, baginda tidak berusaha menangkapnya lagi. Kemudian Daud memberikan cadangan kepada Raja Akhis, “Jika tuanku berkenan dengan hamba, berilah hamba sebuah kota kecil di pedalaman untuk tempat tinggal, supaya hamba tuanku ini tidak menumpang kepada tuanku di ibu kota ini.” Oleh itu Raja Akhis memberikan kota Ziklag kepada Daud. Sejak itulah Ziklag menjadi milik raja-raja Yehuda. Daud tinggal di negeri orang Filistin selama satu tahun empat bulan. Selama itu, Daud dan anak buahnya biasa menyerang orang Gesur, Girzi, dan Amalek; mereka sudah lama tinggal di kawasan itu. Daud menyerbu kawasan mereka sampai ke Sur, dan terus ke Mesir di sebelah selatan. Daud membunuh semua orang lelaki dan wanita, serta merampas semua domba, lembu, keldai, unta, bahkan pakaian juga. Setelah itu dia pulang lalu menghadap Raja Akhis. Ketika Raja Akhis bertanya kepadanya, “Ke mana kamu menyerbu kali ini?” Daud akan menjawab bahawa dia sudah pergi ke bahagian selatan Yehuda atau ke wilayah orang Yerahmeel atau ke wilayah tempat orang Ken tinggal. Daud membunuh semua orang, lelaki dan perempuan, supaya tiada seorang pun dapat kembali ke Gat untuk melaporkan apa yang sesungguhnya dilakukan Daud dan anak buahnya. Demikianlah perbuatan Daud selama dia tinggal di negeri orang Filistin. Tetapi Raja Akhis percaya kepada Daud dengan sepenuhnya. Raja Akhis berfikir, “Daud begitu dibenci oleh bangsanya sendiri, sehingga dia terpaksa menjadi hambaku seumur hidupnya.” Beberapa waktu kemudian, orang Filistin mengerah tentera mereka untuk menyerang Israel. Raja Akhis bertitah kepada Daud, “Tentu kamu faham bahawa kamu dan anak buahmu wajib berpihak kepada beta.” Daud menjawab, “Tentu, nanti tuanku akan nampak sendiri apa yang dapat dilakukan hamba tuanku ini.” “Baiklah,” titah Raja Akhis. “Beta akan menjadikan kamu pengawal peribadi beta yang tetap.” Samuel sudah meninggal dan dia diratapi oleh semua orang Israel, lalu dikebumikan di Rama, kotanya. Beberapa waktu yang lalu Raja Saul telah mengusir semua peramal dan pemanggil arwah dari Israel. Tentera Filistin berkumpul dan berkhemah dekat kota Sunem. Raja Saul mengumpulkan tentera Israel, lalu mereka berkhemah di Gunung Gilboa. Apabila Raja Saul nampak angkatan perang Filistin, baginda sangat ketakutan. Baginda bertanya kepada TUHAN tentang apa yang harus dilakukannya. Tetapi TUHAN tidak menjawab, baik dengan mimpi, mahupun dengan Urim dan Tumim, ataupun dengan perantaraan nabi. Oleh itu Raja Saul bertitah kepada para pegawainya, “Carilah seorang perempuan pemanggil arwah. Beta hendak bertemu dengan dia untuk meminta petunjuk.” Mereka menjawab, “Di En-Dor ada seorang pemanggil arwah.” Oleh itu Raja Saul menyamar supaya tidak dikenali orang. Baginda mengenakan pakaian lain. Dengan diiringi oleh dua orang lelaki, Raja Saul berangkat pada malam hari. Mereka sampai di rumah pemanggil arwah itu, lalu Raja Saul bertitah, “Panggillah arwah orang yang akan kusebut namanya, dan mintalah supaya dia meramalkan apa yang akan terjadi.” Perempuan itu menjawab, “Tentu tuan pun tahu bahawa Raja Saul sudah memaksa semua peramal dan pemanggil arwah untuk meninggalkan Israel. Mengapa tuan mencuba mencelakakan saya sehingga saya dibunuh?” Kemudian Raja Saul bersumpah, “Demi TUHAN yang hidup, aku berjanji bahawa kamu tidak akan dihukum kerana melakukan perkara ini.” “Arwah siapakah yang harus saya panggil untuk tuan?” tanya perempuan itu. “Arwah Samuel,” jawab Raja Saul. Apabila perempuan itu nampak Samuel, dia berteriak dan berkata kepada Raja Saul, “Mengapa tuanku menipu hamba? Tuanku Raja Saul!” Raja Saul bertitah kepadanya, “Jangan takut! Beritahukanlah apa yang kamu nampak!” Perempuan itu berkata, “Hamba nampak roh muncul dari bumi.” Raja Saul bertanya lagi, “Bagaimanakah rupanya?” Perempuan itu menjawab, “Rupanya seperti seorang lelaki tua. Dia memakai jubah.” Raja Saul sedar bahawa itulah arwah Samuel, lalu baginda bersujud untuk menghormatinya. Samuel berkata kepada Raja Saul, “Mengapa kamu mengganggu aku dan memanggil aku kembali?” Raja Saul menjawab, “Aku dalam kesusahan besar! Orang Filistin menyerang aku, dan Allah sudah meninggalkan aku. Dia tidak menjawab aku lagi, sama ada dengan perantaraan nabi ataupun mimpi. Itulah sebabnya aku memanggil kamu, supaya kamu memberitahu aku apa yang harus kulakukan.” Samuel berkata, “Apa gunanya kamu memanggil aku jika TUHAN sudah meninggalkan kamu, dan menjadi musuh kamu? TUHAN sudah melakukan apa yang telah difirmankan-Nya kepadamu melalui aku. TUHAN sudah mengambil kerajaan Israel daripadamu, lalu memberikannya kepada Daud. Kamu tidak taat kepada perintah TUHAN. Kamu tidak memunahkan orang Amalek dan segala milik mereka. Itulah sebabnya TUHAN melakukan perkara ini kepadamu sekarang. Dia akan menyerahkan kamu dan orang Israel kepada orang Filistin. Esok kamu dan putera-puteramu akan menyertai aku; bahkan tentera Israel pun akan diserahkan TUHAN kepada orang Filistin.” Ketika itu juga Raja Saul jatuh terlentang di tanah kerana sangat ketakutan mendengar kata-kata Samuel. Lagi pun baginda sangat lemah kerana tidak makan apa-apa sehari semalam. Perempuan itu menghampiri Raja Saul dan mengetahui bahawa baginda sangat cemas. Oleh itu perempuan itu berkata kepada baginda, “Tuanku, hamba sudah mempertaruhkan nyawa untuk memenuhi permintaan tuanku. Sekarang kabulkanlah permohonan hamba. Makanlah sedikit makanan yang akan hamba hidangkan supaya tuanku dapat meneruskan perjalanan.” Raja Saul menolak dan bertitah bahawa baginda tidak mahu santap. Tetapi pegawai-pegawai Raja Saul pun mendesaknya supaya santap. Akhirnya Raja Saul menurut; baginda bangun dari tanah lalu duduk di atas tempat tidur. Dengan segera perempuan itu menyembelih seekor anak lembu yang gemuk. Dia juga mengambil tepung dan menyiapkannya, lalu memasak roti yang tidak beragi. Dia menghidangkan makanan itu kepada Raja Saul dan pegawai-pegawainya, lalu mereka pun makan. Kemudian mereka berangkat pada malam itu juga. Orang Filistin mengumpulkan seluruh tentera mereka di Afek, sedangkan umat Israel berkhemah dekat mata air di Lembah Yizreel. Lima orang raja Filistin maju berbaris dengan pasukan-pasukan yang terdiri daripada seratus orang dan seribu orang. Daud dan anak buahnya berbaris di belakang bersama dengan Raja Akhis. Apabila para panglima orang Filistin nampak Daud dan anak buahnya, mereka bertanya, “Mengapa semua orang Ibrani ini berada di sini?” Raja Akhis menjawab, “Ini Daud, bekas pegawai Raja Saul dari Israel. Dia sudah agak lama tinggal bersama dengan beta. Sejak dia datang kepada beta sampai hari ini, belum pernah beta mendapati dia bersalah.” Tetapi para panglima Filistin itu marah dengan Raja Akhis. Mereka berkata kepadanya, “Suruhlah dia pulang ke kota yang tuanku berikan kepadanya. Jangan benarkan dia ikut kita berperang. Siapa tahu pada masa pertempuran kelak, dia akan mengkhianati kita. Bukankah itu peluang yang terbaik baginya untuk memujuk hati rajanya dengan membunuh anak buah kita? Dialah Daud, dan untuk dialah para wanita dahulu menari sambil bernyanyi begini, ‘Raja Saul membunuh beribu-ribu orang musuh, tetapi Daud membunuh berpuluh-puluh ribu orang musuh.’ ” Raja Akhis memanggil Daud dan bertitah kepadanya, “Beta bersumpah demi TUHAN yang hidup, yang disembah Israel bahawa kamu setia kepada beta. Beta suka kamu mengikut beta dalam pertempuran ini kerana sejak kamu datang kepada beta, belum pernah kamu bersalah terhadap beta. Tetapi raja-raja yang lain tidak berkenan kepadamu. Oleh itu pulanglah dengan sejahtera dan jangan lakukan sesuatu yang menimbulkan kemurkaan raja-raja itu.” Daud menjawab, “Apakah kesalahan hamba? Tuanku mengatakan bahawa sejak hamba datang kepada tuanku, hamba belum pernah bersalah terhadap tuanku. Jika demikian, mengapakah hamba tidak dibenarkan berperang melawan musuh-musuh tuanku?” Raja Akhis menjawab, “Kamu tahu bahawa beta menganggap kamu setia seperti malaikat Allah. Tetapi raja-raja yang lain itu sudah mengambil keputusan bahawa kamu tidak boleh ikut kami berperang. Oleh itu pada hari esok, kamu semua yang sudah meninggalkan Raja Saul dan datang kepada beta, mesti bangun pagi-pagi lalu segera berangkat setelah matahari terbit.” Oleh itu Daud dan anak buahnya berangkat pada awal pagi keesokan harinya, lalu pulang ke negeri orang Filistin. Tentera Filistin meneruskan perjalanan mereka ke Yizreel. Dua hari kemudian, Daud dan anak buahnya tiba di Ziklag. Orang Amalek sudah merompak bahagian selatan negeri Yehuda lalu menyerang Ziklag. Mereka membakar kota Ziklag, dan menawan semua kaum wanita. Mereka belum membunuh sesiapa pun, tetapi mereka telah melarikan setiap orang ketika mereka meninggalkan kota itu. Apabila Daud dan anak buahnya tiba di sana, mereka mendapati kota itu sudah dibakar dan anak isteri mereka telah dilarikan musuh. Daud dan anak buahnya menangis dengan pilu dan tidak berhenti-henti sehingga mereka tidak dapat menangis lagi. Kedua-dua orang isteri Daud, Ahinoam dan Abigail, sudah dilarikan juga. Kini Daud dalam kesusahan besar. Anak buahnya marah terhadapnya kerana mereka sudah kehilangan anak isteri. Mereka mengancam untuk merejam Daud, tetapi TUHAN Allahnya menguatkan hatinya. Daud berkata kepada Imam Abyatar anak Ahimelekh, “Bawalah efod itu kepadaku.” Abyatar pun membawa efod itu kepada Daud. Kemudian Daud bertanya kepada TUHAN, “Haruskah aku mengejar perompak-perompak itu? Dapatkah aku menangkap mereka?” TUHAN menjawab, “Kejarlah mereka. Engkau akan menyusul mereka dan menyelamatkan orang tawanan.” Oleh itu Daud bersama dengan enam ratus orang anak buahnya berangkat. Apabila mereka sampai di Sungai Besor, sebilangan daripada mereka berhenti di situ. Daud dengan empat ratus orangnya meneruskan perjalanan. Dua ratus orang yang lain terlalu penat untuk menyeberang sungai, lalu mereka berhenti di situ. Dalam perjalanan itu anak buah Daud bertemu dengan seorang budak lelaki bangsa Mesir di padang, lalu budak itu dibawa kepada Daud. Dia diberikan makanan dan minuman, dan juga beberapa ketul kuih ara dan dua rangkai kismis. Setelah dia makan, dia menjadi kuat semula; ternyata sudah tiga hari dia tidak makan atau minum! Kemudian Daud bertanya kepadanya, “Siapakah tuanmu? Dari manakah kamu?” Budak itu menjawab, “Saya orang Mesir, hamba seorang Amalek. Tuan saya meninggalkan saya tiga hari yang lalu kerana saya sakit. Kami sudah menyerbu kawasan orang Kreti di bahagian selatan Yehuda dan kawasan puak Kaleb, dan juga membakar habis kota Ziklag.” Daud bertanya kepadanya, “Mahukah kamu membawa kami ke tempat gerombolan itu?” “Saya mahu,” jawabnya. “Tetapi tuan mesti bersumpah demi Allah bahawa tuan tidak akan membunuh saya ataupun menyerahkan saya kepada tuan saya.” Lalu dia menghantar Daud ke tempat gerombolan itu. Gerombolan itu terpencar di sana sini, di seluruh tempat itu. Mereka sedang makan minum dan bersuka-suka kerana banyak harta yang dirampas oleh mereka dari negeri orang Filistin dan Yehuda. Pada waktu fajar menyingsing keesokan harinya, mereka diserang oleh Daud dan pertempuran berlangsung sampai malam. Selain empat ratus orang muda yang melarikan diri dengan menunggang unta, tidak seorang pun antara musuh yang dapat melarikan diri. Daud berjaya mengambil semula semua yang dirampas oleh orang Amalek, termasuk kedua-dua orang isterinya; tiada suatu apa pun yang hilang. Daud mendapatkan semula semua anak lelaki dan anak perempuan anak buahnya, serta segala sesuatu yang sudah dijarah oleh orang Amalek. Di samping itu Daud juga merampas balik semua domba dan ternakan lain. Ternakan itu digiring oleh anak buah Daud di hadapan, terpisah daripada barang rampasan yang lain. Kemudian mereka berkata, “Ini bahagian Daud!” Setelah itu Daud kembali kepada dua ratus orang yang terlalu penat untuk mengikuti dia, dan yang sudah ditinggalkan di pinggir Sungai Besor. Mereka menyambut Daud serta anak buahnya, lalu Daud menghampiri mereka dan memberikan salam kepada mereka. Tetapi di kalangan anak buah Daud yang mengikuti dia, ada yang jahat dan tamak. Mereka berkata, “Semua orang ini tidak ikut, kerana itu mereka tidak berhak mendapat apa-apa daripada barang jarahan. Mereka hanya boleh mengambil anak isteri mereka, lalu pergi.” Tetapi Daud berkata, “Hai saudara-saudaraku, janganlah berbuat demikian dengan apa yang sudah diberikan TUHAN kepada kita. Dia sudah memelihara kita dan memberi kita kemenangan terhadap gerombolan perompak itu. Tiada seorang pun dapat menyetujui pendapat kamu itu. Semua orang mesti mendapat bahagian yang sama banyaknya: orang yang tinggal untuk menjaga barang-barang mesti mendapat bahagian yang sama seperti orang yang maju berperang.” Daud menjadikan ketetapan itu satu peraturan, dan sejak itu peraturan itu ditaati di Israel sampai sekarang. Ketika Daud pulang ke Ziklag, dia menghantar sebahagian daripada barang jarahan itu kepada sahabat-sahabatnya, iaitu para pemimpin Yehuda, dengan pesan, “Terimalah hadiah ini daripada barang jarahan yang kami ambil daripada musuh TUHAN.” [27-31] Mereka dari kota-kota berikut: Betel dan Rama di bahagian selatan Yehuda, Yatir, Aroer, Sifmot, Estemoa, Rakhal, dan juga kota-kota orang Yerahmeel, kota-kota orang Keni, Horma, Bor-Asan, Atakh, dan Hebron. Daud mengirim hadiah itu kepada semua kota tempat Daud dan anak buahnya pernah mengembara. Sementara itu orang Filistin berperang dengan orang Israel di Gunung Gilboa. Banyak orang Israel terbunuh di situ. Orang Israel yang lain, termasuk Raja Saul dan putera-puteranya melarikan diri. Tetapi orang Filistin mengejar mereka dan membunuh tiga orang putera Raja Saul, iaitu Yonatan, Abinadab, dan Malkisua. Pertempuran ketika itu amat sengit di sekeliling Raja Saul sehingga baginda sendiri luka parah dipanah oleh musuh. Raja Saul bertitah kepada pembawa senjatanya, “Hunuslah pedangmu dan bunuhlah beta, supaya jangan orang Filistin yang tidak mengenal Allah ini mempermainkan beta, dan membunuh beta.” Tetapi pembawa senjata itu tidak berani melakukannya. Oleh itu Raja Saul menghunus pedangnya dan menikam dirinya sendiri. Apabila pembawa senjata itu nampak bahawa Raja Saul sudah mangkat, dia juga menikam dirinya sendiri lalu mati bersama-sama Raja Saul. Demikianlah Raja Saul dan tiga orang puteranya mangkat, dan juga pembawa senjata itu, dan semua anak buah Raja Saul meninggal pada hari itu. Apabila orang Israel yang di seberang Lembah Yizreel dan di sebelah timur Sungai Yordan mendengar bahawa tentera Israel telah melarikan diri, dan bahawa Raja Saul dan putera-puteranya sudah dibunuh, mereka pun meninggalkan kota-kota mereka lalu lari. Kemudian orang Filistin datang dan menduduki kota-kota itu. Keesokan harinya, orang Filistin menjarah barang-barang pada jenazah orang Israel. Kemudian mereka menjumpai jenazah Raja Saul dan tiga orang puteranya di Gunung Gilboa. Mereka memenggal kepala Raja Saul dan mengambil baju perangnya. Kemudian orang Filistin mengirim utusan ke seluruh negeri Filistin untuk menyampaikan khabar baik itu kepada berhala-berhala dan rakyat mereka. Kemudian baju perang Raja Saul itu disimpan di dalam kuil Dewi Asytoret, dan badannya dipakukan pada tembok kota Bet-Sean. Apabila penduduk Yabes di Gilead mendengar hal yang sudah dilakukan oleh orang Filistin terhadap Raja Saul, beberapa orang yang paling berani berangkat dan berjalan sepanjang malam ke Bet-Sean. Mereka menurunkan jenazah Raja Saul dan putera-puteranya dari tembok kota, lalu membawanya kembali ke Yabes, dan membakar jenazah-jenazah itu di sana. Kemudian mereka mengumpulkan tulang-tulangnya dan mengembumikannya di bawah pokok tamariska di kota Yabes, lalu mereka berpuasa selama tujuh hari. Selepas Raja Saul mangkat, Daud balik setelah mengalahkan orang Amalek. Daud tinggal di Ziklag selama dua hari. Keesokan harinya, seorang pemuda tiba dari perkhemahan Raja Saul. Sebagai tanda berkabung, pemuda itu telah mengoyakkan pakaiannya dan menaruh tanah di atas kepalanya. Dia datang kepada Daud dan bersujud untuk menghormatinya. Daud bertanya kepadanya, “Dari mana engkau datang?” Pemuda itu menjawab, “Saya baru lari dari perkhemahan orang Israel.” Daud berkata, “Ceritakanlah apa yang telah berlaku.” Pemuda itu menjawab, “Tentera kami lari dari pertempuran dan banyak askar yang gugur, termasuk Raja Saul dan puteranya Yonatan.” Daud berkata, “Bagaimana engkau tahu bahawa Raja Saul dan Yonatan sudah gugur?” Pemuda itu menjawab, “Kebetulan saya berada di Gunung Gilboa, dan saya nampak Raja Saul bersandar pada tombaknya. Pada masa itu banyak kereta kuda dan pasukan berkuda musuh yang sudah mendekat untuk mengepung baginda. Raja Saul menoleh dan melihat saya, lalu baginda memanggil saya. Saya menjawab, ‘Ya tuanku.’ Baginda bertanya siapa saya, lalu saya memberitahu baginda bahawa saya orang Amalek. Kemudian baginda bertitah, ‘Mari, bunuhlah beta! Beta luka parah dan hampir mati.’ Maka saya mendekati baginda lalu membunuhnya, kerana saya tahu bahawa secepat baginda jatuh, baginda tentu mati juga. Saya menanggalkan mahkota dari kepalanya dan gelang dari lengannya, lalu membawa semuanya kepada tuan.” Setelah mendengar hal itu, Daud mengoyakkan pakaiannya kerana dukacita. Semua anak buahnya juga berbuat demikian. Mereka meratap, berkabung, dan berpuasa sepanjang hari bagi Raja Saul dan Yonatan, dan bagi Israel umat TUHAN, kerana sangat banyak orang yang terbunuh dalam pertempuran. Kemudian Daud bertanya kepada pemuda yang membawa berita itu, “Dari manakah asalmu?” Pemuda itu menjawab, “Saya orang Amalek, tetapi menetap di negeri tuan.” Daud bertanya kepadanya, “Mengapa engkau berani membunuh raja pilihan TUHAN?” Kemudian Daud memanggil salah seorang daripada anak buahnya dan memberikan perintah, “Bunuhlah dia!” Orang itu menikam pemuda Amalek itu sampai mati. Daud berkata kepada orang Amalek itu, “Ini kesalahanmu sendiri. Engkau telah menjatuhkan hukuman mati atas dirimu sendiri kerana mengaku bahawa engkaulah yang membunuh raja pilihan TUHAN.” Kemudian Daud meratapi Raja Saul dan puteranya, Yonatan. Daud memerintahkan supaya lagu ratapan ini diajarkan kepada suku Yehuda. (Lagu ratapan ini ditulis di dalam Kitab Yasar ). “Para pemimpin kita dibunuh di bukit-bukit Israel! Pahlawan-pahlawan kita sudah gugur! Jangan sebarkan berita itu di Gat, ataupun di lorong-lorong Askelon, jangan sampai wanita Filistin bersukacita, atau wanita yang tidak mengenal Allah bergembira. Biarlah hujan dan embun tidak turun di perbukitan Gilboa, biarlah ladang-ladangnya menjadi tandus, kerana perisai pahlawan terlantar di sana, perisai Raja Saul tidak lagi diminyaki. Panah Yonatan ampuh, mematikan; pedang Raja Saul tidak mengenal kasihan, menikam askar yang gagah, dan membunuh musuh. Raja Saul dan Yonatan, disukai dan dikasihi, tidak berpisah dalam hidup dan mati; mereka lebih tangkas daripada burung rajawali, dan lebih kuat daripada singa. Hai wanita Israel, berkabunglah bagi Raja Saul. Baginda mendandani kamu dengan pakaian merah yang mewah, baginda menghiasi kamu dengan emas dan permata. Para pahlawan sudah gugur, terbunuh di medan pertempuran. Yonatan terbunuh di perbukitan. Aku bersedih keranamu, hai Yonatan, saudaraku. Alangkah baiknya engkau terhadapku! Alangkah mulianya kasihmu terhadapku, bahkan lebih mulia daripada kasih wanita. Para pahlawan kita sudah gugur, senjata mereka terlantar dan sia-sia.” Selepas itu Daud bertanya kepada TUHAN, “Adakah TUHAN menghendaki aku pergi menguasai salah sebuah kota di Yehuda?” “Ya,” jawab TUHAN. “Kota yang mana?” tanya Daud. “Hebron,” jawab TUHAN. Oleh itu Daud pergi ke Hebron dan membawa kedua-dua isterinya: Ahinoam dari Yizreel, dan Abigail, balu Nabal, orang Karmel itu. Daud juga membawa anak buahnya dan semua keluarga mereka, lalu menetap di kota Hebron dan di sekitarnya. Kemudian orang Yehuda datang ke Hebron, dan dengan upacara pelumuran minyak, mereka melantik Daud menjadi raja Yehuda. Apabila Raja Daud mendengar bahawa penduduk Yabes di Gilead sudah memakamkan jenazah Raja Saul, Raja Daud mengirim utusan ke sana dengan pesan, “Semoga TUHAN memberkati kamu kerana menunjukkan kesetiaan terhadap raja kamu dengan memakamkan jenazah baginda. Oleh itu, semoga TUHAN juga menyatakan kasih dan kesetiaan-Nya kepada kamu. Beta pun akan memperlakukan kamu dengan baik kerana perbuatan kamu itu. Hendaklah kamu kuat dan tabah hati! Raja Saul, raja kamu sudah mangkat, tetapi orang Yehuda telah melantik beta menjadi raja mereka.” Abner anak Ner, panglima tentera Raja Saul, telah melarikan diri dengan Isyboset, putera Raja Saul ke Mahanaim, di seberang Sungai Yordan. Di sana, Abner melantik Isyboset menjadi raja kawasan Gilead, Asyer, Yizreel, Efraim, dan Benyamin, bahkan seluruh Israel. Raja Isyboset berusia empat puluh tahun ketika baginda menjadi raja Israel. Baginda memerintah selama dua tahun. Tetapi suku Yehuda setia kepada Raja Daud; dari kota Hebron, Raja Daud memerintah Yehuda selama tujuh tahun setengah. Pada suatu hari Abner dan para pegawai Raja Isyboset berangkat dari Mahanaim ke kota Gibeon. Yoab (ibunya bernama Zeruya), bersama dengan beberapa orang pegawai Raja Daud, menuju ke kota itu juga. Kedua-dua pasukan itu berhadapan di kolam Gibeon; Abner dan pasukannya duduk di sebelah sini, sedangkan Yoab dan pasukannya di sebelah sana. Kemudian Abner berkata kepada Yoab, “Marilah kita suruh beberapa orang anak buah kita bertanding dengan menggunakan senjata.” “Baiklah,” jawab Yoab. Oleh itu dua belas orang yang mewakili Raja Isyboset dan suku Benyamin, berlawan dengan dua belas orang anak buah Raja Daud. Mereka saling mencengkam kepala dan saling menikam perut lawan, sehingga mereka semua mati. Maka tempat di Gibeon itu dinamakan “Ladang Pedang.” Selepas itu pertempuran sengit berlaku. Abner dan pasukan Israel dikalahkan oleh pasukan anak buah Raja Daud. Ketiga-tiga anak lelaki Zeruya berada di sana: Yoab, Abisai, dan Asael. Asael, yang dapat berlari sepantas kijang, mula mengejar Abner dengan tidak berhenti-henti. Abner menoleh ke belakang dan bertanya, “Engkaukah itu Asael?” “Ya,” jawabnya. “Jangan kejar aku!” kata Abner. “Kejarlah salah seorang askar lain dan ambillah senjatanya.” Tetapi Asael tetap mengejar dia. Sekali lagi Abner berkata kepadanya, “Jangan kejar aku! Jangan paksa aku membunuh engkau! Bagaimana aku dapat berhadapan muka dengan abangmu Yoab nanti?” Tetapi Asael masih juga mengejar dia. Maka Abner melemparkan tombaknya ke belakang, dan perut Asael terkena sehingga tombak itu tembus ke belakangnya. Asael rebah ke tanah lalu mati di situ juga. Semua orang yang sampai ke tempat dia terlentang itu berhenti dan berdiri di situ. Yoab dan Abisai terus mengejar Abner. Apabila matahari terbenam mereka sampai di Bukit Ama, yang terletak di sebelah timur Giah, di jalan menuju ke kawasan gurun Gibeon. Di sana orang daripada suku Benyamin bergabung lagi dengan Abner, lalu mengatur barisan mereka di puncak sebuah bukit. Dari sana, Abner berseru kepada Yoab, “Haruskah kita bertempur selama-lamanya? Tidak sedarkah kamu bahawa pertempuran ini hanya membawa kepahitan? Kami saudara sebangsa kamu. Berapa lama lagi kamu menunggu sebelum memerintahkan anak buahmu berhenti mengejar kami?” Yoab menjawab, “Aku bersumpah demi Allah yang hidup, jika kamu tidak berkata demikian, tentu anak buahku akan mengejar kamu sehingga esok pagi.” Kemudian Yoab meniup trompet sebagai tanda kepada anak buahnya untuk berhenti mengejar orang Israel, lalu pertempuran itu berhenti. Abner dan anak buahnya berjalan melalui Lembah Yordan sepanjang malam itu. Mereka menyeberangi Sungai Yordan, dan setelah berjalan sepanjang hari berikutnya, mereka tiba di Mahanaim. Apabila Yoab berhenti mengejar Abner, dia mengumpulkan semua anak buahnya. Yoab mendapati bahawa dia kehilangan sembilan belas orang daripada pasukannya, selain Asael. Anak buah Raja Daud telah membunuh 360 orang daripada pasukan Abner yang terdiri daripada suku Benyamin. Selepas itu Yoab dan anak buahnya mengambil jenazah Asael dan mengebumikannya di perkuburan keluarganya di Betlehem. Kemudian mereka berjalan sepanjang malam, dan esoknya pada waktu fajar, mereka tiba di Hebron. Pertempuran antara penyokong keluarga Raja Saul dan penyokong Raja Daud terus berlangsung untuk masa yang lama. Raja Daud semakin kuat, sedangkan lawannya semakin lemah. Inilah enam orang putera Raja Daud yang dilahirkan di Hebron menurut urutan kelahiran mereka: Amnon, ibunya ialah Ahinoam dari Yizreel; Kileab, ibunya ialah Abigail, balu Nabal dari Karmel; Absalom, ibunya ialah Maakha, puteri Raja Talmai dari Gesur; Adonia, ibunya ialah Hagit; Sefaca, ibunya ialah Abital; dan Yitream, ibunya ialah Egla. Keenam-enam orang putera itu dilahirkan di Hebron. Sementara pertempuran terus berlangsung antara penyokong Raja Daud dan penyokong keluarga Raja Saul, Abner berusaha supaya pengaruhnya semakin besar di kalangan penyokong Raja Saul. Pada suatu hari, Raja Isyboset putera Raja Saul menuduh Abner meniduri seorang gundik Raja Saul yang bernama Rizpa anak Aya. Tuduhan itu membuat Abner naik marah. Katanya, “Adakah tuanku berfikir bahawa hamba mengkhianati Raja Saul dan memihak kepada Yehuda? Sejak dahulu hamba telah setia kepada Raja Saul ayahanda tuanku, dan saudara-saudara baginda, dan juga sahabat-sahabat baginda. Hamba sudah menyelamatkan tuanku daripada dikalahkan oleh Raja Daud. Meskipun begitu tuanku menyalahkan hamba hanya kerana persoalan perempuan! [9-10] Lebih baik hamba menolong Raja Daud, kerana TUHAN telah berjanji kepada baginda untuk mengambil kerajaan ini daripada Raja Saul dan keturunannya, lalu melantik Raja Daud menjadi raja seluruh Israel dan Yehuda. Biarlah Allah membunuh hamba jika hamba tidak melaksanakan janji Allah kepada Raja Daud.” *** Raja Isyboset begitu takut terhadap Abner sehingga baginda tidak berani berkata apa-apa. Kemudian Abner mengirim utusan kepada Raja Daud yang ketika itu berada di Hebron, dengan membawa pesan, “Siapakah yang akan memerintah negeri ini? Buatlah perjanjian dengan hamba, maka hamba akan menolong tuanku menguasai seluruh Israel.” Raja Daud menjawab, “Baiklah! Beta akan membuat perjanjian dengan kamu dengan satu syarat: Kamu mesti membawa Mikhal, puteri Raja Saul, kepada beta apabila kamu menghadap beta.” Raja Daud juga mengirim utusan kepada Raja Isyboset, dengan membawa pesan, “Kembalikanlah isteri beta, Mikhal, kepada beta. Beta membayar seratus kulit khatan orang Filistin untuk mengahwininya.” Oleh itu Raja Isyboset menyuruh utusan baginda mengambil Mikhal daripada suaminya, Paltiel anak Lais. Tetapi Paltiel mengikuti Mikhal sambil menangis. Ketika mereka sampai di kota Bahurim, Abner berkata kepada Paltiel, “Sudahlah, pulang saja!” Kemudian Paltiel pulang. Abner menghadap para pemimpin Israel dan berkata kepada mereka, “Sudah lama kamu ingin supaya Raja Daud menjadi raja kamu. Inilah peluang kamu. Ingatlah bahawa TUHAN sudah berjanji demikian, ‘Aku akan menggunakan hamba-Ku Daud untuk menyelamatkan umat-Ku Israel daripada orang Filistin dan daripada semua musuh yang lain.’ ” Abner juga berunding dengan suku Benyamin, kemudian dia pergi ke Hebron untuk memberitahu Raja Daud apa yang sudah disetujui oleh orang Israel dan suku Benyamin. Apabila Abner bersama dengan dua puluh orang anak buahnya menghadap Raja Daud di Hebron, Raja Daud mengadakan jamuan untuk mereka. Selepas itu Abner berkata kepada Raja Daud, “Izinkanlah hamba pergi untuk mengajak seluruh Israel supaya bergabung dengan tuanku. Mereka akan menerima tuanku sebagai raja, dan dengan demikian tuanku akan memerintah seluruh negeri, sesuai dengan kehendak tuanku.” Kemudian Raja Daud membenarkan Abner pergi dan menjamin keselamatannya. Kemudian Yoab bersama dengan anak buah Raja Daud yang lain, kembali dari penyerbuan dan membawa pulang banyak barang jarahan, tetapi Abner sudah pergi dari Hebron. Raja Daud sudah membenarkan Abner pergi dan menjamin keselamatannya. Apabila Yoab dan pasukannya tiba, dia diberitahu bahawa Abner telah menghadap Raja Daud, dan baginda membenarkan dia pergi serta menjamin keselamatannya. Oleh itu Yoab menghadap raja dan berkata, “Mengapa tuanku berbuat demikian? Abner telah datang menghadap tuanku. Mengapa tuanku membenarkan dia pergi begitu saja? Tentu tuanku tahu bahawa kedatangan Abner itu hanya untuk menipu tuanku, dan untuk mengetahui tempat-tempat yang tuanku pergi, serta segala perbuatan tuanku.” Setelah meninggalkan Raja Daud, Yoab mengirim utusan untuk memanggil Abner. Mereka menyusul Abner dekat perigi Sira, lalu mereka membawanya kembali. Semua hal itu terjadi tanpa diketahui oleh Raja Daud. Sebaik sahaja Abner tiba di Hebron, Yoab mengajak dia ke pinggir pintu gerbang, seolah-olah dia hendak bercakap bersendirian dengannya. Tiba-tiba Yoab menikam perut Abner sampai dia mati. Demikianlah Abner mati dibunuh oleh Yoab untuk membalas dendam terhadap pembunuhan Asael, adiknya. Apabila Raja Daud mendengar hal itu, baginda bertitah, “TUHAN tahu bahawa rakyat dan beta tidak bersalah terhadap pembunuhan Abner. Biarlah Yoab dan keluarganya dihukum kerana perbuatannya itu. Biarlah dalam keluarga Yoab turun-temurun selalu ada orang yang menghidap penyakit kelamin, atau yang menderita penyakit kulit yang mengerikan, atau lelaki yang tidak bertenaga, atau yang terbunuh dalam pertempuran atau yang kekurangan makanan!” Demikianlah Yoab dan Abisai membalas dendam terhadap Abner kerana dia telah membunuh Asael, adik mereka dalam pertempuran di Gibeon. Kemudian Raja Daud menyuruh Yoab dan anak buahnya mengoyak pakaian mereka, dan memakai kain guni serta meratapi Abner. Pada masa pengebumian, Raja Daud sendiri berjalan di belakang peti jenazah. Abner dikebumikan di Hebron, dan raja serta segenap rakyat menangis dengan kuat di depan kubur itu. Raja Daud meratapi Abner dengan lagu ratapan ini, “Mengapakah Abner harus mati seperti orang dungu? Tangannya tidak diikat, kakinya tidak dirantai. Dia mati ditikam oleh orang yang jahat dan kejam.” Sekali lagi segenap rakyat meratapi Abner. Sepanjang hari orang cuba memujuk Raja Daud supaya makan sedikit, tetapi baginda bersumpah, “Biarlah Allah membunuh beta, jika beta makan apa-apa sebelum matahari terbenam!” Mendengar hal itu rakyat berasa senang hati. Apa sahaja yang dilakukan oleh raja, menyenangkan hati mereka. Pada hari itu segenap rakyat Raja Daud dan segenap umat Israel faham bahawa raja tidak terlibat dalam pembunuhan Abner. Raja bertitah kepada para pegawainya, “Ketahuilah oleh kamu semua bahawa pada hari ini kita telah kehilangan seorang pemimpin besar di Israel. Walaupun beta raja pilihan Allah, namun pada hari ini beta berasa lemah. Anak-anak Zeruya itu terlalu kejam. Beta tidak sanggup menguasai mereka. Biarlah TUHAN menghukum penjahat-penjahat itu setimpal dengan perbuatan mereka!” Apabila Raja Isyboset putera Raja Saul, mendengar bahawa Abner telah dibunuh di Hebron, baginda menjadi takut, dan segenap penduduk Israel pun gentar. Raja Isyboset mempunyai dua orang pegawai yang menjadi ketua pasukan penyerbu, iaitu Baana dan Rekhab, anak-anak Rimon dari Beerot, daripada suku Benyamin. (Beerot adalah sebahagian daripada wilayah Benyamin. Penduduk asli tempat itu telah lari ke Gitaim, dan sejak masa itu mereka menetap di sana.) Seorang lagi keturunan Raja Saul ialah Mefiboset anak Yonatan. Ketika Raja Saul dan Yonatan dibunuh, Mefiboset baru berusia lima tahun. Apabila pengasuhnya mendengar berita kematian itu dari kota Yizreel, dia melarikan anak itu, tetapi kerana terburu-buru, anak itu terjatuh lalu menjadi tempang. Kemudian Rekhab dan Baana pergi ke rumah Raja Isyboset. Mereka tiba di sana pada waktu tengah hari ketika Raja Isyboset sedang berehat. Kebetulan perempuan yang menjaga pintu rumah tertidur kerana mengantuk ketika membersihkan gandum. Oleh itu Rekhab dan Baana dapat menyelinap masuk. Mereka terus masuk ke dalam bilik Raja Isyboset sementara baginda sedang tidur nyenyak. Lalu mereka menikam baginda sampai mati. Mereka memenggal kepala Raja Isyboset lalu membawa kepala itu pergi. Mereka berjalan sepanjang malam melalui Lembah Yordan. Kemudian mereka memberikan kepala itu kepada Raja Daud di Hebron. Mereka berkata, “Inilah kepala Raja Isyboset putera Raja Saul, musuh tuanku yang cuba membunuh tuanku. Pada hari ini TUHAN telah membalas perbuatan Raja Saul dan keturunannya bagi tuanku.” Tetapi Raja Daud menjawab, “TUHAN yang hidup, yang telah menyelamatkan beta daripada segala bahaya, tahu bahawa yang akan beta katakan ini benar. Pada masa beta di Ziklag, ada orang yang memberitahu beta tentang kemangkatan Raja Saul. Orang itu berfikir bahawa dia membawa berita baik, tetapi beta telah menangkap dan membunuh dia. Itulah upah yang beta berikan kepadanya sebagai imbalan kepada berita yang dibawanya itu. Apalagi kamu, alangkah kejinya perbuatan kamu itu! Kamu sudah membunuh seorang yang tidak berdosa, dan yang sedang tidur di rumahnya sendiri! Sekarang beta akan membalas kejahatan kamu itu. Beta akan menghapuskan kamu dari muka bumi!” Raja Daud memberikan perintah, lalu askar-askar baginda membunuh Rekhab dan Baana. Setelah dibunuh, tangan dan kaki mereka dipotong lalu digantung dekat kolam di Hebron. Kemudian kepala Raja Isyboset diambil dan dimakamkan di dalam kubur Abner di Hebron. Kemudian semua suku Israel menghadap Raja Daud di Hebron. Mereka berkata kepada baginda, “Kami ini kerabat tuanku. Sejak dahulu, bahkan ketika Raja Saul masih raja kami, tuanku telah pun memimpin tentera Israel berperang. TUHAN juga sudah berjanji kepada tuanku bahawa tuanku akan memimpin umat-Nya dan menjadi raja mereka.” Demikianlah semua pemimpin Israel menghadap Raja Daud di Hebron. Raja Daud mengadakan perjanjian dengan mereka, lalu mereka melantik baginda menjadi raja Israel. Raja Daud berusia tiga puluh tahun ketika menjadi raja, dan baginda memerintah selama empat puluh tahun. Baginda memerintah di Hebron sebagai raja Yehuda selama tujuh tahun setengah, dan di Yerusalem sebagai raja seluruh Israel dan Yehuda selama tiga puluh tiga tahun. Pada suatu hari Raja Daud dan anak buah baginda berangkat untuk menyerang Yerusalem. Orang Yebusi yang tinggal di situ menyangka bahawa Raja Daud tidak sanggup mengalahkan kota itu. Mereka berkata kepadanya, “Engkau tidak sekali-kali dapat masuk ke sini. Bahkan orang buta dan tempang pun dapat mengusir engkau.” ( Tetapi Raja Daud benar-benar dapat merampas Sion, kubu pertahanan mereka. Sejak itulah kubu itu dinamakan “Kota Daud.”) Pada hari itu Raja Daud bertitah kepada anak buahnya, “Adakah sesiapa di sini yang membenci orang Yebusi seperti beta membenci mereka? Cukup bencikah dia sehingga dia ingin sekali membunuh mereka? Jika begitu, masuklah melalui saluran air dan seranglah orang buta dan orang tempang yang beta benci itu.” (Itulah sebabnya orang berkata, “Orang buta dan orang tempang dilarang masuk ke dalam Rumah TUHAN.”) Setelah Raja Daud merampas kubu Sion, baginda tinggal di situ dan menamakannya “Kota Daud.” Baginda membina kota di sekeliling kubu itu, bermula dari sebelah timur bukit yang ditimbusi tanah. Raja Daud semakin lama semakin kuat kerana TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa menolong baginda. Raja Hiram, dari negeri Tirus, mengutus duta-dutanya kepada Raja Daud. Raja Hiram memberi Raja Daud kayu sedar, tukang-tukang kayu, dan tukang-tukang batu untuk membina istana. Oleh itu Raja Daud sedar bahawa TUHAN telah mengukuhkan diri baginda sebagai raja Israel, dan telah menjadikan kerajaan baginda makmur untuk kepentingan umat TUHAN. Setelah Raja Daud pindah dari Hebron ke Yerusalem, baginda mempunyai lebih banyak lagi isteri dan gundik, serta putera dan puteri. Inilah putera-putera Raja Daud yang dilahirkan di Yerusalem: Syamua, Sobab, Natan, Salomo, Yibhar, Elisua, Nefeg, Yafia, Elisama, Elyada, dan Elifelet. Apabila orang Filistin mengetahui bahawa Raja Daud telah dilantik menjadi raja Israel, tentera mereka keluar untuk menangkap baginda. Tetapi apabila Raja Daud mendengar hal itu, baginda pergi berlindung di sebuah tempat yang berkubu. Orang Filistin tiba di Lembah Refaim dan menduduki lembah itu. Raja Daud bertanya kepada TUHAN, “Haruskah aku menyerang orang Filistin? Adakah Engkau akan memberi aku kemenangan?” “Seranglah!” jawab TUHAN. “Aku akan memberi engkau kemenangan.” Oleh itu Daud pergi ke Baal-Perasim dan mengalahkan orang Filistin. Baginda bertitah, “TUHAN sudah merempuh pertahanan musuh beta, seperti banjir melanda segala sesuatu dalam seketika.” Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Baal-Perasim. Apabila orang Filistin lari dari situ, mereka meninggalkan patung-patung berhala mereka. Kemudian Raja Daud dan anak buahnya mengambil patung-patung itu. Tidak lama kemudian orang Filistin kembali ke Lembah Refaim dan menduduki tempat itu lagi. Sekali lagi Raja Daud bertanya kepada TUHAN. TUHAN menjawab, “Jangan serang mereka dari sini. Tetapi berjalanlah mengelilingi tempat ini dan seranglah mereka dari belakang, dekat pokok-pokok kertau. Apabila engkau mendengar bunyi seperti derap orang berbaris di puncak pokok-pokok itu, mulakan serangan kerana Aku akan berjalan di hadapanmu untuk mengalahkan tentera Filistin.” Raja Daud menurut perintah TUHAN dan baginda berjaya mengalahkan orang Filistin dari Geba sampai ke Gezer. Sekali lagi Raja Daud mengumpulkan askar-askar yang terbaik di Israel, sebanyak tiga puluh ribu orang. Baginda memimpin mereka ke Baale di Yehuda, untuk mengambil Tabut Perjanjian yang disebut dengan nama TUHAN Yang Maha Kuasa, yang bertakhta di atas kerub. Mereka mengambil Tabut Perjanjian itu dari rumah Abinadab di atas bukit, lalu meletakkannya di atas sebuah kereta lembu yang baru. Kereta lembu itu diiringi oleh anak-anak Abinadab, Uza, dan Ahio. Uza berjalan disamping kereta lembu itu, dan Ahio berjalan di hadapannya. Raja Daud dan semua orang Israel berjalan di hadapan Tabut Perjanjian sambil menari dan menyanyi dengan segenap tenaga mereka untuk menghormati TUHAN. Mereka bermain kecapi, gambus, rebana, kelentung, dan ceracap. Apabila mereka sampai di tempat mengirik gandum kepunyaan Nakhon, lembu-lembu itu tergelincir, lalu Uza menghulurkan tangan dan memegang Tabut Perjanjian. Pada saat itu juga TUHAN Allah murka dengan Uza dan membunuh dia, kerana perbuatannya itu merupakan penghinaan kepada TUHAN. Uza mati di sebelah Tabut Perjanjian. Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Peres-Uza. Raja Daud murka kerana TUHAN telah membinasakan Uza. Tetapi Raja Daud takut juga akan TUHAN. Raja Daud bertitah, “Sekarang bagaimanakah beta dapat membawa Tabut Perjanjian itu?” Oleh itu baginda tidak mahu lagi membawa Tabut Perjanjian ke Yerusalem. Sebaliknya baginda membawa Tabut Perjanjian itu ke rumah Obed-Edom, orang yang berasal dari Gat. Tabut Perjanjian berada di sana selama tiga bulan, dan TUHAN memberkati Obed-Edom serta keluarganya. Raja Daud mendengar bahawa TUHAN telah memberkati keluarga Obed-Edom dan segala yang ada padanya, kerana Tabut Perjanjian. Maka Raja Daud pergi ke rumah Obed-Edom dan mengambil Tabut Perjanjian itu. Baginda memindahkan Tabut Perjanjian ke Yerusalem dengan perayaan besar. Setelah orang yang mengangkat Tabut Perjanjian melangkah maju enam langkah, Raja Daud menyuruh mereka berhenti. Lalu baginda mempersembahkan korban kepada TUHAN, iaitu seekor lembu jantan dan seekor anak lembu yang digemukkan. Raja Daud menari-nari dengan penuh semangat untuk menghormati TUHAN. Pada waktu itu baginda hanya memakai kain linen pendek yang diikat pada pinggangnya. Demikianlah Raja Daud dan segenap rakyat Israel membawa Tabut Perjanjian ke Yerusalem sambil bersorak-sorai dengan diiringi tiupan trompet. Ketika Tabut Perjanjian dibawa masuk ke dalam kota, Mikhal puteri Raja Saul, menjenguk dari jendela lalu nampak Raja Daud menari-nari dan melompat-lompat untuk menghormati TUHAN. Mikhal berasa muak melihat Raja Daud. Kemudian mereka meletakkan Tabut Perjanjian di tempatnya di dalam khemah yang sudah didirikan oleh Raja Daud untuk Tabut Perjanjian. Raja Daud mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Setelah Raja Daud mempersembahkan korban, baginda memberkati rakyat Israel dengan nama TUHAN Yang Maha Kuasa, dan membahagi-bahagikan makanan kepada mereka semua. Baginda memberikan seketul roti, sepotong daging panggang, dan kismis kepada setiap lelaki dan perempuan di Israel. Selepas itu mereka pulang ke rumah masing-masing. Selepas itu, apabila Raja Daud pulang untuk memberikan salam kepada keluarganya, Mikhal menemui baginda. Mikhal berkata, “Pada hari ini raja Israel telah sungguh-sungguh membuat dirinya terhormat! Raja telah bertelanjang seperti orang dungu yang tidak tahu malu di hadapan hamba-hamba perempuan milik para pegawai istana!” [21-22] Raja Daud menjawab, “Aku menari untuk menghormati TUHAN. Dia telah menolak bapamu serta keluargamu, lalu memilih aku sebagai pemimpin umat-Nya Israel. Aku akan terus menari dan bersedia dihina lebih daripada tadi untuk menghormati TUHAN. Engkau memandang rendah kepadaku, tetapi hamba-hamba perempuan itu menghormati aku!” *** Mikhal, puteri Raja Saul, tidak mempunyai anak seumur hidupnya. TUHAN melindungi Raja Daud daripada segala gangguan musuh, sehingga baginda dapat menetap di istananya. Kemudian Raja Daud bertitah kepada Nabi Natan, “Lihatlah, beta tinggal di dalam istana yang diperbuat daripada kayu sedar, sedangkan Tabut Perjanjian Allah disimpan di dalam khemah!” Natan menjawab, “Lakukanlah apa saja kehendak tuanku, kerana TUHAN menolong tuanku.” Tetapi malam itu TUHAN berfirman kepada Natan, “Pergilah beritahu hamba-Ku Daud, firman-Ku ini, ‘Bukan engkau yang akan membina rumah bagi-Ku. Sejak Aku menyelamatkan umat Israel dari Mesir sehingga kini, belum pernah Aku tinggal di dalam sebuah rumah. Aku mengembara dan tinggal di dalam khemah. Selama perjalanan-Ku dengan umat Israel, belum pernah Aku bertanya kepada sesiapa pun pemimpin yang Aku pilih, apa sebabnya mereka tidak membina rumah daripada kayu sedar untuk Aku.’ Oleh itu beritahulah hamba-Ku Raja Daud bahawa inilah firman-Ku, TUHAN Yang Maha Kuasa, kepadanya, ‘Aku sudah mengambil engkau daripada menjaga domba di padang dan Aku telah menjadikan engkau pemimpin umat-Ku Israel. Aku telah menyertai engkau ke mana saja engkau pergi, dan Aku telah mengalahkan musuhmu ketika engkau bertempur. Sekarang Aku akan menjadikan engkau termasyhur seperti pemimpin-pemimpin terkemuka di dunia. [10-11] Aku telah memilih satu negeri bagi umat-Ku Israel, dan Aku telah menempatkan mereka di sana. Mereka tidak akan ditindas lagi oleh sesiapa pun. Sejak mereka menduduki negeri itu mereka telah diserang oleh orang kejam, tetapi mulai sekarang hal itu tidak akan berulang lagi. Aku berjanji akan melindungi engkau daripada musuhmu dan memberi engkau keturunan. *** Jika sampai akhir hayatmu, dan engkau dikebumikan di kubur nenek moyangmu, seorang daripada puteramu akan Kulantik menjadi raja, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya. Dialah yang akan membina rumah bagi-Ku, dan Aku akan memastikan supaya untuk selama-lamanya seorang keturunannya akan memerintah sebagai raja. Aku akan menjadi bapanya dan dia menjadi anak-Ku. Apabila dia berbuat salah, Aku akan menghukum dia seperti seorang bapa menghukum anaknya. Tetapi Aku akan tetap mengasihinya sesuai dengan janji-Ku. Janji-Ku dengan dia akan tetap Aku pegang, dan tidak seperti yang Kulakukan kepada Saul yang telah Kusingkirkan daripada kedudukannya supaya engkau dapat menjadi raja. Engkau akan sentiasa mempunyai keturunan dan Aku akan mengekalkan kerajaanmu. Kerajaanmu tidak akan berkesudahan.’ ” Demikianlah Natan memberitahu Raja Daud segala yang telah dinyatakan oleh Allah kepadanya. Selepas itu Raja Daud masuk ke dalam Khemah TUHAN. Baginda duduk lalu berdoa, “Ya TUHAN Raja, aku dan keluargaku tidak layak menerima segala kebaikan yang telah Engkau tunjukkan kepadaku selama ini. Namun sekarang Engkau melakukan lebih daripada semua itu, ya TUHAN Raja. Engkau telah berjanji tentang keturunanku pada masa hadapan, dan Engkau membenarkan aku melihat hal ini, walaupun aku hanya manusia, ya TUHAN Raja! Apa lagi yang dapat kukatakan kepada-Mu! Engkau mengetahui segala sesuatu tentang hamba-Mu ini. Oleh sebab janji dan kehendak-Mu sendiri, Engkau melakukan perbuatan-perbuatan besar itu untuk mengajar hamba-Mu ini. Engkau sungguh agung, ya TUHAN Raja! Engkau tiada tandingan; sejak dahulu kami telah tahu bahawa Engkaulah satu-satunya Allah. Di seluruh muka bumi ini, tiada bangsa lain seperti Israel, yang telah Engkau selamatkan daripada perhambaan, serta menjadikan mereka umat-Mu sendiri. Perbuatan besar dan ajaib itu, yang telah Engkau lakukan bagi mereka, sudah memasyhurkan nama-Mu di seluruh dunia. Engkau mengusir bangsa-bangsa lain dan dewa-dewa mereka apabila umat-Mu maju bertempur, umat yang Engkau selamatkan dari Mesir untuk menjadi umat-Mu sendiri. Engkau telah menjadikan Israel umat-Mu selama-lamanya. Engkau, ya TUHAN, sudah menjadi Allah mereka. Sekarang, ya TUHAN Allah, tepatilah janji yang Engkau ucapkan tentang diriku dan keturunanku, untuk sepanjang masa. Laksanakanlah apa yang sudah Engkau janjikan itu. Nama-Mu akan termasyhur dan untuk selama-lamanya orang akan berkata, ‘TUHAN Yang Maha Kuasa ialah Allah umat Israel!’ Oleh itu, Engkau akan memastikan supaya seorang daripada keturunanku akan memerintah sebagai raja bangsa ini untuk sepanjang masa. Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah umat Israel! Aku berani berdoa demikian kerana Engkau sudah menyatakan perkara ini kepadaku, hamba-Mu. Engkau telah memberitahu aku bahawa anak cucuku turun-temurun akan Engkau jadikan raja bangsa ini. Oleh itu, ya TUHAN Raja, Engkaulah Allah! Engkau sentiasa menepati janji-Mu, dan Engkau sudah menjanjikan perkara yang indah untukku. Aku mohon, sudilah memberkati keturunanku supaya mereka tetap merasakan kasih-Mu selama-lamanya. Ya TUHAN Raja, semua ini telah Engkau janjikan, maka keturunanku akan tetap Engkau berkati selama-lamanya.” Beberapa waktu kemudian, Raja Daud menyerang orang Filistin lagi. Baginda mengalahkan mereka dan merebut tanah mereka. Kemudian Raja Daud mengalahkan orang Moab. Baginda menyuruh orang tawanannya berbaring di atas tanah, lalu baginda membunuh dua orang daripada tiap-tiap tiga orang. Oleh itu orang Moab takluk kepada Raja Daud dan membayar ufti kepadanya. Selepas itu Raja Daud mengalahkan Hadadezer anak Rehob, raja di Zoba di negeri Siria. Pada masa itu Hadadezer sedang dalam perjalanan pulang untuk memulihkan kekuasaannya di wilayah hulu Sungai Efrat. Raja Daud menawan sebanyak 1,700 orang askar berkuda dan 20,000 orang askar yang berjalan kaki. Dia melumpuhkan semua kuda, kecuali sebilangan yang cukup untuk menarik seratus buah kereta kuda. Apabila orang Siria dari Damsyik mengirim tentera untuk menolong Raja Hadadezer, Raja Daud menyerang tentera itu dan membunuh 22,000 orang. Kemudian Raja Daud mendirikan perkhemahan tentera di dalam wilayah mereka, lalu mereka takluk dan membayar ufti kepada baginda. TUHAN memberi Raja Daud kemenangan di mana sahaja baginda berperang. Raja Daud merampas perisai-perisai emas yang digunakan oleh para pegawai Raja Hadadezer, lalu membawa semuanya ke Yerusalem. Raja Daud juga merampas banyak gangsa dari Betah dan Berotai, kota-kota yang dahulu dikuasai oleh Raja Hadadezer. Raja Tou dari negeri Hamat mendengar bahawa Raja Daud telah mengalahkan seluruh tentera Raja Hadadezer. Oleh itu Raja Tou mengutus puteranya Yoram untuk memberikan salam kepada Raja Daud dan mengucapkan tahniah bagi kemenangannya terhadap Raja Hadadezer, kerana Raja Tou telah sering berperang dengan Raja Hadadezer. Yoram datang kepada Raja Daud dengan membawa banyak hadiah daripada emas, perak, dan gangsa. Raja Daud mempersembahkan semua hadiah itu kepada TUHAN untuk digunakan dalam upacara ibadat. Demikian juga dilakukannya dengan perak dan emas yang dirampasnya dari negeri-negeri yang telah dikalahkannya, iaitu Edom, Moab, Amon, Filistin, dan negeri orang Amalek. Raja Daud juga mempersembahkan sebahagian daripada barang-barang yang dirampasnya daripada Raja Hadadezer. Raja Daud menjadi lebih termasyhur selepas baginda kembali daripada membunuh 18,000 orang Edom di Lembah Asin. Raja Daud mendirikan perkhemahan tenteranya di seluruh tanah Edom, dan penduduk di situ takluk kepada baginda. TUHAN memberikan kemenangan kepada Raja Daud di mana sahaja baginda berperang. Raja Daud memerintah di seluruh Israel dan memastikan supaya rakyatnya selalu diperlakukan dengan adil dan baik. [16-18] Inilah pegawai-pegawai tinggi yang dilantik oleh Raja Daud: Panglima angkatan bersenjata: Yoab (ibunya Zeruya); Setiausaha istana: Yosafat anak Ahilud; Imam-imam: Zadok anak Ahitub, dan Ahimelekh anak Abyatar; Setiausaha negara: Seraya Ketua pengawal peribadi raja: Benaya anak Yoyada; Imam-imam di istana: putera-putera Raja Daud. Pada suatu hari Raja Daud bertanya, “Adakah sesiapa daripada keluarga Raja Saul yang masih hidup? Jika ada beta hendak berbuat baik kepadanya demi Yonatan.” Pada masa itu ada seorang hamba keluarga Raja Saul yang bernama Ziba. Dia disuruh menghadap Raja Daud. Raja Daud bertanya kepadanya, “Engkaukah Ziba?” “Benar, tuanku,” jawabnya. Raja bertanya lagi kepadanya, “Adakah sesiapa daripada keluarga Raja Saul yang masih hidup, supaya beta dapat berbuat baik kepadanya menurut janji beta kepada Allah?” Ziba menjawab, “Masih ada seorang anak lelaki Yonatan. Dia tempang.” Raja Daud bertanya, “Di mana dia?” Ziba menjawab, “Di Lodebar, di rumah Makhir anak Amiel.” Oleh itu Raja Daud menyuruh orang memanggil anak Yonatan itu. Ketika Mefiboset anak Yonatan, cucu Raja Saul itu tiba, dia sujud untuk menghormati Raja Daud. Raja Daud menyambutnya, dan bertitah, “Mefiboset,” lalu dia menjawab, “Ya, tuanku.” Raja Daud bertitah kepadanya, “Jangan takut. Beta akan bermurah hati kepadamu kerana Yonatan, bapamu. Beta akan memberi engkau semula semua tanah yang dahulu dimiliki datukmu Raja Saul. Kamu akan sentiasa dijemput makan di meja beta.” Mefiboset bersujud sekali lagi dan berkata, “Hamba hanya seperti anjing mati. Mengapakah tuanku begitu baik terhadap hamba?” Selepas itu Raja Daud memanggil Ziba, hamba Raja Saul, dan bertitah kepadanya, “Beta telah menyerahkan segala milik Raja Saul dan keluarganya kepada Mefiboset, cucu tuanmu itu. Kamu, anak-anakmu dan hamba-hambamu, mesti mengusahakan tanah itu untuk keluarga tuanmu, dan berikanlah hasil tanah itu kepada mereka untuk mencukupi keperluan mereka. Tetapi Mefiboset akan sentiasa makan di meja beta.” (Ziba mempunyai lima belas orang anak lelaki dan dua puluh orang hamba.) Ziba menjawab, “Hamba akan melaksanakan segala perintah tuanku.” Oleh itu Mefiboset makan bersama-sama raja, seperti salah seorang putera Raja Daud sendiri. Mefiboset mempunyai seorang anak lelaki bernama Mikha, yang masih muda. Semua anggota keluarga Ziba menjadi hamba Mefiboset. Demikianlah Mefiboset yang cacat kedua-dua kakinya itu tinggal di Yerusalem dan sentiasa makan di meja raja. Beberapa waktu kemudian Raja Nahas dari Amon, mangkat. Lalu baginda digantikan oleh Hanun, puteranya. Raja Daud bertitah, “Raja Nahas ialah sahabat beta yang setia. Oleh itu beta juga harus bersahabat dengan Raja Hanun puteranya.” Maka Raja Daud mengirim beberapa orang utusan untuk menyampaikan takziah kepada Raja Hanun. Apabila utusan-utusan itu tiba di Amon, para pemimpin Amon berkata kepada raja mereka, “Janganlah tuanku berfikir bahawa Raja Daud mengirim para utusan itu untuk menyampaikan takziah kerana baginda mahu menghormati ayahanda tuanku! Raja Daud mengirim semua orang itu ke sini sebagai pengintip untuk menyelidiki kota ini, supaya baginda dapat menakluki kita.” Kemudian Raja Hanun menangkap para utusan Raja Daud, mencukur sebahagian daripada janggut mereka, memotong pakaian mereka pada pangkal paha, lalu menyuruh mereka pergi. Para utusan itu sangat malu untuk pulang. Apabila hal itu diberitahukan kepada Raja Daud, baginda mengirim pesan supaya utusan-utusan itu tinggal di Yerikho sampai janggut mereka tumbuh semula. Kemudian orang Amon sedar bahawa mereka sudah menjadikan Raja Daud musuh mereka. Oleh itu mereka mengupah askar-askar orang Siria: 20,000 orang yang tinggal di Bet-Rehob dan Zoba, dan 12,000 orang dari Tob, serta raja negeri Maakha bersama dengan 1,000 orang anak buahnya. Ketika Raja Daud mendengar hal itu, baginda menyuruh Yoab dengan seluruh angkatan perang supaya maju melawan musuh. Orang Amon pergi ke luar lalu mengatur tentera mereka di hadapan pintu gerbang Raba, ibu kota mereka; sedangkan orang Siria, orang Tob, dan orang Maakha pula mengatur barisan mereka di padang. Yoab sedar bahawa dia terjepit oleh pasukan musuh di hadapan dan di belakang. Oleh itu dia memilih tentera Israel yang terbaik dan menempatkan mereka berhadapan dengan tentera Siria. Yoab menyerahkan pasukan yang selebihnya kepada Abisai, adiknya. Abisai mengatur barisan itu berhadapan dengan pasukan orang Amon. Yoab berkata kepada adiknya, “Jika aku tidak sanggup bertahan menghadapi tentera Siria, cepatlah tolong aku; sebaliknya, jika engkau tidak sanggup bertahan menghadapi tentera Amon, aku akan datang menolongmu. Tabahkanlah hatimu, dan berjuanglah dengan berani untuk bangsa kita dan untuk kota-kota Allah kita. Semoga TUHAN melakukan apa yang baik bagi-Nya.” Yoab dan pasukannya maju berperang, sehingga tentera Siria lari. Apabila tentera Amon nampak tentera Siria lari, mereka meninggalkan Abisai lalu masuk ke dalam kota. Setelah memerangi orang Amon, Yoab pulang ke Yerusalem. Orang Siria sedar bahawa mereka telah dikalahkan oleh orang Israel, maka mereka mengumpulkan semua tentera mereka. Raja Hadadezer memanggil tentera Siria yang berada di sebelah timur Sungai Efrat. Mereka datang ke Helam di bawah pimpinan Sobakh, panglima tentera Raja Hadadezer dari Zoba. Apabila Raja Daud mendengar hal itu, baginda mengumpulkan tentera Israel. Kemudian mereka menyeberangi Sungai Yordan, dan menuju ke Helam. Di situ orang Siria mengatur tentera mereka lalu maju menyerang tentera Raja Daud. Tetapi tentera Israel memukul mundur tentera Siria. Raja Daud dan tenteranya membunuh 700 orang pemandu kereta kuda dan 40,000 orang daripada pasukan berkuda. Mereka juga mencederakan Sobakh, panglima tentera musuh, lalu dia mati di medan pertempuran. Apabila raja-raja yang di bawah kuasa Raja Hadadezer sedar bahawa mereka sudah dikalahkan oleh orang Israel, raja-raja itu berdamai dengan orang Israel dan takluk ke bawah kuasa mereka. Sejak itu orang Siria tidak lagi berani membantu orang Amon. Raja-raja biasanya pergi berperang pada musim bunga. Pada musim bunga tahun itu, Raja Daud menyuruh Yoab maju berperang bersama dengan para pegawai tentera dan segenap tentera Israel. Mereka mengalahkan orang Amon dan mengepung kota Raba, tetapi Raja Daud tinggal di Yerusalem. Pada suatu petang, setelah Raja Daud bangun daripada tidur, baginda pergi berjalan-jalan di bumbung istana yang rata. Dari situ baginda nampak seorang wanita sedang mandi, dan wanita itu sangat cantik. Kemudian Raja Daud menyuruh orang menanyakan siapa wanita itu. Raja Daud diberitahu bahawa wanita itu Batsyeba anak Eliam, isteri Uria orang Het. Raja Daud menyuruh orang menjemput Batsyeba. Setelah Batsyeba tiba di istana, Raja Daud berseketiduran dengan dia. (Pada masa itu Batsyeba baru sahaja selesai melakukan upacara penyucian diri selepas haid.) Kemudian Batsyeba pulang ke rumahnya. Beberapa waktu kemudian Batsyeba mendapati dirinya hamil, lalu dia mengirim khabar tentang hal itu kepada Raja Daud. Kemudian Raja Daud mengirim perintah kepada Yoab, “Suruhlah Uria orang Het itu datang menghadap beta.” Lalu Yoab menyuruh Uria pergi menghadap Raja Daud. Apabila Uria sampai, Raja Daud bertanya kepadanya tentang keadaan Yoab dan tentera Israel, dan keadaan peperangan. Kemudian Raja Daud bertitah kepada Uria, “Pulanglah ke rumahmu dan berehatlah sebentar.” Setelah Uria meninggalkan istana, Raja Daud mengirim hadiah ke rumah Uria. Tetapi Uria tidak pulang ke rumahnya. Malam itu dia tidur di pintu gerbang istana bersama-sama para pengawal raja. Apabila Raja Daud diberitahu bahawa Uria tidak pulang ke rumahnya, baginda bertanya kepadanya, “Tidakkah engkau baru pulang dari perjalanan jauh? Mengapa engkau tidak pulang ke rumahmu?” Uria menjawab, “Tentera Israel dan Yehuda sedang berjuang di medan peperangan, dan Tabut Perjanjian TUHAN ada bersama-sama mereka. Yoab, panglima kami dan para pegawai tenteranya juga sedang berkhemah di padang terbuka. Bagaimana mungkin hamba pulang, makan minum, dan tidur dengan isteri hamba? Hamba bersumpah demi tuanku bahawa hamba tidak akan melakukan hal itu!” Raja Daud bertitah kepadanya, “Jika demikian, tinggallah di sini hari ini. Esok beta akan mengizinkan engkau pulang.” Oleh itu Uria tinggal di Yerusalem pada hari itu. Keesokan harinya Raja Daud menjemput Uria ke jamuan malam dan membuatnya mabuk. Tetapi malam itu juga Uria tidak pulang ke rumahnya, melainkan tidur beralaskan selimutnya di dalam bilik pengawal istana. Esok paginya Raja Daud menulis sepucuk surat kepada Yoab, dan menitipkan surat itu kepada Uria. Demikianlah kandungan surat itu, “Suruhlah Uria pergi ke barisan hadapan, tempat pertempuran yang paling sengit. Setelah itu perintahkanlah pasukanmu undur tanpa pengetahuan Uria, supaya Uria terbunuh.” Maka sementara Yoab mengepung kota itu, dia menyuruh Uria pergi ke tempat yang setahunya dikawal ketat oleh musuh. Apabila musuh keluar dari kota untuk menyerang pasukan Yoab, beberapa orang pegawai tentera Raja Daud terbunuh, termasuk Uria. Kemudian Yoab mengirim laporan kepada Raja Daud untuk memberitahu baginda tentang keadaan peperangan. Inilah perintah Yoab kepada utusan itu, “Setelah engkau menceritakan segalanya tentang pertempuran itu, mungkin raja akan murka dan bertitah, ‘Mengapa kamu pergi terlalu dekat dengan kota itu ketika berperang? Tidakkah kamu tahu bahawa musuh tentu akan memanah kamu dari atas tembok kota? Tidakkah kamu ingat bagaimana Abimelekh anak Gideon terbunuh dahulu? Dia terbunuh kerana terkena batu kisaran yang dilemparkan oleh seorang perempuan dari tembok kota di Tebes. Mengapa kamu pergi terlalu dekat dengan tembok kota?’ Jika raja bertanya demikian, katakanlah bahawa Uria, pegawai tentera raja juga terbunuh.” Utusan itu pergi menghadap Raja Daud lalu melaporkan apa yang telah diperintahkan oleh Yoab. Dia berkata, “Musuh lebih kuat daripada kami. Mereka keluar dari kota dan berperang dengan kami di padang, tetapi kami dapat memukul mundur mereka sehingga balik ke pintu gerbang kota. Kemudian mereka memanah kami dari atas tembok kota. Demikianlah beberapa orang pegawai tentera tuanku terbunuh. Uria, pegawai tentera tuanku, juga terbunuh.” Raja Daud berkata kepada utusan itu, “Kuatkanlah hati Yoab. Katakanlah kepadanya, ‘Jangan kecil hati, kerana memang tidak dapat dipastikan siapa yang akan terbunuh di medan peperangan.’ Suruhlah dia melancarkan serangan yang lebih kuat terhadap kota itu sampai kota itu ditaklukkan.” Apabila Batsyeba mendengar bahawa suaminya telah terbunuh, dia berkabung baginya. Setelah habis masa berkabung, Raja Daud menjemput Batsyeba ke istana, lalu dia menjadi isteri Raja Daud. Beberapa bulan kemudian, Batsyeba melahirkan seorang anak lelaki, tetapi TUHAN tidak berkenan dengan apa yang sudah dilakukan oleh Raja Daud. Selepas itu TUHAN mengutus Nabi Natan kepada Raja Daud. Natan menghadap Raja Daud dan berkata, “Ada dua orang lelaki yang tinggal di sebuah kota; yang seorang kaya dan yang seorang lagi miskin. Si kaya itu mempunyai banyak lembu dan domba, tetapi si miskin itu hanya mempunyai seekor anak domba yang dibelinya. Dia memelihara anak domba itu di dalam rumahnya bersama dengan anak-anaknya. Anak domba itu diberi makan daripada makanan orang itu, minum daripada cawannya, dan tidur di pangkuannya. Pendek kata, anak domba itu diperlakukan seperti anak perempuannya sendiri. Pada suatu hari, ada tetamu tiba di rumah si kaya. Si kaya tidak mahu menyembelih domba atau lembunya sendiri supaya dimasak untuk menjamu tetamu itu. Sebaliknya, dia mengambil anak domba si miskin itu supaya dimasak untuk tetamunya.” Setelah mendengar hal itu, Raja Daud sangat murka terhadap perbuatan orang kaya itu, sehingga Raja Daud bertitah, “Beta bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa si kaya itu mesti dihukum mati! Orang itu mesti mengganti anak domba itu empat kali ganda, kerana perbuatannya itu sangat kejam.” Natan berkata kepada Raja Daud, “Tuanku adalah orang itu! Inilah yang difirmankan TUHAN, Allah umat Israel, ‘Aku sudah melantik engkau menjadi raja Israel dan menyelamatkan engkau daripada Saul. Aku sudah memberikan kerajaan Saul dan isteri-isterinya kepadamu. Bahkan engkau sudah Aku jadikan raja Israel dan Yehuda. Jika semuanya ini masih belum cukup, tentu Aku akan memberi engkau sebanyak dua kali ganda lagi. Tetapi mengapa engkau melawan perintah-Ku? Mengapa engkau melakukan perkara yang jahat itu? Engkau sengaja membiarkan Uria terbunuh di medan peperangan. Engkau membiarkan orang Amon membunuh dia, lalu engkau mengambil isterinya! Oleh sebab engkau tidak mentaati Aku dan engkau mengambil isteri Uria, maka dalam setiap generasi keturunanmu akan ada yang mati terbunuh. Aku bersumpah akan menimpa engkau dengan kesusahan yang disebabkan oleh anggota keluargamu sendiri. Aku akan mengambil isteri-isterimu di hadapan matamu sendiri, lalu Aku akan memberikan mereka kepada orang lain yang akan berseketiduran dengan mereka secara terang-terang. Engkau berbuat dosa secara sembunyi-sembunyi, tetapi Aku akan membiarkan hal yang sama terjadi secara terang-terang di hadapan segenap umat Israel.’ ” Raja Daud bertitah kepada Natan, “Sesungguhnya beta sudah berdosa terhadap TUHAN.” Natan menjawab, “TUHAN sudah mengampuni tuanku, dan tuanku tidak akan mati. Tetapi kerana tuanku telah menghina TUHAN dengan perbuatan itu, putera tuanku yang baru lahir itu akan mangkat.” Kemudian Natan pulang ke rumahnya. Putera Raja Daud yang dilahirkan oleh Batsyeba, bekas isteri Uria, dibiarkan TUHAN menjadi sakit tenat. Raja Daud berdoa kepada Allah bagi kesembuhan anak itu. Raja Daud berpuasa dan setiap malam baginda berbaring di lantai biliknya semalam suntuk. Para pegawai istana cuba membujuk Raja Daud supaya bangun, tetapi baginda tidak mahu. Baginda tidak mahu makan bersama-sama mereka. Seminggu kemudian anak itu mangkat, dan para pegawai Raja Daud takut untuk memberitahukan hal itu kepada baginda. Kata mereka, “Pada masa anak itu masih hidup, raja tidak mahu mendengarkan kita ketika bercakap dengan raja. Apalagi sekarang sesudah putera raja mangkat! Jangan-jangan raja akan nekad, lalu menyakiti diri baginda sendiri!” Apabila Raja Daud nampak mereka berbisik-bisik, baginda sedar bahawa anak itu sudah mangkat. Oleh itu baginda bertanya kepada mereka, “Adakah anak itu sudah mangkat?” “Ya,” jawab mereka. Kemudian Raja Daud bangun dari lantai, mandi, menyikat rambut, dan menukar pakaian. Selepas itu baginda pergi beribadat di Rumah TUHAN. Kemudian baginda kembali ke istana, minta dihidangkan makanan, lalu makan. Para pegawai baginda berkata kepadanya, “Hamba sekalian tidak faham, tuanku. Ketika putera tuanku masih hidup, tuanku berpuasa dan menangisi dia. Tetapi sebaik saja dia mangkat, tuanku bangun lalu makan!” “Ya,” jawab Raja Daud, “memang beta berpuasa dan menangis ketika anak itu masih hidup kerana beta berfikir, mungkin TUHAN akan mengasihani beta dan membolehkan anak itu hidup. Tetapi sekarang, setelah dia mangkat, apakah gunanya beta terus berpuasa? Dapatkah beta menghidupkan dia semula? Nanti beta akan pergi juga ke tempat dia berada, tetapi sekarang dia tidak akan kembali kepada beta.” Raja Daud menghibur hati Batsyeba isterinya, lalu berseketiduran dengan dia. Kemudian Batsyeba melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Salomo oleh Raja Daud. TUHAN mengasihi anak itu dan menyuruh Nabi Natan menamakan anak itu Yedija, kerana TUHAN mengasihi dia. Sementara itu Yoab masih bertempur untuk merebut Raba, ibu kota negeri Amon, dan dia telah hampir merebut kota itu. Oleh itu dia mengirim utusan kepada Raja Daud dan melaporkan, “Hamba telah menyerang Raba dan merampas bekalan airnya. Sekarang, sudilah tuanku mengumpulkan tentera kita yang lain, lalu memimpin serangan untuk merebut kota itu. Dengan demikian tidak akan dikatakan orang bahawa hamba yang merebut kota itu.” Kemudian Raja Daud mengumpulkan segenap tenteranya lalu menyerang Raba. Baginda menyerbu dan mengalahkan kota itu. Raja Daud mengambil mahkota raja mereka lalu memakainya. Mahkota itu seberat kira-kira 35 kilogram dan bertatahkan permata indah. Raja Daud juga membawa banyak sekali barang jarahan dari kota itu. Selain itu penduduknya digiring dan disuruh membawa gergaji, cangkul besi, kapak besi, lalu mereka dipaksa bekerja di tempat pembuatan batu bata. Perkara itu dilakukannya juga kepada penduduk kota-kota Amon yang lain. Selepas itu Raja Daud dan semua tenteranya kembali ke Yerusalem. Absalom, putera Raja Daud mempunyai seorang adik perempuan bernama Tamar yang cantik dan masih dara. Amnon, putera Raja Daud daripada isteri yang lain jatuh cinta kepada Tamar. Amnon sangat mengingini Tamar sehingga Amnon jatuh sakit. Tetapi Amnon tidak dapat melakukan apa-apa kerana Tamar masih dara dan tidak boleh berjumpa dengan lelaki. Tetapi Amnon mempunyai seorang sahabat yang sangat cerdik, namanya Yonadab anak Simea; Simea ialah abang Raja Daud. Yonadab berkata kepada Amnon, “Tuan putera raja, namun sehari-hari tuan kelihatan sedih! Mengapa?” Amnon menjawab, “Aku jatuh cinta kepada Tamar, adik Absalom saudaraku itu.” Yonadab berkata kepadanya, “Perkara itu tidak susah! Berpura-puralah sakit dan baringlah di tempat tidur. Apabila ayahanda tuan datang menziarahi tuan, katakan ini, ‘Ayah, benarkanlah Tamar datang untuk memberi saya makanan. Saya mahu dia memasak makanan di sini supaya saya dapat melihat dia, dan dia sendiri menghidangkan makanan itu kepada saya.’ ” Kemudian Amnon berpura-pura sakit lalu baring di tempat tidurnya. Apabila Raja Daud datang menziarahi Amnon, dia berkata kepadanya, “Ayah, izinkanlah Tamar datang untuk memasak kuih di sini, supaya saya dapat melihat dia, dan dia sendiri menghidangkan kuih itu kepada saya.” Kemudian Raja Daud mengirim pesan kepada Tamar di istana, “Pergilah ke rumah abangmu Amnon dan masaklah makanan baginya.” Tamar pergi ke sana dan mendapati Amnon berbaring di tempat tidur. Tamar mengambil sedikit adunan, lalu di hadapan Amnon dia menyediakan kuih untuk dibakar. Kemudian dia mengeluarkan kuih itu dari ketuhar lalu menghidangkannya, tetapi Amnon tidak mahu makan. Katanya, “Suruhlah semua orang keluar!” Lalu mereka semua keluar dari bilik itu. Kemudian Amnon berkata kepada Tamar, “Bawalah kuih itu ke tempat tidurku dan suapilah aku.” Tamar menuruti permintaan abangnya. Tetapi ketika Tamar menghulurkan kuih itu kepadanya, Amnon memegang gadis itu dan berkata, “Marilah tidur dengan aku!” “Jangan!” kata Tamar. “Janganlah paksa saya melakukan perkara sehina itu. Hal seperti itu tidak pernah berlaku di Israel. Jika terjadi begitu, saya akan kehilangan muka. Abang pun akan dihina orang di Israel. Sebaiknya abang berunding dengan raja, dan tentu raja akan setuju saya menjadi isteri abang.” Tetapi Amnon tidak mahu menurut nasihatnya. Oleh sebab Amnon lebih kuat daripada Tamar, dia memaksanya dengan kekerasan, lalu merogol dia. Selepas itu Amnon menjadi sangat benci terhadap Tamar. Kebenciannya itu lebih besar daripada cintanya yang mula-mula. Dia berkata kepada adiknya itu, “Keluar!” Tamar menjawab, “Jangan usir saya. Jika abang mengusir saya, perbuatan itu lebih jahat daripada yang telah abang lakukan tadi!” Tetapi Amnon tidak mahu mendengarkan Tamar. Dia memanggil pelayan peribadinya dan berkata, “Bawalah perempuan ini keluar dan kuncilah pintu!” Pelayan itu pun membawa Tamar keluar lalu mengunci pintu. Tamar memakai jubah panjang yang berlengan panjang. Pada zaman itu puteri raja yang belum kahwin biasanya memakai pakaian seperti itu. Tamar menaruh abu di atas kepalanya, mengoyak jubahnya, dan pergi sambil menutup mukanya dengan kedua-dua tangan serta menangis dengan pilu. Ketika Absalom nampak Tamar, dia bertanya, “Adakah Amnon memperkosa adik? Sudahlah adikku, jangan terlalu sedih kerana hal itu. Dia itu abangmu, kerana itu janganlah beritahukan hal itu kepada sesiapa pun.” Maka Tamar tinggal di rumah Absalom; Tamar sangat sedih dan kesepian. Apabila mendengar hal itu, Raja Daud sangat murka. Absalom sangat mendendami Amnon dan tidak mahu bercakap dengan dia lagi, kerana Amnon sudah merogol Tamar, adiknya. Dua tahun kemudian, ketika pengguntingan bulu domba milik Absalom diadakan di Baal-Hazor yang berhampiran kota Efraim, Absalom mengundang semua putera raja datang ke sana. Absalom menghadap raja dan berkata, “Ayahanda, saya mengadakan pesta sempena pengguntingan bulu domba saya. Sudilah ayah datang ke pesta itu bersama dengan para pegawai ayah.” Tetapi raja menjawab, “Jangan, anakku. Jika kami semua datang, kami akan menyusahkan engkau.” Absalom terus mendesak, tetapi ayahnya tetap tidak mahu datang. Baginda hanya memberikan restu kepadanya. Kemudian Absalom berkata, “Jika demikian, benarkanlah saudara saya Amnon ikut kami.” Raja bertitah, “Tidak usahlah dia ikut.” Tetapi Absalom terus mendesak sehingga akhirnya Raja Daud membenarkan Amnon dan semua puteranya yang lain ikut Absalom. Absalom menghidangkan makanan yang mewah sekali. Absalom memberikan perintah kepada hamba-hambanya, “Perhatikan baik-baik, jika Amnon sudah mabuk kerana minum wain, aku akan memberikan isyarat, lalu bunuhlah dia. Jangan takut. Akulah yang bertanggungjawab atas hal itu. Bertindaklah dengan berani dan jangan ragu-ragu!” Hamba-hamba Absalom itu melaksanakan perintahnya lalu membunuh Amnon. Putera-putera Raja Daud yang lain menunggang baghal masing-masing dan melarikan diri. Sedang mereka dalam perjalanan pulang, Raja Daud diberitahu bahawa Absalom telah membunuh semua puteranya, dan tidak seorang pun dibiarkan hidup. Raja Daud bangun, mengoyak-ngoyakkan pakaiannya kerana dukacita, lalu berbaring di lantai. Semua pegawainya ikut mengoyakkan pakaian. Tetapi Yonadab, anak Simea abang Raja Daud berkata, “Tuanku, mereka tidak membunuh semua putera tuanku. Hanya Amnon yang dibunuh, kerana sudah jelas bahawa itulah yang dikehendaki Absalom sejak Tamar adiknya dirogol oleh Amnon. Janganlah percaya bahawa semua putera tuanku telah dibunuh, kerana yang dibunuh hanyalah Amnon.” Sementara itu Absalom telah melarikan diri. Pengawal istana nampak banyak orang datang menuruni gunung dari arah Horonaim. Oleh itu dia pergi kepada raja dan melaporkan hal itu. Yonadab berkata kepada Raja Daud, “Itulah putera-putera tuanku! Tepat seperti yang hamba katakan tadi.” Baru saja dia selesai bercakap, putera-putera Raja Daud tiba. Mereka mula menangis, dan Raja Daud serta hamba-hambanya juga menangis dengan pilu. [37-38] Absalom melarikan diri dan pergi ke istana raja negeri Gesur, iaitu Talmai anak Amihur. Dia tinggal di situ selama tiga tahun. Lama juga Raja Daud berkabung untuk Amnon, *** tetapi ketika Raja Daud tidak sedih lagi, baginda sangat merindukan Absalom. Yoab tahu bahawa Raja Daud sangat merindukan Absalom, oleh itu dia menyuruh orang menjemput seorang wanita cerdik yang tinggal di Tekoa. Ketika wanita itu tiba, Yoab berkata kepadanya, “Berpura-puralah berkabung; pakailah pakaian perkabungan dan jangan sikat rambut. Berlakonlah sebagai wanita yang sudah lama berkabung. Kemudian pergilah menghadap raja, dan katakan kepada baginda apa yang saya katakan kepadamu.” Yoab memberitahu wanita itu apa yang harus dikatakannya. Wanita itu pergi menghadap raja, lalu sujud dan berkata, “Tuanku, tolonglah hamba!” “Apa permintaanmu?” tanya raja kepadanya. Wanita itu menjawab, “Hamba seorang balu yang miskin. Suami hamba sudah meninggal. Hamba mempunyai dua orang anak lelaki, dan pada suatu hari mereka bertengkar di ladang. Oleh sebab tiada orang yang memisahkan mereka, yang seorang membunuh yang satu. Sekarang, segenap kaum keluarga hamba memusuhi hamba, dan menuntut supaya hamba menyerahkan anak hamba yang membunuh itu kepada mereka. Mereka hendak menghukumnya dengan hukuman mati kerana dia sudah membunuh saudaranya. Jika hamba menyerahkan anak itu, hamba tidak akan mempunyai anak lagi. Mereka akan menghancurkan harapan hamba satu-satunya dan tidak meninggalkan seorang anak lelaki bagi suami hamba untuk meneruskan keturunannya.” “Pulanglah,” jawab raja. “Beta akan mengurus perkara itu.” “Tuanku,” kata wanita itu, “apa saja yang tuanku lakukan, hamba dan keluarga hamba akan menanggung akibatnya; tuanku dan keluarga tuanku tidak bersalah.” Raja menjawab, “Jika ada orang yang mengancam kamu, bawalah dia kepada beta, maka dia tidak akan mengganggumu lagi.” Kata wanita itu, “Sudilah tuanku berdoa kepada TUHAN, Allah tuanku, supaya orang yang hendak membalas kematian anak hamba itu tidak melakukan kejahatan yang lebih besar lagi dengan membunuh anak hamba yang seorang lagi.” Raja Daud menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, anakmu itu tidak akan diapa-apakan walau sedikit pun.” Kemudian wanita itu berkata, “Tuanku, izinkanlah hamba berkata-kata sedikit lagi.” “Baiklah,” jawab raja. Wanita itu bercakap, “Dengan ucapan tuanku itu, tuanku sudah mengaku bahawa tuanku sendiri bersalah kerana tidak mengizinkan putera tuanku pulang dari pengasingan. Mengapakah tuanku melakukan kesalahan seperti itu terhadap umat Allah? Kita semua akan mati; kita ini umpama air yang tumpah ke tanah dan tidak dapat dikumpulkan lagi. Allah pun tidak akan menghidupkan semula orang yang sudah mati, tetapi sekurang-kurangnya tuanku dapat mengusahakan supaya orang buangan itu boleh pulang lagi. Hamba menghadap tuanku kerana hamba diancam orang. Oleh itu hamba berfikir sebaiknya hamba berkata-kata kepada tuanku dengan harapan permintaan hamba ini akan dikabulkan. Hamba berfikir tuanku akan mendengarkan dan menyelamatkan hamba daripada orang yang berusaha untuk membunuh hamba dan anak hamba. Mereka bermaksud menyingkirkan kami dari tanah yang diberikan Allah kepada umat-Nya. Hamba yakin bahawa janji tuanku itu akan menjamin keselamatan hamba kerana tuanku seperti malaikat Allah, yang dapat membezakan apa yang baik dan apa yang jahat. Semoga TUHAN, Allah tuanku menyertai tuanku!” Raja menjawab, “Beta mahu menanyakan sesuatu kepadamu, dan jawablah dengan jujur.” “Silakan tuanku,” wanita itu menjawab. Raja bertitah, “Adakah Yoab yang menyuruh kamu?” Jawab wanita itu, “Hamba bersumpah demi tuanku bahawa hamba tidak mungkin mengelak diri daripada pertanyaan tuanku. Memang benar tuanku, Yoab sudah memberitahukan apa yang harus hamba lakukan dan katakan. Tetapi dia berbuat begitu untuk menyelesaikan perkara itu dengan baik. Tuanku bijaksana seperti malaikat Allah sehingga mengetahui segala sesuatu yang berlaku.” Setelah itu raja memanggil Yoab dan bertitah kepadanya, “Keinginanmu itu akan beta penuhi. Pergilah berjumpa dengan Absalom dan bawalah dia kembali.” Yoab sujud di hadapan Raja Daud, lalu berkata, “Kiranya Allah memberkati tuanku! Sekarang hamba tahu bahawa tuanku berkenan kepada hamba kerana tuanku sudah mengabulkan permohonan hamba.” Yoab berangkat ke Gesur untuk mengajak Absalom kembali ke Yerusalem. Tetapi raja tidak mengizinkan Absalom tinggal di istana. Raja bertitah, “Beta tidak mahu melihat dia.” Oleh itu Absalom langsung pulang ke rumahnya sendiri dan tidak menghadap raja. Absalom dipuji sebagai orang yang paling kacak di seluruh Israel. Tiada sesiapa pun yang lebih kacak daripada dia. Dari telapak kaki sampai ke hujung rambutnya, dia tidak ada cacat. Rambutnya sangat tebal, dan dia harus memotongnya sekali setahun kerana dirasanya terlalu berat. Rambut yang dipotong itu beratnya lebih daripada dua kilogram menurut timbangan diraja. Absalom mempunyai tiga orang putera dan seorang puteri yang sangat cantik, bernama Tamar. Absalom telah tinggal di Yerusalem selama dua tahun, tetapi belum juga bertemu dengan raja. Oleh itu pada suatu hari Absalom memanggil Yoab untuk menyuruhnya menghadap raja, tetapi Yoab tidak mahu datang. Absalom memanggilnya sekali lagi, tetapi Yoab tidak mahu datang juga. Kemudian Absalom berkata kepada hamba-hambanya, “Lihatlah, ladang Yoab yang ditanami barli bersebelahan ladangku. Bakarlah ladang itu.” Maka mereka pergi membakarnya. Yoab datang ke rumah Absalom dan bertanya, “Mengapa hamba-hambamu membakar ladangku?” Absalom menjawab, “Oleh sebab kamu tidak mahu datang ketika aku memanggilmu. Aku hendak mengutusmu menghadap raja dan menyampaikan pertanyaanku ini, ‘Apa gunanya saya meninggalkan Gesur dan kembali ke sini? Lebih baik saya tinggal di sana saja.’ ” Absalom berkata lagi, “Usahakanlah supaya aku dapat menghadap raja, dan jika aku masih dianggap bersalah, aku bersedia dihukum mati.” Kemudian Yoab pergi menghadap Raja Daud dan menyampaikan kata-kata Absalom. Selepas itu raja memanggil Absalom, lalu Absalom datang bersujud di hadapan raja. Raja menyambut dia dengan ciuman. Selepas itu Absalom menyediakan sebuah kereta kuda dan beberapa ekor kuda untuk dirinya, dan juga lima puluh orang pengiring peribadi. Biasanya Absalom bangun pagi-pagi lalu berdiri di tepi jalan dekat pintu gerbang kota. Setiap orang yang hendak mengadukan perkaranya kepada raja, dipanggil dan ditanyai oleh Absalom. Katanya, “Kamu daripada suku mana?” Jika orang itu menjawab, “Daripada suku ini atau itu,” maka Absalom berkata, “Menurut undang-undang, kamu benar, tetapi sayang tiada wakil raja yang mahu mendengarkan pengaduanmu.” Absalom berkata lagi, “Andaikata saya ini hakim, setiap orang yang mempunyai perselisihan atau tuntutan boleh datang kepada saya, dan saya akan memperlakukannya dengan adil.” Jika ada orang yang mendekati Absalom untuk sujud di hadapannya, Absalom menghulurkan tangan, lalu memeluk orang itu dan menciumnya. Absalom berlaku demikian terhadap setiap orang Israel yang hendak mengadukan perkara kepada raja. Dengan demikian Absalom mengambil hati orang Israel. Setelah empat tahun berlalu, Absalom berkata kepada Raja Daud, “Ayahanda, izinkanlah saya pergi ke Hebron untuk memenuhi janji saya kepada TUHAN. Pada waktu saya tinggal di Gesur, di negeri Siria, saya berjanji akan pergi beribadat kepada TUHAN di Hebron, jika Dia membawa saya pulang ke Yerusalem.” Raja menjawab, “Pergilah dengan selamat.” Maka Absalom berangkat ke Hebron. Tetapi sebelum itu dia telah mengirim utusan-utusan kepada semua suku Israel, dengan membawa pesan, “Jika kamu mendengar bunyi trompet, berserulah ‘Absalom sudah menjadi raja di Hebron!’ ” Seramai dua ratus orang dari Yerusalem telah dijemput oleh Absalom untuk mengiringinya ke Hebron. Mereka tidak tahu apa-apa tentang pakatan itu dan mereka semua ikut pergi tanpa curiga. Sementara Absalom mempersembahkan korban, dia juga mengirim utusan ke kota Gilo untuk memanggil Ahitofel, salah seorang penasihat Raja Daud. Demikianlah pakatan untuk melawan Raja Daud semakin kuat, dan pengikut-pengikut Absalom semakin banyak. Kemudian seorang utusan melaporkan hal itu kepada Raja Daud, “Orang Israel sudah memihak Absalom.” Oleh itu Raja Daud bertitah kepada semua pegawainya yang ada di Yerusalem, “Kita mesti melarikan diri sekarang juga, kalau kita mahu terlepas daripada Absalom! Cepatlah! Kalau tidak, dia akan segera tiba dan mengalahkan kita, serta membunuh semua orang di kota!” “Baik, tuanku,” jawab mereka. “Hamba semua sedia melakukan apa saja kehendak tuanku.” Oleh itu raja berangkat, diiringi oleh semua anggota keluarganya dan pegawainya, kecuali sepuluh orang gundiknya yang ditinggalkan untuk menunggu istana. Pada waktu raja dan semua pengiring baginda berjalan meninggalkan kota, mereka berhenti dekat rumah yang terakhir. Semua pegawai raja berdiri di sebelahnya ketika pasukan pengawal raja lalu di hadapan baginda. Selain itu seramai enam ratus orang askar yang mengikutinya dari Gat, juga lalu di hadapan baginda. Apabila raja nampak mereka, raja bertitah kepada Itai, ketua enam ratus orang askar itu, “Mengapa kamu ikut juga dengan kami? Lebih baik kamu balik dan tinggal bersama dengan raja yang baru. Kamu orang asing di sini, orang pelarian yang jauh dari negeri sendiri. Kamu belum tinggal lama di sini, dan beta tidak mahu kamu ikut mengembara dengan beta. Beta sendiri tidak tahu ke mana beta akan pergi. Baliklah dan bawalah juga rakan-rakan sebangsa kamu. Semoga TUHAN mengasihi kamu dan setia kepada kamu.” Tetapi Itai menjawab, “Tuanku, hamba bersumpah kepada tuanku, demi TUHAN yang hidup bahawa ke mana pun tuanku pergi, hamba akan ikut juga, meskipun menghadapi kematian.” “Baiklah!” jawab Raja Daud. “Majulah!” Maka Itai berjalan bersama dengan segenap pasukannya dan keluarga mereka. Semua orang menangis dengan nyaring ketika para pengikut Raja Daud meninggalkan kota. Kemudian raja menyeberangi Sungai Kidron, diikuti oleh segenap pasukannya, lalu berjalan menuju ke padang gurun. Imam Zadok dan Imam Abyatar berada di situ bersama-sama orang Lewi yang mengangkat Tabut Perjanjian TUHAN. Tabut Perjanjian itu diturunkan, dan tidak diangkat lagi sebelum semua orang sudah meninggalkan kota. Kemudian raja bertitah kepada Zadok, “Kembalikanlah Tabut Perjanjian itu ke kota. Jika TUHAN berkenan kepada beta, tentu Dia akan mengizinkan beta kembali dan melihat Tabut Perjanjian itu lagi, dan juga tempat Tabut Perjanjian itu disimpan. Tetapi jika TUHAN tidak berkenan kepada beta, terserah sajalah kepada apa kehendak-Nya bagi diri beta.” Selanjutnya raja bertitah kepada Zadok, “Ajaklah Ahimaas anakmu dan Yonatan anak Abyatar, dan kembalilah ke kota dengan tenang. Sementara itu beta akan menunggu dekat tempat penyeberangan sungai di padang gurun sehingga menerima khabar daripada kamu.” Maka Zadok dan Abyatar membawa Tabut Perjanjian kembali ke Yerusalem dan mereka tinggal di situ. Raja Daud tidak berkasut, dan bersama-sama semua pengikutnya, mereka mendaki Bukit Zaitun sambil menangis dengan kepala berselubung sebagai tanda bersedih. Ketika Raja Daud diberitahu bahawa Ahitofel juga ikut memberontak dengan Absalom, Raja Daud berdoa, “Ya, TUHAN, sia-siakanlah nasihat Ahitofel!” Pada waktu Raja Daud sampai ke puncak bukit, di tempat ibadat di situ, baginda disambut oleh sahabatnya yang setia, Husai orang Arki. Husai sudah mengoyakkan pakaiannya dan menaburkan abu di atas kepalanya. Raja Daud bertitah kepadanya, “Jika kamu ikut bersama-sama beta, kamu tidak dapat menolong beta. Tetapi kamu dapat menolong beta jika kamu kembali ke kota. Kemudian katakanlah kepada Absalom bahawa sekarang kamu hendak berkhidmat dengan setia kepadanya, seperti kamu berkhidmat kepada bapanya dahulu. Dengan cara demikian kamu dapat menggagalkan segala nasihat Ahitofel. Imam Zadok dan Imam Abyatar juga ada di sana. Beritahulah mereka segala sesuatu yang kamu dengar di istana. Ahimaas anak Zadok dan Yonatan anak Abyatar juga mengikuti bapa mereka. Kirimlah semua berita kepadaku dengan perantaraan Ahimaas dan Yonatan.” Oleh itu Husai, sahabat Raja Daud kembali ke Yerusalem, tepat pada waktu Absalom tiba di situ. Ketika Raja Daud baru sahaja melalui puncak bukit, tiba-tiba Ziba, hamba Mefiboset datang menemui baginda. Ziba datang dengan dua ekor keldai yang mengangkut muatan dua ratus buku roti, seratus rangkai kismis, seratus ikat buah-buahan segar dan satu kirbat penuh wain. Raja Daud bertanya kepadanya, “Untuk apakah semua ini?” Ziba menjawab, “Keldai-keldai ini untuk tunggangan keluarga tuanku; roti dan buah-buahan ini untuk hamba-hamba tuanku, dan wain ini untuk minuman mereka apabila letih di padang gurun kelak.” Raja bertanya kepadanya, “Di manakah Mefiboset, cucu tuanmu Raja Saul?” Ziba menjawab, “Dia tinggal di Yerusalem, kerana dia yakin bahawa umat Israel akan mengembalikan kerajaan datuknya Raja Saul kepadanya.” Raja bertitah kepada Ziba, “Mulai sekarang segala milik Mefiboset menjadi milikmu.” “Terima kasih tuanku,” jawab Ziba. “Semoga hamba selalu diperkenan oleh tuanku.” Apabila Raja Daud sampai di Bahurim, seorang dari tempat itu datang menghampiri rombongan raja sambil mengutuki Raja Daud. Orang itu bernama Simei anak Gera, salah seorang sanak saudara Raja Saul. Simei melempari Raja Daud dan para pegawainya dengan batu, meskipun Raja Daud dikelilingi oleh anak buahnya dan para pengawalnya. Simei mengutuki baginda dan berkata, “Pergi! Pergi! Pembunuh! Penjenayah! Engkau telah merampas kerajaan Raja Saul! Sekarang engkau dihukum oleh TUHAN kerana membunuh begitu banyak sanak saudara Raja Saul. TUHAN telah memberikan kerajaanmu kepada anakmu Absalom. Sekarang mampuslah engkau, hai pembunuh!” Abisai, ibunya ialah Zeruya, berkata kepada raja, “Mengapa tuanku membiarkan anjing ini mengutuki tuanku? Benarkanlah hamba memenggal kepalanya!” Tetapi raja bertitah kepada Abisai dan Yoab abangnya, “Jangan masuk campur. Biarkan saja dia mengutuki beta. Jika TUHAN menyuruh dia mengutuki beta, siapakah yang berhak menanyakan mengapa dia berbuat begitu?” Raja Daud bertitah kepada Abisai dan semua pegawainya, “Anak kandung beta sendiri berusaha membunuh beta; mengapa pula kamu hairan melihat kelakuan orang Benyamin ini? TUHAN menyuruh dia mengutuk beta, kerana itu jangan lakukan apa-apa terhadap dia, dan biarkan saja dia mengutuk beta. Mungkin TUHAN akan memperhatikan penderitaan beta dan memberkati beta sebagai ganti kutuk itu.” Oleh itu Raja Daud dan anak buahnya meneruskan perjalanan, sementara Simei berjalan cepat mengikuti mereka di lereng bukit sambil mengutuki dan melempari mereka dengan batu dan tanah. Raja dan semua anak buahnya sangat letih ketika sampai di Sungai Yordan, lalu mereka berehat di situ. Sementara itu Absalom dan semua orang Israel yang mengiringinya memasuki kota Yerusalem, dan Ahitofel pun ada bersama-sama mereka. Apabila Husai, sahabat Raja Daud yang setia itu bertemu dengan Absalom, Husai berseru, “Daulat tuanku! Daulat tuanku!” Tetapi Absalom bertanya kepadanya, “Di mana kesetiaanmu kepada Raja Daud, sahabatmu? Mengapa kamu tidak ikut dengan baginda?” Husai menjawab, “Mana mungkin! Hamba memihak orang yang dipilih oleh TUHAN dan oleh semua orang ini, dan oleh semua orang Israel. Orang itulah yang hamba ikuti. Lagipun, kepada siapakah hamba mengabdikan diri, kalau bukan putera kepada tuan hamba? Sebagaimana hamba mengabdikan diri kepada ayahanda tuanku, begitu juga hamba akan mengabdikan diri kepada tuanku sekarang.” Kemudian Absalom berkata kepada Ahitofel, “Katakanlah apa yang harus kita lakukan.” Ahitofel menjawab, “Pergilah berseketiduran dengan gundik-gundik ayahanda tuanku, yang ditinggalkan untuk menunggui istana. Dengan perbuatan itu, semua orang Israel akan tahu bahawa tuanku sudah dianggap musuh oleh ayahanda tuanku, dan semua pengikut tuanku akan bertambah berani.” Maka sebuah khemah dipasang untuk Absalom di atas atap istana yang rata itu. Kemudian dengan disaksikan oleh semua orang, Absalom masuk ke dalam khemah itu lalu berseketiduran dengan gundik-gundik ayahandanya. Pada masa itu setiap nasihat Ahitofel diterima dengan baik, seolah-olah semuanya firman Allah sendiri; baik Raja Daud mahupun Absalom menurut nasihat Ahitofel. Tidak lama kemudian, Ahitofel berkata kepada Absalom, “Benarkanlah hamba memilih dua belas ribu orang. Pada malam ini hamba akan berangkat untuk mengejar Raja Daud. Hamba akan menyerang baginda waktu baginda masih letih dan lemah semangat. Baginda akan ketakutan sehingga semua anak buahnya melarikan diri. Hanya Raja Daud yang akan hamba bunuh. Semua anak buahnya akan hamba kembalikan kepada tuanku seperti pengantin perempuan kembali kepada suaminya. Bukankah tuanku hanya menginginkan nyawa satu orang? Orang lain tidak akan diapa-apakan.” Nasihat itu dipandang baik oleh Absalom dan oleh semua pemimpin orang Israel. Meskipun begitu Absalom berkata, “Panggillah Husai. Mari kita dengar pendapatnya.” Ketika Husai datang menghadap, Absalom memberitahukan rancangan Ahitofel, lalu berkata, “Begitulah nasihat Ahitofel. Adakah kita hendak menurut nasihat itu? Jika tidak, berilah cadangan lain.” Husai menjawab, “Nasihat Ahitofel kali ini tidak baik. Tuanku tentu tahu bahawa Raja Daud dan anak buahnya itu pejuang yang gagah berani. Mereka seganas beruang betina yang kehilangan anaknya. Lagipun Raja Daud seorang askar berpengalaman, yang tidak pernah bermalam bersama-sama anak buahnya. Mungkin pada saat ini pun baginda sedang bersembunyi di dalam sebuah gua atau di tempat lain. Sebaik saja anak buah tuanku diserang oleh Raja Daud, dan ada yang mati, maka sesiapa saja yang mendengar hal itu akan berkata bahawa anak buah tuanku sudah dikalahkan. Akibatnya, orang yang paling berani dan gagah perkasa seperti singa pun tentu akan menjadi takut. Semua orang di Israel tahu bahawa ayahanda tuanku itu seorang pahlawan, dan bahawa anak buahnya itu pejuang-pejuang yang gagah berani. Oleh sebab itu, nasihat hamba begini: Kumpulkanlah semua orang Israel dari seluruh negeri, sehingga jumlahnya sebanyak pasir di pantai. Kemudian tuanku sendiri mengetuai mereka maju bertempur. Kita akan mencari Raja Daud di mana saja baginda berada, lalu kita menyerang baginda sebelum baginda sedar akan apa yang terjadi. Tiada seorang pun yang akan terlepas, baik baginda mahupun anak buahnya. Jika baginda lari ke dalam sebuah kota, segenap rakyat kita akan mengambil tali-temali dan menyeret kota itu lalu menjatuhkannya ke dalam lembah yang terdekat. Seketul batu pun tidak akan ada yang tertinggal di atas bukit itu.” Setelah Absalom dan semua orang Israel mendengar cadangan itu, mereka berkata, “Nasihat Husai lebih baik daripada nasihat Ahitofel.” TUHAN sudah menentukan untuk menggagalkan nasihat Ahitofel yang baik itu, supaya Absalom ditimpa malapetaka. Selepas itu Husai memberi laporan kepada Imam Zadok dan Imam Abyatar tentang nasihat Ahitofel dan nasihatnya sendiri kepada Absalom dan para pemimpin Israel. Husai berkata, “Cepat! Beritahulah Raja Daud supaya tidak bermalam di tempat penyeberangan sungai di padang gurun. Baginda harus segera menyeberangi Sungai Yordan. Jika tidak, baginda dan semua anak buahnya akan ditangkap dan dibunuh.” Sementara itu Yonatan anak Abyatar dan Ahimaas anak Zadok sedang menunggu dekat mata air En-Rogel, di pinggir kota Yerusalem. Mereka tidak berani masuk ke kota kerana takut dilihat orang. Seperti biasa, mereka mendapat khabar daripada seorang hamba perempuan yang menyampaikan berita yang harus dilaporkan kepada Raja Daud. Tetapi kali itu seorang anak lelaki kebetulan melihat mereka, lalu memberitahukan hal itu kepada Absalom. Oleh itu Yonatan dan Ahimaas cepat-cepat pergi dan bersembunyi di rumah seorang penduduk kampung Bahurim. Di halaman rumahnya itu ada sebuah perigi, lalu mereka masuk ke dalam perigi itu. Isteri pemilik rumah itu membentangkan penutup di atas lubang perigi itu lalu menaburkan gandum di atasnya, sehingga perigi itu tidak kelihatan. Orang suruhan Absalom datang ke rumah itu dan bertanya kepada wanita tadi, “Di manakah Ahimaas dan Yonatan?” “Mereka baru saja menyeberangi sungai,” jawabnya. Orang suruhan itu mencari kedua-dua orang pemuda itu, tetapi tidak menjumpai mereka. Kemudian orang suruhan itu pulang ke Yerusalem. Ahimaas dan Yonatan keluar dari perigi itu, lalu segera pergi menemui Raja Daud. Mereka melaporkan segala hal yang berlaku. Mereka berkata, “Ahitofel memberi nasihat untuk menyerang tuanku. Oleh itu berangkatlah sekarang juga dan seberangilah sungai ini.” Oleh itu Raja Daud dan anak buahnya menyeberangi Sungai Yordan, lalu sampai di seberang pada waktu fajar. Apabila Ahitofel mengetahui bahawa nasihatnya tidak dituruti, dia memasang pelana keldainya lalu pulang ke kotanya sendiri. Setelah menyelesaikan segala urusannya, dia menggantung diri. Kemudian dia dikuburkan di dalam kuburan keluarganya. Raja Daud sudah sampai di kota Mahanaim ketika Absalom menyeberangi Sungai Yordan dengan diiringi oleh orang Israel. ( Absalom sudah melantik Amasa menjadi panglima tentera untuk menggantikan Yoab. Amasa anak Yitra, orang Ismael; ibunya bernama Abigail anak Nahas, saudara perempuan Zeruya, ibu Yoab.) Absalom dan anak buahnya berkhemah di daerah Gilead. Ketika Raja Daud tiba di Mahanaim, baginda disambut oleh Sobi anak Nahas dari kota Raba di Amon, dan oleh Makhir anak Amiel dari Lodebar, dan oleh Barzilai dari Rogelim di Gilead. [28-29] Mereka membawa mangkuk, kuali tembikar, dan kain tidur untuk Raja Daud dan anak buahnya. Mereka juga membawa gandum, barli, tepung, bertih, kacang merah, kacang merah besar, madu, keju, krim, dan beberapa ekor domba. Mereka tahu bahawa Raja Daud dan anak buahnya lapar, haus, dan lelah kerana perjalanan di padang gurun. Raja Daud mengumpulkan semua anak buahnya, lalu membahagikan mereka menjadi beberapa pasukan yang terdiri daripada seribu dan seratus orang. Kemudian baginda melantik beberapa orang pahlawan untuk mengetuai setiap pasukan. Setelah itu baginda menyuruh mereka mara untuk berperang dalam tiga kumpulan, masing-masing dipimpin oleh Yoab, Abisai adik Yoab, dan Itai dari Gat. Raja bertitah kepada anak buahnya, “Beta juga ikut bersama dengan kamu.” Tetapi mereka menjawab, “Jangan tuanku. Jika kami terpaksa lari, atau separuh daripada bilangan kami mati, musuh belum berasa puas, kerana tuankulah yang dicari mereka. Tuanku sama nilainya dengan sepuluh ribu orang daripada kami. Lagipun lebih baik tuanku mengirim bantuan kepada kami dari dalam kota.” Kemudian raja bertitah, “Baiklah, terserah kepada kamu.” Selepas itu raja berdiri di sisi pintu gerbang kota, sementara tentera berbaris ke luar dalam pasukan-pasukan yang terdiri daripada seribu dan seratus orang. Raja memberi perintah kepada Yoab, Abisai, dan Itai, katanya, “Demi beta, jangan berlaku kasar terhadap Absalom, anak muda itu.” Semua askar mendengar Raja Daud memberi perintah itu kepada para ketua pasukan. Selepas itu tentera Raja Daud pergi ke luar kota untuk memerangi tentera Israel, dan mereka bertempur di hutan Efraim. Tentera Israel dikalahkan oleh anak buah Raja Daud. Kekalahan itu sungguh dahsyat; seramai dua puluh ribu orang mati pada hari itu. Pertempuran merebak ke seluruh kawasan itu, dan lebih banyak orang yang mati terperangkap di dalam hutan daripada terbunuh di medan pertempuran. Semasa Absalom menunggang baghalnya, tiba-tiba dia bertemu dengan anak buah Raja Daud. Baghalnya lalu di bawah pokok oak yang besar, sehingga kepala Absalom tersangkut pada dahan pokok itu. Baghalnya terus berlari sedangkan Absalom tertinggal dan tergantung di situ. Seorang daripada anak buah Raja Daud nampak Absalom dan melaporkan hal itu kepada Yoab, “Tuan, tadi saya nampak Absalom tergantung pada sebatang pokok oak!” Yoab menjawab, “Apa? Awak nampak dia? Mengapa awak tidak segera membunuh dia? Pasti aku akan memberi awak sepuluh keping wang perak dan seutas tali pinggang.” Tetapi orang itu menjawab, “Walaupun tuan memberi saya seribu keping wang perak, saya tidak mahu menyakiti putera raja. Kami semua mendengar apa yang diperintahkan raja kepada tuan dan kepada Abisai, serta Itai, supaya tidak berlaku kasar terhadap Absalom, anak muda itu demi raja. Tetapi sekiranya saya melanggar perintah raja dan membunuh Absalom tadi, tentu hal itu diketahui oleh raja, kerana raja mendengar tentang segala sesuatu, dan tuan pun pasti tidak akan membela saya.” “Sudahlah! Habis masa hanya bersoal jawab dengan awak,” kata Yoab. Kemudian Yoab mengambil tiga batang tombak lalu menikam dada Absalom. Pada masa itu Absalom masih hidup dan tergantung pada pokok oak. Kemudian sepuluh orang anak buah Yoab mengeroyok Absalom dan membunuh dia. Yoab menyuruh orang membunyikan trompet supaya anak buahnya berhenti mengejar pasukan Israel. Kemudian mereka mengambil mayat Absalom dan melemparkannya ke dalam perigi yang dalam di hutan. Mereka menimbuni perigi itu dengan batu sampai tinggi. Semua orang Israel lari, dan pulang ke rumah masing-masing. Semasa hidup Absalom, dia telah membangun sebuah tugu di Lembah Raja bagi dirinya, kerana dia tidak mempunyai anak lelaki untuk meneruskan keturunannya. Dia menamakan tugu itu menurut namanya sendiri. Sampai hari ini tugu itu dikenal sebagai Tugu Absalom. Kemudian Ahimaas anak Zadok berkata kepada Yoab, “Benarkanlah saya pergi untuk menghadap raja dan menyampaikan khabar baik bahawa TUHAN sudah menyelamatkan raja daripada musuh.” “Jangan,” kata Yoab, “hari ini kamu tidak boleh menyampaikan khabar baik. Kamu boleh melakukannya pada hari lain, tetapi bukan hari ini, kerana putera raja sudah mangkat.” Kemudian Yoab berkata kepada hambanya, orang Etiopia, “Pergilah beritahu raja apa yang telah engkau nampak.” Hamba itu sujud lalu pergi dengan berlari. Tetapi Ahimaas mendesak Yoab, “Walau apa pun yang terjadi, benarkanlah saya juga untuk pergi menyampaikan khabar.” “Mengapa engkau berkeras untuk pergi, anakku?” tanya Yoab. “Engkau tidak akan menerima hadiah untuk hal itu.” “Tidak mengapa,” kata Ahimaas lagi, “Saya akan tetap pergi.” “Jika begitu, pergilah,” kata Yoab. Maka Ahimaas berlari menyusuri jalan yang melalui Lembah Yordan, dan tidak lama kemudian dia berjaya mendahului hamba itu. Raja Daud sedang duduk di ruang antara pintu gerbang sebelah dalam dan pintu gerbang sebelah luar kota itu. Pengawal naik ke atas tembok dan berdiri di atas bumbung pintu gerbang. Apabila dia melayangkan pandangan, dia nampak seorang datang berlari. Pengawal itu berseru ke bawah memberitahukan hal itu kepada raja, dan raja bertitah, “Jika dia sendirian, tentulah khabar baik yang dibawanya.” Ketika orang itu hampir sampai, penjaga itu nampak seorang lagi datang berlari, lalu dia berseru, “Tengok! Ada seorang lagi yang lari ke sini sendirian.” Raja menjawab, “Pasti dia membawa khabar baik juga.” Penjaga itu berkata, “Orang yang pertama itu Ahimaas. Hamba tahu daripada cara dia berlari.” “Dia orang baik,” kata raja, “tentu dia membawa khabar baik.” Ahimaas berseru untuk memberi salam kepada raja, lalu sujud dan berkata, “Terpujilah TUHAN, Allah tuanku. Dia telah memberi tuanku kemenangan atas orang yang memberontak terhadap tuanku!” Raja bertanya, “Adakah Absalom, orang muda itu selamat?” Ahimaas menjawab, “Tuanku, tadi ketika hamba diutus oleh Yoab, panglima tuanku, hamba nampak kekecohan yang besar tetapi hamba tidak tahu apa yang terjadi.” “Berdirilah di sebelah sana,” titah raja, lalu Ahimaas pergi ke samping dan berdiri di situ. Kemudian hamba bangsa Etiopia itu sampai, lalu berkata kepada raja, “Hamba membawa khabar baik untuk tuanku! Pada hari ini TUHAN telah memberi tuanku kemenangan atas semua orang yang memberontak terhadap tuanku.” Raja bertanya kepadanya, “Adakah Absalom, anak muda itu selamat?” Kemudian hamba itu menjawab, “Biarlah semua musuh tuanku, semua orang yang memberontak terhadap tuanku mengalami nasib yang sama seperti anak muda itu.” Setelah mendengar berita itu raja sangat sedih, lalu naik ke ruangan di atas pintu gerbang sambil meratap, “Aduhai anakku! Aduhai anakku Absalom! Absalom, anakku! Lebih baik aku yang mati menggantikan engkau, anakku! Absalom, anakku!” Yoab diberitahu bahawa Raja Daud sedang meratap dan berkabung bagi Absalom. Oleh itu kegembiraan atas kemenangan pada hari itu berubah menjadi perkabungan bagi semua askar Raja Daud, kerana mereka mendengar bahawa raja berkabung bagi putera baginda. Mereka pulang ke kota dengan senyap, seperti askar yang malu kerana sudah lari dari pertempuran. Raja menyelubungi mukanya dan meratap dengan kuat, “Aduhai anakku! Anakku Absalom! Absalom, anakku!” Yoab pergi menghadap raja di rumahnya dan berkata, “Hari ini tuanku telah mempermalukan anak buah tuanku, padahal merekalah yang menyelamatkan nyawa tuanku, semua putera dan puteri tuanku, dan isteri-isteri, serta gundik-gundik tuanku. Tuanku menentang orang yang mengasihi tuanku tetapi mengasihi orang yang membenci tuanku. Tuanku sudah membuktikan bahawa para pegawai dan askar tuanku sama sekali tidak bererti bagi tuanku. Nampaknya tuanku lebih suka jika Absalom masih hidup dan kami semua mati. Hendaknya tuanku bangkit dan pergi ke luar serta bertitah untuk menenteramkan hati anak buah tuanku. Hamba bersumpah demi nama TUHAN bahawa jika tuanku tidak pergi menemui mereka, esok pagi tiada seorang pun yang akan menyertai tuanku. Hal itu akan merupakan bencana paling dahsyat yang tuanku alami seumur hidup.” Selepas itu raja bangkit dan pergi ke luar, lalu duduk dekat pintu gerbang. Anak buah raja mendengar bahawa raja berada di situ, lalu mereka semua datang menghadap. Sementara itu semua orang Israel telah melarikan diri, dan masing-masing pulang ke rumah. Semua orang Israel di seluruh negeri bertengkar sesama sendiri. Mereka berkata satu sama lain, “Raja Daud telah menyelamatkan kita daripada musuh. Baginda telah menyelamatkan kita daripada orang Filistin. Tetapi sekarang baginda telah melarikan diri daripada Absalom dan meninggalkan negeri ini. Kita telah melantik Absalom menjadi raja kita, tetapi dia sudah mati dalam pertempuran. Oleh itu mengapa tidak ada seorang pun yang berusaha untuk membawa Raja Daud kembali?” Kata-kata itu sampai kepada Raja Daud. Oleh itu Raja Daud menyuruh Imam Zadok dan Imam Abyatar bertanya kepada para pemimpin Yehuda, “Mengapa kamu yang terakhir menyambut raja dan mengiringi baginda kembali ke istana? Bukankah kamu sanak saudara dan kaum kerabat beta? Mengapa kamu yang terakhir meminta supaya beta pulang?” Raja Daud juga menyuruh mereka berkata kepada Amasa, “Engkau kerabat beta. Mulai sekarang beta melantik engkau menjadi panglima tentera untuk menggantikan Yoab. Biarlah Allah membunuh beta jika hal itu tidak beta lakukan!” Kata-kata Raja Daud itu berjaya mengambil hati semua penduduk Yehuda sehingga mereka mengirim khabar meminta raja dan semua pegawainya kembali ke istana. Kemudian raja berangkat dan sampai di Sungai Yordan. Sementara itu orang Yehuda sudah sampai di Gilgal untuk menyambut raja dan mengawal baginda menyeberang sungai itu. Simei anak Gera, orang Benyamin dari Bahurim tergesa-gesa datang ke sungai itu untuk menemui Raja Daud. Dia membawa seribu orang daripada suku Benyamin bersama-samanya. Ziba, hamba keluarga Raja Saul, juga datang bersama dengan lima belas orang anak lelakinya dan dua puluh orang hamba. Mereka tiba di Sungai Yordan lebih awal daripada raja. Mereka membantu keluarga raja menyeberang sungai dan melakukan segala yang disuruh oleh raja. Apabila raja bersiap-siap untuk menyeberangi sungai, Simei bersujud di hadapannya dan berkata, “Ampun tuanku, hamba mohon kiranya tuanku melupakan kesalahan yang hamba lakukan pada hari tuanku meninggalkan Yerusalem. Tolong jangan anggap hamba masih bersalah, dan jangan ingat akan hal itu lagi. Hamba insaf bahawa hamba sudah berdosa; itulah sebabnya hamba mendahului semua suku dari utara untuk menghadap tuanku hari ini.” Mendengar kata-kata itu Abisai anak Zeruya berkata, “Simei sepatutnya dihukum mati kerana dia telah mengutuk raja yang dipilih oleh TUHAN.” Tetapi Raja Daud bertitah kepada Abisai dan abangnya Yoab, “Jangan masuk campur. Mengapa kamu menyusahkan beta? Pada hari ini beta menjadi raja Israel lagi dan tidak boleh seorang Israel pun dihukum mati.” Kemudian raja bersumpah kepada Simei, “Beta bersumpah bahawa engkau tidak akan dihukum mati.” Selepas itu, Mefiboset, cucu Raja Saul datang menghadap raja. Dia tidak pernah mencuci kaki, atau mencukur janggut, atau mencuci pakaian sejak raja meninggalkan Yerusalem sehingga raja kembali dengan selamat. Apabila Mefiboset datang dari Yerusalem untuk menyambut raja, raja bertitah kepadanya, “Mengapa kamu tidak ikut dengan beta waktu itu, hai Mefiboset?” Mefiboset menjawab, “Tuanku tahu bahawa hamba ini tempang. Hamba menyuruh pelayan hamba untuk memasang pelana pada keldai supaya hamba dapat mengikut tuanku. Tetapi dia mengkhianati hamba. Malahan dia memfitnah hamba terhadap tuanku. Tetapi tuanku seperti malaikat Allah. Oleh itu lakukanlah kepada hamba apa sahaja kehendak tuanku. Semua keluarga ayahanda hamba seharusnya dihukum mati oleh tuanku, tetapi tuanku membenarkan hamba makan di istana. Sekarang hamba tidak berani meminta apa-apa lagi daripada tuanku.” Raja bertitah, “Sudahlah! Beta telah mengambil keputusan bahawa kamu dan Ziba akan mewarisi segala harta Raja Saul.” Tetapi Mefiboset berkata, “Biarlah Ziba mengambil semuanya. Hamba sudah puas hati kerana tuanku telah kembali dengan selamat.” Kemudian Barzilai dari Gilead, datang dari Rogelim untuk mengiringi raja menyeberangi Sungai Yordan. Barzilai sudah sangat tua. Dia sudah berumur lapan puluh tahun. Dia kaya raya, dan selama raja tinggal di Mahanaim dahulu, Barzilai yang menyediakan makanan bagi raja. Raja bertitah kepadanya, “Ikutlah beta ke Yerusalem. Nanti beta akan menyediakan segala keperluanmu di sana.” Tetapi Barzilai menjawab, “Hamba tidak akan hidup lama lagi. Apalah gunanya hamba ikut tuanku ke Yerusalem? Hamba sudah berumur lapan puluh tahun dan tiada lagi yang dapat memberikan kesukaan kepada hamba. Hamba tidak lagi dapat menikmati apa yang hamba makan atau minum, dan tidak lagi dapat mendengar suara orang bernyanyi. Hamba hanya akan menjadi beban bagi tuanku. Hamba tidak layak menerima upah yang sebesar itu. Biarlah hamba menghantar tuanku beberapa langkah sahaja di seberang Sungai Yordan. Kemudian biarlah hamba pulang ke rumah dan meninggal dekat kubur ibu bapa hamba. Ini dia Kimham, anak hamba. Benarkanlah dia mengiringi tuanku dan buatlah apa yang tuanku pandang baik baginya.” Raja bertitah, “Baiklah, beta akan membawa Kimham dan melakukan apa saja baginya menurut kehendakmu. Selain itu, beta akan memenuhkan segala permintaanmu.” Kemudian Raja Daud dan semua anak buahnya menyeberangi Sungai Yordan. Raja Daud mencium Barzilai dan memberkati dia. Kemudian Barzilai pulang ke rumahnya. Selepas raja menyeberangi sungai itu, dengan diiringi segenap pasukan Yehuda dan separuh pasukan Israel, raja pergi ke Gilgal. Kimham mengikut Raja Daud. Kemudian semua orang Israel menghadap raja dan bertanya kepadanya, “Tuanku, mengapa saudara kami orang Yehuda menganggap bahawa merekalah yang layak mengajak dan mengiringi tuanku, keluarga tuanku dan semua orang tuanku menyeberangi Sungai Yordan?” Orang Yehuda menjawab, “Kami berbuat demikian kerana raja kerabat kami. Mengapa kamu marah? Raja tidak membiayai makanan kami, ataupun memberi kami hadiah apa-apa.” Orang Israel berkata, “Kami sepuluh kali lebih berhak daripada kamu terhadap Raja Daud. Walaupun raja kerabat kamu, mengapa kamu memandang rendah terhadap kami? Jangan lupa bahawa kamilah yang pertama mencadangkan untuk membawa raja pulang!” Tetapi orang Yehuda lebih kuat mengemukakan hak mereka daripada orang Israel. Di kota Gilgal ada seorang pengacau bernama Seba anak Bikri, daripada suku Benyamin. Dia meniup trompet lalu berseru, “Kita tidak ada hubungan dengan Raja Daud! Jangan ikut baginda! Hai orang Israel, marilah kita pulang!” Oleh itu orang Israel meninggalkan Raja Daud dan mengikut Seba. Tetapi orang Yehuda tetap setia kepada Raja Daud dan mengiringi baginda dari Sungai Yordan sampai ke Yerusalem. Setelah Raja Daud tiba di istana baginda di Yerusalem, sepuluh orang gundik yang ditinggalkannya untuk menunggui istana, ditempatkannya di rumah yang dijaga oleh pengawal. Raja Daud menyediakan keperluan mereka dengan secukupnya, tetapi baginda tidak pernah lagi berseketiduran dengan mereka. Mereka tinggal di tempat yang dikawal, dan hidup seperti balu seumur hidup. Raja memberikan perintah kepada Amasa, “Kumpulkanlah orang Yehuda dan baliklah di sini bersama dengan mereka dalam masa tiga hari.” Amasa pergi mengumpulkan orang Yehuda tetapi dia tidak kembali pada waktu yang ditentukan oleh raja. Maka raja bertitah kepada Abisai, “Seba akan lebih menyusahkan kita daripada Absalom. Oleh itu bawalah anak buah beta dan kejarlah dia. Jika tidak, mungkin dia akan menduduki beberapa buah kota berkubu, lalu lari daripada kita.” Kemudian di bawah pimpinan Abisai, anak buah Yoab dan pasukan pengawal peribadi raja, serta semua askar lain berangkat dari Yerusalem untuk mengejar Seba. Apabila mereka sampai ke batu besar di Gibeon, Amasa bertemu dengan mereka. Pada waktu itu Yoab berpakaian perang, dan pedangnya bersarung serta diikat pada pinggangnya. Apabila Yoab maju berjalan, pedangnya tercabut. Yoab berkata kepada Amasa, “Apa khabar, saudara?” Sementara itu Yoab memegang janggut Amasa dengan tangan kanannya untuk mencium dia. Amasa tidak nampak pedang di tangan kiri Yoab. Tiba-tiba Yoab menikamkan pedang itu ke perut Amasa sehingga isi perutnya berhamburan ke tanah. Yoab tidak perlu menikamnya lagi kerana Amasa mati dengan serta-merta. Kemudian Yoab dan adiknya Abisai terus mengejar Seba. Salah seorang askar Yoab berdiri dekat mayat Amasa lalu berseru, “Sesiapa yang memihak Yoab dan Raja Daud, harus mengikut Yoab!” Mayat Amasa yang berlumuran darah terlantar di tengah jalan. Apabila askar Yoab nampak bahawa semua orang yang lalu berhenti di situ, dia menyeret mayat itu ke padang lalu menutupinya dengan kain. Setelah mayat itu disingkirkan dari jalan, semua orang meneruskan perjalanan mengikut Yoab untuk mengejar Seba. Seba melalui seluruh kawasan suku Israel. Kemudian dia tiba di kota Abel-bet-Maakha, lalu segenap puak Bikri berkumpul dan mengikut dia masuk ke dalam kota. Anak buah Yoab mendengar bahawa Seba berada di sana lalu mereka mengepung kota itu. Mereka membuat tanjakan tanah di sebelah luar tembok, dan mula menggali tanah di bawah tembok untuk meruntuhkannya. Di kota itu ada seorang wanita yang bijak. Dari dalam kota itu dia berseru, “Dengarlah! Dengarlah! Suruh Yoab datang ke mari. Saya hendak bercakap dengan dia.” Yoab datang, lalu wanita itu bertanya, “Tuankah Yoab?” “Ya,” jawab Yoab. “Dengarkanlah kata-kata saya,” kata wanita itu. “Baiklah, saya dengarkan,” kata Yoab. Wanita itu berkata, “Dahulu orang biasanya berkata, ‘Pergilah ke kota Abel untuk minta petunjuk!’ - dan itulah yang dilakukan mereka. Kota kami ini besar, salah sebuah kota yang paling aman dan setia di negeri Israel. Mengapakah tuan hendak memusnahkannya? Inginkah tuan memusnahkan milik TUHAN?” Yoab menjawab, “Sama sekali tidak! Saya tidak bermaksud merosakkan atau memusnahkan kota kamu ini! Itu bukanlah rancangan kami. Seorang yang bernama Seba anak Bikri, yang berasal dari kawasan perbukitan Efraim, telah memulakan pemberontakan terhadap Raja Daud. Serahkanlah orang itu, lalu saya akan berundur dari kota ini.” “Baiklah,” kata wanita itu. “Kami akan melemparkan kepalanya kepada tuan dari atas tembok ini.” Kemudian perempuan itu berunding dengan penduduk kota itu sambil membentangkan rancangannya. Lalu mereka memancung kepala Seba dan melemparkannya kepada Yoab dari atas tembok. Selepas itu Yoab meniup trompet sebagai tanda bagi anak buahnya untuk meninggalkan kota itu. Anak buah Yoab pulang, lalu dia pun pulang ke Yerusalem untuk menghadap raja. Inilah para pegawai tinggi yang dilantik oleh Raja Daud: Panglima seluruh tentera Israel: Yoab Ketua pengawal peribadi Raja Daud: Benaya anak Yoyada Ketua buruh paksa: Adoram Bendahara negeri: Yosafat anak Ahilud Setiausaha negeri: Seya Imam: Zadok dan Abyatar Imam di istana: Ira dari kota Yair. Pada masa pemerintahan Raja Daud, kebuluran yang dahsyat pernah berlaku selama tiga tahun. Oleh itu Raja Daud bertanya kepada TUHAN, lalu TUHAN menjawab, “Raja Saul dan keluarganya sudah berdosa. Mereka telah membunuh orang Gibeon.” ( Orang Gibeon bukan orang Israel; mereka sekelompok kecil bangsa Amori. Umat Israel telah berjanji untuk melindungi mereka, tetapi Raja Saul telah berusaha untuk membinasakan mereka kerana baginda menjaga kepentingan umat Israel dan Yehuda.) Oleh itu Raja Daud memanggil orang Gibeon dan bertanya kepada mereka, “Apakah yang dapat beta lakukan bagi kamu? Beta hendak menebus kesalahan yang telah dilakukan kepada kamu, supaya kamu akan memberkati umat TUHAN.” Mereka berkata, “Pertikaian antara kami dengan Raja Saul dan keluarganya tidak dapat diselesaikan dengan perak ataupun emas. Tetapi kami tidak mahu membunuh seorang pun umat Israel.” Kemudian Raja Daud bertitah, “Jika begitu, apakah yang kamu ingin beta lakukan?” Mereka menjawab, “Raja Saul hendak membinasakan kami semua supaya kami lenyap dari seluruh Israel. Oleh itu, serahkanlah tujuh orang lelaki daripada keturunannya supaya kami menggantung mereka di hadapan TUHAN di Gibea, kota asal Raja Saul, raja pilihan TUHAN.” Raja menjawab, “Baiklah, beta akan menyerahkan mereka kepada kamu.” Oleh sebab Raja Daud dan Yonatan sudah bersumpah kepada satu sama lain, Raja Daud tidak menyerahkan Mefiboset anak Yonatan, cucu Raja Saul, kepada mereka. Tetapi Raja Daud menyerahkan Armoni dan Mefiboset kepada mereka, iaitu dua orang putera Raja Saul yang dilahirkan oleh Rizpa anak Aya. Raja Daud juga menyerahkan lima orang anak lelaki Merab puteri Raja Saul, iaitu anak-anak Merab dan suaminya Adriel anak Barzilai, yang berasal dari Mehola. Raja Daud menyerahkan mereka kepada orang Gibeon. Orang Gibeon menggantung mereka di atas gunung di hadapan TUHAN, dan ketujuh-tujuh orang itu mati. Hukuman mati itu dilaksanakan pada akhir musim bunga, ketika musim menuai barli baru bermula. Kemudian Rizpa gundik Raja Saul, membentangkan kain guni untuk dirinya di atas batu tempat mayat-mayat itu terlantar. Dia tinggal di situ dari permulaan musim menuai sehingga hujan turun pada musim luruh. Pada siang hari dia mengusir burung daripada menghinggapi mayat, dan pada malam hari, dia melindungi mayat itu daripada binatang buas. Apabila Raja Daud mendengar apa yang dilakukan oleh Rizpa, Raja Daud pergi mengambil tulang-tulang Raja Saul dan puteranya Yonatan, dari penduduk kota Yabes di Gilead. (Penduduk Yabes telah mencuri tulang-tulang itu dari padang kota di Bet-San, tempat orang Filistin menggantung mayat-mayat itu pada hari mereka membunuh Raja Saul di Gunung Gilboa.) Raja Daud mengambil tulang-tulang Raja Saul dan Yonatan, lalu mengumpulkan juga tulang-tulang tujuh orang yang telah digantung itu. Selepas itu tulang-tulang Raja Saul dan Yonatan, serta tulang-tulang tujuh orang itu dikuburkan di kubur Kish, ayahanda Raja Saul, di Zela di dalam wilayah Benyamin, sebagaimana yang diperintahkan raja. Selepas itu barulah Allah mengabulkan doa mereka bagi negeri itu. Suatu peperangan terjadi lagi antara orang Filistin dan umat Israel, lalu Raja Daud dan anak buahnya pergi berperang melawan orang Filistin. Dalam salah satu pertempuran itu Raja Daud menjadi letih. Ketika itu seorang raksasa bernama Yisbi-Benob menyangka bahawa dia dapat membunuh Raja Daud. Raksasa itu membawa sebatang tombak gangsa yang beratnya kira-kira 3.5 kilogram, dan dia menyandang sebilah pedang yang baru. Tetapi Abisai anak Zeruya, datang menolong Raja Daud. Abisai menyerang raksasa itu dan membunuh dia. Kemudian anak buah Raja Daud memohon supaya Raja Daud berjanji tidak akan pergi bertempur lagi bersama dengan mereka. “Tuanku adalah harapan Israel,” kata mereka. “Kami tidak mahu kehilangan tuanku.” Selepas itu berlaku lagi satu pertempuran antara umat Israel dengan orang Filistin di Gob. Sibkhai, orang dari Husa, membunuh seorang raksasa yang bernama Saf. Dalam pertempuran lain dengan orang Filistin di Gob, Elhanan anak Yair, orang dari Betlehem membunuh Goliat yang berasal dari Gat. Gagang tombak Goliat sebesar kayu alat tenun. Selepas itu ada satu lagi pertempuran di Gat. Di sana ada seorang raksasa yang suka sekali berperang. Dia mempunyai enam jari pada setiap tangan dan kakinya. Dia mengejek umat Israel, dan Yonatan anak Simea, membunuh dia. Simea ialah abang Raja Daud. Keempat-empat orang itu keturunan raksasa dari Gat dan semuanya dibunuh oleh Raja Daud dan anak buah baginda. Selepas TUHAN menyelamatkan Daud daripada Raja Saul dan musuh-musuhnya yang lain, Daud menyanyikan lagu ini bagi TUHAN: TUHAN ialah pelindungku; Dia bagaikan kubu yang kuat bagiku. Allahku tempat perlindunganku, aku selamat bersama dengan Dia. Dia melindungi aku seperti perisai; Dia membela dan menjaga aku supaya aku selamat. Dialah penyelamatku; Dia melindungi aku dan menyelamatkan aku daripada keganasan. Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, dan Dia menyelamatkan aku daripada musuhku. Ombak maut mengelilingi aku, banjir kebinasaan menggenangi aku. Bahaya maut mengelilingi aku, dan kubur memasang perangkap untukku. Dalam kesusahan aku berseru kepada TUHAN; Aku berseru kepada Allahku minta pertolongan. Di dalam Rumah-Nya Dia mendengar suaraku; Dia memperhatikan seruanku. Kemudian bumi bergegar dan bergoncang; dasar langit bergetar dan bergoyang, kerana Allah murka! Asap berhembus dari hidung-Nya, api dan bara keluar dari mulut-Nya. Dia membelah langit lalu turun dengan awan gelap di bawah kaki-Nya. Dia terbang laju dengan mengendarai kerub; Dia melayang di atas sayap angin. Dia menyelubungi diri-Nya dengan kegelapan; awan mendung yang tebal mengelilingi Dia; Bara api menyala-nyala dari kilat yang di hadapan-Nya. Kemudian TUHAN mengguntur dari angkasa, dan Yang Maha Tinggi memperdengar suara-Nya. Dia melepaskan anak panah-Nya, dan mencerai-beraikan musuh-Nya. Dia memancarkan kilat sehingga menyebabkan mereka lari. Dasar lautan tersingkap, dan asas bumi terdedah, ketika TUHAN menegur musuh-Nya, dan bertempik dengan murka terhadap mereka. Dari atas TUHAN menghulurkan tangan-Nya, Dia memegang aku, lalu menarik aku keluar dari air yang dalam. Dia menyelamatkan aku daripada musuhku yang kuat, dan daripada mereka yang membenci aku, kerana mereka terlalu kuat bagiku. Ketika aku dalam kesusahan, mereka menyerang aku, tetapi TUHAN melindungi aku. Dia melepaskan aku daripada bahaya; Dia menyelamatkan aku kerana Dia berkenan kepadaku. TUHAN mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar; Dia memberkati aku kerana aku tidak bersalah. Aku mematuhi Taurat TUHAN; aku tidak meninggalkan Allahku. Aku telah mentaati segala hukum-Nya; aku tidak pernah mengingkari perintah-Nya. Dia tahu bahawa aku tidak bercela, dan aku menjauhkan diri daripada kesalahan. Oleh itu Dia mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar, kerana Dia tahu bahawa aku tidak bersalah. Ya TUHAN, Engkau setia kepada orang yang setia kepada-Mu, dan Engkau sangat baik kepada orang yang baik. Engkau menyatakan diri-Mu suci kepada orang yang suci, tetapi Engkau memusuhi orang yang jahat. Engkau menyelamatkan orang yang rendah hati, tetapi Engkau merendahkan orang yang sombong. Ya TUHAN, Engkaulah cahayaku; Engkau menerangi kegelapanku. Engkau memberi aku kekuatan untuk menyerang musuhku, dan kuasa untuk menembusi pertahanan mereka. Betapa sempurnanya perbuatan Allah ini, firman TUHAN dapat dipercayai. Dia umpama perisai bagi semua orang yang berlindung pada-Nya. TUHAN satu-satunya Allah; hanya Allah pembela kita. Dialah Allah yang melindungi aku; Dia menjadikan jalanku aman. Dia menguatkan kakiku seperti kaki rusa; Dia menjaga keselamatanku di pergunungan. Dia melatih aku untuk berperang, supaya aku dapat melengkungkan busur yang terkuat. Ya TUHAN, Engkau melindungi dan menyelamatkan aku; pertolongan-Mu telah menjadikan aku agung. Engkau menjaga aku supaya aku tidak ditawan, dan aku tidak pernah jatuh. Aku mengejar musuhku dan mengalahkan mereka; aku tidak berhenti sebelum aku membinasakan mereka. Aku memukul mereka sehingga mereka tidak dapat bangun; mereka rebah kerana kalah di hadapanku. Engkau memberi aku tenaga untuk bertempur, dan kemenangan atas musuhku. Engkau menyebabkan musuh lari daripadaku; aku membinasakan orang yang membenci aku. Mereka mencari pertolongan, tetapi tiada sesiapa pun menyelamatkan mereka; mereka berseru kepada TUHAN, tetapi Dia tidak menjawab. Aku menghancurkan mereka, sehingga mereka menjadi seperti debu; Aku memijak-mijak mereka seperti lumpur di jalan. Engkau menyelamatkan aku daripada umat yang memberontak, dan menjadikan aku pemerintah bangsa-bangsa; bangsa yang tidak aku kenal kini menjadi rakyatku. Bangsa asing tunduk kepadaku, dan taat apabila mereka mendengar perintahku. Mereka hilang keberanian; mereka gementar dan keluar dari kubu pertahanan. TUHAN hidup! Pujilah pembelaku! Isytiharkanlah keagungan Allah Penyelamatku! Dia memberi aku kemenangan atas musuhku; Dia menaklukkan bangsa-bangsa di hadapanku, dan menyelamatkan aku daripada lawanku. Ya TUHAN, Engkau memberi aku kemenangan atas musuhku, dan melindungi aku daripada orang ganas. Oleh itu aku memuji Engkau di kalangan bangsa-bangsa; aku menyanyikan lagu pujian untuk-Mu. Allah memberikan kemenangan besar kepada raja pilihan-Nya; Dia tetap mengasihi orang yang dilantik-Nya, iaitu Daud dan keturunannya, untuk selama-lamanya. Raja Daud anak Isai adalah orang yang dijadikan orang besar oleh Allah, dan telah dilantik menjadi raja oleh Allah Yakub. Raja Daud telah menggubah banyak lagu yang indah bagi Israel, dan inilah ucapan baginda yang terakhir: Roh TUHAN berfirman melalui aku; firman-Nya ada pada bibirku. Allah Israel sudah berfirman; pelindung Israel berfirman kepadaku, “Raja yang memerintah dengan adil, yang memerintah dengan ketaatan kepada Allah, raja itu seperti sinar fajar merekah pada awal pagi ketika langit cerah. Dia seperti sinar matahari selepas hujan, yang membuat rumput hijau indah berkilauan.” Demikianlah Allah akan memberkati keturunanku, kerana Dia telah membuat perjanjian yang kekal dengan aku, perjanjian yang tidak akan dibatalkan, janji yang tidak akan diubah. Itulah sahaja hasrat hatiku; itulah yang akan menjadi kemenanganku, dan Allah pasti akan menepatinya. Tetapi orang yang tidak mentaati Allah seperti duri yang dicampakkan. Tangan orang tidak dapat memegangnya; tiada seorang pun mahu menyentuhnya tanpa menggunakan batang besi, atau tombak. Orang seperti itu akan dibakar habis. Inilah nama para askar Raja Daud yang terkenal: Yang pertama ialah Ishbaal, orang Hakhmoni, pemimpin “Kumpulan Tiga.” Dia pernah berperang melawan 800 orang. Dia membunuh mereka semua dengan tombaknya dalam satu pertempuran. Orang kedua dalam “Kumpulan Tiga” ialah Eleazar anak Dodo, daripada puak Ahohi. Pada suatu hari, Eleazar dan Raja Daud bertempur dengan orang Filistin yang sudah berkumpul untuk berperang. Pada waktu itu pasukan Israel sudah berundur, tetapi Eleazar terus berjuang melawan orang Filistin sampai tangannya menjadi kejang, dan dia tidak dapat melepaskan pedangnya. Pada hari itu TUHAN memperoleh kemenangan yang besar. Tentera Israel yang telah berundur, kembali ke tempat Eleazar bertempur, lalu menanggalkan baju perang daripada mayat-mayat di situ. Orang ketiga dalam “Kumpulan Tiga” ialah Sama anak Age, dari Harar. Pada masa itu orang Filistin telah berkumpul di Lehi, di sebuah ladang kacang merah. Tentera Israel lari daripada orang Filistin, tetapi Sama tetap bertahan dan bertempur di ladang itu. Dia membunuh dan mengalahkan orang Filistin sehingga dia berjaya mempertahankan ladang itu. Demikianlah TUHAN memperoleh kemenangan yang besar pada hari itu. Apabila menjelang musim menuai, tiga orang daripada “Kumpulan Tiga Puluh” turun ke Gua Adulam. Pada masa itu Raja Daud berada di dalam gua itu. Sepasukan orang Filistin berkhemah di Lembah Refaim. Pada masa itu Raja Daud berada di suatu bukit yang mempunyai kubu, dan sepasukan orang Filistin sudah menduduki Betlehem. Raja Daud merindukan kampung halamannya, lalu baginda berkata, “Alangkah baiknya jika ada orang yang memberi beta minum air dari perigi dekat pintu gerbang di Betlehem!” Mendengar kata-kata itu, tiga orang askar yang terkenal itu menembusi pertahanan orang Filistin di Betlehem. Mereka menimba air dari perigi itu lalu membawanya kepada Raja Daud. Tetapi Raja Daud tidak mahu meminum air itu, malahan baginda mencurahkan air itu sebagai persembahan kepada TUHAN. Raja Daud bertitah, “Ya TUHAN, aku tidak sanggup minum air ini. Jika aku meminumnya, seolah-olah aku minum darah tiga orang yang mempertaruhkan nyawa mereka!” Raja Daud sama sekali tidak mahu minum air itu. Demikianlah keberanian tiga orang askar yang terkenal itu. Adik Yoab, iaitu Abisai (ibu mereka ialah Zeruya) ialah ketua pasukan “Kumpulan Tiga Puluh.” Abisai pernah berperang dengan tiga ratus orang dan membunuh mereka semua dengan tombaknya. Oleh itu dia menjadi terkenal di kalangan “Kumpulan Tiga Puluh.” Dialah yang paling masyhur di kalangan “Kumpulan Tiga Puluh” dan dia menjadi pemimpin mereka, tetapi dia tidak sehebat “Kumpulan Tiga.” Seorang askar lain yang termasyhur ialah Benaya anak Yoyada dari Kabzeel. Dia sangat berani, dan pernah membunuh dua orang pahlawan gagah dari Moab. Pada suatu hari, ketika salji turun, dia masuk ke dalam gua dan membunuh seekor singa. Dia pernah juga membunuh seorang Mesir, yang berbadan besar dan bersenjatakan tombak. Dia menyerang orang itu dengan belantannya. Lalu dia merampas tombak raksasa itu dan membunuhnya dengan tombak itu. Demikianlah jasa Benaya, salah seorang daripada “Kumpulan Tiga Puluh”. Dalam kumpulan itu Benaya ialah yang terkemuka, tetapi dia tidak sehebat “Kumpulan Tiga”. Raja Daud melantik dia menjadi ketua pengawal peribadinya. [24-39] Anggota-anggota lain daripada “Kumpulan Tiga Puluh” itu ialah: Asael, adik Yoab Elhanan anak Dodo orang Betlehem Sama dan Elika orang Harod Heles orang Palti Ira anak Ikes orang Tekoa Abiezer orang Anatot Mebunai orang Husa Zalmon orang Ahohi Maharai orang Netofa Heleb anak Baana orang Netofa Itai anak Ribai orang Gibea di wilayah suku Benyamin Benaya orang Piraton Hidai dari lembah-lembah Gaas Abialbon orang Araba Azmawet orang Bahurim Elyahba orang Saalbon Anak-anak Yasyen Yonatan Sama orang Harari Ahiam anak Sarar orang Harari Elifelet anak Ahasbai orang Maakha Eliam anak Ahitofel orang Gilo Hezro orang Karmel Paerai orang Arbi Yigal anak Natan orang Zoba Bani orang Gad Zelek orang Amon Naharai orang Beerot, pembawa senjata Yoab Ira dan Gareb orang Yetri Uria orang Het. Semuanya ada 37 orang askar yang termasyhur. TUHAN murka lagi kepada umat Israel, lalu Dia menyuruh Raja Daud untuk mendatangkan kesukaran kepada umat itu. TUHAN berfirman kepada Raja Daud, “Adakanlah pembancian penduduk Israel dan Yehuda.” Kemudian Raja Daud memerintah Yoab, panglima perang baginda, “Pergilah bersama dengan para pahlawanmu kepada semua suku Israel di seluruh negeri untuk mengadakan pembancian. Beta ingin tahu jumlah mereka.” Tetapi Yoab berkata kepada raja, “Semoga TUHAN, Allah tuanku melipatgandakan rakyat Israel sampai seratus kali daripada jumlah sekarang, dan semoga tuanku masih hidup supaya dapat melihatnya. Tetapi untuk apakah tuanku menghendaki pembancian ini?” Tetapi raja tetap berpegang pada perintahnya itu. Oleh itu Yoab dan para pahlawannya pergi membanci umat Israel. Setelah menyeberangi Sungai Yordan, Yoab dan anak buahnya berkhemah di sebelah selatan Aroer, sebuah kota di tengah-tengah lembah di wilayah Gad. Dari situ mereka pergi ke utara, ke Yaezer, lalu terus ke Gilead dan ke Kades di wilayah orang Het. Kemudian mereka pergi ke Dan, lalu dari Dan mereka membelok ke arah barat, ke kota Saida. Dari situ mereka pergi ke selatan, ke Tirus, kota yang berkubu itu. Seterusnya mereka pergi ke semua kota orang Hewi dan orang Kanaan, dan akhirnya ke Bersyeba, di bahagian selatan Yehuda. Mereka menjelajahi seluruh negeri dalam masa sembilan bulan dan dua puluh hari, lalu mereka kembali ke Yerusalem. Mereka memberikan laporan kepada raja tentang jumlah lelaki yang memenuhi syarat untuk menjadi askar: 800,000 orang di Israel dan 500,000 orang di Yehuda. Tetapi setelah membanci umat itu, Raja Daud berasa bersalah. Lalu baginda berkata kepada TUHAN, “Ya TUHAN, aku sangat berdosa! Ampunilah aku, kerana tindakanku itu sangat bodoh.” [11-12] TUHAN berfirman kepada Gad, nabi yang berkhidmat kepada Raja Daud, “Pergilah dan katakanlah kepada Raja Daud bahawa Aku memberikan tiga pilihan kepadanya. Apa saja yang dipilihnya akan Kulakukan.” Keesokan harinya, selepas Raja Daud bangun dari tidur, *** Gad datang menghadap baginda dan menyampaikan firman TUHAN kepadanya. Nabi itu bertanya, “Yang mana satu pilihan tuanku? Negeri ini ditimpa bencana kebuluran selama tiga tahun, atau tuanku lari dikejar musuh selama tiga bulan, atau negeri ini diserang wabak selama tiga hari? Fikirkanlah hal ini, dan beritahulah hamba jawapan yang akan hamba sampaikan kepada TUHAN.” Raja Daud menjawab, “Beta dalam keadaan yang sangat mencemaskan! Tetapi beta tidak mahu dihukum oleh manusia. Biarlah TUHAN sendiri yang menghukum kita, kerana Dia penuh belas kasihan.” Oleh itu TUHAN mendatangkan wabak kepada orang Israel mulai pagi hari itu sampai pada waktu yang telah ditetapkan-Nya. Sebanyak 70,000 orang meninggal di seluruh Israel. Malaikat TUHAN telah sampai di tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna, orang Yebusi. Ketika TUHAN nampak bahawa malaikat itu telah bersedia untuk memusnahkan Yerusalem, TUHAN mengubah keputusan-Nya untuk menghukum umat itu. Dia berfirman kepada malaikat yang sedang membunuh umat itu, “Cukup! Berhenti!” Raja Daud nampak malaikat yang sedang membunuh rakyat itu, lalu baginda berkata kepada TUHAN, “Akulah yang berdosa kerana aku melakukan kesalahan itu. Tetapi apakah kesalahan bangsa yang malang itu? Hukumlah aku dan keluargaku!” Pada hari itu juga Gad datang menghadap Raja Daud dan berkata kepadanya, “Hendaklah tuanku naik ke tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna, dan dirikanlah mazbah bagi TUHAN.” Maka Raja Daud berangkat, menurut perintah TUHAN yang disampaikan oleh Gad. Arauna melihat ke bawah, lalu nampak raja serta para pegawainya naik menuju ke tempatnya. Kemudian Arauna sujud di hadapan Raja Daud, lalu bertanya, “Apa maksud kedatangan tuanku?” Raja Daud menjawab, “Untuk membeli tempat mengirik gandum kepunyaanmu, dan untuk mendirikan mazbah bagi TUHAN, supaya wabak ini berhenti.” Arauna berkata, “Ambil saja tuanku, dan persembahkanlah apa saja yang dikehendaki tuanku, kepada TUHAN. Inilah lembu-lembu untuk dibakar sebagai korban di atas mazbah, dan tuanku boleh menggunakan koknya dan papan-papan tempat mengirik sebagai kayu api.” Arauna memberikan semua itu kepada raja, seraya berkata, “Kiranya TUHAN, Allah tuanku menerima persembahan tuanku.” Tetapi raja menjawab, “Tidak! Beta mahu membelinya. Beta tidak mahu mempersembahkan sesuatu yang beta dapat dengan percuma, kepada TUHAN, Allah beta.” Raja Daud membeli tempat mengirik gandum dan lembu-lembu itu dengan harga lima puluh keping wang perak. Kemudian Raja Daud mendirikan mazbah di situ bagi TUHAN, lalu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN serta korban untuk memohon berkat TUHAN. TUHAN mengabulkan doa Raja Daud, lalu wabak yang melanda Israel itu berhenti. Kini Raja Daud sudah sangat tua. Walaupun hamba-hamba raja menyelimutinya dengan selimut, baginda masih kesejukan. Oleh itu para pegawai raja berkata kepadanya, “Benarkanlah hamba sekalian mencari seorang gadis untuk tinggal bersama dengan tuanku dan menjaga tuanku. Dia akan tidur bersama-sama tuanku dan memanaskan badan tuanku.” Kemudian para pegawai mencari seorang gadis yang cantik di seluruh negeri Israel. Mereka menemui seorang gadis yang bernama Abisag di Sunem, lalu membawa dia kepada raja. Gadis itu sangat cantik. Dia melayani raja dan menjaga baginda, tetapi raja tidak bersetubuh dengan gadis itu. [5-6] Selepas Absalom meninggal, Adonia, putera Raja Daud dan Hagit, menjadi putera yang tertua. Adonia seorang pemuda yang sangat kacak. Raja Daud, ayahandanya, tidak pernah memarahi Adonia walaupun dia berbuat salah. Adonia ingin sekali menjadi raja. Oleh itu dia melengkapi dirinya dengan kereta kuda, pasukan berkuda, dan lima puluh orang sebagai pengawal peribadinya. *** Adonia berunding dengan Yoab (ibu Yoab bernama Zeruya) dan Imam Abyatar. Kedua-dua mereka bersetuju untuk menyokong Adonia. Tetapi Imam Zadok, Benaya anak Yoyada, Nabi Natan, Simei, Rei, dan pengawal peribadi Raja Daud tidak berpihak kepada Adonia. Pada suatu hari Adonia mempersembahkan korban domba, lembu jantan, dan anak lembu yang gemuk. Semua korban itu dipersembahkan di Batu Ular, dekat mata air En-Rogel. Adonia menjemput putera-putera Raja Daud yang lain, dan para pegawai raja dari Yehuda ke jamuan itu, tetapi dia tidak menjemput Salomo adik tirinya, Nabi Natan, Benaya, dan pengawal peribadi raja. Kemudian Nabi Natan pergi berjumpa dengan Batsyeba, ibu Salomo, dan bertanya kepadanya, “Belumkah permaisuri mendengar bahawa Adonia anak Hagit, telah mengangkat dirinya sendiri sebagai raja? Tetapi Raja Daud tidak tahu tentang hal itu! Jika permaisuri hendak menyelamatkan nyawa permaisuri sendiri dan nyawa Salomo, putera permaisuri, dengarlah nasihat hamba. Pergilah dengan segera kepada Raja Daud, dan tanyalah kepada baginda, ‘Bukankah tuanku telah berjanji bahawa Salomo, putera hamba akan menggantikan tuanku sebagai raja? Mengapakah sekarang Adonia pula yang menjadi raja?’ ” Nabi Natan berkata lagi, “Sedang permaisuri bercakap dengan Raja Daud nanti, hamba akan datang dan mengesahkan kata-kata permaisuri.” Oleh itu Batsyeba menghadap raja di bilik tidurnya. Raja sudah sangat tua dan Abisag, gadis dari Sunem itu sedang menjaga baginda. Batsyeba bersujud di hadapan raja, lalu raja bertanya kepadanya, “Apakah hajatmu?” Batsyeba menjawab, “Tuanku telah berjanji demi TUHAN, Allah tuanku, bahawa Salomo, putera hamba akan menggantikan tuanku sebagai raja. Tetapi sekarang Adonia sudah menjadi raja, dan tuanku tidak tahu tentang hal itu. Dia telah mempersembahkan banyak lembu jantan, domba, dan anak lembu yang gemuk sebagai korban, serta menjemput putera-putera tuanku, Imam Abyatar, dan Yoab, panglima tentera tuanku, ke jamuan itu, tetapi Adonia tidak menjemput Salomo, putera tuanku. Sekarang segenap rakyat sedang menanti-nantikan titah tuanku tentang siapa yang akan menggantikan tuanku sebagai raja. Jika tuanku tidak memberikan keputusan itu, tentu segera sesudah tuanku mangkat, Salomo, putera hamba dan hamba akan dituduh sebagai pengkhianat.” Sedang Batsyeba bercakap, Nabi Natan tiba di istana. Raja Daud diberitahu tentang kedatangan Nabi Natan, lalu Nabi Natan masuk dan bersujud di hadapan raja. Nabi Natan berkata kepada raja, “Adakah tuanku telah bertitah bahawa Adonia akan menggantikan tuanku sebagai raja? Pada hari ini Adonia telah mempersembahkan banyak lembu jantan, domba dan anak lembu yang digemukkan sebagai korban. Dia menjemput semua putera tuanku, Yoab panglima tentera tuanku, dan Imam Abyatar. Pada masa ini mereka sedang berpesta bersama-sama Adonia sambil bersorak, ‘Daulat Tuanku Raja Adonia!’ Tetapi Adonia tidak menjemput hamba, Imam Zadok, Benaya anak Yoyada, dan Salomo. Adakah tuanku yang memperkenankan Adonia melakukan semua itu tanpa memberitahu para pegawai tuanku siapa yang akan menggantikan tuanku sebagai raja?” Raja Daud bertitah, “Suruhlah Batsyeba masuk dan menghadap semula.” Batsyeba masuk dan berdiri di hadapan raja. Raja bertitah kepadanya, “Beta berjanji demi TUHAN yang hidup, yang telah menyelamatkan beta daripada segala kesusahan, bahawa pada hari ini beta akan menepati janji beta kepadamu demi nama TUHAN, Allah Israel, bahawa puteramu Salomo akan menggantikan beta sebagai raja.” Batsyeba bersujud dan berkata, “Daulat, tuanku!” Kemudian Raja Daud memanggil Zadok, Natan, dan Benaya. Apabila mereka menghadap, Raja Daud bertitah kepada mereka, “Bawalah Salomo, putera beta, ke mata air di Gihon. Biarlah dia menunggangi baghal beta dan bawalah bersama-sama kamu para pegawai istana. Di sana hendaklah Zadok dan Natan melantik Salomo menjadi raja Israel. Selepas itu tiuplah trompet dan bersoraklah, ‘Daulat Tuanku Raja Salomo!’ Iringilah dia kembali ke sini supaya dia menduduki takhta beta. Dia akan menggantikan beta sebagai raja kerana dialah yang telah beta pilih untuk menjadi penguasa di Israel dan Yehuda.” “Baik, tuanku,” jawab Benaya. “Semoga perkara ini disahkan TUHAN, Allah tuanku. Sebagaimana TUHAN telah menyertai tuanku, semoga Dia juga menyertai Salomo dan menjadikan kerajaannya lebih makmur daripada kerajaan tuanku.” Kemudian Zadok, Natan, Benaya dan pengawal peribadi raja mempersilakan Salomo naik ke atas baghal Raja Daud, lalu mengiringinya ke mata air di Gihon. Zadok mengambil bekas minyak zaitun yang dibawanya dari Khemah TUHAN, lalu melumuri Salomo dengan minyak itu untuk melantik dia. Mereka meniup trompet lalu semua orang bersorak, “Daulat Tuanku Raja Salomo!” Selepas itu mereka mengiringi Raja Salomo balik ke istana sambil bersorak-sorak dan meniupkan seruling. Suara mereka begitu kuat sehingga bumi seakan-akan terbelah kerana keriuhan itu. Adonia dan para jemputannya baru selesai berpesta ketika mereka mendengar keriuhan itu. Apabila Yoab mendengar bunyi trompet, dia bertanya, “Apakah yang menyebabkan keriuhan di dalam kota itu?” Sedang dia berkata-kata, Yonatan anak Imam Abyatar tiba. Adonia berkata kepadanya, “Kamu orang baik, tentu kamu membawa berita baik. Silalah masuk.” “Saya tidak membawa berita baik,” jawab Yonatan. “Tuanku Raja Daud telah melantik Salomo menjadi raja. Baginda menyuruh Zadok, Natan, Benaya, dan pengawal peribadi raja untuk mengiringi Salomo. Mereka telah menaikkan Salomo ke atas baghal raja. Zadok dan Natan melantik Salomo menjadi raja dengan melumuri kepalanya dengan minyak, di mata air Gihon. Selepas itu mereka masuk ke dalam kota sambil bersorak-sorak. Itulah keriuhan yang kamu dengar tadi. Sekarang Salomo yang menjadi raja. Lagi pun para pegawai istana masuk menghadap Raja Daud untuk mengucapkan tahniah kepada baginda. Mereka berkata, ‘Semoga Allah tuanku menjadikan Raja Salomo lebih termasyhur daripada tuanku, dan semoga kerajaan baginda lebih makmur daripada kerajaan tuanku.’ Kemudian Raja Daud bersujud di tempat tidurnya untuk menyembah TUHAN, sambil berdoa, ‘Terpujilah Engkau, ya TUHAN, Allah Israel. Pada hari ini Engkau telah melantik salah seorang keturunanku menjadi raja untuk menggantikan aku. Engkau telah membenarkan aku menyaksikannya!’ ” Kemudian para jemputan Adonia berasa takut. Mereka berdiri dan meninggalkan tempat itu, masing-masing pergi mengikut jalannya sendiri. Adonia sangat takut kepada Raja Salomo sehingga dia pergi ke Khemah TUHAN, lalu memegang unjuran-unjuran mazbah. Raja Salomo diberitahu bahawa Adonia takut kepada baginda dan dia sedang memegang unjuran-unjuran mazbah. Adonia berkata, “Hamba tidak akan pergi dari sini sebelum Raja Salomo bersumpah bahawa baginda tidak akan membunuh hamba.” Raja Salomo menjawab, “Jika Adonia setia, dia tidak akan dihukum sedikit pun. Tetapi jika dia tidak setia, dia akan dibunuh.” Kemudian Raja Salomo menyuruh orang menurunkan Adonia dari mazbah itu. Adonia datang menghadap raja dan bersujud di hadapan baginda. Raja bertitah kepadanya, “Baiklah, kamu boleh pulang.” Apabila Raja Daud sudah hampir mangkat, baginda memanggil Raja Salomo, putera baginda, dan memberikan pesannya yang terakhir. Raja Daud bertitah, “Masa kemangkatan beta sudah sampai. Hendaklah engkau yakin dan berani. Lakukanlah apa yang diperintahkan TUHAN, Allahmu kepadamu. Taatilah semua hukum dan perintah-Nya yang tertulis di dalam Taurat Musa, supaya ke mana sahaja engkau pergi, engkau akan berjaya dalam segala usahamu. Jika engkau taat kepada TUHAN, Dia akan menepati janji yang dibuat-Nya ketika Dia memberitahu beta bahawa keturunan beta akan memerintah Israel, selama mereka benar-benar mentaati semua perintah-Nya dan setia terhadap-Nya dengan segenap hati dan jiwa mereka. Ada satu perkara lagi. Engkau masih ingat perbuatan Yoab terhadap beta. Dia membunuh dua orang panglima tentera Israel, Abner anak Ner dan Amasa anak Yeter. Engkau masih ingat cara dia membunuh mereka pada masa damai untuk membalas dendam pembunuhan pada masa perang. Dia telah membunuh orang yang tidak bersalah, tetapi sekarang betalah yang harus menanggung akibat perbuatannya dan betalah yang menderita. Engkau tahu apa yang harus dilakukan; jangan biar dia meninggal secara biasa. Tetapi hendaklah engkau berlaku baik terhadap anak-anak Barzilai, orang Gilead itu. Tanggunglah keperluan mereka kerana mereka baik terhadap beta ketika beta melarikan diri daripada abangmu Absalom. Ada lagi seorang yang bernama Simei anak Gera, dari kota Bahurim di wilayah Benyamin. Dia mengutuk beta dengan kejam pada waktu beta pergi ke Mahanaim. Tetapi apabila dia datang berjumpa dengan beta di Sungai Yordan, beta berjanji demi TUHAN bahawa beta tidak akan membunuh dia. Tetapi jangan biar dia terlepas daripada hukuman. Engkau tahu apa yang harus dilakukan; pastikanlah supaya dia dihukum mati.” Raja Daud mangkat dan dimakamkan di Kota Daud. Baginda menjadi raja Israel selama empat puluh tahun: baginda memerintah di Hebron selama tujuh tahun, dan di Yerusalem selama tiga puluh tiga tahun. Kemudian Raja Salomo menjadi raja menggantikan Raja Daud, ayahandanya. Kekuasaan Raja Salomo sebagai raja menjadi kukuh. Selepas itu Adonia anak Hagit, pergi berjumpa dengan Batsyeba, bonda Raja Salomo. Batsyeba bertanya kepada Adonia, “Adakah kedatanganmu ini dengan maksud baik?” “Ya,” jawab Adonia. Adonia berkata lagi, “Ada sesuatu yang hendak saya minta daripada puan.” “Apakah itu?” tanya Batsyeba. Adonia berkata, “Puan tahu bahawa sayalah yang seharusnya menjadi raja, dan itulah yang diharapkan oleh setiap orang Israel. Tetapi perkara itu tidak berlaku, dan adik saya pula yang menjadi raja, kerana itulah kehendak TUHAN. Sekarang saya ada satu permintaan; tolong jangan tolak permintaan saya ini.” “Apakah permintaanmu itu?” tanya Batsyeba. Adonia menjawab, “Tolonglah mohon kepada Raja Salomo - saya tahu raja tidak akan menolak permintaan puan - supaya membenarkan saya berkahwin dengan Abisag, gadis dari Sunem itu.” “Baiklah,” jawab Batsyeba. “Saya akan menyampaikan permintaanmu kepada raja.” Kemudian Batsyeba menghadap Raja Salomo untuk menyampaikan hal itu bagi pihak Adonia. Raja berdiri menyambut bondanya dan bersujud di hadapannya. Raja Salomo duduk di atas takhtanya, lalu menyediakan sebuah takhta lagi di sebelah kanan untuk bonda baginda. Batsyeba berkata, “Bonda ingin meminta sesuatu yang kecil saja daripadamu; tolong jangan tolak permintaan bonda.” “Apakah permintaan bonda?” tanya Raja Salomo. “Saya tidak akan menolak permintaan bonda.” Batsyeba berkata, “Benarkanlah abangmu Adonia berkahwin dengan Abisag.” Raja Salomo bertanya, “Mengapakah bonda menyuruh saya memberikan Abisag kepada Adonia? Itu sama saja dengan meminta saya menyerahkan takhta saya kepadanya. Bukankah dia abang saya? Lagi pula, Imam Abyatar dan Yoab berpihak kepadanya!” Kemudian Raja Salomo bersumpah demi TUHAN, titahnya, “Biarlah Allah membunuh beta jika beta tidak menjatuhkan hukuman mati kepada Adonia kerana meminta perkara itu! TUHAN telah mengukuhkan kedudukan beta di atas takhta ayahanda beta, Raja Daud. TUHAN telah menepati janji-Nya dan telah memberikan kerajaan ini kepada beta dan keturunan beta. Beta bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa Adonia akan mati pada hari ini juga!” Kemudian Raja Salomo memberikan perintah kepada Benaya, lalu Benaya pergi membunuh Adonia. Selepas itu Raja Salomo bertitah kepada Imam Abyatar, “Pulanglah ke kampung halamanmu di Anatot. Kamu sepatutnya dihukum mati, tetapi beta tidak akan menjatuhkan hukuman itu kepadamu sekarang, kerana ketika kamu masih bersama dengan ayahanda beta, kamu menjaga Tabut Perjanjian TUHAN, dan kamu ikut menderita bersama dengan ayahanda beta.” Raja Salomo memecat Abyatar daripada pekerjaannya sebagai imam TUHAN. Dengan demikian, berlakulah apa yang difirmankan TUHAN di Silo tentang Imam Eli dan keturunannya. Yoab mendengar apa yang telah berlaku. (Dia telah berpihak kepada Adonia, tetapi dia tidak berpihak kepada Absalom.) Oleh itu dia lari ke Khemah TUHAN dan memegang unjuran-unjuran mazbah. Berita tentang Yoab yang telah pergi ke Khemah TUHAN dan berada di sisi mazbah, disampaikan kepada Raja Salomo. Oleh itu Raja Salomo menyuruh orang untuk menanyakan Yoab sebabnya dia pergi ke Khemah TUHAN. Yoab menjawab bahawa dia lari kepada TUHAN kerana dia takut akan Raja Salomo. Oleh itu Raja Salomo menyuruh Benaya membunuh Yoab. Benaya pergi ke Khemah TUHAN lalu berkata kepada Yoab, “Raja menyuruh kamu keluar.” Yoab menjawab, “Tidak. Saya mahu mati di sini.” Benaya balik kepada raja dan memberitahu baginda jawapan Yoab. Raja bertitah, “Laksanakanlah apa yang dikatakan Yoab. Bunuhlah dia dan kebumikanlah dia. Dengan demikian beta dan keturunan Raja Daud yang lain tidak lagi bertanggungjawab terhadap perbuatan Yoab ketika dia membunuh orang yang tidak bersalah. TUHAN akan menghukum Yoab kerana pembunuhan yang dilakukannya tanpa pengetahuan Raja Daud, ayahanda beta. Yoab membunuh dua orang yang tidak bersalah, dua orang yang lebih baik daripadanya: Abner panglima tentera Israel dan Amasa panglima tentera Yehuda. Hukuman atas kematian dua orang pahlawan itu akan ditanggung oleh Yoab dan keturunannya sampai selama-lamanya. Tetapi TUHAN akan sentiasa memberikan kejayaan kepada keturunan Raja Daud yang duduk di atas takhta baginda.” Kemudian Benaya pergi ke Khemah TUHAN, lalu membunuh Yoab. Yoab dikebumikan di rumahnya di luar kota. Kemudian Raja Salomo melantik Benaya menjadi panglima tentera untuk menggantikan Yoab, dan melantik Imam Zadok untuk menggantikan Abyatar. Selepas itu Raja Salomo memanggil Simei dan bertitah kepadanya, “Binalah sebuah rumah bagimu sendiri di sini, di Yerusalem. Tinggallah di situ dan jangan tinggalkan kota. Jika engkau keluar dan menyeberangi sungai kecil Kidron, tentu engkau akan dibunuh, dan engkau sendirilah yang bertanggungjawab terhadap kematianmu.” “Baiklah tuanku,” jawab Simei. “Hamba akan taat kepada titah tuanku.” Maka Simei tinggal lama di Yerusalem. Tetapi tiga tahun kemudian, dua orang abdi Simei lari kepada Raja Akhis anak Maakha, raja Gat. Apabila Simei mendengar bahawa abdi-abdinya berada di Gat, dia menunggang keldainya lalu pergi kepada Raja Akhis di Gat untuk mencari mereka. Setelah dia menjumpai mereka, dia membawa mereka pulang. Apabila Raja Salomo mendengar hal yang dilakukan Simei, baginda memanggil Simei dan bertitah kepadanya, “Tidakkah beta menyuruh engkau bersumpah demi TUHAN bahawa engkau tidak sekali-kali akan meninggalkan Yerusalem? Beta telah memberikan amaran kepadamu bahawa jika engkau berbuat demikian engkau akan mati! Tidakkah engkau telah bersetuju dan berkata bahawa engkau akan taat kepada titah beta? Mengapakah engkau mungkir janji dan melanggar perintah beta? Engkau tentu tahu akan segala kesalahanmu terhadap Raja Daud, ayahanda beta. Sekarang TUHAN akan menghukum engkau kerana perbuatanmu itu. Tetapi Dia akan memberkati beta dan mengukuhkan kerajaan Raja Daud selama-lamanya.” Selepas itu Raja Salomo memerintahkan Benaya supaya pergi membunuh Simei. Kini Raja Salomo berkuasa penuh dalam kerajaan baginda. Raja Salomo menjadikan raja Mesir sekutunya dengan mengahwini puteri raja Mesir. Raja Salomo membawa puteri itu tinggal di Kota Daud sehingga pembinaan istana Raja Salomo, Rumah TUHAN, dan tembok di sekeliling kota Yerusalem selesai. Pada masa itu Rumah TUHAN belum dibina. Oleh itu rakyat mempersembahkan korban di mazbah-mazbah di berbagai-bagai tempat. Raja Salomo mengasihi TUHAN dan menurut nasihat Raja Daud, ayahandanya, tetapi Raja Salomo pun menyembelih binatang dan mempersembahkannya sebagai korban di mazbah-mazbah di berbagai-bagai tempat. Pada suatu masa Raja Salomo pergi ke Gibeon untuk mempersembahkan korban, kerana di situlah mazbah yang termasyhur. Baginda telah mempersembahkan beratus-ratus korban di mazbah itu dahulu. Tetapi pada malam itu TUHAN menampakkan diri kepada Raja Salomo dalam mimpi dan bertanya kepadanya, “Apakah yang engkau ingin Aku berikan kepadamu?” Raja Salomo menjawab, “Engkau telah menunjukkan kasih yang besar terhadap hamba-Mu Raja Daud, bapaku. Dia baik, setia, dan tulus terhadap-Mu. Engkau sentiasa menunjukkan kasih-Mu yang besar dan abadi terhadapnya dengan memberi dia seorang putera, yang kini memerintah untuk menggantikan dia. Ya TUHAN Allah, Engkau telah membenarkan aku menjadi raja menggantikan bapaku, walaupun aku masih sangat muda dan tidak tahu memerintah. Aku berada di kalangan bangsa yang telah Engkau pilih menjadi umat-Mu sendiri - suatu umat yang begitu besar bilangannya sehingga tidak dapat dihitung. Oleh itu kurniailah aku kebijaksanaan yang aku perlukan untuk memerintah umat-Mu dengan adil, dan supaya aku tahu membezakan yang baik daripada yang jahat. Jika tidak, mana mungkin aku sanggup memerintah umat-Mu yang besar ini?” TUHAN berkenan pada permintaan Raja Salomo itu. Lalu Dia berfirman kepada Raja Salomo, “Oleh sebab engkau telah minta kebijaksanaan dan bukan umur panjang, atau kekayaan, ataupun kematian musuhmu, Aku akan mengabulkan permintaanmu. Aku akan mengurniai engkau kebijaksanaan dan pengertian yang belum pernah dipunyai atau akan dipunyai sesiapa pun. Bahkan Aku akan mengurniakan juga perkara yang tidak engkau minta: seumur hidupmu engkau akan menjadi lebih kaya dan lebih dihormati orang daripada raja mana pun. Jika engkau taat kepada-Ku dan patuh kepada hukum-Ku seperti bapamu Daud dahulu, Aku akan mengurniai engkau umur panjang.” Apabila Raja Salomo terjaga, baginda sedar bahawa Allah telah berfirman kepada baginda dalam mimpi. Kemudian Raja Salomo pergi ke Yerusalem dan berdiri di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN. Raja Salomo mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Selepas itu Raja Salomo mengadakan jamuan bagi semua pegawai baginda. Pada suatu hari, dua orang pelacur perempuan menghadap Raja Salomo. Seorang daripada mereka berkata kepada raja, “Tuanku, perempuan ini tinggal serumah dengan hamba. Dia berada di rumah ketika hamba melahirkan seorang anak lelaki. Dua hari kemudian, dia pula melahirkan seorang anak lelaki. Kami berdua sahaja tinggal di rumah; tiada orang lain yang bersama-sama kami. Pada suatu malam, sedang perempuan ini tidur, dengan tidak sengaja dia menindih anaknya sehingga anak itu mati. Pada tengah malam, sedang hamba tidur, dia bangun dan mengambil anak hamba dari sisi hamba, lalu membawa anak hamba ke tempat tidurnya. Selepas itu dia meletakkan mayat anaknya di tempat tidur hamba. Esok paginya, ketika hamba bangun dan hendak menyusui anak hamba, hamba mendapati bahawa anak itu sudah mati. Apabila hamba melihat anak itu dengan lebih teliti, hamba mendapati bahawa anak itu bukan anak hamba.” Tetapi perempuan yang seorang lagi berkata, “Tidak! Anak yang hidup ini memang anakku. Anak yang sudah mati itu anakmu!” Perempuan yang pertama tadi berkata, “Tidak! Yang mati itu anakmu, dan yang hidup itu anakku!” Demikianlah mereka bertengkar di hadapan raja. Kemudian Raja Salomo bertitah, “Kamu masing-masing menuntut bahawa anak yang hidup ini anakmu, dan bahawa anak yang mati itu bukan anakmu.” Raja menyuruh orang membawa sebilah pedang, dan bertitah, “Potonglah anak yang hidup ini menjadi dua, dan berikanlah satu potong kepada masing-masing perempuan ini.” Mendengar perintah itu, ibu sebenar kepada anak itu berkata, “Ampun tuanku, tolong jangan bunuh anak itu! Berikanlah anak itu kepada perempuan ini!” Ibu itu berkata begitu kerana dia sangat mengasihi anaknya. Tetapi perempuan yang satu lagi berkata, “Tak payahlah tuanku berikan anak itu kepada sesiapa pun; potonglah anak ini.” Kemudian Raja Salomo bertitah, “Jangan bunuh anak itu! Berikanlah anak itu kepada perempuan yang pertama. Dialah ibunya.” Apabila umat Israel mendengar keputusan yang diberikan oleh Raja Salomo, mereka sangat menghormati baginda kerana mereka tahu bahawa Allah telah memberikan kebijaksanaan kepadanya untuk menjalankan keadilan. Raja Salomo telah menjadi raja seluruh negeri Israel. Inilah para pegawai Raja Salomo: Imam: Azarya anak Zadok Setiausaha negeri: Elihoref dan Ahia, iaitu anak-anak Sisa Bendahara negeri: Yosafat anak Ahilud Panglima tentera: Benaya anak Yoyada Para imam: Zadok dan Abyatar Ketua pegawai daerah: Azarya anak Natan Penasihat diraja: Imam Zabud anak Natan Pengurus pekerja istana: Ahisar Pengurus buruh paksa: Adoniram anak Abda Raja Salomo melantik dua belas orang menjadi pegawai daerah di Israel. Mereka bertugas menyediakan makanan dari wilayah mereka bagi raja dan seisi istana baginda. Masing-masing pegawai daerah bertanggungjawab selama satu bulan pada tiap-tiap tahun. Inilah nama para pegawai itu dan daerahnya: Ben-Hur: kawasan perbukitan Efraim Ben-Deker: kota Makas, Saalbim, Bet-Semes, Elon, dan Bet-Hanan Ben-Hesed: kota Arubot dan Sokho, serta seluruh wilayah Hefer Ben-Abinadab, suami Tafat, puteri Raja Salomo: seluruh kawasan Dor Baana anak Ahilud: kota Taanakh, Megido, dan seluruh kawasan dekat Bet-Sean, dekat kota Sartan, di sebelah selatan Yizreel, sampai kota Abel-Mehola dan Yokmeam Ben-Geber: kota Ramot di Gilead, termasuk semua pekan milik puak Yair, puak keturunan Manasye, dan wilayah Argob di Basan; kesemuanya 60 buah kota besar yang bertembok dan pintu gerbang berpalang gangsa Ahinadab anak Ido: daerah Mahanaim Ahimaas suami Basmat, puteri Raja Salomo: wilayah Naftali Baana anak Husai: kawasan Asyer dan kota Alot Yosafat anak Paruah: wilayah Isakhar Simei anak Ela: wilayah Benyamin Geber anak Uri: kawasan Gilead, yang pernah dikuasai oleh Raja Sihon, raja Amori itu dan Raja Og dari Basan. Selain dua belas orang pegawai daerah itu, seorang pegawai daerah juga dilantik bagi wilayah Yehuda. Penduduk Yehuda dan Israel sangat banyak, sebanyak pasir di pinggir laut. Mereka mempunyai cukup makanan dan minuman, serta hidup senang. Kerajaan Raja Salomo meliputi semua negeri dari Sungai Efrat sampai ke Filistea dan sempadan negeri Mesir. Penguasa negeri-negeri itu membayar ufti kepada Raja Salomo, dan mereka takluk kepada baginda sepanjang hayatnya. Bahan makanan yang diperlukan oleh Raja Salomo pada tiap-tiap hari ialah 5,000 liter tepung halus dan 10,000 liter tepung kasar, 10 ekor lembu kandang, 20 ekor lembu padang, dan 100 ekor domba, selain rusa, kijang, rusa dandi, dan unggas. Raja Salomo menguasai seluruh tanah di sebelah barat Sungai Efrat, dari Tifsah di Sungai Efrat sampai sejauh kota Gaza di sebelah barat. Semua raja di sebelah barat Sungai Efrat takluk kepada Raja Salomo, dan baginda bersahabat dengan semua negeri jiran. Selama hayat Raja Salomo, penduduk di seluruh Yehuda dan Israel hidup dengan tenteram, tiap-tiap keluarga mempunyai ladang anggur dan kebun ara. Raja Salomo mempunyai 40,000 buah kandang untuk kuda yang menarik kereta kuda, dan 12,000 ekor kuda bagi pasukan berkuda. Dua belas orang pegawai daerahnya, masing-masing bertanggungjawab terhadap makanan yang diperlukan oleh Raja Salomo dan semua orang yang makan di istananya. Para pegawai daerah itu bertanggungjawab pada bulan-bulan yang telah ditentukan bagi mereka. Mereka sentiasa menyediakan semuanya dengan secukupnya. Tiap-tiap pegawai daerah juga menyediakan barli dan jerami untuk kuda tunggangan dan kuda yang menarik kereta kuda, di mana sahaja makanan haiwan diperlukan. Allah memberi Raja Salomo kebijaksanaan dan hikmat yang luar biasa serta pengetahuan yang amat dalam. Raja Salomo menjadi lebih bijak daripada orang bijak di negeri Timur dan orang bijak di negeri Mesir. Baginda adalah orang yang paling bijaksana: lebih bijak daripada Etan orang Ezrahi dan Heman, Kalkol dan Darda, anak-anak Mahol. Nama Raja Salomo termasyhur di semua negeri jiran. Baginda mengarang 3,000 bidalan dan lebih daripada 1,000 mazmur. Baginda dapat berbicara tentang pokok dan tumbuh-tumbuhan: daripada pokok sedar yang tumbuh di pergunungan Lebanon sampai kepada rumput hisop yang tumbuh di tembok. Baginda berbicara tentang binatang, burung, reptilia, dan ikan. Raja-raja di seluruh dunia mendengar tentang kebijaksanaan Raja Salomo, dan mereka mengutus orang kepada baginda untuk mendengar ucapan baginda. Raja Hiram dari Tirus sentiasa bersahabat dengan Raja Daud. Oleh itu apabila Raja Hiram mendengar bahawa Raja Salomo telah memerintah menggantikan Raja Daud ayahandanya, baginda mengutus seorang duta kepada Raja Salomo. Kemudian Raja Salomo mengirimkan pesan ini kepada Raja Hiram, “Tuanku tahu bahawa Raja Daud, ayahanda beta sentiasa terpaksa berperang menentang musuh dari negeri-negeri di sekelilingnya. Sebelum TUHAN memberikan kemenangan kepadanya atas semua musuhnya itu, baginda tidak dapat membina Rumah tempat menyembah TUHAN, Allah baginda. Tetapi sekarang TUHAN, Allah beta telah memberikan ketenteraman di sepanjang sempadan negeri beta. Beta tidak mempunyai musuh, dan tidak ada lagi bahaya ancaman dari mana-mana pun. TUHAN telah berjanji kepada Raja Daud, ayahanda beta. Firman-Nya, ‘Puteramu yang akan Kulantik menjadi raja untuk menggantikan engkau akan membina Rumah untuk-Ku.’ Oleh itu beta telah membuat keputusan untuk membina Rumah tempat menyembah TUHAN, Allah beta. Sudilah menyuruh rakyat tuanku ke Lebanon untuk menebang pokok sedar bagi beta. Rakyat beta akan bekerjasama dengan rakyat tuanku. Beta akan membayar upah rakyat tuanku, menurut kadar yang tuanku tentukan. Sebagaimana tuanku maklum, rakyat tuanku lebih pandai menebang pokok daripada rakyat beta.” Raja Hiram sangat gembira menerima pesan Raja Salomo itu. Baginda bertitah, “Terpujilah TUHAN pada hari ini, kerana Dia telah memberikan seorang putera yang sangat bijaksana kepada Raja Daud untuk menggantikan baginda memerintah bangsa yang sedemikian besar!” Kemudian Raja Hiram mengirim jawapan ini kepada Raja Salomo, “Beta telah menerima pesan tuanku, dan beta bersedia memenuhi apa sahaja permintaan tuanku. Beta akan menyediakan kayu sedar Lebanon dan kayu sipres. Rakyat beta akan membawa balak itu turun dari Lebanon ke laut. Mereka akan mengikat balak-balak itu menjadi rakit lalu dihanyutkan menyusur pantai ke tempat pilihan tuanku. Di sana rakyat beta akan membongkar rakit-rakit itu, lalu bolehlah rakyat tuanku mengambilnya. Tanggungan tuanku adalah menyediakan makanan bagi rakyat beta.” Oleh itu Raja Hiram memberi Raja Salomo segala kayu sedar Lebanon dan kayu sipres yang dikehendakinya. Raja Salomo pula memberi Raja Hiram 322,500 kilogram gandum dan 400,000 liter minyak zaitun asli setiap tahun untuk makanan rakyat Raja Hiram. TUHAN menepati janji-Nya. Dia memberi Raja Salomo kebijaksanaan. Perhubungan antara Raja Hiram dan Raja Salomo baik, dan baginda berdua membuat ikatan perjanjian. Raja Salomo mengerahkan 30,000 orang lelaki dari seluruh Israel untuk pekerjaan paksa, dan melantik Adoniram menjadi pengurus mereka. Raja Salomo membahagikan mereka menjadi tiga kumpulan, 10,000 orang dalam satu kumpulan. Tiap-tiap kumpulan bekerja selama satu bulan di Lebanon dan tinggal di rumah selama dua bulan. Raja Salomo juga mempunyai 80,000 orang lelaki di pergunungan untuk memahat batu; 70,000 orang lelaki untuk mengangkat batu-batu itu. Baginda menugaskan 3,300 orang untuk mengawasi pekerjaan mereka. Dengan perintah Raja Salomo, mereka memahat batu-batu yang besar dan indah untuk dijadikan asas Rumah TUHAN. Para pekerja Raja Salomo dan pekerja Raja Hiram, dan juga orang dari kota Gebal menyediakan batu dan kayu untuk membina Rumah TUHAN. Selepas 480 tahun umat Israel meninggalkan Mesir, pada tahun keempat pemerintahan Raja Salomo, pada bulan Ziv, iaitu bulan kedua, Raja Salomo mula membina Rumah TUHAN. Ukuran bahagian dalam Rumah TUHAN adalah seperti berikut: panjangnya 27 meter, lebarnya 9 meter, dan tingginya 13.5 meter. Bilik di sebelah depan panjangnya 4.5 meter, dan lebarnya 9 meter, selebar Rumah itu juga. Tembok Rumah TUHAN mempunyai beberapa buah tingkap, yang ukuran sebelah luarnya lebih kecil daripada ukuran sebelah dalam. Pada tembok di sebelah luar, iaitu di sebelah kiri, kanan, dan belakang Rumah TUHAN, bilik-bilik yang bertingkat tiga dibina. Setiap tingkat tingginya 2.2 meter. Setiap bilik di tingkat bawah, lebarnya 2.2 meter. Setiap bilik di tingkat tengah, lebarnya 2.7 meter. Setiap bilik di tingkat atas, lebarnya 3.1 meter. Tembok Rumah TUHAN di tiap-tiap tingkat lebih tipis daripada tingkat di bawahnya, supaya kasau bilik-bilik tambahan itu dapat dihubungkan dengan tembok Rumah TUHAN tanpa melubangi tembok itu. Batu-batu yang dipakai untuk membina Rumah TUHAN disediakan di kuari, sehingga tidak terdengar bunyi penukul, kapak, atau perkakas besi yang lain pada masa Rumah TUHAN dibina. Pintu bagi tingkat pertama bilik tambahan itu dibuat di sebelah selatan Rumah TUHAN, dan tingkat-tingkat itu dihubungkan dengan tangga. Demikianlah Raja Salomo menyelesaikan pembinaan Rumah TUHAN. Dia menggunakan kasau-kasau dan papan daripada kayu sedar untuk siling Rumah TUHAN. Bilik tambahan yang bertingkat tiga itu, yang tingginya 2.2 meter bagi setiap tingkat, dibina di sebelah luar tembok Rumah TUHAN dan dihubungkan dengan kasau-kasau daripada kayu sedar. TUHAN berfirman kepada Raja Salomo, “Jika engkau taat kepada semua hukum dan perintah-Ku, maka bagimu Aku akan lakukan apa yang telah Kujanjikan kepada Daud, bapamu. Aku akan tinggal bersama dengan umat-Ku Israel di Rumah yang engkau bina ini, dan Aku tidak sekali-kali akan meninggalkan mereka.” Demikianlah Raja Salomo menyelesaikan pembinaan Rumah TUHAN. Tembok di sebelah dalam Rumah TUHAN dilapisi kayu sedar dari lantai sampai ke siling. Lantainya dibuat daripada kayu sipres. Sebuah bilik yang dinamakan Bilik Maha Suci dibina di bahagian belakang Rumah TUHAN. Panjangnya 9 meter, dan disekat dari lantai sampai siling dengan papan daripada kayu sedar. Bilik di hadapan Bilik Maha Suci itu panjangnya 18 meter. Tembok bahagian dalam seluruh Rumah TUHAN dilapisi kayu sedar, sehingga batu-batu temboknya tidak kelihatan sama sekali. Lapisan itu dihiasi ukiran buah labu dan bunga mekar. Di bahagian belakang Rumah TUHAN, sebuah bilik dibina untuk menyimpan Tabut Perjanjian TUHAN. Bilik itu panjangnya 9 meter, lebarnya 9 meter, dan tingginya 9 meter; seluruhnya dilapisi emas tulen. Mazbah di hadapan bilik itu dilapisi papan daripada kayu sedar. Bahagian dalam Rumah TUHAN dilapisi emas, dan rantai emas direntangkan pada pintu masuk bilik itu. Pintu ini juga dilapisi emas. Seluruh bahagian dalam Rumah TUHAN dilapisi emas. Demikian juga mazbah di Bilik Maha Suci. Dua kerub yang dibuat daripada kayu zaitun diletakkan di Bilik Maha Suci. Setiap kerub tingginya 4.4 meter. [24-26] Kedua-duanya sama besar dan serupa. Setiap kerub mempunyai dua sayap, dan setiap sayap panjangnya 2.2 meter. Jarak antara kedua-dua hujung sayap itu 4.4 meter jauhnya. *** *** Kedua-dua kerub itu diletakkan berdampingan di Bilik Maha Suci, supaya kedua-dua hujung sayapnya saling menyentuh di tengah-tengah bilik, dan hujung kedua-dua sayap yang satu lagi menyentuh dinding. Kedua-dua kerub itu dilapisi emas. Seluruh dinding bahagian dalam Rumah TUHAN dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar. Seluruh lantai di dalam Rumah TUHAN dilapisi emas. Pada pintu masuk Bilik Maha Suci itu dipasang dua daun pintu daripada kayu zaitun. Bahagian atas ambang pintu itu berbentuk lengkungan yang tajam. Daun-daun pintunya dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar. Daun pintu, kerub, dan pokok palma semuanya dilapisi emas. Bingkai pintu masuk ke bilik depan berbentuk segiempat bujur dan dibuat daripada kayu zaitun. Ada dua lagi daun pintu yang dapat dilipat, yang dibuat daripada kayu sipres. Daun-daun pintu itu dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar. Semuanya dilapisi emas. Sebuah halaman dibina di depan Rumah TUHAN. Halaman ini dikelilingi tembok yang dibuat berlapis-lapis: satu lapis kayu sedar bagi tiap-tiap tiga lapis batu. Asas Rumah TUHAN diletakkan pada bulan kedua, iaitu bulan Ziv, pada tahun keempat pemerintahan Raja Salomo. Pada bulan kelapan, iaitu bulan Bul, pada tahun kesebelas pemerintahan Raja Salomo, pembinaan Rumah TUHAN selesai, tepat seperti yang telah dirancangkan. Pembinaan itu memakan masa tujuh tahun. Raja Salomo juga membina sebuah istana untuk dirinya sendiri, dan pembinaan itu memakan masa tiga belas tahun. [2-3] Di dalam istana itu Raja Salomo membina sebuah dewan yang dinamakan Dewan Hutan Lebanon. Panjang dewan itu 44 meter, lebarnya 22 meter, dan tingginya 13.5 meter. Dewan itu mempunyai tiga baris tiang daripada kayu sedar, dan tiap-tiap baris mempunyai lima belas batang tiang untuk menunjang kasau-kasau. Silingnya juga dibuat daripada kayu sedar dan meliputi bilik-bilik stor, yang juga ditunjang oleh tiang-tiang itu. *** [4-5] Pada dinding sebelah kiri dan kanan dewan itu terdapat beberapa deretan tingkap: tiga deretan pada dinding yang satu berhadapan dengan tiga deretan pada dinding yang lain. Bingkai pintu dan tingkap itu berbentuk segiempat bujur. *** Raja Salomo juga membina Dewan Tiang. Dewan Tiang itu panjangnya 22 meter dan lebarnya 13.5 meter. Di depan dewan itu ada serambi yang beratap, dan ditunjang oleh tiang-tiang. Ada lagi dewan yang disebut Dewan Takhta, yang juga disebut Dewan Penghakiman. Di dalam dewan itulah Raja Salomo menjalankan penghakiman. Dewan itu dilapisi kayu sedar, dari lantai sampai ke kasau-kasaunya. Tempat tinggal Raja Salomo sendiri dibina di halaman lain, di belakang Dewan Penghakiman. Bentuknya serupa dengan bangunan yang lain. Raja Salomo juga membina sebuah rumah yang sama untuk isterinya, puteri raja Mesir. Semua bangunan itu, termasuk halamannya yang besar, dari asas bangunan sampai ke bumbung, dibuat daripada batu yang baik. Batu-batu itu disediakan di kuari dan dipotong menurut ukuran yang ditentukan; bahagian dalam dan bahagian luar batu-batu itu diratakan dengan gergaji. Asas bangunan itu dibuat daripada batu-batu besar yang disediakan di kuari; ada yang panjangnya 3.5 meter, dan ada juga yang 4 meter. Di atas batu-batu asas itu, diletakkan batu-batu lain yang berharga, yang dipahat menurut ukuran, lalu ditutup dengan kayu sedar. Halaman istana dan halaman sebelah dalam Rumah TUHAN, dan bilik di bahagian depan Rumah TUHAN mempunyai tembok yang berlapis: satu lapis daripada kayu sedar di atas setiap tiga lapis batu. Raja Salomo menyuruh orang menjemput seorang yang bernama Huram, seorang tukang gangsa yang tinggal di kota Tirus. Bapa Huram, yang sudah meninggal, berasal dari kota Tirus. Dahulu bapa Huram itu pun seorang tukang gangsa yang handal. Ibu Huram keturunan suku Naftali. Huram seorang tukang yang mahir, pandai, dan berpengalaman. Dia menyambut jemputan Raja Salomo untuk mengurus pembuatan barang-barang daripada gangsa. Huram membuat dua batang tiang gangsa; setiap tiang tingginya 8 meter dan lingkarnya 5.3 meter. Dia juga membuat dua buah kepala tiang daripada gangsa; setiap kepala tiang itu tingginya 2.2 meter, dan diletakkan di atas tiang-tiang itu. Bahagian atas tiang-tiang itu dihiasi dengan untaian rantai yang dijalin dan dua baris buah delima yang dibuat daripada gangsa. Kepala tiang itu berbentuk bunga bakung, tingginya 1.8 meter, dan diletakkan pada bahagian bulat di atas anyaman rantai tadi. Semuanya ada 200 buah delima dalam dua baris pada setiap kepala tiang yang kedua. Huram mendirikan tiang-tiang itu di depan pintu Rumah TUHAN. Tiang yang di sebelah selatan dinamakan Yakhin, dan yang di sebelah utara dinamakan Boas. Kepala tiang yang berbentuk bunga bakung dan dibuat daripada gangsa diletakkan di atas tiang. Demikianlah Huram menyelesaikan pembuatan tiang-tiang itu. Kemudian Huram membuat sebuah tangki bulat daripada gangsa; dalamnya 2.2 meter, garis tengahnya 4.4 meter, dan lilitannya 13.2 meter. Dua baris buah labu yang diacu bersama dengan tangki itu menghiasi sekeliling tepi sebelah luar tangki itu. Tangki itu diletakkan di atas belakang dua belas lembu jantan yang dibuat daripada gangsa, yang menghadap ke luar: tiga menghadap ke utara, tiga ke barat, tiga ke selatan, dan tiga ke timur. Tebal tepi tangki itu 75 milimeter. Tepi tangki itu serupa tepi cawan, yang melengkung ke luar seperti kelopak bunga bakung. Tangki itu dapat menampung air sebanyak 40,000 liter. Huram juga membuat sepuluh buah pedati gangsa. Tiap-tiap pedati itu panjangnya 1.8 meter, lebarnya 1.8 meter dan tingginya 1.3 meter. Pedati itu dibuat daripada papan-papan empat segi yang berbingkai, dan dihias dengan ukiran gambar singa, lembu jantan, dan kerub. Pada bingkainya, di sebelah atas dan di sebelah bawah gambar singa dan lembu jantan itu, terdapat ukiran timbul rangkaian bunga. Tiap-tiap pedati mempunyai empat roda gangsa dengan gandar daripada gangsa juga. Pada keempat-empat penjuru pedati itu terdapat penyangga gangsa untuk menyangga sebuah besen. Penyangga itu dihias dengan ukiran timbul rangkaian bunga. Bahagian atas keempat-empat penyangga itu dihubungkan oleh sebuah bingkai bulat untuk menyangga besen itu. Penyangga itu menonjol setinggi 44 sentimeter di atas papan empat segi itu, dan 22 sentimeter di bawahnya. Di sekeliling bingkai itu ada ukiran. Roda pedati itu setinggi 66 sentimeter, dan dipasang di bawah papan-papan yang berbingkai. Gandar roda itu seiras dengan pedati. Roda pedati itu seperti roda kereta kuda. Gandar roda, rim, jari-jari, dan pusat roda pedati itu semuanya dibuat daripada gangsa. Di sebelah bawah keempat-empat sudut setiap pedati, terdapat empat penyangga yang juga seiras dengan pedati itu. Di sekeliling bahagian atas pedati itu ada pinggiran selebar 22 sentimeter. Penyangga pedati dan papan-papannya seiras dengan pedati itu. Semua penyangga dan papan itu berukir gambar kerub, singa, dan pokok palma pada semua tempat yang dapat diukir, dan juga dihias dengan ukiran timbul rangkaian bunga di sekelilingnya. Demikianlah caranya pedati-pedati itu dibuat; semuanya serupa, baik bentuk mahupun ukurannya. Huram juga membuat 10 buah besen, sebuah bagi tiap-tiap pedati. Garis tengah setiap besen berukuran 1.8 meter, dan dapat menampung air sebanyak 800 liter. Huram meletakkan lima buah pedati itu di bahagian selatan Rumah TUHAN, dan lima buah lagi di bahagian utara. Tangki gangsa itu diletakkannya di sudut sebelah tenggara. [40-45] Huram juga membuat periuk, penyodok, dan mangkuk. Dia menyelesaikan segala pekerjaannya bagi Raja Salomo untuk digunakan di Rumah TUHAN. Inilah senarai perkakas yang dibuatnya: 2 batang tiang 2 buah kepala tiang yang berbentuk mangkuk yang diletakkan di atas tiang-tiang Jalinan rantai pada setiap kepala tiang 400 buah delima daripada gangsa yang disusun dalam dua baris di sekeliling jalinan rantai pada setiap kepala tiang 10 buah pedati 10 buah besen 1 buah tangki gangsa 12 lembu jantan daripada gangsa untuk menunjang tangki Periuk-periuk, belanga-belanga, penyodok-penyodok, dan mangkuk-mangkuk Semua perkakas Rumah TUHAN yang dibuat oleh Huram bagi Raja Salomo dibuat daripada gangsa yang digilap. *** *** *** *** *** Sesuai dengan perintah raja, semua perkakas itu dibuat di peleburan logam di antara Sukot dan Sartan, di Lembah Yordan. Raja Salomo tidak menimbang perkakas-perkakas gangsa itu, kerana terlalu banyak bilangannya. Oleh itu beratnya tidak diketahui. Raja Salomo juga menyuruh orang membuat perabot-perabot emas bagi Rumah TUHAN: mazbah, meja untuk roti yang dipersembahkan kepada Allah, sepuluh buah kaki pelita yang diletakkan di hadapan Bilik Maha Suci - lima buah di sebelah selatan dan lima buah di sebelah utara, bunga, pelita, penyepit, cawan, alat untuk membersihkan sumbu pelita, mangkuk, pinggan untuk menyimpan kemenyan, perbaraan, engsel untuk pintu Bilik Maha Suci dan pintu-pintu luar Rumah TUHAN. Semua perkakas itu dibuat daripada emas. Selepas Raja Salomo selesai membina Rumah TUHAN, baginda menyimpan perak, emas, dan barang-barang lain yang telah ditahbiskan kepada TUHAN oleh Raja Daud, ayahanda baginda. Barang-barang itu disimpan di dalam stor-stor Rumah TUHAN. Kemudian Raja Salomo menyuruh semua pemimpin suku dan puak Israel menghadapnya di Yerusalem, untuk memindahkan Tabut Perjanjian TUHAN dari Sion, Kota Daud, ke Rumah TUHAN. Mereka semua berkumpul sempena Perayaan Pondok Daun, iaitu dalam bulan ketujuh, dalam bulan Etanim. Setelah semua pemimpin itu berkumpul, para imam mengangkat Tabut Perjanjian dan membawanya ke dalam Rumah TUHAN. Orang Lewi dan para imam juga memindahkan Khemah TUHAN dan semua perkakasnya ke Rumah TUHAN. Raja Salomo dan segenap umat Israel berkumpul di hadapan Tabut Perjanjian, lalu mempersembahkan korban berupa domba dan lembu yang banyak sekali, sehingga tidak terkira bilangannya. Selepas itu para imam membawa Tabut Perjanjian ke dalam Rumah TUHAN, dan meletakkannya di Bilik Maha Suci, di bawah patung kerub. Sayap kerub-kerub itu terkembang dan menutupi Tabut Perjanjian serta kayu-kayu pengusungnya. Kayu pengusung itu panjang sekali sehingga hujungnya dapat dilihat dari hadapan Bilik Maha Suci, tetapi tidak dapat dilihat dari arah lain. (Kayu-kayu pengusung itu masih di situ hingga sekarang.) Tabut Perjanjian hanya mengandungi dua buah batu yang diletakkan di situ oleh Musa, di Gunung Sinai dahulu, ketika TUHAN membuat perjanjian-Nya dengan umat Israel, selepas mereka keluar dari Mesir. Sedang para imam meninggalkan Rumah TUHAN, tiba-tiba Rumah itu dipenuhi awan. Awan itu berkilauan dengan cahaya hadirat TUHAN, sehingga mereka tidak dapat masuk kembali untuk menyelenggarakan tugas mereka. Kemudian Raja Salomo berdoa, “Ya TUHAN, Engkau telah menempatkan matahari di langit, namun Engkau lebih suka tinggal dalam kegelapan awan. Sekarang aku telah membina sebuah rumah yang megah bagi-Mu, sebagai tempat kediaman-Mu selama-lamanya.” Sedang rakyat berkumpul di situ, Raja Salomo berpaling untuk menghadap mereka, lalu memohon Allah memberkati mereka. Raja bertitah, “Terpujilah TUHAN, Allah Israel! Dia telah menepati janji yang dibuat-Nya kepada ayahanda beta, Raja Daud, ketika Dia berfirman kepada Raja Daud demikian, ‘Semenjak Aku membawa umat-Ku keluar dari Mesir, Aku belum pernah memilih kota mana pun di seluruh Israel sebagai tempat pembinaan sebuah rumah, tempat beribadat kepada-Ku. Tetapi Aku telah memilih engkau, hai Daud, untuk memerintah umat-Ku.’ ” Raja Salomo bertitah lagi, “Ayahanda beta, Raja Daud, bercadang untuk membina sebuah rumah sebagai tempat beribadat kepada TUHAN, Allah Israel. Tetapi TUHAN berfirman kepadanya, ‘Maksudmu untuk membina sebuah rumah bagi-Ku memang baik, tetapi engkau tidak akan membinanya. Anakmu, anakmu sendiri, akan membina rumah-Ku.’ Sekarang TUHAN telah menepati janji-Nya. Beta telah menggantikan ayahanda beta sebagai raja Israel, dan beta telah membina sebuah rumah sebagai tempat ibadat kepada TUHAN, Allah Israel. Beta juga telah menyediakan tempat di dalam Rumah TUHAN untuk Tabut Perjanjian yang mengandungi batu perjanjian antara TUHAN dengan nenek moyang kita, ketika Dia membawa mereka keluar dari Mesir.” Kemudian di hadapan rakyat, Raja Salomo berdiri menghadap mazbah. Baginda mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, tiada yang seperti Engkau di langit atau di bumi. Engkau menepati perjanjian-Mu dengan umat-Mu, dan Engkau menunjukkan kasih-Mu kepada mereka apabila mereka taat kepada-Mu dengan segenap hati. Engkau telah menepati janji-Mu kepada ayahandaku, Raja Daud. Pada hari ini, Engkau menepati apa yang telah Engkau janjikan. Oleh itu, ya TUHAN, Allah Israel, tepatilah juga janji-Mu yang satu lagi kepada ayahandaku. Engkau berfirman kepadanya bahawa daripada keturunannya akan sentiasa ada seorang untuk memerintah sebagai raja Israel, asalkan mereka taat kepada-Mu seperti Raja Daud. Oleh itu, ya Allah Israel, tepatilah semua yang telah Engkau janjikan kepada ayahandaku Raja Daud, hamba-Mu. Tetapi, ya Allah, sungguhkah Engkau sudi tinggal di bumi? Bahkan seluruh langit pun tidak cukup luas bagi-Mu, apalagi Rumah yang telah kubina! Ya TUHAN, Allahku, aku hamba-Mu. Dengarkanlah doaku, dan kabulkanlah permohonanku hari ini. Lindungilah Rumah ini siang dan malam, tempat yang telah Engkau pilih sebagai tempat beribadat kepada-Mu. Dengarkanlah aku apabila aku menghadap tempat ini dan berdoa kepada-Mu. Dengarkanlah doaku dan doa umat-Mu apabila mereka menghadap tempat ini dan berdoa. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah kami dan ampunilah kami. Apabila seseorang dituduh bersalah terhadap orang lain, lalu disuruh bersumpah di hadapan mazbah di Rumah ini bahawa dia tidak bersalah, dengarkanlah dari syurga, ya TUHAN, dan adililah hamba-hamba-Mu. Hukumlah orang yang bersalah setimpal dengan perbuatannya dan bebaskanlah orang yang tidak bersalah. Apabila umat-Mu Israel dikalahkan musuh kerana mereka telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka kembali kepada-Mu dan datang ke Rumah ini serta berdoa kepada-Mu dengan rendah hati dan minta diampuni, semoga Engkau di syurga, mendengarkan mereka. Ampunkanlah dosa umat-Mu, dan bawalah mereka kembali ke negeri yang Engkau berikan kepada nenek moyang mereka. Apabila Engkau menahan hujan kerana umat-Mu telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka bertaubat dan menghadap Rumah ini, dan berdoa kepada-Mu dengan rendah hati, semoga Engkau di syurga, mendengarkan mereka. Ampunkanlah dosa raja dan rakyatnya, orang Israel. Ajarlah mereka melakukan apa yang benar. Selepas itu, ya TUHAN, turunkanlah hujan ke atas negeri-Mu ini, yang telah Engkau berikan kepada umat-Mu sebagai pusaka mereka selama-lamanya. Apabila kebuluran atau wabak berlaku di negeri ini, atau tanaman musnah kerana angin panas, hama, atau serangan belalang; ataupun apabila umat-Mu diserang musuh, atau penyakit, dengarkanlah doa mereka. Jika ada orang di kalangan umat-Mu Israel, dengan bersedih hati mengangkat tangan dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap Rumah ini, dengarkanlah doa mereka. Dengarkanlah mereka dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan ampunilah dan tolonglah mereka. Hanya Engkau yang tahu isi hati manusia. Oleh itu, perlakukanlah tiap-tiap orang setimpal dengan perbuatannya, supaya umat-Mu sentiasa taat kepada-Mu dan tinggal di negeri yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami. [41-42] Apabila seorang bangsa asing yang tinggal di negeri jauh mendengar tentang kebesaran-Mu, dan juga tentang mukjizat-mukjizat yang telah Engkau lakukan bagi umat-Mu, lalu datang menyembah-Mu dan berdoa di Rumah ini, *** dengarkanlah doanya. Dengarkanlah dia dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan kabulkanlah permintaannya supaya semua bangsa di dunia mengenal Engkau dan taat kepada-Mu, seperti umat-Mu Israel. Barulah mereka tahu bahawa Rumah yang telah aku bina ini ialah tempat untuk beribadat kepada-Mu. Apabila Engkau memerintah umat-Mu bertempur untuk melawan musuh, dan mereka berdoa kepada-Mu di mana sahaja mereka berada, sambil menghadap kota yang telah Engkau pilih dan Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu, dengarkanlah doa mereka. Engkau yang di syurga, dengarkanlah mereka, dan berilah mereka kemenangan. Apabila umat-Mu berdosa terhadap-Mu - kerana tiada sesiapa pun yang tidak berdosa - dan kerana kemurkaan-Mu Engkau membiarkan mereka dikalahkan, ditawan oleh musuh, dan dibawa ke negeri lain, walaupun negeri itu jauh, dengarkanlah umat-Mu. Jika mereka bertaubat dan berdoa kepada-Mu di negeri itu, serta mengaku bahawa mereka telah berdosa dan berbuat jahat, dengarkanlah doa mereka, ya TUHAN. Jika di negeri itu mereka bertaubat dengan tulus dan ikhlas, dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap ke arah negeri ini yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami dan ke arah kota yang telah Engkau pilih, serta Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu, dengarkanlah doa mereka. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah permintaan mereka dan kasihanilah mereka. Ampunkanlah semua dosa dan pemberontakan mereka terhadap-Mu, dan buatlah musuh mereka mengasihani mereka. Mereka umat-Mu sendiri, yang Engkau bawa keluar dari Mesir, tempat mereka diseksa. Ya TUHAN Raja, semoga Engkau sentiasa berkenan kepada umat-Mu Israel dan raja mereka. Dengarkanlah doa mereka setiap kali mereka berseru kepada-Mu meminta tolong. Engkau telah memilih mereka antara semua bangsa untuk menjadi umat-Mu sendiri; itulah firman-Mu kepada mereka melalui hamba-Mu Musa ketika Engkau membawa nenek moyang kami keluar dari Mesir.” Demikianlah Raja Salomo berdoa kepada TUHAN sambil berlutut dan mengangkat tangan. Selepas itu baginda berdiri di hadapan mazbah. Dengan suara kuat baginda berdoa minta Allah memberkati semua orang yang berkumpul di situ, katanya, “Terpujilah TUHAN yang telah memberi umat-Nya kesejahteraan seperti yang dijanjikan-Nya melalui Musa, hamba-Nya. Semua yang baik yang dijanjikan-Nya telah ditepati-Nya. Semoga TUHAN, Allah kita menyertai kita sebagaimana Dia menyertai nenek moyang kita. Semoga Dia tidak meninggalkan kita atau membuang kita. Semoga Dia menjadikan kita orang yang taat kepada-Nya supaya kita sentiasa hidup menurut kehendak-Nya, dan mentaati semua hukum dan perintah yang diberikan-Nya kepada nenek moyang kita. Semoga TUHAN, Allah kita, sentiasa ingat akan doa dan permintaan yang beta sampaikan kepada-Nya ini. Semoga Dia sentiasa mengasihani umat-Nya Israel dan raja mereka, dengan memberi mereka apa yang diperlukan setiap hari. Dengan demikian semua bangsa di bumi akan tahu bahawa TUHAN sahaja Allah, dan tiada yang lain. Semoga kamu umat-Nya sentiasa setia kepada TUHAN, Allah kita, sambil taat kepada semua hukum dan perintah-Nya seperti yang kamu lakukan pada hari ini.” Selepas itu Raja Salomo dan segenap umat yang berkumpul di situ mempersembahkan korban kepada TUHAN. Raja Salomo mempersembahkan 22,000 ekor lembu dan 120,000 ekor domba sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. Demikianlah Raja Salomo dan segenap rakyat mentahbiskan Rumah TUHAN. Pada hari itu raja juga mentahbiskan bahagian tengah halaman, iaitu kawasan sebelah depan Rumah TUHAN. Di situ baginda mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban untuk mengucap syukur dan lemak binatang daripada korban untuk memohon berkat TUHAN. Raja mempersembahkan semuanya di situ kerana mazbah gangsa yang dibina baginda, terlalu kecil untuk semua korban itu. Di Rumah TUHAN itu juga, Raja Salomo dan segenap umat Israel merayakan Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari. Banyak sekali orang yang datang untuk merayakan perayaan itu. Mereka dari daerah sejauh Genting Hamat di utara dan sempadan negeri Mesir di selatan. Pada hari kelapan, Raja Salomo menyuruh semua orang itu pulang. Mereka pulang dengan sukacita, sambil memuji raja bagi segala berkat yang telah diberikan TUHAN kepada Raja Daud, hamba-Nya, dan segenap umat-Nya Israel. Selepas Raja Salomo selesai membina Rumah TUHAN dan istana, serta segala yang dirancangkannya, TUHAN menampakkan diri lagi kepada Raja Salomo seperti di Gibeon dahulu. TUHAN berfirman kepadanya, “Aku telah mendengar doamu. Aku mengekhaskan Rumah yang telah engkau bina ini sebagai tempat beribadat kepada-Ku selama-lamanya. Aku akan sentiasa menjaga dan melindunginya. Jika engkau mengabdi kepada-Ku dengan jujur dan tulus hati seperti bapamu Daud, dan jika engkau taat kepada hukum-hukum-Ku serta melakukan segala yang telah Aku perintahkan kepadamu, Aku akan menepati janji-Ku kepada bapamu Daud, ketika Aku berfirman kepadanya bahawa Israel akan sentiasa diperintah oleh keturunannya. Tetapi jika engkau atau keturunanmu tidak lagi mengikut Aku, dan tidak taat kepada hukum dan perintah yang Aku berikan kepadamu, dan engkau menyembah tuhan-tuhan lain, maka Aku akan membuang umat-Ku Israel dari negeri yang telah Aku berikan kepada mereka. Aku juga akan meninggalkan Rumah ini yang telah Kukhaskan sebagai tempat beribadat kepada-Ku. Orang di merata tempat akan mengolok-olok dan menghina umat Israel. Rumah ini akan menjadi timbunan puing sehingga setiap orang yang lalu di sini akan terperanjat dan tertegun. Mereka akan bertanya, ‘Mengapakah TUHAN berbuat demikian terhadap negeri dan Rumah ini?’ Orang akan menjawab, ‘Kerana mereka telah meninggalkan TUHAN, Allah mereka yang telah membawa nenek moyang mereka keluar dari Mesir. Mereka menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain. Itulah sebabnya TUHAN mendatangkan bencana ini kepada mereka.’ ” Raja Salomo mengambil masa dua puluh tahun untuk membina Rumah TUHAN dan istananya. Raja Hiram dari Tirus, memberi baginda semua kayu sedar Lebanon, kayu sipres, emas, dan semua yang diperlukan Raja Salomo untuk pembinaan itu. Selepas pembinaan itu selesai, Raja Salomo memberikan dua puluh buah kota di daerah Galilea kepada Raja Hiram. Raja Hiram pergi melihat kota-kota itu, tetapi baginda tidak suka kepada kota-kota itu. Oleh itu Raja Hiram berkata kepada Raja Salomo, “Hai saudara, ini rupanya kota-kota yang saudara berikan kepada saya!” Itulah sebabnya daerah itu masih disebut Kabul sampai sekarang. Raja Hiram telah memberi Raja Salomo lebih daripada 4,000 kilogram emas. Raja Salomo menggunakan tenaga buruh paksa untuk membina Rumah TUHAN dan istana raja, dan untuk menambak tanah di bahagian timur kota, serta membina tembok kota. Dia juga menggunakan tenaga buruh paksa untuk membina semula kota Hazor, Megido, dan Gezer. ( Raja Mesir pernah menyerang dan merebut kota Gezer, membunuh penduduknya, serta membakar kota itu. Kemudian raja Mesir memberikan kota itu kepada puterinya sebagai hadiah perkahwinan, ketika puterinya itu berkahwin dengan Raja Salomo. Kemudian Raja Salomo membina semula kota itu.) Dengan tenaga buruh paksa, Raja Salomo juga membina semula Bet-Horon-Hilir, Baalat, Tamar di padang gurun Yehuda, kota-kota tempat penyimpanan perbekalan, serta kota-kota tempat penyimpanan semua kuda dan kereta kuda. Semua rancangan pembinaan di Yerusalem, di Lebanon, dan di merata tempat di seluruh kerajaannya telah dilaksanakan. [20-21] Buruh paksa yang dikerahkan oleh Raja Salomo ialah keturunan orang Kanaan, yang tidak dibunuh oleh umat Israel ketika mereka merampas negeri itu. Ini termasuk orang Amori, Het, Feris, Hewi, dan Yebusi, yang keturunan mereka terus menjadi abdi hingga sekarang. *** Raja Salomo tidak menjadikan sesiapa pun orang Israel sebagai abdi. Mereka dijadikan askar, pegawai, panglima, ketua pasukan berkereta kuda, dan anggota pasukan berkuda. Sebanyak 550 orang pegawai ditugaskan untuk mengawasi pekerjaan buruh paksa yang bekerja dalam berbagai-bagai projek pembinaan milik Raja Salomo. Raja Salomo menambak tanah di bahagian timur kota itu, selepas isterinya, puteri raja Mesir, pindah dari Kota Daud ke istana yang dibina oleh Raja Salomo untuknya. Tiga kali setahun Raja Salomo mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN di atas mazbah yang dibinanya untuk TUHAN. Raja Salomo juga membakar kemenyan untuk TUHAN. Demikianlah Raja Salomo menyelesaikan pembinaan Rumah TUHAN. Raja Salomo juga membina kapal-kapal di Ezion-Geber, dekat Elot, di pantai Teluk Akaba, di tanah Edom. Raja Hiram mengirim beberapa orang anak kapalnya yang berpengalaman untuk bertugas bersama-sama anak kapal Raja Salomo. Mereka belayar ke tanah Ofir, dan membawa lebih daripada 14,000 kilogram emas bagi Raja Salomo. Ratu negeri Syeba mendengar tentang kemasyhuran Raja Salomo. Maka ratu itu berangkat ke Yerusalem untuk menguji Raja Salomo dengan pertanyaan-pertanyaan yang sukar. Ratu itu datang bersama dengan banyak pengiring serta unta-unta dengan muatan rempah, batu permata, dan emas yang banyak sekali. Apabila ratu itu berjumpa dengan Raja Salomo, ratu itu mengemukakan kepada Raja Salomo semua pertanyaan yang dapat difikirkannya. Raja Salomo menjawab semua pertanyaan ratu itu. Tiada satu pun yang terlalu sukar bagi Raja Salomo. Ratu negeri Syeba mendengar sendiri kebijaksanaan Raja Salomo dan melihat istana yang dibina oleh Raja Salomo. Ratu negeri Syeba melihat tata kerja para pegawai istana, pakaian seragam, dan perumahan mereka. Ratu itu nampak makanan yang dihidangkan, dan para pelayan yang melayani Raja Salomo pada masa perayaan; ratu itu juga melihat korban-korban yang dipersembahkan oleh Raja Salomo di Rumah TUHAN. Semua itu membuat ratu negeri Syeba kagum dan terpesona. Oleh itu ratu negeri Syeba bertitah kepada Raja Salomo, “Memang benar apa yang beta dengar di negeri beta tentang tuanku dan kebijaksanaan tuanku! Tetapi beta tidak percaya sebelum beta datang dan melihat semuanya dengan mata beta sendiri. Tetapi apa yang beta dengar itu tidak pun separuh daripada apa yang beta nampak sekarang. Kebijaksanaan dan kekayaan tuan lebih besar daripada apa yang telah beta dengar. Berbahagialah isteri-isteri tuanku! Berbahagialah para pekerja yang sentiasa melayani tuanku, kerana mereka berpeluang mendengar kata-kata bijak yang tuanku ucapkan! Terpujilah TUHAN, Allah tuanku! Dia telah menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada tuanku dengan menjadikan tuanku raja Israel. Oleh sebab kasih-Nya kekal terhadap Israel, Dia telah menjadikan tuanku raja mereka supaya tuanku dapat melaksanakan hukum dan keadilan.” Ratu negeri Syeba mempersembahkan hadiah-hadiah yang telah dibawanya kepada Raja Salomo, iaitu lebih daripada 4,000 kilogram emas, dan rempah serta batu permata yang banyak sekali. Rempah yang diberikan oleh ratu itu kepada Raja Salomo adalah yang terbanyak yang pernah diterima oleh Raja Salomo. ( Kumpulan kapal Raja Hiram yang membawa emas dari Ofir, juga membawa banyak kayu cendana dan batu permata dari sana. Raja Salomo menggunakan kayu itu untuk membuat susuran bagi Rumah TUHAN dan istananya, dan juga untuk membuat kecapi dan gambus bagi para pemuzik. Kayu cendana itu kayu cendana yang terbaik yang pernah dibawa ke Israel. Sejak itu, kayu cendana yang sebaik itu tidak pernah dilihat lagi.) Selain daripada hadiah-hadiah yang biasa diberikan oleh Raja Salomo, raja juga memberikan apa sahaja yang diminta oleh ratu negeri Syeba. Kemudian ratu itu dan semua pengiringnya pulang ke negeri Syeba. [14-15] Selain cukai yang dibayar oleh para pedagang, keuntungan daripada perdagangan, ufti yang dibayar oleh raja-raja Arab dan para gabenor negeri Israel, Raja Salomo menerima hampir 23,000 kilogram emas pada setiap tahun. *** Raja Salomo membuat 200 buah perisai besar daripada emas. Setiap perisai memerlukan kira-kira 7 kilogram emas. Baginda juga membuat 300 buah perisai kecil daripada emas. Setiap perisai memerlukan kira-kira 2 kilogram emas. Raja Salomo meletakkan semua perisai itu di Dewan Hutan Lebanon. Raja Salomo juga membuat sebuah takhta gading yang besar, yang dilapis dengan emas tulen. [19-20] Takhta itu mempunyai enam buah anak tangga, dan pada hujung kiri dan kanan tiap-tiap anak tangga itu ada sebuah patung singa. Kesemuanya ada dua belas buah patung singa. Di belakang takhta itu ada sebuah patung kepala lembu jantan, dan pada setiap lengan takhta itu ada sebuah patung singa. Tiada kerajaan mana pun pernah mempunyai takhta seperti itu. *** Semua cawan Raja Salomo dibuat daripada emas, dan semua perkakas di Dewan Hutan Lebanon dibuat daripada emas tulen. Perak tidak digunakan sama sekali, kerana pada zaman Raja Salomo, perak tidak dianggap berharga. Raja Salomo mempunyai banyak kapal besar yang belayar di samudera raya bersama dengan kapal-kapal Raja Hiram. Sekali dalam tiga tahun, kapal-kapal Raja Salomo pulang dengan membawa emas, perak, gading, beruk, dan burung merak. Raja Salomo lebih kaya dan lebih bijaksana daripada raja lain di dunia. Semua orang di seluruh dunia ingin datang untuk mendengar kebijaksanaan yang telah dikurniakan Allah kepadanya. Tiap-tiap orang yang mengunjungi Raja Salomo membawa hadiah bagi baginda - barangan daripada perak dan emas, pakaian, senjata, rempah, kuda, serta baghal. Hal ini berlangsung tahun demi tahun. Raja Salomo melengkapi angkatan perangnya dengan 1,400 buah kereta kuda dan 12,000 ekor kuda untuk pasukan berkuda. Sebahagian angkatan itu ditempatkannya di Yerusalem, dan yang lain ditempatkannya di berbagai-bagai kota lain. Pada masa pemerintahan Raja Salomo, perak merupakan barangan biasa seperti batu di Yerusalem, dan kayu sedar banyak seperti kayu ara di kaki-kaki bukit di Yehuda. Para peniaga yang bertugas untuk raja, mengimport kuda dari Musri dan Kilikia dan mengimport kereta kuda dari Mesir. Kemudian kuda dan kereta kuda itu dieksport kepada raja-raja Het dan raja-raja Siria dengan harga 600 keping wang perak untuk sebuah kereta kuda, dan 150 keping wang perak untuk seekor kuda. Raja Salomo mencintai banyak wanita bangsa asing. Selain puteri raja Mesir, baginda juga berkahwin dengan wanita Het, Moab, Amon, Edom, dan Sidon. Raja Salomo masih juga berkahwin dengan mereka walaupun TUHAN telah melarang umat Israel berkahwin campur dengan bangsa-bangsa itu, kerana mereka akan menyebabkan umat Israel menyembah tuhan-tuhan lain. Raja Salomo berkahwin dengan tujuh ratus orang puteri raja dan mempunyai tiga ratus orang gundik. Mereka menyebabkan Raja Salomo meninggalkan Allah, sehingga mereka berjaya membujuknya menyembah tuhan-tuhan lain ketika Raja Salomo sudah tua. Raja Daud, ayahanda Raja Salomo setia kepada TUHAN, Allahnya, tetapi Raja Salomo tidak seperti ayahandanya. Raja Salomo menyembah Asytoret, dewi orang Sidon, dan Molokh, dewa menjijikkan yang dipuja orang Amon. Raja Salomo berdosa terhadap TUHAN. Raja Daud, ayahanda Raja Salomo taat kepada TUHAN dengan sepenuh hati, tetapi Raja Salomo tidak seperti ayahandanya. Di atas sebuah gunung di sebelah timur Yerusalem, Raja Salomo membina tempat pemujaan Kamos, dewa menjijikkan yang dipuja orang Moab. Dia membina tempat pemujaan Molokh, dewa menjijikkan yang dipuja orang Amon. Raja Salomo juga membina tempat-tempat bagi semua isterinya yang berbangsa asing untuk membakar kemenyan dan mempersembahkan korban kepada dewa mereka masing-masing. [9-10] Walaupun TUHAN, Allah Israel telah menampakkan diri sehingga dua kali kepada Raja Salomo, dan melarang baginda menyembah tuhan-tuhan lain, namun Raja Salomo tidak taat kepada TUHAN. Baginda malah meninggalkan TUHAN. Oleh itu TUHAN murka terhadap Raja Salomo. *** TUHAN berfirman, “Oleh sebab engkau dengan sengaja telah melanggar perjanjianmu dengan Aku, dan telah melanggar perintah-Ku, Aku bersumpah bahawa Aku akan mengambil kerajaanmu dan memberikannya kepada salah seorang pegawaimu. Tetapi demi bapamu Daud, Aku tidak akan melakukan hal ini semasa hidupmu, melainkan pada masa pemerintahan anakmu. Aku tidak akan mengambil seluruh kerajaan itu daripadanya; Aku akan memberi dia satu suku demi hamba-Ku Daud dan demi Yerusalem, kota yang telah Kupilih menjadi milik-Ku.” Oleh itu TUHAN menyebabkan Hadad, seorang daripada keluarga diraja negeri Edom, memusuhi Raja Salomo. [15-16] Lama sebelum itu, selepas Raja Daud mengalahkan Edom, Yoab, panglima tentera Raja Daud pergi ke sana untuk menguburkan askar-askarnya yang gugur. Yoab dan anak buahnya tinggal di Edom selama enam bulan. Pada masa itu mereka membunuh semua orang lelaki di Edom, *** kecuali Hadad dan beberapa orang hamba bapanya, yang berbangsa Edom; mereka melarikan diri ke Mesir. (Ketika itu Hadad masih kanak-kanak.) Beberapa orang Edom yang masih hidup itu meninggalkan Midian lalu pergi ke Paran. Di sana beberapa orang lagi bergabung dengan mereka, lalu mereka pergi ke Mesir dan menghadap raja negeri itu. Raja Mesir memberikan tanah, sebuah rumah, dan juga makanan kepada Hadad. Kemudian Hadad menjadi sahabat baik raja Mesir, sehingga raja itu memberikan iparnya sendiri, iaitu adik Permaisuri Tahpenes, kepada Hadad sebagai isterinya. Isteri Hadad melahirkan seorang anak lelaki yang diberikan nama Genubat. Genubat dibesarkan oleh Permaisuri Tahpenes di istana bersama dengan putera-putera raja yang lain. Apabila Hadad mendengar bahawa Raja Daud telah mangkat dan Yoab panglima tenteranya pun telah meninggal, dia berkata kepada raja Mesir, “Benarkanlah hamba pulang ke negeri hamba sendiri.” “Mengapa?” tanya raja. “Adakah beta telah mengecewakan kamu? Itukah sebabnya kamu hendak pulang?” “Benarkanlah hamba pulang,” jawab Hadad kepada raja. Kemudian Hadad pulang ke negerinya. Sebagai raja Edom, Raja Hadad menjadi musuh jahat dan sengit terhadap Israel. Allah juga menyebabkan Rezon anak Elyada memusuhi Raja Salomo. Rezon telah lari daripada tuannya, Raja Hadadezer dari Zoba, lalu dia menjadi pemimpin sekumpulan gerombolan. (Hal ini berlaku setelah Raja Daud mengalahkan Raja Hadadezer, dan membunuh tentera Siria yang menjadi sekutu Raja Hadadezer.) Rezon dan anak buahnya pergi ke Damsyik dan tinggal di situ. Di tempat itu anak buah Rezon melantik dia menjadi raja negeri Siria. Raja Rezon menjadi musuh Israel semasa hidup Raja Salomo. Seorang lagi yang memusuhi Raja Salomo ialah salah seorang pegawainya, Yerobeam anak Nebat dari Zereda di Efraim. Ibunya seorang balu bernama Zerua. Beginilah kisah pemberontakannya. Raja Salomo sedang menambak tanah di sebelah timur Yerusalem dan membaiki tembok kota. Yerobeam seorang muda yang cekap, dan apabila Raja Salomo melihat betapa rajinnya Yerobeam bekerja, Raja Salomo memberi dia tugas sebagai pengawas semua orang rodi di wilayah suku Manasye dan Efraim. Pada suatu hari, Yerobeam keluar dari Yerusalem. Di tengah jalan, Nabi Ahia dari Silo menemui Yerobeam; hanya mereka yang ada di padang. Ahia menanggalkan jubah baru, yang sedang dipakainya, lalu mengoyak-ngoyaknya menjadi dua belas sobekan. Ahia berkata kepada Yerobeam, “Ambillah sepuluh sobekan untukmu sendiri, kerana TUHAN, Allah Israel, berfirman kepadamu, ‘Aku akan mengambil kerajaan Salomo daripadanya, dan memberikan sepuluh suku kepadamu. Demi hamba-Ku Daud dan demi Yerusalem, kota yang telah Kupilih menjadi milik-Ku dari seluruh tanah Israel, Salomo akan tetap memerintah satu suku. Aku akan melakukan hal itu kerana Salomo telah menolak Aku dan menyembah dewa-dewa: Asytoret, dewi orang Sidon; Kamos, dewa orang Moab; dan Molokh, dewa orang Amon. Salomo tidak mentaati Aku. Dia tidak seperti bapanya Daud yang taat kepada-Ku dan melaksanakan perintah-Ku. Tetapi Aku tidak akan mengambil seluruh kerajaan itu daripada Salomo. Aku akan membenarkan dia memerintah seumur hidupnya. Aku akan berbuat demikian demi hamba-Ku Daud, yang telah Kupilih dan yang taat kepada hukum serta perintah-Ku. Aku akan mengambil kerajaan itu daripada putera Salomo dan memberikan sepuluh suku kepadamu. Tetapi Aku akan membenarkan anak lelaki Salomo memerintah satu suku supaya Aku sentiasa mempunyai seorang daripada keturunan hamba-Ku Daud untuk memerintah Yerusalem, kota yang telah Kupilih sebagai tempat beribadat kepada-Ku. Hai Yerobeam, Aku akan menjadikan engkau raja Israel. Engkau akan memerintah semua wilayah yang engkau kehendaki. Jika engkau taat kepada-Ku dengan sepenuhnya, hidup menurut hukum-Ku, melaksanakan perintah-Ku, serta menyenangkan hati-Ku, seperti hamba-Ku Daud dahulu, Aku akan sentiasa menyertai engkau. Aku akan menjadikan engkau raja Israel dan Aku akan memastikan agar keturunanmu meneruskan kerajaanmu sebagaimana yang Aku lakukan bagi Daud. Oleh sebab dosa Salomo, Aku akan menghukum keturunan Daud, tetapi tidak untuk selamanya.’ ” Raja Salomo cuba membunuh Yerobeam apabila berita itu sampai kepada baginda, tetapi Yerobeam lari kepada Raja Sisak di Mesir, lalu tinggal di sana sehingga Raja Salomo mangkat. Segala perbuatan Raja Salomo, tentang pemerintahan dan kebijaksanaannya sudah ditulis di dalam buku Sejarah Raja Salomo. Raja Salomo menjadi raja di Yerusalem dan memerintah seluruh Israel selama empat puluh tahun. Raja Salomo mangkat lalu dikebumikan di Kota Daud. Rehabeam, putera Raja Salomo menggantikan baginda sebagai raja. Rehabeam pergi ke Sikhem, kerana semua suku di bahagian utara telah berkumpul di sana untuk melantik dia menjadi raja. Apabila Yerobeam anak Nebat mendengar berita itu, dia berangkat dari Mesir. Dahulu Yerobeam telah pergi ke Mesir kerana dia melarikan diri daripada Raja Salomo. Suku-suku di utara memanggil Yerobeam, lalu dia bersama dengan mereka menghadap Raja Rehabeam dan berkata kepada baginda, “Ayahanda tuanku, Raja Salomo, telah memperlakukan hamba semua dengan kasar dan memberikan beban yang berat. Sekarang jika tuanku meringankan beban hamba semua dan memperlakukan hamba sekalian dengan baik, hamba semua akan menjadi rakyat yang setia kepada tuanku.” Raja Rehabeam menjawab, “Datanglah lagi selepas tiga hari; beta akan memberikan jawapan kelak.” Oleh itu mereka pun pergi. Raja Rehabeam meminta nasihat daripada para orang tua yang telah berkhidmat sebagai penasihat kepada ayahandanya. “Bagaimanakah beta harus jawab orang itu?” tanya Raja Rehabeam. “Apakah nasihat kamu?” Para orang tua itu menjawab, “Jika tuanku hendak berbakti kepada rakyat, kabulkanlah permintaan mereka, maka mereka pun akan berbakti dengan setia kepada tuanku.” Tetapi Raja Rehabeam tidak mempedulikan nasihat para orang tua itu. Sebaliknya, baginda bertanya pula kepada orang muda yang sebaya dengan baginda, dan yang kini menjadi penasihat baginda. Raja bertitah, “Apakah nasihat kamu? Apakah yang harus beta katakan kepada semua orang itu, yang meminta beta meringankan beban mereka?” Mereka menjawab, “Katakanlah kepada mereka, ‘Jari kelengkeng beta lebih besar daripada pinggang ayahanda beta!’ Katakan kepada mereka, ‘Ayahanda beta memberi kamu beban yang berat, tetapi beta akan memberi kamu beban yang lebih berat. Ayahanda beta menyebat kamu dengan cambuk, tetapi beta akan menyebat kamu dengan cambuk yang berduri besi!’ ” Tiga hari kemudian, Yerobeam dan rakyat datang lagi menghadap Raja Rehabeam, menurut titahnya. [13-14] Raja tidak mempedulikan nasihat para orang tua itu. Sebaliknya, baginda menurut nasihat orang muda lalu bertitah kepada rakyat dengan kasar, “Ayahanda beta memberi kamu beban yang berat, tetapi beta akan memberi kamu beban yang lebih berat. Ayahanda beta menyebat kamu dengan cambuk, tetapi beta akan menyebat kamu dengan cambuk yang berduri besi!” *** TUHAN hendak menepati firman-Nya yang disampaikan kepada Yerobeam anak Nebat melalui Nabi Ahia dari Silo. Itulah sebabnya raja tidak menghiraukan permintaan rakyat. Apabila rakyat sedar bahawa raja tidak mahu mengabulkan permintaan mereka, mereka berseru, “Peduli apa dengan Raja Daud dan keluarganya? Mereka tidak pernah melakukan apa-apa untuk kita! Hai umat Israel, marilah kita pulang! Biarlah Raja Rehabeam menjaga dirinya sendiri!” Oleh itu umat Israel memberontak, dan Rehabeam menjadi raja hanya bagi penduduk wilayah Yehuda. Kemudian Raja Rehabeam mengutus Adoniram, pengawas buruh paksa, pergi kepada orang Israel, tetapi mereka merejam dia sehingga mati. Oleh itu Raja Rehabeam tergesa-gesa melarikan diri ke Yerusalem dengan menaiki kereta kudanya. Sejak itu, penduduk di bahagian utara kerajaan Israel sentiasa memberontak terhadap raja-raja keturunan Raja Daud. Apabila umat Israel mendengar bahawa Yerobeam telah pulang dari Mesir, mereka menjemput dia ke satu perjumpaan rakyat, lalu melantik dia menjadi raja Israel. Hanya suku Yehuda yang tetap setia kepada keturunan Raja Daud. Apabila Raja Rehabeam tiba di Yerusalem, baginda mengumpulkan 180,000 orang askar yang terbaik daripada suku Yehuda dan Benyamin. Raja Rehabeam hendak berperang untuk memulihkan kekuasaannya atas suku-suku Israel yang di utara. Tetapi Allah menyuruh Nabi Semaya menyampaikan firman-Nya kepada Raja Rehabeam dan segenap suku Yehuda dan Benyamin, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Jangan serang orang Israel, saudara kamu sendiri. Pulanglah kamu semua! Apa yang telah berlaku adalah kehendak-Ku.’ ” Mereka semua taat kepada perintah TUHAN lalu pulang ke rumah. Raja Yerobeam, raja Israel, membina semula kota Sikhem di perbukitan Efraim dan tinggal di sana untuk sementara. Kemudian baginda meninggalkan tempat itu, dan membina pula kota Penuel. [26-27] Baginda berfikir, “Dalam keadaan sekarang ini, jika rakyat beta pergi ke Yerusalem untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN di Rumah TUHAN, kesetiaan mereka akan beralih kepada Raja Rehabeam di Yehuda, lalu mereka akan membunuh beta.” *** Setelah lama berfikir, Raja Yerobeam membuat dua patung lembu jantan daripada emas lalu bertitah kepada rakyatnya, “Telah cukup lama kamu beribadat di Yerusalem. Sekarang, hai Israel, inilah tuhan-tuhan kamu yang telah membawa kamu keluar dari Mesir!” Raja Yerobeam menempatkan satu patung lembu emas di Betel dan satu lagi di Dan. Demikianlah rakyat berdosa kerana mereka bersembahyang di Betel dan di Dan. Yerobeam juga membina tempat-tempat sembahyang di atas bukit-bukit, dan memilih imam-imam yang bukan daripada suku Lewi. Raja Yerobeam juga memulakan satu perayaan agama pada hari kelima belas bulan kelapan, seperti perayaan di Yehuda. Di atas mazbah di Betel, baginda mempersembahkan korban kepada patung-patung lembu emas yang telah dibuatnya. Raja Yerobeam menempatkan imam-imam di Betel, iaitu para imam yang bertugas di tempat-tempat sembahyang yang telah dibinanya. Pada hari kelima belas bulan kelapan, hari yang ditentukannya sendiri, baginda pergi ke Betel untuk mempersembahkan korban di atas mazbah, bagi merayakan perayaan yang telah ditentukannya bagi umat Israel. Pada masa itu, ada seorang nabi dari Yehuda. Dia disuruh oleh TUHAN untuk pergi ke Betel. Nabi itu tiba di sana ketika Raja Yerobeam berdiri di depan mazbah untuk mempersembahkan korban. Atas perintah TUHAN, nabi itu mengecam mazbah di sana, katanya, “Hai mazbah, mazbah, demikianlah firman TUHAN: Seorang anak yang bernama Yosia akan dilahirkan dalam keluarga Raja Daud. Di atasmu, hai mazbah, dia akan menyembelih imam-imam yang bertugas di tempat penyembahan berhala, dan yang mempersembahkan korban di atasmu. Dia akan membakar tulang-tulang manusia di atasmu.” Nabi itu meneruskan lagi, “Mazbah ini akan roboh, dan abu yang ada di atasnya akan bertaburan. Itulah buktinya bahawa TUHAN telah berfirman melalui aku.” Apabila Raja Yerobeam mendengar hal itu, baginda bertitah sambil menunjuk nabi itu, “Tangkap dia!” Ketika itu juga lengan raja menjadi kejang sehingga baginda tidak dapat menariknya semula. Mazbah itu tiba-tiba roboh dan abunya bertaburan di tanah, seperti yang dinubuatkan oleh nabi itu atas nama TUHAN. Raja Yerobeam bertitah kepada nabi itu, “Tolonglah berdoa kepada TUHAN, Allahmu untuk beta, dan mintalah supaya Dia menyembuhkan lengan beta!” Nabi itu berdoa kepada TUHAN, maka lengan raja disembuhkan. Lalu raja bertitah kepada nabi itu, “Marilah makan di rumah beta. Beta akan menghadiahi kamu bagi jasamu itu.” Nabi itu menjawab. “Walaupun tuanku memberi hamba separuh daripada harta tuanku, hamba tidak akan ikut tuanku, atau makan minum bersama-sama tuanku. TUHAN telah memerintah hamba supaya tidak makan atau minum apa pun dan tidak pulang mengikut jalan hamba datang dahulu.” Demikianlah nabi itu tidak pulang mengikut jalan yang diikutinya dahulu, tetapi mengambil jalan yang lain. Pada masa itu, ada seorang nabi tua yang tinggal di Betel. Anak-anaknya datang memberitahu dia apa yang telah dibuat oleh nabi dari Yehuda pada hari itu di Betel, dan apa yang telah dikatakannya kepada Raja Yerobeam. Nabi tua itu bertanya kepada anak-anaknya, “Nabi dari Yehuda itu mengambil jalan yang mana ketika dia pulang?” Mereka menunjukkan jalan yang diikuti nabi itu kepadanya. Nabi tua itu menyuruh anak-anaknya memasang pelana pada keldainya. Setelah mereka berbuat demikian, dia menunggang keldai itu lalu mengejar nabi dari Yehuda itu. Kemudian dia menjumpai nabi itu sedang duduk di bawah sepohon pokok besar. Nabi tua itu bertanya kepadanya, “Kamukah nabi dari Yehuda itu?” “Ya,” jawab nabi itu. “Marilah pulang dan makan bersama-sama saya,” kata nabi tua itu. Tetapi nabi dari Yehuda itu menjawab, “Saya tidak boleh ikut tuan, atau masuk ke rumah tuan. Saya tidak boleh minum atau makan apa-apa di sini. TUHAN telah melarang saya makan atau minum apa-apa pun, dan melarang saya pulang mengikut jalan saya datang dahulu.” Lalu nabi tua dari Betel itu berkata kepadanya, “Saya pun seorang nabi seperti kamu. Atas perintah TUHAN, satu malaikat menyuruh saya membawa kamu pulang dan menjamu kamu di rumah saya.” Sebenarnya nabi tua itu berbohong. Oleh itu nabi dari Yehuda itu mengikut dia pulang dan makan bersama-samanya. Sedang mereka makan, TUHAN berfirman kepada nabi tua itu, lalu dia menyampaikan firman itu kepada nabi yang dari Yehuda, “TUHAN berfirman bahawa kamu tidak taat kepada-Nya, dan bahawa kamu tidak melakukan perintah-Nya. Sebaliknya, kamu balik dan makan di tempat yang telah dilarang-Nya. Oleh itu kamu akan dibunuh, dan mayatmu tidak akan dikebumikan di perkuburan keluargamu.” Setelah makan, nabi tua itu memasang pelana keldai untuk nabi dari Yehuda, lalu nabi itu pun pergi. Di tengah jalan, seekor singa menerkam dia dan membunuhnya. Mayatnya terletak di tengah jalan, sementara keldai dan singa itu berdiri di sisinya. Beberapa orang yang lalu di situ nampak mayat itu dan singa yang berdiri di sisinya. Mereka pergi ke Betel dan melaporkan hal itu. Apabila nabi tua itu mendengarnya, dia berkata, “Itulah nabi yang tidak taat kepada perintah TUHAN! Oleh itu TUHAN mengirim seekor singa untuk menerkam dan membunuhnya, seperti yang difirmankan TUHAN.” Setelah itu dia berkata kepada anak-anaknya, “Pasanglah pelana keldaiku.” Mereka pun berbuat demikian. Dia menunggang keldainya, lalu pergi. Dia menjumpai mayat nabi itu terlentang di tengah jalan, dan keldai serta singa berdiri di sisinya. Singa itu tidak makan mayat itu ataupun menerkam keldai. [29-30] Nabi tua itu mengangkat mayat itu, meletakkannya di atas keldainya, lalu membawanya pulang ke Betel. Dia meratapinya lalu mengebumikannya di perkuburan keluarganya sendiri. Dia dan anak-anaknya meratapinya, dan berkata, “Kasihan engkau, hai saudaraku, saudaraku!” *** Kemudian nabi itu berkata kepada anak-anaknya, “Apabila aku meninggal, kuburlah aku di kubur ini, dan letakkanlah mayatku di sisi mayatnya. Firman TUHAN yang disampaikannya terhadap mazbah di Betel itu dan semua tempat sembahyang di kota-kota Samaria pasti akan berlaku.” Raja Yerobeam, di Israel masih tidak meninggalkan perbuatannya yang jahat. Baginda tetap memilih imam daripada keluarga bukan suku Lewi untuk bertugas di mazbah-mazbah yang dibinanya. Raja melantik sesiapa sahaja yang mahu menjadi imam. Dosa raja ini membawa keruntuhan dan kemusnahan pemerintahan keturunannya. Pada masa itu, Abia, putera Raja Yerobeam jatuh sakit. Raja Yerobeam bertitah kepada isterinya, “Menyamarlah supaya tiada sesiapa pun mengenali engkau. Pergilah ke Silo, tempat tinggal Ahia, nabi yang bernubuat bahawa aku akan menjadi raja Israel. Bawalah untuknya sepuluh buku roti, beberapa ketul kuih, dan sebotol madu. Tanyalah dia apa yang akan terjadi kepada anak kita. Dia akan memberitahu engkau.” Maka isteri Raja Yerobeam pergi ke rumah Ahia di Silo. Ahia tidak dapat melihat lagi kerana sudah lanjut usia. TUHAN telah memberitahu Ahia bahawa isteri Raja Yerobeam akan datang untuk bertanya kepadanya tentang puteranya yang sakit. TUHAN telah memberitahu dia apa yang harus dikatakannya. Apabila isteri Raja Yerobeam tiba, dia berpura-pura menjadi orang lain. Tetapi apabila Ahia mendengar dia datang di pintu, Ahia berkata, “Sila masuk. Hamba tahu bahawa tuanku ialah isteri Raja Yerobeam. Mengapa berpura-pura menjadi orang lain? Hamba ada berita buruk untuk tuanku. Pergilah beritahu Raja Yerobeam bahawa demikianlah firman TUHAN, Allah Israel kepada baginda, ‘Aku memilih engkau antara rakyat, dan Aku menjadikan engkau raja umat-Ku Israel. Aku mengambil kerajaan Daud daripada keturunannya dan memberikannya kepadamu. Tetapi engkau tidak seperti hamba-Ku Daud. Dia setia kepada-Ku dan taat kepada perintah-Ku. Dia hanya melakukan apa yang Aku kehendaki. Dosamu lebih besar daripada orang yang memerintah sebelum engkau. Engkau telah menolak Aku. Engkau membangkitkan kemurkaan-Ku apabila engkau membuat berhala dan patung daripada logam. Oleh sebab itu Aku akan mendatangkan malapetaka kepada keturunanmu. Aku akan membunuh semua keturunanmu yang lelaki, baik yang muda mahupun yang tua. Aku akan melenyapkan keluargamu. Mereka akan disapu habis seperti najis. Semua anggota keluargamu yang mati di dalam kota akan dimakan anjing, dan yang mati di padang akan dimakan burung. Aku, TUHAN telah berfirman.’ ” Ahia meneruskan lagi kata-katanya kepada isteri Raja Yerobeam, “Sekarang, pulanglah. Secepat sahaja tuanku masuk ke kota, putera tuanku akan mangkat. Segenap umat Israel akan meratapi dan memakamkan putera raja. Putera itulah satu-satunya anggota keluarga Raja Yerobeam yang akan dimakamkan secara terhormat, kerana putera itu sahaja yang diperkenankan TUHAN, Allah Israel. TUHAN akan melantik seorang raja bagi Israel, dan raja itu akan mengakhiri pemerintahan keluarga Raja Yerobeam, mulai sekarang juga. TUHAN akan menghukum umat Israel sehingga mereka tergoyang-goyang seperti gelagah di dalam air. TUHAN akan mencabut umat Israel dari tanah yang baik ini, yang diberikan-Nya kepada nenek moyang mereka. Dia akan menghamburkan mereka di seberang Sungai Efrat, kerana mereka telah membangkitkan kemurkaan-Nya ketika mereka membuat patung Dewi Asyera. TUHAN akan meninggalkan Israel, kerana Raja Yerobeam telah berdosa dan menyebabkan umat Israel berdosa.” Kemudian isteri Raja Yerobeam kembali ke Tirza. Tepat pada saat isteri raja itu masuk ke rumahnya, putera raja mangkat. Umat Israel meratapi dan memakamkan putera itu seperti firman TUHAN yang disampaikan oleh hamba-Nya, Nabi Ahia. Segala perbuatan Raja Yerobeam, peperangan yang dimenanginya dan pemerintahannya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Raja Yerobeam memerintah sebagai raja selama dua puluh dua tahun. Setelah baginda mangkat dan dimakamkan, Nadab, puteranya, menggantikan baginda sebagai raja. Raja Rehabeam putera Raja Salomo berusia empat puluh satu tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda. Raja Rehabeam memerintah selama tujuh belas tahun di Yerusalem, kota yang dipilih oleh TUHAN di antara seluruh kawasan Israel sebagai tempat beribadat kepada-Nya. Bonda Raja Rehabeam ialah Naama, seorang wanita Amon. Penduduk Yehuda berdosa terhadap TUHAN. Perbuatan mereka lebih membangkitkan kemurkaan TUHAN daripada segala perbuatan nenek moyang mereka. Mereka membina tempat-tempat penyembahan dewa dan mendirikan tiang-tiang berhala dan lambang-lambang Dewi Asyera untuk disembah di bukit-bukit dan di bawah pokok-pokok besar. Di tempat-tempat itu mereka melakukan pelacuran sebagai penyembahan kepada dewa. Bahkan ada orang lelaki dan perempuan yang bertugas di tempat-tempat itu sebagai pelacur. Penduduk Yehuda melakukan semua perbuatan keji yang dilakukan bangsa-bangsa yang telah diusir TUHAN dahulu, ketika umat Israel menduduki negeri itu. Pada tahun kelima pemerintahan Raja Rehabeam, Raja Sisak dari Mesir menyerang Yerusalem. Raja Sisak merampas semua harta di Rumah TUHAN dan di istana, termasuk perisai-perisai emas yang dibuat oleh Raja Salomo. Sebagai ganti perisai-perisai emas itu, Raja Rehabeam membuat perisai-perisai gangsa. Raja mempercayakan semua itu kepada para pegawai yang mengawal pintu-pintu gerbang istana. Tiap-tiap kali raja masuk ke Rumah TUHAN, para pengawal mengangkat perisai-perisai itu, dan selepas itu, mereka mengembalikan semuanya ke bilik pengawal. Segala perbuatan Raja Rehabeam tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. Raja Rehabeam dan Raja Yerobeam sentiasa berperang selama pemerintahan Raja Rehabeam. Raja Rehabeam mangkat dan dimakamkan di makam diraja di Kota Daud, lalu Abiam, puteranya menggantikan baginda sebagai raja. Pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yerobeam di Israel, Abiam menjadi raja di Yehuda. Raja Abiam memerintah di Yerusalem selama tiga tahun. Bondanya ialah Maakha keturunan Abisalom. Seperti ayahandanya, Raja Abiam juga berdosa dan tidak taat kepada TUHAN, Allahnya. Baginda tidak seperti Raja Daud, moyangnya. Tetapi demi Raja Daud, TUHAN, Allahnya mengurniakan Raja Abiam seorang putera untuk memerintah di Yerusalem selepas Raja Abiam, dan untuk mempertahan kota itu. TUHAN berbuat demikian kerana Raja Daud menyenangkan hati-Nya. Raja Daud tidak pernah melawan perintah TUHAN, kecuali dalam hal Uria, orang Het itu. Selama hayat Raja Abiam, persengketaan yang telah bermula antara Raja Rehabeam dengan Raja Yerobeam masih berlangsung. Segala perbuatan Raja Abiam tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. Raja Abiam mangkat dan dimakamkan di Kota Daud. Asa, putera Raja Abiam, menggantikan baginda sebagai raja. Pada tahun kedua puluh pemerintahan Raja Yerobeam di Israel, Asa menjadi raja Yehuda, dan memerintah selama empat puluh satu tahun di Yerusalem. Neneknya ialah Maakha keturunan Abisalom. Raja Asa melakukan hal-hal yang diperkenankan TUHAN, seperti yang dilakukan oleh Raja Daud, nenek moyangnya. Semua pelacur lelaki dan perempuan yang bertugas di tempat-tempat penyembahan dewa dibuang negeri; baginda juga menyingkirkan semua berhala yang dibuat oleh raja-raja sebelum baginda. Raja Asa menyingkirkan nenek baginda, Maakha, daripada kedudukannya sebagai bonda ratu, kerana Maakha telah membuat sebuah patung lucah, Dewi Asyera, berhala yang melambangkan kesuburan. Raja Asa merobohkan berhala itu dan membakarnya di Lembah Kidron. Walaupun Raja Asa tidak memusnahkan semua tempat penyembahan berhala, namun baginda tetap setia kepada TUHAN seumur hidupnya. Baginda meletakkan semua benda yang telah ditahbiskan oleh ayahandanya bagi Allah di dalam Rumah TUHAN, demikian juga benda-benda emas dan perak yang telah ditahbiskannya sendiri. Raja Asa di Yehuda dan Raja Baesa di Israel sentiasa berperang selama pemerintahan mereka. Raja Baesa menyerang Yehuda lalu mula memperkuat kota Rama untuk menutup jalan keluar masuk Yehuda. Oleh itu Raja Asa mengambil semua perak dan emas yang masih ada di Rumah TUHAN dan di istana, lalu dengan perantaraan beberapa orang pegawainya, Raja Asa mengirim semuanya ke Damsyik, kepada Raja Benhadad di Siria. Raja Benhadad ialah anak Tabrimon dan cucu Hezion. Raja Asa mengirim semuanya dengan pesan ini, “Marilah kita mengikat persahabatan seperti yang dilakukan ayahanda kita dahulu. Emas dan perak ini hadiah untuk tuanku. Putuskanlah hubungan tuanku dengan Raja Baesa di Israel, supaya raja Israel itu terpaksa menarik kembali tenteranya dari wilayah beta.” Raja Benhadad bersetuju dengan cadangan Raja Asa, lalu mengirim para panglima dan tenteranya untuk menyerang kota-kota Israel. Mereka merebut Iyon, Dan, Abel-Bet-Maakha, Kinerot dekat Tasik Galilea, dan seluruh wilayah Naftali. Apabila Raja Baesa mendengar hal itu, baginda berhenti memperkuat Rama, lalu pergi ke Tirza. Kemudian Raja Asa bertitah kepada segenap penduduk Yehuda dan memerintahkan setiap rakyat, tanpa kecuali, supaya mengangkut batu dan balak yang digunakan oleh Raja Baesa untuk memperkuat kota Rama. Dengan bahan-bahan itu Raja Asa memperkuat kota Mizpa dan Geba, sebuah kota di wilayah Benyamin. Segala perbuatan Raja Asa, kepahlawanan baginda dan kota-kota yang diperkuat oleh baginda, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. Tetapi pada masa tuanya, kaki baginda kena penyakit parah. Raja Asa mangkat lalu dimakamkan di makam diraja di Kota Daud. Kemudian Yosafat, puteranya menggantikan baginda sebagai raja. Pada tahun kedua pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Nadab putera Raja Yerobeam menjadi raja Israel. Raja Nadab memerintah Israel selama dua tahun. Seperti ayahandanya dahulu, Raja Nadab juga berdosa terhadap TUHAN, dan menyebabkan Israel berdosa. Baesa anak Ahia daripada suku Isakhar berkomplot untuk menentang Raja Nadab, lalu membunuh baginda. Pada masa itu, Raja Nadab dan tenteranya sedang mengepung kota Gibeton di negeri orang Filistin. Peristiwa ini berlaku pada tahun ketiga pemerintahan Raja Asa di Yehuda. Maka Baesa menggantikan Raja Nadab sebagai raja Israel. Sebaik sahaja Baesa menjadi raja, Baesa mula membunuh semua anggota keluarga Raja Yerobeam. Sebagaimana yang difirmankan TUHAN melalui hamba-Nya, Nabi Ahia dari Silo, semua anggota keluarga Raja Yerobeam dibunuh; tiada seorang pun yang dibiarkan hidup. Hal itu berlaku kerana Raja Yerobeam membangkitkan kemurkaan TUHAN, Allah Israel; Raja Yerobeam telah berdosa, dan baginda juga menyebabkan umat Israel berdosa. Segala perbuatan Raja Nadab tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Raja Asa di Yehuda dan Raja Baesa di Israel sentiasa berperang selama pemerintahan mereka. Pada tahun ketiga pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Raja Baesa anak Ahia menjadi raja seluruh Israel. Raja Baesa memerintah di Tirza selama dua puluh empat tahun. Seperti Raja Yerobeam dahulu, Raja Baesa juga berdosa terhadap TUHAN, dan menyebabkan umat Israel berdosa. TUHAN berfirman kepada Nabi Yehu anak Hanani, “Sampaikanlah berita ini kepada Raja Baesa, ‘Dahulu engkau bukan sesiapa, tetapi Aku telah menjadikan engkau pemimpin umat-Ku Israel. Sekarang engkau berdosa seperti Yerobeam, dan menyebabkan umat-Ku juga berdosa. Dosa mereka telah membangkitkan kemurkaan-Ku. Oleh itu Aku akan melenyapkan engkau serta keluargamu, sebagaimana Aku telah memperlakukan Yerobeam. Semua anggota keluargamu yang meninggal di kota akan dimakan anjing, dan yang mati di padang akan dimakan burung.’ ” Segala perbuatan Raja Baesa, serta kepahlawanan baginda tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Raja Baesa mangkat lalu dimakamkan di Tirza, dan Ela, puteranya, menggantikan baginda sebagai raja. Firman TUHAN tentang Raja Baesa dan keluarganya itu disampaikan oleh Nabi Yehu, kerana Raja Baesa telah berdosa terhadap TUHAN. Raja Baesa membangkitkan kemurkaan TUHAN, bukan sahaja kerana kejahatan yang dibuatnya seperti yang dilakukan Raja Yerobeam dahulu, tetapi juga kerana pembunuhan yang dilakukannya terhadap semua anggota keluarga Raja Yerobeam. Pada tahun kedua puluh enam pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Ela, putera Raja Baesa menjadi raja Israel. Raja Ela memerintah di Tirza selama dua tahun. Zimri, salah seorang pegawai raja yang mengetuai separuh daripada pasukan berkereta kuda diraja, berkomplot melawan Raja Ela. Pada suatu hari, Raja Ela minum-minum sehingga mabuk di rumah Arza, pengurus istana di Tirza. Zimri masuk ke dalam rumah dan membunuh Raja Ela, lalu menggantikan baginda sebagai raja. Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua puluh tujuh pemerintahan Raja Asa di Yehuda. Sebaik sahaja Zimri menjadi raja, Zimri membunuh semua anggota keluarga Raja Baesa. Tiap-tiap saudara lelaki dan sahabat Raja Ela dibunuh. Demikianlah Zimri membunuh semua anggota keluarga Raja Baesa, menurut firman TUHAN yang disampaikan oleh Nabi Yehu tentang Raja Baesa. Raja Baesa dan putera baginda, Raja Ela, menyembah berhala dan menyebabkan umat Israel berdosa. Oleh itu mereka membangkitkan kemurkaan TUHAN, Allah Israel. Segala perbuatan Raja Ela tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Pada tahun kedua puluh tujuh pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Raja Zimri memerintah Israel di Tirza selama tujuh hari. Pada masa itu tentera Israel sedang mengepung kota Gibeton di negeri orang Filistin. Apabila mereka mendengar bahawa Raja Zimri telah mengadakan pakatan jahat dan membunuh raja, pada masa itu juga mereka melantik Omri, panglima tentera mereka, menjadi raja Israel. Omri dan pasukannya meninggalkan Gibeton lalu menyerang Tirza. Apabila Raja Zimri melihat bahawa kota itu telah dikalahkan, baginda masuk ke dalam kubu di sebelah dalam istana. Kemudian baginda membakar istana itu, dan baginda mangkat dalam kebakaran itu. Hal ini berlaku kerana dosa Raja Zimri terhadap TUHAN. Seperti Raja Yerobeam, raja yang terdahulu, Raja Zimri juga membangkitkan kemurkaan TUHAN kerana dosanya sendiri, dan kerana menyebabkan umat Israel berdosa. Segala perbuatan Raja Zimri, termasuk pakatan jahat yang dilakukannya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Orang Israel terbahagi kepada dua pihak; ada yang mahu Tibni anak Ginat menjadi raja, dan ada pula yang mahu Omri menjadi raja. Akhirnya orang yang memihak Omri menang. Tibni meninggal lalu Omri menjadi raja. Maka pada tahun ketiga puluh satu pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Omri menjadi raja Israel. Raja Omri memerintah Israel selama dua belas tahun. Selama enam tahun yang pertama, baginda memerintah di Tirza. Kemudian Raja Omri membeli sebuah bukit daripada seorang yang bernama Semer dengan harga 6,000 keping wang perak. Baginda memperkuat bukit itu dan membina sebuah kota di sana. Raja Omri menamakan kota itu Samaria, mengikut nama Semer, pemilik bukit itu dahulu. Raja Omri berdosa terhadap TUHAN lebih daripada semua raja yang terdahulu. Seperti Raja Yerobeam, yang terdahulu daripadanya, Raja Omri membangkitkan kemurkaan TUHAN, Allah Israel, kerana Raja Omri berdosa dan menyebabkan umat Israel berdosa serta menyembah berhala. Segala perbuatan Raja Omri dan kejayaan baginda, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Raja Omri mangkat dan dimakamkan di Samaria. Ahab, puteranya menggantikan baginda sebagai raja. Pada tahun ketiga puluh lapan pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Ahab putera Omri menjadi raja Israel. Raja Ahab memerintah di Samaria selama dua puluh dua tahun. Raja Ahab berdosa terhadap TUHAN lebih daripada semua raja yang terdahulu. Tidak cukup baginya untuk berdosa seperti Raja Yerobeam. Raja Ahab melakukan yang lebih jahat lagi; baginda mengahwini Izebel, puteri Raja Etbaal dari Sidon, dan Raja Ahab juga menyembah Baal. Raja Ahab membina sebuah kuil untuk Baal di Samaria. Baginda juga membina mazbah bagi Baal, lalu meletakkannya di dalam kuil. Raja Ahab juga membuat patung Dewi Asyera. Baginda membangkitkan kemurkaan TUHAN, Allah Israel, lebih daripada semua raja Israel yang terdahulu. Pada masa pemerintahan baginda, Hiel dari Betel, membina semula kota Yerikho. Seperti yang pernah difirmankan TUHAN melalui Yosua anak Nun, anak lelaki sulung Hiel yang bernama Abiram, meninggal ketika Hiel meletakkan asas kota Yerikho. Anak lelaki bongsu Hiel yang bernama Segub juga meninggal ketika Hiel memasang pintu gerbang kota itu. Seorang nabi bernama Elia dari Tisbe di Gilead berkata kepada Raja Ahab, “Demi TUHAN yang hidup, Allah Israel yang hamba sembah, hamba memberitahu tuanku bahawa selama dua atau tiga tahun tidak akan ada embun ataupun hujan, sehingga hamba mengatakan ada hujan.” Kemudian TUHAN berfirman kepada Elia, “Tinggalkanlah tempat ini dan pergilah ke sebelah timur. Bersembunyilah dekat sungai kecil Kerit, di sebelah timur Sungai Yordan. Engkau dapat minum dari sungai kecil itu, dan Aku akan memerintah burung gagak untuk membawa makanan kepadamu di situ.” Elia mentaati perintah TUHAN itu. Dia pergi tinggal di tepi sungai kecil Kerit. Dia minum dari sungai kecil itu, dan burung gagak membawa roti dan daging kepadanya setiap pagi dan petang. Tidak berapa lama kemudian, sungai kecil itu kering kerana tidak ada hujan. Kemudian TUHAN berfirman kepada Elia, “Pergilah ke kota Sarfat dekat Sidon, dan tinggallah di sana. Aku sudah memerintah seorang balu yang tinggal di sana untuk memberikan makanan kepadamu.” Maka Elia pergi ke Sarfat. Apabila dia tiba di pintu gerbang kota itu, dia nampak seorang balu sedang mengumpulkan kayu api. Elia berkata kepadanya, “Tolong beri saya air minum.” Apabila balu itu hendak pergi untuk mengambil air, Elia berkata lagi, “Dan tolonglah beri saya roti juga.” Balu itu menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, Allah yang tuan sembah, saya bersumpah bahawa saya tidak mempunyai roti. Saya hanya mempunyai segenggam tepung gandum di dalam mangkuk dan sedikit minyak zaitun di dalam botol. Saya sedang mengumpulkan sedikit kayu api untuk dibawa pulang supaya saya dapat memasak bahan yang tinggal itu untuk saya dan anak saya. Itulah makanan kami yang terakhir; setelah itu kami akan menunggu maut sahaja.” Elia berkata kepadanya, “Jangan khuatir. Pergilah sediakan makananmu. Tetapi sebelum itu, mula-mula buatlah roti daripada tepung dan minyak itu dan hantarlah kepada saya. Kemudian buatlah roti untukmu dan anakmu, kerana demikianlah Firman TUHAN, Allah Israel, ‘Tepung di dalam mangkuk itu tidak akan habis dan minyak di dalam botol itu tidak akan berkurang sehingga tiba saatnya Aku, TUHAN, menurunkan hujan.’ ” Balu itu pergi dan melakukan apa yang disuruh oleh Elia. Mereka bertiga mempunyai cukup makanan berhari-hari lamanya. Tepung di dalam mangkuk itu tidak habis-habis, dan minyak di dalam botol itu tidak berkurang menurut firman TUHAN melalui Elia. Beberapa waktu kemudian, anak lelaki balu itu jatuh sakit. Penyakitnya bertambah teruk, dan akhirnya dia meninggal. Balu itu berkata kepada Elia, “Hai hamba Allah, mengapakah tuan melakukan hal ini kepada saya? Adakah tuan datang untuk mengingatkan Allah akan dosa saya, lalu menyebabkan kematian anak saya?” Elia berkata, “Bawalah anak itu kepada saya.” Elia mengambil anak itu dari ibunya, lalu membawa anak itu ke ruangan atas, ke bilik yang ditumpangi Elia. Dia membaringkan anak itu di atas tempat tidur. Kemudian Elia berdoa dengan suara kuat, “Ya TUHAN, Allahku, mengapakah Engkau melakukan perkara yang sedahsyat ini kepada balu itu? Dia sudah memberikan tumpangan kepadaku, tetapi Engkau telah membunuh anaknya!” Kemudian Elia menelungkupkan badannya di atas anak itu tiga kali sambil berdoa, “Ya TUHAN, Allahku, hidupkanlah semula anak ini!” TUHAN mengabulkan doa Elia. Anak itu mula bernafas lagi, lalu hidup semula. Elia membawa anak itu turun ke bawah, lalu menyerahkan dia kepada ibu anak itu. Elia berkata, “Lihatlah, anakmu hidup semula!” Balu itu berkata, “Sekarang barulah saya tahu bahawa tuan seorang hamba Allah dan bahawa TUHAN benar-benar berfirman melalui tuan.” Beberapa waktu kemudian, pada tahun ketiga kemarau itu, TUHAN berfirman kepada Elia, “Pergilah menghadap Raja Ahab kerana Aku akan menurunkan hujan.” Maka Elia berangkat. Kebuluran di Samaria pada masa itu sangat dahsyat, oleh itu Raja Ahab memanggil Obaja, pengurus istananya. (Obaja seorang yang sungguh-sungguh beribadat kepada TUHAN. Pada masa Izebel membunuh nabi-nabi TUHAN, Obaja menyembunyikan seratus orang nabi di dalam gua. Dia membahagi mereka menjadi dua kumpulan, lima puluh orang sekumpulan. Dia memberikan makanan dan air minum kepada mereka.) Raja Ahab bertitah kepada Obaja, “Marilah kita pergi melihat tiap-tiap mata air dan dasar sungai di negeri ini. Mungkin kita akan mendapat rumput untuk menyelamatkan kuda dan baghal, supaya tidak usah membunuh seekor pun daripada ternakan kita.” Mereka menentukan daerah yang dijelajahi masing-masing, lalu mereka pergi ke arah yang berlainan. Di tengah perjalanan, Obaja bertemu dengan Elia. Dia mengenali Elia dan bersujud di hadapannya, lalu bertanya, “Betulkah tuan ini, Elia?” “Betul, sayalah Elia,” jawabnya. “Pergilah beritahu raja, tuanmu, bahawa saya berada di sini.” Obaja menjawab, “Apakah kesalahan saya sehingga tuan membahayakan nyawa saya dan menyebabkan saya dibunuh oleh Raja Ahab? Demi TUHAN yang hidup, Allah tuan, saya bersumpah bahawa raja telah mencari tuan di tiap-tiap negeri di bumi ini. Apabila penguasa dari sesuatu negeri melaporkan bahawa tuan tidak ada di negerinya, Raja Ahab meminta supaya penguasa itu bersumpah bahawa tuan tidak ditemui di negerinya. Sekarang tuan mahu saya pergi memberitahu raja bahawa tuan berada di sini. Bagaimanakah jika Roh TUHAN membawa tuan ke tempat lain yang tidak diketahui orang, sebaik saja saya meninggalkan tempat ini? Apabila saya memberitahu raja bahawa tuan berada di sini dan raja tidak dapat mencari tuan, raja akan membunuh saya. Ingatlah, saya sungguh-sungguh beribadat kepada TUHAN sejak saya masih muda. Tidakkah tuan tahu bahawa apabila Izebel membunuh nabi-nabi TUHAN, saya menyembunyikan seratus orang nabi di dalam gua? Saya membahagikan mereka menjadi dua kumpulan, lima puluh orang sekumpulan. Lalu saya memberi mereka makanan dan air minum. Mengapakah tuan menyuruh saya memberitahu raja bahawa tuan berada di sini? Tentu raja akan membunuh saya!” Elia menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, Yang Maha Kuasa, yang saya sembah, saya berjanji akan menghadap raja pada hari ini juga.” Oleh itu Obaja pergi memberitahu raja, lalu raja pun berangkat untuk menemui Elia. Apabila Raja Ahab nampak Elia, Raja Ahab bertitah, “Ini dia si pengacau di Israel!” Elia menjawab, “Hamba bukan pengacau. Tuanku dan keluarga tuankulah pengacau itu. Tuanku tidak mentaati perintah TUHAN dan tuanku menyembah berhala Baal. Sekarang perintahlah segenap umat Israel untuk menemui hamba di Gunung Karmel. Bawalah empat ratus lima puluh orang nabi Baal dan empat ratus orang nabi Dewi Asyera yang dibiayai oleh Permaisuri Izebel.” Kemudian Raja Ahab memerintahkan segenap umat Israel dan nabi Baal berkumpul di Gunung Karmel. Elia menghadap umat itu dan berkata, “Sampai bilakah kamu tetap mendua hati? Jika TUHAN itu Allah, sembahlah TUHAN; tetapi jika Baal itu Allah, sembahlah Baal!” Tetapi umat itu tidak menjawab apa-apa. Lalu Elia berkata, “Nabi TUHAN hanya tinggal saya seorang, sedangkan nabi Baal ada empat ratus lima puluh orang. Bawalah dua ekor lembu jantan; biarlah nabi-nabi Baal mengambil seekor, menyembelihnya, memotong-motongnya, lalu meletakkannya di atas kayu api, tetapi jangan nyalakan api. Saya juga akan berbuat demikian dengan lembu jantan yang seekor lagi. Biarlah nabi-nabi Baal berdoa kepada dewa mereka, dan saya akan berdoa kepada TUHAN. Yang menjawab dengan mengirim api, Dialah Allah.” Dengan suara yang kuat segenap rakyat berseru bahawa mereka bersetuju. Selepas itu Elia berkata kepada nabi-nabi Baal, “Oleh sebab kamu banyak, biarlah kamu yang menyiapkan lembu jantan itu dahulu. Berdoalah kepada dewa kamu, tetapi jangan nyalakan api pada kayu itu.” Mereka mengambil seekor lembu jantan yang telah diberikan kepada mereka, menyiapkannya, lalu berdoa kepada Baal sehingga tengah hari. Mereka berseru, “Jawablah kami, ya Baal!” Mereka berbuat demikian sambil menari-nari di sekeliling mazbah yang telah dibina, tetapi tidak ada jawapan. Pada tengah hari, Elia mula mengolok-olok mereka, “Berdoalah lebih kuat lagi!” katanya. “Baal tuhan, bukan? Mungkin dia sedang melamun atau pergi ke tandas. Mungkin juga dia sedang pergi ke tempat lain! Atau mungkin juga dia sedang tidur, dan kamu harus membangunkan dia!” Oleh itu, nabi-nabi Baal berdoa dengan lebih kuat lagi. Mereka juga meluka-lukai badan dengan pedang dan tombak menurut adat mereka, sehingga darah bercucuran. Mereka terus bergembar-gembur sehingga jauh petang, tetapi tidak ada yang menjawab, dan tidak ada bunyi yang terdengar. Kemudian Elia berkata kepada semua orang di situ, “Marilah dekat dengan saya.” Lalu mereka berkumpul di sekelilingnya. Elia mula memperbaiki mazbah TUHAN yang telah rosak itu. Dia mengambil dua belas buah batu, setiap batu mewakili salah satu daripada dua belas suku keturunan Yakub, iaitu orang yang diberikan nama Israel oleh TUHAN. Dengan batu-batu itu, Elia membina semula mazbah tempat beribadat kepada TUHAN. Di sekeliling mazbah itu Elia menggali parit yang boleh menampung air sebanyak kira-kira lima belas liter. Kemudian dia meletakkan kayu api di atas mazbah, memotong-motong lembu jantan itu dan meletakkannya di atas kayu api. Elia berkata, “Penuhilah empat buah buyung dengan air, lalu tuanglah air itu ke atas korban dan kayu ini.” Mereka melakukan suruhan itu. Elia berkata, “Buatlah lagi.” Mereka melakukannya lagi. “Buatlah sekali lagi,” kata Elia. Lalu mereka melakukannya sekali lagi, sehingga air mengalir di sekeliling mazbah itu dan paritnya dipenuhi air. Pada masa mempersembahkan korban petang, Nabi Elia menghampiri mazbah itu dan berdoa, “Ya TUHAN, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, sekarang buktikanlah bahawa Engkau Allah Israel dan bahawa aku hamba-Mu. Buktikanlah juga bahawa aku melakukan semua ini menurut perintah-Mu. Jawablah aku, ya TUHAN. Jawablah aku supaya umat ini tahu bahawa Engkau, TUHAN ialah Allah, dan bahawa Engkau sedang membawa mereka kembali kepada-Mu.” Kemudian TUHAN menurunkan api dari langit dan membakar korban itu bersama dengan kayu api, batu, dan tanah sehingga air di parit itu kering. Apabila umat nampak kejadian itu, mereka bersujud sambil berkata, “TUHAN ialah Allah; TUHAN satu-satunya Allah!” Lalu Elia memberikan perintah, “Tangkaplah nabi-nabi Baal; jangan biar seorang pun melarikan diri!” Mereka menangkap semua nabi itu. Elia membawa mereka ke Sungai Kison lalu membunuh mereka. Kemudian Elia berkata kepada Raja Ahab, “Pergilah makan, kerana hamba mendengar deru hujan yang segera datang.” Sementara Raja Ahab pergi makan, Elia naik ke puncak Gunung Karmel. Di sana dia bersujud sampai ke tanah dengan kepalanya di antara kedua-dua lututnya. Dia berkata kepada hambanya, “Naiklah, lihatlah ke arah laut.” Hamba itu pergi, lalu kembali dan berkata, “Saya tidak nampak apa-apa.” Sebanyak tujuh kali, Elia menyuruh dia pergi melihat ke arah laut. Apabila dia kembali pada kali ketujuh, dia berkata, “Saya nampak awan sekecil tapak tangan orang naik dari laut.” Elia menyuruh hambanya, “Pergilah menghadap Raja Ahab. Suruhlah baginda mengendarai kereta kudanya dan berangkat pulang, sebelum baginda dihalangi hujan.” Tidak lama kemudian, langit penuh dengan awan hitam dan angin kencang pun mula bertiup, lalu hujan lebat turun. Raja Ahab menaiki kereta kudanya lalu pergi ke Yizreel. Pada masa itu kuasa TUHAN turun atas Elia; dia mengikat pakaiannya pada pinggang, lalu berlari mendahului Raja Ahab sepanjang jalan sampai ke pintu gerbang kota Yizreel. Raja Ahab memberitahu Izebel isterinya, segala yang telah dilakukan Elia, dan juga cara Elia membunuh semua nabi Baal. Izebel mengirim berita kepada Elia, katanya, “Biarlah para dewa membunuh aku, jika esok pada waktu ini aku tidak memperlakukan engkau seperti engkau memperlakukan nabi-nabi itu.” Elia ketakutan, lalu dia dan hambanya lari ke Bersyeba di Yehuda. Elia meninggalkan hambanya di situ, lalu berjalan sepanjang hari ke padang gurun. Kemudian dia berhenti dan duduk di bawah sebatang pokok; dia ingin mati. Dia berdoa, “Penderitaan ini terlalu berat bagiku, ya TUHAN. Ambillah nyawaku, lebih baik aku mati!” Dia berbaring di bawah pokok itu lalu tertidur. Tiba-tiba malaikat menyentuh dia dan berkata, “Bangunlah, dan makanlah.” Elia melihat di sekelilingnya dan nampak seketul roti bakar dan sebuah kendi berisi air dekat kepalanya. Dia makan dan minum, lalu berbaring semula. Malaikat TUHAN kembali dan membangunkannya sekali lagi. Katanya, “Bangunlah dan makanlah, supaya engkau tahan dalam perjalanan yang jauh.” Elia bangun dan makan; makanan itu memberi dia cukup tenaga untuk berjalan selama empat puluh hari ke Gunung Sinai, tempat Allah menyatakan diri. Di sana dia bermalam di dalam sebuah gua. Kemudian TUHAN berfirman kepadanya, “Elia, apakah yang engkau lakukan di sini?” Elia menjawab, “Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, aku sentiasa mengabdi kepada-Mu dan kepada-Mu sahaja. Tetapi umat Israel telah melanggar perjanjian mereka dengan Engkau. Mereka merobohkan mazbah-Mu dan membunuh semua nabi-Mu. Hanya aku seorang yang masih hidup, dan kini mereka hendak membunuh aku pula!” TUHAN berfirman kepadanya, “Keluarlah dari gua itu dan berdirilah di hadapan-Ku di puncak gunung.” Kemudian TUHAN lalu di sana. Angin ribut yang membelah gunung dan memecah bukit batu mendahului TUHAN, tetapi TUHAN tidak menyatakan diri dalam angin ribut itu. Setelah angin ribut itu berhenti, gempa berlaku, tetapi TUHAN tidak menyatakan diri dalam gempa itu. Selepas itu, api datang, tetapi TUHAN tidak menyatakan diri dalam api itu. Kemudian suasana menjadi senyap, lalu terdengar suatu suara yang lembut bagaikan bisikan. Apabila Elia mendengar suara itu, dia menutup muka dengan jubahnya, lalu keluar dan berdiri di mulut gua itu. Kemudian terdengarlah suara berkata kepadanya, “Elia, apakah yang engkau lakukan di sini?” Elia menjawab, “Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, aku sentiasa mengabdi kepada-Mu dan kepada-Mu sahaja. Tetapi umat Israel telah melanggar perjanjian mereka dengan Engkau. Mereka merobohkan mazbah-Mu dan membunuh semua nabi-Mu. Hanya aku seorang yang masih hidup, dan kini mereka hendak membunuh aku pula!” TUHAN berfirman kepadanya, “Kembalilah ke padang gurun dekat Damsyik. Masuklah ke kota dan lumurilah kepala Hazael dengan minyak sebagai tanda bahawa dia dipilih menjadi raja negeri Siria. Lakukanlah hal yang sama kepada Yehu anak Nimsi supaya dia menjadi raja Israel, dan juga kepada Elisa anak Safat dari Abel-Mehola supaya dia menjadi nabi menggantikan engkau. Sesiapa yang dapat melarikan diri daripada pedang Hazael akan dibunuh Yehu, dan sesiapa yang terlepas daripada pedang Yehu akan dibunuh Elisa. Namun Aku akan menyelamatkan tujuh ribu orang di Israel, iaitu mereka yang setia kepada-Ku dan belum pernah bersujud kepada Baal, ataupun menciumnya.” Apabila Elia meninggalkan tempat itu, dia bertemu dengan Elisa yang sedang membajak tanah. Ada sebelas pasang lembu di hadapan Elisa, dan Elisa sendiri membajak dengan pasangan lembu yang terbelakang, iaitu pasangan lembu yang kedua belas. Elia menanggalkan jubahnya dan menghamparkannya pada Elisa. Kemudian Elisa meninggalkan lembu-lembunya, mengejar Elia dan berkata, “Benarkanlah saya berjumpa dengan ibu bapa saya dahulu untuk minta diri, lalu saya akan mengikut tuan.” Elia menjawab, “Pulanglah, saya tidak melarang kamu!” Kemudian Elisa kembali untuk mengambil pasangan lembunya, dan menyembelihnya, lalu memasaknya. Dia menggunakan kayu bajak sebagai kayu api. Dia menghidangkan makanan itu kepada semua orang di situ dan mereka pun makan. Selepas itu Elisa mengikut Elia sebagai pembantunya. Pada suatu hari Raja Benhadad, raja negeri Siria mengumpulkan semua pasukan tenteranya. Raja Benhadad dibantu oleh tiga puluh dua orang raja lain bersama dengan kuda dan kereta kuda mereka. Kemudian Raja Benhadad maju dan mengepung, serta menyerang kota Samaria. Raja Benhadad mengirim beberapa orang utusan kepada Raja Ahab, raja Israel, di kota itu dengan pesan, “Raja Benhadad menuntut supaya raja menyerahkan perak dan emas raja, isteri-isteri, serta anak-anak raja yang terkuat kepada baginda.” Raja Ahab menjawab, “Katakanlah kepada baginda Raja Benhadad bahawa beta bersetuju. Baginda boleh memiliki beta dan segala harta beta.” Kemudian utusan-utusan itu kembali kepada Raja Ahab dan menyampaikan satu lagi tuntutan daripada Raja Benhadad, “Dahulu Raja Benhadad menuntut supaya tuanku menyerahkan perak dan emas tuanku, isteri-isteri serta anak-anak tuanku. Tetapi sekarang baginda akan menyuruh para pahlawannya menggeledah istana tuanku dan rumah-rumah pegawai tuanku. Mereka akan mengambil segala yang dianggap berharga oleh mereka. Mereka akan datang kira-kira pada waktu ini esok.” Raja Ahab memanggil semua pemimpin negerinya lalu bertitah, “Lihatlah, orang itu hendak membinasakan kita. Orang itu mengirim berita kepada beta dan menuntut supaya isteri-isteri dan anak-anak beta, perak serta emas beta diserahkan kepadanya, dan beta bersetuju.” Tetapi para pemimpin dan rakyat menjawab, “Jangan hiraukan orang itu, jangan tunduk kepada tuntutannya!” Oleh itu Raja Ahab bertitah kepada para utusan itu, “Katakan kepada tuanku raja bahawa beta bersetuju dengan tuntutannya yang pertama, tetapi beta tidak bersetuju dengan tuntutan yang kedua.” Para utusan itu pergi, lalu kembali lagi dan menyampaikan titah daripada Raja Benhadad, “Raja hamba sekalian akan datang dengan cukup banyak askar untuk memusnahkan kota tuanku, sehingga mereka dapat membawa debu dari puing-puing kota dalam tangan mereka. Baginda bersumpah agar dewa-dewa membunuh baginda jika baginda tidak melakukan hal itu!” Raja Ahab menjawab, “Katakanlah kepada Raja Benhadad bahawa seorang askar yang sejati membanggakan kebesarannya setelah pertempuran, bukan sebelumnya!” Raja Benhadad menerima jawapan Raja Ahab itu ketika baginda dan raja-raja sekutunya sedang minum-minum di perkhemahan mereka. Raja Benhadad memerintah tenteranya bersiap untuk berperang, lalu mereka pun bersedia. Sementara itu, seorang nabi menghadap Raja Ahab dan berkata, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Jangan takut kepada pasukan tentera yang besar itu! Pada hari ini Aku akan memberikan kemenangan kepadamu dan engkau akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ” “Siapakah yang akan mengetuai serangan?” tanya Raja Ahab. Nabi itu menjawab, “Menurut firman TUHAN, askar-askar muda yang di bawah perintah para pegawai daerah akan mengetuai serangan.” “Tetapi siapakah yang akan memulakan serangan?” tanya raja. “Tuanku!” jawab nabi itu. Oleh itu raja memanggil semua askar muda yang di bawah perintah para pegawai daerah, jumlahnya 232 orang askar. Setelah itu baginda memanggil pula tentera Israel dan jumlahnya 7,000 orang. Serangan itu bermula pada tengah hari ketika Raja Benhadad dan tiga puluh dua orang raja sekutunya sedang mabuk di perkhemahan mereka. Askar-askar muda itu bertempur dahulu. Apabila pengintip yang disuruh Raja Benhadad melaporkan bahawa ada sepasukan askar datang dari Samaria, Raja Benhadad bertitah, “Tangkaplah mereka hidup-hidup, sama ada mereka datang untuk berperang ataupun untuk berdamai!” Askar-askar muda itu mengetuai serangan, diikuti oleh tentera Israel, dan masing-masing membunuh musuh yang dilawannya. Tentera negeri Siria lari sambil dikejar tentera Israel. Tetapi Raja Benhadad terlepas daripada serangan itu. Dia melarikan diri dengan menunggang seekor kuda, diiringi oleh beberapa orang askar berkuda. Raja Ahab juga keluar bertempur dan memusnahkan kuda serta kereta kuda musuh, sehingga orang Siria kalah teruk. Kemudian nabi itu menghadap Raja Ahab dan berkata, “Pulanglah dan perkuatlah semula tentera tuanku. Buatlah perancangan yang baik, kerana pada musim bunga tahun depan, raja negeri Siria akan menyerang tuanku lagi.” Para pegawai Raja Benhadad berkata kepadanya, “Tuhan-tuhan Israel itu tuhan-tuhan gunung. Itulah sebabnya mereka dapat mengalahkan kita. Tetapi kita pasti mengalahkan mereka jika kita bertempur di tanah rata. Sekarang gantikanlah tiga puluh dua orang raja itu dengan panglima. Lalu kumpulkanlah pasukan tentera sebesar pasukan yang meninggalkan tuanku dahulu. Sediakanlah kuda dan kereta kuda yang bilangannya sama seperti dahulu. Kita akan menentang tentera Israel di tanah rata, dan pasti kita akan mengalahkan mereka.” Raja Benhadad bersetuju dan menurut nasihat mereka. Pada musim bunga berikutnya, Raja Benhadad mengerah tenteranya dan maju bersama dengan mereka ke Afek untuk menyerang Israel. Tentera Israel juga dikerah dan dilengkapi senjata. Mereka maju, lalu berkhemah dalam dua pasukan yang bertentangan dengan orang Siria. Tentera Israel nampaknya kecil, hanya seperti dua kawanan kambing jika dibandingkan dengan tentera Siria yang membanjiri kawasan itu. Seorang nabi menghadap Raja Ahab dan berkata, “Demikianlah firman TUHAN: ‘Oleh sebab orang Siria mengatakan bahawa Aku hanya berkuasa di gunung dan tidak berkuasa di tanah rata, Aku akan memberi engkau kemenangan terhadap tentera mereka yang besar sekali bilangannya. Engkau dan rakyatmu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ” Selama tujuh hari tentera Siria dan tentera Israel tinggal di perkhemahan mereka, berhadapan dengan satu sama lain. Pada hari ketujuh, mereka mula berperang dan tentera Israel membunuh 100,000 orang askar Siria. Askar yang terlepas dari situ lari ke kota Afek, dan di kota itu seramai 27,000 orang lagi ditimpa tembok kota itu. Raja Benhadad juga lari ke dalam kota itu dan berlindung di bilik belakang sebuah rumah. Para pegawai Raja Benhadad menghadapnya dan berkata, “Hamba sekalian mendengar bahawa raja-raja Israel berbelas kasihan. Benarkanlah hamba semua menghadap raja Israel dengan memakai kain guni pada pinggang kami sebagai tanda penyesalan, dan tali pada leher kami sebagai tanda takluk. Semoga raja itu menyelamatkan nyawa tuanku.” Oleh itu mereka memakai kain guni pada pinggang dan tali pada leher mereka lalu menghadap Raja Ahab. Mereka berkata, “Hamba tuanku, Raja Benhadad memohon supaya tuanku menyelamatkan nyawanya.” Raja Ahab bertitah, “Adakah baginda masih hidup? Baiklah! Baginda seolah-olah saudara beta sendiri!” Para pegawai Raja Benhadad memang sedang menunggu tanda baik. Oleh itu apabila Raja Ahab menyebut “saudara,” mereka mengambil peluang itu lalu berkata, “Sebagaimana titah tuanku, Raja Benhadad ialah saudara tuanku!” Raja Ahab memberikan perintah, “Bawalah baginda kepada beta.” Apabila Raja Benhadad tiba, Raja Ahab mengajak Raja Benhadad naik ke kereta kudanya. Raja Benhadad bertitah kepadanya, “Kota-kota yang dahulu direbut oleh ayahanda beta daripada ayahanda tuanku, akan beta kembalikan kepada tuanku. Tuanku boleh mendirikan pusat perdagangan di Damsyik seperti yang dahulu didirikan oleh ayahanda beta di Samaria.” Raja Ahab menjawab, “Dengan syarat-syarat ini beta akan membebaskan raja.” Mereka membuat satu persetujuan, lalu Raja Ahab membenarkan Raja Benhadad berangkat. Atas perintah TUHAN, seorang daripada sekumpulan nabi menyuruh seorang nabi lain memukul dia, tetapi nabi itu enggan. Oleh itu nabi yang pertama tadi berkata kepada nabi itu, “Kerana engkau tidak taat kepada perintah TUHAN, seekor singa akan menerkam engkau sebaik sahaja engkau meninggalkan aku.” Maka sebaik sahaja nabi itu pergi, seekor singa menerkam dia. Kemudian nabi yang pertama itu pergi kepada orang lain dan berkata, “Pukullah aku!” Orang ini memukul dia dengan begitu kuat sehingga nabi itu luka. Nabi itu membalut mukanya dengan kain dan menyamar sebagai orang lain. Dia duduk di pinggir jalan dan menantikan raja Israel lalu di situ. Ketika raja lalu, nabi itu memanggilnya dan berkata, “Tuanku, ketika hamba berperang, ada orang membawa seorang tawanan kepada hamba. Orang itu berkata, ‘Jagalah orang ini! Jika dia lari, kamu mesti membayarnya dengan nyawamu, atau didenda sebanyak tiga ribu keping perak.’ Tetapi hamba sibuk dengan hal-hal lain, sehingga orang itu lari.” Raja menjawab, “Kamu telah menjatuhkan hukuman kepada dirimu sendiri. Oleh itu kamu mesti membayarnya.” Nabi itu mengoyakkan kain yang membalut mukanya, lalu pada saat itu juga raja mengenali dia sebagai seorang nabi. Lalu nabi itu berkata kepada raja, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Oleh sebab orang yang Aku perintahkan supaya dibunuh itu telah engkau biarkan lari, sekarang engkau mesti membayarnya dengan nyawamu sendiri, dan tenteramu akan musnah kerana engkau membiarkan tentera musuh melarikan diri.’ ” Kemudian Raja Ahab pulang ke Samaria dengan hati yang kesal dan murka. Dekat istana Raja Ahab di Yizreel ada sebidang ladang anggur kepunyaan seorang yang bernama Nabot. Pada suatu hari Raja Ahab bertitah kepada Nabot, “Berilah beta ladang anggurmu, kerana ladang itu dekat istana beta. Beta hendak menggunakannya sebagai kebun sayur. Beta akan menggantinya dengan ladang anggur yang lebih baik. Atau jika kamu suka, beta akan membayarnya dengan harga yang berpatutan.” Tetapi Nabot menjawab, “Ladang anggur ini pusaka nenek moyang hamba. Demi TUHAN, hamba tidak boleh memberikannya kepada tuanku!” Raja Ahab pulang dengan hati yang kesal dan murka kerana perkataan Nabot itu. Raja Ahab berbaring di tempat tidur, menghadap tembok dan tidak mahu makan. Isterinya Izebel menghampirinya dan bertanya, “Mengapa tuanku begitu kesal dan tidak mahu makan?” Raja Ahab menjawab, “Beta tidak suka dengan Nabot. Beta hendak membeli ladang anggurnya dan beta sudah menawarkan wang kepadanya, atau mengganti ladang itu dengan ladang anggur yang lain, tetapi Nabot tidak mahu memberikannya kepada beta!” Izebel berkata, “Bukankah tuanku raja? Bangunlah, bersukacitalah dan makanlah. Hamba akan mendapatkan ladang anggur Nabot bagi tuanku!” Kemudian Izebel menulis beberapa pucuk surat, menandatanganinya atas nama Raja Ahab dan memeteraikannya dengan meterai raja, lalu mengirimnya kepada beberapa orang pegawai dan pemimpin kota Yizreel. Inilah kandungan surat itu: “Isytiharkanlah puasa, kumpulkanlah rakyat dan berikanlah satu tempat duduk yang terhormat kepada Nabot. Kemudian suruhlah dua orang jahat duduk menghadap Nabot dan menuduh dia bahawa dia telah mengutuk Allah dan raja. Setelah itu bawalah dia ke luar kota dan rejamlah dia sampai mati.” Para pegawai dan pemimpin rakyat Yizreel melaksanakan perintah Izebel. Mereka mengisytiharkan puasa, lalu mengumpulkan rakyat dan memberi Nabot satu tempat duduk yang terhormat. Dua orang jahat itu datang dan duduk di hadapan Nabot. Mereka menuduh Nabot di hadapan orang ramai bahawa dia telah mengutuk Allah dan raja. Oleh itu Nabot dibawa ke luar kota lalu direjam sampai mati. Berita bahawa Nabot telah direjam sampai mati disampaikan kepada Izebel. Sebaik sahaja Izebel menerima berita itu, dia berkata kepada Raja Ahab, “Nabot sudah mati. Sekarang pergilah dan ambillah ladang anggur yang tidak mahu dijualnya kepada tuanku.” Ketika itu juga Raja Ahab pergi untuk memiliki ladang anggur itu. Kemudian TUHAN berfirman kepada Elia, nabi dari Tisbe itu, “Pergilah kepada Raja Ahab di Samaria. Engkau akan menemuinya di ladang anggur Nabot. Dia berada di sana untuk mengambil alih ladang itu. Katakanlah kepadanya bahawa Aku, TUHAN berfirman kepadanya, ‘Setelah engkau membunuh pemiliknya, adakah engkau hendak mengambil alih hartanya pula?’ Beritahulah dia bahawa demikianlah firman-Ku, ‘Di tempat anjing-anjing menjilat darah Nabot, di situ juga darahmu akan dijilat anjing!’ ” Apabila Raja Ahab bertemu dengan Elia, baginda bertitah, “Hai musuh, akhirnya engkau berjaya mendapat beta!” “Benar,” jawab Elia. “Perbuatan tuanku jahat semata-mata di sisi TUHAN. Oleh itu TUHAN berfirman kepada tuanku, ‘Aku akan mendatangkan bencana kepadamu. Aku akan menyingkirkan engkau dan semua orang lelaki dalam keluargamu, baik yang muda mahupun yang tua. Keluargamu akan menjadi seperti keluarga Raja Yerobeam anak Nebat, dan seperti keluarga Raja Baesa anak Ahia, kerana engkau telah membangkitkan kemurkaan-Ku serta menyebabkan orang Israel berdosa.’ Tentang Izebel, TUHAN berfirman bahawa anjing akan makan mayatnya di kota Yizreel. Sesiapa sahaja anggota keluarga tuanku yang mati di dalam kota akan dimakan anjing, dan sesiapa yang mati di padang akan dimakan burung.” ( Tiada sesiapa pun yang pernah berbuat jahat di sisi TUHAN lebih daripada Raja Ahab - dan semua kejahatan itu dilakukannya kerana hasutan isterinya Izebel. Raja Ahab telah melakukan dosa yang sangat keji, kerana baginda menyembah berhala seperti yang dilakukan orang Amori, yang telah diusir oleh TUHAN ketika umat Israel menduduki tanah ini dahulu.) Setelah Elia selesai bercakap, Raja Ahab mengoyakkan pakaiannya. Baginda menanggalkan pakaian lalu memakai kain guni sebagai tanda penyesalan. Raja Ahab berpuasa, dan baginda beradu dengan berpakaian kain guni. Raja Ahab berjalan ke sana sini dengan muka yang muram dan berdukacita. TUHAN berfirman kepada Nabi Elia, “Adakah engkau melihat bahawa Raja Ahab telah merendahkan diri di hadapan-Ku? Oleh sebab dia telah berbuat demikian, Aku tidak akan mendatangkan bencana itu kepadanya pada masa hidupnya. Aku akan mendatangkan bencana itu kepada keluarganya pada masa hidup anaknya.” Selama dua tahun tidak ada peperangan antara Israel dengan Siria. Tetapi pada tahun ketiga, Raja Yosafat dari Yehuda menemui Raja Ahab dari Israel. Raja Ahab bertanya kepada para pegawainya, “Mengapakah kita masih belum berbuat apa-apa untuk merampas semula kota Ramot di Gilead daripada raja negeri Siria? Ramot milik kita!” Raja Ahab bertanya kepada Raja Yosafat, “Mahukah tuanku menyertai beta untuk menyerang Ramot?” Raja Yosafat menjawab, “Beta bersedia menyertai tuanku. Demikian juga askar dan pasukan berkuda beta. Tetapi marilah kita bertanya kepada TUHAN dahulu.” Oleh itu Raja Ahab memanggil nabi-nabi yang berjumlah kira-kira empat ratus orang. Raja Ahab bertanya kepada mereka, “Bolehkah beta menyerang Ramot atau tidak?” “Seranglah,” jawab mereka. “TUHAN akan memberikan kemenangan kepada tuanku.” Tetapi Raja Yosafat bertanya lagi, “Tiadakah nabi lain yang dapat menanyakan hal ini kepada TUHAN?” Raja Ahab menjawab, “Ada seorang lagi, Mikha anak Yimla. Tetapi beta membenci dia, kerana dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta; dia selalu bernubuat tentang hal yang buruk.” Raja Yosafat menjawab, “Tuanku tidak seharusnya bertitah demikian.” Oleh itu Raja Ahab memanggil seorang pegawai istana dan menyuruh dia cepat-cepat menjemput Mikha. Kedua-dua orang raja itu, yang berpakaian kebesaran, bersemayam di atas takhta di tempat mengirik gandum, di luar pintu gerbang Samaria. Semua nabi sedang bernubuat di hadapan mereka berdua. Zedekia anak Kenaana, salah seorang nabi itu, membuat beberapa buah tanduk besi lalu berkata kepada Raja Ahab, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Dengan tanduk-tanduk besi ini engkau akan melawan orang Siria sehingga mereka kalah sama sekali.’ ” Semua nabi yang lain juga berkata demikian. Mereka berkata, “Majulah menyerang Ramot. Tuanku pasti menang. TUHAN akan memberi tuanku kemenangan.” Sementara itu, pegawai yang pergi menjemput Mikha berkata kepadanya, “Semua nabi yang lain telah bernubuat bahawa raja akan menang. Sebaiknya engkau pun bernubuat demikian.” Tetapi Mikha menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, saya berjanji bahawa saya hanya akan mengatakan apa yang difirmankan-Nya!” Apabila Mikha menghadap Raja Ahab, baginda bertanya kepadanya, “Mikha, bolehkah Raja Yosafat dan beta menyerang Ramot atau tidak?” “Seranglah!” jawab Mikha. “Tentu tuanku akan menang. TUHAN akan memberikan kemenangan kepada tuanku.” Tetapi Raja Ahab bertitah, “Jika engkau berkata-kata kepada beta atas nama TUHAN, katakanlah yang benar. Berapa kali harus beta peringatkan engkau tentang hal ini?” Mikha menjawab, “Hamba nampak tentera Israel tercerai-cerai di bukit-bukit seperti kawanan domba yang tidak mempunyai gembala. TUHAN berfirman, ‘Semua orang ini tidak mempunyai pemimpin; biarlah mereka pulang dengan selamat.’ ” Raja Ahab bertitah kepada Raja Yosafat, “Beta telah memberitahu tuanku bahawa dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta! Dia selalu bernubuat tentang perkara yang buruk!” Mikha berkata lagi, “Dengarlah firman TUHAN! Hamba nampak TUHAN bersemayam di takhta-Nya di syurga, dan semua malaikat-Nya berdiri di sekeliling-Nya. TUHAN bertanya, ‘Siapakah yang akan memperdaya Ahab supaya dia pergi ke Ramot lalu terbunuh di sana?’ Jawapan malaikat-malaikat itu berbeza-beza. Kemudian satu roh tampil dan menghadap TUHAN. Roh itu berkata, ‘Aku akan memperdaya Ahab.’ Lalu TUHAN bertanya, ‘Bagaimana?’ Roh itu menjawab, ‘Aku akan menyebabkan semua nabi Ahab berdusta.’ TUHAN berfirman, ‘Pergilah perdayakan dia. Engkau akan berjaya.’ ” Mikha berkata lagi, “Inilah yang telah berlaku. TUHAN telah membuat nabi-nabi tuanku berdusta kepada tuanku. Tetapi TUHAN sendiri telah menentukan bahawa tuanku akan ditimpa malapetaka!” Nabi Zedekia menghampiri Mikha, menampar pipinya, lalu bertanya, “Sejak bilakah Roh TUHAN meninggalkan aku dan berfirman kepadamu?” Mikha menjawab, “Engkau akan mengetahui hal ini apabila engkau bersembunyi di salah sebuah bilik belakang.” Kemudian Raja Ahab bertitah kepada salah seorang pegawainya, “Tangkaplah Mikha dan bawalah dia kepada Amon, gabenor kota itu, dan kepada Putera Yoas. Suruh mereka memasukkan dia ke dalam penjara, dan memberi dia roti dan air sahaja sehingga beta kembali dengan selamat.” Mikha berkata, “Jika tuanku kembali dengan selamat, nyatalah bahawa TUHAN tidak berfirman melalui hamba!” Mikha berkata lagi, “Dengarlah, hai semua orang, akan apa yang telah saya katakan ini.” Kemudian Raja Ahab, raja Israel dan Raja Yosafat, raja Yehuda pergi menyerang kota Ramot di Gilead. Raja Ahab bertitah kepada Raja Yosafat, “Apabila kita bertempur, beta akan menyamar, tetapi tuanku akan memakai pakaian kebesaran.” Oleh itu raja Israel menyamar ketika pergi bertempur. Raja negeri Siria telah memerintah tiga puluh dua orang panglima pasukan kereta kudanya supaya tidak menyerang sesiapa pun kecuali raja Israel. Apabila mereka nampak Raja Yosafat, mereka menyangka bahawa baginda raja Israel. Oleh itu mereka berpaling dan menyerang baginda. Tetapi apabila Raja Yosafat berteriak, mereka sedar bahawa baginda bukan raja Israel, lalu mereka berhenti menyerang baginda. Kebetulan salah seorang askar negeri Siria melepaskan anak panah yang mengenai Raja Ahab pada sambungan baju zirahnya. “Beta luka!” teriak Raja Ahab kepada pemandu kereta kudanya. “Pusingkan kereta kuda dan keluarlah dari pertempuran ini!” Sementara pertempuran itu berkobar, Raja Ahab menopang diri di atas kereta kudanya yang berhadapan dengan tentera Siria. Darah mengalir dari lukanya, sehingga membasahi lantai kereta kuda baginda. Pada petangnya baginda mangkat. Menjelang matahari terbenam, segenap tentera Israel diperintahkan pulang ke kota dan daerah masing-masing. Demikianlah Raja Ahab mangkat. Jenazahnya dibawa ke Samaria lalu dimakamkan. Kereta kudanya dicuci di kolam Samaria, tempat anjing-anjing menjilat darahnya dan para pelacur mandi, tepat seperti yang difirmankan TUHAN. Segala perbuatan Raja Ahab, termasuk kisah istana yang dihiasi gading dan kota-kota yang dibinanya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Dengan kemangkatan Raja Ahab, puteranya Ahazia, menggantikan baginda sebagai raja. Pada tahun keempat pemerintahan Raja Ahab di Israel, Raja Yosafat, putera Raja Asa menjadi raja Yehuda. Pada masa itu Raja Yosafat berusia 35 tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama 25 tahun. Bondanya ialah Azuba anak Silhi. Seperti ayahandanya dahulu, Raja Yosafat melakukan apa yang benar di sisi TUHAN. Tetapi tempat-tempat penyembahan dewa tidak dimusnahkan, dan rakyat masih mempersembahkan korban serta membakar kemenyan di situ. Pada masa itu Raja Yosafat mempunyai hubungan baik dengan raja Israel. Segala perbuatan Raja Yosafat, termasuk kepahlawanannya dan segala peperangannya tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. Raja Yosafat menghapuskan semua pelacur lelaki dan perempuan yang bertugas di tempat-tempat penyembahan dewa. Pelacur-pelacur itu dibunuh pada zaman pemerintahan Raja Asa, ayahanda Raja Yosafat. Pada zaman itu negeri Edom tidak mempunyai raja. Negeri Edom diperintah oleh seorang wakil raja yang dilantik oleh raja Yehuda. Raja Yosafat membina kapal-kapal laut untuk belayar ke Ofir supaya mengambil emas, tetapi kapal-kapal itu rosak di Ezion-Geber, lalu tidak berjaya belayar ke sana. Raja Ahazia menawarkan anak kapalnya supaya belayar dengan anak kapal Raja Yosafat, tetapi Raja Yosafat menolak tawaran itu. Kemudian Raja Yosafat mangkat lalu dimakamkan di tanah perkuburan diraja di Kota Daud. Yehoram, puteranya menggantikan baginda sebagai raja. Pada tahun ketujuh belas pemerintahan Raja Yosafat di Yehuda, Ahazia, putera Raja Ahab menjadi raja di Israel. Raja Ahazia memerintah di Samaria selama dua tahun. Raja Ahazia berdosa terhadap TUHAN dan mengikut perbuatan ayahandanya Raja Ahab, bondanya Izebel dan Raja Yerobeam, yang telah menyebabkan umat Israel berdosa. Raja Ahazia bersembahyang kepada Baal, dan mengabdi kepadanya. Sama seperti ayahandanya dahulu, baginda membangkitkan kemurkaan TUHAN, Allah Israel. Setelah Raja Ahab dari Israel mangkat, negeri Moab memberontak terhadap Israel. Pada suatu hari, Raja Ahazia dari Israel jatuh dari langkan di tingkat atas istananya di Samaria sehingga baginda luka parah. Oleh itu baginda mengirim beberapa orang utusan untuk bertanya kepada Baal-Zebub, dewa orang Filistin di kota Ekron, sama ada baginda akan sembuh atau tidak. Tetapi malaikat TUHAN menyuruh Elia, nabi dari Tisbe, berjumpa dengan para utusan Raja Ahazia dan bertanya kepada mereka, “Mengapa kamu pergi bertanya kepada Baal-Zebub, dewa kota Ekron itu? Tidakkah kamu tahu bahawa ada Allah di Israel? Beritahulah raja bahawa demikianlah firman TUHAN, ‘Engkau tidak akan sembuh daripada luka-lukamu. Engkau akan mati!’ ” Setelah Elia menyampaikan firman TUHAN itu, para utusan itu kembali kepada raja. Raja bertanya, “Mengapa kamu kembali?” Para utusan itu menjawab, “Kami ditemui seorang lelaki yang menyuruh kami kembali dan memberitahu tuanku bahawa TUHAN berfirman demikian kepada tuanku, ‘Mengapakah engkau mengirim utusan untuk bertanya kepada Baal-Zebub, dewa kota Ekron itu? Tidakkah engkau tahu bahawa ada Allah di Israel? Engkau tidak akan sembuh daripada luka-lukamu. Engkau akan mati!’ ” Raja bertanya, “Bagaimanakah rupa orang itu?” Mereka menjawab, “Dia memakai jubah yang dibuat daripada kulit binatang, dan diikat dengan tali pinggang daripada kulit.” Raja berseru, “Orang itu Elia!” Kemudian raja menyuruh seorang pegawai tenteranya bersama dengan lima puluh orang untuk mendapatkan Elia. Pegawai itu menemui Elia yang sedang duduk di atas bukit, lalu berkata kepadanya, “Hai hamba Allah, raja memerintah kamu turun.” Elia menjawab, “Jika saya ini hamba Allah, biarlah api turun dari langit dan membunuh kamu serta anak buahmu!” Pada saat itu juga api turun dan membunuh pegawai itu serta anak buahnya. Raja menyuruh seorang pegawai tentera lain bersama dengan lima puluh orang. Mereka pergi dan berkata kepada Elia, “Hai hamba Allah, raja memerintah kamu turun sekarang juga!” Elia menjawab, “Jika saya ini hamba Allah, biarlah api turun dari langit dan membunuh kamu serta anak buahmu!” Pada saat itu juga Allah menurunkan api dan membunuh pegawai itu serta anak buahnya. Sekali lagi raja menyuruh seorang pegawai tentera bersama dengan lima puluh orang. Pegawai itu naik ke atas bukit lalu bersujud di hadapan Elia sambil memohon, “Hai hamba Allah, kasihanilah saya dan anak buah saya. Tolong jangan bunuh kami! Dua orang pegawai tentera yang lain dan anak buah mereka telah dibunuh oleh api dari langit, tetapi kasihanilah saya!” Pada saat itu juga malaikat TUHAN berkata kepada Elia, “Turunlah bersama-sama dia, dan jangan takut.” Oleh itu Elia pergi bersama-sama pegawai itu, lalu menghadap raja. Elia berkata kepada raja, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Oleh sebab engkau mengirim utusan untuk bertanya kepada Baal-Zebub, dewa kota Ekron - seolah-olah tidak ada Allah di Israel untuk ditanya - engkau tidak akan sembuh; engkau akan mati!’ ” Kemudian Raja Ahazia mangkat sesuai dengan firman TUHAN yang disampaikan oleh Elia. Raja Ahazia tidak mempunyai anak lelaki, maka saudaranya Yoram menggantikan baginda sebagai raja. Hal ini berlaku pada tahun kedua pemerintahan Raja Yehoram putera Raja Yosafat di Yehuda. Segala perbuatan Raja Ahazia tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Masanya tiba bagi TUHAN untuk mengangkat Elia ke syurga dengan angin puting beliung. Pada masa itu Elia dan Elisa telah berangkat dari Gilgal. Di tengah jalan Elia berkata kepada Elisa, “Tinggallah di sini; TUHAN telah memerintah aku pergi ke Betel.” Tetapi Elisa menjawab, “Saya bersumpah demi kesetiaan saya kepada TUHAN yang hidup dan kepada tuan bahawa saya tidak akan meninggalkan tuan.” Oleh itu mereka berdua pergi ke Betel. Sekumpulan nabi yang tinggal di Betel menghampiri Elisa dan bertanya kepadanya, “Adakah engkau tahu bahawa TUHAN akan mengambil tuanmu daripadamu pada hari ini?” Elisa menjawab, “Aku tahu, tetapi janganlah kita sebutkan hal itu.” Kemudian Elia berkata kepada Elisa, “Tinggallah di sini; TUHAN telah memerintah aku pergi ke Yerikho.” Tetapi Elisa menjawab, “Saya bersumpah demi kesetiaan saya kepada TUHAN yang hidup dan kepada tuan bahawa saya tidak akan meninggalkan tuan.” Oleh itu mereka berdua pergi ke Yerikho. Sekumpulan nabi yang tinggal di Yerikho menghampiri Elisa lalu bertanya kepadanya, “Adakah engkau tahu bahawa TUHAN akan mengambil tuanmu daripadamu pada hari ini?” Elisa menjawab, “Aku tahu, tetapi janganlah kita sebutkan hal itu.” Setelah itu Elia berkata kepada Elisa, “Tinggallah di sini; TUHAN telah memerintah aku pergi ke Sungai Yordan.” Tetapi Elisa menjawab, “Saya bersumpah demi kesetiaan saya kepada TUHAN yang hidup dan kepada tuan bahawa saya tidak akan meninggalkan tuan.” Oleh itu mereka meneruskan perjalanan. Lima puluh orang daripada kumpulan nabi mengikuti mereka ke Sungai Yordan. Elia dan Elisa berhenti di tepi sungai, dan lima puluh orang nabi itu berdiri tidak berapa jauh dari situ. Kemudian Elia menanggalkan jubahnya, menggulungnya, lalu memukul air sungai dengan gulungan itu. Kemudian air sungai itu terbelah dua sehingga Elia dan Elisa dapat menyeberangi sungai dengan berjalan di atas dasar yang kering. Di situ Elia berkata kepada Elisa, “Katakanlah apa yang engkau mahu aku lakukan untukmu sebelum aku dibawa pergi.” Elisa menjawab, “Benarkanlah saya mewarisi kuasa tuan supaya saya boleh menjadi pengganti tuan.” Elia berkata, “Permintaan itu susah dikabulkan. Tetapi jika engkau nampak aku ketika aku dibawa pergi, engkau akan menerima permintaanmu. Jika tidak, engkau tidak akan menerimanya.” Mereka terus bercakap-cakap sambil meneruskan perjalanan. Tiba-tiba sebuah kereta kuda berapi yang ditarik oleh beberapa kuda berapi memisahkan mereka, lalu Elia diangkat ke syurga oleh angin puting beliung. Elisa nampak hal itu, lalu berseru kepada Elia, “Bapaku, bapaku! Pembela kuat Israel! Bapa sudah pergi!” Maka hilanglah Elia dari pemandangan Elisa. Dengan dukacita Elisa mengoyak jubahnya menjadi dua sobekan. Kemudian dia mengambil jubah Elia yang telah terjatuh. Lalu Elisa kembali dan berdiri di tepi Sungai Yordan. Dia memukul air sungai itu dengan jubah Elia, lalu berkata, “Di manakah TUHAN, Allah Elia?” Kemudian dia memukul air sungai itu lagi, dan air itu terbelah dua, lalu Elisa berjalan ke seberang sungai itu. Lima puluh orang nabi dari Yerikho itu nampak Elisa lalu berkata, “Kuasa Elia ada pada Elisa!” Mereka menghampiri dia, lalu bersujud di hadapannya, dan berkata, “Kami sebanyak lima puluh orang di sini, dan kami semua kuat. Biarlah kami pergi mencari Elia, tuanmu. Mungkin Roh TUHAN telah membawanya dan meninggalkannya di atas gunung ataupun di lembah.” Elisa berkata, “Jangan, tak usah pergi!” Tetapi mereka mendesak sehingga Elisa membenarkan mereka pergi. Selama tiga hari, lima puluh orang itu mencari Elia di mana-mana, tetapi mereka tidak menemuinya. Kemudian mereka kembali kepada Elisa yang sedang menunggu di Yerikho. Elisa berkata kepada mereka, “Bukankah saya melarang kamu pergi?” Beberapa orang dari Yerikho berkata kepada Elisa, “Sebagaimana tuan tahu, kota ini baik, tetapi airnya tidak baik dan menyebabkan banyak perempuan hamil keguguran.” Elisa berkata, “Bubuhlah garam di dalam sebuah mangkuk baru dan bawalah mangkuk itu kepada saya.” Mereka pun membawanya kepada Elisa. Elisa pergi ke tempat mata air, lalu melemparkan garam itu ke dalam air, dan berkata, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Aku membersihkan air ini supaya tidak lagi menyebabkan kematian ataupun keguguran.’ ” Sejak itu airnya baik seperti yang dikatakan Elisa. Elisa meninggalkan Yerikho lalu pergi ke Betel. Di tengah jalan, beberapa orang budak lelaki yang datang dari bandar mengolok-olok dia. Mereka berkata, “Hai botak, pergi dari sini!” Elisa menoleh, memandang budak-budak itu, lalu mengutuk mereka atas nama TUHAN. Selepas itu dua ekor beruang betina keluar dari hutan dan mencabik-cabikkan tubuh empat puluh dua orang daripada budak-budak itu. Elisa meneruskan perjalanannya ke Gunung Karmel, kemudian dia pulang ke Samaria. Pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yosafat di Yehuda, Raja Yoram putera Raja Ahab menjadi raja Israel. Raja Yoram memerintah di Samaria selama dua belas tahun. Raja Yoram berdosa terhadap TUHAN, tetapi baginda tidak sejahat Raja Ahab, ayahandanya atau Izebel, bondanya. Raja Yoram merobohkan patung berhala yang dibina oleh ayahandanya untuk menyembah Baal. Namun, seperti Raja Yerobeam anak Nebat dahulu, Raja Yoram juga menyebabkan Israel berdosa dan baginda tidak mahu bertaubat. Raja Mesa dari Moab, mempunyai penternakan domba. Tiap-tiap tahun baginda memberi raja Israel ufti sebanyak 100,000 ekor anak domba, dan bulu domba daripada 100,000 ekor domba. Tetapi apabila Raja Ahab dari Israel mangkat, Raja Mesa memberontak terhadap Israel. Oleh itu Raja Yoram segera meninggalkan Samaria lalu mengumpulkan segenap tenteranya. Baginda mengirim berita berikut kepada Raja Yosafat di Yehuda, “Raja Moab telah memberontak terhadap beta. Mahukah tuanku berperang bersama dengan beta untuk melawan raja Moab?” “Baiklah,” jawab Raja Yosafat. “Beta bersedia menolong tuanku. Demikian juga anak buah dan pasukan berkuda beta. Jalan manakah harus kita ikut untuk menyerang mereka?” Raja Yoram bertitah, “Baiklah kita mengambil jalan jauh, yang melalui padang gurun Edom.” Demikianlah Raja Yoram bersama-sama raja Yehuda dan raja Edom keluar berperang. Setelah tujuh hari perjalanan, mereka kehabisan air minum, sehingga tentera mereka dan binatang pengangkut barang-barang mereka kehausan. “Malanglah kita,” seru Raja Yoram, “kerana TUHAN telah merancang untuk menyerahkan kita bertiga kepada raja Moab!” Raja Yosafat bertanya, “Adakah seorang nabi di sini, supaya kita dapat minta petunjuk daripada TUHAN?” Seorang pegawai tentera Raja Yoram menjawab, “Elisa anak Safat berada di sini. Dia bekas pembantu Elia.” Raja Yosafat berkata, “Betul! TUHAN memang berfirman melalui dia.” Lalu tiga orang raja itu pergi kepada Elisa. Elisa berkata kepada raja Israel, “Mengapa hamba harus menolong tuanku? Pergilah bertanya kepada nabi-nabi ayahanda dan bonda tuanku dahulu!” “Tidak,” jawab Raja Yoram. “Kerana TUHAN telah merancang untuk menyerahkan kami bertiga kepada raja Moab.” Elisa berkata, “Hamba bersumpah demi TUHAN yang hidup, bahawa jika bukan kerana hamba menghormati Raja Yosafat dari Yehuda, hamba tidak akan menolong tuanku. Sekarang panggillah seorang pemain kecapi.” Sementara pemain kecapi itu memainkan kecapinya, kuasa TUHAN meliputi Elisa, lalu dia berkata, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Galilah beberapa parit di dasar anak sungai yang kering ini. Walaupun tidak ada hujan atau angin, dasar sungai kecil ini akan penuh dengan air. Lalu engkau serta ternakan dan binatang pengangkut barang-barangmu akan mendapat cukup air minum.’ ” Elisa meneruskan lagi, “Perkara ini mudah bagi TUHAN. Dia juga akan memberi tuanku kemenangan terhadap orang Moab. Tuanku akan mengalahkan semua kota mereka yang berkubu dan yang indah. Tuanku akan menebang semua pokok buah-buahan mereka, menutup semua mata air dan semua ladang mereka yang subur akan dilempari batu sampai rosak sama sekali.” Esok paginya, pada masa korban pagi biasa dipersembahkan, air mengalir dari arah Edom lalu memenuhi dasar sungai yang kering itu. Apabila orang Moab mendengar bahawa tiga orang raja itu telah tiba untuk menyerang mereka, semua kaum lelaki yang sanggup berperang, daripada yang paling tua sampai kepada yang paling muda, dipanggil dan ditempatkan di sempadan negeri. Apabila mereka bangun esok paginya, matahari menyinari permukaan air sehingga kelihatan merah seperti darah. “Lihatlah, darah!” seru mereka. “Ketiga-tiga pasukan tentera musuh kita tentu telah berlawan dan membunuh satu sama lain! Marilah kita pergi menjarah perkhemahan mereka!” Tetapi apabila orang Moab sampai di tempat perkhemahan, tentera Israel menyerang dan mengalahkan mereka. Orang Israel terus mengejar sambil membunuh orang Moab serta memusnahkan kota-kota mereka. Apabila mereka melalui ladang yang subur, tiap-tiap orang Israel melontarkan batu ke situ, sehingga semua ladang itu diliputi batu. Mereka juga menutup semua mata air di situ dan menebang semua pokok buah-buahan. Akhirnya hanya ibu kota Kir-Hareset yang tertinggal. Kota itu juga dikepung dan dilontari batu dengan humban. Apabila raja Moab sedar bahawa baginda telah kalah, baginda membawa 700 orang askar yang berpedang bersama dengan baginda, lalu cuba menembusi pertahanan raja Edom, tetapi gagal. Oleh itu raja Moab membawa putera mahkota ke atas tembok kota lalu mempersembahkannya sebagai korban kepada dewa negeri Moab. Orang Israel ketakutan sehingga mereka undur dari kota itu, lalu pulang ke negeri mereka sendiri. Pada suatu hari, balu seorang nabi datang kepada Elisa dan berkata, “Tuan, suami saya telah meninggal! Tuan tahu bahawa dia seorang yang taat kepada Allah tetapi dia berhutang kepada seseorang. Sekarang orang itu datang untuk merampas dua orang anak lelaki saya dan menjadikan mereka abdi untuk membayar hutang mendiang suami saya.” Elisa bertanya, “Apakah yang dapat saya lakukan? Barang apa yang ada di rumah puan?” “Tidak ada apa-apa,” jawab balu itu, “kecuali minyak zaitun di dalam sebuah bejana kecil.” Elisa berkata, “Pergilah kepada jiran-jiran puan dan pinjamlah seberapa banyak bejana kosong yang ada. Selepas itu puan dan anak-anak puan harus masuk ke dalam rumah dan menutup pintu. Lalu tuanglah minyak dari bejana kecil itu ke dalam bejana-bejana lain. Kumpulkanlah bejana yang telah penuh.” Kemudian balu itu pulang dan masuk ke dalam rumah bersama dengan anak-anaknya, lalu menutup pintu. Dia mengambil minyak zaitun di dalam bejana kecil itu dan menuangnya ke dalam bejana-bejana yang lain sebaik sahaja anak-anaknya membawa bejana itu kepadanya. Apabila mereka telah memenuhkan semua bejana itu, dia bertanya, “Masih ada lagi?” Salah seorang anaknya menjawab, “Tiada lagi.” Ketika itu juga minyak itu berhenti mengalir. Kemudian balu itu balik kepada Nabi Elisa. Lalu Elisa berkata kepadanya, “Juallah minyak zaitun itu dan bayarlah semua hutang puan, dan wang selebihnya untuk nafkah hidup sehari-hari bagi puan dan anak-anak puan.” Pada suatu hari Elisa pergi ke kota Sunem. Di sana ada seorang perempuan kaya. Perempuan itu menjemput Elisa makan di rumahnya. Sejak itu tiap-tiap kali Elisa pergi ke Sunem, dia makan di rumah perempuan kaya itu. Perempuan itu berkata kepada suaminya, “Aku yakin bahawa orang yang selalu datang ke mari itu sungguh-sungguh hamba Allah. Marilah kita bina sebuah bilik kecil di atas bumbung rumah, dan melengkapinya dengan sebuah tempat tidur, sebuah meja, sebuah kerusi dan sebuah pelita supaya dia dapat menginap di situ manakala dia datang ke mari.” Pada suatu hari, Elisa pergi ke Sunem lalu masuk ke biliknya untuk berehat. Dia menyuruh Gehazi, hambanya pergi memanggil perempuan itu. Apabila perempuan itu datang, Elisa berkata kepada Gehazi, “Tanyalah dia apa yang dapat saya lakukan baginya. Dia telah bersusah-payah menyediakan keperluan kita. Mungkin dia mahu saya mengatakan sesuatu bagi kepentingannya di hadapan raja ataupun panglima tentera.” Perempuan itu menjawab, “Saya tinggal di kalangan kaum keluarga saya sendiri dan tidak kekurangan apa-apa pun.” Elisa berkata kepada Gehazi, “Jika demikian, apakah yang dapat saya lakukan baginya?” Gehazi menjawab, “Dia tidak mempunyai anak lelaki. Lagi pula suaminya sudah tua.” Elisa berkata, “Suruhlah perempuan itu datang ke mari.” Perempuan itu datang dan berdiri di pintu. Elisa berkata kepadanya, “Pada masa seperti ini tahun hadapan, puan akan mendukung seorang anak lelaki.” Perempuan itu berkata, “Tuan, janganlah tuan berdusta kepada saya. Tuan adalah hamba Allah!” Tetapi sebagaimana yang dikatakan Elisa, kira-kira pada masa yang sama tahun berikutnya, perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki. Beberapa tahun kemudian, pada musim menuai, anak itu pergi ke ladang hendak mengikut bapanya yang sedang berada di situ dengan para penuai. Tiba-tiba anak itu berkata kepada bapanya, “Kepala saya sakit! Kepala saya sakit!” Bapanya berkata kepada salah seorang hambanya, “Bawalah dia kepada ibunya.” Hamba itu membawa anak itu kepada ibunya, lalu ibunya memangku dia hingga tengah hari. Pada tengah hari anak itu meninggal. Perempuan itu membawa dia ke dalam bilik Elisa dan membaringkan dia di atas tempat tidur. Kemudian dia menutup pintu dan meninggalkan anak itu di sana. Dia memanggil suaminya dan berkata, “Suruhlah seorang hamba membawa seekor keldai ke mari. Saya hendak bertemu dengan Nabi Elisa. Saya akan segera kembali.” Suaminya bertanya, “Mengapakah harus pergi pada hari ini? Hari ini bukan hari Sabat ataupun Perayaan Bulan Baru.” “Tidak mengapa,” jawabnya. Lalu dia memasang pelana pada keldai itu dan memerintah hambanya, “Paculah keldai ini supaya berlari sepantas mungkin. Jangan kurangkan kepantasannya kecuali saya suruh.” Demikianlah perempuan itu berangkat dan pergi ke Gunung Karmel, ke tempat Elisa. Dari jauh Elisa telah nampak perempuan itu datang. Elisa berkata kepada Gehazi, hambanya, “Lihatlah perempuan dari Sunem itu datang! Cepatlah pergi menemuinya dan tanyalah bagaimana keadaannya, suaminya, serta anaknya.” Perempuan itu memberitahu Gehazi bahawa semuanya baik. Tetapi apabila perempuan itu sampai di hadapan Elisa, dia bersujud dan memegang kaki Elisa. Gehazi hendak menyingkirkan dia, tetapi Elisa berkata, “Biarkanlah dia. Tidakkah kamu tahu bahawa dia sedang berdukacita? Tetapi TUHAN belum memberitahu aku apa-apa.” Perempuan itu berkata kepada Elisa, “Tuan, saya tidak memohon seorang anak daripada tuan! Tidakkah saya berkata kepada tuan supaya jangan bangkitkan harapan saya?” Elisa berpaling kepada Gehazi dan berkata, “Cepat! Bawalah tongkatku dan pergilah. Janganlah berhenti memberikan salam kepada sesiapa pun. Jika ada orang yang memberikan salam kepadamu, tidak usahlah membalasnya. Pergilah langsung ke rumahnya dan letakkanlah tongkatku pada tubuh budak itu.” Perempuan itu berkata kepada Elisa, “Saya bersumpah demi kesetiaan saya kepada TUHAN yang hidup dan kepada tuan, bahawa saya tidak akan meninggalkan tuan!” Oleh itu mereka berdua pulang bersama-sama. Gehazi berjalan dahulu. Dia meletakkan tongkat Elisa pada tubuh budak itu, tetapi tidak terdengar apa-apa dan tidak ada tanda-tanda bahawa budak itu hidup. Dia kembali menemui Elisa dan berkata, “Budak itu tidak bangun.” Apabila Elisa tiba, dia masuk seorang diri ke dalam bilik itu. Dia nampak jenazah budak itu terbaring di atas tempat tidur. Elisa menutup pintu lalu berdoa kepada TUHAN. Dia meniarap pada tubuh budak itu dan merapatkan mulutnya, matanya, dan tangannya pada mulut, mata, dan tangan budak itu. Sementara Elisa berbuat demikian, badan budak itu mulai hangat. Elisa bangun, dan berjalan mundar-mandir di dalam bilik itu, lalu meniarap sekali lagi pada tubuh budak itu. Budak itu bersin tujuh kali lalu membuka matanya. Elisa menyuruh Gehazi memanggil ibu budak itu. Apabila dia masuk, Elisa berkata kepadanya, “Ini anak puan.” Perempuan itu bersujud di hadapan Elisa lalu membawa anaknya keluar. Pada suatu masa, ketika kebuluran berlaku di seluruh negeri itu, Elisa pulang ke Gilgal. Sementara dia mengajar sekumpulan nabi, dia menyuruh hambanya memasak makanan di dalam sebuah periuk yang besar bagi mereka. Seorang daripada mereka keluar untuk mencari sayur, lalu menjumpai tanaman labu liar. Dia memetik seberapa banyak buah labu yang dapat diangkatnya, lalu membawanya pulang. Dia memotong-motong buah itu lalu memasukkannya ke dalam periuk tanpa mengetahui apa sebenarnya buah itu. Kemudian makanan itu dihidangkan. Tetapi apabila mereka mulai makan, mereka berkata kepada Elisa, “Makanan ini beracun!” Mereka tidak mahu memakannya. Oleh itu Elisa meminta sedikit tepung, lalu memasukkannya ke dalam periuk. Setelah itu dia berkata, “Hidangkan lagi makanan itu.” Ternyata makanan itu tidak berbahaya. Pada suatu hari yang lain, seorang lelaki datang dari Baal-Salisa. Dia membawa dua puluh buku roti yang dibuat daripada barli yang mula-mula dituai pada tahun itu, untuk Elisa. Lelaki itu juga membawa gandum yang baru. Elisa menyuruh pelayannya membahagi-bahagikan roti itu kepada para nabi. Tetapi pelayannya berkata, “Tidak mungkin cukup untuk seratus orang!” Elisa berkata, “Bahagi-bahagikanlah makanan ini, kerana menurut firman TUHAN mereka akan makan, dan setelah makan, masih ada kelebihan makanan!” Pelayan itu membahagi-bahagikan makanan itu kepada mereka, lalu mereka semua makan. Setelah makan, masih ada kelebihan makanan seperti yang difirmankan TUHAN. Naaman ialah panglima tentera negeri Siria. Dia sangat dihormati dan dihargai oleh raja Siria, kerana melalui Naaman, TUHAN telah memberikan kemenangan kepada angkatan perang Siria. Naaman seorang panglima yang perkasa, tetapi dia menghidap penyakit kulit yang sangat mengerikan. Pada suatu masa, orang Siria menyerang negeri Israel. Dalam serangan itu seorang budak perempuan Israel ditangkap, lalu dibawa pergi sebagai orang tawanan. Kemudian budak perempuan itu menjadi hamba kepada isteri Naaman. Pada suatu hari budak itu berkata kepada isteri Naaman, “Alangkah baiknya jika tuan saya dapat pergi kepada nabi yang tinggal di Samaria! Dia dapat menyembuhkan penyakit tuan saya.” Apabila Naaman mendengar hal itu, dia menghadap raja dan memberitahukan apa yang dikatakan budak perempuan itu. Raja Siria bertitah, “Pergilah kepada raja Israel, dan bawalah surat ini kepadanya.” Kemudian Naaman berangkat sambil membawa 30,000 keping perak, 6,000 keping emas dan sepuluh pasang pakaian yang baik. Surat yang dibawanya itu berbunyi demikian, “Pembawa surat ini ialah Naaman, panglima beta. Tolong sembuhkan penyakitnya.” Apabila raja Israel membaca surat itu, baginda mengoyakkan pakaiannya kerana dukacita. Titahnya, “Mana boleh raja Siria meminta beta menyembuhkan orang ini? Adakah baginda berpendapat bahawa beta ini Allah yang mempunyai kuasa untuk menghidupkan dan mematikan orang? Tentu baginda mencari-cari sebab untuk bertengkar dengan beta!” Apabila Nabi Elisa mendengar apa yang telah berlaku, dia mengirim berita kepada raja. Katanya, “Mengapakah tuanku risau? Suruhlah orang itu datang kepada hamba. Hamba akan menunjukkan kepadanya bahawa ada seorang nabi di Israel!” Oleh itu Naaman berangkat dengan kereta kuda dan semua kudanya, lalu berhenti di pintu rumah Elisa. Elisa menyuruh seorang hamba keluar untuk memberitahu Naaman supaya mandi tujuh kali di Sungai Yordan, maka penyakitnya akan sembuh. Tetapi Naaman marah ketika mendengar kata-kata itu lalu meninggalkan tempat itu. Katanya, “Sangkaku sekurang-kurangnya dia akan keluar menemui aku, berdoa kepada TUHAN, Allahnya, lalu menggerak-gerakkan tangannya di atas bahagian tubuhku yang sakit, serta menyembuhkan aku. Selain itu, bukankah Sungai Abana dan Sungai Parpar di Damsyik lebih baik daripada sungai mana pun di Israel? Aku pun boleh mandi di sungai-sungai itu dan menjadi sembuh!” Tetapi hamba-hamba Naaman berkata kepadanya, “Tuan, jika nabi itu menyuruh tuan melakukan perkara yang susah, tentu tuan akan melakukannya. Sebaiknya tuan mandi seperti yang disuruhnya supaya sembuh.” Oleh itu Naaman turun ke Sungai Yordan dan membenamkan dirinya tujuh kali seperti yang disuruh oleh Nabi Elisa. Setelah itu penyakitnya sembuh sama sekali. Tubuhnya menjadi sihat semula seperti tubuh seorang kanak-kanak. Naaman bersama dengan semua pengiringnya kembali kepada Elisa. Naaman berkata, “Sekarang saya tahu bahawa hanya ada satu Allah di seluruh dunia, iaitu Allah Israel. Sudilah tuan menerima persembahan saya ini.” Tetapi Elisa berkata, “Demi TUHAN yang hidup yang saya abdikan diri, saya bersumpah bahawa saya tidak akan menerima hadiah apa-apa pun.” Naaman mendesak Elisa supaya menerimanya, tetapi Elisa tetap menolak. Oleh itu Naaman berkata, “Jika tuan enggan menerima persembahan saya, berikanlah saya tanah sebanyak yang dapat dibawa oleh sepasang baghal, supaya saya boleh membawa tanah itu pulang. Mulai sekarang saya tidak lagi akan mempersembahkan korban-korban atau korban yang dibakar kepada tuhan-tuhan lain, kecuali kepada TUHAN sahaja. Saya berharap agar TUHAN mengampuni saya manakala saya mengiringi raja pergi bersembahyang di kuil Rimon, dewa negeri Siria. Semoga TUHAN mengampuni saya!” Elisa berkata, “Pergilah dengan sejahtera.” Lalu Naaman meninggalkan tempat itu. Tidak lama selepas Naaman berangkat, Gehazi, hamba Elisa berkata dalam hati, “Mengapa Elisa membenarkan Naaman pergi tanpa membayar sedikit pun? Seharusnya dia menerima pemberian orang Siria itu. Demi TUHAN yang hidup, aku akan mengejar orang Siria itu dan mendapatkan sesuatu daripadanya.” Oleh itu Gehazi mengejar Naaman. Apabila Naaman nampak seorang mengejar dia, dia turun dari kereta kudanya dan bertanya, “Ada apa?” Gehazi menjawab, “Tidak ada, tetapi saya disuruh mengatakan kepada tuan bahawa baru saja dua orang nabi daripada kumpulan nabi datang dari daerah perbukitan Efraim. Tuan saya minta supaya tuan memberikan tiga ribu keping wang perak dan dua pasang pakaian baik untuk kedua-dua orang nabi itu.” “Tentu saja!” kata Naaman, dan dia mendesak Gehazi supaya menerima 6,000 keping wang perak. Naaman membungkus wang itu dalam dua buah kantung, lalu mengambil dua pasang pakaian baik itu. Semuanya diberikan oleh Naaman kepada dua orang hambanya, yang disuruhnya berjalan mendahului Gehazi. Apabila mereka sampai di bukit tempat tinggal Elisa, Gehazi mengambil dua buah kantung itu lalu membawanya ke dalam rumah. Setelah itu dia menyuruh hamba-hamba Naaman pulang. Ketika Gehazi masuk ke dalam rumah, Elisa bertanya kepadanya, “Ke mana engkau pergi?” “Tidak ke mana-mana,” jawab Gehazi. Tetapi Elisa berkata, “Bukankah rohku di sana ketika orang itu turun dari kereta kudanya untuk menemui engkau? Sekarang bukanlah masanya untuk menerima wang dan pakaian, kebun zaitun dan ladang anggur, lembu dan domba, atau hamba-hamba! Oleh sebab engkau menerima pemberian itu, engkau dan keturunanmu akan mendapat penyakit Naaman selama-lamanya!” Apabila Gehazi meninggalkan tempat itu, dia menghidap penyakit kulit; kulitnya menjadi putih sekali. Pada suatu hari, kumpulan nabi yang dididik oleh Elisa berkata kepada Elisa, “Tempat tinggal kita terlalu sempit! Benarkanlah kami pergi menebang kayu dekat Sungai Yordan, supaya kami dapat membina tempat tinggal di sana.” “Baiklah,” jawab Elisa. Seorang daripada mereka mendesak Elisa supaya mengikut mereka; Elisa bersetuju. Oleh itu mereka berangkat bersama-sama. Apabila mereka sampai dekat Sungai Yordan, mereka mula bekerja. Semasa seorang daripada mereka menebang sebatang pokok, tiba-tiba mata kapaknya jatuh ke dalam air. Orang itu berseru kepada Elisa, “Apakah yang harus saya lakukan? Kapak itu saya pinjam daripada orang lain!” Elisa bertanya, “Di manakah mata kapak itu jatuh?” Orang itu menunjukkan tempatnya. Elisa memotong sebatang kayu lalu melemparkannya ke tempat itu. Tiba-tiba mata kapak daripada besi itu timbul di permukaan air. “Ambillah,” kata Elisa. Orang itu menghulurkan tangannya lalu mengambil mata kapak itu. Pada suatu ketika, raja negeri Siria sedang berperang melawan Israel. Setelah berunding dengan para panglima baginda, raja Siria memilih satu tempat, lalu mendirikan perkhemahan baginda di situ. Tetapi Elisa menyuruh orang memberitahukan hal itu kepada raja Israel, serta memberikan amaran supaya mereka tidak mendekati tempat itu, kerana orang Siria sedang mengadang di situ. Raja Israel memberikan amaran kepada orang yang tinggal di situ supaya mereka berwaspada. Begitulah beberapa kali Elisa memperingatkan raja. Raja negeri Siria menjadi sangat gusar kerana hal itu. Baginda memanggil para panglima lalu bertanya kepada mereka, “Siapakah antara kamu yang berpihak kepada raja Israel?” Salah seorang antara mereka menjawab, “Tidak sesiapa, tuanku. Nabi Elisa yang memberitahu raja Israel hal itu, bahkan perkataan yang tuanku ucapkan di bilik tidur.” “Carilah dia,” titah raja, “lalu beta akan menangkapnya.” Apabila raja diberitahu bahawa Elisa berada di Dotan, baginda mengirim satu pasukan besar ke sana dengan kuda dan kereta kuda. Pasukan tentera itu tiba di kota itu pada malam hari, lalu mereka mengepung kota itu. Esok paginya hamba Elisa bangun, lalu keluar dari rumah dan nampak tentera Siria dengan kuda dan kereta kuda mereka mengelilingi kota itu. Dia balik kepada Elisa dan berseru, “Malanglah kita, tuan! Apakah yang harus kita lakukan?” “Janganlah takut,” kata Elisa. “Yang di pihak kita lebih banyak daripada yang di pihak mereka.” Kemudian Elisa berdoa, “Ya TUHAN, celikkanlah mata hambaku ini supaya dia dapat melihat!” TUHAN mengabulkan doanya. Hamba Elisa menengadah dan nampak bukit itu penuh dengan kuda dan kereta kuda berapi di sekeliling Elisa. Apabila tentera Siria menyerang mereka, Elisa berdoa, “Ya TUHAN, butakanlah mata semua orang ini!” TUHAN mengabulkan doanya dan membutakan mata mereka. Elisa datang kepada mereka dan berkata, “Kamu sesat jalan! Ini bukan kota yang kamu cari. Ikutlah saya. Saya akan membawa kamu kepada orang yang kamu cari itu.” Lalu dia memimpin mereka ke Samaria. Setelah mereka masuk ke kota itu, Elisa berdoa, “Celikkanlah mata mereka, ya TUHAN. Biarlah mereka melihat.” TUHAN mengabulkan doanya lalu mencelikkan mata semua orang itu. Mereka pun sedar bahawa mereka berada di kota Samaria. Apabila raja Israel nampak tentera Siria, baginda bertanya kepada Elisa, “Tuan, haruskah beta membunuh mereka?” “Tidak,” jawab Elisa. “Bahkan askar-askar yang telah tuanku tawan dalam pertempuran pun tidak tuanku bunuh. Berilah mereka makanan dan minuman, dan biarlah mereka pulang kepada raja mereka.” Oleh itu raja Israel menyediakan jamuan besar bagi mereka. Setelah mereka makan dan minum, raja menyuruh mereka pulang kepada raja Siria. Sejak itu orang Siria tidak lagi menyerang negeri Israel. Tidak berapa lama kemudian, Raja Benhadad dari negeri Siria memimpin seluruh tenteranya melawan Israel dan mengepung kota Samaria. Akibatnya, kelaparan yang dahsyat terjadi di kota itu sehingga satu kepala keldai berharga 80 keping wang perak dan 200 gram tahi burung merpati berharga 5 keping wang perak. Raja Israel sedang berjalan di atas tembok kota apabila seorang perempuan berseru kepadanya, “Tuanku, tolonglah hamba!” Raja menjawab, “Jika TUHAN tidak menolong kamu, bagaimana pula beta dapat menolong? Beta tidak mempunyai gandum ataupun wain! Apakah masalahmu?” Perempuan itu berkata, “Perempuan ini telah mencadangkan supaya hamba berdua makan anak hamba dahulu, lalu hari berikutnya makan anaknya. Oleh itu kami memasak anak hamba dan memakannya. Esoknya hamba memberitahu dia bahawa kami harus makan anaknya pula, tetapi dia telah menyembunyikan anaknya!” Apabila raja mendengar hal itu, baginda mengoyakkan pakaiannya kerana dukacita. Semua orang yang dekat tembok itu nampak bahawa raja memakai kain guni di sebelah dalam pakaiannya. Raja berseru, “Semoga Allah membunuh beta jika kepala Elisa tidak dipancung pada hari ini!” Oleh itu raja menyuruh orang menangkap Elisa. Pada masa itu Elisa sedang berada di rumah bersama dengan beberapa orang ketua masyarakat yang mengunjungi dia. Sebelum utusan raja itu tiba, Elisa berkata kepada ketua-ketua itu, “Pembunuh itu sedang menyuruh orang membunuh saya! Apabila orang itu datang, kuncilah pintu dan jangan benarkan dia masuk. Raja sendiri akan datang menyusul dia.” Sebelum Elisa selesai berkata-kata, raja pun tiba dan bertitah, “TUHAN yang telah mendatangkan kesusahan ini kepada kita! Apakah gunanya beta menunggu pertolongan-Nya?” Elisa berkata, “Dengarlah firman TUHAN! Pada waktu ini esok, di Samaria orang dapat membeli 3 kilogram gandum yang terbaik atau 6 kilogram barli dengan harga satu keping wang perak.” Tetapi ajutan raja berkata kepada Elisa, “Mustahil! Walaupun TUHAN sendiri menurunkan hujan pada saat ini juga, hal itu mustahil!” “Kamu akan menyaksikannya,” jawab Elisa, “tetapi kamu tidak akan makan makanan itu.” Empat orang yang menghidap penyakit kulit yang mengerikan sedang berada di luar pintu kota Samaria. Mereka berkata kepada satu sama lain, “Apa gunanya kita menunggu ajal di sini? Tidak ada faedahnya kita masuk ke dalam kota, kerana kita akan mati kelaparan di sana. Jika kita tinggal di sini, kita juga akan mati. Marilah kita pergi ke perkhemahan orang Siria; paling-paling mereka akan membunuh kita, tetapi siapa tahu mungkin mereka tidak akan mengapa-apakan kita.” Oleh itu apabila hari mulai senja, mereka pergi ke perkhemahan orang Siria. Tetapi apabila mereka sampai di tempat itu, tiada seorang pun di sana. Tuhan telah menyebabkan tentera Siria mendengar bunyi seolah-olah satu pasukan tentera besar yang datang menyerang mereka dengan kuda dan kereta kuda. Tentera Siria menyangka bahawa raja Israel telah mengupah raja orang Het dan raja orang Mesir dengan seluruh tentera mereka untuk menyerang tentera Siria. Oleh yang demikian, pada petang itu tentera Siria lari menyelamatkan diri serta meninggalkan khemah, kuda, dan keldai mereka dengan begitu sahaja di perkhemahan. Apabila empat orang itu sampai di pinggir perkhemahan, mereka masuk ke dalam salah satu khemah. Mereka makan dan minum apa yang ada di situ. Mereka mengambil perak, emas, dan pakaian yang dijumpai. Mereka menyembunyikan barang-barang itu, lalu masuk ke khemah yang lain pula; mereka melakukan hal yang sama. Kemudian mereka berkata kepada satu sama lain, “Kita tidak seharusnya berbuat begini! Kita mempunyai berita baik, dan kita tidak boleh merahsiakannya. Jika kita menunggu sehingga esok pagi, tentu kita akan dihukum. Marilah kita pergi dengan segera dan melaporkannya kepada para pegawai raja!” Oleh itu mereka meninggalkan perkhemahan orang Siria dan kembali ke Samaria. Mereka berseru kepada pengawal-pengawal di pintu kota, “Kami telah pergi ke perkhemahan orang Siria, tetapi kami tidak nampak atau dengar sesiapa pun. Kuda dan keldai mereka masih terikat pada tempatnya, dan perkhemahan itu ditinggalkan begitu sahaja.” Para pengawal mengumumkan berita itu, sehingga orang menyampaikannya ke istana. Hari masih malam, namun raja bangun dan bertitah kepada para pegawainya, “Biarlah beta terangkan kepada kamu apa maksud orang Siria itu! Mereka tahu kita sedang kelaparan. Oleh itu mereka meninggalkan perkhemahan dan bersembunyi di padang. Mereka berharap kita akan keluar mencari makanan, lalu mereka akan menangkap kita hidup-hidup dan merampas kota kita.” Salah seorang pegawai raja berkata, “Walau bagaimanapun penduduk kota ini akan mati seperti mereka yang sudah mati. Lebih baik kita mengirim beberapa orang dengan lima ekor kuda yang masih ada, supaya kita tahu apa yang telah berlaku.” Mereka memilih beberapa orang, lalu raja menyuruh mereka mengendarai dua kereta kuda. Mereka disuruh menyiasat apa yang telah berlaku kepada tentera Siria itu. Mereka pergi sampai ke Sungai Yordan, dan di sepanjang jalan mereka nampak pakaian dan alat-alat yang ditinggalkan orang Siria ketika mereka melarikan diri. Kemudian para utusan itu kembali dan melaporkan hal itu kepada raja. Selepas itu penduduk Samaria keluar dan menjarah perkhemahan orang Siria. Sebagaimana firman TUHAN, 3 kilogram gandum yang terbaik atau 6 kilogram barli dijual orang dengan harga satu keping wang perak sahaja. Kebetulan pada waktu itu, ajutan raja ditugaskan menjaga pintu gerbang kota. Dia mati di situ kerana dipijak-pijak orang ramai. Demikianlah yang dinubuatkan Elisa ketika raja menemui dia. Elisa telah memberitahu raja bahawa pada waktu itu esok harinya, 3 kilogram gandum yang terbaik atau 6 kilogram barli akan dijual di Samaria dengan harga satu keping wang perak. Pada masa itu ajutan raja berkata, “Mustahil! Walaupun TUHAN sendiri menurunkan hujan pada saat ini juga, hal itu mustahil!” Elisa menjawab, “Kamu akan menyaksikannya, tetapi kamu tidak akan makan makanan itu.” Itulah yang telah berlaku kepadanya - dia mati dipijak-pijak oleh penduduk kota di pintu gerbang. Sebelum kelaparan itu terjadi, Elisa telah memberitahu perempuan yang tinggal di Sunem, yang anak lelakinya pernah dihidupkan kembali oleh Elisa, bahawa TUHAN akan mendatangkan kelaparan di negeri itu selama tujuh tahun. Elisa memberitahu perempuan itu bahawa dia harus meninggalkan kota itu bersama-sama keluarganya dan pergi ke tempat lain. Perempuan itu menurut nasihat Elisa dan bersama-sama keluarganya pergi ke negeri orang Filistin dan tinggal di sana selama tujuh tahun. Selepas tujuh tahun, perempuan itu kembali ke Israel lalu menghadap raja untuk memohon supaya rumah dan tanahnya di kembalikan kepadanya. Pada masa itu raja sedang bertutur dengan Gehazi, hamba Elisa. Raja hendak tahu tentang mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Elisa. Sedang Gehazi menceritakan cara Elisa menghidupkan seorang yang telah mati, perempuan itu menghadap raja. Oleh itu Gehazi berkata kepada raja, “Tuanku, inilah perempuan itu, dan inilah anaknya yang telah dihidupkan semula oleh Elisa!” Apabila ditanyai raja, perempuan itu mengesahkan perkataan Gehazi. Oleh itu raja memanggil seorang pegawainya dan menyuruh dia mengembalikan segala harta yang dimiliki perempuan itu kepadanya, termasuk harga semua hasil tanaman di ladangnya selama tujuh tahun dia di luar negeri. Pada suatu masa, Elisa pergi ke Damsyik ketika raja negeri Siria sedang gering. Apabila raja diberitahu bahawa Elisa berada di sana, raja bertitah kepada Hazael, salah seorang pegawainya, “Bawalah hadiah kepada nabi itu, dan suruh dia bertanya kepada TUHAN sama ada beta akan sembuh atau tidak.” Oleh itu Hazael membawa segala macam hasil yang terbaik dari Damsyik dan memuatkan semua itu pada empat puluh ekor unta, lalu pergi bertemu dengan Elisa. Apabila Hazael berjumpa dengan Elisa, Hazael berkata, “Raja Benhadad, hamba tuan, menyuruh saya bertanya kepada tuan sama ada baginda akan sembuh daripada penyakitnya atau tidak.” Elisa menjawab, “TUHAN telah berfirman kepada saya bahawa baginda akan mangkat. Tetapi katakan saja kepada baginda bahawa baginda akan sembuh.” Kemudian Elisa menatap Hazael dengan pandangan yang tajam sehingga Hazael berasa gelisah. Tiba-tiba Elisa menangis. Hazael bertanya kepadanya, “Mengapakah tuan menangis?” Elisa menjawab, “Kerana saya tahu perkara dahsyat yang akan kamu lakukan terhadap umat Israel. Kamu akan membakar kubu-kubu mereka, membunuh orang muda mereka yang terbaik, memukul anak-anak mereka sehingga mati, serta membelah perut kaum wanita mereka yang mengandung.” “Tidak mungkin saya menjadi sedemikian berkuasa!” kata Hazael. “Saya bukan orang penting!” Tetapi Elisa menjawab, “TUHAN telah memberitahu saya bahawa kamu akan menjadi raja negeri Siria.” Hazael pulang kepada Raja Benhadad, lalu Raja Benhadad bertanya kepadanya, “Apakah kata Elisa?” Hazael berkata, “Dia memberitahu hamba bahawa tuanku pasti akan sembuh.” Tetapi esok harinya, Hazael mengambil sehelai selimut, mencelupkannya ke dalam air, lalu menekankan selimut itu pada muka raja sehingga baginda mangkat. Selepas itu Hazael menggantikan Raja Benhadad sebagai raja negeri Siria. Pada tahun kelima pemerintahan Raja Yoram putera Raja Ahab di Israel, Yehoram putera Raja Yosafat menjadi raja Yehuda. Pada masa itu Raja Yehoram berusia tiga puluh dua tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama lapan tahun. Isteri baginda ialah puteri Raja Ahab, dan seperti keluarga Raja Ahab, Raja Yehoram mengikut perbuatan jahat raja-raja Israel. Baginda berdosa terhadap TUHAN, tetapi TUHAN tidak mahu memusnahkan Yehuda, kerana Dia telah berjanji kepada hamba-Nya, Raja Daud bahawa keturunan Raja Daud akan memerintah selama-lamanya. Pada masa pemerintahan Raja Yehoram, Edom memberontak terhadap Yehuda lalu menjadi satu negara yang merdeka. Oleh itu Raja Yehoram berangkat dengan semua kereta kudanya ke Zair. Di sana mereka dikepung oleh tentera Edom, tetapi pada malam harinya Raja Yehoram dan para panglima pasukan kereta kuda baginda berjaya melarikan diri. Askar-askar baginda tercerai-cerai dan masing-masing pulang ke rumah. Sejak itu Edom tidak lagi dikuasai Yehuda. Pada masa itu juga kota Libna pun memberontak. Semua perbuatan Raja Yehoram tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. Raja Yehoram mangkat dan dimakamkan di perkuburan diraja di Kota Daud. Puteranya Ahazia menggantikan baginda sebagai raja. Pada tahun kedua belas pemerintahan Raja Yoram putera Raja Ahab di Israel, Ahazia putera Raja Yehoram menjadi raja Yehuda. Pada masa itu Raja Ahazia berusia dua puluh dua tahun. Raja Ahazia memerintah di Yerusalem selama satu tahun. Bondanya ialah Atalya puteri Raja Ahab, dan cucu Raja Omri dari Israel. Raja Ahazia ada hubungan keluarga dengan Raja Ahab kerana perkahwinan itu. Raja Ahazia juga berdosa terhadap TUHAN seperti keluarga Raja Ahab. Raja Ahazia bergabung dengan Raja Yoram dari Israel untuk melawan Raja Hazael dari Siria. Pertempuran berlaku di Ramot, di kawasan Gilead, dan Raja Yoram cedera dalam pertempuran itu. Raja Yoram pulang ke kota Yizreel supaya luka-lukanya dirawat, dan Raja Ahazia pergi menziarahi Raja Yoram. Pada masa itu Nabi Elisa memanggil salah seorang nabi yang dididiknya daripada kumpulan nabi, lalu berkata kepadanya, “Bersiaplah dan pergilah ke Ramot di Gilead. Bawalah bejana yang berisi minyak zaitun. Apabila kamu sampai di sana carilah Yehu anak Yosafat, cucu Nimsi. Bawalah dia sendirian ke suatu bilik, terasing daripada sahabat-sahabatnya. Lalu tuanglah minyak zaitun ini ke atas kepalanya dan katakan, ‘Dengan ini TUHAN mengisytiharkan bahawa Dia telah melantik engkau menjadi raja Israel.’ Setelah itu tinggalkanlah tempat itu secepat mungkin.” Nabi muda itu pergi ke Ramot. Di sana dia menjumpai Yehu dan para panglima tentera sedang bermesyuarat. Dia berkata, “Tuan, saya ada berita untuk tuan.” Yehu bertanya, “Kepada siapakah kamu menyampaikan berita itu?” “Kepada tuan,” jawabnya. Kemudian mereka berdua masuk ke dalam bilik, lalu nabi muda itu menuangkan minyak zaitun ke atas kepala Yehu sambil berkata, “TUHAN, Allah Israel mengisytiharkan, ‘Dengan ini Aku melantik engkau menjadi raja umat-Ku Israel. Hendaklah engkau membunuh keluarga tuanmu, anak Ahab itu, supaya Aku dapat menghukum Izebel yang telah membunuh nabi-nabi-Ku dan hamba-hamba-Ku yang lain. Semua anggota keluarga Ahab dan keturunannya mesti mati. Aku akan membunuh semua kaum lelaki keluarganya, baik yang muda mahupun yang tua. Aku akan memperlakukan keluarganya seperti Aku memperlakukan keluarga Yerobeam dan Baesa, raja-raja Israel. Izebel tidak akan dikebumikan. Jenazahnya akan dimakan anjing di kawasan Yizreel.’ ” Setelah mengatakan semua itu, nabi muda itu meninggalkan bilik lalu pergi dengan cepat. Yehu kembali kepada para panglima yang lain. Mereka bertanya kepadanya, “Apakah berita yang dibawanya? Mengapa orang gila itu datang kepadamu?” “Tidakkah kamu tahu?” tanya Yehu. “Tidak!” jawab mereka. “Beritahukanlah apa katanya.” “Dia memberitahu saya bahawa TUHAN mengisytiharkan, ‘Aku telah melantik engkau menjadi raja Israel.’ ” Pada saat itu juga, sahabat-sahabat Yehu membentangkan jubah mereka di bahagian atas tangga bagi Yehu. Mereka meniup trompet dan berseru, “Yehu raja!” [14-15] Selepas itu Raja Yehu berkomplot melawan Raja Yoram. Pada masa itu Raja Yoram berada di Yizreel. Raja Yoram pergi ke sana untuk mendapatkan rawatan bagi lukanya akibat pertempuran di Ramot melawan Raja Hazael, raja negeri Siria. Raja Yehu berkata kepada sahabat-sahabatnya, “Jika kamu setuju beta menjadi raja, jagalah supaya jangan seorang pun keluar dari Ramot untuk memberitahukan rahsia itu kepada penduduk Yizreel.” *** Raja Yehu menaiki kereta kuda baginda, lalu berangkat ke Yizreel. Pada masa itu Raja Yoram masih belum sembuh, dan Raja Ahazia dari Yehuda berada di situ untuk menziarahi Raja Yoram. Seorang pengawal yang bertugas di menara di Yizreel nampak Raja Yehu dan anak buahnya datang. Katanya, “Hamba nampak beberapa orang datang!” Raja Yoram menjawab, “Suruhlah seorang askar berkuda pergi menyiasat sama ada mereka itu kawan atau lawan.” Askar itu menghampiri Raja Yehu dan berkata kepadanya, “Raja Yoram hendak tahu sama ada tuan datang sebagai sahabat.” “Itu bukan urusanmu!” jawab Raja Yehu. “Ikutlah di belakang beta.” Pengawal yang di menara itu melaporkan bahawa askar itu telah sampai kepada kumpulan orang itu, tetapi dia tidak kembali. Seorang askar lain disuruh pergi, dan dia menanyakan hal yang sama kepada Raja Yehu. Sekali lagi Raja Yehu menjawab, “Itu bukan urusanmu! Ikutlah di belakang beta.” Sekali lagi pengawal itu melaporkan bahawa askar itu telah sampai kepada kumpulan orang itu, tetapi dia tidak kembali. Katanya lagi, “Pemimpin rombongan itu memandu kereta kudanya seperti orang gila, seolah-olah dia itu Yehu!” Raja Yoram bertitah, “Siapkanlah kereta kuda beta.” Setelah kereta kudanya siap, baginda dan Raja Ahazia berangkat dengan kereta kuda masing-masing untuk menemui Raja Yehu. Mereka bertemu dengan Raja Yehu di ladang bekas milik Nabot. Raja Yoram bertanya kepada Raja Yehu, “Adakah kamu datang sebagai sahabat?” Raja Yehu bertitah, “Mana mungkin sebagai sahabat selama di sini masih berlaku di sini ilmu sihir dan penyembahan berhala yang dimulakan oleh Izebel, bonda raja itu?” “Pengkhianatan!” seru Raja Yoram kepada Raja Ahazia, sambil membelokkan kereta kudanya lalu melarikan diri dari situ. Tetapi Raja Yehu mengambil busurnya, dan dengan sekuat tenaga baginda memanah Raja Yoram dari belakang. Anak panah itu menusuk jantung Raja Yoram, lalu baginda jatuh dan mangkat di dalam kereta kudanya. Raja Yehu bertitah kepada Bidkar, ajutannya, “Ambillah jenazahnya dan buangkan di tanah milik Nabot. Ingatlah bahawa ketika kamu dan beta menunggang kuda di belakang Raja Ahab, ayahanda Raja Yoram dahulu, TUHAN pernah berfirman demikian untuk menentang Raja Ahab, ‘Semalam Aku nampak pembunuhan Nabot dan anak-anaknya. Sekarang Aku berjanji bahawa Aku akan menghukum engkau di sini, di tanah ini juga.’ Oleh itu ambillah jenazah Raja Yoram, dan buangkan ke tanah bekas milik Nabot, supaya terlaksana hukuman Allah kepadanya.” Raja Ahazia nampak apa yang telah berlaku. Oleh itu baginda melarikan diri dengan kereta kudanya ke arah kota Bet-Hagan. Raja Yehu mengejar Raja Ahazia. “Bunuhlah raja itu juga!” perintah Raja Yehu kepada anak buahnya. Mereka memanah Raja Ahazia sedang baginda melarikan diri dengan kereta kudanya dalam perjalanan ke Gur, dekat kota Yibleam. Tetapi Raja Ahazia berjaya lari sampai ke Megido lalu mangkat di sana. Pegawai-pegawai Raja Ahazia membawa jenazahnya kembali ke Yerusalem dengan sebuah kereta kuda lalu memakamkannya di perkuburan diraja di Kota Daud. Raja Ahazia menjadi raja Yehuda pada tahun kesebelas pemerintahan Raja Yoram putera Raja Ahab di Israel. Kemudian Raja Yehu tiba di Yizreel. Apabila Izebel mendengar apa yang telah berlaku, dia mencelaki kelopak matanya, menghias rambutnya, lalu melihat ke bawah dari jendela istana. Apabila Raja Yehu lalu di pintu gerbang, Izebel berteriak, “Hai Zimri, pembunuh! Mengapa engkau ke mari?” Raja Yehu melihat ke atas lalu bertitah, “Adakah sesiapa yang memihak beta?” Ada dua atau tiga orang pegawai istana melihat ke bawah dari sebuah jendela. Lalu Raja Yehu bertitah kepada mereka, “Lemparlah perempuan itu ke bawah!” Mereka pun melemparkan Izebel ke bawah sehingga darahnya terpercik ke tembok dan kepada beberapa ekor kuda di situ. Raja Yehu menggelek jenazah Izebel dengan kuda dan kereta kudanya, lalu masuk ke istana dan makan. Setelah itu Raja Yehu bertitah, “Perempuan itu jahanam. Meskipun begitu, kebumikanlah jenazahnya kerana dia puteri raja.” Tetapi orang yang hendak mengebumikan jenazah Izebel itu tidak menemukan apa-apa lagi kecuali tengkorak dan tulang-tulang tangan serta kakinya. Apabila mereka melaporkan hal itu kepada Raja Yehu, Raja Yehu bertitah, “Hal ini berlaku seperti yang telah difirmankan TUHAN melalui hamba-Nya Elia, ‘Anjing akan makan jenazah Izebel di kawasan Yizreel. Sisa-sisa jenazahnya akan bertaburan seperti najis binatang, sehingga tidak dapat dikenali lagi.’ ” Tujuh puluh orang keturunan Raja Ahab tinggal di kota Samaria. Kemudian Raja Yehu menulis sepucuk surat dan mengirim salinannya kepada para penguasa kota itu, para pemimpin rakyat, dan wali-wali kepada keturunan Raja Ahab. Demikian kandungan surat itu: “Kamu wali kepada keturunan raja, dan kamu mempunyai semua kereta kuda, kuda, senjata, serta kota-kota yang berkubu. Oleh itu, sebaik sahaja kamu menerima surat ini, pilihlah yang paling layak di kalangan keturunan raja, dan lantiklah dia menjadi raja, lalu berjuanglah membela dia.” Para penguasa Samaria ketakutan. Mereka berkata, “Bagaimanakah kita dapat menentang Raja Yehu, sedangkan Raja Yoram dan Raja Ahazia pun tidak dapat menentangnya?” Oleh itu ketua pegawai istana dan ketua pegawai kota, bersama-sama para pemimpin rakyat dan para wali, mengirim jawapan ini kepada Raja Yehu. Kata mereka, “Kami hamba-hamba tuanku. Kami bersedia menjunjung titah tuanku. Kami tidak mahu melantik sesiapa pun menjadi raja. Lakukanlah apa sahaja yang baik pada pandangan tuanku.” Raja Yehu menulis sepucuk surat lagi kepada mereka. Kandungannya demikian, “Jika kamu memihak beta, dan bersedia menjunjung titah beta, bawalah kepala semua keturunan Raja Ahab kepada beta di Yizreel pada waktu ini esok.” Pada masa itu, tujuh puluh orang keturunan Raja Ahab diasuh dan dibesarkan oleh para pemimpin rakyat kota Samaria. Apabila mereka menerima surat Raja Yehu, mereka membunuh semua keturunan Raja Ahab, yang sebanyak tujuh puluh orang. Mereka memasukkan kepala-kepala itu ke dalam beberapa buah bakul, lalu mengirimkan semuanya kepada Raja Yehu di Yizreel. Apabila Raja Yehu diberitahu bahawa kepala-kepala itu sudah sampai, baginda memberikan perintah untuk menyusun kepala-kepala itu menjadi dua tumpukan di pintu gerbang, lalu dibiarkan di situ sehingga keesokan harinya. Keesokan paginya, Raja Yehu pergi ke pintu gerbang dan bertitah kepada semua orang di situ, “Memang beta bertanggungjawab dalam pemberontakan terhadap Raja Yoram, dan betalah yang membunuh baginda. Kamu tidak bertanggungjawab terhadap hal itu. Tetapi siapakah yang membunuh semua orang ini? Nyatalah bahawa semua yang difirmankan TUHAN tentang keturunan Raja Ahab akan berlaku. Sekarang TUHAN telah melaksanakan apa yang difirmankan-Nya melalui hamba-Nya Elia.” Selepas itu Raja Yehu membunuh pula semua sanak keluarga Raja Ahab yang tinggal di Yizreel serta semua pegawai, sahabat karib, dan imamnya; tidak seorang pun dibiarkan hidup. Raja Yehu meninggalkan Yizreel lalu pergi ke Samaria. Di tengah jalan, di suatu tempat yang bernama “Perkhemahan Gembala”, baginda berjumpa dengan beberapa orang kerabat Raja Ahazia, raja Yehuda. Baginda bertanya kepada mereka, “Siapakah kamu?” Mereka menjawab, “Kami kerabat Raja Ahazia. Kami sedang dalam perjalanan ke Yizreel untuk mengunjungi anak-anak Permaisuri Izebel, dan kerabat diraja yang lain.” Raja Yehu memerintah anak buahnya, “Tangkaplah mereka!” Maka anak buahnya menangkap mereka, lalu Raja Yehu membunuh mereka dekat sebuah perigi. Semuanya ada kira-kira 42 orang, dan tidak seorang pun dibiarkan hidup. Raja Yehu meneruskan lagi perjalanannya. Di tengah jalan, baginda ditemui Yonadab anak Rekhab. Sambil memberikan salam kepadanya, baginda bertitah, “Bukankah kita sehati? Mahukah engkau menyokong beta?” “Hamba mahu,” jawab Yonadab. Raja Yehu bertitah, “Jika demikian, mari berjabat tangan.” Mereka berjabat tangan, dan Raja Yehu menolong Yonadab naik ke atas kereta kudanya. Raja Yehu bertitah, “Ikutlah beta dan lihatlah sendiri betapa giatnya beta mengabdi kepada TUHAN.” Maka mereka bersama-sama pergi ke Samaria. Apabila mereka sampai di sana, Raja Yehu membunuh semua kerabat Raja Ahab; tidak seorang pun dibiarkan hidup. Hal itu berlaku sesuai dengan firman TUHAN kepada Elia. Raja Yehu mengumpulkan segenap penduduk Samaria lalu bertitah, “Raja Ahab kurang giat mengabdi kepada Baal, tetapi beta akan mengabdi kepadanya dengan lebih giat. Kumpulkanlah semua nabi Baal, semua orang yang menyembahnya dan semua imamnya. Tiada seorang pun dikecualikan. Beta akan mempersembahkan korban yang besar kepada Baal, dan sesiapa yang tidak hadir akan dihukum mati.” (Inilah muslihat Raja Yehu untuk membunuh semua orang yang menyembah Baal.) Setelah itu Raja Yehu bertitah, “Isytiharkanlah satu hari perayaan untuk menyembah Baal!” Perisytiharan itu dilaksanakan, dan Raja Yehu sendiri mengumumkan berita itu ke seluruh negeri Israel. Semua orang yang menyembah Baal datang pada hari itu; tiada seorang pun yang tidak datang. Mereka semua masuk ke kuil Baal dan memenuhi tempat itu dari hadapan sampai ke belakang. Lalu Raja Yehu memerintah para imam yang mengurus jubah sembahyang supaya mengeluarkan jubah-jubah itu dan memberikannya kepada orang yang datang menyembah Baal. Selepas itu Raja Yehu sendiri masuk ke dalam kuil bersama-sama Yonadab anak Rekhab. Baginda bertitah kepada semua orang di situ, “Pastikanlah bahawa hanya orang yang menyembah Baal hadir di sini, dan tidak ada orang yang beribadat kepada TUHAN, yang masuk ke tempat ini.” Kemudian Raja Yehu dan Yonadab masuk dan mempersembahkan korban-korban dan korban yang dibakar kepada Baal. Di luar kuil, Raja Yehu telah menugaskan lapan puluh orang, dan telah memberikan perintah kepada mereka, “Bunuhlah semua orang ini! Sesiapa yang membiarkan mereka lari akan dihukum mati!” Sebaik sahaja Raja Yehu selesai mempersembahkan korban, baginda bertitah kepada para pengawal dan askarnya, “Masuklah dan bunuhlah mereka semua. Jangan biarkan seorang pun lari!” Para pengawal dan pegawai itu masuk dengan pedang terhunus. Mereka membunuh semua orang dan mengheret mayat-mayat itu keluar. Selepas itu mereka masuk ke bahagian dalam kuil dan membawa keluar tiang berhala yang ada di situ, lalu membakarnya. Kemudian mereka merobohkan tiang berhala dan kuil, lalu mereka menjadikan kuil itu tandas sehingga hari ini. Itulah caranya Raja Yehu menghapuskan penyembahan Baal di Israel. Tetapi baginda juga mengikut dosa Raja Yerobeam yang menyebabkan Israel berdosa kerana menyembah lembu emas yang didirikannya di Betel dan di Dan. TUHAN berfirman kepada Raja Yehu, “Engkau telah melaksanakan semua perintah-Ku kepadamu tentang keturunan Ahab. Oleh itu Aku berjanji bahawa keturunanmu, sampai kepada generasi keempat, akan menjadi raja di Israel.” Tetapi Raja Yehu tidak taat kepada Hukum TUHAN, Allah Israel, dengan segenap hatinya. Sebaliknya, baginda mengikut perbuatan Raja Yerobeam, yang telah menyebabkan umat Israel berdosa. Pada masa itu TUHAN mula mengecilkan wilayah Israel. Raja Hazael, dari negeri Siria menakluki seluruh kawasan Israel di sebelah timur Sungai Yordan sampai ke kota Aroer di sebelah selatan, di tepi Sungai Arnon. Wilayah itu meliputi kawasan Gilead dan Basan, tempat tinggal orang suku Gad, Ruben, dan Manasye Timur. Segala perbuatan Raja Yehu, termasuk kepahlawanannya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Raja Yehu mangkat dan dimakamkan di Samaria. Puteranya, Yehoahas menggantikan baginda sebagai raja. Raja Yehu memerintah di Samaria sebagai raja Israel selama dua puluh lapan tahun. Apabila Atalya, bonda Raja Ahazia, mendengar tentang pembunuhan puteranya, bonda raja itu memerintah supaya semua kerabat diraja dibunuh. Hanya Yoas, putera Raja Ahazia yang terlepas daripada pembunuhan itu. Yoas nyaris dibunuh bersama-sama putera raja yang lain, tetapi Yoas diselamatkan oleh ibu saudaranya, Yoseba puteri Raja Yehoram; Yoseba saudara Raja Ahazia, sebapa lain ibu. Yoseba membawa Yoas dan pengasuh Yoas ke sebuah bilik di Rumah TUHAN dan menyembunyikan dia daripada Atalya, supaya Yoas tidak dibunuh. Selama enam tahun Yoseba memelihara Yoas serta menyembunyikan dia di Rumah TUHAN, sementara Atalya memerintah sebagai ratu. Tetapi pada tahun ketujuh, Imam Yoyada menyuruh ketua-ketua pasukan pengawal diraja dan pengawal istana untuk berjumpa dengan dia di Rumah TUHAN. Dia menyuruh mereka bersumpah supaya mengikut rancangannya. Dia memperlihatkan Yoas, putera Raja Ahazia kepada mereka dan memberikan perintah demikian, “Apabila kamu bertugas pada hari Sabat, sepertiga daripada kamu harus mengawal istana; sepertiga lagi harus berkawal di Pintu Gerbang Sur dan yang lain berkawal di belakang para pengawal yang lain. Dua pasukan yang bercuti pada hari Sabat harus berkawal di Rumah TUHAN untuk melindungi raja. Kamu harus mengawal Yoas dengan pedang yang terhunus dan menyertai dia ke mana sahaja dia pergi. Sesiapa sahaja yang mendekati kamu harus dibunuh.” Ketua-ketua itu taat kepada perintah Yoyada dan membawa pasukan mereka kepadanya, iaitu orang yang bercuti pada hari Sabat dan mereka yang bertugas pada hari Sabat. Yoyada memberi para ketua itu tombak dan perisai milik Raja Daud, yang disimpan di Rumah TUHAN. Yoyada menyuruh para pengawal yang membawa pedang terhunus supaya berkawal di sekeliling bahagian depan Rumah TUHAN untuk melindungi raja. Selepas itu Yoyada membawa Yoas keluar, lalu mengenakan mahkota pada kepala Yoas dan memberi dia sebuah salinan hukum tentang pemerintahan raja. Kemudian Yoas dilantik sebagai raja dan hal itu diumumkan kepada rakyat. Rakyat bertepuk tangan sambil berseru, “Daulat tuanku!” Ratu Atalya mendengar keriuhan para pengawal dan rakyat, maka Ratu Atalya cepat-cepat pergi ke Rumah TUHAN, tempat orang ramai berkumpul. Ratu Atalya nampak raja baru itu berdiri di sisi tiang, dekat pintu Rumah TUHAN, tempat raja ditabalkan. Raja baru itu dikelilingi oleh para pegawai dan peniup trompet. Semua rakyat bersorak dan bersukacita, sambil meniup trompet. Ratu Atalya mengoyakkan pakaiannya kerana dukacita, dan berseru, “Khianat! Khianat!”. Yoyada tidak mengizinkan Ratu Atalya dibunuh di kawasan Rumah TUHAN. Yoyada berkata kepada ketua-ketua pasukannya, “Bawalah ratu itu pergi melalui barisan pengawal. Bunuhlah sesiapa sahaja yang cuba menyelamatkan ratu itu.” Mereka menangkap Ratu Atalya, lalu membawa baginda ke istana, dan membunuh ratu itu di Pintu Gerbang Kuda. Imam Yoyada menyuruh Raja Yoas dan rakyat membuat satu perjanjian dengan TUHAN bahawa mereka akan menjadi umat TUHAN. Yoyada juga mengadakan perjanjian antara raja dengan rakyat. Kemudian rakyat masuk ke dalam kuil Baal dan merobohkan kuil itu. Mereka menghancurkan semua mazbah dan berhala di situ. Mereka membunuh Matan, imam Baal, di hadapan mazbah-mazbah itu. Yoyada menyuruh para pengawal berjaga di Rumah TUHAN, lalu Yoyada sendiri, para pegawainya, pengawal diraja, dan pengawal istana, mengawal raja dari Rumah TUHAN ke istana, sambil diiringi oleh seluruh rakyat. Raja Yoas masuk ke istana melalui Pintu Pengawal lalu bersemayam di atas takhta. Semua orang bersukacita dan kota pun menjadi tenang kerana Atalya sudah dibunuh di istana. Raja Yoas berusia tujuh tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda. Pada tahun ketujuh pemerintahan Raja Yehu di Israel, Raja Yoas menjadi raja Yehuda. Raja Yoas memerintah di Yerusalem selama empat puluh tahun. Bondanya bernama Zibya, orang dari kota Bersyeba. Seumur hidupnya Raja Yoas melakukan perkara-perkara yang diperkenankan TUHAN, kerana Imam Yoyada menasihati baginda. Walaupun demikian, tempat penyembahan dewa tidak dimusnahkan, dan rakyat masih mempersembahkan korban serta membakar kemenyan di situ. Raja Yoas memanggil para imam dan memerintah mereka mengumpulkan wang yang diterima sebagai persembahan di Rumah TUHAN, baik wang pembayaran penyelenggaraan korban, mahupun wang persembahan sukarela. Tiap-tiap imam bertanggungjawab terhadap wang yang diterima daripada orang yang dilayaninya, dan wang itu akan digunakan untuk memperbaiki Rumah TUHAN. Tetapi hingga tahun kedua puluh tiga pemerintahan Raja Yoas, imam-imam itu masih belum memperbaiki kerosakan-kerosakan di Rumah TUHAN. Oleh itu Raja Yoas memanggil Yoyada dan imam-imam yang lain, lalu bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu tidak memperbaiki Rumah TUHAN? Mulai sekarang kamu tidak dibenarkan menyimpan wang yang kamu terima. Kamu harus menyerahkan semuanya untuk memperbaiki Rumah TUHAN.” Imam-imam itu bersetuju untuk tidak mengumpulkan wang rakyat dan juga bersetuju untuk tidak bertanggungjawab terhadap perbaikan Rumah TUHAN. Kemudian Yoyada mengambil sebuah peti dan membuat lubang pada penutupnya, lalu meletakkannya di sisi mazbah, di sebelah kanan pintu masuk Rumah TUHAN. Imam-imam yang bertugas di pintu itu memasukkan semua wang persembahan yang diterima daripada orang ramai ke dalam peti itu. Setiap kali, apabila wang di dalam peti itu sudah banyak, setiausaha raja dan Imam Agung datang untuk mengira wang yang ada di situ, lalu memasukkannya ke dalam kantung. Setelah mencatat jumlah wang dengan tepat, mereka menyerahkan wang itu kepada para pegawai yang mengawasi perbaikan Rumah TUHAN. Para pegawai itu pula membayar upah tukang kayu, jurubina, tukang batu, dan pemahat batu. Mereka juga membeli kayu dan batu untuk memperbaiki Rumah TUHAN, serta membayar semua perbelanjaan lain. Wang itu tidak digunakan untuk membayar pembuatan cawan perak, mangkuk, trompet, atau alat-alat pelita, atau perkakas lain yang dibuat daripada perak atau emas. Semua wang itu digunakan untuk membayar upah tukang dan untuk membeli bahan-bahan yang diperlukan. Pegawai-pegawai yang mengawasi pekerjaan itu sangat jujur. Oleh itu mereka tidak diminta membuat laporan kewangan. Wang yang diterima bagi korban untuk membayar ganti rugi dan korban untuk mengampunkan dosa tidak dimasukkan ke dalam peti itu. Wang itu diberikan kepada para imam. Pada masa itu Raja Hazael, raja Siria menyerang kota Gat dan mengalahkannya. Setelah itu baginda bercadang menyerang Yerusalem. Raja Yoas, penguasa Yehuda, mengumpulkan semua persembahan yang telah ditahbiskan untuk TUHAN oleh raja-raja yang memerintah sebelumnya, iaitu Raja Yosafat, Raja Yehoram, dan Raja Ahazia. Raja Yoas menambahnya dengan persembahannya sendiri serta semua emas di dalam perbendaharaan Rumah TUHAN dan istana. Kemudian Raja Yoas mengirimkan semuanya kepada Raja Hazael. Oleh itu Raja Hazael membatalkan niatnya untuk menyerang Yerusalem. Segala perbuatan Raja Yoas tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. [20-21] Para pegawai Raja Yoas berkomplot melawan baginda. Dua orang daripada mereka, iaitu Yozakar anak Simeat dan Yozabad anak Somer, membunuh Raja Yoas di rumah yang dibina di atas timbunan tanah di sebelah timur Yerusalem, iaitu di jalan ke kota Sila. Raja Yoas dimakamkan di permakaman diraja di Kota Daud, lalu Amazia, puteranya menggantikan baginda sebagai raja. Pada tahun kedua puluh tiga pemerintahan Raja Yoas putera Raja Ahazia di Yehuda, Raja Yehoahas putera Raja Yehu menjadi raja di Israel, dan baginda memerintah di Samaria selama tujuh belas tahun. Seperti Raja Yerobeam yang memerintah sebelumnya, Raja Yehoahas juga berdosa terhadap TUHAN dan menyebabkan umat Israel berdosa. Baginda tidak pernah meninggalkan kejahatannya. Oleh itu TUHAN murka terhadap Israel. TUHAN membiarkan Raja Hazael, raja Siria dan Raja Benhadad putera Raja Hazael, mengalahkan Israel berulang kali. Selepas itu Raja Yehoahas berdoa kepada TUHAN, dan TUHAN tahu betapa kejamnya raja Siria menindas orang Israel. Kemudian TUHAN mengabulkan doa Raja Yehoahas. TUHAN menghantar seorang pemimpin yang membebaskan Israel daripada penindasan orang Siria. Sejak itu Israel hidup dengan tenteram seperti sediakala. Tetapi mereka masih belum bertaubat daripada dosa yang disebabkan oleh Raja Yerobeam. Mereka tidak berhenti berdosa, dan patung Dewi Asyera masih ada di Samaria. Raja Yehoahas tidak lagi mempunyai angkatan perang kecuali lima puluh orang askar berkuda, sepuluh kereta kuda, dan sepuluh ribu orang askar berjalan kaki. Raja Siria telah memusnahkan angkatan perang Raja Yehoahas dan memijak-mijak mereka seperti debu. Segala perbuatan Raja Yehoahas, termasuk keperkasaan baginda, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Raja Yehoahas mangkat dan dimakamkan di Samaria. Yehoas, puteranya menggantikan baginda sebagai raja. Pada tahun ketiga puluh tujuh pemerintahan Raja Yoas di Yehuda, Raja Yehoas putera Raja Yehoahas menjadi raja di Israel, dan baginda memerintah di Samaria selama enam belas tahun. Raja Yehoas juga berdosa terhadap TUHAN, dan mengikut perbuatan Raja Yerobeam yang telah menyebabkan orang Israel berdosa. Segala perbuatan Raja Yehoas, termasuk kepahlawanan baginda dalam peperangan menentang Raja Amazia dari Yehuda, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Raja Yehoas mangkat dan dimakamkan di permakaman diraja di Samaria, dan Yerobeam II, puteranya menggantikan baginda sebagai raja. Pada suatu masa, Elisa, nabi itu sakit tenat. Ketika Elisa hampir meninggal, Raja Yehoas, raja Israel datang menziarahi dia. Sambil menangis Raja Yehoas berkata, “Bapaku, bapaku! Bapalah pembela Israel yang perkasa!” Elisa berkata kepadanya, “Ambillah busur dan beberapa batang anak panah.” Raja Yehoas pun mengambilnya. Elisa menyuruh Raja Yehoas bersiap untuk memanah, lalu baginda bersiap. Elisa meletakkan tangannya di atas tangan raja. Kemudian, dengan perintah nabi itu, Raja Yehoas membuka tingkap yang menghadap negeri Siria. Elisa berkata, “Lepaskan anak panah!” Sebaik sahaja raja melepaskan anak panah, nabi itu berkata, “Tuanku ialah anak panah TUHAN. Dengan perantaraan tuanku, TUHAN akan mengalahkan negeri Siria. Tuanku akan berperang melawan orang Siria di Afek sehingga tuanku mengalahkan mereka.” Selepas itu Elisa menyuruh raja mengambil anak panah yang lain dan memukul tanah dengan anak panah itu. Raja memukul tanah sampai tiga kali lalu berhenti. Elisa marah dan berkata kepada raja, “Mengapa tuanku tidak memukul lima atau enam kali supaya tuanku dapat mengalahkan orang Siria sama sekali? Tetapi sekarang tuanku hanya dapat mengalahkan orang Siria tiga kali.” Tidak lama kemudian Elisa meninggal lalu dikebumikan. Tiap-tiap tahun, gerombolan orang Moab biasa menyerang negeri Israel. Pada suatu hari, ketika orang Israel sedang menguburkan orang mati, mereka nampak gerombolan orang Moab. Oleh sebab ketakutan, mereka melemparkan mayat itu ke dalam kubur Elisa lalu lari. Sebaik sahaja mayat itu terkena pada tulang-tulang Elisa, mayat itu hidup semula dan berdiri tegak. Selama pemerintahan Raja Yehoahas, Raja Hazael dari Siria menindas orang Israel. Tetapi TUHAN baik hati kepada orang Israel dan Dia berbelas kasihan kepada mereka. Dia tidak membiarkan orang Israel dibinasakan. Dia menolong mereka kerana perjanjian-Nya dengan Abraham, Ishak, dan Yakub. TUHAN tidak pernah melupakan umat-Nya. Apabila Raja Hazael dari Siria mangkat, Benhadad, puteranya menjadi raja. Pada masa itu Raja Yehoas dari Israel, mengalahkan Raja Benhadad tiga kali. Raja Yehoas merampas semula kota-kota yang telah ditawan oleh Raja Benhadad pada masa pemerintahan Raja Yehoahas, ayahanda Raja Yehoas. Pada tahun kedua pemerintahan Raja Yehoas putera Raja Yehoahas di Israel, Raja Amazia putera Raja Yoas menjadi raja di Yehuda. Pada masa itu Raja Amazia berusia dua puluh lima tahun. Baginda memerintah di Yerusalem selama dua puluh sembilan tahun. Bondanya bernama Yehoadin dari Yerusalem. Raja Amazia melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN, tetapi baginda tidak seperti nenek moyangnya, Raja Daud. Sebaliknya baginda mengikut perbuatan ayahandanya, Raja Yoas. Raja Amazia tidak merobohkan tempat-tempat penyembahan berhala dan rakyat tidak berhenti mempersembahkan korban serta membakar kemenyan di situ. Apabila pemerintahan Raja Amazia sudah kukuh, baginda membunuh para pegawai yang membunuh ayahandanya, raja yang memerintah sebelum baginda. Raja Amazia tidak membunuh anak-anak mereka kerana baginda menurut perintah TUHAN dalam Taurat Musa yang berbunyi demikian, “Ibu bapa tidak boleh dihukum mati kerana kesalahan anak mereka. Anak-anak tidak boleh dihukum mati kerana kesalahan ibu bapa mereka. Setiap orang hendaklah dihukum mati kerana kesalahan yang dibuatnya sendiri sahaja.” Raja Amazia membunuh sepuluh ribu orang askar Edom di Lembah Asin, dan merebut kota Sela. Baginda menamakan kota itu Yokteel. Sampai sekarang kota itu masih bernama Yokteel. Kemudian Raja Amazia mengutus beberapa orang utusan kepada Raja Yehoas di Israel untuk mencabar baginda berperang. Tetapi Raja Yehoas menjawab cabaran itu demikian, “Pada suatu masa semak berduri di Gunung Lebanon mengirim berita kepada pokok sedar, ‘Benarkanlah anak perempuanmu berkahwin dengan anak lelakiku.’ Tetapi seekor binatang liar lalu di sana dan menginjak semak berduri itu. Hai Raja Amazia, setelah mengalahkan orang Edom, Raja Amazia menjadi sombong! Berpuas hatilah dengan kemenangan sekarang dan tinggallah di rumah. Mengapa mencari-cari masalah yang akhirnya akan mendatangkan bencana kepada diri Raja Amazia dan rakyat?” Tetapi Raja Amazia tidak mempedulikan nasihat itu. Maka Raja Yehoas dan tenteranya keluar menentang Raja Amazia di Bet-Semes di Yehuda. Tentera Raja Amazia dikalahkan, dan semua askarnya lari ke rumah masing-masing. Raja Yehoas menangkap Raja Amazia, lalu meneruskan serangannya ke Yerusalem. Baginda merobohkan tembok kota sepanjang 200 meter, bermula dari Pintu Gerbang Efraim sampai ke Pintu Gerbang Sudut. Raja Yehoas mengambil semua perak dan emas yang dapat ditemuinya, semua perabot Rumah TUHAN dan semua perbendaharaan istana, lalu baginda kembali ke Samaria. Baginda juga membawa beberapa orang tebusan bersama-samanya. Segala perbuatan Raja Yehoas, termasuk kepahlawanan baginda dalam peperangan melawan Raja Amazia dari Yehuda tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Raja Yehoas mangkat lalu dimakamkan di permakaman diraja di Samaria. Kemudian Yerobeam II, puteranya menggantikan baginda sebagai raja. Raja Amazia, raja Yehuda, hidup lima belas tahun lagi selepas kemangkatan Raja Yehoas, raja Israel. Segala perbuatan Raja Amazia tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. Beberapa orang di Yerusalem berkomplot untuk membunuh Raja Amazia. Oleh itu baginda lari ke kota Lakhis, tetapi musuh-musuhnya mengejar baginda ke sana dan membunuh baginda. Kemudian jenazah Raja Amazia diangkut dengan kuda ke Yerusalem, lalu dimakamkan di permakaman diraja di Kota Daud. Penduduk Yehuda melantik Uzia, putera Raja Amazia, yang berusia enam belas tahun, menjadi raja. Setelah kemangkatan ayahandanya, Raja Uzia merebut kembali kota Elat, lalu membinanya semula. Pada tahun kelima belas pemerintahan Raja Amazia putera Raja Yoas di Yehuda, Raja Yerobeam putera Raja Yehoas menjadi raja di Israel. Raja Yerobeam memerintah di Samaria selama empat puluh satu tahun. Raja Yerobeam berdosa terhadap TUHAN, kerana mengikut perbuatan Raja Yerobeam anak Nebat, raja yang yang terdahulu, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa. Raja Yerobeam merebut semula semua wilayah yang dahulu dimiliki Israel, dari Genting Hamat di utara sampai ke Laut Mati di selatan. Demikianlah yang dijanjikan dahulu oleh TUHAN, Allah Israel, melalui hamba-Nya Nabi Yunus anak Amitai dari Gat-Hefer. TUHAN nampak bahawa orang Israel sangat menderita, dan tiada sesiapa pun yang menolong mereka. TUHAN tidak bermaksud untuk membinasakan Israel selama-lamanya. Oleh itu Dia menyelamatkan mereka dengan perantaraan Raja Yerobeam II. Segala perbuatan Raja Yerobeam II, termasuk keperkasaan baginda dalam pertempuran dan bagaimana baginda merebut semula Damsyik dan Hamat daripada Yehuda untuk Israel, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Raja Yerobeam mangkat lalu dimakamkan di permakaman diraja. Maka Zakharia, puteranya menggantikan baginda sebagai raja. Pada tahun kedua puluh tujuh pemerintahan Raja Yerobeam II di Israel, Raja Uzia putera Raja Amazia menjadi raja di Yehuda. Pada masa itu Raja Uzia berusia enam belas tahun. Baginda memerintah di Yerusalem selama lima puluh dua tahun. Bondanya bernama Yekholya dari Yerusalem. Baginda mengikut teladan ayahandanya. Baginda melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN. Tetapi tempat-tempat penyembahan berhala tidak dimusnahkan, dan rakyat masih mempersembahkan korban serta membakar kemenyan di situ. TUHAN menyebabkan Raja Uzia menghidap penyakit kulit yang mengerikan seumur hidupnya. Baginda tinggal seorang diri di rumah yang terasing dan dibebaskan daripada segala tugas. Yotam, puteranya memerintah rakyat sebagai wakil baginda. Segala perbuatan Raja Uzia tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. Baginda mangkat lalu dimakamkan di permakaman diraja di Kota Daud. Kemudian Yotam, puteranya menggantikan baginda sebagai raja. Pada tahun ketiga puluh lapan pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Raja Zakharia putera Raja Yerobeam II menjadi raja di Israel. Raja Zakharia memerintah di Samaria selama enam bulan. Raja Zakharia juga berdosa terhadap TUHAN, seperti raja-raja yang memerintah sebelum baginda. Baginda mengikut perbuatan jahat Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa. Pada masa itu Salum anak Yabes berkomplot menentang Raja Zakharia. Salum membunuh Raja Zakharia di Yibleam dan menggantikan baginda sebagai raja. Segala perbuatan Raja Zakharia tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Demikianlah berlakunya janji yang dibuat TUHAN kepada Raja Yehu: “Keturunanmu sampai ke generasi yang keempat akan menjadi raja di Israel.” Pada tahun ketiga puluh sembilan pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Salum anak Yabes menjadi raja di Israel. Raja Salum memerintah di Samaria selama satu bulan. Kemudian Menahem anak Gadi berangkat dari Tirza ke Samaria dan membunuh Raja Salum. Lalu Menahem menggantikan baginda sebagai raja. Segala perbuatan Raja Salum, termasuk kisah komplotnya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Dalam perjalanannya dari Tirza, Raja Menahem memusnahkan sama sekali kota Tapuah serta penduduknya, dan juga kawasan di sekelilingnya kerana kota itu tidak menyerah kepadanya. Raja Menahem membelah perut semua perempuan hamil di kota itu. Pada tahun ketiga puluh sembilan pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Menahem anak Gadi menjadi raja di Israel. Raja Menahem memerintah di Samaria selama sepuluh tahun. Raja Menahem berdosa terhadap TUHAN kerana mengikut perbuatan jahat Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa. Ketika Raja Pul, raja Asyur menyerang Israel, Raja Menahem memberi Raja Pul 34,000 kilogram perak supaya baginda menolong mengukuhkan kekuasaan Raja Menahem di Israel. Raja Menahem mendapatkan wang itu dengan memaksa setiap orang kaya di Israel supaya memberikan 50 keping wang perak. Selepas itu Raja Pul pulang ke negerinya sendiri. Segala perbuatan Raja Menahem tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Raja Menahem mangkat lalu dimakamkan. Pekahya, puteranya menggantikan baginda sebagai raja. Pada tahun kelima puluh pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Raja Pekahya putera Raja Menahem menjadi raja Israel. Baginda memerintah di Samaria selama dua tahun. Raja Pekahya berdosa terhadap TUHAN dan mengikut perbuatan Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa. Pada masa itu seorang pegawai tentera Raja Pekahya yang bernama Pekah anak Remalya, berkomplot dengan lima puluh orang dari Gilead. Kemudian mereka membunuh Raja Pekahya di kubu sebelah dalam istana di Samaria, lalu Pekah menggantikan Raja Pekahya sebagai raja. Segala perbuatan Raja Pekahya tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Pada tahun kelima puluh dua pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Pekah anak Remalya menjadi raja di Israel. Raja Pekah memerintah di Samaria selama dua puluh tahun. Raja Pekah berdosa terhadap TUHAN, kerana mengikut perbuatan jahat Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa. Pada masa pemerintahan Raja Pekah, Raja Pul, raja Asyur merebut kota Iyon, Abel-Bet Maakha, Yanoah, Kedes, Hazor, daerah Gilead, Galilea, dan Naftali. Baginda membawa penduduk kota-kota itu ke Asyur sebagai orang tawanan. Pada tahun kedua puluh pemerintahan Raja Yotam putera Raja Uzia di Yehuda, Hosea anak Ela berkomplot untuk menentang Raja Pekah. Hosea membunuh Raja Pekah lalu menggantikan baginda sebagai raja. Segala perbuatan Raja Pekah tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. Pada tahun kedua pemerintahan Raja Pekah anak Remalya sebagai raja di Israel, Raja Yotam putera Raja Uzia menjadi raja di Yehuda. Pada masa itu Raja Yotam berusia dua puluh lima tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama enam belas tahun. Bondanya ialah Yerusa anak Zadok. Raja Yotam mengikut perbuatan Raja Uzia ayahandanya; Raja Yotam melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN, tetapi tempat-tempat penyembahan berhala tidak dimusnahkan. Rakyat masih mempersembahkan korban dan membakar kemenyan di situ. Raja Yotam ialah pembina Pintu Gerbang Utara Rumah TUHAN. Segala perbuatan Raja Yotam tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. Pada masa pemerintahan Raja Yotam, untuk pertama kali TUHAN menyuruh Raja Rezin dari Siria dan Raja Pekah dari Israel untuk menyerang Yehuda. Kemudian Raja Yotam mangkat lalu dimakamkan di perkuburan diraja di Kota Daud. Ahas, putera Raja Yotam menggantikan baginda sebagai raja. Pada tahun ketujuh belas pemerintahan Raja Pekah anak Remalya di Israel, Raja Ahas putera Raja Yotam menjadi raja di Yehuda. Pada masa itu Raja Ahas berusia dua puluh tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama enam belas tahun. Baginda tidak mengikut teladan baik nenek moyangnya, Raja Daud. Sebaliknya baginda melakukan apa yang tidak menyenangkan hati TUHAN, Allahnya. Baginda mengikut perbuatan raja-raja Israel, bahkan baginda mempersembahkan puteranya sendiri sebagai korban kepada dewa-dewa. Baginda mengikut kebiasaan penduduk negeri yang telah diusir oleh TUHAN ketika orang Israel memasuki negeri itu. Di tempat penyembahan berhala di bukit-bukit dan di bawah tiap-tiap pokok yang rendang, Raja Ahas mempersembahkan korban dan membakar kemenyan. Raja Rezin dari Siria dan Raja Pekah dari Israel, menyerang Yerusalem. Baginda berdua mengepung kota itu tetapi tidak dapat mengalahkan Raja Ahas. ( Pada masa itu raja Edom berjaya menguasai kota Elat semula. Raja itu mengusir orang Yehuda yang tinggal di situ. Oleh itu, orang Edom menduduki kota itu dan menetap di situ sampai sekarang.) Raja Ahas mengutus beberapa orang utusan kepada Raja Pul, dari Asyur, dengan berita berikut, “Hamba setia mengabdi kepada tuanku. Oleh itu datanglah untuk menyelamatkan hamba daripada raja-raja negeri Siria dan Israel yang sedang menyerang hamba sekarang.” Raja Ahas mengambil perak dan emas dari Rumah TUHAN dan perbendaharaan istana, lalu memberikan semuanya kepada raja Pul sebagai hadiah. Raja Pul mengabulkan permintaan Raja Ahas. Raja Pul dengan tenteranya menyerang Damsyik, merebut kota itu lalu membunuh Raja Rezin. Raja Pul juga membawa penduduk kota Damsyik ke Kir sebagai orang tawanan. Apabila Raja Ahas pergi ke Damsyik untuk menemui Raja Pul, baginda nampak mazbah di situ lalu mengirim contoh mazbah itu dengan butir-butir yang tepat kepada Imam Uria. Uria membina sebuah mazbah seperti itu, dan menyelesaikannya sebelum Raja Ahas kembali. Apabila Raja Ahas kembali dari Damsyik, baginda nampak bahawa mazbah itu sudah siap. Raja Ahas mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan korban untuk mengucap syukur kepada-Nya, di atas mazbah itu. Baginda juga mempersembahkan wain dan darah daripada korban untuk memohon berkat daripada TUHAN. Mazbah gangsa yang ditahbiskan untuk TUHAN terletak di antara mazbah yang baru itu dan Rumah TUHAN. Oleh itu Raja Ahas memindahkan mazbah gangsa itu ke sebelah utara mazbah yang baru. Selepas itu Raja Ahas memerintah Uria, “Gunakanlah mazbah beta yang besar ini untuk korban yang dibakar pada waktu pagi dan persembahan biji-bijian pada waktu petang, untuk korban yang dibakar dan persembahan biji-bijian yang dipersembahkan oleh raja dan rakyat, dan juga untuk persembahan wain daripada rakyat. Tuanglah darah semua binatang yang dipersembahkan sebagai korban ke atas mazbah itu. Mazbah gangsa yang lama itu biarlah beta gunakan untuk minta petunjuk.” Uria melaksanakan perintah Raja Ahas. Raja Ahas membongkar pedati-pedati gangsa yang digunakan di Rumah TUHAN, dan melepaskan besen-besen yang terletak di atas pedati-pedati itu. Baginda juga mengambil tangki gangsa dari atas lembu-lembu gangsa, lalu meletakkannya di atas alas batu. Untuk mengambil hati raja Asyur, Raja Ahas juga membongkar pentas untuk takhta di Rumah TUHAN, lalu menutup pintu masuk Rumah TUHAN yang khas untuk raja. Segala perbuatan Raja Ahas tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. Raja Ahas mangkat dan dimakamkan di permakaman diraja di Kota Daud. Hizkia, puteranya menggantikan baginda sebagai raja. Pada tahun kedua belas pemerintahan Raja Ahas di Yehuda, Hosea anak Ela menjadi raja di Israel. Raja Hosea memerintah di Samaria selama sembilan tahun. Raja Hosea berdosa terhadap TUHAN, tetapi dosanya tidak sebesar dosa raja-raja yang memerintah Israel sebelumnya. Pada masa itu Raja Salmaneser dari Asyur berperang dengan Raja Hosea. Raja Hosea menyerah kepada Raja Salmaneser dan membayar ufti kepadanya tiap-tiap tahun. Tetapi pada suatu masa, Raja Hosea mengirim beberapa orang utusan kepada Raja So, raja Mesir untuk meminta pertolongan baginda. Setelah itu Raja Hosea berhenti membayar ufti tahunan kepada raja Asyur. Apabila Raja Salmaneser mengetahui hal itu, baginda menangkap Raja Hosea lalu memasukkan baginda ke dalam penjara. Raja Salmaneser menyerang Israel dan mengepung Samaria. Tiga tahun kemudian, iaitu pada tahun kesembilan pemerintahan Raja Hosea, raja Asyur mengalahkan Samaria. Baginda membawa orang Israel ke Asyur sebagai orang tawanan. Baginda menempatkan sebilangan daripada orang Israel di kota Halah, sebilangan di tepi Sungai Habor di daerah Gozan, dan sebilangan lagi di kota-kota negeri Madai. Kota Samaria jatuh kerana umat Israel berdosa terhadap TUHAN, Allah mereka, yang telah menyelamatkan mereka daripada raja Mesir dan membawa mereka keluar dari negeri Mesir. Mereka menyembah tuhan-tuhan lain, serta mengikut kebiasaan bangsa yang telah diusir oleh TUHAN ketika umat Israel menduduki negeri itu. Umat Israel mengikut adat istiadat yang ditetapkan oleh raja-raja Israel. Mereka melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh TUHAN, Allah mereka. Mereka membina tempat-tempat penyembahan berhala di semua kota mereka, dari kampung yang terkecil sampai ke kota yang terbesar. Di semua bukit dan di bawah tiap-tiap pokok yang rendang, mereka mendirikan tiang-tiang batu dan patung-patung Dewi Asyera. Mereka membakar kemenyan di atas semua mazbah untuk dewa, mengikut kebiasaan bangsa yang telah diusir oleh TUHAN dari negeri itu. Mereka membangkitkan kemurkaan TUHAN kerana segala perbuatan mereka yang jahat itu, dan tidak taat kepada TUHAN yang melarang mereka menyembah berhala. TUHAN telah mengutus beberapa orang utusan dan nabi-Nya untuk memberikan amaran kepada Israel dan Yehuda. Firman TUHAN, “Berhentilah berbuat jahat dan taatlah kepada perintah-Ku yang terkandung dalam Taurat yang Aku berikan kepada nenek moyang kamu dan juga kamu melalui para nabi, hamba-hamba-Ku.” Tetapi mereka tidak mahu taat; mereka degil seperti nenek moyang mereka yang tidak percaya kepada TUHAN, Allah mereka. Mereka tidak mahu taat kepada perintah-Nya. Mereka tidak mengendahkan perjanjian yang dibuat TUHAN dengan nenek moyang mereka. Mereka tidak menghiraukan amaran-amaran TUHAN. Mereka menyembah berhala-berhala yang tidak berguna, sehingga mereka sendiri menjadi tidak berguna. Mereka mengikut kebiasaan bangsa-bangsa di sekeliling mereka, walaupun TUHAN telah melarang perbuatan itu. Mereka melanggar semua hukum TUHAN, Allah mereka, serta membuat dua patung lembu daripada logam untuk disembah. Mereka juga membuat patung Dewi Asyera, menyembah bintang-bintang, dan Baal. Mereka mempersembahkan anak-anak mereka sebagai korban yang dibakar kepada dewa-dewa. Mereka minta petunjuk daripada dukun dan tukang tilik. Mereka sangat giat melakukan apa yang jahat di sisi TUHAN, lalu membangkitkan kemurkaan-Nya. TUHAN murka terhadap umat Israel sehingga mereka dibuang dari tanah yang diberikan-Nya kepada mereka; hanya kerajaan Yehuda yang tinggal. Namun orang Yehuda pun tidak taat kepada hukum TUHAN, Allah mereka. Mereka mengikut kebiasaan yang telah diikuti orang Israel. TUHAN menolak segenap umat Israel. Dia menghukum dan menyerahkan mereka kepada musuh yang kejam, sehingga akhirnya Dia membuang mereka dari tanah yang diberikan-Nya kepada mereka. Setelah TUHAN memisahkan Israel dari Yehuda, umat Israel melantik Yerobeam anak Nebat menjadi raja mereka. Raja Yerobeam menyebabkan mereka meninggalkan TUHAN dan melakukan dosa-dosa yang besar. Mereka mengikut perbuatan Raja Yerobeam dan tidak berhenti melakukan semua dosa yang dilakukan oleh Raja Yerobeam. Akhirnya TUHAN membuang mereka dari tanah yang diberikan-Nya kepada mereka. Hal itu berlaku sesuai dengan amaran yang diberikan TUHAN kepada hamba-hamba-Nya. Oleh itu orang Israel dibuang ke Asyur, tempat mereka tinggal sehingga sekarang. Raja Asyur membawa orang dari kota Babel, Kuta, Awa, Hamat, dan Sefarwaim ke kota-kota di Samaria untuk menggantikan orang Israel yang telah dibuang negeri. Mereka menduduki kota-kota itu lalu tinggal di situ. Apabila mereka mula-mula tiba di negeri itu, mereka tidak menyembah TUHAN. Oleh itu TUHAN mengirim singa untuk membunuh sebilangan daripada mereka. Kemudian raja Asyur diberitahu bahawa orang yang disuruhnya tinggal di kota-kota Samaria itu tidak mengenal hukum dewa negeri itu, lalu dewa itu mengirim singa yang membunuh mereka. Oleh itu Raja Asyur bertitah, “Kirimlah kembali seorang daripada imam yang kita tawan itu. Suruhlah dia pulang dan tinggal di sana untuk mengajar orang di tempat itu tentang hukum dewa negeri itu.” Oleh itu seorang imam Israel yang telah dibuang dari Samaria ke Asyur, kembali dan tinggal di Betel. Dia mengajar orang di tempat itu cara beribadat kepada TUHAN. Tetapi penduduk Samaria masih membuat berhala mereka sendiri, dan mereka menempatkan berhala-berhala itu di kuil-kuil yang telah dibina orang Israel. Tiap-tiap golongan orang membuat berhala masing-masing: orang Babel membuat patung Dewa Sukot-Benot, orang Kuta membuat patung Nergal, orang Hamat membuat patung Asima, orang Awa membuat patung Nibhas dan Tartak, dan orang Sefarwaim mempersembahkan anak-anak mereka sebagai korban yang dibakar kepada Adramelekh dan Anamelekh, dewa-dewa mereka. Mereka juga menyembah TUHAN, dan mereka memilih pelbagai orang daripada golongan mereka sendiri untuk bertugas sebagai imam di tempat-tempat pemujaan berhala, serta mempersembahkan korban bagi berhala itu di sana. Mereka menyembah TUHAN, tetapi mereka juga menyembah dewa-dewa mereka sendiri menurut adat istiadat negeri asal mereka. Sampai sekarang mereka masih mengamalkan adat istiadat mereka yang lama itu. Mereka tidak menyembah TUHAN ataupun taat kepada hukum dan perintah yang diberikan-Nya kepada keturunan Yakub, yang dinamakan-Nya Israel. TUHAN telah membuat perjanjian dengan umat Israel, dan telah memerintah, “Jangan sembah tuhan-tuhan lain; jangan bersujud, atau mengabdi, atau mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan itu. Hendaklah kamu taat kepada-Ku, TUHAN yang telah membawa kamu keluar dari Mesir dengan kuasa dan kekuatan yang besar; hendaklah kamu bersujud dan mempersembahkan korban kepada-Ku. Hendaklah kamu sentiasa taat kepada hukum dan perintah yang telah Aku tuliskan untuk kamu. Jangan sembah tuhan-tuhan lain, dan jangan lupa akan perjanjian yang telah Aku buat dengan kamu itu. Jangan sembah tuhan-tuhan lain, tetapi hendaklah kamu menyembah Aku TUHAN, Allah kamu, maka Aku akan menyelamatkan kamu daripada musuh.” Tetapi penduduk Samaria itu tidak mahu mendengar; mereka masih mengikut adat istiadat mereka yang lama. Mereka menyembah TUHAN, tetapi mereka juga menyembah berhala-berhala mereka; sampai sekarang keturunan mereka masih berbuat demikian. Pada tahun ketiga pemerintahan Raja Hosea anak Ela sebagai raja Israel, Hizkia, putera Raja Ahas menjadi raja di Yehuda. Pada masa itu Raja Hizkia berusia dua puluh lima tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama dua puluh sembilan tahun. Bondanya bernama Abia anak Zakharia. Raja Hizkia mengikut teladan nenek moyangnya Raja Daud, kerana baginda melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN. Baginda memusnahkan tempat-tempat penyembahan berhala, memecahkan tiang-tiang batu, dan merobohkan patung-patung Dewi Asyera. Baginda juga menghancurkan ular gangsa yang dibuat oleh Musa dahulu, yang dikenal sebagai Nehustan, kerana hingga masa itu umat Israel masih membakar kemenyan untuk menghormati ular gangsa itu. Raja Hizkia percaya kepada TUHAN, Allah Israel. Tidak pernah lagi Yehuda mempunyai raja seperti Raja Hizkia, baik sebelum ataupun sesudah pemerintahan baginda. Raja Hizkia taat kepada TUHAN, dan tidak pernah membantah-Nya. Dengan sungguh-sungguh baginda mentaati segala perintah yang telah diberikan oleh TUHAN dengan perantaraan Musa. Oleh itu TUHAN menyertai baginda, dan baginda berjaya dalam segala usahanya. Baginda memberontak terhadap raja Asyur dan tidak mahu takluk kepadanya. Raja Hizkia mengalahkan orang Filistin dan menjarah daerah mereka, dari kampung yang terkecil sampai ke kota yang terbesar, termasuk Gaza dan kawasan di sekitarnya. Pada tahun keempat pemerintahan Raja Hizkia, iaitu pada tahun ketujuh pemerintahan Raja Hosea di Israel, Raja Salmaneser dari Asyur menyerang Israel dan mengepung kota Samaria. Tiga tahun kemudian, kota Samaria dikalahkan. Hal itu berlaku pada tahun keenam pemerintahan Raja Hizkia, dan tahun kesembilan pemerintahan Raja Hosea. Kemudian raja Asyur membawa umat Israel ke Asyur sebagai orang tawanan, lalu menempatkan sebilangan daripada mereka di kota Halah, sebilangan di tepi Sungai Habor di daerah Gozan, dan sebahagian lagi di kota-kota negeri Madai. Samaria jatuh kerana umat Israel tidak taat kepada TUHAN, Allah mereka. Mereka mengingkari perjanjian yang dibuat oleh TUHAN dengan mereka, dan mereka melanggar semua hukum yang diberikan oleh Musa, hamba TUHAN. Mereka tidak mahu mendengar ataupun taat. Pada tahun keempat belas pemerintahan Raja Hizkia, Raja Sanherib dari Asyur, menyerang kota-kota yang berkubu di Yehuda serta mengalahkan semuanya. Raja Hizkia mengirim berita kepada Raja Sanherib yang ketika itu berada di Lakhis. Raja Hizkia bertitah, “Beta telah bersalah. Hentikanlah serangan tuanku. Beta akan membayar apa sahaja yang tuanku tuntut.” Raja Sanherib menuntut 10,000 kilogram perak dan 1,000 kilogram emas daripada Raja Hizkia. Raja Hizkia mengirim semua perak di Rumah TUHAN dan di perbendaharaan istana kepadanya. Baginda juga melucutkan emas daripada pintu-pintu Rumah TUHAN dan emas yang digunakannya untuk meliputi tiang-tiang pintu itu. Lalu Raja Hizkia mengirim semuanya kepada Raja Sanherib. Tetapi raja Asyur mengirim satu pasukan tentera yang besar dari Lakhis untuk menyerang Raja Hizkia di Yerusalem. Pasukan itu diketuai oleh tiga orang pegawai tinggi tentera, iaitu seorang panglima, seorang juru minuman, dan seorang ketua pengawal raja. Apabila mereka tiba di Yerusalem, mereka mengambil tempat di jalan, tempat pembuat kain bekerja, dekat saluran yang menyalurkan air dari kolam di sebelah atas. Setelah itu mereka memanggil Raja Hizkia, tetapi tiga orang pegawai baginda datang menemui mereka, iaitu Elyakim anak Hilkia, pengurus istana; Sebna, setiausaha istana dan Yoah anak Asaf, setiausaha negara. Salah seorang pegawai tentera Asyur itu berkata, “Sampaikanlah titah raja Asyur kepada Raja Hizkia, ‘Mengapa raja begitu yakin? Adakah pada sangka raja bahawa kata-kata dapat menggantikan kecekapan dan kekuatan tentera? Siapakah yang raja harap untuk menolong raja memberontak terhadap Asyur? Raja mengharapkan bantuan dari Mesir, tetapi hal itu seperti orang yang menggunakan gelagah sebagai tongkat. Tongkat itu akan patah dan menusuk tangan raja sendiri. Begitulah raja Mesir terhadap sesiapa yang berharap kepadanya.’ ” Pegawai Asyur itu meneruskan lagi, “Atau mungkinkah kamu berkata bahawa kamu berharap kepada TUHAN, Allah kamu? Pada waktu Raja Hizkia memerintahkan orang Yehuda dan Yerusalem beribadat di mazbah di Yerusalem sahaja, yang dimusnahkannya itu mazbah dan tempat-tempat penyembahan kepada TUHAN sendiri. Aku akan bertaruh dengan kamu demi nama raja Asyur. Aku akan memberi kamu dua ribu ekor kuda jika kamu mempunyai orang sebanyak itu untuk menunggangi semua kuda itu! Kamu tidak dapat melawan kami bahkan pegawai Asyur yang paling rendah sekalipun, namun kamu mengharapkan orang Mesir menghantar kereta kuda dan pasukan berkuda kepada kamu. Adakah kamu menyangka bahawa aku menyerang negeri kamu dan memusnahkannya tanpa pertolongan TUHAN? TUHAN sendiri menyuruh aku menyerang serta memusnahkannya.” Kemudian Elyakim, Sebna, dan Yoah berkata kepada pegawai itu, “Tuan, bertuturlah kepada kami dalam bahasa Aram. Kami akan faham bahasa itu. Janganlah bertutur dalam bahasa Ibrani. Semua orang di atas tembok itu dapat memahaminya.” Tetapi pegawai itu menjawab, “Adakah pada sangka kamu bahawa raja Asyur menyuruh aku menyampaikan semua hal ini kepada kamu dan raja kamu sahaja? Tidak. Aku juga menyampaikan semua hal ini kepada orang yang duduk di atas tembok itu, kerana mereka pun mesti makan najis dan minum air kencing sendiri seperti kamu.” Kemudian pegawai itu berdiri dan berseru dalam bahasa Ibrani, “Dengarlah titah ucapan raja Asyur kepada kamu! Baginda memberikan amaran kepada kamu supaya jangan ditipu oleh Raja Hizkia. Raja Hizkia tidak dapat menyelamatkan kamu. Jangan biar Raja Hizkia menyuruh kamu berharap kepada TUHAN. Jangan sangka bahawa TUHAN akan menyelamatkan kamu, dan menghalangi angkatan tentera Asyur merebut kota kamu. Janganlah dengarkan Raja Hizkia. Raja Asyur memerintah kamu supaya keluar dari kota kamu dan menyerah diri. Kamu semua akan dibenarkan makan buah anggur dari pokok anggur kamu sendiri dan buah ara dari pokok ara kamu sendiri, dan minum air dari perigi kamu sendiri, sehingga raja Asyur memindahkan kamu di negeri yang serupa dengan negeri kamu. Di sana ada banyak ladang anggur yang menghasilkan wain dan gandum untuk membuat roti. Negeri itu penuh dengan pokok zaitun, minyak zaitun, dan madu. Jika kamu taat kepada perintah raja, kamu akan hidup dan tidak akan mati. Jangan ditipu oleh Raja Hizkia. Jangan sangka bahawa TUHAN akan menyelamatkan kamu. Dewa-dewa negeri manakah pernah menyelamatkan negerinya daripada raja Asyur? Di manakah dewa-dewa negeri Hamat dan Arpad sekarang? Di manakah dewa-dewa Sefarwaim, Hena dan Iwa? Pernahkah sesiapa menyelamatkan Samaria? Dewa yang manakah pernah menyelamatkan negerinya daripada raja kami? Mengapakah kamu berfikir bahawa TUHAN dapat menyelamatkan Yerusalem?” Rakyat diam sahaja seperti yang diperintahkan oleh Raja Hizkia. Mereka tidak mengeluarkan sepatah kata pun. Kemudian Elyakim, Sebna, dan Yoah mengoyakkan pakaian mereka kerana sedih. Mereka pergi melaporkan kata-kata pegawai Asyur itu kepada Raja Hizkia. Apabila Raja Hizkia mendengar laporan mereka, baginda mengoyakkan pakaiannya kerana sedih. Baginda memakai kain guni, lalu pergi ke Rumah TUHAN. Baginda menyuruh Elyakim, pengurus istana, dan Sebna, setiausaha istana, serta imam-imam yang tua untuk berjumpa dengan Nabi Yesaya anak Amos. Mereka juga memakai kain guni. Raja Hizkia menyuruh mereka menyampaikan berita ini kepada Yesaya, “Hari ini hari penderitaan. Kita dihukum dan dipermalukan. Kita seperti perempuan yang hampir bersalin tetapi kehabisan tenaga. Raja Asyur telah mengutus pegawai tertingginya untuk menghina Allah yang hidup. Semoga TUHAN, Allahmu mendengar hinaan itu dan menghukum mereka yang mengucapkannya. Oleh itu berdoalah kepada Allah untuk rakyat kita yang masih hidup.” Apabila Yesaya menerima berita daripada Raja Hizkia, dia memberikan jawapan ini, “TUHAN berfirman bahawa tuanku tidak usah takut terhadap orang Asyur yang mengatakan TUHAN tidak dapat menyelamatkan tuanku. TUHAN akan menyebabkan raja Asyur mendengar suatu khabar angin sehingga baginda lari pulang ke negerinya sendiri. TUHAN akan membiarkan baginda dibunuh di sana.” Pegawai Asyur itu mendengar bahawa raja Asyur telah meninggalkan Lakhis dan sedang berperang menentang Libna, sebuah kota yang berdekatan. Maka dia pergi ke sana untuk meminta nasihat. Pada masa itu Raja Asyur mendengar berita bahawa tentera Mesir yang dipimpin oleh Raja Tirhaka dari Etiopia datang untuk menyerang mereka. Apabila raja Asyur mendengar berita itu, baginda mengirim sepucuk surat kepada Raja Hizkia di Yehuda. Demikianlah bunyi surat itu, “Allah yang raja percayai itu berjanji bahawa raja tidak akan jatuh ke dalam tangan beta, tetapi jangan ditipu oleh janji itu. Raja telah mendengar apa yang dilakukan oleh raja Asyur terhadap setiap negeri apa sahaja yang hendak dimusnahkannya. Jangan sangka raja akan terlepas! Nenek moyang beta memusnahkan kota Gozan, Haran, dan Rezef, serta membunuh orang Eden yang tinggal di Telasar. Tidak satu pun daripada dewa mereka dapat menyelamatkan mereka. Di manakah raja-raja kota Hamat, Arpad, Sefarwaim, Hena, dan Iwa sekarang?” Raja Hizkia mengambil surat itu daripada para utusan, lalu membacanya. Kemudian baginda pergi ke Rumah TUHAN dan membentangkan surat itu di hadirat TUHAN, lalu berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, Engkau yang bersemayam di atas kerub; Engkau satu-satunya Allah yang memerintah semua kerajaan di dunia. Engkau mencipta langit dan bumi. Sekarang lihatlah hal yang berlaku kepada kami. Dengarlah segala hinaan yang diucapkan oleh Raja Sanherib terhadap-Mu, ya Allah yang hidup. Kami semua tahu, ya TUHAN, bahawa raja Asyur telah memusnahkan banyak bangsa dan menghancurkan negeri mereka, serta membakar dewa-dewa mereka. Tetapi dewa-dewa itu tidak berkuasa kerana semuanya hanya patung daripada kayu dan batu yang dibuat oleh manusia. Oleh itu selamatkanlah kami daripada orang Asyur, ya TUHAN, Allah kami supaya semua bangsa di dunia tahu bahawa Engkau, TUHAN satu-satunya Allah.” Kemudian Yesaya mengirim perkhabaran kepada Raja Hizkia bahawa TUHAN, Allah Israel telah mendengar doanya. Demikianlah firman TUHAN, “Kota Yerusalem mentertawakan serta menghinakan engkau, hai Sanherib. Pada sangkamu, siapakah yang engkau cela dan hina itu? Engkau telah bersikap sombong terhadap Aku, Allah Israel, Allah yang suci. Engkau mengirim para utusanmu untuk membesar-besarkan dirimu di hadapan-Ku, bahawa dengan kereta kudamu engkau telah menaklukkan gunung-gunung tertinggi di Lebanon. Engkau bercakap besar bahawa di sana engkau telah menebang pokok sedar yang tertinggi dan pokok sipres yang terbaik, dan bahawa engkau telah menembusi hutan Lebanon yang paling lebat. Engkau bercakap besar bahawa engkau telah menggali perigi dan meminum air di negeri-negeri asing, dan bahawa tenteramu memijak-mijak Sungai Nil sehingga kering. Belum pernahkah engkau mendengar bahawa Akulah yang merancangkan semua itu sejak dahulu? Sekarang Aku sudah melaksanakannya. Akulah yang memberi engkau kuasa untuk memusnahkan kota-kota berkubu sehingga menjadi puing-puing. Penduduk di situ tidak berdaya; mereka ketakutan dan bingung. Mereka seperti rumput di padang atau rumpai yang tumbuh di atas bumbung rumah, yang layu apabila ditiup oleh angin timur yang panas. Tetapi Aku tahu akan segala halmu; segala perbuatanmu dan ke mana sahaja engkau pergi. Aku tahu bahawa engkau marah sekali terhadap Aku. Aku telah mendengar tentang kemarahanmu dan kesombonganmu. Sekarang Aku akan menaruh kait pada hidungmu, dan kekang pada mulutmu. Aku akan menarik engkau pulang melalui jalan yang engkau ikuti ketika datang.” Kemudian Yesaya mengirim perkhabaran ini kepada Raja Hizkia, “Perkara ini akan menjadi satu tanda bagi tuanku: Pada tahun ini dan tahun yang akan datang, tuanku akan makan gandum yang tumbuh sendiri. Tetapi pada tahun yang berikutnya, tanamlah gandum dan anggur, dan nikmatilah hasilnya. Penduduk Yehuda yang terselamat akan makmur seperti tumbuhan yang berakar umbi dan berbuah. Baik di Yerusalem mahupun di Bukit Sion akan ada orang yang terselamat, kerana TUHAN telah tentukan bahawa perkara ini akan berlaku. Inilah firman TUHAN tentang raja Asyur, ‘Dia tidak akan masuk ke Yerusalem, atau melepaskan anak panah ke arahnya. Askar-askar yang berperisai tidak akan mendekati kota ini. Mereka tidak akan membuat timbunan tanah untuk mengepungnya. Raja Asyur akan pulang melalui jalan yang diikutinya ketika datang, tanpa memasuki kota ini. Aku, TUHAN, telah berfirman. Demi kehormatan-Ku sendiri dan demi janji-Ku kepada hamba-Ku Daud, Aku akan membela kota ini serta melindunginya.’ ” Pada malam itu satu malaikat TUHAN pergi ke perkhemahan orang Asyur dan membunuh 185,000 orang askar. Pagi-pagi keesokan harinya, mereka semua sudah mati! Kemudian Raja Sanherib dari Asyur, berundur dari sana dan pulang ke Niniwe. Pada suatu hari, ketika baginda sedang bersembahyang di dalam kuil Nisrokh, dewanya, dua orang putera baginda, Adramelekh dan Sarezer, membunuh baginda dengan pedang. Selepas itu mereka lari ke tanah Ararat. Esarhadon, puteranya yang lain, menggantikan baginda sebagai raja. Kira-kira pada masa itu Raja Hizkia gering dan hampir mangkat. Nabi Yesaya anak Amos menemui raja lalu berkata kepada baginda, “Menurut firman TUHAN, hendaklah tuanku selesaikan segala urusan tuanku, kerana tuanku tidak akan sembuh. Tuanku akan mangkat.” Raja Hizkia memalingkan mukanya ke tembok lalu berdoa, “Ingatlah, ya TUHAN, bahawa aku telah mengabdi kepada-Mu dengan taat dan setia, dan bahawa aku sentiasa berusaha untuk melakukan kehendak-Mu.” Lalu raja menangis dengan pilu. Yesaya meninggalkan raja, tetapi sebelum Yesaya keluar melalui halaman tengah istana itu, TUHAN menyuruh dia kembali kepada Raja Hizkia, raja umat TUHAN. Yesaya menyampaikan firman ini kepadanya, “Demikianlah firman TUHAN, Allah nenek moyang tuanku Daud, ‘Aku telah mendengarkan doamu. Aku nampak air matamu. Aku akan menyembuhkan engkau dan dalam tiga hari engkau akan pergi ke Rumah TUHAN. Aku akan menambah usiamu selama lima belas tahun. Aku akan menyelamatkan engkau dan kota Yerusalem ini daripada raja Asyur. Aku akan membela kota ini demi kehormatan-Ku sendiri dan juga kerana janji-Ku kepada hamba-Ku Daud.’ ” Selepas itu Yesaya menyuruh orang melumatkan buah ara dan mengoleskannya pada bisul raja supaya baginda sembuh. Raja Hizkia bertanya, “Apakah tandanya bahawa TUHAN akan menyembuhkan beta dan tiga hari kemudian beta dapat pergi ke Rumah TUHAN?” Yesaya menjawab, “TUHAN akan memberikan satu tanda kepada tuanku untuk membuktikan bahawa Dia akan menepati janji-Nya. Manakah yang tuanku lebih sukai: bayangan pada penunjuk jam matahari maju sepuluh garis atau undur sepuluh garis?” Raja Hizkia menjawab, “Lebih mudah untuk membuat bayangan maju sepuluh garis. Buatlah supaya bayangan undur sepuluh garis!” Yesaya berdoa kepada TUHAN, lalu TUHAN membuat bayangan itu undur sepuluh garis pada penunjuk jam matahari yang dibina oleh Raja Ahas. Kira-kira pada masa itu, Raja Merodakh-Baladan anak Baladan, raja Babilonia, mendengar bahawa Raja Hizkia gering. Oleh itu raja Babilonia mengirim sepucuk surat dan sebuah hadiah kepada Raja Hizkia. Raja Hizkia menyambut kedatangan para utusan itu dan menunjukkan segala kekayaannya kepada mereka - perak dan emasnya, rempah-rempah dan minyak wangi, serta segala perlengkapan tenteranya. Tiada satu pun di gudang atau di seluruh kerajaan baginda yang tidak ditunjukkan kepada mereka. Kemudian Nabi Yesaya menghadap Raja Hizkia dan bertanya, “Dari manakah semua orang ini, dan apa kata mereka?” Raja Hizkia menjawab, “Mereka datang dari Babilonia, negeri yang sangat jauh.” “Apakah yang dilihat mereka di istana?” “Mereka melihat segala-galanya. Tiada satu pun di gudang yang tidak beta tunjukkan kepada mereka,” jawab Raja Hizkia. Lalu Yesaya berkata kepada raja, “Menurut firman TUHAN, masanya akan tiba apabila segala sesuatu yang ada di istana tuanku, segala yang telah dikumpulkan nenek moyang tuanku hingga hari ini, akan dibawa ke Babilonia. Tiada satu pun yang tinggal. Beberapa orang daripada keturunan tuanku sendiri akan dibawa dan dijadikan sida-sida untuk bertugas di istana raja Babilonia.” Raja Hizkia berfikir bahawa selama hidup baginda, kerajaan baginda akan aman dan damai. Oleh itu Raja Hizkia menjawab, “Firman TUHAN yang kamu sampaikan itu baik.” Segala perbuatan Raja Hizkia, termasuk kepahlawanan baginda dan kisah baginda membina kolam air serta saluran air ke kota itu, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. Raja Hizkia mangkat, lalu Manasye, putera baginda menggantikan baginda sebagai raja. Raja Manasye berusia dua belas tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda. Baginda memerintah di Yerusalem selama lima puluh lima tahun. Bondanya bernama Hefzibah. Raja Manasye berdosa terhadap TUHAN. Baginda mengikuti perbuatan keji yang dilakukan bangsa-bangsa yang diusir oleh TUHAN ketika umat-Nya menduduki negeri itu. Baginda membina semula tempat-tempat pemujaan berhala yang telah dimusnahkan oleh ayahandanya, Raja Hizkia. Raja Manasye membina mazbah untuk menyembah Baal dan membuat patung Dewi Asyera, seperti yang dilakukan Raja Ahab, penguasa Israel. Raja Manasye juga menyembah bintang-bintang. Baginda membina mazbah untuk dewa-dewa di dalam Rumah TUHAN, tempat yang telah ditentukan TUHAN sebagai tempat beribadat kepada-Nya. Di dua halaman Rumah TUHAN, Raja Manasye juga membina mazbah-mazbah untuk menyembah bintang-bintang. Baginda mempersembahkan putera baginda sebagai korban yang dibakar. Baginda melakukan penujuman dan sihir, dan baginda berhubungan dengan tukang tilik dan dukun. Baginda berdosa besar terhadap TUHAN dan membangkitkan kemurkaan-Nya. Raja Manasye meletakkan patung Dewi Asyera di Rumah TUHAN, padahal tentang tempat itu TUHAN telah berfirman kepada Raja Daud dan puteranya, Raja Salomo, “Rumah-Ku dan kota Yerusalem ini yang telah Aku pilih dari antara wilayah dua belas suku Israel, adalah tempat yang Kutetapkan sebagai tempat beribadat kepada-Ku. Jika umat-Ku Israel taat kepada perintah-Ku serta menurut seluruh Taurat yang diberikan oleh Musa, hamba-Ku kepada mereka, maka Aku tidak akan membiarkan mereka diusir dari negeri yang telah Aku berikan kepada nenek moyang mereka.” Tetapi orang Yehuda tidak taat kepada TUHAN. Raja Manasye menyebabkan mereka melakukan dosa yang lebih besar daripada dosa bangsa-bangsa yang diusir oleh TUHAN ketika umat-Nya memasuki negeri itu. Dengan perantaraan para nabi, hamba-hamba-Nya, TUHAN berfirman, “Raja Manasye telah melakukan perkara-perkara yang menjijikkan, yang lebih keji daripada perbuatan orang Kanaan. Dengan berhala-berhalanya, dia telah menyebabkan penduduk Yehuda berdosa. Oleh itu, Aku, TUHAN, Allah Israel, akan mendatangkan bencana yang dahsyat kepada Yerusalem dan Yehuda, sehingga tiap-tiap orang yang mendengarnya akan terpegun. Aku akan menghukum Yerusalem sebagaimana Aku menghukum Samaria dan Raja Ahab, penguasa Israel, serta keturunannya. Aku akan menghapuskan penduduk Yerusalem sebagaimana orang membersihkan pinggan dan menterbalikkannya. Aku akan meninggalkan mereka yang masih hidup dan menyerahkan mereka kepada musuh. Musuh akan mengalahkan mereka dan menjarah negeri mereka. Aku akan melakukan hal itu kepada umat-Ku kerana mereka telah berdosa terhadap-Ku, dan telah membangkitkan kemurkaan-Ku sejak nenek moyang mereka keluar dari Mesir sehingga sekarang.” Raja Manasye membunuh begitu banyak orang yang tidak bersalah sehingga darah mengalir di jalan-jalan di Yerusalem. Di samping perbuatan itu, Raja Manasye juga menyebabkan penduduk Yehuda menyembah berhala, sehingga mereka berdosa terhadap TUHAN. Segala perbuatan Raja Manasye, termasuk dosa yang dilakukan baginda, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. Raja Manasye mangkat dan dimakamkan di taman istana, iaitu taman Uza. Amon, puteranya menggantikan baginda sebagai raja. Raja Amon berusia dua puluh dua tahun ketika baginda menjadi raja di Yehuda. Baginda memerintah di Yerusalem selama dua tahun. Bonda baginda bernama Mesulemet anak Harus dari kota Yotba. Seperti Raja Manasye, ayahandanya, Raja Amon juga berdosa terhadap TUHAN. Raja Amon mengikut perbuatan ayahandanya, dan menyembah dewa-dewa yang disembah ayahandanya. Raja Amon menolak TUHAN, Allah nenek moyang baginda. Baginda tidak taat kepada perintah TUHAN. Para pegawai Raja Amon berkomplot menentang baginda, lalu membunuh baginda di istana. Tetapi kemudian penduduk Yehuda pula membunuh orang yang membunuh Raja Amon, lalu mereka melantik Yosia, putera baginda menjadi raja. Segala perbuatan Raja Amon tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. Raja Amon dimakamkan di taman Uza, lalu Yosia, putera baginda menggantikan baginda sebagai raja. Raja Yosia berusia lapan tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda. Baginda memerintah di Yerusalem selama tiga puluh satu tahun. Bonda baginda bernama Yedida anak Adaya dari kota Bozkat. Raja Yosia melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN. Baginda mengikut teladan nenek moyang baginda, Raja Daud, yang taat setia kepada semua hukum Allah. Pada tahun kelapan belas pemerintahan baginda, Raja Yosia menyuruh setiausaha istana, Safan anak Azalya, iaitu cucu Mesulam, pergi ke Rumah TUHAN. Raja Yosia bertitah, “Pergilah kepada Imam Agung Hilkia, dan mintalah laporan daripadanya tentang jumlah wang daripada rakyat yang diterima oleh para imam yang bertugas di pintu Rumah TUHAN. Suruhlah dia memberikan wang itu kepada orang yang mengawasi pekerjaan perbaikan di Rumah TUHAN. Para pengawas itu harus membayar upah para tukang kayu, jurubina, dan tukang batu, serta membeli kayu dan batu yang diperlukan. Para pengawas pekerjaan itu sangat jujur. Oleh itu mereka tidak usah memberikan laporan kewangan.” Safan menyampaikan titah raja kepada Hilkia, dan Hilkia memberitahu Safan bahawa dia telah menemukan kitab Taurat di dalam Rumah TUHAN. Hilkia memberikan kitab itu kepada Safan, lalu Safan membacanya. Kemudian Safan kembali dan memberikan laporan kepada raja, katanya, “Hamba-hamba tuanku telah mengambil wang yang ada di dalam Rumah TUHAN dan memberikannya kepada orang yang mengawasi pekerjaan perbaikan di situ.” Katanya lagi, “Lihatlah kitab ini yang diberikan oleh Hilkia kepada hamba.” Lalu Safan membaca kitab itu di hadapan raja. Apabila raja mendengar kandungan kitab itu, baginda mengoyakkan pakaian baginda kerana dukacita. Baginda bertitah kepada Imam Hilkia, kepada Ahikam anak Safan, Akhbor anak Mikha, Safan, iaitu setiausaha istana, dan kepada Asaya, iaitu ajutan raja, “Pergilah meminta petunjuk daripada TUHAN bagi beta dan bagi segenap penduduk Yehuda tentang ajaran kitab ini. TUHAN murka kepada kita kerana nenek moyang kita tidak melakukan apa yang tercatat di dalam kitab ini.” Hilkia, Ahikam, Akhbor, Safan, dan Asaya pergi meminta petunjuk daripada seorang perempuan bernama Hulda. Dia seorang nabi perempuan yang tinggal di perkampungan baru di Yerusalem. Suaminya, Salum anak Tikwa, cucu Harhas, ialah pengurus pakaian ibadat di Rumah TUHAN. Mereka menceritakan apa yang telah terjadi itu kepada Hulda. Kemudian Hulda menyuruh mereka kembali kepada raja dan menyampaikan firman TUHAN demikian, “Aku akan menghukum Yerusalem serta semua penduduknya sebagaimana yang tertulis di dalam kitab yang dibaca oleh raja. Mereka telah menolak Aku dan telah mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain. Mereka telah membangkitkan kemurkaan-Ku kerana segala perbuatan mereka. Sekarang Aku murka terhadap Yerusalem, dan kemurkaan-Ku tidak akan reda. Tetapi tentang Raja Yosia, demikianlah firman TUHAN, Allah Israel: Engkau telah memperhatikan kandungan kitab itu, lalu engkau bertaubat serta merendahkan dirimu di hadapan-Ku. Engkau mengoyakkan pakaianmu serta menangis ketika engkau mendengar ancaman-Ku terhadap Yerusalem dan penduduknya. Aku akan menghukum Yerusalem dengan dahsyat sehingga namanya akan menjadi satu kutukan, tetapi Aku telah mendengar doamu. Oleh itu, perkara yang akan Kulakukan kepada Yerusalem tidak akan berlaku semasa hidupmu. Aku akan membenarkan engkau meninggal dengan tenteram.” Para utusan itu kembali kepada Raja Yosia dengan berita itu. Raja Yosia memanggil semua pemimpin Yehuda dan Yerusalem, lalu mereka bersama-sama pergi ke Rumah TUHAN. Mereka disertai oleh para imam, nabi-nabi, dan segenap rakyat, baik yang kaya mahupun yang miskin. Di hadapan mereka semua, raja membacakan seluruh kandungan kitab perjanjian yang telah ditemui di dalam Rumah TUHAN. Baginda berdiri di sisi tiang yang khas untuk raja, lalu membuat perjanjian dengan TUHAN, untuk taat kepada-Nya, dan menurut hukum serta perintah-Nya dengan segenap hati dan jiwanya, serta memenuhi segala syarat perjanjian yang tercatat di dalam kitab itu. Segenap penduduk negeri itu berjanji untuk berpegang kepada perjanjian itu. Selepas itu Raja Yosia memerintah Imam Agung Hilkia, para imam penolong, dan para pengawal yang bertugas di pintu Rumah TUHAN supaya mengeluarkan semua benda yang digunakan untuk penyembahan Baal, Dewi Asyera, dan bintang-bintang. Raja Yosia membakar semua benda itu di luar kota, dekat Lembah Kidron, lalu abunya dibawa ke Betel. Raja Yosia memecat semua imam yang dilantik oleh raja-raja Yehuda untuk mempersembahkan korban di mazbah-mazbah dewa di kota-kota Yehuda, dan di tempat-tempat di sekitar Yerusalem. Semua imam itu telah mempersembahkan korban kepada Baal, matahari, bulan, planet, dan bintang-bintang. Raja Yosia mengeluarkan lambang Dewi Asyera dari Rumah TUHAN, lalu membawanya ke luar kota, ke Lembah Kidron untuk dibakar. Kemudian arangnya ditumbuk sehingga menjadi abu, lalu dihamburkan di perkuburan awam. Raja Yosia merobohkan tempat tinggal pelacur-pelacur kuil di dalam Rumah TUHAN. (Di situlah kaum wanita menenun kain jubah yang dipakai dalam pemujaan Dewi Asyera.) Raja Yosia membawa semua imam dari kota-kota di Yehuda ke Yerusalem, lalu di seluruh negeri itu baginda menajiskan mazbah-mazbah tempat imam-imam itu mempersembahkan korban. Baginda juga merobohkan mazbah-mazbah yang terletak dekat pintu gerbang yang dibina oleh Yosua, gabenor kota itu. Pintu gerbang itu terletak di sebelah kiri pintu gerbang utama di jalan masuk ke kota. Imam-imam itu tidak dibenarkan menyelenggarakan ibadat di Rumah TUHAN, tetapi mereka dibenarkan memakan roti yang tidak beragi, yang disediakan untuk imam, rakan-rakan mereka. Raja Yosia juga mencemarkan Tofet, tempat pemujaan dewa di Lembah Hinom, supaya tiada sesiapa pun dapat mempersembahkan anaknya sebagai korban yang dibakar kepada Dewa Molokh. Raja Yosia juga menyingkirkan semua kuda yang dikhaskan oleh raja-raja Yehuda untuk penyembahan matahari. Baginda membakar semua kereta kuda yang digunakan untuk penyembahan matahari. (Benda-benda itu disimpan di halaman Rumah TUHAN, dekat pintu gerbang, tidak jauh dari tempat tinggal Natan Melekh, seorang pegawai tinggi.) Baginda merobohkan mazbah-mazbah yang dibina oleh raja-raja Yehuda di bumbung istana, di atas bilik-bilik Raja Ahas. Raja Yosia juga merobohkan mazbah-mazbah yang dibina oleh Raja Manasye di dua halaman Rumah TUHAN. Raja Yosia menghancurkan mazbah-mazbah itu lalu membuangnya ke dalam Lembah Kidron. Raja Yosia juga mencemarkan mazbah-mazbah yang dibina oleh Raja Salomo di sebelah timur Yerusalem, di sebelah selatan Bukit Zaitun bagi pemujaan dewa-dewa yang menjijikkan, iaitu Asytoret, dewa orang Sidon; Kamos, dewa orang Moab; dan Milkom, dewa orang Amon. Raja Yosia merobohkan lambang-lambang yang dikhaskan untuk Dewi Asyera, dan menghancurkan tiang-tiang batu, lalu menimbuni tanah itu dengan tulang-tulang manusia. Raja Yosia juga merobohkan tempat pemujaan di Betel, yang dibina oleh Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan Israel berdosa. Raja Yosia merobohkan mazbah di tempat pemujaan itu. Baginda menghancurkan batu-batu mazbah itu, dan menumbuknya menjadi debu. Baginda juga membakar patung Dewi Asyera. Selepas itu Raja Yosia melihat di sekelilingnya dan nampak beberapa kubur di atas bukit. Baginda membongkar kubur-kubur itu, lalu mengeluarkan dan membakar tulang dari kubur-kubur itu, di atas mazbah. Demikianlah Raja Yosia mencemarkan mazbah itu. Dengan demikian terjadilah nubuat seorang nabi pada masa perayaan, ketika Raja Yerobeam berdiri dekat mazbah itu. Raja Yosia melihat lagi di sekelilingnya, lalu nampak sebuah kubur lain. Raja Yosia bertanya, “Kubur siapakah ini?” Penduduk Betel berkata, “Inilah kubur nabi dari Yehuda yang menubuatkan perkara-perkara yang baru sahaja tuanku lakukan terhadap mazbah ini.” Lalu Raja Yosia bertitah, “Biarkanlah kubur itu. Jangan pindahkan tulangnya!” Oleh itu tulang nabi dari Yehuda itu tidak dipindahkan. Tulang nabi dari Samaria pun tidak dipindahkan. Di tiap-tiap kota di Israel, Raja Yosia merobohkan semua tempat pemujaan dewa yang dibina oleh raja-raja Israel, yang telah membangkitkan kemurkaan TUHAN. Baginda memperlakukan mazbah-mazbah itu seperti apa yang dilakukan baginda di Betel. Raja Yosia membunuh semua imam yang bertugas di tempat pemujaan dewa itu di atas mazbah-mazbah mereka sendiri. Baginda juga membakar tulang manusia di atas tiap-tiap mazbah. Selepas itu Raja Yosia kembali ke Yerusalem. Kemudian Raja Yosia memerintah rakyat baginda merayakan Paska untuk menghormati TUHAN, Allah mereka, sebagaimana yang tertulis di dalam kitab perjanjian. Belum pernah Paska seperti ini dirayakan oleh mana-mana raja Israel atau raja Yehuda sejak zaman pahlawan-pahlawan memerintah Israel. Tetapi sekarang, pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yosia, Paska dirayakan di Yerusalem. Untuk menguatkuasakan hukum-hukum yang terkandung di dalam kitab yang ditemui oleh Imam Agung Hilkia di Rumah TUHAN itu, Raja Yosia mengusir semua dukun dan tukang tilik dari Yerusalem. Raja Yosia juga membuang semua dewa rumahtangga, berhala, dan semua benda yang digunakan untuk pemujaan dewa. Belum pernah ada seorang raja yang seperti Raja Yosia, yang mengabdi kepada TUHAN dengan segenap hati, serta menunjukkan pengabdian itu dalam cara hidup dan perbuatan baginda, sesuai dengan seluruh Taurat Musa. Sesudah Raja Yosia, tiada lagi raja yang seperti baginda. Tetapi kemurkaan TUHAN terhadap Yehuda yang dibangkitkan oleh Raja Manasye sedemikian menyala-nyala sehingga saat itu pun TUHAN masih murka. TUHAN berfirman, “Apa yang telah Aku lakukan terhadap Israel akan Aku lakukan juga terhadap Yehuda. Aku akan membuang penduduk Yehuda dari negeri yang Aku berikan kepada mereka. Aku akan menolak Yerusalem, kota pilihan-Ku, dan Rumah TUHAN, yang telah Aku tetapkan sebagai tempat beribadat kepada-Ku.” Segala perbuatan Raja Yosia tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. Pada masa pemerintahan Raja Yosia, Raja Nekho dari Mesir memimpin tentera baginda ke Sungai Efrat untuk menolong raja Asyur. Raja Yosia cuba menghalang tentera Mesir di Megido, tetapi Raja Yosia terbunuh dalam pertempuran. Para pegawai Raja Yosia meletakkan jenazah baginda di atas sebuah kereta kuda dan membawanya pulang ke Yerusalem. Baginda dimakamkan di permakaman diraja. Kemudian penduduk Yehuda memilih Yoahas, putera Raja Yosia, dan melantiknya menjadi raja. Raja Yoahas berusia dua puluh tiga tahun ketika baginda menjadi raja di Yehuda. Raja Yoahas memerintah di Yerusalem selama tiga bulan. Bonda baginda bernama Hamutal anak Yeremia dari kota Libna. Raja Yoahas berdosa terhadap TUHAN seperti yang dilakukan oleh nenek moyang baginda. Pemerintahan baginda berakhir ketika Raja Nekho dari Mesir menawan baginda di Ribla, di negeri Hamat. Raja Nekho memaksa penduduk Yehuda membayar 3,400 kilogram perak dan 34 kilogram emas sebagai ufti. Raja Nekho melantik Elyakim, putera Raja Yosia, untuk menggantikan Raja Yosia sebagai raja, dan menukar nama Elyakim menjadi Yoyakim. Raja Yoahas dibawa oleh Raja Nekho ke Mesir, kemudian Raja Yoahas mangkat di sana. Untuk membayar ufti yang dituntut oleh raja Mesir, Raja Yoyakim memungut cukai daripada rakyat menurut kemampuan masing-masing. Raja Yoyakim berusia dua puluh lima tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda. Baginda memerintah di Yerusalem selama sebelas tahun. Bonda baginda bernama Zebuda anak Pedaya dari kota Ruma. Raja Yoyakim juga berdosa terhadap TUHAN, seperti yang dilakukan oleh nenek moyang baginda. Pada masa pemerintahan Raja Yoyakim, Raja Nebukadnezar dari Babilonia menyerang Yehuda. Selama tiga tahun Raja Yoyakim terpaksa tunduk kepada Raja Nebukadnezar, tetapi kemudian Raja Yoyakim memberontak. TUHAN mengirim gerombolan bersenjata dari Babilonia, Siria, Moab, dan Amon untuk menentang Raja Yoyakim serta memusnahkan Yehuda. Hal itulah yang telah difirmankan TUHAN melalui para nabi-Nya. Kejadian ini berlaku atas perintah TUHAN, untuk membuang penduduk Yehuda dari negeri yang diberikan-Nya kepada mereka, kerana segala dosa Raja Manasye, terutama sekali pembunuhan semua orang yang tidak berdosa. TUHAN tidak dapat mengampuni Raja Manasye kerana perbuatan baginda itu. Segala perbuatan Raja Yoyakim tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. Raja Yoyakim mangkat, lalu Yoyakhin, putera baginda menggantikan baginda sebagai raja. Sejak itu raja Mesir dan tentera baginda tidak lagi keluar dari Mesir untuk berperang, kerana pada masa itu raja Babilonia telah menguasai seluruh wilayah yang dahulu dikuasai Mesir, dari Sungai Efrat sampai ke sempadan utara negeri Mesir. Raja Yoyakhin berusia lapan belas tahun ketika baginda menjadi raja di Yehuda. Baginda memerintah di Yerusalem selama tiga bulan. Bonda baginda bernama Nehusta anak Elnatan dari Yerusalem. Raja Yoyakhin juga berdosa terhadap TUHAN, seperti yang dilakukan oleh ayahanda baginda. Pada masa pemerintahan Raja Yoyakhin, tentera Babilonia yang dipimpin oleh para pegawai Raja Nebukadnezar menyerang Yerusalem dan mengepung kota itu. Raja Nebukadnezar sendiri datang ke Yerusalem semasa pengepungan itu, lalu Raja Yoyakhin bersama-sama bonda baginda, putera-puteri baginda, para pegawai baginda, dan para pegawai istana baginda menyerah kepada orang Babilonia, lalu Raja Yoyakhin ditawan. Peristiwa ini berlaku pada tahun kelapan pemerintahan Raja Nebukadnezar. Raja Nebukadnezar membawa harta di Rumah TUHAN dan di istana ke Babel. Sebagaimana yang telah difirmankan TUHAN, Raja Nebukadnezar menghancurkan semua perkakas emas yang dibuat oleh Raja Salomo untuk digunakan di Rumah TUHAN. Raja Nebukadnezar mengangkut penduduk Yerusalem, termasuk anak-anak raja dan para pemimpin rakyat sebagai tawanan ke pembuangan - 10,000 orang kesemuanya. Raja Nebukadnezar juga mengangkut semua tukang yang mahir dan tukang besi, tetapi meninggalkan rakyat jelata yang paling miskin di Yehuda. Raja Nebukadnezar membawa Raja Yoyakhin, bonda baginda, isteri-isteri baginda, para pegawai baginda, dan semua orang terkemuka di Yehuda, sebagai tawanan ke Babel. Raja Nebukadnezar membuang semua orang yang perkasa ke Babilonia, sebanyak 7,000 orang; dan juga 1,000 orang tukang yang mahir, termasuk tukang besi. Mereka semua orang yang kuat dan dapat berperang. Raja Nebukadnezar melantik Matanya, bapa saudara Raja Yoyakhin, menjadi raja Yehuda, dan menukar namanya menjadi Zedekia. Raja Zedekia berusia dua puluh satu tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda. Baginda memerintah di Yerusalem selama sebelas tahun. Bonda baginda bernama Hamutal anak Yeremia dari kota Libna. Raja Zedekia berdosa terhadap TUHAN seperti Raja Yoyakim dahulu. TUHAN begitu murka terhadap penduduk Yerusalem dan Yehuda sehingga Dia tidak lagi mempedulikan mereka. Raja Zedekia memberontak terhadap Raja Nebukadnezar dari Babilonia. Oleh itu Raja Nebukadnezar menyerang Yerusalem dengan segenap tentera baginda pada hari kesepuluh, bulan kesepuluh, tahun kesembilan pemerintahan Raja Zedekia. Mereka berkhemah di luar Yerusalem dan membina tembok untuk mengepung kota itu. Mereka terus mengepungnya sehingga tahun kesebelas pemerintahan Raja Zedekia. Pada hari kesembilan, bulan keempat tahun itu, apabila kelaparan di kota itu begitu dahsyat sehingga penduduk Yerusalem tidak mempunyai makanan lagi, tembok kota ditembusi musuh. Walaupun kota itu dikepung orang Babilonia, semua tentera Yehuda berjaya keluar dari kota itu. Mereka melarikan diri pada malam hari dan mengambil jalan melalui taman istana dan pintu gerbang di antara dua tembok itu. Mereka lari menuju Lembah Yordan. Tetapi tentera Babilonia mengejar Raja Zedekia dan menangkap baginda di dataran dekat Yerikho. Pada masa itu segenap tentera Raja Zedekia meninggalkan baginda. Raja Zedekia dibawa kepada Raja Nebukadnezar, yang ketika itu berada di Ribla. Di sana Raja Nebukadnezar menjatuhkan hukuman kepada Raja Zedekia. Putera-putera Zedekia dibunuh di depan mata baginda. Selepas itu mata baginda dicungkil. Kemudian Raja Zedekia dirantai lalu dibawa ke Babel. Pada hari ketujuh, bulan kelima, tahun kesembilan belas pemerintahan Raja Nebukadnezar dari Babilonia, Nebuzaradan, iaitu panglima tentera dan penasihat raja, masuk ke Yerusalem. Nebuzaradan membakar Rumah TUHAN, istana, dan rumah orang terkemuka di Yerusalem. Askar-askarnya merobohkan tembok kota. Selepas itu Nebuzaradan membawa penduduk yang masih tinggal di kota itu ke Babilonia, iaitu tukang-tukang mahir yang masih tinggal dan orang yang berpihak kepada orang Babilonia. Tetapi Nebuzaradan meninggalkan sebahagian daripada rakyat yang paling miskin di Yehuda, mereka yang tidak mempunyai harta. Dia menyuruh mereka bekerja di ladang anggur dan di ladang-ladang. Orang Babilonia menghancurkan tiang-tiang gangsa, tangki gangsa, dan semua pedati yang ada di Rumah TUHAN. Mereka membawa semua gangsanya ke Babel. Mereka juga membawa penyodok-penyodok dan bekas-bekas abu yang digunakan untuk membersihkan mazbah, alat-alat pelita, mangkuk-mangkuk untuk menampung darah binatang yang dikorbankan, mangkuk-mangkuk untuk membakar kemenyan, dan semua alat gangsa lain yang digunakan untuk upacara ibadat di Rumah TUHAN. Mereka mengambil semua alat yang dibuat daripada emas dan perak, termasuk mangkuk-mangkuk kecil, dan perbaraan. Barang-barang gangsa yang dibuat oleh Raja Salomo, iaitu dua batang tiang, semua pedati, dan tangki yang besar, terlalu berat untuk ditimbang. Dua batang tiang itu sama bentuknya: setiap batang tingginya 8 meter, dengan kepala tiang setinggi 1.3 meter. Pada sekeliling kepala tiang itu ada anyaman gangsa yang dihiasi buah delima daripada gangsa. Selain itu, Nebuzaradan, iaitu panglima tentera, menangkap Imam Agung Seraya dan penolongnya, iaitu Imam Sefanya, dan juga tiga orang pegawai tinggi Rumah TUHAN. Dari kota itu Nebuzaradan menangkap seorang panglima tentera, lima orang penasihat peribadi raja yang masih di kota itu, pembantu panglima yang mengurus pentadbiran tentera, dan enam puluh orang pembesar lain. Nebuzaradan membawa mereka kepada raja Babilonia, yang ketika itu berada di Ribla di wilayah Hamat. Di sana mereka diseksa dan kemudian dihukum mati. Demikianlah penduduk Yehuda ditawan dari tanah mereka lalu dibuang negeri. Raja Nebukadnezar dari Babilonia melantik Gedalya anak Ahikam, iaitu cucu Safan, menjadi gabenor negeri Yehuda. Dia memerintah atas semua orang yang tidak dibawa ke Babilonia. Apabila para pegawai tentera dan askar Yehuda yang belum menyerah kepada orang Babilonia mendengar hal itu, mereka bergabung dengan Gedalya di Mizpa. Para pegawai itu ialah Ismael anak Netanya, Yohanan anak Kareah, Seraya anak Tanhumet dari kota Netofa, dan Yazanya dari Maakha. Gedalya berkata kepada mereka, “Jangan takut kepada para pegawai Babilonia. Tinggallah di negeri ini dan abdikan diri kepada raja Babilonia, maka kamu akan selamat.” Tetapi pada bulan ketujuh tahun itu, Ismael anak Netanya, iaitu cucu Elisama, seorang kerabat diraja, pergi ke Mizpa bersama-sama sepuluh orang lain. Mereka menyerang Gedalya dan membunuh dia. Ismael juga membunuh orang Israel dan orang Babilonia yang berada di situ. Kemudian semua orang Yehuda, yang kaya mahupun yang miskin, bersama-sama para pegawai tentera, meninggalkan tempat itu dan lari ke Mesir kerana mereka takut kepada orang Babilonia. Pada tahun Raja Ewil-Merodakh menjadi raja Babilonia, baginda mengasihani Raja Yoyakhin dari Yehuda, lalu membebaskan baginda dari penjara. Perkara ini berlaku pada hari kedua puluh tujuh, bulan kedua belas, tiga puluh tujuh tahun setelah Raja Yoyakhin ditawan. Raja Ewil-Merodakh memperlakukan Raja Yoyakhin dengan baik dan memberi baginda pangkat lebih tinggi daripada yang diberikan kepada raja-raja lain yang juga dibuang ke Babilonia. Raja Yoyakhin tidak lagi memakai pakaian penjara dan baginda makan di meja raja seumur hidup baginda. Tiap-tiap hari, sepanjang hidup Raja Yoyakhin, baginda diberikan elaun tetap bagi keperluan hidup baginda. Adam bapa Set, Set bapa Enos, Enos bapa Kenan, Kenan bapa Mahalaleel, Mahalaleel bapa Yared. Yared bapa Henokh, Henokh bapa Metusalah; Metusalah bapa Lamekh, Lamekh bapa Nuh. Nuh mempunyai tiga orang anak lelaki: Sem, Ham, dan Yafet. Anak lelaki Yafet ialah Gomer, Magog, Madai, Yawan, Tubal, Mesekh, dan Tiras. Mereka ialah nenek moyang bangsa-bangsa yang disebut dengan nama mereka. Keturunan Gomer ialah orang Askenas, Rifat, dan Togarma. Keturunan Yawan ialah orang Elisa, Sepanyol, Siprus, dan Rodes. Anak lelaki Ham ialah Kus, Mesir, Libia, dan Kanaan. Mereka ialah nenek moyang bangsa-bangsa yang disebut dengan nama mereka. Keturunan Kus ialah orang Seba, Hawila, Sabta, Raema, dan Sabtekha. Keturunan Raema ialah orang Syeba dan Dedan. ( Kus mempunyai seorang anak lelaki bernama Nimrod, yang menjadi penakluk agung yang pertama di dunia.) Keturunan Mesir ialah orang Lidia, Anamim, Lehabim, Naftuhim, Patrusim, Kasluhim, dan Kreta. Mereka ialah nenek moyang orang Filistin. Anak lelaki Kanaan ialah Sidon, yang sulung, dan Het. Mereka ialah nenek moyang bangsa-bangsa yang disebut dengan nama mereka. Kanaan juga nenek moyang orang Yebusi, Amori, Girgasi, Hewi, Arki, Sini, Arwadi, Semari, dan Hamati. Anak lelaki Sem ialah Elam, Asyur, Arpakhsad, Lud, Aram, Us, Hul, Geter, dan Mesekh. Mereka ialah nenek moyang bangsa-bangsa yang disebut dengan nama mereka. Arpakhsad ialah bapa Selah, dan Selah bapa Eber. Eber mempunyai dua orang anak lelaki; anak yang pertama bernama Peleg kerana pada zamannya bangsa-bangsa di dunia terbahagi-bahagi, dan anak yang kedua bernama Yoktan. Keturunan Yoktan ialah orang Almodad, Selef, Hazar-Mawet, Yerah, Hadoram, Uzal, Dikla, Ebal, Abimael, Syeba, Ofir, Hawila, dan Yobab. Salasilah daripada Sem hingga Abraham adalah seperti berikut: Sem, Arpakhsad, Selah, Eber, Peleg, Rehu, Serug, Nahor, Terah, dan Abram (dikenal juga sebagai Abraham). Abraham mempunyai dua orang anak lelaki, Ishak dan Ismael. Anak-anak lelaki Ismael menjadi ketua dua belas suku: Nebayot yang sulung, lalu Kedar, Adbeel, Mibsam, Misma, Duma, Masa, Hadad, Tema, Yetur, Nafis, dan Kedma. Abraham mempunyai seorang gundik bernama Ketura. Gundiknya itu melahirkan enam orang anak lelaki: Zimran, Yoksan, Medan, Midian, Isybak, dan Suah. Yoksan mempunyai dua orang anak lelaki, Syeba dan Dedan. Midian mempunyai lima orang anak lelaki: Efa, Efer, Hanokh, Abida, dan Eldaa. Ishak anak Abraham mempunyai dua orang anak lelaki, iaitu Esau dan Yakub (yang juga dikenal sebagai Israel). Anak lelaki Esau ialah Elifas, Rehuel, Yeus, Yaelam, dan Korah. Elifas ialah nenek moyang suku-suku berikut: Teman, Omar, Zefi, Gaetam, Kenas, Timna, dan Amalek. Rehuel ialah nenek moyang suku-suku berikut: Nahat, Zerah, Syama, dan Miza. [38-42] Penduduk asli tanah Edom ialah keturunan anak-anak lelaki Seir: Lotan, Syobal, Zibeon, Ana, Disyon, Ezer, dan Disyan. Lotan ialah nenek moyang puak Hori dan Homam. Lotan mempunyai seorang saudara perempuan bernama Timna. Syobal ialah nenek moyang puak Alyan, Manahat, Ebal, Syefi, dan Onam. Zibeon mempunyai dua orang anak lelaki, Aya dan Ana. Ana ialah bapa Disyon, dan Disyon ialah nenek moyang puak Hamran, Esyban, Yitran, dan Keran. Ezer ialah nenek moyang puak Bilhan, Zaawan, dan Yaakan. Disyan ialah nenek moyang puak Us dan Aran. *** *** *** *** [43-50] Sebelum ada raja yang memerintah di Israel, tanah Edom diperintah berturut-turut oleh raja-raja berikut: Raja Bela anak Beor dari Dinhaba Raja Yohab anak Zerah dari Bozra Raja Husyam dari daerah Teman Raja Hadad anak Bedad dari Awit (dialah yang mengalahkan orang Midian dalam peperangan di tanah Moab) Raja Samla dari Masyreka Raja Saul dari Rehobot di pinggir sungai Raja Baal-Hanan anak Akhbor Raja Hadad dari Pahi (isterinya bernama Mehetabeel, anak Matred dan cucu Mezahab). *** *** *** *** *** *** *** Orang Edom terdiri daripada suku Timna, Alya, Yetet, Oholibama, Ela, Pinon, Kenas, Teman, Mibzar, Magdiel, dan Iram. Yakub mempunyai dua belas orang anak lelaki: Ruben, Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, Zebulon, Dan, Yusuf, Benyamin, Naftali, Gad, dan Asyer. [3-4] Yehuda mempunyai lima orang anak lelaki. Isterinya yang bernama Batsyua, seorang perempuan Kanaan, melahirkan Er, Onan, dan Sela; Tamar, anak menantu Yehuda sendiri, melahirkan Peres dan Zerah. Er, anak sulung Yehuda itu sangat jahat, sehingga TUHAN membunuh dia. *** Peres mempunyai dua orang anak lelaki, Hezron dan Hamul. Zerah, saudara Peres, mempunyai lima orang anak lelaki: Zimri, Etan, Heman, Kalkol, dan Dara. Akhan anak Karmi, salah seorang keturunan Zerah, mendatangkan malapetaka kepada umat Israel kerana dia menyimpan barang jarahan yang dikhaskan untuk Allah. Etan mempunyai seorang anak lelaki bernama Azarya. Hezron mempunyai tiga orang anak lelaki: Yerahmeel, Ram, dan Kaleb. Salasilah daripada Ram hingga Isai adalah seperti berikut: Ram, Aminadab, Nahason (seorang tokoh daripada suku Yehuda), Salmon, Boas, Obed, Isai. Isai mempunyai tujuh orang anak lelaki. Inilah nama mereka menurut urutan umur: Eliab, Abinadab, Simea, Netaneel, Radai, Ozem, dan Daud. Isai juga mempunyai dua orang anak perempuan, Zeruya dan Abigail. Zeruya mempunyai tiga orang anak lelaki: Abisai, Yoab, dan Asael. Abigail berkahwin dengan Yeter keturunan Ismael. Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Amasa. Kaleb anak Hezron berkahwin dengan Azuba, lalu mendapat seorang anak perempuan bernama Yeriot. Yeriot mempunyai tiga orang anak lelaki: Yezer, Sobab, dan Ardon. Selepas Azuba meninggal, Kaleb berkahwin dengan Efrat, lalu mendapat seorang anak lelaki bernama Hur. Anak lelaki Hur bernama Uri, dan cucunya bernama Bezaleel. Ketika Hezron berumur enam puluh tahun, dia berkahwin dengan saudara perempuan Gilead, iaitu anak Makhir. Mereka mendapat seorang anak lelaki bernama Segub, dan Segub mendapat seorang anak lelaki bernama Yair. Yair mempunyai dua puluh tiga buah pekan di wilayah Gilead. Tetapi kerajaan Gesur dan Aram mengalahkan enam puluh buah pekan di wilayah itu termasuk pekan-pekan Yair, dan Kenat, serta pekan-pekan kecil di sekitarnya. Semua orang yang tinggal di situ keturunan Makhir, iaitu bapa Gilead. Selepas Hezron meninggal, Kaleb anaknya berkahwin dengan Efrat, balu bapanya. Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Asyhur; dialah yang mendirikan kota Tekoa. Yerahmeel, anak sulung Hezron, mempunyai lima orang anak lelaki: Ram yang sulung, lalu Buna, Oren, Ozem, dan Ahia. [26-27] Ram mempunyai tiga orang anak lelaki: Maas, Yamin, dan Eker. Yerahmeel mempunyai seorang isteri lain bernama Atara. Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Onam. *** Onam mempunyai dua orang anak lelaki, Samai dan Yada. Samai mempunyai dua orang anak lelaki, Nadab dan Abisur. Abisur berkahwin dengan seorang perempuan bernama Abihail, lalu mereka mendapat dua orang anak lelaki, Ahban dan Molid. Nadab, saudara kandung Abisur, mempunyai dua orang anak lelaki, bernama Seled dan Apaim, tetapi Seled meninggal tanpa mempunyai anak lelaki. Apaim bapa Yisei, Yisei bapa Sesan, dan Sesan bapa Ahlai. Yada, saudara kandung Samai, mempunyai dua orang anak lelaki, Yeter dan Yonatan, tetapi Yeter meninggal tanpa mempunyai anak lelaki. Yonatan mempunyai dua orang anak lelaki, Pelet dan Zaza. Mereka semua keturunan Yerahmeel. Sesan tidak mempunyai anak lelaki, hanya anak perempuan. Dia mempunyai seorang hamba bangsa Mesir bernama Yarha, yang dikahwinkannya dengan salah seorang anak perempuannya. Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Atai. Salasilah daripada Atai hingga Elisama adalah seperti berikut: Atai, Natan, Zabad, Eflal, Obed, Yehu, Azarya, Heles, Elasa, Sismai, Salum, Yekamya, dan Elisama. Kaleb, saudara Yerahmeel, mempunyai seorang anak lelaki bernama Mesa; dia anak lelakinya yang sulung. Mesa bapa Zif, Zif bapa Maresa, Maresa bapa Hebron. Hebron mempunyai empat orang anak lelaki: Korah, Tapuah, Rekem, dan Sema. Sema bapa Raham, dan datuk kepada Yorkeam. Rekem, saudara kandung Sema ialah bapa Samai; Samai bapa Maon, dan Maon bapa Bet-Zur. Kaleb mempunyai seorang gundik bernama Efa. Mereka mempunyai tiga orang anak lelaki: Haran, Moza, dan Gazes. Haran juga mempunyai seorang anak lelaki bernama Gazes. ( Seorang lelaki bernama Yohdai mempunyai enam orang anak lelaki: Regem, Yotam, Gesan, Pelet, Efa, dan Saaf.) Kaleb mempunyai seorang gundik lain bernama Maakha. Mereka mempunyai dua orang anak lelaki, Seber dan Tirhana. Kemudian Maakha melahirkan dua orang anak lelaki lagi bernama Saaf dan Sewa. Saaf ialah pembina kota Madmana, dan Sewa ialah pembina kota Makhbena dan Gibea. Kaleb juga mempunyai seorang anak perempuan bernama Akhsa. Yang berikut adalah keturunan Kaleb juga: Hur ialah anak lelaki sulung Kaleb dengan isterinya, Efrat. Syobal, anak lelaki Hur ialah pembina kota Kiryat-Yearim. Salma, anak lelakinya yang kedua ialah pembina kota Betlehem; Haref, anak lelakinya yang ketiga ialah pembina kota Bet-Gader. Syobal, pembina kota Kiryat-Yearim ialah nenek moyang orang Haroe, separuh daripada penduduk Menuhot, dan puak-puak yang tinggal di Kiryat-Yearim, iaitu puak Yetri, Puti, Sumati, dan Misrai. (Penduduk kota Zora dan Esytaol adalah orang daripada puak-puak itu.) Salma, pembina kota Betlehem ialah nenek moyang orang Netofa, orang Atarot-Bet-Yoab, dan orang Zori, iaitu salah satu daripada dua puak yang tinggal di Manahti. ( Puak-puak yang pakar dalam penulisan dan penyalinan surat-surat penting tinggal di kota Yabes. Puak-puak itu ialah Tirati, Simati, dan Sukati. Mereka adalah orang Keni yang berkahwin dengan orang Rekab.) [1-3] Inilah senarai nama putera-putera Raja Daud, yang dilahirkan di Hebron, menurut urutan umur mereka: Amnon - ibunya bernama Ahinoam dari Yizreel Daniel - ibunya bernama Abigail dari Karmel Absalom - ibunya bernama Maakha, puteri Raja Talmai dari Gesur Adonia - ibunya bernama Hagit Sefaca - ibunya bernama Abital Yitream - ibunya bernama Egla *** *** Keenam-enam orang putera Raja Daud itu dilahirkan di Hebron ketika Raja Daud memerintah di sana selama tujuh tahun setengah. Di Yerusalem, Raja Daud memerintah sebagai raja selama tiga puluh tiga tahun, dan banyak putera baginda dilahirkan di sana. Isteri baginda, Batsyeba anak Amiel, melahirkan empat orang putera di Yerusalem. Mereka bernama Simea, Sobab, Natan, dan Salomo. Raja Daud mempunyai sembilan orang putera lain: Yibhar, Elisua, Elifelet, Nogah, Nefeg, Yafia, Elisama, Elyada, dan Elifelet. Selain daripada mereka, Raja Daud mempunyai putera-putera daripada gundik-gundiknya. Raja Daud juga mempunyai seorang puteri bernama Tamar. Inilah jurai keturunan Raja Salomo daripada bapa kepada anak lelaki: Salomo, Rehabeam, Abia, Asa, Yosafat, Yehoram, Ahazia, Yoas, Amazia, Uzia, Yotam, Ahas, Hizkia, Manasye, Amon, dan Yosia. Yosia mempunyai empat orang anak lelaki: Yohanan, Yoyakim, Zedekia, dan Yoahas. Yoyakim mempunyai dua orang anak lelaki, Yoyakhin dan Zedekia. Inilah keturunan Raja Yoyakhin, raja yang ditawan oleh orang Babilonia. Yoyakhin mempunyai tujuh orang anak lelaki: Sealtiel, Malkhiram, Pedaya, Syenazar, Yekamya, Hosama, dan Nedabya. Pedaya mempunyai dua orang anak lelaki, Zerubabel dan Simei. Zerubabel mempunyai dua orang anak lelaki bernama Mesulam dan Hananya, dan seorang anak perempuan bernama Selomit. Zerubabel mempunyai lima orang anak lelaki lain: Hasuba, Ohel, Berekhya, Hasaja, dan Yusab-Hesed. Hananya mempunyai dua orang anak lelaki, Pelaca dan Yesaya. Yesaya bapa Refaya, Refaya bapa Arnan, Arnan bapa Obaja, dan Obaja bapa Sekanya. Sekanya mempunyai seorang anak lelaki bernama Semaya. Semaya mempunyai lima orang anak lelaki: Hatus, Yigal, Bariah, Nearya, dan Safat. Nearya mempunyai tiga orang anak lelaki: Elyoenai, Hizkia, dan Azrikam. Elyoenai mempunyai tujuh orang anak lelaki: Hodawya, Elyasib, Pelaya, Akub, Yohanan, Delaya, dan Anani. Berikut adalah sebahagian daripada keturunan Yehuda: Peres, Hezron, Karmi, Hur, dan Syobal. Syobal bapa Reaya, Reaya bapa Yahat. Yahat mempunyai dua orang anak lelaki, Ahumai dan Lahad. Mereka nenek moyang penduduk kota Zora. [3-4] Hur ialah anak lelaki sulung Kaleb dengan isterinya, Efrat. Keturunan Hur ialah pembina kota Betlehem. Etam, Penuel, dan Ezer ialah anak-anak lelaki Hur. Etam mempunyai tiga orang anak lelaki: Yizreel, Isma, dan Idbas, dan juga seorang anak perempuan bernama Hazelelponi. Penuel mendirikan kota Gedor, dan Ezer mendirikan kota Husa. *** Asyhur, yang mendirikan kota Tekoa, mempunyai dua orang isteri, Hela dan Naara. Asyhur dan Naara mempunyai empat orang anak lelaki: Ahuzam, Hefer, Temeni, dan Ahastari. Asyhur dan Hela mempunyai tiga orang anak lelaki: Zeret, Yezohar, dan Etnan. Kos ialah bapa kepada Anub dan Hazobeba, dan nenek moyang kepada puak-puak keturunan Aharhel anak Harum. Ada seorang lelaki bernama Yabes, yang paling dihormati dalam keluarganya. Dia diberi nama Yabes oleh ibunya kerana ibunya sangat kesakitan ketika melahirkan dia. Tetapi Yabes berdoa kepada Allah orang Israel, katanya, “Ya Allah, berkatilah aku, dan berilah aku tanah yang luas. Sertailah aku dan jauhkanlah aku daripada kejahatan yang akan menyebabkan aku kesakitan.” Kemudian Allah mengabulkan permintaannya. Kelub, saudara Suha, mempunyai anak lelaki bernama Mehir. Mehir ialah bapa Eston, dan Eston mempunyai tiga orang anak lelaki: Bet-Rafa, Paseah, dan Tehina. Tehina ialah pembina kota Nahas. Keturunan semua orang itu tinggal di kota Reka. Kenas mempunyai dua orang anak lelaki bernama Otniel dan Seraya. Otniel juga mempunyai dua orang anak lelaki, Hatat dan Meonotai. Meonotai ialah bapa Ofra. Seraya ialah bapa Yoab. Yoab ialah pembina Lembah Tukang, dan semua orang di situ adalah tukang yang mahir. Kaleb anak Yefune mempunyai tiga orang anak lelaki: Iru, Ela, dan Naam. Ela ialah bapa Kenas. Yehaleleel mempunyai empat orang anak lelaki: Zif, Zifa, Tireya, dan Asareel. [17-18] Ezra mempunyai empat orang anak lelaki: Yeter, Mered, Efer, dan Yalon. Mered berkahwin dengan Bica, puteri raja Mesir. Mereka mempunyai seorang anak perempuan bernama Miryam, dan dua orang anak lelaki bernama Samai dan Yisba. Yisba ialah pembina kota Estemoa. Mered juga berkahwin dengan seorang wanita daripada suku Yehuda; mereka mempunyai tiga orang anak lelaki: Yered, pembina kota Gedor; Heber, pembina kota Sokho; dan Yekutiel, pembina kota Zanoah. *** Hodia berkahwin dengan saudara perempuan Naham. Keturunan mereka adalah nenek moyang puak Garmi dan Maakha. Puak Garmi tinggal di kota Kehila, dan puak Maakha tinggal di kota Estemoa. Simon mempunyai empat orang anak lelaki: Amnon, Rina, Benhanan, dan Tilon. Yisei mempunyai dua orang anak lelaki: Zohet dan Ben-Zohet. Sela ialah salah seorang anak lelaki Yehuda. Keturunannya termasuk Er, pembina kota Lekha; Lada, pembina kota Maresa; puak penenun kain linen, yang tinggal di kota Bet-Asybea; Yokim, dan penduduk kota Kozeba; Yoas dan Saraf, dua orang lelaki yang berkahwin dengan perempuan-perempuan Moab, lalu menetap di Betlehem. (Senarai itu dikutip daripada catatan yang sangat tua.) Mereka ialah pembuat periuk dan berkhidmat kepada raja; mereka tinggal di kota Netaim dan Gedera. Simeon mempunyai lima orang anak lelaki: Nemuel, Yamin, Yarib, Zerah, dan Saul. Anak lelaki Saul ialah Salum, cucunya ialah Mibsam, dan cicitnya ialah Misma. Daripada Misma, jurai keturunan dilanjutkan oleh Hamuel, lalu Zakur, kemudian Simei. Simei mempunyai enam belas orang anak lelaki dan enam orang anak perempuan, tetapi sanak saudara Simei tidak mempunyai banyak anak. Suku Simeon tidak menjadi banyak seperti suku Yehuda. Sampai pada masa Raja Daud, keturunan Simeon tinggal di kota-kota berikut: Bersyeba, Molada, Hazar-Sual, Bilha, Ezem, Tolad, Betuel, Horma, Ziklag, Bet-Markabot, Hazar-Susim, Bet-Biri, dan Saaraim. Mereka juga tinggal di lima tempat yang lain: Etam, Ain, Rimon, Tokhen, Asan, dan di pekan-pekan di sekitar, sampai sejauh kota Baal di bahagian barat daya. Itulah catatan yang disimpan oleh keturunan Simeon tentang salasilah dan tempat tinggal mereka. [34-38] Berikut ini adalah pemimpin-pemimpin puak dalam suku Simeon: Mesobab, Yamlekh, Yosa anak Amazia, Yoel, Yehu anak Yosibya, (Yosibya ialah anak Seraya, cucu Asiel) Elyoenai, Yaakoba, Yesohaya, Asaya, Adiel, Yesimiel, Benaya, Ziza anak Sifei (Sifei anak Alon, Alon keturunan Yedaya, Simri, dan Semaya). Oleh sebab keluarga mereka terus bertambah, *** *** *** *** mereka terpencar ke barat sehingga hampir sampai ke kota Gedor. Domba mereka merumput di bahagian timur lembah, tempat letaknya kota Gedor. Di situ mereka menjumpai padang rumput yang subur dan luas, serta tenang dan aman. Dahulu daerah itu didiami oleh orang Ham. Pada zaman Raja Hizkia dari Yehuda, keturunan Simeon menyerang Gedor. Mereka memusnahkan khemah-khemah dan pondok-pondok orang yang tinggal di situ. Mereka mengusir penduduk tempat itu, lalu mereka menetap di sana kerana padang rumput di situ luas untuk domba mereka. Lima ratus orang daripada suku Simeon pergi ke Edom, di sebelah timur. Mereka dipimpin oleh anak-anak lelaki Yisei: Pelaca, Nearya, Refaya, dan Uziel. Di sana, mereka membunuh orang Amalek yang masih hidup, dan mereka menetap di situ sejak masa itu. Inilah keturunan Ruben, anak sulung Yakub. (Oleh sebab Ruben telah meniduri salah seorang gundik bapanya, maka dia kehilangan haknya sebagai anak sulung. Hak itu diberikan kepada Yusuf. Meskipun begitu, suku Yehuda menjadi suku yang terkuat, dan daripada suku itu seorang menjadi pemerintah seluruh suku Israel.) Ruben, anak sulung Yakub, mempunyai empat orang anak lelaki: Henokh, Palu, Hezron, dan Karmi. [4-6] Inilah jurai keturunan Yoel: Semaya, Gog, Simei, Mikha, Reaya, Baal, dan Beera, seorang pemimpin suku Ruben. Beera ditangkap oleh Raja Tiglat-Pileser dari Asyur, lalu Beera dibuang negeri. *** *** Dalam catatan salasilah, tersenarai juga pemimpin-pemimpin puak dalam suku Ruben yang berikut: Yeiel, Zakharia, dan Bela anak Azas, cucu Sema daripada puak Yoel. Puak ini tinggal di Aroer dan di wilayah yang bermula dari Aroer ke sebelah utara di Nebo dan Baal-Meon. Mereka mempunyai banyak sekali ternakan di daerah Gilead. Oleh itu, mereka mendiami tanah di sebelah timur sampai ke padang gurun, yang terbentang hingga ke Sungai Efrat. Pada zaman Raja Saul, suku Ruben menyerang dan mengalahkan orang Hagri, lalu menduduki tanah mereka di bahagian timur Gilead. Suku Gad tinggal di sebelah utara wilayah suku Ruben, di tanah Basan, sampai sejauh Salkha di sebelah timur. Yoel ialah nenek moyang puak yang terkemuka dalam suku Gad; Safam ialah nenek moyang puak yang kedua pentingnya. Yaenai dan Safat ialah nenek moyang puak-puak lain di Basan. Orang lain dalam suku Gad termasuk dalam tujuh puak yang berikut: Mikhael, Mesulam, Syeba, Yorai, Yakan, Ziya, dan Eber. Mereka keturunan Abihail anak Huri. Yang berikut adalah salasilah mereka yang disusur sampai ke pangkal: Abihail, Huri, Yaroah, Gilead, Mikhael, Yesisai, Yahdo, Bus. Pemimpin puak-puak itu ialah Ahi anak Abdiel, cucu Guni. Puak-puak itu tinggal di wilayah Basan dan Gilead, dan di kota-kota di wilayah itu, serta di seluruh padang rumput Saron. Salasilah ini dikumpul pada zaman pemerintahan Raja Yotam di Yehuda, dan Raja Yerobeam II di Israel. Suku Ruben, suku Gad, dan suku Manasye Timur mempunyai 44,760 orang askar yang terlatih dan handal menggunakan perisai, pedang, dan busur. Mereka berperang dengan suku Yetur, Nafis, dan Nodab, iaitu suku-suku dalam bangsa Hagri. Askar-askar itu percaya kepada Allah dan minta tolong kepada-Nya, lalu Allah mengabulkan permintaan mereka. Dia memberikan kemenangan atas bangsa Hagri dan sekutu mereka kepada askar-askar itu. Mereka merampas sebanyak 50,000 ekor unta, 250,000 ekor domba, dan 2,000 ekor keldai daripada musuh, dan menawan seramai 100,000 orang. Mereka membunuh banyak orang musuh kerana peperangan itu berlaku menurut kehendak Allah. Kemudian mereka menetap di wilayah itu sampai masa mereka dibuang negeri. Orang daripada suku Manasye Timur menetap di wilayah Basan sampai ke utara sejauh Baal-Hermon, Senir, dan Gunung Hermon. Bilangan mereka bertambah banyak. Inilah para pemimpin puak mereka: Hefer, Yisei, Eliel, Azriel, Yeremia, Hodawya, dan Yahdiel. Mereka semua askar yang perkasa, serta pemimpin puak yang terkenal. Orang Israel tidak setia kepada Allah yang disembah nenek moyang mereka. Mereka meninggalkan Dia lalu menyembah dewa-dewa yang disembah bangsa-bangsa yang telah diusir oleh Allah dari tanah itu. Oleh sebab itu Allah menggerakkan hati Raja Pul dari Asyur untuk menyerang negeri mereka. Raja Pul juga dikenal sebagai Raja Tiglat-Pileser. Suku Ruben, suku Gad, dan suku Manasye Timur dibuang negeri ke Halah, Habor, Hara, dan ke suatu tempat dekat Sungai Gozan. Mereka menetap di sana sampai hari ini. Lewi mempunyai tiga orang anak lelaki: Gerson, Kehat, dan Merari. Kehat mempunyai empat orang anak lelaki: Amram, Yizhar, Hebron, dan Uziel. Amram mempunyai dua orang anak lelaki: Harun dan Musa, dan seorang anak perempuan bernama Miryam. Harun mempunyai empat orang anak lelaki: Nadab, Abihu, Eleazar, dan Itamar. Urutan salasilah Eleazar adalah seperti berikut: Pinehas, Abisua, Buki, Uzi, Zerahya, Merayot, Amarya, Ahitub, Zadok, Ahimaas, Azarya, Yohanan. Azarya (dia bertugas di Rumah TUHAN yang dibina oleh Raja Salomo di Yerusalem), Amarya, Ahitub, Zadok, Salum, Hilkia, Azarya, Seraya, Yozadak. Yozadak juga turut diangkut bersama-sama orang Yehuda dan penduduk Yerusalem yang lain ketika TUHAN membuang mereka ke negeri lain dengan perantaraan Raja Nebukadnezar. Lewi mempunyai tiga orang anak lelaki: Gerson, Kehat, dan Merari. Mereka juga mempunyai anak lelaki. Libni dan Simei ialah anak-anak Gerson. Amram, Yizhar, Hebron, dan Uziel ialah anak-anak Kehat. Mahli dan Musi ialah anak-anak Merari. Inilah jurai keturunan Gerson: Libni, Yahat, Zima, Yoah, Ido, Zerah, Yeatrai. Inilah jurai keturunan Kehat: Aminadab, Korah, Asir, Elkana, Ebyasaf, Asir, Tahat, Uriel, Uzia, Saul. Elkana mempunyai dua orang anak lelaki: Amasai dan Ahimot. Inilah jurai keturunan Ahimot: Elkana, Zofai, Nahat, Eliab, Yeroham, Elkana. Samuel mempunyai dua orang anak lelaki: Yoel yang sulung, dan Abia yang bongsu. Inilah jurai keturunan Merari: Mahli, Libni, Simei, Uza, Simea, Hagia, Asaya. Raja Daud memilih beberapa orang untuk mengurus lagu puji-pujian di tempat ibadat di Yerusalem, setelah Tabut Perjanjian dipindahkan ke sana. Mereka bertugas secara bergilir di Khemah TUHAN pada masa Raja Salomo belum membina Rumah TUHAN. Salasilah orang yang diberikan tugas itu adalah seperti berikut: Daripada puak Kehat: Heman anak Yoel ialah pemimpin kumpulan penyanyi yang pertama. Salasilahnya yang disusur sampai ke pangkal, iaitu hingga Yakub: Heman, Yoel, Samuel, Elkana, Yeroham, Eliel, Toah, Zuf, Elkana, Mahat, Amasai, Elkana, Yoel, Azarya, Zefanya, Tahat, Asir, Ebyasaf, Korah, Yizhar, Kehat, Lewi, Yakub. Asaf ialah pemimpin kumpulan penyanyi yang kedua. Salasilahnya yang disusur sampai ke pangkal, iaitu hingga Lewi: Asaf, Berekhya, Simea, Mikhael, Baaseya, Malkia, Etai, Zerah, Adaya, Etan, Zima, Simei, Yahat, Gerson, Lewi. Etan ialah pemimpin kumpulan penyanyi yang ketiga; Etan daripada puak Merari. Salasilahnya yang disusur sampai ke pangkal, iaitu hingga Lewi: Etan, Kisi, Abdi, Malukh, Hasabya, Amazia, Hilkia, Amzi, Bani, Semer, Mahli, Musi, Merari, Lewi. Tugas-tugas lain di tempat ibadat diserahkan kepada rakan-rakan mereka sesama orang Lewi. Harun dan keturunannya bertanggungjawab membakar kemenyan, dan mempersembahkan korban yang dibakar di atas mazbah. Mereka juga bertanggungjawab melakukan segala upacara ibadat di Bilik Maha Suci dan mempersembahkan korban-korban supaya Allah mengampunkan dosa umat Israel. Semua tugas itu dilakukan mereka menurut petunjuk yang diberikan oleh Musa, hamba Allah. Inilah jurai keturunan Harun: Eleazar, Pinehas, Abisua, Buki, Uzi, Zerahya, Merayot, Amarya, Ahitub, Zadok, Ahimaas. Inilah kawasan penempatan yang diberikan kepada puak Kehat keturunan Harun. Mereka menerima bahagian pertama daripada tanah yang ditentukan untuk orang Lewi. Tanah mereka meliputi kota Hebron di wilayah Yehuda, dan padang rumput di sekitarnya. Tetapi ladang-ladang dan pekan-pekan di sekitar kota itu diberikan kepada Kaleb anak Yefune. [57-59] Keturunan Harun mendapat kota-kota berikut, bersama dengan padang rumput di sekitar kota: Hebron, iaitu kota perlindungan, Yatir, pekan-pekan Libna, Estemoa, Hilen, Debir, Asan, Bet-Semes. *** *** Di wilayah suku Benyamin mereka mendapat kota-kota berikut bersama dengan padang rumput di sekitar kota: Geba, Alemet, dan Anatot. Jumlah semuanya sebanyak tiga belas buah kota untuk tempat tinggal keluarga-keluarga mereka. Dengan membuang undi, sepuluh buah kota di wilayah suku Manasye Barat dibahagi-bahagikan kepada keluarga-keluarga lain dalam puak Kehat. Keluarga-keluarga dalam puak Gerson diberikan tiga belas buah kota di wilayah suku Isakhar, Asyer, Naftali, dan Manasye Timur di Basan. Dengan membuang undi juga, keluarga-keluarga dalam puak Merari mendapat dua belas buah kota di wilayah suku Ruben, Gad, dan Zebulon. Begitulah caranya umat Israel memberikan kota-kota dengan padang rumput di sekitar kota, sebagai tempat tinggal orang Lewi. Kota-kota di wilayah suku Yehuda, Simeon, dan Benyamin yang telah disebut itu, juga dibahagikan dengan membuang undi. Di wilayah suku Efraim, beberapa keluarga dalam puak Kehat diberikan kota-kota berikut bersama dengan padang rumput di sekitar kota: Sikhem, kota perlindungan di perbukitan Efraim, Gezer, Yokmeam, Bet-Horon, Ayalon, dan Gat-Rimon. Di wilayah suku Manasye Barat, mereka menerima kota Aner dan Bileam dengan padang rumput di sekitar kota. Keluarga-keluarga dalam puak Gerson diberikan kota-kota berikut bersama dengan padang rumput di sekitar kota: Di wilayah suku Manasye Timur: Golan di Basan, dan Asytarot. Di wilayah suku Isakhar: Kedes, Daberat, Ramot, dan Anem. Di wilayah suku Asyer: Masal, Abdon, Hukok, dan Rehob. Di wilayah suku Naftali: Kedes di Galilea, Hamon, dan Kiryataim. Keluarga-keluarga lain dalam puak Merari, diberikan kota berikut dengan padang rumput di sekitar kota: Di wilayah suku Zebulon: Rimono dan Tabor. Di wilayah suku Ruben, di sebelah timur Sungai Yordan, dekat Yerikho: Bezer di dataran tinggi, Yahas, Kedemot, dan Mefaat. Di wilayah suku Gad: Ramot di Gilead, Mahanaim, Hesybon, dan Yaezer. Isakhar mempunyai empat orang anak lelaki: Tola, Pua, Yasub, dan Simron. Tola mempunyai enam orang anak lelaki: Uzi, Refaya, Yeriel, Yahmai, Yibsam, dan Samuel. Mereka ketua keluarga dalam puak Tola dan terkenal sebagai askar perkasa. Pada masa pemerintahan Raja Daud, keturunan mereka berjumlah 22,600 orang. Uzi mempunyai seorang anak lelaki bernama Yizrahya. Yizrahya dan empat orang anak lelakinya, Mikhael, Obaja, Yoel, dan Yisia ialah ketua-ketua keluarga. Isteri dan anak-anak mereka sangat banyak sehingga keturunan mereka dapat menyediakan 36,000 orang lelaki untuk menjadi askar. Menurut senarai rasmi, semua keluarga dalam suku Isakhar mempunyai 87,000 orang lelaki yang layak menjadi askar. Benyamin mempunyai tiga orang anak lelaki: Bela, Bekher, dan Yediael. Bela mempunyai lima orang anak lelaki: Ezbon, Uzi, Uziel, Yerimot, dan Iri. Mereka ketua keluarga dan terkenal sebagai askar perkasa. Dalam senarai keturunan mereka ada tercatat 22,034 orang lelaki yang layak menjadi askar. Bekher mempunyai sembilan orang anak lelaki: Zemira, Yoas, Eliezer, Elyoenai, Omri, Yeremot, Abia, Anatot, dan Alemet. Mereka adalah ketua keluarga dalam puak mereka. Menurut senarai rasmi, daripada semua keluarga dalam keturunan mereka, terdapat 20,200 orang lelaki yang layak menjadi askar. Yediael mempunyai seorang anak lelaki bernama Bilhan. Bilhan mempunyai tujuh orang anak lelaki: Yeus, Benyamin, Ehud, Kenaana, Zetan, Tarsis, dan Ahisahar. Mereka ketua keluarga dalam puak mereka dan terkenal sebagai askar perkasa. Dalam keturunan mereka, terdapat 17,200 orang lelaki yang layak menjadi askar. Supim dan Hupim adalah keturunan Ir. Husim ialah anak Dan. Naftali mempunyai empat orang anak lelaki: Yahziel, Guni, Yezer, dan Salum. Mereka cucu Bilha. Manasye dan gundiknya, seorang perempuan Aram, mempunyai dua orang anak lelaki: Asriel dan Makhir. Makhir ialah bapa Gilead. Makhir mendapatkan isteri bagi Hupim dan Supim. Nama isteri Makhir ialah Maakha. Anak Makhir yang kedua ialah Zelafead. Zelafead tidak mempunyai anak lelaki, hanya anak perempuan. Maakha, isteri Makhir melahirkan dua orang anak lelaki yang diberi nama Peres dan Seres. Peres mempunyai dua orang anak lelaki: Ulam dan Rekem. Ulam mempunyai seorang anak lelaki bernama Bedan. Mereka semua keturunan Gilead anak Makhir, cucu Manasye. Saudara perempuan Gilead yang bernama Molekhet mempunyai tiga orang anak lelaki: Isyhod, Abiezer, dan Mahla. Semida mempunyai empat orang anak lelaki: Ahyan, Sikhem, Likhi, dan Aniam. [20-21] Efraim mempunyai tiga orang anak: Sutelah, Ezer, dan Elad. Inilah jurai keturunan Efraim: Sutelah, Bered, Tahat, Elada, Tahat, Zabad, dan Sutelah. Ezer dan Elad dibunuh ketika hendak mencuri binatang ternakan penduduk asli Gat. *** Bapa mereka berkabung berhari-hari lamanya dan saudara-saudaranya datang untuk menghibur dia. Kemudian Efraim mengadakan hubungan jenis dengan isterinya lagi, lalu isterinya mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Efraim menamakan anak itu Beria kerana malapetaka yang telah dialami mereka. Efraim mempunyai seorang anak perempuan bernama Seera. Dialah yang membina kota Bet-Horon Hulu dan Bet-Horon Hilir, dan juga kota Uzen-Seera. Efraim juga mempunyai seorang anak lelaki bernama Refah. Inilah jurai keturunan Refah: Resef, Telah, Tahan, Ladan, Amihud, Elisama, Nun, Yosua. Wilayah yang dimiliki dan dijadikan tempat tinggal mereka termasuk Betel dan pekan-pekan di sekitarnya, sampai sejauh Naaran di sebelah timur, dan Gezer di sebelah barat, serta pekan-pekan di sekitar kota-kota itu. Kota Sikhem dan Aya, serta pekan-pekan di sekitar kota termasuk wilayah itu. Keturunan Manasye menguasai kota Bet-Sean, Taanakh, Megido, dan Dor serta pekan-pekan di sekitar kota. Semua kawasan itu adalah tempat tinggal keturunan Yusuf anak Yakub. Asyer mempunyai empat orang anak lelaki: Yimna, Yiswa, Yiswi, dan Beria; dan juga seorang anak perempuan bernama Serah. Beria mempunyai dua orang anak lelaki: Heber dan Malkiel. Malkiel ialah pembina kota Birzait. Heber mempunyai tiga orang anak lelaki: Yaflet, Somer, dan Hotam; dan juga seorang anak perempuan bernama Sua. Yaflet juga mempunyai tiga orang anak lelaki: Pasakh, Bimhal, dan Asywat. Somer, saudara lelakinya mempunyai tiga orang anak lelaki: Ahi, Rohga, Yehuba, dan Aram. Hotam, saudara lelakinya mempunyai empat orang anak lelaki: Zofah, Yimna, Seles, dan Amal. Keturunan Zofah ialah Suah, Harnefer, Syual, Beri, Yimra, Bezer, Hod, Sama, Silsa, Yitran, dan Beera. Keturunan Yeter ialah Yefune, Pispa, dan Ara. Keturunan Ula ialah Arah, Haniel, dan Rizya. Itulah keturunan Asyer. Mereka semua ketua keluarga, dan terkenal sebagai askar perkasa, dan pemimpin yang terkemuka. Dalam senarai keturunan Asyer ada tercatat 26,000 orang lelaki yang layak menjadi askar. Benyamin mempunyai lima orang anak lelaki. Menurut urutan umur, mereka ialah Bela, Asybel, Ahrah, Noha, dan Rafa. Keturunan Bela ialah Adar, Gera, Abihud, Abisua, Naaman, Ahoah, Gera, Sefufan, dan Huram. [6-7] Keturunan Ehud ialah Naaman, Ahia, dan Gera. Mereka ialah ketua keluarga yang dahulu tinggal di Geba, tetapi diusir dari tempat itu, lalu mereka pindah ke Manahat dan tinggal di situ. Gera memimpin mereka dalam perpindahan itu. Gera mempunyai dua orang anak, Uza dan Ahihud. *** [8-9] Saharaim menceraikan dua orang isterinya yang bernama Husim dan Baara. Kemudian pada masa dia tinggal di negeri Moab, dia berkahwin dengan Hodes dan mendapat tujuh orang anak lelaki: Yobab, Zibya, Mesa, Malkam, *** Yeus, Sokhya, dan Mirma. Semua anaknya menjadi ketua keluarga. Dengan isterinya yang bernama Husim, Saharaim mempunyai dua orang anak lelaki, Abitub dan Elpaal. Elpaal mempunyai tiga orang anak lelaki: Eber, Misam, dan Semed. Semed ialah pembina kota Ono dan Lod, serta pekan-pekan di sekitar. Beria dan Sema ialah ketua keluarga yang tinggal di kota Ayalon. Mereka mengusir penduduk kota Gat. Keturunan Beria ialah Ahyo, Sasak, Yeremot, Zebaja, Arad, Eder, Mikhael, Yispa, dan Yoha. Keturunan Elpaal ialah Zebaja, Mesulam, Hizki, Heber, Yismerai, Yizlia, dan Yobab. Keturunan Simei ialah Yakim, Zikhri, Zabdi, Elyoenai, Ziletai, Eliel, Adaya, Beraya, dan Simrat. Keturunan Sasak ialah Yispan, Eber, Eliel, Abdon, Zikhri, Hanan, Hananya, Elam, Antotia, Yifdeya, dan Penuel. Keturunan Yeroham ialah Samserai, Seharya, Atalya, Yaaresya, Elia, dan Zikhri. Itulah para ketua keluarga dan pemimpin yang tercatat dalam salasilah mereka. Mereka tinggal di Yerusalem. Yeiel membina kota Gibeon lalu tinggal di situ. Isterinya bernama Maakha, dan anak sulung mereka bernama Abdon. Mereka mempunyai anak lelaki lain: Zur, Kish, Baal, Ner, Nadab, Gedor, Ahyo, Zakharia, dan Miklot, iaitu bapa Simea. Keturunan mereka tinggal di Yerusalem bersama dengan keluarga lain daripada puak yang sama. Bapa Raja Saul bernama Kish dan datuknya bernama Ner. Raja Saul mempunyai empat orang putera: Yonatan, Malkisua, Abinadab, dan Esybaal. Yonatan mempunyai anak lelaki bernama Meribaal, iaitu bapa Mikha. Mikha mempunyai empat orang anak lelaki: Piton, Melekh, Tarea, dan Ahas. Anak Ahas bernama Yoada. Yoada mempunyai tiga orang anak lelaki: Alemet, Azmawet, dan Zimri. Inilah jurai keturunan Zimri: Moza, Bina, Rafa, Elasa, dan Azel. Azel mempunyai enam orang anak lelaki: Azrikam, Bokhru, Ismael, Searya, Obaja, dan Hanan. Esek, saudara lelaki Azel mempunyai tiga orang anak lelaki: Ulam yang sulung, lalu Yeus, dan Elifelet. Anak-anak Ulam ialah askar perkasa dan pemanah mahir. Anak cucunya yang lelaki berjumlah 150 orang. Mereka semua anggota suku Benyamin. Semua orang Israel didaftarkan menurut keluarga masing-masing. Senarai itu tercatat dalam Kitab Raja-Raja Israel. Penduduk Yehuda telah dibuang ke Babel sebagai hukuman dosa mereka. Antara mereka yang mula-mula kembali ke tanah milik mereka di kota-kota ialah orang awam, para imam, orang Lewi, dan para pekerja Rumah TUHAN. Sebahagian daripada suku Yehuda, Benyamin, Efraim, dan Manasye kembali dan tinggal di Yerusalem. [4-6] Keseluruhannya ada 690 keluarga daripada suku Yehuda yang tinggal di Yerusalem, termasuk keturunan anak-anak Yehuda yang bernama Peres, Syela, dan Zerah. Keturunan Peres dipimpin oleh Utai. Jurai keturunan Utai yang disusur sampai ke pangkal ialah Utai, Amihud, Omri, Imri, dan Bani. Keturunan Syela dipimpin oleh Asaya. Dia ketua keluarga. Keturunan Zerah dipimpin oleh Yeuel. *** *** [7-9] Orang suku Benyamin yang tinggal di Yerusalem berjumlah 956 keluarga. Inilah para ketua keluarga mereka: Salu anak Mesulam, cucu Hodawya; Hodawya anak Hasenua Yibnia anak Yeroham Ela anak Uzi, cucu Mikhri Mesulam anak Sefaca, cucu Rehuel; Rehuel anak Yibnia *** *** [10-12] Imam-imam yang berikut tinggal di Yerusalem: Yedaya, Yoyarib, dan Yakhin Azarya anak Hilkia, nenek moyangnya ialah Mesulam, Zadok, Merayot, dan Ahitub. (Azarya ialah ketua pegawai di Rumah TUHAN.) Adaya anak Yeroham; nenek moyangnya ialah Pasyhur dan Malkia. Masai anak Adiel; nenek moyangnya ialah Yahzera, Mesulam, Mesilemit, dan Imer. *** *** Para imam yang menjadi ketua keluarga berjumlah 1,760 orang. Mereka mahir melakukan segala jenis pekerjaan di Rumah TUHAN. [14-16] Orang Lewi yang berikut tinggal di Yerusalem: Semaya anak Hasub; nenek moyangnya termasuk Azrikam dan Hasabya, daripada puak Merari Bakbakar, Heres, dan Galal Matanya anak Mikha; nenek moyangnya termasuk Zikhri dan Asaf Obaja anak Semaya; nenek moyangnya termasuk Galal dan Yedutun Berekhya anak Asa, cucu Elkana; dia tinggal di kawasan kota Netofa. *** *** Para pengawal Rumah TUHAN yang tinggal di Yerusalem bersama dengan sanak saudara mereka ialah Salum, Akub, Talmon, dan Ahiman. Salum ialah ketua pengawal. Sampai hari ini, orang daripada puak mereka ditugaskan untuk mengawal Pintu Gerbang Raja di sebelah timur. Sebelum itu mereka mengawal pintu-pintu gerbang yang menuju ke perkhemahan orang Lewi. Salum anak Kore, cucu Ebyasaf, bersama-sama beberapa orang lain daripada puak Korah, iaitu puaknya, ditugaskan untuk mengawal pintu masuk ke Khemah TUHAN. Dahulu nenek moyang mereka pun melakukan tugas itu ketika mereka bekerja di perkhemahan TUHAN. Pinehas anak lelaki Eleazar pernah mengetuai mereka. Semoga TUHAN menyertai dia! Zakharia anak Meselemya juga pengawal pintu ke Khemah TUHAN. Semua orang yang dipilih untuk mengawal pintu-pintu gerbang berjumlah 212 orang. Mereka didaftarkan menurut nama pekan yang menjadi tempat tinggal mereka. Nenek moyang mereka diberikan tugas itu oleh Raja Daud dan Nabi Samuel. Sejak itu mereka dan keturunan mereka tetap menjadi pengawal pintu gerbang Rumah TUHAN. Ada empat buah pintu: satu di utara, satu di selatan, satu di timur, dan satu di barat. Setiap pintu mempunyai seorang ketua pengawal. Para pengawal itu dibantu oleh sanak saudara mereka yang tinggal di pekan-pekan. Mereka bergilir-gilir bertugas selama tujuh hari pada setiap satu giliran. Keempat-empat ketua pengawal itu orang Lewi, dan mereka bertugas secara tetap. Mereka bertanggungjawab mengurus bilik-bilik di Rumah TUHAN dan barang-barang yang disimpan di situ. Mereka tinggal dekat Rumah TUHAN, kerana mereka harus mengawal Rumah TUHAN dan membuka pintu-pintunya tiap-tiap pagi. Orang Lewi yang lain bertanggungjawab mengurus perkakas yang dipakai untuk ibadat. Mereka menghitung perkakas itu apabila dikeluarkan dan disimpan semula. Orang Lewi yang lain pula bertanggungjawab mengurus perabot-perabot ibadat dan juga tepung, air anggur, minyak zaitun, kemenyan serta rempah-rempah. Tetapi yang bertanggungjawab untuk mencampurkan rempah-rempah itu ialah para imam. Orang yang bertanggungjawab membuat kuih tipis ialah seorang Lewi bernama Matica, anak sulung Salum daripada puak Korah. Orang daripada puak Kehat bertanggungjawab untuk menyediakan roti sajian pada setiap hari Sabat. Beberapa keluarga daripada orang Lewi bertugas sebagai penyanyi di Rumah TUHAN. Ketua-ketua keluarga mereka tinggal di beberapa buah bangunan di Rumah TUHAN. Mereka tidak diberikan tugas lain kerana mereka bertugas pada siang dan malam hari. Semua orang yang disebut di atas ialah ketua-ketua keluarga Lewi menurut jurai keturunan mereka. Mereka juga pemimpin-pemimpin yang tinggal di Yerusalem. Yeiel membina kota Gibeon lalu tinggal di situ. Isterinya bernama Maakha. Anak sulung Yeiel bernama Abdon, dan anak-anak lelakinya yang lain ialah Zur, Kis, Baal, Ner, Nadab, Gedor, Ahyo, Zakharia, dan Miklot, bapa Simea. Keturunan mereka tinggal di Yerusalem bersama dengan keluarga-keluarga lain daripada sesama puak. Bapa Raja Saul bernama Kish dan datuknya bernama Ner. Raja Saul mempunyai empat orang putera: Yonatan, Malkisua, Abinadab dan Esybaal. Yonatan mempunyai anak lelaki bernama Meribaal, bapa Mikha. Mikha mempunyai empat orang anak lelaki: Piton, Melekh, Tarea, dan Ahas. Anak Ahas bernama Yaera, yang mempunyai tiga orang anak lelaki: Alemet, Azmawet, dan Zimri. Inilah jurai keturunan Zimri: Moza, Bina, Rafa, Elasa, dan Azel. Azel mempunyai enam orang anak lelaki: Azrikam, Bokhru, Ismael, Searya, Obaja, dan Hanan. Orang Filistin berperang melawan orang Israel di Gunung Gilboa. Banyak orang Israel terbunuh di situ, dan yang lain, termasuk Raja Saul dan putera-puteranya, melarikan diri. Tetapi orang Filistin mengejar mereka lalu membunuh tiga orang putera Raja Saul, iaitu Yonatan, Abinadab, dan Malkisua. Pertempuran sangat sengit di sekitar Raja Saul, dan baginda cedera kerana kena anak panah musuh. Kemudian Raja Saul bertitah kepada pemuda yang membawa senjata baginda, “Hunuslah pedangmu dan tikamlah beta, supaya beta tidak dipermainkan oleh orang Filistin yang tidak mengenal Allah.” Tetapi pemuda itu terlalu takut untuk melakukannya. Oleh itu Raja Saul mengambil pedangnya sendiri lalu merebahkan diri ke atas pedang itu. Apabila pemuda itu nampak bahawa Raja Saul telah mangkat, dia juga merebahkan diri ke atas pedangnya lalu meninggal. Oleh itu, Raja Saul dan tiga orang puteranya mangkat, maka berakhirlah pemerintahan baginda; tiada seorang pun daripada keturunannya menjadi raja selepas itu. Apabila semua orang Israel yang tinggal di Lembah Yizreel mendengar bahawa tentera mereka telah melarikan diri, dan bahawa Raja Saul serta tiga orang puteranya telah mangkat, mereka meninggalkan kota-kota mereka lalu melarikan diri. Kemudian orang Filistin datang dan menduduki kota-kota itu. Sehari selepas pertempuran itu, orang Filistin merompak mayat-mayat tentera Israel. Mereka menjumpai jenazah Raja Saul dan tiga orang puteranya di Gunung Gilboa. Mereka menanggalkan baju zirah Raja Saul, dan memenggal kepalanya, lalu membawanya pergi. Kemudian mereka mengirim utusan ke seluruh negeri Filistin untuk menyampaikan khabar baik itu kepada bangsa dan dewa-dewa mereka. Mereka menyimpan baju zirah Raja Saul di dalam salah sebuah kuil mereka, dan menggantungkan kepala Raja Saul di dalam kuil Dagon, dewa mereka. Apabila penduduk Yabes di Gilead mendengar apa yang telah dilakukan orang Filistin terhadap Raja Saul, beberapa orang antara mereka yang paling berani pergi mengambil jenazah Raja Saul dan putera-puteranya. Mereka membawa jenazah-jenazah itu ke Yabes, dan mengebumikan jenazah-jenazah itu di bawah pokok besar. Kemudian mereka berpuasa selama tujuh hari. Raja Saul mangkat kerana baginda tidak setia kepada TUHAN, dan tidak mentaati perintah TUHAN. Raja Saul minta petunjuk daripada roh-roh orang mati, dan tidak minta petunjuk daripada TUHAN. Oleh itu TUHAN menghukum mati Raja Saul dan menyerahkan kerajaan baginda kepada Daud anak Isai. Semua orang Israel pergi kepada Raja Daud di Hebron dan berkata, “Hamba semua kerabat tuanku. Sejak dahulu, bahkan ketika Raja Saul masih pemerintah kami, tuanku telah memimpin tentera Israel ke medan perang. Lagipun TUHAN Allah tuanku telah berjanji bahawa tuanku akan memimpin umat-Nya dan menjadi pemerintah mereka.” Oleh itu semua pemimpin orang Israel datang kepada Raja Daud di Hebron. Maka Raja Daud membuat perjanjian dengan para pemimpin Israel itu. Kemudian mereka menuang minyak zaitun pada kepala Raja Daud untuk melantik baginda menjadi raja Israel. Peristiwa ini berlaku seperti yang telah dijanjikan TUHAN melalui Samuel. Pada suatu masa Raja Daud bersama-sama segenap tentera Israel pergi menyerang kota Yerusalem. Pada masa itu kota itu bernama Yebus dan orang Yebusi, penduduk asal tanah itu, masih tinggal di situ. Orang Yebusi memberitahu Raja Daud bahawa baginda tidak mungkin memasuki kota mereka. Tetapi Raja Daud berjaya merampas kubu mereka yang bernama Sion, dan kini kubu itu disebut “Kota Daud.” Pada waktu itu, Raja Daud bertitah, “Orang yang pertama membunuh seorang Yebusi akan menjadi panglima!” Yoab (ibunya Zeruya), memimpin serangan yang pertama, oleh itu dia menjadi panglima. Raja Daud tinggal di kubu itu, maka itulah sebabnya kubu itu disebut “Kota Daud.” Raja Daud membina semula kota itu, bermula dari tempat yang ditambak dengan tanah di sebelah timur bukit, dan Yoab membaiki bahagian lain kota itu. Raja Daud semakin kuat kerana TUHAN Yang Maha Kuasa menyertai baginda. Inilah nama para askar Raja Daud. Bersama-sama umat Israel yang lain, mereka telah berjuang agar Raja Daud menjadi raja seperti yang dijanjikan TUHAN, dan mereka menyokong kerajaan baginda. Pahlawan yang pertama ialah Yasobam daripada puak Hakhmoni; dia pemimpin “Kumpulan Tiga.” Dalam satu pertempuran, dia pernah melawan tiga ratus orang, dan membunuh mereka semua dengan tombaknya. Pahlawan kedua dalam “Kumpulan Tiga” itu ialah Eleazar anak Dodo daripada puak Ahohi. Dia memihak Raja Daud ketika berperang melawan orang Filistin dalam pertempuran di Pas-Damim. Eleazar berada di ladang barli ketika tentera Israel mula melarikan diri, tetapi dia dan anak buahnya bertahan di tengah-tengah ladang itu dan melawan orang Filistin. Kemudian TUHAN memberi Israel kemenangan yang cemerlang pada hari itu. [15-16] Pada suatu hari, tiga orang antara tiga puluh orang askar yang terkemuka pergi menemui Raja Daud di suatu tempat yang berkubu di sebuah gunung batu, dekat Gua Adulam. Pada masa itu orang Filistin berkhemah di Lembah Refaim, dan sepasukan daripada mereka menduduki Betlehem. *** Raja Daud merindukan kampung halamannya lalu bertitah, “Alangkah baiknya jika beta diberikan air minum dari perigi dekat pintu gerbang di Betlehem!” Mendengar hal itu tiga orang pahlawannya menembusi perkhemahan orang Filistin, mengambil air dari perigi itu, lalu membawanya kepada Raja Daud. Tetapi Raja Daud tidak mahu meminum air itu, malahan mencurahkannya sebagai persembahan kepada TUHAN. Raja Daud bertitah, “Tidak mungkin beta minum air ini! Jika beta meminumnya, seolah-olah beta minum darah orang yang telah mempertaruhkan nyawa mereka!” Daud sama sekali tidak mahu meminum air itu. Demikianlah keberanian tiga orang askar yang terkenal itu. Abisai, adik Yoab ialah ketua “Kumpulan Tiga Puluh”. Dia melawan tiga ratus orang dan membunuh mereka dengan tombaknya. Oleh itu dia menjadi termasyhur di kalangan “Kumpulan Tiga Puluh”. Dialah yang termasyhur di kalangan “Kumpulan Tiga Puluh” dan menjadi pemimpin mereka, tetapi dia tidak termasyhur seperti “Kumpulan Tiga”. Benaya anak Yoyada dari Kabzeel ialah seorang askar yang gagah perkasa. Dia sangat berani dan pernah membunuh dua orang pahlawan terkemuka dari Moab. Pada suatu hari, ketika salji turun, dia masuk ke sebuah lubang dan membunuh seekor singa. Dia juga membunuh seorang Mesir yang berbadan besar; orang itu tingginya lebih dua meter, dan dia bersenjatakan tombak yang sangat besar. Benaya menyerang orang Mesir itu dengan belantan, merampas tombak dari tangan orang itu, dan membunuhnya dengan tombak itu. Demikianlah keberanian Benaya, seorang daripada “Kumpulan Tiga Puluh”. Benaya terkemuka di kalangan “Kumpulan Tiga Puluh”, tetapi dia tidak terkenal seperti “Kumpulan Tiga”. Raja Daud melantik dia menjadi ketua pengawal peribadinya. [26-47] Inilah askar-askar terkemuka yang lain: Asael, adik Yoab Elhanan anak Dodo dari Betlehem Samot dari Harod Heles dari Pelon Ira anak Ikes dari Tekoa Abiezer dari Anatot Sibkhai dari Husa Ilai dari Ahoh Maharai dari Netofa Heled anak Baana dari Netofa Itai anak Ribai dari Gibea di wilayah Benyamin Benaya dari Piraton Hurai dari lembah-lembah Gaas Abiel dari Araba Azmawet dari Bahurim Elyahba dari Saalbon Hasyem dari Gizon Yonatan anak Sage dari Harar Ahiam anak Sakhar dari Harar Elifal anak Ur Hefer dari Mekherat Ahia dari Pelon Hezrai dari Karmel Naarai anak Ezbai Yoel, saudara Natan Mibhar anak Nagri Zelek dari Amon Naharai dari Beerot, pembawa senjata Yoab Ira dan Gareb dari Yatir Uria orang Het Zabad anak Ahlai Adina anak Siza (seorang yang terkemuka daripada suku Ruben yang mempunyai pasukan 30 orang) Hanan anak Maakha Yosafat dari Mitni Uzia dari Asytarot Syama dan Yeiel, anak-anak Hotam dari Aroer Yediael dan Yoha, anak-anak Simri dari Tiz Eliel dari Mahawim Yeribai dan Yosawya, anak-anak Elnaam Yitma dari Moab Eliel, Obed, dan Yaasiel dari Mezobaya. Ketika Daud melarikan diri daripada Raja Saul, Daud lari ke Ziklag. Semasa Daud di tempat itu, banyak askar yang setia dan berpengalaman datang bergabung dengan dia. Mereka sama suku dengan Raja Saul, iaitu suku Benyamin. Askar-askar itu pandai memanah dan menghumban batu, baik dengan tangan kanan mahupun dengan tangan kiri. [3-7] Mereka dipimpin oleh Ahiezer dan Yoas, anak-anak Semaa dari Gibea. Inilah askar-askar itu: Yeziel dan Pelet, anak-anak Azmawet Berakha dan Yehu dari Anatot Yismaya dari Gibeon, seorang askar terkenal yang menjadi salah seorang pemimpin “Kumpulan Tiga Puluh” Yeremia, Yehaziel, Yohanan, dan Yozabad dari Gedera Eluzai, Yerimot, Bealya, Semarya, dan Sefaca dari Haruf Elkana, Yisia, Azareel, Yoezer, dan Yasobam daripada puak Korah Yoela dan Zebaja, anak-anak Yeroham dari Gedor. *** *** *** *** Pada masa Daud berada di kubu di padang gurun, banyak askar terkenal dan berpengalaman daripada suku Gad datang bergabung dengan dia. Mereka mahir menggunakan perisai dan tombak; mereka kelihatan berani seperti singa dan gerak mereka tangkas seperti rusa. [9-13] Inilah nama-nama mereka menurut urutan pangkat: Ezer, Obaja, Eliab, Mismana, Yeremia, Atai, Eliel, Yohanan, Elzabad, Yeremia, dan Makhbanai. *** *** *** *** Beberapa orang antara orang Gad itu adalah pegawai tinggi yang mengetuai pasukan seribu orang; beberapa orang lain adalah pegawai rendah yang mengetuai pasukan seratus orang. Pada bulan pertama, ketika Sungai Yordan sedang banjir, askar-askar itu menyeberangi sungai lalu mengusir penduduk lembah, baik lembah di sebelah timur mahupun lembah di sebelah barat sungai itu. Pada suatu masa, sekelompok orang daripada suku Benyamin dan suku Yehuda pergi ke kubu tempat Daud tinggal. Daud menemui mereka dan berkata, “Jika kamu datang sebagai sahabat untuk menolong saya, sila bergabung dengan kami. Kami menyambut kamu dengan senang hati. Tetapi jika kamu hendak mengkhianati saya dan menyerahkan saya kepada musuh, walaupun saya tidak pernah berbuat jahat kepada kamu, Allah yang disembah nenek moyang kita akan mengetahuinya dan Dia akan menghukum kamu.” Salah seorang daripada mereka, iaitu Amasai, yang kemudian menjadi pemimpin pasukan yang disebut “Kumpulan Tiga Puluh”, dikuasai oleh Roh Allah. Lalu Amasai berkata, “Daud anak Isai, kami pengikut tuan! Semoga tuan dan mereka yang menolong tuan berjaya! Allah memihak tuan!” Daud menyambut mereka dan melantik mereka menjadi pegawai tenteranya. Beberapa orang askar daripada suku Manasye bergabung dengan Daud ketika Daud bersama-sama orang Filistin pergi berperang dengan Raja Saul. Sebenarnya, Daud tidak menolong orang Filistin, kerana raja-raja orang Filistin takut Daud akan mengkhianati mereka dan memihak kepada Raja Saul, tuannya dahulu. Inilah askar-askar daripada suku Manasye yang bergabung dengan Daud ketika Daud dalam perjalanan pulang ke Ziklag: Adnah, Yozabad, Yediael, Mikhael, Yozabad, Elihu, dan Ziletai. Mereka masing-masing mengetuai pasukan seribu orang. Mereka askar yang gagah berani dan membantu Daud melawan perompak. Pada kemudian hari, mereka menjadi pegawai tentera dalam angkatan perang Israel. Hampir tiap-tiap hari ada orang baru yang bergabung dengan Daud, sehingga tidak lama kemudian pasukan Daud menjadi sangat besar. [23-37] Pada masa Daud berada di Hebron, banyak askar yang terlatih bergabung dengan dia. Mereka membantu dia menjadi raja bagi menggantikan Raja Saul, sebagaimana yang dijanjikan TUHAN. Jumlah mereka adalah seperti berikut: Daripada suku Yehuda: 6,800 orang, lengkap dengan perisai dan tombak. Daripada suku Simeon: 7,100 orang yang terlatih. Daripada suku Lewi: 4,600 orang. Para pengikut Yoyada, seorang keturunan Harun: 3,700 orang. Sanak saudara Zadok, seorang askar muda yang berani: 22 orang terkemuka. Daripada suku Benyamin (suku Raja Saul): 3,000 orang (kebanyakan orang daripada suku Benyamin tetap setia kepada Raja Saul). Daripada suku Efraim: 20,800 orang yang terkenal dalam puak mereka sendiri. Daripada suku Manasye Barat: 18,000 orang dipilih untuk menjadikan Daud raja. Daripada suku Isakhar: 200 orang pemimpin, bersama dengan anak buah mereka; para pemimpin ini pandai menentukan apa yang harus dilakukan oleh rakyat Israel pada masa yang tepat. Daripada suku Zebulon: 50,000 orang yang setia dan dapat dipercaya, serta mahir menggunakan segala jenis senjata, dan yang bersedia untuk bertempur. Daripada suku Naftali: 1,000 orang pemimpin bersama-sama 37,000 orang yang lengkap dengan perisai dan tombak. Daripada suku Dan: 28,600 orang yang terlatih. Daripada suku Asyer: 40,000 orang yang sedia untuk bertempur. Daripada suku-suku di sebelah timur Yordan, iaitu suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur: 120,000 orang yang mahir menggunakan segala jenis senjata. *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** Semua askar itu, yang siap untuk berperang, pergi ke Hebron. Mereka bertekad untuk melantik Daud menjadi raja seluruh Israel. Semua orang Israel yang lain pun sehati untuk melakukan hal itu. Mereka tinggal di sana bersama-sama Daud selama tiga hari. Mereka berpesta dan menikmati makanan dan minuman yang disediakan untuk mereka oleh orang Israel yang lain. Daripada suku Isakhar, Zebulon, dan Naftali, yang jauh di utara pun ada orang datang membawa keldai, unta, baghal, dan lembu yang dimuati bahan makanan: tepung, buah ara, kismis, wain, dan minyak zaitun. Mereka juga membawa lembu dan domba untuk disembelih dan dimakan. Semua itu menyatakan kegembiraan rakyat di seluruh negeri. Raja Daud berunding dengan semua pegawainya yang mengetuai pasukan seribu orang dan pasukan seratus orang. Selepas itu baginda mengumumkan hal ini kepada semua orang itu, “Jika kamu setuju, dan jika kehendak TUHAN, Allah kita, baiklah kita mengirim utusan-utusan kepada para imam serta orang Lewi di kota-kota mereka, dan kepada segenap bangsa kita. Para utusan itu akan menyuruh mereka datang berkumpul bersama-sama kita di sini. Kemudian kita akan pergi mengambil Tabut Perjanjian Allah, yang telah diabaikan selama pemerintahan Raja Saul.” Semua orang Israel yang berkumpul suka dengan cadangan itu, lalu mereka menyetujuinya. Oleh itu Raja Daud mengumpulkan rakyat Israel dari seluruh negeri, dari sempadan negeri Mesir di selatan sampai ke Genting Hamat di utara, untuk mengambil Tabut Perjanjian dari Kiryat-Yearim dan memindahkannya ke Yerusalem. Kemudian Raja Daud dan segenap rakyat Israel pergi ke kota Baala, iaitu Kiryat-Yearim, di kawasan Yehuda untuk mengambil Tabut Perjanjian Allah. Tabut itu dinamakan “TUHAN yang bertakhta di atas kerub”. Apabila mereka tiba di Baala, mereka mengambil Tabut Perjanjian itu dari rumah Abinadab, lalu menaikkannya ke atas sebuah pedati yang baru. Uza dan Ahyo mengiringi pedati itu, sedangkan Raja Daud dan segenap umat Israel menari-nari dengan penuh semangat untuk menghormati Allah. Mereka menyanyi sambil memainkan alat-alat muzik - kecapi, gambus, tamburin, simbal, dan trompet. Apabila mereka sampai di tempat mengirik gandum kepunyaan Kidon, lembu-lembu yang menarik pedati itu tersandung. Lalu Uza menghulurkan tangan dan memegang Tabut Perjanjian itu supaya tidak jatuh. Ketika itu juga TUHAN murka terhadap Uza dan membunuh dia, kerana dia memegang Tabut. Uza meninggal di situ, di hadapan Allah. Sejak itu, tempat itu dinamakan Peres-Uza. Raja Daud murka kerana TUHAN telah membinasakan Uza. Kemudian Raja Daud takut juga kepada Allah dan bertitah, “Sekarang bagaimanakah beta dapat membawa Tabut Perjanjian itu?” Oleh itu Raja Daud tidak membawa Tabut itu ke Yerusalem. Baginda menyimpan Tabut itu di rumah Obed-Edom, seorang yang berasal dari kota Gat. Tabut itu berada di situ selama tiga bulan, dan TUHAN memberkati keluarga Obed-Edom serta segala miliknya. Raja Hiram dari Tirus mengutus duta-dutanya kepada Raja Daud, dan mengirim juga kayu sedar, tukang kayu, serta tukang batu untuk membina istana. Oleh itu Raja Daud sedar bahawa TUHAN telah mengukuhkan kedudukan baginda sebagai raja Israel dan menguatkan kerajaan baginda untuk kepentingan umat TUHAN. Di Yerusalem, Raja Daud mengambil beberapa orang isteri lagi, lalu mendapat lebih banyak putera dan puteri. Inilah putera-puteranya yang dilahirkan di Yerusalem: Syamua, Sobab, Natan, Salomo, Yibhar, Elisua, Elpelet, Nogah, Nefeg, Yafia, Elisama, Beelyada, dan Elifelet. Apabila orang Filistin mendengar bahawa Raja Daud telah menjadi raja seluruh Israel, mereka datang untuk menangkap baginda. Oleh itu Raja Daud pergi berperang melawan mereka. Orang Filistin tiba di Lembah Refaim dan mula merompak. Mendengar hal itu, Raja Daud bertanya kepada Allah, “Haruskah aku menyerang orang Filistin? Adakah Engkau memberi aku kemenangan?” TUHAN menjawab, “Seranglah! Aku akan memberi engkau kemenangan!” Oleh itu Raja Daud menyerang orang Filistin di Baal-Perasim dan mengalahkan mereka. Raja Daud bertitah, “Umpama banjir besar, Allah telah menembusi pertahanan musuh dengan perantaraan beta.” Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Baal-Perasim. Apabila tentera Filistin lari, mereka meninggalkan patung-patung berhala mereka. Raja Daud memberikan perintah untuk membakar patung-patung itu. Tidak lama kemudian, orang Filistin kembali semula ke Lembah Refaim dan merompak lagi. Sekali lagi Raja Daud meminta petunjuk daripada Allah, dan Allah menjawab, “Jangan serang mereka dari sini, tetapi berjalanlah berkeliling dan seranglah mereka dari seberang, dekat pokok-pokok kertau. Apabila engkau mendengar bunyi derap di atas pokok-pokok itu, lancarkanlah serangan, kerana Aku akan berjalan mendahului kamu untuk mengalahkan tentera Filistin.” Raja Daud menurut perintah Allah kepadanya. Raja Daud dan pasukannya memukul mundur orang Filistin, bermula dari Gibeon sampai ke Gezer. Oleh itu nama Raja Daud termasyhur ke merata tempat, dan TUHAN menyebabkan semua bangsa takut kepada Raja Daud. Raja Daud membina beberapa buah rumah di Kota Daud untuk dirinya. Baginda juga menyediakan tempat bagi Tabut Perjanjian Allah dan memasang khemah bagi Tabut itu. Kemudian Raja Daud bertitah, “Hanya orang Lewi yang boleh memikul Tabut Perjanjian Allah, kerana mereka yang dipilih oleh TUHAN untuk memikul Tabut Perjanjian TUHAN dan untuk mengabdikan diri kepada-Nya selama-lamanya.” Oleh itu Raja Daud memanggil semua orang Israel datang ke Yerusalem untuk memindahkan Tabut Perjanjian TUHAN ke tempat yang telah disediakannya. Selepas itu Raja Daud menyuruh keturunan Harun dan orang Lewi berkumpul. Uriel, daripada puak Kehat dalam suku Lewi, mengetuai 120 orang daripada puaknya. Asaya, daripada puak Merari, mengetuai 220 orang daripada puaknya. Yoel, daripada puak Gerson, mengetuai 130 orang daripada puaknya. Semaya, daripada puak Elsafan, mengetuai 200 orang daripada puaknya. Eliel, daripada puak Hebron, mengetuai 80 orang daripada puaknya. Aminadab, daripada puak Uziel, mengetuai 112 orang daripada puaknya. Kemudian Raja Daud memanggil Imam Zadok dan Imam Abyatar, serta enam orang Lewi: Uriel, Asaya, Yoel, Semaya, Eliel, dan Aminadab. Raja Daud bertitah kepada mereka, “Kamu pemimpin puak-puak dalam suku Lewi. Oleh itu, hendaklah kamu dan orang Lewi lain menyucikan diri supaya kamu dapat memindahkan Tabut Perjanjian TUHAN, Allah Israel, ke tempat yang telah beta sediakan. Ketika Tabut itu dipindahkan pada kali pertama, kamu tidak berada di situ untuk memikulnya. Oleh itu TUHAN, Allah kita, menghukum kita kerana kita tidak meminta petunjuk daripada-Nya.” Oleh itu, para imam dan orang Lewi menyucikan diri supaya dapat memindahkan Tabut Perjanjian TUHAN, Allah Israel. Ketika memindahkan Tabut, orang Lewi memikul Tabut itu dengan dua batang kayu pengusung, menurut peraturan yang diberikan TUHAN dengan perantaraan Musa. Raja Daud juga menyuruh para pemimpin orang Lewi supaya menugaskan beberapa orang daripada suku mereka untuk menyanyikan dan memainkan lagu-lagu gembira pada kecapi dan simbal. [17-21] Daripada puak-puak penyanyi, mereka memilih orang yang berikut untuk memainkan simbal tembaga kuning: Heman anak Yoel, sanaknya yang bernama Asaf anak Berekhya, serta Etan anak Kusaya daripada puak Merari. Untuk mengiringi mereka serta memainkan kecapi yang bernada tinggi, orang Lewi yang berikut dipilih: Zakharia, Yaaziel, Semiramot, Yehiel, Uni, Eliab, Maaseya, dan Benaya. Untuk memainkan kecapi yang bernada rendah, orang Lewi yang berikut dipilih: Matica, Elifele, Mikneya, Azazya, dan Obed-Edom dan Yeiel, dua orang yang mengawal tempat Tabut Perjanjian. *** *** *** *** Kenanya dipilih untuk mengetuai para pemuzik daripada suku Lewi, kerana dia pemuzik yang mahir. [23-24] Berekhya dan Elkana, bersama-sama Obed-Edom dan Yehia dipilih menjadi pengawal Tabut Perjanjian Allah. Para imam, iaitu Sebanya, Yosafat, Netaneel, Amasai, Zakharia, Benaya, dan Eliezer dipilih untuk meniup trompet di hadapan Tabut Perjanjian. *** Oleh itu Raja Daud bersama-sama para pemimpin Israel, serta para panglima pergi ke rumah Obed-Edom untuk mengambil Tabut Perjanjian, dan mereka mengadakan perayaan besar. Tujuh ekor lembu jantan dan tujuh ekor domba dipersembahkan kepada Allah kerana Dia telah menolong orang Lewi yang memikul Tabut Perjanjian itu. Pada masa itu Raja Daud memakai jubah daripada kain linen halus. Demikian juga pakaian para pemuzik dan Kenanya, pemimpin mereka, serta semua orang Lewi yang mengangkat Tabut itu. Raja Daud juga memakai efod daripada kain linen. Segenap rakyat Israel mengiringi Tabut Perjanjian sampai ke Yerusalem dengan sorak-sorai gembira, serta bunyi trompet, nafiri, simbal, dan kecapi. Ketika Tabut itu dibawa masuk ke dalam kota, Mikhal, puteri Raja Saul, menjenguk dari jendela lalu nampak Raja Daud menari-nari dan melompat-lompat dengan gembira. Maka Mikhal berasa jijik melihat Raja Daud. Mereka meletakkan Tabut Perjanjian itu di dalam khemah yang telah disediakan oleh Raja Daud. Kemudian mereka mempersembahkan korban-korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban-korban untuk memohon berkat-Nya. Setelah Raja Daud selesai mempersembahkan korban-korban itu, baginda memberkati umat Israel dengan nama TUHAN, lalu membahagi-bahagikan makanan kepada mereka semua. Setiap orang yang ada di situ, baik lelaki mahupun perempuan diberi sebuku roti, sepotong daging panggang, dan seketul kuih kismis. Raja Daud melantik beberapa orang Lewi untuk memimpin upacara ibadat kepada TUHAN, Allah Israel, di hadapan Tabut Perjanjian. Mereka menyanyikan lagu kesyukuran dan puji-pujian kepada TUHAN. Asaf dilantik sebagai ketua dan Zakharia wakilnya. Yeiel, Semiramot, Yehiel, Matica, Eliab, Benaya, Obed-Edom, dan Yeiel ditugaskan untuk memainkan kecapi. Asaf ditugaskan untuk memainkan simbal, dan dua orang imam, iaitu Benaya dan Yahaziel, ditugaskan secara tetap untuk meniup trompet di hadapan Tabut Perjanjian. Itulah kali pertama Raja Daud menugaskan Asaf dan rakan-rakannya sesama orang Lewi untuk menyanyikan lagu puji-pujian kepada TUHAN. Bersyukurlah kepada TUHAN, isytiharkanlah keagungan-Nya. Ceritakanlah perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa. Nyanyikanlah lagu pujian kepada TUHAN, ceritakanlah segala perbuatan-Nya yang menakjubkan. Dialah TUHAN Yang Esa; bersukacitalah kerana kita milik-Nya; semua orang yang menyembah TUHAN hendaklah bersukacita! Mintalah pertolongan TUHAN; sembahlah Dia sentiasa. [12-13] Hai keturunan Yakub, hamba Allah, hai keturunan Israel, umat pilihan Allah, ingatlah akan mukjizat yang dilakukan Allah, jangan lupakan keputusan yang diberikan-Nya. *** TUHAN ialah Allah kita; perintah-Nya untuk seluruh dunia. Jangan lupakan perjanjian-Nya yang berlaku untuk selama-lamanya, perjanjian yang dibuat-Nya dengan Abraham, dan janji-Nya dengan Ishak, lalu dikekalkan dengan Yakub, menjadi perjanjian abadi bagi umat Israel. Dia berfirman, “Aku akan memberi kamu negeri Kanaan, untuk menjadi milik pusaka kamu.” Dahulu umat Allah kecil bilangannya, mereka hidup sebagai orang asing di negeri Kanaan. Mereka mengembara dari negeri ke negeri, dari sebuah kerajaan ke sebuah kerajaan. Tetapi Allah tidak membiarkan sesiapa pun menindas mereka, kerana mereka, Dia memberikan amaran kepada raja-raja. Dia berfirman, “Jangan ganggu hamba-hamba pilihan-Ku; jangan cederakan nabi-nabi-Ku!” Nyanyikanlah lagu untuk TUHAN, hai segenap bumi! Pada setiap hari siarkanlah berita baik bahawa Dia telah menyelamatkan kita. Isytiharkanlah keagungan-Nya kepada bangsa-bangsa, dan perbuatan-Nya yang mengagumkan umat manusia. TUHAN itu agung, dan mesti dipuji setinggi-tingginya; Dia mesti dihormati lebih daripada semua dewa. Dewa-dewa bangsa lain hanya patung berhala, tetapi TUHAN mencipta angkasa raya. Kemuliaan dan keagungan mengelilingi Dia, tempat kediaman-Nya dipenuhi kuasa dan kegembiraan. Hai semua orang di bumi, pujilah TUHAN! Pujilah keagungan dan keperkasaan-Nya. Pujilah nama TUHAN yang mulia; bawalah persembahan dan masuklah ke dalam kediaman-Nya. Bersujudlah di hadapan TUHAN apabila Dia muncul; gementarlah di hadapan-Nya, hai seluruh bumi! Bumi dikukuhkan dan tidak dapat digoncang. Bersukacitalah, hai bumi dan langit! Beritahulah bangsa-bangsa bahawa TUHAN itu Raja. Berderulah, hai laut, dan segala isimu! Bergembiralah, hai ladang-ladang, dan segala tanamanmu! Pokok-pokok di hutan akan bersorak kegirangan, apabila TUHAN datang untuk memerintah bumi. Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana Dia baik; kasih-Nya kekal abadi. Katakanlah kepada-Nya, “Ya Allah, Penyelamat kami, selamatkanlah kami daripada kekuasaan bangsa-bangsa. Kumpulkanlah kami supaya kami dapat bersyukur dan memuji nama-Mu yang suci!” Pujilah TUHAN, Allah Israel! Pujilah Dia sekarang dan selama-lamanya! Raja Daud melantik Asaf dan sesamanya orang Lewi supaya mereka bertugas secara tetap dalam pengurusan hal-hal yang berkaitan dengan ibadat di tempat Tabut Perjanjian TUHAN diletakkan. Setiap hari mereka harus bertugas di situ, dan dibantu oleh Obed-Edom anak Yedutun dan 68 orang lain daripada puaknya. Hosa dan Obed-Edom ialah pengawal pintu-pintu gerbang. Imam Zadok dan imam-imam yang lain ditugaskan untuk mengurus ibadat kepada TUHAN di tempat beribadat di Gibeon. Tiap-tiap pagi dan petang mereka harus mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah, menurut Taurat yang diberikan oleh TUHAN kepada orang Israel. Imam Zadok dan imam-imam itu dibantu oleh Heman dan Yedutun serta beberapa orang lain yang dipilih khas untuk menyanyikan lagu pujian kepada TUHAN kerana kasih-Nya yang kekal abadi. Heman dan Yedutun juga mengurus trompet, simbal, serta alat muzik lain yang dipakai untuk mengiringi lagu-lagu pujian. Anggota-anggota puak Yedutun ditugaskan untuk mengawal pintu-pintu gerbang. Kemudian semua orang pulang ke rumah masing-masing. Raja Daud juga pulang untuk bersama-sama keluarga baginda. Pada suatu hari, apabila Raja Daud sudah menetap di istana baginda, Raja Daud memanggil Nabi Natan dan bertitah, “Lihat, beta tinggal di istana yang dibuat daripada kayu sedar, sedangkan Tabut Perjanjian TUHAN hanya di dalam khemah!” Natan menjawab, “Lakukanlah apa saja kehendak tuanku kerana Allah menyertai tuanku.” Tetapi pada malam itu Allah berfirman kepada Natan, “Pergi sampaikan firman-Ku ini kepada hamba-Ku Daud, ‘Bukan engkau yang akan membina rumah bagi-Ku. Sejak Aku membebaskan umat Israel dari Mesir sampai sekarang, belum pernah Aku tinggal di dalam sebuah rumah. Aku selalu tinggal di dalam khemah dan berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Selama perjalanan-Ku dengan umat Israel, belum pernah Aku bertanya kepada sesiapa pun pemimpin yang telah Aku lantik, apa sebabnya mereka tidak membina rumah daripada kayu sedar untuk Aku.’ Oleh itu beritahulah hamba-Ku Daud bahawa Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepadanya, ‘Aku telah mengambil engkau daripada pekerjaanmu sebagai gembala domba di padang, dan menjadikan engkau raja umat-Ku Israel. Aku telah menyertai engkau ke mana sahaja engkau pergi, dan Aku telah mengalahkan semua musuhmu ketika engkau berperang. Aku akan menjadikan engkau termasyhur seperti pemimpin-pemimpin terbesar di dunia. [9-10] Aku telah memilih satu negeri bagi umat-Ku Israel, dan Aku telah menempatkan mereka di sana. Mereka tidak akan ditindas lagi oleh sesiapa pun. Sejak mereka menduduki negeri itu, dan sebelum mereka mempunyai raja, mereka telah diserang oleh orang kejam, tetapi mulai sekarang hal itu tidak akan berulang lagi. Aku berjanji akan mengalahkan semua musuhmu, dan Aku akan memberi engkau keturunan. *** Apabila tiba kematianmu, dan engkau dikebumikan di kubur nenek moyangmu, Aku akan melantik salah seorang anak lelakimu menjadi raja, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya. Dialah yang akan membina rumah bagi-Ku, dan Aku akan memastikan supaya untuk selama-lamanya seorang daripada keturunannya akan memerintah sebagai raja. Aku akan menjadi Bapanya, dan dia akan menjadi anak-Ku. Aku akan tetap berbuat baik kepadanya sesuai dengan janji-Ku. Janji-Ku kepadanya akan tetap Kupegang, dan tidak seperti yang Kulakukan kepada Saul yang telah Kusingkirkan daripada kedudukannya supaya engkau dapat menjadi raja. Anak lelakimu yang Aku pilih itu akan Kujadikan raja umat-Ku dan atas kerajaan-Ku untuk selama-lamanya, dan anak cucunya turun-temurun akan memerintah sebagai raja.’ ” Natan memberitahu Raja Daud segala yang dinyatakan Allah kepadanya. Kemudian Raja Daud masuk ke dalam Khemah TUHAN. Raja Daud duduk lalu berdoa, “Ya TUHAN Allah, aku dan keluargaku tidak layak menerima segala kebaikan yang Engkau tunjukkan kepadaku selama ini. Namun sekarang Engkau melakukan lebih daripada semua itu; Engkau telah membuat janji tentang keturunanku pada masa hadapan. Bahkan Engkau, ya TUHAN Allah, telah memperlakukan aku sebagai seorang pembesar. Apa lagi yang dapat kukatakan kepada-Mu! Engkau mengetahui segala sesuatu tentang diri hamba-Mu ini, namun Engkau memberikan penghormatan kepadaku. Oleh sebab kehendak-Mu dan rancangan-Mu, Engkau melakukan semua perbuatan besar ini bagiku, dan untuk menunjukkan kebesaranku pada masa akan datang, kepadaku. Ya TUHAN, tidak ada yang sama dengan Engkau; sejak dahulu, kami telah mengetahui bahawa Engkau satu-satunya Allah. Di seluruh bumi tidak ada bangsa seperti Israel, yang telah Engkau selamatkan daripada perhambaan, untuk menjadikan mereka umat-Mu sendiri. Perbuatan besar dan ajaib yang Engkau lakukan bagi mereka, menjadikan nama-Mu termasyhur di seluruh dunia. Engkau membebaskan umat-Mu dari Mesir, dan mengusir bangsa-bangsa lain ketika umat-Mu maju bertempur. Engkau telah menjadikan Israel, umat-Mu sendiri selama-lamanya. Engkau, ya TUHAN, menjadi Allah mereka. Sekarang, ya TUHAN, tepatilah janji yang Engkau ucapkan tentang diriku dan keturunanku, untuk sepanjang masa. Laksanakanlah apa yang telah Engkau janjikan itu. Engkau akan termasyhur selama-lamanya, dan untuk selama-lamanya orang akan berkata, ‘TUHAN Yang Maha Kuasa ialah Allah umat Israel.’ Oleh itu, Engkau akan memastikan supaya seorang daripada keturunanku memerintah sebagai raja sepanjang masa. Aku berani berdoa demikian, ya Allahku, kerana Engkau telah menyatakan semua itu kepadaku, hamba-Mu. Engkau telah memberitahu aku bahawa keturunanku akan Engkau jadikan raja-raja bangsa ini. Ya TUHAN, Engkaulah Allah, dan Engkau telah menjanjikan perkara yang indah ini untuk aku. Aku mohon, sudilah memberkati keturunanku supaya mereka tetap merasakan kasih-Mu selama-lamanya. Engkau, ya TUHAN, telah memberkati mereka dan Engkau akan tetap memberkati mereka sampai selama-lamanya.” Beberapa waktu kemudian, Raja Daud menyerang dan mengalahkan orang Filistin, serta merebut kota Gat dan pekan-pekan di sekitarnya. Raja Daud juga mengalahkan orang Moab sehingga mereka takluk dan membayar ufti kepadanya. Kemudian Raja Daud mengalahkan Raja Hadadezer, pemerintah di Zoba dekat wilayah Hamat di negeri Siria. Pada masa itu Raja Hadadezer dalam perjalanan untuk menguasai wilayah dekat hulu Sungai Efrat. Raja Daud merampas 1,000 buah kereta kuda, dan menawan 7,000 orang tentera berkuda serta 20,000 orang tentera berjalan kaki. Baginda melumpuhkan semua kuda, kecuali beberapa ekor, yang cukup untuk menarik 100 buah kereta kuda. Apabila orang Siria dari Damsyik mengirim tentera untuk menolong Raja Hadadezer, Raja Daud menyerang tentera itu dan membunuh 22,000 orang. Kemudian Raja Daud mendirikan perkhemahan tentera di wilayah mereka, lalu mereka takluk dan membayar ufti kepada baginda. TUHAN memberikan kemenangan kepada Raja Daud di mana sahaja baginda berperang. Raja Daud merampas perisai-perisai emas yang digunakan oleh para pegawai Raja Hadadezer, lalu membawa semuanya ke Yerusalem. Selain itu Raja Daud juga menjarah banyak sekali gangsa dari Tibhat dan Kun, kota-kota yang dahulu dikuasai oleh Raja Hadadezer. (Pada kemudian hari, gangsa itu digunakan oleh Raja Salomo untuk membuat tangki, tiang-tiang, dan perkakas ibadat di Rumah TUHAN.) Raja Tou, pemerintah negeri Hamat, mendengar bahawa Raja Daud telah mengalahkan segenap tentera Raja Hadadezer. Oleh itu Raja Tou mengutus Yoram, puteranya untuk menyampaikan salam kepada Raja Daud dan mengucapkan tahniah atas kemenangannya terhadap Raja Hadadezer. Raja Tou sendiri telah banyak kali berperang melawan Raja Hadadezer. Yoram menghadap Raja Daud dengan membawa banyak hadiah daripada emas, perak, dan gangsa. Raja Daud mempersembahkan semua hadiah itu kepada TUHAN untuk digunakan dalam upacara ibadat. Demikian juga yang dilakukan oleh Raja Daud dengan barang-barang perak dan emas yang telah dijarahnya daripada bangsa-bangsa yang dikalahkan baginda, iaitu bangsa Edom, Moab, Amon, Filistin, dan Amalek. Abisai, (ibunya bernama Zeruya) mengalahkan dan membunuh 18,000 orang Edom di Lembah Asin, lalu mendirikan perkhemahan tentera di seluruh negeri Edom. Oleh itu orang Edom takluk kepada Raja Daud. TUHAN memberikan kemenangan kepada Raja Daud di mana sahaja baginda berperang. Raja Daud memerintah seluruh Israel dan memastikan supaya rakyatnya selalu diperlakukan dengan adil dan baik. [15-17] Inilah pegawai-pegawai tinggi yang dilantik oleh Raja Daud: Panglima angkatan tentera: — Yoab, abang Abisai Setiausaha negara: — Yosafat anak Ahilud Imam-imam: — Zadok anak Ahitub dan Ahimelekh anak Abyatar Setiausaha istana: — Sausa Ketua pengawal peribadi raja: — Benaya anak Yoyada Sausa: Putera-putera Raja Daud memegang jawatan penting dalam pemerintahan baginda. Beberapa waktu kemudian, Raja Nahas, pemerintah negeri Amon mangkat, lalu Hanun, putera baginda menjadi raja. Raja Daud bertitah, “Raja Nahas ialah sahabat beta yang setia. Oleh itu beta juga harus setia bersahabat dengan Hanun, puteranya.” Oleh itu Raja Daud mengirim utusan-utusan untuk mengucapkan takziah kepada Raja Hanun kerana kemangkatan ayahanda baginda. Apabila utusan-utusan itu tiba di Amon, para pemimpin negeri Amon berkata kepada Raja Hanun, “Janganlah tuanku berfikir bahawa Raja Daud mengirim utusan-utusan itu untuk menyampaikan takziah kerana baginda hendak menghormati ayahanda tuanku. Raja Daud mengirim semua orang itu ke sini sebagai pengintip untuk menyelidiki negeri kita, supaya dapat merampasnya!” Raja Hanun menangkap para utusan Raja Daud, lalu mencukur janggut mereka, memotong pakaian mereka sependek punggung, kemudian menyuruh mereka pergi. Para utusan itu sangat malu untuk pulang. Apabila hal itu diberitahukan kepada Raja Daud, baginda mengirim pesan supaya utusan-utusan itu tinggal di Yerikho sehingga janggut mereka tumbuh semula. Kemudian Raja Hanun dan orang Amon sedar bahawa mereka telah menjadikan Raja Daud musuh mereka. Oleh itu mereka membayar 34,000 kilogram perak untuk menyewa kereta kuda dan pemandu-pemandu dari Hulu Mesopotamia, dan juga dari Maakha dan Zoba di negeri Siria. Kereta kuda sebanyak 32,000 buah yang disewa mereka itu, serta tentera raja Maakha datang berkhemah dekat Medeba. Orang Amon juga keluar dari semua kota mereka dan bersedia untuk berperang. Apabila Raja Daud mendengar perkara itu, baginda menyuruh Yoab dengan segenap angkatan tentera supaya maju melawan musuh. Orang Amon keluar dan mengatur tentera mereka di hadapan pintu gerbang Raba, ibu kota mereka; sedangkan raja-raja yang datang untuk membantu mereka, mengatur tentera mereka di padang. Yoab menyedari bahawa dia terjepit oleh pasukan musuh di hadapan dan di belakang. Oleh itu dia memilih askar-askar Israel yang terbaik dan menempatkan mereka berhadapan dengan tentera Siria. Yoab menyerahkan pasukan askar yang lain kepada adiknya, Abisai. Abisai menempatkan mereka di hadapan tentera Amon. Yoab berkata kepada adiknya, “Jika aku tidak sanggup mengalahkan tentera Siria, cepatlah datang menolong aku. Sebaliknya, jika engkau tidak sanggup mengalahkan tentera Amon, aku akan datang menolong engkau. Tabahkan hati! Marilah kita berjuang dengan berani untuk bangsa kita dan untuk kota-kota Allah kita. Semoga TUHAN melaksanakan apa yang dikehendaki-Nya.” Yoab dan pasukannya maju berperang, sehingga tentera Siria lari. Apabila tentera Amon nampak tentera Siria lari, mereka meninggalkan Abisai lalu masuk ke dalam kota. Kemudian Yoab pulang ke Yerusalem. Orang Siria menyedari bahawa mereka telah dikalahkan oleh orang Israel. Oleh itu mereka memanggil tentera mereka yang berada di sebelah timur Sungai Efrat, lalu menyuruh mereka pergi berperang di bawah pimpinan Sobakh, panglima tentera Raja Hadadezer, pemerintah di Zoba. Apabila Raja Daud mendengar hal itu, baginda mengumpulkan segenap pasukan Israel, lalu menyeberangi Sungai Yordan dan mengatur tentera baginda berhadapan dengan tentera Siria. Mereka mula bertempur. Tentera Israel memukul mundur tentera Siria. Raja Daud dan tentera baginda membunuh 7,000 orang pemandu kereta kuda dan 40,000 orang daripada pasukan berjalan kaki. Mereka juga membunuh Sobakh, panglima tentera Siria. Apabila raja-raja yang di bawah kuasa Raja Hadadezer menyedari bahawa mereka telah dikalahkan oleh tentera Israel, raja-raja itu berdamai dengan Raja Daud dan takluk kepada kuasa baginda. Sejak itu orang Siria tidak mahu lagi membantu orang Amon. Pada musim bunga yang berikutnya, pada masa raja-raja biasanya pergi berperang, Yoab mengerahkan tenteranya dan menyerang negeri Amon, tetapi Raja Daud tinggal di Yerusalem. Yoab dan tenteranya mengepung kota Raba, lalu menyerang serta memusnahkannya. Kemudian Raja Daud datang dan mengambil banyak sekali barang jarahan dari kota itu. Antara barang-barang itu ada mahkota raja Amon. Mahkota itu beratnya kira-kira 34 kilogram dan bertatah sebiji permata. Raja Daud mengambil permata itu dan memasangkannya pada mahkotanya sendiri. Kemudian Raja Daud mengumpulkan penduduk kota Raba dan memaksa mereka bekerja dengan menggunakan gergaji, cangkul besi, dan kapak. Raja Daud melakukan hal yang sama terhadap kota-kota Amon yang lain. Kemudian Raja Daud dan segenap tenteranya kembali ke Yerusalem. Beberapa waktu kemudian, peperangan berlaku lagi terhadap orang Filistin di Gezer. Dalam salah satu pertempuran, Sibkhai orang Husa membunuh seorang raksasa bernama Sipai, maka orang Filistin dikalahkan. Dalam pertempuran lain terhadap orang Filistin, Elhanan anak Yair membunuh Lahmi, saudara Goliat orang Gat. Gagang tombak Lahmi sebesar kayu alat tenun. Dalam pertempuran yang lain lagi di Gat, ada seorang raksasa yang mempunyai enam batang jari pada setiap tangan dan kakinya. Dia keturunan raksasa zaman dahulu. Dia mengejek orang Israel, oleh itu Yonatan membunuh dia. Yonatan anak Simea, abang Raja Daud. Ketiga-tiga orang yang dibunuh oleh Raja Daud dan pasukannya itu keturunan raksasa di Gat. Iblis hendak menyusahkan orang Israel; oleh itu dia membujuk Raja Daud supaya membanci penduduk Israel. Raja Daud memerintah Yoab dan pegawai-pegawainya yang lain, “Bancilah penduduk di seluruh pelosok Israel, kerana beta ingin tahu jumlah rakyat Israel.” Yoab menjawab, “Semoga TUHAN melipatgandakan bilangan rakyat Israel sampai seratus kali ganda daripada bilangan yang ada sekarang ini. Tuanku, tidakkah jelas bahawa mereka takluk kepada tuanku? Mengapa harus mengadakan pembancian? Nanti, kerana kesalahan itu, segenap bangsa akan menanggung akibatnya!” Namun raja tetap berpegang pada perintahnya, maka Yoab pergi ke seluruh pelosok Israel, kemudian kembali ke Yerusalem. Yoab melaporkan hasil pembancian itu kepada Raja Daud. Jumlah lelaki yang memenuhi syarat untuk masuk tentera adalah 1,100,000 orang di Israel dan 470,000 orang di Yehuda. Tetapi suku Lewi dan suku Benyamin tidak termasuk jumlah itu. Yoab tidak membanci mereka kerana dia tidak bersetuju dengan perintah raja itu. Allah murka kerana apa yang telah berlaku, maka Dia menghukum orang Israel. Kemudian Raja Daud berdoa kepada Allah, “Ya Allah, aku sudah melakukan dosa besar! Ampunilah aku, kerana tindakanku itu sangat bodoh.” Kemudian TUHAN berfirman kepada Gad, nabi yang berkhidmat kepada Raja Daud, “Pergilah beritahu Raja Daud bahawa Aku memberi dia tiga pilihan. Apa sahaja yang dipilihnya akan Kulakukan.” Gad menghadap Raja Daud dan menyampaikan firman TUHAN itu, katanya, “Yang mana satu pilihan tuanku? Negeri ini ditimpa bencana kebuluran selama tiga tahun, atau tuanku lari dikejar musuh selama tiga bulan, atau selama tiga hari seluruh negeri ini diserang oleh TUHAN dengan pedang-Nya yang berupa wabak dan malaikat-Nya membawa maut ke serata tempat. Jawapan apakah yang harus hamba sampaikan kepada TUHAN?” Raja Daud bertitah kepada Gad, “Keadaan beta sungguh terdesak! Janganlah manusia menghukum beta. Lebih baik TUHAN sendiri yang menghukum beta, kerana rahmat-Nya besar.” Oleh itu TUHAN mendatangkan wabak kepada orang Israel sehingga 70,000 orang antara mereka mati. Kemudian TUHAN mengutus satu malaikat untuk memusnahkan Yerusalem. Tetapi ketika malaikat itu berada dekat tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna orang Yebusi, TUHAN mengubah keputusan-Nya untuk menghukum Yerusalem. Dia berfirman kepada malaikat itu, “Cukuplah! Berhenti!” Raja Daud nampak malaikat itu berdiri di antara langit dan bumi, sambil memegang pedang yang terhunus, sedia untuk memusnahkan Yerusalem. Maka Raja Daud dan para pemimpin, yang berpakaian kain guni sebagai tanda menyesal, sujud ke tanah. Raja Daud berdoa, “Ya Allah, akulah yang bersalah. Akulah yang menyuruh orang mengadakan pembancian itu. Apakah kesalahan bangsa ini? Ya TUHAN, Allahku, hukumlah aku dan keluargaku, tetapi jauhkanlah malapetaka ini daripada umat-Mu.” Kemudian malaikat TUHAN menyuruh Gad memberitahu Raja Daud supaya pergi ke tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna dan mendirikan mazbah bagi TUHAN di situ. Oleh itu Raja Daud pergi menurut perintah TUHAN yang disampaikan oleh Gad kepadanya. Di tempat mengirik gandum, Arauna dan empat orang anak lelakinya sedang mengirik gandum. Apabila mereka nampak malaikat itu, keempat-empat orang anak Arauna lari menyembunyikan diri. Ketika Arauna nampak Raja Daud datang, dia menyambut baginda dan sujud di hadapan baginda. Raja Daud bertitah kepadanya, “Beta mahu mendirikan mazbah untuk TUHAN di tempat ini. Oleh itu juallah tanah ini kepada beta. Katakanlah berapa harganya, dan beta akan membayarnya.” “Tuanku, ambillah,” jawab Arauna, “lakukanlah segala kehendak tuanku. Ambillah lembu-lembu ini sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan gunakanlah papan pengirik sebagai kayu api. Ambillah gandum untuk dipersembahkan sebagai korban bijirin. Hamba memberikan semuanya kepada tuanku. Tuanku tidak usah membayar harganya.” Tetapi raja menjawab, “Tidak, beta mahu membelinya dengan sepenuh harga. Beta tidak mahu mempersembahkan milik kamu kepada TUHAN, atau sesuatu yang beta dapat dengan percuma.” Kemudian Raja Daud membayar 600 keping wang emas kepada Arauna untuk tempat itu. Raja Daud membina sebuah mazbah bagi TUHAN di situ, lalu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Kemudian baginda berdoa dan TUHAN mengabulkan doanya dengan menurunkan api dari langit untuk membakar korban-korban di atas mazbah itu. TUHAN menyuruh malaikat menyarungkan pedangnya, maka malaikat itu taat. Raja Daud melihat bahawa TUHAN telah mengabulkan doanya, maka baginda mempersembahkan korban di atas mazbah itu. Pada masa itu Khemah TUHAN yang dibuat oleh Musa di padang gurun, dan mazbah tempat mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, masih di tempat ibadat di Gibeon. Tetapi Raja Daud tidak berani pergi ke sana untuk menyembah Allah, kerana baginda takut akan pedang malaikat TUHAN. Oleh itu Raja Daud bertitah, “Di tempat inilah Rumah TUHAN Allah harus dibina, dan di mazbah inilah orang Israel harus mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN.” Raja Daud memberikan perintah supaya semua orang asing yang tinggal di negeri Israel berkumpul, lalu baginda menyuruh mereka bekerja. Sebilangan daripada mereka memahat batu untuk membina Rumah TUHAN. Raja Daud menyediakan banyak sekali besi untuk membuat paku dan engsel bagi pintu-pintu gerbang Rumah TUHAN. Baginda juga menyediakan begitu banyak gangsa sehingga tidak dapat ditimbang. Raja Daud memesan sejumlah besar kayu sedar daripada orang Tirus dan Sidon. Raja Daud melakukan semuanya kerana baginda berfikir begini, “Aku harus menyediakan apa yang diperlukan untuk pembinaan Rumah TUHAN. Salomo, puteraku masih muda dan kurang pengalaman, sedangkan Rumah TUHAN yang akan dibina itu harus sangat indah dan termasyhur di seluruh dunia.” Oleh itu sebelum Raja Daud mangkat, baginda menyediakan banyak sekali bahan binaan. Raja Daud memanggil Salomo, putera baginda dan memerintah dia untuk membina sebuah rumah bagi TUHAN Allah yang disembah umat Israel. Raja Daud bertitah kepada Salomo, “Hai putera beta, telah lama beta berniat membina sebuah rumah untuk menghormati TUHAN Allah beta. Tetapi TUHAN berfirman bahawa beta terlalu sering bertempur dan telah membunuh banyak orang. Oleh itu Dia tidak membenarkan beta membina rumah untuk-Nya. Meskipun begitu Dia telah berjanji kepada beta. Firman-Nya, ‘Engkau akan mendapat seorang anak lelaki, dan dia akan memerintah dengan aman kerana Aku akan menolong dia sehingga tiada musuh yang memerangi dia. Dia akan dinamakan Salomo, kerana pada zaman pemerintahannya, Aku akan membuat Israel aman dan tenteram. Anakmu itu akan membina rumah untuk-Ku. Dia akan menjadi anak-Ku dan Aku menjadi Bapanya. Takhta kerajaan Israel akan tetap pada keturunannya sampai selama-lamanya.’ ” Raja Daud bertitah lagi, “Oleh itu, hai putera beta, semoga TUHAN, Allahmu selalu menyertai engkau. Semoga engkau berjaya membina rumah untuk TUHAN seperti yang telah dijanjikan-Nya. Semoga TUHAN, Allahmu memberikan pengertian dan kebijaksanaan kepadamu, supaya engkau dapat memerintah Israel menurut Taurat-Nya. Jika engkau mentaati semua hukum yang diberikan TUHAN kepada Israel dengan perantaraan Musa, engkau akan berjaya. Engkau harus yakin dan berani. Jangan takut menghadapi apa-apa pun. Tentang Rumah TUHAN itu, beta telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengumpulkan lebih daripada 3,400 tan emas dan lebih daripada 34,000 tan perak. Selain itu ada gangsa dan besi yang tidak terbilang banyaknya. Kayu dan batu pun telah beta sediakan, tetapi engkau harus menambahkannya lagi. Engkau mempunyai banyak orang pekerja. Ada orang yang dapat bekerja di kuari, ada tukang kayu, tukang batu, dan banyak sekali tukang yang lain seperti tukang emas, tukang perak, tukang gangsa, dan tukang besi. Mulakanlah pekerjaan itu dengan segera! Semoga TUHAN menyertai engkau.” Raja Daud memerintah semua pemimpin Israel untuk menolong Salomo. Raja Daud bertitah, “TUHAN Allah kamu telah menolong kamu. Dia telah memberi kamu keamanan di seluruh negeri. Dia telah membolehkan beta mengalahkan semua bangsa yang dahulu tinggal di negeri ini. Sekarang mereka takluk kepada kamu dan kepada TUHAN. Oleh itu, hendaklah kamu mengabdikan diri kepada TUHAN Allah kamu dengan segenap hati dan segenap jiwa. Mulalah membina rumah untuk TUHAN supaya Tabut Perjanjian-Nya dan semua perkakas lain yang digunakan khas untuk ibadat dapat disimpan di situ.” Apabila Raja Daud sudah sangat tua, baginda melantik puteranya, Salomo, menjadi raja Israel. Raja Daud mengumpulkan semua pemimpin Israel, imam, dan orang Lewi, lalu membanci semua orang lelaki suku Lewi yang berumur tiga puluh tahun ke atas. Jumlah mereka 38,000 orang. Kemudian 24,000 orang antara mereka ditugaskan oleh Raja Daud untuk mengurus pekerjaan di Rumah TUHAN, 6,000 orang untuk mengurus pentadbiran dan mengadili perselisihan, 4,000 orang sebagai pengawal, dan 4,000 orang untuk memuji TUHAN dengan alat-alat muzik yang disediakan oleh raja. Raja Daud membahagikan orang Lewi kepada tiga kumpulan menurut puak mereka: Gerson, Kehat, dan Merari. Gerson mempunyai dua orang anak lelaki, iaitu Ladan dan Simei. Ladan mempunyai tiga orang anak lelaki: Yehiel, Zetam, dan Yoel. Mereka ketua puak keturunan Ladan. (Simei mempunyai tiga orang anak lelaki: Selomit, Haziel, dan Haran.) [10-11] Empat orang anak lelaki Simei menurut urutan umur mereka ialah Yahat, Zina, Yeus, dan Beria. Keturunan Yeus dan Beria tidak banyak, maka mereka dianggap satu puak. *** Kehat mempunyai empat orang anak lelaki: Amram, Yizhar, Hebron, dan Uziel. Anak sulung Kehat, iaitu Amram, ialah bapa Harun dan Musa. (Untuk selama-lamanya, Harun dan keturunannya telah dikhaskan untuk mengurus peralatan ibadat, membakar kemenyan bagi TUHAN, mengabdikan diri kepada-Nya, dan memberkati rakyat dengan nama TUHAN. Anak-anak lelaki Musa, hamba Allah itu, tergolong kepada suku Lewi.) Musa mempunyai dua orang anak lelaki, Gersom dan Eliezer. Orang yang menjadi pemimpin antara anak-anak Gersom ialah Sebuel. Eliezer hanya mempunyai seorang anak lelaki, iaitu Rehabya, tetapi Rehabya mempunyai banyak sekali anak. Yizhar, anak lelaki Kehat yang kedua, mempunyai seorang anak lelaki bernama Selomit, yang menjadi ketua puak. Hebron, anak lelaki Kehat yang ketiga, mempunyai empat orang anak lelaki: Yeria, Amarya, Yahaziel, dan Yekameam. Uziel, anak lelaki Kehat yang keempat, mempunyai dua orang anak lelaki, Mikha dan Yisia. Merari mempunyai dua orang anak lelaki, Mahli dan Musi. Mahli juga mempunyai dua orang anak lelaki, Eleazar dan Kish, tetapi Eleazar mati tanpa mempunyai anak lelaki; dia hanya mempunyai anak-anak perempuan. Anak-anak perempuannya itu berkahwin dengan saudara-saudara sepupu mereka, iaitu anak-anak lelaki Kish. Musi, anak lelaki Merari yang kedua, mempunyai tiga orang anak lelaki: Mahli, Eder, dan Yeremot. Itulah nama-nama keturunan Lewi yang tercatat menurut nama ketua puak dan keluarga masing-masing. Mereka berumur dua puluh tahun ke atas dan mendapat tugas di Rumah TUHAN. Raja Daud bertitah, “TUHAN Allah Israel, telah memberikan keamanan kepada umat-Nya, dan Dia sendiri tinggal di Yerusalem untuk selama-lamanya. Oleh itu tidak perlu lagi orang Lewi memikul Khemah TUHAN dan semua perkakas yang digunakan untuk ibadat.” Berdasarkan perintah-perintah terakhir daripada Raja Daud, semua orang Lewi harus didaftarkan untuk bertugas apabila berumur dua puluh tahun. Mereka harus membantu imam-imam keturunan Harun dalam penyelenggaraan upacara ibadat di Rumah TUHAN, memelihara halaman dan bilik di Rumah TUHAN, serta menjaga segala sesuatu yang telah dikhaskan untuk TUHAN supaya tidak menjadi najis. Mereka juga bertanggungjawab terhadap hal-hal yang berikut: roti yang dipersembahkan kepada Allah, tepung terbaik yang digunakan untuk persembahan, kuih nipis yang dibuat tanpa ragi, persembahan yang dibakar, dan tepung yang dicampur dengan minyak zaitun. Mereka juga harus menimbang dan menakar persembahan yang dibawa ke Rumah TUHAN. Selain itu mereka harus menyanyi untuk memuji TUHAN tiap-tiap pagi dan petang, dan tiap-tiap kali apabila korban dibakar untuk TUHAN pada hari Sabat, pada perayaan Bulan Baru, dan pada perayaan-perayaan yang lain. Jumlah orang Lewi yang harus bertugas pada setiap kali, juga ada peraturannya. Orang Lewi harus menjalankan tugas itu selama-lamanya. Mereka ditugaskan juga untuk memelihara Khemah TUHAN dan Rumah TUHAN, serta menolong saudara-saudara mereka, iaitu imam-imam keturunan Harun, dalam penyelenggaraan ibadat di tempat itu. [1-3] Harun mempunyai empat orang anak lelaki: Nadab, Abihu, Eleazar, dan Itamar. Nadab dan Abihu meninggal lebih dahulu daripada bapa mereka tanpa mempunyai anak. Oleh itu saudara-saudara mereka, Eleazar dan Itamar, menjadi imam. Raja Daud membahagikan keturunan Harun kepada kumpulan-kumpulan menurut tugas mereka. Dalam pembahagian itu Raja Daud dibantu oleh Zadok keturunan Eleazar dan oleh Ahimelekh keturunan Itamar. *** *** Keturunan Eleazar dibahagikan kepada enam belas kumpulan, sedangkan keturunan Itamar dibahagikan kepada lapan kumpulan, kerana dalam keturunan Eleazar ada lebih banyak lelaki yang menjadi ketua keluarga. Oleh sebab di kalangan keturunan Eleazar dan Itamar ada yang menjadi pegawai-pegawai di Rumah TUHAN dan pemimpin-pemimpin agama, pembahagian tugas dilaksanakan dengan cara undi. Keturunan Eleazar dan Itamar bergilir-gilir membuang undi. Lalu nama-nama mereka dicatat oleh seorang setiausaha yang bernama Semaya anak Netaneel, orang Lewi. Semuanya dilaksanakan di hadapan raja bersama-sama para pegawainya, Imam Zadok, Ahimelekh anak Abyatar, serta ketua-ketua keluarga golongan imam, dan ketua-ketua keluarga golongan Lewi. [7-18] Inilah nombor susunan giliran tugas menurut keputusan undian bagi dua puluh empat kumpulan itu: 1. Yoyarib — 13. Hupa 2. Yedaya — 14. Yesebeab 3. Harim — 15. Bilga 4. Seorim — 16. Imer 5. Malkia — 17. Hezir 6. Miyamin — 18. Hapizes 7. Hakos — 19. Petahya 8. Abia — 20. Yehezkiel 9. Yesua — 21. Yakhin 10. Sekhanya — 22. Gamul 11. Elyasib — 23. Delaya 12. Yakim — 24. Maazya *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** Nama semua orang itu dicatat menurut giliran mereka untuk masuk ke Rumah TUHAN dan melaksanakan tugas ibadat yang telah ditetapkan oleh Harun, nenek moyang mereka, menurut perintah TUHAN, Allah Israel. Selain itu, dalam keturunan Lewi termasuk juga ketua-ketua keluarga yang berikut: Yehdeya, keturunan Amram daripada jurai keturunan Subael; Yisia, keturunan Rehabya; Yahat, keturunan Yizhar daripada jurai keturunan Selomot; Yeria, Amarya, Yahaziel, dan Yekameam anak-anak Hebron menurut urutan umur mereka; Samir, keturunan Uziel daripada jurai keturunan Mikha; Zakharia, keturunan Uziel daripada jurai keturunan Yisia saudara Mikha; Mahli, Musi, dan Yaazia, keturunan Merari. Yaazia mempunyai tiga orang anak lelaki: Syoham, Zakur, dan Hibri. [28-29] Mahli mempunyai dua orang anak lelaki bernama Eleazar dan Kish. Eleazar tidak mempunyai anak lelaki, tetapi Kish mempunyai seorang anak lelaki bernama Yerahmeel. *** Musi mempunyai tiga orang anak lelaki: Mahli, Eder, dan Yerimot. Itulah keluarga-keluarga dalam suku Lewi. Untuk menentukan giliran tugas mereka, setiap ketua keluarga bersama-sama seorang adiknya yang lelaki membuang undi seperti yang dilakukan oleh sanak saudara mereka, iaitu para imam keturunan Harun. Pembuangan undi itu disaksikan oleh Raja Daud bersama-sama Zadok, Ahimelekh, serta ketua-ketua keluarga daripada golongan imam dan golongan orang Lewi. Untuk memimpin upacara-upacara ibadat, Raja Daud dan para pemimpin orang Lewi memilih puak-puak daripada suku Lewi yang berikut: Asaf, Heman, dan Yedutun. Mereka ditugaskan untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah dengan diiringi kecapi, gambus, dan simbal. Untuk memimpin ibadat dengan upacaranya, dipilih kumpulan-kumpulan yang berikut: Empat orang anak lelaki Asaf: Zakur, Yusuf, Netanya, dan Asarela. Pemimpin mereka ialah Asaf, yang menyampaikan perkhabaran daripada Allah, apabila disuruh oleh raja. Enam orang anak lelaki Yedutun: Gedalya, Zeri, Yesaya, Simei, Hasabya, dan Matica. Di bawah pimpinan bapa mereka, mereka menyampaikan perkhabaran daripada Allah dengan diiringi kecapi. Mereka menyanyikan lagu pujian dan lagu kesyukuran kepada TUHAN. Empat belas orang anak lelaki Heman: Bukia, Matanya, Uziel, Sebuel, Yerimot, Hananya, Hanani, Eliata, Gidalti, Romamti-Ezer, Yosbekasa, Maloti, Hotir, dan Mahaziot. Heman ialah nabi peribadi raja. TUHAN mengurniakan empat belas orang anak lelaki itu dan tiga orang anak perempuan kepada Heman kerana TUHAN telah berjanji untuk memberikan kedudukan terhormat kepadanya. Semua anak lelaki Heman itu memainkan simbal, kecapi, dan gambus di bawah pimpinan bapa mereka untuk mengiringi upacara ibadat di dalam Rumah TUHAN. Asaf, Yedutun, dan Heman mendapat tugas menurut petunjuk daripada raja. Kesemua 24 orang lelaki itu dan sanak saudara mereka ialah ahli muzik yang terlatih. Mereka semua berjumlah 288 orang. Untuk menentukan giliran bertugas, mereka semua membuang undi, baik yang muda mahupun yang tua, baik yang berpengalaman mahupun yang baru belajar. [9-31] Kesemua 288 orang itu dibahagikan kepada 24 kumpulan menurut keluarga masing-masing. Tiap-tiap kumpulan terdiri daripada 12 orang di bawah pimpinan seorang pemimpin. Inilah susunan nama mereka menurut giliran bertugas: 1. Yusuf daripada keluarga Asaf — 13. Subael 2. Gedalya — 14. Matica 3. Zakur — 15. Yeremot 4. Yizri — 16. Hananya 5. Netanya — 17. Yosbekasa 6. Bukia — 18. Hanani 7. Yesarela — 19. Maloti 8. Yesaya — 20. Eliata 9. Matanya — 21. Hotir 10. Simei — 22. Gidalti 11. Azareel — 23. Mahaziot 12. Hasabya — 24. Romamti-Ezer. Inilah pembahagian tugas untuk orang Lewi yang bertugas sebagai pengawal Rumah TUHAN. Daripada puak Korah, Meselemya anak Kore daripada keluarga Ebyasaf, dipilih. Meselemya mempunyai tujuh orang anak lelaki yang didaftarkan menurut urutan umur: Zakharia, Yediael, Zebaja, Yatniel, Elam, Yohanan, dan Elyoenai. Selanjutnya Obed-Edom dipilih. Dia diberkati oleh Allah dengan lapan orang anak lelaki. Mereka didaftarkan menurut umur: Semaya, Yozabad, Yoah, Sakhar, Netaneel, Amiel, Isakhar, dan Peuletai. [6-7] Anak sulung Obed-Edom, iaitu Semaya, mempunyai enam orang anak lelaki: Otni, Refael, Obed, Elzabad, Elihu, dan Semakhya; semuanya orang penting dalam puak mereka kerana mereka sangat berkebolehan, terutama Elihu dan Semakhya. *** Untuk pekerjaan sebagai pengawal, puak Obed-Edom memberikan 62 orang lelaki yang cukup layak untuk pekerjaan itu. Puak Meselemya memberikan 18 orang berkebolehan. Hosa dipilih daripada puak Merari. Dia mempunyai empat orang anak lelaki: Simri (bapanya melantik dia menjadi pemimpin walaupun dia bukan anak sulung), Hilkia, Tebalya, dan Zakharia. Semuanya ada 13 orang anggota keluarga Hosa yang menjadi pengawal Rumah TUHAN. Para pengawal Rumah TUHAN dibahagi kepada kumpulan-kumpulan menurut puak mereka. Mereka diberi tugas di dalam Rumah TUHAN seperti orang Lewi lain. Tiap-tiap puak, sama ada puak besar ataupun puak kecil, membuang undi untuk menentukan pintu gerbang yang harus dikawal mereka. Selemya mendapat tugas di pintu gerbang sebelah timur. Zakharia anaknya, yang sentiasa memberikan nasihat baik, mendapat tugas di pintu gerbang sebelah utara. Obed-Edom mendapat tugas di pintu gerbang sebelah selatan, dan anak-anaknya mendapat tugas mengawal stor-stor. Supim dan Hosa mendapat tugas di pintu gerbang sebelah barat dan di Pintu Gerbang Syalekhet yang terletak pada jalan yang mendaki. Mereka bertugas bergilir-gilir menurut jangka masa yang ditentukan. Di sebelah timur, tiap-tiap hari ada enam orang pengawal bertugas. Di sebelah utara ada empat orang, dan di sebelah selatan ada empat orang. Tiap-tiap hari stor-stor dikawal oleh empat orang pengawal; dua orang pengawal bagi sebuah stor. Di pavilyun sebelah barat, empat orang mengawal di jalan raya dan dua orang mengawal pavilyun itu. Demikianlah pembahagian tugas pengawal bagi puak Korah dan Merari. Orang lain dalam suku Lewi diberi tanggungjawab mengurus harta benda Rumah TUHAN dan stor tempat menyimpan pemberian-pemberian untuk Allah. Ladan ialah anak lelaki Gerson; dia nenek moyang beberapa kumpulan puak, termasuk puak Yehiel anaknya. Anak-anak Yehiel, iaitu Zetam dan Yoel, diberi tanggungjawab mengurus stor-stor dan perbendaharaan Rumah TUHAN. Keturunan Amram, Yizhar, Hebron, dan Uziel pun mendapat bahagian tugas. Sebuel daripada puak Gersom anak Musa, ialah pengawas perbendaharaan Rumah TUHAN. Sebuel mempunyai hubungan keluarga dengan Selomit melalui Eliezer saudara Gersom. Inilah jurai keturunan Eliezer sampai kepada Selomit: Eliezer, Rehabya, Yesaya, Yoram, Zikhri, Selomit. Selomit dan sanak saudaranya bertanggungjawab mengurus semua pemberian yang dipersembahkan oleh Raja Daud, para ketua keluarga, para pemimpin puak, dan para panglima tentera. Sebahagian daripada barang jarahan yang diperoleh dalam pertempuran, dipersembahkan mereka untuk digunakan khas di dalam Rumah TUHAN. Selomit dan keluarganya bertanggungjawab mengurus segala sesuatu yang telah diberikan untuk digunakan khas di dalam Rumah TUHAN, termasuk segala persembahan yang telah diberikan oleh Nabi Samuel, Raja Saul, Abner anak Ner, dan Yoab anak Zeruya. Keturunan Yizhar, iaitu Kenanya serta anak-anaknya, diberi tugas pentadbiran dan tugas pengadilan di Israel. Segala urusan keagamaan dan pemerintahan di Israel bahagian barat Sungai Yordan diserahkan kepada Hasabya, dan kepada 1,700 sanak saudaranya; mereka semua orang terkemuka daripada keturunan Hebron. Pemimpin keturunan Hebron ialah Yeria. Pada tahun keempat puluh pemerintahan Raja Daud, suatu penyelidikan tentang keturunan Hebron diadakan. Dalam penyelidikan itu ternyata bahawa di kalangan mereka ada askar-askar perkasa yang tinggal di Yazer di wilayah Gilead. Segala urusan keagamaan dan pemerintahan di Israel sebelah timur Sungai Yordan, iaitu di wilayah suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur, diserahkan kepada 2,700 ketua keluarga Yeria; mereka semua orang terkemuka yang dipilih oleh Raja Daud. [1-15] Ketua-ketua keluarga, para pemimpin puak, dan pegawai-pegawai tentera menjalankan pentadbiran kerajaan Israel. Setiap tahun selama satu bulan, ada satu kumpulan yang bertugas secara bergilir di bawah pimpinan seorang ketua. Tiap-tiap kumpulan terdiri daripada 24,000 orang. Inilah nama para ketua kumpulan yang bertugas untuk setiap bulan: Bulan pertama: Yasobam anak Zabdiel (dia daripada puak Peres, sebahagian daripada suku Yehuda). Bulan kedua: Dodai, keturunan Ahohi. Miklot ialah wakilnya. Bulan ketiga: Benaya anak Imam Yoyada; dia pemimpin Kumpulan Tiga Puluh (Amizabad, anaknya ialah wakilnya.) Bulan keempat: Asael, saudara Yoab (penggantinya ialah Zebaja, anaknya). Bulan kelima: Samhut, keturunan Yizrah. Bulan keenam: Ira anak Ikes dari kota Tekoa. Bulan ketujuh: Heles, keturunan Efraim dari kota Peloni. Bulan kelapan: Sibkhai dari kota Husa (dia daripada puak Zerah, sebahagian daripada suku Yehuda) Bulan kesembilan: Abiezer dari kota Anatot di wilayah suku Benyamin. Bulan kesepuluh: Maharai, keturunan Zerah dari kota Netofa. Bulan kesebelas: Benaya dari kota Piraton di wilayah suku Efraim. Bulan kedua belas: Heldai keturunan Otniel dari kota Netofa. *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** [16-22] Inilah senarai nama ketua suku dalam bangsa Israel: [Suku] — [Ketua] Ruben — Eliezer anak Zikhri Simeon — Sefaca anak Maakha Lewi — Hasabya anak Kemuel Harun — Zadok Yehuda — Elihu salah seorang saudara Raja Daud Isakhar — Omri anak Mikhael Zebulon — Yismaya anak Obaja Naftali — Yerimot anak Azriel Efraim — Hosea anak Azazya Manasye Barat — Yoel anak Pedaya Manasye Timur — Yido anak Zakharia Benyamin — Yaasiel anak Abner Dan — Azareel anak Yeroham *** *** *** *** *** *** Raja Daud tidak membanci orang yang berumur di bawah dua puluh tahun kerana TUHAN telah berjanji akan menjadikan umat Israel sebanyak bintang di langit. Yoab anak Zeruya memulakan pembancian, tetapi dia tidak menyelesaikannya, oleh sebab Allah menghukum Israel kerana pembancian itu. Itulah sebabnya jumlah mereka tidak tertulis di dalam catatan rasmi Raja Daud. [25-31] Inilah senarai nama orang yang mengurus harta milik raja: Stor-stor di istana dan di Yerusalem: Azmawet anak Adiel. Stor-stor di luar Yerusalem: Yonatan anak Uzia. Pekerja-pekerja ladang: Ezri anak Kelub. Kebun-kebun anggur: Simei dari kota Rama. Tempat-tempat penyimpanan wain: Zabdi dari kota Syifmi. Pokok zaitun dan pokok ara (di kaki pergunungan sebelah barat): Baal-Hanan dari kota Geder. Tempat-tempat penyimpanan minyak zaitun: Yoas. Ternakan di Padang Saron: Sitrai dari kota Saron. Ternakan di lembah-lembah: Safat anak Adlai. Unta: Obil keturunan Ismael. Keldai: Yehdeya dari kota Meronot. Domba dan kambing: Yazis, orang Hagri. *** *** *** *** *** *** Yonatan, bapa saudara Raja Daud, ialah seorang penasihat yang bijak dan terpelajar. Dia dan Yehiel anak Hakhmoni diberi tanggungjawab mendidik putera-putera raja. Ahitofel ialah penasihat raja, dan Husai orang Arki ialah penasihat dan sahabat karib raja. Setelah Ahitofel meninggal, Abyatar dan Yoyada anak Benaya menggantikan dia sebagai penasihat. Yoab ialah panglima angkatan tentera kerajaan. Raja Daud memerintahkan semua pemimpin Israel supaya berkumpul di Yerusalem. Oleh itu semua ketua suku, pegawai pentadbiran kerajaan, ketua puak, pengurus harta benda dan ternakan raja, serta putera-putera raja - pendek kata, semua pembesar istana, panglima dan orang penting - berkumpul di Yerusalem. Raja Daud berdiri di hadapan mereka lalu bertitah, “Dengarlah, hai rakyat beta! Telah lama beta berniat untuk membina sebuah rumah yang tetap untuk Tabut Perjanjian, alas kaki TUHAN, Allah kita. Beta telah mengadakan persiapan untuk membina sebuah rumah tempat menyembah Dia. Tetapi TUHAN tidak membenarkan beta berbuat demikian, kerana beta seorang askar dan telah menumpahkan darah. TUHAN, Allah yang disembah Israel memilih beta dan keturunan beta untuk memerintah Israel selama-lamanya. Dia memilih suku Yehuda untuk menyediakan seorang pemimpin, dan daripada suku itu Dia memilih keluarga ayahanda beta. Kemudian daripada keluarga ayahanda beta, Dia berkenan memilih beta dan menjadikan beta raja seluruh Israel. Dia memberi beta banyak putera, dan di kalangan mereka Dia memilih Salomo untuk memerintah Israel, kerajaan TUHAN. TUHAN berfirman kepada beta begini, ‘Salomo anakmu akan membina sebuah rumah bagi-Ku. Aku telah memilih dia menjadi anak-Ku, dan Aku menjadi Bapanya. Jika dia sungguh-sungguh tetap mentaati segala hukum dan perintah-Ku seperti yang dilakukannya sekarang, maka Aku akan mengukuhkan kerajaannya selama-lamanya.’ ” Kemudian Raja Daud bertitah lagi, “Oleh itu, hai rakyat beta, di hadapan Allah kita dan di hadapan perhimpunan segenap Israel, umat TUHAN ini, beta minta dengan sungguh-sungguh supaya kamu mentaati segala perintah TUHAN, Allah kita. Dengan demikian kamu dapat tetap memiliki negeri yang baik ini dan mewariskannya kepada keturunan kamu sampai selama-lamanya.” Lalu kepada Salomo, Raja Daud bertitah, “Hai putera beta, hendaklah Allah yang disembah ayahandamu, engkau akui sebagai Allahmu. Engkau harus mengabdikan diri kepada-Nya dengan tulus ikhlas dan rela hati, kerana Dia tahu akan segala fikiran dan keinginan hati kita. Jika engkau mencari Dia, engkau akan mendapatkan Dia, tetapi jika engkau meninggalkan Dia, Dia akan menolak engkau selama-lamanya. Ingatlah baik-baik bahawa TUHAN telah memilih engkau untuk membina rumah yang khas bagi Dia. Oleh itu, sekarang laksanakanlah tugas itu dengan cekal hati.” Kemudian Raja Daud memberikan pelan Rumah TUHAN kepada Salomo, dan juga pelan stor-stor, bilik-bilik lain, serta Bilik Maha Suci, iaitu tempat pengampunan dosa. Raja Daud memberikan semua pelan yang telah difikirkannya kepada Salomo, iaitu pelan halaman-halaman dengan bilik-bilik di sekelilingnya, dan pelan stor-stor perkakas Rumah TUHAN, serta pelan stor-stor penyimpanan pemberian untuk TUHAN. Raja Daud juga menyerahkan rancangan pengelompokan para imam dan orang Lewi, pekerjaan yang harus dilakukan mereka, iaitu bertugas di Rumah TUHAN dan menjaga semua perkakas ibadat. Baginda memberikan petunjuk tentang banyaknya perak dan emas yang harus digunakan untuk membuat perkakas-perkakas, bagi tiap-tiap pelita dan kaki pelita, bagi meja-meja perak, dan bagi tiap-tiap meja emas, tempat roti yang dipersembahkan kepada Allah. Baginda juga memberikan petunjuk tentang banyaknya emas tulen yang harus digunakan untuk membuat garpu, mangkuk dan bejana, dan tentang banyaknya perak serta emas untuk membuat pinggan mangkuk, dan tentang banyaknya emas tulen untuk membuat mazbah tempat membakar kemenyan, dan untuk membuat pedati bagi kerub-kerub yang sayapnya terbentang di atas Tabut Perjanjian TUHAN. Kemudian Raja Daud bertitah, “Semua itu terkandung dalam rancangan yang telah ditulis menurut petunjuk yang diberikan oleh TUHAN sendiri kepada beta untuk dilaksanakan.” Kemudian Raja Daud bertitah lagi kepada putera baginda, Salomo, “Engkau harus yakin dan berani. Mulakanlah pekerjaan itu dan jangan gentar terhadap apa-apa pun. TUHAN Allah yang beta sembah akan menolong engkau. Dia tidak akan meninggalkan engkau, tetapi Dia akan menyertai engkau sampai semua pekerjaan bagi rumah-Nya itu selesai. Pembahagian tugas ibadat di dalam Rumah TUHAN telah ditentukan bagi para imam dan orang Lewi. Pekerja-pekerja yang mahir dalam bidang masing-masing akan menolong engkau dengan senang hati, dan para pemimpin bersama dengan segenap rakyat akan mentaati perintahmu.” Raja Daud bertitah kepada semua orang yang berkumpul di situ, “Putera beta, Salomo telah dipilih khas oleh Allah. Tetapi dia masih muda dan tidak berpengalaman, sedangkan pekerjaan ini sangat besar. Lagipun yang akan dibina bukan istana untuk manusia, melainkan rumah untuk TUHAN Allah. Bahan-bahan untuk rumah itu dan perabotnya telah beta sediakan dengan segenap kemampuan beta. Beta telah menyediakan emas, perak, gangsa, besi, kayu, batu-batu berharga dan batu-batu permata, batu-batu beraneka warna untuk hiasan, dan batu marmar yang banyak sekali. Selain itu, beta juga telah menyerahkan perak dan emas daripada harta milik beta sendiri kerana cinta beta kepada rumah Allah beta. [4-5] Beta memberikan lebih 100 tan emas yang terbaik dan hampir 240 tan perak tulen, untuk melapisi dinding Rumah TUHAN, dan untuk benda-benda yang harus dibuat oleh para tukang. Oleh itu, sekarang siapakah lagi mahu memberikan persembahan kepada TUHAN dengan senang hati?” *** Kemudian para ketua puak, ketua suku, panglima, dan pengurus harta milik raja menyatakan keinginan mereka untuk memberikan sumbangan. Mereka memberikan yang berikut bagi pembinaan Rumah TUHAN: lebih 170 tan emas, lebih 340 tan perak, hampir 620 tan gangsa, dan lebih 3,400 tan besi. Orang yang mempunyai batu permata, menyerahkannya kepada Yehiel untuk dimasukkan ke dalam perbendaharaan Rumah TUHAN. (Yehiel seorang Lewi daripada puak Gerson.) Rakyat memberikan sumbangan kepada TUHAN dengan ikhlas dan rela hati. Mereka bersukacita kerana banyak pemberian telah disumbangkan dan Raja Daud pun sangat bersukacita. Di hadapan semua orang yang berhimpun di situ, Raja Daud memuji TUHAN. Baginda berdoa, “Ya TUHAN Allah yang disembah Yakub, nenek moyang kami, terpujilah Engkau selama-lamanya! Engkau sungguh besar dan berkuasa. Engkau mulia, semarak, dan agung! Segala sesuatu di langit dan di bumi adalah milik-Mu. Engkaulah raja agung, penguasa atas segalanya. Segala harta dan kekayaan berasal daripada-Mu; segala sesuatu Engkau kuasai dengan kekuatan dan kekuasaan-Mu; Engkau berkuasa membuat sesiapa sahaja menjadi orang besar dan kuat. Sekarang, ya Allah kami, kami mengucap syukur kepada-Mu dan kami memuji nama-Mu yang agung. Aku dan rakyatku sesungguhnya tidak dapat memberikan apa-apa kepada-Mu, kerana segalanya adalah pemberian-Mu dan apa yang kami berikan ini kepunyaan-Mu juga. Engkau tahu, ya TUHAN, bahawa seperti nenek moyang kami, kami pun hidup sebagai pendatang dan orang asing. Hidup kami seperti bayangan yang berlalu, dan kami tidak dapat lepas daripada kematian. Ya TUHAN, Allah kami, semua barang berharga ini kami kumpulkan di sini untuk membina sebuah rumah bagi-Mu supaya kami dapat menghormati nama-Mu yang suci. Tetapi semua ini kami terima daripada-Mu sendiri dan kepunyaan-Mu juga. Aku tahu bahawa Engkau menguji hati setiap orang dan Engkau berkenan kepada orang yang murni hatinya. Dengan tulus ikhlas dan rela hati, aku mempersembahkan semua ini kepada-Mu. Aku telah menyaksikan umat-Mu yang berkumpul di sini membawa persembahan mereka kepada-Mu dengan senang hati. Ya TUHAN Allah, yang disembah oleh Abraham, Ishak, dan Yakub, nenek moyang kami, kiranya Engkau menjaga umat-Mu supaya tetap mengasihi Engkau seperti sekarang ini, dan tolonglah supaya mereka setia kepada-Mu untuk selama-lamanya. Kurniailah anakku, Salomo, keinginan yang sungguh-sungguh untuk mentaati semua perintah-Mu dan untuk membina rumah ibadat yang persiapannya telah kusediakan.” Selepas berdoa demikian, Raja Daud bertitah kepada orang ramai yang berkumpul di situ, “Pujilah TUHAN Allah kamu!” Kemudian semua orang itu memuji-muji TUHAN, Allah yang disembah nenek moyang mereka. Selepas itu mereka bersujud untuk menghormati TUHAN dan raja. Esok harinya, mereka menyembelih binatang-binatang untuk dipersembahkan sebagai korban kepada TUHAN. Kemudian korban-korban itu diberikan kepada segenap rakyat. Selain itu ada 1,000 ekor lembu jantan, 1,000 ekor domba jantan, dan 1,000 ekor domba muda yang dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah. Mereka juga mempersembahkan wain yang diwajibkan untuk korban-korban itu. Pada hari itu mereka makan dan minum dengan gembira di hadapan TUHAN. Kemudian untuk kali kedua mereka mengisyhtiharkan Salomo sebagai raja. Atas nama TUHAN, mereka melantik Salomo menjadi raja, dan Zadok menjadi imam. Sebagai pengganti Raja Daud ayahandanya, Salomo naik takhta yang telah ditetapkan oleh TUHAN. Raja Salomo ialah raja yang berjaya dan ditaati oleh segenap bangsa Israel. Semua pegawai kerajaan dan tentera, bahkan semua putera Raja Daud yang lain mengakui kekuasaan Salomo sebagai raja. TUHAN membuat segenap bangsa itu kagum akan Raja Salomo, dan TUHAN menjadikan baginda raja yang lebih agung daripada raja-raja lain yang pernah memerintah Israel. Raja Daud anak Isai memerintah seluruh Israel selama 40 tahun. Baginda memerintah di Hebron selama tujuh tahun dan di Yerusalem selama 33 tahun. Baginda kaya dan terhormat, dan mangkat pada usia lanjut. Salomo, puteranya menjadi raja menggantikan baginda. Riwayat hidup Raja Daud dari mula sampai akhir telah dicatat di dalam kitab tiga orang nabi: Nabi Samuel, Nabi Natan, dan Nabi Gad. Kitab-kitab itu menceritakan kisah pemerintahannya, kekuasaannya dan segala yang berlaku kepada dirinya, kepada Israel, dan kepada kerajaan-kerajaan di sekitar Israel. Raja Salomo, putera Raja Daud mengukuhkan pemerintahannya atas Israel, dan TUHAN, Allahnya memberkati baginda, serta menjadikan baginda sangat berkuasa. Raja Salomo memerintahkan semua pegawai yang mengetuai pasukan yang terdiri daripada seribu orang dan seratus orang, dan semua pegawai kerajaan, semua ketua keluarga, serta segenap rakyat supaya mengikut baginda ke tempat ibadat di Gibeon. Mereka pergi ke sana kerana Khemah TUHAN terletak di sana. Khemah TUHAN itu dibuat oleh Musa, hamba TUHAN, di padang gurun dahulu. ( Tetapi Tabut Perjanjian telah dibawa ke Yerusalem, dan disimpan di dalam khemah yang dibina oleh Raja Daud ketika baginda memindahkan Tabut itu dari Kiryat-Yearim.) Mazbah gangsa yang dibuat oleh Bezaleel anak Uri, cucu Hur, juga ada di Gibeon, di hadapan Khemah TUHAN. Raja Salomo dan segenap rakyat menyembah TUHAN di situ. Di hadapan Khemah itu raja menyembah TUHAN dengan mempersembahkan korban di atas mazbah gangsa. Baginda mempersembahkan seribu ekor binatang di atas mazbah itu, sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Pada malam itu Allah menampakkan diri kepada Raja Salomo dan bertanya kepadanya, “Apakah yang engkau ingin Aku berikan kepadamu?” Raja Salomo menjawab, “Engkau telah menunjukkan kasih yang besar kepada Daud, bapaku. Sekarang Engkau telah mengizinkan aku menggantikan dia sebagai raja. Ya TUHAN Allah, tepatilah janji yang Engkau buat kepada bapaku. Engkau telah melantik aku menjadi raja bagi satu umat yang begitu besar bilangannya sehingga tidak dapat dihitung. Oleh itu kurniailah aku kebijaksanaan dan pengetahuan yang aku perlukan untuk memerintah mereka. Jika tidak, aku tidak sanggup memerintah umat-Mu yang banyak ini.” Allah berfirman kepada Salomo, “Engkau telah membuat pilihan yang tepat. Engkau tidak meminta kekayaan, atau harta, atau kemasyhuran, atau kematian musuhmu, ataupun umur panjang untuk dirimu sendiri; sebaliknya engkau meminta kebijaksanaan dan pengetahuan supaya engkau dapat memerintah umat-Ku, dan engkau telah Kujadikan raja mereka. Aku akan mengurniakan kebijaksanaan dan pengetahuan kepadamu. Selain itu, Aku juga akan mengurniai engkau kekayaan dan harta yang lebih banyak lagi, serta menjadikan engkau lebih termasyhur daripada raja lain baik pada masa lampau mahupun pada masa hadapan.” Kemudian Raja Salomo meninggalkan tempat ibadat di Gibeon, iaitu tempat Khemah TUHAN, lalu baginda pulang ke Yerusalem. Di sana baginda memerintah Israel. Raja Salomo melengkapi angkatan perangnya dengan 1,400 buah kereta kuda, dan 12,000 ekor kuda untuk pasukan berkuda. Sebahagian angkatan itu ditempatkannya di Yerusalem, dan yang lain ditempatkan di berbagai-bagai kota lain. Pada masa pemerintahan Raja Salomo, perak dan emas menjadi barang biasa seperti batu di Yerusalem, dan kayu sedar pun banyak seperti kayu ara di kaki bukit di Yehuda. Para peniaga yang bertugas untuk raja, mengimport kuda dari Musri dan Kilikia, dan mengimport kereta kuda dari Mesir. Kemudian kuda dan kereta kuda itu dieksport kepada raja-raja Het dan raja-raja Siria dengan harga 150 keping wang perak untuk seekor kuda, dan 600 keping wang perak untuk sebuah kereta kuda. Raja Salomo mengambil keputusan untuk membina rumah, tempat beribadat kepada TUHAN, dan juga sebuah istana untuk dirinya sendiri. Baginda menyuruh 70,000 orang untuk mengangkut barang-barang, 80,000 orang untuk memahat batu di perbukitan, dan 3,600 orang mandur untuk mengawasi pekerjaan itu. Raja Salomo mengirim berita kepada Raja Hiram dari Tirus, “Adakanlah hubungan perdagangan dengan beta sebagaimana tuanku pernah mengadakan hubungan perdagangan dengan ayahanda beta, Raja Daud. Tuanku telah menjual kayu sedar kepadanya ketika baginda membina istananya. Beta hendak membina sebuah rumah ibadat untuk menghormati TUHAN, Allah beta. Rumah itu akan menjadi tempat yang suci, tempat rakyat dan beta sendiri menyembah TUHAN dengan membakar kemenyan yang harum; di sana beta dan rakyat beta akan sentiasa mempersembahkan roti yang suci dan juga korban untuk menyenangkan hati TUHAN pada tiap-tiap pagi dan petang, pada hari-hari Sabat, pada perayaan Bulan Baru, dan pada perayaan-perayaan lain. Beta dan rakyat beta hendak menghormati TUHAN, Allah kami. Dia telah memerintah umat Israel untuk berbuat demikian selama-lamanya. Beta bercadang untuk membina sebuah rumah ibadat yang agung, kerana Allah kami lebih agung daripada tuhan-tuhan lain. Namun siapakah yang benar-benar dapat membina rumah bagi Allah? Seluruh angkasa raya pun tidak cukup besar untuk menjadi tempat tinggal-Nya. Oleh itu rumah yang beta bina bagi-Nya hanya sekadar tempat untuk membakar kemenyan kepada Allah. Hantarlah seorang tukang kepada beta. Dia harus pandai mengukir dan mahir membuat barangan daripada emas, perak, gangsa, dan besi, dan juga pandai membuat kain berwarna biru, ungu, dan merah. Dia akan bekerja dengan tukang-tukang dari Yehuda dan Yerusalem yang telah dipilih oleh ayahanda beta, Raja Daud. Beta tahu bahawa tuan mempunyai penebang kayu yang handal; oleh itu kirimlah kayu sedar, kayu sipres, dan kayu cendana dari Lebanon kepada kami. Beta bersedia mengirim para pekerja beta untuk menolong para pekerja tuanku bagi menyiapkan balak yang banyak, kerana Rumah TUHAN yang hendak beta bina ini besar dan indah. Untuk bekalan para pekerja tuanku, beta akan mengirim 2,000 tan gandum, 2,000 tan barli, 400,000 liter wain, dan 400,000 liter minyak zaitun.” Raja Hiram mengirim surat kepada Raja Salomo dengan jawapan seperti berikut, “Kerana TUHAN mengasihi umat-Nya, Dia telah melantik tuanku menjadi raja mereka. Terpujilah TUHAN, Allah Israel, Pencipta langit dan bumi! Dia telah memberi Raja Daud seorang putera yang bijak, berpengetahuan, dan cerdas, yang kini merancang untuk membina sebuah rumah bagi TUHAN dan sebuah istana bagi dirinya. Beta mengirim Huram, seorang tukang yang mahir dan bijak, kepada tuanku. Ibunya daripada suku Dan dan bapanya orang Tirus. Dia mahir membuat barangan daripada emas, perak, gangsa, besi, batu, dan kayu. Dia dapat membuat kain berwarna biru, ungu, merah, dan kain linen. Dia dapat mengukir berbagai-bagai bentuk ukiran, dan dapat mengikut apa sahaja reka bentuk yang dicadangkan kepadanya. Biarlah dia bekerja dengan tukang-tukang tuanku dan orang yang telah bekerja untuk Raja Daud, ayahanda tuanku. Oleh itu kirimlah gandum, barli, wain, dan minyak zaitun kepada kami seperti yang tuanku janjikan. Kami akan menebang kayu sedar di pergunungan Lebanon sebanyak yang tuanku perlukan. Kami akan mengikat balak-balak itu menjadi rakit, lalu menghanyutkannya di laut sampai ke Yope. Dari sana tuanku dapat membawanya ke Yerusalem.” Raja Salomo membanci semua orang bangsa asing yang tinggal di negeri Israel, seperti yang telah dilakukan oleh ayahandanya, Raja Daud. Kesemuanya ada 153,600 orang bangsa asing yang menjadi penduduk tetap di sana. Raja Salomo memerintah 70,000 orang antara mereka untuk mengangkut barang-barang, dan 80,000 orang untuk memahat batu di pergunungan. Baginda melantik 3,600 orang mandur untuk memastikan bahawa pekerjaan itu dilakukan. Raja Daud, ayahanda Raja Salomo, telah menyediakan tapak bagi Rumah TUHAN. Tapak itu di Yerusalem, di atas Bukit Moria, yang telah digunakan oleh Arauna, orang Yebusi itu, sebagai tempat mengirik gandum. Di situ TUHAN telah menyatakan diri kepada Raja Daud. Raja Salomo memulakan pembinaan pada bulan kedua tahun keempat pemerintahannya. Rumah TUHAN yang dibina oleh Raja Salomo itu panjangnya 27 meter dan lebarnya 9 meter. Bilik depan lebarnya sama dengan lebar Rumah TUHAN, iaitu 9 meter, dan tingginya 54 meter. Bahagian dalam bilik itu dilapisi emas tulen. Bilik utamanya dilapisi kayu sedar, lalu dilapis lagi dengan emas tua. Pada lapisan emas itu terdapat ukiran pokok-pokok palma dan untaian rantai. Raja Salomo menghias Rumah TUHAN dengan batu-batu permata yang indah dan dengan emas yang diimport dari tanah Parwaim. Baginda menggunakan emas itu untuk melapisi dinding-dinding, kasau-kasau, ambang-ambang pintu, dan pintu-pintu Rumah TUHAN. Pada dindingnya para pengukir mengukir gambar-gambar kerub. Bilik sebelah dalam, yang disebut Bilik Maha Suci, panjangnya 9 meter, dan lebarnya juga 9 meter, iaitu selebar Rumah TUHAN. Dinding Bilik Maha Suci dilapisi emas yang beratnya lebih daripada 20 tan, dan 570 gram emas digunakan untuk membuat paku. Dinding bilik-bilik di tingkat atas juga dilapisi emas. Raja juga memerintah tukang-tukangnya untuk membuat dua buah patung kerub daripada logam, lalu melapisi kedua-duanya dengan emas, dan meletakkannya di Bilik Maha Suci. [11-13] Di situ patung-patung kerub itu didirikan dengan berdampingan dan menghadap pintu. Kedua-duanya mempunyai dua sayap, dan setiap sayap panjangnya 2.2 meter. Sayap-sayap itu terbentang sehingga hujungnya saling bersentuhan di tengah-tengah bilik, dan hujung di sebelah lain mengenai dinding di sebelah-menyebelah bilik itu. Sayap-sayap itu terbentang selebar 9 meter, iaitu selebar bilik itu. *** *** Tirai untuk Bilik Maha Suci itu dibuat daripada kain linen dan kain-kain lain yang berwarna biru, ungu, dan merah; tirai itu bersulamkan gambar-gambar kerub. Raja membuat dua batang tiang gangsa, setiap satunya setinggi 15.5 meter. Tiang-tiang itu didirikan di hadapan Rumah TUHAN. Tiap-tiap tiang mempunyai satu kepala gangsa yang tingginya 2.2 meter. Bahagian atas tiang-tiang itu dihiasi dengan untaian rantai yang dijalin dan seratus buah delima daripada gangsa. Tiang-tiang itu didirikan di sebelah kanan dan kiri pintu Rumah TUHAN: yang di sebelah selatan dinamakan Yakhin dan yang di sebelah utara dinamakan Boas. Raja Salomo menyuruh orang membuat sebuah mazbah gangsa berukuran 9 meter persegi dan tingginya 4.5 meter. Baginda juga membuat sebuah tangki bulat daripada gangsa; dalamnya 2.2 meter, garis tengahnya 4.4 meter, dan lilitannya 13.2 meter. Di tepi bahagian luar keliling tangki itu dihias dengan dua baris gambar lembu jantan yang dituang bersama dengan tangki itu. Tangki itu diletakkan di atas belakang dua belas ekor lembu jantan yang dibuat daripada gangsa, yang menghadap ke luar: tiga menghadap ke utara, tiga menghadap ke barat, tiga menghadap ke selatan, dan tiga menghadap ke timur. Tebal tepi tangki itu 75 milimeter. Tepi tangki itu seperti tepi cawan yang melengkung ke luar seperti kelopak bunga. Tangki itu dapat menampung air sebanyak 60,000 liter. Mereka juga membuat sepuluh buah besen: lima buah untuk diletakkan di sebelah selatan Rumah TUHAN, dan lima buah lagi diletakkan di sebelah utara. Besen-besen itu digunakan untuk mencuci potongan-potongan binatang yang akan dibakar sebagai korban. Air di dalam tangki besar itu digunakan oleh para imam untuk membasuh diri. [7-8] Mereka membuat sepuluh buah kaki pelita emas menurut bentuk yang telah ditentukan dan sepuluh buah meja, lalu meletakkan semuanya di dalam bilik utama Rumah TUHAN: lima buah kaki pelita dan lima buah meja di sebelah kanan, dan lima buah kaki pelita dan lima buah meja di sebelah kiri. Mereka juga membuat seratus buah mangkuk emas. *** Mereka membuat satu halaman di sebelah dalam bagi para imam, dan satu di sebelah luar. Daun pintu pada pintu-pintu di antara dua halaman itu dilapisi gangsa. Tangki itu diletakkan dekat sudut sebelah tenggara Rumah TUHAN. [11-16] Huram juga membuat periuk, penyodok, dan mangkuk. Dia selesai membuat semua barang yang dijanjikannya kepada Raja Salomo untuk Rumah TUHAN: 2 batang tiang 2 buah junjung yang berbentuk mangkuk yang diletakkan di atas tiang-tiang itu Jalinan rantai pada setiap kepala tiang 400 buah delima daripada gangsa yang dijadikan dua baris melingkari jalinan rantai pada setiap kepala tiang 10 buah pedati 10 buah besen 1 buah tangki 12 lembu jantan daripada gangsa untuk menunjang tangki Periuk-periuk, penyodok-penyodok, dan garpu-garpu. Huram, tukang yang mahir itu, membuat semua benda itu daripada gangsa yang digilap untuk digunakan di Rumah TUHAN, sebagaimana yang diperintahkan Raja Salomo. *** *** *** *** *** Raja menyuruh orang membuat segala benda itu di peleburan logam di antara Sukot dan Zereda, di Lembah Yordan. Benda-benda yang dibuat sangat banyak, sehingga tiada sesiapa pun dapat menentukan berat gangsa yang digunakan. Raja Salomo juga menyuruh orang membuat perabot emas bagi Rumah TUHAN: mazbah dan meja untuk roti yang dipersembahkan kepada Allah; kaki-kaki pelita dan pelita-pelita daripada emas tua, yang dinyalakan di hadapan Bilik Maha Suci, menurut apa yang ditetapkan; hiasan berbentuk bunga, pelita, sepit, alat untuk membersihkan sumbu pelita, mangkuk, pinggan untuk menyimpan kemenyan, dan perbaraan. Semua benda itu dibuat daripada emas tulen. Daun pintu pada pintu-pintu luar Rumah TUHAN dan daun pintu pada pintu-pintu ke Bilik Maha Suci dilapisi emas. Selepas Raja Salomo selesai membina Rumah TUHAN, baginda menyimpan semua perak, emas, dan barangan lain yang ditahbiskan untuk TUHAN oleh ayahandanya, Raja Daud, di dalam stor-stor Rumah TUHAN. Kemudian Raja Salomo menyuruh semua pemimpin suku dan puak Israel berkumpul di Yerusalem, untuk memindahkan Tabut Perjanjian TUHAN dari Sion, Kota Daud, ke Rumah TUHAN. Mereka semua berkumpul pada Perayaan Pondok Daun. Setelah semua pemimpin itu berkumpul, orang Lewi mengangkat Tabut Perjanjian dan membawanya ke dalam Rumah TUHAN. Para imam dan orang Lewi memindahkan Khemah TUHAN dan semua perkakasnya ke dalam Rumah TUHAN. Raja Salomo dan segenap umat Israel berkumpul di hadapan Tabut Perjanjian, lalu mempersembahkan korban berupa domba dan lembu yang banyak sekali, sehingga tidak terkira bilangannya. Selepas itu para imam membawa Tabut Perjanjian ke Rumah TUHAN, lalu meletakkannya di Bilik Maha Suci, di bawah patung kerub. Sayap kerub-kerub itu terkembang dan menutupi Tabut itu serta kayu-kayu pengusungnya. Kayu pengusung itu panjang sekali, sehingga hujungnya dapat dilihat dari hadapan Bilik Maha Suci, tetapi tidak dapat dilihat dari arah lain. (Kayu-kayu pengusung itu masih di sana sehingga sekarang.) Tabut Perjanjian hanya mengandungi dua buah batu yang diletakkan di sana oleh Musa di Gunung Sinai dahulu, ketika TUHAN membuat perjanjian-Nya dengan umat Israel, selepas mereka keluar dari Mesir. [11-14] Semua imam daripada setiap kumpulan yang hadir di sana telah menyucikan diri. Semua penyanyi orang Lewi, iaitu Asaf, Heman, dan Yedutun, serta anggota-anggota puak mereka, memakai pakaian linen. Orang Lewi berdiri di sebelah timur mazbah dengan simbal dan kecapi. Bersama dengan mereka ada 120 orang imam yang meniup trompet. Nyanyian para penyanyi berpadu dengan iringan trompet, simbal, dan alat muzik lain. Inilah seni kata lagu yang dinyanyikan mereka untuk memuji TUHAN: “Pujilah TUHAN, kerana Dia baik, kasih-Nya kekal abadi.” Apabila para imam keluar dari Rumah TUHAN, tiba-tiba Rumah TUHAN dipenuhi awan yang bersinar dengan cahaya hadirat TUHAN, sehingga mereka tidak dapat meneruskan upacara ibadat. Kemudian Raja Salomo berdoa, “Ya TUHAN, Engkau lebih suka tinggal dalam kegelapan awan. Sekarang aku telah membina sebuah rumah yang megah bagi-Mu, sebagai tempat kediaman-Mu selama-lamanya.” Segenap umat Israel sedang berdiri di sana. Kemudian raja berpaling untuk menghadap mereka, dan memohon Allah memberkati mereka. Raja bertitah, “Terpujilah TUHAN, Allah Israel! Dia telah menepati janji yang dibuat-Nya kepada ayahanda beta, Raja Daud, ketika Dia berfirman kepada Raja Daud demikian, ‘Semenjak Aku membawa umat-Ku keluar dari Mesir, Aku belum pernah memilih kota mana pun di seluruh Israel sebagai tempat pembinaan sebuah rumah, tempat beribadat kepada-Ku, dan Aku tidak pernah memilih sesiapa pun untuk memimpin umat-Ku Israel. Tetapi sekarang Aku telah memilih Yerusalem sebagai tempat beribadat kepada-Ku, dan engkau hai Daud, akan memerintah umat-Ku.’ ” Raja Salomo bertitah lagi, “Ayahanda beta, Raja Daud, bercadang untuk membina sebuah rumah sebagai tempat beribadat kepada TUHAN, Allah Israel. Tetapi TUHAN berfirman kepadanya, ‘Maksudmu untuk membina sebuah rumah bagi-Ku memang baik, tetapi engkau tidak akan membinanya. Anakmu, anakmu sendiri, akan membina rumah-Ku.’ Sekarang TUHAN telah menepati janji-Nya. Beta telah menggantikan ayahanda beta sebagai raja Israel dan beta telah membina sebuah rumah sebagai tempat beribadat kepada TUHAN, Allah Israel. Beta telah meletakkan Tabut Perjanjian di dalam Rumah TUHAN, Tabut yang mengandungi batu-batu perjanjian yang dibuat antara TUHAN dengan umat Israel.” Kemudian di hadapan rakyat, Raja Salomo berdiri menghadap mazbah. Baginda mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdoa. ( Raja Salomo telah membina sebuah pentas daripada gangsa dan meletakkannya di tengah-tengah halaman itu. Ukurannya 2.2 meter persegi, dan tingginya 1.3 meter. Di hadapan semua orang yang hadir, baginda naik ke atas pentas itu lalu berlutut. Kemudian baginda mengangkat kedua-dua tangannya ke langit.) Baginda berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, tiada yang seperti Engkau di langit atau di bumi. Engkau menepati perjanjian-Mu dengan umat-Mu, dan Engkau menunjukkan kasih-Mu kepada mereka apabila mereka taat kepada-Mu dengan segenap hati. Engkau telah menepati janji-Mu kepada bapaku Daud. Pada hari ini, Engkau menepati apa yang telah Engkau janjikan. Oleh itu, ya TUHAN, Allah Israel, tepatilah juga janji yang satu lagi kepada bapaku. Engkau berfirman kepadanya bahawa daripada keturunannya, akan sentiasa ada seorang untuk memerintah sebagai raja Israel, asalkan mereka taat kepada Taurat-Mu seperti Raja Daud. Oleh itu, ya TUHAN, Allah Israel, tepatilah semua yang telah Engkau janjikan kepada bapaku Raja Daud, hamba-Mu itu. Tetapi, ya Allah, sungguhkah Engkau sudi tinggal di bumi ini, di kalangan manusia? Bahkan seluruh langit pun tidak cukup luas bagi-Mu, apalagi Rumah yang telah aku bina! Ya TUHAN, Allahku, aku hamba-Mu. Dengarkanlah doaku, dan kabulkanlah permohonanku. Lindungilah Rumah ini siang dan malam. Engkau telah berjanji bahawa inilah tempat orang beribadat kepada-Mu. Dengarkanlah aku apabila aku menghadap Rumah ini dan berdoa kepada-Mu. Dengarkanlah doaku dan doa umat-Mu Israel apabila mereka menghadap tempat ini dan berdoa. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah kami dan ampunilah kami. Apabila seseorang dituduh bersalah terhadap orang lain, lalu disuruh bersumpah di hadapan mazbah di Rumah ini bahawa dia tidak bersalah, dengarkanlah, ya TUHAN dari syurga, dan adililah hamba-hamba-Mu. Hukumlah orang yang bersalah dan bebaskanlah orang yang tidak bersalah. Apabila umat-Mu Israel dikalahkan oleh musuh kerana mereka telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka kembali kepada-Mu dan datang ke Rumah ini serta berdoa kepada-Mu dengan rendah hati dan minta diampuni, semoga Engkau di syurga mendengarkan mereka. Ampunkanlah dosa umat-Mu, dan bawalah mereka kembali ke negeri yang telah Engkau berikan kepada mereka dan nenek moyang mereka. Apabila Engkau menahan hujan kerana umat-Mu telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka bertaubat dan menghadap Rumah ini serta berdoa kepada-Mu dengan rendah hati, ya TUHAN di syurga, kabulkanlah permintaan mereka dan ampunkanlah dosa hamba-hamba-Mu, umat Israel. Ajarlah mereka melakukan apa yang benar, lalu turunkanlah hujan ke atas negeri-Mu ini, yang telah Engkau berikan kepada umat-Mu sebagai pusaka mereka selama-lamanya. Apabila kebuluran atau wabak berlaku di negeri ini, atau tanaman musnah kerana angin panas, hama, atau serangan belalang; ataupun apabila umat-Mu diserang oleh musuh, atau penyakit, dengarkanlah doa mereka. Jika ada orang di kalangan umat-Mu Israel, dengan bersedih hati mengangkat tangan dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap Rumah ini, dengarkanlah doa mereka. Dengarkanlah mereka dari tempat kediaman-Mu di syurga dan ampunilah mereka. Hanya Engkau yang mengetahui isi hati manusia. Oleh itu perlakukanlah setiap orang setimpal dengan perbuatannya, supaya umat-Mu takut dan taat kepada-Mu selama mereka tinggal di negeri yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami. Apabila seorang bangsa asing yang tinggal di negeri jauh mendengar tentang keagungan dan kekuatan-Mu, dan bahawa Engkau sentiasa sedia bertindak, lalu dia datang ke Rumah ini dan berdoa kepada-Mu, dengarkanlah doanya. Dengarkanlah dia dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan kabulkanlah permintaannya, supaya semua bangsa di dunia mengenal Engkau dan taat kepada-Mu, seperti umat-Mu Israel. Barulah mereka tahu bahawa Rumah yang telah aku bina ini ialah tempat untuk beribadat kepada-Mu. Apabila Engkau memerintah umat-Mu bertempur untuk melawan musuh, dan mereka berdoa kepada-Mu di mana sahaja mereka berada, sambil menghadap kota yang telah Engkau pilih dan Rumah yang telah aku bina untuk-Mu, dengarkanlah doa mereka. Engkau yang di syurga, dengarkanlah mereka, dan berilah mereka kemenangan. Apabila umat-Mu berdosa terhadap-Mu - kerana tiada sesiapa pun yang tidak berdosa - dan kerana kemurkaan-Mu Engkau membiarkan mereka dikalahkan, ditawan oleh musuh, dan dibawa ke negeri lain, walaupun negeri itu jauh, dengarkanlah doa umat-Mu. Jika mereka bertaubat dan berdoa kepada-Mu di negeri itu, serta mengaku bahawa mereka telah berdosa dan berbuat jahat, dengarkanlah doa mereka, ya TUHAN. Jika di negeri itu mereka bertaubat dengan tulus dan ikhlas, dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap ke arah negeri ini yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami, dan ke arah kota yang telah Engkau pilih, serta Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu, dengarkanlah doa mereka. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah mereka dan kasihanilah mereka. Ampunkanlah semua dosa umat-Mu. Sekarang, ya Allahku, pandanglah kami dan dengarkanlah doa yang disampaikan kepada-Mu di tempat ini. Bangkitlah sekarang, ya TUHAN Allah, dan dengan Tabut Perjanjian lambang kekuasaan-Mu itu, masuklah ke Rumah ini dan tinggallah di sini selama-lamanya. Berkatilah para imam-Mu dalam segala pekerjaan mereka, dan semoga segenap umat-Mu bersukacita kerana kebaikan-Mu kepada mereka. Ya TUHAN Allah, janganlah tolak raja yang telah Engkau pilih. Ingatlah akan kasih-Mu kepada hamba-Mu Daud.” Selepas Raja Salomo berdoa, api turun dari langit dan membakar korban-korban yang dipersembahkan, lalu cahaya hadirat TUHAN memenuhi Rumah TUHAN. Oleh sebab Rumah TUHAN penuh dengan cahaya hadirat TUHAN, maka para imam tidak dapat masuk ke dalamnya. Apabila umat Israel nampak api turun dari langit dan cahaya hadirat TUHAN memenuhi Rumah TUHAN, mereka bersujud di lantai lalu menyembah Allah. Mereka memuji Dia bagi kebaikan-Nya dan kasih-Nya yang kekal. Selepas itu Raja Salomo dan segenap umat mempersembahkan korban kepada TUHAN. Raja Salomo mempersembahkan 22,000 ekor lembu dan 120,000 ekor domba sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. Demikianlah Raja Salomo dan segenap umat mentahbiskan Rumah TUHAN. Para imam berdiri di tempat yang ditetapkan bagi mereka, dan orang Lewi berdiri berhadapan dengan mereka. Orang Lewi memuji TUHAN dengan alat-alat muzik yang disediakan oleh Raja Daud, sambil menyanyikan lagu “Kasih-Nya Kekal Abadi!” menurut arahan Raja Daud. Para imam meniup trompet sementara segenap rakyat berdiri. Raja Salomo mentahbiskan bahagian tengah halaman, iaitu di kawasan sebelah depan Rumah TUHAN. Di situ baginda mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban bijirin, dan lemak binatang daripada korban untuk memohon berkat TUHAN. Raja mempersembahkan semuanya di situ kerana mazbah gangsa yang dibuatnya terlalu kecil untuk semua korban itu. Raja Salomo dan segenap umat Israel merayakan Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari. Banyak sekali orang yang datang untuk merayakan perayaan itu. Mereka datang dari daerah sejauh Genting Hamat di utara dan sempadan negeri Mesir di selatan. Mereka berkumpul selama tujuh hari untuk merayakan pentahbisan mazbah, lalu mereka merayakan Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari lagi. Pada hari yang terakhir mereka mengadakan perayaan penutupan. Pada keesokannya, hari kedua puluh tiga bulan ketujuh, Raja Salomo menyuruh semua orang itu pulang. Mereka semua bersukacita kerana berkat-berkat yang telah diberikan TUHAN kepada umat-Nya Israel, kepada Raja Daud, dan Raja Salomo. Apabila Raja Salomo selesai membina Rumah TUHAN dan istana, serta segala yang dirancangkannya, TUHAN menampakkan diri lagi kepada Raja Salomo pada malam hari. Dia berfirman kepada Raja Salomo, “Aku telah mendengar doamu, dan Aku menerima Rumah ini sebagai tempat khas untuk mempersembahkan korban kepada-Ku. Apabila Aku menahan hujan, atau menyuruh belalang memakan habis tanaman, atau mendatangkan wabak kepada umat-Ku, tetapi jika mereka berdoa kepada-Ku lalu bertaubat dan berhenti melakukan perbuatan jahat, maka dari syurga Aku akan mendengarkan mereka, dan mengampunkan dosa mereka, serta menjadikan negeri mereka makmur semula. Aku akan menjaga Rumah-Ku ini dan bersedia mendengarkan semua doa yang diucapkan di sini, kerana Aku telah memilihnya dan mengekhaskannya sebagai tempat orang beribadat kepada-Ku selama-lamanya. Aku akan sentiasa menjaga dan melindunginya. Jika engkau mengabdi kepada-Ku dengan setia seperti bapamu Daud, taat kepada hukum-hukum-Ku, serta melakukan segala yang telah Aku perintahkan kepadamu, Aku akan menepati janji-Ku kepada bapamu Daud, ketika Aku berfirman kepadanya bahawa Israel akan sentiasa diperintah oleh keturunannya. Tetapi jika engkau dan rakyatmu tidak taat kepada hukum dan perintah yang telah Aku berikan kepada kamu, lalu menyembah tuhan-tuhan lain, maka Aku akan membuang kamu dari negeri yang meninggalkan Rumah ini yang telah Kukhaskan sebagai tempat beribadat kepada-Ku. Orang di merata tempat akan mengolok-olok dan menghina Rumah ini. Sekarang Rumah ini sangat dihormati orang, tetapi kelak tiap-tiap orang yang lalu akan hairan dan bertanya, ‘Mengapakah TUHAN berbuat demikian terhadap negeri dan Rumah ini?’ Kemudian orang akan menjawab, ‘Kerana mereka telah meninggalkan TUHAN, Allah mereka, yang telah membawa nenek moyang mereka keluar dari Mesir. Mereka menyembah tuhan-tuhan lain dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain. Itulah sebabnya TUHAN mendatangkan bencana ini kepada mereka.’ ” Raja Salomo mengambil masa dua puluh tahun untuk membina Rumah TUHAN dan istananya. Baginda juga membina semula kota-kota yang diberikan oleh Raja Hiram kepadanya dan menyuruh umat Israel tinggal di situ. Raja Salomo merebut daerah Hamat dan Zoba, lalu mengukuhkan kota Tadmor di padang gurun. Baginda membina semula semua kota di Hamat yang dahulunya pusat penyimpanan perbekalan. Raja Salomo juga membina semula kota-kota berikut: Bet-Horon-Hulu dan Bet-Horon-Hilir (kota-kota berkubu dengan pintu-pintu gerbang yang berpalang), kota Baalat, semua kota tempat baginda menyimpan perbekalan, dan kota-kota pangkalan kuda dan kereta kudanya. Demikianlah baginda membina bangunan-bangunan di Yerusalem, Lebanon, dan seluruh kawasan yang diperintahnya. [7-8] Raja Salomo mengerah keturunan orang Kanaan untuk melakukan kerja paksa; mereka ialah orang Het, Amori, Feris, Hewi, dan Yebusi, yang tidak dibunuh oleh umat Israel ketika mereka merebut tanah itu dahulu. Keturunan semua orang itu masih menjadi abdi sehingga sekarang. *** Tetapi orang Israel tidak disuruh melakukan kerja paksa. Mereka bekerja selaku askar, pegawai, panglima pasukan berkereta kuda, dan anggota pasukan berkuda. Sebanyak 250 orang pegawai mengetuai orang rodi yang bekerja dalam berbagai-bagai projek pembinaan. Raja Salomo memindahkan isteri baginda, puteri raja Mesir, dari Kota Daud ke tempat kediaman yang dibinanya khas untuk isterinya itu. Raja Salomo bertitah, “Dia tidak boleh tinggal di istana Raja Daud, raja Israel, kerana di mana-mana Tabut Perjanjian pernah disimpan, tempat itu suci.” Raja Salomo mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN di atas mazbah yang dibinanya di depan Rumah TUHAN. Baginda mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN menurut peraturan Taurat Musa bagi tiap-tiap perayaan yang ditetapkan: hari Sabat, Perayaan Bulan Baru, dan tiga lagi perayaan tahunan, iaitu Perayaan Roti Tidak Beragi, Perayaan Menuai, dan Perayaan Pondok Daun. Mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Raja Daud, ayahandanya, Raja Salomo menentukan pekerjaan harian bagi para imam dan orang Lewi yang membantu imam menyanyikan lagu-lagu mazmur, serta membantu dalam pekerjaan imam. Raja Salomo juga menyusun kumpulan pengawal Rumah TUHAN bagi tugas harian mereka di setiap pintu gerbang, menurut perintah Raja Daud, hamba Allah itu. Perintah Raja Daud kepada para imam dan orang Lewi tentang stor-stor dan hal-hal lain, semuanya telah dilaksanakan dengan teliti. Sekarang semua projek pembinaan yang dirancangkan oleh Raja Salomo telah selesai. Sejak perletakan batu asas bagi Rumah TUHAN sehingga selesainya pembinaan itu, semuanya dilaksanakan dengan baik. Selepas itu Raja Salomo pergi ke Ezion-Geber dan Elot, kota-kota pelabuhan di pantai Teluk Akaba, di negeri Edom. Raja Hiram mengirim kapal-kapal yang dikemudi oleh para pegawainya sendiri dan juga anak-anak kapal yang berpengalaman, kepada Raja Salomo. Bersama dengan para pegawai Raja Salomo, mereka belayar ke tanah Ofir dan membawa lebih daripada 15,000 kilogram emas untuk Raja Salomo. Ratu negeri Syeba mendengar tentang kemasyhuran Raja Salomo. Maka ratu itu berangkat ke Yerusalem untuk menguji Raja Salomo dengan pertanyaan-pertanyaan yang sukar. Ratu itu datang bersama dengan banyak pengiring, serta unta-unta dengan muatan rempah, batu permata, dan emas yang banyak sekali. Apabila ratu itu berjumpa dengan Raja Salomo, ratu itu mengemukakan semua pertanyaan yang dapat difikirkannya. Raja Salomo menjawab semua pertanyaan ratu itu. Tiada satu pun yang terlalu sukar bagi Raja Salomo. Ratu negeri Syeba mendengar sendiri kebijaksanaan Raja Salomo dan melihat istana yang dibina oleh Raja Salomo. Ratu negeri Syeba melihat tata kerja para pegawai istana, pakaian seragam, dan perumahan mereka. Ratu itu nampak makanan yang dihidangkan dan pakaian para pelayan yang melayani Raja Salomo ketika ada pesta; ratu itu juga melihat korban-korban yang dipersembahkan oleh Raja Salomo di Rumah TUHAN. Semua itu membuat ratu negeri Syeba kagum dan terpesona. Ratu itu bertitah kepada Raja Salomo, “Memang benar apa yang beta dengar di negeri beta tentang tuanku dan kebijaksanaan tuanku! Tetapi beta tidak percaya sebelum beta datang dan melihat semuanya dengan mata beta sendiri. Tetapi yang beta dengar itu tidak pun separuh daripada apa yang beta nampak sekarang. Kebijaksanaan dan kekayaan tuanku lebih besar daripada apa yang telah diberitakan kepada beta. Berbahagialah para pegawai yang sentiasa melayani tuanku, yang berpeluang mendengar ucapan-ucapan tuanku yang bijak! Terpujilah TUHAN, Allah tuanku! Dia telah menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada tuanku dengan menjadikan tuanku raja untuk memerintah atas nama-Nya. Oleh sebab Dia mengasihi umat-Nya Israel dan mahu memelihara mereka selama-lamanya, Dia telah menjadikan tuanku raja mereka, supaya tuanku dapat menegakkan hukum dan keadilan.” Ratu negeri Syeba mempersembahkan hadiah-hadiah yang telah dibawanya kepada Raja Salomo, iaitu lebih daripada 4,000 kilogram emas, dan rempah serta batu permata yang banyak sekali. Tidak pernah lagi Raja Salomo menerima rempah-rempah yang begitu baik mutunya seperti yang diberikan oleh ratu negeri Syeba. ( Anak buah Raja Hiram dan anak buah Raja Salomo yang membawa emas dari Ofir juga membawa kayu cendana dan batu permata. Raja Salomo menggunakan kayu itu untuk membuat tangga bagi Rumah TUHAN dan istananya, dan juga untuk membuat kecapi serta gambus bagi para pemuzik. Belum pernah barang-barang seperti itu dilihat di negeri Yehuda.) Raja Salomo memberikan apa sahaja yang diminta oleh ratu negeri Syeba. Pemberian itu ialah tambahan kepada apa yang telah diberikannya untuk membalas hadiah ratu itu. Selepas itu ratu Syeba dan pengiring-pengiringnya pulang ke negeri Syeba. [13-14] Selain cukai yang dibayar oleh para pedagang, tiap-tiap tahun Raja Salomo menerima hampir 23,000 kilogram emas. Raja-raja negeri Arab dan gabenor-gabenor di wilayah Israel juga memberikan perak dan emas kepadanya. *** Raja Salomo membuat 200 buah perisai besar yang setiap satunya dilapisi emas tempaan seberat 7 kilogram. Baginda juga membuat 300 buah perisai kecil yang setiap satunya dilapisi emas tempaan seberat 3 kilogram. Baginda meletakkan semua perisai itu di Dewan Hutan Lebanon. Raja Salomo juga membuat sebuah takhta besar daripada gading yang dilapis dengan emas tulen. Takhta itu mempunyai enam buah anak tangga, dan di bawahnya ada sebuah alas kaki yang juga dilapisi emas. Takhta itu mempunyai lengan dan pada setiap sisinya ada patung singa. Pada anak tangga takhta itu, ada dua belas patung singa; satu patung singa pada hujung kiri dan satu lagi pada hujung kanan setiap anak tangga. Tidak ada kerajaan mana pun yang pernah mempunyai takhta seperti itu. Semua cawan Raja Salomo dibuat daripada emas, dan semua perkakas di Dewan Hutan Lebanon itu dibuat daripada emas tulen. Pada zaman Raja Salomo perak tidak dianggap berharga. Raja Salomo mempunyai banyak kapal besar yang belayar di samudera raya bersama dengan kapal-kapal Raja Hiram. Sekali dalam tiga tahun, kapal-kapal Raja Salomo pulang dengan membawa emas, perak, gading, beruk, dan burung merak. Raja Salomo lebih kaya dan lebih bijaksana daripada raja lain di bumi. Semua raja datang untuk mendengar kebijaksanaan yang diberikan Allah kepada Raja Salomo. Tiap-tiap orang yang mengunjungi Raja Salomo membawa hadiah untuknya - barangan daripada perak dan emas, serta pakaian, senjata, rempah, kuda, dan baghal. Perkara itu berlangsung tahun demi tahun. Raja Salomo juga mempunyai 4,000 buah kandang untuk kereta kuda dan kudanya. Baginda mempunyai 12,000 orang pasukan berkuda. Sebahagian daripada pasukan itu ditempatkannya di Yerusalem, dan yang lain ditempatkannya di berbagai-bagai kota lain. Raja Salomo menguasai raja-raja di wilayah yang terbentang dari Sungai Efrat sampai ke negeri orang Filistin dan sempadan Mesir. Pada masa pemerintahannya, perak merupakan barangan biasa seperti batu di Yerusalem, dan kayu sedar banyak seperti kayu ara di kaki-kaki bukit di Yehuda. Raja Salomo mengimport kuda dari Musri dan dari setiap negeri lain. Segala perbuatan Raja Salomo dari permulaan hingga akhir ada tercatat di dalam Kitab Sejarah Nabi Natan, Kitab Nubuat Ahia dari Silo, dan Kitab Wahyu Nabi Ido, yang juga mengandungi sejarah pemerintahan Raja Yerobeam di Israel. Raja Salomo menjadi raja di Yerusalem dan memerintah seluruh Israel selama empat puluh tahun. Baginda mangkat dan dimakamkan di Kota Daud. Puteranya, Rehabeam menggantikan baginda sebagai raja. Raja Rehabeam pergi ke Sikhem kerana semua suku di bahagian utara Israel telah berkumpul di sana untuk melantik baginda menjadi raja. Apabila Yerobeam anak Nebat mendengar tentang berita itu, dia kembali ke Israel. Dahulu Yerobeam telah pergi ke Mesir kerana dia melarikan diri daripada Raja Salomo. Suku-suku di utara memanggil Yerobeam, lalu dia bersama dengan mereka menghadap Raja Rehabeam dan berkata, “Raja Salomo, ayahanda tuanku telah memberikan hamba sekalian beban yang berat. Sekarang jika tuanku meringankan beban hamba semua dan memperlakukan hamba sekalian dengan baik, hamba semua akan menjadi rakyat yang setia kepada tuanku.” Raja Rehabeam bertitah, “Berilah beta tiga hari untuk mempertimbangkan hal itu. Selepas itu, datanglah lagi.” Oleh itu mereka pun pergi. Raja Rehabeam meminta nasihat daripada para orang tua yang telah berkhidmat kepada ayahandanya sebagai penasihat. “Bagaimanakah beta harus menjawab semua orang itu,” tanya Raja Rehabeam. “Apakah nasihat kamu?” Mereka menjawab, “Jika tuanku hendak berbakti kepada rakyat dan menyenangkan hati mereka, kabulkanlah permintaan mereka. Mereka juga akan berbakti dengan setia kepada tuanku.” Tetapi Raja Rehabeam tidak mempedulikan nasihat para orang tua itu. Sebaliknya baginda bertanya kepada orang muda yang sebaya dengan baginda, dan yang kini menjadi penasihatnya. Raja bertitah, “Apakah nasihat kamu? Apakah yang harus beta katakan kepada semua orang itu, yang meminta beta meringankan beban mereka?” Mereka menjawab, “Katakanlah kepada mereka, ‘Jari kelengkeng beta lebih besar daripada pinggang ayahanda beta!’ Katakan kepada mereka, ‘Ayahanda beta memberi kamu beban yang berat, tetapi beta akan memberi kamu beban yang lebih berat. Ayahanda beta menyebat kamu dengan cambuk, tetapi beta akan menyebat kamu dengan cambuk yang berduri besi!’ ” Tiga hari kemudian, Yerobeam dan rakyat datang lagi menghadap Raja Rehabeam menurut titahnya. [13-14] Raja tidak mempedulikan nasihat orang tua. Baginda menurut nasihat orang muda lalu bertitah kepada rakyat dengan kasar, “Ayahanda beta memberi kamu beban yang berat tetapi beta akan memberi kamu beban yang lebih berat. Ayahanda menyebat kamu dengan cambuk tetapi beta akan menyebat kamu dengan cambuk yang berduri besi!” *** TUHAN Allah hendak menepati firman-Nya yang disampaikan kepada Yerobeam anak Nebat melalui Nabi Ahia dari Silo. Itulah sebabnya raja tidak menghiraukan permintaan rakyat. Apabila rakyat melihat bahawa raja tidak mahu mengabulkan permintaan mereka, mereka berseru, “Jangan pedulikan Raja Daud dan keluarganya! Mereka tidak pernah melakukan apa pun untuk kita! Hai umat Israel, marilah kita pulang! Biarlah Raja Rehabeam menjaga dirinya sendiri!” Oleh itu umat Israel memberontak, dan Raja Rehabeam menjadi raja hanya bagi penduduk wilayah Yehuda sahaja. Kemudian Raja Rehabeam mengutus Adoniram, pengawas buruh paksa, pergi kepada umat Israel, tetapi mereka merejam dia sehingga mati. Oleh itu Raja Rehabeam tergesa-gesa melarikan diri ke Yerusalem dengan menaiki kereta kudanya. Sejak itu, penduduk di bahagian utara kerajaan Israel sentiasa memberontak terhadap raja-raja keturunan Raja Daud. Apabila Raja Rehabeam tiba di Yerusalem, baginda mengumpulkan 180,000 orang askar yang terbaik daripada suku Benyamin dan Yehuda. Raja Rehabeam hendak berperang untuk memulihkan kekuasaannya atas suku-suku Israel yang di utara. Tetapi TUHAN menyuruh Nabi Semaya menyampaikan firman-Nya kepada Raja Rehabeam dan semua orang suku Yehuda dan Benyamin, “Jangan serang sesama orang Israel. Pulanglah kamu semua! Apa yang telah berlaku adalah kehendak-Ku.” Mereka semua taat kepada perintah TUHAN dan tidak pergi memerangi Yerobeam. Raja Rehabeam tinggal di Yerusalem lalu membina kubu bagi kota-kota berikut di Yehuda dan Benyamin: Betlehem, Etam, Tekoa, Bet-Zur, Sokho, Adulam, Gat, Mares, Zif, Adoraim, Lakhis, Azeka, Zora, Ayalon, dan Hebron. Baginda membina kubu-kubu yang kuat dan melantik seorang panglima bagi tiap-tiap kota itu. Baginda melengkapi setiap kota itu dengan persediaan makanan, minyak zaitun dan wain, serta perisai dan tombak. Dengan cara itu baginda menguasai wilayah Yehuda dan Benyamin. Dari seluruh kawasan negeri Israel, para imam dan orang Lewi pergi ke selatan, ke negeri Yehuda. Orang Lewi meninggalkan padang rumput mereka dan tanah yang lain, lalu mereka pindah ke Yehuda dan Yerusalem, kerana Raja Yerobeam yang memerintah Israel dan raja-raja yang menggantikan baginda tidak membenarkan mereka bertugas sebagai imam TUHAN. Raja Yerobeam melantik imam-imamnya sendiri untuk bertugas di mazbah-mazbah penyembahan berhala dan syaitan, serta patung-patung berupa anak lembu jantan yang dibuatnya. Daripada semua suku Israel, orang yang benar-benar hendak menyembah TUHAN, Allah Israel, mengikut orang Lewi ke Yerusalem, supaya mereka dapat mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Dengan demikian kerajaan Yehuda dikuatkan. Selama tiga tahun mereka menyokong Raja Rehabeam putera Raja Salomo. Mereka hidup seperti pada zaman dahulu, di bawah pemerintahan Raja Daud dan Raja Salomo. Raja Rehabeam berkahwin dengan Mahalat. Bapa Mahalat ialah Yerimot, putera Raja Daud. Ibu Mahalat ialah Abihail anak Eliab, dan cucu Isai. Raja Rehabeam dan Mahalat mempunyai tiga orang putera: Yeus, Semarya, dan Zaham. Kemudian Raja Rehabeam berkahwin dengan Maakha anak Absalom, dan mendapat empat orang putera: Abia, Atai, Ziza, dan Selomit. Raja Rehabeam mempunyai 18 orang isteri dan 60 orang gundik. Baginda mempunyai 28 orang putera dan 60 orang puteri. Antara semua isteri dan gundiknya, Maakha yang paling dikasihinya. Antara semua putera dan puterinya, Abia putera Maakha, yang paling dikasihinya. Raja Rehabeam memilih Abia untuk menggantikan baginda sebagai raja kelak. Dengan bijaksana Raja Rehabeam memberikan tugas kepada putera-puteranya dan menempatkan mereka di seluruh Yehuda dan Benyamin, di kota-kota yang berkubu. Baginda memberi mereka makanan yang berlimpah-limpah, dan juga mendapatkan banyak isteri untuk mereka. Selepas Raja Rehabeam memperkuat pemerintahannya, baginda dan segenap rakyatnya mengabaikan Taurat TUHAN. Pada tahun kelima pemerintahan baginda, mereka dihukum oleh TUHAN kerana mereka tidak setia kepada-Nya. Yerusalem diserang oleh Raja Sisak, pemerintah Mesir, dengan 1,200 buah kereta kuda, 60,000 orang askar berkuda, dan askar-askar yang tidak dapat dikira, termasuk juga tentera Libia, Suki, dan Etiopia. Raja Sisak merebut kota-kota Yehuda yang berkubu, lalu maju sampai ke Yerusalem. Nabi Semaya menghadap Raja Rehabeam dan pemimpin-pemimpin Yehuda yang berkumpul di Yerusalem untuk melarikan diri daripada Raja Sisak. Semaya berkata kepada mereka, “Dengarlah firman TUHAN, ‘Kamu telah meninggalkan Aku; sekarang Aku meninggalkan kamu sehingga kamu dikuasai oleh Sisak.’ ” Raja dan pemimpin-pemimpin itu mengakui bahawa mereka sudah berdosa. Mereka berkata, “Apa yang dilakukan TUHAN itu adil.” Apabila TUHAN mendengar kata-kata mereka, Dia berfirman lagi kepada Semaya, “Oleh sebab mereka mengakui dosa, mereka tidak akan Kubinasakan sama sekali. Apabila Sisak melancarkan serangan, mereka akan Kubiarkan menyelamatkan diri, dan Yerusalem tidak akan hancur. Walaupun begitu, Sisak akan menaklukkan mereka; barulah mereka tahu perbezaannya mengabdikan diri kepada-Ku dan mengabdikan diri kepada pemerintah dunia ini.” Demikianlah Raja Sisak memasuki Yerusalem dan merampas harta di Rumah TUHAN dan di istana. Baginda mengambil segala-galanya termasuk perisai-perisai emas yang dibuat oleh Raja Salomo. Sebagai ganti perisai-perisai emas itu, Raja Rehabeam membuat perisai-perisai gangsa. Raja mempercayakan semua perisai itu kepada para pegawai yang bertanggungjawab mengawal pintu-pintu istana. Tiap-tiap kali raja masuk ke Rumah TUHAN, para pengawal mengangkat perisai-perisai itu, dan selepas itu, mereka mengembalikan semuanya ke bilik pengawal. Oleh sebab raja merendahkan diri di hadapan TUHAN, dan kerana masih ada hal-hal yang baik di Yehuda, maka redalah kemurkaan TUHAN terhadap Raja Rehabeam dan tidak membinasakan baginda sama sekali. Raja Rehabeam memerintah di Yerusalem dan kekuasaannya bertambah. Ketika baginda menjadi raja, baginda berumur empat puluh satu tahun. Selama tujuh belas tahun, baginda memerintah di Yerusalem, kota yang dipilih oleh TUHAN di seluruh wilayah Israel sebagai tempat beribadat kepada-Nya. Bonda Raja Rehabeam ialah Naama, yang berasal dari Amon. Raja Rehabeam melakukan kejahatan kerana baginda tidak berusaha melakukan kehendak TUHAN. Perbuatan Raja Rehabeam dari permulaan hingga akhir, dan juga catatan tentang keluarganya, terdapat di dalam kitab Sejarah Nabi Semaya dan kitab Sejarah Nabi Ido. Raja Rehabeam dan Raja Yerobeam sentiasa berperang. Raja Rehabeam mangkat dan dimakamkan di makam diraja di Kota Daud, lalu puteranya, Abia, menggantikan baginda sebagai raja. Pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yerobeam di Israel, Abia menjadi raja di Yehuda. Raja Abia memerintah di Yerusalem selama tiga tahun. Bonda baginda ialah Mikhaya anak Uriel dari Gibea. Apabila peperangan berlaku antara Raja Abia dan Raja Yerobeam, Raja Abia mengerahkan tentera sebanyak 400,000 orang, dan Raja Yerobeam melawan baginda dengan tentera sebanyak 800,000 orang. Kedua-dua pasukan tentera itu berhadapan di perbukitan Efraim. Raja Abia naik ke Gunung Zemaraim lalu berseru kepada Raja Yerobeam dan tentera Israel, “Dengarlah! Kamu tahu bahawa TUHAN Allah Israel telah membuat satu perjanjian dengan Raja Daud bahawa baginda dan keturunannya akan memerintah Israel selama-lamanya. Perjanjian itu tidak dapat dibatalkan. Yerobeam anak Nebat telah memberontak terhadap rajanya, Raja Salomo. Kemudian dia mengumpulkan beberapa orang penjahat dan mengalahkan Raja Rehabeam putera Raja Salomo, yang ketika itu masih terlalu muda dan tidak berpengalaman untuk mempertahankan diri. Sekarang kamu pun hendak melawan kekuasaan yang diberikan TUHAN kepada keturunan Raja Daud. Kamu mempunyai tentera yang besar dan patung-patung anak lembu jantan daripada emas yang dibuat oleh Yerobeam sebagai dewa-dewa kamu. Kamu telah mengusir imam-imam TUHAN, iaitu imam-imam keturunan Harun dan kamu juga mengusir orang Lewi. Sebagai ganti mereka, kamu melantik imam menurut kebiasaan bangsa-bangsa lain. Sesiapa yang datang dengan seekor lembu jantan atau dengan tujuh ekor domba, dapat dilantik menjadi imam untuk sesuatu yang bukan Allah. Tetapi kami masih mengabdi kepada TUHAN, Allah kami. Kami tidak meninggalkan Dia. Imam-imam keturunan Harun melakukan tugas mereka sambil dibantu orang Lewi. Tiap-tiap pagi dan petang mereka mempersembahkan kemenyan, dan juga binatang sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Mereka mempersembahkan roti sajian di atas meja yang dikhaskan, dan tiap-tiap malam mereka menyalakan pelita-pelita pada kaki pelita emas. Kami melakukan perintah TUHAN, tetapi kamu telah menolak Dia. Allah sendiri yang menjadi pemimpin kami. Imam-imam-Nya berada di sini dan bersiap meniup trompet sebagai tanda bagi kami untuk menyerang kamu. Hai rakyat Israel, jangan lawan TUHAN, Allah nenek moyang kamu! Kamu tidak mungkin menang!” Sementara itu, Raja Yerobeam telah mengirim sebahagian daripada tenteranya untuk mengadang tentera Yehuda dari belakang, dan yang lain menghadap mereka dari depan. Tentera Yehuda melihat di sekeliling mereka dan sedar bahawa mereka telah dikepung. Maka mereka berseru kepada TUHAN meminta pertolongan, dan para imam meniup trompet mereka. Selepas itu tentera Yehuda berteriak dengan kuat, dan di bawah pimpinan Raja Abia, mereka melancarkan serangan. Allah mengalahkan Raja Yerobeam dan tentera Israel. Tentera Israel lari daripada tentera Yehuda, dan Allah membiarkan tentera Yehuda mengalahkan mereka. Mereka dikalahkan dengan teruk oleh Raja Abia dan tenteranya. Setengah juta orang askar Israel yang paling baik telah terbunuh. Demikianlah orang Yehuda mengalahkan orang Israel, kerana orang Yehuda bergantung kepada TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Raja Abia mengejar pasukan Raja Yerobeam dan menduduki beberapa buah kotanya, iaitu Betel, Yesana, Efron, dan pekan-pekan di sekitar kota-kota itu. Raja Yerobeam tidak dapat memulihkan kekuasaannya selama pemerintahan Raja Abia. Akhirnya Raja Yerobeam dibunuh oleh TUHAN, lalu baginda mangkat. Sebaliknya, Raja Abia semakin berkuasa. Baginda mempunyai 14 orang isteri, 22 orang putera dan 16 orang puteri. Kisah selanjutnya tentang Raja Abia, ucapannya dan perbuatannya, tercatat di dalam kitab Sejarah Nabi Ido. Raja Abia mangkat dan dikebumikan di makam diraja di Kota Daud. Puteranya Asa menggantikan baginda sebagai raja. Di bawah pemerintahan Raja Asa, Yehuda aman selama sepuluh tahun. Oleh sebab perbuatannya yang baik dan adil, Raja Asa diperkenankan TUHAN, Allahnya. Raja Asa membuang mazbah-mazbah bangsa asing dan tempat-tempat penyembahan berhala. Baginda merobohkan tiang-tiang berhala dan tugu-tugu Dewi Asyera. Baginda menyuruh penduduk Yehuda melakukan kehendak TUHAN, Allah nenek moyang mereka, dan taat kepada ajaran dan perintah-Nya. Oleh sebab baginda menyingkirkan tempat-tempat penyembahan berhala dan mazbah-mazbah kemenyan di semua kota Yehuda, kerajaan itu aman di bawah pemerintahannya. Baginda membina kubu bagi kota-kota Yehuda pada masa itu, dan selama beberapa tahun peperangan tidak berlaku, kerana TUHAN mengurniakan keamanan kepadanya. Raja Asa bertitah kepada penduduk Yehuda, “Marilah kita membina tembok-tembok, menara-menara, dan pintu-pintu gerbang yang berpalang untuk memperkuat kota-kota ini. Kita dapat menguasai negeri ini kerana kita telah melakukan kehendak TUHAN, Allah kita. Dia telah melindungi kita dan memberikan keamanan di seluruh negeri kita.” Demikianlah mereka memulakan pembinaan dan menyelesaikan pekerjaan itu dengan baik. Raja Asa mempunyai tentera sebanyak 300,000 orang askar dari Yehuda, lengkap dengan perisai serta tombak, dan 280,000 orang askar dari Benyamin, lengkap dengan perisai dan busur. Segenap tentera itu terdiri daripada askar yang terlatih dan gagah berani. Pada suatu masa seorang bangsa Etiopia bernama Zerah menyerang Yehuda dengan askar sebanyak sejuta orang dan 300 buah kereta kuda. Mereka maju sampai ke Maresa. Raja Asa keluar untuk menentang Zerah, dan masing-masing membuat pertahanan di Lembah Zefata dekat Maresa. Raja Asa berdoa kepada TUHAN, Allahnya, “Ya TUHAN, Engkau sanggup menolong tentera yang lemah sebagaimana Engkau menolong pasukan yang kuat. Sekarang tolonglah kami, ya TUHAN, Allah kami, kerana kami bersandar kepada-Mu. Demi nama-Mu, kami sekarang keluar berperang dengan tentera yang besar ini. Engkaulah Allah kami, ya TUHAN; tiada sesiapa pun dapat berharap mengalahkan Engkau.” Apabila Raja Asa dan tentera Yehuda melancarkan serangan, TUHAN mengalahkan tentera orang Etiopia. Mereka melarikan diri, lalu Raja Asa dengan tenteranya mengejar mereka sampai ke Gerar. Banyak sekali orang Etiopia yang terbunuh. Tentera Etiopia menjadi lemah sehingga mereka tidak dapat bertahan dan bertempur. Mereka dikalahkan oleh TUHAN dan tentera-Nya. Tentera Yehuda mendapat banyak sekali barang jarahan. Selepas itu mereka berjaya memusnahkan kota-kota di sekitar Gerar kerana TUHAN menyebabkan penduduk di situ ketakutan. Tentera Yehuda menjarah semua kota itu dan mendapat banyak sekali barang jarahan. Mereka juga menyerang beberapa perkhemahan gembala dan merampas banyak domba dan unta. Kemudian mereka pulang ke Yerusalem. Roh Allah menguasai Azarya anak Obed, lalu dia pergi menghadap Raja Asa. Katanya, “Dengarlah hamba, hai Raja Asa, dan kamu semua penduduk Yehuda dan Benyamin! TUHAN berserta kamu selama kamu berserta Dia. Jika kamu mencari Dia, maka Dia akan berkenan ditemui oleh kamu. Tetapi jika kamu meninggalkan Dia, maka Dia akan meninggalkan kamu. Sudah lama Israel tidak mengabdi kepada Allah yang benar, tidak mempunyai imam-imam yang mengajar mereka, dan tidak mempunyai hukum. Tetapi pada masa kesusahan, mereka minta tolong kepada TUHAN, Allah Israel. Mereka mencari Dia, lalu menemui Dia. Pada masa itu tiada sesiapa pun dapat berpergian dengan selamat, kerana di seluruh negeri terdapat huru-hara. Bangsa yang satu menindas bangsa yang lain, dan kota yang satu menindas kota yang lain, kerana Allah sedang mendatangkan kesusahan dan kecemasan terhadap mereka. Tetapi kamu mesti tabah dan berani. Pekerjaan yang kamu lakukan akan diberikan ganjaran.” Apabila Raja Asa mendengar nubuat Azarya anak Obed, semangatnya berkobar. Baginda membuang semua berhala di Yehuda dan Benyamin, serta semua berhala di kota-kota yang direbut oleh baginda di perbukitan Efraim. Raja Asa memperbaiki mazbah TUHAN yang terletak di halaman Rumah TUHAN. Banyak orang datang dari Efraim, Manasye dan Simeon, lalu tinggal di dalam kerajaan Raja Asa, kerana mereka telah melihat bahawa TUHAN menolong Raja Asa. Raja Asa memanggil mereka semua bersama-sama penduduk Yehuda dan Benyamin. Mereka semua berkumpul di Yerusalem pada bulan ketiga tahun kelima belas pemerintahan Raja Asa. Pada hari itu mereka mempersembahkan 700 ekor lembu dan 7,000 ekor domba sebagai korban kepada TUHAN; semua itu adalah hasil jarahan. Mereka membuat perjanjian bahawa dengan segenap hati dan jiwa, mereka akan hidup menurut kehendak TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Sesiapa sahaja, baik tua atau muda, lelaki atau perempuan, yang tidak hidup menurut kehendak TUHAN, Allah Israel, harus dihukum mati. Dengan suara yang kuat dan atas nama TUHAN, mereka bersumpah untuk memegang perjanjian mereka itu. Selepas itu, mereka bersorak-sorak dan meniup trompet. Segenap penduduk Yehuda bersukacita kerana mereka telah membuat perjanjian itu dengan sepenuh hati. Mereka beribadat kepada TUHAN dengan sungguh-sungguh, maka mereka pun diperkenankan TUHAN dan diberikan keamanan di seluruh negeri. Raja Asa menurunkan kedudukan neneknya, Maakha sebagai bonda ratu, kerana baginda telah membuat sebuah patung cabul untuk Dewi Asyera, dewi kesuburan. Raja Asa merobohkan patung itu, menetaknya, lalu membakarnya di Lembah Kidron. Walaupun Raja Asa tidak memusnahkan semua tempat penyembahan berhala di negeri itu, namun baginda tetap setia kepada TUHAN seumur hidupnya. Baginda meletakkan semua benda yang telah ditahbiskan oleh ayahandanya, di dalam Rumah TUHAN. Di sana Raja Asa juga meletakkan benda-benda emas dan perak yang telah ditahbiskannya sendiri. Peperangan tidak berlaku sehingga pada tahun ketiga puluh lima pemerintahannya. Pada tahun ketiga puluh enam pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Raja Baesa dari Israel menyerang Yehuda lalu mula memperkuat kota Rama untuk menutup jalan keluar masuk Yehuda. Oleh itu Raja Asa mengambil perak dan emas dari perbendaharaan di Rumah TUHAN dan di istana. Kemudian Raja Asa mengirimnya ke Damsyik kepada Raja Benhadad raja Siria, dengan pesan berikut, “Marilah kita mengikat persahabatan seperti yang dilakukan ayahanda kita dahulu. Emas dan perak ini hadiah untuk tuanku. Putuskanlah persahabatan tuanku dengan Raja Baesa di Israel, supaya raja Israel itu terpaksa menarik kembali tenteranya dari wilayah beta.” Raja Benhadad bersetuju dengan cadangan Raja Asa, lalu Raja Benhadad mengirim para panglima dan tentera mereka untuk menyerang kota-kota Israel. Mereka merebut Iyon, Dan, Abel-Bet-Maakha, dan semua kota di Naftali, iaitu tempat-tempat penyimpanan perbekalan negeri. Apabila Raja Baesa mendengar hal itu, baginda menghentikan usahanya untuk memperkuat Rama. Setelah itu Raja Asa memerintah orang dari seluruh Yehuda supaya membawa batu dan balak yang digunakan Raja Baesa di Rama, lalu mereka menggunakan semuanya untuk memperkuat kota Geba dan Mizpa. Pada waktu itu Nabi Hanani menghadap Raja Asa dan berkata, “Oleh sebab tuanku telah bersandar kepada raja Siria dan tidak bersandar kepada TUHAN, Allah tuanku, maka hilanglah kesempatan untuk mengalahkan tentera raja Siria. Bukankah tentera Etiopia dan Libia besar bilangannya? Mereka mempunyai kereta kuda dan pasukan berkuda, tetapi kerana tuanku bersandar kepada TUHAN, Dia memberi tuanku kemenangan menentang mereka. TUHAN sentiasa mengawasi seluruh bumi ini dan memberikan kekuatan kepada mereka yang setia kepada-Nya. Tuanku telah berlaku bodoh, oleh itu mulai sekarang tuanku akan sentiasa berperang.” Raja Asa begitu murka terhadap nabi itu sehingga nabi itu dibelenggu. Pada masa itulah Raja Asa mula memperlakukan beberapa orang dengan kejam. Segala kejadian pada masa pemerintahan Raja Asa, dari permulaan hingga akhir, tercatat di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Yehuda dan Israel. Pada tahun ketiga puluh sembilan pemerintahan Raja Asa, kakinya kena penyakit parah. Walaupun demikian baginda tidak meminta pertolongan TUHAN; sebaliknya baginda meminta pertolongan tabib. Dua tahun kemudian Raja Asa mangkat. Baginda dimakamkan di makam bukit batu yang telah dipahat untuknya di Kota Daud. Jenazahnya dilumuri rempah dan wangi-wangian sebelum dimakamkan. Api unggun yang sangat besar dinyalakan untuk menghormati baginda. Raja Yosafat menggantikan ayahandanya Raja Asa sebagai raja, dan baginda mengukuhkan kedudukannya untuk melawan Israel. Raja Yosafat menempatkan tentera di kota-kota berkubu di Yehuda, di kawasan desa Yehuda, dan di kota-kota yang telah direbut oleh Raja Asa di wilayah Efraim. TUHAN memberkati Raja Yosafat kerana baginda mengikut teladan ayahandanya semasa ayahandanya masih muda; Raja Yosafat tidak menyembah Baal. Baginda mengabdi kepada Allah ayahandanya, taat kepada perintah Allah, dan tidak hidup seperti raja-raja Israel. TUHAN menguatkan pemerintahannya di Yehuda, dan semua orang memberikan hadiah kepadanya sehingga baginda menjadi kaya dan sangat dihormati. Raja Yosafat berbangga kerana mengabdi kepada TUHAN; baginda memusnahkan semua tempat penyembahan berhala dan lambang-lambang Dewi Asyera di Yehuda. Pada tahun ketiga pemerintahannya, baginda mengutus pegawai-pegawai untuk mengajar di kota-kota Yehuda. Mereka terdiri daripada Benhail, Obaja, Zakharia, Netaneel, dan Mikha. Mereka diiringi oleh sembilan orang Lewi dan dua orang imam. Orang Lewi itu ialah Semaya, Netanya, Zebaja, Asael, Semiramot, Yonatan, Adonia, Tobia, dan Tob-Adonia; imam-imam itu ialah Elisama dan Yoram. Mereka membawa kitab Taurat TUHAN, lalu menjelajahi semua kota di Yehuda dan mengajar rakyat di sana. TUHAN membuat semua kerajaan di sekitar Yehuda takut berperang melawan Raja Yosafat. Sebilangan orang Filistin memberi Raja Yosafat banyak perak dan hadiah yang lain. Ada pula orang Arab yang memberinya 7,700 ekor domba dan 7,700 ekor kambing. Demikianlah Raja Yosafat menjadi semakin berkuasa. Di seluruh Yehuda baginda membina kubu-kubu dan kota-kota. Baginda menyimpan perbekalan yang banyak di kota-kota itu. Di Yerusalem baginda menempatkan pahlawan-pahlawan yang perkasa menurut puak masing-masing. Adna menjadi panglima utama puak-puak Yehuda, dan dia memimpin 300,000 orang askar. Panglima kedua ialah Yohanan; dia memimpin 280,000 orang askar. Panglima ketiga ialah Amasia anak Zikhri; dia memimpin 200,000 orang askar. (Amasia mengabdi kepada TUHAN dengan sukarela.) Elyada menjadi panglima utama puak-puak Benyamin, dan dia memimpin 200,000 orang askar yang bersenjatakan perisai dan busur. Panglima kedua ialah Yosabad; dia memimpin 180,000 orang askar yang bersenjata. Merekalah yang berkhidmat kepada raja di Yerusalem. Selain itu, Raja Yosafat juga menugaskan askar-askar lain di kota-kota berkubu di wilayah Yehuda. Apabila Raja Yosafat dari Yehuda menjadi kaya dan termasyhur, baginda mengahwinkan seorang kerabatnya dengan seorang kerabat Raja Ahab di Israel. Beberapa tahun kemudian, Raja Yosafat pergi melawat Raja Ahab di kota Samaria. Raja Ahab mengadakan jamuan dan menyuruh orang menyembelih banyak lembu dan domba untuk menghormati Raja Yosafat dan rombongannya. Raja Ahab cuba memujuk Raja Yosafat supaya mengikut baginda menyerang kota Ramot di Gilead. Raja Ahab bertanya, “Mahukah tuanku menyertai beta untuk menyerang Ramot?” Raja Yosafat menjawab, “Beta bersedia menyertai tuanku. Demikian juga tentera beta. Kami akan berperang bersama-sama tuanku.” Raja Yosafat bertitah lagi, “Tetapi marilah kita bertanya kepada TUHAN dahulu.” Oleh itu Raja Ahab memanggil nabi-nabi, yang berjumlah kira-kira empat ratus orang. Baginda bertanya kepada mereka, “Bolehkah beta menyerang Ramot atau tidak?” “Seranglah,” jawab mereka. “Allah akan memberikan kemenangan kepada tuanku.” Tetapi Raja Yosafat bertanya lagi, “Tiadakah nabi lain yang dapat menanyakan hal ini kepada TUHAN?” Raja Ahab menjawab, “Ada seorang lagi, Mikha anak Yimla. Tetapi beta membenci dia, kerana dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta; dia selalu bernubuat tentang perkara yang buruk.” Raja Yosafat menjawab, “Tuanku tidak seharusnya berkata demikian.” Oleh itu Raja Ahab memanggil seorang pegawai istana dan menyuruh dia cepat-cepat menjemput Mikha. Kedua-dua orang raja itu, dengan berpakaian kebesaran, bersemayam di atas takhta, di tempat mengirik gandum, di luar pintu gerbang Samaria. Semua nabi sedang bernubuat di hadapan mereka berdua. Zedekia anak Kenaana, salah seorang nabi itu, membuat beberapa buah tanduk besi lalu berkata kepada Raja Ahab, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Dengan tanduk-tanduk besi ini engkau akan melawan orang Siria sehingga mereka kalah sama sekali.’ ” Semua nabi yang lain juga berkata demikian. Mereka berkata, “Majulah menyerang Ramot. Tuanku pasti menang. TUHAN akan memberi tuanku kemenangan.” Sementara itu, pegawai yang pergi menjemput Mikha berkata kepadanya, “Semua nabi yang lain telah bernubuat bahawa raja akan menang. Sebaiknya engkau pun bernubuat demikian.” Tetapi Mikha menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, saya berjanji bahawa saya hanya akan mengatakan apa yang difirmankan Allah saya!” Apabila Mikha menghadap Raja Ahab, raja bertanya kepadanya, “Mikha, bolehkah Raja Yosafat dan beta menyerang Ramot atau tidak?” “Seranglah!” jawab Mikha. “Tentu tuanku akan menang. TUHAN akan memberikan kemenangan kepada tuanku.” Tetapi Raja Ahab bertitah, “Jika engkau berkata-kata kepada beta atas nama TUHAN, katakanlah yang benar. Berapa kali harus beta peringatkan engkau tentang hal ini?” Mikha menjawab, “Hamba nampak tentera Israel tercerai-cerai di bukit-bukit seperti kawanan domba yang tidak mempunyai gembala. TUHAN berfirman, ‘Semua orang ini tidak mempunyai pemimpin; biarlah mereka pulang dengan selamat.’ ” Raja Ahab bertitah kepada Raja Yosafat, “Beta telah memberitahu tuanku bahawa dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta; dia selalu bernubuat tentang perkara yang buruk!” Mikha berkata lagi, “Dengarlah firman TUHAN! Hamba nampak TUHAN bersemayam di takhta-Nya di syurga, dan semua malaikat-Nya berdiri di sekeliling-Nya. TUHAN bertanya, ‘Siapakah yang akan memperdaya Ahab supaya dia pergi ke Ramot lalu terbunuh di sana?’ Jawapan malaikat-malaikat itu berbeza-beza. Kemudian satu roh tampil dan menghadap TUHAN. Roh itu berkata, ‘Aku akan memperdaya Ahab.’ Lalu TUHAN bertanya, ‘Bagaimana?’ Roh itu menjawab, ‘Aku akan menyebabkan semua nabi Ahab berdusta.’ TUHAN berfirman, ‘Pergilah perdayakan dia. Engkau akan berjaya.’ ” Mikha berkata lagi, “Inilah yang telah berlaku. TUHAN telah menyebabkan nabi-nabi tuanku berdusta kepada tuanku. Tetapi TUHAN sendiri telah menentukan bahawa tuanku akan ditimpa malapetaka.” Nabi Zedekia menghampiri Mikha, menampar pipinya, lalu bertanya, “Sejak bilakah Roh TUHAN meninggalkan aku dan berfirman kepadamu?” Mikha menjawab, “Engkau akan mengetahui hal ini apabila engkau bersembunyi di salah sebuah bilik belakang.” Kemudian Raja Ahab bertitah kepada salah seorang pegawainya, “Tangkaplah Mikha dan bawalah dia kepada gabenor kota, iaitu Amon, dan Putera Yoas. Suruh mereka masukkan dia ke dalam penjara, dan beri dia roti dan air sahaja sehingga beta kembali dengan selamat.” Mikha berkata, “Jika tuanku kembali dengan selamat, nyatalah bahawa TUHAN tidak berfirman melalui hamba!” Mikha berkata lagi, “Dengarlah hai semua orang, akan apa yang telah saya katakan ini!” Kemudian Raja Ahab dari Israel dan Raja Yosafat dari Yehuda pergi menyerang kota Ramot di Gilead. Raja Ahab bertitah kepada Raja Yosafat, “Apabila kita bertempur, beta akan menyamar, tetapi tuanku akan memakai pakaian raja.” Oleh itu raja Israel menyamar ketika pergi bertempur. Raja negeri Siria telah memerintah panglima pasukan kereta kudanya supaya tidak menyerang sesiapa pun kecuali raja Israel. Apabila mereka nampak Raja Yosafat, mereka menyangka bahawa baginda raja Israel. Oleh itu mereka berpaling dan menyerang baginda. Tetapi apabila Raja Yosafat berteriak, TUHAN Allah menolong baginda dan mengalihkan serangan itu ke arah lain. Panglima pasukan kereta kuda itu sedar bahawa raja itu bukan raja Israel, lalu mereka berhenti menyerang baginda. Kebetulan salah seorang askar negeri Siria melepaskan anak panah yang mengenai Raja Ahab pada sambungan baju zirahnya. “Beta luka!” seru Raja Ahab kepada pemandu kereta kudanya. “Pusingkan kereta kuda dan keluarlah dari pertempuran ini!” Sementara pertempuran itu berkobar, Raja Ahab menopang diri di atas kereta kudanya yang berhadapan dengan tentera Siria. Pada waktu matahari terbenam, Raja Ahab mangkat. Raja Yosafat pulang dengan selamat ke istananya di Yerusalem. Seorang nabi bernama Yehu anak Hanani, pergi menghadap raja dan berkata kepadanya, “Patutkah tuanku menolong orang zalim dan berpihak kepada orang yang melawan TUHAN? Perbuatan tuanku itu menyebabkan TUHAN murka terhadap tuanku. Walaupun demikian, ada juga perbuatan baik yang tuanku lakukan. Tuanku telah membuang lambang-lambang Dewi Asyera yang disembah rakyat, dan tuanku telah berusaha melakukan kehendak Allah.” Walaupun Raja Yosafat tinggal di Yerusalem, baginda sentiasa mengunjungi rakyatnya di seluruh negeri, dari Bersyeba di selatan sampai ke sempadan perbukitan Efraim di utara, untuk memimpin rakyat kembali kepada TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Raja Yosafat melantik hakim-hakim di setiap kota berkubu di Yehuda. Baginda memberikan perintah ini kepada mereka, “Berhati-hatilah apabila kamu menghakimi orang, kerana kamu bertindak bukan atas nama manusia, melainkan atas nama TUHAN. Dia mengawasi kamu apabila kamu memberikan keputusan. Takutlah akan TUHAN, dan bertindaklah dengan hati-hati, kerana TUHAN, Allah kita membenci orang yang curang, atau yang berat sebelah, ataupun yang menerima rasuah.” Di Yerusalem, Raja Yosafat melantik orang Lewi, imam-imam, dan beberapa orang pemimpin rakyat sebagai hakim, untuk mengurus hal-hal yang berkaitan dengan pelanggaran Taurat TUHAN dan pelanggaran undang-undang oleh penduduk kota itu. Raja Yosafat memberikan perintah berikut kepada hakim-hakim itu, “Jalankanlah tugas kamu dengan takut akan TUHAN. Hendaklah kamu setia dan taat kepada-Nya dalam segala tindakan kamu. Apabila orang sebangsa kamu dari kota lain mengajukan perkara pembunuhan, pelanggaran Taurat, atau pelanggaran undang-undang, hendaklah kamu memberi mereka petunjuk supaya mereka tidak berdosa terhadap TUHAN. Jika tidak, kamu, dan bangsa kamu akan kena kemurkaan TUHAN. Tetapi jika kamu menjalankan tanggungjawab kamu itu, kamu tidak bersalah. Imam Agung Amarya akan berkuasa penuh bagi segala perkara agama, dan Zebaja anak Ismael, gabenor Yehuda, berkuasa penuh bagi semua perkara awam. Orang Lewi bertanggungjawab atas pelaksanaan keputusan mahkamah. Bertindaklah dengan tegas dan turutilah petunjuk-petunjuk ini. Semoga TUHAN menyertai orang yang berlaku adil!” Beberapa lama kemudian, tentera Moab dan Amon bersama-sama sekutu mereka, tentera Meunim, menyerang Yehuda. Beberapa orang utusan menghadap Raja Yosafat dan memberitahu baginda, “Angkatan perang yang besar dari Edom telah datang dari seberang Laut Mati untuk menyerang tuanku. Mereka telah merebut Hazezon-Tamar.” (Hazezon-Tamar ialah nama lain bagi En-Gedi.) Raja Yosafat takut lalu berdoa kepada TUHAN meminta petunjuk. Kemudian baginda memerintah penduduk negeri supaya berpuasa. Dari tiap-tiap kota di Yehuda, rakyat pergi ke Yerusalem untuk minta pertolongan daripada TUHAN. Bersama-sama penduduk Yerusalem, mereka berkumpul di halaman baru di Rumah TUHAN. Raja Yosafat berdiri di hadapan rakyat lalu berdoa dengan suara kuat, “Ya TUHAN, Allah nenek moyang kami, dari takhta-Mu di syurga, Engkau memerintah bangsa-bangsa di bumi ini. Engkau berkuasa dan perkasa! Tiada sesiapa pun dapat melawan Engkau. Engkaulah Allah kami. Ketika umat-Mu Israel pindah ke negeri ini, Engkau mengusir bangsa yang tinggal di sini dan memberikan tanah ini kepada keturunan Abraham, sahabat-Mu, untuk menjadi pusaka mereka selama-lamanya. Mereka sudah tinggal di sini dan membina sebuah rumah ibadat untuk menghormati Engkau. Mereka tahu bahawa jika mereka dihukum dengan bencana, sama ada peperangan, wabak, atau kelaparan, mereka dapat datang kepada-Mu dan berdiri di hadapan rumah ibadat ini. Ketika dalam kesusahan, mereka dapat berdoa kepada-Mu dan Engkau akan mendengar serta menolong mereka. Sekarang orang Amon, Moab, dan Edom menyerang kami. Ketika nenek moyang kami keluar dari Mesir dahulu, Engkau tidak membenarkan mereka masuk ke negeri-negeri itu. Oleh itu mereka mengambil jalan keliling dan tidak membinasakan bangsa-bangsa itu. Sekarang lihatlah cara mereka membalas kami - mereka datang untuk mengusir kami dari tanah yang Engkau berikan kepada kami. Engkaulah Allah kami! Hukumlah mereka, kerana kami tidak berdaya melawan tentera besar yang menyerang kami. Kami tidak tahu apa yang harus kami lakukan, tetapi kami datang kepada-Mu meminta tolong.” Semua kaum lelaki Yehuda, bersama-sama anak isteri mereka, berdiri di Rumah TUHAN. Lalu Roh TUHAN menguasai seorang Lewi yang hadir di tengah-tengah orang ramai itu. Namanya Yahaziel anak Zakharia, seorang daripada puak Asaf, iaitu keturunan Benaya, Yeiel, dan Matanya. Yahaziel berkata, “Tuanku dan semua penduduk Yehuda dan Yerusalem, TUHAN berfirman bahawa kamu tidak boleh putus asa atau takut menghadapi pasukan yang besar ini, kerana yang bertempur bukan kamu, melainkan Allah. Esok seranglah mereka, pada masa mereka mendaki Genting Zis. Kamu akan menemui mereka di hujung lembah yang menuju ke padang gurun dekat Yeruel. Kamu tidak perlu bertempur dalam peperangan ini. Ambillah tempat kamu lalu tunggulah. Kamu akan melihat TUHAN memberi kamu kemenangan. Janganlah takut atau ragu-ragu, hai penduduk Yehuda dan Yerusalem! Hadapilah musuh; TUHAN akan menyertai kamu!” Selepas itu Raja Yosafat bersujud dan semua rakyat pun bersujud bersama-sama baginda dan menyembah TUHAN. Puak Kehat dan Korah daripada suku Lewi berdiri, lalu bersorak memuji TUHAN, Allah Israel. Keesokan paginya mereka semua pergi ke padang gurun dekat Tekoa. Ketika mereka berangkat, Raja Yosafat bertitah kepada mereka, “Hai penduduk Yehuda dan Yerusalem, percayalah kepada TUHAN, Allah kamu, maka kamu akan sanggup bertahan! Percayalah kepada nasihat nabi-nabi-Nya, maka kamu akan berjaya.” Setelah berunding dengan rakyat, raja memerintah beberapa orang penyanyi supaya memakai pakaian yang biasanya dipakai pada upacara-upacara agama. Para penyanyi itu mesti berjalan di hadapan tentera sambil menyanyi, “Pujilah TUHAN! Kasih-Nya kekal abadi!” Apabila mereka mula menyanyi, TUHAN menimbulkan kekacauan di tengah-tengah musuh yang hendak menyerang mereka. Tentera Amon dan Moab menyerang tentera Edom dan memusnahkannya sama sekali. Kemudian mereka pula menyerang satu sama lain dengan sengit. Apabila tentera Yehuda sampai di sebuah menara di padang gurun, mereka memandang ke arah musuh dan nampak semua musuh mati terlentang di tanah. Tiada seorang pun daripada tentera musuh yang hidup. Raja Yosafat dan tenteranya pergi menjarah harta barang-barang musuh. Mereka mendapat banyak ternakan, bekalan, pakaian, dan barang-barang berharga. Selama tiga hari mereka mengumpulkan barang jarahan itu, tetapi mereka tidak dapat mengambil semuanya kerana barang-barang itu terlalu banyak. Pada hari keempat, mereka berkumpul di Lembah Beraka, lalu memuji TUHAN bagi segala yang telah dilakukan-Nya. Itulah sebabnya lembah itu dinamakan Lembah Beraka. Demikianlah Raja Yosafat memimpin tenteranya kembali ke Yerusalem dengan kemenangan, kerana TUHAN telah mengalahkan musuh mereka. Ketika mereka sampai di kota, mereka pergi ke Rumah TUHAN, dengan iringan kecapi dan trompet. Tiap-tiap bangsa menjadi takut apabila mendengar tentang cara TUHAN mengalahkan musuh Israel. Dengan demikian Raja Yosafat dapat memerintah dengan aman, dan Allah memberi Raja Yosafat ketenteraman di seluruh negeri. Raja Yosafat menjadi raja Yehuda ketika baginda berumur tiga puluh lima tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama dua puluh lima tahun. Bondanya ialah Azuba anak Silhi. Seperti ayahandanya dahulu, Raja Yosafat melakukan apa yang benar di sisi TUHAN, tetapi tempat-tempat penyembahan berhala tidak dimusnahkan. Rakyat belum juga beribadat dengan sepenuh hati kepada Allah nenek moyang mereka. Segala perbuatan Raja Yosafat, dari permulaan pemerintahannya sehingga akhir, tercatat di dalam kitab Sejarah Yehu Anak Hanani, iaitu sebahagian daripada kitab Sejarah Raja-Raja Israel. Pada suatu masa, Raja Yosafat mengadakan hubungan persahabatan dengan Raja Ahazia dari Israel, yang melakukan banyak kejahatan. Mereka membina kapal-kapal besar di Ezion-Geber, tetapi Eliezer anak Dodawa dari kota Maresa memberikan amaran kepada Raja Yosafat. Katanya, “Oleh sebab tuanku mengadakan hubungan persahabatan dengan Raja Ahazia, TUHAN akan memusnahkan apa yang telah tuanku bina.” Kemudian kapal-kapal yang telah dibina itu musnah dan tidak dapat belayar sama sekali. Raja Yosafat mangkat lalu dimakamkan di makam diraja di Kota Daud, dan puteranya Yehoram menggantikan baginda sebagai raja. Raja Yehoram putera Raja Yosafat, raja Yehuda mempunyai enam saudara lelaki: Azarya, Yehiel, Zakharia, Azariahu, Mikhael, dan Sefaca. Ayahanda mereka memberi mereka banyak emas, perak, barang-barang berharga lain, dan masing-masing juga diberikan sebuah kota berkubu di Yehuda. Oleh sebab Yehoram putera sulung, Raja Yosafat melantik puteranya itu menjadi pengganti baginda. Selepas Raja Yehoram mengukuhkan pemerintahannya, baginda membunuh semua saudara lelakinya, dan juga beberapa orang pegawai tinggi. Raja Yehoram menjadi raja ketika baginda berumur 32 tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama lapan tahun. Baginda mengikut cara hidup Raja Ahab dan raja-raja Israel yang lain kerana baginda berkahwin dengan salah seorang puteri Raja Ahab. Raja Yehoram berdosa terhadap TUHAN, tetapi TUHAN tidak mahu memusnahkan raja keturunan Raja Daud, kerana TUHAN telah berjanji kepada Raja Daud bahawa keturunan baginda akan memerintah selama-lamanya. Pada masa pemerintahan Raja Yehoram, Edom memberontak terhadap Yehuda lalu menjadi negara merdeka. Oleh itu Raja Yehoram dan pegawai-pegawainya berangkat dengan kereta kuda lalu menyerang Edom. Di sana mereka dikepung oleh tentera Edom, tetapi pada malam harinya mereka berjaya melepaskan diri. Sejak itu Edom tidak tunduk lagi kepada Yehuda. Pada masa itu kota Libna juga memberontak, kerana Raja Yehoram telah meninggalkan TUHAN, Allah nenek moyangnya. Bahkan Raja Yehoram membina tempat-tempat penyembahan berhala di pergunungan Yehuda, dan menyebabkan penduduk Yehuda dan Yerusalem berdosa terhadap TUHAN. Nabi Elia mengirim sepucuk surat kepada Raja Yehoram. Bunyi surat itu demikian, “TUHAN, Allah yang disembah Raja Daud, nenek moyang tuanku, menghukum tuanku, kerana tuanku tidak mengikut teladan Raja Yosafat ayahanda tuanku, ataupun teladan Raja Asa datuk tuanku. Sebaliknya, tuanku mengikut cara hidup raja-raja Israel, dan menyebabkan penduduk Yehuda dan Yerusalem tidak setia kepada Allah, sebagaimana Raja Ahab dan raja-raja yang seterusnya menyebabkan Israel tidak setia kepada Allah. Bahkan tuanku telah membunuh saudara-saudara tuanku yang lebih baik daripada tuanku. Oleh itu TUHAN akan menghukum rakyat, anak-anak, dan isteri-isteri tuanku dengan berat, serta memusnahkan harta milik tuanku. Tuanku sendiri akan menderita penyakit usus yang semakin hari semakin parah!” Pada masa itu ada orang Filistin dan orang Arab yang tinggal dekat perkampungan orang Etiopia di kawasan pantai. TUHAN menggerakkan hati mereka untuk memerangi Raja Yehoram. Mereka menyerang Yehuda, menjarah harta di istana, dan menawan semua isteri dan putera raja kecuali Ahazia, putera yang bongsu. Setelah semua hal itu berlaku, TUHAN mendatangkan penyakit usus yang teruk kepada Raja Yehoram. Selama hampir dua tahun penyakit itu menjadi semakin teruk sehingga akhirnya raja mangkat dengan sangat menderita. Rakyat tidak menyalakan unggun api sebagai tanda berkabung untuk baginda, sebagaimana yang telah dilakukan bagi nenek moyangnya. Raja Yehoram menjadi raja ketika baginda berusia 32 tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama lapan tahun. Tiada sesiapa pun berasa sedih ketika baginda mangkat. Mereka memakamkan baginda di Kota Daud, tetapi bukan di makam diraja. Beberapa orang Arab telah menyerbu dan membunuh semua putera Raja Yehoram kecuali Ahazia, putera yang bongsu. Oleh itu penduduk Yerusalem melantik Ahazia menjadi raja untuk menggantikan ayahandanya. [2-3] Raja Ahazia menjadi raja ketika baginda berumur dua puluh dua tahun dan baginda memerintah di Yerusalem selama satu tahun. Raja Ahazia juga mengikut cara hidup keluarga Raja Ahab, kerana bondanya, Atalya memberikan nasihat kepadanya untuk melakukan yang jahat. Atalya ialah puteri Raja Ahab, dan cucu Raja Omri, raja Israel. *** Raja Ahazia berdosa terhadap TUHAN kerana setelah kemangkatan ayahandanya, beberapa anggota keluarga Raja Ahab menjadi penasihatnya; merekalah yang menyebabkan kejatuhan Raja Ahazia. Oleh sebab nasihat mereka, Raja Ahazia bergabung dengan Raja Yoram dari Israel untuk berperang dengan Raja Hazael, dari Siria. Pertempuran berlaku di Ramot di daerah Gilead, dan Raja Yoram cedera dalam pertempuran itu. Kemudian Raja Yoram pulang ke Yizreel untuk dirawat, dan Raja Ahazia menziarahi baginda di situ. Allah telah menentukan agar Raja Ahazia menemui kejatuhannya apabila baginda melawat Raja Yoram. Ketika Raja Ahazia berada di situ, baginda dan Raja Yoram dicabar oleh seorang yang bernama Yehu anak Nimsi, yang telah dipilih TUHAN untuk membinasakan keluarga Raja Ahab. Ketika Yehu menjalankan hukuman TUHAN terhadap keluarga itu, dia berjumpa dengan sekumpulan pemimpin Yehuda dan putera-putera saudara Raja Ahazia yang ikut dalam kunjungan itu. Maka Yehu membunuh mereka semua. Kemudian Yehu menyuruh orang mencari Raja Ahazia. Baginda ditangkap ketika bersembunyi di Samaria. Mereka membawa Raja Ahazia kepada Yehu, lalu baginda dibunuh. Walaupun begitu mereka memakamkan Raja Ahazia kerana mereka menghormati datuk baginda, Raja Yosafat yang telah mengabdi kepada TUHAN dengan sepenuh hati. Tiada sesiapa lagi daripada keluarga Raja Ahazia yang dapat mengambil alih pemerintahan. Apabila bonda Raja Ahazia mendengar tentang pembunuhan puteranya, bonda raja itu memerintah supaya semua anggota keluarga diraja Yehuda dibunuh. Raja Ahazia mempunyai seorang saudara tiri perempuan bernama Yoseba, yang berkahwin dengan seorang imam bernama Yoyada. Dengan diam-diam Yoseba mengambil Yoas, salah seorang putera Raja Ahazia. Yoseba mengambil Yoas daripada putera-putera raja yang lain, dan menyembunyikan Yoas dan pengasuhnya di sebuah bilik di Rumah TUHAN. Dengan demikian Yoseba menyelamatkan Yoas daripada Atalya bonda raja, yang hendak membunuh putera-putera raja. Enam tahun lamanya Yoas disembunyikan di situ sementara Atalya bonda raja, memerintah sebagai ratu. Setelah menunggu selama enam tahun, barulah Imam Yoyada bertindak. Dia mengadakan persepakatan dengan lima orang pegawai tentera: Azarya anak Yeroham, Ismael anak Yohanan, Azarya anak Obed, Maaseya anak Adaya, dan Elisafat anak Zikhri. Mereka menjelajahi semua kota di Yehuda dan mengumpulkan orang Lewi dan semua ketua puak, lalu membawa mereka ke Yerusalem. Mereka semua berkumpul di Rumah TUHAN dan membuat perjanjian dengan Yoas putera Raja Ahazia. Yoyada berkata kepada mereka, “Inilah putera raja. Sekarang baginda yang harus menjadi raja, sebagaimana yang telah dijanjikan TUHAN tentang keturunan Raja Daud. Inilah yang harus kita lakukan. Apabila imam-imam dan orang Lewi datang bertugas pada hari Sabat, sepertiga daripada mereka harus mengawal pintu gerbang Rumah TUHAN, dan sepertiga lagi mengawal istana, dan yang lain berkawal di Pintu Gerbang Dasar. Semua rakyat mesti berkumpul di halaman Rumah TUHAN. Tiada sesiapa pun boleh masuk ke dalam Rumah TUHAN, kecuali para imam dan orang Lewi yang sedang bertugas. Mereka boleh masuk kerana mereka telah ditahbiskan. Tetapi semua orang lain mesti taat kepada perintah TUHAN dan tinggal di luar. Orang Lewi mesti berkawal di sekeliling raja dengan pedang terhunus. Mereka mesti mengawal raja ke mana sahaja baginda pergi. Sesiapa yang cuba masuk ke dalam Rumah TUHAN mesti dibunuh.” Demikianlah orang Lewi dan penduduk Yehuda melaksanakan perintah Yoyada. Orang yang selesai bertugas pada hari Sabat tidak dibenarkan pulang. Oleh itu para ketua dapat mengerah orang yang selesai bertugas dan juga orang yang baru datang untuk bertugas. Yoyada memberi pegawai-pegawai tentera itu tombak dan perisai, yang dahulunya dimiliki Raja Daud, dan yang disimpan di dalam Rumah TUHAN. Yoyada menempatkan orang dengan pedang terhunus di seluruh bahagian depan Rumah TUHAN untuk melindungi raja. Selepas itu Yoyada membawa Raja Yoas keluar, meletakkan mahkota di atas kepalanya, lalu memberi baginda sebuah kitab yang mengandungi hukum-hukum bagi raja yang memerintah. Demikianlah Yoas dilantik menjadi raja. Kemudian Imam Yoyada dan anak-anaknya menuang minyak bagi upacara penabalan pada kepala Raja Yoas, lalu semua orang berseru, “Daulat tuanku!” Ratu Atalya mendengar rakyat bersorak mengalu-alukan raja. Dengan tergesa-gesa baginda pergi ke Rumah TUHAN, ke tempat orang ramai berkumpul. Ratu Atalya nampak raja yang baru, berdiri di pintu masuk Rumah TUHAN, tempat baginda ditabalkan, dikelilingi oleh pegawai-pegawai tentera dan peniup-peniup trompet. Mereka semua bersorak dan bersukacita sambil meniup trompet. Para pemuzik di Rumah TUHAN mengiringi upacara itu dengan alat muzik mereka. Ratu Atalya mengoyakkan pakaiannya kerana cemas dan murka. “Khianat! Khianat!” serunya. Yoyada tidak membenarkan Ratu Atalya dibunuh di kawasan Rumah TUHAN. Yoyada berkata kepada pegawai-pegawai tentera, “Bawalah ratu ke tengah-tengah barisan pengawal. Bunuhlah sesiapa sahaja yang cuba menyelamatkan ratu.” Mereka menangkap Ratu Atalya dan membawa baginda ke istana, lalu membunuh baginda di Pintu Kuda. Imam Yoyada mengajak Raja Yoas dan rakyat membuat perjanjian bahawa mereka akan menjadi umat TUHAN. Kemudian mereka masuk ke dalam kuil Baal dan merobohkan kuil itu. Mereka menghancurkan semua mazbah dan berhala di situ. Mereka juga membunuh Matan, imam Baal itu, di depan mazbah-mazbah di sana. Yoyada menugaskan para imam dan orang Lewi untuk mengurus pekerjaan di Rumah TUHAN menurut pembahagian tugas yang telah ditetapkan oleh Raja Daud. Mereka mesti mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN menurut Taurat Musa. Mereka juga ditugaskan mengurus muzik dan perayaan. Yoyada juga menugaskan pengawal-pengawal di pintu gerbang supaya mencegah sesiapa yang tidak layak untuk beribadat masuk ke sana. Para pegawai tentera, para pemimpin rakyat, para pegawai, dan semua rakyat mengikut Yoyada mengiringi raja dari Rumah TUHAN ke istana. Mereka masuk melalui pintu utama, lalu raja bersemayam di atas takhtanya. Semua rakyat bersukacita dan kota pun tenang kerana Ratu Atalya telah dibunuh. Raja Yoas menjadi raja Yehuda ketika baginda berumur tujuh tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama empat puluh tahun. Bondanya ialah Zibya, yang berasal dari kota Bersyeba. Raja Yoas melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hati TUHAN selama Imam Yoyada masih hidup. Yoyada memilih dua orang isteri bagi Raja Yoas, dan daripada mereka Raja Yoas mendapat putera dan puteri. Selepas Raja Yoas memerintah selama beberapa waktu, baginda mengambil keputusan untuk memperbaiki Rumah TUHAN. Baginda memerintah para imam dan orang Lewi pergi ke kota-kota di Yehuda supaya mengumpulkan wang daripada seluruh rakyat sehingga cukup untuk memperbaiki Rumah TUHAN setiap tahun. Baginda memerintah mereka supaya bertindak dengan segera, tetapi orang Lewi berlambat-lambat. Oleh itu Raja Yoas memanggil Yoyada, pemimpin mereka dan bertanya, “Mengapa kamu tidak menyuruh orang Lewi pergi kepada penduduk Yehuda dan Yerusalem untuk mengumpulkan cukai yang dikenakan Musa, hamba TUHAN itu, bagi Khemah TUHAN?” Pada masa itu pengikut-pengikut Atalya, perempuan zalim itu, telah merosakkan Rumah TUHAN dan banyak alat yang dikhususkan bagi Allah telah digunakan mereka untuk menyembah Baal. Raja memerintah orang Lewi membuat sebuah peti, lalu meletakkannya di hadapan pintu gerbang Rumah TUHAN. Mereka memberitakan ke seluruh Yerusalem dan Yehuda, bahawa tiap-tiap orang mesti membawa cukai untuk TUHAN, seperti yang diwajibkan oleh Musa, hamba TUHAN itu, di padang gurun dahulu. Rakyat dan pemimpin-pemimpin mereka suka akan cadangan itu, lalu membawa wang cukai mereka dan memenuhkan peti itu. Tiap-tiap hari orang Lewi membawa peti itu kepada pegawai raja untuk diperiksa. Apabila peti itu sudah penuh, setiausaha raja dan wakil Imam Agung mengeluarkan wang itu lalu mengembalikan peti itu di tempatnya. Demikianlah mereka mengumpulkan wang yang banyak sekali. Raja dan Yoyada menyerahkan wang itu kepada pegawai-pegawai yang mengurus pembaikan Rumah TUHAN. Para pegawai itu mengupah tukang batu, tukang kayu, dan tukang besi, untuk melakukan kerja pembaikan itu. Semua tukang itu bekerja keras, dan mereka membaiki Rumah TUHAN sehingga menjadi kukuh dan baik seperti dahulu. Setelah pekerjaan itu selesai, lebihan emas, dan perak itu diberikan kepada raja dan Yoyada. Emas dan perak itu digunakan untuk membuat perkakas-perkakas bagi Rumah TUHAN: alat-alat untuk upacara ibadat dan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan juga mangkuk-mangkuk, serta alat-alat lain. Selama Yoyada hidup, korban untuk menyenangkan hati TUHAN selalu dipersembahkan di Rumah TUHAN. Yoyada mencapai umur yang sangat lanjut dan meninggal ketika dia berumur 130 tahun. Dia dikebumikan di makam diraja di Kota Daud, sebagai penghargaan bagi jasanya kepada Allah, Rumah TUHAN, dan umat Israel. Tetapi setelah Yoyada meninggal, pemimpin-pemimpin Yehuda mempengaruhi Raja Yoas supaya mendengar nasihat mereka. Oleh itu rakyat tidak lagi beribadat di Rumah TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Sebaliknya mereka mula menyembah berhala dan patung-patung Dewi Asyera. Dosa mereka itu menyebabkan TUHAN murka terhadap Yehuda dan Yerusalem. TUHAN mengutus nabi-nabi untuk memberikan amaran kepada mereka supaya kembali mengabdi kepada-Nya, tetapi mereka tidak mahu mendengarkan. Kemudian Roh Allah menguasai Zakharia anak Yoyada, imam itu. Zakharia berdiri di tempat yang dapat dilihat orang ramai, lalu berseru, “TUHAN Allah berfirman, ‘Mengapa kamu tidak taat kepada perintah-Ku sehingga mendatangkan bencana kepada diri kamu sendiri? Kamu telah meninggalkan Aku; oleh itu Aku juga meninggalkan kamu!’ ” Raja Yoas ikut berpakat dengan rakyat untuk menentang Zakharia, maka dengan titah raja, rakyat merejam Zakharia di halaman Rumah TUHAN. Raja Yoas lupa akan jasa dan kesetiaan Yoyada, bapa Zakharia, kepada baginda. Kemudian baginda memberikan perintah supaya Zakharia dibunuh. Pada saat kematiannya, Zakharia berseru, “Semoga TUHAN melihat perbuatan kamu ini dan menghukum kamu!” Pada musim luruh tahun itu, tentera Siria menyerang Yehuda dan Yerusalem. Mereka membunuh semua pemimpin dan membawa banyak barang jarahan ke Damsyik. Tentera Siria tidak besar, tetapi TUHAN membiarkan mereka mengalahkan tentera Yehuda yang lebih besar, kerana penduduk Yehuda telah meninggalkan TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Dengan cara itu Raja Yoas dihukum. Raja Yoas luka parah. Apabila pasukan musuh mengundurkan diri, dua orang pegawai Raja Yoas bermuslihat terhadap baginda. Mereka membunuh Raja Yoas di tempat peraduannya untuk membalas dendam kematian anak lelaki Yoyada, imam itu. Raja Yoas dimakamkan di Kota Daud, tetapi bukan di makam diraja. ( Orang yang bermuslihat terhadap Raja Yoas ialah Zabad dan Yozabad. Ibu Zabad ialah Simeat dari Amon, dan ibu Yozabad ialah Simrit dari Moab.) Kisah tentang putera-putera Raja Yoas dan nubuat-nubuat yang tidak baik tentang dirinya, serta kisah tentang cara baginda membaiki Rumah TUHAN tercatat di dalam kitab Tafsiran Kitab Raja-Raja. Raja Amazia, putera Raja Yoas, menjadi raja menggantikan ayahandanya. Raja Amazia menjadi raja ketika baginda berusia dua puluh lima tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama dua puluh sembilan tahun. Bondanya ialah Yoadan dari Yerusalem. Raja Amazia melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN, tetapi tidak melakukannya dengan sepenuh hati. Sebaik sahaja pemerintahannya kukuh, baginda membunuh pegawai-pegawai yang membunuh ayahandanya dahulu, tetapi baginda tidak membunuh anak-anak mereka. Raja Amazia menurut apa yang diperintahkan oleh TUHAN di dalam Taurat Musa yang berbunyi demikian, “Ibu bapa tidak boleh dihukum mati kerana kesalahan anak mereka. Anak tidak boleh dihukum mati kerana kesalahan ibu bapa mereka. Setiap orang hanya boleh dihukum mati kerana kesalahan yang dibuatnya sendiri.” Raja Amazia mengumpulkan semua orang suku Yehuda dan Benyamin. Baginda membahagi mereka menjadi beberapa pasukan tentera menurut puak masing-masing. Baginda melantik pegawai untuk mengetuai tiap-tiap pasukan itu; ada pasukan yang terdiri daripada seribu orang, dan ada juga yang terdiri daripada seratus orang. Anggota pasukan itu termasuk semua kaum lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas. Semuanya berjumlah 300,000 orang. Mereka orang yang terpilih, yang siap untuk bertempur, dan handal menggunakan tombak dan perisai. Selain itu Raja Amazia juga mengupah 100,000 orang askar dari Israel dengan kira-kira 3,400 kilogram perak. Tetapi ada seorang nabi menghadap raja dan berkata kepada baginda, “Jangan bawa askar-askar Israel ini bersama-sama tuanku kerana TUHAN tidak menolong orang dari Kerajaan Utara. Tuanku menyangka bahawa mereka akan menguatkan pasukan tuanku ketika bertempur, tetapi Allah sahaja yang berkuasa memberikan kemenangan atau kekalahan. Allah akan membiarkan musuh mengalahkan tuanku.” Raja Amazia bertanya kepada nabi itu, “Tetapi bagaimanakah dengan semua perak yang telah beta berikan untuk mengupah mereka?” Nabi itu menjawab, “TUHAN dapat memberikan lebih daripada itu kepada tuanku!” Oleh itu Raja Amazia menyuruh pasukan yang diupah itu pulang. Kemudian mereka pulang tetapi sangat marah terhadap penduduk Yehuda. Raja Amazia memberanikan diri lalu memimpin tenteranya ke Lembah Asin. Di situ mereka bertempur dan membunuh 10,000 orang askar Edom, dan menangkap sebanyak 10,000 orang lagi. Mereka membawa orang tawanan itu ke puncak bukit batu di kota Sela, lalu mencampakkan mereka ke bawah sehingga mati terhampar di atas batu. Sementara itu pasukan Israel yang tidak dibenarkan Raja Amazia mengikutnya bertempur telah menyerang kota-kota Yehuda di antara Samaria dan Bet-Horon, dan membunuh 3,000 orang. Mereka juga menjarah banyak barang. Ketika Raja Amazia pulang dari pertempuran melawan orang Edom, baginda membawa balik berhala-berhala orang Edom dan menempatkan semua itu di Yehuda. Kemudian baginda menyembah berhala-berhala itu dan membakar kemenyan kepada berhala-berhala itu. Perbuatan itu membangkitkan kemurkaan TUHAN, lalu Dia mengutus seorang nabi kepada Raja Amazia. Nabi itu bertanya kepada baginda, “Mengapakah tuanku menyembah dewa-dewa bangsa asing yang tidak dapat menyelamatkan pemuja dewa-dewa itu sendiri daripada kekuasaan tuanku?” Tetapi Raja Amazia memotong cakap dan bertitah, “Sejak bilakah kami melantik engkau menjadi penasihat raja? Diamlah, jika tidak, engkau akan dibunuh!” Sebelum nabi itu berdiam diri, dia berkata, “Sekarang barulah hamba tahu bahawa Allah telah bertekad untuk membinasakan tuanku kerana segala perbuatan tuanku, dan juga kerana tuanku tidak mengendahkan nasihat hamba.” Raja Amazia dari Yehuda dan penasihat-penasihatnya mengadakan persepakatan melawan Israel. Baginda menghantar seorang pesuruh kepada raja Israel, iaitu Raja Yehoas putera Raja Yehoahas, cucu Raja Yehu, untuk mencabar baginda berperang. Raja Yehoas menghantar utusan itu kembali kepada Raja Amazia dengan jawapan ini, “Pada suatu masa semak berduri di pergunungan Lebanon mengirim berita kepada pokok sedar, ‘Benarkanlah anak perempuanmu berkahwin dengan anak lelakiku.’ Tetapi seekor binatang liar lalu di sana dan menginjak-injak semak berduri itu. Hai Raja Amazia, tuanku membesar-besarkan diri kerana tuanku telah mengalahkan orang Edom; tetapi beta menasihatkan tuanku supaya tinggal sahaja di rumah. Mengapa mencari-cari masalah yang akhirnya akan mendatangkan bencana bagi tuanku dan rakyat tuanku?” Raja Amazia tidak mempedulikan nasihat itu. Memang sudah kehendak Allah agar Raja Amazia dikalahkan, kerana baginda telah menyembah berhala-berhala orang Edom. Oleh itu Raja Yehoas dari Israel berperang melawan Raja Amazia dari Yehuda. Mereka bertempur di Bet-Semes di Yehuda. Pasukan tentera Yehuda kalah, lalu askar-askarnya lari ke rumah masing-masing. Raja Yehoas menangkap Raja Amazia lalu membawanya ke Yerusalem. Di sana Raja Yehoas merobohkan tembok kota sepanjang hampir 200 meter dari Pintu Gerbang Efraim sampai ke Pintu Gerbang Sudut. Semua emas dan perak di Rumah TUHAN, serta semua perkakas di bawah pengawasan keturunan Obed-Edom, juga semua harta benda istana, dibawanya ke Samaria. Raja Yehoas juga membawa beberapa orang tebusan. Raja Amazia, raja Yehuda, hidup lima belas tahun lebih lama daripada Raja Yehoas, raja Israel. Segala perbuatan Raja Amazia, dari permulaan hingga akhir pemerintahannya, tercatat di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Yehuda dan Israel. Sejak Raja Amazia memberontak terhadap TUHAN, orang berkomplot menentang baginda di Yerusalem. Akhirnya, baginda lari ke kota Lakhis, tetapi musuhnya mengejar baginda lalu membunuh baginda. Jenazah baginda dibawa ke Yerusalem di atas seekor kuda, lalu dimakamkan di makam diraja di Kota Daud. Semua penduduk Yehuda melantik Raja Uzia, putera Raja Amazia menjadi raja. Pada masa itu Raja Uzia berumur enam belas tahun. ( Setelah kemangkatan Raja Amazia, Raja Uzia, merebut semula Elot dan membina kota itu lagi.) Raja Uzia menjadi raja ketika baginda berumur enam belas tahun dan baginda memerintah di Yerusalem selama lima puluh dua tahun. Bondanya ialah Yekholya dari Yerusalem. Raja Uzia mengikut teladan ayahandanya dan baginda melakukan apa yang diperkenankan TUHAN. Selama Zakharia masih hidup, Raja Uzia beribadat kepada TUHAN dengan setia, dan Allah pun memberkati baginda. Zakharia mengajar baginda supaya takut akan Allah. Raja Uzia berperang melawan orang Filistin. Baginda merobohkan tembok kota Gat, Yabne, dan Asdod, lalu membina kota-kota berkubu dekat Asdod dan di kawasan orang Filistin. Allah menolong Raja Uzia mengalahkan orang Filistin, orang Arab yang tinggal di Gur-Baal, dan orang Meunim. Orang Amon membayar ufti kepada Raja Uzia, dan baginda menjadi sangat berkuasa sehingga namanya termasyhur sampai ke Mesir. Raja Uzia membina beberapa buah menara di Pintu Gerbang Sudut, Pintu Gerbang Lembah, dan penjuru tembok untuk menguatkan kubu Yerusalem. Baginda juga membina menara-menara berkubu di tanah lapang dan menggali perigi-perigi, kerana baginda mempunyai banyak ternakan di kaki bukit di sebelah barat dan di tanah rata. Raja Uzia suka akan pertanian; oleh itu baginda menggalakkan rakyat supaya mengusahakan ladang anggur di kawasan perbukitan dan mengerjakan tanah yang subur. Raja Uzia mempunyai tentera besar yang sentiasa siap untuk bertempur. Mereka terdiri daripada pasukan-pasukan yang jumlahnya dicatat oleh dua orang setiausaha, iaitu Yeiel dan Maaseya, di bawah pengawasan Hananya, salah seorang pegawai raja. Segenap angkatan perang itu dipimpin oleh 2,600 orang pegawai. Di bawah pimpinan para pegawai itu terdapat 307,500 orang askar yang gagah perkasa, siap untuk berperang dan membantu raja melawan musuh. Raja Uzia melengkapi angkatan perang itu dengan perisai, tombak, topi besi, baju zirah, busur dan panah, serta batu-batu untuk penghumban. Di Yerusalem, para ahli senjatanya mencipta alat yang dapat melepaskan anak panah dan menghumban batu besar dari atas menara dan penjuru tembok kota. Raja Uzia menjadi termasyhur di merata-rata tempat, dan baginda menjadi sangat berkuasa kerana mendapat pertolongan daripada Allah. Selepas Raja Uzia menjadi kuat, baginda menjadi sombong; kesombongan baginda menyebabkan kejatuhannya. Raja Uzia melanggar perintah TUHAN, Allahnya kerana baginda membakar kemenyan di atas mazbah kemenyan di Rumah TUHAN. Imam Azarya, bersama dengan lapan puluh orang imam yang kuat dan berani, cuba mencegah raja. Mereka berkata, “Tuanku Uzia, tuanku tidak berhak membakar kemenyan untuk TUHAN. Hanya imam-imam keturunan Harun telah ditahbiskan untuk pekerjaan itu. Tinggalkanlah tempat yang suci ini. Tuanku telah bersalah terhadap TUHAN Allah dan tidak lagi diberkati oleh-Nya.” Raja Uzia sedang berdiri di sebelah mazbah kemenyan di Rumah TUHAN, sambil memegang tempat membakar kemenyan. Baginda murka kepada imam-imam itu, maka tiba-tiba sejenis penyakit kulit yang mengerikan timbul pada dahinya. Azarya dan imam-imam yang lain melihat raja dan nampak penyakit kulit yang mengerikan pada dahinya. Lalu mereka mendesak raja meninggalkan Rumah TUHAN dengan segera. Raja keluar dengan tergesa-gesa, kerana TUHAN telah menghukum baginda. Seumur hidupnya, Raja Uzia tidak sembuh daripada penyakit itu. Baginda diasingkan di sebuah rumah dan tidak dibenarkan masuk ke Rumah TUHAN lagi. Raja Uzia dibebaskan daripada segala tugas baginda, lalu puteranya Yotam memerintah kerajaan sebagai wakil raja. Nabi Yesaya anak Amos mencatatkan segala perbuatan Raja Uzia pada masa pemerintahan baginda. Raja Uzia mangkat dan dimakamkan di tanah perkuburan nenek moyangnya, tetapi kerana penyakitnya baginda tidak dimakamkan di makam diraja. Selepas itu puteranya Yotam menggantikan baginda sebagai raja. Raja Yotam menjadi raja ketika baginda berusia dua puluh lima tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama enam belas tahun. Bondanya ialah Yerusa anak Zadok. Raja Yotam melakukan apa yang diperkenankan TUHAN, seperti Raja Uzia ayahandanya, tetapi baginda tidak seperti ayahandanya yang berdosa dengan membakar kemenyan di Rumah TUHAN. Walaupun demikian, rakyat baginda terus sahaja berdosa. Raja Yotam membina Pintu Gerbang Utara Rumah TUHAN, dan baginda membaiki tembok kota di kawasan Yerusalem yang disebut Ofel. Di pergunungan Yehuda, Raja Yotam membina kota-kota, dan di hutan-hutan baginda membina kubu dan menara. Raja Yotam memerangi raja negeri Amon dan tenteranya, lalu mengalahkan mereka. Kemudian Raja Yotam memaksa orang Amon membayar ufti selama tiga tahun, tiap-tiap tahun sebanyak 3,400 kilogram perak, 1,000 tan gandum, dan 1,000 tan barli. Raja Yotam bertambah kuat kerana baginda taat setia kepada TUHAN, Allahnya. Perkara-perkara lain yang berlaku pada masa pemerintahannya, seperti peperangan dan dasar kerajaannya, semua tercatat di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Israel dan Yehuda. Raja Yotam berusia dua puluh lima tahun ketika baginda menjadi raja, dan baginda memerintah di Yerusalem selama enam belas tahun. Raja Yotam mangkat dan dimakamkan di Kota Daud. Puteranya Ahas, menggantikan baginda sebagai raja. Raja Ahas menjadi raja ketika baginda berusia dua puluh tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama enam belas tahun. Baginda tidak mengikut teladan baik nenek moyangnya, Raja Daud. Sebaliknya, Raja Ahas melakukan apa yang tidak diperkenankan TUHAN, dan mengikut cara hidup raja-raja Israel. Raja Ahas membuat patung-patung Baal daripada logam. Baginda membakar kemenyan di Lembah Hinom, bahkan mempersembahkan putera-puteranya sendiri sebagai korban yang dibakar kepada berhala-berhala. Baginda mengikut perbuatan keji yang dilakukan bangsa yang telah diusir oleh TUHAN apabila umat Israel memasuki negeri itu. Di tempat penyembahan berhala, di bukit-bukit dan di bawah tiap-tiap pokok rendang, Raja Ahas mempersembahkan korban dan membakar kemenyan. [5-6] Oleh sebab Raja Ahas berdosa, TUHAN, Allahnya membiarkan raja Siria mengalahkan baginda dan membawa banyak penduduk Yehuda ke Damsyik sebagai orang tawanan. TUHAN juga membiarkan raja Israel, iaitu Raja Pekah anak Remalya, mengalahkan Raja Ahas dan membunuh 120,000 orang askar Yehuda yang gagah berani, dalam satu hari. TUHAN, Allah nenek moyang mereka, membiarkan perkara itu berlaku kerana penduduk Yehuda telah meninggalkan Dia. *** Seorang askar Israel yang bernama Zikhri membunuh Maaseya, putera Raja Ahas, dan Azrikam ketua istana, serta Elkana, pegawai kanan raja. Walaupun penduduk Yehuda sesama bangsa mereka, penduduk Israel menawan 200,000 orang perempuan dan kanak-kanak, lalu membawa mereka ke Samaria bersama dengan banyak lagi barang jarahan. Seorang nabi TUHAN yang bernama Oded tinggal di kota Samaria. Dia bertemu dengan tentera Israel yang kembali membawa orang tawanan dari Yehuda. Ketika tentera itu masuk ke kota, Oded berkata kepada mereka, “TUHAN, Allah nenek moyang kamu, murka terhadap penduduk Yehuda. Oleh itu Dia membiarkan kamu mengalahkan mereka. Tetapi Dia telah mendengar betapa kejamnya kamu membunuh mereka. Sekarang kamu pun menawan penduduk Yerusalem dan Yehuda, dan hendak menjadikan mereka abdi kamu. Tidakkah kamu tahu bahawa kamu sendiri pun telah berdosa terhadap TUHAN, Allah kamu? Dengarlah, orang tawanan ini saudara-saudara kamu. Lepaskanlah mereka! Jika tidak, TUHAN akan murka terhadap kamu dan menghukum kamu.” Empat orang pemimpin Kerajaan Utara, iaitu Azarya anak Yohanan, Berekhya anak Mesilemot, Yehizkia anak Salum, dan Amasa anak Hadlai, juga menentang perbuatan tentera itu. Mereka berkata, “Jangan bawa orang tawanan itu ke sini. Kita telah berdosa terhadap TUHAN, dan dosa kita sudah cukup besar untuk dihukum. Sekarang kamu membuat sesuatu yang hanya akan menambah kesalahan kita.” Oleh itu tentera menyerahkan orang tawanan dan barang jarahan itu kepada rakyat dan pemimpin-pemimpin mereka. Empat orang pemimpin itu dipilih untuk memberikan pakaian daripada barang jarahan kepada orang tawanan yang tidak berpakaian. Mereka juga diberikan pakaian dan kasut, makanan dan minuman. Luka-luka mereka diubati dengan minyak zaitun. Orang yang terlalu lemah untuk berjalan dinaikkan ke atas keldai, dan semua orang tawanan itu dibawa semula ke wilayah Yehuda, ke kota Yerikho, iaitu kota pokok kurma. Kemudian orang Israel pulang semula ke Samaria. [16-17] Orang Edom mulai lagi menyerang Yehuda dan menawan banyak orang. Oleh itu Raja Ahas meminta pertolongan daripada Raja Tiglat-Pileser, raja negeri Asyur. *** Sementara itu orang Filistin sedang menyerang kota-kota di daerah kaki bukit di sebelah barat dan di bahagian selatan Yehuda. Mereka merampas kota Bet-Semes, Ayalon dan Gederot, dan juga kota Sokho, Timna, dan Gomzo serta pekan-pekan di sekitar kota-kota itu, lalu mereka menetap di sana. Oleh sebab Raja Ahas penguasa dari Yehuda itu meninggalkan TUHAN dan tidak menghormati hak rakyat, maka TUHAN mendatangkan kesusahan di Yehuda. Raja Asyur datang bukan untuk menolong Raja Ahas, melainkan untuk menyusahkan baginda. Oleh itu Raja Ahas mengambil emas dari Rumah TUHAN, istana, dan rumah para pemimpin rakyat, lalu memberikan semuanya kepada raja Asyur, tetapi usaha Raja Ahas itu sia-sia sahaja. Dalam keadaan yang sangat susah itu, Raja Ahas malah semakin berdosa terhadap TUHAN. Baginda mempersembahkan korban kepada dewa-dewa orang Siria yang telah mengalahkan baginda. Raja Ahas bertitah, “Dewa-dewa orang Siria telah menolong raja-raja Siria. Jika beta mempersembahkan korban kepada dewa-dewa itu, beta juga akan ditolong.” Perbuatan itu mendatangkan bencana terhadap dirinya dan rakyatnya. Selain itu, Raja Ahas mengambil semua perkakas Rumah TUHAN dan menghancurkannya. Baginda menutup Rumah TUHAN, lalu membina mazbah-mazbah di seluruh Yerusalem. Baginda membina tempat-tempat penyembahan berhala di tiap-tiap kota dan pekan di Yehuda; orang membakar kemenyan bagi dewa bangsa lain di atas mazbah-mazbah itu. Dengan demikian baginda menyebabkan TUHAN, Allah nenek moyangnya murka terhadap dirinya. Semua perbuatannya yang lain pada masa pemerintahannya, dari permulaan hingga akhir, tercatat di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Yehuda dan Israel. Raja Ahas mangkat lalu dimakamkan di Yerusalem, tetapi bukan di makam diraja. Puteranya Hizkia menggantikan baginda sebagai raja. Raja Hizkia menjadi raja Yehuda ketika baginda berusia dua puluh lima tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama dua puluh sembilan tahun. Bondanya ialah Abia anak Zakharia. Raja Hizkia melakukan apa yang diperkenankan TUHAN, seperti nenek moyangnya Raja Daud. Pada bulan pertama selepas Raja Hizkia menjadi raja, baginda membuka semula pintu-pintu gerbang Rumah TUHAN serta membaikinya. Raja Hizkia mengumpulkan imam-imam dan orang Lewi di halaman sebelah timur Rumah TUHAN. Raja Hizkia bertitah kepada mereka di situ. Titah baginda, “Hendaklah kamu orang Lewi mentahbiskan diri untuk TUHAN dan menyucikan Rumah TUHAN, Allah nenek moyang kamu. Buanglah semua barang yang menajiskan Rumah TUHAN. Nenek moyang kita tidak setia kepada TUHAN, Allah kita. Mereka telah melakukan apa yang tidak diperkenankan oleh-Nya. Mereka menolak Dia dan tidak mempedulikan tempat kediaman-Nya. Mereka menutup Rumah TUHAN dan memadamkan pelita di situ. Mereka tidak lagi membakar kemenyan, atau mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN di Rumah TUHAN, kepada Allah yang disembah oleh orang Israel. Oleh itu TUHAN murka terhadap Yehuda dan Yerusalem. Kamu semua tahu bahawa tindakan TUHAN menyebabkan tiap-tiap orang terkejut dan takut. Nenek moyang kita dibunuh di medan peperangan, dan anak isteri kita ditawan. Sekarang beta bertekad untuk mengadakan perjanjian dengan TUHAN, Allah Israel, supaya Dia tidak lagi murka terhadap kita. Hai anak-anak beta, jangan buang masa lagi. Kamulah yang telah dipilih oleh TUHAN untuk membakar kemenyan bagi-Nya, serta memimpin rakyat untuk menyembah Dia.” [12-14] Inilah orang Lewi yang hadir pada masa itu: Daripada puak Kehat: Mahat anak Amasai dan Yoel anak Azarya. Daripada puak Merari: Kish anak Abdi dan Azarya anak Yehaleleel. Daripada puak Gerson: Yoah anak Zima dan Eden anak Yoah. Daripada puak Elisafan: Simri dan Yeiel. Daripada puak Asaf: Zakharia dan Matanya. Daripada puak Heman: Yehiel dan Simei. Daripada puak Yedutun: Semaya dan Uziel. *** *** Mereka mengumpulkan orang Lewi daripada puak masing-masing, lalu mereka semua menyucikan diri. Sebagaimana yang dititahkan raja, mereka menyucikan Rumah TUHAN menurut Taurat TUHAN. Imam-imam masuk ke dalam Rumah TUHAN untuk menyucikannya. Mereka mengeluarkan semua barang najis ke halaman. Dari situ orang Lewi membawa barang-barang najis itu ke luar kota, ke Lembah Kidron. Pekerjaan itu dimulakan pada hari pertama bulan pertama. Pada hari kelapan, mereka selesai menyucikan seluruh halaman Rumah TUHAN sampai ke bilik depan. Mereka melanjutkan lagi pekerjaan itu selama lapan hari. Pada hari keenam belas bulan itu, mereka selesai menyucikan Rumah TUHAN. Orang Lewi memberi Raja Hizkia laporan berikut, “Kami telah selesai menyucikan seluruh Rumah TUHAN, termasuk mazbah tempat mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan meja untuk roti sajian, dengan segala perkakasnya. Kami juga telah mengembalikan semua perkakas yang diambil oleh Raja Ahas ketika baginda tidak setia kepada Allah pada masa pemerintahannya. Semua perkakas itu telah kami tahbiskan semula untuk TUHAN, dan sekarang semuanya terletak di hadapan mazbah.” Dengan segera Raja Hizkia mengumpulkan pemimpin-pemimpin kota itu, dan masuk ke dalam Rumah TUHAN bersama-sama mereka. Sebagai persembahan untuk menghapus dosa keluarga diraja serta dosa penduduk Yehuda, dan untuk menyucikan Rumah TUHAN, mereka membawa tujuh ekor lembu jantan, tujuh ekor domba jantan, tujuh ekor anak domba, dan tujuh ekor kambing jantan. Raja menyuruh imam-imam keturunan Harun mempersembahkan semua binatang itu sebagai korban di atas mazbah. Mula-mula imam menyembelih lembu jantan, kemudian domba jantan, lalu anak domba. Mereka memercikkan darah tiap-tiap korban itu di atas mazbah. Akhirnya mereka membawa kambing jantan kepada raja dan rakyat, lalu mereka meletakkan tangan di atas binatang itu. Selepas itu, imam-imam menyembelih kambing-kambing itu lalu menuang darah kambing di atas mazbah, untuk menghapuskan dosa segenap rakyat, kerana raja telah memerintah mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk mengampunkan dosa segenap rakyat Israel. Raja Hizkia mengikut perintah yang diberikan TUHAN kepada Raja Daud melalui Gad, nabi yang berkhidmat kepada Raja Daud, dan melalui Nabi Natan. Raja Hizkia menempatkan orang Lewi di dalam Rumah TUHAN untuk memainkan kecapi dan simbal, alat-alat muzik seperti yang digunakan Raja Daud dahulu. Imam-imam juga berdiri di situ dengan trompet. Raja Hizkia memerintahkan supaya korban untuk menyenangkan hati TUHAN dipersembahkan. Sementara korban dipersembahkan, rakyat menyanyikan lagu pujian kepada TUHAN, dan para pemuzik pun mula meniup trompet dan memainkan semua alat muzik yang lain. Tiap-tiap orang di situ ikut beribadat, para penyanyi menyanyi, dan para pemuzik terus memainkan sehingga semua korban selesai dibakar. Selepas itu Raja Hizkia dan semua rakyat berlutut dan menyembah Allah. Raja dan para pemimpin bangsa menyuruh orang Lewi menyanyikan lagu pujian kepada TUHAN, lagu yang dikarang oleh Raja Daud dan Nabi Asaf. Maka semua orang menyanyi dengan sukacita sambil berlutut dan menyembah Allah. Raja Hizkia bertitah kepada rakyat, “Sekarang kamu telah mentahbiskan diri untuk TUHAN, oleh itu persembahkanlah korban kesyukuran kamu kepada TUHAN.” Mereka taat kepada perintah itu, dan ada pula antara mereka yang dengan sukarela membawa binatang-binatang untuk dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Mereka membawa 70 ekor lembu jantan, 100 ekor domba jantan, dan 200 ekor anak domba sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Mereka juga membawa 600 ekor lembu jantan, dan 3,000 ekor domba untuk dipersembahkan dan dimakan bersama oleh semua orang yang hadir. Oleh sebab imam yang telah menyucikan diri terlalu sedikit jumlahnya untuk menyembelih semua binatang itu, orang Lewi menolong mereka sehingga kerja itu selesai. Orang Lewi lebih setia kepada peraturan penyucian, dan mereka terus menolong sampai ada cukup imam yang telah menyucikan diri. Selain mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, para imam juga mempersembahkan lemak daripada korban-korban yang dimakan oleh rakyat. Para imam juga mempersembahkan wain bersama dengan korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Demikianlah ibadat di Rumah TUHAN dimulakan semula. Raja Hizkia dan rakyat bersukacita kerana Allah telah menolong mereka melakukan semua perkara itu dengan begitu cepat. [1-3] Penduduk belum dapat merayakan Paska pada masa yang telah ditentukan, iaitu pada bulan pertama, kerana mereka tidak mempunyai cukup imam yang telah menyucikan diri; lagipun belum banyak orang yang berkumpul di Yerusalem. Oleh itu Raja Hizkia, para pegawai baginda, dan penduduk Yerusalem bersetuju merayakan Paska pada bulan kedua. Raja mengirim berita kepada segenap penduduk Israel dan Yehuda, bahkan kepada suku Efraim dan Manasye, untuk menjemput mereka datang ke Rumah TUHAN di Yerusalem supaya merayakan Paska untuk menghormati TUHAN, Allah Israel. *** *** Raja dan rakyat bersetuju dengan cadangan itu. Mereka menjemput semua orang Israel, dari Dan di utara sampai ke Bersyeba di selatan, supaya berkumpul di Yerusalem untuk merayakan Paska menurut ketetapan di dalam Taurat. Mereka hendak merayakan Paska secara besar-besaran. Utusan-utusan dihantar oleh raja dan pegawai-pegawainya ke seluruh Yehuda dan Israel dengan jemputan yang berbunyi demikian, “Hai penduduk Israel, kamu telah terselamat daripada penjajahan orang Asyur. Sekarang kembalilah kepada TUHAN, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, maka TUHAN pun akan kembali kepada kamu. Jangan berlaku seperti nenek moyang kamu dan sesama suku kamu orang Israel yang tidak setia kepada TUHAN, Allah mereka. Sebagaimana telah kamu ketahui, Dia menghukum mereka dengan berat. Jangan berdegil seperti mereka. Taatlah kepada TUHAN. Datanglah ke Rumah TUHAN di Yerusalem, yang telah dikhaskan oleh TUHAN, Allah kamu untuk selama-lamanya. Beribadatlah kepada-Nya supaya Dia tidak murka lagi terhadap kamu. Jika kamu kembali kepada TUHAN, orang yang telah menawan sanak keluarga kamu akan mengasihani mereka, lalu membenarkan mereka pulang. TUHAN, Allah kamu itu baik dan berbelas kasihan; jika kamu kembali kepada-Nya, Dia akan menyambut kamu.” Para utusan itu pergi ke tiap-tiap kota di wilayah Efraim dan Manasye, dan di utara sampai ke wilayah suku Zebulon. Orang mentertawakan dan mempermalukan mereka, tetapi ada juga orang daripada suku Asyer, Manasye, dan Zebulon yang mahu datang ke Yerusalem. Di Yehuda, Allah pun bertindak dan menyatukan hati rakyat supaya sungguh-sungguh taat kepada kehendak-Nya, sehingga mereka rela menurut perintah raja dan pegawai-pegawainya. Pada bulan kedua, banyak orang berkumpul di Yerusalem untuk merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi. Mereka membongkar semua mazbah di Yerusalem yang telah digunakan untuk mempersembahkan korban dan membakar kemenyan kepada dewa-dewa lalu membuang semuanya ke dalam Lembah Kidron. Pada keempat belas hari bulan itu, mereka menyembelih anak-anak domba bagi korban Perayaan Paska. Para imam dan orang Lewi yang belum menyucikan diri sangat malu sehingga mereka pun menyucikan diri supaya dapat mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN di Rumah TUHAN. Mereka mengambil tempat masing-masing di Rumah TUHAN menurut peraturan di dalam Taurat Musa, hamba Allah. Orang Lewi memberikan darah binatang kepada para imam untuk dipercikkan di atas mazbah. Oleh sebab banyak orang yang belum menyucikan diri, mereka tidak dapat menyembelih anak domba Paska. Oleh itu orang Lewi melakukannya bagi mereka dan mempersembahkan anak domba yang disembelih itu kepada TUHAN. Selain itu, banyak juga orang daripada suku Efraim, Manasye, Isakhar, dan Zebulon yang belum menyucikan diri. Oleh sebab itu mereka merayakan Paska dengan tidak memenuhi syarat. Kemudian Raja Hizkia berdoa bagi mereka, “Ya TUHAN, Allah nenek moyang kami, demi kebaikan-Mu ampunilah mereka yang menyembah Engkau dengan segenap hati, walaupun mereka belum menyucikan diri.” TUHAN mengabulkan doa Raja Hizkia dan mengampuni semua orang itu dan tidak menghukum mereka. Selama tujuh hari orang yang telah berkumpul di Yerusalem merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi dengan bersukacita. Setiap hari orang Lewi dan imam-imam memuji TUHAN dengan segenap kekuatan mereka. Raja Hizkia memuji orang Lewi atas kemahiran mereka memimpin ibadat kepada TUHAN. Selepas tujuh hari mereka menikmati makanan perayaan serta mempersembahkan korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, Allah nenek moyang mereka, mereka semua membuat keputusan untuk meneruskan perayaan itu tujuh hari lagi. Mereka merayakan perayaan itu dengan sukacita. Raja Hizkia menyumbang 1,000 ekor lembu jantan dan 7,000 ekor domba untuk disembelih dan dimakan oleh rakyat. Para pegawai pun menyumbang 1,000 ekor lembu jantan dan 10,000 ekor domba. Pada masa itu banyak sekali imam menyucikan diri. Semua orang bersukacita, baik penduduk Yehuda, para imam, orang Lewi, mahupun orang yang datang dari utara, dan bangsa asing yang menetap di Israel dan Yehuda. Seluruh kota Yerusalem bersukacita, kerana sejak pemerintahan Raja Salomo putera Raja Daud, belum pernah perkara seperti ini berlaku. Para imam dan orang Lewi memohon berkat TUHAN bagi rakyat. Dari tempat kediaman-Nya di syurga, TUHAN mendengar serta menyambut doa mereka. Selepas perayaan itu selesai, segenap umat Israel pergi ke tiap-tiap kota di Yehuda. Mereka menghancurkan tugu-tugu berhala dan lambang-lambang yang ditahbiskan untuk Dewi Asyera. Mereka memusnahkan mazbah-mazbah dan tempat-tempat penyembahan berhala. Mereka melakukan hal yang sama di tempat-tempat lain di Yehuda, dan di wilayah Benyamin, Efraim, serta Manasye. Selepas itu mereka semua pulang ke tempat masing-masing. Raja Hizkia mendirikan semula kumpulan para imam dan orang Lewi. Tiap-tiap kumpulan diberikan tugas tertentu, termasuk tugas membakar korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, mengambil bahagian dalam upacara ibadat di Rumah TUHAN, dan memuji serta mengucap syukur di beberapa tempat di dalam Rumah TUHAN. Daripada ternakan baginda sendiri, Raja Hizkia menyumbang binatang-binatang yang diperlukan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN yang dipersembahkan pada setiap pagi dan petang, pada hari Sabat, Perayaan Bulan Baru, dan juga pada perayaan-perayaan lain yang ditetapkan di dalam Taurat TUHAN. Selain itu, raja juga menyuruh penduduk Yerusalem memberikan persembahan-persembahan yang ditetapkan bagi para imam dan orang Lewi, supaya mereka dapat menumpukan segala perhatian kepada suruhan Taurat TUHAN. Sebaik sahaja perintah itu diumumkan, umat Israel membawa persembahan gandum yang terbaik, wain, minyak zaitun, madu, dan hasil tanaman yang lain. Mereka juga membawa persepuluhan daripada apa sahaja milik mereka. Semua penduduk Yehuda membawa persepuluhan daripada kawanan lembu dan domba mereka. Mereka juga membawa banyak hadiah lain, yang dipersembahkan kepada TUHAN, Allah mereka. Pemberian itu mula dihantar pada bulan ketiga, dan terus bertambah selama empat bulan. Apabila Raja Hizkia dan pegawai-pegawai nampak betapa banyaknya pemberian yang telah diberikan, mereka memuliakan TUHAN dan memuji umat-Nya, orang Israel. Raja bertanya kepada para imam dan orang Lewi tentang pemberian itu, lalu Imam Agung Azarya, keturunan Zadok, berkata kepada raja, “Sejak rakyat membawa persembahan mereka ke Rumah TUHAN, makanan di situ cukup, bahkan banyak lagi lebihan. Kami mendapat semua pemberian ini kerana TUHAN telah memberkati umat-Nya.” Atas perintah raja, mereka menyediakan stor-stor di kawasan Rumah TUHAN, dan menyimpan semua persembahan dan persepuluhan di dalam stor-stor itu. Mereka memilih seorang Lewi bernama Konanya sebagai pengurus barang-barang itu, dan adiknya, Simei sebagai penolongnya. Sepuluh orang Lewi disuruh bekerja di bawah pengawasan mereka: Yehiel, Azazya, Nahat, Asael, Yerimot, Yozabad, Eliel, Yismakhya, Mahat, dan Benanya. Semua hal itu dilaksanakan menurut perintah Raja Hizkia dan Imam Agung Azarya. Kore anak Yimna, seorang Lewi yang dahulu menjadi ketua pengawal di Pintu Gerbang Timur Rumah TUHAN, ditugaskan menerima pemberian yang dipersembahkan kepada TUHAN serta membahagi-bahagikannya. Di kota-kota lain tempat tinggal imam, Kore dibantu dengan setia oleh orang Lewi berikut: Eden, Minyamin, Yesua, Semaya, Amarya, dan Sekhanya. Mereka membahagikan makanan itu dengan sama rata antara sesama orang Lewi menurut tugas mereka, dan tidak menurut puak. Semua orang lelaki yang berumur tiga puluh tahun ke atas, yang mempunyai tugas harian di Rumah TUHAN, juga diberikan bahagian masing-masing menurut kedudukan mereka. Imam-imam diberikan tugas menurut puak, tetapi orang Lewi yang berusia dua puluh tahun ke atas diberikan tugas menurut kumpulan. Mereka didaftarkan bersama-sama anak isteri mereka, dan orang lain yang di bawah tanggungan mereka, kerana mereka dimestikan bersedia setiap masa untuk melaksanakan tugas yang khas bagi TUHAN. Di kota-kota dan di padang-padang rumput yang di sekitar kota-kota itu, yang ditentukan bagi keturunan Harun, ada imam-imam yang bertanggungjawab untuk membahagikan makanan kepada semua kaum lelaki daripada keluarga imam, dan kepada semua orang yang terdaftar dalam senarai suku Lewi. Di seluruh Yehuda, Raja Hizkia melakukan apa yang adil, yang jujur, dan yang diperkenankan TUHAN, Allahnya. Raja Hizkia berjaya kerana semua yang dilakukannya untuk Rumah TUHAN atau untuk mentaati hukum Taurat, dilaksanakannya dengan sepenuh hati dan dengan kasih kepada Allahnya. Selepas Raja Hizkia melakukan hal-hal yang menunjukkan kesetiaannya kepada TUHAN, Raja Sanherib, dari negeri Asyur menyerang Yehuda. Raja Sanherib mengepung kota-kota berkubu, lalu memerintah tenteranya supaya merebut kota-kota itu. Apabila Raja Hizkia mengetahui bahawa Raja Sanherib bertekad untuk menyerang Yerusalem, [3-4] Raja Hizkia dan pegawai-pegawainya mengambil keputusan untuk menutup saluran air di luar kota supaya orang Asyur tidak mendapat air apabila mereka mendekati Yerusalem. Pegawai-pegawai itu mengerahkan banyak orang keluar untuk menutup semua mata air sehingga tiada lagi air yang memancar dari mata air itu. *** Raja Hizkia memperkuat pertahanan kota dengan membaiki tembok serta membina menara-menara di atasnya, dan juga membina satu lapis tembok lagi di sebelah luar. Selain itu, Raja Hizkia membaiki kubu yang didirikan di atas tambak, di bahagian timur di kawasan Yerusalem lama. Baginda juga menyuruh orang membuat banyak tombak dan perisai. Raja Hizkia melantik panglima-panglima untuk memimpin semua kaum lelaki di kota itu, lalu memerintah mereka berkumpul di lapangan depan pintu gerbang kota. Baginda bertitah kepada mereka, “Hendaklah kamu yakin dan tabah hati. Jangan takut kepada raja negeri Asyur ataupun tentera yang dipimpinnya. Kita mempunyai kuasa yang lebih besar di pihak kita daripada apa yang di pihak raja itu. Raja Asyur mempunyai kuasa manusia, tetapi kita mempunyai TUHAN, Allah kita, yang menolong dan berperang bagi kita.” Rakyat digalakkan oleh titah raja mereka. Beberapa lama kemudian, ketika Raja Sanherib dan tenteranya berada di kota Lakhis, baginda mengirim utusan untuk menyampaikan berita ini kepada Raja Hizkia dan penduduk Yehuda yang bersama-samanya di Yerusalem, “Beta Raja Sanherib, penguasa negeri Asyur, ingin bertanya sebabnya kamu begitu berani bertahan di Yerusalem yang dikepung. Raja Hizkia memberitahu kamu bahawa TUHAN, Allah kamu akan menyelamatkan kamu daripada kuasa kami, tetapi Raja Hizkia menipu kamu. Baginda akan membiarkan kamu mati kelaparan dan kehausan. Raja Hizkia itulah yang memusnahkan tempat-tempat beribadat kepada TUHAN dan mazbah-mazbah-Nya, lalu menyuruh penduduk Yehuda dan Yerusalem beribadat dan membakar kemenyan di satu mazbah sahaja. Tidakkah kamu tahu apa yang telah dilakukan oleh nenek moyang beta dan beta sendiri terhadap rakyat bangsa-bangsa lain? Belum pernah dewa bangsa mana pun menyelamatkan rakyatnya daripada kuasa raja negeri Asyur. Siapakah antara dewa-dewa bangsa-bangsa itu pernah menyelamatkan negeri mereka daripada kami? Dewa kamu tidak mungkin dapat menyelamatkan kamu. Jangan biarkan Raja Hizkia menipu atau menyesatkan kamu. Jangan percaya kepadanya! Belum pernah dewa bangsa mana pun sanggup menyelamatkan negerinya daripada raja negeri Asyur. Dewa kamu itu pun pasti tidak dapat menyelamatkan kamu!” Utusan-utusan orang Asyur itu mengucapkan banyak lagi kata yang menghina TUHAN Allah dan Raja Hizkia, hamba TUHAN. Surat yang ditulis raja itu menentang TUHAN, Allah Israel. Demikian bunyinya, “Dewa bangsa-bangsa lain belum pernah menyelamatkan pemuja dewa-dewa itu daripada kuasa beta, demikian juga dewa Raja Hizkia tidak dapat menyelamatkan rakyatnya daripada kuasa beta.” Utusan-utusan orang Asyur itu meneriakkan kandungan surat itu dalam bahasa Ibrani untuk menakutkan dan menawarkan hati penduduk Yerusalem yang berada di tembok kota, supaya mereka dapat merebut kota itu dengan lebih mudah. Dengan kata-kata, mereka menyamakan Allah yang disembah di Yerusalem dengan dewa-dewa bangsa lain, iaitu berhala-berhala buatan manusia. Kemudian Raja Hizkia dan Nabi Yesaya anak Amos berdoa kepada Allah dan berseru kepada-Nya meminta pertolongan. TUHAN mengirim satu malaikat yang membunuh askar-askar dan pegawai-pegawai tentera negeri Asyur. Maka raja negeri Asyur pulang ke negerinya dengan sangat malu. Pada suatu hari, ketika raja Asyur berada di kuil berhalanya, beberapa orang puteranya membunuh baginda dengan pedang. Demikianlah caranya TUHAN menyelamatkan Raja Hizkia dan penduduk Yerusalem daripada kuasa Raja Sanherib, penguasa negeri Asyur dan daripada musuh mereka yang lain. TUHAN membolehkan rakyat hidup damai dengan negeri-negeri jiran. Banyak orang datang ke Yerusalem dengan membawa persembahan kepada TUHAN dan hadiah bagi Raja Hizkia. Sejak itu bangsa-bangsa lain menghormati Raja Hizkia. Kira-kira pada masa itu, Raja Hizkia gering sehingga hampir mangkat. Baginda berdoa lalu TUHAN memberikan tanda bahawa baginda akan sembuh. Tetapi Raja Hizkia tidak bersyukur atas kesembuhan yang diberikan oleh TUHAN kepada baginda kerana baginda terlalu sombong. Itulah sebabnya TUHAN menghukum penduduk Yehuda dan Yerusalem. Tetapi akhirnya, Raja Hizkia dan penduduk Yerusalem merendahkan diri, maka TUHAN tidak menghukum mereka selama Raja Hizkia masih hidup. Raja Hizkia menjadi sangat kaya dan setiap orang menghormati baginda. Raja Hizkia membina stor-stor untuk menyimpan emas, perak, batu permata, rempah, perisai, dan barang-barang berharga yang lain. Selain itu, baginda membina stor-stor lain untuk menyimpan gandum, wain, dan minyak zaitun, serta kandang-kandang bagi kawanan lembu dan domba baginda. Allah juga mengurniakan domba dan lembu kepada baginda, serta sangat banyak harta lain sehingga baginda dapat membina banyak kota. Raja Hizkia itulah yang membendung aliran air dari Mata Air Gihon dan menyalurkan airnya melalui saluran di bawah tanah ke dalam kota Yerusalem. Raja Hizkia berjaya dalam apa sahaja yang dibuatnya. Apabila utusan-utusan dari Babilonia datang kepada Raja Hizkia untuk bertanya tentang kejadian luarbiasa yang berlaku di negeri itu, TUHAN membiarkan Raja Hizkia bertindak sendiri, supaya dapat menguji hatinya. Segala perbuatan Raja Hizkia dan kasihnya kepada TUHAN, tercatat di dalam kitab Penglihatan Nabi Yesaya anak Amos, dan di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Yehuda dan Israel. Raja Hizkia mangkat dan dimakamkan di bahagian atas makam diraja. Segenap penduduk Yehuda dan Yerusalem memberikan penghormatan besar kepadanya ketika baginda mangkat. Puteranya Manasye, menggantikan baginda sebagai raja. Raja Manasye berusia dua belas tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama lima puluh lima tahun. Raja Manasye berdosa terhadap TUHAN, kerana mengikut perbuatan keji yang dilakukan bangsa-bangsa yang telah diusir oleh TUHAN ketika umat-Nya menduduki negeri itu dahulu. Raja Manasye membina semula tempat-tempat penyembahan berhala yang telah dimusnahkan oleh ayahandanya Raja Hizkia. Raja Manasye membina mazbah untuk menyembah Baal dan membuat patung-patung Dewi Asyera. Baginda juga menyembah bintang-bintang. Raja Manasye membina mazbah-mazbah untuk dewa-dewa di dalam Rumah TUHAN, tempat yang ditentukan TUHAN sebagai tempat beribadat kepada-Nya untuk selama-lamanya. Raja Manasye juga membina mazbah-mazbah di kedua-dua halaman Rumah TUHAN untuk menyembah bintang-bintang. Baginda mempersembahkan putera-puteranya di Lembah Hinom sebagai korban yang dibakar. Baginda mengamalkan ilmu tilik dan sihir; baginda berhubungan dengan ahli-ahli nujum dan bomoh. Raja Manasye sangat berdosa terhadap TUHAN dan membangkitkan kemurkaan-Nya. Baginda meletakkan sebuah patung di dalam Rumah TUHAN, padahal tentang tempat itulah Allah telah berfirman kepada Raja Daud dan Raja Salomo puteranya demikian, “Rumah-Ku di Yerusalem ini, yang telah Kupilih dari antara dua belas wilayah suku Israel, ialah tempat yang Kutentukan sebagai tempat beribadat kepada-Ku selama-lamanya. Jika umat-Ku Israel taat kepada segala perintah-Ku serta menurut seluruh Taurat yang diberikan kepada mereka oleh Musa, hamba-Ku, maka Aku tidak akan membiarkan mereka diusir dari tanah yang telah Kuberikan kepada nenek moyang mereka.” Raja Manasye menyebabkan penduduk Yehuda lebih berdosa daripada bangsa-bangsa yang telah diusir oleh TUHAN dari negeri itu ketika umat-Nya memasuki negeri itu. Walaupun TUHAN memberikan amaran kepada Raja Manasye dan rakyatnya, namun mereka tidak mahu menghiraukan amaran itu. Oleh itu TUHAN membiarkan panglima-panglima tentera negeri Asyur menyerang Yehuda. Mereka menangkap Raja Manasye dengan kaitan, membelenggu baginda, lalu membawa baginda ke Babel. Dalam penderitaannya Raja Manasye merendahkan diri, lalu kembali kepada TUHAN, Allahnya, dan berdoa memohon pertolongan-Nya. Allah mengabulkan doa Raja Manasye dan membenarkan baginda kembali ke Yerusalem serta memerintah lagi. Perbuatan Allah itu meyakinkan Raja Manasye bahawa TUHAN itu Allah. Selepas itu Raja Manasye meninggikan tembok luar di sebelah timur Kota Daud, bermula dari lembah dekat Mata Air Gihon, lalu terus ke utara sehingga Pintu Gerbang Ikan dan kawasan dalam kota yang dinamakan Ofel. Baginda juga menugaskan seorang pegawai tentera untuk mengetuai satu pasukan askar di tiap-tiap kota berkubu di Yehuda. Raja Manasye menyingkirkan patung-patung dewa bangsa lain serta berhala telah diletakkannya di Rumah TUHAN. Baginda membongkar mazbah-mazbah dewa yang didirikan di bukit tempat letaknya Rumah TUHAN, dan di tempat-tempat lain di Yerusalem. Baginda membawa semua benda itu ke luar kota, lalu membuang semuanya. Raja Manasye membaiki mazbah tempat beribadat kepada TUHAN, lalu mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN dan korban kesyukuran di situ. Baginda memerintah semua penduduk Yehuda supaya beribadat kepada TUHAN, Allah Israel. Walaupun rakyat masih mempersembahkan korban di tempat-tempat penyembahan yang lain, tetapi persembahan itu untuk TUHAN. Segala perbuatan Raja Manasye, doa baginda kepada Allahnya, dan perkhabaran-perkhabaran nabi yang disampaikan kepadanya atas nama TUHAN, Allah Israel, telah dicatat di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Israel. Doa raja dan jawapan Allah bagi doa itu, dosa raja sebelum baginda bertaubat, perbuatannya yang jahat, tempat penyembahan berhala dan lambang-lambang Dewi Asyera yang dibuatnya, serta berhala-berhala yang disembahnya, telah dicatat di dalam kitab Sejarah Nabi-Nabi. Raja Manasye mangkat lalu dimakamkan di istana; puteranya Amon menggantikan baginda sebagai raja. Amon berumur dua puluh dua tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama dua tahun. Seperti ayahandanya Raja Manasye, Raja Amon juga berdosa terhadap TUHAN dan menyembah berhala yang disembah ayahandanya. Tetapi Raja Amon tidak merendahkan diri seperti ayahandanya dan tidak kembali kepada TUHAN, malahan baginda lebih berdosa daripada ayahandanya. Pegawai-pegawai Raja Amon berkomplot melawan baginda lalu membunuh baginda di istana. Kemudian penduduk Yehuda pula membunuh pegawai-pegawai itu dan melantik Yosia, putera Raja Amon, menjadi raja. Raja Yosia berumur lapan tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama tiga puluh satu tahun. Raja Yosia melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN. Baginda mengikut teladan nenek moyangnya Raja Daud, dan mentaati seluruh hukum Allah dengan sepenuhnya. Pada tahun kelapan pemerintahan Raja Yosia, ketika baginda masih muda, baginda mula menyembah Allah yang disembah nenek moyangnya, Raja Daud. Empat tahun kemudian, Raja Yosia mula memusnahkan tempat-tempat penyembahan berhala, lambang-lambang Dewi Asyera, dan semua berhala lain. Dengan arahan Raja Yosia, anak buahnya merobohkan mazbah-mazbah Baal dan mazbah-mazbah untuk membakar kemenyan yang terdapat di situ. Mereka menghancurkan patung-patung Dewi Asyera dan semua berhala lain, lalu menghamburkan debunya di atas kubur-kubur orang yang menyembah berhala-berhala itu. Kemudian di atas mazbah itu Raja Yosia membakar tulang imam-imam yang menyembah berhala-berhala itu. Dengan demikian baginda menjadikan Yehuda dan Yerusalem suci semula. Hal yang sama dilakukan baginda di kota-kota dan di tempat yang musnah di wilayah Manasye, Efraim, dan Simeon, sampai ke wilayah Naftali di utara. Di seluruh kawasan Kerajaan Utara, Raja Yosia merobohkan dan menghancurkan mazbah-mazbah dan lambang-lambang Dewi Asyera, serta mazbah-mazbah untuk membakar kemenyan. Selepas itu baginda pulang ke Yerusalem. Pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yosia, selepas baginda menyucikan negeri itu dan Rumah TUHAN dengan menghentikan segala penyembahan berhala, baginda menyuruh tiga orang pegawainya untuk membaiki Rumah TUHAN Allah. Para pegawai itu ialah Safan anak Azalya, Manasye gabenor Yerusalem, dan Yoah anak Yoahas, seorang pegawai tinggi. Wang yang telah dikumpul oleh orang Lewi di Rumah TUHAN, diserahkan kepada Imam Agung Hilkia. Wang itu diterima daripada penduduk Efraim, Manasye, dan bahagian lain di Kerajaan Utara, dan juga daripada penduduk Yehuda, Benyamin, dan Yerusalem. Wang itu diberikan kepada tiga orang yang telah ditugaskan untuk mengawasi pembaikan Rumah TUHAN. Kemudian mereka memberikan wang itu kepada tukang kayu dan pekerja-pekerja yang harus membeli batu dan kayu, untuk membaiki bangunan-bangunan yang telah dibiarkan rosak oleh raja-raja Yehuda. Semua pekerja itu sangat jujur. Mereka diawasi oleh empat orang Lewi, iaitu Yahat dan Obaja daripada puak Merari, dan Zakharia serta Mesulam daripada puak Kehat. Orang Lewi semuanya pemuzik yang mahir. Orang Lewi yang lain bertanggungjawab atas pengangkutan bahan-bahan binaan dan mengawasi tukang-tukang yang melakukan berbagai-bagai pekerjaan. Orang Lewi yang lain pula bertugas dalam pentadbiran, atau sebagai pengawal. Pada masa mereka mengeluarkan wang yang telah dikumpulkan di Rumah TUHAN, Hilkia menemui kitab Taurat TUHAN, Taurat yang diberikan Allah kepada Musa. Hilkia berkata kepada Safan, “Saya telah menemui kitab Taurat di dalam Rumah TUHAN.” Lalu dia memberikan kitab itu kepada Safan, dan Safan pun membawa kitab itu kepada raja dan berkata, “Hamba sekalian telah melakukan segala perintah tuanku. Hamba sekalian telah mengambil wang yang di simpan di dalam Rumah TUHAN dan memberikannya kepada para pekerja dan pengawas-pengawas mereka.” Kemudian Safan berkata lagi, “Inilah kitab yang diberikan oleh Hilkia kepada hamba.” Safan membacakan kandungan kitab itu kepada raja. Apabila raja mendengar kandungan kitab itu, baginda mengoyakkan pakaiannya kerana dukacita. Raja bertitah kepada Hilkia, Ahikam anak Safan, Abdon anak Mikha, Safan setiausaha negeri, dan Asaya hamba raja, “Pergilah minta nasihat TUHAN bagi beta dan bagi segenap rakyat yang masih berada di Israel dan Yehuda, tentang ajaran kitab ini. TUHAN murka terhadap kita kerana nenek moyang kita tidak taat kepada firman TUHAN dan tidak melakukan apa yang tercatat di dalam kitab ini.” Atas perintah raja itu, Hilkia dengan orang lain yang diutus oleh raja, pergi meminta nasihat daripada seorang perempuan bernama Hulda. Dia seorang nabi perempuan yang tinggal di perkampungan baru di Yerusalem. Suaminya, Salum anak Tikwa, cucu Harhas, ialah pengurus pakaian di Rumah TUHAN. Mereka menceritakan apa yang telah berlaku. Kemudian Hulda menyuruh mereka pulang dan memberitahu raja firman TUHAN ini, “Aku akan menghukum Yerusalem serta semua penduduknya dengan kutuk yang tertulis di dalam kitab yang dibacakan kepada raja. Mereka telah menolak Aku, dan telah mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain. Perbuatan mereka telah membangkitkan kemurkaan-Ku. Sekarang Aku murka terhadap Yerusalem, dan kemurkaan-Ku tidak akan padam. Tetapi tentang raja sendiri, demikianlah firman-Ku, TUHAN Allah Israel: Engkau telah memperhatikan kandungan kitab itu, dan engkau bertaubat serta merendahkan diri di hadapan-Ku. Engkau mengoyakkan pakaian serta menangis ketika engkau mendengar ancaman-Ku untuk menghukum Yerusalem dan penduduknya. Aku telah mendengar doamu, oleh itu hukuman yang akan Aku jatuhkan kepada Yerusalem tidak akan berlaku semasa hidupmu. Aku akan membenarkan engkau meninggal dengan tenteram.” Utusan-utusan itu pun pulang kepada Raja Yosia dan menyampaikan perkhabaran itu. Raja Yosia memanggil semua pemimpin Yehuda dan Yerusalem, lalu mereka bersama-sama pergi ke Rumah TUHAN. Mereka disertai para imam, orang Lewi dan segenap rakyat, baik yang kaya mahupun yang miskin. Di hadapan mereka semua, raja membacakan seluruh kandungan kitab perjanjian itu, yang telah ditemui di dalam Rumah TUHAN. Raja berdiri di sisi tiang yang khas untuk raja, lalu membuat perjanjian dengan TUHAN bahawa baginda akan taat kepada-Nya, dan menurut hukum serta perintah-Nya dengan segenap hati dan jiwa, serta memenuhi segala syarat perjanjian yang tercatat di dalam kitab itu. Raja menyuruh semua orang Benyamin dan orang yang berada di Yerusalem supaya berjanji untuk taat kepada perjanjian itu. Demikianlah penduduk Yerusalem taat kepada peraturan-peraturan dalam perjanjian itu, iaitu perjanjian antara mereka dengan Allah nenek moyang mereka. Raja Yosia memusnahkan semua berhala yang menjijikkan, yang terdapat di seluruh wilayah orang Israel. Kemudian baginda mewajibkan rakyatnya beribadat kepada TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Oleh itu selama Raja Yosia hidup, rakyat tetap setia kepada TUHAN. Raja Yosia merayakan Paska di Yerusalem untuk menghormati TUHAN. Pada hari keempat belas bulan pertama, mereka menyembelih domba untuk perayaan itu. Baginda memberi para imam tugas-tugas yang harus dilakukan mereka di Rumah TUHAN, dan menggalakkan mereka supaya melakukan pekerjaan itu dengan baik. Orang Lewi, iaitu guru-guru Israel yang telah dikhaskan untuk TUHAN, mendapat perintah ini daripada Raja Yosia, “Letakkanlah Tabut Perjanjian yang suci itu di Rumah TUHAN, yang dibina Raja Salomo putera Raja Daud. Tidak usah lagi kamu membawanya dari tempat ke tempat, tetapi hendaklah kamu mengabdikan diri kepada TUHAN, Allah kamu dan umat-Nya Israel. Jalankanlah kewajipan kamu di Rumah TUHAN, menurut puak kamu dan tugas yang telah diberikan Raja Daud dan puteranya Raja Salomo. Aturlah puak kamu supaya kamu dapat menolong tiap-tiap keluarga orang Israel. Kamulah yang harus menyembelih domba dan kambing untuk Perayaan Paska. Oleh itu sucikanlah diri kamu dan sediakanlah korban-korban itu, supaya sesama kamu umat Israel dapat melaksanakan apa yang diperintahkan TUHAN melalui Musa.” Raja Yosia menyumbangkan 30,000 ekor domba, anak domba, dan anak kambing, serta 3,000 ekor lembu jantan daripada ternakan baginda sendiri, kepada rakyat yang hadir di situ supaya mereka dapat mempersembahkan korban untuk Perayaan Paska. Pegawai-pegawai Yosia juga memberikan sumbangan kepada rakyat, para imam, dan orang Lewi. Pegawai-pegawai yang bertugas di Rumah TUHAN, iaitu Imam Agung Hilkia, Zakharia, dan Yehiel, memberikan 2,600 ekor anak domba dan anak kambing, serta 300 ekor lembu jantan, kepada para imam untuk dipersembahkan pada masa perayaan itu. Pemimpin-pemimpin orang Lewi, iaitu Konanya, Semaya dan Netaneel saudaranya, Hasabya, Yeiel, dan Yozabad, memberikan 5,000 ekor anak domba dan anak kambing, serta 500 ekor lembu jantan, kepada orang Lewi untuk dipersembahkan pada perayaan itu. Apabila semuanya telah disiapkan untuk perayaan Paska, para imam, dan orang Lewi mengambil tempat masing-masing seperti yang diperintahkan oleh raja. Selepas kambing dan domba disembelih, orang Lewi menguliti semuanya; kemudian para imam memercikkan darah binatang itu di atas mazbah. Mereka membahagikan binatang-binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, kepada tiap-tiap kumpulan keluarga, supaya mereka dapat mempersembahkannya menurut peraturan Taurat Musa. Orang Lewi memanggang korban-korban untuk Perayaan Paska di atas api, menurut peraturan, dan merebus korban-korban khas di dalam kuali, periuk, dan belanga, lalu dengan segera dagingnya dibahagi-bahagikan kepada rakyat. Selepas itu barulah orang Lewi membahagikan daging untuk mereka sendiri dan imam-imam keturunan Harun, kerana sampai malam para imam sibuk membakar binatang-binatang yang dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan membakar lemak daripada korban-korban itu. Beberapa orang pemuzik daripada puak Asaf dalam suku Lewi, iaitu Asaf, Heman, dan Yedutun nabi raja itu, mengambil tempat mereka seperti yang ditetapkan Raja Daud. Pengawal-pengawal yang bertugas di pintu gerbang Rumah TUHAN tidak usah meninggalkan tempat-tempat kawalan mereka kerana orang Lewi yang lain telah menyediakan keperluan Perayaan Paska untuk mereka. Demikianlah semua hal itu dilakukan pada hari itu untuk menyembah TUHAN, merayakan Perayaan Paska, dan mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah, sebagaimana yang diperintahkan oleh Raja Yosia. Selama tujuh hari semua orang Israel yang hadir di situ merayakan Perayaan Paska dan Perayaan Roti Tidak Beragi. Sejak zaman Nabi Samuel, belum pernah Paska dirayakan secara besar-besaran seperti itu. Tiada seorang pun di kalangan raja-raja Israel yang pernah merayakan Perayaan Paska seperti yang dirayakan oleh Raja Yosia, para imam, orang Lewi, dan penduduk Yehuda, Israel, serta Yerusalem, pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yosia. Selepas Raja Yosia melakukan segala hal itu bagi Rumah TUHAN, Raja Nekho dari Mesir memimpin tenteranya untuk bertempur di Karkemis dekat Sungai Efrat. Raja Yosia cuba menghalang Raja Nekho, tetapi Raja Nekho mengirim berita ini kepadanya, “Perang ini tidak berkaitan dengan tuanku, raja Yehuda. Beta datang bukan untuk melawan tuanku, tetapi melawan musuh beta sendiri. Allah telah menyuruh beta bertindak dengan cepat. Dia sendiri memihak beta, oleh itu jangan lawan beta. Jika tuanku melawan beta, Allah akan memusnahkan tuanku.” Tetapi Raja Yosia berkeras untuk pergi berperang. Baginda tidak menghiraukan firman Allah melalui Raja Nekho. Raja Yosia menyamar lalu bertempur di dataran rendah Megido. Dalam pertempuran itu, Raja Yosia dipanah oleh askar Mesir. Lalu baginda bertitah kepada hamba-hambanya, “Beta cedera parah! Bawalah beta keluar dari sini.” Mereka memindahkan Raja Yosia dari kereta kudanya ke kereta kuda yang lain, lalu membawanya ke Yerusalem. Raja Yosia mangkat di Yerusalem lalu dimakamkan di makam diraja. Semua penduduk Yehuda dan Yerusalem berkabung kerana kemangkatan baginda. Nabi Yeremia mengarang sebuah lagu ratapan bagi Raja Yosia. Di Israel sampai sekarang, lagu itu dinyanyikan oleh para penyanyi, baik lelaki mahupun perempuan, dalam peringatan perkabungan untuk Raja Yosia. Lagu itu dimasukkan dalam kumpulan lagu ratapan. Semua perbuatan Raja Yosia, baik kasihnya kepada TUHAN, ketaatannya kepada Taurat mahupun sejarah hidupnya dari permulaan hingga akhir, tercatat di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Israel dan Yehuda. Penduduk Yehuda memilih Raja Yoahas putera Raja Yosia, dan melantik baginda menjadi raja di Yerusalem. Raja Yoahas berusia dua puluh tiga tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama tiga bulan. Raja Nekho dari Mesir, menawan Raja Yoahas dan memaksa Yehuda membayar ufti sebanyak 3,400 kilogram perak dan 34 kilogram emas. Raja Nekho memilih Raja Elyakim saudara Raja Yoahas, menjadi raja Yehuda, lalu menukar nama Raja Elyakim menjadi Raja Yoyakim. Raja Yoahas dibawa oleh Raja Nekho ke Mesir. Raja Yoyakim berumur dua puluh lima tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama sebelas tahun. Raja Yoyakim berdosa terhadap TUHAN, Allahnya. Raja Nebukadnezar dari Babilonia menyerang Yehuda. Baginda menangkap Raja Yoyakim, membelenggunya, lalu membawa baginda ke Babilonia. Raja Nebukadnezar membawa sebahagian harta dari Rumah TUHAN ke istananya di Babel. Segala perbuatan Raja Yoyakim, termasuk perbuatannya yang keji dan jahat, tercatat di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Israel dan Yehuda. Puteranya, Yoyakhin menggantikan baginda sebagai raja. Raja Yoyakhin berumur lapan belas tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama tiga bulan dan sepuluh hari. Raja Yoyakhin juga berdosa terhadap TUHAN. Pada musim bunga tahun itu, Raja Nebukadnezar menawan Raja Yoyakhin dan membawanya ke Babilonia. Raja Nebukadnezar juga membawa harta dari Rumah TUHAN. Selepas itu Raja Nebukadnezar memilih Zedekia, bapa saudara Raja Yoyakhin, menjadi raja Yehuda dan Yerusalem. Zedekia berusia 21 tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama sebelas tahun. Raja Zedekia berdosa terhadap TUHAN, dan tidak mahu merendahkan diri untuk mendengar Nabi Yeremia, yang telah menyampaikan firman TUHAN. Raja Zedekia memberontak terhadap Raja Nebukadnezar, yang memaksa baginda bersumpah demi Allah bahawa baginda akan setia kepada Raja Nebukadnezar. Raja Zedekia berdegil dan tidak mahu bertaubat serta kembali kepada TUHAN, Allah Israel. Selain itu, pemimpin-pemimpin Yehuda, para imam, dan rakyat mengikut cara hidup bangsa-bangsa jiran yang berdosa. Mereka menyembah berhala dan menajiskan Rumah TUHAN, yang telah dikhaskan oleh TUHAN sendiri bagi diri-Nya. Selama itu TUHAN, Allah nenek moyang mereka, terus-menerus mengutus nabi untuk memberikan amaran kepada umat-Nya, kerana Dia hendak menyelamatkan mereka dan Rumah TUHAN. Tetapi mereka mempermainkan utusan-utusan Allah itu, tidak menghiraukan firman-Nya, dan mentertawakan nabi-nabi-Nya. Akhirnya, TUHAN sangat murka terhadap mereka sehingga tiada lagi jalan keluar untuk melepaskan diri umat-Nya daripada hukuman-Nya. Oleh itu TUHAN mendatangkan raja Babilonia untuk menyerang mereka. Raja Babilonia membunuh kaum belia Yehuda, bahkan orang yang berada di dalam Rumah TUHAN. Raja itu tidak mengasihani sesiapa pun, muda atau tua, lelaki atau perempuan, orang sakit ataupun orang sihat. Allah menyerahkan mereka semua kepada raja Babilonia. Perkakas-perkakas Rumah TUHAN dan barang-barang berharga yang ada di situ, harta benda raja dan para pegawainya, dirampas oleh raja Babilonia, lalu dibawa ke Babel. Raja itu merobohkan tembok kota Yerusalem dan membakar kota itu, termasuk Rumah TUHAN dan semua istana, bersama-sama barang-barang berharga di dalam istana. Raja Babilonia membawa semua orang yang masih hidup di kota itu ke Babilonia. Mereka dipaksa menjadi abdi kepada raja dan keturunannya sehingga permulaan kerajaan Persia. Dengan demikian berlakulah apa yang difirmankan TUHAN melalui Nabi Yeremia, “Negeri ini akan terbiar selama tujuh puluh tahun untuk mengganti tahun-tahun Sabat yang tidak dipedulikan.” Pada tahun pertama pemerintahan Raja Kores, raja Persia, TUHAN menepati firman-Nya yang disampaikan oleh Nabi Yeremia. TUHAN menggerakkan hati Raja Kores supaya mengeluarkan titah bertulis untuk dibacakan di seluruh kerajaan baginda. Bunyi surat itu demikian, “Inilah titah Raja Kores, raja Persia. TUHAN, Allah penguasa di syurga, telah menjadikan beta raja seluruh bumi. Dia telah memberikan tugas kepada beta untuk membina sebuah rumah bagi-Nya di Yerusalem, di wilayah Yehuda. Oleh itu, kamu semua yang menjadi umat Allah mesti kembali ke sana. Semoga TUHAN, Allah kamu menyertai kamu.” Pada tahun pertama pemerintahan Raja Kores, raja Persia, TUHAN melaksanakan firman-Nya yang disampaikan-Nya dengan perantaraan Nabi Yeremia. TUHAN menggerakkan hati Raja Kores supaya mengeluarkan titah bertulis, yang dikirim untuk dibacakan di seluruh kerajaan baginda. Bunyinya demikian: “Demikianlah titah Raja Kores, raja Persia: TUHAN, Allah penguasa di syurga, telah menjadikan beta raja seluruh dunia. Dia telah memberi beta tugas untuk membina Rumah bagi-Nya di Yerusalem, di negeri Yehuda. Semoga Allah melindungi kamu semua yang menjadi umat-Nya. Kamu harus kembali ke Yerusalem dan membina semula Rumah TUHAN, Allah Israel, Allah yang disembah di Yerusalem. Jika ada seorang daripada umat-Nya di tempat pembuangan ini yang memerlukan bantuan untuk pulang, hendaklah jiran-jirannya memberikan bantuan. Mereka harus memberinya perak dan emas, bekalan untuk perjalanan serta binatang untuk mengangkut barangan, dan juga persembahan untuk Rumah TUHAN di Yerusalem.” Oleh itu para pemimpin puak daripada suku Yehuda dan Benyamin, para imam serta orang Lewi, dan tiap-tiap orang yang telah digerakkan hatinya oleh Allah, bersiap-siap untuk pulang ke Yerusalem dan membina semula Rumah TUHAN. Semua jiran mereka turut membantu dengan memberikan barangan yang diperlukan: perkakas perak, emas, bekalan untuk perjalanan, binatang untuk mengangkut barangan, harta benda yang lain, serta persembahan untuk Rumah TUHAN. Raja Kores mengembalikan semua mangkuk dan cawan yang dahulu dipakai di dalam Rumah TUHAN di Yerusalem. Perkakas itu telah dibawa oleh Raja Nebukadnezar dan disimpan di dalam kuil dewa-dewanya sendiri. Raja Kores menyerahkan tugas mengurus perkakas itu kepada Mitredat, ketua perbendaharaan kerajaan. Kemudian Mitredat membuat senarai perkakas itu bagi Sesbazar, gabenor negeri Yehuda. [9-10] Inilah senarainya: mangkuk emas untuk upacara persembahan — 30 mangkuk perak untuk upacara persembahan — 1,000 pinggan mangkuk yang lain — 29 mangkuk kecil daripada emas — 30 mangkuk kecil daripada perak — 410 perkakas lain — 1,000 *** Semuanya berjumlah 5,400 buah pinggan mangkuk daripada emas dan daripada perak serta perkakas lain. Kesemua barangan ini dibawa oleh Sesbazar dari Babilonia ke Yerusalem, bersama dengan orang buangan yang lain. Banyak di kalangan orang buangan meninggalkan Babilonia lalu kembali ke Yehuda dan Yerusalem, masing-masing ke kotanya sendiri. Mereka telah tinggal dalam pembuangan di Babilonia sejak Raja Nebukadnezar membawa mereka ke sana sebagai orang tawanan. Para pemimpin mereka ialah Zerubabel, Yesua, Nehemia, Seraya, Reelaya, Mordekhai, Bilsan, Mispar, Bigwai, Rehum, dan Baana. Inilah senarai orang Israel dengan jumlah orang daripada setiap puak yang kembali dari pembuangan: [3-20] Paros -- 2,172 Sefaca -- 372 Arah -- 775 Pahat-Moab (keturunan Yesua dan Yoab) -- 2,812 Elam -- 1,254 Zatu -- 945 Zakai -- 760 Bani -- 642 Bebai -- 623 Azgad -- 1,222 Adonikam -- 666 Bigwai -- 2,056 Adin -- 454 Ater (juga disebut Hizkia) -- 98 Bezai -- 323 Yora -- 112 Hasum -- 223 Gibar -- 95 *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** [21-35] Orang yang nenek moyang mereka tinggal di kota berikut ini juga kembali dari pembuangan: Betlehem -- 123 Netofa -- 56 Anatot -- 128 Asmawet -- 42 Kiryat-Arim, Kefira, dan Beerot -- 743 Rama dan Gaba -- 621 Mikhmas -- 122 Betel dan Ai -- 223 Nebo -- 52 Magbis -- 156 Elam yang lain -- 1,254 Harim -- 320 Lod, Hadid, dan Ono -- 725 Yerikho -- 345 Senaa -- 3,630 *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** [36-39] Inilah senarai puak imam yang kembali dari pembuangan: Yedaya (keturunan Yesua) -- 973 Imer -- 1,052 Pasyhur -- 1,247 Harim -- 1,017 *** *** *** [40-42] Puak orang Lewi yang kembali dari pembuangan: Yesua dan Kadmiel (keturunan Hodawya) -- 74 Para penyanyi di Rumah TUHAN (keturunan Asaf) -- 128 Pengawal pintu gerbang Rumah TUHAN (keturunan Salum, Ater, Talmon, Akub, Hatita, dan Sobai) -- 139 *** *** [43-54] Inilah senarai puak pekerja Rumah TUHAN yang kembali dari pembuangan: Ziha, Hasufa, Tabaot, Keros, Siaha, Padon, Lebana, Hagaba, Akub, Hagab, Samlai, Hanan, Gidel, Gahar, Reaya, Rezin, Nekoda, Gazam, Uza, Paseah, Besai, Asna, Meunim, Nefusim, Bakbuk, Hakufa, Harhur, Bazlut, Mehida, Harsa, Barkos, Sisera, Temah, Neziah, dan Hatifa. *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** [55-57] Puak hamba Raja Salomo yang pulang dari pembuangan: Sotai, Soferet, Peruda, Yaala, Darkon, Gidel, Sefaca, Hatil, Pokheret-Hazebaim, dan Ami. *** *** Jumlah keturunan pekerja Rumah TUHAN dan hamba Raja Salomo yang pulang dari pembuangan ialah 392 orang. [59-60] Semua orang yang berangkat dari kota Tel-Melah, Tel-Harsa, Kerub, Adan, dan Imer, berjumlah 652 orang. Mereka termasuk puak Delaya, Tobia dan Nekoda, tetapi mereka tidak dapat membuktikan bahawa mereka keturunan bangsa Israel. *** [61-62] Puak-puak imam yang berikut ini tidak dapat mencari catatan tentang nenek moyang mereka: Habaya, Hakos, dan Barzilai. (Nenek moyang Barzilai berkahwin dengan seorang perempuan keturunan puak Barzilai dari Gilead, dan kemudian menggunakan nama keluarga mentuanya.) Oleh sebab mereka tidak dapat membuktikan siapa nenek moyang mereka, maka mereka tidak diterima sebagai imam. *** Gabenor negeri Yehuda melarang mereka makan makanan yang telah dipersembahkan kepada Allah, sehingga ada seorang imam yang dapat meminta petunjuk dengan menggunakan Urim dan Tumim. [64-67] Jumlah orang buangan yang pulang ke negeri mereka ialah 42,360 orang. Pembantu mereka, lelaki dan perempuan berjumlah 7,337 orang. Para penyanyi lelaki dan perempuan berjumlah 200 orang. Mereka juga membawa binatang mereka: kuda -- 736 baghal -- 245 unta -- 435 keldai -- 6,720 *** *** *** Apabila orang buangan itu tiba di Rumah TUHAN di Yerusalem, beberapa orang pemimpin puak memberikan pemberian sukarela untuk membina semula Rumah TUHAN. Mereka memberikan sumbangan menurut kesanggupan masing-masing dan jumlahnya ialah 500 kilogram emas, 2,800 kilogram perak, dan 100 helai jubah imam. Para imam, orang Lewi dan sejumlah orang daripada rakyat jelata tinggal di Yerusalem dan sekitarnya. Para penyanyi, para pengawal pintu gerbang Rumah TUHAN dan para pekerja di Rumah TUHAN serta orang Israel yang lain menetap di kota-kota tempat tinggal nenek moyang mereka dahulu. Pada bulan ketujuh, umat Israel telah menetap di kota masing-masing. Kemudian mereka semua berkumpul di Yerusalem. Oleh itu Yesua anak Yozadak dan beberapa orang imam yang lain, Zerubabel anak Sealtiel dan sanak saudaranya, membina semula mazbah Allah Israel. Dengan demikian mereka dapat membakar korban di atas mazbah itu menurut petunjuk yang tertulis dalam kitab Taurat Musa, hamba Allah. Meskipun mereka takut terhadap penduduk negeri itu, namun mereka membina semula mazbah itu di tempat asalnya. Setelah itu mereka mulai mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, pada waktu pagi dan petang. Mereka juga merayakan Perayaan Pondok Daun menurut peraturan yang ditetapkan; tiap-tiap hari mereka mempersembahkan korban yang ditetapkan untuk hari itu. Selain itu, dengan teratur mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN serta korban yang dipersembahkan pada Perayaan Bulan Baru, dan pada semua perayaan lain yang diadakan untuk menyembah TUHAN. Mereka juga mempersembahkan persembahan sukarela kepada TUHAN. Walaupun rakyat belum memulakan pembinaan semula Rumah TUHAN, mereka telah mulai membakar korban untuk TUHAN pada hari pertama bulan ketujuh. Rakyat menyumbangkan wang untuk membayar upah tukang batu dan tukang kayu. Mereka juga menghantar makanan, minuman, dan minyak zaitun ke kota Tirus dan Sidon untuk ditukarkan dengan kayu sedar dari Lebanon. Kayu itu dibawa ke Yafo melalui laut. Semua pekerjaan itu dilakukan dengan kebenaran daripada Raja Kores, raja Persia. Pada bulan kedua, dalam tahun kedua selepas orang Israel kembali ke Yerusalem, mereka mulai membina semula Rumah TUHAN. Zerubabel, Yesua dan orang sebangsa mereka, para imam dan orang Lewi, pendek kata, semua orang bekas buangan, ikut bekerja. Semua orang Lewi yang berusia 20 tahun ke atas ditugaskan untuk mengawasi pembinaan Rumah TUHAN. Yesua, orang Lewi itu, bersama dengan anak-anak serta sanak saudaranya, dan juga Kadmiel serta anak-anaknya (puak Hodawya) turut mengawasi pekerjaan pembinaan Rumah TUHAN. Mereka dibantu oleh orang Lewi daripada puak Henadad. Apabila pekerja-pekerja pembinaan mula meletakkan asas Rumah TUHAN, para imam yang berpakaian jubah dan membawa trompet mengambil tempat masing-masing. Orang Lewi daripada puak Asaf juga berdiri di sana sambil membawa ceracap. Mereka memuji-muji TUHAN menurut peraturan yang ditetapkan sejak zaman Raja Daud. Mereka menyanyikan puji-pujian bagi TUHAN, dan mengulang-ulangi bahagian nyanyian yang terakhir, yang berbunyi demikian: “TUHAN itu baik, dan kasih-Nya kepada Israel kekal abadi.” Rakyat ikut bersorak dan memuji TUHAN kerana asas Rumah TUHAN telah diletakkan. Banyak antara imam, orang Lewi dan ketua puak yang telah lanjut usia pernah melihat Rumah TUHAN yang dahulu. Apabila mereka melihat asas Rumah TUHAN yang ini diletakkan, mereka menangis dengan kuat. Tetapi orang lain yang hadir di sana bersorak-sorak kerana sukacita. Oleh sebab itu suara sorakan sukacita tidak dapat dibezakan daripada suara tangisan; keriuhannya terdengar sampai jauh. Musuh orang Yehuda dan Benyamin mendengar bahawa mereka yang telah pulang dari pembuangan itu sedang membina semula Rumah TUHAN, Allah Israel. Oleh itu mereka menghadap Zerubabel dan para pemimpin umat itu, lalu berkata, “Benarkanlah kami ikut membina Rumah TUHAN. Kami pun menyembah Allah yang sama dan kami selalu mempersembahkan korban kepada-Nya sejak kami disuruh tinggal di sini oleh Raja Esarhadon, raja negeri Asyur.” Zerubabel, Yesua, dan para pemimpin umat berkata kepada mereka, “Kami tidak memerlukan bantuan kamu untuk membina Rumah bagi TUHAN, Allah kami. Kami sendiri akan membinanya, sebagaimana yang diperintahkan oleh Raja Kores, raja Persia.” Selepas itu penduduk yang telah lama tinggal di negeri itu cuba menawarkan hati orang Yahudi dan menakut-nakuti mereka, supaya pembinaan itu dihentikan. Mereka juga memberikan rasuah kepada para pegawai kerajaan Persia supaya menggagalkan pembinaan itu. Mereka berbuat demikian sepanjang pemerintahan Raja Kores, bahkan sampai ke masa pemerintahan Raja Darius. Pada permulaan pemerintahan Raja Ahasweros, musuh penduduk Yehuda dan Yerusalem menulis surat tuduhan. Pada masa pemerintahan Raja Artahsasta, raja Persia, peristiwa itu berulang lagi; Bislam, Mitredat, Tabeel, serta rakan-rakan mereka mengirim sepucuk surat kepada raja. Surat itu ditulis dalam bahasa Aram, dan perlu diterjemahkan ketika dibaca. Selain itu, Gabenor Rehum dan Simsai setiausahanya, juga menulis surat berikut kepada Raja Artahsasta tentang Yerusalem, “Surat ini daripada Gabenor Rehum, Setiausaha Simsai, dan rakan-rakan mereka, iaitu para hakim, serta semua pegawai Persia yang lain, yang berasal dari Erekh, Babel, dan Susan di tanah Elam; bersama-sama bangsa-bangsa lain yang dipindahkan oleh Raja Asnapar yang Agung ke kota Samaria dan ke tempat lain di wilayah Efrat Barat.” Kandungan surat itu seperti berikut, “Kepada Raja Artahsasta, daripada hamba-hamba tuanku dari Efrat Barat. Salam. Hendaklah tuanku maklum bahawa orang Yahudi yang datang ke sini dari kawasan lain itu kini tinggal di Yerusalem dan sedang membina semula kota yang derhaka dan jahat itu. Mereka sudah mulai membina semula temboknya dan tidak lama lagi pembinaan itu akan selesai. Jika kota itu dibina semula dan temboknya didirikan, penduduknya mungkin tidak mahu lagi membayar cukai. Oleh itu pendapatan kerajaan akan berkurangan. Hamba sekalian terhutang budi kepada tuanku, kerana itu kami tidak ingin melihat perkara itu berlaku. Hamba sekalian mencadangkan supaya tuanku memeriksa arkib para nenek moyang tuanku. Tentu tuanku akan mengetahui bahawa sejak dahulu, kota itu sentiasa memberontak dan menyusahkan para raja dan penguasa negeri. Penduduknya selalu susah diperintah dan itulah sebabnya kota itu dimusnahkan. Hamba sekalian yakin bahawa jika kota itu dibina semula dan temboknya didirikan, tuanku tidak dapat menguasai wilayah Efrat Barat lagi.” Raja membalas surat itu demikian, “Kepada Gabenor Rehum, Setiausaha Simsai, serta rakan-rakan mereka yang tinggal di Samaria dan di tempat lain di Efrat Barat. Salam. Surat tuan-tuan telah diterjemahkan dan dibacakan kepada beta. Beta telah memerintah supaya perkara itu disiasat. Memang benar bahawa sejak dahulu Yerusalem telah memberontak terhadap raja-raja, dan bahawa kota itu penuh dengan pemberontak dan perusuh. Raja-raja yang perkasa telah memerintah di sana dan di seluruh wilayah Efrat Barat, serta memungut cukai dan ufti. Oleh itu keluarkanlah perintah supaya semua orang itu berhenti membina kota itu sehingga beta memberikan perintah selanjutnya. Laksanakanlah perintah ini dengan segera supaya kerajaan kita tidak menanggung kerugian yang lebih besar.” Sebaik sahaja surat daripada Raja Artahsasta itu dibacakan kepada Rehum, Simsai dan rakan-rakan mereka, berangkatlah mereka dengan tergesa-gesa ke Yerusalem. Lalu mereka memaksa orang Yahudi menghentikan pembinaan kota itu. Pembinaan Rumah TUHAN telah tergendala sehingga tahun kedua pemerintahan Raja Darius, raja Persia. Pada masa itu, dua orang nabi, Hagai dan Zakharia anak Ido, mulai bersabda demi nama Allah Israel kepada orang Yahudi yang tinggal di Yehuda dan di Yerusalem. Apabila Zerubabel anak Sealtiel dan Yesua anak Yozadak mendengar perkhabaran nabi-nabi itu, mereka mula lagi membina Rumah TUHAN di Yerusalem. Kedua-dua orang nabi itu pun menolong mereka. Pada masa itu juga, Gabenor Tatnai, dari Efrat Barat, Syetar-Boznai serta rakan-rakan mereka datang ke Yerusalem. Mereka bertanya kepada orang Yahudi, “Siapakah yang memerintah kamu membina dan melengkapi Rumah Ibadat ini?” Mereka juga meminta nama-nama orang yang menolong membina Rumah itu. Tetapi Allah memperhatikan dan melindungi para pemimpin orang Yahudi itu, sehingga para pegawai kerajaan Persia membuat keputusan untuk tidak mengambil tindakan sebelum mereka mengirim surat kepada Raja Darius dan menerima balasan daripada baginda. Inilah laporan yang dikirim mereka kepada raja, “Kepada Raja Darius. Semoga tuanku memerintah dengan aman damai. Ingin kami maklumkan kepada tuanku bahawa kami telah pergi ke Yehuda dan mendapati bahawa Rumah Ibadat untuk Allah yang Besar, sedang dibina semula dengan batu-batu besar dan tembok yang dilapisi kayu. Pekerjaan itu dilakukan dengan sangat teliti dan berjalan dengan lancar. Kemudian kami bertanya kepada para pemimpin bangsa itu, siapa yang telah memberi mereka kebenaran untuk membina semula Rumah Ibadat serta melengkapinya. Kami juga menanyakan nama mereka supaya dapat memberitahukan tuanku orang yang mengetuai pekerjaan itu. Mereka menjawab, ‘Kami ini hamba Allah penguasa alam semesta. Kami membina semula Rumah TUHAN yang dibina dan dilengkapi berpuluh-puluh tahun yang lalu oleh seorang raja Israel yang agung. Tetapi oleh sebab nenek moyang kami membangkitkan kemurkaan Allah, penguasa di syurga, Dia membiarkan nenek moyang kami dikalahkan oleh Raja Nebukadnezar, keturunan Kasdim, raja di Babilonia. Rumah TUHAN dimusnahkan dan bangsa kami ditawan lalu dibawa ke Babilonia. Kemudian pada tahun pertama pemerintahan Raja Kores, raja Babilonia, baginda memberikan perintah supaya Rumah TUHAN dibina semula. Bahkan baginda mengembalikan juga perkakas emas dan perak yang digunakan di dalam Rumah TUHAN. Perkakas itu telah dirampas oleh Raja Nebukadnezar dari Yerusalem dan disimpan di dalam kuilnya di kota Babel. Raja Kores memberikan perkakas itu kepada seorang yang bernama Sesbazar, yang telah dilantiknya menjadi gabenor Yehuda. Raja menyuruh Sesbazar mengembalikan perkakas itu ke Rumah TUHAN di Yerusalem, dan membina semula Rumah itu. Oleh itu Sesbazar datang ke Yerusalem dan meletakkan asas Rumah TUHAN. Sejak itu hingga sekarang pembinaannya telah berjalan dengan baik, tetapi masih belum selesai.’ Oleh itu jika diizinkan tuanku, suruhlah orang memeriksa arkib kerajaan di Babel. Dengan demikian dapatlah diketahui sama ada Raja Kores pernah memberikan perintah untuk membina semula Rumah TUHAN di Yerusalem atau tidak. Kemudian sudilah memberitahu kami apa keputusan tuanku tentang perkara itu.” Selepas itu Raja Darius memberikan perintah supaya orang memeriksa arkib kerajaan yang disimpan di kota Babel. Tetapi catatan tentang hal itu ditemui di kota Ahmeta, di daerah Media, dan bukannya di Babel. Catatan itu ditulis pada sebuah gulungan naskhah yang berbunyi begini, “Pada tahun pertama pemerintahan Raja Kores, baginda memberikan perintah supaya Rumah TUHAN di Yerusalem dibina semula, sebagai tempat orang membawa persembahan dan membakar korban. Tinggi Rumah itu harus 27 meter dan lebarnya 27 meter. Tembok Rumah itu hendaklah dibuat seperti berikut: di atas tiap-tiap tiga lapis batu mestilah dipasang satu lapis kayu. Segala perbelanjaannya hendaklah ditanggung oleh perbendaharaan kerajaan. Perkakas emas dan perak yang digunakan di dalam Rumah TUHAN, yang telah diambil oleh Raja Nebukadnezar dari Yerusalem dan dibawa ke Babel, harus dikembalikan ke tempatnya semula.” Kemudian Raja Darius menjawab demikian, “Kepada Gabenor Tatnai dari Efrat Barat, Syetar Boznai dan rakan-rakan kamu di Efrat Barat. Salam. Jangan ganggu orang Yahudi, dan jangan halang pembinaan itu. Biarlah gabenor Yehuda dan para pemimpin orang Yahudi membina semula Rumah itu. Bahkan beta memerintah agar kamu semua menolong mereka membinanya. Perbelanjaan membina Rumah TUHAN itu harus dibayar dengan segera dari perbendaharaan kerajaan, daripada hasil cukai wilayah Efrat Barat. Janganlah biarkan pembinaan itu tergendala! Tiap-tiap hari, para imam yang berada di Yerusalem harus diberikan apa sahaja yang diperlukan mereka: sama ada lembu jantan muda, domba jantan, atau anak domba sebagai korban untuk dipersembahkan kepada Allah penguasa di syurga, ataupun gandum, garam, wain, dan minyak zaitun. Kesemua ini hendaklah dilaksanakan supaya mereka dapat mempersembahkan korban yang diperkenankan Allah penguasa di syurga, dan supaya mereka berdoa kepada-Nya untuk memohon berkat bagi beta dan putera-putera beta. Beta memerintahkan juga bahawa sesiapa melanggar perintah beta ini, tulang bumbung rumahnya akan dibongkar, diruncingkan, lalu ditusukkan ke dalam badannya sampai tembus. Rumah orang itu akan dijadikan tempat timbunan sampah. Semoga Allah yang telah memilih Yerusalem sebagai tempat Dia disembah, membinasakan raja atau bangsa apa sahaja yang melanggar perintah ini serta cuba memusnahkan Rumah TUHAN. Beta, Raja Darius, telah mengeluarkan perintah ini. Jalankanlah perintah ini dengan sebaik-baiknya.” Selepas itu, Gabenor Tatnai dari Efrat Barat, Syetar-Boznai dan rakan-rakan mereka melakukan tepat seperti yang diperintahkan Raja Darius. Para pemimpin orang Yahudi meneruskan pembinaan Rumah itu dengan pesat. Mereka digalakkan oleh Nabi Hagai dan Zakharia. Mereka menyelesaikan pembinaan Rumah itu menurut perintah Allah Israel dan perintah Raja Kores, Raja Darius, dan Raja Artahsasta, raja-raja Persia. Mereka menyelesaikan pembinaan itu pada hari ketiga bulan Adar, pada tahun keenam pemerintahan Raja Darius. Kemudian umat Israel, para imam, orang Lewi dan semua orang yang telah pulang dari pembuangan, mentahbiskan Rumah TUHAN itu dengan sukacita. Untuk pentahbisan itu mereka mempersembahkan 100 ekor lembu jantan, 200 ekor domba jantan, dan 400 ekor anak domba kepada TUHAN. Untuk korban pengampunan dosa, mereka mempersembahkan dua belas ekor kambing jantan, seekor bagi setiap suku Israel. Mereka juga menyusun pekerjaan para imam dan orang Lewi di Rumah TUHAN di Yerusalem, menurut peraturan yang tertulis dalam kitab Musa. Mereka yang telah pulang dari pembuangan itu merayakan Paska pada hari keempat belas bulan pertama tahun yang berikutnya. Semua imam dan orang Lewi telah melakukan upacara pembersihan diri sehingga dianggap suci. Orang Lewi menyembelih binatang untuk korban Paska bagi para imam, dan bagi semua orang yang telah pulang dari pembuangan serta bagi mereka sendiri. Korban itu dimakan oleh semua orang Israel yang telah pulang dari pembuangan, dan penduduk negeri itu yang telah meninggalkan cara hidup yang berdosa, lalu datang untuk menyembah TUHAN, Allah Israel. Selama tujuh hari, dengan gembira mereka merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi. Mereka bersukacita kerana TUHAN telah menyebabkan raja negeri Asyur bermurah hati terhadap mereka, sehingga baginda menolong mereka membina semula Rumah TUHAN, Allah Israel. Bertahun-tahun kemudian, apabila Raja Artahsasta menjadi raja Persia, ada seorang lelaki bernama Ezra. Dia seorang daripada keturunan Harun, Imam Agung itu, dan salasilahnya adalah seperti berikut: Ezra anak Seraya, anak Azarya, anak Hilkia, anak Salum, anak Zadok, anak Ahitub, anak Amarya, anak Azarya, anak Merayot, anak Zerahya, anak Uzi, anak Buki, anak Abisua, anak Pinehas, anak Eleazar, anak Harun. [6-7] Ezra seorang yang terpelajar dan sangat mahir dalam Taurat yang diberikan oleh TUHAN, Allah Israel, kepada Musa. Raja memberikan apa sahaja yang diminta oleh Ezra kerana Ezra diberkati TUHAN, Allahnya. Pada tahun ketujuh pemerintahan Raja Artahsasta, Ezra berangkat dari negeri Babilonia ke Yerusalem bersama-sama sekumpulan orang Israel, termasuk beberapa orang imam, orang Lewi, penyanyi, serta pengawal pintu Rumah TUHAN, dan para pekerja. *** [8-9] Mereka meninggalkan negeri Babilonia pada hari pertama bulan pertama, dan dengan pertolongan Allah, mereka tiba di Yerusalem pada hari pertama bulan kelima. *** Ezra telah mengabdikan hidupnya untuk mengkaji Taurat TUHAN, melakukannya serta mengajarkan segala ketetapan dan hukumnya kepada bangsa Israel. Raja Artahsasta memberi Ezra, imam dan pakar Taurat itu, dokumen berikut: “Daripada Raja Artahsasta kepada Imam Ezra, pakar Taurat Allah penguasa di syurga. Beta bertitah bahawa semua imam, orang Lewi dan orang Israel lain di seluruh kerajaan beta, yang ingin pergi ke Yerusalem, dibenarkan pergi bersama dengan kamu. Beta, bersama-sama tujuh orang penasihat beta, mengutus kamu untuk menyelidiki keadaan di Yerusalem dan Yehuda. Periksalah sama ada Taurat Allah yang telah diamanahkan kepadamu itu benar-benar ditaati. Bawalah bersama-samamu emas dan perak yang hendak beta dan para penasihat beta persembahkan kepada Allah Israel, Allah yang tinggal di Yerusalem. Bawalah juga perak serta emas yang telah kamu kumpulkan di seluruh wilayah Babilonia, dan juga persembahan orang Israel serta imam-imam mereka bagi Rumah TUHAN, Allah mereka yang dibina di Yerusalem. Gunakanlah wang itu dengan cermat untuk membeli lembu jantan, domba jantan, anak domba, gandum, dan wain. Persembahkanlah semua persembahan itu di mazbah Rumah TUHAN di Yerusalem. Gunakanlah perak dan emas yang selebihnya untuk keperluan apa sahaja bagimu dan rakan-rakanmu, menurut kehendak Allahmu. Segala perkakas yang telah diserahkan kepadamu bagi keperluan ibadat di Rumah TUHAN itu harus kamu persembahkan kepada Allah. Segala keperluan lain yang kamu perlukan untuk Rumah TUHAN, bolehlah kamu minta dari perbendaharaan kerajaan. Beta memerintah supaya apa sahaja yang diminta oleh Imam Ezra, pakar Taurat Allah penguasa di syurga, harus diberikan dengan segera oleh semua pegawai perbendaharaan di wilayah Efrat Barat. Jumlahnya boleh sampai sebanyak ini: 3,400 kilogram perak, 10,000 kilogram gandum, 2,000 liter wain, 2,000 liter minyak zaitun dan garam seberapa banyak yang diperlukan. Berhati-hatilah melaksanakan segala yang telah diwajibkan Allah penguasa di syurga bagi Rumah-Nya, supaya Dia tidak murka terhadap beta ataupun terhadap orang yang memerintah selepas beta. Janganlah pungut cukai daripada para imam, orang Lewi, penyanyi, pengawal pintu gerbang, pekerja, atau sesiapa sahaja yang ada hubungan dengan Rumah TUHAN. Hendaklah kamu, Ezra, menggunakan kebijaksanaan yang telah diberikan Allah kepadamu. Lantiklah pentadbir-pentadbir dan hakim-hakim supaya memimpin rakyat di Efrat Barat, yang hidup menurut Taurat Allahmu. Hendaklah kamu mengajarkan Taurat itu kepada semua orang yang belum mengetahuinya. Sesiapa yang tidak mentaati hukum Allahmu atau undang-undang kerajaan, hendaklah dihukum dengan serta-merta dengan hukuman mati, atau pembuangan, atau perampasan harta, ataupun hukuman penjara.” Kemudian Ezra berkata, “Pujilah TUHAN, Allah nenek moyang kita! Dia telah menggerakkan hati raja sehingga baginda memberikan perhatian khas pada Rumah TUHAN di Yerusalem. Dengan pertolongan Allah, aku disukai oleh raja, para penasihatnya, serta semua pegawai tingginya. TUHAN Allahku telah memberikan keberanian kepadaku sehingga aku dapat mengajak banyak pemimpin puak Israel pulang ke Yerusalem bersama dengan aku.” Inilah senarai para pemimpin puak yang dibuang ke negeri Babilonia, dan yang kembali bersama-sama saya, Ezra, ke Yerusalem pada masa pemerintahan Raja Artahsasta: [2-14] Gersom, daripada puak Pinehas, Daniel, daripada puak Itamar, Hatus anak Sekhanya, daripada puak Daud, Zakharia, daripada puak Paros, bersama dengan 150 orang lelaki daripada puaknya (ada catatan tentang nama nenek moyang mereka), Elyoenai anak Zerahya, daripada puak Pahat-Moab, bersama dengan 200 orang lelaki, Sekhanya anak Yahaziel, daripada puak Zatu, bersama dengan 300 orang lelaki, Ebed anak Yonatan, daripada puak Adin, bersama dengan 50 orang lelaki, Yesaya anak Atalya, daripada puak Elam, bersama dengan 70 orang lelaki, Zebaja anak Mikhael, daripada puak Sefaca, bersama dengan 80 orang lelaki, Obaja anak Yehiel, daripada puak Yoab, bersama dengan 218 orang lelaki, Selomit anak Yosifya, daripada puak Bani, bersama dengan 160 orang lelaki, Zakharia anak Bebai, daripada puak Bebai, bersama dengan 28 orang lelaki, Yohanan anak Hakatan, daripada puak Azgad, bersama dengan 110 orang lelaki, Elifelet, Yehiel dan Semaya, daripada puak Adonikam, bersama dengan 60 orang lelaki, (mereka pulang kemudian), Utai dan Zabud, daripada puak Bigwai, bersama dengan 70 orang lelaki. *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** Saya mengumpulkan semua orang itu di pinggir sungai yang mengalir ke kota Ahawa, dan kami berkhemah di sana selama tiga hari. Saya mendapati bahawa ada beberapa orang imam di kalangan mereka tetapi tiada orang Lewi. Oleh itu saya memanggil sembilan orang daripada para pemimpin: Eliezer, Ariel, Semaya, Elnatan, Yarib, Elnatan, Natan, Zakharia, Mesulam, dan dua orang guru, iaitu Yoyarib dan Elnatan. Kemudian saya menyuruh mereka menghadap Ido, ketua masyarakat di Kasifya, untuk meminta dia dan rakan-rakannya, iaitu para pekerja Rumah TUHAN, supaya memberi kami orang untuk bekerja di Rumah TUHAN. Oleh sebab kebaikan hati Allah, mereka memberi kami Serebya, seorang Lewi yang cerdas daripada puak Mahli. Bersama dengan Serebya, datang juga anak-anak dan saudara-saudaranya, sejumlah lapan belas orang. Mereka juga mengutus Hasabya dan Yesaya daripada puak Merari, bersama dengan 20 orang sanak saudara mereka. Selain itu, ada lagi 220 orang pekerja Rumah TUHAN yang didaftarkan nama. Mereka ialah keturunan orang yang ditugaskan oleh Raja Daud dan para pegawainya untuk menolong orang Lewi. Selepas itu, di pinggir Sungai Ahawa, saya mengisytiharkan bahawa kami harus berpuasa dan merendahkan diri di hadapan Allah. Kami berdoa agar Dia memimpin kami dalam perjalanan dan melindungi kami, anak-anak kami, dan segala milik kami. Saya segan meminta pasukan berkuda daripada raja untuk mengawal kami daripada serangan musuh dalam perjalanan. Saya berbuat demikian kerana saya memberitahu baginda bahawa Allah kami memberkati setiap orang yang berharap kepada-Nya, tetapi Dia murka dan menghukum sesiapa sahaja yang tidak setia kepada-Nya. Demikianlah kami berpuasa dan berdoa agar Allah melindungi kami, dan Dia pun mengabulkan doa kami. Daripada para imam yang terkemuka, saya memilih dua belas orang: Serebya, Hasabya, dan sepuluh orang lagi. Kemudian saya menimbang perak, emas, dan perkakas yang disumbangkan oleh raja, para penasihat serta pegawainya, dan juga oleh bangsa Israel untuk digunakan di dalam Rumah TUHAN. Saya memberikan semuanya kepada para imam. [26-27] Inilah senarai sumbangan itu: perak -- 22 tan 100 buah perkakas perak — - — 70 kilogram emas — - — 3,400 kilogram 20 mangkuk emas — - — 8.4 kilogram 2 mangkuk gangsa murni, yang seharga dengan mangkuk emas *** Saya berkata kepada mereka, “Kamu ini dikhaskan bagi TUHAN, Allah nenek moyang kita. Demikian juga semua perkakas daripada perak dan emas yang dipersembahkan sebagai persembahan khas kepada TUHAN. Jagalah benda-benda itu dengan cermat sehingga kamu sampai di Rumah TUHAN. Di sana kelak, di bilik imam, timbanglah semua benda itu lalu serahkanlah kepada para pemimpin imam, orang Lewi dan pemimpin bangsa Israel di Yerusalem.” Demikianlah para imam dan orang Lewi menerima perak, emas, dan perkakas itu lalu membawanya ke Rumah TUHAN di Yerusalem. Kami meninggalkan Sungai Ahawa pada hari kedua belas bulan pertama lalu berangkat ke Yerusalem. Dalam perjalanan, Allah kami menyertai dan melindungi kami daripada serbuan dan serangan hendap musuh. Apabila kami tiba di Yerusalem, kami berehat selama tiga hari. Pada hari keempat, kami masuk ke Rumah TUHAN, lalu menimbang perak, emas dan perkakas yang lain. Selepas itu kami menyerahkannya kepada Imam Meremot anak Uria dengan disaksikan oleh Eleazar anak Pinehas dan dua orang Lewi, iaitu Yozabad anak Yesua dan Noaja anak Binui. Semua barang itu dikira dan ditimbang, lalu catatan yang lengkap dibuat pada masa itu juga. Pada hari itu juga, semua orang yang telah pulang dari pembuangan, mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, kepada Allah Israel. Mereka mempersembahkan 12 ekor lembu jantan bagi segenap umat Israel, 96 ekor domba jantan, dan 77 ekor anak domba. Mereka mempersembahkan juga 12 ekor kambing bagi korban untuk mengampunkan dosa mereka sendiri. Semua binatang itu dibakar sebagai korban untuk TUHAN. Kemudian mereka mengambil dokumen yang diberikan oleh raja dan menyampaikannya kepada para gabenor dan para pegawai wilayah Efrat Barat. Para pegawai itu pun memberikan bantuan kepada rakyat supaya mereka dapat meneruskan ibadat di Rumah TUHAN. Selepas semua itu dilaksanakan, beberapa orang pemimpin Israel datang kepada saya. Mereka memberitahukan bahawa rakyat Israel, termasuk para imam dan orang Lewi tidak memisahkan diri daripada bangsa-bangsa yang tinggal di sekitar mereka, iaitu bangsa Amon, Moab, Mesir, Kanaan, Het, Feris, Yebusi, dan Amori. Mereka juga melakukan perbuatan keji bangsa-bangsa itu. Orang lelaki Yahudi berkahwin dengan wanita asing sehingga umat yang khas bagi Allah tercemar. Para pemimpin dan pegawai merekalah yang mula-mula sekali melakukan perkara itu. Apabila saya mendengar hal itu, saya mengoyakkan pakaian kerana sangat berdukacita. Saya mencukur rambut dan janggut, lalu duduk dengan hati yang hancur luluh. Saya sangat sedih dan duduk di situ sehingga masa untuk mempersembahkan korban petang. Orang ramai datang berkumpul di sekeliling saya. Semua orang itu ketakutan kerana ancaman Allah Israel terhadap dosa yang telah dilakukan mereka yang pulang dari pembuangan. Pada masa korban petang mula dipersembahkan, saya bangun dari tempat saya duduk bersedih hati dengan berpakaian koyak rabak, lalu saya berlutut dan mengangkat tangan kepada TUHAN, Allah saya. Saya berkata, “Ya Allahku, aku terlalu malu hendak mengangkat kepala di hadapan-Mu. Dosa kami bersusun-susun di atas kepala sehingga sampai di langit. Sejak zaman nenek moyang kami sehingga kini, kami umat-Mu telah berdosa kepada-Mu. Disebabkan dosa kami itu, para raja dan imam kami telah ditawan raja-raja bangsa asing. Kami dibunuh, dirompak dan dibawa sebagai tawanan ke negeri lain. Kami telah dihina habis-habisan, sehingga hari ini. Tetapi sekarang, untuk seketika, Engkau ya TUHAN, Allah kami, baru sahaja mengasihani kami dan membebaskan beberapa orang di kalangan kami daripada perhambaan, serta memberi kami kehidupan yang tenteram di tempat yang khas ini. Engkau telah memberi kami kehidupan yang baru. Engkau tidak meninggalkan kami pada masa kami masih dalam perhambaan. Engkau telah membuat raja Persia berkenan kepada kami dan mengizinkan kami hidup serta membina semula Rumah-Mu yang telah runtuh itu. Engkau memberi kami perlindungan di Yehuda dan di Yerusalem. Tetapi sekarang, ya Allah, setelah semua kejadian itu, apakah yang dapat kami katakan? Sekali lagi kami telah melanggar perintah-Mu yang diberikan kepada kami melalui hamba-Mu, para nabi. Mereka memberitahu kami bahawa tanah yang akan kami diami itu telah dicemar, kerana penduduknya telah mencemarkan seluruhnya dengan perbuatan yang kotor dan keji. Nabi-nabi itu memberitahu kami bahawa kami tidak boleh berkahwin dengan penduduk tempatan ataupun menolong mereka menjadi makmur dan sejahtera. Jika kami taat, kami akan menjadi kuat dan menikmati hasil tanah itu serta mewariskannya kepada keturunan kami selama-lamanya. Sekarang Engkau telah menghukum kami kerana segala dosa dan pelanggaran kami terhadap hukum-Mu. Tetapi kami tahu ya Allah kami, bahawa hukuman-Mu itu jauh lebih ringan daripada yang setimpal dengan perbuatan kami; malahan Engkau telah menyelamatkan kami. Oleh itu, bagaimana mungkin kami mengabaikan lagi perintah-Mu itu, lalu berkahwin dengan orang yang jahat itu? Jika kami melakukannya, tentu Engkau akan murka lalu membinasakan kami sama sekali, sehingga tiada seorang pun hidup. Ya TUHAN, Allah Israel, Engkau sungguh adil. Walaupun demikian, Engkau telah membenarkan kami hidup. Kami mengakui dosa kami. Kami tidak layak menghadap hadirat-Mu.” Sambil menangis Ezra bersujud untuk berdoa dan mengaku dosa di hadapan Rumah TUHAN. Sementara itu banyak orang Israel - lelaki, perempuan, dan kanak-kanak - datang berkumpul di sekelilingnya; mereka juga menangis tersedu-sedu. Kemudian Sekhanya anak Yehiel, seorang daripada puak Elam, berkata kepada Ezra, “Kami telah berdosa terhadap TUHAN kerana berkahwin dengan perempuan asing. Walaupun demikian, masih ada harapan bagi Israel. Marilah kita bersumpah kepada Allah bahawa kita akan mengusir semua perempuan itu dan anak-anak mereka. Kami akan menurut nasihat tuan dan nasihat orang yang menjunjung perintah Allah. Kami akan taat kepada Taurat Allah. Bertindaklah kerana itulah tanggungjawab tuan. Kami akan menyokong tuan dengan sepenuhnya. Bertindaklah dengan tegas sehingga perkara itu selesai.” Oleh itu Ezra mulai bertindak dengan menyuruh para pemimpin imam, orang Lewi dan umat Israel yang lain bersumpah bahawa mereka akan melakukan cadangan Sekhanya. Setelah mereka bersumpah, Ezra pergi dari bahagian depan Rumah TUHAN ke tempat tinggal Yohanan anak Elyasib. Ezra bermalam di situ dan bersedih hati kerana memikirkan ketidaksetiaan orang dari pembuangan itu. Dia tidak makan atau minum apa-apa pun. Kemudian diumumkan di seluruh Yerusalem dan Yehuda bahawa semua orang yang telah pulang dari pembuangan, harus hadir pada suatu perjumpaan di Yerusalem. Itulah perintah para pemimpin rakyat. Sesiapa yang tidak hadir dalam masa tiga hari, segala harta miliknya akan dirampas, dan dia tidak lagi dianggap sebagai anggota masyarakat Israel. Dalam masa tiga hari, iaitu pada hari kedua puluh bulan sembilan, semua orang lelaki yang tinggal di kawasan Yehuda dan Benyamin datang ke Yerusalem dan berkumpul di halaman Rumah TUHAN. Pada hari itu, hujan turun dengan lebat. Semua orang menggigil kerana kesejukan dan juga kerana mustahaknya pertemuan itu. Kemudian Imam Ezra berdiri dan berkata kepada umat itu, “Kamu telah berdosa dan menambah kesalahan Israel kerana berkahwin dengan perempuan asing. Oleh sebab itu, akuilah dosa kamu di hadapan TUHAN, Allah nenek moyang kamu dan lakukanlah apa yang diperkenankan-Nya. Jauhkanlah diri kamu daripada orang asing yang tinggal di negeri kita, dan usirlah semua isteri kamu yang berbangsa asing.” Semua orang itu menjawab dengan lantang, “Kami akan melakukan apa sahaja kata tuan.” Tetapi kata mereka lagi, “Perhimpunan ini terlalu besar, lagipun hujan lebat. Kami tidak tahan berdiri di tempat yang terbuka ini. Lagi pula, hal ini bukan perkara yang dapat diselesaikan dalam masa satu atau dua hari, oleh sebab banyak sekali di kalangan kami yang terlibat dalam dosa ini. Benarkanlah para pemimpin kami tinggal di Yerusalem untuk menguruskan hal ini. Kemudian tiap-tiap orang yang mempunyai isteri berbangsa asing harus datang ke situ pada waktu yang ditetapkan, dan menghadap bersama dengan para pemimpin dan hakim kota masing-masing. Dengan cara itu Allah tidak akan murka lagi kepada kita kerana perkara itu.” Tiada seorang pun membantah cadangan itu kecuali Yonatan anak Asael dan Yahzeya anak Tikwa. Mereka disokong oleh Mesulam dan Sabetai, seorang Lewi. Mereka yang telah pulang dari pembuangan itu tetap hendak menerima cadangan itu. Oleh itu, Imam Ezra melantik beberapa orang di kalangan pemimpin puak Israel dan mencatat nama mereka. Pada hari pertama bulan sepuluh, mereka mulai menyiasat perkara itu. Dalam masa tiga bulan, mereka selesai membuat penyiasatan terhadap semua lelaki yang mempunyai isteri berbangsa asing. Inilah senarai orang lelaki yang mempunyai isteri berbangsa asing: Para imam, terdaftar menurut puaknya; Puak Yesua dan saudara-saudaranya, iaitu anak-anak Yozadak: Maaseya, Eliezer, Yarib, dan Gedalya. Mereka berjanji menceraikan isteri mereka, lalu mereka mempersembahkan seekor domba jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Puak Imer: Hanani dan Zebaja. Puak Harim: Maaseya, Elia, Semaya, Yehiel, dan Uzia. Puak Pasyhur: Elyoenai, Maaseya, Ismael, Netaneel, Yozabad, dan Elasa. Orang Lewi: Yozabad, Simei, Kelaya (juga disebut Kelita), Petahya, Yuda, dan Eliezer. Para penyanyi: Elyasib. Para pengawal pintu gerbang Rumah TUHAN: Salum, Telem, dan Uri. Orang Israel yang lain: Puak Paros: Ramya, Yezia, Malkia, Miyamin, Eleazar, Malkia, dan Benaya. Puak Elam: Matanya, Zakharia, Yehiel, Abdi, Yeremot, dan Elia. Puak Zatu: Elyoenai, Elyasib, Matanya, Yeremot, Zabad, dan Aziza. Puak Bebai: Yohanan, Hananya, Zabai, dan Atlai. Puak Bani: Mesulam, Malukh, Adaya, Yasub, Seal, dan Yeramot. Puak Pahat Moab: Adna, Kelal, Benaya, Maaseya, Matanya, Bezaleel, Binui, dan Manasye. [31-32] Puak Harim: Eliezer, Yisia, Malkia, Semaya, Simeon, Benyamin, Malukh, dan Semarya. *** Puak Hasum: Matnai, Matata, Zabad, Elifelet, Yeremai, Manasye, dan Simei. [34-37] Puak Bani: Maadai, Amram, Uel, Benaya, Bedeya, Keluhu, Wanya, Meremot, Elyasib, Matanya, Matnai, dan Yaasai. *** *** *** [38-42] Puak Binui: Simei, Selemya, Natan, Adaya, Makhnadbai, Sasai, Sarai, Azareel, Selemya, Semarya, Salum, Amarya, dan Yusuf. *** *** *** *** Puak Nebo: Yeiel, Matica, Zabad, Zebina, Yadai, Yoel, dan Benaya. Semua orang itu telah mengahwini perempuan asing. Lalu isteri-isteri mereka itu diceraikan dan diusir bersama dengan anak-anak mereka. Inilah laporan Nehemia anak Hakhalya tentang kegiatannya. Pada bulan Kislew, tahun kedua puluh pemerintahan Artahsasta sebagai raja Persia, aku, Nehemia, berada di Susan, ibu kota empayar. Pada masa itu, saudaraku Hanani, tiba dari Yehuda bersama dengan beberapa orang lain. Aku bertanya kepada mereka tentang keadaan di Yerusalem dan tentang sesama orang Yahudi yang sudah balik dari pembuangan di Babilonia. Mereka menceritakan bahawa orang bekas buangan yang sudah balik ke tanah air, kini hidup sengsara dan dihina oleh bangsa-bangsa asing yang tinggal di sekitar mereka. Lagipun tembok Yerusalem masih reruntuhan, dan pintu-pintu gerbangnya belum diperbaiki sejak dibakar pada masa lampau. Apabila aku mendengar semua itu, aku duduk dan menangis. Selama beberapa hari aku meratap dan tidak makan apa-apa. Aku berdoa kepada Allah, “Ya TUHAN Allah penguasa di syurga! Engkau Allah yang agung, dan kami menghadap Engkau dengan penuh rasa takut. Engkau tetap setia memegang perjanjian-Mu dengan mereka yang mengasihi Engkau dan melakukan perintah-Mu. Pandanglah aku, ya TUHAN, dan dengarlah doaku, sedang aku berdoa siang dan malam untuk hamba-hamba-Mu, umat Israel. Aku mengaku bahawa kami, umat Israel, sudah berdosa. Nenek moyangku dan aku sudah berdosa. Kami sudah menderhaka terhadap-Mu, dan tidak melakukan perintah-Mu. Kami tidak mematuhi hukum yang Engkau berikan melalui Musa, hamba-Mu. Ya TUHAN, ingatlah akan firman-Mu kepada Musa dahulu, ‘Jika kamu, umat Israel, tidak setia kepada-Ku, Aku akan mencerai-beraikan kamu ke bangsa-bangsa lain. Tetapi jika kamu kembali kepada-Ku dan melakukan perintah-Ku, Aku akan membawa kamu balik ke tempat yang sudah Kupilih sebagai tempat Aku disembah, walaupun kamu sudah tercerai-cerai di seluruh muka bumi.’ Ya Tuhan, mereka ini hamba-Mu, umat-Mu sendiri. Engkau sudah menyelamatkan mereka dengan kuasa dan kekuatan-Mu yang besar. Oleh itu, dengarkanlah doaku dan doa hamba-hamba-Mu yang lain, yang hendak menghormati Engkau. Berikanlah pertolongan-Mu supaya pada hari ini hamba-Mu berjaya mendapat belas kasihan daripada raja.” Pada masa itu, aku pengurus minuman raja. Pada suatu hari, empat bulan kemudian, iaitu pada bulan Nisan, ketika Raja Artahsasta sedang makan, aku menghidangkan wain kepadanya. Sebelum itu, raja belum pernah nampak aku bersedih. Oleh itu raja bertanya, “Mengapa engkau kelihatan sangat sedih? Engkau tidak sakit; tentu ada perkara yang menyusahkan hatimu.” Aku terperanjat, lalu menjawab, “Daulat tuanku! Mana mungkin hamba tidak bersedih, apabila kota tempat nenek moyang hamba dikuburkan sedang dalam keadaan reruntuhan, dan pintu-pintu gerbangnya musnah dimakan api?” Raja bertanya, “Kalau begitu, apakah keinginanmu?” Aku berdoa dalam hati kepada Allah penguasa di syurga, lalu aku berkata kepada raja, “Jika tuanku berkenan, dan tuanku sudi mengabulkan permohonan hamba, benarkanlah hamba pergi ke negeri Yehuda, kota tempat nenek moyang hamba dikuburkan, supaya hamba dapat membina semula kota itu.” Raja, yang duduk bersama dengan permaisuri di sisinya, mengabulkan permohonanku. Raja bertanya berapa lama aku akan tinggal di sana, dan bila aku akan kembali. Aku pun memberitahu raja masanya aku akan kembali. Selepas itu aku memohon supaya raja memberi aku beberapa pucuk surat bagi gabenor-gabenor di Wilayah Efrat Barat, supaya mereka membenarkan aku pergi ke Yehuda. Selain itu, aku juga meminta surat bagi Asaf, pengawas hutan diraja, supaya dia memberi aku kayu balak bagi pintu gerbang kubu yang menjadi pertahanan Rumah TUHAN, dan bagi tembok kota, serta rumah yang akan kudiami. Raja mengabulkan semua permohonanku itu kerana Allah menyertai aku. Raja mengutus beberapa orang pegawai tentera dan sepasukan askar berkuda untuk mengiringi aku dalam perjalananku ke Efrat Barat. Apabila aku tiba di sana, aku menyerahkan surat-surat raja itu kepada para gabenor. Tetapi Sanbalat, orang dari kota Bet-Horon, dan Tobia, pegawai dari wilayah Amon, mendengar bahawa ada orang yang datang untuk menolong umat Israel. Oleh itu mereka sangat marah. Aku meneruskan perjalanan ke Yerusalem. Selama tiga hari, aku tidak memberitahu sesiapa pun akan ilham Allah kepadaku tentang apa yang akan aku lakukan bagi kota Yerusalem. Kemudian, pada waktu tengah malam aku bangun dan keluar bersama-sama beberapa orang teman. Satu-satunya binatang yang aku bawa adalah keldai yang aku tunggangi. Hari masih gelap ketika aku keluar dari kota melalui Pintu Gerbang Lembah di sebelah barat, lalu aku menuju ke arah selatan, melalui Mata Air Naga, ke Pintu Gerbang Sampah. Selama perjalanan itu, aku memeriksa tembok kota yang sudah roboh dan pintu-pintu gerbangnya yang telah musnah dimakan api. Kemudian dari sebelah timur kota itu aku menuju ke utara, ke Pintu Gerbang Mata Air dan ke Kolam Raja. Di situ tidak ada tempat untuk berjalan bagi keldai yang aku tunggangi kerana reruntuhan terlalu banyak. Oleh itu aku turun ke Lembah Kidron dan meneruskan perjalanan, sambil memeriksa tembok kota. Setelah itu aku kembali ke kota mengikut jalan yang sama, yang melalui Pintu Gerbang Lembah. Tidak ada seorang pun pegawai tempatan tahu ke mana aku telah pergi dan apa yang aku lakukan. Setakat itu aku belum memberitahu sesiapa pun di kalangan sesama orang Yahudi, baik para imam, pemimpin, pegawai, atau sesiapa sahaja yang akan ikut membina semula kota Yerusalem. Tetapi kemudian aku berkata kepada mereka, “Lihatlah keadaan kita yang sengsara ini! Kota Yerusalem tinggal reruntuhan dan pintu-pintu gerbangnya musnah dimakan api. Marilah kita bina semula tembok kota supaya kita tidak dihina lagi.” Kemudian aku menceritakan bagaimana Allah menyertai dan menolong aku, dan apa yang sudah dikatakan oleh raja kepadaku. Mereka menjawab, “Marilah kita mula membinanya!” Kemudian mereka bersiap untuk memulakan pekerjaan itu. Apabila Sanbalat, Tobia, dan seorang Arab yang bernama Gesyem mengetahui cadangan kami itu, mereka mentertawakan kami dan berkata, “Apa yang hendak kamu lakukan? Adakah kamu hendak memberontak terhadap raja?” Aku menjawab, “Allah penguasa di syurga akan memberi kami kejayaan. Kami ini hamba-hamba-Nya, dan kami akan memulakan pembinaan. Tetapi kamu tidak mempunyai hak atau milik apa-apa pun di Yerusalem. Bahkan apabila orang bercakap tentang Yerusalem, nama kamu tidak akan disebut-sebut.” Beginilah caranya tembok kota Yerusalem diperbaiki. Imam Agung Elyasib dan imam-imam lain membina semula Pintu Gerbang Domba, memasang daun-daun pintunya dan mentahbiskan semuanya. Mereka mentahbiskan tembok sampai ke Menara Seratus dan Menara Hananeel. Orang Yerikho membina bahagian tembok yang selanjutnya. Zakur anak Imri membina bahagian tembok yang selanjutnya. Puak Senaa membina Pintu Gerbang Ikan. Mereka memasang balak-balak, daun-daun pintu, pasak-pasak, dan palang-palang pintu gerbang. Meremot anak Uria, iaitu cucu Hakos, membina bahagian tembok yang selanjutnya. Mesulam anak Berekhya, iaitu cucu Mesezabeel, membina bahagian tembok yang selanjutnya. Zadok anak Baana membina bahagian tembok yang selanjutnya. Orang dari kota Tekoa membina bahagian tembok yang selanjutnya, tetapi para pemimpin kota itu tidak mahu melakukan pekerjaan kasar yang diberikan kepada mereka oleh para penyelia. Yoyada anak Paseah dan Mesulam anak Besoja membina semula Pintu Gerbang Yesyana. Mereka memasang balak-balak, daun-daun pintu, pasak-pasak, dan palang-palang pintu gerbang. Melaca dari Gibeon, Yadon dari Meronot, dan orang Gibeon serta orang Mizpa membina bahagian tembok yang selanjutnya sampai ke istana gabenor Efrat Barat. Uziel anak Harhaya, seorang tukang emas membina bahagian tembok yang selanjutnya. Hananya, seorang pembuat minyak wangi, membina bahagian tembok yang selanjutnya sampai ke Tembok Lebar. Refaya anak Hur, penguasa setengah daerah Yerusalem, membina bahagian tembok yang selanjutnya. Yedaya anak Harumaf membina bahagian tembok yang selanjutnya, yang berdekatan dengan rumahnya sendiri. Hatus anak Hasabneya membina bahagian tembok yang selanjutnya. Malkia anak Harim, dan Hasub anak Pahat-Moab membina bahagian tembok yang selanjutnya, dan juga Menara Perapian. Salum anak Halohes, penguasa setengah daerah Yerusalem, membina bahagian tembok yang selanjutnya. Dia dibantu oleh anak-anak perempuannya dalam pembinaan itu. Hanun dan penduduk Zanoah membina semula Pintu Gerbang Lembah. Mereka memasang daun-daun pintu, pasak-pasak, dan palang-palang pintu gerbang. Mereka juga membaiki tembok sepanjang 440 meter sampai ke Pintu Gerbang Sampah. Malkia anak Rekhab, penguasa daerah Bet-Kerem membina semula Pintu Gerbang Sampah. Mereka memasang daun-daun pintu, pasak-pasak, dan palang-palang pintu gerbang. Salum anak Kolhoze, penguasa daerah Mizpa, membina semula Pintu Gerbang Mata Air. Dia memasang atap pada pintu gerbang itu, memasang daun-daun pintu, pasak-pasak, dan palang-palang pintu gerbang. Di Kolam Selah, dia membina bahagian tembok dekat taman istana sampai ke tangga yang menurun dari Kota Daud. Nehemia anak Azbuk, penguasa setengah daerah Bet-Zur, membina bahagian tembok yang selanjutnya sampai ke makam keluarga Daud, kolam buatan, dan berek askar. Beberapa bahagian tembok yang berikut diperbaiki oleh orang Lewi dalam urutan ini: Rehum anak Bani membina bahagian tembok yang selanjutnya; Hasabya, penguasa setengah daerah Kehila, membina bahagian tembok yang selanjutnya, bagi pihak daerahnya; Binui anak Henadad, penguasa setengah daerah Kehila, membina bahagian tembok yang selanjutnya; Ezer anak Yesua, penguasa Mizpa, membina bahagian tembok yang selanjutnya, di hadapan gudang senjata sampai ke tempat tembok membelok; Barukh anak Zabai membina bahagian tembok yang selanjutnya, sampai ke pintu rumah Imam Agung Elyasib; Meremot anak Uria, iaitu cucu Hakos, membina bahagian tembok yang selanjutnya, sampai ke hujung rumah Elyasib. Beberapa bahagian tembok berikutnya diperbaiki oleh para imam dalam urutan ini: Imam-imam yang tinggal di sekitar Yerusalem membina bahagian tembok yang selanjutnya; Benyamin dan Hasub membina bahagian tembok yang selanjutnya, yang di hadapan rumah mereka; Azarya anak Maaseya, iaitu cucu Ananya, membina bahagian tembok yang selanjutnya, yang di depan rumahnya; Binui anak Henadad membina bahagian tembok yang selanjutnya, dari rumah Azarya sampai ke sudut tembok; [25-26] Palal anak Uzai membina bahagian tembok yang selanjutnya, bermula dari sudut tembok dan menara istana bahagian atas, dekat halaman penjaga; Pedaya anak Paros membina bahagian tembok yang selanjutnya, sampai ke suatu tempat di hadapan Pintu Gerbang Air di sebelah timur, dan menara penjagaan Rumah TUHAN. (Tidak jauh dari situ ada kawasan yang bernama Ofel, tempat tinggal para pekerja Rumah TUHAN.) *** Orang dari kota Tekoa membina bahagian tembok yang selanjutnya, dari suatu tempat di hadapan menara penjagaan Rumah TUHAN sampai ke tembok dekat Ofel; bahagian tembok ini adalah bahagian kedua yang dibina oleh mereka. Sekumpulan imam membina bahagian tembok yang selanjutnya, dari Pintu Gerbang Kuda dan menghala ke utara; setiap orang membina bahagian tembok di hadapan rumah masing-masing. Zadok anak Imer membina bahagian tembok yang selanjutnya, iaitu yang di hadapan rumahnya. Semaya anak Sekhanya, penjaga Pintu Gerbang Timur, membina bahagian tembok yang selanjutnya. Hananya anak Selemya, dan Hanun, anak Zalaf yang keenam, membina bahagian tembok yang selanjutnya; bahagian tembok ini adalah bahagian kedua yang dibina oleh mereka. Mesulam anak Berekhya membina bahagian tembok yang selanjutnya, yang di hadapan rumahnya. Malkia, seorang tukang emas, membina tembok yang selanjutnya, sampai ke rumah para pekerja Rumah TUHAN dan para pedagang, yang terletak di hadapan Pintu Gerbang Mifkad, dekat bilik atas di sudut tembok sebelah timur laut. Para tukang emas dan pedagang membina bahagian tembok yang terakhir, bermula dari bilik atas di sudut tembok sampai ke Pintu Gerbang Domba. Apabila Sanbalat mendengar bahawa kami orang Yahudi sudah mula memperbaiki tembok kota, dia sangat marah dan mula mengolok-olok kami. Di hadapan sahabat-sahabatnya dan pasukan tentera Samaria, dia berkata, “Apakah yang sedang dilakukan oleh orang Yahudi yang celaka ini? Adakah mereka berniat untuk membina semula kota ini? Adakah mereka berfikir bahawa dengan mempersembahkan korban, mereka akan menyelesaikan pekerjaan itu dalam sehari? Dapatkah mereka membuat batu binaan daripada tumpukan sampah yang sudah hangus?” Tobia yang berdiri di samping Sanbalat, juga berkata, “Tembok semacam apakah yang dapat dibina mereka? Anjing hutan pun dapat merobohkannya!” Kemudian aku berdoa, “Ya Allah, dengarlah bagaimana mereka menghina kami! Biarlah penghinaan itu menimpa diri mereka sendiri. Biarlah segala harta mereka dirampas, dan biarlah mereka dibawa ke negeri orang sebagai orang tawanan. Jangan ampunkan kejahatan mereka, dan jangan lupakan dosa mereka, kerana mereka sudah menghina kami yang sedang membina tembok ini.” Oleh itu kami terus memperbaiki tembok. Tidak lama kemudian tembok itu selesai diperbaiki sehingga setengah daripada tingginya, kerana rakyat bekerja dengan penuh semangat. Ketika Sanbalat, Tobia, orang Arab, orang Amon, dan orang Asdod mendengar bahawa pekerjaan memperbaiki tembok Yerusalem itu maju dengan pesat, dan bahawa lubang-lubang pada tembok itu sudah ditutup, mereka naik berang. Oleh itu mereka semua bermuslihat hendak menyerang Yerusalem dan menimbulkan kekacauan. Tetapi kami berdoa kepada Allah kami dan menyuruh orang mengawal kota itu daripada serangan mereka, pada siang dan malam. Kemudian orang Yehuda mula menyanyikan nyanyian berikut: “Kami lemah kerana memikul beban, sedangkan sampah masih bertimbun-timbun. Kami tidak berdaya membina tembok hari ini.” Musuh kami berfikir bahawa kami tidak akan nampak mereka atau mengetahui hal yang berlaku sehingga saatnya mereka sudah menyerang kami, dan membunuh kami serta menghentikan pekerjaan kami. Tetapi berkali-kali, orang Yahudi yang tinggal berhampiran dengan musuh kami datang memberitahu kami akan rancangan musuh itu terhadap kami. Oleh itu aku melengkapi rakyat dengan pedang, tombak, dan panah. Aku menempatkan mereka menurut puak masing-masing di belakang tembok, iaitu di tempat-tempat yang belum diperbaiki. Apabila aku nampak bahawa rakyat gelisah, aku berkata kepada mereka, para pemimpin dan pegawai mereka, “Jangan takut akan musuh. Ingatlah betapa besar dan hebatnya Tuhan kita, dan berjuanglah untuk saudara-saudara kamu, anak isteri kamu, dan rumah-rumah kamu.” Musuh kami mendengar bahawa muslihat mereka sudah kami ketahui. Oleh itu mereka sedar bahawa Allah sudah menggagalkan rancangan mereka. Kemudian kami semua kembali bekerja memperbaiki tembok itu. Sejak itu setengah daripada anak buahku bekerja, dan setengah lagi berkawal dengan berpakaian baju perang, lengkap dengan tombak, perisai, dan panah. Para pemimpin kami memberikan sokongan penuh kepada mereka yang memperbaiki tembok itu. Bahkan mereka yang mengangkat bahan binaan pun bekerja dengan satu tangan, dan membawa senjata dengan tangan sebelah. Tiap-tiap orang yang bekerja dalam pembinaan membawa sebilah pedang yang terikat pada pinggangnya. Orang yang bertugas meniup trompet sebagai tanda bahaya sentiasa di sampingku. Aku berkata kepada rakyat, para pegawai, dan pemimpin mereka, “Pekerjaan ini meliputi jarak yang luas, sehingga kita terpencar-pencar di sepanjang tembok ini, seorang jauh daripada yang lain. Oleh itu, jika kamu mendengar bunyi trompet, segeralah berkumpul di sekelilingku. Allah kita akan berperang untuk kita.” Demikianlah kami bekerja tiap-tiap hari, mulai dari subuh sehingga bintang-bintang kelihatan di langit. Setengah daripada rakyat bekerja memperbaiki tembok, dan setengah lagi berkawal dengan membawa tombak. Selama masa itu aku menyuruh semua pengawas dan semua pembantu mereka bermalam di Yerusalem, supaya kami dapat mengawal kota pada malam hari dan bekerja pada siang hari. Aku tidak menanggalkan pakaianku walaupun pada waktu malam, dan demikian juga teman-temanku, anak buahku, dan para pengawal peribadiku. Kami semua sentiasa dalam keadaan siap sedia, dengan memegang senjata kami. Beberapa lama kemudian banyak orang Yahudi, baik lelaki mahupun perempuan, mula bersungut terhadap sesama bangsa Yahudi. Ada orang yang berkata, “Keluarga kami besar, dan kami memerlukan gandum untuk hidup.” Ada orang lain yang berkata, “Kami terpaksa menggadaikan ladang, kebun anggur, dan rumah kami untuk membeli gandum supaya kami tidak kelaparan.” Ada lagi orang lain yang berkata, “Kami terpaksa meminjam wang untuk membayar cukai kerajaan bagi ladang dan kebun anggur kami. Kita semua bangsa Yahudi. Bukankah anak-anak kami pun sama baiknya dengan anak-anak Yahudi yang lain? Tetapi kami terpaksa membiarkan anak-anak kami menjadi hamba. Bahkan ada beberapa orang anak gadis kami yang sudah dijual menjadi hamba. Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana ladang dan kebun anggur kami sudah menjadi milik orang lain.” Apabila aku mendengar sungutan mereka itu, aku naik marah dan segera bertindak. Aku menyalahkan para pemimpin dan pegawai. Aku berkata kepada mereka, “Kamu menindas saudara-saudara kamu sendiri!” Kemudian aku mengadakan suatu perjumpaan rakyat untuk menyelesaikan masalah itu, dan aku berkata, “Dengan seberapa daya, kami telah menebus orang Yahudi yang terpaksa menjual diri mereka kepada orang bangsa asing. Tetapi kini kamu pula yang memaksa mereka menjual diri kepada kamu, padahal kamu juga orang Yahudi!” Para pemimpin itu diam sahaja, dan tidak dapat menjawab apa-apa pun. Kemudian aku berkata lagi, “Perbuatan kamu itu salah! Kamu seharusnya takut dan hormat akan Allah dan melakukan hal yang baik. Dengan demikian, musuh kita yang tidak percaya kepada Allah itu, tidak akan mendapat alasan untuk menghina kita. Aku sendiri sudah meminjamkan wang dan gandum kepada rakyat; demikian juga yang dilakukan oleh teman-temanku dan orang yang bekerja untuk aku. Sekarang, marilah kita batalkan tuntutan pembayaran balik pinjaman itu. Hapuskanlah semua hutang mereka - wang, atau gandum, atau wain, ataupun minyak zaitun. Kembalikanlah ladang, kebun anggur, kebun zaitun, dan rumah mereka dengan segera!” Pemimpin-pemimpin itu menjawab, “Baiklah, kami akan melakukan seperti yang tuan katakan. Kami akan memulangkan semuanya tanpa menuntut pembayaran daripada mereka.” Kemudian aku memanggil para imam, lalu menyuruh para pemimpin itu bersumpah di hadapan mereka, supaya janji yang diucapkan para pemimpin itu betul-betul dilaksanakan. Setelah itu aku menanggalkan ikat pinggangku dan mengebaskannya di hadapan mereka, dan berkata, “Beginilah caranya Allah akan mengebaskan setiap orang di kalangan kamu yang tidak menepati janjinya. Allah akan mengambil rumah orang itu dan segala miliknya, sehingga orang itu tidak lagi mempunyai apa-apa.” Semua orang yang hadir di situ berkata, “Amin!” lalu memuji TUHAN. Para pemimpin itu pun menepati janji mereka. Aku sudah menjadi gabenor negeri Yehuda selama dua belas tahun, iaitu dari tahun kedua puluh pemerintahan Raja Artahsasta sehingga tahun ketiga puluh dua pemerintahannya. Selama itu, aku dan sanak keluargaku tidak pernah makan makanan yang dikhaskan untuk aku sebagai gabenor. Setiap orang yang menjadi gabenor sebelum aku telah menjadi beban kepada rakyat kerana gabenor itu menuntut 40 wang perak sehari bagi makanan dan wain. Bahkan pegawai-pegawai mereka pun menindas rakyat, tetapi aku tidak berbuat demikian kerana aku takut dan hormat akan Allah. Aku mencurahkan seluruh tenagaku bagi pembinaan semula tembok itu, dan aku tidak mengambil tanah sedikit pun. Setiap orang yang bekerja bagiku, ikut bekerja dalam pembinaan itu. Aku biasa menjamu seratus lima puluh orang Yahudi dan para pemimpin mereka di rumahku, selain daripada tetamu dari negeri-negeri jiran. Setiap hari dengan biayaku sendiri, seekor lembu, enam ekor domba yang terbaik, dan banyak sekali ayam disembelih. Di samping itu, tiap-tiap sepuluh hari aku menyediakan wain baru. Meskipun begitu, aku tidak mengambil elaun gabenor kerana aku tahu bahawa tanggungan rakyat sudah cukup berat. Aku memohon kepada-Mu, ya Allah, ingatlah akan semua kebajikan yang sudah aku lakukan bagi bangsa ini, dan berkatilah aku. Sanbalat, Tobia, Gesyem, dan musuh-musuh kami yang lain mendengar bahawa kami sudah selesai memperbaiki tembok itu, dan bahawa semua lubangnya sudah ditutup, walaupun pada ketika itu kami belum memasangkan daun-daun pintu pada pintu-pintu gerbang. Oleh itu Sanbalat dan Gesyem mengirim pesan kepadaku, meminta supaya aku menemui mereka di salah satu kampung di Lembah Ono, tetapi aku tahu bahawa mereka mahu mencelakakan aku. Oleh itu aku mengirim jawapan ini kepada mereka, “Saya sedang menjalankan pekerjaan penting; oleh itu saya tidak dapat datang. Saya tidak mahu pekerjaan ini tergendala hanya untuk menemui tuan.” Mereka mengirim pesan yang sama sebanyak empat kali, dan tiap-tiap kali pula aku memberikan jawapan yang sama. Kemudian Sanbalat menyuruh salah seorang anak buahnya menyampaikan pesan pada kali kelima, tetapi kali ini dalam bentuk surat terbuka. Demikianlah kandungan surat itu: “Menurut kata Gesyem, ada khabar angin di antara negeri-negeri jiran bahawa tuan dan orang Yahudi ingin memberontak, dan itulah sebabnya kamu membina semula tembok kota. Dia juga mengatakan bahawa tuan ingin menjadi raja, dan tuan sudah menyuruh beberapa orang nabi di Yerusalem untuk mengisytiharkan bahawa tuanlah raja negeri Yehuda. Raja pasti akan mendengar hal itu. Oleh itu saya mencadangkan supaya kita berdua berjumpa untuk merundingkan perkara itu.” Aku mengirimkan jawapan kepadanya, “Semua yang tuan katakan itu tidak benar. Tuan sendiri yang mereka-reka cerita itu.” Mereka mencuba menakut-nakutkan kami supaya kami berhenti bekerja. Kemudian aku berdoa, “Ya Allah, kuatkanlah aku sekarang!” Kira-kira pada waktu itu aku pergi ke rumah Semaya anak Delaya, iaitu cucu Mehetabeel, kerana dia tidak dapat datang berjumpa dengan aku. Dia berkata kepadaku, “Kita berdua mesti bersembunyi di Bilik Suci di dalam Rumah TUHAN dan mengunci semua pintu, kerana ada orang yang hendak membunuh tuan. Bila-bila sahaja pada malam ini mereka akan datang membunuh tuan.” Tetapi aku menjawab, “Bukanlah kebiasaanku untuk lari dan bersembunyi. Sebagai orang awam aku tidak boleh masuk ke Bilik Suci, nanti aku mati. Tidak, aku tidak mahu!” Apabila aku merenungkan perkara itu semula, aku sedar bahawa amaran Semaya itu bukan daripada Allah. Tetapi Tobia dan Sanbalat sudah memberikan rasuah kepada Semaya supaya menyampaikan amaran itu kepadaku. Mereka mengupah dia untuk menakut-nakutkan aku supaya aku mengikuti cadangan mereka, dan aku berdosa. Dengan demikian mereka mendapat kesempatan untuk memburukkan namaku dan mempermalukan aku. Aku berdoa, “Ya Allah, ingatlah akan apa yang dilakukan oleh Tobia dan Sanbalat. Hukumlah mereka. Ingatlah juga Noaja, nabi perempuan itu dan semua nabi lain yang cuba menakut-nakutkan aku.” Setelah bekerja selama 52 hari, seluruh tembok itu selesai diperbaiki pada hari kedua puluh lima bulan Elul. Apabila musuh-musuh kami dari negeri-negeri jiran mendengar hal itu, mereka sedar bahawa mereka telah dipermalukan, kerana setiap orang tahu bahawa pekerjaan itu dilakukan dengan pertolongan Allah sendiri. Selama itu, para pemimpin orang Yahudi masih juga berhubungan dengan Tobia melalui surat-menyurat. Banyak orang yang tinggal di Yehuda memihak Tobia kerana bapa mentuanya, Sekhanya anak Arah ialah orang Yahudi. Tambahan pula, anak lelaki Tobia, Yohanan, sudah berkahwin dengan anak perempuan Mesulam anak Berekhya. Walaupun Tobia terus-menerus menulis surat kepadaku untuk menakut-nakutkan aku, namun di hadapanku para pemimpin Yahudi itu menyebut-nyebut segala kebaikan Tobia. Selain itu, semua yang aku katakan dilaporkan mereka kepada Tobia. Setelah tembok itu selesai diperbaiki, aku mengarahkan supaya daun-daun pintu gerbang dipasang. Kemudian aku menyuruh para penjaga pintu gerbang, para penyanyi, dan orang Lewi menjalankan tugas masing-masing. Aku menyerahkan pemerintahan kota Yerusalem kepada saudaraku, Hanani, dan kepada Hananya, panglima kubu pertahanan. Hananya tiada tandingannya kerana dia dapat dipercaya dan takut akan Allah. Aku memberitahu mereka supaya tidak membuka pintu gerbang sebelum matahari terbit, dan supaya menutupnya dengan memasang palang sebelum para pengawal pulang pada petang hari. Aku juga menyuruh mereka melantik beberapa orang pengawal di kalangan penduduk Yerusalem, dan menugaskan sebilangan daripada mereka di tempat-tempat yang tertentu, sedangkan yang lain meronda di sekeliling rumah masing-masing. Yerusalem kota yang besar, tetapi penduduknya tidak ramai, dan belum banyak rumah yang dibina di situ. Kemudian Allah memberi aku ilham untuk mengumpulkan rakyat dan para pemimpin serta pegawai mereka, supaya aku dapat membanci mereka berdasarkan daftar salasilah. Pada masa itu aku menjumpai catatan tentang orang yang pertama-tama pulang dari pembuangan. Berikut ini adalah keterangan yang aku dapati daripada catatan itu: Banyak di kalangan orang buangan meninggalkan wilayah Babel dan pulang ke Yerusalem dan Yehuda, masing-masing ke kotanya sendiri. Keluarga mereka telah lama hidup dalam buangan di Babilonia, sejak Raja Nebukadnezar membawa mereka ke sana sebagai orang tawanan. Pemimpin-pemimpin mereka ialah Zerubabel, Yesua, Nehemia, Azarya, Raamya, Nahamani, Mordekhai, Bilsan, Misperet, Bigwai, Nehum, dan Baana. [8-25] Inilah senarai puak-puak Israel, dengan jumlah orang daripada setiap puak yang kembali dari pembuangan: Paros — - — 2,172 Sefaca — - — 372 Arakh — - — 652 Pahat-Moab (keturunan Yesua dan Yoab) — - — 2,818 Elam — - — 1,254 Zatu — - — 845 Zakai — - — 760 Binui — - — 648 Bebai — - — 628 Azgad — - — 2,322 Adonikam — - — 667 Bigwai — - — 2,067 Adin — - — 655 Ater (yang juga disebut Hizkia) — - — 98 Hasum — - — 328 Bezai — - — 324 Harif — - — 112 Gibeon — - — 95 *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** [26-38] Orang yang nenek moyang mereka dahulu tinggal di kota-kota berikut, juga kembali dari pembuangan: Betlehem dan Netofa — - — 188 Anatot — - — 128 Bet-Azmawet — - — 42 Kiryat-Yearim, Kefira, dan Beerot — - — 743 Rama dan Gaba — - — 621 Mikhmas — - — 122 Betel dan Ai — - — 123 Nebo yang lain — - — 52 Elam yang lain — - — 1,254 Harim — - — 320 Yerikho — - — 345 Lod, Hadid, dan Ono — - — 721 Senaa — - — 3,930 *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** [39-42] Berikut ialah senarai puak para imam yang kembali dari pembuangan: Yedaya (keturunan Yesua) — - — 973 Imer — - — 1,052 Pasyhur — - — 1,247 Harim — - — 1,017 *** *** *** [43-45] Berikut ialah keturunan puak Lewi yang kembali dari pembuangan: Yesua dan Kadmiel (keturunan Hodewa) — - — 74 Pemain muzik di Rumah TUHAN (keturunan Asaf) — - — 148 Penjaga pintu gerbang di Rumah TUHAN (keturunan Salum, Ater, Talmon, Akub, Hatita, dan Sobai) — - — 138 *** *** [46-56] Berikut ialah senarai puak pekerja di Rumah TUHAN yang kembali dari pembuangan: Ziha, Hasufa, Tabaot, Keros, Sia, Padon, Lebana, Hagaba, Salmai, Hanan, Gidel, Gahar, Reaya, Rezin, Nekoda, Gazam, Uza, Paseah, Besai, Meunim, Nefusim, Bakbuk, Hakufa, Harhur, Bazlit, Mehida, Harsa, Barkos, Sisera, Temah, Neziah, dan Hatifa. *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** [57-59] Berikut ialah puak-puak hamba Salomo yang kembali dari pembuangan: Sotai, Soferet, Perida, Yaala, Darkon, Gidel, Sefaca, Hatil, Pokheret-Hazebaim, dan Amon. *** *** Jumlah seluruh keturunan pekerja Rumah TUHAN dan hamba-hamba Salomo yang kembali dari pembuangan adalah 392 orang. [61-62] Sebanyak 642 orang daripada puak Delaya, Tobia, dan Nekoda berangkat dari kota Tel-Melah, Tel-Harsa, Kerub, Adon, dan Imer; tetapi mereka tidak dapat membuktikan bahawa mereka keturunan bangsa Israel. *** [63-64] Puak-puak para imam yang berikut tidak dapat menemukan catatan tentang nenek moyang mereka: Habaya, Hakos, dan Barzilai. (Seorang daripada nenek moyang puak imam Barzilai berkahwin dengan seorang perempuan daripada puak Barzilai di Gilead, dan memakai nama keluarga mentuanya.) Oleh sebab mereka tidak dapat membuktikan siapa nenek moyang mereka, maka mereka tidak diterima sebagai imam. *** Gabenor wilayah Yehuda melarang mereka makan makanan yang dipersembahkan kepada Allah, sebelum ada seorang imam yang dapat minta petunjuk dengan menggunakan Urim dan Tumim. [66-69] Jumlah orang buangan yang pulang ke negeri mereka adalah 42,360 orang. Selain mereka, pulang juga pembantu mereka, lelaki dan perempuan sejumlah 7,337 orang, dan para penyanyi, lelaki dan perempuan sejumlah 245 orang. Mereka juga membawa binatang mereka: kuda — - — 736 baghal — - — 245 unta — - — 435 keldai — - — 6,720 *** *** *** [70-72] Banyak orang yang memberikan sumbangan untuk menanggung biaya perbaikan Rumah TUHAN: Gabenor: — - — 8 kilogram emas — - — 50 mangkuk upacara — - — 530 jubah imam Pemimpin puak: — - — 168 kilogram emas — - — 1,250 kilogram perak Rakyat: — - — 168 kilogram emas — - — 140 kilogram perak — - — 67 jubah imam *** *** Para imam, orang Lewi, pengawal pintu gerbang Rumah TUHAN, para penyanyi, dan banyak daripada rakyat jelata, para pekerja di Rumah TUHAN, pendek kata semua orang Israel, menetap di pekan-pekan dan di kota-kota Yehuda. Pada bulan ketujuh, orang Israel telah menetap di kota masing-masing. Pada hari pertama bulan itu, mereka semua berkumpul di Yerusalem, di lapangan dekat Pintu Gerbang Air. Mereka minta supaya kitab Taurat diambil oleh Imam Ezra, seorang ahli dalam Taurat yang diberikan TUHAN kepada Israel melalui Musa. Oleh itu Ezra membawa kitab itu ke hadapan semua orang yang berkumpul. Mereka terdiri daripada lelaki, perempuan, dan kanak-kanak yang dapat memahami kandungan kitab itu. Di lapangan itu, dekat pintu gerbang, Ezra membaca Taurat itu kepada mereka dari pagi hingga tengah hari, dan mereka semua mendengar dengan penuh perhatian. Ezra berdiri di atas pentas kayu yang dibina khas untuk maksud itu. Matica, Sema, Anaya, Uria, Hilkia, dan Maaseya berdiri di sebelah kanannya; sedangkan Pedaya, Misael, Malkia, Hasum, Hasbadana, Zakharia, dan Mesulam berdiri di sebelah kirinya. Pentas tempat Ezra berdiri lebih tinggi daripada semua orang itu, sehingga mereka dapat melihat Ezra. Sebaik sahaja Ezra membuka kitab itu, mereka semua berdiri. Ezra berkata, “Pujilah TUHAN, Allah yang agung!” Semua umat itu mengangkat tangan tinggi-tinggi dan menjawab, “Amin! Amin!” Kemudian mereka bersujud menyembah Allah. Setelah itu mereka berdiri di tempat masing-masing, dan orang Lewi yang berikut menjelaskan Taurat itu kepada mereka: Yesua, Bani, Serebya, Yamin, Akub, Sabetai, Hodia, Maaseya, Kelita, Azarya, Yozabad, Hanan, dan Pelaya. Mereka menterjemahkan Taurat Allah itu bahagian demi bahagian dan menghuraikannya supaya rakyat mengerti. Apabila rakyat mendengar pembacaan Taurat itu, mereka begitu terharu sehingga mereka menangis. Oleh itu Gabenor Nehemia dan Imam Ezra, ahli Taurat itu, dan orang Lewi yang sedang menghuraikan Taurat itu memberitahu rakyat, “Hari ini hari yang khas untuk TUHAN, Allah kamu. Oleh itu janganlah bersedih atau menangis. Pulanglah dan adakanlah jamuan makan. Bahagikanlah makanan dan wain kamu kepada mereka yang kekurangan. Hari ini hari yang khas bagi Tuhan kita. Oleh itu janganlah berdukacita. Kesukaan yang diberikan oleh TUHAN kepada kamu akan menguatkan kamu.” Orang Lewi berjalan ke sana sini untuk menenangkan rakyat dan berkata berulang kali, “Janganlah berdukacita pada hari yang khas ini.” Kemudian semua orang itu pulang. Mereka makan dan minum sambil bersukacita, serta membahagikan makanan kepada orang lain, kerana mereka faham akan makna pembacaan yang didengar mereka itu. Keesokan harinya, para pemimpin puak, para imam dan orang Lewi pergi kepada Ezra untuk mempelajari ajaran Taurat. Mereka mendapati bahawa dalam Taurat yang diberikan TUHAN dengan perantaraan Musa, TUHAN menyuruh umat Israel tinggal di dalam pondok-pondok sementara, apabila mereka merayakan Perayaan Pondok Daun. Oleh itu, mereka mengumumkan perintah berikut di seluruh Yerusalem, di kota-kota lain, dan di pekan-pekan, “Pergilah ke bukit-bukit dan ambillah dahan-dahan pokok pain, pokok zaitun, pokok kemunting, pokok kurma dan pokok-pokok lain, lalu buatlah pondok menurut peraturan yang tertulis di dalam Taurat.” Kemudian rakyat pun pergi mengambil dahan-dahan dan membina pondok-pondok di atas bumbung rata rumah mereka, di halaman rumah, di halaman Rumah TUHAN, dan di padang dekat Pintu Gerbang Air, dan di padang dekat Pintu Gerbang Efraim. Semua orang yang sudah kembali dari pembuangan membuat pondok dan tinggal di situ. Inilah kali pertama hal itu dilakukan sejak zaman Yosua anak Nun. Mereka semua gembira dan bahagia. Tiap-tiap hari, dari hari pertama perayaan itu sehingga hari terakhir, Ezra membaca sebahagian daripada Taurat Allah kepada mereka. Mereka merayakan perayaan itu selama tujuh hari, dan pada hari kelapan mereka mengadakan upacara penutup menurut peraturan Taurat. [1-2] Pada hari kedua puluh empat bulan itu juga, umat Israel berkumpul. Mereka berpuasa untuk menunjukkan bahawa mereka menyesali dosa mereka. Mereka sudah memisahkan diri daripada semua orang bangsa asing. Mereka memakai kain guni dan menaruh debu di atas kepala sebagai tanda bersedih. Kemudian mereka berdiri dan mengakui segala dosa mereka dan dosa nenek moyang mereka. *** Selama kira-kira tiga jam, kitab Taurat TUHAN, Allah mereka dibacakan kepada mereka, dan selama tiga jam berikutnya mereka mengakui dosa dan menyembah TUHAN, Allah mereka. Di situ ada pentas yang disediakan untuk orang Lewi. Yesua, Bani, Kadmiel, Sebanya, Buni, Serebya, Bani, dan Kenani berdiri di atas pentas itu. Mereka berdoa kepada TUHAN, Allah mereka dengan suara nyaring. Ibadat pada hari itu dimulakan oleh orang Lewi yang berikut: Yesua, Kadmiel, Bani, Hasabneya, Serebya, Hodia, Sebanya, dan Petahya. Mereka berkata, “Marilah berdiri dan memuji TUHAN, Allah kita; pujilah Dia selama-lamanya! Pujilah nama-Nya yang penuh kemuliaan, nama yang lebih agung daripada segala pujian!” Selepas itu umat Israel berdoa demikian, “Ya TUHAN, Engkaulah satu-satunya TUHAN; Engkau menciptakan bintang dan seluruh angkasa, Engkau menjadikan darat dan laut serta segala isinya; Engkau memberikan hidup kepada semuanya. Segala kuasa di langit bersembah sujud kepada-Mu; mereka berlutut dan tunduk kepada-Mu. Ya TUHAN Allah, Engkaulah yang memilih Abram, dan memimpinnya keluar dari Ur di negeri Babilonia; Engkau mengubah namanya menjadi Abraham. Engkau mendapati dia setia kepada-Mu, lalu Engkau membuat perjanjian dengannya. Engkau berjanji untuk memberi dia negeri orang Kanaan, negeri orang Het dan orang Amori, negeri orang Feris, orang Yebusi, dan orang Girgasi, untuk menjadi tempat tinggal keturunannya. Engkau menepati janji-Mu kerana Engkau adil dan setia. Engkau nampak nenek moyang kami menderita di Mesir; Engkau mendengar seruan mereka minta tolong di Laut Gelagah. Engkau melakukan mukjizat yang luar biasa, untuk melawan raja, pegawai, dan rakyat raja, kerana Engkau tahu bagaimana umat-Mu ditindas oleh mereka. Oleh itu Engkau termasyhur sehingga hari ini. Engkau membelah laut untuk membuat jalan bagi umat-Mu ke seberang, Engkau menghantar mereka ke seberang melalui dasar laut yang kering. Orang yang mengejar mereka lemas di laut yang dalam, mereka seperti batu yang tenggelam di laut yang seram. Engkau memimpin mereka dengan tiang awan pada siang hari, Engkau menerangi jalan mereka dengan tiang api pada malam hari. Dari langit Engkau turun ke Gunung Sinai; Engkau berfirman kepada umat-Mu sendiri. Engkau memberi mereka hukum, peraturan, dan perintah yang adil, benar, dan berfaedah. Engkau mengajar mereka merayakan hari Sabat yang suci itu, dan melalui hamba-Mu Musa, Engkau memberi mereka hukum-Mu. Apabila mereka lapar, roti dari langit Engkau turunkan, apabila mereka dahaga, air dari batu Engkau pancarkan. Engkau menyuruh mereka menguasai tanah yang telah Engkau janjikan kepada mereka. Tetapi nenek moyang kami keras kepala dan angkuh, mereka tidak mentaati perintah-Mu. Mereka tidak mahu patuh; mereka melupakan segala perbuatan-Mu, dan semua mukjizat yang sudah Engkau lakukan itu. Dengan angkuh mereka memilih seorang ketua, untuk membawa mereka ke Mesir, dan menjadi hamba semula. Tetapi Engkau Allah yang mengampuni; Engkau panjang sabar, berbelas kasihan, dan pengasih; Rahmat-Mu besar, dan Engkau tidak meninggalkan mereka. Mereka membuat berhala berbentuk anak lembu, lalu berkata bahawa berhala itu memimpin mereka keluar dari Mesir. Ya TUHAN, mereka sangat menghina Engkau. Namun Engkau tidak meninggalkan mereka di padang pasir, kerana rahmat-Mu sungguh besar! Engkau tidak mengambil balik tiang awan atau tiang api yang menunjukkan jalan kepada mereka pada siang dan malam hari. Demi kebaikan-Mu, Engkau memberitahu mereka apa yang harus dilakukan; Engkau memberi mereka manna sebagai makanan, Engkau memberi mereka air sebagai minuman. Selama empat puluh tahun di padang gurun, Engkau memberi mereka segala yang diperlukan. Pakaian mereka tidak pernah rosak, dan kaki mereka tidak sakit atau bengkak. Engkau memberi mereka kemenangan atas banyak bangsa dan kerajaan yang bersempadan dengan negeri mereka. Mereka mengalahkan negeri Hesybon yang diperintah oleh Raja Sihon, dan kerajaan Raja Og di negeri Basan. Engkau memberi mereka anak sebanyak bintang di angkasa, dan membiarkan mereka menakluki tanah, yang telah Engkau janjikan kepada nenek moyang mereka. Mereka menduduki negeri Kanaan; Engkau mengalahkan penduduk negeri itu. Engkau memberi umat-Mu kuasa untuk memperlakukan penduduk dan raja-raja Kanaan dengan sesuka hati. Umat-Mu merampas kota-kota yang berkubu, tanah yang subur, dan rumah-rumah yang penuh dengan harta, perigi yang telah digali, pokok zaitun, pokok buah-buahan serta ladang anggur. Mereka makan sepuas hati sehingga menjadi gemuk; mereka menikmati segala pemberian-Mu yang baik. Tetapi umat-Mu memberontak dan tidak taat kepada-Mu; mereka membelakangi Taurat-Mu. Mereka membunuh nabi-nabi yang memberi mereka amaran, dan yang menyuruh mereka kembali kepada-Mu. Berulang kali mereka menghina Engkau, sehingga Engkau membiarkan musuh mengalahkan dan menguasai mereka. Pada masa kesusahan, mereka berseru minta tolong kepada-Mu; dari syurga, Engkau menjawab mereka. Demi belas kasihan-Mu Engkau mengutus para pemimpin, yang menyelamatkan mereka daripada musuh. Tetapi apabila negeri aman lagi, mereka berdosa semula, dan Engkau pun membiarkan musuh mengalahkan mereka. Namun ketika mereka bertaubat dan memohon Engkau menyelamatkan mereka, dari syurga Engkau mendengarkan seruan mereka; dan berulang kali Engkau menyelamatkan mereka demi belas kasihan-Mu yang besar. Engkau memberikan amaran agar mereka taat kepada ajaran-Mu, tetapi dengan sombong mereka menolak hukum-Mu. Padahal orang yang melakukan Taurat-Mu mendapat kehidupan, tetapi mereka degil, tidak taat dan tidak mahu mendengarkan. Tahun demi tahun, dengan sabar Engkau memperingatkan mereka. Roh-Mu berkata-kata kepada mereka melalui para nabi-Mu, tetapi umat-Mu menutup telinga. Oleh itu Engkau membiarkan mereka dikalahkan oleh bangsa-bangsa. Namun, kerana belas kasihan-Mu sangat besar, Engkau tidak meninggalkan ataupun membinasakan mereka. Engkau Allah yang pengasih dan berbelas kasihan! Ya Allah, Allah kami yang besar! Allah yang berkuasa dan hebat! Dengan setia Engkau menepati segala perjanjian. Sejak raja-raja Asyur menindas kami, sampai sekarang penderitaan yang kami alami sangat berat. Para raja, pemimpin, imam, dan nabi kami, nenek moyang, dan segenap umat sudah menderita. Ingatlah, ya Allah, betapa sengsaranya kami. Tindakan-Mu adil untuk menghukum kami yang bercela; Engkau setia, walaupun kami berbuat dosa. Nenek moyang kami, para raja, imam, dan pemimpin kami, tidak mematuhi Taurat-Mu. Mereka tidak mengendahkan perintah dan amaran-Mu. Dengan berkat-Mu para raja memerintah umat-Mu, ketika mereka tinggal di negeri yang luas dan subur, tanah pemberian-Mu. Namun mereka tidak meninggalkan dosa, mereka tidak mahu mengabdi kepada-Mu. Sekarang kami menjadi hamba di negeri yang Engkau berikan, tanah yang subur ini, yang memberikan kami makanan. Sekarang hasil bumi kami dirampas oleh raja-raja yang menguasai kami; Engkau menyerahkan kami kepada raja-raja itu; sekarang hasil bumi kami dirampas oleh raja-raja. Mereka memperlakukan kami dan ternakan kami dengan sesuka hati; kami sangat sengsara dan berdukacita!” Oleh sebab segala yang sudah berlaku itu, kami umat Israel membuat perjanjian yang kukuh dan bertulis, dan yang dimeteraikan oleh para pemimpin kami, orang Lewi, dan imam kami. Orang pertama yang menandatanganinya ialah Gabenor Nehemia anak Hakhalya. Dia diikuti oleh Zedekia, dan kemudian oleh orang yang berikut: [2-8] Para imam: Seraya, Azarya, Yeremia, Pasyhur, Amarya, Malkia, Hatus, Sebanya, Malukh, Harim, Meremot, Obaja, Daniel, Gineton, Barukh, Mesulam, Abia, Miyamin, Maazya, Bilgai, dan Semaya. *** *** *** *** *** *** [9-13] Orang Lewi: Yesua anak Azanya, Binui keturunan puak Henadad, Kadmiel, Sebanya, Hodia, Kelita, Pelaya, Hanan, Mikha, Rehob, Hasabya, Zakur, Serebya, Sebanya, Hodia, Bani, dan Beninu. *** *** *** *** [14-27] Para pemimpin rakyat: Paros, Pahat-Moab, Elam, Zatu, Bani, Buni, Azgad, Bebai, Adonia, Bigwai, Adin, Ater, Hizkia, Azur, Hodia, Hasum, Bezai, Harif, Anatot, Nebai, Magpias, Mesulam, Hezir, Mesezabeel, Zadok, Yadua, Pelaca, Hanan, Anaya, Hosea, Hananya, Hasub, Halohes, Pilha, Sobek, Rehum, Hasabna, Maaseya, Ahia, Hanan, Anan, Malukh, Harim, dan Baana. *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** Kami, rakyat Israel, para imam, para orang Lewi, para pengawal Rumah TUHAN, para penyanyi, dan para pekerja di Rumah TUHAN, bersama-sama isteri dan anak kami yang cukup dewasa untuk memahami perkara ini, serta semua orang yang taat kepada hukum Allah dan yang sudah mengasingkan diri daripada orang bangsa asing yang tinggal di negeri kami, menyertai para pemimpin kami dan bersumpah bahawa kami akan hidup menurut hukum Allah yang telah diberikan-Nya melalui hamba-Nya Musa. Kami bersumpah untuk mentaati segala perintah yang diberikan kepada kami oleh TUHAN, iaitu Tuhan kami; kami bersumpah untuk mematuhi semua hukum dan peraturan-Nya. Biarlah Allah mengutuk kami jika kami tidak menepati perjanjian ini. Kami bersumpah tidak akan berkahwin dengan orang bangsa asing yang tinggal di negeri kami. Jika orang bangsa asing datang menjual gandum atau apa sahaja kepada kami pada hari Sabat, atau pada hari-hari suci yang lain, kami tidak akan membeli daripada mereka. Pada tiap-tiap tahun ketujuh, kami tidak akan menanami ladang, dan kami akan menghapuskan segala hutang. Tiap-tiap tahun kami masing-masing akan memberikan lima gram perak bagi biaya Rumah TUHAN. Kami akan menyediakan keperluan-keperluan berikut untuk kegunaan ibadat di Rumah TUHAN: roti sajian, korban harian, iaitu korban untuk mengucap syukur dan binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan juga persembahan suci pada hari Sabat, Perayaan Bulan Baru, serta perayaan-perayaan lain, persembahan-persembahan suci yang lain, korban-korban untuk mengampunkan dosa Israel, dan apa sahaja yang diperlukan bagi Rumah TUHAN. Tiap-tiap tahun kami, rakyat Israel, para imam dan orang Lewi, akan membuang undi untuk menentukan puak mana yang wajib menyediakan kayu api untuk membakar korban yang dipersembahkan kepada TUHAN, Allah kami, menurut peraturan Taurat. Tiap-tiap tahun kami akan membawa biji-bijian yang mula-mula dituai dan buah-buahan yang mula-mula masak pada pokok, ke Rumah TUHAN. Kami akan membawa anak lelaki kami yang sulung kepada imam di Rumah TUHAN. Di situ anak itu akan diserahkan kepada Allah menurut peraturan Taurat. Kami juga akan menyerahkan anak sulung lembu, anak sulung kambing, atau anak sulung domba. Kami akan membawa adunan yang dibuat daripada biji-bijian yang mula-mula dituai pada tiap-tiap tahun, dan juga persembahan lain berupa wain, minyak zaitun, serta segala jenis buah-buahan. Semua itu akan kami berikan kepada imam-imam di Rumah TUHAN. Kami akan memberikan persepuluhan kami kepada orang Lewi yang memungut persembahan persepuluhan di tempat-tempat pertanian, iaitu persepuluhan daripada hasil tanaman yang tumbuh di ladang kami. Seorang imam keturunan Harun harus bersama-sama orang Lewi ketika persembahan persepuluhan itu dikumpulkan. Orang Lewi harus menyimpan sepersepuluh daripada semua persembahan persepuluhan itu di dalam stor-stor bekalan di Rumah TUHAN. Umat Israel dan orang Lewi harus membawa persembahan biji-bijian, wain, dan minyak zaitun yang sudah dikumpulkan itu ke stor-stor bekalan, iaitu di tempat menyimpan peralatan Rumah TUHAN. Di situ juga tempat tinggal para imam yang sedang bertugas, para pengawal Rumah TUHAN, dan para penyanyi di Rumah TUHAN. Kami tidak mahu mengabaikan Rumah TUHAN kami. Para pemimpin menetap di Yerusalem, dan rakyat diharuskan membuang undi untuk memilih satu keluarga daripada tiap-tiap sepuluh keluarga. Mereka yang dipilih harus tinggal di Yerusalem kota yang suci itu, sedangkan yang tidak dipilih boleh tinggal di kota-kota dan pekan-pekan lain. Rakyat memuji orang di kalangan mereka yang rela tinggal di Yerusalem. Di pekan-pekan dan kota-kota lain, rakyat Israel, para imam, orang Lewi, para pekerja Rumah TUHAN, dan keturunan hamba-hamba Salomo tinggal di kota dan di tanah masing-masing. Berikut adalah senarai nama orang kenamaan dari wilayah Yehuda yang tinggal di Yerusalem: Daripada suku Yehuda: Ataya anak Uzia, iaitu cucu Zakharia. Beberapa orang antara nenek moyangnya ialah Amarya, Sefaca, dan Mahalaleel, iaitu keturunan Peres, anak lelaki Yehuda. Maaseya anak Barukh, cucu Kolhoze. Beberapa orang antara nenek moyangnya ialah Hazaya, Adaya, Yoyarib, dan Zakharia, iaitu keturunan Syela, anak lelaki Yehuda. Sejumlah 468 orang gagah perkasa daripada keturunan Peres, tinggal di Yerusalem. Daripada suku Benyamin: Salu anak Mesulam, cucu Yoed. Beberapa orang antara nenek moyangnya ialah Pedaya, Kolaya, Maaseya, Itiel, dan Yesaya. Gabai dan Salai; mereka saudara dekat Salu. Semuanya berjumlah 928 orang daripada suku Benyamin yang tinggal di Yerusalem. Mereka dipimpin oleh Yoel anak Zikhri dan oleh wakilnya, Yehuda anak Hasenua. Daripada para imam: Yedaya anak Yoyarib dan Yakhin. Seraya anak Hilkia, cucu Mesulam. Beberapa orang antara nenek moyangnya ialah Zadok, Merayot, dan Ahitub yang menjadi Imam Agung. Semuanya berjumlah 822 orang imam yang bertugas di Rumah TUHAN. Adaya anak Yeroham, cucu Pelalya. Beberapa orang antara nenek moyangnya ialah Amzi, Zakharia, Pasyhur, dan Malkia. Semuanya berjumlah 242 orang yang menjadi ketua keluarga daripada puak ini. Amasai anak Asareel, cucu Ahzai. Beberapa orang antara nenek moyangnya ialah Mesilemot dan Imer. Daripada puak ini ada 128 orang askar yang gagah perkasa. Pemimpin mereka ialah Zabdiel anak Gedolim. Daripada orang Lewi: Semaya anak Hasub, cucu Azrikam. Beberapa orang antara nenek moyangnya ialah Hasabya dan Buni. Sabetai dan Yozabad, dua orang Lewi kenamaan yang mengawasi pekerjaan di luar Rumah TUHAN. Matanya anak Mikha, cucu Zabdi, keturunan Asaf. Dialah pemimpin para penyanyi di Rumah TUHAN apabila menyanyikan doa kesyukuran. Bakbukya, iaitu wakil Matanya. Abda anak Samua, cucu Galal, dan keturunan Yedutun. Semuanya berjumlah 284 orang Lewi yang tinggal di Yerusalem, kota suci itu. Daripada pengawal Rumah TUHAN: Akub, Talmon, dan rakan-rakan mereka sebanyak 172 orang. Rakyat Israel, para imam, dan orang Lewi yang selebihnya tinggal di tanah mereka sendiri di kota-kota dan pekan-pekan di Yehuda. Para pekerja di Rumah TUHAN tinggal di kawasan kota Yerusalem yang disebut Ofel. Mereka bekerja di bawah pengawasan Ziha dan Gispa. Pengawas orang Lewi yang tinggal di Yerusalem ialah Uzi anak Bani, cucu Hasabya. Beberapa orang antara nenek moyangnya ialah Matanya dan Mikha daripada puak Asaf, iaitu puak yang bertanggungjawab mengurus muzik pada masa ibadat di Rumah TUHAN. Peraturan diraja menentukan giliran puak yang mengurus muzik di Rumah TUHAN pada tiap-tiap hari. Petahya anak Mesezabeel daripada puak Zera dalam suku Yehuda, menjadi wakil bangsa Israel di istana raja Persia. Banyak orang tinggal di pekan-pekan yang berdekatan dengan ladang mereka. Beberapa orang daripada suku Yehuda tinggal di Kiryat-Arba, Dibon, Yekabzeel, dan di pekan-pekan di sekitar kota-kota itu. Mereka juga tinggal di kota Yesua, Molada, Bet-Pelet, Hazar-Sual, Bersyeba, dan di pekan-pekan di sekitarnya. Mereka tinggal di kota Ziklag, di Mekhona, dan di pekan-pekan di sana; di En-Rimon, Zora, Yarmut, Zanoah, Adulam, dan di pekan-pekan dekat kota-kota itu. Mereka tinggal di Lakhis dan di ladang-ladang di sekitarnya, di Azeka dan di pekan-pekan di sekitarnya. Demikianlah orang Yehuda tinggal di kawasan di antara Bersyeba di selatan dan Lembah Hinom di utara. Sebilangan orang daripada suku Benyamin tinggal di Geba, Mikhmas, Ai, Betel, dan di pekan-pekan di sekitarnya; di Anatot, Nob, Ananya, Hazor, Rama, Gitaim, Hadid, Zeboim, Nebalat, Lod, Ono, dan di Lembah Tukang. Beberapa kumpulan orang Lewi yang tinggal di kawasan Yehuda disuruh pindah ke kawasan Benyamin dan tinggal bersama-sama penduduk di situ. Inilah senarai nama para imam dan orang Lewi yang pulang dari pembuangan bersama-sama Zerubabel anak Sealtiel dan Imam Agung Yesua: [2-7] Para imam: Seraya, Yeremia, Ezra, Amarya, Malukh, Hatus, Sekhanya, Rehum, Meremot, Ido, Ginetoi, Abia, Miyamin, Maaja, Bilga, Semaya, Yoyarib, Yedaya, Salu, Amok, Hilkia, dan Yedaya. Mereka pemimpin golongan imam pada zaman Yesua. *** *** *** *** *** Orang Lewi: Pemimpin lagu kesyukuran: Yesua, Binui, Kadmiel, Serebya, Yehuda, dan Matanya. Anggota kumpulan penyanyi yang menyanyikan lagu jawapan: Bakbukya, Uni, dan orang Lewi yang lain. Inilah jurai keturunan Imam Agung Yesua: Yesua bapa Yoyakim; Yoyakim bapa Elyasib; Elyasib bapa Yoyada; Yoyada bapa Yonatan; Yonatan bapa Yadua. [12-21] Ketika Yoyakim menjadi Imam Agung, yang berikut adalah ketua puak para imam: [Imam] — Puak Meraya — Seraya Hananya — Yeremia Mesulam — Ezra Yohanan — Amarya Yonatan — Melikhu Yusuf — Sebanya Adna — Harim Helkai — Merayot Zakharia — Ido Mesulam — Gineton Zikhri — Abia... — Minyamin Piltai — Moaja Samua — Bilga Yonatan — Semaya Matnai — Yoyarib Uzi — Yedaya Kalai — Salai Heber — Amok Hasabya — Hilkia Netaneel — Yedaya... *** *** *** *** *** *** *** *** *** Senarai nama ketua-ketua keluarga imam dan orang Lewi dibuat pada zaman Imam Agung yang berikut: Elyasib, Yoyada, Yohanan, dan Yadua. Senarai itu selesai dibuat ketika Darius menjadi raja Persia. Tetapi senarai nama ketua-ketua puak orang Lewi dicatat hanya sampai zaman Yonatan cucu Elyasib. Di bawah pengawasan Hasabya, Serebya, Yesua, Binui, dan Kadmiel, orang Lewi dibahagi menjadi beberapa kumpulan. Setiap kali, ada dua kumpulan yang bertugas memuji Allah dan memberikan syukur kepada-Nya secara berbalas-balasan, menurut peraturan yang diberikan oleh Raja Daud, hamba Allah. Para pengawal Rumah TUHAN yang ditugaskan untuk mengawal stor-stor bekalan dekat pintu gerbang Rumah TUHAN ialah Matanya, Bakbukya, Obaja, Mesulam, Talmon, dan Akub. Semua orang itu hidup pada zaman Yoyakim anak Yesua, cucu Yozadak, dan pada zaman Gabenor Nehemia dan Imam Ezra, ahli Taurat itu. Apabila tembok kota Yerusalem dirasmikan, orang Lewi dipanggil ke sana dari semua tempat tinggal mereka, supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam perasmian itu dengan menyanyikan lagu kesyukuran, diiringi muzik gambus dan kecapi. Para penyanyi daripada keluarga-keluarga orang Lewi datang dari daerah tempat tinggal mereka di sekitar Yerusalem dan dari pekan-pekan di sekitar Netofa, dari Bet-Gilgal, Geba, dan Asmawet. Para imam dan orang Lewi menjalankan upacara penyucian bagi diri mereka sendiri, kemudian bagi rakyat, dan juga bagi pintu-pintu gerbang dan tembok kota. Aku mengumpulkan para pemimpin Yehuda di atas tembok dan menugaskan mereka memimpin dua kumpulan besar untuk berjalan mengelilingi kota itu, sambil menyanyikan lagu kesyukuran kepada Allah. Kumpulan yang pertama berarak ke sebelah kanan di atas tembok itu, ke arah Pintu Gerbang Sampah. Hosaya berjalan di belakang para penyanyi, diikuti oleh separuh daripada para pemimpin Yehuda. [33-35] Sekumpulan imam yang meniup trompet, berjalan di belakang mereka. Imam-imam itu ialah Azarya, Ezra, Mesulam, Yehuda, Benyamin, Semaya, dan Yeremia. Mereka diikuti oleh Zakharia anak Yonatan, cucu Semaya. (Beberapa orang antara nenek moyangnya ialah Matanya, Mikha, dan Zakur daripada puak Asaf.) *** *** Dia diikuti oleh orang lain daripada puaknya, iaitu Semaya, Azareel, Milalai, Gilalai, Maai, Netaneel, Yehuda, dan Hanani. Mereka semua membawa alat-alat muzik, serupa dengan yang dimainkan oleh Raja Daud, hamba Allah itu. Imam Ezra, ahli Taurat itu, berjalan di hadapan perarakan ini. Di pintu Gerbang Mata Air, mereka menaiki tangga yang menuju ke Kota Daud. Mereka melalui istana Daud lalu balik ke tembok di Pintu Gerbang Air, di bahagian timur kota itu. Kumpulan penyanyi yang satu lagi, berarak di atas tembok itu dan menuju ke sebelah kiri. Aku mengikuti mereka bersama-sama separuh daripada rakyat. Kami berarak melalui Menara Perapian sampai ke Tembok Lebar. Dari sana kami berarak melalui Pintu Gerbang Efraim, Pintu Gerbang Yesanah, Pintu Gerbang Ikan, Menara Hananeel, dan Menara Seratus, sampai ke Pintu Gerbang Domba. Perarakan kami berakhir dekat pintu gerbang Rumah TUHAN. Kedua-dua kumpulan penyanyi itu sampai di kawasan Rumah TUHAN. Selain para pemimpin yang bersama-sama aku, para imam yang berikut juga turut serta dalam kumpulanku: Elyakim, Maaseya, Minyamin, Mikha, Elyoenai, Zakharia, dan Hananya. Mereka semua meniup trompet. Mereka diikuti oleh Maaseya, Semaya, Eleazar, Uzi, Yohanan, Malkia, Elam, dan Ezer. Para penyanyi yang dipimpin oleh Yizrahya menyanyi dengan nyaring. Pada hari itu banyak korban dipersembahkan kepada Allah. Rakyat bergembira kerana Allah menyebabkan mereka bersukacita. Kaum wanita dan kanak-kanak juga ikut bersukaria, dan keriuhan mereka terdengar sampai jauh. Pada masa itu, beberapa orang disuruh menjaga stor-stor bekalan di Rumah TUHAN. Bekalan itu termasuk persembahan persepuluhan dan biji-bijian serta buah-buahan yang mula-mula masak pada tiap-tiap tahun. Semua orang itu bertanggungjawab mengumpulkan sumbangan daripada peladang-peladang di sekitar kota untuk para imam dan orang Lewi, sebagaimana yang diperintahkan oleh Taurat. Segenap penduduk Yehuda menghargai para imam dan orang Lewi itu, kerana mereka menjalankan upacara penyucian dan upacara-upacara lain yang telah diperintahkan Allah. Para pemuzik dan pengawal Rumah TUHAN pun menjalankan tugas mereka menurut peraturan Raja Daud dan putera baginda Salomo. Sejak zaman Raja Daud dan pemuzik Asaf dahulu kala, para penyanyi telah menyanyikan lagu pujian dan lagu kesyukuran kepada Allah. Pada zaman Zerubabel dan juga pada zaman Nehemia, seluruh rakyat Israel memberikan persembahan harian untuk mencukupi keperluan sehari-hari para penyanyi dan pengawal Rumah TUHAN. Rakyat memberikan persembahan yang dikhaskan bagi orang Lewi, dan orang Lewi pula memberikan bahagian yang dikhaskan bagi para imam. Pada waktu Taurat Musa dibacakan kepada rakyat, mereka mendengar bahawa orang Amon dan Moab tidak dibenarkan bergabung dengan umat Allah. Hal itu demikian kerana ketika umat Israel dalam perjalanan dari Mesir, bangsa Amon dan Moab tidak mahu memberi mereka makanan dan minuman. Sebaliknya, mereka mengupah Bileam supaya mengutuk bangsa Israel tetapi Allah kita mengubah kutuk itu menjadi berkat. Apabila umat Israel mendengar bahagian Taurat itu dibacakan, mereka memisahkan semua orang bangsa asing daripada masyarakat mereka. Imam Elyasib yang ditugaskan untuk mengawasi stor-stor bekalan itu sudah lama mempunyai hubungan baik dengan Tobia. Elyasib membenarkan Tobia menggunakan satu bilik besar, yang sebenarnya dikhaskan untuk menyimpan persembahan biji-bijian dan kemenyan, peralatan yang digunakan di Rumah TUHAN, persembahan untuk para imam, persembahan persepuluhan daripada biji-bijian, wain, dan minyak zaitun untuk orang Lewi, para pemuzik di Rumah TUHAN, dan para pengawal Rumah TUHAN. Sementara hal itu berlaku, aku tidak berada di Yerusalem kerana pada tahun ketiga puluh dua pemerintahan Artahsasta, raja Babel, aku telah pergi ke Babel untuk memberikan laporan kepada raja. Beberapa lama kemudian barulah aku mendapat kebenaran daripada raja untuk kembali ke Yerusalem. Setibanya aku di sana, aku terperanjat semasa mengetahui bahawa Elyasib sudah membenarkan Tobia menggunakan sebuah bilik di dalam Rumah TUHAN. Aku sangat marah dan melempar keluar semua barang kepunyaan Tobia. Kemudian aku memerintahkan supaya upacara penyucian dilakukan bagi bilik-bilik itu. Setelah itu aku menyuruh orang mengembalikan semua peralatan Rumah TUHAN, persembahan biji-bijian dan kemenyan ke bilik-bilik itu. Aku juga mendapati para pemuzik dan orang Lewi sudah meninggalkan Yerusalem dan kembali ke ladang-ladang mereka, kerana rakyat tidak mencukupi keperluan hidup mereka. Aku menegur para pegawai kerana mengabaikan Rumah TUHAN. Kemudian aku memanggil orang Lewi dan para pemuzik kembali ke Rumah TUHAN dan menyuruh mereka bertugas semula. Kemudian seluruh rakyat Israel mulai lagi membawa persembahan persepuluhan biji-bijian, wain, dan minyak zaitun ke Rumah TUHAN. Aku menugaskan semua orang yang berikut untuk menjaga stor-stor bekalan itu: Selemya, seorang imam; Zadok, seorang ahli Taurat; Pedaya, seorang Lewi. Hanan anak Zakur, cucu Matanya ialah pembantu mereka. Aku yakin bahawa mereka boleh dipercayai untuk membahagikan bahan-bahan itu kepada sesama pekerja dengan jujur. Ya Allah, ingatlah akan segala yang sudah aku lakukan untuk Rumah TUHAN dan ibadat di situ. Pada masa itu aku nampak penduduk Yehuda memeras buah anggur pada hari Sabat. Sebilangan orang lain memuat biji-bijian, wain, buah anggur, buah ara, dan barang-barang lain ke atas keldai mereka, lalu membawanya ke Yerusalem. Aku memberikan amaran kepada mereka supaya tidak menjual apa-apa pada hari Sabat. Beberapa orang dari kota Tirus yang tinggal di Yerusalem membawa ikan dan pelbagai jenis barang ke Yerusalem, lalu mereka menjualnya kepada orang Yahudi pada hari Sabat. Aku menegur para pemimpin orang Yahudi. Aku berkata, “Lihatlah perbuatan kamu yang jahat itu! Kamu mencemarkan hari Sabat. Justeru kerana itulah Allah menghukum nenek moyang kita dahulu dan memusnahkan kota ini. Sekarang kamu menyebabkan Allah lebih murka lagi terhadap Israel dengan mencemarkan hari Sabat!” Oleh itu aku memberikan perintah supaya pintu gerbang kota ditutup pada permulaan tiap-tiap hari Sabat, iaitu sebaik sahaja matahari terbenam, dan pintu itu tidak dibuka sehingga hari Sabat sudah berlalu. Aku menugaskan beberapa orang anak buahku di pintu-pintu gerbang itu untuk mengawasi supaya tidak ada barang dagangan dibawa masuk ke dalam kota pada hari Sabat. Sekali atau dua kali pedagang-pedagang yang menjual barang dagangan bermalam di luar tembok kota. Aku memberikan amaran kepada mereka, “Sia-sia saja kamu menunggu sehingga pagi di situ. Jika kamu melakukan hal ini lagi, aku akan mengambil tindakan keras terhadap kamu.” Sejak itu mereka tidak datang lagi pada hari Sabat. Aku memberikan perintah kepada orang Lewi supaya menyucikan diri dan mengawal pintu-pintu gerbang untuk mengawasi orang supaya menghormati hari Sabat. Ya Allah, ingatlah aku kerana perkara ini, dan kasihanilah aku demi kasih-Mu yang besar. Pada masa itu aku juga mendapati banyak orang lelaki Yahudi sudah berkahwin dengan perempuan bangsa Asdod, Amon, dan Moab. Sebilangan daripada anak-anak mereka bertutur dalam bahasa Asdod atau bahasa lain, tetapi mereka tidak tahu bertutur dalam bahasa kami. Aku menegur kaum lelaki itu dan mengutuk mereka. Aku memukul mereka dan mencabut rambut mereka. Kemudian aku menyuruh mereka bersumpah demi nama Allah bahawa tidak sekali-kali mereka ataupun anak-anak mereka akan berkahwin dengan orang bangsa asing lagi. Aku berkata kepada mereka, “Perempuan bangsa asinglah yang sudah menyebabkan Raja Salomo berdosa. Raja Salomo lebih agung daripada raja-raja bangsa lain. Allah mengasihi baginda dan menjadikan baginda raja seluruh Israel. Walaupun begitu, baginda berdosa kerana bujukan perempuan bangsa asing. Alangkah jahatnya perbuatan kamu! Kamu berani melawan Allah dengan mengahwini perempuan bangsa asing!” Yoyada ialah anak Imam Agung Elyasib, tetapi salah seorang anak Yoyada berkahwin dengan anak perempuan Sanbalat dari kota Bet-Horon. Oleh itu aku menyuruh Yoyada meninggalkan Yerusalem. Ya Allah, ingatlah bagaimana semua orang itu mencemarkan jawatan imam dan perjanjian yang sudah Engkau buat dengan para imam dan orang Lewi. Demikianlah aku menyucikan bangsa Israel daripada segala pengaruh asing. Aku menyediakan peraturan bagi para imam dan orang Lewi supaya masing-masing mengetahui tugasnya. Aku mengatur masa tertentu bagi orang membawa kayu api untuk membakar korban, dan masa bagi orang membawa persembahan mereka, iaitu hasil biji-bijian dan buah-buahan yang mula-mula masak. Ya Allah, ingatlah akan semua hal ini, dan berkatilah aku. [1-2] Di Susan, ibu kota Persia, Raja Ahasyweros memerintah 127 buah wilayah, dari India sampai ke Etiopia. *** Pada tahun ketiga pemerintahannya, Raja Ahasyweros mengadakan jamuan besar bagi semua pembesar dan pegawainya. Para panglima Persia dan Media, serta para gabenor dan pegawai tinggi dari wilayah-wilayah turut hadir di jamuan itu. Selama enam bulan raja mempamerkan kekayaan istananya, dan kemegahan serta keagungan kerajaan baginda. Selepas itu raja mengadakan jamuan bagi semua penduduk ibu kota, baik yang kaya mahupun yang miskin. Jamuan itu diadakan di taman istana raja, dan berlangsung selama satu minggu. Pekarangan istana dihias dengan tirai daripada kain linen berwarna biru dan putih, yang diikat dengan pita linen ungu yang halus, dan disangkutkan pada gelang-gelang perak yang dipasang pada tiang-tiang marmar. Sofa-sofa daripada emas dan perak di pekarangan istana, diletakkan di atas lantai yang berturap marmar putih, hablur merah, gewang yang berkilap, dan batu firus biru. Raja menyediakan sangat banyak wain yang dihidangkan di dalam cawan-cawan emas beraneka ragam. Wain yang diminum para tetamu tidak dihadkan. Raja sudah memberikan perintah kepada para pelayan istana supaya melayani setiap tetamu menurut keinginan masing-masing. Sementara itu, di dalam istana Permaisuri Wasti juga memberikan jamuan kepada para wanita. Pada hari ketujuh jamuan itu, raja minum sehingga berasa sangat gembira. Kemudian raja memanggil tujuh orang sida-sida yang menjadi pelayan peribadinya: Mehuman, Bizta, Harbona, Bigta, Abagta, Zetar, dan Karkas. Raja menyuruh mereka membawa Permaisuri Wasti kepadanya dengan memakai mahkota kerajaan. Permaisuri itu sangat cantik dan raja hendak memperlihatkan kecantikannya kepada para pembesar dan tetamunya. Tetapi apabila sida-sida itu menyampaikan perintah raja, Permaisuri Wasti tidak mahu datang. Perbuatannya itu menyebabkan raja sangat murka. Raja mempunyai kebiasaan untuk minta pendapat orang arif tentang persoalan undang-undang dan adat. Oleh itu raja memanggil para penasihatnya untuk bertanya apa yang harus dilakukan dalam perkara seperti itu. Para penasihat raja yang paling sering dipanggil ialah Karsena, Setar, Admata, Tarsis, Meres, Marsena, dan Memukan. Mereka pegawai Persia dan Media yang memangku kedudukan paling tinggi dalam kerajaan itu. Raja bertitah kepada tujuh orang penasihat itu, “Beta sudah mengutus pelayan kepada Permaisuri Wasti dengan perintah supaya permaisuri datang kepada beta, tetapi permaisuri enggan. Menurut undang-undang, tindakan apakah yang harus kita ambil terhadapnya?” Memukan berkata kepada raja dan para pembesar, “Permaisuri Wasti bukan sahaja sudah menghina tuanku, tetapi juga para pegawai tuanku, bahkan semua orang lelaki di dalam kerajaan! Kerana sebaik sahaja kaum wanita mendengar perbuatan permaisuri itu, tiap-tiap wanita di dalam kerajaan tidak akan menghormati suaminya. Mereka akan berkata, ‘Raja Ahasyweros memerintah supaya Permaisuri Wasti menghadap, tetapi permaisuri tidak mahu datang.’ Apabila para isteri pegawai diraja Persia dan Media mendengar tentang kelakuan permaisuri itu, tentu mereka akan segera memberitahu hal itu kepada suami mereka. Akibatnya, isteri akan melawan perintah suami dan suami akan memarahi isteri. Oleh itu, jika tuanku berkenan, keluarkanlah satu titah bahawa Permaisuri Wasti tidak boleh menghadap raja lagi. Titah itu harus dijadikan undang-undang Persia dan Media supaya tidak mungkin dibatalkan lagi. Setelah itu, berikanlah kedudukan Permaisuri Wasti kepada wanita lain yang lebih baik. Apabila titah tuanku itu diumumkan di seluruh kerajaan yang luas ini, maka tiap-tiap wanita akan menghormati suaminya, baik dia kaya mahupun miskin.” Raja dan para pegawainya menyetujui cadangan Memukan itu, lalu raja segera melaksanakannya. Raja mengirimkan surat perintah kepada semua wilayah di dalam kerajaan baginda, dalam setiap bahasa dan tulisan wilayah itu. Perintah itu mengatakan bahawa di dalam setiap rumah tangga, suamilah yang harus menjadi ketua, dan yang patut mengambil segala keputusan. Beberapa lama kemudian, walaupun raja sudah tidak murka lagi, raja masih teringat akan perbuatan Permaisuri Wasti dan tindakan yang telah diambil terhadapnya. Oleh sebab itu beberapa orang penasihat yang akrab dengan raja berkata, “Mengapakah tuanku tidak mencari anak dara yang cantik untuk tuanku? Hendaklah tuanku melantik pegawai di semua wilayah kerajaan, lalu suruhlah mereka membawa semua anak dara yang cantik ke istana wanita di Susan, ibu kota ini. Serahkanlah mereka ke bawah jagaan Hegai, sida-sida yang menjadi ketua rumah tangga istana wanita. Dia akan mengurus mereka dan memberikan perawatan kecantikan kepada mereka. Selepas itu, hendaklah tuanku memilih seorang anak dara yang paling tuanku sukai, dan lantiklah dia sebagai permaisuri untuk menggantikan Permaisuri Wasti.” Raja mendapati nasihat itu baik, lalu melaksanakannya. Di ibu kota Susan, ada seorang Yahudi bernama Mordekhai anak Yair. Dia keturunan Kis dan Simei daripada suku Benyamin. Mordekhai telah ditawan ketika Yerusalem dikalahkan oleh Nebukadnezar, raja Babilonia. Mordekhai dibawa ke Babilonia bersama dengan Yoyakhin iaitu raja Yehuda, dan banyak orang tawanan yang lain. Mordekhai mempunyai sepupu yang bernama Ester. Nama Ibraninya ialah Hadasa. Ester seorang gadis yang berwajah cantik dan bertubuh molek. Ibu bapa Ester sudah meninggal, lalu dia menjadi anak angkat Mordekhai. Dia diasuh sebagai anak Mordekhai sendiri. Setelah titah raja itu diisytiharkan, banyak anak dara dibawa ke Susan, dan Ester ada di kalangan mereka. Dia dibawa ke istana, di bawah jagaan Hegai, ketua rumah tangga istana wanita. Hegai kagum melihat Ester dan suka kepadanya. Dengan segera Hegai memberi Ester perawatan kecantikan serta makanan yang khas. Dia memberi Ester bilik yang terbaik di dalam istana wanita itu. Hegai juga menyuruh tujuh orang gadis yang dipilih khas dari istana raja untuk melayani Ester. Selama itu Ester merahsiakan bahawa dia seorang Yahudi, kerana dia menurut nasihat Mordekhai. Tiap-tiap hari Mordekhai berjalan-jalan di halaman bahagian depan istana wanita itu untuk mengetahui bagaimana keadaan Ester, dan apa yang akan berlaku kepadanya. Jangka masa rawatan kecantikan biasanya berlangsung selama satu tahun: enam bulan dengan minyak mur, dan enam bulan lagi dengan minyak wangi-wangian yang lain. Selepas itu, tiap-tiap anak dara itu bergilir-gilir dihadapkan kepada Raja Ahasyweros. Pada masa seorang anak dara keluar dari istana wanita untuk menghadap raja, dia dibenarkan memakai apa sahaja yang dikehendakinya. Anak dara itu dibawa ke istana raja pada petang hari, dan esok paginya dia dibawa ke istana lain di bawah jagaan Saasgas, sida-sida yang mengurus para gundik raja. Anak dara itu tidak akan menghadap raja lagi kecuali raja menghendakinya dan memanggil dia dengan menyebut namanya. Kemudian tibalah giliran Ester untuk menghadap raja. Ester ialah anak Abihail, dan sepupu Mordekhai, yang sudah memeliharanya seperti anaknya sendiri. Ester dikagumi oleh setiap orang yang melihatnya. Apabila gilirannya tiba, Ester berpakaian menurut petunjuk dan nasihat Hegai, sida-sida yang menjadi ketua istana wanita itu. Demikianlah pada tahun ketujuh pemerintahan Raja Ahasyweros, pada bulan kesepuluh, iaitu bulan Tebet, Ester dibawa menghadap Raja Ahasyweros di istana. Ester menyenangkan hati dan membahagiakan raja lebih daripada semua anak dara yang lain. Oleh itu dialah yang paling dicintai raja. Raja mengenakan mahkota kerajaan pada kepala Ester dan menjadikan dia permaisuri untuk menggantikan Wasti. Selepas itu, raja mengadakan jamuan besar untuk menghormati Ester lalu menjemput semua pembesar dan pegawainya. Raja mengisytiharkan hari cuti bagi seluruh kerajaan dan membahagi-bahagikan banyak sekali hadiah. Sementara itu Mordekhai telah diangkat oleh raja menjadi seorang pegawai negeri. Sehingga masa itu Ester masih belum memberitahu sesiapa pun bahawa dia berbangsa Yahudi. Mordekhai melarang dia memberitahu sesiapa pun tentang bangsanya. Ester mentaati Mordekhai seperti pada masa dia masih kanak-kanak dan diasuh oleh Mordekhai. Pada suatu hari, ketika Mordekhai bertugas di istana, Bigtan dan Teres, iaitu dua orang sida-sida yang mengawal pintu ke bilik-bilik raja, berasa sakit hati terhadap raja. Oleh itu mereka bermuslihat untuk membunuh raja. Mordekhai mengetahui muslihat mereka itu lalu memberitahu Permaisuri Ester. Dengan segera Permaisuri Ester memberitahu raja tentang apa yang diketahui oleh Mordekhai. Ketika hal itu disiasat, maka nyatalah bahawa laporan itu benar; kedua-dua orang itu dihukum gantung. Kemudian raja memberikan perintah supaya hal itu dicatat di dalam catatan rasmi kerajaan. Beberapa waktu kemudian, Raja Ahasyweros melantik seorang yang bernama Haman menjadi perdana menteri. Haman ialah anak Hamedata daripada keturunan Agag. Raja memerintah supaya semua pegawai yang berkhidmat kepada raja menghormati Haman dengan bersujud kepadanya. Semua orang patuh kepada perintah itu kecuali Mordekhai. Para pegawai lain yang berkhidmat kepada raja bertanya kepada Mordekhai sebabnya dia melanggar perintah raja. Setiap hari mereka mendesak dia supaya menurut sahaja, tetapi Mordekhai tidak mahu mengikut nasihat mereka. “Saya seorang Yahudi,” kata Mordekhai, “oleh itu saya tidak dapat bersujud kepada manusia.” Mereka melaporkan hal itu kepada Haman kerana mereka ingin tahu tindakan apa yang akan diambilnya terhadap Mordekhai. Haman sangat marah apabila dia mengetahui bahawa Mordekhai tidak mahu bersujud kepadanya. Apabila Haman mengetahui bahawa Mordekhai orang Yahudi, dia bertekad bukan sahaja untuk menghukum Mordekhai tetapi juga membinasakan tiap-tiap orang Yahudi di seluruh Kerajaan Persia. Pada tahun kedua belas pemerintahan Raja Ahasyweros, pada bulan pertama, iaitu bulan Nisan, Haman memberikan perintah supaya orang membuang undi (yang disebut “purim”) untuk menentukan hari dan bulan yang sesuai bagi melaksanakan pakatannya yang jahat itu. Akhirnya, yang ditetapkan adalah hari ketiga belas bulan kedua belas, iaitu bulan Adar. Kemudian Haman memberitahu raja, katanya, “Tuanku, ada satu bangsa yang terselerak di setiap wilayah di seluruh kerajaan tuanku. Mereka mempunyai adat istiadat yang berlainan sekali dengan adat istiadat bangsa lain. Lagipun mereka tidak patuh kepada undang-undang kerajaan. Oleh itu, sebaiknya tuanku jangan biarkan mereka berbuat sesuka hati. Jika tuanku berkenan, hendaklah surat perintah dikeluarkan untuk membinasakan mereka. Jika tuanku menerima cadangan ini, hamba pasti dapat memasukkan lebih daripada 340,000 kilogram perak ke dalam perbendaharaan diraja bagi pentadbiran kerajaan.” Setelah mendengar perkara itu, raja menanggal cincin daripada jarinya; cincin itulah yang dipakainya untuk memeteraikan pengisytiharan rasmi. Raja memberikan cincin itu kepada musuh besar orang Yahudi, iaitu Haman anak Hamedata, keturunan Agag. Raja bertitah kepadanya, “Beta serahkan bangsa itu dan wang mereka kepadamu. Buatlah apa yang kamu pandang baik terhadap mereka.” Oleh itu pada hari ketiga belas bulan satu, Haman memanggil para setiausaha raja. Haman menyuruh mereka menulis surat menurut segala yang diperintahkannya. Kemudian surat itu diterjemahkan ke dalam semua bahasa, dan disalinkan dalam semua tulisan yang digunakan di dalam kerajaan. Surat itu ditulis atas nama Raja Ahasyweros dan dimeteraikan dengan meterainya. Kemudian surat itu dikirim kepada semua penguasa, gabenor, dan pegawai. Titah itu segera dihantar oleh para utusan ke tiap-tiap wilayah kerajaan. Kandungan titah itu mengatakan bahawa dalam satu hari, iaitu pada hari ketiga belas bulan Adar, semua orang Yahudi, tua dan muda, kaum wanita dan kanak-kanak, mesti dibunuh tanpa kasihan, dan harta mereka dirampas. Perintah itu harus diisytiharkan di tiap-tiap wilayah supaya semua orang bersedia apabila masanya tiba kelak. Para utusan cepat berangkat untuk menghantar surat-surat itu ke semua wilayah. Dengan perintah raja, titah itu diisytiharkan juga di ibu kota Susan. Raja dan Haman duduk-duduk sambil minum wain, tetapi kota Susan gempar kerana berita itu. Apabila Mordekhai mendengar segala yang sudah berlaku, dia mengoyakkan pakaiannya sebagai tanda bersedih. Dia memakai kain guni, dan membubuhi kepalanya dengan abu, lalu berjalan-jalan di kota sambil menangis dengan nyaring dan pilu. Akhirnya dia tiba di pintu gerbang istana, tetapi dia tidak masuk, kerana orang yang berpakaian kain guni tidak dibenarkan masuk. Di setiap wilayah, di mana sahaja titah raja itu dibacakan, orang Yahudi meratap dengan pilu. Mereka berpuasa, menangis, dan meraung; dan banyak di kalangan mereka yang memakai kain guni dan berbaring di atas abu. Apabila dayang-dayang dan sida-sida yang melayani Ester memberitahu Ester apa yang sedang dilakukan Mordekhai, Ester sangat gelisah. Dia mengirim pakaian kepada Mordekhai supaya dia tidak memakai kain guni, tetapi Mordekhai tidak mahu menerimanya. Kemudian Ester memanggil Hatah, salah seorang sida-sida di istana yang ditugaskan raja untuk melayani Ester. Ester menyuruh Hatah bertanya kepada Mordekhai apa yang sedang berlaku dan mengapa dia bertindak begitu. Hatah pergi kepada Mordekhai di lapangan kota, di hadapan pintu gerbang istana. Mordekhai memberitahu dia segala yang dialaminya, dan berapa banyak wang perak yang dijanjikan oleh Haman untuk dimasukkan ke dalam perbendaharaan diraja, setelah semua orang Yahudi dibunuh. Dia memberi Hatah salinan surat raja yang sudah diisytiharkan di Susan, yang mengandungi perintah untuk membinasakan semua orang Yahudi. Mordekhai menyuruh Hatah membawa surat itu kepada Ester dan menjelaskan perkara itu kepadanya. Mordekhai juga meminta supaya Ester menghadap raja dan memohon belas kasihan bagi bangsanya. Kemudian Hatah pergi kepada Ester dan menyampaikan pesan Mordekhai kepadanya. Tetapi Ester mengutus Hatah kembali kepada Mordekhai dengan pesan berikut, “Sesiapa sahaja, lelaki atau perempuan, akan dihukum mati, jika dia masuk menghadap raja di istana, di halaman bahagian dalam, tanpa dipanggil oleh raja sendiri. Itulah undang-undang, dan semua orang, baik penasihat raja mahupun rakyat jelata, mengetahui hal itu. Ada satu jalan saja untuk lepas daripada undang-undang itu, iaitu apabila raja menghulurkan tongkat emasnya kepada orang yang datang menghadap. Tetapi sudah satu bulan raja tidak memanggil saya.” Selepas Mordekhai menerima pesan Ester itu, dia mengirim amaran berikut kepada Ester, “Jangan sangka bahawa kamu lebih selamat daripada orang Yahudi yang lain hanya kerana kamu tinggal di istana. Jika kamu berdiam diri dalam keadaan seperti ini, orang Yahudi pasti akan mendapat pertolongan dari syurga, tetapi kamu sendiri akan mati dan keluarga bapamu akan berakhir. Siapa tahu, mungkin justeru untuk saat-saat seperti inilah kamu sudah dipilih menjadi permaisuri!” Kemudian Ester mengirimkan pesan berikut kepada Mordekhai, “Suruhlah semua orang Yahudi di Susan berkumpul. Suruhlah mereka berpuasa dan berdoa bagi saya. Jangan makan atau minum apa-apa pun selama tiga hari dan tiga malam. Saya sendiri dan dayang-dayang saya pun akan berbuat demikian. Setelah itu saya akan menghadap raja, walaupun perbuatan itu melanggar undang-undang. Jika saya harus mati kerana hal itu, biarlah saya mati!” Kemudian Mordekhai pergi dari situ dan melakukan semua yang dipesankan oleh Ester. Pada hari ketiga puasanya, Ester memakai pakaian permaisuri, lalu pergi ke halaman bahagian dalam di istana dan berdiri di hadapan pintu balairung. Raja sedang duduk di atas takhta yang menghadap pintu itu. Apabila raja nampak Permaisuri Ester berdiri di luar, raja berasa sayang kepadanya, lalu menghulurkan tongkat emas kepadanya. Oleh itu Ester maju lalu menyentuh hujung tongkat itu. Kemudian raja bertanya, “Apa hajat adinda, Permaisuri Ester? Katakanlah! Beta akan memberikannya meskipun setengah daripada kerajaan beta.” Ester menjawab, “Jika tuanku berkenan, hamba ingin menjemput tuanku dan Haman ke jamuan makan yang hamba adakan untuk tuanku pada malam ini.” Oleh itu raja memerintah Haman menghadap dengan segera supaya mereka dapat memenuhi jemputan Ester. Raja dan Haman menghadiri jamuan makan yang diberikan oleh Ester. Ketika mereka minum wain, raja bertanya kepada Ester, “Sekarang katakanlah keinginanmu, dan beta akan mengabulkannya. Apa pun permintaan adinda akan beta berikan, walaupun setengah daripada kerajaan beta!” Ester menjawab, “Jika tuanku berkenan untuk mengabulkan permintaan hamba, hamba ingin menjemput tuanku dan Haman sekali lagi ke jamuan makan yang hamba adakan esok. Nanti pada waktu itu hamba akan mengajukan permohonan hamba kepada tuanku.” Ketika Haman pulang dari jamuan itu, hatinya riang gembira. Tetapi apabila Haman nampak Mordekhai di pintu gerbang istana, dan Mordekhai tidak berdiri atau menunjukkan tanda penghormatan semasa dia lalu, Haman naik berang. Tetapi Haman menahan diri dan terus pulang ke rumahnya. Dia menjemput sahabat-sahabatnya ke rumahnya dan memanggil isterinya Zeres duduk bersama-sama mereka. Haman membanggakan diri di hadapan mereka - betapa kayanya dia, betapa banyaknya anak lelakinya, betapa pentingnya kedudukan yang diterimanya daripada raja, dan tingginya pangkatnya daripada pegawai lain. “Tambahan pula,” Haman meneruskan lagi, “Permaisuri Ester hanya menjemput raja dan aku sendiri ke jamuan yang diberikannya, dan esok kami dijemput lagi untuk menghadiri jamuan. Tetapi semuanya itu tidak bermakna bagiku selagi aku melihat Mordekhai orang Yahudi itu duduk di pintu gerbang istana.” Setelah mendengar hal itu, isterinya dan semua sahabatnya berkata, “Dirikanlah sebuah tiang penggantungan setinggi 22 meter, dan pagi-pagi esok mintalah supaya raja menjatuhkan hukuman gantung kepada Mordekhai. Kemudian kamu dapat menghadiri jamuan itu dengan hati yang lega.” Haman berpendapat bahawa cadangan itu baik. Oleh itu dia menyuruh orang membina tiang penggantungan itu. Pada malam itu juga raja tidak dapat beradu. Oleh itu, raja minta supaya catatan rasmi kerajaan diambil dan raja menyuruh orang membacakannya. Bahagian yang dibaca termasuk catatan bahawa Mordekhai sudah melaporkan komplot pembunuhan raja, yang dirancang oleh Bigtan dan Teres, dua orang sida-sida yang menjaga bilik-bilik raja. Raja bertanya, “Sudahkah kita menghormati serta membalas jasa Mordekhai itu?” Para pelayan raja menjawab, “Belum tuanku. Dia tidak menerima apa-apa!” Kemudian raja bertanya, “Siapakah di kalangan pegawai beta yang berada di istana sekarang ini?” Kebetulan Haman baru sahaja masuk ke halaman istana. Dia datang untuk minta izin kepada raja untuk menggantung Mordekhai pada tiang penggantungan yang sudah didirikan. Oleh itu para pelayan raja berkata, “Haman ada di sini, tuanku. Dia ingin menghadap tuanku.” “Suruhlah dia masuk,” titah raja. Haman datang menghadap, dan raja berkata kepadanya, “Ada seorang yang hendak beta berikan penghormatan. Apakah yang harus beta buat baginya?” Haman berfikir, “Tentu akulah yang akan diberikan penghormatan oleh raja. Tidak mungkin ada sesiapa lagi.” [7-8] Oleh itu, dia berkata kepada raja, “Tuanku, perintahkanlah agar pakaian kebesaran tuanku sendiri dipakaikan pada orang itu. Kuda tuanku harus dihias dengan lambang-lambang diraja. *** Kemudian perintahlah agar seorang pembesar negara daripada golongan bangsawan mengenakan pakaian itu pada orang itu, dan mengarak orang itu dengan menunggang kuda tuanku melalui lapangan kota. Hendaklah pembesar itu berjalan di hadapannya sambil berseru, ‘Lihat, demikianlah raja memberikan penghargaan kepada orang yang dihormatinya!’ ” Selepas itu raja berkata kepada Haman, “Cepatlah! Ambillah pakaian dan kuda beta, dan berikanlah segala kehormatan itu kepada Mordekhai orang Yahudi itu. Lakukanlah baginya segala yang sudah kamu cadangkan itu, tanpa mengurangkan satu pun. Dia sedang duduk di hadapan pintu gerbang istana.” Oleh itu Haman mengambil pakaian dan kuda raja, dan mengenakan pakaian itu pada Mordekhai. Mordekhai menunggangi kuda itu dan Haman mengaraknya melalui lapangan kota. Sambil berjalan, Haman mengisytiharkan, “Lihat, demikianlah raja memberikan penghargaan kepada orang yang dihormatinya!” Kemudian Mordekhai duduk semula di pintu gerbang istana. Tetapi Haman tergesa-gesa pulang ke rumah sambil menutup mukanya kerana berasa sangat malu. Haman memberitahu isterinya dan semua sahabatnya apa yang sudah terjadi. Isteri dan sahabat-sahabatnya yang bijaksana itu berkata kepadanya, “Engkau mula dikalahkan oleh Mordekhai. Dia orang Yahudi, dan engkau tidak akan dapat melawan dia. Dia pasti akan mengalahkan engkau.” Sementara mereka masih bercakap-cakap, sida-sida dari istana datang dengan tergesa-gesa untuk membawa Haman ke jamuan makan yang diberikan oleh Ester. Kemudian raja dan Haman pergi makan bersama dengan Ester untuk kali kedua. Sambil mereka minum wain, raja bertanya lagi, “Hai Permaisuri Ester, apakah keinginan adinda? Katakanlah, dan beta akan memberikannya kepada adinda, walaupun setengah daripada kerajaan beta.” Permaisuri Ester menjawab, “Jika tuanku berkenan mengabulkan keinginan hamba, hamba mohon supaya hamba dan bangsa hamba boleh hidup, kerana hamba dan bangsa hamba sudah dijual untuk dibunuh. Jika hamba dan bangsa hamba hanya dijual untuk dijadikan abdi, hamba akan berdiam diri dan tidak mahu mengganggu tuanku. Tetapi kami akan dibinasakan dan dihapuskan dari muka bumi ini!” Raja Ahasyweros bertanya kepada Permaisuri Ester, “Siapakah yang berani melakukan perkara itu? Di manakah orang itu?” Ester menjawab, “Musuh dan penganiaya kami ialah Haman, orang yang jahat ini!” Haman memandang raja dan permaisuri dengan sangat ketakutan. Raja sangat murka, lalu berdiri dan meninggalkan meja; raja terus ke luar, ke taman istana. Haman sedar bahawa raja sudah bertekad untuk menghukum dia kerana perbuatannya. Oleh itu, Haman tetap tinggal di situ bersama dengan Permaisuri Ester untuk memohon supaya diselamatkan. Dengan putus asa Haman merebahkan diri ke atas tempat duduk Ester untuk memohon belas kasihan. Tetapi tepat pada saat itu juga raja kembali dari taman istana. Apabila raja melihat Haman begitu, raja bertitah, “Apa? Orang ini masih juga berani memperkosa permaisuri di sini, di hadapan beta dan di dalam istana beta sendiri!” Sebaik sahaja raja berkata demikian, beberapa orang sida-sida menyelubungi kepala Haman. Seorang antara mereka yang bernama Harbona berkata, “Haman sudah membina tiang penggantungan dekat rumahnya untuk menggantung Mordekhai yang sudah menyelamatkan tuanku. Tiang itu setinggi 22 meter.” Raja bertitah, “Gantunglah Haman pada tiang itu!” Demikianlah Haman digantung pada tiang penggantungan yang dibinanya untuk Mordekhai. Selepas itu barulah kemurkaan raja reda. Pada hari itu juga, Raja Ahasyweros memberi Permaisuri Ester semua harta Haman, musuh orang Yahudi. Ester memberitahu raja bahawa Mordekhai ialah sepupunya. Sejak itu Mordekhai diberikan hak untuk menghadap raja tanpa dipanggil lebih dahulu. Raja menanggalkan cincin meterai yang baru diambilnya semula daripada Haman, lalu memberikannya kepada Mordekhai. Ester pula melantik Mordekhai menjadi penguasa harta benda Haman. Selepas itu Ester menghadap raja lagi sambil bersujud dan menangis. Dia memohon agar raja menghentikan komplot yang dirancang oleh Haman, keturunan Agag, terhadap orang Yahudi. Raja menghulurkan tongkat emasnya kepada Ester, lalu bangkitlah Ester dan berkata, “Jika tuanku berkenan, dan jika tuanku menyayangi hamba, hendaknya tuanku mengeluarkan surat perintah untuk membatalkan surat perintah Haman anak Hamedata keturunan Agag, yang mengandungi perintah untuk membinasakan semua orang Yahudi di seluruh kerajaan. Bagaimana mungkin hamba sanggup melihat bencana yang berlaku terhadap bangsa hamba, dan melihat sanak saudara hamba dibunuh?” Raja Ahasyweros bertitah kepada Permaisuri Ester dan Mordekhai, orang Yahudi itu, “Beta sudah menjatuhkan hukuman gantung kepada Haman kerana komplotnya terhadap orang Yahudi, dan beta sudah memberikan semua hartanya kepada Ester. Tetapi beta tidak dapat membatalkan perintah yang sudah dibuat atas nama beta sendiri, dan yang dimeteraikan dengan meterai diraja. Namun beta membenarkan kamu menulis surat kepada orang Yahudi, apa sahaja yang kamu kehendaki. Kamu boleh menulis surat itu atas nama beta dan memeteraikannya dengan meterai diraja.” Perkara itu berlaku pada hari kedua puluh tiga bulan ketiga, iaitu bulan Siwan. Mordekhai memanggil para setiausaha raja dan memerintah mereka menulis surat kepada orang Yahudi, para gabenor, pegawai pentadbir, dan pembesar di seluruh 127 buah wilayah kerajaan itu, dari India sampai ke Etiopia. Surat-surat itu ditulis kepada tiap-tiap wilayah dalam bahasa dan tulisan masing-masing. Dia juga mengirim surat kepada orang Yahudi dalam bahasa dan tulisan Yahudi. Surat-surat itu ditulis atas nama Raja Ahasyweros dan dimeterai dengan cincin meterai diraja. Lalu Mordekhai menyuruh para utusan menghantar surat-surat itu ke seluruh wilayah kerajaan dengan menunggang kuda pantas kepunyaan raja. Surat-surat itu membenarkan orang Yahudi di tiap-tiap kota untuk membela diri. Jika mereka, isteri dan anak mereka diserang di wilayah mana-mana pun oleh orang bersenjata daripada bangsa apa pun, mereka dibenarkan melawan dan membinasakan musuh itu. Mereka dibenarkan membunuh musuh sampai habis serta merampas harta musuh itu. Titah itu dikuatkuasakan di seluruh Kerajaan Persia pada hari yang telah ditentukan bagi pembunuhan orang Yahudi, iaitu pada hari ketiga belas bulan kedua belas, iaitu bulan Adar. Surat perintah itu harus dikuatkuasakan sebagai undang-undang, dan diisytiharkan kepada semua orang di tiap-tiap wilayah, supaya bangsa Yahudi bersiap sedia melawan musuh apabila hari itu tiba. Kemudian atas perintah raja, para utusan itu berangkat dengan menunggang kuda kepunyaan raja dan pergi dengan secepat-cepatnya. Perintah itu diisytiharkan juga di Susan, ibu kota kerajaan. Selepas itu Mordekhai meninggalkan istana, sambil memakai pakaian kebesaran berwarna biru dan putih, jubah ungu daripada kain linen yang halus, dan mahkota emas yang cantik sekali. Orang di jalan-jalan raya kota Susan bersorak-sorai kerana bersukacita. Orang Yahudi berasa lega dan gembira, bahagia dan bangga. Di tiap-tiap kota dan wilayah, di mana sahaja titah raja itu dibacakan, orang Yahudi bersukacita, bergembira, dan berpesta. Bahkan banyak orang menjadi warga bangsa Yahudi kerana mereka takut terhadap bangsa itu. Kemudian tibalah hari ketiga belas bulan Adar, iaitu hari yang ditetapkan bagi pelaksanaan titah diraja itu. Itulah hari yang dinanti-nantikan oleh musuh orang Yahudi untuk menguasai bangsa itu. Tetapi sebaliknya, orang Yahudi pula yang mengalahkan mereka. Di kawasan orang Yahudi di tiap-tiap kota, orang Yahudi berkumpul dan menyerang siapa sahaja yang cuba mencederakan mereka. Bangsa-bangsa di mana sahaja takut kepada mereka sehingga tidak seorang pun berani menentang mereka. Bahkan semua pembesar wilayah - gabenor, pentadbir, dan wakil diraja - menyokong orang Yahudi kerana mereka takut kepada Mordekhai. Di seluruh kerajaan itu, orang tahu bahawa Mordekhai seorang yang berkuasa di istana, dan bahawa kuasanya semakin bertambah. Oleh itu, orang Yahudi dapat berbuat apa sahaja terhadap musuh mereka. Orang Yahudi menyerang dengan pedang serta membunuh mereka. Di Susan sahaja, di ibu kota itu, orang Yahudi membunuh sebanyak 500 orang. [7-10] Di kalangan orang yang dibunuh adalah sepuluh orang anak lelaki Haman anak Hamedata, musuh orang Yahudi itu. Mereka ialah Parsandata, Dalfon, Aspata, Porata, Adalya, Aridata, Parmasta, Arisai, Aridai, dan Waizata. Walaupun demikian, orang Yahudi tidak merampas harta orang. *** *** *** Pada hari itu juga, bilangan orang yang dibunuh di Susan dilaporkan kepada raja. Raja memberitahu Permaisuri Ester, “Di Susan sahaja orang Yahudi sudah membunuh 500 orang, termasuk sepuluh orang anak lelaki Haman. Betapa dahsyat lagi pembunuhan yang mungkin berlaku di wilayah-wilayah! Sekarang apa lagi keinginan adinda? Katakanlah, beta akan memberikannya kepada adinda.” Ester berkata, “Jika tuanku berkenan, benarkanlah orang Yahudi di Susan melakukan lagi pada hari esok apa yang dilakukan mereka hari ini. Hendaklah mayat anak-anak lelaki Haman itu digantung pada tiang penggantungan.” Raja memberikan perintah untuk melaksanakan permintaan Ester. Surat perintah dikeluarkan di Susan dan mayat kesemua anak lelaki Haman digantung. Pada hari keempat belas bulan Adar, orang Yahudi di Susan berkumpul semula dan membunuh sebanyak 300 orang lagi di kota itu. Kali ini juga mereka tidak merampas harta orang. Orang Yahudi di wilayah-wilayah juga berkumpul dan membela diri. Mereka mengalahkan musuh dan membunuh seramai 75,000 orang yang membenci mereka, tetapi mereka tidak merampas harta orang. Peristiwa itu berlaku pada hari ketiga belas bulan Adar. Keesokan harinya, pada hari keempat belas, tidak ada lagi pembunuhan. Mereka merayakan hari itu dengan berpesta. Tetapi orang Yahudi di Susan mengadakan perayaan pada hari kelima belas, kerana pada hari ketiga belas dan keempat belas mereka membunuh musuh, dan pada hari kelima belas barulah mereka berhenti membunuh musuh. Itulah sebabnya orang Yahudi yang tinggal di kota-kota kecil merayakan hari keempat belas bulan Adar dengan berpesta. Pada hari itu mereka saling memberikan hadiah berupa makanan. Selepas itu Mordekhai mencatatkan kejadian itu. Dia mengirim surat kepada semua orang Yahudi, baik yang dekat mahupun yang jauh, di seluruh Kerajaan Persia. Dia menyuruh mereka merayakan hari keempat belas dan hari kelima belas bulan Adar pada tiap-tiap tahun. Hal itu demikian kerana pada hari itulah mereka telah mengalahkan musuh, sehingga kesedihan dan kepedihan mereka berubah menjadi kegembiraan dan kebahagiaan. Oleh itu, mereka harus merayakan hari-hari itu dengan pesta dan jamuan serta saling memberikan makanan, dan memberikan sedekah kepada orang miskin. Orang Yahudi menurut perintah Mordekhai itu, lalu perayaan itu menjadi perayaan tahunan. Haman anak Hamedata, keturunan Agag dan musuh orang Yahudi, sudah membuang undi yang disebut “purim”, untuk menentukan hari bagi pembunuhan orang Yahudi. Dia sudah bertekad untuk menghapuskan mereka dari muka bumi. Tetapi Ester menghadap raja, dan raja mengeluarkan titah bertulis, sehingga Haman menanggung akibat komplotnya terhadap orang Yahudi. Dia dan anak-anak lelakinya digantung pada tiang penggantungan. Itulah sebabnya perayaan itu dinamakan Purim. Oleh sebab surat Mordekhai dan segala yang sudah dialami orang Yahudi, mereka membuat peraturan bagi mereka dan keturunan mereka, dan siapa sahaja yang menjadi warga bangsa Yahudi diwajibkan untuk merayakan dua hari itu tiap-tiap tahun, seperti yang sudah ditentukan oleh Mordekhai. Mereka membuat satu peraturan, bahawa setiap keluarga Yahudi daripada semua generasi yang akan datang, di semua wilayah dan kota, harus ingat untuk merayakan perayaan Purim selama-lamanya. Di samping itu, bersama dengan surat Mordekhai, Permaisuri Ester anak Abihail menulis surat kedua, yang memperkuat isi surat Mordekhai tentang Purim. Surat itu dikirim kepada semua orang Yahudi, dan salinannya dikirim ke 127 buah wilayah di Kerajaan Persia. Surat itu disertai doa agar bangsa Yahudi selalu sejahtera dan aman. Surat itu menganjurkan supaya mereka dan keturunan mereka merayakan perayaan Purim pada masa yang ditetapkan, sebagaimana mereka memperingati masa puasa dan masa berkabung. Demikianlah yang diperintahkan oleh Mordekhai dan Permaisuri Ester. Perintah Ester yang menetapkan peraturan tentang perayaan Purim itu dicatat di dalam sebuah gulungan naskhah. Raja Ahasyweros mengenakan kerja paksa kepada rakyat di daerah-daerah pantai dan juga di daerah-daerah pedalaman di dalam kerajaan baginda. Semua perbuatannya yang besar dan hebat, termasuk kisah raja melantik Mordekhai sebagai pegawai tinggi, ada tercatat di dalam catatan rasmi raja-raja Persia dan Media. Mordekhai, orang Yahudi itu tetap memegang jawatan tertinggi di bawah Raja Ahasyweros sendiri. Mordekhai dihormati dan disukai oleh orang sebangsanya. Dia berjuang untuk kebaikan dan kesejahteraan bangsanya serta semua keturunan mereka. Di tanah Us, tinggal seorang lelaki yang bernama Ayub. Dia menyembah Allah dan setia kepada-Nya. Dia seorang yang baik budi, yang selalu berhati-hati agar tidak melakukan perbuatan jahat. Dia mempunyai tujuh orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan, serta memiliki sebanyak 7,000 ekor domba, 3,000 ekor unta, 1,000 ekor lembu, dan 500 ekor keldai. Dia juga mempunyai banyak hamba, dan dialah orang yang paling kaya antara penduduk di daerah Timur. Anak-anak lelaki Ayub biasanya mengadakan jamuan di rumah masing-masing secara bergilir. Mereka juga sentiasa mengundang ketiga-tiga orang saudara perempuan mereka ke jamuan itu. Selepas setiap jamuan, pada esok paginya, Ayub akan bangun pagi-pagi dan mempersembahkan korban bagi setiap anaknya untuk menyucikan mereka. Dia sentiasa berbuat demikian kerana pada fikirannya, mungkin salah seorang anaknya telah berdosa dan menghina Allah dengan tidak sengaja. Pada suatu hari makhluk-makhluk syurga menghadap TUHAN, dan Si Penggoda juga hadir bersama-sama mereka. TUHAN bertanya kepada Si Penggoda, “Dari mana engkau?” Si Penggoda menjawab, “Aku telah mengembara ke sana sini dan menjelajahi seluruh bumi.” TUHAN berfirman, “Adakah engkau perhatikan Ayub, orang yang mengabdi kepada-Ku? Di seluruh bumi tiada orang yang begitu setia dan baik seperti dia. Dia beribadat kepada-Ku dan sungguh berhati-hati supaya tidak berbuat jahat.” Tetapi Si Penggoda menjawab, “Mahukah Ayub beribadat kepada-Mu jika dia tidak mendapat apa-apa ganjaran? Engkau selalu melindungi dia serta keluarganya dan segala miliknya. Engkau menjayakan segala usahanya, dan Engkau memberi dia banyak ternakan sehingga memenuhi seluruh negeri. Tetapi, seandainya Engkau mengambil segala miliknya, tentu dia akan mengutuk Engkau secara terang-terang.” Maka TUHAN berfirman kepada Si Penggoda, “Baiklah, lakukan apa saja dengan segala miliknya, asal engkau tidak membinasakan Ayub.” Lalu Si Penggoda pergi dari hadapan TUHAN. Pada suatu hari, anak-anak Ayub mengadakan jamuan di rumah abang mereka yang sulung. Tiba-tiba seorang utusan datang berlari-lari ke rumah Ayub. Katanya, “Kami sedang membajak ladang dengan lembu, dan keldai-keldai sedang merumput di padang yang berdekatan. Tiba-tiba orang Syeba datang menyerang kami dan merampas semua binatang dan membunuh semua hamba tuan. Hanya hamba seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.” Sebelum dia habis bercakap, datang pula hamba yang lain dan berkata, “Domba-domba serta para gembala telah disambar petir sehingga terbunuh semuanya. Hanya hamba seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.” Sebelum dia habis bercakap, datang pula hamba yang lain dan berkata, “Tiga pasukan orang Kasdim telah menyerang kami. Mereka merampas unta-unta, dan membunuh semua hamba tuan. Hanya hamba seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.” Sebelum dia habis bercakap, datang pula hamba yang lain dan berkata, “Anak-anak tuan sedang mengadakan jamuan di rumah anak lelaki sulung tuan. Tiba-tiba angin ribut yang kuat bertiup dari gurun, lalu merobohkan rumah itu dan membunuh semua anak tuan. Hanya hamba seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.” Kemudian Ayub berdiri dan mengoyakkan pakaiannya kerana kesedihan. Dia mencukur rambutnya dan bersujud. Dia berkata, “Aku dilahirkan tanpa apa-apa, dan aku akan mati tanpa apa-apa juga. TUHAN yang memberikan dan sekarang TUHAN pula yang mengambil semula. Terpujilah nama-Nya!” Sungguhpun segala peristiwa itu telah berlaku, Ayub tidak berdosa dan tidak menyalahkan Allah. Makhluk-makhluk syurga menghadap TUHAN lagi, dan Si Penggoda pun hadir bersama-sama mereka. TUHAN bertanya kepada Si Penggoda, “Dari mana engkau?” Si Penggoda menjawab, “Aku telah mengembara ke sana sini dan menjelajahi seluruh bumi.” TUHAN berfirman, “Adakah engkau perhatikan Ayub, orang yang mengabdi kepada-Ku? Di seluruh bumi tiada orang yang begitu setia dan baik seperti dia. Dia beribadat kepada-Ku dan sungguh berhati-hati supaya tidak berbuat jahat. Engkau telah memujuk Aku supaya membenarkan engkau mencelakakan dia tanpa alasan, tetapi Ayub masih tetap setia kepada-Ku.” Si Penggoda menjawab, “Manusia rela mengorbankan segala milik mereka supaya dapat terus hidup. Tetapi jika Engkau menyakiti tubuhnya, tentu dia akan mengutuk Engkau secara terang-terang.” Maka TUHAN berfirman kepada Si Penggoda, “Baiklah, lakukan apa saja dengan dia, asalkan engkau tidak membunuh dia.” Kemudian Si Penggoda meninggalkan TUHAN, lalu mendatangkan kudis kepada Ayub dari telapak kaki sampai mercu kepalanya. Ayub pergi duduk di sebelah timbunan sampah sambil mengikis kudisnya dengan sekeping pecahan tembikar. Isterinya berkata kepadanya, “Masihkah engkau tetap setia kepada Allah? Kutuklah Allah, dan matilah!” Ayub menjawab, “Engkau bercakap seperti orang bodoh. Apabila Allah memberikan yang baik, kita menerimanya. Kita juga patut menerima yang tidak baik.” Walaupun Ayub menderita, dia tidak mengucapkan kata-kata yang menentang Allah. Tiga orang sahabat Ayub, iaitu Elifas dari kota Teman, Bildad dari negeri Suah, dan Zofar dari negeri Naamah mendengar tentang penderitaan Ayub. Kemudian mereka memutuskan untuk berkumpul dan pergi menghiburkan Ayub. Ketika mereka masih jauh, mereka nampak Ayub, tetapi tidak mengenali dia. Apabila mereka menyedari bahawa orang itu Ayub, mereka menangis dan meraung. Mereka mengoyakkan pakaian kerana sedih, dan menaburkan debu ke udara dan pada kepala mereka. Kemudian mereka duduk di atas tanah bersama-sama Ayub selama tujuh hari dan tujuh malam tanpa mengeluarkan sepatah kata pun kerana mereka tahu betapa beratnya penderitaan Ayub. Akhirnya, Ayub mulai bercakap dan mengutuk hari kelahirannya dengan mengatakan, [2-3] “Ya Allah, kutuklah hari aku dilahirkan, dan kutuklah malam aku mula dikandung. *** Ya Allah, jadikanlah hari itu gelap, hapuskanlah hari itu dari ingatan-Mu; janganlah Engkau biarkan pula cahaya cerah menyinarinya. Jadikanlah hari itu muram, dan penuh kegelapan; liputilah hari itu dengan awan, dan tudungilah cahaya sang suria. Biarlah malam itu dihapuskan daripada hitungan tahun dan bulan. Biarlah malam itu penuh kegelapan, tiada kemesraan, tiada kegembiraan. Hai tukang sihir, pawang Lewiatan kutuklah hari itu dengan jampi serapah. Jangan biar bintang fajar bersinar; jangan biar sinar fajar memancar. Kutuklah malam itu kerana membiarkan aku dilahirkan, dan menyerahkan aku kepada kesusahan dan kesedihan. Mengapakah aku tidak mati di dalam rahim ibu? Mengapakah aku tidak meninggal pada saat kelahiranku? Mengapakah aku dipeluk ibu dan dipangkunya? Mengapakah aku disusui pada buah dadanya? Jika pada waktu itu aku meninggal dunia, tentu pada saat ini aku dapat berehat, tidur seperti raja dan para pemerintah yang membina semula istana purba. Tentu aku tertidur seperti putera raja yang mengisi rumah mereka dengan perak dan emas. Mengapakah aku tidak lahir mati, menutup mata seperti bayi yang meninggal? Di dalam kubur, penjahat berhenti berbuat jahat, dan pekerja yang lelah melepaskan penat. Banduan pun menikmati kelegaan, bebas daripada perintah kasar dan tengkingan. Orang ternama ataupun tidak, semuanya di sana, dan hamba mendapat kebebasan akhirnya. Mengapakah manusia dibiarkan terus hidup sengsara? Mengapakah orang yang sedih diberikan cahaya? Mereka menanti maut, tetapi maut tidak kunjung tiba; mereka lebih suka akan kubur daripada sebarang harta. Kegembiraan hanya dapat dirasakan apabila mereka mati dan dikebumikan. Allah menyembunyikan masa depan mereka, dan mengepung mereka dari segala arah. Sebagai ganti makan, aku mengeluh, tidak hentinya aku mengaduh. Segala yang aku takuti melanda aku; segala yang aku cemaskan menimpa aku. Aku tidak mendapat ketenteraman, dan kesusahanku tidak berkesudahan.” Kemudian Elifas dari kota Teman berkata, “Ayub, marahkah engkau jika aku bercakap? Aku tidak tahan berdiam diri lagi. Engkau telah mengajar banyak orang, dan engkau menguatkan orang lemah. Kata-katamu yang memberikan semangat, membangunkan orang yang tersandung, lemah dan penat. Kini engkau pula yang susah; engkau tergamam dan putus asa. Bukankah engkau beribadat kepada Allah; bukankah hidupmu tanpa cela? Jika begitu, sepatutnya engkau yakin dan tidak putus asa. Fikirlah, pernahkah orang yang tidak bersalah ditimpa bencana dan celaka? Aku pernah melihat orang membajak ladang kejahatan, dan menabur benih kekejian, lalu menuai celaka dan kesusahan. Seperti ribut, Allah memusnahkan mereka, dengan kemurkaan-Nya mereka binasa. Seperti singa yang garang, orang jahat mengaum dan meraung; tetapi Allah membungkam mereka dan mematahkan gigi mereka. Mereka mati seperti singa yang kekurangan makan, sehingga anak-anak mereka tercerai-cerai tak keruan. Sesuatu pernah sampai kepadaku seperti bisikan di telingaku. Tidurku terganggu dan terusik seperti mendapat mimpi yang buruk. Aku menggeletar dan gementar, seluruh tubuhku menggigil kerana gentar. Aku berasa hembusan angin pada mukaku, maka tegaklah bulu romaku. Sesuatu berdiri di depanku. Aku menatapnya tetapi tidak mengenalnya. Kemudian aku mendengar suara memecahkan kesunyian suasana. ‘Mungkinkah manusia tidak bercela di hadapan Allah? Mungkinkah manusia suci di hadapan Pencipta mereka? Allah tidak mempercayai hamba-hamba-Nya di syurga; Dia bahkan mencari kesalahan malaikat-malaikat-Nya. Adakah engkau berfikir bahawa Dia mempercayai makhluk daripada tanah, makhluk daripada debu yang dapat dihancurkan seperti rama-rama? Manusia itu hidup pada waktu pagi, dan mati tanpa disedari orang sebelum hari berakhir. Segala yang ada pada mereka hilang; mereka mati tanpa beroleh kebijaksanaan.’ Berserulah, Ayub. Adakah sesiapa yang memberikan jawapan? Adakah malaikat yang dapat engkau minta bantuan? Orang bodoh mati kerana sakit hati, orang bebal mati kerana iri hati. Aku pernah nampak orang bodoh yang kelihatan selamat, tetapi dengan serta-merta aku mengutuk tempat tinggal mereka. Anak-anak mereka tidak selamat; tiada orang membela mereka di mahkamah. Orang yang lapar makan hasil tanaman orang bodoh bahkan gandum yang ditengah belukar; dan orang yang haus harta mengidamkan kekayaan orang bodoh. Kejahatan tidak muncul dari tanah, kesusahan tidak timbul dari bumi. Manusia sendirilah yang mendatangkan kesusahan pada diri mereka, seperti bunga api yang berterbangan daripada api. Andaikata aku dalam keadaanmu, kepada Allah aku akan berseru, kepada-Nya aku akan mengadu, dan menyerahkan perkaraku. Kita tidak dapat memahami perbuatan besar Allah, dan mukjizat-Nya tidak terkira. Dia mencurahkan hujan ke tanah dan menyiram ladang hingga basah. Memang Allah yang meninggikan orang hina, dan membahagiakan orang susah. [12-13] Dia menggagalkan rancangan orang licik, dan memerangkap orang cerdik, sehingga mereka terjerat oleh akal mereka dan segala usaha mereka tidak berjaya. *** Pada siang hari mereka ditimpa kegelapan, sehingga meraba-raba seperti pada waktu malam. Tetapi Allah menyelamatkan orang miskin daripada kematian, dan orang susah daripada penindasan. Dia memberikan harapan kepada orang miskin, dan membungkam mulut ketidakadilan. Berbahagialah orang yang ditegur Allah! Janganlah berasa kecil hati jika engkau diajar-Nya. Walaupun Allah menyakitimu, Dia akan mengubatimu; tangan-Nya yang melukakan, tangan-Nya juga yang akan menyembuhkan. Jikalau bahaya mengancam engkau, Dia akan selalu menyelamatkan engkau. Dia akan memelihara engkau pada masa kebuluran, dan melindungi engkau daripada maut pada masa peperangan. Allah akan menyelamatkan engkau daripada dusta dan fitnah; Dia akan menyelamatkan engkau apabila kebinasaan tiba. Apabila keganasan dan kelaparan melanda, engkau akan tabah bahkan tertawa. Engkau tidak takut dan cemas menghadapi binatang buas yang ganas. Ladang yang engkau bajak tidak akan berbatu, dan binatang liar tidak akan menyerang engkau. Engkau akan hidup aman di dalam khemahmu; apabila engkau memeriksa dombamu, semuanya selamat. Engkau akan mempunyai banyak keturunan, sebanyak rumput di padang ternakan. Seperti gandum masak dituai pada musimnya, engkau akan hidup sampai lanjut usia. Ayub, semua itu telah kami kaji dan dapati benar. Oleh itu, terimalah kerana hal itu benar.” Kemudian Ayub menjawab, “Jika kesusahan dan kesedihanku ditimbang beratnya, pasti lebih berat daripada pasir samudera. Perkataanku yang melulu tidak seharusnya memeranjatkan kamu. Allah Yang Maha Kuasa telah memanah aku, dan racunnya merebak ke seluruh tubuhku. Allah menyerang aku seperti pasukan lawan, maka aku sangat ketakutan. Keldai berasa puas apabila makan rumput muda, dan lembu juga diam apabila diberikan makanannya. Tetapi makanan yang tawar tanpa garam, siapa suka? Adakah putih telur mempunyai rasa? Aku tidak berselera untuk makan, dan segala makanan memuakkan. Mengapakah Allah tidak mengabulkan permohonanku? Mengapakah Dia tidak menjawab doaku? Kalaulah Allah berkenan meremukkan aku, kalaulah Dia bertindak dan membunuh aku, aku akan melompat keriangan, walaupun aku sangat kesakitan. Aku tahu bahawa Allah suci adanya; aku tidak pernah membantah perintah-Nya. Apa kekuatanku untuk terus hidup? Mengapa terus hidup jika aku tidak mempunyai harapan? Adakah badanku sekuat batu? Adakah tubuhku daripada gangsa? Aku tiada tenaga lagi untuk menyelamatkan diriku; tiada pertolongan lagi bagiku. Pada waktu kesusahan seperti ini, aku memerlukan sahabat yang sejati, sama ada aku masih setia kepada Allah atau telah meninggalkan Dia. Tetapi kamu, sahabat-sahabatku, tidak dapat dipercayai, seperti anak sungai yang kering apabila hujan tidak kunjung tiba. Kamu seperti sungai yang diam dan beku, yang tertutup dengan salji dan air batu. Apabila musim panas tiba, salji dan air batu hilang tanpa bekas; dan dasar anak sungai menjadi kering dan tandus. Kafilah sesat semasa mencari air; mereka mengembara dan mati di padang pasir. Kafilah dari Syeba dan Tema datang mencari air itu dan mengharapkannya. Tetapi harapan mereka hilang di tepi anak sungai yang kering. Bagiku, kamu seperti anak sungai itu; kamu takut apabila melihat deritaku. Adakah aku minta hadiah daripada kamu, ataupun menyuruh kamu menyuap orang demi kepentinganku? Adakah aku minta diselamatkan daripada musuh yang tidak berbelas kasihan? Baiklah, ajarlah aku dan tunjukkanlah kesalahanku. Aku akan diam dan mendengarkan kamu. Kata-kata yang tulus meyakinkan, tetapi kamu mengatakan yang bukan-bukan. Kamu berfikir bahawa aku bercakap kosong sahaja; jika demikian mengapa kamu menegur aku yang sudah putus asa? Kamu bersedia bertaruh untuk menentukan nasib yatim piatu, dan kamu mencurangi sahabat karib untuk menjadi kaya. Pandanglah mukaku. Aku tidak membohongi kamu. Jangan berlaku tidak adil, insaflah! Jangan cela aku, kerana aku tidak bersalah. Tetapi kamu masih berfikir bahawa aku berdusta, dan tidak dapat membezakan antara benar dan salah. Hidup manusia itu seperti kerja paksa; hidupnya susah seperti hidup buruh kasar, seperti hamba yang merindukan tempat teduh; seperti pekerja yang menantikan upah. Berbulan-bulan kehidupanku hampa; tiap-tiap malam aku berduka. Semasa aku tidur, waktu berjalan sangat perlahan; aku rindu akan subuh dan berkalih tidur sepanjang malam. Tubuhku penuh dengan cacing dan keruping; kulitku luka dan mengeluarkan nanah. Hidupku berlalu tanpa harapan, berlalu lebih laju daripada penenun menjalankan sekoci. Ingatlah, ya Allah, hidupku bagaikan hembusan nafas; kebahagiaanku berakhir tanpa bekas. Engkau melihat aku sekarang, tetapi Engkau tidak akan melihat aku lagi. Jika nanti Engkau mencari aku, aku sudah tiada lagi. [9-10] Seperti awan mendung yang meredup dan hilang, manusia mati dan tidak kembali lagi; semua orang yang mengenal mereka tidak lagi mengingati mereka. *** Tidak! Aku tidak dapat berdiam. Rasa marah dan sakit hati tidak dapat aku pendam. Aku mesti membuka mulutku, dan mencurahkan isi hatiku. Mengapakah Engkau mengawal aku? Adakah aku berbahaya seperti naga laut? Aku berbaring dan cuba berehat untuk melegakan kesakitanku. Tetapi Engkau menakutkan aku dengan mimpi, dan mengerikan aku dengan penglihatan, sehingga aku lebih suka dicekik lalu mati daripada hidup dalam tubuh penuh derita ini. Aku bosan hidup; aku ingin mati. Biarkan aku kerana hidupku tidak bererti lagi. Mengapakah manusia begitu penting bagi-Mu? Mengapakah Engkau memperhatikan mereka selalu? Engkau memeriksa manusia setiap pagi, dan menguji mereka setiap saat. Tidak bolehkah Engkau berpaling daripadaku supaya sempat aku menelan ludahku? Hai Penjagaku, adakah Engkau disakiti oleh dosaku? Mengapa Engkau menggunakan diriku sebagai sasaran-Mu? Adakah aku ini beban besar bagi-Mu? Tidak bolehkah Engkau mengampunkan dosaku? Tidak bolehkah Engkau memaafkan kesalahanku? Tidak lama lagi aku akan terbaring di kubur, dan aku tiada lagi apabila Engkau mencari aku.” Kemudian Bildad dari negeri Suah berkata, “Berapa lama lagi engkau bercakap begitu? Hanya cakap angin kata-katamu itu. Allah tidak pernah memutarbalikkan keadilan; Dia tidak pernah gagal melakukan hal yang benar. Anak-anakmu tentu telah berdosa terhadap Allah, maka patutlah mereka dihukum oleh-Nya. Tetapi kini kembalilah kepada Allah, dan merayulah kepada Yang Maha Kuasa. Jika engkau sungguh tulus dan jujur, Allah akan datang dan menolong engkau serta memulihkan rumah tanggamu sebagai ganjaranmu. Segala kekayaanmu yang hilang itu tidak bererti, jika dibandingkan dengan apa yang engkau dapat nanti. Renunglah kebijaksanaan zaman purba; fikirkanlah pengalaman nenek moyang kita. Hidup kita singkat sekali dan kita tidak tahu apa-apa; kita berlalu seperti bayang-bayang di dunia. Tetapi hendaklah engkau diajar orang bijak zaman purba; dengarlah kata-kata mereka, ‘Gelagah tumbuh di tempat berair sahaja, dan mensiang hanya didapati di tanah paya. Jika air mengering, layulah gelagah, lebih cepat daripada tumbuhan lain. Padahal, gelagah itu masih terlalu muda untuk dipotong dan digunakan. Begitulah orang yang tidak mengenal Allah; harapan mereka hilang apabila mereka lupa akan Allah. Mereka berharap kepada benang yang halus, mereka percaya kepada sarang labah-labah. Kuatkah sarang itu jika dijadikan sandaran? Tahankah benang jika dijadikan pegangan?’ Orang jahat tumbuh seperti rumpai di bawah matahari, seperti rumpai yang berselerak di seluruh taman. Akarnya melilit batu, dan mencengkam setiap batu itu. Tetapi setelah rumpai dicabut tiada orang tahu bahawa rumpai pernah di situ. Memang, itu sahaja keriangan bagi orang jahat; kini orang lain yang mengambil tempat mereka. Tetapi Allah tidak pernah meninggalkan orang yang setia, Dia tidak pernah menolong orang yang durjana. Dia akan membiarkan engkau tertawa dan bersorak-sorak dengan gembira, tetapi orang yang membenci engkau akan dipermalukan, dan tempat kediaman orang jahat akan dimusnahkan.” Kemudian Ayub menjawab, “Ya, aku telah mendengar semuanya dahulu. Tetapi bagaimanakah manusia boleh menang dalam perkaranya terhadap Allah? Bagaimanakah orang boleh berbantah dengan Dia? Seribu soalan boleh diajukan oleh Allah, tetapi satu pun tidak dapat dijawab oleh sesiapa. Allah amat bijak dan berkuasa sehingga tiada seorang pun dapat menentang Dia. Dia memindahkan gunung dengan tiba-tiba, dan memusnahkannya ketika murka. Allah menggempakan bumi dan menggegarkan tanah; Dia menggoyangkan tiang penyangga dunia. Allah dapat melarang matahari terbit, dan melarang bintang-bintang bersinar pada waktu malam. Tiada sesiapa yang menolong Allah membentangkan langit, ataupun memijak belakang naga laut. Allah menempatkan bintang-bintang di langit; Biduk, Orion, Kartika, dan bintang-bintang selatan. Kita tidak dapat memahami perbuatan besar Allah, dan mukjizat-Nya tidak terkira. Allah lalu di depanku, tetapi aku tidak nampak Dia. Dia lalu di sampingku, tetapi bagiku tidak nyata. Dia mengambil apa yang dikehendaki-Nya, dan tiada sesiapa pun dapat menahan Dia; tiada sesiapa berani bertanya kepada-Nya, “Engkau sedang buat apa?” Allah tidak menahan kemurkaan-Nya. Dia menghancurkan musuh-Nya, mereka yang menolong Rahab menentang Allah. Oleh itu, bagaimanakah aku dapat membantah Allah, dan mencari perkataan untuk menjawab Dia? Sungguhpun aku tidak bersalah, apa dayaku kecuali mohon belas kasihan daripada Allah, pengadilku? Jika Dia mengizinkan aku bercakap, aku tidak percaya Dia akan mendengar aku. Dia meremukkan aku dengan ribut taufan, dan menambah lukaku tanpa alasan. Dia tidak membenarkan aku menarik nafas; Dia memenuhi hidupku dengan kepahitan. Haruskah aku mengadu tenaga dengan Dia? Lihatlah, betapa hebatnya kekuatan-Nya. Dapatkah aku membawa Dia ke mahkamah? Siapakah yang dapat membuat Dia pergi? Aku setia dan tidak bersalah, tetapi kata-kataku kedengarannya salah, setiap kata yang keluar dari mulutku seolah-olah menyalahkan diriku. [21-22] Aku tidak bersalah, tetapi sekarang aku tidak peduli. Aku bosan hidup. Tidak ada yang penting lagi. Sama ada kita benar atau salah, Allah akan membinasakan kita. *** Apabila orang yang tidak bersalah, mati dengan tiba-tiba, Allah ketawa sahaja. Allah telah memberikan dunia ini kepada orang durjana, dan menjadikan semua hakim buta. Allah yang melakukan semua ini. Kalau bukan Dia, siapa lagi? Hari-hariku berlalu dengan cepat sekali, tetapi tiada satu hari pun yang menyenangkan hati. Seperti perahu laju, hidupku berlalu, secepat helang menyambar mangsanya. [27-28] Jika aku tersenyum dan cuba melupakan derita, segala dukaku kembali memburu aku; aku tahu bahawa Allah menyalahkan aku. *** Allah telah menyalahkan aku, peduli apa aku? Tiada sabun yang dapat menghilangkan dosaku. Allah melemparkan aku ke dalam kotoran, hingga pakaianku pun menganggap aku menjijikkan. Sekiranya Allah itu manusia, aku akan dapat menjawab Dia; kami akan pergi ke tempat pengadilan untuk membicarakan pertengkaran. Tetapi tiada sesiapa yang dapat menjadi pengantara yang dapat mengadili kami berdua. Ya Allah, berhentilah menghukum aku, berhentilah menakutkan aku. Aku tidak takut kepada-Nya dan akan bercakap kini, kerana aku kenal akan hatiku sendiri. Aku sudah bosan dengan hidupku. Aku akan meluahkan kepahitan jiwaku. Ya Allah, janganlah salahkan aku. Beritahulah aku tuduhan-Mu terhadapku. Adilkah Engkau bersikap sekejam ini, menghina ciptaan-Mu sendiri, dan memperkenankan rancangan orang keji? Adakah pandangan-Mu seperti pandangan manusia? Adakah hidup-Mu sesingkat hidup manusia? Jika tidak, mengapakah Engkau mencari segala dosaku, dan mengejar setiap kesalahanku? Engkau tahu bahawa aku tidak bersalah, dan tiada sesiapa dapat menyelamatkan aku daripada-Mu. Tangan-Mu telah mencipta dan membentuk aku, dan kini tangan itu juga yang membinasakan aku. Ingatlah, Engkau mencipta aku daripada tanah liat; mahukah Engkau menghancurkan aku sehingga menjadi debu semula? Engkau memberi bapaku tenaga untuk menjadikan aku; Engkau membesarkan aku di dalam rahim ibuku. Engkau membentuk badanku dengan tulang dan urat, Engkau meliputi tulang-tulangku dengan otot dan kulit. Engkau memberi aku nyawa dan Engkau mengasihi aku, dan penjagaan-Mu telah memelihara nyawaku. Tetapi kini aku tahu bahawa selama itu Engkau berniat jahat terhadapku. Engkau mengawasi aku supaya jika aku berdosa, Engkau tidak akan mengampuni aku. Jika aku berdosa, malanglah aku ini, tetapi jika aku berbuat benar, aku tidak dipuji. Aku menderita dan dihina sama sekali. Jika aku mendapat sedikit kejayaan, Engkau memburu aku seperti singa; bahkan Engkau menggunakan mukjizat untuk menyakiti aku. Engkau selalu mempunyai saksi yang menentang aku; kemurkaan-Mu terhadapku semakin marak; Engkau selalu merancang serangan baru. Ya Allah, mengapakah Engkau membiarkan aku lahir ke dunia? Sepatutnya aku mati sebelum dilihat manusia. Maka seolah-olah aku tidak dilahirkan, kerana dari rahim langsung dikuburkan. Bukankah hidupku hampir berakhir? Jangan ganggu aku lagi! Biarkan aku menikmati masaku yang sisa ini. Tidak lama lagi aku akan pergi dan tidak akan kembali, pergi ke tempat yang gelap dan kelam; yang penuh kegelapan, bayangan, dan kekacauan; di sana yang terang pun merupakan kegelapan.” Kemudian Zofar dari negeri Naamah berkata, “Tiadakah sesiapa mahu menjawab segala cakap kosong itu? Dapatkah orang dibenarkan dengan cakap yang banyak itu? Ayub, adakah engkau berfikir bahawa kami tidak dapat menjawabmu, dan bahawa kami bungkam kerana ejekanmu? Engkau berpendapat bahawa kata-katamu tidak salah, dan bahawa engkau suci di hadapan Allah. Aku sangat berharap agar Allah menjawab engkau! Dia akan memberitahu engkau bahawa hikmat itu banyak seginya; ada perkara yang terlalu dalam bagi manusia. Allah menghukum engkau lebih ringan daripada yang sepatutnya. Dapatkah engkau memahami hal-hal yang dalam tentang Allah? Dapatkah engkau menyelami batas keagungan Yang Maha Kuasa? Keagungan Allah lebih tinggi daripada angkasa, dan engkau tidak dapat mencapainya. Keagungan-Nya lebih dalam daripada dunia orang mati, dan engkau tidak dapat memahaminya. Keagungan Allah lebih luas daripada bumi, lebih lebar daripada samudera. Jika Allah menangkap dan mengadili engkau, siapakah yang akan menghalangi-Nya? Allah tahu manusia yang mana tidak berguna; Dia nampak semua perbuatan jahat mereka. Orang bodoh akan mula menjadi bijak, apabila keldai liar dilahirkan jinak. Ayub, bersihkanlah hatimu, bertaubatlah. Angkatlah tangan dan berdoalah kepada Allah. Berhentilah berbuat dosa, dan jauhkanlah kejahatan daripada rumah tanggamu. Kemudian hadapilah hidup dengan hati nurani yang bersih; engkau akan tabah dan teguh hati. Maka kesusahanmu tidak lagi engkau kenang, seperti banjir yang sudah surut dan dilupakan orang. Kehidupanmu akan menjadi lebih terang daripada sinar matahari waktu siang, dan saat-saat gelap dalam hidupmu akan bersinar seperti pada waktu subuh. Engkau akan hidup dengan selamat dan penuh harapan; Allah akan melindungi engkau sehingga engkau berehat dengan aman. Engkau tidak akan takut terhadap musuh; banyak orang akan minta tolong kepadamu. Tetapi orang jahat akan melihat di sekeliling dan berasa bingung; mereka tidak menemui jalan keluar. Satu-satunya harapan mereka adalah menghembus nafas terakhir.” Kemudian Ayub menjawab, “Memang, kamu suara orang ramai. Apabila kamu mati, hikmat juga akan mati. Tetapi aku juga mempunyai akal seperti kamu, dan aku tidak lebih rendah daripada kamu; semua orang tahu segala yang kamu katakan itu. Bahkan sahabat-sahabatku pun mentertawakan aku, mereka tertawa, walaupun aku benar dan tidak bersalah; tetapi pada suatu masa dahulu Allah pernah mengabulkan doaku. Kamu tidak mempunyai kesusahan, namun kamu menghina aku; kamu memukul orang yang hampir jatuh. Pencuri dan orang jahat hidup tanpa ancaman, walaupun kekuatan mereka sendiri menjadi dewa mereka. Bertanyalah kepada unggas dan binatang lain, maka kamu akan diberikan pengajaran. Mintalah keterangan daripada makhluk darat dan lautan, maka kamu akan menerima penjelasan. Kesemuanya tahu bahawa Allah telah mencipta mereka. Allah berkuasa atas kehidupan setiap makhluk-Nya; nyawa setiap manusia dalam tangan Allah. Orang tahu makanan yang sedap ketika merasanya, dan kata-kata yang bijak apabila mendengarnya. [12-13] Hikmat ada pada orang tua, tetapi hikmat dan kuasa ada pada Allah sahaja. Pengertian ada pada orang tua, tetapi pengertian dan kuasa untuk bertindak ada pada Allah sahaja. *** Apa yang dirobohkan Allah tidak dapat dibina semula; orang yang dipenjarakan Allah tidak dapat dibebaskan semula. Apabila Allah menahan hujan, kemarau tiba; apabila Dia melepaskan air, banjir melanda. Allah kuat dan sentiasa berjaya; penipu dan orang yang tertipu ada dalam kekuasaan-Nya. Dia mencabut kebijaksanaan pemerintah, dan menyebabkan pemimpin menjadi bahan ketawa. Dia menggulingkan raja-raja dan menawan mereka; Dia merendahkan imam-imam dan orang berkuasa. Dia membungkam orang yang dapat dipercayai, dan mengambil kebijaksanaan daripada orang tua. Dia memalukan mereka yang berkuasa, dan menamatkan kekuasaan para pemerintah. Dia menyinari tempat-tempat yang suram, dan menerangi tempat-tempat yang kelam. Dia menjadikan bangsa-bangsa kuat dan gagah, tetapi kemudian mengalahkan dan memusnahkan mereka. Dia menjadikan pemimpin mereka kebingungan, sehingga mereka mengembara tanpa tujuan. Mereka meraba-raba dalam kegelapan, dan terhuyung-hayang seperti orang mabuk minuman. Segala yang kamu katakan pernah aku dengar dan lihat sendiri, dan sungguh-sungguh kufahami. Apa yang kamu tahu, aku pun tahu; aku tidak lebih rendah daripada kamu. Tetapi aku hendak berbicara dengan Yang Maha Kuasa, aku hendak membela perkaraku dengan Allah. Kamu menutup kebodohan kamu dengan dusta; kamu seperti doktor yang tidak berguna. Sekiranya kamu tidak berkata apa-apa, mungkin orang berfikir kamu bijaksana! Dengarlah aku menyatakan perkaraku. Perhatikanlah pembelaanku. Bolehkah demi Allah, kamu berdusta? Bolehkah kamu berbohong demi kepentingan-Nya? Adakah kamu cuba membela Allah? Adakah kamu hendak membela perkara-Nya? Jika Allah memeriksa kamu, bolehkah Dia mendapati kebaikan pada dirimu? Dapatkah kamu menipu Allah seperti kamu menipu manusia? Walaupun prasangka kamu tersembunyi, Dia akan menghukum kamu, dan kuasa-Nya akan menakutkan kamu. Pepatah kamu seperti abu yang tidak berguna; pembelaan kamu seperti tanah liat yang mudah pecah. Diamlah, dan berilah aku peluang untuk berkata-kata, aku tidak peduli akan akibatnya. Aku bersedia mempertaruhkan nyawa. Biarlah Allah membunuh aku kerana aku sudah putus asa, namun aku akan membela perkaraku di hadapan-Nya. Mungkin keberanianku akan menyelamatkan aku, kerana tiada orang jahat yang berani menghadap Allah. Sekarang dengarlah baik-baik perkataanku, perhatikanlah penjelasanku. Aku bersedia menyatakan perkaraku, kerana aku tahu bahawa tiada kesalahan padaku. Ya Allah, adakah Engkau hendak menuduh aku? Jika demikian, aku akan diam dan menunggu ajalku. Aku akan menghadap Engkau jika Engkau mengabulkan dua permohonanku: berhentilah menghukum aku, dan jangan timpa aku dengan kedahsyatan-Mu. Berfirmanlah dahulu, ya Allah, dan aku akan menjawab. Atau biarlah aku bercakap, lalu Engkau menjawab. Apakah kesalahan dan dosaku? Sebutlah pelanggaran dan dosaku. Mengapakah Engkau menghindari aku, dan memperlakukan aku seperti musuh? Adakah Engkau cuba menakutkan dan mengejar aku? Aku hanya seperti daun yang ditiup angin dan seperti jerami yang kering. Engkau mengemukakan tuduhan pahit terhadap aku; Engkau membalas kesalahanku pada masa mudaku. Engkau merantai kakiku; Engkau mengawasi setiap langkahku dan Engkau memeriksa jejakku. Oleh itu, aku menjadi rapuh seperti kayu reput, seperti baju yang telah dimakan gegat. Manusia dilahirkan lemah dan tidak berdaya, hidup mereka singkat dan susah. Manusia tumbuh lalu layu seperti bunga-bungaan dan menghilang seperti bayangan. Ya Allah, mahukah Engkau memandang aku, ataupun membawa aku ke pengadilan-Mu? Tiada suatu pun yang suci boleh datang daripada manusia yang tidak suci. Umur manusia sudah Engkau tentukan; jumlah bulannya sudah Engkau pastikan. Engkau telah menentukan batas hidup mereka; tidak mungkin mereka melangkahinya. Biarkanlah mereka berehat dan jangan ganggu mereka, supaya mereka dapat menikmati hidup sampai selesai tugas mereka. Masih ada harapan bagi pokok yang ditebang; pokok itu dapat hidup semula dan bercabang. Walaupun akarnya menjadi tua, dan tunggulnya mati di dalam tanah, tetapi apabila mendapat air, pokok itu tumbuh lagi; seperti pokok muda, tunas-tunasnya muncul kembali. Tetapi apabila manusia mati, itulah kesudahan mereka. Ke manakah mereka pergi setelah meninggal dunia? Seperti sungai yang telah berhenti mengalir, dan tasik yang sudah habis air, demikianlah manusia yang sudah meninggal dunia, mereka tidak dapat bangkit semula. Mereka tidak akan bangun selama langit ada, dan tidak akan terjaga daripada tidur mereka. Aku ingin agar Engkau menyembunyikan aku di dunia orang mati. Biarlah aku disembunyikan sehingga Engkau tidak murka lagi. Kemudian tentukanlah waktu untuk mengingat aku kembali. Jika manusia mati, dapatkah mereka hidup lagi? Tetapi aku akan terus menunggu, sehingga masa kesusahanku berlalu. Lalu Engkau akan memanggil aku, dan aku akan memberikan jawapan, dan Engkau akan mengasihi aku, makhluk yang Engkau jadikan. Kemudian Engkau akan mengawasi setiap langkahku, tetapi Engkau tidak akan mencatat dosaku. Engkau akan mengampunkan dan menjauhkan dosaku; Engkau akan menghapuskan segala kesalahanku dahulu. Masanya akan tiba apabila gunung runtuh dan terbelah-belah, dan gunung batu bergeser dari tempatnya. Batu akan dihakis oleh air yang mengalir dengan deras, dan tanah akan dihanyutkan oleh hujan yang lebat; demikianlah Engkau menghancurkan harapan manusia untuk hidup. Engkau mengalahkan dan menyingkirkan manusia selama-lamanya; ketika mereka menghadapi maut, Engkau mengubah wajah mereka. Anak-anak mereka menjadi orang terkemuka, tetapi mereka tidak mengetahuinya. Mereka juga tidak diberitahu apabila anak-anak mereka mendapat malu. Mereka hanya merasakan kesakitan badan sendiri, dan menderita kepedihan hati.” Kemudian Elifas menjawab, “Cakap kosong, Ayub! Engkau bercakap kosong! Tiada orang bijak akan bercakap seperti engkau, ataupun membela dirinya dengan kata-kata yang tidak bermakna. Engkau menawarkan hati orang yang takut kepada Allah; engkau menghalang mereka berdoa kepada-Nya. Kata-katamu membuktikan bahawa engkau bersalah, tetapi kejahatanmu engkau tutup dengan kata-kata licik. Tidak payahlah aku menyalahkan engkau; engkau telah disalahkan oleh setiap katamu sendiri. Adakah engkau berfikir bahawa engkau orang yang pertama dilahirkan? Adakah engkau hadir ketika gunung diciptakan? Adakah engkau mendengar rancangan yang dibuat oleh Allah? Adakah engkau sahaja yang memiliki hikmat manusia? Segala yang engkau ketahui, kami ketahui juga; segala yang engkau fahami, jelas pula bagi kami. Kami mendapat hikmat daripada orang yang beruban, mereka sudah ada sebelum bapamu dilahirkan. Mengapakah penghiburan Allah enggan engkau terima? Kami bercakap dengan sabar dan lembut bagi pihak-Nya. Mengapakah engkau terbawa-bawa oleh perasaan, dan mengapakah matamu menyala-nyala, sehingga engkau marah kepada Allah dan mengecam Dia? Adakah manusia betul-betul tidak bercela? Dapatkah manusia dibenarkan di hadapan Allah? Bahkan kepada malaikat-Nya pun Allah tidak percaya; malaikat-malaikat pun tidak suci di sisi-Nya. Apalagi manusia yang jijik dan tidak berguna, yang meneguk kejahatan seperti air sahaja. Sekarang dengarlah, hai Ayub, akan apa yang aku ketahui. Orang bijaksana telah mengajar aku hal itu, yang diterima mereka daripada nenek moyang dahulu. Pada waktu itu tiada orang asing di tanah mereka, tiada seorang pun yang menyebabkan mereka meninggalkan Allah. Orang jahat ditimpa penderitaan sepanjang masa, orang ganas akan hidup terseksa sepanjang umur mereka. Mereka akan mendengar suara yang menakutkan, dan perompak akan menyerang mereka pada masa yang aman. Mereka tidak dapat mengelakkan kegelapan, kerana pembunuh yang berpedang mengejar mereka pada setiap kesempatan. Burung nasar menunggu untuk makan mayat mereka; mereka tahu bahawa mereka akan binasa. Mereka cemas dan amat menderita seperti diserang oleh raja perkasa. Begitulah kesudahan orang yang berani melawan Allah, dan mencabar Yang Maha Kuasa. [26-27] Mereka sombong dan suka memberontak; dengan degil mereka mengangkat perisai dan tergesa-gesa melawan Allah. *** Itulah orang yang telah menaklukkan kota-kota, dan merampas rumah-rumah yang sudah ditinggalkan. Kota-kota itu sudah ditentukan untuk tetap menjadi reruntuhan. Mereka tidak akan tetap kaya untuk waktu yang lama; segala milik mereka tidak akan kekal. Bahkan bayang-bayang mereka pun akan lenyap, dan mereka tidak akan terlepas daripada kegelapan. Mereka akan menjadi seperti pokok yang cabangnya dibakar api; mereka akan dimusnahkan oleh hembusan nafas Allah. Jika mereka percaya kepada yang tidak berguna, yang akan diterima mereka tidak berguna juga. Sebelum masanya, mereka akan mati, seperti cabang layu yang tidak menghijau lagi. Mereka seperti pokok anggur yang gugur buahnya, dan seperti pokok zaitun yang jatuh bunganya. Orang yang tidak mengenal Allah tidak akan berketurunan, dan api akan memusnahkan rumah yang dibina daripada hasil suapan. Itulah orang yang merancang serta melakukan kejahatan; hati mereka sentiasa penuh dengan penipuan.” Kemudian Ayub menjawab, “Aku pernah mendengar kata-kata demikian; penghiburan yang kamu berikan itu hanya seksaan. Adakah kamu akan bercakap selama-lamanya? Apakah yang merangsang kamu untuk terus berkata-kata? Jika kamu ini aku, dan aku pula kamu, aku pun dapat bercakap seperti itu. Aku akan membanjiri kamu dengan perkataan; dan menggelengkan kepala. Aku dapat menguatkan kamu dengan nasihatku, dan terus bercakap untuk menghiburkan kamu. Jika aku bercakap, tidak ada gunanya; jika aku berdiam diri, deritaku tidak reda. Allah telah melelahkan aku, Dia telah membunuh keluargaku. Dialah musuhku dan telah menawan aku. Kini kurus keringlah tubuhku, dan bagi banyak orang itulah buktinya bahawa aku telah berdosa. Oleh kemurkaan-Nya, Allah menyiat tubuhku; dengan kebencian, Dia memandang aku. Orang mengejek aku; mereka mengeroyok aku dan menampar mukaku. Allah telah menyerahkan aku kepada orang derhaka; aku dijatuhkan-Nya ke dalam tangan orang durjana. Dahulu hidupku aman dan sentosa, tetapi Allah menyerang aku dengan tiba-tiba. Leherku dicengkeram-Nya dan aku dicampakkan; aku dijadikan-Nya sasaran untuk latihan. Tanpa belas kasihan Dia memanah aku dari segala arah, sehingga aku cedera dan luka. Dia mencederakan aku berulang-ulang; Dia menyerang seperti seorang pejuang. Aku memakai kain guni tanda kesedihan, aku duduk di atas debu kerana dikalahkan. Aku menangis sehingga mukaku merah, dan kelopak mataku bengkak dan hitam. Tetapi aku tidak melakukan perbuatan ganas, dan doaku tetap ikhlas. Hai bumi, kejahatan terhadapku jangan sembunyikan. Jangan diamkan teriakanku minta keadilan. Ada pembelaku di syurga yang akan memberikan kesaksian bahawa aku tidak berdosa. Sahabat-sahabatku menghina aku, aku menangis di hadapan Allah. Aku ingin agar ada orang merayu kepada Allah bagiku, seperti orang merayu untuk sahabatnya. Tahun-tahunku tidak banyak lagi, aku akan pergi dan tidak kembali lagi. Ajalku sudah dekat, hampir putus nafasku; tiada apa-apa lagi selain kubur untukku. Orang menjadikan aku bahan ejekan. Aku melihat betapa kejamnya mereka melontarkan sindiran. Aku ini jujur, ya Allah. Percayailah aku. Tiada sesiapa lagi yang menyokong perkataanku. Engkau telah membuntukan fikiran mereka; janganlah biarkan aku dikalahkan mereka. Menurut pepatah, sesiapa mengkhianati sahabat demi keuntungan, anak-anaknya sendiri akan menerima pembalasan. Sekarang aku disindir dengan pepatah itu; mereka datang dan meludahi mukaku. Mataku kabur kerana dukacita; seluruh tubuhku kurus merana. Orang yang salih, terkejut dan hairan; mereka menganggap aku sebagai orang yang tidak percaya kepada Allah. Orang yang baik dan tidak bersalah, semakin yakin bahawa Allah berkenan kepada mereka. Tetapi jika kamu semua datang ke mari, tiada seorang bijak pun yang akan kudapati. Hari-hariku telah berlalu, gagallah segala rancanganku; hilang pula semua harapanku. Tetapi sahabat-sahabatku berkata, ‘Malam itu siang dan terang hampir tiba.’ Namun aku tahu dalam hatiku bahawa tetap gelaplah keadaanku. Hanya dunia maut yang aku harapkan, di sanalah aku akan tidur dalam kegelapan. Aku akan menamakan kubur ‘bapaku’, dan cacing yang makan tubuhku kusebut ‘ibuku’ dan ‘saudara perempuanku’. Di manakah harapan bagiku? Siapakah yang melihat harapan untukku? Aku tidak mempunyai harapan lagi apabila aku pergi ke dunia orang mati.” Kemudian Bildad menjawab, “Ayub, tidak bolehkah engkau berhenti bercakap? Jika engkau diam dan mendengar, kami akan bercakap. Mengapakah engkau berfikir bahawa kami dungu, dan menyamakan kami dengan lembu? Kemarahan hanya menyakiti dirimu. Adakah bumi kehilangan penduduknya kerana engkau marah? Adakah gunung-gunung dipindahkan dari tempatnya untuk memuaskan hatimu? Hidup orang jahat yang seperti nyala pelita, akan dipadamkan; mereka seperti api yang tidak lagi menyala. Mereka seperti khemah yang pelitanya sudah padam; pelita penerang mereka tidak lagi bersinar. Langkah mereka yang mantap kini terhuyung-huyung; rancangan mereka sendiri menyebabkan mereka jatuh. Mereka berjalan ke dalam jaring dan kaki mereka tersangkut; tumit mereka terperangkap sehingga mereka tertangkap. Jerat tersembunyi di atas tanah; dan perangkap terpasang pada jalan mereka. Kengerian mengejutkan orang jahat dari segala arah, dan mengikuti mereka setiap langkah. Dahulu mereka kaya, tetapi kini mereka lapar; bencana selalu menyertai mereka. Kulit mereka dimakan penyakit yang teruk, lengan dan kaki mereka menjadi busuk. Mereka dikeluarkan dari khemah tempat tinggal yang aman, dan diheret untuk menghadap kematian. Kini sesiapa pun boleh tinggal di dalam khemah mereka, setelah direnjis belerang untuk membasmi penyakit! Akar mereka kering dan kisut, cabang mereka layu dan lisut. Mereka tidak dikenal lagi di bumi; tiada seorang pun yang mengingati mereka lagi. Dari tanah orang yang hidup, mereka akan dihalaukan, diusir dari cahaya ke dalam kegelapan. Mereka tidak mempunyai sanak atau anak cucu, dan tiada lagi yang hidup di tempat mereka dahulu. Mendengar nasib mereka, penduduk di barat terkejut, dan penduduk di timur gementar kerana takut. Itulah kesudahan orang derhaka, mereka yang tidak mempedulikan Allah.” Kemudian Ayub menjawab, “Mengapakah kamu terus mengecam aku, dan menyeksa aku dengan perkataan kamu? Berulang-ulang kamu menghina aku, dan menyalahkan aku tanpa rasa malu. Seandainya salah perbuatanku, hal itu tidak merugikan kamu. Kamu berfikir bahawa kamu lebih baik daripada aku, dan kamu menganggap kesusahanku sebagai bukti kesalahanku. Ketahuilah bahawa Allah yang menyalahkan aku. Dia telah memasang perangkap untuk menangkap aku. Aku berseru, ‘Kejam!’ tetapi tidak ada yang mendengarkan; aku berseru minta tolong, tetapi tidak ada keadilan. Allah telah menutup jalanku sehingga aku tidak dapat lewat; Dia telah meliputi jalanku dengan kegelapan yang pekat. Dia telah merampas segala kekayaanku, dan merosakkan nama baikku. Dia menghentam aku dari segala arah. Dia mencabut harapanku seperti orang mencabut pokok kayu. Kemurkaan Allah terhadapku menyala-nyala, dan aku dianggap-Nya sebagai musuh-Nya. Dia menghantar tentera-Nya untuk menyerang aku; mereka menghalangi jalanku dan mengepung khemahku. Allah menjauhkan saudaraku daripada aku; aku menjadi orang asing kepada kenalanku. Saudara maraku telah meninggalkan aku, dan sahabat-sahabatku tidak mengingat aku. Orang yang pernah menginap di rumahku telah melupakan aku; aku dianggap sebagai orang asing oleh hamba perempuanku. Apabila aku memanggil hambaku, dia tidak menjawab walaupun aku mohon pertolongannya. Isteriku tidak tahan bau nafasku, saudara kandungku sendiri tidak mahu menghampiri aku. Bahkan kanak-kanak pun menghina aku, dan tertawa apabila melihat aku. Sahabat karibku jijik melihat aku, mereka yang sangat aku kasihi meninggalkan aku. Badanku hanya tinggal kulit pembalut tulang; nyawaku hampir melayang. Kamu sahabat-sahabatku! Kasihanilah aku! Tangan Allah telah memukul aku. Mengapa kamu mengikut Allah menganiaya aku? Belum cukupkah kamu menyeksa aku? Alangkah baiknya jika kata-kataku dicatat, dan ditulis di dalam kitab supaya diingat; ataupun dipahat pada batu, agar kekal sepanjang waktu. Tetapi aku tahu bahawa di syurga ada Penyelamatku; akhirnya Dia akan datang menolong aku. Walaupun kulitku habis dimakan penyakit, tetapi aku akan melihat Allah selagi aku bertubuh. Aku akan melihat Dia dengan mataku sendiri, dan bagiku Dia tidak menjadi asing lagi. Hatiku hancur kerana kamu berkata, ‘Bagaimanakah kita dapat menyeksa dia?’ Kamu mencari alasan untuk menyerang aku. Tetapi sekarang, takutlah pada pedang, kerana Allah murka dan menghukum orang berdosa; maka tahulah kamu bahawa Allah mengadili manusia.” Kemudian Zofar menjawab, “Ayub, aku berasa tersinggung olehmu; kini aku ingin segera memberikan jawapanku. Kata-katamu sungguh menghina, tetapi aku tahu menjawabnya. Tentu engkau tahu bahawa sejak zaman purba, sejak manusia mula-mula ditempatkan di bumi, kebahagiaan orang jahat tidak tahan lama; kegembiraan orang derhaka seketika sahaja. Walaupun kebesaran mereka sampai ke angkasa, sehingga kepala mereka sampai ke mega, namun mereka akan lenyap selama-lamanya, menghilang dari dunia dengan cara yang terhina. Orang yang telah mengenal mereka akan bertanya, ‘Ke mana mereka pergi?’ Mereka akan hilang seperti mimpi, lenyap seperti penglihatan pada malam hari. Mereka tidak lagi kelihatan; mereka tiada lagi di tempat tinggal mereka. Anak-anak mereka akan mengganti apa sahaja yang telah dicuri mereka daripada orang papa. Dahulu badan mereka muda dan perkasa, tetapi mereka akan menjadi debu belaka. [12-13] Kejahatan sungguh manis bagi mereka, sehingga disimpan di dalam mulut untuk dinikmati mereka. *** Tetapi di dalam perut makanan itu menjadi pahit, seperti racun yang mendatangkan maut. Mereka memuntahkan kekayaan yang telah dicuri mereka; Allah mengeluarkannya bahkan dari dalam perut mereka. Apa yang ditelan orang jahat seperti racun yang membawa bencana; mereka mati seperti dipatuk ular berbisa. Mereka tidak akan menikmati minyak zaitun yang berlimpah, ataupun susu dan madu yang bertumpah-ruah. Mereka harus menyerahkan segala yang telah dikerjakan mereka; mereka tidak berpeluang menikmati kekayaan mereka, sebab mereka telah menindas dan membiarkan orang miskin, dan merampas rumah yang dibina orang lain. Ketamakan mereka tidak mengenal batas, maka mereka tidak akan pernah puas. Apabila mereka makan, tidak pernah ada sisa, tetapi, kini berakhirlah kemakmuran mereka. Pada puncak kejayaan mereka, duka dan derita datang menimpa mereka. Semasa mereka makan segala yang dikehendaki mereka, Allah akan menjadi murka dan menghukum mereka. Apabila mereka cuba mengelakkan diri daripada pedang besi, panah gangsa akan melukakan mereka. Anak panah menembusi badan mereka; hujung panah yang berkilat menitiskan darah mereka, dan ketakutan akan mencengkam hati mereka. Segala yang telah dikumpulkan mereka musnah; api yang tidak dinyalakan tangan manusia membakar mereka serta semua keluarga mereka. Langit menyatakan dosa mereka, dan bumi bangkit melawan mereka. Segala kekayaan mereka akan musnah kerana dilanda kemurkaan Allah. Begitulah kesudahan orang yang durjana, kesudahan yang ditentukan Allah bagi mereka.” Kemudian Ayub menjawab, “Dengarlah apa yang aku katakan; hanya itu yang aku minta sebagai penghiburan. Bersabarlah apabila aku bercakap; selepas itu, ejeklah aku sesuka hati kamu. Keluhanku tidak tertuju kepada manusia; tidak mengapalah aku berasa kurang sabar. Pandanglah aku, maka kamu akan tercengang, kamu akan terkejut dan terdiam. Apabila aku memikirkan keadaanku ini, aku gementar kerana ngeri. Mengapa orang jahat panjang umur, dan menjadi makmur? Mereka mendapat anak dan cucu, dan dapat melihat mereka menjadi dewasa. Allah tidak mendatangkan bencana pada keluarga mereka; mereka selamat dan aman sentosa. Ternakan mereka membiak dan beranak tanpa kesulitan. Anak mereka berlari-lari dengan gembira, dan bermain-main seperti anak domba. Anak mereka menyanyi dan menari-nari, diiringi bunyi tamburin, seruling, dan kecapi. Mereka hidup dalam kemakmuran, dan meninggal dengan kesejahteraan. Orang jahat menyuruh Allah menjauhi mereka; mereka tidak mahu mengetahui kehendak-Nya bagi hidup mereka. Mereka berfikir bahawa tidak berguna mengabdi kepada Allah dan tidak bermanfaat berdoa kepada-Nya. Mereka berkata bahawa mereka berjaya kerana usaha mereka; tetapi pendapat mereka itu tidak dapat aku terima. Pernahkah hidup orang jahat dipadamkan seperti pelita? Pernahkah mereka ditimpa bencana? Pernahkah Allah murka terhadap mereka sehingga Dia menghukum mereka? Pernahkah mereka menjadi seperti jerami yang ditiup angin, ataupun seperti sekam yang diterbangkan ribut? Kamu berkata, ‘Allah menghukum anak kerana kesalahan bapanya.’ Tetapi aku berkata, biarlah Allah menghukum orang yang bersalah, supaya mereka sedar bahawa mereka dihukum Allah kerana kesalahan mereka. Biarlah orang yang bersalah menanggung hukuman mereka; biarlah mereka merasai kemurkaan Yang Maha Kuasa. Setelah orang meninggal dunia, masihkah mereka peduli akan kebahagiaan keluarga mereka? Dapatkah manusia mengajar Allah? Bukankah Allah juga yang mengadili makhluk di syurga? [23-24] Ada orang yang sihat dan masih penuh tenaga sehingga saat kematian mereka. Mereka meninggal dengan tenang dan bahagia, sedang tubuh mereka masih berdaya. *** Ada pula orang yang tidak mempunyai kebahagiaan; mereka hidup lalu mati dengan penuh kepahitan. Tetapi di dalam kubur mereka semua sama-sama terbaring; dikerumuni oleh ulat dan cacing. Aku tahu apa yang kamu fikirkan, dan kejahatan terhadap aku yang kamu rancangkan. Kamu bertanya, ‘Di manakah rumah orang kenamaan, orang yang melakukan kejahatan?’ Belum pernahkah kamu berbual dengan pengembara? Tidakkah kamu percaya akan laporan mereka? Mereka berkata bahawa orang jahatlah yang selalu terlepas pada hari Allah murka dan menjatuhkan hukuman. Tiada seorang pun yang menuduh mereka, ataupun membalas perbuatan mereka. Apabila mereka dibawa ke tanah perkuburan, batu nisan mereka dikawal, ribuan orang berjalan mengiringi jenazah mereka, dan dengan lembut tanah menimbus jenazah mereka. Tetapi kamu cuba menghiburkan aku dengan cakap kosong, dan segala jawapan kamu itu bohong!” Kemudian Elifas berkata, “Di kalangan manusia, tiada yang berguna bagi Allah. Orang yang paling bijak pun tidak berguna bagi-Nya. Apakah faedahnya bagi Yang Maha Kuasa, jika engkau melakukan kehendak-Nya? Apakah ada keuntungan bagi-Nya jika hidupmu sempurna? Bukan kerana engkau takut dan hormat kepada Allah, maka Dia menegur dan mengadili engkau, melainkan kerana dosamu banyak, dan engkau sangat jahat. Untuk memaksa saudaramu membayar hutangnya, engkau merampas pakaiannya dan membiarkan dia telanjang. Engkau enggan memberikan air kepada mereka yang lelah, dan enggan memberikan makanan kepada mereka yang lapar. Engkau menggunakan kuasa dan kedudukanmu untuk merampas seluruh tanah. Bukan sahaja engkau tidak mahu menolong balu, tetapi engkau juga menindas anak yatim piatu. Oleh itu sekarang terdapat perangkap di sekelilingmu, dan tiba-tiba ketakutan meliputimu. Terang menjadi gelap sehingga engkau tidak dapat melihat, dan engkau dilanda banjir yang dahsyat. Tidakkah Allah tinggal di syurga yang tertinggi, dan memandang ke bawah, pada bintang-bintang yang tinggi sekali? Namun engkau bertanya, ‘Adakah Allah tahu? Dia di balik awan dan tidak dapat mengadili kita.’ Engkau menyangka bahawa pandangan-Nya tertutup awan, ketika Dia berjalan di sempadan langit dan bumi. Adakah engkau tetap mengikut jalan yang selalu diikuti orang jahat? Walaupun masa mereka belum tiba, mereka dihanyut oleh banjir yang melanda. Itulah orang yang menolak Allah, dan menganggap Yang Maha Kuasa tidak dapat mengapa-apakan mereka. Padahal Allah yang telah menjadikan mereka kaya. Aku tidak faham akan fikiran orang durjana. Orang baik dan yang tidak bersalah ketawa kegembiraan, apabila melihat orang jahat menerima hukuman. Segala hak milik orang jahat musnah, dan api membakar segala yang tersisa. Sekarang, Ayub, berdamailah dengan Allah, dan berhentilah menganggap Dia sebagai musuh. Jika engkau berbuat demikian, Dia akan memberkati engkau. Terimalah perintah yang diberikan-Nya; simpanlah firman-Nya dalam hatimu. Engkau mesti kembali kepada Allah dengan rendah hati, dan segala kejahatan di rumahmu hendaklah engkau akhiri. Lemparlah emasmu yang paling murni; lemparlah emasmu ke dasar sungai yang tidak berair lagi. Hendaklah Allah Yang Maha Kuasa merupakan emasmu, dan merupakan perak yang sangat bermutu. Barulah engkau akan mempercayai Allah selalu, dan mendapati Dia adalah sumber kegiranganmu. Apabila engkau berdoa, Dia akan menjawab, dan engkau akan menepati segala janjimu. Usahamu akan berjaya selalu, dan cahaya akan menyinari hidupmu. Orang yang sombong direndahkan Allah, tetapi yang rendah hati diselamatkan-Nya. Dia akan menyelamatkan engkau jika engkau tidak bersalah, dan jika engkau melakukan kehendak-Nya.” Tetapi Ayub menjawab, “Aku tetap memberontak dan membantah Allah; aku tidak dapat menahan keluh kesah. Alangkah baiknya jika aku tahu di mana Allah berada, dan dapat pergi ke tempat-Nya. Maka aku akan mengajukan perkaraku kepada-Nya, dan membela diri dengan sedaya upaya. Aku hendak tahu apa yang akan dikatakan-Nya, dan bagaimana Dia memberikan jawapan-Nya. Adakah Allah dengan segala kekuatan-Nya menentang diriku? Tidak, Dia akan mendengarkan kata-kataku. Aku jujur dan dapat berhujah dengan Allah, dan aku akan dinyatakan tidak bersalah untuk selama-lamanya. Aku telah mencari Allah di timur, tetapi Dia tiada di sana; apabila aku mencari Dia di barat, Dia juga tiada di sana. Allah telah bertindak di selatan dan utara, tetapi aku masih belum menemui Dia. Namun Allah tahu setiap langkahku; jika aku diuji, terbukti kemurnian hatiku. Aku mengikut jalan-Nya dengan setia, aku tidak menyimpang dari jalan yang ditentukan-Nya. Perintah-perintah Allah selalu kutaati, aku menurut kehendak-Nya, bukan kehendakku sendiri. Allah tidak pernah berubah dan tiada yang dapat menentang Dia. Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya. Dia akan menjalankan rancangan-Nya untuk diriku, dan banyak lagi rancangan-Nya selain itu. Kerana takut akan Dia, gementarlah aku; semakin aku fikirkan semua itu, semakin takutlah aku. [16-17] Allah Yang Maha Kuasa telah mematahkan semangatku. Aku takut kerana Allah, dan bukan kerana kegelapan, walaupun kegelapan mengelilingi aku dan menutupi wajahku. Mengapakah Allah tidak menetapkan hari penghakiman, supaya orang yang mengenal Dia mendapat keadilan? Ada orang memindahkan batu sempadan untuk meluaskan tanah; mereka mencuri domba lalu mengandangkannya dengan ternakan mereka. Mereka merampas keldai kepunyaan anak yatim piatu, dan sebagai jaminan, mereka mengambil lembu jantan daripada balu. Mereka menghalang orang miskin mendapat hak mereka sendiri, maka orang papa terpaksa bersembunyi. Oleh itu seperti keldai liar, orang miskin mencari makanan di padang belukar; di tempat itu sahaja terdapat makanan untuk anak-anak mereka. Mereka terpaksa memungut gandum di ladang orang lain dan memetik buah anggur di ladang orang durjana. Mereka tidur tanpa selimut pada waktu malam, tanpa sesuatu untuk menghangatkan badan. Mereka basah kuyup kerana hujan yang turun di atas gunung, mereka berhimpit-himpit pada bukit batu untuk berlindung. Orang jahat memperhamba anak-anak yang kehilangan bapa, dan mengambil bayi orang miskin sebagai jaminan. Orang miskin terpaksa keluar tanpa pakaian; ketika menuai gandum mereka kelaparan. Daripada buah zaitun mereka membuat minyak, dan daripada buah anggur, mereka membuat minuman, tetapi mereka sendiri kehausan. Di bandar terdengar tangisan orang yang cedera, dan orang yang hampir putus nyawa, tetapi Allah tidak mendengarkan doa mereka. Ada orang yang menolak cahaya, mereka tidak mengenalnya dan tidak mengikut jalannya. Pada waktu subuh, pembunuh keluar membunuh orang miskin; dan pada waktu malam, mereka keluar mencuri. Orang yang berzina menantikan senja, supaya tidak dikenali, mereka menutup muka. Pada waktu malam pencuri memecah rumah orang, tetapi pada waktu siang mereka bersembunyi dan mengelakkan cahaya. Bagi mereka, pagi hari menakutkan, tetapi kegelapan yang dahsyat, menyenangkan.” “Orang jahat dihanyut oleh air bah, dan tanah yang dimiliki mereka disumpah oleh Allah; mereka tidak lagi bekerja di ladang anggur mereka. Seperti salji hilang kena kemarau dan matahari, orang berdosa pun hilang, ditelan dunia orang mati. Ibu mereka sendiri melupakan mereka, dan cacing memakan tubuh mereka. Nama mereka tidak lagi dikenang; mereka dimusnahkan seperti pokok yang tumbang. Hal itu berlaku kerana mereka menganiaya balu, dan tidak mengasihani wanita mandul. Allah dengan kuasa-Nya, membinasakan orang perkasa; Allah bertindak, maka matilah orang durjana. Allah mungkin membiarkan mereka hidup sentosa, tetapi Dia mengawasi mereka sepanjang masa. Hanya sebentar orang jahat berjaya, lalu hilang selama-lamanya. Mereka layu seperti rumpai, seperti gandum yang dipotong daripada tangkai. Dapatkah sesiapa menyangkal perkara itu? Dapatkah sesiapa menentang kebenaran kata-kataku?” Kemudian Bildad menjawab, “Allah sangat berkuasa; semua orang mesti takut akan Dia; Dia memelihara kedamaian dalam kerajaan-Nya di syurga. Dapatkah sesiapa menghitung malaikat yang melayani Dia? Adakah tempat yang tidak disinari cahaya-Nya? Mungkinkah manusia suci di sisi Allah? Mungkinkah manusia murni di sisi-Nya? Bagi Allah, bahkan bulan pun tidak terang, dan bintang-bintang dianggap-Nya suram; apalagi manusia, si cacing, si serangga. Di sisi Allah, manusia tidak berguna.” Tetapi Ayub berkata, “Pertolongan kamu tidak memberikan kesan kepadaku orang yang lemah dan kepayahan! Alangkah baiknya nasihat dan ajaran itu, yang kamu berikan kepada orang bodoh seperti aku! Siapakah yang menolong kamu bercakap begitu? Siapakah yang mengilhami kamu untuk berkata begitu?” “Penghuni alam maut gementar; di dunia orang mati, di bawah samudera. Dunia orang mati terbuka di hadapan Allah, tidak bertutup sehingga kelihatan oleh Dia. Allah membentangkan langit utara, dan menggantungkan bumi di angkasa hampa. Allah mengisi awan dengan air, namun awan tidak pecah walaupun berat airnya. Dia menyembunyikan muka bulan purnama, di sebalik awan yang dibentangkan-Nya. Dia memisahkan cahaya daripada kegelapan dengan bulatan yang dilukis di muka lautan. Apabila Dia mengherdik dengan kasar, tiang-tiang penyangga langit gementar. Kuasa Allah menaklukkan lautan; Rahab, dimusnahkan oleh kebijaksanaan-Nya. Nafas-Nya mencerahkan langit, dan tangan-Nya membunuh naga yang melarikan diri. Tetapi itu hanyalah tanda-tanda kuasa-Nya, hanya bisikan yang kita dengar. Tiada sesiapa yang tahu betapa agungnya Allah.” Ayub berkata, “Demi Allah Yang Maha Kuasa, Allah yang hidup, yang enggan memberi aku keadilan dan yang memedihkan hidupku, aku bersumpah: Selagi Allah memberikan nafas kepadaku, selagi nyawa dikandung badanku, bibirku tidak sekali-kali akan menyebut kata dusta, dan lidahku tidak akan mengucap tipu daya. Aku tidak akan mengatakan kamu benar; sampai mati pun aku tetap mengatakan aku tidak bersalah. Aku tidak akan berhenti berkata bahawa aku benar; hati nuraniku tidak menyalahkan aku. Biarlah musuhku dihukum seperti orang durjana, dan orang yang melawan aku dihukum seperti penderhaka. Apakah harapan orang durjana apabila Allah menuntut nyawa mereka? Apabila kesusahan tiba, mahukah Allah mendengarkan teriakan mereka? Seharusnya mereka mengingini kegirangan daripada Allah, dan seharusnya mereka selalu berdoa kepada-Nya. Biarlah aku mengajar kamu betapa besarnya kuasa Allah, dan menerangkan rancangan Allah Yang Maha Kuasa. Kamu telah melihat semua itu dengan mata kamu sendiri. Oleh itu, mengapakah kamu mengatakan yang bukan-bukan ini?” “Lihatlah bagaimana Allah Yang Maha Kuasa menghukum orang yang kejam dan durjana. Jika anak lelaki mereka banyak, semuanya akan mati dalam peperangan; anak-anak mereka tidak pernah cukup makan. Mereka yang hidup akan mati kerana wabak, dan balu mereka tidak akan menangisi mereka. Perak orang jahat bertimbun-timbun, dan pakaian mereka bersusun-susun, tetapi orang baik akan memakai pakaian itu, dan orang jujur akan mendapat perak itu. Rumah yang dibina orang jahat rapuh seperti sarang labah-labah, hanya rumah sementara seperti pondok penjaga ladang. Untuk kali terakhir, mereka membaringkan diri sebagai orang kaya, apabila mereka bangun, hilanglah segala kekayaan mereka. Seperti banjir yang datang dengan tiba-tiba, kedahsyatan menimpa mereka; angin pada waktu malam akan meniup mereka. Angin timur mengangkat mereka, dan menyapu mereka dari rumah. Dengan tidak mengenal kasihan, angin melanda mereka, dan mereka terpaksa lari mencari perlindungan. Angin mendesing-desing seperti kata-kata ejekan terhadap mereka, di mana-mana pun mereka dihina.” Ada lombong-lombong tempat perak ditemukan, ada tempat-tempat emas dibersihkan. Besi digali dari dalam tanah, dan batu dileburkan untuk mendapatkan tembaga. Gelap gelita ditembusi, tempat yang paling dalam diselidiki. Di situ, di dalam kegelapan, orang mencari batu-batan. Jauh di tempat yang tidak berpenghuni, yang belum pernah dijalani dan dilalui, orang bekerja sambil bergantung pada tali, di dalam terowong yang sunyi sepi. Tanah menghasilkan makanan untuk manusia, tetapi di bawah tanah itu, segalanya pecah berderai-derai. Batu-batu bumi mengandungi nilam, dan debu bumi mengandungi emas. Burung helang tidak nampak jalan ke lombong itu, burung nasar tidak pernah terbang di situ. Binatang buas tidak pernah menjejak jalan itu. Singa pun tidak pernah melalui jalan yang sunyi itu. Orang menggali batu-batan yang keras sekali, dasar gunung pun digali. Sedang mereka menembusi gunung batu, mereka menjumpai permata yang sangat bermutu. Sampai ke sumber sungai mereka menggali, dan menyatakan apa yang tersembunyi. Tetapi di manakah hikmat dapat dicari? Di manakah kita dapat belajar agar mengerti? Hikmat tidak didapati di kalangan manusia; tiada sesiapa yang tahu akan nilai yang sebenarnya. Lautan dan samudera mengatakan hikmat tidak terdapat di sana. Hikmat tidak dapat ditukar dengan emas murni, dan dengan perak pun tidak dapat dibeli. Emas dan permata yang paling berharga tidak dapat mengimbangi nilainya. Nilainya lebih daripada emas, dan daripada jambangan kencana ataupun kristal. Hikmat lebih tinggi nilainya daripada batu karang, hablur, atau mutiara. Batu topaz dan emas tulen tidak dapat dibandingkan dengan nilai hikmat. Di manakah sumber hikmat? Di manakah kita dapat pengertian? Tiada makhluk hidup yang pernah melihatnya, bahkan burung di udara pun tidak pernah nampaknya. Maut dan kemusnahan pun berkata bahawa yang didengar khabar angin sahaja. Allah sahaja yang mengetahui jalan ke sana, ke tempat hikmat berada, kerana Dia melihat sampai ke hujung bumi, melihat segala yang berada di bawah langit. Apabila Dia memberi angin kekuatan, dan keluasan laut ditentukan-Nya; apabila Allah menentukan tempat hujan turun, dan jalan yang dilalui kilat guruh; pada masa itulah hikmat dilihat-Nya dan nilai hikmat diuji-Nya, lalu diberikan restu-Nya. Allah berfirman kepada manusia, “Untuk mendapat hikmat, kamu mesti takut dan hormat kepada Tuhan. Untuk mendapat pengertian, kamu mesti meninggalkan kejahatan.” Ayub mula bercakap lagi, “Kalaulah hidupku dapat kembali seperti dahulu, pada waktu Allah melindungi aku. Aku selalu diberikan-Nya pertolongan, dan aku diterangi-Nya ketika melalui kegelapan. Itulah masa kemakmuranku, waktu Allah menjadi sahabatku serta melindungi rumahku. Pada masa itu Allah Yang Maha Kuasa menyertai aku, dan aku dikelilingi semua anakku. Ternakanku menghasilkan banyak susu, dan pokok zaitunku tumbuh walaupun di tanah berbatu. Apabila ketua-ketua kota bermesyuarat, aku duduk bersama-sama mereka. Orang muda memberi jalan apabila mereka melihat aku, dan orang tua berdiri memberikan hormat kepadaku; para pemimpin masyarakat berhenti bercakap; bahkan orang penting pun turut diam. Setiap orang yang melihat aku atau mendengar tentang aku, mengucap pujian tentang jasaku. Kepada orang miskin, aku memberikan bantuan; kepada anak yatim piatu yang tiada tempat bergantung, aku memberikan pertolongan. Aku dipuji oleh orang yang sangat susah, dan aku menolong balu mendapat perlindungan. Tindakanku jujur tanpa cela; aku tegakkan keadilan sentiasa. Bagi orang buta, aku menjadi mata; bagi orang lumpuh, aku menjadi kaki mereka. Bagi orang miskin, aku menjadi bapa; bagi orang asing, aku menjadi pembela. Kuasa orang kejam kupatahkan, dan mangsa mereka kuselamatkan. Aku selalu berharap agar umurku panjang, dan mati di rumah dengan tenang. Aku umpama pokok yang subur tumbuhnya, akarnya cukup air dan embun membasahi dahannya. Aku selalu dipuji orang, dan kekuatanku tidak pernah berkurang. Orang diam apabila aku memberikan nasihat, kata-kataku didengar mereka dengan cermat. Sehabis aku bercakap, tidak ada lagi yang perlu ditambahkan. Perkataanku meresap seperti titisan hujan; setiap orang menyambut kata-kataku dengan gembira, seperti petani menyambut hujan pada musim bunga. Aku senyum kepada mereka ketika mereka putus asa; air mukaku yang gembira menghiburkan mereka. Akulah yang memegang pimpinan dan membuat segala keputusan; aku memimpin mereka seperti raja mengarah pasukan; aku menghiburkan mereka pada waktu kesedihan. Tetapi kini orang yang lebih muda daripada aku mengejek aku. Dahulu bapa mereka kupandang terlalu hina untuk menjaga dombaku bersama dengan anjing gembala. Bagiku mereka tidak berguna, kerana sudah kehabisan tenaga. Mereka miskin dan lapar sekali, sehingga mereka makan akar kering di gurun yang sunyi. Mereka mencabut belukar di gurun, lalu makan daun dan akarnya. Semua orang menghalau mereka dengan tengkingan, seperti orang mengusir pencuri. Mereka terpaksa tinggal di dalam gua, lubang-lubang di tebing gunung menjadi rumah mereka. Di hutan mereka meraung seperti binatang, dan berhimpit-himpit di bawah belukar. Mereka sekumpulan orang yang tidak berguna sama sekali! Mereka telah dihalau dari negeri ini. Tetapi kini mereka datang dan mentertawakan aku; aku menjadi bahan tertawaan mereka. Mereka membenci dan menghina aku, bahkan mereka meludahi mukaku. Oleh sebab Allah telah membuat aku lemah dan tidak berdaya, aku dilawan mereka dengan segala keganasan. Gerombolan itu menyerang aku dari depan; dan kejatuhanku dirancang oleh mereka. Mereka menyekat jalanku dan menjatuhkan aku; dan tidak seorang pun menghalangi mereka. Mereka memecahkan tembok pertahananku; beramai-ramai mereka masuk dengan meluru. Ketakutan meliputi aku; kehormatanku hilang seperti hembusan angin dan harapanku untuk menang, hilang seperti awan. Kini hampir matilah aku; penderitaan mencengkam aku. Pada waktu malam semua tulangku sakit sekali, dan kesakitan yang menusuk tidak kunjung berhenti. Allah mencekau aku pada leher bajuku dan merenyukkan pakaianku. Dia menghempaskan aku ke dalam lumpur, dan aku menjadi seperti kotoran. Aku berseru kepada-Mu, ya Allah, tetapi Engkau tidak memberikan jawapan; dan apabila aku berdoa, Engkau tidak memperhatikan. Engkau bersikap kejam terhadapku; Engkau menganiaya aku dengan segenap kekuatan-Mu. Engkau membiarkan angin menerbangkan aku, dan angin ribut mengumbang-ambingkan aku. Aku tahu bahawa Engkau membawa aku ke alam kematian, kepada kesudahan yang mesti dihadapi setiap orang. Mengapakah Engkau menyerang orang yang malang, yang tidak dapat berbuat apa-apa lagi kecuali mohon belas kasihan? Tidakkah aku menangis bersama-sama orang dalam kesusahan, dan mengasihani orang yang berkekurangan? Aku mengharapkan kebahagiaan dan cahaya, tetapi kesusahan dan kegelapan yang datang. Aku dihancurkan oleh kegelisahan dan kesakitan; hari demi hari aku menghadapi penderitaan. Dalam kegelapan, tanpa cahaya aku berkeliaran; aku berdiri di khalayak ramai dan minta pertolongan. Suaraku sedih dan penuh hiba, seperti lolong serigala atau bunyi burung unta. Kulitku menjadi hitam; tubuhku terbakar oleh demam. Dahulu aku mendengar muzik gembira, tetapi kini hanya ratapan tangis belaka. Dengan sumpah aku telah berjanji, tidak memandang gadis muda dengan berahi. Apakah yang dilakukan Allah Yang Maha Kuasa kepada kita? Bagaimanakah Dia membalas perbuatan manusia? Dia mendatangkan kecelakaan dan kemusnahan kepada mereka yang melakukan kesalahan. Allah tahu segala perbuatanku; Dia melihat setiap langkahku. Aku bersumpah bahawa aku tidak pernah bertindak curang, dan aku tidak pernah menipu orang. Biarlah Allah menimbang aku dengan penimbang yang sah, dan Dia akan tahu bahawa aku tidak bersalah. Jika aku telah berpaling dari jalan yang benar, atau hatiku tertarik kepada hal yang cemar, jika tanganku kotor kerana dosa, maka biarlah orang lain makan apa yang aku tabur, dan biarlah seluruh tanamanku hancur. Jika aku tertarik kepada isteri jiranku, dan menanti dia sambil bersembunyi di balik pintu, maka biarlah isteriku memasak makanan lelaki lain, dan tidur di katil lelaki lain. Dosa seperti itu jahat sekali, dan orang yang melakukannya patut dihukum mati. Dosa itu membinasakan seperti api neraka, membakar segala yang aku miliki. Apabila hambaku mengadu kerana haknya kusalahi, aku mendengar dan memperlakukan dia dengan tulus hati. Jika tidak, bagaimana aku dapat menghadap Allah? Apakah yang dapat aku katakan ketika aku diadili Allah? Allah yang menciptakan aku, juga menciptakan hamba-hambaku. Aku belum pernah enggan menolong orang yang papa, dan belum pernah membiarkan balu hidup putus asa. Aku belum pernah membiarkan anak yatim piatu kelaparan, sedang aku sendiri cukup makanan. Aku seperti bapa kepada anak yatim piatu, aku selalu membela balu. Ketika aku bertemu dengan orang yang berkekurangan, yang terlalu miskin untuk membeli pakaian, aku memberinya pakaian daripada bulu dombaku sendiri, maka dia akan memuji aku dengan sepenuh hati. Jika aku pernah menipu anak yatim piatu kerana aku tahu bahawa aku akan memenangi perkaraku, biarlah lenganku dipatahkan, sehingga dari bahuku dipisahkan. Oleh sebab aku takut terhadap hukuman Allah, aku tidak sekali-kali berani melakukan hal itu. Aku tidak pernah bergantung pada kekayaanku, ataupun membanggakan hartaku. Aku tidak pernah menyembah matahari yang bersinar cerah, ataupun bulan yang bercahaya indah. Aku tidak pernah terpikat kepada semuanya, dan tidak pernah mencium tanganku untuk menghormati semuanya. Dosa itu patut dijatuhi hukuman mati, kerana Allah Yang Maha Kuasa diingkari. Aku tidak pernah gembira ketika musuhku menderita, dan tidak pernah suka apabila mereka ditimpa bencana. Aku tidak pernah mendoakan kematian mereka; aku tidak pernah berdosa begitu. Semua orang yang bekerja untuk aku tahu bahawa orang yang tidak kukenal, aku jamu di rumahku. Rumahku terbuka kepada pengembara, dan aku tidak pernah membiarkan mereka tidur di jalan raya. Orang lain cuba menyembunyikan dosa, tetapi aku tidak berbuat seperti mereka. Pendapat umum tidak aku takuti, dan penghinaan orang tidak kupeduli; aku tidak pernah tinggal di rumah atau diam sahaja, kerana takut akan cacian mereka. Tiadakah sesiapa yang mahu mendengar kata-kataku? Aku bersumpah bahawa setiap perkataanku benar. Biarlah Allah Yang Maha Kuasa menjawab aku. Jika semua tuduhan lawanku dituliskan supaya aku dapat melihatnya, maka aku akan memasangnya pada bahu, dan mengenakannya seperti mahkota pada kepalaku. Aku akan memberitahu Allah segala yang telah kulakukan, dan menghadap Dia dengan yakin dan kepala terangkat. Jika aku telah mencuri tanah yang aku bajak, dan aku telah merampasnya daripada pemilik yang sebenar, jika aku makan hasil tanahnya dan membiarkan petani yang menanamnya kelaparan dan merana, biarlah yang tumbuh di situ, lalang dan duri, dan bukan gandum ataupun barli.” Sekianlah kata-kata Ayub. Oleh sebab Ayub yakin bahawa dia tidak bersalah, tiga orang sahabat itu tidak menjawab lagi. Tetapi di situ ada seorang yang tidak dapat menahan geramnya, kerana Ayub menyalahkan Allah dan mengaku dirinya tidak bersalah. Namanya Elihu anak Barakheel, seorang keturunan Bus, daripada puak Ram. Dia juga marah terhadap tiga orang sahabat Ayub itu kerana mereka tidak dapat menjawab Ayub, walaupun mereka menyalahkan dia. Elihu yang termuda antara mereka. Oleh itu dia menunggu sehingga setiap orang sudah bercakap. Setelah dia melihat tiga orang itu tidak dapat menjawab Ayub, dia menjadi marah dan berkata demikian, “Aku ini masih muda, sedangkan kamu sudah tua, oleh itu aku takut dan ragu-ragu mengemukakan pendapatku. Fikirku, biarlah yang sudah lanjut usia bercakap, dan yang lebih tua membahagikan hikmat. Tetapi sebenarnya Roh Allah Yang Maha Kuasa yang memberikan hikmat kepada manusia. Orang menjadi bijak, bukan kerana lanjut umurnya; orang mengerti yang benar, bukan kerana tinggi usianya. Oleh itu, dengarkanlah aku; biarlah aku memberitahu kamu pendapatku. Aku mendengar dengan sabar ketika kamu bercakap, dan menunggu ketika kamu mencari kata-kata bijak. Aku memperhatikan dan mendengar kamu menemui kegagalan. Kesalahan dalam kata-kata Ayub tidak dapat kamu buktikan. Bagaimana kamu dapat mengatakan kamu telah mendapatkan hikmat? Allah mesti menjawab Ayub, kerana kamu telah gagal. Ayub berkata-kata kepada kamu, bukan kepada aku, tetapi aku tidak sekali-kali akan menjawab seperti kamu. Ayub, mereka bingung dan tidak dapat memberikan jawapan; tiada lagi yang dapat dikatakan mereka. Haruskah aku terus menunggu, ketika mereka berdiam diri? Mereka berdiri di situ dan tidak dapat berkata apa-apa lagi. Tidak, kini aku hendak memberikan pendapatku, dan memberitahu kamu fikiranku. Aku tidak sabar lagi menunggu. Aku tidak dapat menahan kata-kataku. Jika aku tidak bercakap, aku akan meletup, seperti kirbat kulit yang berisikan wain baru. Aku mesti bercakap supaya hatiku tenang; aku mesti membuka mulut dan memberikan jawapan. Aku tidak akan menyebelahi sesiapa pun; aku tidak akan memuji sesiapa pun. Cara memuji pun aku tidak tahu. Jika aku berbuat begitu, Allah akan segera menghukum aku. Sekarang hai Ayub, dengarlah dengan teliti, segala yang hendak aku katakan ini. Aku sudah siap sedia untuk mengungkapkan pendapatku. Dengan tulus hati aku berkata; yang aku katakan adalah yang sebenarnya. Roh Allah telah menciptakan aku, dan nafas Yang Maha Kuasa memberikan hidup kepadaku. Jika dapat, jawablah aku. Sediakanlah hujahmu. Bagi Allah, kamu dan aku tidak berbeza; daripada tanah liat kita dibentuk-Nya. Oleh itu, kamu tidak perlu takut kepadaku; aku tidak bermaksud mengalahkan kamu. Inilah yang aku dengar kamu katakan, ‘Aku tidak bercela, dan tidak melakukan kesalahan. Aku tidak bersalah, dan tidak melakukan pelanggaran. Tetapi Allah mencari alasan untuk menyerang aku, dan menganggap aku seperti musuh. Dia merantai kakiku; Dia mengawasi setiap gerak-geriku.’ Hai Ayub, pendapatmu salah belaka. Allah lebih besar daripada manusia. Mengapakah kamu menuduh Allah dan mengatakan Dia tidak pernah menjawab aduan manusia? Walaupun Allah berfirman dengan banyak cara, tiada sesiapa pun yang memperhatikan firman-Nya. Allah berfirman melalui mimpi dan penglihatan, ketika manusia tidur pada waktu malam. Allah menggerakkan mereka supaya mendengarkan Dia, dan menakutkan mereka dengan amaran-Nya. Allah berfirman supaya mereka berhenti berdosa, dan meninggalkan kesombongan mereka. Dia tidak membiarkan mereka dibinasakan; Dia menyelamatkan mereka daripada kematian. Allah menegur ajar orang dengan penyakit sehingga badan mereka penuh rasa sakit. Orang yang sakit kehilangan selera makan; makanan yang sedap pun memuakkan. Badan mereka menjadi kurus merana; tulang mereka kelihatan semua. Mereka sudah hampir sampai ke alam maut; mereka sudah dekat ke dunia orang mati. Mungkin satu daripada seribu malaikat Allah, malaikat yang mengingatkan seseorang akan tugasnya, akan datang menolong dia. Malaikat itu dengan belas kasihan akan berkata, ‘Bebaskan dia supaya dia tidak pergi ke dunia orang mati. Inilah tebusan untuk membebaskan dia.’ Badannya akan menjadi kuat perkasa, segar seperti orang muda. Allah akan mengabulkan permintaannya ketika dia berdoa; dia akan menyembah Allah dengan gembira, dan Allah akan memulihkan keadaannya. Maka di hadapan khalayak ramai dia akan berkata, ‘Aku telah berdosa. Aku telah berbuat salah, tetapi Allah mengampuni aku. Dia tidak membiarkan aku pergi ke dunia orang mati, dan aku masih hidup sehingga kini.’ Berulang kali, Allah telah melakukan semua ini supaya Dia dapat menyelamatkan manusia, dan memberikan kebahagiaan dalam hidup mereka. Sekarang, hai Ayub, pasanglah telinga, diamlah dan biarlah aku berkata-kata. Tetapi jika ada yang hendak kamu katakan, silalah. Aku rela mendengar dan mengakui kamu benar. Tetapi jika tidak, diamlah dan dengarlah aku; aku hendak mengajarkan hikmat kepadamu. [1-2] Kamu semua begitu bijak, begitu pandai; sekarang dengarlah kata-kataku ini. *** Orang tahu makanan yang sedap ketika merasanya; dan kata-kata yang bijak apabila mendengarnya. Persoalan ini harus kita periksa, lalu kita putuskan bersama-sama. Ayub berkata, ‘Aku tidak bersalah, tetapi Allah tidak memberikan keadilan kepadaku. Aku dianggap berdusta, kerana mengatakan aku benar. Aku cedera parah, tetapi aku tidak bersalah.’ Pernahkah kamu melihat orang seperti Ayub ini? Dia menghina Allah berkali-kali. Dia gemar akan orang jahat sebagai teman, dan orang durjana sebagai kawan. Dia berkata bahawa tiada gunanya diperkenankan Allah. Hai orang pandai, dengarlah! Adakah Allah Yang Maha Kuasa melakukan hal yang salah? Dia membalas manusia setimpal dengan perbuatan mereka dan memperlakukan mereka dengan sepatutnya. Allah Yang Maha Kuasa tidak melakukan kejahatan; semua orang diberikan-Nya keadilan. Adakah Allah mendapatkan kuasa-Nya daripada sesiapa? Adakah sesiapa yang menugaskan Dia untuk menguasai dunia? Jika Allah mencabut nyawa manusia, dan mengambil kembali nafas hidup mereka, maka matilah semua orang yang bernyawa, dan manusia menjadi debu semula. Jika kamu arif, perhatikanlah, pasanglah telinga dan dengarlah. Jika Allah membenci keadilan, Dia tidak patut memerintah. Adakah kamu menyalahkan Allah yang adil dan perkasa? Allah menyalahkan pemerintah dan raja, apabila mereka berbuat jahat dan derhaka. Allah menciptakan setiap insan; Dia tidak menyebelahi raja, atau mengutamakan yang kaya daripada yang miskin. Orang mungkin mati pada waktu malam dengan tiba-tiba. Allah menjatuhkan hukuman kepada manusia dan mereka pun binasa; Dia membunuh yang perkasa dengan mudah sahaja. Dia memperhatikan kelakuan manusia, dan meneliti semua langkah mereka. Tiada kegelapan yang cukup gelapnya untuk menyembunyikan orang berdosa. Allah tidak perlu menentukan masa untuk mengadili manusia. Dia tidak perlu menyelidiki dan menyiasat penguasa sebelum memecat mereka, dan mengangkat pengganti mereka. Kerana Dia tahu apa yang dilakukan mereka, Dia menggulingkan mereka pada waktu malam dan memusnahkan mereka. Dia menghukum orang berdosa di hadapan orang ramai, kerana mereka tidak lagi mengikut Dia; dan mereka tidak mengendahkan segala perintah-Nya. Mereka menyebabkan orang miskin berseru kepada Allah, dan Allah mendengar seruan mereka. Jika Allah membuat keputusan untuk diam sahaja, tiada sesiapa pun dapat mengecam Dia. Jika Dia menyembunyikan muka-Nya, tidak sesiapa pun dapat menemukan Dia. Maka bangsa-bangsa tidak berdaya untuk menghalang penindas daripada menguasai mereka. Ayub, sudahkah engkau mengakui kesalahanmu kepada Allah? Sudahkah engkau berjanji tidak akan berdosa semula? Sudahkah engkau meminta Allah menunjukkan kesalahan yang tidak engkau ketahui? Sudahkah engkau bersetuju menghentikan kejahatan itu? Oleh sebab engkau tidak menyetujui perbuatan Allah, engkau tidak boleh mengharapkan Dia mengabulkan kehendakmu. Engkaulah yang harus membuat keputusan, bukan aku; beritahulah kami pendapatmu. Setiap orang yang berakal pasti akan bersetuju; setiap orang bijak yang mendengar aku akan berkata bahawa Ayub bercakap tanpa mengerti, dan bahawa kata-katanya tidak mengandung erti. Jika ucapan Ayub ditinjau dengan cermat, akan nyatalah bahawa dia berkata-kata seperti orang jahat. Bukan sahaja dia berdosa, malah dia memberontak; dia mengolok-olokkan Allah di hadapan kita. [1-2] Ayub, engkau tidak patut berkata bahawa engkau tidak bersalah di sisi Allah, *** ataupun bertanya kepada Allah, ‘Apakah kesan dosaku kepada-Mu? Aku tidak mendapat faedah walaupun aku tidak berdosa.’ Ayub, aku akan memberikan jawapan kepadamu dan kepada sahabat-sahabatmu. Pandanglah langit dan perhatikan betapa tingginya awan. Jika engkau berdosa, hal itu tidak merugikan Allah. Jika engkau melakukan banyak kesalahan, hal itu tidak memberikan kesan kepada Allah. Adakah engkau menolong Allah dengan perbuatan baikmu? Allah tidak memerlukan apa-apa daripada kamu. Kawan-kawan sesamamu yang menderita akibat kejahatanmu, dan mereka juga yang beruntung kerana kebaikanmu. Apabila orang ditindas, mereka mengerang; mereka berteriak minta tolong. Tetapi mereka tidak berseru kepada Allah, Pencipta mereka, yang memberikan harapan pada waktu mereka berduka, dan yang menjadikan mereka lebih bijaksana daripada binatang di darat ataupun unggas di udara. Orang tertindas itu berseru, tetapi Allah tidak menjawab, kerana mereka sombong dan jahat. Tiada gunanya mereka berteriak dengan sekuat tenaga; Allah Yang Maha Kuasa tidak melihat atau mendengar mereka. Ayub, engkau berkata bahawa engkau tidak dapat melihat Dia; tetapi tunggulah dengan sabar - perkaramu ada di hadapan-Nya. Engkau berfikir bahawa Allah tidak menjatuhkan hukuman, dan bahawa Dia tidak mempedulikan pelanggaran. Sia-sialah engkau terus berkata-kata; jelaslah bahawa engkau tidak tahu apa yang kaukatakan. [1-2] Dengarlah sebentar lagi dan bersabarlah, masih ada yang hendak aku katakan demi Allah. *** Pengetahuanku luas; aku akan menggunakannya untuk menunjukkan bahawa Penciptaku adil. Perkataanku tiada yang palsu; orang yang sungguh bijak berada di depanmu. Allah sungguh perkasa, dan tidak menghina sesiapa; segala sesuatu difahami-Nya. Dia tidak membiarkan orang berdosa hidup lama, dan Dia memberikan keadilan kepada orang yang menderita. Dia melindungi orang yang jujur; Dia membiarkan mereka memerintah seperti raja sehingga mereka dihormati selama-lamanya. Tetapi jika orang dibelenggu dengan rantai besi, dan menderita kerana perbuatan mereka sendiri, maka dosa dan kesombongan mereka, akan dinyatakan oleh Allah. Dia menggerakkan mereka supaya mendengarkan amaran-Nya, dan supaya meninggalkan kejahatan mereka. Jika mereka mematuhi Allah dan mengabdi kepada-Nya, mereka akan hidup aman dan makmur sampai akhir hayat mereka. Tetapi jika mereka tidak mematuhi Allah, mereka akan binasa; mereka akan mati dalam kebodohan mereka. Orang yang tidak mengenal Allah, menyimpan kemarahan; walaupun dihukum, mereka tidak berdoa minta pertolongan. Mereka mati ketika masih muda, kerana hidup mereka penuh aib. Tetapi Allah mengajar manusia melalui penderitaan dan menginsafkan mereka melalui kesusahan. Allah telah melepaskan engkau daripada kesusahan, dan membiarkan engkau menikmati keamanan, dan mejamu dipenuhi makanan. Tetapi kini, setimpal dengan kejahatanmu, engkau menerima hukumanmu. Waspadalah, jangan biarkan rasuah menipu engkau, dan jangan biarkan kekayaan menyesatkan engkau. Tiada gunanya engkau berteriak minta bantuan; segenap tenagamu tidak dapat memberikan pertolongan. Jangan rindukan malam yang gelap, waktunya bangsa-bangsa binasa dan lenyap. Waspadalah, jangan berpaling kepada kejahatan; penderitaan didatangkan untuk menjauhkan engkau daripada kejahatan. Ingatlah, kuasa Allah sungguh besar. Dialah guru yang maha besar. Tiada sesiapa yang boleh memberitahu Allah apa yang harus dilakukan, ataupun menuduh Dia melakukan kejahatan. Allah sentiasa dipuji kerana perbuatan-Nya; engkau juga mesti menyanjung Dia. Semua orang telah melihat perbuatan-Nya; tetapi kita dapat memandang dari jauh sahaja. Kita tidak dapat mengetahui keagungan Allah dengan sepenuhnya, ataupun mengira jumlah tahun-Nya. Allah yang menarik air dari bumi ke langit, dan mengubahnya menjadi titisan air hujan. Dia membiarkan air mencurah dari mega, menjadi hujan yang turun ke atas semua manusia. Tiada sesiapa yang tahu caranya awan bergerak, atau guruh mengguntur di langit tempat kediaman Allah. Dia menerangi seluruh langit dengan kilat, tetapi dasar laut tetap gelap pekat. Itulah cara Dia memberikan makanan kepada manusia, dan menyediakan makanan yang berlimpah-limpah. Dia menangkap kilat dengan tangan, lalu menyuruhnya menyambar sasaran. Bunyi guruh menandakan bahawa ribut akan melanda, dan ternakan pun tahu bahawa badai segera tiba. Ribut kencang membuat aku gentar; hatiku berdebar-debar. Hai kamu semua, dengarlah suara Allah, dengarlah guruh yang keluar dari mulut-Nya. Ke seluruh langit, dilepaskan-Nya halilintar; ke hujung-hujung bumi, dikirim-Nya petir. Kemudian terdengar suara-Nya menderu, dengan megah guruh mengguntur bertalu-talu; dan sementara suara-Nya kedengaran kilat sabung-menyabung tanpa halangan. Dengan perintah Allah, perkara ajaib terjadi, perkara besar yang tidak dapat kita fahami. Salji jatuh ke bumi atas perintah-Nya, dan hujan lebat turun atas suruhan-Nya. Dia menghentikan pekerjaan manusia, supaya mereka tahu apa yang dapat dilakukan-Nya. Binatang liar masuk ke dalam gua, lalu berlindung di dalam sarangnya. Angin ribut datang dari selatan, dan angin yang sejuk sekali datang dari utara. Nafas Allah membekukan permukaan air yang luas, dan mengubahnya menjadi ais yang keras. Mega dimuati-Nya dengan air, dan awan bercahaya kerana diterangi petir. Awan melayang ke seluruh dunia, dan melakukan segala perintah Allah. Allah menurunkan hujan untuk membasahi bumi, ataupun untuk menghukum manusia, ataupun bagi menunjukkan anugerah-Nya. Diamlah sekejap, hai Ayub, dan dengarlah, perhatikanlah hal-hal besar yang dilakukan Allah. Tahukah engkau bagaimana Allah memberikan perintah dan membuat kilat memancar dari mega? Tahukah engkau bagaimana awan melayang, hasil karya Allah yang maha mengetahui? Tidak, engkau hanya dapat mengeluh kepanasan apabila bumi dilanda angin selatan. Dapatkah engkau menolong Allah membentangkan cakerawala, dan menjadikannya sekeras logam tuangan? Ajarlah kami apa yang harus kami katakan kepada Allah; fikiran kami kosong dan kami tidak dapat mengatakan apa-apa. Aku tidak mahu memohon untuk bercakap dengan Allah; jangan-jangan Dia mengambil peluang untuk membinasakan aku. Kini cahaya di langit terlalu terang sehingga menyilaukan mata, dan langit pun dibersihkan oleh hembusan angin. Sinar keemasan kelihatan di utara, dan kemuliaan Allah mengagumkan kita. Sunggguh besar kuasa Allah sehingga kita tidak dapat mendekati-Nya; Dia jujur dan adil terhadap manusia. Itulah sebabnya, setiap manusia menghormati Allah, dan orang yang mengaku dirinya bijak tidak dihiraukan-Nya.” Kemudian dari angin ribut, TUHAN berfirman kepada Ayub, “Siapakah engkau, sehingga berani menyoal hikmat-Ku dengan kata-kata yang bodoh dan kosong itu? Sekarang, bersedialah untuk menghadapi Aku, dan jawablah soalan-soalan-Ku. Adakah engkau hadir ketika Aku mencipta dunia? Jika engkau sangat pandai, jawablah. Siapakah yang menentukan keluasan dunia? Siapakah yang merentangkan tali ukur untuk mengukurnya? Tahukah engkau jawapannya? Apakah yang menyangga tiang-tiang bumi? Siapakah yang meletakkan batu penjuru dunia ini, pada waktu bintang-bintang pagi bernyanyi bersama-sama, dan makhluk-makhluk syurga bersorak gembira? Siapakah yang menutup pintu untuk membendung samudera ketika air memancar keluar dari rahim bumi? Akulah yang meliputi laut dengan awan dan menyelimutinya dengan kegelapan. Aku menentukan sempadan samudera dan dengan pintu berpalang Aku membendungnya. Aku memberitahunya, ‘Hingga di sini sahaja, dan tidak lebih jauh lagi! Di sinilah ombakmu yang kuat mesti berhenti.’ Hai Ayub, pernahkah dalam hidupmu engkau mendatangkan pagi, dan memerintah fajar merekah? Pernahkah engkau menyuruh fajar menguasai bumi dan mengebas orang jahat dari tempat mereka bersembunyi? Cahaya matahari menampakkan bukit dan lembah sejelas cap pada tanah liat dan lipatan pada jubah. Cahaya matahari terlalu cerah untuk orang yang melakukan kejahatan, dan menghalang mereka daripada melakukan keganasan. Pernahkah engkau turun ke sumber mata laut? Pernahkah engkau berjalan di dasar laut? Pernahkah sesiapa menunjukkan pintu gerbang maut kepada kamu, pintu yang menutup alam maut yang gelap gelita itu? Tahukah engkau keluasan dunia? Jawablah, jika engkau tahu segalanya. Tahukah engkau asalnya cahaya? Tahukah engkau tempatnya kegelapan? Dapatkah engkau menentukan batas di antara kegelapan dan cahaya, ataupun menghantar kedua-dua itu pulang setelah datang? Engkau menyangka bahawa engkau tahu jawapan semuanya, seolah-olah engkau hadir ketika Aku menciptakan dunia; tentunya engkau sudah sangat tua! Pernahkah engkau melawat ke gudang-gudang-Ku, tempat Aku menyimpan salji dan hujan batu? Aku menyediakannya untuk masa kesusahan, untuk hari pertempuran dan peperangan. Pernahkah engkau pergi ke tempat matahari terbit, ataupun ke tempat asal angin timur? Siapakah yang menggali terusan bagi hujan lebat, dan menyediakan jalan untuk guruh dan kilat? Siapakah yang menurunkan hujan ke tempat yang tidak didiami orang? Siapakah yang membasahi tanah yang kering dan tandus, sehingga rumput di sana bertunas? Adakah hujan mempunyai bapa kandung? Siapakah yang melahirkan embun? Adakah air batu mempunyai ibu? Siapakah yang melahirkan embun beku? Siapakah yang mengubah air menjadi batu dan menjadikan permukaan laut beku? Dapatkah engkau memberkas gugusan Bintang Kartika, ataupun melepaskan ikatan Bintang Orion? Dapatkah engkau membimbing bintang-bintang pada setiap musim, dan menuntun Biduk Besar dan Biduk Kecil? Tahukah engkau hukum-hukum di cakerawala, dan dapatkah engkau menerapkannya di dunia? Dapatkah engkau meneriakkan perintah kepada awan, dan menyuruhnya membasahi engkau dengan hujan? Jika engkau memerintah kilat supaya sabung-menyabung, adakah kilat datang kepadamu dan berkata, “Saya, tuan!”? Siapakah yang memberitahu burung ibis bahawa Sungai Nil akan banjir? Siapakah yang memberitahu ayam jantan bahawa hujan akan turun? Siapakah yang cukup bijak untuk mengira awan, dan mencondongkannya sehingga mencurahkan hujan, hujan yang mengeraskan debu menjadi gumpalan, dan tanah menjadi ketulan? Dapatkah engkau memburu mangsa untuk singa, dan mengenyangkan anak singa, apabila singa bersembunyi di dalam gua, atau menunggu mangsa di dalam sarangnya? Siapakah yang memberi makan kepada gagak hitam ketika burung itu merayau mencari makanan, ketika anak-anak burung berseru kepada-Ku meminta makanan? Tahukah engkau waktunya kambing gunung dilahirkan induknya? Pernahkah engkau melihat rusa liar melahirkan anaknya? Tahukah engkau lamanya kambing dan rusa mengandung? Tahukah engkau saatnya kelahiran anaknya? Tahukah engkau waktunya binatang itu meringkuk, dan melahirkan anak? Anak haiwan membesar dan menjadi kuat di hutan; lalu pergi jauh dan tidak kembali kepada induknya. Siapakah yang memberikan keldai liar kebebasan? Siapakah yang melepaskan serta membiarkan keldai liar berkeliaran? Akulah yang memberikan gurun kepada keldai liar sebagai kediamannya, dan padang garam untuk tempat tinggalnya. Keldai liar menjauhi kota yang riuh-rendah, dan tidak boleh dijinakkan untuk membuat kerja. Padang rumput di gunung ialah tempat makanannya, di situ tumbuhan hijau dicarinya. Mahukah lembu liar bekerja untukmu, atau rela bermalam di dalam kandang ternakmu? Dapatkah lembu liar diikat dan dipaksa membajak untukmu, atau digunakan untuk menggaru ladangmu? Dapatkah engkau bergantung kepada tenaga lembu liar yang kuat dan mengharapkannya membuat kerjamu yang berat? Adakah engkau mengharapkan lembu liar untuk mengumpulkan tuaian, dan membawa hasil tanamanmu ke tempat mengirik? Sungguh cepat kepakan sayap burung unta! Tetapi burung unta tidak dapat terbang seperti burung bangau. Burung unta bertelur di tanah lalu meninggalkannya, dan pasir memanaskan telurnya. Burung unta tidak sedar bahawa mungkin orang memijak telurnya, ataupun binatang liar memecahkan telurnya. Burung unta bertindak seolah-olah telur itu bukan kepunyaannya, dan tidak peduli bahawa usahanya sia-sia sahaja. Akulah yang membuat burung unta bodoh dan bebal, dan Aku tidak memberinya hikmat dan akal. Tetapi apabila burung unta berlari dengan kencang, maka kalahlah kuda serta penunggang. Hai Ayub, engkaukah yang memberikan tenaga kepada kuda, dan menjadikan surai yang melambai-lambai pada tengkuknya? Engkaukah yang menyuruh kuda melompat seperti belalang dan dengan dengusnya menakutkan orang? Kuda menghentak tanah di lembah dengan gembira, dan meluru ke medan pertempuran dengan sepenuh tenaga. Kuda tidak tahu ertinya takut, dan tidak dapat diundurkan dengan pedang. Senjata yang dibawa penunggangnya gemerincing dan gemerlapan kena cahaya. Dengan semangat yang menyala-nyala kuda berlari, dan tidak dapat berdiri diam apabila trompet berbunyi. Kuda berdengus setiap kali trompet dibunyikan; dari jauh tercium olehnya bau peperangan, dan didengarnya perwira memekikkan arahan. Adakah daripada engkau burung rajawali belajar terbang, ketika menuju ke selatan dengan sayap terkembang? Adakah burung helang menantikan suruhanmu untuk membina sarangnya di gunung yang tinggi? Di atas gunung batu yang tertinggi burung helang membina kediamannya, dan menjadikan puncak-puncak yang runcing sebagai kubunya. Dari situ burung helang mengawasi segala arah, matanya mengintai mencari mangsa. Di tempat yang ada bangkai, di situlah burung helang berkumpul; dan anak-anak helang meminum darah mangsa. [1-2] Ayub, engkau menentang Allah Yang Maha Kuasa; mahukah engkau mengalah, atau mahukah engkau membantah?” *** Maka Ayub menjawab TUHAN, “Aku telah bercakap seperti orang bodoh, ya TUHAN. Jawapan apakah yang dapat aku berikan? Tiada lagi yang hendak aku katakan. Aku telah berkata lebih daripada yang sepatutnya.” Kemudian dari ribut, TUHAN berfirman lagi kepada Ayub, “Sekarang bertindaklah sebagai lelaki, dan jawablah soalan-soalan-Ku ini. Adakah engkau cuba membuktikan bahawa Aku tidak adil, dan menyalahkan Aku dengan membenarkan dirimu? Adakah engkau sekuat Aku? Bolehkah suaramu mengguntur sekuat suara-Ku? Jika demikian, bangkitlah dengan hormat dan megah; selubungilah dirimu dengan kebesaran dan kemuliaan. Perhatikanlah orang yang sombong; curahkanlah kemarahanmu dan hinakanlah mereka. Ya, pandanglah orang yang sombong dan tundukkanlah mereka; hancurkanlah orang jahat sekarang juga. Kuburkanlah mereka semua di dalam tanah; kurunglah mereka di dunia orang mati. Lalu engkau akan Kupuji, kerana engkau telah menang dengan usahamu sendiri. Perhatikanlah Behemot, makhluk raksasa itu, yang juga ciptaan-Ku, seperti engkau. Behemot makan rumput seperti lembu, tetapi perhatikanlah tenaga pada badannya, dan kekuatan pada ototnya. Ekornya tegak seperti pokok sedar, dan otot di kakinya sangat kuat. Tulangnya kuat seperti gangsa, dan kakinya umpama batang besi. Itulah makhluk yang paling menakjubkan antara segala ciptaan Allah. Behemot hanya dapat dikalahkan oleh Penciptanya. Di gunung tempat haiwan buas bermain, rumput tumbuh untuk memberinya makanan. Makhluk itu berbaring di bawah belukar berduri, dan bersembunyi di antara gelagah di paya. Belukar berduri dan pokok gandarusa di tepi anak sungai memberi tempat teduh kepadanya. Arus Sungai Yordan yang deras tidak ditakutinya, air yang memukul mukanya dihadapinya dengan tenang sahaja. Siapakah yang dapat membutakan matanya, lalu menangkapnya dengan menjerat muncungnya? Dapatkah engkau menangkap Lewiatan dengan mata kail? Dapatkah engkau mengikat lidahnya dengan tali? Dapatkah engkau memasang tali pada muncungnya, atau mencucukkan kail pada rahangnya? Mungkinkah Lewiatan memohon untuk dilepaskan atau merayu kepadamu, minta belas kasihan? Mungkinkah Lewiatan membuat persetujuan dengan engkau, dan berjanji melayan engkau selalu? Mungkinkah engkau mengikat Lewiatan seperti burung kesayangan, yang menghiburkan hamba-hamba perempuan? Mungkinkah nelayan memperdagangkannya, atau saudagar membahagi-bahagikannya antara mereka? Dapatkah engkau menusuk kulitnya dengan serampang, ataupun menikam kepalanya dengan tempuling? Sentuhlah Lewiatan sekali sahaja dan engkau tidak akan mencuba lagi; engkau tidak akan melupakan perlawanan itu! Sesiapa yang melihat Lewiatan akan kehilangan semangat dan pengsan. Lewiatan garang apabila dibangunkan daripada tidurnya; tiada seorang pun berani berdiri di hadapannya. Siapakah yang dapat menyerangnya tanpa mendapat luka? Tiada sesiapa pun di bumi dapat melakukannya. Aku akan memberitahu engkau tentang kaki makhluk raksasa itu, dan tentang kekuatannya dan bentuk badannya yang tampan itu. Tiada sesiapa yang dapat mengoyakkan baju luarnya, atau menembusi baju zirah yang dipakainya. Siapakah yang dapat membuka muncungnya yang kuat, yang mempunyai gigi yang dahsyat? Belakangnya seperti perisai yang tersusun, yang terlekat rapat dan keras seperti batu. Tindih-menindih, terikat erat sehingga angin pun tidak dapat masuk meresap. Semuanya terlekat dengan sempurna sehingga tidak dapat dipisahkan. Cahaya berkilau apabila Lewiatan bersin, dan matanya bersinar seperti matahari yang terbit. Api keluar dari mulutnya, dan bunga api berterbangan. Asap berkepul-kepul keluar dari hidungnya, seperti periuk yang dipanaskan sehingga isinya mendidih. Nafasnya menyalakan bara; api keluar dari mulutnya. Lehernya sangat kuat, sehingga orang yang menemuinya takut. Tiada bahagian yang lemah pada kulitnya; kulitnya keras dan tidak mungkin pecah. Hatinya seteguh batu, tidak kenal ketakutan, dan keras seperti batu kisaran. Apabila Lewiatan bangun, orang terkuat pun hilang keberanian; mereka tidak berdaya kerana sangat ketakutan. Tiada pedang yang dapat mencederakannya; tiada tombak, panah, atau lembing dapat melukakannya. Besi dianggapnya seperti jerami, dan gangsa seperti kayu reput. Tiada panah yang dapat membuatnya lari; batu yang dilemparkan kepadanya, seperti serpihan jerami. Belantan dianggapnya seperti rumput kering, dan Lewiatan tertawa apabila orang melemparkan lembing. Sisik pada perutnya seperti tembikar yang kasar dan tajam, seperti alat pengirik yang mengorek lumpur. Laut dikacaunya sehingga menyerupai air mendidih, dan seperti minyak yang berbuih-buih di dalam periuk. Ditinggalkannya jejak yang bercahaya, laut diubahnya menjadi buih yang putih warnanya. Di atas bumi, Lewiatan tiada bandingan; itulah makhluk yang tidak kenal takut. Binatang yang paling sombong pun dipandangnya hina; antara semua binatang buas, Lewiatanlah raja.” Kemudian Ayub menjawab TUHAN, “Aku tahu, ya TUHAN, bahawa Engkau dapat melakukan segala sesuatu; Engkau dapat melakukan apa sahaja. Engkau bertanya sebabnya aku berani mempersoalkan hikmat-Mu, padahal aku tidak tahu apa-apa. Aku bercakap tentang perkara yang tidak aku mengerti, mengenai hal-hal yang terlalu ajaib bagiku ini. Engkau menyuruh aku mendengar ketika Engkau berfirman, dan memberikan jawapan apabila Engkau bertanya. Dahulu aku hanya mendengar tentang Engkau, tetapi kini aku sendiri melihat Engkau. Oleh itu, aku malu kerana segala perkataanku, dan dengan menyesal aku duduk dalam debu dan abu.” Setelah selesai berfirman kepada Ayub, TUHAN memberitahu Elifas, “Aku murka terhadap engkau dan kedua-dua orang sahabatmu, oleh sebab engkau tidak berkata yang benar tentang diri-Ku, seperti yang dilakukan hamba-Ku Ayub. Sekarang bawalah tujuh ekor lembu jantan dan tujuh ekor domba jantan kepada Ayub, dan persembahkanlah semuanya sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku, demi kepentingan diri kamu. Ayub akan berdoa untuk kamu, dan Aku akan mengabulkan doanya. Maka Aku tidak akan memalukan kamu meskipun kamu patut menerima hukuman. Kamu tidak berkata yang benar tentang diri-Ku seperti yang dilakukan Ayub.” Elifas, Bildad, dan Zofar melakukan apa yang telah diperintahkan TUHAN, dan TUHAN mengabulkan doa Ayub. Kemudian, selepas Ayub berdoa untuk ketiga-tiga orang sahabatnya, TUHAN menjadikan Ayub kaya semula, dan memberi dia kekayaan dua kali ganda daripada yang pernah dimilikinya. Semua saudara lelaki dan perempuan Ayub, serta semua kenalannya yang lama datang melawat dia dan berjamu bersama-sama Ayub di rumahnya. Mereka turut berdukacita dengan Ayub kerana segala kesusahan yang telah didatangkan TUHAN kepadanya, dan mereka menghibur dia. Tiap-tiap seorang daripada mereka memberi dia sekeping wang perak dan sebentuk cincin emas. TUHAN memberkati Ayub dengan lebih berlimpah pada akhir hidupnya daripada masa sebelum dia mengalami penderitaan. Ayub memiliki 14,000 ekor domba, 6,000 ekor unta, 2,000 ekor lembu, dan 1,000 ekor keldai. Dia menjadi bapa kepada tujuh orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan. Dia menamakan anak perempuannya yang sulung Yemima, yang kedua Kezia, dan yang bongsu Kerenhapukh. Tiada gadis di seluruh negeri yang secantik anak-anak perempuan Ayub. Mereka mewarisi harta Ayub bersama dengan saudara lelaki mereka. Selepas itu Ayub hidup seratus empat puluh tahun sehingga dapat melihat cucu-cicitnya. Lalu Ayub meninggal dalam usia yang sangat lanjut. Berbahagialah orang yang tidak mengikut nasihat orang jahat, tidak mengikut contoh orang yang berdosa, atau bergaul dengan orang yang menghina Allah, tetapi suka mentaati Taurat TUHAN dan merenungkannya siang malam. Mereka berjaya dalam segala usaha; mereka seperti pokok yang ditanam di tepi sungai yang berbuah pada musimnya, dan tidak pernah layu daunnya. Tetapi orang yang jahat tidak begitu; mereka seperti sekam yang ditiup angin. Orang yang jahat akan dihukum oleh Allah, dan dipisahkan daripada umat-Nya. Orang yang taat dipimpin dan dilindungi TUHAN tetapi orang yang jahat menuju kebinasaan. Mengapakah bangsa-bangsa membuat huru-hara dan rakyat merancangkan yang sia-sia? Raja-raja dunia memberontak, para pemerintah berkomplot menentang TUHAN dan raja pilihan-Nya. Mereka berkata, “Marilah kita bebaskan diri daripada kekuasaan mereka, marilah kita gulingkan pemerintahan mereka.” Dari takhta-Nya di syurga TUHAN tertawa dan mencemuh rancangan mereka. Dia menegur mereka dengan marah, dan menakutkan mereka dengan kemurkaan-Nya. Dia berfirman, “Di Sion, bukit-Ku yang suci, Aku telah menabalkan raja-Ku.” Raja bertitah, “Aku akan mengumumkan apa yang dinyatakan oleh TUHAN. Dia berfirman kepadaku, ‘Engkaulah anak-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapamu. Mintalah, maka semua bangsa akan Kuberi kepadamu, dan seluruh bumi akan Kujadikan milikmu. Engkau akan menghancurkan mereka dengan pemerintahan tangan besi; engkau akan menghancurkan mereka seperti periuk tanah.’ ” Bertindaklah dengan bijak, hai raja-raja; dengarlah amaran ini, hai pemerintah dunia! Berbaktilah kepada TUHAN dengan hormat; bersujudlah di hadapan-Nya dengan gementar; jangan sampai TUHAN murka lalu kamu dibinasakan dengan tiba-tiba kerana cepat sekali kemurkaan-Nya menyala. Berbahagialah semua orang yang berlindung kepada-Nya! Mazmur Raja Daud ketika baginda lari daripada Absalom, puteranya. Ya TUHAN, betapa banyaknya musuhku, sangat banyak orang yang menentang aku! Mereka mengumpat dan berkata, “Allah tidak akan menolong dia!” Tetapi Engkau, ya TUHAN, adalah perisai yang melindungi aku. Engkau memberi aku kemenangan dan memulihkan semangatku. Aku berseru kepada TUHAN meminta pertolongan, dan dari bukit-Nya yang suci, Dia menjawab aku. Aku berbaring, lalu tidur, dan sepanjang malam TUHAN melindungi aku. Aku tidak takut terhadap beribu-ribu lawan yang mengepung aku dari segala jurusan. Selamatkanlah aku, ya TUHAN, Allahku, hukumlah dan lumpuhkanlah semua musuhku. TUHANlah yang memberikan kemenangan, semoga Dia memberkati umat-Nya. Untuk pemimpin koir. Dengan iringan kecapi. Mazmur Daud. Jawablah apabila aku berseru, ya Allah, Pembelaku! Ketika aku susah dahulu, Engkau datang menolong aku. Sekarang kasihanilah aku, dan dengarlah doaku! Hai manusia, berapa lamakah kamu akan menghina aku? Berapa lama lagi kamu akan mencintai yang tidak berguna itu, dan mengejar yang palsu? Ingatlah bahawa TUHAN telah memilih orang yang taat kepada-Nya sebagai milik-Nya, dan Dia mendengar ketika aku berseru kepada-Nya. Ketika kamu marah, jangan berdosa. Renungkanlah hal itu sambil berdiam diri, sewaktu kamu berbaring di tempat tidur. Persembahkanlah korban yang benar dan percayalah kepada TUHAN. Banyak orang berdoa, “Berilah kami berkat yang lebih, ya TUHAN. Semoga Engkau berkenan kepada kami.” Engkau membuat hatiku lebih girang daripada orang yang kelimpahan makanan dan minuman. Maka aku berbaring dan tidur dengan tenteram; Engkau sahaja, ya TUHAN, yang memelihara aku dengan aman. Untuk pemimpin koir. Dengan iringan suling. Mazmur Daud. Ya TUHAN, dengarkanlah kata-kataku, dengarkanlah keluhanku. Ya Allahku, Rajaku, dengarlah rintihanku dan tolonglah aku. Aku berdoa kepada-Mu, ya TUHAN; pada waktu pagi Engkau mendengar suaraku; ketika matahari terbit aku mempersembahkan doaku, dan menanti-nantikan jawapan-Mu. Ya Allah, Engkau tidak suka akan perbuatan jahat; Engkau tidak membenarkan orang jahat berada di hadirat-Mu. Engkau tidak tahan melihat orang sombong; Engkau membenci semua orang jahat. Engkau memusnahkan semua pembohong, dan menghina pengganas dan penipu. Tetapi demi kasih-Mu yang besar, aku dapat masuk ke Rumah-Mu. Aku boleh menyembah Engkau di dalam Rumah-Mu yang suci, dan bersujud di hadapan-Mu dengan hormat. Ya TUHAN, amat banyak musuhku; pimpinlah aku melakukan kehendak-Mu, dan tunjukkanlah jalan-Mu yang harus aku tempuh. Kata-kata musuhku tidak boleh dipercayai; rancangan mereka jahat sekali; kata-kata mereka manis memikat, tetapi penuh dengan niat jahat. Hukumlah mereka, ya Allah; biarlah mereka celaka kerana rancangan mereka sendiri. Usirlah mereka kerana dosa mereka yang banyak itu serta pemberontakan mereka terhadap-Mu. Semoga semua orang yang berlindung kepada-Mu gembira; dan bernyanyi dengan sukacita selama-lamanya. Lindungilah mereka yang mengasihi Engkau, supaya mereka sungguh berbahagia kerana Engkau. Engkau memberkati mereka yang taat kepada-Mu, ya TUHAN; kasih-Mu melindungi mereka seperti perisai. Untuk pemimpin koir. Dengan iringan kecapi. Menurut lagu yang kelapan. Mazmur Daud. Ya TUHAN, janganlah marah aku ketika Engkau murka! Janganlah hukum aku ketika Engkau marah! Kasihanilah aku, ya TUHAN, kerana aku penat; pulihkanlah aku kerana aku sungguh letih. Hatiku resah gelisah. Sampai bilakah Engkau tinggalkan aku, ya TUHAN? TUHAN, datanglah dan selamatkanlah aku, selamatkanlah aku daripada maut demi kasih-Mu. Di alam maut Engkau tidak diingat lagi; tiada sesiapa pun memuji Engkau di dunia orang mati. Aku tidak bermaya kerana dilanda kesedihan; setiap malam tempat tidurku dibasahi tangisan; bantalku dibasahi air mata. Mataku rabun dan bengkak kerana terlalu banyak menangis, semua itu disebabkan oleh musuh-musuhku. Nyahlah, hai orang jahat! TUHAN mendengar tangisanku; Dia mendengar permohonanku, dan mengabulkan doaku. Semua musuhku akan cemas dan malu dan segera mundur dengan tersipu-sipu. Ratapan Daud, yang dinyanyikan kepada TUHAN kerana Kus, orang Benyamin itu. Ya TUHAN, Allahku, aku berlindung kepada-Mu; selamatkanlah dan lepaskanlah aku daripada semua orang yang memburu aku. Jangan biarkan mereka seperti singa yang menerkam dan menyeret aku ke tempat yang tiada seorang pun dapat menyelamatkan aku. [4-5] Ya TUHAN, Allahku, jika aku pernah berbuat jahat, jika aku mengkhianati sahabat, atau melakukan keganasan terhadap musuh tanpa sebab, *** biarlah musuhku memburu dan menangkap aku, lalu membunuh dan meninggalkan aku dalam debu! Bangkitlah dengan kemurkaan-Mu, ya TUHAN, dan tentanglah keganasan musuh-musuhku! Bangkitlah dan tolonglah aku, kerana keadilanlah yang Engkau tuntut. Himpunkanlah bangsa-bangsa di sekeliling-Mu, dan perintahlah mereka dari takhta-Mu di syurga. Engkaulah yang menghakimi semua manusia. Berilah aku keadilan, ya TUHAN, kerana aku tidak bersalah. Hentikanlah kejahatan orang durjana, dan berikanlah pahala kepada orang yang baik, kerana Engkau Allah yang adil, Engkau menyelami hati dan fikiran. Pelindungku ialah Allah; Dia menyelamatkan mereka yang mentaati-Nya. Allah ialah hakim yang adil, yang sentiasa menghukum mereka yang jahat. Jika kelakuan mereka tidak berubah, Allah akan mengasah pedang-Nya. Dia menyiapkan dan melengkungkan busur-Nya; Dia mengambil senjata-Nya yang berbahaya dan melancarkan anak panah-Nya yang bernyala. Lihatlah cara orang jahat memikirkan kejahatan; mereka merancangkan kekacauan dan melakukan penipuan. Mereka memasang perangkap untuk orang lain, tetapi mereka sendiri jatuh ke dalamnya. Demikianlah mereka terhukum oleh kejahatan sendiri, dan tercedera oleh keganasan mereka sendiri. Aku mengucap syukur kepada TUHAN kerana Dia adil, aku menyanyikan pujian kepada TUHAN, Yang Maha Tinggi. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu Gitit. Mazmur Daud. Ya TUHAN, Allah kami, keagungan-Mu terlihat di seluruh bumi! Sampai ke atas langit keagungan-Mu dipuji, dinyanyikan oleh kanak-kanak dan bayi. Engkau membina kubu untuk menentang musuh-Mu, untuk membinasakan seteru dan lawan-Mu. Apabila aku melihat langit yang telah Engkau ciptakan, bulan dan bintang yang Engkau tempatkan, apakah manusia itu sehingga Engkau ingat akan mereka? Mereka insan belaka, namun Engkau peliharakan mereka. Engkau menjadikan mereka hampir setara dengan diri-Mu sendiri; Engkau memahkotai mereka dengan kemuliaan dan kehormatan. Engkau menjadikan mereka pemerintah seluruh ciptaan-Mu; segala ciptaan-Mu Kautundukkan kepada mereka: domba, lembu, dan semua ternakan, serta binatang buas di hutan, burung di udara dan ikan di laut, serta segala makhluk di dalam lautan. Ya TUHAN, Tuhan kami, keagungan-Mu terlihat di seluruh bumi. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu Mut-Laben. Mazmur Daud. Aku akan memuji Engkau dengan segenap hatiku, TUHAN, dan menceritakan segala keajaiban yang telah Engkau lakukan. Aku akan menyanyi dengan riang kerana Engkau, dan menyanyikan pujian kepada-Mu, Yang Maha Tinggi. Ketika Engkau muncul, musuhku berpatah balik; mereka jatuh tersandung lalu mati. Engkau memerintah sebagai hakim yang adil, dan Engkau telah membela perkaraku. Engkau telah menghukum bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu, dan membinasakan orang jahat; mereka tidak akan dikenang lagi. Musuh kami lenyap selama-lamanya; Engkau telah memusnahkan kota-kota mereka, dan mereka dilupakan sama sekali. Tetapi TUHAN memerintah selama-lamanya; Dia mendirikan takhta-Nya untuk menghakimi dunia. Dia memerintah dunia dengan adil, dan menghakimi rakyat dengan saksama. TUHAN adalah pernaungan bagi orang yang ditindas, tempat perlindungan pada masa kesusahan. Mereka yang mengenal Engkau yakin kepada-Mu, ya TUHAN; sesiapa pun yang datang kepada-Mu tidak Kautinggalkan. Pujilah TUHAN yang memerintah di Sion! Beritakanlah perbuatan-Nya kepada setiap bangsa! Allah ingat akan mereka yang menderita; Dia tidak melupakan tangisan mereka, Dia menghukum orang yang berlaku kejam terhadap mereka. Kasihanilah aku, ya TUHAN! Lihatlah, musuhku menyengsarakan aku. Selamatkanlah aku daripada maut, ya TUHAN, supaya aku dapat memuji Engkau di hadapan penduduk Yerusalem. Aku akan bersorak gembira kerana Engkau menyelamatkan aku. Bangsa-bangsa yang tidak mengenal Engkau jatuh ke dalam lubang yang digali mereka sendiri; mereka memasang perangkap, tetapi mereka sendiri terperangkap. TUHAN menyatakan diri-Nya dengan keputusan yang adil; orang jahat terperangkap oleh perbuatan mereka sendiri. Maut ialah kesudahan semua orang jahat, semua orang yang menolak Allah. Orang miskin tidak selamanya dilupakan; orang papa tidak selamanya kehilangan harapan. Bangkitlah, ya TUHAN, hakimilah bangsa-bangsa, jangan biarkan manusia terlepas daripada hukuman. Buatlah mereka takut, ya TUHAN; sedarkanlah mereka bahawa mereka itu hanya insan. Mengapakah Engkau begitu jauh, ya TUHAN, dan bersembunyi pada masa kami dalam kesusahan? Dengan sombong orang jahat menindas orang miskin; biarlah mereka dijerat oleh perangkap mereka sendiri. Orang jahat membangga-banggakan niat jahat mereka; orang tamak mengutuki dan menolak TUHAN. Orang jahat tidak mempedulikan TUHAN; kerana mereka sombong, mereka berfikir Allah tidak ada. Orang jahat berjaya dalam segala perbuatan mereka. Mereka tidak dapat memahami pengadilan Allah; mereka mentertawakan musuh-musuh mereka. Mereka berkata dalam hati, “Kami tidak akan gagal; kami tidak akan ditimpa kesusahan.” Percakapan mereka penuh dengan sumpahan, dusta, dan ancaman; mereka cepat menista dan menjahati orang. Mereka bersembunyi di kampung-kampung, dan menunggu untuk membunuh orang yang tidak bersalah. Mereka mengintip mangsa yang tidak berdaya; mereka menunggu di tempat persembunyian seperti singa. Mereka menantikan orang yang tidak berupaya, lalu menangkap dan menyeret mereka dari situ. Mangsa yang tidak berdaya remuk tergelimpang, ditewaskan oleh keganasan. Orang jahat berfikir, “Allah tidak peduli! Allah telah memejamkan mata-Nya dan tidak melihat kami!” Ya TUHAN, hukumlah orang yang jahat! Jangan lupakan orang yang sengsara! Mengapakah orang jahat menghina Allah, dan berfikir mereka tidak akan dihukum Allah? Tetapi Engkau nampak; Engkau perhatikan kesusahan dan penderitaan orang, dan sentiasa sedia untuk menolong mereka. Orang yang tidak berdaya menyerahkan dirinya kepada-Mu, kerana Engkau selalu menolong orang yang susah. Patahkanlah kekuasaan orang yang jahat dan durjana; hukumlah mereka kerana kekejaman mereka sehingga mereka berhenti melakukannya. TUHAN raja selama-lamanya, dan orang yang tidak mengenal Dia akan lenyap dari negeri-Nya. TUHAN, kabulkanlah doa orang hina; berikanlah semangat kepada mereka. Engkau mendengar tangisan anak yatim dan orang yang ditindas; Engkau membela mereka supaya orang tidak lagi menakutkan mereka. Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Aku yakin bahawa TUHAN akan melindungi aku. Tidak ada gunanya berkata kepadaku, “Terbanglah seperti burung ke gunung, kerana di tempat yang gelap, orang jahat telah melengkungkan busur, dan memasang anak panah untuk memanah orang baik. Tiada apa-apa lagi yang dapat dilakukan orang baik apabila tata tertib masyarakat musnah.” TUHAN berada di Rumah-Nya yang suci; Dia mempunyai takhta di syurga. Dia memperhatikan semua manusia dan mengetahui segala perbuatan mereka. Dia menguji orang baik dan orang jahat; Dia sangat membenci orang yang mencintai keganasan. Orang jahat dihukum-Nya dengan malapetaka, dengan arang berapi, belerang, dan angin yang menghanguskan. TUHAN adil dan mengasihi orang yang berbuat baik; orang jujur akan melihat dan mengenal Dia. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu yang kelapan. Mazmur Daud. Tolonglah kami, ya TUHAN, kerana tidak ada lagi orang yang baik; orang yang jujur tidak dapat dijumpai lagi. Semua manusia saling membohongi, dan saling menipu dengan kata-kata manis. Hentikanlah kata-kata manis itu, ya TUHAN, dan bungkamkan mulut yang bercakap besar, “Kami berkuasa dengan mulut kami. Kami akan bercakap sesuka hati; tidak sesiapa dapat menghalang kami.” TUHAN berfirman, “Orang miskin ditindas, dan orang yang dianiaya mengerang. Maka sekarang juga Aku datang memberikan ketenteraman yang diingini mereka.” Janji TUHAN teguh dan dapat dipercayai; seperti perak yang dimurnikan berkali-kali di dalam api. [8-9] Orang jahat terdapat di merata-rata tempat, dan setiap orang menyanjung kejahatan. Selamatkanlah kami, ya TUHAN, peliharakanlah kami daripada orang seperti itu. Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Berapa lamakah Engkau akan melupakan aku, ya TUHAN? Berapa lamakah Engkau akan bersembunyi daripadaku? Berapa lamakah aku mesti menanggung kesusahan dan berdukacita siang malam? Berapa lamakah musuhku akan menguasai aku? Pandanglah aku, ya TUHAN, Allahku, dan jawablah doaku. Pulihkanlah tenagaku; jangan biarkan aku mati. Jangan biarkan musuhku berkata bahawa mereka telah mengalahkan aku. Jangan biarkan mereka bergembira kerana kejatuhanku. Tetapi aku bergantung kepada kasih-Mu yang abadi; aku akan bergembira kerana Engkau menyelamatkan aku. Aku akan menyanyi untuk TUHAN, kerana Dia telah berbuat baik kepadaku. Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Orang bodoh berkata dalam hati, “Tidak ada Allah.” Mereka semua jahat dan perbuatan mereka keji; tidak seorang pun melakukan yang baik. Dari syurga TUHAN memandang umat manusia untuk mencari orang yang bijak, orang yang menyembah Dia. Tetapi semua orang sudah menyimpang dan sesat, tiada seorang pun melakukan yang baik. TUHAN bertanya, “Tidakkah semua orang jahat ini tahu? Mereka hidup dengan merompak umat-Ku, dan tidak pernah berdoa kepada-Ku.” Orang jahat akan ketakutan, kerana Allah menolong orang yang taat kepada-Nya. Orang jahat merintangi hasrat orang miskin, tetapi orang miskin dilindungi TUHAN. Semoga penyelamatan bagi Israel datang dari Sion! Apabila TUHAN menjadikan umat-Nya makmur semula, semua orang Israel akan bersukacita. Mazmur Daud. Ya TUHAN, siapakah yang boleh menumpang di Rumah-Mu? Siapakah yang boleh tinggal di Sion, bukit-Mu yang suci itu? Orang yang hidup tanpa cela dan yang berbuat baik, dan dengan jujur mengatakan yang benar; yang tidak memfitnah orang lain, tidak berbuat salah terhadap sahabat, dan tidak memburuk-burukkan nama jiran; yang menghina orang yang ditolak Allah, tetapi menghormati orang yang taat kepada TUHAN; yang sentiasa menepati janji mereka, tanpa mengira kerugian; yang memberi pinjaman tanpa memungut bunga dan tidak dapat disuap untuk menyalahkan orang yang tidak bersalah. Orang yang melakukan segala itu sentiasa tenteram. Mazmur Daud. Jagalah aku, ya Allah, kerana aku berlindung kepada-Mu. Aku berkata kepada TUHAN, “Engkaulah Tuhanku; tiada yang baik bagiku selain Engkau.” Betapa baiknya umat yang setia kepada Allah! Aku sangat ingin bersama-sama mereka. Mereka yang menyembah dewa-dewa bertambah-tambah kesusahan mereka. Aku tidak mahu turut serta mempersembahkan korban; aku tidak mahu menyembah dewa mereka. Ya TUHAN, hanya Engkau yang aku miliki, Engkau memberi aku segala keperluanku; nyawaku ada di dalam tangan-Mu. Sungguh indah pemberian-Mu kepadaku; betapa baiknya semua itu! Aku memuji TUHAN kerana Engkau membimbing aku, pada waktu malam suara hatiku mengajar aku. Aku sentiasa sedar akan hadirat TUHAN; Engkau ada di sampingku, tiada suatu pun dapat menggoncang aku. Demikianlah hatiku bersyukur dan gembira, dan aku selamat, kerana Engkau tidak akan membiarkan aku mati; orang yang Engkau kasihi tidak Kaubiarkan binasa. Jalan yang menuju kehidupan Engkau tunjukkan kepadaku; hadirat-Mu menggembirakan aku, dan sentiasa membahagiakan aku. Doa Daud. Dengarlah rayuanku, ya TUHAN, permintaanku untuk keadilan. Perhatikanlah tangisanku, dengarkanlah doaku yang tulus. Engkau akan membela aku, kerana Engkau tahu apa yang benar. Engkau mengenal hatiku. Apabila Engkau datang kepadaku pada waktu malam, dan memeriksa aku dengan teliti, tidak akan Kaudapati niat yang jahat pada diriku. Aku tidak mengatakan yang jahat, seperti orang lain; aku mentaati perintah-Mu dan tidak melakukan keganasan. Aku selalu hidup menurut petunjuk-Mu dan tidak pernah menyeleweng. Aku berdoa kepada-Mu, ya Allah, kerana Engkau menjawab aku; oleh itu berpalinglah kepadaku dan dengarkanlah kata-kataku. Tunjukkanlah kasih-Mu yang mengagumkan, dan selamatkanlah orang yang berlindung kepada-Mu; di sisi-Mu, aku selamat daripada segala musuh. Lindungilah aku, seperti biji mata-Mu sendiri; sembunyikanlah aku di bawah naungan sayap-Mu, lindungilah aku daripada orang jahat yang menyerang aku. Musuh yang mengancam nyawaku mengelilingi aku; mereka bercakap sombong dan tidak berbelas kasihan. Mereka mengejar dan mengepung aku, mencari peluang untuk menjatuhkan aku. Mereka bagaikan singa yang menunggu hendak menyiat aku, seperti anak singa yang bersembunyi menantikan aku. Bangkitlah, ya TUHAN, lawanlah dan kalahkanlah musuhku! Selamatkanlah aku daripada orang jahat dengan pedang-Mu. Selamatkanlah aku daripada orang yang menimbun harta di dunia. Hukumlah mereka dengan penderitaan yang telah Engkau sediakan untuk mereka; biarlah anak cucu mereka dihukum juga. Aku akan melihat Engkau kerana aku tidak bersalah; dan apabila aku terjaga, hadirat-Mu membuat hatiku gembira. Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud, hamba TUHAN. Dinyanyikan kepada TUHAN pada waktu TUHAN menyelamatkan Daud daripada Raja Saul dan daripada semua musuhnya. Aku sangat mengasihi Engkau, ya TUHAN! Engkaulah pembelaku. TUHAN ialah pelindungku; Dia bagaikan kubu yang kuat bagiku. Allahku tempat perlindunganku, aku selamat bersama dengan Dia. Dia melindungi aku seperti perisai; Dia membela dan menjaga aku supaya aku selamat. Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, dan Dia menyelamatkan aku daripada musuhku. Bahaya maut mengelilingi aku, banjir kebinasaan menggenangi aku. Bahaya maut mengelilingi aku, dan kubur memasang perangkap untukku. Dalam kesusahan aku berseru kepada TUHAN; aku berseru kepada Allahku minta pertolongan. Di dalam Rumah-Nya Dia mendengar suaraku; Dia memperhatikan seruanku. Kemudian bumi bergempa dan bergoncang; tapak gunung bergoyang dan bergegar, kerana Allah murka. Asap berhembus dari hidung-Nya, api dan bara keluar dari mulut-Nya. Dia membelah langit lalu turun dengan awan gelap di bawah kaki-Nya. Dia terbang laju dengan mengenderai kerub; Dia melayang di atas sayap angin. Dia menutup diri-Nya dengan kegelapan; awan mendung yang tebal mengelilingi Dia. Hujan batu dan api datang dari kilat yang di hadapan-Nya, menembusi awan yang tebal itu. Kemudian TUHAN mengguntur dari angkasa; dan Yang Maha Tinggi memperdengar suara-Nya. Dia melepaskan anak panah-Nya dan mencerai-beraikan musuh-Nya; Dia memancarkan kilat sehingga menyebabkan mereka lari. Dasar lautan tersingkap, dan asas bumi terdedah, ketika Engkau menegur musuh-Mu, ya TUHAN, dan bertempik dengan murka terhadap mereka. Dari atas TUHAN menghulurkan tangan-Nya, Dia memegang aku, lalu menarik aku keluar dari air yang dalam. Dia menyelamatkan aku daripada musuhku yang kuat, dan daripada mereka yang membenci aku, kerana mereka terlalu kuat bagiku. Ketika aku dalam kesusahan, mereka menyerang aku, tetapi TUHAN melindungi aku. Dia melepaskan aku daripada bahaya; Dia menyelamatkan aku kerana Dia berkenan kepadaku. TUHAN mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar; Dia memberkati aku kerana aku tidak bersalah. Aku mematuhi Taurat TUHAN; aku tidak meninggalkan Allahku. Aku telah mentaati segala hukum-Nya; aku tidak pernah mengingkari perintah-Nya. Dia tahu bahawa aku tidak bercela, dan aku menjauhkan diri daripada kesalahan. Oleh itu Dia mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar, kerana Dia tahu bahawa aku tidak bersalah. Ya TUHAN, Engkau setia kepada orang yang setia kepada-Mu, dan Engkau sangat baik kepada orang yang baik. Engkau menyatakan diri-Mu suci kepada orang yang suci, tetapi Engkau memusuhi orang yang jahat. Engkau menyelamatkan orang yang rendah hati, tetapi Engkau merendahkan orang yang sombong. Engkau memberikan cahaya kepadaku; TUHAN Allahku menerangi kegelapanku. Engkau memberi aku kekuatan untuk menyerang musuhku, dan kuasa untuk menembusi pertahanan mereka. Betapa sempurnanya perbuatan Allah ini, firman TUHAN dapat dipercayai. Dia umpama perisai bagi semua orang yang berlindung kepada-Nya. TUHAN satu-satunya Allah; hanya Allah pembela kita. Dialah Allah yang menguatkan aku, dan menjadikan jalanku aman. Dia menguatkan kakiku seperti kaki rusa; Dia menjaga keselamatanku di pergunungan. Dia melatih aku untuk berperang, supaya aku dapat melengkungkan busur yang terkuat. Ya TUHAN, Engkau melindungi dan menyelamatkan aku; pertolongan-Mu telah menjadikan aku agung dan kuasa-Mu memelihara keselamatanku. Engkau menjaga aku supaya aku tidak ditawan, dan aku tidak pernah jatuh. Aku mengejar musuhku dan menangkap mereka; aku tidak berhenti sehingga aku mengalahkan mereka. Aku memukul mereka sehingga mereka tidak dapat bangun; mereka rebah kerana kalah di hadapanku. Engkau memberi aku tenaga untuk bertempur, dan kemenangan atas musuhku. Engkau menyebabkan musuhku lari daripadaku; aku membinasakan orang yang membenci aku. Mereka berteriak minta tolong, tetapi tiada sesiapa pun menyelamatkan mereka; mereka berseru kepada TUHAN, tetapi Dia tidak menjawab. Aku menghancurkan mereka sehingga mereka menjadi seperti debu yang ditiup angin; aku memijak-mijak mereka seperti lumpur di jalan. Engkau menyelamatkan aku daripada umat yang memberontak, dan menjadikan aku pemerintah bangsa-bangsa; bangsa yang tidak aku kenal menjadi rakyatku. Bangsa asing meromok ketakutan di hadapanku, dan taat apabila mendengar perintahku. Mereka hilang keberanian; mereka gementar dan keluar dari kubu pertahanan. TUHAN hidup! Pujilah pembelaku! Isytiharkanlah keagungan Allah penyelamatku! Dia memberi aku kemenangan atas musuhku; Dia menaklukkan bangsa-bangsa di hadapanku dan menyelamatkan aku daripada lawanku. Ya TUHAN, Engkau memberi aku kemenangan atas musuhku dan melindungi aku daripada orang ganas. Oleh itu aku memuji Engkau di kalangan bangsa-bangsa; aku menyanyikan pujian untuk-Mu. Allah memberikan kemenangan besar kepada raja pilihan-Nya; Dia tetap mengasihi orang yang dilantik-Nya, iaitu Daud dan keturunannya, untuk selama-lamanya. Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Betapa terangnya langit menyatakan kemuliaan Allah! Betapa jelasnya cakerawala menunjukkan perbuatan-Nya! Hari yang satu menyampaikannya kepada hari yang berikut, dan malam yang satu mengulanginya kepada malam yang kemudian. Ucapan atau perkataan tidak digunakan; suara tidak kedengaran; namun berita itu sampai ke seluruh dunia, dan dikhabarkan ke hujung bumi. Allah mendirikan khemah di langit untuk sang suria; yang muncul pada pagi hari seperti pengantin lelaki yang keluar dari rumahnya, seperti olahragawan yang ingin berlumba. Sang suria mengedari langit dari hujung ke hujung. Tiada sesuatu pun dapat berlindung daripada teriknya. Taurat TUHAN itu sempurna, menyegarkan jiwa. Perintah TUHAN dapat dipercayai, memberikan kebijaksanaan kepada orang yang memerlukannya. Hukum TUHAN itu benar, menggembirakan hati. Perintah TUHAN itu adil, memberi orang pengertian. Berbakti kepada TUHAN itu baik, berlanjutan selama-lamanya. Ketetapan TUHAN itu adil, tidak berat sebelah. Ketetapan TUHAN lebih berharga daripada emas murni, lebih manis daripada madu. Hamba-Mu diperingatkan oleh semua itu; pahala tersedia untuk orang yang mentaatinya. Tidak seorang pun dapat melihat kesalahannya sendiri; ya TUHAN, bebaskanlah aku daripada kesalahan yang tersembunyi. Selamatkanlah aku juga daripada dosa yang disengajakan; jangan biarkan aku dikuasai olehnya. Maka aku akan menjadi tidak bercela, serta bebas daripada pelanggaran berat. Semoga kata-kata dan renunganku diterima oleh-Mu, ya TUHAN, pelindung dan penebusku! Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Semoga TUHAN mengabulkan doamu pada waktu kesusahan. Semoga kuasa Allah Yakub melindungi kamu. Semoga Dia menghantar pertolongan dari Rumah-Nya dan memberi kamu bantuan dari Bukit Sion. Semoga Dia menerima segala persembahanmu dan berkenan pada segala korbanmu. Semoga Dia memberi kamu keinginanmu dan menjayakan segala rancanganmu. Lalu kami akan bersorak-sorak kerana kemenanganmu, dan merayakan kemenanganmu dengan memuji Allah kita. Semoga TUHAN mengabulkan segala permintaanmu. Sekarang aku tahu bahawa TUHAN memberikan kemenangan kepada raja pilihan-Nya; dari syurga-Nya yang suci TUHAN mengabulkan permintaannya. Oleh kuasa TUHAN, raja mendapat kemenangan yang besar. Ada orang bergantung kepada kereta kuda mereka, yang lain kepada kuda mereka, tetapi kita yakin akan kuasa TUHAN, Allah kita. Mereka akan tersandung dan jatuh, tetapi kita akan bangkit dan berdiri teguh. Berikanlah kemenangan kepada raja, ya TUHAN; jawablah kami apabila kami berseru. Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Raja bergembira, ya TUHAN, kerana Engkau menguatkan raja; raja bersukacita kerana kemenangan yang Engkau berikan kepadanya. Engkau telah memenuhi segala hasrat hatinya; Engkau telah mengabulkan permintaannya. Engkau datang kepadanya dengan berkat yang berlimpah, dan mengenakan mahkota emas di atas kepalanya. Raja meminta hidup, maka Engkau pun memberikan hidup kepadanya, bahkan umur panjang untuk selama-lamanya. Kemuliaannya besar kerana pertolongan-Mu; Engkau telah memberi raja kemasyhuran dan keagungan. Berkat-Mu kepadanya berlanjutan, dan hadirat-Mu membuat raja sangat girang. Raja yakin kepada TUHAN Yang Maha Tinggi; baginda selalu selamat kerana sentiasa dikasihi TUHAN. Raja akan menangkap semua musuhnya; raja akan menawan semua orang yang membenci baginda. Raja datang seperti api yang menyala-nyala untuk memusnahkan mereka. TUHAN akan membinasakan mereka oleh kemurkaan-Nya, dan api akan menghanguskan mereka. Raja akan membunuh semua anak mereka, dan menghapuskan semua keturunan mereka. Mereka membuat rancangan, dan berkomplot menentang raja, tetapi mereka tidak akan berjaya. Raja akan melepaskan anak panah ke arah mereka, dan membuat mereka berpatah balik dan lari. Kami memuji Engkau, ya TUHAN, kerana besarlah kuasa-Mu! Kami akan menyanyi dan memuji keperkasaan-Mu. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Rusa di Kala Fajar. Mazmur Daud. Allahku, ya Allahku, mengapakah Engkau meninggalkan aku? Aku berseru tetapi Engkau tetap jauh, dan tidak menolong aku. Pada siang hari aku berseru kepada-Mu, ya Allah, tetapi Engkau tidak menyahut; aku berseru pada waktu malam, namun tidak juga mendapat ketenteraman. Tetapi Engkau Raja Yang Maha Suci, yang dipuji oleh Israel. Kepada-Mu nenek moyang kami percaya; mereka percaya kepada-Mu dan Engkau menyelamatkan mereka. Mereka berseru kepada-Mu dan Engkau menjauhkan mereka daripada bahaya; mereka percaya kepada-Mu dan tidak dikecewakan. Tetapi aku ini ulat, bukan manusia, yang dihina dan dicaci semua orang. Semua orang yang melihat aku mempermainkan aku; mereka menjelirkan lidah dan menggelengkan kepala. Mereka berkata, “Kamu percaya kepada TUHAN, tetapi mengapakah Dia tidak menyelamatkan kamu? Jika TUHAN mengasihi kamu, mengapakah Dia tidak menolong kamu?” Engkaulah, ya TUHAN, yang mengeluarkan aku dari kandungan ibuku, dan ketika aku masih bayi, Engkaulah yang memelihara aku. Sejak lahir, aku bergantung kepada-Mu; sejak dalam kandungan, Engkaulah Allahku. Janganlah jauhkan diri daripadaku. Kesusahan sudah dekat, dan tiada sesiapa pun yang membantu. Banyak musuh yang mengepung aku; mereka semua mengelilingi aku, seperti kerbau hutan dari negeri Basan. Mereka mengangakan mulut seperti singa, hendak mengaum dan menerkam aku. Tenagaku hilang, hilang seperti air yang tumpah. Semua tulangku terkehel; hatiku meleleh seperti lilin. Kerongkongku kering seperti debu, dan lidahku melekat di lelangit. Engkau tinggalkan aku di atas debu, seperti orang yang sudah mati. Sekumpulan orang jahat mengelilingi aku; seperti sekumpulan anjing, mereka mengepung aku; mereka menyiat tangan serta kakiku. Semua tulangku kelihatan. Musuh memandang aku sebagai tontonan; mereka membahagi-bahagikan pakaianku dan membuang undi untuk jubahku. Ya TUHAN, janganlah jauhkan diri daripadaku, cepatlah datang untuk menolong aku. Selamatkanlah aku daripada pedang; selamatkanlah aku daripada cengkaman anjing. Aku tidak berdaya, lepaskanlah aku dari tanduk kerbau dan dari mulut singa. Aku akan memberitahu rakyatku tentang perbuatan-Mu; dalam perhimpunan mereka aku akan memuji-Mu. Pujilah Dia, hai hamba-hamba TUHAN! Hormatilah Dia, hai keturunan Yakub; sembahlah Dia, hai umat Israel! Dia tidak memandang hina kepada orang tertindas ataupun mengabaikan penderitaan mereka; Dia tidak menjauhkan diri-Nya daripada mereka, tetapi mendengar apabila mereka meminta pertolongan-Nya. Dalam perhimpunan besar umat-Mu, aku akan memuji Engkau kerana segala yang telah Engkau lakukan; di hadapan semua orang yang menyembah Engkau aku akan mempersembahkan korban yang aku janjikan. Orang miskin akan makan dengan puas hati; mereka yang datang kepada TUHAN akan memuji Dia. Semoga mereka makmur selama-lamanya! Semua bangsa akan mengingat TUHAN dan kembali kepada-Nya; semua suku bangsa akan menyembah Dia. TUHAN itulah raja dan Dia memerintah semua bangsa. Semua orang yang sombong akan sujud kepada-Nya; semua insan akan berlutut di hadapan-Nya. Keturunan yang akan datang juga akan berbakti kepada-Nya; manusia akan menceritakan Tuhan kepada keturunan mereka. Generasi yang akan datang akan diberitahu bahawa TUHAN telah menyelamatkan umat-Nya. Mazmur Daud. TUHAN ialah gembalaku; aku tidak kekurangan apa-apa. Dia membaringkan aku di padang rumput yang hijau dan membimbing aku ke air yang tenang. Dia memberi aku kekuatan baru. Dia membimbing aku di jalan yang benar, sebagaimana yang dijanjikan-Nya. Walaupun aku melalui tempat yang gelap gelita, aku tidak akan takut, ya TUHAN, kerana Engkau menyertai aku. Engkau melindungi aku dengan tongkat dan gada-Mu. Engkau menyediakan jamuan untukku, di hadapan semua musuhku; Engkau menyambut aku sebagai tetamu yang dihormati dan mengisi cawanku hingga penuh. Aku tahu Engkau baik kepadaku dan mengasihi aku seumur hidupku; rumah-Mu akan menjadi rumahku sepanjang hidupku. Mazmur Daud. Bumi dan segala isinya milik TUHAN; dunia dan semua yang mendiaminya kepunyaan-Nya. Dia membina dunia di atas air, dan meletakkan asasnya di samudera. Siapakah yang boleh naik ke bukit TUHAN dan masuk ke dalam Rumah-Nya yang suci? Orang yang tulus tindakan dan fikiran, yang tidak menyembah berhala, atau membuat janji palsu. Merekalah yang akan diberkati dan diselamatkan TUHAN, dan dinyatakan tidak bersalah oleh Allah. Orang seperti itulah yang datang menghadap Allah, merekalah yang datang menyembah Allah Yakub. Bukalah pintu zaman purba seluas-luasnya, Raja yang mulia akan masuk! Siapakah Raja yang mulia itu? Dialah TUHAN yang perkasa, TUHAN yang penuh kuasa, yang berjaya dalam pertempuran. Bukalah pintu zaman purba seluas-luasnya, Raja yang mulia akan masuk! Siapakah Raja yang mulia itu? TUHAN Yang Maha Kuasa, Dialah Raja yang mulia! Mazmur Daud. Kepada-Mu, ya TUHAN, aku naikkan doaku; ya Allahku, aku percaya kepada-Mu. Janganlah biarkan aku dipermalukan; janganlah biarkan musuhku mentertawakan aku. Kekalahan tidak akan dialami orang yang percaya kepada-Mu, tetapi hanya dialami orang yang cepat memberontak terhadap-Mu. Ajarlah aku kehendak-Mu, ya TUHAN, nyatakanlah apa yang harus aku lakukan. Ajarlah aku supaya aku hidup menurut kehendak-Mu, kerana Engkau penyelamatku. Aku selalu berharap kepada-Mu. Ya TUHAN, ingatlah akan kebaikan dan kasih-Mu, yang telah Engkau tunjukkan sejak dahulu. Ampunkan segala dosa dan kesalahan masa mudaku. Ya TUHAN, demi kasih dan kebaikan-Mu ingatlah akan aku. Kerana TUHAN baik dan adil, Dia menunjukkan jalan kepada orang yang sesat. Dia memimpin orang yang rendah hati ke jalan yang benar, dan mengajar mereka kehendak-Nya. Orang yang mentaati perjanjian dan perintah-Nya, dipimpin-Nya dengan kasih dan setia. Ya TUHAN, ampunilah aku sesuai dengan janji-Mu, kerana besarlah dosaku. Orang yang taat kepada TUHAN akan ditunjukkan-Nya jalan yang harus ditempuh. Mereka akan sentiasa hidup makmur, dan anak cucu mereka akan mewarisi negeri itu. TUHAN ialah sahabat orang yang mentaati-Nya, dan Dia menyatakan perjanjian-Nya kepada mereka. Aku sentiasa mengharapkan pertolongan daripada TUHAN, dan Dia menyelamatkan aku daripada bahaya. Berpalinglah kepadaku, ya TUHAN, dan kasihanilah aku, kerana aku keseorangan dan lemah. Lapangkanlah hatiku daripada segala kekhuatiran, dan selamatkanlah aku daripada segala kesusahan. Perhatikanlah segala kedukaan dan penderitaanku dan ampunkanlah segala dosaku. Lihatlah betapa banyaknya musuhku; mereka sangat membenci aku. Lindungilah dan selamatkanlah aku; supaya aku tidak mendapat malu, kerana aku datang kepada-Mu meminta perlindungan. Semoga kebaikan dan kejujuranku mengawal aku, kerana aku percaya kepada-Mu. Ya Allah, selamatkanlah umat-Mu, Israel, daripada segala kesusahan mereka. Mazmur Daud. Berilah aku keadilan, ya TUHAN, kerana aku melakukan yang benar, dan aku percaya kepada-Mu dengan sepenuhnya. Periksalah aku, ya TUHAN, dan ujilah aku, selidiklah keinginanku dan fikiranku. Kasih-Mu membimbing aku; kesetiaan-Mu sentiasa memimpin aku. Aku tidak bergaul dengan orang yang tidak berguna; aku tidak berhubungan dengan orang yang berpura-pura. Aku membenci pergaulan dengan orang jahat, dan aku menjauhkan diri daripada penjahat. Ya TUHAN, aku membasuh tanganku tanda tidak bersalah, dan aku mengelilingi mazbah-Mu untuk menyembah Engkau. Aku menyanyikan sebuah mazmur dan memberitakan segala perbuatan-Mu yang ajaib itu. Ya TUHAN, aku mengasihi Rumah kediaman-Mu, tempat yang penuh dengan kemuliaan-Mu. Janganlah musnahkan aku bersama-sama orang berdosa; lindungilah aku daripada nasib pembunuh, iaitu orang yang sentiasa melakukan kejahatan dan selalu sedia menerima rasuah. Tetapi aku hidup dengan tulus hati; kasihanilah dan selamatkanlah aku. Aku selamat daripada segala bahaya; aku akan memuji TUHAN dalam perhimpunan umat-Nya. Mazmur Daud. TUHAN adalah cahayaku dan penyelamatku; aku tidak akan takut kepada sesiapa pun. TUHAN melindungi aku daripada segala bahaya; aku tidak akan gentar. Apabila orang jahat menyerang aku dan cuba membunuh aku, mereka akan tersandung lalu jatuh. Walaupun semua tentera mengepung aku, aku tidak akan takut; walaupun musuhku menyerang aku, aku akan tetap percaya kepada Allah. Aku telah memohon satu perkara kepada TUHAN; hanya satu sahaja yang aku minta; untuk tinggal di dalam Rumah TUHAN sepanjang hidupku, untuk menyaksikan segala kebaikan-Nya, dan meminta bimbingan-Nya. Pada masa kesusahan Dia akan melindungi aku; Dia akan menjaga aku supaya selamat di dalam Rumah-Nya, dan menempatkan aku di atas gunung batu. Maka aku akan mengalahkan semua musuh di sekelilingku. Dengan sorakan gembira aku akan mempersembahkan korban di dalam Rumah-Nya; aku akan menyanyi dan memuji TUHAN. Dengarlah aku, ya TUHAN, apabila aku berseru kepada-Mu. Kasihanilah aku dan jawablah aku! Hatiku berkata, “Marilah menyembah Dia.” Aku segera datang, ya TUHAN; janganlah sembunyikan diri-Mu daripadaku. Janganlah marah dan tolak hamba-Mu. Engkaulah yang telah menjadi penolongku. Janganlah tinggalkan atau buang aku, ya Allah, penyelamatku! Sekalipun ibu dan bapaku meninggalkan aku, tetapi TUHAN akan memelihara aku. Ajarilah aku kehendak-Mu, ya TUHAN, dan pimpinlah aku pada jalan yang selamat, kerana musuhku amat banyak. Janganlah serahkan aku kepada musuhku, yang menyerang aku dengan fitnah dan ancaman. Aku yakin bahawa aku akan mengalami kebaikan TUHAN dalam hidupku di dunia ini. Berharaplah kepada TUHAN! Percayalah kepada-Nya dan jangan putus asa. Ya, berharaplah kepada TUHAN! Mazmur Daud. Ya TUHAN, pembelaku, aku berseru kepada-Mu. Dengarlah teriakanku! Jika Engkau tidak mengabulkan doaku, aku seperti orang yang masuk ke lubang kubur. Dengarkanlah aku ketika aku berseru meminta pertolongan, aku mengangkat tanganku ke arah Rumah-Mu yang suci. Janganlah hukum aku bersama dengan orang durjana, bersama-sama orang yang melakukan kejahatan - orang yang bermulut manis, tetapi hati diliputi kebencian. Hukumlah mereka kerana perbuatan mereka, kerana segala kejahatan yang telah dilakukan mereka. Hukumlah mereka kerana segala perbuatan mereka; balaslah mereka dengan sepatutnya. Mereka tidak mempedulikan perbuatan TUHAN, mahupun segala ciptaan-Nya; oleh itu TUHAN akan menghukum mereka dan memusnahkan mereka selama-lamanya. Pujilah TUHAN; Dia telah mendengar permohonanku. TUHAN melindungi dan membela aku; aku percaya kepada-Nya. Dia menolong aku dan menggirangkan hatiku; aku memuji Dia dengan lagu kesyukuran. TUHAN melindungi umat-Nya; Dia membela dan menyelamatkan raja pilihan-Nya. Ya TUHAN, selamatkanlah umat-Mu, dan berkatilah mereka yang menjadi milik-Mu. Jadilah seperti gembala bagi mereka, dan jagalah mereka selama-lamanya. Mazmur Daud. Pujilah TUHAN, hai makhluk-makhluk syurga; pujilah kemuliaan dan kuasa-Nya. Pujilah nama TUHAN yang mulia, bersujudlah di hadapan Yang Maha Suci apabila Dia muncul. Allah yang mulia mengguntur di atas laut; suara TUHAN bergema di seluruh lautan. Suara TUHAN kedengaran dengan penuh kuasa dan kemuliaan. Suara TUHAN mematahkan pokok-pokok sedar, bahkan pokok-pokok sedar di Lebanon. Dia menyebabkan gunung-gunung di Lebanon berlompatan seperti anak lembu ketakutan, dan Gunung Hermon berloncatan seperti lembu jantan muda kegentaran. Suara TUHAN membuat kilat memancar. Suara-Nya membuat gurun bergegar; Dia menggoncang gurun Kades. Suara TUHAN menggoncangkan pokok-pokok berangan, serta menggugurkan daun-daun di hutan; sementara di Rumah TUHAN umat bersorak, “Muliakanlah Allah!” TUHAN memerintah lautan yang dalam; Dia memerintah sebagai Raja selama-lamanya. TUHAN menguatkan umat-Nya, dan memberkati mereka dengan kesejahteraan. Mazmur Daud. Lagu untuk pentahbisan Rumah TUHAN. Aku memuji Engkau, ya TUHAN, kerana Engkau telah menyelamatkan aku dan tidak membiarkan musuhku mentertawakan aku. Aku berseru kepada-Mu meminta pertolongan, ya TUHAN, Allahku, dan Engkau menyembuhkan aku. Engkau menghalang aku turun ke alam maut, dan menyelamatkan aku dari dunia orang mati. Nyanyikanlah pujian kepada TUHAN, hai umat-Nya yang setia! Ingatlah perkara yang telah dilakukan Yang Maha Suci dan bersyukurlah kepada-Nya! Kemurkaan-Nya hanya sekejap sahaja, tetapi kebaikan-Nya berlangsung sepanjang umur. Air mata mungkin mengalir pada waktu malam, tetapi fajar membawa kegembiraan. Ketika aku berasa selamat, aku berkata, “Aku tidak akan dikalahkan.” Engkau sungguh baik kepadaku, ya TUHAN; seperti gunung yang kuat Engkau melindungi aku. Tetapi apabila Engkau menyembunyikan diri daripadaku, aku berasa takut. Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN; aku memohon pertolongan, “Faedah apakah yang Kauperoleh daripada kematianku? Keuntungan apakah yang Kaudapat jika aku masuk ke lubang kubur? Adakah orang mati memuji-Mu? Dapatkah mereka memberitakan kesetiaan-Mu? Dengarlah aku, ya TUHAN, dan kasihanilah aku. TUHAN tolonglah aku!” Engkau telah mengubah kedukaanku menjadi tarian gembira; Engkau telah mengambil kesedihanku dan meliputi aku dengan kegembiraan. Maka aku tidak akan berdiam diri; aku akan menyanyikan pujian kepada-Mu. Ya TUHAN, Engkaulah Allahku, aku akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya. Mazmur Daud. Aku berlindung pada-Mu, ya TUHAN, jangan biarkan aku dipermalukan. Engkau Allah yang adil; selamatkanlah aku. Dengarlah aku! Selamatkanlah aku dengan segera! Jadilah penaungku untuk melindungi aku, dan pembelaku untuk menyelamatkan aku. Engkaulah penaungku dan pembelaku; bimbinglah aku menurut janji-Mu. Selamatkanlah aku daripada perangkap yang dipasang untukku; Engkaulah tempat perlindunganku. Aku serahkan diriku kepada jagaan-Mu. Engkau akan menyelamatkan aku, ya TUHAN, Allah yang setia. Engkau membenci orang yang menyembah berhala, tetapi aku percaya kepada TUHAN. Aku akan bergembira dan bergirang, kerana Engkau tetap mengasihi aku. Engkau nampak penderitaanku; Engkau tahu kesusahanku. Engkau tidak membenarkan aku ditawan musuh; Engkau membolehkan aku berjalan dengan bebas. Kasihanilah aku, ya TUHAN, kerana aku dalam kesusahan; mataku pedih kerana menangis; jiwa ragaku merana. Kedukaan telah menyingkatkan hidupku, dan tangisan telah memendekkan umurku. Kesihatanku merosot kerana kesusahanku, bahkan tulangku menjadi rapuh. Semua musuhku mentertawakan aku; jiran-jiranku menghina aku; mereka yang mengenal aku takut akan aku; mereka lari apabila nampak aku di jalan. Aku dilupakan seolah-olah aku sudah mati; aku umpama barang terbuang. Aku mendengar bisikan musuhku; perkara dahsyat terdapat di sekelilingku. Mereka berkomplot menentang aku, dan merancang hendak membunuh aku. Tetapi aku berharap kepada-Mu, ya TUHAN; Engkaulah Allahku. Aku sentiasa berada dalam jagaan-Mu; selamatkanlah aku daripada musuhku dan daripada mereka yang menganiaya aku. Semoga Engkau berkenan kepada hamba-Mu; selamatkanlah aku demi kasih-Mu. Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN; jangan biarkan aku dipermalukan. Biarlah orang jahat dipermalukan, dan turun ke alam maut dengan senyap. Biarlah pembohong menjadi kelu, kerana mereka sombong dan menghina orang jujur. Betapa limpahnya kebaikan-Mu yang Engkau sediakan untuk orang yang menghormati Engkau. Setiap orang melihat kebaikan yang Engkau lakukan bagi mereka yang berlindung kepada-Mu. Engkau menyembunyikan mereka di tempat hadirat-Mu, yang selamat daripada komplot manusia; Engkau menyembunyikan mereka di tempat perlindungan yang selamat daripada hinaan musuh mereka. Terpujilah TUHAN! Sangat mengagumkan kasih-Nya bagiku, ketika aku dikepung dan diserang oleh musuh. Aku takut dan menyangka bahawa TUHAN telah mengusir aku dari hadirat-Nya. Tetapi Dia telah mendengar seruanku, ketika aku minta pertolongan-Nya. Kasihilah TUHAN, hai semua umat-Nya yang setia. TUHAN melindungi orang yang setia, tetapi menghukum orang yang sombong. Kuatkanlah dan teguhkanlah hati kamu, kamu semua yang berharap kepada TUHAN. Mazmur Daud. Sajak. Berbahagialah orang yang dosa mereka telah diampunkan, yang kesalahan mereka telah dimaafkan. Berbahagialah orang yang tidak dituduh oleh TUHAN kerana kejahatan mereka, dan yang tidak suka menipu. Ketika aku tidak mengakui dosaku, aku letih kerana menangis sepanjang hari. Siang malam Engkau menghukum aku, ya TUHAN; tenagaku habis seperti embun diserap terik matahari. Kemudian aku mengakui dosaku kepada-Mu; aku tidak menyembunyikan perbuatanku yang salah. Aku mengambil keputusan untuk mengakui dosaku kepada-Mu, dan Engkau mengampunkan segala kesalahanku. Oleh itu semua umat-Mu yang setia haruslah berdoa kepada-Mu pada masa kesusahan; apabila banjir kesusahan melanda, mereka tidak ditimpanya. Engkaulah tempat persembunyianku, Engkau akan menyelamatkan aku daripada kesusahanku. Aku bersorak memuji-Mu, kerana Engkau menyelamatkan dan melindungi aku. TUHAN berfirman, “Aku akan menunjukkan jalan yang harus kauikuti. Engkau akan Kubimbing dan Kunasihati. Janganlah bodoh seperti kuda atau baghal, yang mesti dikawal dengan tali dan kekang supaya menurut.” Orang jahat pasti menderita, tetapi orang yang berharap kepada TUHAN dilindungi oleh kasih-Nya. Bergembiralah dan bersukacitalah, hai orang yang salih, kerana segala perbuatan TUHAN. Bersoraklah dan bersukacitalah, hai semua orang yang tulus hati. Hai orang salih, bersoraklah dengan gembira kerana segala yang dilakukan TUHAN; pujilah Dia, hai semua orang yang taat kepada-Nya! Bersyukurlah kepada TUHAN dengan kecapi, bernyanyilah dengan iringan alat muzik bertali. Nyanyikanlah lagu yang baru untuk TUHAN, mainkanlah kecapi dengan mahir, dan nyanyilah dengan suara yang kuat! Firman TUHAN itu benar, dan segala perbuatan-Nya boleh dipercayai. TUHAN mengasihi kejujuran dan keadilan; seluruh bumi penuh dengan kasih-Nya. TUHAN mencipta langit dengan perintah-Nya, matahari, bulan, dan bintang dijadikan oleh firman-Nya. Dia mengumpulkan laut di suatu tempat; Dia menahan lautan di dalam bendungan. Takutlah akan TUHAN, hai seluruh bumi! Hormatilah Dia, hai semua penduduk dunia! Apabila Dia berfirman, dunia tercipta; oleh firman-Nya, segala-galanya dijadikan. TUHAN menggagalkan rancangan bangsa-bangsa; Dia meniadakan niat mereka. Tetapi rancangan TUHAN tahan selama-lamanya, dan tujuan-Nya tidak berkesudahan. Berbahagialah bangsa yang mengakui TUHAN sebagai Allahnya; berbahagialah bangsa yang dipilih sebagai milik-Nya! TUHAN memandang ke bawah dari syurga, dan melihat semua manusia. Dari takhta-Nya Dia mengamati semua yang tinggal di bumi. Dialah yang membentuk hati mereka, dan mengetahui segala perbuatan mereka. Raja menang bukan kerana tenteranya besar, askar menang bukan kerana kuat. Kuda tidak dapat diharap untuk memenangi perang; kekuatan kuda tidak dapat menyelamatkan. TUHAN memerhatikan mereka yang mentaati-Nya, mereka yang mengharapkan kasih-Nya. Dia menyelamatkan mereka daripada kematian; Dia memelihara nyawa mereka pada masa kelaparan. Kita berharap kepada TUHAN; Dialah penolong dan pelindung kita. Kita bersukacita kerana Dia; kita percaya kepada nama-Nya yang suci. Semoga kasih-Mu menyertai kami, ya TUHAN, kerana kami berharap kepada-Mu. Mazmur Daud, ketika dia berpura-pura tidak waras fikiran di hadapan Abimelekh. Kemudian Daud pergi setelah diusir oleh Abimelekh. Aku akan sentiasa bersyukur kepada TUHAN; aku tidak akan berhenti memuji Dia. Aku akan memuji Dia kerana segala perbuatan-Nya; semoga semua orang yang tertindas mendengar dan bergembira. Agungkanlah TUHAN bersama dengan aku, marilah bersama-sama memuji nama-Nya. Aku berdoa kepada TUHAN dan Dia mengabulkan doaku, Dia membebaskan aku daripada segala ketakutan. Orang yang tertindas memandang Dia lalu bergembira; mereka tidak sekali-kali akan kecewa. Orang malang berseru dan TUHAN menjawab, Dia membebaskan mereka daripada segala kesusahan. Malaikat TUHAN mengawal orang yang menghormati-Nya, dan menyelamatkan mereka daripada bahaya. Rasakanlah sendiri betapa baiknya TUHAN! Berbahagialah orang yang berlindung kepada-Nya! Hormatilah TUHAN, hai semua umat-Nya, kerana orang yang mentaati-Nya tidak akan berkekurangan. Singa juga lapar kerana kekurangan makanan, tetapi orang yang mentaati TUHAN tidak kekurangan apa-apa yang baik. Marilah, hai anak-anak semua dan dengarlah nasihatku, aku akan mengajar kamu menghormati TUHAN. Mahukah kamu menikmati hidup? Mahukah kamu berumur panjang dan berbahagia? Jangan keluarkan kata-kata jahat, dan jangan suka berdusta. Tinggalkanlah yang jahat dan lakukanlah yang baik; usahakanlah kedamaian dengan tekun. TUHAN memperhatikan orang salih, dan mendengar tangisan mereka; tetapi Dia menentang orang yang berbuat jahat; apabila mereka mati, mereka cepat dilupakan. Apabila orang salih berseru, TUHAN mendengar dan menyelamatkan mereka daripada segala kesusahan. TUHAN dekat kepada orang yang tawar hati; Dia menyelamatkan mereka yang putus asa. Orang baik mengalami banyak kesusahan, tetapi TUHAN menyelamatkan mereka daripada semuanya; TUHAN memelihara mereka dengan sempurna, tulang mereka tidak satu pun patah. Orang jahat akan mati kerana kejahatan mereka; mereka yang membenci orang salih akan dihukum. TUHAN akan menyelamatkan umat-Nya, mereka yang berlindung kepada-Nya akan diselamatkan. Mazmur Daud. TUHAN, lawanlah orang yang menentang aku, dan tentanglah orang yang memerangi aku. Gunakanlah perisai dan baju zirah-Mu, bangkitlah dan tolonglah aku. Angkatlah tombak dan lembing-Mu untuk menentang mereka yang mengejar aku. Katakanlah bahawa Engkau penyelamatku. Biarlah mereka yang cuba membunuh aku dikalahkan dan dipermalukan. Biarlah mereka yang berkomplot menentang aku dipukul mundur dan dibingungkan. Biarlah mereka menjadi seperti sekam yang ditiup angin, ketika dikejar oleh malaikat TUHAN. Biarlah jalan mereka gelap dan licin, ketika mereka diburu oleh malaikat TUHAN. Tanpa sebarang sebab mereka memasang perangkap untukku dan menggali lubang yang dalam untuk menangkap aku. Biarlah mereka ditimpa kebinasaan dengan tidak disangka-sangka, dan dijerat oleh perangkap mereka sendiri lalu jatuh dan binasa. Maka aku akan bergembira kerana TUHAN; aku akan bersukacita kerana Dia menyelamatkan aku. Dengan sepenuh hati aku akan berkata kepada TUHAN, “Engkau tiada bandingnya. Engkau melindungi orang lemah daripada orang kuat, orang miskin dan sengsara daripada penindas mereka.” Saksi-saksi jahat menuduh aku, kerana perkara yang tidak aku ketahui. Mereka membalas kebaikan dengan kejahatan, dan aku putus harapan. Semasa mereka sakit, aku berkabung dan berpuasa; aku berdoa dengan menundukkan kepala, seperti mendoakan seorang sahabat atau saudara. Aku tunduk kepala kerana berdukacita, seperti orang yang menangisi kematian ibunya. Tetapi waktu aku dalam kesusahan, mereka semua bergembira dan mengerumuni sambil mengejek-ejek aku; orang yang tidak aku kenal terus-menerus memukul aku. Seperti orang yang memperolokkan orang lumpuh, mereka memandang aku dengan kebencian. Berapa lama lagi, ya Tuhan, Engkau akan membiarkan perkara ini berlaku? Selamatkanlah aku daripada serangan mereka; selamatkanlah nyawaku daripada singa-singa itu! Lalu aku akan bersyukur kepada-Mu dalam perhimpunan umat-Mu, aku akan memuji Engkau dalam pertemuan mereka itu. Jangan biarkan musuhku, pendusta itu, mentertawakan kekalahanku! Jangan biarkan orang yang membenci aku tanpa sebab, bergembira kerana kedukaanku! Mereka tidak bercakap dengan ramah; sebaliknya, mereka memfitnah orang yang mencintai kedamaian. Mereka menjerit-jerit menuduh aku, “Kami nampak perbuatanmu!” Tetapi Engkau, ya TUHAN, tahu akan perkara ini. Kerana itu, janganlah berdiam diri, janganlah jauhkan diri! Bangunlah, ya Tuhan, dan belalah aku; bangkitlah, ya Allahku, dan tolonglah aku. Belalah aku kerana Engkau adil, ya TUHAN, jangan biarkan musuhku mentertawakan aku. Jangan biarkan mereka berkata sesama sendiri, “Itulah yang kami ingini selama ini!” Jangan biarkan mereka berkata, “Kami telah mengalahkan dia!” Biarlah orang yang menghina penderitaanku dikalahkan sama sekali dan dibingungkan; biarlah orang yang mengaku diri lebih baik daripada aku diliputi perasaan kesal dan malu. Semoga orang yang ingin melihat aku dinyatakan benar, bersorak gembira dan berulang kali berkata, “TUHAN sungguh agung; Dia gembira kerana kemakmuran hamba-Nya!” Maka aku akan memberitakan keadilan-Mu, dan aku akan memuji Engkau sepanjang hari. Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud, hamba TUHAN. Dosa bertutur dalam lubuk hati orang jahat, mereka menyangkal Allah dan tidak takut kepada-Nya, kerana mereka membanggakan diri, dan berfikir dosa mereka tidak akan diketahui dan tidak dibenci. Kata-kata mereka penuh dengan kejahatan dan dusta, mereka tidak lagi melakukan yang baik dan bijaksana. Mereka merancang kejahatan ketika berbaring di katil; tiada perbuatan mereka yang baik, dan mereka tidak pernah menolak apa-apa yang jahat. Ya TUHAN, kasih-Mu membumbung setinggi langit, kesetiaan-Mu sampai ke awan yang tinggi. Kebaikan-Mu teguh seperti gunung yang besar, dan keadilan-Mu sedalam laut. Engkau menjaga manusia dan haiwan. Ya Allah, betapa berharganya kasih-Mu, manusia mendapat perlindungan di bawah naungan sayap-Mu. Mereka mengenyangkan diri dengan makanan berlimpah dari rumah-Mu; Engkau memberi mereka minuman dari sungai kebaikan-Mu. Engkaulah sumber segala kehidupan, dan kerana cahaya-Mu, kami dapat melihat cahaya. Tetaplah mengasihi orang yang mengenal Engkau, dan berbuat baik kepada orang yang tulus hati. Jangan biarkan orang sombong menyerang aku ataupun orang jahat menyebabkan aku lari. Lihatlah, orang jahat sudah jatuh, mereka rebah, tidak dapat bangun lagi. Mazmur Daud. Jangan geram kerana orang jahat; jangan cemburu akan mereka yang berbuat salah. Mereka segera lenyap seperti rumput, dan layu seperti tumbuh-tumbuhan hijau. Percayalah kepada TUHAN dan buatlah perkara yang baik; tinggallah di negeri ini dan kamu akan selamat. Carilah kebahagiaan yang datang daripada TUHAN, dan Dia akan memuaskan keinginan hatimu. Serahkanlah hidupmu kepada TUHAN, berharaplah kepada-Nya dan Dia akan menolong engkau; Dia akan menyebabkan kebaikanmu bersinar seperti matahari pada waktu tengah hari. Nantikanlah TUHAN dengan hati yang tenang, tunggulah dengan sabar sampai Dia bertindak. Jangan geram kerana orang yang hidup makmur, atau kerana orang yang melakukan tipu muslihat. Jangan marah atau panas hati; hal itu hanya mendatangkan kecelakaan. Orang yang berharap kepada TUHAN akan mewarisi negeri ini, tetapi orang yang jahat akan diusir. Orang yang jahat akan lenyap dengan segera; walaupun dicari, mereka tidak akan dijumpai. Orang yang rendah hati akan mewarisi negeri ini, dan menikmati kemakmuran yang berlimpah-limpah. Orang jahat berkomplot menentang orang baik dan memandang mereka dengan benci. Tetapi Tuhan mentertawakan orang jahat, kerana Dia tahu kesudahan mereka sudah dekat. Orang jahat menghunus pedang dan melengkungkan busur untuk membunuh orang yang miskin dan susah, untuk membantai orang yang baik; tetapi mereka akan ditikam oleh pedang mereka sendiri, dan busur mereka akan dipatahkan. Sedikit barang yang dimiliki orang baik lebih berharga daripada kekayaan semua orang jahat, kerana TUHAN akan mematahkan kuasa orang jahat dan melindungi orang baik. TUHAN memelihara mereka yang mentaati-Nya, dan negeri ini menjadi pusaka mereka selama-lamanya. Mereka tidak akan menderita pada masa kesusahan; mereka akan berkecukupan pada masa kelaparan. Tetapi orang jahat akan mati; musuh TUHAN akan hilang seperti bunga di padang; mereka akan lenyap seperti asap. Orang jahat meminjam dan tidak membayar balik, tetapi orang baik memberi dengan murah hati. Mereka yang diberkati TUHAN akan mewarisi negeri ini, tetapi mereka yang dikutuk oleh-Nya akan diusir. TUHAN memimpin orang ke jalan yang harus ditempuhnya dan melindungi orang yang diperkenankan-Nya. Jika orang itu jatuh, dia tidak akan cedera, kerana TUHAN memegang tangannya. Kini aku sudah tua dan sudah hidup lama, tetapi aku tidak pernah melihat orang baik ditinggalkan TUHAN, ataupun anak mereka meminta-minta makanan. Mereka sentiasa memberi dan meminjamkan dengan murah hati, dan anak-anak mereka menjadi berkat bagi mereka. Tinggalkanlah yang jahat dan lakukanlah yang baik, supaya keturunanmu hidup di negeri ini selama-lamanya; kerana TUHAN suka akan kebenaran, dan tidak meninggalkan umat-Nya yang setia. Dia melindungi mereka selama-lamanya, tetapi keturunan orang jahat akan diusir. Orang yang salih akan memiliki negeri ini, dan tinggal di sini selama-lamanya. Kata-kata orang yang baik itu bijak, dan mereka sendiri pun adil. Mereka menyimpan Taurat Allah dalam hati dan tidak menyimpang daripadanya. Orang jahat mengawasi orang baik serta mencari kesempatan untuk membunuh mereka; tetapi TUHAN tidak menyerahkan mereka ke dalam tangan musuh ataupun membiarkan mereka dihukum ketika diadili. Berharaplah kepada TUHAN dan taatilah perintah-Nya; Dia akan memberi kamu negeri ini untuk menghormatimu, dan kamu akan melihat orang jahat dihalau. Aku pernah melihat orang jahat yang suka menindas orang lain; mereka tinggi seperti pokok sedar di Lebanon; kemudian aku lalu, tetapi mereka tiada lagi; aku mencari tetapi tidak menjumpai mereka. Perhatikanlah orang yang baik dan orang yang salih; orang yang suka akan perdamaian mempunyai keturunan; tetapi orang yang berdosa akan dibinasakan, dan keturunan mereka pun dihapuskan. Orang yang salih diselamatkan oleh TUHAN; Dia melindungi mereka pada masa kesusahan. Dia menolong dan menyelamatkan mereka; serta membebaskan mereka daripada orang jahat, kerana mereka minta perlindungan daripada-Nya. Mazmur Daud, ketika mempersembahkan korban peringatan. Ya TUHAN, jangan hukum aku walaupun Engkau murka. Panah-Mu melukai tubuhku; tangan-Mu memukul aku. Aku sakit parah kerana kemarahan-Mu; seluruh badanku sakit kerana dosaku. Aku lemas dalam banjir dosaku; dosaku terlalu berat bagiku. Kerana perbuatanku yang bodoh, luka-lukaku bernanah dan busuk. Aku menjadi bongkok, aku tersungkur; aku berdukacita sepanjang hari. Demam membakar badanku, dan aku sakit tenat. Aku remuk-redam dan kehabisan tenaga; aku mengeluh kerana hatiku susah. Ya Tuhan, Engkau tahu keinginanku; Engkau mendengar segala keluhanku. Jantungku berdebar-debar, tenagaku hilang, dan mataku sudah menjadi suram. Sahabat dan jiranku tidak mahu menghampiri aku kerana kudisku; bahkan keluargaku pun turut menjauhi aku. Orang yang hendak membunuh aku memasang perangkap untukku, dan mereka yang ingin menyakiti aku mengancam hendak membinasakan aku; sepanjang hari mereka berkomplot menentang aku. Aku umpama orang pekak yang tidak dapat mendengar, umpama orang bisu yang tidak dapat bercakap. Aku umpama orang yang tidak menjawab, kerana tidak dapat mendengar. Tetapi aku berharap kepada-Mu, ya TUHAN; dan Engkau, ya Tuhan, Allahku, akan mengabulkan doaku. Jangan biarkan musuhku mentertawakan penderitaanku; jangan biarkan mereka berasa megah kerana kejatuhanku! Aku hampir jatuh, dan sentiasa kesakitan. Aku mengakui dosaku; hatiku cemas memikirkan kesalahanku. Musuh-musuhku sihat dan kuat; banyak orang yang membenci aku tanpa sebab. Mereka yang membalas kebaikan dengan kejahatan, menentang aku kerana aku berusaha melakukan yang benar. Jangan tinggalkan aku, ya TUHAN, jangan jauhi aku, ya Allahku! Tolonglah aku sekarang, ya Tuhan penyelamatku! Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Untuk Yedutun. Aku berkata, “Aku akan berhati-hati dengan perbuatanku, dan tidak akan berdosa dengan lidahku. Aku tidak akan berkata apa-apa selama orang jahat berada di sisiku.” Aku diam membatu, tidak berkata sepatah pun, walaupun tentang perkara yang baik. Tetapi penderitaanku bertambah berat, dan hatiku penuh kecemasan. Semakin aku berfikir, semakin susah hatiku; lalu aku bertanya, “Ya TUHAN, beritahulah aku masa kematianku supaya aku tahu betapa singkatnya hidupku.” Betapa pendeknya umurku Engkau tentukan! Bagi Engkau, seumur hidupku tidak bererti apa-apa. Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas, hidup mereka berlalu seperti bayangan. Segala perbuatan mereka sia-sia; mereka mengumpulkan harta, tetapi tidak tahu siapa akan mewarisinya. Apakah yang boleh aku harapkan, ya Tuhan? Aku berharap kepada-Mu. Selamatkanlah aku daripada segala dosaku, dan jangan biarkan aku menjadi ejekan orang dungu. Aku diam dan tidak membuka mulutku, kerana inilah perbuatan-Mu. Janganlah hukum aku lagi, aku hampir mati kerana pukulan-Mu. Engkau menghukum dosa manusia dengan teguran-Mu, dan seperti gegat, Engkau memusnahkan kesukaan mereka. Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas sahaja. Dengarlah doaku, ya TUHAN, dan sambutlah rayuanku; janganlah diam ketika aku menangis. Aku menjadi tetamu-Mu hanya untuk sementara, seperti nenek moyangku. Janganlah ganggu aku supaya aku dapat sedikit kebahagiaan, sebelum aku meninggal dan tiada lagi. Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Aku menanti pertolongan TUHAN dengan sabar, lalu Dia memperhatikan aku dan mendengar seruanku. Dia menarik aku dari lubang yang berbahaya, dari paya yang berlumpur. Dia meletakkan aku di atas batu sehingga langkahku kukuh. Dia mengajar aku menyanyi lagu yang baru, lagu pujian untuk Allah kita. Banyak orang yang melihat perkara ini akan menjadi takut lalu percaya kepada TUHAN. Berbahagialah orang yang percaya kepada TUHAN, orang yang tidak menyembah berhala atau mengikut mereka yang menyembah dewa. Engkau telah melakukan banyak perkara untuk kami, ya TUHAN, Allahku, Engkau tidak ada bandingnya! Engkau telah membuat banyak rancangan yang baik untuk kami, tidak mungkin aku dapat menceritakan segalanya. Engkau tidak mahu korban dan persembahan; Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu, dan korban untuk menghapuskan dosa. Tetapi Engkau telah memberi aku telinga yang dapat mendengar firman-Mu. Oleh itu aku menyahut, “Inilah aku; arahan-Mu untukku tercatat di dalam kitab Taurat. Aku suka melakukan kehendak-Mu, ya Allahku! Aku menyimpan segala ajaran-Mu dalam hatiku.” Dalam perhimpunan umat-Mu aku menceritakan berita baik bahawa Engkau telah menyelamatkan kami. Dengan tidak hentinya, aku menceritakannya. Ya TUHAN, Engkau mengetahui semuanya. Aku tidak menyimpan berita penyelamatan itu dalam hati; aku selalu menceritakan pertolongan dan kesetiaan-Mu. Dalam perhimpunan umat-Mu, aku tidak pernah berdiam diri tentang kesetiaan dan kasih-Mu. Ya TUHAN, janganlah berhenti mengasihani aku; peliharalah aku dengan kasih dan kesetiaan-Mu. Aku dikelilingi banyak kesusahan, jumlahnya tidak terkira. Dosa-dosaku telah mengejar aku, sehingga aku tidak dapat melihat. Jumlahnya melebihi rambut di kepalaku, dan aku kehilangan semangat. Ya TUHAN, selamatkanlah aku! Ya TUHAN, cepatlah tolong aku! Biarlah mereka yang cuba membunuh aku dikalahkan dan dibingungkan. Biarlah mereka yang gembira kerana kesusahanku, dipukul mundur dan dipermalukan. Biarlah mereka yang mengejek aku terkejut dan malu kerana dikalahkan. Semoga semua orang yang datang kepada-Mu bergembira dan bersukacita! Semoga mereka yang bersyukur bagi penyelamatan-Mu sentiasa berkata, “Sungguh agungnya TUHAN!” Aku lemah dan tidak berdaya; tetapi Engkau, ya Tuhan, mengingati aku. Engkaulah penolong dan penyelamatku; cepatlah datang menolong aku, ya Allahku! Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Berbahagialah orang yang mengambil berat terhadap orang yang tidak berdaya; TUHAN akan menolong mereka ketika mereka dalam kesusahan. TUHAN akan melindungi dan memelihara mereka, TUHAN akan membahagiakan mereka di negeri ini; TUHAN tidak akan menyerahkan mereka kepada musuh. TUHAN akan menolong mereka ketika mereka sakit dan memulihkan kesihatan mereka. Aku berkata, “Ya TUHAN, aku telah berdosa terhadap-Mu; kasihanilah aku dan sembuhkanlah aku!” Musuhku mengumpat aku. Mereka mahu aku mati dan dilupakan. Mereka yang mengunjungi aku tidak ikhlas; mereka mengumpulkan segala berita yang buruk tentang aku, lalu keluar dan menyebarkannya ke mana-mana. Semua orang yang membenci aku berbisik-bisik tentang diriku, mereka memikirkan yang paling buruk tentang aku. Mereka berkata, “Dia sakit teruk sekali dan tidak akan bangun dari katilnya lagi.” Bahkan sahabat karibku yang paling aku percayai, orang yang makan bersama-samaku, telah menentang aku. Kasihanilah aku, ya TUHAN, dan pulihkanlah kesihatanku, agar aku dapat membalas musuh-musuhku. Maka tahulah aku bahawa Engkau berkenan kepadaku, kerana musuhku tidak akan mengalahkan aku. Engkau akan menolong aku, kerana ketulusanku; Engkau membolehkan aku berada di hadirat-Mu selama-lamanya. Marilah kita memuji TUHAN, Allah umat Israel; pujilah Dia sekarang dan selama-lamanya. Amin! Amin! Untuk pemimpin koir. Sajak puak Korah. Seperti rusa merindukan air sungai, demikianlah jiwaku merindukan Engkau, ya Allah. Aku merindukan Engkau, Allah yang hidup; bilakah aku dapat beribadat di hadirat-Mu? Siang malam aku menangis, hanya air mata makananku; sepanjang masa musuhku bertanya kepadaku, “Di manakah Allahmu?” Hatiku hancur apabila mengenangkan masa lalu, semasa aku pergi bersama-sama orang ramai ke Rumah TUHAN, dan aku berjalan di depan perarakan, dengan sorak-sorai dan lagu pujian. Mengapakah aku sedih? Mengapakah aku gelisah? Aku akan berharap kepada Allah dan sekali lagi aku akan memuji Dia, Allahku dan penyelamatku. [7-8] Di tempat pembuangan ini hatiku hancur, oleh itu aku ingat kepada TUHAN. Jiwaku hanyut dalam arus kesedihan; aku dilanda banjir kekacauan, seperti deru air terjun Sungai Yordan dari Gunung Hermon dan Gunung Mizar. *** Semoga TUHAN menunjukkan kasih-Nya pada waktu siang; agar aku dapat memuji Dia pada waktu malam, dan berdoa kepada Allah, sumber hidupku. Kepada Allah, pembelaku, aku berkata, “Mengapakah Engkau melupakan aku? Mengapakah aku harus terus-menerus menanggung derita, akibat kekejaman musuhku?” Aku sangat sedih kerana hinaan mereka. Mereka terus bertanya, “Di manakah Allahmu?” Mengapakah aku sedih? Mengapakah aku gelisah? Aku akan berharap kepada Allah, dan sekali lagi aku akan memuji Dia, Allahku dan penyelamatku. Ya Allah, buktikanlah bahawa aku tidak bersalah, dan belalah aku terhadap bangsa yang durjana; jauhkanlah aku daripada penjahat dan pendusta. Engkaulah pelindungku; mengapakah Engkau meninggalkan aku? Mengapakah aku harus terus-menerus menanggung derita akibat kekejaman musuhku? Berikanlah cahaya-Mu dan firman-Mu yang benar untuk menyinari dan membimbing aku, agar aku kembali ke Sion, bukit-Mu yang suci, dan ke tempat kediaman-Mu. Maka aku akan pergi ke mazbah-Mu, ya Allah, kerana Engkaulah sumber kebahagiaanku; aku akan menyanyi serta memainkan kecapi, untuk memuji Engkau, ya Allah, Allahku! Mengapakah aku sedih? Mengapakah aku gelisah? Aku akan berharap kepada Allah, dan sekali lagi aku akan memuji Dia, Allahku dan penyelamatku. Mazmur puak Korah. Sajak. Untuk pemimpin koir. Ya Allah, kami sendiri telah mendengar kisah yang diceritakan oleh nenek moyang kami, tentang perbuatan besar yang Engkau lakukan pada zaman dahulu kala. Engkau sendiri mengusir bangsa-bangsa supaya umat-Mu menetap di negeri mereka; Engkau mencelakakan bangsa-bangsa lain, tetapi menjadikan umat-Mu makmur. Mereka tidak menakluki negeri ini dengan pedang; mereka tidak menang dengan kuasa mereka sendiri, tetapi dengan kuasa dan kekuatan serta hadirat-Mu, kerana Engkau berkenan kepada umat-Mu. Engkaulah Rajaku dan Allahku; Engkau memberikan kemenangan kepada umat-Mu. Dengan kuasa-Mu kami mengalahkan musuh kami, dan menakluki orang yang menyerang kami. Aku tidak bergantung kepada busur, atau pedang untuk menyelamatkan diri, kerana Engkaulah yang menyelamatkan kami, dan mengalahkan mereka yang membenci kami. Kami akan sentiasa memuji Engkau dan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya. Tetapi sekarang, ya Allah, Engkau meninggalkan kami dan membiarkan kami dikalahkan; Engkau tidak lagi maju bersama dengan tentera kami. Engkau membuat kami lari daripada musuh, dan mereka merampas segala harta kami. Engkau membiarkan kami disembelih seperti domba, Engkau mencerai-beraikan kami ke negeri asing. Engkau menjual umat-Mu dengan harga yang murah, tanpa mendapat keuntungan apa-apa. Engkau menjadikan kami ejekan jiran kami; mereka mengolok-olokkan dan mentertawakan kami. Engkau menjadikan kami ejekan bangsa-bangsa; mereka menggelengkan kepala dan mengumpat kami. Sepanjang hari aku dihina, dan diliputi perasaan malu, kerana mendengar sindiran dan hinaan yang dilemparkan oleh musuh dan pendendam. Semuanya menimpa kami walaupun kami tidak melupakan Engkau, ataupun memungkiri perjanjian-Mu dengan kami. Kami tidak pernah melawan Engkau; kami tidak pernah melanggar perintah-Mu. Tetapi Engkau meninggalkan kami yang lemah dengan binatang liar; Engkau meninggalkan kami dalam kegelapan yang gelita. Jika kami berhenti menyembah Allah kami, lalu menyembah tuhan lain, tentu Engkau akan mengetahuinya, kerana Engkau mengetahui rahsia hati manusia. Tetapi kerana Engkau, kami diancam maut setiap masa, kami diperlakukan seperti domba sembelihan. Bangunlah, ya Tuhan! Mengapakah Engkau tidur? Bangkitlah! Jangan tolak kami selama-lamanya! Mengapakah Engkau menyembunyikan diri? Jangan lupakan penderitaan dan kesusahan kami! Kami jatuh hancur di tanah, dan terbaring di atas debu kerana kalah. Bangkitlah dan tolonglah kami! Kerana kasih-Mu itu, selamatkanlah kami! Mazmur puak Korah. Lagu kasih. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung. Hati hamba penuh dengan kata-kata yang indah semasa hamba menggubah lagu ini untuk raja; lidah hamba umpama batang pena seorang pujangga. Tuanku yang paling kacak antara manusia, titah tuanku penuh kebaikan, sebab itu, tuanku diberkati Allah selama-lamanya. Ikatkan pedang pada pinggang, hai raja perkasa, tuanku sungguh agung dan mulia! Majulah dengan kemuliaan menuju kemenangan, untuk membela kebenaran dan keadilan, dengan kekuatan tuanku, rebutlah kemenangan yang besar. Anak panah tuanku yang tajam akan menembusi jantung musuh; bangsa-bangsa akan rebah ke bawah kaki tuanku. Takhta yang dikurniakan Allah kepada tuanku akan kekal selama-lamanya. Tuanku memerintah rakyat dengan adil; tuanku mencintai perkara yang benar dan membenci perkara yang jahat. Oleh itu, Allah, Allah tuanku telah memilih tuanku, dan membahagiakan tuanku lebih daripada raja lain. Pakaian tuanku berbau mur, gaharu, dan cendana; pemuzik di istana gading membuat tuanku gembira. Antara wanita yang disayangi tuanku terdapat puteri-puteri, dan di sebelah kanan takhta tuanku berdiri permaisuri yang memakai perhiasan emas murni. Dengarlah kata-kata hamba, hai permaisuri, lupakanlah bangsa serta kerabat tuanku. Kecantikan tuanku memikat hati raja, tuanku milik baginda, taatlah kepada baginda. Rakyat Tirus akan membawa hadiah untuk tuanku, orang kaya akan mencuba mengambil hati tuanku. Puteri masuk dengan penuh seri, pakaiannya bersulam benang emas. Dengan pakaian berwarna-warni puteri dibawa menghadap raja, diiringi oleh anak-anak dara, yang juga dibawa menghadap raja. Dengan sorakan yang gembira, mereka masuk ke istana raja. Tuanku, raja hamba akan mempunyai banyak putera, untuk meneruskan kerajaan nenek moyang tuanku, dan tuanku akan menjadikan mereka pemerintah di seluruh dunia. Lagu hamba akan mengekalkan kemasyhuran tuanku turun-temurun, dan bangsa-bangsa akan memuji tuanku selama-lamanya. Mazmur puak Korah. Untuk pemimpin koir. Dengan lagu Alamot. Allah perlindungan dan kekuatan kita; Dia selalu bersedia menolong kita pada masa kesusahan. Oleh itu, kita tidak akan takut, walaupun bumi gempa dan gunung-gunung jatuh ke dasar laut; walaupun laut mengamuk dan bergelora, dan gunung bergoncang dengan kuatnya. Ada sebatang sungai yang menggembirakan kota Allah, tempat kediaman Allah Yang Maha Tinggi. Allah tinggal di situ, kota yang tidak akan dimusnahkan; ketika masih subuh, Dia akan datang menolongnya. Bangsa-bangsa ketakutan, kerajaan-kerajaan gentar; ketika Allah mengguntur, bumi pun lebur. TUHAN Yang Maha Kuasa menyertai kita; Allah Yakub melindungi kita. Mari, lihatlah apa yang telah dilakukan TUHAN. Lihatlah, perbuatan Allah di bumi sangat menakjubkan. Dia menghentikan perang di seluruh dunia; Dia mematahkan busur, memusnahkan lembing, dan membakar perisai. Dia berfirman, “Berhentilah berperang, ketahuilah bahawa Aku ini Allah, yang agung antara bangsa-bangsa dan di seluruh bumi.” TUHAN Yang Maha Kuasa menyertai kita; Allah Yakub melindungi kita. Mazmur puak Korah. Untuk pemimpin koir. Tepuklah tangan, hai semua bangsa! Pujilah Allah dengan nyanyian yang kuat dan gembira! TUHAN Yang Maha Tinggi hendaklah ditakuti; Dia raja yang agung di seluruh dunia. Dia menolong kita mengalahkan bangsa-bangsa, dan menjadikan kita pemerintah suku-suku bangsa. Dia memilih negeri kediaman bagi kita, untuk menjadi pusaka kita, umat yang dikasihi-Nya. Allah naik ke takhta-Nya, diiringi sorak-sorai dan bunyi trompet. Nyanyikanlah pujian bagi Allah; nyanyikanlah pujian bagi Raja kita! Allah raja di seluruh bumi; pujilah Dia dengan nyanyian! Allah bersemayam di atas takhta-Nya yang suci; Dia memerintah semua bangsa. Para pemimpin bangsa-bangsa datang berkumpul dengan umat Allah Abraham. Allah lebih perkasa daripada semua penguasa; Dia sangat agung dan mulia. Mazmur puak Korah. TUHAN sungguh agung dan terpuji di kota Allah kita, di atas bukit-Nya yang suci. Sion, bukit Allah, tinggi dan indah; kota Raja yang agung menggirangkan seluruh dunia! Di dalam kota-Nya yang berkubu ada keselamatan, kerana Allah berada di sana. Raja-raja berkumpul dan datang hendak menyerang Bukit Sion. Apabila mereka melihat bukit itu, mereka terperanjat; mereka takut dan lari kebingungan. Mereka gementar ketakutan, mereka kesakitan seperti wanita yang hampir bersalin, mereka seperti kapal yang dilanda angin ribut. Apa yang sudah kita dengar, kini sudah kita lihat, di kota Allah kita, TUHAN Yang Maha Kuasa. Kota itu kota Allah kita; Dia membela kota itu selama-lamanya. Ya Allah, di dalam Rumah-Mu, kami merenungkan kasih-Mu. Nama-Mu termasyhur dan dipuji di seluruh dunia, Engkau memerintah dengan adil. Biarlah penduduk Sion dan Yehuda bergembira, kerana Engkau menghakimi orang dengan adil. Hai umat Allah, kelilingilah Sion dan hitunglah menara di situ, perhatikanlah tembok dan periksalah kubu kota itu, supaya kamu dapat memberitahu keturunan yang akan datang bahawa Dialah Allah, Allah kita selama-lamanya; Dia akan memimpin kita selama-lamanya. Mazmur puak Korah. Untuk pemimpin koir. Dengarlah ini, hai semua orang. Dengarlah, hai semua penduduk dunia, baik orang biasa mahupun orang terkemuka, baik orang miskin mahupun orang kaya. Aku akan mengucapkan kata-kata yang bijak, buah fikiranku penuh pengertian. Aku akan mengalihkan perhatian kepada peribahasa, dan menerangkan maknanya sambil memetik kecapi. Aku tidak takut akan masa kesusahan, ketika aku dikelilingi oleh musuh, orang yang bergantung kepada kekayaan mereka, dan membanggakan harta mereka yang banyak. Tidak seorang pun dapat menebus dirinya; dia tidak dapat membayar harga tebusannya kepada Allah, kerana harga tebusan manusia itu terlalu mahal; apa yang dapat dibayarnya tidak sekali-kali cukup untuk mengelakkan diri dari kubur, supaya dia dapat hidup selama-lamanya. Sesiapa pun tahu bahawa orang bijak akan meninggal; orang bodoh dan orang tolol pun akan mati. Mereka semua meninggalkan harta kepada orang lain. Kubur menjadi tempat kediaman kekal bagi mereka; di sana mereka tinggal selama-lamanya, walaupun mereka pernah mempunyai tanah. Walaupun manusia itu kaya, seperti haiwan, mereka akan mati juga. Begitulah nasib orang yang percaya kepada diri sendiri, dan nasib orang yang puas hati dengan kekayaan mereka. Seperti domba, mereka ditentukan untuk mati, dan digembalakan oleh maut. Orang jujur akan mengalahkan mereka, mayat mereka cepat mereput; dunia orang mati menjadi kediaman mereka. Tetapi Allah akan menyelamatkan aku; Dia akan melepaskan aku daripada kuasa maut. Jangan iri hati apabila sesetengah orang menjadi kaya, apabila harta mereka bertambah-tambah; apabila mereka mati, mereka tidak dapat membawa apa-apa; harta mereka tidak dapat turun ke kubur bersama-sama mereka. Sungguhpun mereka berpuas hati dengan kehidupan mereka, dan dipuji kerana kejayaan mereka, mereka akan menyusul nenek moyang mereka juga, ke tempat yang gelap selama-lamanya. Walaupun manusia menjadi kaya, seperti haiwan, mereka akan mati juga. Mazmur Asaf. TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa berfirman; Dia berseru kepada seluruh bumi dari timur sampai ke barat. Dari Sion, kota yang terindah, Allah bersinar seperti matahari. Apabila Allah kita datang, Dia tidak diam; api yang bernyala-nyala mendahului Dia, ribut yang sangat kencang mengelilingi-Nya. Dia menyuruh syurga dan bumi menjadi saksi, untuk melihat Dia menghakimi umat-Nya. Dia berfirman, “Himpunkanlah umat-Ku yang setia, yang telah mengikat perjanjian dengan Aku dan mengukuhkannya dengan mempersembahkan korban.” Langit mengisytiharkan keadilan Allah, kerana Allah itu hakim. “Dengarlah, hai umat-Ku, Aku akan berfirman; Aku akan menyalahkan kamu, hai Israel. Akulah Allah, Allah kamu. Aku tidak menyalahkan kamu kerana persembahan kamu, dan korban untuk menyenangkan hati-Ku yang selalu kamu persembahkan. Aku tidak memerlukan lembu jantan dari ladang kamu, ataupun kambing daripada ternakan kamu, kerana haiwan di hutan milik-Ku, dan juga lembu di atas ribuan bukit. Semua burung liar kepunyaan-Ku, juga semua makhluk hidup di padang. Jika Aku lapar, Aku tidak minta makanan daripada kamu, kerana dunia serta segala isinya milik-Ku. Adakah Aku makan daging lembu jantan, ataupun minum darah kambing? Persembahkanlah ucapan syukur sebagai korban kepada Allah, berikanlah segala persembahan yang kamu janjikan kepada Yang Maha Kuasa. Berserulah kepada-Ku pada masa kesusahan; Aku akan menyelamatkan kamu, dan kamu akan memuji Aku.” Tetapi Allah berfirman kepada orang jahat, “Kamu tidak berhak menghafaz hukum-Ku dan membincangkan perjanjian-Ku, kerana kamu tidak mahu menerima tegur ajar-Ku; kamu menolak perintah-Ku. Apabila kamu melihat pencuri, kamu berkawan dengan mereka, kamu bergaul dengan orang yang berzina. Kamu sentiasa mengatakan yang jahat; dengan tidak ragu-ragu kamu berdusta. Kamu sedia menuduh saudara kamu, dan memfitnah saudara sekandung. Itulah yang kamu lakukan, tetapi Aku diam sahaja, maka kamu berfikir Aku seperti kamu juga. Tetapi sekarang Aku mencela kamu, dan menjadikan perkara itu nyata bagi kamu. Dengarlah, hai kamu yang melupakan Aku, jika tidak, Aku akan membinasakan kamu; dan tidak seorang pun dapat menyelamatkan kamu. Orang yang mempersembahkan ucapan syukur sebagai korban untuk menghormati Aku, dan orang yang taat kepada-Ku akan Kuselamatkan.” Untuk pemimpin koir. Mazmur Raja Daud setelah baginda ditegur oleh Nabi Natan kerana berzina dengan Batsyeba. Kasihanilah aku, ya Allah, kerana kasih-Mu; hapuskanlah dosa-dosaku, kerana belas kasihan-Mu sungguh besar. Basuhlah aku daripada segala kejahatanku, dan bersihkanlah aku daripada dosaku. Aku mengakui kesalahanku; aku sentiasa sedar akan dosaku. Aku telah berdosa terhadap-Mu - terhadap-Mu sahaja, dan aku melakukan perkara yang Engkau anggap jahat. Maka patutlah Engkau menghakimi aku; adillah Engkau ketika menghukum aku. Aku jahat sejak aku dilahirkan; aku berdosa sejak aku dalam kandungan. Engkau menghendaki ketulusan hati; penuhkanlah batinku dengan kebijaksanaan-Mu. Sucikanlah aku, maka aku akan menjadi bersih; basuhlah aku, lalu aku akan menjadi lebih putih daripada salji. Biarlah aku mendengar suara kesukaan dan kegembiraan, agar aku yang Engkau hancurkan dan remukkan, akan menjadi gembira semula. Palingkanlah wajah-Mu daripada dosaku, dan hapuskanlah segala kejahatanku. Ya Allah, ciptalah hati yang murni bagiku, baharuilah batinku agar menjadi teguh. Janganlah buang aku daripada hadirat-Mu; janganlah ambil Roh-Mu yang suci daripadaku. Buatlah aku gembira lagi kerana penyelamatan daripada-Mu, dan berilah aku hati yang rela mentaati-Mu. Maka aku akan mengajarkan perintah-Mu kepada orang berdosa, dan mereka akan kembali kepada-Mu. Ya Allah, lepaskanlah aku daripada maut, dan selamatkanlah aku, lalu dengan sukacita aku akan memberitakan keadilan-Mu. Tolonglah aku berkata-kata, ya Tuhan, lalu aku akan memberi Engkau pujian. Engkau tidak mahu korban yang dipersembahkan; jika aku mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Mu, Engkau pun tidak berkenan. Persembahanku adalah hati yang hancur, ya Allah; hati yang remuk dan sesal, akan Engkau terima. Tunjukkanlah kebaikan-Mu kepada Sion, ya Allah, binalah tembok-tembok Yerusalem semula. Maka Engkau akan berkenan dengan persembahan yang layak, serta korban-korban yang kami bakar; di atas mazbah-Mu, lembu jantan akan dipersembahkan. Untuk pemimpin koir. Sajak Daud, pada masa Doeg, orang Edom itu menghadap Raja Saul dan memberitahu baginda bahawa Daud sudah pergi ke rumah Abimelekh. Hai orang gagah, mengapa engkau membanggakan kejahatanmu terhadap orang yang dikasihi Allah? Sepanjang hari engkau merancang kehancuran orang; mulutmu setajam pisau cukur, dan dusta sentiasa engkau karang. Engkau lebih mencintai kejahatan daripada kebaikan, dan lebih menyukai fitnah daripada kebenaran. Engkau suka menyakiti hati orang dengan kata-kata. Engkau pendusta! Oleh itu, Allah akan memusnahkan engkau selama-lamanya; Dia akan menangkap dan menarik engkau dari rumah; Dia akan melenyapkan engkau dari dunia orang hidup. Orang salih akan melihat perbuatan ini dan berasa takut; mereka akan mentertawakan engkau, dan berkata, “Lihat, inilah orang yang tidak berlindung kepada Allah, tetapi yakin akan kekayaannya yang berlimpah, dan mencari perlindungan dalam jenayah.” Tetapi aku umpama pokok zaitun yang tumbuh di Rumah Allah; aku bergantung kepada kasih-Nya selama-lamanya. Ya Allah, aku akan sentiasa bersyukur kepada-Mu, kerana segala perbuatan-Mu; di tengah-tengah umat-Mu, aku akan memberitakan kebaikan-Mu. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Mahalat. Sajak Daud. Orang bodoh berkata dalam hati, “Tidak ada Allah!” Mereka semua jahat dan perbuatan mereka keji; tidak seorang pun melakukan yang baik. Dari syurga Allah memandang umat manusia untuk mencari orang yang bijak, orang yang menyembah Dia. Tetapi semua orang sudah menyeleweng dan sesat, tidak seorang pun melakukan yang baik. Allah bertanya, “Tidakkah orang jahat ini tahu? Mereka hidup dengan merompak umat-Ku, dan tidak pernah berdoa kepada-Ku.” Tetapi kemudian ketakutan meliputi mereka, seperti yang belum pernah dialami mereka, kerana Allah akan menyerakkan tulang musuh umat-Nya. Allah sudah menolak musuh umat-Nya, maka Israel akan mengalahkan musuh mereka. Semoga penyelamatan bagi Israel datang dari Sion! Apabila Allah menjadikan umat-Nya makmur semula, semua orang Israel akan bersukacita. Untuk pemimpin koir. Dengan iringan kecapi. Sajak Daud, pada masa orang Zif pergi kepada Raja Saul dan memberitahu baginda bahawa Daud bersembunyi di kawasan mereka. Selamatkanlah aku dengan kuasa-Mu, ya Allah; bebaskanlah aku dengan kekuatan-Mu. Dengarlah doaku, ya Allah; endahkanlah kata-kataku. Orang sombong datang menyerang aku, orang zalim ingin membunuh aku, mereka tidak menghiraukan Allah. Tetapi Allah ialah penolongku, Tuhan ialah pembelaku. Biar Allah menghukum musuhku dengan kejahatan mereka. Ya Allah, binasakanlah mereka kerana Engkau setia kepadaku. Ya TUHAN, aku rela mempersembahkan korban kepada-Mu; aku mengucap syukur kepada Engkau kerana kebaikan-Mu. Engkau telah menyelamatkan aku daripada segala kesusahan, dan aku telah melihat musuhku dikalahkan. Untuk pemimpin koir. Dengan iringan kecapi. Sajak Daud. Ya Allah, dengarlah doaku; jangan berpaling daripada rayuanku. Dengarlah aku dan jawablah aku; aku lemah kerana kerunsinganku. Aku cemas kerana ancaman musuhku, dan remuk kerana orang jahat menindas aku. Mereka menyusahkan aku; mereka marah kepadaku dan membenci aku. Aku sangat ketakutan, ngeri akan dahsyatnya kematian. Aku diliputi ketakutan dan kegentaran, dan dicengkam oleh perasaan seram. Sekiranya aku bersayap seperti burung merpati, aku akan terbang mencari tempat yang tenang. Aku akan terbang jauh sekali; padang gurun akan kudiami. Aku akan bergegas mencari tempat berlindung terhadap ribut dan angin kencang. Kelirukanlah percakapan musuhku, ya Tuhan, kerana di kota aku nampak orang merusuh dan melakukan keganasan. Siang malam mereka mengelilingi kota, melakukan kekacauan dan jenayah. Di merata tempat berlaku pemusnahan; jalan-jalan penuh dengan penindasan dan penipuan. Andaikata musuh mempermainkan aku, aku dapat menanggungnya; andaikata seorang lawan menghina aku, aku pun dapat bersembunyi daripadanya. Tetapi engkau ini, temanku, rakanku serta sahabat karibku. Kita pernah berbual dengan mesra, dan beribadat bersama-sama di Rumah TUHAN. Biarlah dengan mendadak musuhku mati, dan turun hidup-hidup ke dunia orang mati, kerana kejahatan memenuhi rumah mereka, dan menguasai hati mereka. Tetapi aku berseru kepada TUHAN Allah untuk menolong aku, dan Dia akan menyelamatkan aku. Keluhanku dan tangisanku naik ke hadirat-Nya pada petang, pagi, dan tengah hari, dan Dia akan mendengar suaraku. Dia akan membawa aku pulang dengan selamat setelah aku berperang melawan musuh yang banyak sangat. Allah yang memerintah selama-lamanya, akan mendengar aku dan mengalahkan musuhku, kerana mereka tidak mahu berubah hati, dan tidak takut kepada Allah. Bekas temanku menyerang kawan-kawannya; dia mengingkari janjinya. Kata-katanya halus merayu, tetapi hatinya penuh kebencian; kata-katanya lemah-lembut, tetapi menikam hati seperti pedang yang tajam. Serahkanlah kekhuatiranmu kepada TUHAN, maka Dia akan membela kamu; Dia tidak akan membiarkan orang jujur dikalahkan. Tetapi Engkau, ya Allah, akan membinasakan pendusta dan pembunuh sebelum mereka mencapai separuh usia. Tetapi bagiku, aku akan percaya kepada-Mu. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Merpati dari Daerah Jauh, yang Membisu. Mazmur Daud, pada masa orang Filistin menangkap dia di Gat. Kasihanilah aku, ya Allah, kerana aku diserang; musuh-musuhku menganiaya aku sepanjang masa. Sepanjang hari lawanku menyerang aku; banyak orang yang melawan aku. Ketika aku takut, ya Allah Yang Maha Kuasa, aku berharap kepada-Mu. Aku percaya kepada Allah dan aku tidak takut; aku memuji Dia kerana janji-Nya. Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadapku? Sepanjang hari musuhku menyusahkan aku; mereka sentiasa berusaha untuk mencelakakan aku. Mereka berkumpul di tempat persembunyian, dan mengawasi segala gerak-geriku, sambil mencari kesempatan untuk membunuh aku. Hukumlah mereka, ya Allah kerana kejahatan mereka, dengan kemurkaan-Mu, binasakanlah mereka! Engkau tahu betapa cemasnya hatiku; Engkau tahu betapa banyaknya air mataku. Bukankah semuanya itu tercatat di dalam kitab-Mu? Pada hari aku berseru kepada-Mu, mundurlah musuh-musuhku. Aku tahu bahawa Allah memihak aku. Aku memuji TUHAN Allah kerana janji-Nya. Aku percaya kepada-Nya dan aku tidak takut. Apakah yang dapat dilakukan manusia kepadaku? Ya Allah, aku akan menepati janjiku kepada-Mu, aku akan mempersembahkan korban kesyukuran kepada-Mu. Engkau telah menyelamatkan aku daripada kematian, dan menjauhkan aku daripada kekalahan. Oleh itu, aku dapat hidup dalam perlindungan Allah, dalam cahaya yang menerangi semua yang hidup. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, pada masa dia lari ke dalam gua untuk menghindari Raja Saul. Kasihanilah aku, ya Allah, kasihanilah aku, kerana aku mencari keselamatan daripada-Mu. Aku mendapat perlindungan di bawah naungan sayap-Mu, sehingga ribut yang mengamuk sudah berlalu. Kepada Allah Yang Maha Tinggi aku berseru, Dia Allah yang memenuhi segala keperluanku. Dia akan menjawab dari syurga dan menyelamatkan aku; Dia akan mengalahkan orang yang menindas aku. Allah akan menunjukkan kasih dan kesetiaan-Nya kepadaku. Aku dikepung oleh musuh, mereka seperti singa pemakan manusia. Gigi mereka seperti lembing dan anak panah; lidah mereka seperti pedang yang tajam. Ya Allah, tunjukkanlah keagungan-Mu di langit, dan kemuliaan-Mu di seluruh bumi! Musuhku memasang jaring untuk menangkap aku, aku diliputi perasaan putus asa. Mereka menggali lubang di jalanku, tetapi mereka sendiri terjatuh ke dalamnya. Ya Allah, aku sungguh yakin kepada-Mu; aku hendak menyanyi dan memuji Engkau! Bangunlah, hai jiwaku! Bangunlah, hai gambus dan kecapi! Aku akan membangunkan matahari! Ya Tuhan, aku akan bersyukur kepada-Mu antara bangsa-bangsa. Aku akan memuji Engkau antara umat manusia. Kasih-Mu membumbung setinggi langit, kesetiaan-Mu sampai ke awan yang tinggi. Ya Allah, tunjukkanlah keagungan-Mu di langit, dan kemuliaan-Mu di seluruh bumi. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud. Adilkah keputusan kamu, hai para pemerintah? Jujurkah kamu pada waktu menghakimi manusia? Tidak! Kamu hanya memikirkan kejahatan, dan di negeri ini kamu melakukan keganasan. Orang jahat sesat seumur hidup mereka; sejak lahir, mereka berdusta. Mereka beracun seperti ular berbisa; mereka menutup telinga seperti ular senduk yang pekak yang tidak mendengar suara pawang, ataupun pembaca mantera yang bijak. Patahkanlah gigi singa-singa muda itu, ya Allah; cabutlah taring singa-singa itu, ya TUHAN! Biarlah mereka hilang seperti air yang mengewap, dan layu seperti rumput yang dipijak-pijak. Biarlah mereka seperti siput yang menjadi lendir, dan seperti bayi yang mati sebelum melihat cahaya. Sebelum mereka sedar, mereka dipotong seperti rumput; dengan kemurkaan-Nya, Allah akan membuang mereka hidup-hidup. Apabila melihat orang berdosa dihukum, orang bijak akan gembira, dan mencuci kaki dalam darah orang durjana. Orang akan berkata, “Sesungguhnya orang baik mendapat pahala; sesungguhnya ada Allah yang mengadili dunia.” Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, setelah Raja Saul mengirim orang mengawasi rumah Daud untuk membunuh dia. Selamatkanlah aku daripada musuh, ya Allahku; lindungilah aku daripada mereka yang menyerang aku! Selamatkanlah aku daripada orang jahat itu; lepaskanlah aku daripada pembunuh-pembunuh itu! Lihatlah! Mereka menanti-nanti hendak membunuh aku; orang kejam berkumpul mengadang aku. Bukan kerana aku telah berdosa atau melakukan kesalahan, bukan kerana aku telah bersalah, ya TUHAN, mereka tergesa-gesa bersiap untuk membuat serangan. Bangkitlah, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, dan tolonglah aku; lihatlah sendiri, ya Allah Israel! Bangunlah dan hukumlah bangsa-bangsa; jangan kasihani pengkhianat-pengkhianat kejam. Pada waktu senja mereka pulang, melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota. Dengarlah hinaan dan ancaman mereka. Kata-kata mereka tajam seperti pedang; mereka menyangka tiada orang yang mendengar. Tetapi Engkau, ya TUHAN, mentertawakan mereka; Engkau mengolok-olokkan semua bangsa. Aku yakin akan kekuatan-Mu; ya Allah, Engkaulah pernaunganku. Allahku yang mengasihi aku akan datang kepadaku; Dia akan membolehkan aku melihat kekalahan musuhku. Jangan bunuh mereka, ya Allah, supaya bangsaku tidak lupa. Serakkan musuh dengan kuasa-Mu dan kalahkan mereka, ya Tuhan, pelindung kami. Kerana mereka berdosa dengan kata-kata mereka, biarlah mereka terperangkap dalam kesombongan mereka. Kerana mereka menyumpah dan berdusta, binasakanlah mereka semasa Engkau murka; binasakanlah mereka semuanya. Maka semua orang akan tahu bahawa Allah memerintah Israel, dan Dia memerintah semua orang di dunia. Pada waktu senja musuh-musuhku pulang, melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota. Mereka berkeliaran mencari makanan, dan menggeram jika tidak kenyang. Tetapi aku akan menyanyi tentang kekuatan-Mu; setiap pagi aku akan bernyanyi dengan nyaring tentang kasih-Mu. Engkau telah menjadi pernaungan bagiku, perlindungan pada masa kesusahanku. Aku akan memuji Engkau, pembelaku; Allah ialah pernaunganku, Allah yang mengasihi aku. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung Kesaksian. Mazmur Raja Daud, ketika baginda memerangi orang Aram-Mesopotamia dan orang Aram-Zoba, dan ketika Yoab pulang dan membunuh 12,000 orang Edom di Lembah Masin. Ya Allah, Engkau telah menolak kami dan mengalahkan kami; Engkau murka terhadap kami, tetapi kini kembalilah kepada kami! Engkau telah menggempakan bumi sehingga belah; perbaikilah yang pecah kerana bumi goyah. Engkau telah menyebabkan umat-Mu mengalami penderitaan berat, sehingga kami terhuyung-hayang seperti orang mabuk. Engkau telah memberikan amaran kepada orang yang menghormati Engkau, supaya mereka terlepas daripada kebinasaan. Selamatkanlah kami dengan kuasa-Mu; kabulkanlah doa kami, supaya umat yang Engkau kasihi diselamatkan. Dari kediaman-Nya yang suci, Allah berfirman, “Aku akan bersorak dan membahagi-bahagikan tanah Sikhem, dan mengagihkan Lembah Sukot kepada umat-Ku. Gilead dan Manasye kepunyaan-Ku, Efraim topi besi-Ku, dan Yehuda tongkat pemerintahan-Ku. Tetapi Moab hanya tempat pembasuhan-Ku; kepada Edom Aku lemparkan kasut-Ku, sebagai tanda bahawa Edom milik-Ku. Adakah orang Filistin berfikir bahawa mereka akan bersorak kerana mengalahkan Aku?” Siapakah yang akan membawa aku ke dalam kota yang berkubu itu? Siapakah yang akan membawa aku ke Edom? Ya Allah, adakah Engkau sudah menolak kami? Tidakkah Engkau maju bersama-sama tentera kami? Tolonglah kami melawan musuh, kerana pertolongan manusia tidak berguna. Bersama dengan Allah, kita akan berjaya; Dialah yang akan mengalahkan musuh kita. Untuk pemimpin koir. Dengan iringan kecapi. Mazmur Daud. Dengarlah seruanku, ya Allah, dengarlah doaku! Dari negeri yang jauh aku berseru kepada-Mu, kerana aku putus asa. Bawalah aku ke tempat perlindungan yang selamat, kerana Engkaulah pelindungku, pertahanan yang kuat terhadap musuhku. Izinkanlah aku tinggal di khemah-Mu sepanjang hidupku; supaya aku selamat di bawah naungan sayap-Mu. Ya Allah, Engkau telah mendengar janjiku, dan memberikan pusaka orang yang menghormati Engkau kepadaku. Lanjutkanlah usia raja, semoga kerajaannya berlanjutan turun-temurun. Semoga raja memerintah selama-lamanya di hadirat-Mu; ya Allah, lindungilah raja dengan kesetiaan dan kasih-Mu. Maka aku akan selalu menyanyikan pujian kepada-Mu, dan setiap hari aku akan menepati janjiku. Untuk pemimpin koir. Menurut: Yedutun. Mazmur Daud. Dengan tenang aku menantikan Allah; Dia sahaja yang menyelamatkan aku. Hanya Dia pelindungku dan penyelamatku; Dialah pembelaku, dan aku tidak akan dikalahkan. Sampai bilakah kamu semua akan menyerang seorang yang lemah seperti pagar yang hampir roboh, dan seperti dinding yang miring? Kamu hanya ingin menjatuhkan dia dari tempat kehormatannya; kamu suka berdusta. Dengan mulut, kamu memberkati, tetapi kamu mengutuk dalam hati. Dengan tenang aku menantikan Allah; Dia sahaja yang memberi aku harapan. Hanya Dia pelindungku dan penyelamatku; Dialah pembelaku, dan aku tidak akan dikalahkan. Penyelamatanku dan kehormatanku bergantung kepada Allah; Dialah pelindungku yang kuat; Dialah tempat perlindunganku. Hai bangsaku, percayalah kepada Allah setiap masa. Beritahukanlah segala kesusahan kamu kepada-Nya, kerana Dialah penaung kita. Manusia hanya seperti hembusan nafas; besar atau kecil sama-sama tidak berharga. Kalau ditimbang, mereka ternyata ringan, lebih ringan daripada sehembus nafas. Jangan bergantung kepada hasil pemerasan; jangan harapkan keuntungan daripada rompakan; walaupan kekayaan kamu bertambah, jangan bergantung kepadanya. Beberapa kali aku telah mendengar Allah berfirman bahawa kuasa berasal daripada-Nya, dan bahawa kasih-Nya kekal. Engkau, ya Tuhan, membalas semua orang menurut perbuatan mereka. Mazmur Daud, semasa dia di padang gurun Yehuda. Ya Allah, Engkaulah Allahku, aku rindu akan Engkau. Seperti tanah tandus haus akan air, begitulah aku haus akan Engkau. Izinkanlah aku melihat Engkau di Rumah-Mu, serta melihat kuasa dan kemuliaan-Mu. Kasih-Mu lebih berharga daripada hidup, oleh itu aku memuji Engkau. Aku bersyukur kepada-Mu seumur hidupku; aku menadahkan tangan kepada-Mu sambil berdoa. Jiwaku dijamu dan dipuaskan, dan aku akan menyanyikan lagu-lagu pujian untuk-Mu. Waktu aku berbaring di katil, aku ingat akan Engkau; sepanjang malam aku merenungkan Engkau, kerana Engkau sentiasa menolong aku; aku menyanyi dengan riang di bawah naungan sayap-Mu. Aku berpaut kepada-Mu, tangan-Mu yang kuat menopang aku. Orang yang cuba membunuh aku akan turun ke dunia orang mati; mereka akan dibunuh dalam pertempuran, dan mayat mereka dimakan serigala. Raja akan bersukacita kerana Allah memberi raja kemenangan; semua orang yang berjanji demi Allah akan bergembira, tetapi suara pendusta akan disenyapkan. Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Aku dalam kesusahan, ya Allah - dengarlah doaku! Aku takut kepada musuhku - selamatkanlah aku! Lindungilah aku daripada komplot orang derhaka, dan daripada rusuhan orang durjana. Lidah mereka setajam pedang, kata-kata mereka berbisa seperti anak panah beracun. Mereka menyebarkan dusta dari tempat persembunyian; mereka membinasakan orang baik dengan fitnah. Mereka menggalakkan sesama sendiri untuk melakukan yang jahat; mereka berunding tentang tempat memasang perangkap; mereka menyangka tiada orang yang melihat. Mereka membuat rancangan jahat dan berkata, “Kita telah merancang jenayah yang licik sekali.” Sungguh dalamnya hati serta fikiran manusia, sehingga tidak dapat diselami. Tetapi Allah melepaskan anak panah-Nya terhadap mereka, dan dengan serta-merta mereka cedera. Dia akan membinasakan mereka kerana kata-kata mereka; semua orang yang melihat mereka akan menggelengkan kepala. Mereka akan ketakutan; mereka memikirkan tindakan Allah, dan memberitakan perbuatan-Nya. Semua orang baik akan bergirang kerana perbuatan TUHAN; mereka akan mendapat perlindungan daripada-Nya; semua orang yang tulus akan memuji Dia. Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Lagu. Kami patut memuji Engkau di Sion, ya Allah, dan memenuhi janji kami kepada-Mu, kerana Engkau mengabulkan doa. Semua orang akan datang kepada-Mu kerana mereka berdosa. Dosa-dosa kami terlalu berat bagi kami, tetapi Engkau mengampunkan dosa kami. Berbahagialah mereka yang telah Engkau pilih, mereka yang Engkau bawa tinggal di Rumah-Mu. Kami akan dipuaskan dengan segala yang baik di Rumah-Mu, berkat-Mu untuk kami di kediaman-Mu yang suci. Engkau menjawab seruan kami dengan memberi kami kemenangan; Engkau menyelamatkan kami dengan melakukan hal-hal yang menakjubkan. Engkau harapan orang di seluruh dunia, dan orang di seberang laut yang jauh. Dengan kekuatan-Mu, Engkau menegakkan gunung pada tempatnya, untuk menunjukkan kuasa-Mu yang besar. Engkau meredakan deruan lautan dan gemuruh ombak; Engkau menenangkan kegemparan bangsa-bangsa. Semua penduduk bumi takut dan hormat, ketika melihat perbuatan-perbuatan-Mu yang hebat. Tindakan-Mu membawa sorakan riang di seluruh bumi dari hujung ke hujung. Engkau memelihara bumi dengan menurunkan hujan; Engkau menjadikan tanahnya baik dan subur. Engkau mengisi anak sungai dengan air; Engkau menumbuhkan tanaman di bumi. Begitulah perbuatan-Mu. Engkau menurunkan hujan lebat dan mengairi ladang yang dibajak; Engkau menggemburkan tanah dengan curahan hujan dan menjadikan tanaman tumbuh dengan subur. Betapa banyaknya hasil tanaman kerana kebaikan-Mu! Ke mana sahaja Engkau pergi, makanan berlimpah selalu. Padang rumput penuh dengan ternakan; bukit-bukit penuh dengan kegembiraan. Ladang-ladang penuh dengan domba, lembah-lembah penuh dengan gandum; semuanya bersorak dan bernyanyi dengan gembira. Untuk pemimpin koir. Sebuah lagu. Pujilah Allah dengan sorakan keriangan, hai umat manusia! Bernyanyilah dan muliakanlah nama-Nya; hormatilah dan pujilah Dia! Berkatalah kepada Allah, “Sungguh menakjubkan segala perbuatan-Mu! Kuasa-Mu begitu besar sehingga musuh tunduk ketakutan di hadapan-Mu. Semua orang di bumi menyembah Engkau; mereka bernyanyi untuk memuji nama-Mu.” Marilah dan lihatlah apa yang telah dilakukan Allah, perbuatan-Nya yang ajaib antara manusia. Dia mengubah laut menjadi tanah kering, dan nenek moyang kami berjalan kaki menyeberanginya. Di sana kami bersukacita kerana perbuatan-Nya. Dia memerintah dengan perkasa selama-lamanya, dan Dia mengawasi bangsa-bangsa. Janganlah sesiapa memberontak terhadap Dia! Pujilah Allah kami, hai semua bangsa, biarlah orang mendengar pujian kamu kepada-Nya. Dia telah memelihara kami supaya tidak dibinasakan, dan Dia tidak membiarkan kami dikalahkan. Ya Allah, Engkau telah menguji kami, umpama perak dimurnikan dengan api. Engkau membiarkan kami jatuh ke dalam perangkap dan memberi kami beban yang sangat berat. Engkau membiarkan musuh memijak-mijak kami; kami melalui banjir dan api, tetapi kini Engkau telah membawa kami ke tempat yang makmur. Aku akan membawa korban ke Rumah-Mu; aku akan menepati janjiku kepada-Mu, janji yang aku ucapkan, ketika aku dalam kesusahan. Aku akan mempersembahkan ternakan yang digemukkan untuk dibakar di atas mazbah; aku akan mempersembahkan korban lembu jantan dan kambing, lalu asapnya akan naik ke langit. Marilah dan dengarlah, hai semua orang yang menghormati Allah, aku akan menceritakan apa yang telah dilakukan-Nya untuk aku. Aku berseru minta tolong kepada-Nya; aku menyanyi dan memuji Dia. Andaikata aku membiarkan dosa dalam hatiku, pasti Tuhan tidak akan mendengar aku. Tetapi sesungguhnya Allah sudah mendengar aku; Dia telah mengabulkan doaku. Aku memuji Allah, kerana Dia tidak menolak doaku, dan tidak berhenti mengasihi aku. Untuk pemimpin koir. Dengan iringan kecapi. Mazmur. Lagu. Ya Allah, kasihanilah dan berkatilah kami; pandanglah kami dengan senang hati, supaya seluruh dunia mengetahui kehendak-Mu, dan semua bangsa mengetahui penyelamatan-Mu. Semoga bangsa-bangsa memuji Engkau, ya Allah; semoga semua bangsa memuji Engkau! Semoga bangsa-bangsa bergembira dan menyanyi dengan sukacita, kerana Engkau menghakimi orang dengan adil dan membimbing setiap bangsa di bumi. Semoga bangsa-bangsa memuji Engkau, ya Allah; semoga semua bangsa memuji Engkau! Tanah telah mengeluarkan hasilnya; Allah, Allah kita, telah memberkati kita. Allah telah memberkati kita; semoga semua orang di seluruh dunia menghormati Dia. Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Lagu. Allah bangkit dan mencerai-beraikan musuh-Nya. Orang yang membenci Dia lari daripada-Nya. Allah mengusir mereka seperti angin meniup asap; orang jahat binasa di hadirat Allah seperti lilin mencair di dalam api. Tetapi umat Allah bergirang dan bersukacita di hadirat-Nya; mereka bersorak-sorak dengan gembira. Nyanyilah kepada Allah, pujilah nama-Nya; sediakanlah jalan bagi Dia yang mengendarai awan. Namanya TUHAN - bergiranglah di hadirat-Nya! Allah yang tinggal di tempat kediaman-Nya yang suci, memelihara anak yatim dan melindungi balu. Dia memberikan keluarga kepada yang tidak ada saudara-mara, dan membebaskan orang tawanan sehingga mereka bahagia; tetapi pemberontak akan tinggal di tanah gersang. Ya Allah, ketika Engkau memimpin umat-Mu, ketika Engkau menyeberangi gurun, bumi bergoncang dan langit mencurahkan hujan, kerana kedatangan-Mu, Allah yang berfirman di Sinai, kedatangan Allah umat Israel. Engkau menurunkan hujan yang lebat, serta memulihkan tanah yang gersang, lalu umat-Mu tinggal di sana; demi kebaikan-Mu, Engkau memelihara orang papa. Tuhan memberikan perintah-Nya, lalu banyak wanita membawa berita: “Raja-raja dan tentera mereka sudah lari!” Kaum wanita di rumah membahagikan barang rampasan, dan yang tinggal menjaga domba pada masa perang mendapat patung burung merpati yang diliputi perak, yang sayapnya disaluti emas berkilauan. Allah Yang Maha Kuasa mencerai-beraikan raja-raja di sana seperti salji turun di Gunung Zalmon. Betapa besarnya gunung Basan, gunung yang mempunyai banyak puncak! Mengapakah dari puncakmu yang banyak itu, engkau memandang dengan cemburu terhadap Bukit Sion yang dipilih Allah untuk kediaman-Nya? TUHAN akan tinggal di sana selama-lamanya. Dengan puluhan ribu kereta kuda-Nya yang besar, Tuhan datang dari Sinai ke tempat yang suci itu. Dia naik ke tempat yang tinggi, membawa banyak orang tawanan bersama-sama-Nya, dan menerima ufti daripada pemberontak. TUHAN Allah akan tinggal di sana. Pujilah Tuhan, kerana Dialah yang menyelamatkan kita; setiap hari Dia menanggung beban kita. Allah kita TUHAN yang menyelamatkan; Dialah yang membebaskan kita daripada kematian. Allah tentu akan meremukkan kepala musuh-Nya, mereka yang terus hidup dalam dosa. Tuhan berfirman, “Aku akan membawa musuh kamu kembali dari Basan, Aku akan membawa mereka kembali dari lautan yang dalam, supaya kamu dapat mencuci kaki dalam darah mereka, dan anjing kamu menjilat darah itu dengan sepuas-puasnya.” Perarakan kemenangan-Mu dilihat oleh semua orang, ya Allah, perarakan Allahku, Rajaku, masuk ke tempat kediaman-Nya. Para penyanyi berjalan di hadapan, pemain muzik di belakang, dan gadis pemain tamburin di antara mereka. “Pujilah Allah di tengah umat-Nya; pujilah TUHAN, hai semua keturunan Yakub!” Benyamin, suku yang terkecil berjalan di hadapan, kemudian ketua-ketua Yehuda bersama dengan kumpulan mereka, diikuti oleh ketua-ketua Zebulon dan Naftali. Tunjukkanlah kuasa-Mu, ya Allah, kuasa yang telah Engkau gunakan bagi kami. Di Rumah-Mu, di Yerusalem, raja-raja mempersembahkan ufti kepada-Mu. Tegurlah Mesir, binatang liar itu yang di tengah-tengah gelagah; tegurlah bangsa-bangsa, sekumpulan lembu jantan itu serta anak-anak mereka, sehingga mereka semua bersujud dan mempersembahkan perak kepada-Mu. Cerai-beraikan mereka yang gemar berperang! Duta-duta dari Mesir datang membawa gangsa; orang Etiopia bergegas membawa ufti kepada Allah. Nyanyilah bagi Allah, hai kerajaan-kerajaan dunia, nyanyikanlah pujian kepada Tuhan, kepada Dia yang melintasi langit purba. Dengarlah Dia berseru dengan kuat. Isytiharkanlah kuasa Allah; Dia memerintah seluruh Israel, kuasa-Nya kelihatan di angkasa. Sungguh mengagumkan Allah kita waktu Dia keluar dari tempat kediaman-Nya, Allah umat Israel memberikan kuasa dan kekuatan kepada umat-Nya. Pujilah Allah! Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung. Oleh Daud. Selamatkanlah aku, ya Allah! Air sudah naik ke leherku; aku hampir tenggelam di lumpur yang dalam, dan tiada tempat berjejak; aku berada di air yang dalam, dan ombak pun hampir melemaskan aku. Aku letih berseru meminta pertolongan, dan kerongkongku sakit. Mataku pedih menantikan pertolongan-Mu. Orang yang membenci aku tanpa sebab, lebih banyak daripada rambut pada kepalaku. Musuhku memfitnah aku, mereka kuat dan mahu membunuh aku. Mereka memaksa aku menyerahkan barang-barang yang tidak aku curi. Ya Allah, dosa-dosaku tidak tersembunyi daripada-Mu, Engkau tahu betapa bodohnya aku. Janganlah biarkan aku mendatangkan malu kepada orang yang berharap kepada-Mu, ya TUHAN Raja Yang Maha Kuasa! Janganlah biarkan aku mendatangkan aib kepada mereka yang menyembah Engkau, ya Allah umat Israel! Kerana Engkaulah, aku dikeji, dan diliputi perasaan malu. Aku bagaikan orang asing kepada saudara-saudaraku, seperti orang luar kepada keluargaku. Cintaku untuk Rumah-Mu berkobar-kobar seperti api; hinaan yang ditujukan kepada-Mu menimpa diriku. Aku merendahkan diri dengan berpuasa, tetapi manusia mencela aku. Ketika aku mengenakan pakaian perkabungan, mereka mentertawakan aku. Aku menjadi buah mulut di tempat orang berkumpul, dan nyanyian orang mabuk adalah tentang aku. Tetapi bagiku, aku akan berdoa kepada-Mu, ya TUHAN; kabulkanlah doaku, ya Allah, menurut waktu-Mu. Kabulkan doaku demi kasih-Mu yang besar, kerana Engkau menepati janji untuk menyelamatkan aku. Janganlah biarkan aku tenggelam di dalam lumpur; selamatkanlah aku daripada musuh-musuhku, dan daripada air yang dalam. Janganlah biarkan banjir menghanyutkan aku; janganlah biarkan aku tenggelam di dasar laut, ataupun terbenam di dalam kubur. Kabulkanlah doaku, ya TUHAN, kerana Engkau baik dan tetap mengasihi; dengan rahmat-Mu yang besar, berpalinglah kepadaku! Janganlah bersembunyi daripada hamba-Mu; aku dalam kesusahan besar - cepatlah tolong aku! Marilah dan selamatkanlah aku; bebaskanlah aku daripada musuhku. Engkau tahu bagaimana aku dikeji, bagaimana aku dipermalukan dan dihina; Engkau nampak semua musuhku. Kekejian telah mematahkan hatiku, aku menjadi putus asa. Aku mencari orang yang berbelas kasihan, tetapi tidak aku dapati; aku mencari orang yang menguatkan hatiku, tetapi tidak aku jumpai. Ketika aku lapar, mereka memberi aku racun sebagai makanan; ketika aku dahaga, mereka memberi aku cuka sebagai minuman. Biarlah jamuan mereka memerangkap mereka; biarlah perayaan mereka menjerat mereka. Biarlah mata mereka buta; biarlah tulang belakang mereka lemah. Biarlah kemurkaan-Mu menimpa mereka; biarlah berang-Mu menangkap mereka. Biarlah perkhemahan mereka terlantar; biarlah semua penghuninya binasa. Mereka menganiaya orang yang telah Engkau hukum; mereka menambahkan penderitaan orang yang Engkau lukakan. Catatlah semua dosa mereka; jangan ampuni mereka. Biarlah nama mereka dihapuskan dari kitab orang hidup, dan tidak tercatat dalam daftar umat-Mu. Tetapi aku kesakitan dan putus asa; angkatlah aku dan selamatkanlah aku, ya Allah! Aku akan memuji Allah dengan nyanyian; aku akan mengagungkan Dia dengan ucapan kesyukuran. Hal ini akan lebih menggembirakan TUHAN daripada mempersembahkan korban lembu, ataupun korban lembu jantan yang sudah cukup besar. Apabila orang yang ditindas melihat hal ini, mereka akan bergembira; orang yang menyembah Allah akan bersemangat. TUHAN mendengar orang yang berkekurangan, dan Dia tidak lupa akan umat-Nya yang dipenjarakan. Pujilah Allah, hai langit dan bumi, laut dan segala makhluk di dalamnya! Dia akan menyelamatkan Yerusalem, dan membina semula kota-kota Yehuda; umat-Nya akan tinggal di sana; negeri itu menjadi milik mereka. Keturunan hamba-hamba-Nya akan mewarisi negeri itu, semua orang yang mengasihi-Nya akan tinggal di situ. Untuk pemimpin koir. Mazmur oleh Daud, ketika mempersembahkan korban peringatan. Ya Allah, selamatkanlah aku! TUHAN, cepatlah tolong aku! Biarlah mereka yang cuba membunuh aku dikalahkan dan dibingungkan. Biarlah mereka yang gembira kerana kesusahanku dipukul mundur dan dipermalukan. Biarlah mereka yang mengejek aku terkejut dan malu kerana dikalahkan. Semoga semua orang yang datang kepada-Mu bergembira dan bersukacita. Semoga semua orang yang bersyukur kerana penyelamatan-Mu sentiasa berkata, “Betapa agungnya Allah!” Aku miskin dan lemah; datanglah segera kepadaku, ya Allah. Engkaulah penolongku dan penyelamatku, janganlah berlengah, ya TUHAN! Ya TUHAN, aku datang kepada-Mu untuk perlindungan; jangan biarkan aku dipermalukan. Kerana Engkau adil, tolonglah aku dan bebaskanlah aku. Dengarlah aku dan selamatkanlah aku! Jadilah perlindungan yang kukuh bagiku, serta kubu yang kuat untuk melindungi aku; Engkaulah penaung dan pembelaku. Ya Allahku, selamatkanlah aku daripada orang jahat, daripada kuasa manusia yang tidak adil dan kejam. Ya TUHAN Raja, aku berharap kepada-Mu; aku percaya kepada-Mu sejak masa mudaku. Aku bergantung kepada-Mu seumur hidupku; sejak aku dilahirkan, Engkau melindungi aku. Aku akan sentiasa memuji Engkau. Kehidupanku menjadi teladan kepada banyak orang, kerana Engkau pembelaku yang kuat. Sepanjang hari aku memuji-Mu dan mengisytiharkan kemuliaan-Mu. Janganlah tolak aku sekarang kerana aku tua; janganlah tinggalkan aku sekarang kerana aku lemah. Musuhku hendak membunuh aku; mereka berbincang dan bersekongkol menentang aku. Mereka berkata, “Allah telah meninggalkan dia; marilah kita kejar dan tangkap dia, kerana tiada sesiapa akan menyelamatkan dia!” Ya Allah, janganlah jauhi aku, ya Allahku, cepatlah tolong aku! Biarlah mereka yang menyerang aku dikalahkan serta dibinasakan! Biarlah mereka yang cuba mencelakakan aku dipermalukan dan dihinakan! Aku akan sentiasa berharap kepada-Mu, dan semakin memuji-Mu. Aku akan mengisahkan kebaikan-Mu; sepanjang hari aku akan menceritakan penyelamatan daripada-Mu, walaupun hal ini melampaui pengertianku. Aku akan memuji perbuatan-Mu yang perkasa, ya TUHAN Raja, aku akan mengisytiharkan kebaikan-Mu, kebaikan-Mu sahaja. Engkau telah mengajar aku sejak masa mudaku; sampai sekarang aku menceritakan perbuatan-Mu yang menakjubkan itu. Kini aku sudah tua dan rambutku pun beruban, jangan tinggalkan aku, ya Allah. Sertailah aku semasa aku mengisytiharkan kuasa dan kebesaran-Mu kepada semua keturunan yang akan datang. Kebaikan-Mu, ya Allah, memuncak ke langit. Engkau telah melakukan perkara yang besar-besar; Engkau tiada bandingnya! Engkau telah mendatangkan kesusahan dan penderitaan kepada diriku, tetapi Engkau akan memulihkan kekuatanku; Engkau akan menjauhkan aku dari kubur. Engkau akan membuat aku lebih terhormat; Engkau akan menghiburkan aku semula. Sesungguhnya aku akan memuji Engkau dengan kecapi; aku akan memuji kesetiaan-Mu, ya Allahku. Aku akan menyanyikan mazmur untuk-Mu dengan kecapi, ya Allah umat Israel, Allah Yang Suci. Aku akan bersorak ketika memainkan kecapi; aku akan menyanyi dengan segenap jiwaku, kerana Engkau telah menyelamatkan aku. Sepanjang hari aku akan mengisahkan kesetiaan-Mu, kerana mereka yang cuba mencelakakan aku telah dikalahkan dan dipermalukan. Daripada Raja Salomo. Ya Allah, ajarkanlah hukum-Mu kepada raja, berikanlah keadilan-Mu kepadanya, supaya raja dapat memerintah umat-Mu dengan jujur, dan memperlakukan orang tertindas dengan adil. Semoga negeri ini menikmati kemakmuran, dan mengalami keadilan. Semoga raja membela orang yang miskin, menolong orang yang melarat serta mengalahkan penindas mereka. Semoga umat-Mu menyembah Engkau selama matahari bersinar, selama bulan bercahaya, untuk sepanjang masa. Semoga raja seperti hujan yang turun di padang, seperti air hujan yang mengairi ladang. Semoga keadilan berkembang pada zaman raja, dan kemakmuran kekal selama bulan bercahaya. Kerajaannya meluas dari laut ke laut, dari Sungai Efrat hingga ke hujung bumi. Penduduk gurun akan bersujud di hadapannya dan musuh akan takluk kepadanya. Raja-raja Tarsis dan pulau-pulau akan mempersembahkan hadiah kepadanya; raja-raja negeri Syeba dan Seba juga akan membawa ufti untuknya. Semua raja akan bersujud di hadapannya, dan semua bangsa akan menjadi hambanya. Raja menyelamatkan orang miskin yang berseru kepadanya, serta orang yang diabaikan dan yang susah. Raja mengasihani orang yang miskin dan yang lemah, dan menyelamatkan orang yang papa. Raja menyelamatkan mereka daripada penindasan dan keganasan; kehidupan mereka berharga baginya. Daulat tuanku! Semoga raja dikurniakan emas dari negeri Syeba; semoga doa diucapkan untuknya sepanjang masa; semoga Allah memberkati raja selama-lamanya! Semoga biji-bijian melimpah di seluruh negeri; semoga bukit-bukit diliputi tanaman, sesubur tanaman di Lebanon. Semoga kota-kota penuh dengan orang, seperti rumput yang tumbuh di padang. Semoga selama-lamanya nama raja diingati, dan kemasyhurannya kekal seperti matahari. Semoga semua bangsa minta diberkati seperti raja, dan semua orang menyebut raja berbahagia. Pujilah TUHAN, Allah umat Israel, hanya Dia yang melakukan hal-hal yang mengagumkan. Pujilah nama-Nya yang mulia itu selama-lamanya, semoga seluruh bumi penuh dengan kemuliaan-Nya! Amin! Amin! Sekian doa Daud anak Isai. Mazmur Asaf. Allah sungguh baik kepada umat Israel, kepada mereka yang berhati murni. Tetapi hatiku bimbang, imanku hampir hilang, kerana aku cemburu terhadap orang sombong, ketika aku melihat orang jahat menjadi makmur. Mereka tidak sakit; mereka kuat dan sihat. Mereka tidak menanggung penderitaan, tidak ditimpa kesusahan seperti orang lain. Oleh itu mereka bersikap sombong, dan selalu bertindak dengan ganas; hati mereka penuh dengan kejahatan, dan fikiran mereka sibuk dengan rancangan kejam. Mereka mentertawakan orang lain dan mengatakan yang jahat, mereka sombong dan merancang untuk menindas orang. Mereka mengeji Allah yang di syurga, dan bercakap dengan sombong kepada manusia di bumi, sehingga umat Allah pun mendengarkan mereka dan yakin akan segala yang diucapkan mereka. Mereka berkata, “Pasti Allah tidak tahu akan apa yang berlaku; Yang Maha Tinggi tidak akan mengetahui perbuatan kita.” Begitulah keadaan orang jahat; hidup mereka senang dan harta mereka terus bertambah. Sia-sia sahaja aku menjaga hatiku supaya suci, tiada gunanya aku menjauhi dosa. Ya Allah, sepanjang hari aku menderita; setiap pagi aku diseksa. Sekiranya aku berkata begitu, aku mengkhianati umat-Mu. Aku cuba memahami hal itu, tetapi terlalu sukar bagiku, sehingga aku masuk ke dalam Rumah-Mu, barulah aku memahami kesudahan semua orang jahat itu. Engkau pasti meletakkan mereka di tempat-tempat yang licin dan menyebabkan mereka jatuh dan binasa. Mereka dibinasakan dengan serta-merta; sungguh dahsyat kesudahan mereka. Mereka umpama mimpi yang menghilang pada waktu pagi, ketika Engkau bangkit, ya Tuhan, mereka pun lenyap. Ketika aku sakit hati, dan perasaanku dilukai, aku bodoh seperti binatang; aku tidak faham akan kehendak-Mu. Namun aku tetap di samping-Mu, dan Engkau memegang tangan kananku. Engkau membimbing aku dengan nasihat, dan kelak Engkau menyambut aku dengan kehormatan. Siapa lagi yang aku miliki di syurga kecuali Engkau? Tiada lagi yang aku ingini di bumi ini selain Engkau. Sekalipun jiwa ragaku menjadi lemah, Engkaulah kekuatanku, ya Allah; hanya Engkau yang aku perlukan selama-lamanya. Orang yang meninggalkan Engkau pasti musnah, Engkau akan membinasakan mereka yang tidak setia kepada-Mu. Tetapi bagiku, sungguh baik berada di samping Allah. Aku mendapat perlindungan daripada TUHAN Raja, dan aku akan memberitakan segala perbuatan-Nya. Sajak Asaf. Mengapakah Engkau meninggalkan kami begini, ya Allah? Murkakah Engkau kepada umat-Mu selama-lamanya? Ingatlah umat yang Engkau pilih sejak dahulu, bangsa yang Engkau bebaskan daripada perhambaan untuk menjadi umat-Mu. Ingatlah akan Bukit Sion, tempat kediaman-Mu dahulu. Datanglah ke tempat yang sudah habis binasa ini; segala yang ada di dalam Rumah-Mu telah dimusnahkan musuh kami. Musuh-Mu bersorak-sorak di Rumah-Mu; mereka mengibarkan panji-panji kemenangan di situ. Mereka kelihatan seperti penebang kayu yang menebang pokok dengan kapak. Mereka menghancurkan segala tembok kayu dengan kapak dan palu. Mereka membakar Rumah-Mu sampai musnah; mereka menajiskan tempat Engkau disembah. Mereka berniat menghancurkan kami sama sekali; mereka membakar segala tempat ibadat di negeri ini. Nabi-nabi dan tanda-tanda ajaib tidak kelihatan lagi, dan tiada seorang pun yang tahu sampai bila keadaan terus begini. Sampai bilakah, ya Allah, musuh kami mengejek Engkau? Adakah sampai selamanya mereka menghina Engkau? Mengapakah Engkau enggan menolong kami? Mengapakah Engkau tidak melakukan apa-apa untuk membantu kami? Tetapi ya Allah, sejak dahulu kala Engkaulah raja kami; Engkau selalu memberi kami kemenangan di negeri ini. Dengan kekuatan yang hebat Engkau membelah laut dan meremukkan kepala makhluk-makhluk laut. Engkau menghancurkan kepala-kepala Lewiatan, dan memberikan bangkainya kepada haiwan gurun sebagai makanan. Engkau membuat mata air dan sungai mengalir; Engkau mengeringkan sungai-sungai yang besar. Engkau mencipta siang dan malam; Engkau menentukan tempat matahari dan bulan; Engkau menentukan batas-batas bumi; Engkau mencipta musim panas dan musim sejuk. Tetapi ingatlah, ya TUHAN, bagaimana musuh-Mu mentertawakan Engkau; mereka tidak mengenal Engkau dan mereka menghina Engkau. Jangan serahkan umat-Mu yang tidak berdaya kepada musuh yang kejam; jangan lupa akan umat-Mu yang dianiaya! Ingatlah perjanjian yang telah Engkau buat dengan kami, kerana terdapat keganasan di segala tempat gelap di negeri ini. Jangan biarkan orang yang tertindas dipermalukan, semoga orang yang miskin dan melarat memberi Engkau pujian. Bangkitlah, ya Allah, dan belalah perkara-Mu kerana sepanjang hari Engkau dihina oleh bangsa yang tidak mengenal Engkau. Jangan lupakan teriakan musuh-Mu yang marah, keriuhan mereka yang tidak sudah-sudah. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Asaf. Lagu. Kami memuji-Mu, ya Allah, kami bersyukur kepada-Mu. Kami mengisytiharkan keagungan-Mu, dan memberitakan perbuatan-Mu yang mengagumkan. Allah berfirman, “Pada waktu yang Aku tentukan, Aku akan menghakimi orang dengan saksama. Sungguhpun bumi bergoncang dan semua penduduknya gementar, Aku akan tetap mengukuhkan asas bumi. Aku memberitahu orang jahat supaya jangan sombong; aku memberitahu mereka supaya jangan bercakap besar.” Keadilan tidak datang dari timur atau barat, dari utara atau selatan; Allah sendirilah yang menjadi hakim, ada yang dihukum dan ada yang dibebaskan. TUHAN memegang cawan yang berisi kemurkaan-Nya seperti wain pekat. Dia menuangkan isinya supaya diminum semua orang jahat; mereka minum sampai habis semuanya. Tetapi aku tidak akan berhenti memberitakan Allah Yakub, ataupun menyanyikan pujian kepada-Nya. Dia akan menghancurkan kuasa orang jahat, tetapi akan menambah kuasa orang baik. Untuk pemimpin koir. Dengan iringan kecapi. Mazmur Asaf. Lagu. Allah terkenal di Yehuda, nama-Nya termasyhur di Israel. Dia mempunyai tempat kediaman di Yerusalem; Dia tinggal di Bukit Sion. Di sana Dia mematahkan anak panah musuh-Nya, perisai dan pedang, serta segala senjata mereka. Ya Allah, Engkau sungguh mulia dan agung, ketika Engkau kembali dari gunung-gunung tempat Engkau mengalahkan musuh-musuh-Mu. Barang jarahan askar musuh yang berani sudah dilucuti, dan kini musuh tidur dan tidak akan bangun lagi; segala kekuatan dan kebolehan mereka tidak berguna lagi. Apabila Engkau mengancam, ya Allah Yakub, kuda serta penunggangnya jatuh lalu mati. Tetapi Engkau, ya TUHAN, ditakuti manusia. Siapakah yang dapat bertahan ketika Engkau murka? Dari syurga Engkau memberikan keputusan; orang di bumi takut dan berdiam diri, ketika Engkau bangkit untuk menjatuhkan hukuman, untuk menyelamatkan semua orang yang tertindas di bumi. Kemarahan manusia hanya mengakibatkan pujian yang lebih besar untuk-Mu. Mereka yang terselamat dalam peperangan akan merayakan perayaan-Mu. Berilah TUHAN, Allahmu apa yang telah engkau janjikan; hendaklah semua bangsa yang berhampiran membawa persembahan kepada Dia yang patut ditakuti. Dia menundukkan pemerintah yang sombong, dan menggentarkan raja-raja di bumi. Untuk pemimpin koir. Menurut: Yedutun. Mazmur Asaf. Aku berseru dengan nyaring kepada Allah; dengan nyaring aku berseru supaya Dia mendengar. Pada masa kesusahan aku berdoa kepada Tuhan; sepanjang malam aku menadahkan tangan sambil berdoa, tetapi aku tidak terhibur. Ketika aku teringat kepada Allah, aku mengeluh; apabila aku bermenung, hilanglah semangatku. Allah membuat aku tidak dapat tidur; aku begitu khuatir sehingga tidak dapat bertutur. Aku teringat akan masa dahulu, hari dan tahun yang sudah lalu. Sepanjang malam aku berfikir dalam-dalam; bermenung dan bertanya dalam hati, “Adakah Allah menolak kita selama-lamanya? Tidakkah Dia berkenan lagi kepada kita? Tidakkah Dia mengasihi kita lagi? Tidakkah Dia memenuhi janji-Nya lagi? Adakah Allah telah lupa mengasihani kita? Murkakah Dia, sehingga tidak berbelas kasihan lagi?” Kemudian aku berkata, “Inilah yang paling menyakiti hatiku, bahawa Allah tidak berkuasa lagi.” Aku akan mengingat perbuatan-Mu yang besar, ya TUHAN. Aku akan mengenang keajaiban yang Engkau lakukan pada zaman dahulu. Aku akan memikirkan segala yang Engkau lakukan, aku akan merenungkan segala perbuatan-Mu. Ya Allah, segala yang Engkau lakukan itu suci. Siapakah sebesar Allah kami? Engkaulah Allah yang melakukan mukjizat; Engkau menunjukkan kuasa-Mu antara bangsa-bangsa. Dengan kuasa-Mu, Engkau menyelamatkan umat-Mu, keturunan Yakub dan Yusuf. Ya Allah, laut gentar apabila melihat Engkau, bahkan dasar laut pun gementar. Awan mencurahkan hujan; guruh mengguntur di langit, dan kilat memancar ke segala jurusan. Guruh menggelegar, kilat memancar, bumi bergoncang dan gementar. Engkau berjalan melalui ombak; Engkau menyeberangi lautan yang dalam, namun jejak kaki-Mu tidak kelihatan. Engkau memimpin umat-Mu seperti seorang gembala, bersama-sama Musa dan Harun yang mengetuai mereka. Sajak Asaf. Dengarlah ajaranku, hai umatku, dan perhatikanlah kata-kataku. Aku akan menggunakan kata-kata hikmat, dan menjelaskan rahsia zaman dahulu, perkara yang telah kita dengar dan ketahui, yang telah diberitahu oleh nenek moyang kita. Kita tidak akan merahsiakannya daripada anak-anak kita, kita akan memberitahu keturunan yang akan datang tentang kuasa TUHAN dan tindakan-Nya yang hebat, serta perbuatan ajaib yang telah dilakukan-Nya. Dia memberikan hukum kepada umat-Nya, Israel, dan perintah kepada keturunan Yakub. Dia memberikan amanah kepada nenek moyang kita supaya mengajarkan hukum-Nya kepada anak-anak mereka, supaya keturunan selanjutnya dapat mempelajarinya, dan kemudian memberitahunya kepada anak-anak mereka. Dengan demikian mereka juga akan berharap kepada Allah, dan tidak melupakan perbuatan-Nya, tetapi selalu taat kepada perintah-Nya. Mereka tidak akan menjadi seperti nenek moyang mereka, umat yang sentiasa memberontak dan tidak taat; iman mereka tidak pernah kukuh, dan mereka tidak setia kepada Allah. Orang Efraim yang bersenjatakan busur dan panah, melarikan diri pada masa pertempuran. Mereka tidak menepati perjanjian dengan Allah; mereka enggan taat kepada hukum-Nya. Mereka lupa akan segala perbuatan-Nya, mukjizat yang telah ditunjukkan-Nya kepada mereka. Di hadapan nenek moyang mereka, Allah melakukan mukjizat di dataran Zoan di negeri Mesir. Dia membelah laut dan memimpin mereka menyeberanginya; Dia membuat air tegak seperti tembok. Pada waktu siang Dia memimpin mereka dengan awan, dan pada waktu malam dengan cahaya api. Dia membelah bukit batu di gurun, dan memberi mereka air minum dari dasar bumi. Dia membuat air memancar dari batu, dan airnya mengalir seperti sungai. Tetapi mereka terus berdosa terhadap Allah, serta memberontak terhadap Yang Maha Tinggi di padang gurun. Mereka sengaja menguji Allah, mereka meminta makanan yang diinginkan. Mereka melawan Allah dengan berkata, “Dapatkah Allah menyediakan makanan di gurun? Memang benar Dia telah membelah bukit batu, dan air sederas sungai mengalir daripadanya; tetapi dapatkah Dia menyediakan roti bagi kita, dan memberikan daging bagi umat-Nya?” Itulah sebabnya, TUHAN murka ketika mendengar permintaan mereka; Dia menyerang umat-Nya dengan api, dan menjadi semakin murka terhadap mereka, kerana mereka tidak mempunyai keyakinan terhadap-Nya, dan tidak percaya bahawa Dia dapat menyelamatkan mereka. Tetapi Allah berfirman kepada langit di atas, dan memberikan perintah supaya pintunya dibuka. Dia memberi mereka biji-bijian dari syurga, dengan menurunkan manna untuk makanan mereka. Demikianlah mereka makan makanan malaikat. Allah memberi mereka makanan berlimpah-limpah. Dia menyebabkan angin timur bertiup, dan dengan kuasa-Nya angin selatan berhembus. Untuk umat-Nya, Dia menurunkan burung, burung sebanyak pasir di pantai; burung jatuh di tempat perkhemahan mereka, di sekeliling tempat kediaman mereka. Lalu mereka makan hingga kenyang; Allah memberikan apa yang dikehendaki mereka. Tetapi nafsu mereka belum dipuaskan, dan sementara mereka makan, Allah naik murka terhadap mereka, dan membunuh orang Israel yang muda dan perkasa. Meskipun begitu, mereka masih terus berdosa, meskipun Allah melakukan mukjizat, mereka tidak percaya kepada-Nya. Oleh itu Allah mencabut nyawa mereka, dan memutuskan nafas mereka dengan tiba-tiba. Setiap kali Allah membunuh sebilangan daripada mereka, yang lain kembali kepada-Nya; mereka bertaubat dan berdoa bersungguh-sungguh kepada-Nya. Mereka ingat bahawa Allah pelindung mereka, bahawa Yang Maha Kuasa penyelamat mereka. Tetapi segala perkataan mereka itu dusta belaka, dan segala ucapan mereka bohong semata-mata. Mereka tidak setia kepada-Nya; mereka tidak berpegang kepada perjanjian dengan Allah. Tetapi Allah mengasihani umat-Nya. Dia mengampunkan dosa mereka dan tidak membinasakan mereka. Kerap kali Dia menahan kemarahan-Nya, dan tidak melepaskan kemurkaan-Nya. Dia ingat bahawa mereka hanya manusia fana, seperti angin yang bertiup lalu tiada. Betapa seringnya mereka memberontak terhadap-Nya di gurun; betapa kerapnya mereka menyedihkan hati-Nya! Berkali-kali mereka menguji Allah, dan menyakiti hati Yang Maha Suci, Allah umat Israel. Mereka lupa akan kuasa-Nya yang besar; dan waktu Allah menyelamatkan mereka daripada musuh, ketika Dia melakukan keajaiban-keajaiban di Mesir, dan mukjizat-mukjizat di dataran Zoan. Dia mengubah air sungai menjadi darah, sehingga orang Mesir tidak dapat minum airnya. Dia menghantar lalat untuk menyeksa orang Mesir, dan katak untuk merosakkan ladang mereka. Dia menghantar belalang untuk makan tanaman mereka, dan untuk memusnahkan ladang mereka. Dia memusnahkan pokok anggur mereka dengan hujan batu, dan pokok ara mereka dengan embun yang beku. Dia membunuh ternakan mereka dengan hujan batu, dan binatang mereka dengan kilat. Dia mencemaskan mereka, dengan melepaskan kemurkaan-Nya yang menyala-nyala, bagaikan utusan yang mendatangkan maut. Dia tidak menahan kemurkaan-Nya atau membiarkan mereka hidup, tetapi Dia membunuh mereka dengan wabak. Dia membunuh anak lelaki sulung daripada semua keluarga orang Mesir. Kemudian seperti gembala, Allah memimpin umat-Nya dan membimbing mereka melalui gurun. Dia membimbing mereka dengan aman sehingga mereka tidak takut, tetapi musuh mereka mati lemas di dalam laut. Dia membawa umat-Nya ke tanah-Nya yang suci, ke gunung yang telah ditaklukkan-Nya sendiri. Dia mengusir penduduk di situ sedang umat-Nya mara, lalu membahagikan negeri itu kepada semua suku Israel, dan memberi mereka tempat kediaman musuh. Tetapi umat-Nya memberontak dan menguji Allah Yang Maha Kuasa; mereka tidak taat kepada perintah-perintah-Nya. Mereka memberontak dan berkhianat seperti nenek moyang mereka; seperti anak panah yang bengkok, mereka tidak boleh diharap. Mereka membuat Allah murka dengan tempat penyembahan berhala, dan menjadikan Dia marah dengan patung-patung berhala. Allah murka ketika melihat hal ini, lalu menolak umat-Nya sama sekali. Dia meninggalkan khemah-Nya di Silo, tempat kediaman-Nya di kalangan umat-Nya. Dia membiarkan musuh merebut Tabut Perjanjian, lambang kuasa dan kemuliaan-Nya. Dia murka terhadap umat-Nya sendiri, dan membiarkan mereka dibunuh oleh musuh mereka. Teruna terbunuh dalam peperangan, dan anak dara tidak mendapat pasangan. Imam dibunuh dengan pedang, dan balu mereka tidak dibenarkan meratap. Akhirnya Tuhan bangun seolah-olah daripada tidur; Dia bersemangat seperti orang kuat yang sudah minum wain. Dia memukul mundur musuh-musuh-Nya, dan mempermalukan mereka selama-lamanya; tetapi Dia menolak keturunan Yusuf; Dia tidak memilih suku Efraim. Sebaliknya Dia memilih suku Yehuda dan Bukit Sion yang sangat dikasihi-Nya. Di sana Dia mendirikan Rumah-Nya seperti kediaman-Nya di syurga, dan seperti bumi, kukuh selama-lamanya. Dia memilih hamba-Nya, Daud, dan mengambil dia dari padang rumput, dari tempat dia menjaga ternakan, dan menjadikan dia raja Israel untuk menggembalakan umat Allah. Daud menjaga mereka dengan penuh perhatian, dan membimbing mereka dengan kecekapan. Mazmur Asaf. Ya Allah, orang yang tidak mengenal Engkau telah menyerang tanah-Mu. Mereka telah menajiskan Rumah-Mu yang suci dan meruntuhkan Yerusalem. Mayat umat-Mu ditinggalkan mereka untuk dimakan burung pemakan bangkai. Mayat hamba-hamba-Mu dibiarkan mereka untuk dimakan binatang liar. Mereka menumpahkan darah umat-Mu seperti air; darah mengalir di seluruh Yerusalem, dan tiada orang yang tinggal untuk menguburkan orang mati. Bangsa-bangsa di sekeliling mengejek kami; mereka mentertawakan serta mengolok-olokkan kami. Ya TUHAN, berapa lamakah Engkau akan murka terhadap kami? Adakah kemurkaan-Mu akan terus membakar seperti api? Murkailah bangsa-bangsa yang tidak menyembah Engkau; orang yang tidak berdoa kepada-Mu, kerana mereka telah membunuh umat-Mu dan merosakkan negeri-Mu. Jangan hukum kami kerana dosa nenek moyang kami, tetapi kasihanilah kami sekarang kerana kami putus asa. Tolonglah kami, ya Allah, penyelamat kami; demi kehormatan-Mu sendiri, selamatkanlah kami dan ampunkanlah dosa kami. Jangan biarkan bangsa-bangsa lain bertanya, “Di manakah Allah kamu?” Hukumlah bangsa-bangsa itu di hadapan kami kerana menumpahkan darah hamba-hamba-Mu. Dengarlah rintihan orang tawanan, dan dengan kuasa-Mu yang besar, bebaskanlah mereka yang dihukum mati. Ya Tuhan, balaslah bangsa-bangsa itu tujuh kali ganda, bagi segala hinaan yang telah dilemparkan kepada-Mu. Lalu kami, umat-Mu, domba-domba-Mu, akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya, dan memuji-Mu sampai turun-temurun. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung. Mazmur kesaksian Asaf. Dengarlah kami, hai Gembala umat Israel; Engkau yang mengetuai umat-Mu. Engkau yang bertakhta di atas kerub, tunjukkanlah diri-Mu kepada suku Efraim, Benyamin, dan Manasye! Nyatakanlah kuasa-Mu; datanglah dan selamatkanlah kami! Pulihkanlah kami, ya Allah! Kasihanilah kami supaya kami selamat! Ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, sampai bilakah Engkau murka dan tidak mendengar doa umat-Mu? Engkau memberi kami kesengsaraan sebagai makanan, dan air mata yang banyak sebagai minuman. Engkau membiarkan bangsa-bangsa di sekeliling berperang kerana hendak merampas negeri kami; musuh-musuh mengejek kami. Pulihkanlah kami, ya Allah Yang Maha Kuasa. Kasihanilah kami supaya kami selamat. Engkau membawa umat-Mu yang seperti pokok anggur keluar dari Mesir; Engkau mengusir bangsa-bangsa lain, lalu menanam pokok itu di negeri mereka. Engkau menyediakan tanah baginya; akarnya mendalam dan menjalar ke seluruh negeri itu. Bayangnya meneduhkan bukit-bukit, dan dahan-dahannya menutupi pokok sedar yang besar. Cabang-cabangnya menjalar ke Laut Tengah, pucuk-pucuknya sampai ke Sungai Efrat. Mengapakah Engkau merobohkan pagar di sekelilingnya? Kini sesiapa yang lalu di situ dapat mencuri buah anggurnya. Babi hutan memijak-mijaknya, dan binatang liar pun memakannya. Berpalinglah kepada kami, ya Allah Yang Maha Kuasa. Pandanglah kami dari syurga; datanglah dan selamatkanlah umat-Mu! Selamatkanlah umat-Mu yang seperti pokok anggur yang Engkau tanam, pokok muda yang telah Engkau jadikan begitu kuat. Musuh kami telah membakar dan memotong pokok itu; biarlah mereka dibinasakan oleh kemurkaan-Mu! Lindungilah dan peliharalah umat yang telah Engkau pilih, bangsa yang telah Engkau jadikan begitu kuat. Tidak sekali-kali kami akan meninggalkan Engkau lagi; biarlah kami hidup, lalu Engkau akan kami puji. Pulihkanlah kami, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa. Kasihanilah kami supaya kami selamat. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Gitit. Mazmur Asaf. Bersoraklah dengan gembira kepada Allah, pembela kita; nyanyikanlah pujian kepada Allah Yakub. Mulakanlah muzik dan mainkanlah tamburin; mainkanlah lagu yang merdu dengan kecapi dan gambus. Tiuplah trompet untuk perayaan kita pada waktu bulan baru dan bulan purnama. Inilah satu hukum untuk Israel, satu perintah daripada Allah Yakub. Dia memberikan hukum ini kepada umat Israel, ketika Dia menyerang negeri Mesir. Aku mendengar suara yang tidak aku kenal, berkata, “Aku telah mengangkat beban dari bahu kamu; dan membebaskan kamu daripada kerja paksa. Ketika kamu dalam kesusahan, kamu berseru kepada-Ku, dan Aku pun menyelamatkan kamu. Dari tempat persembunyian-Ku di dalam awan petir, Aku mengabulkan permintaan kamu; di mata air Meriba Aku menguji kamu. Hai umat-Ku dengarlah amaran-Ku; Hai Israel, Aku sangat ingin kamu mendengar firman-Ku! Jangan sembah tuhan lain. Akulah TUHAN, Allah kamu, yang membawa kamu keluar dari Mesir. Bukalah mulut dan Aku akan memberi kamu makan. Tetapi umat-Ku tidak mahu mendengar firman-Ku; Israel tidak mahu taat kepada-Ku. Oleh itu Aku membiarkan mereka mengikut kedegilan mereka, dan berbuat sesuka hati mereka. Sekiranya umat-Ku mendengar firman-Ku, sekiranya mereka taat kepada-Ku, Aku akan mengalahkan musuh mereka dengan segera, dan menaklukkan semua lawan mereka. Orang yang membenci Aku meromok ketakutan di hadapan-Ku; mereka akan dihukum selama-lamanya. Tetapi kamu akan Kuberi makan gandum pilihan, dan Kukenyangkan dengan madu hutan.” Mazmur Asaf. Allah mengetuai sidang di syurga; di hadapan makhluk-makhluk syurga Dia memberikan keputusan-Nya, “Jangan hakimi orang dengan tidak adil, dan jangan berpihak kepada orang jahat. Belalah hak anak yatim dan orang lemah; bersikap adillah kepada orang miskin dan yang tidak berdaya. Selamatkanlah mereka daripada kuasa orang jahat. Betapa jahilnya kamu, betapa bodohnya kamu! Kerana kamu tidak berakhlak, keadilan lenyap dari bumi ini. Aku berkata bahawa kamu ilahi, bahawa kamu semua anak Yang Maha Tinggi. Namun kamu akan mati seperti manusia; nyawa kamu akan berakhir seperti nyawa seorang penguasa.” Datanglah, ya Allah, dan hakimilah dunia; semua bangsa kepunyaan-Mu. Mazmur Asaf. Sebuah lagu. Ya Allah, janganlah membisu; janganlah diam sahaja! Lihatlah! Musuh-Mu memberontak, dan orang yang membenci Engkau melawan. Mereka membuat rancangan licik melawan umat-Mu; mereka berkomplot menentang orang yang Engkau lindungi. Kata mereka, “Mari kita binasakan bangsa mereka, supaya Israel dilupakan selama-lamanya!” Mereka bersetuju dengan sebulat suara untuk bergabung menentang Engkau: orang Edom dan orang Ismael, orang Moab dan orang Hagri; orang Gebal, orang Amon, dan orang Amalek, orang Filistin dan orang Tirus. Orang Asyur pun turut serta, mereka sekutu yang kuat bagi orang Amon dan orang Moab, keturunan Lot. Perlakukanlah mereka seperti Engkau telah memperlakukan orang Midian, dan Sisera serta Yabin di Sungai Kisyon. Engkau mengalahkan mereka di Endor, dan mayat mereka membusuk di tanah. Perlakukanlah pemimpin mereka seperti Engkau memperlakukan Oreb dan Zeeb; kalahkanlah semua pemerintah mereka seperti Engkau mengalahkan Zebah dan Salmuna, yang mengatakan, “Kami akan merampas tanah milik Allah.” Ya Allah, hamburkanlah mereka seperti debu, seperti sekam yang ditiup angin. Seperti api membakar hutan, dan nyala api menghanguskan bukit-bukit, kejarlah mereka dengan badai-Mu, dan gerunkanlah mereka dengan ribut-Mu. Permalukanlah mereka, ya TUHAN, supaya mereka mengakui kekuasaan-Mu. Biarlah mereka dikalahkan dan ketakutan selama-lamanya; biarlah mereka mati dalam kehinaan! Biarlah mereka tahu bahawa hanya Engkaulah TUHAN, Yang Maha Tinggi di seluruh bumi! Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Gitit. Mazmur puak Korah. Betapa indahnya Rumah-Mu, ya TUHAN Yang Maha Kuasa! Aku sangat ingin diam di sana. Aku sangat rindu tinggal di Rumah TUHAN. Dengan sepenuh hati, aku bernyanyi dengan gembira kepada Allah yang hidup. Bahkan burung pipit pun membuat sarang, dan burung layang-layang mempunyai tempat kediaman; anak-anak burung diletakkan dekat mazbah-Mu, ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Rajaku dan Allahku. Betapa bahagianya mereka yang tinggal di Rumah-Mu, mereka sentiasa menyanyikan pujian kepada-Mu. Berbahagialah mereka yang mendapat kekuatan daripada-Mu, dan yang berhasrat menziarahi Bukit Sion. Sedang mereka melalui lembah Baka yang kering, lembah itu pun menjadi tempat yang bermata air; hujan awal memenuhi kolam-kolamnya. Kekuatan mereka semakin bertambah; mereka akan menghadap Allah di Bukit Sion. Dengarlah doaku, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa; dengarlah, ya Allah Yakub. Berkatilah raja kami, ya Allah, raja yang telah Engkau pilih. Lebih baik sehari di dalam Rumah-Mu daripada seribu hari di tempat lain; aku lebih gemar berdiri di pintu Rumah Allahku daripada tinggal di rumah orang jahat. TUHAN pelindung dan raja mulia kita, Dia memberkati kita dengan kebaikan dan kehormatan. Dia tidak menahan apa-apa yang baik daripada mereka yang hidup tidak bercela. Berbahagialah mereka yang percaya kepada-Mu, ya TUHAN Yang Maha Kuasa! Untuk pemimpin koir. Mazmur puak Korah. Ya TUHAN, Engkau berbelas kasihan terhadap negeri-Mu; Engkau telah menjadikan Israel makmur semula. Engkau telah mengampunkan dosa umat-Mu dan memaafkan segala kesalahan mereka. Engkau tidak murka lagi terhadap mereka, dan telah menahan kemurkaan-Mu yang menyala-nyala. Pulihkanlah kami, ya Allah penyelamat kami, jangan murka lagi kepada kami. Adakah Engkau akan murka kepada kami selama-lamanya? Adakah kemurkaan-Mu tidak akan padam? Kuatkanlah kami semula, lalu kami, umat-Mu akan memuji Engkau. Tunjukkanlah bahawa Engkau tetap mengasihi kami, tolonglah dan selamatkanlah kami, ya TUHAN. Aku mendengar apa yang difirmankan TUHAN Allah; Dia menjanjikan kesejahteraan kepada kita, umat-Nya, jika kita tidak kembali berbuat dosa. Pasti Dia akan menyelamatkan orang yang menghormati Dia, supaya Allah yang agung tinggal di negeri kita. Kasih dan kesetiaan akan bertemu; keadilan dan kesejahteraan akan berdampingan. Kesetiaan manusia akan naik dari bumi, dan keadilan Allah akan menjenguk dari syurga. TUHAN akan menjadikan kita makmur, dan tanah kita akan mengeluarkan hasil yang banyak. Keadilan akan mendahului TUHAN, dan menyediakan jalan untuk-Nya. Doa Daud. Dengarlah seruanku, ya TUHAN, dan kabulkanlah doaku, kerana aku lemah dan tidak berdaya. Selamatkanlah aku daripada maut, kerana aku setia kepada-Mu; selamatkanlah aku, hamba-Mu yang percaya kepada-Mu. Engkaulah Allahku; kasihanilah aku; sepanjang hari aku berdoa kepada-Mu. Ya Tuhan, gembirakanlah hati hamba-Mu, kerana aku menaikkan doa kepada-Mu. Ya Tuhan, Engkau baik dan suka mengampuni orang, Engkau mengasihi mereka yang berdoa kepada-Mu. Dengarlah doaku, ya TUHAN, dengarlah aku minta pertolongan. Ketika aku dalam kesusahan, aku berseru kepada-Mu kerana Engkau mengabulkan doaku. Tiada tuhan yang seperti Engkau, ya Tuhan, tiada yang dapat melakukan apa yang Engkau lakukan. Semua bangsa yang telah Engkau cipta akan datang, ya Tuhan, untuk menyembah-Mu dan memuji kebesaran-Mu. Engkau berkuasa dan melakukan perkara yang ajaib; hanya Engkaulah Allah. Ajarlah aku kehendak-Mu, ya TUHAN, dan aku akan menurutnya dengan setia; ajarlah aku menghormati Engkau dengan sungguh-sungguh. Aku akan memuji Engkau dengan sepenuh hati, ya Tuhan, Allahku; aku akan mengisytiharkan kebesaran-Mu selama-lamanya. Betapa besarnya kasih-Mu untukku; Engkau telah menyelamatkan aku dari kubur. Ya Allah, orang sombong datang melawan aku; sekumpulan orang kejam berusaha untuk membunuh aku; mereka tidak mempedulikan Engkau. Tetapi Engkau, ya Tuhan, Allah pengasih dan penyayang, sentiasa sabar, baik, dan setia. Pandanglah aku dan kasihanilah aku; kuatkanlah aku dan selamatkanlah aku, kerana aku mengabdi kepada-Mu seperti ibuku dahulu. Ya TUHAN, buktikanlah kebaikan-Mu kepadaku, maka mereka yang membenci aku akan tersipu-sipu, ketika melihat Engkau menghiburkan dan menolong aku. Mazmur puak Korah. Sebuah lagu. TUHAN membina kota-Nya di atas bukit yang suci; Dia lebih mengasihi kota Yerusalem daripada tempat lain di Israel. Dengarlah, hai kota Allah, hal-hal baik yang disebut-Nya tentangmu: “Apabila aku menyenaraikan bangsa-bangsa yang taat kepada-Ku, Aku akan memasukkan Mesir dan Babilonia; bahkan Filistea, Tirus, dan Etiopia, akan tergolong sebagai penduduk Yerusalem.” Tentang Sion, akan dikatakan bahawa semua bangsa termasuk warga kota itu, dan Yang Maha Kuasa akan mengukuhkannya. TUHAN akan memasukkan bangsa-bangsa, dalam senarai penduduk Yerusalem. Mereka akan menari dan menyanyi, “Sionlah sumber segala berkat kami.” Sebuah lagu. Mazmur puak Korah. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Mahalat Leanot. Sajak Heman, orang Ezrahi. Ya TUHAN, Allah yang menyelamatkan aku, pada waktu siang aku berseru kepada-Mu, pada waktu malam aku datang ke hadapan-Mu. Dengarkanlah doaku; dengarkanlah seruanku minta tolong. Begitu banyak kesusahan menimpa aku; maut sudah di ambang pintu. Aku seperti orang yang menemui maut; segala kekuatanku sudah hilang. Aku ditinggalkan di tengah-tengah orang mati; aku umpama orang terbunuh yang terbaring di kubur, orang yang telah Engkau lupakan sama sekali, yang tidak dapat Engkau tolong lagi. Engkau telah membuang aku ke kubur yang dalam, ke dalam lubang yang paling gelap dan dalam. Engkau sangat murka kepadaku, kemurkaan-Mu bagaikan ombak yang memukul aku. Engkau menyebabkan rakan-rakanku meninggalkan aku; Engkau menyebabkan mereka jijik akan aku. Aku terkurung dan tidak dapat melarikan diri; mataku kabur kerana menderita. Ya TUHAN, setiap hari aku berseru kepada-Mu, aku berdoa dengan menadahkan tangan kepada-Mu. Adakah Engkau melakukan mukjizat bagi orang yang telah mati? Adakah mereka bangkit dan memuji Engkau? Adakah kasih-Mu disebut orang di dalam kubur, ataupun kesetiaan-Mu disebut di tempat kebinasaan? Adakah mukjizat-Mu kelihatan di tempat yang gelap itu, ataupun kebaikan-Mu kelihatan di negeri yang sudah dilupakan orang? Ya TUHAN, aku minta pertolongan-Mu; setiap pagi aku berdoa kepada-Mu. Ya TUHAN, mengapakah Engkau menolak aku? Mengapakah Engkau menyembunyikan diri-Mu daripadaku? Sejak kecil lagi aku menderita dan hampir mati; aku kehabisan tenaga menanggung hukuman-Mu. Kemurkaan-Mu yang hebat menimpa aku, serangan-Mu yang dahsyat membinasakan aku. Semuanya itu seperti banjir yang melanda aku sepanjang hari, dan mengepung aku dari segala arah. Engkau menyebabkan sahabat karibku meninggalkan aku; hanya kegelapan yang menemani aku. [1] Sajak Etan, orang Ezrahi. Ya TUHAN, aku akan sentiasa menyanyikan kasih-Mu yang kekal; aku akan memberitakan kesetiaan-Mu selama-lamanya. Aku tahu bahawa kasih-Mu kekal, dan kesetiaan-Mu kukuh seperti langit. Engkau berfirman, “Aku telah membuat perjanjian dengan orang pilihan-Ku; Aku telah berjanji kepada Daud, hamba-Ku: ‘Aku akan mempertahankan takhtamu selama-lamanya, seorang keturunanmu akan sentiasa menjadi raja.’ ” Semua makhluk syurga memuji perbuatan-Mu yang ajaib, dan menyanyikan kesetiaan-Mu, ya TUHAN. Tiada sesiapa di langit yang seperti Engkau, ya TUHAN; tiada makhluk syurga yang setanding dengan Engkau. Engkau dihormati di sidang makhluk suci, dan sangat ditakuti oleh semua yang di sekeliling-Mu. Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, tiada yang berkuasa seperti Engkau; Engkau setia dalam segala hal, ya TUHAN. Engkau memerintah laut yang bergelora, Engkau menenangkan ombak yang melambung hebat. Engkau meremukkan dan membunuh Rahab, makhluk raksasa itu, dan Engkau mengalahkan musuh-Mu dengan kekuatan-Mu. Bumi dan langit milik-Mu, dunia dan segala isinya ciptaan-Mu; Engkau mencipta utara dan selatan; Gunung Tabor dan Gunung Hermon bersorak-sorai memuji-Mu. Betapa besarnya kuasa-Mu, dan betapa hebatnya kekuatan-Mu! Kerajaan-Mu berasaskan hukum dan keadilan; kasih dan kesetiaan terdapat pada segala perbuatan-Mu. Berbahagialah orang yang menyembah Engkau dengan nyanyian, orang yang hidup dalam cahaya hadirat-Mu, TUHAN. Sepanjang hari mereka bergembira, dan memuji Engkau kerana kebaikan-Mu. Engkau memberi kami kemenangan yang besar; demi kebaikan-Mu, Engkau membuat kami berjaya. Engkau, TUHAN memilih pelindung kami; Engkau, Allah Yang Maha Suci, Allah umat Israel memberi kami raja. Dahulu kala dalam suatu penglihatan, Engkau berfirman kepada hamba-hamba-Mu yang setia, “Aku telah menolong seorang pahlawan; Aku telah memberikan takhta kepada seorang yang Kupilih di kalangan rakyat. Aku telah menemukan hamba-Ku, Daud dan menjadikannya raja, dan Aku menuangi dia dengan minyak upacara. Kekuatan-Ku sentiasa bersama-sama dia, kuasa-Ku akan menguatkan dia. Musuh-musuhnya tidak akan dapat menewaskan dia, orang jahat tidak akan dapat mengalahkan dia. Aku akan menghancurkan lawannya, dan membunuh semua yang membenci dia. Aku akan sentiasa mengasihi dia dan setia kepadanya; Aku akan selalu memberikan kejayaan kepadanya. Aku akan meluaskan kerajaannya dari Laut Tengah sampai ke Sungai Efrat. Dia akan berkata kepada-Ku, ‘Engkaulah Bapaku dan Allahku; Engkaulah pelindung dan penyelamatku.’ Aku akan menjadikan dia putera-Ku yang sulung, dan menjadikan dia raja yang teragung di bumi. Aku akan tetap mengasihinya, dan perjanjian-Ku dengan dia akan kekal selama-lamanya. Seorang keturunannya akan bertakhta, dan kerajaannya akan kukuh seperti langit. Tetapi jika keturunannya melanggar hukum-Ku, dan tidak hidup menurut peraturan-Ku; jika mereka mensia-siakan arahan-Ku, dan mengabaikan perintah-Ku, Aku akan menghukum mereka kerana dosa mereka, dan menyebabkan mereka menderita kerana kesalahan mereka. Tetapi Aku akan terus mengasihi Daud, Aku akan terus menunaikan janji-Ku kepadanya. Aku tidak akan membatalkan perjanjian-Ku dengan dia, ataupun menarik kembali sebarang janji yang Aku buat dengannya. Aku berjanji sekali sahaja untuk selama-lamanya dengan nama-Ku yang suci; Aku tidak akan berdusta kepada Daud. Dia akan sentiasa mempunyai keturunan, dan Aku akan memelihara kerajaannya selama matahari ada. Kerajaannya akan tetap ada seperti bulan, saksi yang setia di langit.” Tetapi Engkau murka terhadap raja pilihan-Mu; Engkau telah meninggalkan dan menolak baginda. Engkau telah membatalkan perjanjian-Mu dengan hamba-Mu, dan membuang mahkotanya ke dalam lumpur. Engkau telah merobohkan tembok-tembok kotanya, dan membiarkan kubu-kubunya rosak. Semua orang yang lalu di sana mencuri hartanya; semua jirannya memperolok-olokkan baginda. Engkau memberikan kemenangan kepada musuhnya, dan menyebabkan mereka semua gembira. Engkau membuat senjatanya tidak berguna, dan membiarkan baginda kalah dalam perang. Engkau mengakhiri kuasanya yang gemilang, dan mencampakkan takhtanya ke tanah. Engkau menjadikan raja tua sebelum masanya, dan Engkau mempermalukan baginda. Ya TUHAN, sampai bilakah Engkau bersembunyi? Sampai bilakah kemurkaan-Mu berkobar seperti api? Ingatlah, betapa pendeknya usia manusia; ingatlah bahawa Engkau mencipta manusia sebagai makhluk fana. Siapakah yang boleh hidup dan tidak pernah mati? Bagaimanakah orang dapat mengelakkan kubur? Ya Tuhan, di manakah bukti tentang kasih-Mu dahulu? Di manakah janji-janji-Mu kepada Daud? Janganlah lupa bagaimana aku, hamba-Mu, telah dicela; bagaimana aku menanggung kutukan bangsa-bangsa. Musuh-Mu mencela raja pilihan-Mu, ya TUHAN! Mereka menghina raja ke mana sahaja baginda pergi. Pujilah TUHAN selama-lamanya! Amin! Amin! Doa Musa, hamba Allah. Ya Tuhan, Engkau tempat perlindungan kami, sampai selama-lamanya. Sebelum Engkau menjadikan bukit-bukit, sebelum Engkau menciptakan dunia, Engkaulah Allah yang kekal, Allah selama-lamanya. Engkau menyuruh manusia kembali kepada asal mereka, Engkau menjadikan mereka debu semula. Seribu tahun seperti sehari bagi-Mu; seperti hari kelmarin yang telah lalu, seperti satu giliran jaga pada waktu malam. Engkau mengakhiri hidup kami, hidup kami seperti mimpi. Kami umpama rumput yang bertunas pada waktu pagi, yang tumbuh dan berbunga, tetapi layu dan mati pada waktu petang. Kami binasa kerana kemurkaan-Mu; kami takut kerana kemarahan-Mu. Engkau membentangkan dosa kami di hadapan-Mu, dosa kami yang tersembunyi dilihat oleh-Mu. Usia kami dikurangkan kerana kemurkaan-Mu; hidup kami berakhir seperti satu hembusan nafas. Tujuh puluh tahun sahaja usia kami, lapan puluh, jika kami kuat; namun yang kami alami hanya kekhuatiran dan kesusahan; kehidupan segera berakhir dan kami pun lenyap. Siapakah pernah mengalami dahsyatnya kemurkaan-Mu? Siapakah yang sedar akan akibat kemarahan-Mu? Sedarkanlah kami betapa pendeknya usia kami, supaya kami menjadi bijak bestari. Ya TUHAN, sampai bilakah Engkau murka? Kembalilah dan kasihanilah hamba-hamba-Mu. Puaskanlah kami dengan kasih-Mu pada setiap pagi, supaya kami dapat menyanyi dan bergembira seumur hidup kami. Berilah kami kebahagiaan sebanyak kedukaan yang kami tanggung dalam tahun-tahun kesengsaraan. Tunjukkanlah perbuatan-Mu yang ajaib kepada kami, hamba-hamba-Mu, dan kuasa-Mu yang mulia kepada keturunan kami. Ya TUHAN, Allah kami, berkatilah kami, dan berilah kami kejayaan dalam segala usaha kami. Orang yang berlindung kepada Yang Maha Tinggi, orang yang tinggal di bawah naungan Yang Maha Kuasa, dapat berkata kepada-Nya, “Engkaulah pembelaku dan pelindungku. Engkaulah Allahku; aku percaya kepada-Mu.” Dia akan melindungi engkau daripada segala bahaya tersembunyi, dan daripada segala penyakit yang membawa maut. Dia akan menaungi engkau dengan sayap-Nya; engkau akan selamat dalam pemeliharaan-Nya; kesetiaan-Nya akan melindungi dan membela engkau. Engkau tidak usah takut akan bahaya pada waktu malam, atau serangan mengejut pada waktu siang, atau wabak yang menyerang pada waktu gelap, atau kehancuran yang menimpa pada tengah hari. Seribu orang mungkin jatuh mati di sisimu, sepuluh ribu orang di sekelilingmu, tetapi engkau tidak akan cedera. Engkau akan memandang di sekelilingmu dan melihat orang jahat dihukum. Engkau menjadikan TUHAN pembelamu, Yang Maha Tinggi pelindungmu, oleh itu engkau tidak akan kena bencana, rumahmu tidak akan ditimpa malapetaka. Allah akan memerintah malaikat-Nya menjaga engkau, untuk melindungi engkau ke mana-mana engkau pergi. Mereka akan menyambut engkau dengan tangan, supaya kakimu tidak terhantuk pada batu. Engkau akan memijak-mijak ular dan singa, singa yang buas dan ular yang berbisa. Firman Allah, “Orang yang mengasihi Aku akan Kuselamatkan, orang yang mengakui Aku sebagai TUHAN akan Kupeliharakan. Apabila mereka berseru kepada-Ku, Aku akan menjawab mereka. Apabila mereka dalam kesusahan, Aku akan menolong mereka. Aku akan menyelamatkan serta menghormati mereka. Aku akan memberikan umur panjang kepada mereka, Aku akan menyelamatkan mereka.” Mazmur. Lagu untuk hari Sabat. Alangkah baiknya bersyukur kepada-Mu, ya TUHAN, menyanyi untuk memuji Allah Yang Maha Tinggi, mengisytiharkan kasih-Mu pada setiap pagi, dan kesetiaan-Mu pada setiap malam, dengan iringan alat muzik yang bertali, dan dengan iringan kecapi. Perbuatan-Mu, ya TUHAN, menggembirakan aku; aku menyanyi dan bergirang kerana karya-Mu. Ya TUHAN, sungguh besar perbuatan-Mu! Sungguh dalam fikiran-Mu! Orang bodoh tidak dapat mengertinya, orang dungu tidak dapat memahaminya; orang jahat mungkin tumbuh subur seperti rumput, dan orang yang melakukan kejahatan mungkin makmur; namun mereka akan dibinasakan sama sekali, kerana Engkau, ya TUHAN, penguasa tertinggi selama-lamanya. Kami tahu bahawa musuh-Mu akan dimusnahkan, dan semua orang jahat akan dikalahkan. Engkau telah menjadikan aku sekuat lembu jantan yang liar; Engkau telah memberkati aku dengan kebahagiaan. Aku telah melihat kekalahan musuhku, dan mendengar teriakan orang jahat yang menyerang aku. Orang jujur akan menjadi makmur seperti pokok palma; mereka akan menjadi kuat seperti pokok sedar di Lebanon. Mereka umpama pokok yang ditanam di Rumah TUHAN, seperti pokok yang tumbuh dengan subur di Rumah Allah kita, dan tetap menghasilkan buah pada masa tua, dan sentiasa menghijau serta kuat. Hal ini menunjukkan bahawa TUHAN adil, dan tidak terdapat kecurangan pada pembelaku. TUHAN ialah raja. Dia berpakaian keagungan dan kekuatan. Engkau telah mengukuhkan bumi, supaya tidak dapat digoncang. Takhta-Mu, ya TUHAN, kukuh sejak dahulu kala, dan Engkau ada sejak permulaan. Ya TUHAN, dasar samudera bergelora, samudera menderu dengan hebatnya. Tetapi TUHAN penguasa tertinggi di syurga, lebih agung daripada gelora lautan, dan lebih kuat daripada ombak samudera. Hukum-Mu abadi, ya TUHAN, dan Rumah-Mu suci selama-lamanya. Ya TUHAN, Engkaulah Allah yang menghukum orang bersalah; tunjukkanlah kemurkaan-Mu! Engkaulah hakim semua orang; bangkitlah dan balaslah orang sombong, setimpal dengan perbuatan mereka. Berapa lama lagi orang jahat akan bersuka-suka? Berapa lama lagi mereka berbuat begitu, ya TUHAN? Berapa lama lagi penjahat akan bercakap dengan sombong, dan membanggakan kejahatan mereka? Mereka menghancurkan umat-Mu, ya TUHAN; mereka menindas orang yang menjadi milik-Mu. Mereka membunuh balu dan anak yatim, serta orang asing yang tinggal di negeri kami. Mereka berkata, “TUHAN tidak nampak kami; Allah umat Israel tidak melihat perbuatan kami.” Hai umatku, mengapakah kamu begitu bodoh? Bilakah kamu dapat faham? Allah menjadikan telinga - pasti Dia dapat mendengar. Dia menjadikan mata - pasti Dia dapat melihat. Dia yang memarahi bangsa-bangsa - pasti Dia menghukum mereka. Dia guru semua orang - pasti Dia berpengetahuan. TUHAN tahu akan fikiran manusia; Dia tahu bahawa semuanya sia-sia belaka. Ya TUHAN, berbahagialah orang yang Engkau didik, orang yang Engkau ajarkan hukum-Mu. Engkau menenangkan dia pada masa kesusahan, sehingga lubang digali untuk memerangkap orang jahat. TUHAN tidak akan meninggalkan umat-Nya; Dia tidak akan mengabaikan orang yang menjadi milik-Nya. Keadilan akan ditegakkan lagi di mahkamah, dan semua orang jujur akan menyokongnya. Siapakah yang membela aku terhadap orang zalim? Siapakah yang memihak aku menentang orang jahat? Jika TUHAN tidak menolong aku, pasti aku sudah pun sampai ke dunia orang mati. Waktu aku berfikir bahawa aku akan jatuh, kasih-Mu, ya TUHAN, menopang aku. Ketika aku bimbang dan khuatir, Engkau menghiburkan dan menggembirakan hatiku. Engkau tidak bersekutu dengan hakim yang tidak adil, yang mengesahkan perkara yang melanggar hukum; mereka bersekongkol melawan orang baik, dan menghukum mati orang yang tidak bersalah. Tetapi TUHAN membela aku; Allahku melindungi aku. Dia akan menghukum orang jahat kerana kezaliman mereka, dan membinasakan mereka kerana dosa mereka; TUHAN, Allah kita akan membinasakan mereka. Marilah kita memuji TUHAN, dan bernyanyi dengan gembira kepada Allah, pelindung dan penyelamat kita! Marilah kita menghadap Dia dengan kesyukuran, dan dengan gembira menyanyikan lagu pujian. TUHAN itu Allah yang berkuasa, raja perkasa yang menguasai semua dewa. Dia memerintah seluruh bumi, gua yang terdalam dan juga gunung yang tertinggi. Dia menguasai laut yang dicipta-Nya, dan juga darat yang dibentuk-Nya. Marilah kita bersujud dan menyembah Dia; marilah kita berlutut di hadapan TUHAN, pencipta kita! Dialah Allah kita; kitalah umat yang dipelihara-Nya, seperti kawanan domba yang digembalakan-Nya. Pada hari ini dengarlah firman-Nya, “Jangan degil seperti nenek moyang kamu di Meriba, ketika mereka berada di gurun, di Masa. Di sana mereka menguji dan mencuba Aku, sungguhpun mereka sudah melihat perbuatan-Ku. Selama empat puluh tahun Aku muak terhadap mereka; Aku berfirman, ‘Alangkah derhakanya mereka! Mereka enggan taat kepada perintah-Ku.’ Aku murka lalu bersumpah bahawa mereka tidak sekali-kali akan masuk ke negeri itu, tempat Aku memberi mereka rehat.” Nyanyikanlah lagu baru untuk TUHAN! Bernyanyilah untuk TUHAN, hai seluruh dunia! Bernyanyilah untuk TUHAN, dan pujilah Dia! Setiap hari isytiharkanlah berita baik bahawa Dia telah menyelamatkan kita. Isytiharkanlah keagungan-Nya kepada bangsa-bangsa, dan perbuatan-Nya yang mengagumkan kepada segenap manusia. TUHAN itu agung dan mesti dipuji setinggi-tingginya, Dia mesti dihormati lebih daripada semua dewa. Dewa-dewa bangsa lain hanya patung berhala, tetapi TUHAN pencipta angkasa raya. Kemuliaan dan keagungan mengelilingi Dia, tempat kediaman-Nya dipenuhi kuasa dan semarak-Nya. Hai semua orang di bumi, pujilah TUHAN! Pujilah keagungan dan keperkasaan-Nya! Pujilah nama TUHAN yang mulia; bawalah persembahan dan masuklah ke dalam kediaman-Nya. Bersujudlah di hadapan TUHAN apabila Dia muncul; gementarlah di hadapan-Nya, hai seluruh bumi! Katakanlah kepada semua bangsa, “TUHAN itu raja! Bumi dikukuhkan dan tidak dapat digoncang; Dia akan menghakimi semua bangsa dengan adil.” Bersukacitalah, hai bumi dan langit! Berderulah, hai laut dan segala isimu! Bergembiralah, hai ladang-ladang dan segala tanamanmu! Pokok-pokok di hutan akan bersorak kegirangan, apabila TUHAN datang untuk memerintah bumi. Dia akan memerintah penduduk dunia dengan jujur dan adil. TUHAN itu raja! Hai bumi, bersukacitalah! Hai pulau-pulau di laut, bergembiralah! Dia dikelilingi awan dan kegelapan; pemerintahan-Nya berdasarkan hukum dan keadilan. Api mendahului Dia, membakar musuh di sekeliling-Nya. Kilat-Nya menerangi dunia; bumi bergegar melihat cahaya-Nya. Bukit mencair seperti lilin di hadapan TUHAN, di hadapan Tuhan seluruh bumi. Langit mengisytiharkan keadilan-Nya, dan semua bangsa melihat kemuliaan-Nya. Semua orang yang menyembah berhala dipermalukan, semua dewa bersujud di hadapan TUHAN. Penduduk Sion bersukacita, dan kota-kota di Yehuda bergembira, kerana keputusan-Mu, ya TUHAN. Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Engkaulah pemerintah seluruh bumi; Engkau lebih berkuasa daripada semua dewa. TUHAN mengasihi orang yang membenci kejahatan; Dia melindungi hidup umat-Nya, dan menyelamatkan mereka daripada kuasa orang jahat. Kebaikan Allah bersinar seperti cahaya pada orang jujur, dan memberikan kegirangan kepada orang baik. Bersukacitalah, hai kamu semua yang tulus, kerana apa yang telah dilakukan TUHAN. Ingatlah akan perbuatan Allah yang suci, dan bersyukurlah kepada-Nya. Mazmur. Nyanyikanlah lagu baru untuk TUHAN; Dia telah melakukan perbuatan yang menakjubkan! Dengan kuasa dan kekuatan-Nya sendiri, Dia telah mencapai kemenangan. TUHAN mengumumkan kemenangan-Nya; Dia menyatakan keadilan-Nya kepada bangsa-bangsa. Dia menepati janji-Nya kepada orang Israel, umat-Nya dengan kasih dan kesetiaan kepada mereka. Semua bangsa di seluruh dunia telah melihat kemenangan Allah kita. Hai seluruh bumi, bernyanyilah untuk TUHAN dengan girang; pujilah Dia dengan lagu dan sorakan! Nyanyikanlah pujian untuk TUHAN, pujilah Dia dengan memetik kecapi. Tiuplah trompet dan sangkakala, bersoraklah di hadapan TUHAN, Raja kita! Berderulah, hai laut dan segala isimu, bernyanyilah, hai bumi dan semua yang mendiamimu. Bertepuk tanganlah, hai sungai-sungai; bersorak-sorailah di hadapan TUHAN, hai bukit-bukit, kerana TUHAN datang untuk memerintah bumi. Dia akan memerintah penduduk dunia dengan adil dan jujur. TUHAN itu raja, orang gementar kerana Dia; Dia bertakhta di atas kerub, dan bumi pun bergoncang. TUHAN sangat berkuasa di Sion; Dia penguasa tertinggi atas semua bangsa. Setiap orang akan memuji nama-Nya yang agung dan mulia. Sucilah Dia! Hai Raja yang perkasa, Engkau mencintai hukum; Engkau telah menegakkan keadilan di Israel, Engkau telah melaksanakan hukum dan keadilan. Pujilah TUHAN, Allah kita; sujudlah di hadapan takhta-Nya! Sucilah Dia! Musa dan Harun termasuk imam-imam-Nya, dan Samuel salah seorang yang berdoa kepada Dia; mereka berseru kepada TUHAN dan Dia menjawab mereka. Dari tiang awan, Dia berfirman kepada mereka; mereka patuh kepada hukum dan perintah yang diberikan-Nya. Ya TUHAN, Allah kami, Engkau mengabulkan permintaan umat-Mu; Engkau menunjukkan bahawa Engkau Allah yang suka mengampuni orang, walaupun Engkau menghukum mereka kerana dosa mereka. Pujilah TUHAN, Allah kita dan sembahlah Dia di atas bukit-Nya yang suci! TUHAN, Allah kita suci. Mazmur kesyukuran. Bernyanyilah untuk TUHAN, hai penduduk dunia! Sembahlah TUHAN dengan sukacita; datanglah ke hadirat-Nya dengan lagu-lagu gembira! Akuilah bahawa TUHAN itu Allah. Dia mencipta kita, dan kita kepunyaan-Nya; kita umat-Nya, bangsa yang dipelihara-Nya. Masuklah melalui pintu gerbang-Nya dengan ucapan syukur, pergilah ke halaman Rumah-Nya dengan pujian. Bersyukurlah kepada-Nya dan pujilah Dia. TUHAN itu baik; Dia tetap mengasihi umat-Nya dan setia kepada mereka selama-lamanya. Mazmur Daud. Aku menyanyi tentang kesetiaan dan keadilan, aku menyanyikan lagu ini untuk-Mu, ya TUHAN. Aku akan menjaga kelakuanku supaya tidak bercela. Bilakah Engkau akan datang kepadaku? Aku akan hidup suci di rumahku; aku tidak akan membiarkan kejahatan berlaku. Aku benci akan tindakan orang yang murtad; aku tidak mahu berhubungan dengan mereka. Aku tidak akan berlaku curang; aku tidak akan terlibat dalam kejahatan. Orang yang memfitnah dengan diam-diam akan aku binasakan; orang yang sombong dan angkuh tidak akan kubiarkan begitu. Aku berkenan akan orang yang setia kepada Allah; mereka akan kubenarkan tinggal di dalam istanaku; orang yang benar-benar jujur akan aku benarkan melayani aku. Pendusta tidak akan tinggal di dalam istanaku; orang munafik tidak akan berada di hadapanku. Tiap-tiap hari aku akan membinasakan orang jahat di negeri kita; aku akan mengusir semua orang jahat dari kota TUHAN. Doa seorang yang sengsara dan letih lesu, yang mengeluh kepada TUHAN. Dengarlah doaku, ya TUHAN, dengarlah seruanku minta pertolongan. Janganlah berpaling daripadaku ketika aku dalam kesusahan. Dengarlah apabila aku berseru, dan jawablah permintaanku dengan segera. Hidupku menghilang seperti asap; badanku seolah-olah terbakar. Aku layu seperti rumput kering, dan seleraku hilang. Aku mengerang dengan kuat; badanku kurus kering. Aku bagaikan burung liar di padang pasir, bagaikan burung hantu di tempat runtuhan. Aku tidak dapat tidur; aku bagaikan burung yang kesepian di bumbung rumah. Sepanjang hari musuh mencela aku; mereka yang mempermainkan aku menggunakan namaku untuk mengutuk. Abu menjadi makananku, dan minumanku bercampur air mata kerana kemurkaan-Mu yang menyala-nyala. Engkau telah mengangkat dan membuang aku. Hidupku berlalu seperti bayang-bayang pada waktu petang; aku layu seperti rumput kering. Tetapi Engkau, ya TUHAN, raja selama-lamanya; semua keturunan akan mengingati Engkau. Engkau akan bangkit dan mengasihani Sion; masanya sudah tiba untuk mengasihaninya; inilah masanya yang tepat. Walaupun Sion telah musnah, hamba-hamba-Mu mengasihinya; walaupun Sion telah runtuh, mereka mengasihaninya. Bangsa-bangsa akan takut kepada TUHAN; semua raja di bumi akan takut terhadap kuasa-Nya. Apabila TUHAN membina Sion semula, Dia akan menyatakan keagungan-Nya. Dia akan mendengar doa umat-Nya yang papa, dan tidak menolak permohonan mereka. Tulislah semua perbuatan TUHAN untuk keturunan yang akan datang, supaya generasi yang akan datang dapat memuji Dia. TUHAN memandang ke bawah dari tempat-Nya yang suci, Dia memandang dari syurga ke bumi, untuk mendengar keluhan orang tawanan, dan membebaskan mereka yang dijatuhi hukuman mati. Oleh itu nama-Nya akan diisytiharkan di Sion; Dia akan dipuji-puji di Yerusalem, ketika bangsa dan kerajaan berkumpul untuk menyembah TUHAN. TUHAN melemahkan aku semasa aku masih muda; Dia memendekkan umurku. Ya Allah, janganlah ambil nyawaku, sebelum lanjut usiaku. Engkau hidup selama-lamanya; dahulu Engkau menciptakan bumi, dan langit pun karya tangan-Mu sendiri. Semuanya akan lenyap, tetapi Engkau tetap ada; semuanya akan usang seperti kain. Engkau membuang semuanya seperti baju lama; lalu semuanya akan lenyap. Tetapi Engkau tetap sama, hidup-Mu tidak akan berakhir. Anak-anak kami akan hidup dengan selamat, dan keturunan mereka sentiasa aman dalam perlindungan-Mu. Mazmur Daud. Pujilah TUHAN, hai jiwaku! Pujilah nama-Nya yang suci, hai segenap batinku! Pujilah TUHAN, hai jiwaku, dan jangan lupa akan kebaikan-Nya. Dia mengampunkan segala dosaku, dan menyembuhkan segala penyakitku; Dia menyelamatkan aku daripada kematian dan memberkati aku dengan kasih dan rahmat; Dia memuaskan hidupku dengan segala yang baik, sehingga aku tetap muda dan kuat seperti burung helang. TUHAN membela orang yang tertindas dan bertindak dengan adil. Dia menyatakan rancangan-Nya kepada Musa, dan perbuatan-Nya kepada bangsa Israel. TUHAN pengasih dan penyayang, panjang sabar, dan penuh dengan kasih. Dia tidak selalu murka, Dia tidak selalu menaruh dendam. Dia tidak menghukum kita setimpal dengan dosa kita, Dia tidak membalas kita setimpal dengan kesalahan kita. Tetapi setinggi langit dari bumi, setinggi itu juga kasih-Nya kepada orang yang menghormati-Nya. Sejauh timur dari barat, sejauh itu juga dibuang-Nya dosa kita. Seperti seorang bapa mengasihani anak-anaknya, begitulah TUHAN mengasihani orang yang menghormati-Nya. Dia tahu bagaimana kita dibentuk, Dia ingat bahawa kita ini debu belaka. Manusia bagaikan rumput, yang tumbuh dan mengembang seperti bunga di padang. Apabila ditiup angin, bunga pun hilang, tiada orang melihatnya lagi. Tetapi TUHAN tetap mengasihi orang yang menghormati Dia, dan kebaikan-Nya berlangsung selama-lamanya, bagi mereka yang setia kepada perjanjian-Nya, dan mentaati perintah-Nya. TUHAN membina takhta-Nya di syurga; Dia raja yang menguasai semuanya. Pujilah TUHAN, hai malaikat-malaikat yang kuat dan perkasa, yang mendengar dan melakukan perintah-Nya! Pujilah TUHAN, hai semua tentera syurga, hai kamu yang melakukan kehendak-Nya! Pujilah TUHAN, hai semua ciptaan di seluruh tempat Dia memerintah. Pujilah TUHAN, hai jiwaku! Pujilah TUHAN, hai jiwaku! Ya TUHAN, Allahku, betapa agungnya Engkau! Engkau diliputi keagungan dan kemuliaan, dan diselubungi cahaya. Engkau membentangkan langit seperti khemah, dan membina rumah-Mu di tempat yang lebih tinggi daripada langit. Engkau menunggang awan dan mengenderai angin. Engkau menggunakan angin sebagai pesuruh-Mu, dan pancaran kilat sebagai hamba-Mu. Engkau mendirikan bumi kukuh pada asasnya, supaya tidak sekali-kali bergoyang. Engkau menyelubungi bumi dengan lautan, dan air menutupi pergunungan; tetapi air pun turun apabila Engkau menegurnya; air mengalir dengan deras apabila mendengar gemuruh suara-Mu. Air mengalir melalui gunung ke lembah, ke tempat yang telah Engkau sediakan. Engkau menentukan sempadan yang tidak boleh dilalui, supaya air tidak membanjiri bumi lagi. Engkau menjadikan mata air memancar di lembah-lembah, dan air sungai mengalir di sela-sela bukit, untuk memberi binatang liar minuman, dan untuk melepaskan dahaga keldai hutan. Di pokok-pokok yang berhampiran, burung berkicau dan membuat sarang. Dari langit Engkau menurunkan hujan ke atas pergunungan, bumi penuh dengan berkat-Mu. Engkau menumbuhkan rumput untuk lembu, dan tanaman untuk kegunaan orang, supaya manusia dapat bercucuk tanam, dan menghasilkan wain untuk menghiburkan hati, minyak zaitun untuk menyerikan muka, dan makanan untuk memberikan tenaga. Pokok sedar di Lebanon mendapat banyak hujan, pokok-pokok yang ditanam oleh TUHAN. Di sana burung-burung bersarang, burung bangau bersarang di puncaknya. Kambing hutan tinggal di gunung yang tinggi, dan landak bersembunyi di tebing. Engkau menciptakan bulan untuk menanda musim; matahari pun tahu waktunya untuk terbenam. Engkau menjadikan malam, dan dalam kegelapan semua binatang hutan berkeliaran. Anak singa mengaum ketika berburu, mencari makanan yang diberikan Allah. Apabila matahari terbit, binatang pulang dan berbaring di tempat persembunyian. Kemudian manusia keluar bekerja, dan terus bekerja sehingga petang. Ya TUHAN, sungguh banyak ciptaan-Mu! Sungguh bijak Engkau mencipta semuanya! Bumi penuh dengan makhluk ciptaan-Mu. Lihatlah laut luas terbentang, dengan makhluk besar kecil, tidak terbilang. Di situ kapal-kapal belayar, dan Lewiatan, raksasa laut ciptaan-Mu, bermain-main. Semuanya bergantung kepada-Mu, untuk mendapat makanan pada waktunya. Engkau memberikan makanan, dan makhluk ciptaan-Mu mengumpulkannya; Engkau memberikan semuanya makanan sehingga kenyang. Apabila Engkau berpaling, makhluk ciptaan-Mu takut; apabila Engkau mengambil balik nafas-Mu, semuanya binasa, dan kembali ke tanah, menjadi debu semula. Tetapi apabila Engkau memberikan nafas, semuanya hidup; Engkau memberikan kehidupan baru kepada bumi. Semoga kemuliaan TUHAN kekal selama-lamanya! Semoga TUHAN bergembira dengan semua ciptaan-Nya! Dia memandang bumi, bumi pun bergentar; Dia menyentuh gunung, gunung pun berasap. Aku akan menyanyi untuk TUHAN sepanjang umurku; aku akan menyanyikan pujian bagi Allahku seumur hidupku. Semoga nyanyianku menyenangkan hati-Nya, kerana Dialah yang membuat hatiku gembira. Biarlah orang berdosa dihapuskan dari muka bumi, biarlah orang jahat habis binasa. Pujilah TUHAN, hai jiwaku! Pujilah TUHAN! Bersyukurlah kepada TUHAN, isytiharkanlah keagungan-Nya; ceritakanlah perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa. Nyanyikanlah pujian kepada TUHAN; ceritakanlah segala perbuatan-Nya yang menakjubkan. Bersukacitalah kerana kita milik-Nya; semua orang yang menyembah TUHAN hendaklah bersukacita. Mintalah pertolongan TUHAN, sembahlah Dia sentiasa. [5-6] Hai keturunan Abraham, hamba-Nya, dan keturunan Yakub, orang pilihan-Nya, ingatlah mukjizat yang dilakukan Allah, jangan lupakan keputusan yang diberikan-Nya. *** TUHAN ialah Allah kita; perintah-Nya berlaku di seluruh dunia. Dia memegang perjanjian-Nya selama-lamanya, janji-Nya berlaku untuk beribu-ribu keturunan, perjanjian yang dibuat-Nya dengan Abraham, dan janji-Nya dengan Ishak, lalu dikekalkan dengan Yakub, menjadi perjanjian abadi bagi umat Israel. Dia berfirman, “Aku akan memberi kamu negeri Kanaan, untuk menjadi milik pusaka kamu.” Dahulu umat Allah kecil bilangannya, mereka hidup sebagai orang asing di negeri Kanaan. Mereka mengembara dari negeri ke negeri, dari sebuah kerajaan ke sebuah kerajaan. Tetapi Allah tidak membiarkan sesiapa pun menindas mereka; kerana mereka, Dia memberikan amaran kepada raja-raja. Dia berfirman, “Jangan ganggu hamba-hamba pilihan-Ku; jangan cederakan nabi-nabi-Ku!” TUHAN mendatangkan kebuluran di negeri mereka, dan mengambil segala makanan mereka. Tetapi Dia mengutus Yusuf untuk mendahului mereka; Yusuf telah dijual sebagai hamba. Kakinya diikat dengan rantai dan lehernya diikat dengan rantai besi, sehingga terjadi apa yang diramalkannya. Firman TUHAN membuktikan bahawa Yusuf benar. Lalu raja Mesir membebaskan dia; penguasa bangsa-bangsa melepaskan dia. Raja melantik Yusuf sebagai ketua kerajaannya, dan menjadikan dia penguasa seluruh negeri, untuk memberikan arahan kepada pegawai-pegawai raja, dan untuk memimpin para penasihat raja. Selepas itu Yakub pergi ke Mesir, dan menetap di negeri itu. TUHAN menjadikan umat-Nya bertambah banyak, sehingga mereka menjadi lebih kuat daripada musuh. TUHAN menyebabkan bangsa Mesir benci akan umat-Nya, bangsa Mesir menipu dan memperdayakan hamba-hamba-Nya. Lalu Dia mengutus Musa, hamba-Nya, dan Harun, orang yang dipilih-Nya. Mereka melakukan keajaiban daripada Allah, dan melakukan mukjizat di Mesir. Allah menjadikan seluruh negeri itu gelap, tetapi bangsa Mesir tidak mentaati perintah-Nya. Dia mengubah air sungai menjadi darah, dan membunuh semua ikan yang ada di dalamnya. Katak memenuhi negeri mereka, bahkan memasuki istana raja. Demi firman Allah, lalat dan agas memenuhi seluruh negeri itu. Dia mencurahkan hujan batu dan kilat sebagai ganti hujan biasa. Dia memusnahkan ladang anggur dan pokok ara mereka, serta menumbangkan segala pokok di sana. Demi firman-Nya, belalang datang, berjuta-juta tidak terbilang; yang makan segala tumbuhan di negeri mereka; dan makan habis segala tanaman di sana. Lalu dibunuh-Nya semua anak lelaki sulung, anak lelaki sulung semua keluarga Mesir. Selepas itu Dia memimpin umat Israel keluar; mereka membawa perak dan emas, mereka semua sihat dan kuat. Bangsa Mesir takut akan umat Israel, oleh itu mereka gembira ketika orang Israel pergi. Allah membentangkan awan untuk menaungi umat-Nya, dan memberikan api sebagai penerang pada waktu malam. Mereka meminta makanan, lalu Dia menghantar burung puyuh, mereka dikenyangkan dengan roti dari langit. Dia membelah bukit batu, lalu air memancar keluar, dan mengalir seperti sungai di gurun. Dia ingat akan janji-Nya yang suci kepada Abraham, hamba-Nya. Demikianlah Dia memimpin umat pilihan-Nya keluar; mereka menyanyi dengan gembira dan bersorak-sorai. Dia memberikan negeri bangsa asing kepada mereka, dan ladang-ladang mereka dijadikan milik umat-Nya, supaya umat-Nya taat kepada hukum-Nya, dan melakukan segala perintah-Nya. Pujilah TUHAN! Pujilah TUHAN! Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana Dia baik; kasih-Nya kekal abadi. Siapakah dapat menceritakan perbuatan besar yang dilakukan TUHAN? Siapakah dapat memuji Dia dengan secukupnya? Berbahagialah orang yang berlaku adil, yang sentiasa melakukan apa yang benar. Ingatlah aku, ya TUHAN, ketika Engkau menolong umat-Mu; selamatkanlah aku juga, ketika Engkau menyelamatkan mereka. Semoga aku melihat umat-Mu makmur semula, dan semoga aku bersukacita bersama-sama umat-Mu, serta berbangga bersama-sama mereka yang menjadi milik-Mu. Kami telah berdosa seperti nenek moyang kami; kami jahat dan keji. Ketika di Mesir nenek moyang kami tidak faham akan perbuatan-Nya yang menakjubkan; mereka lupa akan kasih-Nya yang berlimpah, dan mereka memberontak terhadap Yang Maha Kuasa di Laut Gelagah. Tetapi Dia menyelamatkan mereka menurut janji-Nya, untuk menunjukkan kuasa-Nya yang besar. Dia memberikan perintah kepada Laut Gelagah dan laut itu pun kering, lalu Dia memimpin umat-Nya menyeberang laut yang kering itu. Dia menyelamatkan mereka daripada orang yang membenci mereka, dan membebaskan mereka daripada musuh mereka. Tetapi air melemaskan musuh mereka; tiada seorang pun selamat. Lalu umat-Nya percaya kepada janji-Nya, dan menyanyikan pujian untuk Dia. Tetapi mereka cepat lupa akan segala perbuatan-Nya, mereka bertindak tanpa meminta nasihat-Nya. Nafsu mereka berkobar-kobar di padang gurun, dan mereka mencubai Allah; oleh itu, Dia memberikan apa yang diminta mereka, tetapi Dia juga mendatangkan penyakit yang dahsyat kepada mereka. Di gurun itu mereka iri hati terhadap Musa, dan terhadap Harun, hamba yang mengabdi kepada TUHAN. Bumi terbuka dan menelan Datan, dan menimbusi Abiram serta keluarganya; api turun membakar pengikut mereka, dan menghanguskan semua orang durjana. Mereka membuat anak lembu emas di Sinai, lalu menyembah patung itu. Mereka menggantikan kemuliaan Allah dengan patung binatang pemakan rumput. Mereka melupakan Allah yang telah menyelamatkan mereka, Allah yang telah melakukan hal-hal besar di Mesir. Sungguh hebat perbuatan-Nya di negeri itu, sungguh menakjubkan perbuatan-Nya di Laut Gelagah. Apabila Allah berfirman hendak membinasakan umat-Nya; Musa, hamba pilihan-Nya, berdiri di hadapan Allah, dan memujuk Dia supaya tidak membinasakan mereka. Kemudian mereka menolak tanah yang indah itu, kerana mereka tidak percaya akan janji Allah. Mereka merungut di dalam khemah mereka dan tidak mahu mendengarkan TUHAN. Maka dengan sumpah Dia berjanji akan membunuh mereka di gurun, dan mencerai-beraikan keturunan mereka antara bangsa-bangsa, sehingga mereka mati di negeri-negeri asing. Kemudian di Peor, umat Allah ikut menyembah Baal, dan makan korban yang dipersembahkan kepada dewa-dewa yang tidak bernyawa. Mereka membangkitkan kemurkaan TUHAN dengan perbuatan mereka, lalu penyakit yang dahsyat menyerang mereka. Tetapi Pinehas berdiri dan menghukum orang yang bersalah, lalu wabak itu pun berhenti. Jasanya itu diingati orang, dan dia pun dikenang sampai selama-lamanya. Mereka membangkitkan kemurkaan TUHAN di mata air di Meriba, dan menyusahkan Musa dengan perbuatan mereka. Mereka membuat dia begitu marah, sehingga dia mengeluarkan kata-kata yang tidak seharusnya. Bangsa-bangsa lain tidak dimusnahkan mereka seperti yang diperintahkan TUHAN. Malah mereka mengahwini bangsa-bangsa itu, dan meniru cara hidup orang yang tidak mengenal Allah. Umat Allah menyembah berhala-berhala, dan hal ini menyebabkan kebinasaan mereka. Mereka mempersembahkan anak-anak sendiri sebagai korban kepada dewa-dewa negeri Kanaan. Mereka membunuh anak-anak yang tidak bersalah, sehingga negeri itu dinajiskan oleh pembunuhan itu. Mereka mencemarkan diri dengan perbuatan mereka, dan mereka tidak setia kepada Allah. Oleh itu TUHAN murka terhadap umat-Nya; Dia berasa jijik terhadap mereka. Dia menyerahkan mereka ke dalam kuasa bangsa-bangsa, dan membiarkan musuh menjajah mereka. Mereka ditindas oleh musuh, mereka dijajah sepenuhnya. Berulang kali TUHAN menyelamatkan umat-Nya, tetapi mereka masih memberontak terhadap-Nya, sehingga dosa mereka bertambah-tambah. Namun TUHAN mendengar seruan mereka, dan memperhatikan kesusahan mereka. Bagi kebaikan mereka, Dia ingat akan perjanjian-Nya, dan kerana kasih-Nya yang besar, Dia mengasihani mereka. Dia menyebabkan semua orang yang menindas mereka berasa kasihan terhadap mereka. Selamatkanlah kami, ya TUHAN, Allah kami, dan bawalah kami pulang dari antara bangsa-bangsa, supaya kami dapat bersyukur, dan memuji nama-Mu yang suci. Pujilah TUHAN, Allah umat Israel; pujilah Dia sekarang dan selama-lamanya! Hendaklah semua orang berkata, “Amin!” Pujilah TUHAN! “Bersyukurlah kepada TUHAN kerana Dia baik; kasih-Nya kekal!” Ulangilah kata-kata itu untuk memuji TUHAN, hai kamu semua yang sudah diselamatkan-Nya. Dia telah menyelamatkan kamu daripada musuh, dan membawa kamu kembali dari negeri-negeri asing, dari timur dan barat, dari utara dan selatan. Ada yang mengembara di padang pasir, tidak menemui jalan ke kota yang berpenghuni. Mereka kelaparan dan kehausan, dan kehilangan segala harapan. Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan. Dia memimpin mereka melalui jalan yang lurus, ke kota yang dapat didiami mereka. Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka. Dia memuaskan orang yang dahaga, dan mengenyangkan orang lapar dengan segala yang baik. Ada orang yang meringkuk di dalam kegelapan, orang tahanan yang dibelenggu dan menderita, kerana mereka telah memberontak terhadap perintah Allah, dan menolak arahan Yang Maha Kuasa. Mereka patah semangat kerana pekerjaan yang berat, mereka jatuh, dan tidak seorang pun memberikan pertolongan. Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan. Dia membawa mereka keluar dari kegelapan, dan memutuskan rantai yang membelenggu mereka. Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka. Dia merobohkan pintu-pintu gangsa, dan mematahkan palang-palang besi. Ada yang jahil dan menderita kerana dosa mereka, serta diseksa kerana kejahatan mereka; mereka mual terhadap segala makanan, dan sudah dekat pintu maut. Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, lalu Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan. Dia memulihkan mereka dengan firman-Nya, dan tidak membiarkan mereka mati. Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka. Mereka mesti bersyukur kepada-Nya dengan mempersembahkan korban, dan memberitakan perbuatan-Nya dengan lagu-lagu gembira. Ada pula yang belayar dengan kapal, mencari nafkah di lautan yang luas. Mereka nampak perbuatan TUHAN, perbuatan-Nya yang menakjubkan di lautan. Dengan perintah-Nya, angin bertiup dengan kencang, dan ombak bergelora. Kapal-kapal terangkat tinggi ke udara, lalu terhempas ke dasar samudera; orang kehilangan keberanian menghadapi bahaya sedemikian. Mereka terhuyung-hayang seperti orang mabuk; segala kemahiran mereka menjadi sia-sia. Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan. Dia meneduhkan angin ribut, dan ombak pun menjadi tenang. Mereka bersukacita kerana ketenangan itu, dan Dia memimpin mereka ke pelabuhan yang dituju. Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka. Mereka mesti memberitakan keagungan-Nya dalam perhimpunan umat, dan memuji Dia di hadapan majlis para pemimpin. TUHAN mengeringkan sungai sehingga seperti gurun, dan menjadikan mata air kering gersang. Dia menyebabkan tanah subur menjadi padang tandus, akibat kezaliman orang yang tinggal di sana. Dia mengubah padang pasir menjadi kolam air, dan tanah yang kering menjadi mata air. Dia membolehkan orang yang kelaparan tinggal di sana, dan mereka membina kota sebagai tempat kediaman. Mereka membajak ladang dan menanam pokok anggur, dan mendapat hasil yang banyak. Dia menganugerahi umat-Nya anak yang banyak, dan memelihara ternakan mereka supaya berkembang biak. Apabila umat Allah dikalahkan dan dihina dengan penindasan yang kejam serta penderitaan, TUHAN mempermalukan penindas mereka, dan menyebabkan mereka mengembara di padang pasir. Tetapi Dia menyelamatkan orang miskin daripada kesusahan, dan menyebabkan keluarga mereka mempunyai banyak anak. Orang baik nampak hal itu dan bergirang, tetapi semua orang jahat disenyapkan. Semoga orang bijak memikirkan perkara itu, semoga mereka merenungkan kasih TUHAN. Lagu. Mazmur Daud. Aku yakin kepada-Mu, ya Allah! Aku akan menyanyi dan memuji Engkau! Bangunlah, hai jiwaku! Bangunlah, hai gambus dan kecapi! Aku akan membangunkan matahari! Ya TUHAN, aku akan bersyukur kepada-Mu antara bangsa-bangsa. Aku akan memuji Engkau antara umat manusia. Kasih-Mu lebih tinggi daripada langit, dan kesetiaan-Mu sampai ke awan yang tinggi. Ya Allah, tunjukkanlah keagungan-Mu di langit, dan kemuliaan-Mu di seluruh bumi! Selamatkanlah kami dengan kuasa-Mu, dan kabulkanlah doaku, supaya umat yang Engkau kasihi diselamatkan. Dari tempat kediaman-Nya yang suci Allah berfirman, “Aku akan bersorak dan membahagi-bahagikan tanah Sikhem, dan mengagihkan Lembah Sukot kepada umat-Ku. Gilead dan Manasye adalah kepunyaan-Ku, Efraim topi besi-Ku, dan Yehuda tongkat pemerintahan-Ku. Tetapi Aku menggunakan Moab sebagai tempat pembasuhan-Ku; Aku melemparkan kasut kepada Edom, sebagai tanda bahawa Edom milik-Ku; Aku akan bersorak kerana kemenangan atas orang Filistin.” Siapakah yang akan membawa aku ke dalam kota yang berkubu itu? Siapakah yang akan memimpin aku ke Edom? Ya Allah, adakah Engkau telah menolak kami? Tidakkah Engkau mara bersama-sama tentera kami? Tolonglah kami melawan musuh, kerana pertolongan manusia tidak berguna. Bersama dengan Allah, kita akan berjaya; Dialah yang akan mengalahkan musuh kita. Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Ya Allah yang selalu kupuji, janganlah berdiam diri! Orang jahat dan pendusta memfitnah aku, mereka bercakap dusta tentang aku. Mereka menyerang aku dengan kata-kata penuh kebencian, dan menuduh aku tanpa sebarang alasan. Mereka menuduh aku, walaupun aku mengasihi mereka, dan telah mendoakan mereka. Mereka membalas kebaikanku dengan kejahatan, dan kasihku dengan kebencian. Pilihlah seorang jahat untuk menghakimi musuhku, dan biarlah musuh itu didakwa oleh lawannya sendiri. Biarlah dia dihakimi dan didapati bersalah, dan doanya pun dianggap dosa. Biarlah hidupnya berakhir segera, dan jawatannya diambil oleh orang lain. Biarlah anak-anaknya menjadi yatim, dan isterinya menjadi balu. Biarlah anak-anaknya menjadi pengemis yang tiada tempat berteduh, dan dihalau dari runtuhan yang didiami mereka. Biarlah si piutang merampas segala harta musuhku, dan orang lain menjarah hasil jerihnya. Biarlah tiada orang yang baik hati kepadanya, atau menyayangi anak-anaknya yang menjadi yatim. Biarlah semua keturunannya binasa, dan namanya dilupakan oleh generasi selanjutnya. Biarlah TUHAN mengingati kejahatan nenek moyangnya, dan tidak mengampunkan dosa ibunya. Biarlah TUHAN sentiasa mengingati dosa mereka, tetapi mereka sama sekali dilupakan oleh orang di bumi. Musuhku itu tidak pernah berniat untuk berbuat baik; dia menganiaya dan membunuh orang yang miskin, yang sengsara, dan yang tidak berdaya. Dia suka mengutuk; biarlah dia sendiri dikutuk! Dia tidak suka memberkati orang; biarlah tidak seorang pun memberkati dia! Dia lebih sering mengutuk orang daripada mengganti pakaian; biarlah kutuk itu masuk ke badannya seperti air yang diminumnya, dan menyerap seperti minyak ke dalam tulang-tulangnya. Biarlah kutuk itu menutupinya seperti pakaian, dan sentiasa membelitnya seperti tali pinggang. Ya TUHAN, hukumlah musuhku dengan cara itu, mereka yang mengatakan hal jahat tentang aku. Tetapi tolonglah aku, ya TUHAN Raja, menurut janji-Mu, dan selamatkanlah aku kerana kebaikan dan kasih-Mu. Aku miskin dan sengsara; hatiku sangat luka. Aku hampir lenyap seperti bayangan pada waktu petang; aku dikebas seperti belalang. Lututku gementar kerana berpuasa; badanku tinggal kulit dan tulang. Apabila orang melihat aku, mereka mengejek aku; mereka menggeleng-gelengkan kepala sambil menghina aku. Tolonglah aku, ya TUHAN, Allahku; selamatkanlah aku kerana kasih-Mu. Hendaklah musuhku tahu bahawa hal itu perbuatan-Mu, bahawa Engkaulah yang menyelamatkan aku. Walaupun mereka mengutuk aku, tetapi Engkau memberkati aku. Biarlah mereka yang menganiaya aku dikalahkan, dan semoga aku, hamba-Mu, digembirakan. Biarlah musuhku dihina, dan perasaan malu menyelubungi mereka seperti jubah. Aku akan bersyukur kepada TUHAN dengan suara nyaring; aku akan memuji Dia dalam perhimpunan umat, kerana Dia membela orang sengsara dan menyelamatkan mereka daripada orang yang menjatuhi mereka hukuman mati. Mazmur Daud. TUHAN berfirman kepada tuanku raja, “Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Aku menaklukkan musuhmu kepadamu.” Dari Sion, TUHAN akan meluaskan kuasa kerajaanmu. Dia berfirman, “Berkuasalah atas musuh-musuhmu.” Pada hari tuanku memerangi musuh, rakyat akan menolong dengan sukarela. Seperti embun pada waktu pagi, para pemuda akan datang kepadamu di bukit-bukit yang suci. TUHAN telah berjanji dan tidak akan memungkiri janji-Nya, “Engkau akan menjadi imam selama-lamanya, menurut keimaman Melkisedek.” Tuhan ada di sebelah kanan tuanku untuk menolong tuanku; apabila Dia murka, raja-raja dikalahkan-Nya. Dia akan menghukum bangsa-bangsa, sehingga medan pertempuran penuh dengan mayat; Dia akan mengalahkan raja-raja di seluruh muka bumi. Raja akan minum dari anak sungai di tepi jalan. Setelah dikuatkan, raja akan menang. Pujilah TUHAN! Dengan sepenuh hati aku akan bersyukur kepada TUHAN dalam perhimpunan umat-Nya. Sungguh menakjubkan perbuatan yang dilakukan TUHAN; semua orang yang menyukai perbuatan itu merenungkannya. Segala perbuatan TUHAN agung dan terpuji; kebaikan-Nya kekal abadi. TUHAN tidak membiarkan kita melupakan perbuatan-Nya yang menakjubkan; Dia pengasih dan penyayang. Dia memberikan makanan kepada orang yang menghormati Dia; Dia tidak pernah melupakan perjanjian-Nya. Dia telah menunjukkan kuasa-Nya kepada umat-Nya, dengan memberi mereka tanah pusaka bangsa asing. Dia setia dan adil dalam segala perbuatan-Nya; segala perintah-Nya dapat dipercayai. Perintah-Nya bertahan sepanjang masa; Dia memberikan perintah-Nya secara benar dan adil. Dia menyelamatkan umat-Nya, dan membuat perjanjian yang kekal dengan mereka. Dia suci dan perkasa! Cara menjadi bijak adalah dengan menghormati TUHAN; Dia memberikan pengertian kepada semua orang yang mentaati perintah-Nya. Hendaklah TUHAN dipuji selama-lamanya! Pujilah TUHAN! Berbahagialah orang yang menghormati TUHAN, yang suka mentaati perintah-Nya. Anak-anak orang yang baik akan berkuasa di negeri ini; keturunannya akan diberkati. Keluarganya akan menjadi kaya-raya, dan dia akan makmur selama-lamanya. Dia seperti cahaya yang bersinar dalam kegelapan bagi orang jujur; dia berbelas kasihan, penyayang, dan adil. Berbahagialah orang yang murah hati dan suka memberi pinjaman, serta jujur dalam segala urusan. Orang yang baik tidak sekali-kali akan gagal; dia akan diingat selama-lamanya. Dia tidak takut menerima berita buruk; hatinya teguh kerana percaya kepada TUHAN. Dia tidak khuatir ataupun takut kerana dia yakin musuhnya akan dikalahkan. Dia memberikan sedekah kepada orang miskin, dia selalu murah hati, dia akan berkuasa dan dihormati orang. Orang jahat melihat hal ini lalu naik marah; mereka memandang aku dengan kebencian. Lalu mereka binasa; harapan mereka lenyap selama-lamanya. Pujilah TUHAN! Hai kamu hamba-hamba TUHAN, pujilah nama-Nya! Hendaklah nama-Nya disanjung, sekarang dan selama-lamanya. Dari timur ke barat, nama TUHAN harus dipuji. TUHAN memerintah semua bangsa, keagungan-Nya lebih tinggi daripada langit. Tiada sesiapa pun seperti TUHAN, Allah kita; Dia bertakhta di tempat yang tinggi, tetapi Dia membongkokkan diri untuk melihat langit dan bumi. Dia mengangkat orang miskin dari debu, dan orang melarat dari abu. Dia menempatkan mereka bersama dengan pemerintah, bersama dengan pemimpin umat-Nya. Dia menganugerahkan anak-anak kepada isteri yang mandul dan menjadikan dia ibu yang bahagia dan terhormat di rumahnya. Pujilah TUHAN! Pada masa umat Israel keluar dari Mesir, pada waktu keturunan Yakub meninggalkan negeri asing itu, Yehuda menjadi umat kepunyaan Tuhan, dan Israel menjadi milik-Nya. Laut Gelagah melihat lalu lari, Sungai Yordan berhenti mengalir. Gunung-gunung berlompatan seperti kambing ketakutan, dan bukit-bukit berloncatan seperti anak domba ketakutan. Apakah yang menyebabkan engkau lari, hai Laut? Mengapakah engkau berhenti mengalir, hai Sungai Yordan? Mengapakah kamu berlompatan seperti kambing ketakutan, hai gunung-gunung? Mengapakah kamu berloncatan seperti anak domba ketakutan, hai bukit-bukit? Hai bumi, gentarlah di hadirat Tuhan, di hadirat Allah yang disembah Yakub; Allah yang mengubah bukit batu menjadi kolam air, dan tebing batu menjadi mata air. Bukan kami, ya TUHAN, bukan kami, tetapi Engkau sahaja yang harus dimuliakan dan dipuji, kerana Engkau setia dan tetap mengasihi kami. Mengapakah bangsa-bangsa bertanya, “Di manakah Allah mereka?” Allah kami ada di syurga; Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya. Berhala-berhala mereka dibuat daripada perak dan emas, dibentuk oleh tangan manusia. Berhala-berhala itu mempunyai mulut tetapi tidak dapat bercakap, mempunyai mata tetapi tidak dapat melihat, mempunyai telinga tetapi tidak dapat mendengar, mempunyai hidung tetapi tidak dapat menghidu, mempunyai tangan tetapi tidak dapat meraba, mempunyai kaki tetapi tidak dapat berjalan; berhala-berhala itu tidak dapat bersuara. Biarlah semua orang yang membuat berhala, dan yang percaya kepada berhala, menjadi seperti berhala yang dibuat mereka. Percayalah kepada TUHAN, hai umat Israel. Dialah yang menolong dan melindungi kamu. Percayalah kepada TUHAN, hai imam-imam Allah. Dialah yang menolong dan melindungi kamu. Percayalah kepada TUHAN, hai semua orang yang menyembah Dia. Dialah yang menolong dan melindungi kamu. TUHAN mengingati kita dan akan memberkati kita; Dia akan memberkati umat Israel dan semua imam Allah. Dia akan memberkati semua orang yang menghormati Dia; baik orang besar mahupun orang biasa. Semoga TUHAN menganugerahkan anak-anak kepada kamu dan keturunan kamu. Semoga kamu diberkati TUHAN, yang menjadikan langit dan bumi. Syurga adalah kepunyaan TUHAN sahaja, tetapi Dia memberikan bumi kepada manusia. TUHAN tidak dipuji oleh orang mati, orang yang sudah turun ke alam yang sunyi. Tetapi kita yang hidup bersyukur kepada-Nya, sekarang dan selama-lamanya. Pujilah TUHAN! Aku mengasihi TUHAN, kerana Dia mendengar seruanku; Dia mendengar permintaanku. Dia mendengar aku setiap kali aku berseru kepada-Nya. Maut mengepung aku, dan kengerian kubur meliputi aku; aku sangat takut dan cemas. Lalu aku berseru kepada TUHAN, “Aku memohon, ya TUHAN, selamatkanlah aku.” TUHAN itu pengasih dan adil; Allah kita penuh belas kasihan. TUHAN melindungi orang yang tidak berdaya; ketika aku menghadapi bahaya, Dia menyelamatkan aku. Aku mesti tenang, kerana TUHAN baik kepadaku. TUHAN telah menyelamatkan aku daripada maut; Dia menghentikan air mataku dan tidak membiarkan aku dikalahkan. Maka aku hidup di hadirat TUHAN, di dunia orang yang hidup. Aku tetap percaya, walaupun aku berkata, “Aku dikalahkan sama sekali.” Walaupun dalam kecemasan aku berkata, “Tiada seorang pun yang boleh dipercayai.” Apakah yang dapat aku persembahkan kepada TUHAN untuk segala kebaikan-Nya terhadap aku? Aku akan memberikan persembahan wain kepada TUHAN, untuk bersyukur kepada-Nya kerana Dia menyelamatkan aku. Di hadapan semua umat-Nya, aku akan menunaikan janjiku kepada-Nya. TUHAN sangat sedih apabila orang yang setia kepada-Nya mati. Aku ini hamba-Mu, ya TUHAN; aku mengabdi kepada-Mu seperti ibuku dahulu. Engkau telah menyelamatkan aku daripada maut. Aku akan mempersembahkan korban syukur kepada-Mu, dan aku akan berdoa kepada-Mu. Aku akan menunaikan janjiku kepada TUHAN di hadapan semua umat-Nya, di halaman Rumah TUHAN, di kota Yerusalem. Pujilah TUHAN! Pujilah TUHAN, hai semua bangsa! Pujilah Dia, hai segenap manusia! Kasih-Nya kepada kita sungguh besar, kesetiaan-Nya kekal selama-lamanya! Pujilah TUHAN! Bersyukurlah kepada TUHAN kerana Dia baik, dan kasih-Nya kekal abadi. Hendaklah umat Israel berkata, “Kasih-Nya kekal abadi.” Hendaklah imam-imam Allah berkata, “Kasih-Nya kekal abadi.” Hendaklah semua orang yang menyembah Dia berkata, “Kasih-Nya kekal abadi.” Dalam kesukaran, aku berseru kepada TUHAN; Dia mengabulkan doaku dan membebaskan aku. Aku tidak takut kerana TUHAN menyertai aku; apakah yang dapat dilakukan manusia terhadap aku? TUHAN itulah yang menolong aku, aku akan melihat musuh-musuhku dikalahkan. Lebih baik berlindung kepada TUHAN, daripada mengharapkan manusia. Lebih baik berlindung kepada TUHAN, daripada mengharapkan pemimpin. Banyak musuh mengelilingi aku, tetapi aku membinasakan mereka dengan kuasa TUHAN. Mereka mengepung aku dari segala arah, tetapi aku membinasakan mereka dengan kuasa TUHAN. Mereka menyerbu aku seperti lebah, tetapi mereka terbakar secepat belukar; aku membinasakan mereka dengan kuasa TUHAN. Aku diserang dengan sengit dan hampir dikalahkan, tetapi TUHAN menolong aku. TUHAN menjadikan aku gagah dan perkasa; Dia telah menyelamatkan aku. Dengarlah sorakan kemenangan di dalam khemah umat Allah; “TUHAN melakukan perbuatan perkasa! Kuasa TUHAN memberi kita kemenangan, TUHAN melakukan perbuatan perkasa!” Aku tidak akan mati, tetapi aku akan hidup, untuk menceritakan perbuatan TUHAN. Dia telah menghukum aku dengan berat, tetapi Dia tidak membiarkan aku mati. Bukalah pintu gerbang Rumah TUHAN untukku, supaya aku masuk dan bersyukur kepada TUHAN! Inilah pintu gerbang TUHAN; hanya umat Allah boleh memasukinya. Aku memuji-Mu, TUHAN, kerana Engkau mendengar seruanku, kerana Engkau telah memberi aku kemenangan. Batu yang dibuang pembina-pembina itu telah menjadi batu yang paling utama. Inilah perbuatan TUHAN; sungguh mengagumkan bagi kita! Inilah hari kemenangan TUHAN; marilah kita rayakannya dengan gembira. Kami memohon supaya Engkau menyelamatkan kami, ya TUHAN! Ya TUHAN, berilah kami kejayaan! Semoga Allah memberkati dia yang datang demi nama TUHAN! Dari Rumah TUHAN, kami memberkati kamu semua. TUHAN itu Allah; Dia baik kepada kita. Dengan melambai-lambaikan dahan pokok, mulakanlah perayaan dan berjalanlah mengelilingi mazbah. Engkaulah Allahku, aku bersyukur kepada-Mu; aku akan mengagungkan Engkau. Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana Dia baik, dan kasih-Nya kekal abadi. Berbahagialah orang yang hidup tanpa cela, dan hidup menurut Taurat TUHAN. Berbahagialah mereka yang menurut perintah-Nya, dan mentaati Dia dengan sepenuh hati. Mereka tidak melakukan kejahatan, tetapi hidup menurut kehendak TUHAN. Engkau memberi kami hukum-Mu, ya TUHAN, dan menyuruh kami mematuhinya dengan setia. Semoga aku setia mematuhi peraturan-Mu. Jika aku menumpukan perhatian kepada semua perintah-Mu, aku tidak akan dipermalukan. Ketika aku mempelajari ketetapan-Mu yang adil, aku akan memuji Engkau dengan hati yang murni. Aku akan taat kepada hukum-Mu; janganlah sekali-kali tinggalkan aku! Bagaimanakah seorang pemuda dapat hidup suci? Dia dapat hidup suci dengan mentaati perintah-Mu. Dengan sepenuh hati aku berusaha untuk mentaati Engkau; jangan biarkan aku menyimpang daripada perintah-Mu. Aku menyimpan hukum-Mu dalam hatiku, supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu. Aku memuji Engkau, ya TUHAN; ajarlah aku kehendak-Mu. Aku akan menceritakan segala hukum yang telah Engkau berikan. Aku gemar menurut perintah-Mu, lebih daripada memiliki segala kekayaan. Aku akan mengkaji peraturan-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ajaran-Mu. Aku gemar akan hukum-Mu; aku tidak akan melupakan perintah-Mu. Semoga Engkau murah hati kepadaku, hamba-Mu, supaya aku dapat hidup dan mentaati ajaran-Mu. Bukalah mataku supaya aku dapat melihat ajaran yang mengagumkan dalam Taurat-Mu. Aku tinggal di bumi ini hanya untuk seketika; janganlah sembunyikan perintah-Mu daripadaku. Hatiku sangat rindu untuk mengetahui ketetapan-Mu setiap waktu. Engkau menegur orang yang sombong; terkutuklah orang yang melanggar perintah-Mu. Jangan biarkan aku dicaci dan dihina mereka, kerana aku telah melakukan hukum-Mu. Walaupun para pemerintah berkomplot melawan aku, tetapi aku akan tetap mengkaji ajaran-Mu. Peraturan-Mu menyenangkan hatiku; peraturan-Mu menasihati aku. Aku terbaring di atas debu kerana kalah; pulihkanlah aku menurut janji-Mu. Aku mengaku segala perbuatanku dan Engkau menjawab aku; ajarlah aku kehendak-Mu. Tolonglah aku memahami hukum-Mu, dan aku akan merenungkan ajaran-Mu yang mengagumkan. Jiwaku hancur kerana kesedihan; kuatkanlah aku menurut janji-Mu. Jauhkanlah aku dari jalan yang salah, dan demi kebaikan-Mu, ajarlah aku Taurat-Mu. Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ketetapan-Mu. Aku telah menurut peraturan-Mu, ya TUHAN, jangan biarkan aku dipermalukan. Aku suka mentaati perintah-Mu, kerana Engkau menambahkan pengertianku. Ya TUHAN, ajarlah aku makna hukum-Mu, dan aku akan mentaatinya selalu. Jelaskanlah Taurat-Mu kepadaku supaya aku mematuhinya, dan dengan sepenuh hati melakukannya. Tolonglah aku mematuhi perintah-Mu, kerana perintah-Mu menggembirakan aku. Berilah aku keinginan untuk mentaati hukum-Mu, dan bukan untuk mendapat kekayaan. Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia; berilah aku hidup menurut kehendak-Mu. Tepatilah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu, janji yang Engkau berikan kepada mereka yang mentaati-Mu. Jauhkanlah aku daripada hinaan yang aku takuti; betapa baiknya ketetapan-Mu. Aku mahu mentaati perintah-Mu; berilah aku hidup baru kerana Engkau adil. Ya TUHAN, tunjukkanlah kasih-Mu kepadaku; selamatkanlah aku menurut janji-Mu. Barulah aku dapat menjawab orang yang mengejek aku, kerana aku mempercayai firman-Mu. Tolonglah aku untuk sentiasa bercakap benar, kerana aku yakin akan ketetapan-Mu. Aku akan sentiasa mentaati Taurat-Mu, untuk selama-lamanya. Maka aku akan hidup dengan bebas, kerana aku berusaha untuk mematuhi ajaran-Mu. Aku akan mengumumkan perintah-Mu kepada raja-raja, dan aku tidak akan dipermalukan. Aku gemar mentaati perintah-Mu, kerana aku mencintai perintah-Mu. Aku menghormati dan mencintai perintah-Mu; aku akan merenungkan peraturan-Mu. Ingatlah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu; janji yang telah memberikan harapan kepadaku. Bahkan dalam kesengsaraan pun aku terhibur, kerana janji-Mu memberi aku hidup. Orang sombong selalu menghina aku, tetapi aku tidak menyimpang daripada Taurat-Mu. Aku ingat akan ketetapan-Mu yang ada sejak dahulu, dan ketetapan-Mu menghiburkan hatiku, ya TUHAN. Aku sangat marah kepada orang jahat apabila mereka melanggar Taurat-Mu. Selama hidupku yang singkat di bumi ini, aku menggubah lagu tentang perintah-Mu. Pada waktu malam aku ingat akan Engkau, ya TUHAN, dan aku memikirkan Taurat-Mu. Aku mendapat kebahagiaan dengan mentaati perintah-Mu. Hanya Engkau yang aku inginkan, ya TUHAN; aku berjanji untuk mematuhi hukum-Mu. Dengan sepenuh hati aku meminta kepada-Mu; kasihanilah aku menurut janji-Mu. Aku telah memikirkan kelakuanku, dan berjanji akan menurut peraturan-Mu. Aku bergegas-gegas dan tidak membuang masa untuk melakukan perintah-Mu. Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melupakan Taurat-Mu. Pada tengah malam aku bangun untuk memuji Engkau, kerana ketetapan-Mu adil. Aku bersahabat dengan semua orang yang taat kepada-Mu, semua orang yang mematuhi hukum-Mu. Ya TUHAN, bumi penuh dengan kasih-Mu yang kekal; ajarlah aku perintah-Mu. Engkau telah menepati janji-Mu, ya TUHAN, dan Engkau baik hati kepadaku, hamba-Mu. Berilah aku kebijaksanaan dan pengetahuan, kerana aku percaya kepada perintah-Mu. Sebelum Engkau menghukum aku, aku sering melanggar perintah-Mu, tetapi kini aku mematuhi firman-Mu. Engkau sungguh baik dan perbuatan-Mu baik; ajarlah aku perintah-Mu. Orang sombong memfitnah aku, tetapi dengan sepenuh hati aku mematuhi peraturan-Mu. Mereka tidak mempunyai pengertian, tetapi Taurat-Mu menyenangkan hatiku. Memang baik Engkau menghukum aku, supaya aku memahami perintah-Mu. Bagiku, Taurat-Mu lebih berharga daripada segala kekayaan di dunia. Engkau mencipta dan membentuk aku; berilah aku pengertian untuk memahami hukum-Mu. Orang yang menghormati Engkau akan bergembira apabila melihat aku, kerana aku percaya kepada janji-Mu. Aku tahu bahawa ketetapan-Mu adil, ya TUHAN, dan Engkau menghukum aku kerana Engkau setia. Semoga kasih-Mu yang kekal menghiburkan aku, menurut janji-Mu kepadaku, hamba-Mu. Kasihanilah aku, lalu aku akan hidup, kerana aku gemar akan Taurat-Mu. Biarlah orang sombong dipermalukan kerana menuduh aku, tetapi aku akan merenungkan peraturan-Mu. Semoga orang yang menghormati Engkau datang kepadaku, semua orang yang mengenal perintah-Mu. Semoga aku mentaati segala perintah-Mu, supaya aku tidak dipermalukan. Ya TUHAN, aku lelah menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku; aku percaya akan janji-Mu. Mataku penat menanti-nantikan apa yang Engkau janjikan, sementara aku bertanya, “Bilakah Engkau akan menolong aku?” Aku seperti kirbat wain yang sudah dibuang, namun aku tidak melupakan perintah-Mu. Sampai bilakah aku mesti menunggu? Bilakah Engkau menghukum mereka yang menganiaya aku? Orang sombong yang tidak mematuhi Taurat-Mu sudah menggali lubang untuk memerangkap aku. Semua perintah-Mu dapat dipercayai; tolonglah aku kerana orang menganiaya aku dengan dusta! Mereka hampir berjaya membunuh aku, tetapi aku tidak mengabaikan perintah-Mu. Semoga Engkau baik hati kepadaku kerana kasih-Mu yang kekal, supaya aku dapat mentaati hukum-Mu. Ya TUHAN, firman-Mu kekal selama-lamanya; firman-Mu kekal abadi di syurga. Engkau tetap setia selama-lamanya, Engkau telah menempatkan bumi, dan bumi tetap ada. Demi perintah-Mu segala sesuatu tetap ada sampai sekarang, kerana semuanya hamba-Mu. Sekiranya Taurat-Mu bukan sumber kegembiraanku, pasti aku sudah mati kerana kesengsaraanku. Aku tidak sekali-kali akan melalaikan peraturan-Mu, kerana dengan peraturan itu Engkau memelihara nyawaku. Selamatkanlah aku kerana aku kepunyaan-Mu; aku telah berusaha untuk mentaati perintah-Mu. Orang jahat tertunggu-tunggu hendak membunuh aku, tetapi aku akan merenungkan hukum-Mu. Aku sedar bahawa segala-galanya mempunyai batas; hanya perintah-Mu yang sempurna. Aku sangat mencintai Taurat-Mu! Aku merenungkannya sepanjang hari. Perintah-Mu selalu bersama-sama aku, dan menjadikan aku lebih bijak daripada semua musuhku. Pengertianku melebihi pengertian semua guruku, kerana aku merenungkan peraturan-Mu. Aku lebih bijak daripada orang tua, kerana aku mentaati perintah-Mu. Aku mengelakkan segala kelakuan jahat, kerana aku mahu mematuhi firman-Mu. Aku tidak melalaikan peraturan-Mu, kerana Engkaulah yang mengajar aku. Betapa manisnya peraturan-Mu; lebih manis daripada madu! Aku mendapat kebijaksanaan daripada hukum-Mu, oleh itu aku membenci segala kelakuan buruk. Firman-Mu itu pelita yang memimpin aku, dan cahaya yang menerangi jalanku. Aku akan menepati janji yang aku buat dengan sumpah, untuk mentaati peraturan-Mu yang adil. Penderitaanku sungguh berat, ya TUHAN; selamatkanlah nyawaku menurut janji-Mu. Terimalah doa kesyukuranku, ya TUHAN, dan ajarlah aku perintah-Mu. Aku selalu sedia mempertaruhkan nyawaku; aku tidak melupakan Taurat-Mu. Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melanggar perintah-Mu. Perintah-Mu adalah pusakaku selama-lamanya; perintah-Mu adalah kesukaan hatiku. Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati hukum-Mu sehingga akhir hidupku. Aku membenci orang yang tidak setia kepada-Mu dengan sepenuh hati, tetapi aku mencintai Taurat-Mu. Engkaulah pembelaku dan pelindungku; aku berharap kepada janji-Mu. Hai orang jahat, pergilah daripadaku. Aku akan mematuhi perintah Allahku. Kuatkanlah aku menurut janji-Mu, agar aku hidup; jangan biarkan aku dikecewakan dalam harapanku! Bantulah aku, lalu aku akan selamat, dan aku akan sentiasa memperhatikan perintah-Mu. Engkau menolak semua orang yang tidak mematuhi hukum-Mu; muslihat mereka sia-sia belaka. Engkau menganggap semua orang jahat seperti sampah; oleh itu aku mencintai peraturan-Mu. Aku gementar kerana takut kepada-Mu, dan aku gentar kerana ketetapan-Mu. Aku telah melakukan perkara yang adil dan benar; jangan serahkan aku kepada musuh-musuhku! Berjanjilah bahawa Engkau akan menolong hamba-Mu; jangan biarkan orang sombong menindas aku! Mataku penat menantikan Engkau datang untuk menyelamatkan aku, dan untuk membebaskan aku, menurut janji-Mu. Perlakukanlah aku sesuai dengan kasih-Mu, dan ajarlah aku perintah-Mu. Aku ini hamba-Mu, berilah aku pengertian, supaya aku memahami ajaran-Mu. Inilah masanya Engkau bertindak, ya TUHAN, kerana orang melanggar Taurat-Mu. Aku mencintai perintah-Mu lebih daripada emas, lebih daripada emas murni. Oleh itu aku mengikut segala peraturan-Mu; aku benci akan segala perbuatan yang salah. Ajaran-Mu sungguh mengagumkan; aku mentaatinya dengan sepenuh hati. Penjelasan ajaran-Mu memberikan cahaya, memberikan pengertian kepada orang jahil. Aku haus akan perintah-Mu, aku sangat menginginkannya. Berpalinglah kepadaku dan kasihanilah aku seperti Engkau sentiasa mengasihani orang yang mengasihi-Mu. Menurut janji-Mu, jangan biarkan aku jatuh; jangan biarkan kejahatan menguasai aku. Selamatkanlah aku daripada orang yang menindas aku, supaya aku dapat mentaati perintah-Mu. Berkatilah aku dengan hadirat-Mu, dan ajarlah aku hukum-Mu. Air mataku mengalir seperti sungai, kerana orang tidak taat kepada Taurat-Mu. Engkau adil, ya TUHAN, dan hukum-Mu adil. Peraturan yang Engkau berikan semuanya adil dan benar. Kemarahan membara dalam diriku kerana musuhku melanggar perintah-Mu. Janji-Mu dapat dipercayai, aku sangat mencintainya. Aku ini tidak penting dan aku terhina, tetapi aku tidak melalaikan ajaran-Mu. Keadilan-Mu kekal selama-lamanya, dan Taurat-Mu tetap benar. Kesusahan dan kekhuatiran menimpa aku, tetapi perintah-Mu menggembirakan hatiku. Peraturan-Mu selalu adil; berilah aku pengertian supaya aku hidup. Dengan sepenuh hati, aku berseru kepada-Mu; kabulkanlah doaku, ya TUHAN; aku akan taat kepada perintah-Mu. Aku berseru kepada-Mu; selamatkanlah aku; aku mahu mematuhi hukum-Mu. Sebelum fajar aku berseru kepada-Mu minta tolong, aku berharap kepada janji-Mu. Sepanjang malam aku tidak tidur, kerana merenungkan peraturan-Mu. Demi kasih-Mu yang kekal, ya TUHAN, dengarlah aku; kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku. Penganiayaku yang kejam sudah dekat; mereka tidak pernah mematuhi Taurat-Mu. Tetapi Engkau dekat kepadaku, ya TUHAN, dan segala perintah-Mu itu benar. Sejak dahulu aku tahu akan peraturan-Mu, yang Engkau kekalkan selama-lamanya. Lihatlah penderitaanku dan selamatkanlah aku, kerana aku tidak mengabaikan Taurat-Mu. Belalah perkaraku dan bebaskanlah aku; selamatkanlah aku menurut janji-Mu. Orang jahat tidak akan diselamatkan, kerana mereka tidak mematuhi hukum-Mu. Sungguh besar belas kasihan-Mu, ya TUHAN; kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku. Banyak orang memusuhi dan menindas aku, tetapi aku tidak pernah mengabaikan hukum-Mu. Aku benci melihat pengkhianat-pengkhianat itu, kerana mereka tidak mematuhi perintah-Mu. Lihatlah, aku sangat mencintai peraturan-Mu, ya TUHAN. Selamatkanlah aku, kerana kasih-Mu. Segala firman-Mu benar, dan semua ketetapan-Mu yang adil itu abadi. Orang berkuasa menyerang aku tanpa alasan, tetapi hanya Taurat-Mu yang aku takuti. Janji-Mu membahagiakan aku, seperti orang yang menemukan harta. Aku sangat membenci segala dusta, tetapi aku mencintai Taurat-Mu. Aku terus-menerus bersyukur kepada-Mu bagi ketetapan-Mu yang adil. Orang yang mencintai Taurat-Mu mendapat kesejahteraan; mereka tidak akan ditimpa malapetaka. Aku menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku, ya TUHAN, dan aku melakukan segala perintah-Mu. Aku mentaati ajaran-Mu, dan mencintainya dengan segenap hati. Aku mematuhi perintah dan peraturan-Mu, kerana Engkau melihat segala perbuatanku. Semoga seruanku minta tolong sampai kepada-Mu, ya TUHAN! Berilah aku pengertian seperti yang telah Engkau janjikan. Dengarkanlah doaku, dan selamatkanlah aku menurut janji-Mu. Aku akan memuji Engkau selalu, kerana Engkau mengajar aku hukum-Mu. Aku akan menyanyi tentang Taurat-Mu, kerana perintah-Mu adil. Semoga Engkau selalu bersedia menolong aku, kerana aku mahu mengikut perintah-Mu. Ya TUHAN, aku berharap supaya diselamatkan oleh-Mu, Taurat-Mu menggembirakan hatiku. Semoga aku hidup supaya aku dapat memuji Engkau; semoga peraturan-Mu menolong aku. Aku merayau seperti domba yang sesat; oleh itu datanglah untuk mencari hamba-Mu, kerana aku tidak mengabaikan hukum-Mu. Lagu ziarah. Dalam kesusahanku, aku berseru kepada TUHAN, dan Dia mengabulkan doaku. Ya TUHAN, selamatkanlah aku, daripada pendusta dan penipu. Hai pendusta, apakah yang akan dilakukan Allah kepada kamu? Dengan apakah Dia akan menghukum kamu? Dia akan menghukum kamu dengan anak panah tajam seorang askar, dan dengan bara api yang menyala-nyala! Hidup di kalangan kamu sangat celaka, sama seperti hidup di Mesekh, atau di kalangan orang Kedar! Aku sudah hidup terlalu lama dengan orang yang membenci kedamaian. Apabila aku bercakap tentang kedamaian, mereka menghendaki peperangan. Lagu ziarah. Aku memandang ke arah pergunungan; dari manakah datangnya pertolonganku? Pertolonganku datang daripada TUHAN, yang menjadikan langit dan bumi. Dia tidak akan membiarkan kamu jatuh; pelindungmu tidak akan tidur. Pelindung umat Israel tidak pernah terlelap ataupun tertidur. TUHAN akan menjaga kamu; Dia di sisimu untuk melindungi kamu. Pada waktu siang matahari tidak akan menyakiti kamu; pada waktu malam bulan tidak akan mencederakan kamu. TUHAN akan melindungi kamu daripada segala bahaya; Dia menjaga kamu supaya hidupmu selamat. TUHAN akan melindungi kamu ketika kamu pergi dan balik, dari sekarang hingga selama-lamanya. Lagu ziarah oleh Daud. Aku gembira apabila orang berkata kepadaku, “Marilah kita pergi ke rumah TUHAN.” Sekarang kita sudah tiba di pintu gerbang Yerusalem. Yerusalem dibina sebagai kota, yang tersusun rapi dan indah. Ke sinilah suku-suku datang, suku-suku milik TUHAN, untuk bersyukur kepada TUHAN, menurut perintah-Nya. Di sinilah raja-raja Israel memerintah rakyat dengan adil. Berdoalah bagi kesejahteraan Yerusalem, “Semoga orang yang mencintaimu menjadi makmur. Semoga kesejahteraan terdapat di dalam kawasanmu, dan keamanan di dalam semua istanamu.” Demi kebaikan saudara dan sahabatku, aku berkata kepada Yerusalem, “Sejahteralah engkau!” Demi kebaikan Rumah TUHAN, Allah kita, aku berdoa untuk kemakmuranmu. Lagu ziarah. Aku memandang ke syurga, tempat Engkau bersemayam; aku berdoa kepada-Mu, ya TUHAN. Seperti seorang hamba bergantung kepada tuannya, dan seorang hamba perempuan kepada puannya, demikian juga kami berharap kepada-Mu, ya TUHAN, Allah kami, sehingga Engkau mengasihani kami. Kasihanilah kami, ya TUHAN, kasihanilah kami, kerana kami sudah terlalu banyak dihina. Sudah terlalu lama kami diejek oleh orang kaya, dan dikeji oleh penindas yang sombong. Lagu ziarah oleh Daud. Bagaimanakah keadaannya jika TUHAN tidak memihak kita? Jawablah, hai Israel! “Jika TUHAN tidak memihak kita, ketika musuh menyerang kita, tentu mereka sudah menelan kita hidup-hidup kerana kemarahan mereka menyala-nyala; tentu kita sudah dihanyutkan banjir, dan kita digenangi air; tentu kita sudah mati lemas dalam air yang deras.” Marilah kita bersyukur kepada TUHAN, yang tidak membiarkan musuh membinasakan kita. Kita seperti burung yang lepas dari jerat pemburu; jerat itu sudah dirosakkan dan kita pun bebas! Pertolongan kita datang daripada TUHAN, yang menjadikan langit dan bumi. Lagu ziarah. Orang yang percaya kepada TUHAN adalah seperti Bukit Sion, yang kukuh tidak bergoyang dan bertahan selama-lamanya. Seperti gunung-gunung melindungi Yerusalem, demikianlah TUHAN melindungi umat-Nya, sekarang hingga selama-lamanya. Orang jahat tidak akan terus memerintah negeri umat Allah, supaya orang yang setia kepada Allah tidak ikut berbuat jahat. Ya TUHAN, berbuat baiklah kepada orang baik, kepada orang yang mematuhi peraturan-Mu. Tetapi apabila Engkau menghukum orang jahat, hukumlah juga orang yang tidak percaya kepada-Mu. Sejahteralah Israel! Lagu ziarah. Apabila TUHAN membawa kita balik ke Yerusalem, kita seperti bermimpi! Kita tertawa dan menyanyi kerana gembira! Lalu bangsa-bangsa lain berkata tentang kita, “TUHAN telah melakukan perkara-perkara hebat untuk mereka.” Memang TUHAN telah melakukan perkara-perkara yang hebat untuk kita; itulah sebabnya kita bersukacita! Ya TUHAN, jadikanlah kami makmur semula, seperti sungai kering berair semula pada musim hujan. Semoga orang yang menabur benih sambil menangis, dapat menuai hasilnya sambil bergembira! Orang yang menabur benih sambil mencucurkan air mata, akan pulang membawa hasil tanaman sambil menyanyi dengan gembira. Lagu ziarah oleh Raja Salomo. Jika bukan TUHAN yang mendirikan rumah, sia-sialah usaha orang yang mendirikannya; jika bukan TUHAN yang melindungi kota, sia-sialah usaha orang yang mengawalnya. Sia-sia sahaja bangun pagi-pagi dan tidur larut malam, bekerja keras mencari nafkah, kerana TUHAN memberikan segalanya kepada orang yang dikasihi-Nya, sementara mereka sedang tidur. Anak-anak adalah anugerah TUHAN; mereka adalah berkat-Nya. Anak-anak lelaki yang diperoleh seorang bapa pada waktu mudanya, adalah seperti anak panah di tangan seorang askar. Berbahagialah orang yang mempunyai banyak anak panah yang sedemikian. Dia tidak sekali-kali akan dikalahkan ketika menghadapi musuh di tempat pengadilan. Lagu ziarah. Berbahagialah orang yang taat kepada TUHAN, yang hidup menurut perintah-Nya. Hasil jerih payahmu akan mencukupi keperluanmu; engkau akan berbahagia dan makmur. Isterimu akan menjadi seperti pokok anggur yang subur di dalam rumahmu, dan anak-anakmu umpama pokok zaitun yang muda di sekeliling mejamu. Orang yang taat kepada TUHAN pasti akan diberkati sedemikian. Semoga TUHAN yang di Sion memberkati kamu! Semoga engkau melihat Yerusalem makmur seumur hidupmu! Semoga engkau panjang umur untuk melihat cucu-cucumu! Sejahteralah Israel! Lagu ziarah. Hai Israel, ceritakanlah bagaimana musuhmu menganiaya engkau, sejak engkau masih muda. “Sejak aku masih muda, musuhku menganiaya aku dengan kejam, tetapi mereka tidak dapat membinasakan aku. Mereka melukai belakangku sehingga menjadi seperti tanah yang dibajak. Tetapi TUHAN yang adil telah membebaskan aku daripada perhambaan.” Biarlah setiap orang yang membenci Sion dikalahkan dan dipukul mundur. Biarlah mereka semua menjadi seperti rumput yang tumbuh di bumbung rumah, yang layu sebelum bertambah besar; tiada orang mengumpulkannya, atau mengikatnya menjadi berkas. Orang yang lalu tidak akan berkata, “Semoga kamu diberkati TUHAN! Kami memberkati kamu demi nama TUHAN.” Lagu ziarah. Dari jurang kesusahan, aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN. Ya TUHAN, dengarlah rintihanku, dengarlah seruanku minta tolong. Jika Engkau terus mengingat dosa-dosa kami, siapakah yang dapat terlepas daripada hukuman? Tetapi Engkau mengampuni kami, supaya kami hormat dan taat kepada-Mu. Aku menanti-nantikan pertolongan TUHAN, dan berharap kepada firman-Nya. Aku menantikan Tuhan, lebih daripada penjaga malam menantikan subuh, lebih daripada penjaga malam menantikan fajar. Hai Israel, berharaplah kepada TUHAN, kerana Dia tetap mengasihi dan sentiasa bersedia menyelamatkan kamu. Dia akan menyelamatkan umat-Nya Israel daripada segala dosa mereka. Lagu ziarah oleh Daud. Ya TUHAN, aku tidak tinggi hati, aku tidak sombong. Aku tidak mengejar hal-hal yang terlalu besar, atau yang terlalu dalam bagiku. Sebaliknya, aku puas hati dan tenteram. Seperti anak yang tenang di pangkuan ibunya, demikianlah juga hatiku berasa tenang. Hai Israel, berharaplah kepada TUHAN, sekarang sampai selama-lamanya! Lagu ziarah. Ya TUHAN, ingatlah akan Daud, dan segala kesusahan yang ditanggungnya. Ingatlah akan janjinya kepada-Mu, ya TUHAN, dan nazarnya kepada-Mu, Yang Maha Kuat, Allah yang disembah Yakub. Katanya, “Aku tidak akan pulang atau tidur; aku tidak akan berehat atau melelapkan mata, sehingga aku membina rumah bagi TUHAN, tempat kediaman bagi Yang Maha Kuat, Allah yang disembah Yakub.” Kami mendengar tentang Tabut Perjanjian di Betlehem, dan menemuinya di padang Yaar. Kami berkata, “Marilah kita pergi ke Rumah TUHAN; marilah kita sembah Dia di hadapan takhta-Nya.” Datanglah dan tinggallah di Rumah-Mu, ya TUHAN, bersama-sama Tabut Perjanjian, lambang kekuasaan-Mu. Hendaklah imam-imam-Mu sentiasa melakukan apa yang benar; hendaklah umat-Mu bersorak-sorak kerana sukacita. Engkau telah berjanji kepada Daud, hamba-Mu. Ya TUHAN, janganlah tolak raja pilihan-Mu. Engkau telah berjanji dengan sumpah kepada Daud - Engkau tidak akan memungkiri janji ini: “Aku akan melantik salah seorang anakmu menjadi raja, dan dia akan mewarisi takhtamu. Jika anak-anakmu setia kepada perjanjian-Ku, dan kepada perintah yang Aku beri mereka, maka anak-anak mereka juga akan mewarisi takhtamu selama-lamanya.” TUHAN telah memilih Sion; Dia hendak menjadikannya tempat tinggal-Nya. Dia berfirman, “Di sinilah tempat kediaman-Ku selama-lamanya; Aku hendak tinggal di tempat ini. Aku akan memberi Sion segala keperluannya sehingga berlimpah-limpah; Aku akan mengenyangkan penduduknya yang miskin dengan makanan. Imam-imamnya memperlihatkan penyelamatan daripada-Ku, dan rakyatnya akan bersorak-sorak kerana sukacita. Di Sion seorang keturunan Daud akan Aku jadikan raja yang agung; Aku akan mengukuhkan pemerintahan raja pilihan-Ku. Aku akan mempermalukan musuh-musuhnya, tetapi kerajaannya aman dan makmur.” Lagu ziarah oleh Daud. Alangkah baiknya dan indahnya apabila umat Allah hidup dengan rukun! Hal itu seperti minyak yang berharga yang dituangkan ke atas kepala Harun, lalu mengalir ke janggut dan leher jubahnya. Hal itu seperti embun di atas Gunung Hermon, yang turun ke bukit-bukit Sion. Di sanalah, di Sion, TUHAN menurunkan berkat-Nya, iaitu kehidupan yang tidak berkesudahan. Lagu ziarah. Mari, pujilah TUHAN, hai semua hamba TUHAN, yang berbakti di Rumah-Nya pada waktu malam. Tadahlah tangan kamu sambil berdoa di Rumah TUHAN, dan pujilah TUHAN! Semoga TUHAN yang di Sion memberkati kamu, TUHAN yang mencipta langit dan bumi. Pujilah TUHAN! Pujilah nama TUHAN, hai kamu hamba-hamba TUHAN yang beribadat di Rumah TUHAN, di tempat kediaman Allah kita. Pujilah TUHAN kerana Dia baik; pujilah nama-Nya kerana Dia murah hati. Dia memilih Yakub bagi diri-Nya sendiri, dan umat Israel sebagai milik-Nya sendiri. Aku tahu bahawa TUHAN kita agung; Dia lebih agung daripada semua dewa. Dia melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya, di langit mahupun di bumi, di laut mahupun di samudera. Dia mendatangkan awan ribut dari hujung bumi; Dia menjadikan kilat untuk ribut, dan Dia mengeluarkan angin dari tempat simpanan-Nya. Di Mesir Dia membunuh semua anak sulung manusia dan semua anak sulung binatang. Di sana Dia melakukan banyak mukjizat dan hal yang menakjubkan untuk menghukum raja Mesir dan semua pegawainya. Dia memusnahkan banyak bangsa, dan membunuh raja-raja yang berkuasa: Sihon, raja Amori dan Og, raja Basan, dan semua raja di Kanaan. Dia menyerahkan negeri mereka kepada umat-Nya; Dia memberikannya kepada umat-Nya, Israel. Ya TUHAN, Engkau akan sentiasa diisytiharkan sebagai Allah; semua keturunan akan mengingat Engkau. TUHAN akan membela umat-Nya; Dia akan mengasihani hamba-hamba-Nya. Patung berhala bangsa-bangsa dibuat daripada perak dan emas, dan dibentuk oleh tangan manusia. Berhala mempunyai mulut tetapi tidak dapat bercakap, mempunyai mata tetapi tidak dapat melihat, mempunyai telinga tetapi tidak dapat mendengar; berhala pun tidak dapat bernafas. Biarlah semua orang yang membuat berhala dan yang percaya kepadanya, menjadi seperti berhala yang dibuat mereka. Pujilah TUHAN, hai umat Israel; pujilah Dia, hai imam-imam Allah! Pujilah TUHAN, hai orang Lewi; pujilah TUHAN, hai kamu semua yang menyembah Dia! Pujilah TUHAN di Sion, di rumah-Nya di Yerusalem. Pujilah TUHAN! Bersyukurlah kepada TUHAN kerana Dia baik; kasih-Nya kekal abadi. Bersyukurlah kepada Allah Yang Maha Tinggi; kasih-Nya kekal abadi. Bersyukurlah kepada Tuhan Yang Maha Besar; kasih-Nya kekal abadi. Hanya Dia yang melakukan keajaiban besar; kasih-Nya kekal abadi. Dengan kebijaksanaan-Nya Dia menjadikan langit; kasih-Nya kekal abadi. Dia menghamparkan bumi di atas air; kasih-Nya kekal abadi. Dia menjadikan matahari dan bulan; kasih-Nya kekal abadi. Dia menjadikan matahari untuk memerintah siang; kasih-Nya kekal abadi. Dia menjadikan bulan dan bintang untuk memerintah malam; kasih-Nya kekal abadi. Dia membunuh anak lelaki sulung orang Mesir; kasih-Nya kekal abadi. Dia memimpin umat Israel keluar dari Mesir; kasih-Nya kekal abadi. Dia melakukan semuanya dengan tangan yang kuat dan perkasa; kasih-Nya kekal abadi. Dia membelah Laut Gelagah; kasih-Nya kekal abadi. Dia memimpin umat-Nya melalui laut itu; kasih-Nya kekal abadi; tetapi Dia menenggelamkan raja Mesir dan tenteranya; kasih-Nya kekal abadi. Dia memimpin umat-Nya melalui gurun; kasih-Nya kekal abadi. Dia membunuh raja-raja yang berkuasa; kasih-Nya kekal abadi. Dia membunuh raja-raja yang termasyhur; kasih-Nya kekal abadi. Dia membunuh Sihon, raja orang Amori; kasih-Nya kekal abadi. Dia membunuh Og, raja negeri Basan; kasih-Nya kekal abadi. Dia memberikan negeri mereka kepada umat-Nya; kasih-Nya kekal abadi. Dia memberikannya kepada Israel, hamba-Nya; kasih-Nya kekal abadi. Dia tidak melupakan kita apabila kita dikalahkan; kasih-Nya kekal abadi. Dia membebaskan kita daripada musuh-musuh kita; kasih-Nya kekal abadi. Dia memberikan makanan kepada semua makhluk hidup; kasih-Nya kekal abadi. Bersyukurlah kepada Allah penguasa di syurga; kasih-Nya kekal abadi. Di tepi sungai-sungai di Babilonia kita duduk dan meratap, apabila kita terkenang akan Sion. Kita menggantungkan kecapi pada pokok gandarusa di sana, dan tidak memainkannya lagi. Orang yang menawan kita, menyuruh kita menyanyi; mereka menyuruh kita menghiburkan mereka, “Nyanyikanlah lagu tentang Sion untuk kami,” kata mereka. Bagaimanakah kita dapat menyanyikan lagu TUHAN di negeri asing? Biarlah aku tidak dapat memainkan kecapi lagi, jika aku melupakan engkau, hai Yerusalem! Biarlah aku tidak dapat menyanyi lagi, jika aku tidak mengingati engkau, dan tidak menjadikan engkau punca kegembiraanku. Ingatlah, ya TUHAN, apa yang dilakukan orang Edom, pada waktu Yerusalem ditawan. Ingatlah bagaimana mereka berkata, “Robohkanlah Yerusalem sampai musnah sama sekali!” Hai orang Babel, kamu akan dimusnahkan! Berbahagialah orang yang membalas perbuatan kamu terhadap kami! Berbahagialah orang yang merampas bayi kamu lalu menghempaskan mereka pada batu! Mazmur Daud. Ya TUHAN, aku bersyukur kepada-Mu dengan sepenuh hatiku; aku menyanyikan pujian untuk-Mu di hadapan makhluk-makhluk syurga. Aku menghadap Rumah-Mu yang suci, aku sujud dan memuji nama-Mu kerana Engkau setia dan kasih-Mu kekal, kerana Engkau telah menunjukkan bahawa nama-Mu dan firman-Mu agung. Engkau menjawab apabila aku berseru kepada-Mu; Engkau menguatkan aku sehingga aku berani. Semua raja di dunia akan memuji Engkau, ya TUHAN, kerana mereka telah mendengar janji-janji-Mu. Mereka akan menyanyi tentang perbuatan-Mu, dan tentang kemuliaan-Mu yang besar. Walaupun Engkau begitu agung, Engkau memperhatikan orang yang hina, dan orang sombong tidak dapat bersembunyi daripada-Mu. Ketika aku ditimpa kesusahan, Engkau memelihara aku; Engkau menentang musuhku yang ganas, dan menyelamatkan aku dengan kuasa-Mu. Engkau akan memenuhi segala janji-Mu kepadaku; ya TUHAN, kasih-Mu kekal abadi. Jangan tinggalkan umat yang telah Engkau jadikan. Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Ya TUHAN, Engkau telah menyelami hatiku, dan Engkau mengenal aku. Engkau mengetahui segala perbuatanku; dari jauh Engkau memahami fikiranku. Engkau melihat aku, sama ada aku sedang bekerja ataupun berehat; Engkau mengetahui segala perbuatanku. Bahkan sebelum aku bercakap, Engkau sudah tahu apa yang akan kukatakan. Engkau mengelilingi aku di segala penjuru; Engkau melindungi aku dengan kuasa-Mu. Pengetahuan-Mu tentang diriku sangat dalam; terlalu dalam bagi pengertianku. Ke manakah aku dapat pergi untuk menjauhkan diri daripada-Mu? Ke manakah aku dapat lari dari hadirat-Mu? Jika aku pergi ke syurga, Engkau di sana; jika aku tidur di alam maut, Engkau di sana juga. Jika aku terbang ke ufuk timur, atau tinggal di hujung barat yang paling jauh, di sana juga Engkau akan memimpin aku, dan di sana pun Engkau akan menolong aku. Jika aku minta kegelapan melingkupi aku, ataupun cahaya di sekelilingku menjadi malam, namun bagi-Mu kegelapan itu tidak gelap, dan malam itu cerah seperti siang. Bagi-Mu gelap dan terang sama sahaja. Engkau menciptakan segala bahagian badanku; Engkau membentuk aku di dalam rahim ibuku. Aku memuji Engkau kerana Engkau menciptakan aku dengan baik dan luar biasa. Segala perbuatan-Mu ajaib dan mengagumkan. Aku benar-benar menyedarinya. Ketika tulang-tulangku dijadikan, dan dirangkaikan dengan teliti di dalam rahim ibuku, ketika aku tumbuh di sana secara rahsia, Engkau tahu bahawa aku di sana. Engkau melihat aku semasa aku dalam kandungan ibuku. Jangka masa hidupku sudah ditetapkan dan dicatat di dalam kitab-Mu, bahkan sebelum satu hari pun bermula. Ya Allah, betapa sukarnya fikiran-Mu bagiku, dan betapa banyak jumlahnya. Jika dihitung, bilangannya lebih banyak daripada butir pasir. Ketika aku bangun, aku masih bersama-sama-Mu. Ya Allah, bunuhlah orang jahat, dan jauhkanlah pengganas daripadaku! Mereka memfitnah Engkau; mereka menjahatkan nama-Mu. Ya TUHAN, aku benci akan orang yang membenci Engkau! Aku berasa jijik terhadap orang yang melawan Engkau! Aku membenci mereka dengan sepenuh hati; aku menganggap mereka musuhku. Selidikilah aku, ya Allah, dan selamilah hatiku; ujilah aku dan ketahuilah fikiranku. Periksalah hatiku sama ada terdapat kejahatan dalam diriku, dan pimpinlah aku ke jalan yang abadi. Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Ya TUHAN, selamatkanlah aku daripada orang jahat; jauhkanlah aku daripada pengganas. Mereka sentiasa merancang kejahatan, dan selalu menimbulkan pertengkaran. Lidah mereka bagaikan ular berbisa, dan kata-kata mereka seperti racun ular senduk. Ya TUHAN, lindungilah aku daripada kuasa orang jahat; peliharalah aku daripada pengganas yang merancang untuk menjatuhkan aku. Orang sombong memasang perangkap untukku; mereka merentang jaring untuk menjerat aku, dan memasang jerat di sepanjang jalan untuk menangkap aku. Aku berkata kepada TUHAN, “Engkaulah Allahku.” Dengarlah seruanku minta tolong, ya TUHAN! TUHAN Rajaku, penyelamatku yang kuat, Engkau telah melindungi aku dalam pertempuran. Ya TUHAN, jangan beri orang jahat keinginan mereka; jangan biarkan rancangan mereka berjaya. Jangan biar musuhku menang, tetapi biarlah kata-kata jahat mereka menimpa diri mereka. Biarlah bara api yang menyala-nyala menghujani mereka; biarlah mereka jatuh ke dalam jurang dan tidak dapat keluar lagi. Biarlah mereka yang memfitnah orang lain tidak berjaya; biarlah pengganas ditimpa dan dibinasakan oleh malapetaka. Ya TUHAN, aku tahu Engkau membela perkara orang miskin, dan hak orang yang tertindas. Orang yang taat dan setia kepada-Mu akan memuji Engkau; mereka akan hidup di hadirat-Mu. Mazmur Daud. Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN; tolonglah aku sekarang! Dengarlah aku apabila aku berseru kepada-Mu. Terimalah doaku sebagai kemenyan, dan sambutlah tangan yang aku tadahkan sebagai korban malam. Ya TUHAN, kawallah mulutku, dan jagalah bibirku. Jauhkan aku daripada keinginan berbuat jahat, dan daripada pergaulan dengan orang derhaka. Jangan biarkan aku berpesta dengan mereka. Aku rela menerima hukuman dan teguran daripada orang baik, tetapi aku tidak akan menerima pujian daripada orang jahat kerana aku sentiasa berdoa menentang perbuatan jahat mereka. Apabila pemerintah mereka dicampakkan dari tebing batu, barulah mereka akan mengakui bahawa perkataanku benar. Seperti kayu yang dibelah dan ditetak kecil-kecil, begitulah juga tulang mereka dihamburkan di tepi kubur. Tetapi aku tetap percaya kepada-Mu, ya TUHAN Rajaku; aku mengharapkan perlindungan-Mu; janganlah biarkan aku mati! Lindungilah aku dari perangkap yang dipasang untukku, dari jerat yang dipasang oleh orang jahat. Biarlah mereka jatuh ke dalam perangkap mereka sendiri, sedangkan aku dapat melepaskan diri dan selamat. Sajak Daud, ketika dia berada di dalam gua. Aku berseru kepada TUHAN, aku merayu kepada-Nya meminta bantuan. Aku mengemukakan segala aduanku kepada-Nya; aku memberitahukan segala kesusahanku kepada-Nya. Apabila aku putus asa, Dia tahu apa yang harus aku lakukan. Di jalan yang harus aku tempuh, musuhku telah memasang perangkap untukku. Aku melihat ke sampingku, tiada sesiapa pun yang dapat menolong aku; tiada seorang pun yang melindungi aku. Tiada seorang pun yang mempedulikan aku. Ya TUHAN, aku berseru minta tolong kepada-Mu, Engkaulah pelindungku, Engkau sahaja yang aku perlukan dalam hidup ini. Dengarlah seruanku minta tolong, kerana aku tidak berdaya. Selamatkanlah aku daripada musuhku; mereka terlalu kuat bagiku. Lepaskanlah aku daripada kesusahan, maka dalam perhimpunan umat-Mu, aku akan memuji-Mu, kerana Engkau telah berbuat baik kepadaku. Mazmur Daud. Ya TUHAN, dengarlah doaku, terimalah rayuanku! Engkau baik dan setia, oleh itu jawablah aku! Janganlah hakimi aku, hamba-Mu; tiada seorang pun yang tidak bersalah di hadapan-Mu. Musuhku telah memburu aku, dan mengalahkan aku. Dia memasukkan aku ke dalam penjara yang gelap, dan aku ini seperti orang yang sudah lama mati. Oleh itu aku putus asa, aku tidak berdaya. Aku mengingatkan masa yang lalu; aku memikirkan segala yang telah Engkau lakukan, aku mengenangkan segala perbuatan-Mu. Aku berdoa dengan menghulurkan tangan kepada-Mu; aku memerlukan Engkau seperti tanah kering memerlukan hujan. Jawablah aku segera, ya TUHAN, aku putus harapan. Jangan sembunyikan diri-Mu daripadaku, supaya aku tidak menjadi seperti orang yang sudah turun ke alam maut. Setiap pagi ingatkanlah aku tentang kasih-Mu, kerana aku berharap kepada-Mu. Aku berdoa kepada-Mu; tunjukkanlah aku jalan yang harus aku tempuh. Aku datang hendak berlindung kepada-Mu, ya TUHAN, selamatkanlah aku daripada musuhku. Engkaulah Allahku; ajarlah aku melakukan kehendak-Mu. Berbuat baiklah kepadaku, dan pimpinlah aku ke jalan yang selamat. Selamatkanlah aku, ya TUHAN, menurut firman-Mu; selamatkanlah aku daripada kesusahan kerana Engkau baik. Bunuhlah musuhku kerana Engkau mengasihi aku; binasakanlah semua penindasku, kerana aku ini hamba-Mu. Mazmur Daud. Pujilah TUHAN, pelindungku! Dia melatih aku untuk bertempur, dan mempersiapkan aku untuk berperang. Dialah pelindungku dan pembelaku, tempat aku bernaung dan penyelamatku; aku bergantung kepada-Nya supaya aku selamat. Dia menaklukkan bangsa-bangsa ke bawah kuasaku. Ya TUHAN, apakah manusia sehingga Engkau memperhatikan dia? Dia manusia biasa, namun Engkau mengendahkan dia! Manusia bagaikan hembusan nafas, dan hidupnya berlalu seperti bayangan. Ya TUHAN, bukalah langit dan turunlah; sentuhlah gunung-gunung supaya berasap. Pancarkanlah kilat dan cerai-beraikanlah musuh-Mu; lepaskanlah anak panah-Mu supaya musuh lari. Hulurkanlah tangan-Mu dari syurga, dan selamatkanlah aku dari air yang dalam; selamatkanlah aku daripada kuasa orang asing, yang selalu berdusta dan menipu, dan mengangkat sumpah palsu. Aku akan menyanyikan lagu baru untuk-Mu, ya Allah; aku akan memainkan kecapi dan menyanyi untuk-Mu. Engkau memberikan kemenangan kepada raja-raja, dan menyelamatkan hamba-Mu, Daud. Selamatkanlah aku daripada pedang orang kejam, dan lepaskanlah aku daripada kuasa orang asing, yang selalu berdusta dan menipu, dan mengangkat sumpah palsu. Semoga anak-anak lelaki kita yang masih muda menjadi seperti tumbuh-tumbuhan yang membesar. Semoga anak-anak perempuan kita menjadi seperti tiang cantik yang menyangga sudut-sudut istana. Semoga gudang kita dipenuhi pelbagai hasil bumi. Semoga domba di ladang kita beranak sampai berpuluh-puluh ribu banyaknya. Semoga lembu kita pun membiak, tanpa ada yang hilang ataupun keguguran. Semoga tiada tangisan kesengsaraan yang kedengaran di jalan-jalan kota kita. Berbahagialah bangsa yang sedemikian, berbahagialah umat yang Allah mereka TUHAN! Lagu pujian oleh Daud. Aku akan mengagungkan Engkau, ya Allahku dan Rajaku; aku bersyukur kepada-Mu selama-lamanya. Setiap hari aku akan bersyukur kepada-Mu; aku akan memuji Engkau selama-lamanya. TUHAN agung dan harus dipuji setinggi-tingginya, kebesaran-Nya tidak dapat kita fahami. Perbuatan-Mu akan dipuji orang dari satu generasi ke satu generasi; mereka akan memberitakan perbuatan-Mu yang hebat. Orang akan menceritakan kemuliaan-Mu dan kebesaran-Mu, dan aku akan merenungkan perbuatan-Mu yang mengagumkan. Orang akan mewartakan perbuatan-Mu yang hebat, dan aku akan mengisytiharkan keagungan-Mu. Mereka akan memberitakan segala kebaikan-Mu, dan bernyanyi tentang keadilan-Mu. TUHAN pengasih dan penyayang, Dia panjang sabar dan penuh dengan kasih. Dia baik terhadap setiap orang, dan mengasihani semua ciptaan-Nya. Semua makhluk ciptaan-Mu akan memuji Engkau, ya TUHAN, dan segenap umat-Mu akan bersyukur kepada-Mu. Mereka akan menceritakan kemuliaan pemerintahan-Mu sebagai Raja, dan mengisytiharkan keperkasaan-Mu, supaya semua orang mengetahui perbuatan-Mu yang hebat, dan pemerintahan-Mu yang mulia dan semarak. Pemerintahan-Mu tetap sepanjang masa, dan Engkaulah raja selama-lamanya. TUHAN setia kepada umat-Nya dan menepati janji-Nya; Dia berbelas kasihan dalam segala perbuatan-Nya. Dia menolong orang yang dalam kesusahan; Dia menguatkan orang yang putus harapan. Semua makhluk ciptaan-Mu bergantung kepada-Mu, dan Engkau memberikan semuanya makanan pada waktunya. Engkau memberikan segala keperluan kepada makhluk ciptaan-Mu sehingga tidak berkekurangan. TUHAN adil dalam segala tindakan-Nya, dan berbelas kasihan dalam semua perbuatan-Nya. Dia dekat dengan orang yang berseru kepada-Nya, dan yang memohon kepada-Nya dengan tulus hati. Dia membekalkan keperluan semua orang yang menghormati-Nya; Dia mendengar seruan mereka dan menyelamatkan mereka. Dia melindungi semua orang yang mengasihi Dia, tetapi Dia membinasakan orang yang jahat. Aku akan sentiasa memuji TUHAN; hendaklah semua makhluk ciptaan-Nya memuji nama-Nya yang suci sampai selama-lamanya. Pujilah TUHAN! Pujilah TUHAN, hai jiwaku! Aku akan memuji Dia seumur hidupku; aku akan menyanyi untuk Allahku sepanjang hayatku. Jangan berharap kepada pemerintah manusia, tidak seorang pun dapat menyelamatkan kamu. Apabila mereka mati, mereka kembali ke tanah; pada hari itu segala rancangan mereka musnah. Berbahagialah orang yang ditolong oleh Allah Yakub, dan yang berharap kepada TUHAN, Allahnya; Dialah Allah yang mencipta langit, bumi, dan laut, serta isi semuanya. Dia sentiasa menepati janji-Nya; Dia membela hak orang yang tertindas, dan Dia memberikan makanan kepada orang yang lapar. TUHAN membebaskan orang tawanan, dan mencelikkan mata orang buta. Dia menguatkan orang yang putus harapan; Dia mengasihi umat yang taat kepada-Nya. Dia melindungi orang asing yang tinggal di negeri kita; Dia menolong para balu dan anak yatim, tetapi Dia memusnahkan rancangan orang jahat. TUHAN ialah raja selama-lamanya. Allahmu, hai Sion, akan memerintah sepanjang masa. Pujilah TUHAN! Pujilah TUHAN! Memang baik kita menyanyikan lagu pujian untuk Allah kita; memang elok dan patut kita memuji Dia. TUHAN sedang memulihkan Yerusalem; Dia sedang membawa orang Israel kembali dari pembuangan. Dia menyembuhkan orang yang hancur hati, dan membalut luka mereka. Dia telah menentukan jumlah bintang, dan memberikan nama setiap bintang. Sungguh agung dan perkasa Tuhan kita; kebijaksanaan-Nya tidak terhingga. Dia memberikan kuasa kepada orang yang tertindas, tetapi Dia mengalahkan dan mempermalukan orang jahat. Nyanyikanlah lagu pujian untuk TUHAN, dan mainkanlah kecapi untuk Allah kita. Dia membentangkan awan di langit; Dia menurunkan hujan ke bumi, dan menumbuhkan rumput di bukit. Dia memberikan makanan kepada binatang, dan kepada anak burung gagak yang menciap-ciap. Dia tidak suka akan kuda yang kuat, ataupun askar yang berani; tetapi Dia suka akan orang yang menghormati-Nya, orang yang yakin kepada kasih-Nya yang kekal. Pujilah TUHAN, hai Yerusalem! Pujilah Allahmu, hai Sion! Dia menguatkan pintu gerbangmu; Dia memberkati umatmu. Dia menjaga keamanan negerimu dan memuaskan engkau dengan gandum yang terbaik. Dia memberikan perintah kepada bumi, dan firman-Nya dilaksanakan dengan segera. Dia meliputi tanah dengan salji seperti menghamparkan selimut, Dia menghamburkan embun beku seperti menghamburkan debu. Dia menurunkan hujan batu seperti kerikil; tiada sesiapa pun tahan menghadapi kesejukan itu. Kerana firman-Nya, air batu menjadi cair; Dia meniupkan angin, maka air pun mengalir. Dia memberikan firman-Nya kepada umat-Nya, peraturan dan hukum-Nya kepada Israel. Dia tidak berbuat demikian bagi bangsa lain; mereka tidak mengenal hukum-Nya. Pujilah TUHAN! Pujilah TUHAN! Pujilah TUHAN, hai seisi syurga, hai kamu yang tinggal di tempat tinggi. Pujilah Dia, hai semua malaikat-Nya, pujilah Dia, hai seluruh tentera syurga. Pujilah Dia, hai matahari dan bulan; pujilah Dia, hai bintang-bintang yang gemerlapan. Pujilah Dia, hai langit yang tertinggi, pujilah Dia, hai air yang di atas langit. Biarlah semuanya memuji nama TUHAN; semuanya tercipta oleh perintah-Nya. Dengan perintah-Nya, Dia menentukan tempat semuanya untuk selama-lamanya, dan semua itu harus selalu mentaati ketetapan-Nya. Pujilah TUHAN, hai seisi bumi, hai makhluk raksasa laut dan seluruh samudera raya, hai kilat dan hujan batu, salji dan awan, serta angin ribut yang taat kepada perintah-Nya. Pujilah Dia, hai bukit dan gunung, pokok buah dan hutan, semua binatang yang jinak dan yang liar, yang besar mahupun yang kecil, dan juga burung. Pujilah Dia, hai raja-raja dan semua bangsa, para pemerintah dan penguasa, semua pemudi dan pemuda, orang tua dan orang muda. Hendaklah mereka semua memuji nama TUHAN! Dia lebih agung daripada semua yang lain; Dia lebih berkuasa daripada semua yang di bumi dan di syurga. Dia telah menguatkan umat-Nya, supaya Dia dipuji oleh segenap umat-Nya, umat Israel yang dikasihi-Nya. Pujilah TUHAN! Pujilah TUHAN! Nyanyikanlah lagu baru untuk TUHAN; pujilah Dia dalam perhimpunan umat-Nya yang setia! Bergembiralah, hai orang Israel, kerana Pencipta kamu; bersukacitalah, hai penduduk Sion, kerana Raja kamu! Pujilah nama-Nya dengan tarian; pujilah Dia dengan memainkan kecapi dan tamburin. TUHAN berkenan kepada umat-Nya; Dia memberikan kemenangan kepada orang yang bergantung kepada-Nya. Hendaklah umat Allah bersukacita kerana mereka menang, dan bernyanyi dengan gembira sepanjang malam. Hendaklah mereka memuji Allah dengan bersorak-sorak, sambil memegang pedang yang tajam untuk mengalahkan bangsa-bangsa, dan menghukum rakyat mereka; untuk membelenggu raja-raja dan merantai pemimpin mereka, untuk menghukum bangsa-bangsa menurut perintah Allah. Itulah kemenangan umat Allah. Pujilah TUHAN! Pujilah TUHAN! Pujilah Allah di Rumah-Nya! Pujilah kekuatan-Nya di angkasa-Nya! Pujilah Dia kerana perbuatan-Nya yang perkasa! Pujilah keagungan-Nya! Pujilah Dia dengan trompet! Pujilah Dia dengan gambus dan kecapi! Pujilah Dia dengan tamburin dan tarian! Pujilah Dia dengan kecapi dan seruling! Pujilah Dia dengan simbal kecil yang berdenting! Pujilah Dia dengan simbal besar yang berdentang! Pujilah TUHAN, hai semua makhluk yang hidup! Pujilah TUHAN! Amsal-amsal Raja Salomo raja Israel, iaitu putera Raja Daud. Amsal yang berikut akan menolong kamu mengenal hikmat dan nasihat yang baik, serta memahami ungkapan yang dalam maknanya. Amsal ini mengajar kamu hidup dengan bijaksana, jujur, adil, dan tidak berat sebelah. Amsal ini dapat mengajar orang yang tidak berpengalaman supaya berfikiran tajam, dan mengajar orang muda menjadi pandai dan bijaksana. Amsal ini dapat menambah pengetahuan orang bijaksana dan dapat membimbing orang terpelajar. Dengan demikian mereka dapat memahami makna yang tersirat dalam amsal, kata-kata, dan soalan yang dikemukakan oleh orang bijaksana. Untuk memperoleh pengetahuan, pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada TUHAN. Orang bodoh tidak tahu menghargai hikmat dan tidak mahu belajar. Hai anakku, perhatikanlah kata-kata bapa dan ibumu. Ajaran mereka akan menambah budi pekertimu seperti hiasan kepala dan kalung mempercantik rupamu. Anakku, jika kamu digoda oleh orang berdosa, jangan ikut pujukan mereka. Seandainya mereka berkata, “Marilah kita mencari orang dan membunuh mereka. Marilah kita menyerang orang yang tidak bersalah sekadar untuk bersuka-suka! Sekarang mereka hidup dan sihat, tetapi mereka akan mati apabila kita sudah mengerjakan mereka. Kita akan mendapat dan mengambil segala jenis kekayaan mereka, lalu memenuhi rumah kita dengan barang rampasan! Marilah ikut kami, kita akan berkongsi hasil curian kita!” Anakku, jangan ikut orang yang demikian. Jauhkan dirimu daripada mereka. Mereka tidak sabar lagi untuk melakukan kejahatan. Mereka ingin cepat-cepat membunuh orang. Tiada gunanya memasang jerat di depan mata burung yang hendak ditangkap, tetapi orang jahat seperti itu memasang perangkap bagi diri mereka - perangkap yang akan membinasakan mereka. Orang yang mencari nafkah dengan keganasan akan membayarnya dengan nyawanya sendiri. Dengarlah! Hikmat sedang berseru di jalan raya dan di pasar, memanggil orang dengan suara yang lantang di pintu gerbang dan di mana-mana sahaja orang berkumpul: “Hai orang bodoh! Berapa lama lagi kamu hendak menjadi bodoh? Berapa lama lagi kamu akan mengolok-olokkan pengetahuan? Bilakah kamu mahu belajar? Dengarlah apabila aku menegur ajar kamu. Aku akan menasihatkan kamu, dan membahagikan pengetahuanku kepada kamu. Aku memanggil dan menjemput kamu datang tetapi kamu tidak mahu mendengar. Kamu tidak mempedulikan aku. Kamu mengabaikan semua nasihatku dan tidak mahu menerima tegur ajarku. Oleh itu, apabila kamu susah kelak, aku akan mentertawakan kamu. Aku akan mengejek kamu apabila kamu ditimpa kengerian. Kengerian itu akan datang seperti angin ribut yang membawa bencana, dan kamu akan kesakitan dan menderita. Pada waktu itu kamu akan memanggil aku, tetapi aku tidak akan menjawab. Kamu akan mencari aku di merata-rata tempat, tetapi tidak akan menjumpai aku. Kamu membenci pengetahuan dan tidak mahu taat kepada TUHAN. Kamu tidak pernah mahu menerima nasihatku atau mempedulikan tegur ajarku. Oleh itu, kamu akan menerima nasib yang setimpal dengan kelakuan kamu, dan kamu akan merasai akibat perbuatan kamu. Orang yang kurang pengalaman, mati kerana menolak hikmat. Orang bodoh binasa kerana mengabaikan hikmat. Tetapi sesiapa yang mendengarkan aku akan selamat. Dia hidup dengan aman dan tidak perlu takut.” Hai anakku, terimalah apa yang aku ajarkan dan jangan lupa akan perintahku. Dengarlah apa yang bijaksana dan cubalah memahaminya. Ya, mohonlah dengan bersungguh-sungguh supaya mendapat pengetahuan dan mintalah pengertian. Carilah perkara itu seperti mencari perak dan harta terpendam. Barulah kamu akan tahu maknanya takut kepada TUHAN, dan kamu akan mendapat pengetahuan tentang Allah. TUHANlah yang memberikan hikmat. Pengetahuan dan pengertian berasal daripada-Nya. Dia memberikan pertolongan dan perlindungan kepada orang yang tulus hati dan jujur. Dia melindungi orang yang berlaku adil, dan mengawal orang yang setia kepada-Nya. Jika kamu mendengar nasihatku, kamu akan tahu apa yang benar, adil, dan tidak berat sebelah. Kamu akan tahu apa yang harus kamu buat. Kamu akan menjadi bijaksana, dan pengetahuanmu akan menyukakan hatimu. Pengertian dan kecerdasanmu akan melindungimu, serta mencegah kamu daripada melakukan perbuatan yang salah, dan juga menjauhkan dirimu daripada orang yang bercakap bohong. Orang seperti itu telah meninggalkan cara hidup yang baik, dan mengambil jalan gelap yang penuh dengan dosa. Mereka mendapat keseronokan daripada perbuatan yang salah dan jahat. Mereka tidak dapat diharap dan tidak dapat dipercayai. Kamu akan dapat menolak godaan perempuan jalang yang berusaha untuk memikat kamu dengan kata-kata manis. Perempuan itu tidak setia kepada suaminya, dan telah melupakan janjinya kepada Allah. Jika kamu pergi ke rumahnya, kamu menuju ke arah maut. Pergi ke sana sama seperti pergi ke dunia orang mati. Orang yang melawat perempuan itu tidak pernah kembali ke jalan yang menuju kehidupan. Oleh itu, haruslah kamu ikut teladan orang baik, dan hendaklah kamu hidup menurut kehendak Allah. Orang yang hidup menurut kehendak Allah, iaitu orang yang tulus hati akan hidup di negeri yang dijanjikan Allah. Tetapi orang jahat dan berdosa akan dilempar keluar dari negeri itu oleh Allah, seperti rumput dicabut dari tanah. Hai anakku, jangan lupa akan ajaranku. Ingatlah selalu akan perintahku, supaya panjang umurmu dan makmur hidupmu. Hendaklah kamu tetap percaya dan setia kepada Allah dan sesamamu. Ingatlah dan simpanlah hal itu dalam hatimu. Jika kamu berbuat demikian, Allah dan manusia akan berkenan kepadamu. Percayalah kepada TUHAN dengan sepenuh hatimu. Jangan bergantung kepada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan TUHAN dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu. Jangan anggap dirimu lebih bijaksana daripada yang sebenarnya. Taatlah kepada TUHAN dan jauhilah kejahatan. Perbuatanmu itu akan menjadi seperti ubat yang menyembuhkan luka-lukamu dan menyegarkan badanmu. Hormatilah TUHAN dengan memberi Dia persembahan daripada harta benda dan hasil tanamanmu yang terbaik. Jika kamu berbuat demikian, gudang-gudangmu akan penuh dengan gandum, dan wain kamu akan berlimpah-limpah sehingga tidak cukup tempat untuk menyimpannya. Hai anakku, apabila TUHAN menegur ajar kamu, terimalah tegur ajar itu sebagai amaran dan jangan tolak ajaran-Nya. TUHAN menegur ajar orang yang dikasihi-Nya seperti seorang bapa menegur ajar anak yang disayanginya. Berbahagialah orang yang menjadi bijaksana dan mendapat pengertian. Manfaatnya melebihi keuntungan daripada perak, dan nilainya lebih tinggi daripada emas. Hikmat lebih bernilai daripada batu permata. Semua yang kamu idamkan tidak dapat dibandingkan dengan hikmat! Hikmat memberi kamu umur panjang, dan juga kekayaan serta kehormatan. Hikmat memberi kamu kehidupan yang sejahtera dan sentosa. Orang yang menjadi bijaksana berasa bahagia, dan mendapat hidup yang sejati. TUHAN menciptakan bumi dengan hikmat-Nya; Dia membentangkan langit dengan pengetahuan-Nya. Hikmat-Nya menyebabkan air sungai mengalir, dan awan menurunkan hujan ke bumi. Hai anakku, berpeganglah pada hikmat dan pengertian. Jangan sekali-kali lepaskannya, maka hidupmu akan terpelihara - sejahtera dan bahagia. Kamu akan berjalan dengan selamat; kamu tidak akan tersandung. Kamu akan tidur tanpa berasa takut, dan tidur nyenyak sepanjang malam. Kamu tidak usah khuatir akan bencana yang datang dengan tiba-tiba, seperti bencana angin ribut yang menimpa orang jahat. TUHAN akan menjaga kamu. Dia tidak akan membiarkan kamu dijerat. Seboleh-bolehnya, buatlah kebajikan kepada orang yang memerlukannya. Jangan sekali-kali suruh jiranmu menunggu sehingga esok, jika kamu dapat menolongnya sekarang. Jangan rancang sesuatu yang akan menyusahkan jiranmu; dia tinggal di sebelah rumahmu dan dia mempercayai kamu. Jangan bertengkar tanpa sebab dengan orang yang belum pernah berbuat jahat terhadap kamu. Jangan iri hati terhadap orang ganas dan jangan tiru tingkah laku mereka. TUHAN membenci orang yang berbuat jahat, tetapi Dia akrab dengan orang yang baik. TUHAN mengutuk rumah tangga orang yang jahat, tetapi Dia memberkati rumah tangga orang yang taat kepada-Nya. Dia menghina orang yang tinggi hati, tetapi berkenan kepada orang yang rendah hati. Orang yang bijak akan mendapat kehormatan, tetapi orang yang bodoh akan mendapat malu. Hai anak-anak, dengarlah ajaran bapa kamu. Dengarlah baik-baik, supaya kamu menjadi arif. Hal yang aku ajarkan kepada kamu baik, oleh itu ingatlah ajaranku. Ketika aku masih kanak-kanak, sebagai anak lelaki tunggal, bapaku sentiasa mengajar aku. Katanya, “Ingatlah ajaranku dan jangan lupakannya. Lakukanlah perintahku supaya kamu hidup bahagia. Hendaklah kamu bijak dan cerdas. Jangan lupakan ataupun abaikan nasihatku. Jangan tinggalkan hikmat, maka hikmat akan melindungi kamu; cintailah hikmat, maka hikmat akan menjaga kamu agar kamu selamat. Perkara yang paling mustahak yang harus kamu usahakan adalah mendapat hikmat. Apa pun yang kamu kejar, yang terutama adalah mendapat pengertian. Cintailah hikmat, maka kamu akan ditinggikannya. Peluklah hikmat, maka kamu akan dimuliakannya. Hikmat akan menjadi mahkota kemegahanmu.” Hai anakku, dengarlah kataku. Perhatikanlah baik-baik nasihatku supaya panjang umurmu. Aku sudah mengajar kamu hikmat dan cara hidup yang benar. Jika kamu hidup demikian, kamu tidak akan terhalang ketika berjalan, dan kamu tidak akan tersandung ketika berlari. Hendaklah kamu sentiasa ingat akan ajaran yang telah kamu terima daripadaku. Jagalah ajaran itu baik-baik, kerana dengan ajaran itu hidupmu akan berhasil. Jangan ke tempat orang jahat pergi dan jangan contohi mereka. Jangan taruh perhatian kepada mereka. Jauhilah mereka dan jalanlah terus. Orang jahat tidak dapat tidur sebelum melakukan kejahatan. Mereka tidak mengantuk sebelum mencelakakan orang lain. Kejahatan dan keganasan seolah-olah makanan dan minuman mereka. Kehidupan orang baik bagaikan terbitnya matahari, kian lama kian cerah sehingga hari pun terang. Tetapi kehidupan orang jahat gelap seperti malam. Mereka tersandung dan jatuh, namun tidak dapat melihat apa yang menyebabkannya. Hai anakku, perhatikanlah nasihatku. Dengarlah kata-kataku. Jangan sekali-kali kamu lupakannya. Ingatlah dan simpanlah kata-kataku dalam hatimu. Sesiapa yang memahami nasihatku itu akan hidup dan menjadi sihat. Berhati-hatilah tentang apa yang kamu fikirkan, kerana pemikiranmu menentukan hidupmu. Jangan katakan apa yang tidak benar. Jangan ucapkan dusta dan kata-kata yang menyesatkan orang. Pandanglah ke hadapan dengan keyakinan yang sungguh-sungguh, dan jangan tundukkan kepalamu kerana malu. Buatlah rancanganmu dengan teliti supaya apa sahaja yang kamu lakukan akan berjaya. Jauhkanlah dirimu daripada kejahatan dan hiduplah dengan jujur. Jangan menyimpang sedikit pun dari jalan yang benar. Hai anakku, dengarkanlah aku. Perhatikanlah kebijaksanaanku dan pengertian yang aku ajarkan kepadamu, supaya kamu tahu membawa diri dan bercakap seperti orang yang berpengetahuan. Mulut perempuan jalang semanis madu dan kata-katanya memikat hati, tetapi kemudian yang tertinggal hanya kepahitan dan penderitaan. Dia akan menyeret kamu ke dunia orang mati. Jalan yang ditempuhnya itu menuju maut. Dia tidak tetap pada jalan yang menuju hidup, tetapi menyimpang dari jalan itu tanpa disedarinya. Oleh itu, hai anak-anak dengarkanlah kata-kataku, dan jangan sekali-kali lupakannya. Jauhilah perempuan seperti itu! Bahkan jangan dekati pintunya. Jika kamu tidak menjauhi perempuan itu, kamu akan kehilangan kehormatan, dan ketika kamu masih muda, nyawa kamu akan direnggut oleh orang yang tidak berbelas kasihan. Semua harta kamu akan dirampas oleh orang yang tidak kamu kenal, dan hasil usaha kamu akan dimiliki orang lain. Pada akhir hidup kamu, kamu akan mengerang kerana badan kamu habis dimakan penyakit. Lalu kamu akan berkata, “Mengapakah selama ini aku membenci nasihat? Mengapakah aku tidak mahu ditegur orang? Aku tidak mendengar ajaran guru-guruku. Aku tidak memperhatikan nasihat mereka. Sekarang aku dihina di hadapan orang ramai.” Setialah kepada isterimu dan kasihilah dia sahaja. Tidak ada gunanya mencari kenikmatan pada orang yang bukan isterimu. Kenikmatan itu khas untuk kamu dengan isterimu, bukan dengan orang lain. Oleh itu hendaklah kamu berbahagia dengan isterimu dan bersukacitalah dengan gadis yang kamu kahwini, gadis yang manis dan jelita seperti rusa. Biarlah kecantikannya memikat kamu, dan cintanya menambat hati kamu. Mengapakah kamu tergila-gila kepada perempuan lain, hai anakku? Mengapakah kamu lebih suka meniduri isteri orang? TUHAN nampak segala perbuatanmu. Ke mana sahaja kamu pergi, kamu diawasi-Nya. Dosa orang jahat bagaikan perangkap. Orang itu akan terjerat oleh dosanya sendiri. Dia akan mati kerana tidak dapat menahan nafsu. Kebodohannya akan membawa dia ke kubur. Anakku, jika kamu berjanji menjamin hutang orang lain, maka kamu terikat oleh kata-katamu atau terjerat oleh janjimu sendiri. Kalau begitu anakku, kamu sudah dalam kuasa orang itu. Tetapi inilah caranya kamu dapat melepaskan diri: pergilah segera kepadanya dan mohonlah dia membebaskan kamu. Jangan tidur ataupun rehat sebelum kamu berbuat demikian. Selamatkanlah dirimu daripada perangkap itu seperti burung atau kijang melepaskan diri daripada pemburu. Orang yang malas harus belajar daripada cara hidup semut. Semut tidak mempunyai pemimpin, atau ketua, ataupun penguasa, tetapi semut menyimpan makanan pada musim menuai sebagai persediaan semasa tidak ada makanan. Berapa lamakah orang malas hendak berbaring? Bilakah dia akan bangun? Dia berkata, “Aku hendak tidur sekejap saja. Aku hendak berpangku tangan dan berehat sebentar.” Tetapi sementara dia tidur, dia akan ditimpa kemiskinan yang datang seperti perompak yang bersenjata. Orang yang jahat dan tidak berguna membohong di sana sini. Mereka mengenyitkan mata dan memberikan isyarat untuk menipu kamu, sementara merancang kejahatan dalam fikiran mereka yang sesat. Mereka menimbulkan kekacauan di merata tempat. Kerana perbuatan mereka itu, bencana akan menimpa mereka dengan mengejut, dan mereka akan dihancurkan sama sekali. [16-19] Ada tujuh perkara yang dibenci oleh TUHAN dan tidak dapat dibiarkan-Nya: sikap yang sombong, mulut yang membohong, tangan yang membunuh orang yang tidak bersalah, fikiran yang merancang hal-hal jahat, kaki yang bergegas menuju kejahatan, saksi yang terus-menerus berdusta, dan orang yang menyebabkan perkelahian antara sahabat. *** *** *** Hai anakku, lakukanlah perintah bapamu, dan jangan lupakan ajaran ibumu. Ingatlah dan simpanlah kata-kata mereka dalam hatimu. Ajaran mereka akan memimpin kamu dalam perjalanan, melindungi kamu pada waktu malam, dan menasihati kamu pada waktu siang. Petunjuk mereka bagaikan lampu yang terang, dan teguran mereka menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu. Dengan demikian kamu dijauhkan daripada perempuan jalang dan daripada pujukan isteri orang lain. Jangan kamu tergoda oleh kecantikan mereka, atau terpikat oleh kerlingan mata mereka. Pelacur dapat kamu bayar dengan harga sebuku roti sahaja, tetapi berzina dengan isteri orang lain harus kamu bayar dengan nyawa. Jika kamu memangku api, pakaianmu terbakar. Jika kamu berjalan di atas bara api, kakimu terbakar. Demikian juga bahayanya jika seorang lelaki tidur dengan isteri orang lain. Sesiapa yang melakukan hal itu akan menanggung akibatnya. Orang tidak menghina pencuri yang mencuri makanan kerana lapar; walaupun demikian, jika pencuri itu tertangkap, dia mesti menggantinya tujuh kali ganda dan dia mesti menyerahkan segala miliknya. Tetapi seorang lelaki yang berzina sangat bodoh. Lelaki itu membinasakan dirinya sendiri. Dia akan dihina dan dipukul orang. Dia akan dipermalukan selama-lamanya. Seorang suami paling marah apabila dia cemburu. Dendamnya tidak mengenal batas. Dia tidak mahu menerima ganti rugi; pemberian sebanyak apa pun tidak dapat meredakan kemarahannya. Hai anakku, ingatlah nasihatku, dan jangan lupa akan perintahku. Turutilah perintahku, maka kamu akan hidup. Berhati-hatilah menurut ajaranku sebagaimana kamu berhati-hati menjaga matamu. Peganglah ajaranku setiap masa dan simpanlah dalam hatimu. Perlakukanlah hikmat seperti saudaramu, dan pengertian seperti sahabat karibmu. Hikmat dan pengertian akan menjauhkan dirimu daripada isteri orang lain, dan daripada perempuan yang memikat dengan kata-kata manis. Pada suatu hari aku memandang dari tingkap rumahku, dan aku nampak banyak pemuda yang kurang pengalaman, tetapi khasnya aku memperhatikan seorang yang bodoh antara mereka. Dia sedang lalu di selekoh jalan, dekat rumah seorang perempuan. Dia lalu dekat rumah perempuan itu pada petang hari, ketika sudah mulai gelap. Perempuan itu menemui dia. Perempuan itu berpakaian seperti seorang pelacur dan sedang membuat rancangan. Dia lancang dan tidak tahu malu. Dia sentiasa mundar-mandir di jalan, atau menunggu di selekoh jalan; ada kalanya di jalan raya, ada kalanya pula di pasar. Dia memeluk pemuda itu dan menciumnya. Tanpa malu-malu, perempuan itu berkata, “Aku telah mempersembahkan korban hari ini, dan sekarang aku mempunyai lebihan makanan daripada korban itu. Oleh itu, aku keluar mencari engkau, dan sekarang aku menemui engkau. Aku sudah memasang cadar linen beraneka warna buatan Mesir, pada tempat tidurku. Aku sudah mengharumkannya dengan mur, gaharu, dan kayu manis. Marilah kita bercumbuan dan menikmati asmara sepanjang malam. Suamiku tiada di rumah. Dia telah pergi ke tempat jauh dan membawa banyak wang. Dia tidak akan pulang selama dua minggu.” Demikianlah perempuan itu menggoda pemuda itu dengan pujukan-pujukan yang memikat sehingga tergodalah pemuda itu. Tanpa berfikir, dia mengikut perempuan itu; pemuda itu seperti lembu yang akan disembelih dan seperti rusa yang melompat ke dalam perangkap; sebentar lagi anak panah akan menembusi jantungnya. Pemuda itu seperti burung yang terbang menuju perangkap. Dia tidak sedar bahawa nyawanya terancam. Oleh itu, hai anak-anak, dengarkanlah aku dan perhatikanlah nasihatku. Jangan biarkan perempuan seperti itu memikat hati kamu. Jangan pergi mencari dia, kerana dia telah menghancurkan kehidupan banyak lelaki, dan yang binasa pun tidak terbilang banyaknya. Jika kamu pergi ke rumahnya, kamu menuju ke dunia orang mati. Itulah jalan pintas menuju maut. Dengarlah! Hikmat berseru-seru; kebijaksanaan memperdengarkan suara. Hikmat berdiri di puncak bukit, di tepi jalan, dan juga di simpang jalan. Di pintu masuk ke kota, di pintu gerbang, hikmat berseru, “Hai umat manusia, aku merayu kepada kamu; setiap insan di bumi, perhatikanlah seruanku. Kamu yang kurang matang, matangkan fikiranmu; kamu yang bebal, belajarlah supaya berakal. Dengarlah kata-kataku, kerana semuanya tepat dan berguna. Apa yang aku katakan, betul semuanya, kerana aku membenci dusta. Segala yang aku katakan benar; tiada satu pun yang menyesatkan atau salah. Bagi orang yang berpengertian, semuanya jelas; bagi orang yang berpengetahuan, semuanya terang. Hargailah ajaranku lebih daripada perak; pentingkanlah pengetahuan lebih daripada emas tulen. Akulah Hikmat. Aku lebih berharga daripada permata, dan aku tidak dapat dibandingkan dengan apa pun yang kamu idamkan. Akulah Hikmat; aku mempunyai pengertian, pengetahuan, dan kebijaksanaan. Menghormati TUHAN bererti membenci kejahatan; aku membenci kesombongan dan keangkuhan, tingkah laku jahat dan dusta. Aku memberikan nasihat yang baik, dan pertimbangan yang bijak. Aku berpengetahuan dan aku kuat. Aku membantu raja-raja menjalankan pemerintahan, dan aku menolong para penguasa menegakkan keadilan. Setiap penguasa yang adil memerintah dengan pertolonganku, demikian juga negarawan dan bangsawan. Aku mengasihi orang yang mengasihi aku, sesiapa yang sungguh-sungguh mencari aku akan menemukan aku. Aku dapat memberi kamu kekayaan dan kehormatan, kemakmuran, dan kejayaan. Apa yang kamu terima daripadaku lebih baik daripada emas tulen, lebih baik daripada perak murni. Aku mengambil jalan kejujuran; aku mengikut jalan keadilan. Aku memberikan kekayaan kepada orang yang mengasihi aku, dan aku memenuhi rumah mereka dengan harta. TUHAN mencipta aku pada permulaan karya-Nya, akulah hasil karya-Nya yang pertama, pada zaman dahulu. Akulah yang mula-mula sekali diciptakan, sebelum dunia ini dijadikan. Aku lahir sebelum ada lautan, sebelum ada mata air. Aku lahir sebelum gunung-gunung ditegakkan, sebelum bukit-bukit didirikan, sebelum TUHAN mencipta bumi dan padang-padangnya, bahkan sebelum ada gumpal tanah yang pertama. Aku menyaksikan Dia membentangkan langit, ketika Dia menentukan batas langit, ketika Dia menempatkan awan di langit, ketika Dia membuka mata air di lautan, ketika Dia memerintahkan air laut naik sampai ke batas yang ditentukan-Nya. Aku sudah pun ada ketika dasar bumi diletakkan-Nya. Aku di sisi-Nya seperti seorang jurubina, setiap hari akulah sumber kebahagiaan-Nya, aku sentiasa gembira di hadirat-Nya. Aku gembira dengan bumi-Nya, puas hati dengan umat manusia. Sekarang, dengarlah nasihatku, hai anak-anak. Ikutlah petunjukku supaya kamu bahagia. Terimalah ajaranku dan jadilah bijaksana; jangan abaikannya. Berbahagialah orang yang mendengarkan aku, orang yang duduk di pintu rumahku setiap hari, dan yang menunggu di gerbang kediamanku. Orang yang menemukan aku memperoleh hidup, dia diperkenankan TUHAN. Orang yang tidak menemukan aku, mencelakakan dirinya sendiri, dan sesiapa yang membenci aku, mencintai maut.” Hikmat telah membina rumahnya, dan mendirikan tujuh batang tiang bagi rumah itu. Ia telah menyembelih ternakan untuk jamuan, mencampur wain dengan rempah, serta menyediakan hidangan. Ia menyuruh pelayan perempuannya berseru dari tempat yang tertinggi di kota, “Marilah, hai orang yang kurang pengalaman. Silalah ke mari!” Kepada orang yang bodoh ia berkata, “Marilah makan makananku dan minum wain yang telah kusediakan. Tinggalkanlah kebodohan supaya kamu hidup bahagia. Ikutilah teladan orang berpengertian.” Jika kamu menegur ajar orang yang sombong, kamu akan dihina. Jika kamu menegur ajar orang jahat, kamu akan cedera. Jangan sekali-kali tegur ajar orang yang sombong; mereka akan membenci kamu. Tetapi jika kamu menegur ajar orang bijak, mereka akan menghormati kamu. Apa sahaja yang kamu katakan kepada orang bijak akan membuat orang itu lebih bijaksana. Apa sahaja yang kamu ajarkan kepada orang yang taat kepada Allah akan menambah pengetahuan orang itu. Jika kamu hendak menjadi bijaksana, pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada TUHAN. Jika kamu kenal akan Yang Maha Suci, kamu akan memperoleh pengertian. Hikmat akan menambah usia kamu. Kamu sendiri yang akan beruntung jika kamu mempunyai hikmat. Tetapi jika kamu menolak hikmat, kamu sendiri juga yang akan rugi. Kebodohan bagaikan perempuan yang lancang, bebal, dan tidak tahu malu. Ia duduk di depan pintu rumahnya atau di tempat duduk di kawasan tertinggi di kota, lalu berseru kepada orang yang sedang lalu di situ, “Masuklah ke rumahku, hai kamu yang kurang pengalaman!” Kepada orang bodoh ia berkata, “Minuman yang dicuri lebih manis, dan makan dengan sembunyi-sembunyi lebih enak.” Mangsanya tidak tahu bahawa orang yang masuk ke dalam rumahnya akan mati dan mereka yang telah masuk ke dalam rumahnya, sekarang di dunia orang mati. Inilah kata-kata hikmat Raja Salomo: Anak yang bijaksana menjadi kebanggaan bapanya; anak yang bodoh menyedihkan ibunya. Kekayaan yang diperoleh dengan curang tidak membawa kebaikan, tetapi kejujuran menyelamatkan nyawa. TUHAN tidak akan membiarkan orang baik kelaparan, tetapi Dia menghalang orang jahat mencapai hasrat mereka. Orang malas akan jatuh miskin, tetapi orang rajin akan menjadi kaya. Orang bijak mengumpulkan hasil pada musim menuai; orang yang tidur pada waktu itu mendatangkan malu. Orang baik akan menerima berkat. Orang jahat menyembunyikan kekejaman di balik kata-kata mereka. Orang baik akan sentiasa dikenang, sedangkan orang jahat akan segera dilupakan. Orang bijak suka menerima nasihat. Orang yang merepek akan binasa. Orang jujur akan hidup aman, tetapi orang yang menipu akhirnya akan ketahuan. Orang yang menyembunyikan kebenaran menimbulkan kesusahan, tetapi orang yang menegur ajar dengan terus-terang mendatangkan kesejahteraan. Kata-kata orang baik mendatangkan hidup bahagia, tetapi di balik kata-kata orang jahat tersembunyi kekejaman. Kebencian menimbulkan pertengkaran, tetapi kasih mengampunkan segala kesalahan. Orang cerdik mengucapkan kata-kata bijak, tetapi orang bodoh perlu dihukum. Orang bijak mengumpulkan ilmu, tetapi orang bodoh menimbulkan kekacauan dengan repekan mereka. Kekayaan melindungi orang kaya, tetapi kemiskinan membinasakan orang miskin. Perbuatan baik mendatangkan hidup bahagia, tetapi dosa hanya mengakibatkan lebih banyak dosa. Orang yang menerima teguran akan hidup sejahtera, tetapi orang yang tidak mahu mengakui kesalahannya berada dalam bahaya. Orang yang menyembunyikan kebenciannya ialah pendusta. Orang yang mengumpat ialah orang bebal. Semakin banyak bercakap, semakin besar kemungkinan berdosa. Orang bijak berhati-hati dengan kata-kata mereka. Perkataan orang baik bagaikan perak murni, tetapi buah fikiran orang jahat tidak bererti. Perkataan orang baik merupakan berkat bagi banyak orang, tetapi orang bodoh mati kerana kebodohan mereka. Berkat TUHAN sahajalah yang menjadikan orang kaya. Kerja keras tidak akan menambah kekayaan. Orang bodoh menyukai perbuatan salah; orang bijak menyukai hikmat. Orang baik mendapat keinginan mereka, tetapi orang jahat mendapat apa yang paling ditakuti mereka. Orang jahat lenyap apabila ribut melanda, tetapi orang jujur tetap selamat. Jangan suruh orang malas kerana mereka menyusahkan sahaja seperti gigi ngilu kena cuka atau mata pedih kena asap. Orang yang takut dan hormat kepada TUHAN akan hidup lama; orang jahat akan mati sebelum saatnya. Harapan orang baik menjadikan mereka bahagia, tetapi harapan orang jahat kosong belaka. TUHAN melindungi orang jujur, tetapi Dia membinasakan orang jahat. Orang baik akan tetap hidup selamat, tetapi orang jahat akan kehilangan tanah pusaka. Orang jujur akan berucap dengan bijak, tetapi mulut pendusta akan dibungkamkan. Kata-kata orang baik menyenangkan hati, tetapi kata-kata orang jahat sentiasa menyakitkan hati. TUHAN membenci orang yang menipu dengan timbangan. Dia berkenan kepada orang yang menggunakan timbangan yang tepat. Orang yang sombong akan dipermalukan. Bersikap rendah hati adalah lebih bijaksana. Orang baik dipimpin oleh kejujuran. Orang yang tidak dapat dipercayai dibinasakan oleh kecurangan. Kekayaan tidak bererti apabila orang menghadapi maut, tetapi kejujuran dapat menyelamatkan orang. Hidup orang jujur senang kerana kejujuran mereka, tetapi orang jahat jatuh kerana kejahatan mereka. Orang jujur selamat kerana ketulusan hati mereka; orang yang tidak dapat dipercayai, diperangkap oleh ketamakan mereka. Apabila orang jahat meninggal, harapan mereka pun lenyap; berharap kepada kekayaan sia-sia sahaja. Orang salih terpelihara daripada kesusahan, tetapi orang jahat ditimpa kesusahan. Percakapan orang jahat membinasakan orang; hikmat menyelamatkan orang baik. Seluruh kota bersukacita apabila orang jujur mendapat rezeki; rakyat bersorak-sorai apabila orang jahat mati. Restu orang jujur memakmurkan kota; perkataan orang jahat memusnahkan kota. Menghina orang lain adalah perbuatan bodoh. Orang yang bijak lebih suka berdiam diri. Orang yang mengumpat tidak dapat menyimpan rahsia, tetapi orang yang dapat dipercayai boleh merahsiakan perkara. Bangsa akan jatuh jika tidak ada pemimpin yang bijak, tetapi selamat jika mendapat banyak penasihat. Berjanji membayar hutang orang lain bererti mendatangkan celaka; lebih baik tidak terlibat dalam hal itu. Wanita yang baik budi dihormati orang, tetapi wanita yang tidak berbudi dipermalukan. Orang malas tidak akan mendapat wang; tetapi orang yang bekerja keras akan menjadi kaya. Orang yang baik hati menguntungkan diri; orang yang kejam merugikan diri. Orang jahat tidak mendapat keuntungan yang sebenar, tetapi orang yang berbuat baik mendapat keuntungan sejati. Sesiapa yang bertekad melakukan kebaikan akan hidup bahagia, tetapi sesiapa yang berkeras melakukan kejahatan menuju maut. TUHAN membenci orang yang berhati jahat, tetapi Dia mengasihi orang yang hidup tanpa cela. Orang jahat pasti akan dihukum, tetapi orang baik akan selamat. Kecantikan pada wanita yang tidak berbudi bagaikan cincin emas pada jongor babi. Keinginan orang baik selalu menghasilkan yang baik, tetapi apabila orang jahat mendapat keinginan mereka, semua orang menjadi marah. Ada orang yang suka memberi tetapi masih bertambah kaya. Ada orang yang kedekut, tetapi bertambah miskin pula. Orang yang murah hati akan menjadi makmur. Orang yang suka menolong akan ditolong juga. Orang yang menyorok gandum akan dikutuk, tetapi orang yang menjual gandum akan dipuji. Orang yang bermaksud baik akan dihormati; orang yang mencari kejahatan akan mendapat kejahatan. Orang yang bergantung kepada kekayaan akan jatuh seperti daun kering, tetapi orang salih akan menjadi makmur seperti tanaman subur. Orang yang mendatangkan kesusahan kepada keluarganya, tidak akan memiliki apa-apa. Orang bodoh akan menjadi hamba orang bijak selama-lamanya. Kesalihan memberikan hidup, tetapi keganasan mencabut hidup itu. Jika orang baik menerima balasan di dunia, pastilah orang jahat dan berdosa mendapat hukuman. Orang yang mencintai pengetahuan suka ditegur ajar. Orang yang tidak mahu ditegur ajar itu bodoh. TUHAN berkenan kepada orang baik, tetapi Dia menghukum orang yang merancang kejahatan. Orang tidak akan mendapat keselamatan daripada kejahatan, tetapi orang jujur tetap teguh. Isteri yang baik menjadi kebanggaan dan kebahagiaan suaminya, tetapi isteri yang memalukan suaminya bagaikan penyakit barah yang menjadikan tulang reput. Orang jujur memikirkan hal-hal yang baik, tetapi nasihat orang jahat penuh tipu muslihat. Kata-kata orang jahat dapat membunuh, tetapi kata-kata orang jujur menyelamatkan. Orang jahat akan binasa tanpa meninggalkan keturunan, tetapi orang baik sentiasa mempunyai keturunan. Orang bijak menerima penghargaan; orang bodoh menerima penghinaan. Lebih baik menjadi orang biasa yang mempunyai mata pencarian, daripada berlagak sebagai orang besar tetapi kelaparan. Orang baik memelihara ternakan mereka, tetapi orang jahat menyeksa ternakan mereka. Peladang yang rajin mendapat banyak makanan, tetapi orang yang mengejar hal yang sia-sia itu bodoh. Orang jahat menghendaki kejahatan semata-mata, tetapi orang baik bagaikan pokok yang teguh dan berbuah. Orang jahat dijerat oleh kata-kata mereka sendiri, tetapi orang baik menyelamatkan diri daripada kesukaran. Balasan seseorang bergantung kepada perkataan dan perbuatannya sendiri; dia akan mendapat balasan yang setimpal. Orang bodoh selalu menganggap diri mereka betul, sedangkan orang bijak mendengarkan nasihat. Orang bodoh lekas marah apabila tersinggung, tetapi orang bijak tidak menghiraukan nistaan. Bercakap benar menegakkan keadilan, sedangkan membohong mengakibatkan ketidakadilan. Kata-kata yang pedas melukai hati seperti tikaman pedang, tetapi ucapan yang bijak bagaikan ubat yang menyembuhkan. Dusta tidak tahan lama, tetapi kebenaran kekal selama-lamanya. Orang yang merancang kejahatan penuh dengan tipu daya; orang yang mengamalkan kebajikan akan berbahagia. Orang baik tidak akan ditimpa bencana, tetapi orang jahat selalu ditimpa kesusahan. TUHAN membenci pendusta, tetapi Dia berkenan kepada orang yang menepati janji. Orang bijak tidak menunjukkan pengetahuan mereka, tetapi orang bodoh mengiklankan kebodohan mereka. Kerajinan menjadikan orang berkuasa, tetapi kemalasan menyebabkan orang menjadi hamba. Kekhuatiran menyebabkan orang berdukacita, tetapi kata-kata yang baik menghiburkan hati. Orang baik memimpin sahabatnya, sedangkan orang jahat menyesatkan orang. Orang malas tidak sekali-kali akan mencapai hasrat mereka, tetapi orang rajin memperoleh harta yang banyak. Orang yang mengikut jalan yang benar akan hidup bahagia; orang yang mengikut jalan yang jahat menuju maut. Anak yang bijak menerima tegur ajar bapa, tetapi orang yang sombong tidak mahu menerima tegur ajar. Kata-kata orang baik mendatangkan balasan yang baik, tetapi orang yang penuh dengan muslihat suka akan keganasan. Orang yang berhati-hati dengan kata-katanya, melindungi diri sendiri. Orang yang bercakap sembarangan, membinasakan dirinya. Orang malas yang banyak keinginan, tidak akan mencapainya. Orang rajin akan mendapat apa sahaja yang diingini mereka. Orang jujur membenci dusta, tetapi kata-kata orang jahat memalukan dan membawa aib. Kejujuran melindungi orang yang tidak bersalah, tetapi kejahatan mencelakakan orang yang berdosa. Ada orang berpura-pura kaya, padahal tidak memiliki apa-apa. Ada pula orang berpura-pura miskin, padahal kaya raya. Orang kaya terpaksa menebus nyawa dengan kekayaan, tetapi orang miskin bebas daripada ancaman. Orang salih bagaikan pelita yang terang, tetapi orang jahat bagaikan pelita yang hampir padam. Kesombongan hanya membawa kesusahan; lebih bijak meminta nasihat. Kekayaan yang diperoleh dengan mudah, cepat habis, tetapi harta yang dikumpulkan sedikit demi sedikit akan semakin bertambah. Apabila harapan hancur, hati pun hancur; apabila hasrat tercapai, hati gembira. Orang yang menolak firman Allah akan mencelakakan diri, sebaliknya orang yang taat kepada perintah Allah akan mendapat pahala. Ajaran orang bijak bagaikan sumber kehidupan; apabila ada ancaman, ajaran itu menyelamatkan nyawa. Orang bijak mendapat kehormatan, tetapi orang yang tidak dapat dipercayai menuju kebinasaan. Orang bijak sentiasa berfikir dahulu sebelum bertindak, tetapi orang bodoh mengiklankan kebodohan mereka. Utusan yang tidak bertanggungjawab mendatangkan kesusahan, tetapi utusan yang dapat dipercayai mendatangkan kesejahteraan. Orang yang tidak mahu diajar akan menjadi miskin dan hina, tetapi orang yang mengendahkan nasihat akan dihormati. Alangkah baiknya mendapat apa yang diinginkan! Orang bodoh tidak mahu berpaling daripada kejahatan. Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak; orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka. Kesusahan mengekori orang berdosa, tetapi orang baik menerima kebaikan. Orang baik akan mewariskan hartanya kepada anak cucu, sedangkan harta orang berdosa diwarisi oleh orang yang lurus hati. Tanah kosong dapat menghasilkan banyak makanan untuk orang miskin, tetapi orang yang tidak adil menghalang tanah itu daripada diusahakan. Orang yang tidak memukul anaknya, tidak mengasihi anak itu. Orang yang mengasihi anaknya akan mendisiplinkan anak itu. Orang baik sentiasa cukup makanan, tetapi orang jahat sentiasa kelaparan. Wanita yang bijak membina rumah tangganya, tetapi wanita yang bodoh meruntuhkan rumah tangganya sendiri. Orang yang jujur akan takut dan hormat kepada TUHAN, tetapi orang yang curang menghina Dia. Orang bodoh yang sombong terhukum oleh kata-kata mereka, tetapi kata-kata orang bijak melindungi mereka. Tanpa lembu untuk membajak tanah, gudang menjadi kosong; tetapi dengan kekuatan lembu, gudang menjadi penuh. Saksi yang jujur sentiasa mengatakan yang benar, tetapi saksi yang tidak jujur selalu berdusta. Orang sombong tidak akan menjadi bijak, tetapi orang cerdas belajar dengan mudah. Jauhkanlah diri daripada orang bodoh; mereka tidak dapat mengajarkan apa-apa. Orang yang bijak tahu apa yang harus dilakukannya; orang yang bodoh tertipu oleh kebodohannya sendiri. Orang bodoh tidak peduli sama ada dosa mereka diampunkan atau tidak, tetapi orang baik mahu dosa mereka diampunkan. Suka duka seseorang dirasakannya sendiri; tiada sesiapa dapat ikut merasakannya. Rumah orang baik tetap kukuh, tetapi rumah orang jahat akan roboh. Jalan yang disangka baik itu akhirnya menuju maut. Ketawa mungkin dapat menyembunyikan kesedihan, tetapi apabila kegembiraan berakhir, kesedihan tetap ada. Orang jahat akan menerima akibat kejahatan mereka, tetapi orang baik akan menerima ganjaran untuk kebaikan mereka. Orang bodoh percaya kepada apa-apa sahaja, tetapi orang bijak melangkah dengan hati-hati. Orang bijak berhati-hati dan menjauhi kejahatan, tetapi orang bodoh tidak berhati-hati dan bertindak tanpa berfikir dahulu. Orang yang lekas marah bertindak dengan bodoh; orang bijak sentiasa bersikap tenang. Orang yang tidak berpengetahuan mengalami akibat kebodohan, tetapi orang yang pandai akan bertambah pengetahuan. Orang jahat akan tunduk kepada orang yang lurus hati untuk memohon belas kasihan. Orang miskin tidak disukai bahkan oleh jiran mereka sendiri, tetapi orang kaya mempunyai banyak kawan. Orang yang mengasihani orang miskin akan berbahagia; orang yang menghina orang lain berbuat dosa. Orang yang berbuat baik akan dipercayai dan dihormati, tetapi orang yang berbuat jahat melakukan kesalahan. Setiap usaha menghasilkan keuntungan; bercakap kosong membuat orang jatuh miskin. Orang bijak dipuji kerana kebijaksanaan mereka, tetapi orang bodoh terkenal kerana kebodohan mereka. Saksi yang jujur menyelamatkan orang, tetapi saksi yang berdusta mengkhianati orang. Hormat dan takut kepada TUHAN memberi seseorang serta keluarganya keyakinan dan keselamatan. Jika hendak menjauhkan diri daripada maut, hormatlah dan takutlah kepada TUHAN kerana Dia sumber kehidupan. Kebesaran raja bergantung kepada bilangan rakyatnya; tanpa rakyat, raja bukan apa-apa. Orang yang bertenang itu bijak, tetapi orang yang cepat marah itu bodoh. Hati yang tenang menyihatkan badan, tetapi iri hati bagaikan penyakit barah yang menjadikan tulang reput. Sesiapa yang menindas orang miskin, menghina Pencipta mereka; sesiapa yang baik terhadap orang miskin, menghormati Allah. Orang jahat binasa kerana kejahatan mereka sendiri; orang baik terlindung kerana ketulusan mereka. Hikmat terdapat pada fikiran orang bijak; orang bodoh sama sekali tidak mengenal hikmat. Keadilan meninggikan martabat bangsa, tetapi dosa mendatangkan hinaan kepada bangsa. Raja berkenan kepada pegawai yang cekap tetapi menghukum orang yang gagal menjalankan tugas. Jawapan yang lembut meredakan kemarahan, sedangkan kata-kata yang pedas membangkitkan amarah. Kata-kata orang bijak membuat pengetahuan menarik hati, tetapi kata-kata orang bodoh hanya kebodohan. TUHAN nampak apa yang berlaku di segala tempat; Dia memperhatikan kita, sama ada kita berbuat baik atau jahat. Kata-kata yang baik membangkitkan semangat, tetapi kata-kata yang kesat mematahkan semangat. Orang yang bodoh mengabaikan ajaran bapa; tetapi orang yang bijak menerima tegur ajar. Kekayaan orang baik kekal, tetapi kekayaan orang jahat hilang pada masa kesusahan. Pengetahuan disebarluaskan oleh orang bijak, bukan oleh orang bodoh. TUHAN berkenan apabila orang baik berdoa, tetapi Dia membenci korban yang dipersembahkan oleh orang jahat. TUHAN membenci cara hidup orang derhaka, tetapi Dia mengasihi orang yang berusaha untuk melakukan kehendak-Nya. Orang yang berbuat jahat akan dihukum dengan berat; orang yang tidak mahu menerima tegur ajar akan mati. Jika TUHAN mengetahui segala sesuatu tentang dunia orang mati, pasti Dia juga mengetahui fikiran manusia. Orang yang sombong tidak suka ditegur ajar; dia tidak pernah meminta nasihat daripada orang yang lebih bijak. Hati yang gembira membuat wajah berseri-seri; hati yang sedih mematahkan semangat. Orang yang bijak suka belajar, tetapi orang yang bodoh puas dengan kebodohan. Kehidupan orang miskin sentiasa susah, tetapi orang yang bersukacita sentiasa menikmati hidup. Lebih baik miskin dan takut kepada TUHAN, daripada kaya dan cemas. Lebih baik makan sayur tetapi disertai kasih sayang, daripada makan daging lazat tetapi disertai kebencian. Orang yang cepat marah menimbulkan pertengkaran, tetapi orang yang sabar mendatangkan perdamaian. Orang malas akan selalu mengalami kesusahan, tetapi orang jujur tidak menemui kesukaran. Anak yang bijak menyukakan hati bapanya; anak yang bodoh menghina ibunya. Orang bodoh puas dengan kebodohan, tetapi orang bijak melakukan apa yang betul. Rancangan berjaya jika disertai banyak nasihat; rancangan gagal jika tidak disertai pertimbangan. Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya mendatangkan kegembiraan. Orang bijak mengambil jalan mendaki yang menuju kehidupan, bukan jalan menurun yang menuju maut. TUHAN akan merobohkan rumah orang sombong, tetapi tanah milik seorang balu dilindungi-Nya. TUHAN membenci fikiran yang keji, tetapi berkenan kepada kata-kata yang baik. Orang yang mencari keuntungan dengan cara haram, menghancurkan keluarga mereka. Orang yang tidak makan suap akan berumur panjang. Orang baik berfikir dahulu sebelum menjawab. Orang jahat menjawab tanpa berfikir sehingga mendatangkan kesusahan. TUHAN mendengarkan doa orang baik, tetapi Dia tidak mengendahkan orang jahat. Wajah gembira meriangkan hati, berita baik menyenangkan hati. Orang yang mengendahkan tegur ajar, tergolong orang bijak. Orang yang tidak mahu belajar, tidak menghargai diri mereka. Orang yang menerima tegur ajar, menjadi lebih bijak. Hormat dan takut kepada TUHAN adalah cara memperoleh hikmat. Kehormatan didahului oleh kerendahan hati. Manusia membuat rancangan, tetapi Allah yang memberikan keputusan. Setiap perbuatan orang mungkin baik pada pandangannya sendiri, tetapi TUHAN yang menilai maksud hatinya. Serahkanlah segala usahamu kepada TUHAN, maka rancanganmu akan berjaya. Segala yang dibuat TUHAN ada tujuannya, dan tujuan bagi orang jahat adalah kebinasaan. TUHAN membenci orang sombong; Dia tidak membiarkan mereka terlepas daripada hukuman. Orang yang taat setia kepada Allah akan mendapat pengampunan. Orang yang hormat dan takut kepada TUHAN akan terhindar daripada kejahatan. Apabila kamu menyenangkan hati TUHAN, musuh-musuh dapat kamu jadikan kawan. Lebih baik berpendapatan kecil asalkan halal, daripada berpendapatan besar tetapi haram. Manusia membuat rancangan, tetapi Allah yang menentukan jalan hidup manusia. Raja bertitah dengan kuasa Allah; keputusan raja sentiasa betul. TUHAN menghendaki timbangan dan ukuran yang tepat; jangan berlaku curang ketika berniaga. Raja tidak boleh membiarkan kejahatan, kerana keadilan mengukuhkan kerajaan. Raja suka mendengar apa yang benar; raja berkenan kepada orang yang bercakap jujur. Jika raja murka, mungkin ada orang yang akan dibunuh; orang yang bijak berusaha untuk meredakan kemurkaan raja. Anugerah raja bagaikan awan yang menurunkan hujan pada musim bunga; anugerahnya memberikan hidup sejahtera. Jauh lebih baik mendapat hikmat dan pengetahuan daripada mendapat emas dan perak. Orang baik menjauhi jalan kejahatan; orang yang menjaga cara hidupnya, melindungi dirinya. Kesombongan mengakibatkan kemusnahan, dan keangkuhan mengakibatkan keruntuhan. Lebih baik rendah hati dan miskin, daripada mengikut orang sombong dan menerima bahagian barang rampasan mereka. Orang yang memperhatikan ajaran akan berjaya; orang yang percaya kepada TUHAN akan berbahagia. Orang yang bijak terpuji kerana pengertiannya. Semakin halus perkataannya, semakin dapat menyakinkan orang. Bagi orang yang bijak, hikmat bagaikan sumber hidup bahagia. Tetapi orang yang bodoh diseksa oleh kebodohannya sendiri. Orang yang bijak berfikir dahulu sebelum bercakap; oleh itu kata-katanya meyakinkan. Kata-kata yang lembut bagaikan madu - manis rasanya serta menyihatkan badan. Jalan yang disangka baik itu akhirnya menuju maut. Keinginan untuk makan mendorong seseorang berusaha lebih giat, kerana dia ingin memuaskan seleranya. Orang jahat sentiasa berusaha untuk mencelakakan orang lain; kata-kata mereka jahat seperti api yang membakar. Orang jahat mengumpat; mereka menimbulkan pertengkaran dan menceraikan sahabat akrab. Orang ganas menipu kawan mereka dan membawa mereka ke dalam bahaya. Berhati-hatilah terhadap mereka yang tersenyum dan mengenyitkan mata kepada kamu; mereka mempunyai niat jahat. Orang yang jujur akan dianugerahkan umur panjang; ubannya bagaikan mahkota yang mulia. Lebih baik orang bersabar daripada berkuasa. Lebih baik orang tahu menahan diri daripada menguasai seluruh kota. Manusia membuang undi untuk mengetahui kehendak Allah, tetapi Allah sendiri yang menentukan jawapannya. Lebih baik makan sesuap makanan dengan fikiran yang tenang, daripada makan jamuan besar di rumah yang penuh dengan pertengkaran. Hamba yang bijak akan menguasai anak tuannya yang mendatangkan malu, dan mewarisi sebahagian hartanya. Emas dan perak diuji oleh api, tetapi hati orang diuji oleh TUHAN. Orang jahat menyambut cadangan jahat, dan pembohong suka mendengar kata-kata dusta. Sesiapa yang mentertawakan orang miskin, menghina Allah yang mencipta mereka. Sesiapa yang gembira kerana kemalangan orang lain akan dihukum. Orang tua bangga akan cucu seperti anak bangga akan ibu bapa. Orang berhormat tidak patut berdusta, dan orang bodoh tidak dapat mengatakan yang berfaedah. Ada orang berpendapat bahawa rasuah dapat membuat keajaiban; mereka percaya segalanya terlaksana dengan rasuah. Jika ingin disukai orang, maafkanlah kesalahan yang dilakukan mereka. Membangkit-bangkit kesalahan akan memutuskan persahabatan. Satu kali ditegur ajar lebih bererti bagi orang bijak, daripada seratus kali cambukan pada orang bodoh. Maut datang seperti utusan yang kejam kepada orang jahat yang selalu menimbulkan kekacauan. Lebih baik berjumpa dengan beruang betina yang kehilangan anaknya, daripada berjumpa dengan orang bodoh yang sibuk dengan kebodohannya. Orang yang membalas kebaikan dengan kejahatan, tidak dapat membanteras kejahatan dari rumahnya. Permulaan pertengkaran bagaikan retak pada empangan; cegahlah pertengkaran sebelum bermula. TUHAN membenci perbuatan melepaskan orang jahat dan perbuatan menyalahkan orang yang tidak bersalah. Sia-sia sahaja orang bodoh menghabiskan wang mencari hikmat, kerana dia tidak berakal. Sahabat sentiasa saling mengasihi, dan sanak keluarga saling menanggung kesusahan. Hanya orang yang tidak berakal mahu menanggung hutang orang lain. Orang yang suka akan dosa suka bertengkar. Orang yang selalu bercakap besar mencari kesusahan. Orang yang menipu tidak akan bahagia; orang yang bermulut jahat mendapat celaka. Anak yang melakukan perbuatan bodoh menyusahkan dan menyedihkan hati ibu bapanya. Hati yang gembira menyihatkan badan; hati yang sedih melemahkan semangat. Hakim yang curang menerima rasuah dengan diam-diam dan tidak menjalankan keadilan. Tujuan orang bijak adalah memperoleh hikmat, tetapi tujuan orang bodoh tidak menentu. Anak yang bodoh menyedihkan hati bapanya dan mengesalkan hati ibunya. Tidaklah patut mendenda orang yang tidak bersalah, dan tidaklah adil menghukum orang yang baik. Orang yang berpengetahuan tidak banyak bercakap. Orang yang berpengertian sentiasa tenang. Orang bodoh pun mungkin dianggap bijak dan pandai jika mereka berdiam diri dan menutup mulut. Orang yang menyingkirkan diri daripada orang lain hanya mementingkan diri sendiri; mereka membantah segala pendapat yang baik daripada orang lain. Orang yang bodoh tidak peduli sama ada dia faham atau tidak. Dia hanya ingin mengatakan pendapat sendiri. Dosa dan hinaan sentiasa berdampingan; orang yang tercela akan dipermalukan. Perkataan orang boleh merupakan sumber hikmat, yang dalam seperti laut dan segar seperti air yang mengalir. Tidak baik memihak orang yang jahat, dan menindas orang yang tidak bersalah. Jika orang bodoh menimbulkan pertengkaran, mereka minta dipukul. Apabila orang bodoh bercakap mereka terjerat oleh kata-kata mereka dan membinasakan diri. Umpatan sangat enak rasanya; orang suka menelannya. Orang malas sama jahatnya dengan orang yang suka merosak. TUHAN seperti menara yang kukuh; ke sanalah orang jujur pergi dan mendapat perlindungan. Tetapi orang kaya menyangka bahawa harta yang melindungi mereka seperti tembok tinggi dan kuat di sekeliling kota. Orang yang rendah hati akan dihormati; orang sombong pasti akan binasa. Orang yang menjawab sebelum mendengar, bukan sahaja bodoh tetapi mempermalu diri sendiri. Kemahuan untuk hidup dapat menanggung derita penyakit tetapi jika lenyap kemahuan itu, hilanglah segala harapan. Orang bijak sentiasa sedia dan suka belajar. Hadiah membuka jalan sehingga mudah untuk menemui orang besar. Orang yang pertama berucap di mahkamah selalu nampaknya benar, tetapi kenyataannya akan diuji setelah perkaranya diperiksa. Jika terjadi pertikaian di mahkamah antara dua orang yang berkuasa, buanglah undi untuk menyelesaikannya. Tolong-menolong menguatkan persaudaraan seperti tembok kota yang kukuh, tetapi pertengkaran memutuskan perhubungan. Kata-kata yang diucapkan membawa kesan yang harus dirasakan. Kata-kata yang diucapkan mempunyai kuasa untuk menyelamatkan ataupun membinasakan. Orang harus merasakan kesan kata-kata mereka. Orang yang mendapat isteri, mendapat sesuatu yang baik. Hal ini bermakna TUHAN memperkenan orang itu. Orang miskin memohon dengan sopan, tetapi orang kaya menjawab dengan kasar. Ada sahabat yang tidak setia, ada pula yang lebih karib daripada saudara kandung. Lebih baik menjadi orang miskin tetapi jujur, daripada menjadi orang bodoh yang suka membohong. Keghairahan tanpa pengetahuan tidak baik; orang yang tergesa-gesa akan membuat kesalahan. Ada orang merosakkan hidup kerana kebodohan sendiri, lalu menyalahkan TUHAN pula. Orang kaya sentiasa mendapat kawan baru, tetapi orang miskin ditinggalkan kawan. Orang yang berbohong di mahkamah dan orang yang berdusta pasti dihukum. Setiap orang berusaha untuk mengambil hati orang besar dan mahu bersahabat dengan dermawan. Orang yang miskin tidak disukai oleh saudaranya, apalagi oleh sahabatnya. Bagaimana pun dia berusaha untuk berkawan dengan mereka, dia tidak dapat memikat mereka. Sesiapa mengejar pengetahuan, mengasihi dirinya; sesiapa mengingat apa yang dipelajarinya, akan berjaya. Sesiapa yang membohong di mahkamah tidak akan terlepas daripada hukuman. Dia pasti binasa. Orang bodoh tidak layak hidup dalam kemewahan; hamba tidak patut memerintah penguasa. Orang bijak dapat menahan kemarahan. Mereka dipuji kerana mengampunkan kesalahan orang terhadap mereka. Kemurkaan raja bagaikan ngauman singa, tetapi kebaikannya bagaikan embun yang membasahi tumbuh-tumbuhan. Anak yang bodoh membinasakan bapanya. Isteri yang meleter bagaikan titisan air yang tidak henti-henti. Rumah dan harta boleh diwarisi daripada ibu bapa, tetapi isteri yang bijak ialah kurnia daripada TUHAN. Orang yang sentiasa tidur dan bermalas-malas pasti akan kelaparan. Orang yang mentaati hukum Allah akan berusia panjang. Tetapi orang yang tidak mematuhi perintah-Nya akan mati. Menolong orang miskin sama seperti memberikan pinjaman kepada TUHAN. TUHAN sendiri akan membalasnya. Disiplinkan anak selagi mereka muda. Jika tidak, kamu menyebabkan kehancuran mereka. Biarlah orang yang cepat marah merasakan akibatnya. Jika kamu menolong orang itu satu kali, kamu harus menolongnya lagi. Orang yang suka mendengar nasihat dan mahu belajar akan menjadi bijaksana kelak. Manusia mempunyai banyak rancangan, tetapi hanya kehendak TUHAN akan terlaksana. Ketamakan merupakan keaiban; lebih baik menjadi orang miskin daripada menjadi pembohong. Hormatilah TUHAN, maka kamu akan panjang umur. Kamu akan puas hati dan bebas daripada bahaya. Ada orang begitu malas sehingga tidak mahu makan sendiri. Kalau orang sombong dihukum, orang yang bodoh mendapat pelajaran. Kalau orang yang bijak ditegur, dia menjadi lebih bijak. Hanya anak yang memalukan dan tercela akan menganiaya bapanya dan mengusir ibunya. Hai anakku, jika kamu berhenti belajar, kamu akan segera melupakan segala yang telah kamu pelajari. Jika seseorang telah bertekad memberikan kesaksian palsu, keadilan tidak dijalankan. Orang jahat suka akan kejahatan. Orang bodoh yang sombong pasti kena hukuman. Minuman keras membuat orang mabuk dan merepek. Bodohlah orang yang menjadi mabuk. Takut akan raja yang murka seperti takut akan singa yang mengaum. Orang yang membangkitkan kemurkaan raja hanya membinasakan diri sendiri. Hanya orang bodoh suka bertengkar; sikap yang terpuji adalah menjauhi pertengkaran. Petani yang malas mengerjakan tanah pada musimnya tidak akan mendapat hasil pada musim menuai. Fikiran manusia bagaikan air di perigi yang dalam, tetapi orang yang berpengertian dapat menimbanya. Banyak orang mengaku diri mereka taat setia, tetapi yang betul-betul setia, sukar ditemukan. Berbahagialah anak-anak yang mempunyai bapa yang jujur dan adil. Apabila raja mengadili orang, raja dapat melihat apa yang jahat. Dapatkah orang berkata dengan sungguh-sungguh bahawa hati nurani mereka bersih, dan dosa mereka sudah dihapuskan? TUHAN membenci orang yang menipu dengan timbangan dan ukuran yang tidak tepat. Perbuatan seorang anak dapat menunjukkan kelakuannya; kamu akan tahu sama ada dia baik atau jahat. TUHAN sudah memberi kita mata untuk melihat dan telinga untuk mendengar. Orang yang suka tidur akan jatuh miskin. Orang yang rajin bekerja mendapat banyak makanan. Pembeli sentiasa bersungut bahawa harga barang mahal, tetapi setelah membeli barang itu mereka bercakap besar tentang harga murah yang dibayar mereka. Kata-kata bijak lebih berharga daripada emas atau batu permata. Bodohlah orang yang berjanji menanggung hutang orang lain; miliknya harus diambil sebagai jaminan janjinya. Hasil daripada penipuan mula-mula lazat rasanya, tetapi kemudian terasa seperti pasir belaka. Mintalah nasihat supaya berjaya. Jangan pergi berperang tanpa membuat rancangan. Orang yang mengumpat tidak sekali-kali dapat menyimpan rahsia. Jangan bergaul dengan orang yang suka merepek. Sesiapa yang mengutuk ibu bapanya, hidupnya akan lenyap seperti pelita yang padam di tempat gelap. Kekayaan yang mudah diperoleh, tidak membawa berkat. Jangan balas dendam; percayalah kepada TUHAN dan Dia akan menolong kamu. Neraca dan timbangan yang tidak tepat, dibenci oleh TUHAN. TUHAN telah menentukan jalan hidup manusia; itulah sebabnya manusia tidak dapat memahami jalan hidup mereka. Fikirlah baik-baik sebelum menjanjikan korban kepada Allah supaya kamu tidak menyesal. Raja yang bijak mengetahui siapa yang jahat; raja akan menghukum mereka tanpa belas kasihan. TUHAN memberi kita fikiran dan hati nurani; oleh itu kita tidak dapat berdusta kepada diri kita sendiri. Raja hanya dapat memerintah selama pemerintahannya jujur, tulus, dan adil. Orang muda dikagumi kerana kekuatan, dan orang tua dihormati kerana uban. Kadang kala pengalaman pahit menghapuskan kejahatan dan membersihkan hati manusia. TUHAN menguasai fikiran raja seperti Dia menentukan aliran sungai. Orang menyangka segala perbuatan mereka baik; tetapi ingatlah, TUHAN mengetahui maksud hati manusia. Perbuatan yang baik dan adil lebih menyenangkan hati TUHAN daripada korban yang dipersembahkan. Orang jahat berdosa kerana dikuasai oleh kesombongan dan keangkuhan. Rancangan yang dibuat oleh orang rajin membawa hasil yang berlimpah tetapi tindakan tergesa-gesa mengakibatkan orang kekurangan. Kekayaan yang diperoleh secara tidak jujur, bukan sahaja tidak kekal tetapi pasti akan membawa maut. Orang jahat tidak mahu melakukan perbuatan adil; keganasan mereka akan memusnahkan mereka. Orang yang bersalah menempuh jalan yang berliku-liku; orang yang baik mengikut jalan yang lurus. Tinggal di bumbung rumah lebih baik daripada tinggal di dalam rumah bersama-sama isteri yang suka bertengkar. Orang jahat sentiasa ingin melakukan kejahatan; mereka tidak berbelas kasihan terhadap sesiapa pun. Hukuman bagi orang yang suka mencemuh menjadi pelajaran kepada orang yang bodoh. Orang bijak mendapat pengetahuan apabila diajar. Allah Yang Maha Adil tahu apa yang berlaku di rumah orang jahat dan Dia akan menghukum mereka sehingga binasa. Orang yang tidak mahu mendengarkan keluhan orang miskin, tidak akan diperhatikan apabila dia sendiri minta pertolongan. Pemberian yang diberikan secara diam-diam kepada orang yang marah, akan meredakan kemarahannya. Apabila keadilan dilaksanakan, orang baik bersukacita, tetapi orang jahat ketakutan. Orang yang menyimpang daripada cara hidup yang berbudi akan menemui ajalnya. Orang yang suka berfoya-foya dan menggemari wain serta makanan lazat tidak akan menjadi kaya. Orang jahat akan merasakan penderitaan yang ditimpakan mereka kepada orang baik. Lebih baik tinggal di padang gurun daripada tinggal bersama-sama isteri yang suka bertengkar dan pemarah. Orang bijak tetap kaya dan makmur, tetapi orang bodoh membazirkan harta mereka. Orang yang jujur dan baik hati berusia panjang. Dia akan dihormati dan diperlakukan dengan adil. Seorang bijak dapat merebut kota yang dipertahankan oleh askar-askar perkasa, dan merobohkan tembok kota yang menjadi harapan mereka. Berhati-hatilah ketika bertutur supaya tidak ditimpa kesukaran. Orang yang sombong dan tinggi hati, suka mencela dan kurang ajar. Orang malas tidak mahu bekerja; dia dibunuh oleh keinginannya. Dia hanya memikirkan keinginannya. Sebaliknya, orang yang taat kepada Allah dapat memberi dengan berlimpah-limpah. TUHAN membenci korban yang dipersembahkan orang jahat, lebih-lebih lagi jika korban itu diberikan dengan maksud jahat. Kesaksian pembohong tidak dapat dipercayai, tetapi kesaksian orang yang dapat dipercayai akan diterima. Orang jujur yakin akan diri mereka sendiri, tetapi orang jahat terpaksa berpura-pura. Kepintaran, kecerdasan, dan kebijaksanaan manusia tidak berguna jika TUHAN menentang kita. Orang menyiapkan kuda untuk berperang, tetapi TUHAN yang memberikan kemenangan. Nama baik lebih baik daripada harta yang banyak; dikasihi orang lebih baik daripada diberikan perak dan emas. Orang kaya dan orang miskin mempunyai satu persamaan: TUHAN mencipta kedua-duanya. Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang bodoh membiarkan diri ditimpa malapetaka dan menyesal kemudian. Orang yang hormat dan takut kepada TUHAN, serta merendahkan diri akan mendapat kekayaan, kehormatan, dan usia panjang. Orang yang menyayangi nyawanya harus menjauhkan diri daripada perangkap dan jerat pada jalan yang ditempuh oleh orang jahat. Ajarilah anak cara hidup yang betul, maka sampai tua pun dia akan hidup demikian. Orang miskin dikuasai orang kaya. Orang yang minta pinjam dikuasai orang yang memberi pinjam. Orang yang menabur ketidakadilan akan menuai bencana, dan kuasanya untuk menindas orang lain akan berakhir. Orang yang murah hati dan membahagikan makanan kepada orang miskin akan diberkati TUHAN. Usirlah orang yang suka menghina, barulah tiada pertengkaran, perbantahan, dan caci maki. Orang yang tulus hatinya dan halus pertuturannya akan menjadi sahabat raja. TUHAN memastikan bahawa kebenaran terpelihara dengan membongkar kebohongan pendusta. Orang malas tidak suka keluar dari rumah. Dia berkata bahawa dia akan diterkam singa jika dia keluar. Rayuan perempuan jalang merupakan lubang yang dalam: orang yang dimurkai TUHAN akan jatuh ke dalamnya. Kanak-kanak biasa membuat perkara yang bukan-bukan, tetapi rotan dapat mengajar mereka mengubah kelakuan. Sesiapa yang menindas orang miskin untuk menjadi kaya atau memberikan hadiah kepada orang kaya, pada akhirnya akan melarat. Dengarlah, aku akan mengajar kamu pepatah orang bijak. Kajilah ajaran mereka. Berbahagialah orang yang dapat menghafaz ajaran itu dan mengutipnya apabila diperlukan. Aku hendak kamu percaya kepada TUHAN, itulah sebabnya aku mengajarkannya kepada kamu sekarang. Aku telah menuliskan tiga puluh pepatah yang mengandungi pengetahuan dan nasihat baik, yang akan mengajar kamu apa yang sungguh-sungguh benar. Nanti, jika kamu ditanya, kamu dapat memberikan jawapan yang tepat. Jangan perdaya orang miskin kerana mereka miskin, dan jangan tipu mereka di mahkamah. TUHAN akan membela mereka, dan mencabut nyawa orang yang menindas mereka. Jangan bersahabat dengan orang yang suka marah dan cepat naik darah. Jangan-jangan kamu ikut kelakuan mereka, lalu tidak dapat mengubah kebiasaan itu. Jangan berjanji untuk menanggung hutang orang lain. Jika kamu tidak dapat menjelaskan hutangnya, katil kamu pun akan dirampas. Jangan pindahkan batas tanah yang ditetapkan oleh nenek moyang kamu. Orang yang cekap bekerja akan bertugas untuk raja-raja dan bukan untuk orang biasa. Ketika kamu dijamu oleh seorang pembesar, ingatlah siapa orang itu. Jika kamu sangat berselera, tahanlah selera kamu. Jangan gelojoh kerana makanan lazat yang dihidangkan. Mungkin dia hendak menipu kamu. Berhati-hatilah! Jangan rosakkan kesihatan kamu kerana hendak menjadi kaya. Wang kamu boleh hilang secepat kilat, seolah-olah wang itu bersayap dan terbang ke angkasa seperti burung helang. Jangan makan bersama-sama orang kedekut, atau inginkan makanan lazat yang dihidangkannya. “Makan lagi,” katanya, tetapi tidak begitu maksudnya. Dia bermulut manis tetapi hatinya lain. Kamu akan memuntahkan apa yang kamu telan, dan semua kata-kata manis kamu sia-sia sahaja. Jangan cuba nasihati orang bodoh; mereka tidak akan menghargai nasihat kamu. Jangan pindahkan batas tanah yang lama dan jangan rampas tanah anak yatim piatu. TUHAN, pembela yang kuat, akan membela mereka dan melawan kamu. Perhatikanlah ajaran guru kamu dan belajarlah sebanyak mungkin. Jangan ragu-ragu mendisiplinkan anak. Mereka tidak akan mati walaupun kena rotan. Sebaliknya kamu mungkin menyelamatkan nyawa mereka. Hai anakku, aku gembira jika kamu bijak. Aku bangga jika mendengar kamu mengucapkan kata-kata yang jujur. Jangan iri hati terhadap orang yang berdosa. Hormatlah dan takutlah kepada TUHAN dengan sepenuh hati supaya masa depan kamu terjamin dan harapan kamu tidak hilang. Dengarlah, hai anakku! Jadilah bijaksana dan ikutlah cara hidup yang betul. Jangan bergaul dengan pemabuk atau orang gelojoh, kerana mereka akan jatuh miskin. Jika kamu hanya makan dan tidur, tidak lama lagi kamu akan berpakaian compang-camping. Dengarkanlah nasihat bapamu, kerana tanpa dia, kamu tidak ada. Ketika ibumu tua, tunjukkanlah penghargaanmu kepadanya. Ajaran yang benar, hikmat, pendidikan, dan pengertian - semua itu patut dibeli tetapi terlalu berharga untuk dijual. Seorang bapa akan gembira kalau anaknya berbudi pekerti. Dia berbangga kerana anaknya bijak. Semoga ibu bapamu bangga terhadapmu. Semoga ibu yang melahirkan kamu bersukacita. Hai anakku, perhatikanlah baik-baik dan contohilah hidupku. Pelacur dan isteri yang berzina adalah perangkap yang membawa maut. Mereka menanti kamu seperti penyamun dan menyebabkan banyak lelaki berzina. [29-30] Tahukah kamu apa yang terjadi kepada orang yang terlalu banyak minum wain dan minuman keras yang lain? Orang itu sengsara dan menderita. Dia selalu bertengkar dan bersungut. Matanya merah dan badannya luka-luka, padahal semua itu dapat dihindarinya. *** Jangan biar wain menggoda kamu, walaupun warnanya menarik, dan nampaknya berkilauan di dalam cawan, dan sedap dihirup. Esok pagi kamu akan merasa seperti dipagut ular berbisa. Mata kamu berkunang-kunang, fikiran kamu kacau, dan kamu merepek. Kamu akan merasa seperti mabuk di laut dan terumbang-ambing di atas tiang kapal. Kamu akan berkata, “Aku telah dipukul. Aku telah dipalu! Tetapi aku tidak ingat apa-apa. Mengapakah aku sangat mengantuk? Aku perlu minum lagi!” Jangan iri hati terhadap orang jahat, dan jangan bersahabat dengan mereka. Mereka hanya memikirkan kekejaman dan memperkatakan keganasan. Rumah tangga didirikan di atas asas hikmat dan pengertian. Apabila ada pengetahuan, bilik-biliknya dilengkapi barang-barang yang berharga dan indah. Hikmat lebih baik daripada kekuatan. Sesungguhnya pengetahuan lebih baik daripada kekuatan, kerana kamu harus membuat rancangan dengan baik-baik sebelum kamu berperang. Semakin banyak nasihat yang kamu terima, semakin besar pula harapan kamu untuk menang. Orang bodoh tidak dapat memahami kata-kata hikmat. Mereka tidak dapat berkata apa-apa ketika hal-hal penting dibincangkan. Jika kamu sentiasa merancangkan kejahatan, kamu akan dikenal sebagai pengacau. Cadangan yang difikirkan orang bodoh adalah dosa semata-mata. Orang yang selalu mencela orang lain dibenci oleh orang. Orang yang putus asa pada saat genting, sesungguhnya orang lemah. Jangan ragu-ragu menyelamatkan orang yang sedang dihukum mati dengan tidak adil. Barangkali kamu berkata bahawa hal itu bukan urusan kamu, tetapi Allah tahu dan Dia mengadili kamu menurut maksud hati kamu. Dia mengawasi kamu. Dia tahu dan Dia akan membalas kamu menurut perbuatan kamu. Hai anakku, makanlah madu kerana madu itu baik. Sebagaimana madu daripada sarang lebah itu manis dimakan, begitu juga hikmat baik bagi jiwamu. Jika kamu memperoleh hikmat, masa hadapanmu terjamin dan harapanmu tidak hilang. Jangan seperti orang jahat yang bersepakat merompak orang jujur dan merampas rumah mereka. Walaupun orang jujur jatuh berkali-kali, mereka akan bangun semula. Tetapi orang jahat akan dihancurkan oleh malapetaka. Jangan bersukacita apabila musuhmu kena celaka, dan jangan tertawa apabila dia jatuh. TUHAN pasti tahu jika kamu tertawa dan Dia tidak suka akan perbuatan itu, lalu tidak lagi menghukum musuhmu itu. Jangan jengkel kerana orang jahat; jangan iri hati terhadap mereka. Orang jahat tidak mempunyai masa depan dan tidak mempunyai harapan. Hai anakku, hormatlah dan takutlah kepada TUHAN dan raja. Jangan adakan hubungan dengan orang yang menentang mereka; orang seperti itu boleh dibinasakan dalam seketika. Ingatlah akan bencana yang dapat ditimpakan oleh Allah ataupun raja! Orang bijak juga berkata begini: Seorang hakim tidak boleh bertindak dengan berat sebelah. Jika orang yang bersalah dinyatakannya tidak bersalah, hakim itu akan dikutuk dan dibenci setiap orang. Tetapi hakim yang menjatuhkan hukuman kepada orang yang bersalah, akan berjaya dan menjadi terkenal. Jawapan yang jujur membuktikan persahabatan yang sejati. Jangan bina rumah sebelum ladang kamu siap. Jangan dirikan rumah tangga sebelum kamu sanggup mencari nafkah. Jangan jadi saksi terhadap seseorang tanpa alasan yang patut, atau berdusta tentang dia. Jangan berkata, “Aku akan membalas perbuatannya terhadapku! Aku akan membalas dendamku!” Aku lalu di ladang dan kebun anggur seorang yang malas dan bodoh. Tempat itu penuh dengan belukar dan lalang. Tembok di sekelilingnya sudah roboh. Setelah aku memperhatikan dan merenungkan hal itu, aku mendapat pelajaran ini: Rehatlah dan tidurlah sebentar, dan jangan buat apa-apa; maka kemiskinan akan datang menyerang kamu seperti perompak yang bersenjata. Inilah beberapa kata hikmat lain daripada Raja Salomo yang disalin oleh pegawai-pegawai di istana Raja Hizkia, raja Yehuda. Kita memuliakan Allah kerana apa yang dirahsiakan-Nya. Kita menghormati raja kerana apa yang diterangkan baginda. Kamu tidak dapat menyelami fikiran raja. Fikiran raja lebih tinggi daripada fikiran kita, setinggi langit dan sedalam laut. Bersihkanlah perak daripada sanganya, barulah yang indah dapat dibentuk oleh tukang perak. Jauhkanlah penasihat yang jahat daripada raja, lalu raja akan memerintah dengan adil. Apabila menghadap raja, jangan cuba berlagak seperti orang besar dan berpura-pura pandai. Lebih baik dipersilakan ke tempat yang lebih terhormat daripada disuruh memberikan tempat kamu kepada orang yang lebih berpangkat. Jangan tergesa-gesa membawa perkara ke mahkamah, kerana jika kemudian kamu terbukti salah, apa lagi yang dapat kamu buat? Jika kamu berselisih faham dengan jiran kamu, selesaikanlah perkara itu antara kamu sendiri, dan jangan buka rahsia orang lain. Jika kamu membuka rahsia orang lain, kamu akan dicap sebagai orang yang bocor mulut, dan nama kamu tercemar seumur hidup. Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya bagaikan buah emas di dalam pinggan perak. Amaran yang diberikan oleh orang bijak kepada orang yang suka menerimanya adalah lebih berharga daripada cincin emas atau barang kemas. Utusan yang boleh dipercayai, menyegarkan hati orang yang mengutusnya, seperti air minum yang sejuk pada musim panas. Orang yang tidak menepati janjinya bagaikan awan dan angin yang tidak membawa hujan. Kesabaran yang disertai kata-kata lembut dapat meyakinkan para penguasa dan menghancurkan segala tentangan. Jangan makan madu banyak-banyak, nanti kamu muntah pula. Jangan lawat jiran kamu terlalu sering, nanti dia bosan lalu membenci kamu. Membuat tuduhan palsu bagaikan menyerang dengan pedang, belantan, atau anak panah yang tajam. Mengharapkan seorang yang tidak dapat dipercayai pada masa kesusahan bagaikan menggigit dengan gigi yang goyah atau berjalan dengan kaki yang tempang. Menyanyikan lagu bagi orang yang sedih bagaikan menanggalkan pakaiannya pada hari yang sejuk, atau membubuhkan cuka pada luka. Jika musuh kamu lapar, berilah mereka makan; jika mereka dahaga, berilah mereka minum. Perbuatan kamu akan memalukan mereka, dan TUHAN akan membalas kebaikan kamu. Umpatan pasti mendatangkan kemarahan seperti angin utara pasti membawa hujan. Tinggal di bumbung rumah lebih baik daripada tinggal di dalam rumah bersama-sama isteri yang suka bertengkar. Menerima berita baik dari tempat yang jauh bagaikan minum air sejuk ketika haus. Orang baik yang mengalah kepada orang jahat bagaikan mata air yang dikeruhkan atau perigi yang dicemarkan. Makan madu berlebih-lebih tidak baik; mengharapkan pujian yang berlebih-lebih pun tidak baik. Seorang yang tidak dapat mengawal diri bagaikan kota yang tidak berkubu dan mudah diserang musuh. Sebagaimana salji tidak sepatutnya turun pada musim panas atau hujan pada musim menuai, demikian juga pujian tidak sepatutnya diberikan kepada orang bodoh. Seperti burung terbang dan melayang-layang di udara, begitu juga kutukan tidak boleh kena pada orang yang tidak bersalah. Kuda harus dicambuk, keldai harus dikekang, dan orang bodoh harus dipukul. Orang yang menjawab pertanyaan yang bukan-bukan, menjadi sebodoh orang yang bertanya. Pertanyaan yang bodoh harus diberikan jawapan yang bodoh juga, supaya si penanya sedar bahawa dia tidak sepandai yang disangkanya. Mengutus orang bodoh untuk menyampaikan pesan sama dengan mematahkan kaki sendiri dan mencari kecelakaan. Seperti orang lumpuh tidak dapat menggunakan kaki, demikian juga orang bodoh tidak dapat menggunakan peribahasa. Memuji orang yang bodoh sia-sia sahaja, seperti batu yang diikat pada lastik. Orang bodoh yang cuba mengutip peribahasa bagaikan orang mabuk yang cuba mengeluarkan duri dari tangannya. Sesiapa yang mengupah orang bodoh akan menyusahkan semua orang. Orang bodoh yang mengulangi kebodohan mereka bagaikan anjing yang menjilat semula muntahnya. Sebodoh-bodohnya orang, tidaklah sebodoh orang yang menyangka dirinya bijak, padahal tidak. Orang malas tidak suka keluar dari rumah. Dia berkata bahawa dia akan diterkam oleh singa jika dia keluar. Seperti pintu yang berayun pada engselnya, demikianlah orang malas membalik-balikkan badan di atas tempat tidur. Ada orang yang begitu malas sehingga tidak mahu makan sendiri. Si pemalas menganggap dirinya lebih pandai daripada tujuh orang yang dapat menjawab dengan tepat. Melibatkan diri dalam pertengkaran orang lain bagaikan menangkap anjing pada telinganya. [18-19] Orang yang menipu orang lain, lalu berkata bahawa dia hanya bergurau bagaikan orang gila yang bermain dengan senjata yang berbahaya. *** Tanpa kayu, api padam; tanpa umpatan, pertengkaran pun berhenti. Seperti arang dan kayu membuat api tetap menyala, begitu juga orang yang suka bergaduh menyebabkan pertengkaran. Umpatan sangat enak rasanya; orang suka menelannya. Bagaikan periuk tanah yang disepuh perak, begitulah orang yang bermulut manis tetapi berhati jahat. Si pembenci manis kata-katanya, tetapi hatinya penuh tipu daya. Meskipun dia ramah, jangan percaya kepadanya, kerana hatinya penuh dengan kebencian. Dia mungkin dapat menyembunyikan kebenciannya, tetapi perbuatannya yang jahat itu akan nyata. Orang yang memasang perangkap bagi orang lain akan terjerat oleh perangkapnya sendiri. Orang yang menggulingkan batu akan ditimpa oleh batu itu juga. Membohongi orang sama dengan membencinya. Mulut manis yang tidak tulus mendatangkan kemusnahan. Jangan banggakan hari esok, kerana orang tidak tahu apa yang akan berlaku nanti. Biarlah orang lain memuji kamu - bahkan orang asing pun. Jangan puji diri sendiri. Batu dan pasir masih ringan jika dibandingkan dengan kesusahan yang disebabkan oleh kebodohan. Kemarahan itu kejam serta menghancurkan, tetapi tiada sesiapa dapat menghadapi kecemburuan. Lebih baik teguran yang terus terang daripada kasih yang tidak diungkapkan. Seorang kawan memukul dengan maksud baik, tetapi berwaspadalah apabila seorang musuh mencium kamu. Kalau kenyang, madu pun ditolak; kalau lapar, yang pahit pun terasa enak. Orang yang jauh dari rumah bagaikan burung yang tidak bersarang. Minyak wangi menggembirakan hati, tetapi kesusahan merunsingkan hati. Jangan lupa akan sahabatmu atau sahabat bapamu. Ketika kamu dalam kesusahan, jangan pergi ke rumah saudaramu; jiran yang dekat dapat lebih menolong kamu daripada saudara yang jauh. Hai anakku, hendaklah kamu bijak, supaya aku gembira dan dapat menjawab jika dicela. Orang yang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang bodoh membiarkan diri ditimpa malapetaka dan menyesal kemudian. Bodohlah orang yang berjanji menanggung hutang orang lain; miliknya harus diambil sebagai jaminan janjinya. Salam yang diteriakkan pada pagi-pagi sekali sama dengan kutukan. Isteri yang meleter bagaikan titisan air yang tidak henti-henti pada waktu hujan. Dia tidak dapat disuruh diam, sama seperti angin tidak dapat ditahan, dan minyak tidak dapat digenggam. Sebagaimana besi mengasah besi, demikianlah manusia belajar daripada satu sama lain. Orang yang memelihara pokok ara akan makan buahnya; orang yang melayani tuannya akan dihormati. Seperti air mencerminkan wajah, demikian juga hati orang mencerminkan orang yang sebenarnya. Di dunia orang mati, selalu ada tempat; begitu juga nafsu manusia tidak ada batasnya. Emas dan perak diuji dengan api; orang dinilai menurut sikapnya terhadap pujian. Walaupun orang bodoh dipukul hingga setengah mati, namun kebodohannya tidak lenyap. Peliharalah ternakan kamu baik-baik, kerana kekayaan tidak kekal. Bahkan kuasa untuk memerintah pun tidak tetap selama-lamanya. Kamu memotong rumput dan mengumpulkannya untuk ternakan kamu, tetapi sementara itu rumput yang baru tumbuh. Kamu dapat membuat pakaian daripada bulu domba. Kamu dapat membeli tanah daripada jualan kambing. Kambing yang selebihnya akan menghasilkan susu bagi kamu, keluarga kamu, dan pelayan perempuan. Orang jahat lari walaupun tiada sesiapa yang mengejar mereka, tetapi orang jujur berani seperti singa. Apabila bangsa memberontak, pemerintahnya bertukar-tukar; apabila pemimpin pandai dan bijak, pemerintahannya kuat dan kukuh. Penguasa yang menindas orang miskin bagaikan hujan lebat yang memusnahkan tuaian. Sesiapa yang mengabaikan hukum, memihak orang jahat; sesiapa yang mentaati hukum, memusuhi orang jahat. Orang jahat tidak memahami keadilan; orang yang menyembah TUHAN, sungguh-sungguh memahaminya. Lebih baik miskin dan jujur daripada kaya dan curang. Orang muda yang mentaati hukum adalah bijak. Orang yang bersahabat dengan pemboros memalukan bapanya. Sesiapa yang menjadi kaya dengan mengenakan kadar bunga wang yang tinggi serta memperdaya orang lain, hartanya akan menjadi milik orang yang berbelas kasihan kepada orang miskin. Jika kamu tidak mentaati hukum, doa kamu pun akan menjijikkan. Sesiapa yang menyesatkan orang jujur, akan dijerat oleh perbuatan jahatnya sendiri. Orang yang tidak bersalah akan diberkati sehingga bahagia. Orang kaya sentiasa menganggap diri mereka bijak, tetapi orang miskin yang bijak tahu sifat sebenar orang kaya itu. Apabila orang baik menjadi penguasa, semua orang bersukacita, tetapi jika orang jahat memerintah, semua orang bersembunyi. Sesiapa menyembunyikan dosanya tidak akan berjaya dalam hidupnya. Sesiapa mengakui dan meninggalkan dosanya, akan dikasihani Allah. Berbahagialah orang yang mentaati TUHAN, tetapi orang yang keras kepala akan dimusnahkan. Penguasa jahat yang menindas orang miskin bagaikan singa yang mengaum atau beruang yang menyerang. Penguasa yang bodoh itu kejam, tetapi penguasa yang membenci kecurangan akan memerintah lama. Seorang pembunuh akan merasa dikejar-kejar sampai ke ajalnya. Jangan cuba menolong dia. Orang yang jujur akan selamat, tetapi orang yang menipu akan binasa dengan tiba-tiba. Petani yang bekerja keras akan mendapat banyak makanan, tetapi orang yang membuang masa akan sentiasa miskin. Orang jujur akan hidup bahagia, tetapi orang yang hendak cepat kaya, tidak akan terlepas daripada hukuman. Bersikap berat sebelah adalah perbuatan yang salah, tetapi ada hakim berbuat demikian untuk menerima rasuah walaupun sedikit. Orang yang kikir ingin cepat kaya. Dia tidak sedar bahawa kemiskinan segera menimpa dia. Orang yang memberikan tegur ajar akhirnya lebih dihargai daripada orang yang memberikan pujian. Sesiapa yang mencuri daripada ibu bapanya dan menyangka perbuatan itu bukan dosa sama juga dengan pencuri. Sifat tamak mendatangkan kesusahan. Sesiapa yang bergantung kepada TUHAN akan berbahagia. Orang yang mengikut pendapat sendiri adalah bodoh. Orang yang mengikut ajaran orang yang bijak akan selamat. Sesiapa yang memberi kepada orang miskin tidak akan kekurangan. Sesiapa yang menutup mata terhadap orang miskin akan kena kutuk. Apabila orang jahat menjadi penguasa, rakyat bersembunyi; tetapi apabila orang jahat binasa, orang adil akan memerintah lagi di merata tempat. Jika seorang bertambah degil setiap kali dia ditegur ajar, suatu waktu nanti dia akan hancur dan tidak dapat dipulihkan lagi. Apabila orang yang adil memerintah, rakyat gembira. Apabila orang jahat memerintah, rakyat menderita. Sesiapa yang menghargai hikmat, menggembirakan bapanya. Sesiapa yang selalu bercampur dengan pelacur membazirkan wang. Apabila raja menegakkan keadilan, kerajaannya akan kukuh, tetapi apabila raja tamak akan wang, kerajaannya akan roboh. Orang yang memuji-muji sahabatnya, memasang perangkap bagi dirinya sendiri. Orang jahat terjerat oleh dosa mereka sendiri, sedangkan orang jujur berasa bahagia dan gembira. Orang baik tahu akan hak orang miskin, tetapi orang jahat tidak memahami hal itu. Orang yang suka mencela dapat mengacau seluruh kota, tetapi orang bijak menenteramkan suasana. Apabila orang bijak mendakwa orang bodoh di mahkamah, orang bodoh hanya mengamuk dan tertawa sehingga menimbulkan kekacauan. Orang ganas membenci orang jujur, tetapi orang baik melindungi mereka. Orang bodoh menunjukkan kemarahan dengan terang-terang, tetapi orang bijak bersabar dan menahan kemarahan. Jika seorang penguasa memperhatikan berita palsu, semua pegawainya akan menjadi jahat. Orang yang miskin dan orang yang menindasnya mempunyai persamaan: TUHAN memberikan mata kepada kedua-keduanya. Jika raja membela hak orang miskin, pemerintahannya akan kukuh selama-lamanya. Tegur ajar dan disiplin baik untuk anak-anak. Anak yang dibiarkan menurut sesuka hatinya akan memalukan ibunya. Apabila orang jahat berkuasa, jenayah meningkat, tetapi orang jujur akan melihat kehancuran mereka. Didiklah anak-anak kamu; maka mereka akan memberi kamu ketenteraman dan kegembiraan. Bangsa tanpa bimbingan Allah menjadi bangsa yang penuh kekacauan. Berbahagialah orang yang taat kepada hukum Allah. Seorang hamba tidak dapat diajar hanya dengan kata-kata. Dia mungkin faham, tetapi tidak akan mempedulikannya. Lebih besar harapan bagi orang bodoh daripada orang yang bercakap tanpa berfikir. Hamba yang dimanjakan sejak kecil, akhirnya akan mengambil segala yang kamu miliki. Orang yang cepat marah menimbulkan banyak pertengkaran dan kesusahan. Kesombongan akan menyebabkan keruntuhan, tetapi seseorang yang rendah hati akan dihormati. Orang yang bersubahat dengan pencuri bererti membenci diri sendiri. Jika dia mengaku di mahkamah, dia akan dihukum; jika dia tidak mengaku, Allah akan mengutuk dia. Takut akan pendapat orang lain mengakibatkan kesusahan. Percayalah kepada TUHAN, maka kamu akan selamat. Banyak orang mengharapkan sokongan daripada penguasa, tetapi hanya TUHAN yang memberikan keadilan. Orang baik membenci orang jahat; orang jahat pun membenci orang baik. Inilah kata-kata yang diucapkan Agur anak Yake dari Masa: “ Aku lelah, ya Allah. Aku lelah! Aku tidak berdaya. Aku bodoh seperti binatang; aku tidak mempunyai pengertian. Aku tidak pernah memperoleh hikmat, dan aku sama sekali tidak mengenal Allah. Siapa pernah naik turun syurga? Siapa pernah menggenggam angin, atau membungkus air dengan kain, ataupun menentukan batas-batas bumi? Siapakah namanya, dan siapakah anaknya? Pasti engkau tahu. Allah menepati segala janji-Nya. Dia seperti perisai bagi semua orang yang meminta perlindungan-Nya. Jika kamu menambah apa yang dikatakan-Nya, Dia akan menegur kamu dan membuktikan bahawa kamu bohong.” Ya Allah, aku memohon dua hal sebelum aku mati: tolonglah aku supaya aku tidak berdusta, dan tolonglah aku supaya aku tidak kaya dan tidak miskin. Oleh itu, berilah aku hanya apa yang aku perlukan. Jika aku kaya, mungkin aku berkata aku tidak memerlukan Engkau. Sebaliknya, jika aku miskin, mungkin aku mencuri, lalu memalukan Allahku. Jangan fitnah seorang hamba kepada tuannya. Kamu akan dikutuk, dan kamu akan menderita. Ada orang mengutuk bapa dan tidak menghargai ibu. Ada orang menganggap diri mereka suci, padahal kotor sekali. Ada orang menyangka diri mereka baik sekali - bukan main baiknya! Ada orang memperdaya orang yang miskin dan susah. Demikianlah cara mereka mencari nafkah. Lintah darat mempunyai dua orang anak perempuan; kedua-duanya bernama “Berilah aku”! Ada empat hal yang tidak pernah puas: dunia orang mati, perempuan mandul, tanah gersang yang haus akan hujan, dan api yang merebak ke serata tempat. Seorang yang mencemuh bapanya, atau menghina ibunya yang sudah tua, patut dimakan burung hering, atau matanya dipatuk burung gagak hutan. Ada empat hal yang terlalu sukar untuk aku fahami: burung helang yang terbang di langit, ular yang menjalar di atas batu, kapal yang belayar di tengah laut, dan lelaki serta wanita yang jatuh cinta. Inilah yang dilakukan oleh isteri yang tidak setia: dia berzina, lalu mandi. Setelah itu dia berkata, “Aku tidak berbuat apa-apa yang salah!” Ada empat hal yang sukar diterima di seluruh dunia: seorang hamba yang menjadi raja, seorang bodoh yang mendapat semua makanan yang diingininya, seorang perempuan yang dibenci orang, tetapi dapat berkahwin, dan seorang hamba perempuan yang merampas kedudukan puannya. Ada empat jenis binatang di bumi ini yang kecil tetapi sangat bijak: Semut tidak kuat, tetapi menyimpan makanan pada musim panas. Landak batu tidak kuat, tetapi membuat rumah di bukit batu. Belalang tidak mempunyai raja, tetapi berbaris dengan teratur. Cicak dapat ditangkap dengan tangan, namun terdapat di istana. Ada empat jenis makhluk yang kelihatan gagah ketika berjalan: singa, binatang yang terkuat dan tidak takut terhadap apa-apa; kambing jantan; ayam jantan yang mengigal; dan raja di hadapan rakyat. Jika kamu telah berlaku sombong serta merancangkan kejahatan, berfikirlah semula! Jika kamu memukul susu, kamu mendapat mentega. Jika kamu meninju hidung orang, darah keluar. Jika kamu membangkitkan kemarahan, kamu mendapat kesusahan. Inilah nasihat bonda Raja Lemuel dari Masa kepada baginda: “Engkau buah hatiku, jawapan doaku yang telah dikabulkan oleh TUHAN. Apakah yang hendak aku katakan kepadamu? Jangan habiskan tenagamu pada nafsu berahi, dan jangan bazirkan wangmu pada perempuan; mereka sudah membinasakan banyak raja. Dengarlah, hai Lemuel. Raja tidak sepatutnya minum wain, atau ketagihan arak. Apabila raja meminumnya, mereka melupakan hukum dan mengabaikan hak orang tidak berdaya. Arak minuman untuk orang yang hampir mati dan yang sengsara. Biarlah mereka meminumnya untuk melupakan kemiskinan dan kesengsaraan. Belalah orang yang tidak dapat membela diri. Lindungilah hak semua orang yang tidak berdaya. Belalah mereka dan jadilah hakim yang adil. Lindungilah hak orang yang miskin dan susah.” Isteri yang cekap susah ditemukan. Dia lebih berharga daripada permata. Suaminya mempunyai keyakinan terhadap dia dan tidak akan kekurangan apa-apa. Seumur hidupnya, dia berbuat baik kepada suaminya dan tidak berbuat jahat kepadanya. Dia rajin mengumpulkan bulu domba dan rami, lalu sibuk menenunnya. Dia mendatangkan makanan dari tempat jauh seperti yang dilakukan oleh kapal dagang. Dia bangun pagi-pagi buta untuk menyediakan makanan bagi keluarganya, dan untuk memberikan arahan kepada semua hamba perempuannya. Dia mencari sebidang tanah, lalu membelinya dan mengusahakan ladang anggur dengan pendapatannya. Dia menyiapkan diri untuk bekerja sekuat tenaga. Dia tahu bahawa segala sesuatu yang diusahakannya menguntungkan, dan dia bekerja sehingga jauh malam. Dia memintal benang dan menenun kainnya sendiri. Dia murah hati kepada orang yang miskin dan susah. Pada musim sejuk dia tidak khuatir, kerana keluarganya mempunyai baju panas. Dia membuat permaidani dan memakai pakaian daripada kain linen ungu yang halus. Suaminya pemimpin masyarakat, dan seorang yang kenamaan. Dia menjahit pakaian dan membuat ikat pinggang untuk dijual kepada pedagang. Dia berwibawa serta dihormati orang. Dia tidak khuatir akan masa hadapan. Kata-katanya bijak serta lemah lembut. Dia sentiasa rajin bekerja dan memperhatikan urusan rumah tangganya. Dia dihargai oleh anak-anaknya dan dipuji oleh suaminya. Suaminya berkata, “Ada banyak wanita yang baik, tetapi engkaulah yang terbaik antara mereka semua.” Kejelitaan menipu mata, kecantikan pun tidak kekal; tetapi seorang wanita yang menghormati TUHAN harus dipuji. Balaslah segala perbuatannya. Dia wanita yang layak dihormati semua orang. Berikut ini kata-kata Si Pemikir, raja di Yerusalem. Baginda putera Raja Daud. Semuanya sia-sia dan tidak berguna, kata Si Pemikir. Hidup itu sia-sia, semuanya tidak bererti. Orang bekerja dan membanting tulang seumur hidup, tetapi apakah hasil yang dapat dibanggakan? Keturunan yang satu datang dan keturunan yang lain pergi, tetapi dunia ini tetap sama juga. Matahari terbit dan matahari terbenam, lalu tergesa-gesa kembali ke tempat terbitnya. Angin bertiup ke selatan dan ke utara, berpusing-pusing lalu kembali semula. Tiap-tiap sungai mengalir ke laut, namun laut tidak penuh. Airnya kembali ke hulu sungai, lalu mulai mengalir lagi. Semuanya menjemukan, tidak terkata. Mata tidak puas-puas melihat, telinga tidak puas-puas mendengar. Hal yang telah berlaku dahulu, akan berulang lagi. Apa yang telah dilakukan dahulu, akan dilakukan lagi. Tiada sesuatu yang baru di seluruh dunia ini. “Lihatlah,” kata orang, “yang ini baru!” Tetapi semua itu telah berlaku lama sebelum kita dilahirkan. Tiada sesiapa pun ingat akan kejadian pada masa lampau; kejadian sekarang dan yang akan datang tidak diingat oleh sesiapa pun pada masa hadapan. Aku, Si Pemikir, telah menjadi raja Israel di Yerusalem. Aku bertekad untuk mengkaji dan mempelajari dengan bijaksana segala yang dilakukan di dunia ini. Hidup yang ditentukan oleh Allah bagi manusia di dunia sungguh menyedihkan. Aku telah melihat segala perbuatan orang di dunia, dan sesungguhnya semua itu sia-sia seperti mengejar angin. Yang bengkok tidak dapat diluruskan; yang tidak wujud tidak dapat dihitung. Aku berkata dalam hati, “Aku telah menjadi agung, lebih bijak daripada sesiapa pun yang pernah memerintah Yerusalem sebelum zamanku. Aku tahu akan hikmat dan pengetahuan yang sebenar.” Aku bertekad untuk mengetahui perbezaan antara pengetahuan dan kebodohan, antara hikmat dan kebebalan. Tetapi ternyata aku ini seperti mengejar angin sahaja. Semakin banyak hikmat, semakin banyak kekhuatiran. Semakin banyak pengetahuan, semakin banyak penderitaan. Aku mengambil keputusan untuk berseronok agar mengetahui erti kebahagiaan, tetapi usahaku sia-sia. Aku mendapati bahawa ketawa itu suatu kebodohan, dan bahawa keseronokan tidak membawa faedah. Kerana didorong oleh keinginan untuk beroleh hikmat, aku bertekad untuk menggembirakan hati dengan minum wain dan bersuka-suka. Aku menyangka inilah cara terbaik bagi seseorang menikmati hidupnya yang singkat di bumi. Aku berjaya dalam banyak hal. Aku membina rumah dan mengusahakan ladang anggur. Aku mengusahakan taman dan kebun yang ditanami berbagai-bagai pokok buah-buahan. Aku menggali parit untuk mengairi taman dan kebun itu. Aku mempunyai banyak abdi, baik yang kubeli ataupun yang dilahirkan di rumahku. Aku memiliki lebih banyak ternakan daripada sesiapa yang pernah tinggal di Yerusalem. Aku mengumpulkan emas dan perak daripada perbendaharaan negeri-negeri yang aku perintah. Biduan dan biduanita menyanyi untuk menghiburkan aku, dan aku mempunyai perempuan sebanyak yang kuingini. Aku demikian agung, lebih agung daripada sesiapa yang pernah tinggal di Yerusalem, dan hikmatku sentiasa menolong aku. Aku mendapat segala sesuatu yang aku mahu. Aku tidak pernah menahan diri daripada menikmati keseronokan. Aku bangga dengan segala yang telah kuusahakan. Segalanya itu ganjaranku. Kemudian aku merenungkan segala yang telah kulakukan, dan betapa kuat aku telah mengusahakannya. Lalu aku sedar bahawa segalanya tidak bermakna. Usahaku itu sia-sia seperti mengejar angin. Seorang raja hanya dapat melakukan apa yang telah dilakukan oleh raja-raja yang sebelumnya. Lalu aku mula berfikir tentang hikmat, kebebalan, dan kebodohan. Aku memang tahu, “Hikmat lebih baik daripada kebodohan, seperti cahaya lebih baik daripada kegelapan. Orang bijak tahu ke mana mereka pergi, sedangkan orang bodoh tidak.” Tetapi aku tahu juga bahawa kesudahan mereka semua sama! Aku berfikir, “Kesudahanku sama dengan kesudahan orang bodoh. Oleh itu, apakah untungnya jika aku bijak?” Lalu aku mengambil kesimpulan bahawa hikmat itu memang tidak berguna sama sekali. Tidak seorang pun ingat akan orang bijak, ataupun orang bodoh. Pada masa yang akan datang mereka semua akan dilupakan. Semua orang mesti mati, baik yang bijak mahupun yang bodoh. Oleh itu, hidup tidak bermakna bagiku, kerana semua yang telah kualami, memberikan aku kesusahan semata-mata. Semua itu sia-sia; aku telah mengejar angin sahaja. Tiada sesuatu pun yang telah kuusahakan dan kucapai bermakna bagiku, kerana aku tahu bahawa aku mesti menyerahkannya kepada penggantiku. Siapa tahu? Mungkin dia bijak, mungkin dia bodoh! Namun dia akan mewarisi semua yang telah kuusahakan; segala yang telah kuperoleh di dunia dengan hikmatku. Semua itu sia-sia. Aku menyesal kerana telah bekerja begitu keras. Seseorang mengusahakan sesuatu dengan segala hikmat, pengetahuan, dan kemahirannya, kemudian terpaksa menyerahkan segala hasil jerih payahnya kepada seseorang yang tidak mengusahakannya. Bukankah itu sia-sia dan tidak adil? Manusia bekerja dan khuatir seumur hidup, tetapi apakah hasilnya? Selama mereka hidup, semua perbuatan mereka itu mendatangkan kekhuatiran dan penderitaan batin. Pada waktu malam pun hati mereka resah. Semua itu sia-sia! Sebaik-baiknya yang dapat dilakukan oleh manusia adalah makan, minum, dan menikmati hasil usaha mereka. Namun aku sedar bahawa semua ini pemberian Allah juga. Siapakah yang dapat makan dan menikmati hidup tanpa Allah? Allah memberikan hikmat, pengetahuan, dan kegembiraan kepada orang yang menyenangkan hati-Nya. Tetapi orang berdosa disuruh-Nya bekerja mencari nafkah dan menimbun hasil, dan akhirnya semua itu diberikan kepada orang yang menyenangkan hati Allah. Semua itu sia-sia, seperti mengejar angin. Segala sesuatu di dunia ini berlaku pada waktu yang ditentukan Allah. Dia menentukan waktu untuk melahirkan dan waktu untuk meninggal, waktu untuk menanam dan waktu untuk mencabut, waktu untuk membunuh dan waktu untuk menyembuhkan, waktu untuk merobohkan dan waktu untuk membina. Dia menentukan waktu untuk menangis dan waktu untuk tertawa, waktu untuk berkabung dan waktu untuk menari, waktu untuk berasmara dan waktu untuk menahan diri, waktu untuk memeluk dan waktu untuk mengawal diri. Dia menentukan waktu untuk mendapat dan waktu untuk kehilangan, waktu untuk menyimpan dan waktu untuk membuang, waktu untuk mengoyakkan dan waktu untuk menjahit, waktu untuk berdiam diri dan waktu untuk bertutur. Dia menentukan waktu untuk mengasihi dan waktu untuk membenci, waktu untuk berperang dan waktu untuk berdamai. Apakah hasil semua usaha kita? Aku tahu bahawa Allah telah memberikan beban yang berat kepada kita. Dia telah menentukan waktu yang tepat bagi tiap-tiap perkara. Dia telah memberi kita keinginan untuk mengetahui masa depan, tetapi tidak memberi kita pemahaman tentang segala perbuatan-Nya dari awal sampai akhir. Oleh itu, aku insaf bahawa sebaik-baiknya yang dapat kita lakukan adalah bersukacita dan berusaha sedaya upaya semasa kita masih hidup. Kita semua harus makan dan minum serta menikmati hasil usaha kita kerana semua itu pemberian Allah. Aku tahu bahawa semua yang dilakukan oleh Allah itu kekal. Manusia tidak dapat menambahnya, ataupun menguranginya. Allah bertindak demikian supaya kita menghormati Dia. Apa-apa yang telah berlaku atau akan berlaku telah pun berlaku pada masa yang lampau. Allah menentukan supaya yang sudah berlaku, akan terjadi berulang kali. Selain itu, aku nampak juga bahawa di dunia ini, di tempat yang seharusnya ada keadilan dan kebaikan, di situ terdapat kejahatan. Aku berfikir, Allah akan mengadili orang baik dan orang jahat, kerana setiap perkara dan setiap tindakan akan berlaku pada waktunya yang tertentu. Inilah pendapatku: Allah menguji kita untuk menunjukkan bahawa nasib kita tidak berbeza dengan nasib binatang. Bukankah manusia dan binatang senasib? Kedua-duanya makhluk dan kedua-duanya pun akan mati. Manusia tidak lebih baik daripada binatang, kerana bagi kedua-duanya hidup itu sia-sia. Kedua-duanya kembali ke tempat yang sama - ke tanah. Kedua-duanya berasal dari tanah dan akan kembali ke tanah. Siapakah dapat memastikan bahawa roh manusia naik ke atas dan roh binatang turun ke bawah bumi? Oleh itu, aku sedar bahawa hal terbaik yang dapat kita lakukan adalah menikmati hasil usaha kita. Selain itu tidak ada apa-apa yang dapat kita lakukan. Kita tidak mungkin mengetahui apa-apa yang akan berlaku setelah kita meninggal. Aku nampak pula segala ketidakadilan yang berlaku di dunia ini. Orang yang tertindas menangis dan tidak seorang pun menolong mereka. Tidak seorang pun berani menolong mereka kerana para penindas berkuasa. Alangkah bahagianya orang yang sudah mati; keadaan mereka lebih baik daripada orang yang masih hidup. Yang lebih bahagia lagi ialah orang yang belum dilahirkan, yang belum nampak ketidakadilan yang berlaku di dunia ini. Aku faham juga mengapa orang bekerja keras supaya berjaya; mereka iri hati terhadap jiran mereka. Tetapi itu sia-sia sahaja. Keadaan mereka seperti orang yang mengejar angin. Kata mereka, hanya orang bodoh berpangku tangan dan mati kelaparan. Mungkin itu benar, tetapi lebih baik mempunyai sedikit disertai fikiran tenang, daripada sentiasa bekerja keras dengan dua belah tangan dan mengejar angin. Ada lagi perkara yang sia-sia dalam hidup ini. Ada orang yang hidup seorang diri tanpa anak ataupun saudara. Namun, dia tidak berhenti-henti bekerja. Dia tidak puas hati dengan harta yang dimilikinya. Bagi siapakah dia membanting tulang serta menolak segala kesenangan? Bukankah itu sia-sia, dan satu cara hidup yang menyedihkan? Berdua lebih baik daripada seorang diri, kerana bersama-sama mereka dapat bekerja dan hasilnya lebih baik. Jika seorang jatuh, yang seorang lagi dapat menolongnya. Tetapi jika orang itu sendirian, lalu jatuh, malanglah dia kerana tiada sesiapa yang menolongnya. Jika dua orang tidur bersama-sama mereka dapat saling menghangatkan badan, tetapi bagaimanakah seorang menjadi hangat jika dia sendirian? Orang yang sendirian mudah dikalahkan, tetapi dua orang dapat menentang serangan. Tiga utas tali yang dipintal menjadi satu, susah diputuskan. [13-14] Seorang miskin mungkin menjadi raja; seorang banduan mungkin naik takhta. Tetapi jika pada usia lanjut, raja itu terlalu bodoh sehingga tidak mahu menerima nasihat, maka nasibnya lebih buruk daripada seorang pemuda yang miskin tetapi cerdas. *** Aku memikirkan semua orang di dunia ini, dan aku sedar bahawa antara mereka tentu ada seorang pemuda yang akan menggantikan raja. Bilangan rakyat yang diperintah oleh seorang raja mungkin tidak terhitung, tetapi apabila raja mangkat, tidak seorang pun akan bersyukur atas jasanya. Itu pun sia-sia, seperti usaha mengejar angin. Berhati-hatilah apabila pergi ke Rumah TUHAN. Lebih baik ke sana untuk belajar, daripada mempersembahkan korban seperti orang bodoh yang tidak tahu membezakan apa yang benar dengan apa yang salah. Berfikirlah sebelum bercakap, dan janganlah terburu-buru berjanji kepada Allah. Allah di syurga, sedangkan kamu di bumi. Oleh itu, janganlah katakan apa-apa yang tidak perlu. Semakin kamu khuatir, semakin besar kemungkinan mendapat mimpi buruk. Semakin banyak kamu bercakap, semakin besar kemungkinan mengeluarkan kata-kata bodoh. Oleh itu, apabila berjanji kepada Allah, tepatilah janji itu secepat mungkin. Allah tidak suka kepada orang bodoh. Tunaikanlah janji. Lebih baik tidak berjanji daripada memungkiri janji. Jangan biar kata-katamu menyebabkan kamu berdosa sehingga kamu terpaksa mengaku kepada imam bahawa kamu silap mengucapkan janji. Mengapa kamu membangkitkan kemurkaan Allah terhadapmu sehingga Dia memusnahkan segala usahamu? Tidak kira betapa banyaknya impian kamu, atau betapa banyaknya usaha kamu yang sia-sia itu, atau betapa banyaknya kata kamu, kamu mesti tetap takut kepada Allah. Jangan hairan apabila melihat pemerintah menindas orang miskin dan merampas hak mereka, serta tidak memberi mereka keadilan. Tiap-tiap pegawai dilindungi oleh pegawai atasannya, dan kedua-duanya dilindungi oleh pegawai yang berpangkat lebih tinggi. Bahkan raja pun bergantung kepada hasil tuaian. Jika kamu mencintai wang, kamu tidak akan puas hati. Jika kamu ingin menjadi kaya, kamu tidak akan mendapat segala yang kamu ingini. Semuanya sia-sia sahaja. Semakin banyak kekayaan kamu, semakin banyak tanggungan kamu. Kamu tidak mendapat keuntungan apa-apa, kamu hanya tahu bahawa kamu kaya. Pekerja mungkin cukup makan atau mungkin tidak, tetapi setidak-tidaknya mereka dapat tidur nyenyak. Sebaliknya, orang kaya mempunyai begitu banyak harta sehingga mereka tidak dapat tidur kerana risau. Aku melihat sesuatu yang menyedihkan di dunia ini: ada orang menyimpan wang untuk masa mereka memerlukannya. Tetapi wang itu hilang dalam usaha niaga, sehingga tiada apa-apa pun yang dapat diwariskan kepada anak mereka. Kita meninggalkan dunia ini seperti kita dilahirkan, tanpa apa-apa pun! Kita tidak dapat membawa apa-apa daripada segala jerih payah kita. Hal ini tidak adil. Kita pergi seperti kita datang. Kita bersusah payah untuk mengejar angin dan apakah hasilnya? Kita hidup dalam kegelapan dan kesedihan, kekhuatiran, kemarahan, serta kesakitan. Kesimpulanku demikian: baiklah orang makan, minum, dan menikmati hasil kerja mereka dalam hidup pendek yang diberikan Allah. Itulah nasib manusia. Jika Allah memberi orang harta dan kekayaan, dan membolehkan mereka menikmati kekayaan itu, haruslah mereka bersyukur dan menikmati segala hasil kerja mereka. Itu juga pemberian Allah. Kerana Allah membolehkan mereka bersukacita, mereka tidak terlalu khuatir betapa pendeknya hidup ini. Aku melihat ketidakadilan yang sangat menekan manusia di dunia ini. Allah memberi orang harta, kekayaan dan kehormatan - apa-apa sahaja yang diingini mereka, tetapi Allah tidak membenarkan mereka menikmati semua pemberian itu. Sebaliknya, orang yang tidak dikenal akan menikmati kekayaan itu. Semua itu sia-sia dan tidak adil. Seorang mungkin mempunyai seratus orang anak, dan umurnya mungkin panjang. Walaupun umurnya panjang, tetapi jika dia tidak bahagia, dan tidak diberikan penguburan yang sepatutnya, keadaannya lebih malang daripada seorang bayi yang meninggal ketika dilahirkan. Sia-sialah bayi itu dilahirkan; dia lenyap dalam kegelapan dan dilupakan orang. Bayi itu tidak melihat cahaya matahari atau merasai kehidupan. Tetapi setidak-tidaknya dia telah mendapat rehat. Hal itu lebih baik daripada orang yang hidup dua ribu tahun tetapi tidak pernah menikmati hidup, kerana kedua-duanya menuju ke tempat yang sama. Orang bekerja keras semata-mata untuk mencari makan, namun mereka tidak berkecukupan. Apakah kelebihan orang bijak jika dibandingkan dengan orang bodoh? Apakah gunanya orang miskin berkelakuan baik di tengah-tengah masyarakat? Sia-sia sahaja. Semua itu seperti usaha mengejar angin. Lebih baik kamu puas hati dengan apa yang ada pada kamu daripada sentiasa mengingini apa yang tidak kamu punyai. Segala yang berlaku telah ditentukan sejak dahulu, dan kita tahu bahawa semua orang tidak dapat membantah orang yang lebih kuat. Semakin mereka membantah, semakin tidak berguna, malahan mereka tidak mendapat keuntungan apa-apa. Bagaimana orang dapat mengetahui apa yang terbaik bagi hidup manusia yang pendek dan sia-sia ini - hidup yang segera lenyap seperti bayang-bayang? Bagaimanakah orang dapat mengetahui apa yang akan berlaku di dunia ini setelah mereka meninggal? Nama baik lebih harum daripada minyak wangi yang mahal, dan hari kematian lebih baik daripada hari kelahiran. Lebih baik melawat keluarga yang berkabung daripada keluarga yang berpesta, kerana orang hidup perlu diingatkan bahawa kematian sentiasa menunggu kita semua. Kesedihan lebih baik daripada ketawa; biar wajah murung asal hati lega. Orang bodoh sentiasa memikirkan kesenangan; orang arif memikirkan kematian. Lebih baik ditegur oleh orang bijak daripada dipuji oleh orang bodoh. Ketawa orang bodoh tidak bererti, seperti bunyi duri dibakar api. Apabila orang bijak menipu, mereka bodoh. Jika orang menerima rasuah, mereka merosakkan akhlak. Kesudahan sesuatu perkara lebih baik daripada permulaannya. Kesabaran lebih baik daripada kesombongan. Jangan lekas marah; hanya orang bodoh menyimpan dendam. Jangan sekali-kali bertanya, “Mengapakah keadaan dahulu lebih baik daripada sekarang?” Pertanyaan itu bodoh! Tiap-tiap orang yang hidup haruslah mempunyai hikmat; hal itu sama baiknya dengan menerima warisan, dan memberikan jaminan seperti wang tunai. Berbahagialah orang yang mengetahui bahawa hikmat melindungi hidup orang yang memilikinya. Renungkanlah hal yang telah dilakukan oleh Allah. Bolehkah sesiapa meluruskan apa yang telah dibengkokkan oleh Allah? Apabila kamu senang, bersukacitalah; dan apabila kamu susah, ingatlah bahawa kesenangan dan kesusahan, kedua-duanya datang daripada Allah. Manusia tidak tahu apa yang akan berlaku selanjutnya. Sungguhpun hidupku sia-sia, aku telah nampak segala-galanya. Ada kalanya orang yang baik mati walaupun mereka baik. Ada kalanya orang yang jahat panjang umur walaupun mereka jahat. Oleh itu janganlah terlalu baik atau terlalu bijak; mengapa membinasakan diri sendiri? Tetapi janganlah terlalu jahat atau terlalu bodoh; mengapa mati sebelum waktunya? Hindarilah kedua-dua hal yang keterlaluan itu. Jika kita menghormati Allah, tentu kita akan berjaya. Hikmat menjadikan pemiliknya lebih perkasa daripada sepuluh orang penguasa di sebuah kota. Di bumi tiada seorang pun yang selalu berbuat baik dan tidak pernah melakukan kesalahan. Jangan pedulikan segala kata orang. Mungkin kamu mendengar hambamu mengutuk kamu, dan kamu tahu bahawa kamu sendiri pun kerap kali mengutuk orang lain. Aku menggunakan hikmat untuk menguji segala hal itu. Aku bertekad untuk memperoleh hikmat, tetapi tidak dapat mencapainya. Bagaimanakah seseorang dapat mengetahui makna hidup? Hal itu terlalu dalam dan terlalu susah untuk difahami. Aku tekun belajar dan mencari pengetahuan supaya mendapat hikmat dan jawapan bagi pertanyaanku. Aku mencuba memahami bahawa kebodohan itu kejahatan dan kebebalan itu kegilaan. Aku mendapati hal ini lebih pahit daripada maut: Seorang wanita yang menggunakan cinta sebagai jala atau perangkap untuk menangkap mangsa; pelukannya seperti belenggu yang mengikat dengan erat. Orang yang melakukan kehendak Allah dapat melepaskan diri, tetapi orang berdosa akan ditangkapnya. Lihat, kata Si Pemikir: Aku mengetahui hal itu sedikit demi sedikit sedang aku mencari jawapannya. Aku telah mencari jawapan lain juga, tetapi tidak berhasil. Antara seribu orang, aku menemui seorang lelaki yang dapat aku hormati, tetapi antara mereka tiada seorang wanita yang dapat aku hormati. Hanya inilah yang telah kupelajari: Allah telah menjadikan kita jujur, tetapi kita sendiri yang berputar belit. Hanya seorang bijak dapat memahami makna segala perkara. Hikmat menyebabkan dia tersenyum dan wajahnya berseri. Taatilah perintah raja, dan jangan terburu-buru berjanji kepada Allah. Raja dapat berbuat sesuka hati; oleh itu, jauhilah raja. Jangan berada di tempat yang berbahaya itu. Raja bertindak dengan penuh kuasa, dan tiada sesiapa pun dapat mencabar perbuatan raja. Kamu selamat selama kamu mentaati perintah raja, dan orang yang bijak tahu masa dan cara mentaatinya. Bagi tiap-tiap perkara ada masa dan cara membuatnya, cuma kita tahu sedikit sahaja. Kita semua tidak tahu hal yang akan berlaku pada masa hadapan, dan tiada sesiapa yang dapat memberitahu kita. Tiada seorang pun dapat mencegah atau menunda kematiannya. Kematian merupakan peperangan yang tidak dapat dielakkan walaupun dengan tipu daya. Aku melihat segala perkara ini ketika aku memikirkan perkara-perkara yang berlaku di dunia. Sesetengah orang mempunyai kuasa, sedangkan yang lain terpaksa menderita di bawah kekuasaan mereka. Pernah aku lihat orang jahat mati dan dikuburkan. Tetapi waktu pulang dari perkuburan, orang memuji orang yang sudah mati itu, di kota tempat mereka melakukan kejahatan. Semua itu sia-sia! Orang sangat suka melakukan kejahatan kerana orang yang melakukannya tidak segera dihukum. Walaupun orang berdosa melakukan seratus kejahatan, mereka terus hidup. Memang aku tahu orang berkata, “Orang yang taat kepada Allah akan hidup senang, tetapi orang jahat akan hidup susah. Hidup orang jahat cepat berlalu seperti bayang-bayang, dan mereka akan mati semasa muda kerana tidak taat kepada Allah.” Tetapi hal itu tidak betul. Lihatlah apa yang terjadi di dunia; kadang kala orang baik menerima hukuman yang sepatutnya diterima oleh orang jahat, sedangkan orang jahat menerima ganjaran yang sepatutnya diterima oleh orang baik. Hal itu pun sia-sia. Oleh itu, aku yakin bahawa orang harus bergembira. Hanyalah makan, minum, dan bersuka-ria yang dapat dinikmati mereka. Setidak-tidaknya mereka dapat berbuat demikian semasa bersusah payah sepanjang hayat yang diberikan Allah kepada mereka di dunia ini. Apabila aku mencuba mendapat hikmat dan memahami segala yang berlaku di dunia ini, aku sedar bahawa walaupun kita berjaga siang dan malam, kita tidak memahami perbuatan Allah. Bagaimanapun kita mencuba, kita tidak akan memahaminya. Orang yang bijaksana mengaku bahawa mereka faham, tetapi sebenarnya tidak. Lama aku memikirkan hal itu dengan mendalam, dan aku mendapati bahawa Allah menguasai segala perbuatan orang yang bijak dan orang yang baik, bahkan jika mereka mengasihi atau membenci orang. Tiada sesiapa tahu hal yang akan berlaku pada masa hadapan. Memang tidak ada bezanya! Nasib yang sama menimpa setiap orang jujur mahupun orang derhaka, orang baik mahupun orang jahat, orang yang tahir mahupun orang yang najis, orang yang mempersembahkan korban mahupun orang yang tidak mempersembahkan korban. Orang baik tidak lebih bertuah daripada orang berdosa, dan orang yang bersumpah tidak lebih bertuah daripada orang yang tidak mahu bersumpah. Nasib manusia semuanya sama dan hal itu salah, seperti semua kejadian lain di dunia ini. Selama manusia hidup, fikiran mereka penuh dengan kejahatan dan kebodohan, dan tiba-tiba mereka meninggal. Tetapi sesiapa yang masih hidup di dunia ini mempunyai harapan. Bukankah anjing yang hidup lebih baik daripada singa yang mati? Orang yang masih hidup tahu bahawa mereka akan mati, tetapi orang yang telah mati tidak tahu apa-apa pun. Mereka tidak mendapat ganjaran lagi, mereka telah dilupakan orang. Kasih, kebencian, dan nafsu mereka, semuanya lenyap bersama-sama mereka. Mereka tidak lagi mengambil bahagian dalam apa-apa hal yang berlaku di dunia ini. Makanlah, minumlah, dan bergembiralah! Minumlah wain dan bergembiralah; Allah tidak melarangnya. Biarlah kamu sentiasa bergembira dan muka kamu berseri-seri. Nikmatilah hidup dengan isteri yang kamu kasihi, selama hidupmu yang sia-sia, yang diberikan Allah kepadamu di dunia ini. Nikmatilah setiap hari meskipun sia-sia sahaja kerana hanya itu yang kamu dapat untuk jerih payahmu. Jalankanlah segala tugasmu dengan sungguh-sungguh, kerana di dunia orang mati tiada pekerjaan, fikiran, pengetahuan, ataupun hikmat lagi; ke sanalah kamu akan pergi. Ada lagi yang aku dapati di dunia ini: pelari yang pantas tidak selalu menang, dan orang yang berani tidak selalu menang dalam pertempuran. Orang bijak tidak selalu dapat mencari nafkah, orang berakal tidak selalu menjadi kaya, dan orang yang handal tidak selalu memperoleh kedudukan yang tinggi. Nasib malang boleh menimpa setiap orang. Manusia tidak tahu saat ketibaan bencana. Seperti burung yang terjerat, dan ikan yang terjala, begitu juga manusia ditimpa bencana dengan tidak disangka-sangka. Aku juga melihat contoh baik tentang bagaimana hikmat dihargai orang di dunia ini. Ada sebuah kota kecil dan penduduknya tidak ramai. Seorang raja yang kuat menyerang kota itu, mengepungnya dan bersiap untuk merobohkan tembok kota itu. Di kota itu ada seorang miskin yang bijak. Dengan hikmatnya dia sebenarnya dapat menyelamatkan kota itu, tetapi tidak seorang pun ingat akan dia. Selama ini aku telah mengatakan bahawa hikmat lebih baik daripada kekuatan, tetapi hikmat orang miskin dihina. Perkataan orang miskin tidak dipeduli. Lebih baik mendengar kata-kata lembut orang yang berilmu daripada teriakan penguasa dalam perhimpunan orang bodoh. Hikmat lebih baik daripada senjata, tetapi seorang berdosa dapat merosakkan banyak hal yang baik. Bangkai lalat boleh merosakkan sebotol minyak wangi, demikian juga kebodohan kecil boleh menghilangkan hikmat yang tertinggi. Wajarlah orang bijak melakukan yang betul, dan orang bodoh melakukan yang salah. Kebodohan mereka boleh dilihat bahkan oleh orang yang ditemui mereka di tengah jalan. Mereka menunjukkan kebodohan kepada semua orang. Jika penguasa marah terhadap kamu, janganlah letak jawatan; kesalahan yang besar dapat diampunkan jika kamu bertenang. Ada lagi ketidakadilan yang telah aku lihat di dunia ini: ketidakadilan yang dilakukan oleh penguasa. Orang bodoh diberikan kedudukan yang bertanggungjawab, sedangkan orang kaya diketepikan. Aku pernah melihat hamba menunggang kuda, sedangkan orang bangsawan berjalan kaki seperti hamba. Sesiapa yang menggali lubang di tanah, akan jatuh ke dalamnya. Sesiapa yang memecahkan tembok akan dipatuk ular. Sesiapa yang bekerja di kuari batu akan luka kena batu. Sesiapa yang membelah kayu, mungkin cedera. Jika kapakmu tumpul dan tidak kamu asah, kamu terpaksa bekerja lebih keras. Lebih baik kamu membuat rancangan terlebih dahulu. Kalau ular dibiarkan memagut sebelum dijinakkan, maka mantera pawang ular tidak berguna lagi. Perkataan orang bijak mendatangkan kehormatan kepada diri mereka, tetapi perkataan orang bodoh merosakkan nama mereka sendiri. Mereka mula bercakap yang bukan-bukan, dan akhirnya bercakap seperti orang gila. Orang bodoh bercakap tidak habis-habis. Tidak sesiapa pun tahu perkara yang akan berlaku pada hari depan, dan tidak sesiapa pun dapat memberitahu kita hal yang akan berlaku setelah kita meninggal. Seorang yang bekerja sehingga habis tenaganya bagaikan seorang bodoh yang tidak tahu akan jalan ke rumahnya sendiri. Malanglah sesebuah negeri jika rajanya seorang muda dan pemimpinnya berpesta-pesta sepanjang malam. Tetapi bertuahlah negeri yang rajanya berwibawa dan pemimpinnya makan pada waktu tertentu, tahu menahan diri dan tidak menjadi mabuk. Bumbung rumah akan bocor jika tidak diperbaiki, dan akhirnya rumah itu akan roboh akibat kemalasan. Pesta membuat kamu girang, wain pun membuat kamu riang, tetapi tanpa wang kamu tidak mendapat kedua-duanya. Jangan cela raja, walaupun dalam hati, dan jangan cela orang kaya, walaupun di dalam bilikmu sendiri. Mungkin seekor burung mendengar apa yang kamu katakan, lalu menyampaikannya kepada orang yang berkenaan. Tanamlah modal di luar negeri; pasti kamu mendapat keuntungan pada kemudian hari. Tanamlah modalmu dalam berbagai-bagai usaha niaga, bahkan dalam banyak usaha; oleh sebab orang perlu berwaspada sebelum bencana menimpa. Ke arah mana pun sebatang pokok tumbang, di situlah pokok itu akan terlintang. Apabila awan sudah mendung, hari pun hujan. Sesiapa yang menunggu hingga angin dan cuaca baik, tidak akan menabur ataupun menuai apa-apa. Allah membuat segala-segalanya, dan manusia tidak dapat memahami tindakan-Nya sebagaimana manusia tidak memahami tumbuhnya kehidupan baru di dalam rahim ibu. Taburlah benih pada waktu pagi dan waktu petang juga, kerana kamu tidak tahu sama ada semuanya akan tumbuh, ataupun yang mana satu akan tumbuh dengan lebih subur. Memang cahaya matahari itu baik dinikmati. Bersyukurlah untuk setiap tahun kamu hidup. Betapa lama pun kamu hidup, masamu di alam maut lebih lama lagi. Tiada apa-apa pun yang dapat diharapkan. Hai orang muda, nikmatilah masa muda kamu. Bergembiralah ketika kamu masih muda. Lakukanlah kehendak kamu, dan ikutilah keinginan hati kamu. Tetapi ingatlah bahawa Allah akan mengadili segala perbuatan kamu. Jangan biarkan apa-apa mengkhuatirkan kamu, ataupun menyakitkan kamu. Kamu tidak selamanya muda. Oleh itu ingatlah Pencipta kamu semasa kamu masih muda, sebelum masa sengsara tiba dan kamu berkata, “Aku tidak menikmati hidup.” Pada masa itu mata kamu tidak lagi terang sehingga cahaya matahari, bulan dan bintang menjadi pudar. Kesusahan bagaikan awan mendung akan membayangi kamu. Lengan yang telah melindungi kamu akan gementar; kaki kamu yang kuat akan menjadi lemah. Gigi kamu terlalu sedikit untuk mengunyah makanan dan mata kamu terlalu rabun untuk melihat dengan jelas. Telinga kamu akan menjadi pekak, sehingga kamu tidak dapat mendengar keriuhan di jalan raya. Kamu tidak akan dapat mendengar bunyi orang mengisar di kilang, atau bunyi muzik. Tidur kamu tidak nyenyak lagi; kamu terjaga setiap kali burung berkicau. Kamu akan takut mendaki tempat yang tinggi, dan kamu harus berjalan dengan hati-hati. Rambut kamu akan beruban, kaki kamu akan kamu seret waktu berjalan, dan segala hasrat dan keinginan hilang. Kita menuju ke tempat tinggal kita yang terakhir, lalu orang menangis di sepanjang jalan. Rantai perak akan putus dan lampu emas jatuh dan pecah; tali timba di perigi putus dan kendi hancur berkecai. Tubuh kita akan kembali menjadi debu di bumi. Nafas kehidupan kita akan kembali kepada Allah yang memberikannya kepada kita. Memang semua itu sia-sia, kata Si Pemikir. Tetapi Si Pemikir itu bijak; oleh itu baginda terus mengajar orang hal yang diketahuinya. Baginda mengkaji peribahasa dan menguji kebenarannya. Baginda berusaha untuk menggunakan perkataan yang menyenangkan. Walau bagaimana pun perkataan yang ditulisnya jujur. Ucapan orang bijak seperti tongkat tajam yang digunakan oleh gembala untuk menggiring domba, dan kumpulan peribahasa kukuh seperti paku yang terpasak dalam. Semua itu diberikan oleh Allah, satu-satunya Gembala kita. Hai anakku, ada lagi yang perlu engkau ketahui: kitab tidak habis-habis ditulis, dan terlalu banyak menelaah pelajaran akan meletihkan kamu. Inilah kesimpulan daripada semuanya: Hormatilah Allah, dan taatilah segala perintah-Nya, kerana bagi maksud itulah manusia diciptakan. Allah akan mengadili semua perbuatan kita, yang baik, yang jahat, mahupun yang tersembunyi. Kidung Agung oleh Raja Salomo. Ciumlah aku dengan bibirmu; cintamu lebih nikmat daripada wain. Engkau harum semerbak, namamu seperti minyak wangi yang dicurahkan. Oleh itu, gadis-gadis cinta kepadamu. Cepatlah, bawalah aku bersama-samamu, ya rajaku, bawalah aku ke bilikmu. Kami akan bersukaria kerana engkau, dan memuji cintamu lebih daripada wain; patutlah gadis-gadis cinta kepadamu. Hai puteri-puteri Yerusalem, sungguhpun aku hitam tetapi aku manis; walaupun aku hitam seperti khemah Kedar, tetapi aku cantik seperti tirai di istana Salomo. Jangan hina aku kerana kulitku hitam; aku hitam kerana kena sinaran matahari. Saudara-saudaraku marah terhadap aku, dan memaksa aku bekerja di ladang anggur; aku tiada masa menjaga diriku sendiri. Katakanlah, hai kekasihku, di manakah engkau akan menggembalakan ternakan, di manakah domba berbaring pada tengah hari? Mengapakah aku harus mencari engkau antara kawanan domba kepunyaan gembala lain? Tidakkah engkau tahu akan tempatnya, hai wanita yang paling jelita? Ikutlah jejak kawanan ternak, dan gembalakanlah anak-anak kambingmu dekat khemah para gembala. Hai sayangku, engkau laksana kuda betina yang memberahikan kuda jantan penarik kereta kuda raja Mesir. Pipimu molek dengan perhiasan, lehermu cantik dengan kalung permata. Kami akan membuat perhiasan emas bagimu, perhiasan yang bertatahkan perak. Ketika rajaku di perbaringannya, semerbak harum narwastuku. Kekasihku seperti mur yang harum, waktu dia berbaring di dadaku. Kekasihku bagaikan serumpun bunga inai di ladang anggur di En-Gedi. Alangkah cantiknya engkau, hai sayangku, engkau sungguh cantik! Matamu bagaikan mata merpati. Betapa kacaknya engkau, hai sayangku, engkau sungguh menarik! Rumput hijau menjadi perbaringan kita; pokok sedar menjadi tiang rumah kita, dan pokok sipres langit-langitnya. Aku bunga mawar di Saron, bunga bakung di lembah gunung. Seperti bunga bakung antara semak berduri, demikianlah sayangku antara puteri. Bagaikan pokok epal antara pokok-pokok hutan, demikianlah sayangku antara kaum lelaki. Aku suka bernaung di bawahnya, buah-buahnya manis rasanya. Dia membawa aku ke dewan pesta, pandangannya padaku penuh cinta. Kuatkanlah aku dengan kismis, segarkanlah aku dengan epal, kerana aku sakit asmara. Tangan kirinya menopang kepalaku, tangan kanannya membelai aku. Berjanjilah, hai puteri-puteri Yerusalem, demi rusa dan kijang di padang bahawa kamu tidak akan mengganggu cinta kami. Aku mendengar suara kekasihku. Dia lari kepadaku melalui bukit dan gunung. Kekasihku seperti kijang; dia seperti anak rusa. Di balik tembok dia berdiri, dengan matanya dia menatap, dan mengintip dari kisi-kisi tingkap. Kekasihku berkata-kata kepadaku. Marilah, hai sayangku, marilah jelitaku, marilah. Musim sejuk sudah berlalu; hujan pun sudah berhenti. Bunga di padang sudah mekar. Inilah masanya untuk menyanyi; bunyi tekukur terdengar di padang. Buah ara mula masak; pokok anggur semerbak harum bunganya. Marilah, hai sayangku, marilah jelitaku, marilah. Engkau seperti burung merpati yang bersembunyi di celah-celah bukit batu. Biarlah kulihat wajahmu yang cantik itu, biarlah kudengar suaramu yang merdu. Tangkaplah rubah-rubah yang kecil itu, rubah yang merosakkan ladang anggur, kerana pokok anggur kita sedang berbunga. Kekasihku kepunyaanku, dan aku kepunyaannya. Dia menggembala dombanya di tengah-tengah bunga bakung sehingga angin fajar bertiup dan kegelapan pun hilang. Kembalilah, hai sayangku, seperti kijang, seperti anak rusa di pergunungan Beter. Malam demi malam, di katilku, aku mimpikan kekasihku; aku mencari dia tetapi tidak menemuinya. Aku mengelilingi kota, melalui semua jalan dan lorong. Aku mencari jantung hatiku, aku mencari dia, tetapi tidak menemuinya. Peronda-peronda kota nampak aku. Aku bertanya kepada mereka, “Adakah kamu menemui kekasihku?” Sebaik sahaja aku meninggalkan mereka, aku menemui kekasihku. Aku memeluk dia dan tidak mahu melepaskannya, sehingga aku membawanya pulang ke rumah ibuku, ke bilik ibu yang melahirkan aku. Berjanjilah, hai puteri-puteri Yerusalem, demi rusa dan kijang di padang, bahawa kamu tidak akan mengganggu cinta kami. Apakah yang datang dari padang gurun, seperti kepulan asap? Harumnya seperti kemenyan dan mur yang dijual oleh pedagang. Lihat, itu tandu Raja Salomo, dikelilingi enam puluh orang askar, pahlawan-pahlawan terbaik di Israel. Semuanya handal menggunakan pedang, dan berpengalaman dalam perang. Masing-masing bersenjatakan pedang, siap menghadapi serangan pada waktu malam. Raja Salomo membuat sebuah tandu bagi dirinya daripada kayu yang paling bermutu. Tiangnya dibuat daripada perak, dan sandarannya daripada emas. Tempat duduknya beralas kain berwarna ungu, yang disulam dengan senang hati oleh puteri-puteri Yerusalem. Keluarlah, hai puteri-puteri Sion, lihatlah Raja Salomo. Baginda memakai mahkota yang dipasang bondanya, pada hari pernikahan baginda, pada hari baginda bersukacita. Alangkah cantiknya engkau, hai sayangku, engkau sungguh cantik! Matamu di balik tudung bagaikan mata merpati. Rambutmu seperti kawanan kambing yang menuruni bukit-bukit Gilead. Gigimu putih seperti kawanan domba yang baru dicukur dan dimandikan, berpasangan seperti anak domba kembar, tiada satu pun yang hilang. Bibirmu seperti pita merah, dan mulutmu cantik. Pipimu seperti belahan buah delima di balik tudungmu. Lehermu seperti menara Daud, yang dibina berlapis-lapis, kalungmu seperti seribu perisai pahlawan. Buah dadamu seperti dua anak rusa, seperti kijang kembar yang sedang merumput di antara bunga bakung. Aku akan pergi ke gunung mur dan ke bukit kemenyan, sehingga bayu pagi bertiup dan kegelapan malam hilang. Alangkah cantiknya engkau, hai sayangku, tiada cacat padamu. Marilah kepadaku, hai pengantinku, turunlah dari Lebanon; datanglah kepadaku dari pergunungan Lebanon. Turunlah dari puncak Amana, dari puncak Senir dan Hermon, tempat tinggal singa dan harimau bintang. Hai kekasih dan pengantinku, engkau memikat hatiku dengan mata dan kalungmu. Cintamu menyukakan hatiku, hai kekasih dan pengantinku. Cintamu lebih nikmat daripada wain, minyak wangimu lebih harum daripada segala rempah. Bibirmu lebih manis daripada madu, hai pengantinku. Lidahmu seperti susu dan madu, bagiku. Pakaianmu seharum Pergunungan Lebanon. Kekasih dan pengantinku seperti taman yang bertembok, taman yang bertembok, mata airku sendiri. Di sana tumbuh pokok-pokok delima dengan buah-buah yang paling lazat; bunga inai dan narwastu, kunyit, tebu, kayu manis, dan segala macam kemenyan; mur dan gaharu dengan pelbagai rempah pilihan. Taman itu diairi mata air yang memancarkan air segar, yang mengalir dari Pergunungan Lebanon. Bangkitlah, hai angin utara. Bertiuplah ke tamanku, hai angin selatan; biarlah harummu semerbak di udara. Semoga kekasihku datang ke tamanku, dan makan buah-buah yang lazat. Aku datang ke tamanku, hai kekasih dan pengantinku, aku mengumpulkan mur dan rempahku; aku makan madu dan sarang lebah maduku, aku minum susu dan wainku. Makanlah, hai sahabat-sahabat, dan minumlah sehingga kamu mabuk asmara. Aku tidur, tetapi hatiku berjaga. Dengarlah, kekasihku mengetuk pintu. Benarkanlah aku masuk, hai sayangku, merpatiku, buah hatiku. Kepalaku basah kerana embun, dan rambutku penuh titisan embun malam. Pakaian telah kutanggalkan; mengapakah aku harus memakainya lagi? Kaki pun telah kucuci; mengapakah aku harus mengotorkannya lagi? Berdebar-debar hatiku, kerana kekasihku memegang tombol pintu. Maka bangunlah aku hendak membuka pintu bagi kekasihku. Mur menitis dari tangan dan jariku membasahi tombol pintu. Aku membuka pintu untuk kekasihku, tetapi dia sudah pergi. Aku sangat merindukan suaranya. Aku mencari dia tetapi tidak menemuinya; aku memanggil dia, tetapi dia tidak menyahut. Peronda-peronda kota menemui aku; mereka memukul dan melukai aku; pengawal di tembok kota merampas selendangku. Berjanjilah, hai puteri-puteri Yerusalem, jika kamu menjumpai kekasihku, beritahulah dia bahawa aku sakit asmara. Hai gadis yang paling jelita, adakah kekasihmu lebih baik daripada kekasih lain? Apakah kelebihan kekasihmu sehingga kami harus berjanji kepadamu? Kekasihku kacak dan gagah; unggul antara sepuluh ribu orang. Kepalanya seperti emas, emas murni, rambutnya berombak-ombak, hitam seperti burung gagak. Matanya seperti burung merpati di mata air, merpati bermandi susu, di tebing anak sungai. Pipinya bagaikan kebun rempah yang wangi. Bibirnya bagaikan bunga bakung yang menitiskan mur cecair. Tangannya elok, dan dia memakai cincin emas dengan permata. Badannya seperti gading bertatah batu nilam. Kakinya seperti tiang marmar putih, yang beralaskan emas. Perawakannya gagah seperti gunung-gunung di Lebanon, dan anggun seperti pokok sedar. Amat manis tutur katanya, segala yang ada padanya menawan hatiku. Demikianlah kekasihku dan sahabatku, hai puteri-puteri Yerusalem. Hai wanita yang paling jelita, ke manakah kekasihmu pergi? Katakanlah ke mana dia pergi, supaya kami dapat menolong kamu mencari dia. Kekasihku telah pergi ke tamannya, ke taman rempah-rempah untuk menggembala ternakannya di taman, sambil memetik bunga bakung. Kekasihku kepunyaanku, dan aku kepunyaannya; dia sedang menggembala ternakannya di tengah-tengah bunga bakung. Hai sayangku, engkau secantik kota Yerusalem, seindah kota Tirza. Engkau sangat mempesonakan seperti kota-kota yang besar itu. Palingkanlah wajahmu daripadaku, kerana pandanganmu membingungkan aku. Rambutmu seperti kawanan kambing yang menuruni bukit-bukit Gilead. Gigimu putih seperti kawanan domba yang baru dimandikan; berpasangan seperti anak domba kembar, tiada satu pun hilang. Pipimu seperti belahan buah delima, di balik tudungmu. Biarpun ada enam puluh orang permaisuri, dan lapan puluh orang gundik, dan gadis yang tidak terbilang, namun aku mengasihi seorang sahaja, dan dia cantik seperti burung merpati; anak tunggal kesayangan ibunya. Semua gadis melihat dan memuji dia, permaisuri dan gundik kagum akan dia. Siapakah dia yang datang seperti fajar merekah? Dia seindah bulan purnama, secerah sang suria. Aku datang ke kebun badam untuk melihat tanaman muda di lembah, sama ada pokok anggur sudah bertunas, dan sama ada pokok delima sudah berbunga. Aku sangat merindukan cintamu, seperti aku rindu menaiki kereta kuda bersama-sama para bangsawan. Menarilah, menarilah hai gadis Sulam. Biarlah kami melihat engkau menari. Mengapa kamu ingin melihat aku menari di tengah barisan penonton? Alangkah cantiknya engkau, hai gadis! Manisnya kakimu dengan sandal itu! Lengkung pahamu seperti perhiasan, karya tangan seniman. Pusatmu seperti cawan bulat yang tidak pernah kehabisan wain campur. Perutmu seperti timbunan gandum yang dikelilingi bunga bakung. Buah dadamu seperti dua anak rusa, seperti anak kijang kembar. Lehermu seperti menara gading. Matamu seperti kolam-kolam di kota Hesybon, dekat pintu gerbang Batrabim. Hidungmu seperti menara Lebanon yang menghadap ke kota Damsyik. Kepalamu seperti Gunung Karmel. Jalinan rambutmu seperti satin yang terhalus; kecantikannya mempesonakan bahkan seorang raja. Sungguh cantik, sungguh jelita engkau, yang tercinta antara yang disukai. Tubuhmu seayu pokok palma, dan buah dadamu seperti gugusan buahnya. Aku hendak memanjat pokok palma dan mendapat buahnya. Bagiku, buah dadamu seperti gugusan buah anggur, nafasmu seharum buah epal, dan mulutmu seperti wain yang terbaik. Jika demikian, biarlah wain itu mengalir kepada kekasihku, dengan tidak putus-putusnya, mengalir ke bibir dan giginya. Aku kepunyaan kekasihku, dia menginginkan aku. Marilah sayang, marilah kita ke luar bandar dan bermalam di pekan. Kita akan bangun pagi-pagi dan melihat sama ada pokok anggur sudah tumbuh atau bunganya sudah kembang, atau pokok delima sudah berbunga. Di sana aku akan memberikan cintaku kepadamu. Pokok dudaim harum semerbak, dan banyak buah yang sedap dekat pintu kita, yang sudah lama dipetik dan yang baru juga; aku telah menyimpannya bagimu, hai sayangku. Alangkah baiknya jika engkau saudaraku, yang disusui oleh ibuku sendiri, supaya apabila aku menemui engkau di tengah jalan, aku boleh mencium engkau, dan tidak sesiapa pun menghina aku. Aku akan membawa engkau ke rumah ibuku, dan engkau akan mengajar aku bercinta. Aku akan memberi engkau minum wain campur dan air buah delimaku. Tangan kirimu menopang kepalaku, dan tangan kananmu membelai aku. Berjanjilah, hai puteri-puteri Yerusalem, bahawa kamu tidak akan mengganggu cinta kami. Siapakah dia yang datang dari padang gurun, bersandar pada kekasihnya? Aku membangunkan engkau di bawah pokok epal, di tempat engkau dilahirkan. Jadikanlah aku buah hatimu; jangan peluk sesiapa pun selain aku, kerana cinta itu sekuat maut, dan nafsu berkuasa seperti kematian. Nyalanya seperti nyala api, yang berkobar dengan dahsyat. Air yang banyak tidak dapat memadamkan cinta, air bah tidak dapat menenggelamkannya. Jika seorang memberikan segala hartanya untuk membeli cinta, pasti hanya hinaan yang didapatinya. Kami mempunyai seorang adik perempuan, yang masih kecil buah dadanya. Apakah yang harus kami buat apabila pemuda datang meminangnya? Andaikata adik kami itu tembok, kami akan membina sebuah menara perak di atasnya. Tetapi jika dia itu pintu, kami akan memasang palang kayu sedar padanya. Aku ini tembok, dan buah dadaku menaranya. Kekasihku tahu bahawa bersama-sama dia, aku bahagia dan sejahtera. Raja Salomo mempunyai ladang anggur di Baal-Hamon. Pekebun menyewa ladang itu daripadanya; masing-masing membayar seribu mata wang perak untuk hasilnya. Raja Salomo menerima seribu mata wang perak, dan pekebun mendapat dua ratus sebagai bahagian mereka; tetapi aku mempunyai ladang anggurku sendiri! Biarlah kudengar suaramu dari ladang, hai sayangku; sahabat-sahabatku sedang menunggu untuk mendengar suaramu. Marilah, hai kekasihku, datanglah seperti seekor kijang, seperti anak rusa di atas gunung tempat tanaman rempah. Kitab ini mengandungi perkhabaran tentang Yehuda dan Yerusalem yang dinyatakan oleh Allah kepada Yesaya anak Amos pada masa pemerintahan Raja Uzia, Raja Yotam, Raja Ahas, dan Raja Hizkia, iaitu raja-raja Yehuda. TUHAN berfirman, “Hai langit dan bumi, dengarlah firman-Ku! Anak-anak yang Aku besarkan telah memberontak terhadap Aku. Lembu kenal akan pemiliknya, dan keldai pun tahu akan tempat makanan yang disediakan oleh tuannya, tetapi umat-Ku Israel tidak tahu. Mereka tidak memahaminya sama sekali!” Alangkah malangnya kamu, hai bangsa yang berdosa, hai kaum yang keji dan jahat! Dosa kamu telah menjerumuskan kamu! Kamu telah menolak TUHAN, Allah yang suci, Allah Israel dan kamu telah meninggalkan Dia. Mengapa kamu terus memberontak? Adakah kamu mahu dihukum dengan lebih dahsyat lagi? Hai Israel, kepalamu sudah penuh dengan luka. Hati dan fikiranmu tidak sihat. Dari kepala sampai telapak kaki, tiada sebahagian pun tubuhmu yang sihat. Tubuhmu diliputi lebam, kudis, dan luka, yang belum dibersihkan atau dibalut, ataupun diubati dengan minyak. Negeri kamu sudah dimusnahkan dan kota-kota kamu sudah dibakar habis. Di depan mata kamu, orang bangsa asing merampas tanah kamu dan memusnahkan segala-galanya. Hanya Yerusalem yang tinggal. Kota itu pun telah dikepung dan tidak berdaya seperti pondok di tengah-tengah ladang anggur atau sebuah gubuk di kebun timun. Jika TUHAN Yang Maha Kuasa tidak membenarkan beberapa orang hidup, Yerusalem sudah pun musnah sama sekali seperti Sodom dan Gomora dahulu. Hai Yerusalem, pemimpin dan rakyat kamu sama seperti orang Sodom dan Gomora. Dengarlah firman TUHAN kepada kamu. Perhatikanlah ajaran Allah kita. TUHAN berfirman, “Jangan berfikir bahawa Aku mahu segala korban yang terus-menerus kamu persembahkan kepada-Ku! Aku sudah bosan dengan domba yang kamu persembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku, dan lemak binatang yang digemukkan. Aku jemu dengan darah lembu jantan, domba, dan kambing. Siapakah yang menyuruh kamu membawa semua itu apabila kamu datang beribadat kepada-Ku? Jangan pijak halaman Rumah-Ku lagi. Sia-sia sahaja kamu membawa persembahan kamu. Aku muak dengan bau kemenyan yang kamu bakar. Aku tidak tahan lagi melihat kamu merayakan Bulan Baru, hari Sabat, dan pertemuan keagamaan kamu. Semuanya telah dinajiskan oleh dosa kamu. Aku benci akan perayaan Bulan Baru dan hari-hari suci itu, yang menjadi beban bagi-Ku, dan Aku lelah memikulnya. Apabila kamu mengangkat tangan untuk berdoa, Aku tidak akan memperhatikan kamu. Walaupun berapa banyak kali kamu berdoa, Aku tidak akan mendengarnya, kerana tangan kamu telah banyak kali melakukan pembunuhan. Bersihkanlah diri kamu. Hentikanlah segala kejahatan yang kamu lakukan di depan Aku. Jangan berbuat jahat lagi, melainkan belajarlah berbuat baik. Lakukanlah yang adil: tolonglah mereka yang tertindas, berikanlah hak kepada anak yatim piatu, dan belalah perkara para balu.” TUHAN berfirman, “Marilah kita selesaikan perkara ini. Walaupun kamu merah marak kerana dosa kamu, Aku akan mencuci kamu sehingga menjadi putih seperti salji. Walaupun dosa kamu banyak dan berat, kamu akan Aku ampuni sepenuhnya. Jika kamu mahu taat kepada-Ku, kamu akan menikmati hasil tanah kamu. Tetapi jika kamu melawan Aku, kamu pasti mati. Aku, TUHAN telah berfirman.” Kota yang dahulunya setia, sekarang berlaku seperti pelacur! Dahulu kota itu dipenuhi penduduk yang adil dan jujur, tetapi sekarang hanya pembunuh yang tinggal di sana. Hai Yerusalem, dahulu engkau seperti perak, tetapi sekarang engkau tidak berharga lagi. Dahulu engkau seperti wain yang baik, tetapi sekarang engkau seperti air sahaja. Pemimpinmu pemberontak dan sahabat pencuri. Mereka sentiasa menerima hadiah dan rasuah. Mereka tidak membela anak yatim piatu ataupun mendengar aduan para balu. Oleh itu, sekarang dengarlah TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel berfirman, “Aku akan membalas dendam terhadap kamu, musuh-Ku. Maka kamu tidak akan menyusahkan Aku lagi. Aku akan bertindak melawan kamu. Sebagaimana orang memurnikan logam, demikian juga Aku akan memurnikan kamu. Aku akan membuang segala kekotoran kamu. Aku akan memberi kamu pemimpin dan penasihat seperti dahulu kala. Barulah Yerusalem akan disebut kota yang adil dan setia.” Oleh sebab TUHAN adil, Dia akan menyelamatkan Yerusalem dan setiap orang di situ yang bertaubat. Tetapi Dia akan membinasakan setiap orang yang berdosa serta memberontak terhadap-Nya. Dia akan membunuh setiap orang yang meninggalkan Dia. Kamu akan menyesal kerana menyembah pokok-pokok dan mengkhususkan kebun-kebun untuk dewa-dewa. Kamu akan menjadi seperti pokok besar yang layu daunnya, dan seperti taman yang tidak diairi. Seperti jerami terbakar oleh sepercik bunga api, demikian juga orang berkuasa akan dibinasakan oleh perbuatan jahat mereka sendiri. Tiada sesiapa pun dapat menghentikan kebinasaan mereka. Inilah perkhabaran tentang Yehuda dan Yerusalem yang diberikan Allah kepada Yesaya anak Amos: Pada masa hadapan bukit tempat Rumah TUHAN akan menjadi bukit yang tertinggi antara segala bukit yang lain. Semua bangsa akan berduyun-duyun ke sana, dan mereka akan berkata, “Marilah kita pergi ke bukit TUHAN, ke rumah Allah Israel. Dia akan mengajar kita tentang kehendak-Nya; dan kita akan mengikut jalan yang dipilih-Nya, kerana ajaran TUHAN berasal dari Yerusalem; dari Sion Dia berfirman kepada umat-Nya.” Dia akan menghakimi bangsa-bangsa, dan menyelesaikan perselisihan mereka. Mereka akan menempa pedang menjadi bajak, dan tombak menjadi pisau pemangkas. Bangsa-bangsa tidak lagi berperang, dan tidak lagi bersiap untuk menyerang. Hai keturunan Yakub, marilah kita hidup dalam cahaya yang diberikan TUHAN! Ya Allah, Engkau telah meninggalkan umat-Mu, keturunan Yakub! Negeri ini penuh dengan ilmu sihir dari timur dan dari negeri orang Filistin. Penduduk meniru adat istiadat orang bangsa asing. Negeri mereka penuh dengan perak dan emas; harta benda mereka tidak terhingga. Kuda mereka amat banyak dan kereta kuda mereka tidak terbilang. Negeri mereka penuh dengan berhala, dan mereka menyembah patung-patung yang dibuat oleh mereka sendiri. Tiap-tiap orang akan dihinakan dan dipermalukan. Jangan ampuni mereka, ya TUHAN! Mereka akan bersembunyi di dalam gua di bukit-bukit batu, atau menggali lubang di tanah untuk melarikan diri daripada kemurkaan TUHAN, dan bersembunyi daripada kuasa serta kemuliaan-Nya! Harinya akan tiba apabila kesombongan manusia dilenyapkan, dan keangkuhan manusia dimusnahkan. Barulah TUHAN sahaja yang akan dipermuliakan. Pada hari itu TUHAN Yang Maha Kuasa akan merendahkan semua orang yang meninggikan diri, dan menghukum semua orang yang sombong. Dia akan memusnahkan pokok-pokok sedar yang tinggi di Lebanon, dan semua pokok besar di Basan. Dia akan meratakan gunung-gunung tinggi dan bukit-bukit, serta merobohkan tiap-tiap menara tinggi dan tembok kubu. Bahkan kapal-kapal yang terbesar dan terindah akan ditenggelamkan-Nya. [17-18] Kesombongan manusia akan dilenyapkan, dan keangkuhan manusia akan dimusnahkan. Berhala-berhala akan lenyap sama sekali, dan TUHAN sahaja yang akan dipermuliakan pada hari itu. *** Orang akan bersembunyi di dalam gua di bukit-bukit batu, atau menggali lubang di tanah untuk melarikan diri daripada kemurkaan TUHAN, dan bersembunyi daripada kuasa dan kemuliaan-Nya apabila Dia datang untuk menggoncang bumi. Pada hari itu kelak, orang akan membuang berhala yang dibuat daripada perak dan emas, serta meninggalkan semuanya untuk tikus dan kelawar. Apabila TUHAN datang untuk menggoncang bumi, orang akan bersembunyi di dalam lubang dan di dalam gua di bukit-bukit batu untuk melarikan diri daripada kemurkaan-Nya, dan bersembunyi daripada kuasa serta kemuliaan-Nya. Oleh itu jangan percaya kepada manusia fana kerana mereka tidak berharga. Sesungguhnya Tuhan, TUHAN Yang Maha Kuasa, akan mengambil segala benda dan semua orang yang diharapkan oleh penduduk di Yerusalem dan Yehuda. Dia akan mengambil makanan dan minuman mereka, para pahlawan serta askar, hakim serta nabi, tukang ramal serta penasihat, perwira serta orang terkemuka, ahli politik, tukang sihir dan tukang tenung. TUHAN akan membiarkan rakyat dipimpin oleh anak-anak lelaki yang tidak matang. Tiap-tiap orang akan memperdaya orang lain. Orang muda tidak lagi menghormati orang tua, dan orang bawahan tidak lagi menghormati orang atasan. Akan tiba masanya orang dari satu puak akan memilih seorang daripada puak mereka sendiri lalu berkata kepadanya, “Hanya engkau yang mempunyai jubah. Oleh itu jadilah pemimpin kami pada masa kesusahan ini.” Tetapi orang itu akan menjawab, “Aku tidak dapat menolong kamu. Aku sendiri tidak mempunyai makanan atau pakaian. Jangan jadikan aku pemimpin kamu!” Yerusalem sudah jatuh! Yehuda pun sudah runtuh! Segala ucapan dan perbuatan mereka menentang TUHAN semata-mata. Dengan terang-terang mereka menghina Allah. Air muka mereka menyatakan kejahatan mereka. Mereka berdosa dengan terang-terang seperti penduduk Sodom dahulu. Alangkah malangnya mereka! Mereka mendatangkan bencana itu kepada diri mereka sendiri. TUHAN berfirman, “Orang yang taat kepada-Ku akan bahagia dan selamat. Mereka akan menikmati hasil usaha mereka. Tetapi malanglah orang jahat! Mereka akan diperlakukan sebagaimana mereka telah memperlakukan orang lain. Pemberi pinjam wang menindas umat-Ku dan menipu mereka. Hai umat-Ku, pemimpin kamu menyesatkan kamu, sehingga kamu tidak tahu akan jalan yang harus kamu ikut.” TUHAN sudah bersedia untuk mengemukakan perkara-Nya; Dia telah bersedia untuk menghakimi umat-Nya. TUHAN akan mengadili ketua dan pemimpin umat-Nya. Inilah tuduhan-Nya terhadap mereka, “Kamu telah merampas hasil ladang anggur dan rumah kamu penuh dengan barang yang kamu rampas daripada orang miskin. Kamu tidak berhak memeras umat-Ku serta memperdaya orang miskin. Aku, TUHAN Raja Yang Maha Kuasa telah berfirman.” TUHAN berfirman, “Sombong betul wanita Yerusalem! Mereka suka bergaya, sentiasa bermain mata, dan langkah mereka dibuat-buat sehingga gelang kaki bergemerencing. Tetapi Aku akan menghukum mereka: Aku akan mencukur rambut mereka sehingga mereka botak.” Harinya akan tiba apabila Tuhan mengambil segala barang perhiasan yang dibanggakan oleh wanita Yerusalem: hiasan rambut, gelang kaki, kalung, gelang tangan, kain tudung, hiasan kepala, azimat yang dipakai pada lengan dan pinggang, cincin serta anting-anting hidung, pakaian pesta, baju gaun, jubah, beg tangan, baju tipis, sapu tangan linen, ikat kepala, dan selendang panjang. Sekarang mereka memakai minyak wangi, tetapi kelak mereka akan berbau busuk. Tali pinggang mereka yang halus akan diganti dengan tali yang kasar. Kepala mereka yang berambut cantik akan menjadi botak. Pakaian mereka yang elok-elok akan diganti dengan kain buruk. Kecantikan mereka akan diganti dengan keburukan yang memalukan! Kaum lelaki di kota itu, bahkan yang paling perkasa akan terbunuh dalam peperangan. Di pintu gerbang kota, orang akan berkabung dan meratap, dan kota itu akan menjadi seperti wanita yang ditelanjangi, yang duduk di tanah. Pada masa itu kelak, tujuh orang wanita akan memegang seorang lelaki dan berkata, “Kami sanggup menanggung makanan dan minuman kami sendiri, tetapi benarkan kami berkata bahawa engkau suami kami, supaya kami tidak menanggung malu kerana tidak berkahwin.” Masanya akan tiba apabila TUHAN membuat tiap-tiap tumbuhan dan pokok di negeri itu tumbuh dengan besar dan indah. Semua penduduk Israel yang selamat akan bersukacita dan bangga akan hasil bumi negeri itu. Tiap-tiap orang yang tertinggal di Yerusalem, iaitu orang yang dipilih Allah supaya tetap hidup, akan disebut suci. Dengan kuasa-Nya Tuhan akan menghakimi dan memurnikan bangsa itu. Dia akan menghapuskan kesalahan Yerusalem dan membersihkannya daripada darah yang telah ditumpahkan di situ. Lalu di atas Bukit Sion dan di atas semua orang yang berkumpul di situ, TUHAN akan mendatangkan awan pada siang hari dan asap serta api yang bernyala-nyala pada waktu malam. Kemuliaan Allah akan menudungi dan melindungi seluruh kota itu. Kemuliaan-Nya akan menaungi kota itu daripada kepanasan siang hari, dan menjadikan kota itu tempat yang terlindung daripada hujan dan ribut. Dengarlah nyanyianku, tentang sahabatku dan ladang anggurnya: Sahabatku mempunyai sebidang ladang anggur di bukit yang sangat subur. Dia mencangkul tanahnya dan membuang batu-batunya; dia menanam anggur pilihan, dan membina menara penjagaan. Dia menggali sebuah lubang untuk memeras buah anggurnya. Lalu dia menunggu sehingga buah anggur masak, tetapi tiap-tiap buah itu masam. Oleh itu sahabatku berkata, “Hai penduduk Yerusalem dan Yehuda, hakimilah aku dan ladang anggurku. Adakah hal lain yang harus aku buat, tetapi belum aku lakukan untuk ladang anggurku itu? Mengapakah buah masam yang dihasilkannya, dan bukan buah yang baik seperti yang aku harapkan? Inilah yang hendak aku lakukan pada ladang anggurku itu: aku akan mencabut pagar di sekelilingnya, merobohkan tembok yang melindunginya, dan membiar binatang liar memakannya dan memijak-mijaknya. Aku akan membiarkannya ditumbuhi lalang. Aku tidak akan memangkas pokok anggur ataupun menggemburkan tanahnya lagi. Sebaliknya aku akan membiarkannya ditutupi semak berduri. Bahkan aku akan melarang awan menurunkan hujan ke atasnya.” Israel ialah ladang anggur TUHAN Yang Maha Kuasa; orang Yehuda ialah pokok anggur yang ditanam-Nya. Dia mengharapkan mereka melakukan yang baik, tetapi mereka melakukan pembunuhan. Dia mengharapkan mereka melakukan yang benar, tetapi yang kedengaran adalah suara mangsa mereka meminta keadilan. Malanglah kamu! Kamu membeli rumah dan ladang untuk menambah milik kamu. Tidak lama lagi habislah tempat tinggal bagi orang lain. Kamu sahaja yang akan menduduki negeri itu. Aku mendengar TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Semua rumah yang besar dan indah ini akan menjadi reruntuhan tanpa penghuni. Pokok-pokok anggur yang tumbuh di tanah seluas sepuluh hektar akan menghasilkan lapan liter wain sahaja. Seratus lapan puluh liter benih hanya akan menghasilkan lapan belas liter gandum.” Malanglah kamu! Kamu bangun pagi-pagi dan mula minum minuman keras. Lalu kamu mabuk sehingga larut malam. Dalam pesta-pesta kamu ada bunyi kecapi, gambus, tamburin, dan seruling, dan juga minuman wain, tetapi kamu tidak tahu akan apa yang sedang dilakukan oleh TUHAN. Kamu akan dibuang sebagai orang tawanan. Para pemimpin akan mati kelaparan dan rakyat jelata akan mati kehausan. Mulut alam maut terbuka lebar-lebar untuk menelan orang bangsawan di Yerusalem bersama-sama rakyat jelata yang ramai-ramai bersuka ria. Tiap-tiap orang akan dipermalukan, dan semua orang yang sombong akan direndahkan. Demikianlah TUHAN Yang Maha Kuasa menunjukkan kebesaran-Nya dengan melakukan apa yang benar, serta menyatakan kesucian-Nya dengan menghakimi umat-Nya. Di tengah-tengah reruntuhan kota, anak domba akan meragut rumput dan anak kambing akan mendapat padang rumput yang hijau. Malanglah kamu! Kamu tidak mahu meninggalkan dosa. Kamu berkata, “Marilah kita lihat apa yang akan dilakukan TUHAN. Biarlah Dia segera melakukan hal yang telah difirmankan-Nya. Biarlah Allah Israel, Allah yang suci melaksanakan rancangan-Nya.” Malanglah kamu! Kamu memutarbalikkan yang baik dan yang jahat, yang gelap dan yang terang, serta yang pahit dan yang manis. Malanglah kamu! Kamu fikir, kamu bijak dan sangat pandai! Malanglah kamu, hai jaguh minum. Kamu berani dan hebat apabila mencampur minuman keras! Tetapi manakala kamu diberikan rasuah sedikit sahaja, kamu bersedia melepaskan orang yang bersalah, serta mencegah orang yang tidak bersalah menerima keadilan. Oleh itu sebagaimana jerami dan rumput kering mudah terbakar, demikian juga akar kamu akan reput dan bunga kamu layu, lalu diterbangkan angin, kerana kamu telah menolak ajaran TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, Allah yang suci. TUHAN murka terhadap umat-Nya. Dia hendak menghukum mereka. Gunung akan goncang dan mayat akan berselerakan di tengah jalan seperti sampah. Namun kemurkaan TUHAN belum lagi berakhir. Dia akan terus menghukum umat-Nya. Lihatlah TUHAN memberikan tanda kepada bangsa yang jauh. Dia bersiul memanggil mereka dari hujung bumi dan mereka datang dengan segera! Tiada satu orang pun penat atau tersandung. Mereka tidak pernah mengantuk atau tidur. Mereka selalu siap untuk berperang. Anak panah mereka tajam dan busur mereka siap dilenturkan. Kuku kuda mereka keras seperti batu api, dan roda kereta kuda mereka berputar secepat angin puting beliung. Askar-askar mereka mengaum seperti singa yang menerkam dan melarikan mangsanya supaya tiada sesiapa dapat melepaskan mangsa itu. Apabila masanya tiba kelak, tempikan mereka terhadap Israel sekeras deru laut. Lihatlah, seluruh negeri itu diliputi kegelapan dan kecemasan! Cahaya menjadi kegelapan! Pada tahun Raja Uzia mangkat, aku nampak Tuhan. Dia bersemayam di atas takhta-Nya yang tinggi dan mulia. Kelepet jubah-Nya memenuhi seluruh Rumah TUHAN. Makhluk-makhluk yang bernyala seperti api berdiri di sekeliling-Nya: setiap makhluk mempunyai enam sayap. Tiap-tiap makhluk itu menggunakan dua sayap untuk menutup muka, dua sayap lagi untuk menutup tubuh, dan dua lagi untuk terbang. Makhluk-makhluk itu berseru satu sama lain, “Suci, suci, suci! Sucilah TUHAN Yang Maha Kuasa! Bumi penuh dengan hadirat-Nya yang mulia.” Suara makhluk-makhluk itu menyebabkan asas Rumah TUHAN bergoncang, dan Rumah TUHAN itu dipenuhi asap. Lalu aku berkata, “Malanglah aku! Tiada harapan lagi bagi aku, kerana tiap-tiap perkataanku itu dosa, dan aku hidup di kalangan orang yang begitu juga. Namun dengan mataku sendiri, aku telah melihat Raja, TUHAN Yang Maha Kuasa!” Kemudian salah satu makhluk itu terbang turun kepadaku, membawa bara yang diambilnya dari mazbah dengan sepit. Dia menyentuh bibirku dengan bara itu sambil berkata, “Bara ini telah menyentuh bibirmu. Oleh itu, kesalahanmu sudah dihapuskan, dan dosamu pun sudah diampunkan.” Kemudian aku mendengar Tuhan berfirman, “Siapakah yang akan Kuutus? Siapa akan menjadi utusan kita?” Aku menjawab, “Inilah aku. Utuslah aku!” Lalu Dia menyuruh aku memberikan perkhabaran ini kepada umat, “Kamu akan terus mendengar, tetapi tidak mengerti. Kamu akan terus memperhatikan, tetapi tidak tahu apa yang berlaku.” Kemudian Dia berfirman kepadaku, “Tumpulkanlah fikiran umat ini, tulikanlah telinga mereka dan butakanlah mata mereka supaya mereka tidak dapat melihat, atau mendengar, ataupun mengerti. Jika mereka tidak demikian, mungkin mereka kembali kepada-Ku lalu disembuhkan.” Aku bertanya, “Sampai bilakah hal ini akan berlangsung, ya Tuhan?” Dia menjawab, “Sehingga kota-kota runtuh dan musnah tanpa penghuni, rumah-rumah tidak didiami lagi dan tanah menjadi kosong serta tandus. Aku akan membuang umat itu ke tempat yang jauh, dan Aku akan menjadikan seluruh negeri sepi tidak berpenghuni. Bahkan jika ada seorang antara sepuluh yang masih tertinggal di negeri itu, dia juga akan dibinasakan. Dia akan menjadi seperti tunggul pokok oak yang telah ditebang. Tunggul itu melambangkan permulaan yang baru bagi umat Allah.” Raja Ahas ialah putera Raja Yotam dan cucu Raja Uzia. Pada masa Raja Ahas memerintah Yehuda, peperangan berlaku. Raja Rezin, raja negeri Siria, dan Raja Pekah anak Remalya, iaitu raja Israel, menyerang Yerusalem tetapi mereka tidak berjaya menawan kota itu. Apabila raja Yehuda mendengar bahawa tentera Siria telah berada di kawasan Israel, raja dan rakyatnya sangat ketakutan sehingga mereka gementar seperti pokok digoyangkan angin. TUHAN berfirman kepada Yesaya, “Bawalah anakmu, Syear Yasyub dan pergilah menghadap Raja Ahas. Engkau akan menemuinya di jalan tempat pembuat kain bekerja, di hujung parit yang menyalurkan air dari kolam yang di sebelah atas. Suruhlah dia berwaspada dan tenang. Dia tidak usah takut ataupun gelisah. Kemurkaan Raja Rezin dan orang Siria serta Raja Pekah tidak lebih berbahaya daripada asap dua puntung kayu api. Siria telah berkomplot dengan Israel dan rajanya. Mereka hendak menyerang Yehuda dan menakut-nakutkan penduduknya supaya berpihak kepada mereka, lalu melantik anak lelaki Tabeel menjadi raja. Tetapi Aku, TUHAN, berfirman bahawa perkara ini sekali-kali tidak akan berlaku, kerana Siria tidak lebih kuat daripada Damsyik, ibu kotanya, dan Damsyik pun tidak lebih kuat daripada Raja Rezin. Sedangkan dalam masa enam puluh lima tahun, Israel akan berpecah belah sehingga tidak dapat bertahan sebagai satu bangsa. Israel tidak lebih kuat daripada Samaria, ibu kotanya, dan Samaria pun tidak lebih kuat daripada Raja Pekah. Jika kamu tidak sungguh-sungguh percaya kepada-Ku, pasti kamu akan jatuh.” TUHAN menyampaikan satu lagi perkhabaran kepada Raja Ahas. “Mintalah supaya TUHAN, Allahmu memberikan satu tanda kepadamu, sama ada dari dunia orang mati di bawah, atau dari langit di atas.” Raja Ahas menjawab, “Beta tidak mahu meminta tanda. Beta tidak mahu menguji TUHAN.” Lalu Yesaya berkata, “Dengarlah baik-baik, hai keturunan Raja Daud. TIdak cukupkah tuanku menguji kesabaran manusia? Mestikah tuanku menguji kesabaran Allah hamba juga? Baiklah, Tuhan sendiri akan memberikan tanda kepada tuanku: seorang gadis yang mengandung akan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakannya ‘Imanuel.’ Apabila anak itu cukup dewasa untuk membuat keputusannya sendiri, negeri itu akan makmur. Bahkan sebelum masa itu tiba, negeri kedua-dua orang raja yang tuanku takuti akan ditinggalkan kosong. TUHAN akan mendatangkan raja Asyur, lalu tuanku dan semua keluarga tuanku serta rakyat akan mengalami bencana yang lebih dahsyat daripada apa yang pernah berlaku sejak Israel terpisah dari Yehuda. Pada masa itu TUHAN akan bersiul sebagai tanda untuk memanggil tentera Mesir yang datang seperti kawanan lalat dari hujung Sungai Nil, dan tentera Asyur yang datang seperti kawanan lebah dari negeri mereka. Mereka akan mengerumuni lembah-lembah yang curam, celah-celah bukit batu, dan tiap-tiap belukar duri serta padang rumput. Pada masa itu Tuhan akan mengupah seorang pencukur, iaitu raja Asyur dari seberang Sungai Efrat. Raja itu akan mencukur janggut dan rambut pada kepala orang Israel, serta bulu pada tubuh mereka. Pada masa itu walaupun seorang penternak hanya dapat menyelamatkan seekor anak lembu dan dua ekor kambing, binatang-binatang itu akan memberikan susu yang lebih daripada cukup untuk keperluan penternak itu. Sesungguhnya, beberapa orang yang tersisa di negeri itu akan minum susu dan makan madu. Pada masa itu ladang anggur yang baik, yang ditanami seribu pokok dan berharga seribu wang perak, semuanya akan ditumbuhi semak dan belukar berduri. Di situ orang akan memburu binatang dengan busur dan panah. Seluruh negeri itu akan penuh dengan semak dan belukar berduri. Bukit-bukit yang dahulunya diusahakan akan ditumbuhi duri sehingga tiada sesiapa pun yang mahu ke situ. Tanah itu akan menjadi tempat merumput bagi lembu dan domba.” TUHAN berfirman kepadaku, “Ambillah sebuah batu tulis yang besar dan tulislah perkataan ini di atasnya dengan huruf-huruf yang jelas: ‘Curi Segera, Rampas Cepat.’ Panggillah dua orang yang dapat dipercayai untuk menjadi saksi, iaitu Imam Uria dan Zakharia anak Yeberekhya.” Tidak berapa lama kemudian isteriku mengandung. Apabila anak kami lahir, TUHAN berfirman kepadaku, “Namakanlah dia, ‘Curi Segera, Rampas Cepat.’ Sebelum anak itu dapat menyebut ‘Mak’ dan ‘Ayah’, semua harta kota Damsyik dan semua barang jarahan Samaria akan diangkut oleh raja Asyur.” TUHAN berfirman lagi kepadaku. Firman-Nya, “Kerana umat ini telah menolak air yang tenang dari Sungai Syiloah, dan mereka bersukacita di hadapan Raja Rezin dan Raja Pekah, Aku, Tuhan, akan mendatangkan raja Asyur dengan seluruh angkatan perangnya untuk menyerang Yehuda. Mereka akan mara seperti air bah dari Sungai Efrat yang meluap-luap dan membanjiri tebingnya. Mereka akan melanda Yehuda seperti banjir yang setinggi bahu dan menenggelamkan segala sesuatu.” Allah menyertai kita! Sayap-Nya yang terbentang menaungi negeri ini. Berhimpunlah dengan ketakutan, hai bangsa-bangsa! Dengarlah, hai tempat-tempat yang jauh. Bersiaplah untuk berperang, tetapi hendaklah kamu takut! Ya, bersiap-siaplah, tetapi dengan rasa takut! Buatlah rancangan-rancangan kamu, tetapi semuanya akan gagal! Ambillah keputusan, tetapi semuanya itu sia-sia, kerana Allah menyertai kami! Aku dikuasai TUHAN dan diberikan amaran supaya tidak mengikut jalan yang ditempuh bangsa itu. Dia berfirman, “Jangan berpakat dengan mereka, dan jangan takut akan hal-hal yang ditakuti mereka. Ingatlah bahawa Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa adalah suci. Akulah yang harus kamu takuti. Kerana Aku sangat suci, Aku menjadi seperti batu sandungan, serta perangkap bagi rakyat Yehuda dan Israel, serta penduduk Yerusalem. Banyak orang akan tersandung; mereka akan jatuh dan remuk. Mereka akan terperangkap.” Kamu, pengikut-pengikutku, harus menyimpan dan memelihara perkhabaran yang telah diberikan Allah kepadaku. TUHAN telah menyembunyikan diri daripada umat-Nya, tetapi aku percaya dan berharap kepada-Nya. Inilah aku dengan anak-anak yang telah diberikan TUHAN kepadaku. TUHAN Yang Maha Kuasa yang bersemayam di Bukit Sion telah mengutus kami sebagai tanda kepada umat Israel. Tetapi orang akan menyuruh kamu meminta petunjuk daripada tukang tenung dan bomoh yang berbisik-bisik dan berkumat-kamit. Orang akan berkata, “Bukankah kita harus minta petunjuk daripada arwah-arwah demi kepentingan orang yang masih hidup?” Hendaklah kamu menjawab, “Dengarkan ajaran TUHAN! Orang yang tidak berkata-kata sesuai dengan ajaran itu, tidak mempunyai harapan.” Umat ini akan mengembara di serata negeri, dan berasa kecewa serta lapar. Kerana kelaparan, mereka marah sehingga mengutuk raja dan Allah mereka. Walaupun mereka memandang ke atas atau memandang ke bawah, mereka tidak akan melihat apa-apa selain kesusahan dan kegelapan serta kesuraman yang mencengkam. Mereka akan dibuang ke tempat yang gelap gelita. Tiada jalan bagi mereka untuk melepaskan diri dari masa kesusahan itu. Tanah suku Zebulon dan suku Naftali pernah dipermalukan. Tetapi pada masa hadapan, kawasan itu akan dihormati, iaitu dari Laut Tengah sampai ke tanah di seberang Yordan di sebelah timur, bahkan sampai ke Galilea tempat orang bangsa asing tinggal. Orang yang berjalan dalam kegelapan telah melihat cahaya yang sangat terang. Mereka tinggal dalam bayangan segelap maut, tetapi kini mereka disinari cahaya yang terang. Ya TUHAN, Engkau telah memberi mereka kesukaan besar, Engkau membahagiakan mereka. Mereka bersukacita kerana perbuatan-Mu, seperti orang bersukacita semasa menuai hasil tanaman, atau membahagi-bahagikan barang jarahan. Engkau sudah mengambil beban mereka yang berat, dan kayu pikulan dari bahu mereka. Engkau telah mengalahkan bangsa yang menindas dan memperdaya umat-Mu, sebagaimana Engkau mengalahkan tentera Midian dahulu kala. Kasut yang dipakai oleh tentera yang menyerang dan segala pakaian mereka yang berlumuran darah akan dibakar habis oleh api. Seorang anak telah dilahirkan bagi kita! Seorang anak lelaki telah dianugerahkan kepada kita! Dia akan menjadi pemimpin kita. Dia akan disebut “Penasihat Bijaksana,” “Allah Perkasa,” “Bapa Kekal,” “Raja Damai.” Kekuasaan-Nya akan terus bertambah; pemerintahan-Nya akan sentiasa aman. Dia akan memerintah sebagai ganti Raja Daud, pemerintahan-Nya akan berdasarkan hukum dan keadilan dari sekarang hingga akhir zaman. TUHAN Yang Maha Kuasa pasti melakukan segala perkara ini. Tuhan telah menjatuhkan hukuman kepada kerajaan Israel, iaitu keturunan Yakub. Semua penduduk Israel dan kota Samaria akan mengetahui bahawa Dialah yang melakukan hal ini. Sekarang mereka sombong dan tinggi hati. Mereka berkata, “Bangunan-bangunan yang dibuat daripada batu bata telah roboh, tetapi kami akan menggantikannya dengan bangunan-bangunan daripada batu pahat. Kayu ara telah ditebang, tetapi kami akan menggantikannya dengan kayu sedar yang terbaik.” TUHAN telah menggerakkan musuh mereka untuk menyerang mereka. Bangsa Siria di timur dan bangsa Filistin di barat telah mengangakan mulut untuk menelan Israel. Tetapi sekalipun semua itu terjadi, kemurkaan TUHAN masih belum padam; Dia masih hendak menghukum mereka. Umat Israel masih belum bertaubat. Walaupun TUHAN Yang Maha Kuasa telah menghukum mereka, tetapi mereka masih belum kembali kepada-Nya. Dalam sehari sahaja TUHAN akan menghukum pemimpin-pemimpin Israel bersama-sama rakyat. Dia akan memenggal dan membuang kepala serta ekor Israel. Kepala Israel ialah orang tua-tua dan orang terhormat, dan ekornya ialah nabi-nabi yang memberi ajaran yang menyesatkan! Pemimpin-pemimpin rakyat telah menyesatkan dan mengelirukan rakyat. Oleh itu, Tuhan tidak akan membenarkan orang muda mereka melepaskan diri. Dia tidak akan menunjukkan belas kasihan terhadap balu dan anak yatim piatu, kerana semua umat itu telah membuang iman dan derhaka. Segala perkataan mereka jahat. Tetapi sekalipun semua itu terjadi, kemurkaan TUHAN masih belum padam; Dia masih hendak menghukum mereka. Kejahatan umat itu berkobar seperti api yang memusnahkan semak berduri dan lalang. Nyalanya seperti hutan terbakar yang mengepul-ngepulkan asap. Kerana TUHAN Yang Maha Kuasa sangat murka, hukuman-Nya seperti api yang membakar seluruh negeri itu serta penduduknya. Tiap-tiap orang hanya mementingkan diri sendiri. Di seluruh negeri itu orang merenggut dan memakan apa-apa sahaja yang dapat dimakan, namun mereka tidak kenyang. Bahkan mereka makan saudara sendiri. Penduduk Manasye dan penduduk Efraim menyerang satu sama lain, lalu mereka bersama-sama menyerang Yehuda. Tetapi sekalipun semua itu terjadi, kemurkaan TUHAN masih belum padam; Dia masih hendak menghukum mereka. Malanglah kamu! Kamu membuat undang-undang yang tidak adil untuk menindas umat-Ku. Begitulah caranya kamu menghalang orang miskin mendapat hak mereka dan keadilan, serta merampas milik para balu dan anak yatim piatu. Apa yang akan kamu lakukan apabila Allah menghukum kamu kelak? Apa yang akan kamu lakukan apabila Dia mendatangkan bencana dari negeri yang jauh? Kepada siapakah kamu akan lari minta pertolongan? Di mana akan kamu sembunyikan kekayaan kamu? Kamu akan mati terbunuh dalam pertempuran, atau diseret sebagai tawanan. Tetapi sekalipun semua itu terjadi, kemurkaan TUHAN masih belum padam; Dia masih hendak menghukum kamu. TUHAN berfirman, “Malanglah Asyur! Aku menggunakan Asyur sebagai belantan untuk menghukum orang yang Aku marahi. Aku mengirim Asyur untuk menyerang suatu bangsa yang telah membuang iman, dan yang telah membangkitkan kemurkaan-Ku. Aku mengutus Asyur untuk menjarah, mencuri, dan memijak-mijak bangsa itu seperti lumpur di jalan.” Tetapi dalam hatinya, raja Asyur mempunyai rancangannya sendiri. Raja itu bertekad menggunakan kekerasan dan memusnahkan banyak bangsa. Raja bercakap besar, “Tiap-tiap panglima beta ialah seorang raja! Beta telah mengalahkan kota Kalno dan Karkemis, kota Hamat dan Arpad. Beta telah mengalahkan kota Samaria dan Damsyik. Beta menghukum kerajaan-kerajaan yang menyembah berhala. Berhala mereka lebih banyak daripada berhala di Yerusalem dan Samaria. Beta telah memusnahkan Samaria dengan segala berhalanya. Sekarang beta akan berbuat demikian juga terhadap Yerusalem dan patung-patung yang disembah di situ.” Tetapi Tuhan berfirman, “Setelah selesai apa yang hendak Aku lakukan di Bukit Sion dan di Yerusalem, Aku akan menghukum raja Asyur kerana cakap besarnya dan kesombongannya.” Raja Asyur bercakap besar, “Beta telah melakukan segalanya itu dengan kekuatan beta sendiri. Beta bijak dan pandai. Beta menghapuskan sempadan antara negeri dan merampas bekalan mereka. Seperti seekor lembu jantan, beta telah memijak-mijak bangsa yang tinggal di situ. Bangsa-bangsa di dunia ini seperti sarang burung; beta merampas harta mereka semudah beta mengumpulkan telur. Tidak seekor burung pun yang menggerakkan sayap untuk menakutkan beta atau membuka paruh untuk menciap!” Tetapi TUHAN berfirman, “Dapatkah sebilah kapak memegahkan diri terhadap orang yang menggunakannya? Adakah sebilah gergaji lebih penting daripada orang yang menggunakan gergaji itu? Bukan belantan yang mengangkat orang, sebaliknya orang yang mengangkat belantan.” TUHAN Yang Maha Kuasa akan mendatangkan penyakit untuk menghukum panglima-panglima yang tegap. Mereka akan menghidap penyakit demam seperti api membakar terus-menerus. Allah, cahaya Israel, akan menjadi api. Allah Israel, Allah yang suci, akan menjadi nyala api, yang dalam sehari akan menghanguskan segala-galanya, bahkan duri dan lalang. Hutan lebat dan ladang subur di Asyur akan dimusnahkan sama sekali seperti seorang sakit yang merana hingga mati. Pokok akan tinggal sedikit sahaja, sehingga seorang anak kecil pun dapat mengiranya. Masanya akan tiba apabila umat Israel yang terselamat tidak lagi bergantung kepada bangsa yang hampir membinasakan mereka. Mereka akan sungguh-sungguh bergantung kepada TUHAN, Allah Israel, Allah yang suci. Sedikit sahaja umat Israel akan kembali kepada Allah yang perkasa. Walaupun sekarang umat Israel sebanyak pasir di tepi laut, hanya sedikit yang akan kembali. Kebinasaan menantikan umat Israel dan memang mereka layak dihukum. Sesungguhnya TUHAN Raja Yang Maha Kuasa akan mendatangkan kebinasaan ke seluruh negeri ini, sebagaimana yang telah difirmankan-Nya. TUHAN Raja Yang Maha Kuasa berfirman kepada umat-Nya yang tinggal di Sion, “Jangan takut akan orang Asyur walaupun mereka menindas kamu seperti orang Mesir dahulu. Tidak lama lagi Aku akan berhenti menghukum kamu, lalu Aku akan memusnahkan mereka. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, akan mencambuk mereka dengan cemeti sebagaimana Aku mencambuk orang Midian di Batu Oreb dahulu. Aku akan menghukum Asyur sebagaimana Aku menghukum Mesir. Apabila masanya tiba kelak, Aku akan membebaskan kamu daripada penindasan Asyur, dan mereka tidak akan menguasai kamu lagi.” Tentera musuh telah menawan kota Ayat! Mereka telah melintasi Migron! Mereka meninggalkan bekalan di Mikhmas! Mereka telah melalui genting dan sekarang sedang bermalam di Geba! Penduduk kota Rama ketakutan, dan penduduk Gibea, kota Raja Saul telah melarikan diri. Berteriaklah, hai penduduk Galim! Dengarlah, hai penduduk Laisya! Jawablah, hai penduduk Anatot! Penduduk Madmena dan Gebim lari untuk menyelamatkan diri. Pada hari ini musuh berada di kota Nob; di sana mereka mengepalkan tinju ke arah Bukit Sion, ke kota Yerusalem. TUHAN Yang Maha Kuasa akan menggugurkan mereka seperti dahan-dahan yang ditebang dari pokoknya. Orang yang paling sombong dan megah akan ditebang dan dihinakan. TUHAN akan menebang mereka seperti pokok di tengah hutan ditebang dengan kapak. Walaupun mereka kuat seperti pokok yang paling baik di Lebanon, mereka akan roboh juga. Keturunan Raja Daud seperti pokok yang sudah ditebang. Tetapi sebagaimana tunas baru tumbuh pada tunggul pokok, demikian juga seorang raja yang baru akan muncul daripada keturunan Raja Daud. Kuasa TUHAN akan mengurniakan kebijaksanaan kepada dia juga pengetahuan dan kecekapan untuk memerintah umatnya. Dia mengenal kehendak TUHAN dan menghormati Dia. Dia suka mentaati TUHAN. Dia tidak menghakimi orang secara sekilas pandang ataupun berdasarkan kata orang. Dia menghakimi perkara orang miskin dengan adil, dan membela hak orang yang lemah. Dengan perintahnya bumi dihukum, dan orang jahat akan dibinasakan. Dia akan memerintah umatnya dengan adil dan jujur. Serigala akan tinggal dengan domba, dan harimau bintang akan berbaring di samping anak kambing. Anak lembu dan anak singa akan makan bersama-sama, dan kanak-kanak akan menjaga semuanya. Lembu dan beruang akan makan bersama-sama, dan anak lembu akan berbaring di samping anak beruang. Singa akan makan rumput seperti lembu. Bahkan bayi tidak akan cedera, apabila bermain dekat ular berbisa. Di Sion, Bukit Suci Allah, tiada apa-apa pun yang jahat atau berbahaya. Bumi akan penuh dengan orang yang mengenal dan menghormati TUHAN sebagaimana lautan penuh dengan air. Suatu hari akan tiba apabila seorang raja keturunan Raja Daud akan menjadi tanda kepada bangsa-bangsa. Mereka akan datang kepadanya, dan bangsanya sendiri akan menjadi masyhur. Pada hari itu Tuhan akan sekali lagi menggunakan kuasa-Nya untuk membawa kembali umat-Nya yang masih hidup di Asyur dan Mesir, di negeri Patros, Etiopia, Elam, Babilonia, dan Hamat, serta di kawasan pantai dan di pulau-pulau. TUHAN akan mengibarkan panji untuk menunjukkan kepada bangsa-bangsa bahawa Dia sedang mengumpulkan semula penduduk Israel dan Yehuda yang terserak di segala pelosok bumi dan membawa mereka pulang. Kerajaan Israel tidak lagi iri hati terhadap Yehuda, dan Yehuda pun tidak lagi memusuhi Israel. Mereka bersama-sama akan menyerang orang Filistin di sebelah barat dan menjarahi penduduk di sebelah timur. Mereka akan mengalahkan penduduk Edom dan Moab. Penduduk Amon akan takluk kepada mereka. TUHAN akan mengeringkan Teluk Suez. Dia akan membuat angin panas bertiup sehingga Sungai Efrat menjadi tujuh batang anak sungai yang cetek, dan sesiapa pun dapat menyeberanginya dengan berjalan kaki. Bagi umat-Nya yang masih hidup akan ada lebuh raya untuk keluar dari Asyur, seperti pada waktu nenek moyang bangsa Israel keluar dari Mesir. Masanya akan tiba apabila kamu bernyanyi, “TUHAN, aku bersyukur kepada-Mu, kerana Engkau menghibur aku. Dahulu Engkau murka terhadap aku, tetapi kini sudah reda kemurkaan-Mu. Allah ialah Penyelamatku; aku percaya kepada-Nya dan aku tidak takut. TUHAN memberikan kuasa dan kekuatan kepadaku; Dialah Penyelamatku. Sebagaimana air menggembirakan orang dahaga, demikianlah umat Allah bersukacita kerana diselamatkan oleh Allah.” Masanya akan tiba apabila kamu bernyanyi, “Bersyukurlah kepada TUHAN, dan sembahlah Dia! Khabarkanlah perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa. Beritahulah mereka kebesaran-Nya. Bernyanyilah bagi TUHAN kerana perbuatan-Nya yang besar. Hendaklah seluruh bumi mendengar tentang perbuatan-Nya itu. Hendaklah setiap penduduk Sion bersorak dan bernyanyi. Allah yang suci, Allah Israel itu agung, Dia tinggal di tengah-tengah kamu.” Inilah perkhabaran Allah tentang Babel yang diterima oleh Yesaya anak Amos. Kibarkanlah panji perang di atas bukit yang gondol! Berserulah kepada para askar. Angkatlah lenganmu sebagai tanda bagi mereka untuk menyerang pintu-pintu gerbang kota yang sombong itu. TUHAN telah memanggil askar-askar pilihan-Nya. Mereka perkasa, percaya diri, dan dibanggakan-Nya. Dia menugaskan mereka untuk menghukum orang yang kena kemurkaan-Nya. Dengarlah keriuhan di atas gunung, seperti banyak orang yang berkumpul. Dengarlah kegemparan bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan yang sedang berhimpun. TUHAN Yang Maha Kuasa sedang mengatur pasukan perang. Mereka datang dari negeri-negeri jauh, di hujung bumi. Kerana kemurkaan-Nya, TUHAN akan datang untuk memusnahkan seluruh bumi. Merataplah kerana hari TUHAN sudah dekat, masa TUHAN Yang Maha Kuasa mendatangkan kebinasaan. Tangan setiap orang akan menjadi lemah, dan semangat setiap orang akan hilang. Mereka akan ketakutan dan kesakitan seperti perempuan yang sedang bersalin. Mereka akan saling memandang dengan cemas, dan muka mereka merah kerana malu. Hari TUHAN itu akan tiba, dan pada hari itu TUHAN akan melampiaskan kemurkaan-Nya yang dahsyat. Bumi akan menjadi tandus, dan setiap orang yang berdosa akan dibinasakan. Setiap bintang dan gugusan bintang akan berhenti bersinar. Matahari akan menjadi gelap pada waktu fajar, dan bulan tidak akan bersinar. TUHAN berfirman, “Aku akan menghukum dunia kerana kejahatannya, dan semua orang kerana dosa mereka. Aku akan merendahkan setiap orang yang sombong, dan menghukum setiap orang yang tinggi hati serta kejam. Orang yang terselamat daripada bencana itu kecil sekali bilangannya, lebih sedikit daripada emas tulen. Aku akan menyebabkan langit gementar, dan bumi bergoncang dari tempatnya pada hari itu, apabila Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa menunjukkan kemurkaan-Ku. Orang bangsa asing yang tinggal di Babel akan lari ke negeri masing-masing. Mereka tercerai-cerai seperti rusa yang melarikan diri daripada pemburu, atau seperti kawanan domba yang tidak mempunyai gembala. Sesiapa yang tertangkap akan ditikam sampai mati. Mereka akan menyaksikan bayi mereka dipukul sampai mati, rumah mereka dijarah, dan isteri mereka diperkosa.” TUHAN berfirman, “Aku akan menggerakkan orang Madai supaya menyerang Babel. Mereka tidak mempedulikan perak, dan tidak tergoda oleh emas. Dengan busur dan panah, mereka akan membunuh orang muda. Mereka tidak menunjukkan belas kasihan kepada bayi ataupun kanak-kanak. Antara semua kerajaan, Babilonia adalah yang paling indah dan menjadi kebanggaan rakyatnya. Tetapi Aku, TUHAN, akan memusnahkan kota Babel sebagaimana Aku memusnahkan Sodom dan Gomora! Tiada sesiapa akan tinggal di situ lagi. Tiada pengembara Arab akan memasang khemahnya di situ, dan tiada gembala akan membawa domba untuk merumput di situ. Tempat itu akan didiami binatang liar dan burung hantu. Burung unta akan tinggal di situ, dan kambing hutan akan berkeliaran di seluruh runtuhan itu. Menara-menara dan istana-istana akan bergema dengan suara anjing hutan dan serigala. Saat kehancuran Babel hampir tiba, dan waktunya tidak ditunda lagi.” TUHAN akan mengasihani umat-Nya Israel dan memilih mereka lagi sebagai milik-Nya sendiri. Dia akan menempatkan mereka di negeri mereka sendiri, dan orang bangsa asing pun akan datang dan tinggal bersama-sama mereka di sana. Banyak bangsa akan menolong umat Israel pulang ke tanah yang diberikan TUHAN kepada mereka. Di sana bangsa-bangsa akan menjadi abdi kepada Israel. Mereka yang dahulu menawan Israel, akan ditawan oleh Israel. Umat Israel akan memerintah bangsa-bangsa yang pernah menindas mereka. TUHAN akan mengakhiri kesakitan dan penderitaan umat Israel. Dia akan membebaskan mereka daripada kerja berat yang dipaksakan kepada mereka. Apabila TUHAN melakukan hal itu, mereka akan mengejek raja Babilonia begini, “Raja yang kejam sudah jatuh! Dia tidak dapat menindas sesiapa pun lagi! TUHAN telah menamatkan kuasa pemerintah-pemerintah zalim yang menindas bangsa-bangsa dengan marah dan terus-menerus menganiaya mereka. Akhirnya seluruh dunia menikmati keamanan dan ketenteraman, dan semua orang bernyanyi dengan sukacita. Pokok sipres dan pokok sedar di Lebanon pun bersorak-sorak kerana kejatuhan raja itu, dan tiada sesiapa lagi akan menebang pokok-pokok itu sesudah raja itu pergi. Dunia orang mati sedang bersedia untuk menyambut raja Babilonia. Arwah orang yang berkuasa di bumi dahulu terjaga dan arwah raja-raja bangkit dari takhta mereka. Mereka semua berseru kepada raja Babilonia, ‘Sekarang engkau lemah seperti kami! Engkau sama seperti kami! Dahulu engkau dihormati dengan muzik kecapi, tetapi sekarang engkau berada di dunia orang mati. Ulat menjadi tempat tidurmu dan cacing menjadi selimutmu!’ Hai raja Babilonia, bintang fajar yang cemerlang, engkau sudah jatuh dari langit! Dahulu engkau mengalahkan bangsa-bangsa, tetapi sekarang engkau dicampakkan ke tanah. Engkau bertekad naik ke langit dan menempatkan takhtamu di atas bintang-bintang yang tertinggi. Engkau berfikir engkau dapat duduk sebagai raja di atas gunung di utara, tempat dewa-dewa berkumpul. Engkau ingin naik ke puncak awan dan menjadi seperti Yang Maha Kuasa. Tetapi sebaliknya engkau telah diturunkan sampai ke bahagian yang paling bawah di dunia orang mati. Mereka yang berada di situ akan memandang dan menatap engkau. Mereka akan bertanya, ‘Inikah dia yang menggentarkan bumi dan menggemparkan kerajaan-kerajaan? Inikah dia yang memusnahkan kota-kota dan mengubah dunia menjadi padang pasir? Inikah dia yang tidak pernah membebaskan orang tawanannya ataupun membenarkan mereka pulang?’ Semua bekas raja bangsa-bangsa dimakamkan dengan kemegahan di makam masing-masing, tetapi engkau tidak mempunyai kubur sekalipun. Mayatmu dibuang dan dibiarkan sehingga mereput serta ditimbuni mayat askar-askar yang gugur dalam peperangan. Semuanya dilempar ke dalam lubang yang berbatu. Seperti bangkai yang dipijak-pijak, engkau tidak akan dimakamkan seperti raja-raja lain kerana engkau telah memusnahkan negerimu dan membunuh rakyatmu sendiri. Tiada seorang pun antara anggota keluargamu yang zalim itu akan diselamatkan. Semuanya akan mati. Pembantaian akan segera dimulakan. Anak-anak raja ini akan mati kerana dosa nenek moyang mereka. Tiada seorang pun antara mereka akan memerintah bumi ataupun membina kota-kota.” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Aku akan menyerang dan memusnahkan Babel. Aku tidak akan membiarkan apa-apa pun hidup, baik kanak-kanak atau sesiapa sahaja. Aku, TUHAN telah berfirman. Aku akan mengubah Babel menjadi paya, dan landak akan tinggal di sana. Aku akan memusnahkan Babel. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman.” TUHAN Yang Maha Kuasa bersumpah, “Perkara yang telah Aku rancangkan pasti berlaku. Perkara yang sudah Aku tentukan pasti terjadi. Aku akan membinasakan orang Asyur di Israel negeri-Ku itu, dan memijak-mijak mereka di atas gunung-gunung-Ku. Aku akan membebaskan umat-Ku daripada penindasan orang Asyur dan daripada beban yang dipikul mereka. Inilah rancangan-Ku untuk dunia; Aku akan menghukum bangsa-bangsa.” TUHAN Yang Maha Kuasa sudah memutuskan untuk berbuat demikian. Dia akan menghukum mereka, dan tiada sesiapa pun dapat menghalang Dia. Inilah perkhabaran yang diisytiharkan pada tahun Raja Ahas mangkat. Hai orang Filistin, walaupun belantan yang memukul kamu telah dipatahkan, jangan kamu bersukacita kerana apabila seekor ular mati, seekor lagi yang lebih dahsyat akan muncul. Seekor naga bersayap akan menetas daripada telur ular. TUHAN akan menggembalakan umat-Nya yang miskin dan membolehkan mereka hidup dengan aman, tetapi Dia akan mendatangkan kebuluran yang dahsyat kepada kamu, hai orang Filistin. Tiada seorang pun antara kamu akan dibiarkan hidup. Berteriaklah dan berserulah meminta tolong, hai penduduk semua kota Filistin! Hendaklah kamu semua gementar ketakutan, kerana kepulan debu telah kelihatan di sebelah utara, menandakan kedatangan pasukan yang gagah perkasa; tiada pengecut dalam pasukan itu. Jawapan apakah yang dapat kita berikan kepada utusan-utusan orang Filistin? Kita akan memberitahu mereka bahawa TUHAN telah membangunkan Sion, dan umat-Nya yang menderita akan mendapat perlindungan di situ. Inilah perkhabaran TUHAN tentang Moab. Kota Ar dan Kir dimusnahkan dalam satu malam. Seluruh negeri Moab menjadi sunyi. Penduduk Dibon mendaki bukit untuk menangis di tempat penyembahan dewa. Penduduk Moab meratapi kota Nebo dan Medeba. Mereka telah mencukur rambut dan janggut sebagai tanda berduka. Orang di jalan memakai kain guni. Di tanah lapang dan di bumbung rumah, orang meratap dan menangis. Tangisan orang di Hesybon dan Eleale terdengar sampai ke Yahas. Bahkan askar-askar pun gementar; mereka hilang semangat. Aku mengasihani Moab. Penduduknya sudah lari ke Zoar dan Eglat-Selisia. Ada yang mendaki jalan ke Luhit sambil menangis. Ada pula yang lari ke Horonaim sambil menjerit-jerit dengan sedih kerana ditimpa bencana. Sungai Nimrim sudah kering. Rumput di tepinya sudah layu dan tidak ada lagi tumbuhan yang hijau. Orang menyeberangi Sungai Haarabim untuk menyelamatkan diri dengan segala harta mereka. Di serata perbatasan Moab kedengaran suara tangisan. Tangisan itu kedengaran juga di Eglaim dan Beer-Elim. Di kota Dibon, air sungai menjadi merah kerana bercampur darah. Namun Allah akan mendatangkan hal yang lebih dahsyat lagi bagi penduduk di sana. Sesungguhnya setiap orang yang masih hidup di Moab akan mati dibantai. Dari kota Sela di padang gurun, penduduk Moab mengirim seekor domba kepada pemerintah di Yerusalem. Mereka menunggu di tebing Sungai Arnon, berulang-alik tanpa tujuan seperti burung yang telah diusir dari sarang. Mereka berkata kepada penduduk Yehuda, “Apakah yang harus kami buat? Lindungilah kami seperti pokok yang memberikan teduh pada tengah hari yang panas, dan benarkanlah kami berteduh di bawah naungan kamu. Kami orang pelarian; sembunyikanlah kami dan jangan khianati kami. Benarkanlah kami tinggal di negeri kamu. Lindungilah kami daripada mereka yang hendak membinasakan kami.” (Penindasan dan pemusnahan itu akan berakhir, dan orang yang memusnahkan negeri Israel akan lenyap. Kemudian seorang daripada keturunan Raja Daud akan menjadi raja yang memerintah rakyatnya dengan kasih dan kesetiaan. Baginda akan cepat bertindak untuk melakukan yang benar, dan baginda akan menegakkan keadilan.) Orang Yehuda berkata, “Kami telah mendengar tentang kesombongan orang Moab; betapa angkuhnya dan congkaknya mereka. Tetapi cakap besar mereka itu kosong semata-mata.” Orang Moab akan menangis kerana penderitaan mereka. Mereka akan menangis apabila teringat akan makanan enak yang biasa dimakan mereka di Kir-Hareset. Mereka akan putus asa. Ladang dekat Hesybon dan ladang anggur di Sibma telah musnah - ladang yang menghasilkan wain untuk pemerintah bangsa-bangsa dan memabukkan mereka. Pada suatu masa dahulu ladang anggur itu meluas sampai ke kota Yaezer, dan ke timur sampai ke padang gurun, dan ke barat sampai ke seberang Laut Mati. Tetapi sekarang aku menangisi pokok anggur Sibma sebagaimana aku menangisi Yaezer. Aku mencucurkan air mata untuk Hesybon dan Eleale, kerana tiada lagi hasil tanaman untuk menyukakan hati orang. Sekarang tiada sesiapa pun yang bersukacita di tanah yang subur itu. Tiada sesiapa pun yang bersorak atau bernyanyi di ladang-ladang anggur. Tiada lagi orang yang memeras buah anggur. Sorakan gembira mereka sudah berhenti. Aku mengeluh dengan sedih melihat keadaan Moab dan Kir-Heres. Orang Moab bersusah payah mendaki bukit ke tempat ibadat mereka untuk berdoa, tetapi usaha mereka sia-sia sahaja. Itulah perkhabaran yang dahulu diberikan oleh TUHAN tentang Moab; tetapi sekarang TUHAN berfirman, “Dalam masa tiga tahun, segala kekayaan yang dibanggakan oleh Moab akan lenyap. Penduduknya yang banyak akan menjadi sangat sedikit dan lemah.” TUHAN berfirman, “Damsyik tidak lagi merupakan sebuah kota, tetapi hanya setimbunan runtuhan. Kota-kota di negeri Siria akan ditinggalkan selama-lamanya. Lembu dan domba akan berkeliaran di sana dan tidak dihalau oleh sesiapa pun. Israel akan kehilangan perlindungan, dan Damsyik akan kehilangan kemerdekaan. Orang Siria yang terselamat akan hidup dalam kehinaan seperti orang Israel. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman.” TUHAN berfirman, “Masanya akan tiba apabila kebesaran Israel akan berakhir, dan kekayaannya akan lenyap. Israel akan menjadi seperti ladang yang hasilnya sudah dituai, dan terbiar seperti ladang di Lembah Refaim selepas hasilnya habis dipungut. Hanya sedikit orang yang akan terselamat. Ketika itu Israel akan menjadi seperti pokok zaitun yang buahnya habis dipetik, dan tinggal beberapa biji sahaja pada bahagian atas sekali atau pada dahan yang rendah. Aku, TUHAN, Allah Israel, telah berfirman.” Apabila hari itu tiba kelak, orang akan kembali minta tolong kepada Pencipta mereka, Allah Israel, Allah yang suci. Mereka tidak lagi bergantung kepada mazbah-mazbah buatan mereka sendiri, ataupun berharap kepada karya tangan mereka sendiri, iaitu patung-patung Dewi Asyera dan mazbah-mazbah untuk membakar kemenyan. Apabila hari itu tiba kelak, kota-kota yang kuat pertahanannya akan menjadi runtuhan dan lengang seperti kota-kota yang ditinggalkan orang Hewi dan orang Amori ketika mereka lari daripada orang Israel. Hai Israel, engkau telah melupakan Allah yang menyelamatkan engkau, dan yang melindungi engkau seperti gunung batu. Sebaliknya engkau telah menanami kebun-kebun indah untuk dewa-dewa. Walaupun tanaman itu bertunas dan berbunga pada pagi engkau menanamnya, namun tidak akan ada hasil apa-apa; yang ada hanya kesusahan dan kesakitan yang tidak dapat disembuhkan. Bangsa-bangsa yang kuat menjadi riuh, dan gemuruhnya seperti gelora ombak laut yang kuat. Bangsa-bangsa mara seperti ombak besar, tetapi Allah mengherdik mereka, lalu mereka undur. Mereka diusir seperti sekam di lereng bukit yang diterbangkan angin, dan seperti debu yang ditiup puting beliung. Pada petang hari mereka mengganas, tetapi pagi esoknya mereka lenyap. Itulah yang ditentukan bagi setiap orang yang menjarah negeri kita. Di sebuah negeri, di seberang sungai-sungai di Etiopia terdengar deruan serangga. Dari negeri itu datanglah duta-duta melalui Sungai Nil dengan perahu-perahu yang dibuat daripada gelagah. Pulanglah, hai utusan-utusan yang tangkas! Bawalah perkhabaran ke negeri kamu yang dilintasi sungai-sungai, kepada bangsa kamu yang kuat dan perkasa, kepada orang kamu yang tinggi dan berkulit halus, dan yang ditakuti di seluruh dunia. Dengarlah, hai semua penduduk bumi! Nantikanlah panji yang akan dikibarkan di puncak gunung-gunung! Nantikanlah tiupan trompet! TUHAN berfirman kepadaku, “Dari syurga Aku akan memandang ke bawah dengan tenang, seperti embun yang terbentuk pada malam yang panas pada musim menuai, dan seperti sinaran matahari pada waktu tengah hari. Sebelum buah anggur dapat dipetik, waktu bunganya telah gugur dan buah-buahnya hampir masak, musuh akan membinasakan orang Etiopia semudah pisau mengerat ranting-ranting pokok anggur. Mayat askar mereka akan terlantar dimakan burung dan binatang liar. Pada musim panas mayat-mayat itu akan dimakan oleh burung, dan pada musim sejuk oleh binatang buas.” Masanya akan tiba apabila TUHAN Yang Maha Kuasa akan menerima persembahan dari negeri yang dilintasi sungai-sungai, daripada bangsa yang kuat dan perkasa, orang yang tinggi dan berkulit halus, dan yang ditakuti di seluruh dunia. Mereka akan datang ke Bukit Sion, tempat TUHAN Yang Maha Kuasa disembah. Inilah perkhabaran TUHAN tentang Mesir. TUHAN datang ke Mesir mengendarai awan yang laju. Berhala-berhala Mesir gementar di hadapan-Nya dan penduduk Mesir hilang semangat. TUHAN berfirman, “Aku akan menyebabkan perang saudara di Mesir: saudara melawan saudara, jiran melawan jiran, kota melawan kota, dan raja melawan raja untuk merebut kuasa. Aku akan menggagalkan rancangan orang Mesir dan mematahkan semangat mereka. Mereka akan minta pertolongan daripada berhala-berhala mereka, minta nasihat dan petunjuk daripada bomoh dan arwah. Tetapi Aku akan menyerahkan orang Mesir kepada seorang raja yang zalim. Mereka akan dijajah olehnya. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman.” Air Sungai Nil akan surut dan beransur-ansur mengering. Terusan-terusannya akan berbau busuk apabila airnya semakin habis. Rumput dan gelagah akan menjadi layu, dan segala tanaman di tepi sungai itu menjadi kering lalu diterbangkan angin. Tiap-tiap nelayan yang menangkap ikan di Sungai Nil akan meratap dan menangis; pancing dan jala mereka tidak berguna lagi. Orang yang membuat kain linen akan putus asa; penenun dan buruh upahan akan bersedih dan patah semangat. Pemimpin-pemimpin kota Zoan sungguh dungu! Penasihat-penasihat raja Mesir memberikan nasihat yang bodoh! Alangkah beraninya mereka memberitahu raja bahawa merekalah yang menggantikan orang bijak serta raja purbakala! Hai raja Mesir, di manakah penasihat raja yang bijak-bijak itu? Mungkin mereka dapat meramalkan rancangan TUHAN Yang Maha Kuasa bagi Mesir. Pemimpin Zoan dan Memfis sungguh bodoh! Seharusnya mereka memimpin bangsa itu, tetapi mereka telah menyesatkan bangsa itu. TUHAN sengaja menyebabkan mereka memberikan nasihat yang mengelirukan. Akibatnya, Mesir salah dalam segala hal dan terhuyung-hayang seperti orang mabuk tergelincir di atas muntahnya sendiri. Tiada sesiapa pun di Mesir dapat memberikan pertolongan, baik yang kaya ataupun yang miskin, yang terkemuka ataupun yang tidak. Masanya akan tiba apabila orang Mesir akan menjadi seperti wanita yang penakut. Mereka akan gementar ketakutan apabila melihat TUHAN Yang Maha Kuasa merentangkan tangan-Nya untuk menghukum mereka. Orang Mesir akan menjadi takut terhadap Yehuda tiap-tiap kali mereka diingatkan kepada keputusan TUHAN Yang Maha Kuasa tentang mereka. Pada masa itu kelak, bahasa Ibrani akan digunakan orang di lima buah kota di negeri Mesir. Orang di sana akan mengangkat sumpah demi nama TUHAN Yang Maha Kuasa. Salah sebuah kota itu akan dinamakan “Kota Matahari.” Pada masa itu kelak, di negeri Mesir akan ada sebuah mazbah untuk TUHAN, dan sebuah tugu peringatan bagi-Nya di sempadan negeri. Mazbah dan tugu itu akan menjadi lambang hadirat TUHAN Yang Maha Kuasa di Mesir. Apabila orang di situ ditindas, lalu mereka berseru kepada TUHAN minta pertolongan, Dia akan mengirim seorang untuk menyelamatkan mereka. TUHAN akan menyatakan diri kepada orang Mesir, dan mereka akan mengakui serta menyembah Dia, dan memberikan korban dan persembahan kepada-Nya. Mereka akan bersumpah kepada-Nya dan menepati sumpah itu. TUHAN akan menghukum orang Mesir, tetapi selepas itu Dia akan menyembuhkan mereka. Mereka akan kembali kepada-Nya, dan Dia akan mendengarkan doa mereka serta menyembuhkan mereka. Pada masa itu kelak, akan ada lebuh raya di antara Mesir dan Asyur. Penduduk dari dua buah negeri itu akan berulang-alik di lebuh raya itu dan beribadat bersama-sama. Pada masa itu kelak, Israel akan sama kedudukannya dengan Mesir dan Asyur, dan ketiga-tiga bangsa itu akan menjadi berkat bagi seluruh dunia. TUHAN Yang Maha Kuasa akan memberkati mereka dan berfirman, “Aku akan memberkati kamu, hai Mesir umat-Ku, Asyur ciptaan-Ku, dan Israel umat pilihan-Ku.” Demi perintah Raja Sargon, raja Asyur, panglima angkatan perang Asyur menyerang Asdod, kota orang Filistin. Tiga tahun sebelum itu, TUHAN telah menyuruh Yesaya anak Amos menanggalkan kasut dan kain guni yang dipakainya. Yesaya mematuhi perintah itu dan berjalan telanjang serta tidak berkasut. Pada masa Asdod ditaklukkan, TUHAN berfirman, “Yesaya, hamba-Ku telah berjalan telanjang dan tidak berkasut selama tiga tahun. Tanda ini menunjukkan hal yang akan berlaku kepada Mesir dan Etiopia. Raja Asyur akan menawan orang dari kedua-dua negeri itu dan mereka akan digiring. Tua dan muda, semuanya akan berjalan telanjang dan tidak berkasut, dengan punggung mereka kelihatan, sebagai penghinaan kepada Mesir. Orang yang berharap kepada Etiopia dan membanggakan Mesir akan kecewa. Harapan mereka akan hancur. Pada masa itu kelak, orang yang tinggal di kawasan pantai negeri Filistin akan berkata, ‘Lihatlah hal yang telah berlaku kepada bangsa yang kita harapkan untuk melindungi kita terhadap raja Asyur! Bagaimanakah kita akan selamat?’ ” Inilah perkhabaran TUHAN tentang Babilonia. Seperti puting beliung melintasi padang pasir, begitulah bencana datang dari sebuah negeri yang dahsyat. Aku mendapat penglihatan tentang kejadian yang kejam, tentang pengkhianatan dan pembinasaan. Majulah, hai tentera Elam, seranglah! Kepunglah kota-kota itu, hai tentera Madai! Allah akan mengakhiri penderitaan yang disebabkan oleh Babel. Apa yang aku nampak dan dengar dalam penglihatan itu menakutkan serta menyakitkan; kesakitan itu seperti ketika perempuan hendak bersalin. Hatiku gelisah dan aku gementar ketakutan. Malam yang aku rindukan hanya membawa kegentaran. Dalam penglihatan itu suatu majlis makan telah tersedia; permaidani telah dibentangkan sebagai tempat duduk para tetamu. Para jemputan sedang makan minum. Tiba-tiba kedengaran perintah, “Hai para panglima, siapkanlah perisai kamu!” Lalu Tuhan berfirman kepadaku, “Pergilah tugaskan seorang pengawal, dan suruh dia laporkan apa yang dilihatnya. Jika dia nampak orang datang menunggang kuda berdua-dua, serta penunggang keldai dan unta, dia harus mengamati mereka.” Pengawal itu berseru, “Tuan, saya telah bertugas di tempat kawalan ini siang dan malam.” Tiba-tiba datanglah orang yang menunggang kuda berdua-dua. Pengawal itu mengumumkan, “Babel sudah jatuh! Semua berhala yang disembah mereka hancur berserakan di tanah.” Hai bangsaku Israel, kamu telah ditebah seperti gandum. Tetapi sekarang aku telah memberitahu kamu berita baik yang aku dengar daripada TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel. Inilah perkhabaran TUHAN tentang Edom. Seorang dari Edom berseru kepadaku, “Hai pengawal, masih lamakah malam ini? Katakanlah, berapa lama lagi sebelum pagi?” Jawabku, “Pagi akan datang tetapi malam akan datang lagi. Jika hendak bertanya, marilah bertanya lagi.” Inilah perkhabaran TUHAN tentang Arab. Hai orang Dedan, kafilah-kafilah kamu berkhemah di Arab, tanah yang gersang itu. Hai orang Tema, berikanlah minuman kepada orang kehausan yang datang kepada kamu, dan berikanlah makanan kepada orang pelarian. Lihatlah, orang lari daripada pedang yang terhunus, daripada busur yang dilenturkan, dan daripada peperangan. Lalu Tuhan berfirman kepadaku, “Tepat satu tahun lagi, kemuliaan suku-suku Kedar akan berakhir. Para pemanah mereka ialah orang yang tergagah antara orang Kedar, tetapi hanya beberapa orang antara mereka akan tinggal. Aku, TUHAN Allah Israel telah berfirman.” Inilah perkhabaran TUHAN tentang Lembah Penglihatan. Hai penduduk Yerusalem, mengapa kamu semua mengadakan perayaan di bumbung rumah? Tidak patut seluruh kota berpesta dan bersorak gembira. Orang kamu yang mati dalam perang ini bukan mati kerana bertempur. Semua pemimpin kamu lari dan ditawan sebelum mereka sempat membidikkan sebatang anak panah pun. Tinggalkanlah aku seorang diri untuk meratapi semua orangku yang telah mati. Jangan cuba menghibur aku. Inilah masa kecemasan, kekalahan, dan kekacauan di Lembah Penglihatan. TUHAN Raja Yang Maha Kuasa telah mendatangkan malapetaka itu. Tembok-tembok kota kita sudah roboh, dan tangisan orang minta tolong bergema di bukit-bukit. Orang Siria datang dengan kuda dan kereta kuda, orang Elam bersenjatakan busur dan panah, dan orang Kir menyiapkan perisai mereka. Lembah-lembah Yehuda yang subur itu penuh dengan kereta kuda, dan pasukan berkuda siap di depan pintu-pintu gerbang Yerusalem. Seluruh pertahanan Yehuda runtuh. Pada waktu itu kamu mengeluarkan senjata dari gedung senjata. [9-10] Kamu mendapati retak-retak di tembok kota Yerusalem yang perlu diperbaiki. Kamu memeriksa semua rumah di Yerusalem dan merobohkan sesetengahnya supaya kamu mendapat batu untuk memperbaiki tembok kota. Untuk menyimpan air, *** kamu membina kolam air di dalam kota bagi menampung air yang mengalir dari kolam yang lama. Tetapi kamu tidak memperhatikan Allah yang sejak dahulu telah merancangkan segala perkara itu dan yang menyebabkan semuanya berlaku. Pada waktu itu TUHAN Raja Yang Maha Kuasa menyuruh kamu menangis dan meratap, mencukur rambut dan memakai kain guni. Tetapi sebaliknya kamu bergembira dan berpesta. Kamu menyembelih domba dan lembu, makan daging, dan minum wain, sambil berkata, “Marilah kita makan dan minum, kerana esok kita akan mati.” TUHAN Raja Yang Maha Kuasa berfirman kepadaku, “Kejahatan mereka itu tidak sekali-kali akan diampunkan seumur hidup mereka. Aku, TUHAN Raja Yang Maha Kuasa telah berfirman.” TUHAN Raja Yang Maha Kuasa menyuruh aku pergi kepada Sebna, pengurus istana, dan berkata kepadanya, “Pada sangkamu engkau ini siapa? Apa hakmu sehingga engkau memahat lubang kuburmu sendiri di bukit batu? Mungkin engkau seorang pembesar, tetapi TUHAN akan mencekam dan membuang engkau. Dia akan menggulung-gulung engkau lalu melontarkan engkau seperti bola ke sebuah negeri yang besar. Engkau akan mati di sana, di samping kereta kuda yang engkau bangga-banggakan itu. Engkau telah memalukan keluarga tuanmu. TUHAN akan memecat engkau daripada jawatanmu dan menurunkan engkau daripada kedudukan yang tinggi.” TUHAN berfirman kepada Sebna, “Pada waktu itu, Aku akan memanggil hamba-Ku, Elyakim anak Hilkia. Aku akan mengenakan pakaian kebesaran dan ikat pinggangmu padanya, dan memberikan segala kuasamu kepadanya. Dia akan menjadi seperti bapa kepada penduduk Yerusalem dan Yehuda. Aku akan memberikan kuasa penuh kepadanya di bawah raja keturunan Raja Daud. Dia akan memegang kunci kerajaan. Apa-apa yang dibukanya, tidak dapat ditutup oleh sesiapa pun; dan apa-apa yang ditutupnya, tidak dapat dibuka oleh sesiapa pun. Aku akan mengukuhkan kedudukannya seperti pasak penyangkut yang dipasang kuat. Seluruh keluarganya akan dihormati kerana dia. Tetapi semua anggota keluarga dan tanggungannya akan menjadi beban baginya. Mereka akan bergantung kepadanya seperti periuk belanga bergantung pada sebuah pasak penyangkut. Pada waktu itu pasak penyangkut yang telah dipasang kuat-kuat itu akan terlepas dan jatuh. Maka itulah kesudahan segala sesuatu yang bergantung kepadanya.” TUHAN telah berfirman. Inilah perkhabaran TUHAN tentang Tirus. Merataplah, hai pelaut-pelaut Sepanyol di laut! Kota kamu di Tirus sudah dimusnahkan. Rumah dan pelabuhan kamu sudah menjadi reruntuhan. Kamu mendengarnya ketika kamu bertolak dari Siprus. Menangislah, hai saudagar-saudagar dari Sidon! Kamu yang menyuruh orang ke seberang laut untuk berjual-beli gandum dari Mesir dan untuk berdagang dengan semua bangsa. Kota Sidon telah dipermalukan! Laut serta samudera raya enggan mengakui engkau, dan berkata, “Aku tidak mempunyai anak. Aku tidak pernah membesarkan anak lelaki atau anak perempuan.” Bahkan orang Mesir pun akan terperanjat dan tawar hati apabila mendengar bahawa Tirus sudah dimusnahkan. Merataplah dan larilah ke Sepanyol, hai penduduk kawasan pantai! Inikah kota Tirus yang sentiasa bersukacita, yang dibina sejak zaman dahulu kala? Inikah kota yang mengutus orang ke seberang laut untuk merantau dan menetap di sana? Siapakah yang merancangkan segala hal ini bagi Tirus, kota yang besar itu? Bukankah saudagar-saudagarnya kaum bangsawan yang paling dihormati di bumi? TUHAN Yang Maha Kuasa telah merancangkannya, supaya Dia dapat mengakhiri kesombongan mereka yang sentiasa membangga-banggakan perbuatan mereka, serta menghina orang yang terhormat. Pergilah bercucuk tanam, hai penduduk Sepanyol! Tiada sesiapa pun yang akan melindungi kamu lagi. TUHAN telah merentangkan tangan-Nya ke atas lautan dan menggulingkan kerajaan-kerajaan. Dia telah memerintah supaya pusat-pusat perdagangan di Funisia dimusnahkan. Hai kota Sidon, kegembiraanmu sudah berakhir. Sekarang rakyatmu ditindas. Walaupun mereka lari ke negeri Siprus, mereka masih tidak selamat. ( Bukan orang Asyur, melainkan orang Babilonia yang membiarkan binatang-binatang liar berkeliaran di Tirus. Orang Babilonia yang membina menara-menara untuk mengepung musuh; merekalah yang merobohkan kubu-kubu di Tirus, serta menjadikan kota itu reruntuhan.) Merataplah, hai pelaut-pelaut yang belayar di laut! Kota yang kamu harapkan itu sudah musnah. Masanya akan tiba apabila Tirus dilupakan selama tujuh puluh tahun, iaitu sepanjang usia seorang raja. Selepas itu, Tirus akan menjadi seperti seorang pelacur yang digambarkan oleh lagu berikut: Bawalah kecapimu, kelilingilah kota, hai pelacur yang telah dilupakan orang! Petiklah kecapimu, bernyanyilah semula, supaya orang ingat akan kamu lagi! Selepas tujuh puluh tahun itu, TUHAN akan membenarkan Tirus meneruskan perdagangannya dengan kerajaan-kerajaan di bumi ini semula. Segala hasil perdagangan itu akan ditahbiskan untuk TUHAN. Wang daripada perdagangan itu tidak akan disimpan tetapi digunakan untuk membeli makanan dan pakaian yang diperlukan oleh orang yang menyembah TUHAN. TUHAN akan memusnahkan bumi sehingga menjadi tandus dan sepi. Dia akan membalikkan permukaan bumi dan mencerai-beraikan penduduknya. Tiap-tiap orang akan menemui kesudahan yang sama - imam dan rakyat, hamba dan tuan, pembeli dan penjual, peminjam wang dan orang yang meminjamkan wang, yang kaya dan yang miskin. Bumi akan hancur dan musnah. TUHAN telah berfirman dan hal itu pasti berlaku. Bumi akan kering dan layu; seluruh dunia akan menjadi lemah; langit dan bumi akan rosak. Bumi tercemar kerana manusia melanggar hukum-hukum Allah dan telah memungkiri perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan mereka untuk selama-lamanya. Oleh itu Allah telah mengutuk bumi. Manusia akan menerima balasan bagi perbuatan mereka, dan orang yang terselamat kian lama kian sedikit. Pokok anggur akan layu, dan wain akan berkurangan. Orang yang dahulu bersukacita, sekarang berdukacita. Muzik gembira daripada kecapi dan rebana tidak kedengaran lagi. Tiada lagi orang yang minum wain sambil bernyanyi; tiada lagi orang yang menikmati minuman keras. Seluruh kota menjadi kacau-bilau. Semua orang mengunci pintu rumah untuk keselamatan. Orang berteriak-teriak di jalan kerana kehabisan wain. Kebahagiaan telah dihapuskan dari bumi selama-lamanya. Kota telah musnah, dan pintu-pintu gerbangnya sudah roboh. Itulah yang akan berlaku kepada tiap-tiap bangsa di seluruh dunia. Hal itu sama seperti akhir musim menuai, apabila buah zaitun habis diambil dan buah anggur habis dipetik. Orang yang terselamat akan bernyanyi dengan sukacita. Orang di barat akan memberitakan keagungan TUHAN, dan orang di timur akan memuji Dia. Penduduk di kawasan pantai akan memuji TUHAN, Allah Israel. Dari negeri-negeri yang paling jauh, akan terdengar lagu pujian untuk Allah Yang Maha Adil. Tetapi bagiku sendiri tidak ada harapan! Aku merana! Para pengkhianat terus mengkhianati aku; muslihat mereka bertambah dahsyat. Dengarlah, hai semua orang! Ketakutan, lubang, dan perangkap sedang menanti kamu. Sesiapa cuba melarikan diri daripada ketakutan itu akan jatuh ke dalam lubang, dan sesiapa yang terlepas daripada lubang itu akan masuk ke dalam perangkap. Hujan deras akan mencurah dari langit dan dasar bumi akan goncang. Bumi akan retak, terbelah, dan hancur. Bumi akan terhuyung-hayang seperti orang mabuk, dan goyang seperti pondok yang kena angin ribut. Bumi roboh kerana berat dosanya, lalu hancur dan tidak akan bangkit lagi. Masanya akan tiba apabila TUHAN menghukum para penguasa di angkasa dan raja-raja di bumi. Allah akan mengumpulkan raja-raja seperti orang tawanan di dalam sebuah lubang. Mereka akan dipenjarakan oleh-Nya sehingga hari hukuman mereka tiba. Bulan akan menjadi gelap dan matahari tidak lagi bercahaya, kerana TUHAN Yang Maha Kuasa akan menjadi raja. Dia akan memerintah di Bukit Sion di Yerusalem, dan menyatakan kemuliaan-Nya kepada para pemimpin umat-Nya. TUHAN, Engkaulah Allahku; aku akan menyanjung Engkau dan memuji nama-Mu. Engkau telah melakukan hal-hal yang mengagumkan; Engkau telah merancangkannya sejak dahulu, dan melaksanakannya dengan setia. Engkau telah meruntuhkan kota-kota, dan memusnahkan kubu-kubunya. Istana-istana yang dibina musuh kami telah lenyap selama-lamanya. Engkau akan dipuji oleh bangsa-bangsa yang kuat, dan ditakuti di kota bangsa-bangsa yang kejam. Orang miskin dan orang lemah lari kepada-Mu, lalu mendapat perlindungan pada masa kesusahan. Engkau melindungi mereka daripada angin ribut, dan menaungi mereka daripada panas terik. Orang zalim menyerang seperti ribut kencang pada musim sejuk, dan seperti angin panas di tanah yang kering. Tetapi Engkau, ya TUHAN, telah membuat musuh kami bungkam; Engkau menghentikan teriakan orang yang kejam, seperti awan menghilangkan panas terik. Di Bukit Sion ini, TUHAN Yang Maha Kuasa akan menyediakan jamuan bagi semua bangsa di bumi. Dia akan menghidangkan makanan yang terbaik dan wain pilihan. Di bukit ini, Dia akan menghapuskan suasana sedih yang telah menyelubungi semua bangsa. TUHAN Raja akan memusnahkan maut selama-lamanya! Dia akan menghapuskan air mata daripada setiap wajah, dan menghilangkan kehinaan yang diderita oleh umat-Nya di seluruh bumi. TUHAN telah berfirman. Apabila perkara itu berlaku, semua orang akan berkata, “Dialah Allah kita! Dialah yang kita nantikan untuk menyelamatkan kita. Dialah TUHAN yang kita nantikan. Sekarang kita bersorak gembira kerana Dia telah menyelamatkan kita.” TUHAN akan melindungi Bukit Sion, tetapi penduduk Moab akan dipijak-pijak seperti jerami dipijak-pijak di tempat kotoran. Mereka akan menghulurkan tangan seolah-olah hendak berenang, tetapi Allah akan mempermalukan mereka, lalu tangan mereka akan jatuh tanpa daya. Allah akan memusnahkan kubu pertahanan kota Moab; temboknya yang tinggi akan dirobohkan sampai hancur seperti debu. Masanya akan tiba apabila orang menyanyikan lagu ini di tanah Yehuda: Kota kita kuat! Allah yang membela temboknya! Bukalah pintu-pintu gerbang kota, supaya masuk bangsa-bangsa yang setia, yang rakyatnya melakukan kehendak Allah. Engkau, TUHAN, memberikan kedamaian dan kesejahteraan kepada orang yang teguh hati, kerana mereka percaya kepada-Mu. Percayalah kepada TUHAN selama-lamanya; Dia akan sentiasa melindungi kita. Dia telah merendahkan orang yang sombong; Dia memusnahkan kota kukuh yang didiami mereka, dan meruntuhkan temboknya sehingga rata dengan tanah. Orang yang miskin dan sengsara akan memijak-mijaknya. Jalan yang ditempuh orang baik itu lurus, kerana Engkau, TUHAN, meluruskannya bagi mereka. Kami menurut kehendak-Mu dan berharap kepada-Mu; hanya Engkau yang kami rindui. Jiwaku merindukan Engkau pada waktu malam; aku mencari Engkau dengan segenap hati. Apabila Engkau menghakimi bumi kelak, penduduknya akan mengetahui makna keadilan. Walaupun orang jahat diperlakukan dengan baik, namun mereka tidak juga berbuat yang adil. Bahkan di negeri umat yang jujur, mereka tetap berlaku curang, dan tidak mengakui keagungan-Mu. Musuh-Mu tidak tahu bahawa Engkau akan menghukum mereka. Ya TUHAN, permalukanlah mereka, dan biarlah mereka menderita. Biarlah mereka menanggung hukuman yang Engkau sediakan bagi mereka. Biarlah mereka melihat betapa besarnya kasih-Mu bagi umat-Mu. Ya TUHAN, Engkau akan menjadikan kami makmur; segala yang kami capai itu adalah hasil perbuatan-Mu bagi kami. Ya TUHAN, Allah kami, kami pernah dikuasai orang lain, tetapi hanya Engkaulah TUHAN kami. Kini mereka sudah mati dan tidak akan hidup lagi; arwah mereka pun tidak akan bangkit kembali, kerana Engkau telah menghukum dan membinasakan mereka. Mereka tidak diingat lagi oleh sesiapa. Ya TUHAN, Engkau telah menambahkan jumlah bangsa kami, dan meluaskan kawasan wilayah kami, kerana itu Engkau dipermuliakan. Ya TUHAN, Engkau menghukum umat-Mu, dan dalam kesengsaraan, mereka berseru kepada-Mu. Ya TUHAN, Engkau menyebabkan kami berteriak kesakitan seperti perempuan yang hendak bersalin. Kami mengandung, dan kami menggeliat kesakitan, tetapi kami tidak melahirkan apa-apa. Kami tidak mendapat kemenangan bagi dunia; kami juga tidak menambah penduduknya. Umat-Mu yang sudah mati akan hidup semula! Mayat mereka akan bangkit semula. Semua yang sudah dimasukkan ke dalam kubur, akan bangun dan bernyanyi dengan sukacita. Seperti embun yang berkilau-kilau menyegarkan bumi, demikian juga TUHAN akan menghidupkan mereka yang sudah lama mati. Masuklah ke dalam rumah kamu, hai bangsaku, dan tutuplah pintu. Bersembunyilah seketika, sehingga kemurkaan Allah sudah reda. TUHAN akan datang dari tempat kediaman-Nya di syurga untuk menghukum manusia di bumi kerana dosa mereka. Pembunuhan yang dilakukan secara rahsia di bumi akan terbongkar, dan kubur pun tidak lagi menyembunyikan mereka yang telah dibunuh. Pada hari itu TUHAN akan menggunakan pedang-Nya yang besar, tajam, dan yang membawa maut untuk menghukum Lewiatan, ular yang meluncur dan yang melingkar-lingkar itu, dan untuk membunuh naga laut. Pada hari itu TUHAN akan berfirman tentang ladang anggur-Nya yang indah, “Aku menjaga ladang itu dan selalu menyiramnya. Aku menjaganya siang malam supaya tiada seorang pun dapat mengganggunya. Aku tidak murka lagi terhadap ladang itu. Jika terdapat duri dan belukar di situ, Aku akan membakarnya habis-habis. Tetapi jika musuh umat-Ku menghendaki perlindungan-Ku, biarlah mereka berdamai dengan Aku. Ya, biarlah mereka berdamai dengan Aku.” Pada masa hadapan, umat Israel iaitu keturunan Yakub akan berakar seperti sebatang pokok, dan mereka akan bertunas serta berbunga. Bumi akan dipenuhi buah-buah mereka. Israel belum pernah dihukum oleh TUHAN seberat musuh mereka. Mereka juga belum pernah kehilangan begitu banyak rakyat seperti musuh mereka. TUHAN menghukum umat-Nya dengan membuang mereka ke negeri orang. Dia mengusir mereka dengan angin kejam dari timur. Dosa Israel hanya dapat diampunkan apabila batu mazbah dewa-dewa telah dihancurkan sehingga menjadi seperti kapur, dan tiada lagi mazbah untuk membakar kemenyan, dan tiada lagi lambang-lambang Dewi Asyera. Kota berkubu itu sudah menjadi sepi dan ditinggalkan sehingga tidak berpenghuni seperti padang gurun. Kawanan lembu merumput dan berehat di situ sambil menghabiskan daun dari dahan-dahan pokok. Apabila dahan pokok telah kering dan patah, dahan-dahan itu dikumpulkan oleh kaum wanita untuk dijadikan kayu api. Kerana bangsa itu tidak mengerti apa-apa, Allah Pencipta mereka tidak menyayangi ataupun mengasihani mereka. Pada masa itu, dari Sungai Efrat sampai ke sempadan negeri Mesir, TUHAN akan mengumpulkan umat-Nya seorang demi seorang, seperti orang memisahkan gandum daripada sekam. Pada hari itu, trompet akan ditiup untuk memanggil pulang semua orang Israel dalam pembuangan di Asyur dan Mesir. Mereka akan datang ke Yerusalem dan menyembah TUHAN di atas bukit-Nya yang suci. Malanglah kerajaan Israel! Kemuliaannya telah pudar seperti karangan bunga yang layu di atas kepala pemimpin-pemimpinnya yang mabuk. Malanglah kota yang menjulang tinggi di tengah lembah subur, kebanggaan orang yang terbaring mabuk dan tidak sedar lagi. Lihatlah, Tuhan mengutus seorang yang kuat dan perkasa, siap untuk menyerang mereka; seorang yang akan datang seperti angin ribut disertai hujan batu, seperti hujan lebat, dan seperti air bah yang membanjiri tanah. Dia menghempaskan mereka ke tanah. Kehormatan pemimpin-pemimpin yang mabuk itu akan diinjak-injak. Kemuliaan para pemimpin yang sombong sudah mulai pudar dan akan lenyap. Kesudahan mereka seperti buah ara yang masak sebelum musim buah; sebaik sahaja dilihat orang, buah itu dipetik lalu dimakan. Masanya akan tiba apabila TUHAN Yang Maha Kuasa menjadi seperti karangan bunga yang indah bagi umat-Nya yang terselamat. Dia akan memberikan sikap adil kepada para hakim, dan keberanian kepada orang yang mempertahankan pintu gerbang kota daripada serangan. Bahkan nabi dan imam pun terlalu mabuk sehingga mereka berjalan terhuyung-hayang. Mereka minum terlalu banyak wain dan arak sehingga mereka tersandung kerana kebingungan. Nabi-nabi terlalu mabuk sehingga tidak dapat memahami penglihatan yang diberikan Allah, dan imam-imam terlalu mabuk sehingga tidak dapat mengadili perkara yang dibawa kepada mereka. Meja mereka penuh dengan muntah dan tiada sebahagian pun yang bersih. Mereka merungut tentang aku. Kata mereka, “Pada sangkanya dia mengajar siapa? Siapakah memerlukan penjelasannya? Perkara itu hanya berfaedah bagi anak-anak yang baru cerai susu! Dia hendak mengajar kita huruf demi huruf, kata demi kata, dan ayat demi ayat.” Jika kamu enggan mendengarkan aku, maka Allah akan menggunakan orang bangsa asing yang berbahasa asing dan berloghat aneh untuk mengajar kamu. Dia menawarkan rehat dan keselesaan kepada kamu semua, tetapi kamu tidak mahu mendengarkan Dia. Itulah sebabnya TUHAN akan mengajar kamu huruf demi huruf, kata demi kata, dan ayat demi ayat. Kamu akan tersandung apabila kamu berjalan. Kamu akan luka, diperangkap, dan ditawan. Sekarang dengarkanlah firman TUHAN, hai pengejek-pengejek yang memerintah penduduk Yerusalem. Kamu bercakap besar bahawa kamu telah mengikat perjanjian dengan maut dan mengadakan persetujuan dengan dunia orang mati. Kamu yakin bahawa bencana tidak akan menimpa kamu kerana kamu bergantung kepada dusta dan penipuan untuk melindungi diri kamu. Tetapi inilah firman TUHAN Raja, “Aku meletakkan asas yang kuat dan kukuh di Sion; sebuah batu asas yang berharga dengan tulisan berikut, ‘Sesiapa yang percaya dengan teguh tidak akan cemas.’ Keadilan akan Kujadikan tali pengukur, dan kejujuran Kujadikan tali unting.” Segala dusta yang menjadi pergantungan kamu akan disapu oleh hujan batu, dan perlindungan kamu akan dimusnahkan oleh air bah. Perjanjian kamu dengan maut dan persetujuan kamu dengan dunia orang mati akan dibatalkan. Kamu akan dikalahkan apabila bencana menimpa kamu. Tiap-tiap pagi bencana akan menimpa kamu, dan siang malam kamu harus menanggungnya. Kamu akan gementar ketakutan apabila kamu mengerti akan perkhabaran Allah. Kamu akan menjadi seperti orang yang mencuba tidur di atas katil yang terlalu pendek, dengan selimut yang terlalu kecil untuk menyelubunginya. TUHAN akan bangkit di Gunung Perazim dan di Lembah Gibeon seperti yang dilakukan-Nya dahulu. Dia akan melaksanakan kehendak-Nya walaupun kelihatannya sangat aneh. Dia akan menyelesaikan pekerjaan-Nya yang menakjubkan itu. Jangan anggap ringan amaranku ini! Jika kamu tidak menghiraukannya, lebih susah lagi bagi kamu melepaskan diri. Aku telah mendengar keputusan TUHAN Raja Yang Maha Kuasa untuk memusnahkan seluruh negeri. Dengarlah kata-kataku dan perhatikanlah pesanku. Tiada petani yang terus-menerus membajak tanahnya dan menyediakannya untuk ditanami. Setelah dia membajak tanah itu, dia menabur benih, baik jintan hitam ataupun jintan putih. Dia menanam gandum dan barli berderet-deret; kemudian di tepi ladang dia menanam tanaman lain. Dia tahu melakukan kerjanya, kerana Allah telah mengajar dia. Tidak sekali-kali dia menggunakan pemukul yang berat untuk menumbuk jintan hitam atau jintan putih. Sebaliknya, dia menggunakan pemukul yang ringan dan sesuai. Dia tidak mengirik gandum sampai hancur, dan dia tahu menggunakan pedati untuk mengirik gandum tanpa merosakkannya. Semua kebijaksanaan itu datangnya daripada TUHAN Yang Maha Kuasa. Rancangan-rancangan Allah bijak dan sentiasa berjaya. Malanglah Yerusalem yang disebut Mazbah Allah! Malanglah kota tempat Raja Daud berkhemah! Hanya satu atau dua tahun lagi perayaan-perayaannya akan berlangsung, lalu Allah akan mendatangkan bencana kepada kota yang disebut Mazbah Allah. Suara tangisan dan ratapan akan kedengaran, dan seluruh kota itu akan menjadi seperti mazbah yang berlumuran darah. Allah akan menyerang kota itu dan mengepungnya. Yerusalem akan menjadi seperti hantu yang berusaha untuk memperdengar suaranya dari dalam tanah; suara yang redam dari dalam debu. Hai Yerusalem, semua orang bangsa asing yang menyerang engkau akan lenyap seperti debu ditiup angin. Tentera mereka yang menakutkan itu akan berterbangan seperti sekam. Dengan tiba-tiba dan tidak diduga-duga, TUHAN Yang Maha Kuasa akan menyelamatkan engkau dengan badai dan gempa bumi yang dahsyat. Dia akan mendatangkan angin ribut dan api yang berkobar-kobar. Lalu semua tentera bangsa-bangsa yang menyerang kota yang disebut Mazbah Allah, dan juga segala senjata serta peralatan mereka akan lenyap seperti mimpi pada waktu malam. Semua bangsa yang telah berkumpul untuk menyerang Yerusalem akan menjadi seperti seorang kelaparan yang bermimpi dia sedang makan, lalu terjaga tetapi masih lapar, atau seperti seorang kehausan yang bermimpi dia sedang minum, lalu terjaga dengan kerongkongnya masih kering. Berlagaklah bodoh dan buta! Jadilah mabuk tetapi bukan kerana minum wain. Berjalanlah terhuyung-hayang, tetapi bukan kerana minum arak! TUHAN telah membuat kamu mengantuk supaya kamu tidur nyenyak. Para nabi sepatutnya menjadi mata rakyat tetapi Allah telah menutup mata para nabi. Makna tiap-tiap penglihatan akan tersembunyi daripada kamu seperti naskhah gulungan yang bermeterai. Jika kamu membawa naskhah gulungan itu kepada seorang yang tahu membaca dan menyuruh dia membacanya, dia akan berkata tidak mungkin kerana naskhah itu bermeterai. Jika kamu membawa naskhah gulungan itu kepada orang yang tidak tahu membaca dan menyuruh dia membacanya, dia akan berkata bahawa dia tidak tahu membaca. Tuhan berfirman, “Bangsa ini mengaku menyembah Aku, tetapi kata-kata mereka kosong, dan hati mereka jauh daripada-Ku. Agama mereka hanya peraturan dan adat manusia yang dihafazkan. Oleh itu Aku akan mengejutkan mereka dengan pukulan demi pukulan yang tidak disangka-sangka. Mereka yang bijak akan terbukti bodoh. Segala kepandaian mereka akan menjadi sia-sia.” Malanglah orang yang berusaha untuk menyembunyikan rancangan mereka daripada TUHAN! Dengan diam-diam mereka bertindak dan menyangka tiada sesiapa nampak atau tahu akan perbuatan mereka. Mereka memutar-balikkan segala-galanya. Manakah yang lebih mustahak? Tukang periuk atau tanah liat? Dapatkah benda yang dibuat berkata kepada pembuatnya, ‘Bukan engkau yang membuat aku’? Atau dapatkah benda itu berkata kepadanya, ‘Engkau tidak tahu apa yang engkau buat’? Seperti kata orang, tidak lama lagi hutan rimba akan menjadi ladang, dan ladang akan menjadi hutan rimba semula. Pada hari itu kelak, orang tuli akan dapat mendengar orang membaca kitab, dan orang buta yang telah hidup dalam kegelapan, akan dapat melihat. Orang yang miskin dan hina akan sekali lagi mengalami kebahagiaan yang diberikan oleh TUHAN, Allah Israel, Allah yang suci. Itulah kesudahan mereka yang menindas orang serta menghina Allah. Tiap-tiap orang berdosa akan dibinasakan. Allah akan membinasakan mereka yang suka memfitnah orang lain, mereka yang mencegah penjenayah menerima hukuman, dan juga saksi-saksi yang berdusta untuk menghalangi orang jujur mendapat keadilan. Oleh itu TUHAN, Allah Israel, yang menyelamatkan Abraham daripada kesusahan berfirman, “Hai umat-Ku, kamu tidak akan dipermalukan lagi; muka kamu tidak lagi pucat kerana malu. Apabila kamu melihat anak-anak yang akan Aku kurniakan kepada kamu kelak, kamu akan mengakui bahawa Akulah Allah Israel, Allah yang suci. Kamu akan menghormati Aku serta takut terhadap Aku. Orang bodoh akan belajar dan faham, dan mereka yang sentiasa bersungut-sungut akan suka menerima pengajaran.” TUHAN berfirman, “Malanglah mereka yang memerintah Yehuda, kerana mereka memberontak terhadap Aku. Mereka melaksanakan rancangan-rancangan yang bukan rancangan-Ku, dan mengikat perjanjian yang menentang kehendak-Ku. Maka bertimbun-timbunlah dosa mereka. Mereka minta tolong daripada Mesir tanpa mohon nasihat-Ku. Mereka bernaung di bawah kerajaan Mesir. Oleh itu, mereka mengharapkan perlindungan daripada raja Mesir. Tetapi raja Mesir tidak berdaya menolong mereka, dan perlindungan yang diharapkan daripada Mesir akan menjadi sia-sia. Walaupun duta-duta Yehuda telah tiba di Zoan dan Hanes, kota-kota Mesir, namun penduduk Yehuda akan menyesal kerana bersandar kepada bangsa yang tidak boleh diharap, bangsa yang mengecewakan mereka pada masa mereka memerlukan pertolongan.” Demikianlah perkhabaran Allah tentang binatang di gurun sebelah selatan, “Duta-duta berjalan melalui negeri yang berbahaya, yang didiami oleh singa, ular berbisa, dan naga yang boleh terbang. Mereka memuati keldai dan unta dengan hadiah yang mahal-mahal untuk bangsa yang tidak dapat menolong mereka. Pertolongan yang diberikan oleh Mesir itu sia-sia. Oleh itu Aku menyebut Mesir, ‘Naga yang tidak berbahaya.’ ” Allah menyuruh aku mencatat kejahatan umat ini di dalam sebuah kitab, sebagai peringatan untuk selama-lamanya. Mereka sentiasa memberontak terhadap Allah, sentiasa berdusta, dan enggan menurut ajaran-ajaran TUHAN. Mereka menyuruh para nabi menutup mulut. Mereka berkata, “Jangan katakan hal yang benar kepada kami, tetapi katakan hal yang ingin kami dengar. Biarlah kami berkhayal. Ke tepi! Jangan halangi kami. Kami tidak mahu mendengar tentang Allah Israel, Allah kamu yang suci.” Tetapi inilah firman Allah Israel, Allah yang suci, “Kamu tidak menghirau firman-Ku dan kamu bergantung kepada kekerasan serta penipuan. Kamu bersalah. Kamu seperti tembok tinggi yang retak dari atas sampai ke bawah. Dengan tiba-tiba kamu akan roboh. Kamu akan hancur seperti belanga, dan begitu luluh sehingga tiada bahagian yang dapat digunakan untuk mengambil bara, atau untuk mencedok air dari tempayan.” TUHAN Raja, Allah Israel, Allah yang suci, berfirman kepada umat-Nya, “Kembalilah kepada-Ku dan percayalah kepada-Ku dengan hati yang tenteram. Maka kamu akan Kukuatkan dan Kuselamatkan.” Tetapi kamu tidak mahu. Sebaliknya kamu merancang untuk lari daripada musuh dengan menunggang kuda yang laju. Memang kamu perlu lari! Pada sangka kamu kuda kamu cukup laju, tetapi pengejar-pengejar kamu lebih cepat! Seribu orang akan lari apabila melihat seorang musuh, dan lima orang musuh cukup untuk menyebabkan kamu semua lari. Tentera kamu akan lenyap, dan yang tinggal hanya sebatang tiang bendera di atas bukit. Namun TUHAN menanti-nantikan saatnya untuk menunjukkan belas kasihan-Nya kepada kamu. Dia mengasihani kamu kerana Dia Allah yang sentiasa berbuat adil. Berbahagialah mereka yang berharap kepada TUHAN. Kamu yang tinggal di Yerusalem tidak akan menangis lagi. TUHAN berbelas kasihan. Manakala kamu berseru minta tolong kepada-Nya, Dia akan menjawab. Tuhan akan memberi kamu cubaan yang berat, tetapi Dia sendiri akan menyertai kamu dan mengajar kamu. Kamu tidak perlu mencari-cari Dia lagi. Jika kamu menyimpang ke kanan atau ke kiri, kamu akan mendengar suara-Nya di belakang kamu berfirman, “Inilah jalannya, ikutlah jalan ini!” Kamu akan mengambil patung-patung berhala kamu yang disadur dengan perak dan emas, lalu membuangnya seperti kotoran. Kamu akan berkata kepadanya, “Pergilah daripadaku!” Ketika kamu menabur benih, TUHAN akan menurunkan hujan supaya benih itu tumbuh. Dia akan memberi kamu hasil yang banyak, dan bagi ternak kamu akan tersedia padang rumput yang luas. Lembu dan keldai yang membajak tanah kamu akan mendapat makanan yang terbaik. Kubu-kubu musuh kamu akan roboh, dan mereka akan dibunuh. Pada hari itu anak-anak sungai akan mengalir dari tiap-tiap gunung dan bukit. Bulan akan bersinar seterang matahari, dan matahari akan bersinar tujuh kali lebih terang daripada biasa, seperti cahaya matahari selama tujuh hari dipancarkan sekaligus. Semua itu akan berlaku apabila TUHAN membalut dan menyembuhkan luka-luka umat-Nya yang telah didera-Nya. Kuasa dan kemuliaan TUHAN terlihat dari jauh. Api dan asap menunjukkan kemurkaan-Nya. Apabila Dia berfirman, firman-Nya membakar seperti api. Dia mengutus angin di hadapan-Nya seperti air bah setinggi leher yang menghanyutkan segala sesuatu. Angin itu memusnahkan bangsa-bangsa, dan mengakhiri rancangan-rancangan jahat mereka. Tetapi kamu, hai umat Allah, akan bersukacita dan bernyanyi seperti pada malam perayaan agama! Kamu akan bersukacita seperti mereka yang berjalan dengan iringan seruling menuju ke Rumah TUHAN, Pembela Israel. TUHAN akan memperdengar suara-Nya yang agung itu, dan setiap orang akan merasai kemurkaan-Nya yang menyala-nyala. Kemurkaan-Nya akan mendatangkan api yang menghanguskan, ribut, hujan batu, dan hujan lebat. Orang Asyur akan ketakutan apabila mendengar suara TUHAN, dan merasai hukuman-Nya yang berat. Sedang TUHAN berulang-ulang memukul mereka, umat-Nya akan menari mengikut rentak tamburin dan kecapi. Allah sendiri akan berperang melawan orang Asyur. Sejak dahulu telah disediakan api yang besar untuk membakar raja Asyur. Tempat itu dalam dan lebar serta berisi kayu api yang bertimbun-timbun. TUHAN akan menyalakan kayu itu dengan hembusan nafas-Nya. Malanglah orang yang pergi ke Mesir untuk minta tolong! Mereka bersandar kepada kekuatan angkatan perang Mesir - kuda, kereta kuda, dan askar. Tetapi mereka tidak bergantung kepada TUHAN, Allah Israel, Allah yang suci atau minta pertolongan-Nya. TUHAN bijaksana dan tahu apa yang dibuat-Nya. Dia mendatangkan bencana, dan melaksanakan ancaman-Nya untuk menghukum orang jahat serta orang yang menolong mereka. Orang Mesir bukannya tuhan; mereka insan belaka. Kuda mereka makhluk yang lemah, bukan roh yang berkuasa. Apabila TUHAN bertindak, bangsa kuat akan jatuh, dan bangsa lemah yang ditolong mereka pun akan jatuh. Kedua-duanya akan musnah. TUHAN berfirman kepadaku, “Walaupun para gembala berteriak dan memekik, mereka tidak dapat mengusir singa daripada binatang yang sudah dibunuhnya. Demikian juga tiada apa-apa pun dapat menghalang Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, daripada melindungi Bukit Sion. Sebagaimana seekor burung terbang di sekitar sarangnya untuk melindungi anak-anaknya, demikian juga Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, akan melindungi, membela, dan menyelamatkan Yerusalem.” TUHAN berfirman, “Hai umat Israel, kamu telah berdosa terhadap-Ku dan menentang Aku. Tetapi sekarang kembalilah kepada-Ku! Masanya akan tiba apabila kamu semua akan membuang patung-patung berhala daripada perak dan emas, yang kamu buat dengan tangan yang penuh dosa. Asyur akan dimusnahkan dalam perang, tetapi bukan dengan kekuatan manusia. Orang Asyur akan lari meninggalkan medan perang, dan para pemuda mereka akan dijadikan abdi. Raja mereka akan lari ketakutan, dan para pegawai tenteranya sangat takut sehingga meninggalkan panji-panji perang.” TUHAN telah berfirman - TUHAN yang disembah dan dihormati dengan membakar korban di Yerusalem. Pada suatu hari kelak seorang raja akan memerintah dengan adil, dan pemimpin-pemimpin bangsa akan menjalankan keadilan. Mereka seperti tempat perlindungan daripada angin dan ribut. Mereka seperti sungai-sungai yang mengalir di padang gurun, seperti naungan batu besar di tanah yang tandus. Mata dan telinga mereka akan sentiasa terbuka untuk memperhatikan keperluan rakyat. Mereka yang dahulu terburu-buru akan bertindak dengan sabar dan penuh pengertian. Mereka yang gagap akan bertutur dengan jelas. Orang bodoh tidak akan dianggap terhormat, dan penipu tidak dikatakan jujur. Orang bodoh mengucapkan kata-kata yang bodoh dan merancangkan perkara yang jahat. Perbuatan dan perkataan mereka menghinakan TUHAN. Mereka tidak pernah memberikan makanan kepada orang lapar atau memberikan minuman kepada orang dahaga. Penipu memikirkan dan melakukan yang jahat. Mereka mencari akal untuk menipu orang miskin dengan kata-kata dusta, dan mencegah orang miskin mendapat hak mereka. Tetapi orang yang luhur merancangkan hal-hal yang luhur, dan bertindak dengan luhur. Dengarlah, hai kaum wanita yang hidup senang, bebas daripada kekhuatiran. Kamu berasa puas hati sekarang, tetapi setahun lagi kamu akan putus asa, kerana buah anggur akan habis musnah. Kamu telah hidup senang, bebas daripada kekhuatiran, tetapi sekarang gementarlah ketakutan! Tanggalkanlah pakaian kamu dan ikatlah kain guni pada pinggang kamu. Tebahlah dada dengan sedih, kerana ladang yang subur dan ladang anggur kamu telah musnah. Sekarang semak dan belukar berduri tumbuh di tanah bangsaku. Tangisilah rumah-rumah tempat orang bersukaria, dan kota yang penuh kesibukan. Bahkan istana pun akan ditinggalkan dan ibu kota menjadi lengang. Bukit-bukit dan menara-menara pengawal akan runtuh selama-lamanya. Keldai liar dan domba akan berkeliaran dan merumput di sana. Tetapi sekali lagi Allah akan datang dengan kuasa-Nya. Maka tanah yang tandus akan menjadi subur, dan ladang akan mengeluarkan hasil yang banyak. Di serata negeri akan terdapat kejujuran dan keadilan. Negeri itu akan menjadi aman dan tenteram selama-lamanya kerana tiap-tiap orang melakukan apa yang benar. Umat Allah tidak perlu khuatir lagi, dan rumah mereka akan menjadi aman dan selamat, walaupun hutan akan ditimpa hujan batu dan kota akan runtuh sama sekali. Alangkah bahagianya semua orang kerana air untuk tanaman akan berkelimpahan, dan padang rumput menjadi tempat yang aman bagi keldai dan lembu. Malanglah musuh kita! Mereka merompak dan berbuat khianat walaupun tiada sesiapa pernah merompak dan mengkhianati mereka. Tetapi masa untuk mereka merompak dan berbuat khianat itu akan tamat, lalu mereka sendiri akan dirompak dan dikhianati. Ya TUHAN, kasihanilah kami. Kami berharap kepada-Mu. Lindungilah kami tiap-tiap hari, dan selamatkanlah kami pada masa kesusahan. Apabila Engkau menolong kami berperang, bangsa-bangsa lari. Milik mereka direbut dan dirampas sebagai jarahan. TUHAN sangat agung! Dia menguasai segala-galanya. Dia menegakkan keadilan dan kejujuran di Yerusalem, dan memberikan keamanan kepada umat-Nya. Dia sentiasa melindungi umat-Nya, serta memberi mereka kebijaksanaan dan pengetahuan. Harta mereka yang paling berharga adalah hormat dan takut kepada TUHAN. Orang yang gagah berani minta tolong. Duta-duta yang berusaha untuk mencapai kedamaian menangis dengan pedih. Jalan raya menjadi sangat berbahaya sehingga tiada sesiapa melaluinya. Perjanjian diputuskan dan persetujuan diingkari. Tiada lagi orang yang dihiraukan. Negeri menjadi terbiar dan terlantar. Hutan Lebanon menjadi layu; lembah yang subur di Saron menjadi seperti gurun; di Basan dan Gunung Karmel daun-daun gugur. TUHAN berfirman kepada bangsa-bangsa, “Sekarang Aku akan bertindak. Aku akan menunjukkan betapa besarnya kuasa-Ku. Rancangan-rancangan kamu sia-sia, dan segala perbuatan kamu pun tidak berguna. Kemarahan kamu seperti api yang membinasakan kamu. Kamu akan menjadi seperti batu karang yang dibakar menjadi kapur, dan seperti semak duri yang dibakar menjadi abu. Hendaklah tiap-tiap orang, baik yang dekat mahupun yang jauh, tahu akan perbuatan-Ku dan mengakui kuasa-Ku.” Penduduk Sion yang berdosa gementar ketakutan. Mereka berkata, “Hukuman daripada Allah seperti api yang membakar selama-lamanya. Dapatkah sesiapa selamat daripada api seperti itu?” Kamu akan selamat jika pertuturan dan perbuatan kamu benar. Jangan gunakan kuasa kamu untuk menipu orang miskin, dan jangan terima rasuah. Jangan ikut orang yang merancangkan pembunuhan atau melakukan kejahatan lain. Dengan demikian kamu akan selamat, kamu akan terlindung seolah-olah kamu di dalam kubu yang kuat. Kamu akan mendapat makanan dan minuman. Sekali lagi kamu akan menyaksikan seorang raja memerintah dengan kemegahan. Negerinya terbentang ke semua jurusan. Dahulu kamu takut terhadap pemungut cukai bangsa asing dan pengintip; sekarang semuanya kenangan belaka. Kamu tidak akan lagi melihat orang asing yang sombong, yang bertutur dalam bahasa yang tidak kamu fahami. Pandanglah kota Sion tempat kita merayakan hari perayaan agama. Pandanglah Yerusalem! Tempat itu akan menjadi kediaman yang selamat seperti khemah yang belum pernah dipindahkan, yang pasaknya belum pernah dicabut dan talinya tidak pernah putus. TUHAN akan memperlihatkan kemuliaan-Nya kepada kita. Kita akan tinggal berhampiran dengan sungai-sungai yang lebar dan anak-anak sungai, tetapi yang tidak dapat dilalui kapal musuh. [22-23] Segala perlengkapan di kapal mereka tidak berguna. Layarnya tidak dapat dibentangkan. Kita akan merampas semua kekayaan tentera musuh, dan jumlahnya begitu banyak sehingga orang lumpuh pun mendapat bahagian. TUHAN sendiri akan menjadi raja kita. Dia akan memerintah dan melindungi kita. *** Tiada sesiapa yang tinggal di negeri kita akan mengeluh kerana sakit, dan segala dosa akan diampunkan. Marilah, hai semua bangsa! Berkumpullah dan dengarlah! Hendaklah seluruh bumi dan setiap orang yang mendiaminya datang dan mendengar. TUHAN murka terhadap semua bangsa dan angkatan tentera mereka. Dia akan menghukum dan membinasakan mereka. Mayat mereka tidak akan dikebumikan, tetapi dibiarkan membusuk. Gunung-gunung akan menjadi merah kerana dibanjiri darah. Matahari, bulan, dan bintang akan hancur. Langit akan lenyap, seolah-olah digulung seperti gulungan naskhah. Bintang-bintang akan jatuh seperti daun gugur dari pokok anggur atau pokok ara. TUHAN telah menyiapkan pedang-Nya di langit, dan sekarang pedang itu akan menimpa bangsa Edom, orang yang telah dijatuhi hukuman dan akan dibinasakan. Pedang-Nya akan berlumuran darah dan penuh dengan lemak, seperti darah dan lemak domba serta kambing yang dikorbankan. TUHAN akan menyediakan korban itu di kota Bozra, dan mengadakan pembantaian dahsyat di negeri Edom. Orang akan mati seperti lembu liar dan lembu muda. Negeri mereka akan diliputi darah dan dipenuhi lemak. Itulah saatnya TUHAN menyelamatkan Sion dan membalas dendam terhadap musuh-musuh Sion. Sungai-sungai di Edom akan berubah menjadi tar dan tanahnya menjadi belerang. Seluruh negeri itu akan terbakar seperti tar. Siang malam nyala api itu tidak padam dan asap mengepul daripadanya untuk selama-lamanya. Negeri itu akan ditinggalkan kosong dan tandus sehingga turun-temurun, dan tiada seorang pun akan melaluinya. Burung hantu dan burung gagak akan mendiami tempat itu. TUHAN akan menjadikannya kacau-bilau seperti sebelum penciptaan. Negeri itu tidak akan mempunyai raja, dan pemimpin-pemimpinnya akan lenyap. Semak dan rumput berduri tumbuh di dalam semua istana dan kota yang bertembok. Serigala dan burung unta tinggal di sana. Binatang liar akan berkeliaran, hantu bersahut-sahutan dan hantu malam akan datang mencari tempat berehat. Di sana burung hantu membuat sarangnya, bertelur, menetaskan telurnya, dan memelihara anak-anaknya. Burung nasar pun berkumpul dengan pasangannya. Carilah di dalam kitab TUHAN dan bacalah. Tiada satu pun daripada semua makhluk itu akan hilang atau tanpa pasangan. TUHAN telah menetapkannya, dan Dia sendiri akan mengumpulkan semua makhluk itu. TUHANlah yang akan membahagikan tanah antara makhluk itu; setiap makhluk akan mendapat sebahagian, lalu tinggal di tanah itu berzaman-zaman serta memilikinya selama-lamanya. Padang gurun akan bersukacita, dan bunga akan kembang di padang belantara. Padang pasir akan bernyanyi dan bersorak gembira, dan menjadi seindah Pergunungan Lebanon serta sesubur ladang di Karmel dan Saron. Tiap-tiap orang akan melihat kemuliaan TUHAN, melihat kebesaran dan kuasa-Nya. Kuatkanlah tangan yang lemah, dan teguhkanlah lutut yang goyah. Katakanlah kepada tiap-tiap orang yang tawar hati, “Kuatkan hatimu dan jangan takut! Allah datang untuk menyelamatkan kamu, dan menghukum musuh-musuh kamu.” Orang buta akan dapat melihat, orang tuli akan dapat mendengar. Orang lumpuh akan melompat seperti rusa, dan orang bisu akan bersorak gembira. Mata air akan memancar di padang gurun, dan sungai mengalir di padang pasir. Pasir yang panas akan menjadi kolam air, tanah yang gersang menjadi sumber air. Tempat yang dahulu didiami serigala, akan ditumbuhi pandan dan gelagah. Di sana akan ada lebuh raya, yang disebut “Jalan Menuju Penyelamatan.” Orang berdosa tidak akan lalu di sana, orang bodoh tidak akan menyesatkan orang yang melaluinya. Di sana tidak akan ada singa, atau binatang buas lainnya. Orang yang telah diselamatkan oleh TUHAN, akan pulang melalui jalan itu. Orang yang dibebaskan oleh TUHAN akan pulang; mereka akan sampai di Yerusalem dengan sukacita, sambil bernyanyi dan bersorak-sorak. Mereka akan bahagia selama-lamanya, dan bebas daripada duka nestapa. Pada tahun keempat belas pemerintahan Hizkia raja Yehuda, kota-kota berkubu di Yehuda diserang dan ditawan oleh Raja Sanherib, raja Asyur. Selepas itu Raja Sanherib mengarah ketua pegawainya berangkat dari Lakhis dan pergi ke Yerusalem bersama dengan satu pasukan tentera yang besar untuk memaksa Raja Hizkia menyerah diri. Pegawai itu mengambil tempat di jalan, tempat pembuat kain bekerja, dekat saluran yang menyalurkan air dari kolam di sebelah atas. Tiga orang dari Yehuda datang menemuinya, iaitu Elyakim anak Hilkia, pengurus istana; Sebna, setiausaha istana; dan Yoah anak Asaf, setiausaha negara. Pegawai Asyur itu berkata kepada mereka, “Sampaikanlah titah raja Asyur kepada Raja Hizkia, ‘Mengapa kamu begitu yakin? Adakah kamu menyangka bahawa kata-kata dapat menggantikan kecekapan dan kekuatan tentera? Siapakah yang kamu harap untuk menolong kamu memberontak terhadap Asyur? Kamu mengharapkan bantuan dari Mesir, tetapi hal itu seperti orang yang menggunakan gelagah sebagai tongkat. Tongkat itu akan patah dan menusuk tangan kamu sendiri. Begitulah raja Mesir terhadap sesiapa yang berharap kepadanya.’ ” Pegawai Asyur itu meneruskan kata-katanya lagi, “Atau mungkin kamu berkata bahawa kamu berharap kepada TUHAN, Allah kamu. Pada waktu Raja Hizkia memerintahkan orang Yehuda dan Yerusalem supaya beribadat di satu mazbah sahaja, yang dimusnahkannya itu mazbah dan tempat-tempat penyembahan kepada TUHAN sendiri. Aku akan bertaruh dengan kamu demi nama raja Asyur. Aku akan memberikan dua ribu ekor kuda kepada kamu jika kamu mempunyai orang sebanyak itu untuk menunggangi semua kuda itu! Kamu tidak dapat melawan kami bahkan pegawai Asyur yang paling rendah, namun kamu mengharap orang Mesir menghantar kereta kuda dan pasukan berkuda kepada kamu. Adakah kamu menyangka bahawa aku menyerang negeri kamu dan memusnahkannya tanpa pertolongan TUHAN? TUHAN sendiri menyuruh aku menyerangnya serta memusnahkannya.” Kemudian Elyakim, Sebna, dan Yoah berkata kepada pegawai itu, “Tuan, bertuturlah kepada kami dalam bahasa Aram. Kami faham akan bahasa itu. Janganlah bertutur dalam bahasa Ibrani. Semua orang di atas tembok itu dapat memahaminya.” Pegawai itu menjawab, “Adakah kamu menyangka bahawa raja Asyur menyuruh aku menyampaikan semua hal ini kepada kamu dan raja kamu sahaja? Tidak. Aku juga menyampaikan semua hal ini kepada orang yang duduk di atas tembok itu, kerana mereka pun mesti makan najis dan minum air kencing sendiri seperti kamu.” Kemudian pegawai itu berdiri dan berseru dalam bahasa Ibrani, “Dengarlah titah raja Asyur kepada kamu! Baginda memberi kamu amaran supaya kamu tidak ditipu oleh Raja Hizkia. Raja Hizkia tidak dapat menyelamatkan kamu. Jangan biar raja kamu menyuruh kamu berharap kepada TUHAN. Jangan sangka TUHAN akan menyelamatkan kamu, dan menghalangi angkatan tentera Asyur merebut kota kamu. Jangan dengarkan Raja Hizkia. Raja Asyur memerintahkan kamu supaya keluar dari kota dan menyerah diri. Kamu semua akan dibenarkan makan buah anggur dari pokok anggur kamu sendiri, dan buah ara dari pokok ara kamu sendiri, dan minum air dari perigi kamu sendiri, sehingga raja Asyur memindahkan kamu ke negeri yang serupa dengan negeri kamu. Di sana ada banyak ladang anggur yang menghasilkan wain, dan banyak gandum untuk dibuat roti. Jangan ditipu oleh Raja Hizkia. Jangan sangka TUHAN akan menyelamatkan kamu. Dewa-dewa bangsa manakah pernah menyelamatkan negerinya daripada raja Asyur? Di manakah dewa-dewa negeri Hamat dan Arpad sekarang? Di manakah dewa-dewa negeri Sefarwaim? Pernahkah sesiapa menyelamatkan Samaria? Dewa yang manakah pernah menyelamatkan negerinya daripada raja kami? Mengapakah kamu berfikir bahawa TUHAN dapat menyelamatkan Yerusalem?” Rakyat diam sahaja seperti yang diperintahkan oleh Raja Hizkia. Mereka tidak mengeluarkan sepatah kata pun. Kemudian Elyakim, Sebna, dan Yoah mengoyakkan pakaian mereka kerana sedih. Mereka pergi melaporkan kata-kata pegawai Asyur itu kepada Raja Hizkia. Apabila mendengar laporan mereka, Raja Hizkia mengoyakkan pakaiannya kerana sedih. Baginda memakai kain guni lalu pergi ke Rumah TUHAN. Baginda menyuruh Elyakim, pengurus istana, dan Sebna, setiausaha istana, serta imam-imam yang tua untuk menjumpai Nabi Yesaya anak Amos. Mereka juga memakai kain guni. Raja Hizkia menyuruh mereka menyampaikan berita ini kepada Yesaya: “Hari ini hari penderitaan. Kita dihukum dan dipermalukan. Kita seperti perempuan yang hampir bersalin tetapi kehabisan tenaga. Raja Asyur telah mengutus pegawai tertingginya untuk menghina Allah yang hidup. Semoga TUHAN, Allahmu mendengar hinaan itu dan menghukum mereka yang mengucapkannya. Oleh itu berdoalah kepada Allah untuk rakyat kita yang masih hidup.” Apabila Yesaya menerima berita daripada Raja Hizkia, dia memberikan jawapan ini: “TUHAN berfirman bahawa tuanku tidak usah takut terhadap orang Asyur yang mengatakan TUHAN tidak dapat menyelamatkan tuanku. TUHAN akan menyebabkan raja Asyur mendengar suatu khabar angin sehingga baginda pulang ke negerinya sendiri. TUHAN akan membiarkan raja Asyur dibunuh di sana.” Pegawai Asyur mendengar bahawa rajanya telah meninggalkan Lakhis dan sedang berperang dengan Libna, sebuah kota yang berdekatan. Oleh itu dia pergi ke sana hendak meminta nasihat. Pada masa itu raja Asyur mendengar berita bahawa tentera Mesir yang dipimpin oleh Raja Tirhaka, raja Etiopia, datang untuk menyerang mereka. Apabila mendengar berita itu, raja Asyur mengirim sepucuk surat kepada Raja Hizkia, di Yehuda. Demikian bunyi surat itu, “Allah yang kamu percayai telah berjanji bahawa kamu tidak akan jatuh ke dalam tangan beta, tetapi jangan ditipu oleh janji itu. Kamu telah mendengar apa yang dilakukan oleh raja-raja Asyur terhadap setiap negeri yang hendak dimusnahkan mereka. Jangan sangka kamu akan terlepas. Nenek moyang beta memusnahkan kota Gozan, Haran, dan Rezef, serta membunuh orang Eden yang tinggal di Telasar. Tidak satu pun daripada dewa mereka dapat menyelamatkan mereka. Di manakah raja-raja kota Hamat, Arpad, Sefarwaim, Hena, dan Iwa sekarang?” Raja Hizkia mengambil surat itu daripada para utusan, lalu membacanya. Kemudian baginda pergi ke Rumah TUHAN, membentangkan surat itu di hadirat TUHAN dan berdoa, “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, Engkau yang bersemayam di atas kerub, Engkau satu-satunya Allah yang memerintah semua kerajaan di dunia. Engkau mencipta langit dan bumi. Sekarang lihatlah hal yang berlaku kepada kami. Dengarlah segala hinaan yang diucapkan oleh Raja Sanherib terhadap-Mu, ya Allah yang hidup. Kami semua tahu, ya TUHAN, bahawa raja-raja Asyur telah memusnahkan banyak bangsa dan menghancurkan negeri mereka, serta membakar dewa-dewa mereka. Tetapi dewa-dewa itu tidak berkuasa sama sekali kerana hanya patung daripada kayu dan batu yang dibuat oleh manusia. Oleh itu, selamatkanlah kami daripada orang Asyur, ya TUHAN Allah kami, supaya semua bangsa di dunia tahu bahawa Engkau satu-satunya TUHAN.” Kemudian Yesaya mengirim perkhabaran kepada Raja Hizkia bahawa TUHAN, Allah Israel telah mendengar doanya. Demikianlah firman TUHAN, “Kota Yerusalem mentertawakan serta menghinakan engkau, hai Sanherib. Siapakah yang engkau cela dan hina itu? Engkau telah bersikap sombong terhadap Aku, Allah Israel, Allah yang suci. Engkau mengirim para utusan untuk membesar-besarkan dirimu di hadapan-Ku, bahawa dengan kereta kudamu engkau telah menaklukkan gunung-gunung tertinggi di Lebanon. Engkau bercakap besar bahawa engkau telah menebang pokok sedar yang tertinggi, dan pokok sipres yang terbaik, dan bahawa engkau telah menembusi hutan Lebanon yang paling lebat. Engkau bercakap besar bahawa engkau menggali perigi dan minum air di negeri-negeri asing, dan bahawa tenteramu memijak-mijak Sungai Nil sehingga kering. Belum pernahkah engkau mendengar bahawa Akulah yang merancangkan semua itu sejak dahulu? Sekarang Aku sudah melaksanakannya. Akulah yang memberi engkau kuasa untuk memusnahkan kota-kota berkubu sehingga menjadi puing-puing. Penduduk di situ tidak berdaya; mereka ketakutan dan bingung. Mereka seperti rumput di padang, atau rumpai yang tumbuh di atas bumbung rumah, yang layu apabila ditiup oleh angin timur yang panas. Tetapi Aku tahu akan segala halmu: segala perbuatanmu dan ke mana sahaja engkau pergi. Aku tahu bahawa engkau marah sekali terhadap Aku. Aku telah mendengar tentang kemarahan dan kesombonganmu. Sekarang Aku akan memasang kait pada hidungmu, dan kekang pada mulutmu. Aku akan menarik engkau pulang melalui jalan yang engkau ikuti ketika datang.” Kemudian Yesaya mengirim perkhabaran kepada Raja Hizkia, “Perkara ini akan menjadi suatu tanda bagi tuanku: Pada tahun ini dan tahun yang akan datang, tuanku akan makan gandum yang tumbuh sendiri. Tetapi pada tahun berikutnya, tanamlah gandum dan anggur, dan nikmatilah hasilnya. Penduduk Yehuda yang terselamat akan makmur seperti tumbuhan yang berakar umbi dan berbuah. Baik di Yerusalem mahupun di Bukit Sion akan ada orang yang terselamat kerana TUHAN Yang Maha Kuasa telah menentukan bahawa perkara ini akan berlaku. Inilah firman TUHAN tentang raja Asyur, ‘Dia tidak akan masuk ke Yerusalem, ataupun melepaskan sebatang anak panah pun ke arahnya. Askar-askar yang berperisai tidak akan mendekati kota ini. Mereka tidak akan membuat timbunan tanah untuk mengepungnya. Raja Asyur akan pulang melalui jalan yang diikutinya ketika datang, tanpa memasuki kota ini. Aku, TUHAN telah berfirman. Demi kehormatan-Ku sendiri dan demi janji-Ku kepada hamba-Ku, Daud, Aku akan membela kota ini serta melindunginya.’ ” Kemudian satu malaikat TUHAN pergi ke perkhemahan orang Asyur dan membunuh 185,000 orang askar. Pagi-pagi keesokan harinya mereka semua telah mati! Kemudian Raja Sanherib, raja Asyur berundur dan pulang ke Niniwe. Pada suatu hari, ketika raja Asyur sedang beribadat di dalam kuil dewanya, Nisrokh, baginda dibunuh dengan pedang oleh dua orang puteranya, Adramelekh dan Sarezer. Selepas itu, mereka lari ke tanah Ararat. Esarhadon, puteranya yang lain menggantikan baginda sebagai raja. Kira-kira pada masa itu, Raja Hizkia gering dan hampir mangkat. Nabi Yesaya anak Amos menemui raja dan berkata kepada baginda, “Menurut firman TUHAN, hendaklah tuanku selesaikan segala urusan tuanku, kerana tuanku tidak akan sembuh. Tuanku akan mangkat.” Raja Hizkia memalingkan mukanya ke tembok lalu berdoa, “Ingatlah, ya TUHAN, bahawa aku telah mengabdi kepada-Mu dengan taat dan setia, dan bahawa aku sentiasa berusaha untuk melakukan kehendak-Mu.” Lalu raja menangis dengan pilu. Kemudian TUHAN menyuruh Yesaya kembali kepada Raja Hizkia dan menyampaikan pesan ini, “Aku, TUHAN, Allah yang disembah Daud, nenek moyangmu, telah mendengar doamu dan melihat air matamu. Aku akan menambah usiamu dengan lima belas tahun. Aku akan menyelamatkan engkau dan kota Yerusalem daripada raja Asyur. Aku akan terus melindungi kota ini.” *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** Yesaya menyuruh orang melumatkan buah ara dan membubuhkannya pada bisul raja supaya raja sembuh. Raja Hizkia bertanya, “Apakah tandanya bahawa beta akan dapat pergi ke Rumah TUHAN lagi?” [7] Yesaya menjawab, “TUHAN akan memberi tuanku satu tanda untuk membuktikan bahawa Dia akan menepati janji-Nya. [8] TUHAN akan membuat bayangan penunjuk jam matahari yang dibina oleh Raja Ahas, undur sepuluh garis.” Maka undurlah bayangan itu sepuluh garis. [9] Selepas Raja Hizkia sembuh, baginda menulis lagu pujian ini: [10] Kufikir, pada puncak hidupku, aku akan pergi ke dunia orang mati, dan hari tua tidak dapat kualami. [11] Kufikir, di dunia orang hidup aku tidak akan memandang TUHAN lagi, atau sesiapa orang yang masih hidup. [12] Nyawaku putus, nafas terakhir kuhembus, seperti khemah gembala digulung, seperti kain dipotong dari alat penenun. Kusangka Allah akan mengakhiri hidupku. [13] Sepanjang malam aku berteriak kesakitan, seolah-olah singa sedang mematahkan tulangku. Kufikir Allah akan mengakhiri hidupku. [14] Suaraku redam dan lemah, aku mengeluh seperti burung merpati. Mataku penat kerana memandang ke langit. Ya Tuhan, selamatkan aku daripada segala kesusahan ini. [15] Apakah yang dapat kukatakan? TUHAN telah melakukannya. Hatiku pedih dan aku tidak dapat lena. [16] Ya Tuhan, aku rela hidup untuk-Mu, dan untuk-Mu sahaja. Sembuhkanlah aku dan biarlah aku hidup. [17] Lalu kepedihanku akan menjadi ketenteraman. Engkau menyelamatkan aku daripada segala bahaya; Engkau mengampunkan segala dosaku. [18] Tiada sesiapa pun di alam maut yang dapat memuji-Mu; orang mati tidak dapat mengharapkan kesetiaan-Mu. [19] Hanya orang hidup yang memuji Engkau, seperti sekarang aku memuji Engkau. Bapa menceritakan kesetiaan-Mu kepada anak mereka. [20] Engkau telah menyembuhkan aku, ya TUHAN. Kami akan memainkan kecapi dan menyanyikan pujian, seumur hidup kami di Rumah TUHAN. Kira-kira pada masa itu, raja Babilonia, iaitu Raja Merodakh Baladan anak Baladan mendengar bahawa Raja Hizkia gering dan baru sembuh. Oleh itu raja Babilonia mengirim sepucuk surat dan sebuah hadiah kepada Raja Hizkia. Raja Hizkia menyambut kedatangan para utusan itu dan menunjukkan kekayaannya kepada mereka - perak dan emasnya, rempah-rempah dan minyak wangi, serta segala perlengkapan tenteranya. Tiada satu pun di gudangnya atau di seluruh kerajaannya yang tidak ditunjukkan kepada mereka. Kemudian Nabi Yesaya menghadap Raja Hizkia dan bertanya, “Dari manakah semua orang ini, dan apa kata mereka?” Raja Hizkia menjawab, “Mereka datang dari Babilonia, negeri yang sangat jauh.” “Apakah yang dilihat mereka di istana?” tanya Yesaya lagi. “Mereka melihat segala-galanya. Tiada satu pun di gudang yang tidak beta tunjukkan kepada mereka,” jawab Raja Hizkia. Lalu Yesaya berkata kepada raja, “Menurut firman TUHAN Yang Maha Kuasa, masanya akan tiba apabila segala sesuatu di istana tuanku, segala yang telah dikumpulkan oleh nenek moyang tuanku hingga hari ini, akan dibawa ke Babilonia. Tiada satu pun yang tinggal. Beberapa orang daripada keturunan tuanku sendiri akan dibawa dan dijadikan sida-sida untuk bertugas di istana raja Babilonia.” Raja Hizkia berfikir bahawa selama hidup baginda, kerajaannya akan aman dan damai. Oleh itu baginda menjawab, “Firman TUHAN yang kamu sampaikan itu baik.” “Hiburkanlah umat-Ku, hiburkanlah mereka!” firman Allah kamu. “Galakkanlah penduduk Yerusalem. Beritahulah mereka bahawa sudah cukup mereka menderita, dan dosa mereka sudah Kuampunkan.” Aku telah menghukum mereka dengan sepenuhnya kerana dosa mereka. Terdengar suara orang berseru, “Sediakanlah jalan bagi TUHAN di padang gurun! Siapkanlah jalan di padang pasir bagi Allah kita! Timbusilah tiap-tiap lembah; ratakanlah tiap-tiap gunung. Bukit-bukit akan menjadi dataran, dan tanah yang lekak-lekuk akan diratakan. Lalu keagungan TUHAN akan dinyatakan, dan segenap umat manusia akan menyaksikannya. TUHAN sendiri telah menjanjikannya.” Terdengar suara orang berseru, “Isytiharkanlah berita ini!” “Berita apa yang harus kuisytiharkan?” aku bertanya. “Isytiharkanlah bahawa manusia bagaikan rumput; mereka seperti bunga yang tidak tahan lama. Rumput menjadi kering dan bunga pun layu, apabila TUHAN menghembuskan angin yang panas. Manusia juga sama seperti rumput. Rumput menjadi kering dan bunga pun layu, tetapi firman Allah kita kekal selama-lamanya.” Hai Yerusalem, naiklah ke atas gunung yang tinggi dan isytiharkanlah berita baik! Hai Sion, berserulah dengan suara yang lantang dan umumkanlah berita baik! Berserulah dan jangan takut. Beritahulah kota-kota di Yehuda bahawa Allah mereka akan datang! TUHAN Raja datang untuk memerintah dengan kekuasaan, Dia akan membawa umat yang telah diselamatkan-Nya. Dia akan menjaga umat-Nya seperti seorang gembala; Dia akan mengumpulkan dan mendukung anak-anak domba, dan dengan lemah lembut, memimpin induk-induk domba. Siapakah dapat menyukat air laut dengan lekuk tangannya, atau mengukur langit dengan jengkal? Siapakah yang dapat menyukat tanah bumi ini dengan cawan, atau menimbang berat gunung dan bukit dengan dacing? Siapakah dapat mengarahkan TUHAN, dan siapakah dapat mengajar dan menasihatkan Dia? Dengan siapakah Dia berunding supaya mendapat pengetahuan dan pengertian? Siapakah yang memberi Dia petunjuk untuk bertindak dengan adil? Bagi TUHAN, bangsa-bangsa seperti setitis air dalam timba, seperti sebutir debu pada neraca; pulau-pulau sama ringan dengan debu halus. Semua binatang di hutan Lebanon tidak cukup untuk dijadikan korban untuk menyenangkan hati Allah kita, dan pokok-pokok di sana tidak cukup untuk dijadikan kayu api. Bangsa-bangsa tidak bererti bagi-Nya, seolah-olah tidak wujud di hadapan-Nya. Dengan siapakah dapat kamu samakan Allah? Siapakah yang kamu anggap serupa dengan Dia? Dia tidak sama dengan patung yang dibuat oleh tangan manusia, yang disaluti emas oleh tukang emas, lalu ditegakkan di atas alas perak. Orang yang tidak mampu membeli perak atau emas, memilih kayu yang tidak mudah reput. Dia mencari tukang yang pandai untuk membuat patung yang tidak akan jatuh. Tidakkah kamu tahu? Tidakkah kamu diberitahu sejak dahulu? Bukankah Allah yang mencipta bumi? Dialah yang menguasai seluruh bumi; penduduk bumi kelihatan kecil seperti belalang. Dia membentangkan langit seperti kain, dan memasangnya seperti khemah untuk didiami. Dia menjatuhkan pemerintah yang berkuasa, dan meniadakan kuasa mereka. Mereka itu seperti tanaman muda, yang baru tumbuh akarnya. Apabila TUHAN menghembuskan angin, mereka kering dan diterbangkan seperti jerami. Dengan siapakah dapat kamu samakan Allah Yang Maha Suci? Adakah sesiapa yang seperti Dia? Pandanglah ke langit dan perhatikanlah! Siapakah yang menciptakan bintang-bintang? Dia yang menyuruh bintang keluar seperti pasukan askar, Dia tahu akan jumlahnya, dan memanggil nama setiap bintang! Kuasa-Nya amat besar - tidak satu bintang pun yang hilang! Jika demikian, hai Israel, mengapakah kamu mengeluh, bahawa TUHAN tidak tahu akan kesusahan kamu, dan tidak mempedulikan hak kamu? Tidakkah kamu tahu? Belumkah kamu mendengar? TUHAN ialah Allah yang kekal; Dialah yang menciptakan seluruh bumi. Dia tidak pernah letih atau lesu. Tiada sesiapa pun dapat menyelami fikiran-Nya. Dia menguatkan orang yang lemah, dan memberikan kekuatan kepada orang yang tidak berdaya. Orang muda pun menjadi letih dan lesu; anak muda pun jatuh kerana keletihan. Tetapi orang yang berharap kepada TUHAN akan mendapat kekuatan baru. Mereka seperti burung rajawali, yang terbang tinggi dengan kekuatan sayapnya. Mereka akan berlari dan tidak lelah; mereka akan berjalan dan tidak menjadi lemah. Allah berfirman, “Bertenanglah dan dengarlah firman-Ku, hai penduduk negeri-negeri jauh! Bersiaplah dan ajukanlah perkara kamu di mahkamah; kamu akan diberikan peluang untuk bercakap. Marilah kita tentukan siapa yang benar dan siapa yang salah. Siapakah yang mendatangkan penakluk dari timur, dan memberinya kemenangan ke mana sahaja dia pergi? Siapakah yang memberi dia kemenangan terhadap raja-raja dan bangsa-bangsa? Pedangnya menetak mereka seolah-olah mereka itu debu. Panahnya mencerai-beraikan mereka seperti jerami yang ditiup angin. Dia mengejar mereka dan maju tanpa rintangan, begitu laju sehingga hampir tidak menyentuh tanah! Siapakah yang membolehkan semua itu berlaku? Siapakah yang menentukan sejarah? Aku, TUHAN adalah yang pertama, dan Aku tetap ada sampai penghabisan. Penduduk negeri-negeri jauh telah melihat perbuatan-Ku; mereka terkejut dan gementar ketakutan. Oleh itu mereka semua datang dan berkumpul. Semua orang saling menolong, dan saling menguatkan hati. Tukang kayu menguatkan hati tukang emas, dan orang yang memipihkan logam dengan tukul, memuji orang yang menempa logam pada landasan. Mereka berkata tentang pematerian, ‘Sungguh baik hasil kerja ini.’ Lalu mereka menguatkan patung itu dengan paku. Tetapi kamu Israel, hamba-Ku, adalah umat pilihan-Ku, kamu keturunan Abraham, sahabat-Ku. Aku membawa kamu dari hujung bumi; Aku memanggil kamu dari tempat-tempat yang terjauh. Aku berfirman, ‘Kamu hamba-Ku.’ Aku tidak menolak kamu, sebaliknya Aku memilih kamu. Jangan takut kerana Aku menyertai kamu. Jangan cemas kerana Akulah Allah kamu. Aku akan menguatkan dan menolong kamu; Aku akan melindungi dan menyelamatkan kamu. Orang yang marah terhadap kamu akan kalah dan dipermalukan. Orang yang melawan kamu akan mati dan lenyap dari muka bumi. Kamu akan mencari orang yang menentang kamu, tetapi mereka tidak akan kamu temukan. Orang yang berperang melawan kamu akan binasa dan lenyap. Akulah TUHAN, Allah kamu; Aku menguatkan kamu dan berfirman, ‘Jangan takut, Aku akan menolong kamu.’ ” TUHAN berfirman, “Walaupun kamu kecil dan lemah, hai Israel, jangan takut, Aku akan menolong kamu. Aku, Allah Israel, Allah yang suci, Akulah yang menyelamatkan kamu. Aku akan menjadikan kamu seperti papan pengirik yang baru, tajam, dan bergigi. Kamu akan mengirik gunung dan memusnahkannya; bukit-bukit pun akan hancur menjadi debu. Kamu akan menampi semuanya, lalu semua itu diterbangkan angin, dan dihamburkan taufan. Lalu kamu akan bersukacita kerana Aku Allah kamu; kamu akan memuji Aku, Allah Israel, Allah yang suci. Ketika umat-Ku yang sengsara memerlukan air, ketika tekak mereka kering kerana kehausan, Aku, TUHAN akan mengabulkan doa mereka; Aku, Allah Israel, tidak sekali-kali akan meninggalkan mereka. Aku akan menyebabkan sungai mengalir di bukit-bukit yang gondol, dan mata air memancar di lembah-lembah. Aku akan mengubah padang gurun menjadi kolam-kolam air dan air memancar dari tanah yang kering. Di padang gurun Aku akan menumbuhkan pokok sedar, pokok akasia, pokok kemunting, dan pokok zaitun. Tanah yang gondol akan menjadi hutan pokok pain, pokok juniper, dan pokok sipres. Maka semua orang akan melihatnya dan mengetahui bahawa Aku, TUHAN, yang melakukannya. Mereka akan memperhatikan dan mengerti bahawa Allah Israel, Allah yang suci telah melakukannya.” Demikianlah TUHAN, raja Israel berfirman, “Hai dewa bangsa-bangsa, ajukanlah perkara kamu, dan kemukakanlah alasan-alasannya! Marilah dan ramalkanlah hal yang akan berlaku, supaya kami tahu ketika perkara itu berlaku. Terangkanlah kejadian masa lampau, dan jelaskanlah ertinya kepada kami. Ramalkanlah hal-hal yang akan berlaku, supaya kami tahu bahawa kamu benar-benar ilahi! Lakukanlah sesuatu yang baik, atau sesuatu yang jahat; supaya kami tercengang ketakutan! Kamu dan perbuatan kamu tidak bererti apa-apa; orang yang menyembah kamu menjijikkan sahaja. Aku telah menggerakkan hati seorang dari timur; Aku akan menyebabkan dia melancarkan serangan dari utara. Dia akan menginjak-injak para penguasa seolah-olah mereka lumpur, seperti tukang periuk menginjak-injak tanah liat. Siapakah antara kamu pernah meramalkan perkara ini, supaya kami tahu bahawa ramalan kamu tepat? Tiada sesiapa pun antara kamu yang meramalkan hal ini! Tiada seorang pun mendengar kamu mengatakan apa-apa! Aku TUHAN, Akulah yang pertama memberitakan hal itu kepada Sion; Aku menghantar utusan ke Yerusalem untuk menyampaikan berita baik, ‘Lihatlah bangsa kamu datang! Lihatlah mereka pulang!’ Apabila Aku memandang dewa-dewa itu, tiada yang mengatakan apa-apa, tiada yang dapat menjawab pertanyaan-Ku. Semua dewa itu tidak berguna, tidak dapat berbuat apa-apa. Dewa-dewa itu patung sahaja, lemah dan tidak berdaya.” TUHAN berfirman, “Inilah hamba-Ku, yang telah Kukuatkan; seorang yang telah Kupilih, dan yang menyenangkan hati-Ku. Kuasa-Ku telah Kuberikan kepadanya, dia akan membawa keadilan kepada setiap bangsa. Dia tidak akan berteriak ataupun menyaringkan suaranya, dan suaranya tidak akan terdengar di jalan. Dia tidak akan mematahkan buluh halus yang terkulai, ataupun memadamkan pelita yang kelap-kelip. Dia akan mendatangkan keadilan kepada semua orang. Dia tidak akan kehilangan semangat atau putus asa sehingga dia menegakkan keadilan di bumi. Negeri-negeri yang jauh menanti-nantikan ajarannya.” TUHAN Allah menciptakan dan membentangkan langit; Dia membentuk bumi serta segala yang hidup di atasnya; Dia memberikan nyawa dan nafas kepada manusia. Sekarang Allah berfirman kepada hamba-Nya, “Aku, TUHAN telah memanggil engkau serta menugaskan engkau untuk menjalankan keadilan di bumi. Melalui engkau Aku akan membuat perjanjian dengan semua orang; melalui engkau Aku akan menerangi bangsa-bangsa. Engkau akan mencelikkan mata orang buta, dan membebaskan orang dari penjara yang gelap. Akulah TUHAN, itulah nama-Ku. Aku tidak akan memberikan kemuliaan-Ku kepada sesiapa, atau pujian-Ku kepada mana-mana berhala. Hal-hal yang telah Kunubuatkan sudah pun berlaku. Sekarang Aku akan memberitahu kamu hal-hal baru sebelum semua itu berlaku.” Nyanyikanlah lagu baru bagi TUHAN; pujilah Dia, hai seluruh bumi! Pujilah Dia, hai laut dan semua isinya, bernyanyilah, hai penduduk negeri-negeri jauh! Hendaklah padang gurun dan kota-kotanya memuji Allah; hendaklah orang Kedar memuji Dia! Hendaklah penduduk kota Sela bersorak-sorak dari puncak-puncak gunung! Hendaklah orang yang tinggal di negeri-negeri jauh memuji dan memuliakan TUHAN! TUHAN maju berperang seperti seorang pahlawan yang penuh semangat untuk berperang. Dia memekik sebagai isyarat perang; Dia menunjukkan keperkasaan-Nya terhadap musuh. Allah berfirman, “Sudah lama Aku membisu; Aku diam dan menahan diri. Tetapi sekarang tibalah saatnya untuk bertindak; Aku akan berteriak seperti perempuan yang hendak bersalin. Aku akan membuat gunung dan bukit menjadi tandus, dan melayukan segala tumbuhan dan rumputnya. Aku akan mengubah sungai di lembah menjadi padang gurun, dan mengeringkan kolam-kolam air. Aku akan memimpin umat-Ku yang buta melalui jalan yang belum pernah dilalui mereka. Aku akan mengubah kegelapan mereka menjadi cahaya, dan meratakan jalan yang berlekak-lekuk bagi mereka. Itulah hal-hal yang akan Kulakukan, Aku pasti melaksanakan segala-galanya. Semua orang yang percaya kepada berhala, dan menganggap patung-patung sebagai dewa akan dihinakan dan dipermalukan.” TUHAN berfirman, “Dengarlah, hai orang pekak! Lihatlah baik-baik, hai orang buta! Adakah sesiapa yang lebih buta daripada hamba-Ku, atau lebih pekak daripada utusan-Ku? Hai Israel, begitu banyak yang telah kamu lihat, tetapi alangkah sedikit yang kamu fahami. Kamu mempunyai telinga, tetapi kamu tidak mendengar.” TUHAN sentiasa ingin menyelamatkan; Dia mahu hukum-Nya dihormati dan diagungkan. Tetapi sekarang umat-Nya telah dijarah, mereka ditahan di dalam penjara bawah tanah, dan dikurung di dalam penjara. Mereka dirompak dan dijarah, tiada sesiapa pun menyelamatkan mereka. Mahukah sesiapa mendengar? Mulai sekarang mahukah kamu mendengar baik-baik? Siapakah yang menyerahkan Israel kepada tangan musuh? TUHAN sendiri, kerana kita telah berdosa terhadap-Nya! Kita tidak mahu hidup menurut kehendak-Nya ataupun mentaati ajaran-Nya. Oleh itu Dia membiarkan kita merasakan kemurkaan-Nya, dan menderita keganasan peperangan. Seperti api, kemurkaan-Nya membakar seluruh Israel, namun kita tidak memahami apa yang telah berlaku; kita tidak belajar daripada pengalaman itu. Hai Israel, demikianlah firman TUHAN yang telah menciptakan kamu, “Janganlah takut! Aku akan menyelamatkan kamu. Aku telah memanggil kamu dengan nama kamu, kamu milik-Ku. Apabila kamu menyeberangi laut yang dalam, Aku akan menyertai kamu; kamu tidak akan tenggelam dalam kesusahan. Apabila kamu melalui api, kamu tidak akan terbakar; kamu tidak akan dicelakakan oleh cubaan yang berat. Akulah TUHAN, Allah kamu, Allah Israel, Allah yang suci, yang telah menyelamatkan kamu. Aku akan menyerahkan Mesir untuk menebus kamu; Aku akan menyerahkan Etiopia dan Seba untuk membebaskan kamu. Aku akan menyerahkan bangsa-bangsa sebagai ganti nyawa kamu, kerana kamu berharga bagi-Ku, dan kerana Aku mengasihi serta mengendahkan kamu. Janganlah takut, kerana Aku menyertai kamu. Dari timur dan barat Aku akan membawa anak cucu kamu pulang. Aku akan menyuruh negeri di utara melepaskan mereka, dan negeri di selatan membebaskan mereka. Biarlah umat-Ku pulang dari negeri-negeri jauh, dari segala pelosok dunia. Merekalah umat-Ku, Aku telah menciptakan mereka untuk memuliakan Aku.” Allah berfirman, “Perintahlah umat-Ku datang menghadap. Mereka mempunyai mata, tetapi buta; mereka mempunyai telinga, tetapi pekak! Perintahlah semua bangsa dan suku berhimpun. Siapakah antara mereka dapat meramalkan masa depan, dan memberitahukan apa yang berlaku sekarang? Biarlah mereka menghadapkan saksi-saksi untuk membuktikan bahawa mereka tidak bersalah, dan bahawa kata-kata mereka benar. Hai umat Israel, kamulah saksi-Ku; Aku memilih kamu menjadi hamba-Ku supaya kamu mengenal Aku serta percaya kepada-Ku, dan mengerti bahawa Aku satu-satunya Allah. Selain Aku, tidak ada tuhan-tuhan lain; baik pada masa dahulu, mahupun pada masa akan datang. Hanya Akulah TUHAN, Aku sahaja yang dapat menyelamatkan kamu. Aku bernubuat tentang hal-hal yang akan berlaku, lalu Aku datang menolong kamu. Tiada dewa asing yang pernah berbuat hal seperti itu; kamulah saksi-Ku. Akulah Allah, dan Aku tetap Allah selama-lamanya. Tiada seorang pun dapat melepaskan diri daripada kuasa-Ku; tiada sesiapa pun dapat menghalang Aku bertindak.” Allah Israel, Allah yang suci, TUHAN yang menyelamatkan kamu berfirman, “Aku akan mengirim tentera untuk menyelamatkan kamu dari Babel; Aku akan merobohkan pintu-pintu gerbang, lalu sorak-sorai penduduk Babel akan berubah menjadi tangisan. Akulah TUHAN, Allah kamu, Allah yang suci. Akulah pencipta kamu, hai Israel, Akulah raja kamu.” Dahulu TUHAN membuat jalan melalui laut, jalan melalui air yang bergelora. Dia membinasakan pasukan tentera yang besar: pasukan berkereta kuda dan pasukan berkuda. Mereka jatuh, tidak dapat bangkit lagi; mereka mati seperti sumbu yang padam. Tetapi TUHAN berfirman, “Jangan ingat akan peristiwa lalu, jangan kenang perkara yang sudah-sudah. Perhatikanlah perkara baru yang akan segera Kulakukan. Lihatlah, Aku sudah pun memulakannya. Aku akan membina jalan di padang gurun, dan memberi kamu anak-anak sungai di padang pasir. Bahkan haiwan liar akan menghormati Aku, serigala dan burung unta akan memuji Aku apabila Aku mengalirkan anak-anak sungai di padang gurun, untuk memberikan minuman kepada umat pilihan-Ku. Merekalah umat yang telah Kujadikan milik-Ku sendiri, mereka akan menyanyikan pujian untuk Aku.” TUHAN berfirman, “Namun hai Israel, kamu telah bosan dengan Aku, kamu tidak lagi menyembah Aku. Kamu tidak membawa domba sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku; kamu tidak menghormati Aku dengan korban yang kamu persembahkan. Padahal Aku tidak membebani kamu dengan meminta persembahan atau menyusahkan kamu dengan menuntut kemenyan. Kamu tidak membeli dupa harum bagi-Ku, ataupun memuaskan Aku dengan lemak binatang yang kamu persembahkan. Sebaliknya kamu membebani Aku dengan dosa kamu; kamu menyusahkan Aku dengan kesalahan kamu. Namun Aku ini Allah yang mengampunkan dosa kamu, dan Aku berbuat demikian kerana begitulah sifat-Ku. Aku tidak akan mengingat dosa kamu. Marilah kita pergi ke mahkamah; ajukanlah tuduhan-tuduhan kamu! Adukan perkara kamu dan buktikan bahawa kamu tidak bersalah! Nenek moyang kamu yang pertama telah berdosa; para pemimpin kamu pun berdosa terhadap Aku, dan para imam kamu menajiskan tempat kediaman-Ku. Itulah sebabnya Aku membinasakan Israel, Aku membiarkan umat-Ku dihinakan.” TUHAN berfirman, “Dengarlah, hai hamba-Ku Israel, hai umat pilihan-Ku, keturunan Yakub. Akulah TUHAN yang telah menciptakan kamu, yang membentuk kamu semasa kamu dalam kandungan, dan Aku akan menolong kamu. Janganlah takut; kamu hamba-Ku, umat pilihan-Ku yang Aku kasihi. Aku akan mencurahkan air pada tanah yang gersang, dan mengalirkan anak-anak sungai di tempat yang kering. Aku akan mencurahkan Roh-Ku pada anak-anak kamu, Aku akan memberkati keturunan kamu. Mereka akan tumbuh subur seperti rumput di tempat yang berair, seperti pokok gandarusa di tepi sungai yang mengalir. Seorang demi seorang akan berkata, ‘Aku milik TUHAN.’ Mereka akan bergabung dengan umat Israel. Tiap-tiap orang akan menulis pada lengannya: Milik TUHAN, serta menyebut dirinya sebagai anggota umat Allah.” TUHAN yang memerintah dan melindungi Israel, TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Akulah yang pertama dan yang terakhir, Allah satu-satunya; selain Aku, tiada yang lain. Siapakah dapat melakukan apa yang telah Kubuat? Siapakah dapat meramalkan apa yang akan berlaku sejak permulaan hingga akhir zaman? Janganlah takut, hai umat-Ku! Kamu tahu bahawa sejak dahulu hingga sekarang Aku telah bernubuat tentang segala yang akan berlaku; kamulah saksi-saksi-Ku. Selain Aku, tiada yang lain, dan tiada pelindung lain yang belum Aku ketahui.” Semua orang yang membuat berhala tidak berguna, dan dewa-dewa yang dipuja mereka pun tidak berguna. Mereka yang menyembah dewa-dewa itu buta dan tidak tahu apa-apa; oleh itu mereka akan dipermalukan. Sia-sia sahaja membuat patung daripada logam lalu menyembahnya sebagai dewa! Tiap-tiap orang yang menyembah patung itu akan dipermalukan. Orang yang membuat berhala itu manusia belaka. Suruhlah mereka menghadap Aku; pasti mereka akan takut dan dipermalukan. Tukang besi mengambil sekeping logam lalu membentuknya dengan menggunakan api dan pemukul. Dia mengerjakannya dengan sekuat tenaga. Sementara membentuk logam itu, dia merasa lapar, haus, dan penat. Tukang kayu mengukur kayu. Dia melukis bentuk dengan kapur, mengukirnya dengan alat-alatnya, dan menjadikannya patung yang berupa manusia yang kacak, lalu meletakkannya di dalam rumahnya. Barangkali dia menggunakan kayu sedar, kayu oak atau kayu sipres dari hutan. Barangkali dia menanam pokok laurel dan menantikan hujan supaya pokok itu tumbuh. Demikianlah seorang mendapat kayu dan menggunakan sebahagian sebagai bahan api, dan sebahagian lagi untuk membuat berhala. Sebahagian kayu itu digunakannya sebagai kayu api, baik untuk memanaskan diri ataupun untuk membakar roti, dan sebahagian lagi untuk membuat dewa yang disembahnya. Sebahagian kayu itu digunakan untuk menyalakan api. Lalu dia memanggang daging, memakan daging itu, dan berasa puas. Dia juga berdiang sambil berkata, “Alangkah baik dan hangatnya api itu!” Kayu yang selebihnya dijadikan patung berhala, lalu dia sujud dan menyembahnya. Dia berdoa kepada berhala itu dan berkata, “Engkaulah tuhanku; selamatkanlah aku!” Orang seperti itu terlalu bodoh untuk memahami perbuatan mereka itu. Mereka memejamkan mata dan menutup fikiran sehingga tidak mengetahui apa yang benar. Mereka yang membuat patung-patung itu tidak terfikir untuk berkata, “Sebahagian kayu itu aku bakar; apinya aku gunakan untuk membakar roti dan aku memanggang daging, lalu aku memakannya. Kayu yang selebihnya aku jadikan berhala. Lihatlah, yang aku sembah itu hanya sepotong kayu!” Perbuatan itu sama sahaja dengan memakan abu. Fikirannya disesatkan sehingga dia tidak dapat ditolong lagi. Dia tidak mahu mengaku bahawa berhala yang dipegangnya itu bukan tuhan. TUHAN berfirman, “Ingatlah, hai Israel; ingatlah bahawa kamu hamba-Ku. Aku menciptakan kamu untuk menjadi hamba-Ku; Aku tidak akan melupakan kamu. Aku telah menghapus segala dosa kamu seperti awan dibawa angin. Kembalilah kepada-Ku, kerana Akulah yang menyelamatkan kamu.” Bersoraklah dengan ria, hai langit! Bersoraklah, hai tempat-tempat dalam di bumi! Bersoraklah dengan ria, hai gunung-ganang, dan hutan serta segala pokoknya! TUHAN telah menunjukkan kebesaran-Nya dengan menyelamatkan umat-Nya Israel. “Akulah TUHAN Penyelamat kamu; Akulah yang menjadikan kamu. Akulah TUHAN Pencipta segala sesuatu. Aku sendiri yang membentangkan langit; Aku menciptakan bumi tanpa bantuan. Aku mempermainkan tukang tilik, Aku menggagalkan ramalan ahli nujum. Aku membantah pendapat orang bijak, dan menyatakan bahawa kebijaksanaan mereka itu kebodohan. Tetapi apabila hamba-Ku bernubuat, apabila Aku mengutus hamba-Ku untuk menyatakan rancangan-Ku, Aku melaksanakan nubuat dan rancangan itu. Aku berfirman bahawa Yerusalem akan didiami semula, dan kota-kota Yehuda akan dibina semula. Kota-kota itu akan bangkit daripada runtuhan. Demi perintah-Ku, laut menjadi kering. Aku berfirman kepada Kores, ‘Engkaulah yang akan memerintah bagi-Ku; engkau akan bertindak menurut kehendak-Ku: engkau akan memberikan perintah untuk membina Yerusalem semula, dan untuk meletakkan asas Rumah-Ku.’ ” TUHAN telah melantik Kores menjadi raja. Dia memilih Kores untuk menaklukkan bangsa-bangsa; Dia mengutus Kores supaya melucutkan kuasa raja-raja, TUHAN akan membuka pintu-pintu gerbang kota baginya. Demikianlah firman TUHAN kepada Kores, “Aku sendiri akan menyediakan jalan bagimu, Aku akan meratakan gunung serta bukit. Aku akan merobohkan pintu gerbang gangsa, dan mematahkan palang-palang besi. Aku akan memberi engkau kekayaan dari tempat-tempat yang gelap dan tersembunyi; barulah engkau tahu bahawa Akulah TUHAN, dan bahawa Allah Israel telah memanggil engkau dengan namamu. Aku melantik engkau untuk menolong hamba-Ku Israel, umat yang telah Kupilih itu. Aku telah mengurniakan kehormatan kepadamu walaupun engkau tidak mengenal Aku. Akulah TUHAN; selain Aku tiada yang lain. Aku akan mengurniai engkau kekuatan yang kauperlukan, walaupun engkau tidak mengenal Aku. Aku berbuat demikian supaya dari timur sampai ke barat semua orang akan tahu bahawa Akulah TUHAN; selain Aku tiada yang lain. Akulah yang menciptakan cahaya dan kegelapan; Akulah yang mendatangkan berkat dan malapetaka. Akulah TUHAN yang melakukan semuanya. Aku akan menurunkan kemenangan seperti hujan dari langit; bumi terbuka untuk menerimanya, lalu tumbuhlah kebebasan dan keadilan, kerana Aku, TUHAN, akan melaksanakan hal ini.” Malanglah orang yang membantah Penciptanya; orang itu seperti periuk yang melawan pembuatnya. Adakah tanah liat bertanya kepada tukang periuk, “Apakah yang engkau buat?” Bolehkah periuk mengadu bahawa pembuatnya itu tidak pandai? Malanglah anak yang bertanya kepada ibu bapa, “Mengapakah saya dilahirkan begini?” TUHAN, Allah Israel, Allah yang suci, TUHAN yang menentukan masa depan berfirman, “Kamu tidak berhak menyoal Aku tentang anak-anak-Ku, ataupun memberitahu Aku apa yang harus Aku buat. Akulah yang menjadikan bumi, dan menciptakan manusia untuk mendiaminya. Dengan kuasa-Ku, Aku membentangkan langit; Aku menguasai matahari, bulan, dan bintang. Akulah yang menggerakkan hati Kores supaya bertindak, untuk melaksanakan maksud-Ku dan menegakkan keadilan. Aku akan meratakan tiap-tiap jalan yang akan dilaluinya. Dia akan membina semula kota-Ku, Yerusalem, dan membebaskan umat-Ku yang ditawan, tanpa rasuah dan tanpa bayaran.” TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman. TUHAN berfirman kepada Israel, “Kamu akan memiliki kekayaan Mesir dan Etiopia, orang yang tinggi-tinggi dari Seba akan menjadi abdi kamu; mereka terbelenggu dan berjalan di belakang kamu. Mereka akan bersujud di hadapan kamu serta mengaku, ‘Allah menyertai kamu, Dia satu-satunya Allah. Allah Israel yang menyelamatkan umat-Nya ialah Allah yang menyembunyikan diri-Nya. Semua orang yang membuat berhala akan dipermalukan dan dihina. Tetapi Israel akan diselamatkan oleh TUHAN, dan penyelamatannya kekal; umat-Nya tidak akan dipermalukan.’ ” TUHAN yang menjadikan langit, Dialah Allah! Dia membentuk dan menjadikan bumi, Dia menjadikan bumi teguh. Dia menjadikan bumi tempat kediaman manusia, bukan suatu tempat yang lengang. Dialah yang berfirman, “Akulah TUHAN, dan tidak ada yang lain. Aku tidak berfirman dengan cara rahsia, ataupun menyembunyikan maksud-Ku. Aku tidak menyuruh umat Israel mencari Aku dengan sia-sia. Akulah TUHAN, Aku tidak berdusta; Aku menyatakan hal yang benar.” TUHAN berfirman, “Berhimpunlah dan datanglah bersama-sama, kamu semua yang terselamat antara bangsa-bangsa. Bodohlah orang yang berarak dengan membawa berhala daripada kayu, dan berdoa kepada dewa yang tidak dapat menyelamatkan mereka. Marilah ajukan perkara kamu, biarlah pembela kamu berunding bersama-sama. Siapakah yang sejak dahulu bernubuat tentang hal yang akan berlaku? Bukankah Aku, TUHAN? Tiada tuhan-tuhan lain kecuali Aku. Akulah Allah yang adil dan yang menyelamatkan, tiada yang lain kecuali Aku. Berpalinglah kepada-Ku sekarang hai bangsa-bangsa di seluruh dunia, supaya kamu diselamatkan! Akulah satu-satunya Allah, selain Aku, tiada yang lain. Janji-Ku benar, dan tidak akan batal. Aku bersumpah demi diri-Ku sendiri: tiap-tiap orang akan berlutut di hadapan-Ku, dan dalam bahasa masing-masing bersumpah untuk setia kepada-Ku. Mereka akan berkata bahawa kemenangan dan keadilan hanya daripada Aku; tetapi semua orang yang membenci Aku akan dipermalukan di hadapan-Ku. Aku, TUHAN akan menyelamatkan semua keturunan Yakub, dan mereka akan memuji Aku. Inilah kesudahan dewa-dewa Babel; dahulu Bel dan Nebo disembah, tetapi sekarang dimuat di atas haiwan, dan menjadi beban kepada binatang yang lelah. Patung berhala itu tidak mampu menyelamatkan diri, malah ditawan dan dibawa pergi. Demikianlah kesudahan dewa-dewa Babel! Dengarlah Aku, hai keturunan Yakub, semua umat-Ku yang terselamat. Aku telah memelihara kamu sejak kamu dilahirkan. Aku tetap Allah kamu sampai kamu tua; Aku akan memelihara kamu sampai kamu beruban. Aku telah menciptakan kamu dan tetap akan menjaga kamu. Aku akan menolong dan menyelamatkan kamu. Dengan siapakah kamu akan membandingkan Aku? Adakah sesiapa yang sama dengan Aku? Orang mengeluarkan emas dari kantung; mereka menimbang perak dengan dacing. Mereka mengupah tukang emas untuk membuat berhala; lalu mereka sujud menyembah berhala itu! Mereka mengangkat lalu memikul berhala itu di atas bahu, mereka menegakkan berhala itu di tempatnya, dan berhala itu tidak dapat bergerak dari situ. Jika orang berdoa kepadanya, berhala itu tidak dapat menjawab, dan tidak dapat menyelamatkan orang daripada malapetaka. Ingatlah hal ini, hai orang berdosa; pertimbangkanlah hal yang telah Aku lakukan. Ingatlah hal yang berlaku dahulu kala, akuilah bahawa Aku satu-satunya Allah, dan tiada sesiapa pun sama seperti Aku. Sejak permulaan Aku telah menubuatkan hal yang akan datang; dari dahulu Aku telah meramalkan hal yang akan berlaku. Aku berfirman bahawa rancangan-Ku tidak akan gagal, bahawa Aku pasti melakukan segala kehendak-Ku. Aku memanggil seorang dari timur; dia akan menyambar seperti seekor burung helang, dia akan melaksanakan rancangan-Ku. Apa yang Aku firmankan pasti Aku laksanakan, apa yang Aku rancangkan pasti Aku lakukan. Dengarkanlah aku, hai umat yang degil, kamu yang menyangka bahawa pembebasan masih lama lagi. Tetapi Aku telah mendekatkan hari itu, pembebasan sudah hampir. Penyelamatan daripada-Ku tidak akan ditunda, Aku akan menyelamatkan Yerusalem dan memberikan kehormatan kepada Israel.” TUHAN berfirman, “Hai Babel, turunlah dari takhtamu, dan duduklah di atas debu. Dahulu kamu seperti anak dara, kota yang tidak dijajah, tetapi sekarang kamu tidak lagi menarik ataupun manis! Gilinglah tepung dengan batu kisaran; tanggalkanlah kain tudungmu, angkatlah kainmu sampai nampak betismu dan seberangilah sungai-sungai! Orang akan nampak kamu bertelanjang, dihina serta dipermalukan. Aku akan membalas dendam, dan tidak seorang pun Aku biarkan terlepas.” Allah Israel, Allah yang suci, membebaskan kita, nama-Nya TUHAN Yang Maha Kuasa. TUHAN berfirman kepada Babel, “Diamlah! Duduklah dalam kegelapan! Kamu tidak lagi disebut ratu bangsa-bangsa! Aku murka terhadap umat-Ku, Aku tidak menganggap mereka sebagai umat-Ku: Aku menyerahkan mereka ke bawah kuasamu, dan kamu tidak menunjukkan belas kasihan terhadap mereka; bahkan orang tua-tua pun kamu perlakukan dengan kasar. Kamu berfikir bahawa kamu akan menjadi ratu selama-lamanya, kamu tidak cuba mengerti, ataupun memikirkan kesudahan semuanya. Dengarlah, hai pencinta kesenangan, kamu menyangka bahawa kamu aman dan selamat, dan tiada sesiapa yang seperti kamu. Kamu menyangka kamu tidak akan menjadi balu, ataupun kehilangan anak-anakmu. Tetapi dalam sesaat sahaja, dalam satu hari, kedua-dua hal itu akan berlaku. Sekalipun kamu menggunakan segala kuasa sihirmu, kamu akan kehilangan suami serta anak-anakmu. Kamu berasa aman dalam kejahatanmu; kamu menyangka tidak seorang pun mengetahuinya. Kebijaksanaan dan pengetahuanmu telah menyesatkan kamu. Kamu menyangka bahawa tiada sesiapa yang seperti kamu. Tetapi malapetaka akan menimpa kamu, ilmu sihirmu tidak akan dapat mencegahnya. Kebinasaan akan datang dengan tiba-tiba, kebinasaan yang tidak kamu sangka. Teruslah menggunakan segala sihirmu, yang telah kamu gunakan sejak masa mudamu. Mungkin jampi-jampahmu dapat menolong kamu, dan menakut-nakutkan musuhmu. Kamu tidak lagi berkuasa sekalipun dengan banyak nasihat yang kamu terima. Biarlah para ahli nujummu tampil untuk menyelamatkan kamu; mereka mempelajari bintang-bintang, meneliti penjuru-penjuru langit, dan pada tiap-tiap bulan, meramalkan apa yang akan berlaku kepadamu. Mereka seperti jerami yang habis dibakar api; mereka tidak dapat menyelamatkan diri sendiri! Nyala api itu terlalu panas bagi mereka, bukan api hangat untuk berdiang. Itulah sahaja gunanya ahli nujum bagimu; kamu minta nasihat daripada mereka sejak masa mudamu. Mereka semua akan lari dan meninggalkan kamu, tiada sesiapa pun yang tinggal untuk menyelamatkan kamu.” Dengarlah hal ini, hai umat Israel, keturunan Yehuda, kamu bersumpah dengan nama TUHAN dan mengaku menyembah Allah Israel, tetapi kata-kata kamu itu tidak ikhlas. Namun kamu mengaku dengan bangga bahawa kamu warga kota yang suci, dan bahawa kamu bergantung kepada Allah Israel, yang disebut TUHAN Yang Maha Kuasa. TUHAN berfirman kepada Israel, “Sejak dahulu Aku telah berfirman tentang hal yang akan berlaku, lalu dengan tiba-tiba Aku melaksanakannya. Aku tahu bahawa kamu keras kepala, keras hati dan berkepala batu. Oleh itu sejak dahulu Aku berfirman tentang masa depan kamu, Aku mengisytiharkan hal-hal yang belum berlaku; supaya kamu tidak dapat berkata bahawa hal itu perbuatan patung berhala kamu. Segala nubuat-Ku telah berlaku sekarang, kamu harus mengaku bahawa nubuat-Ku itu benar. Sekarang Aku bernubuat pula tentang hal-hal yang baru, rahsia-rahsia yang belum kamu ketahui. Baru sekarang Aku melakukannya, belum pernah kamu mendengar hal itu, supaya kamu tidak dapat berkata bahawa kamu sudah mengetahui segala-galanya. Aku tahu bahawa kamu tidak boleh dipercayai, kamu dikenal sebagai penderhaka. Itulah sebabnya kamu tidak mengetahuinya, dan tidak sepatah kata pun sampai ke telinga kamu. Aku menahan kemurkaan-Ku, supaya orang memuji nama-Ku. Aku menahan kemarahan-Ku, supaya kamu tidak dibinasakan. Aku telah menguji kamu dengan api kesengsaraan, seperti perak diuji di dalam relau. Perbuatan-Ku ini bagi kepentingan-Ku sendiri, Aku tidak akan membiarkan nama-Ku dicemar, atau membahagi kemuliaan-Ku dengan sesiapa pun.” TUHAN berfirman, “Dengarlah, hai Israel, umat yang telah Kupanggil. Akulah Allah, satu-satunya Allah, yang pertama dan yang terakhir! Tangan-Ku meletakkan asas bumi, dan membentangkan langit. Apabila Aku memerintah langit dan bumi menghadap, kedua-duanya datang dengan segera. Berhimpunlah dan dengarlah, kamu semua! Tidak satu dewa pun dapat meramalkan bahawa orang yang Aku pilih itu akan menyerang Babel; dia akan menjalankan perintah-Ku. Akulah yang telah berfirman serta memanggil dia; Aku memimpin dia dan memberi dia kejayaan. Dekatilah Aku, dan dengarlah firman-Ku. Sejak permulaan Aku telah berfirman dengan terus terang, dan sentiasa menjadikan firman-Ku kenyataan.” Sekarang TUHAN Raja mengutus aku dan memberi aku kuasa-Nya. Firman Allah Israel, Allah yang suci, TUHAN Penyelamat kamu, “Akulah TUHAN, Allah kamu, Aku mengajar kamu apa yang baik bagi kamu, Aku memimpin kamu di jalan yang harus kamu tempuh. Sekiranya kamu memperhatikan hukum-Ku, tentu kamu menerima berkat yang tidak putus-putus seperti sungai yang tidak pernah kering. Kamu akan terus-menerus berjaya seperti ombak laut yang tidak berhenti. Keturunan kamu akan menjadi sebanyak butir pasir dan Aku akan memastikan supaya mereka tidak binasa.” Keluarlah dan larilah dari Babel! Isytiharkanlah berita itu dengan sorak gembira. Siarkan berita itu ke mana-mana, “TUHAN telah menyelamatkan Israel, hamba-Nya!” Ketika TUHAN memimpin umat-Nya melalui padang gurun, mereka tidak kehausan. Dia mengeluarkan air dari bukit batu untuk mereka; Dia membelah bukit batu, lalu air pun memancut. “Orang yang berdosa tidak akan selamat,” demikianlah firman TUHAN. Dengarkan aku, hai penduduk pulau-pulau, penduduk negeri-negeri yang jauh! Sebelum aku dilahirkan, TUHAN telah memilih aku, dan melantik aku menjadi hamba-Nya. Dia membuat kata-kataku tajam seperti pedang, Dia melindungi aku dengan tangan-Nya sendiri. Dia menjadikan aku seperti anak panah yang tajam dan siap untuk digunakan. Dia berfirman kepadaku, “Hai Israel, kamu hamba-Ku; kerana kamu, orang akan memuji Aku.” Aku berkata, “Aku telah berusaha, tetapi sia-sia saja! Aku telah menghabiskan tenagaku tetapi tidak mencapai apa-apa.” Namun aku percaya kepada TUHAN untuk membela perkaraku; Allah akan memberi aku ganjaran untuk usahaku. Sebelum aku lahir, TUHAN telah melantik aku; Dia menjadikan aku hamba-Nya untuk membawa kembali umat-Nya, untuk mengumpulkan Israel, umat-Nya. TUHAN memberi aku kehormatan, Allahku adalah sumber kekuatanku. TUHAN berfirman kepadaku, “Tugas yang lebih besar menanti engkau, hai hamba-Ku. Bukan sahaja engkau akan memulihkan kemuliaan umat Israel yang terselamat, tetapi Aku juga akan menjadikan engkau cahaya untuk menerangi bangsa-bangsa supaya seluruh dunia dapat diselamatkan.” Allah Israel, Allah yang suci, Penyelamat Israel berfirman kepada orang yang sangat dihina, yang dibenci oleh bangsa-bangsa, yang menjadi hamba penguasa-penguasa, “Raja-raja akan melihat perbuatan-Ku, lalu berdiri untuk memberikan hormat. Para penguasa juga akan melihat hal itu, lalu sujud untuk memberikan hormat.” Hal ini akan berlaku kerana TUHAN telah memilih hamba-Nya; Allah Israel, Allah yang suci menepati janji-Nya. TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Apabila masanya tiba bagi-Ku untuk menyelamatkan kamu, Aku akan menjawab seruan kamu dan menolong kamu. Aku akan menjaga dan melindungi kamu. Aku akan membuat perjanjian dengan bangsa-bangsa melalui kamu. Aku akan membolehkan kamu mendiami semula negeri yang lengang sekarang. Aku akan berkata kepada orang tawanan, ‘Keluarlah!’ dan kepada orang dalam kegelapan, ‘Marilah ke tempat yang terang!’ Mereka akan mendapat makanan di sepanjang jalan, bahkan di bukit yang gondol pun mereka tidak kekurangan. Mereka tidak akan lapar atau dahaga, dan tidak ditimpa angin panas dan terik matahari, kerana mereka dipimpin oleh penyayang mereka. Dia akan memimpin mereka ke mata air. Aku akan membina lebuh raya melintasi pergunungan, Aku akan menyediakan jalan bagi umat-Ku. Umat-Ku akan datang dari tempat-tempat yang jauh, dari utara, barat, dan dari Sinim di selatan.” Bernyanyilah, hai langit! Bersoraklah dengan sukacita, hai bumi! Bernyanyilah dengan gembira, hai gunung-gunung, kerana TUHAN akan menghiburkan umat-Nya, Dia akan mengasihani umat-Nya yang menderita. Tetapi penduduk Yerusalem berkata, “TUHAN telah meninggalkan kita! Dia telah melupakan kita.” Oleh itu TUHAN menjawab, “Dapatkah seorang ibu melupakan bayinya, atau tidak mengasihi anak kandungnya? Sekalipun ibu melupakan anak, Aku tidak akan melupakan kamu. Hai Yerusalem, Aku tidak akan melupakan kamu! Aku telah menuliskan nama kamu pada tapak tangan-Ku. Orang yang akan membina kamu semula segera datang, dan mereka yang membinasakan kamu akan segera pergi. Lihatlah apa yang sedang berlaku di sekeliling kamu! Rakyat kamu mula berhimpun, mereka sedang pulang! Demi Aku, Allah yang hidup, Aku berfirman bahawa kamu akan berasa bangga dengan rakyatmu, seperti seorang pengantin perempuan bangga dengan perhiasannya. Dahulu negeri kamu musnah dan lengang, tetapi sekarang negeri itu terlalu kecil bagi orang yang hendak tinggal di situ. Mereka yang memusnahkan negeri kamu, akan pergi jauh daripada kamu. Anak-anak yang dilahirkan dalam pembuangan akan berkata kepada kamu pada suatu hari kelak, ‘Negeri ini terlalu kecil, kita memerlukan tempat tinggal yang lebih besar!’ Lalu kamu akan berkata dalam hati, ‘Siapakah yang melahirkan anak-anak ini bagiku? Bukankah aku telah kehilangan anak-anakku, dan tidak dapat melahirkan anak lagi? Aku dibawa ke tempat pembuangan, siapakah yang membesarkan anak-anak ini? Aku ditinggalkan seorang diri, dari manakah anak-anak ini datang?’ ” TUHAN Raja berfirman kepada umat-Nya, “Aku akan memberikan isyarat kepada bangsa-bangsa, lalu mereka akan membawa anak-anak kamu pulang; anak-anak lelaki kamu akan didukung, dan anak-anak perempuan kamu akan dijulang. Raja-raja akan menjadi seperti bapa kamu, ratu-ratu akan menjadi seperti ibu kamu. Mereka akan sujud menghormati kamu; mereka akan menghormati kamu dengan rendah hati. Maka kamu akan sedar bahawa Akulah TUHAN; orang yang mengharapkan pertolongan-Ku tidak dikecewakan.” Dapatkah kamu merebut jarahan dari tangan pahlawan? Dapatkah kamu membebaskan tawanan daripada orang kejam? TUHAN menjawab, “Itulah yang akan berlaku. Tawanan akan dirampas dari tangan askar, dan jarahan akan direbut daripada orang kejam. Aku akan melawan orang yang melawan kamu, dan Aku akan menyelamatkan anak-anak kamu. Aku akan menyebabkan penindas kamu mengamuk sehingga mereka saling membunuh. Maka semua umat manusia akan sedar bahawa Akulah TUHAN, dan Akulah Penyelamat kamu, Allah Yang Maha Kuasa, Allah Israel, Penebus kamu.” TUHAN berfirman, “Jangan sangka bahawa Aku mengusir kamu umat-Ku, seperti seorang suami menceraikan isterinya. Jika demikian, di manakah surat cerai itu? Adakah kamu menyangka bahawa Aku menjual kamu seperti seorang bapa menjual anaknya kepada penagih hutang? Tidak, kamu ditawan kerana dosa kamu; kamu dibuang kerana kejahatan yang telah kamu lakukan. Mengapakah umat-Ku tidak menyambut Aku ketika Aku datang untuk menyelamatkan mereka? Mengapakah mereka tidak menjawab ketika Aku memanggil? Adakah Aku terlalu lemah untuk menyelamatkan mereka? Dengan perintah-Ku air laut menjadi kering, sungai-sungai menjadi padang pasir sehingga ikan-ikan di dalamnya mati kerana tidak ada air. Aku menjadikan langit gelap seolah-olah langit sedang berkabung.” TUHAN Raja telah mengajar aku tentang apa yang harus kukatakan, supaya aku dapat menguatkan orang yang letih lesu. Tiap-tiap pagi Dia membangkitkan keinginanku untuk mendengar ajaran-Nya bagiku. TUHAN telah memberi aku pengertian, aku tidak memberontak atau berpaling daripada-Nya. Aku memberikan belakangku kepada mereka yang memukul aku, dan pipiku kepada orang yang mencabut janggutku. Aku tidak memalingkan mukaku ketika aku dihina dan diludahi. Namun hinaan mereka tidak dapat menyakiti aku, kerana TUHAN Raja menolong aku. Aku menguatkan hatiku supaya tabah. Aku tahu aku tidak akan dipermalukan, kerana Allah menyertai aku. Dia akan membuktikan bahawa aku tidak bersalah. Beranikah sesiapa menuduh aku? Marilah kita ke pengadilan. Biarlah dia mengajukan tuduhan. TUHAN Raja sendiri membela aku; siapakah dapat mengatakan aku bersalah? Semua pendakwaku akan lenyap; mereka akan lenyap seperti kain usang dimakan gegat. Hai kamu yang menghormati TUHAN dan yang taat kepada kata-kata hamba-Nya. Perjalanan yang kamu tempuh mungkin gelap, tetapi percayalah kepada TUHAN, dan bersandarlah kepada Allah kamu. Hai kamu semua yang merancang untuk membinasakan orang lain, kamu akan dibinasakan oleh rancangan kamu sendiri. TUHAN sendiri akan menyebabkan perkara ini berlaku, dan kamu akan menderita kesudahan yang malang. TUHAN berfirman, “Dengarlah Aku, hai kamu yang mahu diselamatkan, kamu yang datang kepada-Ku minta pertolongan. Ingatlah akan bukit batu tempat kamu dipahat, dan kuari tempat kamu digali. Ingatlah akan nenek moyang kamu, Abraham, dan Sara yang melahirkan kamu. Ketika Aku memanggil Abraham, dia tidak mempunyai anak, tetapi Aku memberkati dia dan memberi dia keturunan yang banyak. Aku akan menghibur Yerusalem, dan semua orang yang tinggal di runtuhannya. Walaupun negeri itu padang gurun, Aku akan menjadikannya sebuah taman, seperti taman-Ku di Eden. Penduduknya akan bersukacita dan bersukaria, mereka akan beryanyi dan bersyukur kepada-Ku. Dengarlah Aku, hai umat-Ku, dengarlah firman-Ku: Aku memberikan ajaran-Ku kepada bangsa-bangsa, dan hukum-Ku akan menerangi mereka. Aku akan segera datang untuk menyelamatkan mereka; masa kemenangan-Ku hampir tiba. Aku sendiri akan memerintah bangsa-bangsa. Negeri-negeri yang jauh menanti-nantikan kedatangan-Ku; mereka mengharapkan Aku untuk menyelamatkan mereka. Pandanglah langit dan lihatlah bumi! Langit akan lenyap seperti asap, dan bumi akan lapuk bagaikan kain usang, semua penduduknya akan mati seperti lalat. Tetapi penyelamatan daripada-Ku akan kekal selama-lamanya; kemenangan-Ku tidak akan berakhir. Dengarkan Aku, hai kamu yang tahu akan hal yang benar, kamu yang telah menyimpan ajaran-Ku dalam hati. Jangan takut apabila orang mencela atau menghina kamu; mereka akan lenyap seperti pakaian dimakan gegat! Tetapi penyelamatan daripada-Ku akan kekal selama-lamanya; kemenangan-Ku tetap sepanjang masa.” Bangkitlah, ya TUHAN, tolonglah kami! Selamatkanlah kami dengan kuasa-Mu. Gunakanlah kuasa-Mu seperti pada zaman purba, ketika Engkau menghancurkan Rahab, naga laut itu. Engkau juga yang mengeringkan laut, serta menyediakan jalan di tengah-tengah air, supaya mereka yang Engkau selamatkan dapat menyeberanginya. Orang yang Engkau selamatkan akan tiba di Yerusalem dengan sukacita, mereka akan menyanyi dan bersorak-sorai. Mereka akan bersukacita dan bersukaria, bebas daripada duka nestapa selama-lamanya. TUHAN berfirman, “Akulah yang menghibur kamu. Mengapakah kamu takut terhadap manusia fana? Manusia seperti rumput yang cepat layu. Adakah kamu sudah lupa akan TUHAN Pencipta kamu, yang membentangkan langit, dan meletakkan asas bumi? Mengapakah kamu sentiasa takut terhadap keganasan penindas, yang mahu membinasakan kamu? Keganasan mereka tidak dapat menyentuh kamu lagi. Mereka yang sekarang ditawan akan segera dibebaskan; mereka tidak akan mati dan dikubur, dan tidak akan kekurangan makanan. Akulah TUHAN, Allah kamu; Akulah yang menggelorakan laut sehingga ombaknya berderu. Nama-Ku TUHAN Yang Maha Kuasa! Aku membentangkan langit, dan meletakkan asas bumi; Aku berfirman kepada Yerusalem, ‘Kamulah umat-Ku! Aku telah memberi kamu ajaran-Ku dan melindungi kamu dengan kuasa-Ku.’ ” Bangunlah, hai Yerusalem! Bangunlah dan bangkitlah! Kamu telah mengalami hukuman TUHAN, hukuman yang dijatuhkan kepadamu kerana kemurkaan-Nya, sudah kamu jalani sampai selesai. Tiada sesiapa antara pendudukmu yang memimpinmu; tiada sesiapa antara penghunimu yang menuntunmu. Kamu telah ditimpa dua bencana: negerimu dirosakkan oleh peperangan, dan pendudukmu kelaparan. Tiada sesiapa pun mengasihani dan menghibur kamu. Di tiap-tiap sudut jalan pendudukmu jatuh kerana lemah; mereka seperti rusa yang terperangkap. Mereka telah merasai akibat kemurkaan Allah. Hai penduduk Yerusalem yang menderita, kamu terhuyung-hayang seperti orang mabuk. TUHAN, Allah kamu membela kamu. Dia berfirman, “Aku akan menjauhkan hukuman yang telah Kujatuhkan ketika Aku murka. Kamu tidak usah lagi menderita hukuman yang membuat kamu terhuyung-hayang. Aku akan menjatuhkan hukuman itu kepada penindas kamu, kepada mereka yang menyuruh kamu berbaring di jalan, serta memijak-mijak kamu seolah-olah kamu ini sampah.” Bangunlah, hai Yerusalem, bangunlah! Kuatkanlah hatimu! Kenakanlah pakaian kebesaranmu! Hai Yerusalem, kota yang suci, orang najis tidak akan memasuki pintu gerbangmu lagi. Bebaskanlah dirimu, hai Yerusalem! Bangkitlah dan kebaskanlah debu yang melekat padamu. Putuskanlah rantai yang mengikat leher kamu, hai penduduk Sion yang tertawan! TUHAN Raja berfirman kepada umat-Nya, “Ketika kamu menjadi hamba, kamu tidak dibeli dengan wang. Demikian juga ketika kamu dibebaskan, kamu tidak akan ditebus dengan wang. Semasa kamu tinggal di Mesir sebagai orang bangsa asing, kamu pergi ke sana dengan kemahuan kamu sendiri. Lalu Asyur menawan kamu tanpa alasan. Sekarang di Babilonia hal yang sama telah berlaku: kamu ditawan tanpa alasan. Mereka yang menawan kamu sentiasa memegahkan diri dan menghina Aku. Pada masa yang akan datang, kamu akan mengakui bahawa Akulah Allah, dan bahawa Aku telah berfirman kepada kamu.” Betapa baiknya melihat kedatangan utusan, dia datang melintasi pergunungan, dan membawa berita baik, berita kedamaian! Dia mengisytiharkan penyelamatan, dan berkata kepada Sion, “Allahmu memerintah!” Para pengawal kota berteriak-teriak, mereka bersorak bersama-sama kerana sukacita. Dengan mata sendiri mereka melihat TUHAN kembali ke Sion. Bersorak-soraklah, hai runtuhan Yerusalem! TUHAN akan menyelamatkan kota-Nya serta menghiburkan hati umat-Nya. TUHAN akan menggunakan kuasa-Nya yang suci di hadapan semua bangsa. Dia akan menyelamatkan umat-Nya, dan seluruh bumi akan menyaksikannya. Pergilah! Tinggalkanlah Babilonia, hai kamu yang membawa perkakas Rumah TUHAN! Janganlah sentuh apa-apa yang najis, sucikanlah diri kamu dan berangkatlah. Kamu tidak akan pergi tergesa-gesa seperti orang yang melarikan diri. TUHAN akan memimpin kamu, Allah Israel akan melindungi kamu dari setiap penjuru. TUHAN berfirman, “Hamba-Ku akan berjaya dalam tugasnya; dia akan disanjung tinggi. Dahulu banyak orang terperanjat melihat dia, kerana rupanya dicacati sehingga tidak lagi seperti rupa manusia. Tetapi sekarang bangsa-bangsa hairan melihat dia, raja-raja terpegun kerana kagum. Mereka akan melihat dan memahami perkara-perkara yang belum pernah diketahui mereka.” Bangsa itu menjawab, “Siapakah yang percaya akan laporan kami? Kepada siapakah kuasa TUHAN dinyatakan? TUHAN menghendaki hamba-Nya membesar seperti tunas yang tumbuh di tanah gersang. Rupanya tidak elok ataupun tampan, sehingga kita tidak tertarik kepadanya. Tiada apa-apa padanya yang menarik hati, yang membuat kita mengingini dia. Kita menghina dan menolak dia, dia menderita kesengsaraan dan kesakitan. Tidak seorang pun hendak memandang dia; kita pun tidak mempedulikan dia. Padahal penderitaan kitalah yang ditanggungnya, penyakit kitalah yang dideritanya. Selama ini kita menyangka bahawa penderitaannya itu hukuman Allah baginya. Tetapi dia dilukai kerana dosa kita, dia diseksa kerana perbuatan jahat kita. Kita diselamatkan kerana hukuman yang ditanggungnya, kita disembuhkan kerana luka-lukanya. Dahulu kita semua seperti domba yang sesat, masing-masing mengikut jalan sendiri. Tetapi TUHAN menjatuhkan hukuman kepadanya, hukuman yang seharusnya dijatuhkan kepada kita. Dia diperlakukan dengan kasar, tetapi dia menanggungnya dengan sabar; Dia tidak membuka mulutnya seperti anak domba yang dibawa ke pembantaian, atau induk domba yang dicukur bulunya. Dia ditahan dan dihakimi, lalu digiring untuk dihukum mati. Tidak seorang pun mempedulikannya; dia dihukum mati kerana dosa bangsa kita. Dia dikuburkan bersama-sama orang jahat, dia dikebumikan bersama-sama orang kaya, walaupun dia tidak pernah melakukan jenayah dan tidak pernah berdusta.” TUHAN berfirman, “Penderitaannya memang menurut kehendak-Ku; dia menyerahkan nyawanya sebagai korban bagi pengampunan dosa. Oleh itu dia akan panjang umur; dia akan melihat keturunannya, dan melalui dia maksud-Ku akan terlaksana. Selepas penderitaan, dia akan bersukacita semula; dia akan tahu bahawa penderitaannya tidak sia-sia. Hamba-Ku yang setia dan yang Aku perkenankan akan menanggung hukuman banyak orang, dan kerana dia, Aku akan mengampuni mereka. Oleh itu Aku akan memberi dia kedudukan yang mulia, kedudukan di kalangan orang besar dan kenamaan. Dia rela mengorbankan nyawanya, dan dia dianggap sebagai orang jahat. Dia menanggung dosa banyak orang, dan berdoa agar mereka diampuni.” Hai Yerusalem, dahulu kamu seperti wanita mandul, tetapi sekarang bernyanyilah dan bersorak-sorailah dengan gembira. Sekarang kamu akan mendapat lebih banyak anak daripada wanita yang tidak pernah ditinggalkan suami! Luaskanlah khemah kediamanmu, panjangkan talinya dan kukuhkanlah pasaknya! Kawasanmu akan diperluas di setiap sisi; pendudukmu akan kembali menghuni negeri yang sekarang diduduki oleh bangsa-bangsa lain. Kota-kota yang sekarang lengang akan dipenuhi orang. Jangan takut! Kamu tidak akan dipermalukan lagi. Kamu tidak akan dihina lagi. Kamu akan melupakan ketidaksetiaanmu pada waktu muda, dan tidak ingat akan kesunyianmu sebagai janda. Penciptamu seperti suami bagimu, nama-Nya TUHAN Yang Maha Kuasa. Allah Israel, Allah yang suci ialah Penyelamat kamu, Dialah Allah penguasa seluruh dunia. Hai Israel, kamu seperti seorang isteri yang muda, yang sedih kerana ditinggalkan oleh suaminya. Tetapi TUHAN memanggil kamu kembali kepada-Nya. Dia berfirman, “Sebentar saja Aku telah meninggalkan kamu, tetapi dengan penuh kasih Aku akan mengambil kamu kembali. Aku berpaling daripadamu sebentar saja kerana Aku sangat murka, tetapi Aku akan mengasihi kamu selama-lamanya.” Demikianlah firman TUHAN, Penyelamat kamu. “Pada zaman Nuh Aku berjanji tidak akan membanjiri bumi lagi. Sekarang Aku berjanji tidak akan murka terhadapmu lagi; Aku tidak akan memarahi atau menghukum kamu. Biarpun gunung dan bukit runtuh, tetapi Aku tidak akan berhenti mengasihi kamu; Aku akan menepati perjanjian damai-Ku.” Demikianlah firman TUHAN yang mengasihi kamu. TUHAN berfirman, “Hai Yerusalem, kota yang menderita dan tidak berdaya, tiada sesiapa pun yang menghiburkan kamu. Aku akan membina asasmu semula dengan batu nilam. Aku akan membina menaramu dengan batu delima, pintu gerbangmu dengan batu manikam merah, dan tembok di sekelilingmu dengan batu permata. Aku sendiri akan mengajar pendudukmu, dan memberi mereka kemakmuran dan kedamaian. Keadilan akan menguatkan kamu. Kamu akan terhindar daripada penindasan dan kengerian. Jika seseorang menyerbu kamu, bukanlah Aku yang menyuruhnya; sesiapa yang menyerang kamu akan jatuh. Akulah yang menciptakan tukang besi, yang menyalakan api lalu membuat senjata. Aku juga yang menciptakan askar, yang menggunakan senjata itu untuk membunuh. Tetapi tiada senjata yang dapat mencederakan kamu; semua tuduhan terhadap kamu akan kamu buktikan salah. Aku akan membela hamba-hamba-Ku, serta memberi mereka kemenangan.” Demikianlah firman TUHAN. TUHAN berfirman, “Marilah, setiap orang yang haus, minumlah air yang tersedia. Marilah, kamu yang tidak mempunyai wang, terimalah gandum dan makanlah. Mari! Terimalah wain dan susu, tanpa membayar apa-apa. Mengapakah kamu membeli sesuatu yang tidak memuaskan? Mengapakah kamu bekerja untuk sesuatu yang tidak mengenyangkan? Dengarlah firman-Ku dan turutlah perintah-Ku, maka kamu akan menikmati makanan yang terbaik. Sekarang dengarlah, hai umat-Ku; datanglah kepada-Ku, lalu kamu akan hidup. Aku akan mengadakan perjanjian yang kekal dengan kamu, dan memberi kamu berkat yang Kujanjikan kepada Daud. Aku menjadikan dia seorang pemimpin dan panglima bangsa-bangsa, dan melalui dia, Aku menunjukkan kuasa-Ku kepada mereka. Kamu akan memanggil bangsa-bangsa asing untuk menghadap; pada suatu masa dahulu mereka tidak mengenal kamu, tetapi sekarang mereka berlari kepada kamu. Aku, TUHAN Allah kamu, Allah Israel, Allah yang suci akan melaksanakan segala perkara ini; Aku akan mengagungkan kamu.” Kembalilah kepada TUHAN semasa masih dapat; berserulah kepada-Nya semasa Dia masih dekat. Biarlah orang jahat meninggalkan cara hidup mereka, dan mengubah jalan fikiran mereka. Biarlah mereka kembali kepada TUHAN, Allah kita, kerana Dia berbelas kasihan dan sentiasa sedia mengampuni. TUHAN berfirman, “Fikiran-Ku bukan seperti fikiran kamu, dan jalan-Ku bukan seperti jalan kamu. Setinggi langit dari bumi, setinggi itulah jalan-Ku daripada jalanmu, dan fikiran-Ku daripada fikiranmu. Firman-Ku seperti salji dan hujan yang turun dari langit untuk membasahi bumi, serta menumbuhkan tanaman sehingga menghasilkan benih untuk ditanam dan makanan untuk dimakan. Demikian jugalah firman yang Aku ucapkan akan berjaya mencapai tujuan-Ku, dan melakukan setiap perkara yang Aku tentukan. Kamu akan meninggalkan Babel dengan sukacita, kamu akan dipimpin keluar dari kota itu dengan kedamaian. Gunung dan bukit akan bernyanyi dengan gembira, semua pokok di padang akan bertepuk tangan. Pokok sipres akan menggantikan semak duri, pokok kemunting menggantikan semak belukar. Kejadian ini sebagai tanda yang kekal, peringatan bahawa Aku, TUHAN, telah melakukannya.” TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Lakukanlah apa yang adil dan sesuai dengan hukum-Ku, kerana tidak lama lagi Aku akan menyelamatkan kamu. Aku akan memberkati orang yang sentiasa merayakan hari Sabat dan tidak menyalahgunakannya. Aku akan memberkati orang yang tidak melakukan kejahatan.” Orang bangsa asing yang telah bergabung dengan umat TUHAN tidak boleh berkata, “TUHAN tidak membenarkan aku menyembah Dia bersama-sama umat-Nya.” Orang yang telah dikembiri tidak boleh berkata bahawa dia bukan sebahagian daripada umat Allah kerana dia tidak boleh mendapat anak. TUHAN berfirman kepada orang itu, “Jika kamu menghormati Aku dengan merayakan hari Sabat, dan jika kamu melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hati-Ku, serta berpegang teguh pada perjanjian-Ku, maka nama kamu akan diingat di dalam Rumah-Ku dan di kalangan umat-Ku. Hal itu lebih baik daripada mempunyai anak lelaki dan anak perempuan. Kamu tidak akan dilupakan.” TUHAN berfirman kepada orang bangsa asing yang telah menjadi sebahagian daripada umat-Nya, yang mengasihi Dia dan berbakti kepada-Nya, yang merayakan hari Sabat serta berpegang teguh pada perjanjian-Nya, “Aku akan membawa kamu ke Sion, bukit-Ku yang suci. Aku akan memberi kamu kegembiraan di dalam rumah doa-Ku. Aku akan menyambut korban-korban yang kamu persembahkan di mazbah-Ku. Rumah-Ku akan disebut rumah doa bagi semua bangsa.” TUHAN Raja yang membawa umat-Nya pulang dari pembuangan telah berjanji bahawa Dia juga akan mengumpulkan bangsa lain untuk bergabung dengan mereka yang sudah terkumpul. TUHAN telah menyuruh bangsa-bangsa asing datang seperti binatang buas untuk memakan umat-Nya. Dia berfirman, “Semua pemimpin umat-Ku buta. Mereka seharusnya memberikan amaran kepada umat-Ku. Mereka tidak tahu apa-apa. Mereka seperti anjing pengawal yang tidak dapat menyalak; mereka hanya tahu tidur dan bermimpi. Mereka seperti anjing yang rakus; tidak puas-puas makan. Mereka tidak mempunyai pengertian; masing-masing berbuat sesuka hati dan mencari keuntungan diri sendiri. Pemabuk-pemabuk itu berkata, ‘Marilah kita minum wain dengan sepuas-puasnya. Esok lebih baik daripada hari ini.’ ” Apabila orang baik meninggal, tiada sesiapa pun mengerti atau mempedulikannya. Tetapi apabila mereka meninggal, mereka terlepas daripada malapetaka. Mereka mendapat kedamaian dan rehat di dalam kubur. Marilah, hai orang berdosa. Biarlah kamu diadili! Kamu sejahat tukang sihir, orang yang suka berzina, dan pelacur. Siapakah yang hendak kamu permainkan? Hai pendusta, siapakah yang kamu tertawakan? Kamu menyembah dewa-dewa kesuburan dengan melakukan hubungan jenis di bawah pokok-pokok keramat. Kamu mempersembahkan anak-anak kamu sebagai korban di celah-celah bukit batu, di lembah sungai. Kamu mengambil batu-batu yang licin dari sungai, lalu menyembahnya sebagai berhala. Kamu mempersembahkan wain dan bijirin kepada berhala-berhala itu. Adakah kamu menyangka bahawa Aku berkenan dengan semua itu? Kamu pergi ke puncak gunung yang tinggi-tinggi untuk mempersembahkan korban dan memuaskan nafsu berahi. Kamu memasang berhala-berhala yang cabul di belakang pintu dan tiang pintu kamu. Kamu telah meninggalkan Aku. Kamu bertelanjang lalu naik ke katil yang besar bersama-sama kekasih kamu: orang yang kamu upah supaya berseketiduran dengan kamu. Dengan cara itu kamu memuaskan nafsu. Kamu memakai minyak dan wangi-wangian lalu menyembah Dewa Molokh. Kamu mengirim utusan ke negeri-negeri jauh, bahkan ke dunia orang mati. Kamu penat mencari berhala lain, namun kamu tidak mahu berhenti. Kamu menyangka berhala-berhala kamu yang cabul dapat menguatkan kamu sehingga kamu tidak menjadi lemah. TUHAN berfirman, “Siapakah dewa-dewa yang menakut-nakutkan kamu sehingga kamu berdusta terhadap-Ku dan melupakan Aku sama sekali? Adakah kamu tidak lagi menghormati Aku kerana Aku terlalu lama berdiam diri? Kamu menyangka bahawa perbuatan kamu benar, tetapi Aku akan mendedahkan kelakuan buruk itu, dan berhala-berhala kamu tidak akan dapat menolong kamu. Apabila kamu berseru minta tolong, biarlah berhala-berhala kamu menyelamatkan kamu! Berhala-berhala itu akan hilang diterbangkan oleh satu hembusan angin! Tetapi orang yang percaya kepada-Ku akan mewarisi negeri ini. Mereka akan menyembah Aku di dalam Rumah-Ku.” TUHAN berfirman, “Biarlah umat-Ku kembali kepada-Ku. Binalah dan siapkanlah jalan! Singkirkanlah tiap-tiap halangan di jalan mereka! Akulah Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Suci, yang hidup selama-lamanya. Aku tinggal di tempat yang tinggi dan suci, tetapi Aku tinggal juga bersama-sama orang yang rendah hati dan yang bertaubat daripada dosa, supaya Aku dapat memulihkan keyakinan dan harapan mereka. Akulah yang memberikan hidup kepada umat-Ku. Aku tidak menuduh mereka terus-menerus, dan Aku tidak sentiasa murka terhadap mereka. Aku murka terhadap mereka kerana dosa dan ketamakan mereka. Itulah sebabnya Aku menghukum dan meninggalkan mereka. Tetapi mereka degil dan tetap mengikut jalan sendiri. Aku sudah melihat kelakuan mereka, namun Aku akan menyembuhkan mereka. Aku akan memimpin dan menolong mereka. Aku akan menghiburkan hati orang yang berkabung. Aku memberikan kedamaian kepada semua orang, baik yang dekat mahupun yang jauh! Aku akan menyembuhkan umat-Ku. Tetapi orang jahat seperti laut yang berombak dan tidak pernah tenang; arusnya membawa sampah dan lumpur. Orang berdosa tidak akan selamat.” TUHAN berfirman, “Berteriaklah dengan sekuat-kuatnya! Beritahulah umat-Ku, orang Israel tentang dosa mereka! Mereka menyembah Aku setiap hari dan mengaku bahawa mereka berhasrat mengenal Aku serta mematuhi hukum-Ku. Mereka berkata bahawa mereka mahu Aku memberi mereka hukum yang adil, dan bahawa mereka suka menyembah Aku.” Umat itu bertanya, “Apa gunanya kita berpuasa jika TUHAN tidak melihatnya? Mengapakah kita harus menahan diri daripada makanan jika Dia tidak memperhatikannya?” TUHAN berfirman kepada mereka, “Ketika kamu berpuasa, kamu mementingkan hal sendiri dan menindas pekerja-pekerja kamu. Puasa kamu menyebabkan kamu ganas; kamu bergaduh dan bertengkar. Jangan sangka puasa seperti itu akan menggerakkan hati-Ku untuk mendengarkan doa-doa kamu. Apabila berpuasa, kamu menyeksa diri. Kamu menundukkan kepala seperti daun rumput yang runduk. Kamu berbaring di atas kain guni dan abu. Itukah yang kamu sebut puasa? Adakah kamu menyangka bahawa Aku berkenan dengan perbuatan kamu itu? Inilah puasa yang Aku kehendaki: tanggalkan belenggu penindasan dan beban ketidakadilan, serta bebaskan orang yang tertindas. Bahagilah makanan kamu dengan orang yang lapar, dan sambutlah orang miskin yang tiada tempat berteduh, ke dalam rumah kamu. Berikanlah pakaian kepada mereka yang tidak mempunyai pakaian, dan jangan tolak sanak saudara kamu sendiri yang memerlukan pertolongan. Maka cahaya kamu akan bersinar seperti fajar merekah, dan luka-luka kamu akan segera sembuh. Aku akan sentiasa menyertai kamu untuk menyelamatkan kamu. Hadirat-Ku akan melindungi kamu di setiap sudut. Apabila kamu berdoa, Aku akan mengabulkan doa kamu dan apabila kamu memanggil Aku, Aku akan menjawab. Jika kamu menghentikan penindasan dan penghinaan terhadap orang lain, serta segala kata-kata fitnah; jika kamu memberikan makanan kepada orang yang lapar, dan memenuhi keperluan orang yang tertindas, maka kegelapan di sekitar kamu akan menjadi seterang siang. Aku akan sentiasa memimpin kamu serta mengenyangkan kamu di tanah kering. Aku akan menjadikan kamu kuat dan sihat. Kamu akan menjadi seperti taman yang mendapat cukup air, dan seperti mata air yang tidak pernah kering. Kamu akan membina semula apa yang sudah lama runtuh; kamu akan membinanya semula di atas asas yang lama. Kamu akan dikenal sebagai umat yang membina semula tembok-tembok kota dan rumah-rumah yang runtuh.” TUHAN berfirman, “Jika kamu merayakan hari Sabat sebagai hari yang suci, dan tidak mementingkan hal sendiri pada hari itu; jika kamu menghargai hari-Ku yang suci dan menghormatinya dengan tidak berpergian pada hari itu, tidak bekerja, dan tidak bercakap kosong, maka kamu akan berbahagia kerana mengabdi kepada-Ku. Aku akan menyebabkan kamu dihormati di seluruh dunia, dan kamu akan menikmati hasil negeri yang Aku berikan kepada nenek moyang kamu, Yakub. Aku, TUHAN, telah berfirman.” Jangan sangka bahawa TUHAN terlalu lemah untuk menyelamatkan kamu, atau terlalu pekak untuk mendengar seruan kamu minta tolong! Kerana dosa kamu, Dia tidak mendengarkan kamu, apabila kamu berdoa kepada-Nya. Dosa kamu memisahkan kamu daripada-Nya. Kamu telah berdosa kerana berdusta, berlaku curang, membunuh, dan berlaku ganas. Kamu mengadukan perkara tanpa alasan, dan kamu tidak menghakimi perkara dengan adil. Kamu mendapat kemenangan dengan berdusta. Kamu merancang untuk menyakiti orang lain, dan kamu melakukan kejahatan itu. [5-6] Rancangan jahat kamu membawa maut, seperti telur ular berbisa. Apabila telur itu pecah, ular keluar! Tetapi muslihat kamu sia-sia sahaja seperti pakaian yang dibuat daripada sarang labah-labah! *** Kamu selalu merancangkan sesuatu yang jahat, dan ingin segera melaksanakannya. Kamu tidak ragu-ragu membunuh orang yang tidak bersalah. Ke mana sahaja kamu pergi kamu meninggalkan keruntuhan dan kebinasaan, dan tiada seorang pun selamat. Segala perbuatan kamu tidak adil. Kamu mengikut jalan yang sesat, dan orang yang mengikut jalan itu tidak selamat. Umat itu berkata, “Sekarang barulah kami tahu sebabnya Allah tidak menyelamatkan kami daripada orang yang menindas kami. Kami menanti-nantikan cahaya, tetapi hanya kegelapan yang ada. Kami meraba-raba seperti orang buta. Kami tersandung pada tengah hari, seolah-olah hari sudah malam. Kami seperti orang mati di kalangan orang hidup. Kami takut dan sedih. Kami mengharapkan Allah untuk menyelamatkan kami daripada penindasan dan kejahatan, tetapi tiada apa-apa berlaku. Kesalahan kami terhadap-Mu sungguh banyak. Dosa kami menyalahkan kami. Kami sungguh-sungguh menyedari kejahatan kami. Kami telah memberontak terhadap TUHAN, menolak Dia, dan tidak mahu mengikut Allah kami. Kami telah menindas orang lain dan menyeleweng daripada-Mu. Fikiran kami sesat dan kata-kata kami dusta belaka. Hukum yang adil telah disingkirkan dan keadilan dijauhkan. Kejujuran dipandang rendah di tempat-tempat umum, dan ketulusan diketepikan. Tiada lagi orang yang jujur sehingga sesiapa yang menjauhi kejahatan menjadi mangsa kejahatan.” TUHAN nampak semuanya; Dia murka kerana tiada keadilan lagi. Dia hairan kerana tiada sesiapa pun menolong orang yang tertindas. Oleh itu, dengan kuasa-Nya sendiri Dia akan menyelamatkan mereka dan memberi mereka kemenangan. Dia memakai keadilan sebagai baju zirah dan penyelamatan sebagai topi besi. Dia bertekad untuk memulihkan keadaan dan membalas ketidakadilan. Dia akan menghukum musuh-Nya menurut perbuatan mereka, termasuk juga orang yang tinggal di negeri-negeri yang jauh. Dari timur ke barat, tiap-tiap orang takut akan keagungan dan kuasa-Nya. Dia akan datang seperti air sungai yang deras dan seperti angin yang kuat. TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Aku akan datang ke Yerusalem untuk membela dan menyelamatkan semua orang yang bertaubat daripada dosa. Aku membuat perjanjian dengan kamu: Aku telah memberi kamu kuasa-Ku dan ajaran-Ku untuk menjadi milik kamu selama-lamanya. Mulai sekarang hendaklah kamu taat kepada-Ku, dan mengajar anak serta keturunan kamu supaya taat kepada-Ku selama-lamanya.” Bangkitlah, dan bersinarlah, hai Yerusalem, kerana cahaya penyelamatanmu sudah datang; TUHAN menyinari engkau dengan kemuliaan-Nya. Bangsa-bangsa lain akan diliputi kegelapan, tetapi cahaya TUHAN akan bersinar atasmu; cahaya hadirat-Nya akan menerangimu. Bangsa-bangsa lain datang kepada cahayamu, dan raja-raja tertarik kepada cahaya yang terbit bagimu. Lihatlah hal yang sedang berlaku di sekelilingmu. Rakyatmu berkumpul untuk pulang kepadamu. Anak lelakimu pulang dari negeri jauh, dan anak perempuanmu didukung. Engkau akan melihat hal itu lalu wajahmu berseri-seri, engkau akan terharu dan berbesar hati. Harta bangsa-bangsa akan dibawa kepadamu; kekayaan dari seberang laut akan mengalir kepadamu. Kafilah-kafilah akan datang dari Midian dan Efa. Mereka datang dari Syeba dengan membawa emas dan kemenyan. Mereka memberitakan hal baik yang telah dilakukan TUHAN! Kawanan domba dari Kedar dan domba jantan dari Nebayot akan dibawa kepadamu sebagai korban, dan dipersembahkan di atas mazbah untuk menyenangkan hati TUHAN. TUHAN akan menjadikan Rumah-Nya lebih mulia lagi. Apakah yang melayang seperti awan, seperti burung merpati yang sedang terbang pulang? Itulah kapal-kapal yang membawa pulang umat Allah dari negeri-negeri yang jauh. Perak dan emas dibawa oleh mereka untuk memuliakan nama TUHAN, Allah kamu, Allah Israel, Allah yang suci yang menyebabkan bangsa-bangsa menghormati umat-Nya. TUHAN berfirman kepada Yerusalem, “Orang bangsa asing akan membina semula tembokmu, dan raja-raja mereka akan melayani engkau. Kerana kemurkaan-Ku, Aku telah menghukum engkau, tetapi sekarang Aku berkenan untuk mengasihani engkau. Siang malam pintu-pintu gerbangmu akan terbuka, supaya raja-raja bangsa asing yang telah ditawan dapat membawa kekayaan kepadamu. Tetapi bangsa-bangsa yang tidak mengabdi kepadamu akan dimusnahkan sama sekali. Kayu sipres, kayu juniper, dan kayu pain, kayu yang terbaik dari hutan Lebanon, akan dibawa untuk membinamu, hai Yerusalem, untuk memperindah Rumah-Ku dan memuliakan kota-Ku. Anak-anak penindasmu akan datang bersujud untuk menghormati engkau. Semua orang yang pernah menghina engkau akan bersujud pada kaki-Mu. Mereka akan menyebut engkau ‘Kota TUHAN’, ‘Sion, Kota Allah Israel, Allah yang suci’. Engkau tidak akan ditinggalkan dan tidak dibenci lagi, dan tidak dibiarkan sebagai kota yang terlantar dan sunyi. Aku akan menjadikan engkau agung dan indah, tempat kegembiraan selama-lamanya. Bangsa-bangsa dan raja-raja akan memelihara engkau, seperti seorang ibu memelihara anaknya. Engkau akan tahu bahawa Aku, TUHAN, Penyelamatmu, dan bahawa Allah Israel, Allah Yang Maha Kuasa, Penebusmu. Aku akan membawakan engkau emas sebagai ganti gangsa, perak sebagai ganti besi, gangsa sebagai ganti kayu, dan besi sebagai ganti batu. Penguasa-penguasamu tidak akan menindas engkau lagi; Aku akan menyebabkan mereka memerintah dengan adil dan aman. Keganasan tidak akan terdengar lagi; negerimu tidak akan mengalami kemusnahan lagi. Seperti tembok, Aku akan melindungi dan membela engkau; engkau akan memuji Aku kerana Aku Penyelamatmu. Matahari tidak lagi menjadi penerangmu pada siang hari, bulan tidak lagi menjadi penerangmu pada malam hari; Aku, TUHAN, akan menjadi penerang abadi bagimu; Aku akan menyinari engkau dengan kemuliaan-Ku. Masa kedukaanmu akan berakhir. Aku, TUHAN, akan menjadi penerang abadi bagimu, lebih kekal daripada matahari dan bulan. Pendudukmu akan melakukan hal yang benar, dan akan memiliki negeri ini selama-lamanya. Mereka seperti tumbuhan yang Aku tanam, hasil ciptaan-Ku, untuk menyatakan kebesaran-Ku. Bahkan keluargamu yang terkecil dan terhina akan menjadi bangsa yang kuat. Pada masa yang tepat kelak, Aku, TUHAN, akan melakukannya dengan segera.” Kuasa TUHAN Raja ada padaku, Dia telah memilih aku dan mengutus aku untuk mengkhabarkan berita baik kepada orang miskin, untuk memulihkan orang yang hancur hati, untuk mengumumkan kemerdekaan kepada orang tawanan, dan pembebasan kepada orang di dalam penjara. Dia telah mengutus aku untuk mengisytiharkan ketibaan masa bagi TUHAN untuk menyelamatkan umat-Nya, dan mengalahkan musuh-musuh mereka. Dia telah mengutus aku untuk menghiburkan orang yang berduka, untuk memberi orang yang berkabung di Sion, kesukaan serta kegembiraan, dan bukan kedukaan, lagu pujian, dan bukan kesedihan. Mereka akan menjadi seperti pokok yang ditanam oleh TUHAN sendiri. Mereka akan melakukan hal yang benar, dan Allah akan dipuji kerana perbuatan-Nya. Mereka akan membina semula kota-kota yang telah lama runtuh, dan mendirikan tempat-tempat yang sudah lama sepi. Hai umat-Ku, orang bangsa asing akan melayani kamu. Mereka akan menjaga ternakan kamu dan bekerja di tanah dan ladang anggur kamu. Kamu akan dikenal sebagai imam-imam TUHAN, sebagai hamba-hamba Allah kita. Kamu akan menikmati kekayaan bangsa-bangsa, dan berasa bangga memiliki kekayaan itu. Kamu tidak akan dipermalukan atau dihina lagi. Kamu akan tinggal di negeri kamu sendiri, kekayaan kamu akan menjadi dua kali ganda; kesukaan kamu akan kekal selama-lamanya. TUHAN berfirman, “Aku mencintai keadilan, dan Aku membenci penindasan dan jenayah. Dengan setia Aku akan memberikan ganjaran kepada umat-Ku; Aku akan membuat perjanjian yang kekal dengan mereka. Keturunan mereka akan menjadi terkenal di mana-mana, termasyhur antara bangsa-bangsa; setiap orang yang nampak mereka akan tahu bahawa merekalah bangsa yang telah Kuberkati.” Yerusalem bersukacita kerana hal yang telah dilakukan TUHAN. Keadaan Yerusalem seperti seorang pengantin yang memakai perhiasan serba indah. Begitulah Allah mengenakan keselamatan dan kemenangan pada Yerusalem. Sebagaimana benih yang ditabur pasti tumbuh dan membesar, demikianlah TUHAN Raja pasti menyelamatkan umat-Nya, dan semua bangsa akan memuji Dia. Aku akan bercakap demi Yerusalem; aku tidak akan diam sehingga Yerusalam diselamatkan, dan kemenangannya bersinar seperti suluh pada waktu malam. Hai Yerusalem, bangsa-bangsa akan menyaksikan kemenanganmu. Raja-raja mereka akan melihat kemuliaanmu! Engkau akan disebut dengan nama yang baru, nama yang diberikan oleh TUHAN sendiri. Engkau akan menjadi seperti mahkota indah untuk TUHAN, dan mahkota kerajaan bagi Allahmu. Engkau tidak lagi disebut “Yang Ditinggalkan”, negerimu tidak lagi disebut “Yang Kesepian”. Tetapi engkau akan disebut “Yang Diperkenankan Allah”, negerimu akan disebut “Yang Sudah Menikah” kerana TUHAN berkenan kepadamu, dan menjadi seperti suami terhadap negerimu. Sebagaimana seorang pemuda mengahwini seorang dara, demikianlah Penciptamu memperisteri engkau. Sebagaimana pengantin lelaki gembira melihat pengantin perempuan, demikian juga Allahmu menyukai engkau. Di tembokmu, hai Yerusalem, Aku menempatkan pengawal; siang malam mereka tidak boleh diam. Mereka mesti mengingatkan TUHAN tentang janji-Nya, supaya jangan sekali-kali Dia melupakannya. Mereka mesti terus mengingatkan Dia, sehingga Dia memulihkan Yerusalem, dan menjadikannya kota yang termasyhur di seluruh dunia. TUHAN telah berjanji dengan sumpah, dan akan melaksanakannya dengan kuasa-Nya. “Gandummu tidak akan dimakan oleh musuhmu lagi, dan wain yang kamu hasilkan dengan susah payah, tidak akan diminum oleh orang bangsa asing lagi. Tetapi kamu yang menabur dan menuai gandum akan menikmati hasilnya dan memuji TUHAN. Kamu yang memetik buah anggur akan menikmati wain di halaman Rumah-Ku.” Hai penduduk Yerusalem, keluarlah dari bandar, dan binalah jalan bagi orang kamu yang pulang dari pembuangan. Binalah sebatang lebuh raya; buanglah batu-batu! Dirikanlah panji-panji supaya bangsa-bangsa tahu bahawa TUHAN mengumumkan hal ini kepada seluruh bumi, “Beritahulah penduduk Yerusalem, bahawa TUHAN datang untuk menyelamatkan kamu. Orang yang telah diselamatkan-Nya dibawa-Nya bersama-sama.” Kamu akan disebut “Umat Yang Suci”, “Umat Yang Telah Diselamatkan TUHAN”. Yerusalem akan disebut “Kota Yang Dikasihi Allah”, “Kota Yang Tidak Ditinggalkan Allah”. “Siapakah dia yang datang dari kota Bozra di Edom? Siapakah dia yang berpakaian merah dan berjalan dengan gagah perkasa?” “Dia TUHAN yang berkuasa untuk menyelamatkan. Dia datang untuk mengumumkan kemenangan-Nya.” “Mengapakah pakaian-Nya semerah itu, seperti pakaian orang yang memijak buah anggur?” TUHAN menjawab, “Aku telah memijak bangsa-bangsa seperti orang memijak buah anggur. Tiada sesiapa antara umat-Ku menolong Aku. Aku memijak bangsa-bangsa dengan murka sehingga darah mereka mengotorkan pakaian-Ku. Masa untuk menyelamatkan umat-Ku telah tiba; masa untuk menghukum musuh-musuh-Ku sudah sampai. Aku hairan kerana tidak mendapati seorang pun ketika Aku mencari orang untuk menolong Aku. Tetapi kemurkaan-Ku yang berkobar-kobar menjadikan Aku kuat, dan Aku menang dengan kekuatan-Ku sendiri. Dengan murka Aku memijak-mijak semua bangsa dan menghancurkan mereka. Aku mencurahkan darah mereka ke tanah.” Aku akan menceritakan kasih TUHAN; aku akan memuji Dia kerana segala perbuatan-Nya. Dia telah memberkati umat Israel dengan berlimpah-limpah kerana rahmat-Nya dan kasih-Nya tidak berkesudahan. TUHAN berfirman, “Mereka umat-Ku; mereka tidak akan menipu Aku.” Oleh itu Dia menyelamatkan mereka daripada segala penderitaan. Bukan utusan ataupun malaikat, tetapi TUHAN sendiri yang menyelamatkan mereka. Demi kasih dan belas kasihan-Nya Dia menyelamatkan mereka. Sejak dahulu Dia telah memelihara umat itu, tetapi mereka memberontak terhadap-Nya dan menyedihkan hati-Nya. Oleh itu TUHAN memusuhi dan melawan mereka. Tetapi kemudian mereka teringat akan masa silam, iaitu zaman Musa, hamba TUHAN. Lalu mereka bertanya, “Di manakah TUHAN, yang telah menuntun umat dan para pemimpin mereka melalui laut? Di manakah TUHAN, yang telah memberikan kuasa-Nya kepada mereka? [12-13] Di manakah TUHAN, yang dengan kuasa-Nya telah melakukan perkara-perkara ajaib melalui Musa? Dia membelah air laut dan memimpin umat-Nya menyeberangi laut yang dalam, sehingga nama-Nya termasyhur selama-lamanya.” Seperti kuda liar mereka tidak tersandung kerana TUHAN memimpin mereka. *** Sebagaimana ternak dipimpin ke lembah yang subur, demikian juga TUHAN memimpin umat-Nya dan memberi mereka rehat. Dia memimpin umat-Nya dan mendatangkan kehormatan bagi nama-Nya. Ya TUHAN, pandanglah kami dari syurga, tempat kediaman-Mu yang suci dan mulia. Di manakah kasih dan keperkasaan-Mu? Di manakah kasih dan belas kasihan-Mu? Janganlah tahan semua itu daripada kami. Engkaulah Bapa kami. Nenek moyang kami Abraham dan Yakub tidak mengenal kami, tetapi Engkaulah Bapa kami, ya TUHAN! Engkau Penyelamat kami sejak dahulu kala. Tetapi sekarang mengapakah Engkau membiarkan kami sesat? Mengapakah Engkau membiarkan kami berdegil sehingga kami tidak takut akan Engkau? Kembalilah kepada kami, demi mereka yang mengabdikan diri kepada-Mu, dan demi umat yang sentiasa menjadi milik-Mu. Kami umat-Mu yang suci telah diusir oleh musuh kami untuk sementara waktu. Mereka menginjak-injak Rumah-Mu, dan Engkau memperlakukan kami seolah-olah Engkau tidak pernah menjadi penguasa kami, seolah-olah kami tidak pernah menjadi umat-Mu. Koyakkanlah langit dan turunlah, ya TUHAN! Gunung akan melihat Engkau, lalu gunung bergoncang kerana ketakutan. Gunung akan bergegar seperti air yang mendidih di atas api. Marilah tunjukkan kuasa-Mu kepada musuh-musuh-Mu, dan buatlah bangsa-bangsa gementar di hadapan-Mu. Dahulu Engkau datang melakukan perkara-perkara yang mengerikan, yang tidak kami sangka. Engkau turun, dan gunung-gunung bergoncang kerana ketakutan. Belum pernah sesiapa melihat ataupun mendengar tentang Allah seperti Engkau, yang melakukan perkara-perkara seperti itu bagi orang yang berharap kepada-Nya. Engkau menyambut orang jujur, yang hidup menurut kehendak-Mu. Engkau murka terhadap kami, tetapi kami tetap berdosa. Sekalipun Engkau sangat murka, kami terus-menerus berbuat salah sejak dahulu. Kami semua telah berdosa; bahkan perbuatan kami yang terbaik pun kotor dan najis. Kerana dosa kami, kami akan lenyap seperti daun layu diterbangkan angin. Tiada sesiapa pun berdoa kepada-Mu. Tiada sesiapa pun menghampiri Engkau untuk minta pertolongan. Engkau telah menyembunyikan diri daripada kami, dan membiarkan kami binasa kerana dosa kami. Tetapi Engkaulah Bapa kami, ya TUHAN. Kami ini seperti tanah liat, dan Engkau seperti tukang periuk. Engkaulah yang menciptakan kami. Oleh itu janganlah terlalu murka terhadap kami, ataupun mengingat dosa kami selama-lamanya. Kami umat-Mu, kasihanilah kami. Kota-kota-Mu yang suci menjadi seperti padang gurun. Yerusalem telah menjadi runtuhan yang lengang dan Rumah TUHAN, rumah yang suci dan indah, tempat nenek moyang kami memuji Engkau dahulu, telah dimusnahkan api. Semua tempat yang kami sukai telah menjadi runtuhan. Ya TUHAN, tidakkah Engkau terharu oleh segala kejadian itu? Tidakkah Engkau hendak bertindak? Adakah Engkau akan membiarkan kami menderita dengan amat sangat? TUHAN berfirman, “Aku bersedia mengabulkan doa umat-Ku, tetapi mereka tidak berdoa kepada-Ku. Aku bersedia ditemui oleh mereka, tetapi mereka tidak cuba mencari Aku. Bangsa ini tidak berdoa kepada-Ku, walaupun Aku sentiasa bersedia menjawab, ‘Inilah Aku. Aku mahu menolong kamu.’ Aku sentiasa bersedia menyambut umat-Ku, tetapi mereka selalu berdegil dan melakukan perkara-perkara yang salah serta mengikut kehendak mereka sendiri. Mereka terus-menerus membuat Aku murka. Mereka mempersembahkan korban di taman-taman keramat dan membakar kemenyan di mazbah-mazbah dewa. Pada waktu malam mereka pergi ke gua dan kubur untuk minta nasihat arwah. Mereka makan daging babi dan minum kuah daging yang telah dipersembahkan kepada berhala. Kemudian mereka berkata, ‘Jauhilah kami. Jangan sentuh kami kerana kami terlalu suci bagi kamu!’ Aku membenci orang yang berkelakuan demikian. Kemurkaan-Ku terhadap mereka seperti api yang tidak pernah padam. Aku telah menentukan hukuman bagi mereka. Hukuman itu telah Kutuliskan. Aku tidak akan membiarkan perbuatan mereka. Aku akan membalas dosa mereka dan dosa nenek moyang mereka. Mereka telah membakar kemenyan untuk dewa-dewa di tempat pemujaan di bukit, dan menghina Aku. Oleh itu Aku akan menghukum mereka setimpal dengan perbuatan mereka.” TUHAN berfirman, “Tiada sesiapa pun memusnahkan buah anggur yang baik; sebaliknya mereka membuat wain daripadanya. Aku pun tidak akan membinasakan semua umat-Ku; Aku akan menyelamatkan mereka yang mengabdikan diri kepada-Ku. Aku akan memberkati umat Israel daripada suku Yehuda. Keturunan mereka akan memiliki tanah pergunungan-Ku. Umat pilihan-Ku yang mengabdikan diri kepada-Ku akan tinggal di situ. Mereka akan menyembah Aku, dan akan memimpin ternak mereka ke Dataran Saron di sebelah barat, dan ke Lembah Akhor di sebelah timur. Tetapi bukan begitu kesudahan kamu yang meninggalkan Aku serta tidak mempedulikan Sion, bukit-Ku yang suci, dan yang menyembah Gad dan Meni, dewa nasib dan dewa takdir. Kamu akan mati dengan dahsyatnya kerana kamu tidak menjawab ketika Aku memanggil, dan kamu tidak mendengar ketika Aku berfirman. Kamu sengaja tidak mahu taat kepada-Ku dan kamu sengaja melakukan kejahatan. Sesungguhnya, orang yang menyembah Aku dan taat kepada-Ku akan mendapat banyak makanan dan minuman, tetapi kamu akan lapar dan dahaga. Mereka akan gembira tetapi kamu akan dihina. Mereka akan menyanyi dengan gembira, sedangkan kamu akan menangis dan putus asa. Umat pilihan-Ku akan menggunakan nama kamu sebagai kutukan. Aku, TUHAN Raja akan membunuh kamu, tetapi kepada mereka yang taat kepada-Ku akan Kuberikan nama yang baru. Sesiapa yang tinggal di negeri itu, dan yang memohon berkat akan minta diberkati oleh Allah yang setia. Sesiapa yang bersumpah, akan bersumpah demi Allah yang setia. Hal itu demikian kerana penderitaan pada masa yang lalu telah lenyap dan dilupakan.” TUHAN berfirman, “Aku akan mencipta langit yang baru dan bumi yang baru. Peristiwa-peristiwa yang lalu akan dilupakan sama sekali. Bergiranglah dan bersukacitalah selama-lamanya kerana apa yang Aku ciptakan. Yerusalem baru yang Aku cipta akan penuh kegembiraan dan penduduknya akan bahagia. Aku sendiri akan bersukacita kerana Yerusalem dan penduduknya. Di sana tiada lagi tangisan ataupun seruan minta tolong. Anak-anak tidak akan mati ketika masih bayi, dan orang akan panjang umur. Mereka yang berusia seratus tahun akan dianggap muda. Sesiapa yang mati sebelum seratus tahun akan dianggap kena hukuman-Ku. [21-22] Orang yang membina rumah akan mendiaminya; rumah-rumah itu tidak akan didiami orang lain. Mereka yang menanam pokok anggur akan menikmati hasilnya; hasil itu tidak akan dinikmati orang lain. Umat-Ku akan panjang umur seperti pokok. Mereka akan puas menikmati hasil usaha mereka. *** Usaha mereka akan berjaya, dan anak mereka tidak akan ditimpa malapetaka. Aku akan memberkati mereka dan keturunan mereka selama-lamanya. Sebelum mereka habis berdoa, Aku sudah mengabulkan doa mereka. Serigala dan anak domba akan makan bersama-sama, singa akan makan jerami seperti lembu, dan ular tidak berbahaya lagi. Di Sion, bukit-Ku yang suci, tidak lagi terdapat perkara yang berbahaya ataupun jahat.” TUHAN berfirman, “Langit ialah takhta-Ku, dan bumi ialah bangku kaki untuk-Ku. Rumah apakah dapat kamu bina bagi-Ku? Tempat kediaman jenis apakah yang sesuai untuk-Ku? Aku sendiri yang menciptakan alam semesta. Aku suka kepada orang yang rendah hati dan bertaubat, yang takut dan taat kepada-Ku. Umat itu berbuat sesuka hati mereka. Bagi mereka tidak ada perbezaannya sama ada mereka menyembelih lembu jantan ataupun membunuh manusia untuk dipersembahkan sebagai korban, sama ada mereka mempersembahkan anak domba atau mematahkan leher anjing, sama ada mereka mempersembahkan bijirin ataupun darah babi; sama ada mereka membakar kemenyan ataupun berdoa kepada berhala. Mereka suka cara penyembahan yang menjijikkan. Oleh itu Aku akan menimpakan bencana kepada mereka, iaitu bencana yang ditakuti mereka. Hal itu berlaku kerana ketika Aku memanggil, tidak seorang pun menjawab, dan ketika Aku berfirman, tidak seorang pun mendengar. Mereka memilih untuk membantah Aku dan berbuat jahat.” Dengarlah firman TUHAN, hai kamu yang takut dan taat kepada-Nya: “Kerana kamu setia kepada-Ku, sebahagian daripada bangsa kamu sendiri akan membenci dan menolak kamu. Mereka akan mengolok-olok kamu dan berkata, ‘Biarlah TUHAN menunjukkan kebesaran-Nya dan menyelamatkan kamu, supaya kami nampak kamu bersukacita.’ Tetapi mereka sendirilah yang akan dipermalukan. Dengarlah bunyi riuh-rendah di dalam kota. Suara dari Rumah TUHAN itu suara TUHAN yang sedang menghukum musuh-musuh-Nya. Kota suci-Ku seperti seorang perempuan yang tiba-tiba melahirkan anak tanpa merasai sakit. Pernahkah sesiapa melihat atau mendengar hal demikian? Pernahkah sesuatu bangsa dilahirkan dalam sehari? Sion tidak akan menderita lama lagi; bangsa itu akan segera dilahirkan. Jangan sangka Aku membenarkan umat-Ku dikandung sehingga cukup bulan, lalu tidak dibenarkan lahir.” TUHAN telah berfirman. Bersukacitalah bersama-sama Yerusalem, hai kamu yang mengasihi kota itu. Bersukacitalah bersama-sama Yerusalem sekarang, kamu semua yang menangisinya dahulu. Kamu akan menikmati kemakmurannya seperti bayi menikmati susu ibunya. TUHAN berfirman, “Aku akan memberi kamu kemakmuran yang berterusan. Kekayaan negeri-negeri lain akan mengalir ke negerimu seperti sungai yang tidak pernah kering. Kamu akan menjadi seperti anak yang disusui oleh ibunya, yang didukung dan dikasihi. Aku akan menghibur kamu di Yerusalem, seperti ibu menghibur anaknya. Apabila kamu melihat kejadian itu, kamu akan bersukacita. Kamu akan berkembang subur seperti rumput. Barulah kamu tahu bahawa Aku, TUHAN menolong orang yang taat kepada-Ku, dan Aku menunjukkan kemurkaan terhadap musuh-Ku.” TUHAN akan datang dengan api. Dia akan datang dengan mengenderai angin ribut untuk menghukum orang yang dimurkai-Nya. Dengan api dan pedang, Dia akan menghukum semua orang di dunia yang didapati-Nya bersalah; banyak orang akan dihukum mati. TUHAN berfirman, “Kesudahan orang yang menyucikan diri untuk menyembah berhala sudah dekat, iaitu mereka yang berarak ke taman-taman keramat, dan yang makan daging babi, daging tikus, serta pelbagai makanan yang najis. Aku mengetahui fikiran dan perbuatan mereka. Aku datang untuk mengumpulkan semua bangsa. Apabila mereka berkumpul, mereka akan melihat kuasa-Ku, dan sedar bahawa Akulah yang menghukum mereka. Tetapi Aku akan menyelamatkan sebahagian daripada mereka, dan mengirim mereka kepada bangsa-bangsa di negeri-negeri jauh, yang belum pernah mendengar tentang kemasyhuran-Ku, ataupun melihat kebesaran-Ku dan kuasa-Ku. Aku akan mengirim mereka ke Sepanyol, Libia dan Lidia dengan para pemanahnya yang cekap, dan juga ke Tubal dan Yunani. Mereka akan mengisytiharkan kebesaran-Ku antara bangsa-bangsa itu. Mereka akan membawa semua orang sesama bangsa kamu pulang dari negeri-negeri itu sebagai persembahan kepada-Ku. Mereka akan mengenderai kuda, baghal, unta, kereta kuda, dan pedati ke bukit-Ku yang suci di Yerusalem, seperti orang Israel membawa bijirin di dalam bekas yang bersih ke Rumah TUHAN untuk bersyukur kepada-Ku. Sebahagian daripada mereka akan Kujadikan imam dan orang Lewi. Seperti langit baru dan bumi baru akan kekal kerana kuasa-Ku, demikian juga keturunan kamu dan nama kamu akan kekal. Pada tiap-tiap perayaan Bulan Baru dan hari Sabat, orang dari semua negeri akan datang menyembah Aku di Yerusalem. Apabila mereka pulang, mereka akan nampak mayat-mayat orang yang memberontak terhadap Aku. Ulat yang memakan mayat mereka tidak akan mati, dan api yang membakar mereka tidak akan padam. Pemandangan itu sungguh mengerikan bagi semua manusia.” Kitab ini mengandungi kata-kata Yeremia anak Hilkia, salah seorang imam dari kota Anatot di wilayah Benyamin. TUHAN berfirman kepada Yeremia pada tahun ketiga belas pemerintahan Raja Yosia putera Raja Amon di Yehuda. Kemudian TUHAN berfirman lagi kepada Yeremia pada masa pemerintahan Raja Yoyakim putera Raja Yosia. Selepas itu, TUHAN berfirman kepada Yeremia beberapa kali sehingga tahun kesebelas pemerintahan Raja Zedekia putera Raja Yosia. Pada bulan kelima tahun itu juga penduduk Yerusalem dibuang negeri. TUHAN berfirman kepadaku, “Sebelum Aku membentuk engkau dalam rahim ibumu, dan sebelum engkau dilahirkan, aku sudah memilih dan melantik engkau menjadi nabi bagi bangsa-bangsa.” Aku menjawab, “Ya TUHAN Raja, aku tidak pandai bercakap kerana aku masih terlalu muda.” Tetapi TUHAN menjawab, “Jangan berkata bahawa engkau masih terlalu muda. Pergilah kepada orang yang Kusuruh engkau pergi, dan beritahulah mereka segala sesuatu yang Kuperintahkan kepadamu. Jangan takut terhadap mereka kerana Aku akan menyertai engkau untuk melindungimu. Aku, TUHAN telah berfirman!” Kemudian TUHAN menghulurkan tangan-Nya, menyentuh mulutku dan berfirman, “Dengarlah, Aku memberi engkau firman-Ku yang harus engkau ucapkan. Pada hari ini Aku memberi engkau kuasa atas bangsa dan kerajaan untuk mencabut dan menjatuhkannya, untuk membinasakan dan menggulingkannya, untuk membina dan menegakkannya.” TUHAN bertanya kepadaku, “Hai Yeremia, apakah yang engkau nampak?” Aku menjawab, “Sebatang dahan pokok badam.” TUHAN berfirman, “Benar. Aku sedang berjaga supaya semua yang Aku firmankan menjadi kenyataan.” TUHAN bertanya lagi kepadaku, “Apa lagi yang engkau nampak?” Aku menjawab, “Aku nampak sebuah periuk yang isinya sedang mendidih, di sebelah utara, dan periuk itu hampir terbalik ke arah sini.” TUHAN berfirman kepadaku, “Malapetaka akan melimpah dari utara dan menimpa semua penduduk negeri ini, kerana Aku akan memanggil semua bangsa di sebelah utara datang. Raja-raja mereka akan mendirikan takhta di pintu-pintu gerbang Yerusalem dan di sekeliling temboknya, dan juga di sekeliling kota-kota lain di Yehuda. Aku akan menghukum umat-Ku kerana mereka berdosa; mereka meninggalkan Aku dan mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain. Mereka juga membuat dan menyembah berhala-berhala. Bersiap-siaplah, hai Yeremia! Pergilah dan beritahulah mereka tentang semua yang Aku perintahkan kepadamu. Janganlah takut akan mereka, supaya Aku tidak menyebabkan engkau lebih takut lagi apabila engkau berhadapan dengan mereka kelak. [18-19] Dengarlah, hai Yeremia! Engkau akan ditentang oleh semua penduduk negeri ini, iaitu raja-raja Yehuda, para pegawai pemerintah, para imam, dan rakyat. Tetapi pada hari ini Aku memberi engkau kekuatan untuk menentang mereka. Engkau akan menjadi seperti kota berkubu, seperti tiang besi, dan seperti tembok gangsa. Mereka tidak akan mengalahkan engkau, kerana Aku menyertai engkau untuk melindungi engkau. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN menyuruh aku mengisytiharkan perkhabaran ini kepada semua orang di Yerusalem, “Hai Israel, Aku ingat betapa setianya engkau pada masa engkau masih muda, dan betapa besarnya cintamu kepada-Ku ketika engkau menjadi pengantin dahulu. Engkau mengikut Aku melalui gurun, melintasi tanah yang belum ditanami. Hai Israel, engkau milik-Ku sendiri, engkau milik-Ku yang khas. Aku mendatangkan penderitaan dan bencana kepada semua orang yang mencederakan engkau. Aku, TUHAN telah berfirman.” Dengarlah perkhabaran TUHAN, hai keturunan Yakub, suku-suku Israel. TUHAN berfirman, “Apakah tuduhan nenek moyang kamu terhadap Aku? Mengapa mereka berpaling daripada-Ku? Mereka menyembah berhala-berhala yang sia-sia, sehingga mereka sendiri menjadi tidak berguna. Mereka tidak mempedulikan Aku, walaupun Aku menyelamatkan mereka dari Mesir dan memimpin mereka melintasi gurun: tanah tandus dan bukit pasir, tanah kering dan berbahaya, tanah yang tidak didiami dan tidak dilalui orang. Aku membawa mereka ke tanah yang subur untuk menikmati hasilnya dan segala yang baik. Tetapi mereka merosakkan tanah-Ku; mereka menajiskan negeri yang Aku berikan kepada mereka. Para imam tidak bertanya, ‘Di manakah TUHAN?’ Para imam-Ku pun tidak tahu siapa Aku. Para penguasa memberontak terhadap Aku; para nabi berucap demi nama Baal dan menyembah berhala yang sia-sia.” TUHAN berfirman, “Oleh itu Aku akan membentangkan perkara-Ku lagi terhadap umat-Ku. Aku akan mengemukakan tuduhan terhadap keturunan mereka. Pergilah ke pulau Siprus di sebelah barat, suruhlah orang pergi ke timur, ke tanah Kedar. Engkau akan melihat bahawa hal seperti ini tidak pernah berlaku. Tiada bangsa mana pun yang pernah menggantikan tuhannya, walaupun tuhan-tuhan itu bukan Allah sebenarnya. Tetapi umat-Ku telah menggantikan Aku, Allah yang telah memberikan mereka kedudukan yang mulia, dengan sesuatu yang tidak dapat melakukan apa-apa. Oleh itu Aku memerintahkan langit bergoncang kerana ngeri, hairan dan terperanjat, kerana umat-Ku telah melakukan dua dosa: mereka meninggalkan Aku, sumber air pemberi hidup kepada manusia, dan mereka menggali kolam yang bocor dan tidak dapat menampung air.” “Israel bukan hamba; dia tidak dilahirkan sebagai hamba. Tetapi mengapa dia diburu oleh musuhnya? Musuhnya mengaum seperti singa terhadapnya, dan menjadikan tanahnya tandus dan sunyi; kota-kotanya tinggal runtuhan, dan tidak berpenghuni. Orang Memfis dan Tahpanhes telah meremukkan tengkoraknya. Hai Israel, engkau sendiri menyebabkan hal ini berlaku kepadamu. Engkau meninggalkan Aku, TUHAN Allahmu, semasa Aku memimpin engkau dalam perjalananmu. Apakah keuntungannya engkau pergi ke Mesir dan meminum air Sungai Nil? Apakah keuntungannya engkau pergi ke Asyur dan meminum air Sungai Efrat? Kejahatanmu sendiri akan menghukum dirimu; engkau terseksa kerana meninggalkan Aku. Engkau akan insaf betapa pahitnya dan salahnya meninggalkan Aku, TUHAN, Allahmu, dan tidak lagi setia kepada-Ku. Aku, TUHAN Raja Yang Maha Kuasa telah berfirman.” TUHAN Raja berfirman, “Hai Israel, dari dahulu engkau tidak mahu mengabdi kepada-Ku; engkau tidak mahu mentaati Aku ataupun menyembah Aku. Di atas setiap bukit yang tinggi dan di bawah setiap pokok hijau, engkau menyembah dewa-dewa kesuburan. Aku menanam engkau seperti pokok anggur pilihan daripada benih yang terbaik. Tetapi lihatlah, engkau sudah berubah! Engkau menjadi seperti pokok anggur liar yang tidak berguna. Walaupun engkau mandi dengan menggunakan banyak sabun yang kuat, namun Aku masih nampak noda kesalahanmu. Bagaimanakah engkau dapat berkata bahawa engkau tidak menajiskan dirimu, dan bahawa engkau tidak pernah menyembah Baal? Lihatlah perbuatanmu di lembah; engkau telah berdosa di sana. Engkau umpama unta liar yang berahi, yang berlari kian ke mari, tidak terkendali, lalu berlari ke gurun yang sunyi. Unta betina tidak dapat dikawal ketika sedang berahi. Unta jantan yang mengingininya tidak perlu mencari-cari; pada musim mengawan unta betina selalu ditemui. Hai Israel, jangan mengejar dewa-dewa, nanti kakimu cedera, dan kerongkongmu kering. Tetapi engkau berkata, ‘Tidak, aku tidak dapat kembali. Aku mencintai dewa-dewa dan aku mahu mengikuti dewa-dewa itu.’ ” TUHAN berfirman, “Sebagaimana pencuri dipermalukan ketika tertangkap, demikian juga semua orang Israel akan dipermalukan, termasuk raja-raja dan para pegawai kamu, para imam dan nabi kamu. Kamu semua akan dipermalukan. Kamu yang menyebut sebatang pokok sebagai bapa kamu dan sebuah bukit batu sebagai ibu kamu. Hal ini akan berlaku kerana kamu meninggalkan Aku dan tidak datang kepada-Ku. Tetapi apabila kamu dalam kesusahan, kamu memanggil Aku untuk datang menyelamatkan kamu. Di manakah patung-patung dewa yang kamu buat itu? Apabila kamu dalam kesusahan, mintalah dewa-dewa itu menyelamatkan kamu, jika dewa-dewa itu benar-benar sanggup! Hai Yehuda, dewa kamu sebanyak kota kamu! Apakah sungutan kamu? Mengapakah kamu melawan Aku? Sia-sia sahaja Aku menghukum kamu, kerana kamu tidak mahu menerima pengajaran-Ku. Seperti singa yang sedang mengamuk, demikianlah kamu membunuh para nabi kamu. Hai umat Israel, dengarlah akan firman-Ku ini. Pernahkah Aku seperti gurun bagi kamu atau seperti tanah yang gelap dan berbahaya? Tetapi mengapakah kamu berkata bahawa kamu mahu ikut kehendak sendiri, dan tidak mahu kembali kepada-Ku lagi? Adakah gadis yang lupa akan perhiasannya, atau pengantin perempuan yang lupa akan baju pengantinnya? Tetapi umat-Ku telah lupa akan Aku lama sekali - jumlah harinya tidak terhitung lagi. Kamu sangat pandai mencari jalan untuk memikat hati kekasih. Perempuan yang paling jahat pun masih dapat belajar kejahatan daripada kamu! Pakaian kamu dinodai darah orang miskin dan orang yang tidak bersalah, bukan darah pencuri yang tertangkap. Namun demikian, kamu masih berkata, ‘Aku tidak bersalah; tentu TUHAN tidak murka lagi kepadaku.’ Tetapi Aku, TUHAN akan menghukum kamu kerana kamu tidak mahu mengakui dosa kamu. Kamu telah merendahkan harga diri kerana pergi kepada dewa-dewa bangsa lain. Kamu akan dikecewakan oleh Mesir, sebagaimana kamu dikecewakan oleh Asyur. Kamu akan meninggalkan Mesir dengan kepala tertunduk kerana kecewa dan malu. Aku, TUHAN, telah menolak mereka yang kamu harapkan; kamu tidak akan mendapat keuntungan apa-apa daripada mereka.” TUHAN berfirman, “Apabila seorang suami menceraikan isterinya, lalu perempuan itu menjadi isteri orang lain, maka bekas suaminya tidak boleh mengambil dia kembali sebagai isteri, kerana perbuatan itu akan menajiskan seluruh negeri ini. Engkau Israel, sudah mempunyai banyak sekali kekasih, dan sekarang engkau mahu kembali kepada-Ku pula! Cuba tengok ke atas, ke puncak-puncak bukit! Tempat manakah yang belum pernah kaudatangi untuk melacurkan diri? Engkau duduk di pinggir jalan menantikan orang yang mahu berasmara; engkau bagaikan orang Arab yang mengadang mangsa di gurun. Engkau menajiskan negeri ini dengan perzinaan dan kejahatanmu. Itulah sebabnya hujan tidak turun, dan hujan pada musim bunga tidak datang. Engkau mirip pelacur; engkau tidak tahu malu. Tetapi sekarang engkau berkata kepada-Ku, ‘Engkaulah bapaku. Engkau mengasihi aku sejak aku kecil. Engkau tidak akan terus-menerus murka kepadaku; Engkau tidak akan marah kepadaku selama-lamanya.’ Hai Israel, itulah yang engkau katakan tetapi engkau juga melakukan segala kejahatan itu.” Pada masa pemerintahan Raja Yosia, TUHAN berfirman kepadaku, “Sudahkah engkau nampak perbuatan Israel, perempuan yang tidak setia itu? Dia meninggalkan Aku dan melacurkan diri di atas setiap bukit tinggi dan di bawah setiap pokok hijau. Aku berfikir bahawa selepas dia melakukan semua itu, dia akan kembali kepada-Ku. Tetapi dia tidak kembali, dan Yehuda, saudaranya yang tidak setia, nampak semua perbuatannya itu. Yehuda juga nampak bahawa Aku menceraikan Israel dan menghalaunya, kerana dia telah meninggalkan Aku dan menjadi pelacur. Tetapi Yehuda yang tidak setia, saudara Israel itu, tidak takut. Malah Yehuda ikut menjadi pelacur dan sama sekali tidak berasa malu. Dia menajiskan negeri dan dia berzina kerana memuja batu dan pokok kayu. Setelah melakukan semua itu, Yehuda yang tidak setia itu berpura-pura kembali kepada-Ku, kerana hatinya tidak ikhlas. Aku, TUHAN, telah berfirman.” Kemudian TUHAN memberitahu aku bahawa walaupun Israel telah meninggalkan Dia, ternyata Israel lebih baik daripada Yehuda yang tidak setia itu. TUHAN menyuruh aku pergi menyampaikan perkara ini kepada Israel, “Hai Israel yang tidak setia, kembalilah kepada-Ku. Aku penuh belas kasihan dan tidak murka; Aku tidak akan murka kepadamu selama-lamanya. Hanya mengakulah bahawa engkau bersalah dan telah memberontak terhadap TUHAN, Allahmu. Mengakulah bahawa di bawah setiap pokok hijau engkau telah mencurahkan cintamu kepada tuhan-tuhan bangsa lain, dan tidak mentaati perintah-Ku. Aku, TUHAN telah berfirman. Hai umat yang tidak setia, kembalilah kepada-Ku; kamu milik-Ku. Aku akan mengambil kamu, seorang dari setiap kota, dan dua orang daripada setiap puak, lalu Aku akan membawa kamu kembali ke Bukit Sion. Aku akan memberi kamu pemimpin-pemimpin yang taat kepada-Ku. Mereka akan memimpin kamu dengan kebijaksanaan dan pengertian. Kemudian apabila kamu telah bertambah banyak di negeri ini, orang tidak akan bercakap tentang Tabut Perjanjian-Ku lagi. Mereka tidak akan memikirkan atau mengingatnya lagi; malah mereka tidak akan memerlukannya atau membuat Tabut Perjanjian yang lain. Pada masa itu kota Yerusalem akan disebut ‘Takhta TUHAN’, dan semua bangsa akan berkumpul di kota itu untuk menyembah Aku. Mereka tidak akan lagi mengikut kemahuan hati mereka yang degil dan jahat itu. Israel akan bergabung dengan Yehuda, lalu bersama-sama datang dari negeri pembuangan di sebelah utara. Mereka akan kembali ke negeri yang telah Kuberikan sebagai tanah pusaka kepada nenek moyang kamu.” TUHAN berfirman, “Hai Israel, Aku ingin menerima engkau sebagai anak-Ku, dan memberi engkau negeri yang menyenangkan hati, negeri yang terbaik di seluruh dunia. Aku ingin engkau memanggil Aku ‘Bapaku’, dan tidak sekali-kali berpaling daripada-Ku lagi. Tetapi seperti isteri yang tidak setia, engkau pun tidak setia kepada-Ku. Aku, TUHAN telah berfirman.” Suara terdengar di atas puncak-puncak bukit; suara umat Israel yang menangis dan merayu, kerana mereka telah berdosa, dan lupa akan TUHAN, Allah mereka. Kembalilah, kamu semua yang telah meninggalkan TUHAN; Dia akan menyembuhkan kamu dan menjadikan kamu setia. Kamu berkata, “Sekarang kami datang kepada TUHAN kerana Dia Allah kami. Sia-sia sahaja kami menyembah berhala di atas puncak-puncak bukit! Pertolongan untuk Israel hanya datang daripada TUHAN, Allah kami. Tetapi penyembahan kepada Baal, berhala yang memalukan itu, telah menyebabkan kami kehilangan anak-anak, baik lelaki mahupun perempuan, serta ternakan lembu dan domba, iaitu segala sesuatu yang telah diusahakan oleh nenek moyang kami sejak dahulu kala. Oleh itu, biarlah kami menanggung malu dan biarlah kami menjadi hina. Kami dan nenek moyang kami selalu berdosa terhadap TUHAN, Allah kami; kami tidak pernah taat kepada perintah-Nya.” TUHAN berfirman, “Umat Israel, jika kamu mahu kembali, maka kembalilah kepada-Ku. Jika kamu setia kepada-Ku dan membuang berhala yang Aku benci, kamu boleh bersumpah demi nama-Ku. Kemudian semua bangsa akan meminta Aku memberkati mereka, dan mereka akan memuji Aku.” TUHAN berfirman kepada penduduk Yehuda dan Yerusalem, “Bajaklah tanah kamu yang belum dibajak; jangan tabur benih antara tumbuhan berduri. Peganglah perjanjian kamu dengan Aku, TUHAN kamu; khaskanlah diri kamu untuk Aku, hai penduduk Yehuda dan Yerusalem. Jika tidak, kemurkaan-Ku akan membakar seperti api yang tidak dapat dipadamkan oleh sesiapa pun, kerana segala perbuatan kamu yang jahat!” Tiuplah trompet di seluruh negeri! Berserulah dengan lantang dan jelas. Suruhlah penduduk Yehuda dan Yerusalem lari ke kota-kota berkubu. Tunjukkanlah jalan ke Sion! Cepatlah menyelamatkan diri! Jangan berlengah-lengah! TUHAN sedang mendatangkan malapetaka dan kehancuran besar dari utara. Seperti singa keluar dari persembunyiannya, begitulah pemusnah bangsa-bangsa telah berangkat. Dia datang untuk membinasakan Yehuda. Kota-kota Yehuda akan menjadi reruntuhan, dan tidak akan didiami orang. Oleh itu menangislah dan merataplah, pakailah kain guni tanda berduka, kerana kemurkaan TUHAN yang menyala-nyala belum reda terhadap Yehuda. TUHAN berfirman, “Pada hari itu raja-raja dan para pegawai akan patah semangat; imam-imam akan terperanjat, dan nabi-nabi terkejut.” Kemudian aku berkata, “Ya TUHAN Raja, Engkau betul-betul telah menipu penduduk Yerusalem! Engkau berfirman bahawa akan ada kedamaian, tetapi sekarang nyawa mereka terancam.” Masanya akan tiba apabila penduduk Yerusalem diberitahu bahawa angin panas dari gurun sedang bertiup ke arah mereka. Angin itu bukan angin yang hanya menerbangkan sekam, melainkan angin kuat yang datang atas perintah TUHAN. TUHAN sendirilah yang menjatuhkan hukuman terhadap umat-Nya. Lihatlah musuh muncul seperti awan. Kereta kudanya seperti puting beliung, dan kudanya lebih pantas daripada burung helang. Kita ditimpa malang! Kita binasa! Hai Yerusalem, bersihkanlah hatimu daripada segala kejahatan supaya engkau diselamatkan. Sampai bilakah engkau memikirkan perkara jahat? Para utusan dari kota Dan serta perbukitan Efraim datang untuk mengumumkan berita buruk. Mereka memberikan amaran kepada bangsa-bangsa dan memberitahu penduduk Yerusalem bahawa musuh sedang datang dari negeri yang jauh. Musuh akan memekik untuk menentang kota-kota Yehuda dan mengepung Yerusalem seperti orang mengawal ladang. Semua perkara itu berlaku kerana penduduk Yehuda telah memberontak terhadap TUHAN. TUHAN telah berfirman. Hai Yehuda, engkau sendiri telah mendatangkan bencana itu kepada dirimu. Cara hidup dan perbuatanmu yang berdosa telah menyebabkan semua penderitaan itu, dan menusuk hatimu. Alangkah pedihnya hatiku. Aku tidak tahan lagi menderita. Hatiku berdebar-debar, aku tidak dapat bertenang. Oleh sebab aku mendengar bunyi trompet, dan pekik peperangan. Bencana demi bencana menimpa, seluruh negeri hancur musnah. Tiba-tiba khemah kami dirosakkan, kain-kainnya dikoyakkan. Sampai bilakah aku harus menyaksikan kesengitan peperangan, dan mendengar bunyi trompet yang memekakkan? TUHAN berfirman, “Umat-Ku bodoh; mereka tidak mengenal Aku. Mereka seperti anak-anak bodoh, mereka tidak mempunyai pengertian. Mereka mahir melakukan kejahatan, tetapi gagal melakukan kebaikan.” Aku memandang bumi - nampaknya kosong dan gersang. Aku menengadah ke langit - tidak ada yang terang. Aku memandang gunung-gunung - semuanya bergoncang, dan bukit-bukit bergoyang. Aku tidak nampak manusia; burung pun sudah terbang semua. Tanah subur sudah menjadi gurun; kota-kotanya tinggal reruntuhan, kerana TUHAN sangat murka. ( TUHAN berfirman bahawa seluruh bumi akan menjadi gurun, tetapi Dia tidak akan memusnahkannya sama sekali.) Bumi akan meratap; langit akan menjadi gelap. TUHAN telah berfirman dan tidak akan mengubah rancangan. Dia telah mengambil keputusan dan tidak akan mengubah pendirian. Hiruk-pikuk pasukan berkuda dan pemanah, menyebabkan orang melarikan diri dari semua kota. Sesetengah orang lari ke hutan, yang lain memanjat bukit batu. Semua kota akan ditinggalkan, tiada orang yang mahu tinggal di situ. Hai Yerusalem, engkau ditimpa bencana! Mengapa engkau memakai baju merah? Mengapa engkau menghias diri dengan barang kemas, serta menyolek mata dengan celak? Sia-sialah engkau mencantikkan dirimu! Semua bekas kekasihmu menghina engkau, malah mereka mahu mencabut nyawamu. Aku mendengar suara rintihan seperti wanita sedang bersalin; seperti teriakan wanita yang melahirkan anak pertama. Begitulah tangisan Yerusalem yang terengah-engah, serta menghulurkan tangan dan berkata, “Malanglah aku! Mereka datang membunuh aku!” Hai penduduk Yerusalem, susurilah jalan-jalan di kota kamu! Lihatlah di sekeliling kamu! Lihatlah sendiri! Carilah di pasar-pasar! Adakah kamu menjumpai satu orang yang berlaku jujur dan yang berusaha supaya setia kepada Allah? Jika ada, TUHAN akan mengampuni Yerusalem. Walaupun kamu berkata bahawa kamu menyembah TUHAN, kamu tidak bermaksud demikian. Sesungguhnya TUHAN menuntut kesetiaan. Dia memukul kamu, tetapi kamu tidak mengambil perhatian. Dia meremukkan kamu, tetapi kamu tidak mahu menerima pengajaran. Kamu degil dan tidak mahu bertaubat daripada dosa. Kemudian aku berfikir, “Mereka hanya rakyat jelata yang tidak tahu apa-apa. Mereka bertindak bodoh; mereka tidak tahu akan tuntutan Allah mereka, dan kehendak TUHAN bagi mereka. Aku akan pergi kepada para pembesar dan bercakap dengan mereka. Tentu mereka mengetahui tuntutan Allah mereka, dan suruhan TUHAN mereka.” Tetapi mereka semua menolak kekuasaan TUHAN dan tidak mahu mentaati Dia. Itulah sebabnya mereka akan dibunuh oleh singa dari hutan; mereka akan dicabik-cabik oleh serigala dari gurun, dan harimau bintang akan berkeliaran di kota-kota mereka. Jika orang keluar, mereka akan dicabik-cabik, kerana dosa mereka terlalu banyak; mereka telah berkali-kali meninggalkan Allah. TUHAN berfirman, “Mengapakah Aku harus mengampunkan dosa umat-Ku? Mereka telah meninggalkan Aku dan menyembah tuhan-tuhan yang palsu. Aku memberi umat-Ku makanan sampai mereka kenyang, tetapi mereka berzina dan pergi ke rumah pelacur. Mereka seperti kuda jantan yang gemuk dan kuat nafsu berahi; masing-masing mengingini isteri orang lain. Tidak patutkah Aku menghukum bangsa seperti itu dan membalas perbuatan mereka itu? Aku akan menghantar musuh untuk merosakkan ladang anggur umat-Ku, tetapi bukan untuk memusnahkannya sama sekali. Aku akan menyuruh musuh memangkas ranting pokok anggur, kerana ranting-ranting itu bukan milik-Ku. Penduduk Israel dan Yehuda telah betul-betul mengkhianati Aku. Aku, TUHAN telah berfirman.” Umat TUHAN mengatakan perkara yang tidak benar tentang TUHAN. Mereka berkata, “Dia tidak akan berbuat apa-apa. Kita tidak akan ditimpa bencana; kita tidak akan mengalami peperangan atau kebuluran.” [13-14] Mereka berkata bahawa nabi-nabi itu bercakap angin sahaja kerana mereka tidak mempunyai perkhabaran daripada TUHAN. TUHAN Allah Yang Maha Kuasa berfirman kepadaku, “Hai Yeremia, oleh sebab semua orang ini berkata begitu, Aku akan menjadikan firman-Ku seperti api di dalam mulutmu. Bangsa ini akan menjadi seperti kayu, dan api itu akan membakar mereka.” *** Hai umat Israel, TUHAN sedang mendatangkan suatu bangsa dari negeri jauh untuk menyerang kamu. Bangsa itu sangat kuat dan sudah ada sejak dahulu kala. Kamu tidak memahami bahasa mereka. Para pemanah mereka askar yang gagah berani; mereka membunuh tanpa belas kasihan. Mereka akan menghabiskan hasil tanah dan makanan kamu; mereka akan membunuh anak-anak kamu, baik lelaki mahupun perempuan. Mereka akan menyembelih ternakan lembu dan domba kamu; mereka akan memusnahkan pokok anggur dan pokok ara kamu. Kota-kota berkubu yang kamu harapkan akan dihancurkan oleh tentera mereka. TUHAN berfirman, “Tetapi pada masa itu pun Aku tidak akan memusnahkan umat-Ku sama sekali. Apabila mereka bertanya sebabnya Aku melakukan semua itu, katakanlah hai Yeremia, bahawa sebagaimana mereka meninggalkan Aku di negeri mereka sendiri lalu mengabdikan diri kepada dewa-dewa bangsa lain, begitu juga mereka akan mengabdikan diri kepada bangsa asing di tanah yang bukan negeri mereka.” TUHAN berfirman, “Beritahulah keturunan Yakub yang tinggal di Yehuda: Dengarlah, hai kamu orang bodoh dan tolol! Kamu mempunyai mata tetapi tidak melihat; mempunyai telinga tetapi tidak mendengar! Akulah TUHAN; mengapa kamu tidak takut akan Aku? Mengapa kamu tidak gementar di hadirat-Ku? Aku menjadikan pantai sebagai perbatasan laut yang tidak dapat dilampaui selama-lamanya. Laut dapat bergelora dan gelombang dapat mengamuk, tetapi tidak dapat melintasi perbatasan itu. Tetapi kamu degil dan suka melawan; kamu telah menyeleweng dan meninggalkan Aku. Kamu tidak pernah ingat untuk menghormati Aku, padahal Akulah yang mengirim hujan pada musim luruh dan pada musim bunga. Aku juga yang memberi kamu musim menuai setiap tahun. Tetapi dosa kamu telah menghalang semua perkara baik itu sehingga kamu tidak dapat menikmatinya. Orang jahat tinggal di kalangan umat-Ku. Mereka seperti orang yang menunggui jerat yang dipasang untuk menangkap burung, kerana mereka memasang perangkap untuk menangkap manusia. Mereka seperti pemburu burung yang mengisi sangkar dengan burung, kerana mereka mengisi rumah dengan barang-barang yang diperoleh dengan penipuan. Demikianlah mereka menjadi berkuasa dan kaya, serta gemuk dan makmur. Kejahatan mereka tiada batasnya. Mereka tidak membela hak anak yatim piatu, dan tidak berlaku adil terhadap orang yang tertindas. Tetapi Aku, TUHAN akan menghukum mereka kerana semua perkara itu; Aku akan membalas perbuatan bangsa ini. Suatu perkara yang dahsyat dan ngeri telah berlaku di negeri ini: semua yang dikatakan oleh nabi-nabi dusta belaka; imam-imam memerintah mengikut arahan para nabi itu, dan umat-Ku suka akan perkara itu. Tetapi apakah yang dilakukan mereka pada akhirnya?” Hai orang Benyamin, larilah untuk menyelamatkan diri! Tinggalkanlah Yerusalem! Bunyikan trompet di Tekoa dan nyalakan api isyarat di Bet-Kerem! Bencana dan malapetaka hampir tiba dari utara. Kota Sion indah sekali, tetapi kota itu akan dimusnahkan; raja-raja dengan tentera mereka akan berkhemah di sana. Mereka akan memasang perkhemahan di sekeliling kota itu, masing-masing di tempat yang disukai. Mereka akan berkata, “Bersiaplah untuk menyerang Yerusalem! Bersiaplah! Kita akan menyerbunya pada waktu tengah hari!” Tetapi kemudian mereka akan berkata, “Sudah terlambat! Hari sudah mulai gelap, bayang-bayang sudah mula memanjang. Kita akan menyerbu pada waktu malam, dan menghancurkan kubu-kubu kota itu.” TUHAN Yang Maha Kuasa telah memerintah raja-raja itu untuk menebang pokok dan membuat tambak untuk mengepung Yerusalem. TUHAN berfirman, “Aku akan menghukum kota ini kerana banyak sekali penindasan berlaku di situ. Sebagaimana mata air tetap mengeluarkan air, begitu pula kota itu tetap menghasilkan kejahatan. Aku mendengar tentang keganasan dan kemusnahan di kota itu; Aku nampak penyakit dan luka di situ. Hai penduduk Yerusalem, biarlah kesusahan itu menjadi amaran bagi kamu! Jika kamu tidak mengendahkan amaran itu, Aku akan meninggalkan kamu; Aku akan mengubah kota kamu menjadi gurun yang tidak didiami orang.” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepadaku, “Israel akan disapu habis seperti ladang anggur yang buah anggurnya telah dipetik semua. Oleh itu, sementara masih ada masa, selamatkanlah orang yang masih hidup.” Aku menjawab, “Siapakah yang akan mendengar aku jika aku memberikan amaran kepada mereka? Mereka degil dan tidak mahu mendengar perkhabaran-Mu; mereka mentertawakan perkhabaran-Mu yang kusampaikan. Kemurkaan-Mu terhadap mereka juga membara dalam diriku, ya TUHAN! Aku tidak dapat menahannya lagi.” Kemudian TUHAN berfirman, “Lampiaskanlah kemurkaan-Ku terhadap anak-anak di jalan-jalan raya dan kepada orang muda yang sedang berkumpul. Suami isteri akan ditangkap, dan orang yang sudah lanjut usia pun akan ditangkap. Rumah mereka akan diberikan kepada orang lain, begitu juga ladang dan isteri mereka. Aku akan menghukum penduduk negeri ini. Semua orang yang besar mahupun yang kecil, mencari keuntungan dengan cara yang tidak jujur. Bahkan nabi dan imam pun menipu orang. Mereka menganggap luka-luka umat-Ku sebagai luka kecil sahaja. Mereka berkata, ‘Semuanya baik dan aman.’ Tetapi sebenarnya sama sekali tidak baik dan tidak aman. Adakah mereka malu kerana melakukan semua perbuatan yang keji itu? Tidak, mereka sama sekali tidak tahu malu; mereka sudah tebal muka. Oleh sebab itu mereka akan jatuh seperti orang lain; riwayat mereka akan tamat apabila Aku menghukum mereka. Aku, TUHAN telah berfirman.” TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Berdirilah di persimpangan jalan dan perhatikanlah baik-baik! Tanyakanlah jalan-jalan purba, dan yang manakah jalan terbaik. Kemudian ikutilah jalan itu, maka kamu akan hidup dengan tenteram.” Tetapi mereka berkata, “Tidak, kami tidak mahu mengikuti jalan itu!” Kemudian TUHAN melantik penjaga-penjaga untuk mendengarkan bunyi isyarat trompet. Tetapi mereka berkata, “Kami tidak mahu mendengarkan.” Oleh itu TUHAN berfirman, “Dengarlah hai bangsa-bangsa! Kamu harus tahu apa yang akan berlaku terhadap umat-Ku. Dengarlah, hai bumi! Umat-Ku tidak mahu menerima ajaran-Ku dan tidak taat kepada-Ku. Oleh itu, Aku mendatangkan malapetaka kepada mereka sebagai hukuman terhadap segala rancangan mereka. Apakah gunanya kemenyan dari Syeba yang dibawa mereka kepada-Ku, atau rempah-rempah dari negeri jauh? Aku tidak mahu menerima persembahan mereka. Aku tidak suka akan korban-korban mereka. Oleh itu, Aku akan menyebabkan mereka tersandung dan jatuh. Bapa dan anak, kawan dan jiran akan mati.” TUHAN berfirman, “Orang akan datang dari suatu negeri di utara; suatu bangsa yang kuat di negeri jauh sedang bersiap untuk berperang. Mereka bersenjatakan panah dan pedang; mereka bengis dan tidak kenal ampun. Bunyi derap kuda mereka yang sedang dipacu bagaikan bunyi laut yang bergelora. Mereka sudah bersiap untuk menyerang Yerusalem.” Penduduk Yerusalem berkata, “Kami telah mendengar berita itu dan kami patah semangat. Kami dicekam perasaan takut dan kesakitan seperti wanita yang bersalin. Kami tidak berani berjalan di jalan raya atau pergi ke ladang, kerana di mana-mana musuh yang bersenjata menimbulkan ketakutan.” TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Pakailah kain guni dan berguling-gulinglah dalam abu. Berkabunglah dan merataplah dengan pedih seperti orang meratapi kematian anak lelaki yang tunggal, kerana pembinasa akan menyerang kamu dengan tiba-tiba.” Kemudian TUHAN berfirman kepada Yeremia, “Ujilah umat-Ku, seperti engkau menguji logam. Selidikilah kelakuan mereka! Mereka semua pemberontak yang keras kepala, sekeras gangsa dan besi. Mereka berkelakuan buruk dan berjalan ke mana-mana untuk menyebarkan berita yang menjahatkan orang lain. Peleburan sudah sangat panas, tetapi kotoran logam tidak juga menjadi cair dan hilang. Sia-sia sahaja umat-Ku terus-menerus diuji untuk dimurnikan, kerana mereka yang jahat tidak disingkirkan. Mereka akan dinamakan tahi leburan yang tidak berguna, kerana Aku, TUHAN, telah membuang mereka.” [1-3] TUHAN menyuruh aku pergi ke Rumah TUHAN dan berdiri di pintu gerbang yang dilalui penduduk Yehuda ketika mereka datang untuk beribadat. Dia menyuruh aku mengumumkan firman TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, kepada mereka, “Ubahlah kelakuan dan cara hidup kamu, maka Aku akan membenarkan kamu tetap tinggal di sini. *** *** Jangan percaya kepada kata-kata dusta ini, ‘Kita aman, kerana ini Rumah TUHAN. Sungguh ini Rumah TUHAN! Memang ini Rumah TUHAN!’ Ubahlah cara hidup dan kelakuan kamu. Berlakulah adil terhadap satu sama lain. Jangan tindas bangsa asing, anak yatim piatu dan balu. Jangan bunuh orang yang tidak bersalah di negeri ini. Jangan sembah tuhan-tuhan lain, kerana perbuatan itu akan membinasakan kamu. Jika kamu mengubah cara hidup dan kelakuan kamu serta berhenti melakukan semua itu, Aku akan membenarkan kamu tetap tinggal di negeri ini yang telah Kuberikan kepada nenek moyang kamu sebagai tanah pusaka. Kamu percaya kepada kata-kata dusta. Kamu mencuri, membunuh, berzina, memberi kesaksian dusta, mempersembahkan korban kepada Baal, dan menyembah dewa-dewa yang tidak pernah kamu kenal. Selepas kamu lakukan semua itu, kamu datang menghadap Aku di Rumah-Ku sendiri, lalu berkata, ‘Kami aman!’ Kemudian kamu meneruskan perbuatan kamu yang keji itu. Adakah kamu menyangka bahawa Rumah-Ku ini tempat persembunyian perompak? Aku telah nampak semua perbuatan kamu itu. Pergilah ke Silo, kota yang mula-mula Kupilih sebagai tempat orang beribadat kepada-Ku. Lihatlah apa yang telah Kulakukan terhadap tempat itu kerana dosa umat-Ku Israel. Kamu melakukan semua dosa itu; sekalipun Aku berfirman kepada kamu berkali-kali, kamu tidak mahu mendengar. Kamu tidak mahu menyahut ketika Aku memanggil kamu. Oleh itu, apa yang Kulakukan terhadap Silo akan Kulakukan terhadap Rumah-Ku ini, tempat yang kamu harapkan. Tempat yang Kuberikan kepada nenek moyang kamu dan kepada kamu ini akan Kuperlakukan seperti Silo. Aku akan mengusir kamu dari hadirat-Ku seperti Aku mengusir sanak keluarga kamu, orang Israel. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman, “Hai Yeremia, jangan doakan umat ini. Jangan berseru minta tolong atau berdoa untuk mereka; jangan merayu kepada-Ku, kerana Aku tidak mahu mendengarkan engkau. Engkau sendiri nampak perbuatan mereka di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan di Yerusalem! Anak-anak mengumpulkan kayu api, orang lelaki menyalakan api, dan orang perempuan mencampur adunan untuk membuat kuih bagi dewi yang dinamakan mereka sebagai Ratu Syurga. Mereka juga mempersembahkan wain kepada tuhan-tuhan lain untuk menyakiti hati-Ku. Tetapi sesungguhnya, bukan Aku yang disakiti mereka, melainkan diri mereka sendiri sehingga mereka dipermalukan. Oleh itu Aku, TUHAN Raja akan menimpakan kemurkaan-Ku yang menyala-nyala, terhadap Rumah TUHAN, terhadap manusia dan binatang, dan juga terhadap pokok serta hasil bumi. Kemurkaan-Ku akan menyala seperti api yang tidak dapat dipadamkan. Hai umat-Ku, kamu tahu bahawa ada beberapa korban yang kamu bakar di atas mazbah harus dibakar sampai habis, dan ada juga korban lain yang boleh kamu makan. Tetapi Aku, TUHAN berfirman, lebih baik kamu makan semuanya! Ketika Aku membawa nenek moyang kamu keluar dari Mesir, Aku tidak memberi mereka peraturan tentang korban untuk menyenangkan hati-Ku atau tentang korban-korban lain untuk Aku. Aku hanya memerintahkan mereka untuk mentaati Aku supaya Aku menjadi Allah mereka, dan mereka menjadi umat-Ku. Aku menyuruh mereka hidup menurut perintah-Ku supaya mereka bahagia. Tetapi mereka tidak mahu mendengarkannya dan tidak mahu memperhatikannya. Malah mereka menuruti kehendak hati mereka yang keras dan jahat. Oleh itu mereka menjadi semakin jahat dan tidak menjadi lebih baik. Sejak nenek moyang kamu keluar dari Mesir sampai hari ini, Aku sentiasa mengutus hamba-hamba-Ku, para nabi, kepada kamu. Tetapi tiada sesiapa pun yang mendengarkan atau memperhatikan mereka. Malah kamu menjadi lebih degil dan lebih suka memberontak daripada nenek moyang kamu. Oleh sebab itu, hai Yeremia, sekalipun engkau menyampaikan semua firman ini kepada umat-Ku, mereka tidak akan mendengarkan engkau. Walaupun engkau memanggil mereka, mereka tidak akan menyahut. Engkau akan memberitahu mereka bahawa mereka ialah suatu bangsa yang tidak mahu mentaati Aku, TUHAN Allah mereka, dan mereka tidak mahu belajar daripada hukuman yang telah dijatuhkan kepada mereka. Kesetiaan mereka kepada-Ku sudah lenyap, malah tidak diceritakan lagi.” TUHAN berfirman, “Hai penduduk Yerusalem, merataplah; potonglah dan buanglah rambut kamu. Nyanyikanlah lagu perkabungan di atas puncak perbukitan, kerana Aku, TUHAN sedang murka dan telah menolak kamu semua. Penduduk Yehuda telah melakukan kejahatan. Mereka telah meletakkan berhala-berhala mereka yang Kubenci itu di dalam Rumah TUHAN, sehingga menajiskannya. Mereka telah mendirikan sebuah mazbah yang bernama Tofet di Lembah Hinom. Di atas mazbah itu mereka membakar anak-anak mereka, lelaki dan perempuan, sebagai korban. Padahal Aku tidak pernah menyuruh mereka melakukan perkara itu, bahkan tidak pernah hal seperti itu timbul di dalam fikiran-Ku. Oleh itu, akan tiba masanya tempat itu tidak lagi disebut Tofet atau Lembah Hinom, melainkan Lembah Pembantaian. Mereka akan menguburkan mayat di situ kerana tiada lagi tempat lain. Mayat akan menjadi makanan burung dan binatang buas dan tiada lagi orang yang menghalaunya. Negeri ini akan menjadi tandus. Suara kegembiraan dan kesukaan, serta keriangan pesta perkahwinan di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem akan Kuhentikan. Pada masa itu tulang-tulang para raja dan pegawai pemerintah di Yehuda, dan juga tulang-tulang para imam, nabi, serta penduduk Yerusalem yang lain akan dikeluarkan dari kubur. Tujuannya bukan untuk dikumpulkan dan dikuburkan lagi, melainkan untuk dibiarkan di tanah sebagai baja. Tulang-tulang mereka akan bertaburan di bawah sinaran matahari, bulan, dan bintang-bintang yang dicintai, dilayani, disembah dan dimintai petunjuk oleh mereka. Orang daripada bangsa jahat ini yang masih hidup, yang telah Kucerai-beraikan ke berbagai-bagai tempat, akan lebih suka mati daripada hidup. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman.” TUHAN menyuruh aku menyampaikan kata-kata ini kepada umat-Nya, “Apabila orang jatuh, tentu mereka akan bangun lagi. Apabila orang sesat di jalan, tentu mereka akan kembali ke pangkal jalan. Tetapi mengapa kamu, umat-Ku, terus-menerus meninggalkan Aku dan tidak kembali kepada-Ku? Kamu berpegang teguh kepada berhala kamu dan tidak mahu kembali kepada-Ku. Aku telah mendengar baik-baik, tetapi kamu tidak bercakap jujur. Tiada seorang pun antara kamu menyesali perbuatannya yang jahat. Tiada seorang pun yang berkata, ‘Apakah kesalahanku?’ Kamu semua mengikuti jalan sendiri seperti kuda meluru ke medan pertempuran. Burung bangau pun tahu waktunya untuk pulang; burung tekukur, burung layang-layang, dan burung murai juga tahu masanya untuk berpindah tempat. Tetapi kamu, umat-Ku, tidak mengetahui hukum yang Kuberikan kepada kamu. Berani betul kamu berkata bahawa kamu bijaksana dan mengetahui hukum-Ku! Lihatlah, hukum-Ku sudah diubah oleh guru-guru agama yang tidak jujur. Para cerdik pandai di kalangan kamu akan dipermalukan; mereka akan bingung dan terjebak. Mereka tidak mahu menerima firman-Ku; sekarang, kebijaksanaan apakah yang masih ada pada mereka? Oleh itu, Aku akan memberikan ladang mereka kepada pemilik yang baru, dan isteri mereka kepada orang lain. Semua orang yang besar mahupun yang kecil, mencari keuntungan dengan cara tidak jujur. Bahkan nabi dan imam pun menipu orang. Mereka menganggap luka-luka umat-Ku sebagai luka kecil sahaja. Mereka berkata, ‘Semuanya baik dan aman.’ Tetapi semuanya sama sekali tidak baik dan tidak aman. Hai umat-Ku, adakah kamu malu kerana telah melakukan semua perbuatan yang keji itu? Tidak, kamu sama sekali tidak tahu malu; kamu sudah tebal muka! Oleh itu, kamu akan jatuh seperti orang lain; riwayat kamu akan tamat apabila Aku menghukum kamu. Aku, TUHAN telah berfirman. Aku ingin sekali mengumpulkan umat-Ku seperti orang mengumpulkan hasil tanah mereka. Tetapi umat-Ku seperti pokok anggur dan pokok ara yang tidak berbuah, bahkan daun-daunnya pun sudah layu. Itulah sebabnya Aku telah membenarkan orang bangsa asing datang dan menguasai negeri mereka.” Umat Allah berkata, “Mengapa kita tidak berbuat apa-apa? Marilah kita lari ke kota-kota berkubu; biarlah kita mati di sana. TUHAN, Allah kita telah mengambil keputusan untuk membiarkan kita binasa. Dia telah memberi kita racun untuk diminum kerana kita berdosa terhadap-Nya. Sia-sia sahaja kita mengharapkan kedamaian dan masa penyembuhan, kerana yang datang hanya ketakutan. Musuh sudah berada di kota Dan; dengus kuda mereka sudah kedengaran. Seluruh negeri ketakutan apabila kuda mereka meringkik. Musuh sudah datang untuk menghancurkan seluruh negeri kita, dan juga kota kita serta semua penduduknya.” TUHAN berfirman, “Perhatikanlah! Sekarang Aku mengirim ular ke tengah-tengah kamu untuk mematuk kamu, ular berbisa yang tidak dapat dipukau.” Hatiku sedih dan pedih, kedukaanku tidak dapat diubati. Dengarlah! Di seluruh negeri aku mendengar bangsaku berseru, “Tiadakah TUHAN di Sion lagi? Di manakah raja Sion kini?” TUHAN, raja mereka menjawab, “Mengapa kamu membangkitkan kemurkaan-Ku? Aku murka kerana kamu menyembah berhala kamu dan bersujud kepada dewa-dewa asing yang sama sekali tidak berguna.” Umat Israel berseru, “Musim panas dan musim menuai sudah berlalu, tetapi kami belum diselamatkan.” Hatiku hancur kerana bangsaku hancur; aku berkabung; aku sangat kecewa. Tiadakah ubat di Gilead? Tiadakah doktor di sana? Mengapakah bangsaku tidak sembuh? Alangkah baiknya jika kepalaku seperti perigi yang penuh dengan air, dan mataku seperti pancuran yang terus mengalir, supaya aku dapat menangis siang dan malam, meratapi orang sebangsaku yang dibunuh lawan. Alangkah baiknya jika aku mempunyai tempat menginap di gurun, supaya aku menjauhkan diri daripada bangsaku. Mereka semua tidak setia, mereka orang pengkhianat semuanya. Mereka selalu sedia untuk berdusta; di seluruh negeri, yang benar tidak berkuasa, sebaliknya ketidakjujuran merajalela. TUHAN berfirman, “Umat-Ku tidak henti-henti melakukan kejahatan, mereka tidak mengakui Aku sebagai Allah mereka.” Setiap orang harus waspada terhadap kawan; saudara sekandung pun tidak dapat dipercayai. Mereka seperti Yakub yang menipu saudaranya, dan setiap orang memfitnah kawannya. [5-6] Mereka semua memperdaya kawan, tidak seorang pun yang bercakap benar. Mereka sudah biasa bercakap dusta, mereka tidak mahu berhenti berdosa. Kekejaman demi kekejaman, penipuan demi penipuan, terus-menerus dilakukan. TUHAN berfirman bahawa umat-Nya tidak mahu mengenali Dia. *** Oleh itu TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Seperti orang memurnikan logam, umat-Ku akan Kuuji, supaya mereka menjadi murni. Apa lagi yang dapat Kulakukan terhadap umat-Ku yang telah melakukan kejahatan? Lidah mereka bagaikan panah yang berbisa; mereka tidak habis-habis berdusta. Kata-kata mereka manis memikat, tetapi sebenarnya mereka memasang jerat. Tidakkah Aku harus menghukum mereka kerana perbuatan itu? Tidakkah Aku harus membalas dendam terhadap bangsa seperti itu? Aku, TUHAN, telah berfirman.” Aku, Yeremia, berkata, “Aku akan meratapi gunung-gunung dan menangisi padang rumput, kerana semuanya sudah kering dan tidak dilalui orang. Bunyi ternakan tidak kedengaran lagi; burung serta binatang liar sudah lari dan pergi.” TUHAN berfirman, “Aku akan menjadikan Yerusalem timbunan runtuhan, tempat persembunyian anjing hutan. Kota-kota Yehuda akan menjadi sunyi, tempat yang tidak lagi dihuni.” Aku bertanya, “Ya TUHAN, mengapa negeri ini menjadi tandus dan kering seperti gurun, sehingga tiada orang melaluinya? Siapakah yang cukup bijak untuk mengerti akan semuanya? Kepada siapakah Engkau memberikan penerangan tentang hal ini supaya dia dapat memberitahu orang lain?” TUHAN menjawab, “Hal itu berlaku kerana umat-Ku tidak lagi memperhatikan ajaran yang Kuberikan kepada mereka. Mereka tidak mentaati Aku dan tidak mematuhi perintah-Ku. Mereka keras kepala dan menyembah berhala-berhala Baal seperti yang diajarkan oleh nenek moyang mereka. Oleh itu dengarlah apa yang akan Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, lakukan: Aku akan memberi umat-Ku tanaman pahit untuk dimakan dan racun untuk diminum. Aku akan mencerai-beraikan mereka antara bangsa-bangsa yang tidak dikenal oleh mereka atau nenek moyang mereka. Aku akan mengirim tentera untuk menyerang mereka sampai Aku membinasakan mereka sama sekali.” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada umat-Nya, “Perhatikanlah apa yang sedang berlaku! Panggillah peratap upahan. Suruhlah perempuan-perempuan datang dan menyanyikan lagu perkabungan.” Penduduk Yehuda berkata, “Suruhlah mereka segera menyanyikan lagu perkabungan untuk kami, sehingga mata kami dipenuhi air mata, dan kelopak mata kami basah kerana menangis.” Dengarlah suara tangisan di Sion, “Kami sudah hancur! Kami sangat dipermalukan. Kami harus meninggalkan negeri kami; rumah kami sudah dirobohkan.” Aku berkata, “Dengarlah firman TUHAN, hai kaum wanita, perhatikanlah firman-Nya. Ajarlah anak-anak perempuan kamu cara meratap, ajarlah kawan-kawan kamu cara menyanyikan lagu perkabungan. Maut telah masuk melalui jendela, dan masuk ke dalam istana kita; maut telah menerkam anak-anak di jalan raya dan kaum belia di lapangan terbuka. Mayat bertaburan di mana-mana, seperti timbunan baja di tanah, seperti gandum yang dipotong dan ditinggalkan oleh para penuai, dan tidak dikumpulkan oleh sesiapa. TUHAN menyuruh aku memberitakan perkhabaran itu.” TUHAN berfirman, “Orang bijak tidak boleh berbangga kerana kebijaksanaan mereka, orang kuat tidak boleh berbangga kerana kekuatan mereka, dan orang kaya tidak boleh berbangga kerana kekayaan mereka. Jika sesiapa hendak berbangga, dia harus berbangga kerana dia mengenal dan memahami Aku, dan bahawa Akulah TUHAN yang mengasihi orang selama-lamanya, dan Aku melakukan yang adil dan benar. Semua itu menyenangkan hati-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman.” [25-26] TUHAN berfirman, “Masanya akan tiba apabila Aku menghukum orang Mesir, Yehuda, Edom, Amon, Moab, dan penduduk padang gurun yang memendekkan rambut mereka. Semua orang itu telah bersunat, tetapi tidak memegang perjanjian yang dilambangkan oleh sunat itu. Tiada seorang antara mereka dan tiada seorang antara orang Israel yang memegang perjanjian-Ku.” Hai umat Israel, dengarlah perkhabaran TUHAN kepada kamu. Dia berfirman, “Jangan ikut kebiasaan bangsa-bangsa lain; jangan gentar melihat tanda-tanda yang luar biasa di langit, walaupun bangsa-bangsa lain takut. Agama bangsa-bangsa itu tidak berguna sama sekali. Orang menebang sebatang pokok kayu di hutan; lalu tukang kayu mengukir batang pokok itu dengan alat pengukir, kemudian menghiasnya dengan emas dan perak. Kayu yang berukir itu ditegakkan dengan paku untuk menahannya daripada terjatuh. Patung-patung berhala itu bagaikan orang-orangan di kebun mentimun; patung berhala tidak dapat bercakap; patung berhala harus diangkat kerana tidak dapat berjalan. Jangan takut akan patung berhala; patung berhala tidak dapat mencederakan kamu, dan tidak dapat mendatangkan kebaikan kepada kamu.” Ya TUHAN, Engkau tiada taranya; Engkau sungguh perkasa, nama-Mu agung dan berkuasa. Siapa yang tidak mahu menghormati Engkau, raja semua bangsa? Engkau patut dihormati oleh semua. Engkau tiada taranya antara semua orang bijak daripada bangsa-bangsa, atau antara raja-raja mereka. Mereka semua bebal dan bodoh. Apakah yang dapat dipelajari mereka daripada patung berhala yang dibuat daripada kayu? Berhala mereka disaluti perak dari Sepanyol, dan disaluti emas dari Ufas; semuanya karya para tukang. Pakaian berhala daripada kain ungu tua dan ungu muda, ditenun oleh para penenun yang mahir. Tetapi Engkau, TUHAN, Allah yang benar, Engkau Allah yang hidup, raja yang kekal. Apabila Engkau murka, dunia gementar, bangsa-bangsa tidak tahan menghadapi kemurkaan-Mu. ( Hai umat, kamu harus memberitahu mereka bahawa dewa-dewa yang tidak menciptakan langit dan bumi akan dibinasakan. Dewa-dewa itu akan lenyap dari muka bumi.) TUHAN menjadikan bumi dengan kuasa-Nya; dengan hikmat-Nya Dia menciptakan dunia dan membentangkan langit. Dengan perintah-Nya air di cakerawala menderu; Dia membawa awan dari hujung bumi. Dia menyebabkan kilat memancar dalam hujan, dan mengirimkan angin dari tempat penyimpanan. Melihat semua itu manusia sedar bahawa mereka bodoh dan tidak mempunyai pengertian. Orang yang membuat berhala berasa hampa kerana berhala buatan mereka itu palsu dan tidak bernyawa. Berhala-berhala itu tidak berguna dan sepatutnya dihina. Semuanya akan dimusnahkan apabila TUHAN datang untuk menjatuhkan hukuman. Allah Yakub tidak seperti berhala-berhala itu; Dialah pencipta segala sesuatu. Dia telah memilih Israel menjadi umat-Nya. TUHAN Yang Maha Kuasa ialah nama-Nya. Hai penduduk Yerusalem, kamu dikepung! Oleh itu, kumpulkanlah barang-barang kamu. TUHAN akan membuang kamu dari negeri ini; Dia akan meremukkan kamu sehingga tidak seorang pun tertinggal. Demikianlah firman TUHAN. Penduduk Yerusalem berseru, “Kami luka parah! Luka kami tidak akan sembuh. Dahulu kami sangka bahawa penderitaan ini dapat kami tanggung, tetapi sebenarnya tidak. Khemah kami rosak; tali-talinya semua putus. Anak-anak kami semuanya sudah pergi; tiada lagi yang dapat memasang khemah kami; tiada lagi yang dapat menggantungkan kain khemah.” Aku menjawab, “Para pemimpin kita bodoh. Mereka tidak minta petunjuk daripada TUHAN. Itulah sebabnya mereka tidak berjaya, dan bangsa kita terserak ke mana-mana. Dengarlah! Berita sudah tiba! Ada suatu bangsa di utara yang menimbulkan huru-hara. Tenteranya akan menjadikan kota-kota Yehuda sepi dan tidak berpenghuni, sehingga menjadi tempat tinggal anjing hutan.” Ya TUHAN, aku insaf bahawa tiada seorang pun berkuasa atas hidupnya; tiada seorang pun dapat mengendalikan jalan hidupnya. Ya TUHAN, hukumlah umat-Mu; tetapi jangan terlalu keras, dan jangan hukum kami ketika Engkau sedang murka, kerana tentu kami semua akan binasa. Lampiaskanlah kemurkaan-Mu kepada bangsa-bangsa yang tidak menyembah Engkau, dan kepada orang yang menolak Engkau. Mereka telah membinasakan umat-Mu; mereka telah menghancurkan kami sama sekali dan memusnahkan negeri kami. TUHAN berfirman kepadaku, “Perhatikanlah syarat-syarat perjanjian yang Aku buat dengan umat-Ku. Beritahulah penduduk Yehuda dan penduduk Yerusalem bahawa Aku, TUHAN, Allah Israel, mengutuk setiap orang yang tidak mentaati syarat-syarat perjanjian itu. Aku telah membuat perjanjian itu dengan nenek moyang mereka apabila Aku memimpin mereka keluar dari Mesir, negeri yang seperti neraka bagi mereka. Aku menyuruh mereka taat kepada-Ku dan melakukan segala yang telah Kuperintahkan. Aku memberitahu mereka bahawa jika mereka taat kepada-Ku, mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku menjadi Allah mereka. Jika mereka melakukan semuanya, Aku akan menepati janji-Ku kepada nenek moyang mereka bahawa negeri yang subur dan makmur, yang sekarang didiami oleh mereka, akan Kuberikan kepada mereka.” Aku menjawab, “Baiklah, TUHAN.” Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Pergilah ke kota-kota di Yehuda dan ke jalan-jalan di Yerusalem. Isytiharkanlah perkhabaran-Ku kepada orang di sana dan suruh mereka memperhatikan serta mentaati syarat-syarat perjanjian. Ketika Aku memimpin nenek moyang mereka keluar dari Mesir, dengan tegas Aku memperingatkan mereka supaya taat kepada-Ku. Sampai hari ini pun Aku masih memperingatkan umat-Ku tentang hal itu, tetapi mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu taat. Malahan mereka tetap degil dan jahat seperti dahulu. Aku telah memerintahkan mereka mentaati perjanjian, tetapi mereka tidak mahu. Oleh itu, Aku menimpai mereka segala hukuman yang disebut dalam perjanjian itu.” Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Penduduk Yehuda dan Yerusalem telah berkomplot untuk melawan Aku. Mereka telah melakukan dosa yang dilakukan oleh nenek moyang mereka yang tidak mahu taat kepada-Ku; mereka menyembah tuhan-tuhan lain. Baik Israel mahupun Yehuda telah melanggar perjanjian yang Aku buat dengan nenek moyang mereka. Oleh itu, Aku TUHAN, memperingatkan mereka bahawa Aku akan mendatangkan malapetaka kepada mereka dan mereka tidak akan terlepas daripadanya. Jika mereka berseru minta tolong kepada-Ku, Aku tidak mahu mendengarkan mereka. Kemudian penduduk Yehuda dan Yerusalem akan pergi minta tolong kepada tuhan-tuhan lain yang dipuja mereka dengan mempersembahkan korban. Tetapi tuhan-tuhan itu tidak akan mampu menyelamatkan mereka pada waktu malapetaka itu tiba. Tuhan-tuhan penduduk Yehuda banyak sekali, sebanyak kota mereka. Penduduk Yerusalem mendirikan mazbah untuk mempersembahkan korban kepada Dewa Baal yang menjijikkan itu; mazbah yang didirikan mereka sebanyak jalan-jalan di Yerusalem. Hai Yeremia, jangan berdoa untuk mereka atau minta tolong kepada-Ku untuk mereka! Apabila mereka dalam kesusahan dan minta tolong kepada-Ku, Aku tidak akan mendengarkan mereka.” TUHAN berfirman, “Umat-Ku yang Kukasihi telah melakukan hal-hal yang jahat. Mereka tidak berhak berada di Rumah TUHAN. Mereka menyangka bahawa dengan membuat janji-janji, dan dengan mempersembahkan binatang, mereka dapat mencegah malapetaka. Adakah dengan perbuatan itu mereka dapat bergembira? Aku pernah menamakan mereka pokok zaitun yang rimbun, penuh dengan buah yang baik. Tetapi sekarang, dengan suara gemuruh, Aku akan membakar daun-daunnya dan Aku mematahkan semua rantingnya. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah mendirikan Israel dan Yehuda. Tetapi sekarang, Aku mengancam untuk mendatangkan malapetaka kepada mereka. Mereka sendiri telah menyebabkan semua itu menimpa mereka, kerana mereka telah melakukan kejahatan. Mereka membangkitkan kemurkaan-Ku dengan mempersembahkan korban kepada Baal.” TUHAN memberitahu aku tentang komplot musuh-musuhku terhadap aku. Aku seperti domba tanpa curiga yang dibawa ke tempat pembantaian. Aku tidak tahu bahawa akulah yang menjadi sasaran komplot mereka. Mereka berkata, “Marilah kita tebang pokok itu sementara pokok itu masih subur; marilah kita bunuh dia supaya namanya dilupakan orang.” Kemudian aku berdoa, “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Engkau hakim yang adil; Engkau menguji fikiran dan hati orang. Aku menyerahkan perkaraku ke dalam tangan-Mu; oleh itu biarlah aku menyaksikan pembalasan-Mu terhadap perbuatan semua orang itu.” Penduduk Anatot ingin supaya aku mati. Mereka berkata, “Jika engkau terus mengisytiharkan perkhabaran TUHAN, kami akan membunuh engkau.” Oleh itu, TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Aku akan menghukum mereka! Pemuda mereka akan terbunuh dalam peperangan dan anak-anak mereka akan mati kebuluran. Aku telah menentukan masanya untuk mendatangkan malapetaka kepada penduduk Anatot; apabila masanya tiba, tiada seorang pun akan terselamat.” Ya TUHAN, jika aku mengemukakan perkaraku kepada-Mu, tentu akan terbukti bahawa Engkaulah yang benar. Tetapi aku harus menanyai Engkau tentang keadilan. Mengapakah orang jahat makmur? Mengapakah orang yang tidak jujur berjaya? Engkau menanam mereka seperti tumbuh-tumbuhan, lalu mereka berakar, bertumbuh dan berbuah. Mereka selalu mengatakan yang baik tentang Engkau, tetapi dalam hati, mereka sebenarnya tidak mempedulikan Engkau. Tetapi ya TUHAN, Engkau mengenal aku; Engkau nampak perbuatanku dan mengetahui isi hatiku terhadap-Mu. Giringlah orang jahat itu keluar seperti domba ke pembantaian. Kawallah mereka sampai tiba masanya mereka disembelih. Berapa lama lagi negeri kami akan kering, dan rumput layu di padang? Burung dan binatang mati kerana kejahatan bangsa kami, yang berkata, ‘Allah tidak nampak perbuatan kita.’ TUHAN berfirman, “Hai Yeremia, jika engkau letih berlumba dengan manusia, mana mungkin engkau berlumba dengan kuda? Jika engkau tidak sanggup bertahan di tempat yang aman, bagaimanakah engkau sanggup bertahan di hutan, di tepi Sungai Yordan? Engkau telah dikhianati bahkan oleh sanak saudaramu sendiri; mereka ikut menyerang engkau. Janganlah percaya kepada mereka, meskipun kata-kata mereka manis belaka.” TUHAN berfirman, “Aku telah meninggalkan Israel; Aku telah menolak bangsa pilihan-Ku. Aku telah menyerahkan umat yang Kukasihi ke dalam tangan musuh mereka. Umat pilihan-Ku melawan Aku; seperti singa di rimba demikianlah mereka mengaum terhadap Aku. Itulah sebabnya Aku membenci mereka. Umat pilihan-Ku seperti seekor burung yang diserang oleh burung helang dari segala arah. Panggillah binatang liar untuk ikut menghabiskan mereka. Banyak penguasa asing telah merosakkan ladang anggur-Ku; mereka memijak-mijak ladang-Ku. Mereka mengubah negeri-Ku yang indah menjadi gurun. Mereka menjadikannya tanah yang tandus; terbiar di hadapan-Ku. Seluruh negeri telah menjadi padang gurun, dan tiada sesiapa pun yang mempedulikannya. Di seluruh dataran tinggi di tanah gurun, orang datang untuk menjarah. Aku mendatangkan perang untuk menghancurkan seluruh negeri; tiada sesiapa pun yang dapat hidup damai. Umat-Ku menanam gandum, tetapi menuai lalang. Mereka bekerja keras tetapi tidak mendapat hasil. Kerana Aku sangat murka, tuaian mereka mengecewakan.” TUHAN berfirman, “Inilah perkhabaran-Ku tentang negara-negara jiran Israel yang telah merosakkan negeri yang Kuberikan kepada umat-Ku Israel. Sebagaimana tanaman dicabut dari tanah, demikianlah semua orang jahat itu akan Kucabut dari negeri-negeri mereka. Aku akan membebaskan Yehuda daripada kekuasaan mereka. Tetapi selepas Aku membuang mereka, Aku akan mengasihani mereka lagi; setiap bangsa akan Kubawa kembali ke negeri mereka sendiri. Jika dengan sepenuh hati mereka mahu menerima agama umat-Ku dan bersumpah dengan berkata, ‘Demi TUHAN yang hidup,’ - seperti mereka mengajarkan umat-Ku bersumpah demi Baal dahulu - maka mereka pun akan tergolong umat-Ku dan menjadi makmur. Tetapi bangsa yang tidak mahu mentaati Aku, akan Kucabut seperti tanaman dan Kubinasakan. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN menyuruh aku pergi membeli sarung pendek daripada kain linen lalu memakainya, tetapi Dia melarang aku mencelupkannya ke dalam air. Oleh itu, aku pergi membeli sarung pendek itu, lalu memakainya. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku lagi, “Pergilah ke Sungai Efrat dan sembunyikan sarung pendek itu di celah bukit batu.” Kemudian aku pergi menyembunyikan sarung pendek itu dekat Sungai Efrat. Beberapa waktu kemudian TUHAN menyuruh aku pergi lagi ke Sungai Efrat untuk mengambil sarung pendek itu. Maka aku pergi, lalu mengeluarkan sarung pendek itu dari tempat aku menyembunyikannya. Ternyata sarung itu telah lapuk dan sama sekali tidak berguna lagi. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku lagi, “Begitulah caranya Aku akan bertindak terhadap penduduk Yehuda dan Yerusalem. Aku akan menghancurkan keangkuhan mereka. Bangsa yang jahat ini tidak mahu taat kepada-Ku. Mereka masih degil dan jahat seperti dahulu. Mereka beribadat dan mengabdikan diri kepada tuhan-tuhan lain. Itulah sebabnya mereka akan menjadi seperti sarung pendek yang tidak berguna itu. Sebagaimana sarung pendek terikat erat pada pinggang pemakainya, demikianlah maksud-Ku bagi umat Israel dan Yehuda supaya terikat erat kepada-Ku. Dengan demikian mereka akan menjadi umat-Ku dan mendatangkan pujian dan hormat bagi nama-Ku. Tetapi mereka tidak mahu taat kepada-Ku.” TUHAN Allah berfirman kepadaku, “Hai Yeremia, beritahulah orang Israel bahawa setiap kendi wain mesti dipenuhi wain. Mereka akan menjawab, ‘Adakah kami tidak tahu bahawa setiap kendi wain harus dipenuhi wain?’ Kemudian katakanlah kepada mereka bahawa Aku, TUHAN akan memenuhi orang di negeri ini dengan wain sehingga mereka mabuk: raja-raja keturunan Daud, para imam, nabi, dan semua penduduk Yerusalem. Selepas itu Aku akan menghantukkan mereka satu sama lain, seperti kendi dihantukkan. Orang tua dan muda akan Kuperlakukan demikian tanpa ampun. Aku akan membinasakan mereka tanpa rasa sayang atau belas kasihan.” Hai umat Israel, TUHAN telah berfirman! Rendahkanlah hati kamu dan dengarlah firman-Nya. Hormatilah TUHAN, Allah kamu sebelum Dia mendatangkan kegelapan, dan kaki kamu tersandung di pergunungan; sebelum terang yang kamu harapkan diubah menjadi kekelaman. Jika kamu tidak mahu mendengarkan Dia, aku akan menangis dengan diam-diam kerana keangkuhan kamu. Aku akan menangis dengan pilu, air mataku akan berlinang kerana umat TUHAN telah ditawan musuh. TUHAN berfirman kepadaku, “Suruhlah raja dan bonda raja turun dari takhta mereka, kerana mahkota mereka yang indah sudah jatuh dari kepala. Kota-kota Yehuda di bahagian selatan sedang dikepung, dan tiada orang yang dapat menembusi kepungan itu. Semua penduduk Yehuda telah dibuang negeri.” Hai Yerusalem, lihatlah! Musuh kamu sedang datang dari utara! Di manakah orang yang harus kamu lindungi, orang yang sangat kamu banggakan itu? Apakah yang akan kamu katakan apabila orang yang kamu anggap sebagai kawan, mengalahkan serta menguasai kamu? Tentu kamu akan berasa sakit seperti perempuan yang sedang bersalin. Mungkin kamu bertanya mengapa semuanya itu menimpa diri kamu; mengapa pakaian kamu dikoyak dan mengapa kamu dirogol. Ketahuilah bahawa semua itu berlaku kerana dosa kamu terlalu besar. Dapatkah orang hitam mengubah warna kulitnya, atau harimau bintang menghilangkan tompoknya? Tentu tidak! Begitu juga dengan kamu yang biasa berbuat jahat, tidak mungkin berbuat baik. TUHAN akan mencerai-beraikan kamu seperti jerami yang ditiup angin dari gurun. Dia telah berfirman bahawa itulah kesudahan kamu. Itulah yang ditentukan-Nya untuk dilakukan terhadap kamu kerana kamu telah melupakan Dia dan percaya kepada tuhan-tuhan palsu. TUHAN sendiri akan menanggalkan pakaian kamu sehingga kamu telanjang dan dipermalukan. Dia telah nampak kamu melakukan hal-hal yang dibenci-Nya. Dia telah nampak kamu mengejar dewa-dewa di bukit dan di padang, seperti seorang lelaki tergila-gila terhadap isteri orang lain atau seperti seekor kuda jantan berahi terhadap kuda betina. Hai penduduk Yerusalem, malang akan menimpa kamu! Bilakah kamu layak beribadat kepada-Ku lagi? Demikianlah firman TUHAN kepadaku tentang masa kemarau, “Yehuda bersedih hati; penduduk kotanya hampir mati. Mereka berbaring di tanah dan mengeluh; Yerusalem berseru minta dibantu. Orang kaya menyuruh para hamba mencari air; mereka pergi ke perigi-perigi tetapi air tidak ada lagi; dengan kendi kosong mereka kembali. Dengan hampa dan putus asa mereka malu dan menutup muka. Oleh sebab hujan tidak turun tanah kering kerontang; para petani putus asa, mereka malu dan menutup muka. Induk rusa di padang meninggalkan anaknya yang baru lahir kerana rumput tidak ada lagi. Keldai liar berdiri di puncak bukit, terengah-engah seperti anjing hutan. Mata keldai liar menjadi kabur kerana makanan tidak ada. Umat-Ku berseru kepada-Ku, ‘Walaupun dosa kami menyalahkan kami, ya TUHAN, tolonglah kami menurut janji-Mu. Kami telah berkali-kali meninggalkan Engkau; kami berdosa terhadap-Mu. Engkaulah satu-satunya harapan Israel, yang menyelamatkan kami daripada malapetaka. Mengapakah Engkau seperti orang asing di negeri kami, dan seperti musafir yang singgah satu malam lalu pergi? Mengapakah Engkau seperti orang yang bingung, seperti pahlawan yang tidak sanggup menolong? Tentu Engkau menyertai kami, ya TUHAN! Kami umat-Mu, jangan tinggalkan kami!’ ” Demikianlah firman TUHAN tentang umat itu, “Mereka suka lari daripada-Ku dan mereka tidak mahu mengawal diri. Oleh itu Aku tidak berkenan kepada mereka. Aku akan mengingat kesalahan mereka, dan menghukum mereka kerana dosa mereka.” TUHAN berfirman kepadaku, “Janganlah minta Aku menolong umat itu. Walaupun mereka berpuasa, Aku tidak mahu mempedulikan seruan mereka minta tolong; dan meskipun mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Ku dan korban untuk mengucap syukur kepada-Ku, Aku tidak akan berkenan kepada mereka. Sebaliknya, Aku akan membinasakan mereka dengan peperangan, kebuluran, dan wabak.” Kemudian aku berkata, “Ya TUHAN Raja, Engkau tahu nabi-nabi memberitahu rakyat bahawa tidak akan ada peperangan atau kebuluran, kerana Engkau telah berjanji bahawa di negeri ini akan selalu ada kedamaian.” Tetapi TUHAN menjawab, “Nabi-nabi itu berdusta demi nama-Ku; Aku tidak mengutus mereka, dan tidak juga memberikan perintah atau berfirman kepada mereka. Penglihatan-penglihatan yang diceritakan mereka itu bukan daripada-Ku. Mereka meramalkan hal-hal yang tidak berguna, yang dikarang mereka sendiri. Nabi-nabi berkata demi nama-Ku bahawa negeri ini tidak akan ditimpa peperangan atau kebuluran, padahal Aku tidak menyuruh mereka mengatakan hal itu. Aku, TUHAN memberitahu engkau, apa yang akan Kulakukan terhadap nabi-nabi itu. Aku akan membunuh mereka dengan peperangan dan kebuluran. Orang yang telah menerima ramalan mereka pun akan dibunuh dengan cara yang sama. Mayat mereka akan dilempar ke jalan-jalan di Yerusalem; tiada orang akan menguburkan mayat mereka. Demikianlah kesudahan mereka semua, termasuk isteri, anak lelaki dan anak perempuan mereka. Aku akan menyebabkan mereka menanggung akibat kejahatan mereka.” TUHAN menyuruh aku memberitahukan kesedihanku kepada umat-Nya. Aku harus berkata begini, “Biarlah aku menangis tiada hentinya, siang dan malam bercucuran air mata, kerana bangsaku luka parah dan sangat menderita. Apabila aku pergi ke padang, aku nampak mayat mangsa perang. Apabila aku pergi ke kota, aku nampak orang hampir mati kelaparan. Nabi dan imam menjalankan kewajipan tanpa mengerti apa yang dilakukan.” Ya TUHAN, adakah Yehuda Kautolak sama sekali? Adakah penduduk Sion Kaubenci? Mengapa Engkau memukul kami dengan keras sekali sehingga kami tidak dapat sembuh lagi? Sia-sia sahaja kami mencari kedamaian; kami mengharapkan kesembuhan, tetapi yang ada hanyalah keganasan. Ya TUHAN, terhadap Engkau sahaja kami telah berdosa. Kami mengakui dosa kami dan dosa nenek moyang kami. Ingatlah akan janji-Mu, janganlah hina kami; janganlah batalkan perjanjian-Mu dengan kami. Janganlah hina Yerusalem, tempat takhta-Mu yang mulia. Tiada dewa bangsa-bangsa dapat menurunkan hujan; langit pun tidak dapat mencurahkan hujan. Ya TUHAN, Allah kami, Engkaulah satu-satunya harapan kami, kerana Engkaulah yang menyebabkan semuanya terjadi. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Aku tidak akan mengasihani bangsa ini, walaupun Musa dan Samuel berdiri di sini untuk memohon belas kasihan-Ku bagi mereka. Suruhlah bangsa ini pergi, Aku tidak mahu melihat mereka! Jika mereka bertanya kepadamu ke tempat mana mereka harus pergi, jawablah begini, ‘TUHAN berfirman, orang yang ditentukan mati kerana penyakit, biarlah mereka mati kerana penyakit! Orang yang ditentukan mati dalam pertempuran, biarlah mereka mati dalam pertempuran! Orang yang ditentukan mati kerana kelaparan, biarlah mereka mati kelaparan! Orang yang ditentukan menjadi tawanan, biarlah mereka diangkut sebagai tawanan!’ Aku, TUHAN telah mengambil keputusan bahawa empat perkara yang dahsyat akan menimpa mereka: mereka akan dibunuh dalam peperangan; mayat mereka akan diseret anjing; burung akan memakan mayat mereka, dan binatang buas akan menghabiskan apa yang tersisa. Aku akan menyebabkan semua bangsa di dunia ngeri melihat mereka kerana perbuatan Manasye anak Hizkia di Yerusalem, ketika Manasye menjadi raja Yehuda.” TUHAN berfirman, “Hai penduduk Yerusalem, siapakah yang akan mengasihani kamu? Siapakah yang mahu bersedih dengan kamu? Siapakah yang mahu singgah untuk menanyakan keadaan kamu? Kamu telah menolak Aku, kamu telah membelakangi Aku. Oleh itu, Aku mengacungkan tangan untuk menghancurkan kamu, kerana Aku sudah jemu menahan kemurkaan-Ku. Di setiap kota di negeri ini, Aku akan membuang kamu seperti jerami. Walaupun kamu umat-Ku, Aku akan membinasakan kamu dan anak-anak kamu, kerana kamu tidak mahu mengubah cara hidup kamu. Negeri kamu akan penuh dengan balu, lebih banyak daripada pasir di pantai. Aku akan membunuh orang muda sehingga ibu mereka menderita. Dengan tiba-tiba Aku mendatangkan pembinasa sehingga mereka takut dan gelisah. Ibu yang kehilangan tujuh orang anaknya terengah-engah dan pengsan. baginya matahari sudah terbenam selagi hari siang; dia dihina dan dipermalukan. Aku akan menyuruh musuh kamu membunuh orang yang masih hidup antara kamu. Aku, TUHAN, telah berfirman.” Alangkah malangnya aku! Mengapakah ibuku melahirkan aku? Aku terpaksa bertengkar dan berbantah dengan setiap orang di negeri ini. Walaupun aku tidak pernah meminjamkan atau meminjam wang, namun aku dikutuk oleh semua orang. Ya TUHAN, jika aku tidak melakukan tugasku dengan baik, dan tidak membela musuh di hadapan-Mu pada waktu mereka ditimpa bencana dan kesusahan, biarlah kutuk mereka itu benar-benar berlaku. ( Tidak seorang pun dapat mematahkan besi, terutama besi dari utara yang telah dicampur dengan gangsa.) TUHAN berfirman kepadaku, “Aku akan mengirim musuh untuk mengangkut kekayaan dan harta umat-Ku sebagai hukuman terhadap dosa yang dilakukan mereka di seluruh negeri. Aku akan menjadikan mereka hamba kepada musuh di negeri asing yang tidak dikenal oleh mereka, kerana kemurkaan-Ku seperti api yang menyala-nyala selama-lamanya.” Kemudian aku berkata, “Ya TUHAN, Engkau faham segala-galanya. Ingatlah akan aku dan tolonglah aku. Balaslah mereka yang menganiaya aku. Jangan bersabar terhadap mereka sehingga mereka berjaya membunuh aku. Ingatlah bahawa aku dihina kerana Engkau. Engkau berfirman kepadaku, dan aku mendengarkan setiap firman-Mu. Aku milik-Mu, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa; oleh itu firman-Mu memberikan kesukaan dan kebahagiaan kepadaku. Aku tidak ikut bersuka-suka dengan orang yang berkumpul untuk bersenda gurau. Oleh sebab aku taat kepada-Mu, aku mengasingkan diri dan aku penuh dengan kemarahan. Mengapa aku terus saja menderita? Mengapa lukaku parah dan tidak sembuh-sembuh? Adakah Engkau bermaksud mengecewakan aku seperti sungai yang mengering pada musim panas?” Maka TUHAN menjawab, “Jika engkau kembali, Aku akan menerima engkau. Engkau akan menjadi hamba-Ku lagi. Jika engkau memberitakan perkhabaran yang berguna dan bukan yang sia-sia, engkau akan menjadi nabi-Ku semula. Orang akan datang kepadamu lagi, dan engkau tidak perlu pergi kepada mereka. Aku akan menjadikan engkau seperti tembok gangsa terhadap mereka. Mereka akan melawan engkau, tetapi tidak akan dapat mengalahkan engkau. Aku akan menyertai engkau untuk melindungi dan menyelamatkan engkau. Aku akan melepaskan engkau daripada kekuasaan orang yang jahat dan ganas. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman lagi kepadaku, “Jangan berkahwin atau mempunyai anak di tempat ini. Aku akan memberitahu engkau tentang hal yang akan berlaku terhadap anak-anak yang dilahirkan di sini dan terhadap ibu bapa mereka. Mereka akan mati kerana diserang penyakit yang membawa maut. Tiada seorang pun akan meratapi atau menguburkan mereka. Mayat mereka akan berselerak seperti baja di tanah. Mereka akan terbunuh dalam peperangan atau mati kelaparan. Mayat mereka akan dimakan burung dan binatang buas. Jangan masuk ke rumah orang yang sedang berkabung. Jangan ratapi sesiapa pun. Aku tidak lagi memberkati umat-Ku dengan kesejahteraan, dan Aku tidak akan menunjukkan kasih sayang atau belas kasihan kepada mereka. Orang kaya dan orang miskin di negeri ini akan mati, tetapi tiada sesiapa pun akan meratapi atau menguburkan mereka. Tiada seorang pun akan melukakan tubuh atau mencukur rambut kepala sebagai tanda berkabung untuk mereka. Apabila ada orang yang meninggal, tiada sesiapa pun akan makan atau minum dengan keluarga orang itu untuk menghiburkan mereka. Apabila ada orang yang kehilangan ibu atau bapa, tiada sesiapa yang akan turut berdukacita dengan mereka. Jangan masuk ke rumah orang yang sedang berpesta. Jangan duduk dan makan minum bersama-sama mereka. Dengarlah firman daripada Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel. Suara keriangan dan kesukaan serta keramaian pesta perkahwinan akan Kuhentikan. Perkara itu akan disaksikan oleh orang yang hidup pada zamanmu ini. Apabila engkau menyampaikan semua hal ini kepada mereka, mereka akan bertanya sebabnya Aku mengambil keputusan untuk menghukum mereka dengan begitu keras. Mereka akan bertanya tentang kesalahan dan dosa mereka terhadap Aku, TUHAN Allah mereka. Beritahulah mereka bahawa demikianlah firman TUHAN, ‘Nenek moyang kamu berpaling daripada-Ku lalu menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain. Mereka meninggalkan Aku dan tidak mahu taat kepada peraturan-Ku. Tetapi perbuatan kamu lebih jahat daripada perbuatan nenek moyang kamu. Kamu semua degil dan jahat. Kamu tidak mahu taat kepada-Ku. Oleh itu, Aku akan mengusir kamu dari negeri ini dan membuang kamu ke sebuah negeri yang asing sekali bagi kamu dan bagi nenek moyang kamu. Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain pada siang dan malam, dan Aku tidak akan mengasihani kamu.’ ” TUHAN berfirman, “Akan tiba masanya apabila orang tidak lagi bersumpah demi Aku, Allah yang hidup, yang membawa umat Israel keluar dari Mesir. Tetapi mereka akan bersumpah demi Aku, Allah yang hidup, yang membawa umat Israel keluar dari sebuah negeri di utara dan dari semua negeri lain, tempat Aku mencerai-beraikan mereka. Aku akan membawa mereka kembali ke tanah air mereka, negeri yang telah Kuberikan kepada nenek moyang mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman, “Aku akan memanggil banyak nelayan untuk menangkap bangsa ini. Kemudian Aku akan memanggil banyak pemburu untuk memburu mereka di setiap gunung dan bukit, serta di gua-gua bukit batu. Aku nampak segala sesuatu yang dilakukan mereka. Tiada sesuatu pun yang tersembunyi daripada-Ku; Aku nampak dosa-dosa mereka. Aku akan membalas dosa dan kejahatan mereka dengan hukuman dua kali ganda, kerana mereka telah menajiskan negeri-Ku dengan banyak berhala. Berhala-berhala itu tidak bernyawa seperti mayat. Mereka telah memenuhi negeri-Ku dengan tuhan-tuhan palsu.” Ya TUHAN, Engkaulah yang melindungi aku dan memberikan kekuatan kepadaku; Engkau menolong aku pada masa kesusahan. Bangsa-bangsa dari hujung bumi akan datang kepada-Mu dan berkata, “Nenek moyang kami hanya mempunyai tuhan palsu yang sama sekali tidak berguna. Dapatkah manusia membuat tuhannya sendiri? Tentu sekali tidak! Apa yang dibuatnya itu pasti bukan Allah yang sebenarnya.” TUHAN berfirman, “Oleh itu, kali ini Aku akan mengajar bangsa-bangsa supaya mereka mengetahui kekuasaan dan kekuatan-Ku; maka mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” TUHAN berfirman, “Hai bangsa Yehuda, dosa kamu telah ditulis dengan pen besi; dosa kamu itu diukir pada hati kamu dengan mata pen intan, dan dipahatkan pada setiap sudut mazbah-mazbah kamu. Bangsa kamu memuja berhala di mazbah-mazbah dan tiang-tiang berhala yang telah didirikan untuk Dewi Asyera di bawah setiap pokok hijau, di puncak-puncak bukit, dan di atas gunung-gunung di luar kota. Aku akan menyuruh musuh kamu mengangkut segala harta dan kekayaan kamu, kerana segala dosa yang telah kamu lakukan di seluruh negeri. Kamu akan terpaksa menyerahkan tanah yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku akan menjadikan kamu hamba musuh di negeri yang asing sekali bagi kamu. Aku melakukan semua itu kerana kemurkaan-Ku seperti api yang menyala-nyala selama-lamanya.” TUHAN berfirman, “Aku akan menghukum sesiapa sahaja yang meninggalkan Aku, dan yang berharap kepada manusia serta bersandar kepada kekuatan manusia fana. Dia seperti belukar di padang gurun, yang tumbuh di kawasan gersang, di tanah bergaram, yang tidak ditumbuhi tumbuhan lain. Orang seperti itu tidak pernah mengalami kebaikan. Tetapi orang yang berharap kepada-Ku akan Kuberkati selalu. Dia bagaikan pokok yang tumbuh di tepi sungai yang mengalir; akarnya merambat sampai ke air. Musim panas tidak ditakutinya, kerana daun-daunnya selalu hijau; walaupun negeri dilanda kemarau, tidak ada kegelisahannya, kerana buah selalu dihasilkannya. Hati manusia tidak dapat difahami oleh sesiapa; hati manusia lebih licik daripada segala-galanya, dan penyakitnya terlalu parah. Aku, TUHAN, menyelidiki hati; fikiran manusia Kuuji. Setiap orang Kuperlakukan menurut tingkah lakunya, dan Kuperlakukan sesuai dengan perbuatannya.” Bagaikan burung menetaskan telur yang bukan miliknya, begitulah orang yang tidak jujur memperoleh harta. Pada usia yang masih muda dia akan kehilangan semua hartanya. Pada akhir hidupnya akan terbukti bahawa dia orang yang bodoh sekali. Rumah TUHAN kita seperti takhta yang mulia, yang terletak di atas gunung tinggi sejak mula-mula. Ya TUHAN, Engkaulah harapan Israel; semua orang yang meninggalkan Engkau akan dipermalukan. Mereka akan lenyap dari dunia ini, dan pergi ke dunia orang mati, kerana mereka telah meninggalkan TUHAN, sumber air yang memberikan hidup. Ya TUHAN, sembuhkanlah aku, supaya aku sihat. Selamatkanlah aku, agar aku selamat. Engkau sahaja yang aku puji! Orang berkata kepadaku, “Di manakah semua ancaman TUHAN terhadap kami? Biarlah Dia melaksanakan semuanya sekarang!” Tetapi, ya TUHAN, tidak pernah aku mendesak Engkau untuk mendatangkan kecelakaan kepada mereka. Aku tidak juga mengingini kesusahan menimpa mereka. Engkau tahu hal itu, ya TUHAN. Engkau tahu apa yang kukatakan. Janganlah Engkau menjadi sesuatu yang menakutkan aku. Engkaulah tempat aku berlindung apabila kesusahan datang. Semoga Engkau mempermalukan orang yang menganiaya aku, tetapi lindungilah aku, ya TUHAN. Liputilah mereka dengan ketakutan, tetapi janganlah takutkan aku. Datangkanlah malapetaka terhadap mereka sehingga mereka hancur binasa. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai Yeremia, pergilah ke Pintu Gerbang Rakyat yang dilalui raja-raja Yehuda apabila mereka keluar masuk kota, dan isytiharkanlah perkhabaran-Ku di situ. Kemudian pergilah ke semua pintu gerbang yang lain di Yerusalem. Suruhlah raja-raja dan semua orang Yehuda serta segenap penduduk Yerusalem yang lalu di pintu-pintu itu, supaya mendengar firman-Ku. Katakanlah begini, ‘Jika kamu tidak mahu mati, jangan angkat beban pada hari Sabat, atau membawanya masuk melalui pintu-pintu gerbang Yerusalem. Jangan bekerja dan jangan angkat beban keluar dari rumah kamu pada hari Sabat. Rayakanlah hari itu sebagai hari yang khas untuk Aku seperti yang telah Kuperintahkan kepada nenek moyang kamu. Tetapi nenek moyang kamu tidak mahu mendengarkan Aku atau memperhatikan firman-Ku. Mereka degil dan tidak mahu taat atau menerima ajaran daripada-Ku. Taatilah semua perintah-Ku. Jangan angkat beban melalui pintu gerbang kota ini pada hari Sabat. Rayakanlah hari Sabat sebagai hari yang khas untuk Aku, dan jangan bekerja pada hari itu. Jika kamu sungguh-sungguh menjalankan perintah-Ku itu, maka para raja dan pegawai yang memerintah seperti Daud akan memasuki pintu-pintu gerbang kota Yerusalem. Mereka bersama dengan orang Yehuda dan penduduk Yerusalem, akan mengenderai kereta kuda dan menunggang kuda, sehingga kota Yerusalem dipenuhi orang selama-lamanya. Orang akan datang dari kota-kota Yehuda, dan dari kampung-kampung di sekitar Yerusalem; mereka akan datang dari wilayah Benyamin, dari kawasan kaki bukit, dari kawasan pergunungan, dan dari bahagian selatan Yehuda. Mereka akan membawa korban untuk menyenangkan hati-Ku dan korban-korban lain, korban untuk mengucap syukur, dan kemenyan, serta korban kesyukuran ke Rumah-Ku. Semua perkara itu akan berlaku apabila kamu taat kepada-Ku dan merayakan hari Sabat sebagai hari yang khas untuk Aku. Jangan angkat beban melalui pintu-pintu gerbang Yerusalem pada hari itu. Jika kamu melanggar perintah-Ku itu, Aku akan membakar habis pintu-pintu gerbang Yerusalem serta istana-istananya, dan api itu tidak akan dapat dipadamkan oleh sesiapa pun.’ ” TUHAN berfirman kepadaku, “Pergilah ke rumah tukang periuk; Aku akan menyampaikan perkhabaran-Ku kepadamu di sana.” Oleh itu aku pergi ke rumah tukang periuk dan aku nampak dia sedang bekerja. Apabila periuk yang sedang dibuatnya itu kurang sempurna, dia membentuknya semula sehingga menjadi periuk lain yang sesuai dengan kehendaknya. Kemudian TUHAN menyuruh aku berkata kepada umat Israel, “Hai umat Israel, tidakkah Aku berhak memperlakukan kamu seperti yang dilakukan tukang periuk itu dengan tanah liatnya? Sebagaimana tanah liat itu dalam tangan tukang periuk, demikian juga kamu dalam tangan-Ku. Jika pada suatu waktu Aku mengambil keputusan untuk mencabut, meruntuhkan, atau menghancurkan suatu bangsa atau kerajaan, tetapi kemudian bangsa itu bertaubat daripada kejahatan, maka Aku akan membatalkan niat-Ku itu. Sebaliknya, jika Aku mengambil keputusan untuk mendirikan atau menguatkan suatu bangsa atau kerajaan, tetapi kemudian bangsa itu tidak taat kepada-Ku lalu melakukan kejahatan, maka Aku akan membatalkan niat-Ku itu. Sekarang, beritahulah orang Yehuda dan penduduk Yerusalem bahawa Aku sedang merancang untuk melawan mereka, dan menyediakan hukuman untuk mereka. Suruhlah mereka menghentikan cara hidup yang berdosa, serta mengubah kelakuan dan perbuatan mereka. Tetapi mereka akan menjawab, ‘Apa gunanya? Kami akan tetap degil dan jahat mengikut kemahuan kami!’ ” TUHAN berfirman, “Tanyakanlah kepada setiap bangsa sama ada hal seperti ini pernah berlaku. Umat Israel telah melakukan sesuatu yang dahsyat! Salji tidak pernah lenyap dari gunung batu di Lebanon. Air sejuk yang mengalir di pergunungan tidak pernah kering. Tetapi umat-Ku telah melupakan Aku; mereka membakar kemenyan untuk berhala. Mereka tersandung di jalan yang harus dilalui mereka, mereka tidak lagi mengikut jalan dahulu kala; mereka menyimpang ke jalan yang belum diratakan. Mereka menjadikan negeri ini tempat yang mengerikan, sehingga menjadi bahan ejekan selama-lamanya. Semua orang yang melalui negeri ini akan terkejut melihatnya, mereka akan merasa ngeri dan menggelengkan kepala. Aku akan mencerai-beraikan umat-Ku di hadapan musuh, sebagaimana angin timur meniup debu. Aku akan membelakangi mereka; Aku tidak akan menolong mereka apabila bencana tiba.” Kemudian orang berkata, “Marilah kita berpakat melawan Yeremia. Imam yang dapat memberikan ajaran, orang bijaksana yang dapat memberikan nasihat, dan nabi yang dapat menyampaikan perkhabaran Allah akan selalu ada. Marilah kita mengemukakan tuduhan terhadap Yeremia, dan berhenti mendengarkan kata-katanya!” Oleh itu aku berdoa, “Ya TUHAN, dengarlah doaku; perhatikanlah apa yang dikatakan musuhku tentang aku. Wajarkah kebaikan dibalas dengan kejahatan? Tetapi mereka telah menggali lubang supaya aku jatuh ke dalamnya. Ingatlah bahawa aku telah membela mereka di hadapan-Mu, supaya Engkau tidak murka kepada mereka. Tetapi sekarang, ya TUHAN, biarlah anak-anak mereka mati kelaparan atau terbunuh dalam peperangan. Biarlah kaum wanita mereka kehilangan suami dan anak; biarlah kaum lelaki mati kerana wabak penyakit dan orang muda terbunuh dalam pertempuran. Biarlah perampas datang ke rumah mereka dengan tiba-tiba, sehingga mereka menjerit ketakutan. Mereka telah menggali lubang supaya aku jatuh ke dalamnya, dan mereka telah memasang perangkap untuk menangkap aku. Tetapi Engkau, ya TUHAN, mengetahui semua yang dirancang oleh mereka untuk membunuh aku; janganlah hapuskan kesalahan mereka, dan janganlah ampunkan dosa mereka. Biarlah mereka kalah. Bertindaklah terhadap mereka semasa Engkau murka.” TUHAN menyuruh aku pergi membeli sebuah kendi tembikar, serta mengajak beberapa orang pemimpin bangsa dan beberapa orang imam yang lebih tua, untuk pergi bersama-sama ke Lembah Hinom melalui Pintu Gerbang Serpihan Tembikar. Aku mesti mengisytiharkan perkhabaran-Nya di tempat itu. TUHAN menyuruh aku berkata begini, “Hai raja-raja Yehuda dan penduduk Yerusalem! Dengarlah apa yang hendak Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, firmankan kepada kamu. Aku akan mendatangkan malapetaka yang dahsyat ke tempat ini sehingga orang yang mendengarnya terpegun. Aku akan melakukan hal itu kerana bangsa ini telah meninggalkan Aku. Mereka menajiskan tempat ini dengan mempersembahkan korban kepada dewa-dewa yang asing bagi mereka, nenek moyang mereka, dan raja-raja Yehuda. Mereka telah memenuhi tempat ini dengan darah orang yang tidak bersalah. Mereka mendirikan mazbah bagi Baal supaya mereka dapat mempersembahkan anak-anak mereka sebagai korban yang dibakar. Tetapi Aku tidak pernah menyuruh mereka melakukan perkara itu, bahkan tidak pernah hal seperti itu timbul dalam fikiran-Ku. Oleh sebab itu, akan tiba masanya tempat ini tidak lagi disebut Tofet atau Lembah Hinom, melainkan disebut Lembah Pembantaian. Di tempat ini Aku akan menggagalkan semua rancangan orang Yehuda dan penduduk Yerusalem. Aku akan membiarkan mereka dikalahkan oleh musuh dan dibunuh dalam pertempuran. Aku akan membiarkan mayat mereka dimakan burung dan binatang buas. Aku akan menimpakan malapetaka yang dahsyat pada kota ini sehingga setiap orang yang lalu di sini akan terpegun dan berasa ngeri. Musuh akan mengepung kota ini dan berusaha untuk membunuh penduduknya. Pengepungan itu begitu dahsyat sehingga orang di dalam kota ini akan saling memakan temannya, bahkan anak-anak mereka sendiri.” Kemudian TUHAN menyuruh aku memecahkan kendi tembikar itu di hadapan semua orang yang mengikut aku. Aku harus memberitahu mereka bahawa inilah firman TUHAN Yang Maha Kuasa, “Aku akan menghancurkan bangsa dan kota ini sehingga menjadi seperti kendi tembikar yang pecah itu dan tidak dapat diperbaiki lagi. Orang akan menguburkan mayat bahkan di Tofet, kerana tiada lagi tempat lain. Aku berjanji akan menjadikan kota ini dan penduduknya seperti Tofet. Semua rumah di Yerusalem dan semua rumah raja-raja Yehuda akan menjadi najis seperti Tofet, kerana di bumbung rumah, orang telah membakar kemenyan untuk dewa-dewa langit dan mempersembahkan wain untuk dewa-dewa lain.” Kemudian aku meninggalkan Tofet, tempat TUHAN menyuruh aku untuk menyampaikan perkhabaran-Nya. Aku pergi ke halaman Rumah TUHAN dan berdiri di situ, lalu memberitahu semua orang, bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman begini, “Oleh sebab kamu degil dan tidak mahu mendengar firman-Ku, maka Aku akan mendatangkan segala hukuman yang telah Kurancangkan ke atas kota ini dan ke atas semua pekan di sekitarnya.” Imam Pasyhur anak Imer ialah ketua pegawai Rumah TUHAN. Ketika dia mendengar aku mengisytiharkan semua hal itu, dia memberikan perintah untuk memukul dan merantai aku di Pintu Gerbang Benyamin, gerbang bahagian atas di Rumah TUHAN. Esok paginya, setelah Pasyhur membuka rantaiku, aku berkata kepadanya, “Nama yang akan diberikan oleh TUHAN kepadamu bukan Pasyhur, tetapi ‘Ketakutan Di Mana-Mana’. TUHAN sendiri berfirman, ‘Aku akan menjadikan engkau ketakutan bagi dirimu dan bagi kawan-kawanmu. Engkau akan nampak mereka semua dibunuh oleh musuh dengan pedang. Aku akan membiarkan semua orang Yehuda dikuasai oleh raja Babilonia; sebilangan daripada mereka akan diangkutnya sebagai orang tawanan ke negerinya, dan mereka yang tidak diangkut akan dibunuh. Aku akan membiarkan musuh mereka menjarah dan mengangkut semua kekayaan kota ini serta semua harta miliknya ke Babilonia, bahkan harta pusaka raja-raja Yehuda. Engkau pula, hai Pasyhur, akan ditangkap dan diangkut ke Babilonia bersama dengan semua anggota keluargamu. Di sana engkau akan mati dan dikuburkan bersama dengan semua kawanmu yang telah mendengarkan dustamu.’ ” Ya TUHAN, Engkau telah menipu aku dan aku telah tertipu. Engkau lebih kuat daripada aku dan telah mengalahkan aku. Aku diejek oleh setiap orang, dihina dari pagi sampai petang. Setiap kali aku berkata-kata, aku mesti berteriak sekuat-kuatnya, “Keganasan! Kemusnahan!” Ya TUHAN, aku diejek dan dihina setiap waktu, kerana aku menyampaikan perkhabaran-Mu. Tetapi apabila aku berkata, “Biarlah aku melupakan TUHAN, aku tidak mahu berucap demi nama-Nya lagi,” maka perkhabaran-Mu bagaikan api yang membara dalam hati sanubari. Aku telah cuba menahannya, tetapi aku tidak berdaya. Aku mendengar orang berbisik di mana-mana, “Ketakutan merajalela! Mari laporkan dia kepada yang berkuasa!” Bahkan semua sahabat karibku menunggu kejatuhanku. Mereka berkata, “Mungkin dengan penipuan, dia dapat kita kalahkan, supaya dapatlah kita membalas dendam kepadanya.” Tetapi, Engkau, ya TUHAN, memihak aku; Engkau kuat dan perkasa. Mereka yang menganiaya aku akan jatuh dan tidak berdaya. Mereka akan dipermalukan selama-lamanya, kerana rancangan mereka tidak berjaya. Kehinaan mereka itu akan diingat selalu. Tetapi, ya TUHAN Yang Maha Kuasa, dengan adil Engkau menguji manusia; Engkau tahu akan isi hati dan fikiran mereka. Oleh itu perkenanlah aku melihat Engkau membalas kejahatan musuhku, kerana aku menyerahkan perkaraku kepada-Mu. Bernyanyilah bagi TUHAN! Pujilah TUHAN! Dia melepaskan orang tertindas daripada kuasa orang durjana. Terkutuklah hari kelahiranku! Lupakanlah hari ketika ibuku melahirkan aku! Terkutuklah pembawa berita yang menyebabkan bapaku gembira, ketika berita disampaikan kepadanya, “Engkau mendapat seorang anak lelaki!” Biarlah si pembawa berita itu seperti kota-kota yang dihancurkan oleh TUHAN tanpa kasihan. Biarlah dia mendengar jeritan kesakitan pada waktu pagi, dan tempik pertempuran pada tengah hari, kerana dia tidak membunuh aku ketika aku masih dalam kandungan, supaya aku tetap dikandung ibuku dan rahim ibu menjadi kuburku. Mengapa aku dilahirkan? Adakah hanya untuk menderita dan mengalami kesusahan? Adakah hidupku akan berlalu semata-mata untuk mendapat malu? Raja Zedekia dari Yehuda, mengutus Imam Pasyhur anak Malkia dan Imam Zefanya anak Maaseya, kepadaku. Raja menyuruh mereka menyampaikan permintaan ini kepadaku, “Mintalah petunjuk daripada TUHAN untuk kita, kerana Raja Nebukadnezar dari Babilonia bersama dengan pasukannya, sedang mengepung kota kita. Mungkin TUHAN akan melakukan mukjizat untuk kita, dan memaksa Raja Nebukadnezar berundur.” Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, dan aku menyuruh kedua-dua orang utusan itu supaya memberitahu Raja Zedekia bahawa TUHAN, Allah Israel, berfirman begini, “Zedekia, Aku akan mengalahkan pasukanmu yang sedang bertempur melawan raja Babilonia dan pasukannya. Aku akan melonggokkan semua senjata tenteramu di tengah-tengah kota. Aku akan memerangi kamu dengan sekuat tenaga dan kemurkaan yang meluap-luap. Aku akan membunuh penduduk kota ini; baik manusia mahupun binatang akan mati kerana wabak penyakit yang dahsyat. Engkau dan para pegawaimu serta semua orang yang terselamat dari peperangan, kebuluran, dan wabak, akan Kubiarkan ditangkap oleh Raja Nebukadnezar dan oleh musuh yang mahu membunuh kamu. Raja Nebukadnezar akan membunuh kamu semua tanpa ampun atau belas kasihan. Aku, TUHAN, telah berfirman.” Kemudian TUHAN menyuruh aku berkata kepada umat-Nya, “Dengarlah! Aku, TUHAN, memberikan pilihan kepada kamu: jalan yang menuju kehidupan, atau jalan yang menuju kematian. Setiap orang yang tinggal di dalam kota akan mati kerana peperangan atau kebuluran atau wabak. Tetapi mereka yang keluar untuk menyerah diri kepada orang Babilonia yang sedang menyerang kota ini akan terselamat dan tidak dibunuh. Aku telah mengambil keputusan untuk menghancurkan kota ini, dan tidak akan menyelamatkannya. Kota ini akan diserahkan kepada raja Babilonia, dan raja itu akan membakarnya sampai habis sama sekali. Aku, TUHAN, telah berfirman.” [11-12] TUHAN menyuruh aku menyampaikan perkhabaran ini kepada keluarga diraja Yehuda, keturunan Raja Daud, “Dengarkan apa yang Aku, TUHAN, firmankan. Berusahalah supaya keadilan dilakukan setiap hari. Lepaskanlah orang yang ditipu daripada kekuasaan orang yang menipunya. Jika tidak, kejahatan yang kamu lakukan akan menjadikan kemurkaan-Ku menyala seperti api yang tidak dapat dipadamkan.” *** Kemudian TUHAN berfirman kepada Yerusalem, “Hai Yerusalem! Kamu terletak lebih tinggi daripada lembah-lembah di sekitarmu. Engkau seperti bukit batu menjulang di tanah rata, tetapi Aku akan melawan engkau. Engkau berkata bahawa tiada seorang pun dapat menyerang engkau atau menembusi kubu-kubumu. Tetapi Aku akan menghukum engkau kerana perbuatanmu. Aku akan membakar istanamu, dan segala sesuatu di sekitarnya akan terbakar juga. Aku, TUHAN, telah berfirman.” [1-2] TUHAN menyuruh aku pergi ke istana raja Yehuda, keturunan Raja Daud, untuk menyampaikan perkhabaran TUHAN kepada raja dan kepada para pegawainya, serta penduduk Yerusalem. Inilah firman TUHAN kepada mereka, *** “Lakukanlah apa yang adil dan jujur. Lepaskanlah orang yang ditipu daripada kekuasaan orang yang menipunya. Jangan tindas atau berbuat jahat terhadap orang asing, anak yatim piatu atau balu. Jangan bunuh orang yang tidak bersalah di tempat yang suci ini. Jika kamu sungguh-sungguh menjalankan perintah-Ku, maka keturunan Daud akan tetap menjadi raja. Mereka bersama dengan para pegawai dan rakyat mereka akan melalui pintu gerbang istana ini dengan mengendarai kereta kuda dan menunggang kuda. Tetapi jika kamu tidak mentaati perintah-Ku, Aku bersumpah bahawa istana ini akan menjadi runtuhan. Aku, TUHAN, telah berfirman. Bagi-Ku, istana raja Yehuda seindah tanah Gilead dan Pergunungan Lebanon, tetapi tempat itu akan Kujadikan gurun yang tidak didiami orang. Aku akan mengirim orang untuk menghancurkannya. Mereka akan membawa kapak, lalu merobohkan tiang-tiangnya yang indah, yang dibuat daripada kayu sedar. Kemudian mereka akan melemparkannya ke dalam api. Selepas itu banyak orang asing akan lalu di situ dan bertanya kepada satu sama lain, mengapa Aku, TUHAN, telah bertindak begitu terhadap kota yang besar itu. Kemudian mereka akan menjawab bahawa semua itu berlaku kerana kamu telah mengingkari perjanjian kamu dengan Aku, Allah kamu, dan telah menyembah serta mengabdi kepada tuhan-tuhan lain.” Hai penduduk Yehuda, jangan tangisi Raja Yosia; jangan ratapi kemangkatan raja. Tetapi tangisilah Yoahas, putera raja; kerana putera itu telah dibawa pergi dan tidak akan kembali. Dia tidak akan melihat tanah airnya lagi. Inilah firman TUHAN tentang Raja Yoahas, putera Raja Yosia, yang menjadi raja Yehuda menggantikan ayahandanya, “Dia telah pergi dari sini, dan tidak akan kembali. Dia akan meninggal di negeri pembuangan, dan dia tidak akan melihat negeri ini lagi.” Malanglah orang yang mendirikan rumahnya dengan ketidakadilan, dan membesarkannya dengan ketidakjujuran. Dia menyuruh orang bekerja tanpa ganjaran, dan tidak membayar upah mereka. Malanglah orang yang berkata, “Aku akan mendirikan istana yang mempunyai bilik-bilik besar di tingkat atas.” Lalu dia membuat tingkap rumahnya, dengan bingkai daripada kayu sedar, lalu mengecatnya dengan warna merah. Adakah engkau menjadi raja yang lebih baik, jika engkau membina istana dengan kayu sedar, sehingga lebih cantik daripada istana orang lain? Bapamu menikmati hidup yang bahagia. Dia selalu berlaku adil dan tidak berat sebelah, dan dia berjaya dalam segala usahanya. Dia mengadili perkara orang miskin dengan adil; segala sesuatu berjalan dengan baik untuknya. Itulah ertinya mengenal TUHAN. Tetapi engkau hanya mencari keuntungan diri sendiri; engkau membunuh orang yang tidak bersalah, dan menindas rakyatmu dengan kejam. Demikianlah firman TUHAN. Oleh itu, TUHAN berfirman tentang Raja Yoyakim putera Raja Yosia, dari Yehuda, “Tiada orang yang meratapi kemangkatan baginda; tiada orang yang berkata, ‘Aduhai sahabatku, aduhai.’ Tiada orang yang menangisinya atau berseru, ‘Kasihan tuanku raja!’ Yoyakim akan diseret dan dilempar keluar pintu gerbang Yerusalem, seperti yang dilakukan orang terhadap bangkai keldai.” TUHAN berfirman, “Hai penduduk Yerusalem, pergilah ke Lebanon dan berteriaklah. Pergilah ke tanah Basan dan memekiklah; berserulah dari pergunungan Moab, kerana semua sekutu kamu sudah dikalahkan. Aku telah berfirman kepada kamu ketika kamu makmur, tetapi kamu tidak mahu mendengarkan Aku. Itulah yang kamu lakukan sepanjang hidup kamu; kamu tidak pernah mahu taat kepada-Ku. Oleh itu, para pemimpin kamu akan lenyap seperti ditiup angin; sekutu-sekutu kamu akan diangkut sebagai tawanan, dan kota kamu dihina dan dipermalukan kerana kamu telah melakukan kejahatan. Kamu tinggal dengan aman kerana dikelilingi tiang-tiang sedar Lebanon, tetapi apabila kamu ditimpa kesakitan, kamu akan menderita seperti wanita yang bersalin.” TUHAN berfirman kepada Raja Yoyakhin putera Raja Yoyakim, dari Yehuda, “Demi Aku, Allah yang hidup, Aku tegaskan bahawa walaupun engkau bagaikan cincin meterai pada tangan kanan-Ku, namun Aku akan mencabut engkau, lalu menyerahkan engkau kepada orang yang engkau takuti, iaitu orang yang ingin membunuh engkau. Aku akan menyerahkan engkau kepada Raja Nebukadnezar dari Babilonia dan askar-askarnya. Aku akan mengusir engkau dan ibumu, lalu Aku akan membuang kamu ke negeri yang bukan tanah air kamu. Kamu berdua akan mati di sana. Kamu akan sangat merindukan negeri ini, tetapi kamu tidak akan kembali.” Aku, Yeremia berkata, “Adakah Raja Yoyakhin telah menjadi seperti periuk pecah yang dibuang dan tidak disukai lagi? Itukah sebabnya baginda dan anak-anaknya diusir dan dibuang ke negeri yang asing bagi mereka?” Wahai negeriku, tanah airku! Dengarlah firman TUHAN, “Orang itu telah ditentukan supaya kehilangan anak-anaknya dan selalu gagal dalam hidupnya. Dia tidak akan mempunyai keturunan yang memerintah di Yehuda sebagai pengganti Daud. Aku, TUHAN, telah berfirman.” Alangkah dahsyatnya hukuman TUHAN terhadap para penguasa yang membinasakan dan mencerai-beraikan umat-Nya! Inilah yang difirmankan TUHAN, Allah Israel, tentang para penguasa yang seharusnya menjaga umat-Nya, “Kamu tidak menjaga umat-Ku; sebaliknya kamu mencerai-beraikan dan mengusir mereka. Sekarang Aku akan menghukum kamu kerana kejahatan kamu. Aku akan mengumpulkan umat-Ku yang lain dari negeri-negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka. Aku akan membawa mereka kembali ke tanah air mereka. Mereka akan mempunyai banyak keturunan dan mereka akan bertambah banyak. Aku akan melantik penguasa untuk menjaga mereka. Umat-Ku tidak akan takut atau gentar lagi; Aku tidak akan menghukum mereka lagi. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman, “Masanya akan tiba apabila Aku melantik seorang raja yang adil daripada keturunan Daud. Raja itu akan memerintah dengan bijaksana, dan melakukan apa yang adil dan benar di seluruh negeri. Apabila dia menjadi raja, orang Yehuda akan selamat, dan orang Israel akan hidup dengan damai. Raja itu akan disebut ‘TUHAN Penyelamat Kita’. Masanya akan tiba apabila orang tidak lagi bersumpah demi Aku, Allah yang hidup, yang membawa umat Israel keluar dari Mesir. Tetapi mereka akan bersumpah demi Aku, Allah yang hidup, yang membawa umat Israel keluar dari sebuah negeri di utara, dan dari semua negeri lain tempat Aku mencerai-beraikan mereka. Kemudian mereka akan tinggal di tanah air mereka sendiri.” Hatiku hancur dan aku gementar. TUHAN dan firman-Nya yang suci menjadikan aku seperti orang mabuk, orang yang minum terlalu banyak wain. Negeri penuh dengan orang yang tidak setia kepada TUHAN. Hidup mereka jahat dan mereka menyalahgunakan kuasa. Rumput di padang menjadi kering dan seluruh negeri berkabung, kerana dikutuk oleh TUHAN. TUHAN berfirman, “Nabi dan imam tidak mahu taat kepada-Ku. Aku mendapati mereka berbuat jahat bahkan di Rumah-Ku. Oleh itu, jalan yang dilalui mereka akan licin dan gelap; Aku akan menyebabkan mereka tersandung dan jatuh. Aku akan mendatangkan malapetaka kepada mereka, apabila masanya tiba untuk menghukum mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman. Aku telah nampak dosa nabi-nabi Samaria. Mereka berucap demi nama Baal, dan menyesatkan umat-Ku Israel. Tetapi di Yerusalem, Aku nampak nabi-nabi melakukan hal-hal yang lebih jahat lagi. Mereka berdusta dan berzina, serta menyokong orang yang berbuat jahat, sehingga tiada seorang pun mahu bertaubat. Bagi-Ku, mereka semua jahat seperti penduduk Sodom dan Gomora.” Inilah firman TUHAN Yang Maha Kuasa tentang nabi-nabi di Yerusalem, “Aku akan memberi mereka tanaman pahit sebagai makanan dan racun sebagai minuman, kerana mereka menyebabkan orang di seluruh negeri tidak mentaati Aku.” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada penduduk Yerusalem, “Jangan dengarkan perkataan nabi-nabi yang sentiasa memberikan harapan kosong belaka. Mereka hanya menyampaikan khayalan sendiri dan bukan perkhabaran daripada-Ku. Mereka selalu berkata kepada orang yang tidak mahu mendengarkan firman-Ku, ‘Kamu akan selamat.’ Mereka berkata kepada setiap orang yang degil, ‘Kamu tidak akan ditimpa bencana.’ ” Aku berkata, “Tiada seorang pun daripada nabi-nabi itu mengetahui apa yang terkandung dalam fikiran TUHAN. Tiada seorang pun antara mereka yang pernah mendengar dan memahami rancangan-Nya; tiada juga yang memperhatikan atau mengendahkan firman-Nya. Kemurkaan-Nya bagaikan angin ribut yang mengamuk dan melanda orang jahat. Kemurkaan-Nya tidak akan reda sebelum semua rancangan-Nya dilaksanakan. Pada kemudian hari, umat TUHAN akan memahami hal itu dengan jelas.” TUHAN berfirman, “Aku tidak mengutus nabi-nabi itu, namun mereka pergi juga. Aku tidak memberikan perkhabaran kepada mereka, namun mereka berkata-kata demi nama-Ku. Seandainya mereka tahu apa yang terkandung dalam fikiran-Ku, tentu mereka akan mengisytiharkan perkhabaran-Ku kepada umat-Ku. Dengan demikian umat-Ku akan berhenti melakukan dosa dan perbuatan yang jahat. Aku ini Allah yang hadir di mana-mana, dan bukan Allah yang hadir di satu tempat sahaja. Tiada seorang pun dapat menyembunyikan diri daripada pandangan-Ku, kerana Aku hadir di mana-mana, di syurga dan di bumi. Aku tahu semua yang dikatakan oleh nabi-nabi itu. Demi nama-Ku mereka berdusta bahawa perkhabaran-Ku telah diterima mereka melalui mimpi. Sampai bilakah nabi-nabi itu akan menyesatkan umat-Ku dengan dusta yang dibuat-buat mereka sendiri? Mereka berfikir bahawa mimpi-mimpi yang diceritakan mereka itu akan menyebabkan umat-Ku melupakan Aku sebagaimana nenek moyang mereka melupakan Aku, lalu menyembah Baal. Nabi yang bermimpi seharusnya berkata, ‘Itu hanya mimpi.’ Tetapi nabi yang menerima perkhabaran daripada-Ku haruslah menyampaikan perkhabaran itu dengan setia. Apalah jerami jika dibandingkan dengan gandum! Firman-Ku bagaikan api, dan bagaikan tukul yang menghancurkan batu. Aku melawan nabi-nabi yang menyampaikan perkhabaran daripada sesama mereka, lalu mengatakan bahawa perkhabaran itu daripada-Ku. Aku juga melawan nabi-nabi yang menyampaikan kata-kata sendiri, lalu mengatakan bahawa kata-kata itu daripada-Ku. Aku, TUHAN berfirman; dengarlah! Aku akan melawan nabi-nabi yang menyampaikan mimpi yang penuh dusta. Mereka menceritakan mimpi-mimpi itu lalu menyesatkan umat-Ku dengan dusta dan cakap besar mereka. Aku tidak mengutus atau memberikan arahan kepada nabi-nabi itu. Mereka sama sekali tidak berguna bagi umat-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman, “Hai Yeremia, apabila salah seorang umat-Ku, atau seorang nabi atau seorang imam bertanya kepadamu, ‘Apa perkhabaran TUHAN?’ Engkau harus menjawab, ‘Engkaulah beban TUHAN, kerana itu engkau akan dibuang-Nya.’ Jika salah seorang umat-Ku atau seorang nabi atau seorang imam menyebut perkataan ‘beban TUHAN’, Aku akan menghukum dia dan keluarganya. Sebaliknya, setiap orang harus bertanya kepada kawannya dan kepada sanak saudaranya, ‘Apakah jawapan TUHAN? Apakah yang difirmankan TUHAN?’ Mereka tidak boleh lagi menggunakan perkataan ‘beban TUHAN’. Jika ada orang yang masih menggunakan perkataan itu, Aku akan menjadikan perkhabaran-Ku benar-benar beban baginya. Orang sudah memutarbalikkan firman daripada Aku, Allah mereka, Allah yang hidup, TUHAN Yang Maha Kuasa. Hai Yeremia, tanyalah nabi-nabi itu, ‘Apakah jawapan TUHAN kepada kamu? Apakah yang difirmankan TUHAN?’ Jika ada orang yang tidak taat kepada perintah-Ku itu, dan masih menggunakan perkataan ‘beban TUHAN’, Aku akan memungut mereka, lalu membuang mereka jauh-jauh, baik mereka mahupun kota yang telah Kuberikan kepada mereka dan nenek moyang mereka. Aku akan mempermalukan dan menghina mereka sampai selama-lamanya, dan kesudahan mereka tidak akan dilupakan orang.” Pada suatu masa TUHAN memberikan satu penglihatan kepadaku. Hal itu berlaku selepas Raja Yoyakhin putera Raja Yoyakim dari Yehuda, bersama dengan para pegawai pemerintah Yehuda, tukang dan pekerja mahir, ditawan oleh Raja Nebukadnezar dari Babilonia, dan dibawa sebagai tawanan dari Yerusalem ke Babilonia. Aku nampak dua buah bakul yang berisi buah ara terletak di hadapan Rumah TUHAN. Bakul yang pertama berisi buah ara yang baik, seperti buah ara yang mula-mula masak, sedangkan bakul yang kedua berisi buah ara yang busuk, sehingga tidak dapat dimakan. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Hai Yeremia, apakah yang engkau nampak?” Aku menjawab, “Aku nampak buah ara. Buah yang baik sangat baik, dan buah yang busuk sangat busuk sehingga tidak dapat dimakan.” TUHAN berfirman lagi, “Aku, TUHAN, Allah Israel menganggap orang yang telah diangkut ke Babilonia itu seperti buah ara yang baik ini, dan Aku akan memperlakukan mereka dengan baik. Aku akan menjaga mereka dan membawa mereka kembali ke negeri ini. Aku akan membina mereka, dan tidak meruntuhkan mereka; Aku akan menegakkan mereka, dan tidak mencabut mereka. Aku akan memberikan kemahuan kepada mereka untuk memahami bahawa Akulah TUHAN. Dengan demikian mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Allah mereka, kerana mereka akan kembali kepada-Ku dengan sepenuh hati. Tetapi Aku, TUHAN akan memperlakukan orang berikut seperti buah ara yang busuk, yang tidak dapat dimakan: Raja Zedekia dari Yehuda, dan para pegawainya, serta penduduk Yerusalem yang lain, yang tetap tinggal di negeri ini atau yang telah berpindah ke Mesir. Aku akan mendatangkan bencana kepada mereka sehingga semua bangsa di seluruh dunia takut. Mereka akan diejek, dijadikan bahan tertawaan dan dipermalukan. Di mana sahaja Aku mencerai-beraikan mereka, nama mereka akan digunakan sebagai kutuk. Aku akan mendatangkan peperangan, kebuluran, dan wabak kepada mereka sehingga mereka semua mati, dan tiada orang yang tertinggal di negeri yang telah Kuberikan kepada mereka dan nenek moyang mereka.” Pada tahun keempat selepas Yoyakim putera Raja Yosia menjadi raja Yehuda, aku mendapat perkhabaran daripada TUHAN tentang semua penduduk Yehuda. (Hal ini berlaku pada tahun pertama pemerintahan Raja Nebukadnezar di Babilonia.) Aku berkata kepada semua penduduk Yehuda dan Yerusalem, “Selama dua puluh tiga tahun, sejak tahun ketiga belas Raja Yosia putera Raja Amon memerintah di Yehuda sampai hari ini, TUHAN telah berfirman kepadaku dan aku tidak pernah lalai menyampaikan apa yang telah difirmankan-Nya kepada kamu. Tetapi kamu tidak pernah memperhatikannya. TUHAN terus-menerus mengutus para nabi, iaitu hamba-hamba-Nya kepada kamu, tetapi kamu tidak mahu mendengarkan dan memperhatikan mereka. Mereka menyuruh kamu meninggalkan cara hidup yang jahat dan perbuatan yang berdosa, supaya kamu akan tetap tinggal di negeri yang telah diberikan oleh TUHAN kepada kamu dan kepada nenek moyang kamu sebagai milik pusaka. Nabi-nabi itu melarang kamu menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain. Mereka juga melarang kamu memuja berhala-berhala buatan kamu sendiri, kerana hal itu membangkitkan kemurkaan TUHAN. Jika kamu mentaati perintah TUHAN itu, Dia tidak akan menghukum kamu. Tetapi TUHAN sendiri berfirman bahawa kamu tidak mahu mendengarkan Dia. Malah kamu membangkitkan kemurkaan-Nya dengan berhala-berhala kamu. Kamu sendiri telah mendatangkan hukuman-Nya atas kamu. Oleh sebab kamu tidak mahu mendengarkan firman-Nya, TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, ‘Aku akan memanggil semua bangsa dari utara, dan juga hamba-Ku, Raja Nebukadnezar dari Babilonia. Aku akan mengerahkan mereka supaya memerangi Yehuda dan penduduknya serta memerangi semua bangsa di sekitarnya. Aku akan membinasakan penduduk Yehuda bersama dengan bangsa-bangsa di sekitarnya, dan membiarkan mereka hancur selama-lamanya. Sesiapa yang nampak mereka akan terkejut dan berasa ngeri. Aku, TUHAN, telah berfirman. Aku akan menghentikan sorak kegembiraan dan pesta perkahwinan mereka. Mereka tidak akan mempunyai minyak untuk pelita, dan gandum mereka akan habis. Aku akan membiarkan seluruh negeri ini hancur dan menjadi tempat yang menggerunkan. Bangsa-bangsa di sekitarnya akan mengabdi kepada raja Babilonia selama tujuh puluh tahun. Selepas itu Aku akan menghukum orang Babilonia dan raja mereka kerana dosa mereka. Aku akan memusnahkan negeri Babilonia dan membiarkannya menjadi runtuhan selama-lamanya. Aku akan menghukum Babilonia dengan semua bencana yang telah Aku rancang untuk ditimpakan kepada bangsa-bangsa ketika Aku berfirman melalui Yeremia, iaitu semua bencana yang dicatat di dalam kitab ini. Aku akan membalas perbuatan orang Babilonia; mereka akan diperhamba oleh raja-raja besar dan oleh banyak bangsa.’ ” TUHAN, Allah Israel berfirman kepadaku, “Inilah cawan wain yang telah diisi dengan kemurkaan-Ku. Bawalah cawan ini kepada semua bangsa, dan suruhlah mereka minum dari cawan ini. Aku mengutus engkau kepada mereka. Apabila mereka minum dari cawan ini, mereka akan terhuyung-hayang dan hilang akal kerana peperangan yang Aku datangkan kepada mereka.” Oleh itu aku mengambil cawan itu dari tangan TUHAN, lalu pergi kepada semua bangsa; TUHAN telah mengutus aku kepada mereka. Kemudian aku memberi mereka minum dari cawan itu. Yerusalem dan semua kota di Yehuda, bersama dengan raja-raja dan para pemimpin mereka, disuruh minum daripada cawan itu sehingga mereka menjadi seperti gurun yang mengerikan. Nama mereka akan digunakan sebagai kutuk, seperti yang berlaku sampai hari ini. [19-26] Inilah senarai nama orang lain yang harus minum dari cawan itu: raja Mesir, para pegawai dan pemimpinnya; semua orang Mesir dan semua bangsa asing di Mesir; semua raja di tanah Us; semua raja Filistin di kota Askelon, Gaza, Ekron, dan orang yang masih hidup di Asdod; semua orang Edom, Moab, dan Amon; semua raja di Tirus dan Sidon; semua raja di kawasan pantai Laut Tengah; kota Dedan, Tema, dan Bus; semua orang yang memendekkan rambut mereka; semua raja Arab; semua raja suku yang tinggal di gurun; semua raja di Zimri, Elam, dan Madai; semua raja di utara, jauh dan dekat, seorang demi seorang. Semua bangsa di seluruh muka bumi mesti minum dari cawan itu. Orang terakhir yang mesti minum dari cawan itu ialah raja Babilonia. *** *** *** *** *** *** *** Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Beritahulah semua orang itu bahawa Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, memerintahkan mereka minum sampai mabuk dan muntah. Mereka akan jatuh dan tidak dapat bangun lagi kerana peperangan yang Aku datangkan kepada mereka. Jika mereka tidak mahu mengambil cawan itu dari tanganmu dan tidak meminumnya, beritahulah mereka bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman bahawa mereka tetap diwajibkan minum dari cawan itu. Aku akan memulakan pemusnahan itu di kota-Ku sendiri. Adakah mereka menyangka bahawa mereka tidak akan dihukum? Mereka tentu akan dihukum kerana Aku akan mendatangkan peperangan kepada semua bangsa di seluruh bumi. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, telah berfirman. Hai Yeremia, semua yang Aku firmankan kepadamu, harus engkau isytiharkan. Engkau mesti berkata kepada mereka, ‘TUHAN akan mengaum dari syurga; Dia akan mengguntur dari kediaman-Nya yang suci. Dia akan bergemuruh melawan umat-Nya; Dia akan memekik seperti orang yang memeras buah anggur. Setiap orang di bumi akan mendengar-Nya, sampai ke hujung bumi suara-Nya bergema. TUHAN mengajukan perkara terhadap bangsa-bangsa. Dia akan mengadili semua orang dan membinasakan orang jahat. TUHAN telah berfirman.’ ” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman bahawa bencana akan menimpa bangsa demi bangsa, dan badai sedang berkecamuk di hujung-hujung bumi. Pada hari itu mayat orang yang dibinasakan oleh TUHAN akan bergelimpangan di seluruh muka bumi. Mereka tidak akan diratapi, tidak pula diangkat untuk dikuburkan, melainkan dibiarkan sahaja di tanah seperti timbunan baja. Menangislah, hai para pemimpin, kamu yang menjadi gembala umat-Ku, menangislah kuat-kuat! Merataplah dan berguling-gulinglah dalam debu, kerana sudah tiba masanya kamu dibantai; kamu akan disembelih seperti domba jantan. Kamu pasti tidak dapat menyelamatkan diri. [36-37] Kamu mengerang dan menangis dengan pilu kerana TUHAN dalam kemurkaan-Nya telah membinasakan bangsa kamu serta memusnahkan negeri kamu yang aman. *** TUHAN telah meninggalkan umat-Nya seperti singa yang meninggalkan guanya. Kedahsyatan peperangan dan kemurkaan TUHAN telah mengubah negeri ini menjadi gurun. Sebaik sahaja Yoyakim putera Raja Yosia menjadi raja Yehuda, TUHAN berfirman kepadaku, “Pergilah berdiri di halaman Rumah-Ku dan berucaplah kepada orang dari kota-kota Yehuda yang datang beribadat di situ. Isytiharkanlah semua yang Kuperintahkan kepadamu. Jangan kurangi sepatah kata pun. Mungkin bangsa itu mahu mendengar, lalu berhenti berbuat jahat. Jika demikian, Aku tidak akan melaksanakan rancangan-Ku. Aku tidak akan membinasakan mereka kerana perbuatan jahat mereka.” TUHAN menyuruh aku berkata kepada mereka, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Aku, TUHAN, telah memberikan perintah supaya kamu mesti taat kepada-Ku dan mematuhi hukum yang telah Kuberikan kepada kamu. Kamu mesti juga mendengarkan apa yang dikatakan oleh hamba-Ku, iaitu para nabi yang terus-menerus Kuutus kepada kamu. Tetapi kamu tidak pernah mendengarkan mereka. Jika kamu tetap membantah, Aku akan memperlakukan Rumah-Ku ini seperti Aku telah memperlakukan Silo, sehingga semua bangsa di dunia menggunakan nama kota Yerusalem sebagai kutuk.’ ” Para imam, nabi, dan segenap rakyat mendengar segala yang aku katakan di Rumah TUHAN. Segera setelah aku selesai mengisytiharkan segala perkhabaran TUHAN seperti yang diperintahkan-Nya, mereka menangkap aku sambil berseru, “Engkau mesti dibunuh! Mengapa engkau berani berkata demi nama TUHAN bahawa Rumah-Nya ini akan menjadi seperti Silo, dan bahawa kota ini akan dimusnahkan dan menjadi tempat yang tidak didiami lagi?” Kemudian orang ramai berkerumun di sekeliling aku. Ketika para pemimpin Yehuda mendengar apa yang telah berlaku, mereka tergesa-gesa keluar dari istana lalu pergi ke Rumah TUHAN, dan duduk di Pintu Gerbang Baru. Para imam dan nabi berkata kepada pemimpin-pemimpin itu dan kepada rakyat, “Orang ini patut dihukum mati kerana dia telah mengeluarkan kata-kata yang menentang kota kita. Kamu sendiri telah mendengarnya.” Kemudian aku berkata, “TUHAN telah menyuruh aku mengisytiharkan segala perkhabaran yang menentang Rumah TUHAN dan kota ini seperti yang telah kamu dengar. Oleh itu kamu harus mengubah cara hidup dan perbuatan kamu; taatilah TUHAN, Allah kamu, supaya Dia membatalkan rancangan-Nya untuk menimpakan bencana atas kamu. Bagi diriku, aku dalam kuasa kamu! Lakukanlah apa sahaja yang adil dan benar menurut pendapat kamu. Tetapi ingatlah, jika kamu membunuh aku, kamu dan penduduk kota ini berdosa kerana membunuh orang yang tidak bersalah. TUHAN yang mengutus aku untuk memberikan amaran itu kepada kamu.” Kemudian para pemimpin dan rakyat berkata kepada para imam dan nabi itu, “Orang ini berucap demi nama TUHAN, Allah kita; dia tidak patut dihukum mati.” Selepas itu beberapa orang antara orang tua-tua bangsa itu maju ke hadapan dan berkata kepada semua orang yang berkumpul di situ, “Ketika Raja Hizkia menjadi raja Yehuda, Nabi Mikha dari Moresyet memberitahu rakyat firman TUHAN Yang Maha Kuasa, ‘Sion akan dibajak seperti ladang, Yerusalem akan menjadi timbunan runtuhan, dan bukit Rumah TUHAN akan menjadi hutan.’ Raja Hizkia dan penduduk Yehuda tidak membunuh Mikha. Sebaliknya, Raja Hizkia takut akan TUHAN dan minta belas kasihan-Nya. Oleh itu TUHAN membatalkan rancangan-Nya untuk menimpakan bencana kepada mereka. Sekarang pula, kita hampir mendatangkan bencana yang dahsyat kepada diri kita sendiri.” Seorang lelaki lain yang bernama Uria anak Semaya dari Kiryat-Yearim, juga pernah berucap demi nama TUHAN untuk menentang kota dan bangsa ini, seperti yang dilakukan oleh Yeremia. Ketika Raja Yoyakim bersama dengan askar-askar dan para pegawainya mendengar ucapan Uria itu, raja berusaha untuk membunuh dia. Tetapi Uria mendengar hal itu, lalu dia lari ketakutan dan pergi ke Mesir. Tetapi Raja Yoyakim menyuruh Elnatan anak Akhbor bersama dengan beberapa orang lain pergi ke Mesir untuk menangkap Uria. Mereka membawa dia kembali kepada Raja Yoyakim. Kemudian raja menyuruh orang membunuh dia, lalu mayatnya dibuang di tanah perkuburan orang awam. Tetapi aku mendapat pertolongan Ahikam anak Safan, oleh itu aku tidak diserahkan kepada rakyat untuk dibunuh. Tidak lama selepas Raja Zedekia putera Raja Yosia menjadi raja Yehuda, TUHAN menyuruh aku membuat tali daripada kulit dan membuat kok daripada kayu, lalu memasangnya di tengkukku. Kemudian TUHAN menyuruh aku menyampaikan perkhabaran kepada raja Edom, Moab, Amon, Tirus, dan Sidon, dengan perantaraan para utusan mereka yang telah datang ke Yerusalem untuk menghadap Raja Zedekia. TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, menyuruh aku memerintahkan mereka untuk memberitahu raja-raja mereka firman TUHAN ini, “Dengan kuasa-Ku yang besar dan dengan kekuatan-Ku, Aku telah menciptakan dunia, manusia, dan semua binatang di bumi; Aku dapat memberikan semua itu kepada sesiapa sahaja yang Aku kehendaki. Akulah yang telah menyerahkan semua bangsa ini ke bawah kekuasaan hamba-Ku, Nebukadnezar, raja Babilonia. Bahkan binatang liar pun telah Kuserah kepadanya untuk dikuasai. Semua bangsa akan mengabdi kepada Raja Nebukadnezar, putera, dan cucunya sampai masa negerinya sendiri jatuh. Pada masa itu bangsa Babilonia akan mengabdi kepada bangsa-bangsa yang kuat dan raja-raja yang besar. Tetapi bangsa atau kerajaan yang tidak mahu takluk kepada Nebukadnezar akan Kuhukum dengan peperangan, kebuluran, dan wabak sehingga Kubiarkan Nebukadnezar memusnahkan mereka sama sekali. Jangan dengarkan nabi-nabi kamu atau sesiapa pun juga yang melarang kamu takluk kepada raja Babilonia, walaupun mereka mengaku dapat meramalkan masa depan, sama ada melalui mimpi, atau dengan memanggil roh orang mati, atau dengan ilmu sihir. Mereka menipu kamu sehingga kamu dibawa jauh dari negeri kamu. Aku akan mengusir kamu, dan kamu akan binasa. Tetapi bangsa yang mahu takluk dan mahu mengabdi kepada raja Babilonia akan Kubiar tinggal di tanah air mereka untuk bercucuk tanam di situ. Aku, TUHAN, telah berfirman.” Aku menyampaikan hal yang sama kepada Raja Zedekia dari Yehuda. Aku berkata, “Hendaklah tuanku menyerah diri kepada raja Babilonia. Berkhidmatlah kepadanya dan kepada rakyatnya, supaya tuanku selamat. TUHAN telah berfirman bahawa bangsa yang tidak takluk kepada raja Babilonia akan mati kerana peperangan atau kebuluran atau wabak. Mengapakah tuanku dan rakyat mahu mati dengan cara demikian? Jangan dengarkan nabi-nabi yang melarang tuanku takluk kepada raja Babilonia. Mereka menipu tuanku. TUHAN sendiri berfirman bahawa Dia tidak mengutus mereka, dan mereka berdusta kepada tuanku demi nama-Nya. Oleh itu Dia akan mengusir dan membinasakan tuanku bersama dengan nabi-nabi yang telah berdusta kepada tuanku.” Kemudian aku memberitahu imam-imam dan semua rakyat bahawa TUHAN berfirman, “Jangan dengarkan nabi-nabi yang berkata bahawa tidak lama lagi harta benda Rumah-Ku akan dibawa kembali dari Babilonia. Mereka berdusta kepada kamu. Jangan dengarkan mereka! Hendaklah kamu menyerah diri kepada raja Babilonia, supaya kamu selamat. Mengapa kota ini dibiarkan menjadi timbunan runtuhan? Jika mereka benar-benar nabi dan telah menerima perkhabaran daripada-Ku, sekarang biarlah mereka minta kepada-Ku, TUHAN Yang Maha Kuasa, supaya harta benda yang masih ada di Rumah-Ku dan di istana raja di Yerusalem, tidak diangkut ke Babilonia.” ( [19-20] Apabila Raja Nebukadnezar menangkap Yoyakhin putera Raja Yoyakim, raja Yehuda, dan para pemimpin masyarakat Yehuda dan Yerusalem, lalu membawa mereka ke Babilonia, Raja Nebukadnezar tidak mengambil tiang-tiang, bejana gangsa, pedati-pedati, dan beberapa harta lain di Rumah TUHAN.) *** “Dengarlah akan firman-Ku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, tentang semua harta benda yang tertinggal di Rumah-Ku dan di istana raja di Yerusalem: Semuanya akan diangkut ke Babilonia, dan akan tetap di sana sehingga Aku memperhatikannya lagi. Pada masa itu barulah Aku membawa semuanya kembali ke tempat ini. Aku, TUHAN, telah berfirman.” Pada tahun itu juga, pada bulan kelima tahun keempat pemerintahan Raja Zedekia, Hananya anak Azur, seorang nabi dari kota Gibeon, berkata-kata kepadaku di Rumah TUHAN. Dia memberitahu aku di hadapan para imam dan rakyat bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman, “Aku telah mematahkan kuasa raja Babilonia. Dalam masa dua tahun ini Aku akan mengembalikan semua harta benda Rumah-Ku, yang telah diangkut oleh Raja Nebukadnezar ke Babilonia. Aku juga akan membawa kembali Yoyakhin putera Raja Yoyakim, raja Yehuda, bersama dengan semua rakyat Yehuda yang telah diangkut ke Babilonia. Sesungguhnya, Aku akan mematahkan kuasa Babilonia. Aku, TUHAN, telah berfirman.” Kemudian di hadapan para imam dan semua orang yang berdiri di Rumah TUHAN, aku berkata kepada Hananya, “Syabas! Aku berharap TUHAN akan melakukan hal itu! Mudah-mudahan Dia akan menjadikan ramalanmu itu kenyataan, dan Dia membawa kembali harta benda Rumah TUHAN dari Babilonia bersama dengan semua orang yang telah dibuang ke sana. Tetapi dengarlah akan apa yang kukatakan kepadamu dan kepada rakyat. Nabi-nabi pada dahulu kala, sebelum zaman kita, telah meramalkan bahawa peperangan, kebuluran, dan wabak akan menimpa banyak bangsa dan kerajaan yang kuat. Tetapi nabi yang meramalkan keamanan, hanya dapat diakui sebagai nabi yang sungguh-sungguh diutus oleh TUHAN, apabila ramalannya menjadi kenyataan.” Kemudian Hananya mengambil kok dari tengkukku, lalu mematahkannya. Di hadapan semua orang di situ, dia berkata, “TUHAN berfirman bahawa beginilah caranya Dia akan mematahkan kok yang dipasang oleh Raja Nebukadnezar pada tengkuk semua bangsa; TUHAN akan melakukan hal itu dalam masa dua tahun.” Selepas itu aku meninggalkan tempat itu. Tidak berapa lama selepas peristiwa itu, TUHAN menyuruh aku pergi kepada Hananya dan berkata, “TUHAN berfirman bahawa engkau sanggup mematahkan kok kayu, tetapi Dia akan menggantikannya dengan kok besi. TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman bahawa Dia akan memasang kok besi pada tengkuk semua bangsa ini, dan mereka akan mengabdi kepada Raja Nebukadnezar, raja Babilonia. TUHAN juga berfirman bahawa binatang buas pun akan diserahkan-Nya kepada kekuasaan Raja Nebukadnezar.” Kemudian aku menyampaikan firman itu kepada Hananya, lalu aku berkata lagi, “Dengarlah, hai Hananya! TUHAN tidak mengutus engkau; engkau menyebabkan bangsa ini mempercayai dusta. Oleh itu TUHAN sendiri berfirman bahawa Dia akan melenyapkan engkau. Tahun ini juga engkau akan mati, kerana engkau telah menyuruh bangsa ini melawan TUHAN.” Pada tahun itu juga, pada bulan ketujuh, Hananya meninggal. Aku menulis surat kepada para imam, nabi, pemimpin bangsa, dan kepada semua orang lain di Yerusalem yang telah ditawan oleh Raja Nebukadnezar dan dibawa ke Babilonia. Aku menulis surat itu setelah Raja Yoyakhin, bonda baginda, para pegawai istana, para pemimpin orang Yehuda dan Yerusalem, para tukang, dan pekerja mahir dibawa ke pembuangan. Aku memberikan surat itu kepada Elasa anak Safan dan Gemarya anak Hilkia, yang diutus oleh Raja Zedekia dari Yehuda, kepada Raja Nebukadnezar dari Babilonia. Surat itu berbunyi, “Demikianlah firman TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, kepada semua orang yang telah dibiarkan-Nya ditawan oleh Raja Nebukadnezar, lalu dibawa dari Yerusalem ke Babilonia: ‘Menetaplah di situ. Dirikanlah rumah kamu. Bukalah ladang dan nikmatilah hasilnya. Berkahwinlah supaya kamu mendapat anak, dan biarlah anak kamu juga berkahwin supaya mereka pun mendapat anak. Jumlah kamu mesti bertambah dan tidak boleh berkurang. Bekerjalah untuk kemakmuran kota tempat Aku membuang kamu. Berdoalah kepada-Ku untuk kepentingan kota itu, kerana jika kota itu makmur, kamu pun akan makmur. Aku TUHAN, Allah Israel, memberikan amaran kepada kamu supaya tidak membiarkan diri ditipu oleh nabi-nabi yang tinggal di tengah-tengah kamu atau oleh sesiapa pun yang berkata bahawa mereka dapat meramalkan masa depan. Jangan pedulikan mimpi mereka. Mereka menggunakan nama-Ku ketika berdusta kepada kamu. Aku tidak menyuruh mereka. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman.’ TUHAN berfirman, ‘Apabila genap masa tujuh puluh tahun bagi Babilonia, Aku akan memperhatikan kamu lagi dan menepati janji-Ku untuk membawa kamu pulang. Aku sendiri tahu akan rancangan-Ku untuk kamu. Rancangan itu bukan untuk mencelakakan kamu, tetapi untuk kemakmuran kamu dan untuk memberikan masa depan yang kamu harap-harapkan. Barulah kamu akan berseru kepada-Ku. Kamu akan datang untuk berdoa kepada-Ku, dan Aku akan menjawab doa kamu. Kamu akan mencari Aku dan kamu akan menemui Aku, kerana kamu mencari Aku dengan sepenuh hati. Sesungguhnya, kamu akan menemui Aku. Aku akan mengembalikan kamu ke tanah kamu. Aku akan mengumpulkan kamu dari setiap negeri dan dari setiap tempat Aku mencerai-beraikan kamu. Aku akan membawa kamu pulang ke negeri asal kamu. Aku, TUHAN, telah berfirman.’ Kamu berkata bahawa TUHAN telah memberi kamu nabi-nabi di Babilonia. Dengarlah apa yang difirmankan TUHAN tentang raja yang memerintah negeri yang diperintah oleh Daud dahulu, dan tentang penduduk kota ini, iaitu sanak saudara kamu yang tidak dibawa ke pembuangan bersama-sama kamu. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, ‘Aku akan mendatangkan peperangan, kebuluran, dan wabak penyakit kepada mereka. Aku akan memperlakukan mereka seperti buah ara yang terlalu busuk sehingga tidak dapat dimakan. Aku akan mengejar mereka dengan peperangan, kebuluran, dan wabak sehingga semua bangsa di seluruh dunia ngeri melihat keadaan mereka. Di mana-mana Aku mencerai-beraikan mereka, orang akan ngeri dan takut melihat apa yang telah berlaku kepada mereka. Mereka akan diejek, dan nama mereka digunakan sebagai kutuk. Semua hal itu berlaku kepada mereka kerana mereka tidak menurut perkhabaran-Ku yang Aku sampaikan terus-menerus kepada mereka melalui para nabi, hamba-hamba-Ku. Mereka tidak mahu mendengarkan perkhabaran-Ku itu. Kamu semua yang telah Kubuang ke Babilonia, dengarlah apa yang Aku, TUHAN, firmankan.’ TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, telah berfirman tentang Ahab anak Kolaya, dan tentang Zedekia anak Maaseya, yang menggunakan nama TUHAN untuk menyampaikan dusta kepada kamu. TUHAN berfirman bahawa Dia akan menyerahkan mereka kepada kekuasaan Raja Nebukadnezar dari Babilonia, yang akan membunuh mereka di hadapan kamu. Apabila orang yang telah dibawa dari Yerusalem ke Babilonia, hendak mengutuk seseorang, mereka akan berkata, ‘Semoga TUHAN memperlakukan engkau seperti Zedekia dan Ahab, yang telah dibakar hidup-hidup oleh raja Babilonia.’ Begitulah kesudahan mereka kerana mereka melakukan dosa-dosa besar di Israel: mereka berzina, dan menggunakan nama TUHAN untuk berdusta. Perbuatan itu bertentangan dengan kehendak TUHAN. Dia tahu apa yang dilakukan mereka, dan Dia sendiri menjadi saksi yang melawan mereka. TUHAN telah berfirman.” [24-25] TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel memberikan perkhabaran kepadaku untuk Semaya, orang Nehelam, kerana Semaya telah mengirim surat dengan menggunakan namanya sendiri kepada semua penduduk Yerusalem, kepada Imam Zefanya anak Maaseya dan kepada semua imam yang lain. Surat yang ditulis oleh Semaya kepada Zefanya berbunyi demikian, *** “TUHAN telah melantik engkau menjadi imam untuk menggantikan Yoyada, dan sekarang engkaulah pegawai tertinggi di Rumah TUHAN. Engkau bertanggungjawab untuk memastikan supaya setiap orang gila yang mengaku dirinya nabi, dibelenggu dengan rantai besi pada lehernya. Mengapa engkau tidak bertindak terhadap Yeremia orang Anatot itu, yang telah berlaku sebagai nabi di kalangan bangsa kita? Dia telah memberitahu orang kita di Babilonia bahawa mereka masih lama tinggal di sana sebagai orang tawanan; lalu mereka harus mendirikan rumah, menetap di sana, membuka ladang, dan makan hasilnya.” Surat itu dibacakan oleh Imam Zefanya kepadaku. Oleh itu TUHAN menyuruh aku mengirim berita tentang Semaya kepada semua orang Israel yang dibuang ke Babilonia. Berita itu demikian: “Semaya telah berucap kepada kamu seolah-olah dia seorang nabi; padahal Aku, TUHAN, tidak menyuruh dia. Oleh sebab dia telah menyebabkan kamu percaya kepada dusta, dan menyuruh kamu melawan Aku, maka Aku akan menghukum dia dan keturunannya. Dia tidak akan mempunyai keturunan yang tinggal di kalangan kamu. Dia tidak akan hidup untuk melihat hal-hal baik yang akan Kulakukan untuk umat-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN, Allah Israel, berfirman kepadaku, “Tulislah di dalam sebuah kitab semua yang telah Kufirmankan kepadamu, kerana masanya akan tiba apabila Aku memulihkan keadaan umat-Ku, Israel dan Yehuda. Aku akan membawa mereka kembali ke negeri yang telah Kuberikan kepada nenek moyang mereka. Mereka akan memiliki negeri itu semula. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman kepada umat Israel dan Yehuda, “Aku telah mendengar jeritan orang yang gentar, jeritan orang yang ketakutan, yang tidak mempunyai ketenteraman. Cubalah fikir dan selidiki! Dapatkah lelaki melahirkan bayi? Jika tidak, mengapa Aku nampak setiap lelaki berwajah pucat pasi dan memegang perutnya dengan tangan seperti wanita yang hendak melahirkan anak? Hari yang dahsyat akan tiba, hari yang tiada bandingnya. Bagi umat-Ku, itulah hari yang mencemaskan mereka, tetapi mereka akan diselamatkan.” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Apabila hari itu tiba, kok yang dipasang pada tengkuk kamu akan Kupatahkan, dan belenggu kamu akan Kulepaskan. Kamu tidak akan menjadi hamba orang bangsa asing lagi. Kamu akan mengabdi kepada-Ku, TUHAN, Allah kamu, dan mengabdi kepada seorang keturunan Daud yang akan Kulantik sebagai raja. Hai umat-Ku, jangan takut! Hai umat Israel, jangan gentar! Aku akan menyelamatkan kamu dari negeri yang jauh, dari negeri tempat kamu ditawan oleh musuh. Kamu akan pulang ke negeri kamu dan hidup dengan aman. Kamu akan selamat, dan tiada orang akan menakutkan kamu. Aku akan datang dan menyelamatkan kamu. Aku akan membinasakan semua bangsa tempat Aku mencerai-beraikan kamu, tetapi Aku tidak akan membinasakan kamu. Aku tidak akan melepaskan kamu daripada hukuman, tetapi Aku akan berlaku adil apabila menghukum kamu. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Luka kamu sangat parah, kecederaan kamu tiada ubatnya. Tiada seorang pun sudi merawat kamu, tiada ubat untuk bisul-bisul kamu, tiada harapan untuk sembuh bagi kamu. Semua kekasih kamu telah melupakan kamu; mereka tidak lagi mempedulikan kamu. Seperti musuh, Aku telah menyerang kamu, hukuman yang berat telah menimpa kamu kerana dosa kamu banyak sangat dan kejahatan kamu amat dahsyat. Jangan lagi bersungut tentang luka kamu, kerana bagi kamu tiada harapan untuk sembuh. Aku menghukum kamu dengan cara itu, kerana dosa kamu banyak sangat dan kejahatan kamu amat dahsyat. Tetapi sekarang semua yang menelan kamu akan ditelan, dan semua musuh kamu akan dibawa pergi sebagai tawanan. Semua orang yang menindas kamu akan ditindas, dan semua orang yang merompak kamu akan dirompak. Walaupun musuh kamu berkata, ‘Sion telah dibuang, dan tiada yang mempedulikannya,’ namun Aku akan menjadikan kamu sihat kembali, dan luka-luka kamu akan Kuubati.” TUHAN berfirman, “Aku akan mengembalikan umat-Ku ke negeri mereka dan mengasihani setiap keluarga; Yerusalem akan dibina lagi, dan istananya diperbaiki. Penduduknya akan memuji Aku dengan nyanyian, dan bersorak-sorai dengan kesukaan. Dengan berkat-Ku bilangan mereka akan bertambah; berkat-Ku akan mendatangkan kehormatan kepada mereka. Aku akan menjadikan bangsa itu berkuasa seperti dahulu, dan mengukuhkan mereka semula. Aku akan menghukum semua orang yang menindas mereka. [21-22] Penguasa mereka akan datang daripada bangsa mereka, raja mereka berasal daripada kaum mereka. Dia akan menghadap Aku apabila Aku menjemput dia, kerana siapakah yang berani menghadap tanpa dijemput? Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku menjadi Allah mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.” *** [23-24] Kemurkaan TUHAN bagaikan angin ribut, umpama angin kencang yang mengamuk dan melanda orang jahat, dan tidak akan reda sebelum segala niat hati-Nya dilaksanakan. Umat-Nya akan memahami hal itu pada kemudian hari. TUHAN berfirman, “Masanya akan tiba apabila Aku menjadi Allah kepada semua suku Israel, dan mereka akan menjadi umat-Ku. Dahulu di gurun Aku menunjukkan belas kasihan kepada mereka yang terlepas daripada maut. Ketika umat Israel mencari ketenangan, dari jauh Aku menampakkan diri kepada mereka. Hai umat Israel, sejak dahulu Aku selalu mengasihi kamu, dan untuk seterusnya Aku akan menunjukkan bahawa Aku selalu mengasihi kamu. Aku akan mengukuhkan kedudukan kamu semula. Sekali lagi kamu akan mengambil tamburin dan menari dengan gembira. Kamu akan membuka ladang anggur di perbukitan Samaria, dan orang yang menanam anggur akan menikmati hasilnya. Sesungguhnya, akan tiba masanya apabila para pengawal kota berseru di perbukitan Efraim, ‘Mari kita naik ke Sion, kepada TUHAN, Allah kita.’ ” TUHAN berfirman, “Bernyanyilah dengan gembira bagi Israel, bangsa yang terutama antara semua bangsa. Nyanyikanlah lagu pujian, ‘TUHAN telah menyelamatkan umat-Nya; Dia telah menyelamatkan semua orang yang masih tinggal.’ Dari utara Aku membawa mereka kembali, Aku mengumpulkan mereka dari hujung bumi. Orang buta dan orang lumpuh akan mengikut mereka, begitu juga wanita hamil dan mereka yang hampir bersalin. Mereka akan kembali sebagai bangsa yang besar. Sambil menangis umat-Ku akan kembali, mereka berdoa semasa Aku memimpin mereka pulang. Aku memimpin mereka ke anak-anak sungai, melalui jalan rata supaya mereka tidak tersandung. Aku seperti seorang bapa kepada Israel, Efraim ialah anak-Ku yang sulung.” TUHAN berfirman, “Dengarlah hai bangsa-bangsa! Isytiharkanlah perkhabaran-Ku ke seberang laut. Umat-Ku yang telah Kucerai-beraikan akan Kukumpulkan dan Kupelihara seperti gembala menjaga dombanya. Aku telah membebaskan umat Israel, dan menyelamatkan mereka daripada bangsa yang kuat. Mereka akan datang ke Bukit Sion sambil menyanyi dengan gembira; mereka bersukacita kerana pemberian-Ku, iaitu gandum, wain, minyak zaitun, domba, dan lembu. Mereka seperti taman yang cukup airnya, mereka tidak akan kekurangan apa-apa. Pada masa itu gadis-gadis akan menari dengan gembira. Kaum lelaki, tua dan muda, akan bersukacita. Aku akan menghibur mereka dan mengubah kedukaan mereka menjadi kesukaan, kesedihan menjadi kebahagiaan. Para imam akan Kupuaskan dengan makanan yang berlimpah-limpah, dan memenuhi semua keperluan umat-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman, “Di Rama terdengar ratapan, tangisan yang penuh kepedihan. Rahel meratapi anak-anaknya; dia tidak mahu dihibur kerana mereka sudah tiada. Hentikan tangismu dan keringkan air matamu. Jerih payahmu untuk anak-anakmu akan diberikan ganjaran; anak-anakmu akan pulang dari negeri musuh. Ada harapan bagi masa depanmu; anak-anakmu akan pulang ke negeri sendiri. Aku, TUHAN, telah berfirman. Aku mendengar umat Israel berkata dengan penuh kesedihan, ‘Ya TUHAN, kami seperti haiwan yang belum dijinakkan, tetapi Engkau melatih kami supaya patuh. Bawalah kami kembali; kami sedia balik kepada-Mu, ya TUHAN, Allah kami. Kami telah berpaling daripada-Mu, tetapi kami menyesali perbuatan itu. Setelah Engkau menghukum kami, kami menundukkan kepala kerana sedih. Kami malu dan dihina kerana kami berdosa pada masa muda.’ Hai Israel, engkau anak kesayangan-Ku, anak tercinta, buah hati-Ku. Setiap kali Aku mengancam engkau, Aku mengingat engkau dengan rindu. Aku mengasihimu; Aku akan berbelas kasihan. Tandailah jalan, dan pasanglah penunjuk jalan; carilah jalan yang engkau ikut dahulu. Hai umat Israel, pulanglah. Kembalilah ke kota-kotamu dahulu. Sampai bilakah kamu ragu-ragu, hai bangsa yang tidak setia kepada-Ku? Aku telah menciptakan sesuatu yang baru dan aneh, luar biasa seperti wanita melindungi lelaki.” TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel berfirman, “Apabila Aku mengembalikan umat-Ku ke negeri mereka, maka di negeri Yehuda dan di kota-kotanya akan terdengar lagi orang berkata, ‘Semoga TUHAN memberkati bukit suci di Yerusalem tempat kediaman yang khas bagi-Nya.’ Orang akan tinggal di Yehuda dan di semua kotanya. Di sana akan ada petani, dan gembala dengan ternakan mereka. Aku akan menyegarkan mereka yang lelah, dan mengenyangkan mereka yang lemah kerana lapar. Pada masa itu orang akan berkata, ‘Setelah tidur nyenyak, aku berasa segar.’ Aku, TUHAN, berfirman bahawa akan tiba masanya apabila Aku memenuhi negeri Israel dan Yehuda dengan manusia dan haiwan. Sebagaimana dahulu Aku telah berjaga untuk mencabut, meruntuhkan, menggulingkan, memusnahkan dan menghancurkan mereka, begitu juga Aku akan berjaga untuk menegakkan dan membangunkan mereka semula. Pada masa itu orang tidak lagi berkata, ‘Ibu bapa makan buah anggur yang masam, tetapi anak-anak yang berasa ngilu.’ Tetapi sesiapa makan buah anggur yang masam, dia sendirilah yang akan berasa ngilu. Setiap orang akan mati kerana dosanya sendiri.” TUHAN berfirman, “Akan tiba masanya Aku membuat perjanjian yang baru dengan umat Israel dan Yehuda. Perjanjian itu tidak seperti perjanjian yang Aku buat dengan nenek moyang mereka ketika Aku menuntun mereka keluar dari Mesir. Walaupun Aku seperti seorang suami kepada mereka, namun mereka mengingkari perjanjian-Ku dengan mereka. Inilah perjanjian baru yang akan Kubuat dengan umat Israel: Aku akan menyimpan hukum-Ku dalam batin mereka, dan menulisnya pada hati mereka. Aku akan menjadi Allah mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku. Tidak seorang pun antara mereka perlu mengajar sesamanya untuk mengenal TUHAN, kerana mereka semua, besar kecil, akan mengenal Aku. Aku akan melupakan kesalahan mereka dan mengampunkan dosa mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN menyediakan matahari untuk menerangi siang; Dia menyediakan bulan dan bintang untuk menerangi malam. Dia menyebabkan air laut bergelora sehingga bergemuruh, nama-Nya TUHAN Yang Maha Kuasa. Dia berjanji bahawa selama hukum alam tidak berubah, Israel pun akan tetap ada sebagai bangsa. Seandainya pada suatu masa langit dapat diukur, dan dasar bumi dapat diselidiki, pada masa itulah Israel akan ditolak oleh-Nya kerana segala perbuatan mereka. TUHAN telah berfirman. TUHAN berfirman, “Masanya akan tiba apabila seluruh Yerusalem dibina semula sebagai kota-Ku, dari Menara Hananeel sampai ke Pintu Gerbang Sudut. Dari situ sempadannya menuju ke Bukit Gareb, lalu membelok ke Goa. Seluruh lembah itu, yang digunakan sebagai tanah perkuburan dan tempat pembuangan sampah, dan semua ladang di tepi Sungai Kidron sampai ke Pintu Gerbang Kuda ke arah timur, akan dikhaskan untuk Aku. Kota Yerusalem tidak akan diruntuhkan ataupun dimusnahkan lagi.” Pada tahun kesepuluh pemerintahan Raja Zedekia di Yehuda, iaitu tahun kelapan belas pemerintahan Raja Nebukadnezar di Babilonia, TUHAN berfirman kepadaku. Pada masa itu tentara raja Babilonia sedang menyerang Yerusalem. Aku ditahan di halaman istana raja oleh Raja Zedekia kerana aku dituduh mengumumkan bahawa TUHAN berfirman, “Aku akan membiarkan raja Babilonia menaklukkan kota ini, dan Raja Zedekia tidak akan dapat melarikan diri. Dia akan diserahkan kepada raja Babilonia; dia akan menghadap raja itu dan bertutur dengannya. Kemudian Zedekia akan dibawa ke Babilonia dan tinggal di sana sampai Aku menghukum dia. Walaupun dia berperang dengan orang Babilonia, dia tidak akan berjaya. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN memberitahu aku bahawa Hanameel, anak lelaki bapa saudaraku Salum, akan datang kepadaku untuk minta supaya aku membeli tanahnya di Anatot, di wilayah Benyamin. Akulah sanaknya yang terdekat dan yang berhak membeli tanah itu. Tepat seperti yang telah difirmankan TUHAN, Hanameel datang kepadaku di halaman istana, dan minta supaya aku membeli tanahnya. Dengan itu yakinlah aku bahawa TUHAN benar-benar telah berfirman kepadaku. [9-10] Aku membeli tanah itu daripada Hanameel dengan harga tujuh belas keping wang perak. Aku memanggil beberapa orang saksi dan di hadapan mereka, aku menandatangani dan memeteraikan surat pembelian tanah itu, lalu aku menimbang wang pembayarannya. *** Kemudian aku mengambil surat pembelian itu, yang telah dimeterai dan mengandungi syarat serta ketetapan, dan aku juga mengambil salinan surat yang tidak dimeterai. Aku memberikan kedua-dua helai surat itu kepada Barukh anak Neria, cucu Mahseya. Aku menyerahkannya di hadapan Hanameel serta saksi-saksi yang telah menandatangani surat-surat itu, dan di hadapan semua orang yang sedang duduk di halaman itu. Di hadapan mereka semua, aku berkata kepada Barukh, “TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, memerintahkan engkau mengambil kedua-dua helai surat ini, baik yang dimeterai mahupun yang tidak dimeterai. Masukkan kedua-dua helai surat itu ke dalam sebuah tempayan supaya tahan lama. TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman bahawa rumah, tanah, dan ladang anggur akan dibeli lagi di negeri ini.” Selepas aku memberikan surat-surat pembelian itu kepada Barukh, aku berdoa, “Ya TUHAN Raja, Engkaulah yang menciptakan langit dan bumi dengan kuasa dan kekuatan-Mu yang besar. Tiada yang terlalu sukar bagi-Mu. Engkau menunjukkan kasih-Mu yang abadi kepada beribu-ribu orang, tetapi Engkau juga menghukum orang kerana dosa ibu bapa mereka. Engkaulah Allah yang agung dan perkasa; Engkaulah TUHAN Yang Maha Kuasa. Rancangan-Mu bijak dan perbuatan-Mu ajaib; Engkau nampak segala yang dilakukan manusia, dan membalas mereka setimpal dengan perbuatan mereka. Pada dahulu kala Engkau melakukan keajaiban dan hal-hal yang luar biasa di Mesir, dan sampai sekarang pun Engkau masih melakukannya, baik di kalangan orang Israel mahupun di kalangan semua bangsa lain. Dengan demikian Engkau termasyhur di merata tempat. Engkau membawa umat Israel keluar dari Mesir dengan kuasa dan kekuatan-Mu. Engkau melakukan mukjizat dan keajaiban yang menggemparkan musuh. Engkau memberikan negeri yang baik dan subur ini kepada mereka, seperti yang telah Engkau janjikan kepada nenek moyang mereka. Tetapi apabila mereka datang ke negeri ini dan mendudukinya, mereka tidak mentaati perintah-Mu, dan tidak hidup menurut ajaran-Mu. Mereka tidak melaksanakan satu pun daripada perintah-Mu. Oleh itu Engkau mendatangkan segala bencana ini kepada mereka. Orang Babilonia telah membina tambak pengepungan di sekeliling kota untuk merampasnya, dan sekarang mereka sedang menyerangnya. Pertempuran, kebuluran, dan wabak akan menyebabkan kota ini jatuh ke dalam tangan mereka. Engkau nampak bahawa semua yang Engkau firmankan telah menjadi kenyataan. Namun demikian, ya TUHAN Raja, Engkaulah yang menyuruh aku membeli tanah di hadapan beberapa orang saksi, walaupun sebentar lagi kota akan ditawan oleh orang Babilonia.” Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Akulah TUHAN, Allah segenap manusia. Tiada yang terlalu sukar bagi-Ku. Aku akan menyerahkan kota ini kepada Raja Nebukadnezar dari Babilonia dan tenteranya. Mereka akan merampas kota ini, dan membakarnya. Mereka akan membakarnya sampai habis bersama dengan rumah-rumah orang yang membangkitkan kemurkaan-Ku. Di bumbung rumah-rumah itu mereka telah membakar kemenyan kepada Baal dan mencurahkan wain sebagai persembahan kepada dewa-dewa. Sejak permulaan sejarah mereka, orang Israel dan orang Yehuda tidak menyenangkan hati-Ku, dan mereka membangkitkan kemurkaan-Ku dengan perbuatan mereka. Sejak kota ini dibina, penduduknya telah menyebabkan Aku sangat murka. Aku telah mengambil keputusan untuk memusnahkan kota itu, kerana segala kejahatan yang dilakukan oleh orang Yehuda dan orang Yerusalem, bersama-sama raja dan para pemimpin, para imam dan nabi mereka. Mereka telah membelakangi Aku dan walaupun Aku terus mengajar mereka, mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu menerima pengajaran. Malah Rumah-Ku yang dibina untuk tempat beribadat kepada-Ku telah dinajiskan oleh mereka dengan meletakkan berhala-berhala mereka yang menjijikkan di tempat itu. Mereka membina mazbah-mazbah untuk Baal di Lembah Hinom, dan mempersembahkan anak-anak mereka kepada Dewa Molokh. Padahal, Aku tidak pernah menyuruh mereka melakukan hal itu, bahkan tidak pernah timbul dalam fikiran-Ku bahawa mereka akan melakukan perbuatan sekeji itu dan menyebabkan orang Yehuda berdosa.” TUHAN, Allah Israel, berfirman kepadaku, “Hai Yeremia, bangsa Israel berkata bahawa peperangan, kebuluran, dan wabak akan menyebabkan kota ini jatuh ke dalam tangan raja Babilonia. Sekarang, dengarlah lagi firman-Ku. Aku akan mengumpulkan bangsa ini dari semua negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka kerana kemurkaan dan kegeraman-Ku terhadap mereka. Aku akan membawa mereka kembali ke tempat ini dan membolehkan mereka tinggal di sini dengan selamat. Mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Allah mereka. Aku akan memberi mereka satu tujuan hidup: untuk menghormati Aku sepanjang masa bagi kebaikan mereka sendiri dan keturunan mereka. Aku akan membuat perjanjian yang kekal dengan mereka. Aku tidak akan berhenti berbuat baik untuk mereka. Aku akan menyebabkan mereka takut dan hormat kepada-Ku dengan sepenuh hati supaya mereka tidak meninggalkan Aku. Dengan senang hati Aku akan berbuat baik kepada mereka, dan Aku akan membuat mereka menetap di negeri ini selama-lamanya. Sebagaimana Aku telah mendatangkan bencana kepada bangsa ini, begitu juga Aku akan memberi mereka semua yang baik, yang telah Kujanjikan. Orang berkata bahawa negeri ini akan menjadi seperti padang gurun yang tidak didiami oleh manusia dan binatang, dan negeri ini akan jatuh ke tangan orang Babilonia. Tetapi ladang-ladang di negeri ini akan dibeli orang lagi. Orang akan membeli ladang dan surat pembeliannya ditandatangani dan dimeterai di hadapan saksi-saksi. Hal itu akan berlaku di wilayah Benyamin, di pekan-pekan di sekitar Yerusalem, di kota-kota Yehuda, di kota-kota di kawasan perbukitan, di kawasan kaki bukit, dan di bahagian selatan Yehuda. Aku akan mengembalikan bangsa ini ke negeri mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.” Ketika aku masih ditahan di halaman istana, TUHAN menyampaikan perkhabaran lain kepadaku. TUHAN, yang menciptakan bumi dan membentuk serta meletakkannya di tempatnya, berfirman kepadaku. Dia yang bernama TUHAN berfirman, “Berserulah kepada-Ku, maka Aku akan menjawab; Aku akan memberitahu engkau hal-hal yang indah dan mengagumkan, yang belum engkau ketahui. Aku, TUHAN, Allah Israel, berfirman bahawa rumah-rumah di Yerusalem dan istana raja Yehuda akan dirobohkan, akibat kepungan dan serangan musuh. Beberapa orang akan berperang melawan orang Babilonia, yang akan memenuhkan rumah-rumah dengan mayat orang yang Aku pukul sehingga mati ketika Aku murka dan berang. Aku telah meninggalkan kota ini kerana kejahatan penduduknya. Tetapi kelak Aku akan memulihkan keadaan kota ini dan menyembuhkan penduduknya. Aku akan melimpahkan kedamaian dan keamanan kepada mereka. Aku akan menjadikan Yehuda dan Israel makmur, dan membangun mereka semula sehingga menjadi seperti dahulu. Aku akan menyucikan mereka daripada dosa mereka terhadap-Ku; Aku akan mengampunkan dosa dan pemberontakan mereka. Yerusalem akan menjadi kegembiraan, kehormatan, dan kebanggaan-Ku. Semua bangsa di dunia akan takut dan gentar, apabila mendengar tentang segala kebaikan yang Aku lakukan untuk penduduk Yerusalem, dan tentang kemakmuran yang Aku berikan kepada kota itu.” TUHAN berfirman, “Orang berkata bahawa tempat ini seperti gurun, dan tiada orang atau binatang yang tinggal di sini. Kata-kata mereka memang benar, kerana kota-kota Yehuda dan jalan-jalan di Yerusalem lengang semuanya; tiada orang atau binatang yang tinggal di situ. Tetapi di tempat-tempat itu akan terdengar lagi suara kesukaan dan kegembiraan serta keriuhan pesta perkahwinan. Kami akan mendengar orang menyanyi sambil mereka membawa korban kesyukuran ke Rumah-Ku. Mereka akan berkata, ‘Bersyukurlah kepada TUHAN Yang Maha Kuasa, kerana Dia baik dan kasih-Nya kekal abadi.’ Aku akan menjadikan negeri ini makmur seperti dahulu. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Di negeri yang seperti padang gurun ini, yang tidak didiami oleh manusia ataupun binatang, sekali lagi akan terdapat padang rumput, tempat orang menggembalakan domba mereka. Di kota-kota di kawasan perbukitan, di kaki bukit, di bahagian selatan Yehuda, di wilayah Benyamin, di pekan-pekan di sekitar Yerusalem, dan di kota-kota Yehuda, sekali lagi para gembala akan menghitung domba mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman, “Akan tiba masanya apabila Aku menepati janji-Ku kepada penduduk Israel dan Yehuda. Pada masa itu Aku akan memilih seorang yang adil daripada keturunan Daud untuk menjadi raja. Raja itu akan melakukan apa yang benar dan adil di seluruh negeri. Penduduk Yehuda dan Yerusalem akan diselamatkan, dan mereka akan hidup dengan aman. Kota itu akan dinamakan ‘TUHAN Penyelamat Kita’. Aku, TUHAN, berjanji bahawa selalu akan ada seorang daripada keturunan Daud yang menjadi raja Israel; dan selalu akan ada imam daripada suku Lewi untuk mengabdi kepada-Ku dan mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Ku, korban untuk mengucap syukur kepada-Ku, dan korban-korban lain.” TUHAN berfirman kepadaku, “Aku telah membuat perjanjian dengan siang dan malam, supaya siang dan malam selalu datang tepat pada waktunya. Perjanjian itu tidak dapat dibatalkan. Demikian juga Aku telah membuat perjanjian dengan hamba-Ku Daud, bahawa daripada keturunannya selalu akan ada seorang yang menjadi raja; dan Aku telah membuat perjanjian dengan para imam keturunan Lewi, bahawa mereka akan selalu mengabdi kepada-Ku. Perjanjian-perjanjian itu tidak sekali-kali akan dibatalkan. Aku akan menambah bilangan keturunan hamba-Ku Daud, dan bilangan para imam keturunan Lewi, sehingga jumlah mereka tidak dapat dihitung seperti bintang di langit dan pasir di pantai.” TUHAN berfirman kepadaku, “Adakah engkau tahu orang berkata bahawa Aku telah menolak Israel dan Yehuda, dua keluarga yang telah Kupilih itu? Orang menghina umat-Ku dan tidak lagi menganggap mereka sebagai satu bangsa. Tetapi Aku, TUHAN, mempunyai perjanjian dengan siang dan malam, dan Aku telah membuat hukum yang menguasai langit dan bumi. Sebagaimana hal itu tidak dapat dibatalkan, demikian juga perjanjian-Ku dengan keturunan Yakub dan dengan hamba-Ku Daud, tidak dapat dibatalkan. Aku akan memilih seorang daripada keturunan Daud untuk memerintah keturunan Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan mengasihani umat-Ku dan menjadikan mereka makmur semula.” TUHAN berfirman kepadaku ketika Raja Nebukadnezar dari Babilonia dan tenteranya menyerang Yerusalem serta kota-kota di sekitarnya. Raja itu dibantu oleh tentera negeri-negeri dan bangsa-bangsa yang takluk kepadanya. TUHAN, Allah Israel, menyuruh aku menyampaikan firman-Nya kepada Raja Zedekia dari Yehuda, “Aku, TUHAN, akan menyerahkan kota ini kepada raja Babilonia dan dia akan membakarnya. Engkau tidak akan dapat melarikan diri; engkau akan ditangkap dan diserahkan kepadanya. Engkau akan berjumpa dengan dia dan engkau sendiri bercakap dengan dia; lalu engkau akan pergi ke Babilonia. Hai Zedekia, dengarlah firman-Ku tentang engkau. Engkau tidak akan dibunuh dalam pertempuran. Engkau akan meninggal dengan tenteram, dan sebagaimana orang membakar kemenyan ketika mereka mengebumikan nenek moyangmu, iaitu raja-raja sebelum zamanmu, demikian juga mereka akan membakar kemenyan bagimu. Mereka akan berkabung bagimu dan berkata, ‘Raja kita sudah mangkat!’ Aku, TUHAN, telah berfirman.” Kemudian aku menyampaikan perkhabaran itu kepada Raja Zedekia di Yerusalem, pada masa tentera raja Babilonia menyerang kota Yerusalem. Tentera Babilonia juga menyerang Lakhis dan Aseka, dua buah kota berkubu yang masih bertahan di Yehuda. Raja Zedekia dan penduduk Yerusalem membuat perjanjian untuk membebaskan orang Ibrani yang menjadi hamba mereka, baik lelaki mahupun perempuan, supaya tiada seorang pun daripada bangsa Israel yang memperhamba sesama bangsanya. Semua rakyat dan pemimpin mereka bersetuju untuk membebaskan hamba mereka, dan tidak sekali-kali akan memperhamba mereka lagi. Demikianlah yang dilakukan oleh mereka. Tetapi tidak lama kemudian, mereka mengubah fikiran. Mereka mengambil kembali hamba-hamba yang telah dibebaskan itu dan memaksa mereka menjadi hamba semula. Lalu TUHAN, Allah Israel, menyuruh aku berkata kepada umat itu, “Aku telah membuat perjanjian dengan nenek moyang kamu ketika Aku membawa mereka keluar dari Mesir dan membebaskan mereka daripada perhambaan. Aku memberitahu mereka bahawa tiap-tiap tujuh tahun mereka mesti membebaskan sesiapa sahaja orang Ibrani yang telah menjadi hamba mereka selama enam tahun. Tetapi nenek moyang kamu tidak memperhatikan atau mendengarkan firman-Ku. Beberapa hari yang lalu, kamu melakukan perkara yang menyukakan hati-Ku. Kamu semua bersetuju untuk membebaskan sesama bangsa kamu yang menjadi hamba. Kamu membuat perjanjian di hadapan-Ku di Rumah-Ku, tempat Aku disembah. Tetapi kemudian kamu mengubah fikiran dan menghina Aku. Hamba-hamba yang telah kamu bebaskan menurut kehendak mereka, telah kamu ambil kembali dan kamu paksa menjadi hamba semula. Oleh itu sekarang, Aku, TUHAN, berfirman: Kamu tidak taat kepada-Ku; kamu tidak membebaskan sesama bangsa kamu yang menjadi hamba. Jika demikian, Aku akan memberi kamu kebebasan: kebebasan untuk mati kerana peperangan, wabak, dan kebuluran. Aku akan menyebabkan setiap bangsa di dunia ngeri melihat hal yang Aku lakukan kepada kamu. [18-19] Para pegawai negeri Yehuda dan Yerusalem, bersama para pegawai istana, para imam, dan segenap rakyat membuat perjanjian dengan Aku. Mereka menyembelih lembu jantan dan membelahnya menjadi dua, lalu berjalan di antara dua belahan lembu itu untuk mengesahkan perjanjian itu. Tetapi mereka melanggar perjanjian itu dan tidak memenuhi syarat-syaratnya. Oleh itu Aku akan memperlakukan mereka sebagaimana mereka memperlakukan lembu jantan itu. *** Aku akan menyerahkan mereka kepada musuh yang hendak membunuh mereka. Mayat mereka akan dimakan burung dan binatang liar. Aku juga akan menyerahkan Raja Zedekia dari Yehuda, dan para pegawainya kepada orang yang hendak membunuh mereka. Aku akan menyerahkan mereka kepada tentera Babilonia, yang telah menghentikan serangan terhadap kamu. Aku akan memberikan perintah, lalu mereka akan menyerang kota ini semula. Mereka akan merebut kota ini lalu membakarnya. Aku akan menjadikan kota-kota di Yehuda seperti gurun yang tidak didiami orang. Aku, TUHAN, telah berfirman.” Ketika Raja Yoyakim putera Raja Yosia menjadi penguasa Yehuda, TUHAN berfirman kepadaku, “Pergilah berkata-kata dengan orang daripada puak Rekhab. Bawalah mereka ke salah satu bilik di Rumah-Ku dan berilah mereka minum wain.” Kemudian aku membawa seluruh puak Rekhab, iaitu Yaazanya (anak seorang yang bernama Yeremia anak Habazinya) bersama-sama semua saudara dan anak lelakinya, pergi ke Rumah TUHAN. Aku membawa mereka ke bilik para pengikut Nabi Hanan anak Yigdalya. Bilik itu di atas bilik Maaseya anak Salum, seorang pegawai tinggi di Rumah TUHAN. Bilik itu juga berdekatan dengan bilik para pegawai lain. Aku menghidangkan wain di dalam cawan dan mangkuk kepada puak Rekhab itu. Aku berkata kepada mereka, “Sila minum wain!” Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak minum wain. Nenek moyang kami, Yonadab anak Rekhab, melarang kami dan keturunan kami daripada minum wain. Dia juga melarang kami membina rumah atau bercucuk tanam, membuka ladang anggur ataupun membelinya. Dia memerintah kami supaya sentiasa tinggal di dalam khemah, supaya kami boleh tinggal di negeri ini sebagai orang asing. Kami telah mematuhi semua perintah Yonadab itu. Baik kami mahupun isteri kami tidak pernah minum wain; demikian juga anak lelaki dan anak perempuan kami. [9-10] Kami tidak membina rumah untuk tempat tinggal; kami tinggal di dalam khemah. Kami tidak mempunyai ladang anggur, ladang atau benih gandum. Kami patuh sepenuhnya kepada apa saja yang diperintahkan oleh nenek moyang kami, Yonadab. *** Tetapi apabila Raja Nebukadnezar menyerang negeri ini, kami mengambil keputusan untuk datang ke Yerusalem supaya lari daripada tentera Babilonia dan Siria. Itulah sebabnya kami tinggal di Yerusalem.” [12-13] Selepas itu TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, menyuruh aku berkata kepada penduduk Yehuda dan Yerusalem, “Aku, TUHAN, bertanya akan sebabnya kamu tidak mahu mendengar firman-Ku dan tidak mahu menurut perintah-Ku. *** Keturunan Yonadab mentaati perintah Yonadab supaya tidak minum wain. Sehingga hari ini tiada seorang pun antara mereka minum wain. Walaupun Aku terus-menerus berfirman kepada kamu, namun kamu tidak taat kepada-Ku. Aku terus-menerus mengutus semua hamba-Ku, para nabi kepada kamu, dan mereka telah menyuruh kamu meninggalkan perbuatan jahat dan melakukan yang baik. Mereka memperingatkan kamu supaya tidak menyembah ataupun mengabdi kepada tuhan-tuhan lain, agar kamu boleh terus tinggal di negeri yang telah Kuberikan kepada kamu dan nenek moyang kamu. Tetapi kamu tidak mendengarkan ataupun mengendahkan Aku. Keturunan Yonadab mentaati perintah nenek moyang mereka, tetapi kamu tidak taat kepada-Ku. Oleh itu sekarang Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, akan mendatangkan semua bencana yang Aku janjikan itu kepada kamu, penduduk Yehuda dan Yerusalem. Aku akan melakukan hal ini kerana kamu tidak mahu mendengar apabila Aku berfirman, dan kamu tidak mahu menjawab apabila Aku memanggil kamu.” Kemudian Aku memberitahu puak Rekhab, bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel berfirman, “Kamu telah mentaati perintah nenek moyang kamu Yonadab; kamu telah menurut dan melakukan semua perintahnya. Oleh itu, Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berjanji bahawa Yonadab anak Rekhab akan sentiasa mempunyai keturunan lelaki yang mengabdi kepada-Ku.” Pada tahun keempat pemerintahan Raja Yoyakim putera Raja Yosia, sebagai raja Yehuda, TUHAN berfirman kepadaku, “Ambillah sebuah naskhah gulungan, dan tulislah di situ segala yang telah Kufirmankan kepada engkau tentang Israel dan Yehuda, serta semua bangsa. Tulislah segala yang telah Kuberitahukan engkau sejak Aku berfirman kepadamu pada kali pertama, ketika Yosia menjadi raja sehingga sekarang. Apabila penduduk Yehuda mendengar tentang segala bencana yang hendak Kudatangkan kepada mereka, mungkin mereka akan berhenti berbuat jahat. Jika demikian, Aku pun akan mengampunkan kejahatan dan dosa mereka.” Oleh itu aku memanggil Barukh anak Neria, dan mengimlakkan segala firman TUHAN itu kepadanya, supaya dia dapat menulis semuanya dalam naskhah gulungan itu. Kemudian aku memberikan perintah ini kepada Barukh, “Aku tidak lagi dibenarkan masuk ke dalam Rumah TUHAN. Tetapi engkau mesti pergi ke sana pada masa orang berpuasa. Bacakanlah isi naskhah itu dengan suara lantang, supaya mereka mendengar segala yang telah difirmankan TUHAN kepadaku, dan yang telah kuimlakkan kepadamu. Engkau harus membacanya di tempat semua orang dapat mendengarnya, termasuk penduduk Yehuda yang telah datang dari kota-kota mereka. Mungkin mereka akan berdoa kepada TUHAN dan berpaling daripada kejahatan mereka, kerana TUHAN telah mengancam mereka dengan kemurkaan dan berang-Nya.” Oleh itu Barukh membacakan firman TUHAN itu di dalam Rumah TUHAN tepat seperti yang aku suruh. Pada bulan kesembilan dalam tahun kelima pemerintahan Raja Yoyakim sebagai raja Yehuda, rakyat berpuasa supaya diperkenankan TUHAN. Semua orang yang tinggal di Yerusalem berpuasa dan orang yang datang ke sana dari kota-kota di Yehuda pun berpuasa. Kemudian, sambil semua orang mendengar, Barukh membacakan naskhah gulungan yang mengandungi semua yang telah kukatakan. Dia membacakannya di Rumah TUHAN, di bilik Gemarya anak Safan, setiausaha negara. Biliknya terletak di halaman sebelah atas, dekat Pintu Gerbang Baru di Rumah TUHAN. Mikhaya anak Gemarya, cucu Safan, mendengar Barukh membacakan firman TUHAN dari naskhah gulungan itu. Kemudian Mikhaya pergi ke istana raja, ke bilik setiausaha negara. Pada masa itu semua pegawai istana sedang bermesyuarat. Elisama iaitu setiausaha negara, Delaya anak Semaya, Elnatan anak Akhbor, Gemarya anak Safan, Zedekia anak Hananya, dan semua pegawai lain ada di situ. Mikhaya memberitahu mereka segala yang telah dibacakan Barukh kepada rakyat. Kemudian para pegawai itu memerintah Yehudi (anak Netanya, cucu Selemya anak Kusyi) supaya menyuruh Barukh membawa naskhah gulungan yang telah dibacakannya kepada rakyat. Barukh membawa naskhah itu kepada mereka. Mereka berkata, “Sila duduk, dan bacakanlah naskhah gulungan itu kepada kami.” Barukh pun membacakannya. Selepas itu, mereka saling memandang dengan cemas lalu berkata kepada Barukh, “Kami mesti melaporkan hal ini kepada raja.” Mereka bertanya kepadanya lagi, “Katakanlah, bagaimana kamu dapat menulis semuanya ini? Adakah Yeremia mengimlakkannya kepadamu?” Barukh menjawab, “Yeremia mengimlakkan tiap-tiap perkataan itu kepada saya, lalu saya menulisnya dengan dakwat pada naskhah ini.” Kemudian mereka berkata kepadanya, “Kamu dan Yeremia mesti bersembunyi. Jangan biar sesiapa pun mengetahui tempat persembunyian kamu.” Para pegawai menyimpan naskhah gulungan itu di dalam bilik Elisama, setiausaha itu, lalu pergi melaporkan semua hal itu kepada raja. Selepas itu raja menyuruh Yehudi mengambil naskhah itu dari bilik Elisama dan membacakannya di hadapan raja serta semua pegawai yang berdiri di sekeliling raja. Masa itu musim sejuk, dan raja sedang duduk di depan perapian di istana musim sejuk. Setelah Yehudi membaca tiga atau empat lajur, raja memotong bahagian itu dengan sebilah pisau kecil dan membuangnya ke dalam api. Raja melakukan hal itu terus-menerus sampai seluruh naskhah gulungan itu dibakar. Tetapi baik raja mahupun pegawai-pegawainya yang mendengar semua itu tidak takut atau menunjukkan penyesalan. Walaupun Elnatan, Delaya, dan Gemarya memohon kepada raja agar naskhah itu tidak dibakar, raja tidak mempedulikan mereka. Kemudian raja memerintah Putera Yerahmeel, Seraya anak Azriel, dan Selemya anak Abdeel untuk menangkap aku serta Barukh, setiausahaku, tetapi TUHAN menyembunyikan kami daripada mereka. Selepas Raja Yoyakim membakar naskhah gulungan yang aku imlakkan kepada Barukh, TUHAN menyuruh aku mengambil sebuah naskhah gulungan yang lain dan menuliskan semula segala isi naskhah gulungan yang pertama itu. TUHAN menyuruh aku berkata kepada raja, “Engkau sudah membakar naskhah gulungan itu, dan engkau bertanya mengapa Yeremia menulis bahawa raja Babilonia akan datang, lalu memusnahkan negeri ini dan membunuh penduduknya serta semua binatang di situ. Oleh itu, Aku, TUHAN, berfirman kepadamu, hai Raja Yoyakim, bahawa tiada seorang pun daripada keturunanmu akan memerintah kerajaan Daud. Mayatmu akan dibuang ke luar sehingga terjemur pada waktu siang dan terkena embun pada waktu malam. Aku akan menghukum engkau, keturunanmu, dan pegawai-pegawaimu, kerana dosa kamu semua. Tiada sesiapa pun, baik engkau, penduduk Yerusalem ataupun Yehuda, yang mempedulikan amaran-Ku. Oleh itu, Aku akan mendatangkan bencana yang telah Aku ancamkan kepada kamu semua.” Selepas itu aku mengambil sebuah naskhah gulungan lain dan memberikannya kepada Barukh, setiausahaku. Lalu dia menulis semua yang aku imlakkan itu. Dia menulis semua yang terkandung di dalam kitab gulungan yang pertama, dan juga perkhabaran lain seperti itu. Raja Nebukadnezar dari Babilonia, melantik Raja Zedekia putera Raja Yosia menjadi raja Yehuda untuk menggantikan Raja Yoyakhin putera Raja Yoyakim. Tetapi Raja Zedekia, pegawai-pegawainya, dan rakyat tidak taat kepada perkhabaran TUHAN yang diberikan-Nya melalui aku. Raja Zedekia menyuruh Yukhal anak Selemya, dan Imam Zefanya anak Maaseya untuk minta supaya aku berdoa kepada TUHAN, Allah kita, bagi negeri kita. Ketika itu aku belum dipenjarakan dan masih bebas bergerak antara rakyat. Tentera Babilonia sedang mengepung Yerusalem. Tetapi apabila mereka mendengar bahawa tentera Mesir sudah keluar dari Mesir untuk berperang, mereka berundur. Kemudian TUHAN, Allah Israel, menyuruh aku berkata kepada Raja Zedekia, “Tentera Mesir sedang datang untuk menolongmu, tetapi mereka akan pulang. Selepas itu tentera Babilonia akan datang lagi dan menyerang kota ini; mereka akan merebut dan membakarnya. Aku, TUHAN memberi kamu amaran supaya jangan tipu diri kamu sendiri dengan berfikir bahawa tentera Babilonia tidak akan kembali. Mereka pasti akan kembali. Andaikata kamu berjaya mengalahkan seluruh tentera Babilonia, sehingga yang tinggal hanya orang yang luka parah di dalam khemah-khemah, namun mereka akan bangun dan membakar kota ini sampai musnah.” Tentera Babilonia meninggalkan Yerusalem kerana tentera Mesir bergerak maju ke kota itu. Oleh itu aku meninggalkan Yerusalem dan pergi ke wilayah Benyamin untuk menerima warisanku daripada keluargaku. Tetapi apabila aku sampai di Pintu Gerbang Benyamin, seorang pegawai tentera yang bertugas di situ, yang bernama Yeria anak Selemya dan cucu Hananya, menahan aku dan berkata, “Engkau mahu lari ke pihak orang Babilonia!” Aku berkata, “Tidak! Aku tidak bermaksud lari ke pihak musuh.” Tetapi Yeria tidak percaya. Dia menangkap aku dan membawa aku kepada pegawai-pegawai tentera. Mereka marah terhadap aku dan memberikan perintah supaya aku dipukul dan ditahan di rumah Yonatan, setiausaha negara. Pada masa itu rumahnya telah dijadikan penjara. Aku dimasukkan ke dalam sebuah bilik di bawah tanah, dan aku ditahan lama di situ. Kemudian Raja Zedekia memanggil aku menghadapnya di istana. Di situ secara rahsia raja bertanya kepadaku, “Adakah perkhabaran apa-apa daripada TUHAN?” “Ada,” jawabku. “Tuanku akan diserahkan kepada raja Babilonia.” Lalu aku bertanya kepadanya, “Apakah kesalahan hamba terhadap tuanku, pegawai-pegawai tuanku, dan rakyat, sehingga tuanku memasukkan hamba di dalam penjara? Di manakah nabi-nabi tuanku yang meramalkan raja Babilonia tidak akan menyerang tuanku dan negeri ini? Sekarang, sudilah tuanku mendengarkan hamba dan mengabulkan permintaan hamba. Tolong jangan masukkan hamba ke penjara lagi di rumah Yonatan, kerana hamba akan mati di sana.” Oleh itu Raja Zedekia memerintahkan supaya aku ditahan di halaman istana. Aku tinggal di situ, dan setiap hari aku diberikan sebuku roti dari tempat membuat roti, sampai kota itu kehabisan roti. Sefaca anak Matan, Gedalya anak Pasyhur, Yukhal anak Selemya, dan Pasyhur anak Malkia mendengar bahawa aku memberitahu rakyat tentang firman TUHAN, “Sesiapa tinggal di dalam kota ini akan mati dalam peperangan, atau kerana kelaparan, atau kerana wabak. Tetapi sesiapa keluar dan menyerah kepada orang Babilonia tidak akan dibunuh; sekurang-kurangnya dia akan hidup.” Aku juga memberitahu mereka firman TUHAN bahawa Dia akan menyerahkan kota ini kepada tentera Babilonia, dan mereka akan merebut kota ini. Lalu pegawai-pegawai itu menghadap raja dan berkata, “Orang ini mesti dihukum mati. Oleh sebab ucapannya itu, tentera kota ini akan lemah semangat, demikian juga setiap orang yang masih tinggal di kota ini. Dia tidak menolong rakyat; sebaliknya dia menyusahkan mereka.” Raja Zedekia bertitah, “Baiklah, perlakukan dia sesuka hati kamu. Beta tidak dapat menghalang kamu.” Oleh itu mereka membawa aku dan menurunkan aku dengan tali ke dalam perigi Putera Malkia. Perigi itu terletak di halaman istana. Perigi itu tidak berair, hanya berlumpur, lalu aku pun masuk ke dalam lumpur itu. Tetapi orang Etiopia yang bernama Ebed-Melekh, iaitu sida-sida yang bekerja di istana, mendengar bahawa aku telah dimasukkan ke dalam perigi oleh pegawai-pegawai itu. Pada masa itu raja sedang memimpin mesyuarat di Pintu Gerbang Benyamin. Ebed-Melekh pergi ke sana dan berkata kepada raja, “Tuanku, perbuatan para pegawai itu salah. Mereka memasukkan Yeremia ke dalam perigi dan tentu dia akan mati kelaparan di sana kerana makanan sudah habis di kota ini.” Selepas itu raja memerintah Ebed-Melekh supaya membawa bersama-samanya tiga orang untuk menarik aku keluar dari perigi itu sebelum aku mati. Ebed-Melekh pergi bersama-sama ketiga-tiga orang itu ke stor istana dan mengambil kain-kain lama, lalu menurunkannya dengan tali kepadaku. Dia menyuruh aku meletakkan kain-kain itu di bawah ketiakku, supaya aku tidak kesakitan apabila aku ditarik ke atas dengan tali itu. Aku pun melakukannya, lalu mereka menarik aku keluar dari perigi itu. Sejak itu aku ditahan di halaman istana. Pada suatu masa yang lain, Raja Zedekia memerintah aku menghadap baginda di pintu ketiga di Rumah TUHAN. Raja bertitah, “Beta hendak menanyakan satu soalan, dan engkau mesti berterus terang. Jangan sembunyikan apa-apa daripada beta.” Aku menjawab, “Jika hamba berterus terang, tuanku akan menjatuhkan hukuman mati kepada hamba; dan jika hamba memberikan nasihat, tuanku tidak akan mempedulikannya.” Oleh itu Raja Zedekia dengan diam-diam berjanji kepadaku, “Beta bersumpah demi TUHAN yang hidup, yang memberi kita nyawa, bahawa beta tidak akan menjatuhkan hukuman mati kepadamu atau menyerahkan engkau kepada orang yang hendak membunuh engkau.” Lalu aku memberitahu Raja Zedekia bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman demikian, “Jika engkau menyerah kepada pegawai-pegawai raja Babilonia, nyawamu akan selamat, dan kota ini tidak akan dibakar. Engkau dan keluargamu akan selamat. Tetapi jika engkau tidak menyerah, kota ini akan diserahkan kepada orang Babilonia. Mereka akan membakarnya, dan engkau tidak akan lepas daripada mereka.” Tetapi raja menjawab, “Beta takut kepada rakyat beta yang telah memihak kepada orang Babilonia. Mungkin beta akan diserahkan kepada mereka lalu diseksa.” Aku berkata kepada raja, “Tuanku tidak akan diserahkan kepada musuh. Hamba mohon, taatlah kepada firman TUHAN supaya semuanya akan selamat dan nyawa tuanku pun akan terpelihara. Tetapi TUHAN telah memperlihatkan kepada hamba apa yang akan berlaku terhadap tuanku jika tuanku tidak mahu menyerah. Dalam penglihatan itu hamba nampak semua kaum wanita yang masih tinggal di istana Yehuda dibawa menghadap pegawai-pegawai raja Babilonia. Sambil berjalan kaum wanita itu berkata, ‘Raja telah diperdaya oleh sahabat-sahabat karibnya, mereka telah menguasai baginda. Kini apabila kaki raja sudah masuk ke dalam lumpur, sahabat-sahabatnya meninggalkan baginda.’ ” Aku berkata lagi, “Semua isteri serta anak tuanku akan dibawa kepada orang Babilonia, dan tuanku sendiri pun tidak akan lepas daripada mereka. Tuanku akan ditawan oleh raja Babilonia, dan kota ini akan dibakar sampai musnah.” Raja Zedekia bertitah, “Jangan benarkan sesiapa pun mengetahui percakapan kita ini, supaya nyawamu tidak terancam. Jika para pegawai mendengar bahawa beta telah bercakap dengan engkau, mereka akan bertanya tentang percakapan kita. Mereka akan berjanji bahawa mereka tidak akan membunuh engkau jika engkau menceritakan segala-galanya. Beritahu mereka bahawa engkau memohon supaya beta tidak memasukkan engkau semula ke penjara dan tidak membiarkan engkau mati di sana.” Selepas itu para pegawai datang bertanya kepadaku. Aku memberitahu mereka tepat seperti yang diperintahkan raja. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa, kerana tiada sesiapa pun mendengar percakapan kami. Aku ditahan di halaman istana itu sehingga Yerusalem jatuh ke tangan musuh. Pada bulan kesepuluh, tahun kesembilan pemerintahan Raja Zedekia di Yehuda, Raja Nebukadnezar dari Babilonia datang menyerang Yerusalem dengan seluruh angkatan tenteranya. Pada hari kesembilan, bulan keempat, tahun kesebelas pemerintahan Raja Zedekia, musuh berjaya menembusi tembok kota. ( Apabila Yerusalem direbut, semua pegawai tinggi raja Babilonia datang dan duduk di Pintu Gerbang Tengah. Antara mereka ialah Nergal-Sarezer, Samgar-Nebo, Sarsekim, pengurus istana, dan Nergal-Sarezer Rabmag.) Apabila Raja Zedekia dan semua tenteranya nampak kejadian itu, mereka cuba lari dari kota itu pada malam hari. Mereka keluar melalui taman istana dan pintu gerbang yang menghubungkan kedua-dua tembok di tempat itu, lalu lari ke arah Lembah Yordan. Tetapi tentera Babilonia mengejar mereka dan menangkap Raja Zedekia di dataran dekat Yerikho. Mereka membawa baginda menghadap Raja Nebukadnezar yang ketika itu berada di kota Ribla di daerah Hamat. Di sana Raja Nebukadnezar menjatuhkan hukuman kepadanya. Di kota Ribla juga putera-putera Raja Zedekia dibunuh di depan mata Raja Zedekia sendiri, dan semua pegawai kerajaan Yehuda pun dibunuh. Selepas itu mata Raja Zedekia dicungkil, lalu baginda dibelenggu dan dibawa ke Babilonia. Sementara itu orang Babilonia membakar istana raja dan rumah-rumah rakyat, serta merobohkan tembok Yerusalem. Akhirnya, Nebuzaradan, panglima tentera itu, membawa penduduk yang masih di kota ke Babilonia sebagai orang tawanan. Dia juga membawa semua orang yang telah memihak kepadanya, ke Babilonia. Dia meninggalkan beberapa orang yang sangat miskin di Yehuda, mereka yang tidak memiliki apa-apa, lalu dia memberi mereka ladang anggur dan ladang. Raja Nebukadnezar telah menyuruh Nebuzaradan, panglima tentera itu, mengeluarkan perintah demikian, “Pergilah mencari Yeremia dan layanilah dia dengan baik. Jangan cederakan dia, tetapi kabulkanlah apa sahaja permintaannya.” Oleh itu Nebuzaradan, bersama dengan pegawai tinggi yang bernama Nebusyazban dan Nergal-Sarezer, serta semua pegawai raja Babilonia, mengambil aku dari halaman istana. Mereka menyerahkan aku kepada penjagaan Gedalya anak Ahikam, cucu Safan, yang harus menghantarkan aku pulang dengan selamat. Oleh itu aku tinggal di situ bersama-sama rakyat. Ketika aku masih dipenjarakan di halaman istana dahulu, TUHAN menyuruh aku memberitahu Ebed-Melekh, orang Etiopia itu, bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel berfirman demikian, “Sebagaimana yang Aku firmankan dahulu, Aku akan mendatangkan kemusnahan dan bukan kemakmuran ke kota itu. Apabila perkara itu berlaku kelak, engkau akan berada di sini untuk menyaksikannya. Tetapi Aku, TUHAN akan melindungi engkau, dan engkau tidak akan diserahkan kepada orang yang engkau takuti. Aku akan menyelamatkan engkau, dan engkau tidak akan dibunuh. Engkau akan selamat kerana engkau percaya kepada-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman kepadaku selepas Nebuzaradan, panglima tentera itu, membebaskan aku di Rama. Aku telah dibawa ke situ dalam keadaan terbelenggu bersama-sama semua orang dari Yerusalem dan Yehuda yang dibawa sebagai orang tawanan ke Babilonia. Panglima tentera itu membawa aku ke tepi lalu berkata, “TUHAN, Allahmu, mengancam negeri ini dengan kemusnahan. Sekarang Dia telah menepati firman-Nya. Semua itu berlaku kerana bangsamu berdosa kepada TUHAN dan tidak taat kepada-Nya. Saya akan membebaskan kamu dan melepaskan belenggu dari lenganmu. Jika kamu mahu, kamu boleh ikut saya ke Babilonia dan saya akan memelihara kamu. Tetapi jika kamu tidak mahu, tidak mengapa. Di seluruh negeri ini, kamu bebas pergi ke mana sahaja kamu hendak.” Apabila aku tidak menjawab, Nebuzaradan berkata, “Baliklah kepada Gedalya anak Ahikam, cucu Safan, yang telah dilantik oleh raja Babilonia menjadi gabenor kota-kota Yehuda. Kamu boleh tinggal dengan dia dan hidup bersama-sama rakyat atau pergi ke mana sahaja kamu mahu.” Selepas itu dia memberi aku hadiah dan bekal makanan, lalu dia melepaskan aku. Aku pergi kepada Gedalya di Mizpa, dan tinggal bersama-sama rakyat yang masih di negeri itu. Beberapa orang pegawai dan askar Yehuda masih belum menyerah diri. Mereka mendengar bahawa raja Babilonia telah melantik Gedalya menjadi gabenor negeri itu, dan semua rakyat yang paling miskin di negeri itu, yang tidak dibawa ke Babilonia diserahkan ke bawah kuasanya. Oleh itu Ismael anak Netanya, Yohanan anak Kareah, Seraya anak Tanhumet, anak-anak Efai orang Netofa, dan Yezanya orang Maakha pergi bersama-sama anak buah mereka menghadap Gedalya di Mizpa. Gedalya berkata kepada mereka, “Saudara-saudara tidak perlu takut menyerah diri kepada orang Babilonia. Menetaplah di negeri ini dan berkhidmatlah kepada raja Babilonia. Saya jamin bahawa kamu akan selamat. Saya sendiri akan tinggal di Mizpa, dan saya akan mewakili saudara semua apabila orang Babilonia datang. Saudara-saudara boleh tinggal di pekan-pekan dan menyimpan wain, buah-buahan, dan minyak zaitun.” Sementara itu, semua orang Israel di negeri Moab, Amon, Edom, dan negeri-negeri lain mendengar bahawa raja Babilonia telah membenarkan sesetengah orang Israel tinggal di Yehuda, dan bahawa raja itu telah melantik Gedalya menjadi gabenor mereka. Oleh itu mereka meninggalkan tempat-tempat mereka tercerai-cerai, lalu kembali ke Yehuda. Mereka datang kepada Gedalya di Mizpa, dan di sana mereka menyimpan banyak wain dan buah-buahan. Selepas itu, Yohanan dan pemimpin-pemimpin askar yang belum menyerah diri, datang kepada Gedalya dan berkata kepadanya, “Tidakkah tuan tahu bahawa Raja Baalis dari Amon, telah mengutus Ismael untuk membunuh tuan?” Tetapi Gedalya tidak percaya. Kemudian Yohanan berkata kepadanya dengan sembunyi-sembunyi, “Benarkanlah saya membunuh Ismael. Tiada sesiapa pun akan mengetahuinya. Mengapakah dia dibiarkan membunuh tuan? Hal itu akan menyebabkan semua orang Yahudi yang telah berkumpul dengan tuan tercerai-cerai semula, dan bencana akan menimpa semua orang yang masih tinggal di Yehuda.” Tetapi Gedalya menjawab, “Jangan lakukan niatmu itu! Kata-katamu tentang Ismael itu tidak benar!” Pada bulan ketujuh tahun itu, Ismael anak Netanya, cucu Elisama, bersama dengan sepuluh orang pergi ke Mizpa untuk menghadap Gedalya. Ismael seorang kerabat diraja, dan pegawai tinggi raja. Sedang mereka makan bersama-sama, Ismael dan sepuluh orang yang bersertanya itu menghunus pedang lalu membunuh Gedalya. Ismael juga membunuh semua orang Israel yang bersama dengan Gedalya di Mizpa, dan askar-askar Babilonia yang kebetulan berada di situ. Esok harinya, sebelum sesiapa pun mengetahui pembunuhan Gedalya itu, lapan puluh orang tiba dari Sikhem, Silo, dan Samaria. Mereka telah mencukur janggut, mengoyakkan pakaian dan meluka-lukakan badan. Mereka sedang membawa gandum dan kemenyan untuk dipersembahkan di Rumah TUHAN. Oleh itu Ismael keluar dari Mizpa dan pergi menemui mereka. Dia menangis sambil berkata kepada mereka, “Mari lihat Gedalya.” Sebaik sahaja mereka berada di dalam kota itu, Ismael dan semua orangnya membunuh mereka, dan membuang mayat mereka ke dalam sebuah perigi. Tetapi ada sepuluh orang antara mereka yang berkata kepada Ismael, “Tolonglah, jangan bunuh kami! Kami mempunyai gandum, barli, minyak zaitun, dan madu yang tersembunyi di ladang.” Oleh itu Ismael melepaskan mereka. Perigi tempat Ismael membuang mayat-mayat orang yang telah dibunuhnya itu perigi besar; perigi itulah yang telah digali oleh Raja Asa ketika baginda diserang oleh Raja Baesa dari Israel. Ismael memenuhi perigi itu dengan mayat. Kemudian Ismael menangkap para puteri raja dan semua orang yang berada di Mizpa, yang telah diserahkan oleh Nebuzaradan, panglima tentera itu, ke bawah penjagaan Gedalya. Ismael menangkap mereka lalu berangkat dengan mereka ke arah wilayah Amon. Yohanan dan semua pemimpin askar yang bersama-samanya mendengar tentang jenayah yang telah dilakukan oleh Ismael. Oleh itu mereka dengan anak buah mereka mengejar Ismael lalu menangkap dia dekat sebuah kolam besar di Gibeon. Apabila orang tawanan Ismael nampak Yohanan dan pemimpin-pemimpin askar itu, mereka gembira. Mereka berpaling lalu lari kepada rombongan Yohanan. Tetapi Ismael dan lapan orang anak buahnya melepaskan diri daripada Yohanan dan lari ke negeri Amon. Kemudian Yohanan dan para pemimpin askar yang bersama-samanya mengumpulkan orang yang ditawan oleh Ismael di Mizpa setelah dia membunuh Gedalya - askar, wanita, anak-anak, dan sida-sida yang menjadi para pegawai istana. [17-18] Mereka semua takut kepada orang Babilonia kerana Ismael telah membunuh Gedalya yang dilantik oleh raja Babilonia sebagai gabenor. Oleh itu mereka berangkat menuju ke Mesir untuk melarikan diri daripada orang Babilonia. Di tengah perjalanan, mereka berhenti di Kimham dekat Betlehem. Kemudian semua pemimpin askar, termasuk Yohanan anak Kareah dan Azarya anak Hosaya, datang bersama-sama rakyat daripada semua lapisan masyarakat. Mereka berkata kepadaku, “Tolonglah kabulkan permintaan kami. Berdoalah kepada TUHAN, Allah kita bagi kami. Berdoalah bagi kami semua yang terselamat. Dahulu kami ramai bilangannya, tetapi sekarang lihatlah, bilangan kami tinggal sedikit sahaja. Berdoalah agar TUHAN, Allah kita akan menunjukkan jalan yang harus kami ikut dan apa yang harus kami lakukan.” “Baiklah,” jawabku, “Aku akan berdoa kepada TUHAN, Allah kita menurut permintaan kamu; dan apa pun jawapan-Nya kelak, akan aku sampaikan kepada saudara semua. Aku tidak akan merahsiakan apa-apa pun.” Kemudian mereka berkata kepadaku, “Biarlah TUHAN menjadi saksi yang jujur dan setia terhadap kami jika kami tidak taat kepada perintah yang diberikan TUHAN, Allah kita kepadamu untuk kami. Kami telah minta kamu berdoa kepada TUHAN, Allah kita. Oleh itu baik jawapan-Nya menyenangkan atau tidak, kami akan taat kepada-Nya. Keadaan kami akan menjadi baik jika kami mentaati Dia.” Sepuluh hari kemudian, TUHAN berfirman kepadaku. Oleh itu aku memanggil Yohanan, semua pemimpin askar, dan semua orang lain yang datang bersama-samanya. Aku berkata kepada mereka, “Kamu menyuruh aku menyampaikan permintaan kamu semua kepada TUHAN, Allah Israel. Sekarang inilah firman-Nya, ‘Jika kamu mahu tetap tinggal di negeri ini, Aku akan membangun kamu dan tidak memusnahkan kamu. Aku akan menegakkan kamu dan tidak meruntuhkan kamu. Kemusnahan yang Kutimpakan kepada kamu menyebabkan Aku sangat sedih. Jangan takut lagi akan raja Babilonia. Aku menyertai kamu, dan Aku akan melepaskan kamu daripada kuasanya. Oleh sebab Aku berbelas kasihan, Aku akan menyebabkan dia mengasihani kamu dan membenarkan kamu pulang. Aku, TUHAN, telah berfirman.’ [13-15] Tetapi kamu yang masih tinggal di Yehuda mesti taat kepada TUHAN, Allah kamu dan rela tinggal di negeri ini. Kamu tidak boleh berkata, ‘Kami mahu pergi ke Mesir dan tinggal di sana, supaya kami tidak lagi mengalami peperangan, tidak mendengar tiupan trompet yang memanggil untuk berperang dan tidak menderita kebuluran.’ Jika kamu berkata demikian, maka inilah firman TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, ‘Jika kamu nekad pergi ke Mesir dan tinggal di sana, *** *** peperangan dan kebuluran yang kamu takuti itu akan mengejar kamu sampai ke Mesir, dan kamu akan mati di sana. Semua orang yang nekad pergi ke Mesir dan tinggal di sana akan mati dalam peperangan, atau kerana kebuluran, atau wabak. Tiada seorang pun akan hidup atau terlepas daripada bencana yang akan Aku datangkan kepada mereka.’ TUHAN, Allah Israel berfirman, ‘Sebagaimana kemurkaan dan berang-Ku telah menimpa penduduk Yerusalem, demikian juga berang-Ku akan menimpa kamu jika kamu pergi ke Mesir. Orang akan ngeri melihat kamu; kamu akan dihina, dan nama kamu akan digunakan sebagai kutuk. Kamu tidak akan melihat negeri ini lagi.’ ” Kemudian aku berkata lagi, “TUHAN telah memberitahu kamu semua yang masih tinggal di Yehuda supaya tidak pergi ke Mesir. Oleh itu aku memperingatkan kamu sekarang, bahawa kamu semua sedang melakukan kesalahan besar. Kamu minta aku berdoa kepada TUHAN, Allah kita, dan kamu berjanji untuk mentaati setiap perintah-Nya. Aku telah menyampaikan firman-Nya kepada kamu semua, tetapi kamu membantah setiap perintah yang aku sampaikan. Oleh itu ingatlah: kamu akan mati dalam peperangan, atau kerana kelaparan, atau wabak di negeri yang ingin kamu tinggal.” Aku telah menyampaikan setiap firman TUHAN, Allah Israel, yang wajib kusampaikan kepada mereka. Kemudian Azarya anak Hosaya dan Yohanan anak Kareah dan semua orang lain yang sombong itu berkata kepadaku, “Kamu berdusta! TUHAN, Allah kita, tidak menyuruh kamu melarang kami untuk pergi tinggal di Mesir. Barukh anak Neria telah menghasut kamu untuk menentang kami, supaya orang Babilonia dapat menguasai kami dan membunuh atau mengangkut kami ke Babilonia.” Tiada seorang pun, baik Yohanan atau para pegawai tentera atau rakyat taat kepada perintah TUHAN untuk tetap tinggal di negeri Yehuda. Kemudian Yohanan dan semua pegawai tentera itu membawa setiap orang yang masih tinggal di Yehuda ke Mesir. Mereka dibawa bersama-sama semua orang yang baru pulang dari tempat-tempat mereka tercerai-cerai dahulu; termasuk kaum lelaki, perempuan, anak-anak, dan puteri-puteri raja. Mereka membawa juga semua orang yang diserahkan oleh panglima Nebuzaradan ke bawah penjagaan Gedalya, termasuk Barukh dan aku sendiri. Mereka membantah perintah TUHAN, dan pergi ke Mesir sejauh kota Tahpanhes. Di sana TUHAN berfirman kepadaku, “Ambillah beberapa buah batu besar dan tanamkanlah semuanya di tanah di depan pintu masuk ke bangunan kerajaan di kota itu. Biarlah beberapa orang Israel nampak engkau melakukannya. Selepas itu beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, akan membawa hamba-Ku, Raja Nebukadnezar dari Babilonia, ke tempat ini. Dia akan mendirikan takhtanya di atas batu-batu yang engkau tanam itu, dan dia akan memasang khemah diraja di tempat itu. Nebukadnezar akan datang dan mengalahkan Mesir. Mereka yang ditentukan mati kerana penyakit akan mati kerana penyakit, mereka yang ditentukan menjadi tawanan perang akan menjadi tawanan perang, dan mereka yang ditentukan mati dalam peperangan akan mati dalam peperangan. Aku akan membakar kuil-kuil dewa Mesir, dan raja Babilonia pun akan membakar dewa-dewa mereka itu atau membawa semuanya ke tempat lain. Sebagaimana seorang gembala membersihkan pakaiannya daripada kutu, demikian juga raja Babilonia akan membersihkan Mesir lalu berangkat dengan kemenangan. Dia akan merobohkan tugu-tugu berhala di Heliopolis, di Mesir, dan membakar kuil-kuil dewa Mesir.” TUHAN berfirman kepadaku tentang semua orang Israel yang tinggal di Mesir, di kota Migdol, Tahpanhes, Memfis, dan bahagian selatan negeri itu. Inilah firman TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, “Kamu sendiri telah menyaksikan kemusnahan yang Aku timpakan pada Yerusalem dan semua kota lain di Yehuda. Bahkan sampai sekarang pun kota-kota itu masih dalam keadaan runtuhan dan tidak berpenghuni. Kemusnahan itu berlaku kerana penduduknya telah berbuat jahat dan membangkitkan kemurkaan-Ku. Mereka mempersembahkan korban kepada dewa-dewa, dan memuja dewa-dewa yang tidak pernah dipuja oleh mereka, kamu, atau nenek moyang kamu. Aku terus-menerus mengutus hamba-Ku, para nabi kepada kamu; mereka melarang kamu melakukan kejahatan yang Aku benci. Tetapi kamu tidak mahu mendengarkan atau memperhatikannya. Kamu tidak mahu meninggalkan perbuatan jahat; kamu tetap mempersembahkan korban kepada dewa-dewa. Itulah sebabnya kemurkaan dan berang-Ku menimpa kota-kota Yehuda dan jalan-jalan di Yerusalem. Aku membakar semuanya sehingga menjadi runtuhan dan tempat yang mengerikan sampai sekarang. Oleh itu sekarang Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, bertanya sebabnya kamu melakukan perkara yang jahat itu terhadap diri kamu sendiri. Adakah kamu hendak membinasakan kaum lelaki, wanita, anak-anak, dan bayi, sehingga tiada seorang pun daripada bangsa kamu yang tinggal? Mengapakah kamu membangkitkan kemurkaan-Ku dengan menyembah berhala-berhala dan mempersembahkan korban kepada dewa-dewa di Mesir, tempat tinggal kamu sekarang? Adakah kamu melakukannya untuk membinasakan diri kamu sendiri, sehingga semua bangsa di bumi ini menghina kamu dan menggunakan nama kamu sebagai kutuk? Adakah kamu lupa akan semua kejahatan yang dilakukan oleh nenek moyang kamu, oleh raja-raja Yehuda dan permaisuri mereka, dan juga oleh kamu sendiri dan isteri kamu, di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem? Tetapi sehingga hari ini kamu masih belum merendahkan diri. Kamu tidak menghormati Aku atau hidup menurut semua hukum yang telah Kuberikan kepada kamu dan nenek moyang kamu. Oleh itu Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, akan menentang kamu dan memusnahkan seluruh Yehuda. Rakyat yang masih tinggal di Yehuda, dan yang nekad pergi ke Mesir dan tinggal di sana, pasti Aku binasakan. Mereka semua, baik besar mahupun kecil, akan mati di Mesir dalam peperangan atau kerana kelaparan. Keadaan mereka akan mengerikan. Orang akan menghina mereka dan menggunakan nama mereka sebagai kutuk. Aku akan menghukum mereka yang tinggal di Mesir, sebagaimana Aku menghukum Yerusalem dengan peperangan, kelaparan, dan wabak. Tiada seorang pun daripada orang Yehuda yang tinggal di Mesir akan terselamat atau hidup. Tiada seorang pun akan pulang ke Yehuda, tanah air yang dirindu-rindukan mereka sebagai tempat tinggal. Tiada yang akan pulang kecuali beberapa orang pelarian.” Kemudian banyak sekali orang datang kepadaku, iaitu semua lelaki yang tahu bahawa isteri mereka mempersembahkan korban kepada dewa, dan semua wanita yang berdiri di situ, termasuk orang Israel yang tinggal di bahagian selatan Mesir. Mereka berkata kepadaku, “Kami tidak mahu mendengar perkataan yang kamu ucapkan demi nama TUHAN. Kami akan melakukan segala perkara yang telah kami katakan. Kami akan mempersembahkan korban kepada dewi kami, Ratu Syurga. Kami akan mempersembahkan wain kepadanya, sebagaimana kami, nenek moyang kami, raja kami, dan pemimpin-pemimpin kami biasa melakukannya di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem. Pada masa itu kami mempunyai banyak makanan; kami makmur dan tidak susah. Tetapi sejak kami berhenti mempersembahkan korban kepada Ratu Syurga, dan berhenti mempersembahkan wain kepadanya, kami kekurangan segala-galanya, dan bangsa kami mati dalam peperangan dan kerana kelaparan.” Kaum wanita di situ berkata, “Apabila kami membuat roti berbentuk Ratu Syurga, dan mempersembahkan korban serta wain kepadanya, suami kami menyetujui perbuatan kami.” Kemudian aku berkata kepada semua orang lelaki dan wanita yang telah menjawab aku itu, “Adakah kamu menyangka bahawa TUHAN tidak tahu, atau Dia lupa akan perbuatan kamu itu? Kamu dan nenek moyang kamu mempersembahkan korban kepada Ratu Syurga; hal itu juga dilakukan oleh raja-raja, para pemimpin, penduduk negeri ini, dan kamu sendiri di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem. Sampai hari ini negeri kamu runtuh dan tiada sesiapa pun tinggal di situ. Keadaannya mengerikan. Tambahan pula orang menggunakan namanya sebagai kutuk. Semua perkara itu berlaku kerana TUHAN tidak sabar lagi terhadap kezaliman dan kejahatan kamu. Bencana yang menimpa kamu pada masa ini datang kerana kamu mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain, dan kerana kamu berdosa terhadap TUHAN dengan tidak mentaati perintah-Nya.” [24-25] Aku memberitahu mereka semua, terutama kaum wanita, firman TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, kepada orang Yehuda yang tinggal di Mesir, “Kamu dan isteri-isteri kamu telah bersumpah kepada Ratu Syurga, bahawa kamu akan mempersembahkan korban dan wain kepadanya, dan kamu sudah pun menepati janji kamu. Baiklah, tepatilah janji kamu itu! Tunaikanlah nazar kamu itu! *** Tetapi sekarang dengarlah apa yang Aku firmankan kepada kamu, hai semua orang Israel yang tinggal di Mesir: Aku, TUHAN bersumpah demi nama-Ku yang agung bahawa Aku tidak sekali-kali akan membenarkan kamu menggunakan nama-Ku apabila kamu bersumpah. Kamu tidak boleh berkata, ‘Aku bersumpah demi TUHAN Raja yang hidup!’ Aku akan memastikan agar kamu tidak berjaya; kamu pasti dibinasakan. Kamu semua akan mati, sama ada dalam peperangan atau kerana wabak, sehingga tiada seorang pun antara kamu terselamat. Tetapi sebilangan kecil antara kamu yang tinggal di Mesir akan terselamat dan pulang ke Yehuda. Barulah mereka akan tahu perkataan siapa yang berlaku, firman-Ku atau perkataan mereka. Aku, TUHAN, akan membuktikan bahawa Aku akan menghukum kamu di negeri ini, dan bahawa janji-Ku untuk membinasakan kamu itu akan ditepati. Aku akan menyerahkan Raja Hofra dari Mesir kepada musuhnya yang hendak membunuh baginda, sebagaimana Aku telah menyerahkan Raja Zedekia dari Yehuda kepada Raja Nebukadnezar dari Babilonia, musuh yang hendak membunuh Raja Zedekia.” Pada tahun keempat pemerintahan Raja Yoyakim putera Raja Yosia sebagai raja Yehuda, Barukh menuliskan apa yang telah aku imlakkan itu. Kemudian aku memberitahu dia bahawa demikianlah firman TUHAN, Allah Israel, “Hai Barukh, engkau berkata, ‘Aku putus asa. TUHAN telah menambah kesedihan kepada kesusahanku. Aku sudah penat mengeluh. Aku tidak mendapat ketenangan.’ Tetapi sekarang Aku, TUHAN, sedang merobohkan apa yang telah Aku bina; Aku sedang mencabut apa yang telah Aku tanam. Aku akan melakukan perkara itu kepada seluruh bumi ini. Adakah engkau ingin diistimewakan? Jangan, kerana Aku mendatangkan bencana kepada semua umat manusia. Tetapi bagi engkau, setidak-tidaknya, ke mana sahaja engkau pergi, engkau akan selamat dan tetap hidup. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman kepadaku tentang bangsa-bangsa, bermula dengan Mesir. Demikianlah firman-Nya tentang tentera Raja Nekho dari Mesir, yang telah dikalahkan oleh Raja Nebukadnezar dari Babilonia, di Karkemis berhampiran Sungai Efrat pada tahun keempat pemerintahan Raja Yoyakim sebagai raja Yehuda, “Para panglima tentera Mesir memekik, ‘Siapkanlah perisai kamu, dan maralah untuk bertempur! Pasanglah abah-abah pada kuda dan tunggangilah kuda kamu! Berbarislah dan pakailah topi besi! Asahlah tombak kamu! Pakailah baju zirah kamu!’ ” TUHAN bertanya, “Tetapi apakah yang Aku nampak ini? Mereka mundur ketakutan. Tentera mereka dipukul mundur; mereka lari secepat mungkin, mereka tidak berani menoleh, kerana sangat ketakutan. Mereka yang berlari dengan pantas tidak dapat melepaskan diri; askar-askar tidak dapat melarikan diri. Mereka tersandung dan jatuh, di utara, dekat Sungai Efrat. Siapakah yang naik seperti air Sungai Nil, seperti sungai yang membanjiri tebingnya? Itulah negeri Mesir, yang naik seperti Sungai Nil, seperti sungai yang membanjiri tebingnya. Negeri Mesir berkata, ‘Aku akan naik dan menenggelamkan dunia; aku akan memusnahkan kota-kota dan penduduk di sana. Perintahlah kuda untuk pergi, dan kereta-kereta kuda untuk bergerak laju! Kirimlah askar-askar: orang dari Etiopia dan Libia yang membawa perisai, dan juga pemanah mahir dari Lidia.’ ” Inilah hari TUHAN Raja Yang Maha Kuasa: hari ini Dia akan membalas dendam; hari ini Dia akan menghukum musuh-Nya. Pedang-Nya akan makan mereka sehingga kenyang, dan minum darah mereka sehingga puas. Hari ini Yang Maha Kuasa menyembelih korban-korban-Nya, di utara, dekat Sungai Efrat. Hai penduduk Mesir, pergilah ke Gilead dan dapatkanlah ubat! Semua ubat kamu ternyata tidak berguna; tiada satu pun dapat menyembuhkan kamu. Bangsa-bangsa telah mendengar aib kamu; semua orang telah mendengar tangisan kamu. Askar yang satu tersandung pada askar yang lain, lalu kedua-duanya jatuh ke tanah. Ketika Raja Nebukadnezar dari Babilonia, datang menyerang Mesir, TUHAN berfirman kepadaku, “Isytiharkanlah berita ini di kota-kota Mesir, iaitu Migdol, Memfis, dan Tahpanhes, ‘Bersedialah membela diri kamu; semua milik kamu akan musnah dalam peperangan! Mengapakah Apis, dewa kamu yang kuat itu jatuh? TUHAN telah memukul dewa itu!’ Askar-askar kamu tersandung dan jatuh! Mereka berkata sesama sendiri, ‘Cepatlah! Marilah kita pulang kepada bangsa kita, dan melarikan diri dari pedang pembinasa!’ Berilah raja Mesir nama yang baru: ‘Tukang Bising Yang Melepaskan Peluang.’ Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Akulah raja. Akulah Allah yang hidup. Sebagaimana Gunung Tabor lebih tinggi daripada gunung lain, dan Gunung Karmel lebih tinggi daripada permukaan laut, demikianlah kekuatan orang yang akan menyerang kamu. Bersiaplah untuk ditawan, hai penduduk Mesir! Memfis akan menjadi padang gurun, runtuhan yang tidak didiami orang. Mesir seperti seekor lembu yang gemuk, tetapi didatangi oleh pikat dari utara. Bahkan askar-askar upahannya pun tidak berdaya seperti anak lembu. Mereka tidak dapat bertahan untuk berperang; mereka semua berpaling dan lari. Hari hukuman bagi mereka telah tiba; sudah sampai masa mereka dibinasakan. Mesir melarikan diri sambil berdesis seperti ular, sementara tentera musuh semakin dekat. Musuh menyerang dengan kapak, seperti orang menebang pokok, seperti orang memusnahkan hutan tebal. Bilangan mereka tidak terhitung, askar mereka lebih banyak daripada belalang. Penduduk Mesir dipermalukan, mereka dikalahkan oleh bangsa dari utara. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel berfirman, “Aku akan menghukum Amon, dewa kota Tebe bersama dengan Mesir dan dewa-dewa serta raja-rajanya. Aku akan mengambil raja Mesir dan semua yang berharap kepadanya, lalu menyerahkan mereka kepada orang yang hendak membunuh mereka, iaitu Raja Nebukadnezar dari Babilonia dan tenteranya. Tetapi pada kemudian hari, orang akan tinggal lagi di Mesir, seperti pada masa lampau. Aku, TUHAN, telah berfirman.” “Jangan takut, hai umat-Ku, jangan gentar, hai umat Israel. Aku akan menyelamatkan kamu dari negeri yang jauh, dari negeri tempat kamu ditawan. Kamu akan pulang dan tinggal di negeri kamu dengan aman; kamu akan hidup dengan tenteram; tiada sesiapa pun akan menakutkan kamu. Aku akan datang dan menyelamatkan kamu. Aku akan memusnahkan semua negeri tempat Aku mencerai-beraikan kamu, tetapi Aku tidak akan membinasakan kamu. Aku tidak akan melepaskan kamu daripada hukuman, tetapi apabila Aku menghukum kamu, Aku akan berlaku adil. Aku, TUHAN, telah berfirman.” Sebelum raja Mesir menyerang Gaza, TUHAN berfirman kepadaku tentang negeri Filistin, “Lihatlah, air sedang naik di utara, dan melanda seperti sungai yang banjir. Air itu akan membanjiri negeri dan seisinya, kota-kota dan penduduk di sana. Orang akan berseru minta tolong, setiap orang di bumi akan meratap. Mereka akan mendengar derap kuda, bunyi derak-derik kereta kuda, dan kertak-kertuk rodanya. Bapa tidak akan berpaling untuk mengambil anak mereka; tangan bapa-bapa lemah tidak berdaya. Masanya sudah tiba untuk membinasakan semua orang Filistin, dan melenyapkan semua pertolongan yang diterima oleh kota Tirus dan Sidon. Aku, TUHAN, akan membinasakan orang Filistin, semua orang yang datang dari pulau Kreta. Penduduk Gaza sangat sedih, penduduk Askelon pun berdiam diri. Sampai bilakah orang Filistin berkabung? Kamu berseru, ‘Hai pedang TUHAN! Sampai bilakah engkau menebas? Kembalilah ke sarungmu, tinggallah di situ dan berehatlah.’ Tetapi bagaimanakah pedang itu dapat berehat, sedangkan Aku menyuruhnya bekerja? Aku telah memerintahnya menyerang Askelon, dan orang yang tinggal di pantai.” Demikianlah firman TUHAN tentang negeri Moab, “Kasihanilah penduduk Nebo - kota mereka sudah musnah! Kota Kiryataim sudah direbut, kubunya yang kuat sudah roboh, dan rakyatnya dipermalukan; kemuliaan Moab sudah lenyap. Musuh telah merebut kota Hesybon; musuh berkomplot untuk memusnahkan bangsa Moab. Kota Madmen akan menjadi lengang; tentera musuh akan menyerangnya. Penduduk kota Horonaim berteriak, ‘Keganasan! Kehancuran!’ Moab telah dimusnahkan; dengarlah tangisan anak-anak. Dengarlah mereka menangis teresak-esak di sepanjang jalan naik ke kota Luhit, mereka menangis kerana sedih, di sepanjang jalan turun ke kota Horonaim. ‘Cepatlah!’ kata mereka. ‘Larilah dan selamatkanlah diri kamu! Berlarilah seperti keldai liar di gurun!’ Hai Moab, engkau berharap kepada kekuatan dan kekayaanmu, tetapi sekarang engkau pun akan dikalahkan; Kamos, dewa kamu, bersama dengan para imam dan pegawai pemerintah akan dibuang ke negeri lain. Satu kota pun tidak akan terlepas daripada kemusnahan, bukit dan lembah akan dimusnahkan! Aku, TUHAN, telah berfirman. Sediakanlah batu nisan bagi Moab, negeri itu segera akan dimusnahkan. Kota-kotanya akan runtuh, dan tidak akan dihuni orang lagi.” Kutuklah orang yang tidak melakukan pekerjaan TUHAN dengan sepenuh hati! Kutuklah orang yang tidak menghunus pedang dan melakukan pembunuhan! TUHAN berfirman, “Selama ini Moab sentiasa hidup dengan aman, dan tidak pernah dibuang ke negeri lain. Moab seperti wain yang dibiarkan mengendap, tanpa diganggu atau dituang dari tempayan ke tempayan. Rasanya masih enak dan baunya masih harum. Oleh itu sekarang tibalah masanya Aku menyuruh orang menuang Moab seperti wain. Mereka akan mengosongkan tempayan wain lalu memecahkannya. Kemudian orang Moab akan dikecewakan oleh Kamos, dewa mereka, sebagaimana orang Israel dikecewakan oleh Betel, dewa yang dipercayai mereka. Hai penduduk negeri Moab, mengapa kamu menganggap diri sebagai pahlawan, dan sebagai askar perkasa yang diuji dalam pertempuran? Moab dan kota-kotanya telah dimusnahkan; kaum mudanya yang terbaik telah dibunuh. Akulah raja, TUHAN Yang Maha Kuasa, dan Aku telah berfirman. Malapetaka untuk Moab sudah hampir tiba, tidak lama lagi Moab akan musnah. Berkabunglah bagi bangsa itu, hai penduduk yang berhampiran, kamu semua yang kenal kemasyhurannya. Katakanlah, ‘Kuasa pemerintahannya telah dihancurkan; kemuliaan dan kekuatannya pun sudah lenyap.’ Hai kamu yang tinggal di kota Dibon, turunlah dari tempat kamu yang terhormat, dan duduklah dalam debu di tanah. Pemusnah Moab sudah tiba, dan telah memusnahkan semua kubunya. Hai kamu yang tinggal di kota Aroer, berdirilah di tepi jalan dan tunggulah; tanyalah orang yang sedang melarikan diri, tentang hal yang telah terjadi. Mereka akan menjawab, ‘Moab sudah jatuh! Moab telah dipermalukan; tangisilah Moab. Umumkanlah di sepanjang Sungai Arnon bahawa Moab sudah musnah!’ Hukuman telah dijatuhkan atas kota-kota di kawasan dataran tinggi: di Holon, Yahas, Mefaat, Dibon, Nebo, Bet-Diblataim, Kiryataim, Bet-Gamul, Bet-Meon, Keriot, dan Bozra. Semua kota negeri Moab, jauh dan dekat, telah dihukum. Kekuatan Moab telah dihancurkan; kuasanya telah dipatahkan. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman, “Moab telah menyombongkan diri terhadap Aku, kerana itu buatlah dia mabuk. Moab akan berguling-guling dalam muntahnya sendiri, lalu ditertawakan orang. Hai Moab, adakah engkau ingat bahawa dahulu engkau mentertawakan umat Israel dan memfitnah mereka seolah-olah mereka tertangkap basah bersama-sama pencuri? Hai penduduk Moab, tinggalkanlah kota-kota kamu! Pergilah ke bukit batu dan tinggallah di sana seperti burung merpati yang membuat sarang di tebing jurang. Moab sangat sombong! Aku telah mendengar betapa sombong, congkak, dan angkuh penduduk Moab itu! Mereka terlalu memikirkan diri sendiri. Aku, TUHAN tahu akan kesombongan mereka! Cakap besar mereka kosong belaka, dan perbuatan mereka tidak berguna! Itulah sebabnya Aku akan menangisi semua penduduk negeri Moab dan Kir-Heres. Aku akan lebih menangisi penduduk Sibma daripada penduduk Yaezer. Hai kota Sibma, engkau seperti pokok anggur yang carangnya merambat sampai ke seberang Laut Mati, sejauh kota Yaezer. Tetapi sekarang buah-buah musim panasmu dan buah anggurmu telah dirosakkan. Kegembiraan dan sukacita telah lenyap dari tanah Moab yang subur. Aku telah menghentikan aliran wain dari pemerah wain; tiada lagi orang yang membuat wain dan bersorak gembira. Penduduk kota Hesybon dan Eleale menangis sehingga tangisan mereka kedengaran di Yahas, dan juga terdengar oleh orang dari Zoar sampai ke Horanaim dan Eglat-Selisia. Sungai Nimrim pun sudah kering. Aku akan menghentikan penduduk Moab daripada membakar korban di tempat-tempat pemujaan mereka, dan menghentikan mereka mempersembahkan korban kepada dewa-dewa mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman. Semua harta milik penduduk Kir-Heres dan Moab sudah lenyap. Aku sedih melihat keadaan mereka; Aku seperti orang yang memainkan lagu perkabungan dengan sebatang suling. Mereka semua sudah mencukur rambut dan janggut, melukai tangan, dan memakai kain guni sebagai tanda bersedih. Di atas semua bumbung rumah dan di semua padang di Moab tiada terdengar apa-apa pun kecuali ratapan, kerana Aku telah menghancurkan Moab seperti tempayan yang tidak disukai orang. Moab telah dihancurkan! Menangislah! Moab telah dipermalukan! Moab telah runtuh. Semua negara jiran mentertawakan Moab. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN telah berjanji bahawa suatu bangsa akan menyambar Moab seperti seekor helang yang menyambar dengan sayap terkembang. Kota-kota dan kubu-kubunya akan direbut. Pada hari itu askar-askar Moab akan ketakutan seperti perempuan yang sedang bersalin. Moab akan musnah dan tidak lagi merupakan satu bangsa, kerana Moab telah menyombongkan diri terhadap Aku. Kegentaran, lubang, dan perangkap sedang menunggu penduduk Moab. TUHAN telah berfirman. Orang yang cuba melepaskan diri daripada kegentaran itu akan jatuh ke dalam lubang, dan orang yang cuba keluar dari lubang itu akan masuk ke dalam perangkap, kerana TUHAN telah menentukan waktu kehancuran bagi Moab. Orang pelarian yang tidak berdaya cuba berlindung di Hesybon, kota yang pernah diperintah oleh Raja Sihon, tetapi sekarang kota itu sedang terbakar. Api telah menghanguskan kawasan di sempadan dan di kawasan pergunungan Moab, negeri orang yang suka berperang. Kasihanilah orang Moab! Bangsa yang menyembah Dewa Kamos telah musnah; anak lelaki dan anak perempuan mereka telah ditangkap sebagai orang tawanan. Tetapi pada masa yang akan datang, TUHAN akan menjadikan Moab makmur semula. TUHAN telah berfirman bahawa semua perkara itu akan berlaku kepada Moab. Demikianlah firman TUHAN tentang negeri Amon, “Di manakah kaum lelaki Israel? Tiadakah sesiapa yang membela negerinya? Mengapakah mereka membiarkan bangsa yang menyembah Dewa Milkom merebut dan mendiami wilayah suku Gad? Tetapi akan tiba masanya apabila Aku menyebabkan penduduk ibu kota Raba mendengar bunyi pertempuran, lalu kota itu akan terbiar menjadi runtuhan. Pekan-pekan di sekitarnya akan habis terbakar. Kemudian Israel akan mendapat kembali tanahnya daripada mereka yang telah merebutnya. Hai penduduk Hesybon, menangislah! Kota Ai sudah musnah! Hai kaum wanita kota Raba, berkabunglah! Pakailah kain guni dan berkabunglah. Larilah ke sana ke mari dengan penuh kebingungan. Milkom, dewa kamu akan dibuang negeri bersama dengan para imam dan pegawai pemerintah. Mengapakah kamu berbangga, hai umat yang tidak setia? Lihatlah, kekuatan kamu mula hilang. Mengapakah kamu bersandar kepada kekuatan sendiri dan berkata bahawa tiada sesiapa pun berani menyerang kamu? Aku akan mendatangkan kegentaran kepada kamu dari segala arah. Kamu semua akan lari, masing-masing mencuba menyelamatkan diri. Tiada sesiapa pun akan mengumpulkan pasukan kamu lagi. Tetapi pada kemudian hari, Aku akan menjadikan Amon makmur semula. Aku, TUHAN, telah berfirman.” Demikianlah firman TUHAN tentang negeri Edom, “Sudah hilangkah akal budi penduduk Edom? Tidak dapatkah para pemimpin mereka menasihatkan mereka lagi? Sudah lenyapkah kebijaksanaan mereka? Hai penduduk kota Dedan, berpalinglah dan larilah! Bersembunyilah! Aku akan membinasakan keturunan Esau, kerana masanya sudah tiba bagi-Ku untuk menghukum mereka. Apabila orang memetik buah anggur, mereka meninggalkan sedikit buah pada pokok anggur. Apabila pencuri datang pada waktu malam, mereka hanya mengambil apa yang dikehendaki mereka. Tetapi Aku telah mengambil segala keturunan Esau. Aku membongkar tempat-tempat persembunyian mereka, sehingga mereka tidak dapat bersembunyi lagi. Semua penduduk Edom sudah binasa; tiada seorang pun tertinggal. Serahkanlah anak-anak piatu kamu kepada-Ku dan Aku akan memelihara mereka. Balu-balu kamu dapat bersandar kepada-Ku. Orang yang tidak patut dihukum pun kena hukuman. Adakah kamu menyangka bahawa kamu terlepas daripada hukuman? Kamu pasti dihukum! Aku sendiri telah bersumpah bahawa kota Bozra akan menjadi gurun yang mengerikan. Orang akan mentertawakannya dan menggunakan namanya sebagai kutuk. Pekan-pekan di sekitarnya pun akan menjadi runtuhan selama-lamanya. Aku, TUHAN, telah berfirman.” Aku, Yeremia berkata, “Hai Edom, aku telah menerima perkhabaran daripada TUHAN. Dia telah mengutus seorang utusan kepada bangsa-bangsa untuk memberitahu mereka supaya mengumpulkan tentera mereka dan bersiap untuk menyerang kamu. TUHAN akan melemahkan kamu, dan tiada sesiapa pun akan menghormati kamu. Kamu tertipu oleh keangkuhanmu. Tiada sesiapa pun takut akan kamu seperti sangkamu. Kamu tinggal di celah-celah bukit batu, jauh di atas gunung. Tetapi sekalipun kamu membina rumah di tempat yang tinggi sekali, setinggi tempat sarang burung helang, TUHAN akan merendahkan kamu. Demikianlah firman TUHAN.” TUHAN berfirman, “Kemusnahan Edom akan sangat mengerikan sehingga tiap-tiap orang yang lalu di situ akan terkejut dan ketakutan. Sebagaimana Sodom dan Gomora dimusnahkan bersama dengan pekan-pekan di sekitar, begitu juga Edom akan dimusnahkan. Tiada seorang pun akan tinggal di Edom lagi. Aku, TUHAN, telah berfirman. Sebagaimana singa keluar dari hutan tebal di tepi Sungai Yordan lalu naik ke padang rumput yang hijau, demikianlah Aku akan datang dan menyebabkan orang Edom lari dengan tiba-tiba dari negeri mereka. Selepas itu pemimpin yang Aku pilih akan memerintah negeri itu. Siapakah yang setara dengan Aku? Siapakah yang berani mencabar Aku? Penguasa manakah yang sanggup menentang Aku? Oleh itu dengarlah rancangan-Ku untuk menentang penduduk Edom, dan rancangan-Ku bagi penduduk kota Teman. Anak-anak mereka pun akan diseret pergi, dan semua orang akan ketakutan. Apabila Edom jatuh, bunyinya begitu kuat sehingga seluruh bumi goncang, dan teriakan penduduknya akan terdengar sampai ke Teluk Akaba. Musuh akan menyerang Bozra seperti burung helang yang menyambar dengan sayap terkembang. Pada hari itu askar-askar Edom akan ketakutan seperti wanita yang sedang bersalin.” Demikianlah firman TUHAN tentang kota Damsyik, “Penduduk kota Hamat dan Arpad khuatir serta gelisah kerana mereka telah mendengar berita buruk. Hati mereka risau dan kegelisahan melanda mereka seperti gelombang laut. Penduduk Damsyik tidak berdaya dan telah lari ketakutan. Mereka sakit dan menderita seperti wanita yang sedang bersalin. Kota termasyhur yang biasanya penuh kegembiraan, kini lengang dan tidak berpenghuni. Pada hari itu kaum pemudanya akan dibunuh di jalan raya, dan semua askarnya dibinasakan. Aku akan membakar tembok Damsyik dan menghanguskan istana-istana Raja Benhadad. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, telah berfirman.” Demikianlah firman TUHAN tentang suku Kedar dan daerah-daerah yang diperintah oleh Hazor, iaitu daerah-daerah yang telah dikalahkan oleh Raja Nebukadnezar dari Babilonia, “Seranglah suku Kedar, dan binasakanlah orang dari bahagian timur! Rampaslah semua khemah dan ternakan mereka, tirai khemah dan apa sahaja yang ada di dalam khemah. Rampaslah unta mereka dan beritahulah mereka, ‘Kegentaran mengelilingi kamu!’ Hai penduduk kota Hazor, Aku, TUHAN, memberikan amaran kepada kamu: Larilah jauh-jauh dan bersembunyilah. Raja Nebukadnezar dari Babilonia, telah merancang untuk melawan kamu. Raja itu bertitah, ‘Marilah kita serang orang yang berasa aman dan selamat! Kota mereka sama sekali tidak dilindungi kerana tidak mempunyai pintu gerbang ataupun palang pintu.’ Rampaslah unta dan semua ternakan mereka! Aku akan mencerai-beraikan semua orang yang memendekkan rambut mereka. Aku akan mendatangkan bencana kepada mereka dari segala arah. Hazor akan dijadikan gurun selama-lamanya, tempat yang hanya didiami serigala. Tiada sesiapa pun akan tinggal di situ lagi. Aku, TUHAN, telah berfirman.” Tidak lama selepas Raja Zedekia menjadi raja Yehuda, TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman tentang Elam kepadaku. Dia berfirman, “Aku akan membunuh semua anggota pasukan pemanah Elam, kerana merekalah yang menjadikan Elam sangat kuat. Aku akan menyebabkan angin dari segala arah meniupkan Elam, dan Aku akan mencerai-beraikan penduduknya sehingga tiada satu negeri pun yang tidak didatangi pelarian dari Elam. Aku akan menyebabkan penduduk Elam takut kepada musuh yang hendak membunuh mereka. Aku sangat murka kepada penduduk Elam dan akan membinasakan mereka. Aku akan mengirim tentera yang memerangi mereka, sehingga Aku menghapuskan mereka sama sekali. Aku akan membinasakan raja-raja dan pemimpin-pemimpin mereka, lalu mendirikan takhta-Ku di negeri itu. Tetapi kemudian Aku akan menjadikan penduduk Elam makmur semula. Aku, TUHAN, telah berfirman.” Inilah firman TUHAN yang disampaikan-Nya kepadaku tentang kota Babel dan penduduknya: “Khabarkanlah berita itu kepada bangsa-bangsa! Isytiharkanlah berita itu! Kibarkanlah panji-panji dan umumkanlah berita itu! Janganlah rahsiakan berita itu! Kota Babel telah jatuh! Merodakh, dewanya telah dihancurkan! Berhala-berhala Babel telah dipermalukan, patung-patungnya yang menjijikkan telah diremukkan! Suatu bangsa dari utara telah datang untuk menyerang Babilonia dan menjadikan negeri itu gurun. Manusia dan binatang akan lari, dan tiada lagi yang akan tinggal di situ.” TUHAN berfirman, “Apabila masa itu tiba, penduduk Israel dan Yehuda akan datang bersama-sama sambil menangis dan mencari Aku, Allah mereka. Mereka akan menanyakan jalan ke Sion, lalu menuju ke arah itu. Mereka akan membuat satu perjanjian kekal dengan Aku, dan tidak akan memungkirinya sampai selama-lamanya. Umat-Ku seperti kawanan domba yang telah dibiarkan sesat di gunung-gunung oleh gembala-gembala mereka. Mereka seperti domba yang mengembara dari gunung ke gunung, dan sudah lupa akan tempat tinggal mereka. Mereka diserang oleh sesiapa sahaja yang nampak mereka. Musuh mereka berkata, ‘Umat ini telah berdosa terhadap TUHAN. Oleh itu apa yang kita lakukan tidak salah. Nenek moyang mereka percaya kepada TUHAN, dan seharusnya mereka pun tetap setia kepada-Nya.’ Hai umat Israel, larilah dari Babilonia! Tinggalkanlah negeri itu! Kamu seharusnya yang terdahulu meninggalkan negeri itu! Aku akan membangkitkan beberapa bangsa yang kuat dari utara, dan menyebabkan mereka menyerang Babilonia. Mereka akan mengatur barisan untuk bertempur dengan Babilonia, lalu mengalahkannya. Mereka pemburu yang mahir. Apabila mereka memanah, panah mereka pasti mengenai sasaran. Babilonia akan dijarah, dan orang yang menjarahnya akan mengambil apa sahaja yang dikehendaki mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman, “Hai penduduk Babilonia, kamu telah menjarah umat-Ku. Kamu gembira dan bersukacita, melompat-lompat seperti lembu yang mengirik gandum atau seperti kuda yang meringkik, tetapi kota kamu sendiri yang besar itu akan dihina dan dipermalukan. Babilonia akan menjadi kerajaan yang paling tidak penting antara semua kerajaan. Babilonia akan menjadi gurun yang kering dan kersang. Oleh sebab kemurkaan-Ku, tiada sesiapa pun akan tinggal di Babel. Babel akan menjadi runtuhan, dan semua orang yang lalu di situ akan terkejut dan hairan. Hai pasukan pemanah, aturlah barisan dan kepunglah Babel. Bidikkanlah segala panah kamu ke Babel, kerana Babel telah berdosa terhadap Aku, TUHAN. Pekikkanlah tempik peperangan di sekeliling kota itu! Sekarang Babel telah menyerah. Tembok pertahanannya telah ditembusi dan dirobohkan. Aku sedang membalas dendam-Ku terhadap orang Babilonia. Oleh itu balaslah dendam kamu, dan perlakukanlah mereka sebagaimana mereka telah memperlakukan orang lain. Jangan biar orang bercucuk tanam atau menuai di negeri itu. Semua orang bangsa asing yang tinggal di situ akan takut terhadap tentera yang menyerang mereka, lalu pulang ke negeri masing-masing.” TUHAN berfirman, “Umat Israel seperti kawanan domba yang dikejar dan dicerai-ceraikan oleh singa. Mula-mula mereka diserang oleh raja Asyur, kemudian Raja Nebukadnezar dari Babilonia, mengerumit tulang-tulang mereka. Oleh sebab itu, Aku TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, akan menghukum Raja Nebukadnezar dan negerinya, sebagaimana Aku telah menghukum raja Asyur. Aku akan mengembalikan umat Israel ke tanah air mereka. Mereka akan makan daripada hasil tanaman yang tumbuh di Gunung Karmel dan di daerah Basan. Mereka akan makan sebanyak yang diingini mereka daripada hasil tanaman yang tumbuh di wilayah Efraim dan Gilead. Pada masa itu, dosa tidak akan terdapat lagi di Israel, dan kejahatan pun tidak akan ada lagi di Yehuda, kerana Aku akan mengampuni orang yang telah Aku selamatkan. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman kepada musuh Babilonia, “Seranglah penduduk Merataim dan Pekod. Bunuhlah dan binasakanlah mereka. Laksanakanlah segala perintah-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman. Bunyi pertempuran kedengaran di negeri itu, dan kehancuran besar terjadi. Dahulu Babilonia menukul seluruh dunia sehingga hancur, tetapi sekarang penukulnya sudah remuk-redam. Semua bangsa terkejut melihat apa yang telah berlaku terhadap negeri itu. Hai Babilonia, engkau melawan Aku dan engkau telah masuk ke dalam perangkap yang Aku pasang untukmu, walaupun engkau tidak menyedarinya. Aku telah membuka tempat penyimpanan senjata-Ku. Dalam kemurkaan-Ku, Aku telah mengeluarkan senjata-Ku, kerana Aku, TUHAN Raja Yang Maha Kuasa, harus menjalankan tugas di Babilonia. Seranglah negeri itu dari segala arah, dan kamu harus memecah masuk ke dalam semua gudang biji-bijian! Tumpukkan barang jarahan seperti biji-bijian ditumpukkan! Musnahkanlah negeri itu! Jangan tinggalkan apa-apa! Bunuhlah semua askar mereka! Sembelihlah mereka semua! Malanglah penduduk Babilonia! Sudah tiba waktunya mereka dihukum!” ( Orang pelarian melarikan diri dari Babilonia lalu datang ke Yerusalem; mereka menceritakan bagaimana TUHAN, Allah kita membalas perbuatan orang Babilonia terhadap Rumah TUHAN.) “Suruhlah pasukan pemanah menyerang Babel. Kerahlah setiap orang yang tahu menggunakan busur dan panah. Kepunglah kota itu dan jangan benarkan sesiapa pun melarikan diri. Balaslah segala perbuatan Babel; perlakukanlah Babel sebagaimana Babel telah memperlakukan orang lain, kerana Babel bertindak dengan angkuh terhadap Aku, Yang Maha Suci, Allah Israel. Itulah sebabnya kaum pemuda Babel akan dibunuh di jalan-jalan kota, dan semua askarnya dibinasakan pada hari itu. Aku, TUHAN, telah berfirman. Hai Babilonia, engkau penuh kesombongan. Itulah sebabnya Aku, TUHAN Raja Yang Maha Kuasa, menentang engkau! Tibalah masanya Aku menghukum engkau. Bangsamu yang sombong itu akan tersandung dan jatuh. Tiada sesiapa pun akan menolong engkau bangun. Aku akan membakar kota-kotamu, dan semua yang di sekitarnya akan musnah.” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Orang Israel dan Yehuda ditindas. Semua orang yang menangkap mereka mengawal mereka dengan ketat dan tidak mahu melepaskan mereka. Tetapi Dia yang akan menyelamatkan mereka itu kuat; nama-Nya ialah TUHAN Yang Maha Kuasa. Dia sendiri akan memperjuangkan perkara mereka, lalu membawa kedamaian ke bumi, tetapi Dia mendatangkan kesusahan kepada orang Babilonia.” TUHAN berfirman, “Binasalah Babilonia! Binasalah penduduknya, para pemimpinnya dan orangnya yang bijaksana. Binasalah nabi-nabinya yang berdusta - sungguh bodoh mereka! Binasalah askar-askarnya - alangkah takutnya mereka! Musnahkan semua kuda dan kereta kudanya! Binasalah askar upahannya - alangkah lemahnya mereka! Musnahkan kekayaannya; rampaslah dan jarahlah. Biarlah tanahnya menjadi kersang, dan sungai-sungainya menjadi kering. Babilonia penuh dengan berhala yang mengerikan, berhala yang menyebabkan pemujanya menjadi gila. Oleh itu Babel akan menjadi tempat jin-jin dan roh-roh jahat serta burung-burung najis. Orang tidak akan tinggal di sana lagi sampai selama-lamanya. Sebagaimana Aku memusnahkan Sodom dan Gomora bersama dengan pekan-pekan di sekitarnya, begitu juga Aku akan memusnahkan Babel. Tiada seorang pun akan tinggal di sana lagi. Aku, TUHAN, telah berfirman. Orang sedang datang dari utara, suatu bangsa yang kuat dari negeri jauh; banyak raja sedang bersedia untuk berperang. Mereka bersenjatakan panah dan pedang; mereka kejam dan bengis. Bunyi derap kuda seperti laut bergelora, apabila mereka menunggang kuda. Mereka siap untuk menyerang Babilonia. Raja Babilonia mendengar berita itu, dan menjadi lemah. Dia dicekam perasaan susah, dan menderita seperti perempuan yang sedang bersalin. Sebagaimana singa keluar dari hutan tebal di pinggir Sungai Yordan, lalu naik ke padang rumput yang hijau, demikian juga Aku, TUHAN, akan datang dan menyebabkan orang Babilonia lari dengan tiba-tiba dari kota mereka. Kemudian pemimpin yang Aku pilih akan memerintah negeri itu. Siapakah yang setara dengan Aku? Siapakah yang berani mencabar Aku? Penguasa manakah yang sanggup menentang Aku? Oleh itu dengarlah akan rancangan-Ku untuk menentang kota Babel, dan apa yang hendak Aku lakukan terhadap penduduknya. Anak-anak mereka pun akan diseret pergi, dan semua orang akan ketakutan. Apabila Babel jatuh, bunyinya begitu kuat sehingga seluruh bumi goncang, dan tangisan penduduknya didengar oleh bangsa-bangsa lain.” TUHAN berfirman, “Aku sedang mendatangkan angin yang memusnahkan ke arah Babilonia dan penduduknya. Aku akan mengirim orang bangsa asing untuk memusnahkan Babilonia seperti angin yang meniupkan jerami. Apabila hari kemusnahan itu tiba, mereka akan menyerang dari segala arah, lalu menjadikan negeri itu kosong. Jangan berikan peluang kepada askarnya untuk memanah atau mengenakan baju zirah. Jangan biarkan kaum pemudanya hidup! Binasakanlah seluruh angkatan tenteranya! Mereka akan cedera dan mati di jalan-jalan kota mereka. Aku TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, belum meninggalkan Israel dan Yehuda, walaupun mereka telah berdosa terhadap Aku, Yang Maha Suci, Allah Israel. Larilah dari Babilonia! Selamatkanlah diri kamu! Jangan terbunuh kerana dosa orang Babilonia. Sekarang Aku sedang membalas dendam-Ku dan menghukum mereka setimpal dengan perbuatan mereka. Dahulu Babilonia seperti cawan emas dalam tangan-Ku, dan menyebabkan semua bangsa di bumi mabuk. Bangsa-bangsa minum wain dari cawan itu sehingga mereka menjadi gila. Tiba-tiba Babilonia jatuh dan musnah! Berkabunglah kerana kejatuhannya! Ubatilah luka-lukanya, dan mungkin Babilonia akan sembuh. Orang bangsa asing yang tinggal di situ berkata, ‘Kami cuba menolong Babilonia, tetapi sudah terlambat. Tinggalkanlah Babilonia dan marilah pulang. Allah telah menghukum Babilonia dengan berat dan memusnahkannya sama sekali.’ ” TUHAN berfirman, “Umat-Ku berseru, ‘TUHAN telah menunjukkan bahawa kita benar. Marilah kita beritahu penduduk Yerusalem apa yang telah dilakukan oleh TUHAN, Allah kita.’ ” TUHAN telah menggerakkan hati raja-raja Media kerana Dia hendak memusnahkan Babilonia. Demikianlah caranya Dia membalas dendam kerana Rumah-Nya telah dimusnahkan. TUHAN memberikan perintah, “Tajamkanlah panah! Siapkanlah perisai! Berikanlah isyarat untuk menyerang tembok kota Babel. Kuatkanlah pengawalan! Tugaskanlah askar-askar di tempat masing-masing! Adanglah musuh!” TUHAN telah melakukan apa yang difirmankan-Nya tentang orang Babilonia. Negeri itu sangat kaya dan sungainya banyak, tetapi kesudahannya sudah tiba dan masa hidupnya sudah habis. TUHAN Yang Maha Kuasa telah bersumpah demi diri-Nya sendiri bahawa Dia akan mendatangkan orang sebanyak sekawanan belalang untuk menyerang Babilonia, dan mereka akan meneriakkan sorak kemenangan. TUHAN menciptakan bumi dengan kuasa-Nya; Dia menciptakan dunia dengan hikmat-Nya, dan membentangkan langit dengan pengertian-Nya. Atas perintah-Nya air di atas langit menderu; Dia mendatangkan awan dari hujung bumi. Dia menyebabkan kilat memancar di dalam hujan, dan mengeluarkan angin dari tempat penyimpanan. Melihat semua itu, manusia tertegun dan berasa bodoh; orang yang membuat berhala kecewa kerana dewa-dewa itu palsu dan tidak bernyawa. Dewa-dewa itu tidak berguna dan harus dihina; semua itu akan dimusnahkan apabila TUHAN datang untuk menjatuhkan hukuman. Allah Yakub tidak seperti dewa-dewa itu; Dialah pencipta segala sesuatu, dan Dia telah memilih Israel menjadi umat-Nya sendiri. Nama-Nya ialah TUHAN Yang Maha Kuasa. TUHAN berfirman, “Hai Babilonia, engkau bagaikan tukul-Ku dan senjata perang-Ku. Aku menggunakan engkau untuk menghancurkan bangsa-bangsa, untuk menghancurkan kuda dan penunggangnya, untuk menghancurkan kereta kuda dan pengenderanya, untuk membunuh lelaki dan wanita, untuk membinasakan orang tua dan orang muda, untuk membunuh anak lelaki dan anak perempuan, untuk menyembelih gembala dan kawanan domba, untuk menyembelih pembajak dan kuda mereka, untuk meremukkan para penguasa dan pegawai mereka.” TUHAN berfirman, “Engkau akan melihat Aku membalas Babilonia dan penduduknya bagi segala kejahatan yang dilakukan mereka terhadap Yerusalem. Hai Babilonia, engkau bagaikan gunung yang memusnahkan seluruh dunia, tetapi Aku, TUHAN ialah musuhmu. Aku akan mengacungkan tangan untuk meratakan engkau dan membiarkan engkau terbakar sehingga menjadi abu. Tiada satu batu pun daripada runtuhanmu akan digunakan semula sebagai bahan binaan. Engkau akan menjadi seperti gurun selama-lamanya. Aku, TUHAN, telah berfirman.” “Berikanlah tanda untuk berperang! Tiuplah trompet supaya didengar oleh bangsa-bangsa! Siapkanlah bangsa-bangsa untuk berperang dengan Babilonia! Suruhlah kerajaan Ararat, Mini, dan Askenas berperang. Lantiklah seorang pegawai tentera untuk memimpin serangan itu. Kerahkanlah kuda yang sebanyak kawanan belalang! Siapkanlah bangsa-bangsa untuk berperang dengan Babilonia. Panggillah raja-raja Media, para pemimpin dan pegawai tentera mereka, dan juga tentera semua negeri di bawah jajahan mereka. Bumi bergoncang dan bergoyang kerana TUHAN sedang melaksanakan rancangan-Nya untuk menjadikan Babilonia gurun, tempat yang tidak didiami manusia. Askar-askar Babilonia tidak lagi berperang. Mereka telah hilang keberanian, dan sedang bersembunyi di dalam kubu-kubu; mereka takut seperti perempuan. Pintu gerbang kota telah dirobohkan dan rumah-rumah terbakar. Para utusan susul-menyusul untuk memberitahu raja Babilonia bahawa kotanya telah ditembusi dari setiap penjuru. Musuh telah merebut tempat penyeberangan sungai dan membakar kubu-kubu pertahanan. Askar-askar Babilonia cemas. Tidak lama lagi musuh akan mengalahkan mereka dan memijak-mijak mereka seperti orang memijak-mijak gandum di tempat mengirik gandum. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, telah berfirman.” Raja Babilonia telah memotong-motong Yerusalem dan memakannya. Dia mengosongkan kota itu seperti orang mengosongkan tempayan. Seperti raksasa, dia menelan kota itu. Dia mengambil apa yang disukainya, dan yang lain dibuangnya. Hendaklah penduduk Sion berkata, “Biarlah Babilonia ditimpa keganasan yang dilakukannya terhadap kita!” Hendaklah penduduk Yerusalem berkata, “Biarlah Babilonia ditimpa penderitaan yang ditimpakannya kepada kita!” Oleh itu TUHAN berfirman kepada penduduk Yerusalem, “Aku akan membela perkaramu dan membalas musuh kamu atas perbuatan mereka terhadap kamu. Aku akan mengeringkan sumber-sumber air di Babilonia dan mengeringkan sungai-sungainya. Negeri itu akan menjadi timbunan runtuhan yang didiami binatang liar. Keadaannya akan mengerikan; orang tidak akan tinggal di situ, dan semua orang ngeri melihatnya. Penduduk Babilonia mengaum seperti singa, dan menggeram seperti anak singa. Sementara nafsu makan mereka memuncak, Aku akan menjamu mereka, dan menjadikan mereka mabuk dan pening. Mereka akan tertidur dan tidak bangun-bangun lagi. Aku akan membawa mereka supaya disembelih seperti anak domba, domba jantan, dan kambing. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman, “Kota yang dipuji oleh seluruh bumi telah ditawan! Babel sudah menjadi tempat yang menggerunkan bagi bangsa-bangsa! Laut telah meluap ke Babel dan meliputinya dengan ombak yang bergemuruh. Kota-kota di negeri itu menggerunkan; keadaannya seperti gurun yang tidak berair, yang tidak didiami atau dilalui oleh sesiapa pun. Aku akan menghukum Bel, dewa negeri Babilonia, dan membuatnya menyerahkan barang-barang curiannya. Bangsa-bangsa tidak akan menyembahnya lagi. Tembok kota Babel sudah roboh. Hai umat Israel, larilah dari situ! Selamatkanlah diri daripada kemurkaan-Ku yang berkobar-kobar. Jangan takut atau hilang keberanian kerana mendengar khabar angin. Setiap tahun ada sahaja khabar angin - khabar angin tentang keganasan di dalam negeri dan tentang raja-raja yang saling berperang. Masanya akan tiba apabila Aku menghukum berhala-berhala Babilonia. Seluruh negeri itu akan dipermalukan, dan semua rakyatnya dibunuh. Segala sesuatu di bumi dan di langit akan bersorak apabila negeri Babilonia jatuh ke tangan bangsa dari utara yang datang untuk memusnahkannya. Babilonia telah menyebabkan kematian orang dari seluruh dunia; tetapi sekarang Babilonia akan jatuh, kerana menyebabkan kematian banyak sekali orang Israel. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman kepada umat-Nya di Babilonia, “Kamu telah terlepas daripada maut. Sekarang larilah! Jangan tunggu lagi! Walaupun kamu jauh dari rumah, ingatlah Aku, TUHAN kamu, dan kenangilah Yerusalem. Kamu berkata, ‘Kami telah dihina dan dipermalukan; kami tidak berdaya sama sekali kerana orang bangsa asing telah menduduki bilik-bilik suci di Rumah TUHAN.’ Oleh itu perhatikanlah firman-Ku ini. Masanya akan tiba apabila Aku menghukum berhala-berhala kota Babel. Semua orang yang cedera akan mengerang di seluruh negeri. Walaupun Babel dapat naik ke langit dan membina sebuah kubu yang kuat di situ, Aku masih akan menyuruh orang menghancurkannya. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman, “Dengarlah tangisan di Babel, orang meratap kerana kemusnahan di negeri itu. Aku sedang memusnahkan Babel, dan menjadikannya lengang. Tentera musuh meluru seperti gelombang yang menderu, dan dengan bertempik mereka menyerbu. Musuh datang untuk memusnahkan Babel; askar-askarnya telah ditangkap, busur mereka telah dipatahkan. Aku, Allah yang menghukum kejahatan; Aku akan memperlakukan Babel setimpal dengan perbuatannya. Aku akan menyebabkan penguasa-penguasanya mabuk - orangnya yang bijaksana, para pemimpinnya, dan askar-askarnya. Mereka akan tertidur dan tidak bangun-bangun lagi. Aku, Raja telah berfirman; Akulah TUHAN Yang Maha Kuasa. Tembok kota Babel yang kuat itu akan runtuh ke tanah, pintu-pintu gerbangnya yang tinggi akan dibakar. Usaha bangsa-bangsa semuanya sia-sia, semua itu akhirnya habis terbakar juga. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, telah berfirman.” Pembantu peribadi kepada Raja Zedekia ialah Seraya anak Neria, cucu Mahseya. Pada tahun keempat pemerintahan Raja Zedekia di Yehuda, Seraya mengikut raja ke Babilonia. Aku menyuruh dia membawa beberapa pesan. Di dalam sebuah kitab aku mencatat semua kemusnahan yang akan menimpa Babilonia, dan juga semua hal lain tentang negeri itu. Aku berkata kepada Seraya, “Apabila kamu sampai di Babel, usahakanlah supaya semua yang tercatat di dalam kitab ini kamu bacakan kepada orang di sana. Selepas itu berdoalah begini, ‘Ya TUHAN, Engkau telah berfirman bahawa Engkau akan memusnahkan negeri ini, sehingga tiada makhluk apa pun tinggal di sini - tiada manusia dan tiada binatang. Tempat ini akan menjadi seperti gurun selama-lamanya.’ Hai Seraya, setelah kamu selesai membacakan isi kitab ini kepada mereka, ikatkanlah kitab ini pada sebuah batu lalu lemparkanlah kedua-duanya ke dalam Sungai Efrat. Beritahulah mereka bahawa demikianlah kesudahan Babilonia. Babilonia akan tenggelam dan tidak sekali-kali akan timbul lagi, kerana kemusnahan yang akan didatangkan TUHAN atasnya.” Kata-kata Yeremia berakhir di sini. Raja Zedekia berusia dua puluh satu tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan memerintah di Yerusalem selama sebelas tahun. Bondanya bernama Hamutal anak Yeremia dari kota Libna. Raja Zedekia berdosa terhadap TUHAN seperti Raja Yoyakim dahulu. TUHAN sangat murka terhadap penduduk Yerusalem dan Yehuda sehingga Dia mengusir mereka dan tidak melindungi mereka lagi. Raja Zedekia memberontak terhadap Raja Nebukadnezar dari Babilonia. Oleh itu Raja Nebukadnezar bersama dengan seluruh angkatan tenteranya menyerang Yerusalem pada hari kesepuluh, bulan kesepuluh dalam tahun kesembilan pemerintahan Raja Zedekia. Mereka berkhemah di luar Yerusalem dan membina tembok untuk mengepung kota itu. Mereka terus mengepung kota itu sehingga tahun kesebelas pemerintahan Raja Zedekia. Pada hari kesembilan, bulan keempat tahun itu, apabila kelaparan di kota itu sangat dahsyat sehingga penduduknya tidak mempunyai makanan lagi, tembok kota ditembusi musuh. Walaupun kota itu dikepung oleh orang Babilonia, semua askar Yehuda berjaya melarikan diri. Mereka melarikan diri pada waktu malam, dan mengikut jalan yang melalui taman istana, lalu keluar melalui pintu gerbang yang menghubungkan kedua-dua tembok di tempat itu. Mereka lari menuju Lembah Yordan. Tetapi tentera Babilonia mengejar Raja Zedekia, lalu menangkap baginda di dataran dekat Yerikho. Pada masa itu semua askarnya meninggalkan Raja Zedekia. Raja Zedekia dibawa kepada Raja Nebukadnezar, yang ketika itu berada di Ribla, di wilayah Hamat. Di sana Raja Nebukadnezar menjatuhkan hukuman kepada Raja Zedekia. Di Ribla, putera-putera Raja Zedekia dibunuh di depan mata Raja Zedekia, dan pegawai-pegawai Yehuda dihukum mati. Selepas itu mata Raja Zedekia dicungkil, lalu baginda dirantai dan dibawa ke kota Babel. Raja Zedekia dipenjarakan di sana sehingga baginda mangkat. Pada hari kesepuluh, bulan kelima dalam tahun kesembilan belas pemerintahan Raja Nebukadnezar di Babilonia, Nebuzaradan, iaitu panglima tentera dan penasihat raja, masuk ke Yerusalem. Dia membakar Rumah TUHAN, istana, dan rumah-rumah semua pembesar di Yerusalem; askar-askarnya merobohkan tembok kota. Kemudian Nebuzaradan membawa orang yang masih tinggal di kota itu ke Babilonia, iaitu tukang-tukang mahir yang masih tinggal, dan mereka yang berpihak kepada orang Babilonia. Tetapi Nebuzaradan meninggalkan sebahagian daripada rakyat yang paling miskin di Yehuda, mereka yang tidak mempunyai harta. Dia menyuruh mereka bekerja di ladang anggur dan di ladang-ladang. Orang Babilonia menghancurkan tiang-tiang gangsa dan pedati-pedati yang di dalam Rumah TUHAN, dan juga tangki gangsa yang besar. Mereka membawa semua gangsanya ke Babel. Mereka juga membawa penyodok-penyodok dan bekas-bekas abu yang digunakan untuk membersihkan mazbah, alat-alat pelita, mangkuk-mangkuk untuk menampung darah daripada korban-korban yang dipersembahkan, mangkuk-mangkuk tempat membakar kemenyan, dan semua alat gangsa lain yang digunakan untuk upacara ibadat di Rumah TUHAN. Mereka mengambil semua alat yang dibuat daripada emas dan perak, termasuk mangkuk-mangkuk kecil, perbaraan, mangkuk-mangkuk untuk menampung darah daripada korban-korban yang dipersembahkan, bekas-bekas abu, kaki-kaki pelita, mangkuk-mangkuk untuk kemenyan, dan mangkuk-mangkuk untuk persembahan wain. Benda-benda gangsa yang dibuat oleh Raja Salomo untuk Rumah TUHAN, iaitu dua batang tiang, pedati-pedati, tangki yang besar dan dua belas lembu yang menunjangnya - semuanya terlalu berat untuk ditimbang. [21-22] Dua batang tiang itu sama bentuknya: setiap batang tingginya 8 meter, lingkarannya 5.3 meter dan tengah-tengahnya berongga. Gangsa tiang itu setebal 75 milimeter. Di atas setiap tiang itu ada kepala tiang setinggi 2.2 meter. Pada sekeliling kepala tiang ada anyaman gangsa, yang dihiasi buah delima daripada gangsa. *** Pada anyaman gangsa di setiap tiang itu ada sejumlah 100 buah delima daripada gangsa; 96 daripadanya dapat dilihat dari bawah. Selain itu, Nebuzaradan, panglima tentera itu, menangkap Imam Agung Seraya dan penolongnya, iaitu Imam Zefanya, dan juga tiga orang pegawai tinggi Rumah TUHAN. Dari kota itu Nebuzaradan menangkap seorang panglima tentera, tujuh orang penasihat peribadi raja yang masih tinggal di kota itu, penolong panglima yang mengurus pentadbiran tentera, dan enam puluh orang pembesar lain. Nebuzaradan membawa mereka kepada raja Babilonia, yang ketika itu berada di Ribla, di wilayah Hamat. Di sana mereka dipukul dan kemudian dihukum mati. Demikianlah penduduk Yehuda diangkut dari negeri mereka, lalu dibuang ke negeri lain. Inilah catatan bilangan orang yang ditangkap oleh Raja Nebukadnezar: Pada tahun ketujuh pemerintahannya, baginda menangkap sebanyak 3,023 orang. Pada tahun kelapan belas, baginda menangkap 832 orang dari Yerusalem. Pada tahun kedua puluh tiga, sebanyak 745 orang ditangkap oleh Nebuzaradan. Semuanya berjumlah 4,600 orang yang ditangkap dan dibuang negeri. Pada tahun Raja Ewil-Merodakh menjadi raja Babilonia, baginda menunjukkan belas kasihan terhadap Raja Yoyakhin dari Yehuda dan membebaskan Raja Yoyakhin dari penjara. Perkara ini berlaku pada hari kedua puluh lima, bulan kedua belas, tahun ketiga puluh tujuh selepas Raja Yoyakhin ditangkap dan dibuang negeri. Raja Ewil-Merodakh memperlakukan Raja Yoyakhin dengan baik, dan memberi Raja Yoyakhin kedudukan yang lebih tinggi daripada raja-raja lain yang juga dibuang ke Babilonia. Raja Yoyakhin dibenarkan mengganti pakaian penjaranya, dan juga dibenarkan makan di meja raja seumur hidupnya. Setiap hari, seumur hidupnya, Raja Yoyakhin diberikan elaun tetap bagi keperluannya. Alangkah sunyinya Yerusalem, yang dahulu penuh dengan penduduk! Dahulu kota itu dihormati di seluruh dunia, tetapi sekarang seperti balu. Kota yang termulia di bumi telah dijadikan hamba. Sepanjang malam dia menangis, air matanya bercucuran di pipi. Tidak seorang pun daripada kawannya mahu menghibur dia. Sekutunya telah mengkhianati dan memusuhi dia. Penduduk Yehuda dijadikan hamba yang tidak berdaya, dipaksa meninggalkan kampung halaman mereka. Mereka tinggal di kalangan bangsa-bangsa, tanpa tempat yang memberikan damai sentosa. Mereka dikepung musuh pada waktu mereka sengsara. Kini tidak seorang pun datang ke Rumah TUHAN pada hari perayaan. Gadis-gadis yang menyanyi di sana menderita, dan para imam berkeluh-kesah. Pintu gerbang kota lengang, dan kota Sion diliputi kesedihan. Musuh berjaya kerana dapat menguasai Yerusalem; TUHAN membuat dia menderita kerana sangat banyak dosanya. Penduduknya telah ditawan dan dibawa pergi oleh musuh. Keindahan Yerusalem sudah lenyap. Kini para pemimpinnya seperti rusa yang lemah dan lapar; mereka kehabisan tenaga semasa dikejar pemburu. Yerusalem teringat akan keagungannya pada masa silam; kini kota itu runtuh dan penuh kesengsaraan. Tiada sesiapa yang menolongnya ketika dia dikalahkan musuh; semua penakluk mentertawakan kejatuhannya. Kehormatannya tiada lagi; dia bertelanjang dan dihina. Dia mengerang dan menyembunyikan muka kerana malu, Yerusalem telah menajiskan diri dengan dosa yang keji. Kenajisannya nampak dengan nyata namun tidak dipedulikannya. Keruntuhannya sangat dahsyat, tiada sesiapa pun dapat menghiburkannya. Musuhnya menang dan dia menangis minta belas kasihan daripada TUHAN. Musuhnya merampas segala kekayaannya. Dia nampak mereka masuk ke Rumah TUHAN, tempat larangan bagi orang yang bukan umat TUHAN. Penduduk kota itu mengerang sementara mereka mencari makanan, mereka menukarkan harta benda dengan makanan, supaya mereka tetap hidup dan tidak mati. Kota Yerusalem berseru, “Pandanglah aku, ya TUHAN, dan lihatlah kesengsaraanku.” “Pandanglah aku,” serunya kepada setiap orang yang lalu di situ. “Belum pernah sesiapa pun menderita seperti aku, penderitaan yang didatangkan oleh TUHAN kepadaku kerana kemurkaan-Nya. Dia menurunkan api dari langit, api yang membakar dalam diriku. Dia memasang perangkap bagiku dan menjatuhkan aku ke tanah. Lalu Dia membiarkan aku seorang diri menderita sepanjang hari. Dia memerhati segala dosaku, lalu mengikatnya menjadi satu, dan mengalungkannya pada leherku, sehingga beratnya melemahkan aku. Tuhan menyerahkan aku kepada musuhku, dan aku tidak berdaya melawan mereka. Tuhan mentertawakan pahlawan-pahlawanku; Dia mengirim tentera untuk membinasakan pemudaku. Dia memijak-mijak umatku sampai hancur, seperti orang memeras buah anggur. Itulah sebabnya air mataku bercucuran. Tiada sesiapa pun dapat menghibur aku, ataupun menguatkan hatiku. Musuh telah mengalahkan aku; pendudukku telah kehilangan segala sesuatu. Aku menghulurkan tangan, tetapi tiada sesiapa menolong aku. TUHAN mengirim musuh dari segala arah untuk memerangi aku. Mereka memperlakukan aku seperti najis. Namun TUHAN adil kerana aku telah melanggar perintah-Nya. Dengarkan aku, hai semua bangsa, pandanglah aku yang kesakitan. Para pemuda dan pemudiku ditawan dan dibawa pergi. Aku memanggil sekutuku, tetapi mereka tidak mahu menolong aku. Para imam dan pemimpin mati di jalan-jalan kota, ketika mencari makanan untuk terus hidup. Ya TUHAN, lihatlah kesengsaraanku dan penderitaan batinku. Hatiku hancur kerana dosaku dahulu. Pembunuhan berlaku di jalan raya, bahkan di dalam rumah pun kematian berlaku. Dengarlah rintihanku; tiada sesiapa pun yang menghibur aku. Musuhku bersukacita kerana Engkau telah mendatangkan bencana ini kepadaku. Datangkan hari yang Engkau janjikan itu, agar musuhku menderita seperti aku. Salahkan mereka kerana segala kejahatan mereka. Hukumlah mereka sebagaimana Engkau menghukum aku kerana dosaku. Aku berkeluh-kesah kerana amat sedih hatiku.” Dalam keadaan murka, Tuhan telah menyelubungi Sion dengan kegelapan. Dia mengubah keagungan Israel yang setinggi langit menjadi runtuhan. Ketika Dia murka, Rumah-Nya pun ditinggalkan. Tuhan memusnahkan semua kampung di Yehuda tanpa belas kasihan, Dia merobohkan kubu-kubu yang menjadi pertahanan negeri. Dia mempermalukan kerajaan serta para penguasanya. Dengan murka Dia memusnahkan kekuatan Israel; Dia tidak mahu menolong kita ketika musuh datang. Kemurkaan-Nya terhadap kita menyala-nyala bagaikan api menghanguskan segala sesuatu. Dia membidikkan panah ke arah kita seolah-olah kita ini musuh-Nya; Dia membunuh semua orang yang menjadi kesukaan dan kebanggaan kita. Di kota Yerusalem kita merasakan api kemurkaan-Nya. Seperti musuh, Tuhan telah membinasakan Israel; Dia memusnahkan semua kubu dan istananya. Dia menambah kedukaan penduduk Yehuda. Dia menghancurkan Rumah TUHAN tempat kita menyembah Dia; Dia menghapuskan semua perayaan dan hari Sabat. Raja dan imam semuanya menderita akibat kemurkaan-Nya. Tuhan menolak mazbah-Nya dan meninggalkan Rumah-Nya yang suci; Dia membiarkan musuh merobohkan temboknya. Musuh bersorak-sorak kerana menang di tempat kita beribadat dengan sukacita dahulu. TUHAN telah mengambil keputusan untuk merobohkan tembok Sion; Dia mengukur tembok itu supaya semuanya dihancurkan-Nya. Menara dan tembok kini menjadi runtuhan belaka. Pintu-pintu gerbang roboh ditimbun runtuhan, dan palang-palangnya patah. Raja dan para pemimpin kini di negeri pembuangan. Taurat tidak lagi diajarkan, dan para nabi tidak lagi menerima penglihatan daripada TUHAN. Orang tua di Yerusalem duduk membisu di atas tanah, menaruh debu di kepala dan memakai kain guni. Gadis-gadis menundukkan kepala sampai ke tanah. Mataku bengkak kerana menangis tanpa berhenti; jiwaku merana tidak terperi. Hatiku hancur melihat kebinasaan bangsaku, melihat kanak-kanak dan bayi pengsan di jalan kota. Mereka berseru kepada ibu mereka kerana lapar dan dahaga; mereka jatuh di tengah jalan seolah-olah cedera, lalu meninggal di pangkuan ibu mereka. Hai Yerusalem, kota Sion yang tercinta, apakah yang dapat kukatakan? Aku tidak dapat menghibur engkau. Belum pernah sesiapa pun menderita seperti engkau. Bencana sebesar samudera telah menimpamu; tiada lagi harapan bagi engkau. Nabi-nabimu hanya tahu berdusta; mereka menipu engkau dengan tidak menyatakan dosamu. Mereka membuat engkau berfikir bahawa engkau tidak perlu bertaubat. Semua orang yang lalu di kotamu menghina engkau. Mereka menggeleng-gelengkan kepala dan tertawa melihat runtuhan Yerusalem. “Inikah kota yang disebut paling indah dan menjadi kebanggaan dunia?” tanya mereka. Semua musuhmu mengolok-olok engkau dan memandang engkau dengan benci. Mereka mencebikkan bibir sambil menista, “Kami sudah memusnahkan engkau! Inilah hari yang kami nanti-nantikan!” Akhirnya TUHAN melakukan apa yang telah diancamkan-Nya; Dia membinasakan kita tanpa belas kasihan seperti yang diperingatkan-Nya kepada kita dahulu. Dia memberi musuh kita kemenangan, dan mereka bersukacita kerana kejatuhan kita. Hai Yerusalem, biarlah tembokmu berseru kepada Tuhan! Biarlah air matamu bercucuran seperti sungai yang mengalir siang dan malam. Teruslah menangis dan berdukalah sehingga habis tenagamu. Bangunlah berkali-kali sepanjang malam, dan berserulah kepada Tuhan; curahkanlah isi hatimu dan mohonlah belas kasihan untuk anak-anakmu, anak-anak yang sedang kelaparan di tiap-tiap simpang jalan. Pandanglah, ya TUHAN! Pandanglah mereka yang Engkau seksa! Kaum wanita makan anak-anak yang dikasihi mereka! Para imam dan nabi dibunuh di dalam Rumah TUHAN! Orang tua dan muda semuanya mati di jalan-jalan, pemuda dan pemudi dibunuh dengan pedang musuh. Engkau membunuh mereka tanpa belas kasihan pada hari Engkau murka. Engkau menjemput musuhku mengadakan pesta keganasan di sekelilingku; tiada seorang pun dapat menyelamatkan diri pada hari Engkau murka. Mereka membunuh anak-anakku yang telah aku pelihara dan kasihi. Akulah yang tahu bagaimana rasanya dihukum oleh Allah. Dia menyeret aku ke tempat yang semakin gelap, dan bertubi-tubi memukul aku tanpa belas kasihan. Dia melukakan badanku dengan parah dan mematahkan tulang-tulangku. Dia meliputi aku dengan kesedihan dan penderitaan. Dia memaksa aku tinggal dalam kegelapan, seperti orang yang mati pada zaman silam. Dia merantai aku dengan kuat; aku dipenjarakan tanpa harapan untuk melarikan diri. Aku berseru meminta pertolongan, tetapi Allah tidak mahu mendengarkan aku. Aku berjalan terhuyung-hayang; jalanku dihalangi dengan tembok batu. Dia mengadang aku seperti seekor beruang; Dia menerkam aku seperti seekor singa. Dia mengejar aku sehingga aku menyimpang jalan, lalu mencabik-cabikkan aku dan meninggalkan aku. Dia merentangkan busur-Nya, dan menjadikan aku sasaran anak panah-Nya. Anak panah-Nya menembus tubuhku, sampai menusuk jantungku. Orang mentertawakan aku sepanjang hari; aku dijadikan bahan sindiran. Hanya kepahitan yang diberikan-Nya kepadaku sebagai minuman dan makanan. Dia menggosokkan mukaku pada tanah, dan menghantukkan gigiku pada batu sehingga patah. Aku sudah lupa akan kesihatan, kesejahteraan, dan kebahagiaan. Aku tidak akan hidup lama lagi, sudah hilang harapanku kepada TUHAN. Memikirkan pengembaraan dan penderitaanku, bagaikan makan racun yang pahit. Aku terus-menerus memikirkan hal itu, sehingga batinku tertekan. Namun harapanku bangkit kembali apabila aku teringat akan perkara ini: Kasih TUHAN abadi dan rahmat-Nya tidak berkesudahan; selalu baru setiap pagi, sesungguhnya Dia setia! TUHAN sahaja yang aku punyai, oleh itu aku berharap kepada-Nya. TUHAN baik terhadap setiap orang yang percaya kepada-Nya. Oleh itu baiklah kita menantikan Dia dengan sabar, sehingga Dia menyelamatkan kita. Baiklah kita belajar tabah hati ketika masih muda. Apabila Dia mendatangkan penderitaan, kita harus duduk sendirian dan berdiam diri. Kita harus merendahkan diri dan berserah, kerana mungkin masih ada harapan. Walaupun dipukul dan dihina, kita harus menerima semuanya. Tuhan berbelas kasihan dan tidak akan menolak kita selama-lamanya. Walaupun Dia mendatangkan penderitaan kepada kita, Dia tetap mengasihi kita dengan kasih yang tiada batas. Dia tidak suka menyebabkan kita menderita dan sedih. Tuhan tahu apabila batin kita tertekan waktu dalam tahanan; Dia tahu apabila kita kehilangan hak yang diberikan-Nya kepada kita; apabila keadilan diputarbalikkan, pasti Tuhan mengetahuinya. Kehendak Tuhan sahaja yang selalu berlaku. Kebaikan dan kejahatan berlaku hanya dengan perintah Tuhan. Mengapakah kita bersungut apabila dihukum kerana dosa kita? Marilah kita menyelidiki hidup kita, dan kembali kepada TUHAN. Marilah kita membuka hati kepada Allah di syurga dan berdoa, “Ya TUHAN, kami telah berdosa dan memberontak terhadap-Mu, dan Engkau belum lagi mengampuni kami. Engkau mengejar dan membunuh kami; kemurkaan-Mu menyembunyikan belas kasihan-Mu. Kemurkaan-Mu bagaikan awan yang sangat tebal, sehingga tidak dapat ditembusi doa. Engkau menjadikan kami seperti sampah pada pandangan seluruh dunia. Kami dihina dan dipermainkan oleh semua musuh; kami ditimpa malapetaka dan kehancuran; kami hidup dalam bahaya dan ketakutan. Air mataku mengalir seperti sungai kerana bangsaku telah hancur. Air mataku tidak akan berhenti bercucuran sehingga TUHAN dari syurga, memandang dan memperhatikan kami. Hatiku pilu apabila melihat hal yang berlaku kepada kaum wanita di kota kami. Aku diperangkap seperti burung oleh musuh yang membenci aku tanpa alasan. Mereka membuang aku hidup-hidup ke dalam lubang yang dalam, lalu menutup mulut lubang dengan batu. Air naik sampai ke kepalaku, dan aku berfikir bahawa kematianku sudah hampir. Ya TUHAN, dari dasar lubang yang dalam itu aku berseru kepada-Mu. Apabila aku memohon Engkau menolong aku, Engkau mendengarkan seruanku. Engkau mengabulkan doaku, dan berfirman kepadaku, ‘Jangan takut.’ Engkau datang memperjuangkan perkaraku, ya Tuhan, dan Engkau menyelamatkan nyawaku. Engkau melihat kejahatan yang dilakukan terhadapku; oleh itu belalah perkaraku. Engkau tahu bahawa musuh membenci aku, dan mereka bermuslihat terhadapku. Engkau mendengar mereka menghina aku, ya TUHAN; Engkau tahu akan semua muslihat mereka. Sepanjang hari mereka mempercakapkan aku, dan merancang untuk mencelakakan aku. Dari pagi hingga petang mereka mengejek aku. Ya TUHAN, hukumlah mereka setimpal dengan perbuatan mereka. Kutuklah mereka dan patahkanlah semangat mereka! Burulah mereka dan hapuskanlah mereka dari dunia.” Emas yang berkilauan telah menjadi pudar; batu-batu Rumah TUHAN bertaburan di jalan. Dahulu kaum pemuda kota Sion seperti emas yang berharga, tetapi sekarang mereka diperlakukan seperti belanga tembikar. Serigala betina pun tahu menyusui anaknya, tetapi umat-Ku kejam seperti burung unta di padang gurun. Mereka membiarkan bayi mereka mati kehausan dan kelaparan; anak-anak minta makanan, tetapi tiada sesiapa pun yang memberikan makanan. Orang yang dahulu makan makanan terbaik, sekarang mati kelaparan di jalan; mereka yang dahulu hidup mewah, sekarang mengorek sampah mencari makanan. Bangsaku telah dihukum lebih berat daripada penduduk Sodom, yang musnah dalam sekelip mata kerana dihukum oleh Allah. Dahulu para pemimpin kami murni seperti salji yang putih bersih. Mereka tegap dan kuat, segar bugar dan sihat. Tetapi sekarang mereka terlantar di jalan dan tidak dikenali orang, muka mereka menjadi lebih hitam daripada jelaga, kulit mereka kerepot dan melekat pada tulang, seperti kayu yang kering kerontang. Mereka menderita dan mati perlahan-lahan, kerana sama sekali tidak mempunyai makanan. Orang yang mati di medan pertempuran, lebih beruntung daripada orang yang mati kelaparan. Bencana yang menimpa bangsaku sangat mengerikan; sehingga ibu yang penyayang terpaksa memasak anak sendiri untuk dimakan. TUHAN melampiaskan kemurkaan-Nya dan membakar kota Sion sampai musnah. Di kalangan raja-raja dan penduduk dunia tidak seorang pun yang percaya bahawa pintu gerbang Yerusalem dapat dimasuki musuh. Tetapi hal itu berlaku kerana nabi-nabinya telah berdosa, dan imam-imamnya membunuh orang yang tidak bersalah. Para pemimpin kota Yerusalem bagai orang buta yang berjalan tidak tentu arah. Pakaian mereka berlumuran darah sehingga tiada seorang pun mahu menyentuh mereka. Orang berkata, “Pergi dari sini! Kamu najis, jangan sentuh kami!” Oleh itu mereka mengembara dari negeri ke negeri, tetapi tidak disambut oleh sesiapa pun. TUHAN tidak mempedulikan mereka lagi; Dia sendiri mencerai-beraikan mereka. Dia tidak lagi menghargai para imam atau mengasihani para pemimpin. Mata kami penat memandang, menantikan bantuan yang tidak kunjung datang. Kami mengharapkan pertolongan daripada bangsa yang sebenarnya tidak dapat memberikan apa-apa. Musuh selalu mengawasi kami, sehingga kami tidak dapat keluar ke jalan. Kematian kami sudah dekat, kerana hidup kami sudah berakhir. Orang yang mengejar kami lebih pantas daripada burung helang. Mereka memburu kami di bukit-bukit, dan mengadang kami di padang gurun. Mereka menangkap orang yang memberi kami hidup, iaitu raja pilihan TUHAN; orang yang kami percayai untuk melindungi kami daripada penyerbu. Tertawalah, hai penduduk Edom dan Us, bergembiralah, selagi kamu dapat tertawa. Kamu pun akan ditimpa bencana, dan menelanjangi diri kerana kamu mabuk. Sion telah menjalani hukuman kerana dosanya; kini TUHAN tidak akan membiarkan kami tinggal di tempat pembuangan lagi. Tetapi engkau, hai Edom, akan dihukum oleh TUHAN; dosa-dosamu akan didedahkan. Ingatlah, ya TUHAN, akan apa yang telah berlaku kepada kami. Pandanglah kami, lihatlah kehinaan kami. Harta warisan kami telah dirampas orang lain; orang asing sedang menduduki rumah kami. Bapa kami dibunuh oleh musuh, dan kini ibu kami menjadi balu. Kami terpaksa membeli air minum dan kayu untuk bahan api. Kami dipaksa bekerja berat seperti binatang; kami lelah, namun tidak diberikan masa rehat. Kami mengemis di Mesir dan Asyur, kami meminta makanan untuk terus hidup. Nenek moyang kami berdosa, dan kini sudah tiada; tetapi kami mesti menderita, kerana dosa-dosa mereka. Kami diperintah oleh orang yang sama seperti hamba, dan tiada orang yang berkuasa melepaskan kami daripada mereka. Pembunuh merayau-rayau di luar kota, nyawa kami terancam ketika mencari makanan. Kami demam kerana kelaparan, badan kami panas seperti ketuhar. Isteri kami diperkosa di Bukit Sion, gadis-gadis kami dicabuli di setiap kota di Yehuda. Para pemimpin kami ditangkap dan digantung, orang tua kami tidak dihormati lagi. Pemuda kami dipaksa mengisar gandum seperti abdi, anak lelaki tertindih pikulan kayu sehingga terhuyung-hayang. Orang tua tidak lagi berkumpul di pintu gerbang kota, kaum pemuda tidak lagi bermain muzik. Kegembiraan sudah lenyap dalam kehidupan kami, tarian telah berubah menjadi perkabungan. Hal yang kami bangga-banggakan sudah tiada. Kini kami dihukum kerana berdosa. Kami berasa amat sedih, air mata kami bercucuran sehingga penglihatan kami kabur, kerana Bukit Sion lengang dan terbiar, anjing hutan berkeliaran di runtuhannya. Tetapi Engkau, ya TUHAN, raja selama-lamanya, Engkau memerintah sepanjang masa. Mengapakah Engkau meninggalkan kami sedemikian lama? Tidakkah Engkau mahu mengingat kami lagi? Ya TUHAN, bawalah kami kembali kepada-Mu; bawalah kami balik kepada-Mu! Pulihkanlah kegemilangan kami seperti dahulu. Adakah Engkau membuang kami sama sekali? Tidak terbataskah kemurkaan-Mu terhadap kami? Pada hari kelima bulan keempat dalam tahun ketiga puluh, aku, Imam Yehezkiel anak Busi, berada di tepi Sungai Kebar di Babilonia bersama-sama orang buangan Yahudi. Ketika itu langit terbuka dan aku mendapat suatu penglihatan tentang Allah. ( Hal itu berlaku lima tahun selepas Raja Yoyakhin dibuang negeri.) Di negeri Babilonia, di tepi Sungai Kebar, aku mendengar TUHAN berfirman kepadaku, dan aku merasa kuasa-Nya. Aku menengadah dan melihat angin ribut datang dari utara. Kilat sambar-menyambar dari awan yang amat besar, dan langit di sekelilingnya terang-benderang. Ketika kilat itu sambar-menyambar, terlihat sesuatu yang bersinar-sinar seperti gangsa. Di tengah-tengah angin ribut itu aku nampak juga empat kerub, iaitu makhluk yang menyerupai manusia, tetapi setiap makhluk mempunyai empat muka dan empat sayap. Kaki makhluk itu lurus, berkuku seperti kuku anak lembu dan bersinar-sinar seperti gangsa yang digilap. Selain empat muka dan empat sayap itu, setiap makhluk mempunyai empat tangan yang seperti tangan manusia, satu tangan di bawah setiap sayap. Dua sayap daripada setiap makhluk itu terkembang dan hujungnya bersentuhan dengan sayap makhluk yang lain sehingga keempat-empat makhluk itu membentuk segi empat. Apabila bergerak, makhluk-makhluk itu bergerak lurus ke hadapan tanpa memusingkan badan. Setiap makhluk itu mempunyai empat muka yang berlainan: muka manusia di bahagian hadapan, muka singa di sebelah kanan, muka lembu di sebelah kiri, dan muka helang di bahagian belakang. Dua sayap daripada setiap makhluk itu terbentang tinggi sehingga menyentuh hujung sayap makhluk yang di sebelahnya. Dua sayap lain terlipat menutupi badan setiap makhluk. Setiap makhluk menghadap empat arah agar dapat menuju ke arah mana sahaja menurut kehendak makhluk-makhluk tanpa memusingkan badan. Antara makhluk itu terdapat sesuatu yang berupa suluh yang bernyala. Suluh itu sentiasa bergerak. Apinya menyala dan memancarkan kilat. Makhluk-makhluk itu terbang berulang-alik secepat kilat. Sedang aku melihat empat makhluk itu, aku nampak pula empat buah roda di atas tanah, sebuah roda di samping setiap makhluk. Keempat-empat roda itu sama rupanya dan berkilauan seperti batu permata, dan setiap roda mempunyai sebuah roda lain yang melintang di tengah-tengahnya. Dengan demikian keempat-empat roda itu dapat bergerak ke empat arah. Bingkai roda penuh dengan mata. Apabila makhluk-makhluk itu bergerak, roda pun ikut bergerak. Jika makhluk-makhluk itu naik ke udara, roda pun ikut sama. Makhluk-makhluk itu pergi ke mana sahaja menurut kehendak makhluk-makhluk, dan roda selalu ikut kerana dikuasai oleh makhluk-makhluk itu. Oleh itu setiap kali makhluk-makhluk itu bergerak atau berhenti atau naik ke udara, roda pun ikut sama. Di atas kepala makhluk-makhluk itu, ada sesuatu yang rupanya seperti kubah yang dibuat daripada kristal yang berkilau-kilauan. Di bawah kubah itu makhluk-makhluk itu berdiri, sambil merentangkan dua sayap ke arah makhluk yang di sebelahnya, sedangkan dua sayap lagi menutupi badan. Apabila makhluk-makhluk itu terbang, aku mendengar bunyi kepakan sayap. Bunyi itu seperti deru air terjun, seperti derap langkah pasukan tentera yang besar, dan seperti suara Allah Yang Maha Kuasa. Makhluk-makhluk itu melipat sayap apabila berhenti terbang, tetapi bunyi masih kedengaran dari kubah yang di atas kepala makhluk-makhluk itu. Di atas kubah itu pula ada sesuatu yang kelihatan seperti takhta yang dibuat daripada batu nilam. Sesuatu yang seperti manusia duduk di atas takhta itu. Dari pinggangnya ke atas kelihatan bersinar-sinar seperti gangsa di tengah nyala api, dan dari pinggangnya ke bawah kelihatan seperti api. Sinaran itu terang-benderang dengan warna-warna pelangi. Cahaya berkilauan itu menunjukkan hadirat TUHAN. Apabila aku melihat semuanya, aku jatuh tertelungkup di atas tanah. Lalu aku mendengar suara yang [1] berkata, “Hai manusia fana, berdirilah. Aku hendak berfirman kepadamu.” Sewaktu aku mendengar suara itu, Roh Allah menguasai aku dan menegakkan aku. Aku mendengar suara itu berkata lagi, “Hai manusia fana, Aku mengutus engkau kepada umat Israel. Mereka telah memberontak terhadap Aku seperti nenek moyang mereka dahulu. Sampai sekarang mereka masih memberontak. Mereka degil dan tidak menghormati Aku. Oleh itu Aku mengutus engkau untuk menyampaikan apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka. Sama ada pemberontak itu mendengar engkau atau tidak, mereka akan tahu bahawa ada nabi di kalangan mereka. Tetapi engkau, hai manusia fana, janganlah takut kepada mereka atau kepada apa-apa sahaja yang dikatakan mereka. Mereka akan mencabar dan menghina engkau. Engkau akan merasa seperti hidup di tengah-tengah kala jengking. Meskipun demikian, janganlah takut kepada pemberontak itu, atau kepada apa-apa sahaja yang dikatakan mereka. Sampaikanlah firman-Ku kepada mereka, sama ada mereka mendengar ataupun tidak. Ingatlah, mereka semuanya pemberontak. Hai manusia fana, dengarlah firman-Ku. Janganlah memberontak seperti mereka. Bukalah mulutmu dan makanlah apa yang Aku berikan ini.” Kemudian aku melihat tangan yang terhulur ke arahku. Tangan itu memegang sebuah gulungan naskhah. Lalu gulungan naskhah itu dibuka dan aku melihat tulisan pada kedua-dua belahnya - tulisan yang mengandungi ratapan, keluh-kesah, dan rintihan. Allah berfirman, “Hai manusia fana, makanlah gulungan naskhah ini, lalu pergilah dan bercakaplah kepada umat Israel.” Oleh itu aku membuka mulut dan Dia pun memberikan gulungan naskhah itu kepadaku supaya dimakan. Dia berfirman, “Hai manusia fana, makanlah gulungan naskhah yang Aku berikan ini dan isilah perutmu dengannya.” Aku memakannya dan rasanya manis seperti madu. Lalu Allah berfirman, “Hai manusia fana, pergilah kepada umat Israel dan sampaikanlah segala firman-Ku kepada mereka. Aku tidak mengutus engkau kepada suatu bangsa yang bahasanya asing dan susah bagimu tetapi Aku mengutus engkau kepada umat Israel. Jika Aku mengutus engkau kepada bangsa-bangsa yang berbahasa asing dan tidak engkau fahami, mereka akan mendengar engkau. Tetapi tidak seorang pun antara umat Israel akan mendengar engkau kerana mereka tidak mahu mendengar Aku. Mereka semua degil dan suka melawan. Tetapi sekarang Aku akan membuat engkau degil dan keras kepala seperti mereka. Aku akan membuat engkau seteguh bukit batu dan sekeras intan. Janganlah takut kepada pemberontak itu.” Allah meneruskan firman-Nya, “Hai manusia fana, perhatikanlah baik-baik, dan ingatlah segala yang Kufirmankan kepadamu. Kemudian pergilah kepada bangsamu yang dalam buangan, dan sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka, sama ada mereka mendengar engkau atau tidak.” Lalu Roh Allah mengangkat aku, dan aku mendengar suara gemuruh dari belakang yang berkata, “Pujilah kemuliaan TUHAN di syurga!” Aku mendengar bunyi sayap yang dikibaskan makhluk-makhluk itu, dan bunyi roda-roda itu yang sekuat bunyi gempa bumi. Kekuasaan TUHAN mendatangi aku dengan kuat, dan ketika aku diangkat dan dibawa oleh Roh-Nya, aku berasa sakit hati dan marah. Maka tibalah aku di Tel-Abib di tepi Sungai Kebar, tempat tinggal orang buangan. Selama tujuh hari aku tinggal di situ, dan aku terpegun kerana segala yang telah aku lihat dan dengar. Tujuh hari kemudian, TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, Aku mengangkat engkau menjadi penjaga bangsa Israel. Hendaklah engkau menyampaikan amaran yang Kuberikan kepada engkau untuk mereka. Jika Aku memberitahukan bahawa seorang yang jahat akan mati, tetapi engkau tidak menyampaikan amaran-Ku kepadanya agar mengubah kelakuan supaya dia selamat, maka dia akan mati sebagai seorang berdosa, dan Aku menganggap engkau bertanggungjawab terhadap kematiannya. Tetapi jika engkau menyampaikan amaran itu kepada seorang yang jahat namun dia tetap berbuat jahat, maka dia akan mati sebagai seorang yang berdosa, tetapi engkau akan selamat. Jika seorang yang baik mula berbuat jahat, dan Aku menghadapkan dia kepada bahaya, maka dia akan mati kalau engkau tidak memberi dia amaran. Dia akan mati kerana dosanya, dan Aku tidak akan mengingat perbuatannya yang baik dahulu. Tetapi Aku akan menggangap engkau bertanggungjawab terhadap kematiannya. Jika engkau memberikan amaran kepada seorang yang baik supaya jangan berdosa, lalu dia menurut nasihatmu dan tidak berdosa, maka dia akan selamat dan engkau pun akan selamat.” Aku merasa kekuasaan hadirat TUHAN dan mendengar Dia berfirman kepadaku, “Bangunlah dan pergilah ke lembah. Aku akan berfirman kepadamu di situ.” Oleh itu aku pergi ke lembah dan di situ aku melihat kemuliaan TUHAN seperti yang aku lihat di tepi Sungai Kebar. Aku jatuh tertelungkup di atas tanah, tetapi Roh Allah menguasai aku dan menegakkan aku. TUHAN berfirman kepadaku, “Pulanglah dan kurunglah diri di dalam rumah. Engkau akan diikat dengan tali, hai manusia fana, dan engkau tidak akan dapat keluar untuk bertemu dengan orang ramai. Aku akan membuat engkau kelu lidah sehingga engkau tidak dapat memberikan amaran kepada kaum pemberontak ini. Apabila Aku berfirman kepadamu lagi, serta membolehkan engkau bercakap semula, hendaklah engkau memberitahu mereka apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan. Sesetengah orang akan mendengar, tetapi sesetengah lagi tidak, kerana mereka memang bangsa pemberontak.” Allah berfirman, “Hai manusia fana, ambillah sebuah batu bata dan letakkan di hadapanmu. Lakarlah kota Yerusalem di atas batu bata itu. Kemudian untuk melambangkan pengepungan kota itu, buatlah parit, timbunan tanah, perkhemahan, dan kayu-kayu pelantak di sekeliling batu bata itu. Ambillah sebuah kuali besi dan tegakkanlah kuali itu sebagai tembok di antara engkau dan kota itu. Menghadaplah ke arah kota itu seakan-akan engkau yang mengepungnya. Hal itu akan menjadi tanda bagi bangsa Israel. [4-5] Kemudian berbaringlah pada sebelah kirimu. Aku akan menimpakan kesalahan bangsa Israel kepadamu. Selama 390 hari engkau akan berbaring di situ dan menderita kerana kesalahan mereka. Satu hari engkau berbaring melambangkan satu tahun hukuman bagi bangsa Israel. *** Selepas itu balikkanlah badanmu dan berbaringlah pula pada sebelah kananmu. Rasakanlah hukuman untuk kesalahan penduduk Yehuda selama empat puluh hari, satu hari melambangkan satu tahun hukuman bagi mereka. Tataplah pengepungan Yerusalem dan acungkanlah tinjumu lalu bernubuatlah terhadap kota itu. Aku akan mengikat engkau supaya engkau tidak dapat membalikkan badan ke kanan ataupun ke kiri sehingga pengepungan itu berakhir. Sekarang ambillah gandum, barli, kacang merah, kacang polong, sekoi, dan gandum halus. Campurkanlah semuanya dan buatlah roti. Itulah makananmu selama 390 hari engkau berbaring pada sebelah kirimu. Engkau dibenarkan memakan 230 gram roti sehari, dan makanan itu harus cukup sehingga esok hari. Air minummu pun terhad kepada dua cawan sehari. Buatlah api dengan menggunakan najis manusia sebagai bahan bakar. Bakarlah roti di atas api itu dan makanlah roti itu di hadapan semua orang.” TUHAN berfirman, “Demikianlah cara umat Israel makan makanan yang dilarang oleh Taurat, manakala Aku mencerai-beraikan mereka ke negeri-negeri asing.” Tetapi aku menjawab, “Janganlah demikian, ya TUHAN Raja! Aku tidak pernah menajiskan diri. Sejak kecil aku tidak pernah makan daging daripada binatang yang mati biasa, atau daging daripada haiwan yang menjadi mangsa binatang buas. Aku tidak pernah makan makanan yang dianggap najis.” Oleh itu Allah berfirman, “Baiklah, engkau boleh menggunakan tahi lembu sebagai ganti najis manusia untuk membakar roti.” Dia berfirman lagi, “Hai manusia fana, Aku akan menghentikan pembekalan roti untuk Yerusalem. Penduduk kota itu akan cemas dan khuatir semasa mereka menakar makanan dan air minum mereka. Mereka akan kehabisan roti dan air; mereka akan putus asa, dan akhirnya mati kerana dosa mereka.” TUHAN berfirman, “Hai manusia fana, ambillah sebilah pedang yang tajam dan cukurlah janggut dan rambutmu. Kemudian timbanglah rambut itu, lalu bahagilah kepada tiga bahagian. Bakarlah sepertiga rambut itu di dalam kota selepas pengepungan berakhir. Yang sepertiga lagi hendaklah engkau tetak dengan pedangmu sambil mengelilingi kota itu. Sepertiga yang terakhir harus engkau hamburkan ke udara, lalu Aku akan mengejarnya dengan pedang-Ku. Ambillah beberapa utas rambut dan bungkuslah di dalam lipatan jubahmu. Kemudian ambillah beberapa utas rambut itu dan lemparkannya ke dalam api hingga habis terbakar. Api itu akan menjalar ke segenap bangsa Israel.” TUHAN Raja berfirman, “Lihatlah Yerusalem! Aku menempatkan kota itu di pusat dunia, dengan negeri-negeri lain di sekelilingnya. Tetapi Yerusalem memberontak terhadap perintah-Ku, dan ternyata lebih jahat daripada bangsa-bangsa lain, lebih ingkar daripada negeri-negeri di sekelilingnya. Yerusalem menolak perintah-Ku dan tidak mematuhi hukum-Ku. Hai Yerusalem, dengarlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan. Kerana engkau tidak mentaati hukum-Ku dan tidak mematuhi perintah-Ku, engkau telah mendatangkan lebih banyak kesusahan daripada bangsa-bangsa di sekelilingmu. Engkau telah mengikut adat resam bangsa-bangsa lain. Oleh itu Aku, TUHAN Raja berfirman kepada engkau sekarang bahawa Aku memusuhimu. Aku akan menjatuhkan hukuman kepadamu di hadapan semua bangsa. Oleh sebab semua perbuatanmu yang Aku benci itu, Aku akan menghukum Yerusalem seperti yang belum pernah Kulakukan dan tidak akan Kulakukan lagi. Akibatnya, di Yerusalem, ibu bapa akan makan anak mereka, dan anak akan makan ibu bapa mereka. Aku akan menghukum engkau dan mencerai-beraikan sesiapa sahaja yang masih hidup ke semua arah. Akulah Allah yang hidup, TUHAN Raja, dan inilah firman-Ku: Kerana engkau telah menajiskan Rumah-Ku dengan perbuatan yang jahat dan menjijikkan, Aku akan menghancurkan engkau tanpa kasihan. Sepertiga pendudukmu akan mati kerana penyakit dan kelaparan di dalam kota, sepertiga akan mati ditikam pedang di luar kota, dan sepertiga lagi akan Kucerai-beraikan ke merata tempat dan akan Kukejar dengan pedang. Engkau akan merasakan kedahsyatan kemurkaan dan keberangan-Ku sehingga Aku puas. Apabila segala perkara itu berlaku, barulah engkau yakin bahawa Aku, TUHAN, telah berfirman kepadamu kerana Aku murka terhadap ketidaksetiaanmu. Setiap orang dari negeri-negeri jiran yang lalu di hadapanmu akan mengejek dan menjauhi engkau. Apabila Aku murka dan meradang, Aku akan menghukum engkau, sehingga semua bangsa di sekelilingmu akan ngeri. Mereka akan menghina dan mengejek engkau. Aku akan menghentikan pembekalan makananmu dan membiarkan pendudukmu kelaparan. Engkau akan mengalami kepedihan rasa lapar seperti anak panah tajam yang membinasakan engkau. Aku akan mendatangkan wabak, keganasan, dan peperangan untuk membunuh pendudukmu. Aku akan mendatangkan kelaparan serta binatang buas untuk membunuh anak-anak mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, pandanglah gunung-gunung Israel, dan sampaikanlah perkhabaran-Ku kepada gunung-gunung itu. Suruhlah gunung-gunung Israel mendengar firman TUHAN dan memperhatikan perkara yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada gunung, bukit, jurang, dan lembah. Aku akan mengirim pedang untuk memusnahkan tempat-tempat penyembahan berhala. Mazbah akan dirobohkan, dan tempat pembakaran kemenyan akan dipecahkan. Semua orang di situ akan dibunuh di depan berhala mereka. Aku akan menyelerakkan mayat umat Israel; Aku akan menyelerakkan tulang mereka di sekeliling mazbah-mazbah itu. Semua kota di Israel akan dimusnahkan supaya semua mazbah dan berhala mereka akan pecah berkecai, tempat pembakaran kemenyan mereka akan hancur, dan segala yang telah dibuat mereka akan lenyap. Orang akan dibunuh di serata tempat, dan mereka yang terselamat akan mengakui bahawa Akulah TUHAN. Aku akan membiarkan sebilangan daripada mereka terlepas daripada pembantaian itu, lalu dicerai-beraikan di negeri-negeri lain. Di sana mereka akan hidup dalam buangan. Lalu mereka akan teringat Aku dan menyedari bahawa Aku telah menghukum dan mempermalukan mereka kerana mereka tidak setia kepada-Ku. Mereka telah meninggalkan Aku dan memilih berhala, dan bukan Aku. Mereka akan merasa jijik terhadap diri mereka sendiri kerana perbuatan yang jahat dan hina yang dilakukan mereka. Barulah mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN dan bahawa amaran-Ku bukan ancaman kosong belaka.” TUHAN Raja berfirman, “Ramaslah tangan! Hentakkanlah kaki! Merataplah kerana segala perbuatan yang jahat dan menjijikkan yang telah dilakukan oleh bangsa Israel. Mereka akan mati kerana peperangan, kelaparan, atau wabak. Mereka yang jauh akan jatuh sakit lalu mati; mereka yang dekat akan mati dalam peperangan; sesiapa yang masih hidup dan terselamat akan mati kelaparan. Mereka akan merasakan kedahsyatan kemurkaan-Ku. Mayat akan berselerakan di antara berhala-berhala dan di sekitar mazbah-mazbah, di atas setiap bukit yang tinggi dan di puncak setiap gunung, di bawah setiap pokok hijau dan setiap pokok oak yang besar, di setiap tempat mereka mempersembahkan korban yang dibakar kepada berhala mereka. Barulah setiap orang akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Ya, Aku akan mengacungkan tangan-Ku dan menghancurkan negeri mereka sehingga menjadi tandus dan lengang, mulai dari padang gurun di selatan sampai ke kota Ribla di utara. Semua tempat yang didiami umat Israel, akan dimusnahkan. Barulah setiap orang akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, Aku, TUHAN Raja hendak berfirman kepada negeri Israel: Inilah kemusnahan seluruh negeri! Hai Israel, sekarang sudah tiba kemusnahanmu! Engkau akan merasakan kemurkaan-Ku, kerana Aku mengadili perbuatanmu. Aku akan membalas kelakuanmu yang menjijikkan itu. Aku tidak akan melepaskan engkau ataupun mengasihani engkau. Aku akan menghukum engkau bagi perbuatanmu yang menjijikkan itu, supaya engkau tahu bahawa Akulah TUHAN.” Inilah yang difirmankan TUHAN Raja, “Bencana demi bencana akan menimpa engkau. Segalanya telah berakhir. Inilah kemusnahanmu. Tidak ada harapan lagi bagimu. Hai penduduk negeri ini, segalanya telah berakhir bagi kamu. Kamu tidak akan mengadakan perayaan lagi di tempat pemujaan di atas gunung; hanya kekacauan akan engkau alami. Sebentar lagi kamu akan merasakan kedahsyatan kemurkaan-Ku. Aku akan mengadili kamu, dan Aku akan membalas kamu bagi segala kelakuan kamu yang menjijikkan. Aku tidak akan melepaskan kamu ataupun mengasihani kamu. Aku akan menghukum kamu bagi perbuatan kamu yang menjijikkan, supaya kamu tahu bahawa Akulah TUHAN dan Akulah yang menghukum kamu.” Hari bencana bagi Israel hampir tiba. Keganasan bertambah-tambah. Kesombongan mencapai puncaknya. Keganasan mengakibatkan lebih banyak kejahatan. Segala kekayaan, keagungan, dan kemuliaan mereka akan lenyap. Waktunya semakin hampir, harinya sudah dekat, apabila berjual beli tidak lagi bermakna, kerana hukuman Allah akan menimpa setiap orang. Pedagang tidak akan hidup lama untuk menutup kerugian, kerana kemurkaan Allah menimpa setiap orang. Mereka yang jahat tidak akan selamat. Trompet ditiup dan semua orang bersiap-sedia. Tetapi tidak ada seorang pun berangkat ke medan perang, kerana kemurkaan Allah akan menimpa setiap orang. Orang berperang di jalan, orang sakit dan kelaparan di dalam rumah. Sesiapa yang berada di luar kota akan mati kerana peperangan, dan sesiapa yang berada di dalam kota akan menjadi mangsa penyakit dan kelaparan. Ada orang yang lari ke gunung seperti burung merpati terbang dari lembah kerana takut. Mereka semua merintih kerana dosa mereka. Tangan setiap orang menjadi lemah, lutut mereka goyah. Mereka akan memakai kain guni dan seluruh badan mereka akan gementar. Rambut mereka akan dicukur, dan mereka semua akan dipermalukan. Mereka akan membuang emas dan perak seperti sampah di jalan, kerana baik perak mahupun emas tidak dapat menyelamatkan mereka apabila TUHAN melampiaskan kemurkaan-Nya. Mereka tidak dapat menggunakan emas dan perak itu untuk memuaskan diri ataupun mengenyangkan perut. Justeru emas dan peraklah yang menyebabkan mereka berdosa. Pada suatu masa dahulu mereka membangga-banggakan permata yang indah, tetapi mereka menggunakannya untuk membuat berhala-berhala yang menjijikkan. Oleh itu TUHAN membuat harta mereka itu memuakkan mereka. TUHAN berfirman, “Aku akan membiarkan orang bangsa asing merompak mereka. Penjahat akan merampas harta mereka serta mencemarkannya. Aku tidak akan campur tangan apabila Rumah-Ku yang Aku hargai dinajiskan orang, apabila perompak masuk dan mencemarkannya. Seluruh negeri kacau-bilau; negeri penuh dengan pembunuhan, dan kota-kota penuh dengan keganasan. Aku akan menghantar bangsa-bangsa yang paling kejam ke negeri ini dan membiarkan mereka mendiami rumah-rumah kamu. Apabila Aku membiarkan mereka menajiskan tempat ibadat kamu, lelaki yang paling kuat antara kamu akan kehilangan semangat. Kamu akan putus asa. Kamu mencari keamanan, tetapi sia-sia sahaja. Bencana dan berita buruk akan datang terus-menerus. Ketika itu kamu akan memohon para nabi untuk menyatakan penglihatan, tetapi sia-sia sahaja. Para imam tidak mempunyai apa-apa untuk diajarkan kepada umat, dan orang tua-tua kehabisan nasihat. Raja akan berkabung; putera raja akan kehilangan harapan, dan rakyat akan gementar ketakutan. Aku akan menghukum kamu setimpal dengan segala perbuatan kamu. Aku akan mengadili kamu sebagaimana kamu telah mengadili orang lain. Barulah kamu akan tahu bahawa Aku TUHAN.” Pada hari kelima, bulan keenam dalam tahun keenam masa kami dalam buangan, para pemimpin orang buangan dari Yehuda berada di rumahku. Tiba-tiba kuasa TUHAN Raja menguasai aku. Aku menengadah dan nampak sesuatu yang menyerupai manusia. Dari pinggangnya ke bawah, badannya seperti api bernyala-nyala; dari pinggangnya ke atas, dia bersinar seperti gangsa yang digilap. Dia menghulurkan sesuatu yang menyerupai tangan lalu menyambar rambutku. Dalam penglihatan itu Roh Allah mengangkat aku tinggi ke udara dan membawa aku ke Rumah TUHAN di Yerusalem, ke pintu masuk di halaman dalam yang di sebelah utara. Di situ terletak patung berhala yang membangkitkan kemurkaan Allah. Di situ aku nampak cahaya yang berkilauan, yang menandakan hadirat Allah Israel, seperti yang aku nampak ketika aku berada di tepi Sungai Kebar. Allah berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, pandanglah ke arah utara.” Aku pun melihat, lalu aku nampak berhala yang membangkitkan kemurkaan Allah itu berhampiran dengan mazbah di jalan masuk ke pintu gerbang. Allah berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, adakah engkau nampak apa yang sedang berlaku? Lihatlah perbuatan menjijikkan yang dilakukan oleh orang Israel, yang semakin menjauhkan Aku dari tempat-Ku yang suci. Engkau akan nampak perkara-perkara yang lebih keji lagi.” Dia membawa aku ke pintu masuk di halaman luar dan menunjukkan sebuah lubang di tembok kepadaku. Dia berfirman, “Hai manusia fana, besarkan lubang ini.” Aku pun melakukannya, lalu mendapati sebuah pintu. Dia berfirman kepadaku, “Masuklah dan lihatlah perbuatan yang keji dan menjijikkan yang dilakukan oleh mereka di situ.” Aku pun masuk dan melihatnya. Dinding di situ dilukisi segala jenis binatang melata dan binatang najis yang lain, dan juga gambar berhala-berhala yang disembah umat Israel. Tujuh puluh orang pemimpin Israel berada di situ, termasuk Yaazanya anak Safan. Setiap orang memegang sebuah perbaraan yang mengepulkan asap. Lalu Allah bertanya kepadaku, “Hai manusia fana, adakah engkau nampak apa yang sedang dilakukan oleh pemimpin Israel dengan diam-diam? Mereka semua bersembahyang di dalam bilik yang penuh berhala dengan alasan bahawa Aku tidak nampak mereka dan Aku telah meninggalkan negeri ini.” Lalu TUHAN berfirman kepadaku, “Engkau akan melihat mereka melakukan hal-hal yang lebih menjijikkan daripada hal itu.” Maka Dia membawa aku ke pintu gerbang utara Rumah TUHAN. Di situ aku diperlihatkan-Nya perempuan-perempuan yang sedang menangisi kematian Dewa Tamus. Dia bertanya, “Hai manusia fana, adakah engkau nampak hal itu? Engkau akan melihat hal-hal yang lebih menjijikkan lagi.” Oleh itu Dia membawa aku ke halaman dalam di Rumah TUHAN. Di situ, dekat pintu masuk ke tempat suci, di antara mazbah dan serambi, ada kira-kira dua puluh lima orang lelaki. Mereka membelakangi tempat suci itu dan bersujud ke arah timur untuk menyembah matahari yang terbit. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, adakah engkau nampak hal itu? Penduduk Yehuda tidak puas dengan perbuatan mereka yang menjijikkan ataupun keganasan yang telah dilakukan mereka di seluruh negeri ini. Bahkan mereka melakukan semua itu di sini juga, di dalam Rumah-Ku dan membuat Aku lebih murka lagi. Lihatlah bagaimana mereka menghina Aku dengan cara yang paling keji! Mereka akan merasai kedahsyatan kemurkaan-Ku. Aku tidak akan melepaskan mereka ataupun mengasihani mereka. Mereka akan meneriakkan doa kepada-Ku dengan sekuat-kuatnya, tetapi Aku tidak akan mendengar mereka.” Kemudian aku mendengar Allah berseru, “Marilah, kamu yang akan menghukum kota ini. Bawalah senjata kamu.” Segera enam orang lelaki datang dari sebelah luar pintu gerbang utara Rumah TUHAN, dan masing-masing membawa senjata. Mereka disertai oleh seorang yang berpakaian linen dan membawa alat untuk menulis. Mereka semua datang dan berdiri dekat mazbah gangsa. Lalu cahaya yang berkilauan, yang menandakan hadirat Allah Israel, terangkat ke atas daripada kerub-kerub dan bergerak dari tempatnya lalu menuju ke pintu masuk Rumah TUHAN. TUHAN memanggil orang yang berpakaian linen itu, dan berfirman, “Jelajahilah seluruh kota Yerusalem dan bubuhlah tanda pada dahi setiap orang yang sedih dan susah kerana segala perbuatan yang menjijikkan yang dilakukan di kota itu.” Aku mendengar Allah berfirman kepada lelaki-lelaki yang lain, “Ikutlah dia ke seluruh kota dan bunuhlah setiap orang. Jangan lepaskan seorang pun. Jangan kasihani sesiapa pun. Bunuhlah orang tua, teruna, dara, ibu, dan kanak-kanak. Tetapi jangan sentuh seorang pun yang mempunyai tanda pada dahi. Mulalah dari sini, dari Rumah-Ku.” Oleh itu mereka memulakan tugas dengan membunuh para pemimpin yang berdiri di Rumah TUHAN. Allah berfirman kepada mereka, “Cemarkanlah Rumah TUHAN. Penuhilah halaman-halamannya dengan mayat. Mulalah bekerja!” Mereka pun mula membunuh orang di kota itu. Sedang pembunuhan itu berlaku, aku berada di situ seorang diri. Aku bersujud sambil berseru, “Ya TUHAN Raja, adakah Engkau sangat murka terhadap Yerusalem sehingga Engkau mahu membunuh setiap orang yang masih hidup di Israel?” Allah menjawab, “Penduduk Israel dan Yehuda telah melakukan dosa yang amat besar. Mereka melakukan pembunuhan di seluruh negeri, dan memenuhi Yerusalem dengan jenayah. Mereka berkata bahawa Aku, TUHAN, telah meninggalkan negeri mereka, dan Aku tidak nampak mereka. Tetapi Aku tidak akan mengasihani mereka. Aku akan memperlakukan mereka sebagaimana mereka memperlakukan orang lain.” Kemudian orang yang berpakaian linen itu kembali dan memberikan laporan kepada TUHAN, “Aku sudah melaksanakan perintah-Mu.” Aku memandang ke kubah yang ada di atas kepala kerub-kerub itu dan nampak sesuatu seperti takhta yang dibuat daripada batu nilam. Allah berfirman kepada orang yang berpakaian linen itu, “Pergilah ke antara roda-roda di bawah kerub-kerub itu dan ambillah segenggam bara api dengan tanganmu. Lalu hamburkanlah bara itu di atas seluruh kota.” Aku memperhatikan dia pergi. Ketika dia masuk, kerub-kerub itu sedang berdiri di bahagian selatan Rumah TUHAN, dan halaman dalam dipenuhi awan. Cahaya berkilauan, yang menandakan hadirat TUHAN naik dari kerub-kerub itu dan bergerak ke pintu masuk Rumah TUHAN. Kemudian awan memenuhi Rumah TUHAN, dan halaman itu menjadi terang benderang. Bunyi kepakan sayap kerub-kerub itu terdengar sampai ke halaman luar. Bunyi itu seperti suara Allah Yang Maha Kuasa. Apabila TUHAN memerintah orang yang berpakaian linen itu mengambil api dari antara roda-roda yang di bawah kerub-kerub itu, dia masuk dan berdiri di tepi salah sebuah roda itu. Salah satu kerub itu memasukkan tangannya ke dalam api yang ada di tengah-tengah kerub-kerub lalu memungut beberapa potong bara dan meletakkannya di dalam tangan orang yang berpakaian linen itu. Orang itu pun menyambut bara itu lalu pergi. Aku nampak setiap kerub itu mempunyai sesuatu yang seperti tangan manusia di bawah setiap sayapnya. [9-10] Aku juga nampak bahawa di samping setiap kerub itu ada sebuah roda. Keempat-empat roda itu serupa dan bersinar-sinar seperti batu permata. Setiap roda mempunyai sebuah lagi roda yang melintang di tengah-tengahnya. *** Dengan demikian kerub-kerub itu dapat bergerak ke mana-mana arah tanpa berpusing. Semua kerub itu bergerak bersama-sama ke arah yang ditujui tanpa berpusing. Seluruh badan, belakang, tangan, sayap, dan roda penuh dengan mata. Roda itu sama dengan roda yang aku nampak dalam penglihatan yang pertama. Setiap kerub mempunyai empat muka yang berlainan: yang pertama muka lembu, yang kedua muka manusia, yang ketiga muka singa, dan yang keempat muka helang. Kerub-kerub itulah yang aku nampak dahulu di tebing Sungai Kebar. Apabila kerub-kerub itu naik ke udara dan bergerak, roda-roda itu ikut sama. Apabila kerub-kerub itu mengembangkan sayap untuk terbang, roda-roda itu pun ikut. Apabila kerub-kerub itu berhenti atau terbang, roda-roda itu pun ikut kerana dikuasai oleh kerub-kerub itu. Kemudian cahaya berkilauan yang menandakan hadirat TUHAN, meninggalkan pintu masuk Rumah TUHAN dan pindah ke atas kerub-kerub itu. Kerub-kerub itu mengembangkan sayap lalu terbang dari muka bumi sedang aku memandang, dan roda-roda pun ikut. Kerub-kerub itu berhenti sebentar di pintu gerbang timur Rumah TUHAN, dan cahaya yang berkilauan itu tetap di atas kerub-kerub itu. Aku mengenali semua kerub itu sebagai kerub-kerub yang ada di bawah Allah Israel, yang telah aku nampak di tebing Sungai Kebar. Setiap kerub itu mempunyai empat muka, empat sayap, dan sesuatu seperti tangan manusia di bawah setiap sayapnya. Muka kerub-kerub itu serupa dengan muka yang aku nampak di tepi Sungai Kebar. Setiap kerub bergerak lurus ke hadapan. Roh Allah mengangkat aku dan membawa aku ke pintu gerbang timur Rumah TUHAN. Di situ aku nampak dua puluh lima orang lelaki termasuk Yaazanya anak Azur dan Pelaca anak Benaya, dua orang pemimpin bangsa. Allah berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, inilah orang yang merancang kejahatan dan memberikan nasihat yang menyesatkan, di kota ini. Mereka berkata, ‘Tidak lama lagi kita akan membina rumah semula. Memang kota ini seperti periuk dan kita seperti daging di dalamnya, tetapi setidak-tidaknya kita dilindungi daripada api.’ Oleh itu, hai manusia fana, sampaikanlah perkhabaran-Ku tentang hukuman bagi mereka!” Roh TUHAN menguasai aku lalu menyuruh aku menyampaikan perkhabaran ini kepada umat, “Hai umat Israel, Aku tahu apa yang kamu katakan dan hal yang kamu rancang. Kamu telah membunuh begitu banyak orang di kota ini sehingga jalan-jalan penuh dengan mayat. Oleh itu, Aku, TUHAN Raja berfirman kepada kamu. Memang kota ini adalah periuk, tetapi daging di dalamnya bukan kamu, melainkan mayat orang yang telah kamu bunuh! Sedangkan kamu akan Kubuang dari kota ini! Kamu takut akan pedang; Aku akan mendatangkan orang yang membawa pedang untuk menyerang kamu. Aku akan membuang kamu dari kota ini dan menyerahkan kamu kepada bangsa asing. Aku telah menjatuhkan hukuman mati kepada kamu; kamu akan mati terbunuh dalam peperangan di negeri kamu sendiri. Barulah setiap orang akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Kota ini tidak akan melindungi kamu, seperti periuk melindungi daging di dalamnya. Aku akan menghukum kamu di mana sahaja kamu berada di negeri Israel. Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, dan dengan mentaati hukum negeri-negeri jiran, kamu melanggar hukum-Ku dan mengabaikan perintah-Ku.” Sedang aku bernubuat, tiba-tiba Pelaca jatuh lalu mati. Aku bersujud sambil berseru, “Jangan, TUHAN Raja! Adakah Engkau hendak memunahkan orang yang masih tinggal di Israel?” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, penduduk Yerusalem sedang bercakap tentang engkau dan sesama bangsamu, umat Israel yang dalam buangan. Mereka berkata, ‘Orang buangan terlalu jauh untuk beribadat kepada TUHAN. TUHAN telah memberi kita tanah ini sebagai milik kita.’ Beritahulah sesama bangsamu dalam buangan bahawa Akulah yang menghantar mereka jauh ke antara bangsa-bangsa, serta mencerai-beraikan mereka di negeri-negeri lain. Namun untuk sementara waktu, Aku akan menyertai mereka di tempat itu. Oleh itu beritahulah mereka apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan. Aku akan mengumpulkan mereka dari negeri-negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka, lalu Aku akan mengembalikan negeri Israel kepada mereka. Apabila mereka pulang, mereka mesti membuang segala berhala yang keji dan menjijikkan itu. Aku akan memberi mereka hati dan fikiran yang baru. Aku akan menggantikan hati mereka yang keras seperti batu, dengan hati yang taat. Barulah mereka akan mentaati hukum-Ku dan mematuhi semua perintah-Ku dengan setia. Mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Allah mereka. Tetapi Aku akan menghukum orang yang suka menyembah berhala yang keji serta menjijikkan. Aku akan menghukum mereka kerana perbuatan mereka itu.” Demikianlah firman TUHAN Raja. Kerub-kerub itu mulai terbang, dan roda-roda pun ikut sama. Cahaya berkilauan yang menandakan hadirat Allah Israel berada di atas kerub-kerub itu. Kemudian cahaya yang berkilauan itu meninggalkan kota dan pindah ke gunung di sebelah timur kota. Dalam penglihatan itu, Roh Allah mengangkat aku dan membawa aku kembali ke tempat orang buangan di Babilonia. Kemudian penglihatan itu lenyap, dan aku pun memberitahu orang buangan tentang segala yang telah ditunjukkan TUHAN kepadaku. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, engkau tinggal di tengah-tengah kaum pemberontak. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak melihat; mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mendengar, kerana mereka suka memberontak. Oleh itu, hai manusia fana, kemaskan barang-barangmu dalam satu bungkusan seperti yang dilakukan oleh seorang pelarian, dan berangkatlah sebelum gelap. Biarlah orang nampak engkau meninggalkan kota dan pergi ke tempat lain. Barangkali pemberontak-pemberontak itu akan melihat engkau. Ketika hari masih terang, kemaskan barang dalam satu bungkusan untuk dibawa ke pembuangan, dan biarlah mereka nampak engkau berbuat demikian. Biarlah mereka melihat engkau meninggalkan kota pada waktu petang, seolah-olah engkau sedang menuju ke tempat pembuangan. Sedang mereka memperhatikan engkau, pecahkan tembok rumahmu supaya berlubang, dan bawalah bungkusanmu keluar melalui lubang itu. Biarlah mereka melihat engkau memikul bungkusanmu itu dan keluar ke tempat yang gelap dengan muka tertutup supaya engkau tidak dapat melihat jalan yang dilalui. Perbuatanmu itu akan menjadi amaran bagi umat Israel.” Aku melakukan apa yang disuruh TUHAN. Pada hari itu aku mengemaskan barangku dalam satu bungkusan seperti yang dilakukan oleh seorang pelarian. Pada petang itu, waktu hampir gelap, dengan tangan aku memecahkan tembok rumahku sehingga berlubang, lalu aku keluar melalui lubang itu. Sedang orang memandang, aku memikul bungkusanku lalu meninggalkan tempat itu. Keesokan paginya TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, oleh sebab umat Israel, umat pemberontak itu bertanya kepadamu tentang hal yang sedang engkau lakukan, beritahulah mereka apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka. Perkhabaran ini untuk raja yang memerintah di Yerusalem dan untuk semua orang yang tinggal di situ. Beritahulah mereka bahawa perbuatanmu itu melambangkan hal yang akan berlaku kepada mereka. Mereka akan menjadi orang pelarian dan orang tawanan. Raja mereka akan memikul bungkusannya pada waktu malam dan melarikan diri melalui lubang yang dibuat oleh mereka di tembok. Raja akan menutup mukanya sehingga tidak nampak ke mana dia pergi. Tetapi Aku akan memasang jaring untuk menangkap raja. Lalu Aku akan membawa dia ke kota Babel, dan dia akan mati tanpa melihat kota itu. Aku akan mencerai-beraikan semua orang di istananya, para penasihat, dan pengawal peribadinya. Aku akan memburu dan membunuh mereka. Apabila Aku mencerai-beraikan mereka antara bangsa-bangsa lain di negeri-negeri asing, barulah mereka sedar bahawa Akulah TUHAN. Aku akan membiarkan sebilangan kecil daripada mereka terselamat daripada peperangan, kelaparan, dan wabak supaya di kalangan bangsa-bangsa asing itu, mereka akan sedar betapa kejinya perbuatan mereka, lalu mengakui bahawa Akulah TUHAN.” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, gementarlah apabila engkau makan, dan menggigillah dengan takut apabila engkau minum. Beritahulah seluruh bangsa bahawa inilah firman TUHAN Raja kepada penduduk Yerusalem yang masih tinggal di negeri mereka: Mereka akan gementar apabila mereka makan, dan menggigil dengan takut apabila mereka minum. Negeri mereka akan musnah dan menjadi tandus kerana semua orang yang tinggal di situ melanggar hukum. Kota-kota yang sekarang penuh dengan orang akan musnah, dan negeri itu akan menjadi padang gurun. Pada waktu itu barulah mereka sedar bahawa Akulah TUHAN.” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, mengapakah umat Israel menyebut-nyebut peribahasa ini: ‘Masa berlalu, tetapi nubuat tidak berlaku’? Oleh itu beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja memberikan jawapan ini: Aku akan menghapuskan peribahasa itu sehingga tidak diucapkan di Israel lagi. Sebaliknya, beritahulah mereka bahawa telah tiba masanya nubuat-nubuat itu berlaku. Di Israel tiada lagi penglihatan yang palsu atau nubuat yang menyesatkan. Aku, TUHAN akan berfirman kepada umat Israel, dan segala yang Aku firmankan pasti berlaku, tanpa ditunda-tunda lagi. Hai pemberontak, pada masa hidup kamu, Aku akan melaksanakan apa yang telah Kuperingatkan kepada kamu. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, umat Israel menyangka bahawa penglihatan dan nubuatmu itu tentang masa hadapan yang lama lagi. Oleh itu beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman: Semua yang Aku firmankan pasti berlaku, tanpa ditunda-tunda lagi. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman!” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, kecamlah nabi-nabi Israel yang mengucapkan nubuat yang direka-reka oleh mereka sendiri. Suruhlah mereka mendengarkan firman TUHAN.” Demikianlah firman TUHAN Raja, “Alangkah malangnya nabi-nabi bodoh itu! Mereka mendapat ilham daripada khayalan mereka sendiri dan penglihatan mereka palsu belaka. Hai umat Israel, nabi-nabi kamu tidak berguna; mereka seperti serigala yang tinggal di tengah runtuhan kota. Mereka tidak mengawal tempat-tempat yang roboh temboknya, ataupun membina tembok-tembok itu semula, sehingga Israel tidak dapat dipertahankan apabila peperangan berlaku pada hari Aku, TUHAN datang menjatuhkan hukuman. Penglihatan mereka itu palsu dan ramalan mereka pun dusta belaka. Mereka mengaku menyampaikan firman-Ku, padahal Aku tidak mengutus mereka. Namun mereka berharap supaya ramalan mereka akan berlaku. Aku berfirman kepada mereka: Penglihatan kamu itu palsu, dan ramalan kamu itu dusta belaka. Kamu berkata bahawa semua itu firman-Ku, padahal Aku tidak berfirman kepada kamu!” Oleh itu TUHAN Raja berfirman kepada mereka, “Kerana kata-kata kamu itu dusta dan penglihatan kamu itu palsu, Aku akan melawan kamu. Aku akan menghukum kamu, nabi-nabi yang melihat penglihatan palsu serta menyampaikan ramalan yang menyesatkan. Kamu tidak akan bersama-sama umat-Ku apabila mereka bersidang; nama kamu tidak akan tercatat dalam daftar warga Israel, dan kamu tidak akan pulang ke tanah air kamu. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN Raja. Para nabi itu menyesatkan umat-Ku dengan mengatakan bahawa semuanya selamat, pada hal semuanya tidak selamat! Umat-Ku membina tembok yang tidak kukuh, lalu nabi-nabi itu datang dan mengapurnya. Beritahulah nabi-nabi itu bahawa tembok mereka akan roboh. Aku akan menurunkan hujan lebat. Tembok itu akan dilanda angin ribut dan ditimpa hujan batu. Lalu tembok itu akan roboh, dan orang akan bertanya kepada kamu apa gunanya tembok itu dikapur.” Demikianlah firman TUHAN Raja, “Semasa Aku sangat murka, Aku mendatangkan angin kencang, hujan lebat, dan hujan batu untuk memusnahkan tembok itu. Aku bermaksud untuk merobohkan tembok yang dikapur mereka. Aku akan menghancurkannya sehingga batu asasnya kelihatan. Tembok itu akan roboh dan membunuh kamu semua. Barulah setiap orang tahu bahawa Akulah TUHAN. Tembok itu dan mereka yang mengapurnya akan merasakan kedahsyatan kemurkaan-Ku. Kemudian Aku akan memberitahu kamu bahawa tembok itu dan orang yang mengapurnya telah binasa, iaitu nabi-nabi yang bernubuat bahawa Yerusalem akan selamat, padahal tidak!” Demikianlah firman TUHAN Raja. TUHAN berfirman, “Hai manusia fana, lihatlah wanita-wanita yang berlagak sebagai nabi di kalangan bangsamu. Kecamlah mereka, dan sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka, ‘Alangkah malangnya kamu! Kamu membuat gelang azimat dan kain tudung sakti, supaya kamu dapat menguasai hidup orang lain. Kamu ingin menguasai hidup mati umat-Ku bagi keuntungan kamu sendiri. Kamu menghina Aku di hadapan umat-Ku untuk mendapat hanya beberapa genggam barli dan beberapa ketul roti. Orang yang tidak patut mati, kamu bunuh sedangkan orang yang tidak patut hidup, kamu biarkan hidup. Lalu kamu berdusta kepada umat-Ku dan mereka percaya kepada kamu.’ ” Oleh itu TUHAN Raja berfirman, “Aku membenci gelang azimat yang kamu gunakan untuk menguasai hidup mati orang lain. Aku akan merenggut gelang itu daripada lengan kamu dan membebaskan orang yang kamu kuasai. Aku akan mengoyakkan kain tudung kamu dan membebaskan umat-Ku daripada kuasa kamu selama-lamanya. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN. Dengan dusta kamu itu kamu menawarkan hati orang baik, yang Aku tidak mahu apa-apakan. Kamu menggalakkan orang jahat supaya terus melakukan kejahatan sehingga mereka tidak dapat diselamatkan. Sekarang penglihatan palsu dan ramalan kamu yang menyesatkan itu telah berakhir. Aku sedang menyelamatkan umat-Ku daripada kuasa kamu supaya kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.” Beberapa orang pemimpin umat Israel datang bertanya kepadaku tentang kehendak TUHAN. Lalu TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, semua orang ini telah percaya kepada berhala sehingga mereka terjerumus ke dalam dosa. Adakah mereka menyangka bahawa Aku akan menjawab pertanyaan mereka? Beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman, ‘Orang Israel yang percaya kepada berhala sehingga terjerumus ke dalam dosa, lalu datang pula meminta nasihat daripada seorang nabi, akan menerima jawapan daripada-Ku - jawapan yang setimpal dengan dosa mereka itu. Semua berhala itu telah menjauhkan umat Israel daripada-Ku, tetapi dengan jawapan-Ku itu Aku berharap memujuk mereka kembali kepada-Ku.’ Oleh itu beritahulah umat Israel bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman, ‘Bertaubatlah, dan tinggalkanlah berhala kamu yang menjijikkan itu.’ Apabila seorang Israel atau seorang asing yang tinggal dalam masyarakat Israel, berpaling daripada-Ku lalu menyembah berhala, dan kemudian meminta nasihat daripada seorang nabi, Aku, TUHAN akan menjawabnya! Aku akan menentang dia, dan menjadikan dia sebagai amaran. Aku akan membuang dia daripada masyarakat umat-Ku, supaya kamu tahu bahawa Akulah TUHAN. Jika seorang nabi ditipu sehingga mengatakan sesuatu yang tidak benar, Aku, TUHAN yang telah menipu dia. Aku akan membuang dia daripada umat-Ku, Israel. Baik nabi itu sendiri, mahupun orang yang meminta nasihatnya akan menerima hukuman yang sama. Aku akan melakukan hal itu untuk mencegah umat Israel meninggalkan Aku dan menajiskan diri mereka dengan dosa. Dengan demikian mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku menjadi Allah mereka.” Demikianlah firman TUHAN Raja. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, jika sesuatu bangsa berdosa dan menderhaka terhadap-Ku, Aku akan menghukum mereka dan memusnahkan bekalan makanan mereka. Aku akan mendatangkan kebuluran dan membunuh baik manusia mahupun binatang. Walaupun Nuh, Danel dan Ayub, tiga orang itu tinggal di situ, kebaikan mereka hanya dapat menyelamatkan diri mereka sendiri.” Demikianlah firman TUHAN Raja. “Atau mungkin Aku mendatangkan binatang buas untuk membunuh manusia sehingga negeri itu menjadi sangat berbahaya dan orang tidak dapat lalu di situ. Demi Aku, TUHAN Raja, Allah yang hidup, sekalipun Nuh, Danel, dan Ayub tinggal di situ, mereka tidak akan dapat menyelamatkan anak mereka sendiri. Hanya mereka sendiri yang selamat. Negeri ini akan menjadi padang gurun. Atau mungkin Aku mendatangkan peperangan ke negeri itu dan mengirimkan senjata untuk membinasakan baik orang mahupun binatang. Demi Aku, TUHAN Raja, Allah yang hidup, sekalipun ketiga-tiga orang itu tinggal di situ, mereka tidak akan dapat menyelamatkan anak mereka sendiri. Hanya mereka sendiri yang selamat. Jika Aku mendatangkan wabak ke negeri itu, baik orang mahupun binatang akan terbunuh kerana Aku sangat murka. Demi Aku, TUHAN Raja, Allah yang hidup, sekalipun Nuh, Danel, dan Ayub tinggal di situ, mereka tidak akan dapat menyelamatkan anak mereka sendiri. Kebaikan mereka hanya dapat menyelamatkan diri mereka sendiri.” Inilah firman TUHAN Raja, “Aku akan mendatangkan empat hukuman yang paling dahsyat kepada Yerusalem untuk membinasakan baik manusia mahupun binatang. Hukuman itu peperangan, kebuluran, binatang buas, dan wabak. Jika ada sesiapa yang terluput daripada hukuman itu serta berjaya menyelamatkan anak-anaknya, lihatlah mereka apabila mereka datang kepadamu. Lihatlah betapa zalimnya mereka itu dan yakinlah bahawa hukuman-Ku kepada Yerusalem itu adil. Barulah engkau tahu bahawa segala tindakan-Ku mempunyai sebab yang wajar.” TUHAN Raja telah berfirman. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, apakah perbezaan pokok anggur dengan pokok lain? Apakah gunanya carang pokok anggur jika dibandingkan dengan pokok-pokok di hutan? Bolehkah carang pokok anggur itu digunakan untuk membuat apa-apa? Bolehkah carangnya dijadikan pasak untuk menggantung barang? Carang tidak ada gunanya selain dijadikan kayu bakar. Apabila kedua-dua hujungnya habis terbakar dan bahagian tengahnya hangus, masihkah ada gunanya? Sebenarnya, sebelum dibakar carang pokok anggur tidak berguna sama sekali. Apalagi setelah dibakar, carang itu lebih lagi tidak berguna!” Inilah firman TUHAN Raja, “Sebagaimana carang pokok anggur diambil dari hutan dan dibakar, demikian juga Aku akan memperlakukan penduduk Yerusalem, dan menghukum mereka. Walaupun mereka telah terluput daripada api, mereka akan dibakar oleh api juga. Apabila Aku menghukum mereka kelak, barulah engkau tahu bahawa Akulah TUHAN. Mereka tidak setia kepada-Ku. Oleh itu Aku akan menjadikan negeri mereka padang gurun.” TUHAN Raja telah berfirman. TUHAN berfirman lagi kepadaku, “Hai manusia fana, tunjukkanlah perbuatan Yerusalem yang menjijikkan itu kepadanya.” TUHAN Raja menyuruh aku menyampaikan firman ini kepada Yerusalem, “Engkau dilahirkan di tanah Kanaan. Bapamu orang Amori dan ibumu orang Het. Ketika engkau dilahirkan, tiada sesiapa pun memotong tali pusatmu atau memandikan engkau atau menggosokmu dengan garam ataupun membedungi engkau dengan kain. Tiada sesiapa pun mengasihani engkau sehingga mahu melakukan perkara-perkara itu bagimu. Ketika engkau dilahirkan, tiada sesiapa pun mengasihimu. Engkau dibuang di padang. Kemudian Aku lalu dan nampak engkau menggeliat dalam darahmu sendiri, tetapi Aku tidak membiarkan engkau mati. Aku memelihara engkau sehingga engkau membesar seperti tanaman yang subur. Engkau tumbuh sihat dan tinggi, dan menjadi wanita muda. Buah dadamu montok dan rambutmu sudah tumbuh, tetapi engkau masih bogel. Ketika Aku lalu lagi, Aku sedar bahawa masamu untuk bercinta sudah tiba. Aku menutupi tubuhmu yang bogel dengan jubah-Ku. Aku berjanji akan mencintai engkau dan Aku membuat janji perkahwinan dengan engkau agar engkau menjadi milik-Ku.” Demikianlah firman TUHAN Raja. “Kemudian Aku mengambil air dan mencuci darah yang ada pada tubuhmu. Aku menyapu minyak zaitun pada kulitmu. Aku memakaikan engkau pakaian bersulam, kasut kulit yang terbaik, ikat kepala daripada kain linen, dan jubah sutera. Aku mengenakan perhiasan gelang dan kalung padamu. Aku memberi engkau cincin hidung, anting-anting, dan mahkota yang indah. Perhiasanmu dibuat daripada emas dan perak, dan pakaianmu dibuat daripada linen, sutera, dan kain bersulam. Engkau makan roti yang dibuat daripada gandum terbaik, dengan madu dan minyak zaitun. Kecantikanmu luar biasa, sehingga engkau menjadi ratu. Kerana kecantikanmu, engkau menjadi termasyhur antara semua bangsa. Akulah yang menyebabkan engkau secantik itu!” Demikianlah firman TUHAN Raja. “Tetapi engkau menyalahgunakan kecantikanmu dan keharuman namamu. Engkau tidur dengan sesiapa sahaja yang lalu. Engkau menghiasi tempat pemujaanmu dengan pakaianmu, dan seperti pelacur engkau memberikan tubuhmu kepada setiap orang. Engkau menggunakan emas dan perak yang Kuberikan itu untuk membentuk patung-patung orang lelaki, lalu engkau berbuat cabul dengan patung itu. Engkau mengambil pakaian-pakaian bersulam yang Kuberikan kepadamu lalu engkau mengenakannya pada patung-patung itu. Kepada patung itu engkau mempersembahkan minyak zaitun dan kemenyan yang engkau terima daripada Aku. Aku memberi engkau makanan yang terbaik, iaitu gandum, minyak zaitun, dan madu, tetapi semua itu engkau gunakan sebagai persembahan untuk menyenangkan hati berhala. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman. Lalu anak lelaki dan anak perempuan yang telah engkau lahirkan bagi-Ku, engkau persembahkan kepada berhala-berhala. Belum cukupkah engkau tidak setia kepada-Ku? Mengapa engkau mesti merampas anak-anak-Ku dan mempersembahkan mereka sebagai korban kepada berhala? Selama kehidupanmu sebagai pelacur yang menjijikkan itu, engkau tidak pernah teringat pada masa kecilmu, ketika engkau bogel dan menggeliat dalam darahmu sendiri.” TUHAN Raja berfirman, “Alangkah malangnya engkau! Sungguh malang! Selain segala kejahatanmu itu, engkau juga membina tempat untuk menyembah berhala dan melacur di tepi setiap jalan. Engkau menodai kecantikanmu. Engkau menawarkan tubuhmu kepada sesiapa sahaja yang lalu di situ, dan engkau tidak henti-henti melacur. Engkau melacur dengan tetanggamu orang Mesir yang bernafsu buas. Engkau melacur untuk membuat Aku murka. Tetapi sekarang Aku bertindak untuk menghukum engkau dan mengambil berkat yang telah Kuberikan kepadamu. Aku telah menyerahkan engkau kepada orang Filistin yang membenci engkau serta jijik terhadap perbuatanmu yang cabul itu. Kerana engkau tidak puas dengan yang lain, engkau mengejar orang Asyur. Engkau melacurkan diri, namun orang Asyur pun tidak dapat memuaskan nafsumu. Engkau juga menjadi pelacur kepada orang Babilonia, kaum pedagang itu, tetapi mereka pun tidak dapat memuaskan nafsumu.” TUHAN Raja berfirman, “Segala perbuatanmu itu seperti perbuatan seorang pelacur yang tidak tahu malu. Di tiap-tiap jalan engkau membina tempat untuk menyembah berhala dan melacur. Engkau melakukan hal itu bukan untuk mendapat wang seperti pelacur. Engkau seperti isteri yang mengkhianati suami dan berzina dengan lelaki lain. Seorang pelacur menerima bayaran, tetapi engkau memberikan hadiah kepada semua kekasihmu. Engkau mengumpan orang dari mana-mana tempat supaya tidur bersama-samamu. Engkau ini pelacur yang luar biasa! Tiada sesiapa pun memaksa engkau menjadi pelacur. Engkau tidak dibayar, sebaliknya engkau yang memberikan bayaran. Aneh betul engkau ini!” Hai Yerusalem, engkau pelacur! Dengarlah firman TUHAN. Demikianlah firman TUHAN Raja, “Engkau menanggalkan pakaian, lalu seperti pelacur engkau menyerahkan tubuh kepada kekasih-kekasihmu dan segala berhalamu yang menjijikkan itu. Engkau membunuh anakmu dan mempersembahkan mereka sebagai korban kepada berhala. Oleh itu Aku akan mengumpulkan semua bekas kekasihmu - baik yang engkau sukai mahupun yang engkau benci. Aku akan menyuruh mereka mengelilingi engkau, lalu Aku akan menanggalkan pakaianmu supaya mereka melihat tubuhmu yang bogel. Aku akan menghukum engkau kerana perzinaan serta pembunuhan yang telah engkau lakukan. Kerana Aku sangat murka, Aku menjatuhi engkau hukuman mati! Aku akan menyerahkan engkau kepada mereka, dan mereka akan merobohkan tempat-tempat engkau melacur serta menyembah berhala. Mereka akan merampas pakaian dan perhiasanmu, sehingga engkau bogel. Mereka akan menghasut orang ramai supaya merejam engkau, dan mereka akan mencincang tubuhmu dengan pedang. Mereka akan membakar rumah-rumahmu dan membiarkan kaum wanita melihat engkau dihukum. Aku akan menghentikan pelacuranmu. Engkau tidak akan memberikan hadiah kepada kekasih-kekasihmu lagi. Barulah Aku tenang dan kemurkaan-Ku reda. Aku tidak akan murka ataupun cemburu lagi. Engkau lupa bagaimana Aku memperlakukan engkau semasa engkau kecil, dan engkau membangkitkan kemurkaan-Ku dengan segala perbuatanmu. Itulah sebabnya engkau mesti menanggung hukumannya. Mengapakah engkau berzina pula setelah melakukan segala perbuatan lain yang menjijikkan itu?” TUHAN Raja telah berfirman. TUHAN berfirman, “Orang akan menggunakan pepatah ini terhadap dirimu, hai Yerusalem: ‘Seperti ibunya, begitu juga anaknya.’ Sesungguhnya engkau adalah anak ibumu. Ibumu membenci suami serta anak-anaknya. Engkau serupa dengan saudara-saudara perempuanmu yang membenci suami dan anak mereka. Ibumu orang Het dan bapamu orang Amori. Kakakmu ialah Samaria di sebelah utara dengan pekan-pekan di sekitarnya. Adik perempuanmu itu Sodom di sebelah selatan dengan pekan-pekan di sekitarnya. Engkau tidak puas mengikut teladan mereka yang menjijikkan itu. Dalam masa yang singkat engkau pun berkelakuan lebih jahat daripada mereka.” “Demi Aku, Allah yang hidup,” TUHAN Raja berfirman, “adikmu, Sodom dan pekan-pekan di sekitarnya, belum pernah melakukan kejahatan yang engkau lakukan bersama dengan pekan-pekan di sekitarmu. Sodom dan anak-anaknya sombong kerana mereka mempunyai banyak makanan serta dapat hidup dengan tenang dan aman. Tetapi mereka tidak menolong orang yang miskin dan susah. Mereka sombong dan degil, serta melakukan perkara-perkara yang Aku benci. Oleh itu Aku membinasakan mereka, sebagaimana yang engkau tahu. Dosa Samaria tidak sampai separuh daripada dosamu. Perbuatanmu lebih menjijikkan daripada segala perbuatannya. Kerana engkau sangat jahat, Samaria dan Sodom seakan-akan tidak bersalah jika dibandingkan dengan engkau. Sekarang engkau terpaksa menanggung aib. Dosamu jauh lebih besar daripada dosa saudara-saudaramu. Mereka seakan-akan tidak bersalah jika dibandingkan dengan engkau. Engkau harus malu dan menanggung aib, kerana saudara-saudaramu kelihatan suci.” TUHAN berfirman kepada Yerusalem, “Aku akan memulihkan kemakmuran Sodom dan pekan-pekan di sekitarnya; demikian juga Samaria serta pekan-pekan di sekitarnya. Engkau pun akan Kujadikan makmur. Engkau akan berasa malu terhadap dirimu sendiri. Kerana keadaanmu yang memalukan itu, saudara-saudaramu akan sedar betapa baiknya keadaan mereka. Mereka akan menjadi makmur semula, dan engkau serta pekan-pekanmu pun akan dipulihkan. Bukankah engkau pernah mentertawakan Sodom pada masa engkau masih sombong dahulu, sebelum kejahatanmu didedahkan? Sekarang engkau sama seperti dia; engkau menjadi bahan tertawaan orang Edom, Filistin, dan negeri-negeri jiran yang membenci engkau. Sekarang engkau mesti menderita akibat perbuatanmu yang cabul dan menjijikkan.” TUHAN telah berfirman. TUHAN Raja berfirman, “Aku akan memperlakukan engkau dengan sepatutnya, kerana engkau telah mengingkari janji-janjimu serta melanggar perjanjian yang Aku buat dengan engkau. Namun Aku akan memenuhi perjanjian yang Aku buat dengan engkau ketika engkau masih muda. Aku akan membuat perjanjian yang berlaku selama-lamanya dengan engkau. Barulah engkau teringat akan kelakuanmu, dan berasa malu apabila saudara-saudaramu pulang kepadamu. Aku akan membenarkan mereka menjadi seperti anak-anakmu walaupun hal itu tidak termasuk dalam perjanjian-Ku dengan engkau. Aku akan membaharui perjanjian-Ku dengan engkau, dan engkau akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku akan mengampunkan segala kesalahanmu, tetapi engkau akan mengingatnya dan berasa terlalu malu sehingga engkau tidak berani membuka mulut.” TUHAN Raja telah berfirman. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manuisa fana, sampaikanlah perumpamaan ini kepada umat Israel, supaya mereka tahu apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka: Ada seekor burung helang raksasa yang berbulu cantik dan bersayap lebar yang terkembang. Helang itu terbang ke Pergunungan Lebanon, lalu mematahkan pucuk sebatang pokok sedar, kemudian membawanya ke negeri perdagangan dan meletakkannya di kota kaum pedagang. Kemudian helang itu mengambil sebatang tanaman muda dari negeri Israel lalu menanamnya di tanah yang subur dan berair. Tanaman itu menjadi pokok anggur yang rendah dan menjalar luas. Carangnya tumbuh ke atas menuju burung helang itu dan akarnya tumbuh dalam ke bawah tanah. Pokok anggur itu rimbun sekali. Ada lagi seekor burung helang raksasa. Sayapnya lebar dan bulunya tebal. Lalu pokok anggur itu mengarahkan akar dan daunnya kepada burung helang yang kedua itu dengan harapan agar burung itu akan memberikan lebih banyak air daripada yang ada di ladang itu. Padahal pokok anggur itu sudah ditanam di tempat yang subur dan berair, sehingga daun dan buahnya lebat, dan menjadi pokok anggur yang baik sekali. Lalu Aku, TUHAN Raja bertanya: Dapatkah pokok anggur ini hidup dan tumbuh? Tidakkah burung helang yang pertama akan mencabut akarnya, memetik buah-buahnya, mematah-matahkan carangnya, lalu membiarkannya layu? Tidak diperlukan banyak tenaga atau bangsa yang kuat untuk melakukan hal itu. Memang pokok itu telah ditanam, tetapi dapatkah pokok itu tumbuh dan membesar? Tidakkah pokok itu akan layu apabila ditiup angin timur? Tidakkah pokok itu akan layu di tempat tumbuhnya?” TUHAN berfirman kepadaku, “Tanyalah pemberontak-pemberontak itu sama ada mereka faham akan makna perumpamaan itu. Beritahulah mereka bahawa raja negeri Babilonia datang ke Yerusalem dan membawa raja serta pegawai-pegawai Yerusalem bersama-samanya balik ke Babilonia. Dia membawa salah seorang anggota keluarga raja dan membuat perjanjian dengannya, lalu menyuruh dia bersumpah setia kepadanya. Raja Babilonia menawan pemimpin-pemimpin Yerusalem agar negeri itu tidak dapat memberontak, dan untuk memastikan perjanjian itu akan ditepati. Tetapi raja Yehuda memberontak dan mengirim utusan ke Mesir untuk mendapatkan kuda serta pasukan tentera yang besar. Adakah raja Yehuda akan berjaya? Adakah dia dilepaskan daripada akibat perbuatan itu? Tidak mungkin dia memungkiri perjanjian dan dilepaskan daripada hukuman!” “Demi Aku, Allah yang hidup,” TUHAN Raja berfirman, “raja Yehuda akan mangkat di Babilonia, kerana memungkiri sumpah dan perjanjiannya dengan raja Babilonia yang telah melantik dia menjadi raja. Bahkan tentera raja Mesir yang kuat itu pun tidak dapat menolongnya dalam peperangan ketika orang Babilonia membina timbunan tanah dan menggali parit untuk membunuh banyak orang. Raja Yehuda memungkiri sumpah dan perjanjiannya. Oleh itu, dia tidak akan dapat melepaskan diri.” TUHAN Raja berfirman, “Demi Aku, Allah yang hidup, Aku akan menghukum raja Yehuda kerana memungkiri perjanjiannya dengan raja Babilonia. Dia telah memandang ringan sumpah yang dibuatnya demi nama-Ku. Aku akan memasang jaring yang digunakan oleh pemburu dan menangkapnya. Aku akan membawa raja Yehuda ke Babilonia dan menghukumnya di sana, kerana dia tidak setia kepada-Ku. Askar-askarnya yang paling gagah akan dibunuh dalam peperangan, dan mereka yang terselamat akan tercerai-cerai di serata tempat. Barulah kamu tahu bahawa Aku, TUHAN, telah berfirman.” Inilah firman TUHAN Raja, “Aku akan memetik pucuk muda dari puncak pokok sedar yang tinggi; Aku akan menanamnya di gunung yang tinggi, gunung yang tertinggi di Israel. Pucuk itu akan bercabang dan berbuah, lalu menjadi pokok sedar yang megah. Berjenis-jenis burung akan bersarang di sana, dan berlindung di bawah teduhnya. Semua pokok di dalam negeri akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku menebang pokok yang tinggi, dan membuat pokok yang rendah meninggi. Aku melayukan pokok yang hijau, dan membuat pokok yang kering menghijau. Aku, TUHAN, telah berfirman. Aku akan melaksanakan segala yang Kufirmankan.” TUHAN berfirman kepadaku, “Peribahasa apakah yang disebut-sebut orang di negeri Israel? ‘Ibu bapa makan anggur masam, tetapi anak yang ngilu gigi.’ ” “Demi Aku, Allah yang hidup,” firman TUHAN Raja, “peribahasa itu tidak akan diucapkan di Israel lagi. Nyawa setiap orang milik-Ku, baik nyawa bapa mahupun nyawa anak. Sesiapa yang berdosa, dialah yang akan mati. Andaikata ada seorang yang benar-benar baik, adil, dan jujur. Dia tidak menyembah berhala orang Israel, ataupun makan korban yang telah dipersembahkan di tempat-tempat pemujaan. Dia tidak menggoda isteri orang lain, ataupun bersetubuh dengan wanita yang sedang haid. Dia tidak menipu ataupun merompak orang. Dia mengembalikan barang yang diterimanya sebagai jaminan untuk pinjaman. Dia memberikan makanan kepada orang yang lapar dan pakaian kepada orang yang tidak mempunyai pakaian. Dia tidak minta faedah apabila meminjamkan wang. Dia tidak mahu melakukan kejahatan dan dia memberikan keputusan yang adil dalam setiap pertengkaran. Dia mematuhi perintah-Ku dan mentaati hukum-Ku. Orang seperti itu baik dan akan hidup.” Demikianlah firman TUHAN Raja. “Andaikata orang itu mempunyai seorang anak lelaki yang merompak, membunuh, dan melakukan banyak perbuatan jahat yang tidak pernah dilakukan oleh bapanya. Anak itu makan korban yang telah dipersembahkan di tempat-tempat pemujaan dan menggoda isteri orang lain. Dia menipu orang miskin, merompak, dan tidak mengembalikan barang yang diterimanya sebagai jaminan untuk pinjaman. Dia pergi ke kuil-kuil dan menyembah berhala yang menjijikkan, serta minta faedah apabila meminjamkan wang. Adakah orang itu akan hidup? Tentu tidak! Dia telah melakukan semua perkara yang menjijikkan itu, dan oleh itu dia akan mati. Dia bertanggungjawab terhadap kematiannya sendiri. Sekarang andaikata orang yang melakukan banyak kejahatan ini mempunyai seorang anak lelaki, dan anak itu melihat segala dosa bapanya tetapi tidak mengikut contohnya. Dia tidak menyembah berhala orang Israel, ataupun makan korban yang dipersembahkan di tempat-tempat pemujaan. Dia tidak menggoda isteri orang lain, atau menindas orang atau merompak sesiapa. Dia mengembalikan barang yang diterimanya sebagai jaminan untuk pinjaman. Dia memberikan makanan kepada orang yang lapar dan pakaian kepada orang yang tidak mempunyai pakaian. Dia tidak mahu melakukan kejahatan dan tidak minta faedah apabila meminjamkan wang. Dia mematuhi perintah-Ku dan mentaati hukum-Ku. Orang itu tidak akan mati kerana dosa bapanya, tetapi dia pasti akan hidup. Sebaliknya, bapanya yang menipu, merompak dan selalu melakukan kejahatan terhadap semua orang, akan mati kerana dosa yang telah dilakukannya sendiri. Mungkin kamu bertanya mengapa anak itu tidak menanggung akibat daripada dosa bapanya. Jawapannya adalah anak itu berbuat yang adil dan baik. Dia mentaati hukum-Ku dan melakukannya dengan setia. Oleh itu dia pasti akan hidup. Orang yang berdosa akan mati. Seorang anak tidak usah menanggung akibat daripada dosa bapanya. Demikian juga seorang bapa tidak usah menanggung akibat daripada dosa anaknya. Seorang yang baik akan menerima ganjaran kerana kebaikannya, dan seorang yang jahat akan menanggung akibat daripada kejahatannya. Jika seorang jahat berhenti berbuat dosa, dan mula mentaati hukum-Ku, serta melakukan apa yang benar dan baik, dia tidak akan mati. Dia pasti akan hidup. Semua dosanya akan diampunkan, dan dia akan hidup kerana dia melakukan yang benar. Adakah kamu menyangka bahawa Aku suka melihat orang jahat mati?” firman TUHAN Raja. “Tidak! Aku mahu dia bertaubat dan hidup. Tetapi jika seorang baik berhenti berbuat baik, dan mula berbuat jahat dengan melakukan perkara-perkara menjijikkan yang dilakukan oleh orang jahat, adakah dia akan terus hidup? Tidak! Semua perkara baik yang pernah dilakukannya itu tidak akan diingat. Dia akan mati kerana dia tidak setia kepada-Ku dan kerana dia telah berdosa. Tetapi kamu berkata, ‘Perbuatan Tuhan tidak adil.’ Dengarlah, hai orang Israel. Adakah kamu menyangka bahawa Aku tidak adil? Kamulah yang tidak adil. Apabila seorang baik berhenti berbuat baik, malahan mula berbuat jahat dan orang itu mati, dia mati kerana perbuatannya yang jahat itu. Apabila seorang jahat berhenti berbuat dosa, dan mula berbuat yang adil dan baik, orang itu menyelamatkan hidupnya. Dia insaf akan kesalahannya lalu berhenti berbuat dosa. Oleh itu dia tidak akan mati tetapi akan hidup. Lalu kamu hai orang Israel berkata, ‘Perbuatan Tuhan tidak adil.’ Kamu berfikir bahawa Aku tidak adil, padahal kamulah yang tidak adil. Sekarang Aku, TUHAN Raja memberitahu kamu, hai umat Israel, bahawa Aku akan mengadili setiap orang menurut perbuatannya. Bertaubatlah daripada kejahatan yang sedang kamu lakukan, dan jangan biarkan dosa kamu membinasakan kamu. Tinggalkanlah segala kejahatan yang telah kamu lakukan, dan biarlah fikiran dan hati kamu menjadi baru. Mengapakah kamu, umat Israel mahu mati? Aku tidak mahu sesiapa pun mati,” Demikianlah firman TUHAN Raja. “Bertaubatlah daripada dosa kamu dan hiduplah.” TUHAN menyuruh aku menyanyikan lagu ratapan ini bagi dua orang putera Israel: Ibu kamu bagaikan singa betina yang sangat berani. Dia membesarkan anak-anaknya antara singa-singa jantan yang ganas. Dia membesarkan seekor anak dan mengajarnya berburu; lalu anak itu menjadi pemakan manusia. Bangsa-bangsa mendengar tentang anak itu, lalu mereka memerangkapnya di dalam lubang. Mereka menyeretnya dengan kait dan membawanya ke negeri Mesir. Si ibu menanti kepulangan anaknya, tetapi harapannya sia-sia sahaja. Kemudian dia melatih seekor anak lagi, dan anak itu menjadi singa yang ganas. Anak itu menjadi dewasa dan bergaul dengan singa-singa jantan yang lain. Dia juga belajar berburu dan menjadi pemakan manusia. Dia merobohkan kubu dan merosakkan kota. Penduduk negeri ketakutan setiap kali dia mengaum. Bangsa-bangsa bangkit melawan dia; mereka datang dari segala tempat. Mereka memasang jaring untuk menangkapnya, lalu dia terjebak dalam perangkap mereka. Mereka memasukkan dia ke dalam kandang, dan membawa dia kepada raja Babilonia. Mereka mengawal dia supaya suaranya tidak kedengaran lagi di atas bukit-bukit Israel. Ibu kamu bagaikan pokok anggur yang ditanam di tepi anak sungai. Kerana banyak air di situ, pokok itu berbuah dan berdaun lebat. Carang-carangnya menjadi kuat sehingga menjadi tongkat kerajaan. Pokok itu menjulang tinggi ke awan, dan dikagumi semua orang kerana tinggi dan lebat daunnya. Tetapi orang yang marah mencabutnya, dan membuangnya ke tanah. Angin timur bertiup dan mengeringkan buahnya. Carangnya patah, menjadi kering lalu dibakar. Sekarang pokok itu ditanam di gurun, di tanah yang kering dan kersang. Batang pokok anggur itu dimakan api, carang dan buahnya terbakar. Carangnya tidak menjadi kuat lagi, tidak menjadi tongkat kerajaan lagi. Inilah lagu ratapan yang berulang-ulang dinyanyikan orang. Pada hari kesepuluh, bulan kelima, dalam tahun ketujuh masa kami dalam buangan, beberapa orang pemimpin masyarakat Israel datang bertanya kepadaku tentang kehendak TUHAN. Mereka duduk di hadapanku. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, berkatalah kepada pemimpin-pemimpin ini. Beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman begini: Kamu datang hendak menanyakan kehendak-Ku, bukan? Demi Aku, Allah yang hidup, Aku tidak akan membenarkan kamu menanyakan apa-apa pun. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman. Hai manusia fana, adakah engkau bersedia menjatuhkan hukuman kepada mereka? Kalau engkau sedia melakukan hal itu, ingatkanlah mereka tentang segala perbuatan jijik yang dilakukan oleh nenek moyang mereka. Sampaikanlah firman-Ku kepada mereka. Ketika Aku memilih Israel, Aku membuat perjanjian dengan mereka. Aku menyatakan diri-Ku kepada mereka di Mesir dan memberitahu mereka, ‘Akulah TUHAN, Allah kamu.’ Ketika itulah Aku berjanji akan membawa mereka keluar dari Mesir, dan memimpin mereka ke tanah yang telah Kupilih untuk mereka, tanah yang kaya dan subur, dan terbaik. Aku menyuruh mereka membuang berhala yang menjijikkan, yang disukai mereka, dan melarang mereka menajiskan diri dengan menyembah berhala orang Mesir, kerana Akulah TUHAN, Allah mereka. Tetapi mereka melawan Aku dan tidak mahu mendengar firman-Ku. Mereka tidak membuang berhala-berhala yang menjijikkan itu, ataupun berhenti menyembah berhala orang Mesir. Pada waktu mereka masih di Mesir, Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku. Tetapi Aku tidak berbuat demikian, kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina. Di hadapan penduduk Mesir, Aku telah mengumumkan kepada umat Israel bahawa Aku akan memimpin mereka keluar dari Mesir. Maka Aku membawa mereka keluar dari Mesir ke padang gurun. Aku memberi mereka perintah-Ku dan mengajar mereka hukum-Ku, yang memberikan hidup kepada sesiapa yang mentaatinya. Aku menyuruh mereka menghormati hari Sabat sebagai tanda perjanjian antara Aku dengan mereka, untuk mengingatkan mereka bahawa Aku, TUHAN telah mengkhususkan mereka untuk-Ku. Tetapi di padang gurun itu pun mereka melawan Aku. Mereka melanggar hukum-Ku dan menolak perintah-Ku, yang memberikan hidup kepada sesiapa yang mentaatinya. Mereka sama sekali mencemarkan hari Sabat. Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku di padang gurun itu dan Aku hendak membinasakan mereka. Tetapi Aku tidak berbuat demikian kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina antara bangsa-bangsa yang telah melihat Aku memimpin umat Israel keluar dari Mesir. Oleh itu di padang gurun itu Aku berjanji tidak akan membenarkan mereka pergi ke tanah yang telah Aku berikan kepada mereka, tanah yang kaya dan subur, dan terbaik. Aku berbuat demikian kerana mereka telah menolak perintah-Ku, melanggar hukum-Ku, dan mencemarkan hari Sabat. Mereka lebih suka menyembah berhala-berhala mereka. Tetapi kemudian Aku mengasihani mereka. Aku tidak membunuh mereka di padang gurun itu. Sebaliknya Aku memberikan amaran kepada kaum muda: Jangan patuh kepada hukum nenek moyang kamu; jangan ikut adat resam mereka, dan jangan najiskan diri dengan menyembah berhala-berhala mereka. Aku TUHAN, Allah kamu. Taatilah hukum dan perintah-Ku. Rayakanlah hari Sabat sebagai tanda perjanjian antara Aku dengan kamu, untuk mengingatkan kamu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu. Tetapi generasi kaum muda itu pun melawan Aku. Mereka melanggar hukum-Ku dan mengabaikan perintah-Ku yang memberikan hidup kepada sesiapa yang mentaatinya. Mereka mencemarkan hari Sabat. Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku di padang gurun itu dan Aku hendak membunuh mereka semua. Tetapi Aku tidak berbuat demikian, kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina antara bangsa-bangsa yang telah melihat Aku membawa umat Israel keluar dari Mesir. Oleh itu Aku berjanji lagi di padang gurun itu. Aku bersumpah bahawa Aku akan mencerai-beraikan mereka ke seluruh dunia. Aku berbuat demikian kerana mereka telah menolak perintah-Ku, melanggar hukum-Ku, mencemarkan hari Sabat, dan menyembah berhala-berhala yang dipuja oleh nenek moyang mereka. Kemudian Aku memberi mereka hukum yang tidak baik dan perintah yang tidak dapat memberikan hidup. Aku membiarkan mereka menajiskan diri dengan persembahan mereka sendiri. Aku membiarkan mereka mempersembahkan anak lelaki sulung mereka sebagai korban. Hal itu berlaku untuk menghukum mereka supaya mereka tahu bahawa Akulah TUHAN. Sekarang, hai manusia fana, sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka. Nenek moyang mereka menghina Aku lagi dengan ketidaksetiaan mereka. Aku membawa mereka ke tanah yang Aku janjikan, tetapi apabila mereka nampak bukit yang tinggi-tinggi dan pokok hijau, mereka mempersembahkan korban di tempat-tempat itu. Mereka membangkitkan kemurkaan-Ku dengan korban yang dibakar dan wain yang dipersembahkan mereka. Aku bertanya: Apakah tempat-tempat tinggi yang kamu kunjungi itu? Sejak itu tempat itu dinamakan ‘Tempat-tempat tinggi’. Oleh itu sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada umat Israel: Mengapakah kamu mesti berdosa seperti nenek moyang kamu, dan mengejar berhala-berhala mereka? Bahkan sampai hari ini pun kamu memberikan persembahan yang sama, dan menajiskan diri dengan membakar anak-anak kamu sebagai korban kepada berhala-berhala. Kemudian kamu, hai umat Israel, datang pula untuk menanyakan kehendak-Ku! Demi Aku, Allah yang hidup, TUHAN Raja, Aku tidak akan membenarkan kamu menanyakan apa-apa pun. Kamu bertekad menjadi seperti bangsa-bangsa lain, seperti orang yang tinggal di negeri-negeri lain dan yang menyembah pokok dan batu. Hal itu pasti tidak akan berlaku.” [33-34] “Demi Aku, TUHAN Raja, Allah yang hidup, Aku memberikan amaran kepada kamu bahawa kerana kemurkaan-Ku, Aku akan memerintah kamu dengan keras dan tegas. Kamu akan merasakan kuasa dan kemurkaan-Ku apabila Aku mengumpulkan dan membawa kamu kembali dari negeri-negeri tempat kamu tercerai-cerai. *** Aku akan membawa kamu ke ‘Gurun Bangsa-Bangsa’. Di sana Aku akan menghakimi kamu berhadapan muka. Aku akan menghakimi kamu seperti Aku menghakimi nenek moyang kamu di padang gurun Sinai dahulu.” Demikianlah firman TUHAN Raja. “Aku akan bertindak tegas terhadap kamu supaya kamu mentaati perjanjian-Ku. Aku akan menyingkirkan orang yang memberontak dan berdosa di kalangan kamu. Aku akan membawa mereka keluar dari negeri-negeri tempat mereka tinggal sekarang, dan Aku tidak akan mengizinkan mereka kembali ke negeri Israel. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.” TUHAN Raja berfirman, “Sekarang hai umat Israel, buatlah sesuka hati kamu! Sembahlah berhala kamu! Tetapi Aku memberi kamu amaran bahawa, selepas itu kamu mesti mentaati Aku, dan tidak lagi mencemarkan nama-Ku yang suci dengan membawa persembahan kepada berhala kamu. Di tanah Israel, di puncak bukit-Ku yang suci, kamu semua, umat Israel akan menyembah Aku. Aku akan berkenan kepada kamu, dan menerima persembahan korban, persembahan yang terbaik, dan pemberian yang suci daripada kamu. Setelah Aku membawa kamu keluar dari negeri-negeri tempat kamu tercerai-cerai, Aku akan mengumpulkan kamu dan menerima korban yang kamu bakar. Maka semua bangsa akan melihat bahawa Aku ini suci. Apabila Aku membawa kamu pulang ke negeri Israel, tanah yang Aku janjikan kepada nenek moyang kamu, barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN. Kamu akan teringat segala perbuatan yang memalukan dan yang telah menajiskan diri kamu. Kamu akan berasa muak terhadap diri kamu sendiri kerana segala kejahatan yang kamu lakukan itu. Apabila Aku bertindak untuk menjaga kehormatan nama-Ku, kamu umat Israel akan tahu bahawa Akulah TUHAN, kerana Aku tidak memperlakukan kamu setimpal dengan perbuatan kamu yang kejam dan jahat.” TUHAN Raja telah berfirman. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, lihatlah ke arah selatan. Kecamlah tanah selatan dan bernubuatlah menentang hutan di sana. Suruhlah hutan di selatan itu mendengarkan apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan: Aku akan menyalakan api yang membakar setiap pokok di hutan itu, baik yang hijau mahupun yang kering. Api yang menyala-nyala itu tidak dapat dipadamkan tetapi akan merebak dari selatan ke utara, dan setiap orang akan merasa bahang api itu. Semua orang akan tahu bahawa Aku, TUHAN menyalakan api itu, dan api itu tidak dapat dipadamkannya.” Tetapi aku, Yehezkiel berkata, “TUHAN Raja, jangan paksa aku mengatakannya. Setiap orang sudah pun bersungut kerana aku selalu bercakap dengan menggunakan kiasan yang susah difahami.” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, kutuklah Yerusalem! Kutuklah tempat-tempat ibadat penduduknya! Berikanlah amaran kepada setiap orang di Israel, bahawa Aku, TUHAN berfirman: Aku musuh kamu. Aku akan menghunus pedang-Ku dan membunuh kamu semua, yang jahat mahupun yang baik. Aku akan menggunakan pedang-Ku untuk melawan semua orang dari utara sampai ke selatan. Semua orang akan tahu bahawa Aku, TUHAN, telah menghunus pedang dan Aku tidak akan menyarungkannya. Hai manusia fana, mengeluhlah di depan orang seolah-olah engkau patah hati dan terlalu sedih. Apabila mereka bertanya mengapa engkau mengeluh, katakanlah bahawa engkau sedih kerana berita yang akan datang. Berita itu akan membuat hati mereka takut, tangan mereka lemah, semangat mereka hilang, dan lutut mereka gementar. Masanya sudah tiba, dan semua itu akan terjadi!” TUHAN Raja telah berfirman. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, bernubuatlah. Beritahulah umat bahawa Aku, Tuhan berfirman, ‘Ada sebilah pedang, pedang yang diasah dan digosok. Pedang itu diasah untuk membunuh, digosok supaya berkilau-kilauan. Bagi umat-Ku tidak ada lagi kegembiraan, kerana mereka telah mengabaikan setiap amaran dan hukuman. Pedang itu dikilatkan supaya siap digunakan, diasah dan dikilatkan, untuk diserahkan kepada seorang pembunuh. Hai manusia fana, merataplah dan berseru, kerana pedang itu digunakan untuk melawan umat-Ku. Semua pemimpin Israel akan dibunuh bersama-sama semua umat-Ku. Tebahlah dada kerana putus asa. Aku sedang menguji umat-Ku, dan jika mereka tidak mahu bertaubat, segala perkara ini akan menimpa mereka.’ Sekarang, hai manusia fana, bernubuatlah. Tepuklah tanganmu, lalu pedang akan membantai berulang-ulang. Pedang itu pedang yang membunuh, menakutkan, dan membantai orang. Umat-Ku akan hilang semangat dan jatuh tersandung. Aku sedang mengancam kota mereka dengan pedang yang berkilau seperti kilat, dan yang telah siap untuk melakukan pembunuhan. Hai pedang tajam, tikamlah ke kanan dan ke kiri dan ke mana-mana engkau ingin. Aku juga akan bertepuk tangan, dan kemurkaan-Ku akan reda. Aku, TUHAN telah berfirman.” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, lukiskan dua batang jalan yang akan dilalui raja Babilonia yang membawa pedangnya. Kedua-dua jalan itu akan bermula dari negeri yang sama. Pasanglah papan tanda di tempat jalan itu mula bercabang. Papan tanda yang satu akan memberikan petunjuk kepada raja Babilonia jalan ke kota orang Amon di Raba, dan yang satu lagi jalan ke Yerusalem, kota yang berkubu di Yehuda. Raja Babilonia berdiri di sisi papan tanda itu, di simpang jalan. Untuk menentukan jalan mana yang akan dilaluinya, dia akan menggoncang anak panahnya, bertanya kepada berhala-berhalanya, dan memeriksa hati binatang yang dipersembahkan sebagai korban. Panah yang bertanda ‘Yerusalem’ dicabut tangan kanannya. Hal ini bererti bahawa raja harus menyusun kayu-kayu pelantak, meneriakkan pekik pertempuran, meletakkan kayu-kayu pelantak di pintu gerbang, membina tambak pengepungan, dan menggali parit-parit. Penduduk Yerusalem tidak mahu percaya akan perkara itu, kerana mereka telah membuat perjanjian dengan Babilonia. Tetapi ramalan ini justeru memperingatkan mereka bahawa mereka telah berdosa dan akan ditangkap. Aku, TUHAN Raja berfirman kepada mereka, ‘Dosa kamu telah diketahui orang. Semua orang tahu betapa besarnya dosa kamu. Dosa kamu kelihatan dalam setiap tindakan kamu. Sekarang sudah tiba masanya kamu dihukum dan kamu akan diserahkan kepada musuh. Hai kamu pemimpin Israel, pemimpin yang jahat dan derhaka, hari penghukuman yang terakhir bagi kamu sudah dekat. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Tanggalkanlah mahkota dan serban kamu. Sekarang segala-galanya berubah. Angkatlah kedudukan orang miskin. Turunkan kedudukan orang berkuasa. Runtuhan! Runtuhan! Sesungguhnya Aku akan meruntuhkan kota ini! Tetapi hal ini tidak akan berlaku sebelum orang yang Kupilih untuk menghukum kota ini datang. Pada masa itu Aku akan menyerahkan kota ini kepadanya.’ ” “Hai manusia fana, bernubuatlah. Beritahulah orang Amon yang telah menghina Israel bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman, ‘Pedang telah dihunus untuk memusnahkan; diasah untuk melakukan pembunuhan dan berkilau seperti kilat. Penglihatan yang kamu lihat itu palsu. Ramalan kamu pun dusta semata-mata. Kamu derhaka dan jahat. Hari hukuman terakhir bagi kamu sudah dekat. Pedang akan memenggal leher kamu. Sarungkanlah pedang! Aku akan menghukum kamu di tempat kamu dilahirkan. Kamu akan merasai kemurkaan-Ku seperti api yang menyala-nyala apabila Aku melampiaskannya kepada kamu. Aku akan menyerahkan kamu kepada orang kejam, yang terlatih untuk membinasakan orang. Kamu akan musnah dimakan api. Darah kamu akan tertumpah di negeri kamu sendiri. Tiada sesiapa pun akan mengingati kamu lagi.’ ” TUHAN telah berfirman. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, sudahkah engkau bersedia menghukum kota yang penuh dengan pembunuh? Tunjukkanlah segala perbuatannya yang jijik itu kepadanya. Beritahulah kota itu apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan: Kerana kamu telah membunuh amat banyak orangmu sendiri, dan telah menajiskan diri dengan menyembah berhala, sekarang saat hukumanmu sudah dekat. Kamu bersalah kerana telah melakukan pembunuhan, dan kamu dinajiskan oleh berhala-berhala yang kamu buat. Hukuman terakhir bagimu sudah dekat. Aku membiarkan bangsa-bangsa dan semua negeri mengolok-olokkan dan mencerca kamu. Negeri-negeri yang dekat dan yang jauh mengejek kamu kerana kamu melanggar hukum dan peraturan. Semua pemimpin Israel bergantung kepada kekuatan mereka sendiri dan melakukan pembunuhan. Tiada sesiapa pun di kota itu menghormati ibu bapanya. Kamu menipu orang asing, serta memperdayakan balu dan yatim piatu. Kamu memandang rendah tempat-tempat yang suci dan kamu tidak merayakan hari Sabat. Sesetengah umatmu berdusta agar orang lain dihukum bunuh. Ada pula yang makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala. Ada orang yang selalu menuruti hawa nafsu mereka. Ada orang yang bersetubuh dengan isteri bapa mereka. Ada orang yang memaksa wanita yang sedang haid untuk bersetubuh dengan mereka. Ada orang yang berzina; yang lain pula bersetubuh dengan menantu perempuan atau saudara perempuan mereka yang seayah lain ibu. Ada orang yang menjadi pembunuh upahan. Ada orang memungut faedah wang daripada sesama orang Israel. Mereka menjadi kaya dengan menipu orang. Mereka sudah melupakan Aku.” TUHAN Raja telah berfirman. “Aku akan menghantam perompak dan pembunuh kamu. Masih beranikah kamu atau masih kuatkah kamu mengangkat tanganmu setelah Aku menghukum kamu? Aku, TUHAN telah berfirman dan Aku akan melakukan apa yang telah Kufirmankan. Aku akan mencerai-beraikan pendudukmu ke semua negeri dan bangsa. Aku akan menghentikan perbuatanmu yang jahat itu. Bangsa-bangsa lain akan menghina kamu, tetapi kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, umat Israel tidak berguna bagi-Ku. Mereka seperti sanga - tembaga, timah putih, besi, dan timah hitam - yang tersisa selepas perak dimurnikan di dalam relau. [19-20] Oleh itu Aku, TUHAN Raja memberitahu mereka sekarang, bahawa mereka tidak berguna seperti sanga itu. Sebagaimana orang memasukkan bijih perak, tembaga, besi, dan timah hitam ke dalam relau, demikian juga Aku akan mengumpulkan dan membawa mereka ke Yerusalem. Sebagaimana api melebur bijih logam, demikian juga kemurkaan-Ku akan melebur mereka. *** Sesungguhnya Aku akan mengumpulkan mereka di Yerusalem, menyalakan api kemurkaan-Ku di bawah mereka, lalu melebur mereka. Sebagaimana perak dilebur di dalam relau, demikianlah Israel akan dilebur di Yerusalem. Barulah mereka tahu bahawa mereka merasakan kemurkaan TUHAN.” TUHAN berfirman lagi kepadaku, “Hai manusia fana, beritahulah umat Israel bahawa negeri mereka tidak suci. Oleh itu Aku murka dan menghukum mereka. Pemimpin-pemimpin mereka seperti singa yang mengaum setelah menerkam mangsa. Mereka membunuh orang, merampas segala wang dan harta, serta menyebabkan banyak wanita menjadi balu. Para imam melanggar hukum-Ku dan tidak menghormati apa yang suci bagi-Ku. Mereka tidak membezakan apa yang suci dan apa yang tidak suci. Mereka tidak mengajar perbezaan antara yang halal dan yang haram. Mereka tidak menghiraukan hari Sabat. Akibatnya umat Israel tidak menghormati Aku. Pegawai kerajaan sama seperti serigala yang mencarik-carik mangsa mereka. Mereka melakukan pembunuhan untuk menjadi kaya. Para nabi menyembunyikan dosa-dosa itu seperti orang mengapuri tembok. Mereka nampak penglihatan yang palsu, dan mereka membuat ramalan yang palsu juga. Mereka mengatakan bahawa mereka menyampaikan firman daripada TUHAN Raja, padahal Aku, TUHAN tidak berfirman kepada mereka. Orang kaya menipu dan merompak. Mereka menganiaya orang miskin dan memperdayakan orang asing. Aku mencari seorang yang dapat membina tembok, yang dapat berdiri di bahagian tembok yang sudah roboh untuk mempertahankan negeri ketika Aku hendak memusnahkannya kerana Aku murka, tetapi tidak seorang pun Aku temui. Oleh itu Aku akan melampiaskan kemurkaan-Ku kepada mereka. Seperti api, Aku akan membinasakan mereka kerana perbuatan mereka.” TUHAN Raja telah berfirman. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, ada dua orang adik-beradik perempuan. Ketika masih muda, mereka tinggal di Mesir. Di situ mereka kehilangan keperawanan mereka lalu menjadi pelacur. Yang lebih tua bernama Ohola (dia melambangkan Samaria), dan yang muda bernama Oholiba (dia melambangkan Yerusalem). Aku berkahwin dengan kedua-duanya, dan mendapat anak daripada mereka. Walaupun Ohola telah menjadi isteri-Ku, dia tetap menjadi pelacur dan berahi terhadap kekasih-kekasihnya dari Asyur. Mereka askar yang berpakaian seragam warna ungu, para bangsawan, dan pegawai berpangkat tinggi; mereka semua ahli pasukan tentera berkuda dan mereka kacak. Ohola menjadi pelacur bagi semua pegawai negeri Asyur. Nafsunya mengakibatkan dia menajiskan diri dengan menyembah berhala-berhala Asyur. Dia terus-menerus melacur seperti yang dilakukannya dahulu di Mesir, tempat dia kehilangan keperawanannya. Sejak masa mudanya, orang lelaki tidur dengan dia dan memperlakukannya seperti pelacur. Oleh itu Aku menyerahkan dia kepada kekasihnya, orang Asyur yang sangat diingininya. Mereka menelanjangi dia, merampas anak lelaki dan anak perempuannya, lalu membunuh dia dengan pedang. Nasibnya menjadi buah mulut kaum wanita di merata tempat. Walaupun adiknya, Oholiba nampak hal itu, dia sendiri lebih bernafsu melakukan pelacuran daripada kakaknya. Dia pun berahi terhadap bangsawan dan pegawai tentera negeri Asyur - askar yang berpakaian seragam warna semarak - dan terhadap pasukan berkuda, semuanya pemuda yang kacak. Aku mendapati Oholiba sangat cabul seperti kakaknya. [14-15] Makin lama makin jahatlah Oholiba. Dia tertarik kepada gambar-gambar berwarna merah marak yang terukir pada tembok. Gambar itu merupakan pegawai tinggi tentera Babilonia dengan tali pinggang dan serban yang berjuntai. *** Sebaik sahaja Oholiba melihat gambar itu, berahinya memuncak lalu dia mengirim utusan kepada mereka di Babilonia. Orang Babilonia pun datang dan melakukan hubungan jenis dengan dia. Mereka menodai dia sedemikian rupa sehingga akhirnya dia muak terhadap mereka. Dia mempertontonkan tubuhnya yang telanjang kepada umum sehingga semua orang tahu bahawa dia seorang pelacur. Aku berasa muak terhadapnya, sebagaimana Aku muak terhadap kakaknya. Semakin lama semakin sering dia melacur. Dia berkelakuan seperti waktu mudanya di Mesir. Dia penuh berahi terhadap lelaki yang berhawa nafsu kuat seperti keldai atau kuda jantan.” ( Hai Oholiba, engkau ingin mengulangi kecabulanmu pada masa mudamu di Mesir. Di sana kaum lelaki meraba-raba buah dadamu dan engkau hilang keperawananmu.) “Oleh itu, hai Oholiba, dengarlah firman daripada-Ku, TUHAN Raja. Engkau telah jemu dengan kekasih-kekasihmu. Tetapi sekarang Aku akan membuat mereka marah terhadapmu dan mengepungmu. Aku akan mengumpulkan semua orang Babilonia, orang Kasdim, kaum lelaki dari Pekod, Soa, Koa, dan semua orang Asyur. Aku akan mengumpulkan semua pemuda kacak daripada golongan bangsawan dan pegawai, serta semua pegawai besar dan askar pasukan berkuda yang berpangkat tinggi. Mereka akan menyerang engkau dari utara dengan tentera yang besar, dengan kereta kuda dan pedati pembawa bekal. Dengan memakai perisai dan topi besi, mereka akan mengepung engkau. Aku akan menyerahkan engkau kepada mereka dan mereka akan menghakimi engkau menurut undang-undang mereka sendiri. Kerana Aku murka terhadapmu, Aku akan membiarkan mereka memperlakukan engkau dengan kejam. Mereka akan memotong hidung dan telingamu, serta membunuh anak-anakmu yang lelaki dan perempuan. Sesungguhnya mereka akan menangkap lalu membakar anak-anakmu dengan hidup-hidup. Mereka akan mengoyakkan pakaianmu dan merampas perhiasanmu. Aku akan menghentikan nafsu berahimu dan pelacuran yang kaulakukan sejak engkau di Mesir. Engkau tidak akan melihat berhala lagi atau ingat kepada Mesir.” Demikianlah TUHAN Raja berfirman, “Aku akan menyerahkan engkau kepada orang yang memuakkan engkau dan yang engkau benci. Kerana mereka pun membenci engkau, mereka akan merampas segala hasil jerih payahmu, lalu membiarkan engkau bogel seperti pelacur. Nafsu berahi dan pelacuranmu telah menyebabkan hal ini berlaku kepadamu. Engkau menjadi pelacur bagi bangsa-bangsa, dan menajiskan dirimu dengan berhala-berhala mereka. Engkau mengikut jejak kakakmu; oleh itu engkau harus minum dari cawan yang berisikan hukuman.” TUHAN Raja berfirman, “Engkau harus minum dari cawan kakakmu, cawan yang besar dan dalam. Apabila engkau minum dari cawan yang penuh itu, engkau akan diejek dan diolok oleh semua orang. Engkau akan mabuk dan sengsara kerana cawan itu penuh dengan ketakutan dan kehancuran. Itulah hukuman yang menimpa Samaria, kakakmu. Engkau akan meminumnya sampai habis; lalu engkau akan memecahkan cawan itu dan mengelar dadamu dengan pecahan cawan itu. Aku, TUHAN Raja telah berfirman.” Inilah firman TUHAN Raja, “Kerana engkau telah melupakan Aku serta membelakangi Aku, engkau akan menanggung penderitaan akibat nafsu berahi dan pelacuranmu.” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, sudahkah engkau bersedia menghakimi Ohola dan Oholiba? Persalahkan mereka kerana melakukan perbuatan yang menjijikkan. Mereka telah berzina dan membunuh orang. Mereka berzina dengan berhala-berhala dan membunuh anak-anak-Ku yang dilahirkan mereka. Mereka mempersembahkan anak-anak-Ku sebagai korban kepada berhala mereka. Bukan itu sahaja. Mereka menajiskan Rumah-Ku dan hari Sabat yang telah Kutetapkan. Mereka membunuh anak-anak-Ku untuk dipersembahkan sebagai korban kepada berhala, dan pada hari itu juga mereka datang ke Rumah-Ku dan mencemarkannya! Mereka bahkan mengirim pesuruh untuk menjemput orang lelaki dari tempat jauh. Apabila lelaki itu datang, kedua-dua adik-beradik itu mandi, bercelak, dan memakai perhiasan. Mereka duduk di bangku panjang yang indah, di hadapan meja yang penuh dengan makanan enak, dan kemenyan serta minyak zaitun yang Aku berikan kepada mereka. Orang lelaki yang dijemput dari padang gurun berkumpul di situ dan terdengar suara mereka bersuka-suka. Mereka mengenakan gelang pada lengan adik-beradik itu, dan memasang mahkota yang cantik pada kepala mereka. Aku perhatikan bahawa semua orang itu masih penuh berahi terhadap wanita yang sudah layu kerana perzinaan. Berkali-kali mereka datang kepada Ohola dan Oholiba, dua orang wanita yang cabul itu. Orang salih akan menyatakan adik-beradik itu bersalah kerana perzinaan dan pembunuhan. Mereka telah berzina dan menumpahkan darah.” TUHAN Raja berfirman, “Panggillah segerombolan orang untuk menakutkan dan merompak mereka. Biarlah gerombolan itu merejam mereka dan menyerang mereka dengan pedang, membunuh anak-anak mereka, dan membakar rumah mereka. Aku akan mengakhiri kecabulan di seluruh negeri. Tindakan-Ku itu akan menjadi amaran kepada semua wanita supaya jangan sekali-kali berzina seperti kedua-dua adik-beradik itu. Sedangkan kamu berdua, hai Ohola dan Oholiba, akan Kuhukum kerana kamu cabul dan menyembah berhala. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN Raja.” Pada hari kesepuluh, bulan kesepuluh, tahun kesembilan masa kami dalam buangan, TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, catatkan tarikh hari ini, kerana pada hari inilah raja Babilonia mula mengepung Yerusalem. Aku, TUHAN Raja mempunyai perumpamaan untuk disampaikan kepada umat-Ku yang suka memberontak: Letakkan periuk di atas api, dan penuhkan periuk dengan air. Masukkan daging yang terbaik di dalamnya: daging bahu dan daging paha, dan tulang-tulang yang banyak sumsumnya. Gunakan daging domba yang terbaik, dan susunlah kayu di bawah periuk. Biarlah airnya mendidih, rebuslah daging dan tulang-tulang itu.” Inilah firman TUHAN Raja, “Malanglah kota yang penuh dengan pembunuh! Keadaannya seperti periuk berkarat yang tidak pernah dibersihkan. Daging yang ada di dalamnya dikeluarkan sepotong demi sepotong, sehingga semuanya habis. Pembunuhan berlaku di dalam kota, dan darah dicurah ke atas batu. Darah itu tidak dicurah ke atas tanah supaya ditutup oleh tanah. Darah itu Aku biarkan di situ, supaya dapat dilihat orang dan menuntut balasan.” Inilah firman TUHAN Raja, “Malanglah kota yang penuh dengan pembunuh! Aku sendiri akan menyusun kayu api. Tambahlah kayu lagi! Kipaslah api! Masaklah daging itu! Masaklah hingga kuahnya kering. Bakarlah tulang-tulangnya! Lalu tinggalkanlah periuk gangsa yang kosong di atas api sehingga merah membara. Sesudah karatnya terbakar, periuk itu akan bersih semula menurut peraturan agama. Tetapi tidak semua karatnya akan hilang dibakar api. Hai Yerusalem, kecabulanmu telah menajiskan engkau. Walaupun Aku mencuba membersihkan engkau, namun engkau tetap najis. Engkau tidak akan bersih semula sehingga engkau merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Sudah tiba masanya bagi Aku bertindak. Aku tidak akan melupakan dosamu ataupun menunjukkan belas kasihan kepadamu. Engkau akan dihukum kerana perbuatanmu.” TUHAN Raja telah berfirman. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, dengan tiba-tiba Aku akan mengambil orang yang paling engkau kasihi, tetapi engkau tidak boleh meratap, atau menangis, atau membiarkan air matamu berlinang. Jangan biar orang mendengar sedu-sedanmu. Jangan berjalan tanpa ikat kepala atau kasut sebagai tanda berkabung. Jangan tutupi muka atau makan makanan perkabungan.” Pada pagi hari aku bercakap dengan umat itu dan pada malam itu isteriku meninggal. Esok harinya aku melakukan apa yang diperintahkan kepadaku. Orang bertanya kepadaku, “Mengapakah kamu berbuat begitu?” Aku menjawab demikian, “TUHAN telah berfirman kepadaku dan menyuruh aku menyampaikan perkhabaran ini kepada kamu, umat Israel: Kamu membanggakan kekukuhan Rumah TUHAN. Kamu suka memandang dan melawatnya, tetapi TUHAN akan menajiskannya. Anggota keluarga kamu yang masih muda, yang tertinggal di Yerusalem akan dibunuh dalam peperangan. Kemudian kamu akan melakukan apa yang aku lakukan sekarang. Kamu tidak akan menutupi muka atau makan makanan perkabungan. Kamu tidak akan berjalan tanpa ikat kepala, atau kasut. Kamu tidak akan meratap atau menangis. Kamu akan semakin merana kerana dosa-dosa kamu, dan kamu akan mengeluh kepada satu sama lain. Pada masa itu aku akan menjadi tanda bagi kamu. Kamu akan melakukan apa yang aku lakukan sekarang. TUHAN berfirman bahawa apabila perkara itu berlaku, kamu akan tahu bahawa Dialah TUHAN Raja.” TUHAN berfirman, “Hai manusia fana, Aku akan mengambil Rumah-Ku yang kukuh itu daripada mereka, Rumah yang telah menjadi kebanggaan dan kesukaan mereka, dan yang dipandang serta dilawati mereka dengan suka hati. Lalu Aku akan mengambil anak-anak mereka juga. Pada hari Aku melakukan perkara itu, seorang yang terselamat daripada bencana itu akan datang untuk memberitahu engkau hal itu. Pada hari itu juga engkau akan dapat bercakap semula, dan engkau akan bercakap dengan dia. Dengan demikian, engkau akan menjadi tanda bagi umat, dan mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, kecamlah negeri Amon. Suruhlah bangsa itu mendengar apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka, ‘Kamu bersukacita ketika melihat Rumah-Ku dinajiskan, negeri Israel dimusnahkan, dan penduduk Yehuda dibuang negeri. Oleh itu Aku akan membiarkan kamu dikalahkan oleh suku-suku dari gurun di sebelah timur. Mereka akan mendirikan perkhemahan di negeri kamu dan menetap di situ. Mereka akan makan buah-buahan dan minum susu ternakan kamu. Aku akan menjadikan kota Raba tempat menggembalakan unta, dan seluruh negeri Amon tempat menggembalakan domba, supaya kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ” TUHAN Raja berfirman, “Kamu sangat membenci Israel sehingga kamu bertepuk tangan dan menari-nari dengan gembira atas kemusnahan negeri Israel. Oleh itu Aku akan menyerahkan kamu kepada bangsa-bangsa yang akan merompak dan menjarah segala milik kamu. Aku akan membinasakan kamu habis-habisan sehingga kamu bukan lagi satu bangsa yang mempunyai negeri sendiri. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” TUHAN Raja berfirman, “Kerana Moab berkata bahawa Yehuda sama dengan bangsa-bangsa lain, Aku akan membiarkan musuh menyerang kota-kota yang mempertahankan sempadan Moab, termasuk kota-kota yang terbaik iaitu Bet-Yesimot, Baal-Meon, dan Kiryataim. Aku akan membiarkan Moab bersama-sama Amon dikalahkan oleh suku-suku dari gurun di sebelah timur, sehingga Moab bukan satu bangsa lagi. Aku akan menghukum Moab, maka penduduknya akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” TUHAN Raja berfirman, “Penduduk Edom telah membalas Yehuda dengan kejam. Perbuatan Edom itu kesalahan besar. Sekarang Aku mengumumkan bahawa Aku akan menghukum Edom. Aku akan membunuh semua orang dan binatang yang tinggal di situ. Aku akan memusnahkan negeri itu, dari kota Teman sampai ke kota Dedan. Penduduknya akan mati dalam peperangan. Umat-Ku Israel akan Kusuruh untuk membalas dendam terhadap Edom. Mereka akan membiarkan Edom merasakan kemurkaan-Ku yang dahsyat. Edom akan tahu bagaimana rasanya menjadi sasaran kemarahan-Ku.” TUHAN Raja telah berfirman. TUHAN Raja berfirman, “Orang Filistin telah membalas dendam dengan kejam terhadap musuh mereka sejak dahulu, dan membinasakan mereka dengan penuh kebencian. Sekarang Aku mengumumkan bahawa Aku akan menyerang orang Filistin dan membinasakan mereka. Aku akan membinasakan setiap orang yang masih hidup di kawasan pantai negeri itu. Aku akan menghukum mereka dengan berat dan melampiaskan dendam terhadap mereka. Apabila mereka merasakan kemurkaan-Ku, mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” Pada hari pertama, bulan..., tahun kesebelas masa pembuangan kami, TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, dengarlah sorakan orang Tirus. Mereka berseru, ‘Yerusalem telah hancur! Kekuatan perdagangannya sudah hilang! Yerusalem tidak menjadi saingan kita lagi!’ ” TUHAN Raja berfirman, “Aku musuhmu, hai Tirus. Aku akan membawa banyak bangsa untuk menyerang kamu. Mereka akan datang seperti ombak laut. Mereka akan memusnahkan tembok-tembok kota kamu dan merobohkan menara-menara kamu. Selepas itu Aku akan menyapu segala debu sehingga tinggal sebuah batu sahaja. Nelayan akan menjemur jala mereka di atas batu yang di tengah laut itu. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Bangsa-bangsa lain akan menjarah Tirus, dan dengan pedang, mereka akan membunuh penduduk di kota-kota di daratan Tirus. Maka Tirus akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” TUHAN Raja berfirman, “Aku akan menyebabkan Raja Nebukadnezar dari Babilonia menyerang Tirus. Raja yang paling kuat itu akan datang dari utara dengan pasukan tentera yang sungguh besar, dengan banyak kuda, kereta kuda, dan pasukan berkuda. Penduduk kota-kota di daratan akan dibunuh dalam peperangan. Musuh akan menggali parit, membina tembok pengepungan, dan menyusun perisai sebagai kubu yang kukuh untuk menentang kamu. Mereka akan memecah tembok-tembok kamu dengan kayu pelantak, dan merobohkan menara-menara kamu dengan batang besi. Kuda mereka sangat banyak sehingga menyebabkan debu berterbangan dan meliputi kamu. Derap daripada pasukan berkuda dan kereta kuda akan menggegarkan tembok kota kamu ketika mereka lalu di pintu gerbang dan memasuki kota yang runtuh itu. Pasukan berkuda itu akan menyerbu jalan-jalan kamu, sambil membunuh penduduk kamu dengan pedang. Tugu-tugu kamu yang besar itu akan dirobohkan. Musuh akan merampas kekayaan dan barangan perniagaan kamu. Mereka akan merobohkan tembok-tembok dan menghancurkan rumah-rumah mewah kamu. Mereka akan membuang segala batu, kayu, dan runtuhan batu ke dalam laut. Aku akan menghentikan nyanyian kamu dan muzik kecapi kamu. Aku akan meninggalkan sebuah batu sahaja untuk para nelayan menjemur jala. Kota itu tidak akan dibina lagi. Aku, TUHAN Raja telah berfirman.” TUHAN Raja berfirman kepada kota Tirus, “ Apabila kamu ditaklukkan kelak, orang yang tinggal di sepanjang pantai akan ketakutan kerana mendengar teriakan orang yang dibantai. Semua raja bangsa-bangsa di tepi pantai akan turun dari takhta mereka. Mereka akan menanggalkan jubah dan pakaian yang bersulam lalu duduk dengan gementar di tanah. Mereka akan sangat ketakutan melihat kesudahan kamu sehingga mereka tidak berhenti-henti gementar. Lalu mereka akan menyanyikan lagu ratapan ini bagi kamu: Kota kenamaan itu sudah musnah! Kapal-kapalnya disapu dari lautan. Dahulu penduduknya menguasai laut, dan menakutkan semua penduduk pantai. Tetapi sekarang kamu sudah jatuh, penduduk pulau-pulau gementar; mereka terkejut mendengar keruntuhanmu.” TUHAN Raja berfirman, “Aku akan menjadikan kamu lengang seperti kota yang tidak berpenduduk. Aku akan menutupi kamu dengan air dari samudera. Aku akan mengirim kamu ke dunia orang mati supaya kamu tinggal bersama-sama orang purba. Aku akan membiarkan engkau menetap di dunia orang mati, di tengah runtuhan yang kekal, bersama-sama orang mati. Maka tanahmu tidak akan diduduki orang lagi, dan kamu tidak akan terbilang antara orang hidup. Kamu akan menjadi contoh yang mengerikan, dan demikianlah akhir riwayatmu. Orang mungkin mencari kamu, tetapi kamu tidak akan ditemui.” TUHAN Raja telah berfirman. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, nyanyikanlah lagu ratapan bagi Tirus, kota di tepi pantai yang berniaga dengan penduduk segala pantai. Beritahukanlah firman TUHAN Raja: Hai Tirus, dengan sombong kamu mengatakan, ‘Keindahanku sungguh sempurna.’ Bagimu lautan bagaikan rumah. Pembinamu membuat kamu seperti kapal indah. Dindingmu daripada kayu sipres dari Gunung Hermon, tiangmu daripada kayu sedar dari Lebanon. Dayung-dayungmu dibuat daripada pokok oak dari Basan. Geladakmu dibuat daripada kayu pain dari Siprus, dan hiasanmu tatahan gading. Layar yang menjadi lambangmu dibuat daripada linen buatan Mesir, dengan aneka sulaman. Kajangmu dibuat daripada kain halus, kain yang berwarna ungu dari Siprus. Pendayungmu orang dari Sidon dan Arwad. Anak buahmu sendiri pelaut-pelaut yang cekap. Tukang kayu yang membina kapalmu itu tukang-tukang yang mahir dari Gebal. Pelaut dari setiap kapal datang ke kedai-kedaimu untuk berdagang. Askar dari Persia, Lidia, dan Libia berkhidmat dalam angkatan perangmu. Mereka menggantung perisai dan topi besi mereka pada tembok-tembok kotamu. Mereka menjadikan kamu masyhur. Askar dari Arwad mengawal tembokmu, dan orang dari Gamad mengawal menaramu. Mereka menggantung perisai mereka pada tembokmu, dan menyempurnakan keindahanmu. Kamu berniaga di Sepanyol dan menerima perak, besi, timah putih, dan timah hitam sebagai tukaran bayaran baranganmu yang banyak itu. Kamu berniaga di Yunani, Tubal, dan Mesekh, dan mendapat hamba dan barangan gangsa sebagai tukaran baranganmu. Kamu juga menerima kereta kuda, kuda tunggangan, dan baghal dari Bet-Togarma sebagai tukaran baranganmu. Orang Rodes pun berniaga dengan kamu; penduduk di banyak kawasan pantai membeli baranganmu dan membayar dengan gading dan kayu hitam. Orang Siria membeli baranganmu dan membayar dengan batu zamrud, kain ungu, kain bersulam, kain linen halus, batu karang, dan batu delima. Yehuda dan Israel membeli baranganmu dan membayar dengan gandum, madu, minyak zaitun, dan rempah-ratus. [18-19] Penduduk Damsyik membeli barang dagangan dan hasil-hasilmu dan membayar dengan wain dari Helbon, bulu domba dari Sahar, besi tempa, dan rempah-rempah. *** Penduduk Dedan membayar baranganmu dengan kain alas pelana. Orang Arab dan para penguasa Kedar membayar baranganmu dengan kambing, domba jantan, dan anak domba. Pedagang dari Syeba dan Raema membayar baranganmu dengan batu permata, emas, dan rempah yang terbaik. Kota-kota Haran, Kane, Eden, pedagang-pedagang dari Syeba, kota-kota Asyur dan Kilmad, semuanya berniaga dengan kamu. Mereka menjual pakaian mewah, kain ungu, kain sulam, permaidani yang berwarna-warni, dan tali-temali yang kuat. Barang daganganmu dibawa dengan kapal-kapal yang paling besar. Kamu bagaikan kapal di laut, penuh dengan muatan berat. Ketika pendayungmu membawa kamu belayar, angin timur melanda kamu di tengah lautan. Segala barang daganganmu, semua pelaut dan anak buahmu, tukang kayu dan kaum pedagangmu, dan setiap askar dalam kapalmu, semuanya hilang tenggelam apabila kapalmu karam. Jeritan pelaut yang tenggelam terdengar sampai ke pantai. Kini setiap kapal ditinggalkan, setiap pelaut telah naik ke darat. Mereka meratapi kamu dengan pilu, mereka menaburkan debu pada kepala dan berguling dalam abu kerana duka. Mereka mencukur rambut kerana kamu, dan memakai kain guni tanda sedih. Mereka meratap dengan hati pilu. Mereka menyanyikan lagu ratapan bagimu, ‘Tirus, siapakah tandinganmu? Tirus, di laut kini kamu membisu. Apabila kaum pedagangmu belayar ke seberang laut, kamu mencukupi keperluan setiap bangsa. Raja-raja menjadi kaya kerana baranganmu yang berharga. Tetapi kini kamu sudah hancur, dan tenggelam ke dasar lautan. Baranganmu dan semua anak buahmu hilang bersama-sama kamu di lautan.’ Semua orang yang tinggal di sepanjang pantai terperanjat mendengar kesudahanmu. Bahkan raja-raja mereka pun sangat takut; kengerian nampak pada wajah mereka. Kamu hilang dan lenyap selama-lamanya. Pedagang di seluruh dunia gerun kalau-kalau mereka juga mengalami kesudahanmu.” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada raja Tirus, ‘Engkau sombong dan menganggap dirimu dewa yang bertakhta di tengah-tengah laut. Engkau berlagak sebagai dewa, padahal engkau ini hanya manusia fana! Engkau sangka engkau lebih bijak daripada Danel, sehingga engkau mengetahui segala rahsia. Kebijaksanaan dan kepandaianmu menjadikan engkau kaya dengan emas dan perak. Engkau pandai berniaga dan sentiasa mendapat keuntungan. Engkau sombong kerana kekayaanmu!’ Oleh itu, dengarlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan, ‘Kerana engkau menyangka engkau sebijak dewa, Aku akan mengirim musuh yang kejam untuk menyerang engkau. Mereka akan memusnahkan semua harta yang engkau peroleh dengan kepandaian dan kebijaksanaanmu itu. Mereka akan membunuh engkau dan menguburkan engkau di laut. Pada waktu itu, masihkah engkau dapat mengatakan bahawa engkau dewa? Apabila engkau menghadapi pembunuhmu, nyatalah engkau hanya manuisa fana dan bukan dewa. Engkau akan mati seperti orang hina, dibunuh oleh orang bangsa asing yang tidak mengenal Allah. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.’ ” TUHAN berfirman lagi kepadaku, “Hai manusia fana, merataplah untuk raja Tirus. Sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja, firmankan kepadanya, ‘Engkau pernah menjadi contoh kesempurnaan. Dahulu engkau sungguh bijak dan kacak! Engkau tinggal di taman Eden, taman Allah. Pakaianmu dihiasi dengan segala jenis batu permata: delima, berlian, topaz, beril, sardis, jasper, nilam, zamrud, dan garnet. Engkau juga mempunyai perhiasaan emas yang dibuat untukmu pada hari engkau diciptakan. Aku menempatkan kerub yang menyeramkan di situ untuk menjaga engkau. Engkau tinggal di atas gunung-Ku yang suci dan berjalan di tengah-tengah batu permata yang berkilauan. Kelakuanmu tidak bercela sejak engkau diciptakan sampai engkau mula berbuat jahat. Engkau sibuk dengan perniagaanmu; hal itulah yang menyebabkan engkau menjadi kejam dan berdosa. Oleh itu Aku mengusir engkau dari gunung-Ku yang suci dan kerub yang menjaga engkau mengusir engkau dari tengah-tengah batu permata yang berkilauan itu. Engkau sombong kerana rupamu yang kacak, dan engkau bertindak bodoh kerana engkau terkenal. Itulah sebabnya Aku membanting engkau ke tanah, dan menjadikan engkau sebagai amaran untuk raja-raja lain. Perniagaanmu penuh dengan kecurangan sehingga tempat-tempat ibadatmu tercemar. Oleh itu Aku membakar kotamu sampai musnah. Semua orang yang memandang engkau sekarang hanya nampak abu. Engkau sudah lenyap, hai raja Tirus! Engkau lenyap selama-lamanya! Semua bangsa yang mengenal engkau gerun kalau-kalau mereka juga akan mengalami kesudahanmu.’ ” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, kecamlah kota Sidon. Beritahulah penduduk di situ apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan: Aku musuh kamu, hai Sidon. Orang akan memuji Aku kerana apa yang Aku lakukan terhadap kamu. Mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN yang suci, apabila Aku menghukum penduduk kamu. Aku akan mendatangkan wabak kepada kamu dan membiarkan darah mengalir di jalan-jalan kamu. Kamu akan diserang oleh musuh dari segala arah dan pendudukmu akan dibunuh. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” TUHAN berfirman, “Semua negeri jiran yang pernah menghina Israel tidak lagi merupakan duri atau belukar berduri yang menyakiti Israel. Mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN Raja.” TUHAN Raja berfirman, “Aku akan membawa umat Israel pulang dari negeri-negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka, dan semua bangsa akan tahu bahawa Aku suci. Umat Israel akan tinggal lagi di negeri mereka sendiri, tanah yang Aku berikan kepada Yakub, hamba-Ku. Mereka akan tinggal di sana dengan aman. Mereka akan membina rumah dan mengusahakan ladang anggur. Aku akan menghukum semua jiran mereka yang pernah menghina mereka, dan Israel akan hidup dengan aman. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka.” Pada hari kedua belas, bulan kesepuluh, tahun kesepuluh masa kami dalam buangan, TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, kecamlah raja Mesir. Beritahulah dia bahawa dia dan semua rakyatnya akan dihukum. Beritahulah dia bahawa inilah firman TUHAN Raja kepada raja Mesir, ‘Aku musuhmu, hai buaya raksasa yang berbaring di sungai! Engkau berkata bahawa Sungai Nil itu milikmu, dan engkau yang menciptanya. Aku akan memasang kait pada rahangmu, dan menyebabkan ikan-ikan di sungai melekat padamu. Lalu Aku akan mengangkat engkau dan segala ikan yang melekat padamu, keluar dari Sungai Nil. Kemudian Aku akan melemparkan engkau bersama-sama semua ikan itu ke padang gurun. Tubuhmu akan terlantar di atas tanah dan tidak dikebumikan. Aku akan membiarkan tubuhmu dimakan burung dan binatang. Maka semua penduduk Mesir akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ” TUHAN berfirman, “Umat Israel bergantung kepada kamu orang Mesir untuk menolong mereka, tetapi kamu hanya seperti tongkat yang lemah. Ketika mereka bersandar pada kamu, kamu patah dan menusuk ketiak mereka sehingga belakang mereka tergeliat. Oleh itu Aku, TUHAN Raja berfirman kepada kamu, bahawa Aku akan mendatangkan orang untuk menyerang kamu dengan pedang. Mereka akan membunuh penduduk dan ternakan kamu. Mesir akan menjadi tandus dan lengang. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Hai raja Mesir! Kerana engkau mengatakan Sungai Nil itu milikmu, dan engkau yang menciptanya, maka Aku menjadi musuhmu dan musuh sungaimu. Aku akan menjadikan seluruh Mesir tandus dan lengang, mulai dari kota Migdol di sebelah utara sampai ke kota Aswan di sebelah selatan, bahkan sampai ke sempadan Etiopia. Tiada manusia ataupun binatang akan melaluinya. Selama empat puluh tahun tempat itu tidak akan dihuni. Aku akan menjadikan Mesir negeri yang paling tandus dan lengang di seluruh dunia. Selama empat puluh tahun kota-kota di Mesir akan merupakan runtuhan yang lebih teruk daripada mana-mana kota. Aku akan menjadikan orang Mesir orang pelarian. Mereka akan lari ke segala negeri dan tinggal antara bangsa lain.” TUHAN Raja berfirman, “Selepas empat puluh tahun Aku akan membawa orang Mesir pulang dari negeri-negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka. Aku akan membiarkan mereka tinggal di bahagian selatan Mesir, negeri asal mereka. Mereka akan tinggal di sana dan membentuk suatu kerajaan yang lemah, iaitu kerajaan yang paling lemah dan tidak akan menguasai bangsa-bangsa lain lagi. Aku akan menjadikan mereka begitu lemah sehingga mereka tidak lagi dapat menaklukkan mana-mana bangsa. Israel tidak akan meminta pertolongan mereka lagi. Apabila orang Israel mengingat apa yang berlaku kepada orang Mesir, orang Israel akan sedar betapa salahnya bergantung kepada pertolongan orang Mesir. Maka orang Israel akan tahu bahawa Akulah TUHAN Raja.” Pada hari pertama, bulan pertama, tahun kedua puluh tujuh masa kami dalam buangan, TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, Raja Nebukadnezar dari Babilonia telah menyerang Tirus. Dia menyuruh askarnya memikul beban yang begitu berat sehingga kepala mereka menjadi botak dan bahu mereka lecet. Namun raja mahupun tenteranya tidak berjaya merebut kota itu. Oleh itu Aku, TUHAN Raja berfirman, ‘Aku akan memberikan negeri Mesir kepada Raja Nebukadnezar. Dia akan menjarah negeri itu dan merampas segala harta negeri itu sebagai upah tenteranya. Aku akan menyerahkan Mesir kepadanya sebagai balasan jasanya, kerana tenteranya telah berkhidmat kepada-Ku. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.’ Apabila perkara itu berlaku, Aku akan menjadikan umat Israel bangsa yang kuat. Aku akan memungkinkan engkau, hai Yehezkiel, berkata-kata kepada mereka, supaya mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.” TUHAN berfirman lagi kepadaku, “Hai manusia fana, bernubuatlah dan isytiharkanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan. Berserulah dan merataplah begini: Hari TUHAN sudah dekat! Hari itu sudah hampir, apabila TUHAN akan bertindak. Hari itu gelap dan susah bagi bangsa-bangsa. Peperangan akan berlaku di Mesir, dan kesengsaraan menimpa Etiopia. Banyak orang di Mesir akan terbunuh; negeri itu akan dijarah, dan dibiarkan menjadi runtuhan. Askar-askar yang diupah dari Etiopia, Lidia, Libia, Arab, Kub, dan bahkan daripada umat-Ku sendiri, akan terbunuh dalam peperangan itu.” TUHAN berfirman, “Dari Migdol di sebelah utara sampai ke Aswan di sebelah selatan, semua pembela Mesir akan gugur dalam peperangan. Tentera Mesir yang sombong itu akan musnah. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Negeri itu akan menjadi negeri yang paling tandus dan lengang di dunia. Kota-kotanya akan menjadi runtuhan sama sekali. Selepas Aku membakar Mesir dan membunuh semua pembelanya, barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN. Pada hari itu, apabila Mesir telah musnah, Aku akan mengirim para utusan dengan kapal-kapal untuk mengejutkan orang Etiopia yang tidak curiga itu sehingga mereka ketakutan. Hari itu sudah dekat!” TUHAN Raja berfirman, “Aku akan menggunakan Raja Nebukadnezar dari Babilonia untuk menghancurkan kekayaan Mesir. Dia dan tenteranya yang ganas akan memusnahkan negeri itu. Mereka akan menyerang Mesir dengan pedang, sehingga negeri itu penuh dengan mayat. Aku akan mengeringkan Sungai Nil dan menyerahkan Mesir ke dalam kekuasaan orang jahat. Orang asing akan memusnahkan seluruh negeri itu. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN Raja berfirman, “Aku akan memusnahkan berhala-berhala dan dewa-dewa di Memphis. Tiada lagi raja yang akan memerintah di Mesir dan Aku akan menggentarkan semua orang. Aku akan menjadikan bahagian selatan Mesir tandus dan lengang, dan Aku akan membakar kota Soan di sebelah utara. Aku akan menghukum Tebe, ibu kota itu, dan memusnahkan kekayaannya. Aku akan melampiaskan kemurkaan-Ku kepada Pelusium, kota pertahanan Mesir. Aku akan membakar Mesir, dan Pelusium pun akan sengsara. Tembok kota Tebe akan dirobohkan dan kota itu akan dilanda banjir. Pemuda-pemuda kota Heliopolis dan Bubastis akan mati dalam peperangan, dan penduduk yang lain akan ditawan. Kota Tahpanhes akan menjadi gelap pada hari Aku menaklukkan Mesir dan memusnahkan kuasanya yang sangat dibanggakannya. Mesir akan diliputi awan, dan penduduk semua kotanya akan ditawan. Apabila Aku menghukum Mesir dengan cara demikian, barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.” Pada hari ketujuh, bulan pertama, tahun kesebelas masa kami dalam buangan, TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, Aku telah mematahkan lengan raja Mesir. Tiada sesiapa pun yang membalut lengannya agar pulih dan kuat semula untuk memegang pedang. Oleh itu Aku, TUHAN Raja berfirman: Aku musuh raja Mesir. Aku akan mematahkan kedua-dua belah lengannya, baik yang masih kuat mahupun yang telah patah itu. Lalu pedang akan jatuh dari tangannya. Aku akan mencerai-beraikan orang Mesir ke seluruh dunia. Kemudian Aku akan menguatkan lengan raja Babilonia dan meletakkan pedang-Ku di tangannya. Tetapi Aku akan mematahkan lengan raja Mesir sehingga dia akan mengerang dan mati di hadapan raja Babilonia. Aku akan melemahkan raja Mesir, tetapi Aku akan menguatkan raja Babilonia. Apabila Aku meletakkan pedang-Ku di tangan raja Babilonia, dan dia mengacungkan pedang itu ke arah Mesir, semua orang akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku akan mencerai-beraikan orang Mesir ke seluruh dunia. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” Pada hari pertama, bulan ketiga, tahun kesebelas masa kami dalam buangan, TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, sampaikanlah firman-Ku kepada raja Mesir dan semua rakyatnya: Kamu sungguh kuat! Tiada yang dapat menjadi saingan kamu. Engkau seperti pokok sedar di Lebanon, penuh dengan cabang yang rimbun dan indah, pokok yang tinggi sehingga puncaknya mencapai awan. Pokok itu meninggi kerana airnya cukup. Sungai di bawah tanah memberinya khasiat, dan mengairi akar-akarnya serta membasahi pokok-pokok lain di hutan. Kerana cukup airnya pokok itu tumbuh lebih tinggi daripada pokok-pokok lain. Dahannya menjadi besar dan panjang. Segala jenis burung membuat sarang pada dahannya, binatang liar melahirkan anak di bawah cabangnya. Bangsa-bangsa berlindung di bawah naungannya. Alangkah indahnya pokok itu, yang sungguh tinggi dan berdahan panjang. Akarnya menembus jauh ke bawah, mencapai sumber air di dalam tanah. Tiada pokok sedar di taman Allah, yang boleh disamakan dengan pokok itu. Tiada pokok fir yang mempunyai dahan seperti dahannya. Tiada pokok berangan yang mempunyai cabang seperti cabangnya. Tiada pokok di taman Allah yang seindah pokok itu. Akulah yang menjadikannya indah, dengan dahan yang banyak. Setiap pokok di Eden, taman Allah, ingin menjadi sepertinya. Oleh itu, Aku, TUHAN Raja akan memberitahu kamu apa yang akan berlaku kepada pokok yang puncaknya mencapai awan. Semakin tinggi, semakin sombong pokok itu. Oleh itu Aku menolaknya, dan akan menyerahkannya kepada penguasa bangsa asing. Bangsa itu akan memperlakukannya setimpal dengan kejahatannya. Bangsa asing yang kejam akan menebangnya dan membiarkannya. Cabang dan dahannya yang patah akan berselerak di tiap-tiap gunung serta lembah di negeri itu. Bangsa-bangsa yang berlindung di bawah naungannya akan meninggalkan pokok itu. Burung akan datang dan hinggap pada pokok yang sudah rebah itu, dan binatang liar akan memijak-mijak dahannya. Oleh itu mulai sekarang, tiada lagi pokok yang akan tumbuh setinggi itu atau mempunyai puncak yang mencapai awan meskipun mendapat air banyak. Semuanya harus mati seperti manusia fana dan berkumpul bersama-sama orang yang telah turun ke dunia orang mati.” Demikianlah firman TUHAN Raja, “ Pada hari pokok itu turun ke dunia orang mati, Aku akan menyebabkan air di bawah tanah menggenanginya sebagai tanda berkabung. Aku akan menahan arus air sungai dan menyumbat anak-anak sungai. Kerana pokok itu telah mati, Aku akan mendatangkan kegelapan di Pergunungan Lebanon dan menjadikan semua pokok di hutan layu. Apabila Aku menurunkan pokok itu ke dunia orang mati, bunyi kejatuhannya akan menggegarkan bangsa-bangsa. Semua pokok di Eden dan semua pokok terbaik di Lebanon yang mendapat air berlimpah-limpah, yang sudah turun ke dunia di bawah akan bersukacita kerana kejatuhannya. Semua pokok akan mengiringinya ke dunia orang mati untuk menyertai pokok-pokok yang telah jatuh terlebih dahulu. Semua yang bernaung di bawah pokok itu akan tercerai-cerai antara bangsa-bangsa. Pokok itu melambangkan raja Mesir dan rakyatnya. Tiada pokok di Eden yang begitu tinggi dan mulia. Tetapi sekarang, seperti pokok-pokok di Eden, pokok itu akan turun ke dunia orang mati dan tinggal dengan mereka yang tidak mengenal Allah serta dengan mereka yang terbunuh dalam peperangan. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.” Pada hari pertama, bulan kedua belas, tahun kedua belas masa kami dalam buangan, TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, berikanlah amaran keras kepada raja Mesir. Sampaikanlah firman-Ku kepadanya, ‘Di hadapan bangsa-bangsa lain engkau berlagak seperti singa, tetapi engkau lebih menyerupai buaya yang berkecimpung di dalam sungai. Kakimu mengeruhkan dan mengotorkan sungai-sungai. Apabila bangsa-bangsa berkumpul, Aku akan menangkap engkau dengan jala-Ku dan membiarkan bangsa-bangsa menyeret jala itu ke darat. Aku akan menghempaskan engkau ke tanah lalu menyuruh segala burung dan binatang di dunia untuk memakan engkau. Aku akan menghamburkan mayatmu yang membusuk itu di seluruh bukit dan lembah. Aku akan menumpahkan darahmu sehingga membasahi bukit-bukit dan memenuhi anak-anak sungai. Apabila Aku membinasakan engkau, Aku akan menutupi langit dan memadamkan segala bintang. Matahari akan diliputi awan, dan bulan pun tidak bercahaya lagi. Aku akan memadamkan semua cahaya di langit, dan menjadikan negerimu gelap-gelita. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman. Banyak bangsa akan cemas apabila Aku menyiarkan berita tentang kebinasaanmu ke negeri-negeri yang tidak engkau kenal. Perbuatan-Ku terhadap engkau akan mengejutkan banyak bangsa. Apabila Aku mengayunkan pedang-Ku, raja-raja akan ketakutan. Pada hari engkau jatuh, mereka semua akan gementar dan menggigil kerana takut mati.’ ” TUHAN Raja berfirman kepada raja Mesir, “Engkau akan menghadapi pedang raja Babilonia. Askar-askar daripada bangsa-bangsa yang kejam akan menghunus pedang dan membunuh semua rakyatmu. Rakyatmu dan segala yang engkau banggakan akan musnah. Aku akan membunuh ternakanmu di tepi sungai-sungai. Baik manusia mahupun binatang tidak akan mengeruhkan air sungai lagi. Aku akan membuat air sungaimu jernih dan mengalir dengan tenang. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman. Apabila Aku menjadikan Mesir padang gurun yang tandus dan lengang, serta membinasakan semua penduduk di sana, barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN. Amaran ini akan menjadi lagu ratapan, dan kaum wanita bangsa-bangsa lain akan menyanyikannya untuk meratapi Mesir dengan semua rakyatnya. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.” Pada hari kelima belas, bulan pertama, tahun kedua belas masa pembuangan kami, TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, merataplah bagi rakyat Mesir yang banyak itu. Hantarlah mereka bersama-sama bangsa lain yang kuat ke dunia orang mati. Katakanlah kepada mereka, ‘Adakah kamu berfikir kamu lebih cantik daripada orang lain? Kamu akan turun ke dunia orang mati, dan berbaring di sana bersama-sama orang yang tidak mengenal Allah.’ Rakyat Mesir akan gugur bersama-sama mereka yang mati dalam peperangan. Sebilah pedang sudah siap untuk membunuh mereka semua. Para pahlawan dan orang yang memihak Mesir akan menyambut kedatangan orang Mesir ke dunia orang mati. Mereka bersorak, ‘Lihatlah, orang yang tidak mengenal Allah telah terbunuh dalam peperangan. Sekarang mereka ke mari, dan berbaring di sini!’ Asyur berada di sana, dikelilingi oleh kubur-kubur askarnya. Mereka semua telah terbunuh dalam peperangan, dan kubur mereka terletak di bahagian yang paling dalam di dunia orang mati. Semua askarnya telah gugur dalam peperangan dan Asyur dikelilingi oleh kubur mereka. Namun pada suatu masa dahulu, mereka menimbulkan ketakutan di dunia orang hidup. Elam berada di sana, dikelilingi oleh kubur-kubur askarnya. Mereka semua telah gugur dalam peperangan, lalu turun ke dunia orang mati tanpa mengenal Allah. Semasa hidup, mereka menimbulkan ketakutan antara semua orang, tetapi sekarang mereka telah mati dan menanggung malu. Elam berbaring bersama-sama mereka yang terbunuh dalam peperangan, dikelilingi oleh kubur-kubur askarnya. Mereka semua tidak mengenal Allah. Semuanya gugur dalam peperangan. Semasa hidup, mereka menimbulkan ketakutan antara semua orang, tetapi sekarang mereka mati dan menanggung malu bersama-sama orang yang gugur dalam peperangan. Mesekh dan Tubal berada di sana, di kelilingi oleh kubur-kubur askar mereka. Mereka semua tidak mengenal Allah, dan mereka semua gugur dalam peperangan. Namun pada suatu masa dahulu mereka menakutkan orang yang hidup. Mereka tidak diberikan penguburan yang terhormat seperti pahlawan pada zaman purba yang dikebumikan lengkap dengan pedang di bawah kepala dan perisai di atas dada. Semasa hidup, pahlawan-pahlawan itu sungguh perkasa sehingga menakutkan orang hidup. Demikianlah orang Mesir akan hancur dan dibaringkan bersama-sama orang yang tidak mengenal Allah, yang gugur dalam peperangan. Edom ada di sana dengan semua raja dan penguasanya. Dahulu mereka askar yang kuat, tetapi sekarang mereka terbaring di dunia orang mati bersama-sama orang yang tidak mengenal Allah, yang gugur dalam peperangan. Semua penguasa negeri-negeri utara berada di sana, demikian juga orang Sidon. Pada suatu masa dahulu kekuasaan mereka menimbulkan ketakutan, tetapi sekarang mereka mati dan dipermalukan bersama-sama mereka yang gugur dalam peperangan. Mereka dikuburkan bersama-sama orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menanggung hinaan orang yang turun ke dunia orang mati. Raja Mesir dan tenteranya akan terhibur melihat semua orang yang mati dalam peperangan.” Demikianlah TUHAN Raja berfirman. “Akulah yang menyebabkan raja Mesir menakutkan orang hidup, tetapi sekarang dia dan tenteranya akan dibunuh. Mereka akan dikebumikan bersama-sama semua orang yang gugur dalam peperangan, dan yang tidak mengenal Allah.” Demikianlah firman TUHAN Raja. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, beritahulah bangsamu apa yang akan berlaku apabila Aku mendatangkan peperangan kepada sesuatu negeri. Penduduk negeri itu akan memilih seorang antara mereka sebagai penjaga. Apabila penjaga itu nampak musuh datang, dia membunyikan trompet sebagai tanda bahaya supaya semua orang berwaspada. Sesiapa mendengar bunyi tanda bahaya itu tetapi tidak mempedulikannya, dan musuh datang lalu membunuh orang itu, maka dia mati kerana kesalahannya sendiri. Kematiannya akibat kesalahannya sendiri, kerana dia tidak mempedulikan tanda bahaya itu. Jika dia mempedulikan tanda bahaya itu, pasti dia selamat. Tetapi jika penjaga itu nampak musuh datang dan tidak membunyikan tanda bahaya, lalu musuh datang serta membunuh orang berdosa, Aku akan menganggap penjaga itu bertanggungjawab atas kematian mereka. Sekarang, hai manusia fana, Aku melantik engkau menjadi penjaga bangsa Israel. Engkau mesti menyampaikan amaran-Ku kepada mereka. Jika Aku memberitahukan bahawa orang jahat akan mati, tetapi engkau tidak memberi mereka amaran supaya mereka mengubah kelakuan dan menyelamatkan diri, maka mereka akan mati sebagai orang berdosa. Aku akan menganggap engkau bertanggungjawab atas kematian mereka. Jika engkau memberikan amaran kepada orang jahat, dan mereka tidak berhenti berdosa, mereka akan mati sebagai orang berdosa, tetapi engkau akan menyelamatkan diri sendiri.” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, ulangilah kata-kata umat Israel kepada mereka, ‘Kami merana kerana kami menanggung beban dosa dan kesalahan kami. Bagaimanakah kami dapat hidup?’ Beritahulah mereka bahawa demi Aku, TUHAN Raja, Allah yang hidup, Aku tidak suka melihat orang berdosa mati. Aku lebih suka melihat mereka bertaubat dan hidup. Hai Israel, berhentilah berbuat dosa! Mengapakah kamu mahu mati? Hai manusia fana, beritahulah orang Israel bahawa apabila orang baik berdosa, kebaikan mereka dahulu tidak dapat menyelamatkan mereka. Jika orang jahat berhenti berbuat dosa, mereka tidak akan dihukum. Sebaliknya jika orang baik mula berdosa, mereka tidak akan diselamatkan. Aku mungkin menjanjikan hidup kepada orang baik, tetapi jika mereka menyangka bahawa kebaikan mereka dahulu akan menyelamatkan mereka, lalu mereka mula berdosa, Aku tidak akan mengingat kebaikan mereka dahulu. Mereka akan mati kerana dosa mereka. Aku mungkin memberikan amaran kepada orang jahat bahawa mereka akan mati. Tetapi jika mereka berhenti berdosa lalu melakukan apa yang baik dan benar - umpamanya mereka memulangkan barang orang lain atau memulangkan barang yang telah dicuri mereka - jika mereka berhenti berdosa dan mentaati hukum yang memberikan hidup, mereka tidak akan mati tetapi akan hidup. Aku akan mengampunkan dosa-dosa yang telah dilakukan mereka, dan mereka akan hidup kerana melakukan apa yang baik dan benar. Namun bangsamu mengatakan bahawa perbuatan-Ku tidak adil! Perbuatan merekalah yang tidak adil! Apabila orang baik mula berbuat jahat, mereka akan mati kerana perbuatan jahat itu. Apabila orang jahat berhenti berdosa lalu melakukan apa yang baik dan benar, mereka akan hidup. Meskipun begitu Israel masih mengatakan bahawa perbuatan-Ku tidak adil. Oleh itu Aku akan menghakimi mereka menurut perbuatan mereka.” Pada hari kelima, bulan kesepuluh, tahun kedua belas masa kami dalam buangan, seorang yang melarikan diri dari Yerusalem datang memberitahu aku bahawa kota itu telah jatuh. Pada malam sebelum kedatangannya, aku telah merasakan kuasa TUHAN. Ketika orang itu tiba esok paginya, TUHAN membolehkan aku bertutur semula. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, orang yang tinggal di reruntuhan kota-kota Israel mengatakan, ‘Abraham hanya satu orang, namun dia mendapat seluruh tanah ini; tetapi kita ini banyak orang, dan tentunya tanah ini menjadi milik kita.’ Sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja, firmankan kepada mereka: Kamu makan daging yang masih berdarah. Kamu menyembah berhala dan melakukan pembunuhan. Mana boleh kamu berfikir tanah itu milik kamu? Kamu berharap kepada pedang kamu. Perbuatan kamu menjijikkan. Kamu semua berzina. Mana boleh kamu berfikir tanah itu milik kamu? Sampaikanlah amaran daripada Aku, TUHAN Raja, kepada mereka. Demi Aku, Allah yang hidup, orang yang tinggal di reruntuhan kota-kota itu akan dibunuh. Mereka yang tinggal di kawasan desa akan dimakan binatang buas. Mereka yang bersembunyi di gunung dan di gua akan mati kerana wabak. Aku akan menjadikan negeri ini padang gurun yang tandus dan lengang, dan kebesaran yang dibangga-banggakan mereka itu akan berakhir. Gunung-gunung di Israel akan menjadi begitu lengang sehingga tidak seorang pun melintasinya. Apabila Aku menghukum umat itu kerana dosa mereka, dan menjadikan negeri itu tandus dan lengang, barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.” TUHAN berfirman, “Hai manusia fana, bangsamu mempercakapkan engkau ketika mereka bertemu dekat tembok kota atau di depan pintu rumah mereka. Mereka berkata sesama sendiri, ‘Marilah kita dengarkan apa firman TUHAN hari ini.’ Maka mereka semua datang berkumpul dan sebagai umat-Ku mereka mendengar engkau, tetapi mereka tidak melakukan apa yang engkau suruh. Mereka mengucapkan kata-kata manis, tetapi hati mereka hanya memikirkan keuntungan. Mereka menganggap engkau seorang penyanyi lagu cinta yang bersuara merdu dan pandai bermain kecapi. Mereka mendengar segala kata-katamu, tetapi tidak mentaatinya. Tetapi apabila kata-katamu menjadi kenyataan kelak - dan tentu semuanya akan menjadi kenyataan - barulah mereka tahu bahawa seorang nabi pernah ada di kalangan mereka.” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, kecamlah raja-raja Israel. Bernubuatlah dan sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka, ‘Alangkah malangnya kamu, hai gembala-gembala Israel. Kamu hanya menjaga kepentingan diri sendiri dan bukan kepentingan domba-domba. Kamu minum susu domba, memakai pakaian daripada bulu domba, menyembelih dan makan domba yang terbaik, tetapi kamu tidak pernah menggembalakan domba-domba itu. Kamu tidak merawat yang lemah, atau mengubati yang sakit, atau membalut yang luka, atau membawa pulang yang sesat atau mencari yang hilang. Sebaliknya kamu memperlakukan semua domba itu dengan kejam. Kerana tidak mempunyai gembala, domba-domba itu tercerai-cerai dan menjadi mangsa binatang buas. Maka domba-domba-Ku mengembara ke bukit dan gunung, tercerai-cerai di muka bumi. Tidak seorang pun mencari atau berusaha untuk mendapatkan domba-domba itu. Hai gembala-gembala, dengarlah apa yang Aku, TUHAN firmankan. Demi Aku, Allah yang hidup, dengarlah firman-Ku. Domba-domba-Ku telah diterkam dan dibunuh, serta dimakan binatang buas kerana tiada gembala yang menjaga domba-domba itu. Kamu, gembala-gembala-Ku tidak berusaha untuk mencari domba-domba itu. Kamu menjaga kepentingan diri sendiri, bukan kepentingan domba-domba-Ku. Oleh itu dengarlah Aku, hai kamu para gembala. Aku, TUHAN Raja, mengumumkan bahawa Aku musuh kamu. Aku akan mengambil domba-domba-Ku daripada kamu, dan tidak lagi mempercayakan domba-domba itu kepada kamu. Aku tidak lagi membenarkan kamu menjaga kepentingan diri kamu sahaja. Aku akan menyelamatkan domba-domba itu supaya tidak menjadi makanan kamu.’ ” TUHAN Raja berfirman, “Aku sendiri akan mencari umat Israel, domba-domba-Ku, dan memelihara mereka, seperti seorang gembala mencari dan mengumpulkan domba-dombanya yang tercerai-cerai. Aku akan mengumpulkan mereka dari tempat mereka tercerai-cerai pada malam yang gelap dan nahas itu. Aku akan mengeluarkan mereka dari negeri-negeri asing dan mengumpulkan mereka, lalu membawa mereka pulang ke tanah air mereka. Aku akan membawa mereka balik ke gunung-gunung dan lembah-lembah di Israel. Aku akan memberi mereka makan di padang-padang rumput yang subur. Aku akan membiarkan mereka merumput dengan tenteram di padang hijau. Aku akan membolehkan mereka makan di padang rumput di gunung, di lembah, dan di padang rumput yang hijau di Israel. Aku sendiri akan menggembalakan domba-domba-Ku. Aku akan mencari tempat berehat bagi mereka. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman. Aku akan mencari mereka yang hilang, membawa pulang mereka yang sesat, membalut mereka yang luka, dan mengubati mereka yang sakit; tetapi mereka yang gemuk dan kuat akan Kubinasakan, kerana Aku gembala yang melakukan apa yang adil. Dengarlah, hai domba-domba-Ku. Aku, TUHAN Raja, memberitahu kamu bahawa Aku akan mengadili kamu masing-masing, dan memisahkan yang baik daripada yang jahat, domba daripada kambing. Di kalangan kamu ada yang tidak puas hati hanya dengan memakan rumput yang terbaik, tetapi juga memijak-mijak rumput yang tidak dimakan mereka! Mereka minum air jernih, lalu mengeruhkan air yang tidak diminum mereka. Domba-domba-Ku yang lain terpaksa makan rumput yang telah dipijak-pijak, dan minum air yang telah dikeruhkan. Oleh itu Aku, TUHAN Raja, memberitahu kamu bahawa Aku akan menjadi hakim antara domba yang kuat dengan domba yang lemah. Kamu menanduk dan menolak domba yang sakit sehingga mereka terhalau daripada kawanan domba. Tetapi Aku akan menyelamatkan domba-domba-Ku dan tidak akan membiarkan mereka diperlakukan dengan kejam lagi. Aku akan menghakimi setiap domba-Ku dan memisahkan yang baik daripada yang jahat. Aku akan melantik seorang raja seperti Daud, hamba-Ku, untuk menjadi satu-satunya gembala mereka, dan dia akan memelihara mereka. Aku, TUHAN, akan menjadi Allah mereka; dan seorang raja seperti Daud, hamba-Ku, akan menjadi penguasa mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman. Aku akan membuat perjanjian dengan mereka yang menjamin keselamatan mereka. Aku akan mengusir semua binatang buas dari negeri itu, supaya domba-domba-Ku dapat hidup dengan aman di padang dan tidur di hutan. Aku akan memberkati mereka dan membenarkan mereka hidup di sekeliling bukit-Ku yang suci. Di sana Aku akan memberkati mereka dengan hujan manakala mereka memerlukannya. Pokok akan berbuah, ladang akan mengeluarkan hasil, dan setiap orang akan tinggal dengan aman di tanahnya sendiri. Apabila Aku memutuskan belenggu umat-Ku dan membebaskan mereka daripada bangsa yang memperhamba mereka, barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN. Bangsa-bangsa yang tidak mengenal Aku tidak akan menjarah umat-Ku lagi, dan binatang buas pun tidak akan membunuh dan memakan mereka. Mereka akan hidup dengan aman, dan tiada sesiapa pun akan menakutkan mereka. Aku akan memberi mereka tanah yang subur serta menghapuskan kelaparan di negeri itu. Bangsa lain tidak akan mengolok-olokkan mereka lagi. Semua orang akan tahu bahawa Aku melindungi Israel, dan bahawa mereka umat-Ku. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman. Hai kawanan domba yang Aku beri makan. Kamulah umat-Ku dan Akulah Allah kamu.” Demikianlah firman TUHAN Raja. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, kecamlah negeri Edom. Sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada penduduknya: Aku musuh kamu, hai penduduk perbukitan Edom! Tanah kamu akan Kujadikan tandus dan lengang. Kota-kota kamu akan Kujadikan reruntuhan, dan negeri kamu dijadikan padang gurun. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN. Kamu sentiasa memusuhi umat Israel. Kamu membiarkan mereka dibantai pada waktu mereka ditimpa bencana sebagai hukuman terakhir bagi dosa mereka. Oleh itu, Aku, Allah yang hidup, TUHAN Raja, bersumpah bahawa kamu akan mati dan kamu tidak akan terlepas daripadanya. Kamu bersalah kerana melakukan pembunuhan, oleh itu pembunuhan pun akan mengejar kamu. Aku akan menjadikan perbukitan Edom lengang, dan membunuh sesiapa sahaja yang lalu di sana. Bukit-bukitnya akan Aku liputi dengan mayat, dan lembah-lembah akan Aku penuhi dengan mayat orang yang gugur dalam peperangan. Aku akan menjadikan negeri kamu tandus dan lengang selama-lamanya. Tiada sesiapa pun akan tinggal di kota-kota kamu lagi. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN. Kamu berkata bahawa kedua-dua bangsa itu, Yehuda dan Israel adalah kepunyaan kamu, dan kamu akan menduduki tanah mereka, walaupun Aku, TUHAN ialah Allah mereka. Oleh itu, demi Aku, Allah yang hidup, TUHAN Raja, Aku akan membalas dendam terhadap kamu kerana kamu marah, cemburu, dan benci kepada umat-Ku. Mereka akan tahu bahawa Aku menghukum kamu kerana perbuatan kamu terhadap mereka. Barulah kamu tahu bahawa Aku, TUHAN, telah mendengar hinaan kamu apabila kamu berkata, ‘Gunung-gunung Israel sudah menjadi lengang dan diserahkan menjadi mangsa kita.’ Aku telah mendengar segala nistaan kamu terhadap Aku.” TUHAN Raja berfirman, “Aku akan menjadikan negeri kamu tandus dan lengang sehingga seluruh dunia bersukacita kerana kejatuhan kamu, sebagaimana kamu dahulu bersukacita melihat negeri Israel, milik-Ku itu menjadi tandus dan lengang. Sesungguhnya perbukitan Seir, bahkan seluruh negeri Edom akan menjadi tandus dan lengang. Pada masa itu barulah setiap orang tahu bahawa Akulah TUHAN.” TUHAN berfirman, “Hai manusia fana, berkatalah kepada pergunungan Israel dan suruhlah pergunungan itu mendengar perkhabaran daripada Aku, TUHAN Raja: Musuh Israel mencemuh mereka dan berkata, ‘Sekarang bukit-bukit purba itu milik kita!’ Bernubuatlah dan isytiharkanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan. Ketika bangsa-bangsa jiran mengalahkan dan menjarah pergunungan Israel, mereka semua menghina Israel. Oleh itu, hai gunung dan bukit Israel, anak sungai dan lembah, tempat yang sudah menjadi runtuhan, dan kota yang telah ditinggalkan oleh penghuninya serta dijarah dan dihina oleh bangsa-bangsa di sekitar, dengarlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada kamu. Dalam luapan kemurkaan, Aku, TUHAN Raja telah mengutuk bangsa-bangsa jiran itu, terutama sekali Edom. Dengan suka ria dan sikap menghina, mereka merampas negeri-Ku dan padang rumputnya. Oleh itu bernubuatlah kepada negeri Israel. Sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja, firmankan dengan sangat murka kepada gunung, bukit, sungai kecil, serta lembah, kerana bangsa-bangsa itu telah menghina dan memandang rendah kepada tempat-tempat itu. Aku, TUHAN Raja, bersumpah bahawa bangsa-bangsa di sekitar itu akan dihina. Tetapi pokok-pokok di pergunungan Israel akan berdaun serta berbuah semula bagi kamu, hai Israel, umat-Ku. Tidak lama lagi kamu akan pulang. Aku memihak kamu. Aku akan memastikan supaya tanah kamu dibajak dan ditanami benih semula. Aku akan menambah bilangan kamu. Kamu akan tinggal di kota-kota dan membina semula segala yang telah runtuh. Aku akan menambah bilangan penduduk dan ternak kamu. Bilangan kamu akan menjadi lebih besar daripada dahulu. Kamu akan beroleh banyak anak. Aku akan membenarkan kamu tinggal di sana seperti dahulu, dan Aku akan membuat kamu lebih makmur seperti yang belum pernah kamu alami. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku akan membawa kamu, Israel, umat-Ku pulang supaya kamu dapat tinggal di negeri itu lagi. Negeri itu akan menjadi milik kamu, dan akan selalu memberikan hasilnya supaya anak-anak kamu tidak mati kelaparan. Aku, TUHAN Raja berfirman: Memang benar orang mengatakan negeri ini pemakan orang, dan negeri ini menjadikan bangsanya kehilangan anak-anak. Tetapi mulai sekarang negeri ini tidak akan memakan orang ataupun menjadikan bangsanya kehilangan anak-anak lagi. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Negeri ini tidak akan dihina ataupun diejek lagi oleh bangsa-bangsa. Negeri ini tidak akan menghapuskan penduduknya lagi. Aku, TUHAN Raja telah berfirman.” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, ketika umat Israel tinggal di negeri mereka, mereka menajiskan negeri itu dengan cara hidup dan kelakuan mereka. Aku menganggap kelakuan mereka itu najis seperti wanita yang sedang haid. Aku membiarkan mereka merasakan segala kemurkaan-Ku kerana mereka telah melakukan banyak pembunuhan di negeri itu, dan mencemarkannya dengan berhala-berhala mereka. Aku menghukum mereka setimpal dengan cara hidup dan kelakuan mereka, lalu Aku mencerai-beraikan mereka ke negeri-negeri asing. Ke mana sahaja mereka pergi, mereka mencemarkan nama-Ku yang suci kerana orang berkata, ‘Lihatlah, mereka umat TUHAN, tetapi mereka terpaksa meninggalkan negeri yang diberikan-Nya kepada mereka.’ Aku mengambil berat terhadap nama-Ku yang suci, yang telah dicemarkan oleh orang Israel ke mana sahaja mereka pergi. Oleh itu sampaikanlah perkhabaran daripada Aku, TUHAN Raja kepada orang Israel: Apa yang akan Aku lakukan bukan kerana kepentingan kamu umat Israel, tetapi kerana kepentingan nama-Ku yang suci, yang telah kamu cemarkan di setiap negeri kamu pergi. Apabila Aku menunjukkan kesucian nama-Ku yang mulia kepada bangsa-bangsa - nama yang telah kamu cemarkan antara mereka - barulah bangsa-bangsa akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Aku akan menggunakan kamu untuk menunjukkan kesucian-Ku kepada mereka. Aku akan mengumpulkan kamu dari setiap negeri dan daripada setiap bangsa lalu membawa kamu pulang ke negeri kamu sendiri. Aku akan memercikkan air bersih pada kamu, dan membersihkan kamu daripada segala berhala kamu dan segala sesuatu yang telah menajiskan kamu. Aku akan memberi kamu hati dan fikiran yang baru. Aku akan menggantikan hati kamu yang keras dengan hati yang taat. Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke dalam hati kamu agar kamu menurut hukum-Ku dan melaksanakan semua perintah yang telah Kuberikan kepada kamu. Lalu kamu akan tinggal di negeri yang Kuberikan kepada nenek moyang kamu. Kamu akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Allah kamu. Aku akan membebaskan kamu daripada segala yang menajiskan kamu. Aku akan memerintah gandum supaya tumbuh dengan subur sehingga kamu tidak mengalami kebuluran lagi. Aku akan menambah hasil pokok-pokok buah dan hasil ladang kamu, agar tidak ada kebuluran lagi yang memalukan kamu antara bangsa-bangsa. Kamu akan teringat kepada kelakuan jahat dan kesalahan yang kamu lakukan, lalu kamu akan berasa jijik terhadap diri sendiri kerana dosa dan kekejian kamu itu. Ketahuilah hai Israel, Aku tidak melakukan semua itu untuk kepentingan kamu. Sebaliknya Aku hendak kamu berasa malu dan hina kerana perbuatan kamu itu. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.” TUHAN Raja berfirman, “Setelah Aku membersihkan kamu daripada segala dosa kamu, Aku akan membenarkan kamu tinggal lagi di kota-kota kamu, dan membina semula runtuhannya. Setiap orang yang telah lalu di ladang-ladang kamu nampak betapa tandusnya tanah itu, tetapi Aku akan membiarkan kamu mengusahakan tanah itu semula. Lalu setiap orang akan berkata bahawa tanah yang dahulu tandus sudah menjadi seperti Taman Eden, dan kota-kota yang telah dirobohkan, dijarah, dan dibiarkan runtuh, sekarang menjadi kota berkubu dan didiami orang. Barulah bangsa-bangsa jiran yang masih terselamat akan tahu bahawa Aku, TUHAN membina semula kota-kota yang telah runtuh dan mengusahakan semula tanah yang tandus. Aku, TUHAN, telah berjanji akan melakukan perkara itu dan Aku pasti akan melakukannya.” TUHAN Raja berfirman, “Sekali lagi Aku akan membenarkan umat Israel meminta pertolongan-Ku, dan Aku akan menambah bilangan mereka seperti sekawanan domba. Kota-kota yang sekarang runtuh akan penuh dengan orang, seperti dahulunya Yerusalem penuh dengan domba yang dipersembahkan pada hari perayaan. Barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.” Aku merasakan kuasa TUHAN, dan Roh-Nya membawa aku ke sebuah lembah yang penuh dengan tulang. TUHAN membawa aku berkeliling lembah itu, dan aku nampak tulang-tulang bertaburan yang sungguh banyak dan sangat kering. Dia berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, dapatkah tulang-tulang ini hidup semula?” Aku menjawab, “Ya TUHAN Raja, hanya Engkau yang tahu akan jawapannya!” Dia berfirman, “Bernubuatlah kepada tulang-tulang itu. Suruhlah tulang-tulang itu mendengar firman TUHAN. Beritahulah tulang-tulang itu bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman kepada tulang kering itu, ‘Aku akan menghembuskan nafas ke dalam kamu supaya kamu hidup semula. Aku akan memberi kamu urat dan otot, serta menyalut kamu dengan kulit. Aku akan memberi kamu nafas supaya kamu hidup semula. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ” Maka aku, Yehezkiel, bernubuat sebagaimana aku disuruh. Sedang aku bernubuat, aku mendengar bunyi berderak-derik, lalu tulang-tulang itu mula bersambung antara satu sama lain. Sedang aku memperhatikannya, tulang-tulang itu mula berurat dan berotot, lalu diliputi kulit, tetapi tubuh-tubuh itu belum bernafas. Allah berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, bernubuatlah kepada angin. Katakanlah bahawa TUHAN Raja memerintah angin supaya datang dari setiap arah untuk menghembuskan nafas ke dalam tubuh-tubuh ini sehingga hidup semula.” Aku pun bernubuat sebagaimana aku disuruh. Lalu angin menghembuskan nafas ke dalam tubuh-tubuh itu sehingga tubuh-tubuh itu hidup dan berdiri. Bilangan mereka sangat banyak, cukup untuk membentuk satu pasukan tentera yang besar. Allah berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, umat Israel sama seperti tulang-tulang itu. Mereka berkata bahawa mereka kering, tanpa harapan dan tanpa masa depan. Oleh itu bernubuatlah kepada umat-Ku, Israel, dan beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja akan membuka kubur mereka. Aku akan mengeluarkan mereka dari situ dan membawa mereka pulang ke negeri Israel. Apabila Aku melakukan semua hal itu, mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku akan menghembuskan nafas-Ku ke dalam mereka untuk menghidupkan mereka semula. Lalu Aku akan membenarkan mereka tinggal lagi di negeri mereka sendiri. Barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku telah berjanji akan melakukan perkara itu dan Aku pasti melakukannya. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman kepadaku lagi, “Hai manusia fana, ambillah sebatang kayu dan tuliskan, ‘Kerajaan Yehuda.’ Kemudian ambillah sebatang kayu lagi dan tuliskan, ‘Kerajaan Israel.’ Lalu peganglah kedua-dua batang kayu itu supaya hujungnya bersambung dan menyerupai sebatang kayu. Apabila bangsamu bertanyakan maknanya, beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja, akan mengambil kayu yang melambangkan Israel dan menyambungkannya dengan kayu yang melambangkan Yehuda. Aku akan memegang kedua-dua batang kayu itu supaya menjadi satu batang dalam tangan-Ku. Peganglah kedua-dua batang kayu itu dan biarlah bangsa itu melihatnya. Lalu beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja akan mengumpulkan semua umat-Ku dari negeri-negeri tempat mereka telah pergi. Aku akan membawa mereka pulang ke negeri mereka sendiri. Aku akan menjadikan mereka satu bangsa di tanah itu, di pergunungan Israel. Mereka akan diperintah oleh seorang raja dan tidak akan terpecah kepada dua bangsa atau dua kerajaan lagi. Mereka tidak akan menajiskan diri mereka lagi dengan menyembah berhala yang menjijikkan atau menodai diri dengan berbuat dosa. Aku akan membebaskan mereka daripada segala yang menyebabkan mereka berdosa dan mengkhianati Aku. Aku akan menyucikan mereka; mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku akan menjadi Allah mereka. Seorang raja seperti Daud, hamba-Ku, akan menjadi raja mereka. Mereka akan disatukan di bawah seorang penguasa dan mereka akan mentaati hukum-Ku dengan setia. Mereka akan tinggal di negeri yang Kuberikan kepada Yakub, hamba-Ku, di negeri tempat kediaman nenek moyang mereka. Mereka serta keturunan mereka akan tinggal di sana selama-lamanya. Seorang raja seperti Daud, hamba-Ku, akan memerintah mereka selama-lamanya. Aku akan membuat perjanjian dengan mereka, dan perjanjian itu akan menjamin keselamatan mereka selama-lamanya. Aku akan memberkati mereka dan menambah bilangan mereka. Aku akan membina Rumah-Ku, yang akan tetap di negeri mereka selama-lamanya. Aku akan tinggal bersama-sama mereka. Aku akan menjadi Allah mereka, dan mereka menjadi umat-Ku. Apabila Aku menempatkan Rumah-Ku di tengah-tengah mereka untuk selama-lamanya, barulah bangsa-bangsa akan tahu bahawa Aku, TUHAN, telah memilih Israel sebagai umat-Ku sendiri.” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, kecamlah Gog, penguasa utama negeri-negeri Mesekh dan Tubal di tanah Magog. Kecamlah dia dan beritahulah dia bahawa Aku, TUHAN Raja, ialah musuhnya. Aku akan menjadikan dia tidak berdaya, memasang kait pada rahangnya, dan menyeretnya bersama-sama semua pasukannya. Pasukan berkudanya yang berpakaian seragam itu sangat banyak bilangannya. Tiap-tiap askar mempunyai perisai dan pedang. Tenteranya terdiri daripada askar dari Persia, Etiopia, dan Libia, dan masing-masing mempunyai perisai dan topi besi. Semua pejuang dari negeri-negeri Gomer dan Bet-Togarma di utara pun termasuk tenteranya. Askar-askar dari banyak bangsa lain ikut juga. Suruhlah Gog bersiap, dan hendaklah semua pasukannya pun bersiap melaksanakan perintahnya. Selepas bertahun-tahun, Aku akan memerintah dia menyerang Israel, negeri yang sudah dibangun semula setelah musnah kerana perang. Negeri itu telah lama dibiarkan menjadi tandus dan lengang, kemudian orang Israel kembali dari negeri-negeri asing ke pergunungan negeri mereka. Sekarang mereka semua hidup dengan aman. Gog dan tenteranya, serta banyak bangsa yang mengiringinya akan menyerang seperti badai dan meliputi seluruh negeri itu seperti awan.” TUHAN Raja berfirman kepada Gog, “Pada masa itu, engkau akan membuat rancangan jahat. Engkau bertekad untuk menyerang satu negeri yang tidak mempunyai pertahanan, negeri yang penduduknya hidup dengan aman dan tenteram di kota-kota yang tidak bertembok dan tidak mempunyai alat-alat pertahanan. Engkau akan merompak dan menjarah harta penduduk kota-kota yang runtuh pada waktu dahulu. Mereka telah dikumpulkan dari negeri-negeri lain dan sekarang mereka mempunyai banyak harta dan ternak. Mereka tinggal di pusat dunia. Orang Syeba, orang Dedan, dan pedagang-pedagang dari kota-kota Sepanyol akan bertanya kepadamu, ‘Adakah engkau mengumpulkan tenteramu dan melancarkan serangan untuk menjarah serta merompak? Adakah engkau berniat untuk melarikan segala perak dan emas, ternak dan harta benda itu?’ ” Maka TUHAN Raja mengutus aku untuk memberitahu Gog tentang firman-Nya, “Sekarang, sedang Israel, umat-Ku hidup dengan aman, engkau akan berangkat dari tempatmu yang jauh di utara. Engkau akan membawa pasukan berkuda yang besar dan kuat dari negeri-negeri lain, dan menyerang Israel, umat-Ku, seperti badai melanda bumi. Pada masa itu, Aku akan mengutus engkau untuk menyerang negeri-Ku. Dengan tindakan-Ku melalui engkau, bangsa-bangsa akan tahu bahawa Aku suci. Engkaulah yang Aku sebut dahulu, ketika Aku berfirman melalui nabi-nabi-Ku di Israel, bahawa pada masa depan Aku akan mengutus seorang untuk menyerang Israel.” TUHAN Raja telah berfirman. TUHAN Raja berfirman, “Pada hari Gog menyerang Israel, Aku akan menjadi berang. Dengan sangat murka Aku menyatakan bahawa pada hari itu gempa bumi yang kuat akan berlaku di negeri Israel. Semua ikan dan burung, semua binatang besar dan kecil, dan semua orang di atas bumi ini akan gementar kerana takut akan Aku. Gunung akan runtuh, tebing akan longsor, dan semua tembok akan roboh. Aku akan menakutkan Gog dengan segala macam bencana. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Anak buahnya akan menyerang satu sama lain dengan pedang. Lalu Aku akan menghukum dia dengan wabak dan pertumpahan darah. Hujan lebat, hujan batu, api, dan belerang akan menimpa dia dan tenteranya, serta bangsa-bangsa yang memihaknya. Dengan cara itu Aku akan menunjukkan kebesaran dan kesucian-Ku kepada semua bangsa. Barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.” TUHAN Raja berfirman, “Hai manusia fana, kecamlah Gog, penguasa utama negeri-negeri Mesekh dan Tubal, dan beritahulah dia bahawa Aku musuhnya. Aku akan memusingkan dia, dan membawa dia keluar dari tempat jauh di utara sehingga dia sampai ke pergunungan Israel. Kemudian Aku akan memukul busurnya sehingga terlepas dari tangan kirinya, dan menjatuhkan anak panah dari tangan kanannya. Gog dan tenteranya, serta tentera sekutunya akan gugur di pergunungan Israel. Aku akan membiarkan mayat mereka dimakan burung dan binatang liar. Mereka akan jatuh dan mati di padang. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman. Aku akan menyalakan api di negeri Magog, dan di sepanjang pantai tempat orang hidup dengan aman. Lalu semua orang akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku akan memastikan Israel, umat-Ku, kenal akan nama-Ku yang suci, dan Aku tidak akan membiarkan nama-Ku dicemarkan lagi. Barulah bangsa-bangsa tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah Israel, Allah yang suci.” TUHAN Raja berfirman, “Hari yang Aku sebut itu pasti akan tiba. Penduduk kota-kota di Israel akan keluar dan mengumpulkan senjata yang telah ditinggalkan, iaitu perisai, busur, anak panah, tombak, dan belantan. Mereka akan menggunakan semua itu sebagai bahan api, dan semuanya cukup untuk tujuh tahun. Oleh itu mereka tidak usah mengumpulkan kayu api di ladang ataupun menebang pokok di hutan, kerana mereka mempunyai cukup bahan api daripada senjata yang ditinggalkan itu. Mereka akan menjarah dan merampas harta orang yang dahulu menjarah serta merampas harta mereka.” TUHAN Raja telah berfirman. TUHAN berfirman, “Apabila segala perkara itu berlaku kelak, Aku akan memberi Gog satu tempat di Israel bagi penguburannya, iaitu di Lembah Penyeberangan di sebelah timur Laut Mati. Gog dan semua tenteranya akan dikuburkan di sana, dan lembah itu akan disebut ‘Lembah Tentera Gog.’ Umat Israel akan memerlukan masa tujuh bulan untuk menguburkan semua mayat itu supaya negeri itu tidak najis lagi. Tiap-tiap orang di negeri itu akan menolong menguburkan mayat, dan mereka akan diberikan penghormatan pada hari kemenangan-Ku. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Selepas tujuh bulan itu, beberapa orang akan dipilih untuk menjelajah negeri itu dan mencari serta menguburkan mayat-mayat yang masih terbiar, supaya negeri itu tidak najis lagi. Dalam perjalanan itu, setiap kali mereka menemui tulang manusia, mereka akan membuat sebuah tanda di sebelah tulang itu, supaya penggali kubur dapat menguburkan tulang itu di Lembah Tentera Gog. (Tidak jauh dari sana akan ada sebuah kota yang mempunyai nama yang sama dengan nama tentera itu.) Dengan demikian negeri itu akan dibersihkan daripada yang najis.” TUHAN Raja berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, panggillah semua burung dan binatang dari segala tempat untuk makan korban yang Aku sediakan. Aku akan mengadakan pesta besar di pergunungan Israel. Di sana burung dan binatang itu akan dapat makan daging dan minum darah. Haiwan itu harus makan mayat askar-askar dan minum darah penguasa-penguasa dunia, yang akan dibunuh seperti domba jantan atau anak domba atau kambing jantan atau lembu jantan yang gemuk. Apabila Aku membunuh semua orang itu seperti korban, burung dan binatang harus makan semua lemak sampai kenyang, dan minum darah sampai mabuk. Pada meja-Ku burung dan binatang itu akan mengenyangkan perut dengan memakan kuda serta penunggang kuda, askar dan pejuang. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.” TUHAN berfirman, “Aku akan menunjukkan kemuliaan-Ku kepada bangsa-bangsa, dan mereka akan melihat Aku menggunakan kuasa-Ku untuk melaksanakan keputusan-Ku yang adil. Mulai saat itu Israel akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka. Bangsa-bangsa akan tahu bahawa umat Israel dibuang kerana dosa mereka terhadap Aku. Aku meninggalkan mereka, dan membiarkan mereka dikalahkan oleh musuh dan dibunuh dalam peperangan. Aku membalas mereka setimpal dengan kenajisan dan kejahatan mereka, dan Aku meninggalkan mereka.” TUHAN Raja berfirman, “Tetapi sekarang Aku akan mengasihani keturunan Yakub, umat Israel, dan menjadikan mereka makmur semula. Aku akan membela nama-Ku yang suci. Apabila mereka tinggal lagi di negeri mereka sendiri dengan aman, dan tidak seorang pun yang mengancam mereka, maka mereka akan melupakan hinaan terhadap mereka kerana mengkhianati Aku. Sebagai bukti kepada bangsa-bangsa bahawa Aku suci, Aku akan membawa umat-Ku pulang dari negeri-negeri musuh mereka. Barulah umat-Ku tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka. Mereka akan tahu hal itu kerana Aku telah membiarkan mereka dibuang ke negeri orang, tetapi Aku juga mengumpulkan mereka dan membawa mereka pulang ke negeri mereka sendiri, tanpa meninggalkan seorang pun di negeri pembuangan. Aku akan mencurahkan Roh-Ku kepada umat Israel, dan Aku tidak akan meninggalkan mereka lagi. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.” Pada hari kesepuluh, bulan pertama dalam tahun kedua puluh lima masa kami dalam buangan, dan tahun keempat belas selepas Yerusalem ditakluki, aku merasakan kuasa TUHAN, lalu Dia membawa aku pergi. Dalam satu penglihatan, Allah membawa aku ke negeri Israel dan menempatkan aku di atas sebuah gunung yang tinggi. Di hadapanku, kelihatan bangunan-bangunan yang menyerupai sebuah kota. Dia membawa aku ke situ lalu aku nampak seorang lelaki yang bersinar seperti gangsa, berdiri di pintu gerbang. Orang itu sedang memegang tali pengukur daripada linen dan juga sebatang kayu pengukur. Lelaki itu berkata kepadaku, “Hai manusia fana, dengarlah baik-baik dan perhatikanlah segala sesuatu yang aku tunjukkan kepadamu, kerana untuk maksud itulah engkau telah dibawa ke sini. Hendaklah engkau memberitahu umat Israel segala yang engkau lihat.” Aku nampak Rumah TUHAN yang dikelilingi tembok. Lelaki itu menggunakan kayu pengukur yang panjangnya 3 meter, lalu mengukur tembok itu. Tinggi tembok itu 3 meter, dan tebalnya pun 3 meter. Selepas itu dia pergi ke pintu gerbang yang menghadap ke timur. Dia menaiki tangga pintu gerbang, dan di atas tangga itu dia mengukur ambang pintu; lebarnya 3 meter. Di belakang pintu gerbang itu ada sebuah lorong dan tiga buah bilik pengawal pada tiap-tiap sisinya. Tiap-tiap bilik berbentuk empat persegi, setiap sisi berukuran 3 meter, dan tembok pemisah bilik setebal 2.5 meter. Selepas bilik-bilik pengawal itu, lorong memanjang 3 meter lagi dan menuju ke ruangan depan yang menghadap Rumah TUHAN. [8-9] Lelaki itu mengukur ruangan tersebut dan ternyata lebarnya 4 meter. Itulah bahagian pintu gerbang yang terdekat dengan Rumah TUHAN, dan tembok di bahagian itu setebal 1 meter. *** Ukuran bilik-bilik pengawal di sisi lorong itu semuanya sama, dan tebal tembok bilik pun sama. Kemudian lelaki itu mengukur lorong di pintu gerbang. Lebar lorong itu 6.5 meter, dan lebar pintu gerbang itu 5 meter. Di hadapan tiap-tiap bilik pengawal itu ada tembok yang rendah; tingginya 0.5 meter, dan tebalnya 0.5 meter juga. Semua bilik itu 3 meter persegi. Lalu lelaki itu mengukur jarak dari tembok belakang sebuah bilik sampai ke tembok belakang bilik yang di seberangnya; jaraknya 12.5 meter. Ruangan depan di hujung sekali menghadap ke halaman luar Rumah TUHAN. Dia mengukur ruangan depan itu; lebarnya 10 meter. Jarak dari tembok pintu gerbang di sebelah luar sampai ke tembok ruangan depan di bahagian yang menghadap ke Rumah TUHAN ialah 25 meter. Pada tembok sebelah luar dan tembok pemisah semua bilik itu terdapat tingkap-tingkap yang kecil. Pada tembok sebelah dalam yang menghadap ke lorong itu terdapat ukiran pokok palma. Lelaki itu membawa aku melalui pintu gerbang ke halaman luar Rumah TUHAN. Pada sisi tembok luar di sekeliling Rumah TUHAN itu dibina tiga puluh buah bilik. Di hadapan bilik-bilik itu terdapat kawasan berturap batu, yang mengelilingi halaman itu. Halaman luar ini letaknya lebih rendah daripada halaman dalam. Di situ ada sebuah pintu gerbang yang letaknya lebih tinggi dan yang menghadap ke halaman dalam. Lelaki itu mengukur jarak di antara dua buah pintu gerbang itu; jaraknya 50 meter. Kemudian lelaki itu mengukur pintu gerbang di sebelah utara yang menghadap ke halaman luar. Tiga buah bilik pengawal yang terletak di sisi lorong pintu gerbang itu, tembok pemisah bilik, dan ruangan depan itu, semuanya sama ukuran dengan yang terdapat di pintu gerbang timur. Seluruh lorong pintu gerbang itu panjangnya 25 meter dan lebarnya 12.5 meter. Ruangan depan, tingkap-tingkap, dan ukiran pokok palma sama dengan yang terdapat pada pintu gerbang timur. Tujuh anak tangga menuju ke pintu gerbang utara itu dan di hujungnya terdapat ruangan depan yang menghadap ke halaman luar Rumah TUHAN. Berhadapan dengan pintu gerbang utara, ada sebuah pintu gerbang lain yang menuju ke halaman dalam, seperti yang terdapat di sebelah timur. Lelaki itu mengukur jarak di antara dua buah pintu gerbang itu; jaraknya 50 meter. Selanjutnya, lelaki itu membawa aku ke sebelah selatan. Di situ kami nampak sebuah pintu gerbang lagi. Dia mengukur tembok dan ruangan depan di situ, semuanya sama ukuran dengan yang terdapat di pintu gerbang lain. Bilik-bilik di situ mempunyai tingkap-tingkap yang sama dengan yang terdapat di pintu gerbang lain. Panjang lorong pintu gerbang itu 25 meter, dan lebarnya 12.5 meter. Tujuh anak tangga menuju ke pintu gerbang selatan itu dan terdapat juga ruangan depan di hujungnya yang menghadap ke halaman luar Rumah TUHAN. Pada tembok di bahagian dalam yang menghadap lorong itu terdapat ukiran pokok palma. Di situ juga terdapat sebuah pintu gerbang yang menuju ke halaman dalam. Lelaki itu mengukur jarak di antara dua buah pintu gerbang itu; jaraknya 50 meter. Selepas itu, lelaki itu membawa aku masuk ke halaman dalam melalui pintu gerbang selatan. Dia mengukur pintu gerbang itu, dan ukurannya sama dengan ukuran pintu-pintu gerbang di sebelah luar. [29-30] Bilik-bilik pengawal, ruangan depan, dan tembok-tembok sebelah dalam, sama ukurannya dengan yang terdapat di pintu gerbang lain. Bilik-bilik di pintu gerbang ini juga mempunyai tingkap-tingkap. Panjang lorong pintu gerbang itu 25 meter, dan lebarnya 12.5 meter. *** Ruangan depannya menghadap ke halaman luar, dan ukiran pokok palma terdapat pada tembok-tembok yang menghadap ke lorong. Lapan anak tangga menuju ke pintu gerbang itu. Kemudian lelaki itu membawa aku masuk ke halaman dalam melalui pintu gerbang timur. Dia mengukur pintu gerbang itu, dan ukurannya sama dengan ukuran pintu-pintu gerbang lain. Bilik-bilik pengawal, ruangan depan dan tembok-tembok dalam, sama ukurannya dengan yang ada di pintu gerbang lain. Di bilik-bilik pengawal dan ruangan depan itu terdapat tingkap-tingkap. Panjangnya lorong pintu gerbang itu 25 meter, dan lebarnya 12.5 meter. Ruangan depannya menghadap ke halaman luar. Ukiran pokok palma terdapat pada tembok yang menghadap ke lorong. Lapan anak tangga menuju ke pintu gerbang itu. Akhirnya lelaki itu membawa aku ke pintu gerbang utara. Dia mengukur pintu gerbang itu dan ukurannya sama dengan pintu-pintu gerbang lain. Seperti yang lain-lain, pintu gerbang ini juga mempunyai bilik-bilik pengawal, tembok-tembok sebelah dalam, ruangan depan, dan tingkap-tingkap. Panjang lorong pintu gerbang itu 25 meter, dan lebarnya 12.5 meter. Ruangan depan di situ menghadap ke halaman luar, dan ukiran pokok palma terdapat pada tembok yang menghadap ke lorong. Lapan anak tangga menuju ke pintu gerbang itu. Di halaman luar terdapat sebuah bilik tambahan di bahagian dalam pintu gerbang utara. Bilik tambahan itu ada sebuah pintu yang menuju ke ruangan depan yang menghadap halaman luar. Di situlah orang mencuci binatang yang telah disembelih sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Di ruangan depan itu ada empat buah meja, dua di sebelah kanan dan dua di sebelah kiri. Di atas meja-meja itu orang menyembelih binatang yang akan dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, atau korban untuk mengampunkan dosa, atau korban untuk membayar ganti rugi. Di luar ruangan depan itu ada lagi empat buah meja yang sama, dua di sebelah kanan dan dua di sebelah kiri pintu gerbang utara. Semuanya ada lapan buah meja yang digunakan untuk menyembelih binatang yang dipersembahkan sebagai korban: empat di dalam bilik dan empat lagi di halaman luar. Empat buah meja di dalam bilik itu, yang digunakan bagi menyediakan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dibuat daripada batu yang dipahat. Tingginya 50 sentimeter, dan bahagian atasnya 75 sentimeter persegi. Semua alat yang digunakan untuk menyembelih korban diletakkan di atas meja-meja itu. Tepi meja-meja itu mempunyai pinggiran selebar 75 milimeter. Semua daging yang akan dipersembahkan diletak di atas meja-meja itu. Kemudian lelaki itu membawa aku ke halaman dalam. Di situ ada dua buah bilik, sebuah di sisi pintu gerbang utara dan menghadap ke selatan, dan sebuah lagi di sisi pintu gerbang selatan dan menghadap ke utara. Dia memberitahu aku bahawa bilik yang menghadap ke selatan disediakan bagi para imam yang bertugas di Rumah TUHAN, dan bilik yang menghadap ke utara disediakan bagi para imam yang bertugas di mazbah. Semua imam itu keturunan Zadok. Mereka daripada suku Lewi dan hanya mereka yang dibenarkan menghadap TUHAN untuk melayani Dia. Lelaki itu mengukur halaman dalam dan ukurannya 50 meter persegi. Rumah TUHAN terletak di sebelah barat, dan di depannya ada sebuah mazbah. Lalu dia membawa aku ke ruangan depan Rumah TUHAN. Dia mengukur pintu masuk; luasnya 2.5 meter dan lebarnya 7 meter. Tembok di kiri dan kanannya setebal 1.5 meter. Ruangan depan itu panjangnya 10 meter dan lebarnya 6 meter. Orang dapat masuk ke situ dengan mendaki beberapa anak tangga. Di pintu masuk ada dua batang tiang, sebatang di sebelah kanan dan sebatang di sebelah kiri. Selanjutnya, lelaki itu membawa aku ke bilik utama, iaitu Bilik Suci. Dia mengukur lorong yang menuju ke situ: panjangnya 3 meter dan lebarnya 5 meter. Tembok di kiri dan kanannya setebal 2.5 meter. Kemudian dia mengukur Bilik Suci itu; panjangnya 20 meter dan lebarnya 10 meter. Lalu dia masuk ke bilik yang paling dalam. Dia mengukur lorong yang menuju ke situ: panjangnya 1 meter dan lebarnya 3 meter. Tembok di kiri dan kanannya setebal 3.5 meter. Dia mengukur bilik itu juga; ukurannya 10 meter persegi. Selepas itu dia berkata kepadaku, “Inilah Bilik Maha Suci.” Lelaki itu mengukur tembok sebelah dalam Rumah TUHAN; tebalnya 3 meter. Pada tembok di sekeliling Rumah TUHAN terdapat bilik-bilik kecil, yang lebarnya 2 meter. Bilik-bilik itu bertingkat tiga dan pada setiap tingkat ada tiga puluh buah bilik. Tembok luar setiap tingkat lebih tipis daripada tembok tingkat di bawahnya, sehingga bilik itu dapat dibina tanpa menggabungkannya pada tembok Rumah TUHAN. Dari luar, tembok Rumah TUHAN nampaknya sama tebal dari bawah ke atas. Pada tembok luar Rumah TUHAN itu, di sebelah luar bilik-bilik itu, terdapat dua buah tangga yang besar untuk orang naik dari tingkat bawah ke tingkat dua dan tiga. [8-11] Tembok luar bilik-bilik itu tebalnya 2.5 meter. Bilik-bilik di sebelah utara mempunyai satu pintu masuk, dan bilik-bilik di sebelah selatan juga mempunyai satu pintu masuk. Aku nampak juga teres di sekeliling Rumah TUHAN: lebarnya 2.5 meter; 3 meter lebih tinggi dari tanah, dan sama tinggi dengan asas bilik-bilik pada tembok Rumah TUHAN. Di antara teres itu dengan bilik para imam terdapat ruangan terbuka yang lebarnya 10 meter, di bahagian kiri dan kanan Rumah TUHAN. *** *** *** Di hujung halaman sebelah barat Rumah TUHAN, ada sebuah bangunan yang panjangnya 45 meter dan lebarnya 35 meter. Tebal dinding bangunan itu 2.5 meter. Lelaki itu mengukur Rumah TUHAN, dan panjangnya 50 meter. Dari belakang Rumah TUHAN sampai ke belakang bangunan besar di sebelah barat itu, jaraknya 50 meter. Bahagian depan Rumah TUHAN termasuk halaman di sebelah kiri dan kanan, lebarnya 50 meter. Dia juga mengukur bangunan di sebelah barat, termasuk dinding di sebelah kiri dan kanan; panjangnya 50 meter. Ruangan depan Rumah TUHAN, Bilik Suci, dan Bilik Maha Suci dihias dengan jalur-jalur kayu pada dindingnya, dari lantai sampai ke tingkap. Tingkap-tingkap itu dapat ditutup. Seluruh dinding sebelah dalam Rumah TUHAN, dihiasi ukiran pokok palma dan kerub, sebatang pokok palma di antara dua kerub. Kerub itu mempunyai dua muka: muka manusia yang menghadap ke pokok palma di sebelah kiri, dan muka singa yang menghadap ke pokok palma di sebelah kanan. Ukiran itu terdapat pada seluruh dinding, dari lantai sampai ke bahagian atas pintu. Tiang-tiang pintu di Bilik Suci berbentuk empat persegi. Di depan pintu Bilik Maha Suci, ada sesuatu yang kelihatan seperti mazbah kayu: tingginya 1.5 meter, dan lebarnya 1 meter. Sudut, alas, dan sisi mazbah, semua dibuat daripada kayu. Lelaki itu berkata kepadaku, “Inilah meja yang terletak di hadirat TUHAN.” Di hujung lorong yang menuju ke Bilik Suci ada sebuah pintu, demikian juga di hujung lorong yang menuju ke Bilik Maha Suci. Pintu-pintu itu mempunyai dua daun pintu yang membuka di tengah. Pada pintu Bilik Suci terdapat ukiran pokok palma dan kerub, seperti yang terdapat pada dinding. Di pintu ruangan depan, di sebelah luarnya ada penutup daripada kayu. Ruangan itu juga mempunyai tingkap-tingkap, dan dindingnya dihiasi ukiran pokok palma. Kemudian lelaki itu membawa aku ke halaman luar, lalu menuntun aku ke sebuah bangunan di sebelah utara Rumah TUHAN, tidak jauh dari bangunan yang terletak di sebelah barat Rumah TUHAN. Panjang bangunan itu 50 meter dan lebarnya 25 meter. Satu sisi bangunan itu menghadap ke ruang yang terbuka, yang lebarnya 10 meter, di sisi Rumah TUHAN. Sisi lain bangunan itu menghadap ke kawasan berturap batu di halaman luar. Bangunan itu bertingkat tiga; setiap tingkat dibina lebih ke dalam daripada tingkat yang di bawahnya. Di sebelah utara bangunan itu ada sebuah lorong; lebarnya 5 meter dan panjangnya 50 meter. Pintu-pintu bangunan itu menghadap ke sebelah utara. Bilik-bilik di tingkat atas lebih kecil daripada yang di tingkat tengah dan tingkat bawah, kerana lorong-lorongnya lebih lebar daripada yang ada di bawahnya. Bilik-bilik itu bertingkat tiga dan tidak ditunjang oleh tiang seperti bangunan lain di halaman itu. [7-8] Separuh daripada tingkat bawah, sepanjang 25 meter merupakan tembok sahaja, sedangkan pada bahagian separuh lagi, juga sepanjang 25 meter, dibina bilik-bilik. Pada tingkat yang paling atas ada bilik-bilik di sepanjang bangunan itu. *** [9-10] Di bawah bilik-bilik di hujung sebelah timur bangunan itu, iaitu pada pangkal tembok, ada pintu yang menuju ke halaman luar. Di bahagian selatan Rumah TUHAN ada sebuah bangunan yang serupa itu juga dan letaknya tidak jauh dari bangunan di sebelah barat. *** Di depan bilik-biliknya terdapat juga lorong seperti yang di sebelah utara. Ukurannya sama, rekabentuknya sama, dan pintu-pintu masuknya pun sama. Di bawah bilik-bilik di sebelah selatan bangunan itu, iaitu di hujung sebelah timur pada pangkal tembok, ada juga sebuah pintu. Lelaki itu berkata kepadaku, “Kedua-dua buah bangunan ini suci. Di sinilah para imam yang menghadap TUHAN makan persembahan yang paling suci. Oleh sebab bilik-bilik itu suci, para imam akan meletakkan persembahan yang paling suci di situ: korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, korban untuk mengampunkan dosa, dan korban untuk membayar ganti rugi. Apabila para imam yang di dalam Rumah TUHAN hendak keluar ke halaman luar, mereka harus meninggalkan pakaian yang suci di dalam bilik-bilik itu. Pakaian itu dipakai ketika mereka melayani TUHAN. Mereka mesti memakai pakaian lain sebelum keluar ke tempat orang ramai berkumpul.” Apabila selesai mengukur kawasan dalam Rumah TUHAN, lelaki itu membawa aku keluar melalui pintu gerbang timur, dan mengukur kawasan luar. Dengan kayu pengukur, dia mengukur sisi sebelah timur; panjangnya 250 meter. [17-19] Lalu dia mengukur sisi sebelah utara, selatan, dan barat; setiap sisi berukuran sama, iaitu 250 meter. *** *** Kawasan Rumah TUHAN itu empat persegi; panjangnya tembok pada tiap-tiap sisi ialah 250 meter. Tembok itu memisahkan apa yang suci daripada apa yang tidak suci. Lelaki itu membawa aku ke pintu gerbang yang menghadap ke sebelah timur. Di situ aku nampak cahaya berkilauan datang dari timur, yang menandakan hadirat Allah Israel. Suara Allah nyaring seperti deru ombak laut, dan bumi bergemerlapan kerana cahaya hadirat Allah. Penglihatan ini sama seperti yang aku nampak ketika Allah memusnahkan Yerusalem, dan seperti yang aku nampak di tebing Sungai Kebar. Lalu aku bersujud sampai ke tanah. Cahaya yang berkilauan itu bergerak melalui pintu gerbang timur dan masuk ke dalam Rumah TUHAN. Roh TUHAN mengangkat aku dan membawa aku ke halaman dalam. Di situ aku nampak Rumah TUHAN dipenuhi cahaya kemuliaan TUHAN. Lelaki itu berdiri di sisiku, lalu aku mendengar TUHAN berfirman kepadaku dari dalam Rumah TUHAN, “Hai manusia fana, inilah takhta-Ku. Aku akan tinggal di sini, di tengah-tengah umat Israel, dan Aku akan memerintah mereka selama-lamanya. Umat Israel dan raja-raja mereka tidak akan lagi mencemarkan nama-Ku yang suci dengan menyembah berhala, atau dengan menguburkan jenazah raja mereka di tempat ini. Raja-raja mereka itu telah membina ambang dan tiang pintu istana mereka di samping ambang dan tiang pintu Rumah-Ku, sehingga hanya satu tembok memisahkan mereka daripada Aku. Mereka mencemarkan nama-Ku yang suci dengan segala perbuatan mereka yang menjijikkan. Oleh itu Aku membinasakan mereka kerana Aku sangat murka. Sekarang mereka mesti berhenti menyembah berhala dan memindahkan jenazah raja-raja mereka. Jika mereka berbuat demikian Aku akan tinggal di tengah-tengah mereka selama-lamanya.” Lalu TUHAN berfirman lagi, “Hai manusia fana, beritahulah umat Israel tentang Rumah-Ku dan suruhlah mereka meneliti rekabentuknya. Permalukan mereka kerana dosa mereka. Lalu jika mereka malu akan perbuatan mereka, jelaskanlah pelan Rumah-Ku kepada mereka: rekabentuk, pintu-pintu, bentuk, susunan bangunan, dan segala peraturan serta hukumnya. Tuliskanlah semuanya supaya mereka dapat melihat dan memperhatikan cara mengatur segala sesuatu, dan mentaati semua peraturannya. Inilah hukum utama tentang Rumah TUHAN: Seluruh kawasan di sekelilingnya di puncak gunung itu sangat suci.” Inilah ukuran mazbah menurut ukuran yang digunakan untuk mengukur Rumah TUHAN. Di sekeliling bahagian bawah mazbah itu ada sebuah parit yang dalamnya 50 sentimeter dan lebarnya 50 sentimeter juga, dengan pinggiran di tepi luarnya setinggi 25 sentimeter. Dari parit ke jalur mazbah yang paling bawah, tingginya 1 meter. Bahagian tengah mazbah itu tingginya 2 meter, dan 50 sentimeter lebih sempit daripada lingkar bahagian bawah mazbah. Bahagian ketiga, iaitu puncak mazbah, juga 50 sentimeter lebih sempit daripada lingkar bahagian tengahnya. Bahagian ketiga ini tempat untuk membakar korban, dan tingginya 2 meter. Pada keempat-empat sudut mazbah ada bahagian yang menonjol seperti tanduk. Puncak mazbah itu berbentuk empat persegi, tiap-tiap sisinya berukuran 6 meter. Bahagian tengahnya juga berbentuk empat persegi, tiap-tiap sisinya berukuran 7 meter, dengan tepi yang setinggi 25 sentimeter di pinggiran luarnya. (Lebar parit itu 50 sentimeter.) Tangga mazbah itu di sisi sebelah timur. TUHAN Raja berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, dengarlah apa yang Kufirmankan kepadamu. Sesudah mazbah itu dibina, engkau harus mentahbiskannya dengan membakar korban di atasnya dan dengan memercikkan darah binatang yang dikorbankan. Hanya imam-imam keturunan Zadok daripada suku Lewi boleh datang ke hadirat-Ku untuk melayani Aku. Aku, TUHAN Raja, memerintahkan hal itu. Hendaklah engkau memberi mereka seekor anak lembu jantan supaya dipersembahkan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Hendaklah engkau mengambil sedikit darah korban itu dan membubuhkannya pada unjuran di keempat-empat sudut puncak mazbah, dan juga pada sudut-sudut bahagian tengahnya, serta di sekeliling tepi mazbah itu. Dengan cara itu engkau menyucikan dan mentahbiskan mazbah itu. Ambillah anak lembu jantan yang dipersembahkan sebagai korban untuk mengampunkan dosa, dan bakarlah korban itu di tempat yang ditentukan, iaitu di luar kawasan suci Rumah TUHAN. Esoknya, hendaklah engkau mengambil seekor kambing jantan yang tidak bercacat, lalu mempersembahkannya sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Sucikanlah mazbah itu dengan darah kambing jantan itu sebagaimana yang telah engkau lakukan dengan darah anak lembu jantan itu. Kemudian ambillah seekor anak lembu jantan dan seekor domba jantan yang tidak ada cacat, lalu bawalah kedua-duanya kepada-Ku. Imam-imam harus menaburkan garam ke atas kedua-dua binatang itu lalu mempersembahkannya sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku. Tiap-tiap hari selama tujuh hari, hendaklah engkau mempersembahkan seekor kambing, seekor lembu jantan, dan seekor domba jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Semua binatang itu tidak boleh ada cacat. Hendaklah para imam menyucikan dan menyiapkan mazbah itu selama tujuh hari. Selepas satu minggu, hendaklah imam-imam mula mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Ku dan korban untuk memohon berkat-Ku, di atas mazbah bagi umat. Barulah Aku berkenan kepada kamu semua. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.” Lelaki itu membawa aku ke pintu gerbang luar di sebelah timur kawasan Rumah TUHAN. Pintu gerbang itu tertutup. Lalu TUHAN berfirman kepadaku, “Pintu gerbang ini akan tetap tertutup dan tidak boleh dibuka. Tidak seorang pun boleh memasukinya kerana Aku, TUHAN, Allah Israel, telah melaluinya. Pintu gerbang itu hendaklah tetap tertutup. Hanya raja yang memerintah boleh masuk ke situ untuk makan makanan suci di hadirat-Ku. Dia harus masuk dan keluar melalui ruang besar di sebelah dalam.” Kemudian lelaki itu membawa aku ke depan Rumah TUHAN melalui pintu gerbang utara. Aku nampak Rumah TUHAN diliputi cahaya berkilauan yang menandakan hadirat TUHAN. Aku bersujud sampai ke tanah, lalu TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, perhatikanlah semua yang engkau lihat dan dengar. Aku akan memberitahu engkau peraturan-peraturan bagi Rumah-Ku ini. Perhatikanlah baik-baik sesiapa yang diizinkan masuk Rumah-Ku dan sesiapa yang dilarang. Beritahulah Israel, bangsa pemberontak itu, bahawa Aku, TUHAN Raja, tidak mahu lagi membiarkan mereka melakukan perbuatan jijik. Mereka telah mencemarkan Rumah-Ku dengan mengizinkan orang asing yang tidak bersunat dan tidak taat kepada-Ku, masuk ke dalam Rumah-Ku, ketika orang mempersembahkan lemak dan darah korban kepada-Ku. Dengan segala perbuatan yang menjijikkan itu, mereka telah melanggar perjanjian-Ku dengan mereka. Bukan mereka sendiri yang melakukan upacara suci dalam Rumah-Ku, melainkan orang asing yang ditugaskan mereka untuk melakukannya. Aku, TUHAN Raja mengumumkan bahawa orang asing yang tidak bersunat dan orang yang tidak taat kepada-Ku, tidak boleh masuk ke dalam Rumah-Ku. Orang asing yang tinggal antara umat Israel pun tidak boleh masuk.” TUHAN berfirman kepadaku, “Aku hendak menghukum orang Lewi yang bersama-sama umat Israel yang lain telah meninggalkan Aku dan menyembah berhala. Mereka boleh bekerja di Rumah-Ku dengan menjaga pintu gerbang dan melakukan tugas di dalam Rumah-Ku. Mereka boleh menyembelih binatang yang dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku, dan sebagai persembahan daripada umat, dan mereka wajib untuk sentiasa melayani umat. Tetapi, kerana mereka melakukan upacara penyembahan berhala untuk bangsa Israel, dan dengan perbuatan itu menyebabkan umat berdosa, maka Aku, TUHAN Raja bersumpah bahawa mereka mesti dihukum. Mereka tidak boleh melayani Aku sebagai imam, atau menghampiri apa-apa yang suci bagi-Ku, ataupun masuk ke Bilik Maha Suci. Inilah hukuman bagi perbuatan jijik yang dilakukan mereka. Sekarang Aku menugaskan mereka melakukan pekerjaan kasar yang perlu dilaksanakan di Rumah-Ku.” TUHAN Raja berfirman, “Para imam Lewi daripada keturunan Zadok, tetap setia bekerja untuk Aku apabila umat Israel meninggalkan Aku. Oleh itu, sekarang merekalah yang akan bekerja untuk Aku dan datang ke hadirat-Ku untuk mempersembahkan lemak serta darah korban. Hanya mereka yang boleh masuk ke dalam Rumah-Ku, bertugas di mazbah-Ku, dan memimpin ibadat di situ. Apabila mereka masuk ke halaman dalam melalui pintu gerbang, mereka harus memakai pakaian linen. Mereka tidak boleh memakai pakaian daripada bulu domba apabila sedang bertugas di halaman dalam atau di dalam Rumah-Ku. Agar tidak berpeluh, mereka harus memakai serban linen dan seluar linen tanpa tali pinggang. Sebelum mereka keluar ke halaman luar, ke tempat umat berkumpul, imam-imam hendaklah menanggalkan pakaian imam dan meninggalkannya di dalam bilik-bilik suci. Mereka mesti mengenakan pakaian lain supaya pakaian suci itu tidak mencelakakan umat. Para imam tidak boleh mencukur kepala sampai botak ataupun membiarkan rambut menjadi panjang. Rambut mereka harus dipotong menurut peraturan yang ditetapkan. Mereka tidak boleh minum wain apabila hendak masuk ke halaman dalam. Seseorang imam tidak boleh berkahwin dengan wanita yang sudah bercerai. Seseorang imam hanya boleh berkahwin dengan anak dara Israel, atau balu imam. Para imam akan mengajar umat-Ku membezakan apa yang suci dan apa yang tidak suci; apa yang bersih menurut agama dan apa yang najis. Apabila timbul perselisihan tentang perkara hukum, para imam harus mengadili perkara itu menurut hukum-Ku. Mereka harus menyelenggarakan perayaan-perayaan agama menurut hukum dan peraturan-Ku serta merayakan hari Sabat sebagai hari yang suci. Seorang imam tidak boleh menajiskan diri dengan menyentuh mayat, kecuali jenazah ibu bapanya atau anak-anaknya atau saudara lelakinya ataupun saudara perempuannya yang belum berkahwin. Sesudah imam itu bersih semula, dia mesti menunggu selama tujuh hari lagi, lalu masuk ke halaman dalam di Rumah-Ku, dan mempersembahkan korban untuk menyucikan diri supaya dia boleh bertugas lagi di Rumah-Ku. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman. Para imam harus menerima jawatan itu sebagai bahagian mereka daripada apa yang Kuberikan kepada Israel turun-temurun. Mereka tidak boleh memiliki apa-apa warisan di Israel; Akulah warisan mereka. Korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, korban untuk mengampunkan dosa, dan korban untuk membayar ganti rugi, akan menjadi makanan imam. Mereka harus menerima apa-apa sahaja di Israel, yang telah dipersembahkan kepada-Ku, sebagai bahagian mereka. Para imam harus diberikan bahagian terbaik daripada semua tuaian pertama, dan apa sahaja yang dipersembahkan kepada-Ku. Setiap kali orang membakar roti, mereka harus memberikan roti pertama kepada para imam; dengan demikian Aku akan memberkati keluarga mereka. Para imam tidak boleh makan burung atau binatang yang mati biasa atau yang diterkam oleh binatang lain.” Apabila tanah itu dibahagikan kepada setiap suku, sebahagian daripadanya harus diasingkan untuk TUHAN. Panjangnya tanah itu hendaklah 12.5 kilometer, dan lebarnya 10 kilometer. Seluruh kawasan itu suci. Di kawasan itu, sebidang tanah yang empat persegi harus dikhaskan untuk Rumah TUHAN. Ukuran setiap sisi tanah itu harus 250 meter dan dikelilingi lapangan selebar 25 meter. Separuh daripada kawasan itu, yang panjangnya 12.5 kilometer dan lebarnya 5 kilometer, harus dikhaskan untuk bangunan Rumah TUHAN, tempat yang paling suci. Tanah itu suci dan diberikan kepada para imam yang menyelenggarakan ibadat di Rumah TUHAN. Rumah-rumah mereka dan Rumah TUHAN hendaklah dibina di situ. Separuh lagi kawasan itu hendaklah diberikan sebagai pusaka kepada orang Lewi yang bekerja di Rumah TUHAN. Bahagian itu akan menjadi kota-kota tempat tinggal mereka. Di samping tanah yang suci itu harus lagi diasingkan sebidang tanah untuk sebuah kota yang boleh didiami sesiapa sahaja umat Israel. Panjangnya tanah itu hendaklah 12.5 kilometer, dan lebarnya 2.5 kilometer. Tanah juga harus disediakan bagi penguasa yang memerintah. Kawasan itu bermula dari sempadan barat kawasan yang suci itu sampai ke Laut Tengah dan dari sempadan timur kawasan yang suci itu sampai ke sempadan timur negeri itu. Panjangnya tanah itu sama dengan panjangnya salah satu kawasan yang ditentukan bagi suku Israel. Tanah itu akan menjadi milik penguasa yang memerintah di Israel, supaya dia tidak menindas rakyat, tetapi membiarkan tanah yang selebihnya menjadi milik suku-suku Israel. TUHAN Raja berfirman, “Hai kamu yang memerintah Israel, kamu telah berdosa terlalu lama. Hentikan penindasan dan perbuatan yang kejam. Lakukan yang benar dan adil. Jangan sekali-kali usir umat-Ku dari tanah mereka lagi. Aku, TUHAN Raja, berfirman kepada kamu. Setiap orang harus menggunakan timbangan dan sukatan yang tepat: Satu efa untuk menakar bahan kering mesti sama dengan satu bat untuk menakar bahan cair. Ukuran piawai ialah homer. Oleh itu sukatan kamu hendaklah demikian: 1 homer = 10 efa = 10 bat Timbangan kamu hendaklah demikian: 20 gera = 1 syikal 60 syikal = 1 mina [13-15] Persembahan kamu hendaklah berdasarkan ukuran yang berikut: Gandum: 1/60 daripada tuaian kamu Barli: 1/60 daripada tuaian kamu Minyak zaitun: 1/100 daripada hasil pokok kamu (Sukatlah menurut bat: 10 bat = 1 homer = 1 kor.) Domba: 1 daripada setiap 200 ekor yang di padang rumput Israel. Hendaklah kamu mempersembahkan korban untuk mengucap syukur kepada-Ku, korban untuk menyenangkan hati-Ku, dan korban untuk memohon berkat-Ku, supaya dosa kamu diampunkan. Aku, TUHAN Raja yang memberikan perintah ini. *** *** Semua penduduk negeri harus membawa persembahan itu kepada penguasa Israel. Tetapi pada perayaan-perayaan bulan baru, hari Sabat, dan hari perayaan yang lain, penguasa bertanggungjawab menyediakan binatang untuk dipersembahkan sebagai korban, dan juga korban untuk mengucap syukur kepada-Ku, serta korban wain bagi seluruh bangsa Israel. Dialah yang bertanggungjawab menyediakan korban untuk mengampunkan dosa, korban untuk mengucap syukur kepada-Ku, korban untuk menyenangkan hati-Ku, dan korban untuk memohon berkat-Ku. Maka Aku akan mengampunkan dosa umat Israel.” TUHAN Raja berfirman, “Pada hari pertama, bulan pertama, kamu harus menyucikan Rumah-Ku dengan mempersembahkan seekor lembu jantan muda yang tidak ada cacat. Lalu imam harus mengambil darah daripada korban untuk mengampunkan dosa itu, lalu menyapukannya pada tiang-tiang pintu Rumah TUHAN, keempat-empat sudut mazbah, dan tiang-tiang pintu gerbang yang menuju ke halaman dalam. Pada hari ketujuh, bulan itu, kamu harus berbuat demikian juga untuk sesiapa sahaja yang berdosa dengan tidak sengaja atau tanpa diketahuinya. Dengan demikian, kamu akan menjaga kesucian Rumah-Ku. Pada hari keempat belas, bulan pertama, kamu harus merayakan Perayaan Paska. Selama tujuh hari perayaan itu, semua orang harus makan roti yang tidak beragi. Pada hari pertama perayaan itu, penguasa yang memerintah harus mempersembahkan seekor lembu jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa bagi dirinya dan bagi semua rakyat. Setiap hari selama perayaan yang berlangsung tujuh hari itu, penguasa harus mempersembahkan tujuh ekor lembu jantan dan tujuh ekor domba jantan yang tidak ada cacat kepada TUHAN, sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Setiap hari dia juga harus mempersembahkan seekor kambing jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Bagi setiap ekor lembu jantan dan domba jantan yang dipersembahkan, hendaklah disertai 17.5 liter bijirin dan 3 liter minyak zaitun. Bagi Perayaan Pondok Daun, yang bermula pada hari kelima belas, bulan ketujuh, pada tiap-tiap hari selama tujuh hari itu, penguasa harus mempersembahkan korban yang sama, iaitu korban untuk mengampunkan dosa, korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, serta minyak zaitun.” TUHAN Raja berfirman, “Pintu gerbang timur yang menghadap ke halaman dalam harus ditutup selama enam hari kerja. Tetapi pada hari Sabat dan Perayaan Bulan Baru, pintu gerbang itu harus dibuka. Penguasa akan masuk dari halaman luar ke ruang besar dan berdiri di sebelah tiang pintu gerbang itu. Sementara itu imam-imam akan mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN, iaitu korban-korban yang diberikan oleh penguasa. Penguasa harus sujud dan menyembah TUHAN di ambang pintu gerbang itu, lalu keluar semula. Pintu gerbang itu tidak boleh ditutup hingga malam. Pada tiap-tiap hari Sabat dan Perayaan Bulan Baru, semua rakyat juga mesti sujud dan menyembah TUHAN di hadapan ambang pintu gerbang itu. Pada hari Sabat, penguasa harus mempersembahkan korban kepada TUHAN, iaitu korban untuk menyenangkan hati TUHAN yang terdiri daripada enam ekor anak domba dan seekor domba jantan. Semuanya tidak boleh ada cacat. Bagi setiap ekor domba jantan, penguasa harus mempersembahkan 17.5 liter bijirin; dan bagi setiap ekor domba, dia harus mempersembahkan bijirin sebanyak yang diingininya. Setiap 17.5 liter bijirin harus disertai 3 liter minyak zaitun. Pada Perayaan Bulan Baru, dia harus mempersembahkan seekor anak lembu jantan, enam ekor anak domba, dan seekor domba jantan. Semuanya tidak boleh ada cacat. Bagi setiap ekor lembu jantan dan setiap ekor domba jantan, dia harus mempersembahkan 17.5 liter bijirin; dan bagi setiap ekor anak domba, dia harus mempersembahkan bijirin sebanyak yang diingininya. Setiap 17.5 liter bijirin harus disertai 3 liter minyak zaitun. Penguasa mesti masuk melalui ruang besar itu dan keluar melalui jalan yang sama. Apabila penduduk kota datang untuk beribadat kepada TUHAN pada hari perayaan, mereka yang masuk melalui pintu gerbang utara, harus keluar melalui pintu gerbang selatan. Mereka yang masuk melalui pintu gerbang selatan, harus keluar melalui pintu gerbang utara. Tidak sesiapa pun boleh keluar melalui pintu yang dimasukinya, tetapi dia mesti keluar melalui pintu yang di seberangnya. Penguasa harus masuk ke Rumah TUHAN bersama-sama rakyat, dan keluar bersama-sama rakyat. Pada hari-hari pesta dan perayaan, bijirin sebanyak 17.5 liter harus dipersembahkan bersama dengan setiap lembu jantan atau domba jantan. Orang yang beribadat boleh mempersembahkan bijirin sebanyak yang diingininya bersama dengan setiap ekor anak domba. Setiap 17.5 liter bijirin harus disertai 3 liter minyak zaitun. Jika penguasa ingin memberikan persembahan sukarela kepada TUHAN, baik korban untuk menyenangkan hati TUHAN, ataupun korban untuk memohon berkat TUHAN, pintu gerbang timur yang menuju ke halaman dalam harus dibuka baginya. Dia harus mempersembahkan korban itu dengan cara yang sama seperti yang dilakukannya pada hari Sabat, dan pintu gerbang harus ditutup semula selepas dia keluar.” TUHAN berfirman, “Setiap hari pada waktu pagi, seekor anak domba yang berusia satu tahun dan tidak ada cacat harus dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Pada setiap pagi harus dipersembahkan juga 2 kilogram bijirin dan 1 liter minyak zaitun untuk dicampur dengan bijirin itu. Peraturan ini harus ditaati selama-lamanya. Anak domba, bijirin, dan minyak zaitun itu harus dipersembahkan kepada TUHAN pada setiap pagi untuk selama-lamanya.” TUHAN Raja memberikan perintah, “Jika penguasa memberikan sebahagian tanah pusakanya kepada salah seorang anak lelakinya sebagai hadiah, tanah itu menjadi milik anak itu dan merupakan harta keluarganya. Tetapi jika penguasa memberikan sebahagian tanah pusakanya kepada seorang pegawainya, tanah itu menjadi milik penguasa lagi pada Tahun Pengembalian. Tanah itu milik penguasa, dan hanya dia dan anak-anak lelakinya tetap memiliki tanah itu. Penguasa itu tidak boleh merampas tanah pusaka rakyatnya. Tanah yang diberikannya kepada anak-anak lelakinya mesti tanahnya sendiri yang telah ditentukan baginya, supaya dia tidak menindas sesiapa pun umat-Ku dengan merampas tanah mereka.” Kemudian lelaki itu membawa aku ke pintu yang berhampiran dengan pintu gerbang, di bahagian selatan halaman dalam, ke bilik-bilik suci yang menghadap ke utara. Bilik-bilik itu untuk para imam. Lelaki itu menunjuk ke satu ruangan di sebelah barat bilik-bilik itu lalu berkata kepadaku, “Inilah tempat bagi para imam merebus daging daripada korban untuk menghapuskan dosa dan korban untuk membayar ganti rugi. Imam juga akan memanggang korban berupa bijirin di dapur-dapur ini. Dengan demikian korban-korban yang suci itu tidak dibawa ke halaman luar sehingga mencelakakan rakyat.” [21-22] Selepas itu dia membawa aku ke halaman luar, dan diperlihatkannya kepada aku bahawa di setiap sudut ada lagi halaman yang kecil: panjangnya 20 meter dan lebarnya 15 meter. *** Setiap halaman itu mempunyai tembok batu di sekelilingnya, dan pada tembok itu ada perapian. Lelaki itu berkata kepadaku, “Inilah dapur-dapur tempat pekerja-pekerja Rumah TUHAN merebus korban yang dipersembahkan oleh rakyat.” Lelaki itu membawa aku balik ke pintu masuk Rumah TUHAN. Aku nampak air mengalir dari bawah pintu ke arah timur, sebagaimana Rumah TUHAN juga menghadap ke arah timur. Air itu mengalir dari bawah ambang pintu Rumah TUHAN di bahagian selatan, melalui sisi selatan mazbah. Kemudian lelaki itu membawa aku keluar dari kawasan Rumah TUHAN melalui pintu gerbang utara, lalu memimpin aku ke pintu gerbang timur. Sungai kecil itu mengalir dari sisi selatan pintu gerbang itu. Dengan kayu pengukurnya lelaki itu mengukur 500 meter ke arah timur, mengikut arus sungai itu, dan menyuruh aku mengharunginya. Airnya sampai ke mata kakiku. Dia mengukur 500 meter lagi, dan airnya sampai ke lututku. Dia mengukur 500 meter lagi, dan airnya sampai ke pinggangku. Dia mengukur 500 meter lagi, dan di situ airnya sudah menjadi sungai dalam sehingga aku tidak dapat menyeberanginya kecuali dengan berenang. Lelaki itu berkata kepadaku, “Hai manusia fana, perhatikanlah semua ini dengan baik-baik.” Kemudian dia membawa aku ke tebing sungai. Apabila aku sampai di sana, aku nampak banyak sekali pokok di kedua-dua tebing sungai itu. Dia berkata kepadaku, “Air ini mengalir ke arah timur melalui negeri ini, lalu turun ke Lembah Sungai Yordan dan menuju ke Laut Mati. Apabila airnya sampai ke dalam Laut Mati, maka air laut yang masin itu digantikan dengan air tawar. Ke mana sahaja air itu mengalir, di situ juga akan terdapat segala jenis binatang dan ikan. Air itu akan menjadikan air di Laut Mati tawar, dan ke mana sahaja air itu mengalir, di situ akan terdapat kehidupan. Dari Mata Air En-Gedi sampai ke Mata Air En-Eglaim, akan ada banyak nelayan menjemur jala di pantainya. Di dalam air itu akan terdapat segala jenis ikan seperti yang ada di Laut Tengah. Tetapi air di rawa dan di paya di sepanjang pantai itu tidak akan menjadi tawar, melainkan tetap menjadi sumber garam. Di kedua-dua tebing sungai itu akan tumbuh berjenis-jenis pokok buah. Daun pokok-pokok itu tidak akan layu, dan pokok-pokok itu tidak akan berhenti berbuah. Setiap bulan pokok-pokok itu akan menghasilkan buah-buah yang baru, kerana pokok-pokok itu diairi oleh air yang mengalir dari Rumah TUHAN. Buah-buah itu menjadi makanan dan daun-daunnya digunakan sebagai ubat.” TUHAN Raja berfirman, “Yang berikut ialah sempadan tanah yang akan dibahagikan kepada dua belas suku Israel. Suku Yusuf harus mendapat dua bahagian. Aku telah bersumpah kepada nenek moyang kamu bahawa Aku akan memberi mereka tanah ini. Oleh itu, bahagikanlah tanah ini dengan sama rata antara kamu sendiri. Sempadan di utara bermula dari Laut Tengah, dan menuju ke arah timur sampai ke kota Hetlon, ke Genting Hamat, ke kota Zedad, ke Berota dan Sibraim (kota-kota itu terletak di antara kawasan kerajaan Damsyik dan kerajaan Hamat), dan Tikon (kota yang terletak di sempadan kerajaan Hauran). Dengan kata lain, sempadan di utara bermula dari Laut Tengah menuju ke arah timur sampai ke kota Enon; Damsyik dan Hamat terletak di sebelah utara sempadan itu. Sempadan di timur menuju ke selatan, dari suatu tempat di antara kerajaan Damsyik dan kerajaan Hauran. Sungai Yordan merupakan sempadan di antara tanah Israel di sebelah barat, dan Gilead di sebelah timur, sampai ke kota Tamar di pantai Laut Mati. Sempadan selatan menuju ke arah barat daya, dari Tamar ke mata air Kades-Meriba, lalu ke barat laut sepanjang sempadan negeri Mesir, sampai ke Laut Tengah. Sempadan barat dibentuk oleh Laut Tengah, lalu menuju ke utara sampai ke suatu tempat di sebelah barat Genting Hamat. Bahagikanlah tanah itu antara suku-suku kamu. Tanah itu milik kamu untuk selama-lamanya. Orang asing yang tinggal di kalangan kamu, yang telah melahirkan anak-anak di negeri ini juga harus menerima bahagian apabila kamu membahagikan tanah itu. Mereka mesti diperlakukan seperti warga negara Israel, dan harus membuang undi untuk mendapatkan bahagian tanah mereka bersama-sama suku Israel yang lain. Setiap orang asing yang menjadi penduduk negeri ini mesti diberikan bahagian tanah bersama-sama suku di tempat mereka tinggal. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.” [1-7] Sempadan di utara tanah itu menuju ke timur, bermula dari Laut Tengah ke kota Hetlon, ke Genting Hamat, kota Enon, sampai ke sempadan di antara kerajaan Damsyik dan kerajaan Hamat. Setiap suku ini harus menerima sebahagian tanah yang terbentang dari sempadan timur menuju ke barat sampai ke Laut Tengah, dalam urutan berikut dari utara ke selatan: Dan Asyer Naftali Manasye Efraim Ruben Yehuda *** *** *** *** *** *** Bahagian tanah yang selanjutnya harus diasingkan untuk kegunaan yang tertentu. Panjangnya harus 12.5 kilometer dari sempadan utara ke selatan. Sempadan timur dan barat harus sama panjangnya dengan bahagian-bahagian yang diberikan kepada suku-suku lain. Rumah TUHAN akan dibina di bahagian ini. Di pusat bahagian ini, sebuah kawasan seluas 12.5 kilometer panjang dan 10 kilometer lebar, dikhaskan untuk TUHAN. Para imam akan mendapat sebahagian daripada kawasan yang suci ini. Bahagian mereka seluas 12.5 kilometer dari timur ke barat, dan 5 kilometer dari utara ke selatan. Rumah TUHAN harus dibina di tengah-tengah bahagian ini. Bahagian suci ini untuk para imam keturunan Zadok. Mereka telah mengabdi kepada-Ku dengan setia dan tidak seperti orang Lewi sesuku mereka, yang turut berbuat dosa bersama-sama umat Israel yang lain. Oleh itu keturunan Zadok harus diberikan bahagian istimewa, di samping kawasan orang Lewi. Bahagian itulah yang paling suci. Orang Lewi juga akan memiliki bahagian khas di sebelah selatan tanah para imam. Luasnya juga harus 12.5 kilometer dari timur ke barat, dan 5 kilometer dari utara ke selatan. Tanah yang dikhaskan untuk TUHAN ialah tanah yang terbaik di seluruh negeri. Sejengkal pun daripada tanah itu tidak boleh dijual, ditukar ataupun dipindah ke tangan orang lain, kerana tanah itu suci dan milik TUHAN. Di bahagian selatan tanah yang dikhaskan itu, masih ada bahagian selebihnya yang panjangnya 12.5 kilometer dan lebarnya 2.5 kilometer. Bahagian ini tidak suci dan boleh digunakan oleh rakyat. Mereka boleh tinggal di situ dan menggunakan tanah itu sebagai padang rumput. Sebuah kota harus dibina di tengah-tengahnya, dan bentuknya empat persegi; setiap sisinya berukuran 2.25 kilometer. Di sekeliling kota itu harus ada tempat terbuka yang lebarnya 125 meter. Di sebelah timur dan barat kota itu, ada tanah terbuka yang luasnya 5 kilometer kali 2.5 kilometer. Kedua-dua bidang tanah itu harus digunakan oleh rakyat di kota itu untuk bercucuk tanam. Sesiapa sahaja yang tinggal di kota itu, daripada semua suku Israel, boleh menggunakan tanah itu untuk bercucuk tanam. Seluruh kawasan itu, termasuk tanah yang khusus dan tanah untuk kota, berbentuk persegi empat yang berukuran 12.5 kilometer pada setiap sisi. [21-22] Tanah di sebelah barat dan timur dari tanah yang dikhaskan untuk Rumah TUHAN, tanah para imam, tanah orang Lewi dan kota itu, ialah milik penguasa yang memerintah. Di sebelah timur, tanah itu terbentang sampai ke sempadan timur, dan di sebelah barat sampai ke Laut Tengah, dan terletak di antara tanah Yehuda di utara, dan tanah Benyamin di selatan. *** [23-27] Tanah di sebelah selatan kawasan yang dikhaskan itu, iaitu dari sempadan timur sampai ke Laut Tengah di sebelah barat, hendaklah dibahagikan kepada suku yang selebihnya menurut susunan ini dari utara ke selatan: Benyamin Simeon Isakhar Zebulon Gad *** *** *** *** Di sebelah selatan tanah Gad terdapat sempadan yang bermula dari kota Tamar ke mata air Kades-Meriba, lalu ke barat laut sepanjang sempadan negeri Mesir sampai ke Laut Tengah. TUHAN Raja berfirman, “Demikianlah tanah itu harus dibahagikan kepada suku-suku Israel untuk menjadi milik mereka.” [30-34] Kota Yerusalem mempunyai dua belas pintu gerbang. Setiap empat tembok kota itu berukuran 2.25 kilometer dan mempunyai tiga pintu gerbang, yang dinamakan menurut nama suku-suku Israel. Pintu gerbang di tembok utara diberikan nama Ruben, Yehuda, dan Lewi; yang di tembok timur diberikan nama Yusuf, Benyamin, dan Dan; yang di tembok selatan diberikan nama Simeon, Isakhar dan Zebulon; dan yang di tembok barat diberikan nama Gad, Asyer, dan Naftali. *** *** *** *** Seluruh tembok itu panjangnya 9 kilometer. Mulai sekarang kota itu dinamakan, “TUHAN Ada Di Sini!” Pada tahun ketiga pemerintahan Yoyakim sebagai raja Yehuda, Raja Nebukadnezar, raja Babilonia menyerang Yerusalem dan mengepung kota itu. Tuhan membenarkan Raja Nebukadnezar menawan Raja Yoyakim dan merampas sebahagian daripada barang-barang berharga di Rumah TUHAN. Raja Nebukadnezar membawa bersama-samanya beberapa orang tawanan dan menempatkan mereka di kuil dewa-dewanya di Babel. Baginda menyimpan barang-barang berharga itu di dalam gudang-gudang kuil. Raja Nebukadnezar memerintah Aspenas, ketua pegawai istananya, untuk memilih beberapa orang pemuda dari kalangan orang Israel yang dalam pembuangan. Para pemuda itu harus daripada keturunan raja atau berdarah bangsawan. Mereka harus kacak, berpendidikan tinggi, cerdas, dan berpengetahuan luas serta tidak cacat, supaya mereka dapat berkhidmat di istana raja. Aspenas diperintah supaya mengajar mereka membaca dan menulis bahasa Babilonia. Raja juga memberikan perintah agar setiap hari mereka diberikan makanan dan wain sama seperti yang diberikan kepada anggota keluarga diraja. Selepas latihan selama tiga tahun, mereka akan dihadapkan kepada raja. Antara mereka yang terpilih ialah Daniel, Hananya, Misael, dan Azarya, semuanya daripada suku Yehuda. Ketua pegawai istana itu memberi mereka nama-nama baru, iaitu Beltsazar, Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Daniel bertekad untuk tidak menajiskan dirinya dengan makanan dan wain yang ditetapkan oleh raja. Oleh itu dia meminta pertolongan Aspenas, dan Allah menyebabkan Aspenas mengasihani dan menyayangi Daniel. Tetapi Aspenas berkata kepada Daniel, “Aku takut kepada tuanku raja. Baginda telah menetapkan makanan dan minuman kamu. Jika kamu tidak kelihatan sihat seperti pemuda lain, raja akan membunuh aku.” Kemudian Daniel berkata kepada pengawas yang ditugaskan oleh Aspenas untuk menjaga dia dan tiga orang kawannya, “Ujilah kami selama sepuluh hari. Berilah kami sayur dan air sahaja untuk makanan dan minuman. Selepas sepuluh hari, bandingkanlah rupa kami dengan rupa pemuda lain, yang makan makanan yang ditetapkan oleh raja. Kemudian buatlah keputusan berdasarkan pengamatanmu.” Pengawas itu bersetuju dan membenarkan mereka mengadakan percubaan selama sepuluh hari. Selepas sepuluh hari, mereka kelihatan lebih sihat dan kuat daripada semua pemuda yang makan makanan yang ditetapkan oleh raja. Sejak hari itu pengawas itu membenarkan mereka terus makan sayur-sayuran, dan tidak makan makanan atau minum wain yang ditetapkan oleh raja. Allah memberi empat orang pemuda itu pengetahuan dan kepakaran dalam kesusasteraan dan falsafah. Tambahan pula, Dia memberi Daniel kebolehan untuk mentafsirkan penglihatan dan mimpi. Pada akhir tiga tahun masa latihan yang ditentukan oleh raja itu, Aspenas menghadapkan semua pemuda itu kepada Raja Nebukadnezar. Raja menemuramah mereka dan mendapati Daniel, Hananya, Misael, dan Azarya melebihi pemuda-pemuda lain dalam segala bidang. Oleh itu mereka dilantik untuk berkhidmat di istana raja. Setiap kali raja mengemukakan persoalan yang memerlukan penerangan dan pertimbangan, raja mendapati jawapan dan tanggapan keempat-empat orang pemuda itu sepuluh kali lebih baik daripada jawapan dan tanggapan semua penilik dan ahli sihir di seluruh kerajaan baginda. Daniel terus berkhidmat di istana itu sehingga Raja Kores dari Persia, mula memerintah. Pada tahun kedua pemerintahannya, Raja Nebukadnezar bermimpi. Raja sangat khuatir tentang mimpinya itu sehingga tidak dapat beradu. Oleh itu raja memanggil semua penilik, ahli sihir, bomoh, dan orang berilmu untuk mentafsirkan mimpinya itu. Ketika semua orang itu menghadap, raja bertitah kepada mereka, “Beta bermimpi, dan beta gelisah kerana beta hendak tahu erti mimpi itu.” Mereka menjawab dalam bahasa Aram: “Daulat tuanku! Ceritakanlah mimpi tuanku, dan kami akan mentafsirkannya bagi tuanku.” Raja bertitah, “Beta telah mengambil keputusan ini. Kamu harus menyatakan mimpi itu dengan tafsirannya kepada beta. Jika kamu gagal, kamu akan dipotong-potong dan rumah kamu dirobohkan dan dijadikan timbunan puing. Tetapi jika kamu berjaya memberitahu beta mimpi itu serta tafsirannya, beta akan mengurniakan hadiah yang istimewa dan kehormatan yang besar kepada kamu. Sekarang beritahukan mimpi beta itu dan tafsirannya.” Mereka menjawab lagi, “Jika tuanku menceritakan mimpi itu kepada kami, barulah kami dapat mentafsirkannya.” Raja bertitah, “Tepat sekali sangkaan beta! Kamu hanya mahu melengah-lengahkan masa, kerana kamu tahu bahawa beta telah bertekad hendak menjatuhkan hukuman yang sama kepada kamu semua jika kamu tidak dapat menceritakan mimpi itu kepada beta. Kamu berpakat untuk berdusta kerana kamu berharap bahawa beta akan mengubah keputusan beta. Ceritakanlah dahulu mimpi beta itu, barulah beta yakin bahawa kamu juga dapat mentafsirkannya.” Para penasihat raja berkata, “Tiada seorang pun di seluruh bumi ini dapat memberitahu tuanku apa yang dikehendaki tuanku. Bahkan raja yang agung dan kuat tidak pernah menuntut penilik, ahli sihir, dan orang berilmu berbuat demikian. Permintaan tuanku amat susah sehingga tiada sesiapa dapat mengabulkannya, kecuali para dewa; dan para dewa pula tidak tinggal di kalangan manusia.” Mendengar hal itu, raja naik murka dan menitahkan supaya semua penasihat raja di Babel dibunuh. Maka perintah raja pun diumumkan dan semua orang cerdik pandai, termasuk Daniel dan kawan-kawannya dicari untuk dibunuh. Maka Daniel menemui Ariokh, ketua pengawal raja. Dialah yang telah diperintahkan untuk menjalankan hukuman bunuh itu. Dengan berhati-hati, Daniel bertanya kepada Ariokh, sebabnya raja memberikan titah yang kejam itu. Ariokh pun menceritakan apa yang telah berlaku. Daniel segera memohon lebih masa daripada raja agar dia dapat mentafsirkan mimpi itu bagi raja. Kemudian Daniel pulang dan memberitahu kawan-kawannya Hananya, Misael, dan Azarya, perkara yang telah berlaku. Dia menyuruh mereka berdoa kepada Allah penguasa di syurga agar Dia mengasihani mereka dan menjelaskan rahsia mimpi itu kepada mereka, supaya mereka tidak dibunuh bersama-sama penasihat lain di Babel. Pada malam itu juga Allah menjelaskan rahsia mimpi itu kepada Daniel dalam satu penglihatan. Daniel memuji Allah penguasa di syurga dengan berkata, “Allah sungguh bijak dan berkuasa! Pujilah Dia selama-lamanya. Dialah yang menguasai musim dan masa; Dia melantik dan memecat raja; Dialah yang memberikan kebijaksanaan dan pengertian. Dia menyatakan rahsia yang amat dalam; Dia tahu akan hal yang tersembunyi dalam kegelapan, Dia diliputi oleh cahaya. Aku memuji dan menghormati Engkau, ya Allah nenek moyangku. Engkau telah memberi aku kebijaksanaan dan kekuatan; Engkau telah mengabulkan doaku, dan memberi kami jawapan bagi raja.” Kemudian Daniel pergi kepada Ariokh, orang yang ditugaskan untuk membunuh para penasihat raja. Daniel berkata kepadanya, “Janganlah bunuh para penasihat itu. Bawalah saya menghadap raja dan saya akan mentafsirkan mimpi raja.” Dengan segera, Ariokh membawa Daniel menghadap Raja Nebukadnezar. Dia berkata kepada raja, “Hamba telah menjumpai seorang Yahudi dalam buangan, yang dapat mentafsirkan mimpi tuanku.” Kemudian raja bertanya kepada Daniel yang juga disebut Beltsazar, “Dapatkah kamu memberitahu beta mimpi beta dan mentafsirkannya?” Daniel menjawab, “Tiada orang berilmu, ahli sihir, penilik atau ahli nujum yang dapat melakukan hal itu. Tetapi Allah penguasa di syurga, menyatakan segala rahsia; Dia telah memberitahu tuanku hal masa depan. Oleh itu perkenanlah hamba menceritakan mimpi tuanku, iaitu penglihatan yang tuanku nampak ketika tuanku beradu. Ketika tuanku beradu, tuanku bermimpi tentang perkara masa depan, dan Allah yang menyatakan segala rahsia telah memperlihatkan perkara yang akan berlaku itu kepada tuanku. Allah telah menjelaskan rahsia mimpi itu kepada hamba, bukan kerana hamba lebih bijak daripada sesiapa pun, tetapi supaya tuanku boleh memahami tafsiran mimpi itu dan mengerti akan isi hati tuanku. Dalam penglihatan itu tuanku nampak sebuah patung di hadapan tuanku. Patung itu sangat besar, berkilau-kilauan, dan sungguh menakutkan. Kepalanya dibuat daripada emas tulen; dada dan lengannya daripada perak; pinggang dan pinggulnya daripada gangsa; paha dan betisnya daripada besi, sedangkan kakinya sebahagian daripada besi dan sebahagian lagi daripada tanah liat. Ketika tuanku sedang memandangnya, sebuah batu besar jatuh dari tebing dengan sendirinya, dan menimpa kaki patung yang dibuat daripada besi dan tanah liat itu, lalu menghancurkannya. Dengan serta-merta patung itu roboh dan menjadi timbunan besi, tanah liat, gangsa, perak, dan emas yang hancur luluh seperti debu di tempat mengirik gandum pada musim panas. Lalu angin pula meniupnya tanpa meninggalkan sebarang kesan. Tetapi batu itu menjadi sebuah gunung yang memenuhi seluruh bumi. Itulah mimpi tuanku. Sekarang ini pula tafsirannya. Tuanku raja yang agung. Allah penguasa di syurga menjadikan tuanku seorang maharaja. Dia memberi tuanku kuasa, kekuatan, dan kehormatan. Dia menjadikan tuanku penguasa atas seluruh bahagian bumi yang berpenduduk, bahkan penguasa atas binatang dan burung sekalipun. Tuankulah kepala yang dibuat daripada emas itu. Selepas kerajaan tuanku berakhir, akan bangkit sebuah kerajaan yang tidak seagung kerajaan tuanku. Selepas itu akan muncul kerajaan ketiga, yang dilambangkan oleh gangsa, yang akan memerintah seluruh bumi. Kemudian sebuah kerajaan keempat yang sekuat besi akan meremukkan dan menghancurkan segala sesuatu. Sebagaimana besi menghancurkan segala sesuatu, demikian juga kerajaan itu akan meremukkan dan menghancurkan semua kerajaan yang lain itu. Tuanku nampak kaki dan jari kaki patung itu dibuat daripada besi dan tanah liat. Itu bermakna bahawa kerajaan itu akan terbahagi. Kerajaan itu juga mempunyai kekuatan seperti besi kerana tanah liat itu bercampur besi. Jari kakinya yang sebahagian daripada besi dan sebahagian daripada tanah liat bermakna bahawa sebahagian daripada kerajaan itu kuat dan sebahagian lagi lemah. Tuanku nampak juga besi yang bercampur tanah liat. Hal itu bermakna penguasa-penguasa kerajaan itu akan cuba menyatukan kerajaan mereka dengan mengadakan kahwin campuran, tetapi sebagaimana besi tidak dapat sebati dengan tanah liat, demikian juga mereka tidak akan berjaya. Pada masa pemerintahan penguasa-penguasa itu, Allah penguasa di syurga akan mendirikan sebuah kerajaan yang kekal dan yang tidak dapat dikalahkan. Sebaliknya kerajaan itu akan memusnahkan sama sekali semua kerajaan yang lain, lalu kerajaan itu akan memerintah selama-lamanya. Tuanku nampak batu itu jatuh dari tebing dengan sendirinya, serta menimpa patung yang dibuat daripada besi, gangsa, tanah liat, perak, dan emas itu. Allah yang besar sedang memberitahu tuanku hal masa depan. Itulah mimpi tuanku yang sebenarnya, dan tafsirannya dapat dipercayai.” Kemudian Raja Nebukadnezar pun sujud di hadapan Daniel dan memerintahkan agar korban bijirin dan kemenyan dipersembahkan kepada Daniel. Raja bertitah, “Sesungguhnya Allahmu agung antara semua dewa; Dialah Tuhan semua raja, dan Dia menyatakan segala rahsia. Beta tahu akan hal itu kerana kamu dapat menjelaskan rahsia itu.” Selepas itu raja menganugerahi Daniel kedudukan yang tinggi, memberinya hadiah-hadiah yang istimewa, melantik dia menjadi penguasa wilayah Babel dan ketua penasihat raja. Atas permintaan Daniel, raja menyerahkan pentadbiran wilayah Babel kepada Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Tetapi Daniel tinggal di istana raja dan berkhidmat di situ. Pada suatu masa Raja Nebukadnezar mendirikan sebuah patung daripada emas: tingginya 27 meter dan lebarnya hampir 3 meter. Baginda mendirikan patung itu di dataran Dura di wilayah Babel. Kemudian raja memerintahkan semua pegawainya berkumpul - para raja wilayah, gabenor, ketua daerah, penasihat negara, bendahara, hakim, majistret, dan semua pegawai daerah. Mereka diwajibkan hadir pada upacara perasmian patung yang telah didirikan oleh Raja Nebukadnezar. Ketika mereka semua berkumpul untuk upacara perasmian dan berdiri di hadapan patung itu, terdengarlah seorang bentara mengumumkan dengan suara yang lantang, “Hai orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa, dengarlah titah raja ini: Kamu akan mendengar bunyi trompet, diikuti oleh permainan seruling, rebab, gambus, kecapi, dan alat-alat muzik yang lain. Sebaik sahaja muzik bermula, hendaklah kamu sujud dan menyembah patung emas yang telah didirikan oleh Raja Nebukadnezar. Sesiapa yang tidak sujud dan menyembahnya akan segera dilemparkan ke dalam relau yang bernyala-nyala.” Oleh itu, sebaik sahaja mereka mendengar bunyi alat-alat muzik itu, orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa sujud serta menyembah patung emas yang didirikan oleh Raja Nebukadnezar. Ketika itulah beberapa orang Babilonia mengambil kesempatan untuk mencari kesalahan orang Yahudi. Mereka berkata kepada Raja Nebukadnezar, “Daulat tuanku! Tuanku telah bertitah bahawa sebaik sahaja muzik bermula, setiap orang harus sujud dan menyembah patung emas itu. Sesiapa yang tidak sujud untuk menyembahnya akan dibuang ke dalam relau yang bernyala-nyala. Beberapa orang Yahudi yang tuanku lantik menjadi pentadbir wilayah Babel tidak patuh akan perintah tuanku. Mereka ialah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Mereka tidak sujud dan menyembah dewa tuanku, mahupun patung yang tuanku dirikan itu.” Mendengar hal itu raja naik murka lalu memberikan perintah supaya ketiga-tiga orang itu dibawa menghadapnya. Raja bertitah kepada mereka, “Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, betulkah kamu tidak mahu menyembah dewa beta dan tidak mahu sujud di hadapan patung emas yang telah beta dirikan itu? Sekarang apabila kamu mendengar bunyi trompet, seruling, rebab, gambus, kecapi, dan alat-alat muzik yang lain, sujudlah serta sembahlah patung itu. Jika tidak, kamu akan segera dilemparkan ke dalam relau yang bernyala-nyala. Dewa manakah yang dapat menyelamatkan kamu?” Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menjawab, “Tuanku, kami tidak akan cuba membela diri. Jika Allah yang kami sembah itu sanggup menyelamatkan kami dari relau yang bernyala-nyala dan daripada kuasa tuanku, Dia akan menyelamatkan kami. Tetapi seandainya Dia tidak melakukannya juga, hendaklah tuanku maklum bahawa kami tidak akan menyembah dewa tuanku mahupun sujud menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu.” Ketika itu Raja Nebukadnezar sangat murka terhadap Sadrakh, Mesakh, dan Abednego sehingga mukanya menjadi merah padam. Oleh itu raja memerintahkan orang-orangnya memanaskan relau tujuh kali lebih panas daripada biasa. Baginda memerintah beberapa orang askar yang paling kuat untuk mengikat ketiga-tiga orang itu dan melemparkan mereka ke dalam relau yang bernyala-nyala itu. Askar raja pun mengikat tiga orang itu yang masih berpakaian lengkap - baju labuh, jubah, serban dan semua pakaian lain - lalu melemparkan mereka ke dalam relau yang bernyala-nyala. Oleh sebab raja memberikan perintah supaya relau itu dipanaskan lebih daripada biasa, api itu membakar sampai mati askar-askar yang melemparkan tiga orang itu ke dalam relau. Sadrakh, Mesakh, dan Abednego jatuh ke dalam relau yang bernyala-nyala itu, dalam keadaan terikat. Tiba-tiba Raja Nebukadnezar berdiri kerana terkejut dan bertanya kepada pegawai-pegawainya, “Bukankah kita mengikat tiga orang dan melemparkan mereka ke dalam relau yang bernyala-nyala itu?” Mereka menjawab, “Benar, tuanku.” “Tetapi mengapakah beta nampak empat orang berjalan-jalan di tengah-tengah api itu?” tanya raja. “Mereka tidak terikat, dan nampaknya mereka tidak cedera. Orang keempat itu rupanya seperti malaikat.” Lalu Raja Nebukadnezar menghampiri pintu relau itu dan bertitah, “Sadrakh! Mesakh! Abednego! Hamba-hamba Allah Yang Maha Tinggi, keluarlah!” Mereka pun keluar dengan segera. Semua raja, gabenor, ketua daerah, dan pegawai-pegawai yang lain berkumpul untuk melihat tiga orang yang tidak terbakar oleh api itu. Rambut mereka tidak hangus, pakaian mereka tidak terbakar, bahkan mereka tidak berbau asap pun. Lalu raja bertitah, “Pujilah Allah yang disembah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego! Dia telah mengutus malaikat untuk menyelamatkan orang yang berbakti serta percaya kepada-Nya. Mereka melanggar perintah beta dan berani mempertaruhkan nyawa daripada sujud menyembah dewa lain kecuali Allah mereka. Sekarang dengarlah titah beta: Sesiapa daripada bangsa, kaum, atau bahasa apa pun yang menghina Allah Sadrakh, Mesakh, serta Abednego, akan dipotong-potong, dan rumahnya akan dirobohkan dan dijadikan timbunan puing. Tiada dewa yang dapat melakukan hal yang telah dilakukan Allah mereka.” Selepas itu raja menaikkan pangkat Sadrakh, Mesakh, dan Abednego di wilayah Babel. Raja Nebukadnezar mengirim pengumuman berikut kepada orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa di seluruh dunia: “Salam! Dengarlah cerita beta tentang keajaiban dan mukjizat yang telah dinyatakan kepada beta oleh Allah Yang Maha Tinggi! Alangkah besarnya keajaiban yang dinyatakan Allah! Alangkah hebatnya mukjizat yang dilakukan-Nya! Allah adalah raja selama-lamanya; Dia memerintah sepanjang masa. Beta hidup selesa di istana beta, dan menikmati kemewahan. Tetapi pada suatu hari ketika beta beradu, beta bermimpi dan mendapat penglihatan yang mengerikan. Beta memerintahkan semua penasihat di Babel supaya datang menghadap dan mentafsirkan mimpi beta itu. Semua penilik, ahli sihir, orang berilmu, dan ahli nujum dibawa menghadap. Beta menceritakan mimpi beta, tetapi mereka tidak dapat mentafsirkannya. Kemudian Daniel datang menghadap beta. Dia juga dinamakan Beltsazar, menurut nama dewa beta. Daniel memperoleh kuasa daripada roh dewa-dewa yang suci, maka beta menceritakan mimpi beta kepadanya. Beta bertitah: Hai Beltsazar, ketua orang berilmu, beta tahu bahawa roh dewa-dewa yang suci ada padamu, dan kamu faham segala rahsia yang dalam. Inilah mimpi beta. Berikanlah tafsirannya. Ketika beta beradu, beta nampak sebatang pokok yang besar di tengah-tengah bumi. Pokok itu bertambah besar dan kuat sehingga puncaknya sampai ke langit dan dapat dilihat oleh setiap orang di dunia. Daun-daunnya segar dan buahnya lebat sekali - cukup untuk dimakan orang di seluruh dunia. Binatang buas berteduh di bawahnya; burung membuat sarang di dahannya, dan semua makhluk hidup makan buah-buahnya. Sedang beta memikirkan penglihatan itu, beta nampak satu malaikat turun dari syurga. Malaikat itu siap sedia dan berwaspada. Dia berkata dengan suara yang lantang, ‘Tebanglah pokok itu, dan potonglah dahan-dahannya. Gugurkanlah daunnya dan taburkanlah buah-buahnya. Usirlah binatang di bawahnya dan burung yang bersarang di dahannya. Tetapi tinggalkanlah tunggulnya di tanah, dan ikatlah dengan rantai besi dan gangsa. Tinggalkanlah tunggul itu di padang rumput. Biarlah lelaki itu kena embun dan biarlah dia tinggal bersama-sama binatang dan tumbuh-tumbuhan lain. Selama tujuh tahun akal manusianya akan berubah menjadi seperti akal binatang. Itulah keputusan malaikat-malaikat yang bijak dan berwaspada. Oleh itu, hendaklah orang di mana-mana mengetahui bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas kerajaan manusia, dan Dia berkuasa memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, malah kepada orang yang tidak penting sekalipun.’ Itulah mimpi beta. Hai Beltsazar, berikanlah tafsirannya sekarang. Tiada seorang penasihat beta pun dapat mentafsirkannya, tetapi kamu dapat kerana kamu memperoleh kuasa daripada roh dewa-dewa yang suci.” Daniel, yang juga dinamakan Beltsazar, begitu terkejut untuk seketika sehingga tidak dapat berkata-kata. Tetapi raja bertitah, “Hai Beltsazar, janganlah berasa cemas kerana mimpi itu dan tafsirannya.” Beltsazar menjawab, “Tuanku, sesungguhnya hamba berharap mimpi itu serta tafsirannya tentang musuh tuanku, dan bukan tentang tuanku. Pokok itu amat tinggi dan memuncak ke langit, sehingga dapat dilihat oleh setiap orang di bumi. Daunnya segar dan buahnya lebat sehingga cukup bagi makanan orang di seluruh dunia. Binatang buas berteduh di bawahnya dan burung membuat sarang di dahannya. Ya tuanku, tuankulah pokok yang tinggi dan kuat itu. Kebesaran tuanku bertambah sehingga memuncak ke langit, dan kekuasaan tuanku meluas ke seluruh bumi. Ketika tuanku sedang memandang, satu malaikat turun dari syurga dan berkata, ‘Tebanglah pokok itu dan musnahkannya, tetapi biarkan tunggulnya di tanah. Ikatlah tunggul itu dengan rantai besi dan gangsa, lalu tinggalkan tunggul itu bersama-sama rumput di padang. Biarlah orang itu kena embun, dan biarlah dia tinggal di situ bersama-sama binatang selama tujuh tahun.’ Inilah tafsirannya, hai tuanku, dan inilah yang dinyatakan Allah Yang Maha Tinggi tentang hal yang akan berlaku kepada tuanku. Tuanku akan diusir daripada masyarakat, dan akan tinggal bersama-sama binatang buas. Selama tujuh tahun tuanku akan makan rumput seperti lembu, beradu di lapangan terbuka sehingga dibasahi embun. Barulah tuanku tahu bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas segala kerajaan manusia, dan Dia berkuasa memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Perintah yang diberikan supaya tunggul itu ditinggalkan di tanah bermakna tuanku akan menjadi raja lagi setelah tuanku mengakui bahawa Allah menguasai seluruh dunia. Oleh itu, hai tuanku, turutlah nasihat hamba. Janganlah berdosa lagi. Lakukanlah apa yang baik dan adil, dan kasihanilah orang yang ditindas. Dengan demikian tuanku akan tetap makmur.” Semua perkara itu berlaku kepada Raja Nebukadnezar. Dua belas bulan kemudian, semasa raja berjalan di bumbung istananya di Babel, raja bertitah, “Lihatlah, betapa megahnya kota Babel! Beta telah membinanya sebagai ibu kota beta untuk membuktikan kuasa dan kebesaran beta, kemuliaan serta keagungan beta.” Tetapi sebelum raja habis bertitah, terdengar suara berucap dari langit, “Raja Nebukadnezar, dengarlah kata-kata ini! Sekarang kekuasaanmu sebagai raja diambil daripadamu. Kamu akan diusir daripada masyarakat, lalu tinggal di tengah-tengah binatang buas. Kamu akan makan rumput seperti lembu selama tujuh tahun. Barulah kamu akan mengakui bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas kerajaan manusia, dan Dia berkuasa memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.” Kata-kata itu menjadi kenyataan dengan serta-merta. Raja Nebukadnezar diusir daripada masyarakat dan makan rumput seperti lembu. Badannya dibasahi embun, rambutnya menjadi panjang seperti bulu burung helang, dan kukunya pula menjadi panjang seperti cakar burung. Raja bertitah, “Selepas tujuh tahun itu beta memandang ke langit. Tiba-tiba fikiran beta waras semula. Beta memuji Allah Yang Maha Tinggi sambil menghormati dan memuliakan Dia yang hidup selama-lamanya. Allah akan memerintah selama-lamanya, kerajaan-Nya akan tetap sepanjang masa. Manusia di dunia tidak bererti bagi-Nya; malaikat di syurga dan manusia di bumi, semua di bawah kuasa-Nya. Tiada sesiapa dapat menentang kehendak-Nya, ataupun menyoal perbuatan-Nya. Apabila beta menjadi waras semula, kebesaran dan keagungan beta, serta kemasyhuran kerajaan beta dikembalikan kepada beta. Para pegawai dan pembesar beta menyambut beta, dan kekuasaan beta sebagai raja dikembalikan kepada beta, dan keagungan beta menjadi lebih besar daripada dahulu. Sekarang beta, Nebukadnezar, memuji, menghormati, dan memuliakan Raja penguasa di syurga. Segala perbuatan-Nya benar dan adil. Dia sanggup merendahkan sesiapa yang berlaku sombong.” Pada suatu masa, Raja Belsyazar mengundang seribu orang pembesarnya ke jamuan makan yang besar dan mereka minum wain bersama-sama. Dalam keadaan mabuk, Raja Belsyazar memberikan perintah untuk mengambil mangkuk-mangkuk yang dibuat daripada emas dan perak yang dirampas ayahandanya, Raja Nebukadnezar dari Rumah TUHAN di Yerusalem. Raja Belsyazar meminta mangkuk-mangkuk itu agar baginda, para pembesarnya, serta semua isteri dan gundik raja dapat minum dari mangkuk-mangkuk itu. Dengan serta-merta mangkuk-mangkuk itu dibawa masuk, dan mereka semua minum wain daripada mangkuk-mangkuk itu. Sambil minum, mereka memuji dewa-dewa yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, besi, kayu, dan batu. Tiba-tiba terlihat tangan manusia, dan tangan itu mula menulis pada tembok istana, di bahagian yang paling terang kena sinar pelita. Raja Belsyazar melihat tangan yang sedang menulis itu. Raja begitu takut sehingga mukanya pucat dan lututnya gementar. Raja berteriak memanggil para ahli sihir, orang berilmu, dan ahli nujum. Apabila mereka menghadap, raja bertitah kepada mereka, “Sesiapa yang dapat membaca tulisan itu serta mentafsirkannya akan diberikan pakaian diraja, iaitu jubah ungu dan kalung emas tanda kebesaran. Orang itu akan dilantik menjadi penguasa ketiga dalam kerajaan ini.” Para penasihat raja melangkah ke depan, tetapi tidak seorang pun dapat membaca tulisan itu ataupun menjelaskan maknanya. Oleh sebab ketakutan, muka Raja Belsyazar bertambah pucat, dan para pembesarnya tidak tahu apa yang harus dilakukan. Bonda raja mendengar bunyi riuh yang disebabkan oleh raja dan para jemputannya. Baginda masuk ke dalam dewan jamuan itu dan bertitah, “Daulat tuanku! Janganlah khuatir sehingga tuanku pucat. Ada seorang dalam kerajaan tuanku yang memperoleh kuasa daripada roh dewa-dewa yang suci. Pada masa pemerintahan ayahanda tuanku, orang itu telah membuktikan kecerdasan, pengetahuan, dan kebijaksanaan yang seperti kebijaksanaan para dewa. Ayahanda tuanku, Raja Nebukadnezar, melantik dia menjadi ketua semua penilik, ahli sihir, orang berilmu, dan ahli nujum. Dia mempunyai kebolehan yang luar biasa. Dia bijak dan pandai mentafsirkan mimpi, menjawab teka-teki, serta menyatakan rahsia. Nama orang itu Daniel, tetapi raja menamakan dia Beltsazar. Panggillah dia. Dia akan mentafsirkan tulisan itu bagi tuanku.” Dengan segera Daniel dibawa menghadap raja. Raja bertanya kepadanya, “Kamukah Daniel, orang Yahudi buangan yang dibawa dari Yehuda ke sini oleh raja, ayahanda beta? Beta mendengar bahawa kamu memperoleh kuasa daripada roh dewa-dewa yang suci, dan kamu berpengetahuan, pandai, serta bijak. Para penasihat dan ahli sihir telah disuruh membaca dan mentafsirkan tulisan itu, tetapi mereka tidak dapat. Beta mendengar bahawa kamu dapat mentafsirkan rahsia-rahsia yang dalam dan tersembunyi. Jika kamu dapat membaca dan mentafsirkan tulisan itu, maka kamu akan diberikan pakaian diraja, iaitu jubah ungu dan kalung emas tanda kebesaran, dan kamu akan dilantik menjadi penguasa ketiga dalam kerajaan ini.” Daniel menjawab, “Hamba mohon tuanku menyimpan hadiah tuanku itu untuk tuanku sendiri, atau memberikannya kepada orang lain. Hamba akan membaca dan mentafsirkan tulisan itu bagi tuanku. Allah Yang Maha Tinggi telah melantik ayahanda tuanku, Raja Nebukadnezar menjadi raja yang besar, serta memberi baginda kehormatan dan keagungan. Baginda menjadi begitu besar sehingga orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa takut dan gentar kepadanya. Baginda membunuh atau membiarkan seseorang hidup menurut kesukaannya. Baginda meninggikan atau merendahkan sesiapa saja menurut kehendaknya. Tetapi kerana baginda menjadi sombong, keras kepala, dan kejam, baginda diturunkan daripada takhta lalu kehilangan keagungannya. Baginda diusir jauh daripada masyarakat, dan akalnya menjadi seperti akal binatang. Baginda tinggal bersama-sama keldai, makan rumput seperti lembu, dan tidur di lapangan terbuka sehingga tubuhnya dibasahi embun. Akhirnya baginda mengakui bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas semua kerajaan manusia, dan Dia memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Tetapi tuanku sendiri, puteranya, tidak merendahkan diri, walaupun tuanku tahu akan segala hal itu. Tuanku telah menentang Tuhan penguasa di syurga. Tuanku telah menggunakan mangkuk-mangkuk yang diambil dari Rumah TUHAN. Tuanku, para pembesar tuanku, semua isteri, dan gundik tuanku telah minum wain daripada mangkuk-mangkuk itu, serta memuji dewa-dewa yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, besi, kayu, dan batu - dewa-dewa yang tidak dapat melihat, atau mendengar, atau mengetahui apa-apa. Tuanku tidak menghormati Allah yang berkuasa menentukan sama ada tuanku hidup atau mati, dan yang menguasai segala perbuatan tuanku. Itulah sebabnya Allah menyuruh tangan itu menulis tulisan ini. Tulisan itu ialah ‘Dihitung, dihitung, ditimbang, dan dibahagi.’ Dihitung bermakna Allah telah menghitung masa pemerintahan tuanku, dan mengakhirinya. Ditimbang bermakna tuanku telah ditimbang dan ternyata terlalu ringan. Dibahagi bermakna kerajaan tuanku akan terbahagi dan diberikan kepada orang Media dan Persia.” Pada saat itu juga Raja Belsyazar memerintahkan hamba-hambanya mengenakan pakaian diraja, iaitu jubah ungu pada Daniel, dan kalung emas tanda kebesaran pada lehernya. Raja melantik dia menjadi penguasa ketiga dalam kerajaan itu. Pada malam itu juga Raja Belsyazar, raja Babilonia dibunuh. Selepas Raja Belsyazar dibunuh, Raja Darius orang Media, yang ketika itu berusia enam puluh dua tahun, merebut takhta kerajaan Babilonia. Raja Darius membahagi kerajaannya kepada seratus dua puluh wilayah, yang setiapnya diperintah oleh seorang gabenor. Selain itu, baginda memilih Daniel dan dua orang lain untuk mengawasi para gabenor itu serta menjaga kepentingan raja. Lalu ternyatalah pekerjaan Daniel lebih baik daripada pengawas ataupun gabenor yang lain-lain itu. Kerana Daniel begitu cekap, raja ingin melantik dia menjadi penguasa seluruh kerajaan. Hal itu menyebabkan para pengawas dan gabenor yang lain berusaha untuk mencari kesalahan Daniel dalam tugas pemerintahan kerajaan itu, tetapi mereka tidak berjaya kerana Daniel setia, jujur, dan tidak lalai. Kemudian mereka berkata, “Kita tidak mungkin mencari kesalahan Daniel, kecuali dalam hal yang berkaitan dengan agamanya.” Oleh itu mereka menghadap raja dan berkata, “Daulat tuanku, Raja Darius! Kami semua yang mentadbir kerajaan tuanku - para pengawas, gabenor, pegawai tinggi, pegawai daerah, dan pegawai yang lain - telah bersetuju agar tuanku mengeluarkan satu perintah yang harus ditaati dengan sungguh-sungguh. Hendaknya tuanku perintahkan agar selama tiga puluh hari tidak seorang pun boleh meminta apa-apa daripada dewa atau manusia, kecuali daripada tuanku sendiri. Sesiapa yang melanggar perintah itu harus dibuang ke dalam gua singa. Oleh itu biarlah tuanku mengeluarkan perintah itu serta menandatanganinya. Biarlah perintah itu menjadi undang-undang Media dan Persia yang tidak boleh diubah lagi.” Demikianlah Raja Darius menandatangani perintah itu. Apabila Daniel mengetahui bahawa perintah itu sudah ditandatangani, dia pulang ke rumah. Di bilik pada tingkat atas rumahnya ada beberapa buah tingkap yang menghadap Yerusalem. Seperti biasanya, Daniel berlutut di hadapan tingkap-tingkap yang terbuka itu, lalu berdoa kepada Allah tiga kali sehari. Apabila musuh-musuh Daniel nampak dia berdoa kepada Allah, mereka semua menghadap raja untuk mengadu tentang Daniel. Mereka berkata, “Tuanku telah menandatangani satu perintah yang melarang sesiapa pun selama tiga puluh hari ini untuk meminta apa-apa daripada dewa atau manusia, kecuali daripada tuanku sendiri. Sesiapa yang melanggar perintah itu akan dibuang ke dalam gua singa.” Raja bertitah, “Memang benar. Perintah itu menjadi undang-undang Media dan Persia yang tidak boleh diubah.” Lalu mereka berkata kepada raja, “Daniel, salah satu orang buangan dari Yehuda, tidak menghormati tuanku dan tidak mematuhi perintah tuanku. Dia tetap berdoa tiga kali sehari.” Apabila mendengar hal itu, raja dukacita dan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan Daniel. Raja terus berusaha sehingga petang. Kemudian orang yang berkomplot itu kembali dan berkata kepada raja, “Tuanku tahu bahawa menurut undang-undang Media dan Persia, perintah yang dikeluarkan oleh raja tidak boleh diubah.” Lalu raja pun memberikan perintah agar Daniel ditangkap dan dibuang ke dalam gua singa. Raja bertitah kepada Daniel, “Semoga Allah yang kamu sembah dengan setia itu menyelamatkan kamu.” Kemudian mulut gua ditutup dengan sebuah batu besar, dan raja memeteraikan batu itu dengan meterainya sendiri serta meterai para pembesarnya, supaya tidak seorang pun dapat menyelamatkan Daniel. Selepas itu raja kembali ke istana, tetapi malam itu baginda tidak dapat beradu. Baginda tidak bersantap dan tidak mahu dihibur. Pada waktu subuh, raja bangun dan tergesa-gesa pergi ke gua singa itu. Setibanya di situ, baginda memanggil dengan cemas, “Daniel, hamba Allah yang hidup! Adakah Allah yang kamu layani dengan begitu setia itu dapat menyelamatkan kamu daripada singa-singa itu?” Daniel menjawab, “Daulat tuanku! Allah telah mengirim malaikat-Nya untuk menutup mulut singa-singa itu sehingga hamba tidak diapa-apakan. Dia berbuat demikian kerana Dia tahu hamba tidak bersalah, baik terhadap Dia mahupun terhadap tuanku.” Alangkah gembiranya raja! Baginda memberikan perintah agar Daniel dikeluarkan dari gua itu. Maka Daniel pun ditarik keluar, dan dia didapati tidak cedera sedikit pun, kerana dia percaya kepada Allah. Selepas itu raja memberikan perintah agar semua orang yang telah menuduh Daniel, dibuang ke dalam gua singa itu berserta anak isteri mereka. Sebelum mereka jatuh ke dasar gua itu, singa-singa itu sudah pun menerkam mereka dan mematah-matahkan tulang mereka. Kemudian Raja Darius menulis surat kepada orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa di dunia: “Salam sejahtera! Dengan ini beta memberikan perintah agar semua orang di seluruh kerajaan beta menghormati serta takut kepada Allah yang disembah Daniel. Dialah Allah yang hidup, Dia memerintah selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak sekali-kali akan binasa, dan kuasa-Nya tidak akan ada akhirnya. Dia menolong dan menyelamatkan; melakukan mukjizat dan keajaiban, baik di bumi mahupun di syurga. Dia menyelamatkan Daniel daripada terkaman singa.” Demikianlah Daniel tetap berkedudukan tinggi pada masa pemerintahan Raja Darius dan Raja Kores, orang Persia itu. Pada suatu malam, pada tahun pertama masa pemerintahan Raja Belsyazar sebagai raja Babilonia, aku bermimpi dan mendapat satu penglihatan. Aku mencatat mimpi itu dan inilah yang aku lihat pada malam itu: Angin kencang bertiup dari semua penjuru dan memukul permukaan laut. Tiba-tiba muncullah empat binatang raksasa dari laut. Tiap-tiap satu binatang itu berlainan rupanya. Yang pertama rupanya seperti singa, tetapi mempunyai sayap seperti sayap burung helang. Sedang aku memandang, sayapnya tercabut daripadanya. Binatang itu terangkat dari tanah, dan ditegakkan pada kakinya seperti manusia, dan diberikan akal manusia. Binatang kedua rupanya seperti beruang dan berdiri di atas kaki belakangnya. Binatang itu sedang menggigit tiga tulang rusuk. Lalu terdengar suara yang berkata, “Makanlah daging sebanyak yang kausuka!” Sedang aku memandang, seekor lagi binatang muncul. Rupanya seperti harimau bintang, tetapi belakangnya mempunyai empat sayap seperti sayap burung. Binatang itu mempunyai empat kepala, dan kelihatan berwibawa. Sedang aku memandang, binatang keempat pula muncul. Binatang itu sangat kuat, dahsyat, dan mengerikan. Dengan gigi besinya yang besar, binatang itu meremukkan mangsanya, lalu menginjak-injaknya. Berbeza dengan binatang-binatang yang sebelumnya, binatang itu mempunyai sepuluh buah tanduk. Semasa aku merenung tanduk-tanduk itu, aku nampak sebuah lagi tanduk yang kecil muncul di antaranya. Tanduk itu menyingkirkan tiga buah tanduk yang ada di situ. Tanduk kecil itu mempunyai mata seperti mata manusia, dan mulut yang bercakap dengan sombong. Sementara aku memandang, beberapa buah takhta disusun. Dia yang hidup selama-lamanya bersemayam di atas salah sebuah takhta itu. Pakaian-Nya putih seperti salji, dan rambutnya putih seperti bulu domba. Takhta-Nya mempunyai roda yang bernyala-nyala dengan api, dan api mengalir dari takhta-Nya. Beribu-ribu orang berada di situ untuk melayani Dia, dan berjuta-juta orang berdiri di hadapan-Nya. Kemudian mahkamah pengadilan memulakan pembicaraan, dan kitab-kitab dibuka. Sementara aku memandang, aku masih mendengar suara tanduk kecil itu bercakap dengan sombong. Sedang aku memandang, binatang keempat itu dibunuh, dan bangkainya dibuang ke dalam api hingga musnah. Binatang-binatang yang lain, dicabut kuasanya tetapi dibenarkan hidup sehingga waktu yang ditentukan. Dalam penglihatanku pada malam itu, aku nampak sesuatu yang seperti manusia. Dia datang diliputi awan, lalu menghampiri Dia yang hidup selama-lamanya, dan dihadapkan kepada-Nya. Dia diberikan kuasa, kehormatan, dan kedaulatan, agar orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa mengabdikan diri kepadanya. Kuasanya akan kekal, dan pemerintahannya tidak akan berakhir. Penglihatan itu menakutkan aku dan aku amat gelisah. Aku menghampiri salah seorang yang berdiri di situ dan meminta dia mentafsirkan penglihatan itu. Dia pun mentafsirkanya. Orang itu berkata, “Empat binatang yang besar itu ialah empat buah kerajaan yang akan muncul di bumi. Tetapi umat Allah Yang Maha Tinggi akan menerima kuasa untuk memerintah selama-lamanya.” Kemudian aku hendak tahu tentang binatang yang keempat itu, yang tidak sama dengan yang lain-lain itu; binatang yang menakutkan dan meremukkan mangsanya dengan kuku gangsa dan gigi besinya, lalu menginjak-injak mangsanya. Aku hendak tahu tentang sepuluh buah tanduk di kepalanya, dan tentang tanduk kecil yang muncul kemudian, yang menyebabkan tercabutnya tiga buah tanduk yang lain. Tanduk kecil itu mempunyai mata dan mulut yang bercakap dengan sombong. Tanduk kecil itu lebih menakutkan daripada tanduk-tanduk yang lain. Semasa aku memandang, tanduk kecil itu berperang dengan umat Allah dan menaklukkan mereka. Lalu Dia yang hidup selama-lamanya datang dan memberikan keputusan yang memihak umat Allah Yang Maha Tinggi. Masanya telah tiba bagi umat Allah menerima kuasa untuk memerintah. Inilah tafsiran yang diberikan kepadaku: “Binatang keempat itu ialah kerajaan keempat yang akan muncul di bumi dan berbeza dengan kerajaan yang lain. Kerajaan itu akan menghancurkan seluruh bumi serta menginjak-injaknya. Sepuluh tanduk itu ialah sepuluh orang raja yang akan memerintah kerajaan itu. Kemudian seorang raja lain akan muncul. Dia berbeza sekali dengan raja-raja yang terdahulu, dan akan mengalahkan tiga orang raja. Dia akan menentang Allah Yang Maha Tinggi dan menindas umat Allah. Dia akan cuba mengubah hukum dan perayaan agama mereka dan umat Allah akan ditakluknya selama tiga tahun setengah. Kemudian mahkamah pengadilan syurga akan bersidang dan merampas kuasanya, serta membinasakannya sehingga musnah. Kuasa serta kebesaran segala kerajaan di bumi akan diberikan kepada umat Allah Yang Maha Tinggi. Kuasa mereka untuk memerintah tidak akan berakhir, dan semua penguasa di bumi akan mengabdi kepada mereka serta mentaati mereka.” Demikianlah kisah mimpi itu. Aku begitu takut sehingga mukaku pucat dan aku menyimpan segala perkara itu dalam hatiku. Pada tahun ketiga pemerintahan Raja Belsyazar, aku nampak penglihatan kedua. Dalam penglihatan itu, tiba-tiba aku dapati diriku di wilayah Elam, di Susan, ibu kota Persia. Aku berdiri dekat Sungai Ulai. Di tepi sungai itu aku nampak seekor domba jantan yang mempunyai dua buah tanduk yang panjang: yang satu lebih panjang dan lebih baru daripada yang lain. Aku nampak domba jantan itu menanduk ke arah barat, utara, dan selatan. Tiada binatang sanggup menghalanginya, ataupun melarikan diri daripada kuasanya. Domba jantan itu berbuat sesuka hati dan bertambah sombong. Sementara aku memandang, seekor kambing jantan meluru dari barat dan melintasi bumi dengan amat laju sehingga kakinya tidak lagi menyentuh tanah. Kambing jantan itu mempunyai sebuah tanduk yang menonjol di antara dua matanya. Kambing jantan itu datang kepada domba jantan yang aku nampak berdiri di tepi sungai itu, lalu menyerang domba jantan itu dengan segala kekuatannya. Aku melihat kambing jantan menyerang domba jantan dengan begitu ganas sehingga menyondol kedua-dua tanduk domba jantan itu dan mematahkannya. Domba jantan itu tidak berdaya mempertahankan diri, lalu jatuh ke tanah dan dipijak-pijak. Tiada sesiapa pun dapat menyelamatkannya. Kambing jantan itu semakin sombong, tetapi apabila kambing jantan itu sampai pada kemuncak kekuasaannya, tanduknya patah. Sebagai gantinya, muncul pula empat buah tanduk yang menonjol dan menunjuk ke arah yang berlainan. Satu daripada empat buah tanduk itu tiba-tiba menumbuhkan sebuah tanduk yang kecil, dan kuasa tanduk kecil itu meluas ke arah selatan, timur, dan ke arah tanah yang permai. Tanduk itu menjadi begitu kuat sehingga dapat menyerang bala tentera syurga. Beberapa di kalangan bala tentera syurga dan bintang-bintang dijatuhkannya ke bumi, lalu dipijak-pijaknya. Tanduk kecil itu juga berani mencabar Panglima bala tentera syurga, menghentikan korban harian yang dipersembahkan kepada Panglima itu, dan menajiskan Rumah TUHAN. Di situ orang melakukan dosa dan tidak lagi mempersembahkan korban-korban harian yang diwajibkan. Hal yang benar tentang Allah dipandang hina. Tanduk kecil itu berjaya dalam segala usahanya. Kemudian aku mendengar satu malaikat bertanya kepada malaikat yang lain, “Berapa lamakah perkara yang dilihat dalam penglihatan itu akan berlangsung? Berapa lamakah dosa yang keji akan menggantikan korban harian? Berapa lamakah bala tentera syurga dan Rumah TUHAN akan diinjak-injak?” Aku mendengar malaikat yang lain menjawab, “Hal itu akan berlaku selama 1,150 hari, dan selama itu korban pagi dan korban petang tidak akan dipersembahkan. Selepas itu Rumah TUHAN akan dipulihkan.” Ketika aku sedang berusaha untuk memahami makna penglihatan itu, tiba-tiba seorang berdiri di hadapanku. Aku mendengar suara dari Sungai Ulai berkata, “Gabriel, terangkanlah makna penglihatan itu kepadanya.” Gabriel mendekati aku dan berdiri di sisiku. Aku begitu takut sehingga aku meniarapkan diri. Gabriel berkata kepadaku, “Hai manusia fana, fahamilah maknanya. Penglihatan itu tentang akhir zaman.” Sedang dia bercakap, aku jatuh ke tanah dan tidak sedar. Tetapi dia memegang aku, dan menolong aku berdiri. Katanya lagi, “Aku akan memberitahu engkau keadaannya kelak sebagai akibat kemurkaan Allah. Penglihatan itu tentang akhir zaman. Domba jantan yang mempunyai dua buah tanduk, yang kamu nampak itu melambangkan kerajaan Media dan Persia. Kambing jantan itu melambangkan kerajaan Yunani, dan tanduk yang menonjol di antara dua matanya melambangkan raja yang pertama. Empat buah tanduk yang muncul selepas tanduk yang pertama itu patah, bermakna kerajaan Yunani akan terpecah menjadi empat kerajaan yang tidak sekuat kerajaan yang pertama itu. Apabila keruntuhan keempat-empat kerajaan itu telah dekat sehingga harus dihukum, dan kejahatan di situ telah memuncak, maka akan muncul seorang raja yang keras kepala, jahat, dan licik. Dia akan menjadi kuat, tetapi bukan dengan kuasanya sendiri. Dia akan menyebabkan kebinasaan yang mengerikan, dan akan berjaya dalam segala usahanya. Dia akan membinasakan orang yang gagah perkasa, dan umat Allah juga. Oleh kerana kelicikannya, dia akan berjaya dalam segala penipuannya. Dia akan berbangga dengan dirinya, dan membinasakan banyak orang tanpa memberikan amaran. Malahan dia akan berani mencabar Raja Yang Maha Besar. Tetapi dia akan dibinasakan tanpa kuasa manusia. Penglihatan tentang korban pagi dan korban petang yang telah dinyatakan kepadamu itu juga akan berlaku. Tetapi rahsiakanlah hal itu, kerana masih lama lagi sebelum hal-hal itu berlaku.” Aku merasa lemah lalu jatuh sakit selama beberapa hari. Selepas itu aku bangun lalu kembali melakukan pekerjaan yang ditugaskan raja. Aku gelisah memikirkan penglihatan itu dan tidak dapat memahaminya. Raja Darius orang Media, putera Raja Ahasyweros, menjadi raja kerajaan Babilonia. Pada tahun pertama pemerintahannya, aku mengkaji kitab-kitab suci. Aku merenungkan hal kota Yerusalem yang akan menjadi reruntuhan selama tujuh puluh tahun, seperti yang difirmankan TUHAN kepada Nabi Yeremia. Aku berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan Allah, memohon belas kasihan-Nya, sambil berpuasa dan memakai kain guni, serta duduk di atas abu. Aku berdoa kepada TUHAN, Allahku, dan mengaku dosa bangsaku di hadapan-Nya. Aku berkata, “Ya Tuhan Allah, Engkau besar, dan kami menghormati Engkau. Engkau menepati perjanjian-Mu, dan Engkau sentiasa mengasihi orang yang mengasihi Engkau dan yang mentaati perintah-Mu. Kami telah berdosa. Kami telah melakukan kejahatan. Kami telah berbuat salah. Kami telah melanggar perintah-Mu, dan menyimpang daripada peraturan-Mu. Kami tidak mendengarkan nabi-nabi, hamba-hamba-Mu, yang telah berucap demi nama-Mu kepada raja, penguasa, dan nenek moyang kami, serta seluruh bangsa kami. Engkau, ya Tuhan selalu berbuat yang benar, sedangkan kami selalu mendatangkan malu kepada kami sendiri. Demikian juga semua bangsa kami yang tinggal di Yehuda, Yerusalem, dan semua orang Israel yang Engkau cerai-beraikan di negeri-negeri dekat dan jauh kerana mereka tidak setia kepada-Mu. Raja-raja kami, penguasa-penguasa kami dan nenek moyang kami telah melakukan hal yang memalukan serta berdosa terhadap-Mu, ya Tuhan. Engkau penuh belas kasihan dan keampunan, walaupun kami telah memberontak terhadap-Mu. Kami tidak mendengarkan Engkau, ya TUHAN, Allah kami, ketika Engkau menyuruh kami hidup menurut hukum yang Engkau berikan kepada kami melalui para nabi, hamba-hamba-Mu. Semua umat Israel telah melanggar hukum-Mu dan tidak mahu mendengarkan Engkau. Kami telah berdosa terhadap-Mu. Kami berdosa terhadap Engkau, oleh itu Engkau menghukum kami dengan kutukan yang tertulis dalam Taurat Musa, hamba-Mu itu. Engkau telah melaksanakan ancaman-Mu terhadap kami dan penguasa-penguasa kami. Engkau menghukum Yerusalem lebih dahsyat daripada kota-kota lain di dunia. Engkau menghukum kami menurut semua yang tertulis dalam Taurat Musa. Bahkan sekarang pun, ya TUHAN, Allah kami, kami tidak berusaha untuk menyenangkan hati-Mu. Kami tidak bertaubat daripada dosa kami atau menurut ajaran-Mu yang benar. Engkau bersedia menghukum kami, ya TUHAN, Allah kami, dan Engkau sudah pun menghukum kami. Apa yang Engkau lakukan memang adil kerana kami tidak mendengarkan Engkau. Engkau telah menunjukkan kuasa-Mu ketika Engkau membawa umat-Mu keluar dari Mesir, ya Tuhan, Allah kami. Kami masih ingat akan kuasa-Mu itu. Kami telah berdosa dan berbuat kesalahan. Engkau telah membela kami pada masa dahulu. Oleh itu janganlah murka lagi terhadap Yerusalem. Kota ini kota-Mu, bukit-Mu yang suci. Semua orang dari negeri-negeri jiran menghina Yerusalem dan umat-Mu, kerana dosa kami dan kejahatan yang dilakukan nenek moyang kami. Dengarlah doa dan permohonanku, ya Allah. Pulihkanlah Rumah-Mu yang telah dimusnahkan itu agar setiap orang tahu bahawa Engkaulah Tuhan. Dengarkanlah kami, ya Allah; pandanglah kami, dan lihatlah kesusahan kami. Lihatlah penderitaan kota yang disebut dengan nama-Mu. Kami berdoa kepada-Mu kerana Engkau penuh belas kasihan dan bukan kerana jasa kami. Dengarkanlah kami, ya Tuhan, dan ampunilah kami. Dengarkanlah kami, ya Tuhan, dan bertindaklah! Janganlah berlengah-lengah agar setiap orang tahu bahawa Engkaulah Allah! Kota dan umat ini milik-Mu.” Aku terus berdoa, dan mengaku dosaku serta dosa bangsaku Israel. Aku juga memohon kepada TUHAN, Allahku untuk memulihkan Rumah-Nya yang suci. Semasa aku berdoa, Gabriel yang aku nampak dalam penglihatanku yang dahulu itu, terbang ke arahku. Masa itu waktu yang ditetapkan untuk mempersembahkan korban petang. Gabriel menerangkan, “Hai Daniel, aku datang untuk menolong engkau memahami nubuat itu. Apabila engkau mula memohon kepada Allah, Dia menjawab permohonanmu. Aku datang menyampaikan jawapan itu kerana Dia sangat mengasihi engkau. Oleh itu dengarlah baik-baik sementara aku menerangkan makna penglihatan itu. Tujuh kali tujuh puluh tahun ialah jangka masa yang telah ditentukan Allah untuk membebaskan bangsamu dan kotamu yang suci itu daripada dosa dan kejahatan. Dosa akan diampunkan dan keadilan yang kekal akan ditegakkan, agar penglihatan dan nubuat itu menjadi kenyataan, dan agar Rumah TUHAN yang suci ditahbiskan semula. Perhatikanlah dan fahamilah hal ini: Dari saat perintah dikeluarkan untuk membina semula Yerusalem, hingga kedatangan pemimpin yang dipilih oleh Allah, jangka masanya ialah tujuh kali tujuh tahun. Yerusalem akan dibina semula dengan jalan-jalan raya dan pertahanan yang kuat, dan akan bertahan selama tujuh kali enam puluh dua tahun, tetapi masa itu penuh kesusahan. Pada akhir jangka masa itu, pemimpin yang dipilih oleh Allah itu akan dibunuh walaupun dia tidak bersalah. Kota Yerusalem dan Rumah TUHAN akan dimusnahkan oleh pasukan tentera seorang raja yang berkuasa. Akhir jangka masa itu akan tiba seperti banjir yang membawa peperangan dan kemusnahan yang telah ditentukan oleh Allah. Raja itu akan membuat perjanjian yang kukuh dengan banyak orang selama tujuh tahun. Pada pertengahan jangka masa itu, raja itu akan menghentikan segala korban dan persembahan. Kemudian sesuatu yang disebut ‘Bencana Yang Dahsyat’ akan diletakkan di Rumah TUHAN, dan tetap di situ sehingga orang yang meletakkannya menemui kebinasaan yang telah ditentukan oleh Allah baginya.” Pada tahun ketiga pemerintahan Raja Kores sebagai raja Persia, suatu perkhabaran telah dinyatakan kepada Daniel yang juga dipanggil Beltsazar. Perkhabaran itu benar tetapi sangat susah difahami. Perkhabaran itu diterangkan kepada Daniel dalam satu penglihatan. Ketika itu aku sedang berkabung selama tiga minggu. Selama tempoh itu, aku tidak makan makanan lazat ataupun daging; aku tidak minum wain ataupun menyikat rambutku. Pada hari kedua puluh empat bulan pertama tahun itu, aku berdiri di tebing Sungai Tigris yang besar itu. Aku menengadah lalu nampak seorang yang memakai pakaian linen dan ikat pinggang yang dibuat daripada emas tulen. Badannya bersinar-sinar seperti batu permata; mukanya seterang kilat, dan matanya menyala-nyala seperti api. Tangan dan kakinya berkilau seperti gangsa yang baru digilap, dan suaranya seperti riuh orang ramai. Aku seorang sahaja yang nampak penglihatan itu. Orang yang bersama-samaku tidak nampak apa-apa pun, tetapi mereka ketakutan. Mereka lari dan menyembunyikan diri. Aku tertinggal seorang diri, dan memperhatikan penglihatan yang menakjubkan itu. Aku tidak berdaya lagi, dan mukaku menjadi pucat pasi. Apabila aku mendengar suaranya, aku jatuh tertiarap di tanah dan tidak sedar. Kemudian ada tangan yang memegang aku dan menolong aku bangun sambil bertumpu pada lutut dan tangan. Malaikat itu berkata kepadaku, “Hai Daniel, Allah mengasihi engkau. Bangunlah dan dengarlah baik-baik perkataanku ini. Aku telah diutus kepadamu.” Setelah dia berkata demikian, aku bangun berdiri, dan masih gementar. Katanya lagi, “Hai Daniel, janganlah takut. Allah telah mendengar doamu sejak hari pertama engkau bertekad merendahkan diri untuk mendapatkan pengertian. Aku datang sebagai jawapan doamu. Malaikat pelindung kerajaan Persia menentang aku selama dua puluh satu hari. Kemudian Mikhael, salah satu pemimpin malaikat, datang menolong aku, kerana aku ditinggalkan sendirian di Persia. Sekarang aku datang untuk membolehkan engkau memahami hal yang akan berlaku kepada bangsamu. Penglihatan itu tentang masa depan.” Ketika dia mengatakan hal itu, aku menundukkan muka. Aku terpegun. Kemudian malaikat yang rupanya seperti manusia itu, menghulurkan tangannya dan menyentuh bibirku. Aku berkata kepadanya, “Tuan, penglihatan ini membuat saya sangat lemah, sehingga saya tidak berhenti-henti gementar. Saya seperti seorang hamba yang menghadap tuannya. Bagaimanakah saya dapat bercakap kepada tuan? Saya tidak berdaya lagi dan nafas saya sesak.” Sekali lagi dia menyentuh aku dan aku merasa lebih kuat. Katanya, “Allah mengasihi engkau. Oleh itu jangan takut dan jangan cemas tentang apa-apa.” Setelah dia berkata demikian, aku bertambah kuat. Lalu aku berkata, “Tuan, sila bercakap. Tuan telah menguatkan saya.” [20-21] Katanya lagi, “Tahukah engkau mengapa aku datang kepadamu? Aku datang untuk menyatakan kandungan Kitab Kebenaran kepada engkau. Sekarang aku mesti pulang dan melawan malaikat pelindung Persia. Selepas itu malaikat pelindung kerajaan Yunani pula akan muncul, dan tiada sesiapa akan menolong aku kecuali Mikhael, malaikat pelindung Israel. Dialah yang bertanggungjawab untuk menolong dan membela aku. Semua yang aku katakan ini benar.” Malaikat itu berkata, “Tiga orang raja lagi akan memerintah Persia, diikuti oleh raja keempat yang akan menjadi lebih kaya daripada semuanya. Pada kemuncak kekuasaan dan kekayaannya, dia akan mencabar kerajaan Yunani. Kemudian seorang raja yang perkasa akan muncul. Dia akan memerintah sebuah kerajaan yang besar dan berbuat sesuka hatinya. Tetapi pada kemuncak kekuasaannya, kerajaannya akan pecah dan terbahagi empat. Raja-raja yang bukan keturunannya akan menggantikan dia sebagai raja, tetapi mereka tidak sekuat dia. Raja Mesir akan menjadi kuat. Tetapi salah seorang panglimanya akan menjadi lebih kuat, dan akan memerintah kerajaan yang lebih besar. Selepas beberapa tahun, raja Mesir akan mengikat perjanjian untuk bersekutu dengan raja Siria, dan mengahwinkan puterinya dengan raja itu. Tetapi perjanjian untuk bersekutu itu tidak kekal. Puteri itu, suaminya, anaknya, dan hamba-hamba yang mengikutnya akan dibunuh semuanya. Tidak berapa lama kemudian, salah seorang keluarganya akan menjadi raja. Dia akan menyerang tentera raja Siria, masuk ke dalam kubunya dan mengalahkan mereka. Pada waktu dia pulang ke Mesir, dia akan membawa patung-patung dewa mereka, serta alat-alat emas dan perak yang ditahbiskan untuk dewa-dewa itu. Selama beberapa tahun dia tidak akan memerangi Siria. Kemudian raja Siria akan menyerang negeri Mesir, tetapi raja itu akan dipukul mundur. Putera-putera raja Siria akan bersiap untuk berperang dan membentuk pasukan tentera yang besar. Salah seorang daripada mereka akan menyerbu seperti banjir dan menyerang pertahanan musuh. Raja Mesir akan menjadi sangat murka, lalu berperang dengan raja Siria dan mengalahkan pasukan tenteranya yang besar itu. Raja Mesir akan berasa bangga kerana kemenangannya, dan kerana banyak askar yang telah dibunuhnya, tetapi dia tidak akan terus menang. Raja Siria akan pulang dan membentuk pasukan tentera yang lebih besar daripada yang pertama. Apabila masanya tiba, dia akan kembali dengan pasukan yang besar dan yang bersenjata lengkap. Kemudian banyak orang akan memberontak terhadap raja Mesir. Bahkan beberapa orang yang ganas daripada bangsamu pun akan memberontak, hai Daniel, kerana penglihatan yang dilihat mereka, tetapi mereka akan dikalahkan. Lalu raja Siria akan mengepung sebuah kota yang berkubu dan mengalahkannya. Tentera Mesir tidak dapat berperang lagi, bahkan askarnya yang terkuat akan kehabisan tenaga. Penguasa Siria akan memperlakukan mereka dengan sesuka hati tanpa tentangan. Dia akan menduduki tanah yang permai dan menguasai seluruhnya. Raja Siria akan menggerakkan kesemua pasukan tenteranya untuk menyerang musuh. Untuk menguasai kerajaan musuhnya, raja itu akan membuat persetujuan dengan musuhnya itu dan mengahwinkan puterinya dengan musuh, tetapi rancangan itu tidak akan berjaya. Selepas itu raja Siria akan menyerang bangsa-bangsa yang tinggal di tepi laut, dan menakluki banyak bangsa. Tetapi seorang pemimpin bangsa asing akan mengalahkan raja Siria dan akan menghentikan hinaan yang dilakukannya, lalu membalas hinaan itu kepadanya. Raja Siria akan pulang ke kubu-kubu negerinya sendiri tetapi dia akan dikalahkan, dan demikianlah kesudahannya. Dia akan digantikan oleh seorang raja lain. Raja itu akan mengutus seorang pegawai untuk memaksa rakyat membayar cukai dengan tujuan menambah kekayaan kerajaannya. Dalam masa singkat raja itu akan dibunuh, tetapi bukan secara terang-terang dan bukan dalam peperangan.” Malaikat itu melanjutkan penerangannya, “Raja Siria yang berikut adalah orang yang jahat. Dia tidak berhak menjadi raja, tetapi dia akan datang dengan tiba-tiba dan merampas kuasa dengan tipu daya. Tentera yang melawannya, bahkan Imam Agung pun akan dihapuskan dan dibinasakan. Dengan menandatangani banyak perjanjian, dia akan menipu bangsa-bangsa dan menjadi semakin kuat, walaupun dia hanya memerintah sebuah kerajaan yang kecil. Dia akan menyerang sebuah wilayah yang kaya dan subur tanpa memberikan amaran dan melakukan perkara-perkara yang tidak pernah dilakukan oleh nenek moyangnya. Kemudian kepada pengikut-pengikutnya, dia akan membahagi-bahagikan barang rampasan dan kekayaan yang diperolehnya dalam peperangan. Dia akan membuat rancangan untuk menyerang kota-kota yang berkubu, tetapi waktunya segera akan habis. Dengan berani dia akan membentuk pasukan tentera yang besar untuk menyerang raja Mesir, yang telah bersedia melawan dengan angkatan perangnya yang besar dan kuat. Tetapi raja Mesir akan tertipu dan tidak berjaya. Para penasihat raja Mesir yang paling rapat dengannya akan menjatuhkan dia. Banyak askarnya akan terbunuh dan tenteranya dihapuskan. Kemudian dua orang raja itu akan duduk dan makan bersama-sama pada satu meja, tetapi niat mereka jahat. Mereka akan menipu satu sama lain, tetapi mereka tidak akan berjaya kerana masa mereka belum sampai. Raja Siria akan pulang dengan segala barang jarahannya. Dia bertekad untuk memusnahkan agama umat Allah. Dia akan berbuat sesuka hatinya, lalu pulang ke negerinya. Tidak lama kemudian, raja Siria akan menyerang Mesir lagi, tetapi kali ini akibatnya lain daripada kali yang pertama. Orang Roma akan datang dengan kapal-kapal laut dan memerangi raja Siria, dan raja akan menjadi takut. Kemudian raja Siria akan pulang dengan murka sekali, lalu berusaha menghancurkan agama umat Allah. Raja Siria akan mengikut nasihat orang yang telah meninggalkan agama itu. Beberapa orang askar raja akan menajiskan Rumah TUHAN. Mereka akan menghentikan korban harian, dan mendirikan ‘Bencana Yang Dahsyat’ itu. Dengan tipu daya raja akan berjaya mendapat sokongan orang yang telah meninggalkan agama itu, tetapi pengikut-pengikut Allah akan melawannya. Para pemimpin rakyat yang bijaksana akan menolong banyak orang mendapat pengertian, tetapi untuk sementara waktu beberapa orang antara mereka akan terbunuh di medan perang atau dibakar sehingga mati. Ada pula yang dirompak dan dijadikan orang tawanan. Semasa pembunuhan itu berlaku, umat Allah akan mendapat sedikit pertolongan, walaupun orang yang menyertai golongan itu hanya mementingkan diri sendiri. Beberapa orang pemimpin yang bijaksana itu akan dibunuh, tetapi akibatnya umat itu akan menjadi murni. Perkara itu akan berlangsung sehingga akhir jangka masa yang telah ditentukan oleh Allah. Raja Siria akan berbuat sesuka hati. Dengan sombong, raja akan menganggap dirinya lebih besar daripada dewa mana pun, bahkan lebih berkuasa daripada Allah Yang Maha Tinggi. Raja itu berbuat demikian sehingga tiba waktunya Allah menghukum dia. Allah akan melakukan tepat seperti rancangan-Nya. Raja itu tidak akan mengendahkan dewa yang disembah oleh nenek moyangnya, dan juga dewa yang dipuja kaum wanita. Sebenarnya raja itu tidak akan mengendahkan semua dewa kerana pada sangkanya dirinya lebih besar daripada semua itu. Sebaliknya raja itu akan menyembah dewa yang melindungi kubu-kubu. Raja itu mempersembahkan emas, perak, batu permata, dan hadiah-hadiah lain yang mahal kepada dewa yang tidak pernah disembah oleh nenek moyangnya. Raja itu akan menggunakan orang yang menyembah berhala asing untuk mempertahan kubu-kubunya. Raja itu akan menganugerahkan pangkat kebesaran kepada orang yang menyambutnya sebagai penguasa. Raja itu akan memberi mereka kedudukan yang tinggi dan tanah sebagai ganjaran. Apabila akhir kekuasaan raja Siria hampir tiba, raja Mesir akan menyerang dia. Tetapi raja Siria akan membalas serangan itu dengan segenap kekuatannya. Raja Siria akan menggunakan kereta kuda, kuda, dan banyak kapal. Seperti air bah, raja Siria akan menyerang banyak negeri, bahkan menyerang tanah yang permai dan membunuh berpuluh ribu orang; tetapi negeri Edom, Moab, dan orang yang masih ada di Amon akan terselamat. Ketika raja Siria menyerang semua negeri itu, Mesir pun tidak terlepas. Raja Siria akan membawa balik semua harta Mesir, termasuk emas dan perak. Raja Siria akan mengalahkan Libia dan Etiopia. Kemudian berita dari timur dan utara akan mencemaskan raja Siria, dan dia akan berperang dengan sengit serta membunuh banyak orang. Raja Siria akan membina khemah diraja yang besar di antara laut dan gunung tempat Rumah TUHAN. Tetapi raja Siria akan menemui akhir riwayatnya, dan tiada seorang pun akan menolong dia.” Malaikat yang memakai pakaian linen itu berkata, “Pada masa itu, malaikat besar, iaitu Mikhael pelindung bangsamu akan muncul. Ketika itu akan ada kesusahan yang paling berat sejak bangsa-bangsa wujud. Pada masa itu, semua orang daripada bangsamu yang namanya tertulis di dalam kitab Allah akan diselamatkan. Banyak orang yang sudah mati akan hidup semula: ada yang akan menikmati kehidupan kekal, ada pula yang akan menderita hinaan kekal. Pemimpin-pemimpin yang bijaksana akan bersinar seperti langit yang cerah, dan mereka yang mengajar orang berbuat baik dan adil akan bersinar seperti bintang selama-lamanya.” Malaikat itu berkata kepadaku, “Sekarang, hai Daniel, tutuplah dan meteraikanlah kitab itu, sehingga akhir zaman. Sementara itu banyak orang akan cuba memahami hal yang sedang berlaku, tetapi usaha mereka sia-sia saja.” Selepas itu aku nampak dua orang lelaki, yang satu berdiri di tebing sungai di sebelah sini, dan yang satu lagi di sebelah sana. Orang yang satu bertanya kepada malaikat yang berdiri di hulu sungai, “Berapa lamakah kejadian-kejadian yang ajaib itu berlangsung sebelum semuanya berakhir?” Malaikat itu mengangkat kedua-dua tangannya ke arah langit, lalu bersumpah demi nama Allah yang kekal. Aku mendengar dia berkata, “Tiga tahun setengah! Setelah penganiayaan terhadap umat Allah berakhir, maka kejadian-kejadian yang ajaib itu pun akan berakhir.” Aku mendengar kata-katanya, tetapi aku tidak memahaminya. Oleh itu aku bertanya, “Tetapi, tuan, bagaimanakah kesudahannya kelak?” Dia menjawab, “Hai Daniel, engkau harus pergi sekarang, kerana kata-kata itu mesti dirahsiakan sehingga akhir zaman. Banyak orang akan diuji dan dimurnikan. Orang jahat tidak akan mengerti; mereka akan meneruskan kejahatan mereka. Hanya orang bijaksana akan mengerti. Sejak masa korban harian dihentikan, iaitu sejak ‘Bencana Yang Dahsyat’ itu, 1,290 hari akan berlalu. Berbahagialah orang yang tetap setia sehingga 1,335 hari itu telah berlalu. Engkau Daniel, harus setia sampai akhir. Engkau akan meninggal, tetapi engkau akan bangkit untuk menerima ganjaranmu pada akhir zaman.” Inilah perkhabaran yang diberikan TUHAN kepada Hosea anak Beeri pada masa Raja Uzia, Raja Yotam, Raja Ahas, dan Raja Hizkia menjadi raja di Yehuda, dan Raja Yerobeam putera Raja Yehoas menjadi raja di Israel. Ketika TUHAN berfirman kepada Israel untuk pertama kali melalui Hosea, Dia berfirman, “Kahwinlah dengan seorang perempuan yang suka melacur; dan anak-anakmu juga akan menjadi seperti dia. Umat-Ku sama seperti isterimu itu; mereka tidak setia kepada-Ku dan telah meninggalkan Aku.” Oleh itu Hosea berkahwin dengan Gomer anak Diblaim. Gomer mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. TUHAN berfirman kepadanya, “Namakanlah anak itu ‘Yizreel’, kerana tidak lama lagi Aku akan menghukum raja Israel untuk membalas pembunuhan yang dilakukan nenek moyangnya, Yehu, di Yizreel. Aku akan menamatkan pemerintahan keturunan Yehu di Israel. Pada masa itu di Lembah Yizreel, Aku akan menghancurkan kuasa tentera Israel.” Kemudian Gomer mengandung lagi dan melahirkan seorang anak perempuan. TUHAN berfirman kepada Hosea, “Namakanlah anak itu ‘Tidak Dikasihani’, sebab Aku tidak akan mengasihani atau mengampuni suku Israel lagi. Tetapi Aku akan mengasihani suku Yehuda. Aku, TUHAN, Allah mereka akan menyelamatkan mereka, tetapi bukan dengan peperangan - bukan dengan pedang, atau busur dan panah, atau kuda dan penunggangnya.” Selepas anak yang bernama “Tidak Dikasihani” cerai susu, Gomer mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki. Lalu TUHAN berfirman kepada Hosea, “Namakanlah dia ‘Bukan Umat-Ku’, kerana orang Israel bukan umat-Ku, dan Aku bukan Allah mereka.” Umat Israel akan menjadi sebanyak pasir di laut, tidak dapat dikira ataupun disukat. Sekarang Allah berfirman kepada mereka, “Kamu bukan umat-Ku,” tetapi akan tiba masanya Dia berfirman kepada mereka, “Akulah Allah yang hidup dan kamulah anak-anak-Ku.” Orang Yehuda dan orang Israel akan dipersatukan semula. Mereka akan melantik seorang pemimpin bagi bangsa mereka; sekali lagi mereka akan menjadi maju dan makmur di negeri mereka. Sesungguhnya hari Yizreel akan menjadi hari besar! Oleh itu panggillah sesama kamu orang Israel, dengan nama “Umat-Ku” dan “Dikasihani.” TUHAN berfirman, “Hai anak-anak-Ku, merayulah kepada ibu kamu, meskipun dia bukan lagi isteri-Ku, dan Aku bukan lagi suaminya. Merayulah kepadanya supaya jangan berzina dan melacur lagi. Jika dia tetap berbuat demikian, Aku akan melucutkan segala pakaiannya sehingga dia telanjang seperti masa dia dilahirkan. Aku akan menjadikan dia seperti tanah yang tandus dan gersang, lalu dia akan mati kehausan. Aku tidak akan mengasihani kamu, anak-anaknya; kamu dilahirkan daripada pelacuran. Ibu kamu pelacur yang tidak tahu malu. Dia berkata, ‘Aku akan pergi kepada kekasih-kekasihku yang memberi aku makanan dan minuman, bulu domba dan linen, minyak zaitun dan wain.’ Oleh itu, Aku akan memagari dia dengan belukar duri dan menutup jalannya dengan tembok. Dia akan mengejar kekasihnya, tetapi tidak akan menyusul mereka. Dia akan mencari mereka, tetapi tidak akan berjumpa dengan mereka. Lalu dia akan berkata, ‘Aku akan pulang kepada suamiku yang pertama; keadaanku dahulu lebih baik daripada sekarang.’ Dia tidak mengakui bahawa Aku yang memberi dia gandum, wain, minyak zaitun, dan segala emas serta perak yang digunakannya untuk menyembah Baal. Oleh itu, pada musim menuai Aku akan menarik balik pemberian-Ku kepadanya, iaitu gandum dan wain. Aku akan mengambil balik bulu domba dan linen yang Aku berikan kepadanya untuk dijadikan pakaian. Aku akan menanggalkan pakaiannya di hadapan kekasih-kekasihnya dan tidak seorang pun dapat menyelamatkan dia daripada kuasa-Ku. Aku akan menghentikan semua perayaannya - baik perayaan tahunan mahupun perayaan bulanan dan hari Sabat - segala perayaan keagamaannya. Aku akan memusnahkan pokok-pokok anggur dan pokok-pokok aranya yang menurut dia adalah upah pelayanannya kepada kekasih-kekasihnya. Aku akan mengubah ladang anggur dan kebun aranya menjadi hutan, dan semuanya akan dimusnahkan oleh binatang liar. Aku akan menghukum dia kerana dia melupakan Aku. Dia membakar kemenyan untuk Baal, dan menghiaskan dirinya dengan barang kemas untuk mengejar kekasih-kekasihnya. Aku, TUHAN telah berfirman.” TUHAN berfirman, “Aku akan membawa dia ke padang gurun lagi. Di sana, Aku akan memujuk dia dengan kata-kata cinta. Aku akan memulangkan ladang anggur yang dimilikinya dahulu dan menjadikan Lembah Kesusahan suatu pintu harapan. Di sana dia akan menyambut Aku seperti pada masa mudanya, apabila dia baru keluar dari Mesir. Lalu dia akan menyebut Aku sebagai suaminya, dan bukan lagi Baalnya. Aku tidak akan membenarkan dia menyebut nama Baal lagi. Pada masa itu Aku akan membuat perjanjian dengan segala binatang liar dan burung, supaya mereka tidak menyakiti umat-Ku. Aku akan menyingkirkan segala senjata perang dari negeri itu, segala pedang dan busur, supaya umat-Ku hidup dengan aman dan sejahtera. Hai Israel, Aku akan menjadikan engkau isteri-Ku; Aku akan berlaku jujur dan setia; Aku akan menunjukkan kasih dan belas kasihan kepadamu, serta menjadikan engkau milik-Ku selama-lamanya. Aku akan menepati janji-Ku dan menjadikan engkau milik-Ku, dan engkau akan mengakui Aku sebagai TUHAN. [20-21] Pada masa itu, Aku akan menjawab doa-doa umat-Ku Israel. Aku akan menurunkan hujan ke atas bumi, dan bumi akan menghasilkan gandum, anggur, dan zaitun. *** Aku akan menjadikan umat-Ku makmur dan menetap di negeri itu. Aku akan mengasihani mereka yang disebut ‘Tidak Dikasihani’; dan kepada mereka yang disebut ‘Bukan Umat-Ku’ akan Kukatakan ‘Kamu umat-Ku’; lalu mereka akan menjawab, ‘Engkaulah Allah kami.’ ” TUHAN berfirman kepadaku, “Pergilah lagi dan cintailah seorang wanita yang suka berzina. Kasihilah dia seperti Aku mengasihi orang Israel, meskipun mereka telah meninggalkan Aku dan menyembah tuhan-tuhan lain, serta suka mempersembahkan kuih kismis kepada berhala.” Maka aku pun membayar lima belas keping wang perak dan 150 kilogram barli untuk mendapat dia. Aku berkata kepadanya bahawa dia harus menunggu aku untuk waktu yang lama. Selama waktu itu, dia tidak boleh melacur ataupun berzina, dan pada masa itu aku pun tidak akan mendekati dia. Begitu juga untuk masa yang lama umat Israel akan hidup tanpa raja atau pemimpin, tanpa korban-korban, atau tugu-tugu keramat, tanpa berhala-berhala atau patung-patung yang digunakan untuk meramalkan masa depan. Tetapi masanya akan tiba apabila umat Israel akan kembali kepada TUHAN, Allah mereka, dan kepada seorang daripada keturunan Raja Daud, raja mereka. Lalu mereka akan takut dan hormat kepada TUHAN, serta menerima pemberian-pemberian-Nya yang baik. TUHAN mempunyai tuduhan terhadap orang yang tinggal di negeri ini. Hai Israel, dengarlah firman TUHAN. Inilah tuduhan-Nya: “Negeri ini tidak mengenal makna kesetiaan ataupun kasih. Penduduknya tidak mengakui Aku sebagai Allah. Mereka berjanji, tetapi tidak menepati janji. Mereka membohong, membunuh, mencuri, dan berzina. Jenayah semakin bertambah dan pembunuhan terjadi susul-menyusul. Oleh itu tanah mereka akan menjadi kering dan segala sesuatu yang hidup di atasnya akan mati. Segala binatang dan burung, bahkan ikan pun akan mati.” TUHAN berfirman, “Janganlah sesiapa menuduh atau menyalahkan umat-Ku. Tuduhan-Ku terhadap kamu, para imam. Siang malam kamu melakukan kesalahan. Nabi-nabi kamu pun demikian. Oleh itu, Aku akan membinasakan Israel, ibu kamu. Umat-Ku binasa kerana mereka tidak mahu mengakui Aku. Kamu, imam-imam, tidak mempedulikan Aku dan telah menolak ajaran-Ku. Oleh itu Aku pun akan menolak kamu dan tidak mengakui anak-anak kamu sebagai imam-Ku. Semakin kamu bertambah banyak, semakin banyak dosa kamu terhadap Aku, hai imam-imam. Maka Aku akan mengubah keadaan kamu. Kamu tidak akan dihormati lagi, melainkan dihina. Kamu menjadi kaya kerana dosa umat-Ku, dan oleh itu kamu suka mereka berdosa terus. Kamu akan menanggung hukuman seperti mereka. Aku akan menghukum kamu setimpal dengan kejahatan yang telah kamu lakukan. Kamu akan makan bahagian kamu daripada korban yang dipersembahkan, tetapi kamu akan tetap lapar. Kamu akan menyembah dewa-dewa kesuburan, tetapi kamu tetap tidak mendapat anak. Semua hal itu terjadi kerana kamu telah meninggalkan Aku untuk menyembah tuhan-tuhan lain.” TUHAN berfirman “Wain, baik yang lama atau yang baru telah merosakkan fikiran umat-Ku. Mereka minta petunjuk daripada sebatang kayu. Sebatang tongkat memberitahu mereka apa yang ingin diketahui mereka. Mereka telah meninggalkan Aku. Seperti seorang wanita yang menjadi pelacur, mereka telah menyerahkan diri kepada tuhan-tuhan lain. Mereka mempersembahkan korban di tempat-tempat penyembahan berhala di gunung. Mereka membakar kemenyan di bukit, di bawah pokok-pokok besar yang rendang kerana tempat itu teduh. Akibatnya anak-anak perempuan kamu menjadi pelacur, dan menantu-menantu perempuan kamu berzina. Tetapi Aku tidak akan menghukum mereka untuk perbuatan itu, oleh sebab kamu sendiri pun berzina dengan pelacur-pelacur yang bekerja di rumah berhala. Bersama-sama mereka, kamu mempersembahkan korban kepada dewa. Sungguh benar ungkapan ini, ‘Bangsa yang tidak mempunyai pengertian tentang Allah akan binasa.’ Meskipun kamu, umat Israel tidak setia kepada-Ku, jangan pula kamu, Yehuda berbuat demikian. Jangan beribadat di Gilgal, atau di Betel. Jangan buat janji-janji di sana demi nama TUHAN yang hidup. Umat Israel keras kepala seperti baghal. Bagaimanakah Aku dapat menggembalakan mereka seperti domba di padang rumput? Umat Israel sudah terpikat oleh berhala. Oleh itu biarkanlah mereka. Setelah banyak minum wain, mereka melacur dengan senang hati. Mereka lebih suka dihina daripada dihormati. Mereka akan dibawa pergi seolah-olah ditiup oleh angin. Mereka akan mendapat malu kerana korban-korban yang dipersembahkan mereka kepada dewa-dewa. Hai kamu imam-imam, dengarlah! Hai umat Israel, perhatikanlah baik-baik! Hai kamu anggota kerabat diraja, dengarlah! Kamulah yang seharusnya menghakimi dengan adil, tetapi kamu sendiri akan diadili! Kamu telah menjadi seperti perangkap di Mizpa, seperti jaring yang di pasang di Gunung Tabor, dan seperti lubang yang dalam di Sitim. Oleh itu Aku akan menghukum kamu semua. Aku tahu tentang dirimu, hai Israel. Kamu tidak dapat bersembunyi daripada-Ku. Kamu tidak setia kepada-Ku, dan orangmu tidak layak menyembah Aku.” Kejahatan yang dilakukan oleh umat Israel menghalangi mereka kembali kepada Allah. Mereka sudah dicengkam oleh penyembahan berhala, sehingga mereka tidak lagi mengakui TUHAN. Kesombongan umat Israel sangat ketara dan menjadi bukti kesalahan mereka. Dosa mereka menyebabkan mereka tersandung lalu jatuh, dan suku Yehuda pun jatuh bersama-sama mereka. Mereka mencari TUHAN dengan membawa domba dan lembu sebagai korban, tetapi perbuatan itu tidak berguna. Mereka tidak akan menemukan TUHAN, sebab Dia telah meninggalkan mereka. Mereka tidak setia kepada TUHAN; anak-anak mereka bukan anak-anak-Nya. Oleh itu, tidak lama lagi mereka dan tanah mereka akan dibinasakan. Tiuplah trompet di Gibea! Bunyikanlah tanda panggilan untuk berperang di Rama! Teriakkanlah pekik peperangan di Betel! Majulah berperang hai kaum Benyamin! Israel akan binasa pada hari hukuman kelak. Dengarlah, hai orang Israel, perkara ini pasti akan berlaku! TUHAN berfirman, “Aku murka kerana pemimpin-pemimpin Yehuda telah menyerang Israel dan merampas tanahnya. Oleh itu, Aku akan menimpakan hukuman kepada mereka seperti air bah. Sekarang Israel ditindas. Dia kehilangan tanah miliknya kerana dia degil dan minta tolong daripada orang yang tidak dapat menolongnya. Oleh itu Aku akan menghancurkan Israel, dan membinasakan suku Yehuda. Apabila Israel dan Yehuda menyedari keadaan mereka yang buruk, Israel akan pergi ke negeri Asyur untuk minta tolong daripada raja yang agung, tetapi raja itu tidak dapat menolong atau memperbaiki keadaan mereka. Seperti seekor singa, Aku akan menyerang suku Israel dan suku Yehuda. Aku sendiri akan mencabik-cabik mereka lalu meninggalkan mereka. Aku akan menyeret mereka, dan tidak seorang pun dapat menyelamatkan mereka. Aku akan meninggalkan umat-Ku sehingga mereka cukup menderita kerana dosa mereka, lalu mereka datang mencari Aku. Mungkin dalam penderitaan, mereka akan berusaha untuk mencari Aku.” Umat Israel berkata, “Marilah kita kembali kepada TUHAN. Dia telah menyakiti kita, tetapi tentu Dia akan menyembuhkan kita pula. Dia telah melukai kita, tetapi tentu Dia akan membalut luka-luka kita. Selepas dua atau tiga hari Dia akan menyembuhkan kita dan kita akan hidup di hadirat-Nya. Marilah kita berusaha untuk mengenal TUHAN. Dia pasti akan datang kepada kita seperti fajar menyingsing, dan seperti hujan yang membasahi bumi pada musim bunga.” Tetapi TUHAN berfirman, “Hai Israel dan Yehuda, apakah yang harus Aku lakukan terhadap kamu? Kasih kamu terhadap Aku cepat hilang seperti kabus atau embun pada waktu pagi-pagi. Oleh itu Aku mengutus nabi-nabi-Ku untuk menyampaikan perkhabaran-Ku kepada kamu bahawa kamu harus dihukum dan dibinasakan. Yang Aku inginkan daripada kamu sudah nyata dan jelas. Aku lebih ingin kamu mengasihi Aku daripada kamu mempersembahkan korban kepada-Ku. Aku lebih suka kamu mengenal Aku daripada membakar korban untuk-Ku. Tetapi sebaik sahaja kamu menduduki tanah di Adam, kamu memungkiri perjanjian-Ku dengan kamu. Gilead merupakan kota yang penuh dengan penjahat dan pembunuh. Imam-imam di kota itu seperti sekumpulan perompak yang melakukan serangan hendap terhadap orang yang lalu lalang. Bahkan di jalan yang menuju ke tempat suci di Sikhem pun mereka melakukan pembunuhan. Mereka sengaja melakukan semua perkara yang keji itu. Aku telah melihat sesuatu yang dahsyat di Israel: umat-Ku telah menajiskan diri dengan menyembah berhala. Bagi kamu, hai orang Yehuda, Aku telah menentukan masa untuk menghukum kamu juga kerana perbuatan kamu.” TUHAN berfirman, “Setiap kali Aku hendak menyembuhkan umat-Ku Israel dan memulihkan kemakmuran mereka, Aku hanya melihat kekejaman dan kejahatan yang dilakukan mereka. Mereka saling menipu, memasuki rumah orang untuk mencuri, dan mereka merompak orang di jalan-jalan. Tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka bahawa Aku akan mengingat segala perbuatan jahat itu. Mereka diliputi dosa sehingga Aku melihatnya dengan jelas.” TUHAN berfirman, “Dengan tipu daya dan perbuatan jahat, rakyat cuba menyenangkan hati raja dan pegawai-pegawainya. Mereka semua kejam dan tidak setia. Kebencian mereka seperti api di dalam ketuhar, yang tidak dikobarkan oleh si pembuat roti sebelum adunan siap untuk dibakar. Pada hari pesta raja, mereka membuat raja serta pegawai-pegawainya minum wain sampai mabuk dan melakukan hal-hal yang bodoh. Komplot mereka bagaikan api yang menyala-nyala di dalam ketuhar. Kemarahan mereka membara di dalam hati sepanjang malam, dan menjadi nyala api yang mengganas pada pagi hari. Dalam kemarahan, mereka membunuh pemimpin-pemimpin mereka. Raja-raja mereka dibunuh seorang demi seorang, tetapi tiada seorang pun berdoa kepada-Ku untuk minta tolong.” TUHAN berfirman “Orang Israel seperti roti setengah masak. Mereka bergantung kepada bangsa-bangsa di sekeliling mereka. Mereka tidak sedar bahawa perbuatan ini telah melemahkan mereka. Akhir riwayat mereka sudah dekat, tetapi mereka tidak mengetahuinya. Kesombongan orang Israel kelihatan jelas dan menjadi bukti kesalahan mereka. Meskipun semuanya telah terjadi, mereka tidak kembali kepada-Ku, TUHAN, Allah mereka. Orang Israel seperti burung merpati yang bodoh. Mula-mula mereka minta tolong kepada Mesir, kemudian kepada Asyur! Tetapi semasa mereka lalu, Aku akan memasang jaring dan menangkap mereka seperti orang menangkap burung. Aku akan menghukum mereka kerana kejahatan yang dilakukan mereka. Mereka telah meninggalkan Aku dan memberontak terhadap Aku. Kesusahan akan menimpa mereka. Mereka akan dibinasakan. Aku mahu menyelamatkan mereka, tetapi ibadat mereka kepada-Ku palsu belaka. Mereka tidak berdoa kepada-Ku dengan ikhlas. Sebaliknya mereka menghempas diri ke tempat tidur dan meratap seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal Aku. Apabila mereka berdoa untuk minta gandum dan wain, mereka melukai diri seperti yang dilakukan oleh orang yang menyembah berhala. Mereka melawan Aku! Meskipun Aku yang membesarkan dan menguatkan mereka, namun mereka berkomplot melawan Aku. Mereka terus mengikut dewa yang tidak mempunyai apa-apa kuasa. Seperti busur yang bengkok, mereka tidak dapat diharap. Kerana pemimpin-pemimpin mereka bercakap dengan sombong, mereka akan dibunuh oleh pedang, dan orang Mesir akan mentertawakan mereka.” TUHAN berfirman, “Bunyikanlah tanda kecemasan! Musuh sedang menyerang negeri-Ku seperti burung helang menyambar mangsa. Umat-Ku telah memungkiri perjanjian-Ku dengan mereka, dan melanggar hukum-Ku. Meskipun mereka mengakui Aku sebagai Allah, dan berkata bahawa mereka umat-Ku yang mengenal Aku, namun mereka telah menolak perkara yang baik. Oleh itu musuh akan mengejar mereka. Umat-Ku memilih raja-raja tanpa meminta pendapat-Ku. Mereka melantik pemimpin-pemimpin tanpa mendapat persetujuan-Ku. Mereka mengambil emas dan perak dan membuat patung-patung berhala yang mengakibatkan kebinasaan mereka. Aku benci akan lembu emas yang disembah penduduk kota Samaria. Aku sangat murka kepada mereka. Sampai bilakah mereka akan terus menyembah berhala? Seorang tukang di Israel membuat patung berhala; patung itu bukan Allah! Patung lembu emas yang disembah di Samaria itu akan dihancurkan. Apabila umat-Ku menabur angin, mereka akan menuai ribut. Ladang gandum yang tidak menguning tidak akan menghasilkan makanan. Tetapi jika ladang itu menguning juga, orang bangsa asing akan menghabiskan gandumnya. Orang Israel sudah menjadi seperti bangsa-bangsa lain dan tidak berguna lagi, seperti periuk yang pecah. Orang Israel degil seperti keldai liar, mereka menurut kemahuan mereka sendiri. Mereka minta pertolongan daripada Asyur. Israel telah membayar negeri-negeri lain untuk mendapat perlindungan. Tetapi sekarang Aku akan mengumpulkan mereka dan menghukum mereka. Tidak lama lagi mereka akan menderita apabila raja Asyur menindas mereka. Semakin banyak mazbah yang didirikan orang Israel untuk menghapuskan dosa, semakin banyak pula tempat untuk mereka berdosa. Aku telah menulis banyak ajaran untuk mereka, tetapi mereka menolak semuanya kerana menganggap ajaran itu aneh dan asing. Mereka suka mempersembahkan korban kepada-Ku, dan makan daging korban itu. Tetapi Aku, TUHAN, tidak berkenan kepada mereka. Sekarang Aku akan mengingat dosa mereka, dan menghukum mereka kerana dosa-dosa itu. Aku akan mengirim mereka semula ke Mesir. Orang Israel mendirikan istana-istana, tetapi mereka lupa akan Pencipta mereka. Orang Yehuda mendirikan kota-kota berkubu, tetapi Aku akan menurunkan api untuk membakar habis kota dan istana mereka.” Hai orang Israel, berhentilah merayakan perayaan seperti bangsa-bangsa lain. Kamu telah meninggalkan Allah kamu dan tidak setia kepada-Nya. Di setiap tempat pengirikan gandum, kamu telah menjual diri seperti pelacur kepada Dewa Baal. Kamu suka menerima gandum yang kamu anggap sebagai upah dewa itu kepada kamu. Tetapi tidak lama lagi kamu akan kekurangan gandum dan minyak zaitun, dan wain kamu akan habis. Kamu, orang Israel tidak akan tinggal di negeri yang diberikan TUHAN kepada kamu. Kamu harus kembali ke Mesir dan makan makanan haram di Asyur. Di negeri-negeri itu kamu tidak akan dapat mempersembahkan wain dan korban binatang untuk menyenangkan hati TUHAN. Makanan kamu akan menajiskan semua orang yang memakannya, seperti makanan yang dimakan pada masa upacara penguburan. Makanan kamu hanya untuk menahan lapar; sedikit pun tidak akan dibawa sebagai persembahan ke Rumah TUHAN. Pada masa perayaan agama untuk menghormati TUHAN, kamu tidak akan dapat melakukan apa-apa untuk merayakannya. Apabila malapetaka tiba dan rakyat tercerai-cerai, orang Mesir akan mengumpulkan kamu untuk dibunuh dan untuk dikuburkan di Memfis! Harta kamu daripada perak dan tempat rumah kamu dahulu akan diliputi rumput dan semak berduri. Masa penghukuman telah tiba, masa untuk menerima pembalasan. Israel akan tahu apabila perkara ini berlaku. Kamu berkata, “Nabi ini bodoh. Utusan Allah ini gila.” Kamu begitu membenci aku kerana dosa kamu sangat besar. Allah telah mengutus aku sebagai nabi untuk memberikan amaran kepada umat-Nya Israel. Namun ke mana sahaja aku pergi, kamu berusaha untuk memerangkap aku seperti memerangkap burung. Di negeri milik Allah sendiri, nabi-nabi-Nya dimusuhi rakyat. Perbuatan kamu sangat jahat, seperti yang pernah dilakukan orang di Gibea. TUHAN akan mengingat dosa kamu dan menghukum kamu. TUHAN berfirman, “Ketika Aku mula-mula menemukan Israel, Aku gembira seperti orang menemukan buah anggur di padang gurun. Apabila Aku mula-mula nampak nenek moyang kamu, Aku senang hati seperti orang nampak buah ara yang mula-mula masak pada musim buah. Tetapi apabila mereka sampai di Gunung Peor, mereka mula menyembah Baal, sehingga mereka menjijikkan seperti berhala-berhala yang dicintai mereka. Kebesaran Israel akan terbang menghilang seperti burung. Mereka tidak akan mendapat anak lagi. Wanita mereka pun tidak akan mengandung lagi. Sekalipun anak-anak dilahirkan dan dibesarkan, Aku akan mengambil anak-anak mereka itu dan tidak seorang pun akan hidup. Apabila Aku meninggalkan kamu, perkara-perkara yang dahsyat akan menimpa kamu.” Ya TUHAN, aku nampak anak-anak mereka diburu dan dibunuh. Apakah yang harus aku minta daripada-Mu untuk umat ini? Jadikanlah wanita mereka mandul! Biarlah mereka tidak dapat menyusui bayi. TUHAN berfirman, “Segala kejahatan mereka itu bermula di Gilgal. Di sanalah Aku mula membenci mereka. Aku akan mengusir mereka dari negeri-Ku kerana kejahatan yang dilakukan mereka. Aku tidak mengasihi mereka lagi. Semua pemimpin mereka telah memberontak terhadap Aku. Orang Israel seperti pokok yang tidak berbuah dan akarnya telah kering. Mereka tidak akan melahirkan anak. Sekalipun mereka mempunyai anak, Aku akan membunuh anak-anak yang dikasihi mereka.” Allah yang aku sembah akan menolak umat-Nya, kerana mereka tidak mendengarkan Dia. Mereka akan menjadi perantau di kalangan bangsa-bangsa. Orang Israel seperti pokok anggur yang berbuah lebat. Semakin makmur mereka, semakin banyak mazbah yang didirikan mereka. Semakin banyak hasil bumi mereka, semakin indah pula tugu-tugu berhala yang dibuat mereka. Hati mereka penuh dengan tipu daya dan sekarang mereka harus menderita akibat dosa mereka. Allah akan merobohkan mazbah-mazbah mereka dan memusnahkan tugu-tugu berhala mereka. Tidak lama lagi mereka akan berkata, “Kita tidak mempunyai raja kerana kita tidak takut kepada TUHAN. Apa gunanya seorang raja bagi kita?” Mereka hanya mengucapkan kata-kata kosong dan membuat janji palsu serta mengikat perjanjian yang tidak berguna. Keadilan telah diputarbalikkan sehingga ketidakadilan menjalar di seluruh negeri bagaikan tanaman beracun di ladang yang telah dibajak. Penduduk kota Samaria akan takut dan berkabung kerana kehilangan lembu emas di Betel. Mereka dan para imam yang mengabdikan diri kepada lembu emas akan menangis. Mereka akan meraung apabila kemuliaan patung berhala itu lenyap. Berhala itu akan dibawa ke Asyur untuk dipersembahkan kepada raja yang agung. Israel akan dihina dan dipermalukan kerana nasihat yang telah diturutinya. Raja Samaria akan binasa seperti potongan kayu yang dihanyutkan air. Tempat-tempat orang Israel menyembah berhala di puncak bukit di Betel akan dimusnahkan. Semak berduri serta rumput akan meliputi mazbah-mazbah mereka. Lalu orang akan berseru kepada gunung-gunung, “Sembunyikanlah kami!” dan kepada bukit-bukit, “Timpalah kami!” TUHAN berfirman, “Orang Israel belum lagi berhenti berdosa terhadap Aku sejak mereka berdosa di Gibea. Oleh itu mereka akan ditimpa peperangan di Gibea. Aku akan menyerang orang yang berdosa ini dan menghukum mereka. Bangsa-bangsa akan bersekutu untuk melawan mereka, dan mereka akan dihukum kerana dosa mereka yang banyak itu. Dahulu Israel seperti lembu muda yang terlatih, dan sentiasa sedia mengirik gandum. Aku tidak perlu memasang kok pada tengkoknya yang elok itu. Tetapi sekarang Aku telah membuat keputusan untuk memaksanya bekerja berat. Aku menyuruh Yehuda membajak dan Israel menarik garu. Aku berfirman, ‘Bukalah tanah baru untuk kamu sendiri, taburlah benih keadilan, dan tuailah berkat yang dihasilkan oleh kesungguhan cinta kamu kepada Aku. Sudah tiba masanya kamu kembali kepada-Ku, TUHAN kamu; Aku akan datang dan mencurahkan berkat kepada kamu.’ Tetapi sebaliknya kamu menanam kejahatan dan menuai ketidakadilan. Kamu terpaksa makan hasil dusta kamu. Oleh sebab kamu mengharapkan kereta kuda kamu, dan tentera kamu yang besar, maka kamu akan ditimpa peperangan dan segala kubu kamu akan dimusnahkan. Keadaannya akan menjadi seperti hari Raja Salman memusnahkan kota Bet-Arbel dalam peperangan, dan membinasakan ibu-ibu bersama dengan anak-anak mereka. Hal itu akan berlaku kepada kamu, hai penduduk Betel, kerana kamu telah melakukan kejahatan yang besar. Sebaik sahaja peperangan bermula, raja Israel akan mati.” TUHAN berfirman, “Aku mengasihi Israel sejak dia masih kecil; Aku memanggil anak-Ku keluar dari Mesir. Tetapi semakin Aku memanggil mereka, semakin mereka menjauhi Aku. Umat-Ku mempersembahkan korban kepada Baal; mereka membakar kemenyan kepada berhala-berhala. Padahal Akulah yang mengajar Israel berjalan. Aku memeluk umat-Ku dengan kasih sayang; Aku memelihara mereka tetapi mereka tidak mahu mengakui hakikat itu. Aku mendekatkan mereka dengan penuh kasih sayang. Aku mendukung dan mencium mereka, Aku membongkok dan memberi mereka makan. Mereka tidak mahu kembali kepada-Ku. Oleh itu mereka mesti kembali ke Mesir, dan bangsa Asyur akan memerintah mereka. Peperangan akan melanda kota-kota mereka, dan pintu gerbang kota akan dirobohkan. Umat-Ku akan dimusnahkan kerana mereka menurut kemahuan mereka sendiri. Mereka berkeras hendak meninggalkan Aku. Mereka akan berseru minta tolong kerana tertindas, tetapi tiada sesiapa pun akan membebaskan mereka. Hai Israel, Aku tidak mungkin menolak kamu; Aku tidak mungkin meninggalkan kamu. Mungkinkah Aku membinasakan kamu seperti Adma, atau menghukum kamu seperti Zeboim? Aku tidak sampai hati berbuat demikian. Kasih-Ku bagi kamu terlalu besar. Aku tidak akan menghukum kamu apabila Aku murka; Aku tidak akan membinasakan Israel lagi, kerana Aku ini Allah dan bukan manusia. Aku, Yang Maha Suci menyertai kamu, Aku tidak akan murka kepada kamu lagi.” TUHAN berfirman, “Aku akan mengaum seperti singa terhadap musuh umat-Ku, dan umat-Ku akan mengikut Aku. Dari sebelah barat mereka akan cepat-cepat datang kepada-Ku. Dari Mesir mereka akan terbang kepada-Ku secepat burung, dan dari Asyur seperti merpati. Aku akan membawa mereka pulang ke rumah mereka semula. Aku, TUHAN telah berfirman.” TUHAN berfirman, “Bangsa Israel telah mengelilingi Aku dengan dusta dan tipu daya, dan bangsa Yehuda masih juga memberontak terhadap Aku, Allah yang suci dan setia. Segala yang dilakukan oleh orang Israel dari pagi hingga petang semuanya tidak berguna, malahan bersifat memusnahkan seperti angin timur. Dusta dan kekejaman semakin meningkat di kalangan mereka. Mereka membuat perjanjian dengan Asyur dan juga membawa minyak ke Mesir sebagai tanda persahabatan.” TUHAN mempunyai tuduhan terhadap orang Yehuda; dan Dia akan menghukum orang Israel juga kerana tingkah laku mereka. Dia akan membalas perbuatan mereka. Nenek moyang mereka, Yakub, menipu Esau, saudara kembarnya ketika mereka berdua masih di dalam rahim ibu, dan setelah dewasa Yakub melawan Allah. Yakub bergelut dengan malaikat dan menang. Yakub menangis meminta berkat, lalu Allah datang kepadanya di Betel dan berfirman kepada dia. Allah itu TUHAN Yang Maha Kuasa. Nama-Nya TUHAN. Dengan nama itulah Dia menghendaki orang beribadat kepada-Nya. Oleh itu, hai kamu keturunan Yakub, percayalah kepada Allah kamu, dan kembalilah kepada-Nya. Hiduplah dengan penuh kasih dan berlakulah adil, dan tunggulah dengan sabar sehingga Allah kamu bertindak. TUHAN berfirman kepada orang Israel, “Kamu curang seperti orang Kanaan. Peniaga kamu suka menipu pelanggan dengan timbangan yang tidak tepat. Kata mereka, ‘Kami kaya sekarang. Kami mempunyai banyak harta. Tiada sesiapa pun dapat menuduh kami berlaku curang.’ Akulah TUHAN, Allah kamu yang telah memimpin kamu keluar dari Mesir; Aku akan membuat kamu tinggal di dalam khemah lagi seperti dahulu, pada masa Aku datang kepada kamu di padang gurun. Aku telah berfirman kepada nabi-nabi, serta memberi mereka banyak penglihatan, dan melalui mereka Aku memberikan amaran kepada umat-Ku. Namun, masih ada yang menyembah berhala di Gilead dan mempersembahkan lembu di atas mazbah di Gilgal. Tetapi mereka yang menyembah berhala itu akan mati, dan mazbah-mazbah di Gilgal akan menjadi timbunan batu di padang.” Nenek moyang kita, Yakub, terpaksa lari ke negeri Mesopotamia. Di sana dia bekerja bagi orang lain sebagai gembala domba untuk mendapat isteri. TUHAN mengutus seorang nabi untuk membebaskan orang Israel daripada perhambaan di Mesir, dan untuk menjaga mereka. Orang Israel membuat TUHAN amat murka; mereka patut dihukum mati kerana kejahatan mereka. TUHAN akan menghukum mereka kerana mereka menghina Dia. Pada masa dahulu ketika suku Efraim berucap, suku-suku lain di Israel takut. Mereka sangat menghormati Efraim, tetapi sekarang suku Efraim berdosa. Mereka menyembah Baal, oleh itu mereka akan mati. Mereka terus-menerus berdosa dengan membuat patung-patung logam untuk disembah - patung daripada perak, yang dirancang oleh akal manusia dan dibentuk oleh tangan manusia. Lalu mereka berkata, “Persembahkanlah korban kepada berhala-berhala ini!” Aneh, manusia mencium patung anak lembu! Oleh itu mereka akan lenyap seperti kabus atau embun pada pagi hari. Mereka akan menjadi seperti sekam yang ditiup oleh angin dari tempat mengirik gandum, dan seperti asap yang keluar dari cerobong dapur. TUHAN berfirman, “Akulah TUHAN, Allah kamu yang telah memimpin kamu keluar dari Mesir. Kamu tidak mempunyai Allah selain Aku. Akulah satu-satunya penyelamat kamu. Aku telah memelihara kamu di padang gurun yang gersang. Tetapi setelah kamu berada di negeri yang baik, dan kamu kenyang serta puas, kamu menjadi sombong dan lupa akan Aku. Oleh itu Aku akan menyerang kamu seperti singa. Seperti harimau bintang Aku akan menanti-nanti untuk menyerang kamu di jalan. Aku akan menyerang kamu seperti beruang yang kehilangan anak. Aku akan menyiat-nyiat kamu. Seperti singa Aku akan menerkam kamu di situ, dan seperti binatang buas Aku akan mencabik-cabik kamu. Aku akan membinasakan kamu, hai orang Israel! Siapakah yang dapat menolong kamu? Kamu meminta raja dan pemimpin, tetapi dapatkah mereka menyelamatkan bangsa ini? Dengan murka Aku memberi kamu raja-raja, tetapi dengan geram Aku telah mengambil mereka pergi. Dosa dan kesalahan Israel telah dicatat, dan catatannya disimpan. Israel mempunyai peluang untuk hidup, tetapi Israel sangat bodoh sehingga tidak menggunakan peluang itu. Israel seperti bayi yang hampir lahir tetapi tidak mahu keluar dari rahim ibu. Aku tidak akan menyelamatkan umat ini dari dunia orang mati atau daripada kuasa maut. Hai maut, datangkanlah wabak! Hai dunia orang mati, datangkanlah kebinasaan! Aku tidak mengasihani umat ini lagi. Meskipun Israel akan makmur seperti rumput yang subur, Aku akan mengirim angin timur yang panas dari padang gurun dan mengeringkan perigi dan mata airnya. Segala yang berharga akan diambil daripadanya. Samaria harus dihukum kerana memberontak terhadap Aku. Rakyatnya akan mati dalam peperangan. Bayi akan dihempaskan sehingga hancur, dan perut wanita hamil dibelah.” Kembalilah kepada TUHAN, Allah kamu, hai orang Israel. Dosa kamu telah menyebabkan kamu tergelincir dan jatuh. Kembalilah kepada TUHAN, dan biarlah doa ini menjadi persembahan kamu kepada-Nya: “Ampunkanlah segala dosa kami, ya TUHAN, dan terimalah doa kami. Lalu kami akan memuji Engkau sebagaimana yang telah kami janjikan. Negeri Asyur tidak akan dapat menyelamatkan kami. Kereta kuda pun tidak dapat melindungi kami. Kami tidak akan berkata lagi kepada berhala bahawa berhala-berhala itu Allah kami. Ya TUHAN, Engkau mengasihani orang yang tidak mempunyai sesiapa pun yang dapat diharapkan.” TUHAN berfirman, “Umat-Ku yang menyeleweng akan Kubawa kembali. Mereka akan Kukasihi dengan segenap hati, sebab mereka tidak Kumurkai lagi. Bagi orang Israel, Aku seperti hujan yang membasahi tanah yang gersang. Mereka akan berkembang seperti bunga, dan seperti pokok di Lebanon yang dalam akarnya. Mereka akan hidup dan bertambah banyak seperti tanaman yang banyak tunasnya, dan mereka menjadi indah seperti pokok zaitun. Mereka akan menjadi harum seperti pokok sedar di Lebanon. Mereka akan kembali kepada-Ku dan hidup dalam perlindungan-Ku. Dengan pesat mereka akan bertambah makmur seperti gandum bertumbuh di ladang yang subur, dan seperti ladang anggur yang banyak hasilnya. Mereka akan terkenal seperti wain dari Lebanon. Orang Israel akan membuang berhala-berhala; Aku akan mengabulkan doa mereka dan memelihara mereka. Seperti pokok malar hijau Aku akan melindungi mereka; Akulah sumber segala berkat mereka.” Semoga orang yang bijaksana memahami apa yang tertulis ini serta memperhatikannya. Petunjuk daripada TUHAN adalah benar, dan orang salih hidup kerana menurut petunjuk itu. Tetapi orang berdosa tergelincir dan jatuh, kerana mereka tidak menurut petunjuk itu. Inilah perkhabaran TUHAN kepada Yoel anak Petuel. Dengarkanlah, hai orang tua; dengarkanlah, hai semua orang di Yehuda. Pernahkah perkara seperti ini berlaku pada zaman kamu, atau pada zaman nenek moyang kamu? Ceritakanlah kejadian ini kepada anak-anak kamu, agar mereka menceritakannya kepada anak-anak mereka, dan anak-anak mereka pula menceritakannya kepada generasi selanjutnya. Kawanan belalang yang tidak terhitung jumlahnya hinggap di ladang-ladang dan melahap hasilnya. Apa yang ditinggalkan kawanan ini, dihabiskan oleh kawanan yang lain lagi. Hai pemabuk, bangunlah! Hai peminum wain, menangislah! Wain yang baru sudah dirampas dari mulut kamu. Suatu bangsa telah menyerang negeri kita; bangsa yang kuat dan tidak terhitung bilangannya; gigi mereka itu tajam seperti gigi singa. Pokok anggur kita telah dimusnahkan, dan pokok ara kita dirosakkan. Kulit batang pokok telah dikupas, sehingga cabang-cabang menjadi putih. Hai semua orang, menangislah, seperti gadis yang meratapi kematian tunangannya. Tiada lagi gandum dan wain untuk dipersembahkan di Rumah TUHAN; para imam menangis kerana tidak mempunyai persembahan untuk TUHAN. Ladang-ladang kosong; tanah berkabung kerana gandum sudah musnah, buah anggur sudah kering, dan pokok zaitun sudah layu. Hai petani, berdukacitalah; hai pekebun anggur, menangislah, kerana gandum, barli, dan semua tanaman sudah musnah. Pokok buah-buahan di ladang sudah layu semuanya; pokok anggur, pokok epal, pokok ara, pokok kurma, dan pokok delima, maka rakyat tidak lagi gembira. Hai imam-imam yang bertugas di mazbah, pakailah kain guni dan menangislah. Masuklah ke dalam Rumah TUHAN dan merataplah semalam suntuk. Tiada lagi gandum dan wain untuk dipersembahkan kepada Allah kamu. Berikanlah perintah untuk berpuasa; adakan satu perhimpunan. Suruhlah para pemimpin dan semua penduduk Yehuda datang ke Rumah TUHAN, Allah kamu dan berseru mohon pertolongan-Nya. Hari TUHAN sudah dekat, ketika Yang Maha Kuasa, mendatangkan kehancuran. Alangkah ngerinya hari itu! Tanaman dimusnahkan di depan mata kita. Tiada lagi sorak gembira di dalam Rumah Allah kita. Benih mati di tanah yang gersang. Tiada lagi gandum untuk disimpan; jelapang kosong menjadi reruntuhan. Binatang ternakan melenguh dan gelisah, kerana tiada lagi padang rumput bagi semuanya; kawanan domba pun menderita. Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN, kerana padang rumput dan pokok sudah kering dan mati, seolah-olah dibakar api. Bahkan binatang liar pun berseru kepada-Mu, kerana sungai-sungai sudah kering, dan padang rumput di gurun sudah dibakar api. Tiuplah trompet, bunyikan tanda kecemasan di Sion, bukit suci Allah. Gementarlah, hai penduduk Yehuda, kerana Hari TUHAN segera tiba. Hari itu gelap dan mendung, hari kelam dan berawan. Bala tentera belalang itu mara seperti kegelapan yang meliputi pergunungan. Belum pernah berlaku perkara seperti ini, dan perkara ini tidak akan berulang lagi. Seperti api yang membakar dan menghanguskan, kawanan belalang makan segala tanaman. Di hadapan kawanan belalang, padang indah bagaikan taman Eden. Tetapi di belakang kawanan belalang, padang itu sudah menjadi gersang. Segala-galanya dimusnahkan oleh belalang. Rupa belalang itu seperti kuda, dan berlari seperti kuda perang. Apabila belalang hinggap di atas gunung, belalang berdetar bagaikan kereta kuda, dan gemeretik bagaikan rumput kering terbakar. Belalang berbaris seperti bala tentera yang siap untuk menyerang. Apabila belalang mara, semua orang takut; tiap-tiap muka orang menjadi pucat. Belalang menyerang seperti pahlawan, dan memanjat tembok seperti askar. Semua belalang terus mara ke depan, tanpa menukar haluan atau berlanggar-langgar. Belalang merempuh segala halangan, tiada yang dapat menegah. Belalang menyerang kota, berlari di atas tembok kota, memanjat rumah-rumah, dan masuk melalui jendela seperti pencuri. Bumi bergoncang ketika belalang mara, dan langit pun bergegar. Matahari dan bulan menjadi gelap, bintang-bintang tidak lagi bercahaya. TUHAN memberikan perintah dengan nyaring kepada tentera-Nya. Askar yang taat kepada-Nya banyak dan perkasa. Alangkah dahsyatnya hari TUHAN! Tidak seorang pun akan dapat bertahan. TUHAN berfirman, “Tetapi sekarang bertaubatlah dengan sungguh-sungguh dan kembalilah kepada-Ku dengan berpuasa, menangis, dan meratap. Biarlah hati kamu yang hancur itu menyatakan penyesalan, jangan hanya mengoyakkan pakaian.” Kembalilah kepada TUHAN Allah kamu. Dia penyayang dan penuh rahmat; Dia sabar dan menepati janji-Nya; Dia sentiasa sedia mengampuni dan tidak suka menghukum. Mungkin TUHAN Allah kamu akan mengubah fikiran-Nya, lalu memberkati kamu dengan hasil bumi yang banyak. Oleh itu kamu dapat mempersembahkan gandum dan wain kepada-Nya. Tiuplah trompet di Bukit Sion; berikanlah perintah untuk berpuasa, dan adakanlah satu perhimpunan. Kumpulkanlah segenap rakyat, siapkanlah mereka untuk perhimpunan umat, bawalah orang tua, kumpulkanlah anak-anak dan bayi-bayi juga. Pasangan yang baru berkahwin pun mesti meninggalkan bilik, lalu datang. Para imam yang mengabdi kepada TUHAN di antara mazbah dan pintu Rumah TUHAN, mesti menangis dan berdoa demikian, “Kasihanilah umat-Mu, ya TUHAN. Jangan biar bangsa lain menghina dan mengolok-olok kami dengan berkata, ‘Di manakah Allah kamu?’ ” Kemudian TUHAN menunjukkan bahawa Dia mengambil berat tentang tanah-Nya; Dia mengasihani umat-Nya. Dia menjawab mereka, “Sekarang Aku hendak memberi kamu gandum, wain, dan minyak zaitun, lalu kamu akan dikenyangkan. Bangsa-bangsa lain tidak akan menghina kamu lagi. Aku akan menjauhkan pasukan belalang yang datang dari utara. Aku akan mengusir sebilangan daripada pasukan itu ke padang gurun. Barisan hadapan pasukan itu akan dihalau sampai tenggelam di Laut Mati, dan barisan belakang tenggelam di Laut Tengah. Belalang yang mati akan menjadi busuk. Aku akan membinasakan pasukan itu kerana segala perbuatannya terhadap kamu. Hai ladang, jangan takut; bersukacitalah dan bergembiralah, kerana perkara besar yang dilakukan TUHAN untukmu. Hai binatang, jangan takut; kerana padang rumput kini hijau, pokok mengeluarkan buah, dan buah ara serta buah anggur pun banyak. Bersukacitalah, hai penduduk Sion, bergembiralah kerana apa yang telah dilakukan TUHAN, Allah kamu bagi kamu; Dia telah memberikan hujan yang cukup pada musim luruh, Dia telah menurunkan hujan pada musim sejuk dan hujan pada musim bunga seperti dahulu. Tempat mengirik gandum akan penuh dengan gandum, dan tempat memeras buah anggur akan berkelimpahan dengan wain dan minyak zaitun. Aku akan mengganti segala kerugian kamu pada tahun-tahun ketika belalang makan hasil tanaman kamu. Akulah yang menyuruh kawanan belalang itu menyusahkan kamu. Tetapi sekarang kamu akan mempunyai cukup makanan sehingga kenyang. Kamu akan memuji TUHAN, Allah kamu, Dia telah melakukan perbuatan ajaib bagi kamu. Umat-Ku tidak sekali-kali akan dihina lagi. Oleh itu, hai Israel, kamu akan tahu bahawa Aku ada di tengah-tengah kamu, dan bahawa Aku, TUHAN ialah Allah kamu, dan tiada lagi yang lain. Umat-Ku tidak sekali-kali akan dihina lagi.” “Kemudian Aku akan mencurahkan Roh-Ku kepada semua orang: anak lelaki dan anak perempuan kamu akan mengisytiharkan perkhabaran-Ku; orang tua kamu akan bermimpi, dan orang muda kamu akan nampak penglihatan. Pada masa itu Aku akan mencurahkan roh-Ku bahkan kepada hamba-hamba, baik lelaki mahupun perempuan. Aku akan memberikan petanda hari itu, di langit dan di bumi; akan ada pertumpahan darah, api dan gumpalan asap. Sebelum Hari TUHAN yang dahsyat dan mengerikan itu tiba, matahari akan menjadi gelap, dan bulan akan menjadi merah seperti darah. Tetapi semua orang yang meminta pertolongan TUHAN akan diselamatkan. Sebagaimana TUHAN telah berfirman, ‘Sebilangan orang di Yerusalem akan terselamat; mereka yang Aku pilih akan hidup.’ ” TUHAN berfirman, “Pada masa itu Aku akan memulihkan kemakmuran Yehuda dan Yerusalem. Aku akan mengumpulkan semua bangsa dan membawa mereka ke Lembah Penghakiman. Aku akan menghakimi mereka di situ kerana segala perbuatan mereka terhadap umat-Ku. Mereka telah membuang umat-Ku ke berbagai negeri, dan membahagi-bahagikan tanah Israel, negeri milik-Ku. Mereka membuang undi untuk menentukan pemilik orang tawanan. Mereka menjual budak lelaki dan perempuan supaya dijadikan abdi. Mereka menggunakan wang yang diperoleh untuk membayar pelacur dan membeli wain. Apakah yang kamu cuba lakukan kepada-Ku, hai Tirus, Sidon, dan seluruh wilayah Filistea? Adakah kamu cuba membalas dendam terhadap Aku? Jika demikian, Aku akan membalas kamu dengan segera. Kamu telah merampas emas dan perak-Ku, serta membawa harta kekayaan-Ku ke dalam rumah berhala kamu. Kamu telah membawa penduduk Yehuda dan Yerusalem ke tempat yang jauh, serta menjual mereka kepada orang Yunani. Tetapi sekarang Aku membawa mereka keluar dari tempat-tempat kamu menjual mereka. Aku akan membalas kejahatan kamu terhadap mereka. Anak-anak lelaki dan perempuan kamu akan dijual kepada orang Yehuda; orang Yehuda pula akan menjual mereka kepada Syeba, negeri yang sangat jauh. Aku, TUHAN telah berfirman. Umumkanlah hal ini kepada bangsa-bangsa, ‘Bersiaplah untuk berperang, panggillah para pahlawan kamu; kumpulkanlah semua askar, dan maralah! Leburlah mata bajak untuk dijadikan pedang, dan juga sabit untuk dijadikan tombak. Hendaklah orang yang lemah turut berkata: Aku pahlawan. Marilah segera, hai bangsa-bangsa di sekitar, berkumpullah di lembah.’ ” Ya TUHAN, kirimlah tentera-Mu untuk menyerang mereka. TUHAN berfirman lagi, “Bangsa-bangsa mesti bersiap dan datang ke Lembah Penghakiman. Di sana Aku, TUHAN akan duduk dan menghakimi, semua bangsa di sekitar. Mereka sangat kejam, potonglah mereka seperti gandum pada musim menuai; peraslah mereka seperti buah anggur di tempat memeras buah anggur sehingga wain melimpah.” Beribu-ribu orang berada di Lembah Penghakiman. Di sanalah Hari TUHAN akan segera datang. Matahari dan bulan menjadi gelap, dan bintang-bintang tidak lagi bercahaya. Suara TUHAN bergemuruh dari Bukit Sion; Dia mengguntur dari Yerusalem; langit dan bumi bergoncang, tetapi Dia akan melindungi umat-Nya. “Oleh itu hai Israel, barulah kamu tahu, bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu. Aku tinggal di Sion, bukit-Ku yang suci. Yerusalem akan menjadi kota yang suci; orang bangsa asing tidak sekali-kali akan merampasnya lagi. Pada masa itu gunung akan diliputi ladang anggur; ternakan akan terdapat di tiap-tiap bukit; semua sungai di Yehuda akan penuh air. Sebatang sungai akan mengalir dari Rumah TUHAN; sungai itu akan mengairi Lembah Akasia. Mesir akan menjadi padang gurun, dan Edom menjadi timbunan puing, kerana mereka telah menyerang Yehuda dan membunuh penduduknya yang tidak bersalah. [20-21] Aku akan membalas dendam bagi pihak mereka yang telah dibunuh; Aku tidak akan membiarkan orang yang bersalah terlepas. Tetapi Yehuda dan Yerusalem akan dihuni orang selama-lamanya, dan Aku, TUHAN akan tinggal di Bukit Sion.” Inilah kata-kata Amos, seorang gembala domba dari kota Tekoa. Dua tahun sebelum gempa bumi berlaku, ketika negeri Yehuda diperintah oleh Raja Uzia dan Israel diperintah oleh Raja Yerobeam putera Raja Yehoas, Allah menyatakan perkara-perkara tentang Israel kepada Amos. Inilah yang dikatakan oleh Amos, “TUHAN bertempik dari Bukit Sion, suara-Nya bergemuruh dari Yerusalem. Padang rumput menjadi gersang, rumput di Gunung Karmel menjadi kering.” TUHAN berfirman, “Penduduk Damsyik sudah berkali-kali berdosa, oleh itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka memperlakukan orang Gilead dengan sangat kejam. Oleh itu Aku akan mengirim api ke istana yang dibina oleh Raja Hazael dan membakar kubu-kubu Raja Benhadad. Aku akan merosakkan pintu gerbang Damsyik, dan menyingkirkan penduduk Lembah Awen dari tempat tinggal mereka. Penguasa Bet-Eden akan Kuturunkan dari takhta, dan penduduk Siria akan ditawan serta dibuang ke negeri Kir.” TUHAN berfirman, “Penduduk Gaza sudah berkali-kali berdosa, oleh itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka sudah menawan semua orang daripada satu bangsa, dan menjual bangsa itu sebagai abdi kepada orang Edom. Oleh itu Aku akan mengirim api ke tembok kota Gaza dan menghanguskan semua kubunya. Aku akan melucutkan kuasa para penguasa kota Asdod dan Askelon. Aku akan menghukum kota Ekron dan membinasakan semua orang Filistin yang masih hidup.” TUHAN berfirman, “Penduduk Tirus sudah berkali-kali berdosa, oleh itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka sudah membawa semua orang daripada satu bangsa ke pembuangan di negeri Edom; mereka tidak menepati perjanjian persahabatan yang dibuat oleh mereka. Oleh itu Aku akan mengirim api ke tembok kota Tirus dan membakar kubu-kubunya.” TUHAN berfirman, “Penduduk Edom sudah berkali-kali berdosa, oleh itu Aku pasti akan menghukum mereka. Tanpa belas kasihan, mereka sudah memburu orang Israel, saudara mereka. Mereka terus-menerus marah dan tetap mendendam. Oleh sebab itu Aku akan mengirim api ke kota Teman dan membakar kubu-kubu Bozra.” TUHAN berfirman, “Penduduk Amon sudah berkali-kali berdosa, oleh itu Aku pasti akan menghukum mereka. Ketika mereka berperang untuk meluaskan wilayah, mereka membelah perut wanita-wanita hamil di Gilead. Oleh itu, Aku akan mengirim api ke tembok kota Raba dan menghanguskan semua kubunya. Pada masa itu akan terdengar keriuhan pertempuran dan peperangan akan memuncak seperti angin ribut. Raja mereka dan para pegawai kerajaan akan ditawan dan di buang negeri.” TUHAN berfirman, “Penduduk Moab sudah berkali-kali berdosa, kerana itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka menghina raja Edom yang sudah mangkat dengan membakar tulangnya sehingga menjadi abu. Oleh itu, Aku akan mengirim api ke negeri Moab dan membakar kubu-kubu Keriot. Penduduk Moab akan mati di tengah-tengah keriuhan perang, sementara trompet dibunyikan dan pekik pertempuran diteriakkan oleh askar. Aku akan membunuh penguasa Moab dan semua pegawai kerajaan di sana.” TUHAN berfirman, “Penduduk Yehuda sudah berkali-kali berdosa, kerana itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka melanggar perintah-Ku dan tidak mempedulikan ajaran-Ku. Mereka disesatkan oleh tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang mereka. Oleh itu, Aku akan mengirim api ke negeri Yehuda dan membakar kubu-kubu Yerusalem.” TUHAN berfirman, “Umat Israel sudah berkali-kali berdosa, kerana itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka menjual orang jujur sebagai abdi; orang jujur yang tidak dapat membayar hutang mereka. Demikian juga yang dilakukan mereka terhadap orang miskin yang tidak dapat membayar hutang, walaupun hutang itu hanya seharga sepasang selipar. Mereka menginjak-injak orang lemah yang tidak berdaya dan menyingkirkan orang miskin. Bapa dan anak lelakinya meniduri abdi perempuan yang sama, sehingga mencemarkan nama-Ku yang suci. Di setiap tempat ibadat, orang tidur dengan pakaian yang diambil daripada orang miskin sebagai jaminan hutang. Di Rumah Allah mereka, mereka minum wain yang diambil daripada orang yang berhutang kepada mereka. Walaupun begitu, hai umat-Ku, bagi kamulah Aku membinasakan orang Amori yang setinggi pokok sedar dan sekuat pokok oak. Aku sudah membawa kamu keluar dari Mesir dan memimpin kamu melalui padang gurun selama 40 tahun. Aku sudah memberikan negeri orang Amori kepada kamu supaya menjadi negeri kamu sendiri. Aku sudah memilih beberapa orang daripada anak lelaki kamu untuk menjadi nabi, dan beberapa orang muda kamu untuk menjadi orang Nazir. Bukankah demikian, hai umat Israel? Aku, TUHAN, sudah berfirman. Tetapi kamu menyuruh orang Nazir minum wain, sehingga mereka mengingkari janji. Kamu juga melarang nabi-nabi menyampaikan perkhabaran-Ku. Sekarang Aku akan menekan kamu sampai ke tanah, seperti kereta lembu yang sarat dengan muatan gandum. Pelari yang pantas pun tidak akan dapat melarikan diri; orang kuat akan hilang kekuatan, dan pahlawan tidak dapat menyelamatkan diri. Pemanah tidak akan dapat bertahan, pelari pantas tidak akan dapat melarikan diri, dan penunggang kuda tidak akan dapat menyelamatkan diri. Pada hari itu askar yang paling berani pun akan meninggalkan senjata, lalu lari.” Demikianlah firman TUHAN. Hai umat Israel, dengarlah perkhabaran TUHAN tentang segenap bangsa kamu, yang sudah dibawa-Nya keluar dari Mesir. TUHAN berfirman, “Daripada semua bangsa di dunia, kamulah satu-satunya bangsa yang Aku kenal dan pelihara. Itulah sebabnya dosa kamu besar, dan Aku mesti menghukum kamu.” Bolehkah dua orang berangkat bersama-sama tanpa berjanji untuk berjumpa lebih dahulu? Adakah singa mengaum di hutan, jika belum mendapat mangsa? Adakah anak singa mengaum di dalam lubangnya, jika belum menangkap apa-apa? Bolehkah burung terjebak dalam perangkap, jika perangkap tidak berumpan? Bolehkah perangkap membingkas jika tiada yang tertangkap? Jika trompet tanda perang dibunyikan, tidakkah orang di kota ketakutan? Bolehkah bencana menimpa sesuatu kota, jika TUHAN tidak mendatangkan bencana itu? TUHAN Raja tidak pernah melakukan sesuatu pun tanpa menyatakan rancangan-Nya kepada para nabi, hamba-hamba-Nya. Apabila singa mengaum, siapakah tidak takut? Apabila TUHAN Raja berfirman, siapakah dapat berdiam diri dan tidak mengisytiharkan perkhabaran-Nya? Umumkanlah perkhabaran ini kepada orang yang tinggal di istana Mesir dan Asdod, “Berkumpullah di bukit-bukit di sekitar Samaria, dan lihatlah huru-hara serta jenayah yang berlaku di sana.” TUHAN berfirman, “Penduduk Samaria mengisi rumah besar mereka dengan benda-benda yang diperoleh daripada kejahatan dan kekejaman. Mereka sama sekali tidak tahu berlaku jujur. Oleh itu musuh akan mengepung negeri mereka, memusnahkan pertahanan, dan menjarah rumah besar mereka.” TUHAN berfirman, “Seperti seorang gembala yang hanya mendapat sepasang kaki atau sepotong telinga dombanya yang diterkam oleh singa, demikian juga yang akan berlaku; hanya sedikit orang yang akan terselamat antara penduduk Samaria yang sekarang berbaring di atas tempat tidur yang serba mewah.” TUHAN Raja Yang Maha Kuasa berfirman, “Sekarang dengarlah, dan berikanlah amaran kepada keturunan Yakub. Pada hari Aku menghukum orang Israel kerana dosa mereka, Aku akan memusnahkan mazbah-mazbah di Betel. Setiap mazbah akan dipatahkan unjuran-unjurannya sehingga jatuh ke tanah. Aku akan memusnahkan rumah musim sejuk dan rumah musim panas. Rumah yang dihias dengan gading akan roboh; semua rumah besar akan dimusnahkan. Dengarlah, hai kaum wanita Samaria yang bertambah gemuk seperti lembu tambun di Basan! Kamu menindas orang lemah, menekan orang miskin, dan menuntut supaya suami kamu sentiasa menyediakan minuman keras untuk kamu! Aku, TUHAN Raja suci. Aku sudah berjanji bahawa akan tiba masanya kamu diheret dengan kaitan; kamu semua akan menjadi seperti ikan pada mata kail. Kamu akan diheret ke celah tembok yang terdekat, lalu dilempar keluar ke Hermon.” TUHAN Raja berfirman, “Hai umat Israel! Pergilah ke tempat ibadat di Betel dan berbuatlah dosa di sana! Pergilah ke Gilgal, dan berbuatlah dosa di sana dengan segenap kekuatan kamu! Persembahkanlah korban setiap pagi, dan bawalah persepuluhan kamu setiap tiga hari! Persembahkanlah roti sebagai korban kesyukuran kepada Allah, dan bercakap besarlah tentang persembahan tambahan yang kamu bawa! Perbuatan seperti itulah yang suka kamu lakukan. Akulah yang mendatangkan kebuluran kepada semua kota kamu, tetapi kamu tidak kembali kepada-Ku. Aku mencegah hujan turun ketika tanaman kamu sangat memerlukan air. Aku menurunkan hujan ke kota yang satu tetapi tidak menurunkannya ke kota yang lain. Ladang yang satu mendapat curahan hujan, sedangkan ladang yang lain kekeringan. Di beberapa buah kota, penduduknya yang lemah kerana kehausan akan mencari air di kota yang lain, tetapi air di situ tidak cukup. Walaupun begitu, kamu tidak juga kembali kepada-Ku. Aku mengirim angin panas dan hama untuk merosakkan tanaman kamu di ladang dan pokok anggur kamu. Belalang memakan habis pokok ara dan pokok zaitun. Namun demikian kamu tidak juga kembali kepada-Ku. Aku mengirim wabak kepada kamu seperti yang Aku kirim ke Mesir. Aku membunuh orang muda kamu dalam peperangan dan merampas kuda kamu. Aku memenuhi perkhemahan kamu dengan bangkai yang baunya menusuk hidung. Walaupun begitu, kamu tidak juga kembali kepada-Ku. Aku membinasakan sebilangan daripada kamu sebagaimana Aku membinasakan Sodom dan Gomora. Orang yang masih hidup di kalangan kamu umpama puntung kayu yang diambil dari api. Walaupun begitu, kamu tidak juga kembali kepada-Ku. Oleh itu, hai umat Israel, Aku akan menghukum kamu. Bersiaplah menghadapi hukuman yang akan Kutimpakan kepada kamu!” Sesungguhnya, Allah yang menciptakan pergunungan; Dia juga yang menjadikan angin. Dia menyatakan rancangan-Nya kepada manusia. Dia mengubah siang menjadi malam; di atas puncak-puncak bumi Dia berjalan, TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, itulah nama-Nya. Dengarlah, hai umat Israel! Aku hendak menyanyikan lagu perkabungan untuk kamu: Israel, anak dara itu sudah jatuh, dia tidak akan bangkit lagi! Dia dibiarkan terlantar di tanahnya sendiri, tiada sesiapa yang menolongnya berdiri. TUHAN Raja berfirman, “Sebuah kota di Israel mengerahkan seribu orang askar, tetapi hanya seratus orang yang kembali. Kota yang lain mengerahkan seratus orang, tetapi hanya sepuluh orang yang kembali.” TUHAN berfirman kepada umat Israel, “Kembalilah kepada-Ku, maka kamu akan hidup. Jangan pergi ke Bersyeba untuk beribadat. Jangan cari Aku di Betel kerana Betel akan lenyap. Jangan pergi ke Gilgal, kerana penduduk kota itu akan dibuang negeri.” Kembalilah kepada TUHAN, maka kamu akan hidup. Jika kamu tidak kembali kepada-Nya, Dia akan datang seperti api yang menyala-nyala kepada umat Israel. Api akan membakar penduduk Betel dan tiada seorang pun dapat memadamkan api itu. Alangkah malangnya kamu yang memutarbalikkan keadilan dan merampas hak orang! TUHAN mencipta bintang-bintang di angkasa - bintang Orion dan bintang Kartika. Dia mengubah kegelapan menjadi cahaya, dan mengubah siang menjadi malam. Dia memanggil air dari lautan dan mencurahkan air itu ke daratan. TUHAN itulah nama-Nya. Dia membinasakan orang perkasa, dan memusnahkan pertahanan mereka. Kamu membenci orang yang menentang ketidakadilan dan yang berkata benar di tempat pengadilan. Kamu menindas orang miskin dan merampas gandum mereka. Oleh itu kamu tidak akan tinggal di dalam rumah mewah daripada batu, yang sudah kamu bina. Kamu tidak akan minum wain dari ladang anggur kamu yang indah. Aku tahu betapa dahsyatnya dosa kamu dan betapa banyaknya jenayah yang kamu lakukan. Kamu menganiaya orang baik, menerima rasuah, dan menghalang orang miskin daripada mendapat keadilan di tempat pengadilan. Oleh sebab perbuatan kamu itu, maka orang bijaksana berfikir lebih baik berdiam diri sahaja pada masa yang jahat seperti itu. Berusahalah untuk berbuat baik dan jangan berbuat jahat, supaya kamu hidup. Maka TUHAN Allah Yang Maha Kuasa akan sungguh-sungguh menyertai kamu seperti yang kamu katakan. Bencilah kejahatan, cintailah kebaikan, dan tegakkanlah keadilan di mahkamah. Mungkin TUHAN akan mengasihani orang Israel yang masih hidup. Oleh itu TUHAN Raja Yang Maha Kuasa berfirman, “Di jalan-jalan kota, orang akan meratap dan menangis kerana sedih. Bahkan petani-petani pun akan dipanggil untuk ikut meratap bersama dengan orang yang diupah untuk meratapi orang mati. Orang akan meratap di semua ladang anggur kerana Aku datang untuk menghukum kamu.” Demikianlah firman TUHAN. Alangkah malangnya kamu yang menanti-nantikan Hari TUHAN! Apakah gunanya hari itu bagi kamu? Hari itu hanya merupakan hari yang gelap dan bukan hari yang terang bagi kamu. Keadaannya seperti orang yang melarikan diri dari singa, lalu bertemu dengan beruang; atau seperti orang yang pulang ke rumah dan meletakkan tangannya pada tembok, lalu dipatuk ular! Hari TUHAN itu akan membawa kegelapan dan bukan cahaya; hari itu akan suram, tanpa cahaya sama sekali. TUHAN berfirman, “Aku benci dan muak dengan perayaan agama kamu; Aku jemu melihatnya! Apabila kamu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk mengucap syukur kepada-Ku, Aku tidak akan menerimanya. Aku tidak akan menerima ternak yang gemuk, yang kamu persembahkan sebagai korban untuk memohon berkat, kepada-Ku. Hentikanlah nyanyian kamu yang membisingkan itu; Aku tidak mahu mendengar permainan kecapi kamu. Sebaliknya, berusahalah supaya keadilan mengalir seperti sungai, dan kejujuran mengalir seperti air yang tidak pernah kering. Hai umat Israel, pada masa Aku memimpin kamu melalui padang gurun selama empat puluh tahun, Aku tidak menuntut persembahan dan korban daripada kamu. Tetapi sekarang kamu menyembah Sakut yang kamu anggap raja dan Kewan, bintang yang kamu dewa-dewakan itu. Oleh itu kamu sendiri harus mengangkut patung-patung itu, apabila Aku membuang kamu ke suatu negeri yang lebih jauh dari Damsyik.” Demikianlah firman TUHAN yang bernama Allah Yang Maha Kuasa. Alangkah malangnya kamu yang hidup bersenang-senang di Sion, dan kamu yang berasa aman di Samaria. Kamulah orang kenamaan daripada Israel, bangsa yang agung; kamulah yang didatangi rakyat untuk meminta pertolongan. Tetapi sekarang pergilah melihat kota Kalne. Berjalanlah terus ke kota Hamat yang besar, kemudian ke kota Gat di Filistin. Adakah kamu menyangka bahawa kota-kota itu lebih baik daripada kerajaan Yehuda dan Israel? Adakah wilayah mereka lebih besar daripada wilayah kamu? Kamu tidak mahu mengakui bahawa hari malapetaka sudah hampir, tetapi perbuatan kamu hanya mempercepatkan ketibaan hari yang dahsyat itu. Alangkah malangnya kamu yang berbaring di atas tempat tidur yang serba mewah, dan berpesta dengan makan daging anak lembu dan anak domba! Kamu suka menggubah lagu seperti yang dilakukan oleh Daud, dan kamu memainkan lagu itu pada kecapi. Kamu minum wain dari mangkuk yang diisi penuh, dan kamu menggunakan minyak wangi yang terbaik, tetapi kamu tidak meratapi kejatuhan Israel. Oleh itu kamulah yang akan pertama-tama dibuang negeri. Pesta dan jamuan kamu akan berakhir. Dengan tegas TUHAN Raja Yang Maha Kuasa sudah memberikan amaran ini, “Aku benci akan keangkuhan umat Israel; Aku sangat benci akan rumah mewah mereka. Ibu kota mereka dan semua yang ada di situ akan Kuserahkan kepada musuh.” Apabila ada sepuluh orang yang tinggal di dalam sebuah rumah, mereka akan mati juga. Seorang sanak itu, yang bertanggungjawab mengurus penguburan orang yang sudah meninggal, akan datang untuk membawa keluar jenazah saudaranya. Dia akan berseru kepada orang yang berada di dalam rumah itu, “Adakah sesiapa yang masih hidup selain kamu?” Jawapan akan terdengar, “Tiada!” Kemudian sanak itu akan berkata, “Jangan bercakap lagi! Kita tidak boleh menyebut nama TUHAN.” Apabila TUHAN memberikan perintah, rumah besar dan rumah kecil akan dimusnahkan. Adakah kuda berlari di bukit batu? Adakah orang membajak lautan dengan lembu? Tetapi kamu sudah memutarbalikkan keadilan sehingga menjadi racun, dan perkara yang benar menjadi salah. Kamu bercakap besar kerana kamu sudah mengalahkan kota Lodebar. Dengan angkuh kamu berkata, “Kami cukup kuat untuk merebut kota Karnaim.” TUHAN Allah Yang Maha Kuasa berfirman, “Umat Israel, Aku akan mengirim tentera suatu bangsa asing untuk menaklukkan negeri kamu. Mereka akan menindas kamu, dari Genting Hamat di utara sampai ke Lembah Araba di selatan.” Aku mendapat suatu penglihatan daripada TUHAN Raja. Dalam penglihatan itu aku nampak Dia mencipta suatu kawanan belalang setelah orang selesai memotong rumput untuk raja. Pada masa itu rumput mula tumbuh lagi. Kawanan belalang itu memakan habis semua tumbuhan di tanah. Kemudian aku berkata, “Ya TUHAN Raja, ampunilah umat-Mu! Bagaimana mungkin mereka dapat bertahan? Mereka sangat kecil dan lemah!” TUHAN mengubah fikiran-Nya dan berfirman, “Hal yang engkau nampak itu tidak akan berlaku.” Aku mendapat suatu penglihatan lagi daripada TUHAN Raja. Aku nampak Dia sedang bersedia untuk menghukum umat-Nya dengan api. Api itu menghanguskan lautan besar di bawah bumi dan mula membakar tanah. Kemudian aku berkata, “Ya TUHAN Raja, tolong hentikan api itu! Bagaimana mungkin umat-Mu dapat bertahan? Mereka sangat kecil dan lemah!” TUHAN mengubah fikiran-Nya lagi dan berfirman, “Hal ini pun tidak akan berlaku.” Aku mendapat suatu penglihatan lain daripada Tuhan. Aku nampak Dia berdiri di sisi sebuah tembok yang dibina dengan menggunakan tali unting, dan Dia memegang seutas tali unting. Dia bertanya kepadaku, “Amos, apakah yang engkau nampak?” Aku menjawab, “Seutas tali unting.” Kemudian Dia berfirman, “Aku menggunakan tali unting ini untuk menunjukkan bahawa umat-Ku seperti tembok yang tidak tegak. Aku tidak akan mengubah fikiran-Ku lagi; Aku akan menghukum mereka. Tempat-tempat yang digunakan oleh keturunan Ishak untuk beribadat akan dihancurkan. Tempat-tempat suci orang Israel akan menjadi reruntuhan. Aku akan mengakhiri pemerintahan keluarga Raja Yerobeam.” Amazia, imam di Betel, mengirim laporan ini kepada Raja Yerobeam dari Israel, “Amos sedang berpakat dengan rakyat untuk melawan tuanku. Kata-katanya yang menghasut rakyat akan menyebabkan negeri ini hancur. Dia berkata, ‘Yerobeam akan terbunuh dalam pertempuran, dan orang Israel akan dibawa ke pembuangan, jauh dari negeri mereka sendiri.’ ” Kemudian Amazia berkata kepada Amos, “Hai nabi, pulanglah ke Yehuda! Bernubuatlah di sana. Biarlah mereka yang memberikan nafkah kepadamu! Jangan lagi bernubuat di sini, di Betel. Kota ini khas untuk raja beribadat, iaitu tempat ibadat negara.” Amos menjawab, “Aku bukan seperti nabi-nabi lain yang bernubuat untuk mendapat upah. Sebenarnya aku seorang penternak dan pemelihara pokok ara. Tetapi TUHAN memanggil aku daripada pekerjaan menggembalakan ternak dan menyuruh aku menyampaikan perkhabaran-Nya kepada orang Israel. Oleh itu dengarlah firman TUHAN. Oleh sebab Amazia melarang aku bernubuat menentang umat Israel, demikianlah firman TUHAN, ‘Isterimu akan menjadi pelacur di jalan-jalan kota dan anak-anakmu dibunuh dalam peperangan. Tanahmu akan dibahagi-bahagi dan diberikan kepada orang lain; engkau sendiri akan meninggal di negeri orang yang tidak mengenal Allah. Penduduk Israel pasti akan dibawa ke pembuangan, jauh dari negeri mereka sendiri.’ ” Aku mendapat suatu penglihatan lagi daripada TUHAN Raja. Aku nampak buah-buahan di dalam bakul. TUHAN bertanya, “Amos, apakah yang engkau nampak?” Aku menjawab, “Buah-buahan di dalam bakul.” TUHAN berfirman kepadaku, “Kesudahan umat-Ku Israel sudah tiba. Aku tidak akan mengubah fikiran-Ku lagi; Aku akan menghukum mereka. Pada hari itu nyanyian di istana akan menjadi ratapan. Mayat akan berselerak di merata-rata tempat. Mayat-mayat itu akan dibuang dengan diam-diam.” Dengarlah, kamu yang menindas orang yang serba kekurangan dan membinasakan orang miskin di negeri ini. Kamu berkata, “Bilakah hari perayaan selesai supaya kita dapat menjual gandum lagi? Lama betul perayaan ini. Bilakah hari Sabat berlalu supaya kita dapat berjualan lagi? Kemudian kita akan meminta harga yang berlebih-lebihan. Kita akan menggunakan sukatan dan timbangan yang tidak tepat untuk menipu pelanggan. Kita akan menjual gandum yang rosak dengan harga tinggi. Kita akan mencari seorang miskin yang tidak mampu membayar hutang, walaupun hutang itu hanya seharga sepasang selipar, lalu kita akan membeli orang itu sebagai hamba.” TUHAN, Allah Israel sudah bersumpah, “Sekali-kali Aku tidak akan melupakan perbuatan mereka yang jahat. Oleh itu bumi akan gempa dan semua orang di negeri itu gelisah. Seluruh negeri akan goncang; bumi akan naik turun seperti Sungai Nil. Masanya akan tiba apabila Aku menyebabkan matahari terbenam pada tengah hari dan bumi menjadi gelap pada siang hari. Aku, TUHAN Raja sudah berfirman. Perayaan kamu akan Kujadikan perkabungan, dan nyanyian gembira kamu Kujadikan ratapan. Aku akan menyebabkan kamu mencukur rambut sebagai tanda sedih, dan memakai kain guni. Kamu akan menjadi seperti ibu bapa yang meratapi kematian anak lelaki tunggal. Hari itu akan berakhir dengan penuh kesedihan. Masanya akan tiba apabila Aku mendatangkan kebuluran di negeri ini. Orang akan lapar, tetapi tidak lapar akan makanan. Orang akan dahaga, tetapi tidak dahaga akan air. Mereka lapar dan dahaga akan perkhabaran daripada TUHAN. Aku, TUHAN Raja, sudah berfirman. Orang akan mengembara dari Laut Mati ke Laut Tengah, dan selanjutnya dari utara ke timur. Di merata-rata tempat mereka akan mencari perkhabaran daripada TUHAN, tetapi mereka tidak akan mendapatnya. Pada hari itu kelak, orang lelaki dan perempuan yang muda dan sihat pun akan pengsan kerana dahaga. Orang yang bersumpah demi berhala-berhala Samaria, dengan berkata, ‘Demi dewa di Dan’ atau ‘Demi dewa di Bersyeba’, akan jatuh dan tidak bangun lagi.” Aku nampak Tuhan berdiri di sisi mazbah. Dia memberikan perintah ini, “Pukullah kuat-kuat kepala tiang di Rumah-Ku supaya seluruh serambi bergoncang. Pecahkan kepala-kepala tiang itu dan biarlah semuanya jatuh ke atas kepala orang. Orang yang tidak mati akan Kubunuh dalam peperangan. Tidak seorang pun akan dapat melarikan diri untuk menyelamatkan diri. Walaupun mereka menggali lubang sampai ke dunia orang mati, Aku akan menangkap mereka. Walaupun mereka memanjat sampai ke langit, Aku akan membawa mereka turun. Jika mereka bersembunyi di puncak Gunung Karmel, Aku akan mencari dan menangkap mereka. Jika mereka bersembunyi di dasar laut, Aku akan memberikan perintah kepada naga laut untuk menggigit mereka. Jika mereka dibawa ke pembuangan oleh musuh, Aku akan memberikan perintah supaya mereka dibunuh. Aku bertekad membinasakan mereka, dan tidak akan menolong mereka.” Apabila TUHAN Raja Yang Maha Kuasa menyentuh bumi, bergempalah bumi, dan semua penduduknya meratap. Seluruh dunia naik turun seperti Sungai Nil. TUHAN membina tempat tinggal-Nya di angkasa, di atas bumi dipasang-Nya langit sebagai kubah. Dia memanggil air dari lautan, dan mencurahkannya di daratan, TUHAN itulah nama-Nya. TUHAN berfirman, “Hai umat Israel, Aku mempedulikan orang Etiopia sama seperti Aku mempedulikan kamu. Aku membawa orang Filistin dari Kreta dan orang Siria dari Kir sama seperti Aku membawa kamu dari Mesir. Aku, TUHAN Raja, sedang mengamati kerajaan Israel yang berdosa ini, dan Aku akan melenyapkannya dari muka bumi. Namun Aku tidak akan membinasakan semua keturunan Yakub. Aku akan memberikan perintah, dan Aku akan menampi umat Israel seperti orang menampi gandum dengan penampi. Aku akan menampi mereka antara bangsa-bangsa untuk membuang semua yang tidak berguna. Orang berdosa di kalangan umat-Ku berkata, ‘Allah tidak akan membiarkan kita ditimpa malapetaka.’ Tetapi sesungguhnya mereka akan dibunuh dalam peperangan.” TUHAN berfirman, “Masanya akan tiba apabila Aku memulihkan kerajaan Daud. Sekarang kerajaan itu telah menjadi seperti rumah yang runtuh. Aku akan memperbaiki temboknya dan membinanya semula sehingga menjadi seperti dahulu kala. Umat Israel akan menakluki bahagian negeri Edom yang terselamat, dan semua negeri yang pernah menjadi milik-Ku.” Demikianlah firman TUHAN yang akan melaksanakan hal itu. TUHAN berfirman, “Masanya akan tiba, apabila gandum tumbuh dengan sangat cepat sehingga musim menuai tidak ada putusnya. Pokok anggur akan bertumbuh dengan sangat pesat sehingga pembuatan wain tidak ada hentinya. Wain manis akan menitis dari pergunungan, dan mengalir dari perbukitan. Aku akan membawa umat-Ku Israel balik ke negeri mereka. Mereka akan membina semula kota-kota yang sudah menjadi reruntuhan, mereka akan tinggal di sana. Mereka akan menanam pokok anggur dan minum wain. Mereka akan bercucuk tanam dan makan hasil tanaman. Aku akan menempatkan umat-Ku di negeri yang sudah Kuberikan kepada mereka. Mereka tidak akan dibuang lagi.” TUHAN, Allah kamu sudah berfirman. Inilah nubuat Obaja. Dia menyampaikan firman TUHAN Raja tentang orang Edom. TUHAN telah mengirim utusan-Nya kepada bangsa-bangsa, dan kita telah mendengar perkhabaran-Nya, “Bersiaplah! Marilah kita berperang melawan Edom!” TUHAN berfirman kepada orang Edom, “Aku akan menjadikan kamu lemah; semua bangsa akan menghina kamu. Kamu telah ditipu oleh kesombongan kamu. Ibu kota kamu adalah kubu batu yang kukuh; tempat tinggal kamu di puncak gunung yang tinggi. Oleh sebab itu kamu berfikir, ‘Siapakah yang sanggup menjatuhkan kami?’ Meskipun kamu membina rumah di tempat setinggi sarang burung helang, seolah-olah di antara bintang-bintang, Aku akan menjatuhkan kamu. Apabila pencuri datang pada waktu malam, mereka hanya mengambil apa yang diingini. Apabila orang memetik buah anggur, mereka selalu meninggalkan beberapa buah. Tetapi musuh akan melenyapkan kamu sama sekali. Hai keturunan Esau, harta kamu telah dijarah. Negara sekutu telah menipu kamu; kamu diusir oleh mereka dari negeri kamu. Kini kamu dikalahkan oleh orang yang dahulunya berdamai dengan kamu. Kamu diperangkap oleh orang yang makan bersama dengan kamu. Mereka berkata tentang kamu, ‘Di manakah segala kecerdikan mereka sekarang?’ Pada hari Aku menghukum Edom, Aku akan membinasakan orangnya yang bijaksana, dan melenyapkan segala hikmat mereka. Para pejuang dari Teman akan ketakutan, semua askar di Edom akan dibunuh.” “Kamu telah merompak dan membunuh saudara kamu, keturunan Yakub. Oleh itu kamu akan dibinasakan dan dihina orang sepanjang zaman. Apabila musuh merobohkan pintu gerbang Yerusalem dan mengalahkan kota itu, kamu tidak berbuat apa-apa. Kamu sama jahatnya dengan orang bangsa asing yang melarikan harta Yerusalem, dan membahagi-bahagikannya antara mereka sendiri. Kamu tidak sepatutnya bersukacita kerana malapetaka yang menimpa saudara kamu di Yehuda. Kamu tidak sepatutnya bergembira pada hari mereka binasa. Kamu tidak sepatutnya mentertawakan mereka pada masa mereka susah. Kamu tidak sepatutnya masuk ke dalam kota umat-Ku untuk bergembira kerana penduduknya menderita, dan untuk merampas harta mereka ketika mereka ditimpa bencana. Kamu tidak sepatutnya berdiri di simpang jalan, untuk mengadang orang yang sedang melarikan diri. Kamu tidak sepatutnya menyerahkan mereka kepada musuh pada hari mereka ditimpa kesusahan.” “Sudah hampir harinya, apabila Aku, TUHAN menghakimi semua bangsa. Hai orang Edom, apa yang telah kamu lakukan, akan dilakukan juga kepada kamu. Kamu akan dibalas tepat seperti apa yang telah kamu lakukan. Di atas bukit-Ku yang suci, Umat-Ku telah minum dari cawan minuman pahit yang melambangkan hukuman mereka. Tetapi semua bangsa jiran akan minum dari cawan minuman yang lebih pahit lagi. Mereka mesti meminumnya sampai habis, lalu mereka akan lenyap tanpa bekas.” “Tetapi di atas Bukit Sion, akan ada beberapa orang yang terselamat, dan bukit itu akan menjadi tempat yang suci. Keturunan Yakub akan memiliki semula tanah pusaka mereka. Keturunan Yakub dan Yusuf bagai api, mereka akan memusnahkan keturunan Esau seperti api menghanguskan jerami. Tiada seorang pun daripada keturunan Esau akan terselamat. Aku, TUHAN telah berfirman. Orang dari bahagian selatan Yehuda akan menduduki negeri Edom; orang dari kaki bukit di sebelah barat akan menakluki wilayah Filistin. Orang Israel akan memiliki wilayah Efraim dan Samaria; suku Benyamin akan menduduki daerah Gilead. Pasukan orang buangan dari sebelah utara akan kembali, dan menduduki Fenisia sampai ke Zarfat di utara. Orang dari Yerusalem yang dibuang ke Sardis, akan kembali dan merampas kota-kota di bahagian selatan Yehuda. Orang Yerusalem yang berjaya akan menyerang Edom dan menaklukinya. TUHAN sendiri akan memerintah sebagai raja.” Pada suatu hari, TUHAN berfirman kepada Yunus anak Amitai. Dia berfirman, “Pergilah ke Niniwe, kota besar itu, dan kecamlah penduduknya. Aku tahu bahawa penduduknya sangat jahat.” Tetapi Yunus pergi ke arah lain untuk menjauhi TUHAN. Yunus pergi ke Yope, dan mendapati kapal yang akan belayar ke Sepanyol. Setelah membayar wang tambang, Yunus naik kapal; dia belayar bersama dengan anak-anak kapal ke Sepanyol, supaya dia dapat menjauhkan diri daripada TUHAN. [4-5] Yunus turun ke tempat yang paling bawah dan berbaring di situ, lalu dia tertidur dengan nyenyak. Kemudian TUHAN mendatangkan angin kencang ke laut, lalu terjadilah angin ribut yang dahsyat, yang memukul kapal itu sehingga hampir hancur. Anak-anak kapal sangat takut dan berteriak-teriak minta tolong, masing-masing kepada dewa mereka sendiri. Mereka membuang muatan kapal itu ke dalam laut untuk mengurangi bahaya. *** Apabila kapten kapal itu turun ke bawah, dia menjumpai Yunus sedang tidur di situ. Kapten itu berkata, “Bagaimana engkau dapat tidur dalam keadaan begini? Bangunlah! Berdoalah minta tolong kepada dewamu. Mungkin dia akan mengasihani kita, dan kita tidak akan binasa.” Setelah Yunus dan kapten kapal itu naik ke atas, para anak kapal berkata sesama sendiri, “Marilah kita buang undi supaya kita tahu siapa yang bersalah, sehingga kita ditimpa bencana ini!” Mereka membuang undi, lalu Yunus yang kena undi. Mereka berkata kepada Yunus, “Betulkah engkau yang menyebabkan bencana ini? Engkau dari mana dan bangsa apa? Mengapa engkau berada di sini?” Yunus menjawab, “Aku orang Ibrani. Aku menyembah TUHAN, Allah di syurga, yang mencipta laut dan darat.” Kemudian Yunus menceritakan bahawa dia melarikan diri daripada TUHAN. Mendengar hal itu para anak kapal menjadi lebih takut lagi, dan berkata kepadanya, “Perbuatanmu itu sungguh dahsyat!” Sementara itu angin ribut semakin kencang, lalu para anak kapal bertanya kepada Yunus, “Apakah yang harus kami lakukan kepadamu supaya angin ribut ini reda?” Yunus menjawab, “Buanglah aku ke dalam laut, lalu angin ribut tentu akan reda. Aku tahu bahawa akulah yang menyebabkan angin ribut yang dahsyat ini menimpa kamu semua.” Tetapi para anak kapal masih berusaha sedaya mungkin untuk mendayung kapal itu ke daratan. Namun angin ribut makin mengamuk juga, sehingga usaha mereka sia-sia belaka. Oleh itu mereka berseru kepada TUHAN, “Ya TUHAN, kami mohon, janganlah binasakan kami kerana mengambil nyawa orang yang tidak melakukan kesalahan apa-apa pun terhadap kami. Ya TUHAN, Engkaulah yang bertanggungjawab atas semua hal ini; inilah perbuatan-Mu.” Kemudian mereka melemparkan Yunus ke dalam laut, lalu angin ribut berhenti mengamuk dengan serta-merta. Para anak kapal itu menjadi sangat takut akan TUHAN. Mereka mempersembahkan korban kepada TUHAN dan bernazar kepada-Nya. Sementara itu, TUHAN menyuruh seekor ikan besar untuk menelan Yunus. Oleh itu Yunus tinggal di dalam perut ikan selama tiga hari dan tiga malam. Dari dalam perut ikan itu, Yunus berdoa kepada TUHAN, Allahnya. Dia berkata, “Ya TUHAN, dalam kesusahanku aku berseru kepada-Mu, dan Engkau menjawab aku. Dari dunia orang mati aku mohon pertolongan, permohonanku Engkau dengar dan perhatikan. Engkau melemparkan aku ke tempat yang dalam, sampai ke dasar lautan. Di sana arus air mengelilingi aku, ombak dan gelombang yang Engkau datangkan menghempaskan aku. Aku berfikir bahawa Engkau sudah menghalau aku dari hadirat-Mu, dan aku tidak akan melihat lagi rumah kediaman-Mu yang suci. Air laut naik sampai ke bibirku, samudera raya meliputi seluruh tubuhku, rumpai laut melilit kepalaku. [6-7] Aku turun sampai ke dasar pergunungan, ke alam yang gerbangnya terkunci sehingga selama-lamanya. Ketika nyawaku hampir pergi daripada diriku, aku ingat akan TUHAN, lalu aku berseru kepada-Mu. Engkau, ya TUHAN, mendengarkan doaku, di Rumah-Mu yang suci Engkau mendengarkan aku. Dari laut yang dalam, Engkau menyelamatkan aku, ya TUHAN Allahku! *** Para penyembah berhala yang sia-sia, meninggalkan Engkau dan tidak lagi setia. Tetapi aku akan menyanyikan puji-pujian bagi-Mu dan aku akan mempersembahkan korban untuk-Mu. Aku akan menunaikan segala janjiku. Engkaulah TUHAN yang menyelamatkan.” Kemudian, atas perintah TUHAN, ikan itu memuntahkan Yunus ke daratan. TUHAN berfirman kepada Yunus untuk kali yang kedua. TUHAN berfirman, “Pergilah ke Niniwe, kota besar itu. Beritahulah penduduk kota itu perkhabaran yang Aku berikan kepadamu ini.” Oleh itu Yunus mentaati TUHAN dan pergi ke Niniwe. Niniwe sebuah kota yang sangat besar, sehingga memakan masa tiga hari untuk melintasinya dengan berjalan kaki. Yunus memasuki kota itu, dan setelah berjalan sepanjang hari, dia mula mengumumkan perkhabaran ini, “Empat puluh hari lagi, Niniwe akan dihancurkan!” Penduduk Niniwe percaya kepada perkhabaran Allah itu. Segenap rakyat mengambil keputusan untuk berpuasa, dan semua orang, baik yang kaya mahupun yang miskin, memakai kain guni untuk menunjukkan bahawa mereka menyesali dosa mereka. Ketika raja Niniwe mendengar berita itu, raja segera turun dari takhtanya. Raja menanggalkan jubahnya dan memakai kain guni, lalu duduk di atas abu. Raja juga mengisytiharkan perintah ini kepada penduduk kota Niniwe, “Inilah titah daripada raja dan para menteri: Semua orang, lembu, domba, dan binatang ternakan yang lain dilarang makan dan minum. Manusia dan binatang mesti memakai kain guni. Setiap orang mesti berdoa dengan sungguh-sungguh kepada Allah, dan berhenti melakukan perbuatan yang jahat dan kejam. Mungkin Allah akan mengubah fikiran-Nya dan tidak murka lagi, maka kita tidak akan dibinasakan!” Allah melihat perbuatan mereka; Dia nampak bahawa mereka tidak lagi berbuat jahat. Oleh itu Dia mengubah fikiran-Nya dan tidak melaksanakan hukuman yang dirancangkan-Nya terhadap mereka. Yunus sama sekali tidak suka dengan perkara itu, lalu dia naik marah. Kemudian dia berdoa, “Ya TUHAN, sebelum aku berangkat dari rumahku dahulu, tidakkah aku katakan bahawa Engkau pasti akan berbuat begini? Itulah sebabnya aku berusaha seberapa daya untuk lari ke Sepanyol! Aku tahu bahawa Engkau Allah yang penyayang dan pengasih, sentiasa sabar, lemah lembut, dan selalu bersedia untuk mengubah fikiran sehingga tidak menjatuhkan hukuman. Sekarang, ya TUHAN, biarlah aku mati saja, kerana lebih baik aku mati daripada hidup.” TUHAN menjawab, “Engkau tidak mempunyai alasan untuk menjadi marah.” Kemudian Yunus pergi ke sebelah timur kota itu, dan duduk di sana. Dia membuat sebuah pondok, lalu berteduh di situ, sambil menunggu apa yang akan terjadi kepada kota Niniwe. Pada masa itu TUHAN Allah menumbuhkan sejenis tanaman yang memberikan naungan kepada Yunus sehingga dia berasa selesa. Yunus sangat suka pada tanaman itu. Tetapi pada waktu subuh keesokan harinya, atas perintah Allah seekor ulat menyerang tanaman itu sehingga layu. Setelah matahari terbit, Allah mendatangkan angin panas yang bertiup dari timur. Yunus hampir pengsan kerana terik matahari yang seakan-akan membakar kepalanya. Oleh itu dia putus asa dan ingin mati, katanya, “Lebih baik aku mati daripada hidup!” Tetapi Allah berfirman kepadanya, “Engkau tidak patut marah kerana tanaman itu!” Yunus menjawab, “Mengapa tidak? Memang aku patut marah sekali sampai mati.” Kemudian TUHAN berfirman kepadanya, “Tanaman ini tumbuh dalam satu malam saja, dan layu pada hari berikutnya; engkau sama sekali tidak menumbuhkannya atau memeliharanya. Walaupun begitu, engkau berasa kasihan kepada tanaman ini. Aku pasti lebih kasihan kepada Niniwe, kota yang besar itu kerana di situ terdapat lebih daripada 120,000 orang anak yang tidak tahu membezakan apa yang baik dan apa yang jahat, dan juga banyak sekali binatang.” Pada zaman pemerintahan Raja Yotam, Raja Ahas, dan Raja Hizkia sebagai raja-raja Yehuda, TUHAN memberikan perkhabaran ini kepada Mikha, yang berasal dari kota Moresyet. TUHAN menunjukkan perkara-perkara tentang Samaria dan Yerusalem kepada Mikha. Dengarlah, hai semua bangsa; perhatikanlah, hai semua penduduk dunia! TUHAN Raja menjadi saksi untuk menuduh kamu semua. Dengarlah! Dia berfirman dari kediaman-Nya yang suci di syurga. TUHAN sedang keluar dari tempat-Nya yang suci; Dia turun dan berjalan di puncak gunung-gunung di bumi. Gunung-gunung lebur di bawah kaki-Nya seperti lilin dalam api yang menyala; tanah dari gunung menggeluncur ke lembah-lembah seperti air di atas bukit mengalir ke bawah. Segala perkara itu akan berlaku kerana umat Israel sudah berdosa dan memberontak terhadap Allah. Siapakah yang bertanggungjawab terhadap pemberontakan Israel? Samaria, ibu kotanya sendiri! Siapakah yang bertanggungjawab terhadap penyembahan berhala di Yehuda? Yerusalem! Oleh itu TUHAN berfirman, “Aku akan menjadikan Samaria timbunan runtuhan di padang, dan tempat orang menanam pokok anggur. Aku akan membuang batu puing kota itu ke lembah, dan asas kota itu akan kelihatan. Semua berhalanya akan dihancurkan, dan setiap benda yang sudah diberikan kepada pelacur di kuil akan dimusnahkan oleh api. Semua patung berhalanya akan menjadi tumpukan sampah. Samaria mendapat benda-benda itu sebagai hasil pemujaan kepada dewa kesuburan; sekarang musuhnya pula akan membawa benda-benda itu untuk diberikan kepada pelacur-pelacur di kuil lain.” Kemudian Mikha berkata, “Oleh itu aku akan berkabung dan meratap. Untuk menunjukkan kesedihanku, aku akan berjalan tanpa pakaian dan tanpa kasut. Aku akan melolong seperti serigala dan meraung seperti burung unta. Luka Samaria tidak dapat disembuhkan, dan Yehuda akan segera ditimpa penderitaan yang sama. Kemusnahan sudah tiba di pintu gerbang Yerusalem, tempat kediaman bangsaku.” Jangan beritahu musuh di Gat tentang kekalahan kita. Jangan benarkan mereka melihat kamu menangis. Hai penduduk Bet-Le-Afra, bergulinglah dalam debu sebagai tanda putus asa. Hai penduduk Safir, pergilah ke negeri pembuangan sambil bertelanjang dan berasa malu. Penduduk Zaanan tidak berani pergi ke luar kota. Apabila kamu mendengar penduduk Bet-Haezel meratap, kamu akan tahu bahawa tidak ada tempat perlindungan di situ. Penduduk Marot cemas semasa menantikan pertolongan, kerana bencana yang didatangkan TUHAN sudah menghampiri Yerusalem. Hai penduduk Lakhis, pasanglah kuda pada kereta kuda. Dengan meniru dosa orang di Israel, kamu menyebabkan orang di Yerusalem berdosa. Sekarang hai penduduk Yehuda, ucapkanlah selamat tinggal kepada kota Moresyet-Gat. Raja-raja Israel tidak akan mendapat pertolongan dari kota Akhzib. Hai penduduk Maresya, TUHAN akan menyerahkan kamu kepada musuh yang merebut kota kamu. Para pemimpin Israel yang kenamaan akan bersembunyi di dalam gua di Adulam. Hai penduduk Yehuda, guntinglah rambut kamu sebagai tanda berkabung untuk anak-anak yang kamu kasihi. Cukurlah kepala kamu sampai botak sama sekali, kerana anak-anak kamu akan dibuang negeri. Alangkah malangnya orang yang merancang kejahatan sementara berbaring di tempat tidur pada waktu malam. Apabila fajar menyingsing mereka melaksanakan rancangan jahat itu kerana mereka dapat berbuat demikian. Apabila mereka mengingini ladang, mereka merampas ladang orang lain. Apabila mereka mengingini rumah, mereka merebut rumah orang lain. Tiada keluarga sesiapa pun, atau harta sesiapa pun yang selamat. Oleh itu TUHAN berfirman, “Aku bercadang mendatangkan bencana kepada kamu. Kamu tidak akan dapat melarikan diri daripadanya. Kamu akan ditimpa kesusahan, maka kamu tidak akan dapat bersikap angkuh lagi. Pada masa itu kelak, orang akan menggunakan kisah tentang kamu sebagai bahan sindiran. Mereka akan menyanyikan lagu perkabungan ini: Kami sudah hancur sama sekali! TUHAN telah mengambil negeri kami lalu memberikannya kepada orang yang menawan kami.” Oleh itu apabila tanah itu dikembalikan kepada umat TUHAN, tiada sesiapa pun antara kamu yang akan mendapat bahagian. Orang berkhutbah kepadaku dan berkata, “Jangan berkhutbah kepada kami. Jangan berkhutbah tentang semua itu. Allah tidak mungkin mempermalukan kita. Adakah kamu berfikir bahawa Israel telah dikutuk? Adakah TUHAN hilang sabar? Benarkah Dia akan melakukan perkara seperti itu? Tidakkah Dia berfirman dengan lemah lembut kepada orang yang berbuat benar?” TUHAN menjawab, “Kamu menyerang umat-Ku seolah-olah mereka musuh. Orang lelaki pulang dari peperangan dan menyangka bahawa mereka selamat di rumah. Tetapi kamu sedang menunggu untuk mencuri jubah yang dipakai mereka. Kamu mengusir kaum wanita umat-Ku dari rumah yang disukai mereka; kamu merampas berkat-Ku selama-lamanya daripada anak-anak mereka. Bangunlah dan pergilah dari sini. Tiada lagi tempat yang selamat di sini. Dosa kamu telah mendatangkan malapetaka yang dahsyat ke tempat ini. Kamu menghendaki nabi yang suka berdusta serta menipu, dan yang berkata, ‘Aku bernubuat bahawa kamu akan mendapat wain dan minuman keras yang berlimpah-limpah.’ Tetapi Aku akan mengumpulkan kamu semua, hai umat-Ku Israel yang masih hidup. Aku akan mengumpulkan kamu bagaikan domba-domba yang pulang ke kandang. Umpama padang rumput yang penuh dengan domba, sekali lagi negeri kamu akan penuh dengan orang.” Allah akan membuka jalan bagi mereka dan membawa mereka keluar dari pembuangan. Mereka akan merempuh keluar dari pintu gerbang kota dan membebaskan diri. TUHAN sendiri, yang menjadi raja mereka akan memimpin mereka keluar. Dengarlah, hai para penguasa Israel! Kamu seharusnya mengambil berat tentang keadilan, tetapi kamu membenci kebaikan dan mencintai kejahatan. Kamu menguliti umat-Ku hidup-hidup dan mencarik daging mereka daripada tulang. Kamu menelan umat-Ku. Kamu menguliti mereka dan mematahkan tulang mereka. Kamu mencincang mereka seperti kamu mencincang daging untuk dimasak di dalam belanga. Masanya akan tiba apabila kamu akan berseru kepada TUHAN, tetapi Dia tidak akan menjawab. Dia tidak akan mengabulkan doa kamu, kerana kamu telah melakukan kejahatan. Umat-Ku telah ditipu oleh nabi-nabi yang menjanjikan keamanan kepada orang yang memberi mereka wang, tetapi mengancam dan memusuhi orang yang tidak memberikan apa-apa. TUHAN berfirman kepada nabi-nabi itu, “Hai nabi-nabi, akhir hidup kamu hampir tiba. Hari akan menjadi malam bagi kamu. Oleh sebab kamu menyesatkan umat-Ku, kamu tidak akan menerima wahyu atau penglihatan lagi. Kamu tidak dapat meramalkan apa-apa lagi.” Orang yang meramalkan masa depan akan dipermalukan kerana ramalan mereka tidak tepat. Mereka semua akan dihina kerana Allah tidak menjawab mereka. Tetapi bagi diriku, TUHAN memenuhi aku dengan kuasa dan Roh-Nya. Dia memberi aku pengertian tentang keadilan, dan juga keberanian untuk memberitahu umat Israel tentang dosa mereka. Dengarlah kata-kataku, hai para penguasa Israel, kamu yang membenci keadilan dan yang mengubah kebenaran menjadi kesalahan. Kamu membina Yerusalem, kota Allah, berasaskan pembunuhan dan ketidakadilan. Para penguasa kota menjalankan pemerintahan untuk mendapat rasuah, para imam mentafsirkan Taurat untuk mendapat upah, dan para nabi pula menyatakan wahyu untuk mendapat wang; tetapi mereka semua mengatakan bahawa TUHAN menyertai mereka. Mereka berkata, “Bencana tidak akan menimpa kita, kerana TUHAN menyertai kita.” Oleh sebab kejahatan kamu, Sion akan dibajak seperti tanah, Yerusalem dijadikan timbunan runtuhan, dan bukit tempat Rumah TUHAN akan menjadi hutan belukar. Pada masa depan gunung tempat Rumah TUHAN akan menjadi gunung yang tertinggi, mencuar tinggi melampaui semua gunung. Banyak bangsa akan berduyun-duyun ke sana, lalu mereka akan berkata, “Marilah kita naik ke bukit TUHAN, ke Rumah TUHAN, Allah Israel. Dia akan mengajar kita kehendak-Nya yang harus kita lakukan; kita akan mengikut jalan yang dipilih-Nya, kerana ajaran TUHAN itu datang dari Yerusalem; dari Sion Dia berfirman kepada umat-Nya.” Dia akan menyelesaikan perselisihan antara bangsa-bangsa, antara kuasa-kuasa besar yang dekat dan yang jauh. Mereka akan menempa pedang mereka menjadi bajak, dan tombak menjadi pisau pemangkas. Bangsa-bangsa tidak akan berperang lagi, dan tidak bersedia untuk bertempur lagi. Semua orang akan hidup aman di ladang anggur dan kebun ara mereka; tiada sesiapa pun akan menakutkan mereka. Perkara itulah yang dijanjikan TUHAN Yang Maha Kuasa. Setiap bangsa menyembah dan mentaati dewa masing-masing, tetapi kita akan menyembah dan mentaati TUHAN, Allah kita selama-lamanya. TUHAN berfirman, “Masanya akan tiba apabila Aku mengumpulkan umat yang Aku hukum, mereka yang telah menderita dalam pembuangan. Mereka lumpuh dan jauh dari rumah, tetapi Aku akan memberikan peluang baru bagi mereka yang masih hidup, lalu mereka akan menjadi satu bangsa yang besar. Aku akan memerintah mereka dari Bukit Sion mulai dari saat itu hingga selama-lamanya.” Engkau hai Yerusalem, tempat Allah menjaga umat-Nya seperti seorang gembala, akan kembali menjadi ibu kota kerajaanmu seperti dahulu. Mengapakah engkau menangis sekuat itu? Mengapakah engkau kesakitan seperti perempuan yang hendak bersalin? Adakah hal ini disebabkan engkau tidak mempunyai raja, dan para penasihatmu sudah meninggal? Hai penduduk Yerusalem, menggeliatlah dan mengeranglah, seperti perempuan yang sedang bersalin, kerana sekarang kamu terpaksa meninggalkan kota ini dan tinggal di padang. Kamu terpaksa pergi ke Babel, tetapi di sana TUHAN akan menyelamatkan kamu daripada kuasa musuh. Banyak bangsa telah berkumpul untuk menyerang kamu. Mereka berkata, “Yerusalem mesti dimusnahkan! Kami akan melihat kota itu menjadi runtuhan!” Tetapi bangsa-bangsa itu tidak tahu apa rancangan TUHAN. Mereka tidak sedar bahawa mereka telah dikumpulkan untuk dihukum, sebagaimana gandum dikumpulkan untuk diirik. TUHAN berfirman, “Hai penduduk Yerusalem, pergilah menghukum musuh kamu! Aku akan menjadikan kamu sekuat lembu jantan yang bertanduk besi dan berkuku gangsa. Kamu akan memusnahkan banyak bangsa, dan kekayaan mereka yang diperoleh dengan kekejaman akan kamu persembahkan kepada-Ku, Tuhan alam semesta.” Hai penduduk Yerusalem, kumpulkan tenteramu! Kita dikepung! Mereka sedang menyerang pemimpin Israel! TUHAN berfirman, “Hai Betlehem Efrata, engkaulah salah satu kota yang terkecil di negeri Yehuda, tetapi daripadamu Aku akan memberi Israel seorang penguasa; asal usul nenek moyangnya bermula dari zaman purba.” Oleh itu TUHAN akan membiarkan umat-Nya dikuasai musuh sehingga wanita yang akan bersalin itu melahirkan anak lelakinya. Selepas itu orang dalam pembuangan akan berkumpul semula dengan sesama bangsa mereka. Apabila penguasa itu tiba, dia akan memerintah rakyatnya dengan kekuatan daripada TUHAN, dan dengan keagungan TUHAN, Allah sendiri. Rakyatnya akan hidup aman kerana semua bangsa di bumi akan mengakui kebesarannya, dan dia akan mendatangkan keamanan. Apabila orang Asyur menyerang negeri kita dan menembusi pertahanan kita, kita akan mengutus pemimpin-pemimpin yang paling kuat untuk melawan mereka. Dengan kekuatan senjata, mereka akan mengalahkan Asyur, tanah Nimrod, dan mereka akan menyelamatkan kita daripada serangan orang Asyur apabila mereka menyerang wilayah kita. Umat Israel yang masih hidup akan menjadi seperti embun yang menyegarkan, yang dikirim oleh TUHAN kepada banyak bangsa; mereka bagaikan titisan hujan pada tanaman. Mereka akan bersandar kepada Allah dan bukan kepada manusia. Mereka yang masih hidup antara bangsa-bangsa lain akan menjadi seperti singa yang sedang mencari makanan di hutan atau di padang rumput; singa masuk ke tengah-tengah kawanan domba, menerkam serta mencabik-cabikkan domba; tiada sesiapa pun dapat menyelamatkan domba-domba itu. Israel akan mengalahkan musuhnya dan membinasakan mereka semua. TUHAN berfirman, “Pada masa itu Aku akan merampas kuda kamu dan memusnahkan kereta kuda kamu. Aku akan memusnahkan kota-kota di negeri kamu dan merobohkan semua pertahanan kamu. Aku akan memusnahkan azimat kamu dan menyingkirkan semua peramal kamu. Aku akan memusnahkan patung-patung berhala dan tugu-tugu keramat kamu. Kamu tidak akan menyembah benda-benda buatan kamu sendiri lagi. Aku akan merobohkan patung-patung Dewi Asyera di negeri kamu dan memusnahkan kota-kota kamu. Dalam kemurkaan-Ku yang meluap-luap Aku akan membalas dendam-Ku terhadap semua bangsa yang tidak taat kepada-Ku.” Dengarlah perkara yang diajukan oleh TUHAN terhadap Israel. Bangkitlah, ya TUHAN, dan ajukanlah perkara-Mu. Biarlah gunung dan bukit mendengar apa yang hendak Engkau firmankan. Hai gunung-ganang, dasar bumi yang kekal, dengarlah perkara yang diajukan TUHAN! TUHAN mempunyai perkara dengan umat-Nya. Dia akan membawa tuduhan terhadap Israel. TUHAN berfirman, “Hai umat-Ku, apakah yang telah Aku lakukan terhadap kamu? Dalam hal apakah Aku telah menjadi beban bagi kamu? Jawablah. Aku membawa kamu keluar dari Mesir. Aku menyelamatkan kamu daripada perhambaan. Aku mengutus Musa, Harun, dan Miriam untuk memimpin kamu. Hai umat-Ku, ingatlah akan apa yang dirancang oleh Balak, raja Moab itu terhadap kamu, dan jawapan Bileam anak Beor kepadanya. Ingatlah akan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam perjalanan dari perkhemahan di Sitim sampai ke Gilgal. Ingatlah akan perkara-perkara itu, maka kamu akan menyedari apa yang telah Aku lakukan untuk menyelamatkan kamu.” Apakah yang harus aku persembahkan kepada TUHAN, Allah di syurga, apabila aku datang menyembah Dia? Haruskah aku membawa anak lembu yang terbaik dan membakarnya sebagai korban untuk-Nya? Adakah TUHAN berkenan jika aku mempersembahkan beribu-ribu ekor domba, atau minyak zaitun yang berlimpah-limpah kepada-Nya? Haruskah aku mempersembahkan anak sulungku kepada-Nya kerana dosaku? Sekali-kali tidak! TUHAN telah memberitahu kita apa yang baik. Perkara yang dituntut oleh TUHAN daripada kita adalah supaya kita berlaku adil, selalu mengamalkan kasih, dan dengan rendah hati hidup bersatu dengan Allah kita. Bijaklah orang yang takut akan TUHAN. TUHAN berseru kepada penduduk kota, “Dengarlah, hai kamu yang berkumpul di kota. Di rumah orang jahat terdapat harta yang diperoleh dengan tipu daya. Mereka menggunakan takaran palsu, suatu perbuatan yang Aku benci. Bagaimana mungkin Aku dapat mengampuni orang yang menggunakan takaran dan timbangan palsu? Orang kaya di kalangan kamu menindas orang miskin; kamu semua pendusta. Oleh itu Aku sudah mula memukul dan membinasakan kamu kerana dosa kamu. Kamu akan makan, tetapi tidak kenyang; sebaliknya kamu akan tetap lapar. Kamu akan merampas barang, tetapi kamu tidak akan dapat menyimpannya. Segala sesuatu yang kamu simpan akan Aku musnahkan dalam peperangan. Kamu akan menanam gandum, tetapi kamu tidak akan menuainya. Kamu akan membuat minyak daripada buah zaitun, tetapi kamu tidak dapat menggunakan minyaknya. Kamu akan membuat wain, tetapi kamu tidak dapat meminumnya. Perkara ini akan berlaku kerana kamu telah mengikut perbuatan jahat Raja Omri, dan puteranya, Raja Ahab. Kamu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh mereka. Oleh itu Aku akan membinasakan kamu, dan semua orang akan menghina kamu. Orang di merata tempat akan membenci kamu.” Tidak ada harapan lagi! Aku seperti orang lapar yang tidak menemui buah pada pokok ataupun buah anggur pada pokok anggur. Semua buah anggur dan buah ara yang sedap sudah habis dipetik. Tiada lagi orang jujur di dalam negeri; tiada lagi orang yang setia kepada Allah. Setiap orang menantikan peluangnya untuk membunuh. Setiap orang memburu sesama bangsanya. Mereka semua mahir melakukan kejahatan. Para pegawai dan hakim minta rasuah. Orang kenamaan memaksakan kemahuan mereka. Oleh itu mereka bersama-sama bersepakat untuk melakukannya. Bahkan orang yang terbaik dan paling jujur antara mereka pun seperti rumput yang tidak berguna. Masanya sudah tiba apabila Allah akan menghukum umat ini, sebagaimana Dia memberikan amaran kepada mereka melalui para nabi yang bertugas sebagai penjaga. Keadaan mereka sekarang kacau-bilau. Jangan percaya kepada jiran atau sahabat kamu. Berhati-hati apabila bercakap, bahkan kepada isteri kamu. Pada zaman ini anak lelaki menghina bapa mereka; anak perempuan melawan ibu mereka. Menantu perempuan bergaduh dengan ibu mentua mereka. Musuh seseorang ialah anggota keluarganya sendiri. Tetapi aku akan menantikan TUHAN; aku akan berharap kepada Allah yang akan menyelamatkan aku. Allahku akan mendengar doaku. Musuh kita tidak mempunyai alasan untuk bersukacita atas kejatuhan kita. Walaupun kita jatuh, tetapi kita akan bangkit semula. Sekarang kita berada dalam kegelapan, tetapi TUHAN akan menerangi kita. Kita telah berdosa terhadap TUHAN. Oleh itu kita harus menanggung kemurkaan-Nya untuk sementara waktu. Tetapi akhirnya Dia akan membela kita dan memberikan keadilan kepada kita. Dia akan membawa kita keluar kepada cahaya, dan kita akan mengalami penyelamatan TUHAN. Pada masa itu musuh kita akan melihat hal yang dilakukan TUHAN bagi kita, lalu mereka akan dipermalukan. Merekalah musuh yang mengolok-olok kita dahulu dengan berkata, “Di manakah TUHAN, Allah kamu?” Kita akan melihat mereka dikalahkan dan dipijak-pijak seperti lumpur di jalan. Hai penduduk Yerusalem, masa untuk membina semula tembok-tembok kota telah tiba. Pada masa itu kawasan kamu akan diperluas. Orang kamu akan pulang dari merata tempat - dari Asyur di timur, dari Mesir di selatan, dari kawasan Sungai Efrat, dari seberang laut, dan dari pergunungan yang jauh. Tetapi bumi akan menjadi tandus kerana kejahatan penduduknya. Ya TUHAN, gembalakanlah umat-Mu, umat yang telah Engkau pilih. Walaupun mereka tinggal jauh di padang gurun, ada juga tanah yang subur di sekitar mereka. Biarlah mereka mendapat makanan di padang-padang rumput Basan dan Gilead, seperti yang dilakukan mereka dahulu kala. Lakukanlah mukjizat-mukjizat bagi kami, ya TUHAN, seperti yang Engkau lakukan dahulu, ketika Engkau membawa kami keluar dari Mesir. Bangsa-bangsa akan nampak hal itu dan berasa malu kerana sedar bahawa kekuatan mereka tidak bererti apa-apa. Mereka akan menutup mulut dan telinga kerana tidak dapat melakukan apa-apa. Mereka akan menjalar di atas debu seperti ular. Mereka akan keluar dari kubu mereka dengan gementar, lalu datang dengan takut kepada-Mu, TUHAN, Allah kami. Ya TUHAN, tiada yang seperti Engkau. Engkau mengampunkan dosa umat-Mu yang masih hidup. Engkau tidak murka selama-lamanya, tetapi Engkau suka menunjukkan kasih-Mu yang abadi kepada kami. Engkau akan mengasihani kami lagi. Engkau akan memijak-mijak dosa kami dan membuangnya ke dasar laut! Engkau akan menunjukkan kesetiaan-Mu dan kasih-Mu yang abadi kepada umat-Mu, keturunan Abraham dan Yakub, seperti yang Engkau janjikan kepada nenek moyang kami dahulu kala. Inilah perkhabaran daripada Allah tentang kota Niniwe. Perkhabaran ini dinyatakan dalam penglihatan kepada Nahum, seorang nabi yang berasal dari Elkos. TUHAN Allah tidak mahu mempunyai saingan; orang yang melawan-Nya pasti mendapat hukuman. Dengan sangat murka, Dia membalas dendam terhadap musuh-Nya. TUHAN tidak cepat murka, tetapi Dia berkuasa, dan Dia tidak pernah membebaskan orang yang melakukan kesalahan daripada hukuman. Di tempat TUHAN berjalan, muncul puting beliung dan taufan; awan ialah debu daripada kakinya. Atas perintah-Nya, laut menjadi kering; sungai pun dikeringkan. Padang-padang di Basan kersang, Gunung Karmel pun gersang, maka layulah bunga-bunga di Lebanon. Gunung-gunung bergoncang di hadirat TUHAN; bukit-bukit lebur di hadapan-Nya. Bumi bergempa ketika TUHAN tiba; gemparlah dunia dan semua penduduknya. Siapakah yang dapat tahan apabila TUHAN murka? Tiada sesiapa pun boleh terlepas daripada kemurkaan-Nya. Dia melampiaskan kemurkaan-Nya yang menyala-nyala, sehingga batu hancur dan menjadi debu di hadapan-Nya. TUHAN itu baik; Dia melindungi umat-Nya pada masa mereka susah, Dia menjaga orang yang berlindung kepada-Nya. Dia membinasakan semua musuh-Nya, Dia seperti banjir besar yang melanda mereka. Dia mencabut nyawa orang yang melawan kehendak-Nya. Kejahatan apakah yang kamu rancang terhadap TUHAN? Dia akan membinasakan kamu semua. Dia tidak perlu membalas dendam-Nya sampai dua kali terhadap musuh-Nya. Kamu pemabuk akan dibakar seperti jerami kering, seperti semak duri yang berbelit-belit. Daripadamu, hai Niniwe, sudah muncul seorang yang penuh dengan rancangan jahat. Dia membuat rancangan untuk melawan TUHAN. Inilah firman TUHAN kepada umat-Nya, “Walaupun orang Asyur kuat dan banyak, mereka akan dibinasakan lalu lenyap. Hai umat-Ku, meskipun Aku sudah menyebabkan kamu menderita, Aku tidak akan melakukannya lagi. Sekarang Aku akan mengakhiri kekuasaan Asyur atas kamu, dan Aku memutuskan rantai yang membelenggu kamu.” Inilah keputusan TUHAN tentang Asyur, “Mereka tidak akan mempunyai keturunan untuk meneruskan bangsa mereka. Aku akan menghancurkan patung-patung berhala yang di dalam kuil-kuil dewa mereka. Aku sedang menyediakan kubur untuk orang Asyur; mereka tidak layak hidup!” Lihatlah, seorang utusan datang melalui gunung-gunung untuk menyampaikan berita baik. Dia datang untuk mengisytiharkan kemenangan! Hai penduduk Yehuda, rayakanlah perayaan-perayaan kamu dan tunaikanlah nazar yang kamu janjikan kepada Allah. Orang jahat tidak sekali-kali akan menyerang negeri kamu lagi. Mereka sudah dibinasakan sama sekali. Hai Niniwe, engkau sedang diserang! Yang berkuasa menghancurkan kamu sudah datang! Kawallah kubu-kubu pertahanan! Awasilah jalan-jalan! Bersiaplah untuk berperang. ( TUHAN akan segera memulihkan kemegahan Israel, sehingga seperti dahulu, sebelum musuh menjarahnya.) Tentera musuh membawa perisai merah, dan memakai pakaian seragam berwarna merah. Musuh sudah bersedia untuk menyergap! Bagaikan api, kereta kuda mereka berkilap! Kuda mereka melompat-lompat! Di jalan-jalan, kereta kuda meluru tidak tentu arah, meluru ke sana sini di padang kota. Kereta kuda bersinar seperti obor, meluru secepat halilintar. Pegawai tentera dikerah; mereka tersandung ketika mara. Penyerang bergerak cepat menuju tembok, menyiapkan alat pemecah tembok. Pintu-pintu air di tepi sungai terbuka; maka gemparlah semua orang di istana. Penyerang menangkap permaisuri, dayang-dayangnya mengerang bagai burung merpati, menebah dada kerana sedih hati. Penduduk Niniwe berlari keluar dari kota seperti air keluar dari empangan yang pecah. Terdengar teriakan, “Berhenti, berhenti!” tetapi tiada seorang pun yang mahu kembali. Rampaslah perak! Rampaslah emas! Kota penuh dengan harta benda! Niniwe sudah musnah, terbiar, dan lengang. Kerana takut, semangat orang hilang; lutut gementar, kehabisan tenaga; semua orang pucat muka. Di manakah kota itu sekarang? Kota yang seperti gua tempat singa bersarang; tempat anak-anak singa diberikan makanan, tempat tujuan singa jantan dan singa betina, tempat yang aman bagi anak-anak singa. Singa menerkam mangsanya, lalu mencabik dagingnya untuk makanan singa betina dan anaknya. Singa memenuhi guanya dengan cabikan daging mangsanya. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Aku musuhmu. Aku akan membakar kereta kudamu sampai musnah. Askar-askarmu akan dibunuh dalam pertempuran, dan Aku akan mengambil segala sesuatu yang sudah kamu rampas daripada orang lain. Tuntutan para utusanmu tidak akan terdengar lagi.” Malanglah kota yang dipenuhi pembunuh dan pendusta, dan juga dipenuhi harta benda yang akan dirampas dan dijarah. Dengarlah lecutan cambuk dan putaran roda, derap lari kuda dan goncangan kereta kuda. Pasukan berkuda menyerang dengan penuh semangat, pedang berkilau dan tombak berkilat. Orang yang mati tidak terhitung, mayat mereka bertimbun-timbun, menyebabkan orang tersandung. Niniwe pelacur itu dijatuhi hukuman. Kecantikannya sangat mempesonakan. Dia menyihir banyak bangsa, dan menjadikan mereka hambanya. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Hai Niniwe, Aku akan menghukum engkau! Aku akan menelanjangi engkau, dan membiarkan bangsa-bangsa melihatmu; mereka akan nampak keadaanmu yang memalukan. Aku memperlakukan engkau dengan penuh kebencian; Aku melempari engkau dengan kotoran. Orang akan menatap engkau dengan rasa gerun. Semua orang yang melihatmu akan berundur dan berkata, ‘Niniwe tinggal runtuhan belaka! Siapakah yang turut berduka dengannya? Tiada lagi yang mahu menghiburkan dia.’ ” Hai Niniwe, adakah engkau lebih baik daripada Tebe, ibu kota Mesir? Tebe juga mempunyai sungai yang melindunginya seperti tembok; Sungai Nil adalah pertahanannya. Tebe memerintah negeri Etiopia dan Mesir; kuasanya tidak terbatas. Libia menjadi sekutu Tebe. Meskipun begitu, penduduk Tebe ditawan dan dibuang negeri. Di setiap sudut jalan, anak-anak mereka dipukul sehingga mati. Para pembesar mereka dirantai lalu dibahagi-bahagikan antara orang yang menangkap mereka. Hai Niniwe, engkau pun akan mabuk. Engkau juga akan berusaha untuk menyelamatkan diri daripada musuh. Semua kubumu akan menjadi seperti pokok ara yang buahnya sudah masak. Apabila pokok itu digoncang, buahnya akan terus jatuh ke dalam mulut orang yang ingin memakannya. Askarmu lemah seperti perempuan dan negerimu terdedah, tidak berkawal di hadapan musuh. Api akan menghanguskan palang pintu gerbangmu. Timbalah air untuk persediaan selama engkau dikepung. Kuatkanlah kubu-kubumu! Injak-injaklah tanah liat untuk membuat batu bata, dan sediakanlah acuan-acuannya! Apa pun yang engkau buat akan sia-sia sahaja, kerana engkau pasti akan dibakar sehingga mati atau dibunuh dalam pertempuran. Engkau akan lenyap seperti tanaman yang dilahap belalang. Engkau sudah berkembang biak seperti belalang! Pedagangmu lebih banyak daripada bintang di langit! Tetapi sekarang mereka sudah pergi, seperti belalang yang mengembangkan sayap lalu terbang menghilang. Para pegawaimu seperti kawanan belalang yang berlindung di tembok pada hari sejuk. Tetapi setelah matahari terbit, belalang itu segera terbang menghilang; tiada seorang pun tahu ke mana kawanan belalang itu pergi! Hai raja Asyur! Para gabenormu sudah mati dan para pembesarmu tertidur untuk selama-lamanya. Rakyatmu tercerai-cerai di pergunungan, dan tiada seorang pun dapat membawa mereka pulang semula. Kecedaraanmu tidak dapat diubati dan luka-lukamu tidak dapat disembuhkan. Semua orang yang mendengar berita kehancuranmu bertepuk tangan kerana sukacita. Tidak seorang pun dapat menyelamatkan diri daripada kekejamanmu yang tidak henti-henti. Inilah perkhabaran yang dinyatakan oleh TUHAN kepada Nabi Habakuk. Ya TUHAN, sampai bilakah aku harus berseru minta pertolongan? Bilakah Engkau akan mendengarkan aku dan menyelamatkan kami daripada keganasan? Mengapa Engkau membiarkan aku mengalami kesusahan seperti ini? Bagaimana Engkau dapat tahan sabar dengan orang yang melakukan kejahatan? Kehancuran dan keganasan berlaku di sekelilingku. Pergaduhan dan pertengkaran berlaku di merata-rata tempat. Oleh itu undang-undang lemah dan tidak berguna; keadilan tidak pernah ditegakkan. Orang jahat selalu mengalahkan orang jujur di mahkamah; oleh itu keadilan diputarbalikkan. Kemudian TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Perhatikanlah bangsa-bangsa di sekitar kamu dan kamu akan hairan serta terperanjat. Tidak lama lagi Aku akan melakukan sesuatu yang tidak mungkin kamu percaya apabila kamu mendengarnya. Dengarlah! Aku akan menjadikan orang Babilonia berkuasa, bangsa yang bengis dan gopoh. Mereka mara ke seluruh dunia untuk menaklukkan negeri lain. Mereka menimbulkan ketakutan dan kegentaran di merata-rata tempat. Mereka sangat sombong sehingga beranggapan bahawa semua perbuatan mereka betul dan sah di sisi undang-undang. Kuda orang Babilonia lebih pantas daripada harimau bintang dan lebih ganas daripada serigala yang lapar. Pasukan askar berkuda Babilonia datang dari negeri-negeri jauh; kuda mereka menderap. Pasukan askar berkuda datang menyerang seperti burung helang menyambar mangsa. Tentera Babilonia mara dan menyerang dengan ganas; setiap orang ketakutan apabila mereka datang. Tawanan perang mereka sebanyak butir pasir. Orang Babilonia menghina raja-raja dan mentertawakan para pembesar kerajaan. Tidak ada kubu yang dapat menghalang mereka. Mereka menambak tanah pada tembok kubu, lalu merebutnya. Kemudian mereka bergegas pergi seperti tiupan angin. Mereka bersalah kerana mendewakan kekuatan sendiri.” Ya TUHAN, Engkau Allah sejak dahulu. Engkau Allahku yang suci dan kekal. Ya TUHAN, Allahku dan pelindungku, Engkau telah memilih orang Babilonia; Engkau menguatkan mereka supaya dapat menghukum kami. Tetapi bagaimana Engkau tahan melihat orang yang khianat dan jahat seperti mereka? Engkau terlalu suci untuk memandang kejahatan; Engkau tidak dapat tahan sabar dengan orang yang berbuat salah. Tetapi mengapa Engkau berdiam diri apabila orang Babilonia membinasakan orang yang tidak sejahat mereka? Mana boleh Engkau memperlakukan manusia seperti ikan atau seperti sekawanan serangga yang tidak mempunyai pemimpin? Orang Babilonia menangkap orang dengan mata kail, seolah-olah yang ditangkap itu ikan. Orang Babilonia menyeret tawanan mereka di dalam jala sambil bersorak-sorak kerana penangkapan itu! Bahkan mereka menyembah jala mereka dan mempersembahkan korban kepada jala itu, kerana jala memberi mereka rezeki berlimpah-limpah dan hidup mewah. Adakah selamanya mereka akan menggunakan pedang dan terus-menerus membinasakan bangsa-bangsa tanpa belas kasihan? Aku akan naik ke menara pengawal, lalu menunggu apa yang akan difirmankan TUHAN kepadaku dan apa jawapan-Nya bagi sungutanku. TUHAN menjawab aku, “Tulislah dengan jelas apa yang Kunyatakan kepadamu, supaya dapat dibaca dengan mudah. Tulislah semuanya pada batu tulis daripada tanah liat. Tulislah perkhabaran itu kerana belum sampai masanya untuk berlaku. Tetapi masa itu akan segera tiba dan apa yang Aku nyatakan kepadamu ini akan pasti berlaku. Walaupun nampaknya masa itu lambat datang, tetapi tunggu saja; hal itu akan pasti berlaku dan tidak akan ditangguhkan. Inilah perkhabaran itu: ‘Orang yang melakukan kejahatan akan binasa, tetapi orang yang melakukan kehendak Allah akan hidup kerana mereka setia kepada Allah.’ ” Kekayaan menipu orang. Orang yang tamak itu angkuh dan gelisah. Seperti maut, mereka juga tidak pernah puas. Itulah sebabnya mereka menaklukkan bangsa demi bangsa. Penakluk akan dicemuh dan dihina oleh orang yang ditakluk. Mereka akan berkata, “Malanglah kamu kerana mengambil barang yang bukan milik kamu! Berapa lama lagi kamu memperkaya diri dengan memaksa orang yang berhutang kepada kamu untuk membayar hutang?” Tetapi tanpa kamu sedari, kamu yang telah menaklukkan orang lain akan berhutang juga dan dipaksa untuk membayar faedah. Musuh akan datang dan menyebabkan kamu gementar ketakutan. Mereka akan merampas harta kamu! Kamu telah merampas harta banyak bangsa. Tetapi kini bangsa-bangsa yang terselamat akan merampas harta kamu kerana pembunuhan yang telah kamu lakukan dan kerana kekejaman kamu terhadap penduduk dunia serta kota-kota di dunia. Malang menimpa kamu! Kamu memperkaya keluarga kamu dengan apa yang kamu peroleh dengan keganasan. Kamu telah membina rumah yang selamat untuk melindungi keluarga kamu daripada malapetaka. Tetapi rancangan kamu itu mempermalukan keluarga kamu; dengan memusnahkan banyak bangsa, kamu mendatangkan kehancuran diri sendiri. Bahkan batu-batu tembok pun berteriak menyalahkan kamu dan kasau-kasau menggemakan teriakan itu. Malang menimpa kamu kerana kamu mendirikan kota yang berasaskan kejahatan dan membinanya dengan pembunuhan. Bangsa-bangsa yang kamu taklukkan menghabiskan tenaga dengan sia-sia; segala sesuatu yang dibina oleh mereka habis dimakan api. TUHAN Yang Maha Kuasa telah melakukan hal ini. Tetapi sebagaimana lautan penuh dengan air, demikianlah bumi pun akan penuh dengan orang yang mengenal TUHAN dan kuasa-Nya. Malang menimpa kamu kerana dengan berang kamu menghina dan mempermalukan jiran-jiran kamu; kamu menyebabkan mereka terhuyung-hayang seperti orang mabuk. Sekarang tibalah giliran kamu untuk dipermalukan dan bukan untuk dihormati. Kehormatan kamu akan berubah menjadi kehinaan. TUHAN akan memaksa kamu minum dari cawan yang berisi hukuman; kamu akan meminumnya dan terhuyung-hayang. Kamu menebang pokok-pokok di hutan Lebanon, tetapi sekarang kamu sendiri akan ditebang. Kamu membunuh binatang di situ, tetapi sekarang binatang akan menakutkan kamu. Semuanya ini berlaku kerana pembunuhan dan keganasan yang telah kamu lakukan terhadap penduduk dunia serta kota-kota di dunia. Apakah gunanya berhala? Berhala hanya buatan manusia dan yang kamu dapat daripadanya hanya dusta belaka. Apakah keuntungan yang diperoleh pembuat berhala dengan berhala? Berhala tidak dapat bercakap! Malang menimpa kamu kerana kamu berkata kepada sepotong kayu, “Bangunlah!” atau kepada sebuah batu besar, “Bangkitlah!” Dapatkah berhala menyatakan sesuatu kepadamu? Mungkin berhala dilapisi perak dan emas, tetapi berhala itu tidak bernyawa. TUHAN ada di dalam Rumah-Nya yang suci; hendaklah setiap orang di bumi berdiam diri di hadirat-Nya. Inilah doa Nabi Habakuk: Ya TUHAN, aku telah mendengar tentang perbuatan-Mu, rasa kagum memenuhi hatiku. Semoga Engkau melakukan lagi perbuatan-Mu yang ajaib pada zaman kami. Kasihanilah kami walaupun Engkau murka. Engkau datang lagi dari Edom; Engkau Allah yang suci datang dari perbukitan Paran. Keagungan-Mu meliputi langit; bumi penuh dengan pujian untuk-Mu. Engkau datang dan bersinar seperti kilat; cahaya memancar dari tangan-Mu, di situlah kuasa-Mu disembunyikan. Engkau menyuruh penyakit mendahului-Mu dan mengarah maut menyusuli-Mu. Apabila Engkau berhenti, bumi bergegar; apabila Engkau memandang, bangsa-bangsa gempar. Gunung-gunung yang abadi hancur berkecai; bukit-bukit yang kekal pun mendap, bukit-bukit tempat Engkau berjalan sejak zaman purba. Aku nampak orang Kusyan ketakutan, dan orang Midian gementar. Adakah sungai yang menyebabkan Engkau marah, ya TUHAN? Adakah lautan yang menyebabkan Engkau murka? Engkau menunggangi awan dan mengendarai awan ribut, ketika Engkau datang untuk memberikan kemenangan kepada umat-Mu. Engkau bersiap untuk menggunakan busur-Mu, bersedia untuk melepaskan anak panah-Mu. Bumi merekah dan sungai mengalir. Apabila gunung-gunung nampak Engkau, semuanya bergoncang; hujan turun mencurah dari langit. Air di bawah bumi menderu dan ombaknya bergelora. Ketika panah-Mu yang laju berkilat, dan tombak-Mu yang bersinar berkilau-kilauan, matahari dan bulan berhenti beredar. Dengan murka Engkau menjelajahi bumi; dengan marah Engkau memijak bangsa-bangsa. Engkau keluar untuk menyelamatkan umat-Mu, untuk menyelamatkan raja pilihan-Mu. Engkau menjatuhkan pemimpin orang jahat, dan memusnahkan semua pengikutnya. Anak panah-Mu menembusi panglima tenteranya, apabila tenteranya datang seperti angin ribut untuk menyebabkan kami lari bertempiaran. Mereka berasa seronok seperti orang yang dengan sembunyi-sembunyi menindas orang miskin. Engkau memijak-mijak lautan dengan kuda-Mu, lalu air laut yang bergelora membuih. Aku mendengar semuanya itu dan aku gementar; bibirku bergetar kerana aku ketakutan. Tubuhku lemah tidak bermaya, kakiku tersandung ketika berjalan. Dengan tenang aku akan menanti waktunya Engkau menghukum orang yang menyerang kita. Walaupun pokok ara tidak berbunga, dan pokok anggur tidak berbuah, walaupun hasil pokok zaitun menyedihkan, dan ladang gandum mengecewakan, walaupun domba mati semuanya, dan kandang lembu kosong belaka, aku akan bersukacita dan bergembira selalu, kerana Engkau TUHAN Allah yang menyelamatkan aku. Engkaulah TUHAN Raja yang memberi aku kekuatan, seperti kaki rusa, kakiku Engkau kukuhkan, dan keselamatanku Engkau jaga di pergunungan. Inilah perkhabaran TUHAN kepada Zefanya pada masa Raja Yosia putera Raja Amon memerintah Yehuda. (Bapa Zefanya ialah Kusyi, datuknya Gedalya, moyangnya Amarya, dan moyotnya Raja Hizkia.) TUHAN berfirman, “Aku akan memusnahkan segala sesuatu di bumi: semua manusia dan binatang, termasuk burung dan ikan. Aku akan menumpas orang jahat. Aku akan membinasakan segenap umat manusia; tiada seorang pun akan Kubiarkan hidup. Aku, TUHAN, telah berfirman. Aku akan menghukum penduduk Yerusalem dan penduduk seluruh Yehuda. Aku akan melenyapkan sisa-sisa penyembahan Baal dari tempat-tempat itu. Imam-imam yang mengabdikan diri kepada Baal akan dilupakan sama sekali. Aku akan membinasakan sesiapa sahaja yang naik ke bumbung untuk menyembah matahari, bulan dan bintang-bintang. Aku juga akan membinasakan orang yang menyembah Aku dan bersumpah setia kepada-Ku, tetapi juga bersumpah demi nama Dewa Milkom. Aku akan membinasakan orang yang telah meninggalkan Aku dan tidak lagi mengikut Aku; mereka yang tidak datang kepada-Ku dan tidak minta bimbingan daripada-Ku.” Hari TUHAN sudah hampir. Pada hari itu Dia akan menghakimi orang; oleh itu berdiam dirilah di hadapan-Nya. TUHAN sedang bersedia untuk membantai umat-Nya seperti binatang disembelih untuk korban, dan Dia telah menjemput musuh untuk menjarah Yehuda. TUHAN berfirman, “Pada hari pembantaian itu, Aku akan menghukum para pembesar, putera-putera raja, dan semua orang yang mengamalkan adat resam bangsa asing. Aku akan menghukum semua orang yang beribadat seperti orang yang tidak mengenal Aku, dan yang mencuri serta membunuh untuk memenuhi rumah majikan mereka dengan barang-barang jarahan.” TUHAN berfirman, “Pada hari itu, kamu akan mendengar tangisan di Gerbang Ikan di Yerusalem. Suara ratapan akan kedengaran dari perkampungan baru di kota itu dan bunyi dentum yang kuat akan bergema dari bukit-bukit. Merataplah dan menangislah apabila kamu mendengar semua itu, hai penduduk kota di bahagian bawah, kerana semua pedagang telah mati. Pada masa itu Aku akan mengambil pelita dan menggeledah kota Yerusalem. Aku akan menghukum penduduknya yang puas dan yakin dengan diri sendiri, dan yang berkata, ‘TUHAN tidak pernah bertindak begini atau begitu.’ Harta mereka akan dirampas dan rumah mereka dimusnahkan. Mereka akan membangun rumah, tetapi tidak mendiaminya. Mereka akan mengusahakan ladang anggur tetapi tidak minum wain, hasil ladang itu.” Hari penghakiman TUHAN sudah dekat, sesungguhnya, hari itu sudah sangat hampir dan akan tiba dengan segera. Hari itu akan penuh kepedihan, sehingga askar-askar yang paling gagah pun akan meraung-raung kerana putus asa. Hari itu hari kemurkaan, hari kesusahan dan kegelisahan, hari kejatuhan dan kemusnahan, hari kegelapan dan kesuraman, hari yang kelam dan berkabut. Sepanjang hari itu akan terdengar bunyi trompet dan pekik perang daripada askar-askar yang menyerang kota-kota berkubu dan menara-menara tinggi. TUHAN berfirman, “Aku akan mendatangkan banyak bencana kepada manusia, sehingga setiap orang akan meraba-raba seperti orang buta. Mereka telah berdosa terhadap Aku, dan sekarang darah mereka akan tercurah seperti air, lalu mayat mereka akan membusuk di tanah.” Pada hari itu, TUHAN akan menunjukkan kemurkaan-Nya, maka segala emas dan perak tidak dapat menyelamatkan mereka. Seluruh bumi akan dimusnahkan oleh api kemurkaan-Nya. Dengan tiba-tiba, Dia akan mencabut nyawa semua orang yang tinggal di bumi. Hai bangsa yang tidak tahu malu, insaflah sebelum kamu diusir seperti sekam yang ditiup angin. Insaflah sebelum hari kemurkaan TUHAN tiba, dan sebelum kamu ditimpa kemarahan TUHAN yang menyala-nyala. Kembalilah kepada TUHAN, hai semua orang yang rendah hati di negeri ini, iaitu orang yang mentaati perintah-Nya. Lakukanlah apa yang dikehendaki TUHAN, dan rendahkanlah dirimu di hadapan-Nya. Mungkin kamu akan terlepas daripada hukuman pada hari TUHAN menunjukkan kemurkaan-Nya. Tiada sesiapa lagi yang tinggal di kota Gaza. Kota Askelon akan ditinggalkan. Penduduk Asdod akan diusir dalam setengah hari, dan penduduk Ekron akan dihalau dari kota mereka. Malanglah kamu, hai orang Filistin, bangsa yang tinggal di kawasan pantai. TUHAN telah menentukan hukuman bagi kamu. Dia akan membinasakan kamu, dan tiada seorang pun yang akan terselamat. Tanah kamu di tepi laut akan menjadi padang rumput; gubuk gembala dan kandang domba akan dibina di situ. Penduduk Yehuda yang terselamat akan menduduki tanah kamu. Mereka akan menggembalakan ternakan di situ, lalu pada malam hari mereka akan tidur di rumah-rumah di kota Askelon. TUHAN, Allah mereka akan menyertai mereka dan menjadikan mereka makmur semula. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Aku telah mendengar bangsa Moab dan Amon menghina serta mengejek umat-Ku. Mereka bercakap besar kerana mereka akan merampas tanah umat-Ku. Demi Aku TUHAN yang hidup, Allah yang disembah Israel, Aku bersumpah bahawa Moab dan Amon akan dimusnahkan seperti Sodom dan Gomora. Negeri-negeri itu akan dipenuhi perigi garam dan selama-lamanya menjadi puing-puing, yang ditumbuhi semak duri. Umat-Ku yang terselamat akan menjarah harta penduduk negeri-negeri itu lalu merampas tanah mereka.” Demikianlah penduduk Moab dan Amon akan dihukum kerana kesombongan dan keangkuhan mereka, dan juga kerana penghinaan mereka terhadap umat TUHAN Yang Maha Kuasa. TUHAN akan menyebabkan mereka sangat ketakutan. Dia akan menghancurkan dewa-dewa di bumi. Kemudian semua bangsa akan beribadat kepada TUHAN, masing-masing di negeri sendiri. TUHAN juga akan menjatuhkan hukuman mati kepada penduduk Etiopia. Selepas itu TUHAN akan menggunakan kuasa-Nya untuk menghancurkan Asyur. Kota Niniwe akan dijadikan tempat yang sunyi sepi dan gurun yang tandus. Di situ ternakan dan semua jenis haiwan akan berbaring. Burung hantu akan bersarang di reruntuhan itu dan berteriak-teriak dari jendela. Burung gagak akan menggauk-gauk di ambang-ambang pintu. Kayu sedar pada bangunan-bangunan kota itu akan habis ditanggalkan. Itulah yang akan terjadi pada kota yang riang gembira itu dan yang menganggap dirinya aman tenteram. Penduduknya menyangka bahawa kota mereka itulah kota yang terbesar di dunia. Betapa sepinya daerah itu, tiada penghuninya kecuali binatang hutan yang bersarang di situ! Tiap-tiap orang yang lalu di kota itu akan menghinanya dan berasa ngeri. Malanglah Yerusalem, kota derhaka yang suka memberontak terhadap TUHAN dan yang menindas penduduknya sendiri. Kota itu tidak mengendahkan nasihat TUHAN, dan tidak pula menerima tegur ajar-Nya. Kota itu tidak berharap kepada TUHAN dan tidak meminta tolong kepada-Nya. Para pembesar kota itu seperti singa yang mengaum-aum. Hakim-hakimnya seperti serigala lapar yang sangat rakus sehingga sepotong tulang pun tiada yang ditinggalkan untuk esok harinya. Nabi-nabi kota itu tidak bertanggungjawab dan tidak dapat dipercayai; para imam menajiskan apa yang dikhaskan untuk TUHAN dan memutarbalikkan hukum Allah bagi kepentingan mereka sendiri. Tetapi TUHAN masih di kota itu; Dia sentiasa melakukan yang benar dan tidak pernah melakukan yang salah. Setiap pagi Dia pasti memberikan keadilan kepada umat-Nya. Namun orang yang tidak mengenal keadilan di kota itu tetap berbuat jahat tanpa mengenal malu. TUHAN berfirman, “Aku telah melenyapkan banyak bangsa; Aku menghancurkan kota-kota mereka, dan menjadikan tembok serta menara-menara mereka itu reruntuhan. Kota-kota mereka sunyi tanpa penghuni dan jalan-jalan pun lengang; tiada lagi orang yang tinggal di situ. Aku berfikir, ‘Sekarang sudah tentu umat-Ku menghormati Aku dan menerima tegur ajar-Ku. Pasti mereka selalu mengingat pengajaran yang Aku berikan kepada mereka.’ Tetapi nampaknya, mereka lebih giat lagi berbuat jahat daripada sebelumnya.” TUHAN berfirman, “Tetapi awas! Tunggu saja harinya Aku bangkit sebagai saksi untuk menuduh bangsa-bangsa. Aku telah mengambil keputusan untuk mengumpulkan bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan supaya Aku dapat menimpakan kemurkaan-Ku kepada mereka. Seluruh bumi akan dimusnahkan oleh api kemurkaan-Ku. Tetapi kemudian Aku akan mengubah hati bangsa-bangsa itu, sehingga mereka berdoa kepada-Ku sahaja dan bukan kepada tuhan-tuhan lain. Semua bangsa itu akan mentaati Aku. Bahkan dari Etiopia yang jauh, umat-Ku yang tercerai-cerai itu akan datang dan mempersembahkan korban kepada-Ku. Pada masa itu, hai umat-Ku, kamu tidak perlu berasa malu lagi kerana telah memberontak terhadap Aku. Aku akan menyingkir setiap orang yang sombong dan angkuh; kamu tidak akan memberontak lagi terhadap Aku di bukit-Ku yang suci. Orang yang hina dan yang rendah hati akan Kubiarkan tinggal di sana. Mereka akan datang meminta tolong kepada-Ku. Orang Israel yang terselamat tidak akan berbuat jahat kepada sesiapa pun; mereka tidak akan berdusta dan tidak menipu. Mereka akan makmur dan aman; mereka tidak akan takut kepada sesiapa pun.” Hai umat Israel, hendaklah kamu bersorak dan bernyanyi! Hai penduduk Yerusalem, hendaklah kamu bergembira dengan segenap hati! TUHAN sudah berhenti menghukum kamu; Dia telah mengusir semua musuh kamu. TUHAN, raja Israel, menyertai kamu; tiada lagi yang menakutkan kamu. Akan tiba masanya orang berkata kepada Yerusalem, “Hai Bukit Sion, jangan takut dan jangan putus asa. TUHAN, Allah kamu menyertai kamu; kamu menang kerana kuasa-Nya. TUHAN gembira dan bersukacita kerana kamu; Dia memberi kamu hidup baru kerana Dia mengasihi kamu. Kamu menyukakan hati-Nya, maka Dia akan menyanyi dengan gembira, seperti orang yang sedang berpesta.” TUHAN berfirman, “Aku tidak lagi membiarkan kamu ditimpa bencana; Aku tidak lagi membiarkan kamu dihina. Masanya akan tiba; Aku akan menghukum penindas kamu. Aku menyelamatkan orang tempang, dan membawa pulang orang yang dibuang. Aku akan menyebabkan orang menghormati mereka, sehingga di seluruh dunia, mereka tidak lagi dihina. Masanya akan tiba; Aku akan membawa pulang orang yang tercerai-cerai; Aku akan menjadikan kamu termashyur di seluruh bumi, dan menjadikan kamu makmur sekali lagi.” TUHAN telah berfirman. Pada tahun kedua pemerintahan Darius sebagai raja Persia, pada hari pertama bulan keenam, TUHAN berfirman melalui Nabi Hagai. Perkhabaran TUHAN itu ditujukan kepada Zerubabel anak Sealtiel, gabenor Yehuda, dan juga kepada Imam Agung Yosua anak Yozadak. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada Hagai, “Bangsa ini berkata bahawa belum masanya untuk membina semula Rumah-Ku.” Kemudian dengan perantaraan Nabi Hagai, TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Hai umat-Ku, mengapa kamu tinggal di dalam rumah mewah, sedangkan Rumah-Ku masih reruntuhan? Lihatlah apa yang sudah berlaku kepada kamu! Kamu sudah menabur banyak benih, namun tuaian kamu sedikit. Kamu mempunyai makanan, tetapi tidak cukup untuk mengenyangkan kamu. Kamu mempunyai wain, tetapi tidak cukup untuk memuaskan hati. Kamu mempunyai pakaian, tetapi tidak cukup untuk memanaskan badan. Upah yang diterima kaum buruh tidak cukup untuk menyara hidup mereka. Tidakkah kamu sedar mengapa segala perkara itu berlaku? Sekarang, naiklah ke bukit-bukit untuk mengambil kayu balak, lalu binalah semula Rumah-Ku. Maka Aku akan berkenan kepada kamu, dan Aku akan disembah lagi dengan cara yang sepatutnya. Kamu mengharapkan tuaian banyak, tetapi yang kamu dapat sedikit sekali. Apabila kamu membawa tuaian itu pulang, Aku meniupnya sehingga habis dibawa angin. Mengapa Aku melakukan hal itu? Aku melakukannya kerana Rumah-Ku masih reruntuhan, sedangkan kamu semua sibuk membina rumah masing-masing. Itulah sebabnya hujan tidak turun sehingga tiada tanaman yang dapat tumbuh. Aku sudah mendatangkan kemarau ke negeri ini sehingga bukit, ladang gandum, ladang anggur, kebun zaitun dan segala tumbuhan di negeri ini menjadi kering. Manusia, haiwan, dan segala tanaman kamu ditimpa kemarau.” Kemudian Zerubabel dan Yosua serta segenap umat Israel yang sudah kembali dari pembuangan di Babilonia, mentaati kata-kata Nabi Hagai, utusan TUHAN itu. Mereka melakukan apa yang diperintahkan TUHAN kepada mereka, kerana mereka takut akan TUHAN. Kemudian Hagai menyampaikan firman TUHAN kepada mereka bahawa TUHAN sudah berjanji akan menyertai mereka. Demikianlah TUHAN menggerakkan hati Zerubabel, gabenor Yehuda itu, Imam Agung Yosua, dan semua orang yang sudah kembali dari pembuangan supaya membina Rumah TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah mereka. Mereka mula bekerja pada hari kedua puluh empat bulan keenam dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius. Pada hari kedua puluh satu bulan ketujuh pada tahun itu juga, TUHAN berfirman lagi melalui Nabi Hagai. TUHAN menyuruh Hagai menyampaikan perkhabaran berikut kepada Zerubabel, gabenor Yehuda itu, Imam Agung Yosua, dan rakyat, “Adakah sesiapa antara kamu yang masih ingat betapa cantiknya Rumah-Ku dahulu? Sekarang bagaimana keadaannya, menurut pendapat kamu? Mungkin kelihatannya tidak menarik sama sekali. Tetapi janganlah seorang pun putus asa! Teruskanlah pekerjaan itu, kerana Aku menyertai kamu. Ketika kamu keluar dari Mesir, Aku telah berjanji untuk selalu menyertai kamu. Sekarang pun Aku masih menyertai kamu. Oleh itu, kamu tidak perlu takut. Tidak lama lagi Aku akan menggoncangkan langit dan bumi, darat dan laut. Aku akan menggulingkan semua kerajaan dan harta benda mereka akan dibawa ke sini, sehingga Rumah-Ku akan penuh dengan kekayaan. Segala emas dan perak di dunia ini milik-Ku. Rumah-Ku yang baru akan lebih cantik daripada yang dahulu, dan di situlah Aku memberi umat-Ku kemakmuran dan kedamaian.” Demikianlah firman TUHAN Yang Maha Kuasa. Pada hari kedua puluh empat bulan kesembilan dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius, TUHAN berfirman lagi kepada Nabi Hagai. TUHAN berfirman, “Mintalah keputusan para imam tentang persoalan ini: Seandainya ada orang yang mengambil sepotong daging daripada korban yang dipersembahkan kepada TUHAN, lalu membawanya pulang di dalam lipatan jubahnya, kemudian jubahnya itu tersentuh roti atau sesuatu masakan, atau wain, atau minyak zaitun, atau makanan apa sahaja, adakah semua itu menjadi suci juga?” Ketika Hagai mengemukakan pertanyaan itu, para imam menjawab, “Tidak.” Kemudian Hagai bertanya lagi, “Seandainya ada orang yang menjadi najis kerana dia menyentuh mayat, kemudian dia menyentuh salah satu daripada makanan itu, adakah makanan itu menjadi najis pula?” Para imam menjawab, “Ya.” Kemudian Hagai berkata, “TUHAN berfirman bahawa peraturan itu berlaku juga kepada umat Israel di negeri ini dan pada segala sesuatu yang dihasilkan oleh mereka. Oleh itu, apa yang dipersembahkan mereka di atas mazbah ini, menjadi najis.” TUHAN berfirman, “Perhatikanlah apa yang telah berlaku sebelum hari ini, pada masa Rumah-Ku belum diperbaiki! Bagaimanakah keadaan kamu pada masa itu? Kamu pergi melihat timbunan gandum dan menyangka akan mendapat 200 kilogram gandum, tetapi ternyata ada 100 kilogram sahaja. Kamu telah pergi mencedok 100 liter wain dari tong wain, tetapi yang ada hanya 40 liter. Aku sudah mendatangkan angin panas dan menurunkan hujan batu untuk menghancurkan segala hasil ladang kamu, tetapi kamu masih tidak mahu kembali kepada-Ku. Pada hari ini, hari kedua puluh empat bulan kesembilan, batu asas Rumah-Ku selesai diletakkan. Perhatikanlah apa yang akan berlaku mulai sekarang. Meskipun tiada lagi gandum yang tinggal, dan pokok anggur, pokok ara, pokok delima, serta pokok zaitun belum berbuah, tetapi mulai sekarang Aku akan memberkati kamu!” Pada hari itu juga, hari kedua puluh empat bulan kesembilan, TUHAN memberikan perkhabaran yang kedua kepada Hagai, untuk disampaikan kepada Zerubabel, gabenor Yehuda. TUHAN berfirman, “Tidak lama lagi Aku akan menggoncangkan langit dan bumi, menjatuhkan kerajaan, dan menghancurkan kuasa mereka. Aku akan menunggangbalikkan kereta-kereta kuda dengan pengemudinya; semua kuda akan mati dan penunggang-penunggangnya akan saling membunuh. Pada hari itu, hai Zerubabel, hamba-Ku, Aku akan melantik engkau untuk memerintah demi nama-Ku, kerana engkaulah yang sudah Aku pilih.” Demikianlah firman TUHAN Yang Maha Kuasa. Pada bulan kelapan dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius di Persia, TUHAN menyampaikan perkhabaran ini kepada Nabi Zakharia anak Berekhya dan cucu Ido. TUHAN Yang Maha Kuasa memberikan perintah kepada Zakharia untuk menyampaikan perkhabaran ini kepada umat-Nya, “Aku, TUHAN sangat murka kepada nenek moyang kamu. Tetapi sekarang Aku berfirman kepada kamu: Kembalilah kepada-Ku, maka Aku juga akan kembali kepada kamu. Jangan berlaku seperti nenek moyang kamu. Dahulu kala, para nabi menyampaikan perkhabaran-Ku kepada mereka agar berhenti berbuat jahat dan berhenti berbuat dosa. Tetapi mereka tidak mahu mendengarkan Aku dan tidak mahu mentaati Aku. Di manakah nenek moyang kamu dan nabi-nabi itu sekarang? Mereka telah meninggal. Dengan perantaraan para nabi, hamba-Ku, Aku menyampaikan perintah dan amaran-Ku kepada nenek moyang kamu. Tetapi mereka tidak mempedulikannya sehingga harus menanggung akibatnya. Kemudian mereka bertaubat dan mengakui bahawa Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, telah menghukum mereka setimpal dengan kesalahan mereka dan sesuai dengan ketentuan-Ku.” Pada hari kedua puluh empat bulan Syebat, iaitu bulan sebelas dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius, TUHAN menyampaikan perkhabaran-Nya kepadaku. Dalam suatu penglihatan pada waktu malam, aku nampak malaikat TUHAN menunggang seekor kuda merah. Dia berhenti di sebuah lembah di antara pokok kemunting. Di belakangnya ada lagi beberapa ekor kuda - ada yang merah, ada yang bertelau-telau, dan ada yang putih. Aku bertanya kepadanya, “Tuan, apakah maknanya semua kuda ini?” Dia menjawab, “Aku akan menunjukkan maknanya kepadamu. TUHAN mengirim semua kuda ini untuk menyiasat bumi.” Semua kuda itu memberikan laporan kepada malaikat, “Kami telah menjelajahi seluruh muka bumi dan mendapati bahawa seluruh bumi tenang dan tenteram.” Kemudian malaikat itu berkata, “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Engkau murka kepada Yerusalem dan kota-kota di Yehuda selama tujuh puluh tahun. Sampai bilakah Engkau akan tetap murka dan tidak mengampuni mereka?” TUHAN menjawab malaikat itu dengan firman yang menghiburkan hati, lalu malaikat itu menyuruh aku mengisytiharkan firman TUHAN Yang Maha Kuasa, “Aku sangat mengasihi kota Yerusalem dan mengambil berat terhadap kota-Ku yang suci itu. Tetapi Aku sangat murka kepada bangsa-bangsa yang berasa aman dan tenteram. Ketika Aku menahan kemurkaan-Ku terhadap umat-Ku, bangsa-bangsa itu menambah penderitaan umat-Ku. Oleh itu Aku kembali ke Yerusalem untuk mengasihani kota itu. Rumah-Ku akan dibina semula dan kota itu akan diperbaiki.” Malaikat itu menyuruh aku mengisytiharkan perkhabaran ini juga, “TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman bahawa kota-kota-Nya akan makmur semula dan bahawa sekali lagi Dia akan menolong Yerusalem dan mengakuinya sebagai milik-Nya sendiri.” Dalam penglihatan yang lain, aku nampak empat buah tanduk lembu. Aku bertanya kepada malaikat yang telah bertutur kepadaku, “Apakah makna tanduk-tanduk itu?” Dia menjawab, “Tanduk-tanduk itu melambangkan kuasa kerajaan dunia yang mencerai-beraikan penduduk Yehuda, Israel, dan Yerusalem.” Kemudian TUHAN menunjukkan empat orang tukang besi yang membawa tukul. Aku bertanya, “Apakah maksud kedatangan mereka?” Dia menjawab, “Mereka datang untuk menakutkan dan menggulingkan bangsa-bangsa yang telah memusnahkan Yehuda serta mencerai-beraikan penduduknya.” Dalam penglihatan selanjutnya, aku nampak seorang lelaki yang memegang tali pengukur. Aku bertanya kepadanya, “Hendak ke mana?” Dia menjawab, “Aku hendak mengukur Yerusalem. Aku ingin tahu panjang dan lebar kota itu.” Kemudian aku nampak malaikat yang telah bertutur dengan aku itu, melangkah maju, dan satu malaikat lain menemuinya. Malaikat yang pertama berkata kepada malaikat yang kedua, “Cepat pergi kepada pemuda yang memegang tali pengukur itu, dan beritahu dia bahawa Yerusalem akan penuh sesak dengan manusia dan ternakan, sehingga tembok kota tidak dapat dibina lagi. TUHAN telah berjanji bahawa Dia sendiri akan menjadi tembok api yang mengelilingi kota itu untuk melindunginya, dan Dia akan tinggal di situ dengan segala kemuliaan-Nya.” [6-7] TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Aku telah mencerai-beraikan kamu ke segala arah. Tetapi sekarang, hai orang buangan, larilah dari Babilonia dan kembalilah ke Yerusalem. *** Sesiapa yang menyerang kamu, menyerang buah hati-Ku.” Oleh itu TUHAN Yang Maha Kuasa menyuruh aku menyampaikan perkhabaran ini kepada bangsa-bangsa yang telah menjarah umat-Nya, “TUHAN sendiri akan melawan kamu. Kamu akan dijarah oleh bekas hamba kamu sendiri.” Apabila hal itu berlaku, semua orang akan tahu bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa telah mengutus aku. TUHAN berfirman, “Bernyanyilah dengan gembira, hai penduduk Yerusalem! Aku akan tinggal di tengah-tengah kamu!” Pada masa itu banyak bangsa akan datang kepada TUHAN untuk menjadi umat-Nya. Dia akan tinggal di tengah-tengah kamu, dan kamu akan tahu bahawa TUHAN telah mengutus aku kepada kamu. Sekali lagi Yehuda akan menjadi milik khas TUHAN di tanah-Nya yang suci, dan Yerusalem akan menjadi kota yang paling disayangi-Nya. Hai semua orang, berdiamlah di hadapan TUHAN kerana Dia telah berangkat dari tempat kediaman-Nya yang suci. Dalam penglihatan yang lain, TUHAN menunjukkan Imam Agung Yosua kepadaku. Imam Agung Yosua sedang berdiri di hadapan malaikat TUHAN. Iblis yang telah bersedia untuk menuduh Yosua, berdiri di sebelah Yosua. Malaikat TUHAN berkata kepada Iblis, “Semoga TUHAN menghukum engkau, hai Iblis! Semoga TUHAN yang mengasihi Yerusalem menghukum engkau. Orang ini bagaikan puntung kayu yang ditarik dari api.” Yosua berdiri di situ dengan pakaian yang sangat kotor. Malaikat itu berkata kepada pembantu-pembantunya di syurga, “Buanglah pakaian kotor yang dipakai orang ini.” Kemudian dia berkata kepada Yosua, “Aku telah membuang dosamu; aku akan memberi engkau pakaian baru.” Dia memerintahkan pembantu-pembantunya memasang serban bersih pada kepala Yosua, lalu mereka melakukannya. Selepas itu mereka mengenakan pakaian baru pada Yosua sementara malaikat TUHAN berdiri di situ. Kemudian malaikat TUHAN itu memberitahu Yosua firman TUHAN Yang Maha Kuasa, “Jika engkau mematuhi hukum-Ku dan melakukan tugas yang Aku berikan kepadamu, engkau boleh melanjutkan tugas sebagai pemimpin di dalam Rumah-Ku dan juga sebagai pengurus halamannya. Aku akan mendengarkan doamu, seperti Aku mendengarkan doa para malaikat yang di hadirat-Ku. Dengarlah hai Imam Agung Yosua, dan juga kamu imam-imam yang menjadi rakannya, kamu semua lambang masa depan yang baik. Pada masa itu, Aku akan mengutus hamba-Ku yang disebut ‘Tunas’. Aku akan meletakkan sebuah batu bersegi tujuh di hadapan Yosua. Aku akan mengukirkan tulisan-tulisan pada batu itu. Dalam satu hari, Aku akan membuang dosa negeri ini. Apabila hari itu tiba, setiap orang akan menjemput jirannya datang dan menikmati kedamaian dan keamanan di tengah-tengah ladang anggur dan pokok ara kamu.” Malaikat yang telah bertutur kepadaku itu datang lagi dan mengejutkan aku seolah-olah aku sedang tidur. Dia bertanya, “Apakah yang engkau nampak?” Aku menjawab, “Aku nampak sebuah kaki pelita emas. Di bahagian atasnya ada sebuah mangkuk minyak. Pada kaki pelita itu ada tujuh buah pelita yang setiap satunya mempunyai tujuh buah tempat sumbu. Di sebelah kiri kaki pelita itu ada sebatang pokok zaitun, dan di sebelah kanan pun ada sebatang pokok zaitun.” Kemudian aku bertanya kepada malaikat itu, “Apakah yang dilambangkan oleh benda-benda itu, tuan?” “Tidakkah engkau tahu?” malaikat itu bertanya kepadaku. “Tidak tuan,” jawabku. *** *** *** *** [10b] Malaikat itu berkata kepadaku, “Tujuh buah pelita itu melambangkan mata TUHAN yang mengawasi seluruh muka bumi.” Kemudian aku bertanya lagi kepadanya, “Apakah makna pokok zaitun di sebelah kanan dan kiri kaki pelita itu? Apa pula makna dua batang cabang zaitun di sebelah dua batang paip emas yang menyalurkan minyak zaitun itu?” “Tidakkah engkau tahu?” malaikat itu bertanya kepadaku. “Tidak, tuan,” jawabku. Kemudian dia berkata, “Cabang itu melambangkan dua orang yang telah dipilih dan dilantik oleh Allah untuk mengabdi kepada-Nya, Tuhan alam semesta.” Janji TUHAN kepada Zerubabel [6] Malaikat itu menyuruh aku menyampaikan perkhabaran TUHAN ini kepada Zerubabel, “Engkau akan berjaya bukan dengan kekuatan tentera ataupun kekuatanmu sendiri, melainkan dengan Roh-Ku. [7] Halangan sebesar gunung pun akan tersingkir dari hadapanmu. Engkau akan membina semula Rumah-Ku, dan pada masa engkau meletakkan batu yang terakhir di tempatnya, orang akan berseru, ‘Alangkah indahnya!’ ” [8] Kemudian datang lagi perkhabaran lain daripada TUHAN. [9] Dia berfirman, “Zerubabel telah meletakkan batu asas Rumah-Ku, dan dia akan menyelesaikan bangunan itu. Jika hal itu berlaku, umat-Ku akan tahu bahawa Akulah yang telah mengutus engkau, Zakharia, kepada mereka. [10a] Mereka kecewa kerana kemajuan pembinaan itu terlalu lambat. Tetapi mereka akan nampak Zerubabel meneruskan pembinaan Rumah-Ku, dan mereka akan bersukacita.” Aku memperhatikan lagi, dan kali ini aku nampak sebuah naskhah gulungan terbang di udara. Malaikat itu menanyakan apa yang aku nampak. Aku menjawab, “Aku nampak sebuah naskhah gulungan terbang di udara. Panjangnya sembilan meter dan lebarnya empat meter setengah.” Kemudian dia berkata kepadaku, “Pada naskhah gulungan itu ada tertulis kutukan terhadap seluruh negeri ini. Pada satu muka naskhah gulungan itu ada tertulis bahawa setiap pencuri akan dibuang dari negeri ini, dan pada muka sebelah gulungan naskhah itu ada tertulis bahawa setiap orang yang mengangkat sumpah palsu akan dibuang juga. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman bahawa Dia akan mendatangkan kutukan itu ke rumah setiap pencuri dan rumah setiap orang yang mengangkat sumpah palsu. Kutukan itu akan tinggal di rumah mereka sehingga semuanya menjadi runtuhan.” Malaikat itu muncul lagi dan berkata, “Lihatlah! Ada lagi yang datang!” “Apakah itu?” tanyaku. Dia menjawab, “Sebuah bakul. Bakul itu melambangkan dosa seluruh negeri ini.” Bakul itu mempunyai penutup yang dibuat daripada timah hitam. Sementara aku memperhatikannya, penutup itu terangkat dan ternyata ada seorang wanita duduk di dalam bakul itu. Malaikat itu berkata, “Wanita ini melambangkan kejahatan.” Kemudian dia menolak wanita itu ke dalam bakul dan menutup bakul itu. Aku memandang ke atas dan nampak dua orang wanita terbang ke arahku. Mereka mempunyai sayap yang kuat seperti sayap burung ranggung. Mereka mengambil bakul tadi lalu membawanya terbang. Aku bertanya kepada malaikat itu, “Ke manakah mereka membawa bakul itu?” Dia menjawab, “Mereka membawanya ke Babilonia, dan akan membina kuil baginya di sana. Apabila kuil itu siap, bakul itu akan ditempatkan di situ untuk disembah.” Aku nampak penglihatan yang lain. Kali ini aku nampak empat buah kereta kuda keluar dari antara dua gunung gangsa. Kereta kuda yang pertama ditarik oleh kuda merah, yang kedua oleh kuda hitam, yang ketiga oleh kuda putih, dan yang keempat oleh kuda yang bertelau-telau. Kemudian aku bertanya kepada malaikat itu, “Apakah makna kereta kuda ini, tuan?” Dia menjawab, “Inilah empat angin yang baru datang dari hadirat Tuhan alam semesta.” Kereta kuda yang ditarik oleh kuda hitam menuju ke Babilonia di utara. Kuda putih menuju ke barat dan kuda yang bertelau-telau menuju ke negara di selatan. Ketika kuda yang bertelau-telau itu keluar, nampaknya semua kuda itu tidak sabar lagi untuk pergi menyiasat bumi. Malaikat itu berkata, “Pergilah siasat bumi!” Semua kuda itu pergi. Kemudian malaikat itu berseru kepadaku, “Kuda yang pergi ke Babilonia di utara telah meredakan kemurkaan TUHAN.” TUHAN memberikan perkhabaran ini kepadaku. Dia berfirman, “Ambillah persembahan yang diberikan oleh orang yang baru kembali dari pembuangan di Babilonia, iaitu Heldai, Tobia, dan Yedaya. Bawalah persembahan mereka itu dengan segera ke rumah Yosia anak Zefanya. Buatlah sebuah mahkota daripada emas dan perak yang dipersembahkan mereka itu, lalu pasanglah mahkota itu pada kepala Imam Agung Yosua anak Yozadak. Beritahulah dia bahawa Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, ‘Orang yang disebut Tunas akan berjaya di tempat dia berada, dan dia akan membina semula Rumah TUHAN. Dialah yang akan membina Rumah-Ku dan menerima kehormatan yang diberikan kepada raja, dan dia akan memerintah rakyatnya. Seorang imam akan mengiringi dia dan mereka akan bekerjasama dengan rukun.’ Mahkota itu akan disimpan di dalam Rumah-Ku untuk mengenang Heldai, Tobia, Yedaya, dan Yosia.” Orang dari tempat jauh akan datang untuk membantu membina Rumah TUHAN. Selepas Rumah itu selesai dibina semula, kamu akan tahu bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa telah mengutus aku kepada kamu. Semua hal itu akan berlaku jika kamu sungguh-sungguh mematuhi perintah TUHAN, Allah kamu. Pada hari keempat bulan Kislew, bulan kesembilan, dalam tahun keempat pemerintahan Raja Darius, TUHAN memberikan perkhabaran kepadaku. Penduduk Betel telah mengutus Sarezer dan Regem-Melekh serta anak buah mereka ke Rumah TUHAN Yang Maha Kuasa untuk memohon berkat TUHAN. Mereka juga disuruh bertanya kepada para imam dan nabi, “Adakah kami masih perlu meratapi kemusnahan Rumah TUHAN dengan berpuasa pada setiap bulan kelima, seperti yang telah kami lakukan selama bertahun-tahun?” Inilah perkhabaran TUHAN yang datang kepadaku. Dia berfirman, “Beritahulah seluruh penduduk negeri ini dan para imam bahawa puasa dan ratapan yang dilakukan mereka pada bulan kelima dan ketujuh selama tujuh puluh tahun ini, bukanlah penghormatan bagi-Ku. Apabila mereka makan dan minum, perbuatan itu pun untuk keseronokan mereka sendiri.” Itulah yang difirmankan TUHAN melalui nabi-nabi pada zaman lampau, ketika Yerusalem masih didiami dan penduduknya makmur. Pada masa itu orang bukan hanya tinggal di pekan-pekan di sekitar kota, tetapi juga di bahagian selatan dan di kaki bukit di sebelah barat. TUHAN memberikan perkhabaran ini kepada Zakharia, “Pada masa dahulu, Aku memberikan perintah ini kepada umat-Ku, ‘Kamu mesti berlaku adil, baik hati, dan berbelas kasihan kepada sesama kamu. Jangan tindas balu, anak yatim piatu, orang asing yang menetap di tengah-tengah kamu, atau sesiapa sahaja yang dalam keadaan susah. Jangan rancangkan perkara yang jahat terhadap sesama kamu.’ Tetapi umat-Ku keras kepala dan tidak mahu mendengarkan perintah-Ku; mereka menutup telinga supaya tidak mendengar. Mereka mengeraskan hati sehingga tidak menurut ajaran yang telah Kuberikan kepada mereka dengan perantaraan nabi-nabi dahulu. Oleh itu Aku sangat murka. Aku tidak menjawab doa mereka kerana mereka tidak mahu mendengar ketika Aku berfirman. Seperti angin ribut, Aku menyelerakkan mereka sehingga mereka terpaksa tinggal di negeri asing. Tanah yang subur ini telah menjadi tandus, sunyi sepi, dan tidak berpenghuni.” TUHAN Yang Maha Kuasa memberikan perkhabaran ini kepada Zakharia, “Aku ingin sekali menolong Yerusalem kerana Aku sangat mengasihi penduduknya, dan kerana kasih-Ku itu, Aku murka kepada musuh kota itu. Aku akan kembali ke Yerusalem, kota-Ku yang suci itu dan menetap di situ. Yerusalem akan dikenal sebagai kota yang setia, dan bukit TUHAN Yang Maha Kuasa akan disebut bukit suci. Datuk dan nenek yang sudah sangat tua, sehingga harus berjalan dengan tongkat, akan duduk lagi di padang kota Yerusalem. Jalan-jalan di kota akan penuh lagi dengan anak lelaki dan anak perempuan yang bermain-main. Hal itu nampaknya mustahil bagi orang yang masih hidup daripada bangsa ini, namun tidak mustahil bagi-Ku. Aku akan menyelamatkan umat-Ku dari negeri-negeri tempat mereka dibuang, dan membawa mereka kembali dari timur dan dari barat, supaya mereka tinggal di Yerusalem semula. Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku menjadi Allah mereka. Aku akan memerintah mereka dengan setia dan adil. Beranikanlah hati kamu! Sekarang kamu mendengar kata-kata yang juga diucapkan dahulu oleh para nabi pada masa batu asas diletakkan untuk membina Rumah-Ku semula. Sebelum masa itu, tiada orang yang mampu mengupah pekerja atau menyewa binatang, dan tiada orang yang berasa aman daripada gangguan musuh. Aku telah menyebabkan orang saling berlawan. Tetapi Aku akan memperlakukan orang daripada bangsa ini yang masih hidup, dengan cara yang lain daripada dahulu. Mereka akan menabur benih dengan damai. Pokok anggur mereka akan berbuah, tanah akan memberikan hasil, dan hujan akan turun. Aku akan memberikan segala berkat ini kepada orang daripada bangsa ini yang masih hidup. Hai penduduk Yehuda dan Israel! Pada masa yang lalu, manakala orang asing saling mengutuk, mereka berkata, ‘Semoga bencana yang menimpa Yehuda dan Israel menimpa kamu juga!’ Tetapi Aku akan menyelamatkan kamu, sehingga orang asing itu akan berkata sesama mereka, ‘Semoga berkat yang diberikan kepada Yehuda dan Israel, diberikan kepada kamu juga!’ Oleh itu beranikanlah hati kamu dan janganlah takut!” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Ketika nenek moyang kamu membangkitkan kemurkaan-Ku, Aku mengambil keputusan untuk menghukum mereka dengan berat. Aku tidak mengubah keputusan-Ku itu, melainkan melaksanakannya. Tetapi sekarang Aku hendak memberkati penduduk Yerusalem dan Yehuda. Oleh itu, janganlah takut. Inilah perkara yang harus kamu lakukan: Jika kamu bercakap, katakanlah yang benar kepada sesama kamu. Berikanlah keputusan yang adil, keputusan yang membawa kedamaian, di tempat pengadilan. Jangan rancangkan perkara yang jahat terhadap sesama kamu. Jangan ucapkan kesaksian palsu dengan sumpah. Aku membenci dusta, ketidakadilan, dan keganasan.” TUHAN Yang Maha Kuasa memberikan perkhabaran ini kepada Zakharia, “Puasa yang dilakukan dalam bulan keempat, kelima, ketujuh, dan kesepuluh akan menjadi perayaan yang penuh kegembiraan dan kesukaan bagi penduduk Yehuda. Cintailah kebenaran dan kedamaian!” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Masanya akan tiba apabila penduduk dari banyak kota datang ke Yerusalem. Penduduk dari kota yang satu akan berkata kepada penduduk kota lain, ‘Mari kita pergi menyembah TUHAN Yang Maha Kuasa dan memohon berkat-Nya. Ikutlah kami!’ Banyak orang dan banyak bangsa yang kuat akan datang ke Yerusalem untuk menyembah TUHAN Yang Maha Kuasa dan memohon berkat-Nya. Pada masa itu, sepuluh orang asing akan datang kepada satu orang Yahudi dan berkata, ‘Kami juga mahu diberkati seperti kamu kerana kami mendengar bahawa Allah menyertai kamu.’ ” Inilah perkhabaran TUHAN. Dia telah menjatuhkan hukuman kepada negeri Hadrakh dan kota Damsyik. Bukan sahaja suku-suku Israel, tetapi ibu kota negeri Siria juga milik TUHAN. Hamat yang bersempadan dengan negeri Siria pun milik TUHAN, demikian juga kota Tirus dan Sidon dengan segala kemahiran penduduknya. Tirus telah membina kubu-kubunya dan mengumpulkan sangat banyak emas dan perak, sehingga menjadi benda biasa seperti pasir di jalan. Tetapi Tuhan akan mengambil segala yang ada padanya. Dia akan membuang kekayaannya ke dalam laut, dan kota itu akan dibakar habis. Kota Askelon akan melihat perkara itu lalu menjadi takut. Kota Gaza akan melihat hal itu lalu mengalami penderitaan yang berat. Ekron juga akan melihat hal itu, lalu harapannya akan hancur. Gaza akan kehilangan rajanya, dan Askelon akan menjadi lengang tanpa penghuni. Bangsa campuran akan tinggal di Asdod. TUHAN berfirman, “Aku akan menaklukkan semua orang Filistin yang sombong itu. Mereka akan berhenti makan daging yang masih berdarah dan makanan apa sahaja yang dilarang. Semua orang yang terselamat akan menjadi anggota umat-Ku dan menjadi seperti salah satu puak suku Yehuda. Ekron akan menjadi anggota umat-Ku seperti orang Yebusi pada zaman dahulu. Aku akan mengawal tanah-Ku dan tidak membenarkan musuh melaluinya. Aku tidak akan membiarkan orang zalim menindas umat-Ku lagi. Aku telah melihat penderitaan umat-Ku.” Bersukacitalah, hai penduduk Sion! Bersoraklah, hai penduduk Yerusalem! Lihatlah, raja kamu datang! Dia datang dengan kemegahan dan kemenangan, tetapi dengan kerendahan hati, dia datang dengan menunggang keldai, dengan mengenderai anak keldai yang muda. TUHAN berfirman, “Aku akan melenyapkan kereta kuda dari Israel, dan juga kuda di Yerusalem; busur yang digunakan dalam peperangan akan dimusnahkan. Raja kamu akan mengadakan perdamaian antara bangsa-bangsa; kerajaannya terbentang dari laut ke laut, dari Sungai Efrat sampai ke hujung bumi.” TUHAN berfirman, “Kerana perjanjian-Ku dengan kamu, perjanjian yang disahkan dengan darah korban, Aku akan membebaskan bangsa kamu yang menderita dalam pembuangan seperti orang yang terkurung dalam perigi kering. Pulanglah, hai kamu orang buangan, sekarang kamu mempunyai harapan; pulanglah ke tempat perlindungan kamu. Aku memberitahu kamu sekarang, bahawa Aku akan memberkati kamu dua kali ganda bagi segala penderitaan yang kamu alami. Aku akan menggunakan Yehuda seperti busur pahlawan, dan Israel seperti anak panah. Aku akan menggunakan penduduk Sion seperti pedang, untuk memerangi orang Yunani.” TUHAN akan menampakkan diri kepada umat-Nya; Dia akan membidikkan anak panah seperti kilat. TUHAN Raja akan meniup trompet sebagai tanda melancarkan serangan, Dia akan maju dari selatan di tengah-tengah angin ribut. TUHAN Yang Maha Kuasa akan melindungi umat-Nya, mereka akan membinasakan musuh. Mereka akan memekik seperti orang mabuk memekik, sambil menumpahkan darah musuh; darah musuh akan mengalir seperti darah korban, yang dicurahkan di atas mazbah dari sebuah mangkuk. Pada hari itu kelak, TUHAN akan menyelamatkan umat-Nya, seperti gembala menyelamatkan ternakan daripada bahaya. Mereka akan bersinar di negeri TUHAN seperti permata pada mahkota. Alangkah baik dan indahnya negeri itu kelak! Pemuda dan pemudi akan bertambah kuat; gandum dan wain menguatkan mereka. Mintalah TUHAN menurunkan hujan pada musim bunga. TUHAN yang mendatangkan awan mendung dan hujan sehingga padang menjadi hijau bagi setiap orang. Orang bertanya kepada berhala dan ahli nujum, tetapi jawapan yang diterima mereka hanya dusta dan repekan belaka. Ada orang yang mentafsirkan mimpi, tetapi tafsiran mereka hanya menyesatkan kamu. Penghiburan yang diberikan oleh mereka pun sia-sia sahaja. Oleh itu rakyat merayau-rayau seperti domba yang sesat. Mereka berada dalam kesusahan kerana tidak mempunyai pemimpin. TUHAN berfirman, “Aku murka terhadap orang bangsa asing yang memerintah umat-Ku. Aku akan menghukum mereka. Penduduk Yehuda milik-Ku, dan Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa akan memelihara mereka. Mereka akan menjadi kuda perang-Ku yang kuat. Aku akan memilih penguasa, pemimpin, dan panglima dari kalangan mereka untuk memerintah umat-Ku. Penduduk Yehuda akan menang seperti askar yang memijak-mijak musuh di dalam lumpur di jalan. Mereka akan berperang kerana TUHAN menyertai mereka. Mereka akan mengalahkan musuh yang menunggang kuda. Aku akan menguatkan penduduk Yehuda; Aku akan menyelamatkan penduduk Israel. Aku akan mengasihani mereka dan membawa mereka semua pulang. Aku akan memperlakukan mereka seolah-olah mereka tidak pernah Aku tolak. Akulah TUHAN, Allah mereka; Aku akan mengabulkan doa mereka. Penduduk Israel akan menjadi kuat seperti pahlawan, dan gembira seperti orang yang telah minum wain. Keturunan mereka akan ingat kemenangan ini, dan bersukacita kerana perbuatan TUHAN. Aku akan memanggil umat-Ku, Aku akan mengumpulkan mereka. Aku akan menyelamatkan mereka, dan membuat mereka banyak seperti dahulu. Walaupun Aku telah mencerai-beraikan mereka antara bangsa-bangsa, namun di tempat jauh mereka akan ingat kepada-Ku. Mereka dan anak-anak mereka akan selamat dan pulang bersama-sama. Dari Mesir dan Asyur, Aku akan membawa mereka pulang, dan menempatkan mereka di negeri mereka sendiri. Aku akan menempatkan mereka di Gilead dan di Lebanon; seluruh negeri itu akan penuh dengan penduduk. Apabila mereka menempuh gelora kehidupan, Aku, TUHAN akan memukul gelombang yang mengancam, sehingga Sungai Nil pun akan kering sama sekali. Orang Asyur yang sombong akan merendahkan diri, dan Mesir yang gagah perkasa akan kehilangan kuasa. Aku akan menguatkan umat-Ku; mereka akan beribadat dan taat kepada-Ku.” TUHAN telah berfirman. Hai Lebanon, bukalah pintu-pintumu, supaya api dapat membakar pokok sedarmu. Hai pokok sipres, menangislah dan merataplah, kerana pokok sedar sudah jatuh; pokok-pokok yang megah sudah musnah. Hai pokok-pokok oak di Basan, menangislah dan merataplah, kerana hutan tebal sudah ditebang. Penguasa-penguasa meratap, kerana kemuliaan mereka sudah lenyap. Dengarlah auman singa; kerana kediaman singa di hutan di sepanjang Sungai Yordan sudah musnah. TUHAN, Allahku berfirman kepadaku, “Berlakonlah sebagai gembala yang menggembalakan domba yang akan disembelih. Pemilik-pemilik domba menyembelih kawanan domba itu tetapi mereka tidak dihukum; mereka menjual daging domba itu lalu berkata, ‘Terpujilah TUHAN! Kami kaya!’ Gembala-gembala itu tidak mengasihani domba peliharaan mereka.” TUHAN berfirman, “Aku tidak lagi mengasihani sesiapa pun di bumi ini. Aku sendiri akan menyerahkan semua orang ke dalam tangan penguasa mereka. Penguasa-penguasa itu akan memusnahkan bumi, dan Aku tidak akan menyelamatkannya daripada kuasa mereka.” Pedagang domba mengupah aku, lalu aku menjadi gembala kawanan domba yang akan disembelih. Aku mengambil dua batang tongkat: yang satu aku namakan “Kemurahan,” dan yang satu lagi “Perpaduan.” Kemudian aku mula menggembalakan domba-domba itu. Aku hilang kesabaran terhadap tiga orang gembala lain yang membenci aku. Oleh itu aku mengusir mereka dalam masa satu bulan. Kemudian aku berkata kepada kawanan domba itu, “Aku tidak mahu menggembalakan kamu lagi. Yang akan mati, biarlah mati. Yang akan binasa, biarlah binasa. Yang masih hidup akan saling membinasakan.” Selepas itu aku mengambil kayu yang dinamakan “Kemurahan” lalu mematahkannya, sebagai lambang bahawa perjanjian yang dibuat oleh TUHAN dengan semua bangsa telah dibatalkan. Demikianlah perjanjian itu dibatalkan pada hari itu. Para pedagang domba memandang aku, dan mereka tahu bahawa TUHAN sedang berfirman melalui perbuatanku itu. Aku berkata kepada mereka, “Jika kamu rela, bayarlah upahku. Jika tidak, tidak usah.” Mereka membayar upahku sebanyak tiga puluh keping wang perak. TUHAN berfirman kepadaku, “Masukkan wang itu ke dalam perbendaharaan Rumah TUHAN.” Oleh itu aku mengambil tiga puluh keping wang perak itu. Hanya sekian penghargaan mereka kepadaku. Aku pun memasukkan wang itu ke dalam perbendaharaan Rumah TUHAN. Selepas itu aku mematahkan kayu kedua, yang dinamakan “Perpaduan”, maka putuslah perhubungan antara Yehuda dan Israel. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Sekali lagi berlakonlah sebagai gembala domba; kali ini sebagai gembala yang tidak berguna. Aku menugaskan seorang gembala untuk menggembalakan domba-Ku, tetapi dia tidak menolong domba yang diancam kebinasaan. Dia tidak mencari domba yang sesat, atau mengubati yang luka, ataupun memberikan makanan kepada domba yang sihat. Sebaliknya dia makan daging domba yang paling gemuk, dan mencabut kuku domba. Terkutuklah gembala yang tidak berguna itu! Dia meninggalkan kawanan dombanya. Peperangan akan mengakhiri kekuasaannya. Lengannya akan menjadi lemah dan mata kanannya menjadi buta.” Inilah perkhabaran daripada TUHAN tentang Israel. TUHAN yang membentangkan langit, menciptakan bumi, dan memberikan hidup kepada manusia berfirman, “Aku akan menjadikan Yerusalem seperti secawan wain. Bangsa-bangsa di sekitar akan meminumnya lalu terhuyung-hayang seperti orang mabuk. Apabila mereka mengalahkan Yerusalem, kota-kota di seluruh Yehuda pun akan dikalahkan. Pada masa itu kelak, Aku akan menjadikan Yerusalem seperti batu yang berat. Mana-mana bangsa yang cuba mengangkatnya akan cedera. Semua bangsa di bumi ini akan bersekutu untuk menyerang Yerusalem. Pada masa itu Aku akan menakutkan semua kuda, dan para penunggang kuda akan menjadi gila. Aku akan menjaga penduduk Yehuda, tetapi Aku akan membutakan mata kuda musuh mereka. Barulah puak-puak suku Yehuda berkata dalam hati, ‘TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa telah menguatkan umat-Nya yang tinggal di Yerusalem.’ Pada masa itu Aku akan menjadikan puak-puak Yehuda seperti api di tengah-tengah hutan atau di tengah-tengah ladang gandum yang telah masak; mereka akan membinasakan semua bangsa di sekitar mereka. Penduduk Yerusalem akan selamat di dalam kota. Aku, TUHAN, akan memberikan kemenangan kepada tentera Yehuda terlebih dahulu, supaya kemuliaan yang akan diterima oleh keturunan Daud dan penduduk Yerusalem tidak akan melebihi kemuliaan yang diterima oleh penduduk Yehuda yang lain. Pada masa itu Aku akan melindungi mereka yang tinggal di Yerusalem, bahkan orang yang paling lemah pun akan menjadi sekuat Daud. Mereka akan dibimbing oleh keturunan Daud seperti dibimbing oleh malaikat TUHAN dan seperti dibimbing oleh Allah sendiri. Pada masa itu Aku akan membinasakan semua bangsa yang cuba menyerang Yerusalem. Aku akan memberikan keturunan Daud dan penduduk Yerusalem hati yang suka mengasihani dan suka berdoa. Mereka akan memandang orang yang ditikam oleh mereka, lalu meratapinya seperti orang yang meratapi kematian anak tunggal. Mereka akan meratap dengan pilu, seperti orang yang kehilangan anak lelaki sulung. Pada masa itu akan ada ratapan di Yerusalem seperti ratapan bagi Hadad-Rimon di Lembah Megido. [12-14] Tiap-tiap keluarga di negeri itu akan meratap sendiri-sendiri: keluarga keturunan Daud, Natan, Lewi, Simei, dan semua keluarga yang lain. Tiap-tiap keluarga akan meratap sendiri-sendiri. Kaum lelaki daripada tiap-tiap keluarga akan meratap terpisah daripada kaum perempuan.” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Pada masa itu kelak, sebuah mata air akan memancar untuk menyucikan keturunan Daud dan penduduk Yerusalem daripada dosa dan penyembahan berhala yang dilakukan mereka. Pada masa itu Aku akan menghapus nama berhala-berhala di negeri ini; tiada sesiapa pun akan mengingatnya lagi. Aku akan melenyapkan sesiapa sahaja yang mengaku dirinya nabi, dan melenyapkan keinginan untuk menyembah berhala. Kemudian sesiapa yang masih hendak bernubuat, ibu bapanya sendiri akan memberitahu dia bahawa dia mesti dihukum mati, kerana mengaku menyampaikan perkhabaran TUHAN, padahal dia berdusta. Apabila dia bernubuat, ibu bapanya sendiri akan menikam dia sehingga mati. Pada masa itu, tiada lagi nabi yang akan berbangga kerana penglihatan-penglihatannya, atau berlaku seperti seorang nabi, ataupun memakai jubah berbulu agar dia dapat menipu orang. Sebaliknya dia akan berkata, ‘Aku bukan nabi. Aku petani - aku bercucuk tanam seumur hidupku.’ Jika orang bertanya kepadanya, ‘Luka apakah yang ada pada dadamu itu?’ Dia akan menjawab, ‘Luka ini aku dapat ketika di rumah kawanku.’ ” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Bangkitlah, hai pedang, dan seranglah gembala yang bekerja untuk-Ku! Bunuhlah dia supaya kawanan dombanya tercerai-cerai. Aku akan menyerang umat-Ku, dan di seluruh negeri ini dua pertiga daripada penduduknya akan mati. Hanya sepertiga daripada penduduknya akan selamat. Mereka akan Kusucikan seperti perak dimurnikan oleh api. Mereka akan Kuuji seperti orang menguji emas. Barulah mereka akan berdoa kepada-Ku, dan Aku akan mengabulkan doa mereka. Aku akan memberitahu mereka bahawa mereka umat-Ku, dan mereka pun akan mengaku bahawa Aku TUHAN, Allah mereka.” Hampir tiba masanya TUHAN bertindak sebagai hakim. Pada masa itu Yerusalem akan dijarah orang, dan barang jarahannya akan dibahagi-bahagikan di hadapan mata kamu sendiri. TUHAN akan mengumpulkan semua bangsa untuk memerangi Yerusalem. Kota itu akan direbut, rumah-rumahnya dijarah, dan kaum wanitanya dirogol. Separuh penduduknya akan dibuang negeri, tetapi yang selebihnya tidak akan dipindahkan dari kota itu. Kemudian barulah TUHAN akan memerangi bangsa-bangsa itu seperti pada masa dahulu. Pada masa itu, Dia akan berdiri di Bukit Zaitun di sebelah timur Yerusalem. Kemudian Bukit Zaitun akan terbelah dua oleh lembah yang luas, bermula dari timur sampai ke barat. Separuh bukit itu akan bergerak ke arah utara dan separuh lagi ke arah selatan. Kamu akan melarikan diri melalui lembah yang membelah bukit itu. Kamu akan lari seperti nenek moyang kamu dahulu ketika terjadi gempa bumi pada masa pemerintahan Uzia, raja Yehuda. TUHAN, Allahku akan datang bersama dengan semua malaikat-Nya. Pada masa itu, tiada lagi musim sejuk dan tiada embun yang membeku, ataupun kegelapan. Hari akan sentiasa terang, bahkan pada waktu malam. Hanya TUHAN yang tahu masa perkara itu akan berlaku. Pada hari itu, air yang memberikan hidup akan mengalir dari Yerusalem; separuh daripada air itu akan mengalir ke Laut Mati, dan separuh lagi ke Laut Tengah. Air itu akan mengalir sepanjang tahun, baik pada musim kemarau mahupun pada musim hujan. Kemudian TUHAN akan menjadi raja seluruh bumi. Setiap orang akan menyembah Dia sebagai Allah dan mengenal Dia dengan nama yang sama. Tanah di seluruh negeri, dari kota Geba di utara sampai ke Rimon di selatan, akan menjadi rata. Yerusalem akan menjulang tinggi, lebih tinggi daripada tanah di sekitarnya; keluasan kota itu dari Pintu Gerbang Benyamin sampai ke Pintu Gerbang Sudut, iaitu tempat pintu gerbang yang dahulu, dan dari Menara Hananel sampai ke tempat pemerasan buah anggur milik raja. Rakyat akan tinggal di situ dengan selamat, tidak lagi diancam kebinasaan. TUHAN akan mendatangkan penyakit yang mengerikan kepada semua bangsa yang memerangi Yerusalem. Mata dan lidah mereka, bahkan seluruh tubuh mereka akan membusuk sementara mereka masih hidup. Pada masa itu TUHAN akan membuat mereka sedemikian bingung dan takut sehingga setiap orang akan menyerang dan menangkap orang di sebelahnya. Penduduk Yehuda akan berjuang untuk membela Yerusalem. Mereka akan menjarah harta semua bangsa - emas, perak, dan pakaian yang banyak sekali. Suatu penyakit yang dahsyat juga akan menimpa kuda, baghal, unta, dan keldai, serta semua binatang di perkhemahan musuh. Kemudian semua orang dari bangsa-bangsa yang masih hidup, yang menyerang Yerusalem, akan datang ke Yerusalem setiap tahun untuk menyembah Raja, TUHAN Yang Maha Kuasa, dan untuk merayakan Perayaan Pondok Daun. Jika ada bangsa yang tidak mahu datang untuk menyembah Raja, TUHAN Yang Maha Kuasa, hujan tidak akan turun di negeri mereka. Jika bangsa Mesir tidak mahu merayakan Perayaan Pondok Daun, mereka pun akan ditimpa penyakit yang didatangkan TUHAN kepada setiap bangsa yang tidak mahu pergi beribadat. Itulah hukuman yang akan dijatuhkan kepada Mesir dan semua bangsa, jika mereka tidak merayakan Perayaan Pondok Daun. Pada masa itu loceng-loceng pada abah-abah kuda pun akan diukir dengan kata-kata “Ditahbiskan untuk TUHAN.” Periuk belanga di Rumah TUHAN akan menjadi suci seperti mangkuk-mangkuk yang diletakkan di hadapan mazbah. Semua periuk belanga di Yerusalem dan Yehuda akan menjadi milik TUHAN Yang Maha Kuasa. Orang yang mempersembahkan korban akan menggunakan perkakas itu untuk merebus daging korban yang telah dipersembahkan. Apabila masa itu tiba, tiada lagi pedagang di Rumah TUHAN Yang Maha Kuasa. Inilah perkhabaran TUHAN kepada Maleakhi untuk disampaikan kepada umat Israel. TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Aku sentiasa mengasihi kamu.” Tetapi mereka menjawab, “Bagaimanakah TUHAN mengasihi kami?” TUHAN menjawab, “Esau dan Yakub bersaudara; Aku mengasihi Yakub serta keturunannya, tetapi Aku membenci Esau serta keturunannya. Aku sudah memusnahkan kawasan berbukit milik Esau dan membiarkan tanahnya dihuni binatang buas.” Jika keturunan Esau, iaitu orang Edom berkata, “Kota kami sudah dimusnahkan tetapi kami akan membinanya semula,” maka TUHAN Yang Maha Kuasa akan menjawab, “Biarlah mereka membinanya semula, tetapi Aku akan merobohkannya lagi. Orang akan menyebut mereka ‘Negeri derhaka’ dan ‘Bangsa yang dimurkai TUHAN selama-lamanya.’ ” Dengan mata kepala sendiri orang Israel akan nampak kejadian itu, lalu berkata, “TUHAN sungguh berkuasa; kekuasaan-Nya sampai di luar negeri Israel!” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada para imam, “Seorang anak menghormati bapanya dan seorang hamba menghormati tuannya. Aku Bapa kamu, tetapi mengapa kamu tidak menghormati Aku? Aku tuan kamu, tetapi mengapa kamu tidak takut kepada-Ku? Kamu menghina Aku, tetapi kamu bertanya, ‘Dengan cara apakah kami menghina Engkau?’ Dengan cara ini: Kamu mempersembahkan makanan yang tidak layak dipersembahkan di atas mazbah-Ku. Kemudian kamu bertanya, ‘Dengan cara apakah kami tidak menghormati Engkau?’ Biarlah Aku jelaskan: Kamu menghina mazbah-Ku. Apabila kamu mempersembahkan binatang yang buta, yang sakit, atau yang tempang sebagai korban untuk Aku, bukankah hal itu perbuatan yang salah? Cubalah berikan binatang seperti itu kepada gabenor! Adakah dia akan suka kepada kamu, dan memperlakukan kamu dengan baik?” Sekarang, hai para imam, cubalah mohon agar Allah mengasihani kita. Dia tidak akan menjawab doa kamu, dan hal itu salah kamu sendiri. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Lebih baik seorang antara kamu menutup pintu Rumah-Ku, kerana sia-sia saja kamu menyalakan api di atas mazbah-Ku. Aku tidak berkenan kepada kamu dan tidak mahu menerima persembahan kamu. Aku dihormati oleh bangsa-bangsa di seluruh dunia. Mereka membakar kemenyan di merata tempat untuk menghormati Aku, dan mereka mempersembahkan korban yang layak dipersembahkan. Mereka semua menghormati Aku! Tetapi kamu menghina Aku kerana berkata bahawa mazbah-Ku tidak berguna, dan kamu mempersembahkan makanan yang tidak kamu sukai di atas mazbah itu. Kamu berkata, ‘Kami sudah bosan dengan semua ini’, dan kamu menghina Aku. Kamu membawa binatang yang dicuri, yang tempang, atau yang sakit untuk dipersembahkan kepada-Ku. Adakah kamu menyangka bahawa Aku akan menerima persembahan itu? Terkutuklah si penipu yang mempersembahkan binatang yang tidak berguna kepada-Ku, sedangkan dia mempunyai binatang yang baik antara ternakannya yang sudah dijanjikannya kepada-Ku; Akulah Raja yang besar, TUHAN Yang Maha Kuasa, dan semua bangsa menghormati Aku.” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada para imam, “Inilah perintah-Ku kepada kamu: Kamu mesti menghormati Aku dengan perbuatan kamu. Jika kamu tidak mahu mendengarkan firman-Ku, Aku akan mengutuk kamu. Aku akan mengutuk segala sesuatu yang kamu terima sebagai rezeki. Sesungguhnya, Aku sudah mengutuk semuanya kerana kamu tidak mengendahkan perintah-Ku. Aku akan menghukum anak-anak kamu, dan Aku melumuri muka kamu dengan najis binatang yang kamu persembahkan. Kemudian orang akan menyeret kamu ke timbunan najis. Dengan demikian kamu akan tahu bahawa Aku memberi kamu perintah ini supaya perjanjian-Ku dengan para imam, keturunan Lewi, tidak dibatalkan. Dalam perjanjian itu Aku berjanji memberi mereka hidup yang aman dan sejahtera. Aku menepati perjanjian itu supaya mereka menghormati Aku. Pada masa itu memang mereka menghormati Aku dan takut akan Aku. Mereka mengajar apa yang benar dan bukan yang salah. Mereka akrab dengan Aku; bukan sahaja mereka melakukan kehendak-Ku, tetapi mereka juga menolong banyak orang supaya berhenti melakukan kejahatan. Para imam wajib mengajarkan apa yang benar tentang Allah. Rakyat harus datang kepada para imam untuk mengetahui kehendak-Ku kerana mereka utusan TUHAN Yang Maha Kuasa. Tetapi sekarang, kamu imam-imam, telah menyimpang dari jalan yang benar. Ajaran kamu sudah menyebabkan banyak orang berbuat salah. Kamu sudah melanggar perjanjian yang Aku buat dengan kamu. Oleh itu Aku pun akan menyebabkan kamu tidak dihormati oleh umat Israel kerana kamu tidak mentaati kehendak-Ku, dan kerana kamu membeza-bezakan orang ketika kamu mengajar.” Bukankah kita semua mempunyai bapa yang sama? Bukankah kita semua diciptakan oleh Allah yang sama? Tetapi mengapakah kita saling memungkiri janji? Mengapakah kita menghina perjanjian yang dibuat Allah dengan nenek moyang kita? Penduduk Yehuda sudah memungkiri janji mereka kepada Allah serta melakukan hal-hal yang mengerikan di Yerusalem dan di seluruh negeri. Mereka sudah mencemarkan Rumah TUHAN yang dikasihi TUHAN. Orang lelaki sudah berkahwin dengan perempuan yang menyembah dewa-dewa bangsa lain. Semoga TUHAN menyingkirkan orang yang berbuat demikian daripada umat Israel, dan tidak membenarkan mereka ikut dengan bangsa kita untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN Yang Maha Kuasa. Selain itu ada lagi yang kamu lakukan. Kamu menggenangi mazbah TUHAN dengan air mata; kamu menangis dan meratap kerana TUHAN tidak lagi menerima persembahan kamu. Kamu menanyakan sebabnya Dia tidak lagi menerima persembahan kamu. Hal itu demikian kerana TUHAN tahu bahawa kamu tidak lagi setia kepada wanita yang kamu kahwini pada masa muda kamu. Wanita itu teman hidup dan isteri kamu, tetapi kamu sudah memungkiri janji kepadanya, walaupun kamu telah berjanji di hadapan Allah untuk tetap setia kepadanya. Bukankah Allah yang menjadikan kamu satu tubuh dan satu jiwa dengan wanita itu? Apakah maksud Allah dengan hal itu? Maksud-Nya adalah supaya kamu mendapat anak yang benar-benar umat Allah. Oleh itu, pastikanlah supaya tiada orang di kalangan kamu yang memungkiri janji kepada isterinya. TUHAN Allah Israel berfirman, “Aku membenci perceraian. Aku tidak suka apabila salah seorang daripada kamu berbuat hal sekejam itu terhadap isterinya. Pastikanlah supaya kamu tidak memungkiri janji untuk tetap setia kepada isteri kamu.” Kamu sudah menjemukan TUHAN dengan kata-kata kamu. Tetapi kamu bertanya, “Bagaimanakah kami menjemukan TUHAN?” Dengan berkata, “Semua orang yang berbuat jahat dianggap baik oleh TUHAN Yang Maha Kuasa, dan Dia berkenan kepada mereka.” Atau dengan bertanya, “Di manakah Allah yang dianggap adil itu?” TUHAN Yang Maha Kuasa menjawab, “Aku akan mengirim utusan-Ku untuk menyediakan jalan bagi-Ku. Lalu dengan tiba-tiba Tuhan yang kamu cari, akan datang ke Rumah TUHAN. Utusan-Ku yang kamu nanti-nantikan itu akan datang dan mengisytiharkan perjanjian-Ku.” Tetapi siapakah yang dapat tahan pada hari Dia datang dan menampakkan diri? Dia seperti sabun yang kuat dan seperti api yang memurnikan logam. Dia akan datang untuk menghakimi orang, seperti seorang yang membersihkan dan memurnikan perak. Sebagaimana tukang logam membersihkan dan memurnikan emas dan perak, demikian juga utusan TUHAN akan memurnikan para imam supaya mereka mempersembahkan korban yang layak dipersembahkan kepada TUHAN. Kemudian seperti pada zaman dahulu, TUHAN akan berkenan kepada korban yang dipersembahkan kepada-Nya oleh penduduk Yehuda dan Yerusalem. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Aku akan datang untuk menghakimi kamu. Aku akan segera menjadi saksi untuk menentang tukang-tukang sihir, orang yang berzina, orang yang memberikan kesaksian palsu, orang yang berlaku curang dalam hal memberikan gaji kepada pekerja, orang yang menindas balu, yatim piatu dan orang bangsa asing, serta terhadap semua orang yang tidak menghormati Aku.” “Akulah TUHAN; Aku tidak berubah. Oleh itu kamu, keturunan Yakub, tidak dibinasakan sama sekali. Seperti nenek moyang kamu dahulu, kamu semua sudah menyimpang daripada hukum-Ku dan tidak setia melaksanakannya. Kembalilah kepada-Ku, maka Aku juga akan kembali kepada kamu. Tetapi kamu bertanya, ‘Apakah yang harus kami lakukan untuk kembali kepada-Mu?’ Sekarang Aku bertanya kepada kamu, ‘Bolehkah manusia menipu Allah?’ Tentu tidak. Tetapi kamu menipu Aku juga. Kamu bertanya, ‘Bagaimana?’ Aku menjawab, ‘Dalam hal memberikan persepuluhan dan persembahan.’ Kamu semua kena kutuk kerana segenap bangsa menipu Aku. Bawalah seluruh persepuluhan kamu ke Rumah-Ku supaya ada banyak makanan di sana. Ujilah Aku, maka kamu akan nampak Aku membuka tingkap-tingkap syurga dan melimpahi kamu dengan segala yang baik. Aku tidak akan membiarkan serangga merosakkan tanaman kamu; pokok anggur kamu akan berbuah lebat. Kemudian kamu akan dikatakan berbahagia oleh semua bangsa, kerana negeri kamu akan menjadi tempat kediaman yang baik.” TUHAN berfirman, “Kata-kata kamu sangat menghina Aku. Tetapi kamu bertanya, ‘Apakah yang kami katakan tentang Engkau?’ Kamu berkata, ‘Sia-sia saja mengabdikan diri kepada Allah. Apakah gunanya menurut perintah-Nya, atau menunjukkan bahawa kita menyesali kesalahan kita di hadapan TUHAN Yang Maha Kuasa? Kita sendiri melihat bahawa orang sombonglah yang berbahagia. Orang jahat tidak hanya bertambah makmur, bahkan mereka mencubai kesabaran Allah dengan berbuat jahat, dan mereka selalu terlepas daripada hukuman.’ ” Kemudian orang yang takut akan TUHAN bercakap sesama sendiri. TUHAN mendengar dan memperhatikan kata-kata mereka itu. Di hadapan TUHAN, nama setiap orang yang menghormati-Nya dan takut akan Dia, ditulis di dalam sebuah kitab. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Mereka akan menjadi umat-Ku. Pada hari Aku bertindak kelak, mereka akan menjadi milik-Ku yang khas. Aku akan berbelas kasihan kepada mereka seperti seorang bapa berbelas kasihan kepada anak yang mengabdikan diri kepadanya. Umat-Ku akan melihat lagi perbezaan antara kesudahan orang baik dan kesudahan orang jahat, antara orang yang mengabdikan diri kepada-Ku dan yang tidak.” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Harinya akan tiba apabila semua orang sombong dan jahat dibakar seperti jerami. Pada hari itu mereka akan dibakar habis, sehingga tiada lagi yang tertinggal. Tetapi bagi kamu yang taat kepada-Ku, kuasa-Ku yang menyelamatkan kamu akan terbit seperti matahari, dan kuasa-Ku itu akan memberikan kesembuhan seperti sinar matahari. Kamu akan bebas dan gembira seperti anak lembu yang dikeluarkan dari kandang. Pada hari itu Aku akan bertindak, lalu kamu akan mengalahkan orang jahat. Mereka akan menjadi seperti debu yang kamu pijak. Ingatlah ajaran hamba-Ku Musa. Ingatlah hukum dan perintah yang Kuberikan kepadanya di Gunung Sinai untuk ditaati semua orang Israel. Tetapi sebelum hari yang hebat dan dahsyat yang Aku tentukan itu tiba, Aku akan mengutus Nabi Elia kepada kamu. Dia akan menyebabkan bapa dan anak bersatu hati, supaya Aku tidak datang untuk membinasakan negeri kamu.” Inilah senarai nenek moyang Yesus Kristus, keturunan Daud, keturunan Abraham. [2-6a] Daripada Abraham hingga Raja Daud, nama-nama nenek moyang Yesus adalah seperti berikut: Abraham, Ishak, Yakub, Yehuda dan saudara-saudaranya, Peres dan Zerah (ibu mereka bernama Tamar), Hezron, Ram, Aminadab, Nahason, Salmon, Boas (ibunya Rahab), Obed (ibunya Rut), Isai, dan Raja Daud. *** *** *** [6b-11] Daripada Daud hingga ke masa bangsa Israel dibuang ke Babel, nama nenek moyang yang tercatat adalah seperti berikut: Salomo (ibunya ialah bekas isteri Uria), Rehabeam, Abia, Asa, Yosafat, Yoram, Uzia, Yotam, Ahas, Hizkia, Manasye, Amon, Yosia, Yoyakhin dan saudara-saudaranya. *** *** *** *** *** [12-16] Dari masa pembuangan di Babel sehingga kelahiran Yesus, nama nenek moyang yang tercatat adalah seperti berikut: Yoyakhin, Sealtiel, Zerubabel, Abihud, Elyakim, Azur, Zadok, Akhim, Eliud, Eleazar, Matan, Yakub, Yusuf, suami Maria. Marialah yang melahirkan Yesus, yang disebut Kristus. *** *** *** *** Demikianlah ada empat belas generasi dari zaman Abraham sehingga zaman Daud, dan ada empat belas generasi dari zaman Daud sehingga masa pembuangan di Babel, dan empat belas generasi dari masa itu sehingga kelahiran Kristus. Inilah kisah kelahiran Yesus Kristus. Ibu-Nya, Maria, bertunang dengan Yusuf. Tetapi sebelum mereka berkahwin, Maria sudah mengandung kerana kuasa Roh Allah. Yusuf seorang yang taat kepada hukum agama, tetapi dia tidak mahu mempermalukan Maria di hadapan umum. Oleh itu Yusuf berniat memutuskan pertunangan itu secara diam-diam. Yusuf mempertimbangkan perkara itu. Kemudian dalam mimpi, malaikat Tuhan menampakkan diri kepadanya. Malaikat itu berkata, “Hai Yusuf, keturunan Daud! Janganlah takut memperisteri Maria. Dia mengandung kerana kuasa Roh Allah. Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu harus engkau namakan Yesus, kerana Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.” Semua itu berlaku supaya terjadilah apa yang difirmankan oleh Tuhan melalui nabi-Nya, “Seorang anak dara akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu akan dinamakan Imanuel.” (Dalam bahasa Ibrani, Imanuel bererti, “Allah menyertai kita”). Apabila Yusuf terjaga, dia melakukan apa yang dikatakan oleh malaikat Tuhan itu. Dia berkahwin dengan Maria. Tetapi Yusuf tidak berseketiduran dengan Maria sehingga Maria melahirkan anak lelakinya. Yusuf menamakan anak itu Yesus. Yesus lahir di kota Betlehem di negeri Yudea, pada masa pemerintahan Raja Herodes. Kemudian beberapa orang ahli kaji bintang dari timur datang ke Yerusalem. Mereka bertanya, “Di manakah anak yang baru lahir itu, yang akan menjadi raja orang Yahudi? Kami nampak bintang-Nya terbit di sebelah timur, dan kami datang hendak menyembah Dia.” Apabila mendengar hal itu, Raja Herodes resah gelisah, demikian juga semua penduduk Yerusalem. Raja Herodes mengumpulkan semua ketua imam dan guru Taurat lalu bertanya, “Di manakah Raja yang dijanjikan oleh Allah akan lahir?” Mereka menjawab, “Di kota Betlehem di negeri Yudea. Seorang nabi sudah menuliskan hal itu, ‘Hai Betlehem di negeri Yudea, engkau sekali-kali bukanlah yang terkecil antara kota-kota utama di Yudea; Daripadamu akan datang seorang pemimpin yang akan memimpin umat-Ku Israel.’ ” Kemudian Raja Herodes mengadakan pertemuan rahsia dengan ahli-ahli kaji bintang itu. Daripada mereka, Raja Herodes mengetahui dengan tepat masa bintang itu mula kelihatan. Lalu Raja Herodes menyuruh ahli-ahli kaji bintang itu pergi ke Betlehem dengan perintah berikut, “Pergilah dan carilah Anak itu dengan saksama. Apabila kamu menjumpai Dia, beritahulah beta, supaya beta juga boleh pergi menyembah Dia.” [9-10] Mereka berangkat, lalu di tengah perjalanan mereka nampak bintang yang pernah dilihat oleh mereka di sebelah timur. Alangkah sukacitanya ahli-ahli kaji bintang itu apabila mereka nampak bintang itu. Bintang itu mendahului mereka, lalu berhenti di atas tempat Anak itu. *** Mereka masuk ke dalam rumah itu dan nampak Anak itu dengan ibu-Nya Maria. Mereka sujud menyembah Anak itu, dan mereka mengeluarkan emas, kemenyan dan mur, lalu mempersembahkan semua hadiah itu kepada-Nya. Kemudian dalam mimpi, ahli-ahli kaji bintang itu diperingatkan oleh Allah supaya jangan kembali kepada Herodes. Oleh itu mereka balik ke negeri asal mereka melalui jalan lain. Setelah mereka berangkat, malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Yusuf dalam mimpi dan berkata, “Herodes akan mengeluarkan perintah untuk mencari Anak itu dan membunuh Dia. Bangunlah dan bawalah Anak itu dengan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di sana sehingga Aku berfirman lagi kepadamu.” Yusuf bangun, dan pada malam itu juga dia membawa Anak itu dengan ibu-Nya ke Mesir. Mereka tinggal di sana sehingga Raja Herodes mangkat. Dengan demikian berlakulah apa yang difirmankan oleh Tuhan melalui nabi-Nya, “Aku memanggil Anak-Ku keluar dari Mesir.” Apabila Raja Herodes sedar bahawa ahli-ahli kaji bintang dari timur sudah memperdayakannya, Raja Herodes murka. Lalu Raja Herodes memberikan perintah supaya semua anak lelaki di Betlehem dan sekitarnya, yang berumur dua tahun ke bawah dibunuh. Hal ini sesuai dengan keterangan ahli-ahli kaji bintang tentang masa bintang itu mula kelihatan. Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia, “Di Rama terdengar suara tangisan dan rintihan, ratapan, dan tangisan penderitaan. Rahel meratapi anak-anaknya, dia tidak mahu dihiburkan, kerana anak-anaknya telah tiada.” Setelah Raja Herodes mangkat, malaikat Tuhan menampakkan diri dalam mimpi Yusuf. Pada masa itu Yusuf masih di Mesir. Malaikat itu berkata, “Bangunlah dan bawalah Anak itu dengan ibu-Nya kembali ke negeri Israel, kerana orang yang cuba membunuh Anak itu sudah meninggal.” Yusuf pun bangun, lalu membawa anak itu dan Maria kembali ke negeri Israel. Tetapi apabila Yusuf mendengar bahawa Arkelaus, putera Herodes, sudah menggantikan bapanya sebagai raja negeri Yudea, Yusuf takut pergi ke sana. Yusuf menerima arahan selanjutnya dalam mimpi, lalu dia pergi ke wilayah Galilea. Dia tinggal di kota yang bernama Nasaret. Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh nabi-nabi tentang anak itu, “Dia akan disebut Orang Nasaret.” Pada masa itu Yohanes Pembaptis tiba di padang gurun di Yudea dan mula memberitakan hal ini. “Bertaubatlah daripada dosa kamu,” katanya, “kerana tidak lama lagi Allah akan memerintah!” Yohaneslah orang yang dimaksudkan oleh Nabi Yesaya ketika dia berkata, “Seorang berseru di padang gurun, ‘Sediakanlah jalan bagi Tuhan; luruskanlah jalan bagi-Nya.’ ” Pakaian Yohanes dibuat daripada bulu unta, dan tali pinggangnya daripada kulit. Makanannya belalang dan madu hutan. Orang dari Yerusalem, seluruh negeri Yudea, dan seluruh kawasan di sekitar Sungai Yordan datang kepada Yohanes. Mereka mengaku dosa, lalu Yohanes membaptis mereka di Sungai Yordan. Banyak orang Farisi dan Saduki datang kepadanya untuk dibaptis. Apabila Yohanes melihat mereka, dia berkata “Hai kamu orang jahat! Siapakah yang memberitahu kamu bahawa kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman Allah yang akan datang? Lakukanlah perkara-perkara yang menunjukkan bahawa kamu sudah bertaubat daripada dosa. Jangan sangka kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman dengan berkata, ‘Abraham nenek moyang kami.’ Ketahuilah, Allah dapat membuat batu-batu ini menjadi keturunan untuk Abraham! Kapak sudah tersedia untuk menebang pokok hingga ke akarnya. Tiap-tiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dibuang ke dalam api. Aku membaptis kamu dengan air untuk menyatakan bahawa kamu sudah bertaubat daripada dosa. Tetapi Dia yang datang kemudian daripada aku akan membaptis kamu dengan Roh Allah dan api. Dia lebih besar daripada aku, sehingga menjinjing kasut-Nya pun aku tidak layak. Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan mengumpulkan gandum yang bersih di dalam jelapang, tetapi Dia akan membakar sekam di dalam api yang tidak dapat padam.” Pada masa itu Yesus meninggalkan Galilea lalu pergi ke Sungai Yordan. Di situ Dia menemui Yohanes dan minta supaya dibaptis olehnya. Tetapi Yohanes cuba menolak permintaan itu. Dia berkata, “Sayalah yang seharusnya dibaptis oleh Tuan. Tetapi Tuan pula yang datang kepada saya!” Tetapi Yesus menjawab, “Untuk sekarang ini biarlah demikian, kerana dengan jalan ini kita akan melaksanakan segala yang dikehendaki oleh Allah.” Yohanes pun bersetuju. Setelah Yesus dibaptis, Dia keluar dari air sungai itu. Tiba-tiba langit terbuka dan Yesus nampak Roh Allah turun seperti burung merpati ke atas-Nya. Kemudian terdengar suara Allah berfirman, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku.” Kemudian Yesus dipimpin oleh Roh Allah ke padang gurun supaya dicubai oleh Iblis. Setelah berpuasa selama empat puluh hari dan empat puluh malam, Yesus lapar. Lalu Iblis datang dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, perintahlah batu-batu ini menjadi roti.” Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang difirmankan oleh Allah.’ ” Kemudian Iblis membawa Yesus ke Yerusalem, kota suci itu, lalu meletakkan Dia di puncak Rumah Tuhan. Iblis berkata kepada Yesus, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah ke bawah, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan menyuruh malaikat-malaikat-Nya menjaga Engkau; malaikat akan menyambut Engkau dengan tangan, supaya kaki-Mu tidak terhantuk pada batu.’ ” Yesus menjawab, “Tetapi di dalam Alkitab tertulis juga, ‘Janganlah cubai Tuhan Allahmu.’ ” Kemudian Iblis membawa Yesus ke gunung yang sangat tinggi, dan menunjukkan semua kerajaan di dunia ini serta segala kekayaannya kepada-Nya. Lalu Iblis berkata kepada Yesus, “Semua ini akan aku berikan kepada-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku.” Yesus menjawab, “Pergilah, hai Iblis! Di dalam Alkitab tertulis, ‘Sembahlah Tuhan Allahmu dan abdikan diri kepada Dia sahaja!’ ” Kemudian Iblis meninggalkan Yesus, dan malaikat-malaikat pun datang menolong Dia. Ketika Yesus mendengar bahawa Yohanes dipenjarakan, Dia pun pergi ke Galilea. Dia tidak menetap di Nasaret, tetapi tinggal di Kapernaum, sebuah kota di tepi Tasik Galilea di kawasan Zebulon dan Naftali. Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, “Tanah Zebulon dan tanah Naftali, yang menghala ke tasik, di seberang Sungai Yordan, Galilea, negeri orang bukan Yahudi! Bangsa yang hidup dalam kegelapan akan nampak cahaya yang gemilang! Bagi mereka yang hidup di negeri yang dibayangi maut, cahaya itu akan bersinar!” Sejak itu Yesus mula mengisytiharkan perkhabaran-Nya, “Bertaubatlah daripada dosa kamu, kerana tidak lama lagi Allah akan memerintah!” Sementara Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, Dia nampak dua orang nelayan: Simon (yang juga disebut Petrus) dengan adiknya, Andreas. Mereka sedang menjala ikan di tasik. Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku. Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.” Dengan segera adik-beradik itu meninggalkan jala mereka lalu mengikut Yesus. Yesus meneruskan perjalanan, lalu nampak dua orang adik-beradik yang lain, iaitu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Mereka di dalam perahu bersama-sama bapa mereka, dan sedang mengemaskan jala. Yesus memanggil mereka. Dengan segera mereka meninggalkan perahu dan bapa mereka, lalu mengikut Yesus. Yesus menjelajah seluruh negeri Galilea. Dia mengajar di rumah ibadat dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa tidak lama lagi Allah akan memerintah. Dia menyembuhkan banyak orang sakit yang menderita berbagai-bagai penyakit. Berita tentang Yesus tersebar di seluruh negeri Siria, sehingga mereka yang menderita berbagai-bagai penyakit dan kesusahan dibawa kepada-Nya. Lalu Yesus menyembuhkan semua orang yang dirasuk roh jahat, yang sakit gila babi, dan yang lumpuh. Mereka semua disembuhkan oleh Yesus. Orang yang mengikut Yesus banyak sekali. Mereka dari Galilea, dari Sepuluh Kota, dari Yerusalem, dari Yudea, dan dari negeri di seberang Yordan. Apabila Yesus melihat orang ramai itu, Dia naik ke bukit lalu duduk. Pengikut-pengikut-Nya berkumpul di sekeliling-Nya, lalu Dia mula mengajar mereka: “Berbahagialah orang yang sedar bahawa mereka memerlukan Allah, merekalah yang menikmati Pemerintahan Allah! Berbahagialah orang yang bersedih hati, Allah akan menghiburkan mereka! Berbahagialah orang yang rendah hati, mereka akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah! Berbahagialah orang yang betul-betul mahu melakukan kehendak Allah, Allah akan memuaskan mereka! Berbahagialah orang yang mengasihani orang lain, Allah juga akan mengasihani mereka! Berbahagialah orang yang murni hati, mereka akan mengenal Allah! Berbahagialah orang yang membawa kedamaian antara manusia, Allah akan menyebut mereka anak-anak-Nya! Berbahagialah orang yang menderita penganiayaan kerana melakukan kehendak Allah, merekalah yang menikmati Pemerintahan Allah! Berbahagialah kamu apabila orang menghina, menganiaya, dan memfitnah kamu kerana kamu pengikut-Ku. Nabi-nabi zaman dahulu juga dianiaya seperti itu. Bersukacitalah dan bergembiralah, kerana Allah sudah menyediakan pahala yang besar di syurga untuk kamu.” “Kamu bagaikan garam dunia. Jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi. Garam seperti itu tidak berguna lagi, selain dibuang dan dipijak-pijak orang. Kamu bagaikan cahaya bagi dunia. Kota yang terletak di atas bukit tidak dapat disembunyikan. Tidak seorang pun memasang pelita lalu menaruhnya di bawah pasu, tetapi dia akan meletakkannya di atas kaki pelita supaya memberikan cahaya kepada setiap orang di dalam rumah. Hendaklah cahaya kamu juga bersinar di hadapan orang, supaya mereka melihat perbuatan kamu yang baik, lalu memuji Bapa kamu yang di syurga.” “Janganlah menganggap bahawa Aku datang untuk menghapuskan Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi. Aku tidak datang untuk menghapuskannya, tetapi Aku datang supaya semua ajaran itu berlaku. Ingatlah! Selama langit dan bumi masih ada, titik atau huruf yang terkecil sekalipun di dalam Taurat, tidak akan dihapuskan jika semuanya belum berlaku. Oleh itu, sesiapa melanggar hukum yang paling tidak penting sekalipun, serta mengajar orang lain berbuat demikian, orang itu akan menjadi yang paling tidak penting antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah. Sebaliknya, sesiapa mentaati Taurat dan mengajar orang lain berbuat demikian, orang itu akan menjadi penting antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah. Oleh itu ingatlah bahawa kamu dapat menikmati Pemerintahan Allah, hanya jika kamu lebih setia daripada guru Taurat dan orang Farisi dalam usaha kamu melakukan kehendak Allah.” “Kamu sudah mendengar yang diajarkan kepada nenek moyang kita: ‘Jangan membunuh; sesiapa yang membunuh orang akan diadili.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan diadili; dan sesiapa yang memaki saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama, dan sesiapa yang memanggil saudaranya ‘Jahil’, patut dibuang ke dalam api neraka. Oleh itu, apabila kamu hendak mempersembahkan pemberian di atas mazbah kepada Allah, lalu teringat bahawa saudaramu sakit hati terhadap kamu, tinggalkanlah pemberianmu di hadapan mazbah. Pergilah berdamai dahulu dengan dia, barulah kembali lalu persembahkan pemberian kamu itu kepada Allah. Jika seseorang hendak mendakwa kamu di mahkamah, berdamailah dengan dia selagi ada masa dan sebelum tiba di mahkamah. Jika tidak, orang itu akan menyerahkan kamu kepada hakim, lalu hakim akan menyerahkan kamu kepada polis, kemudian polis akan memenjarakan kamu. Ketahuilah, kamu akan tinggal di penjara sehingga kamu melunaskan semua dendamu.” “Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Jangan berzina.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa memandang seorang wanita dengan perasaan berahi, orang itu sudah berzina dengan dia di dalam hati. Jika mata kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu! Lebih baik kamu kehilangan salah satu anggota tubuh daripada seluruh tubuh kamu dibuang ke dalam neraka. Jika tangan kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan itu! Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan daripada seluruh tubuh kamu masuk ke dalam neraka.” “Ada juga ajaran yang mengatakan, ‘Sesiapa menceraikan isterinya, hendaklah orang itu memberikan surat cerai kepadanya.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa menceraikan isterinya kecuali kerana perzinaan, orang itu membuat isterinya berzina jika wanita ini berkahwin lagi. Orang yang mengahwini wanita yang diceraikan itu, berzina juga.” “Kamu sudah mendengar bagaimana nenek moyang kita diajar seperti berikut: ‘Jangan mungkir janji. Lakukanlah apa yang sudah kamu janjikan dengan sumpah di hadapan Tuhan.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Jangan bersumpah sama sekali. Jangan bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah, atau demi bumi, kerana bumi itu alas kaki-Nya; atau demi Yerusalem, kerana kota itu kota Allah, Raja yang besar. Jangan bersumpah bahkan demi kepala kamu, kerana kamu tidak berkuasa membuat sehelai rambut menjadi putih ataupun hitam. Cukuplah kamu berkata ‘Ya’ atau ‘Tidak’. Kata-kata yang lebih daripada itu datangnya daripada Iblis.” “Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Mata ganti mata; gigi ganti gigi.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Jangan balas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepada kamu. Sebaliknya jika seseorang menampar pipi kananmu untuk menghina kamu, biarkanlah dia menampar pipi kirimu juga. Jika seseorang mendakwa kamu di mahkamah untuk menuntut bajumu, berikanlah jubahmu juga. Jika seorang askar penjajah memaksa kamu mengangkat barangnya sejauh satu kilometer, angkatlah barangnya sejauh dua kilometer. Jika seseorang meminta sesuatu daripada kamu, berikanlah apa yang dimintanya. Jika seseorang hendak meminjam sesuatu daripada kamu, pinjamkan apa yang dikehendakinya.” “Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Kasihilah sahabatmu, dan bencilah musuhmu.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu. Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapa kamu yang di syurga, kerana Allah menerbitkan matahari yang dijadikan-Nya untuk orang yang baik dan yang jahat. Dia menurunkan hujan untuk orang yang mentaati Allah dan juga untuk orang yang tidak mentaati-Nya. Patutkah kamu menerima pahala daripada Allah, jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu? Bukankah para pemungut cukai pun berbuat demikian? Jika kamu hanya beramah-ramahan dengan kawan-kawan kamu, apakah kelebihannya? Orang yang tidak mengenal Allah pun berbuat demikian! Kamu harus mengasihi semua orang, seperti Bapa kamu yang di syurga mengasihi semua orang.” “Ingatlah, janganlah kamu lakukan kewajipan agama di hadapan umum supaya dilihat orang. Jika kamu berbuat demikian, kamu tidak akan menerima pahala daripada Bapa kamu yang di syurga. Oleh itu, apabila kamu memberikan sedekah kepada orang miskin, jangan heboh-hebohkan perbuatan itu seperti yang dilakukan oleh orang munafik di dalam rumah ibadat dan di jalan raya. Mereka melakukan perkara itu supaya dipuji orang. Ketahuilah, mereka sudah menerima ganjaran mereka. Tetapi apabila kamu memberikan sedekah kepada orang miskin, lakukanlah hal itu secara diam-diam, supaya sahabat karib kamu sekalipun tidak mengetahuinya. Biarlah hal itu tidak diketahui oleh sesiapa pun. Bapa kamu yang melihat perbuatan yang tersembunyi itu akan memberikan pahala kepada kamu.” “Apabila kamu berdoa, jangan seperti orang munafik. Mereka suka berdoa sambil berdiri di rumah ibadat dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Ketahuilah, mereka sudah menerima ganjaran mereka. Tetapi apabila kamu berdoa, masuklah ke bilik dan tutuplah pintu, lalu berdoalah kepada Bapa kamu yang tidak kelihatan itu. Bapa kamu yang mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi itu, akan memberikan pahala kepada kamu. Apabila kamu berdoa, jangan gunakan banyak kata yang tidak bererti seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka bahawa Allah akan mendengarkan permintaan mereka kerana doa mereka panjang. Jangan berbuat seperti mereka. Bapa kamu mengetahui apa yang kamu perlukan, sebelum kamu memintanya. Sepatutnya kamu berdoa begini, ‘Ya Bapa kami yang di syurga, Engkaulah Allah yang Esa, semoga Engkau disembah dan dihormati. Engkaulah Raja kami. Semoga Engkau memerintah di bumi, dan seperti di syurga, kehendak-Mu ditaati. Berilah kami makanan yang kami perlukan pada hari ini. Ampunkanlah kesalahan kami, seperti kami mengampuni orang yang bersalah terhadap kami. Janganlah biarkan kami kehilangan iman ketika dicubai, tetapi selamatkanlah kami daripada kuasa Si Jahat. [Engkaulah Raja yang berkuasa dan mulia untuk selama-lamanya. Amin.]’ Jika kamu mengampuni orang yang bersalah terhadap kamu, Bapa kamu yang di syurga pun akan mengampunkan kesalahan kamu. Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang lain, Bapa kamu yang di syurga tidak akan mengampunkan kesalahan kamu juga.” “Apabila kamu berpuasa, jangan bermuka muram seperti orang munafik. Mereka kelihatan menderita, sehingga semua orang tahu bahawa mereka berpuasa. Ketahuilah, mereka sudah menerima ganjaran. Apabila kamu berpuasa, basuhlah muka dan sikatlah rambut, supaya orang tidak tahu bahawa kamu berpuasa. Biarlah hanya Bapamu yang tidak kelihatan itu yang tahu. Bapamu melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan kamu akan menerima pahala daripada Dia.” “Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di situ gegat dan karat merosakkannya, dan pencuri datang untuk mencurinya. Kumpulkanlah harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya, dan pencuri tidak datang untuk mencurinya. Lakukanlah hal itu, kerana perhatian kamu sentiasa tertumpu kepada hartamu!” “Mata bagaikan pelita bagi tubuh. Jika matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu menjadi gelap gelita. Jika cahaya di dalam tubuhmu menjadi gelap, alangkah pekatnya kegelapan itu!” “Tidak seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain, atau dia akan setia kepada yang seorang dan menghina yang lain. Demikianlah kamu tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan. Oleh itu, jangan khuatir akan hidup kamu - apa yang akan kamu makan dan minum, atau apa yang akan kamu pakai. Bukankah hidup lebih penting daripada makanan, dan tubuh lebih bernilai daripada pakaian? Lihatlah burung di udara yang tidak menyemai benih, tidak menuai tuaian, dan tidak mengumpulkan hasil di dalam jelapang, tetapi Bapa kamu yang di syurga memelihara semuanya! Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung? Siapakah antara kamu dapat memanjangkan umur walaupun sedikit dengan mengkhuatiri hidupnya? Mengapa kamu khuatir tidak mempunyai cukup pakaian? Lihatlah bunga-bunga di padang, yang tidak bekerja atau menenun. Tetapi Raja Salomo dengan segala kekayaannya pun tidak berpakaian seindah bunga-bunga itu! Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang ada hari ini lalu esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan memberi kamu pakaian? Tetapi kamu kurang percaya kepada Allah! Jangan khuatir tentang apa yang akan kamu makan, atau apa yang akan kamu minum, atau apa yang akan kamu pakai. Semua perkara itu sentiasa dikhuatiri orang yang tidak mengenal Allah. Bapa kamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua itu. Sebaliknya utamakanlah Pemerintahan Allah dan lakukanlah kehendak-Nya, lalu Allah akan memberikan semua itu kepada kamu. Oleh itu, jangan khuatiri hari esok, kerana ada cukup hal yang dikhuatirkan pada hari esok. Cukuplah kesusahan hari ini, tidak usah ditambah lagi.” “Jangan hakimi orang lain, supaya Allah tidak menghakimi kamu juga. Allah akan menghakimi kamu sebagaimana kamu menghakimi orang lain. Sukatan yang kamu gunakan untuk menghakimi orang lain akan digunakan oleh Allah untuk kamu. Mengapakah kamu perhatikan selumbar di dalam mata saudaramu, sedangkan kayu balak di dalam matamu tidak kamu perhatikan? Bagaimana kamu dapat berkata kepada saudaramu, ‘Biarlah saya keluarkan selumbar dari mata saudara,’ sedangkan ada kayu balak di dalam matamu sendiri? Hai munafik! Keluarkan dahulu kayu balak dari matamu, barulah kamu dapat melihat dengan jelas, lalu keluarkan selumbar dari mata saudaramu. Jangan berikan apa-apa yang suci kepada anjing; anjing hanya akan berbalik lalu menerkam kamu. Jangan berikan mutiara kepada babi; babi hanya akan memijak-mijak mutiara.” “Mintalah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Allah akan membukanya bagi kamu. Hal itu demikian kerana setiap orang yang meminta sesuatu daripada Allah akan menerimanya; setiap orang yang mencari sesuatu daripada Allah akan mendapatnya; dan Allah akan membuka pintu bagi setiap orang yang mengetuknya. Bapa yang manakah akan memberikan batu kepada anaknya, apabila anaknya meminta roti? Bapa yang manakah akan memberikan ular, apabila anaknya meminta ikan? Walaupun kamu jahat, kamu tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anak kamu. Lebih-lebih lagi Bapa kamu yang di syurga; Dia akan memberikan apa yang baik kepada mereka yang meminta daripada Dia! Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka. Inilah inti Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi.” “Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu dan jalan yang menuju ke neraka itu lebar dan lapang! Banyak orang yang mengambil jalan itu. Tetapi pintu dan jalan yang menghala ke hidup sejati itu sempit dan susah. Hanya sedikit orang yang mendapati jalan itu.” “Waspadalah terhadap nabi palsu. Mereka datang kepada kamu dengan rupa domba, tetapi sebenarnya mereka seperti serigala buas. Kamu akan mengenal mereka melalui hasil perbuatan mereka. Belukar berduri tidak menghasilkan buah anggur, dan semak berduri tidak menghasilkan buah ara. Tetapi pokok yang subur menghasilkan buah yang baik, dan pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang buruk. Pokok yang subur tidak dapat menghasilkan buah yang buruk, dan pokok yang tidak subur tidak dapat menghasilkan buah yang baik. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik, ditebang lalu dibakar. Demikianlah kamu akan mengenal nabi palsu melalui perbuatan mereka.” “Tidak semua orang yang memanggil Aku, ‘Ya Tuhan, ya Tuhan,’ akan menikmati Pemerintahan Allah, tetapi hanya orang yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang di syurga. Pada Hari Kiamat banyak orang akan berkata kepada-Ku, ‘Ya Tuhan, ya Tuhan, bukankah dengan nama Tuhan kami memberitakan perkhabaran Allah? Bukankah dengan nama Tuhan kami mengusir roh jahat, serta melakukan banyak mukjizat?’ Tetapi Aku akan menjawab, ‘Aku tidak mengenal kamu! Pergilah dari sini, hai kamu yang tidak mentaati Allah!’ ” “Setiap orang yang mendengar kata-kata-Ku ini dan menurutnya, dia seperti seorang bijak yang membina rumah di atas batu. Hujan turun, air sungai melimpah, dan angin kencang melanda rumah itu, tetapi rumah itu tidak roboh kerana berasaskan batu. Setiap orang yang mendengar kata-kata-Ku ini tetapi tidak menurutnya, dia seperti seorang bodoh yang membina rumah di atas pasir. Hujan turun, air sungai melimpah, dan angin kencang melanda rumah itu, lalu rumah itu roboh. Alangkah dahsyatnya kerosakan rumah itu!” Setelah Yesus mengatakan perkara-perkara tersebut, orang ramai sangat hairan dengan cara Dia mengajar. Dia mengajar dengan wibawa, bukan seperti guru Taurat mereka. Yesus turun dari bukit, dan banyak orang mengikuti Dia. Lalu seorang berpenyakit kulit yang mengerikan datang dan berlutut di hadapan-Nya. Dia berkata, “Tuan, jika Tuan sudi, Tuan dapat menyembuhkan saya.” Yesus menghulurkan tangan-Nya lalu menjamah dia dan berkata, “Aku mahu. Sembuhlah!” Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini, tetapi pergilah kepada imam dan mintalah dia mengesahkan kesembuhanmu. Kemudian persembahkanlah korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu betul-betul sudah sembuh.” Apabila Yesus masuk ke Kapernaum, seorang ketua askar Roma menjumpai Dia lalu memohon kepada-Nya, “Tuan, orang suruhan saya sakit di rumah, dia terbaring di katil dan tidak dapat bergerak. Dia sangat menderita.” Yesus berkata kepadanya, “Baiklah, Aku akan pergi menyembuhkan dia.” Tetapi ketua askar itu menjawab, “Tuan tidak usah datang ke rumah. Saya tidak layak menyambut Tuan ke rumah saya. Perintahkanlah sahaja, tentu hamba saya akan sembuh. Saya pun di bawah perintah perwira atasan, dan di bawah saya juga ada askar-askar lain. Apabila saya menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi; apabila saya menyuruh askar lain, ‘Ke mari!’ dia pun datang. Apabila saya menyuruh hamba saya, ‘Buatlah ini!’ dia pun melakukannya.” Yesus hairan mendengar hal itu, lalu Dia berkata kepada orang ramai yang mengikut Dia, “Ketahuilah, belum pernah Aku menjumpai sesiapa pun antara umat Israel yang mempunyai iman sebesar ini. Ketahuilah! Banyak orang akan datang dari timur dan dari barat, lalu menikmati perjamuan di Dunia Baru Allah bersama-sama Abraham, Ishak, dan Yakub. Tetapi orang yang seharusnya menikmati Pemerintahan Allah akan dibuang ke kegelapan di luar; di sana mereka akan menangis dan menderita.” Lalu Yesus berkata kepada ketua askar itu, “Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan berlaku.” Hamba ketua askar itu pun sembuh pada saat itu juga. Yesus pergi ke rumah Petrus. Di situ Dia melihat ibu mentua Petrus sedang berbaring di tempat tidur kerana demam. Yesus menjamah tangannya, lalu demamnya hilang dengan serta-merta. Dia pun bangun lalu mula melayani Yesus. Apabila hari sudah petang, orang ramai membawa banyak orang yang kerasukan roh jahat kepada Yesus. Yesus mengusir roh-roh jahat itu dengan sepatah kata sahaja. Dia juga menyembuhkan semua orang sakit. Yesus melakukan semua itu supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, “Dia menanggung penderitaan kita dan menyembuhkan penyakit kita.” Yesus nampak orang ramai di sekeliling-Nya, lalu Dia menyuruh pengikut-pengikut-Nya pergi ke seberang tasik. Seorang guru Taurat datang kepada Yesus dan berkata, “Guru, saya bersedia mengikut guru ke mana sahaja guru pergi!” Yesus menjawab, “Serigala mempunyai lubang dan burung mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat untuk berbaring dan berehat.” Lalu seorang pengikut yang lain berkata, “Tuan, izinkanlah saya balik terlebih dahulu untuk menguburkan jenazah bapa saya.” Tetapi Yesus menjawab, “Ikutlah Aku. Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka sendiri.” Yesus menaiki sebuah perahu dan pengikut-pengikut-Nya pergi bersama-sama Dia. Tiba-tiba ribut membadai dan melanda tasik itu sehingga ombak memenuhi perahu. Tetapi Yesus sedang tidur. Oleh itu pengikut-pengikut-Nya pergi kepada-Nya lalu membangunkan Dia. Mereka berkata, “Ya Tuhan, selamatkanlah kami! Kita hampir mati!” Yesus menjawab, “Mengapakah kamu takut? Mengapa kamu kurang percaya kepada-Ku?” Lalu Yesus bangun dan menengking angin dan ombak itu. Dengan segera tasik itu menjadi tenang sekali. Para pengikut Yesus hairan. Mereka berkata, “Angin dan ombak pun taat kepada perintah-Nya. Orang apakah Dia ini?” Apabila Yesus tiba di seberang tasik di daerah Gadara, Dia didatangi oleh dua orang yang dirasuk roh jahat. Mereka keluar dari gua kubur dan mereka sangat ganas, sehingga tiada sesiapa pun berani lalu di situ. Apabila mereka melihat Yesus, mereka berseru, “Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap kami, hai Anak Allah? Adakah Engkau hendak menghukum kami sebelum waktunya?” Tidak jauh dari situ, ada kawanan babi yang sedang makan. Roh-roh jahat itu memohon kepada Yesus, “Jika Engkau hendak memerintah kami keluar, suruhlah kami masuk ke dalam kawanan babi itu.” “Pergilah,” kata Yesus. Dengan segera roh-roh jahat itu meninggalkan kedua-dua orang itu lalu masuk ke dalam kawanan babi itu. Semua babi itu lari ke pinggir jurang, terjun ke dalam tasik lalu tenggelam. Penjaga-penjaga babi itu lari ke bandar lalu menceritakan segala perkara itu dan apa yang telah berlaku kepada kedua-dua orang yang dirasuk roh jahat. Semua orang di bandar itu pergi menjumpai Yesus. Apabila mereka melihat Yesus, mereka memohon supaya Dia meninggalkan kawasan mereka. Yesus menaiki sebuah perahu dan menyeberangi tasik, lalu kembali ke bandar tempat Dia tinggal. Di sana beberapa orang membawa seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar kepada Yesus. Ketika Yesus melihat betapa besarnya iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Teguhkanlah hatimu, anak-Ku! Dosamu sudah diampunkan.” Beberapa orang guru Taurat di situ berkata dalam hati, “Orang ini mengkufuri Allah!” Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata, “Mengapa kamu memikirkan perkara sejahat itu? Manakah yang lebih mudah: mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah dan berjalan’? Aku akan membuktikan kepada kamu bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.” Lalu Yesus berkata kepada orang yang lumpuh itu, “Bangunlah, angkat tikarmu dan pulanglah!” Orang lumpuh itu pun bangun lalu pulang ke rumah. Apabila orang di situ nampak kejadian itu, mereka ketakutan dan memuji Allah kerana Allah sudah memberikan kuasa yang begitu besar kepada manusia. Yesus meninggalkan tempat itu. Ketika Dia sedang berjalan, Dia nampak seorang pemungut cukai bernama Matius duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku.” Matius berdiri lalu mengikut Yesus. Sementara Yesus makan di rumah Matius, banyak pemungut cukai dan orang yang dihina oleh masyarakat makan bersama-sama Yesus dan pengikut-Nya. Beberapa orang Farisi nampak hal ini, lalu bertanya kepada pengikut-pengikut Yesus, “Mengapa guru kamu makan bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?” Yesus mendengar pertanyaan mereka lalu menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor; hanya orang yang sakit. Carilah makna ayat Alkitab ini: ‘Aku menghendaki belas kasihan dan bukan korban binatang.’ Itulah sebabnya Aku tidak datang untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi orang yang dihina masyarakat.” Setelah itu pengikut-pengikut Yohanes Pembaptis datang kepada Yesus dan bertanya, “Mengapa kami dan orang Farisi kerap kali berpuasa sedangkan pengikut-pengikut guru tidak berpuasa sama sekali?” Yesus menjawab, “Adakah kamu berharap tetamu di jamuan perkahwinan berdukacita selama pengantin lelaki bersama-sama mereka? Tentu tidak! Tetapi akan tiba masanya pengantin lelaki itu akan diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa. Tidak ada orang menampal pakaian lama dengan seperca kain baru, kerana tampalan itu akan mengecut lalu mengakibatkan koyakan yang lebih besar. Demikian juga tidak ada orang menuang wain baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Jika dia berbuat demikian, kirbat itu akan pecah dan rosak, lalu wain itu akan terbuang. Wain baru harus dituang ke dalam kirbat kulit yang baru juga, supaya kedua-duanya tetap baik.” Sementara Yesus berkata-kata dengan para pengikut Yohanes Pembaptis, seorang ketua rumah ibadat datang berlutut di hadapan-Nya dan berkata, “Anak perempuan saya baru sahaja meninggal. Tetapi datanglah dan letakkan tangan padanya supaya dia hidup semula.” Yesus bangkit lalu pergi bersama dengan dia. Pengikut-pengikut Yesus pun ikut serta. Kemudian seorang wanita yang selama dua belas tahun menghidap penyakit pendarahan teruk yang berkaitan dengan haidnya, menghampiri Yesus dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya. Wanita itu berkata dalam hati, “Asal sahaja aku menyentuh jubah-Nya, tentu aku akan sembuh.” Yesus berpaling dan nampak dia. Yesus berkata kepadanya, “Teguhkanlah hatimu, anak-Ku! Kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh!” Pada ketika itu juga wanita itu sembuh. Apabila Yesus tiba di rumah ketua itu, Dia melihat para pemain muzik perkabungan dan semua orang di situ kecoh. Dia berkata, “Keluarlah kamu semua! Anak ini tidak mati; dia hanya tidur.” Mereka mula mentertawakan Yesus. Tetapi sebaik sahaja mereka keluar, Yesus masuk ke dalam bilik anak perempuan itu lalu memegang tangannya. Anak itu pun bangkit. Berita ini tersebar ke seluruh daerah itu. Yesus meninggalkan tempat itu. Ketika Dia sedang berjalan, dua orang buta mula mengikut Dia. Mereka berseru, “Hai Anak Daud, kasihanilah kami.” Apabila Yesus masuk ke dalam rumah, kedua-dua orang buta itu menghampiri Dia. Yesus bertanya kepada mereka, “Percayakah kamu bahawa Aku boleh menyembuhkan kamu?” “Ya, Tuan!” jawab mereka. Lalu Yesus menjamah mata mereka sambil berkata, “Kerana kamu percaya, berlakulah apa yang kamu harapkan!” Lalu mereka dapat melihat. Yesus berpesan kepada mereka dengan tegas, “Jangan beritahukan hal ini kepada sesiapa pun.” Tetapi mereka pergi dan menyebarkan berita tentang Yesus ke seluruh daerah itu. Apabila kedua-dua orang itu pergi, beberapa orang membawa seorang bisu kepada Yesus. Orang itu bisu kerana dirasuk roh jahat. Sebaik sahaja roh jahat itu diusir oleh Yesus, orang itu mula bercakap. Semua orang hairan melihat hal itu. Mereka berkata, “Belum pernah kami saksikan peristiwa serupa ini di Israel!” Tetapi orang Farisi berkata, “Ketua roh jahatlah yang memberikan kuasa kepada Yesus untuk mengusir roh jahat.” Demikianlah Yesus pergi dari satu bandar ke bandar lain dan dari satu pekan ke pekan lain. Dia mengajar di rumah ibadat dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa Allah akan memerintah. Dia menyembuhkan orang daripada berbagai-bagai penyakit. Apabila Dia melihat orang ramai itu, Dia mengasihani mereka kerana mereka risau dan tidak berdaya, seperti kawanan domba tanpa gembala. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Tuaian sungguh banyak, tetapi penuai hanya sedikit. Berdoalah kepada pemilik tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian.” Yesus memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu memberikan kuasa kepada mereka untuk mengusir roh jahat dan menyembuhkan segala macam penyakit. Inilah nama dua belas orang rasul itu: Simon (yang disebut Petrus) dan saudaranya, Andreas; Yakobus dan saudaranya, Yohanes, iaitu anak-anak Zebedeus; Filipus dan Bartolomeus; Tomas dan Matius yang dahulunya pemungut cukai; Yakobus anak Alfeus dan Tadius; Simon, Si Patriot dan Yudas Iskariot yang mengkhianati Yesus. Yesus mengutus dua belas orang rasul itu dengan petunjuk seperti berikut, “Janganlah pergi ke daerah orang bukan Yahudi atau bandar orang Samaria. Pergilah kepada orang Israel, yang seperti domba yang sesat. Pergilah dan khabarkanlah bahawa ‘tidak lama lagi Allah akan memerintah.’ Sembuhkanlah orang yang sakit; bangkitkan orang yang mati; sembuhkanlah orang berpenyakit kulit yang mengerikan dan usirlah roh jahat. Kamu sudah menerima kuasa ini dengan percuma, maka lakukanlah semuanya tanpa meminta bayaran! Janganlah bawa wang emas, perak, ataupun tembaga. Janganlah bawa beg sedekah, atau baju ganti, atau kasut, atau tongkat dalam perjalanan kamu. Seorang pekerja layak menerima apa yang diperlukannya. Apabila kamu tiba di suatu bandar atau pekan, carilah seorang yang rela menyambut kamu. Tinggallah dengan dia sehingga kamu meninggalkan tempat itu. Apabila kamu masuk ke rumah orang, berikanlah salam. Jika orang di rumah itu menyambut kamu, biarlah salam sejahtera kamu itu tinggal dengan mereka. Tetapi jika tidak, tariklah balik salam kamu itu. Jika ada rumah atau bandar yang tidak mahu menyambut atau mendengarkan kata-kata kamu, tinggalkanlah tempat itu dan kebaskanlah debu daripada telapak kaki kamu. Ingatlah! Pada Hari Kiamat, Allah akan lebih mengasihani penduduk Sodom dan Gomora, daripada penduduk bandar itu!” “Dengarlah! Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Kamu harus waspada seperti ular dan tulus hati seperti burung merpati. Berjaga-jagalah, kerana ada orang yang akan menangkap kamu dan membawa kamu ke mahkamah, dan kamu akan disesah di rumah ibadat mereka. Kamu akan diadili di hadapan penguasa dan raja kerana kamu pengikut-Ku, dan kamu akan mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah. Apabila kamu diadili, janganlah khuatir tentang apa yang hendak kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Apabila tiba masanya, kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan. Kata-kata yang akan kamu ucapkan itu bukan kata-kata kamu sendiri, tetapi kata-kata itu daripada Roh Bapa kamu yang berkata-kata melalui kamu. Orang akan mengkhianati saudara sendiri supaya dibunuh; bapa pun akan berbuat demikian terhadap anak-anak. Anak-anak akan melawan ibu bapa, lalu menyerahkan mereka supaya dibunuh. Tiap-tiap orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. Tetapi sesiapa bertahan sehingga akhir akan diselamatkan. Apabila kamu dianiaya di suatu bandar, larilah ke bandar lain. Ketahuilah bahawa Anak Manusia akan datang, sebelum kamu dapat menyampaikan ajaran-Ku di semua bandar di Israel. Tidak ada murid yang lebih besar daripada gurunya, dan tidak ada hamba yang lebih besar daripada tuannya. Seorang murid haruslah puas hati menjadi seperti gurunya, dan seorang hamba haruslah puas hati menjadi seperti tuannya. Jika ketua keluarga diberikan nama Beelzebul, tentu anggota keluarganya akan diberikan nama yang lebih buruk lagi!” “Janganlah takut akan manusia. Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan tiap-tiap rahsia akan didedahkan. Apa yang Aku katakan kepada kamu secara sulit, hendaklah kamu ulangi di hadapan orang ramai. Apa yang dibisikkan di telinga kamu, umumkanlah seluas-luasnya! Janganlah takut akan mereka yang membunuh badan, tetapi tidak berkuasa membinasakan roh. Tetapi takutlah akan Allah yang berkuasa membinasakan baik badan mahupun roh di dalam neraka. Kamu dapat membeli dua ekor burung pipit dengan mata wang yang paling kecil. Meskipun demikian tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa persetujuan Bapa kamu. Rambut di kepala kamu pun sudah dihitung semuanya. Oleh itu, janganlah takut! Di sisi Allah, kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit!” “Sesiapa mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, Aku pun akan mengakui dia di hadirat Bapa-Ku di syurga. Tetapi sesiapa menyangkal Aku di hadapan umum, Aku pun akan menyangkal dia di hadirat Bapa-Ku di syurga.” “Jangan menyangka bahawa Aku membawa kedamaian ke dunia ini. Aku tidak membawa kedamaian, tetapi pertentangan. Aku datang untuk menyebabkan anak lelaki melawan bapa mereka, anak perempuan melawan ibu mereka, dan menantu perempuan melawan ibu mentua mereka. Demikianlah, musuh terbesar seseorang ialah anggota keluarganya sendiri. Sesiapa yang lebih mengasihi bapa atau ibunya daripada Aku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. Demikian juga sesiapa yang lebih mengasihi anak lelaki atau anak perempuannya daripada Aku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. Sesiapa yang tidak mahu memikul salibnya dan mengikut Aku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup sejati, tetapi sesiapa kehilangan hidupnya kerana dia pengikut-Ku, akan memperoleh hidup sejati.” “Sesiapa yang menyambut kamu, menyambut Aku juga; dan sesiapa yang menyambut Aku, menyambut Dia yang mengutus Aku. Sesiapa yang menyambut seorang pesuruh Allah kerana dia pesuruh Allah, akan menerima pahala seorang pesuruh Allah. Sesiapa yang menyambut seorang baik kerana orang itu baik, akan menerima pahala seorang baik. Ingatlah! Sesiapa yang memberikan minuman walaupun hanya air sejuk kepada salah seorang pengikut-Ku yang paling hina kerana dia pengikut-Ku, akan menerima pahalanya.” Setelah Yesus memberikan petunjuk kepada dua belas orang pengikut-Nya, Dia meninggalkan tempat itu lalu pergi mengajar serta memberitakan perkhabaran daripada Allah di bandar-bandar yang berdekatan. Apabila Yohanes Pembaptis yang berada di penjara mendengar tentang apa yang dilakukan oleh Kristus, dia menghantar beberapa orang pengikutnya kepada Yesus. Mereka bertanya, “Adakah Guru orang yang dikatakan akan datang menurut janji Allah, atau adakah kami harus menantikan seorang lain?” Yesus menjawab, “Baliklah dan beritahu Yohanes apa yang kamu dengar dan nampak: orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang berpenyakit kulit yang mengerikan sembuh, orang tuli mendengar, orang mati dibangkitkan semula, dan Berita Baik daripada Allah dikhabarkan kepada orang miskin. Berbahagialah orang yang tidak mempunyai keraguan terhadap Aku!” Sementara pengikut-pengikut Yohanes meninggalkan tempat itu, Yesus berkata kepada orang ramai tentang Yohanes, “Apabila kamu pergi kepada Yohanes di padang gurun, apakah yang mahu kamu lihat? Sehelai rumput yang ditiup anginkah? Kamu keluar mahu melihat apa? Seorang yang berpakaian mewah? Orang yang berpakaian demikian tinggal di istana! Katakanlah, kamu keluar mahu melihat apa? Seorang nabikah? Betul, bahkan lebih daripada seorang nabi! Yohanes Pembaptis itulah yang dikatakan dalam ayat Alkitab, ‘Allah berfirman: Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia dahulu daripada-Mu untuk menyediakan jalan bagi-Mu.’ Ketahuilah! Yohanes Pembaptis lebih besar daripada semua orang yang pernah hidup di dunia ini. Namun demikian orang yang terkecil antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah, lebih besar daripada Yohanes. Sejak Yohanes Pembaptis mengkhabarkan beritanya sehingga saat ini, Pemerintahan Allah telah dilawan oleh orang ganas yang berusaha menguasainya dengan kekerasan. Sehingga kedatangan Yohanes, semua nabi dan Taurat Musa bernubuat tentang Pemerintahan itu. Jika kamu mahu percaya kepada perkhabaran mereka, Yohanes itulah Elia yang kedatangannya sudah dinubuatkan. Jika kamu bertelinga, dengarlah! Dengan apakah dapat Aku bandingkan orang zaman ini? Mereka seperti anak-anak yang duduk di pasar. Kumpulan yang satu berseru kepada yang lain, ‘Kami memainkan lagu perkahwinan untuk kamu, tetapi kamu tidak mahu menari! Kami meratap, tetapi kamu tidak mahu menangis!’ Apabila Yohanes datang, dia berpuasa dan tidak minum wain; lalu semua orang berkata, ‘Dia dirasuk syaitan!’ Apabila Anak Manusia datang, Dia makan dan minum; lalu semua orang berkata, ‘Lihatlah orang ini! Dia rakus, pemabuk, sahabat pemungut cukai, dan sahabat orang berdosa!’ Walaupun demikian kebijaksanaan Allah dibuktikan benar oleh perbuatan orang yang menerima kebijaksanaan itu.” Lalu Yesus mula mencela bandar-bandar tempat Dia paling banyak melakukan mukjizat, kerana penduduk di sana tidak mahu bertaubat daripada dosa mereka. “Alangkah malangnya kamu, hai Korazin! Alangkah malangnya kamu, hai Betsaida! Jika mukjizat-mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu itu Aku lakukan di Tirus dan Sidon, penduduk di sana pasti sudah lama bertaubat daripada dosa mereka, lalu mengenakan kain guni dan menaruh abu di kepala. Ketahuilah! Pada Hari Kiamat, Allah akan lebih mengasihani penduduk Tirus dan Sidon daripada kamu! Dan kamu, hai Kapernaum! Adakah kamu hendak meninggikan diri sampai ke syurga? Kamu akan dibuang ke neraka! Jika mukjizat-mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu itu Aku lakukan di Sodom, tentu Sodom masih ada sehingga saat ini! Ketahuilah! Pada Hari Kiamat, Allah akan lebih mengasihani Sodom daripada kamu!” Pada masa itu Yesus berkata, “Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu kerana apa yang Engkau rahsiakan daripada orang yang bijak pandai, Engkau tunjukkan kepada orang yang tidak terpelajar. Ya Bapa, memang hal inilah yang Engkau kehendaki.” Yesus berkata lagi, “Bapa-Ku telah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tidak seorang pun mengenal Anak kecuali Bapa, dan tidak seorang pun mengenal Bapa kecuali Anak dan mereka yang diberitahu oleh Anak tentang Bapa. Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu. Ikutlah perintah-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan. Perintah yang Aku berikan kepada kamu mudah diturut, dan beban yang Aku berikan mudah dipikul.” Pada suatu hari Sabat, Yesus melewati ladang gandum. Pengikut-pengikut-Nya lapar, dan mereka mula memetik gandum lalu memakannya. Apabila orang Farisi nampak hal ini, mereka berkata kepada Yesus, “Lihatlah, pengikutmu melanggar Taurat kita. Mereka melakukan apa yang dilarang pada hari Sabat!” Yesus menjawab, “Belum pernahkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud ketika dia dan anak buahnya lapar? Daud masuk ke dalam Khemah Allah, lalu dia dan anak buahnya makan roti yang sudah dipersembahkan kepada Allah, walaupun perbuatan itu melanggar Taurat. Hanya imam yang dibenarkan makan roti itu. Belum pernahkah kamu baca di dalam Taurat Musa bahawa pada setiap hari Sabat, imam di Rumah Tuhan sebetulnya melanggar hukum hari Sabat? Tetapi mereka tidak disalahkan. Perhatikan apa yang Aku katakan ini: Di sini ada yang lebih penting daripada Rumah Tuhan. Di dalam Alkitab tertulis, ‘Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban binatang.’ Jika kamu benar-benar memahami ayat itu, tentu kamu tidak akan menyalahkan orang yang tidak bersalah, kerana Anak Manusia berkuasa atas hari Sabat.” Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke sebuah rumah ibadat. Di situ ada seorang yang tangannya lumpuh sebelah. Tetapi ada juga beberapa orang yang hendak mencari-cari kesalahan Yesus supaya dapat menuduh Dia. Mereka bertanya kepada Yesus, “Adakah menyembuhkan orang pada hari Sabat melanggar Taurat kita?” Yesus menjawab, “Apakah yang akan kamu lakukan seandainya seorang antara kamu mempunyai seekor domba, lalu pada hari Sabat domba itu jatuh ke dalam lubang yang dalam? Tentunya kamu akan berusaha untuk mengeluarkannya dari lubang itu. Manusia lebih berharga daripada domba! Oleh itu, Taurat kita membenarkan kita menolong seseorang pada hari Sabat.” Kemudian Yesus berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu pun menghulurkan tangannya, dan sembuhlah tangan itu sehingga seperti tangannya yang sebelah. Tetapi orang Farisi di situ meninggalkan tempat itu lalu berkomplot hendak membunuh Yesus. Apabila Yesus mengetahui pakatan jahat itu, Dia pergi dari situ dan banyak orang mengikut Dia. Dia menyembuhkan semua orang sakit, dan melarang mereka memberitahu orang lain tentang Dia. Dia berbuat demikian supaya berlakulah apa yang difirmankan Allah melalui Nabi Yesaya, “Inilah hamba-Ku yang telah Aku pilih, orang yang Aku kasihi dan yang menyenangkan hati-Ku. Roh-Ku akan Aku anugerahkan kepada-Nya, dan keadilan-Ku akan diisytiharkan-Nya kepada semua bangsa. Dia tidak akan bertengkar atau berteriak, ataupun berkata-kata dengan suara kuat di jalan-jalan raya. Buluh halus yang terkulai tidak akan dipatahkan-Nya, pelita yang redup tidak akan dipadamkan-Nya. Dia akan berjuang sehingga keadilan tercapai, dan semua bangsa akan berharap kepada-Nya.” Kemudian seorang yang buta dan bisu kerana dirasuk roh jahat dibawa kepada Yesus. Yesus menyembuhkannya sehingga orang itu dapat bercakap dan melihat. Orang ramai di situ kehairanan, lalu mereka bertanya, “Mungkinkah Dia ini Anak Daud?” Apabila orang Farisi mendengar hal ini, mereka menjawab, “Dia dapat mengusir roh jahat hanya kerana Dia diberikan kuasa oleh Beelzebul, ketua roh jahat.” Yesus mengetahui fikiran orang Farisi, lalu berkata kepada mereka, “Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, tidak akan tahan lama. Bandar atau keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan, akan hancur. Demikian juga, jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, maka kerajaan itu sudah berpecah belah dan segera akan runtuh. Kamu berkata bahawa Aku mengusir roh jahat kerana Aku diberikan kuasa oleh Beelzebul. Jika demikian siapakah yang memberikan kuasa mengusir roh jahat kepada para pengikut kamu? Pengikut kamu membuktikan bahawa pendapat kamu itu salah! Roh Allah memberi Aku kuasa untuk mengusir roh jahat. Hal ini membuktikan bahawa Allah sudah mula memerintah di kalangan kamu. Tidak seorang pun dapat masuk ke dalam rumah seorang yang kuat lalu merampas hartanya, kecuali dia terlebih dahulu mengikat orang kuat itu. Barulah dia dapat merampas hartanya. Sesiapa yang tidak berpihak kepada-Ku sebenarnya melawan Aku, dan sesiapa yang tidak menolong Aku, sebenarnya merosakkan pekerjaan-Ku! Oleh itu ketahuilah, orang yang berbuat dosa ataupun mengatakan kata-kata kufur, akan diampuni. Tetapi sesiapa mengkufuri Roh Allah, tidak akan diampuni! Sesiapa yang dengan kata-katanya menentang Anak Manusia dapat diampuni, tetapi sesiapa yang menghina Roh Allah tidak dapat diampuni, baik sekarang mahupun di akhirat!” “Untuk mendapat buah yang baik, kamu harus mempunyai pokok yang baik. Jika pokok kamu tidak baik, buahnya pun tidak baik. Baik tidaknya sesuatu pokok diketahui daripada buahnya. Hai kamu orang jahat, bagaimanakah kamu dapat mengatakan perkara-perkara baik padahal kamu ini jahat? Orang mengucapkan apa yang terkandung di dalam hati. Seorang yang baik mengeluarkan perkara-perkara baik, kerana hatinya penuh kebaikan. Seorang yang jahat mengeluarkan perkara-perkara jahat, kerana hatinya penuh kejahatan. Ketahuilah bahawa pada Hari Kiamat setiap orang harus mempertanggungjawabkan tiap-tiap kata yang tidak seharusnya diucapkan. Kata-kata kamu akan digunakan untuk menentukan sama ada kamu bersalah atau tidak.” Kemudian beberapa orang guru Taurat dan orang Farisi berkata, “Guru, kami ingin melihat guru melakukan mukjizat.” Tetapi Yesus menjawab, “Alangkah jahat dan derhakanya orang zaman ini! Kamu meminta Aku melakukan mukjizat? Tidak! Satu-satunya mukjizat yang akan ditunjukkan kepada kamu adalah mukjizat Nabi Yunus. Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut ikan besar, demikian juga Anak Manusia akan tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut bumi. Pada Hari Kiamat kelak, penduduk Niniwe akan bangkit bersama-sama orang zaman ini, lalu menuduh kamu kerana mereka bertaubat daripada dosa apabila mereka mendengar perkhabaran yang disampaikan oleh Yunus. Tetapi ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Yunus! Pada Hari Kiamat kelak, ratu dari Syeba akan bangkit bersama-sama orang zaman ini, lalu menuduh kamu kerana ratu itu datang dari hujung bumi untuk mendengar ajaran Raja Salomo yang bijak itu. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Raja Salomo!” “Apabila roh jahat meninggalkan seseorang, roh itu menjelajah tempat yang kering untuk mencari tempat tinggal. Jika tempat tinggal tidak ditemuinya, roh itu akan berkata, ‘Aku akan balik ke rumah yang telah aku tinggalkan.’ Kemudian roh itu balik dan mendapati rumah itu kosong, bersih, dan teratur. Lalu roh itu pergi dan memanggil tujuh roh lain yang lebih jahat daripadanya. Semuanya memasuki orang itu dan tinggal di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih buruk daripada dahulu. Inilah yang akan berlaku kepada orang jahat zaman ini.” Sementara Yesus berkata-kata dengan orang ramai, ibu dan saudara-saudara-Nya tiba. Mereka berdiri di luar dan ingin bercakap dengan Yesus. Seorang daripada orang ramai itu memberitahu Yesus bahawa ibu dan saudara-saudara-Nya hendak bercakap dengan Dia. Tetapi Yesus berkata, “Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?” Lalu Dia menunjuk kepada pengikut-pengikut-Nya dan berkata, “Lihat, inilah ibu-Ku dan saudara-saudara-Ku. Sesiapa melakukan kehendak Bapa-Ku yang di syurga, orang itu saudara lelaki, saudara perempuan, dan ibu-Ku.” Pada hari itu juga Yesus meninggalkan rumah itu lalu pergi ke tepi tasik. Dia duduk di situ dan mengajar. Orang yang berkumpul di sekeliling-Nya begitu banyak sehingga Yesus menaiki sebuah perahu lalu duduk di situ, sedangkan orang ramai berdiri di pantai. Yesus mengajar mereka banyak perkara dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, “Seorang peladang pergi menabur benih. Semasa dia menabur benih, ada benih yang jatuh di jalan, lalu burung datang dan memakan habis benih itu. Ada juga yang jatuh di tempat berbatu yang sedikit tanahnya. Benih-benih itu segera bertunas kerana tanahnya sedikit. Tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering. Tumbuhan itu mati kerana akarnya tidak dalam. Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri. Semak berduri itu tumbuh, lalu membantutkan tumbuhan itu. Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu berbuah. Hasilnya ada yang seratus kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang tiga puluh kali ganda.” Lalu Yesus berkata, “Jika kamu bertelinga, dengarlah!” Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang dan bertanya kepada-Nya, “Mengapa Guru menggunakan perumpamaan ketika berkata-kata kepada orang ramai?” Yesus menjawab, “Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah, sedangkan mereka tidak. Seseorang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi, supaya dia beroleh lebih daripada cukup. Tetapi seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga. Itulah sebabnya Aku menggunakan perumpamaan ketika berkata-kata kepada orang ramai, kerana mereka melihat tetapi tidak nampak dan mereka mendengar tetapi tidak mengerti. Dengan perbuatan mereka itu berlakulah nubuat Nabi Yesaya, ‘Allah berfirman: Mereka akan mendengar dan mendengar, tetapi tidak faham; mereka akan melihat dan melihat, tetapi tidak nampak, kerana seolah-olah fikiran mereka tumpul; telinga pekak, dan mata buta. Jika mereka tidak demikian, tentu mata mereka akan melihat, telinga akan mendengar, dan fikiran boleh mengerti, sehingga mereka kembali kepada-Ku, dan Aku pun akan menyembuhkan mereka.’ Tetapi kamu sangat bertuah! Mata kamu melihat dan telinga kamu mendengar. Ketahuilah! Banyak nabi dan orang yang melakukan kehendak Allah ingin melihat apa yang kamu lihat sekarang ini, tetapi tidak dapat melihatnya. Mereka ingin mendengar apa yang kamu dengar tetapi tidak dapat mendengarnya.” “Dengarlah dan ketahuilah makna perumpamaan tentang seorang penabur itu. Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran tentang bagaimana Allah memerintah, tetapi tidak memahaminya. Si Jahat iaitu Iblis datang lalu merampas apa yang sudah ditabur di dalam hati mereka. Benih yang jatuh di tempat yang berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu lalu segera menerimanya dengan sukacita. Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati, sehingga mereka tidak tahan lama. Apabila mereka menderita kesusahan atau penganiayaan oleh sebab perkhabaran itu, segera mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu. Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kekhuatiran tentang hidup dan keinginan untuk hidup mewah membantutkan perkhabaran itu sehingga tidak berbuah. Benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu lalu memahaminya, dan berbuah banyak; ada yang seratus kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang tiga puluh kali ganda.” Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain kepada mereka. “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti seorang yang menabur benih yang baik di ladangnya. Pada suatu malam, ketika semua orang sedang tidur, musuhnya datang lalu menanam lalang di antara gandum itu, kemudian dia pergi. Apabila tanaman itu membesar dan bulir gandum muncul, lalang-lalang itu kelihatan. Hamba peladang itu datang kepadanya dan berkata, ‘Tuan menanam benih yang baik di ladang. Dari manakah datangnya lalang-lalang ini?’ Peladang itu menjawab, ‘Seorang musuh sudah melakukan perkara ini.’ Hambanya bertanya, ‘Adakah tuan mahu kami mencabut lalang-lalang itu?’ ‘Tidak,’ jawabnya, ‘kerana pada masa kamu mencabut lalang, mungkin gandum ikut tercabut. Biarkanlah lalang tumbuh bersama-sama gandum sehingga tiba masa menuai gandum. Lalu aku akan berkata kepada para penuai supaya mencabut lalang dahulu, lalu mengikatnya dan kemudian membakarnya. Selepas itu baru kumpulkan gandum, lalu simpanlah gandum di dalam jelapang.’ ” Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain kepada mereka, “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti sebutir biji sawi yang diambil oleh seseorang, lalu ditanam di ladang. Biji sawi adalah benih yang terkecil, tetapi apabila tumbuh, menjadi lebih besar daripada segala tanaman. Tanaman itu menjadi pokok, sehingga burung datang membuat sarang pada cabangnya.” Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain. “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti ini. Seorang wanita mengambil sedikit ragi, lalu mencampurnya dengan empat puluh liter tepung sehingga adunan itu naik.” Demikianlah Yesus mengajar orang ramai perkara-perkara ini dengan menggunakan perumpamaan. Dia tidak berkata apa-apa tanpa menggunakan perumpamaan. Yesus berbuat demikian supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh nabi, “Aku akan menggunakan perumpamaan apabila bertutur dengan mereka; Aku akan memberitahu mereka perkara-perkara yang tersembunyi sejak dunia diciptakan.” Setelah itu Yesus meninggalkan orang ramai lalu masuk ke dalam rumah. Pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya dan berkata, “Beritahulah kami makna perumpamaan tentang lalang di antara gandum itu.” Yesus berkata, “Orang yang menabur benih yang baik itu Anak Manusia. Ladang itu dunia ini; benih yang baik itu orang yang menjadi umat Allah, sedangkan lalang itu orang yang berpihak kepada Si Jahat. Musuh yang menabur benih lalang itu Iblis. Masa menuai tuaian itu Hari Kiamat dan para penuai itu malaikat-malaikat. Sebagaimana lalang dikumpulkan dan dibakar di dalam api, demikian juga halnya pada Hari Kiamat kelak. Anak Manusia akan menyuruh malaikat-malaikat-Nya mengumpulkan semua orang antara umat-Nya yang menyebabkan orang berdosa, dan semua orang lain yang melakukan kejahatan. Mereka semua akan dibuang ke dalam tempat pembakaran yang berapi. Di situ mereka akan menangis dan menderita. Kemudian orang yang melakukan kehendak Allah akan bersinar seperti matahari di Dunia Baru Allah, Bapa mereka. Jika kamu bertelinga, dengarlah!” “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti ini. Seseorang menjumpai harta yang terpendam di tanah, lalu dia memendamnya semula. Kemudian dengan penuh sukacita dia pergi menjual segala miliknya, lalu kembali dan membeli tanah itu.” “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti ini. Seorang saudagar mencari mutiara yang sangat berharga. Apabila dia menemui sebutir mutiara yang sangat berharga, dia menjual segala miliknya, lalu membeli mutiara itu.” “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti pukat yang dilabuhkan ke dalam tasik lalu mendapat bermacam-macam ikan. Apabila pukat itu sudah penuh, nelayan menariknya ke darat. Lalu mereka duduk dan memisahkan ikan-ikan itu: yang baik disimpan di dalam bekas dan yang tidak baik dibuang. Demikianlah halnya pada Hari Kiamat. Malaikat-malaikat akan datang untuk mengumpulkan orang jahat antara orang yang melakukan kehendak Allah. Lalu orang jahat akan dibuang ke dalam tempat pembakaran yang berapi. Di sana mereka akan menangis dan menderita.” “Fahamkah kamu akan perkara-perkara ini?” tanya Yesus kepada pengikut-pengikut-Nya. “Kami faham,” jawab mereka. Yesus berkata pula, “Oleh itu setiap guru Taurat yang telah menerima ajaran tentang Pemerintahan Allah, bagaikan pemilik rumah yang mengeluarkan benda baru dan benda lama dari stornya.” Setelah Yesus menceritakan perumpamaan-perumpamaan itu, Dia meninggalkan tempat itu, lalu balik ke kampung halaman-Nya. Di sana Dia mengajar di rumah ibadat, dan orang yang mendengar-Nya hairan. Mereka bertanya, “Dari manakah dia mendapat kebijaksanaan seperti itu? Dari manakah dia mendapat kuasa untuk melakukan mukjizat? Bukankah dia anak tukang kayu? Bukankah Maria itu ibunya, dan Yakobus, Yusuf, Simon, serta Yudas itu saudaranya? Bukankah saudara-saudara perempuannya bersama-sama kita? Dari manakah dia memperoleh semuanya ini?” Oleh itu mereka tidak mahu menerima Dia. Yesus berkata kepada mereka, “Seorang nabi dihormati di mana sahaja, kecuali di kampung halamannya dan antara keluarganya sendiri.” Yesus tidak melakukan banyak mukjizat di situ kerana mereka tidak percaya kepada-Nya. Pada masa itulah Herodes, penguasa negeri Galilea, mendengar berita tentang Yesus. Herodes berkata kepada pegawai-pegawainya, “Sesungguhnya dia itu Yohanes Pembaptis! Dia sudah hidup semula! Itulah sebabnya dia mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat.” Herodes menyangka demikian kerana sebelum itu Herodes memberikan perintah supaya Yohanes ditangkap, dirantai lalu dimasukkan ke dalam penjara. Herodes berbuat demikian kerana Herodias itu, isteri Filipus, saudaranya. Yohanes sentiasa menegur Herodes, katanya, “Tuan bersalah kerana berkahwin dengan Herodias!” Herodes berniat membunuh Yohanes, tetapi Herodes takut akan orang Yahudi kerana mereka menganggap Yohanes sebagai nabi. Pada hari jadi Herodes, anak perempuan Herodias menari di hadapan para hadirin dan menghiburkan hati Herodes. Oleh itu Herodes bersumpah akan memberikan apa sahaja yang diminta oleh gadis itu. Gadis itu mengikut kehendak ibunya dan meminta kepala Yohanes Pembaptis di atas talam pada waktu itu juga. Mendengar permintaan itu, Herodes bersedih hati. Tetapi Herodes sudah bersumpah di hadapan semua hadirin. Oleh itu Herodes memberikan perintah supaya permintaan gadis itu dipenuhi. Oleh itu Herodes menyuruh orang pergi ke penjara untuk memancung kepala Yohanes. Kemudian kepala Yohanes ditaruh di atas talam dan diserahkan kepada gadis itu. Lalu gadis itu membawa kepala Yohanes kepada ibunya. Setelah itu pengikut Yohanes datang untuk mengambil jenazah Yohanes dan mengebumikannya. Kemudian mereka pergi dan memberitahu Yesus hal itu. Apabila Yesus mendengar berita tentang Yohanes, Dia meninggalkan tempat itu dengan perahu, lalu pergi sendirian ke suatu tempat yang sunyi. Tetapi orang ramai mendengar hal itu, lalu mereka meninggalkan bandar mereka dan mengikut Yesus melalui jalan darat. Apabila Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai itu, Dia mengasihani mereka dan menyembuhkan orang sakit di situ. Pada petang harinya, pengikut-pengikut Yesus datang dan berkata kepada-Nya, “Hari sudah hampir malam dan tempat ini terpencil. Suruhlah semua orang ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan.” Tetapi Yesus menjawab, “Mereka tidak usah pergi; kamu sendiri beri mereka makanan.” Pengikut-pengikut-Nya berkata, “Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan!” Yesus berkata, “Bawalah makanan itu kepada-Ku.” Kemudian Dia menyuruh orang ramai duduk di atas rumput. Lalu Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Kemudian Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Setelah itu Dia membahagikan roti itu dan menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. Tiap-tiap orang makan sehingga kenyang. Selepas itu pengikut-pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul. Jumlah orang lelaki yang makan kira-kira lima ribu orang, belum terhitung wanita dan kanak-kanak. Kemudian Yesus menyuruh pengikut-pengikut-Nya naik perahu dan menyeberangi tasik terlebih dahulu, sementara Dia menyuruh orang ramai pulang. Setelah orang ramai pergi, Yesus naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Pada petang harinya Yesus masih sendirian di situ. Tetapi pada masa itu perahu yang dinaiki oleh pengikut Yesus sudah jauh di tengah-tengah tasik, dan diumbang-ambingkan ombak kerana angin bertiup dari arah yang berlawanan. Antara pukul tiga dan enam pagi, Yesus berjalan di atas air dan menghampiri mereka. Apabila pengikut-pengikut-Nya nampak Dia berjalan di atas air, mereka berasa gerun. “Hantu!” jerit mereka dengan ketakutan. Tetapi Yesus segera berkata kepada mereka, “Tabahkan hati kamu! Aku Yesus. Jangan takut!” Lalu Petrus berkata, “Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar Yesus, suruhlah aku datang berjalan di atas air.” “Marilah,” jawab Yesus. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air menuju kepada Yesus. Tetapi apabila Petrus nampak betapa kencangnya angin bertiup, dia takut dan mula tenggelam. Lalu Petrus berseru, “Ya Tuhan, selamatkanlah aku!” Dengan segera Yesus menghulurkan tangan lalu memegang dia. Yesus berkata, “Mengapa engkau kurang percaya kepada-Ku? Mengapa engkau meragui Aku?” Lalu kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun teduh. Kemudian pengikut Yesus yang di perahu sujud menyembah Yesus sambil berkata, “Sesungguhnya Engkau Anak Allah!” Mereka menyeberangi tasik lalu tiba di Genesaret. Orang di situ mengenal Yesus. Kemudian mereka memberitahu semua orang di sekitar daerah itu bahawa Yesus datang, lalu mereka membawa orang sakit kepada Yesus. Mereka memohon supaya setidak-tidaknya Yesus membenarkan orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Semua orang sakit yang menyentuh hujung jubah-Nya sembuh. Kemudian beberapa orang Farisi dan guru Taurat dari Yerusalem datang kepada Yesus dan bertanya, “Mengapa pengikutmu melanggar adat istiadat nenek moyang kita? Sebelum makan, mereka tidak membasuh tangan menurut adat!” Yesus menjawab, “Mengapa kamu tidak menurut perintah Allah, tetapi menurut ajaran kamu sendiri? Allah berfirman, ‘Hormatilah ibu bapamu,’ dan ‘Orang yang mencaci ibu bapa mesti dihukum mati.’ Tetapi kamu mengajarkan: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, ‘Apa yang seharusnya saya gunakan untuk menolong ayah dan emak, sudah saya persembahkan kepada Allah,’ maka orang itu tidak perlu menghormati bapanya. Demikianlah kamu meniadakan firman Allah untuk menurut ajaran kamu sendiri. Kamu munafik! Tepat sekali apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya tatkala dia bernubuat tentang kamu! Allah berfirman, ‘Semua orang ini menghormati Aku dengan kata-kata, tetapi hati mereka sebenarnya jauh daripada-Ku. Sia-sialah mereka menyembah Aku, kerana peraturan manusia diajarkan oleh mereka seolah-olah peraturan itu hukum Allah!’ ” Kemudian Yesus memanggil orang ramai dan berkata kepada mereka, “Dengarlah dan fahamilah! Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang tidak dapat menajiskan dia. Tetapi apa yang keluar dari mulut, itulah yang menajiskan dia.” Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang dan berkata kepada-Nya, “Guru, tahukah Guru bahawa orang Farisi tersinggung oleh kata-kata Guru?” Yesus menjawab, “Tiap-tiap tanaman yang tidak ditanam oleh Bapa-Ku di syurga akan dicabut. Jangan pedulikan orang Farisi. Mereka pemimpin buta, dan apabila orang buta memimpin orang buta, kedua-dua mereka jatuh ke dalam longkang.” Petrus berkata, “Jelaskanlah makna perumpamaan itu kepada kami.” Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kamu ini pengikut-Ku, tetapi kamu pun tidak faham seperti mereka. Tidakkah kamu mengerti? Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang, turun ke dalam perut lalu keluar lagi. Tetapi apa yang keluar dari mulut, berasal dari hati, dan hal-hal inilah yang menajiskan orang. Dari hatilah timbul fikiran jahat, yang menyebabkan seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, merompak, memberikan kesaksian palsu, dan memfitnah. Hal-hal itulah yang menajiskan orang, dan bukan makan dengan tidak membasuh tangan menurut adat!” Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke kawasan dekat bandar Tirus dan Sidon. Seorang wanita Kanaan yang tinggal di kawasan itu datang kepada Yesus dan berseru, “Anak Daud, kasihanilah saya! Anak perempuan saya dirasuk roh jahat dan keadaannya amat teruk.” Yesus tidak menjawab sepatah kata pun. Pengikut-pengikut-Nya datang dan memohon kepada-Nya, “Suruhlah wanita ini pergi. Dia mengikut kita dan membuat bising sahaja!” Yesus berkata kepada wanita itu, “Aku diutus hanya kepada orang Israel yang seperti domba yang sesat.” Mendengar kata-kata itu, wanita itu menghampiri Yesus dan sujud di hadapan-Nya. Dia berkata, “Tuan, tolonglah saya.” Tetapi Yesus menjawab, “Tidaklah patut mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anjing.” “Betul, tuan,” jawab wanita itu, “tetapi anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya.” Oleh itu Yesus berkata kepadanya, “Kamu seorang wanita yang sungguh percaya kepada-Ku! Apa yang kamu kehendaki akan berlaku!” Pada saat itu juga anak wanita itu sembuh. Yesus meninggalkan tempat itu lalu berjalan menyusur tepi Tasik Galilea. Kemudian Dia naik ke sebuah bukit lalu duduk. Banyak orang datang kepada-Nya dan membawa orang yang tempang, yang buta, yang lumpuh, yang bisu, dan banyak lagi orang sakit. Mereka meletakkan semua orang ini di hadapan Yesus dan Yesus menyembuhkan mereka semua. Orang ramai hairan apabila mereka melihat yang bisu bercakap, yang lumpuh berjalan, yang tempang sembuh, dan yang buta melihat. Mereka memuji-muji Allah umat Israel. Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu berkata, “Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-sama Aku dan sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kerana mungkin mereka akan pengsan di tengah jalan.” Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di manakah kami dapat memperoleh makanan yang cukup di tempat terpencil ini untuk orang ramai ini?” Yesus bertanya kepada mereka, “Berapa banyak roti yang ada pada kamu?” “Tujuh ketul,” jawab mereka, “dan beberapa ekor ikan kecil.” Yesus menyuruh orang ramai duduk di atas tanah. Kemudian Dia mengambil tujuh ketul roti dan ikan itu. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagikan makanan itu dan menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. Semua orang makan sehingga kenyang. Kemudian pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan roti dan ikan sebanyak tujuh buah bakul. Jumlah orang lelaki yang makan ada empat ribu orang, belum terhitung wanita dan kanak-kanak. Sesudah itu Yesus menyuruh orang ramai pulang, lalu Dia menaiki sebuah perahu dan pergi ke daerah Magadan. Beberapa orang Farisi dan orang Saduki datang kepada Yesus. Mereka hendak memerangkap Dia. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah. Yesus menjawab, [“Apabila matahari terbenam, kamu berkata, ‘Cuaca baik, kerana langit merah.’ Pada pagi hari, kamu berkata, ‘Hari akan hujan, kerana langit merah dan gelap.’ Kamu dapat meramalkan cuaca dengan melihat keadaan langit, tetapi kamu tidak dapat memahami hal-hal yang berlaku pada masa ini!] Alangkah jahat dan derhakanya orang zaman ini! Kamu meminta Aku melakukan mukjizat, tetapi satu-satunya mukjizat yang akan ditunjukkan kepada kamu hanyalah mukjizat Nabi Yunus.” Setelah berkata demikian, Yesus meninggalkan mereka lalu pergi dari situ. Apabila pengikut-pengikut Yesus menyeberangi tasik, mereka lupa membawa roti. Yesus berkata kepada mereka, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki.” Mereka mula bercakap sesama sendiri, “Dia berkata demikian kerana kita tidak membawa roti.” Yesus mengetahui apa yang dipersoalkan mereka. Dia berkata, “Mengapa kamu mempersoalkan hal tidak membawa roti? Kamu kurang percaya kepada-Ku! Adakah kamu masih belum mengerti? Tidakkah kamu ingat bagaimana Aku membahagikan lima ketul roti untuk lima ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan? Bagaimanakah dengan tujuh ketul roti yang Aku bahagikan untuk empat ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan? Mengapakah kamu tidak faham bahawa Aku tidak berkata-kata tentang roti? Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki!” Barulah pengikut-pengikut Yesus faham bahawa Yesus tidak menyuruh mereka berhati-hati dengan ragi yang digunakan untuk membuat roti, tetapi dengan ajaran orang Farisi dan Saduki. Yesus pergi ke daerah dekat kota Kaisarea Filipi. Di situ Dia bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Menurut kata orang siapakah Anak Manusia itu?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis. Ada juga yang berkata Elia, sedangkan yang lain berkata Yeremia atau salah seorang nabi.” “Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?” tanya Yesus. Simon Petrus menjawab, “Guru ialah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Hidup.” “Hai Simon anak Yohanes, berbahagialah engkau!” kata Yesus, “Bukannya manusia yang memberitahukan hal itu kepadamu, tetapi Bapa-Ku di syurga yang memberitahumu. Oleh itu ketahuilah, engkau Petrus, batu yang kuat. Dengan beralaskan batu inilah, Aku akan membina jemaah-Ku. Bahkan maut pun tidak dapat memusnahkannya! Aku akan memberikan kunci Dunia Baru Allah kepadamu. Apa yang engkau larang di atas bumi, akan dilarang juga di syurga. Apa yang engkau benarkan di atas bumi, akan dibenarkan juga di syurga.” Kemudian Yesus melarang pengikut-pengikut-Nya memberitahu sesiapa pun bahawa Dia Penyelamat yang diutus oleh Allah. Sejak itu, Yesus mula berkata dengan terus-terang kepada pengikut-pengikut-Nya, “Aku harus pergi ke Yerusalem dan mengalami banyak penderitaan yang disebabkan oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Aku akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga Aku akan dibangkitkan semula!” Petrus menarik Yesus ke tepi dan mula menegur Dia, “Ya Tuhan, semoga Allah menjauhkan perkara itu daripada Tuhan! Perkara itu tidak boleh berlaku kepada Tuhan!” Yesus berpaling lalu berkata kepada Petrus, “Pergilah dari sini, hai Iblis! Engkau penghalang jalan-Ku. Fikiranmu itu fikiran manusia, bukan fikiran Allah!” Kemudian Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Jika seseorang hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan mengalami hidup yang sejati. Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati? Dapatkah seseorang menukar hidup itu dengan sesuatu? Tentu tidak. Anak Manusia sudah hampir tiba bersama-sama para malaikat-Nya dengan kemuliaan Bapa-Nya. Pada masa itu Dia akan membalas tiap-tiap orang menurut perbuatannya. Ketahuilah! Beberapa orang di sini tidak akan meninggal sebelum melihat Anak Manusia datang sebagai Raja.” Enam hari kemudian Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, saudaranya pergi menyendiri ke sebuah gunung yang tinggi. Sewaktu mereka memandang Yesus, rupa Yesus berubah. Muka-Nya menjadi terang seperti matahari dan pakaian-Nya putih berkilau-kilauan. Lalu ketiga-tiga orang pengikut itu nampak Elia dan Musa berkata-kata dengan Yesus. Petrus berkata kepada Yesus, “Tuhan, sungguh baik kami di sini. Jika Tuhan mahu, aku akan mendirikan tiga buah khemah: satu untuk Tuhan, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.” Sementara Petrus berkata-kata, awan yang bersinar-sinar meliputi mereka, dan terdengar suara dari awan berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku. Dengarkanlah Dia!” Apabila pengikut-pengikut Yesus mendengar suara itu, mereka sangat ketakutan dan meniarap di tanah. Tetapi Yesus datang dan menyentuh mereka. “Bangunlah,” kata-Nya, “janganlah takut!” Apabila mereka memandang di sekeliling, mereka tidak nampak sesiapa pun, kecuali Yesus. Semasa mereka turun dari gunung itu, Yesus memerintah mereka, “Jangan beritahu sesiapa pun apa yang telah kamu lihat, selagi Anak Manusia belum dibangkitkan daripada kematian.” Pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada Yesus, “Mengapakah guru Taurat berkata bahawa Elia mesti datang terlebih dahulu?” Yesus menjawab, “Elia memang datang terlebih dahulu untuk menyediakan segala-galanya. Tetapi Aku berkata kepada kamu, Elia sudah datang namun orang tidak mengenal dia; mereka memperlakukan dia dengan sesuka hati mereka. Dengan cara yang sama mereka akan memperlakukan Anak Manusia.” Barulah pengikut Yesus mengerti bahawa Yesus berkata-kata tentang Yohanes Pembaptis. Apabila Yesus dan ketiga-tiga orang pengikut-Nya kembali kepada orang ramai, seorang lelaki datang dan berlutut di hadapan Yesus. Dia berkata, “Tuan, kasihanilah anak lelaki saya! Dia menderita penyakit gila babi. Serangan sawannya begitu teruk sehingga kerap kali dia jatuh ke dalam air atau api. Saya membawa dia kepada pengikut-pengikut tuan, tetapi mereka tidak dapat menyembuhkannya.” Yesus menjawab, “Hai kamu orang yang tidak percaya dan yang sesat! Berapa lamakah Aku harus tinggal bersama-sama kamu? Berapa lamakah Aku harus bersabar terhadap kamu? Bawa anak itu ke mari!” Yesus menengking roh jahat itu, dan roh jahat itu pun keluar daripada anak itu. Pada saat itu juga anak itu sembuh. Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang kepada Yesus, dan apabila tidak ada orang lain di situ mereka bertanya, “Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?” Yesus menjawab, “Kamu tidak dapat melakukannya, kerana kamu kurang percaya kepada Allah. Ketahuilah! Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada bukit ini, ‘Beralihlah ke sana!’ dan bukit ini akan beralih. Kamu dapat melakukan apa sahaja! [ Tetapi roh jahat semacam ini, hanya dapat diusir dengan doa dan puasa.]” Apabila semua pengikut Yesus berkumpul di Galilea, Yesus berkata kepada mereka, “Tidak lama lagi Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga, Dia akan dibangkitkan semula.” Oleh itu pengikut-pengikut-Nya berdukacita. Apabila Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di Kapernaum, para pemungut cukai Rumah Tuhan datang kepada Petrus dan bertanya, “Adakah guru kamu membayar cukai Rumah Tuhan?” Petrus menjawab, “Tentu sahaja!” Apabila Petrus masuk ke dalam rumah, dan sebelum dia berkata apa-apa, Yesus berkata kepadanya, “Simon, apa pendapatmu? Siapakah yang membayar cukai kepada raja-raja dunia ini? Rakyat atau orang asing?” “Orang asing,” jawab Petrus. “Jika demikian,” kata Yesus, “rakyat tidak perlu membayar. Tetapi janganlah kita singgung perasaan sesiapa pun. Pergilah ke tasik dan pancinglah ikan. Di dalam mulut ikan pertama yang engkau tangkap, engkau akan mendapati sekeping duit syiling yang cukup untuk membayar cukai Rumah Tuhan bagi kita berdua. Ambillah duit itu dan bayarlah cukai kita.” Pada waktu itu pengikut-pengikut Yesus datang kepada Yesus dan bertanya, “Siapakah yang dianggap terbesar antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah?” Yesus memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Lalu Yesus berkata, “Ketahuilah! Kecuali kamu mengubah sikap dan menjadi seperti kanak-kanak, kamu tidak dapat menikmati Pemerintahan Allah. Orang yang dianggap terbesar antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah adalah orang yang merendahkan diri dan menjadi seperti kanak-kanak. Sesiapa yang menyambut kanak-kanak seperti ini kerana Aku, menyambut Aku.” “Sesiapa menyebabkan salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini tidak lagi percaya kepada-Ku, lebih baik jika batu kisaran diikatkan pada leher orang itu, lalu dia ditenggelamkan ke dalam laut yang dalam. Alangkah malangnya dunia ini kerana ada perkara-perkara yang menyebabkan orang berdosa. Perkara-perkara seperti ini akan sentiasa berlaku, tetapi malanglah orang yang menyebabkannya! Jika tangan atau kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu hidup dengan Allah tanpa sebelah tangan atau sebelah kaki, daripada kamu dibuang ke dalam api neraka dengan kedua-dua belah tangan atau kaki. Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu! Lebih baik kamu hidup dengan Allah tanpa sebelah mata, daripada kamu dibuang ke dalam api neraka dengan kedua-dua belah mata.” “Awas! Jangan hina salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini. Ketahuilah, malaikat-malaikat mereka sentiasa di hadirat Bapa-Ku di syurga. [Anak Manusia datang untuk menyelamatkan orang yang sesat!] Bagaimanakah pendapat kamu? Apakah yang akan dilakukan oleh seorang yang mempunyai seratus ekor domba, jika seekor daripada kawanan domba itu sesat? Tentunya orang itu akan meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba yang sedang meragut rumput di bukit, lalu pergi mencari domba yang sesat itu. Ketahuilah! Apabila dia menjumpai domba itu, kegembiraannya atas domba yang seekor itu lebih besar daripada kegembiraannya atas sembilan puluh sembilan ekor domba lainnya yang tidak sesat. Demikian juga Bapa kamu yang di syurga tidak mahu salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini sesat.” “Jika saudaramu berdosa terhadapmu, pergilah kepadanya dan tunjukkan kesalahannya. Lakukan hal ini dengan diam-diam antara kamu berdua sahaja. Jika dia menurut kata-katamu, maka kamu berjaya mendapat kembali saudaramu. Tetapi jika tidak, bawalah seorang atau dua orang bersama-samamu. Berbuatlah demikian kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Tiap-tiap tuduhan harus dikuatkan oleh kesaksian dua atau tiga orang saksi.’ Jika dia tidak mahu menerima nasihat mereka, beritahukan perkara itu kepada jemaah. Akhirnya jika dia masih tidak mahu menerima nasihat jemaah, anggaplah dia sebagai orang yang tidak mengenal Allah atau sebagai pemungut cukai.” “Ketahuilah, apa yang kamu larang di dunia, akan dilarang juga di syurga. Apa yang kamu izinkan di dunia, akan diizinkan juga di syurga. Ketahuilah juga, setiap kali dua orang antara kamu di dunia ini bersetuju berdoa bagi perkara apa sahaja, doa itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku di syurga. Hal itu demikian kerana apabila dua atau tiga orang berkumpul kerana Aku, Aku pun di situ bersama-sama mereka.” Petrus datang kepada Yesus dan bertanya, “Ya Tuhan, jika saudaraku berdosa terhadap aku, berapa kalikah harus aku ampuni dia? Sehingga tujuh kalikah?” Yesus menjawab, “Bukan tujuh kali, tetapi tujuh puluh kali tujuh kali! Aku berkata demikian, kerana apabila Allah memerintah keadaannya seperti berikut. Seorang raja hendak memeriksa akaun pegawai-pegawainya. Apabila raja mula berbuat demikian, salah seorang pegawainya yang meminjam wang beratus-ratus juta dibawa menghadap. Pegawai itu tidak mempunyai cukup wang untuk melunaskan hutangnya. Oleh itu, raja memberikan perintah supaya pegawai itu dijual sebagai hamba bersama-sama anak isterinya dan segala harta miliknya, untuk melunaskan hutang. Pegawai itu sujud di hadapan raja dan memohon, ‘Bersabarlah terhadap hamba. Hamba akan melunaskan segala hutang hamba.’ Raja itu kasihan kepadanya lalu menghapuskan semua hutangnya dan membebaskan dia. Tetapi apabila pegawai itu keluar, dia berjumpa dengan seorang pegawai lain yang berhutang wang beberapa ratus sahaja kepadanya. Dia menangkap rakannya, lalu mencekiknya dan berkata, ‘Lunaskan semua hutangmu.’ Rakannya itu sujud di hadapannya dan memohon, ‘Bersabarlah, aku akan melunaskan hutangku!’ Tetapi pegawai itu tidak menghiraukan permohonan rakannya. Sebaliknya, dia memberikan perintah supaya rakannya dipenjarakan sehingga dia melunaskan hutangnya. Apabila pegawai-pegawai yang lain melihat hal itu, mereka sangat sedih dan melaporkan segala perkara itu kepada raja. Lalu raja memanggil pegawai yang jahat itu dan bertitah, ‘Hai hamba yang jahat! Semua hutangmu sudah dihapuskan kerana kamu memohon supaya beta mengampunimu. Sepatutnya kamu mengasihani rakanmu, sebagaimana beta sudah mengasihani kamu.’ Raja sangat murka, lalu pegawai yang jahat itu dipenjarakan dan dihukum sehingga semua hutangnya dilunaskan.” Yesus mengakhiri ceritanya dan berkata, “Demikianlah Bapa-Ku yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripada kamu, jika kamu tidak mengampuni saudaramu dengan ikhlas.” Setelah Yesus mengatakan semua perkara itu, Dia meninggalkan Galilea lalu pergi ke daerah Yudea di seberang Sungai Yordan. Banyak orang mengikut Dia, dan Dia menyembuhkan orang sakit di situ. Beberapa orang Farisi datang untuk memerangkap Yesus. Mereka bertanya, “Adakah Taurat kita membenarkan seorang lelaki menceraikan isterinya dengan sebarang alasan?” Yesus menjawab, “Belum pernahkah kamu baca ayat Alkitab yang mengatakan bahawa pada mulanya Allah menjadikan orang lelaki dan perempuan? Kemudian Allah berfirman, ‘Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu kedua-duanya menjadi satu.’ Dengan demikian mereka bukan lagi dua orang, tetapi satu. Oleh itu mereka yang telah disatukan oleh Allah, tidak boleh dipisahkan oleh manusia.” Orang Farisi di situ bertanya kepada Yesus, “Jika demikian, mengapa Musa memberikan hukum yang membenarkan seseorang menceraikan isterinya asal menulis surat cerai?” Yesus menjawab, “Musa membenarkan kamu menceraikan isteri kerana kamu terlalu sukar diajar. Tetapi sebenarnya bukanlah demikian pada mulanya. Ketahuilah, sesiapa menceraikan isterinya, kecuali kerana perzinaan, orang itu berzina jika dia berkahwin lagi dengan wanita lain.” Pengikut-pengikut Yesus berkata kepada-Nya, “Jika demikian halnya dengan kehidupan suami isteri, lebih baik tidak berkahwin.” Yesus menjawab, “Tidak semua orang dapat menerima ajaran ini, hanya mereka yang sudah dikurniai oleh Allah kemampuan untuk menerimanya. Banyak sebabnya mengapa orang tidak berkahwin: Ada yang dilahirkan demikian, ada yang dijadikan mandul, dan ada pula yang tidak berkahwin supaya dapat mengabdikan diri kepada Allah. Biarlah orang yang sanggup menerima ajaran ini, berbuat demikian.” Beberapa orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada kepala kanak-kanak itu dan mendoakan mereka. Tetapi pengikut-pengikut Yesus memarahi orang yang membawa semua kanak-kanak itu. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Allah.” Yesus meletakkan tangan-Nya pada kepala semua kanak-kanak itu. Kemudian Dia pergi. Pada suatu hari seorang lelaki datang kepada Yesus. Dia bertanya, “Guru, perbuatan baik apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?” Yesus menjawab, “Mengapakah kamu bertanya kepada-Ku tentang apa yang baik? Hanya Allah yang baik. Taatilah hukum Allah jika kamu hendak beroleh hidup sejati dan kekal.” “Hukum yang mana?” tanya orang itu. Yesus menjawab, “Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu; hormatilah ibu bapamu; dan kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” “Semua hukum ini sudah saya taati,” jawab orang muda itu. “Adakah lagi yang harus saya lakukan?” Yesus berkata kepadanya, “Jika kamu hendak menjadi sempurna, pergilah jual segala sesuatu yang kamu miliki, dan berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku.” Apabila orang muda itu mendengar hal ini, dia meninggalkan tempat itu dengan susah hati kerana dia sangat kaya. Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Ketahuilah, susah sekali bagi seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah. Aku berkata kepada kamu: Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.” Apabila pengikut-pengikut Yesus mendengar kata-kata-Nya, mereka sangat hairan. Mereka berkata, “Jika demikian siapakah yang boleh diselamatkan?” Yesus memandang mereka lalu berkata, “Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi Allah dapat melakukan segala perkara!” Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru. Apakah yang akan kami terima daripada Allah?” Yesus berkata kepada mereka, “Percayalah bahawa pada masa Anak Manusia duduk di atas takhta-Nya yang mulia di Dunia Baru Allah, kamu dua belas orang pengikut-Ku juga akan duduk di atas takhta dan memerintah dua belas suku Israel! Setiap orang yang sudah meninggalkan rumah, atau saudara lelaki, atau saudara perempuan, atau ibu bapa, atau anak-anak, atau ladang kerana Aku, akan menerima seratus kali ganda apa yang sudah ditinggalkan, serta menerima hidup sejati dan kekal. Tetapi banyak orang yang sekarang ini terdahulu akan menjadi yang terakhir, dan yang sekarang ini terakhir akan menjadi yang terdahulu.” “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti perumpamaan ini. Seorang pemilik ladang anggur keluar pada waktu fajar untuk mengupah orang bekerja di ladangnya. Dia bersetuju membayar mereka upah yang biasa dibayar untuk kerja sehari, iaitu sekeping wang perak. Lalu dia menyuruh mereka bekerja di ladang anggurnya. Pada pukul sembilan pagi, pemilik ladang itu pergi lagi ke pasar dan melihat beberapa orang sedang menganggur. Dia berkata kepada mereka, ‘Pergilah bekerja di ladang anggurku. Aku akan membayar kamu dengan upah yang berpatutan.’ Mereka pun pergi. Pada pukul dua belas tengah hari dan juga pada pukul tiga petang, pemilik ladang itu melakukan hal yang sama. Pada kira-kira pukul lima petang dia pergi lagi ke pasar dan nampak beberapa orang masih menganggur. Dia bertanya kepada mereka, ‘Mengapa sepanjang hari kamu membuang masa tanpa melakukan apa-apa?’ Mereka menjawab, ‘Tidak ada orang yang mengupah kami untuk bekerja.’ ‘Jika demikian, pergilah bekerja di ladang anggurku,’ kata pemilik ladang itu. Pada petang hari, pemilik ladang anggur itu berkata kepada ketua para pekerja, ‘Panggillah pekerja-pekerja itu dan bayarlah upah masing-masing, mulai daripada pekerja yang datang terakhir sampai kepada pekerja yang datang awal sekali.’ Pekerja yang mula bekerja dari pukul lima petang, masing-masing menerima upah sehari sebanyak sekeping wang perak. Oleh itu pekerja yang diupah sejak pagi berharap menerima lebih, tetapi mereka diberikan sekeping wang perak juga. Apabila mereka menerima wang itu, mereka mula bersungut-sungut terhadap pemilik ladang itu. Mereka berkata, ‘Pekerja-pekerja yang datang terakhir itu bekerja hanya satu jam, sedangkan kami bekerja sepanjang hari di bawah terik matahari. Tetapi jumlah yang tuan bayar kepada mereka sama dengan jumlah yang tuan bayar kepada kami!’ Pemilik ladang anggur itu menjawab salah seorang daripada mereka, ‘Dengarlah, kawan! Aku tidak menipu kamu. Bukankah kamu bersetuju bekerja dengan upah sekeping wang perak sehari? Ambillah upahmu dan pulanglah. Aku memang hendak memberi pekerja yang datang terakhir itu, upah sebanyak yang kamu terima. Tidakkah aku berhak berbuat sekehendak hatiku dengan wangku sendiri? Mengapakah kamu cemburu kerana aku murah hati?’ ” Lalu Yesus berkata lagi, “Demikianlah orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir.” Yesus dan dua belas orang pengikut-Nya pergi ke Yerusalem. Di tengah perjalanan, Yesus mengajak mereka ke tepi lalu berkata kepada mereka sahaja, “Dengarlah, kita sekarang menuju ke Yerusalem. Di sana Anak Manusia akan diserahkan kepada ketua imam dan guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya, lalu menyerahkan Dia kepada orang bukan Yahudi, yang akan mengolok-olok Dia, menyesah Dia, dan menyalibkan Dia. Tetapi pada hari ketiga, Dia akan dibangkitkan semula.” Kemudian isteri Zebedeus datang kepada Yesus dengan kedua-dua orang anaknya. Dia berlutut di hadapan Yesus dan meminta sesuatu daripada-Nya. “Apakah kehendakmu?” tanya Yesus. Ibu itu menjawab, “Berjanjilah bahawa apabila Tuan menjadi Raja, kedua-dua orang anak saya akan duduk di sebelah kanan dan kiri Tuan.” Yesus berkata kepada kedua-dua orang anak lelaki ibu itu, “Kamu tidak tahu apa yang kamu minta. Sanggupkah kamu minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum?” “Sanggup,” jawab mereka. Yesus berkata kepada mereka, “Memang kamu akan minum dari cawan penderitaan-Ku. Tetapi Aku tidak berhak menentukan orang yang akan duduk di sebelah kanan atau kiri-Ku. Bapa-Ku yang menentukan siapa orang yang akan duduk di tempat itu.” Apabila sepuluh orang pengikut-Nya yang lain mendengar hal itu, mereka marah terhadap dua orang bersaudara itu. Oleh itu Yesus memanggil mereka semua lalu berkata, “Kamu tahu bahawa para penguasa bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat. Para pemimpin mereka selalu menekan rakyat. Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Jika seorang antara kamu hendak menjadi orang besar, dia harus melayani orang lain. Jika seorang antara kamu hendak menjadi yang pertama, dia harus menjadi hamba kamu semua. Kamu harus berbuat demikian kerana Anak Manusia tidak datang untuk dilayani; Dia datang untuk melayani orang serta menyerahkan nyawa-Nya untuk membebaskan banyak orang.” Ketika Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan Yerikho, banyak orang mengikut mereka. Dua orang buta yang duduk di pinggir jalan mendengar bahawa Yesus sedang lalu di situ. Mereka mula berseru, “Ya Anak Daud, kasihanilah kami!” Orang ramai memarahi mereka dan menyuruh mereka diam. Tetapi lebih kuat lagi mereka berseru, “Ya Anak Daud, kasihanilah kami!” Yesus berhenti dan memanggil mereka. Dia bertanya, “Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untuk kamu?” Mereka menjawab, “Tuan, kami ingin melihat!” Yesus mengasihani mereka. Dia menyentuh mata mereka, dan dengan segera mereka dapat melihat. Lalu mereka mengikut Yesus. Semasa mendekati Yerusalem, Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di Betfage, sebuah pekan di Bukit Zaitun. Di situ Yesus menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi terlebih dahulu. Yesus berkata kepada mereka, “Pergilah ke pekan yang di hadapan itu. Sebaik sahaja kamu memasuki pekan itu, kamu akan nampak seekor keldai yang terikat, dan anaknya pun di situ. Lepaskan keldai itu dan bawa kedua-duanya kepada-Ku. Jika ada orang mengatakan sesuatu, katakan kepadanya, ‘Tuhan memerlukannya.’ Dengan segera orang itu akan membenarkan kedua-dua ekor keldai itu dibawa pergi.” Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh nabi, “Katakanlah kepada kota Sion, Rajamu sedang datang kepada kamu. Dia rendah hati dan menunggang seekor keldai, Dia datang mengendarai anak keldai yang muda.” Kedua-dua orang pengikut itu pun pergi dan melakukan seperti yang diarahkan oleh Yesus. Mereka membawa kedua-dua ekor keldai itu, lalu mengalasi punggung keldai dengan jubah mereka. Kemudian Yesus menungganginya. Banyak orang membentangkan jubah di atas jalan, sementara yang lain mengerat ranting-ranting pokok, lalu menyelerakkannya di jalan. Orang ramai yang berjalan di hadapan dan yang mengikut di belakang Yesus mula berseru-seru, “Pujilah Anak Daud! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan! Pujilah Allah!” Apabila Yesus masuk ke Yerusalem, seluruh kota menjadi gempar. Orang bertanya, “Siapakah dia?” “Dia Yesus, nabi dari Nasaret di Galilea,” jawab orang ramai yang mengiringi Yesus. Yesus masuk ke Rumah Tuhan, lalu mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati. Yesus berkata kepada mereka, “Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa.’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!” Orang buta dan orang tempang datang kepada Yesus di Rumah Tuhan dan Yesus menyembuhkan mereka. Ketua imam dan guru Taurat marah apabila mereka melihat mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus. Mereka marah juga apabila mendengar anak-anak berseru-seru di Rumah Tuhan, “Pujilah Anak Daud!” Mereka berkata kepada Yesus, “Adakah kamu mendengar apa yang dikatakan oleh mereka?” “Tentu sahaja,” jawab Yesus. “Belum pernahkah kamu baca ayat Alkitab berikut, ‘Ya Allah, Engkau telah mengajar anak-anak dan bayi mengucapkan pujian yang sempurna.’ ” Yesus meninggalkan mereka, lalu keluar dari kota itu dan pergi ke Betania. Dia bermalam di situ. Keesokan paginya, dalam perjalanan kembali ke kota, Yesus lapar. Dia melihat sebatang pokok ara di pinggir jalan. Dia menghampiri pokok itu, tetapi tidak mendapati satu buah ara pun. Dia mendapati daun sahaja. Yesus berkata kepada pokok itu, “Hai pokok, engkau tidak akan berbuah lagi!” Dengan segera pokok ara itu layu. Apabila pengikut-pengikut Yesus nampak kejadian itu, mereka hairan. Mereka bertanya, “Bagaimanakah pokok ara itu layu dengan serta-merta?” “Ketahuilah,” jawab Yesus, “jika kamu percaya kepada Allah dan tidak ragu-ragu, kamu akan dapat melakukan apa yang telah Aku lakukan terhadap pokok ara ini. Bukan itu sahaja, bahkan kamu akan dapat berkata kepada bukit ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut!’ Hal itu pun akan berlaku. Apabila kamu berdoa dan percaya bahawa Allah akan melakukan apa yang kamu minta, maka Dia akan melakukannya.” Yesus kembali ke Rumah Tuhan. Semasa Dia mengajar, ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi datang kepada-Nya dan bertanya, “Dengan hak siapakah kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapakah yang memberikan hak ini kepadamu?” Yesus menjawab, “Aku akan bertanya satu soalan sahaja. Jika kamu menjawabnya, Aku akan memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini. Dengan hak siapa Yohanes membaptis orang? Dengan hak Allah atau manusia?” Mereka mula berbincang sesama sendiri, “Apakah yang akan kita katakan? Jika kita menjawab, ‘Dengan hak Allah,’ Dia akan berkata, ‘Mengapakah kamu tidak percaya kepada Yohanes?’ Tetapi jika kita berkata, ‘Dengan hak manusia,’ kita takut akan apa yang mungkin dilakukan orang ramai, kerana mereka semua yakin bahawa Yohanes seorang nabi.” Oleh itu, mereka menjawab, “Kami tidak tahu.” Yesus berkata kepada mereka, “Jika demikian Aku pun tidak mahu memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.” “Sekarang bagaimana pendapat kamu?” kata Yesus selanjutnya. “Ada seorang bapa yang mempunyai dua orang anak lelaki. Dia pergi kepada anaknya yang sulung dan berkata, ‘Pergilah bekerja di ladang anggur hari ini.’ Anaknya menjawab, ‘Saya tidak mahu,’ tetapi kemudian anak itu mengubah fikirannya lalu pergi ke ladang anggur itu. Kemudian bapa itu pergi kepada anaknya yang kedua, dan mengatakan hal yang sama. ‘Baiklah ayah,’ jawab anaknya yang kedua. Tetapi dia tidak pergi. Yang manakah antara kedua-dua orang anak itu melakukan kehendak bapanya?” “Anak yang sulung,” jawab mereka. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Ketahuilah! Pemungut cukai dan pelacur akan menikmati Pemerintahan Allah lebih dahulu daripada kamu. Yohanes Pembaptis datang kepada kamu dan menunjukkan cara hidup yang dikehendaki oleh Allah, tetapi kamu tidak mahu percaya kepada ajarannya. Sebaliknya pemungut cukai dan pelacur percaya kepada ajarannya. Meskipun kamu telah melihat pemungut cukai dan pelacur berbuat demikian, kamu tidak mahu mengubah fikiran dan percaya kepada ajarannya.” “Dengarlah sebuah perumpamaan lain,” kata Yesus. “Seorang pemilik tanah mempunyai ladang anggur. Dia memasang pagar di sekelilingnya, menggali lubang tempat memeras buah anggur, dan mendirikan menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu dia berangkat ke negeri lain. Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus hamba-hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. Tetapi penyewa-penyewa ladang itu menangkap hamba-hamba pemilik ladang itu; ada yang dipukul, ada yang dibunuh, dan ada lagi yang direjam. Sekali lagi pemilik ladang itu mengutus hamba-hamba lain, lebih banyak daripada yang dahulu. Tetapi hamba-hamba itu juga menerima perlakuan yang sama. Akhirnya pemilik ladang itu mengutus anaknya kepada mereka. Dia berkata dalam hati, ‘Tentu mereka akan menghormati anakku.’ Tetapi apabila penyewa-penyewa ladang itu nampak anak pemilik ladang itu, mereka berkata sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Marilah kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya!’ Oleh itu mereka menangkap anak itu, membuang dia ke luar ladang, dan membunuh dia.” Kemudian Yesus bertanya, “Apabila pemilik ladang anggur itu kembali, apakah yang akan dilakukannya kepada penyewa-penyewa ladang itu?” Mereka menjawab, “Tentu dia akan membunuh semua orang jahat itu, lalu menyewakan ladang anggur itu kepada penyewa-penyewa lain yang mahu memberikan hasil bahagiannya pada musim anggur.” Yesus berkata kepada mereka, “Belum pernahkah kamu baca apa yang tertulis di dalam Alkitab? ‘Batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama. Inilah perbuatan Tuhan; alangkah indahnya!’ ” Yesus berkata lagi, “Ketahuilah! Hak untuk menikmati Pemerintahan Allah akan diambil daripada kamu, lalu diserahkan kepada orang yang memberikan hasil yang dikehendaki oleh Allah.” [ Sesiapa yang jatuh pada batu itu akan hancur; dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan tergilas menjadi debu.] Ketua imam dan orang Farisi mendengar perumpamaan-perumpamaan Yesus, dan mereka tahu bahawa Yesus berkata-kata tentang mereka. Oleh itu mereka cuba menangkap Yesus. Tetapi mereka takut akan orang ramai, yang menganggap Yesus sebagai nabi. Yesus berkata-kata lagi kepada orang ramai dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti perumpamaan ini. Seorang raja mengadakan majlis perkahwinan untuk puteranya. Raja menyuruh hamba-hambanya memberitahu para jemputan supaya datang ke majlis jamuan itu. Tetapi mereka tidak mahu datang. Kemudian raja itu menyuruh hamba-hambanya yang lain. Raja bertitah, ‘Beritahu para jemputan itu bahawa jamuan sudah disiapkan; lembu jantan dan anak-anak lembu yang terbaik sudah disembelih, dan semuanya sudah tersedia. Datanglah ke majlis perkahwinan!’ Tetapi para jemputan itu tidak peduli. Mereka pergi melakukan pekerjaan masing-masing: Yang seorang pergi ke ladang, yang seorang lagi pergi ke kedai, sedang yang lain menangkap hamba-hamba itu, lalu memukul dan membunuh mereka. Raja itu sangat murka dan menyuruh askar-askarnya membunuh semua pembunuh itu serta membakar kota mereka. Lalu raja memanggil hamba-hambanya dan bertitah, ‘Majlis perkahwinan sudah siap, tetapi semua orang yang dijemput itu tidak layak menerima jemputan itu. Sekarang pergilah ke jalan raya dan jemputlah seberapa banyak mungkin orang yang kamu temui, ke majlis perkahwinan ini.’ Demikianlah hamba-hamba raja itu pergi ke jalan raya dan mengumpulkan semua orang yang dijumpai mereka, orang yang baik mahupun yang jahat. Lalu penuhlah balai majlis jamuan itu dengan tetamu. Raja itu masuk untuk melihat para tetamunya, dan raja nampak seorang yang tidak memakai pakaian pesta. Raja bertitah kepadanya, ‘Kawan, engkau tidak memakai pakaian pesta. Engkau tidak patut berada di sini.’ Orang itu tidak berkata sepatah pun. Lalu raja itu bertitah kepada hamba-hambanya, ‘Ikat kaki dan tangan orang ini, dan buang dia ke luar ke tempat yang gelap. Di sana orang akan menangis dan menderita.’ ” Lalu Yesus mengakhiri perumpamaan itu sambil berkata, “Banyak yang dijemput, tetapi hanya sedikit yang terpilih.” Beberapa orang Farisi pergi dan berkomplot untuk memerangkap Yesus dengan pertanyaan. Mereka mengutus pengikut-pengikut mereka dan beberapa orang anggota golongan Herodes kepada Yesus. Mereka yang diutus berkata, “Guru, kami tahu bahawa guru jujur. Dengan terus terang guru mengajarkan kehendak Allah bagi manusia. Guru tidak menghiraukan pendapat orang lain, kerana guru tidak memandang kedudukan orang. Oleh itu, beritahu kami pendapat guru. Menurut Taurat, bolehkah kita bayar cukai kepada Kaisar Roma? Haruskah kita bayar cukai atau tidak?” Yesus mengetahui maksud mereka yang jahat itu, lalu berkata, “Kamu munafik! Mengapa kamu cuba memerangkap Aku? Tunjukkan mata wang yang kamu gunakan untuk membayar cukai!” Lalu mereka memberikan mata wang itu kepada Yesus. Yesus bertanya kepada mereka, “Gambar dan nama siapakah ini?” “Kaisar,” jawab mereka. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Jika demikian, berikan apa yang menjadi milik Kaisar kepada Kaisar, dan berikan apa yang menjadi milik Allah kepada Allah.” Apabila mereka mendengar penjelasan itu, mereka hairan. Mereka meninggalkan Yesus lalu pergi. Pada hari itu juga, beberapa orang Saduki datang kepada Yesus. Mereka berpendapat bahawa orang mati tidak akan bangkit semula. “Guru,” kata mereka, “Musa mengajarkan demikian: Jika seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, maka saudara lelakinya harus berkahwin dengan balunya untuk memberikan keturunan kepada orang yang sudah meninggal itu. Dahulu ada tujuh orang adik-beradik tinggal di sini. Yang sulung berkahwin lalu meninggal tanpa mempunyai anak. Oleh itu, saudara yang kedua berkahwin dengan balunya. Saudara yang kedua pun meninggal tanpa mempunyai anak. Hal yang sama berlaku kepada saudara yang ketiga dan seterusnya sehingga kepada yang ketujuh. Akhirnya wanita itu meninggal. Pada hari kebangkitan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Mereka semua telah berkahwin dengan dia.” Yesus menjawab, “Pendapat kamu salah sekali! Kamu tidak memahami Alkitab ataupun kuasa Allah. Apabila orang mati dibangkitkan semula, mereka akan menjadi seperti malaikat di syurga: Mereka tidak berkahwin. Tentang orang mati dibangkitkan semula, belum pernahkah kamu baca apa yang difirmankan oleh Allah? Allah berfirman, ‘Akulah Allah yang disembah Abraham, Ishak, dan Yakub.’ Oleh itu, Dia Allah orang hidup, bukan Allah orang mati.” Apabila orang ramai mendengar penjelasan Yesus, mereka hairan mendengar ajaran-Nya. Apabila orang Farisi mendengar bahawa Yesus telah menyebabkan orang Saduki tidak dapat berkata sepatah pun, mereka datang berkumpul. Lalu seorang guru Taurat antara mereka, cuba memerangkap Yesus dengan sebuah pertanyaan. Dia bertanya, “Guru, perintah manakah yang paling utama dalam Taurat?” Yesus menjawab, “ ‘Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.’ Inilah perintah yang terutama dan yang terpenting! Perintah kedua sama pentingnya dengan yang pertama: Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri. Seluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan kedua-dua perintah ini.” Apabila orang Farisi berkumpul bersama-sama, Yesus bertanya kepada mereka, “Apa pendapat kamu tentang Penyelamat yang diutus oleh Allah? Keturunan siapakah Dia?” “Keturunan Daud, ” jawab mereka. “Jika demikian,” tanya Yesus, “mengapa Daud, ketika diilhami oleh Roh Allah menyebut Penyelamat itu ‘Tuhan’? Daud berkata, ‘Tuhan telah berfirman kepada Tuhanku: duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Aku menaklukkan musuh-Mu kepada-Mu.’ Jika Daud menyebut Penyelamat yang diutus oleh Allah itu ‘Tuhan’, bagaimana mungkin Penyelamat itu keturunan Daud?” Tidak seorang pun dapat menjawab pertanyaan Yesus. Sejak hari itu, tidak seorang pun berani menanya Yesus soalan apa pun. Lalu Yesus berkata kepada orang ramai dan kepada pengikut-pengikut-Nya, “Guru Taurat dan orang Farisi diberikan kuasa untuk mentafsirkan Taurat Musa. Oleh itu taatilah dan turutilah segala yang diperintahkan mereka. Tetapi jangan lakukan apa yang dilakukan mereka, kerana perbuatan mereka tidak sesuai dengan ajaran mereka. Mereka meletakkan beban yang berat dan susah dipikul ke atas bahu orang, tetapi mereka tidak mahu menghulurkan satu jari pun untuk menolong orang memikul beban itu. Mereka melakukan segala sesuatu hanya untuk dilihat orang. Lihatlah betapa besarnya bekas ayat Alkitab yang diikat pada dahi dan lengan mereka. Perhatikan juga betapa panjangnya rumbai jubah mereka! Mereka gemar akan tempat yang terbaik di majlis jamuan, dan akan kerusi istimewa di rumah ibadat. Mereka suka dihormati orang di pasar, dan suka dipanggil ‘Guru.’ Janganlah minta orang menyebut kamu ‘Guru’, kerana kamu semua bersaudara dan Guru kamu hanya satu. Janganlah panggil sesiapa pun di dunia ini ‘Bapa’, kerana kamu hanya mempunyai satu Bapa yang di syurga. Janganlah minta orang menyebut kamu ‘Pemimpin’, kerana Penyelamat yang diutus oleh Allah itu satu-satunya pemimpin kamu. Orang yang terbesar antara kamu harus menjadi pelayan kamu. Sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.” “Alangkah malangnya kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menghalang orang menikmati Pemerintahan Allah. Bukan sahaja kamu tidak mahu menikmati Pemerintahan Allah, bahkan kamu menghalang orang yang berusaha menikmatinya. [ Alangkah malangnya kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu memperdaya balu dan merampas rumah mereka, kemudian pura-pura berdoa dengan berpanjangan. Oleh itu, kamu akan menerima hukuman yang berat!] Alangkah malangnya kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menyeberangi lautan dan menjelajah daratan untuk menjadikan seorang pemeluk agama kamu. Tetapi setelah kamu berjaya, kamu menjadikan dia layak menerima hukuman di neraka yang dua kali banyaknya seperti kamu sendiri! Alangkah malangnya kamu pemimpin buta! Kamu mengajarkan hal ini, ‘Jika seseorang bersumpah demi Rumah Tuhan, orang itu tidak terikat pada sumpahnya. Tetapi jika dia bersumpah demi emas di dalam Rumah Tuhan, dia terikat pada sumpahnya.’ Kamu orang bodoh yang buta! Manakah yang lebih mustahak: Emas atau Rumah Tuhan yang menjadikan emas itu suci? Kamu juga mengajarkan ini, ‘Jika seseorang bersumpah demi mazbah, orang itu tidak terikat pada sumpahnya, tetapi jika dia bersumpah demi persembahan di atas mazbah itu, dia terikat pada sumpahnya.’ Alangkah butanya kamu! Manakah yang lebih mustahak? Persembahan itu atau mazbah yang menjadikan persembahan itu suci? Oleh itu, apabila seseorang bersumpah demi mazbah, dia bersumpah demi mazbah itu dan demi segala persembahan di atasnya. Apabila seseorang bersumpah demi Rumah Tuhan, dia bersumpah demi Rumah itu dan demi Allah yang tinggal di situ. Apabila seseorang bersumpah demi syurga, dia bersumpah demi takhta Allah dan demi Allah yang duduk di takhta itu. Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu memberikan sepersepuluh daripada berbagai-bagai jenis rempah seperti selasih, adas manis, dan jintan kepada Allah. Tetapi kamu tidak mentaati ajaran Taurat yang betul-betul mustahak seperti keadilan, belas kasihan, dan kesetiaan. Semua perkara ini harus kamu lakukan, tanpa melalaikan ajaran yang lain. Hai pemimpin buta! Lalat di dalam minuman kamu tapis, tetapi unta kamu telan. Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, tetapi bahagian dalamnya penuh dengan apa yang kamu peroleh dengan kekerasan dan ketamakan. Hai orang Farisi, kamu buta! Bersihkan bahagian dalam cawan itu terlebih dahulu, lalu bahagian luarnya akan bersih juga! Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu seperti kubur yang bercat putih; baik di luar tetapi di dalamnya penuh dengan tulang dan mayat yang busuk. Demikianlah halnya dengan kamu! Pada lahirnya kamu kelihatan melakukan kehendak Allah, tetapi kamu sebenarnya orang jahat dan munafik.” “Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membina kubur yang elok-elok untuk para nabi, serta menghiasi kubur orang yang melakukan kehendak Allah. Kamu berkata, ‘Seandainya kami hidup pada zaman nenek moyang kami, tentu kami tidak akan mengikut perbuatan mereka yang membunuh nabi.’ Oleh itu kamu mengakui kamu keturunan orang yang membunuh nabi! Jika demikian teruskan dan selesaikan apa yang dimulakan oleh nenek moyang kamu! Kamu jahat seperti ular berbisa dan kamu keturunan orang jahat! Bagaimana mungkin kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman di neraka? Ketahuilah bahawa Aku akan mengutus nabi, orang bijak, dan guru kepada kamu. Kamu akan membunuh beberapa orang antara mereka dan menyalibkan yang lain. Kamu akan menyesah yang lain di dalam rumah ibadat, dan mengejar mereka dari satu kota ke kota lain. Akhirnya, Allah akan menghukum kamu kerana pembunuhan semua orang yang tidak bersalah itu, mulai daripada pembunuhan Habel yang tidak bersalah, sehingga pembunuhan Zakharia anak Berekia, yang kamu bunuh di antara Rumah Tuhan dan mazbah. Percayalah, orang zaman ini akan dihukum kerana semua pembunuhan itu!” “Yerusalem, Yerusalem! Engkau membunuh nabi dan merejam utusan Allah! Sudah beberapa kali Aku ingin memeluk semua pendudukmu seperti seekor induk ayam menaungi anak-anaknya di bawah sayapnya, tetapi pendudukmu tidak mahu! Yerusalem, engkau akan ditinggalkan oleh Allah, sehingga engkau terbiar. Ketahuilah bahawa mulai sekarang kamu tidak akan melihat Aku lagi sehingga kamu berkata, ‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan.’ ” Ketika Yesus meninggalkan Rumah Tuhan, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya dan menunjukkan bangunan-bangunan Rumah Tuhan itu. Yesus berkata kepada mereka, “Lihatlah semuanya ini! Ketahuilah bahawa satu batu pun tidak akan tinggal tersusun pada tempatnya; semuanya akan dirobohkan.” Di bukit Zaitun, semasa Yesus duduk, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Tiada orang lain di situ, maka mereka bertanya, “Guru, beritahulah kami bila segala perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang akan menunjukkan masa kedatangan Guru dan akhir zaman?” Yesus menjawab, “Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. Banyak orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Aku Penyelamat yang diutus oleh Allah!’ Mereka akan menipu banyak orang. Kamu akan mendengar riuh pertempuran dan berita peperangan, tetapi janganlah takut. Semua perkara ini mesti berlaku, tetapi hal itu tidak bererti bahawa akhir zaman telah tiba. Satu bangsa akan berperang melawan bangsa yang lain. Satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Di mana-mana akan berlaku kebuluran dan gempa bumi. Semuanya ini hanya permulaan sahaja, sama seperti sakit yang dialami oleh wanita yang akan bersalin. Kemudian kamu akan ditangkap dan diserahkan untuk diseksa dan dibunuh. Semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. Pada masa itu banyak antara pengikut-Ku yang tidak lagi percaya kepada-Ku. Mereka akan saling mengkhianati dan saling membenci. Lalu banyak nabi palsu akan muncul dan menipu banyak orang. Kejahatan semakin merebak sehingga kasih kebanyakan orang hampir lenyap. Tetapi sesiapa yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan. Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintah akan dikhabarkan ke seluruh dunia supaya semua orang mendengarnya. Setelah itu barulah tiba akhir zaman.” “Kamu akan melihat ‘Bencana yang Dahsyat’ yang dikatakan oleh Nabi Daniel, di tempat yang suci itu. (Catatan kepada pembaca: Hendaklah kamu faham apa maknanya!) Lalu mereka yang di Yudea mesti lari ke pergunungan. Orang yang di bumbung rumah janganlah turun dan masuk ke rumah untuk mengambil sesuatu. Orang yang di ladang janganlah balik untuk mengambil jubah. Alangkah dahsyatnya masa itu bagi wanita yang mengandung dan ibu yang menyusui bayi! Berdoalah kepada Allah supaya kamu tidak kena melarikan diri pada musim sejuk atau pada hari Sabat! Kesusahan pada masa itu jauh lebih dahsyat daripada yang pernah berlaku, sejak dunia diciptakan sehingga sekarang. Perkara itu pun tidak akan berlaku lagi. Seandainya Allah tidak memendekkan masa itu, tidak seorang pun akan selamat. Tetapi kerana umat pilihan Allah, Dia memendekkan masa itu. Pada masa itu, jika seseorang berkata kepada kamu, ‘Lihat, Penyelamat yang diutus oleh Allah ada di sini!’ atau ‘Lihat, Dia di situ!’ - janganlah percaya kepada orang itu. Penyelamat palsu dan nabi palsu akan datang. Mereka akan melakukan mukjizat dan keajaiban untuk menipu orang, bahkan umat pilihan Allah pun tertipu. Dengarlah! Aku telah mengatakan semua ini kepada kamu sebelum perkara itu berlaku. Jika orang berkata kepada kamu, ‘Lihat, dia di padang gurun!’ - janganlah kamu ke sana. Atau jika mereka berkata, ‘Lihat, dia di dalam bilik!’ - janganlah percaya. Sesungguhnya Anak Manusia akan datang seperti kilat yang memancar di seluruh langit, dari timur sampai ke barat. Di tempat yang ada mayat, di situlah burung pemakan bangkai berkumpul.” “Tidak lama selepas kesusahan masa itu, matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak lagi bercahaya. Bintang-bintang akan jatuh dari langit, dan kuasa di angkasa lepas akan ditarik daripada peredarannya. Kemudian tanda Anak Manusia akan kelihatan di langit. Pada masa itu semua bangsa di bumi akan menangis, ketika melihat Anak Manusia datang di awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. Trompet akan dibunyikan dengan kuat, dan Anak Manusia akan mengutus malaikat-malaikat-Nya ke empat penjuru bumi untuk mengumpulkan umat pilihan Allah dari hujung bumi ke hujung langit.” “Biarlah pokok ara memberikan pelajaran kepada kamu. Apabila dahan-dahannya hijau, lembut, dan mula bertunas, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. Demikian juga apabila kamu melihat semua perkara ini, kamu tahu bahawa waktunya sudah dekat dan segera akan bermula. Ingatlah! Segala perkara ini akan berlaku sebelum orang yang hidup sekarang ini mati semuanya. Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.” “Meskipun demikian, tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, sama ada malaikat-malaikat di syurga ataupun Anak; hanya Bapa yang tahu. Apabila Anak Manusia datang kelak, masa itu seperti zaman Nuh. Pada masa banjir belum melanda, orang makan dan minum, lelaki dan perempuan berkahwin sehingga pada hari Nuh masuk ke dalam bahtera. Mereka tidak tahu akan apa yang sedang berlaku sehingga banjir membinasakan mereka semua. Demikianlah keadaannya apabila Anak Manusia datang. Pada waktu itu, dua orang sedang bekerja di ladang: Seorang akan dibawa pergi dan seorang lagi akan ditinggalkan. Dua orang wanita sedang menggiling gandum: Seorang akan dibawa pergi dan seorang lagi akan ditinggalkan. Berjaga-jagalah kerana kamu tidak mengetahui waktunya Tuhan kamu akan datang. Ingatlah hal ini! Jika tuan rumah mengetahui waktunya pencuri hendak datang, dia tidak akan tidur. Dia tidak akan membenarkan pencuri memasuki rumahnya. Oleh itu, kamu pun hendaklah sentiasa bersedia, kerana Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka.” “Siapakah hamba yang setia dan bijak? Dialah orang yang ditunjuk tuannya menjadi pengurus rumah tangganya. Tuannya juga menyuruh dia memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktu yang ditentukan. Alangkah bahagianya hamba itu, jika dia didapati menjalankan tugas pada masa tuannya kembali. Percayalah, tuan itu akan mempercayakan segala hartanya kepada hamba itu. Tetapi jika hamba itu orang yang jahat, dia akan berkata dalam hati, ‘Masih lama lagi tuanku akan kembali.’ Lalu dia mula memukul hamba-hamba yang lain, dan makan minum dengan orang yang suka mabuk. Kemudian pada hari dan masa yang tidak disangkanya, tuan hamba itu kembali. Dia akan menghukum hamba itu dengan berat, dan membuang hamba itu ke tempat orang munafik dihukum. Di sana dia akan menangis dan menderita.” “Pada masa itu Pemerintahan Allah seperti perumpamaan berikut. Sepuluh orang gadis keluar membawa pelita untuk menyambut pengantin lelaki. Lima orang daripada mereka kurang bijak, tetapi lima orang yang lain bijak. Lima orang gadis yang kurang bijak membawa pelita, tetapi tidak membawa minyak tambahan. Lima orang gadis yang bijak membawa pelita dan juga bekas yang penuh dengan minyak. Pengantin lelaki itu lambat datang, maka mengantuklah semua gadis itu lalu tertidur. Pada tengah malam, terdengar suara orang berseru, ‘Pengantin lelaki datang! Mari, sambutlah dia!’ Sepuluh orang gadis itu bangun lalu memasang pelita. Lima orang gadis yang kurang bijak berkata kepada yang bijak, ‘Berilah kami sedikit minyak, kerana pelita kami hampir padam.’ ‘Tidak boleh!’ kata gadis-gadis yang bijak itu. ‘Minyak tidak cukup untuk kita semua. Pergilah ke kedai dan belilah minyak.’ Oleh itu lima orang gadis yang kurang bijak itu pergi membeli minyak. Sementara mereka pergi, pengantin lelaki tiba. Kelima-lima orang gadis yang sudah siap itu masuk bersama-sama pengantin lelaki ke balai perjamuan, dan pintu pun ditutup. Kemudian gadis-gadis yang lain itu tiba. ‘Tuan, tuan,’ seru mereka, ‘bukalah pintu untuk kami.’ Tetapi pengantin lelaki itu menjawab, ‘Aku tidak kenal kamu!’ ” Yesus mengakhiri perumpamaan-Nya dengan mengatakan, “Oleh itu, berjaga-jagalah kerana kamu tidak tahu hari ataupun waktunya.” “Pada masa itu Pemerintahan Allah seperti perumpamaan berikut. Seorang lelaki hendak berangkat ke luar negeri. Dia memanggil hamba-hambanya lalu mempercayakan hartanya kepada mereka. Setiap orang hamba diberikannya bahagian menurut kebolehan masing-masing. Yang seorang diberikannya lima ribu keping wang emas, yang lain diberikannya dua ribu keping, dan yang seorang lagi diberikannya seribu keping. Lalu orang itu pun berangkat. Hamba yang menerima lima ribu keping wang emas segera pergi berniaga, lalu mendapat keuntungan sebanyak lima ribu keping wang emas. Hamba yang menerima dua ribu keping wang emas, juga mendapat keuntungan sebanyak dua ribu keping wang emas. Tetapi hamba yang menerima seribu keping wang emas pergi menggali lubang di tanah, lalu menyembunyikan wang tuannya. Lama kemudian, tuan hamba-hamba itu pulang lalu menyuruh mereka memberikan laporan tentang apa yang dilakukan dengan wangnya. Hamba yang menerima lima ribu keping wang emas datang dan menyerahkan sepuluh ribu keping wang emas. Dia berkata, ‘Tuan menyerahkan lima ribu keping wang emas kepada saya. Lihatlah, saya berhasil mendapat keuntungan sebanyak lima ribu keping lagi.’ ‘Bagus,’ kata tuan itu, ‘kamu hamba yang baik dan setia. Oleh sebab kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!’ Lalu hamba yang menerima dua ribu keping wang emas datang dan berkata, ‘Tuan menyerahkan dua ribu keping wang emas kepada saya. Lihatlah, saya berhasil mendapat keuntungan sebanyak dua ribu keping lagi.’ ‘Bagus,’ kata tuan itu, ‘kamu hamba yang baik dan setia. Oleh sebab kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!’ Kemudian hamba yang menerima seribu keping wang emas datang dan berkata, ‘Tuan, hamba tahu bahawa tuan seorang yang keras. Tuan menuai tuaian di tempat yang tidak tuan tanami, dan tuan memungut hasil di tempat yang tidak tuan taburi dengan benih. Hamba takut, maka hamba pergi menyembunyikan wang tuan di dalam tanah. Inilah milik tuan.’ ‘Kamu hamba yang jahat dan malas!’ kata tuan itu. ‘Tidakkah kamu tahu, bahawa aku menuai tuaian di tempat yang tidak aku tanami, dan memungut hasil di tempat yang tidak aku taburi dengan benih? Jika demikian, seharusnya kamu simpan wangku di bank, supaya apabila aku balik, aku dapat menerima wangku kembali dengan faedahnya.’ Kemudian tuan itu berkata kepada hamba yang lain, ‘Ambil wang itu daripadanya, dan berikan kepada orang yang mempunyai sepuluh ribu keping wang emas. Setiap orang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi supaya dia beroleh lebih daripada cukup. Tetapi seorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga. Tentang hamba yang tidak berguna ini, buanglah dia ke luar ke tempat yang gelap. Di sana dia akan menangis dan menderita!’ ” “Apabila Anak Manusia datang sebagai Raja dengan semua malaikat Allah, Dia akan duduk di atas takhta-Nya yang mulia. Umat manusia di bumi ini akan dikumpulkan di hadapan-Nya. Kemudian Dia akan memisahkan mereka menjadi dua kumpulan, seperti gembala memisahkan domba daripada kambing. Anak Manusia akan mengumpulkan orang yang melakukan kehendak Allah di sebelah kanan-Nya dan yang lain di sebelah kiri-Nya. Kemudian Raja itu akan berkata kepada mereka yang di sebelah kanan-Nya, ‘Hai kamu yang diberkati Bapa-Ku! Marilah dan nikmatilah Pemerintahan Allah yang telah disediakan oleh Allah untuk kamu sejak dunia ini diciptakan-Nya. Ketika Aku lapar, kamu memberi Aku makan, dan ketika Aku dahaga, kamu memberi Aku minum. Aku seorang asing, tetapi kamu menyambut Aku ke dalam rumah kamu. Aku tidak berpakaian, dan kamu memberi Aku pakaian. Aku jatuh sakit, dan kamu merawat Aku. Aku dipenjarakan, dan kamu melawat Aku.’ Tetapi mereka yang melakukan kehendak Allah berkata, ‘Ya Tuhan, bilakah kami nampak Tuhan lapar lalu memberi Tuhan makan, atau dahaga lalu memberi Tuhan minum? Bilakah kami nampak Tuhan sebagai orang asing lalu menyambut Tuhan ke dalam rumah kami, atau melihat Tuhan tidak berpakaian lalu memberi Tuhan pakaian? Bilakah kami nampak Tuhan sakit lalu merawat Tuhan? Bilakah kami melawat Tuhan di penjara?’ Raja itu akan menjawab, ‘Ketahuilah, manakala kamu melakukan perkara itu untuk salah seorang daripada saudara-Ku, walaupun dia hina, kamu telah melakukannya untuk-Ku!’ Kemudian Raja itu akan berkata kepada kumpulan orang di sebelah kiri-Nya, ‘Pergi dari sini, hai kamu yang dikutuk Allah! Pergilah ke dalam api yang tidak dapat padam yang telah disediakan oleh Allah untuk Iblis dan malaikat-malaikatnya! Ketika Aku lapar, kamu tidak memberi Aku makan; ketika Aku dahaga, kamu tidak memberi Aku minum. Aku seorang asing, tetapi kamu tidak menyambut Aku ke dalam rumah kamu. Aku tidak berpakaian, tetapi kamu tidak memberi Aku pakaian. Aku jatuh sakit dan dipenjarakan, tetapi kamu tidak melawat Aku.’ Lalu mereka akan berkata kepada-Nya, ‘Ya Tuhan, bilakah kami nampak Tuhan lapar, atau dahaga, atau sebagai orang asing, atau tidak berpakaian, atau sakit, atau dipenjarakan, dan kami tidak menolong Tuhan?’ Raja itu akan menjawab, ‘Ketahuilah bahawa pada waktu kamu tidak mahu menolong salah seorang yang hina, kamu tidak mahu menolong Aku.’ Kemudian semua orang itu akan menderita hukuman yang kekal, sedangkan mereka yang melakukan kehendak Allah akan menerima hidup sejati dan kekal.” Setelah Yesus mengajarkan semua perkara itu, Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kamu tahu bahawa dua hari lagi Perayaan Paska akan dirayakan, dan Anak Manusia akan diserahkan untuk disalibkan!” Kemudian para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi berkumpul di istana Imam Agung Kayafas. Mereka berkomplot untuk menangkap Yesus dengan diam-diam dan membunuh Dia. Mereka berkata, “Kita tidak boleh melakukannya pada masa perayaan, kerana nanti rakyat merusuh.” Yesus di Betania, di rumah Simon yang dahulu berpenyakit kulit yang mengerikan. Yesus sedang makan apabila seorang wanita datang kepada-Nya. Dia membawa sebuah botol marmar berisi minyak wangi yang mahal. Dia menuang minyak wangi itu ke atas kepala Yesus. Pengikut-pengikut Yesus nampak apa yang berlaku, lalu naik marah. Mereka bertanya, “Mengapa minyak wangi itu dibazirkan? Minyak itu boleh dijual dengan harga yang tinggi dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin!” Yesus mengetahui apa yang dikatakan mereka, lalu Dia berkata kepada mereka, “Mengapa kamu menyusahkan wanita ini? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji. Orang miskin sentiasa ada di kalangan kamu, tetapi Aku tidak selamanya bersama-sama kamu. Wanita ini menuangi Aku dengan minyak wangi, dan dengan perbuatan itu dia mempersiapkan tubuh-Ku bagi penguburan-Ku. Ingatlah! Di seluruh dunia, di mana sahaja Berita Baik dikhabarkan, perbuatan wanita ini akan diceritakan untuk mengenang dia.” Kemudian seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, yang bernama Yudas Iskariot, pergi kepada para ketua imam. Dia berkata, “Apakah yang akan kamu berikan kepadaku jika aku menyerahkan Yesus kepada kamu?” Mereka mengira tiga puluh keping wang perak lalu menyerahkan wang itu kepadanya. Sejak itu Yudas mencari peluang baik untuk mengkhianati Yesus. Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, pengikut-pengikut Yesus datang kepada-Nya dan bertanya, “Di manakah Guru ingin kami sediakan jamuan Paska untuk Guru?” Yesus menjawab, “Pergilah berjumpa dengan seorang di bandar. Katakan kepadanya, ‘Guru berkata, saat-Nya sudah hampir tiba; Dia hendak merayakan Paska di rumahmu bersama dengan pengikut-pengikut-Nya.’ ” Pengikut-pengikut-Nya melakukan suruhan Yesus dan menyiapkan jamuan Paska itu. Apabila malam tiba, Yesus dan dua belas orang pengikut-Nya mula makan. Sementara mereka makan, Yesus berkata, “Ketahuilah, seorang daripada kamu akan mengkhianati Aku.” Pengikut-pengikut-Nya sangat sedih. Seorang demi seorang mula bertanya kepada Yesus, “Tentu bukan aku yang Tuhan maksudkan?” Yesus menjawab, “Orang yang ikut mencelup roti ke dalam mangkuk dengan Aku, dialah yang akan mengkhianati Aku. Memang Anak Manusia akan mati seperti yang tertulis di dalam Alkitab, tetapi alangkah malangnya orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik jika orang itu tidak pernah dilahirkan!” Lalu Yudas, pengkhianat itu berkata, “Tentu bukan saya yang guru maksudkan?” Yesus menjawab, “Demikianlah katamu!” Sementara mereka makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Ambillah roti ini dan makanlah; ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Minumlah, kamu semua. Inilah darah-Ku yang mengesahkan perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan umat-Nya; darah-Ku yang dicurahkan bagi banyak orang supaya dosa mereka diampunkan. Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru bersama-sama kamu di Dunia Baru Bapa-Ku.” Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun. Kemudian Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Pada malam ini juga kamu semua akan lari meninggalkan Aku, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan membunuh gembala itu, lalu kawanan dombanya akan tercerai-berai.’ Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan pergi ke Galilea terlebih dahulu daripada kamu.” Petrus berkata kepada Yesus, “Meskipun semua yang lain meninggalkan Guru, saya tidak akan berbuat demikian!” Yesus berkata kepadanya, “Ingatlah, sebelum ayam jantan berkokok malam ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.” Petrus menjawab, “Tidak sekali-kali saya akan berkata saya tidak mengenal Guru, meskipun saya terpaksa mati bersama-sama Guru!” Semua pengikut yang lain pun berkata demikian. Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke suatu tempat bernama Getsemani. Dia berkata kepada mereka, “Duduklah di sini sementara Aku pergi ke sana untuk berdoa.” Yesus mengajak Petrus dan kedua-dua orang anak Zebedeus pergi bersama dengan-Nya. Dia sangat sedih dan gelisah. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya. Tinggallah di sini dan berjagalah dengan Aku.” Yesus pergi lebih jauh sedikit lalu meniarap di tanah dan berdoa, “Ya Bapa, jika boleh, jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku! Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak Bapa sahaja.” Kemudian Yesus kembali kepada ketiga-tiga orang pengikut-Nya dan mendapati mereka sedang tidur. Dia berkata kepada Petrus, “Tidak dapatkah kamu bertiga berjaga dengan Aku selama satu jam? Berjaga-jagalah dan berdoalah supaya kamu tidak mengalami cubaan. Memang kamu ingin melakukan apa yang benar, tetapi kamu tidak sanggup kerana tabiat manusia lemah.” Sekali lagi Yesus pergi dan berdoa, “Ya Bapa, jika cawan penderitaan ini tidak dapat dijauhkan daripada-Ku, tetapi harus Aku minum, biarlah kehendak Bapa berlaku.” Kemudian Yesus kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan Dia mendapati mereka masih tidur kerana mengantuk. Sekali lagi Yesus meninggalkan mereka, lalu pergi dan berdoa dengan kata-kata yang sama untuk kali ketiga. Lalu Yesus kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan berkata, “Masihkah kamu tidur dan berehat? Lihatlah, saatnya sudah tiba bagi Anak Manusia diserahkan ke dalam kekuasaan orang berdosa. Bangunlah, marilah kita pergi. Lihatlah, orang yang mengkhianati Aku sudah datang!” Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka disuruh oleh para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi. Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, “Orang yang saya cium, itulah dia. Tangkaplah dia!” Apabila Yudas tiba, dia segera menghampiri Yesus dan berkata, “Salam sejahtera, Guru,” lalu mencium Yesus. Yesus menjawab, “Cepatlah, kawan!” Kemudian orang yang datang bersama-sama Yudas mendekati Yesus dan menangkap-Nya serta memegang Dia dengan kuat. Salah seorang pengikut di situ yang bersama-sama Yesus, menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung dan mengerat telinganya. Yesus berkata kepada pengikut itu, “Sarungkan pedangmu kembali, kerana semua orang yang menggunakan pedang akan terbunuh dengan pedang. Tidakkah kamu tahu bahawa Aku boleh meminta Bapa-Ku menolong Aku, dan dengan segera Bapa-Ku dapat mengirim malaikat yang lebih daripada dua belas pasukan? Tetapi Aku tidak akan meminta Bapa-Ku menolong Aku. Jika Aku berbuat demikian, bagaimanakah nubuat di dalam Alkitab yang mengatakan bahawa perkara ini harus berlaku dapat terjadi?” Lalu Yesus berkata kepada semua orang itu, “Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku, seolah-olah Aku ini penjahat? Setiap hari Aku mengajar di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku! Tetapi segala perkara ini berlaku supaya apa yang ditulis oleh para nabi di dalam Alkitab terjadi.” Kemudian semua pengikut Yesus lari meninggalkan Dia. Kumpulan orang yang menangkap Yesus membawa Dia ke rumah Imam Agung Kayafas. Di situ guru Taurat dan pemimpin masyarakat Yahudi telah berkumpul. Petrus mengikuti Yesus dari jauh sampai ke halaman rumah Imam Agung itu. Petrus masuk ke halaman itu dan duduk bersama dengan pengawal-pengawal untuk mengetahui apa yang akan berlaku. Ketua-ketua imam dan anggota lain daripada Majlis Agama berusaha untuk mencari bukti-bukti palsu bagi mendakwa Yesus, supaya mereka boleh menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. Tetapi mereka tidak mendapat satu bukti pun, walaupun banyak yang memberikan kesaksian palsu terhadap Yesus. Akhirnya dua orang tampil ke hadapan dan berkata, “Orang ini berkata, ‘Aku dapat merobohkan Rumah Tuhan dan dalam tiga hari Aku dapat membinanya semula.’ ” Lalu Imam Agung berdiri dan bertanya kepada Yesus, “Tidakkah kamu mahu menjawab tuduhan yang ditujukan kepadamu?” Tetapi Yesus diam sahaja. Sekali lagi Imam Agung berkata kepada-Nya, “Demi nama Allah yang hidup, beritahu kami! Adakah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah, iaitu Anak Allah?” Yesus menjawab, “Demikianlah katamu. Tetapi Aku berkata kepada kamu semua: Tidak lama lagi kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa, serta datang di atas awan!” Lalu Imam Agung mengoyakkan jubahnya dan berkata, “Dia mengkufuri Allah! Kita tidak memerlukan saksi lagi. Kamu telah mendengar Dia mengkufuri Allah. Apakah keputusan kamu?” Mereka menjawab, “Dia bersalah dan mesti dihukum mati.” Mereka meludahi muka Yesus dan memukul Dia. Beberapa orang yang menampar Yesus berkata, “Hai Penyelamat yang diutus oleh Allah, tekalah siapa yang memukul kamu?” Petrus sedang duduk di luar, di halaman, apabila salah seorang hamba perempuan Imam Agung datang dan berkata kepadanya, “Kamu juga bersama-sama Yesus orang Galilea itu.” Tetapi Petrus menafikan hal itu di hadapan mereka semua. Dia berkata, “Aku tidak tahu akan maksudmu.” Lalu dia pergi ke pintu halaman. Seorang hamba perempuan lain nampak Petrus dan berkata kepada semua orang di situ, “Orang ini juga bersama-sama Yesus dari Nasaret.” Sekali lagi Petrus menafikan hal itu dan menjawab, “Aku bersumpah aku tidak kenal akan orang itu!” Tidak lama kemudian, orang yang berdiri di situ datang kepada Petrus dan mereka berkata, “Tentu kamu salah seorang pengikut Yesus. Loghatmu membuktikannya.” Lalu Petrus bersumpah, “Biarlah Allah menghukum aku jika aku berdusta! Aku tidak kenal akan orang itu!” Pada saat itu juga ayam berkokok. Maka Petrus teringat bahawa Yesus sudah berkata kepadanya, “Sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal Aku tiga kali.” Petrus keluar dan menangis tersedu-sedu. Pada pagi-pagi sekali, semua ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi membuat keputusan untuk membunuh Yesus. Mereka mengikat Yesus, lalu membawa Dia pergi untuk diserahkan kepada Pilatus, gabenor kerajaan Roma. Apabila Yudas, pengkhianat itu tahu bahawa Yesus telah dijatuhi hukuman mati, dia menyesal. Lalu dia mengembalikan tiga puluh keping wang perak itu kepada para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi. Dia berkata, “Aku sudah berdosa kerana mengkhianati orang yang tidak bersalah sehingga dihukum mati!” Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak peduli! Itu urusanmu!” Yudas melempar wang itu ke dalam Rumah Tuhan lalu meninggalkan mereka. Kemudian dia pergi menggantung diri. Para ketua imam memungut wang itu dan berkata, “Wang ini upah seorang pembunuh. Menurut Taurat kita, wang ini tidak boleh dimasukkan ke dalam peti persembahan di Rumah Tuhan.” Setelah bersetuju, mereka menggunakan wang itu untuk membeli tanah yang disebut Tanah Tukang Periuk. Tanah itu digunakan sebagai perkuburan orang bukan Yahudi. Itulah sebabnya sehingga hari ini tanah itu dinamakan “Tanah Darah”. Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia, “Mereka mengambil tiga puluh keping wang perak, jumlah yang disetujui oleh orang Israel sebagai bayaran bagi Dia. Wang itu digunakan untuk membeli tanah tukang periuk, seperti yang diperintahkan oleh Tuhan kepadaku.” Yesus berdiri di hadapan Gabenor Pilatus, dan Pilatus bertanya kepada-Nya, “Adakah kamu raja orang Yahudi?” “Begitulah yang tuan katakan,” jawab Yesus. Tetapi apabila para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus, Dia diam sahaja. Oleh itu Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah kamu mendengar segala tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu?” Tetapi Yesus tidak menjawab sepatah pun, sehingga gabenor itu sangat hairan. Pada tiap-tiap Perayaan Paska, gabenor Roma biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai. Pada masa itu ada seorang tahanan yang terkenal, yang bernama Yesus Barabas. Apabila orang ramai berkumpul, Pilatus bertanya kepada mereka, “Siapakah yang kamu mahu aku bebaskan? Yesus Barabas atau Yesus yang disebut Kristus?” Pilatus tahu betul bahawa pemimpin orang Yahudi menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati. Sementara Pilatus duduk di balai pengadilan, isterinya mengirim berita kepadanya, “Janganlah turut campur perkara orang yang tidak bersalah itu, kerana saya mendapat mimpi buruk tentang dia.” Para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi menghasut orang ramai supaya meminta Pilatus membebaskan Barabas dan menghukum mati Yesus. Tetapi Pilatus bertanya kepada orang ramai, “Yang mana satu antara kedua-dua orang ini yang kamu mahu aku bebaskan?” “Barabas!” jawab mereka. “Lalu apakah yang harus aku lakukan terhadap Yesus yang disebut Kristus?” Pilatus bertanya kepada mereka. “Salibkan dia!” jawab mereka semua. Tetapi Pilatus berkata, “Kejahatan apa yang telah dilakukannya?” Kemudian mereka berteriak lebih kuat lagi, “Salibkan dia!” Apabila Pilatus sedar bahawa dia tidak boleh berbuat apa-apa lagi dan bahawa orang ramai mungkin merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangan di hadapan orang ramai. Dia berkata, “Aku tidak bertanggungjawab terhadap kematian orang ini! Kamulah yang bertanggungjawab!” Seluruh orang ramai itu menjawab, “Kami dan keturunan kami bertanggungjawab terhadap kematiannya!” Kemudian Pilatus membebaskan Barabas bagi mereka, dan menyuruh orang menyesah Yesus serta menyerahkan Dia kepada askar untuk disalib. Kemudian askar-askar Pilatus membawa Yesus ke istana gabenor, dan semua askar di situ berkumpul di sekeliling-Nya. Mereka menanggalkan pakaian Yesus lalu memakaikan jubah merah ungu pada Dia. Kemudian mereka membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri dan mengenakannya pada kepala Yesus. Askar-askar itu juga menaruh sebatang tongkat pada tangan kanan Yesus. Kemudian mereka berlutut di hadapan Yesus dan mengejek Dia. Mereka berkata, “Daulat Raja Orang Yahudi!” Mereka meludahi Dia dan mengambil tongkat itu lalu memukul kepala-Nya. Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah merah ungu itu lalu memakaikan pakaian-Nya sendiri semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib. Dalam perjalanan ke luar kota, mereka berjumpa dengan seorang lelaki dari Kirene yang bernama Simon. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. Mereka tiba di tempat bernama Golgota, yang bermakna “Tempat Tengkorak”. Di situ mereka memberikan wain yang bercampur bahan pahit kepada Yesus. Tetapi setelah Yesus mengecap minuman itu, Dia tidak mahu meminumnya. Kemudian askar-askar menyalibkan Dia, dan membahagi-bahagikan pakaian-Nya antara mereka dengan membuang undi. Setelah itu mereka duduk di sana dan mengawal Dia. Di sebelah atas kepala Yesus, terpasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: “Inilah Yesus, Raja Orang Yahudi.” Dua orang penjahat juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. Semua orang yang lalu di situ menggelengkan kepala sambil mencemuh Yesus. Mereka berkata, “Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Jika kamu Anak Allah, selamatkanlah dirimu dan turunlah dari salib!” Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi juga memperolokkan Yesus. Mereka berkata, “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Bukankah dia raja orang Israel? Jika dia turun dari salib sekarang, kami akan percaya kepadanya! Dia percaya kepada Allah dan berkata bahawa dia Anak Allah. Mari kita lihat, adakah Allah akan menyelamatkan dia sekarang?” Bahkan kedua-dua orang penjahat yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia seperti itu. Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap. Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” yang bererti, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” Beberapa orang di situ mendengar seruan Yesus, lalu berkata, “Dia memanggil Elia!” Seorang daripada mereka segera lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu, lalu dihulurkannya ke mulut Yesus. Tetapi orang lain di situ berkata, “Tunggu, mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menyelamatkan dia!” Kemudian Yesus berseru lagi dengan nyaring, lalu menghembuskan nafas yang terakhir. Kemudian tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. Bumi bergoncang, gunung batu terbelah, kubur terbuka, dan banyak umat Allah yang sudah meninggal dihidupkan semula. Mereka meninggalkan kubur, dan setelah Yesus bangkit daripada kematian, mereka masuk ke Yerusalem. Di sana banyak orang nampak mereka. Apabila ketua askar dan askar-askar yang sedang mengawal Yesus nampak gempa bumi dan segala perkara yang berlaku, mereka ketakutan. Mereka berkata, “Dia betul-betul Anak Allah!” Di situ ada juga banyak wanita yang memandang dari jauh. Mereka datang bersama-sama Yesus dari Galilea dan mereka menolong Dia. Antara mereka ialah Maria Magdalena, Maria ibu Yakobus dan Yusuf, serta ibu anak-anak Zebedeus. Pada waktu petang, seorang kaya dari Arimatea yang bernama Yusuf datang. Dia juga pengikut Yesus. Dia pergi kepada Pilatus dan meminta jenazah Yesus. Pilatus memberikan perintah supaya jenazah Yesus diserahkan kepadanya. Yusuf mengambil jenazah itu lalu membalutnya dengan kain linen baru. Dia meletakkan jenazah Yesus di dalam kubur miliknya sendiri yang baru dipahat di bukit batu. Kemudian Yusuf menggulingkan sebuah batu besar untuk menutup pintu kubur itu, lalu dia pergi. Maria Magdalena dan Maria yang lain duduk di situ menghadapi kubur itu. Keesokan harinya, pada hari Sabat, ketua-ketua imam dan orang Farisi pergi menghadap Pilatus. Mereka berkata, “Tuan, kami ingat bahawa semasa penipu itu masih hidup, dia pernah berkata, ‘Selepas tiga hari Aku akan dibangkitkan.’ Oleh itu suruhlah orang mengawal kubur itu baik-baik sehingga hari ketiga. Dengan demikian pengikut-pengikutnya tidak dapat mencuri jenazah Yesus, dan memberitahu orang bahawa dia telah dibangkitkan daripada kematian. Penipuan yang terakhir ini akan lebih buruk daripada yang pertama.” “Bawalah beberapa orang askar,” kata Pilatus kepada mereka, “pergilah dan kawallah kubur itu dengan rapi.” Lalu mereka pergi ke kubur itu, memeteraikan batu penutup kubur dan menyuruh beberapa orang askar mengawal kubur itu. Setelah hari Sabat berlalu dan fajar mula menyingsing pada hari Ahad, Maria Magdalena dan Maria yang lain pergi melihat kubur Yesus. Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang kuat. Malaikat Tuhan turun dari syurga, menggulingkan batu penutup kubur itu lalu duduk di atasnya. Rupa malaikat itu terang seperti kilat dan pakaiannya putih seperti salji. Askar-askar pengawal di situ begitu ketakutan sehingga mereka gementar lalu rebah seperti orang mati. Malaikat itu berkata kepada wanita-wanita itu, “Janganlah takut! Aku tahu bahawa kamu mencari Yesus yang telah disalibkan itu. Dia tidak ada di sini. Dia sudah bangkit seperti yang dikatakan-Nya dahulu. Marilah lihat tempat jenazah Yesus diletakkan. Sekarang, cepatlah pergi dan beritahu pengikut-pengikut-Nya, ‘Dia sudah dibangkitkan daripada kematian, dan sekarang Dia pergi ke Galilea terlebih dahulu daripada kamu. Di sana kamu akan melihat Dia.’ Ingatlah akan apa yang aku katakan kepada kamu.” Dengan cepat mereka meninggalkan kubur itu; mereka takut tetapi juga bersukacita. Lalu mereka lari memberitahu pengikut-pengikut Yesus. Tiba-tiba Yesus datang menemui wanita-wanita itu dan berkata, “Sejahteralah kamu.” Mereka menghampiri Dia, memegang kaki-Nya, dan menyembah Dia. “Janganlah takut,” kata Yesus kepada mereka, “pergilah beritahu saudara-saudara-Ku supaya pergi ke Galilea; di sana mereka akan melihat Aku.” Sementara wanita-wanita itu meneruskan perjalanan, beberapa orang askar yang mengawal kubur itu kembali ke kota dan memberitahu ketua-ketua imam segala yang sudah berlaku. Ketua-ketua imam berunding dengan para pemimpin masyarakat Yahudi, dan mengambil keputusan untuk memberikan wang yang banyak kepada askar-askar pengawal itu. Mereka berkata kepada askar-askar itu, “Kamu harus mengatakan bahawa pengikut-pengikut Yesus datang pada malam hari dan mencuri jenazah Yesus ketika kamu tidur. Jika gabenor mendengar hal ini, kami akan meyakinkan dia bahawa kamu tidak bersalah. Kamu tidak usah khuatir.” Askar-askar pengawal mengambil wang itu dan berbuat seperti yang disuruh mereka. Sehingga hari ini, cerita itu masih tersebar di kalangan orang Yahudi. Sebelas orang pengikut Yesus pergi ke bukit di Galilea seperti yang diperintahkan oleh Yesus kepada mereka. Apabila mereka melihat Yesus, mereka menyembah Dia meskipun ada di kalangan mereka yang ragu-ragu. Yesus menghampiri mereka lalu berkata, “Aku telah diberikan segala kuasa di syurga dan di bumi. Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku. Baptislah mereka dengan menyebut nama Bapa, Anak, dan Roh Allah. Ajarlah mereka mentaati segala yang sudah Aku perintahkan. Ingatlah, Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman.” Inilah Berita Baik tentang Yesus Kristus, Anak Allah. Berita Baik ini bermula seperti yang ditulis oleh Nabi Yesaya, “Allah berfirman, ‘Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia terlebih dahulu daripada-Mu, supaya dia menyediakan jalan bagi-Mu.’ Seorang berseru di padang gurun, ‘Sediakanlah jalan bagi Tuhan; luruskanlah jalan bagi-Nya!’ ” Demikianlah Yohanes muncul di padang gurun. Dia membaptis orang dan mengisytiharkan berita daripada Allah. “Bertaubatlah daripada dosa kamu dan hendaklah kamu dibaptis, supaya Allah mengampunkan dosa kamu,” kata Yohanes kepada orang ramai. Banyak sekali orang yang datang dari negeri Yudea dan kota Yerusalem untuk mendengarkan Yohanes. Mereka mengakui dosa dan Yohanes membaptis mereka di Sungai Yordan. Yohanes mengenakan pakaian yang dibuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya dibuat daripada kulit. Dia makan belalang dan madu hutan. Dia mengisytiharkan berita ini, “Dia yang lebih besar daripada aku akan datang kelak. Aku tidak layak membongkok untuk mengurai tali kasut-Nya. Aku membaptis kamu dengan air, tetapi Dia akan membaptis kamu dengan Roh Allah.” Kemudian Yesus datang dari Nasaret di negeri Galilea, lalu Yohanes membaptis Dia di Sungai Yordan. Sebaik sahaja Yesus keluar dari sungai itu, Dia nampak langit terbuka dan Roh Allah seperti burung merpati turun ke atas-Nya. Lalu terdengarlah suara Allah, “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hati-Ku.” Roh Allah segera memimpin Yesus ke padang gurun. Selama empat puluh hari Yesus di situ, dan dicubai oleh Iblis. Binatang liar juga ada di situ, dan malaikat datang menolong Dia. Setelah Yohanes dipenjarakan, Yesus pergi ke Galilea dan mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. Dia berkata, “Masanya sudah tiba; tidak lama lagi Allah akan memerintah. Bertaubatlah daripada dosa kamu dan percayalah kepada Berita Baik ini!” Sementara Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, Dia nampak dua orang nelayan, Simon dan saudaranya, Andreas. Mereka sedang menjala ikan di tasik. Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku dan Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.” Mereka segera meninggalkan jala lalu mengikut Yesus. Yesus meneruskan perjalanan-Nya, lalu melihat dua orang adik-beradik yang lain: Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Mereka sedang mengemaskan jala di dalam perahu. Sebaik sahaja Yesus nampak mereka, Dia memanggil mereka. Kedua-dua orang bersaudara itu meninggalkan bapa mereka dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Yesus. Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di kota Kapernaum. Pada hari Sabat berikutnya, Yesus pergi ke rumah ibadat dan mula mengajar. Semua orang yang mendengarkan Dia kagum dengan cara Dia mengajar, kerana Dia mengajar dengan kewibawaan, tidak seperti guru Taurat. Pada waktu itu seorang yang dirasuk roh jahat masuk ke dalam rumah ibadat dan berseru, “Engkau mahu buat apa dengan kami, hai Yesus, orang Nasaret? Adakah Engkau mahu membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Engkau utusan yang suci daripada Allah!” Yesus menengking roh itu, “Diam! Keluarlah daripada orang ini!” Roh jahat itu menggoncangkan badan orang itu kuat-kuat, lalu keluar dari orang itu sambil berteriak. Semua orang sangat hairan sehingga mereka bercakap sesama sendiri, “Apakah ini suatu ajaran baru? Orang ini berkuasa memerintah roh jahat dan roh jahat taat kepada-Nya!” Demikianlah berita tentang Yesus tersebar dengan cepat ke seluruh negeri Galilea. Yesus dan pengikut-Nya, termasuk Yakobus dan Yohanes, meninggalkan rumah ibadat itu lalu terus pergi ke rumah Simon dan Andreas. Ibu mentua Simon sedang terbaring di tempat tidur kerana demam. Apabila Yesus tiba di situ, Dia diberitahukan hal itu. Yesus menghampiri ibu mentua Simon, memegang tangannya lalu menolong dia bangun. Demamnya hilang dan dia pun mula melayani mereka. Pada petang hari, setelah matahari terbenam, orang membawa semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh jahat kepada Yesus. Semua penduduk kota itu berkumpul di hadapan rumah itu. Yesus menyembuhkan banyak orang yang menderita berbagai-bagai penyakit, dan Dia juga mengusir roh-roh jahat. Yesus tidak membenarkan roh-roh jahat berkata apa-apa, kerana roh-roh jahat tahu siapa Dia. Esok paginya, ketika masih subuh, Yesus bangun lalu meninggalkan rumah. Dia pergi ke luar kota, ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa. Simon dan sahabat-sahabatnya pergi mencari Yesus. Apabila mereka menemui Yesus, mereka berkata, “Semua orang sedang mencari Guru.” Tetapi Yesus menjawab, “Kita mesti meneruskan perjalanan ke pekan-pekan lain di sekitar kawasan ini. Aku mesti menyampaikan perkhabaran itu di sana juga, kerana untuk tujuan itulah Aku datang.” Demikianlah Yesus menjelajah seluruh Galilea dan berkhutbah di rumah ibadat serta mengusir roh-roh jahat. Seorang berpenyakit kulit yang mengerikan datang kepada Yesus. Orang itu berlutut dan memohon pertolongan-Nya. “Tuan, jika tuan sudi,” katanya, “tuan dapat menyembuhkan saya.” Yesus mengasihaninya. Dia pun menghulurkan tangan-Nya, lalu menjamah orang itu sambil berkata, “Aku mahu, sembuhlah!” Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi dan orang itu sembuh. Lalu Yesus menyuruh dia pergi sambil memperingatkan dia, “Dengarlah baik-baik, jangan beritahu sesiapa pun perkara ini. Tetapi pergilah kepada imam dan mintalah dia mengesahkan kesembuhanmu. Kemudian persembahkanlah korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu betul-betul sudah sembuh.” Tetapi orang itu pergi dan mula menyebarkan berita itu di mana-mana. Dia terus-menerus menceritakan hal itu sehingga Yesus tidak dapat masuk ke bandar secara terang-terangan. Yesus tinggal di luar bandar di tempat-tempat yang sunyi, tetapi orang dari berbagai-bagai tempat datang kepada-Nya. Beberapa hari kemudian Yesus kembali ke Kapernaum dan tersebarlah khabar bahawa Yesus di rumah. Banyak sekali orang datang berkumpul di situ, sehingga tidak ada tempat. Bahkan di pintu pun penuh sesak dengan orang. Lalu Yesus memberitakan perkhabaran daripada Allah kepada mereka. Sementara Yesus berkata-kata, datanglah empat orang yang mengusung seorang lumpuh. Tetapi kerana terlalu banyak orang, mereka tidak dapat membawa dia kepada Yesus. Oleh itu mereka membuka bumbung rumah yang terletak tepat di atas tempat Yesus. Kemudian mereka menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar. Yesus melihat bahawa mereka sangat beriman. Oleh itu Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Anak-Ku, dosamu sudah diampunkan.” Beberapa orang guru Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati, “Alangkah beraninya dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!” Pada ketika itu juga Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata kepada mereka, “Mengapa kamu berfikir demikian? Manakah yang lebih mudah: mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah, angkat tikarmu, dan berjalan’? Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.” Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Bangunlah, angkat tikarmu, dan pulanglah!” Di hadapan mereka semua, orang lumpuh itu bangkit, mengangkat tikarnya, dan segera keluar. Semua orang di situ tercengang-cengang lalu memuji Allah. Mereka berkata, “Belum pernah kami lihat perkara seperti ini!” Yesus balik semula ke pantai Tasik Galilea. Lalu orang ramai datang kepada-Nya dan Dia mula mengajar mereka. Sementara Yesus berjalan di situ, Dia melihat seorang pemungut cukai bernama Lewi anak Alfeus sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku.” Lewi berdiri lalu mengikut Yesus. Kemudian Yesus makan di rumah Lewi. Sebilangan besar pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat mengikut Yesus. Banyak antara mereka yang turut makan bersama-sama Yesus dan pengikut-Nya. Beberapa orang guru Taurat daripada golongan Farisi nampak Yesus makan bersama dengan pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat. Oleh itu mereka bertanya kepada pengikut-pengikut Yesus, “Mengapa dia makan bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?” Yesus mendengar pertanyaan mereka, lalu menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor; hanya orang sakit memerlukannya. Aku tidak datang untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi untuk orang yang dihina masyarakat.” Pada suatu ketika, para pengikut Yohanes Pembaptis dan orang Farisi sedang berpuasa. Beberapa orang datang kepada Yesus dan bertanya, “Mengapa pengikut Yohanes Pembaptis dan pengikut orang Farisi berpuasa, tetapi pengikut guru tidak?” Yesus menjawab, “Adakah tetamu di jamuan perkahwinan berpuasa? Tentu tidak! Selama pengantin lelaki masih bersama-sama mereka, mereka tidak berpuasa. Tetapi akan tiba masanya apabila pengantin lelaki itu diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa. Tidak ada orang menggunakan kain yang baru untuk menampal pakaian lama, kerana kain penampal yang baru itu akan mengecut lalu menyebabkan pakaian lama itu semakin koyak. Demikian juga tidak ada orang yang menuang wain baru ke dalam kirbat kulit lama. Jika dia berbuat demikian, wain itu akan memecahkan kirbat kulit itu dan kedua-duanya terbuang. Wain baru harus dituang ke dalam kirbat yang baru juga!” Pada suatu hari Sabat ketika Yesus sedang melewati ladang gandum, para pengikut-Nya yang berjalan bersama dengan Dia mula memetik bulir gandum. Lalu beberapa orang Farisi berkata kepada Yesus, “Lihatlah, para pengikutmu telah melanggar Taurat kita dengan melakukan perbuatan itu pada hari Sabat!” Yesus menjawab, “Belum pernahkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud ketika dia dan anak buahnya lapar? Dia masuk ke Khemah Allah lalu makan roti yang sudah dipersembahkan kepada Allah. Hal itu berlaku tatkala Abiatar bertugas sebagai Imam Agung. Menurut Taurat kita, hanya imam yang boleh makan roti itu. Tetapi Daud memakannya, malahan dia juga memberikan roti itu kepada anak buahnya.” Yesus berkata lagi, “Hari Sabat ditetapkan untuk kepentingan manusia; manusia tidak dijadikan untuk hari Sabat. Oleh itu Anak Manusia juga berkuasa atas hari Sabat.” Kemudian Yesus kembali ke rumah ibadat. Di situ ada seorang yang tangannya lumpuh sebelah. Di situ pun ada beberapa orang yang hendak mencari kesalahan Yesus, supaya mereka dapat mengajukan tuduhan terhadap Dia. Oleh itu mereka mengawasi Dia dengan rapi sama ada Dia akan menyembuhkan orang itu pada hari Sabat. Yesus berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah itu, “Marilah ke depan.” Lalu Dia bertanya kepada orang di situ, “Menurut Taurat, apakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat? Berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan orang atau membinasakan mereka?” Mereka diam sahaja. Yesus marah ketika memandang semua orang di situ, dan Dia juga sedih, kerana mereka terlalu keras kepala. Lalu Yesus berkata kepada orang itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu menghulurkan tangannya lalu tangannya pun sembuh. Maka orang Farisi meninggalkan rumah ibadat itu, lalu segera berkomplot dengan beberapa orang anggota golongan Herodes untuk membunuh Yesus. Yesus dan pengikut-Nya pergi ke Tasik Galilea. Banyak sekali orang dari Galilea mengikut Dia. Banyak juga yang datang dari Yudea, dari Yerusalem, dari kawasan Idumea, dari kawasan di sebelah timur Sungai Yordan, dan dari sekitar kota Tirus dan Sidon. Orang ramai datang kepada Yesus, kerana mereka mendengar hal-hal yang telah dilakukan-Nya. Orang begitu banyak sehingga Yesus menyuruh pengikut-Nya menyediakan perahu bagi-Nya, supaya Dia tidak terhimpit. Dia telah menyembuhkan banyak orang. Oleh itu semua orang sakit berasak-asak hendak menyentuh Dia. Setiap kali orang yang dirasuk roh jahat nampak Dia, mereka sujud di hadapan-Nya dan berseru, “Engkaulah Anak Allah!” Dengan tegas Yesus melarang roh jahat mengatakan siapa Dia. Kemudian Yesus pergi ke kawasan berbukit. Dia memanggil semua orang yang dikehendaki-Nya. Mereka datang, lalu Yesus memilih dua belas orang antara mereka. Dia berkata kepada mereka, “Aku telah memilih kamu supaya menyertai Aku. Aku juga mengutus kamu untuk mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. Kamu akan mendapat kuasa untuk mengusir roh jahat.” Inilah dua belas orang yang dipilih-Nya: Simon (yang juga disebut-Nya Petrus); Yakobus dan saudaranya, Yohanes iaitu anak-anak Zebedeus (dua orang adik-beradik ini diberikan-Nya nama Boanerges, yang bererti “anak guntur”); Andreas, Filipus, Bartolomeus, Matius, Tomas, Yakobus anak Alfeus, Tadeus, Simon Si Patriot, dan juga Yudas Iskariot yang mengkhianati Yesus. Kemudian Yesus pulang. Tetapi orang ramai datang berkumpul lagi, sehingga Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tidak sempat makan. Keluarga Yesus pergi mendapatkan Dia apabila mereka mendengar orang berkata, “Dia sudah gila!” Beberapa orang guru Taurat yang datang dari Yerusalem berkata, “Dia dirasuk oleh Beelzebul! Dia diberikan kuasa oleh ketua roh jahat untuk mengusir roh jahat.” Oleh itu Yesus memanggil semua orang itu lalu menceritakan beberapa perumpamaan kepada mereka. Dia berkata, “Bagaimana Iblis boleh mengusir Iblis? Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, akan runtuh. Keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan, akan hancur. Oleh itu, jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, kerajaan itu tidak tahan lama dan pasti akan lenyap. Tidak seorang pun dapat masuk ke dalam rumah orang yang kuat dan merampas hartanya, kecuali dia terlebih dahulu mengikat orang kuat itu. Setelah itu, barulah dia dapat merampas hartanya. Ingatlah! Segala dosa yang dilakukan orang dan semua kata kufur yang diucapkan mereka, dapat diampunkan. Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Allah, tidak dapat diampuni! Dia telah melakukan dosa yang kekal.” ( Yesus berkata demikian kerana ada orang berkata, “Dia dirasuk roh jahat.”) Kemudian ibu dan saudara-saudara Yesus datang dan menunggu di luar. Mereka menyuruh orang memanggil Yesus. Ketika itu orang ramai sedang duduk di sekeliling Yesus dan mereka berkata kepada-Nya, “Guru, lihatlah! Ibu dan saudara-saudara guru ada di luar. Mereka memanggil guru.” Yesus menjawab, “Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?” Dia memandang semua orang yang duduk di sekeliling-Nya lalu berkata, “Lihatlah, inilah ibu dan saudara-saudara-Ku! Sesiapa melakukan kehendak Allah, dialah saudara lelaki, saudara perempuan, dan ibu-Ku.” Yesus mula mengajar lagi di tepi Tasik Galilea. Orang yang mengerumuni-Nya begitu banyak sehingga Dia terpaksa duduk di sebuah perahu di tasik itu. Orang ramai berdiri di tepi tasik. Yesus mengajar banyak perkara kepada mereka dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, “Dengarlah! Seorang peladang pergi menabur benih. Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan. Lalu burung datang dan makan habis benih itu. Ada juga yang jatuh di tempat berbatu yang sedikit tanahnya. Benih-benih ini segera tumbuh kerana kurang tanah, tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu layu, lalu kering. Tumbuhan itu mati kerana akarnya tidak dalam. Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri. Semak berduri ini tumbuh dan membantutkan tumbuhan tersebut sehingga tidak berbuah. Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur. Benih-benih itu bertunas, membesar, lalu berbuah. Ada yang tiga puluh kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang seratus kali ganda hasilnya.” Lalu Yesus berkata, “Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!” Apabila Yesus sendirian, beberapa orang yang telah mendengar ajaran-Nya datang kepada-Nya bersama dengan dua belas orang pengikut-Nya. Mereka meminta Yesus menerangkan erti perumpamaan itu. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah. Tetapi orang luar akan mendengar segalanya melalui perumpamaan supaya, ‘Mereka akan melihat dan melihat, tetapi tidak nampak, mereka akan mendengar dan mendengar, tetapi tidak faham, kerana jika mereka memahaminya, mereka akan kembali kepada Allah dan Dia akan mengampuni mereka.’ ” Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, “Jika kamu tidak memahami perumpamaan ini, bagaimanakah kamu dapat memahami perumpamaan yang lain? Peladang itu menabur perkhabaran Allah. Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran Allah. Tetapi sebaik sahaja mereka mendengarnya, Iblis datang lalu mengambil perkhabaran yang sudah ditabur di dalam hati mereka. Benih yang jatuh di tempat berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu dan menerimanya dengan sukacita. Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati, sehingga mereka tidak tahan lama. Apabila mereka menderita kesusahan atau penganiayaan kerana perkhabaran itu, dengan segera mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu. Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu. Tetapi kekhuatiran tentang hidup, keinginan untuk hidup mewah, dan pelbagai keinginan lain memenuhi hati mereka dan membantutkan perkhabaran itu sehingga tidak berbuah. Tetapi benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu dan menerimanya, lalu berbuah; ada yang tiga puluh, ada yang enam puluh, dan ada yang seratus kali ganda hasilnya.” Selanjutnya Yesus berkata, “Pernahkah seseorang memasang pelita lalu meletakkannya di bawah pasu ataupun di bawah katil? Tentu pelita itu diletakkannya di atas kaki pelita. Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan apa yang dirahsiakan akan didedahkan. Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik.” Yesus juga berkata kepada mereka, “Perhatikanlah apa yang kamu dengar! Ukuran yang kamu gunakan untuk menghakimi orang akan digunakan oleh Allah juga untuk kamu - malahan lebih berat lagi! Seseorang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi; tetapi seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga.” Yesus berkata lagi, “Apabila Allah memerintah, keadaannya dapat diumpamakan seperti seorang yang menabur benih di ladangnya. Pada malam hari dia tidur; pada siang hari dia bekerja. Sementara itu, benih itu terus-menerus tumbuh dan membesar. Orang itu tidak mengerti bagaimana hal itu berlaku. Tanah itulah yang menumbuhkan tanaman sehingga berbuah: mula-mula pucuk, kemudian bulir dan akhirnya buah. Manakala buahnya masak, orang itu pun mula menuainya kerana musim menuai sudah tiba.” “Bagaimanakah keadaannya apabila Allah memerintah?” tanya Yesus. “Perumpamaan apa yang dapat kita gunakan untuk menerangkannya? Keadaannya seperti berikut. Biji sawi adalah benih yang terkecil di dunia. Seseorang mengambilnya lalu menanamnya di tanah. Beberapa waktu kemudian benih itu tumbuh dan menjadi yang terbesar di antara segala tumbuh-tumbuhan. Cabangnya rimbun sehingga burung datang membuat sarang di bawah keteduhannya.” Demikianlah Yesus mengajar dengan menggunakan banyak perumpamaan seperti itu. Dia mengajarkan perkhabaran itu sejauh mana mereka dapat mengerti. Dia sentiasa menggunakan perumpamaan apabila mengajar. Tetapi manakala Dia sendirian dengan pengikut-Nya, Dia menjelaskan segala-galanya. Pada petang hari itu juga, Yesus berkata kepada pengikut-Nya, “Marilah kita menyeberang tasik.” Sementara Yesus masih di dalam perahu, para pengikut-Nya meninggalkan orang ramai. Setelah itu pengikut-pengikut Yesus belayar bersama dengan Dia. Ada juga perahu-perahu lain yang belayar bersama-sama. Lalu angin kencang bertiup dan ombak melanda perahu sehingga hampir penuh dengan air. Tetapi Yesus sedang tidur di bahagian belakang perahu itu, dengan kepala-Nya beralaskan bantal. Pengikut-pengikut-Nya membangunkan Dia dan berkata, “Guru, tidakkah Guru peduli? Kita hampir tenggelam!” Yesus bangun lalu menengking angin, dan berkata kepada ombak, “Diam! Tenanglah!” Angin pun reda dan tasik menjadi tenang sekali. Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Mengapakah kamu takut? Mengapa kamu masih belum percaya kepada-Ku?” Mereka menjadi sangat takut sehingga mula bercakap sesama sendiri, “Siapakah orang ini? Angin dan ombak pun taat kepadanya!” Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di seberang Tasik Galilea, di daerah Gerasa. Sebaik sahaja Yesus turun dari perahu, Dia didatangi oleh seorang lelaki yang keluar dari gua kubur. Orang itu dirasuk roh jahat dan tinggal di kawasan perkuburan. Tiada seorang pun dapat mengikat dia lagi, walaupun dengan rantai. Banyak kali kaki dan tangannya dirantai, tetapi dia sentiasa memutuskan rantai itu dan mematahkan belenggu besi pada kakinya. Dia begitu kuat sehingga tiada seorang pun dapat menahaninya. Siang malam dia berkeliaran di kuburan dan di bukit, sambil berteriak-teriak dan melukai tubuhnya dengan batu. Dia masih jauh tatkala dia nampak Yesus. Segera dia lari mendekati Yesus lalu sujud di hadapan-Nya. Dengan suara keras dia berseru, “Hai Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi! Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap aku? Demi Allah, aku memohon, janganlah seksa aku!” ( Dia berkata demikian kerana Yesus berkata kepadanya, “Roh jahat, keluarlah daripada orang ini!”) Lalu Yesus bertanya kepadanya, “Siapa namamu?” Orang itu menjawab, “ ‘Legiun’ - kerana kami ini banyak sekali.” Dia memohon dengan sangat supaya Yesus tidak menyuruh roh-roh jahat itu keluar dari kawasan itu. Dekat tempat itu ada kawanan babi yang sedang mencari makan di lereng bukit. Roh-roh jahat itu memohon kepada Yesus, “Suruhlah kami masuk ke dalam babi-babi itu.” Yesus bersetuju. Kemudian roh-roh jahat itu keluar daripada orang itu lalu masuk ke dalam babi-babi itu. Kesemua babi itu - lebih kurang dua ribu ekor - terjun dari pinggir jurang ke dalam tasik lalu tenggelam. Penjaga-penjaga kawanan babi itu lari dan menyebarkan berita itu di bandar dan di kampung. Lalu penduduk keluar hendak melihat apa yang sudah berlaku. Mereka datang kepada Yesus dan nampak orang yang tadinya dirasuk roh jahat, duduk di situ. Dia sudah berpakaian dan fikirannya waras. Mereka semua ketakutan. Semua orang yang telah menyaksikan perkara itu memberitahu mereka apa yang sudah berlaku kepada orang itu dan kawanan babi itu. Oleh itu mereka meminta Yesus meninggalkan daerah itu. Ketika Yesus menaiki perahu, orang yang tadinya dirasuk roh jahat memohon kepada-Nya, “Guru, benarkanlah saya mengikut guru.” Tetapi Yesus tidak membenarkan dia ikut. Sebaliknya Yesus berkata kepadanya, “Pulanglah kepada keluargamu dan beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan dan betapa baiknya Dia kepadamu!” Demikianlah orang itu pergi ke seluruh daerah Sepuluh Kota dan memberitakan apa yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya. Semua orang yang mendengarnya kehairanan. Yesus kembali ke seberang tasik. Di pantai tasik itu, banyak sekali orang datang berkumpul di sekeliling Yesus. Yairus, ketua rumah ibadat tempatan, datang juga dan ketika dia melihat Yesus, dia sujud di hadapan Yesus. Dia memohon dengan sungguh-sungguh, “Guru, anak perempuan saya sakit tenat. Tolonglah datang dan letakkanlah tangan guru padanya, supaya dia sembuh dan tidak mati!” Yesus pun pergi bersama-sama Yairus. Orang yang mengikut Yesus amat banyak sehingga Dia diasak dari semua sisi. Di situ ada seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan teruk yang berkaitan dengan haidnya selama dua belas tahun. Dia sudah menghabiskan segala hartanya untuk membayar rawatan doktor, tetapi dia tidak sembuh, malahan semakin parah keadaannya. Wanita itu telah mendengar banyak hal tentang Yesus. Oleh itu dia datang ke tengah-tengah orang ramai dan mendekati Yesus dari belakang. “Jika aku dapat menyentuh jubah-Nya,” kata wanita itu dalam hati, “tentu aku akan sembuh.” Dia menyentuh jubah Yesus dan seketika itu juga pendarahannya berhenti. Wanita itu berasa dirinya sudah sembuh. Pada saat itu juga Yesus menyedari ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya. Yesus berpaling kepada orang ramai dan bertanya, “Siapa yang menyentuh jubah-Ku?” Pengikut-pengikut-Nya berkata, “Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Guru. Mengapa Guru bertanya siapa yang menyentuh Guru?” Tetapi Yesus memandang di sekeliling-Nya untuk mencari orang yang telah menyentuh-Nya. Wanita itu tahu akan apa yang telah berlaku pada dirinya. Dia gementar kerana takut, lalu sujud di hadapan Yesus dan memberitahu Dia segala-galanya. Yesus berkata kepada wanita itu, “Hai anak-Ku, kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera. Kamu sihat sekarang!” Semasa Yesus berkata demikian, beberapa orang pesuruh datang dari rumah Yairus dan memberitahu Yairus, “Anak perempuan tuan sudah meninggal. Tak usah tuan susahkan guru lagi.” Yesus tidak mempedulikan apa yang dikatakan oleh mereka, tetapi Dia berkata kepada Yairus, “Jangan takut, percayalah kepada-Ku!” Setelah itu Yesus tidak membenarkan sesiapa pun mengikut Dia kecuali Petrus, Yakobus, dan Yohanes, saudara Yakobus. Apabila mereka tiba di rumah Yairus, Yesus melihat keadaan yang kecoh serta mendengar tangisan dan ratapan yang kuat. Lalu Yesus masuk dan berkata kepada mereka, “Mengapa sangat kecoh dan mengapa menangis? Anak itu tidak mati; dia hanya tidur!” Mereka mula mentertawakan Yesus. Oleh itu Yesus menyuruh mereka semua keluar. Dia mengajak ibu bapa anak itu serta ketiga-tiga orang pengikut-Nya masuk ke dalam bilik tempat anak itu berbaring. Yesus memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, “Talitha kum,” yang bererti, “Anak perempuan, Aku berkata kepadamu: Bangun!” Anak perempuan itu segera bangun lalu berjalan. (Umurnya dua belas tahun.) Ketika peristiwa itu berlaku, mereka semua sangat kagum. Tetapi dengan tegas Yesus melarang mereka memberitahukan hal itu kepada sesiapa pun. Lalu Dia berkata, “Berilah anak ini makanan.” Yesus meninggalkan tempat itu, lalu pulang bersama dengan pengikut-pengikut-Nya ke kampung halaman-Nya. Pada hari Sabat Dia mula mengajar di rumah ibadat. Orang di situ sangat banyak. Apabila mereka mendengar ajaran Yesus, mereka semua hairan. Mereka berkata, “Dari manakah dia memperoleh semuanya ini? Kebijaksanaan apakah yang ada padanya? Bagaimanakah dia dapat melakukan mukjizat? Bukankah dia ini tukang kayu, anak Maria dan juga saudara Yakobus, Yoses, Yudas, dan Simon? Bukankah saudara-saudara perempuannya tinggal di sini?” Oleh itu mereka tidak mahu menerima Dia. Yesus berkata kepada mereka, “Seorang nabi dihormati di mana-mana tempat, kecuali di kampung halamannya dan antara sanak saudaranya serta keluarganya sendiri.” Dia tidak dapat melakukan satu mukjizat pun di situ. Dia hanya menyembuhkan beberapa orang sakit dengan meletakkan tangan-Nya pada mereka. Yesus sangat hairan kerana mereka tidak percaya kepada-Nya. Kemudian Yesus pergi ke kampung-kampung di sekitar tempat itu dan mengajar orang. Dia memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu mengutus mereka berdua-dua, dan memberi mereka kuasa untuk mengusir roh jahat. Dia juga memberikan perintah ini kepada mereka, “Jangan bawa apa-apa dalam perjalanan, kecuali sebatang tongkat. Jangan bawa makanan, atau beg sedekah, ataupun wang. Tetapi pakailah kasut dan sehelai baju sahaja.” Yesus juga berkata, “Di setiap tempat kamu disambut, tinggallah di rumah yang sama sehingga kamu meninggalkan kota itu. Tetapi jika kamu tiba di suatu tempat lalu penduduk di situ tidak mahu menerima kamu atau mendengar kata-kata kamu, tinggalkanlah kota itu dan kebaskanlah debu daripada telapak kaki kamu sebagai amaran kepada mereka!” Demikianlah dua belas orang pengikut Yesus pergi dan menyampaikan berita bahawa manusia harus bertaubat daripada dosa. Mereka mengusir roh jahat, menyapukan minyak zaitun pada orang sakit, dan menyembuhkan mereka. Raja Herodes mendengar segala kejadian itu, kerana nama Yesus sudah terkenal di semua tempat. Ada orang berkata, “Yohanes Pembaptis sudah hidup semula! Itulah sebabnya dia mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat.” Tetapi yang lain berkata, “Dia Elia.” Ada pula yang berkata, “Dia itu nabi, seperti salah seorang nabi zaman dahulu.” Ketika mendengar hal itu, Raja Herodes bertitah, “Dialah Yohanes Pembaptis! Dengan perintah beta, kepalanya sudah dipancung, tetapi dia hidup semula!” Dahulu Raja Herodes memberikan perintah supaya Yohanes ditangkap, diikat lalu dimasukkan ke dalam penjara. Raja Herodes berbuat demikian kerana Herodias, yang telah dikahwininya walaupun sebenarnya wanita itu isteri Filipus, saudara Raja Herodes. Yohanes selalu menegur Raja Herodes, katanya, “Tuanku bersalah kerana berkahwin dengan isteri saudara tuanku!” Itulah sebabnya Herodias menaruh dendam terhadap Yohanes dan ingin membunuh dia. Tetapi Herodias tidak dapat melakukan hal itu kerana dihalang oleh Raja Herodes. Raja Herodes takut akan Yohanes kerana Raja Herodes tahu bahawa Yohanes seorang yang baik dan diutus oleh Allah. Oleh itu Raja Herodes menjaga keselamatan Yohanes. Raja Herodes suka mendengar kata-kata Yohanes, meskipun kata-katanya membuat Raja Herodes sangat gelisah. Akhirnya Herodias mendapat peluang pada hari keputeraan Raja Herodes. Raja Herodes mengadakan jamuan untuk semua pegawai tinggi kerajaan, pegawai tentera, dan tokoh-tokoh masyarakat Galilea. Anak perempuan Herodias menari dan menghiburkan hati Raja Herodes serta tetamunya. Oleh itu Raja Herodes bertitah kepada anak gadis itu, “Anakanda ingin apa? Ayahanda akan memberikan apa sahaja yang anakanda ingini!” Lalu Raja Herodes berjanji kepada gadis itu dengan sumpah. Raja Herodes bertitah, “Ayahanda berjanji memberikan apa sahaja yang anakanda minta, bahkan separuh daripada kerajaan ayahanda sekalipun!” Oleh itu gadis itu keluar dan bertanya kepada ibunya, “Apakah yang sebaiknya saya minta?” Ibunya menjawab, “Mintalah kepala Yohanes Pembaptis.” Gadis itu segera kembali kepada Raja Herodes dan berkata, “Anakanda minta ayahanda memberi anakanda kepala Yohanes Pembaptis di atas talam sekarang juga!” Setelah mendengar permintaan itu, Raja Herodes sangat berdukacita. Tetapi Raja Herodes tidak dapat menolak permintaan itu kerana telah berjanji dengan sumpah di hadapan semua tetamunya. Lalu Raja Herodes memberikan perintah kepada askarnya untuk mengambil kepala Yohanes Pembaptis. Askar itu meninggalkan istana, pergi ke penjara lalu memancung kepala Yohanes. Kemudian kepala itu diletakkannya di atas talam, dibawanya ke istana, dan diserahkannya kepada gadis itu. Lalu gadis itu menyerahkan kepala Yohanes kepada ibunya. Apabila pengikut Yohanes mendengar hal itu, mereka mengambil jenazah Yohanes dan mengebumikannya. Rasul-rasul yang diutus oleh Yesus kembali kepada Yesus, dan melaporkan segala yang sudah dilakukan dan diajarkan oleh mereka. Orang yang datang dan pergi di tempat itu sedemikian banyak sehingga Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tidak sempat makan. Oleh itu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Marilah kita pergi ke tempat yang sunyi supaya kita dapat sendirian dan kamu pun boleh berehat sekejap.” Oleh itu mereka bertolak dengan perahu ke tempat yang sunyi. Tetapi orang ramai nampak mereka meninggalkan tempat itu dan mengenal mereka. Lalu orang dari semua kota di kawasan itu berlari melalui jalan darat supaya mendahului Yesus dan pengikut-Nya ke tempat yang ditujui mereka. Apabila Yesus turun dari perahu, Dia nampak orang ramai di situ. Hati-Nya penuh belas kasihan kerana mereka seperti domba tanpa gembala. Dia pun mula mengajarkan banyak perkara kepada mereka. Apabila hari sudah petang, pengikut-pengikut Yesus datang dan berkata kepada-Nya, “Hari sudah hampir malam dan tempat ini terpencil. Suruhlah semua orang ini pergi. Biarlah mereka pergi ke pekan dan kampung di sekitar sini untuk membeli makanan.” Tetapi Yesus menjawab, “Sebaiknya kamu beri mereka makanan.” Pengikut-pengikut-Nya bertanya, “Adakah Guru mahu kami pergi membeli roti seharga dua ratus keping wang perak supaya kami dapat memberikan makanan kepada mereka?” Yesus berkata kepada mereka, “Pergilah lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu.” Setelah mereka pergi melihat, mereka berkata, “Lima ketul roti dan dua ekor ikan.” Lalu Yesus memberitahu pengikut-pengikut-Nya supaya menyuruh semua orang di situ duduk berkelompok-kelompok di rumput yang hijau. Mereka pun duduk dengan teratur dalam kelompok. Ada yang seratus orang sekelompok dan ada pula yang lima puluh orang. Setelah itu Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti itu lalu menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. Dia juga membahagi-bahagikan dua ekor ikan itu kepada mereka semua. Tiap-tiap orang makan sehingga kenyang. Selepas itu pengikut-pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul. Jumlah orang lelaki yang makan roti itu kira-kira lima ribu orang. Yesus segera menyuruh pengikut-pengikut-Nya pergi terlebih dahulu dengan perahu ke Betsaida di seberang tasik, sementara Dia menyuruh orang ramai pulang. Setelah Yesus melihat orang ramai itu pergi, Dia pun pergi ke bukit untuk berdoa. Apabila hari sudah malam, perahu pengikut-pengikut Yesus sudah ada di tengah-tengah tasik, sedangkan Yesus seorang diri di darat. Yesus nampak pengikut-pengikut-Nya bersusah payah mendayung perahu kerana angin bertiup dari arah yang berlawanan. Oleh itu, kira-kira antara pukul tiga dan enam pagi, Dia berjalan di atas air dan menghampiri mereka. Yesus hendak mendahului mereka, tetapi mereka nampak Dia berjalan di atas air. “Hantu!” teriak mereka. Mereka sangat ketakutan ketika melihat Yesus. Tetapi Yesus segera berkata kepada mereka, “Tabahkan hati kamu! Aku Yesus. Jangan takut!” Lalu Dia menaiki perahu mereka dan angin pun teduh. Pengikut-pengikut-Nya sangat hairan, kerana masih belum faham akan apa yang telah berlaku dengan lima ketul roti itu; mereka tidak dapat memahaminya. Mereka menyeberang tasik lalu tiba di Genesaret. Di situ mereka menambat perahu itu. Ketika mereka meninggalkan perahu, orang ramai mengenal Yesus dengan serta-merta. Lalu mereka berlari ke seluruh kawasan itu. Di mana-mana mereka tahu Yesus ada, mereka membawa semua orang sakit yang terbaring di atas tikar kepada-Nya. Ke mana sahaja Yesus pergi, baik ke kampung, ke kota, ataupun ke pekan, penduduk di situ membawa semua orang sakit ke padang tempat orang berkumpul. Lalu mereka memohon supaya setidak-tidaknya Yesus membenarkan semua orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Maka semua orang yang menyentuhnya sembuh. Beberapa orang Farisi dan guru Taurat yang datang dari Yerusalem, berkumpul di sekeliling Yesus. Mereka melihat beberapa orang pengikut Yesus makan dengan tangan yang tidak bersih menurut agama, iaitu tanpa terlebih dahulu membasuh tangan menurut peraturan agama Yahudi. Baik orang Farisi mahupun orang Yahudi lain, semuanya menurut adat istiadat nenek moyang. Mereka tidak akan makan sebelum membasuh tangan menurut cara-cara yang ditetapkan. Makanan yang dibeli di pasar tidak akan dimakan, sebelum dibasuh terlebih dahulu. Banyak lagi peraturan lain yang diamalkan oleh mereka, seperti cara membasuh cawan, mangkuk, dan periuk tembaga. Oleh itu semua orang Farisi dan guru Taurat di situ bertanya kepada Yesus, “Mengapakah pengikutmu tidak menurut adat istiadat nenek moyang kita? Mengapakah mereka makan dengan tangan yang tidak dibasuh?” Yesus menjawab, “Tepat sekali apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, tatkala dia bernubuat tentang kamu! Kamu munafik, seperti yang dituliskan oleh Yesaya di dalam kitabnya, ‘Demikianlah firman Allah: Semua orang ini menghormati Aku dengan kata-kata, tetapi hati mereka sebenarnya jauh daripada-Ku. Sia-sialah mereka menyembah Aku, kerana peraturan manusia diajarkan oleh mereka seolah-olah peraturan itu hukum Allah!’ Kamu tidak mempedulikan perintah Allah supaya kamu dapat menurut ajaran manusia.” Yesus berkata pula, “Cerdik sekali cara kamu menolak perintah Allah untuk mempertahankan ajaran kamu sendiri. Musa memberikan perintah ini, ‘Hormatilah ibu bapamu,’ dan ‘Orang yang mencaci ibu bapa mesti dihukum mati.’ Tetapi kamu memberikan ajaran berikut: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, ‘Apa yang seharusnya saya gunakan untuk menolong ayah dan emak, sudah saya jadikan Korban. Semuanya sudah saya persembahkan kepada Allah.’ Maka orang itu tidak payah menolong ibu bapanya. Dengan jalan ini ajaran yang kamu sampaikan kepada orang lain, meniadakan firman Allah. Banyak lagi perkara seperti ini yang kamu lakukan.” Lalu sekali lagi Yesus memanggil orang ramai itu dan berkata kepada mereka, “Dengarlah supaya kamu mengerti! Tiada sesuatu pun dari luar yang masuk ke dalam seseorang, dapat menajiskan dia. Sebaliknya, apa yang keluar daripada seseorang menajiskan dia. [ Oleh itu, jika kamu bertelinga, dengarlah!]” Apabila Yesus meninggalkan orang ramai lalu masuk ke rumah, pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada-Nya tentang perumpamaan itu. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu mengerti? Tiada sesuatu pun dari luar yang masuk ke dalam seseorang dapat menajiskan dia, kerana apa yang masuk itu tidak ke dalam hati, melainkan ke dalam perut, lalu keluar lagi.” Dengan kata-kata ini Yesus menyatakan bahawa semua makanan boleh dimakan. Yesus berkata lagi, “Apa yang keluar daripada seseorang menajiskan dia, kerana dari hatilah timbul fikiran jahat yang menyebabkan orang berbuat cabul, merompak, membunuh, berzina, tamak; melakukan segala perkara yang jahat, seperti menipu, berbuat yang tidak senonoh, cemburu, memfitnah, sombong, dan tidak berbudi pekerti. Semua perkara jahat ini timbul dari dalam dan hal itulah yang menajiskan orang.” Kemudian Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke kawasan dekat kota Tirus. Dia masuk ke dalam sebuah rumah. Dia tidak mahu orang tahu bahawa Dia di situ, tetapi Dia tidak dapat menyembunyikan diri. Seorang ibu, yang anak perempuannya dirasuk roh jahat mendengar perihal Yesus. Dia segera datang kepada-Nya lalu sujud di hadapan-Nya. Wanita itu bukan orang Yahudi dan dia dilahirkan di daerah Fenisia di Siria. Dia memohon supaya Yesus mengusir roh jahat yang merasuk anaknya. Tetapi Yesus menjawab, “Anak-anak harus diberikan makanan terlebih dahulu, kerana tidak patut kita mengambil makanan mereka lalu melemparkannya kepada anjing.” “Tuan,” jawab wanita itu, “anjing di bawah meja pun makan sisa yang dijatuhkan oleh anak-anak!” Yesus berkata kepadanya, “Kerana jawapanmu itu, pulanglah; roh jahat sudah keluar daripada anak perempuanmu!” Ketika ibu itu tiba di rumah, dia mendapati anaknya terbaring di katil, dan roh jahat benar-benar sudah keluar daripada anak itu. Kemudian Yesus meninggalkan daerah sekitar Tirus dan meneruskan perjalanan ke Tasik Galilea melalui Sidon. Dia melalui daerah Sepuluh Kota. Di situ beberapa orang membawa seorang tuli yang ada kecacatan pertuturan, kepada-Nya. Mereka memohon supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada orang itu. Yesus membawa dia ke tepi, jauh dari orang ramai, lalu memasukkan jari-Nya ke dalam kedua-dua belah telinga orang itu. Setelah itu Yesus meludah dan menjamah lidah orang itu. Kemudian Yesus menengadah ke langit dan menarik nafas panjang. Lalu Dia berkata kepada orang itu, “Effata,” yang bererti, “Terbukalah!” Seketika itu juga telinga orang itu terbuka, lidahnya pulih, lalu dia mula bercakap dengan mudah. Selepas itu Yesus melarang mereka menceritakan hal itu kepada sesiapa pun. Tetapi semakin Yesus melarang, semakin mereka menceritakannya. Semua orang yang mendengar hal itu sangat hairan. Mereka berkata, “Sungguh baik perbuatannya! Dia pun dapat membuat orang tuli mendengar dan orang bisu bercakap!” Tidak lama kemudian, ada lagi orang ramai datang berkumpul. Apabila mereka kehabisan makanan, Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya dan berkata, “Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-sama Aku, dan sekarang mereka kehabisan makanan. Jika Aku menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka akan pengsan di tengah jalan, kerana ada antara mereka yang datang dari jauh.” Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di tempat terpencil ini, di manakah orang boleh mendapat cukup makanan untuk semua orang ini?” Yesus bertanya kepada mereka, “Berapa banyak roti yang ada pada kamu?” “Tujuh ketul,” jawab mereka. Yesus menyuruh orang ramai duduk di atas tanah. Lalu Dia mengambil tujuh ketul roti itu dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti itu, lalu menyerahkannya kepada para pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. Pengikut-Nya pun berbuat demikian. Mereka juga mempunyai beberapa ekor ikan kecil. Yesus mengucap syukur kepada Allah bagi ikan itu, lalu menyuruh pengikut-Nya membahagi-bahagikan ikan itu juga. [8-9] Semua orang makan sehingga kenyang - ada kira-kira empat ribu orang di situ. Selepas itu pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan roti dan ikan sebanyak tujuh buah bakul. Kemudian Yesus menyuruh orang ramai pulang. *** Sesudah itu Dia segera menaiki perahu bersama-sama para pengikut-Nya, lalu pergi ke daerah Dalmanuta. Beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan mula bersoal jawab dengan Dia. Mereka hendak memerangkap Dia. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah. Yesus mengeluh lalu menjawab, “Mengapakah orang zaman ini meminta Aku melakukan mukjizat? Tidak! Tanda semacam itu tidak akan diberikan kepada mereka!” Yesus meninggalkan mereka, lalu kembali ke perahu dan mula menyeberangi tasik. Pengikut Yesus lupa membawa roti yang cukup. Mereka hanya mempunyai seketul roti di perahu. Yesus memperingatkan mereka, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan ragi Herodes.” Mereka mula mempersoalkan hal itu. Mereka berkata, “Dia berkata demikian kerana kita tidak membawa roti.” Yesus mengetahui apa yang dipersoalkan mereka. Oleh itu Dia bertanya kepada mereka, “Mengapa kamu mempersoalkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham juga? Adakah fikiran kamu sedemikian tumpul? Kamu mempunyai mata, mengapa tidak dapat melihat? Kamu mempunyai telinga, mengapa tidak dapat mendengar? Tidakkah kamu ingat bagaimana Aku membahagikan lima ketul roti untuk lima ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?” Mereka menjawab, “Dua belas.” Yesus bertanya lagi, “Ketika Aku membahagikan tujuh ketul roti untuk empat ribu orang, berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?” Mereka menjawab, “Tujuh.” Yesus berkata, “Dan kamu masih belum faham juga?” Mereka tiba di Betsaida. Di situ beberapa orang membawa seorang buta kepada Yesus, dan mereka memohon supaya Yesus menyentuh dia agar dia sembuh. Yesus memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya keluar dari pekan itu. Setelah Yesus meludahi mata orang itu, Dia meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu, lalu bertanya kepadanya, “Dapatkah kamu lihat sesuatu?” Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, “Ya. Saya nampak orang, tetapi mereka seperti pokok yang berjalan.” Sekali lagi Yesus meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Kali ini orang itu memandang dengan seboleh-bolehnya. Matanya sembuh, dan dia melihat segala-galanya dengan jelas sekali. Lalu Yesus menyuruh dia pulang, dan berkata kepadanya, “Jangan masuk lagi ke pekan itu.” Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Yesus bertanya kepada mereka, “Menurut kata orang, siapakah Aku ini?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis; ada pula yang berkata Elia, sedangkan yang lain berkata salah seorang nabi.” “Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?” tanya Yesus. Petrus menjawab, “Guru ialah Kristus, Penyelamat yang diutus oleh Allah!” Lalu Yesus memerintah mereka, “Jangan beritahu sesiapa pun perkara tentang diri-Ku.” Kemudian Yesus mula mengajar pengikut-pengikut-Nya, “Anak Manusia mesti mengalami banyak penderitaan, dan tidak akan diterima oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari, Dia akan bangkit semula.” Yesus mengatakan hal ini kepada mereka dengan jelas sekali. Oleh itu Petrus menarik Yesus ke tepi dan mula menegur Dia. Tetapi Yesus berpaling dan memandang pengikut-pengikut-Nya, lalu menegur Petrus, “Pergilah dari sini, hai Iblis! Fikiranmu itu fikiran manusia, bukan fikiran Allah!” Kemudian Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai di situ. Dia berkata kepada mereka, “Jika seseorang hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidupnya untuk-Ku dan untuk Berita Baik daripada Allah, akan menyelamatkannya. Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati? Dapatkah hidup itu ditukar dengan sesuatu? Tentu tidak. Jika seseorang malu mengakui Aku dan ajaran-Ku pada zaman yang derhaka dan jahat ini, Anak Manusia juga akan malu mengakui orang itu, apabila Dia datang kelak dengan kemuliaan Bapa-Nya berserta malaikat-malaikat-Nya yang suci.” Yesus berkata lagi, “Ketahuilah! Ada beberapa orang di sini yang tidak akan meninggal, sebelum melihat Allah memerintah dengan penuh kuasa!” Enam hari kemudian Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, pergi menyendiri ke sebuah gunung yang tinggi. Ketika mereka memandang Yesus, rupa Yesus berubah. Pakaian-Nya menjadi putih bersinar-sinar. Tiada sesiapa pun di bumi dapat membasuh kain sehingga menjadi seputih itu. Lalu ketiga-tiga orang pengikut itu nampak Elia dan Musa berkata-kata dengan Yesus. Petrus berkata kepada Yesus, “Guru, sungguh baik kami di sini. Kami akan mendirikan tiga buah khemah: satu untuk Guru, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.” Sebenarnya Petrus tidak mengetahui apa yang harus dikatakannya, kerana dia dan kedua-dua orang kawannya sangat takut. Lalu awan meliputi mereka dan terdengar suara dari awan berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dengarkanlah Dia!” Mereka melihat di sekeliling, tetapi tidak nampak sesiapa pun bersama-sama mereka kecuali Yesus. Ketika mereka turun dari gunung itu, Yesus memperingatkan mereka, “Jangan beritahu sesiapa pun apa yang telah kamu nampak, selagi Anak Manusia belum bangkit daripada kematian.” Mereka menurut perintah-Nya, tetapi mula mempersoalkan makna “bangkit daripada kematian”. Mereka bertanya kepada Yesus, “Mengapakah guru Taurat berkata bahawa Elia mesti datang terlebih dahulu?” Yesus menjawab, “Elia memang datang terlebih dahulu untuk menyediakan segala-galanya. Tetapi, mengapa di dalam Alkitab tertulis bahawa Anak Manusia akan mengalami banyak penderitaan serta dihina orang? Aku berkata kepada kamu: Elia sudah datang dan orang memperlakukan dia dengan sesuka hati mereka. Hal itu tepat seperti yang tertulis di dalam Alkitab tentang dirinya.” Apabila mereka kembali kepada pengikut-pengikut yang lain, mereka nampak orang ramai di situ. Beberapa orang guru Taurat sedang bersoal jawab dengan pengikut-pengikut Yesus. Sebaik sahaja orang ramai melihat Yesus, mereka kehairanan, lalu berlari menyambut Dia. Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apa yang kamu persoalkan dengan mereka?” Seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, saya membawa anak saya kepada pengikut-pengikut guru. Dia bisu kerana dirasuk roh jahat. Apabila roh jahat menyerang dia, tubuhnya dibanting-banting ke tanah dan mulutnya berbuih. Giginya berkertak dan badannya menjadi kaku. Saya meminta pengikut-pengikut guru mengusir roh jahat itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” Yesus berkata kepada mereka, “Hai kamu orang yang tidak percaya! Berapa lamakah harus Aku tinggal bersama-sama kamu? Berapa lamakah harus Aku bersabar terhadap kamu? Bawa anak itu ke mari!” Mereka pun membawa dia kepada Yesus. Sebaik sahaja roh jahat itu melihat Yesus, roh jahat itu membuat anak itu kena sawan sehingga anak itu jatuh terguling-guling ke tanah. Mulutnya berbuih. Yesus bertanya kepada bapa anak itu, “Sudah berapa lamakah dia begini?” Bapanya menjawab, “Sejak dia masih kanak-kanak lagi! Sering kali roh jahat itu cuba membunuhnya dengan membuang dia ke dalam api atau air. Kasihanilah kami dan tolonglah kami, sekiranya guru dapat menolong!” “Apa katamu? Jika guru dapat?” jawab Yesus. “Orang yang percaya kepada Allah dapat melakukan segala sesuatu!” Bapa itu segera berseru, “Saya percaya, tetapi iman saya kurang. Tolonglah saya supaya lebih percaya lagi!” Yesus melihat bahawa orang ramai mula datang berkerumun. Oleh itu Dia memerintah roh jahat itu dengan berkata, “Roh tuli dan bisu, Aku memerintah kamu keluar daripada anak ini dan jangan sekali-kali masuk lagi!” Roh jahat itu berteriak dan membuat anak itu berkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat sehingga semua orang berkata, “Dia sudah mati!” Tetapi Yesus memegang tangannya dan menolong dia bangun. Anak itu pun berdiri. Kemudian Yesus masuk ke dalam rumah. Apabila tiada orang lain di situ, pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?” Yesus menjawab, “Tiada cara lain yang dapat mengusir roh jahat semacam ini, kecuali dengan doa.” Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan tempat itu lalu meneruskan perjalanan melalui Galilea. Yesus tidak mahu orang tahu di mana Dia, kerana Dia sedang mengajar pengikut-pengikut-Nya. Dia berkata, “Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia, lalu Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian Dia akan bangkit semula!” Mereka tidak memahami makna ajaran itu, tetapi mereka takut bertanya kepada Yesus. Mereka tiba di Kapernaum. Setelah mereka masuk ke rumah, Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apakah yang kamu persoalkan di tengah jalan tadi?” Mereka tidak menjawab, kerana sewaktu dalam perjalanan, mereka mempersoalkan siapa yang terbesar. Yesus duduk, lalu memanggil dua belas orang pengikut-Nya. Dia berkata kepada mereka, “Sesiapa yang mahu menjadi pertama, mesti menjadi yang terakhir dan menjadi hamba semua orang.” Setelah itu Dia memanggil seorang kanak-kanak, lalu menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Yesus memeluk kanak-kanak itu sambil berkata kepada mereka, “Sesiapa yang menyambut kanak-kanak seperti ini kerana Aku, menyambut Aku. Sesiapa yang menyambut Aku, menyambut bukan Aku sahaja, tetapi juga Allah yang mengutus Aku.” Yohanes berkata kepada Yesus, “Guru, kami nampak seorang mengusir roh jahat dengan nama Guru. Kami melarang dia, kerana dia tidak termasuk golongan kita.” Yesus berkata kepada mereka, “Jangan larang dia, kerana tiada seorang pun yang telah melakukan mukjizat dengan nama-Ku, akan segera memburuk-burukkan Aku. Sesiapa yang tidak melawan kita, berpihak kepada kita. Ingatlah! Sesiapa yang memberi kamu minuman kerana kamu pengikut Kristus, pasti akan menerima pahalanya.” “Sesiapa menyebabkan salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini tidak lagi percaya kepada-Ku, lebih baik jika batu kisaran diikatkan pada leher orang itu, lalu dia dibuang ke dalam laut. Jika tanganmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah tangan itu! Lebih baik kamu hidup tanpa sebelah tangan daripada kamu dengan kedua-dua belah tangan masuk ke dalam neraka, ke dalam api yang kekal. [ Di sana ulat tidak dapat mati dan api tidak pernah padam.] Jika kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah kaki itu! Lebih baik kamu hidup tanpa sebelah kaki daripada kamu dengan kedua-dua belah kaki dibuang ke dalam neraka. [ Di sana ulat tidak dapat mati dan api tidak pernah padam.] Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah mata itu! Lebih baik kamu menikmati Dunia Baru Allah dengan hanya sebelah mata, daripada kamu dengan kedua-dua belah mata dibuang ke dalam neraka. Di sana ulat tidak dapat mati dan api tidak pernah padam. Setiap orang akan dimurnikan dengan api, sebagaimana persembahan korban dimurnikan dengan garam. Garam itu baik, tetapi jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi. Hendaklah kamu menjadi seperti garam serta hidup rukun.” Kemudian Yesus meninggalkan tempat itu. Dia pergi ke daerah Yudea dan daerah di seberang Sungai Yordan. Orang ramai berkumpul lagi di sekeliling Yesus, dan seperti biasa Yesus mula mengajar mereka. Beberapa orang Farisi datang hendak memerangkap Dia. Mereka bertanya, “Menurut Taurat kita, bolehkah orang menceraikan isteri?” Yesus menjawab dengan bertanya, “Apakah perintah yang diberikan oleh Musa kepada kamu?” Mereka menjawab, “Musa membenarkan seseorang menceraikan isterinya asal menulis surat cerai.” Yesus berkata kepada mereka, “Musa menulis perintah itu kerana kamu terlalu sukar diajar. Tetapi pada mula-mulanya, pada waktu Allah menciptakan manusia, ada dikatakan bahawa ‘Allah menjadikan mereka lelaki dan perempuan. Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya lalu bersatu dengan isterinya, dan kedua-duanya menjadi satu.’ Dengan demikian mereka bukan lagi dua orang tetapi satu. Oleh itu mereka yang telah disatukan oleh Allah, tidak boleh dipisahkan oleh manusia!” Setelah mereka pulang ke rumah, pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada Yesus tentang hal itu. Yesus berkata kepada mereka, “Seorang lelaki yang menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, berzina terhadap isterinya yang pertama. Demikian juga seorang wanita yang menceraikan suaminya lalu berkahwin dengan lelaki lain, pun berzina.” Beberapa orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada kanak-kanak itu dan memberkati mereka. Tetapi pengikut-pengikut-Nya memarahi mereka. Ketika Yesus nampak hal ini, Dia marah lalu berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Allah. Ingatlah! Orang yang tidak menyambut Pemerintahan Allah seperti seorang kanak-kanak, tidak dapat menikmati Pemerintahan Allah.” Lalu Yesus memeluk semua kanak-kanak di situ, kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada tiap-tiap anak, dan memberkati mereka. Ketika Yesus meneruskan perjalanan-Nya, seorang lelaki berlari ke arah Yesus. Dia sujud di hadapan Yesus lalu bertanya, “Guru yang baik, apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?” “Mengapa kamu mengatakan Aku baik?” tanya Yesus. “Tiada seorang pun yang baik kecuali Allah. Kamu tahu akan hukum Allah: ‘Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu; jangan menipu; hormatilah ibu bapamu.’ ” “Guru,” kata orang itu, “sejak muda saya telah menurut semua hukum itu.” Dengan penuh kasih Yesus memandang orang itu lalu berkata, “Tinggal satu perkara sahaja yang perlu kamu lakukan. Pergilah jual segala yang kamu miliki; berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku.” Apabila orang itu mendengar kata-kata Yesus, mukanya muram. Dia terus meninggalkan tempat itu dengan susah hati kerana dia sangat kaya. Yesus memandang pengikut-pengikut-Nya lalu berkata kepada mereka, “Alangkah susahnya bagi orang kaya menikmati Pemerintahan Allah!” Pengikut-pengikut-Nya terperanjat mendengar kata-kata Yesus itu. Tetapi Yesus berkata pula, “Hai anak-anak-Ku, memang susah untuk menikmati Pemerintahan Allah! Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.” Pengikut-pengikut Yesus hairan mendengar kata-kata itu, lalu mereka bertanya sesama sendiri, “Jika demikian, siapakah yang boleh diselamatkan?” Yesus memandang mereka lalu menjawab, “Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi tidak mustahil bagi Allah kerana Allah dapat melakukan segala perkara.” Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru.” “Betul!” kata Yesus, “Percayalah kepada-Ku: Sesiapa yang meninggalkan rumah tangganya, atau saudara lelakinya atau saudara perempuannya, atau ibunya, atau bapanya, atau anak-anaknya, atau ladangnya kerana Aku dan kerana Berita Baik itu, akan menerima lebih banyak lagi pada zaman ini. Orang itu akan menerima seratus kali ganda rumah, saudara lelaki, saudara perempuan, ibu, anak-anak, ladang, dan juga penganiayaan. Pada zaman yang akan datang orang itu akan beroleh hidup sejati dan kekal. Tetapi banyak orang yang sekarang ini terdahulu akan menjadi yang terakhir, dan yang sekarang ini terakhir akan menjadi yang terdahulu.” Yesus dan pengikut-pengikut-Nya sedang dalam perjalanan ke Yerusalem. Yesus berjalan di hadapan, sementara pengikut-pengikut-Nya mengikuti-Nya dengan cemas. Orang ramai yang mengikut mereka pun takut. Sekali lagi Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya ke tepi, lalu berkata kepada mereka tentang apa yang akan berlaku terhadap diri-Nya. “Dengarlah,” kata-Nya, “Kita sekarang sedang menuju ke Yerusalem. Di situ Anak Manusia akan diserahkan kepada para ketua imam dan guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya, lalu menyerahkan Dia kepada orang bukan Yahudi. Mereka akan mengolok-olok Dia, meludahi Dia, menyesah Dia, dan membunuh Dia. Tetapi selepas tiga hari, Dia akan bangkit semula.” Lalu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus datang kepada Yesus. “Guru,” kata mereka, “ada satu perkara yang kami hendak Guru lakukan untuk kami.” “Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untuk kamu?” tanya Yesus. Mereka menjawab, “Apabila Guru bertakhta dalam kemuliaan, benarkanlah kami duduk di sebelah kanan dan kiri Guru.” Yesus berkata kepada mereka, “Kamu tidak mengetahui apa yang kamu minta. Sanggupkah kamu minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum? Sanggupkah kamu mengalami baptisan penderitaan yang akan Aku alami?” “Sanggup,” jawab mereka. Yesus berkata kepada mereka, “Memang kamu akan minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum dan kamu akan mengalami baptisan penderitaan seperti yang akan Aku alami. Tetapi Aku tidak berhak menentukan orang yang akan duduk di sebelah kanan atau kiri-Ku. Allah yang menentukan siapa orangnya yang akan duduk di tempat itu.” Ketika sepuluh orang pengikut-Nya yang lain mendengar hal itu, mereka marah terhadap Yakobus dan Yohanes. Yesus memanggil mereka semua lalu berkata, “Kamu tahu bahawa para penguasa bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat. Para pemimpin mereka selalu menekan rakyat. Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Jika seorang antara kamu hendak menjadi besar, dia harus melayani orang lain. Jika seorang antara kamu hendak menjadi yang pertama, dia harus menjadi hamba kamu semua. Anak Manusia tidak datang untuk dilayani; Dia datang untuk melayani orang serta menyerahkan nyawa-Nya untuk membebaskan banyak orang.” Mereka tiba di Yerikho. Ketika Yesus meninggalkan kota itu dengan pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai, ada seorang buta yang duduk minta sedekah di pinggir jalan. Namanya Bartimeus anak Timeus. Apabila orang buta itu mendengar bahawa yang sedang lalu di situ adalah Yesus orang Nasaret, dia mula berseru, “Yesus, Anak Daud! Kasihanilah hamba!” Orang ramai memarahi dia dan menyuruh dia diam. Tetapi lebih keras lagi dia berseru, “Anak Daud, kasihanilah saya!” Yesus berhenti lalu berkata, “Panggillah dia.” Mereka memanggil orang buta itu. “Jangan kecil hati!” kata mereka. “Bangunlah, Yesus memanggil kamu.” Orang buta itu pun melempar jubahnya, lalu melompat dan pergi kepada Yesus. Yesus bertanya kepadanya, “Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untukmu?” Orang buta itu menjawab, “Guru, saya ingin melihat.” “Pergilah,” kata Yesus, “kamu sembuh kerana kamu percaya kepada-Ku.” Pada saat itu juga orang itu dapat melihat, lalu dia mengikut Yesus di jalan. Ketika mendekati Yerusalem, mereka sampai ke kota Betfage dan Betania, di Bukit Zaitun. Di situ Yesus menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi terlebih dahulu. Yesus berkata kepada mereka, “Pergilah ke kampung yang di hadapan itu. Apabila kamu tiba di situ kamu akan nampak seekor anak keldai yang terikat, yang belum pernah ditunggangi orang. Lepaskanlah dan bawalah keldai itu ke sini. Jika ada orang bertanya kepada kamu ‘Mengapa kamu melepaskan keldai ini?’ katakanlah, ‘Guru memerlukannya dan segera akan mengembalikannya.’ ” Pengikut-pengikut itu pergi dan mendapati seekor anak keldai yang terikat pada pintu sebuah rumah di pinggir jalan, lalu mereka melepaskannya. Beberapa orang yang berdiri di situ bertanya kepada mereka, “Apa yang kamu lakukan? Mengapa kamu melepaskan keldai ini?” Mereka menjawab seperti yang diarahkan oleh Yesus, lalu orang di situ pun membiarkan mereka pergi. Mereka membawa anak keldai itu kepada Yesus, lalu mengalas punggung keldai itu dengan jubah mereka. Kemudian Yesus menungganginya. Banyak orang membentangkan jubah di atas jalan, sementara yang lain mengerat dahan-dahan di ladang lalu menyelerakkannya di jalan. Orang ramai yang berjalan di hadapan dan yang mengikut di belakang mula berseru-seru, “Pujilah Allah! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan. Diberkatilah pemerintahan-Nya yang akan datang - pemerintahan Daud nenek moyang kita! Pujilah Allah!” Yesus masuk ke Yerusalem, lalu pergi ke Rumah Tuhan sambil memandang di sekeliling-Nya. Tetapi kerana hari sudah petang, Dia pergi bersama-sama dua belas orang pengikut-Nya ke Betania. Esoknya, ketika mereka balik dari Betania, Yesus lapar. Dari jauh Dia nampak sebatang pokok ara yang lebat daunnya. Yesus mendekati pokok itu untuk melihat sama ada pokok itu berbuah. Tetapi apabila Dia tiba di pokok itu, Dia mendapati daun-daun sahaja, kerana pada masa itu belum musim buah ara. Yesus berkata kepada pokok ara itu, “Tiada sesiapa pun akan makan buah ara daripadamu lagi!” Pengikut-pengikut-Nya mendengar kata-kata Yesus itu. Ketika mereka tiba di Yerusalem, Yesus pergi ke Rumah Tuhan lalu mula mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati. Dia tidak membenarkan orang membawa apa-apa pun melalui halaman Rumah Tuhan. Kemudian Dia mengajar orang ramai di situ. Dia berkata, “Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa untuk semua bangsa!’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!” Para ketua imam dan guru Taurat mendengar kata-kata itu. Oleh itu mereka mula mencari jalan untuk membunuh Yesus. Mereka takut akan Dia, kerana semua orang kagum mendengar ajaran-Nya. Menjelang malam, Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan kota itu. Pada keesokan paginya, ketika mereka melewati pokok ara itu, mereka melihat pokok itu sudah mati sehingga ke akar-akarnya. Petrus teringat akan apa yang telah berlaku. Dia berkata kepada Yesus, “Guru, lihatlah, pokok ara yang Guru kutuki sudah mati!” Yesus menjawab, “Percayalah kepada Allah. Maka kamu dapat berkata kepada bukit ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut!’ Jika kamu tidak ragu-ragu, tetapi percaya bahawa apa yang kamu katakan itu akan berlaku, perkara itu pun akan dilakukan untuk kamu. Oleh itu ingatlah: Apabila kamu berdoa dan minta sesuatu, percayalah bahawa kamu telah menerimanya, kerana apa sahaja yang kamu minta akan diberikan kepada kamu. Apabila kamu berdiri untuk berdoa, ampunkanlah kesalahan sesiapa pun, supaya Bapa kamu yang di syurga juga akan mengampunkan dosa kamu. [ Jika kamu tidak mengampuni orang lain, Bapa kamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan dosa kamu.]” Mereka kembali lagi ke Yerusalem. Ketika Yesus berjalan di dalam Rumah Tuhan, para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi datang kepada-Nya. Mereka bertanya, “Dengan hak siapakah kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapakah yang memberikan hak kepadamu untuk melakukannya?” Yesus menjawab, “Aku akan bertanya satu soalan sahaja kepada kamu. Jawablah dan Aku akan memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini. Katakanlah, dengan hak siapakah Yohanes membaptis orang? Dengan hak Allah atau manusia?” Mereka mula berbincang sesama sendiri, “Apakah yang akan kita katakan? Jika kita menjawab, ‘Dengan hak Allah,’ Dia akan berkata, ‘Mengapakah kamu tidak percaya kepada Yohanes?’ Tetapi jika kita berkata, ‘Dengan hak manusia...’ ” (Mereka takut akan orang ramai, kerana semua orang berpendapat bahawa Yohanes seorang nabi.) Oleh itu mereka menjawab, “Kami tidak tahu.” Yesus berkata kepada mereka. “Jika demikian Aku pun tidak mahu memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.” Kemudian Yesus berkata-kata kepada para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, “Ada seorang yang menanami ladang anggur. Dia memasang pagar di sekelilingnya, menggali lubang tempat memeras buah anggur, dan mendirikan menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu dia berangkat ke negeri lain. Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus seorang hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. Tetapi penyewa-penyewa ladang itu menangkap hamba itu, memukul dia lalu menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. Pemilik ladang itu mengutus seorang hamba lain, tetapi penyewa-penyewa ladang itu memukul kepala hamba itu dan mempermalukan dia. Lalu pemilik ladang itu mengutus seorang lagi hambanya, tetapi mereka membunuh dia. Demikianlah mereka memperlakukan banyak lagi hamba yang lain: Ada yang dipukul dan ada juga yang dibunuh. Hanya tinggal seorang yang dapat diutus, iaitu anaknya sendiri yang dikasihinya. Akhirnya pemilik ladang itu mengutus anaknya kepada penyewa-penyewa ladang itu. ‘Tentu mereka akan menghormati anakku,’ katanya. Tetapi penyewa-penyewa ladang itu bercakap sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Marilah kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya!’ Oleh itu mereka menangkap anak itu, membunuh dia, lalu membuang mayatnya ke luar ladang itu.” Lalu Yesus bertanya kepada mereka, “Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang itu? Tentu dia akan datang dan membunuh semua penyewa itu, lalu menyerahkan ladang anggur itu kepada penyewa-penyewa lain. Tentu kamu sudah membaca ayat ini di dalam Alkitab, ‘Batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama. Inilah perbuatan Tuhan; alangkah indahnya!’ ” Para pemimpin Yahudi itu berusaha untuk menangkap Yesus, kerana mereka tahu bahawa Yesus menujukan perumpamaan itu kepada mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. Oleh itu mereka meninggalkan Yesus. Beberapa orang Farisi dan anggota golongan Herodes diutus untuk memerangkap Yesus dengan beberapa pertanyaan. Mereka datang kepada Yesus dan berkata, “Guru, kami tahu bahawa guru jujur dan tidak menghiraukan pendapat orang lain. Guru tidak memandang kedudukan orang, tetapi guru mengajar kehendak Allah bagi manusia dengan terus terang. Katakanlah, menurut Taurat bolehkah kita membayar cukai kepada Kaisar Roma? Haruskah kita membayarnya atau tidak?” Yesus mengetahui kemunafikan mereka. Dia menjawab, “Mengapa kamu cuba memerangkap Aku? Cuba perlihatkan sekeping wang perak kepada-Ku.” Mereka memberikan sekeping wang perak kepada-Nya. Lalu Yesus bertanya, “Gambar dan nama siapakah ini?” “Kaisar,” jawab mereka. “Jika demikian,” kata Yesus, “berikan apa yang dimiliki oleh Kaisar kepada Kaisar, lalu berikan apa yang dimiliki oleh Allah kepada Allah.” Mereka kagum mendengar kata-kata Yesus. Beberapa orang Saduki datang kepada Yesus. (Mereka berpendapat bahawa orang mati tidak akan bangkit semula.) “Guru,” kata mereka, “Musa memberikan hukum ini kepada kami: ‘Jika seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, maka saudara lelakinya harus berkahwin dengan balunya supaya orang yang sudah meninggal itu mendapat keturunan.’ Dahulu ada tujuh orang adik-beradik. Yang sulung berkahwin tetapi meninggal tanpa mempunyai anak. Lalu yang kedua berkahwin dengan balunya, tetapi dia pun meninggal tanpa mempunyai anak. Hal yang sama berlaku kepada saudara yang ketiga, dan seterusnya sehingga kepada yang ketujuh. Tujuh orang adik-beradik itu berkahwin dengan wanita yang sama, lalu meninggal tanpa mempunyai anak. Akhirnya wanita itu sendiri meninggal. Pada hari kebangkitan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Tujuh orang adik-beradik itu sudah berkahwin dengan dia.” Yesus menjawab, “Pendapat kamu salah sekali! Tahukah kamu apa sebabnya? Kamu tidak memahami Alkitab ataupun kuasa Allah. Apabila orang mati dibangkitkan, mereka akan menjadi seperti malaikat di syurga, mereka tidak berkahwin. Tentang orang mati dibangkitkan semula, belum pernahkah kamu baca di dalam kitab Musa kisah tentang belukar yang bernyala itu? Di dalam kisah itu tertulis bahawa Allah berfirman kepada Musa, ‘Akulah Allah yang disembah Abraham, Ishak, dan Yakub.’ Oleh itu, Dia Allah orang hidup, bukan Allah orang mati. Pendapat kamu salah sama sekali!” Di situ ada seorang guru Taurat yang mendengar perbincangan mereka. Dia melihat bahawa Yesus telah menjawab soalan orang Saduki dengan baik. Oleh itu dia bertanya kepada Yesus, “Perintah manakah yang paling utama di antara semua perintah?” Yesus menjawab, “Inilah perintah yang paling utama, ‘Dengarlah, hai bangsa Israel! Tuhan Allah kita, Dialah Tuhan Yang Esa. Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan seluruh akalmu, dan dengan segala kekuatanmu.’ Perintah yang kedua ialah, ‘Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Tiada lagi perintah lain yang lebih utama daripada kedua-dua perintah ini.” Guru Taurat itu berkata kepada Yesus, “Bagus, guru! Memang benar apa yang guru katakan: Tuhanlah Allah Yang Esa dan tidak ada yang lain. Manusia harus mengasihi Allah dengan sepenuh hati, dengan seluruh akal, dan dengan segala kekuatannya. Dia juga harus mengasihi sesama manusia seperti dia mengasihi diri sendiri. Mematuhi kedua-dua perintah ini lebih mustahak daripada mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan dan korban-korban lain.” Yesus melihat bahawa guru Taurat itu menjawab dengan bijak. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Kamu tidak jauh daripada Pemerintahan Allah.” Selepas itu tidak seorang pun berani mengajukan pertanyaan kepada Yesus. Sewaktu Yesus mengajar di Rumah Tuhan, Dia bertanya, “Bagaimanakah guru Taurat boleh mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud? Sedangkan Daud, ketika diilhami oleh Roh Allah, berkata, ‘Tuhan telah berfirman kepada Tuhanku: duduklah di sebelah kanan-Ku sehingga Aku menakluki musuh-Mu ke bawah kaki-Mu.’ Daud menyebut Penyelamat yang diutus oleh Allah itu ‘Tuhan’. Bagaimana mungkin Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud?” Orang ramai di Rumah Tuhan suka mendengar ajaran Yesus. Sewaktu Yesus mengajar mereka, Dia berkata, “Berhati-hatilah dengan guru Taurat. Mereka suka berjalan-jalan dengan memakai jubah panjang, dan suka dihormati orang di pasar. Mereka memilih tempat terbaik di dalam rumah ibadat dan di majlis jamuan. Mereka memperdaya balu serta merampas rumah mereka, kemudian pura-pura berdoa dengan berpanjangan. Mereka akan menerima hukuman yang amat berat!” Sewaktu Yesus duduk dekat peti persembahan di Rumah Tuhan, Dia memerhati orang memasukkan wang ke dalam peti itu. Sebilangan besar orang kaya memasukkan banyak wang. Lalu seorang balu yang miskin datang dan memasukkan dua keping mata wang tembaga yang sangat kecil nilainya. Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu berkata kepada mereka, “Ketahuilah, balu yang miskin ini memberikan persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain. Semua orang lain memberikan persembahan daripada kelebihan kekayaan mereka, tetapi balu ini, walaupun dia sangat miskin, memberikan segala yang ada padanya - dia mendermakan semua nafkahnya.” Ketika Yesus meninggalkan Rumah Tuhan, seorang daripada para pengikut-Nya berkata, “Guru, lihatlah! Betapa indahnya batu-batu dan bangunan-bangunan ini!” Yesus menjawab, “Kamu melihat bangunan-bangunan yang indah ini, bukan? Satu batu pun tidak akan tinggal tersusun pada tempatnya. Semuanya akan dirobohkan.” Kemudian Yesus pergi ke Bukit Zaitun lalu duduk di tempat yang berhadapan dengan Rumah Tuhan. Petrus, Yakobus, Yohanes, dan Andreas datang kepada-Nya. Mereka berkata kepada Yesus, “Guru, beritahulah kami; bilakah semua perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa masanya sudah tiba?” Yesus berkata kepada mereka, “Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. Banyak orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah dia!’ Mereka akan menipu banyak orang. Janganlah risau apabila kamu mendengar riuh pertempuran dan berita peperangan. Semua perkara ini mesti berlaku, tetapi hal itu tidak bererti bahawa akhir zaman telah tiba. Satu bangsa akan berperang melawan bangsa yang lain. Sebuah kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Di mana sahaja akan berlaku gempa bumi dan kebuluran. Semua ini hanya permulaan, sama seperti sakit yang dialami wanita yang akan bersalin. Kamu sendiri mesti berhati-hati. Kamu akan ditangkap dan dibawa ke mahkamah. Kamu akan dipukul di rumah ibadat. Kamu akan dihadapkan kepada penguasa dan raja kerana kamu pengikut-Ku, lalu kamu akan mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada mereka. Berita Baik itu mesti dikhabarkan terlebih dahulu kepada semua bangsa. Apabila kamu ditangkap dan dibawa ke mahkamah, janganlah khuatir tentang apa yang harus kamu katakan. Apabila tiba masanya, katakanlah apa yang diberitahu kepada kamu pada waktu itu. Kata-kata yang kamu ucapkan itu bukan kata-kata kamu sendiri, tetapi datang daripada Roh Allah. Orang akan mengkhianati saudara sendiri supaya dibunuh. Bapa juga akan berbuat demikian terhadap anak-anak. Anak-anak akan melawan ibu bapa dan menyerahkan mereka supaya dibunuh. Semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. Tetapi orang yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.” “Kamu akan melihat ‘Bencana yang Dahsyat’ di tempat yang terlarang baginya. (Catatan kepada pembaca: Hendaklah kamu faham apa maknanya!) Pada waktu itu mereka yang di Yudea mesti lari ke pergunungan. Orang yang di bumbung rumah janganlah turun dan masuk ke dalam rumah untuk mengambil sesuatu. Orang yang di ladang janganlah balik untuk mengambil jubah. Alangkah dahsyatnya masa itu bagi wanita yang mengandung dan ibu yang menyusui bayi! Berdoalah kepada Allah supaya perkara-perkara ini tidak berlaku pada musim sejuk! Pada masa itu akan timbul suatu kesusahan yang belum pernah berlaku, sejak Allah menjadikan dunia hingga sekarang. Perkara itu pun tidak akan berlaku lagi. Seandainya Allah tidak memendekkan masa itu, tidak seorang pun akan selamat. Tetapi kerana umat-Nya yang terpilih, Allah memendekkan masa itu. Pada masa itu jika seseorang berkata kepada kamu, ‘Lihat, Penyelamat yang diutus oleh Allah ada di sini!’ atau ‘Lihat, Dia di situ!’ - janganlah percaya kepada orang itu. Penyelamat palsu dan nabi palsu akan datang. Mereka akan melakukan mukjizat dan keajaiban untuk menipu orang, jika mungkin umat pilihan Allah juga. Berjaga-jagalah! Semua perkara itu telah Aku katakan kepada kamu sebelum semuanya berlaku.” “Selepas masa kesusahan itu, matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak lagi bercahaya. Bintang-bintang akan jatuh dari langit dan kuasa di angkasa lepas akan ditarik daripada peredarannya. Barulah Anak Manusia akan kelihatan datang dikelilingi awan dengan kekuasaan besar dan kemuliaan. Dia akan mengutus malaikat-malaikat ke empat penjuru bumi untuk mengumpulkan umat pilihan-Nya dari hujung bumi ke hujung langit.” “Biarlah pokok ara memberikan pelajaran kepada kamu. Apabila dahan-dahannya hijau, lembut, dan mula bertunas, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. Demikian juga apabila kamu melihat perkara-perkara ini berlaku, kamu tahu bahawa waktunya sudah dekat dan akan bermula dengan segera. Ingatlah! Segala perkara ini akan berlaku sebelum orang yang hidup sekarang ini mati semuanya. Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.” “Meskipun demikian, tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, baik malaikat-malaikat di syurga ataupun Anak; hanya Bapa yang tahu. Berjaga-jagalah dan berwaspadalah, kerana kamu tidak mengetahui waktunya. Keadaannya seperti seorang yang meninggalkan rumahnya lalu pergi ke tempat yang jauh. Dia menyuruh hamba-hambanya menjaga rumah, setelah dia memberikan tugas kepada mereka. Kepada penjaga pintu, dia berpesan supaya berjaga baik-baik. Oleh itu, berjaga-jagalah, kerana kamu tidak mengetahui waktunya tuan rumah itu balik; mungkin pada petang hari, tengah malam, subuh, atau pada waktu matahari terbit. Jika dia datang dengan tiba-tiba, janganlah kamu didapati tidur. Apa yang Aku katakan kepada kamu, Aku katakan juga kepada semua orang: Berjaga-jagalah!” Dua hari sebelum Perayaan Paska dan Perayaan Roti Tidak Beragi, ketua imam dan guru Taurat mencari jalan untuk menangkap Yesus dengan diam-diam. Mereka hendak membunuh dia. Tetapi mereka berkata, “Kita tidak boleh melakukannya pada masa perayaan, kerana rakyat akan merusuh.” Yesus ada di Betania, di rumah Simon yang dahulu berpenyakit kulit yang mengerikan. Ketika Yesus sedang makan, seorang wanita datang kepada-Nya. Dia membawa sebuah botol marmar yang berisi minyak wangi mahal daripada akar wangi. Dia memecahkan botol itu lalu menuang minyak wangi itu ke atas kepala Yesus. Beberapa orang di situ marah dan bercakap sesama sendiri, “Apa gunanya minyak wangi itu dibazirkan? Minyak itu dapat dijual dengan harga lebih daripada tiga ratus keping wang perak, dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin!” Mereka mengecam wanita itu. Tetapi Yesus berkata, “Biarkanlah dia! Mengapa kamu menyusahkan dia? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji. Orang miskin sentiasa ada antara kamu. Jika kamu hendak menolong mereka, bila-bila pun boleh. Tetapi Aku tidak selamanya bersama-sama kamu. Wanita ini melakukan apa yang dapat dilakukannya. Dia menuangi Aku dengan minyak wangi untuk menyediakan tubuh-Ku bagi penguburan-Ku sebelum waktunya. Ingatlah! Di seluruh dunia, di mana sahaja Berita Baik dikhabarkan, perbuatan wanita ini akan diceritakan untuk mengenang dia.” Kemudian Yudas Iskariot, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, pergi kepada para ketua imam dengan maksud untuk menyerahkan Yesus kepada mereka. Mereka suka sekali mendengar tawaran Yudas, lalu berjanji memberikan wang kepadanya. Yudas pun mula mencari peluang untuk mengkhianati Yesus. Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, iaitu hari apabila orang menyembelih domba Paska, pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di manakah Guru ingin kami menyediakan jamuan Paska untuk Guru?” Yesus menyuruh dua orang daripada mereka, “Pergilah ke bandar, lalu kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang menjunjung buyung air. Ikutilah dia ke rumah yang dimasukinya, lalu berkatalah kepada pemilik rumah itu, ‘Guru bertanya, di mana bilik tempat Dia dan pengikut-pengikut-Nya akan makan jamuan Paska.’ Dia akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang sudah teratur dan lengkap dengan perabot, kepada kamu. Siapkanlah segala-galanya untuk kita di situ.” Kedua-dua orang pengikut itu pergi ke bandar dan mendapati semuanya seperti yang telah dikatakan oleh Yesus, lalu mereka pun menyediakan jamuan Paska itu. Pada malam harinya, Yesus datang dengan dua belas orang pengikut-Nya. Sementara mereka makan, Yesus berkata, “Ketahuilah, seorang daripada kamu, yang sekarang ini makan bersama-sama Aku akan mengkhianati Aku.” Pengikut-pengikut-Nya menjadi sangat sedih. Seorang demi seorang mula bertanya kepada Yesus, “Tentu bukan saya yang Guru maksudkan?” Yesus menjawab, “Dia salah seorang daripada kamu yang dua belas ini, yang ikut mencelup roti ke dalam mangkuk dengan Aku. Memang Anak Manusia akan mati seperti yang tertulis di dalam Alkitab, tetapi malanglah orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik bagi orang itu jika dia tidak pernah dilahirkan!” Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Ambillah dan makanlah, ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya. Kemudian mereka semua minum dari cawan itu. Yesus berkata, “Inilah darah-Ku yang dicurahkan untuk banyak orang, darah yang mengesahkan perjanjian Allah. Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru di Dunia Baru Bapa-Ku.” Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu semua akan lari meninggalkan Aku, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan membunuh gembala itu, lalu kawanan dombanya akan tercerai-berai.’ Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan pergi ke Galilea lebih dahulu daripada kamu.” Petrus menjawab, “Meskipun semua yang lain meninggalkan Guru, saya tidak akan berbuat begitu.” Yesus berkata kepadanya, “Ingatlah, sebelum ayam berkokok dua kali malam ini, tiga kali engkau akan berkata bahawa engkau tidak mengenal Aku.” Petrus menjawab dengan lebih tegas, “Tidak sekali-kali saya akan berkata saya tidak mengenal Guru, meskipun saya terpaksa mati bersama-sama Guru!” Semua pengikut yang lain pun berkata demikian. Mereka tiba di satu tempat bernama Getsemani. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Duduklah di sini sementara Aku berdoa.” Kemudian Dia mengajak Petrus, Yakobus, dan Yohanes pergi bersama-sama Dia. Yesus sangat sedih dan gelisah. Dia berkata kepada mereka, “Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya. Tinggallah di sini dan berjagalah!” Yesus pergi lebih jauh sedikit lalu meniarap di tanah dan berdoa supaya jika boleh Dia tidak usah mengalami saat penderitaan itu. Dia berdoa, “Bapa, ya Bapa-Ku! Tidak ada satu perkara yang mustahil bagi Bapa. Jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak Bapa sahaja.” Selepas itu Yesus kembali dan mendapati tiga orang pengikut-Nya sedang tidur. Dia berkata kepada Petrus, “Simon, tidurkah engkau? Tidak dapatkah engkau berjaga selama satu jam?” Lalu Dia berkata kepada mereka semua, “Berjaga-jagalah dan berdoalah supaya kamu tidak mengalami cubaan. Memang roh kamu ingin melakukan apa yang benar, tetapi kamu tidak sanggup kerana kamu lemah.” Sekali lagi Yesus pergi berdoa dan mengucapkan kata-kata yang sama. Ketika Dia kembali kepada pengikut-pengikut-Nya, Dia mendapati mereka masih tidur kerana terlalu mengantuk. Mereka tidak tahu akan apa yang harus dikatakan kepada Yesus. Ketika Yesus kembali untuk kali ketiga, Dia berkata kepada mereka, “Masihkah kamu tidur dan berehat? Cukuplah! Saatnya sudah tiba. Lihatlah, Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan orang berdosa. Bangunlah, marilah kita pergi. Lihatlah, orang yang mengkhianati Aku sudah datang!” Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka diutus oleh para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi. Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, “Orang yang saya cium, itulah Dia. Tangkaplah Dia dan bawalah Dia dengan kawalan yang ketat!” Sebaik sahaja Yudas tiba, dia menghampiri Yesus lalu berkata, “Guru!” seraya mencium Dia. Lalu mereka menangkap Yesus dan memegang Dia dengan kuat. Tetapi salah seorang di situ menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinganya. Yesus berkata kepada mereka, “Mestikah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku, seolah-olah Aku ini penjahat? Berhari-hari Aku mengajar di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Memang apa yang tertulis di dalam Alkitab mesti berlaku.” Ketika itu semua pengikut Yesus lari meninggalkan Dia. Seorang lelaki muda yang memakai sehelai kain linen untuk menutupi badan, mengikuti Yesus. Apabila orang cuba menangkap lelaki itu, dia melepaskan kainnya lalu lari bertelanjang. Kemudian mereka membawa Yesus ke rumah Imam Agung. Di situ semua ketua imam, pemimpin masyarakat orang Yahudi, dan guru Taurat sedang berkumpul. Petrus mengikut dari jauh lalu masuk ke halaman rumah Imam Agung itu. Dia duduk berdiang dengan pengawal-pengawal. Para ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha mencari bukti-bukti untuk menyalahkan Yesus, supaya mereka dapat menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. Tetapi mereka tidak mendapat satu bukti pun. Banyak saksi memberikan kesaksian palsu terhadap Yesus, tetapi kesaksian mereka saling bertentangan. Kemudian beberapa orang berdiri dan memberikan kesaksian palsu tentang Yesus. Mereka berkata, “Kami mendengar orang ini berkata, ‘Aku akan merobohkan Rumah Tuhan yang dibina oleh manusia, lalu selepas tiga hari Aku akan membina yang lain yang bukan buatan manusia.’ ” Tetapi kesaksian mereka pun saling bertentangan. Setelah itu Imam Agung berdiri di hadapan mereka semua dan bertanya kepada Yesus, “Tidakkah kamu mahu menjawab tuduhan yang ditujukan kepadamu?” Yesus diam sahaja dan tidak mahu berkata sepatah pun. Sekali lagi Imam Agung bertanya kepada-Nya, “Kamukah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Maha Suci?” Yesus menjawab, “Ya! Kamu semua akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa, serta datang dikelilingi awan dari langit!” Imam Agung mengoyakkan pakaiannya dan berkata, “Kita tidak memerlukan saksi lagi! Kamu sudah mendengar dia mengkufuri Allah! Apakah keputusan kamu?” Mereka semua mengambil keputusan bahawa Yesus memang bersalah dan mesti dihukum mati. Beberapa orang mula meludahi Yesus. Mereka menutupi mata-Nya dan memukul Dia. “Tekalah,” kata mereka, “siapa yang memukul kamu?” Pengawal-pengawal di situ pun menampar Dia. Petrus masih di halaman apabila salah seorang hamba perempuan Imam Agung datang. Apabila dia nampak Petrus berdiang, dia mengamati Petrus dan berkata, “Kamu juga bersama-sama Yesus orang Nasaret itu.” Tetapi Petrus menafikannya. Dia berkata, “Aku tidak tahu dan tidak faham akan apa yang kamu katakan.” Lalu dia pergi ke pintu masuk halaman itu. Pada ketika itu, ayam berkokok. Hamba perempuan tadi nampak Petrus di situ. Dia berkata pula kepada semua orang di situ, “Orang ini seorang daripada mereka!” Tetapi Petrus menafikannya lagi. Tidak lama kemudian, semua orang di situ menuduh Petrus lagi, “Kamu tidak dapat menafikannya bahawa kamu salah seorang daripada mereka, kerana kamu pun dari Galilea!” Petrus bersumpah, “Biarlah Allah menghukum aku jika aku berdusta! Aku tidak mengenal orang yang kamu sebutkan itu!” Ketika itu juga ayam berkokok untuk kali kedua. Maka Petrus teringat bahawa Yesus sudah berkata kepadanya, “Sebelum ayam berkokok dua kali, engkau akan menyangkal Aku tiga kali.” Lalu dia menangis tersedu-sedu. Pada pagi-pagi sekali, para ketua imam, pemimpin masyarakat Yahudi, guru Taurat, dan anggota-anggota lain daripada Majlis Agama bermesyuarat untuk membuat beberapa rancangan. Mereka mengikat Yesus, lalu membawa Dia pergi untuk diserahkan kepada Pilatus. Pilatus bertanya kepada Yesus, “Betulkah kamu raja orang Yahudi?” Yesus menjawab, “Begitulah yang tuan katakan.” Ketua-ketua imam melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus. Lalu Pilatus bertanya lagi kepada Yesus, “Tidak mahukah kamu menjawab? Lihatlah betapa banyaknya tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu!” Sekali lagi Yesus tidak mahu menjawab sepatah pun, sehingga Pilatus merasa hairan. Pada tiap-tiap Perayaan Paska, Pilatus biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai. Pada masa itu, seorang bernama Barabas ada di dalam penjara bersama dengan semua pemberontak lain yang telah melakukan pembunuhan pada masa kerusuhan. Ketika orang ramai berkumpul dan seperti biasa mula meminta Pilatus membebaskan seorang tahanan, Pilatus bertanya kepada mereka, “Adakah kamu mahu aku membebaskan raja orang Yahudi ini?” Pilatus tahu betul bahawa ketua-ketua imam telah menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati. Tetapi para ketua imam menghasut orang ramai supaya meminta Pilatus membebaskan Barabas. Pilatus berkata lagi kepada orang ramai itu, “Jika demikian, apakah yang kamu ingin aku lakukan terhadap orang yang kamu sebut raja orang Yahudi?” Mereka berteriak, “Salibkan dia!” Pilatus bertanya, “Tetapi kejahatan apa yang sudah dilakukannya?” Mereka berteriak lebih kuat lagi, “Salibkan dia!” Pilatus hendak menyenangkan hati orang ramai, maka dia membebaskan Barabas untuk mereka. Kemudian dia menyuruh orang mencambuk Yesus dan menyerahkan Dia kepada askar supaya disalib. Askar-Askar membawa Yesus ke balai istana gabenor dan mengumpulkan semua askar yang lain. Mereka memakaikan jubah ungu pada Yesus, serta membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri lalu meletakkannya pada kepala Yesus. Setelah itu mereka memberikan hormat kepada-Nya, “Daulat raja orang Yahudi!” Mereka memukul kepala-Nya dengan kayu, meludahi-Nya serta sujud di hadapan-Nya. Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah ungu itu lalu mengenakan pakaian-Nya semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib. Di tengah jalan mereka berjumpa dengan seorang bernama Simon. Dia baru datang dari kampung dan sedang memasuki bandar. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. (Simon berasal dari Kirene; dia bapa Aleksander dan Rufus.) Mereka membawa Yesus ke tempat bernama Golgota, yang bermakna “Tempat Tengkorak.” Di situ mereka cuba memberikan wain yang bercampur mur kepada Yesus, tetapi Dia tidak mahu meminumnya. Kemudian mereka menyalibkan Dia, lalu membahagi-bahagikan pakaian-Nya di kalangan mereka dengan membuang undi untuk menentukan bahagian masing-masing. Mereka menyalibkan Dia pada pukul sembilan pagi. Pada salib itu dipasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: “Raja Orang Yahudi.” Mereka juga menyalibkan dua orang penjahat bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. [ Dengan demikian apa yang tertulis di dalam Alkitab dipenuhi, “Dia dianggap sebagai penjahat.”] Semua orang yang lalu di situ menggeleng-gelengkan kepala sambil mengejek Yesus. Mereka berkata, “Cis! Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Sekarang turunlah dari salib itu dan selamatkanlah dirimu!” Para ketua imam dan guru Taurat juga memperolokkan Yesus. Mereka bercakap sesama sendiri, “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Jika dia raja Israel, Penyelamat yang diutus oleh Allah, biarlah dia turun dari salib, supaya kami melihat dan percaya kepadanya!” Kedua-dua orang yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia. Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap. Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, “Eloi, Eloi, lama sabakhtani?” yang bererti, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” Beberapa orang di situ mendengar seruan itu lalu berkata, “Dengarlah, Dia memanggil Elia!” Seorang daripada mereka lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu lalu dihulurkannya ke mulut Yesus sambil berkata, “Tunggu! Mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menurunkan dia dari salib.” Lalu Yesus berteriak dan menghembuskan nafas yang terakhir. Tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. Ketua askar yang berdiri di hadapan salib itu, melihat bagaimana Yesus meninggal. Oleh itu dia berkata, “Memang benar orang ini Anak Allah!” Di situ juga ada beberapa orang wanita yang menyaksikan semuanya dari jauh. Antara mereka ialah Salome, Maria Magdalena, serta Maria, ibu Yakobus yang muda dan Yoses. Merekalah wanita yang mengikut dan menolong Yesus pada waktu Dia di Galilea. Di situ juga ada banyak wanita lain yang telah datang ke Yerusalem bersama-sama Yesus. [42-43] Hari sudah senja ketika Yusuf dari Arimatea tiba. Dia seorang ahli Majlis Agama yang dihormati orang. Dia menunggu-nunggu masanya Allah memerintah. Hari itu hari Persiapan (iaitu hari sebelum hari Sabat). Oleh itu dengan berani Yusuf menghadap Pilatus dan memohon jenazah Yesus. *** Pilatus hairan mendengar bahawa Yesus sudah meninggal. Lalu dia memanggil ketua askar dan bertanya sama ada Yesus sudah lama meninggal. Setelah mendengar laporan ketua askar itu, Pilatus membenarkan Yusuf mengambil jenazah Yesus. Lalu Yusuf membeli kain linen. Setelah dia menurunkan jenazah Yesus, dia membalut jenazah itu dengan kain linen, lalu meletakkan jenazah itu di dalam sebuah kubur baru yang dipahat di bukit batu. Selepas itu dia menggulingkan sebuah batu besar untuk menutup pintu kubur itu. Maria Magdalena dan Maria, ibu Yoses memperhatikan tempat jenazah Yesus diletakkan. Setelah hari Sabat berlalu, Maria Magdalena, Salome, dan Maria ibu Yakobus pergi membeli ramuan untuk melumuri jenazah Yesus. Pada hari Ahad, pagi-pagi sekali, ketika matahari terbit, mereka pergi ke kubur. [3-4] Di tengah jalan mereka bercakap sesama sendiri, “Siapakah yang boleh menolong kita menggulingkan batu penutup pintu kubur?” (Batu itu sangat besar.) Tetapi apabila mereka tiba di situ, mereka melihat bahawa batu itu sudah digulingkan. *** Mereka masuk ke dalam kubur itu dan di sebelah kanan mereka nampak seorang lelaki muda memakai jubah putih duduk di situ. Mereka terkejut. Lelaki muda itu berkata, “Janganlah takut! Aku tahu bahawa kamu mencari Yesus orang Nasaret yang telah disalibkan. Dia tidak ada di sini. Dia sudah dibangkitkan! Lihatlah, inilah tempat mereka meletakkan Dia. Sekarang pergilah dan sampaikan khabar ini kepada pengikut-pengikut-Nya termasuk Petrus. Katakan, ‘Dia pergi terlebih dahulu daripada kamu ke Galilea. Di situ kamu akan melihat Dia, sebagaimana yang telah dikatakan-Nya kepada kamu.’ ” Mereka keluar lalu lari dari kubur itu kerana terkejut dan takut. Mereka tidak berkata apa-apa kepada sesiapa pun, kerana mereka takut. [ Setelah Yesus bangkit daripada kematian pada pagi-pagi hari Ahad, mula-mula Dia menampakkan diri kepada Maria Magdalena. (Tujuh roh jahat pernah diusir daripada diri Maria.) Maria Magdalena pergi menyampaikan khabar itu kepada sahabat-sahabat Yesus, yang sedang berkabung dan menangis. Tetapi apabila mereka mendengar Maria berkata bahawa Yesus hidup dan bahawa Maria sudah nampak Yesus, mereka tidak percaya. Sesudah itu Yesus menampakkan diri kepada dua orang pengikut-Nya dengan cara lain. Hal itu berlaku ketika mereka sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung. Kemudian pengikut-pengikut ini balik dan memberitahukan hal itu kepada pengikut yang lain, tetapi mereka tidak percaya. Akhirnya, Yesus menampakkan diri kepada sebelas orang pengikut-Nya ketika mereka sedang makan. Dia menegur mereka kerana mereka kurang beriman dan terlalu degil, sehingga tidak percaya kepada kesaksian orang yang sudah melihat sendiri bahawa Dia hidup. Yesus berkata kepada mereka, “Pergilah ke seluruh dunia dan khabarkanlah Berita Baik daripada Allah kepada seluruh umat manusia. Orang yang percaya dan dibaptis akan selamat, tetapi orang yang tidak percaya akan dihukum. Kepada mereka yang percaya akan diberikan tanda-tanda ini: Mereka akan mengusir roh jahat demi nama-Ku; mereka akan berkata-kata dalam bahasa yang tidak diketahui. Jika mereka memegang ular atau meminum racun, mereka tidak akan mendapat celaka. Jika mereka meletakkan tangan pada orang sakit, orang sakit akan sembuh.” Setelah Tuhan Yesus berkata-kata dengan mereka, Dia diangkat ke syurga lalu duduk di sebelah kanan Allah. Pengikut-pengikut Yesus pergi mengkhabarkan Berita daripada Allah di serata tempat. Tuhan bekerja bersama-sama mereka dan melalui tanda-tanda itu, Dia membuktikan bahawa perkhabaran mereka benar.] [ PENGAKHIRAN NASKHAH LAMA YANG LAIN [9] Wanita-wanita itu pergi kepada Petrus dan sahabat-sahabatnya lalu memberikan laporan singkat tentang segala sesuatu yang telah diberitahukan oleh lelaki muda itu kepada mereka. [10] Sesudah itu Yesus dengan perantaraan pengikut-pengikut-Nya memberitakan perkhabaran yang suci dan kekal tentang penyelamatan yang abadi, dari timur ke barat.] Tuan Teofilus yang terhormat, Banyak orang telah berusaha membuat laporan tentang peristiwa yang berlaku di kalangan kami. Mereka menulis sesuai dengan apa yang diceritakan kepada kami oleh mereka yang menyaksikan peristiwa itu dari permulaan dan kemudian mengisytihar berita itu. Tetapi sekarang, Tuan Teofilus yang terhormat, saya sendiri telah menyelidiki semua peristiwa itu dari permulaannya, maka ada baiknya saya juga menulis satu laporan yang teratur untuk tuan. Saya berbuat demikian supaya tuan dapat tahu dengan selengkapnya bahawa apa yang telah diajarkan kepada tuan memang benar. Ketika Herodes menjadi raja negeri Yudea, ada seorang imam bernama Zakharia. Dia termasuk golongan imam Abia. Isterinya bernama Elisabet dan dia juga keturunan imam. Kehidupan suami isteri itu menyenangkan hati Allah. Mereka mentaati semua hukum dan perintah Tuhan. Mereka tidak mempunyai anak kerana Elisabet mandul dan kedua-duanya sudah lanjut usia. Pada suatu hari, Zakharia dan rakan-rakan segolongannya mendapat giliran untuk bertugas di Rumah Tuhan. Seperti biasa para imam membuang undi dan Zakharia terpilih untuk masuk ke dalam Rumah Tuhan dan membakar kemenyan di atas mazbah. Sementara upacara pembakaran kemenyan berlangsung, orang ramai berdoa di luar. Pada waktu itu malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Zakharia. Malaikat itu berdiri di sebelah kanan mazbah tempat membakar kemenyan. Ketika Zakharia nampak malaikat itu, dia cemas dan takut. Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Zakharia! Allah sudah mendengar doamu. Isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan dia Yohanes. Engkau akan sangat bersukacita dan bergembira, dan banyak orang akan bersukacita apabila dia dilahirkan! Dia akan menjadi orang besar di sisi Tuhan. Dia tidak boleh minum wain atau minuman keras. Sejak di dalam rahim ibunya dia akan dikuasai oleh Roh Allah. Dia akan memimpin banyak orang Israel kembali kepada Tuhan, Allah mereka. Dia akan menjadi utusan Tuhan yang kuat dan berkuasa seperti Elia. Dia akan mendamaikan bapa dengan anak, serta memimpin orang yang tidak taat kembali ke jalan fikiran yang benar. Dia juga akan mempersiapkan suatu umat untuk Tuhan.” Zakharia berkata kepada malaikat itu, “Bagaimana aku boleh tahu bahawa perkara ini akan berlaku? Aku sudah tua dan isteriku pun sudah tua.” Malaikat itu menjawab, “Aku ini Gabriel yang sentiasa siap melakukan suruhan Allah. Dia sendiri mengutus aku kepadamu supaya menyampaikan berita baik ini. Apa yang aku katakan akan berlaku pada waktunya. Tetapi kerana engkau tidak percaya, engkau akan menjadi bisu sehingga apa yang aku katakan berlaku.” Sementara itu, orang ramai sedang menantikan Zakharia. Mereka hairan kerana dia begitu lama di dalam Rumah Tuhan. Ketika Zakharia keluar, dia tidak dapat bercakap kepada mereka. Dia memberikan isyarat dengan tangan kerana dia bisu. Lalu orang di situ tahu bahawa Zakharia sudah nampak satu penglihatan di dalam Rumah Tuhan. Setelah habis masa Zakharia bertugas di Rumah Tuhan, dia pulang ke rumah. Tidak lama kemudian Elisabet, isterinya mengandung, dan dia tidak keluar dari rumah selama lima bulan. Elisabet berkata, “Akhirnya Tuhan menolong aku. Dia telah menghapus keaibanku.” Setelah Elisabet mengandung enam bulan, Allah mengutus malaikat Gabriel ke Nasaret, sebuah kota di negeri Galilea. Gabriel membawa berita untuk seorang gadis bernama Maria. Dia telah bertunang dengan seorang lelaki bernama Yusuf, keturunan Raja Daud. Malaikat itu datang kepada Maria dan berkata, “Salam sejahtera, hai engkau yang sangat diberkati oleh Tuhan! Tuhan menyertai engkau!” Maria gelisah mendengar kata-kata malaikat itu dan dia tertanya-tanya tentang makna salam itu. Malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Maria, kerana Allah berkenan kepada engkau. Engkau akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan Dia Yesus. Dia akan menjadi agung dan akan disebut Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan menjadikan Dia raja seperti Daud, nenek moyang-Nya. Dia akan memerintah sebagai raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan berakhir.” Maria berkata kepada malaikat itu, “Aku masih dara. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?” Malaikat itu menjawab, “Roh Allah akan datang kepadamu, dan kuasa Allah akan menaungi engkau. Itulah sebabnya Anak yang akan lahir itu disebut Suci, Anak Allah. Ketahuilah, sanakmu Elisabet yang dikatakan mandul, sudah mengandung enam bulan, walaupun umurnya sudah lanjut. Bagi Allah tiada perkara yang mustahil.” Maria berkata, “Aku hamba Tuhan; biarlah berlaku kepadaku seperti yang engkau katakan.” Lalu malaikat itu meninggalkan Maria. Tidak lama kemudian, Maria segera berangkat ke sebuah kota di Yudea, di kawasan pergunungan. Dia pergi ke rumah Zakharia lalu memberikan salam kepada Elisabet. Ketika Elisabet mendengar salam Maria, anak dalam kandungannya bergerak. Elisabet dikuasai oleh Roh Allah, lalu dia berseru, “Berbahagialah kamu antara semua wanita! Berbahagialah anak yang akan kamu lahirkan itu! Mengapakah penghormatan yang sebesar ini diberikan kepadaku, sehingga ibu Tuhanku datang melawat aku? Sebaik sahaja aku mendengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak kerana bersukacita. Alangkah bahagianya kamu kerana percaya bahawa apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadamu akan berlaku!” Maria berkata, “Hatiku menyanjung Tuhan; jiwaku bersukacita kerana Allah, Penyelamatku, Dia ingat akan daku, hamba-Nya yang hina! Mulai sekarang semua orang akan mengatakan aku berbahagia, kerana Allah Maha Kuasa sudah melakukan perkara yang besar untukku. Sucilah nama-Nya. Dia merahmati orang yang menghormati-Nya, keturunan demi keturunan. Dengan tangan-Nya yang berkuasa Dia mencerai-beraikan mereka yang sombong, dan mengacaukan rancangan mereka. Dia menurunkan raja dari takhta lalu meninggikan orang hina. Dia memuaskan orang lapar dengan segala yang baik, tetapi orang kaya diusir-Nya sehingga pergi dengan berhampa tangan. Dia menepati janji-Nya kepada nenek moyang kita; Dia datang untuk menyelamatkan Israel hamba-Nya. Dia tidak lupa merahmati Abraham dan keturunannya selama-lamanya!” Maria tinggal dengan Elisabet kira-kira tiga bulan lamanya, lalu pulang ke rumah. Apabila tiba masanya Elisabet bersalin, dia melahirkan seorang anak lelaki. Semua jiran dan sanak saudaranya mendengar betapa baiknya Tuhan terhadap Elisabet, dan mereka ikut bersukacita dengan dia. Setelah bayi itu berumur lapan hari, mereka datang untuk menyunat dia. Mereka hendak menamakan bayi itu Zakharia menurut nama bapanya. Tetapi ibunya berkata, “Jangan! Dia harus dinamakan Yohanes.” Mereka berkata kepadanya, “Tetapi tidak seorang pun antara sanak saudaramu bernama begitu.” Lalu dengan isyarat, mereka bertanya kepada bapa bayi itu nama yang hendak diberikan kepada anaknya. Zakharia meminta sebuah papan tulis lalu menulis, “Namanya Yohanes.” Mereka semua hairan. Pada masa itu juga Zakharia dapat bercakap semula lalu mula memuji-muji Allah. Semua jirannya ketakutan dan berita ini tersebar ke seluruh pergunungan Yudea. Semua orang yang mendengar perkara itu berkata dalam hati, “Anak ini tentu akan menjadi orang besar.” Mereka berkata demikian kerana nyata sekali kuasa Tuhan menyertainya. Zakharia, bapa Yohanes, dikuasai oleh Roh Allah, lalu menyampaikan berita daripada Allah. Dia berkata, “Marilah kita memuji Tuhan, Allah bangsa Israel! Dia sudah datang untuk menyelamatkan umat-Nya dan membebaskan mereka. Dia mengurniai kita Penyelamat yang berkuasa, seorang keturunan Daud, hamba-Nya. Dahulu kala melalui nabi-nabi yang dipilih-Nya, Tuhan telah berjanji akan menyelamatkan kita daripada musuh, dan daripada kuasa orang yang membenci kita. Dia berjanji akan merahmati nenek moyang kita, serta ingat akan janji-Nya yang suci itu. [73-74] Dia bersumpah kepada nenek moyang kita Abraham, dan berjanji akan menyelamatkan kita daripada musuh, serta membolehkan kita mengabdikan diri kepada-Nya tanpa takut, *** supaya kita menjadi suci dan menyenangkan hati-Nya sepanjang hidup kita. Engkau, hai anakku, akan disebut nabi Allah Yang Maha Tinggi. Engkau diutus terlebih dahulu daripada Tuhan supaya merintis jalan untuk-Nya, supaya memberitahu umat-Nya bahawa mereka akan diselamatkan, apabila Allah mengampunkan dosa mereka. [78-79] Allah kita pengasih dan penyayang. Bagi menyelamatkan kita Dia akan datang bagaikan fajar terang yang menyinari semua orang yang hidup dalam kegelapan dan di bawah bayang maut. Dia akan memimpin kita ke jalan yang menuju kedamaian.” *** Anak Zakharia membesar dan semakin kuat kerohaniannya. Dia tinggal di padang gurun sehingga tiba masanya dia menampilkan diri kepada umat Israel. Pada masa itu Kaisar Agustus menitahkan semua penduduk Empayar Roma mendaftarkan diri untuk dibanci. Pembancian yang pertama dijalankan sewaktu Kirenius menjadi gabenor negeri Siria. Semua orang pergi ke kota masing-masing untuk mendaftarkan diri. Yusuf berangkat dari Nasaret di Galilea, lalu pergi ke Betlehem di Yudea, tempat lahir Raja Daud. Yusuf pergi ke sana kerana dia keturunan Raja Daud. Dia mendaftarkan diri bersama-sama Maria, tunangannya yang sedang mengandung. Ketika mereka di Betlehem, tibalah masanya bagi Maria untuk bersalin. Dia melahirkan seorang anak lelaki, anaknya yang sulung. Anak itu dibedungnya lalu diletakkan di dalam palung, kerana mereka tidak mendapat tempat untuk menumpang. Pada malam itu, beberapa orang gembala sedang menjaga domba di padang. Tiba-tiba malaikat Tuhan menampakkan diri kepada mereka dan cahaya kemuliaan Tuhan menerangi mereka sehingga mereka ketakutan. Tetapi malaikat itu berkata, “Janganlah takut! Aku datang membawa Berita Baik untuk kamu, berita yang akan menggembirakan semua orang. Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan. Inilah tandanya: Kamu akan menemui seorang bayi yang dibedung dengan kain dan berbaring di dalam palung.” Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh sepasukan besar malaikat syurga, yang memuji-muji Allah, “Termulialah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!” Setelah para malaikat itu meninggalkan mereka dan kembali ke syurga, gembala-gembala itu bercakap sesama mereka, “Marilah kita pergi ke Betlehem dan melihat perkara yang berlaku itu, yang sudah diberitahukan oleh Tuhan kepada kita.” Mereka segera pergi, lalu menjumpai Maria, Yusuf, dan bayi yang sedang berbaring di dalam palung. Apabila para gembala melihat bayi itu, mereka memberitahu semua orang di situ apa yang dikatakan oleh malaikat tentang bayi itu. Semua orang yang mendengarnya hairan akan apa yang dikatakan oleh para gembala itu. Tetapi Maria menyimpan semua perkara itu di dalam hati dan merenungkannya. Semua gembala itu kembali ke padang sambil memuji-muji Allah bagi segala yang sudah didengar dan dilihat oleh mereka, kerana semuanya tepat seperti yang dikatakan oleh malaikat. Sesudah berumur lapan hari, tibalah masanya anak itu disunat. Dia dinamakan Yesus, nama yang diberikan oleh malaikat kepada-Nya sebelum Dia dikandung oleh ibu-Nya. Tibalah masanya Yusuf dan Maria menjalankan upacara penyucian menurut Taurat Musa. Oleh itu, mereka membawa anak itu ke Yerusalem untuk diserahkan kepada Tuhan. Di dalam hukum Tuhan tertulis, “Tiap-tiap anak lelaki sulung harus diserahkan kepada Tuhan.” Mereka juga mempersembahkan korban menurut hukum Tuhan, iaitu sepasang burung dara atau dua ekor burung merpati muda. Pada masa itu di Yerusalem ada seorang lelaki bernama Simeon. Dia seorang yang baik dan takut akan Allah. Dia menantikan masanya Allah menyelamatkan Israel. Roh Allah menyertai Simeon dan memberitahu dia bahawa dia tidak akan meninggal sebelum melihat Penyelamat yang dijanjikan oleh Tuhan. Dengan pimpinan Roh Allah Simeon masuk ke Rumah Tuhan. Pada waktu itu Yusuf dan Maria membawa Yesus yang masih kecil itu ke Rumah Tuhan untuk melakukan apa yang diperintahkan Taurat bagi-Nya. Simeon mengambil anak itu lalu mendukung-Nya sambil memuji Allah, “Sekarang, ya Tuhan, Engkau telah menepati janji-Mu. Biarlah hamba-Mu meninggal dengan tenteram. Dengan mataku sendiri aku sudah melihat Penyelamat yang datang daripada-Mu. Penyelamat yang telah Engkau sediakan di hadapan semua bangsa; bagaikan cahaya yang menunjukkan kehendak-Mu bagi bangsa-bangsa lain dan cahaya yang mendatangkan kemuliaan bagi umat-Mu Israel.” Ibu bapa anak itu hairan mendengar apa yang dikatakan oleh Simeon tentang anak itu. Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maria, ibu anak itu, “Anak ini sudah dipilih oleh Allah untuk membinasakan dan menyelamatkan banyak orang Israel. Dia akan menjadi tanda daripada Allah, yang akan dilawan oleh banyak orang, dan dengan demikian terdedahlah rahsia fikiran mereka. Seperti pedang yang tajam, kesedihan akan menikam hatimu.” Ada pula seorang nabi wanita bernama Hana anak Fanuel, daripada suku Asyer. Dia balu dan umurnya sudah lanjut. Dia berkahwin selama tujuh tahun, dan sekarang umurnya lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan Rumah Tuhan. Siang malam dia beribadat kepada Allah dengan berdoa dan berpuasa. Tepat pada waktu itu dia datang, lalu bersyukur kepada Allah. Dia bercakap tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan masanya Allah membebaskan Yerusalem. Setelah Yusuf dan Maria melakukan segala yang diwajibkan oleh hukum Tuhan, mereka kembali ke kampung mereka di Nasaret, di daerah Galilea. Demikianlah anak itu bertambah besar dan kuat. Dia sangat bijaksana dan Allah berkenan kepada-Nya. Tiap-tiap tahun ibu bapa Yesus pergi ke Yerusalem untuk merayakan Perayaan Paska. Ketika Yesus berumur dua belas tahun, mereka pergi ke perayaan itu seperti biasa. Sehabis perayaan itu mereka pulang, tetapi Yesus, anak itu, masih di Yerusalem. Ibu bapa-Nya tidak tahu. Mereka menyangka Dia bersama-sama rombongan itu. Setelah mereka berjalan sejauh sehari, barulah mereka mencari Dia antara sanak saudara dan kawan mereka. Tetapi mereka tidak menjumpai Yesus. Lalu mereka kembali ke Yerusalem untuk mencari Dia. Pada hari ketiga mereka mendapati Yesus di dalam Rumah Tuhan. Dia sedang duduk mendengarkan guru-guru agama Yahudi dan mengajukan soalan. Semua orang yang mendengar Yesus hairan kerana jawapan-Nya bijak. Ibu bapa-Nya pun hairan melihat Dia. Ibu-Nya berkata kepada Dia, “Nak, mengapa berbuat seperti ini terhadap ayah dan emak? Cemas hati ayah dan emak mencari-Mu!” Yesus menjawab, “Mengapa mencari Aku? Tidakkah Aku harus di rumah Bapa-Ku?” Tetapi mereka tidak memahami jawapan Yesus. Setelah itu Yesus pulang bersama-sama mereka ke Nasaret dan taat kepada mereka. Ibu-Nya menyimpan semua perkara ini di dalam hati. Yesus bertambah besar dan bijaksana, dan Dia menyenangkan hati Allah mahupun manusia. Pada tahun kelima belas pemerintahan Kaisar Tiberius, Pontius Pilatus ialah gabenor negeri Yudea dan Herodes memerintah negeri Galilea. Filipus, saudara Herodes, menguasai kawasan Iturea dan Trakhonitis; dan Lisanias memerintah di Abilene. Pada masa itu, Hanas dan Kayafas menjabat kedudukan Imam Agung. Itulah masanya Allah berfirman kepada Yohanes anak Zakharia di padang gurun. Lalu Yohanes menjelajah seluruh kawasan Sungai Yordan dan mengisytiharkan berita daripada Allah. Yohanes berseru, “Bertaubatlah daripada dosa kamu dan hendaklah kamu dibaptis, supaya Allah mengampunkan dosa kamu.” Seperti yang tertulis di dalam kitab Nabi Yesaya, “Seorang berseru di padang gurun, ‘Sediakanlah jalan untuk Tuhan, luruskanlah jalan bagi-Nya! Tiap-tiap lembah hendaklah ditimbus, tiap-tiap gunung dan bukit diratakan. Jalan yang berliku-liku hendaklah diluruskan, dan jalan yang lekak-lekuk diratakan. Lalu setiap orang akan melihat Allah menyelamatkan manusia!’ ” Banyak orang datang kepada Yohanes supaya dibaptis olehnya. “Kamu orang jahat!” kata Yohanes kepada mereka. “Siapakah yang memberitahu kamu bahawa kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman Allah yang akan datang? Lakukanlah perkara-perkara yang menunjukkan bahawa kamu sudah bertaubat daripada dosa! Janganlah mula berkata sesama sendiri, ‘Abraham nenek moyang kami.’ Ketahuilah, Allah dapat membuat batu-batu ini menjadi keturunan untuk Abraham! Lihatlah, kapak sudah tersedia untuk menebang pokok sehingga ke akarnya. Tiap-tiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang lalu dibuang ke dalam api.” Orang ramai bertanya kepada Yohanes, “Apakah yang harus kami lakukan?” Yohanes menjawab, “Sesiapa yang mempunyai dua helai baju, harus memberikan sehelai kepada orang yang tidak mempunyai baju; dan sesiapa yang mempunyai makanan, harus berkongsi makanan dengan yang berkekurangan.” Beberapa orang pemungut cukai datang dan minta dibaptis. Mereka bertanya kepada Yohanes, “Guru, apakah yang harus kami lakukan?” Yohanes berkata, “Janganlah minta lebih daripada apa yang telah ditetapkan.” Askar-askar juga bertanya kepadanya, “Bagaimana dengan kami? Apakah yang harus kami lakukan?” Yohanes menjawab, “Janganlah peras duit daripada sesiapa pun, dan jangan rampas wang dengan mengajukan tuduhan palsu. Berpuas hatilah dengan gaji kamu!” Harapan orang ramai mula timbul. Mereka tertanya-tanya sama ada Yohanes itu Penyelamat yang diutus oleh Allah. Yohanes berkata kepada mereka, “Aku membaptis kamu dengan air, tetapi Dia yang lebih besar daripadaku akan datang. Aku pun tidak layak mengurai tali kasut-Nya. Dia akan membaptis kamu dengan Roh Allah dan api. Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan mengumpulkan gandum yang bersih di dalam jelapang, tetapi Dia akan membakar sekam di dalam api yang tidak dapat padam!” Demikianlah Yohanes menasihati orang dengan berbagai-bagai cara, pada waktu dia mengisytiharkan Berita Baik. Tetapi Yohanes menegur Gabenor Herodes tentang perkahwinannya dengan Herodias, isteri saudaranya, dan tentang semua kejahatan lain yang telah dilakukannya. Kemudian Herodes melakukan perbuatan yang lebih jahat lagi; dia memenjarakan Yohanes. Setelah semua orang itu dibaptis, Yesus juga dibaptis. Ketika Dia berdoa, langit terbuka, dan Roh Allah berwujud burung merpati turun ke atas-Nya. Lalu terdengar suara dari syurga mengatakan, “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hati-Ku.” Ketika Yesus memulakan pelayanan-Nya, Dia berumur kira-kira tiga puluh tahun. Menurut pendapat orang, Dia anak Yusuf anak Eli, anak Matat, anak Lewi, anak Malkhi, anak Yanai, anak Yusuf, anak Matica, anak Amos, anak Nahum, anak Hesli, anak Nagai, anak Maat, anak Matica, anak Simei, anak Yosekh, anak Yoda, anak Yohanan, anak Resa, anak Zerubabel, anak Sealtiel, anak Neri, anak Malkhi, anak Adi, anak Kosam, anak Elmadam, anak Er, anak Yosua, anak Eliezer, anak Yorim, anak Matat, anak Lewi, anak Simeon, anak Yehuda, anak Yusuf, anak Yonam, anak Eliakim, anak Melea, anak Mina, anak Matata, anak Natan, anak Daud, anak Isai, anak Obed, anak Boas, anak Salmon, anak Nahason, anak Aminadab, anak Admin, anak Arni, anak Hezron, anak Peres, anak Yehuda, anak Yakub, anak Ishak, anak Abraham, anak Terah, anak Nahor, anak Serug, anak Rehu, anak Peleg, anak Eber, anak Selah, anak Kenan, anak Arpakhsad, anak Sem, anak Nuh, anak Lamekh, anak Metuselah, anak Henokh, anak Yared, anak Mahalaleel, anak Kenan, anak Enos, anak Set, anak Adam, anak Allah. Yesus yang dikuasai oleh Roh Allah, kembali dari kawasan Sungai Yordan. Yesus dipimpin oleh Roh Allah ke padang gurun. Di situ Dia dicubai oleh Iblis selama empat puluh hari. Sepanjang masa itu, Yesus tidak makan apa-apa, sehingga Dia lapar. Iblis berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, perintahlah batu ini menjadi roti.” Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja.’ ” Lalu Iblis membawa Yesus ke tempat yang tinggi, dan dalam sekelip mata Iblis menunjukkan segala kerajaan di dunia kepada-Nya. “Aku akan memberikan segala kekuasaan dan kekayaan ini kepada-Mu,” kata Iblis kepada Yesus. “Semuanya ini telah diberikan kepadaku, dan aku berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang aku suka. Semua ini akan menjadi milik-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku. ” Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Sembahlah Tuhan Allahmu dan abdikan diri kepada Dia sahaja!’ ” Lalu Iblis membawa Yesus ke Yerusalem dan menaruh Dia di puncak Rumah Tuhan dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah ke bawah, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan memerintah para malaikat-Nya menjaga Engkau baik-baik.’ Juga tertulis, ‘Malaikat akan menyambut Engkau dengan tangan, supaya kaki-Mu tidak terhantuk pada batu.’ ” Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Janganlah cubai Tuhan Allahmu.’ ” Apabila Iblis selesai mencubai Yesus dengan segala upaya, dia meninggalkan Yesus untuk sementara waktu. Yesus kembali ke Galilea dan kuasa Roh Allah menyertai Dia. Berita tentang Yesus tersebar ke seluruh daerah itu. Yesus mengajar di rumah ibadat dan Dia dipuji oleh semua orang. Kemudian Yesus pergi ke Nasaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat, seperti biasa Yesus pergi ke rumah ibadat. Dia berdiri untuk membaca Alkitab, lalu Dia diberikan gulungan naskhah yang berisi perkhabaran daripada Nabi Yesaya. Yesus membuka gulungan naskhah itu, lalu mendapatkan bahagian yang tertulis, “Roh Tuhan ada pada-Ku. Dia telah melantik Aku supaya mengkhabarkan Berita Baik kepada orang miskin. Dia mengutus Aku supaya mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan, kesembuhan bagi orang buta; dan kemerdekaan bagi orang yang tertindas, serta mengisytiharkan masanya Tuhan menyelamatkan umat-Nya.” Yesus menggulung gulungan naskhah itu semula dan mengembalikannya kepada petugas, lalu duduk. Mata semua orang di dalam rumah ibadat itu tertumpu kepada Yesus. Yesus mula berkata kepada mereka, “Pada hari ini ayat-ayat Alkitab ini sudah berlaku pada masa kamu mendengarnya. ” Kata-kata yang diucapkan oleh Yesus baik sekali sehingga para pendengar-Nya kagum. Mereka berkata, “Bukankah dia anak Yusuf?” Tetapi Yesus berkata, “Tentu kamu akan menyebut peribahasa ini kepada-Ku, ‘Hai doktor, sembuhkanlah dirimu sendiri.’ Kamu juga akan berkata, ‘Kami mendengar tentang semua perkara yang sudah berlaku di Kapernaum, lakukanlah semuanya di kampung halamanmu juga.’ ” Yesus berkata lagi, “Ketahuilah, seorang nabi tidak pernah dihormati di kampung halamannya sendiri. Dengarkan kata-kata-Ku: Memang ada banyak balu di Israel pada zaman Nabi Elia. Pada masa itu musim kemarau berlanjutan, kerana hujan tidak turun selama tiga tahun setengah sehingga bencana kebuluran yang dahsyat berlaku di negeri itu. Tetapi Allah tidak menyuruh Elia pergi kepada salah seorang balu itu. Dia disuruh pergi kepada seorang balu yang tinggal di Sarafat di daerah Sidon. Demikian juga ada banyak orang berpenyakit kulit yang mengerikan di Israel pada zaman Nabi Elisa. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka disembuhkan, kecuali Naaman orang Siria itu.” Semua orang di rumah ibadat itu sangat marah apabila mereka mendengar hal itu. Mereka bangkit lalu menyeret Yesus ke luar bandar dan membawa-Nya ke puncak bukit tempat kota mereka dibina. Mereka bermaksud menolak Yesus ke dalam jurang. Tetapi Yesus terus berjalan antara orang ramai lalu pergi dari situ. Lalu Yesus pergi ke Kapernaum, sebuah kota di Galilea. Di situ Dia mengajar orang pada hari Sabat. Orang kagum melihat cara Yesus mengajar, kerana Dia berkata-kata dengan wibawa. Di rumah ibadat itu ada seorang yang dirasuk roh jahat. Orang itu memekik dengan suara kuat, “Engkau mahu berbuat apa dengan kami, hai Yesus, orang Nasaret? Adakah Engkau mahu membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Engkau utusan suci daripada Allah!” Yesus memerintah roh itu, “Diam, dan keluarlah daripada orang ini!” Kemudian roh jahat itu membanting orang itu di hadapan mereka, lalu keluar daripada orang itu tanpa menyakitinya. Semua orang hairan dan bercakap sesama sendiri, “Alangkah hebat kata-katanya. Dengan wibawa dan kuasa, dia memerintah roh-roh jahat keluar lalu roh-roh itu pun keluar!” Laporan tentang Yesus tersebar di seluruh kawasan itu. Yesus meninggalkan rumah ibadat itu, lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mentua Simon sakit; dia demam. Orang di situ memberitahukan hal itu kepada Yesus. Yesus mendekati katil ibu itu, lalu mengusir demamnya. Demam ibu mentua Simon hilang, lalu dia segera bangun untuk melayani mereka. Ketika matahari terbenam, semua orang yang mempunyai kawan yang menderita berbagai-bagai penyakit membawa mereka kepada Yesus. Yesus meletakkan tangan-Nya ke atas tiap-tiap orang dan menyembuhkan mereka semua. Roh-roh jahat pun keluar daripada banyak orang, sambil berseru, “Engkau Anak Allah!” Yesus menengking roh-roh itu dan berkata, “Diam!” Dia berkata demikian kerana roh-roh itu tahu bahawa Dia Penyelamat yang diutus oleh Allah. Apabila fajar menyingsing, Yesus meninggalkan kota itu lalu pergi ke tempat yang sunyi. Orang ramai mula mencari Dia. Apabila mereka menjumpai Dia, mereka cuba menghalang Dia meninggalkan kota itu. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintah harus Aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana Allah mengutus Aku untuk melakukan tugas itu.” Demikianlah Dia menyampaikan Berita Baik itu di rumah ibadat di seluruh Yudea. Pada suatu waktu, sedang Yesus berdiri di pantai Tasik Genesaret, orang ramai berasak-asak hendak mendengar berita daripada Allah. Yesus nampak dua buah perahu di pantai itu, tetapi nelayan sudah meninggalkan perahu dan sedang mencuci jala. Yesus menaiki salah sebuah perahu itu, iaitu perahu Simon. Lalu Dia menyuruh Simon menolak perahu itu sedikit jauh dari pantai. Yesus duduk di perahu itu, lalu mengajar orang ramai. Setelah selesai mengajar, Dia berkata kepada Simon, “Dayunglah perahu ke tempat yang dalam lalu tebarkanlah jala untuk menangkap ikan.” “Guru,” jawab Simon, “sepanjang malam kami berjerih tetapi tidak menangkap apa-apa pun! Tetapi kerana guru yang menyuruh, baiklah, saya akan menebarkan jala.” Mereka menebarkan jala, lalu mendapat sedemikian banyak ikan sehingga jala itu hampir koyak. Oleh itu mereka minta pertolongan rakan-rakan di perahu lain. Mereka memenuhi kedua-dua buah perahu itu dengan ikan sehingga perahu hampir tenggelam. Apabila Simon nampak apa yang telah berlaku, dia berlutut di hadapan Yesus sambil berkata, “Tinggalkanlah aku, ya Tuhan! Aku orang berdosa!” Simon dan semua orang yang bersama-sama dia kagum melihat banyaknya ikan yang dijala oleh mereka. Demikian juga halnya dengan rakan Simon yang lain, iaitu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Yesus berkata kepada Simon, “Jangan takut! Mulai sekarang kamu akan menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.” Mereka menarik perahu-perahu itu ke pantai dan meninggalkan segala-galanya, lalu mengikut Yesus. Pada suatu hari, Yesus berada di sebuah kota. Di situ ada seorang lelaki berpenyakit kulit yang mengerikan. Ketika dia nampak Yesus, dia bersujud di hadapan Yesus dan memohon, “Tuan, jika tuan mahu, tuan boleh menyembuhkan saya!” Yesus menghulurkan tangan-Nya lalu menjamah dia. “Aku mahu,” kata-Nya, “sembuhlah!” Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi. Yesus memerintah dia, “Jangan beritahukan hal ini kepada sesiapa pun. Pergilah temui imam supaya dia mengesahkan kesembuhanmu. Lalu persembahkanlah korban sebagaimana yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu sudah sembuh.” Tetapi berita tentang Yesus semakin tersebar luas. Banyak orang datang untuk mendengar Dia dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Tetapi Yesus pergi ke tempat yang sunyi dan berdoa. Pada suatu hari ketika Yesus sedang mengajar, beberapa orang Farisi dan guru Taurat duduk di situ. Mereka datang dari Yerusalem, dari semua kota di Galilea dan Yudea. Kuasa Tuhan ada pada Yesus untuk menyembuhkan orang sakit. Pada waktu itu, beberapa orang datang membawa seorang lumpuh yang berbaring di atas tikar. Mereka cuba membawa dia ke dalam rumah supaya dapat meletakkannya di hadapan Yesus. Tetapi kerana orang di situ terlalu banyak, mereka tidak dapat membawa dia masuk. Oleh itu mereka membawa dia ke atas bumbung rumah. Kemudian mereka membuka bumbung rumah itu dan menurunkan dia dengan tikarnya di hadapan Yesus di tengah-tengah orang ramai itu. Apabila Yesus melihat betapa besarnya iman mereka, Dia berkata kepada orang itu, “Hai kawan, dosamu sudah diampunkan.” Semua guru Taurat dan orang Farisi di situ mula bercakap sesama sendiri, “Siapakah orang ini? Dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun dapat mengampunkan dosa, kecuali Allah!” Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata, “Mengapa kamu berfikir demikian? Manakah yang lebih mudah, mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah dan berjalan’? Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa untuk mengampunkan dosa.” Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu, bangunlah, angkatlah tikarmu, dan pulanglah!” Dengan segera orang itu bangun di hadapan mereka semua, lalu mengangkat tikarnya dan pulang sambil memuji Allah. Orang ramai kehairanan lalu memuji Allah. Dengan perasaan takut mereka berkata, “Sungguh menghairankan perkara yang kita saksikan hari ini!” Setelah itu Yesus keluar dan nampak seorang pemungut cukai bernama Lewi sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku.” Lewi berdiri, meninggalkan semuanya, lalu mengikut Yesus. Kemudian Lewi mengadakan jamuan besar di rumahnya untuk Yesus. Banyak pemungut cukai dan orang lain makan bersama-sama mereka. Beberapa orang Farisi dan guru Taurat bersungut-sungut kepada pengikut-pengikut Yesus. Mereka bertanya, “Mengapa kamu makan dan minum bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?” Yesus menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor, hanya orang sakit. Aku datang bukan untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi orang yang berdosa supaya mereka bertaubat daripada dosa.” Beberapa orang berkata kepada Yesus, “Pengikut Yohanes dan pengikut orang Farisi kerap kali berpuasa dan berdoa. Tetapi pengikut-Mu makan dan minum.” Yesus menjawab, “Dapatkah kamu menyuruh tetamu di jamuan perkahwinan berpuasa selama pengantin lelaki bersama-sama mereka? Tentu tidak! Tetapi akan tiba masanya pengantin lelaki itu akan diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka akan berpuasa.” Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka, “Tidak ada orang yang menampal pakaian lama dengan secebis kain daripada pakaian baru. Jika dia berbuat demikian, dia akan merosakkan pakaian baru itu; lagi pula kain penampal yang baru itu tidak berpadan dengan pakaian lama. Demikian juga tiada seorang pun menuang wain baru ke dalam kirbat kulit lama. Jika dia berbuat demikian, wain baru itu akan memecahkan kirbat itu. Wain itu terbuang dan kirbat itu pun rosak. Wain baru mesti dituang ke dalam kirbat kulit baru! Tidak seorang pun mahu minum wain baru setelah minum wain tua. ‘Wain tua lebih baik,’ katanya.” Pada suatu hari Sabat, ketika Yesus sedang melewati ladang gandum, pengikut-pengikut-Nya memetik bulir gandum. Mereka menggosoknya dengan tangan, lalu memakannya. Beberapa orang Farisi berkata, “Mengapa kamu melakukan apa yang dilarang oleh Taurat kita pada hari Sabat?” Yesus menjawab, “Belum pernahkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud ketika dia dan anak buahnya lapar? Dia masuk ke dalam Khemah Allah dan mengambil roti yang telah dipersembahkan kepada Allah, lalu memakannya. Kemudian dia juga memberikan roti itu kepada anak buahnya. Tetapi menurut Taurat kita, tidak sesiapa pun boleh makan roti itu kecuali para imam.” Lalu Yesus berkata, “Anak Manusia berkuasa atas hari Sabat!” Pada hari Sabat yang lain, Yesus pergi mengajar di rumah ibadat. Di situ ada seorang yang tangannya lumpuh sebelah. Beberapa orang guru Taurat dan orang Farisi sedang mencari kesalahan Yesus supaya mereka dapat mengajukan tuduhan terhadap Dia. Oleh itu mereka mengawasi Dia baik-baik sama ada Dia akan menyembuhkan orang pada hari Sabat. Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Dia berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah, “Berdirilah dan marilah ke depan.” Orang itu bangun lalu berdiri di situ. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Aku hendak bertanya: Menurut Taurat apakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat? Berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan orang atau membinasakannya?” Yesus memandang mereka semua, lalu berkata kepada orang itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu menghulurkan tangannya, lalu tangannya pun sembuh. Tetapi mereka sangat marah dan mula berunding sesama sendiri tentang apa yang boleh dilakukan oleh mereka terhadap Yesus. Pada masa itu Yesus naik ke sebuah bukit untuk berdoa. Di situ Dia berdoa kepada Allah semalam-malaman. Apabila hari sudah terang, Dia memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu memilih dua belas orang daripada mereka. Yesus menamakan dua belas orang itu rasul. Mereka terdiri daripada Simon (yang juga disebut-Nya Petrus) dan adiknya Andreas; Yakobus dan Yohanes, Filipus dan Bartolomeus, Matius dan Tomas, Yakobus anak Alfeus dan Simon (yang disebut Patriot), Yudas anak Yakobus dan Yudas Iskariot yang kelak menjadi pengkhianat. Apabila Yesus turun dari bukit bersama-sama rasul-rasul itu, Dia berdiri di tempat yang rata dengan sebilangan besar pengikut-Nya. Di situ juga ada orang ramai yang datang dari seluruh Yudea, Yerusalem, kota Tirus dan Sidon yang di tepi laut. Mereka datang untuk mendengar Yesus dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Orang yang dirasuk roh jahat juga datang dan disembuhkan. Semua orang cuba menyentuh Yesus, kerana kuasa keluar daripada-Nya dan menyembuhkan mereka semua. Yesus memandang semua pengikut-Nya lalu berkata, “Berbahagialah kamu yang miskin; kerana kamu menikmati Pemerintahan Allah! Berbahagialah kamu yang lapar sekarang; kamu akan dikenyangkan! Berbahagialah kamu yang menangis sekarang; kamu akan tertawa! Berbahagialah kamu apabila orang membenci, menolak, dan menghina kamu, serta memburukkan nama kamu kerana Anak Manusia! Demikian jugalah nenek moyang mereka memperlakukan nabi-nabi. Bersukacitalah apabila hal itu berlaku, dan menarilah dengan gembira, kerana pahala yang besar tersedia untuk kamu di syurga. Tetapi malanglah kamu yang kaya sekarang ini, kerana kamu telah mengalami kenikmatan hidup! Malanglah kamu yang kenyang sekarang ini, kerana kamu akan kelaparan! Malanglah kamu yang tertawa sekarang ini, kerana kamu akan berdukacita dan menangis! Malanglah kamu jika semua orang memuji kamu, kerana demikian juga nenek moyang mereka memuji nabi-nabi palsu.” “Tetapi Aku berkata kepada kamu yang mendengarkan Aku: Kasihilah musuh kamu dan berbuatlah baik kepada mereka yang membenci kamu. Berkatilah mereka yang mengutuk kamu, dan berdoalah untuk mereka yang menganiaya kamu. Jika seseorang menampar pipi kamu yang sebelah, biarkan dia menampar pipi kamu yang sebelah lagi. Jika seseorang merampas jubah kamu, berikanlah baju kamu juga. Jika seseorang meminta sesuatu daripada kamu, berikan apa yang dimintanya; jika seseorang merampas milik kamu, janganlah minta kembali barang itu. Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka. Jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu, patutkah kamu menerima pujian? Tentu tidak! Orang berdosa pun mengasihi orang yang mengasihi mereka! Jika kamu berbuat baik hanya kepada mereka yang berbuat baik kepada kamu, patutkah kamu menerima pujian? Orang berdosa pun berbuat demikian! Jika kamu memberikan pinjaman kepada orang yang dapat mengembalikannya, patutkah kamu menerima pujian? Orang berdosa pun memberikan pinjaman kepada orang berdosa, lalu memintanya kembali! Bukan demikian! Hendaklah kamu mengasihi musuh kamu dan berbuat baik kepada mereka. Berikan pinjaman dan jangan harap pinjaman itu dikembalikan. Lalu kamu akan mendapat pahala besar dan kamu akan menjadi anak-anak Allah Yang Maha Tinggi. Allah baik kepada orang yang tidak tahu berterima kasih dan orang jahat. Hendaklah kamu berbelas kasihan seperti Bapa kamu berbelas kasihan juga!” “Janganlah hakimi orang lain, supaya Allah tidak menghakimi kamu juga. Janganlah hukum orang lain, supaya Allah tidak menghukum kamu juga. Ampunilah orang lain, supaya Allah mengampuni kamu juga. Apa yang kamu berikan kepada orang lain, Allah juga akan memberikannya kepada kamu. Allah akan mencurahi kamu pemberian yang berlimpah-limpah. Sukatan yang kamu gunakan untuk orang lain akan digunakan oleh Allah untuk kamu.” Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka, “Jika seorang buta memimpin seorang buta yang lain, maka kedua-duanya akan jatuh ke dalam longkang. Tidak ada murid yang lebih besar daripada gurunya. Apabila murid itu selesai belajar, dia menjadi sama seperti gurunya. Mengapakah kamu memperhatikan selumbar di dalam mata saudara kamu, tetapi tidak memperhatikan kayu balak di dalam mata kamu sendiri? Bagaimana mungkin kamu berkata kepada saudara kamu, ‘Maaf, saudara, biarlah saya keluarkan selumbar dari mata saudara,’ sedangkan kayu balak di dalam mata kamu sendiri tidak kamu lihat? Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak dari mata kamu sendiri. Barulah kamu dapat melihat dengan jelas dan mengeluarkan selumbar dari mata saudara kamu.” “Pokok yang subur tidak menghasilkan buah yang buruk. Demikian juga pokok yang tidak subur tidak akan menghasilkan buah yang baik. Setiap pokok dikenal daripada buahnya. Kamu tidak memetik buah ara dari belukar berduri, ataupun buah anggur dari semak-semak. Orang baik mengeluarkan perkara-perkara baik kerana hati mereka berlimpah-limpah dengan kebaikan. Tetapi orang jahat mengeluarkan perkara-perkara jahat, kerana hati mereka penuh kejahatan. Orang mengucapkan perkara yang terkandung di dalam hati.” “Mengapa kamu memanggil Aku, ‘Tuhan, Tuhan,’ tetapi tidak menurut kata-kata-Ku? Beginilah keadaan setiap orang yang datang kepada-Ku dan mendengar kata-kata-Ku serta melakukannya. Dia seperti pembina rumah yang menggali lubang dalam-dalam lalu meletakkan asas rumah pada batu. Air sungai melimpah dan melanda rumah itu, tetapi tidak dapat menggoncangkannya, kerana asas rumah itu dibina dengan teguh. Tetapi orang yang mendengar kata-kata-Ku dan tidak melakukannya, seperti orang yang membina rumah tanpa asas. Ketika banjir melanda, rumah itu roboh. Alangkah dahsyatnya kerosakan itu!” Setelah Yesus mengatakan segala perkara itu kepada orang ramai, Dia pergi ke Kapernaum. Di situ ada seorang ketua askar Roma yang mempunyai seorang hamba yang sangat dikasihinya. Hamba itu sakit dan hampir meninggal. Ketika ketua askar itu mendengar tentang Yesus, dia menyuruh beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi pergi kepada Yesus untuk meminta Dia datang dan menyembuhkan hambanya. Mereka pergi kepada Yesus lalu memohon dengan sungguh-sungguh, “Orang ini layak tuan tolong. Dia mengasihi bangsa kita, dan bahkan membina rumah ibadat untuk kami.” Yesus pergi bersama-sama mereka. Ketika Dia hampir tiba di rumah itu, ketua askar itu mengutus sahabat-sahabatnya supaya berkata kepada Yesus, “Tuan, janganlah bersusah-susah ke rumah saya. Saya tidak layak menyambut tuan ke rumah saya. Saya sendiri pun tidak layak menghadap tuan. Perintahkanlah sahaja, tentu hamba saya akan sembuh. Saya pun di bawah perintah perwira atasan, dan di bawah saya juga ada askar-askar lain. Apabila saya menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi; dan apabila saya menyuruh seorang askar lain, ‘Ke mari!’ dia pun datang. Apabila saya menyuruh hamba saya, ‘Buatlah ini!’ dia pun melakukannya.” Yesus hairan mendengar hal itu. Dia berpaling lalu berkata kepada orang ramai yang sedang mengikuti-Nya, “Belum pernah Aku jumpai orang yang beriman sebesar ini, bahkan di kalangan orang Israel pun tidak!” Ketika orang yang disuruh itu kembali ke rumah ketua askar, mereka mendapati hamba itu sudah sembuh. Tidak lama kemudian, Yesus pergi ke kota Nain. Pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai pergi dengan Dia. Ketika Dia tiba di pintu gerbang kota itu, penduduk kota sedang menghantar jenazah ke luar kota. Yang mati itu anak lelaki tunggal seorang balu. Banyak penduduk kota menyertai ibu itu. Apabila Tuhan melihat wanita itu, Dia kasihan kepadanya lalu berkata, “Janganlah menangis.” Setelah itu Dia menghampiri dan menyentuh usungan itu, lalu para pengusung pun berhenti. Yesus berkata, “Hai anak muda, Aku menyuruh kamu bangun!” Pemuda yang dihidupkan semula itu duduk dan mula bercakap. Lalu pemuda itu diserahkan oleh Yesus kepada ibunya. Semua orang takut lalu memuji Allah. Mereka berkata, “Seorang nabi yang besar telah datang di kalangan kita! Allah sudah datang untuk menyelamatkan umat-Nya!” Berita tentang Yesus tersebar di seluruh negeri dan di daerah sekitarnya. Pengikut Yohanes memberitahu Yohanes segala perkara ini. Yohanes memanggil dua orang pengikutnya lalu menyuruh mereka bertanya kepada Tuhan Yesus, “Adakah tuan orang yang dikatakan akan datang menurut janji Allah atau adakah kami harus menantikan seorang lain?” Apabila mereka bertemu dengan Yesus, mereka berkata, “Yohanes Pembaptis menyuruh kami bertanya kepada tuan, ‘Adakah tuan orang yang dikatakan akan datang menurut janji Allah, atau adakah kami harus menantikan seorang lain?’ ” Kebetulan pada masa itu, Yesus menyembuhkan banyak orang sakit. Dia mengusir roh-roh jahat dan mencelikkan mata orang buta. Oleh itu Yesus menjawab utusan-utusan Yohanes, “Pulanglah, beritahu Yohanes apa yang telah kamu lihat dan dengar: orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang berpenyakit kulit yang mengerikan menjadi sembuh, orang tuli mendengar, orang mati dibangkitkan semula, dan Berita Baik daripada Allah dikhabarkan kepada orang miskin. Berbahagialah orang yang tidak mempunyai keraguan terhadap Aku!” Setelah utusan-utusan Yohanes pergi, Yesus mula bercakap tentang Yohanes kepada orang ramai. Dia berkata, “Apabila kamu pergi kepada Yohanes di padang gurun, apakah yang mahu kamu lihat? Sehelai rumput yang ditiup anginkah? Kamu keluar mahu melihat apa? Seorang yang berpakaian indahkah? Orang yang berpakaian demikian dan yang hidup mewah tinggal di istana! Katakanlah, kamu keluar mahu melihat apa? Seorang nabikah? Betul, bahkan lebih daripada seorang nabi. Yohanes itulah yang dikatakan dalam ayat Alkitab, ‘Allah berfirman: Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia terlebih dahulu daripada-Mu supaya menyediakan jalan bagi-Mu.’ ” Yesus berkata pula, “Hendaklah kamu tahu bahawa di dunia ini tidak ada orang yang lebih besar daripada Yohanes Pembaptis. Tetapi orang terkecil antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah, lebih besar daripada Yohanes.” Orang ramai termasuk para pemungut cukai mendengar Yesus mengatakan hal itu. Merekalah yang mentaati perintah Allah dan mahu dibaptis oleh Yohanes. Tetapi orang Farisi dan guru Taurat tidak mahu menerima apa yang dikehendaki oleh Allah bagi diri mereka, dan tidak mahu dibaptis oleh Yohanes. Yesus berkata, “Dengan apakah dapat Aku bandingkan orang zaman ini? Seperti apakah mereka? Mereka seperti anak-anak yang duduk di pasar. Kumpulan yang satu berseru kepada yang lain, ‘Kami memainkan lagu perkahwinan untuk kamu, tetapi kamu tidak mahu menari! Kami meratap, tetapi kamu tidak mahu menangis!’ Yohanes Pembaptis datang, dia berpuasa dan tidak minum wain; lalu kamu berkata, ‘Dia dirasuk syaitan!’ Anak Manusia datang, Dia makan dan minum, lalu kamu berkata, ‘Lihatlah orang ini! Dia rakus, pemabuk, sahabat pemungut cukai, dan kawan orang yang dihina masyarakat!’ Walaupun demikian, kebijaksanaan Allah dibuktikan benar oleh perbuatan semua orang yang menerima kebijaksanaan itu.” Seorang Farisi bernama Simon menjemput Yesus makan di rumahnya. Yesus pergi ke rumahnya lalu mulai makan. Di kota itu ada pula seorang wanita yang hidup dalam dosa. Dia mendengar bahawa Yesus sedang makan di rumah orang Farisi itu, lalu dia pergi ke situ sambil membawa sebotol minyak wangi. Dia berdiri di belakang Yesus dekat kaki-Nya; dia menangis dan membasahi kaki Yesus dengan air matanya. Kemudian kaki Yesus dikeringkan oleh wanita itu dengan rambutnya, lalu kaki Yesus diciumnya dan dituangi minyak wangi. Apabila orang Farisi yang menjemput Yesus melihat kejadian ini, dia berkata dalam hati, “Jika dia ini benar-benar seorang nabi, tentu dia tahu bahawa wanita yang menyentuhnya itu hidup dalam dosa!” Yesus berkata kepadanya, “Simon, ada yang hendak Aku katakan kepadamu.” Simon menjawab, “Katakanlah guru.” Yesus berkata, “Ada dua orang lelaki berhutang kepada seorang peminjam wang. Yang seorang berhutang lima ratus keping wang perak dan yang seorang lagi lima puluh keping wang perak. Kedua-duanya tidak dapat membayar hutang. Oleh itu orang yang meminjamkan wang menghapuskan hutang mereka. Yang manakah akan lebih mengasihi dia?” Simon menjawab, “Pada pendapat saya orang yang berhutang lebih banyak!” “Pendapatmu benar,” jawab Yesus. Lalu Yesus berpaling kepada wanita itu dan berkata kepada Simon, “Kamu nampak perempuan ini? Aku datang ke rumahmu dan kamu tidak menyediakan air untuk membersihkan kaki-Ku. Tetapi wanita ini membasuh kaki-Ku dengan air matanya, dan mengeringkannya dengan rambutnya. Kamu tidak menyambut Aku dengan ciuman, tetapi wanita ini tidak henti-henti mencium kaki-Ku sejak Aku tiba. Kamu tidak menyediakan minyak untuk kepala-Ku, tetapi wanita ini telah menuang minyak wangi pada kaki-Ku. Sesungguhnya, kasihnya yang besar itu menunjukkan bahawa dosanya yang banyak sudah diampunkan! Jika seseorang menunjukkan kasih yang sedikit, hal itu bererti dia menerima pengampunan yang sedikit juga.” Lalu Yesus berkata kepada wanita itu, “Dosamu sudah diampunkan.” Mereka yang makan bersama-sama Yesus mula bertanya sesama sendiri, “Siapakah dia ini sehingga dapat mengampunkan dosa?” Tetapi Yesus berkata kepada wanita itu, “Oleh sebab kamu percaya kepada-Ku, kamu diselamatkan. Pergilah dengan sejahtera!” Tidak berapa lama kemudian, Yesus menjelajah kota dan pekan untuk mengkhabarkan Berita Baik bahawa Allah mula memerintah. Dua belas orang pengikut-Nya menyertai Dia, dan juga beberapa orang wanita yang sudah disembuhkan daripada kerasukan roh jahat dan penyakit. Antara mereka termasuk Maria yang disebut Magdalena (tujuh roh jahat sudah diusir daripada dirinya); Yohana, isteri Khuza, pegawai istana Herodes; Susana dan banyak lagi wanita lain. Mereka menggunakan harta mereka untuk membantu Yesus dan pengikut-pengikut-Nya. Orang terus-menerus datang kepada Yesus dari berbagai-bagai kota. Apabila orang yang berkumpul di situ banyak sekali, Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. Dia berkata, “Seorang peladang pergi menabur benih. Ketika dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan. Benih itu dipijak-pijak orang dan dimakan burung. Ada juga yang jatuh di tempat berbatu. Apabila benih bertunas, tanaman itu segera layu kerana tanahnya kering. Ada juga yang jatuh di tengah-tengah semak berduri. Apabila benih bertunas, semak berduri yang tumbuh bersama-samanya membantutkan tumbuhan itu. Tetapi ada juga benih yang jatuh di tanah subur, lalu tumbuh dan menghasilkan buah seratus kali ganda.” Setelah Yesus menceritakan perumpamaan itu, Dia berkata, “Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!” Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya makna perumpamaan itu. Yesus menjawab, “Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah. Tetapi yang lain diberitahukan hal itu melalui perumpamaan, supaya mereka melihat tetapi tidak nampak dan mereka mendengar tetapi tidak faham.” “Inilah makna perumpamaan itu: Benih itu firman Allah. Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran Allah, tetapi Iblis datang dan mengambil perkhabaran itu dari hati mereka, supaya mereka tidak percaya ataupun diselamatkan. Benih yang jatuh di tempat berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu dan menerimanya dengan sukacita. Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati. Mereka percaya sekejap sahaja dan ketika cubaan datang mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu. Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kekhuatiran, kekayaan, dan kemewahan hidup membantutkan perkhabaran itu sehingga mereka tidak menghasilkan buah yang matang. Benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu serta menyimpannya di dalam hati yang baik dan jujur. Mereka bertekun sehingga menghasilkan buah.” “Tiada seorang pun memasang pelita lalu menaruhnya di bawah pasu, ataupun meletakkannya di bawah katil. Dia akan meletakkan pelita itu di atas kaki pelita, supaya orang yang masuk ke dalam rumah dapat melihat cahayanya. Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan apa yang dirahsiakan akan diketahui dan didedahkan. Oleh itu perhatikanlah apa yang kamu dengar. Seseorang yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak lagi, tetapi seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang disangka ada padanya akan diambil juga.” Ibu dan saudara-saudara Yesus datang kepada Yesus, tetapi mereka tidak dapat menghampiri Dia kerana orang di situ terlalu banyak. Lalu seorang berkata kepada Yesus, “Tuan, ibu dan saudara-saudara tuan di luar. Mereka hendak berjumpa dengan tuan.” Tetapi Yesus berkata kepada mereka semua, “Orang yang mendengar firman Allah serta mentaatinya, merekalah ibu dan saudara-saudara-Ku.” Pada suatu hari Yesus dengan pengikut-pengikut-Nya menaiki sebuah perahu. Dia berkata kepada mereka, “Marilah kita menyeberang tasik.” Mereka pun bertolak. Sedang mereka belayar, Yesus tidur. Tiba-tiba angin kencang melanda tasik itu. Air mula masuk ke dalam perahu sehingga membahayakan mereka semua. Pengikut-pengikut Yesus pergi kepada Yesus lalu membangunkan Dia. Mereka berkata, “Guru, Guru, kita hampir tenggelam!” Yesus bangun lalu menengking angin dan ombak yang bergelora. Angin dan ombak pun teduh dan tasik menjadi tenang sekali. Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku?” Tetapi mereka hairan dan takut serta bercakap sesama sendiri, “Siapakah orang ini, sehingga angin dan ombak taat kepada perintahnya?” Mereka terus belayar ke daerah Gerasa di seberang Tasik Galilea. Sedang Yesus naik ke darat, Dia didatangi seorang lelaki dari bandar. Orang itu dirasuk roh jahat. Sudah lama orang itu tidak berpakaian dan tidak mahu tinggal di rumah. Dia tinggal di gua kubur. Apabila dia melihat Yesus, dia berteriak serta sujud di hadapan Yesus, dan berseru, “Hai Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi! Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap aku? Aku mohon, janganlah seksa aku!” Orang itu berkata demikian kerana Yesus telah memerintah roh jahat itu keluar daripadanya. Banyak kali roh jahat itu menguasai orang itu. Walaupun dia dijaga dengan ketat dan kaki tangannya dirantai, dia dapat memutuskan rantai itu, lalu roh jahat membawa dia ke padang gurun. Yesus bertanya kepadanya, “Siapa namamu?” Dia menjawab, “ ‘Legiun’ ” - kerana banyak roh jahat sudah masuk ke dalam dirinya. Roh-roh jahat itu memohon supaya Yesus tidak menghalau roh-roh itu ke Jurang Maut. Dekat tempat itu ada kawanan babi sedang mencari makan di lereng bukit. Roh-roh jahat itu memohon supaya Yesus membenarkan roh-roh itu masuk ke dalam kawanan babi itu. Yesus bersetuju. Begitulah roh-roh jahat itu keluar daripada orang itu lalu masuk ke dalam kawanan babi. Kemudian kawanan babi itu lari ke tepi jurang dan terjun ke dalam tasik lalu tenggelam. Penjaga-penjaga babi itu nampak apa yang sudah berlaku. Mereka lari dari situ lalu menyebarkan berita itu di bandar dan di kampung-kampung sekitarnya. Lalu orang ramai keluar hendak melihat apa yang sudah berlaku. Mereka datang kepada Yesus dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat duduk dekat kaki Yesus. Orang itu sudah berpakaian dan waras fikirannya. Mereka semua ketakutan. Semua orang yang telah melihat kejadian itu memberitahu orang ramai bagaimana orang itu disembuhkan. Lalu penduduk daerah Gerasa memohon supaya Yesus meninggalkan tempat itu, kerana mereka semua sangat takut. Oleh itu Yesus menaiki perahu lalu pergi dari situ. Orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat memohon kepada Yesus supaya dibenarkan mengikut Yesus. Tetapi Yesus menyuruh dia pergi, “Pulanglah ke rumah, dan ceritakan apa yang telah dilakukan oleh Allah untukmu.” Orang itu pergi ke seluruh pelosok bandar dan menceritakan apa yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya. Apabila Yesus kembali ke seberang tasik, orang ramai menyambut Dia kerana mereka sedang menanti-nantikan Dia. Lalu datanglah seorang bernama Yairus. Dia ketua rumah ibadat tempatan. Dia sujud di hadapan Yesus dan memohon supaya Yesus datang ke rumahnya, kerana anak perempuannya yang tunggal, yang berumur dua belas tahun, hampir meninggal. Sedang Yesus berjalan ke rumah Yairus, orang mengasak Dia dari semua sisi. Di situ ada seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan selama dua belas tahun. Dia telah menghabiskan segala miliknya untuk rawatan doktor, tetapi tiada seorang pun dapat menyembuhkan dia. Wanita itu mendekati Yesus dari belakang, lalu menyentuh hujung jubah-Nya, dan dengan segera pendarahannya berhenti. Yesus bertanya, “Siapa menyentuh Aku?” Tiada orang yang mahu mengaku. Petrus berkata, “Guru, orang di sini banyak sekali; mereka berasak-asakan!” Tetapi Yesus berkata, “Ada orang yang menyentuh Aku. Aku tahu kerana kuasa telah keluar daripada-Ku.” Wanita itu sedar bahawa perbuatannya sudah diketahui oleh Yesus. Dia datang dengan gementar lalu sujud pada kaki Yesus. Di hadapan semua orang, dia memberitahu Yesus mengapa dia menyentuh Yesus dan bagaimana penyakitnya sembuh dengan serta-merta. Yesus berkata kepadanya, “Anak-Ku, kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera.” Sedang Yesus berkata demikian, seorang pesuruh datang dari rumah Yairus. Dia berkata kepada Yairus, “Anak perempuan tuan sudah meninggal. Janganlah susahkan guru lagi.” Yesus mendengar kata-kata itu. Dia berkata kepada Yairus. “Jangan takut. Percayalah sahaja dan anakmu akan sembuh.” Apabila Yesus tiba di rumah itu, Dia tidak membenarkan sesiapa pun masuk dengan Dia kecuali Petrus, Yohanes, Yakobus, dan ibu bapa anak itu. Semua orang sedang menangisi dan meratapi kematian anak itu. Yesus berkata, “Janganlah menangis. Anak ini tidak meninggal, dia hanya tidur!” Semua orang mentertawakan Yesus, kerana mereka tahu bahawa anak itu sudah meninggal. Tetapi Yesus memegang tangan anak itu, lalu berkata, “Bangunlah, nak!” Nyawa anak itu kembali dan seketika itu juga dia bangun. Lalu Yesus menyuruh mereka memberikan makanan kepada anak itu. Ibu bapa anak itu sangat hairan, tetapi Yesus melarang mereka memberitahu sesiapa pun apa yang sudah berlaku. Yesus memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu Dia memberi mereka kuasa dan wibawa untuk mengusir roh jahat serta menyembuhkan penyakit. Setelah itu Dia mengutus mereka pergi menyembuhkan orang sakit dan mengkhabarkan berita tentang bagaimana Allah memerintah. Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah bawa apa-apa untuk perjalanan kamu, baik tongkat, beg sedekah, makanan, wang, mahupun dua helai pakaian. Di mana sahaja kamu disambut, tinggallah di rumah itu sehingga kamu meninggalkan kota itu. Di tempat kamu tidak disambut orang, tinggalkan kota itu dan kebaskanlah debu daripada telapak kaki kamu sebagai amaran kepada mereka.” Pengikut-pengikut-Nya berangkat, lalu pergi ke semua pekan untuk mengkhabarkan Berita Baik itu dan menyembuhkan orang sakit di mana-mana. Ketika Herodes yang memerintah Galilea, mendengar segala perkara yang sedang berlaku itu, dia bingung kerana ada yang berkata, “Yohanes Pembaptis hidup semula!” Yang lain berkata bahawa Elia sudah kembali, sedangkan ada juga yang berkata bahawa seorang daripada nabi-nabi dahulu kala sudah hidup semula. Herodes berkata, “Aku sudah menyuruh orang memancung kepala Yohanes. Tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentang orang ini sudah aku dengar.” Herodes tetap berusaha untuk berjumpa dengan Yesus. Rasul-rasul Yesus kembali kepada Yesus dan menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh mereka. Lalu Yesus membawa mereka ke kota Betsaida. Apabila orang ramai mengetahui hal itu, mereka mengikut Yesus. Yesus menyambut mereka, lalu mengajar mereka tentang Pemerintahan Allah, dan menyembuhkan orang yang minta disembuhkan. Apabila hari mula senja, dua belas orang pengikut itu datang kepada Yesus dan berkata, “Suruhlah semua orang ini pulang, supaya mereka dapat pergi ke pekan dan kampung di sekitar tempat ini untuk mendapatkan makanan dan mencari tempat bermalam. Tempat ini terpencil.” Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Sebaiknya kamu beri mereka makanan.” Mereka menjawab, “Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan. Adakah Guru mahu kami pergi membeli makanan untuk orang sebanyak ini?” (Ada kira-kira lima ribu orang lelaki di situ.) Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Suruhlah mereka duduk dalam kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.” Pengikut-pengikut Yesus melakukan suruhan Yesus lalu semua orang pun duduk. Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti dan ikan itu, lalu menyerahkannya kepada para pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. Semua orang makan sampai kenyang. Setelah itu pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul. Pada suatu hari, ketika Yesus sedang berdoa sendirian, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Yesus bertanya kepada mereka, “Menurut orang ramai, siapakah Aku ini?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis. Ada juga yang berkata Elia. Tetapi yang lain berkata salah seorang nabi dahulu kala yang sudah hidup semula.” “Tetapi menurut kamu siapakah Aku ini?” tanya Yesus. Petrus menjawab, “Guru ialah Kristus, Penyelamat yang diutus oleh Allah.” Dengan tegas Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Jangan ceritakan hal itu kepada sesiapa pun.” Dia berkata juga, “Anak Manusia mesti mengalami banyak penderitaan, serta ditentang oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga Dia akan dibangkitkan.” Setelah itu Dia berkata kepada orang ramai, “Sesiapa yang hendak mengikut Aku mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib tiap-tiap hari dan mengikut Aku. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati, tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan mendapat hidup yang sejati. Apa gunanya jika seorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati ataupun dihukum? Jika seseorang malu mengakui Aku dan ajaran-Ku, maka Anak Manusia juga akan malu mengakui orang itu apabila Dia datang kelak dengan kemuliaan-Nya dan dengan kemuliaan Bapa serta kemuliaan malaikat-malaikat yang suci! Ketahuilah, ada beberapa orang di sini yang tidak akan meninggal, sebelum melihat Allah memerintah.” Kira-kira seminggu setelah Yesus mengatakan perkara-perkara itu, Dia membawa Petrus, Yohanes, dan Yakobus ke sebuah bukit untuk berdoa. Sedang Yesus berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilauan. Tiba-tiba dua orang bercakap dengan Dia; mereka Musa dan Elia. Mereka kelihatan bersinar-sinar dengan cahaya dari syurga. Mereka berkata-kata dengan Yesus tentang bagaimana Yesus akan segera memenuhi rancangan Allah dengan kematian-Nya di Yerusalem. Pada waktu itu Petrus dan kawan-kawannya tidur nyenyak. Tetapi mereka terjaga dan nampak kemuliaan Yesus serta dua orang yang berdiri dengan-Nya. Ketika dua orang itu hendak meninggalkan Yesus, Petrus berkata kepada-Nya, “Guru, sungguh baik kami di sini. Kami akan mendirikan tiga buah khemah: satu untuk Guru, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.” (Sebenarnya Petrus tidak mengetahui apa yang dikatakannya.) Sementara Petrus berkata demikian, awan datang lalu meliputi mereka, sehingga mereka takut. Dari awan itu terdengar suara berkata, “Inilah Anak-Ku yang telah Aku pilih. Dengarkan kata-kata-Nya!” Apabila suara itu berhenti berkata-kata, mereka melihat Yesus seorang diri di situ. Pengikut-pengikut-Nya tidak berkata apa-apa tentang semuanya itu. Pada waktu itu mereka tidak memberitahu sesiapa pun apa yang telah dilihat oleh mereka. Keesokan harinya Yesus dan ketiga-tiga orang pengikut-Nya turun dari bukit dan orang ramai datang menjumpai Yesus. Seorang lelaki dari tengah-tengah orang ramai itu berseru, “Guru, tolonglah lihat anak saya - anak tunggal saya! Apabila roh jahat merasuknya, dia tiba-tiba berteriak dan menderita penyakit gila babi sehingga mulutnya berbuih. Roh jahat itu terus-menerus menyakiti dia dan tidak mahu melepaskannya! Saya telah meminta pengikut-pengikut Guru mengusir roh jahat itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” Yesus menjawab, “Hai kamu yang sesat dan tidak percaya! Berapa lamakah harus Aku tinggal bersama-sama kamu dan bersabar terhadap kamu?” Lalu Yesus berkata kepada orang itu, “Bawalah anakmu ke mari.” Ketika anak itu menghampiri Yesus, roh jahat membanting anak itu ke tanah lalu tubuhnya berkejang-kejang. Yesus mengusir roh jahat itu dan menyembuhkan anak itu, lalu menyerahkannya kembali kepada bapanya. Semua orang hairan melihat kuasa Allah yang begitu besar! Sementara mereka masih terhairan-hairan tentang segala perkara yang dilakukan-Nya, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Janganlah lupa akan apa yang Aku katakan ini: Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia.” Tetapi pengikut-pengikut-Nya tidak memahami maksud kata-kata itu. Allah merahsiakan hal itu daripada mereka sehingga mereka tidak dapat memahaminya. Tetapi mereka takut bertanya kepada Yesus tentang perkara itu. Pertengkaran timbul antara pengikut-pengikut Yesus tentang siapa yang terbesar. Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Oleh itu Dia menyuruh seorang kanak-kanak berdiri di sisi-Nya. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Sesiapa yang menyambut kanak-kanak ini kerana Aku, menyambut Aku. Dan sesiapa yang menyambut Aku, juga menyambut Dia yang mengutus Aku. Sesiapa yang terkecil antara kamu, dialah yang terbesar!” Yohanes berkata, “Guru, kami nampak seorang mengusir roh jahat dengan nama Guru. Kami melarang dia, kerana dia tidak termasuk golongan kita.” Yesus berkata kepada Yohanes dan pengikut-Nya yang lain, “Jangan larang dia, kerana orang yang tidak melawan kamu berpihak kepada kamu.” Apabila sudah dekat masanya Yesus diangkat ke syurga, Dia mengambil keputusan untuk pergi ke Yerusalem. Dia menyuruh orang pergi terlebih dahulu daripada Dia. Mereka berangkat dan pergi ke sebuah pekan di Samaria untuk menyediakan tempat bermalam bagi Yesus. Tetapi penduduk pekan itu tidak mahu menerima Yesus, kerana nyata sekali bahawa Yesus sedang menuju ke Yerusalem. Ketika Yakobus dan Yohanes, pengikut Yesus mengetahui hal itu, mereka berkata, “Tuhan, adakah Tuhan mahu kami meminta api turun dari syurga untuk membinasakan mereka?” Yesus berpaling lalu memarahi mereka. Setelah itu Dia dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke pekan lain. Sedang mereka meneruskan perjalanan, datanglah seseorang berkata kepada Yesus, “Saya bersedia mengikut tuan ke mana sahaja tuan pergi!” Yesus menjawab, “Serigala mempunyai lubang dan burung mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat untuk berbaring dan berehat.” Lalu Dia berkata pula kepada seorang lain, “Ikutlah Aku.” Tetapi orang itu berkata, “Tuan, benarkan saya balik untuk mengebumikan jenazah bapa saya dahulu.” Yesus menjawab, “Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka sendiri. Tetapi kamu, pergilah khabarkan berita bahawa Allah sudah mula memerintah.” Seorang lain pula berkata, “Tuan, saya mahu mengikut tuan, tetapi benarkan saya balik dahulu untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga saya.” Yesus berkata kepadanya, “Orang yang mula membajak, tetapi selalu menoleh ke belakang, tidak layak menikmati Pemerintahan Allah.” Kemudian Yesus memilih tujuh puluh dua orang pengikut pula. Dia mengutus mereka berdua-dua, dan pergi mendahului Dia ke tiap-tiap kota dan tempat yang akan dikunjungi-Nya. Yesus berkata kepada mereka, “Tuaian sungguh banyak, tetapi yang menuai hanya sedikit. Berdoalah kepada Pemilik tuaian supaya Dia menghantar orang untuk menuai tuaian-Nya. Pergilah! Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Jangan bawa dompet, atau beg sedekah, ataupun kasut. Jangan berhenti di tengah jalan untuk memberikan salam kepada sesiapa pun. Apabila kamu masuk ke dalam sebuah rumah, lebih dahulu katakanlah, ‘Semoga sejahteralah rumah ini.’ Jika orang yang tinggal di situ suka akan kedamaian, salam sejahtera kamu itu tetap padanya. Jika tidak, batallah salam sejahtera itu. Tinggallah di rumah itu dan makan minum apa sahaja yang dihidangkan, kerana seorang pekerja layak menerima upah. Jangan pindah dari satu rumah ke rumah yang lain. Apabila kamu masuk ke dalam sebuah kota lalu kamu disambut, makanlah apa yang dihidangkan. Sembuhkanlah orang sakit di kota itu, dan kepada penduduk di situ katakanlah, ‘Tidak lama lagi Allah akan memerintah di tengah-tengah kamu.’ Tetapi jika kamu masuk ke dalam sebuah kota lalu di situ kamu tidak disambut, pergilah ke jalan raya dan berkata, ‘Bahkan debu kota kamu yang melekat pada kaki, kami kebaskan sebagai amaran kepada kamu. Tetapi ketahuilah bahawa tidak lama lagi Allah akan memerintah di tengah-tengah kamu!’ Ingatlah bahawa pada Hari Pengadilan kelak, Allah akan lebih mengasihani penduduk kota Sodom daripada penduduk kota itu!” “Malanglah kamu, hai penduduk kota Korazin! Malanglah kamu, hai penduduk kota Betsaida! Jika semua mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu itu telah dilakukan di Tirus dan Sidon, pasti penduduk di sana sudah lama mengenakan kain guni dan menaruh abu di atas kepala untuk membuktikan bahawa mereka sudah bertaubat daripada dosa! Pada Hari Pengadilan kelak Allah akan lebih mengasihani penduduk kota Tirus dan Sidon daripada kamu! Dan kamu, hai penduduk kota Kapernaum! Kamu fikir kamu akan ditinggikan sampai ke syurga? Tidak! Kamu akan dibuang ke neraka!” Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Orang yang mendengar kata-kata kamu, mendengar kata-kata-Ku juga. Tetapi orang yang menolak kamu, menolak Aku juga. Orang yang menolak Aku, juga menolak Dia yang mengutus Aku.” Tujuh puluh dua orang pengikut itu kembali dengan kegembiraan yang besar. “Tuhan,” kata mereka, “roh-roh jahat pun taat kepada kami apabila kami memberikan perintah dengan nama Tuhan!” Yesus berkata kepada mereka, “Aku nampak Iblis jatuh dari langit seperti kilat. Dengarlah! Aku sudah memberikan kuasa kepada kamu supaya dapat memijak ular dan kala jengking serta mengalahkan segala kekuatan musuh. Tiada apa-apa pun dapat mencederakan kamu. Tetapi janganlah bersukacita kerana roh-roh jahat taat kepada kamu, sebaliknya bersukacitalah kerana nama kamu tercatat di syurga.” Pada waktu itu Yesus bersukacita kerana dipenuhi oleh Roh Allah, lalu berkata, “Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu kerana kepada orang yang tidak terpelajar Engkau telah menunjukkan apa yang Engkau rahsiakan daripada orang yang bijak dan pandai. Ya Bapa, perkara itulah yang menyenangkan hati Bapa. Bapa-Ku sudah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tidak seorang pun mengenal Anak kecuali Bapa, dan tidak seorang pun mengenal Bapa kecuali Anak serta mereka yang diberitahukan oleh Anak tentang Bapa.” Lalu Yesus berpaling kepada pengikut-pengikut-Nya dan berkata kepada mereka, “Alangkah berbahagianya kamu kerana dapat melihat apa yang kamu lihat sekarang ini! Ketahuilah bahawa banyak nabi dan raja mahu melihat apa yang kamu lihat sekarang ini tetapi tidak dapat, dan mahu mendengar apa yang kamu dengar sekarang ini tetapi juga tidak dapat.” Kemudian seorang guru Taurat datang untuk memerangkap Yesus. Dia bertanya, “Guru, apakah yang harus saya lakukan supaya mendapat hidup sejati dan kekal?” Yesus menjawab, “Apakah yang tertulis di dalam Alkitab? Bagaimana tafsiranmu?” Orang itu menjawab, “ ‘Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan segala kekuatanmu, dan dengan seluruh akalmu’; dan ‘Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’ ” Yesus berkata kepadanya, “Jawapanmu itu benar. Berbuatlah demikian, dan kamu akan mendapat hidup sejati dan kekal.” Tetapi guru Taurat itu hendak membela diri, lalu bertanya, “Siapakah sesama saya?” Yesus menjawab, “Seorang lelaki turun dari Yerusalem dan pergi ke Yerikho. Di tengah perjalanan, dia diserang penyamun. Mereka merompak dan memukul dia setengah mati, lalu meninggalkannya di tepi jalan. Kebetulan pada masa itu seorang imam lalu di situ. Apabila dia melihat orang itu, dia menyeberang jalan dan meneruskan perjalanan. Demikian juga seorang Lewi lalu di situ. Dia mendekati orang itu untuk melihatnya, lalu menyeberang jalan dan meneruskan perjalanan. Tetapi seorang Samaria yang sedang lalu di situ, tiba di tempat orang itu terbaring. Ketika dia melihat orang itu, hatinya penuh belas kasihan. Maka dia mendekatinya lalu membersihkan luka-lukanya dengan wain dan mengubatinya dengan minyak. Selepas itu dia membalut luka-lukanya dan menaikkan orang itu ke atas haiwan tunggangannya sendiri. Dia membawa orang itu ke rumah tumpangan dan merawat dia di situ. Keesokan harinya orang Samaria itu memberikan dua keping wang perak kepada tuan rumah tumpangan itu dan berkata kepadanya, ‘Rawatlah dia, dan sekiranya wang ini tidak cukup, saya akan membayarnya apabila saya kembali ke sini.’ ” Lalu Yesus mengakhiri ceritanya dengan bertanya, “Menurut pendapatmu, di antara ketiga-tiga orang itu, siapakah yang menjadi sesama orang yang dirompak itu?” Guru Taurat itu menjawab, “Orang yang menunjukkan belas kasihan kepadanya.” Yesus berkata pula, “Pergilah dan berbuatlah demikian!” Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meneruskan perjalanan, lalu tiba di sebuah pekan. Di situ seorang wanita bernama Marta menjemput Yesus ke rumahnya. Marta mempunyai seorang saudara perempuan bernama Maria. Maria duduk dekat kaki Tuhan untuk mendengarkan ajaran-Nya. Tetapi Marta gelisah kerana banyak kerja yang harus dilakukannya. Marta menghampiri Yesus dan berkata, “Ya Tuhan, tidakkah Tuhan peduli bahawa Maria membiarkan aku sibuk seorang diri? Suruhlah dia tolong aku!” Tuhan menjawab, “Marta, Marta! Kamu sibuk serta khuatir akan banyak perkara, tetapi hanya satu yang mustahak! Maria sudah memilih perkara baik, yang tidak akan diambil daripadanya.” Pada suatu hari, Yesus berdoa di suatu tempat. Setelah Dia berdoa, salah seorang pengikut-Nya berkata kepada-Nya, “Ya Tuhan, ajarlah kami berdoa sebagaimana Yohanes mengajar pengikutnya berdoa.” Yesus berkata kepada mereka, “Berdoalah demikian, ‘Ya Bapa, Engkaulah Allah yang Esa. Semoga Engkau disembah dan dihormati. Engkaulah Raja kami. Semoga Engkau memerintah di bumi. Berilah kami makanan yang kami perlukan setiap hari. Ampunkanlah dosa kami, kerana kami pun mengampuni setiap orang yang bersalah terhadap kami. Dan janganlah biarkan kami kehilangan iman ketika dicubai.’ ” Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Seandainya seorang daripada kamu pergi ke rumah kawannya pada tengah malam, lalu berkata, ‘Hai kawan, pinjami aku tiga ketul roti, kerana sahabatku yang sedang dalam perjalanan singgah di rumah, dan aku tidak mempunyai makanan untuk dia!’ Seandainya kawanmu itu menjawab dari dalam, ‘Janganlah susahkan aku! Pintu sudah dikunci dan aku dengan anak-anak sudah tidur. Aku tidak dapat bangun dan memberikan apa-apa kepada kamu.’ ” Yesus berkata, “Lalu bagaimana? Ketahuilah, meskipun kamu kawannya, dia tidak mahu bangun dan memberikan roti kepada kamu. Tetapi kerana kamu tidak segan untuk terus-menerus meminta, dia akan bangun lalu memberikan apa sahaja yang kamu perlukan. Oleh itu Aku berkata kepada kamu: Mintalah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Allah akan membukanya bagi kamu. Hal itu demikian kerana setiap orang yang meminta sesuatu daripada Allah akan menerimanya; setiap orang yang mencari sesuatu daripada Allah akan mendapatnya, dan Allah akan membuka pintu bagi setiap orang yang mengetuknya. Siapakah antara kamu selaku bapa akan memberikan ular kepada anaknya ketika dia meminta ikan? Atau adakah kamu akan memberikan kala jengking ketika dia meminta telur? Walaupun kamu jahat, kamu tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anak kamu, lebih-lebih lagi Bapa yang di syurga! Dia akan memberikan Roh-Nya kepada mereka yang meminta daripada Bapa!” Pada suatu hari Yesus mengusir roh jahat daripada seorang bisu. Setelah roh jahat itu keluar, orang itu mula bercakap. Orang ramai hairan, tetapi ada beberapa orang yang berkata, “Beelzebul, ketua semua roh jahat telah memberikan kuasa kepada Yesus untuk mengusir roh jahat.” Ada juga orang lain yang hendak memerangkap Yesus. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah. Tetapi Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, tidak akan tahan lama. Keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan akan hancur. Jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, bagaimanakah kerajaan itu dapat bertahan? Kamu berkata Aku mengusir roh jahat kerana Aku diberi kuasa oleh Beelzebul. Jika demikian, siapakah yang memberikan kuasa kepada pengikut kamu untuk mengusir roh jahat? Pengikut kamu sendiri membuktikan bahawa pendapat kamu itu salah! Aku mengusir roh jahat dengan kuasa Allah dan hal ini membuktikan bahawa Allah sudah mula memerintah di tengah-tengah kamu. Apabila seorang kuat yang bersenjata lengkap, menjaga rumahnya sendiri, semua miliknya akan selamat. Tetapi jika seorang yang lebih kuat menyerang dan mengalahkan dia, orang itu akan merampas semua senjata yang digunakan pemilik itu, lalu membahagi-bahagikan apa yang dicurinya. Orang yang tidak berpihak kepada-Ku sebenarnya melawan Aku, dan orang yang tidak menolong Aku, sebenarnya merosakkan pekerjaan-Ku!” “Apabila roh jahat meninggalkan seseorang, roh itu menjelajah tempat yang kering untuk mencari tempat tinggal. Jika roh jahat itu tidak dapat menjumpai tempat tinggal, roh itu akan berkata, ‘Aku akan balik ke rumah yang telah aku tinggalkan.’ Ketika roh itu kembali, roh itu mendapati rumah itu bersih dan teratur. Lalu roh itu akan pergi memanggil tujuh roh jahat lain yang lebih jahat daripadanya. Kemudian semua roh itu akan memasuki orang itu lalu tinggal di situ. Akhirnya keadaan orang itu menjadi lebih buruk daripada dahulu.” Setelah Yesus berkata demikian, seorang wanita antara orang ramai itu berkata kepada Yesus, “Alangkah bahagianya wanita yang melahirkan dan menyusui kamu!” Tetapi Yesus menjawab, “Lebih bahagia lagi orang yang mendengar firman Allah dan melakukannya!” Ketika orang ramai mengerumuni Yesus, Dia berkata, “Alangkah jahatnya orang zaman ini! Mereka meminta mukjizat, tetapi tidak satu pun akan diberi kecuali mukjizat Nabi Yunus. Sebagaimana Nabi Yunus menjadi satu tanda bagi penduduk kota Niniwe, demikian juga Anak Manusia akan menjadi satu tanda bagi orang zaman ini. Pada Hari Pengadilan kelak, ratu dari Syeba akan bangkit lalu menuduh orang zaman ini. Ratu itu datang dari hujung bumi untuk mendengar ajaran yang bijak daripada Raja Salomo. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Raja Salomo! Pada Hari Pengadilan kelak, penduduk Niniwe akan bangkit lalu menuduh kamu, kerana mereka bertaubat daripada dosa ketika mendengar Yunus menyampaikan perkhabaran. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Yunus!” “Tidak ada orang yang memasang pelita lalu menyembunyikan atau menaruh pelita itu di bawah pasu. Dia akan meletakkannya di atas kaki pelita, supaya orang yang masuk ke rumah dapat melihat cahayanya. Mata bagaikan pelita bagi tubuh. Apabila matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi apabila matamu kabur, seluruh tubuhmu menjadi gelap gelita. Oleh itu, berhati-hatilah, supaya cahaya pada dirimu tidak menjadi gelap. Jika seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya dan tidak ada bahagian yang gelap, maka seluruh tubuhmu itu terang benderang seperti disinari cahaya.” Setelah Yesus berkata demikian, seorang Farisi menjemput Yesus makan di rumahnya. Yesus pergi ke situ lalu mulai makan. Orang Farisi itu hairan melihat Yesus makan dengan tidak membasuh tangan terlebih dahulu. Oleh itu Tuhan berkata kepadanya, “Memang kamu orang Farisi biasanya membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, tetapi hati kamu penuh dengan kekerasan dan kejahatan. Kamu bodoh! Bukankah Allah yang menjadikan bahagian luar, juga menjadikan bahagian dalam? Berikan apa yang ada di dalam cawan dan pinggan kamu kepada orang miskin. Jika kamu berbuat demikian, kamu dan milik kamu akan menjadi bersih. Malanglah kamu orang Farisi! Kamu memberikan sepersepuluh daripada selasih, inggu, dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan, dan kasih kepada Allah. Perkara-perkara itulah yang seharusnya kamu lakukan tanpa mengabaikan kewajipan yang lain. Malanglah kamu orang Farisi! Kamu suka akan tempat duduk khas di dalam rumah ibadat dan kamu suka dihormati di pasar. Malanglah kamu! Kamu seperti kubur tidak bernisan, yang dipijak-pijak orang tanpa disedari.” Salah seorang guru Taurat berkata kepada Yesus, “Guru, apabila guru berkata begitu, guru menghina kami juga!” Yesus menjawab, “Malanglah kamu guru Taurat! Kamu meletakkan beban yang berat ke atas bahu orang lain, tetapi kamu sendiri tidak mahu menghulurkan satu jari pun untuk menolong mereka memikul beban itu. Malanglah kamu! Kamu membina kubur yang elok-elok untuk para nabi yang dibunuh oleh nenek moyang kamu. Dengan tindakan itu, kamu menyetujui perbuatan nenek moyang kamu. Mereka membunuh nabi-nabi itu dan kamu membuat kubur bagi para nabi itu. Itulah sebabnya Kebijaksanaan Allah berkata, ‘Aku akan mengutus nabi dan utusan kepada mereka, tetapi ada yang akan dibunuh dan ada yang akan dianiaya!’ Demikianlah orang zaman ini akan dihukum kerana pembunuhan semua nabi sejak dunia ini diciptakan, mulai daripada pembunuhan Habel sehingga pembunuhan Zakharia yang berlaku di antara mazbah dan Tempat Suci itu. Percayalah, orang zaman ini akan dihukum kerana pembunuhan semua nabi itu. Malanglah kamu, guru Taurat! Kamu menyimpan kunci yang dapat membuka pintu pengetahuan tentang kehendak Allah, tetapi kamu tidak mahu masuk ke dalam. Sebaliknya kamu menghalangi orang yang mahu masuk!” Apabila Yesus meninggalkan tempat itu, guru Taurat dan orang Farisi mula mengecam Yesus. Mereka menyoal Yesus tentang banyak hal dengan maksud untuk memerangkap Dia. Mereka berusaha untuk mencari kesalahan Yesus ketika Dia berkata-kata. Sedang beribu-ribu orang berasak-asak sehingga kaki mereka saling terpijak, mula-mula Yesus berkata kepada para pengikut-Nya, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi, maksud-Ku kemunafikan mereka. Apa yang tersembunyi akan dinyatakan dan tiap-tiap rahsia akan didedahkan. Apa yang kamu ucapkan pada waktu malam akan terdengar pada siang hari dan apa yang kamu bisikkan di telinga orang di dalam bilik yang tertutup akan diumumkan dari atas rumah.” “Ingatlah, sahabat-sahabat-Ku! Janganlah takut akan mereka yang mengambil nyawa, tetapi kemudian tidak berkuasa berbuat apa-apa lagi. Biarlah Aku tunjukkan siapa yang mesti kamu takuti. Takutlah akan Allah, kerana Dia berkuasa mengambil nyawa orang, dan Dia juga berkuasa membuang orang itu ke dalam neraka! Percayalah, Allah yang harus kamu takuti! Bukankah lima ekor burung pipit dijual seharga dua sen? Meskipun demikian tidak seekor pun dilupakan oleh Allah. Sebenarnya rambut di kepala kamu pun telah dihitung semuanya. Oleh itu, janganlah takut kerana bagi Allah kamu lebih berharga daripada burung pipit!” “Ingatlah bahawa sesiapa yang mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, akan diakui juga oleh Anak Manusia di hadapan malaikat-malaikat Allah. Tetapi sesiapa yang tidak mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, akan tidak diakui juga oleh Anak Manusia di hadapan malaikat-malaikat Allah. Sesiapa yang menentang Anak Manusia dengan kata-katanya, dapat diampuni; tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Allah tidak dapat diampuni. Apabila kamu didakwa di rumah ibadat atau di hadapan gabenor atau penguasa, janganlah khuatir tentang bagaimana kamu harus membela diri atau apa yang harus kamu katakan. Roh Allah akan mengajar kamu apa yang harus kamu katakan pada waktu itu.” Seorang daripada orang ramai berkata kepada Yesus, “Guru, suruhlah saudara saya berikan sebahagian daripada harta peninggalan bapa kami kepada saya.” Yesus berkata kepadanya, “Saudara, siapa memberikan kuasa kepada-Ku untuk menjadi hakim, ataupun membahagikan harta antara kamu berdua?” Seterusnya Yesus berkata kepada mereka semua, “Berjaga-jagalah dan berwaspadalah! Janganlah tamak! Hidup seseorang tidak terdiri daripada kekayaannya, walaupun hartanya banyak sekali.” Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. Dia berkata, “Seorang hartawan mempunyai tanah yang menghasilkan tuaian yang banyak. Dia mula berfikir dalam hati, ‘Aku tidak mempunyai tempat untuk menyimpan segala hasil tanahku. Apakah yang harus aku lakukan?’ ‘Inilah yang akan aku lakukan,’ katanya kepada dirinya sendiri, ‘Aku akan merombak gudang-gudangku lalu mendirikan yang lebih besar. Dengan demikian aku dapat menyimpan hasil tanahku dan segala hartaku yang lain di situ. Setelah itu barulah aku berkata kepada diriku sendiri, kamu sungguh bertuah! Kamu mempunyai segala yang baik bagi keperluanmu selama bertahun-tahun. Nikmatilah hidup! Makan, minum, dan bersukacitalah!’ Tetapi Allah berkata kepadanya, ‘Hai bodoh! Malam ini juga engkau mesti menyerahkan nyawamu! Lalu siapakah yang akan mendapat segala harta yang telah engkau kumpulkan untuk dirimu sendiri itu?’ ” Lalu Yesus mengakhiri cerita-Nya dengan berkata, “Demikianlah halnya dengan orang yang mengumpulkan harta untuk diri sendiri, padahal tidak kaya di sisi Allah.” Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu: Janganlah khuatir tentang hidup kamu, tentang apa yang akan kamu makan, atau apa yang akan kamu pakai. Hidup itu lebih berharga daripada makanan, dan tubuh lebih berharga daripada pakaian. Perhatikanlah burung gagak yang tidak menanam benih, tidak menuai tuaian dan tidak mempunyai gudang atau jelapang, tetapi dipelihara oleh Allah! Kamu jauh lebih berharga daripada burung! Siapakah antara kamu yang dengan kekhuatiran dapat memanjangkan umur walaupun sedikit? Jika kamu tidak dapat menguasai perkara sekecil itu, mengapa kamu khuatir akan perkara-perkara lain? Lihatlah bunga bakung yang tumbuh di padang; bunga itu tidak bekerja dan tidak menenun. Tetapi ketahuilah, Raja Salomo dengan segala kekayaannya tidak berpakaian seindah bunga itu! Jika Allah menghiasi rumput di padang yang ada pada hari ini tetapi keesokan harinya dibakar di dapur, tidakkah Dia akan memastikan kamu berpakaian? Alangkah lemahnya iman kamu! Oleh itu, janganlah khuatir dan janganlah selalu fikirkan apa yang hendak kamu makan dan minum. (Orang yang tidak mengenal Allah selalu memikirkan hal-hal itu.) Bapa kamu tahu bahawa kamu memerlukan semua itu. Sebaliknya, utamakanlah Pemerintahan Allah dengan melakukan apa yang dikehendaki oleh Allah, maka semua itu akan diberikan oleh Allah kepada kamu.” “Janganlah takut, hai kamu yang kecil bilangan, kerana Bapa kamu berkenan membenarkan kamu menikmati Pemerintahan-Nya. Juallah segala milik kamu, dan berikan wangnya kepada orang miskin. Bagi diri kamu, buatlah dompet yang tidak dapat rosak dan simpanlah harta kamu di syurga. Di situ harta kamu tidak akan berkurang, kerana pencuri tidak dapat masuk dan gegat tidak dapat merosakkannya. Lakukanlah hal itu, kerana perhatian kamu sentiasa tertumpu kepada harta kamu.” “Bersiap-siaplah untuk menghadapi apa sahaja. Kamu harus sentiasa siap sedia dengan pelita yang menyala. Hendaklah kamu seperti hamba yang sedang menantikan tuan mereka balik daripada jamuan perkahwinan. Apabila tuan itu balik dan mengetuk pintu, dengan segera mereka akan membuka pintu. Alangkah bahagianya hamba-hamba yang didapati berjaga dan siap sedia ketika tuan mereka kembali! Percayalah, tuan itu akan menanggalkan jubah, dan menyuruh hamba-hambanya duduk lalu melayani mereka. Alangkah bahagianya hamba-hamba itu jika didapati bersiap sedia, meskipun tuan mereka balik pada tengah malam atau lebih lambat lagi! Ingatlah! Jika tuan rumah mengetahui saatnya pencuri akan datang, dia tidak akan membiarkan pencuri masuk ke dalam rumahnya. Kamu pun harus sentiasa bersiap sedia, kerana Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka.” Petrus bertanya, “Adakah Tuhan menujukan perumpamaan ini kepada kami atau kepada semua orang?” Tuhan menjawab, “Siapakah hamba yang setia dan bijak? Dialah orang yang ditunjuk oleh tuannya menjadi pengurus rumah tangganya. Tuannya juga menyuruh dia memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktu yang ditentukan. Alangkah bahagianya orang yang didapati sedang menjalankan tugas apabila tuannya kembali! Ketahuilah bahawa tuan itu akan mempercayakan segala hartanya kepada hamba itu. Tetapi jika hamba itu berkata dalam hati, ‘Masih lama lagi tuan saya akan kembali.’ Lalu dia mula memukul semua hamba yang lain, baik lelaki mahupun wanita, dan dia makan minum sehingga mabuk. Pada hari dan masa yang tidak diduganya, tuannya kembali. Tuan itu akan mencencang hambanya dan membiarkan dia merasai nasib orang yang tidak taat kepada Allah. Hamba yang mengetahui kehendak tuannya, tetapi tidak bersiap sedia untuk melakukan kehendak tuannya, akan disebat dengan keras. Tetapi hamba yang tidak mengetahui kehendak tuannya, lalu melakukan sesuatu yang salah sehingga dia mesti disebat, akan disebat dengan ringan sahaja. Kepada orang yang telah diberikan banyak, daripadanya akan dituntut banyak juga. Orang yang telah diberikan lebih banyak, daripadanya akan dituntut lebih banyak juga.” “Aku datang untuk membawa hukuman Allah yang seperti api akan membakar penduduk bumi. Alangkah baiknya jika api itu sudah menyala! Masih ada penderitaan berat yang mesti Aku alami. Alangkah resahnya hati-Ku selagi perkara itu belum berakhir! Adakah kamu menyangka Aku datang ke dunia ini untuk membawa kedamaian? Tidak, bukan kedamaian, tetapi perpecahan. Mulai dari sekarang, keluarga yang terdiri daripada lima orang akan berlawanan: tiga lawan dua dan dua lawan tiga. Bapa akan melawan anak lelaki dan anak lelaki akan melawan bapa. Ibu akan melawan anak perempuan dan anak perempuan akan melawan ibu. Ibu mentua akan melawan menantu perempuan dan menantu perempuan akan melawan ibu mentua.” Yesus juga berkata kepada orang ramai, “Apabila kamu melihat awan naik di sebelah barat, dengan segera kamu berkata, ‘Hari akan hujan,’ dan benar-benar hari hujan. Apabila kamu berasa angin selatan bertiup, kamu berkata, ‘Hari akan panas,’ dan benar-benar hari panas. Hai orang munafik! Kamu dapat meramal cuaca dengan melihat tanda-tanda di langit dan di bumi, tetapi mengapakah kamu tidak dapat memahami tanda zaman ini?” “Mengapakah kamu tidak membuat keputusan sendiri tentang apa yang benar? Jika ada orang hendak mendakwa kamu di mahkamah, berusahalah sebaik-baiknya untuk menyelesaikan perkara itu sebelum kamu tiba di mahkamah. Jika tidak, orang itu akan menyeret kamu ke hadapan hakim, lalu hakim akan menyerahkan kamu kepada polis, dan polis akan memasukkan kamu ke dalam penjara. Percayalah, kamu tidak akan keluar dari penjara sebelum kamu membayar denda kamu.” Pada waktu itu beberapa orang di situ memberitahu Yesus perihal orang Galilea yang dibunuh oleh Pilatus ketika mereka mempersembahkan korban kepada Allah. Yesus berkata kepada mereka, “Kerana beberapa orang Galilea dibunuh secara demikian, adakah hal itu membuktikan bahawa mereka lebih berdosa daripada orang Galilea lain? Tidak! Tetapi ingatlah, kecuali kamu bertaubat daripada dosa, kamu semua akan binasa seperti mereka. Bagaimanakah dengan lapan belas orang yang terbunuh di Siloam, ketika menara di sana menimpa mereka? Adakah hal itu membuktikan bahawa mereka lebih berdosa daripada semua orang lain yang tinggal di Yerusalem? Tidak! Sekali lagi Aku berkata, kecuali kamu bertaubat daripada dosa, kamu semua akan binasa seperti mereka.” Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. Dia berkata, “Seorang mempunyai pokok ara di kebun anggurnya. Pada suatu hari dia mencari buah ara pada pokok itu, tetapi tidak menjumpai apa-apa. Oleh itu dia berkata kepada pekebunnya, ‘Lihatlah, selama tiga tahun aku datang mencari buah ara pada pokok ini, tetapi tidak mendapat sebiji pun. Tebanglah sahaja, kerana pokok ini hanya menghabiskan kesuburan tanah.’ Tetapi pekebun itu menjawab, ‘Tuan, biarkanlah pokok ini tumbuh selama setahun lagi. Saya akan mencangkul tanah di sekelilingnya dan menaruh baja. Jika pokok ini berbuah pada tahun depan, baiklah. Jika tidak, tuan boleh menyuruh orang menebangnya.’ ” Pada suatu hari Sabat Yesus mengajar di rumah ibadat. Di situ ada seorang wanita yang sakit, kerana dirasuk roh jahat selama lapan belas tahun. Dia bongkok dan tidak dapat berdiri tegak. Ketika Yesus melihat dia, Yesus memanggil dia dan berkata kepadanya, “Mulai sekarang kamu sembuh!” Yesus meletakkan tangan-Nya pada wanita itu dan pada saat itu juga wanita itu berdiri tegak lalu memuji Allah. Ketua rumah ibadat marah kerana Yesus menyembuhkan orang pada hari Sabat. Ketua rumah ibadat berkata kepada semua orang di situ, “Ada enam hari untuk bekerja; datanglah pada masa itu untuk disembuhkan, tetapi jangan pada hari Sabat!” Tuhan menjawab ketua itu, “Kamu munafik! Pada hari Sabat orang melepaskan lembu atau keldai dari kandang lalu membawa haiwan itu keluar untuk diberikan minuman. Lihatlah, di sini ada seorang wanita keturunan Abraham yang telah diikat oleh Iblis selama lapan belas tahun. Tidak patutkah dia dilepaskan daripada ikatannya pada hari Sabat?” Jawapan Yesus memalukan semua musuh-Nya, tetapi semua orang lain bersukacita kerana segala perbuatan ajaib yang dilakukan oleh Yesus. Yesus bertanya, “Bagaimanakah keadaannya apabila Allah memerintah? Dengan apakah dapat Aku bandingkan keadaannya? Keadaannya seperti perumpamaan ini: Seorang mengambil sebiji benih sawi, lalu menanamnya di ladang. Benih itu tumbuh dan menjadi pokok, lalu burung membuat sarang pada cabang-cabangnya.” Sekali lagi Yesus bertanya, “Dengan apakah dapat Aku bandingkan keadaannya apabila Allah memerintah? Keadaannya seperti ini: Seorang wanita mengambil ragi lalu mencampurnya dengan empat puluh liter tepung sehingga adunan itu naik!” Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus melalui beberapa buah kota dan pekan sambil mengajar. Seorang bertanya kepada-Nya, “Tuan, sedikit sahajakah orang yang akan diselamatkan?” Yesus menjawab, “Berusahalah sebaik-baiknya untuk masuk melalui pintu yang sempit, kerana banyak orang yang mencuba masuk, tetapi tidak dapat. Pada waktu tuan rumah bangun dan menutup pintu, kamu yang berdiri di luar mula mengetuk pintu dan berkata, ‘Tuan, bukalah pintu untuk kami!’ Tuan itu akan menjawab, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang!’ Kamu akan menjawab, ‘Kami sudah makan dan minum bersama-sama tuan, dan tuan juga mengajar di kota kami!’ Tetapi tuan itu akan berkata lagi, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Pergilah dari sini, kamu semua yang melakukan kejahatan!’ Pada waktu kamu melihat Abraham, Ishak, dan Yakub serta semua nabi bersukacita di Dunia Baru Allah, kamu akan menangis dan menderita kerana kamu diusir ke luar! Orang akan datang dari timur dan barat, dari utara dan selatan, untuk menikmati jamuan di Dunia Baru Allah. Sesungguhnya orang yang sekarang terakhir akan menjadi yang pertama dan orang yang sekarang pertama akan menjadi yang terakhir.” Pada masa itu juga, beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan berkata kepada-Nya, “Tinggalkan tempat ini. Pergilah ke tempat lain, kerana Herodes hendak membunuh kamu.” Yesus menjawab, “Pergilah beritahu orang licik itu, ‘Hari ini dan esok Aku mengusir roh jahat dan menyembuhkan orang sakit, lalu pada hari ketiga, Aku akan menyelesaikan pekerjaan-Ku.’ Meskipun demikian Aku harus meneruskan perjalanan hari ini, esok, dan lusa, kerana tidak semestinya seorang nabi dibunuh di tempat lain kecuali di Yerusalem. Yerusalem, Yerusalem! Engkau membunuh nabi-nabi dan merejam para utusan Allah. Sudah beberapa kali Aku ingin memeluk semua pendudukmu seperti seekor induk ayam melindungi anak-anaknya di bawah sayapnya, tetapi engkau tidak mahu! Yerusalem, engkau akan ditinggalkan oleh Allah dan engkau tidak akan melihat Aku lagi sehingga tiba masanya engkau berkata, ‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan.’ ” Pada suatu hari Sabat, Yesus pergi makan di rumah seorang Farisi yang terkenal. Orang di situ memerhati Yesus. Lalu seorang lelaki yang bengkak kaki dan lengannya datang kepada Yesus. Yesus bertanya kepada semua guru Taurat dan orang Farisi di situ, “Adakah Taurat membenarkan kita menyembuhkan orang sakit pada hari Sabat?” Mereka tidak mahu berkata apa-apa. Lalu Yesus memanggil orang itu dan menyembuhkan dia, kemudian menyuruh dia pergi. Setelah itu Yesus berkata kepada mereka, “Jika seorang di antara kamu mempunyai anak lelaki atau lembu yang jatuh ke dalam perigi pada hari Sabat, tidakkah kamu akan menariknya keluar pada hari itu juga?” Mereka tidak dapat menjawab Yesus tentang hal itu. Yesus memperhatikan beberapa orang tetamu yang memilih tempat terbaik. Oleh itu Dia menceritakan perumpamaan ini kepada mereka semua. Dia berkata, “Jika seseorang menjemput kamu ke majlis perkahwinan, janganlah duduk di tempat yang terbaik. Mungkin ada orang yang lebih penting daripada kamu telah dijemput juga. Lalu tuan rumah yang telah menjemput kamu berdua datang kepadamu dan berkata, ‘Maaf, tempat ini telah disediakan untuk dia.’ Tidakkah kamu akan berasa malu, lalu terpaksa duduk di tempat yang paling belakang? Oleh itu apabila kamu dijemput, pergilah duduk di tempat yang paling belakang, supaya tuan rumah akan datang dan berkata kepadamu, ‘Marilah saudara, duduklah di tempat yang lebih baik.’ Lalu kamu akan dihormati di hadapan semua tetamu lain. Orang yang meninggikan diri akan direndahkan, tetapi orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.” Kemudian Yesus berkata pula kepada tuan rumah, “Apabila kamu menjemput orang makan siang atau makan malam, janganlah jemput sahabat, atau saudara, atau sanak keluarga, ataupun jiranmu yang kaya. Kelak mereka akan menjemput kamu pula dan dengan demikian kamu menerima balasan perbuatanmu. Tetapi apabila kamu menjamu orang, jemputlah orang miskin, orang lumpuh, orang tempang, dan orang buta. Kamu akan diberkati kerana mereka tidak dapat membalas kebaikanmu. Kebaikanmu akan dibalas oleh Allah pada waktu orang baik dibangkitkan daripada kematian.” Salah seorang yang duduk bersama-sama Yesus mendengar kata-kata-Nya. Dia berkata kepada Yesus, “Alangkah bahagianya mereka yang akan dijamu oleh Allah di Dunia Baru Allah!” Yesus berkata kepada orang itu, “Ada seorang yang sedang mengadakan jamuan besar. Dia menjemput banyak orang. Apabila tiba masanya perjamuan itu dimulakan, dia mengutus hambanya kepada semua tetamu dengan jemputan, ‘Marilah, semuanya sudah siap!’ Tetapi, seorang demi seorang mula memberikan alasan. Yang pertama berkata kepada hamba itu, ‘Aku baru membeli sebidang tanah dan perlu memeriksanya. Maafkanlah aku.’ Yang lain berkata, ‘Aku baru membeli lima pasang lembu dan hendak mencuba haiwan itu. Maafkanlah aku.’ Yang lain pula berkata, ‘Aku baru sahaja berkahwin; itulah sebabnya aku tidak dapat datang.’ Hamba itu pulang dan memberitahu tuannya segala perkara itu. Tuan itu sangat marah, lalu berkata kepada hambanya, ‘Cepatlah pergi ke jalan dan lorong di kota. Jemput orang miskin, orang lumpuh, orang buta, dan orang tempang.’ Kemudian hamba itu berkata, ‘Tuan, perintah tuan sudah dijalankan, tetapi masih banyak tempat yang kosong.’ Lalu tuan itu berkata kepada hambanya, ‘Pergilah ke jalan dan lorong di luar kota, dan suruh semua orang datang supaya rumahku penuh. Ketahuilah, tidak seorang pun daripada tetamu yang aku jemput itu akan menikmati perjamuanku!’ ” Orang ramai berjalan bersama-sama Yesus; Dia berpaling dan berkata kepada mereka, “Sesiapa yang datang kepada-Ku tetapi tidak dapat mengasihi Aku lebih daripada ibunya, bapanya, isterinya, anak-anaknya, saudara lelakinya, dan saudara perempuannya, bahkan dirinya sendiri, tidak dapat menjadi pengikut-Ku. Sesiapa yang tidak mahu memikul salibnya sendiri dan mengikut Aku, tidak dapat menjadi pengikut-Ku. Jika seorang daripada kamu hendak membina sebuah menara, dia akan duduk dahulu lalu mengira perbelanjaannya, supaya dia tahu sama ada wangnya cukup untuk menyudahkan pekerjaan itu. Jika tidak, setelah meletakkan batu asasnya dia tidak dapat menyudahkan pekerjaan itu. Lalu semua orang yang melihat apa yang telah berlaku akan mentertawakan dia. Mereka akan berkata, ‘Lihatlah, orang ini memulakan kerja tetapi tidak dapat menyudahkannya!’ Jika seorang raja yang mempunyai sepuluh ribu orang askar hendak berperang dengan raja lain yang mempunyai dua puluh ribu orang askar, raja itu akan duduk terlebih dahulu lalu mempertimbangkan sama ada dia cukup kuat untuk melawan musuhnya. Jika dia tahu bahawa dia tidak kuat, dia akan mengirim utusan untuk minta berdamai, semasa musuhnya masih jauh.” Akhirnya Yesus berkata, “Demikian juga dengan kamu. Tidak seorang pun daripada kamu dapat menjadi pengikut-Ku, kecuali dia meninggalkan segala miliknya.” “Garam sangat berguna, tetapi jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi. Garam yang tawar tidak lagi berguna untuk menyuburkan tanah ataupun untuk dijadikan baja; sebaiknya dibuang sahaja. Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!” Pada suatu hari banyak pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat datang mendengar Yesus. Lalu orang Farisi dan guru Taurat mula bersungut-sungut. Mereka berkata, “Lihatlah, orang ini menyambut orang yang dihina masyarakat, bahkan makan bersama-sama mereka!” Oleh itu Yesus menceritakan perumpamaan ini, “Andaikata seorang daripada kamu mempunyai seratus ekor domba, lalu kehilangan seekor, apakah yang akan dilakukannya? Tentu dia akan meninggalkan domba yang sembilan puluh sembilan ekor di padang rumput, lalu pergi mencari yang hilang itu sehingga dapat. Apabila dia menjumpai domba itu, dia memikulnya pada bahu. Dengan sukacita dia membawa domba itu pulang. Setelah itu dia memanggil kawan dan jirannya, lalu berkata kepada mereka, ‘Marilah kita bergembira! Dombaku yang hilang sudah aku jumpai semula!’ Ketahuilah bahawa demikian juga di syurga ada kegembiraan yang lebih besar kerana seorang berdosa bertaubat, daripada kegembiraan kerana sembilan puluh sembilan orang berhormat yang berpendapat mereka tidak perlu bertaubat.” “Atau andaikata seorang wanita mempunyai sepuluh keping wang perak, lalu kehilangan sekeping, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan memasang pelita, menyapu rumah lalu mencari wang itu dengan teliti sehingga dapat. Apabila dia menjumpai mata wang itu, dia memanggil kawan dan jirannya, lalu berkata kepada mereka, ‘Mari kita bergembira! Wangku yang hilang sudah aku jumpai semula!’ Percayalah, malaikat Allah juga bersukacita apabila seorang berdosa bertaubat.” Yesus berkata lagi, “Ada seorang bapa mempunyai dua orang anak lelaki. Yang bongsu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, berikanlah harta bahagian saya sekarang juga.’ Lalu bapanya membahagi hartanya antara kedua-dua orang anaknya. Beberapa hari kemudian, anak yang bongsu menjual bahagian hartanya, lalu meninggalkan rumah. Dia pergi ke negeri yang jauh, dan di sana dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya. Dengan cepat wangnya habis. Pada masa itu kebuluran yang teruk melanda seluruh negeri itu, lalu hidupnya melarat kerana dia tidak mempunyai apa-apa. Oleh itu dia bekerja bagi seorang penduduk negeri itu, yang menyuruh dia menjaga babi di ladang. Dia begitu lapar sehingga ingin mengisi perut dengan makanan babi, tetapi tidak seorang pun memberikan makanan kepadanya. Akhirnya dia sedar dan berkata, ‘Semua orang gaji ayahku mendapat makanan yang berlebihan tetapi di sini aku hampir mati kelaparan! Aku akan berangkat dan pergi kepada ayahku lalu berkata begini: Ayah, saya sudah berdosa terhadap Allah dan terhadap ayah. Tidak layak lagi saya disebut anak ayah. Anggaplah saya sebagai orang gaji ayah.’ Dia pun pulang kepada bapanya. Dia masih jauh dari rumah apabila bapanya nampak dia. Dengan penuh kasihan, bapanya lari menemui dia, lalu memeluk, dan menciumnya. ‘Ayah,’ kata anak itu, ‘Saya sudah berdosa terhadap Allah dan terhadap ayah. Tidak layak lagi saya disebut anak ayah.’ Tetapi bapanya memanggil hamba-hambanya dan berkata, ‘Cepat, bawalah jubah yang terbaik dan pakaikan pada dia. Kenakan cincin pada jarinya dan kasut pada kakinya. Pilihlah anak lembu yang gemuk lalu sembelih. Marilah kita rayakan kepulangannya dengan perjamuan. Anakku ini sudah mati, tetapi sekarang hidup pula; dia sesat, tetapi sekarang ditemui semula.’ Lalu perjamuan itu dimulakan. Sementara itu anaknya yang sulung di ladang. Dalam perjalanan pulang, apabila dekat rumah, dia mendengar muzik dan tari-tarian. Dia memanggil salah seorang hambanya lalu bertanya, ‘Apakah yang sedang berlaku?’ Hamba itu menjawab, ‘Adik tuan sudah kembali! Bapa tuan menyembelih anak lembu yang gemuk, kerana bapa tuan sudah mendapat anaknya kembali dalam keadaan selamat.’ Anak sulung itu begitu marah sehingga dia tidak mahu masuk ke rumah. Lalu bapanya keluar dan memujuk dia. Tetapi dia berkata kepada bapanya, ‘Lihatlah, bertahun-tahun saya bekerja seperti seorang hamba untuk ayah. Tidak pernah saya membantah ayah. Tetapi apakah balasan ayah? Tidak seekor kambing pun disembelih, supaya saya boleh bersukaria dengan kawan-kawan saya! Tetapi anak ayah ini telah memboroskan segala harta ayah dengan pelacur, dan apabila dia kembali ayah menyembelih anak lembu yang gemuk untuknya!’ Bapanya menjawab, ‘Anakku, kamu sentiasa di sini dengan ayah. Segala yang ayah miliki juga milikmu. Patutlah kita adakan perjamuan dan bersukacita, kerana adikmu sudah mati, tetapi sekarang hidup pula; dulu dia sesat, tetapi sekarang sudah ditemui semula.’ ” Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Ada seorang kaya mempunyai seorang pekerja yang mengurus harta bendanya. Orang kaya itu diberitahu bahawa pengurus itu memboroskan wang majikannya. Lalu orang kaya itu memanggil pengurusnya dan berkata, ‘Apakah yang aku dengar tentang dirimu? Serahkan kira-kiramu yang lengkap bagi semua hartaku, kerana mulai sekarang kamu berhenti menjadi pengurus.’ Pengurus itu berfikir, ‘Apakah harus aku lakukan? Aku akan diberhentikan kerja. Aku tidak kuat mencangkul dan aku malu meminta sedekah. Aku tahu akan apa yang harus aku lakukan, supaya apabila aku diberhentikan kerja, aku mempunyai banyak kawan yang mahu menyambut aku ke rumah mereka.’ Lalu dia memanggil semua orang yang berhutang kepada majikannya. Dia bertanya kepada orang yang pertama, ‘Berapakah hutangmu kepada majikanku?’ Orang itu menjawab, ‘Seratus buah tempayan minyak zaitun.’ Pengurus itu berkata kepadanya, ‘Inilah kira-kiramu; duduklah dan tulislah lima puluh.’ Kemudian dia berkata kepada orang yang kedua, ‘Berapakah hutangmu?’ Orang itu menjawab, ‘Seribu pikul gandum.’ Pengurus itu berkata kepadanya, ‘Inilah kira-kiramu; tulislah lapan ratus.’ Majikan pengurus itu memuji kecerdikan pengurus yang tidak jujur ini, kerana orang dunia ini lebih bijak mengurus urusan mereka daripada orang yang hidup dalam terang.” Yesus berkata lagi, “Dengarlah! Gunakanlah kekayaan dunia ini untuk mendapat sahabat, supaya apabila kekayaan dunia ini lenyap, kamu akan disambut ke dalam tempat kediaman yang abadi. Sesiapa yang setia dalam perkara kecil, akan setia juga dalam perkara besar. Tetapi sesiapa yang tidak jujur dalam perkara kecil, tidak akan jujur dalam perkara besar. Jika kamu tidak menggunakan kekayaan dunia ini dengan setia, bagaimanakah kamu dapat menggunakan kekayaan sejati dengan baik? Jika kamu tidak setia kepada milik orang lain, siapakah mahu memberi kamu apa yang menjadi milik kamu? Tidak ada seorang hamba dapat melayani dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain, atau dia akan setia kepada yang seorang dan menghina yang lain. Demikianlah kamu tidak dapat bekerja untuk Allah dan untuk kekayaan juga.” Orang Farisi mendengar segala yang dikatakan oleh Yesus. Lalu mereka mencemuh Yesus kerana mereka suka akan wang. Yesus berkata kepada mereka, “Kamulah orang yang berpura-pura benar di hadapan manusia, tetapi Allah mengetahui isi hati kamu. Apa yang dianggap berharga oleh manusia, dibenci oleh Allah. Sebenarnya Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berlaku hanya sehingga masa Yohanes Pembaptis. Selepas itu, Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintah diberitakan dan orang berasak-asak hendak menikmatinya. Tetapi lebih mudah bagi langit dan bumi ini lenyap daripada satu titik pun dalam Taurat ditiadakan. Sesiapa yang menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, berzina. Demikian juga lelaki yang berkahwin dengan wanita yang telah diceraikan, berzina juga.” “Ada seorang kaya; pakaiannya mahal-mahal dan hidupnya mewah setiap hari. Ada pula seorang miskin bernama Lazarus. Tubuhnya penuh dengan kudis yang bernanah. Lazarus biasa dibawa ke hadapan pintu rumah orang kaya itu. Dia berharap dapat mengisi perut dengan sisa-sisa yang dibuang dari meja orang kaya itu. Kadang-kadang anjing datang menjilat kudisnya. Orang miskin itu meninggal lalu dibawa oleh malaikat ke sisi Abraham di syurga. Orang kaya itu pun meninggal dan dikebumikan. Di alam maut dia sangat menderita. Apabila dia memandang ke atas, dia nampak Abraham jauh di sana dengan Lazarus di sisinya. ‘Bapa Abraham,’ seru orang kaya itu, ‘kasihanilah saya. Suruhlah Lazarus mencelupkan jarinya ke dalam air dan membasahkan lidah saya, kerana saya sengsara di dalam api ini!’ Tetapi Abraham menjawab, ‘Ingatlah, anakku, seumur hidupmu kamu sudah mendapat segala yang baik, sedangkan Lazarus mendapat segala yang buruk. Tetapi sekarang Lazarus seronok di sini, sebaliknya kamu menderita sengsara. Selain itu, ada pula jurang yang dalam di antara kamu dan kami, sehingga orang dari sini tidak dapat ke sana dan orang dari sana tidak dapat ke mari!’ ‘Jika demikian, Bapa Abraham,’ kata orang kaya itu, ‘saya memohon supaya bapa menyuruh Lazarus pergi ke rumah ayah saya. Saya mempunyai lima orang saudara. Biarlah Lazarus pergi memberikan amaran kepada mereka, supaya setidak-tidaknya mereka tidak akan datang ke tempat penderitaan ini.’ Abraham berkata kepadanya, ‘Tidakkah mereka mempunyai Kitab Musa dan Kitab Nabi-Nabi yang memberikan amaran kepada mereka? Sepatutnya mereka mendengarkan amaran kitab-kitab itu!’ Tetapi orang kaya itu menjawab, ‘Hal itu tidak cukup, Bapa Abraham. Jika ada seorang bangkit daripada kematian lalu datang kepada mereka, tentu mereka akan bertaubat daripada dosa.’ Tetapi Abraham berkata kepadanya, ‘Jika mereka tidak mendengarkan ajaran Musa dan nabi-nabi, mereka tidak akan percaya juga sekalipun ada orang bangkit daripada kematian.’ ” Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Hal-hal yang menyebabkan orang berbuat dosa pasti ada, tetapi malanglah orang yang menyebabkan hal-hal itu berlaku! Lebih baik jika batu kisaran diikat pada lehernya, lalu dia dibuang ke dalam laut, daripada dia menyebabkan salah seorang yang lemah imannya berbuat dosa. Berwaspadalah! Jika saudara kamu berdosa, tegurlah dia. Jika dia bertaubat, ampunilah dia. Jika dia berdosa terhadap kamu tujuh kali dalam sehari dan tiap-tiap kali dia datang kepada kamu serta berkata, ‘Saya minta ampun,’ kamu harus mengampuninya.” Rasul-rasul Yesus berkata kepada Yesus, “Tuhan, teguhkanlah iman kami.” Tuhan menjawab, “Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada pokok ara ini, ‘Tercabutlah dan tertanamlah di laut.’ Pasti pokok itu akan menurut perintah kamu.” “Andaikan seorang daripada kamu mempunyai seorang hamba yang sedang membajak atau menggembalakan domba. Apabila hamba itu balik dari ladang, adakah kamu berkata kepadanya, ‘Marilah dan makanlah’? Tentu tidak! Sebaliknya kamu akan berkata kepadanya, ‘Siapkanlah makananku. Kenakan pakaian yang bersih dan layanilah aku sementara aku makan dan minum, setelah itu barulah kamu makan.’ Seorang hamba tidak perlu dipuji apabila dia menurut perintah tuannya, bukan? Demikian juga kamu. Apabila kamu sudah melakukan segala yang diperintahkan, berkatalah, ‘Kami hanya hamba biasa; kami hanya melakukan kewajipan.’ ” Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus melalui sempadan Samaria dan Galilea. Apabila Dia memasuki sebuah pekan, sepuluh orang berpenyakit kulit yang mengerikan datang menjumpai Dia. Mereka berdiri dari jauh dan berseru, “Yesus! Tuan! Kasihanilah kami!” Yesus melihat mereka lalu berkata, “Pergilah dan mintalah imam mengesahkan kesembuhan kamu.” Dalam perjalanan ke sana mereka sembuh. Ketika seorang daripada mereka sedar bahawa dia sudah sembuh, dia berpatah balik sambil memuji Allah dengan suara yang kuat. Dia sujud di hadapan Yesus dan mengucapkan terima kasih kepada-Nya. Orang itu orang Samaria. Yesus berkata, “Bukankah sepuluh orang yang disembuhkan? Di manakah yang sembilan orang lagi? Mengapakah orang bangsa asing ini sahaja yang kembali untuk bersyukur kepada Allah?” Lalu Yesus berkata kepada orang itu, “Bangunlah dan pergilah; kamu sembuh kerana kamu percaya kepada-Ku.” Beberapa orang Farisi bertanya kepada Yesus, “Bilakah Allah akan datang untuk memerintah?” Yesus menjawab, “Pemerintahan Allah tidak bermula dengan tanda-tanda yang dapat dilihat, sehingga orang dapat berkata, ‘Lihatlah di sini!’ atau ‘Lihatlah di sana!’; kerana Allah sudah mula memerintah antara kamu.” Setelah itu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Masanya akan tiba apabila kamu berharap dapat melihat zaman Anak Manusia, tetapi kamu tidak dapat melihatnya. Nanti orang akan berkata kepada kamu, ‘Lihat, di situ!’ atau, ‘Lihat, di sini!’ Jangan kamu keluar mencarinya. Sebagaimana kilat memancar di langit lalu menerangi langit dari hujung ke hujung, demikian juga keadaan Anak Manusia pada masa itu. Tetapi terlebih dahulu Dia mesti mengalami banyak penderitaan dan tidak diterima oleh orang zaman ini. Seperti pada zaman Nabi Nuh dahulu, demikian juga halnya pada masa Anak Manusia kelak. Orang makan dan minum; lelaki dan perempuan berkahwin sehingga pada hari Nabi Nuh masuk ke dalam bahtera. Lalu air bah datang dan membinasakan mereka semua. Juga seperti pada zaman Lot; orang makan minum, berjual beli, bercucuk tanam, dan membina rumah. Tetapi pada hari Lot meninggalkan Sodom, api dan belerang turun dari langit dan membinasakan mereka semua. Demikianlah keadaannya pada hari Anak Manusia menampakkan diri. Pada hari itu, orang yang di bumbung rumah, janganlah turun untuk mengambil barang di dalam rumah. Begitu juga orang yang di ladang, janganlah balik ke rumah. Ingatlah akan apa yang sudah berlaku terhadap isteri Lot! Sesiapa yang berusaha mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati, tetapi sesiapa yang mengorbankan hidupnya akan menyelamatkannya. Percayalah, pada malam itu dua orang sedang tidur di atas sebuah katil; seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan. Dua orang wanita sedang menggiling gandum; seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan. [ Dua orang lelaki sedang di ladang; seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan.]” Pengikut-pengikut Yesus bertanya, “Di mana, ya Tuhan?” Yesus menjawab, “Di tempat ada bangkai, di situ ada burung pemakan bangkai.” Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini untuk mengajar pengikut-pengikut-Nya supaya sentiasa berdoa dan tidak putus asa. Yesus berkata, “Di sebuah kota ada seorang hakim yang tidak takut akan Allah dan tidak peduli akan sesiapa pun. Di kota itu juga ada seorang balu yang selalu datang kepada hakim itu untuk memohon supaya perkaranya dibela. ‘Tolonglah saya menghadapi lawan saya,’ kata balu itu. Sudah lama hakim itu tidak mahu menolong balu itu, tetapi akhirnya hakim itu berkata dalam hati, ‘Sungguhpun aku tidak takut akan Allah dan tidak peduli akan sesiapa pun, tetapi kerana balu ini terus mengganggu aku, biarlah aku membela perkaranya. Jika tidak, dia akan terus-menerus datang dan menyusahkan aku!’ ” Lalu Tuhan berkata, “Dengarlah apa yang dikatakan oleh hakim yang jahat itu! Tidakkah Allah akan membela umat-Nya yang berseru kepada-Nya siang malam? Adakah Dia akan berlambat-lambat untuk menolong mereka? Percayalah, Allah akan membela mereka dengan segera! Tetapi, adakah Anak Manusia akan menjumpai orang yang percaya kepada-Nya di bumi ini, apabila Dia datang?” Yesus juga menceritakan perumpamaan ini kepada orang yang menghina orang lain, tetapi menganggap diri mereka baik. Yesus berkata, “Dua orang pergi ke Rumah Tuhan untuk berdoa. Yang seorang orang Farisi dan yang seorang lagi pemungut cukai. Orang Farisi itu berdiri sendirian dan berdoa, ‘Aku bersyukur kepada-Mu, ya Allah, kerana aku tidak seperti orang lain yang tamak, suka menipu atau berzina. Aku bersyukur kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini. Aku berpuasa dua kali seminggu dan aku mempersembahkan sepersepuluh daripada segala pendapatanku.’ Tetapi pemungut cukai itu berdiri agak jauh dan tidak berani menengadah ke langit. Dia menebah dada kerana menyesal sambil berkata, ‘Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini!’ ” Yesus berkata kepada mereka, “Percayalah, apabila mereka pulang ke rumah, pemungut cukailah yang diterima oleh Allah dan bukan orang Farisi itu. Setiap orang yang meninggikan diri akan direndahkan dan setiap orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.” Beberapa orang membawa anak-anak kecil kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada anak-anak itu dan memberkati mereka. Ketika pengikut Yesus nampak hal itu, mereka menegur orang di situ. Tetapi Yesus memanggil anak-anak itu lalu berkata, “Biarlah anak-anak datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang semacam inilah yang akan menikmati Pemerintahan Allah. Ingatlah! Orang yang tidak menyambut Pemerintahan Allah seperti seorang anak, tidak akan menikmati Pemerintahan-Nya.” Seorang pemimpin Yahudi bertanya kepada Yesus, “Ya Guru yang baik, apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?” Yesus bertanya kepadanya, “Mengapa kamu mengatakan Aku baik? Tiada seorang pun yang baik kecuali Allah. Kamu mengetahui hukum Allah: ‘Jangan berzina; jangan membunuh; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu dan hormatilah ibu bapamu.’ ” Orang itu menjawab, “Sejak muda saya menurut segala hukum itu.” Apabila Yesus mendengar hal itu, Dia berkata kepadanya, “Masih ada satu perkara yang harus kamu lakukan: Juallah segala hartamu lalu dermakan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian ikutlah Aku.” Tetapi apabila orang itu mendengar kata-kata Yesus, dia sedih kerana dia sangat kaya. Yesus melihat bahawa dia sedih. Oleh itu Dia berkata, “Alangkah susahnya bagi seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah! Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.” Orang yang mendengar kata-kata Yesus bertanya, “Jika demikian, siapa yang dapat diselamatkan?” Yesus menjawab, “Apa yang mustahil bagi manusia, tidak mustahil bagi Allah!” Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, kami sudah meninggalkan rumah tangga untuk mengikut Guru.” “Betul!” kata Yesus. “Percayalah, sesiapa yang meninggalkan rumah, atau isteri, atau saudara, atau ibu bapa, atau anak-anak kerana mengabdikan diri kepada Allah, akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda pada masa ini, dan pada zaman yang akan datang dia akan menerima hidup sejati dan kekal.” Yesus memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu berkata kepada mereka, “Dengarlah! Kita sekarang menuju ke Yerusalem. Di sana segala yang ditulis oleh nabi-nabi tentang Anak Manusia akan berlaku. Dia akan diserahkan kepada orang bukan Yahudi lalu mereka akan mempermainkan, menghina, dan meludahi Dia. Mereka akan menyesah dan membunuh Dia; tetapi pada hari ketiga, Dia akan bangkit semula.” Semuanya itu tidak difahami sedikit pun oleh pengikut Yesus. Makna ucapan itu dirahsiakan daripada mereka. Mereka tidak mengetahui apa yang dimaksudkan oleh Yesus. Yesus hampir tiba di Yerikho. Di situ ada seorang buta yang sedang duduk di pinggir jalan meminta sedekah. Apabila orang buta itu mendengar orang ramai lalu di situ, dia bertanya, “Apa sedang berlaku?” Mereka memberitahu dia, “Yesus, orang Nasaret itu, lalu.” Segera dia berseru, “Yesus, Anak Daud! Kasihanilah saya!” Semua orang yang di hadapan memarahi dia dan menyuruh dia diam. Tetapi dia berseru lebih kuat lagi, “Anak Daud, kasihanilah saya!” Yesus berhenti dan menyuruh orang membawa orang buta itu kepada-Nya. Apabila dia tiba, Yesus bertanya kepadanya, “Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untukmu?” Orang buta itu menjawab, “Tuan, saya ingin melihat semula.” Yesus berkata kepadanya, “Jika demikian, lihatlah! Kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh.” Seketika itu juga dia dapat melihat, lalu dia mengikut Yesus, sambil memuliakan Allah. Apabila orang ramai nampak hal itu, mereka memuji Allah. Yesus meneruskan perjalanan-Nya ke Yerikho dan melalui kota itu. Di situ ada seorang ketua pemungut cukai yang kaya; namanya Zakheus. Dia ingin melihat Yesus, tetapi kerana orang terlalu banyak, lagi pula dia pendek, dia tidak dapat melihat Yesus. Dia lari mendahului orang ramai, lalu memanjat sebatang pokok ara, supaya dia dapat melihat Yesus yang akan lalu di situ. Apabila Yesus tiba di situ, Dia memandang ke atas lalu berkata kepada Zakheus, “Zakheus, turunlah segera! Hari ini Aku mesti menumpang di rumahmu.” Zakheus turun dengan segera dan menyambut Yesus dengan kegembiraan. Semua orang yang menyaksikan hal itu mula bersungut-sungut. Mereka berkata, “Orang ini menumpang di rumah seorang berdosa!” Zakheus berdiri dan berkata kepada Yesus, “Guru, saya akan mendermakan separuh daripada harta saya kepada orang miskin. Sesiapa sahaja yang pernah saya tipu, akan saya bayar kembali empat kali ganda!” Yesus berkata kepadanya, “Pada hari ini Allah telah menyelamatkan kamu dan keluargamu, kerana kamu juga keturunan Abraham. Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat.” Sementara orang masih mendengar Yesus berkata-kata, Yesus menceritakan perumpamaan berikut. Pada waktu itu Dia hampir tiba di Yerusalem dan orang ramai menyangka bahawa Allah segera akan memerintah di bumi. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Seorang bangsawan pergi ke negeri yang jauh untuk dilantik menjadi raja, dan kemudian dia akan kembali. Tetapi sebelum dia berangkat, dia memanggil sepuluh orang hambanya lalu memberikan sekeping wang emas kepada setiap orang. Dia berkata, ‘Berniagalah dengan wang ini semasa aku pergi.’ Tetapi penduduk negerinya membenci dia. Setelah dia berangkat, mereka mengirim utusan untuk mengatakan, ‘Kami tidak mahu orang ini menjadi raja kami.’ Orang bangsawan itu dilantik menjadi raja, lalu pulang ke negerinya. Dengan segera dia menyuruh semua hambanya yang sudah menerima wang emas supaya datang menghadap. Raja hendak mengetahui keuntungan yang diperoleh mereka. Hamba pertama datang dan berkata, ‘Tuanku, patik berhasil mendapat sepuluh keping wang emas dengan sekeping wang yang tuanku berikan itu.’ ‘Bagus, kamu hamba yang baik! Oleh sebab kamu dapat dipercayai dalam perkara yang kecil, beta akan menjadikan kamu penguasa sepuluh buah kota.’ Hamba kedua datang dan berkata, ‘Tuanku, dengan sekeping wang emas yang tuanku berikan, patik berhasil mendapat lima keping wang emas.’ Kepada hamba itu raja berkata, ‘Beta akan menjadikan kamu penguasa lima buah kota.’ Hamba yang lain datang dan berkata, ‘Tuanku, inilah wang emas tuanku. Patik telah menyimpannya di dalam sapu tangan. Patik takut akan tuanku, kerana patik tahu bahawa tuanku seorang yang keras. Tuanku mengambil apa yang bukan milik tuanku, dan tuanku menuai di tempat yang tidak tuanku semai.’ Raja itu berkata kepadanya, ‘Hai hamba yang jahat! Beta akan menghukum kamu menurut kata-katamu sendiri. Kamu tahu bahawa beta seorang yang keras; beta mengambil apa yang bukan milik beta, dan menuai di tempat yang tidak beta semai. Oleh itu kamu seharusnya menyimpan wang beta di bank supaya apabila beta kembali beta dapat menerima wang beta dengan faedahnya.’ Kemudian raja itu bertitah kepada mereka yang berdiri di situ, ‘Ambillah wang emas itu daripadanya dan berikan kepada hamba yang mempunyai sepuluh keping.’ Mereka berkata kepada raja itu, ‘Tuanku, dia mempunyai sepuluh keping!’ Raja itu menjawab, ‘Ketahuilah, orang yang sudah mempunyai sesuatu, kepadanya akan diberikan lebih banyak lagi. Tetapi orang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga. Sekarang bawa ke mari musuh beta yang tidak mahu beta menjadi raja mereka. Bunuhlah mereka semua di hadapan beta!’ ” Setelah Yesus berkata demikian, Dia berjalan di hadapan mereka lalu menuju ke Yerusalem. Apabila Yesus tiba dekat Betfage dan Betania di Bukit Zaitun, Dia menyuruh dua orang pengikut-Nya berjalan terlebih dahulu. Dia berkata kepada mereka, “Pergilah ke pekan yang di hadapan itu. Apabila kamu tiba di situ, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang tertambat. Haiwan itu belum pernah ditunggang orang. Lepaskanlah dan bawalah keldai itu ke mari. Jika orang bertanya, ‘Mengapa kamu melepaskan keldai itu?’ beritahu orang itu, ‘Tuhan memerlukannya.’ ” Kedua-dua orang pengikut itu pun pergi dan mendapati semuanya seperti yang dikatakan oleh Yesus. Sedang mereka melepaskan anak keldai itu, pemiliknya berkata kepada mereka, “Mengapa kamu melepaskan keldai itu?” Mereka menjawab, “Tuhan memerlukannya.” Lalu mereka membawa anak keldai itu kepada Yesus. Mereka menaruh jubah mereka pada punggung keldai itu lalu menolong Yesus naik ke atasnya. Sementara Yesus lalu dengan menunggang keldai itu, orang ramai membentangkan jubah di jalan. Apabila Yesus hampir sampai di Yerusalem, di jalan yang menurun dari Bukit Zaitun, semua pengikut-Nya mula bersyukur kepada Allah dan memuji Allah dengan suara keras kerana semua mukjizat yang sudah disaksikan oleh mereka. “Diberkatilah Dia yang datang dengan kuasa Tuhan! Sejahtera di syurga dan kemuliaan bagi Allah!” Lalu beberapa orang Farisi antara orang ramai itu berkata kepada Yesus, “Guru, suruhlah semua pengikut guru diam.” Yesus menjawab, “Percayalah, jika mereka diam, batu-batu ini akan mula berseru.” Yesus semakin dekat Yerusalem dan apabila Dia melihat kota itu, Dia menangisinya. Dia berkata, “Alangkah baiknya jika kamu mengetahui apa yang dapat mendatangkan kedamaian! Tetapi sekarang kamu tidak dapat melihatnya. Masanya akan tiba apabila musuh mengelilingimu dengan sekatan. Mereka akan mengepung dan mengasak kamu dari segala arah. Mereka akan memusnahkan kamu dan semua pendudukmu. Tidak seketul batu pun akan tertinggal pada tempatnya, kerana kamu tidak tahu masanya Allah datang menyelamatkan kamu!” Yesus masuk ke Rumah Tuhan dan mula mengusir semua pedagang di situ. Yesus berkata, “Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa.’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!” Setiap hari Yesus mengajar di dalam Rumah Tuhan. Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin bangsa Yahudi hendak membunuh dia. Tetapi mereka tidak mendapat peluang, kerana orang ramai sentiasa mendengarkan Dia dan tidak mahu terlepas sepatah kata pun. Pada suatu hari, Yesus mengajar dan menyampaikan Berita Baik di dalam Rumah Tuhan. Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi datang dan berkata kepada Yesus, “Beritahulah kami, dengan hak siapa kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapakah yang memberikan hak kepadamu untuk melakukannya?” Yesus menjawab, “Aku juga ingin bertanya kepada kamu. Katakanlah, dengan hak siapakah Yohanes membaptis orang? Dengan hak Allah atau manusia?” Mereka mula membincangkan soalan itu, “Apakah yang akan kita katakan? Jika kita menjawab, ‘Dengan hak Allah,’ Dia akan berkata, ‘Mengapa kamu tidak percaya kepada Yohanes?’ Tetapi jika kita berkata, ‘Dengan hak manusia,’ semua orang akan merejam kita, kerana mereka percaya bahawa Yohanes seorang nabi.” Lalu mereka menjawab, “Kami tidak tahu.” Yesus berkata kepada mereka, “Jika demikian Aku pun tidak mahu memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.” Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada orang ramai. “Ada seorang yang menanami ladang anggur, lalu menyewakannya kepada beberapa orang. Setelah itu dia pergi ke negeri lain dan tinggal lama di sana. Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. Tetapi para penyewa ladang memukul hamba itu dan menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. Pemilik ladang itu mengutus seorang lagi hambanya. Tetapi para penyewa ladang itu juga memukul hamba ini, mempermalukan dia, lalu menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. Kemudian pemilik ladang itu mengutus hamba ketiga. Penyewa-penyewa ladang itu juga mencederakan hamba ini dan membuang dia ke luar ladang itu. Pemilik ladang itu berkata, ‘Apakah yang harus aku lakukan? Aku akan mengutus anakku yang aku kasihi. Tentu mereka akan menghormati dia!’ Tetapi apabila para penyewa ladang itu nampak dia, mereka bercakap sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Mari kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya.’ Oleh itu mereka membuang dia ke luar ladang lalu membunuh dia.” Lalu Yesus bertanya, “Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang itu terhadap para penyewa ladang anggur itu? Dia akan datang dan membunuh semua penyewa ladang itu, lalu menyerahkan ladang itu kepada penyewa-penyewa lain.” Apabila orang di situ mendengar hal itu, mereka berkata, “Janganlah perkara ini berlaku!” Yesus memandang mereka lalu bertanya, “Jika demikian, apakah makna ayat Alkitab ini? ‘Batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama.’ Semua orang yang jatuh pada batu itu akan hancur; dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan tergilas menjadi debu.” Semua guru Taurat dan ketua imam di situ cuba menangkap Yesus pada saat itu juga, kerana mereka tahu bahawa perumpamaan itu ditujukan kepada mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. Oleh itu mereka menunggu peluang yang baik. Mereka menyuap beberapa orang supaya berpura-pura, dan mengutus mereka untuk memerangkap Yesus dengan pertanyaan. Dengan demikian mereka dapat menyerahkan Yesus kepada kekuasaan gabenor. Lalu beberapa orang itu berkata kepada Yesus, “Guru, kami tahu bahawa apa yang guru katakan dan ajarkan itu benar. Kami tahu bahawa guru tidak memandang kedudukan orang, tetapi guru mengajar kehendak Allah bagi manusia dengan terus terang. Katakanlah, menurut Taurat bolehkah kita membayar cukai kepada Kaisar Roma?” Yesus mengetahui muslihat mereka. Dia berkata, “Tunjukkan sekeping mata wang kepada-Ku. Gambar dan nama siapakah ini?” “Kaisar!” jawab mereka. Oleh itu Yesus berkata, “Baiklah, jika demikian, berikan apa yang menjadi milik Kaisar kepada Kaisar dan berikan apa yang menjadi milik Allah kepada Allah.” Mereka tidak dapat mencari kesalahan Yesus di hadapan orang ramai. Mereka diam sahaja kerana hairan mendengar jawapan-Nya. Beberapa orang Saduki datang kepada Yesus. (Mereka berpendapat bahawa orang mati tidak akan bangkit semula.) Mereka bertanya kepada Yesus, “Guru, Musa memberi kita hukum berikut: ‘Jika seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, maka saudara lelakinya mesti berkahwin dengan balunya supaya orang yang sudah meninggal itu mendapat keturunan.’ Dahulu ada tujuh orang adik-beradik. Yang sulung berkahwin tetapi meninggal tanpa mempunyai anak. Lalu saudara kedua berkahwin dengan balu itu tetapi dia pun meninggal tanpa mempunyai anak. Hal yang sama berlaku kepada saudara ketiga dan seterusnya sehingga saudara ketujuh. Mereka semua meninggal tanpa mempunyai anak. Akhirnya balu itu meninggal. Pada hari kebangkitan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Tujuh orang adik-beradik itu sudah berkahwin dengan dia.” Yesus menjawab, “Lelaki dan perempuan yang hidup sekarang ini berkahwin. Tetapi lelaki dan perempuan yang layak dibangkitkan daripada kematian dan hidup pada zaman yang akan datang tidak berkahwin. Mereka akan menjadi seperti malaikat; mereka tidak mati lagi. Mereka menjadi anak-anak Allah, kerana mereka sudah dibangkitkan daripada kematian. Musa menjelaskan bahawa orang mati akan dibangkitkan. Tulisannya tentang belukar yang bernyala menyatakan Tuhan sebagai ‘Allah yang disembah oleh Abraham, Ishak, dan Yakub.’ Hal ini bererti bahawa Allah itu Allah orang hidup, bukan Allah orang mati, kerana Allah menganggap mereka semua hidup.” Beberapa orang guru Taurat berkata, “Sungguh baik jawapan guru.” Mereka tidak lagi berani menanyakan apa-apa kepada Yesus. Yesus bertanya kepada mereka, “Bagaimanakah orang dapat mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud? Daud berkata di dalam Kitab Mazmur, ‘Tuhan berfirman kepada Tuhanku: Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Aku menakluki musuh-Mu ke bawah kaki-Mu.’ Jika Daud memanggil Dia ‘Tuhan’, bagaimana mungkin Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud?” Sementara semua orang mendengarkan kata-kata-Nya, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Berhati-hatilah dengan guru Taurat. Mereka suka berjalan-jalan dengan memakai jubah panjang, dan suka dihormati orang di pasar. Mereka memilih tempat terbaik di dalam rumah ibadat dan di majlis jamuan. Mereka memperdaya balu dan merampas rumah mereka, kemudian berpura-pura berdoa dengan berpanjangan! Mereka akan menerima hukuman yang amat berat!” Yesus melihat di sekeliling-Nya dan nampak orang kaya memasukkan wang ke dalam peti persembahan di Rumah Tuhan. Dia juga melihat seorang balu yang sangat miskin memasukkan dua keping mata wang tembaga. Yesus berkata, “Ketahuilah, balu ini memberikan persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain. Orang lain memberikan persembahan daripada kelebihan kekayaan mereka. Tetapi balu ini, walaupun sangat miskin, mendermakan semua nafkahnya.” Beberapa orang sedang bercakap tentang Rumah Tuhan. Mereka berkata betapa indahnya Rumah Tuhan yang dihias dengan batu yang indah-indah, serta semua barang yang dipersembahkan kepada Allah. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Akan tiba masanya apabila semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan. Tidak ada satu batu pun akan tinggal tersusun pada tempatnya!” Mereka bertanya kepada Yesus, “Guru, bilakah perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa masanya sudah tiba?” Yesus berkata, “Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. Orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah dia!’ dan ‘Masanya sudah tiba!’ Jangan ikut mereka. Jangan takut apabila kamu mendengar berita tentang peperangan dan pemberontakan. Semua perkara ini mesti berlaku terlebih dahulu, tetapi hal ini tidak bererti bahawa akhir zaman sudah tiba.” Yesus berkata lagi, “Bangsa yang satu akan berperang melawan bangsa yang lain dan kerajaan yang satu akan menyerang kerajaan yang lain. Di pelbagai tempat akan berlaku gempa bumi yang dahsyat, kebuluran, dan wabak. Akan berlaku juga pelbagai perkara yang menakutkan dan luar biasa di langit. Tetapi sebelum segala perkara ini berlaku, kamu akan ditangkap dan dianiaya. Kamu akan dibawa ke rumah ibadat untuk diadili, lalu dipenjarakan. Kamu akan dihadapkan kepada raja dan penguasa kerana kamu pengikut-Ku. Inilah peluang kamu untuk mengkhabarkan Berita Baik. Bertekadlah bahawa kamu tidak akan khuatir tentang bagaimana kamu harus membela diri. Aku akan memberikan kata-kata dan kebijaksanaan kepada kamu, sehingga tiada seorang musuh pun dapat melawan atau menafikan kata-kata kamu. Kamu akan dikhianati oleh ibu bapa, saudara, sanak keluarga, dan sahabat kamu. Mereka akan membunuh beberapa orang antara kamu. Semua orang akan membenci kamu kerana Aku, tetapi sehelai rambut pun di kepala kamu tidak akan hilang. Hendaklah kamu teguh hati! Dengan jalan ini kamu akan mendapat hidup sejati.” “Apabila kamu nampak Yerusalem dikepung tentera, kamu akan tahu bahawa kota itu segera akan dimusnahkan. Pada waktu itu orang di Yudea mesti lari ke pergunungan; orang yang di dalam kota mesti meninggalkan kota, dan orang yang di luar kota jangan masuk ke dalam kota. Itulah yang harus kamu lakukan kerana masa itu ‘Hari Hukuman’, apabila semua yang telah tertulis di dalam Alkitab berlaku. Alangkah dahsyatnya masa itu bagi wanita yang mengandung dan ibu yang menyusui bayi! Negeri ini akan mengalami kesusahan yang besar dan Tuhan akan menghukum bangsa ini. Ada orang yang akan dibunuh dengan pedang, ada lagi orang yang akan dibawa sebagai tawanan ke negeri orang, dan bangsa yang tidak mengenal Allah akan menginjak-injak Yerusalem sehingga habis masa yang ditetapkan oleh Tuhan untuk mereka.” “Kelak tanda-tanda yang luar biasa akan kelihatan pada matahari, bulan, dan bintang. Semua negeri di seluruh bumi akan putus asa dan takut menghadapi deru dan gelora laut. Orang akan pengsan kerana ketakutan sementara menantikan apa yang akan berlaku di seluruh bumi, kerana kuasa di angkasa lepas ditarik daripada peredarannya. Barulah Anak Manusia akan kelihatan datang dikelilingi awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. Apabila perkara-perkara itu mula berlaku, bangkitlah dan dongaklah ke langit, kerana sekejap lagi kamu akan diselamatkan.” Lalu Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. Dia berkata, “Lihatlah pokok ara dan semua pokok yang lain. Apabila kamu nampak pokok mula berdaun, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. Demikian juga apabila kamu nampak perkara-perkara ini berlaku, kamu tahu bahawa Allah akan segera memerintah. Ingatlah! Segala perkara ini akan berlaku sebelum orang yang hidup sekarang ini mati semuanya. Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.” “Berjaga-jagalah! Janganlah kamu asyik berpesta dan minum minuman keras atau khuatir akan kehidupan kamu, sehingga kamu tidak bersedia apabila Hari itu datang dengan tiba-tiba. Hari itu akan datang seperti perangkap bagi semua orang di bumi. Berjaga-jagalah dan berdoalah sentiasa supaya kamu mempunyai kekuatan untuk mengatasi semua perkara yang akan berlaku, lalu kamu dapat menghadap Anak Manusia.” Setiap hari Yesus mengajar di Rumah Tuhan dan pada petang hari Dia pergi bermalam di Bukit Zaitun. Tiap-tiap pagi semua orang datang ke Rumah Tuhan untuk mendengar ajaran Yesus. Perayaan Roti Tidak Beragi yang disebut Paska sudah dekat. Para ketua imam dan guru Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Yesus dengan diam-diam, kerana mereka takut akan orang ramai. Kemudian Iblis memasuki Yudas yang disebut Iskariot, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus. Lalu Yudas pergi berunding dengan para ketua imam dan ketua pengawal Rumah Tuhan tentang bagaimana dia boleh menyerahkan Yesus kepada mereka. Mereka gembira dan bersetuju memberikan wang kepadanya. Yudas pun bersetuju dan mula mencari peluang untuk menyerahkan Yesus kepada mereka tanpa diketahui oleh orang ramai. Semasa Perayaan Roti Tidak Beragi, tibalah harinya domba disembelih untuk jamuan Paska. Yesus menyuruh Petrus dan Yohanes, “Pergilah sediakan jamuan Paska untuk kita.” Mereka bertanya, “Di manakah Guru mahu kami menyiapkannya?” Yesus berkata, “Apabila kamu masuk ke bandar, kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang menjunjung buyung air. Ikutilah dia ke rumah yang dimasukinya, lalu berkatalah kepada pemilik rumah itu, ‘Guru bertanya, di manakah bilik tempat Dia dan pengikut-pengikut-Nya akan makan jamuan Paska?’ Tuan rumah itu akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang lengkap dengan segala perabotnya. Siapkanlah segala-galanya di situ.” Mereka pergi dan mendapati semuanya seperti yang dikatakan oleh Yesus, lalu mereka menyediakan jamuan Paska. Apabila tiba waktunya untuk makan jamuan Paska, Yesus makan bersama dengan rasul-rasul itu. Dia berkata kepada mereka, “Aku ingin sekali makan jamuan Paska ini bersama-sama kamu sebelum kematian-Ku! Percayalah, Aku tidak akan memakannya lagi sehingga makna perjamuan ini dinyatakan di Dunia Baru Allah.” Setelah itu Yesus mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu berkata, “Ambillah cawan ini, dan bahagikanlah antara kamu sendiri. Ketahuilah, mulai sekarang Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga Allah memerintah dengan sepenuhnya.” Kemudian Yesus mengambil roti. Setelah Dia mengucap syukur kepada Allah, Dia membahagi roti itu lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Inilah tubuh-Ku, yang diberikan untuk kamu. Berbuatlah demikian untuk mengenang Aku.” Begitu juga setelah makan, Dia memberikan cawan itu kepada mereka sambil berkata, “Cawan wain ini perjanjian Allah yang baru, yang disahkan dengan darah-Ku, darah yang dicurahkan untuk kamu. Tetapi lihatlah! Orang yang mengkhianati Aku ada di sini bersama-sama Aku! Anak Manusia akan mati sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah; tetapi malanglah orang yang mengkhianati Dia!” Lalu mereka mula bertanya sesama sendiri, siapa antara mereka yang akan melakukan perkara itu. Pengikut-pengikut Yesus bertengkar tentang siapa antara mereka yang harus dianggap terbesar. Yesus berkata kepada mereka, “Raja bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat; para penguasanya disebut ‘Pelindung Rakyat’. Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Sebaliknya, orang yang terbesar antara kamu mesti menjadi seperti yang terkecil dan pemimpin mesti menjadi seperti hamba. Siapakah yang lebih mulia, orang yang duduk makan atau orang yang melayani dia? Tentu orang yang duduk makan. Tetapi Aku ada antara kamu sebagai orang yang melayan. Kamu telah bersama-sama Aku dalam segala kesusahan-Ku. Sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak kepada-Ku untuk memerintah, Aku juga akan memberikan hak itu kepada kamu. Kamu akan makan minum dengan Aku dan memerintah bersama-sama Aku pada waktu Aku menjadi raja. Kamu akan duduk di atas takhta untuk memerintah dua belas suku Israel.” “Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mendapat kebenaran untuk menguji kamu semua, seperti peladang memisahkan gandum daripada sekam. Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila engkau balik kepada-Ku, engkau mesti menguatkan saudara-saudaramu.” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, aku bersedia dipenjarakan dan mati bersama-sama Tuhan!” Yesus berkata, “Ketahuilah, Petrus, sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.” Kemudian Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apabila Aku mengutus kamu dahulu dengan tidak membawa dompet, beg, atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?” “Tidak!” jawab mereka. “Tetapi sekarang,” kata Yesus, “orang yang mempunyai dompet atau beg, mesti membawanya; dan orang yang tidak mempunyai pedang, mesti menjual jubah untuk membeli pedang. Ketahuilah, ayat Alkitab ini mesti berlaku kepada diri-Ku: ‘Dia dianggap sebagai penjahat’. Apa yang tertulis tentang diri-Ku sedang berlaku sekarang ini.” Semua pengikut-Nya berkata, “Tuhan, lihatlah, di sini ada dua bilah pedang.” Yesus menjawab, “Cukuplah!” Yesus meninggalkan kota itu. Seperti biasa Dia pergi ke Bukit Zaitun dan pengikut-pengikut-Nya menyertai Dia. Apabila Yesus tiba di situ, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah agar kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.” Kemudian Dia pergi lebih jauh dari tempat mereka, kira-kira sejauh lemparan batu. Dia berlutut dan berdoa, “Ya Bapa, jika boleh jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak-Mu berlakulah.” Malaikat dari syurga datang kepada-Nya dan menguatkan Dia. Kerana berat penderitaan-Nya, Yesus semakin tekun berdoa, sehingga peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah. Selepas berdoa, Yesus balik kepada pengikut-pengikut-Nya. Dia mendapati mereka tidur kerana penat dan terlalu sedih. Yesus berkata kepada mereka, “Mengapa kamu tidur? Bangunlah! Berdoalah supaya kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.” Sementara Yesus masih berkata-kata, datanglah sekumpulan orang. Mereka dipimpin oleh Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus. Yudas mendekati Yesus untuk mencium Dia. Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah dengan ciuman, kamu mengkhianati Anak Manusia?” Apabila pengikut Yesus yang di situ nampak apa yang akan berlaku, mereka berkata, “Tuhan, biarlah kami menyerang dengan pedang!” Seorang antara mereka memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinga kanannya. Yesus berkata, “Sudahlah!” Lalu Dia menjamah telinga orang itu dan menyembuhkannya. Setelah itu Yesus berkata kepada semua ketua imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan pemimpin masyarakat Yahudi yang datang ke situ untuk menangkap Dia, “Adakah Aku ini penjahat, sehingga kamu mesti datang dengan membawa pedang dan belantan untuk menangkap Aku? Tiap-tiap hari Aku bersama-sama kamu di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Tetapi inilah masanya kamu bertindak, kerana kuasa kegelapan sedang memerintah.” Mereka menangkap Yesus dan membawa Dia ke rumah Imam Agung. Petrus mengikut dari jauh. Api unggun telah dinyalakan di tengah-tengah halaman rumah itu dan Petrus pergi duduk dengan orang lain yang duduk di sekelilingnya. Apabila salah seorang hamba wanita nampak Petrus duduk dekat api unggun, dia mengamati Petrus lalu berkata, “Orang ini juga bersama-sama Yesus!” Tetapi Petrus menafikannya, “Aku tidak mengenal orang itu!” Sejurus kemudian, seorang lagi nampak Petrus dan berkata, “Kamu juga seorang daripada mereka!” Tetapi Petrus menjawab, “Bukan!” Kira-kira sejam kemudian, seorang lain berulang kali berkata, “Pasti orang ini pengikut Yesus, kerana dia juga orang Galilea!” Tetapi Petrus menjawab, “Aku tidak faham apa yang kamu katakan!” Seketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok. Tuhan pun berpaling dan memandang Petrus. Petrus teringat akan apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadanya, “Sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.” Petrus keluar dari situ lalu menangis tersedu-sedu. Semua orang yang mengawal Yesus mempermainkan dan memukul Dia. Mereka menutupi mata-Nya lalu bertanya kepada-Nya, “Tekalah, siapakah yang memukul kamu?” Banyak lagi hinaan lain yang dilemparkan oleh mereka kepada Yesus. Pada pagi hari, para pemimpin masyarakat Yahudi, ketua imam, dan guru Taurat bermesyuarat, lalu Yesus dibawa ke hadapan Majlis Agama. Mereka berkata, “Katakanlah, benarkah kamu ini Penyelamat yang diutus oleh Allah?” Yesus menjawab, “Jika Aku memberitahu kamu, kamu pun tidak mahu percaya. Jika Aku bertanya apa-apa, kamu tidak mahu menjawab. Tetapi mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa.” Mereka semua bertanya, “Adakah kamu ini Anak Allah?” Yesus menjawab, “Begitulah yang kamu katakan.” Mereka berkata, “Kita tidak perlu saksi lagi! Kita telah mendengar apa yang dikatakannya!” Semua anggota majlis bangkit, lalu membawa Yesus ke hadapan Pilatus. Di situ mereka mula menuduh Dia dan berkata, “Kami dapati orang ini menyesatkan rakyat. Dia menghasut orang ramai supaya tidak membayar cukai kepada Kaisar dan dia mengaku diri sebagai Kristus, seorang raja.” Pilatus bertanya kepada Yesus, “Betulkah kamu raja orang Yahudi?” Yesus menjawab, “Begitulah yang tuan katakan.” Kemudian Pilatus berkata kepada para ketua imam dan orang ramai, “Aku tidak mendapati kesalahan apa-apa pun sehingga orang ini patut dihukum.” Tetapi mereka berulang kali berkata, “Dengan ajarannya, orang ini menghasut orang di seluruh Yudea supaya memberontak; dia memulakannya di Galilea dan sekarang sudah sampai di sini pula.” Ketika mendengar hal itu, Pilatus bertanya, “Adakah orang ini orang Galilea?” Apabila Pilatus mengetahui bahawa Yesus berasal dari daerah yang diperintah oleh Herodes, dia menyuruh orang menghantar Yesus kepada Herodes. Ketika itu, Herodes juga di Yerusalem. Herodes sangat gembira ketika nampak Yesus, kerana sudah lama dia mendengar perihal Yesus dan ingin melihat dia. Herodes berharap dapat menyaksikan Yesus melakukan mukjizat. Oleh itu Herodes mengajukan banyak pertanyaan kepada Yesus, tetapi Yesus tidak menjawab sepatah pun. Semua ketua imam dan guru Taurat yang di situ maju ke hadapan dan mendakwa Yesus dengan berbagai-bagai tuduhan yang berat. Herodes dan askar-askarnya mempermainkan serta menghina Yesus. Mereka mengenakan jubah yang indah pada Yesus, lalu mengembalikan Yesus kepada Pilatus. Mulai hari itu Herodes dan Pilatus bersahabat; dahulunya mereka bermusuhan. Pilatus mengumpulkan para ketua imam, pemimpin, dan orang ramai. Dia berkata kepada mereka, “Kamu membawa orang ini kepadaku dan berkata bahawa dia menyesatkan rakyat. Aku sudah menyoal dia di sini di hadapan kamu, dan tidak mendapati kesalahan apa-apa pun sebagaimana yang kamu tuduhkan kepadanya. Herodes pun berpendapat demikian, kerana dia menghantar Yesus kembali kepada kami. Orang ini tidak melakukan sesuatu pun sehingga dia patut dijatuhi hukuman mati. Oleh itu aku menyuruh orang mencambuk dia, lalu membebaskannya.” [ Pada tiap-tiap perayaan Paska, Pilatus harus membebaskan seorang tahanan untuk rakyat.] Semua orang di situ berseru, “Bunuhlah dia! Bebaskan Barabas untuk kami!” ( Barabas dipenjarakan kerana terbabit dalam pemberontakan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.) Pilatus hendak membebaskan Yesus. Oleh itu Pilatus berseru lagi kepada orang ramai. Tetapi mereka berseru, “Salibkan dia! Salibkan dia!” Lalu untuk kali ketiga Pilatus berkata kepada mereka, “Tetapi apakah kesalahannya? Aku tidak mendapati kesalahan apa-apa pun pada orang ini sehingga dia patut dijatuhi hukuman mati! Aku akan menyuruh orang mencambuk dia, kemudian membebaskannya.” Tetapi mereka terus-menerus berseru dengan sekuat tenaga bahawa Yesus harus disalibkan, dan akhirnya mereka berjaya. Pilatus menjatuhkan hukuman mati kepada Yesus sesuai dengan kehendak orang ramai. Kemudian Pilatus membebaskan orang yang dikehendaki mereka, orang yang dipenjarakan kerana terbabit dalam pemberontakan dan pembunuhan. Setelah itu Pilatus menyerahkan Yesus kepada mereka untuk diperlakukan dengan sesuka hati. Askar-askar itu membawa Yesus pergi, lalu di tengah jalan mereka berjumpa dengan seorang bernama Simon, yang berasal dari Kirene. Dia sedang memasuki kota. Askar-askar itu menangkap dia, lalu memaksa dia memikul salib Yesus dan berjalan di belakang Yesus. Banyak orang mengikut Yesus dan antara mereka ada beberapa orang wanita yang menangisi dan meratapi Yesus. Yesus berpaling kepada mereka dan berkata, “Wanita-wanita Yerusalem, janganlah tangisi Aku. Tangisilah diri kamu sendiri dan anak-anak kamu. Masanya akan tiba apabila orang berkata, ‘Alangkah bertuahnya wanita yang tidak pernah mengandung, yang tidak pernah melahirkan dan menyusukan bayi!’ Itulah masanya apabila orang akan berkata kepada gunung, ‘Timpalah kami!’ dan kepada bukit, ‘Sembunyikanlah kami!’ Jika demikian yang dilakukan mereka terhadap kayu yang masih hijau, apa pula yang akan dilakukan mereka terhadap kayu yang kering?” Ada pula dua orang penjahat yang akan disalibkan bersama-sama Yesus. Apabila tiba di tempat yang disebut “Tengkorak,” mereka menyalibkan Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu - seorang di sebelah kanan Yesus dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka.” Pakaian Yesus dibahagi-bahagikan antara mereka sendiri dengan membuang undi. Semua orang yang berdiri di situ memandang sahaja, tetapi para pemimpin orang Yahudi mengejek Dia dengan berkata, “Dia telah menyelamatkan orang lain. Jika dia benar-benar Penyelamat yang dipilih oleh Allah, biarlah dia menyelamatkan dirinya sendiri!” Askar-askar juga mengejek dia. Mereka mendekati Yesus lalu memberikan wain masam kepada-Nya. Mereka berkata, “Jika kamu raja orang Yahudi, selamatkanlah dirimu sendiri!” Pada sebelah atas kayu salib Yesus, tertulis kata-kata: “Inilah Raja Orang Yahudi.” Salah seorang penjahat yang disalibkan di situ menghina Yesus. Dia berkata, “Bukankah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah? Selamatkanlah dirimu sendiri dan juga kami!” Tetapi penjahat yang seorang lagi menegur dia dan berkata, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita semua sudah dihukum mati. Hukuman kita berdua memang setimpal dengan perbuatan kita, tetapi orang ini tidak bersalah!” Lalu dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatlah akan saya, apabila Tuan menjadi Raja!” Yesus berkata kepadanya, “Percayalah, pada hari ini kamu akan bersama-sama Aku di Firdaus.” Kira-kira pukul dua belas tengah hari, matahari tidak bersinar dan seluruh negeri itu diliputi kegelapan sehingga pukul tiga petang. Pada waktu itu tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak menjadi dua helai. Lalu Yesus berseru dengan suara lantang, “Ya Bapa, Aku serahkan diri-Ku ke dalam tangan-Mu!” Setelah berkata demikian, Dia pun meninggal. Ketua askar nampak apa yang telah berlaku. Dia memuji Allah dan berkata, “Memang Dia tidak bersalah!” Apabila semua orang yang berkumpul di situ melihat apa yang telah berlaku, mereka semua pulang ke rumah sambil menebah dada kerana menyesal. Semua sahabat Yesus, termasuk wanita-wanita yang telah mengikut Yesus dari Galilea, berdiri dari jauh dan menyaksikan semua perkara itu. [50-51] Ada seorang bernama Yusuf; dia berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia seorang baik yang dihormati orang. Dia sedang menantikan masanya Allah mula memerintah. Meskipun dia anggota Majlis Agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan Majlis itu. *** Dia menghadap Pilatus dan meminta jenazah Yesus. Dia menurunkan jenazah Yesus dari salib, lalu membalutnya dengan kain linen. Setelah itu dia meletakkan jenazah Yesus di dalam kubur yang dipahat pada sebuah bukit batu. Kubur itu belum pernah digunakan. Hari itu hari Jumaat dan hari Sabat hampir bermula. Wanita-wanita dari Galilea yang datang dengan Yesus, mengikuti Yusuf. Mereka nampak kubur itu dan melihat bagaimana jenazah Yesus diletakkan di dalamnya. Setelah itu mereka pulang, lalu menyediakan ramuan dan minyak wangi untuk jenazah Yesus. Pada hari Sabat mereka berhenti bekerja untuk mentaati perintah Taurat. Pada hari Ahad, ketika hari masih subuh, wanita-wanita itu pergi ke kubur dan membawa ramuan yang sudah disediakan oleh mereka. Mereka mendapati batu penutup pintu kubur sudah digulingkan. Lalu mereka masuk ke dalam kubur itu, tetapi tidak mendapati jenazah Tuhan Yesus. Sementara mereka berdiri di situ dan kehairanan memikirkan hal ini, tiba-tiba dua orang lelaki yang mengenakan pakaian yang berkilau-kilauan berdiri di sisi mereka. Kerana ketakutan, wanita-wanita itu bersujud. Lalu kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu mencari orang hidup antara orang mati? Dia tidak ada di sini; Dia sudah bangkit! Ingatlah akan apa yang telah dikatakan-Nya kepada kamu sewaktu Dia di Galilea: Anak Manusia mesti diserahkan kepada orang berdosa, lalu disalibkan, dan bangkit pada hari ketiga.’ ” Barulah semua wanita itu ingat akan kata-kata Yesus. Setelah mereka balik dari kubur itu, mereka memberitahukan segala perkara itu kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut yang lain. Kumpulan wanita itu terdiri daripada Maria Magdalena, Yohana, dan Maria ibu Yakobus. Bersama dengan wanita-wanita lain, mereka memberitahukan perkara itu kepada rasul-rasul. Tetapi rasul-rasul itu menyangka wanita-wanita itu mengatakan yang bukan-bukan. Mereka tidak percaya akan cerita itu. Tetapi Petrus bangun lalu lari ke kubur. Dia membongkok, lalu menengok ke dalam dan nampak hanya kain kafan di situ. Dia pulang ke rumah dengan kehairanan kerana memikirkan apa yang telah berlaku. Pada hari itu juga, dua orang daripada pengikut Yesus sedang pergi ke pekan bernama Emaus, kira-kira sebelas kilometer jauhnya dari Yerusalem. Mereka berbincang tentang peristiwa yang sudah berlaku. Sedang mereka bercakap dan bertukar pendapat, Yesus datang menghampiri mereka dan berjalan bersama-sama mereka. Mereka nampak Yesus, tetapi entah bagaimana mereka tidak mengenal Dia. Yesus berkata kepada mereka, “Apakah yang kamu percakapkan dalam perjalanan kamu ini?” Mereka berhenti dengan muka yang sedih. Lalu seorang daripada mereka yang bernama Kleopas bertanya kepada Yesus, “Adakah tuan satu-satunya orang di Yerusalem yang tidak mengetahui apa yang telah berlaku akhir-akhir ini?” “Apakah yang telah berlaku?” tanya Yesus. “Perkara-perkara yang berlaku kepada Yesus, orang Nasaret itu,” jawab mereka. “Dia seorang nabi. Di sisi Allah dan pada pandangan semua orang, Dia berkuasa kerana kata-kata-Nya mahupun perbuatan-Nya. Para ketua imam dan penguasa bangsa kita menyerahkan Dia supaya dihukum mati, lalu mereka menyalibkan Dia! Kami berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel! Lagi pula hari ini hari ketiga sejak kejadian itu. Beberapa orang wanita daripada golongan kami memeranjatkan kami. Pada waktu fajar mereka pergi ke kubur, tetapi tidak mendapati jenazah Yesus. Lalu mereka kembali dan berkata bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahukan bahawa Yesus hidup. Beberapa orang di kalangan kami pergi ke kubur dan mendapati keadaannya seperti apa yang dikatakan oleh wanita-wanita itu, tetapi mereka tidak nampak Yesus.” Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Alangkah bodohnya kamu! Alangkah lambatnya kamu mempercayai semua yang dikatakan oleh nabi-nabi! Bukankah Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan itu bagi mencapai kemuliaan-Nya?” Kemudian Yesus menerangkan apa yang tertulis tentang diri-Nya di dalam seluruh Alkitab kepada mereka, mulai dari Kitab-Kitab Musa dan tulisan para nabi. Mereka hampir tiba di pekan yang ditujui. Yesus kelihatannya seolah-olah hendak meneruskan perjalanan. Tetapi mereka menjemput Dia bermalam. Mereka berkata, “Tinggallah dengan kami. Hari hampir malam, lagi pun sudah mulai gelap.” Oleh itu Yesus masuk ke rumah untuk bermalam dengan mereka. Dia makan bersama-sama mereka. Kemudian Dia mengambil roti, mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagi roti itu, dan memberikannya kepada mereka. Maka sedarlah mereka bahawa orang itu Yesus. Tetapi Yesus lenyap daripada pandangan mereka. Mereka bercakap sesama sendiri, “Tidakkah hati kita berasa seperti meluap, ketika Dia berkata-kata kepada kita di tengah jalan dan menerangkan isi Alkitab kepada kita?” Mereka terus bangkit lalu balik ke Yerusalem. Di situ mereka mendapati sebelas orang rasul sedang berkumpul dengan pengikut yang lain. Mereka berkata, “Memang benar Tuhan sudah bangkit! Dia sudah menampakkan diri kepada Simon!” Lalu kedua-dua orang pengikut itu menerangkan apa yang berlaku di tengah jalan dan bagaimana mereka mengenali Tuhan pada masa Dia membahagi roti. Sedang mereka bercerita tentang perkara itu, tiba-tiba Yesus berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, “Sejahteralah kamu!” Mereka terkejut dan ketakutan, kerana menyangka mereka nampak hantu. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Mengapa kamu takut? Mengapa hati kamu ragu-ragu? Lihatlah tangan-Ku dan kaki-Ku. Inilah Aku! Jamahlah Aku, maka kamu akan tahu bahawa Aku bukan hantu kerana hantu tidak mempunyai daging atau tulang, sedangkan Aku mempunyainya.” Yesus berkata demikian sambil menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka. Mereka masih tidak dapat percaya, kerana terlalu gembira dan hairan. Yesus bertanya kepada mereka, “Adakah kamu mempunyai makanan di sini?” Mereka memberikan sepotong ikan yang sudah dimasak kepada-Nya. Yesus mengambil ikan itu dan makan di hadapan mereka. Kemudian Dia berkata kepada mereka, “Inilah perkara-perkara yang telah Aku beritahu kamu tatkala Aku masih bersama-sama kamu: Setiap perkara yang tertulis tentang diri-Ku di dalam Taurat Musa, Kitab Nabi-Nabi dan Mazmur mesti berlaku.” Kemudian Yesus membuka fikiran mereka supaya memahami maksud Alkitab. Yesus berkata kepada mereka, “Sudah tertulis bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah mesti mengalami penderitaan dan mesti bangkit daripada kematian pada hari ketiga. Demi nama-Nya, perkhabaran bahawa manusia mesti bertaubat daripada dosa dan bahawa Allah akan mengampunkan dosa, mesti diisytiharkan kepada semua bangsa mulai dari Yerusalem. Kamulah saksi semua perkara ini. Aku akan mengirim apa yang telah dijanjikan oleh Bapa kepada kamu. Tetapi kamu mesti menunggu di kota ini sehingga kuasa daripada Allah turun kepada kamu.” Kemudian Yesus membawa mereka ke luar kota sehingga ke Betania. Di situ Dia mengangkat tangan-Nya lalu memberkati mereka. Sementara Yesus memberkati mereka, Dia terangkat ke syurga, lalu meninggalkan mereka. Mereka sujud menyembah Dia, lalu balik ke Yerusalem dengan penuh kegembiraan. Mereka sentiasa di Rumah Tuhan dan memuji Allah. Sebelum dunia ini diciptakan, Firman sudah ada. Firman itu bersama-sama Allah, dan Firman itu sama dengan Allah. Sejak permulaan, Firman itu bersama-sama Allah. Allah menjadikan segala sesuatu melalui Dia. Tiada sesuatu pun di alam semesta ini yang dijadikan tanpa Dia. Firman itu sumber hidup, dan hidup itu memberikan cahaya kepada manusia. Cahaya ini bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak dapat memadamkannya. Seorang bernama Yohanes diutus oleh Allah. Yohanes datang untuk memberitahu orang tentang cahaya itu, supaya semua orang mendengar dan percaya kepada perkhabarannya. Dia sendiri bukan cahaya itu; dia datang untuk mengkhabarkan cahaya itu. Inilah cahaya sejati, yang datang ke dunia untuk menerangi umat manusia. Firman itu ada di dunia. Walaupun Allah menjadikan dunia ini melalui Dia, orang di dunia ini tidak mengenal Dia. Dia datang ke negeri-Nya sendiri, tetapi bangsa-Nya tidak menyambut Dia. Tetapi kepada mereka yang menyambut Dia dan percaya kepada-Nya, mereka diberikan-Nya hak menjadi anak Allah. Mereka menjadi anak Allah bukan dengan jalan dilahirkan oleh manusia, tetapi Allah sendiri menjadikan mereka anak-anak-Nya. Firman itu sudah menjadi manusia dan tinggal antara kita. Kita nampak kemuliaan-Nya, kemuliaan yang diterima-Nya sebagai anak tunggal Bapa. Melalui Dia, kasih Allah dan Allah sendiri ditunjukkan kepada kita. Yohanes memberikan kesaksian tentang Dia. Yohanes berseru, “Inilah Dia yang aku katakan akan datang kemudian daripadaku, tetapi Dia lebih besar daripadaku, kerana Dia sudah ada sebelum aku dilahirkan.” Dia penuh kasih; Dia terus-menerus memberkati kita semua. Allah memberikan Taurat melalui Musa, tetapi melalui Yesus Kristus, Allah menyatakan kasih-Nya dan kesetiaan-Nya kepada kita. Tidak seorang pun pernah melihat Allah. Anak tunggal Bapa yang sama dengan Bapa dan di sisi Bapa, sudah menunjukkan Allah kepada kita. Para penguasa orang Yahudi di Yerusalem mengutus imam-imam dan beberapa orang Lewi kepada Yohanes untuk bertanya kepadanya, “Siapakah kamu?” Yohanes mengaku dengan terus terang, “Aku bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah.” “Jika demikian, siapakah kamu?” tanya mereka. “Adakah kamu Elia?” “Bukan,” jawab Yohanes. “Adakah kamu Nabi itu?” tanya mereka lagi. “Bukan,” jawabnya. “Katakanlah siapa kamu ini,” kata mereka, “kerana kami mesti memberikan jawapan kepada mereka yang mengutus kami. Apa katamu tentang dirimu sendiri?” Yohanes menjawab dengan memetik ayat daripada Kitab Nabi Yesaya, “Aku ini: ‘Seorang yang berseru di padang gurun: Luruskanlah jalan bagi Tuhan!’ ” Mereka yang diutus oleh orang Farisi, kemudian bertanya kepada Yohanes, “Jika kamu bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, atau Elia, atau Nabi itu, mengapa kamu membaptis orang?” Yohanes menjawab, “Aku membaptis dengan air. Tetapi Dia yang tidak kamu kenal ada di kalangan kamu. Dia datang kemudian daripadaku, tetapi aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun.” Semua ini berlaku di Betania, di sebelah timur Sungai Yordan tempat Yohanes membaptis orang. Keesokan harinya Yohanes nampak Yesus datang kepadanya. Lalu Yohanes berkata, “Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapus dosa dunia! Dialah yang aku katakan akan datang kemudian daripada aku, tetapi yang lebih besar daripadaku kerana Dia sudah ada sebelum aku dilahirkan. Dahulu aku tidak tahu siapa Dia itu. Tetapi aku datang membaptis orang dengan air supaya bangsa Israel mengenal Dia.” [32-33] Yohanes memberikan kesaksian ini, “Dahulu aku belum mengetahui siapa Dia itu. Tetapi Allah yang menyuruh aku membaptis orang dengan air berfirman kepadaku, ‘Engkau akan nampak Roh Allah turun lalu tinggal di atas seseorang. Dialah yang akan membaptis orang dengan Roh Allah.’ Aku nampak Roh Allah turun seperti burung merpati dari langit lalu tinggal di atas-Nya. *** Aku sudah nampak kejadian ini,” kata Yohanes, “dan aku memberitahu kamu bahawa Dialah Anak Allah.” Keesokan harinya Yohanes di tempat itu lagi dengan dua orang pengikutnya. Ketika dia nampak Yesus lalu di situ, dia berkata, “Lihatlah Anak Domba Allah!” Kedua-dua orang pengikut itu mendengar kata-kata Yohanes lalu mengikuti Yesus. Yesus berpaling dan nampak mereka sedang mengikuti Dia. Lalu Yesus bertanya, “Apa yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Rabbi, di manakah rabbi tinggal?” (Dalam bahasa Ibrani ‘rabbi’ bermakna ‘guru.’) “Marilah lihat,” kata Yesus. (Masa itu kira-kira pukul empat petang.) Mereka pun mengikut Dia dan melihat tempat Yesus tinggal. Lalu mereka tinggal bersama-sama Dia pada hari itu. Seorang daripada dua orang yang mendengar kata-kata Yohanes lalu pergi mengikut Yesus, ialah Andreas saudara Simon Petrus. Dengan segera Andreas mencari Simon, saudaranya dan berkata kepadanya, “Kami sudah berjumpa dengan Mesias!” (’Mesias’ sama dengan ‘Kristus’). Kemudian Andreas membawa Simon kepada Yesus. Yesus memandang dia lalu berkata, “Kamu Simon anak Yohanes, tetapi kamu akan disebut Kefas.” (Kefas sama dengan Petrus dan bermakna: bukit batu.) Keesokan harinya Yesus mengambil keputusan untuk pergi ke Galilea. Dia berjumpa dengan Filipus, lalu berkata kepadanya, “Ikutlah Aku!” ( Filipus berasal dari Betsaida, kota tempat Andreas dan Petrus tinggal.) Kemudian Filipus mencari Natanael dan berkata kepadanya, “Kami sudah berjumpa dengan orang yang disebut oleh Musa di dalam Taurat, dan yang dituliskan oleh nabi-nabi. Dia Yesus anak Yusuf dari Nasaret.” Tetapi Natanael berkata, “Bolehkah sesuatu yang baik datang dari Nasaret?” “Marilah lihat,” jawab Filipus. Apabila Yesus nampak Natanael datang kepada-Nya, Dia berkata tentang Natanael, “Inilah orang Israel sejati; tiada kepalsuan padanya!” Natanael bertanya kepada Yesus, “Bagaimana tuan mengenal saya?” Yesus menjawab, “Sebelum Filipus memanggil kamu, Aku telah nampak kamu di bawah pokok ara itu.” Natanael berkata, “Guru, Guru Anak Allah! Guru Raja bangsa Israel!” Yesus berkata pula, “Adakah kamu percaya kerana Aku berkata Aku nampak kamu di bawah pokok ara itu? Kamu akan melihat perkara-perkara yang jauh lebih besar daripada hal ini!” Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Percayalah, kamu akan melihat langit terbuka, dan malaikat-malaikat Allah naik turun pada Anak Manusia.” Dua hari kemudian, ada majlis perkahwinan di kota Kana di negeri Galilea. Ibu Yesus di sana. Yesus dan pengikut-pengikut-Nya juga dijemput ke majlis tersebut. Apabila wain sudah habis, ibu Yesus berkata kepada Yesus, “Mereka kehabisan wain.” Yesus menjawab, “Puan, janganlah suruh Aku. Saat-Ku belum tiba.” Kemudian ibu Yesus berkata kepada pelayan-pelayan di situ, “Lakukan apa sahaja yang dikatakan-Nya kepada kamu.” Orang Yahudi mempunyai adat pembasuhan. Di situ ada enam buah tempayan untuk keperluan itu dan setiap tempayan isinya kira-kira seratus liter air. Yesus berkata kepada pelayan-pelayan itu, “Isilah tempayan-tempayan ini dengan air.” Mereka mengisi semua tempayan itu sehingga penuh. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Sekarang ambillah sedikit air itu dan hidangkannya kepada ketua majlis.” Mereka membawa air itu kepada ketua majlis. Ketua majlis itu mengecap air yang sudah berubah menjadi wain. Dia tidak tahu dari mana datangnya wain itu. (Hanya pelayan-pelayan yang menuang air itu yang mengetahuinya.) Oleh itu ketua majlis memanggil pengantin lelaki, lalu berkata kepadanya, “Biasanya orang menghidangkan wain terbaik terlebih dahulu, lalu apabila para tetamu sudah puas minum barulah wain biasa dihidangkan. Tetapi kamu menyimpan wain terbaik sehingga sekarang!” Itulah mukjizat pertama yang dilakukan oleh Yesus di Kana di negeri Galilea. Dia menyatakan kemuliaan-Nya dan pengikut-pengikut-Nya percaya kepada-Nya. Selepas itu Yesus, ibu-Nya, saudara-saudara-Nya, dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke Kapernaum. Mereka tinggal di sana selama beberapa hari. Apabila sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi, Yesus pergi ke Yerusalem. Di dalam Rumah Tuhan, Dia menjumpai orang menjual lembu, domba, dan burung merpati; penukar wang pun berniaga di situ. Yesus membuat cemeti daripada tali, lalu mengusir semua orang dan binatang itu keluar dari Rumah Tuhan, baik domba mahupun lembu. Dia menunggangbalikkan meja penukar wang sehingga wang mereka berhamburan. Dia berkata kepada penjual burung merpati, “Angkat semuanya dari sini. Jangan jadikan rumah Bapa-Ku tempat berniaga!” Pengikut-pengikut-Nya lalu teringat akan ayat Alkitab yang mengatakan, “Kasih-Ku terhadap rumah-Mu, ya Allah, berkobar-kobar seperti api!” Para penguasa Yahudi bertanya kepada Yesus, “Mukjizat apakah yang dapat kamu lakukan untuk membuktikan bahawa kamu berhak bertindak seperti ini?” Yesus menjawab, “Runtuhkanlah Rumah Tuhan ini, lalu dalam tiga hari Aku akan membinanya lagi.” “Engkau mahu membinanya lagi dalam tiga hari?” tanya mereka. “Empat puluh enam tahun sudah diperlukan untuk membina Rumah Tuhan ini!” Sebenarnya Rumah Tuhan yang dimaksudkan oleh Yesus itu tubuh-Nya sendiri. Oleh itu ketika Yesus dibangkitkan daripada kematian, pengikut-pengikut-Nya teringat bahawa Dia pernah mengatakan demikian. Lalu percayalah mereka kepada apa yang tertulis di dalam Alkitab dan kepada apa yang dikatakan oleh Yesus. Sementara Yesus di Yerusalem pada masa Perayaan Paska, banyak orang percaya kepada-Nya kerana mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya. Tetapi Yesus tidak mempercayakan diri-Nya kepada mereka, kerana Dia mengetahui hati manusia. Tidak perlu orang memberitahu Dia tentang sesiapa pun, kerana Dia mengetahui isi hati manusia. Ada seorang pemimpin Yahudi bernama Nikodemus; dia daripada golongan Farisi. Pada suatu malam dia datang kepada Yesus lalu berkata kepada-Nya, “Guru, kami tahu bahawa guru diutus oleh Allah untuk mengajar kami. Tidak seorang pun dapat melakukan mukjizat seperti yang guru lakukan, kecuali Allah menyertai dia.” Yesus menjawab, “Percayalah, tidak seorang pun dapat menikmati Pemerintahan Allah kecuali dia dilahirkan semula.” Nikodemus bertanya, “Bagaimanakah seorang dewasa dapat dilahirkan semula? Tidak mungkin dia masuk semula ke rahim ibunya lalu dilahirkan untuk kali kedua!” Yesus menjawab, “Apa yang Aku katakan ini benar: Tidak mungkin seorang pun menikmati Pemerintahan Allah, kecuali dia dilahirkan daripada air dan daripada Roh Allah. Secara jasmani manusia dilahirkan oleh manusia, tetapi secara rohani manusia dilahirkan oleh Roh Allah. Janganlah hairan kerana Aku berkata kepadamu bahawa kamu semua mesti dilahirkan semula! Angin bertiup ke mana sahaja angin mahu; kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya angin itu. Begitu juga halnya dengan setiap orang yang dilahirkan oleh Roh Allah.” Nikodemus bertanya, “Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?” Yesus menjawab, “Kamu guru terkenal di Israel. Adakah kamu tidak mengetahui perkara ini? Apa yang Aku katakan kepadamu benar: Kami mengatakan apa yang kami ketahui dan memberitahukan apa yang kami lihat, tetapi kamu tidak mahu menerimanya. Aku memberitahu kamu perkara-perkara dunia ini, tetapi kamu tidak percaya; bagaimana kamu boleh percaya apabila Aku memberitahu kamu perkara-perkara syurga? Tidak seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Anak Manusia yang turun dari syurga. Sebagaimana ular gangsa ditinggikan oleh Musa pada sebatang kayu di padang gurun, begitu jugalah Anak Manusia harus ditinggikan, supaya semua orang yang percaya kepada Anak Manusia beroleh hidup sejati dan kekal. Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal. Allah mengutus Anak-Nya ke dunia ini bukan untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya. Sesiapa yang percaya kepada Anak itu tidak dihukum, tetapi sesiapa yang tidak percaya sudah dihukum kerana dia tidak percaya kepada Anak Allah yang tunggal. Penghakiman itu berdasarkan hal ini: Cahaya itu sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih menyukai kegelapan daripada cahaya kerana perbuatan mereka jahat. Sesiapa yang melakukan kejahatan membenci cahaya, dan tidak mahu datang kepada cahaya, supaya perbuatannya yang jahat tidak kelihatan. Tetapi sesiapa yang melakukan kehendak Allah datang kepada cahaya, supaya nyata bahawa perbuatan yang dilakukannya menurut kehendak Allah.” Setelah itu Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke wilayah Yudea. Dia tinggal di situ dengan mereka untuk sementara waktu, dan Dia membaptis orang. [23-24] Pada masa itu Yohanes belum dipenjarakan. Di Ainon, tempat yang tidak berapa jauh dari Salim, Yohanes membaptis orang kerana di situ terdapat banyak air. Orang datang kepadanya dan dia membaptis mereka. *** Beberapa orang pengikut Yohanes mula bertengkar dengan seorang Yahudi tentang adat pembasuhan. Kemudian mereka pergi kepada Yohanes dan berkata, “Adakah guru masih ingat akan orang yang bersama-sama guru di seberang Sungai Yordan itu, orang yang guru tunjukkan kepada kami dahulu? Lihatlah, sekarang dia membaptis orang dan semua orang pergi kepadanya!” Yohanes menjawab, “Seseorang tidak dapat menerima sesuatu, jika Allah tidak memberikannya. Kamu sendiri menjadi saksiku bahawa aku pernah berkata, ‘Aku bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, tetapi aku diutus terlebih dahulu daripada-Nya.’ Pengantin perempuan kepunyaan pengantin lelaki. Sahabat pengantin lelaki hanya menunggu dan mendengar, serta bersukacita apabila dia mendengar suara pengantin lelaki. Begitulah halnya dengan aku. Sekarang kegembiraanku sempurna. Dia mesti menjadi semakin penting dan aku semakin kurang penting.” Dia yang datang dari syurga paling utama daripada semua orang. Orang yang datang dari dunia tergolong orang dunia, dan dia bercakap tentang perkara-perkara dunia ini. Tetapi Dia yang datang dari syurga, Dialah yang paling utama! Dia memberitahukan apa yang dilihat-Nya dan didengar-Nya, tetapi tidak seorang pun menerima kesaksian-Nya. Tetapi orang yang menerima kesaksian-Nya mengakui bahawa apa yang difirmankan oleh Allah benar. Orang yang diutus oleh Allah menyampaikan firman Allah, kerana Allah mengurniakan Roh-Nya kepada Dia dengan sepenuhnya. Bapa mengasihi Anak-Nya dan sudah menyerahkan segala sesuatu di bawah kuasa-Nya. Sesiapa yang percaya kepada Anak itu beroleh hidup sejati dan kekal, tetapi sesiapa yang tidak taat kepada Anak itu tidak akan beroleh hidup itu. Dia akan dihukum oleh Allah selama-lamanya. Orang Farisi mendengar bahawa Yesus mendapat dan membaptis lebih ramai pengikut daripada Yohanes. ( Sebenarnya Yesus tidak membaptis sesiapa pun melainkan para pengikut-Nya yang melakukan hal itu.) Apabila Yesus tahu bahawa orang Farisi sudah mendengar hal itu, Dia meninggalkan Yudea lalu kembali ke Galilea. Dalam perjalanan-Nya ke sana Yesus harus melalui Samaria. Di Samaria Yesus tiba di sebuah bandar bernama Sikhar, yang tidak jauh dari sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada Yusuf anaknya. [6-8] Di situ ada sebuah perigi yang dahulunya milik Yakub. Yesus yang penat kerana perjalanan-Nya, duduk di pinggir perigi itu. Masa itu kira-kira pukul dua belas tengah hari dan pengikut-pengikut Yesus telah pergi ke bandar untuk membeli makanan. Kemudian seorang wanita Samaria datang untuk menimba air. Yesus berkata kepadanya, “Berilah Aku minum.” *** *** Wanita Samaria itu menjawab, “Tuan orang Yahudi sedangkan saya orang Samaria. Mengapa tuan meminta minum daripada saya?” (Orang Yahudi tidak mahu menggunakan cawan dan mangkuk yang pernah digunakan oleh orang Samaria.) Yesus menjawab, “Jika kamu tahu akan pemberian Allah, dan siapa yang meminta minum daripadamu, tentu kamu akan meminta minum daripada-Nya, lalu Dia akan mengurniakan air yang memberikan hidup kepadamu.” “Tuan,” kata wanita itu, “tuan tidak mempunyai timba, lagi pun perigi ini sangat dalam. Dari mana tuan boleh mendapat air yang memberikan hidup? Nenek moyang kami, Yakub, memberikan perigi ini kepada kami. Dia, anak-anaknya, dan ternakannya minum dari perigi ini. Adakah tuan menyangka bahawa tuan lebih besar daripada Yakub?” Yesus berkata, “Sesiapa yang minum air ini akan dahaga lagi; tetapi sesiapa minum air yang akan Aku berikan kepadanya, dia tidak akan dahaga selama-lamanya. Air yang akan Aku berikan itu menjadi suatu mata air yang memancar di dalam dirinya, dan memberi dia hidup sejati dan kekal.” Wanita itu berkata, “Tuan, berilah saya air itu, supaya saya tidak dahaga lagi dan tidak usah kembali ke sini untuk menimba air.” Yesus menjawab, “Pergilah panggil suamimu lalu kembalilah ke sini.” Wanita itu menjawab, “Saya tidak bersuami.” Lalu Yesus berkata, “Betul katamu bahawa kamu tidak bersuami. Kamu sudah berkahwin lima kali, dan lelaki yang tinggal denganmu sekarang ini bukan suamimu. Memang benar katamu.” Wanita itu berkata, “Sekarang saya tahu bahawa tuan seorang nabi. Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa tuan berkata bahawa hanya di Yerusalem orang dapat menyembah Allah.” Yesus berkata kepadanya, “Percayalah, akan tiba masanya orang tidak lagi menyembah Bapa di gunung ini ataupun di Yerusalem. Kamu orang Samaria sebenarnya tidak mengenal yang kamu sembah; tetapi kami orang Yahudi mengenal yang kami sembah, kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi. Masanya akan tiba, malahan sudah tiba, apabila dengan kuasa Roh Allah orang akan menyembah Bapa sebagai Allah yang benar seperti yang dikehendaki oleh Bapa. Allah itu Roh, dan hanya dengan kuasa Roh Allah orang dapat menyembah Bapa sebagai Allah yang benar.” Wanita itu berkata kepada Yesus, “Saya tahu Penyelamat yang diutus oleh Allah, yang disebut Kristus, akan datang. Apabila Dia datang Dia akan memberitahu kita segala-galanya.” Yesus menjawab, “Akulah Dia; Aku yang sekarang sedang bercakap dengan kamu.” Pada waktu itu, pengikut-pengikut Yesus kembali. Mereka hairan melihat Yesus bercakap dengan seorang wanita. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka bertanya kepada wanita itu, “Mahu apa?” atau bertanya kepada Yesus, “Mengapa Guru bercakap dengan wanita ini?” Kemudian wanita itu meninggalkan buyung airnya lalu balik ke bandar dan memberitahu orang di bandar. Dia berkata, “Marilah lihat orang yang memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan. Mungkinkah dia Penyelamat yang diutus oleh Allah?” Oleh itu penduduk di situ meninggalkan bandar lalu pergi kepada Yesus. Sementara itu pengikut-pengikut-Nya mengajak Yesus makan, “Guru, silalah makan!” Tetapi Yesus menjawab, “Aku mempunyai makanan yang tidak kamu ketahui.” Pengikut-pengikut-Nya mula bertanya sesama sendiri, “Adakah orang sudah membawa makanan untuk-Nya?” Yesus berkata, “Makanan-Ku itu melakukan kehendak Dia yang mengutus Aku, dan menyelesaikan pekerjaan yang diserahkan-Nya kepada-Ku. Kamu berkata, ‘Masih empat bulan lagi sebelum musim menuai.’ Tetapi Aku berkata kepada kamu, pandanglah ladang yang sudah menguning, siap untuk dituai! Orang yang menuai tuaian menerima upah serta mengumpulkan hasil untuk hidup sejati dan kekal. Oleh itu orang yang menabur benih dan orang yang menuai tuaian boleh bergembira bersama-sama. Benarlah pepatah ini: ‘Yang seorang menanam, yang lain menuai.’ Aku menyuruh kamu menuai tuaian di ladang yang tidak kamu usahakan; orang lain sudah bekerja di sana, dan sekarang kamu mendapat hasil pekerjaan mereka.” Banyak orang Samaria di bandar itu percaya kepada Yesus kerana wanita itu berkata, “Dia memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan.” Oleh itu, apabila semua orang Samaria ini berjumpa dengan Yesus, mereka memohon supaya Yesus tinggal bersama-sama mereka. Lalu Yesus tinggal di situ selama dua hari. Lebih banyak lagi orang percaya kepada Yesus kerana ajaran-Nya. Mereka berkata kepada wanita itu, “Kami sekarang percaya, bukan kerana apa yang kamu katakan kepada kami, tetapi kerana kami sendiri sudah mendengar Dia dan kami tahu bahawa Dia Penyelamat dunia.” Setelah Yesus tinggal di sana selama dua hari, Dia pergi ke Galilea. Yesus berkata, “Seorang nabi tidak dihormati di negerinya sendiri.” Apabila Dia tiba di Galilea, orang di sana menyambut Dia. Mereka telah melihat segala yang dilakukan-Nya di Yerusalem pada Perayaan Paska. Kemudian Yesus kembali ke Kana di Galilea, tempat Dia pernah mengubah air menjadi wain. Di situ ada seorang pegawai kerajaan; anak lelakinya sedang sakit di Kapernaum. Apabila dia mendengar bahawa Yesus telah datang ke Galilea dari Yudea, dia pergi menjumpai Yesus. Dia meminta Yesus pergi ke Kapernaum dan menyembuhkan anaknya yang hampir meninggal. Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Jika kamu semua tidak melihat mukjizat dan perkara yang luar biasa, kamu tidak percaya.” Pegawai itu menjawab, “Tuan, marilah pergi dengan saya sekarang, sebelum anak saya meninggal.” Lalu Yesus berkata, “Pergilah, anakmu akan sembuh.” Orang itu percaya kepada kata-kata Yesus lalu pergi. Dalam perjalanannya ke rumah, hamba-hamba orang itu menjumpai dia, dan berkata bahawa anak lelakinya sudah sembuh. Lalu pegawai itu bertanya pukul berapa anaknya mula sembuh. Mereka menjawab, “Kelmarin pada pukul satu petang demamnya hilang.” Bapa anak itu teringat bahawa pada masa itu Yesus berkata kepadanya, “Anakmu akan sembuh.” Lalu dia dan keluarganya percaya kepada Yesus. Inilah mukjizat kedua yang dilakukan oleh Yesus di Galilea setelah Dia datang dari Yudea. Selepas itu ada satu perayaan Yahudi dan Yesus pergi ke Yerusalem. Di Yerusalem dekat Pintu Domba ada sebuah kolam yang dalam bahasa Ibrani dinamakan Betesda. Kolam ini dikelilingi lima buah serambi. Banyak orang sakit berbaring di serambi-serambi itu - yang buta, yang tempang, dan yang lumpuh. [Mereka semua menunggu air di kolam itu berkocak, kerana ada kalanya malaikat Tuhan turun ke dalam kolam itu dan mengocakkan airnya, lalu orang sakit yang pertama masuk ke dalam kolam itu semasa air berkocak akan sembuh daripada penyakit apa pun yang dihidapnya.] Di situ terdapat seorang lelaki yang sudah sakit selama tiga puluh lapan tahun. Yesus nampak dia terbaring di situ, dan Dia tahu bahawa orang itu sudah lama sekali sakit. Oleh itu Yesus bertanya kepadanya, “Mahukah kamu sembuh?” Orang sakit itu menjawab, “Tuan, tiada sesiapa pun di sini yang dapat memasukkan saya ke dalam kolam apabila air berkocak. Sementara saya mencuba masuk ke dalam kolam, orang lain telah mendahului saya.” Yesus berkata kepadanya, “Bangunlah, angkatlah tikarmu, dan berjalanlah.” Pada saat itu juga orang itu sembuh. Dia mengangkat tikarnya lalu berjalan. Hal ini berlaku pada hari Sabat. Oleh itu para penguasa Yahudi berkata kepada orang yang baru disembuhkan itu, “Hari ini hari Sabat; kamu melanggar Taurat kita kerana mengangkat tikar.” Tetapi orang itu menjawab, “Orang yang menyembuhkan saya tadi menyuruh saya mengangkat tikar dan berjalan.” Mereka bertanya, “Siapakah orang yang menyuruh kamu mengangkat tikar dan berjalan?” Orang yang baru disembuhkan itu tidak tahu siapa orang itu, kerana Yesus sudah menghilang antara orang ramai di tempat itu. Tidak lama kemudian, Yesus berjumpa dengan dia di dalam Rumah Tuhan dan berkata kepadanya, “Sekarang kamu sudah sembuh. Janganlah berdosa lagi, supaya kamu tidak ditimpa perkara yang lebih dahsyat.” Kemudian orang itu pergi dan memberitahu para penguasa Yahudi bahawa Yesuslah yang menyembuhkan dia. Oleh itu, mereka mula memusuhi Yesus, kerana Dia menyembuhkan orang pada hari Sabat. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Bapa-Ku sentiasa bekerja; Aku pun harus bekerja.” Kata-kata-Nya ini membuat para penguasa Yahudi semakin bertekad untuk membunuh Dia. Bukan sahaja Dia telah melanggar hukum hari Sabat, tetapi Dia berkata bahawa Allah itu Bapa-Nya. Hal ini bererti Dia menyamakan diri dengan Allah. Yesus menjawab mereka, “Percayalah, Anak tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, perkara itu juga yang dilakukan oleh Anak. Bapa mengasihi Anak dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada-Nya. Dia akan menyatakan perkara-perkara yang lebih besar lagi kepada Anak sehingga kamu semua hairan. Sebagaimana Bapa membangkitkan orang mati dan menyebabkan mereka hidup, begitu juga Anak memberikan hidup kepada orang yang dikehendaki-Nya. Bapa tidak menghakimi sesiapa pun. Dia sudah menyerahkan segala kekuasaan untuk menghakimi orang kepada Anak-Nya. Oleh itu semua orang menghormati Anak sebagaimana mereka menghormati Bapa. Orang yang tidak menghormati Anak, juga tidak menghormati Bapa yang mengutus Anak. Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus Aku, beroleh hidup sejati dan kekal. Dia tidak akan dihukum, melainkan sudah terlepas daripada kematian dan mulai benar-benar hidup. Percayalah: Akan tiba masanya, malah sudah tiba, apabila orang mati akan mendengar suara Anak Allah, dan orang yang mendengarkan apa yang dikatakan-Nya akan hidup. Sebagaimana Bapa sendiri sumber hidup, Dia menjadikan Anak-Nya sumber hidup juga. Dia sudah memberikan kuasa kepada Anak untuk menghakimi, kerana Anak itu Anak Manusia. Janganlah kamu hairan mendengar hal ini, kerana akan tiba masanya apabila semua orang mati akan mendengar suara-Nya, lalu keluar dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit dan hidup, tetapi orang yang berbuat jahat akan bangkit dan dihukum.” “Aku tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Ku sendiri. Aku menghakimi orang menurut apa yang diperintahkan oleh Allah. Oleh itu keputusan-Ku adil, kerana Aku tidak mengikut kehendak-Ku sendiri, melainkan kehendak Dia yang mengutus Aku. Jika Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian itu tidak dapat diterima sebagai bukti yang benar. Tetapi Bapa memberikan kesaksian tentang diri-Ku, dan Aku tahu kesaksian-Nya benar. Kamu mengirim utusan kepada Yohanes, dan Yohanes sudah memberikan kesaksian yang benar tentang diri-Ku. Sebenarnya Aku tidak memerlukan kesaksian daripada manusia, tetapi Aku berkata demikian supaya kamu boleh diselamatkan. Yohanes bagaikan pelita yang menyala dan bersinar. Untuk sementara waktu kamu menikmati cahayanya dan kamu bersukacita. Tetapi kesaksian daripada perbuatan-Ku lebih penting daripada kesaksian Yohanes. Aku melakukan apa yang ditugaskan oleh Bapa-Ku, dan semua itu membuktikan bahawa Bapa sudah mengutus Aku. Bapa yang mengutus Aku pun memberikan kesaksian tentang diri-Ku. Kamu belum pernah mendengar suara-Nya atau melihat muka-Nya. Kamu tidak percaya kepada firman-Nya, kerana kamu tidak percaya kepada Dia yang diutus-Nya. Kamu menyelidiki Alkitab kerana menyangka bahawa dengan cara itu kamu akan beroleh hidup sejati dan kekal. Sebenarnya Alkitab memberikan kesaksian tentang Aku. Tetapi kamu tidak mahu datang kepada-Ku supaya beroleh hidup sejati. Aku tidak mengharapkan pujian daripada manusia. Aku kenal akan kamu. Aku tahu bahawa kamu sebenarnya tidak mengasihi Allah. Aku datang dengan kuasa Bapa-Ku, tetapi kamu tidak menyambut Aku. Tetapi manakala seorang lain datang dengan kuasanya sendiri, kamu menyambut dia. Bagaimanakah kamu boleh percaya kepada-Ku, jika kamu mencari pujian daripada sesama kamu sendiri? Kamu tidak berusaha untuk mencari pujian daripada Allah yang Esa. Janganlah sangka bahawa Aku akan menuduh kamu di hadapan Bapa. Musa yang kamu harapkan itu, yang akan menuduh kamu. Jika kamu benar-benar percaya kepada Musa, tentu kamu akan percaya kepada-Ku, kerana Musa menulis tentang Aku. Kamu tidak percaya kepada apa yang ditulis oleh Musa, bagaimanakah kamu dapat percaya kepada apa yang Aku katakan?” Selepas itu Yesus pergi ke seberang Tasik Galilea, yang juga disebut Tasik Tiberias. Banyak orang mengikuti-Nya, kerana mereka telah melihat mukjizat yang dilakukan-Nya ketika Dia menyembuhkan orang sakit. Kemudian Yesus naik ke atas bukit lalu duduk di situ dengan pengikut-pengikut-Nya. Pada waktu itu sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi. Yesus melihat di sekeliling-Nya dan Dia nampak orang berduyun-duyun datang kepada-Nya. Oleh itu Yesus berkata kepada Filipus, “Di manakah kita boleh membeli makanan yang cukup untuk semua orang ini?” ( Yesus mengetahui apa yang akan dilakukan-Nya, tetapi Dia berkata demikian kerana Dia hendak menguji Filipus.) Filipus menjawab, “Roti seharga dua ratus keping wang perak pun tidak cukup untuk semua orang ini, meskipun setiap orang mendapat sedikit sahaja.” Pengikut-Nya yang lain, iaitu Andreas, saudara Simon Petrus berkata, “Seorang anak lelaki di sini mempunyai lima ketul roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi apa gunanya untuk orang sebanyak ini?” Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Suruhlah mereka duduk.” (Di situ terdapat banyak rumput.) Orang ramai pun duduk; semuanya berjumlah kira-kira lima ribu orang lelaki. Yesus mengambil roti itu, lalu Dia mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagi-bahagikan roti itu kepada orang ramai yang duduk di situ. Selepas itu Dia membahagi-bahagikan ikan itu, lalu semua orang makan sepuas-puasnya. Setelah semua orang makan sampai kenyang, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kumpulkanlah lebihan makanan, jangan sampai ada yang terbuang.” Mereka mengumpulkan dua belas buah bakul lebihan makanan daripada lima ketul roti barli yang dimakan oleh orang ramai. Apabila orang ramai melihat mukjizat yang dilakukan oleh Yesus, mereka berkata, “Sesungguhnya Dia Nabi yang diharapkan datang ke dunia!” Yesus tahu bahawa mereka akan datang dan memaksa Dia menjadi raja. Oleh itu Yesus pergi seorang diri ke daerah berbukit. Apabila hari sudah senja, pengikut-pengikut Yesus turun ke tasik, lalu menyeberangi tasik itu dengan perahu ke Kapernaum. Hari sudah gelap tetapi Yesus masih belum datang kepada mereka. Sementara itu angin kencang bertiup dan air tasik mula bergelora. Pengikut-pengikut-Nya sudah berkayuh kira-kira lima atau enam kilometer, ketika mereka nampak Yesus menghampiri perahu dengan berjalan di atas air. Mereka sangat takut. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah takut, Aku Yesus!” Lalu dengan senang hati mereka menyambut Dia naik ke perahu dan pada ketika itu juga sampailah perahu itu di tempat yang ditujui. Keesokan harinya orang ramai yang bermalam di seberang tasik, sedar bahawa hanya ada sebuah perahu di sana. Mereka tahu bahawa para pengikut Yesus telah bertolak dengan perahu itu tanpa Dia. Kemudian beberapa buah perahu yang datang dari Tiberias berlabuh dekat tempat orang ramai makan roti setelah Tuhan mengucap syukur. Tetapi apabila mereka tidak nampak Yesus mahupun pengikut-pengikut-Nya di situ, mereka pun menaiki perahu-perahu itu lalu pergi ke Kapernaum untuk mencari Yesus. Apabila mereka berjumpa dengan Yesus di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, “Guru, bilakah guru sampai di sini?” Yesus menjawab, “Apa yang Aku katakan ini benar: Kamu mencari Aku bukan kerana kamu memahami maksud mukjizat yang Aku lakukan, tetapi kerana kamu sudah makan sehingga kenyang. Janganlah berusaha untuk mendapat makanan yang boleh menjadi basi, tetapi berusahalah untuk mendapat makanan yang boleh memberikan hidup sejati dan kekal. Itulah makanan yang akan diberikan oleh Anak Manusia kepada kamu, kerana Dia sudah dilantik oleh Allah Bapa.” Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah yang harus kami lakukan untuk melakukan kehendak Allah?” Yesus berkata, “Inilah perkara yang dikehendaki oleh Allah: Percayalah kepada Dia yang diutus oleh Allah.” Mereka bertanya kepada-Nya, “Mukjizat apakah yang dapat guru lakukan supaya kami boleh melihat dan percaya kepada guru? Apakah yang akan guru lakukan? Nenek moyang kami makan manna di padang gurun, seperti yang tertulis di dalam Alkitab: ‘Dia memberikan roti dari syurga sebagai makanan mereka.’ ” Yesus berkata, “Apa yang Aku katakan ini benar: Apa yang diberikan oleh Musa kepada kamu bukan roti dari syurga; Bapa-Ku itulah yang memberi kamu roti sebenar dari syurga. Roti yang diberikan oleh Allah adalah Dia yang turun dari syurga dan yang memberikan hidup sejati kepada orang di dunia.” “Guru,” kata mereka, “berilah kami roti itu selalu.” “Akulah roti yang memberikan hidup,” kata Yesus kepada mereka. “Orang yang datang kepada-Ku tidak akan lapar dan orang yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga selama-lamanya. Aku telah memberitahu kamu bahawa kamu sudah melihat Aku, namun kamu tidak percaya kepada-Ku. Semua orang yang diserahkan oleh Bapa kepada-Ku akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak sesiapa pun yang datang kepada-Ku, kerana Aku sudah turun dari syurga bukan untuk melakukan kehendak-Ku sendiri, tetapi kehendak Dia yang mengutus Aku. Inilah kehendak Dia yang mengutus Aku: Daripada semua orang yang diserahkan kepada-Ku, tidak seorang pun hilang, tetapi Aku harus membangkitkan mereka semua pada Hari Kiamat. Memang inilah kehendak Bapa-Ku: Semua orang yang melihat Anak lalu percaya kepada-Nya akan beroleh hidup sejati dan kekal, dan Aku akan membangkitkan mereka pada Hari Kiamat.” Orang Yahudi di situ mula bersungut-sungut terhadap Yesus, kerana Dia berkata, “Aku roti yang turun dari syurga.” Mereka berkata, “Bukankah dia ini Yesus, anak Yusuf? Kami mengenal ibu bapanya. Bagaimanakah dia dapat berkata bahawa dia turun dari syurga?” Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah bersungut-sungut sesama sendiri. Tidak seorang pun dapat datang kepada-Ku, kecuali Bapa yang mengutus Aku, memimpin dia datang kepada-Ku lalu Aku akan membangkitkan dia pada Hari Kiamat. Di dalam Kitab Nabi-Nabi tertulis, ‘Semua orang akan diajar oleh Allah.’ Oleh itu sesiapa yang mendengar Bapa dan belajar daripada-Nya, datang kepada-Ku. Hal ini tidak bererti bahawa orang sudah melihat Bapa. Hanya Dia yang datang daripada Allah sudah melihat Bapa. Apa yang Aku katakan ini benar: Orang yang percaya kepada-Ku mempunyai hidup sejati dan kekal. Akulah roti yang memberikan hidup. Nenek moyang kamu makan manna di padang gurun, dan mereka mati juga. Tetapi tidak demikian halnya dengan roti yang turun dari syurga; orang yang makan roti itu tidak akan mati. Akulah roti yang memberikan hidup, roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya. Roti yang akan Aku berikan itu tubuh-Ku. Aku memberikannya supaya orang di dunia ini boleh hidup.” Mendengar kata-kata ini, orang Yahudi mula bertengkar sesama sendiri. “Bagaimanakah orang ini boleh memberikan tubuhnya kepada kita untuk dimakan?” kata mereka. Yesus berkata kepada mereka, “Apa yang Aku katakan ini benar: Jika kamu tidak makan tubuh Anak Manusia dan minum darah-Nya, kamu tidak akan benar-benar hidup. Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mempunyai hidup sejati dan kekal, lalu Aku akan membangkitkan dia pada Hari Kiamat. Tubuh-Ku ini makanan sebenar dan darah-Ku ini minuman sebenar. Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, hidup bersatu dengan Aku dan Aku dengan dia. Bapa yang hidup mengutus Aku; dan Aku hidup, kerana Dia hidup. Begitu juga orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku. Inilah roti yang turun dari syurga; roti ini bukan seperti roti yang dimakan nenek moyang kamu, kerana setelah memakannya mereka mati juga. Tetapi orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya.” Semuanya ini dikatakan oleh Yesus semasa Dia mengajar di rumah ibadat di Kapernaum. Banyak pengikut-Nya mendengar kata-kata-Nya lalu berkata, “Ajaran ini terlalu sukar. Siapakah dapat menerimanya?” Tanpa diberitahu, Yesus tahu bahawa pengikut-pengikut-Nya bersungut-sungut tentang hal itu. Oleh itu Dia berkata kepada mereka, “Adakah hal itu menyebabkan kamu tidak mahu percaya lagi? Bagaimanakah jika kamu melihat Anak Manusia naik semula ke tempat asal-Nya? Yang menyebabkan manusia hidup ialah Roh Allah. Dengan kekuatan sendiri, manusia tidak dapat melakukannya. Kata-kata yang Aku katakan kepada kamu datangnya daripada Roh Allah yang memberikan hidup. Namun ada beberapa orang antara kamu yang tidak percaya.” (Yesus tahu dari mulanya siapa-siapa yang tidak mahu percaya, dan orang yang akan mengkhianati Dia.) Dia berkata lagi, “Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu bahawa tidak seorang pun boleh datang kepada-Ku, kecuali Bapa memperkenankannya.” Sejak itu banyak pengikut Yesus meninggalkan Dia dan tidak mahu mengikut Dia lagi. Oleh itu Yesus bertanya kepada dua belas orang pengikut-Nya, “Adakah kamu pun akan meninggalkan Aku?” Simon Petrus berkata kepada-Nya, “Ya Tuhan, kepada siapakah kami akan pergi? Kata-kata Tuhan memberikan hidup sejati dan kekal. Sekarang kami percaya dan yakin bahawa Tuhan utusan suci daripada Allah.” Yesus menjawab, “Bukankah Aku memilih kamu dua belas orang ini, namun seorang daripada kamu ini syaitan?” Yesus berkata-kata tentang Yudas anak Simon Iskariot. Walaupun Yudas seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, dia akan mengkhianati Yesus. Setelah itu Yesus pergi dari satu tempat ke tempat lain di Galilea. Dia tidak mahu pergi ke daerah Yudea kerana para penguasa Yahudi di sana hendak membunuh Dia. Pada masa itu hampir Perayaan Pondok Daun. Oleh itu, saudara-saudara Yesus berkata kepada-Nya, “Tinggalkanlah tempat ini dan pergilah ke Yudea, supaya pengikut-pengikutmu dapat melihat perbuatanmu. Tidak seorang pun menyembunyikan perbuatannya, jika dia ingin menjadi terkenal. Kamu sudah melakukan perkara-perkara seperti itu, biarlah seluruh dunia tahu akan kamu!” ( Saudara-saudara-Nya sendiri pun tidak percaya kepada-Nya.) Yesus berkata kepada mereka, “Saat-Ku belum tiba. Saat kamu bila-bila sahaja. Dunia ini tidak mempunyai alasan untuk membenci kamu. Tetapi dunia ini membenci Aku, kerana Aku sentiasa berkata kepada dunia bahawa perbuatannya jahat. Pergilah ke perayaan itu. Aku tidak pergi kerana saat-Ku belum tiba.” Demikianlah kata Yesus, lalu Dia tinggal di Galilea. Setelah saudara-saudara-Nya pergi ke perayaan itu, Yesus pun pergi. Tetapi Dia tidak pergi secara terang-terangan, melainkan secara diam-diam. Para penguasa Yahudi mencari Dia semasa perayaan itu. “Di manakah dia?” tanya mereka. Orang ramai berbisik-bisik tentang Dia. Beberapa orang berkata, “Dia orang baik.” Yang lain berkata, “Tidak! Dia menyesatkan orang!” Tetapi tidak seorang pun berani bercakap secara terang-terangan tentang Yesus, kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Pada pertengahan masa perayaan itu, Yesus masuk ke dalam Rumah Tuhan, lalu mula mengajar. Para penguasa Yahudi hairan sekali lalu berkata, “Bagaimanakah orang ini dapat mengetahui sebanyak ini, padahal dia tidak pernah dilatih untuk menjadi guru Taurat?” Yesus menjawab, “Yang Aku ajarkan ini bukan ajaran-Ku, melainkan ajaran Dia yang mengutus Aku. Orang yang mahu melakukan kehendak Allah akan tahu sama ada ajaran-Ku datangnya daripada Allah atau daripada Aku sendiri. Seorang yang mengajarkan ajarannya sendiri, mencari kehormatan bagi dirinya sendiri. Tetapi seorang yang menghendaki kehormatan untuk orang yang mengutusnya, orang itu jujur dan tidak ada kepalsuan padanya. Bukankah Musa yang memberikan Taurat kepada kamu? Tetapi tidak seorang pun antara kamu yang mentaati Taurat itu. Mengapakah kamu mahu membunuh Aku?” Orang ramai itu menjawab, “Kamu dirasuk syaitan! Siapa mahu membunuh kamu?” Yesus berkata kepada mereka, “Aku melakukan suatu mukjizat, lalu kamu semua hairan. Musa memberikan peraturan bersunat. Oleh itu pada hari Sabat pun kamu mahu menyunat anak lelaki kamu. (Sebenarnya peraturan bersunat bukan berasal daripada Musa tetapi daripada nenek moyang kamu sebelum Musa.) Jika seorang anak lelaki boleh disunat pada hari Sabat supaya tidak melanggar Taurat Musa, mengapakah kamu marah terhadap Aku kerana Aku menyembuhkan seseorang dengan sepenuhnya pada hari Sabat? Janganlah hakimi orang berdasarkan apa yang kelihatan, tetapi berdasarkan keadilan.” Beberapa orang penduduk Yerusalem berkata, “Bukankah dia ini yang dicari-cari oleh penguasa kita untuk dibunuh? Lihatlah, dia berkata-kata di hadapan umum, tetapi penguasa kita tidak berkata apa-apa kepadanya. Mungkinkah mereka sudah tahu bahawa dia Penyelamat yang diutus oleh Allah? Tetapi apabila Penyelamat yang diutus oleh Allah itu datang, tidak seorang pun akan mengetahui tempat asal-Nya. Tetapi kita mengetahui tempat asal orang ini.” Sementara Yesus mengajar di Rumah Tuhan, Dia bertanya dengan suara lantang, “Benar-benarkah kamu mengetahui siapa Aku ini dan tempat asal-Ku? Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus Aku dapat dipercaya, tetapi kamu tidak mengenal Dia. Aku mengenal Dia, kerana Dialah yang mengutus Aku dan Aku datang daripada-Nya.” Kemudian para penguasa Yahudi cuba menangkap Dia, tetapi tiada seorang pun berani memegang Yesus kerana saat-Nya belum tiba. Tetapi banyak antara orang ramai percaya kepada-Nya. Mereka berkata, “Apabila Penyelamat yang diutus oleh Allah datang, dapatkah Dia melakukan lebih banyak mukjizat daripada orang ini?” Orang Farisi mendengar orang ramai berbisik-bisik tentang Yesus. Oleh itu, mereka dan ketua-ketua imam menyuruh beberapa orang pengawal Rumah Tuhan menangkap Yesus. Tetapi Yesus berkata, “Aku akan bersama-sama kamu sebentar sahaja. Kemudian Aku akan kembali kepada Dia yang mengutus Aku. Kamu akan mencari Aku, tetapi tidak dapat menjumpai Aku, kerana kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku berada.” Para penguasa Yahudi berkata sesama sendiri, “Ke manakah dia mahu pergi sehingga kita tidak dapat menjumpai dia? Adakah dia mahu pergi kepada orang Yahudi yang tinggal di luar negeri antara orang bukan Yahudi, lalu mengajar mereka? Apakah yang dimaksudkan-Nya apabila Dia berkata bahawa kita akan mencari dia, tetapi tidak dapat menjumpainya, dan bahawa kita tidak boleh pergi ke tempat dia berada?” Pada hari terakhir perayaan itu, dan juga hari yang paling penting, Yesus berdiri lalu berkata dengan suara lantang, “Sesiapa yang dahaga hendaklah datang kepada-Ku untuk minum. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dari dalam hatinya akan memancar mata air yang memberikan hidup.’ ” ( Yesus berkata-kata tentang Roh Allah, yang akan diterima oleh orang yang percaya kepada-Nya. Pada masa itu, Roh Allah belum diberikan, kerana Yesus belum dipermuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya.) Beberapa orang yang mendengar kata-kata Yesus berkata, “Orang ini pasti Nabi itu!” Yang lain berkata, “Dia Penyelamat yang diutus oleh Allah!” Tetapi yang lain pula berkata, “Penyelamat yang diutus oleh Allah tidak datang dari Galilea! Di dalam Alkitab tertulis bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Raja Daud dan akan dilahirkan di kota Betlehem tempat asal Raja Daud.” Akhirnya orang berpihak-pihak kerana Yesus. Beberapa orang hendak menangkap Dia, tetapi tidak seorang pun memegang-Nya. Apabila pengawal-pengawal Rumah Tuhan yang disuruh pergi untuk menangkap Yesus datang kembali, ketua-ketua imam dan orang Farisi bertanya, “Mengapakah kamu tidak membawa dia ke mari?” Para pengawal itu menjawab, “Belum pernah seseorang berkata-kata seperti dia!” Orang Farisi di situ berkata, “Adakah dia menyesatkan kamu pula? Pernahkah kamu dengar seorang daripada penguasa kita atau orang Farisi yang percaya kepadanya? Orang ramai ini tidak mengenal Taurat Musa. Oleh itu terkutuklah mereka!” Salah seorang Farisi di situ ialah Nikodemus. Dia pernah datang kepada Yesus. Nikodemus berkata kepada mereka, “Menurut Taurat, kita tidak boleh menghukum seseorang sebelum perkaranya didengar dan perbuatannya disiasat.” Mereka berkata, “Adakah kamu juga berasal dari Galilea? Kajilah Alkitab dan kamu akan tahu bahawa tidak ada nabi yang berasal dari Galilea?” [ [1] Kemudian semua orang pulang ke rumah, tetapi Yesus pergi ke Bukit Zaitun. Keesokan harinya, pagi-pagi sekali Dia pergi ke Rumah Tuhan dan semua orang di situ datang kepada-Nya. Dia duduk lalu mula mengajar mereka. Sementara itu guru Taurat dan orang Farisi membawa seorang wanita kepada Yesus. Wanita itu didapati berzina. Mereka menyuruh wanita itu berdiri di hadapan semua orang, lalu berkata kepada Yesus, “Guru, wanita ini tertangkap basah ketika berzina. Di dalam kitab Taurat, Musa memerintahkan agar wanita seperti ini direjam sehingga mati. Tetapi apakah pendapat guru?” Mereka bertanya demikian kerana hendak memerangkap Yesus, supaya mereka boleh menuduh Dia. Tetapi Yesus menunduk dan menulis di tanah dengan jari-Nya. Mereka terus-menerus bertanya kepadanya. Oleh itu Yesus meluruskan badan-Nya dan berkata kepada mereka, “Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia.” Setelah itu Yesus menunduk semula dan menulis lagi di atas tanah. Apabila mereka mendengar Yesus berkata demikian, seorang demi seorang, mulai daripada yang tertua, meninggalkan tempat itu. Akhirnya hanya Yesus dan wanita yang masih berdiri itu ada di sana. Yesus meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada wanita itu, “Di manakah mereka? Tidak adakah orang yang menghukum kamu?” “Tidak ada, tuan,” jawabnya. “Baiklah,” kata Yesus, “Aku pun tidak menghukum kamu. Pergilah dan janganlah berdosa lagi.”] Yesus berkata lagi kepada orang Farisi, “Akulah cahaya bagi dunia. Orang yang mengikut Aku tidak akan berjalan dalam kegelapan, tetapi beroleh cahaya yang memberikan hidup.” Orang Farisi di situ berkata kepada-Nya, “Sekarang kamu memberikan kesaksian tentang dirimu sendiri, tetapi kesaksian kamu tidak dapat meyakinkan orang.” Yesus menjawab, “Meskipun Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi. Kamu tidak tahu dari mana Aku datang atau ke mana Aku pergi. Kamu menghakimi orang menurut cara manusia; Aku tidak menghakimi sesiapa pun. Tetapi seandainya Aku menghakimi orang, keputusan-Ku adil, kerana Aku tidak melakukannya seorang diri; Bapa yang mengutus Aku bersama-sama Aku. Di dalam Taurat kamu tertulis: Apabila dua orang saksi memberikan kesaksian yang sama, maka kesaksian mereka benar. Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, dan Bapa yang mengutus Aku pun memberikan kesaksian tentang diri-Ku.” “Bapamu itu di mana?” tanya mereka. Yesus menjawab, “Kamu tidak mengenal Aku ataupun Bapa-Ku. Jika kamu mengenal Aku, kamu pasti mengenal Bapa-Ku juga.” Yesus mengatakan semua ini semasa Dia mengajar di Rumah Tuhan, dekat peti wang persembahan. Tetapi tidak seorang pun menangkap Dia, kerana saat-Nya belum tiba. Yesus berkata lagi kepada mereka, “Aku akan pergi dan kamu akan mencari Aku, tetapi kamu akan mati dalam dosa kamu. Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.” Para penguasa Yahudi berkata, “Barangkali dia mahu membunuh diri, kerana dia berkata, ‘Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’ ” Yesus berkata, “Kamu datang dari bawah, tetapi Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia. Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu, bahawa kamu akan mati dalam dosa kamu. Memang kamu akan mati dalam dosa kamu, jika kamu tidak percaya bahawa ‘Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU.’ ” “Kamu siapa sebenarnya?” tanya mereka. Yesus menjawab, “Untuk apa berkata-kata lagi dengan kamu. Masih banyak perkara tentang kamu yang perlu Aku katakan dan adili. Tetapi Dia yang mengutus Aku dapat dipercayai. Lagi pun Aku memberitahu dunia apa yang Aku dengar daripada Dia.” Mereka tidak mengerti bahawa Yesus sedang berkata-kata kepada mereka tentang Bapa. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Apabila kamu meninggikan Anak Manusia pada kayu salib, barulah kamu tahu bahawa ‘Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU’. Kemudian kamu akan tahu bahawa tiada sesuatu pun yang Aku lakukan menurut kehendak-Ku sendiri. Aku hanya mengatakan apa yang diarahkan oleh Bapa kepada-Ku. Dia yang mengutus Aku ada bersama-sama Aku. Dia tidak pernah membiarkan Aku sendirian, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.” Pada masa Yesus berkata-kata demikian, banyak orang percaya kepada-Nya. Kemudian Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, “Jika kamu taat kepada ajaran-Ku, kamu benar-benar pengikut-Ku. Kamu akan mengenal Allah. Oleh itu kamu akan dibebaskan.” Mereka berkata, “Kami keturunan Abraham. Kami belum pernah menjadi hamba sesiapa pun. Apakah maksud guru berkata, ‘Kamu akan bebas?’ ” Yesus berkata kepada mereka, “Apa yang Aku katakan ini benar: Setiap orang yang berbuat dosa adalah hamba dosa. Seorang hamba tidak selalunya menjadi anggota tetap sebuah keluarga, tetapi seorang anak selama-lamanya menjadi anggota sebuah keluarga. Oleh itu, jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas. Aku tahu kamu keturunan Abraham. Namun kamu berusaha untuk membunuh Aku, kerana kamu tidak mahu menerima ajaran-Ku. Aku mengatakan apa yang ditunjukkan oleh Bapa-Ku kepada-Ku, sedangkan kamu melakukan apa yang diajarkan oleh bapa kamu.” Mereka menjawab, “Bapa kami Abraham.” Tetapi Yesus berkata, “Jika kamu benar-benar anak-anak Abraham, tentu kamu akan melakukan apa yang dilakukan oleh Abraham. Yang Aku lakukan hanyalah memberitahu kamu kata-kata benar yang diberitahukan oleh Allah kepada-Ku. Namun kamu mahu membunuh Aku. Abraham tidak pernah berbuat demikian! Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapa kamu.” Mereka menjawab, “Kami bukan anak haram. Bapa kami hanya satu, iaitu Allah sendiri.” Yesus berkata kepada mereka, “Seandainya Allah benar-benar Bapa kamu, tentu kamu akan mengasihi Aku, kerana Aku datang daripada Allah. Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi Dialah yang mengutus Aku. Mengapa kamu tidak memahami apa yang Aku katakan? Hal itu demikian kerana kamu tidak tahan mendengar ajaran-Ku. Bapa kamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih suka menurut kehendak bapa kamu. Sejak permulaan, Iblis itu pembunuh. Dia tidak pernah memihak kebenaran, kerana tidak ada kebenaran padanya. Apabila Iblis berdusta, hal itu memang sudah sewajarnya, kerana dia pendusta dan asal segala dusta. Tetapi Aku mengatakan apa yang benar. Itulah sebabnya kamu tidak percaya kepada-Ku. Siapakah antara kamu dapat membuktikan bahawa Aku berdosa? Jika Aku mengatakan apa yang benar, mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku? Orang yang berasal daripada Allah mendengar firman Allah. Tetapi kamu bukan daripada Allah, itulah sebabnya kamu tidak mahu mendengar firman-Nya.” Orang Yahudi di situ berkata, “Memang betul apa yang kami katakan; kamu orang Samaria yang dirasuk syaitan.” Yesus berkata, “Aku tidak dirasuk syaitan. Aku menghormati Bapa-Ku, tetapi kamu menghina Aku. Aku tidak mencari kehormatan bagi diri-Ku sendiri. Tetapi ada satu yang menghendaki supaya Aku dihormati dan Dia akan menghakimi dengan adil. Apa yang Aku katakan ini benar: Orang yang taat kepada ajaran-Ku tidak akan mati.” Orang Yahudi di situ berkata kepada Yesus, “Sekarang kami tahu bahawa kamu benar-benar dirasuk syaitan! Abraham sudah mati; begitu juga semua nabi. Tetapi kamu berkata, ‘Orang yang taat kepada ajaran-Ku tidak akan mati.’ Abraham bapa kami sudah mati. Adakah kamu lebih besar daripada Abraham? Begitu juga semua nabi sudah mati. Pada sangkamu siapakah kamu ini?” Yesus menjawab, “Jika Aku mencari kehormatan untuk diri-Ku sendiri, kehormatan itu tidak berguna. Yang menghormati Aku ialah Bapa-Ku yang kamu anggap sebagai Allah kamu. Kamu tidak mengenal Dia, tetapi Aku mengenal Dia. Jika Aku berkata Aku tidak mengenal Dia, Aku pendusta seperti kamu. Aku mengenal Dia dan Aku mentaati firman-Nya. Bapa kamu Abraham bersukacita kerana akan melihat masa kedatangan-Ku. Dia sudah melihatnya dan dia bergembira.” Mereka berkata kepada Yesus, “Umurmu belum lagi lima puluh tahun dan kamu sudah melihat Abraham?” Yesus menjawab, “Apa yang Aku katakan ini benar: Sebelum Abraham dilahirkan, Aku sudah ada.” Kemudian semua orang Yahudi di situ memungut batu untuk merejam Yesus, tetapi Yesus menyembunyikan diri lalu meninggalkan Rumah Tuhan. Semasa Yesus berjalan, Dia melihat seorang yang buta sejak lahir. Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Guru, siapakah yang berdosa sehingga orang ini dilahirkan buta? Diakah atau ibu bapanya?” Yesus menjawab, “Orang ini buta bukan kerana dosanya sendiri ataupun dosa ibu bapanya, tetapi supaya kuasa Allah boleh dinyatakan dalam hidupnya. Selama hari masih terang, kita harus melakukan tugas yang diberikan oleh Dia yang mengutus Aku. Malam akan tiba dan tidak seorang pun dapat melakukan apa-apa. Selama Aku di dunia ini, Akulah cahaya bagi dunia.” Setelah Yesus berkata demikian, Dia meludah ke tanah dan meliat tanah dengan ludah-Nya. Kemudian Dia menyapukan tanah itu pada mata orang itu. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.” (Dalam bahasa Ibrani kata “Siloam” bererti “Diutus”.) Oleh itu, orang itu pergi membasuh muka dan ketika dia kembali, dia dapat melihat. Jiran-jirannya dan semua orang yang selalu melihat dia meminta sedekah, bertanya, “Bukankah orang ini yang selalu duduk meminta sedekah?” Beberapa orang berkata, “Memang dia,” tetapi yang lain berkata, “Bukan, orang ini hanya mirip dengan dia.” Tetapi orang itu sendiri berkata, “Sayalah dia.” Mereka bertanya kepadanya, “Bagaimanakah kamu dapat melihat sekarang?” Dia menjawab, “Orang yang bernama Yesus meliat sedikit tanah, lalu menyapukannya pada mata saya dan berkata, ‘Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.’ Saya pun pergi, lalu sebaik sahaja saya membasuh muka, saya dapat melihat.” Mereka bertanya, “Di manakah orang itu?” Dia menjawab, “Saya tidak tahu.” [13-14] Yesus meliat tanah dan mencelikkan mata seorang buta pada hari Sabat. Oleh itu, orang yang tadinya buta dibawa kepada beberapa orang Farisi. *** Kemudian mereka bertanya kepadanya bagaimana dia dapat melihat. Dia berkata, “Orang itu menyapukan tanah liat pada mata saya, lalu saya membasuh muka dan saya dapat melihat.” Beberapa orang Farisi itu berkata, “Orang yang melakukan hal ini tidak mungkin berasal daripada Allah, kerana Dia tidak mentaati peraturan hari Sabat.” Yang lain berkata, “Bagaimanakah seorang berdosa dapat melakukan mukjizat-mukjizat seperti ini?” Lalu timbullah pertentangan pendapat di kalangan mereka. Oleh itu orang Farisi di situ bertanya lagi kepadanya, “Kamu berkata dia mencelikkan matamu. Baiklah, apakah pendapatmu tentang dia?” “Dia nabi,” jawabnya. Para penguasa Yahudi tidak mahu percaya bahawa dahulu dia buta tetapi sekarang dapat melihat. Oleh itu mereka memanggil ibu bapanya, lalu bertanya kepada mereka, “Benarkah dia ini anak kamu yang menurut kata kamu dilahirkan buta? Bagaimanakah sekarang dia dapat melihat?” Ibu bapanya menjawab, “Memang dia anak kami dan dia memang buta sejak lahir. Tetapi kami tidak tahu bagaimana sekarang dia dapat melihat, dan siapa yang mencelikkan matanya. Dia sudah dewasa. Tanyalah dia, dia dapat menjawab sendiri.” Ibu bapanya berkata demikian kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Para penguasa itu sudah bersepakat bahawa sesiapa mengakui Yesus sebagai Penyelamat yang diutus oleh Allah, akan tidak dibenarkan masuk ke rumah ibadat. Itulah sebabnya ibu bapanya berkata, “Dia sudah dewasa; tanyalah dia.” Sekali lagi mereka memanggil orang yang dahulunya buta dan berkata kepadanya, “Mengakulah di hadapan Allah! Kami tahu bahawa orang yang menyembuhkan kamu itu orang berdosa.” Orang itu menjawab, “Sama ada dia berdosa atau tidak, saya tidak tahu. Tetapi satu perkara saya tahu; dahulu saya buta, sekarang saya dapat melihat.” Mereka bertanya lagi, “Apa yang dilakukannya kepadamu? Bagaimanakah dia mencelikkan matamu?” Orang itu menjawab, “Hal itu sudah saya jelaskan kepada tuan-tuan, tetapi tuan-tuan tidak mahu mendengarnya. Mengapakah tuan-tuan mahu mendengarnya lagi? Adakah tuan-tuan pun mahu menjadi pengikutnya?” Mereka mencaci dia dan berkata, “Kamu pengikut dia; kami pengikut Musa. Kami tahu bahawa Allah berfirman kepada Musa, tetapi tentang orang itu kami tidak tahu dari mana asalnya.” Orang itu berkata, “Sungguh menghairankan! Tuan-tuan tidak mengetahui asalnya, namun dia sudah mencelikkan mata saya! Kita tahu bahawa Allah tidak mendengarkan permintaan orang berdosa. Allah hanya mendengarkan permintaan orang yang menghormati Dia dan melakukan kehendak-Nya. Sejak permulaan dunia, orang belum pernah mendengar berita tentang seorang yang dapat mencelikkan mata orang yang buta sejak lahir. Jika orang ini tidak berasal daripada Allah, dia tidak akan dapat melakukan apa-apa.” Mereka berkata kepadanya, “Kamu orang berdosa sejak kamu dilahirkan. Adakah kamu cuba mengajar kami?” Lalu mereka melarang dia masuk ke rumah ibadat. Yesus mendengar bahawa mereka telah melarang orang itu masuk ke rumah ibadat. Apabila Yesus menjumpai dia, Yesus berkata kepadanya, “Adakah kamu percaya kepada Anak Manusia?” Orang itu menjawab, “Tuan, siapakah Dia? Tolong beritahu supaya saya boleh percaya kepada-Nya.” Yesus berkata kepadanya, “Kamu sudah melihat Dia. Dialah yang bercakap dengan kamu sekarang ini.” Orang itu menjawab, “Ya Tuhan, saya percaya.” Lalu dia sujud di hadapan Yesus. Yesus berkata, “Aku datang ke dunia ini untuk menghakimi orang supaya orang yang buta dapat melihat, tetapi orang yang dapat melihat menjadi buta.” Beberapa orang Farisi di situ mendengar kata-kata Yesus, lalu bertanya kepada-Nya, “Maksudmu kami ini buta juga?” Yesus menjawab, “Jika kamu buta, kamu tidak berdosa. Tetapi kerana kamu berkata bahawa kamu melihat, maka kamu masih berdosa.” Yesus berkata, “Apa yang Aku katakan ini benar: Seorang yang masuk ke kandang domba dengan memanjat tembok dan tidak melalui pintu, orang itu pencuri dan perompak. Seorang yang masuk melalui pintu, dialah gembala kawanan domba. Penjaga kandang membuka pintu baginya, dan kawanan domba mendengar suara gembala yang memanggil nama setiap ekor domba. Lalu gembala itu memimpin kawanan domba ke luar. Setelah dia membawa kawanan domba itu ke luar, dia berjalan di hadapan dan domba-domba itu mengikuti dia kerana mengenal suaranya. Kawanan domba itu tidak akan mengikuti orang lain, bahkan akan lari daripadanya kerana tidak mengenal suara orang itu.” Yesus menceritakan perumpamaan ini, tetapi mereka tidak memahami apa yang dimaksudkan-Nya. Oleh itu, Yesus berkata lagi, “Apa yang Aku katakan ini benar: Akulah pintu bagi kawanan domba. Semua yang datang sebelum Aku adalah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mendengarkan suara mereka. Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui Aku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk dan menjumpai padang rumput. Pencuri datang hanya untuk mencuri, membunuh, dan merosak. Tetapi Aku datang supaya manusia mendapat hidup, iaitu hidup yang kelimpahan. Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya. Seorang upahan yang bukan gembala dan bukan pemilik domba, akan lari meninggalkan kawanan domba manakala dia melihat serigala datang. Oleh itu kawanan domba akan diterkam dan dicerai-beraikan oleh serigala. Orang upahan itu lari kerana dia bekerja untuk mendapat upah. Dia tidak mempedulikan domba-domba itu. [14-15] Akulah gembala yang baik. Sebagaimana Bapa mengenal Aku dan Aku mengenal Bapa, begitu juga Aku mengenal domba-domba-Ku dan mereka pun mengenal Aku. Aku mengorbankan nyawa untuk mereka. *** Masih ada domba-domba lain yang juga milik-Ku, tetapi tidak termasuk dalam kawanan ini. Aku juga harus memimpin mereka dan mereka akan mendengarkan suara-Ku. Mereka semuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala. Bapa mengasihi Aku kerana Aku bersedia menyerahkan nyawa-Ku, supaya Aku boleh menerimanya kembali. Tidak seorang pun dapat mengambil nyawa-Ku daripada-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berhak menyerahkannya dan Aku berhak mendapatnya kembali. Inilah tugas yang Aku terima daripada Bapa-Ku.” Kata-kata Yesus menyebabkan orang Yahudi mula bertengkar lagi. Ramai di kalangan mereka yang berkata, “Dia dirasuk syaitan! Dia gila! Mengapakah kamu mendengarkan dia?” Tetapi yang lain berkata, “Seorang yang dirasuk syaitan tidak mungkin berkata-kata demikian! Bagaimanakah syaitan dapat mencelikkan mata orang buta?” Di Yerusalem orang sedang merayakan Perayaan Pentahbisan Rumah Tuhan. Masa itu musim sejuk. Yesus sedang berjalan di Serambi Salomo di dalam Rumah Tuhan. Oleh itu orang Yahudi datang berkumpul di sekeliling Yesus. Mereka bertanya, “Berapa lamakah guru mahu membiarkan kami ragu-ragu? Katakanlah dengan terus terang. Adakah guru Penyelamat yang diutus oleh Allah?” Yesus menjawab, “Aku sudah memberitahu kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Perbuatan yang Aku lakukan dengan kuasa Bapa-Ku memberikan kesaksian tentang Aku. Kamu tidak mahu percaya kerana kamu bukan domba-domba-Ku. Domba-domba-Ku mendengarkan suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut Aku. Aku memberi mereka hidup sejati dan kekal, dan mereka tidak akan binasa. Tidak seorang pun dapat merampas mereka dari tangan-Ku. Apa yang diberikan oleh Bapa-Ku kepada-Ku lebih besar daripada segala-galanya. Tidak seorang pun dapat merampas mereka daripada tangan Bapa. Bapa dan Aku satu.” Kemudian orang Yahudi di situ memungut batu lagi untuk merejam Yesus. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Banyak perbuatan baik sudah Aku lakukan untuk kamu dengan kuasa Bapa-Ku. Perbuatan manakah yang menyebabkan kamu mahu merejam Aku?” Orang Yahudi di situ menjawab, “Kami mahu merejam kamu bukan kerana perbuatanmu yang baik, tetapi kerana kamu mengkufuri Allah! Kamu hanya manusia, tetapi kamu mahu menjadikan dirimu Allah!” Yesus berkata kepada mereka, “Tidakkah tertulis di dalam Taurat kamu: Allah berfirman, ‘Kamu ilahi’? Kita tahu bahawa apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku untuk selama-lamanya. Allah menyebut orang yang menerima firman-Nya sebagai ilahi. Aku ini dipilih dan diutus oleh Bapa ke dunia. Dapatkah kamu katakan Aku mengkufuri Allah kerana Aku mengaku sebagai Anak Allah? Jika Aku tidak melakukan apa yang dikehendaki oleh Bapa, janganlah percaya kepada-Ku. Tetapi jika Aku melakukannya, percayalah kepada apa yang Aku lakukan itu, meskipun kamu tidak percaya kepada-Ku. Dengan demikian kamu tahu dan mengerti bahawa Bapa bersatu dengan Aku, dan Aku bersatu dengan Bapa.” Sekali lagi mereka berusaha menangkap Yesus, tetapi Yesus dapat melepaskan diri. Yesus kembali ke seberang Sungai Yordan lalu tinggal di sana. Dahulu Yohanes membaptis orang di situ. Banyak orang datang kepada-Nya. Mereka berkata, “Yohanes tidak melakukan mukjizat, tetapi segala yang dikatakannya tentang orang ini benar.” Banyak orang di situ percaya kepada Yesus. Seorang lelaki bernama Lazarus sakit. Dia tinggal di Betania bersama-sama dua orang saudaranya yang bernama Maria dan Marta. ( Marialah yang menuangi kaki Tuhan dengan minyak wangi, lalu menyapunya dengan rambutnya. Lazarus yang sakit itu saudaranya.) Kedua-dua orang saudara ini mengirim khabar kepada Yesus, “Tuhan, sahabat yang Tuhan kasihi itu sakit.” Apabila Yesus mendengar khabar itu, Dia berkata, “Penyakit ini tidak akan menyebabkan kematian Lazarus; hal ini berlaku untuk memuliakan Allah. Melalui hal ini Anak Allah akan dimuliakan.” Yesus mengasihi Marta, Maria, dan Lazarus. Tetapi ketika Yesus menerima khabar bahawa Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi. Kemudian Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Marilah kita balik ke Yudea.” Pengikut-pengikut-Nya menjawab, “Guru, baru sahaja orang Yahudi di situ hendak merejam Guru, dan sekarang Guru mahu balik lagi ke sana?” Yesus berkata, “Bukankah siang hari lamanya dua belas jam? Sesiapa yang berjalan pada siang hari, tidak akan tersandung, kerana dia melihat cahaya bagi dunia ini. Tetapi jika orang itu berjalan pada malam hari, dia tersandung kerana tiada cahaya padanya.” Setelah berkata demikian, Yesus melanjutkan pula, “Sahabat kita Lazarus sudah tidur, tetapi Aku akan pergi membangunkan dia.” Pengikut-pengikut Yesus berkata, “Guru, jika Lazarus tidur, dia akan sembuh.” Sebenarnya inilah yang dimaksudkan Yesus: Lazarus sudah meninggal. Tetapi mereka menyangka bahawa Yesus berkata Lazarus benar-benar tidur. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka dengan terus terang, “Lazarus sudah meninggal. Tetapi demi kebaikan kamu, Aku bersyukur kerana Aku tidak bersama-sama dia, supaya kamu boleh percaya kepada-Ku. Marilah kita pergi kepada Lazarus.” Tomas yang disebut Si Kembar berkata kepada sesama pengikut Yesus, “Marilah kita pergi dengan Guru, supaya kita mati bersama-sama-Nya!” Apabila Yesus tiba di tempat itu, Dia mendapati Lazarus sudah dikubur selama empat hari. Betania letaknya kira-kira tiga kilometer dari Yerusalem. Oleh itu banyak orang Yahudi datang melawat Maria dan Marta untuk menghibur mereka kerana kematian Lazarus. Apabila Marta mendengar seseorang berkata bahawa Yesus datang, dia pun keluar untuk menjumpai Yesus, tetapi Maria tinggal di rumah. Marta berkata kepada Yesus, “Ya Tuhan, jika Tuhan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup! Sungguhpun demikian, aku tahu bahawa Allah akan mengabulkan apa sahaja yang Tuhan minta.” Yesus berkata kepada Marta, “Saudaramu akan hidup kembali.” Marta menjawab, “Aku tahu bahawa Lazarus akan hidup semula apabila orang mati dibangkitkan pada Hari Kiamat.” Yesus berkata kepada Marta, “Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. Orang yang hidup dan percaya kepada-Ku, tidak akan mati selama-lamanya. Adakah kamu percaya akan hal ini?” “Ya Tuhan,” jawab Marta, “aku percaya bahawa Tuhan Anak Allah, Penyelamat yang diutus oleh Allah, dan yang dijanjikan untuk datang ke dunia ini.” Setelah Marta berkata demikian dia pun pergi memanggil Maria, saudaranya lalu berbisik kepadanya, “Guru di sini dan Dia memanggil kamu.” Mendengar hal itu, Maria cepat-cepat bangun lalu pergi menjumpai Yesus. ( Ketika itu, Yesus belum masuk ke kampung itu. Dia masih di tempat Marta menjumpai-Nya.) Orang Yahudi yang sedang menghibur Maria di rumah, mengikuti Maria ketika mereka melihat Maria bangun dengan cepat lalu keluar. Mereka menyangka dia hendak pergi ke kubur Lazarus untuk menangis di sana. Apabila Maria sampai ke tempat Yesus dan melihat Dia, Maria berlutut pada kaki Yesus dan berkata, “Tuhan, jika Tuhan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup!” Apabila Yesus melihat Maria menangis dan semua orang Yahudi yang datang bersama-sama Maria juga menangis, Yesus sedih hati dan terharu. Dia bertanya kepada mereka, “Di manakah kamu mengubur dia?” Mereka menjawab, “Mari lihat, Tuhan.” Yesus menangis. Semua orang Yahudi di situ berkata, “Lihatlah! Dia sangat mengasihi Lazarus.” Tetapi beberapa orang antara mereka berkata, “Dia dapat membuat orang buta melihat. Mengapa dia tidak dapat mencegah kematian Lazarus?” Yesus sangat terharu lagi, lalu Dia pergi ke kubur. Kubur itu sebuah gua yang ditutup dengan sebuah batu besar. Lalu Yesus berkata, “Tepikan batu ini.” Tetapi Marta, saudara orang yang meninggal itu menjawab, “Tuhan, sudah empat hari dia dikuburkan. Tentu busuk baunya!” Yesus berkata kepada Marta, “Tidakkah Aku berkata kepadamu: Jika kamu percaya, kamu boleh melihat betapa besarnya kuasa Allah?” Mereka mengetepikan batu itu, lalu Yesus menengadah ke langit dan berkata, “Aku bersyukur kepada-Mu, ya Bapa, kerana Engkau mendengar permintaan-Ku. Aku tahu bahawa Engkau sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku berkata demikian untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya bahawa Engkaulah yang mengutus Aku.” Setelah Yesus berkata demikian, Dia berseru dengan suara kuat, “Lazarus, keluar!” Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih terbalut dengan kain kafan dan mukanya tertutup dengan kain penutup muka. Yesus berkata kepada orang ramai di situ, “Tanggalkan kain yang membalutnya dan biarlah dia pergi.” Banyak orang Yahudi yang datang melawat Maria, melihat apa yang dilakukan oleh Yesus, lalu mereka percaya kepada Yesus. Tetapi beberapa orang antara mereka balik kepada orang Farisi, lalu melaporkan apa yang telah dilakukan oleh Yesus. Oleh itu, orang Farisi dan ketua-ketua imam mengadakan mesyuarat dengan Majlis Agama. Mereka berkata, “Apakah yang harus kita lakukan? Lihatlah, orang ini melakukan banyak mukjizat! Jika kita biarkan Dia terus berbuat demikian, semua orang akan percaya kepada-Nya. Akhirnya penguasa Roma akan datang lalu menghancurkan Rumah Tuhan dan bangsa kita!” Seorang daripada mereka bernama Kayafas, Imam Agung pada tahun itu. Dia berkata, “Kamu tidak tahu apa-apa. Tidakkah kamu sedar bahawa lebih baik satu orang mati bagi umat kita daripada seluruh bangsa kita dibinasakan?” Sebenarnya dia tidak mengatakan hal ini menurut fikirannya sendiri. Tetapi sebagai Imam Agung tahun itu, dia bernubuat bahawa Yesus akan mati untuk orang Yahudi. Yesus mati bukan untuk orang Yahudi sahaja, tetapi juga untuk mengumpulkan dan menyatukan umat Allah yang tercerai-cerai. Sejak hari itu para penguasa Yahudi berkomplot untuk membunuh Yesus. Yesus tidak lagi berpergian secara terang-terangan di Yudea, tetapi Dia pergi ke bandar bernama Efraim dekat padang gurun. Dia dan pengikut-pengikut-Nya tinggal di sana. Pada masa itu sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi. Banyak orang dari kampung pergi ke Yerusalem untuk menjalankan upacara penyucian diri sebelum perayaan itu. Mereka mencari Yesus dan semasa di Rumah Tuhan, mereka bertanya sesama sendiri, “Apa pendapatmu? Dia barangkali tidak akan menghadiri perayaan ini.” Ketua-ketua imam dan orang Farisi sudah mengeluarkan perintah bahawa orang yang mengetahui tempat Yesus berada harus melaporkannya, supaya Dia dapat ditangkap. Enam hari sebelum Perayaan Paska, Yesus pergi ke Betania, tempat tinggal Lazarus yang sudah dibangkitkan-Nya daripada kematian. Di sana Dia dijamu oleh mereka. Marta menghidangkan makanan, sementara Lazarus dan tetamu lain makan bersama-sama Yesus. Kemudian Maria datang dan membawa kira-kira setengah liter minyak wangi yang mahal harganya. Minyak itu dibuat daripada akar wangi. Dia menuang minyak itu pada kaki Yesus, lalu menyapu kaki Yesus dengan rambutnya. Oleh itu keharuman minyak itu memenuhi seluruh rumah. Yudas Iskariot, salah seorang pengikut Yesus, yang kelak mengkhianati Dia, berkata, “Mengapakah minyak wangi ini tidak dijual dengan harga tiga ratus keping wang perak, lalu wangnya diberikan kepada orang miskin?” Yudas berkata demikian bukan kerana dia mengambil berat terhadap orang miskin, tetapi kerana dia pencuri. Dia menyimpan beg wang bagi mereka dan dia biasa mengambil sedikit wang untuk keperluannya sendiri. Tetapi Yesus berkata, “Janganlah ganggu wanita ini! Biarlah dia lakukan perkara ini untuk hari penguburan-Ku! Orang miskin sentiasa ada antara kamu, tetapi Aku tidak selalu bersama-sama kamu.” Banyak orang Yahudi mendengar bahawa Yesus di Betania. Mereka pergi ke sana, bukan sahaja kerana apa yang sudah dilakukan oleh Yesus, tetapi juga kerana mereka mahu melihat Lazarus yang sudah dibangkitkan oleh Yesus daripada kematian. Oleh itu ketua-ketua imam bercadang hendak membunuh Lazarus juga, kerana banyak orang Yahudi meninggalkan mereka, lalu percaya kepada Yesus. Keesokan harinya orang ramai yang sudah datang untuk merayakan Paska, mendengar khabar bahawa Yesus sedang dalam perjalanan ke Yerusalem. Mereka mengambil dahan-dahan pokok palma lalu pergi mengalu-alukan Yesus sambil berseru, “Pujilah Allah! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan! Diberkatilah Raja Israel!” Yesus mendapati seekor keldai muda lalu menungganginya. Dengan demikian berlakulah yang tertulis di dalam Alkitab, “Janganlah takut, hai penduduk Sion! Lihatlah Raja kamu datang menunggang seekor keldai muda!” Pada masa itu pengikut-pengikut Yesus tidak memahami semuanya. Tetapi setelah Yesus dimuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya, barulah mereka teringat bahawa apa yang dilakukan oleh orang ramai bagi-Nya sudah tertulis di dalam Alkitab. Orang ramai yang hadir ketika Yesus memanggil Lazarus keluar dari kubur dan membangkitkannya daripada kematian, sudah memberitahukan kejadian itu. Itulah sebabnya orang ramai menjumpai Yesus, kerana mereka mendengar bahawa Dia sudah melakukan mukjizat itu. Orang Farisi berkata sesama sendiri, “Lihatlah, seluruh dunia sudah mengikut dia. Usaha kita sia-sia belaka!” Beberapa orang Yunani ada antara orang ramai yang pergi ke Yerusalem untuk beribadat pada masa perayaan itu. [21-22] Mereka datang kepada Filipus, lalu berkata, “Tuan, kami hendak berjumpa dengan Yesus.” (Filipus berasal dari Betsaida di Galilea.) Dia memberitahu Andreas, lalu kedua-duanya pergi memberitahu Yesus. *** Yesus berkata kepada mereka, “Sudah tiba masanya Anak Manusia dimuliakan. Sungguh benar apa yang Aku katakan ini: Jika sebiji benih gandum tidak ditanam di tanah lalu mati, benih gandum itu tetap sebiji benih sahaja. Tetapi jika benih itu ditanam lalu mati, maka benih itu akan tumbuh dan menghasilkan banyak gandum. Sesiapa yang mengasihi hidupnya sendiri akan kehilangan hidup itu. Tetapi sesiapa yang tidak mengasihi hidupnya di dunia ini akan memilikinya untuk hidup sejati dan kekal. Sesiapa yang mahu mengabdikan diri kepada-Ku harus mengikut Aku, supaya dia boleh bersama-sama Aku di tempat Aku berada. Bapa-Ku akan menghormati orang yang mengabdikan diri kepada-Ku.” “Hati-Ku gelisah. Apa yang akan Aku katakan? Haruskah Aku berkata, ‘Bapa, jauhkanlah Aku daripada saat penderitaan ini’? Tidak. Aku datang justeru untuk mengalami saat penderitaan ini. Ya Bapa, tunjukkanlah kemuliaan-Mu!” Kemudian terdengar suara dari langit berkata, “Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi.” Orang ramai di situ mendengar suara itu. Mereka berkata, “Guruh!” Tetapi ada juga yang berkata, “Bukan! Malaikat berkata-kata kepada-Nya!” Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Suara itu terdengar bukan untuk kepentingan-Ku, tetapi untuk kepentingan kamu. Tibalah saatnya dunia dihakimi; sekarang penguasa dunia ini akan digulingkan. Apabila Aku ditinggikan di atas bumi, Aku akan memimpin semua orang kepada-Ku.” Dengan kata-kata-Nya ini, Yesus menunjukkan cara Dia akan mati. Orang ramai berkata kepada-Nya, “Taurat kami mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu dapat berkata bahawa Anak Manusia harus ditinggikan di atas bumi? Siapakah Anak Manusia itu?” Yesus menjawab, “Cahaya itu akan bersama-sama kamu sebentar sahaja. Teruskanlah perjalanan selama cahaya itu masih ada, supaya kamu tidak ditimpa kegelapan. Seorang yang berjalan dalam kegelapan, tidak tahu ke mana dia pergi. Percayalah kepada cahaya itu selama cahaya itu bersama-sama kamu, supaya kamu menjadi anak-anak cahaya itu.” Setelah Yesus berkata demikian, Dia pergi dari sana lalu menyembunyikan diri daripada mereka. Meskipun Dia sudah melakukan semua mukjizat itu di hadapan mereka, mereka tidak percaya kepada-Nya. Oleh itu berlakulah nubuat Nabi Yesaya, “Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami? Kepada siapakah kuasa Tuhan ditunjukkan?” Itulah sebabnya mereka tidak dapat percaya, kerana Yesaya juga berkata, “Allah berfirman, ‘Aku sudah membutakan mata mereka, dan menjadikan mereka keras kepala, supaya mata mereka tidak dapat melihat, dan fikiran mereka tidak dapat mengerti, sehingga mereka tidak kembali kepada-Ku untuk Aku sembuhkan.’ ” Yesaya berkata demikian kerana dia sudah melihat kemuliaan Yesus lalu berkata-kata tentang Dia. Walaupun demikian, banyak juga penguasa Yahudi yang percaya kepada Yesus. Tetapi kerana mereka takut dilarang masuk ke rumah ibadat oleh orang Farisi, mereka tidak berani mengakui Yesus secara terang-terangan. Mereka lebih suka dipuji oleh manusia daripada dipuji oleh Allah. Lalu Yesus berseru, “Sesiapa yang percaya kepada-Ku, bukan sahaja percaya kepada-Ku, tetapi juga kepada Dia yang mengutus Aku. Sesiapa yang melihat Aku, juga melihat Dia yang mengutus Aku. Aku datang ke dunia ini sebagai cahaya, supaya tiap-tiap orang yang percaya kepada-Ku tidak tinggal dalam kegelapan. Jika seseorang mendengar ajaran-Ku tetapi tidak mentaatinya, Aku tidak akan menghukum dia. Aku datang, bukan untuk menghukum dunia ini tetapi untuk menyelamatkannya. Sesiapa yang menolak Aku dan tidak menerima perkhabaran-Ku, sudah ada yang akan menghakiminya. Perkhabaran yang Aku sampaikan ini akan menghakiminya pada Hari Kiamat! Aku tidak berkata-kata menurut kemahuan-Ku sendiri, kerana Bapa yang mengutus Aku memerintahkan Aku mengatakan apa yang harus disampaikan. Aku tahu bahawa perintah-Nya itu memberikan hidup sejati dan kekal. Oleh itu Aku menyampaikan perkhabaran seperti yang diberitahukan oleh Bapa kepada-Ku.” Sehari sebelum Perayaan Paska, Yesus tahu bahawa tiba masanya Dia meninggalkan dunia ini dan kembali kepada Bapa. Yesus mengasihi semua pengikut-Nya di dunia, dan Dia tetap mengasihi mereka sampai akhir. Yesus dan pengikut-pengikut-Nya sedang makan malam. Iblis sudah menimbulkan hasrat dalam hati Yudas anak Simon Iskariot untuk mengkhianati Yesus. Yesus tahu bahawa Bapa sudah menyerahkan segala kekuasaan kepada-Nya. Yesus juga tahu bahawa Dia datang daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Oleh itu Yesus berdiri, menanggalkan jubah-Nya lalu mengikat sehelai tuala pada pinggang-Nya. Dia menuang air ke dalam sebuah besen lalu mula membasuh kaki pengikut-pengikut-Nya dan mengeringkannya dengan tuala yang terikat pada pinggang-Nya. Apabila Yesus sampai kepada Simon Petrus, Petrus berkata, “Adakah Tuhan akan membasuh kakiku?” Yesus menjawab, “Sekarang kamu tidak memahami apa yang sedang Aku lakukan, tetapi pada kemudian hari kamu akan faham.” Petrus berkata kepada Yesus, “Jangan Tuhan! Tuhan tidak boleh membasuh kakiku!” Tetapi Yesus menjawab, “Jika Aku tidak membasuh kakimu, kamu bukan lagi pengikut-Ku.” Simon Petrus berkata, “Ya Tuhan, jika demikian jangan basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!” Yesus berkata kepadanya, “Sesiapa sudah mandi, seluruh badannya bersih; dia perlu membasuh kaki sahaja. Kamu semuanya bersih, kecuali seorang.” ( Yesus mengetahui siapa yang akan mengkhianati Dia. Itulah sebabnya Yesus berkata, “Kamu semuanya bersih, kecuali seorang.”) Setelah Yesus membasuh kaki mereka, Dia mengenakan jubah-Nya kembali lalu duduk semula. Dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu memahami apa yang baru sahaja Aku lakukan untuk kamu? Kamu memanggil Aku Guru dan Tuhan. Benarlah panggilan kamu itu, kerana Aku memang Guru dan Tuhan. Jika Aku sebagai Tuhan dan Guru kamu, sudah membasuh kaki kamu, maka kamu wajib saling membasuh kaki. Aku sudah memberikan teladan kepada kamu semua, supaya kamu juga melakukan apa yang sudah Aku lakukan untuk kamu. Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Seorang hamba tidak lebih penting daripada tuannya. Seorang utusan tidak lebih penting daripada orang yang mengutusnya. Jika kamu mengetahui hal ini, berbahagialah kamu jika kamu melakukannya. Apa yang Aku katakan itu bukanlah tentang kamu semua. Aku mengenal siapa-siapa yang sudah Aku pilih. Tetapi apa yang tertulis di dalam Alkitab harus berlaku, ‘Orang yang makan dengan Aku akan melawan Aku.’ Aku memberitahu kamu perkara ini sekarang, sebelum semuanya berlaku. Apabila perkara itu berlaku kelak, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU. Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang menyambut orang yang Aku utus, menyambut Aku; sesiapa yang menyambut Aku, juga menyambut Dia yang mengutus Aku.” Setelah Yesus berkata demikian, hati-Nya gelisah. Lalu Dia berkata dengan terus terang, “Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Salah seorang daripada kamu akan mengkhianati Aku.” Pengikut-pengikut Yesus saling memandang, kerana mereka tidak mengetahui orang yang dimaksudkan oleh-Nya. Pengikut yang dikasihi oleh Yesus duduk di sebelah Yesus. Oleh itu Simon Petrus memberikan isyarat kepadanya, “Tanyalah Guru, siapa yang dimaksudkan-Nya itu.” Pengikut itu mendekati Yesus lalu bertanya, “Siapakah dia, ya Tuhan?” Yesus menjawab, “Orang yang Aku berikan roti yang Aku celup ke dalam mangkuk, dialah orang itu.” Oleh itu Yesus mengambil sedikit roti, mencelupnya ke dalam mangkuk, lalu memberikan roti itu kepada Yudas anak Simon Iskariot. Sebaik sahaja Yudas menerima roti itu, Iblis masuk ke dalam hatinya. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Segeralah lakukan apa yang mahu kamu lakukan!” Tidak seorang pun yang makan di situ memahami kata-kata Yesus kepada Yudas. Kerana Yudas memegang beg wang mereka, beberapa orang pengikut menyangka Yesus menyuruh dia membeli bekalan yang diperlukan bagi perayaan itu, atau memberikan sedekah kepada orang miskin. Yudas menerima roti itu, lalu segera keluar. Hari sudah malam. Setelah Yudas meninggalkan tempat itu, Yesus berkata, “Sekarang Anak Manusia dimuliakan, dan Allah pun dimuliakan melalui Dia. Jika Allah dimuliakan melalui Anak Manusia, Dia pun dimuliakan oleh Allah sendiri, dan Allah akan segera memuliakan Dia. Anak-anak-Ku, Aku tidak akan tinggal lama lagi dengan kamu. Kamu akan mencari Aku, tetapi seperti yang sudah Aku katakan kepada para penguasa Yahudi, Aku katakan juga kepada kamu, ‘Kamu tidak dapat pergi ke tempat Aku pergi.’ Sekarang Aku memberikan perintah baru kepada kamu: Hendaklah kamu saling mengasihi. Sebagaimana Aku sudah mengasihi kamu, hendaklah kamu saling mengasihi. Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikut-Ku.” Simon Petrus bertanya kepada Yesus, “Ke manakah Tuhan mahu pergi?” Yesus menjawab, “Ke tempat Aku pergi, engkau tidak dapat ikut sekarang, tetapi engkau akan mengikut Aku kelak.” Petrus bertanya lagi, “Tuhan, mengapa aku tidak dapat mengikut Tuhan sekarang? Aku sanggup mati untuk Tuhan!” Yesus menjawab, “Betulkah engkau sanggup mati untuk-Ku? Ketahuilah, sebelum ayam berkokok, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku!” Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah kamu risau. Percayalah kepada Allah dan percayalah kepada-Ku juga. Di dalam rumah Bapa-Ku terdapat banyak tempat kediaman, dan Aku akan pergi menyediakan tempat untuk kamu. Aku tidak akan berkata demikian kepada kamu, sekiranya hal itu tidak begitu. Setelah Aku pergi menyediakan tempat untuk kamu, Aku akan kembali lalu membawa kamu ke tempat-Ku, supaya kamu tinggal di tempat Aku tinggal. Kamu mengetahui jalan ke tempat Aku pergi itu.” Tomas berkata kepada-Nya, “Tuhan, kami tidak tahu ke mana Tuhan pergi, bagaimanakah kami dapat mengetahui jalan itu?” Yesus menjawab, “Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku. Kerana kamu mengenal Aku, kamu akan mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal Dia dan sudah melihat Dia.” Filipus berkata kepada Yesus, “Ya Tuhan, tunjukkanlah Bapa kepada kami, supaya kami puas.” Tetapi Yesus menjawab, “Sudah lama Aku bersama-sama kamu semua, dan kamu belum mengenal Aku juga, Filipus? Orang yang sudah melihat Aku, sudah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, ‘Tunjukkanlah Bapa kepada kami’? Filipus, tidakkah kamu percaya bahawa Aku bersatu dengan Bapa, dan Bapa bersatu dengan Aku? Apa yang Aku katakan kepada kamu semua, tidak datang daripada Aku sendiri. Bapa, yang tetap bersatu dengan Aku melakukan semua itu. Percayalah kepada-Ku, bahawa Aku bersatu dengan Bapa, dan Bapa bersatu dengan Aku. Jika kamu tidak percaya kepada apa yang Aku katakan, percayalah kepada-Ku kerana perkara-perkara yang sudah Aku lakukan. Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan melakukan apa yang Aku lakukan, bahkan dia akan melakukan hal-hal yang lebih besar lagi, kerana Aku pergi kepada Bapa. Aku akan melakukan apa sahaja yang kamu minta demi nama-Ku, supaya kemuliaan Bapa akan dinyatakan melalui Anak-Nya. Apa sahaja yang kamu minta daripada-Ku demi nama-Ku, Aku akan melakukannya.” “Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan mentaati perintah-perintah-Ku. Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan memberi kamu Penolong lain, yang akan bersama-sama kamu selama-lamanya. Dia Roh Allah, yang menunjukkan apa yang benar tentang Allah. Dunia tidak dapat menerima Dia, kerana dunia tidak dapat melihat Dia ataupun mengenal Dia. Tetapi kamu mengenal Dia, kerana Dia tinggal dengan kamu dan bersatu dengan kamu. Aku tidak akan meninggalkan kamu sendirian seperti yatim piatu; Aku akan kembali kepada kamu. Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat Aku lagi, tetapi kamu akan melihat Aku. Kerana Aku hidup, kamu pun akan hidup. Apabila hari itu tiba, barulah kamu tahu bahawa Aku bersatu dengan Bapa, kamu bersatu dengan Aku, dan Aku pun bersatu dengan kamu. Sesiapa yang menerima dan melakukan perintah-perintah-Ku, mengasihi Aku. Bapa-Ku akan mengasihi sesiapa yang mengasihi Aku. Aku pun akan mengasihi orang itu dan menunjukkan diri kepadanya.” Yudas (bukan Yudas Iskariot) berkata kepada Yesus, “Tuhan, mengapa Tuhan menunjukkan diri kepada kami dan bukan kepada dunia?” Yesus menjawab, “Sesiapa mengasihi Aku akan mentaati ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihi dia. Bapa-Ku dan Aku akan datang kepada orang itu dan tinggal dengan dia. Sesiapa yang tidak mengasihi Aku, tidak mentaati ajaran-Ku. Ajaran yang kamu dengar ini bukan daripada Aku, tetapi daripada Bapa yang mengutus Aku. Aku memberitahu kamu semua ini semasa Aku masih bersama-sama kamu. Tetapi Roh Allah, Penolong yang akan diutus oleh Bapa demi nama-Ku, akan mengajar kamu segala-galanya dan akan mengingatkan kamu segala yang telah Aku katakan kepada kamu. Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu; kesejahteraan-Ku sendiri yang Aku berikan kepada kamu. Kesejahteraan yang Aku berikan kepada kamu bukan seperti yang diberikan oleh dunia. Janganlah kamu risau dan janganlah takut. Kamu sudah mendengar Aku berkata, ‘Aku akan pergi, tetapi Aku akan kembali kepada kamu.’ Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan bersukacita kerana Aku pergi kepada Bapa, oleh sebab Bapa lebih besar daripada Aku. Demikianlah Aku memberitahukan semua ini kepada kamu sekarang, sebelum semuanya berlaku, supaya apabila berlaku kelak, kamu akan percaya kepada-Ku. Aku tidak boleh berkata-kata lebih lama lagi dengan kamu, kerana sudah tiba masanya penguasa dunia ini datang. Dia tidak berkuasa atas diri-Ku. Tetapi Aku melakukan segala yang diperintahkan oleh Bapa, supaya dunia tahu bahawa Aku mengasihi Bapa. Marilah kita pergi dari sini.” Yesus berkata lagi, “Aku pokok anggur yang sejati, dan Bapa-Ku peladang anggur. Setiap carang-Ku yang tidak berbuah dikerat oleh-Nya, dan setiap carang yang berbuah dipangkas oleh-Nya supaya bersih dan berbuah lebih lebat. Kamu sudah dibersihkan oleh ajaran yang Aku ajarkan kepada kamu. Tetaplah bersatu dengan Aku dan Aku pun akan tetap bersatu dengan kamu. Carang sendiri tidak dapat berbuah, kecuali tetap pada pokoknya. Demikian juga kamu; kamu hanya dapat berbuah, jika kamu tetap bersatu dengan Aku. Akulah pokok anggur dan kamu carang-carangnya. Sesiapa yang tetap bersatu dengan Aku, dan Aku dengan dia, akan berbuah lebat; kerana tanpa Aku, kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Sesiapa yang tidak tetap bersatu dengan Aku, akan dikerat seperti carang lalu menjadi kering. Carang-carang seperti itu akan dikumpulkan lalu dibuang ke dalam api dan dibakar. Jika kamu tetap bersatu dengan Aku, dan ajaran-Ku kamu simpan di dalam hati, mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki daripada Bapa, dan permintaan kamu itu akan dipenuhi. Kemuliaan Bapa-Ku dinyatakan apabila kamu berbuah lebat, dan dengan demikian kamu betul-betul pengikut-Ku. Aku mengasihi kamu seperti Bapa mengasihi Aku. Hendaklah kamu tetap hidup sebagai orang yang Aku kasihi. Jika kamu mentaati perintah-Ku, Aku akan tetap mengasihi kamu, seperti Bapa tetap mengasihi Aku kerana Aku mentaati perintah-Nya. Semua ini Aku katakan kepada kamu supaya kegembiraan-Ku ada di dalam hati kamu dan kegembiraan kamu menjadi sempurna. Inilah perintah-Ku: Hendaklah kamu saling mengasihi, seperti Aku mengasihi kamu. Jika seseorang mati bagi sahabat-sahabatnya, hal itu menunjukkan bahawa dia orang yang paling mengasihi mereka. Kamu sahabat-sahabat-Ku, jika kamu melakukan apa yang Aku perintahkan. Aku tidak lagi memanggil kamu hamba, kerana hamba tidak mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggil kamu sahabat-sahabat-Ku, kerana Aku sudah memberitahu kamu segala yang telah Aku dengar daripada Bapa-Ku. Kamu tidak memilih Aku. Akulah yang memilih kamu dan menugaskan kamu supaya pergi dan berbuah lebat, buah yang akan tahan. Dengan demikian Bapa akan mengabulkan apa sahaja yang kamu minta daripada-Nya demi nama-Ku. Inilah perintah-Ku kepada kamu: Hendaklah kamu saling mengasihi.” “Jika dunia membenci kamu, ingatlah bahawa dunia sudah membenci Aku lebih dahulu. Jika kamu milik dunia, dunia akan mengasihi kamu seolah-olah kamu anak-anaknya sendiri. Tetapi Aku sudah memilih kamu supaya tidak menjadi milik dunia, dan kamu sekarang bukan lagi milik dunia. Itulah sebabnya dunia membenci kamu. Ingatlah akan apa yang sudah Aku katakan kepada kamu, ‘Seorang hamba tidak lebih penting daripada tuannya.’ Jika mereka menganiaya Aku, mereka akan menganiaya kamu juga. Jika mereka mentaati ajaran-Ku, mereka akan mentaati ajaran kamu juga. Mereka akan menganiaya kamu, kerana kamu pengikut-pengikut-Ku dan kerana mereka tidak mengenal Dia yang mengutus Aku. Mereka tidak berdosa jika Aku tidak datang dan mengatakan semua itu kepada mereka. Tetapi sekarang mereka tidak dapat berkata, ‘Kami tidak tahu bahawa perbuatan kami jahat.’ Sesiapa yang membenci Aku, membenci Bapa-Ku juga. Mereka tidak berdosa jika Aku tidak melakukan perkara-perkara yang belum pernah dilakukan orang di kalangan mereka. Tetapi sekarang mereka sudah melihat apa yang Aku lakukan, lalu mereka membenci Aku mahupun Bapa-Ku. Memang sudah seharusnya demikian, supaya berlakulah apa yang tertulis di dalam Taurat mereka, ‘Mereka membenci Aku tanpa alasan.’ Aku akan mengutus Penolong yang berasal daripada Bapa kepada kamu. Dia Roh yang akan menunjukkan apa yang benar tentang Allah. Apabila Dia datang, Dia akan memberikan kesaksian tentang Aku. Kamu pun akan memberikan kesaksian tentang Aku, kerana kamu semua bersama-sama Aku sejak permulaan. Aku sudah memberitahu kamu semua ini supaya kamu tidak kecewa sehingga tidak lagi percaya kepada-Ku. Mereka akan melarang kamu masuk ke rumah ibadat. Akan tiba masanya sesiapa yang membunuh kamu menyangka bahawa dengan perbuatan itu dia mengabdi kepada Allah. Mereka akan melakukan perkara-perkara ini terhadap kamu, kerana mereka belum mengenal Bapa ataupun Aku. Tetapi sekarang Aku sudah mengatakan semua ini kepada kamu, supaya apabila hal itu berlaku kelak, kamu akan ingat bahawa Aku sudah memberitahu kamu.” “Aku tidak memberitahu kamu hal ini dari permulaan, kerana Aku masih bersama-sama kamu. Tetapi sekarang Aku akan pergi kepada Dia yang mengutus Aku, tetapi tidak seorang pun daripada kamu bertanya, ‘Ke mana Guru mahu pergi?’ Sekarang kamu sedih, kerana Aku sudah memberitahu kamu hal ini. Tetapi apa yang Aku katakan kepada kamu benar: Untuk kebaikan kamu, lebih baik Aku pergi. Jika Aku tidak pergi, Penolong itu tidak akan datang kepada kamu. Tetapi jika Aku pergi, Aku akan mengutus Dia kepada kamu. Apabila Dia datang kelak, Dia akan membuktikan kepada orang dunia bahawa pendapat mereka tentang dosa, tentang apa yang benar, dan tentang hukuman Allah, semuanya salah. Pendapat mereka tentang dosa salah, kerana mereka tidak percaya kepada-Ku. Pendapat mereka tentang apa yang benar itu salah, kerana Aku pergi kepada Bapa dan kamu tidak akan melihat Aku lagi. Pendapat mereka tentang hukuman Allah pun salah, kerana penguasa dunia ini sudah dihukum. Banyak lagi yang hendak Aku katakan kepada kamu, tetapi sekarang ini kamu belum sanggup menerimanya. Tetapi apabila Roh yang menunjukkan apa yang benar tentang Allah itu datang, Roh akan membimbing kamu supaya mengetahui segala kebenaran itu. Roh tidak akan mengatakan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri. Dia akan mengatakan apa yang didengar-Nya dan memberitahu kamu perkara-perkara yang akan berlaku. Roh akan memuliakan Aku, kerana apa yang dinyatakan oleh Roh kepada kamu, diterima daripada Aku. Semua milik Bapa-Ku milik-Ku juga. Itulah sebabnya Aku berkata bahawa apa yang disampaikan oleh Roh kepada kamu, diterima daripada Aku.” Yesus berkata, “Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku.” Beberapa orang pengikut Yesus bertanya sesama sendiri, “Apakah maksud Dia berkata, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku’? Dia juga berkata, ‘Aku akan pergi kepada Bapa.’ Apakah erti ‘tidak lama lagi’ itu? Kita tidak memahami apa yang dikatakan-Nya!” Yesus tahu bahawa mereka hendak bertanya kepada-Nya. Oleh itu Dia berkata kepada mereka, “Tadi Aku berkata, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku.’ Adakah kamu mempersoalkan hal itu? Percayalah, kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersukacita. Kamu akan bersedih hati, tetapi kesedihan kamu itu akan berubah menjadi kegembiraan. Apabila seorang perempuan hendak melahirkan anak, hatinya susah kerana masa penderitaannya sudah tiba. Tetapi ketika anak itu lahir, dia lupa akan penderitaannya. Dia bersukacita, kerana seorang anak sudah dilahirkan ke dunia. Demikianlah halnya dengan kamu: Sekarang kamu susah hati, tetapi Aku akan berjumpa lagi dengan kamu. Hati kamu akan dipenuhi kegembiraan yang tidak dapat diambil oleh sesiapa pun. Pada hari itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepada-Ku. Percayalah, Bapa akan mengurniai kamu apa sahaja yang kamu minta daripada Bapa demi nama-Ku. Hingga saat ini kamu belum pernah minta apa-apa demi nama-Ku. Mintalah, lalu kamu akan menerimanya, supaya kegembiraan kamu sempurna.” “Aku sudah mengatakan segala perkara ini kepada kamu dengan perumpamaan. Tetapi akan tiba masanya Aku tidak lagi berkata-kata kepada kamu dengan perumpamaan, melainkan Aku akan berkata-kata dengan terus terang kepada kamu tentang Bapa. Pada masa itu, kamu akan meminta kepada Bapa demi nama-Ku. Aku tidak berkata bahawa Aku akan meminta kepada-Nya bagi pihak kamu, kerana Bapa sendiri mengasihi kamu. Dia mengasihi kamu kerana kamu mengasihi Aku dan percaya bahawa Aku datang daripada Allah. Aku memang berasal daripada Bapa, dan Aku sudah datang ke dunia. Tetapi sekarang Aku meninggalkan dunia ini lalu kembali kepada Bapa.” Lalu pengikut-pengikut-Nya berkata kepada Dia, “Sekarang barulah Guru berkata dengan terus terang, tanpa menggunakan perumpamaan. Sekarang kami tahu bahawa Guru mengetahui semuanya. Tidak perlu sesiapa pun bertanya apa-apa kepada Guru. Oleh itu kami percaya bahawa Guru berasal daripada Allah.” Yesus berkata kepada mereka, “Adakah kamu percaya sekarang? Saatnya akan datang, malah sudah tiba, apabila kamu akan dicerai-beraikan. Kamu akan pulang ke rumah masing-masing dan meninggalkan Aku seorang diri. Meskipun demikian, Aku tidak sendirian, kerana Bapa bersama-sama Aku. Aku mengatakan semua ini supaya kamu beroleh kesejahteraan kerana bersatu dengan Aku. Di dunia kamu akan menderita, tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia!” Setelah berkata demikian, Yesus menengadah ke langit lalu berkata, “Ya Bapa, sekarang tibalah saatnya. Muliakanlah Anak-Mu, supaya Anak pun boleh memuliakan Bapa. Engkau sudah memberikan kuasa atas umat manusia kepada Anak-Mu, supaya Anak-Mu memberikan hidup sejati dan kekal kepada semua orang yang Engkau serahkan kepada-Nya. Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang sudah Engkau utus, maka mereka mendapat hidup sejati dan kekal. Aku sudah memuliakan Engkau di atas bumi dengan menyelesaikan tugas yang Engkau berikan kepada-Ku. Ya Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Aku miliki bersama-sama-Mu sebelum dunia ini dijadikan. Aku sudah menunjukkan Engkau kepada semua orang dari dunia ini yang Engkau serahkan kepada-Ku. Mereka milik-Mu, dan Engkau menyerahkan mereka kepada-Ku. Mereka mentaati firman-Mu, dan sekarang mereka tahu bahawa semua yang Engkau berikan kepada-Ku datangnya daripada-Mu. Perkhabaran yang Engkau berikan kepada-Ku sudah Aku sampaikan kepada mereka, dan mereka menerimanya. Mereka tahu bahawa Aku betul-betul datang daripada Engkau dan mereka percaya bahawa Engkau mengutus Aku. Aku berdoa untuk mereka. Aku tidak berdoa untuk dunia, melainkan untuk semua orang yang sudah Engkau serahkan kepada-Ku, kerana mereka milik-Mu. Semua milik-Ku, milik-Mu juga; dan semua milik-Mu, milik-Ku juga. Kemuliaan-Ku dinyatakan melalui mereka. Sekarang Aku datang kepada-Mu. Aku tidak tinggal lagi di dunia, tetapi mereka masih di dunia. Ya Bapa yang suci, jagalah mereka dengan kekuasaan nama-Mu, nama yang sudah Engkau berikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu, seperti Engkau dan Aku juga satu. Semasa Aku bersama-sama mereka, Aku menjaga mereka dengan kekuasaan nama-Mu; nama yang Engkau berikan kepada-Ku. Aku melindungi mereka dan tidak seorang pun daripada mereka sesat, kecuali orang yang memang seharusnya sesat, supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku. Sekarang Aku datang kepada-Mu. Perkara-perkara ini Aku katakan sementara Aku masih di dunia, supaya mereka boleh merasakan kegembiraan-Ku dengan sepenuhnya. Aku menyampaikan firman-Mu kepada mereka, lalu dunia membenci mereka kerana mereka bukan milik dunia, sebagaimana Aku pun bukan milik dunia. Aku tidak meminta Engkau mengeluarkan mereka dari dunia, tetapi Aku meminta Engkau menjaga mereka daripada Si Jahat. Sebagaimana Aku bukan milik dunia, mereka pun bukan milik dunia. Jadikanlah mereka milik-Mu yang khas melalui firman-Mu yang benar; firman-Mu selalu benar. Aku mengutus mereka ke dunia sebagaimana Engkau mengutus Aku ke dunia. Bagi kepentingan mereka, Aku mengabdikan diri kepada-Mu, supaya mereka pun mengabdikan diri kepada-Mu. Aku berdoa bukan untuk mereka sahaja, tetapi juga untuk semua orang yang percaya kepada-Ku melalui perkhabaran mereka. Ya Bapa, Aku berdoa supaya mereka semua menjadi satu, sebagaimana Engkau bersatu dengan-Ku, dan Aku dengan-Mu. Semoga mereka menjadi satu dengan Kita supaya dunia percaya bahawa Engkau mengutus Aku. Aku memberi mereka kemuliaan yang Engkau berikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu, seperti Engkau dan Aku satu juga; Aku bersatu dengan mereka dan Engkau bersatu dengan Aku, supaya mereka benar-benar menjadi satu. Lalu dunia akan tahu bahawa Engkau mengutus Aku dan bahawa Engkau mengasihi mereka sebagaimana Engkau mengasihi Aku. Ya Bapa, Aku ingin supaya mereka yang sudah Engkau serahkan kepada-Ku bersama-sama Aku di tempat Aku ada, supaya mereka boleh melihat kemuliaan yang Engkau berikan kepada-Ku, kerana Engkau mengasihi Aku sebelum dunia ini dijadikan. Ya Bapa yang adil! Dunia tidak mengenal Engkau, tetapi Aku mengenal Engkau, dan semua orang ini tahu bahawa Engkau mengutus Aku. Aku sudah menunjukkan Engkau kepada mereka; Aku akan terus berbuat demikian, supaya kasih-Mu kepada-Ku tetap di dalam hati mereka dan supaya Aku bersatu dengan mereka.” Setelah Yesus berdoa demikian, Dia pergi dengan pengikut-pengikut-Nya ke seberang Sungai Kidron. Di situ Yesus dan pengikut-pengikut-Nya masuk ke sebuah taman. Yudas, pengkhianat itu, mengetahui tempat itu, kerana telah banyak kali Yesus berkumpul dengan pengikut-pengikut-Nya di situ. Oleh itu Yudas pergi ke tempat itu sambil membawa sepasukan askar Roma dan beberapa orang pengawal Rumah Tuhan yang disuruh oleh ketua-ketua imam dan orang Farisi. Mereka membawa senjata, lentera, dan suluh. Yesus mengetahui semua yang akan berlaku terhadap diri-Nya. Oleh itu Dia menghampiri mereka lalu bertanya, “Siapakah yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus, orang dari Nasaret.” Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia.” Yudas, pengkhianat itu, berdiri dengan mereka di situ. Apabila Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia,” mereka semua undur lalu rebah ke tanah. Sekali lagi Yesus bertanya kepada mereka, “Siapakah yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus, orang dari Nasaret.” Yesus berkata, “Bukankah sudah Aku katakan bahawa Akulah Dia? Jika Aku yang kamu cari, biarkan pengikut-pengikut-Ku ini pergi.” ( Dia berkata demikian, supaya berlakulah apa yang dikatakan-Nya dahulu, “Ya Bapa, tidak seorang pun yang Engkau serahkan kepada-Ku akan sesat.”) Simon Petrus yang mempunyai sebilah pedang, menghunusnya lalu mengerat telinga kanan hamba Imam Agung. Nama hamba itu Malkhus. Lalu Yesus berkata kepada Petrus, “Sarungkanlah pedangmu kembali! Aku harus minum cawan penderitaan yang diberikan oleh Bapa kepada-Ku.” Kemudian askar-askar Roma dengan komandan mereka dan pengawal-pengawal Yahudi menangkap dan mengikat Yesus. Mula-mula mereka membawa Yesus menghadap Hanas, bapa mentua Kayafas. Kayafas bertugas sebagai Imam Agung pada tahun itu. Dialah yang menasihati para penguasa Yahudi bahawa lebih baik satu orang mati untuk seluruh umat. Simon Petrus dan seorang pengikut lain mengikuti Yesus. Pengikut lain ini dikenal oleh Imam Agung. Oleh itu pengikut itu masuk bersama-sama Yesus ke halaman rumah Imam Agung, sedangkan Petrus menunggu di luar, di hadapan pintu. Kemudian pengikut lain itu, keluar lagi. Dia bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu, lalu membawa Petrus masuk ke dalam. Hamba perempuan yang menjaga pintu itu berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu salah seorang pengikut orang itu?” Petrus menjawab, “Bukan.” Pada waktu itu udara sejuk. Para hamba dan pengawal di situ sudah menyalakan api arang dan sedang berdiang. Petrus menghampiri mereka dan berdiri berdiang dengan mereka. Imam Agung itu menyoal Yesus tentang pengikut-pengikut-Nya dan ajaran-Nya. Yesus menjawab, “Aku sentiasa berkata-kata dengan terus terang di hadapan umum. Aku selalu mengajar di rumah ibadat dan di Rumah Tuhan, tempat semua orang Yahudi berkumpul. Tidak pernah Aku berkata apa-apa dengan sembunyi-sembunyi. Mengapakah kamu menyoal Aku? Tanyalah mereka yang pernah mendengar Aku mengajar. Mereka mengetahui apa yang Aku katakan.” Ketika Yesus berkata demikian, salah seorang pengawal di situ menampar Dia sambil berkata, “Berani sungguh kamu berkata demikian kepada Imam Agung!” Yesus berkata kepadanya, “Jika Aku sudah berkata apa-apa yang salah, katakanlah kepada semua orang di sini apa kesalahan itu. Tetapi jika kata-kata-Ku benar, mengapa kamu menampar Aku?” Kemudian Hanas menyuruh orang membawa Yesus, yang masih terikat itu, kepada Imam Agung Kayafas. Simon Petrus masih juga berdiri berdiang di situ. Semua orang lain di situ bertanya kepadanya, “Bukankah kamu salah seorang pengikut orang itu?” Petrus menjawab, “Bukan!” Seorang daripada hamba-hamba Imam Agung ada di situ. Dia saudara kepada orang yang telinganya dikerat oleh Petrus. Dia berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu yang aku lihat di taman itu bersama-sama dia?” Petrus berkata lagi, “Bukan.” Tepat pada waktu itu ayam berkokok. Pagi-pagi sekali, mereka membawa Yesus dari rumah Kayafas ke istana gabenor. Para penguasa Yahudi tidak masuk ke dalam istana, supaya mereka tidak menjadi najis dari segi agama, kerana mereka mahu makan Perjamuan Paska. Oleh itu Pilatus keluar untuk menjumpai mereka. Dia bertanya, “Apakah tuduhan kamu terhadap orang ini?” Mereka menjawab, “Kami tidak akan membawa dia menghadap tuan jika dia tidak bersalah.” Pilatus berkata kepada mereka, “Ambillah dia dan adililah dia menurut hukum kamu sendiri.” Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak dibenarkan menghukum mati sesiapa pun.” ( Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Yesus tentang cara Dia akan mati.) Pilatus masuk kembali ke istana lalu memanggil Yesus. Dia bertanya kepada-Nya, “Adakah kamu raja orang Yahudi?” Yesus menjawab, “Adakah pertanyaan ini daripadamu atau orang lain sudah memberitahu kamu tentang diri-Ku?” Pilatus menjawab, “Adakah aku ini orang Yahudi? Bangsamu sendiri dan ketua-ketua imam sudah menyerahkan kamu kepadaku. Apakah yang sudah kamu lakukan?” Yesus berkata, “Pemerintahan-Ku bukan dari dunia ini. Jika pemerintahan-Ku dari dunia ini, semua orang-Ku akan melawan supaya Aku tidak diserahkan kepada para penguasa Yahudi. Tidak, pemerintahan-Ku bukan dari dunia ini!” Oleh itu Pilatus bertanya kepada-Nya, “Jika demikian, adakah kamu ini raja?” Yesus menjawab, “Kamu yang berkata bahawa Aku raja. Aku dilahirkan dan datang ke dunia untuk satu maksud sahaja; Aku datang untuk berkata tentang apa yang benar. Sesiapa yang menerima apa yang benar, mendengarkan Aku.” Pilatus bertanya kepada-Nya, “Apakah yang benar itu?” Kemudian Pilatus keluar lagi dari istana dan berkata kepada semua orang Yahudi di situ, “Aku tidak mendapat alasan apa pun untuk menghukum dia. Tetapi menurut kebiasaan kamu, aku selalu membebaskan seorang tahanan pada Perayaan Paska. Adakah kamu mahu aku melepaskan raja orang Yahudi ini?” Mereka menjawab sambil berseru, “Tidak! Bukan dia! Bebaskan Barabas!” (Barabas seorang perompak.) Kemudian Pilatus menyuruh orang mencambuk Yesus. Askar-askar membuat sebuah mahkota daripada ranting-ranting berduri, lalu mengenakannya pada kepala Yesus. Mereka mengenakan jubah ungu pada-Nya, lalu berulang kali datang kepada-Nya sambil berkata, “Daulat, raja orang Yahudi!” Setelah itu mereka menampar Dia. Pilatus keluar sekali lagi dan berkata kepada orang ramai di situ, “Lihatlah, aku membawa dia ke luar, supaya kamu tahu bahawa aku tidak mendapat alasan apa pun untuk menghukum dia.” Demikianlah Yesus keluar dengan memakai mahkota duri dan jubah ungu. Pilatus berkata kepada mereka, “Lihatlah orang ini!” Ketika ketua-ketua imam dan para pengawal Rumah Tuhan melihat Yesus, mereka berseru, “Salibkan dia! Salibkan dia!” Pilatus berkata kepada mereka, “Ambillah dia! Kamu sendiri salibkan dia, kerana aku tidak mendapat alasan apa pun untuk menghukum dia.” Semua orang Yahudi di situ menjawab, “Menurut hukum kami dia harus dihukum mati kerana dia mengaku dirinya Anak Allah.” Apabila Pilatus mendengar kata-kata mereka, dia lebih takut lagi. Lalu dia masuk kembali ke istana dan bertanya kepada Yesus, “Kamu berasal dari mana?” Tetapi Yesus tidak menjawab. Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah kamu mahu berkata apa-apa kepadaku? Ketahuilah bahawa aku berkuasa membebaskan kamu ataupun menyalibkan kamu!” Yesus menjawab, “Kamu sama sekali tidak berkuasa atas diri-Ku kecuali Allah memberikan kuasa itu kepadamu. Oleh itu orang yang menyerahkan Aku kepadamu, dosanya lebih besar daripada dosamu.” Apabila Pilatus mendengar kata-kata ini, dia berusaha untuk membebaskan Yesus. Tetapi semua orang Yahudi di situ berseru, “Jika tuan membebaskan dia, tuan bukan sahabat Kaisar. Sesiapa yang mengaku dirinya raja, melawan Kaisar!” Apabila Pilatus mendengar kata-kata itu, dia membawa Yesus ke luar lalu duduk di kerusi pengadilan di tempat yang bernama “Lantai Batu.” (Dalam bahasa Ibrani namanya “Gabata”.) Masa itu hampir pukul dua belas tengah hari, dan esok Perayaan Paska. Pilatus berkata kepada semua orang di situ, “Inilah raja kamu!” Mereka berseru, “Bunuh dia! Bunuh dia! Salibkan dia!” “Kamu mahu aku menyalib raja kamu?” tanya Pilatus. Ketua-ketua imam menjawab, “Kaisar satu-satunya raja kami!” Kemudian Pilatus menyerahkan Yesus kepada mereka untuk disalibkan. Mereka mengambil Yesus dan membawa Dia pergi. Sambil memikul salib-Nya, Yesus pergi ke luar bandar ke tempat yang bernama “Tempat Tengkorak.” (Dalam bahasa Ibrani tempat itu disebut “Golgota”.) Di situ Dia disalibkan. Dua orang lain juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kiri, seorang di sebelah kanan dan Yesus di tengah. Pilatus menyuruh orang memasang papan kenyataan pada kayu salib Yesus. Papan kenyataan itu bertulis: “Yesus dari Nasaret, Raja Orang Yahudi”. Banyak orang Yahudi membacanya kerana tempat Yesus disalibkan itu tidak jauh dari bandar. Tulisan itu dalam bahasa Ibrani, Latin, dan Yunani. Ketua-ketua imam berkata kepada Pilatus, “Janganlah tulis, ‘Raja Orang Yahudi’, melainkan tulislah: ‘Orang ini berkata, Aku Raja Orang Yahudi.’ ” Tetapi Pilatus menjawab, “Apa yang sudah aku tulis tidak boleh diubah!” Setelah askar-askar itu menyalibkan Yesus, mereka mengambil pakaian-Nya lalu membahaginya menjadi empat bahagian; dan masing-masing mendapat sebahagian. Mereka juga mengambil jubah-Nya yang dibuat daripada sehelai kain yang ditenun dari atas sampai ke bawah tanpa jahitan. Askar-askar bercakap sesama sendiri, “Janganlah koyak jubah ini. Marilah kita buang undi untuk menentukan orang yang boleh mendapatnya.” Hal ini berlaku supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab terjadi, “Mereka membahagi-bahagi pakaian-Ku, dan membuang undi bagi jubah-Ku.” Demikianlah yang dilakukan oleh askar-askar itu. Ibu Yesus, saudara perempuan ibunya, Maria isteri Klopas, dan Maria Magdalena berdiri dekat salib itu. Yesus nampak ibu-Nya dan pengikut yang dikasihi-Nya berdiri di situ. Oleh itu Yesus berkata kepada ibu-Nya, “Puan, dia anak puan.” Kemudian Yesus berkata kepada pengikut itu, “Dia ibumu.” Sejak itu, ibu Yesus tinggal di rumah pengikut itu. Yesus tahu bahawa sekarang semuanya sudah selesai, dan supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku, Dia berkata, “Aku dahaga.” Di situ ada sebuah mangkuk yang penuh dengan wain murah. Sebuah bunga karang dicelupkan ke dalam wain itu, lalu dicucukkan pada hujung batang hisop, dan kemudian dihulurkan ke mulut Yesus. Yesus mengecapnya lalu berkata, “Sudah selesai!” Setelah itu Dia menundukkan kepala dan meninggal. Hari itu sehari sebelum hari Sabat. Para penguasa Yahudi tidak mahu mayat orang yang disalibkan masih di kayu salib pada hari Sabat, apalagi hari Sabat kali ini hari perayaan yang khas. Oleh itu mereka meminta kebenaran Pilatus untuk mematahkan kaki orang yang disalibkan dan menurunkan mayat-mayat itu dari kayu salib. Oleh itu askar-askar pergi mematahkan kaki kedua-dua orang yang disalibkan bersama-sama Yesus. Tetapi apabila mereka sampai kepada Yesus, mereka melihat bahawa Dia sudah meninggal. Oleh itu mereka tidak mematahkan kaki-Nya. Tetapi salah seorang askar menusuk rusuk Yesus dengan tombak, dan pada ketika itu juga keluarlah darah dan air. ( Demikianlah orang yang telah melihat kejadian ini memberikan kesaksiannya, supaya kamu pun percaya. Kesaksiannya benar dan dia tahu bahawa apa yang dikatakannya benar.) Hal ini berlaku supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab terjadi, “Tidak satu pun daripada tulang-Nya akan dipatahkan.” Di dalam Alkitab juga tertulis, “Orang akan memandang Dia yang telah ditikam oleh mereka.” Setelah itu Yusuf yang berasal dari bandar Arimatea, meminta kebenaran Pilatus untuk mengambil jenazah Yesus. (Yusuf pengikut Yesus tetapi Yusuf tidak memberitahu orang hal itu, kerana dia takut akan penguasa Yahudi.) Pilatus meluluskan permintaannya, lalu Yusuf pergi mengambil jenazah Yesus. Nikodemus yang dahulu pernah datang kepada Yesus pada waktu malam pun pergi dengan Yusuf. Nikodemus membawa ramuan mur dan gaharu sebanyak kira-kira tiga puluh kilogram. Kedua-dua orang ini mengambil jenazah Yesus lalu membalutnya dengan kain linen dan ramuan menurut adat penguburan orang Yahudi. Di tempat Yesus disalibkan ada sebuah taman. Di dalam taman itu terdapat sebuah kubur baru yang belum pernah digunakan. Kerana kubur ini dekat dan hari Sabat sudah hampir bermula, mereka meletakkan jenazah Yesus di situ. Pada pagi hari Minggu, semasa masih gelap, Maria Magdalena pergi ke kubur. Dia melihat batu penutup sudah digulingkan dari lubang kubur itu. Oleh itu, dia lari mencari Simon Petrus dan pengikut lain yang dikasihi oleh Yesus, lalu berkata kepada mereka, “Jenazah Tuhan telah diambil dari kubur dan kami tidak mengetahui tempat Dia diletakkan!” Lalu Petrus dan pengikut lain itu pergi ke kubur. Kedua-duanya berlari, tetapi pengikut lain itu mendahului Petrus dan tiba lebih awal di kubur. Dia menjenguk ke dalam dan nampak kain linen di situ, tetapi dia tidak masuk ke dalam kubur. Simon Petrus menyusul dari belakang; dia terus masuk ke dalam kubur itu. Dia nampak kain linen terletak di situ, dan juga kain yang diikatkan pada kepala Yesus. Tetapi kain pengikat kepala itu tergulung tersendiri. Kemudian pengikut lain itu yang lebih dahulu tiba di kubur, juga masuk. Dia melihat semuanya dan percaya. ( Meskipun demikian mereka masih belum memahami apa yang tertulis di dalam Alkitab bahawa Dia harus bangkit daripada kematian.) Kemudian pengikut-pengikut Yesus itu pulang. Maria berdiri sambil menangis di hadapan kubur. Sambil menangis dia menjenguk ke dalam kubur itu. Dia melihat dua malaikat berpakaian putih, duduk di tempat jenazah Yesus dibaringkan dahulu, satu malaikat pada sebelah kepala dan satu lagi pada sebelah kaki. Malaikat-malaikat ini bertanya kepadanya, “Puan, mengapa menangis?” Maria menjawab, “Jenazah Tuhan saya telah diambil dan saya tidak mengetahui tempat Dia diletakkan!” Setelah berkata demikian, Maria berpaling dan nampak Yesus berdiri di situ. Tetapi Maria tidak tahu bahawa Dia Yesus. Yesus bertanya kepadanya, “Puan, mengapa menangis? Siapakah yang puan cari?” Maria menyangka Dia itu tukang kebun. Oleh itu Maria berkata, “Tuan, jika tuan sudah memindahkan jenazah Yesus, beritahulah saya tempat tuan meletakkan jenazah-Nya, supaya saya boleh pergi mengambil jenazah-Nya.” Yesus berkata kepadanya, “Maria!” Maria berpaling kepada Yesus lalu berkata dalam bahasa Ibrani, “Rabbuni!” (yang bererti “guru”). Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Jangan pegang Aku, kerana Aku belum lagi kembali kepada Bapa. Pergilah kepada pengikut-pengikut-Ku dan beritahu mereka bahawa sekarang Aku sedang kembali kepada Bapa-Ku dan Bapamu, kepada Allah-Ku dan Allahmu.” Oleh itu, Maria pergi memberitahu pengikut-pengikut Yesus bahawa dia sudah melihat Tuhan dan bahawa Tuhan berkata demikian kepadanya. Pada hari Minggu itu juga, apabila hari sudah petang, pengikut-pengikut Yesus berkumpul di sebuah rumah dengan pintu yang terkunci, kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Kemudian Yesus datang berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, “Salam sejahtera!” Setelah berkata demikian, Dia menunjukkan tangan dan rusuk-Nya kepada mereka. Barulah mereka bersukacita melihat Tuhan. Yesus berkata kepada mereka lagi, “Salam sejahtera! Sebagaimana Bapa mengutus Aku, demikian juga Aku mengutus kamu.” Kemudian Yesus menghembuskan nafas-Nya kepada mereka dan berkata, “Terimalah Roh Allah. Sesiapa yang dosanya kamu ampunkan, orang itu diampuni oleh Allah. Sesiapa yang dosanya tidak kamu ampunkan, orang itu tidak diampuni oleh Allah.” Tomas (yang disebut Si Kembar), seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, tidak bersama-sama mereka ketika Yesus datang. Oleh itu, pengikut-pengikut lain memberitahu Tomas, “Kami sudah melihat Tuhan!” Tetapi Tomas menjawab, “Kecuali aku melihat bekas paku pada tangan-Nya dan meletakkan jariku pada bekas luka itu, serta meletakkan tanganku pada rusuk-Nya, aku tidak mahu percaya.” Seminggu kemudian, pengikut-pengikut Yesus berkumpul lagi di tempat itu dan Tomas hadir juga. Semua pintu terkunci, tetapi Yesus datang dan berdiri di tengah-tengah mereka lalu berkata, “Salam sejahtera!” Kemudian Yesus berkata kepada Tomas, “Letakkanlah jarimu di sini, dan lihatlah tangan-Ku. Hulurkanlah tanganmu dan letakkanlah pada rusuk-Ku. Janganlah ragu-ragu lagi, tetapi percayalah!” Tomas berkata kepada Yesus, “Ya Tuhanku! Ya Allahku!” Yesus berkata kepadanya, “Adakah kamu percaya kerana kamu sudah melihat Aku? Berbahagialah orang yang percaya meskipun tidak melihat Aku!” Banyak lagi mukjizat lain yang dilakukan oleh Yesus di hadapan pengikut-pengikut-Nya, tetapi tidak ditulis di dalam kitab ini. Tetapi semua ini ditulis supaya kamu percaya bahawa Yesus Anak Allah, Penyelamat yang diutus oleh Allah, dan kerana kamu percaya kepada-Nya, kamu beroleh hidup sejati. Setelah itu Yesus menampakkan diri sekali lagi kepada pengikut-pengikut-Nya di Tasik Tiberias. Beginilah peristiwa itu berlaku: Simon Petrus, Tomas (yang disebut Si Kembar), Natanael (yang berasal dari Kana di Galilea), anak-anak Zebedeus, dan dua orang pengikut Yesus yang lain, sedang berkumpul. Simon Petrus berkata kepada mereka, “Aku hendak pergi menjala ikan.” Mereka berkata kepadanya “Kami ikut.” Oleh itu mereka menaiki perahu lalu bertolak. Tetapi sepanjang malam itu mereka tidak mendapat seekor ikan pun. Apabila matahari terbit, Yesus berdiri di pantai, tetapi mereka tidak tahu bahawa Dia Yesus. Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, “Hai kawan-kawan, adakah kamu mendapat ikan?” “Tidak! Seekor pun tidak,” jawab mereka. Yesus berkata kepada mereka, “Labuhkanlah jala ke sebelah kanan perahu, lalu kamu akan mendapat ikan.” Mereka melabuhkan jala, tetapi mereka tidak terdaya menariknya kembali kerana terlalu banyak ikan yang tertangkap. Pengikut yang dikasihi oleh Yesus berkata kepada Petrus, “Dia Tuhan!” Apabila Simon Petrus mendengar bahawa Dia itu Tuhan, Petrus memakai bajunya (yang ditanggalkannya semasa bekerja) lalu terjun ke dalam air. Pengikut-pengikut lain mendarat dengan perahu itu, sambil menarik jala yang penuh dengan ikan. Mereka tidak berapa jauh dari darat, kira-kira seratus meter sahaja. Apabila mereka tiba di pantai, mereka melihat ikan dibakar di atas bara api dan roti pun ada di situ. Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Bawalah beberapa ekor ikan yang baru kamu tangkap ke mari.” Simon Petrus pergi ke perahu lalu menyeret jala ke darat. Jala itu sarat dengan ikan yang besar-besar; semuanya berjumlah 153 ekor. Meskipun ikan sebanyak itu tertangkap, jala itu tidak koyak. Yesus berkata kepada mereka, “Marilah makan.” Tidak seorang pun daripada pengikut-Nya berani bertanya, “Siapakah tuan?” kerana mereka tahu bahawa Dia Tuhan. Oleh itu, Yesus menghampiri mereka, mengambil roti, lalu memberikan roti itu kepada mereka. Dia berbuat demikian juga dengan ikan itu. Inilah kali ketiga Yesus menampakkan diri kepada pengikut-pengikut-Nya setelah Dia dibangkitkan daripada kematian. Setelah mereka makan, Yesus bertanya kepada Simon Petrus, “Simon anak Yohanes, adakah kamu lebih mengasihi Aku daripada semua orang ini mengasihi Aku?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan.” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah anak-anak domba-Ku.” Untuk kali kedua Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi Aku?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan.” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah domba-domba-Ku.” Untuk kali ketiga Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi Aku?” Petrus sedih kerana Yesus bertanya tiga kali kepadanya, “Adakah kamu mengasihi Aku?” Oleh itu Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Tuhan mengetahui semuanya. Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan!” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah domba-domba-Ku. Apa yang Aku katakan ini benar: Semasa kamu masih muda, kamu mengikat tali pinggang lalu pergi ke mana sahaja kamu mahu. Tetapi semasa kamu tua, kamu akan menghulurkan tangan lalu seorang lain akan mengikat kamu dan membawa kamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.” (Dengan kata-kata ini Yesus menunjukkan bagaimana Petrus akan mati kelak untuk memuliakan Allah.) Lalu Yesus berkata kepada Petrus, “Ikutlah Aku!” Petrus berpaling dan melihat pengikut yang dikasihi oleh Yesus sedang mengikuti mereka. Dialah pengikut yang duduk dekat Yesus pada waktu makan dan bertanya kepada-Nya, “Ya Tuhan, siapakah yang akan mengkhianati Tuhan?” Ketika Petrus melihat dia, Petrus bertanya kepada Yesus, “Tuhan, bagaimana dengan orang ini?” Yesus menjawab, “Jika Aku mahu dia hidup sehingga Aku kembali, apa kena-mengenanya dengan kamu? Tetapi kamu, ikutlah Aku!” Oleh itu tersebarlah berita di kalangan pengikut Yesus bahawa pengikut itu tidak akan mati. Tetapi Yesus tidak berkata bahawa pengikut itu tidak akan mati, melainkan Yesus berkata, “Jika Aku mahu dia hidup sehingga Aku kembali, apa kena-mengenanya dengan kamu?” Dialah pengikut yang memberikan kesaksian tentang perkara-perkara ini. Dia juga sudah menulis semua itu. Kita tahu bahawa apa yang dikatakannya benar. Masih banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Yesus. Jika semuanya ditulis satu per satu, pada hematku seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuat semua kitab yang akan ditulis itu. Saudara Teofilus yang terhormat. Di dalam kitab saya yang pertama, saya telah menerangkan segala perkara yang dilakukan dan diajarkan oleh Yesus, sejak Dia memulakan pekerjaan-Nya, sehingga pada hari Dia diangkat ke syurga. Sebelum Yesus diangkat ke syurga, Dia dengan kuasa Roh Allah memberikan petunjuk kepada rasul-rasul yang telah dipilih-Nya. Selama empat puluh hari setelah kematian-Nya, banyak kali Yesus menunjukkan diri dengan nyata sekali kepada rasul-rasul itu, sehingga tidak dapat diragukan lagi bahawa Dia benar-benar hidup. Mereka melihat Dia, dan Dia berkata-kata dengan mereka tentang Pemerintahan Allah. Apabila mereka berkumpul, Yesus memberikan arahan ini kepada mereka, “Janganlah tinggalkan Yerusalem, tetapi tunggulah pemberian yang sudah dijanjikan oleh Bapa-Ku, dan yang sudah Aku beritahukan kamu dahulu. Yohanes membaptis kamu dengan air, tetapi beberapa hari lagi kamu akan dibaptis dengan Roh Allah.” Apabila rasul-rasul itu berkumpul dengan Yesus, mereka bertanya kepada-Nya, “Tuhan, adakah sekarang Tuhan mahu memulihkan Pemerintahan bangsa Israel?” Yesus menjawab, “Kamu tidak perlu mengetahui masa dan waktu yang sudah ditetapkan oleh Bapa-Ku, kerana hal itu hak-Nya. Tetapi kamu akan menerima kuasa, apabila Roh Allah datang kepada kamu. Lalu kamu akan menjadi saksi-saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea, dan Samaria, serta sampai ke hujung bumi.” Setelah Yesus berkata demikian, Dia diangkat ke syurga, sementara mereka memandang Dia. Lalu awan menutupi Dia daripada pandangan mereka. Mereka masih memandang ke langit sementara Yesus diangkat, apabila dengan tiba-tiba dua orang berpakaian putih berdiri di sisi mereka. “Hai orang Galilea,” kata kedua-dua orang itu, “mengapa kamu berdiri menengadah ke langit? Yesus, yang kamu lihat diangkat ke syurga, akan kembali lagi dengan cara yang sama seperti yang kamu lihat tadi.” Kemudian rasul-rasul itu kembali ke Yerusalem dari Bukit Zaitun, yang kira-kira satu kilometer jauhnya dari bandar. Setibanya di Yerusalem, mereka pergi ke rumah tempat mereka menumpang, lalu naik ke bilik di tingkat atas. Rasul-rasul itu Petrus, Yohanes, Yakobus dan Andreas, Filipus dan Tomas, Bartolomeus dan Matius, Yakobus anak Alfeus, Simon Patriot dan Yudas anak Yakobus. Dengan sehati mereka sering berkumpul dan berdoa bersama-sama wanita-wanita, termasuk Maria ibu Yesus, dan saudara-saudara Yesus. Beberapa hari kemudian, pengikut-pengikut Kristus berkumpul. Kira-kira seratus dua puluh orang pengikut hadir dan Petrus berdiri untuk berkata-kata. Dia berkata, “Saudara-saudara! Apa yang tertulis di dalam Alkitab harus berlaku. Dahulu Roh Allah melalui Daud bernubuat tentang Yudas, yang memimpin kumpulan orang yang menangkap Yesus. Yudas salah seorang daripada kita, kerana dia pun dipilih supaya bekerja bersama-sama kita.” ( Yudas membeli sebidang tanah dengan upah yang diterimanya kerana melakukan perbuatan jahat. Di situ dia jatuh lalu mati; perutnya terbelah dan isi perutnya terburai. Semua orang yang tinggal di Yerusalem mendengar kejadian itu. Itulah sebabnya dalam bahasa mereka sendiri, mereka menamakan tanah itu Akeldama, yang bererti “Tanah Darah.”) Petrus berkata lagi, “Hal itu berlaku, kerana di dalam kitab Mazmur tertulis, ‘Biarlah rumahnya menjadi kosong, janganlah tempat itu didiami orang.’ Ada tertulis juga, ‘Hendaklah orang lain mengambil alih tugasnya.’ Oleh itu seseorang harus menyertai kita untuk menjadi saksi bahawa Tuhan Yesus sudah bangkit daripada kematian. Orang itu haruslah salah seorang daripada orang yang sentiasa bersama-sama kita, pada masa kita mengikut Tuhan Yesus ke serata tempat. Dia harus sudah menyertai kita sejak Yohanes membaptis orang sehingga pada hari Yesus diangkat ke syurga.” Orang yang hadir di situ mencadangkan dua orang: Yusuf yang disebut Barsabas (dia juga dipanggil Yustus), dan Matias. [24-25] Lalu mereka berdoa, “Ya Tuhan, Engkau mengetahui hati semua orang. Yudas sudah meninggalkan tugasnya sebagai rasul dan sudah menerima ganjarannya. Tunjukkanlah yang mana antara dua orang ini yang akan Engkau pilih untuk menjalankan tugas itu bagi menggantikan Yudas.” *** Kemudian mereka menentukan pilihan dengan undi dan Matias terpilih menjadi rasul untuk menyertai sebelas orang rasul yang lain. Apabila hari Pentakosta tiba, semua orang yang percaya kepada Kristus berkumpul di satu tempat. Tiba-tiba terdengar bunyi dari langit seperti tiupan angin yang kuat. Bunyi itu memenuhi rumah tempat mereka sedang duduk. Lalu mereka nampak sesuatu yang menyerupai lidah api yang menjalar dan menghinggapi setiap orang di situ. Mereka semua dikuasai oleh Roh Allah. Mereka mula berkata-kata dalam pelbagai bahasa lain, menurut apa yang diberikan oleh Roh Allah kepada mereka. Pada waktu itu banyak orang Yahudi dari pelbagai negeri di seluruh dunia, tinggal di Yerusalem. Mereka orang yang menyembah Allah. Apabila mendengar suara itu, banyak orang datang berkumpul di situ. Mereka terkejut mendengar pengikut-pengikut Kristus itu berkata-kata dalam bahasa yang digunakan oleh mereka masing-masing. Orang ramai itu tercengang dan hairan lalu berkata, “Orang yang bertutur ini semuanya orang Galilea! Tetapi mengapa kita mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa negeri kita masing-masing? Kita orang dari Partia, Media, Elam; dari Mesopotamia, Yudea, dan Kapadokia; dari Pontus dan Asia, dari Frigia dan Pamfilia, dari Mesir dan daerah-daerah Libia dekat Kirene. Ada antara kita yang datang dari Roma, baik orang Yahudi mahupun orang bangsa lain yang menganut agama Yahudi; ada juga yang datang dari Kreta dan Arab. Tetapi kita semua mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa kita masing-masing tentang hal-hal luar biasa yang dilakukan oleh Allah!” Mereka semua hairan dan bingung, lalu bertanya sesama sendiri, “Apakah maknanya semua ini?” Tetapi ada juga orang yang mengolok-olokkan para pengikut Kristus dan berkata, “Semua orang ini mabuk!” Lalu Petrus berdiri bersama-sama sebelas orang rasul yang lain. Dengan suara lantang dia mula berkata kepada mereka, “Saudara-saudara orang Yahudi dan semua yang tinggal di Yerusalem! Dengarlah baik-baik dan benarkan saya menjelaskan hal ini. Semua orang ini tidak mabuk seperti yang saudara-saudara sangka, kerana kini baru pukul sembilan pagi. Tetapi hal ini sudah diberitahukan oleh Allah melalui Nabi Yoel: Allah berfirman, ‘Inilah yang akan berlaku pada akhir zaman, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua orang. Anak-anak lelaki dan perempuan kamu akan memberitakan hal-hal yang Aku beritahukan mereka; orang muda kamu akan melihat hal-hal yang Aku perlihatkan kepada mereka, orang tua kamu akan mendapat mimpi yang Aku berikan kepada mereka. Bahkan ke atas hamba-hamba-Ku baik lelaki mahupun perempuan, akan Aku curahkan Roh-Ku pada masa itu, dan mereka akan memberitakan hal-hal yang Aku beritahukan mereka. Aku akan melakukan mukjizat di atas sana, di langit, dan keajaiban di bawah sini, di bumi. Kelak akan ada darah, api, dan asap tebal; matahari akan menjadi gelap, dan bulan menjadi merah seperti darah, sebelum Hari Tuhan, hari yang besar dan mulia itu datang. Pada masa itu, sesiapa yang berseru kepada Tuhan akan diselamatkan.’ Saudara-saudara orang Israel! Dengarlah kata-kata saya ini: Yesus orang Nasaret itu sudah diberikan tugas oleh Allah. Hal ini dinyatakan kepada saudara semua dengan mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Allah melalui Dia. Saudara-saudara mengetahui hal itu, kerana semua peristiwa itu berlaku di kalangan saudara. Sesuai dengan rancangan-Nya sendiri, Allah sudah menentukan bahawa Yesus akan diserahkan kepada saudara-saudara. Saudara semua membunuh Dia ketika menyebabkan orang berdosa menyalibkan Dia. Tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian. Allah membebaskan Dia daripada derita kematian, kerana tidak mungkin Dia dikuasai terus oleh kematian. Daud pernah berkata tentang Yesus, ‘Aku sentiasa melihat Engkau Tuhan di hadapanku; Engkau mendampingi aku, sehingga tiada apa pun dapat menyusahkan aku. Oleh itu aku bersukacita dan bergembira ketika berkata-kata; walaupun aku hanya manusia, tetapi aku tetap berharap kepada-Mu, kerana Engkau tidak akan meninggalkan aku di dunia orang mati. Engkau tidak akan membiarkan tubuh hamba-Mu yang setia itu hancur. Engkau sudah menunjukkan jalan yang menuju ke hidup sejati, dan aku bersukacita kerana Engkau menyertai aku.’ Saudara-saudara, saya harus berkata dengan jelas tentang nenek moyang kita Daud. Dia sudah meninggal dan dikuburkan, dan kuburnya masih ada antara kita sehingga sekarang. Allah bersumpah bahawa Dia akan melantik salah seorang keturunan Daud menjadi raja, seperti Daud sendiri. Daud tahu akan janji Allah itu, kerana Daud pun seorang nabi. Daud mengetahui apa yang akan dilakukan oleh Allah. Oleh itu Daud bernubuat tentang kebangkitan Penyelamat yang diutus oleh Allah. Daud berkata, ‘Dia tidak akan ditinggalkan di dunia orang mati; tubuh-Nya tidak akan hancur di kubur.’ Yesus inilah yang dibangkitkan oleh Allah daripada kematian. Kami semua sudah menyaksikan hal itu. Allah mengangkat Yesus ke tempat yang berkuasa di sebelah kanan Allah, dan Yesus menerima Roh Allah yang sudah dijanjikan oleh Bapa. Apa yang kamu lihat dan dengar sekarang ini adalah Roh itu yang sudah dicurahkan oleh Yesus ke atas kami. Daud sendiri tidak naik ke syurga, tetapi dia berkata, ‘Tuhan berfirman kepada Tuhanku: Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Aku menaklukkan musuh-Mu ke bawah kaki-Mu.’ Oleh itu semua orang Israel harus tahu bahawa Yesus yang saudara-saudara salibkan itu, ialah Dia yang sudah diangkat oleh Allah menjadi Tuhan dan Penyelamat!” Apabila orang ramai mendengar hal itu, mereka sangat gelisah. Lalu mereka bertanya kepada Petrus dan rasul-rasul yang lain, “Saudara-saudara, apakah yang harus kami lakukan?” Petrus menjawab, “Hendaklah setiap orang di kalangan saudara bertaubat daripada dosa, lalu dibaptis demi nama Yesus Kristus, supaya dosa saudara-saudara diampunkan lalu saudara semua akan menerima pemberian Allah, iaitu Roh Allah. Allah menjanjikan hal itu untuk saudara-saudara dan keturunan saudara semua, serta untuk semua orang di tempat-tempat yang jauh - iaitu sesiapa sahaja yang dipanggil oleh Tuhan Allah kita supaya datang kepada-Nya.” Demikianlah Petrus memberikan penjelasan kepada mereka. Dengan kata-kata lain, dia juga mendesak mereka supaya menyelamatkan diri daripada hukuman yang akan datang kepada orang jahat di negeri ini. Banyak orang percaya kepada apa yang dikatakan oleh Petrus, lalu mereka dibaptis. Jumlah orang yang percaya kepada Kristus pada hari itu bertambah lagi dengan tiga ribu orang. Dengan tekun mereka menerima ajaran daripada rasul-rasul. Mereka hidup bersaudara, makan bersama-sama, dan berdoa bersama-sama. Banyak mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh rasul-rasul itu, sehingga semua orang kagum dan takut. Semua pengikut Kristus berkumpul dengan penuh keakraban, dan mereka berkongsi milik. Mereka menjual harta milik dan membahagi-bahagikan wang itu di kalangan mereka menurut keperluan masing-masing. Tiap-tiap hari mereka berkumpul di Rumah Tuhan, dan mereka makan bersama di rumah mereka dengan sukacita dan rendah hati. Mereka memuji Allah dan mereka dihormati oleh semua orang. Tiap-tiap hari Tuhan menambah bilangan mereka dengan orang yang diselamatkan oleh Allah. Pada suatu hari, Petrus dan Yohanes pergi ke Rumah Tuhan pada pukul tiga petang, iaitu masa berdoa. Di situ, di pintu yang disebut Pintu Indah, ada seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak dia dilahirkan. Tiap-tiap hari dia dibawa ke situ untuk meminta sedekah daripada orang yang masuk ke Rumah Tuhan. Apabila dia nampak Petrus dan Yohanes sedang masuk ke Rumah Tuhan, dia meminta sedekah daripada mereka. Mereka memandang dia, lalu Petrus berkata, “Pandanglah kami!” Kemudian orang itu memandang mereka dan berharap akan mendapat sesuatu daripada mereka. Tetapi Petrus berkata kepadanya, “Aku sama sekali tidak mempunyai wang, tetapi apa yang ada padaku akan aku berikan kepadamu: dengan kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu, berjalanlah!” Lalu Petrus memegang tangan kanan orang lumpuh itu dan menolong dia bangun. Seketika itu juga kaki dan pergelangan kaki orang lumpuh itu menjadi kuat. Lalu dia melompat bangun, dan mula berjalan ke sana ke mari. Kemudian dia masuk ke Rumah Tuhan bersama-sama Petrus dan Yohanes, sambil berjalan dan melompat-lompat serta memuji Allah. Semua orang melihat dia berjalan dan memuji Allah. Apabila mereka mengenali dia sebagai peminta sedekah yang biasa duduk di hadapan Pintu Indah di Rumah Tuhan, mereka hairan dan kagum melihat apa yang berlaku kepadanya. Orang itu masih mengikuti Petrus dan Yohanes. Apabila mereka tiba di serambi yang disebut Serambi Salomo, semua orang berlari mengerumuni mereka kerana kagum. Apabila Petrus melihat orang ramai itu, dia berkata kepada mereka, “Saudara-saudara orang Israel, mengapa saudara semua hairan akan perkara ini? Mengapa saudara-saudara merenung kami? Adakah saudara-saudara menyangka bahawa orang ini boleh berjalan kerana kuasa kami atau kerana kami taat kepada Allah? Allah yang disembah oleh Abraham, Ishak, Yakub, dan nenek moyang kita, sudah mempermuliakan Hamba-Nya, Yesus. Yesus itulah yang saudara-saudara serahkan kepada pihak berkuasa, dan yang saudara-saudara tolak di hadapan Pilatus, meskipun Pilatus hendak membebaskan Dia. Dia suci dan baik, tetapi saudara-saudara menolak Dia dan meminta Pilatus melepaskan seorang pembunuh. Saudara-saudara membunuh Dia yang memberikan hidup sejati kepada semua orang! Tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian, dan kami menyaksikan perkara itu. Dengan kuasa Yesus orang lumpuh ini dikuatkan. Apa yang saudara-saudara lihat dan saksikan ini berlaku kerana dia percaya kepada Yesus dan kuasa-Nya. Kerana orang itu percaya kepada Yesus, dia sembuh, seperti yang sudah saudara-saudara lihat sendiri. Saudara-saudara, sekarang saya tahu, bahawa apa yang saudara-saudara dan para pemimpin saudara lakukan terhadap Yesus, tidak saudara-saudara fahami maknanya. Dahulu kala melalui nabi-nabi, Allah memberitahu bahawa Penyelamat yang diutus-Nya harus menderita. Demikianlah perkara itu berlaku seperti yang dikehendaki-Nya. Oleh itu, bertaubatlah daripada dosa dan kembalilah kepada Allah, supaya Dia menghapus dosa saudara-saudara. Jika saudara-saudara bertaubat, saudara sekalian akan mengalami kesegaran rohani. Tuhan akan menyuruh Yesus datang kepada saudara-saudara, kerana Dia sudah ditetapkan oleh Tuhan untuk menjadi Penyelamat saudara-saudara. Dia harus tinggal di syurga sehingga tiba masanya bagi Allah menjadikan semuanya baru, seperti yang difirmankan oleh Allah melalui nabi-nabi-Nya yang suci pada zaman dahulu. Musa pernah berkata, ‘Tuhan, Allah kamu akan mengutus seorang nabi kepada kamu seperti Dia mengutus aku. Nabi itu akan datang daripada bangsa kamu sendiri. Kamu harus mendengar semua yang dikatakan-Nya. Sesiapa yang tidak mahu mentaati kata-kata nabi itu, akan disingkirkan daripada umat Allah dan dibinasakan.’ Semua nabi yang menyampaikan berita daripada Allah, termasuk Nabi Samuel dan nabi-nabi yang kemudian daripadanya, memberitakan apa yang berlaku pada zaman ini. Janji-janji Allah yang disampaikan oleh nabi-nabi itu untuk saudara-saudara juga. Dalam perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan nenek moyang saudara-saudara, Allah berfirman kepada Abraham, ‘Melalui keturunanmu Aku akan memberkati semua bangsa di bumi.’ Perjanjian itu untuk saudara-saudara juga. Demikianlah Allah memilih dan mengutus Hamba-Nya kepada saudara-saudara terlebih dahulu untuk memberkati saudara sekalian. Dia berbuat demikian dengan menyebabkan saudara sekalian bertaubat daripada cara hidup yang jahat.” Petrus dan Yohanes masih berkata-kata kepada orang ramai, apabila imam-imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan beberapa orang Saduki datang. Mereka marah kerana Petrus dan Yohanes mengajar orang ramai bahawa Yesus sudah dibangkitkan daripada kematian. Hal itu membuktikan bahawa orang mati akan dibangkitkan. Oleh itu mereka menangkap kedua-dua orang rasul itu. Mereka ditahan di dalam penjara sehingga esok, kerana hari sudah petang. Tetapi banyak orang yang mendengar perkhabaran itu percaya kepada Yesus. Bilangan mereka bertambah sehingga kira-kira lima ribu orang. Pada hari berikutnya, para pemimpin bangsa Yahudi, pemimpin masyarakat Yahudi, dan guru Taurat berkumpul di Yerusalem. Mereka menjumpai Imam Agung Hanas dan Kayafas, Yohanes, Aleksander, dan semua orang lain yang tergolong dalam keluarga Imam Agung itu. Mereka menyuruh rasul-rasul itu berdiri di hadapan mereka, lalu bertanya, “Bagaimanakah kamu menyembuhkan orang lumpuh itu? Dengan kuasa apa atau dengan kuasa siapa kamu melakukan hal itu?” Petrus, yang dikuasai oleh Roh Allah, menjawab, “Tuan-tuan pemimpin bangsa Yahudi dan pemimpin masyarakat Yahudi! Agaknya hari ini kami disoal kerana kami telah berbuat baik kepada orang lumpuh itu dan kerana tuan-tuan mahu tahu bagaimana dia disembuhkan. Tuan-tuan dan semua orang Israel harus tahu bahawa orang ini yang berdiri di hadapan tuan-tuan sudah sembuh kerana kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu. Tuan-tuan sudah menyalibkan Dia, tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian. Yesuslah yang dimaksudkan oleh ayat ini di dalam Alkitab, ‘Batu yang kamu, pembina bangunan buang, ternyata menjadi batu yang paling utama.’ Hanya melalui Yesus orang diselamatkan, kerana di seluruh dunia tiada orang lain yang mendapat kekuasaan daripada Allah untuk menyelamatkan kita.” Anggota-anggota Majlis Agama hairan melihat keberanian Petrus dan Yohanes, apabila mereka tahu bahawa kedua-dua orang rasul itu orang biasa yang tidak berpendidikan. Lalu mereka sedar bahawa kedua-dua orang itu sahabat karib Yesus. Tetapi mereka tidak dapat berkata apa-apa, kerana mereka melihat orang yang disembuhkan itu, berdiri di situ bersama-sama Petrus dan Yohanes. Oleh itu mereka menyuruh kedua-dua orang rasul itu keluar dari bilik Majlis Agama, lalu mula berunding. Mereka bertanya, “Apa yang harus kita lakukan terhadap kedua-dua orang ini? Semua orang yang tinggal di Yerusalem tahu bahawa mukjizat yang luar biasa itu dilakukan oleh mereka. Kita tidak dapat menafikannya. Tetapi supaya perkara ini tidak tersebar lebih luas lagi di kalangan orang ramai, baiklah kita berikan amaran kepada mereka supaya jangan berkata-kata lagi kepada sesiapa pun dengan nama Yesus.” Lalu mereka memanggil kedua-dua orang rasul itu masuk kembali, dan melarang mereka menyebut nama Yesus atau mengajar dengan nama-Nya. Tetapi Petrus dan Yohanes menjawab, “Pertimbangkan sendiri mana yang benar di sisi Allah: Taat kepada tuan-tuan atau taat kepada Allah? Kami tidak dapat berhenti berkata-kata tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.” Anggota-anggota Majlis Agama memberikan amaran yang lebih keras lagi, lalu membebaskan kedua-duanya. Mereka tidak dapat mencari alasan untuk menghukum Petrus dan Yohanes, kerana semua orang memuji-muji Allah bagi peristiwa itu. Orang yang mengalami kesembuhan yang menghairankan itu berumur lebih daripada empat puluh tahun. Setelah Petrus dan Yohanes dibebaskan, mereka kembali kepada sahabat-sahabat mereka dan menceritakan segala yang dikatakan oleh ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi. Apabila pengikut-pengikut Yesus mendengar hal itu, dengan sehati mereka berdoa kepada Allah, “Ya Tuhan, Engkau sudah menjadikan langit, bumi, dan laut dengan segala isinya. Dengan Roh-Mu, Engkau pernah berfirman melalui nenek moyang kami, Daud hamba-Mu, ‘Mengapa orang bukan Yahudi marah? Mengapa bangsa-bangsa lain membuat pakatan yang sia-sia? Raja-raja dunia bersiap sedia untuk berperang, dan para penguasa berkumpul untuk melawan Tuhan dan Penyelamat yang diutus oleh Allah.’ Memang benar Herodes dan Pontius Pilatus mengadakan pertemuan dengan orang bukan Yahudi dan orang Israel di kota ini untuk melawan Yesus Hamba-Mu yang suci, yang Engkau jadikan Penyelamat. Mereka bersatu untuk melakukan segala yang telah Engkau tetapkan terlebih dahulu akan berlaku. Engkau dapat menetapkan demikian kerana kekuasaan dan kehendak-Mu. Tetapi sekarang, ya Tuhan, lihatlah bagaimana mereka mengancam kami. Tolonglah kami, hamba-hamba-Mu, memberitakan perkhabaran-Mu dengan penuh keberanian. Tunjukkanlah kuasa-Mu supaya orang sakit disembuhkan. Hendaklah mukjizat dan keajaiban berlaku dengan kuasa Yesus, Hamba-Mu yang suci.” Setelah mereka selesai berdoa, tempat mereka berkumpul itu bergoncang. Mereka semua dikuasai oleh Roh Allah, dan mula menyampaikan perkhabaran daripada Allah dengan penuh keberanian. Semua pengikut Kristus hidup sehati dan sefikiran. Tidak seorang pun menganggap apa yang dimilikinya kepunyaannya sendiri. Mereka saling berkongsi milik. Dengan kuasa yang besar, rasul-rasul itu memberikan kesaksian tentang kebangkitan Tuhan Yesus. Oleh itu Allah sangat memberkati mereka. Tidak seorang pun di kalangan mereka kekurangan apa-apa. Mereka yang memiliki tanah atau rumah, menjual harta mereka. Lalu mereka menyerahkan hasil penjualan itu kepada rasul-rasul. Kemudian wang itu dibahagi-bahagikan kepada setiap orang yang memerlukannya. Begitu juga halnya dengan Yusuf. Dia seorang keturunan Lewi yang lahir di Siprus. Rasul-rasul juga menyebut dia Barnabas (yang bererti Penggalak.) Dia menjual sebidang tanah yang dimilikinya, lalu membawa dan menyerahkan wangnya kepada rasul-rasul itu. Ada seorang lelaki bernama Ananias. Dia dengan isterinya, Safira menjual sebidang tanah yang dimiliki oleh mereka. Dengan persetujuan isterinya, Ananias menyimpan sebahagian wang itu untuk dirinya sendiri. Yang selebihnya diserahkannya kepada rasul-rasul. Oleh itu Petrus berkata kepadanya, “Ananias, mengapa kamu membiarkan Iblis menguasai hatimu, sehingga kamu berdusta terhadap Roh Allah dengan menyimpan sebahagian daripada wang penjualan tanahmu itu? Bukankah tanah itu milikmu, sebelum kamu menjualnya? Setelah kamu menjualnya, wangnya milikmu juga. Mengapa kamu berniat berbuat demikian? Kamu tidak berdusta terhadap manusia, tetapi terhadap Allah!” Sebaik sahaja Ananias mendengar kata-kata itu, dia jatuh lalu mati. Semua orang yang mendengar peristiwa itu menjadi takut. Kemudian beberapa orang muda datang membalut mayat Ananias, lalu membawanya ke luar dan menguburkannya. Kira-kira tiga jam kemudian isteri Ananias masuk. Dia tidak mengetahui apa yang telah berlaku. Petrus berkata kepadanya, “Katakanlah, adakah wang ini seluruh hasil penjualan tanah yang kamu terima bersama-sama suamimu?” “Ya,” jawabnya, “memang itu semuanya.” Lalu Petrus berkata kepadanya, “Mengapa kamu dan suamimu berpakat untuk mencubai Roh Tuhan? Lihatlah, beberapa orang muda yang menguburkan suamimu ada di depan pintu. Mereka pun akan mengusungmu ke luar.” Seketika itu juga isteri Ananias jatuh dan mati di hadapan Petrus. Orang muda di situ masuk dan mendapati Safira sudah mati. Oleh itu mereka membawa mayatnya ke luar dan menguburnya di sebelah suaminya. Dengan demikian jemaah dan semua orang lain yang mendengar peristiwa itu menjadi sangat takut. Banyak mukjizat dan keajaiban dilakukan oleh rasul-rasul di kalangan orang ramai. Semua pengikut Yesus berkumpul di Serambi Salomo. Tidak ada orang di luar kelompok itu berani berkumpul dengan pengikut-pengikut Yesus, walaupun masyarakat sangat menghormati mereka. Tetapi bilangan mereka semakin bertambah, kerana banyak orang lelaki dan perempuan percaya kepada Tuhan. Oleh sebab mukjizat yang dilakukan oleh para rasul, orang sakit dibaringkan di atas tilam atau tikar, lalu dibawa ke jalan supaya setidak-tidaknya mereka terkena bayang Petrus, apabila dia lalu di situ. Banyak orang datang dari bandar-bandar di sekitar Yerusalem. Mereka membawa orang sakit dan orang yang dirasuk roh jahat, dan semua orang itu disembuhkan. Kemudian Imam Agung dan semua pengikutnya, yang termasuk golongan orang Saduki tempatan mula bertindak terhadap para rasul, kerana iri hati. Mereka menangkap rasul-rasul itu lalu memasukkan mereka ke dalam penjara awam. Tetapi pada malam itu, malaikat Tuhan membuka pintu-pintu penjara itu lalu memimpin rasul-rasul itu ke luar. Malaikat itu berkata kepada mereka, “Pergilah berdiri di Rumah Tuhan dan beritahu orang ramai tentang hidup yang baru ini.” Rasul-rasul itu menurut perintah malaikat itu. Pada waktu fajar mereka pergi ke Rumah Tuhan dan mula mengajar. Imam Agung dan para pengikutnya memanggil semua pemimpin masyarakat Yahudi untuk mengadakan mesyuarat Majlis Agama. Kemudian mereka memberikan perintah supaya rasul-rasul itu diambil dari penjara untuk dibawa menghadap mereka. Tetapi apabila pegawai-pegawai itu tiba di penjara, mereka tidak mendapati rasul-rasul itu. Lalu mereka kembali dan melaporkan hal itu kepada Majlis Agama. Mereka berkata, “Apabila kami tiba di penjara, kami mendapati pintu penjara masih terkunci baik-baik, dan pengawal-pengawal sedang berjaga di pintu. Tetapi apabila kami membuka pintu itu, kami tidak mendapati seorang pun di dalamnya.” Apabila ketua-ketua imam dan ketua pengawal Rumah Tuhan mendengar laporan itu, mereka bingung tentang apa yang mungkin berlaku terhadap rasul-rasul itu. Kemudian seorang lelaki masuk dan memberitahu mereka, “Beberapa orang yang tuan-tuan tahan di penjara sedang mengajar orang ramai di Rumah Tuhan!” Oleh itu ketua pengawal Rumah Tuhan pergi dengan anak buahnya dan membawa rasul-rasul itu kembali. Tetapi mereka tidak menggunakan kekerasan, kerana mereka takut kalau-kalau orang ramai merejam mereka. Mereka membawa rasul-rasul itu ke hadapan Majlis Agama. Lalu Imam Agung berkata, “Dengan tegas kami melarang kamu mengajar berdasarkan ajaran orang itu. Tetapi sekarang lihatlah apa yang sudah kamu lakukan! Kamu menyebarkan ajaran kamu ke seluruh Yerusalem, dan kamu mahu mendakwa kami bertanggungjawab atas kematiannya.” Petrus dan rasul-rasul yang lain menjawab, “Kami harus taat kepada Allah dan bukan kepada manusia. Yesus yang tuan-tuan salibkan, sudah dibangkitkan daripada kematian oleh Allah yang disembah nenek moyang kita. Allah mengangkat Dia ke tempat yang berkuasa di sebelah kanan-Nya, untuk menjadi Pemimpin dan Penyelamat, supaya umat Israel mendapat peluang untuk bertaubat dan beroleh pengampunan dosa. Kami menjadi saksi dalam semua perkara ini - kami dan juga Roh Allah, yang dikurniakan oleh Allah kepada orang yang mentaati perintah-Nya.” Apabila anggota-anggota Majlis Agama mendengar kata-kata itu, mereka marah sekali sehingga mereka mahu menghukum mati rasul-rasul itu. Tetapi di kalangan anggota Majlis Agama itu ada seorang Farisi bernama Gamaliel. Dia seorang guru Taurat yang sangat dihormati oleh semua orang. Dia berdiri lalu menyuruh orang membawa rasul-rasul itu ke luar sebentar. Lalu dia berkata kepada Majlis Agama itu, “Saudara-saudara orang Israel! Fikirkan baik-baik apa yang hendak saudara-saudara lakukan terhadap semua orang itu. Beberapa waktu dahulu, Teudas muncul dan menganggap dirinya seorang pemimpin yang besar. Kira-kira empat ratus orang mengikut dia. Tetapi dia terbunuh, lalu semua pengikutnya tercerai-cerai, dan pergerakannya lenyap. Setelah itu Yudas, orang dari Galilea pun muncul pada masa pembancian. Dia mempengaruhi banyak orang, tetapi dia juga terbunuh, lalu semua pengikutnya tercerai-cerai. Oleh itu tentang perkara ini sekarang, saya cadangkan supaya jangan ambil tindakan apa-apa terhadap semua orang itu. Biarkan mereka pergi. Jika apa yang dicadangkan dan dilakukan mereka itu daripada manusia, maka semuanya akan lenyap. Tetapi jika semua itu datang daripada Allah, saudara-saudara tidak akan dapat mengalahkan mereka. Malah mungkin akan ternyata bahawa saudara-saudara melawan Allah.” Nasihat Gamaliel diterima oleh Majlis Agama. Rasul-rasul itu dipanggil, lalu dicambuk, kemudian dilarang mengajar lagi berdasarkan ajaran Yesus. Setelah itu mereka dibebaskan. Apabila rasul-rasul itu meninggalkan Majlis Agama, mereka bersukacita kerana Allah menganggap mereka layak menanggung hukuman bagi Yesus. Setiap hari, baik di Rumah Tuhan mahupun di rumah orang, mereka tidak berhenti-henti mengajarkan dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa Yesus itulah Penyelamat yang diutus oleh Allah. Tidak berapa lama kemudian, apabila bilangan pengikut Yesus semakin bertambah, berlakulah pertengkaran antara orang Yahudi yang berbahasa Yunani dengan orang Yahudi yang berbahasa Ibrani. Orang Yahudi yang berbahasa Yunani berkata bahawa balu di kalangan mereka tidak menerima bantuan wang sehari-hari. Oleh itu, dua belas orang rasul itu mengumpulkan semua pengikut Yesus dan berkata kepada mereka, “Tidak patut kami abaikan tugas mengkhabarkan firman Allah untuk mengurus masalah kewangan. Oleh itu, pilihlah tujuh orang di kalangan saudara yang dikuasai oleh Roh Allah dan juga bijaksana. Lalu kami akan menugaskan mereka mengurus hal itu. Kami sendiri akan menggunakan masa kami untuk berdoa dan memberitakan perkhabaran daripada Allah.” Semua orang itu bersetuju dengan cadangan rasul-rasul. Oleh itu mereka memilih Stefanus, seorang yang sangat percaya kepada Yesus dan dikuasai oleh Roh Allah. Mereka juga memilih Filipus, Prokhorus, Nikanor, Timon, Parmenas, dan Nikolaus dari Antiokhia. Nikolaus seorang bukan Yahudi yang sudah memeluk agama Yahudi. Tujuh orang itu dihadapkan kepada rasul-rasul. Lalu rasul-rasul berdoa dan meletakkan tangan ke atas kepala mereka untuk melantik mereka melakukan tugas itu. Dengan demikian perkhabaran daripada Allah semakin tersebar luas dan bilangan pengikut Yesus di Yerusalem pun bertambah-tambah. Banyak imam juga percaya kepada Yesus. Stefanus sangat diberkati oleh Allah dan diberikan-Nya kuasa untuk melakukan mukjizat. Banyak mukjizat dan keajaiban yang dilakukannya di kalangan orang ramai. Tetapi beberapa orang menentang dia. Mereka anggota rumah ibadat yang disebut Rumah Ibadat Orang Bebas. Anggota rumah ibadat itu terdiri daripada orang Yahudi dari Kirene dan Aleksandria. Mereka dengan beberapa orang Yahudi dari Kilikia dan Asia berdebat dengan Stefanus. Tetapi Roh Allah memberi Stefanus kebijaksanaan untuk berkata-kata, sehingga mereka tidak dapat menyangkal kata-katanya. Oleh itu mereka memberikan rasuah kepada beberapa orang supaya berkata, “Kami mendengar dia menghina Musa dan mengkufuri Allah!” Demikianlah mereka menghasut orang ramai, para pemimpin masyarakat Yahudi, dan guru-guru Taurat. Lalu mereka pergi menangkap Stefanus, dan membawa dia menghadap Majlis Agama. Kemudian mereka menghadapkan beberapa orang yang memberikan kesaksian palsu tentang Stefanus. Mereka berkata, “Orang ini sentiasa menghina Rumah Tuhan yang suci dan Taurat Musa. Kami mendengar dia berkata bahawa Yesus dari Nasaret itu akan meruntuhkan Rumah Tuhan dan mengubah semua adat istiadat yang sudah kita terima daripada Musa!” Mata semua orang yang duduk di Majlis Agama menumpu kepada Stefanus dan mereka nampak muka Stefanus kelihatan seperti muka malaikat. Kemudian Imam Agung bertanya kepada Stefanus, “Betulkah semua tuduhan itu?” Stefanus menjawab, “Saudara-saudara dan bapa-bapa! Dengarkan saya! Sebelum nenek moyang kita Abraham berpindah ke Haran, Allah yang mulia menampakkan diri kepada dia di Mesopotamia. Allah berfirman kepadanya, ‘Tinggalkanlah negerimu dan keluargamu. Pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu.’ Oleh itu Abraham meninggalkan negeri Kasdim lalu pergi tinggal di Haran. Setelah bapa Abraham meninggal, Allah memimpin Abraham berpindah ke negeri yang sekarang saudara-saudara dan bapa-bapa diami. Pada masa itu Allah tidak memberikan sedikit bahagian pun daripada negeri ini kepada Abraham untuk menjadi miliknya. Tetapi Allah berjanji bahawa Dia akan memberikan tanah itu kepada Abraham untuk menjadi miliknya dan milik keturunannya. Pada masa itu, Abraham tidak mempunyai anak. Tetapi Allah berfirman kepadanya, ‘Keturunanmu akan tinggal di negeri orang, dan mereka akan diperhamba serta ditindas selama empat ratus tahun. Tetapi Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba mereka. Mereka akan keluar dari negeri itu dan akan menyembah Aku di tempat ini.’ Allah membuat perjanjian itu dengan Abraham. Lalu Allah menyuruh Abraham bersunat sebagai tanda dia menerima perjanjian itu. Demikianlah Abraham menyunat Ishak, seminggu setelah Ishak dilahirkan; Ishak menyunat Yakub, anaknya dan Yakub menyunat dua belas orang anak lelakinya. Anak-anak Yakub menjadi bapa-bapa bangsa kita. Bapa-bapa bangsa kita iri hati terhadap Yusuf. Mereka menjual dia sebagai hamba di Mesir. Tetapi Allah menyertai dia, dan menyelamatkan dia daripada segala kesusahan. Apabila Yusuf menghadap Firaun raja Mesir, Allah mengurniai dia budi dan kebijaksanaan, sehingga raja Mesir menjadikan dia gabenor negeri itu dan penguasa istananya. Lalu berlakulah kebuluran di seluruh negeri Mesir dan Kanaan, sehingga mengakibatkan penderitaan yang berat. Nenek moyang kita tidak dapat memperolehi makanan. Apabila Yakub mendengar berita bahawa ada gandum di Mesir, dia menyuruh anak-anaknya, nenek moyang kita, pergi ke sana untuk kali pertama. Pada lawatan mereka yang kedua, Yusuf memberitahu saudara-saudaranya bahawa dia Yusuf. Barulah raja Mesir tahu akan keluarga Yusuf. Yusuf mengirim berita kepada Yakub, dan meminta bapanya bersama dengan semua anggota keluarganya berpindah ke Mesir. Semuanya berjumlah tujuh puluh lima orang. Yakub berpindah ke Mesir dan di situ dia serta nenek moyang kita meninggal. Jenazah mereka dibawa ke Sikhem dan dikuburkan di kuburan yang dibeli oleh Abraham dengan sejumlah wang daripada suku Hamor. Apabila sudah dekat masanya Allah memenuhi janji-Nya kepada Abraham, bilangan bangsa kita di Mesir semakin besar. Akhirnya seorang raja lain yang tidak mengenal Yusuf mula memerintah di Mesir. Raja itu memperdaya bangsa kita dan berlaku kejam terhadap nenek moyang kita. Raja itu memaksa mereka membuang bayi yang baru lahir supaya terlantar dan mati. Pada masa itulah Musa lahir; dia bayi yang sangat comel. Dia dipelihara di rumah bapanya selama tiga bulan. Apabila dia terpaksa dibuang, puteri raja Mesir mengambil dia dan memelihara dia sebagai anaknya sendiri. Segala ilmu bangsa Mesir diajarkan kepada Musa dan dia menjadi seorang yang sangat berkuasa, baik dengan kata-kata mahupun perbuatannya. Apabila Musa berumur empat puluh tahun, hatinya tergerak untuk pergi melawat bangsanya orang Israel. Dia melihat seorang antara mereka sedang dianiaya oleh seorang Mesir. Dia menolong orang yang dianiaya itu dengan membunuh orang Mesir itu. ( Musa menyangka bangsanya faham bahawa Allah akan menggunakan dia untuk membebaskan mereka, tetapi mereka tidak faham.) Keesokan harinya dia melihat dua orang Israel berkelahi, dan dia cuba mendamaikan mereka. Dia berkata, ‘Kamu bersaudara. Mengapa kamu berkelahi?’ Tetapi orang yang memukul sahabatnya menolak Musa ke tepi, lalu bertanya, ‘Siapa yang menjadikan kamu pemimpin dan hakim kami? Adakah kamu mahu membunuh aku seperti kamu membunuh orang Mesir itu kelmarin?’ Apabila Musa mendengar kata-kata itu, dia lari dari Mesir lalu tinggal di negeri Midian. Di sana dia beroleh dua orang anak lelaki. Empat puluh tahun kemudian, satu malaikat menampakkan diri kepada Musa di dalam belukar yang bernyala, di padang gurun dekat Gunung Sinai. Musa hairan melihat hal itu. Lalu dia menghampiri belukar itu supaya dapat melihat dengan lebih jelas. Tetapi dia mendengar suara Tuhan berfirman, ‘Akulah Allah yang disembah nenek moyangmu; Akulah Allah Abraham, Ishak, dan Yakub.’ Musa gementar kerana takut dan tidak berani melihat belukar itu lagi. Lalu Tuhan berfirman pula, ‘Tanggalkan kasutmu, kerana tanah tempat engkau berdiri itu suci. Aku sudah melihat dan memperhatikan betapa pahitnya penderitaan umat-Ku di Mesir. Aku sudah mendengar keluhan mereka, dan Aku sudah turun untuk membebaskan mereka. Sekarang marilah, Aku akan mengutus engkau ke Mesir.’ Musa inilah yang tidak diterima oleh kaum Israel. Mereka bertanya, ‘Siapa yang menjadikan kamu pemimpin dan hakim kami?’ Tetapi dialah yang diutus oleh Allah untuk menjadi pemimpin dan pembebas, dengan pertolongan malaikat yang datang kepadanya di belukar yang bernyala itu. Musa memimpin bangsa Israel keluar dari Mesir dengan melakukan berbagai-bagai mukjizat dan keajaiban di Mesir, di Laut Merah, dan kemudian di padang gurun selama empat puluh tahun. Musa inilah yang berkata kepada bangsa Israel, ‘Allah akan mengutus seorang nabi kepada kamu, seperti Dia sudah mengutus aku. Nabi itu dipilih-Nya daripada bangsa kamu sendiri.’ Musa inilah yang menyertai bangsa Israel berhimpun di padang gurun. Dia di situ dengan nenek moyang kita dan dengan malaikat yang berkata-kata kepadanya di Gunung Sinai. Di situlah Allah mengurniai dia perkhabaran yang memberikan hidup, untuk disampaikan kepada kita. Tetapi nenek moyang kita tidak mahu taat kepadanya. Mereka menolak dia dan ingin kembali ke Mesir. Oleh itu mereka berkata kepada Harun, ‘Buatkan kita patung dewa yang boleh memimpin kita. Kita tidak tahu apa yang sudah berlaku terhadap Si Musa yang membawa kita keluar dari Mesir.’ Lalu mereka membuat berhala yang berupa lembu jantan, dan mereka mempersembahkan korban kepada berhala itu. Mereka mengadakan perjamuan bagi menghormati buatan mereka sendiri. Oleh itu Allah meninggalkan mereka, dan sengaja membiarkan mereka menyembah bintang-bintang di langit. Hal itu seperti yang tertulis di dalam Kitab Nabi-Nabi, ‘Hai orang Israel! Bukannya untuk Aku kamu menyembelih dan mengorbankan binatang selama empat puluh tahun di padang gurun. Khemah berhala Molokh itulah yang kamu usung, dengan patung Refan, bintang berhala kamu; itulah berhala yang kamu buat untuk disembah. Oleh itu Aku akan membuang kamu jauh ke seberang Babel.’ Nenek moyang kita mempunyai Khemah Tuhan yang bersama-sama mereka di padang gurun. Khemah itu dibuat seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa, dan menurut contoh yang ditunjukkan oleh Allah kepada Musa. Kemudian, nenek moyang kita menerima khemah itu daripada bapa mereka. Khemah itu dibawa oleh mereka ketika mengikut Yosua merebut negeri kita ini daripada kekuasaan bangsa-bangsa yang diusir oleh Allah di hadapan mereka. Khemah itu di situ sehingga zaman Daud. Daud menyenangkan hati Allah dan memohon izin daripada Allah untuk membina sebuah rumah bagi Allah yang disembah oleh Yakub. Tetapi Salomo itulah yang membina rumah itu untuk Allah. Tetapi Allah Yang Maha Tinggi tidak tinggal di dalam rumah buatan manusia, kerana di dalam kitab nabi tertulis, ‘Langit takhta-Ku, dan bumi alas kaki-Ku. Rumah apakah yang mahu kamu bina untuk-Ku? Di manakah tempat kediaman-Ku? Bukankah Aku sendiri yang menjadikan segala sesuatu?’ begitulah firman Allah. Alangkah kerasnya kepala saudara-saudara! Alangkah degilnya saudara semua, sehingga tidak mahu taat kepada Allah dan tidak mahu mendengar firman Allah! Saudara-saudara seperti nenek moyang saudara semua; saudara semua selalu melawan Roh Allah! Adakah seorang nabi yang tidak dianiaya oleh nenek moyang saudara semua? Mereka membunuh pesuruh-pesuruh Allah yang dahulu kala mengumumkan kedatangan Hamba Allah yang melakukan kehendak-Nya. Sekarang saudara-saudara sudah mengkhianati dan membunuh Dia. Saudara-saudara sudah menerima Taurat Allah yang disampaikan oleh malaikat-malaikat, tetapi saudara-saudara tidak mentaati Taurat itu!” Sementara anggota-anggota Majlis Agama mendengar semua yang dikatakan oleh Stefanus, mereka meradang dan marah sekali terhadapnya. Tetapi Stefanus yang dikuasai oleh Roh Allah, menengadah ke langit. Dia melihat kemuliaan Allah, serta Yesus yang berdiri di tempat berkuasa di sebelah kanan Allah. “Lihatlah,” katanya, “saya melihat syurga terbuka dan Anak Manusia berdiri di sebelah kanan Allah!” Lalu anggota-anggota Majlis Agama berteriak-teriak sambil menutup telinga. Dengan serentak mereka menyerang Stefanus. Mereka mengheret dia ke luar bandar lalu merejam dia. Orang yang menyaksikan peristiwa itu meletakkan pakaian mereka dekat kaki seorang muda bernama Saulus. Sementara mereka melempari Stefanus dengan batu, Stefanus berseru kepada Tuhan, “Tuhan Yesus, terimalah diriku!” Lalu dia berlutut dan berseru dengan suara keras, “Ya Tuhan, ampunkanlah dosa mereka!” Setelah berkata demikian, dia pun meninggal. Saulus menyetujui pembunuhan itu. Pada hari itu juga, jemaah di Yerusalem mula menderita penganiayaan yang kejam. Semua pengikut Yesus, kecuali rasul-rasul, terpaksa melarikan diri ke seluruh daerah Yudea dan Samaria. Beberapa orang yang takut akan Allah mengebumikan Stefanus. Mereka menangisi dia dengan sangat sedih. Tetapi Saulus berusaha untuk membinasakan jemaah itu. Dia pergi dari rumah ke rumah, dan mengheret pengikut Yesus ke luar, baik lelaki mahupun perempuan, lalu memasukkan mereka ke dalam penjara. Pengikut Yesus yang tercerai-cerai itu mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah ke serata tempat. Filipus pergi ke kota yang terpenting di Samaria dan memberitahu orang di sana tentang Penyelamat yang diutus oleh Allah. Apabila orang di situ mendengar Filipus berkata-kata dan melihat mukjizat yang dilakukannya, mereka memperhatikan baik-baik apa yang dikatakan oleh Filipus. Sambil menjerit-jerit roh jahat keluar daripada banyak orang yang kerasukan. Banyak orang lumpuh dan tempang pun disembuhkan. Oleh itu orang di Samaria sangat bersukacita. Seorang lelaki bernama Simon tinggal di kota itu. Sudah beberapa lama dia mempesonakan orang Samaria dengan ilmu sihirnya. Dia mengaku dirinya seorang yang luar biasa. Semua lapisan masyarakat di kota itu mendengarkan dia dengan penuh minat. Mereka berkata, “Tuhan yang disebut ‘Kekuasaan Besar’ sudah menjelma dalam orang ini.” Mereka mendengarkan dia dengan penuh minat, kerana sudah lama sekali dia mempesonakan mereka dengan ilmu sihirnya. Tetapi apabila mereka percaya kepada perkhabaran Filipus, iaitu Berita Baik tentang Pemerintahan Allah dan tentang Yesus Kristus, mereka dibaptis - baik lelaki mahupun perempuan. Simon sendiri pun percaya kepada perkhabaran Filipus, dan setelah dia dibaptis, dia mengikuti Filipus. Simon hairan melihat keajaiban dan mukjizat yang dilakukan oleh Filipus. Rasul-rasul di Yerusalem mendengar berita bahawa orang Samaria sudah menerima firman Allah. Oleh itu mereka mengutus Petrus dan Yohanes ke sana. Apabila Petrus dan Yohanes tiba, mereka berdoa bagi pengikut Yesus di situ supaya menerima Roh Allah, kerana tidak seorang pun di kalangan mereka dikuasai oleh Roh Allah. Mereka baru dibaptis demi nama Tuhan Yesus sahaja. Lalu Petrus dan Yohanes meletakkan tangan mereka ke atas kepala orang Samaria di situ, dan mereka pun menerima Roh Allah. Simon melihat bahawa Roh Allah diberikan kepada orang apabila rasul-rasul meletakkan tangan ke atas kepala orang. Oleh itu, Simon menawarkan wang kepada Petrus dan Yohanes, dan berkata, “Berikan kuasa itu kepada saya supaya orang menerima Roh Allah apabila saya meletakkan tangan saya ke atas kepala mereka.” Tetapi Petrus menjawab, “Terkutuklah kamu dan wangmu, kerana menyangka kurnia Allah dapat dibeli dengan wang! Kamu tidak mempunyai bahagian dalam pekerjaan kami, kerana hatimu tidak tulus di sisi Allah. Bertaubatlah daripada niatmu yang jahat itu, dan berdoalah supaya Tuhan mengampuni kamu daripada fikiran yang sesat itu! Aku tahu bahawa kamu sungguh iri hati dan diperhamba oleh dosa.” Lalu Simon berkata kepada Petrus dan Yohanes, “Berdoalah kepada Tuhan bagi saya, supaya saya tidak ditimpa perkara-perkara yang saudara-saudara katakan itu.” Setelah Petrus dan Yohanes memberikan kesaksian tentang Yesus serta menyampaikan perkhabaran Tuhan, mereka kembali ke Yerusalem. Dalam perjalanan, mereka mengkhabarkan Berita Baik itu di banyak pekan di daerah Samaria. Malaikat Tuhan berkata kepada Filipus, “Bersiap-siaplah dan pergilah ke arah selatan, ke jalan yang menghubungkan Yerusalem dengan Gaza.” (Jalan itu tidak digunakan lagi.) [27-28] Lalu Filipus pun berangkat. Seorang sida-sida dari Etiopia sedang dalam perjalanan pulang ke negerinya. Dia seorang pegawai tinggi yang bertanggungjawab atas kekayaan Kandake, ratu negeri Etiopia. Pegawai itu pergi ke Yerusalem untuk menyembah Allah dan sekarang dia dalam perjalanan pulang. Dia duduk di dalam kereta kudanya, sambil membaca kitab Nabi Yesaya. *** Roh Allah berkata kepada Filipus, “Pergi dekati kereta kuda itu.” Filipus segera pergi menghampiri kereta kuda itu, lalu mendengar pegawai tinggi itu sedang membaca kitab Nabi Yesaya. Filipus bertanya kepadanya, “Adakah tuan memahami apa yang tuan baca?” Pegawai tinggi itu menjawab, “Bagaimana saya boleh faham jika tidak ada orang yang menerangkannya?” Lalu dia mengajak Filipus menaiki kereta kudanya dan duduk dengan dia. Inilah ayat-ayat yang dibacanya, “Dia seperti domba yang digiring untuk disembelih; seperti anak domba yang tidak mengembik ketika bulunya digunting; demikianlah Dia tidak berkata sepatah pun. Dia dihina dan diperlakukan dengan tidak adil. Nyawanya dicabut dari muka bumi, sehingga tiada seorang pun dapat menceritakan keturunannya.” Pegawai tinggi itu berkata kepada Filipus, “Tolong beritahu, siapakah yang dimaksudkan oleh nabi itu? Dirinya sendiri atau orang lain?” Lalu Filipus mula berkata-kata. Melalui ayat-ayat itu Filipus memberitahu dia Berita Baik tentang Yesus. Dalam perjalanan, mereka sampai ke suatu tempat yang berair. Pegawai itu berkata, “Lihatlah, di sini ada air. Adakah sebab yang menghalang saya dibaptis?” [ Filipus berkata, “Tuan boleh dibaptis, asal sahaja tuan percaya kepada Yesus dengan sepenuh hati.” Pegawai tinggi itu menjawab, “Saya percaya bahawa Yesus Kristus Anak Allah.”] Lalu pegawai itu memberikan perintah supaya kereta kudanya dihentikan. Kemudian Filipus dan pegawai itu turun ke dalam air dan Filipus membaptis dia. Apabila mereka keluar dari air, Roh Tuhan mengambil Filipus dari situ. Pegawai tinggi itu tidak nampak dia lagi, lalu meneruskan perjalanan dengan sukacita. Filipus mendapati dirinya di Asdod. Dia meneruskan perjalanan sambil mengkhabarkan Berita Baik tentang Yesus di semua bandar sehingga dia tiba di Kaisarea. Sementara itu Saulus meneruskan ancamannya untuk membunuh pengikut-pengikut Tuhan. Saulus pergi kepada Imam Agung, dan meminta surat kuasa untuk ditunjukkan kepada pemimpin rumah-rumah ibadat orang Yahudi di Damsyik. Dengan demikian, jika di situ dia menjumpai pengikut-pengikut Yesus, dia boleh menangkap mereka, baik lelaki mahupun perempuan, dan membawa mereka ke Yerusalem. Dalam perjalanannya ke Damsyik, apabila dia sudah dekat kota itu, tiba-tiba cahaya dari langit memancar di sekeliling Saulus. Dia jatuh ke tanah lalu mendengar suara berkata kepadanya, “Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku?” Saulus bertanya, “Siapakah tuan?” Suara itu menjawab, “Aku Yesus, yang engkau aniaya. Bangunlah dan masuklah ke bandar. Di situ engkau akan diberitahu apa yang harus engkau lakukan.” Orang yang seperjalanan dengan Saulus berhenti dan terdiam. Mereka mendengar suara itu tetapi tidak melihat sesiapa pun. Saulus berdiri lalu membuka matanya, tetapi dia tidak dapat melihat apa-apa. Oleh itu mereka memegang tangannya dan memimpin dia masuk ke Damsyik. Tiga hari lamanya dia tidak dapat melihat, dan selama itu dia tidak makan atau minum. Seorang pengikut Yesus bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam penglihatan, dia melihat Tuhan berkata kepadanya, “Ananias!” “Ya Tuhan,” jawab Ananias. Tuhan berkata kepadanya, “Bersiap-siaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Bertanyalah tentang seorang bernama Saulus dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa, dan dalam penglihatan, dia melihat seorang lelaki bernama Ananias datang meletakkan tangan padanya supaya dia boleh melihat semula.” Ananias menjawab, “Ya Tuhan, banyak orang sudah memberitahu aku tentang orang ini. Dia sudah melakukan banyak perkara yang kejam terhadap umat-Mu di Yerusalem. Sekarang dia datang ke Damsyik dengan kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyembah Engkau.” Tetapi Tuhan berkata kepadanya, “Pergilah, kerana Aku sudah memilih dia untuk mengabdikan diri kepada-Ku, supaya dia memberitakan nama-Ku kepada bangsa-bangsa bukan Yahudi, raja-raja, dan umat Israel. Semua penderitaan yang harus dialaminya kerana Aku, akan Aku tunjukkan kepadanya.” Oleh itu Ananias pergi dan masuk ke rumah itu lalu meletakkan tangannya pada Saulus. “Saudara Saulus,” katanya, “Tuhan sudah mengutus saya - Yesus yang menampakkan diri kepada saudara dalam perjalanan ke mari, sudah mengutus saya ke sini supaya saudara boleh melihat semula dan dikuasai oleh Roh Allah.” Pada saat itu juga sesuatu seperti sisik ikan jatuh daripada mata Saulus dan dia dapat melihat semula. Lalu dia bangkit dan dibaptis. Setelah dia makan, pulihlah kekuatannya. Saulus tinggal beberapa hari dengan pengikut-pengikut Yesus di Damsyik. Dia terus pergi ke rumah-rumah ibadat dan mula mengisytiharkan berita bahawa Yesus Anak Allah. Semua orang yang mendengar kata-kata Saulus menjadi hairan. Mereka berkata sesama sendiri, “Dialah orang di Yerusalem yang membunuh semua orang yang menyembah Yesus. Dia datang ke sini untuk menangkap dan membawa pengikut Yesus kepada ketua-ketua imam.” Tetapi Saulus semakin kuat pengaruhnya. Bukti-bukti yang dikemukakannya bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah begitu meyakinkan, sehingga orang Yahudi yang tinggal di Damsyik tidak dapat membantah lagi. Beberapa hari kemudian, orang Yahudi bersepakat hendak membunuh Saulus. Tetapi rancangan mereka diketahui oleh Saulus. Siang malam mereka menunggu di pintu gerbang kota untuk membunuh dia. Tetapi pada suatu malam, pengikut-pengikut Saulus menurunkan dia dengan sebuah keranjang ke kaki tembok kota melalui tingkap. Saulus pergi ke Yerusalem dan berusaha bergabung dengan pengikut-pengikut Yesus di situ. Tetapi mereka takut akan dia, kerana mereka tidak percaya bahawa dia benar-benar sudah menjadi pengikut Yesus. Kemudian Barnabas menyambut dia dan membawa dia kepada rasul-rasul. Barnabas memberitahu mereka bahawa Saulus sudah melihat Tuhan dalam perjalanan ke Damsyik, dan bahawa Tuhan sudah berkata-kata kepadanya. Dia juga memberitahu mereka bahawa dengan berani Saulus mengajar di Damsyik demi nama Yesus. Oleh itu Saulus tinggal bersama-sama mereka, dan mengajar dengan berani di seluruh Yerusalem dengan nama Tuhan. Dia juga berbincang dan berdebat dengan orang Yahudi yang berbahasa Yunani, dan mereka cuba membunuh dia. Apabila saudara-saudara seiman mengetahui hal itu, mereka membawa Saulus ke Kaisarea dan kemudian menghantar dia ke Tarsus. Dengan demikian tenteramlah jemaah di seluruh Yudea, Galilea, dan Samaria. Jemaah itu menghormati Allah dan dengan pertolongan Roh Allah, jemaah itu bertambah kuat dan bertambah banyak. Petrus berkunjung ke serata tempat. Pada suatu hari dia melawat umat Tuhan yang tinggal di Lida. Di situ dia berjumpa dengan seorang lelaki bernama Eneas, yang lumpuh dan tidak dapat bangun dari katilnya selama lapan tahun. Petrus berkata kepadanya, “Hai Eneas, Yesus Kristus menyembuhkan kamu. Bangunlah dan kemaskan katilmu.” Pada saat itu juga Eneas bangun. Semua penduduk di Lida dan Dataran Saron melihat Eneas, lalu mereka semua percaya kepada Tuhan. Di Yope ada seorang wanita bernama Tabita. Dia percaya kepada Yesus. (Dalam bahasa Yunani namanya Dorkas, yang bererti ‘rusa.’) Dia menggunakan masanya untuk melakukan hal-hal baik dan menolong orang miskin. Pada waktu itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, jenazahnya diletakkan di bilik di tingkat atas. Yope tidak berapa jauh dari Lida. Apabila pengikut-pengikut Yesus di Yope mendengar bahawa Petrus di Lida, mereka mengutus dua orang kepadanya dengan berita, “Cepatlah datang ke mari.” Petrus bersiap lalu mengikut mereka. Apabila dia tiba di situ, dia dibawa ke bilik di tingkat atas. Sambil menangis semua balu di situ mengerumuni Petrus dan menunjukkan pakaian dan jubah yang telah dijahit oleh Dorkas bagi mereka, semasa dia masih hidup. Petrus menyuruh mereka semua keluar. Lalu dia berlutut dan berdoa. Kemudian dia menghampiri jenazah itu dan berkata, “Tabita, bangunlah!” Tabita membuka matanya dan apabila dia nampak Petrus, dia pun duduk. Petrus memegang tangannya dan menolong dia berdiri. Kemudian Petrus memanggil semua pengikut Yesus di situ termasuk balu-balu, lalu menyerahkan Tabita yang sudah hidup itu kepada mereka. Berita itu tersebar ke seluruh Yope, dan banyak orang percaya kepada Tuhan. Petrus tinggal di Yope dengan seorang penyamak kulit bernama Simon untuk beberapa hari lamanya. Seorang lelaki bernama Kornelius tinggal di Kaisarea. Dia kapten pasukan tentera Roma yang disebut Pasukan Italia. Dia takut akan Allah; dia dan keluarganya menyembah Allah. Dia sering menolong orang Yahudi yang miskin, dan dia sentiasa berdoa kepada Allah. Pada suatu hari kira-kira pukul tiga petang, dalam suatu penglihatan, dengan jelas dia melihat malaikat Tuhan datang kepadanya dan berkata, “Kornelius!” Kornelius memandang malaikat itu dengan ketakutan lalu bertanya, “Ada apa, tuan?” Malaikat itu menjawab, “Doamu dan kemurahan hatimu sudah diterima oleh Allah dan Allah mengabulkan doamu. Sekarang suruhlah beberapa orang ke Yope untuk memanggil seorang bernama Simon Petrus. Dia sedang menumpang di rumah seorang penyamak kulit bernama Simon, yang tinggal di tepi pantai.” Setelah malaikat itu pergi, Kornelius memanggil dua orang hamba yang bekerja di rumahnya dan salah seorang pengawal peribadinya, yang juga takut akan Allah. Dia memberitahu mereka apa yang sudah berlaku, lalu menyuruh mereka pergi ke Yope. Keesokan harinya, semasa mereka masih dalam perjalanan dan hampir tiba di Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah pada tengah hari untuk berdoa. Dia lapar dan hendak makan. Sementara makanan disediakan, dia mendapat suatu penglihatan. Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain lebar diturunkan ke bumi, tergantung pada keempat-empat sudutnya. Di dalamnya terdapat segala macam binatang berkaki empat, binatang menjalar dan burung-burung liar. Lalu ada suara berkata kepadanya, “Petrus, bangunlah! Sembelihlah binatang itu dan makanlah!” Petrus menjawab, “Tidak, Tuhan! Aku belum pernah makan apa-apa yang haram atau najis.” Tetapi suara itu berkata lagi, “Jangan anggap haram apa yang sudah dinyatakan halal oleh Allah.” Perkara itu berulang sehingga tiga kali, lalu kain itu terangkat kembali ke langit. Petrus termenung memikirkan makna penglihatan itu. Pada masa itu orang yang disuruh oleh Kornelius sudah menjumpai rumah Simon, dan mereka sedang berdiri di muka pintu. Mereka memanggil dan bertanya sama ada seorang tamu bernama Simon Petrus menumpang di situ. Petrus masih berusaha untuk memahami makna penglihatan itu, apabila Roh Allah berkata kepadanya, “Dengarlah! Tiga orang sedang mencari kamu. Cepatlah turun ke bawah dan jangan ragu-ragu mengikut mereka, kerana Aku yang menyuruh mereka datang.” Petrus turun ke bawah dan berkata kepada mereka, “Sayalah yang saudara-saudara cari. Mengapa saudara-saudara datang?” Mereka menjawab, “Kapten Kornelius menyuruh kami ke mari. Dia orang baik dan dia takut akan Allah. Dia sangat dihormati oleh semua orang Yahudi. Malaikat Allah menyuruh dia menjemput tuan ke rumahnya supaya dia boleh mendengar apa yang akan tuan katakan.” Lalu Petrus menjemput mereka menginap di situ. Keesokan harinya Petrus bersiap-siap dan pergi dengan mereka. Beberapa orang pengikut Yesus dari Yope pun pergi dengan dia. Sehari sesudah itu, mereka tiba di Kaisarea. Kornelius bersama-sama sanak saudara dan sahabat-sahabat karib yang telah dijemputnya, sedang menunggu mereka. Apabila Petrus tiba, Kornelius menyambut dia dan sujud di hadapannya. Tetapi Petrus menyuruh dia bangun, “Bangunlah,” katanya, “saya sendiri pun manusia.” Sementara bercakap dengan Kornelius, Petrus masuk ke dalam rumah dan mendapati banyak orang sudah berkumpul di situ. Petrus berkata kepada mereka, “Saudara-saudara sendiri tahu bahawa orang Yahudi dilarang oleh agama mereka untuk melawat atau berhubungan dengan orang bukan Yahudi. Tetapi Allah sudah menunjukkan bahawa saya tidak boleh menganggap seseorang pun najis atau haram. Itulah sebabnya apabila saya dijemput, saya tidak berkeberatan datang. Katakanlah, mengapa tuan meminta saya datang?” Kornelius menjawab, “Tiga hari yang lalu, kira-kira pada pukul tiga petang saya sedang berdoa di rumah. Tiba-tiba seorang lelaki yang pakaiannya bersinar-sinar berdiri di hadapan saya. Dia berkata, ‘Kornelius! Allah sudah mendengar doamu, dan ingat akan kemurahan hatimu. Suruhlah orang pergi ke Yope untuk memanggil seorang bernama Simon Petrus. Dia menumpang di rumah seorang penyamak kulit bernama Simon, yang tinggal di tepi pantai.’ Itulah sebabnya saya segera menyuruh orang memanggil tuan, dan tuan sungguh baik hati kerana sudi ke mari. Sekarang kami berkumpul di sini di hadapan Allah, untuk mendengar apa sahaja yang akan tuan katakan seperti yang diperintahkan oleh Tuhan.” Lalu Petrus berkata, “Sekarang barulah saya sedar bahawa Allah memperlakukan semua orang dengan sama rata. Sesiapa yang menghormati Allah dan berbuat apa yang benar, diterima oleh Allah, walau apa pun bangsanya. Saudara-saudara tahu akan perkhabaran yang disampaikan oleh Allah kepada bangsa Israel. Khabar itu Berita Baik tentang kedamaian melalui Yesus Kristus, Tuhan semua orang. Saudara-saudara mengetahui apa yang telah berlaku di seluruh Yudea, mulai dari Galilea, setelah baptisan yang diberitakan oleh Yohanes. Saudara-saudara tahu bahawa Allah telah memilih Yesus orang Nasaret itu dan memberi Dia Roh Allah dan kekuasaan. Yesus pergi ke serata tempat untuk berbuat baik dan menyembuhkan semua orang yang dikuasai oleh Iblis, kerana Allah menyertai Yesus. Kami saksi yang sudah melihat segala sesuatu yang dilakukan-Nya di negeri Yudea mahupun di Yerusalem. Kemudian mereka menyalibkan Dia dan membunuh Dia. Tetapi pada hari ketiga Allah membangkitkan Dia daripada kematian, dan memperlihatkan Dia. Dia tidak dilihat oleh semua orang; tetapi hanya oleh kami yang sudah dipilih oleh Allah untuk menjadi saksi-saksi-Nya. Kami makan dan minum dengan Dia, sesudah Dia bangkit daripada kematian. Dia menyuruh kami mengkhabarkan Berita Baik itu kepada semua orang, dan memberikan kesaksian bahawa Dialah yang diutus oleh Allah untuk menjadi hakim orang yang masih hidup dan yang sudah mati. Semua nabi berkata-kata tentang Dia. Mereka berkata bahawa setiap orang yang percaya kepada Yesus, dosanya akan diampunkan dengan kekuasaan Yesus.” Sementara Petrus berkata-kata, Roh Allah turun dan menguasai semua orang yang mendengar perkhabaran itu. Beberapa orang Yahudi yang percaya kepada Yesus dan menyertai Petrus dari Yope, hairan melihat Allah mengurniakan Roh-Nya kepada orang bukan Yahudi juga. Mereka mendengar semua orang itu bertutur dalam bahasa-bahasa yang ajaib serta memuji-muji kebesaran Allah. Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, semua orang ini sudah menerima Roh Allah seperti kita. Bolehkah sesiapa menghalangi mereka dibaptis dengan air?” Oleh itu Petrus menyuruh mereka dibaptis demi nama Yesus Kristus. Kemudian mereka meminta supaya Petrus tinggal dengan mereka untuk beberapa hari. Rasul-rasul dan pengikut-pengikut Yesus di seluruh Yudea mendengar bahawa orang bukan Yahudi pun sudah menerima firman Allah. Apabila Petrus pergi ke Yerusalem, orang Yahudi yang percaya kepada Yesus dan masih berpegang kepada upacara bersunat, mencela Petrus. Mereka berkata, “Kamu menumpang di rumah orang bukan Yahudi yang tidak bersunat. Bahkan kamu makan bersama-sama mereka!” Oleh itu Petrus memberikan laporan lengkap tentang apa yang sudah berlaku. Dia melaporkan hal itu mulai dari permulaan, “Aku sedang berdoa di kota Yope, lalu melihat suatu penglihatan. Aku melihat sesuatu seperti kain lebar diturunkan dari langit, tergantung pada keempat-empat sudutnya, lalu berhenti di sisiku. Semasa aku memperhatikan bahagian dalamnya, aku nampak binatang berkaki empat, binatang liar, binatang menjalar, dan burung-burung liar. Lalu aku mendengar suara berkata kepadaku, ‘Bangunlah Petrus! Sembelihlah binatang itu dan makanlah!’ Tetapi aku menjawab, ‘Tidak, Tuhan! Aku belum pernah makan apa-apa yang haram atau najis.’ Suara itu berkata lagi dari langit, ‘Janganlah anggap haram apa yang sudah dinyatakan halal oleh Allah!’ Peristiwa itu berulang tiga kali dan akhirnya semuanya terangkat kembali ke langit. Pada saat itu juga, tiga orang dari Kaisarea yang diutus kepadaku, tiba di rumah tempat aku menginap. Roh Allah menyuruh aku mengikut mereka dengan tidak ragu-ragu. Enam orang saudara seiman dari Yope, menyertai aku ke Kaisarea, dan kami semua masuk ke rumah Kornelius. Kornelius memberitahu kami bahawa dia melihat satu malaikat berdiri di rumahnya dan berkata, ‘Suruhlah orang pergi ke Yope untuk memanggil seorang lelaki bernama Simon Petrus. Dia akan menyampaikan berita yang boleh menyelamatkan engkau dan keluargamu.’ Apabila aku mula bercakap, Roh Allah datang kepada mereka, seperti yang berlaku kepada kita pada mulanya. Kemudian aku teringat bahawa Tuhan pernah berkata, ‘Yohanes membaptis dengan air, tetapi kamu akan dibaptis dengan Roh Allah.’ Nyatalah bahawa Allah mengurniai orang bukan Yahudi itu, pemberian yang seperti kita terima pada masa kita percaya kepada Tuhan Yesus Kristus. Siapakah aku ini sehingga cuba menghalang Allah?” Apabila mereka mendengar hal itu, mereka tidak mencela Petrus lagi. Lalu mereka memuji Allah dan berkata, “Jika demikian, Allah juga memberikan peluang kepada orang bukan Yahudi untuk bertaubat dan beroleh hidup sejati!” Pada masa Stefanus dibunuh, orang yang percaya kepada Yesus tercerai-cerai kerana dianiaya. Ada yang lari sampai ke Fenisia, Siprus, dan Antiokhia. Mereka memberitakan perkhabaran daripada Allah kepada orang Yahudi sahaja. Tetapi beberapa orang pengikut Yesus yang berasal dari Siprus dan Kirene, pergi ke Antiokhia. Mereka mengkhabarkan Berita Baik tentang Tuhan Yesus kepada orang bukan Yahudi. Kuasa Tuhan menyertai mereka sehingga banyak orang percaya kepada Tuhan dan mengikut Dia. Jemaah di Yerusalem mendengar peristiwa itu. Oleh itu mereka mengutus Barnabas ke Antiokhia. Apabila dia tiba di Antiokhia dan melihat Allah memberkati orang di situ, dia bersukacita. Lalu dia menggalakkan mereka semua supaya tetap setia kepada Tuhan dengan sepenuh hati. Barnabas seorang yang baik, dikuasai oleh Roh Allah dan sangat percaya kepada Tuhan, dan banyak orang mengikut Tuhan. Kemudian Barnabas pergi ke Tarsus untuk mencari Saulus. Apabila dia menjumpai Saulus, Barnabas membawa Saulus ke Antiokhia, dan selama setahun mereka berkumpul dengan jemaah di situ sambil mengajar banyak orang. Di Antiokhia, untuk kali pertama pengikut-pengikut Yesus disebut orang Kristian. Pada waktu itu, beberapa orang nabi dari Yerusalem datang ke Antiokhia. Seorang daripada mereka bernama Agabus. Dia berdiri dan dengan kuasa Roh Allah, Agabus bernubuat bahawa kebuluran yang teruk akan berlaku di seluruh dunia. (Kebuluran itu berlaku pada masa pemerintahan Kaisar Klaudius.) Semua pengikut Yesus di situ bersetuju untuk mengirim bantuan kepada saudara-saudara seiman yang tinggal di Yudea; masing-masing akan memberikan bantuan menurut kemampuannya. Mereka melakukan hal itu, lalu mengutus Barnabas dan Saulus untuk membawa wang itu kepada pemimpin-pemimpin jemaah. Pada masa itu Raja Herodes mula menganiaya beberapa orang daripada jemaah. Dengan perintah Raja Herodes, Yakobus, saudara Yohanes dipenggal kepalanya. Apabila Raja Herodes melihat bahawa perkara itu menyenangkan hati orang Yahudi, Raja Herodes melanjutkan perbuatannya yang jahat dengan menangkap Petrus. (Hal ini berlaku pada waktu Perayaan Roti Tidak Beragi.) Setelah Petrus ditangkap, dia dimasukkan ke dalam penjara. Di situ dia dijaga oleh empat kumpulan askar, dan setiap kumpulan terdiri daripada empat orang askar. Raja Herodes bercadang mengadili Petrus di hadapan umum apabila perayaan Paska berakhir. Oleh itu Petrus ditahan di penjara, tetapi jemaah tekun berdoa kepada Allah bagi Petrus. Pada malam sebelum Raja Herodes menghadapkan Petrus kepada orang ramai, Petrus tidur terbelenggu dengan dua rantai yang diikatkan kepada dua orang askar; seorang askar pada setiap sisinya. Di pintu penjara, askar-askar pengawal juga sedang bertugas. Tiba-tiba malaikat Tuhan berdiri di situ dan cahaya bersinar di dalam bilik penjara itu. Malaikat itu menggoyang-goyang Petrus dan membangunkan dia, lalu berkata, “Cepat bangun!” Pada saat itu juga jatuhlah rantai dari tangan Petrus. Malaikat itu berkata lagi, “Ikat tali pinggangmu dan pakailah kasut.” Petrus pun berbuat demikian. Kemudian malaikat itu berkata pula, “Pakailah jubahmu dan ikutlah aku.” Petrus mengikut malaikat itu keluar dari penjara. Tetapi Petrus tidak tahu sama ada perbuatan malaikat itu benar-benar berlaku atau tidak. Petrus menyangka semua itu hanya suatu penglihatan. Mereka melalui tempat penjagaan yang pertama, kemudian yang kedua dan akhirnya tiba di pintu besi yang menuju ke bandar. Pintu itu terbuka dengan sendirinya, lalu mereka keluar. Mereka berjalan melalui suatu lorong, lalu tiba-tiba malaikat itu meninggalkan Petrus. Barulah Petrus menyedari apa yang sudah berlaku kepada dirinya. Dia berkata, “Sekarang aku tahu bahawa semuanya benar-benar berlaku. Tuhan telah mengirim malaikat-Nya untuk melepaskan aku daripada kuasa Raja Herodes dan daripada segala sesuatu yang akan dilakukan orang Yahudi kepadaku.” Apabila Petrus menyedari keadaannya, dia pergi ke rumah Maria, ibu Yohanes Markus. Banyak orang berkumpul di situ dan sedang berdoa. Petrus mengetuk pintu luar, dan seorang hamba perempuan bernama Rode datang untuk membuka pintu. Dia mengenali suara Petrus, tetapi kerana terlalu gembira dia cepat-cepat masuk kembali tanpa membuka pintu. Dia memberitahu bahawa Petrus berdiri di luar. “Kamu gila!” kata mereka. Tetapi Rode berkeras mengatakan orang itu Petrus. Oleh itu mereka berkata, “Dia itu malaikatnya!” Sementara itu Petrus terus-menerus mengetuk pintu. Akhirnya mereka membuka pintu, dan apabila mereka melihat Petrus, mereka hairan sekali. Petrus memberikan isyarat dengan tangan supaya mereka tenang. Lalu dia menceritakan bagaimana Tuhan sudah membawa dia keluar dari penjara. Kemudian Petrus berkata, “Beritahukan hal ini kepada Yakobus dan saudara-saudara yang lain.” Kemudian dia meninggalkan tempat itu dan pergi ke tempat lain. Pagi berikutnya berlakulah kegemparan di kalangan askar-askar itu. Apakah yang sudah berlaku terhadap Petrus? Raja Herodes menyuruh orang mencari Petrus, tetapi mereka tidak dapat menjumpai dia. Lalu Raja Herodes memberikan perintah supaya askar-askar pengawal itu disoal siasat lalu dihukum mati. Setelah itu Raja Herodes meninggalkan Yudea lalu tinggal di Kaisarea untuk beberapa waktu. Raja Herodes sangat murka terhadap orang Tirus dan Sidon. Oleh itu mereka datang bersama untuk menghadap Raja Herodes. Mula-mula mereka meyakinkan Blastus, orang yang mengepalai istana Raja Herodes, supaya memihak mereka. Kemudian mereka pergi menghadap Raja Herodes dan minta berdamai, kerana bekalan makanan negeri mereka bergantung kepada negeri Raja Herodes. Pada hari yang sudah ditetapkan, Raja Herodes mengenakan pakaian kebesaran lalu bersemayam di takhta dan menyampaikan ucapan kepada rakyat. Orang ramai yang mendengar ucapan Raja Herodes berseru, “Dewalah yang berkata-kata, bukan manusia.” Pada saat itu juga malaikat Tuhan memukul Raja Herodes, kerana raja tidak menghormati Allah. Raja Herodes dimakan cacing lalu mangkat. Sementara itu firman Allah semakin tersebar luas dan banyak orang percaya kepada Yesus. Setelah Barnabas dan Saulus menyelesaikan tugas, mereka kembali dari Yerusalem dan membawa serta Yohanes Markus. Di kalangan jemaah di Antiokhia terdapat beberapa orang nabi dan guru: Barnabas, Simeon yang digelar Si Hitam, Lukius dari Kirene, Menahem yang dibesarkan bersama-sama Gabenor Herodes, dan Saulus. Sementara mereka beribadat kepada Tuhan dan berpuasa, Roh Allah berkata kepada mereka, “Pilihlah Barnabas dan Saulus khas untuk-Ku, supaya mereka menjalankan tugas yang sudah Aku tetapkan bagi mereka.” Setelah berpuasa dan berdoa, mereka meletakkan tangan ke atas kepala Barnabas dan Saulus, lalu mengutus mereka berdua. Barnabas dan Saulus pergi ke Seleukia, kerana diutus oleh Roh Allah. Dari sana mereka belayar ke pulau Siprus. Apabila mereka tiba di Salamis, mereka menyampaikan firman Allah di rumah ibadat orang Yahudi. Yohanes Markus menolong mereka dalam tugas itu. Mereka menjelajah seluruh pulau itu, sehingga tiba di Pafos. Di situ mereka berjumpa dengan seorang ahli sihir bernama Bar-Yesus, seorang Yahudi yang menganggap dirinya sebagai nabi. Dia sahabat Sergius Paulus, gabenor pulau itu, seorang yang cerdik dan bijaksana. Gabenor itu menjemput Barnabas dan Saulus, kerana dia ingin mendengar firman Allah. Tetapi Barnabas dan Saulus ditentang oleh Elimas ahli sihir itu (itulah namanya dalam bahasa Yunani), kerana Elimas cuba menghalang gabenor itu percaya kepada Yesus. Tetapi Saulus - yang juga disebut Paulus - dikuasai oleh Roh Allah, dan menatap ahli sihir itu. Lalu Paulus berkata, “Kamu anak Iblis! Kamu musuh segala apa yang baik. Kamu penuh dengan tipu muslihat. Kamu berdusta mengenai ajaran tentang Tuhan! Tuhan akan menghukum kamu sekarang juga. Kamu akan menjadi buta, dan tidak dapat melihat cahaya matahari untuk sementara waktu.” Pada saat itu juga Elimas merasa kabus gelap menutupi matanya, sehingga dia berjalan sambil meraba-raba mencari orang yang dapat menuntunnya. Apabila gabenor itu melihat apa yang sudah berlaku, dia percaya kepada Yesus, kerana sangat mengagumi ajaran Tuhan. Paulus dan rakan-rakannya belayar dari Pafos ke kota Perga di daerah Pamfilia. Di situ Yohanes Markus meninggalkan mereka lalu kembali ke Yerusalem. Mereka melanjutkan perjalanan dari Perga ke kota Antiokhia di Pisidia. Pada hari Sabat mereka masuk ke rumah ibadat lalu duduk di situ. Setelah Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi dibacakan, para pemimpin rumah ibadat itu menyuruh orang berkata kepada Paulus dan rakannya, “Saudara-saudara, jika ada nasihat untuk menggalakkan orang di sini, silalah katakan.” Paulus berdiri lalu memberikan isyarat dengan tangan, dan mula berkata, “Saudara-saudara bangsa Israel dan semua saudara lain di sini yang taat kepada Allah, dengarlah! Allah orang Israel telah memilih nenek moyang kita dan menjadikan mereka bangsa yang besar, semasa mereka tinggal di Mesir sebagai orang asing. Allah membawa mereka keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya yang besar. Dia bersabar terhadap mereka selama empat puluh tahun di padang gurun. Dia memusnahkan tujuh bangsa di tanah Kanaan dan menjadikan negeri itu milik umat-Nya. Semua itu berlangsung selama 450 tahun. Setelah itu Allah mengurniai mereka hakim-hakim sehingga masa Nabi Samuel. Apabila mereka meminta seorang raja, Allah memberi mereka Saul anak Kis daripada suku Benyamin untuk menjadi raja selama empat puluh tahun. Setelah Allah menyingkirkan dia daripada kedudukannya, Allah menjadikan Daud raja mereka. Inilah yang dikatakan oleh Allah tentang Daud, ‘Aku mendapati Daud anak Isai seorang yang menyenangkan hati-Ku. Dia orang yang akan melakukan segala kehendak-Ku.’ Yesuslah keturunan Daud, dan Allah menjadikan Dia Penyelamat bangsa Israel, seperti yang dijanjikan-Nya. Sebelum Yesus memulakan tugas-Nya, Yohanes menyeru supaya semua orang Israel bertaubat daripada dosa lalu dibaptis. Apabila Yohanes hampir menyelesaikan tugasnya, dia berkata kepada orang ramai, ‘Siapakah aku ini menurut pendapat kamu? Aku bukan orang yang kamu tunggu-tunggu. Dengarlah baik-baik! Dia akan datang kemudian, dan aku tidak layak membuka kasut-Nya.’ Saudara-saudara keturunan Abraham, dan semua saudara lain di sini yang taat kepada Allah! Allah sudah mengirim berita penyelamatan itu kepada kita. Orang yang tinggal di Yerusalem dan pemimpin-pemimpin mereka tidak sedar bahawa Dialah Penyelamat itu. Mereka tidak memahami ajaran nabi-nabi yang dibacakan setiap hari Sabat, sehingga mereka menghukum Yesus. Tetapi melalui perbuatan mereka itu berlakulah apa yang sudah dikatakan oleh nabi-nabi. Meskipun mereka tidak mempunyai alasan apa-apa untuk menjatuhkan hukuman mati kepada Yesus, namun mereka meminta Pilatus menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. Setelah mereka melakukan semua yang tertulis di dalam Alkitab tentang Dia, mereka menurunkan jenazah-Nya dari salib dan meletakkannya di dalam kubur. Tetapi Allah membangkitkan Dia daripada kematian. Kemudian selama beberapa hari Dia menampakkan diri kepada mereka yang dahulu berjalan bersama-sama Dia dari Galilea ke Yerusalem. Sekarang mereka menjadi saksi bagi-Nya kepada bangsa Israel. Oleh itu kami di sini untuk menyampaikan Berita Baik ini kepada kamu. Apa yang dijanjikan oleh Allah kepada nenek moyang kita, sudah dilakukan-Nya bagi kita, iaitu keturunan mereka, dengan membangkitkan Yesus daripada kematian. Seperti yang tertulis di dalam Kitab Mazmur fasal dua, ‘Engkaulah Anak-Ku, pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.’ Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian; Dia tidak akan mengalami kematian lagi. Tentang hal ini Allah berfirman, ‘Aku akan memberkati kamu dengan berkat yang suci, seperti yang Aku janjikan kepada Daud.’ Begitu juga dalam ayat lain Dia berfirman, ‘Engkau tidak akan membiarkan Hamba-Mu yang setia itu reput di dalam kubur.’ Pada masa hidupnya, Daud melakukan kehendak Allah, lalu Daud meninggal, dikuburkan dengan nenek moyangnya dan jenazahnya reput. Tetapi hal ini tidak berlaku terhadap Dia yang dibangkitkan oleh Allah daripada kematian. [38-39] Oleh itu, saudara-saudara, ketahuilah bahawa melalui Yesus berita tentang pengampunan dosa sudah disampaikan kepada saudara semua. Setiap orang yang percaya kepada-Nya dibebaskan daripada segala dosa yang tidak dapat dihapus oleh Taurat Musa. *** Berwaspadalah supaya apa yang dikatakan nabi-nabi ini tidak berlaku kepada saudara semua, ‘Dengarlah hai orang yang menghina Allah! Kamu akan kehairanan lalu binasa! Apa yang Aku lakukan pada masa ini tidak akan kamu percayai, meskipun orang menerangkannya kepada kamu!’ ” Apabila Paulus dan Barnabas meninggalkan rumah ibadat itu, orang Yahudi meminta mereka datang kembali pada hari Sabat yang berikutnya, untuk memberitahu mereka perkara-perkara itu lagi. Apabila perhimpunan di rumah ibadat berakhir, banyak orang Yahudi dan orang bangsa lain yang menganut agama Yahudi, mengikut Paulus dan Barnabas. Rasul-rasul itu menasihati mereka supaya terus-menerus hidup bersandar kepada rahmat Allah. Pada hari Sabat berikutnya, hampir semua orang di bandar itu datang mendengar firman Tuhan. Apabila orang Yahudi melihat orang ramai itu, mereka iri hati. Mereka menentang kata-kata Paulus dan menghina dia. Tetapi Paulus dan Barnabas berkata-kata dengan lebih berani lagi. Mereka berkata, “Firman Allah memang harus disampaikan kepada kamu terlebih dahulu. Tetapi kerana kamu menolak firman-Nya, dan menganggap diri kamu tidak layak menerima hidup sejati dan kekal, kami akan meninggalkan kamu lalu pergi kepada bangsa lain. Hal itu demikian kerana inilah perintah yang diberikan oleh Tuhan kepada kami, ‘Aku sudah menetapkan supaya kamu menjadi cahaya bagi bangsa bukan Yahudi, dan melalui kamu, Allah akan menyelamatkan seluruh dunia.’ ” Apabila orang bukan Yahudi mendengar kata-kata itu, mereka bersukacita dan memuji firman Tuhan. Mereka yang sudah dipilih oleh Allah untuk menerima hidup sejati dan kekal, pun percaya kepada Yesus. Firman Tuhan tersebar ke serata tempat di daerah itu. Tetapi orang Yahudi menghasut pembesar-pembesar kota itu dan wanita-wanita terkemuka bangsa asing yang takut akan Allah. Mereka mula menganiaya Paulus dan Barnabas, dan menghalau mereka berdua dari daerah itu. Rasul-rasul itu mengebaskan debu pada kaki mereka di hadapan orang di situ sebagai amaran, lalu pergi ke Ikonium. Tetapi pengikut-pengikut Yesus di Antiokhia sangat bersukacita dan mereka dikuasai oleh Roh Allah. Hal yang sama juga berlaku di Ikonium. Paulus dan Barnabas masuk ke rumah ibadat orang Yahudi dan berkata-kata sedemikian rupa sehingga banyak orang Yahudi dan orang bangsa lain percaya kepada Yesus. Tetapi orang Yahudi yang tidak mahu percaya kepada Yesus, menghasut orang bangsa lain sehingga mereka membenci orang yang percaya kepada Yesus. Rasul-rasul tinggal lama di situ dan berkata-kata dengan berani tentang Tuhan. Tuhan pun membuktikan bahawa perkhabaran mereka tentang kasih-Nya itu benar dengan memberi mereka kuasa melakukan mukjizat dan perkara-perkara yang luar biasa. Penduduk di bandar itu terbahagi menjadi dua golongan: ada yang berpihak kepada orang Yahudi dan ada yang berpihak kepada rasul-rasul itu. Lalu orang Yahudi dan orang bukan Yahudi bersama-sama para pemimpin mereka bersepakat untuk menganiaya dan merejam rasul-rasul itu. Apabila rasul-rasul mengetahui hal itu, mereka lari ke Listra dan Derbe, bandar-bandar di Likaonia dan ke daerah di sekitarnya. Di situ mereka mengkhabarkan Berita Baik itu. Di Listra ada seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak lahir dan dia tidak pernah berjalan. Dia duduk di situ dan mendengarkan kata-kata Paulus. Paulus melihat bahawa orang itu dapat disembuhkan kerana dia percaya. Oleh itu Paulus menatap dia dan berkata dengan suara lantang, “Berdirilah tegak!” Orang itu melompat berdiri dan mula berjalan. Apabila orang ramai melihat apa yang telah dilakukan oleh Paulus, mereka mula berseru dalam bahasa Likaonia, “Lihatlah, dewa-dewa sudah menjadi seperti manusia dan turun ke dunia.” Barnabas dinamakan Zeus, dan Paulus dinamakan Hermes kerana dia yang berkata-kata. Imam dewa Zeus, yang kuilnya terletak di luar bandar, datang membawa lembu jantan dan bunga ke pintu gerbang. Dia dan orang ramai hendak mempersembahkan korban kepada rasul-rasul itu. Apabila Barnabas dan Paulus mendengar apa yang akan dilakukan oleh orang di situ, mereka mengoyak-ngoyak pakaian lalu berlari ke tengah-tengah orang ramai sambil berseru, “Mengapa kamu melakukan hal ini? Kami pun manusia seperti kamu semua! Kami datang di sini untuk mengkhabarkan Berita Baik supaya kamu meninggalkan berhala-berhala yang tidak berguna itu, lalu datang kepada Allah yang hidup, Pencipta langit, bumi, dan laut serta semua yang ada di dalamnya. Pada masa yang lampau Allah membiarkan semua orang mengikut kemahuan masing-masing. Tetapi Allah sentiasa memberikan bukti-bukti tentang diri-Nya dengan perkara-perkara baik yang dilakukan-Nya. Dia mengurniai kamu hujan dari langit serta hasil bumi pada musimnya. Dia mengurniai kamu makanan serta menyenangkan hati kamu.” Walaupun rasul-rasul berkata demikian, masih sukar juga mereka mencegah orang ramai mempersembahkan korban kepada mereka. Beberapa orang Yahudi yang datang dari Antiokhia di Pisidia dan juga dari Ikonium mempengaruhi orang ramai sehingga berpihak kepada mereka. Mereka merejam Paulus, lalu menyeret dia ke luar bandar. Mereka menyangka Paulus sudah mati. Tetapi apabila pengikut Yesus di situ berkumpul di sekeliling Paulus, dia bangun lalu masuk kembali ke bandar. Keesokan harinya dia dan Barnabas berangkat ke Derbe. Di Derbe, Paulus dan Barnabas mengkhabarkan Berita Baik dan banyak orang menjadi pengikut Yesus. Kemudian mereka kembali ke Listra, lalu pergi ke Ikonium dan kemudian ke Antiokhia di Pisidia. Mereka menguatkan hati pengikut-pengikut di situ dan menggalakkan mereka supaya tetap percaya kepada Yesus. Rasul-rasul itu berkata, “Kita harus mengalami banyak penderitaan supaya kita dapat menikmati Pemerintahan Allah.” Paulus dan Barnabas melantik pemimpin-pemimpin bagi setiap jemaah, lalu dengan berdoa dan berpuasa mereka menyerahkan jemaah kepada pemeliharaan Tuhan yang dipercayai oleh mereka. Setelah Paulus dan Barnabas menjelajah daerah Pisidia, mereka sampai ke Pamfilia. Mereka mengkhabarkan Berita Baik di Perga, lalu mereka pergi ke Atalia. Dari situ mereka belayar kembali ke Antiokhia. Dahulu di kota itu mereka diserahkan kepada Allah yang akan memelihara mereka dengan penuh kasih, supaya dapat menjalankan tugas yang sekarang sudah diselesaikan. Apabila mereka tiba di Antiokhia, mereka mengumpulkan jemaah di situ dan menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh Allah melalui mereka. Mereka memberitahu bahawa Allah sudah membuka jalan supaya orang bukan Yahudi percaya kepada Yesus. Paulus dan Barnabas tinggal lama dengan pengikut-pengikut Yesus di situ. Beberapa orang dari Yudea datang ke Antiokhia dan mula mengajar pengikut Yesus di situ, “Kamu tidak dapat diselamatkan jika kamu tidak disunat menurut Taurat Musa.” Tetapi Paulus dan Barnabas menentang keras ajaran mereka itu. Akhirnya Paulus dan Barnabas dipilih supaya pergi ke Yerusalem dengan beberapa orang lain dari Antiokhia untuk membincangkan masalah itu dengan rasul-rasul dan para pemimpin jemaah di situ. Lalu jemaah di Antiokhia menghantar mereka sampai ke luar bandar. Sementara mereka melalui daerah Fenisia dan Samaria, mereka memberitahu bahawa orang bukan Yahudi sudah percaya kepada Allah. Berita ini menggembirakan semua pengikut Yesus di situ. Apabila Paulus dan Barnabas tiba di Yerusalem, mereka disambut oleh jemaah, para rasul, dan pemimpin jemaah. Lalu Paulus dan Barnabas menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh Allah melalui mereka. Tetapi beberapa orang Farisi yang percaya kepada Yesus, berdiri dan berkata, “Orang bukan Yahudi yang percaya kepada Yesus harus disunat dan diwajibkan menurut Taurat Musa.” Lalu para rasul dan pemimpin jemaah berkumpul untuk membincangkan masalah itu. Setelah berbincang lama sekali, akhirnya Petrus berdiri dan berkata, “Saudara-saudara tentu tahu bahawa beberapa waktu yang lalu Allah memilih saya daripada kalangan saudara untuk mengkhabarkan Berita Baik itu kepada orang bukan Yahudi, supaya mereka pun boleh mendengar dan percaya. Allah yang mengenal hati manusia sudah menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada orang bukan Yahudi dengan mengurniakan Roh Allah kepada mereka seperti yang sudah dikurniakan-Nya kepada kita. Allah tidak membeza-bezakan orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi. Dia mengampunkan dosa mereka kerana mereka percaya. Oleh itu, mengapakah saudara-saudara mahu mencubai Allah dengan membebani pengikut-pengikut ini dengan kewajipan berat yang baik nenek moyang kita mahupun kita sendiri tidak sanggup melakukannya? Janganlah berbuat demikian! Kita percaya dan diselamatkan kerana rahmat Tuhan Yesus; demikianlah Allah menyelamatkan mereka juga.” Semua orang yang berkumpul di situ diam, sementara mendengarkan laporan Barnabas dan Paulus tentang segala mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Allah di kalangan orang bukan Yahudi melalui mereka. Setelah mereka selesai memberikan laporan, Yakobus berkata, “Saudara-saudara, dengarlah! Simon baru sahaja menerangkan bagaimana Allah pada mulanya menunjukkan kasih-Nya kepada orang bukan Yahudi dengan memilih suatu kelompok di kalangan mereka untuk menjadi umat-Nya. Hal ini sesuai dengan nubuat nabi-nabi, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Setelah itu Aku akan kembali, firman Tuhan, Aku akan membina semula rumah Daud yang sudah roboh, dan memperbaiki runtuhannya. Aku akan menegakkannya semula, supaya semua orang yang lain akan mencari Aku, semua bangsa lain yang bukan Yahudi sudah Aku panggil untuk menjadi umat-Ku. Demikianlah firman Tuhan yang telah menyatakan hal ini sejak dahulu.’ ” Yakobus melanjutkan kata-katanya, “Menurut pendapat saya, kita tidak boleh menyusahkan orang bukan Yahudi yang percaya kepada Allah. Sebaliknya, kita harus menulis sepucuk surat untuk menasihati mereka supaya tidak makan makanan yang najis di sisi agama kerana sudah dipersembahkan kepada berhala, atau makan daging binatang yang mati dicekik, atau makan darah. Mereka harus menjauhkan diri juga daripada perbuatan cabul. Hal itu demikian, kerana sejak dahulu Taurat Musa telah dibacakan di rumah-rumah ibadat pada setiap hari Sabat, dan diberitakan di setiap kota.” Kemudian para rasul dan pemimpin jemaah bersama-sama jemaah itu membuat keputusan untuk memilih beberapa orang di kalangan mereka dan mengutus mereka ke Antiokhia bersama-sama Paulus dan Barnabas. Lalu mereka memilih Silas dan Yudas yang juga disebut Barsabas. Kedua-dua orang itu sangat dihormati oleh pengikut Yesus di Yerusalem. Sepucuk surat yang berbunyi sebagai berikut dikirim melalui mereka, “Kepada semua saudara yang berasal daripada bangsa bukan Yahudi, yang tinggal di Antiokhia, Siria, dan Kilikia. Salam daripada kami, rasul-rasul, pemimpin-pemimpin jemaah, dan jemaah di sini. Kami mendengar bahawa beberapa orang daripada kalangan kami sudah menyusahkan dan membingungkan saudara semua dengan ajaran mereka. Padahal kami tidak menyuruh mereka melakukan hal itu. Oleh itu kami bermesyuarat dan bersetuju memilih beberapa orang lalu mengutus mereka kepada saudara semua. Mereka akan pergi dengan Barnabas dan Paulus. Kedua-dua orang saudara yang kami kasihi itu sudah mempertaruhkan nyawa kerana mengabdikan diri kepada Tuhan kita Yesus Kristus. Kami mengutus Yudas dan Silas, lalu mereka akan memberitahukan hal yang sama, seperti yang kami tuliskan dalam surat ini. Roh Allah dan kami bersetuju bahawa kami tidak perlu membebani saudara semua dengan kewajipan lain, kecuali yang mustahak sahaja: Janganlah makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala; jangan makan darah; jangan makan daging binatang yang mati dicekik, dan jauhkan diri daripada perbuatan cabul. Jika saudara semua tidak melakukan perkara-perkara itu, saudara-saudara berbuat yang betul. Sekian sahaja dan salam bahagia.” Mereka yang diutus itu berangkat ke Antiokhia. Di situ mereka mengumpulkan semua pengikut Yesus lalu menyampaikan surat itu. Apabila jemaah membaca surat itu, mereka bersukacita kerana surat itu menggalakkan mereka. Yudas dan Silas, yang kedua-duanya nabi, bercakap lama sekali dengan mereka untuk memberikan semangat dan keberanian. Setelah Yudas dan Silas tinggal di situ beberapa lama, jemaah di Antiokhia menyuruh mereka kembali dengan sejahtera kepada orang yang mengutus mereka. [ Tetapi Silas mengambil keputusan untuk tetap tinggal di situ.] Paulus dan Barnabas pun tinggal di Antiokhia beberapa lama. Di situ mereka mengajar dan menyampaikan firman Tuhan bersama-sama banyak orang lain. Beberapa lama kemudian Paulus berkata kepada Barnabas, “Marilah kita lawat semula saudara-saudara yang percaya kepada Yesus di semua kota yang sudah kita sampaikan firman Tuhan. Marilah kita lihat sama ada mereka tetap percaya kepada Tuhan.” Barnabas hendak membawa Yohanes Markus, tetapi Paulus tidak bersetuju untuk membawanya, kerana Markus meninggalkan mereka di Pamfilia, dan tidak menyertai mereka menyelesaikan tugas. Oleh itu Paulus dan Barnabas bertengkar dengan sengit sehingga akhirnya mereka berpisah. Barnabas membawa Markus bersama-samanya lalu belayar ke Siprus. Paulus memilih Silas, lalu berangkat dengan dia setelah jemaah di Antiokhia menyerahkan mereka kepada rahmat Tuhan. Mereka menjelajahi daerah Siria dan Kilikia, serta menguatkan jemaah di situ. Paulus meneruskan perjalanan ke Derbe dan kemudian ke Listra. Seorang pengikut Yesus bernama Timotius tinggal di situ. Ibunya, orang Yahudi yang sudah percaya kepada Yesus; tetapi bapanya orang Yunani. Semua pengikut Yesus yang tinggal di Listra dan Ikonium memuji Timotius. Paulus hendak membawa Timotius dengannya. Oleh itu Paulus menyunat Timotius, kerana semua orang Yahudi di daerah itu tahu bahawa bapa Timotius orang Yunani. Di setiap kota yang dikunjungi, mereka menyampaikan peraturan yang sudah ditetapkan oleh para rasul dan pemimpin jemaah di Yerusalem. Jemaah dinasihati supaya menurut peraturan itu. Oleh itu iman jemaah semakin teguh dan setiap hari bilangan mereka semakin bertambah. Kerana Roh Allah tidak membenarkan mereka memberitakan firman Allah di wilayah Asia, mereka menjelajah daerah Frigia dan Galatia. Apabila mereka tiba di perbatasan Misia, mereka mencuba masuk ke wilayah Bitinia, tetapi Roh Yesus tidak membenarkan mereka. Oleh itu mereka terus pergi ke Troas melalui Misia. Pada malam itu dalam suatu penglihatan Paulus melihat seorang Makedonia berdiri di hadapannya dan memohon, “Marilah datang ke Makedonia dan tolonglah kami!” Setelah Paulus melihat penglihatan itu, kami bersependapat bahawa Allah telah menyuruh kami mengkhabarkan Berita Baik kepada orang di situ. Oleh itu kami segera bersiap-siap untuk berangkat ke Makedonia. Kami meninggalkan Troas lalu langsung belayar ke Samotrake, dan hari berikutnya ke Neapolis. Dari situ kami menuju ke Filipi, sebuah kota di daerah pertama negeri Makedonia. Filipi juga jajahan Empayar Roma. Di situ kami tinggal beberapa hari. Pada hari Sabat kami ke luar bandar dan pergi ke tepi sungai, kerana kami berfikir di situ terdapat tempat orang Yahudi berdoa. Kami duduk dan bercakap dengan wanita-wanita yang berkumpul di situ. Salah seorang pendengar kami bernama Lidia, pedagang kain ungu yang mahal. Dia berasal dari Tiatira dan dia mengasihi Allah. Oleh itu Tuhan membuka fikirannya sehingga dia menyambut ajaran Paulus. Lidia dan seisi rumahnya dibaptis. Setelah itu dia menjemput kami ke rumahnya. Dia berkata, “Jika saudara-saudara yakin bahawa saya benar-benar percaya kepada Tuhan, marilah menumpang di rumah saya.” Dia mendesak supaya kami pergi ke rumahnya. Pada suatu hari, kami sedang pergi ke tempat orang berdoa, apabila kami berjumpa dengan seorang hamba wanita. Dia dirasuk oleh roh jahat yang membolehkan dia meramalkan peristiwa yang akan datang. Dengan meramalkan nasib orang, dia mendatangkan keuntungan yang besar bagi pemilik-pemiliknya. Wanita itu mengikuti Paulus dan kami sambil berseru, “Mereka hamba Allah Yang Maha Tinggi! Mereka datang untuk memberitahu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!” Selama beberapa hari wanita itu terus-menerus berseru demikian, sehingga Paulus menjadi marah, lalu berpaling dan berkata kepada roh itu, “Demi nama Yesus Kristus aku memerintah engkau keluar daripada wanita ini!” Pada saat itu juga roh itu meninggalkan wanita itu. Apabila pemilik-pemiliknya sedar bahawa kesempatan untuk mendapat wang sudah lenyap, mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret kedua-dua mereka menghadap pihak berkuasa di padang kota. Mereka menghadapkan Paulus dan Silas kepada pegawai-pegawai kerajaan Roma dan berkata, “Kedua-dua orang ini orang Yahudi. Mereka menyebabkan kekacauan di kota kita. Mereka mengajarkan adat resam yang bertentangan dengan hukum kita. Kita orang Roma dan tidak dapat menerima atau menurut adat resam itu!” Orang ramai pun turut menyerang Paulus dan Silas. Pegawai-pegawai kerajaan mengoyak pakaian Paulus dan Silas lalu menyuruh orang mencambuk mereka. Setelah mereka dicambuk dengan teruk, mereka dimasukkan ke dalam penjara. Ketua penjara disuruh menjaga mereka dengan ketat. Setelah menerima perintah itu, ketua penjara itu menahan mereka di bilik penjara yang paling dalam, dan mengenakan pasung pada kaki mereka. Kira-kira tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan menyanyikan puji-pujian kepada Allah. Orang tahanan yang lain mendengar mereka. Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang kuat sekali, sehingga asas penjara itu bergoncang. Semua pintu penjara terbuka dan rantai yang membelenggu semua orang tahanan pun terlepas. Ketua penjara itu terjaga, dan apabila dia nampak pintu-pintu penjara terbuka, dia menyangka semua orang tahanan sudah lari. Oleh itu dia menghunus pedang untuk membunuh diri. Tetapi Paulus berseru dengan kuat sekali, “Jangan bunuh diri! Kami semua masih di sini!” Ketua penjara itu meminta suluh lalu lari ke dalam, dan dengan gementar dia menjatuhkan diri pada kaki Paulus dan Silas. Kemudian ketua penjara itu membawa mereka keluar dan berkata, “Tuan-tuan, apakah yang harus saya lakukan supaya diselamatkan?” Paulus dan Silas menjawab, “Percayalah kepada Tuhan Yesus, lalu kamu akan diselamatkan - kamu dan keluargamu!” Lalu Paulus dan Silas menerangkan firman Tuhan kepada ketua penjara itu dan kepada semua orang di rumahnya. Pada malam itu juga, ketua penjara itu membawa mereka ke suatu tempat dan membasuh luka-luka mereka. Lalu dia dan keluarganya dibaptis. Kemudian dia membawa Paulus dan Silas ke rumahnya lalu memberi mereka makanan. Ketua penjara itu dan keluarganya bersukacita kerana mereka sekarang percaya kepada Allah. Keesokan paginya, pegawai-pegawai kerajaan Roma menyuruh pegawai-pegawai polis ke penjara untuk menyampaikan perintah supaya Paulus dan Silas dibebaskan. Ketua penjara itu memberitahu Paulus, “Pergilah dengan sejahtera, kerana pegawai-pegawai kerajaan sudah memberikan perintah supaya tuan berdua dibebaskan.” Tetapi Paulus berkata kepada pegawai-pegawai polis itu, “Kami warganegara Roma! Kami tidak didapati bersalah, tetapi kami sudah dicambuk di hadapan orang ramai, lalu dimasukkan ke dalam penjara. Sekarang mereka mahu menyuruh kami pergi dengan diam-diam! Kami tidak mahu! Pegawai-pegawai kerajaan Roma itu sendiri harus ke mari dan membebaskan kami.” Pegawai-pegawai polis itu melaporkan hal itu kepada pegawai-pegawai kerajaan Roma. Apabila mereka mendengar bahawa Paulus dan Silas warganegara Roma, mereka takut. Oleh itu mereka datang meminta maaf. Kemudian mereka memimpin Paulus dan Silas keluar dari penjara, dan meminta supaya mereka meninggalkan kota itu. Paulus dan Silas meninggalkan penjara itu lalu pergi ke rumah Lidia. Di situ mereka berjumpa dengan pengikut-pengikut Yesus, dan setelah menggalakkan orang di situ, Paulus dan Silas berangkat. Paulus dan Silas meneruskan perjalanan melalui Amfipolis dan Apolonia, lalu tiba di Tesalonika. Di situ terdapat rumah ibadat orang Yahudi. Seperti yang biasa dilakukan oleh Paulus, dia pergi ke rumah ibadat, dan berbincang dengan orang di situ tentang ayat-ayat Alkitab. Dia melakukan hal itu selama tiga hari Sabat berturut-turut. Dia menjelaskan ayat-ayat Alkitab itu dan membuktikan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan dan bangkit daripada kematian. Paulus berkata bahawa Yesus yang diberitakannya kepada mereka itu Penyelamat yang diutus oleh Allah. Beberapa orang antara mereka percaya kepada kata-kata Paulus lalu mengikut Paulus dan Silas; begitu juga sebilangan besar orang Yunani yang takut akan Allah, dan banyak lagi wanita terkemuka. Tetapi orang Yahudi iri hati, lalu mengumpulkan pengacau di jalan-jalan dan membentuk kumpulan perusuh. Lalu mereka menimbulkan kekacauan di seluruh kota itu dan menyerbu rumah Yason untuk mencari Paulus dan Silas. Mereka hendak membawa Paulus dan Silas menghadap orang ramai. Tetapi apabila mereka tidak dapat menjumpai Paulus dan Silas, mereka menyeret Yason dan beberapa orang pengikut Yesus lainnya ke hadapan pihak berkuasa di kota itu dan berseru, “Semua orang ini sudah menimbulkan kekacauan di serata tempat. Sekarang mereka datang ke kota kita, dan Yason menyambut mereka di rumahnya. Mereka semua melanggar hukum Kaisar Roma, kerana mereka berkata bahawa ada raja lain yang bernama Yesus.” Dengan kata-kata itu mereka menimbulkan kegemparan di kalangan orang ramai dan pihak berkuasa kota itu. Lalu pihak berkuasa menyuruh Yason dan pengikut Yesus lainnya membayar ikat jamin. Setelah itu mereka dibenarkan pergi. Pada malam itu pengikut Yesus di kota itu menyuruh Paulus dan Silas pergi ke Berea. Sebaik sahaja tiba di situ, mereka pergi ke rumah ibadat orang Yahudi. Fikiran orang di situ lebih terbuka daripada fikiran orang di Tesalonika. Mereka suka sekali mendengar perkhabaran tentang Yesus, dan tiap-tiap hari mereka mengkaji Alkitab untuk mengetahui sama ada ajaran Paulus itu benar. Banyak antara mereka percaya kepada Yesus. Banyak wanita Yunani yang terkemuka, dan orang lelaki Yunani yang percaya kepada Yesus. Apabila orang Yahudi di Tesalonika mendengar bahawa Paulus mengkhabarkan firman Allah di Berea juga, mereka pun datang dan mula menghasut orang ramai supaya merusuh. Dengan segera pengikut Yesus di situ menghantar Paulus ke pantai, tetapi Silas dan Timotius tetap tinggal di Berea. Setelah menghantar Paulus sampai ke Atena, pengikut Yesus dari Berea kembali dengan membawa arahan daripada Paulus supaya Silas dan Timotius menyusul dia secepat mungkin. Sementara Paulus menantikan Silas dan Timotius di Atena, hatinya sedih melihat kota itu penuh dengan berhala. Oleh itu dia berbincang dengan orang Yahudi di rumah ibadat dan dengan orang bukan Yahudi yang menyembah Allah. Setiap hari Paulus berbincang dengan sesiapa sahaja yang lalu di padang kota dan mahu mendengarkan dia. Beberapa orang guru yang mengikut faham Epikuros dan faham Stoa, berdebat dengan Paulus. Beberapa orang antara mereka bertanya, “Orang ini tahu apa? Pengetahuannya cetek, tetapi berlagak pandai!” Yang lain menjawab, “Nampaknya dia bercakap tentang dewa bangsa asing.” Mereka berkata demikian kerana Paulus berkata-kata tentang Yesus dan tentang kebangkitan daripada kematian. Oleh itu mereka membawa Paulus ke mesyuarat Areopagus. Di situ mereka berkata, “Kami ingin mendengar ajaran baru yang kamu beritakan itu. Beberapa perkara yang kamu kemukakan itu aneh pada pendengaran kami. Oleh itu kami ingin mengetahui maknanya.” ( Mereka berkata demikian, kerana semua orang Atena dan orang bangsa asing yang tinggal di situ suka sekali menghabiskan masa dengan mendengar dan menceritakan hal-hal yang paling mutakhir.) Lalu Paulus berdiri di hadapan orang yang berkumpul di Areopagus dan berkata, “Saudara-saudara orang Atena! Saya melihat bahawa dalam segala hal, saudara-saudara sangat menghormati dewa-dewa. Pada masa saya menjelajahi bandar dan melihat tempat ibadat saudara semua, saya menjumpai sebuah mazbah yang bertuliskan, ‘Kepada Allah Yang Tidak Dikenal’. Sebenarnya, Allah yang saudara-saudara sembah tetapi tidak saudara-saudara kenal, Dialah yang sekarang saya beritakan kepada saudara semua. Allah yang menjadikan dunia ini dengan segala isinya, Dialah Tuhan langit dan bumi. Dia tidak tinggal di dalam kuil-kuil yang dibuat oleh manusia. Dia juga tidak memerlukan pertolongan manusia, kerana Dialah yang memberikan hidup dan nafas serta segala sesuatu kepada manusia. Daripada seorang manusia, Dia menjadikan semua bangsa dan menyuruh mereka mendiami seluruh bumi. Sejak permulaan Dia juga menetapkan masa dan tempat mereka boleh hidup. Allah berbuat demikian supaya mereka mencari Dia, dan mudah-mudahan mereka menjumpai Dia semasa mereka mencari-cari Dia. Tetapi sebenarnya Allah tidak jauh daripada kita masing-masing, dan kerana Dia, kita hidup dan bergerak dan ada di dunia ini. Beberapa orang penyair saudara semua juga berkata, ‘Kita semua anak-Nya.’ Kerana kita anak Allah, kita tidak boleh menganggap Allah seperti patung yang dibuat daripada emas atau perak atau batu, yang direka bentuk menurut kemahiran manusia. Allah tidak mahu mengingat masa kita tidak mengenal Dia dahulu, tetapi sekarang Dia menyuruh semua orang di seluruh dunia bertaubat daripada cara hidup yang jahat. Hal itu demikian kerana Dia sudah menetapkan suatu hari untuk mengadili seluruh dunia ini dengan adil. Tugas itu akan dilakukan oleh satu orang yang sudah dipilih-Nya. Supaya semua orang yakin akan hal itu, Allah sudah membangkitkan orang itu daripada kematian!” Apabila orang di situ mendengar Paulus berkata tentang kebangkitan daripada kematian, beberapa orang antara mereka mengolok-olokkan dia. Tetapi yang lain berkata, “Kami ingin mendengar saudara bercakap tentang hal ini lagi.” Lalu Paulus meninggalkan mesyuarat itu. Beberapa orang mengikut Paulus dan percaya kepada Yesus. Antara mereka termasuk Dionisius, anggota mesyuarat Areopagus dan seorang wanita bernama Damaris serta beberapa orang lain. Setelah itu Paulus meninggalkan Atena dan pergi ke Korintus. Di situ dia berjumpa dengan seorang Yahudi bernama Akwila, yang dilahirkan di negeri Pontus. Akwila baru sahaja datang dari Italia dengan isterinya, Priskila. Mereka datang ke Korintus kerana Kaisar Klaudius mengusir semua orang Yahudi dari Roma. Paulus pergi menjumpai Akwila dan Priskila, lalu tinggal dan bekerja bersama-sama mereka, kerana mereka dan Paulus sama-sama menyara hidup dengan membuat khemah. Setiap hari Sabat, Paulus mengadakan perbincangan dengan orang yang berkumpul di rumah ibadat untuk meyakinkan orang Yahudi mahupun orang Yunani tentang Yesus. Setelah Silas dan Timotius tiba dari Makedonia, Paulus menggunakan seluruh masanya untuk memberitakan perkhabaran daripada Allah. Dia memberikan kesaksian kepada orang Yahudi bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah. Tetapi mereka menentang dan menghina Paulus. Oleh itu Paulus mengebaskan debu daripada pakaiannya sebagai amaran kepada mereka dan berkata, “Jika kamu binasa, kamu sendiri yang bertanggungjawab. Aku tidak bertanggungjawab terhadap hal itu. Mulai sekarang aku akan pergi kepada orang bukan Yahudi.” Lalu Paulus meninggalkan mereka dan pergi tinggal di rumah seorang bukan Yahudi yang bernama Titius Yustus. Dia menyembah Allah, dan rumahnya di sebelah rumah ibadat itu. Krispus, ketua rumah ibadat itu dengan semua anggota keluarganya percaya kepada Tuhan Yesus. Banyak orang lain di Korintus juga mendengar berita daripada Allah, dan mereka percaya kepada Yesus lalu dibaptis. Pada suatu malam dalam suatu penglihatan, Tuhan berfirman kepada Paulus, “Janganlah takut! Berkata-katalah terus dan jangan berhenti, kerana Aku menyertai engkau. Tidak seorang pun dapat mencederakan engkau, kerana banyak orang di kota ini umat-Ku.” Oleh itu Paulus tinggal di Korintus selama setahun setengah, dan mengajarkan perkhabaran daripada Allah kepada orang di situ. Semasa Galio menjadi gabenor negeri Akhaya, orang Yahudi bersatu padu untuk menangkap Paulus dan membawa dia ke hadapan gabenor untuk diadili. Mereka mengajukan tuduhan ini, “Orang ini berusaha mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Allah dengan cara yang bertentangan dengan hukum kami!” Apabila Paulus hendak menjawab, Galio berkata kepada orang Yahudi di situ, “Jika perkara ini tentang kesalahan atau perbuatan jenayah, bolehlah aku bersabar dan mendengarkan aduan kamu. Tetapi kamu bertengkar tentang kata dan nama serta hukum kamu sendiri. Oleh itu kamu harus menyelesaikan masalah itu sendiri. Aku tidak mahu mengadili perkara semacam ini!” Lalu Galio mengusir mereka ke luar. Kemudian mereka menangkap Sostenes, ketua rumah ibadat itu lalu memukul dia di hadapan mahkamah. Tetapi Galio sama sekali tidak mempedulikan hal itu. Paulus tinggal dengan pengikut Yesus di Korintus selama beberapa hari lagi. Kemudian dia meninggalkan mereka lalu belayar dengan Priskila dan Akwila ke Siria. Sebelum bertolak, Paulus mencukur rambutnya di Kengkrea kerana telah bernazar. Apabila mereka tiba di Efesus, Paulus meninggalkan Priskila dan Akwila. Kemudian dia masuk ke rumah ibadat dan mengadakan perbincangan dengan orang Yahudi. Mereka meminta supaya Paulus tinggal lebih lama di situ, tetapi Paulus tidak mahu. Pada waktu berangkat, Paulus berkata kepada mereka, “Jika diperkenankan oleh Allah, aku akan kembali.” Setelah itu dia belayar dari Efesus. Apabila dia tiba di Kaisarea, dia melanjutkan perjalanan ke Yerusalem untuk memberikan salam kepada jemaah di situ, lalu dia pergi ke Antiokhia. Setelah tinggal beberapa lama di Antiokhia dia mengunjungi daerah Galatia dan Frigia untuk meneguhkan iman semua pengikut Yesus di situ. Pada waktu itu seorang Yahudi bernama Apolos, yang lahir di Aleksandria, datang ke Efesus. Dia pandai berpidato dan sangat memahami isi Alkitab. Dia telah mendalami ajaran tentang Yesus. Dengan penuh kesungguhan, dia mengisytiharkan dan mengajarkan ajaran tentang Yesus dengan betul. Tetapi dia hanya mengetahui baptisan yang diajarkan oleh Yohanes. Dengan berani Apolos mula berkata-kata di rumah ibadat. Apabila Priskila dan Akwila mendengar dia, mereka membawa dia ke rumah. Mereka menerangkan penyelamatan Allah melalui Yesus dengan lebih tepat lagi. Kemudian Apolos mahu pergi ke Akhaya. Oleh itu pengikut Yesus di Efesus menolong dia dengan menulis sepucuk surat kepada pengikut Yesus di Akhaya, supaya mereka menyambut Apolos. Apabila Apolos tiba di situ, dia sangat menolong orang yang dengan rahmat Allah, percaya kepada Yesus. Dengan penuh wibawa Apolos mengalahkan orang Yahudi dalam perdebatan di hadapan umum. Dengan mengutip ayat-ayat Alkitab, dia membuktikan bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah. Sementara Apolos tinggal di Korintus, Paulus menjelajah kawasan pedalaman daerah itu lalu tiba di Efesus. Di situ dia berjumpa dengan beberapa orang yang percaya kepada Yesus. Dia bertanya kepada mereka, “Sudahkah kamu menerima Roh Allah pada waktu kamu percaya kepada Yesus?” Mereka menjawab, “Kami belum pernah mendengar bahawa ada Roh Allah.” “Jika demikian, dengan baptisan apakah kamu dibaptis?” tanya Paulus. “Dengan baptisan seperti yang diajarkan oleh Yohanes,” jawab mereka. Lalu Paulus berkata, “Yohanes membaptis orang untuk menyatakan mereka sudah bertaubat daripada dosa. Dia memberitahu orang Israel supaya percaya kepada Orang yang akan datang kemudian daripadanya; Orang itu Yesus.” Apabila mereka mendengar hal itu, mereka dibaptis demi nama Tuhan Yesus. Ketika Paulus meletakkan tangannya ke atas kepala mereka, Roh Allah menguasai mereka, lalu mereka bertutur dalam bahasa-bahasa yang ajaib, serta menyampaikan perkhabaran Allah. Mereka semuanya kira-kira dua belas orang. Selama tiga bulan, dengan berani Paulus terus-menerus berkata-kata kepada orang di rumah ibadat. Dia berbincang dengan mereka dan berusaha untuk meyakinkan mereka tentang Pemerintahan Allah. Tetapi beberapa orang antara mereka degil dan tidak mahu percaya. Di hadapan semua orang mereka mencerca rancangan Allah untuk menyelamatkan manusia melalui Yesus. Oleh itu Paulus meninggalkan mereka, lalu pergi dengan beberapa orang pengikut Yesus lainnya ke dewan syarahan Tiranus. Setiap hari Paulus mengadakan perbincangan di situ. Perkara ini berlaku selama dua tahun sehingga semua orang yang tinggal di wilayah Asia, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi mendengar firman Tuhan. Allah melakukan mukjizat yang luar biasa melalui Paulus. Bahkan sapu tangan dan kain yang pernah dipakai oleh Paulus pun dibawa kepada orang sakit, lalu mereka sembuh dan roh jahat keluar daripada mereka. Beberapa orang Yahudi yang pergi ke serata tempat dan mengusir roh jahat, cuba menggunakan nama Tuhan Yesus untuk mengusir roh jahat. Mereka berkata kepada roh-roh jahat, “Aku mengusir kamu demi nama Yesus yang diberitakan oleh Paulus.” Tujuh orang lelaki, iaitu anak-anak ketua imam Yahudi bernama Skewa berbuat demikian. Tetapi roh jahat berkata kepada mereka, “Yesus aku kenal, Paulus pun aku kenal, tetapi siapakah kamu?” Lalu orang yang dirasuk roh jahat itu menyerang mereka dengan ganas dan mengalahkan mereka. Dia mencederakan mereka dan mengoyak-ngoyak pakaian mereka, sehingga mereka lari dari rumahnya. Semua orang Yahudi dan orang bukan Yahudi yang tinggal di Efesus mendengar peristiwa itu, lalu mereka menjadi takut. Oleh itu nama Tuhan Yesus semakin dipuji-puji. Banyak orang yang sudah percaya kepada Yesus, datang ke hadapan umum untuk mengakui perbuatan jahat mereka pada masa lampau. Mereka yang biasa mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan buku-buku mereka dan membakar semua itu di hadapan orang ramai. Apabila dijumlahkan, harga semua buku itu kira-kira lima puluh ribu keping wang perak. Melalui semua peristiwa yang luar biasa itu firman Tuhan semakin tersebar luas dan semakin banyak orang percaya kepada Yesus. Setelah semua peristiwa itu berlaku, Paulus mengambil keputusan untuk pergi ke Makedonia dan Akhaya lalu terus ke Yerusalem. “Setelah aku pergi ke sana,” katanya, “aku harus pergi ke Roma juga.” Oleh itu Paulus mengutus Timotius dan Erastus, dua orang daripada pembantunya, pergi ke Makedonia terlebih dahulu. Sementara itu Paulus tinggal lebih lama di wilayah Asia. Pada masa itulah berlaku rusuhan yang besar di Efesus kerana ajaran tentang Yesus. Di kota itu ada seorang tukang perak bernama Demetrius, yang biasa membuat model kuil Dewi Artemis. Usahanya mendatangkan penghasilan yang besar bagi pekerja-pekerjanya. Oleh itu dia mengumpulkan semua pekerjanya dan pekerja tukang perak yang lain, lalu berkata, “Saudara-saudara tahu bahawa kekayaan kita datangnya daripada pekerjaan ini. Sekarang saudara sekalian sudah melihat dan mendengar apa yang dilakukan oleh Si Paulus itu. Dia berkata bahawa berhala yang dibuat oleh manusia sama sekali bukan dewa. Dia berjaya meyakinkan banyak orang, bukan sahaja di Efesus, bahkan hampir di seluruh wilayah Asia. Hal itu membahayakan kerana perniagaan kita akan mendapat nama buruk. Bukan itu sahaja, bahkan orang tidak akan menghormati kuil Dewi Artemis lagi dan kebesarannya pun akan lenyap. Padahal Dewi Artemis disembah oleh semua orang di Asia dan di seluruh dunia!” Apabila mereka mendengar hal itu, mereka sangat marah dan mula berseru, “Hidup Artemis, dewi orang Efesus!” Rusuhan itu meluas ke seluruh kota. Kumpulan perusuh itu menangkap Gayus dan Aristarkhus, orang Makedonia yang menemani Paulus dalam perjalanannya, lalu menyeret mereka ke stadium kota itu. Paulus sendiri mahu menghadap orang ramai untuk berkata-kata kepada mereka, tetapi pengikut Yesus di situ tidak membenarkan dia. Beberapa orang pegawai kerajaan di daerah itu, yang bersahabat dengan Paulus, menyuruh orang memberitahu Paulus supaya tidak masuk ke stadium itu. Sementara itu, orang yang berkumpul di stadium menjadi kacau-bilau. Ada yang berteriak begini dan ada yang berteriak begitu, kerana kebanyakan orang tidak tahu mengapa mereka datang di situ. Beberapa orang menyangka bahawa Aleksander yang bertanggungjawab, kerana orang Yahudi menyuruh dia tampil ke muka. Aleksander memberikan isyarat dengan tangan supaya diberikan peluang untuk membela diri di hadapan orang ramai. Tetapi apabila mereka melihat bahawa dia orang Yahudi, selama dua jam mereka berseru dengan serentak, “Hidup Artemis, dewi orang Efesus!” Akhirnya setiausaha kota berjaya menenteramkan orang ramai. Dia berkata, “Hai penduduk Efesus! Semua orang tahu bahawa Efesuslah kota yang memelihara kuil Dewi Artemis dan batu suci yang jatuh dari langit. Tidak seorang pun dapat menafikan hal itu. Oleh itu bertenanglah dan jangan buat apa-apa dengan terburu-buru. Saudara-saudara membawa kedua-dua orang ini ke mari, walaupun mereka tidak merompak kuil, ataupun menghina dewi kita. Jika Demetrius dan pekerja-pekerjanya mahu mendakwa sesiapa, biarlah mereka membawa perkara itu ke mahkamah. Pada hari-hari tertentu orang boleh datang ke mahkamah dan para pegawai pun ada di situ. Tetapi jika ada apa-apa lagi yang saudara-saudara kehendaki, hal itu harus diselesaikan dalam mesyuarat umum yang sah. Oleh sebab apa yang berlaku hari ini, kita akan dituduh mengadakan rusuhan. Kita tidak mempunyai alasan untuk membenarkan rusuhan ini.” Setelah berkata demikian, setiausaha kota itu menyuruh mereka pulang. Setelah keadaan di Efesus tenteram semula, Paulus mengumpulkan pengikut Yesus di situ lalu menggalakkan mereka. Kemudian dia mengucapkan selamat tinggal dan meneruskan perjalanan ke Makedonia. Dia mengunjungi daerah Makedonia dan dengan banyak ajaran Paulus menggalakkan pengikut Yesus di situ. Kemudian dia pergi ke Akhaya. Di situ dia tinggal selama tiga bulan. Dia sedang bersiap-siap untuk pergi ke Siria, apabila dia mendengar bahawa orang Yahudi berkomplot untuk membunuh dia. Oleh itu, Paulus mengambil keputusan untuk kembali melalui Makedonia. Sopater anak Pirus yang berasal dari Berea pergi bersama-sama dia, begitu juga Aristarkhus dan Sekundus dari Tesalonika, Gayus dari Derbe, Tikhikus dan Trofimus dari daerah Asia, dan Timotius. Mereka pergi terlebih dahulu lalu menunggu kami di Troas. Setelah Perayaan Roti Tidak Beragi, kami belayar meninggalkan Filipi. Lima hari kemudian kami berjumpa dengan mereka di Troas. Di situ kami tinggal selama seminggu. Pada petang Sabtu kami berkumpul untuk makan bersama-sama saudara seiman. Kerana Paulus akan berangkat esoknya, dia mengajar orang di situ. Dia berkata-kata terus sehingga tengah malam. Banyak pelita dinyalakan di dalam bilik di tingkat atas, tempat kami berhimpun. Seorang pemuda bernama Eutikhus duduk di jendela. Kerana Paulus tidak berhenti-henti berkata-kata, pemuda itu mengantuk lalu tertidur di jendela itu dan akhirnya jatuh ke tanah dari tingkat ketiga. Apabila mereka mengangkatnya, dia sudah mati. Tetapi Paulus turun, lalu merebahkan diri ke atas pemuda itu dan memeluk dia. Paulus berkata, “Janganlah khuatir, dia masih hidup!” Kemudian Paulus naik kembali, lalu membahagikan roti dan makan bersama. Setelah lama bercakap dengan mereka, sehingga matahari terbit, Paulus berangkat. Mereka membawa pemuda yang hidup itu pulang ke rumah dan mereka sangat terhibur. Kami pergi ke kapal lalu belayar terlebih dahulu ke Asos. Di situ kami akan menyambut Paulus naik ke kapal. Dia menyuruh kami belayar terlebih dahulu kerana dia mahu ke Asos melalui jalan darat. Setelah Paulus tiba di Asos, kami membawa dia naik ke kapal lalu bertolak ke Metilene. Dari sana kami belayar pula, dan esoknya tiba di pulau Khios. Lusanya kami tiba di Samos dan sehari kemudian di Miletus. Paulus mengambil keputusan supaya tidak singgah di Efesus, agar tidak membuang masa di daerah Asia. Dia ingin cepat-cepat tiba di Yerusalem, jika boleh sebelum hari Pentakosta. Dari Miletus, Paulus mengirim berita ke Efesus, meminta supaya pemimpin-pemimpin jemaah di situ datang menjumpai dia. Apabila mereka tiba, Paulus berkata kepada mereka, “Kamu mengetahui cara hidupku selama aku bersama-sama kamu, sejak hari pertama aku tiba di daerah Asia. Dengan rendah hati dan dengan mencucurkan air mata, aku mengabdikan diri sebagai hamba Tuhan, di tengah-tengah penderitaan yang aku alami kerana rancangan jahat orang Yahudi. Kamu tahu bahawa aku tidak pernah merahsiakan apa-apa yang berguna bagi kamu, semasa aku berkhutbah dan mengajar di tempat-tempat awam dan di rumah-rumah. Baik kepada orang Yahudi mahupun bukan Yahudi, aku memberikan amaran supaya mereka bertaubat daripada dosa lalu datang kepada Allah serta percaya kepada Yesus, Tuhan kita. Sekarang untuk mentaati perintah Roh Allah, aku akan pergi ke Yerusalem tanpa mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku di situ. Aku hanya tahu bahawa di setiap kota, Roh Allah telah memberitahu aku bahawa aku akan mengalami penderitaan dan akan dipenjarakan. Tetapi aku tidak mengambil berat sama ada aku hidup atau mati. Aku hanya ingin menyelesaikan tugas yang aku terima daripada Tuhan Yesus. Aku diberikan tugas untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang rahmat Allah. Aku sudah mengunjungi kamu semua dan memberitakan Pemerintahan Allah. Sekarang aku tahu bahawa tidak seorang pun daripada kamu akan berjumpa dengan aku lagi. Oleh itu dengan sungguh-sungguh aku berkata kepada kamu pada hari ini: Jika sesiapa antara kamu binasa kelak, hal itu bukan tanggungjawabku. Aku tidak pernah melalaikan tugas untuk menjelaskan segala kehendak Allah kepada kamu. Hendaklah kamu menjaga diri serta menjaga jemaah yang sudah diserahkan kepada pemeliharaan kamu oleh Roh Allah. Jagalah jemaah Allah seperti gembala menjaga domba, kerana Allah sudah menjadikan jemaah milik-Nya sendiri melalui kematian Anak-Nya. Aku tahu bahawa setelah aku pergi, serigala buas akan datang ke tengah-tengah kamu. Jemaah yang kamu jaga akan menjadi mangsa serigala. Bahkan akan tiba masanya apabila beberapa orang di kalangan kamu sendiri akan memberitakan berita yang tidak betul untuk menyesatkan pengikut Yesus sehingga mengikut mereka. Berwaspadalah! Ingatlah bahawa selama tiga tahun, siang malam dengan mencucurkan air mata, aku telah mengajar setiap orang di kalangan kamu. Sekarang aku menyerahkan kamu kepada pemeliharaan Allah. Perkhabaran tentang rahmat Allah juga akan memelihara kamu. Allah dapat menguatkan kamu dan mengurniai kamu berkat yang telah disediakan-Nya untuk semua umat-Nya. Aku tidak pernah mengingini wang atau pakaian sesiapa pun. Kamu sendiri tahu bahawa dengan tangan sendiri, aku bekerja untuk mencukupi keperluanku dan rakan-rakanku. Dalam segala perkara aku sudah memberikan teladan kepada kamu bahawa dengan bekerja keras seperti ini, kita harus menolong orang yang lemah. Ingatlah akan kata-kata Tuhan Yesus, ‘Lebih berbahagia memberi daripada menerima.’ ” Apabila Paulus selesai berkata-kata, dia berlutut dengan mereka semua lalu berdoa. Sambil menangis mereka memeluk Paulus dan mengucapkan selamat tinggal. Mereka amat sedih kerana Paulus berkata bahawa mereka tidak akan berjumpa dengan dia lagi. Kemudian mereka menghantar dia sampai ke kapal. Setelah kami mengucapkan selamat tinggal kepada pemimpin-pemimpin jemaah dari Efesus itu, kami berangkat. Kami terus belayar ke Kos; esoknya kami tiba di Rodes. Dari situ kami belayar ke Patara. Di Patara kami menjumpai kapal yang akan bertolak ke Fenisia. Kami menaiki kapal itu lalu belayar sampai ke tempat kami dapat melihat pulau Siprus. Kapal itu belayar terus menuju ke arah selatan sehingga sampai di Siria. Kami mendarat di Tirus, kerana di situ kapal akan memunggah muatan. Di situ kami berjumpa dengan beberapa orang yang percaya kepada Yesus dan kami tinggal dengan mereka selama seminggu. Dengan pimpinan Roh Allah mereka memberitahu Paulus supaya jangan pergi ke Yerusalem. Tetapi apabila tiba masanya kami melanjutkan perjalanan, kami pun berangkat. Semua pengikut Yesus itu bersama-sama anak dan isteri mereka menghantar kami sampai ke luar kota. Di tepi pantai kami semua berlutut lalu berdoa. Setelah bersalam-salaman kami menaiki kapal dan mereka pulang ke rumah. Kami melanjutkan perjalanan dan belayar dari Tirus ke Ptolemais. Di situ kami memberikan salam kepada saudara-saudara yang percaya kepada Yesus, dan tinggal dengan mereka selama sehari. Keesokan harinya kami berangkat pula, lalu tiba di Kaisarea. Di situ kami menumpang di rumah seorang penginjil bernama Filipus. Dia salah seorang daripada tujuh orang yang dipilih untuk menolong para rasul di Yerusalem. Dia mempunyai empat orang anak perempuan yang belum berkahwin dan mereka memberitakan perkhabaran daripada Allah. Setelah beberapa hari kami di situ, seorang nabi bernama Agabus datang dari Yudea. Dia datang kepada kami lalu mengambil tali pinggang Paulus. Dengan tali pinggang itu Agabus mengikat kaki dan tangannya sendiri lalu berkata, “Inilah yang dikatakan oleh Roh Allah: Pemilik tali pinggang ini akan diikat seperti ini oleh orang Yahudi di Yerusalem dan mereka akan menyerahkan dia kepada orang bukan Yahudi.” Apabila kami mendengar kata-kata itu, kami dan semua saudara lain memohon Paulus supaya jangan pergi ke Yerusalem. Tetapi dia menjawab, “Mengapa kamu menangis seperti ini sehingga menyebabkan aku bersedih hati? Aku sudah bersedia bukan sahaja untuk diikat di Yerusalem, tetapi juga untuk mati di situ kerana Tuhan Yesus.” Kerana Paulus tidak mahu mendengarkan kami, kami pun berhenti melarang dia. Kami berkata, “Biarlah kehendak Tuhan berlaku.” Setelah kami tinggal di situ beberapa lama, kami mengemaskan barang lalu berangkat ke Yerusalem. Beberapa orang pengikut Yesus dari Kaisarea mengikut kami dan menghantar kami ke rumah Manason, kerana di rumah dialah kami akan menginap. Manason berasal dari Siprus dan sudah lama menjadi pengikut Yesus. Apabila kami tiba di Yerusalem, pengikut-pengikut Yesus di situ menyambut kami dengan sukacita. Keesokan harinya Paulus pergi bersama-sama kami menjumpai Yakobus; semua pemimpin jemaah pun hadir. Paulus memberikan salam kepada mereka, lalu memberitahukan segala sesuatu yang sudah dilakukan oleh Allah melalui dia di kalangan orang bukan Yahudi. Setelah mendengar laporan Paulus, mereka semua memuji Allah. Kemudian mereka berkata kepada Paulus, “Saudara Paulus, dengarlah! Di sini ada beribu-ribu orang Yahudi yang sudah percaya kepada Yesus, dan mereka mentaati Taurat Musa dengan setia. Tetapi mereka sudah diberitahu bahawa saudara mengajar semua orang Yahudi yang tinggal di kalangan orang bukan Yahudi supaya tidak menurut Taurat Musa, tidak menyunat anak-anak mereka ataupun menurut adat istiadat orang Yahudi. Mereka tentu sudah mendengar bahawa saudara sudah tiba di sini. Apakah yang harus kita lakukan sekarang? Kami mahu saudara melakukan hal ini. Di sini ada empat orang yang sudah bernazar. Pergilah dengan mereka dan lakukanlah upacara penyucian diri, dan bayarlah biaya mereka juga. Kemudian mereka boleh mencukur rambut. Dengan cara demikian semua orang akan tahu bahawa apa yang didengar oleh mereka tentang saudara tidak benar, kerana saudara pun taat kepada Taurat Musa. Tetapi bagi orang bukan Yahudi yang percaya kepada Yesus, kami telah mengirim sepucuk surat kepada mereka tentang keputusan kami. Mereka tidak boleh makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala, atau makan darah, atau makan daging binatang yang mati dicekik, dan mereka juga harus menjauhkan diri daripada perbuatan cabul.” Oleh itu, Paulus pergi dengan empat orang itu dan esoknya dia menjalankan upacara penyucian diri bersama-sama mereka. Kemudian Paulus masuk ke Rumah Tuhan dan mengumumkan bilangan hari apabila upacara penyucian itu akan selesai dan korban akan dipersembahkan bagi masing-masing. Apabila jangka waktu tujuh hari hampir berakhir, beberapa orang Yahudi dari daerah Asia melihat Paulus di dalam Rumah Tuhan. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus. Mereka berseru, “Hai orang Israel, tolong! Inilah orang yang pergi ke serata tempat dan mengajar semua orang menentang bangsa Israel, Taurat Musa, dan Rumah Tuhan ini. Malahan sekarang dia membawa orang bukan Yahudi ke dalam Rumah Tuhan. Dia telah menajiskan tempat yang suci ini!” ( Mereka berkata demikian, kerana mereka nampak Trofimus orang Efesus itu bersama-sama Paulus di kota. Mereka menyangka Paulus telah membawa dia ke dalam Rumah Tuhan.) Seluruh kota itu menjadi kacau-bilau; semua orang berlari bersama-sama dan menangkap Paulus lalu menyeret dia keluar dari Rumah Tuhan. Dengan segera pintu Rumah Tuhan ditutup. Sementara perusuh-perusuh itu cuba membunuh Paulus, komandan pasukan Roma diberitahu bahawa seluruh Yerusalem sedang merusuh. Dengan segera komandan membawa beberapa orang pegawai tentera serta askar, lalu cepat-cepat pergi ke tempat huru-hara itu. Semasa orang ramai itu melihat komandan dengan askarnya, mereka berhenti memukul Paulus. Komandan itu menghampiri Paulus lalu menangkap dia, dan menyuruh orang membelenggu dia dengan dua rantai. Lalu komandan itu bertanya, “Siapakah orang ini, dan apa yang sudah dilakukannya?” Sesetengah orang ramai menjawab begini dan sesetengah yang lain menjawab begitu. Keadaan begitu kacau sehingga komandan itu tidak dapat mengetahui apa yang sebenarnya sudah berlaku. Oleh itu dia menyuruh askarnya membawa Paulus ke dalam kubu. Mereka membawa dia sampai ke tangga, lalu askar-askar itu harus menggotong Paulus kerana orang ramai yang merusuh itu mengamuk. Perusuh-perusuh itu mengikuti Paulus sambil berseru, “Bunuh dia!” Apabila askar-askar hampir sampai ke kubu, Paulus berkata kepada komandan itu, “Bolehkah saya bercakap sebentar dengan tuan?” Komandan itu berkata, “Kamu dapat berbahasa Yunani! Jika demikian kamu bukan orang Mesir yang tempoh hari memulakan pemberontakan dan memimpin empat ribu orang pengganas bersenjata pergi ke padang gurun.” Paulus berkata, “Saya orang Yahudi yang dilahirkan di Tarsus di negeri Kilikia. Saya warga kota yang penting itu. Tolong izinkan saya berucap kepada orang ramai ini.” Komandan itu mengizinkan dia berbuat demikian. Oleh itu Paulus berdiri di tangga dan memberikan isyarat dengan tangan supaya orang ramai diam. Apabila mereka tenang, Paulus berkata-kata kepada mereka dalam bahasa Ibrani. Paulus berkata, “Bapa-bapa dan saudara sekalian, dengarkanlah apa yang akan saya katakan untuk membela diri.” Apabila mereka mendengar Paulus berkata-kata dalam bahasa Ibrani, mereka lebih tenang lagi. Paulus melanjutkan kata-katanya, “Saya orang Yahudi; saya dilahirkan di Tarsus di negeri Kilikia, dan dibesarkan di Yerusalem sebagai murid Gamaliel. Saya diajar dengan teliti tentang Taurat nenek moyang kita, dan saya mengabdikan diri kepada Allah seperti saudara sekalian pada hari ini. Saya menganiaya pengikut ajaran baru itu sehingga mereka mati. Saya menangkap orang lelaki dan perempuan, lalu memasukkan mereka ke dalam penjara. Imam Agung dan semua anggota Majlis Agama dapat memberikan kesaksian bahawa saya tidak berdusta. Saya diberikan mereka surat-surat yang ditujukan kepada orang Yahudi di Damsyik. Dengan surat itu saya dibenarkan menangkap pengikut ajaran baru itu lalu membawa mereka ke Yerusalem untuk dihukum.” “Semasa saya dalam perjalanan dan hampir tiba di Damsyik, pada kira-kira tengah hari, tiba-tiba cahaya terang dari langit memancar di sekeliling saya. Saya rebah ke tanah lalu mendengar suara berkata kepada saya, ‘Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku?’ Lalu saya bertanya, ‘Siapakah tuan?’ ‘Aku Yesus orang Nasaret yang engkau aniaya,’ jawab-Nya. Semua orang yang bersama-sama saya nampak cahaya itu, tetapi mereka tidak mendengar suara yang berkata-kata kepada saya. Saya bertanya pula, ‘Apakah yang harus saya lakukan, tuan?’ Tuhan menjawab, ‘Bangunlah dan masuklah ke Damsyik. Di situ engkau akan diberitahu semuanya yang sudah ditetapkan oleh Allah yang harus engkau lakukan.’ Saya menjadi buta kerana cahaya terang itu. Oleh itu teman seperjalanan saya memegang tangan saya dan memimpin saya masuk ke Damsyik. Di situ ada seorang bernama Ananias. Dia seorang yang takut akan Allah dan mentaati Taurat kita. Dia sangat dihormati oleh semua orang Yahudi yang tinggal di Damsyik. Dia datang dan berdiri di sisi saya, lalu berkata, ‘Saudara Saulus, saudara dapat melihat lagi!’ Pada saat itu juga saya dapat melihat semula, lalu saya memandang dia. Dia berkata, ‘Allah yang disembah nenek moyang kita sudah memilih saudara supaya mengetahui kehendak Allah, dan melihat Yesus, Hamba Allah yang melakukan kehendak Allah, serta mendengar suara Yesus sendiri. Saudara akan menjadi saksi untuk mengkhabarkan apa yang sudah saudara lihat dan dengar kepada setiap orang. Sekarang janganlah tunggu lebih lama lagi. Bangunlah dan mintalah orang membaptis saudara. Berserulah kepada Tuhan supaya dosa saudara dihapuskan.’ ” “Saya kembali ke Yerusalem dan sementara saya berdoa di Rumah Tuhan, saya melihat suatu penglihatan. Dalam penglihatan itu saya melihat Tuhan berkata kepada saya, ‘Cepat tinggalkan Yerusalem, kerana orang di sini tidak mahu menerima kesaksianmu tentang Aku.’ Saya berkata, ‘Ya Tuhan, mereka tahu bahawa aku sudah masuk ke rumah ibadat untuk menangkap dan memukul orang yang percaya kepada-Mu. Apabila saksi-Mu Stefanus direjam, aku sendiri ada di situ dan menyetujui pembunuhan itu. Bahkan aku menjaga pakaian semua orang yang membunuh dia.’ Tetapi Tuhan berkata lagi, ‘Pergilah, kerana Aku akan menyuruh engkau ke tempat yang jauh, kepada orang bukan Yahudi.’ ” Sehingga saat itu, orang ramai mendengarkan kata-kata Paulus. Tetapi kemudian mereka mula berseru dengan kuat, “Hapuskan dia! Bunuh dia! Dia tidak layak hidup!” Mereka berteriak-teriak sambil mengebaskan pakaian sehingga debu berterbangan di udara. Komandan pasukan Roma memerintahkan askar-askarnya membawa Paulus ke dalam kubu. Dia menyuruh mereka mencambuk Paulus untuk mengetahui alasan orang Yahudi berteriak sedemikian rupa terhadap dia. Tetapi waktu Paulus telah diikat untuk dicambuk, Paulus berkata kepada pegawai tentera yang berdiri di situ, “Bolehkah seorang warganegara Roma dicambuk sebelum dia diadili?” Apabila pegawai tentera itu mendengar hal ini, dia pergi kepada komandan itu dan berkata, “Apa yang sudah tuan lakukan? Orang ini warganegara Roma!” Oleh itu komandan itu pergi kepada Paulus dan bertanya, “Katakanlah, adakah kamu warganegara Roma?” “Ya,” kata Paulus. Komandan itu berkata pula, “Saya menjadi warganegara Roma dengan membayar wang yang banyak.” Paulus menjawab, “Tetapi saya dilahirkan sebagai warganegara Roma.” Dengan segera askar-askar yang hendak menyoal Paulus berundur. Komandan itu pun takut apabila dia tahu bahawa Paulus warganegara Roma, dan kerana dia sudah merantai Paulus. Tetapi komandan itu hendak mengetahui alasan sebenar yang menyebabkan orang Yahudi menuduh Paulus. Oleh itu, keesokan harinya komandan itu memanggil ketua-ketua imam dan semua anggota Majlis Agama supaya berkumpul. Kemudian dia membuka rantai yang mengikat Paulus lalu menghadapkan Paulus kepada mereka semua. Paulus menatap anggota-anggota Majlis Agama lalu berkata, “Saudara-saudara! Sehingga hari ini, hati nurani saya tidak menyalahkan saya tentang kehidupan saya di sisi Allah.” Imam Agung Ananias menyuruh orang yang berdiri dekat Paulus menampar mulut Paulus. Paulus berkata kepadanya, “Allah pasti akan menampar tuan, yang seperti tembok berkapur putih. Tuan duduk di situ menghakimi saya menurut Taurat, tetapi tuan sendiri melanggar Taurat apabila menyuruh orang menampar saya!” Beberapa orang yang di sebelah Paulus berkata kepadanya, “Kamu menghina Imam Agung Allah!” Paulus menjawab, “Saudara-saudara, saya tidak tahu bahawa dia Imam Agung. Memang di dalam Alkitab ada tertulis, ‘Janganlah hina pemimpin bangsa kamu.’ ” Paulus melihat bahawa sebahagian daripada Majlis Agama itu terdiri daripada orang Saduki dan sebahagian lagi orang Farisi. Oleh itu dia berseru kepada Majlis Agama, “Saudara-saudara, saya orang Farisi, bapa saya pun orang Farisi. Saya diadili di sini kerana saya percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan daripada kematian.” Sebaik sahaja Paulus berkata demikian, orang Farisi dan orang Saduki mula bertengkar, lalu perhimpunan itu berpecah menjadi dua kelompok. ( Hal itu berlaku kerana orang Saduki tidak percaya akan kebangkitan orang mati, dan tidak percaya akan adanya malaikat atau roh. Tetapi orang Farisi percaya akan ketiga-tiganya.) Lalu berlakulah pertengkaran yang sengit. Beberapa orang Farisi yang menjadi guru Taurat berdiri dan membantah dengan keras, “Orang ini tidak bersalah sedikit pun! Barangkali memang ada roh atau malaikat yang berkata-kata kepadanya!” Pertengkaran itu menjadi begitu sengit sehingga komandan itu takut kalau-kalau Paulus akan diserbu oleh mereka. Dia menyuruh askar-askarnya mengambil Paulus dari tengah-tengah mereka dan membawa dia ke kubu. Pada malam itu, Tuhan berdiri di sisi Paulus dan berkata, “Tabahkanlah hatimu! Engkau sudah memberikan kesaksianmu tentang Aku di Yerusalem. Engkau harus memberikan kesaksian di Roma juga.” Pagi-pagi keesokan harinya, beberapa orang Yahudi berkumpul untuk merancangkan suatu pakatan. Mereka bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus. Lebih daripada empat puluh orang termasuk dalam pakatan itu. Mereka pergi kepada ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi, lalu berkata, “Kami sudah bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga kami membunuh Paulus. Oleh itu saudara-saudara dan anggota-anggota Majlis Agama hendaklah mengirim sepucuk surat kepada komandan Roma, untuk meminta dia membawa Paulus datang menghadap saudara semua, seolah-olah hendak memeriksa perkaranya lagi dengan lebih teliti. Kami akan bersiap-siap untuk membunuh dia sebelum dia sampai ke sini.” Tetapi anak lelaki saudara perempuan Paulus mendengar berita tentang pakatan itu. Oleh itu dia masuk ke kubu dan memberitahu Paulus hal itu. Kemudian Paulus memanggil seorang pegawai tentera dan berkata kepadanya, “Bawalah pemuda ini kepada komandan; dia mahu memberitahukan sesuatu kepadanya.” Pegawai tentera itu membawa pemuda itu kepada komandan dan berkata, “Paulus, orang tahanan itu, memanggil saya. Dia menyuruh saya membawa pemuda ini kepada tuan, kerana dia mahu memberitahukan sesuatu kepada tuan.” Komandan itu memegang tangan pemuda itu, lalu membawa dia ke samping dan bertanya, “Apa yang hendak kamu beritahu saya?” Pemuda itu menjawab, “Orang Yahudi telah bersepakat meminta tuan membawa Paulus menghadap Majlis Agama esok, seolah-olah Majlis Agama hendak memeriksa perkaranya lagi dengan lebih teliti. Janganlah percaya kepada mereka, kerana lebih daripada empat puluh orang akan bersembunyi untuk menunggu dia. Mereka sudah bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus. Sekarang mereka sudah siap dan sedang menunggu jawapan tuan.” Komandan itu berkata, “Jangan beritahu sesiapa pun bahawa kamu sudah melaporkan hal ini kepada saya.” Lalu dia menyuruh pemuda itu pulang. Kemudian komandan itu memanggil dua orang pegawai tenteranya dan berkata, “Siapkan dua ratus orang askar, tujuh puluh orang askar berkuda, dan dua ratus orang askar bertombak. Mereka harus berangkat ke Kaisarea pada pukul sembilan malam ini juga. Juga siapkan beberapa ekor kuda untuk Paulus, dan jagalah keselamatannya sehingga dia sampai kepada Gabenor Feliks.” Lalu komandan itu menulis sepucuk surat yang berbunyi seperti berikut: “Yang Terutama Gabenor Feliks. Salam daripada Klaudius Lisias. Orang Yahudi sudah menangkap orang ini dan hendak membunuh dia. Tetapi saya mendapati dia warganegara Roma. Oleh itu, saya dengan pasukan saya pergi menyelamatkan dia. Saya mahu mengetahui alasan mereka menuduh dia, maka saya membawa dia kepada Majlis Agama mereka. Saya mendapati tuduhan mereka bersangkutan dengan hukum mereka sendiri. Dia tidak melakukan apa-apa yang patut dihukum dengan hukuman mati ataupun hukuman penjara. Apabila saya diberitahu bahawa orang Yahudi sudah berkomplot untuk membunuh dia, dengan segera saya menghantar dia kepada Tuan Gabenor. Saya menyuruh para pendakwanya mengemukakan tuduhan mereka terhadap dia kepada Tuan Gabenor.” Askar-askar itu menjalankan tugas mereka dan membawa Paulus ke Antipatris pada malam itu juga. Keesokan harinya askar yang berjalan kaki kembali ke kubu, tetapi askar yang berkuda meneruskan perjalanan dengan Paulus. Apabila mereka tiba di Kaisarea, mereka menyampaikan surat itu kepada gabenor dan menyerahkan Paulus kepadanya. Gabenor membaca surat itu lalu bertanya kepada Paulus dari mana asalnya. Apabila gabenor mengetahui bahawa Paulus berasal dari Kilikia, gabenor berkata, “Baiklah! Saya akan memeriksa perkara kamu apabila pendakwa-pendakwa kamu tiba.” Lalu gabenor memberikan perintah supaya Paulus ditahan di dalam istana yang dahulu dibina oleh Raja Herodes. Lima hari kemudian, Imam Agung Ananias dan beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi serta seorang peguam bernama Tertulus pergi ke Kaisarea. Mereka menghadap Gabenor Feliks dan mengemukakan tuduhan terhadap Paulus. Apabila Paulus dipanggil menghadap, Tertulus menuduh Paulus seperti berikut, “Tuan Yang Terutama! Oleh sebab pimpinan tuan yang bijaksana, kami terus-menerus mengalami kesejahteraan di negeri ini. Banyak pembaharuan pun sudah dilaksanakan untuk kebaikan negeri kami. Kami menghargai semuanya itu dan kami sangat berterima kasih kepada tuan. Supaya tidak membuang banyak masa tuan, saya memohon supaya tuan sudi mendengarkan pengaduan kami yang ringkas ini. Kami dapati orang ini pengacau yang berbahaya. Dia menimbulkan kekacauan di kalangan orang Yahudi di seluruh dunia dan dia pemimpin kumpulan orang Nasaret. Dia cuba menajiskan Rumah Tuhan, lalu kami menangkap dia. [Kami bercadang menghakimi dia menurut Taurat kami sendiri. Tetapi Komandan Lisias merampas dia daripada kami. Dia memberikan perintah supaya pendakwa-pendakwanya menghadap tuan.] Jika tuan menyoal orang ini, tuan sendiri dapat mengetahui kebenaran segala tuduhan kami.” Orang Yahudi di situ juga turut menuduh Paulus dan mengatakan bahawa semua yang dikatakan oleh Tertulus itu benar. Gabenor itu memberikan isyarat kepada Paulus bahawa dia boleh bercakap. Oleh itu Paulus berkata, “Saya tahu bahawa tuan telah menjadi hakim negeri ini selama bertahun-tahun. Oleh itu saya bersukacita kerana dapat membela diri di hadapan tuan. Tuan dapat mengetahui hal itu sendiri, bahawa tidak lebih daripada dua belas hari yang lalu, saya pergi ke Yerusalem untuk beribadat. Orang Yahudi tidak mendapati saya bertengkar dengan sesiapa pun ataupun menimbulkan rusuhan, baik di dalam Rumah Tuhan mahupun di rumah ibadat ataupun di tempat lain di kota. Mereka pun tidak dapat membuktikan tuduhan yang dikemukakan kepada tuan terhadap saya. Saya mengaku di hadapan tuan bahawa saya menyembah Allah yang disembah oleh nenek moyang kami menurut ajaran Yesus, yang dianggap salah oleh mereka. Tetapi saya percaya juga kepada segala yang tertulis di dalam Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi. Seperti mereka, saya berharap kepada Allah bahawa semua orang akan dibangkitkan daripada kematian - orang baik, mahupun orang jahat! Oleh itu saya berusaha sebaik-baiknya supaya hati nurani saya sentiasa bersih di sisi Allah dan di hadapan manusia. Setelah beberapa tahun meninggalkan Yerusalem, saya kembali ke situ untuk membawa wang sumbangan bagi bangsa saya dan untuk mempersembahkan korban kepada Allah. Apabila saya sedang melakukan perkara itu, mereka melihat saya di Rumah Tuhan setelah saya selesai melakukan upacara penyucian diri. Tidak ada orang ramai menyertai saya, dan tidak ada kekacauan berlaku di situ pada waktu itu. Tetapi beberapa orang Yahudi dari daerah Asia ada di situ. Sebenarnya mereka yang harus menghadap tuan dan mengajukan tuduhan mereka, jika ada tuduhan terhadap saya. Atau biarlah semua orang ini memberitahukan kesalahan saya yang didapati oleh mereka pada masa saya dibawa menghadap Majlis Agama. Mereka mendapati satu perkara sahaja: Saya mengatakan hal ini di hadapan mereka, ‘Hari ini saya diadili kerana saya percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan daripada kematian.’ ” Kemudian Feliks, yang banyak pengetahuannya tentang ajaran Yesus, mengakhiri pembicaraan itu. Feliks berkata, “Apabila Komandan Lisias datang, saya akan memutuskan perkara ini.” Lalu gabenor memerintahkan pegawai tentera yang menjaga Paulus supaya mengawal dia tetapi memberi dia kebebasan yang terhad, serta membenarkan sahabat-sahabat Paulus memberikan apa yang diperlukannya. Beberapa hari kemudian, Gabenor Feliks datang dengan isterinya Drusila, seorang Yahudi. Feliks menyuruh orang memanggil Paulus, kemudian Feliks mendengarkan Paulus berkata-kata tentang kepercayaan kepada Kristus Yesus. Tetapi apabila Paulus melanjutkan ucapannya tentang apa yang baik, tentang hal mengawal diri, dan tentang hukuman pada Hari Kiamat, Feliks menjadi takut lalu berkata, “Kamu boleh pergi sekarang. Saya akan memanggil kamu lagi jika ada kesempatan.” Sementara itu Feliks juga berharap Paulus akan memberi dia wang. Oleh itu dia seringkali memanggil Paulus dan bercakap dengan dia. Setelah dua tahun, Perkius Festus menggantikan Feliks sebagai gabenor. Kerana Feliks ingin mengambil hati orang Yahudi, dia membiarkan Paulus tinggal di dalam penjara. Tiga hari setelah Gabenor Festus tiba di daerah itu, dia pergi dari Kaisarea ke Yerusalem. Di situ ketua-ketua imam dan pemimpin orang Yahudi mengemukakan tuduhan mereka terhadap Paulus. Mereka memohon pertolongan Festus supaya menghantar Paulus ke Yerusalem, kerana mereka sudah berkomplot untuk membunuh dia di perjalanan. Tetapi Festus menjawab, “Paulus ditahan di Kaisarea dan saya sendiri pun akan segera kembali ke sana. Biarlah pemimpin-pemimpin kamu pergi dengan saya ke Kaisarea, lalu mendakwa dia jika dia memang bersalah.” Festus tinggal di Yerusalem kira-kira lapan atau sepuluh hari lagi, lalu dia kembali ke Kaisarea. Keesokan harinya dia duduk sebagai hakim di mahkamah dan memberikan perintah supaya Paulus dibawa menghadap. Apabila Paulus tiba, orang Yahudi yang datang dari Yerusalem berdiri di sekelilingnya dan mula mengemukakan tuduhan-tuduhan berat, yang tidak dapat dibuktikan oleh mereka. Tetapi Paulus membela diri dengan berkata, “Saya tidak bersalah terhadap Taurat Musa, atau terhadap Rumah Tuhan, ataupun terhadap Kaisar Roma.” Tetapi Festus hendak mengambil hati orang Yahudi. Oleh itu dia bertanya kepada Paulus, “Mahukah kamu pergi ke Yerusalem supaya saya boleh mengadili kamu di sana?” Paulus menjawab, “Saya berdiri di hadapan mahkamah Kaisar Roma, dan di sinilah saya harus diadili. Tuan sendiri tahu bahawa saya tidak bersalah terhadap orang Yahudi. Jika saya sudah melanggar hukum dan melakukan sesuatu yang patut dijatuhi hukuman mati, saya rela mati. Tetapi jika tuduhan mereka tidak benar, tidak seorang pun boleh menyerahkan saya kepada mereka. Saya minta diadili oleh Kaisar Roma!” Setelah berunding dengan para penasihatnya, Festus menjawab, “Kerana kamu minta diadili oleh Kaisar Roma, kamu harus pergi menghadap Kaisar.” Beberapa lama kemudian, Raja Agripa dan Puteri Bernike datang ke Kaisarea untuk menyambut kedatangan Gabenor Festus. Setelah beberapa hari mereka di situ, Festus menerangkan perkara Paulus kepada Raja Agripa. Festus berkata, “Di sini ada seorang tahanan yang ditinggalkan oleh Feliks. Semasa patik di Yerusalem, ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi mengemukakan tuduhan terhadap dia dan memohon patik menjatuhkan hukuman kepadanya. Tetapi patik memberitahu mereka bahawa bukan kebiasaan orang Roma menyerahkan seseorang, sebelum orang itu berhadapan dengan para pendakwanya dan berpeluang membela diri. Apabila mereka datang ke mari, pada keesokan harinya dengan tidak membuang masa lagi patik duduk sebagai hakim di mahkamah. Lalu patik memberikan perintah supaya orang itu dibawa menghadap. Apabila para pendakwanya berdiri untuk mengemukakan tuduhan, mereka tidak mengajukan suatu kejahatan pun seperti yang patik sangka akan dilakukan mereka. Mereka hanya berdebat dengan dia tentang agama mereka sendiri dan tentang seorang bernama Yesus. Orang itu sudah mati, tetapi Paulus berkeras mengatakan bahawa Dia hidup. Patik tidak dapat mengambil keputusan tentang bagaimana patik boleh mendapatkan keterangan selanjutnya tentang perkara itu. Oleh itu patik bertanya kepada Paulus sama ada dia mahu pergi ke Yerusalem untuk diadili di sana kerana tuduhan-tuduhan itu. Tetapi Paulus mengajukan rayuan supaya dia diadili oleh Kaisar dan supaya tetap ditahan sehingga perkaranya diputuskan. Oleh itu patik memberikan perintah supaya dia ditahan terus, sehingga patik mendapat peluang untuk menghantar dia kepada Kaisar.” Agripa bertitah kepada Festus, “Beta pun ingin mendengar orang itu.” “Esok tuanku akan mendengar dia,” jawab Festus. Esoknya Raja Agripa dan Puteri Bernike datang lalu disambut dengan upacara kebesaran. Baginda berdua memasuki balai mahkamah bersama-sama para panglima angkatan perang dan orang terkemuka di kota itu. Dengan perintah Festus, Paulus dibawa menghadap. Lalu Festus berkata, “Tuanku Raja Agripa dan para hadirin! Orang di hadapan patik ini didakwa oleh semua orang Yahudi, baik yang di Yerusalem mahupun yang di sini. Mereka berteriak-teriak bahawa dia tidak layak hidup lebih lama lagi. Tetapi patik tidak mendapatkan kesalahan apa pun yang dilakukannya, yang layak dihukum dengan hukuman mati. Kerana dia sudah mengajukan rayuan supaya diadili oleh Kaisar, patik sudah mengambil keputusan untuk menghantar dia kepada Kaisar. Tetapi patik belum mempunyai keterangan yang pasti tentang dirinya, yang dapat patik tuliskan dalam surat kepada Kaisar. Itulah sebabnya patik menghadapkan dia kepada semua yang hadir, terutama sekali kepada Tuanku Raja Agripa! Dengan demikian, setelah pemeriksaan ini, ada sesuatu yang dapat patik tuliskan di dalam surat itu. Menurut pendapat patik, tidaklah patut menghantar seorang tahanan tanpa menyatakan tuduhan yang jelas terhadap dia.” Raja Agripa bertitah kepada Paulus, “Kamu dibenarkan bercakap untuk membela diri.” Paulus memberikan isyarat dengan mengangkat tangan lalu menyampaikan pembelaannya seperti berikut, “Tuanku Raja Agripa! Hamba berasa bertuah kerana dibenarkan membela diri di hadapan tuanku daripada segala tuduhan orang Yahudi, terutama sekali kerana tuanku sangat memahami adat istiadat dan masalah orang Yahudi. Oleh itu, hamba memohon sudilah tuanku mendengarkan keterangan hamba dengan sabar. Semua orang Yahudi mengetahui cara hidup hamba sejak hamba masih muda. Mereka tahu bahawa sejak permulaan, hamba hidup di negeri hamba sendiri dan kemudian di Yerusalem. Sudah lama mereka mengenal hamba. Jika mereka mahu, mereka dapat memberikan kesaksian bahawa sejak permulaan hamba hidup sebagai orang Farisi, dan menuruti semua peraturan agama kami dengan teliti. Sekarang hamba berdiri di hadapan tuanku kerana hamba berharap akan janji yang dibuat oleh Allah kepada nenek moyang kami. Janji itu juga diharap-harapkan oleh dua belas suku Israel, sehingga mereka beribadat kepada Allah siang dan malam. Tuanku, justeru kerana harapan itulah hamba dituduh oleh orang Yahudi. Mengapa saudara-saudara orang Yahudi, tidak dapat percaya bahawa Allah membangkitkan orang mati? Dahulu hamba sendiri pun berpendapat bahawa hamba harus melakukan semua yang terdaya untuk menentang Yesus orang Nasaret itu. Itulah yang hamba lakukan di Yerusalem. Dengan surat kuasa daripada ketua-ketua imam, hamba memenjarakan banyak orang di kalangan umat Allah. Hamba pun memberikan persetujuan apabila mereka dijatuhi hukuman mati. Sering kali hamba menyeksa mereka di rumah ibadat, dan memaksa mereka supaya tidak lagi percaya kepada Yesus. Hamba sangat marah terhadap mereka, sehingga hamba pergi ke kota-kota lain untuk menganiaya mereka.” “Itulah matlamat hamba ketika pergi ke Damsyik dengan membawa surat kuasa daripada ketua-ketua imam. Tuanku, pada masa hamba di tengah perjalanan, kira-kira pada tengah hari, hamba melihat cahaya yang lebih terang daripada matahari. Cahaya itu datang dari langit dan menyinari sekeliling hamba dan semua orang yang berjalan bersama dengan hamba. Kami semua jatuh ke tanah. Lalu hamba mendengar suara berkata kepada hamba dalam bahasa Ibrani, ‘Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku? Jika engkau terus melawan, engkau hanya menyakiti dirimu sendiri; engkau seperti seekor lembu yang menendang kayu penggiring yang tajam hujungnya.’ Lalu hamba bertanya, ‘Siapakah tuan?’ Tuhan menjawab, ‘Aku Yesus yang engkau aniaya. Bangunlah dan berdirilah! Aku sudah menampakkan diri kepadamu dengan tujuan melantik engkau menjadi hamba-Ku. Engkau harus memberitahu orang lain apa yang engkau lihat hari ini tentang Aku dan tentang apa yang akan Aku tunjukkan kepadamu pada masa akan datang. Aku akan menyelamatkan engkau daripada bangsa Israel dan daripada bangsa lain yang bukan Yahudi. Aku mengutus engkau kepada mereka, untuk membuka mata mereka, supaya mereka keluar dari kegelapan dan memasuki cahaya yang terang; supaya mereka dilepaskan daripada kuasa Iblis lalu dikuasai oleh Allah. Oleh itu, dengan kepercayaan mereka kepada-Ku, dosa mereka akan diampunkan dan mereka akan menjadi umat yang dipilih oleh Allah.’ ” “Tuanku Raja Agripa! Itulah sebabnya hamba sentiasa berusaha untuk mentaati penglihatan yang hamba terima dari syurga. Hamba memberitahu orang bahawa mereka harus bertaubat daripada dosa lalu datang kepada Allah, serta melakukan perkara-perkara yang membuktikan bahawa mereka sudah bertaubat. Hamba mengajarkan hal itu mula-mula di Damsyik dan di Yerusalem, kemudian di seluruh negeri orang Yahudi dan orang bukan Yahudi. Kerana hal inilah orang Yahudi menangkap hamba sementara hamba di dalam Rumah Tuhan dan mereka cuba membunuh hamba. Tetapi sehingga saat ini Allah telah menolong hamba, dan sekarang hamba berdiri di sini untuk memberikan kesaksian kepada semua orang, baik orang besar mahupun orang biasa. Apa yang hamba katakan sama dengan apa yang dikatakan oleh nabi-nabi dan Musa. Mereka mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan, dan menjadi orang pertama yang bangkit daripada kematian. Dengan demikian Dia mengisytiharkan penyelamatan kepada orang Yahudi dan bukan Yahudi. Penyelamatan itu seperti cahaya bagi mereka.” Sementara Paulus membela diri, Festus berseru, “Paulus, kamu gila! Ilmu kamu yang banyak itu sudah menyebabkan kamu gila!” Tetapi Paulus menjawab, “Hamba tidak gila, Tuan Yang Terutama. Kata-kata yang hamba ucapkan itu benar dan keluar daripada fikiran yang waras. Tuanku Raja Agripa, hamba berani berkata-kata di hadapan tuanku dengan terus terang, kerana tuanku faham akan perkara-perkara itu. Hamba yakin bahawa tuanku mengetahui semuanya, kerana hal-hal itu tidak berlaku di tempat yang tersembunyi. Tuanku Raja Agripa, hamba tahu bahawa tuanku percaya kepada apa yang dikatakan oleh nabi-nabi itu!” Raja Agripa bertitah kepada Paulus, “Kamu fikir kamu boleh menjadikan beta seorang Kristian, dalam tempoh yang singkat ini?” Paulus menjawab, “Dalam tempoh yang singkat ataupun dalam tempoh yang panjang, hamba berdoa kepada Allah supaya tuanku dan para hadirin yang mendengarkan hamba hari ini boleh menjadi seperti hamba - tetapi tidak dirantai seperti hamba.” Kemudian raja, gabenor, Puteri Bernike, dan semua orang yang lain berdiri. Setelah mereka ke luar, mereka bercakap sesama sendiri, “Orang ini tidak melakukan apa-apa, sehingga dia patut dihukum mati atau dipenjarakan.” Lalu Raja Agripa berkata kepada Festus, “Sebenarnya orang ini dapat dibebaskan, jika dia tidak mengajukan rayuan supaya perkaranya diadili oleh Kaisar.” Setelah diputuskan bahawa kami harus belayar ke Italia, Paulus dan beberapa orang tahanan lain diserahkan kepada Yulius, pegawai tentera daripada rejimen Roma yang disebut “Rejimen Kaisar”. Kami menaiki kapal yang datang dari Adramitium, yang sudah siap untuk belayar ke pelabuhan-pelabuhan di daerah Asia. Aristarkhus, seorang Makedonia yang datang dari Tesalonika, juga bersama-sama kami. Keesokan harinya kami tiba di Sidon. Yulius memperlakukan Paulus dengan baik. Dia membenarkan Paulus melawat sahabat-sahabatnya, supaya mereka dapat memberikan apa yang diperlukan oleh Paulus. Dari situ kami meneruskan pelayaran. Kerana angin berlawanan dengan arah kapal, kami belayar menyusur pulau Siprus yang agak terlindung daripada angin. Kami menyeberangi lautan yang berhadapan dengan Kilikia dan Pamfilia lalu tiba di Mira di negeri Likia. Di situ pegawai tentera itu mendapatkan kapal yang datang dari Aleksandria dan akan belayar ke Italia. Oleh itu dia memindahkan kami ke kapal itu. Selama beberapa hari kami belayar dengan lambat sekali, dan dengan susah payah akhirnya kami tiba di kota Knidus. Kerana angin terlalu kuat, kami tidak dapat meneruskan pelayaran ke jurusan itu. Oleh itu kami belayar ke selatan pulau Kreta melalui Tanjung Salmone supaya terlindung daripada angin. Dengan susah payah kami belayar menyusur pantai pulau itu, dan akhirnya kami tiba di suatu tempat bernama Pelabuhan Indah, tidak berapa jauh dari kota Lasea. Pada waktu itu Hari Pengampunan Dosa orang Yahudi sudah lalu. Kami tinggal lama di situ sehingga bukan masanya lagi untuk belayar dengan aman. Oleh itu Paulus menasihatkan mereka begini, “Saudara-saudara, menurut pendapat saya, mulai sekarang perjalanan kita sangat berbahaya. Bukan sahaja muatan dan kapal kita akan mengalami kerosakan besar, bahkan nyawa pun akan hilang.” Tetapi pegawai tentera itu lebih percaya kepada kapten kapal dan pemilik kapal daripada kata-kata Paulus. Pelabuhan di situ memang tidak baik bagi kapal untuk tinggal pada musim sejuk. Oleh itu kebanyakan anak kapal ingin belayar dan meninggalkan pelabuhan itu, serta berharap dapat sampai ke Feniks, lalu tinggal di situ sepanjang musim sejuk. Feniks itu pelabuhan di Kreta yang menghadap barat daya dan barat laut. Pada waktu itu angin selatan mula bertiup dengan lembut, dan anak kapal menyangka mereka boleh belayar lagi. Oleh itu mereka membongkar sauh lalu belayar menyusur pantai pulau Kreta. Tetapi tidak lama kemudian angin yang sangat kuat, yang disebut angin Timur Laut, membadai dari darat, dan memukul kapal kami. Kerana kapal tidak dapat belayar melawan angin, kami membiarkan kapal mengikut angin. Kami terlindung sedikit apabila kami melalui sebelah selatan pulau Kauda yang kecil. Di situ dengan susah payah kami berjaya menyelamatkan sekoci kapal. Setelah mereka menaikkan sekoci itu ke kapal, mereka memperkuat kapal dengan menggunakan tali yang diikatkan melingkari kapal itu. Kerana mereka takut terdampar di tebing pasir Sirtis, mereka menurunkan layar dan membiarkan kapal mengikut angin. Angin terus-menerus membadai, sehingga keesokan harinya muatan kapal mula dibuang ke dalam laut. Hari berikutnya anak kapal juga membuang sebahagian daripada alat-alat kapal. Berhari-hari kami tidak dapat melihat matahari dan bintang, dan angin pun terus-menerus membadai. Akhirnya lenyaplah segala harapan kami untuk selamat. Setelah beberapa lama mereka tidak makan, Paulus berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, “Saudara-saudara sepatutnya menurut nasihat saya dan tidak belayar dari Kreta, maka kita tidak akan mengalami kerosakan dan kerugian ini. Tetapi sekarang janganlah khuatir, kerana tidak seorang pun akan mati, hanya kapal ini tidak dapat diselamatkan. Saya berkata demikian kerana semalam Allah yang memiliki saya dan yang saya sembah, menyuruh malaikat-Nya datang kepada saya. Malaikat itu berkata, ‘Janganlah takut, Paulus! Engkau akan menghadap Kaisar. Oleh sebab kebaikan hati Allah kepadamu, semua orang yang belayar denganmu akan selamat.’ Oleh itu tabahkanlah hati saudara-saudara. Saya percaya kepada Allah, bahawa segala-galanya akan berlaku seperti yang dikatakan-Nya kepada saya. Tetapi kita akan terdampar di pantai suatu pulau.” Pada malam yang keempat belas, kami terapung-apung di Laut Tengah. Kira-kira tengah malam, anak kapal mengagak kapal sedang mendekati darat. Oleh itu mereka melempar batu duga untuk mengukur dalamnya laut. Ternyata tempat itu sedalam kira-kira empat puluh meter. Tidak lama kemudian mereka mengukur lagi dan mendapati laut di tempat itu sedalam tiga puluh meter. Mereka takut kapal akan terkandas pada batu karang. Oleh itu mereka menurunkan empat buah sauh dari buritan kapal, lalu berdoa agar fajar segera menyingsing. Anak kapal cuba melarikan diri dari kapal. Mereka menurunkan sekoci ke laut lalu berpura-pura hendak menurunkan sauh dari bahagian depan kapal. Tetapi Paulus berkata kepada pegawai tentera dan askar-askar di kapal itu, “Jika anak kapal tidak tinggal di kapal, saudara semua tidak boleh selamat.” Oleh itu askar-askar mengerat tali yang mengikat sekoci lalu membiarkan sekoci itu hanyut. Sebelum fajar menyingsing, Paulus memohon supaya mereka semua makan. Paulus berkata, “Sudah empat belas hari saudara-saudara menunggu-nunggu dalam keadaan tegang, dan selama itu tidak makan apa-apa. Oleh itu saya menggesa saudara-saudara supaya makan. Saudara semua memerlukan tenaga untuk menyelamatkan diri; saudara semua akan selamat dan tidak cedera.” Setelah itu Paulus mengambil roti, lalu mengucap syukur kepada Allah di hadapan mereka semua. Kemudian Paulus membahagi roti itu dan mula makan. Semangat mereka pulih, lalu mereka pun makan. Bilangan orang di kapal itu 276 orang. Setelah semua orang makan dengan secukupnya, mereka membuang muatan gandum ke laut, supaya kapal menjadi ringan. Apabila hari sudah siang, anak kapal melihat pantai, tetapi mereka tidak mengenal teluk itu. Jika dapat mereka bercadang hendak mendarat di situ. Oleh itu mereka memotong tali sauh dan membiarkan semua sauh tenggelam di laut. Mereka juga membuka tali yang mengikat kemudi. Kemudian mereka menaikkan layar di haluan kapal supaya angin meniup kapal itu ke hadapan dan menuju ke pantai. Tetapi kapal itu melanggar tebing pasir. Bahagian depan kapal itu terkandas lalu tidak dapat bergerak, sedangkan bahagian belakang kapal hancur dipukul ombak yang kuat. Askar-askar di kapal bercadang membunuh semua orang tahanan, supaya orang tahanan tidak dapat berenang ke darat lalu melarikan diri. Tetapi pegawai tentera itu mahu menyelamatkan Paulus, maka dia melarang mereka melakukan hal itu. Sebaliknya dia memerintahkan semua orang yang dapat berenang supaya terjun terlebih dahulu dan berenang ke pantai. Yang lain menyusul dengan bergayut pada papan atau pecahan kapal itu. Dengan cara demikian kami semua selamat sampai ke darat. Setelah kami mendarat dengan selamat, baru kami tahu bahawa pulau itu bernama Malta. Penduduk pulau itu sangat mesra dengan kami. Hujan mula turun dan udara pun sejuk. Oleh itu mereka menyalakan api dan menyambut kami semua. Paulus mengumpulkan kayu dan ketika dia meletakkan kayu di atas api, seekor ular keluar kerana bahang api itu lalu memagut tangan Paulus. Apabila penduduk pulau itu melihat ular terjuntai pada tangan Paulus, mereka bercakap sesama sendiri, “Orang ini tentu pembunuh, tetapi dewi yang bernama Keadilan tidak membenarkan dia hidup, meskipun dia selamat daripada bahaya di laut.” Tetapi Paulus mengibaskan ular daripada tangannya sehingga ular itu jatuh ke dalam api, dan Paulus tidak cedera. Mereka menjangka tangan Paulus akan bengkak, atau tiba-tiba dia akan rebah mati. Tetapi setelah menunggu beberapa lama dan tidak ada sesuatu yang luar biasa berlaku kepadanya, mereka berubah fikiran lalu berkata bahawa Paulus itu dewa. Tidak jauh dari tempat itu terdapat tanah yang dimiliki oleh Publius, gabenor pulau itu. Dia menyambut kami dengan baik dan selama tiga hari kami menjadi tetamunya. Pada masa itu bapanya sedang demam dan menderita cirit-birit. Paulus masuk ke biliknya, lalu berdoa sambil meletakkan tangannya pada bapa yang sakit itu dan sembuhlah dia. Kerana peristiwa itu, semua orang sakit di pulau itu datang kepada Paulus, dan mereka semua disembuhkan. Mereka memberi kami banyak hadiah, dan apabila kami hendak belayar, mereka membawa bekalan ke kapal bagi perjalanan kami. Tiga bulan kemudian kami belayar dari pulau itu dengan kapal dari Aleksandria yang menggunakan lambang “Dewa Kembar”. Kapal itu sudah berlabuh di pulau itu sepanjang musim sejuk. Kami tiba di kota Sirakusa dan tinggal di situ selama tiga hari. Dari situ kami belayar lagi dan tiba di kota Regium. Keesokan harinya angin mula bertiup dari selatan dan dalam dua hari kami tiba di kota Putioli. Di situ kami berjumpa dengan beberapa orang yang percaya kepada Yesus, dan dengan jemputan mereka kami tinggal dengan mereka selama seminggu. Lalu tibalah kami di Roma. Pengikut Yesus di Roma mendengar khabar tentang kami. Mereka datang sampai ke Pasar Apius dan ke Penginapan Tiga untuk menyambut kami. Apabila Paulus berjumpa dengan mereka, dia bersyukur kepada Allah kerana hal itu menggalakkan dia. Apabila kami tiba di Roma, Paulus dibenarkan tinggal seorang diri dengan dikawal oleh seorang askar. Selepas tiga hari, Paulus memanggil pemimpin-pemimpin orang Yahudi tempatan. Sesudah mereka berkumpul, dia berkata kepada mereka, “Saudara-saudara orang Yahudi, saya tidak bersalah apa-apa terhadap bangsa kita atau melanggar adat resam yang kita terima daripada nenek moyang kita. Meskipun demikian saya ditangkap di Yerusalem dan diserahkan kepada bangsa Roma. Setelah memeriksa perkara saya, orang Roma hendak membebaskan saya kerana mereka tidak mendapati saya melakukan kesalahan yang patut dihukum dengan hukuman mati. Tetapi orang Yahudi menentang keputusan itu, dan saya terpaksa mengajukan rayuan supaya diadili oleh Kaisar Roma, meskipun saya tidak mempunyai tuduhan terhadap bangsa saya sendiri. Itulah sebabnya saya minta berjumpa dengan saudara-saudara supaya boleh bercakap dengan saudara semua. Sebenarnya saya dibelenggu seperti ini, kerana Dia yang diharapkan oleh bangsa Israel.” Lalu mereka berkata kepadanya, “Kami belum menerima sepucuk surat pun dari Yudea tentang perkara saudara. Tiada seorang pun daripada mereka yang datang membawa khabar tentang saudara, atau bercakap buruk tentang saudara. Tetapi kami ingin mendengar pendapat saudara, kerana kami tahu bahawa orang di serata tempat mencela kumpulan yang saudara anggotai.” Oleh itu mereka dan Paulus menetapkan satu hari untuk bertemu. Pada hari itu banyak orang datang ke tempat tinggal Paulus. Dari pagi hingga petang Paulus menjelaskan ajarannya tentang Pemerintahan Allah. Dia berusaha untuk meyakinkan mereka tentang Yesus dengan menggunakan ayat-ayat dari Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi. Ada orang yang percaya kepada apa yang dikatakan oleh Paulus, tetapi ada juga yang tidak percaya. Dengan pendirian yang berlainan mereka meninggalkan tempat itu, kerana Paulus mengatakan hal ini kepada mereka, “Memang benar apa yang dikatakan oleh Roh Allah melalui Nabi Yesaya kepada nenek moyang saudara-saudara! Allah berfirman, ‘Pergilah dan katakan hal ini kepada bangsa ini: Kamu akan mendengar dan mendengar, tetapi tidak faham; kamu akan melihat dan melihat, tetapi tidak nampak, kerana seolah-olah fikiran bangsa ini tumpul, telinga pekak, dan mata buta. Jika mereka tidak demikian, tentu mata mereka akan melihat, telinga akan mendengar, dan fikiran boleh mengerti, sehingga mereka akan kembali kepada-Ku, dan Aku pun akan menyembuhkan mereka.’ ” Akhirnya Paulus berkata, “Saudara-saudara harus tahu bahawa perkhabaran tentang penyelamatan yang dikurniakan oleh Allah, sekarang sudah dikhabarkan kepada orang bukan Yahudi. Mereka akan menerimanya!” [ Setelah Paulus berkata demikian, orang Yahudi meninggalkan tempat itu sambil bertengkar sesama sendiri dengan sengit.] Selama dua tahun Paulus tinggal di Roma, di rumah yang disewanya sendiri. Dia menyambut sesiapa sahaja yang datang melawatnya. Dengan kebebasan dan keberanian, Paulus mengkhabarkan ajaran tentang Pemerintahan Allah, dan memberikan ajaran tentang Tuhan Yesus Kristus. Surat ini daripada Paulus, hamba Kristus Yesus, dan rasul yang dipilih serta dipanggil oleh Allah, untuk mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. Berita Baik itu telah dijanjikan oleh Allah sejak dahulu kala melalui nabi-nabi-Nya, dan janji itu tertulis di dalam Alkitab. Berita Baik itu tentang Anak Allah, Tuhan kita Yesus Kristus. Sebagai manusia, Dia keturunan Daud, tetapi sebagai ilahi, Dia ternyata Anak Allah, kerana dengan kuasa yang besar Allah membangkitkan-Nya daripada kematian. Melalui Dia, Allah sudah menganugerahi aku tugas istimewa untuk menjadi seorang rasul, supaya aku dapat mengabdikan diri kepada Kristus dengan memimpin orang daripada semua bangsa agar percaya dan taat kepada-Nya. Kamu yang tinggal di Roma juga termasuk dalam golongan mereka, kerana kamu pun sudah dipanggil oleh Allah untuk menjadi milik Yesus Kristus. Oleh itu aku menulis surat ini kepada kamu semua di Roma yang dikasihi oleh Allah, dan yang sudah dipanggil oleh-Nya untuk menjadi umat-Nya. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. Mula-mula sekali, aku bersyukur kepada Allah melalui Yesus Kristus bagi kamu semua, kerana seluruh dunia mendengar bahawa kamu percaya kepada Yesus. [9-10] Aku sentiasa mengingat kamu, setiap kali aku berdoa. Allah saksiku bahawa apa yang aku katakan itu benar. Dialah Allah yang aku taati dengan sepenuh hati dalam hal mengisytiharkan Berita Baik tentang Anak-Nya. Aku berdoa supaya Allah mengizinkan aku melawat kamu. *** Aku sangat ingin berjumpa dengan kamu, supaya aku dapat berkongsi berkat daripada Roh Allah dengan kamu, untuk menguatkan kamu. Maksudku adalah supaya kepercayaanku kepada Yesus boleh menguatkan kamu, dan kepercayaan kamu kepada Yesus boleh menguatkan aku. Saudara-saudaraku, ketahuilah bahawa sudah banyak kali aku bercadang hendak melawat kamu, tetapi selalu ada sahaja halangannya. Aku ingin supaya pelayananku di kalangan kamu berhasil, seperti pelayananku di kalangan orang bukan Yahudi di tempat lain. Aku mempunyai kewajipan terhadap semua bangsa: yang beradab dan yang tidak beradab, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan. Itulah sebabnya aku ingin sekali mengisytiharkan Berita Baik itu kepada kamu juga, yang tinggal di Roma. Aku yakin dengan sepenuhnya bahawa Berita Baik itu kuasa Allah yang menyelamatkan semua orang yang percaya kepada Yesus, mula-mula orang Yahudi, dan juga orang bukan Yahudi. Berita Baik itu menunjukkan cara bagaimana hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, iaitu melalui kepercayaan kepada-Nya, dari mula sehingga akhir. Hal itu seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Orang yang percaya kepada Allah sehingga hubungannya dengan Allah baik semula, orang itu akan hidup!” Dari syurga Allah menunjukkan kemurkaan-Nya terhadap segala dosa dan kejahatan manusia, kerana kejahatan menghalangi manusia untuk mengetahui ajaran benar tentang Allah. Allah menghukum manusia, kerana apa yang dapat diketahui orang tentang Allah sudah jelas, oleh sebab Allah sendiri sudah menyatakannya. Sejak Allah menciptakan dunia, sifat-sifat Allah yang tidak kelihatan, baik kuasa-Nya yang kekal mahupun keadaan-Nya sebagai Allah, dapat difahami oleh manusia melalui segala yang sudah diciptakan-Nya. Oleh itu manusia sama sekali tidak mempunyai dalih untuk membela diri. Mereka mengenal Allah, tetapi mereka tidak menghormati Dia sebagai Allah. Mereka tidak bersyukur kepada-Nya. Sebaliknya mereka memikirkan perkara yang bukan-bukan, dan fikiran mereka dipenuhi kegelapan. Mereka mengaku bijak, padahal mereka bodoh. Mereka tidak menyembah Allah yang abadi, melainkan menyembah patung yang dibuat menurut rupa manusia yang fana, atau burung, atau binatang berkaki empat, ataupun binatang yang menjalar. Itulah sebabnya Allah membiarkan mereka dikuasai oleh keinginan hati untuk melakukan perkara yang hina dan keji. Mereka melakukan hal-hal yang memalukan terhadap satu sama lain. Mereka menukar ajaran benar daripada Allah dengan dusta. Mereka lebih suka menyembah dan mentaati apa yang diciptakan oleh Allah, daripada menyembah dan mentaati Allah yang menciptakan semuanya. Dialah yang seharusnya dipuji selama-lamanya! Amin. Kerana manusia berbuat demikian, Allah menyerahkan mereka kepada hawa nafsu yang keji. Wanita melakukan hubungan jenis dengan sesama wanita, dan hal itu tidak sepatutnya dilakukan. Begitu juga halnya dengan lelaki; mereka tidak lagi melakukan hubungan jenis dengan wanita, melainkan berahi terhadap sesama lelaki. Lelaki melakukan hubungan jenis dengan sesama lelaki, dan hal itu memalukan. Oleh itu mereka menerima hukuman yang setimpal dengan dosa mereka. Kerana manusia tidak mahu mengakui Allah, Allah membiarkan fikiran mereka menjadi rosak, sehingga mereka melakukan hal-hal yang tidak senonoh. Hati mereka penuh dengan kejahatan, kekejaman, ketamakan, kebusukan dan kedengkian, keinginan untuk membunuh, berkelahi, menipu, dan mendendam. Mereka suka mengumpat, memburukkan nama orang lain; mereka sombong dan biadab, yang membenci Allah dan bercakap besar. Mereka memikirkan cara-cara baru untuk melakukan kejahatan. Mereka melawan ibu bapa, tidak berakhlak, memungkiri janji, dan tidak berperikemanusiaan. Mereka tahu bahawa menurut hukum Allah, orang yang berbuat semua itu harus dihukum mati. Namun demikian mereka terus-menerus melakukan hal-hal itu; bahkan mereka menyetujui orang lain yang berbuat demikian. Oleh itu, sahabatku, siapakah kamu sehingga mahu menyalahkan orang lain? Kamu sama sekali tidak mempunyai dalih untuk membela diri. Hal itu demikian, kerana apabila kamu menyalahkan orang lain, lalu kamu sendiri melakukan perbuatan yang sama, kamu menjatuhkan hukuman kepada diri kamu sendiri. Kita tahu bahawa keputusan Allah memang benar, apabila Dia menghukum orang yang berbuat demikian. Tetapi sahabatku, kamu pun melakukan perkara-perkara yang kamu tuduhkan kepada orang lain. Kamu pasti tidak dapat melepaskan diri daripada hukuman Allah. Kamu mungkin meremehkan kebaikan hati Allah, kemurahan hati-Nya, dan kesabaran-Nya yang tidak terhingga. Kamu tentu tahu bahawa Allah menunjukkan kebaikan hati-Nya kerana Dia mahu kamu bertaubat daripada dosa. Kamu degil dan keras kepala. Oleh itu, kamu sendiri yang menjadikan hukuman kamu semakin berat pada Hari Kiamat apabila Allah menyatakan kemurkaan-Nya dan menjatuhkan hukuman yang adil. Hal itu demikian, kerana Allah akan membalas setiap orang setimpal dengan perbuatannya. Allah akan memberikan hidup sejati dan kekal kepada mereka yang sentiasa berbuat baik, dan mengharapkan kemuliaan, penghormatan, dan hidup yang kekal. Tetapi mereka yang mementingkan diri sendiri dan menolak Allah supaya dapat melakukan kejahatan, akan ditimpa kemurkaan dan kemarahan Allah. Setiap orang yang berbuat jahat akan menanggung kesengsaraan dan penderitaan: mula-mula orang Yahudi, dan juga orang bukan Yahudi. Tetapi Allah akan memberikan kemuliaan, penghormatan, dan kesejahteraan kepada semua orang yang berbuat baik: mula-mula kepada orang Yahudi, dan juga kepada orang bukan Yahudi. Hal itu demikian, kerana Allah menghakimi semua orang dengan adil. Orang bukan Yahudi tidak mempunyai Taurat Musa. Mereka berdosa dan binasa, tetapi mereka tidak dihukum menurut Taurat. Orang Yahudi mempunyai Taurat Musa. Mereka berdosa dan dihukum berdasarkan Taurat. Hal itu demikian, kerana orang berbaik semula dengan Allah, bukan dengan mendengar Taurat, tetapi dengan melakukan apa yang diperintahkan oleh Taurat. Orang bukan Yahudi tidak mempunyai Taurat, tetapi apabila mereka dengan kemahuan sendiri melakukan apa yang diperintahkan oleh Taurat, hal itu menunjukkan bahawa mereka mengetahui apa yang patut dan yang tidak patut dilakukan, walaupun mereka tidak mempunyai Taurat. Kelakuan mereka menunjukkan bahawa apa yang diperintahkan oleh Taurat tertulis di dalam hati mereka. Hati nurani mereka pun membuktikan hal itu, kerana fikiran mereka kadangkala menyalahkan dan kadangkala membenarkan perbuatan mereka. Oleh itu, menurut Berita Baik yang aku khabarkan, hal itu akan berlaku pada Hari Kiamat apabila melalui Yesus Kristus, Allah akan menghakimi segala rahsia hati dan fikiran manusia. Bagaimana dengan kamu sendiri? Kamu mengaku kamu orang Yahudi. Kamu bergantung kepada Taurat Musa dan membanggakan hubungan kamu dengan Allah. Kamu mengetahui kehendak Allah, dan dengan mempelajari Taurat kamu sepatutnya tahu memilih apa yang baik. Kamu yakin bahawa kamulah pemimpin orang buta dan kamu cahaya kepada mereka yang dalam kegelapan. Kamu pendidik kepada orang yang bodoh, dan guru kepada orang yang belum matang. Kamu yakin bahawa di dalam Taurat, kamu mempunyai segala pengetahuan dan ajaran yang benar. Kamu mengajar orang lain, tetapi mengapa kamu tidak mengajar diri sendiri? Kamu berkata, “Jangan mencuri” - tetapi mengapa kamu sendiri mencuri? Kamu berkata, “Jangan berzina” - tetapi mengapa kamu sendiri berzina? Kamu membenci berhala, tetapi mengapa kamu merompak rumah berhala? Kamu bangga kerana memiliki Taurat, tetapi mengapa kamu mempermalukan Allah dengan tidak mentaati perintah-Nya? Di dalam Alkitab tertulis, “Kerana kamu, orang Yahudi, Allah dikufuri oleh orang bukan Yahudi.” Jika kamu taat kepada Taurat, sunat kamu itu berfaedah. Tetapi jika kamu tidak mematuhi Taurat, sunat kamu itu sia-sia. Jika orang bukan Yahudi yang tidak bersunat, mematuhi Taurat, tidakkah Allah akan menganggap mereka sebagai orang yang bersunat? Oleh itu kamu orang Yahudi akan disalahkan oleh orang bukan Yahudi, kerana kamu yang mempunyai kitab Taurat dan yang bersunat, melanggar Taurat. Sedangkan mereka yang tidak bersunat, taat kepada Taurat. Siapakah orang Yahudi sejati yang betul-betul bersunat? Mereka bukanlah orang yang pada nama sahaja orang Yahudi dan yang bersunat secara lahir sahaja. Sebaliknya orang Yahudi sejati adalah orang yang berjiwa Yahudi dan hati mereka bersunat. Semua itu dilakukan oleh Roh Allah dan bukan oleh apa yang tertulis di dalam Taurat. Orang seperti itu menerima pujian daripada Allah, bukan daripada manusia. Jika demikian, adakah keuntungannya menjadi orang Yahudi? Adakah faedahnya bersunat? Tentu banyak faedahnya! Pada mulanya Allah mengamanahkan firman-Nya kepada orang Yahudi. Tetapi bagaimana halnya jika sebahagian daripada orang Yahudi tidak setia? Adakah kerana hal itu Allah menjadi tidak setia? Tentu tidak! Allah sentiasa benar, walaupun setiap orang berdusta. Sebagaimana yang tertulis di dalam Alkitab, “Apabila Engkau berfirman, setiap orang pasti tahu bahawa Engkau benar; apabila Engkau dituduh, Engkau sentiasa menang.” Tetapi jika kejahatan kita menjadikan keadilan Allah semakin nyata, apakah yang akan kita katakan? Adakah Allah tidak adil apabila Dia menghukum kita? (Di sini aku bercakap secara manusia.) Sekali-kali tidak! Jika Allah tidak adil, bagaimanakah Dia dapat menghakimi dunia ini? Jika perbuatanku yang tidak benar, menyebabkan apa yang benar tentang Allah semakin nyata, sehingga Dia dipermuliakan, mengapa aku disalahkan sebagai orang berdosa? Mengapa kita tidak berkata, “Marilah kita lakukan kejahatan supaya timbul kebaikan”? Sebenarnya ada beberapa orang yang menghina aku dengan tuduhan bahawa aku mengatakan demikian. Allah akan menghukum mereka dengan sepatutnya. Baiklah, adakah kedudukan kita sebagai orang Yahudi lebih baik daripada kedudukan orang bukan Yahudi? Sekali-kali tidak! Sudah aku jelaskan bahawa semua orang dikuasai dosa, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Tidak seorang pun yang benar di sisi Allah, tidak seorang pun yang memahami apa yang benar, dan tidak seorang pun menyembah Allah. Semua orang sudah menjauhkan diri daripada Allah; semuanya sudah sesat. Tidak seorang pun berbuat benar; seorang pun tidak! Kata-kata dari mulut mereka menyebabkan kematian, tipu muslihat mengalir dari lidah mereka, dan fitnah seperti bisa ular tersembur dari bibir mereka; mulut mereka penuh dengan kutuk dan cerca. Mereka cepat mencederakan dan membunuh orang; mereka menyebabkan kebinasaan dan kehancuran di mana-mana. Mereka tidak mengikut jalan kedamaian, dan mereka pun tidak menghormati Allah.” Sekarang kita tahu bahawa semua yang tertulis di dalam Taurat adalah bagi mereka yang hidup di bawah Taurat. Dengan demikian tidak seorang pun dapat berdalih, dan semua orang di dunia akan diadili oleh Allah. Jika seseorang melakukan apa yang diwajibkan oleh Taurat, hal itu tidak bererti dia berbaik semula dengan Allah. Sebaliknya Taurat hanya menunjukkan manusia bahawa mereka berdosa. Tetapi sekarang Allah sudah menunjukkan jalan bagaimana manusia dapat berbaik semula dengan-Nya. Hal itu tidak ada kaitannya dengan hukum, walaupun Taurat dan Kitab Nabi-Nabi menyatakan hal itu. Allah memungkinkan orang berbaik semula dengan Dia, hanya melalui kepercayaan mereka kepada Yesus Kristus. Allah melakukan hal itu untuk semua orang yang percaya kepada Kristus, kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi: Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Allah yang menyelamatkan mereka. Tetapi oleh rahmat Allah yang dikurniakan dengan percuma, hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, melalui Yesus Kristus yang membebaskan mereka. Allah mempersembahkan Yesus Kristus sebagai korban supaya dengan kematian Yesus, dosa orang diampunkan apabila mereka percaya kepada-Nya. Allah berbuat demikian untuk menunjukkan keadilan-Nya. Pada masa lampau, Allah bersabar terhadap dosa manusia, sehingga tidak menghukum orang. Tetapi sekarang Dia bertindak terhadap dosa untuk menyatakan keadilan-Nya. Dengan cara itu Allah menunjukkan bahawa Dia adil, dan bahawa Dia menyatakan semua orang yang percaya kepada Yesus sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah. Oleh itu kita tidak mempunyai apa pun yang dapat kita banggakan! Mengapa demikian? Adakah kerana kita mentaati Taurat? Tidak, tetapi kerana kita percaya. Kesimpulannya begini: seseorang berbaik semula dengan Allah, kerana dia percaya kepada Yesus Kristus, dan bukan kerana dia melakukan apa yang diwajibkan oleh Taurat. Adakah Allah itu Allah orang Yahudi sahaja? Tentu tidak. Dia Allah orang bukan Yahudi juga! Allah hanya satu. Dia memungkinkan orang Yahudi berbaik semula dengan Allah, kerana mereka percaya kepada Yesus Kristus. Dia juga yang memungkinkan orang bukan Yahudi berbaik semula dengan Allah, kerana mereka percaya kepada Yesus Kristus. Adakah hal ini bererti bahawa kerana kita percaya kepada Yesus Kristus, kita boleh memansuhkan Taurat? Tentu tidak! Sebaliknya kita mendukung Taurat. Jika demikian apakah yang dapat kita katakan tentang Abraham, nenek moyang bangsa kita? Bagaimanakah pengalamannya? Jika Abraham diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya kerana hal-hal yang dilakukan oleh Abraham, maka Abraham boleh berbangga. Tetapi dia tidak dapat berbangga di sisi Allah. Di dalam Alkitab tertulis, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.” Seorang yang bekerja, biasanya menerima gaji, dan gajinya itu tidak dianggap sebagai suatu pemberian, kerana gaji itu haknya. Tetapi seseorang yang percaya kepada Allah tidak bergantung kepada usahanya sendiri. Orang itu percaya kepada Allah yang menyatakan orang berdosa bebas daripada dosa. Kepercayaan orang itu menyebabkan dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya. Itulah yang dimaksudkan oleh Daud apabila dia berkata tentang kebahagiaan orang yang diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah, walaupun mereka tidak melakukan apa-apa supaya diterima oleh Allah. Daud berkata, “Berbahagialah orang yang kesalahan mereka diampuni oleh Allah, dan dosa mereka dihapuskan oleh Allah! Berbahagialah dia yang dosanya tidak diperhitungkan oleh Allah!” Adakah kebahagiaan yang dimaksudkan Daud itu hanya dikhaskan untuk orang yang bersunat? Tentu tidak. Kebahagiaan itu juga untuk orang yang tidak bersunat. Hal ini demikian, kerana sudah kami katakan sebelumnya bahawa, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.” Bilakah perkara itu berlaku? Sebelum atau sesudah Abraham bersunat? Sebelum Abraham bersunat. Abraham bersunat kemudian, dan sunatnya itu satu tanda untuk membuktikan bahawa Allah sudah menerima dia sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah, kerana Abraham percaya kepada-Nya. Demikianlah Abraham menjadi seperti bapa kepada semua orang yang percaya kepada Allah dan yang diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya, walaupun mereka tidak bersunat. Abraham juga menjadi seperti bapa kepada orang yang bersunat dan yang hidup dengan kepercayaan kepada Allah, seperti bapa kita Abraham sebelum dia bersunat. Allah berjanji kepada Abraham dan keturunannya bahawa dunia ini akan menjadi milik mereka. Allah berjanji demikian bukan kerana Abraham taat kepada Taurat, tetapi kerana dia percaya kepada Allah sehingga dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya. Jika apa yang dijanjikan oleh Allah hanya diberikan kepada orang yang taat kepada Taurat, maka tidak ada gunanya orang percaya kepada Allah, dan janji Allah pun sia-sia. Taurat mendatangkan kemurkaan Allah. Tetapi jika tidak ada hukum, maka pelanggaran pun tidak ada. Janji Allah itu berdasarkan kepercayaan orang kepada Allah. Dengan demikian, janji itu dijamin sebagai kurnia Allah yang diberikan dengan percuma kepada semua keturunan Abraham, baik orang yang taat kepada Taurat, mahupun orang yang percaya kepada Allah seperti Abraham percaya kepada-Nya. Hal ini demikian kerana Abraham menjadi seperti bapa kepada kita semua. Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman kepada Abraham, “Aku sudah menjadikan engkau bapa kepada banyak bangsa.” Demikianlah Allah memberikan janji itu kepada Abraham dan Abraham percaya kepada-Nya. Dialah Allah yang menghidupkan orang mati, dan juga Allah yang dengan firman-Nya mewujudkan apa yang tidak wujud. Abraham tetap percaya dan berharap bahkan pada masa tidak ada harapan lagi baginya. Itulah sebabnya Allah menjadikan dia bapa kepada banyak bangsa. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Keturunanmu akan menjadi banyak sekali.” [19-20] Pada waktu itu umur Abraham sudah hampir seratus tahun. Dia tahu bahawa dia tidak mungkin mendapat keturunan, kerana badannya sudah sangat tua dan Sara, isterinya mandul. Tetapi walaupun demikian, dia tidak ragu akan janji Allah, dan imannya pun tidak menjadi lemah. Sebaliknya imannya menjadikan dia bertambah kuat, dan dia memuji-muji Allah. *** Abraham betul-betul yakin bahawa Allah sanggup melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya. Itulah sebabnya Abraham “diterima sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah”, kerana dia percaya kepada Allah. Kata-kata - “diterima sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah” - tertulis bukan hanya untuk Abraham, tetapi untuk kita juga. Kita pun akan diterima sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah, apabila kita percaya kepada Allah yang membangkitkan Yesus, Tuhan kita daripada kematian. Yesus diserahkan untuk dibunuh kerana dosa kita; Dia dibangkitkan supaya kita boleh berbaik semula dengan Allah. Sekarang kita sudah berbaik semula dengan Allah kerana kita percaya kepada-Nya. Oleh itu kita hidup dalam kedamaian dengan Allah melalui Yesus Kristus, Tuhan kita. Yesus membolehkan kita mengalami rahmat Allah, kerana kita percaya kepada Yesus dan sekarang kita menghayati rahmat itu. Oleh itu, kita membanggakan harapan untuk beroleh bahagian dalam kemuliaan Allah. Kita juga membanggakan penderitaan kita, kerana kita tahu bahawa penderitaan menghasilkan ketekunan. Ketekunan menyebabkan kita diperkenankan oleh Allah. Oleh itu kita mempunyai harapan. Harapan itu tidak akan mengecewakan kita, kerana Allah sudah mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita. Allah melakukan hal itu dengan perantaraan Roh-Nya, yang sudah dikurniakan-Nya kepada kita. Semasa kita dalam keadaan tidak berdaya, Kristus mati pada masa yang ditetapkan oleh Allah untuk menyelamatkan kita, orang yang jahat. Susahlah orang mahu mati bagi orang yang mentaati hukum agama. Mungkin ada orang yang bersedia mati bagi orang yang baik hati. Tetapi Allah telah menunjukkan betapa besarnya kasih-Nya kepada kita, kerana Kristus mati bagi kita semasa kita masih berdosa. Melalui kematian Kristus, kita sekarang berbaik semula dengan Allah. Oleh itu kita pasti akan diselamatkan oleh Kristus daripada kemurkaan Allah kelak. Dahulu kita bermusuhan dengan Allah, tetapi Allah menjadikan kita sahabat-sahabat-Nya melalui kematian Anak-Nya. Sekarang sebagai sahabat-sahabat Allah, kita pasti akan diselamatkan kerana Kristus hidup. Bukan itu sahaja; kita pun bersukacita kerana apa yang sudah dilakukan oleh Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus. Melalui Kristus, kita sekarang dijadikan sahabat-sahabat Allah. Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa orang itu membawa kematian. Akibatnya maut menjangkiti segenap umat manusia, kerana semua orang berdosa. Dosa sudah ada di dalam dunia sebelum Taurat diberikan. Tetapi jika tidak ada hukum, dosa tidak diperhitungkan. Sungguhpun demikian, dari zaman Adam sampai kepada zaman Musa, maut menguasai segenap umat manusia, termasuk orang yang tidak berbuat dosa seperti yang dilakukan oleh Adam ketika dia melanggar perintah Allah. Adam itu gambaran daripada Dia yang akan datang kemudian. Tetapi kedua-dua mereka tidak sama, kerana anugerah Allah sangat berbeza dengan dosa Adam. Memang betul bahawa banyak orang mati akibat dosa satu orang itu. Tetapi jauh lebih besar lagi akibat daripada rahmat Allah dan anugerah penyelamatan-Nya yang diberikan kepada banyak orang melalui rahmat satu orang, iaitu Yesus Kristus. Anugerah Allah juga jauh lebih besar daripada dosa satu orang itu. Setelah satu orang itu berdosa, Allah memberikan keputusan “Bersalah”. Tetapi setelah banyak orang berbuat dosa, Allah mengurniakan anugerah-Nya dengan menyatakan mereka, “Tidak bersalah!” Memang betul bahawa melalui satu orang itu, maut mula berkuasa kerana dosa satu orang itu. Tetapi lebih besar lagi hal yang dicapai oleh satu orang lain, iaitu Yesus Kristus. Melalui Dia, Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada banyak orang, dan dengan anugerah-Nya mereka dapat berbaik semula dengan Allah, serta akan hidup dan berkuasa melalui Kristus. Oleh itu sebagaimana umat manusia dihukum kerana dosa satu orang; dengan cara yang sama semua orang dibebaskan daripada kesalahan dan diberikan hidup, kerana perbuatan satu orang yang melakukan kehendak Allah. Sebagaimana semua orang menjadi orang berdosa kerana satu orang tidak taat, demikian juga orang dapat berbaik semula dengan Allah, kerana satu orang taat kepada Allah. Taurat diberikan oleh Allah. Tetapi apabila manusia semakin berusaha untuk mentaati Taurat, mereka semakin melanggarnya dan berdosa terhadap Allah. Tetapi apabila dosa bertambah, rahmat Allah pun semakin bertambah. Oleh itu sebagaimana orang harus mati kerana berbuat dosa, demikian juga rahmat Allah berkuasa untuk membolehkan kita berbaik semula dengan Allah, sehingga kita beroleh hidup sejati dan kekal melalui Yesus Kristus, Tuhan kita. Jika demikian, apakah yang harus kita katakan? Haruskah kita terus-menerus berbuat dosa supaya rahmat Allah semakin bertambah? Tentu tidak! Dosa tidak lagi berkuasa atas kita. Oleh itu bagaimanakah kita dapat terus-menerus melakukan dosa dalam hidup kita? Tidakkah kamu tahu bahawa pada masa kita dibaptis, kita dipersatukan dengan Kristus Yesus? Hal ini bererti kita dipersatukan dengan kematian-Nya. Dengan baptisan itu, kita dikubur dengan Kristus dan ikut mati bersama-sama Dia, supaya sebagaimana Kristus dibangkitkan daripada kematian oleh kuasa Bapa yang mulia, kita pun dapat mengamalkan hidup yang baru. Jika kita sudah dipersatukan dengan Kristus kerana kita ikut mati dengan Dia, maka kita akan dipersatukan dengan Dia juga kerana kita ikut dihidupkan semula seperti Dia. Kita tahu bahawa tabiat kita yang lama sudah disalibkan bersama-sama Kristus, supaya kuasa tabiat kita yang berdosa itu dimusnahkan, dan kita tidak akan diperhamba oleh dosa lagi. Hal itu demikian, kerana apabila seseorang mati, dia dibebaskan daripada kuasa dosa. Jika kita sudah mati bersama-sama Kristus, kita percaya bahawa kita pun akan hidup bersama-sama Dia. Hal itu demikian, kerana kita tahu bahawa Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Dia tidak akan mati lagi; kematian tidak berkuasa atas-Nya lagi. Kematian Kristus itu kematian terhadap dosa. Perkara itu berlaku satu kali sahaja untuk selama-lamanya. Tetapi hidup-Nya sekarang adalah hidup bagi Allah. Kamu juga harus menganggap diri kamu mati terhadap dosa, tetapi hidup erat dengan Allah melalui Kristus Yesus. Janganlah biarkan dosa menguasai hidup kamu yang fana, supaya kamu tidak mengikut keinginan hati yang jahat. Janganlah serahkan sebarang anggota tubuh kamu kepada kuasa dosa untuk digunakan bagi tujuan yang jahat. Sebaliknya, serahkanlah diri kamu kepada Allah sebagai orang yang dahulunya mati, tetapi sekarang telah dihidupkan oleh Allah. Serahkanlah segenap diri kamu kepada Allah supaya Allah boleh menggunakan kamu untuk melakukan kehendak-Nya. Dosa tidak boleh menguasai kamu, kerana kamu tidak lagi hidup di bawah Taurat, tetapi hidup di bawah rahmat Allah. Apakah kesimpulannya sekarang? Bolehkah kita berdosa, kerana kita sekarang hidup di bawah rahmat Allah dan tidak di bawah kuasa Taurat? Tentu tidak! Tentu kamu tahu bahawa jika kamu menghambakan diri kepada seseorang untuk melakukan kehendaknya, maka kamu menjadi hamba orang yang kamu taati: sama ada hamba kepada dosa yang mengakibatkan kematian, atau hamba kepada Allah yang dapat menjadikan kamu berbaik semula dengan Allah. Tetapi bersyukurlah kepada Allah! Dahulu kamu diperhamba oleh dosa, tetapi sekarang dengan sepenuh hati kamu mentaati ajaran benar yang sudah diberikan kepada kamu. Kamu sudah dibebaskan daripada dosa, lalu menjadi hamba kepada kehendak Allah. Kerana kamu susah memahami sesuatu, aku menggunakan contoh perhambaan. Dahulu kamu menyerahkan segenap diri kamu sebagai hamba kepada hal-hal keji dan jahat untuk tujuan yang jahat. Demikian juga sekarang kamu harus menyerahkan segenap diri sebagai hamba kepada kehendak Allah untuk tujuan-tujuan-Nya yang khas. Pada waktu kamu diperhamba oleh dosa, kamu tidak dikuasai oleh kehendak Allah. Tetapi apakah faedah yang kamu terima daripada perbuatan yang sekarang menyebabkan kamu berasa malu? Perbuatan-perbuatan itu hanya mengakibatkan kematian! Tetapi sekarang kamu sudah dibebaskan daripada dosa, dan menjadi hamba Allah. Faedahnya berupa kehidupan yang diabdikan kepada Allah dan hal ini menghasilkan hidup sejati dan kekal. Kematian adalah upah dosa, tetapi hidup sejati dan kekal bersama-sama Kristus Yesus Tuhan kita adalah anugerah Allah. Saudara-saudaraku, tentu kamu faham akan apa yang hendak aku katakan, kerana kamu semua memahami hukum. Seseorang berada di bawah kekuasaan hukum, hanya selama dia masih hidup. Seorang wanita yang bersuami, umpamanya, terikat oleh hukum kepada suaminya hanya selama suaminya masih hidup. Tetapi jika suaminya meninggal, wanita itu bebas daripada hukum yang mengikatnya kepada suaminya. Jika wanita itu hidup dengan lelaki lain semasa suaminya masih hidup, wanita itu dikatakan berzina. Tetapi jika suaminya meninggal, dari segi hukum, wanita itu sudah bebas. Jika dia berkahwin dengan lelaki lain, dia tidak berzina. Saudara-saudaraku, begitu juga halnya dengan kamu. Dari segi Taurat, kamu sudah mati, kerana kamu sebahagian daripada tubuh Kristus. Kamu sekarang menjadi milik Dia yang sudah dibangkitkan daripada kematian, supaya kita menjadi berguna bagi Allah dalam kehidupan kita. Dahulu kita hidup menurut tabiat manusia, dan pelbagai keinginan yang berdosa timbul dalam diri kita kerana adanya Taurat. Hal itu menyebabkan kita melakukan perkara-perkara yang mengakibatkan kematian. Tetapi sekarang kita bebas daripada kuasa Taurat, kerana kita sudah mati terhadap Taurat yang dahulu menguasai kita. Kita tidak lagi mengabdikan diri dengan cara lama menurut hukum yang tertulis. Tetapi sekarang kita mengabdikan diri menurut cara baru yang ditunjukkan oleh Roh Allah. Jika demikian, apakah yang dapat kita katakan? Adakah Taurat itu jahat? Tentu tidak! Tetapi Tauratlah yang menyebabkan aku tahu akan dosa. Jika Taurat tidak mengatakan, “Jangan tamak akan harta orang,” aku tidak tahu akan ketamakan. Melalui hukum itu, dosa mendapat peluang untuk membangkitkan pelbagai ketamakan dalam diriku. Jika tidak ada hukum agama, dosa tidak berkuasa. Dahulu aku hidup tanpa hukum agama. Tetapi apabila aku mengetahui hukum itu, dosa mula berkuasa dan aku pun mati. Hukum yang seharusnya menyebabkan aku hidup, malahan mendatangkan kematian. Melalui hukum, dosa mendapat peluang untuk menipu dan membunuh aku. Taurat berasal daripada Allah, dan setiap hukum berasal daripada Allah, maka setiap hukum adil dan baik. Adakah hal ini bererti bahawa apa yang baik menyebabkan kematianku? Tentu tidak! Dosalah yang menyebabkan kematianku. Dengan menggunakan yang baik, dosa menyebabkan kematianku, supaya nyatalah sifat-sifat dosa. Melalui hukum, terbuktilah betapa jahatnya dosa. Kita tahu bahawa Taurat berasal daripada Roh Allah; tetapi aku ini hanya manusia yang dijual sebagai hamba kepada dosa. Aku tidak memahami perbuatanku sendiri. Perkara-perkara yang ingin aku lakukan, tidak aku lakukan; tetapi perkara-perkara yang aku benci, itulah yang aku lakukan. Apabila aku melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan keinginanku, hal itu bererti aku mengakui bahawa Taurat itu baik. Oleh itu sebenarnya bukan aku yang melakukan perkara-perkara itu, tetapi dosa yang menguasai diriku. Aku tahu bahawa tidak ada sesuatu pun yang baik dalam diriku, ataupun dalam tabiatku sebagai manusia. Hal itu demikian kerana walaupun ada padaku keinginan untuk berbuat baik, tetapi aku tidak dapat melakukannya. Aku tidak melakukan perkara baik yang ingin aku lakukan, sebaliknya aku melakukan perkara jahat yang tidak ingin aku lakukan. Jika aku melakukan perkara-perkara yang tidak ingin aku lakukan, hal ini bererti bukan aku yang melakukannya, melainkan dosa yang menguasai diriku. Oleh itu aku mendapati hukum ini berlaku: Apabila aku mahu melakukan yang baik, yang jahat sahaja menjadi pilihanku. Batinku suka akan hukum daripada Allah. Tetapi aku sedar bahawa dalam diriku ada hukum lain yang bertentangan dengan hukum yang diakui oleh akal budiku. Itulah sebabnya aku ditawan oleh hukum dosa yang menguasai diriku. [24-25] Beginilah keadaanku: aku mentaati hukum Allah dengan akal budi sahaja, sedangkan tabiatku sebagai manusia mengikut hukum dosa. Alangkah malangnya aku ini! Siapakah yang dapat menyelamatkan aku daripada tubuh ini yang membawa aku kepada kematian? Aku bersyukur kepada Allah; Dia menyelamatkan aku melalui Yesus Kristus! Sekarang tidak ada lagi hukuman bagi mereka yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Hal itu demikian kerana hukum Roh Allah yang menyebabkan kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, sudah membebaskan aku daripada hukum dosa dan kematian. Perkara yang gagal dilakukan oleh Taurat kerana tabiat manusia lemah, sudah dilakukan oleh Allah. Allah mengalahkan kuasa dosa yang ada dalam tabiat manusia dengan mengutus Anak-Nya sendiri, yang datang dalam keadaan manusia yang cenderung berbuat dosa, untuk menghapuskan dosa. Allah berbuat demikian supaya kehendak-Nya yang dinyatakan di dalam Taurat dapat kita lakukan dengan sepenuhnya dalam hidup kita yang menurut kehendak Roh Allah, dan bukan menurut kehendak tabiat manusia. Orang yang hidup menurut kehendak tabiat manusia, fikiran mereka dikuasai oleh tabiat manusia. Orang yang hidup menurut kehendak Roh Allah, fikiran mereka dikuasai oleh Roh Allah. Jika fikiran kamu dikuasai oleh tabiat manusia, hal itu mengakibatkan kematian. Tetapi jika fikiran kamu dikuasai oleh Roh Allah, Allah akan mengurniai kamu hidup dan kedamaian. Seseorang yang fikirannya dikuasai oleh tabiat manusia, menjadi musuh Allah. Orang itu tidak mentaati hukum Allah, dan sebenarnya dia tidak dapat mentaati hukum Allah. Orang yang hidup menurut tabiat manusia, tidak dapat menyenangkan hati Allah. Tetapi kamu tidak lagi hidup menurut tabiat manusia. Kamu hidup menurut kehendak Roh Allah - jika Roh Allah menguasai hidup kamu. Sesiapa tidak mempunyai Roh Kristus, orang itu bukan milik Kristus. Tetapi jika Kristus hidup dalam diri kamu, Roh Allah mengurniakan hidup kepada kamu, walaupun badan kamu akan mati kerana dosa. Hal itu demikian kerana kamu sudah berbaik semula dengan Allah. Jika Roh Allah yang membangkitkan Kristus daripada kematian, hidup dalam diri kamu, Dia yang membangkitkan Kristus daripada kematian itu, juga akan menghidupkan badan kamu yang fana. Dia melakukannya dengan Roh-Nya yang hidup dalam diri kamu. Oleh itu saudara-saudaraku, inilah kewajipan kita: Kita tidak boleh hidup menurut kehendak tabiat manusia. Jika kamu hidup menurut tabiat manusia, kamu akan mati; tetapi jika dengan kuasa Roh Allah kamu mematikan semua perbuatan kamu yang berdosa, kamu akan hidup. Orang yang dipimpin oleh Roh Allah ialah anak-anak Allah. Roh yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu tidak memperhamba kamu, sehingga kamu hidup dalam ketakutan. Sebaliknya Roh Allah menjadikan kamu anak-anak Allah, dan dengan kuasa Roh Allah kita memanggil Allah “Bapa, ya Bapaku!” Roh Allah bersama dengan roh kita menyatakan bahawa kita anak-anak Allah. Kerana kita anak-anak Allah, kita akan menerima berkat-berkat yang disediakan oleh Allah untuk umat-Nya. Bersama dengan Kristus, kita juga akan menerima segala yang sudah disediakan oleh Allah untuk Dia, kerana jika kita menderita bersama-sama Kristus, kita juga akan mendapat kemuliaan-Nya. Pada pendapatku, segala penderitaan yang kita alami sekarang tidak dapat dibandingkan dengan kemuliaan yang akan ditunjukkan kepada kita. Dengan penuh kerinduan, alam semesta menanti-nantikan masanya Allah menunjukkan anak-anak-Nya. Alam semesta sudah dibiarkan menjadi sia-sia, bukan kerana kehendak sendiri, tetapi kerana Allah menetapkannya demikian. Meskipun demikian ada juga harapan bahawa pada suatu hari alam semesta akan dibebaskan daripada kuasa yang menghancurkannya, lalu menikmati kebebasan dan kemuliaan dengan anak-anak Allah. Kita tahu bahawa sehingga saat ini alam semesta merintih kesakitan seperti kesakitan yang dialami wanita yang bersalin. Bukan sahaja alam semesta yang merintih, tetapi kita juga merintih dalam batin. Kita yang sudah menerima Roh Allah sebagai kurnia Allah yang pertama, pun masih menunggu masanya Allah menjadikan kita anak-anak-Nya dan membebaskan diri kita seluruhnya. Kerana dengan berharap, kita diselamatkan. Tetapi jika kita boleh melihat apa yang kita harapkan, maka hal itu bukan lagi harapan. Siapakah mengharapkan sesuatu yang sudah dilihatnya? Tetapi jika kita mengharapkan sesuatu yang belum kita lihat, kita menunggu dengan sabar. Begitu juga Roh Allah datang menolong kita yang lemah ini. Kita tidak tahu bagaimana kita patut berdoa; Roh itu sendiri bermohon kepada Allah dengan erangan yang tidak dapat diutarakan dengan kata-kata. Allah yang mengetahui isi hati manusia, mengerti apa yang dimaksudkan oleh Roh itu, kerana Roh itu bermohon kepada Allah bagi umat-Nya, sesuai dengan kehendak Allah. Kita tahu bahawa Allah mengendalikan segala hal sehingga menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihi Dia dan yang sudah dipanggil-Nya sesuai dengan rancangan-Nya. Mereka yang sudah dipilih oleh Allah, juga telah ditetapkan-Nya dari dahulu supaya menjadi seperti Anak-Nya, Yesus Kristus. Dengan demikian Anak itu menjadi yang pertama antara banyak saudara. Begitulah Allah memanggil mereka yang telah ditetapkan-Nya dari dahulu; Allah membolehkan mereka yang dipanggil-Nya itu berbaik semula dengan Dia, dan Allah memberikan sebahagian daripada kemuliaan-Nya kepada mereka yang dibolehkan-Nya berbaik semula dengan Dia. Oleh itu, apakah yang boleh kita katakan sekarang tentang semua itu? Jika Allah berpihak kepada kita, siapakah dapat melawan kita? Allah tidak menghalang Anak-Nya mengalami penderitaan, tetapi mempersembahkan Anak-Nya sebagai korban untuk kita semua. Jika Allah mengurniai kita Anak-Nya sendiri, tidakkah Dia akan memberikan segala sesuatu yang lain? Siapakah berani menuduh kita, umat yang sudah dipilih oleh Allah? Tiada seorang pun, kerana Allah sendiri menyatakan kita tidak bersalah. Siapakah dapat menyalahkan kita? Tiada seorang pun, kerana Kristus Yesus membela kita! Dialah yang sudah mati, bahkan sudah dibangkitkan daripada kematian dan berada di sebelah kanan Allah. Apakah yang dapat menghalang Kristus mengasihi kita? Tiada sesuatu pun dapat menghalang Kristus mengasihi kita: baik kesusahan, kesukaran, penganiayaan, kelaparan, kemiskinan, bahaya mahupun kematian. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Sepanjang masa kami menghadapi bahaya maut kerana Engkau. Kami diperlakukan seperti domba yang akan disembelih.” Tidak! Dalam semuanya kita mendapat kemenangan yang sempurna daripada Dia yang mengasihi kita! Aku yakin bahawa tiada sesuatu pun dapat menghalang Kristus mengasihi kita: baik kematian mahupun kehidupan, baik malaikat mahupun penguasa lain di angkasa, baik hal-hal yang berlaku sekarang mahupun pada masa yang akan datang; baik hal-hal yang di langit mahupun yang di bumi - tidak ada sesuatu pun di alam semesta yang dapat menghalang Allah mengasihi kita, seperti yang sudah ditunjukkan-Nya melalui Kristus Yesus, Tuhan kita! Apa yang aku katakan ini benar; aku milik Kristus dan aku tidak berdusta. Hati nuraniku yang dikuasai oleh Roh Allah, juga meyakinkan aku bahawa aku tidak berdusta. Aku sangat sedih dan menderita, kerana saudara-saudaraku, orang yang sebangsa denganku. Bagi kepentingan mereka, aku rela dikutuk oleh Allah dan dipisahkan daripada Kristus. Merekalah umat yang dipilih oleh Allah; Allah menjadikan mereka anak-Nya sendiri dan menunjukkan kemuliaan-Nya kepada mereka. Dia mengadakan perjanjian-perjanjian dengan mereka dan memberi mereka Taurat. Mereka diberitahu oleh Allah cara menyembah Dia dengan betul, dan mereka menerima janji-janji Allah. Mereka keturunan nenek moyang kita yang terkemuka. Kristus, sebagai manusia, berasal daripada bangsa mereka. Hendaklah Allah yang menguasai segala sesuatu, dipuji selama-lamanya! Amin. Aku tidak mengatakan bahawa apa yang dijanjikan oleh Allah tidak berlaku. Apa yang dijanjikan-Nya sudah berlaku, kerana bukan semua orang Israel umat yang dipilih-Nya. Bukan semua keturunan Abraham anak-anak Allah. Allah berfirman kepada Abraham, “Hanya keturunan Ishak yang akan disebut keturunanmu.” Hal ini bererti bahawa tidak semua keturunan Abraham menjadi anak-anak Allah, tetapi hanya keturunan yang dilahirkan menurut janji Allah. Hal itu demikian, kerana inilah yang difirmankan oleh Allah ketika Dia berjanji kepada Abraham, “Pada waktu yang ditetapkan, Aku akan kembali, dan Sara akan melahirkan seorang anak lelaki.” Bukan demikian sahaja. Kedua-dua anak lelaki Ribkah mempunyai bapa yang sama, iaitu Ishak, nenek moyang kita. [11-12] Untuk menunjukkan bahawa salah seorang anak itu anak pilihan Allah, Allah berfirman kepada Ribkah, “Yang sulung akan melayani yang bongsu.” Allah berfirman demikian sebelum kedua-dua anak itu lahir dan sebelum mereka tahu berbuat apa yang baik atau yang jahat. Dengan demikian nyatalah bahawa pilihan Allah itu tidak berdasarkan perbuatan mereka, tetapi berdasarkan panggilan Allah sendiri. *** Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, “Yakub Aku kasihi, tetapi Esau Aku benci.” Jika demikian, bolehkah kita katakan bahawa Allah tidak adil? Tentu tidak boleh! Allah berfirman kepada Musa, “Aku akan merahmati orang yang hendak Aku rahmati, dan Aku akan mengasihani orang yang hendak Aku kasihani.” Oleh itu, keputusan Allah tidak bergantung kepada kehendak atau perbuatan manusia, tetapi hanya kepada belas kasihan Allah. Hal itu demikian, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Allah berfirman kepada raja Mesir, ‘Untuk maksud ini Aku melantik engkau menjadi raja, supaya melalui engkau, Aku menyatakan kekuasaan-Ku dan memasyhurkan nama-Ku di seluruh dunia.’ ” Oleh itu, Allah berbelas kasihan kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah menjadikan orang berkeras kepala jika Dia berkehendak demikian. Lalu kamu akan bertanya kepadaku, “Jika demikian mengapa Allah mahu menyalahkan manusia? Siapa dapat melawan kehendak Allah?” Tetapi saudaraku, siapakah kamu sehingga berani menyoal Allah? Bolehkah periuk tanah bertanya kepada yang membuatnya, “Mengapa aku dibuat begini?” Bukankah orang yang membuat periuk berhak menggunakan tanah liat itu sekehendak hatinya? Dengan segumpal tanah liat, dia boleh membuat dua buah periuk: yang satu untuk kegunaan khas dan yang satu lagi untuk kegunaan sehari-hari. Begitu juga halnya dengan apa yang dilakukan oleh Allah. Dia ingin menunjukkan kemurkaan-Nya dan menyatakan kekuasaan-Nya. Tetapi Allah sangat sabar terhadap mereka yang menjadi sasaran kemurkaan-Nya, iaitu mereka yang akan dimusnahkan. Allah juga ingin menyatakan kebahagiaan berlimpah-limpah, yang dicurahkan-Nya kepada kita yang menjadi tumpuan belas kasihan-Nya. Kita sudah disiapkan oleh-Nya untuk menerima kebahagiaan itu. Kita ini orang yang sudah dipanggil-Nya, dan kita terdiri daripada orang Yahudi dan bukan Yahudi. Di dalam kitab Nabi Hosea, Allah berfirman, “Orang yang bukan umat-Ku, akan Aku sebut ‘Umat-Ku.’ Bangsa yang tidak Aku kasihi, akan Aku sebut ‘Kekasih-Ku.’ Di tempat Allah berfirman, ‘Kamu bukan umat-Ku,’ di situ juga mereka akan disebut anak-anak Allah yang hidup.” Nabi Yesaya berseru tentang orang Israel, “Sungguhpun bilangan orang Israel sebanyak pasir di laut, hanya sedikit sahaja yang akan diselamatkan; kerana Tuhan akan segera menjatuhkan hukuman kepada semua orang di bumi.” Seperti yang dikatakan Yesaya dahulu, “Seandainya Tuhan Yang Maha Kuasa tidak memberi kita keturunan, pastilah kita semua sudah menjadi seperti Sodom dan Gomora.” Oleh itu, inilah kesimpulannya: Orang bukan Yahudi yang tidak berusaha untuk berbaik semula dengan Allah, sekarang dapat berbaik semula dengan Allah, kerana mereka percaya kepada-Nya. Sebaliknya orang Israel yang selalu mencari hukum yang membolehkan mereka berbaik semula dengan Allah, tidak menjumpainya. Mereka tidak menjumpai hukum itu kerana mereka bergantung kepada usaha mereka sendiri, dan tidak percaya kepada Allah. Oleh itu mereka tersandung pada ‘batu sandungan’. Di dalam Alkitab ada tertulis tentang batu itu, “Lihatlah, Aku meletakkan satu batu di Sion yang akan menyebabkan orang tersandung, satu batu besar yang akan menyebabkan orang jatuh. Tetapi orang yang percaya kepada Dia, tidak akan dikecewakan.” Saudara-saudaraku! Dengan sepenuh hati aku berharap supaya bangsaku diselamatkan! Dengan tekun aku berdoa kepada Allah bagi mereka. Aku boleh memberikan kesaksian bahawa mereka sungguh-sungguh mengabdikan diri kepada Allah. Tetapi pengabdian mereka tidak berdasarkan pengetahuan daripada Allah. Mereka tidak mengetahui cara Allah membolehkan manusia berbaik semula dengan Dia. Sebaliknya mereka berusaha untuk mengikut cara mereka sendiri. Oleh itu mereka tidak mahu menerima cara Allah membolehkan manusia berbaik semula dengan Dia. Kristus sudah menyebabkan Taurat tidak lagi berkuatkuasa. Oleh itu orang yang percaya kepada Kristus dapat berbaik semula dengan Allah. Inilah yang ditulis oleh Musa tentang cara berbaik semula dengan Allah melalui ketaatan kepada Taurat, “Orang yang mentaati Taurat akan hidup.” Tetapi tentang cara berbaik semula dengan Allah melalui kepercayaan kepada-Nya, Alkitab mengatakan demikian, “Janganlah bertanya dalam hati, ‘Siapakah yang akan naik ke syurga?’ (maknanya membawa Kristus turun), atau ‘Siapakah yang akan turun ke alam maut?’ (maknanya membawa Kristus naik daripada kematian).” Beginilah maksudnya, “Perkhabaran daripada Allah sangat dekat pada kamu, pada bibir kamu, dan di dalam hati kamu.” Itulah perkhabaran yang kami isytiharkan; perkhabaran bahawa orang harus percaya kepada Allah. Jika kamu mengaku di hadapan orang bahawa “Yesus itu Tuhan,” dan kamu sungguh-sungguh percaya bahawa Allah sudah membangkitkan Yesus daripada kematian, kamu akan diselamatkan. Kerana kita sungguh-sungguh percaya, kita diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya. Kerana kita mengakui Yesus di hadapan orang, kita diselamatkan. Di dalam Alkitab tertulis, “Orang yang percaya kepada Dia tidak akan dikecewakan.” Hal itu berlaku bagi semua orang, kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi. Allah yang satu itu Tuhan semua orang. Dia melimpahkan berkat-Nya kepada semua orang yang meminta pertolongan-Nya. Di dalam Alkitab juga tertulis, “Setiap orang yang berseru kepada Tuhan akan diselamatkan.” Tetapi bagaimanakah mereka dapat berseru kepada Tuhan jika mereka belum percaya kepada-Nya? Bagaimanakah mereka dapat percaya kepada-Nya jika mereka belum mendengar perkhabaran tentang Dia? Bagaimanakah mereka dapat mendengar perkhabaran itu, jika tidak ada yang mengisytiharkannya? Bagaimanakah perkhabaran itu dapat diisytiharkan jika tidak ada orang yang diutus untuk mengisytiharkannya? Di dalam Alkitab tertulis begini, “Alangkah baiknya ketibaan orang yang membawa Berita Baik daripada Allah!” Tetapi tidak semua orang menyambut Berita Baik itu. Nabi Yesaya berkata, “Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami?” Oleh itu orang dapat percaya kerana mendengar perkhabaran itu, dan orang dapat mendengar perkhabaran itu kerana ada orang yang memberitakan Kristus. Tetapi aku bertanya: Betulkah mereka belum mendengar perkhabaran itu? Tentu mereka sudah mendengarnya, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Suara mereka terdengar di seluruh dunia; dan kata-kata mereka sampai ke hujung bumi.” Aku bertanya pula: Tidakkah orang Israel memahaminya? Musa ialah orang pertama yang menjawab soalan itu. Dia berkata, “Allah berfirman, ‘Aku akan menjadikan kamu iri hati terhadap mereka yang bukan bangsa; Aku akan menjadikan kamu marah terhadap bangsa yang bodoh.’ ” Yesaya lebih berani lagi ketika dia berkata, “Allah berfirman, ‘Aku dijumpai oleh mereka yang tidak mencari Aku, Aku menampakkan diri kepada mereka yang tidak bertanya tentang Aku.’ ” Tetapi tentang orang Israel Yesaya berkata, “Allah berfirman, ‘Sepanjang hari Aku menghulurkan tangan-Ku kepada bangsa yang tidak taat kepada-Ku dan yang melawan Aku.’ ” Kemudian aku bertanya: Adakah Allah menolak umat-Nya sendiri? Tentu tidak! Aku sendiri orang Israel keturunan Abraham, dan daripada suku Benyamin. Allah tidak menolak umat-Nya yang dipilih-Nya dari mula-mula. Kamu mengetahui apa yang tertulis di dalam Alkitab tentang Elia semasa dia mengadukan perbuatan Israel kepada Allah. Elia berkata, “Ya Tuhan, mereka sudah membunuh nabi-nabi-Mu dan memusnahkan mazbah-mazbah-Mu. Hanya aku seorang yang tertinggal, dan mereka hendak membunuh aku.” Apakah jawapan Allah kepada Elia? Allah berfirman, “Aku sudah menyisihkan tujuh ribu orang bagi diri-Ku dan mereka belum pernah menyembah Dewa Baal.” Demikian juga halnya sekarang: Ada sebilangan kecil orang yang sudah dipilih oleh Allah kerana rahmat-Nya. Pilihan Allah itu tidak berdasarkan perbuatan mereka, tetapi berdasarkan rahmat Allah. Jika pilihan Allah itu berdasarkan perbuatan manusia, maka rahmat Allah itu bukanlah rahmat yang sejati. Lalu bagaimana? Umat Israel tidak mendapat apa yang dicari oleh mereka. Yang mendapatnya hanyalah sebilangan kecil orang yang sudah dipilih oleh Allah. Yang lainnya menjadi keras kepala sehingga tidak mendengar panggilan Allah. Di dalam Alkitab tertulis, “Allah menjadikan hati dan fikiran mereka lembap; sampai hari ini mata mereka tidak dapat melihat dan telinga mereka tidak dapat mendengar.” Daud juga berkata, “Biarlah pesta jamuan mereka menjadi perangkap, biarlah mereka jatuh, dan biarlah mereka dihukum! Biarlah mata mereka menjadi buta sehingga tidak dapat melihat; dan biarlah mereka sentiasa menderita kerana kesusahan.” Aku bertanya lagi: Ketika orang Yahudi tersandung, adakah hal ini berlaku supaya mereka jatuh dan tidak bangkit lagi? Sekali-kali tidak! Kerana mereka berdosa, orang bukan Yahudi diselamatkan, supaya orang Yahudi iri hati terhadap mereka. Kerana orang Yahudi berdosa, dunia mendapat berkat yang berlimpah-limpah, dan kerana kemiskinan rohani orang Yahudi, orang bukan Yahudi mendapat berkat yang berlimpah-limpah. Jika demikian halnya, lebih besar lagi berkat yang akan dikurniakan oleh Allah, apabila semua orang Yahudi diselamatkan! Sekarang aku berkata-kata kepada kamu, orang bukan Yahudi. Selama aku menjadi rasul kepada orang bukan Yahudi, aku bangga dengan tugasku itu. Aku berharap dapat membuat bangsaku iri hati, dan kerana apa yang aku lakukan, Allah akan menyelamatkan sebahagian daripada mereka. Kerana semasa mereka ditolak oleh Allah, orang bangsa lain di dunia dijadikan sahabat Allah. Apakah yang akan berlaku, apabila mereka diterima oleh Allah? Keadaannya tentu seperti orang mati hidup semula! Jika kepingan pertama daripada sebuku roti diberikan kepada Allah, seluruh roti itu menjadi milik Allah. Jika akar pokok dipersembahkan kepada Allah, cabang-cabang pokok itu pun milik-Nya. Beberapa cabang pokok zaitun yang dipelihara sudah dikerat, lalu di situ dicantum sebatang cabang pokok zaitun liar untuk menikmati segala yang baik daripada pokok zaitun itu. Kamu orang bukan Yahudi seperti cabang pokok zaitun liar itu. Kamu dicantum di situ untuk menikmati berkat-berkat daripada orang Yahudi. Oleh itu janganlah kamu hina mereka yang sudah dikerat seperti cabang-cabang itu. Janganlah menjadi sombong! Kamu hanya cabang; cabang tidak memberikan khasiat kepada akar, sebaliknya akar yang memberikan khasiat kepada cabang. Tetapi kamu akan berkata, “Tidakkah cabang-cabang itu dikerat supaya kami dapat dicantum?” Memang betul. Mereka dikerat kerana mereka tidak beriman, tetapi kamu tetap di situ kerana kamu beriman. Janganlah hal itu menyebabkan kamu sombong, tetapi takutlah. Jika orang Yahudi yang seperti cabang-cabang asli, dibenarkan oleh Allah untuk tumbuh terus pada pokok itu, tentu hal yang sama boleh dilakukan-Nya kepada kamu. Di sini kita melihat bahawa Allah baik, tetapi Dia juga mengadili dengan keras. Dia bertindak keras terhadap mereka yang berdosa, tetapi Dia baik hati terhadap kamu asalkan kehidupan kamu layak menerima kebaikan-Nya. Jika tidak, kamu juga akan dikerat. Jika orang Yahudi kembali dan percaya, mereka akan dicantum semula ke tempat asal, kerana Allah berkuasa melakukan hal itu. Kamu yang bukan orang Yahudi seperti cabang yang dikerat daripada pokok zaitun liar. Walaupun bertentangan dengan alam semula jadi, kamu dicantum pada pokok zaitun yang dipelihara. Orang Yahudi seperti pokok zaitun yang dipelihara. Oleh itu lebih mudah bagi Allah mengembalikan cabang-cabangnya yang sudah dikerat kepada pokok asal. Saudara-saudaraku! Aku ingin kamu mengetahui suatu kebenaran yang belum diketahui orang. Jika kamu mengetahui perkara itu, kamu tidak akan menganggap diri kamu sangat bijak. Ketahuilah bahawa kedegilan umat Israel itu untuk sementara sahaja; sikap itu berlaku sehingga lengkap bilangan orang bukan Yahudi yang datang kepada Allah. Beginilah semua orang Israel akan diselamatkan. Di dalam Alkitab tertulis, “Penyelamat akan datang dari Sion, Dia akan menghapuskan segala kejahatan keturunan Yakub. Aku akan membuat perjanjian ini dengan mereka, pada waktu Aku mengampunkan dosa mereka.” Kerana orang Yahudi tidak mahu menerima Berita Baik daripada Allah, mereka menjadi musuh Allah. Tetapi hal itu membawa faedah bagi kamu, orang bukan Yahudi. Tetapi kerana pilihan Allah, orang Yahudi tetap dikasihi oleh Allah, kerana janji Allah kepada nenek moyang mereka. Hal itu demikian kerana Allah tidak mengubah pendirian-Nya tentang orang yang dipilih-Nya dan diberkati-Nya. Dahulu kamu, orang bukan Yahudi tidak taat kepada Allah. Tetapi sekarang kamu menerima belas kasihan Allah, kerana orang Yahudi tidak taat kepada Allah. Demikian juga halnya dengan orang Yahudi. Kerana kamu sudah menerima belas kasihan Allah, sekarang orang Yahudi tidak taat kepada Allah, supaya mereka pun boleh menerima belas kasihan Allah. Hal itu demikian, kerana Allah sudah membiarkan umat manusia menjadi seperti orang tahanan, kerana mereka tidak mentaati Dia. Allah berbuat demikian supaya Dia dapat menunjukkan belas kasihan-Nya kepada mereka semua. Alangkah hebatnya kekayaan, kebijaksanaan, dan pengetahuan Allah! Siapakah dapat menjelaskan keputusan-Nya? Siapakah dapat memahami cara Dia melakukan sesuatu? Di dalam Alkitab tertulis, “Siapakah yang dapat mengetahui fikiran Tuhan? Siapakah yang dapat memberikan nasihat kepada-Nya? Siapakah yang pernah memberikan sesuatu kepada Tuhan, sehingga Dia harus memberikan balasan?” Segala sesuatu diciptakan oleh Allah, dan segala sesuatu berasal daripada Dia, dan untuk Dia. Terpujilah Allah selama-lamanya! Amin. Saudara-saudaraku! Kerana Allah sangat baik kepada kita, aku menggesa kamu supaya mempersembahkan diri sebagai suatu korban yang hidup, yang khas untuk Allah, dan yang menyenangkan hati-Nya. Demikianlah seharusnya kamu beribadat kepada Allah. Janganlah ikut kebiasaan dunia, tetapi biarlah Allah membaharui cara kamu berfikir, sehingga kamu dapat mengetahui kehendak Allah - iaitu apa yang baik dan yang menyenangkan hati-Nya, serta yang sempurna. Kerana kurnia Allah yang sudah dianugerahkan-Nya kepadaku, aku menasihati kamu semua: Janganlah anggap diri kamu lebih daripada yang sepatutnya, tetapi nilailah diri masing-masing dengan rendah hati menurut kebolehan yang dikurniakan oleh Allah, kerana kamu percaya kepada Yesus. Tubuh kita mempunyai banyak anggota, dan setiap anggota tubuh mempunyai tugas yang berlainan. Begitu juga halnya dengan kita. Sungguhpun bilangan kita banyak, tetapi kita satu tubuh kerana kita bersatu dengan Kristus. Kita semua dihubungkan satu dengan yang lain sebagai anggota-anggota daripada satu tubuh. Oleh itu kita harus menggunakan kurnia-kurnia yang berlainan, menurut rahmat-Nya yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Jika kita mempunyai kurnia untuk mengkhabarkan berita daripada Allah, kita harus melakukannya menurut kebolehan yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Jika kita mempunyai kurnia untuk menolong orang lain, kita harus menolong mereka. Jika kita mempunyai kurnia untuk mengajar, kita harus mengajar. Jika kita mempunyai kurnia untuk menggalakkan orang lain, kita harus melakukannya. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk berkongsi milik dengan orang lain, harus melakukannya dengan murah hati. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk menjadi pemimpin, harus memimpin dengan tekun. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk menunjukkan belas kasihan kepada orang lain, harus melakukannya dengan sukacita. Kamu harus mengasihi orang lain dengan ikhlas. Kamu harus membenci apa yang jahat, tetapi berpegang kepada apa yang baik. Kamu harus saling mengasihi dengan mesra sebagai saudara dalam keluarga Kristus. Hendaklah kamu saling mendahului untuk memberikan hormat. Jangan malas, tetapi bekerjalah dengan rajin. Abdikanlah diri kepada Tuhan dengan semangat daripada Roh Allah. Kerana kamu berharap kepada Tuhan, bersukacitalah. Bersabarlah semasa mengalami kesusahan dan berdoalah sentiasa. Hendaklah kamu berkongsi milik dengan saudara seiman yang memerlukan bantuan, dan sambutlah saudara seiman yang tidak kamu kenal ke rumah. Berdoalah kepada Allah supaya Dia memberkati orang yang menganiaya kamu. Mintalah Allah memberkati mereka, dan janganlah minta Allah mengutuk mereka. Bersukacitalah dengan mereka yang bersukacita, dan menangislah dengan mereka yang menangis. Hendaklah kamu semua hidup rukun. Janganlah bersikap sombong, janganlah tolak tugas yang dipandang rendah. Janganlah anggap diri kamu lebih bijak daripada yang sebenarnya. Jika seseorang berbuat jahat terhadap kamu, janganlah balas dia dengan kejahatan. Berusahalah untuk melakukan apa yang dianggap baik oleh semua orang. Dengan sedaya upaya, berusahalah untuk hidup damai dengan semua orang. Saudara-saudaraku! Jangan sekali-kali balas dendam; biarlah Allah yang membalas dendam. Di dalam Alkitab tertulis, “Aku akan membalas kejahatan mereka. Aku akan menghukum mereka, firman Tuhan.” Janganlah balas dendam, tetapi lakukanlah apa yang tertulis di dalam Alkitab, “Jika musuhmu lapar, berilah dia makan; jika dia dahaga, berilah dia minuman. Kerana dengan berbuat demikian, kamu akan membuat dia malu.” Janganlah biarkan diri kamu dikalahkan oleh kejahatan, tetapi kalahkanlah kejahatan dengan kebaikan. Setiap orang harus taat kepada pemerintah, kerana pemerintah mendapat kekuasaan daripada Allah. Pemerintah yang ada sekarang pun ditetapkan oleh Allah. Oleh itu orang yang menentang pemerintah, menentang apa yang sudah ditetapkan oleh Allah. Sesiapa yang berbuat demikian akan mendatangkan hukuman kepada dirinya sendiri. Mereka yang berbuat baik tidak perlu takut kepada pemerintah. Hanya mereka yang berbuat jahat harus takut. Jika kamu tidak mahu berasa takut kepada pemerintah, berbuatlah baik, lalu kamu akan dipuji. Hal itu demikian, kerana pemerintah itu hamba Allah, yang berkhidmat bagi kebaikan kamu. Tetapi jika kamu berbuat jahat, takutlah kepadanya, kerana pemerintah berkuasa untuk menjatuhkan hukuman. Pemerintah itu hamba Allah, yang menjatuhkan hukuman Allah kepada orang yang berbuat jahat. Itulah sebabnya kamu harus taat kepada pemerintah - bukan sahaja kerana takut kepada hukuman Allah, tetapi kerana hati nurani kamu menyuruh kamu berbuat demikian. Itulah sebabnya pula kamu membayar cukai, kerana pemerintah berkhidmat kepada Allah apabila menjalankan tugas. Bayarlah apa yang harus kamu bayar kepada pemerintah. Bayarlah cukai pendapatan, jika kamu harus membayarnya. Bayarlah cukai tanah, jika kamu harus membayarnya. Hormatilah mereka yang harus dihormati, dan hargailah mereka yang harus dihargai. Janganlah berhutang kepada sesiapa pun, kecuali berhutang kasih terhadap satu sama lain. Sesiapa yang mengasihi sesama manusia, mentaati Taurat. Hukum yang mengatakan, “Jangan berzina; jangan membunuh; jangan mencuri; jangan tamak” - semua ini dan hukum yang lain, sudah disimpulkan menjadi satu hukum sahaja, “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” Orang yang mengasihi orang lain, tidak akan berbuat jahat kepada orang itu. Oleh itu orang yang mengasihi sesama manusia, mentaati keseluruhan Taurat. Kamu harus melakukan semuanya, kerana kamu tahu bahawa inilah masanya kamu bangun daripada tidur. Hal itu demikian kerana masa kita diselamatkan lebih dekat sekarang ini daripada masa kita mula percaya. Malam hampir berlalu, dan fajar akan menyingsing. Marilah kita berhenti melakukan perkara-perkara yang dilakukan dalam kegelapan. Marilah kita lengkapi diri seolah-olah dengan senjata yang digunakan dalam terang. Kita harus berkelakuan baik seperti orang yang hidup dalam terang dan bukan dalam kegelapan. Janganlah ikut pesta liar atau mabuk. Janganlah berkelakuan lucah atau tidak senonoh. Janganlah berkelahi ataupun iri hati. Tetapi biarlah Tuhan Yesus Kristus menjadi pelindung kamu. Janganlah turuti tabiat manusia berdosa untuk memuaskan hawa nafsu. Orang yang tidak yakin akan kepercayaan mereka harus disambut dengan baik di kalangan kamu. Janganlah bertengkar dengan mereka tentang pendirian peribadi. Ada orang yang berpendirian bahawa mereka boleh makan apa sahaja, tetapi orang yang lemah keyakinannya hanya makan sayur-sayuran. Orang yang makan apa sahaja tidak boleh menghina orang yang makan makanan tertentu, dan orang yang hanya makan makanan tertentu tidak boleh menyalahkan orang yang makan apa sahaja, kerana Allah sudah menerima dia. Siapakah kamu sehingga kamu mahu menyalahkan hamba orang lain? Hanya tuannya yang berhak menentukan baik tidaknya kerja hamba itu. Sesungguhnya hamba itu akan berjaya melakukan kerjanya, kerana Tuhan menolong dia. Ada orang yang berpendapat bahawa suatu hari tertentu lebih mustahak daripada hari yang lain, sedangkan orang lain berpendapat bahawa semua hari sama sahaja. Hendaklah setiap orang yakin akan pendiriannya. Sesiapa yang mengutamakan hari-hari tertentu, berbuat demikian untuk menghormati Tuhan. Sesiapa yang makan apa sahaja, berbuat demikian untuk menghormati Tuhan, kerana dia bersyukur kepada Allah bagi makanan itu. Sesiapa yang hanya makan makanan tertentu, juga menghormati Tuhan dan bersyukur kepada Allah. Tidak seorang pun di kalangan kita yang hidup atau mati bagi dirinya sendiri. Jika kita hidup, kita hidup untuk Tuhan. Jika kita mati, kita pun mati untuk Tuhan. Sama ada kita hidup atau mati, kita milik Tuhan. Kristus mati dan hidup semula supaya Dia menjadi Tuhan kepada orang hidup dan orang mati juga. Oleh itu, mengapa kamu menyalahkan saudara kamu? Mengapa kamu yang lain menghina saudara kamu? Kita semua akan menghadap Allah untuk diadili. Di dalam Alkitab tertulis, “Sesungguhnya,” firman Tuhan, “tiap-tiap orang akan sujud di hadapan-Ku, dan tiap-tiap orang akan mengaku bahawa Aku Allah.” Oleh itu, kita masing-masing harus mempertanggungjawabkan segala perbuatan kita kepada Allah. Oleh itu janganlah kita salahkan satu sama lain. Sebaliknya kamu harus mengambil keputusan untuk tidak berbuat apa-apa yang menyebabkan saudara kamu tergoda dan berdosa. Kerana aku bersatu dengan Tuhan Yesus, aku yakin bahawa tidak ada sesuatu pun yang pada dasarnya najis, tetapi jika seseorang menganggap sesuatu hal najis, maka najislah hal itu bagi dia. Jika apa yang kamu makan, menyakiti hati seorang saudara seiman, tindakan kamu itu tidak berdasarkan kasih. Janganlah hancurkan seseorang dengan apa yang kamu makan, kerana Kristus sudah mati baginya. Janganlah sebabkan apa yang kamu anggap baik, dianggap jahat oleh orang lain. Hal itu demikian kerana Pemerintahan Allah bukanlah soal makanan atau minuman, tetapi kerelaan melakukan kehendak Allah, ketenangan hati, dan kegembiraan, yang semuanya dikurniakan oleh Roh Allah. Orang yang mengabdikan diri kepada Kristus dengan cara demikian, menyenangkan hati Allah dan dihargai orang lain. Itulah sebabnya kita harus sentiasa bertujuan untuk melakukan hal-hal yang membawa kerukunan, dan yang saling menguatkan iman. Janganlah rosakkan apa yang sudah dilakukan oleh Allah, hanya kerana soal makanan. Semua makanan boleh dimakan, tetapi jika apa yang kamu makan menyebabkan orang lain berdosa, maka perbuatan itu salah. Lebih baik tidak makan daging, atau minum wain, atau melakukan apa sahaja yang akan menyebabkan seorang saudara seiman berdosa. Apa yang kamu percayai tentang perkara-perkara itu, biarlah hal itu diketahui oleh Allah dan kamu sahaja. Berbahagialah orang yang tidak berasa bersalah, apabila dia melakukan apa yang dianggapnya benar. Tetapi jika seseorang meragui apa yang dimakannya, Allah menyalahkan dia, kerana perbuatan orang itu tidak berdasarkan keyakinan bahawa apa yang dilakukannya itu benar. Perbuatan seperti itu dosa. Kita yang mempunyai iman teguh harus menolong orang yang lemah keyakinan untuk memikul beban mereka. Janganlah kita lakukan hal-hal yang menyenangkan hati kita sahaja. Sebaliknya setiap orang daripada kita harus menyenangkan hati saudaranya bagi kebaikannya, supaya imannya menjadi semakin teguh. Kita berbuat demikian, kerana Kristus pun tidak memikirkan kesenangan diri-Nya sendiri. Di dalam Alkitab tertulis, “Segala cercaan yang ditujukan kepada-Mu kena padaku.” Segala yang tertulis di dalam Alkitab adalah untuk mengajar kita, supaya kita mempunyai harapan kerana ajaran daripada Alkitab menyebabkan kita bersabar dan berteguh hati. Semoga Allah yang menyebabkan kamu bersabar dan berteguh hati, membolehkan kamu hidup seia sekata menurut teladan Kristus Yesus. Dengan demikian kamu semua sama-sama dapat memuji Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus. Sebagaimana Kristus sudah menyambut kamu, sambutlah satu sama lain untuk memuliakan Allah. Ketahuilah bahawa Kristus menjadi hamba kepada orang Yahudi untuk menunjukkan bahawa Allah setia. Dia menepati semua janji yang dibuat-Nya dengan nenek moyang mereka. Dia bahkan membolehkan orang bukan Yahudi memuliakan Allah kerana Allah mengasihani mereka. Di dalam Alkitab tertulis, “Oleh itu, apabila aku di kalangan orang bukan Yahudi, aku akan memuji Engkau, aku akan menyanyikan pujian untuk-Mu.” Ada tertulis begini pula, “Bersukacitalah bersama-sama umat Allah, hai orang bukan Yahudi!” Ada tertulis begini pula, “Pujilah Tuhan, hai semua orang bukan Yahudi; pujilah Dia, hai semua orang!” Nabi Yesaya juga berkata, “Seorang daripada keturunan Isai akan datang; Dia akan memerintah orang bukan Yahudi, dan mereka akan berharap kepada-Nya.” Semoga Allah yang memberi kamu harapan, memenuhkan hati kamu dengan kegembiraan dan kedamaian kerana kamu percaya kepada-Nya, supaya dengan kuasa Roh Allah kamu semakin berharap kepada Allah. Saudara-saudaraku! Aku yakin bahawa kamu sangat baik, dan kamu mengetahui segala sesuatu yang patut kamu lakukan. Kamu juga dapat saling menasihati. Tetapi dalam suratku ini aku menulis dengan terus terang untuk mengingatkan kamu tentang beberapa buah perkara. Aku menulis dengan tegas, kerana Allah sudah mengurniai aku tugas khas. Aku dijadikan hamba Kristus Yesus untuk menolong orang bukan Yahudi. Aku melakukan tugas seorang imam sewaktu aku mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah, supaya orang bukan Yahudi menjadi sebagai suatu persembahan yang menyenangkan hati Allah, dan yang ditahbiskan kepada-Nya oleh Roh Allah. Kerana aku bersatu dengan Kristus Yesus, aku berbangga dengan kerjaku untuk Allah. Aku akan berani berkata-kata dan hanya tentang apa yang sudah dilakukan oleh Kristus melalui aku, supaya orang bukan Yahudi taat kepada Allah. Hal itu dilakukan dengan kata-kata dan perbuatan, dengan keajaiban dan mukjizat, serta dengan kuasa Roh Allah. Aku sudah mengisytiharkan keseluruhan Berita Baik tentang Kristus, dalam perjalananku dari Yerusalem sampai ke Ilirikum. Aku berazam mengisytiharkan Berita Baik di tempat orang yang belum pernah mendengar tentang Kristus, supaya aku tidak membina kerja di atas asas yang diletakkan oleh orang lain. Di dalam Alkitab tertulis, “Mereka yang belum pernah menerima berita tentang Dia akan melihat, dan mereka yang belum pernah mendengar akan mengerti.” Itulah sebabnya banyak kali aku terhalang melawat kamu. Tetapi sekarang kerjaku di daerah-daerah ini sudah selesai. Sudah bertahun-tahun lamanya aku ingin berjumpa dengan kamu. Dalam perjalananku ke negeri Sepanyol, aku akan singgah di kota kamu. Selepas beberapa lama bergembira dengan kamu, aku berharap kamu dapat menolong aku meneruskan perjalanan ke Sepanyol. Tetapi sekarang ini aku akan pergi ke Yerusalem untuk membawa bantuan bagi umat Allah di situ. Jemaah di Makedonia dan Akhaya dengan sukacita membuat keputusan untuk memberikan derma kepada saudara-saudara yang miskin di kalangan umat Allah di Yerusalem. Mereka sendiri membuat keputusan itu. Memang sebenarnya mereka patut menolong saudara-saudara yang miskin itu, kerana orang bukan Yahudi sudah menerima berkat rohani daripada orang Yahudi. Dengan demikian orang bukan Yahudi patut menolong orang Yahudi dengan berkat kebendaan. Apabila aku menyelesaikan tugas itu, dan menyerahkan semua wang derma itu kepada mereka, aku akan berangkat ke negeri Sepanyol dan akan melawat kamu dalam perjalanan ke sana. Apabila aku datang kepada kamu, aku akan berkongsi berkat yang berlimpah-limpah daripada Kristus dengan kamu. Demi Tuhan kita Yesus Kristus, dan demi kasih yang dikurniakan oleh Roh Allah, aku menggesa kamu supaya berdoa dengan tekun kepada Allah bersama-sama aku untukku. Berdoalah supaya orang di Yudea yang tidak percaya kepada Yesus Kristus tidak mencederakan aku, dan supaya umat Allah di Yerusalem senang hati dengan apa yang aku lakukan untuk menolong mereka. Kemudian jika diperkenankan Allah, aku akan datang kepada kamu dengan penuh kegembiraan, dan lawatan itu akan menggembirakan dan menyegarkan aku. Semoga Allah, sumber kedamaian kita, menyertai kamu semua. Amin. Aku ingin memperkenalkan saudari kita, Febe, yang membantu jemaah di Kengkrea. Sambutlah dia sebagai salah seorang umat Tuhan, sebagaimana umat Allah menyambut satu sama lain. Bantulah dia, jika dia memerlukan bantuan daripada kamu, kerana dia sudah membantu banyak orang termasuk aku sendiri. Sampaikan salamku kepada Priskila dan Akwila, rakan-rakanku yang sama-sama bekerja untuk Kristus Yesus. Mereka menyabung nyawa untukku. Aku berterima kasih kepada mereka - dan bukan aku sahaja, tetapi jemaah orang bukan Yahudi juga berterima kasih kepada mereka. Sampaikan salamku kepada jemaah yang berkumpul di rumah mereka. Sampaikan salamku kepada Epenetus yang aku kasihi. Dia orang pertama di daerah Asia yang percaya kepada Kristus. Sampaikan salamku kepada Maria yang sudah bekerja begitu keras bagi kamu. Sampaikan salamku kepada Andronikus dan Yunias, yang sebangsa dengan aku dan yang dipenjarakan bersama-sama aku. Mereka terkenal antara rasul-rasul dan mereka lebih awal percaya kepada Kristus daripada aku. Sampaikan salamku kepada Ampliatus, sahabat yang aku kasihi dan yang bersatu dengan Tuhan. Sampaikan salam kepada Urbanus, rakan sekerja kita untuk Kristus, dan kepada Stakhis sahabat yang aku kasihi. Sampaikan salam kepada Apeles yang kesetiaannya kepada Kristus sudah terbukti. Sampaikan salam kepada keluarga Aristobulus, dan kepada Herodion, yang sebangsa dengan aku. Sampaikan salam kepada saudara-saudara seiman dalam keluarga Narkisus. Sampaikan salamku kepada Trifena dan Trifosa yang bekerja untuk Tuhan, dan kepada Persis sahabat yang aku kasihi. Dia sudah bekerja keras untuk Tuhan. Aku mengirim salam kepada Rufus, hamba terpuji yang dipilih oleh Tuhan, dan kepada ibunya yang sentiasa memperlakukan aku sebagai anak sendiri. Aku mengirim salam kepada Asinkritus, Flegon, Hermes, Patrobas, Hermas, dan semua saudara seiman yang bersama-sama mereka. Sampaikan salam kepada Filologus dan Yulia, kepada Nereus dan saudara perempuannya, kepada Olimpas dan kepada semua umat Allah yang bersama-sama mereka. Bersalam-salamanlah dengan mesra sebagai saudara Kristian. Semua jemaah Kristus menyampaikan salam mereka kepada kamu. Saudara-saudaraku! Aku menggesa kamu supaya berwaspada terhadap mereka yang menimbulkan perpecahan dan yang mengelirukan kepercayaan orang kepada Tuhan. Mereka mengajarkan perkara yang bertentangan dengan ajaran yang telah kamu terima. Jauhkan diri daripada mereka. Orang yang berbuat demikian tidak melakukan kerja untuk Kristus Tuhan kita, tetapi untuk memuaskan keinginan hati sendiri. Dengan pujukan dan kata-kata yang elok-elok, mereka menipu orang yang tidak tahu apa-apa. Semua orang sudah mengetahui betapa setianya kamu berpegang kepada ajaran Berita Baik itu. Oleh itu kamu menyebabkan aku amat gembira. Aku berharap supaya kamu bijak tentang perkara yang baik, dan tidak tahu apa-apa tentang perkara yang jahat. Allah, sumber kedamaian kita akan segera menaruh Iblis di bawah kekuasaan kamu dan menghancurkannya. Semoga Yesus Kristus Tuhan kita memberkati kamu! Timotius, rakan sekerjaku menyampaikan salamnya kepada kamu, demikian juga Lukius, Yason, dan Sosipater, sahabat-sahabat yang sebangsa dengan aku. Aku, Tertius yang menulis surat ini menyampaikan salam sebagai sesama saudara Kristian. Gayus mengirim salam kepada kamu. Aku menumpang di rumahnya dan jemaah juga mengadakan perjumpaan di sini. Erastus, bendahari kota dan saudara kita Kuartus, mengirim salam kepada kamu semua. [ Semoga Yesus Kristus Tuhan kita memberkati kamu semua. Amin.] Marilah kita muliakan Allah! Dia berkuasa meneguhkan iman kamu sesuai dengan Berita Baik tentang Yesus Kristus, yang aku isytiharkan itu. Aku mengisytiharkannya sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh Allah, iaitu rancangan Allah yang selama berabad-abad tidak diketahui orang. Tetapi sekarang rancangan itu sudah dinyatakan melalui tulisan nabi-nabi, dan diberitakan kepada semua bangsa atas perintah Allah yang kekal, supaya mereka semua percaya dan taat kepada Allah. Muliakanlah Allah yang esa dan yang maha bijak. Muliakanlah Dia selama-lamanya kerana apa yang sudah dilakukan oleh Yesus Kristus! Amin. Surat ini daripada Paulus yang dengan kehendak Allah sudah dilantik menjadi rasul Kristus Yesus, dan juga daripada saudara kita Sostenes. Surat ini ditujukan kepada jemaah di Korintus, iaitu semua orang yang sudah dipanggil oleh Allah untuk menjadi umat-Nya kerana hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Surat ini juga ditujukan kepada semua orang di mana sahaja yang menyembah Tuhan kita Yesus Kristus, iaitu Tuhan mereka dan Tuhan kita juga. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. Aku sentiasa bersyukur kepada Allahku bagi kamu, kerana berkat yang sudah dikurniakan-Nya kepada kamu melalui Kristus Yesus. Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu menjadi kaya dalam segala hal. Pengetahuan kamu tentang segala sesuatu sangat dalam dan kamu pandai memberitakannya. Perkhabaran tentang Kristus sudah meresap ke dalam jiwa kamu, sehingga kamu tidak kekurangan satu berkat pun, sementara kamu menantikan Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali. Kristus sendiri akan meneguhkan kamu sampai pada akhirnya, supaya pada hari Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali, kamu didapati tidak bercela. Allah dapat dipercayai. Dialah Allah yang sudah memanggil kamu supaya menjadi satu dengan Anak-Nya, Yesus Kristus, Tuhan kita. Saudara-saudaraku! Dengan kekuasaan Tuhan kita Yesus Kristus, aku menggesa kamu semua supaya seia sekata sehingga tidak ada perpecahan di kalangan kamu. Hendaklah kamu bersatu, sehati dan sejiwa. Aku berkata demikian, kerana beberapa orang daripada keluarga Kloe memberitahu aku bahawa pertengkaran berlaku di kalangan kamu. Inilah yang aku maksudkan: Kamu semua mengatakan hal-hal yang berlainan. Ada yang berkata, “Aku mengikut Paulus”; ada juga yang berkata, “Aku mengikut Apolos”; ada pula yang berkata, “Aku mengikut Petrus”; dan yang lain pula berkata, “Aku mengikut Kristus.” Adakah Kristus terbahagi? Paulus tidak mati pada kayu salib untuk kamu! Kamu pun tidak dibaptis untuk menjadi pengikut Paulus! Aku bersyukur kepada Allah kerana aku tidak membaptis sesiapa pun di kalangan kamu, kecuali Krispus dan Gayus. Dengan demikian tidak seorang pun dapat berkata bahawa kamu dibaptis untuk menjadi pengikutku. ( Oh ya, aku juga membaptis Stefanus dan keluarganya. Tetapi selain daripada mereka, seingatku aku tidak membaptis orang lain.) Kristus mengutus aku bukan untuk membaptis orang, tetapi untuk mengisytiharkan Berita Baik. Aku mengisytiharkannya tanpa menggunakan kata-kata yang berdasarkan kebijaksanaan manusia, supaya kuasa daripada kematian Kristus pada kayu salib tidak sia-sia. Bagi orang yang menuju kebinasaan, berita tentang kematian Kristus pada kayu salib itu tidak bererti apa-apa. Tetapi bagi kita yang diselamatkan oleh Allah, berita itu menunjukkan kekuasaan Allah. Di dalam Alkitab tertulis, “Allah berfirman, ‘Kebijaksanaan orang bijak akan Aku musnahkan, dan pengertian orang berilmu akan Aku lenyapkan.’ ” Oleh itu, apakah gunanya orang bijak? Apakah gunanya ahli Taurat? Apakah gunanya orang berilmu? Allah sudah menunjukkan bahawa kebijaksanaan dunia ini kebodohan belaka! Kerana Allah bijaksana, Dia menentukan supaya manusia tidak dapat mengenal-Nya melalui kebijaksanaan mereka sendiri. Sebaliknya Allah menetapkan bahawa Dia menyelamatkan orang yang percaya kepada-Nya melalui perkhabaran kami yang dianggap suatu kebodohan. Orang Yahudi menuntut mukjizat sebagai bukti dan orang Yunani mementingkan kebijaksanaan. Tetapi kami mengisytiharkan Kristus yang disalibkan. Berita itu menyinggung perasaan orang Yahudi, dan dianggap suatu kebodohan oleh orang bukan Yahudi. Tetapi bagi mereka yang sudah dipanggil oleh Allah, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, berita itu Kristus, yang menunjukkan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah. Hal itu demikian kerana apa yang nampaknya seperti kebodohan Allah, sebenarnya lebih bijak daripada kebijaksanaan manusia; apa yang nampaknya seperti kelemahan Allah, sebenarnya lebih kuat daripada kekuatan manusia. Saudara-saudaraku! Ingatlah akan keadaan kamu semasa Allah memanggil kamu. Menurut pandangan manusia hanya sedikit antara kamu yang bijak, atau berkuasa ataupun berkedudukan tinggi. Allah sengaja memilih orang yang dianggap bodoh oleh dunia ini, untuk mempermalukan orang yang bijak. Allah juga memilih orang yang dianggap lemah oleh dunia ini untuk mempermalukan orang yang berkuasa. Allah memilih orang yang dianggap rendah, hina dan tidak berguna oleh dunia ini, untuk menghancurkan orang yang dianggap penting oleh dunia ini. Hal ini bererti tidak seorang pun dapat memegahkan diri di hadapan Allah. Tetapi Allah sudah menjadikan kamu hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Melalui Kristus, Allah menjadikan kita bijak. Melalui Kristus juga Allah memungkinkan kita berbaik semula dengan Allah, menjadikan kita umat-Nya yang khas dan membebaskan kita. Oleh itu, seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Sesiapa mahu berbangga, dia harus berbangga dengan apa yang sudah dilakukan oleh Tuhan.” Saudara-saudaraku! Semasa aku datang kepada kamu untuk memberitakan rancangan Allah yang belum diketahui oleh dunia, aku tidak menggunakan kebijaksanaan dunia ini ataupun kata-kata yang susah difahami. Aku berbuat demikian kerana ketika aku bersama-sama kamu, aku mengambil keputusan untuk memberitakan Yesus Kristus sahaja, terutama kematian-Nya pada kayu salib. Oleh itu, ketika aku datang kepada kamu, aku lemah dan gementar kerana ketakutan. Aku tidak mengajarkan dan mengkhabarkan Berita Baik itu dengan kata-kata menurut kebijaksanaan manusia. Tetapi aku menyampaikannya dengan cara yang membuktikan bahawa Roh Allah berkuasa. Oleh itu, kepercayaan kamu kepada Kristus tidak berdasarkan kebijaksanaan manusia, tetapi berdasarkan kuasa Allah. Walaupun demikian, aku juga berkata-kata tentang kebijaksanaan kepada mereka yang mempunyai kehidupan rohani yang matang. Tetapi kebijaksanaan itu bukanlah kebijaksanaan dunia ini, ataupun kebijaksanaan roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah dunia ini. Kekuasaan roh-roh itu akan lenyap. Kebijaksanaan yang aku sampaikan itu kebijaksanaan daripada Allah. Kebijaksanaan itu tidak diketahui oleh umat manusia, tetapi Allah sudah menyediakannya untuk kebahagiaan kita, sebelum Dia menjadikan dunia ini. Semua roh yang berkuasa dan yang memerintah dunia ini tidak mengetahui kebijaksanaan itu. Seandainya roh-roh itu mengetahuinya, tentu roh-roh itu tidak akan menyalibkan Tuhan yang mulia. Tetapi seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Apa yang belum pernah dilihat atau didengar, atau terlintas dalam fikiran manusia, itulah yang disediakan oleh Allah untuk orang yang mengasihi Dia.” Tetapi melalui Roh-Nya, Allah menyatakan rancangan-Nya kepada kita. Roh Allah menyelidiki segala sesuatu, bahkan rancangan Allah yang paling tersembunyi sekalipun. Sebagaimana roh seseorang mengetahui isi hati orang itu, begitu juga hanya Roh Allah mengetahui segala sesuatu tentang Allah. Kita tidak menerima roh dunia ini, tetapi kita menerima Roh Allah, supaya kita mengetahui semua yang telah dikurniakan Allah kepada kita. Oleh itu, ketika kami menjelaskan hal-hal tentang Allah kepada orang yang mempunyai Roh Allah, kami tidak berkata-kata menurut kebijaksanaan manusia, tetapi menurut ajaran Roh Allah. Sesiapa yang tidak mempunyai Roh Allah, tidak dapat menerima kurnia daripada Roh Allah, kerana orang seperti itu tidak dapat memahaminya dan menganggapnya suatu kebodohan sahaja. Kurnia daripada Roh Allah hanya dapat dinilai secara rohani. Sesiapa yang mempunyai Roh Allah dapat menilai segala sesuatu, tetapi tiada seorang pun dapat menilai orang itu. Di dalam Alkitab tertulis, “Siapakah yang mengetahui fikiran Tuhan? Siapakah yang dapat menasihati Dia?” Tetapi kita mempunyai fikiran Kristus! Saudara-saudaraku! Sebenarnya aku tidak dapat bercakap dengan kamu seperti bercakap dengan orang yang mempunyai Roh Allah. Aku terpaksa bercakap dengan kamu seperti bercakap dengan orang yang masih dikuasai keinginan duniawi, atau seperti bercakap dengan orang yang masih kanak-kanak dalam kepercayaan mereka kepada Kristus. Dahulu aku memberi kamu susu, bukan makanan orang dewasa kerana kamu belum sedia menerimanya. Tetapi sekarang pun kamu masih belum dapat menerima ajaran yang lebih dalam, kerana kamu masih hidup menurut tabiat manusia. Apabila kamu iri hati dan saling bertengkar, bukankah hal itu membuktikan bahawa kamu hidup menurut tabiat manusia, seperti orang yang tidak mengenal Allah? Apabila seseorang berkata, “Aku mengikut Paulus,” dan yang lain berkata, “Aku mengikut Apolos,” bukankah kelakuan kamu seperti kelakuan orang dunia ini? Sebenarnya siapakah Apolos itu? Siapakah Paulus? Kami hanya hamba Allah, yang memimpin kamu percaya kepada Kristus. Kami hanya menjalankan tugas masing-masing yang diberikan oleh Tuhan. Aku menanam benih dan Apolos menyiramnya, tetapi Allah sendiri yang menyebabkan tanaman itu tumbuh. Orang yang menanam benih dan orang yang menyiramnya tidaklah penting. Allah sahaja yang penting, kerana Dia yang menyebabkan tanaman itu tumbuh. Orang yang menanam benih setaraf dengan orang yang menyiramnya; Allah akan mengurniakan pahala menurut kerja masing-masing. Kami orang yang bekerja bersama-sama untuk Allah, dan kamu bagaikan ladang Allah. Kamu juga bagaikan bangunan Allah. Dengan kurnia yang dianugerahkan Allah, aku sebagai pembina yang mahir sudah meletakkan asas bangunan tersebut, dan orang lain membina bangunan di atas asas itu. Tetapi setiap orang haruslah membinanya dengan cermat, kerana Allah sendiri sudah menempatkan Yesus Kristus sebagai satu-satunya asas bagi bangunan itu, dan tidak ada asas yang lain. Ada orang yang menggunakan emas, perak, atau batu permata untuk mendirikan bangunan di atas asas itu. Ada juga orang yang menggunakan kayu, rumput kering ataupun jerami. Tetapi mutu kerja setiap orang akan kelihatan pada hari Kristus datang kembali, kerana pada hari itu api akan menyatakan kerja setiap orang. Api akan menguji dan menentukan mutu kerja setiap orang. Jika apa yang didirikan di atas asas itu tahan api, pembinanya akan menerima pahala. Tetapi jika kerja seseorang terbakar, dia akan rugi. Dia sendiri akan selamat, seperti orang yang melepaskan diri daripada api. Tentu kamu tahu bahawa kamu tempat kediaman Allah, kerana Roh Allah tinggal di dalam kamu! Oleh itu, jika seseorang memusnahkan tempat kediaman Allah, Allah pun akan memusnahkan orang itu, kerana tempat kediaman Allah itu khas untuk Allah dan kamulah tempat kediaman-Nya. Janganlah sesiapa pun menipu diri sendiri. Jika sesiapa antara kamu menganggap dirinya bijak menurut penilaian dunia ini, biarlah dia menjadi bodoh supaya dia menjadi benar-benar bijaksana. Hal itu demikian kerana apa yang dianggap oleh dunia sebagai kebijaksanaan, sebenarnya suatu kebodohan di sisi Allah. Di dalam Alkitab tertulis, “Allah memerangkap orang bijak dengan kepintaran mereka sendiri.” Ada tertulis juga, “Tuhan tahu bahawa fikiran orang bijak itu sia-sia.” Oleh itu, janganlah seorang pun membanggakan perbuatan manusia. Sebenarnya semuanya sudah diberikan kepada kamu: Paulus, Apolos, Petrus, dunia ini, kehidupan dan kematian, zaman ini ataupun zaman akan datang. Semuanya milik kamu, dan kamu milik Kristus, dan Kristus milik Allah. Kamu harus menganggap kami sebagai hamba Kristus, yang bertanggungjawab untuk mengisytiharkan rancangan Allah yang belum diketahui oleh dunia. Inilah sifat utama yang harus dimiliki oleh seorang hamba seperti itu: Dia harus setia kepada tuannya. Aku tidak menghiraukan apa yang kamu fikirkan tentang diriku ataupun apa yang difikirkan oleh sesiapa pun tentang diriku. Apa yang aku fikirkan tentang diriku sendiri pun tidak penting. Aku tidak berasa bersalah, tetapi hal itu tidak membuktikan bahawa aku tidak bersalah. Tuhan sahaja yang berhak menentukan sama ada aku bersalah atau tidak. Oleh itu, janganlah kamu buat keputusan bahawa seseorang bersalah atau tidak, sebelum waktunya. Tunggulah sehingga Tuhan datang kelak; Dia akan mendedahkan segala rahsia yang tersembunyi dalam kegelapan. Dia juga akan membongkar segala niat yang terpendam di dalam hati manusia. Barulah setiap orang akan mendapat pujian yang layak diterimanya daripada Allah. Saudara-saudaraku! Demi kepentingan kamu, semua itu sudah aku kenakan kepada Apolos dan diriku sendiri. Dengan menggunakan diri kami sebagai contoh, kamu dapat memahami erti pepatah ini, “Patuhlah kepada peraturan yang ada.” Oleh itu tidak seorang pun antara kamu dapat membanggakan seseorang, dan menghina yang lain. Siapakah yang menjadikan dirimu lebih baik daripada orang lain? Bukankah Allah yang mengurniai kamu segala yang kamu miliki? Oleh itu, bagaimanakah kamu dapat membanggakan diri, seolah-olah apa yang kamu miliki itu bukan suatu kurnia? Memang kamu tidak memerlukan apa-apa lagi! Memang kamu sudah kaya! Kamu sudah menjadi raja, tetapi kami tidak. Alangkah baiknya jika kamu benar-benar raja, supaya kami dapat memerintah bersama-sama kamu. Hal itu demikian, kerana pada pendapatku, Allah memberikan kedudukan yang paling hina kepada kami rasul-rasul. Kami seperti orang yang dijatuhi hukuman mati di hadapan umum, dan dijadikan tontonan untuk semua malaikat dan umat manusia. Kerana Kristus, kami menjadi orang bodoh, tetapi kerana Kristus kamu menjadi bijak. Kami lemah, tetapi kamu kuat! Kami dihina, tetapi kamu dihormati! Sampai saat ini kami lapar dan haus; baju kami buruk; kami dipukul; kami tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap; kami membanting tulang untuk mencari nafkah; kami membalas kutukan dengan berkat, dan bersabar apabila dianiaya. Kami membalas cacian dengan kata-kata manis. Kami dianggap seperti sampah masyarakat; hingga saat ini kami masih dianggap sebagai sampah dunia. Aku menulis hal ini kepada kamu bukanlah untuk mempermalukan kamu, tetapi untuk menasihati kamu seperti anak-anak sendiri yang aku kasihi. Aku berkata demikian kerana sungguhpun sebagai orang Kristian kamu mungkin mempunyai sepuluh ribu orang pengasuh, tetapi kamu hanya mempunyai seorang bapa. Dalam hidup kamu sebagai orang yang bersatu dengan Kristus Yesus, aku menjadi seperti bapa kepada kamu, kerana aku yang membawa Berita Baik kepada kamu. Oleh itu aku menggesa kamu supaya mengikut teladanku. Bagi tujuan itu aku mengutus Timotius kepada kamu. Sebagai pengikut Kristus, dia seperti anakku sendiri yang aku kasihi, dan dia dapat dipercayai. Dia akan mengingatkan kamu cara hidup yang aku ikuti setelah aku percaya kepada Kristus Yesus, iaitu cara hidup yang aku ajarkan kepada jemaah di mana-mana. Beberapa orang di kalangan kamu menjadi sombong, kerana mereka menyangka aku tidak akan melawat kamu. Jika diperkenankan Tuhan, aku akan melawat kamu tidak lama lagi. Lalu aku akan melihat apa yang dapat dilakukan oleh mereka yang sombong itu, bukan hanya apa yang dikatakan oleh mereka. Aku berkata demikian kerana Pemerintahan Allah dalam kehidupan seseorang dinyatakan oleh kekuatan hidupnya dan bukan oleh kata-katanya. Yang manakah pilihan kamu? Haruskah aku datang kepada kamu untuk mengajar dengan keras, atau datang untuk mengajar dengan kasih sayang dan kelembutan? Sebenarnya aku menerima laporan bahawa perbuatan cabul yang keterlaluan berlaku di kalangan kamu. Orang yang tidak mengenal Tuhan pun tidak melakukannya. Aku diberitahu bahawa seorang lelaki berzina dengan ibu tirinya! Meskipun demikian, kamu masih membanggakan diri! Sebaliknya kamu seharusnya berdukacita, dan kamu harus memastikan bahawa orang yang sudah melakukan perbuatan itu dibuang daripada kalangan kamu. [3-4] Meskipun aku jauh daripada kamu secara lahir, tetapi secara batin aku bersama-sama kamu. Oleh itu dengan kekuasaan Tuhan Yesus, aku menjatuhkan hukuman kepada orang yang melakukan perbuatan sekeji itu. Pada waktu kamu berkumpul, anggaplah aku hadir antara kamu secara batin, dan dengan kuasa Tuhan kita Yesus, *** kamu harus menyerahkan orang itu kepada Iblis supaya tubuhnya dibinasakan. Dengan demikian rohnya boleh diselamatkan pada hari Tuhan datang kembali. Kamu tidak patut sombong! Tentu kamu tahu akan pepatah ini, “Ragi yang sedikit membuat seluruh adunan naik!” Buanglah ragi yang lama, iaitu ragi dosa, supaya kamu menjadi seperti adunan baru yang tidak beragi. Sebenarnya aku tahu bahawa kamu memang demikian. Perayaan Paska kita sudah tersedia, kerana Kristus, domba Paska kita sudah dikorbankan. Marilah kita rayakan Perayaan Paska kita dengan roti yang tidak beragi, iaitu roti yang melambangkan kemurnian dan kejujuran. Janganlah kita rayakan Perayaan Paska dengan roti yang beragi lama, iaitu ragi dosa dan kejahatan. Di dalam suratku yang lepas, aku memberitahu kamu supaya jangan bergaul dengan orang cabul. Yang aku maksudkan bukanlah orang cabul atau tamak, atau penipu, atau penyembah berhala yang sama sekali tidak mengenal Allah. Bukan! Jika kamu harus menjauhkan diri daripada mereka, kamu terpaksa keluar dari dunia ini sama sekali. Tetapi inilah maksudku: Kamu tidak patut bergaul dengan orang yang mengaku dirinya orang Kristian, tetapi sebenarnya cabul atau tamak, atau menyembah berhala, atau mengumpat orang, pemabuk ataupun penipu. Janganlah makan dengan orang seperti itu! [12-13] Bukanlah urusanku untuk mengadili orang bukan Kristian. Allah sendiri akan mengadili mereka. Tetapi kamu harus mengadili anggota jemaah kamu sendiri. Di dalam Alkitab tertulis, “Usirlah orang jahat dari kalangan kamu.” Jika seseorang di kalangan kamu bersengketa dengan saudara seiman, dia seharusnya tidak membawa perkara itu ke hadapan hakim yang tidak mengenal Allah. Dia harus meminta umat Allah menyelesaikan perkara itu. Kamu tentu tahu bahawa umat Allah akan mengadili dunia ini! Jika kamu akan mengadili dunia ini, kamu tentu dapat mengadili perkara yang kecil. Kamu tentu tahu bahawa kita akan mengadili malaikat-malaikat! Oleh itu kita harus dapat mengadili perkara kehidupan sehari-hari! Jika timbul perkara seperti itu, adakah kamu akan mengemukakannya kepada orang yang sama sekali tidak mempunyai kedudukan di kalangan jemaah? Sungguh memalukan! Setidak-tidaknya tentu ada seorang di kalangan kamu yang cukup bijaksana untuk menyelesaikan persengketaan antara sesama orang Kristian. Tetapi sebaliknya, seorang Kristian membawa seorang saudara seiman ke mahkamah, dan meminta orang bukan Kristian menyelesaikan perkara mereka. Sebenarnya persengketaan di kalangan kamu yang memerlukan penyelesaian mahkamah, menunjukkan bahawa kamu tidak hidup berdasarkan ajaran Kristus. Lebih baiklah kamu diperlakukan dengan tidak adil atau dirugikan. Tetapi kamu sendiri yang memperlakukan orang lain dengan tidak adil, dan kamu sendiri yang merugikan orang lain. Bahkan kamu melakukannya terhadap saudara seiman! Kamu tentu tahu bahawa orang yang tidak melakukan kehendak Allah tidak akan menikmati Pemerintahan Allah. Janganlah tipu diri kamu sendiri. Orang yang berbuat cabul, atau yang menyembah berhala, atau yang berzina, atau yang bersemburit, atau yang mencuri, atau yang tamak, atau yang selalu mabuk, atau yang mengumpat orang, atau yang merompak - semua orang seperti itu tidak akan menikmati Pemerintahan Allah. Demikianlah keadaan beberapa orang antara kamu dahulu. Tetapi Tuhan Yesus Kristus dan kuasa Roh daripada Allah kita membersihkan kamu daripada dosa, menjadikan kamu umat Allah, dan membolehkan kamu berbaik semula dengan Allah. Mungkin seseorang berkata, “Aku dibenarkan melakukan segala sesuatu.” Betul, tetapi tidak semuanya berfaedah bagi kita. Aku pun dapat berkata bahawa aku dibenarkan melakukan segala sesuatu, tetapi aku tidak akan membiarkan sesuatu pun memperhamba diriku. Seorang lain berkata, “Makanan untuk perut dan perut untuk makanan.” Betul, tetapi Allah akan meniadakan kedua-duanya. Tubuh kita tidak boleh digunakan untuk melakukan perbuatan cabul, tetapi untuk mengabdikan diri kepada Tuhan, dan Tuhan akan memelihara tubuh kita. Allah sudah membangkitkan Tuhan Yesus daripada kematian, demikian juga Allah akan membangkitkan kita daripada kematian dengan kuasa-Nya. Kamu tahu bahawa tubuh kamu itu anggota tubuh Kristus. Oleh itu, bolehkah aku mengambil anggota tubuh Kristus lalu menjadikannya anggota tubuh seorang pelacur? Sekali-kali tidak! Atau mungkinkah kamu tidak tahu bahawa seseorang yang bersetubuh dengan seorang pelacur, menjadi satu dengan pelacur itu? Di dalam Alkitab tertulis dengan jelas, “Kedua-duanya menjadi satu.” Tetapi seseorang yang menyatukan diri dengan Tuhan, roh orang itu menjadi satu dengan Roh Tuhan. Jauhkanlah diri kamu daripada perbuatan cabul. Semua dosa lain yang dilakukan orang, tidak dilakukan terhadap tubuh mereka. Tetapi seseorang yang melakukan perbuatan cabul, berdosa terhadap tubuhnya sendiri! Kamu tentu tahu bahawa tubuh kamu itu tempat kediaman Roh Allah. Roh itu tinggal di dalam kamu, dan Allah sendiri yang mengurniakan Roh itu kepada kamu. Diri kamu bukanlah milik kamu, tetapi milik Allah. Kamu sudah dibeli oleh Allah dan harganya sudah dibayar lunas. Oleh itu, gunakanlah tubuh kamu untuk memuliakan Allah. Sekarang aku akan membincangkan masalah yang kamu tulis kepadaku. Jika seorang lelaki tidak berkahwin, hal itu baik. Tetapi supaya tidak tergoda untuk melakukan perbuatan yang cabul, lebih baik setiap lelaki mempunyai isteri masing-masing dan setiap wanita mempunyai suami masing-masing. Seorang suami harus memenuhi kewajipannya sebagai suami kepada isterinya, dan seorang isteri harus memenuhi kewajipannya sebagai isteri kepada suaminya. Masing-masing harus memenuhi kewajipannya kepada yang lain. Seorang isteri tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri, tetapi suaminya yang berkuasa atas tubuhnya. Begitu juga seorang suami tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri, tetapi isterinya yang berkuasa atas tubuhnya. Janganlah saling jauhkan diri dalam hubungan sebagai suami isteri, kecuali kedua-dua belah pihak bersetuju, dan hanya untuk sementara waktu, supaya masing-masing dapat berdoa dengan tekun. Tetapi setelah itu kamu harus melanjutkan hubungan sebagai suami isteri. Dengan demikian Iblis tidak dapat menyebabkan kamu berdosa kerana kamu tidak dapat menahan nafsu. Aku mengatakan hal ini bukan sebagai perintah, melainkan sebagai nasihat. Sebenarnya aku lebih suka jika kamu semua menjadi seperti aku. Tetapi setiap orang sudah menerima kurnia yang khas daripada Allah. Seorang mempunyai kurnia ini, dan yang lain mempunyai kurnia itu. Kepada mereka yang belum berkahwin dan kepada wanita yang sudah menjadi balu, inilah nasihatku: Lebih baik kamu tetap hidup sendirian seperti aku. Tetapi jika kamu tidak dapat menahan nafsu, maka berkahwinlah. Lebih baik kamu berkahwin daripada nafsu berahi kamu berkobar-kobar. Kepada mereka yang sudah berkahwin, beginilah perintahku. Sebenarnya bukan aku yang memberikan perintah ini, tetapi Tuhan. Seorang isteri tidak boleh meninggalkan suaminya. Tetapi jika seorang isteri meninggalkan suaminya, dia harus tetap tidak bersuami, atau dia kembali kepada suaminya. Seorang suami tidak boleh menceraikan isterinya. Kepada yang lain aku berkata begini (ini nasihatku sendiri, bukan nasihat Tuhan): Jika seorang lelaki Kristian mempunyai isteri yang bukan Kristian, dan isterinya itu bersetuju hidup bersama-sama dia, orang itu tidak boleh menceraikan isterinya. Jika seorang wanita Kristian mempunyai suami yang bukan Kristian, dan suaminya bersetuju hidup bersama-sama dia, maka isteri itu tidak boleh menceraikan suaminya. Seorang suami yang tidak percaya kepada Kristus diterima oleh Allah, kerana perkahwinannya dengan isteri yang percaya kepada Kristus. Begitu juga seorang isteri yang tidak percaya kepada Kristus diterima oleh Allah, kerana perkahwinannya dengan suami yang percaya kepada Kristus. Jika tidak demikian halnya, anak-anak mereka akan menjadi seperti anak-anak orang yang tidak mengenal Allah. Sebenarnya anak-anak itu diterima oleh Allah. Tetapi jika seorang yang bukan Kristian ingin meninggalkan isteri atau suaminya yang Kristian, biarlah dia berbuat demikian. Dalam hal yang demikian, suami atau isteri yang Kristian itu bebas membuat pilihan, tetapi Allah mahu kamu hidup damai. Hai isteri yang sudah percaya kepada Kristus, bagaimana kamu boleh tahu dengan pasti bahawa kamu tidak akan menyelamatkan suami kamu? Begitu juga, hai suami yang sudah percaya kepada Kristus, bagaimana kamu boleh tahu dengan pasti bahawa kamu tidak akan menyelamatkan isteri kamu? Hendaklah masing-masing hidup menurut pimpinan Tuhan seperti yang sudah ditentukan Tuhan baginya, semasa Allah memanggil dia. Inilah peraturan yang aku ajarkan kepada jemaah. Umpamanya, jika seseorang sudah bersunat semasa Allah memanggilnya, maka orang itu tidak boleh mencuba menghapuskan tanda sunat itu. Begitu juga jika seseorang tidak bersunat semasa Allah memanggilnya, orang itu tidak usah minta disunat. Tidaklah penting sama ada orang bersunat atau tidak. Yang penting adalah mentaati perintah Allah. Hendaklah tiap-tiap orang tetap hidup dalam keadaan seperti pada masa Allah memanggilnya dahulu. Jika kamu hamba, semasa dipanggil oleh Allah, janganlah hal ini menyusahkan hati kamu. Tetapi jika kamu mendapat peluang untuk menjadi orang bebas, gunakanlah peluang itu. Hamba yang percaya kepada Tuhan, menjadi orang bebas di sisi Tuhan. Demikian juga orang bebas yang percaya kepada Kristus, menjadi hamba Kristus. Allah sudah membeli kamu dan membayar harganya dengan lunas. Oleh itu, janganlah jadi hamba manusia. Saudara-saudaraku, hendaklah setiap orang hidup bersama-sama Allah seperti dalam keadaan pada waktu dipanggil oleh Allah. Aku tidak menerima perintah daripada Tuhan tentang orang yang belum berkahwin. Tetapi biarlah aku menasihati kamu, kerana oleh belas kasihan Tuhan, aku patut dipercayai. Memandangkan segala kesusahan yang mengancam sekarang ini, aku berpendapat lebih baik seorang lelaki hidup dalam keadaannya seperti sekarang. Jika kamu sudah beristeri, janganlah cuba ceraikan isterimu. Jika kamu belum beristeri, janganlah berkahwin. Tetapi jika kamu berkahwin, kamu tidak berdosa. Begitu juga jika seorang gadis berkahwin, dia tidak berdosa. Tetapi orang yang berkahwin menghadapi banyak kesusahan, dan aku ingin kamu terhindar daripada kesusahan itu. Saudara-saudaraku, maksudku begini: Kita tidak mempunyai banyak masa. Mulai sekarang, setiap lelaki yang beristeri hendaklah hidup seolah-olah dia tidak beristeri; orang yang menangis hendaklah hidup seolah-olah tidak berdukacita; orang yang tertawa hendaklah hidup seolah-olah tidak gembira; orang yang membeli barang hendaklah bersikap seolah-olah tidak memiliki barang yang dibeli; orang yang berurusan dengan hal-hal dunia, hendaklah hidup seolah-olah tidak sibuk dengan hal-hal itu. Kamu harus berbuat demikian kerana dunia dalam keadaan yang sekarang, akan segera lenyap. Aku mahu kamu bebas daripada kekhuatiran. Seorang yang tidak beristeri akan menumpukan perhatian kepada hal-hal Tuhan, kerana dia ingin menyenangkan hati Tuhan. Tetapi seorang yang beristeri menumpukan perhatian kepada hal-hal dunia ini, kerana dia ingin menyenangkan hati isterinya. Akibatnya, hatinya berbelah bagi. Seorang wanita yang tidak bersuami, atau seorang gadis yang tidak berkahwin menumpukan perhatian kepada hal-hal Tuhan, kerana dia ingin mengabdikan seluruh jiwa raga kepada Tuhan. Tetapi seorang wanita yang sudah bersuami menumpukan perhatian kepada hal-hal dunia ini, kerana dia ingin menyenangkan hati suaminya. Aku memberikan nasihat demikian kerana aku ingin menolong kamu. Aku tidak mahu mengadakan larangan ini itu bagi kamu. Sebaliknya aku ingin kamu melakukan apa yang benar dan patut, serta mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sepenuh hati. Inilah nasihat untuk pasangan yang sudah bertunang, tetapi mengambil keputusan untuk tidak berkahwin. Jika lelaki itu merasa tidak bertindak dengan sepatutnya terhadap tunangnya dan jika dia tidak dapat menahan nafsunya, serta merasa harus berkahwin dengan gadis itu, hendaklah dia melakukan apa yang dikehendakinya. Dia tidak berdosa, jika mereka berkahwin. Tetapi jika seorang lelaki, tanpa paksaan sesiapa pun, mengambil keputusan untuk tidak berkahwin dengan tunangnya, dan jika dia dapat mengawal nafsunya dengan baik serta tahu akan apa yang hendak dilakukannya, maka lebih baik dia tidak berkahwin dengan tunangnya. Dengan demikian orang yang berkahwin, melakukan perbuatan yang baik. Tetapi orang yang tidak berkahwin, melakukan perbuatan yang lebih baik. Seorang wanita yang sudah berkahwin, terikat kepada suaminya hanya selama suaminya hidup. Setelah suaminya meninggal, wanita itu bebas berkahwin lagi dengan orang yang disukainya; tetapi lelaki itu haruslah seorang Kristian. Tetapi wanita itu akan lebih berbahagia jika dia tidak berkahwin lagi. Hal ini pendapatku sendiri, tetapi aku berpendapat bahawa aku dipimpin oleh Roh Allah. Sekarang aku membincangkan hal makanan yang dipersembahkan kepada berhala. Memang benar seperti kata orang, “Kita semua mempunyai pengetahuan.” Tetapi pengetahuan menjadikan orang sombong, sedangkan kasih membina kehidupan orang. Sesiapa yang menyangka dirinya mengetahui segala-galanya, sebenarnya tidak mengetahui apa yang seharusnya diketahui. Tetapi orang yang mengasihi Allah, dikenal oleh Allah. Sekarang tentang persoalan makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala: Kita tahu bahawa berhala menggambarkan sesuatu yang tidak wujud. Kita juga tahu bahawa Allah hanya satu; tidak ada yang lain. Sekalipun banyak yang disebut dewa dan tuhan, baik yang di syurga mahupun yang di bumi, tetapi bagi kita Allah hanya satu. Dia Bapa yang menciptakan segala sesuatu, dan untuk Dialah kita hidup. Tuhan hanya satu juga, iaitu Yesus Kristus. Melalui Dia segala sesuatu diciptakan, dan kerana Dialah kita hidup. Tetapi tidak semua orang mengetahui hal itu. Ada orang yang dahulu biasa menyembah berhala, sehingga apabila sekarang mereka makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala, mereka masih berfikir bahawa makanan itu makanan berhala. Mereka merasa berdosa ketika makan makanan itu, kerana keyakinan mereka tidak teguh. Sebenarnya makanan tidak dapat membuat hubungan kita dengan Allah menjadi lebih baik. Kita tidak akan rugi apa-apa jika kita tidak makan makanan itu dan kita pun tidak akan untung apa-apa jika kita memakannya. Tetapi berwaspadalah! Janganlah biarkan kebebasan kamu untuk melakukan apa sahaja, menyebabkan orang yang tidak yakin akan kepercayaan mereka, berdosa. Andaikata seseorang yang keyakinannya tidak teguh melihat kamu yang dikatakan ‘berpengetahuan’ makan di kuil berhala, bukankah hal itu akan mendorong dia makan makanan yang dipersembahkan kepada berhala? Dengan demikian ‘pengetahuan’ kamu itu menyebabkan saudara kamu binasa, kerana keyakinannya tidak teguh. Padahal Kristus mati bagi dia juga. Oleh itu kamu berdosa terhadap Kristus, kerana kamu berdosa terhadap saudara-saudara Kristian dan melukai keyakinan mereka yang tidak teguh itu. Oleh itu, jika makanan menyebabkan saudaraku berdosa, aku tidak akan makan daging lagi. Dengan demikian aku tidak akan menyebabkan saudaraku berdosa. Bukankah aku orang bebas? Bukankah aku rasul? Tidakkah aku pernah melihat Yesus Tuhan kita? Bukankah kamu hasil kerjaku untuk Tuhan? Meskipun orang lain tidak mahu mengakui aku sebagai rasul, tentu kamu mahu mengakuinya! Kerana kamu hidup bersatu dengan Tuhan, hal ini membuktikan bahawa aku seorang rasul. Apabila orang mencela aku, inilah jawapanku: Adakah kami tidak berhak menerima makanan dan minuman bagi kerja kami? Adakah kami tidak berhak membawa isteri Kristian dalam perjalanan, seperti yang dilakukan oleh saudara-saudara Tuhan Yesus dan oleh rasul-rasul lain, termasuk Petrus? Adakah hanya Barnabas dan aku yang harus mencari nafkah sendiri? Tidak ada askar yang membiayai diri sendiri dalam angkatan perang. Tidak ada peladang yang tidak makan buah anggur dari kebun sendiri. Tidak ada gembala yang tidak minum susu daripada domba mereka. Semua contoh yang aku gunakan, diambil daripada pengalaman sehari-hari, tetapi Taurat pun mengemukakan hal yang sama. Di dalam Taurat Musa tertulis, “Janganlah berangus mulut lembu yang sedang mengirik biji-bijian.” Tentunya Allah tidak memberikan perhatian kepada lembu sahaja. Bukankah kita yang dimaksudkan oleh Allah, ketika Dia berfirman demikian? Memang perintah itu tertulis untuk kita. Orang yang membajak tanah dan orang yang menuai tuaian sudah selayaknya bekerja dengan harapan menerima sebahagian daripada tuaian itu. Kami sudah menabur benih rohani dalam hidup kamu. Oleh itu sudah sewajarnya jika kami menuai sedikit berkat kebendaan daripada kamu. Jika orang lain berhak mengharapkannya daripada kamu, bukankah kami lebih berhak daripada mereka? Tetapi kami belum menggunakan hak itu. Sebaliknya kami lebih suka menanggung segala sesuatu, supaya kami tidak menghalangi penyebaran Berita Baik tentang Kristus. Tentu kamu tahu bahawa orang yang bekerja di dalam Rumah Tuhan menerima makanan mereka dari Rumah Tuhan. Orang yang bertugas mempersembahkan korban di atas mazbah, menerima sebahagian daripada korban itu. Demikian juga Tuhan sudah menentukan bahawa orang yang mengkhabarkan Berita Baik menerima nafkah daripada kerja mengkhabarkan Berita Baik. Tetapi aku belum pernah menggunakan satu pun daripada hak-hak itu. Aku pun menulis surat ini bukan untuk menuntut hak-hak itu bagi diriku sendiri. Lebih baik aku mati daripada kehilangan apa yang aku banggakan. Aku tidak berhak membanggakan diri, kerana aku mengkhabarkan Berita Baik. Kerja mengkhabarkan Berita Baik adalah perintah Allah bagiku. Malanglah aku, jika aku tidak mengkhabarkan Berita Baik itu. Jika aku melakukan kerja itu menurut kehendakku sendiri, maka aku boleh mengharapkan upah. Tetapi aku mengkhabarkan Berita Baik sebagai suatu kewajipan, kerana Allah sudah menugaskan aku melakukan kerja itu. Maka apakah upahku? Inilah upahku: Aku mendapat hak istimewa untuk mengkhabarkan Berita Baik tanpa meminta bayaran, dan tanpa menuntut hakku sebagai orang yang mengkhabarkan Berita Baik. Aku orang bebas dan aku bukan hamba sesiapa pun. Tetapi aku menjadikan diriku hamba kepada semua orang, supaya aku dapat memimpin banyak orang menjadi pengikut Kristus. Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang Yahudi, aku berlaku seperti orang Yahudi supaya dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang yang mentaati Taurat Musa, aku berlaku seperti orang yang terikat kepada Taurat, walaupun sebenarnya aku tidak terikat kepada Taurat. Aku melakukannya supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi, aku berlaku seperti orang bukan Yahudi, yang tidak terikat kepada Taurat orang Yahudi. Aku melakukannya supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Tetapi hal ini tidak bererti bahawa aku tidak taat kepada hukum Allah; sebenarnya aku dikuasai oleh hukum Kristus. Di kalangan orang yang tidak yakin akan kepercayaan mereka, aku pun berlaku seperti mereka, supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Oleh itu aku menyesuaikan diri dengan keadaan semua orang, supaya dengan segala cara aku dapat menyelamatkan beberapa orang daripada mereka. Semua itu aku lakukan untuk Berita Baik, supaya aku dapat menerima berkatnya juga. Kamu tentu tahu bahawa dalam lumba lari, semua peserta mengambil bahagian dalam perlumbaan, tetapi hanya seorang yang menerima hadiah. Oleh itu larilah sedemikian rupa sehingga kamu mendapat hadiah itu. Setiap ahli sukan yang sedang menjalani latihan harus mematuhi disiplin yang ketat. Dia melakukannya kerana dia ingin mendapat hadiah kejuaraan, walaupun hadiah itu akan rosak. Kita pun seperti ahli sukan yang mematuhi disiplin yang ketat supaya mendapat hadiah kejuaraan yang tidak akan rosak. Itulah sebabnya aku lari terus ke garis penamat. Seperti petinju, aku tidak mahu mensia-siakan tumbukanku. Aku melatih diri dengan giat supaya aku dapat menguasai diri. Aku berbuat demikian, supaya aku tidak ditolak, setelah aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang lain. Saudara-saudaraku, ingatlah akan peristiwa yang berlaku kepada nenek moyang kita yang mengikut Musa. Mereka semua dilindungi oleh tiang awan, dan mereka menyeberangi Laut Merah dengan selamat. Untuk menjadi pengikut Musa, mereka dibaptis di dalam awan dan di dalam laut itu. Mereka semua makan makanan rohani yang sama, dan minum minuman rohani yang sama. Mereka semua minum dari batu rohani yang menyertai mereka; batu itu Kristus sendiri. Meskipun demikian, Allah tidak berkenan kepada kebanyakan daripada mereka. Itulah sebabnya mayat mereka berselerakan di padang gurun. Semua perkara itu menjadi contoh bagi kita untuk mengingatkan kita supaya tidak menginginkan perkara yang jahat, seperti yang dilakukan oleh mereka dahulu; juga supaya kita tidak menyembah berhala seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Di dalam Alkitab tertulis, “Umat itu mula makan minum dan menari untuk menyembah berhala.” Janganlah kita lakukan hal-hal cabul seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Dalam sehari dua puluh tiga ribu orang mati akibat perbuatan itu. Janganlah kita cubai Tuhan seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka, sehingga mereka mati dipatuk ular berbisa. Janganlah kita bersungut-sungut seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka, sehingga mereka dibunuh oleh Malaikat Maut. Semua perkara itu berlaku kepada mereka untuk menjadi contoh bagi orang lain. Semua itu ditulis untuk menjadi amaran bagi kita, kerana kita sekarang hidup pada akhir zaman. Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri teguh, hendaklah berwaspada supaya tidak jatuh. Tiap-tiap cubaan yang kamu alami itu cubaan yang biasa dialami orang. Tetapi Allah setia kepada janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai lebih daripada yang dapat kamu tanggung. Pada waktu kamu ditimpa cubaan, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan untuk menanggungnya. Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, jauhkanlah diri daripada penyembahan berhala. Aku berkata-kata kepada kamu seperti kepada orang yang bijaksana. Pertimbangkanlah sendiri kata-kataku ini. Semasa Perjamuan Tuhan, kita minum wain dengan mengucap syukur kepada Allah. Hal ini menunjukkan bahawa kita bersatu dengan Kristus dalam kematian-Nya. Semasa roti dibahagi-bahagikan untuk dimakan bersama-sama, hal ini menunjukkan bahawa kita bersatu dalam tubuh Kristus. Kita yang banyak ini satu tubuh, kerana hanya ada satu roti dan kita semua makan daripada roti yang satu itu juga. Perhatikanlah orang Yahudi: Mereka yang makan makanan yang dipersembahkan di atas mazbah, sama-sama beribadat kepada Allah. Adakah aku memaksudkan bahawa berhala ataupun makanan yang dipersembahkan kepada berhala itu tidak mempunyai erti sama sekali? Tidak! Apa yang dipersembahkan di atas mazbah berhala, tidak dipersembahkan kepada Allah melainkan kepada roh-roh jahat. Aku tidak mahu kamu menjadi satu dengan roh-roh jahat. Kamu tidak boleh minum daripada cawan Tuhan, lalu minum pula daripada cawan roh jahat. Kamu tidak boleh makan di meja Tuhan, kemudian makan pula di meja roh jahat. Jika kita cuba melakukannya maka kita akan menyebabkan Tuhan cemburu, dan kita tahu bahawa Dia lebih kuat daripada kita. Orang berkata, “Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu.” Betul, tetapi tidak semuanya berfaedah. “Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu” - tetapi tidak semua perkara yang kita lakukan membina kehidupan kita. Janganlah seorang pun lakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri sahaja, tetapi lakukanlah sesuatu untuk kepentingan orang lain. Kamu boleh makan apa sahaja yang dijual di pasar daging. Janganlah bertanya apa-apa, supaya tidak mengganggu hati nurani kamu. Hal itu demikian, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Bumi ini dan segala isinya milik Tuhan.” Jika kamu dijemput makan oleh seorang yang bukan Kristian, dan kamu menerima jemputan itu, maka makanlah makanan yang dihidangkan. Janganlah bertanya apa-apa, supaya tidak mengganggu hati nurani kamu. Tetapi jika seseorang berkata kepada kamu, “Makanan ini sudah dipersembahkan kepada berhala,” janganlah makan makanan itu, demi kebaikan orang itu dan demi hati nurani. ( Maksudku bukan hati nurani kamu, tetapi hati nurani orang itu.) Mungkin orang bertanya, “Mengapa kebebasanku harus dibatasi oleh hati nurani orang lain? Jika aku bersyukur kepada Allah bagi makananku, mengapa orang harus mencela aku, padahal aku sudah bersyukur kepada Allah bagi makanan itu?” Apa sahaja yang kamu lakukan, sama ada makan ataupun minum, lakukanlah semuanya untuk memuliakan Allah. Jagalah tingkah laku kamu agar kamu tidak menyebabkan orang lain berdosa, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, ataupun jemaah Allah. Ikutlah teladanku. Aku berusaha menyenangkan hati semua orang dalam segala sesuatu yang aku lakukan. Aku tidak mengutamakan kepentingan diri sendiri, tetapi kepentingan orang lain, supaya mereka boleh diselamatkan. Ikutlah teladanku, sebagaimana aku pun mengikut teladan Kristus. Aku memuji kamu kerana kamu sentiasa mengingat aku dan mengikut ajaran yang aku berikan kepada kamu. Aku mahu kamu memahami hal ini: Kristus ialah kepala setiap orang lelaki; suami ialah kepala isteri dan Allah ialah kepala Kristus. Oleh itu seorang lelaki yang menudung kepala ketika berdoa atau menyampaikan perkhabaran daripada Allah di hadapan orang ramai, mempermalukan Kristus. Jika seorang wanita tidak menudung kepala ketika berdoa atau menyampaikan perkhabaran daripada Allah di hadapan orang ramai, dia mempermalukan suaminya. Wanita itu seperti wanita yang kepalanya dicukur. Jika seorang wanita tidak mahu menudung kepalanya, lebih baik dia menggunting rambut. Tetapi amat memalukan jika seorang wanita dicukur kepalanya ataupun digunting rambutnya. Oleh itu lebih baik dia menudung kepalanya. Seorang lelaki tidak perlu menudung kepala, kerana dia mencerminkan rupa dan kemuliaan Allah. Tetapi wanita mencerminkan kemuliaan lelaki, kerana lelaki tidak dijadikan daripada wanita, melainkan wanita dijadikan daripada lelaki. Begitu juga lelaki tidak dijadikan untuk kepentingan wanita, tetapi wanita dijadikan untuk kepentingan lelaki. Oleh itu, kerana malaikat-malaikat, seorang wanita harus menudung kepala sebagai tanda bahawa dia dibenarkan berdoa. Meskipun demikian, dalam kehidupan kita sebagai orang Kristian, wanita bergantung kepada lelaki, dan lelaki pun bergantung kepada wanita. Hal itu demikian kerana meskipun wanita dijadikan daripada lelaki, tetapi selepas itu lelaki dilahirkan oleh wanita; dan segala sesuatu berasal daripada Allah. Baiklah kamu pertimbangkan sendiri: Patutkah seorang wanita berdoa kepada Allah di hadapan orang ramai dengan tidak menudung kepala? Menurut kebiasaan, kamu diajar bahawa lelaki yang berambut panjang bukanlah suatu hal yang patut. Tetapi bagi seorang wanita, rambut panjang yang diberikan kepadanya adalah untuk menutupi kepalanya dan menjadi kebanggaannya. Tetapi jika sesiapa mahu bertengkar tentang masalah itu, inilah satu-satunya jawapan yang dapat aku berikan: Baik kita mahupun jemaah Allah lainnya, tidak mempunyai peraturan lain. Tetapi tentang hal yang berikut ini, aku tidak memuji kamu. Pertemuan ibadat kamu sebenarnya tidak membawa kebaikan, melainkan keburukan. Pertama sekali aku diberitahu bahawa dalam pertemuan kamu terdapat golongan yang berlawanan. Aku percaya bahawa sedikit sebanyak laporan itu benar. ( Sebenarnya tidak menghairankan jika timbul perpecahan antara kamu, supaya nyata siapa-siapa orang Kristian yang sejati.) Pada waktu kamu berhimpun, sebenarnya yang kamu makan bukannya Perjamuan Tuhan. Hal itu demikian kerana pada waktu makan, setiap orang berebut makanan, sehingga ada yang tidak mendapat makanan dan ada pula yang menjadi mabuk. Tidakkah kamu mempunyai rumah sendiri, tempat kamu boleh makan minum? Ataukah kamu mahu menghina jemaah Allah dan mempermalukan orang miskin? Apakah yang harus aku katakan kepada kamu? Haruskah aku memuji kamu? Tentu tidak! Aku tidak memuji kamu. Aku berkata demikian kerana ajaran yang aku berikan kepada kamu, aku terima daripada Tuhan: Pada malam itu ketika Tuhan Yesus dikhianati, Dia mengambil roti, mengucap syukur kepada Allah, dan membahagi roti itu lalu berkata, “Inilah tubuh-Ku yang diberikan untuk kamu. Lakukanlah hal ini untuk mengenang Aku.” Begitu juga setelah habis makan, Dia mengambil cawan itu lalu berkata, “Cawan ini perjanjian Allah yang baru, yang disahkan dengan darah-Ku. Setiap kali kamu meminumnya, lakukanlah hal ini untuk mengenang Aku.” Oleh itu setiap kali kamu makan roti ini dan minum dari cawan ini, kamu memberitakan kematian Tuhan, sehingga Dia datang. Dengan demikian sesiapa makan roti Tuhan atau minum dari cawan-Nya dengan cara yang tidak menghormati Dia, orang itu berdosa terhadap tubuh dan darah Tuhan. Oleh itu setiap orang harus memeriksa diri lebih dahulu, barulah dia boleh makan roti itu dan minum dari cawan itu. Hal itu demikian, kerana sesiapa makan roti dan minum dari cawan itu dengan tidak mengerti bahawa perjamuan itu berkenaan dengan tubuh Tuhan, orang itu akan mendatangkan hukuman kepada dirinya sendiri. Itulah sebabnya banyak antara kamu yang sakit dan lemah, dan ada juga yang mati. Jika kita memeriksa diri kita lebih dahulu, kita tidak akan dihukum oleh Allah. Tetapi jika kita diadili dan dihukum oleh Tuhan, Dia melakukannya supaya kita tidak dihukum bersama-sama dunia ini. Oleh itu, saudara-saudaraku, jika kamu berhimpun untuk makan Perjamuan Tuhan, kamu harus saling menunggu. Jika sesiapa lapar, dia harus makan di rumah. Dengan demikian pada waktu kamu berhimpun, kamu tidak akan dihukum oleh Allah. Tentang masalah-masalah lain, aku akan menyelesaikannya apabila aku datang kelak. Sekarang aku hendak membincangkan kurnia-kurnia yang diberikan oleh Roh Allah. Aku mahu kamu mengetahui yang sebenarnya tentang hal itu. Pada waktu kamu belum mengenal Tuhan, kamu disesatkan untuk menyembah berhala yang tidak bernyawa. Kamu harus tahu bahawa orang yang dipimpin oleh Roh Allah tidak dapat berkata, “Terkutuklah Yesus!” Begitu juga tidak seorang pun dapat mengatakan, “Yesuslah Tuhan!” kecuali orang itu dipimpin oleh Roh Allah. Ada berbagai-bagai kurnia daripada Roh Allah, tetapi semuanya diberikan oleh Roh yang sama. Begitu juga ada berbagai-bagai cara untuk mengabdikan diri kepada Tuhan, tetapi kita mengabdi kepada Tuhan yang sama. Ada berbagai-bagai cara untuk melakukan kerja bagi Tuhan, tetapi Allah yang sama memberikan kebolehan kepada setiap orang untuk melakukan kerja masing-masing. Bagi kebaikan kita semua, Allah memberikan bukti bahawa Roh-Nya ada pada setiap orang. Ada orang yang dapat menyampaikan perkhabaran yang penuh dengan kebijaksanaan. Ada orang lain yang dapat menyampaikan pengetahuan tentang Allah. Tetapi kebolehan-kebolehan itu diberikan oleh Roh yang sama. Kepada yang lain, Roh yang sama mengurniakan kepercayaan yang luar biasa kepada Kristus, sedangkan kepada yang lain pula Roh Allah mengurniakan kuasa untuk menyembuhkan orang sakit. Kepada yang lain, Roh Allah mengurniakan kuasa untuk melakukan mukjizat, dan kepada yang lain pula, Roh itu memberikan kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Kepada yang lain pula, Roh Allah mengurniakan kebolehan untuk membeza-bezakan kurnia yang daripada Roh Allah dan yang bukan daripada Roh Allah. Ada pula yang dapat bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib, dan ada juga yang dapat menerangkan erti bahasa-bahasa itu. Tetapi semuanya dilakukan oleh Roh yang sama juga. Dia memberi setiap orang kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya sendiri. Kristus bagaikan tubuh manusia, yang mempunyai banyak anggota. Tubuh itu satu tetapi terdiri daripada banyak anggota. Demikian juga kita semua, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, baik hamba mahupun orang bebas; kita semua sudah dibaptis oleh Roh yang sama, supaya kita menjadi satu tubuh. Allah sudah mencurahkan Roh yang sama itu kepada kita. Aku berkata demikian kerana tubuh tidak terdiri daripada satu anggota sahaja, melainkan banyak anggotanya. Kaki masih sebahagian daripada tubuh, walaupun kaki mungkin berkata, “Kerana aku bukan tangan, aku bukan bahagian daripada tubuh.” Telinga masih sebahagian daripada tubuh, walaupun telinga mungkin berkata, “Kerana aku bukan mata, aku bukan bahagian daripada tubuh.” Bagaimanakah tubuh boleh mendengar, jika seandainya seluruh tubuh itu mata sahaja? Bagaimanakah tubuh boleh menghidu, jika seandainya seluruh tubuh itu telinga sahaja? Tetapi seperti yang kita ketahui, Allah meletakkan tiap-tiap anggota tubuh yang berlainan itu di tempat yang dikehendaki-Nya. Tidak mungkin ada tubuh, jika semuanya hanya satu anggota. Oleh itu memang ada banyak anggota, tetapi hanya satu tubuh. Dengan demikian mata tidak boleh berkata kepada tangan, “Aku tidak memerlukan kamu!” Kepala pun tidak boleh berkata kepada kaki, “Aku tidak memerlukan kamu!” Sebaliknya kita amat memerlukan anggota-anggota tubuh yang dianggap lemah. Anggota tubuh yang kita anggap tidak begitu dihargai, kita berikan lebih banyak penghargaan. Anggota tubuh yang tidak selayaknya dipercakapkan, kita perlakukan dengan penuh kesopanan. Anggota-anggota tubuh yang sudah kelihatan cantik tidak memerlukan perhatian. Allah sudah mengatur tubuh kita sedemikian rupa sehingga anggota tubuh yang kita anggap kurang dihargai mendapat lebih banyak penghargaan. Dengan demikian tubuh itu tidak terbahagi-bahagi, dan setiap anggota saling memperhatikan. Jika satu anggota tubuh menanggung penderitaan, semua anggota lain menanggung penderitaan juga. Jika satu anggota tubuh dipuji, semua anggota lain turut bersukacita. Kamu semua tubuh Kristus, dan setiap orang sebahagian daripada tubuh itu. Di kalangan jemaah, Allah sudah memberi semua orang kedudukan masing-masing. Pertama rasul-rasul, kedua nabi-nabi, dan ketiga guru-guru, kemudian mereka yang melakukan mukjizat, lalu mereka yang diberikan kurnia untuk menyembuhkan orang sakit, atau untuk menolong orang lain, atau untuk menjadi pemimpin, ataupun untuk bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib. Mereka bukan semuanya rasul, atau nabi, ataupun guru. Bukan semuanya mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat, atau untuk menyembuhkan orang, atau untuk bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib, ataupun untuk menerangkan erti apa yang dikatakan dalam bahasa-bahasa itu. Oleh itu, hendaklah kamu berhasrat untuk memperoleh kurnia-kurnia yang lebih utama. Tetapi aku akan menunjukkan kamu jalan yang terbaik. Meskipun aku dapat bercakap dalam pelbagai bahasa manusia, bahkan dalam bahasa malaikat sekalipun, tetapi jika aku tidak mengasihi orang lain, maka kata-kataku hanya seperti bunyi bising yang tidak bermakna. Meskipun aku mempunyai kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah, dan memahami hal-hal yang dalam, serta hal-hal yang tersembunyi, dan aku juga sangat percaya kepada Allah sehingga dapat mengalihkan gunung, tetapi jika aku tidak mengasihi orang lain, maka aku tidak berguna. Meskipun aku mendermakan semua milikku kepada orang miskin, dan menyerahkan diriku untuk dibakar, tetapi jika aku tidak mengasihi orang lain, maka semua itu tidak berfaedah bagiku. Sesiapa yang mengasihi orang lain, sabar dan baik hati; dia tidak iri hati, tidak bercakap besar, dan tidak sombong. Dia tidak berkasar, tidak mementingkan diri sendiri, tidak cepat tersinggung, dan tidak mendendam. Sesiapa yang mengasihi orang lain, tidak gembira dengan kejahatan. Tetapi dia gembira dengan kebaikan. Dia tahan menghadapi segala sesuatu; dia mempercayai orang lain, tidak hilang harapan, dan sentiasa bersabar. Orang perlu sentiasa mengasihi orang lain. Sekarang ada orang yang dapat menyampaikan perkhabaran daripada Allah, tetapi hal itu hanya untuk sementara. Sekarang ada yang mempunyai kurnia untuk bercakap dalam pelbagai bahasa yang ajaib, tetapi hal itu akan berakhir juga. Sekarang ada orang yang mengetahui banyak hal yang dalam, tetapi semua itu pun akan dilupakan. Hal itu demikian kerana pengetahuan kita dan kebolehan kita untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah, kurang sempurna. Tetapi apabila Allah membuat semuanya sempurna, maka yang tidak sempurna akan lenyap. Semasa aku masih kanak-kanak, aku bercakap, bersikap, dan berfikir seperti kanak-kanak. Tetapi sekarang setelah dewasa, aku tidak lagi berkelakuan seperti kanak-kanak. Allah yang kita lihat sekarang ini hanya seperti bayangan kabur pada cermin muka. Tetapi kelak kita akan melihat-Nya dengan jelas. Sekarang apa yang aku ketahui belum lengkap, tetapi kelak aku akan mengetahui semuanya, seperti Allah mengetahui segala sesuatu tentang diriku. Sementara ini ada tiga perkara yang harus tetap dilakukan: percaya, berharap, dan mengasihi orang lain. Tetapi yang paling penting daripada ketiga-tiganya adalah mengasihi orang lain. Oleh itu, kamu harus berusaha untuk mengasihi orang lain. Berusahalah juga untuk menerima kurnia-kurnia daripada Roh Allah, terutama sekali kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Orang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib, tidak bercakap dengan manusia, tetapi mereka bercakap dengan Allah. Tidak seorang pun dapat memahami apa yang dikatakan oleh mereka, kerana Roh Allah menyebabkan mereka berkata-kata tentang hal-hal yang hanya diketahui oleh Allah. Tetapi orang yang menyampaikan perkhabaran daripada Allah, berkata-kata kepada manusia. Dengan demikian mereka menguatkan, menggalakkan dan menghibur orang lain. Orang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib hanya menguatkan diri sendiri, sedangkan orang yang menyampaikan perkhabaran daripada Allah meneguhkan jemaah. Alangkah baiknya jika kamu semua dapat bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib. Tetapi lebih baik lagi jika kamu semua dapat menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Orang yang dapat mengkhabarkan berita daripada Allah, lebih berguna daripada orang yang bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib, kecuali ada antara jemaah yang dapat menjelaskannya supaya jemaah dapat dikuatkan. Saudara-saudaraku, seandainya aku datang kepada kamu dan berkata-kata dalam bahasa-bahasa yang ajaib, apakah faedahnya bagi kamu? Tentu tidak ada faedahnya sama sekali! Lain halnya jika aku menyampaikan suatu kenyataan daripada Allah, atau menjelaskan sesuatu tentang Allah, atau menyampaikan berita daripada Allah, ataupun mengajar. Marilah kita ambil contoh alat-alat muzik yang tidak bernyawa, seperti seruling dan kecapi. Jika not-notnya tidak dimainkan dengan jelas, bagaimanakah orang dapat mengetahui lagu yang dimainkan? Jika trompet ditiup dengan tidak menentu, siapakah yang akan bersiap untuk berperang? Demikian juga, siapakah yang akan memahami apa yang kamu katakan, jika perkhabaran yang kamu sampaikan dalam bahasa yang ajaib itu tidak jelas? Kata-kata kamu itu sia-sia. Banyak bahasa di dunia ini, tetapi semuanya bermakna. Jika aku tidak memahami bahasa yang digunakan seseorang, maka orang itu menjadi seperti orang asing kepadaku; begitu juga aku kepada dia. Aku tahu bahawa kamu ingin sekali menerima kurnia-kurnia daripada Roh Allah. Tetapi yang terutama, kamu harus berusaha untuk menggunakan kurnia-kurnia yang dapat meneguhkan jemaah. Seseorang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib, harus berdoa supaya Allah juga menganugerahi dia kurnia untuk menerangkan apa yang dikatakannya itu. Jika aku berdoa dalam bahasa yang ajaib, rohku memang berdoa, tetapi fikiranku tidak terlibat. Jika demikian, apakah yang harus aku lakukan? Aku akan berdoa dengan rohku, tetapi aku akan berdoa dengan fikiranku juga. Aku akan menyanyi dengan rohku, tetapi aku akan menyanyi dengan fikiranku juga. Jika kamu mengucap syukur kepada Allah dengan rohmu sahaja, orang lain dalam pertemuan itu tidak dapat berkata ‘Amin’ atau ‘Aku bersetuju’, apabila kamu selesai berdoa. Dia tidak memahami apa yang kamu katakan. Meskipun doa kesyukuranmu itu baik, tetapi kamu tidak meneguhkan orang lain. Aku bersyukur kepada Allah kerana aku lebih sering bercakap dalam pelbagai bahasa yang ajaib daripada kamu semua. Tetapi ketika jemaah berkumpul untuk beribadat, aku lebih suka menggunakan lima patah kata yang dapat difahami orang daripada menggunakan beribu-ribu patah kata dalam bahasa yang ajaib. Dengan demikian aku dapat mengajar orang lain dengan jelas. Saudara-saudaraku, janganlah berfikir seperti kanak-kanak. Kamu haruslah seperti kanak-kanak yang tidak mengetahui apa-apa tentang kejahatan, tetapi kamu harus matang dalam pemikiran kamu. Di dalam Alkitab tertulis, “Tuhan berfirman, ‘Melalui orang yang berkata-kata dalam bahasa yang ajaib, Aku akan berfirman kepada umat-Ku. Bahkan melalui orang asing, Aku akan berfirman kepada umat-Ku, namun demikian umat-Ku tidak mahu mendengar firman-Ku.’ ” Oleh itu, kurnia untuk bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib adalah tanda untuk orang yang tidak percaya kepada Kristus, dan bukan untuk orang yang percaya kepada Kristus. Tetapi kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah adalah tanda untuk orang yang percaya kepada Kristus, bukan untuk orang yang tidak percaya kepada-Nya. Andaikata jemaah berkumpul lalu semua orang mula bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib, dan andaikata beberapa orang luar atau orang bukan Kristian datang, tentu mereka akan menyangka kamu semua gila. Tetapi jika kamu semua menyampaikan perkhabaran daripada Allah, lalu datanglah orang bukan Kristian atau orang luar, orang itu akan mendengar apa yang kamu katakan dan menyedari dosa-dosanya. Dia akan disalahkan oleh apa yang didengarnya. Semua hal yang tersembunyi di dalam hatinya akan terdedah. Lalu dia akan merendahkan diri dan menyembah Allah serta mengaku, “Allah benar-benar hadir di kalangan kamu!” Saudara-saudaraku, beginilah maksudku. Pada waktu kamu berhimpun untuk menyembah Tuhan, hendaklah seorang menyanyi, seorang lagi mengajar, seorang lagi menyampaikan perkhabaran daripada Allah, seorang lagi menyampaikan perkhabaran dalam bahasa yang ajaib, dan seorang lagi menjelaskan apa yang dikatakan orang itu. Semuanya harus dilakukan untuk menolong dan membina jemaah. Jika ada yang hendak bercakap dalam bahasa yang ajaib, paling banyak haruslah dua atau tiga orang sahaja bergilir bercakap. Seseorang haruslah menjelaskan apa yang dikatakan itu. Tetapi jika di situ tidak ada orang yang dapat menjelaskannya, maka orang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib harus diam. Biarlah mereka berkata-kata dalam hati sahaja kepada Allah. Dua atau tiga orang yang menerima perkhabaran daripada Allah harus menyampaikannya, sementara yang lain mempertimbangkan apa yang dikatakan itu. Tetapi jika seorang yang hadir dalam perjumpaan itu menerima perkhabaran daripada Allah, maka orang yang sedang berkata-kata harus berhenti. Kamu semua boleh menyampaikan perkhabaran daripada Allah, seorang demi seorang. Dengan demikian semua orang akan menerima ajaran dan galakan. Kurnia daripada Roh Allah untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah harus dikendalikan oleh orang yang menyampaikannya. Allah ialah Allah yang suka akan ketertiban, bukan kekacauan. Seperti yang berlaku di semua perjumpaan jemaah Allah, kaum wanita haruslah berdiam diri. Mereka tidak dibenarkan berkata-kata; mereka harus patuh kerana demikianlah ajaran Taurat. Jika mereka hendak mengetahui sesuatu, mereka harus bertanya kepada suami mereka di rumah. Amatlah memalukan jika seorang wanita berkata-kata di perjumpaan jemaah. Perkhabaran Allah tidak datang daripada kamu, dan bukan kamu sahaja yang menerimanya. Jika seseorang menganggap dirinya mempunyai kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah, atau mempunyai kurnia lain daripada Roh Allah, orang itu harus sedar bahawa apa yang aku tuliskan ini perintah daripada Tuhan. Jika dia tidak mahu menerima perintah itu, janganlah pedulikan dia. Oleh itu, saudara-saudaraku, berusahalah untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah, tetapi janganlah larang orang bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib. Semuanya harus dilakukan dengan baik dan teratur. Saudara-saudaraku, sekarang aku hendak mengingatkan kamu tentang Berita Baik yang aku khabarkan dahulu. Kamu menerimanya, dan kepercayaan kamu kepada Kristus berdasarkan Berita Baik itu. Itulah Berita Baik, perkhabaran yang aku beritakan kepada kamu. Berita Baik itu akan menyelamatkan kamu jika kamu berpegang kepadanya dengan teguh. Tetapi jika kamu tidak berpegang kepadanya dengan teguh, maka kepercayaan kamu sia-sia. Apa yang aku sampaikan kepada kamu adalah apa yang sudah aku terima. Inilah perkara terpenting: Kristus mati kerana dosa kita, sesuai dengan yang tertulis di dalam Alkitab. Hal ini juga tertulis di dalam Alkitab: Dia dikuburkan dan pada hari ketiga Dia dihidupkan semula. Setelah itu Dia menampakkan diri kepada Petrus, dan kemudian kepada dua belas orang rasul. Sesudah itu Dia menampakkan diri kepada lebih daripada lima ratus orang pengikut-Nya sekaligus. Kebanyakan daripada mereka masih hidup, meskipun beberapa orang sudah meninggal. Sesudah itu Dia menampakkan diri juga kepada Yakobus dan kemudian kepada semua rasul. Terakhir sekali Dia juga menampakkan diri kepadaku, yang lahir bukan pada waktunya. Aku ini rasul yang paling tidak penting. Sebenarnya aku tidak layak disebut rasul, kerana aku sudah menganiaya jemaah Allah. Tetapi kerana rahmat Allah, aku menjadi seperti sekarang ini dan berkat-Nya kepadaku tidak sia-sia. Sebaliknya aku bekerja lebih keras daripada semua rasul yang lain. Sebenarnya hal itu bukan usahaku sendiri, tetapi usaha Allah yang mengasihi aku dan yang bekerja bersama-samaku. Oleh itu, sama ada aku yang mengkhabarkan Berita Baik kepada kamu ataupun rasul-rasul lain yang melakukannya, hal itu tidak penting. Kami semua mengisytiharkan perkhabaran yang sama dan kamu semua percaya kepadanya. Kami mengisytiharkan bahawa Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Mengapa beberapa orang di kalangan kamu berkata bahawa orang mati tidak akan dibangkitkan? Jika orang mati tidak dibangkitkan, hal itu bererti Kristus pun tidak dibangkitkan. Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka berita yang kami khabarkan dan kepercayaan kamu kepada Kristus sia-sia belaka. Hal itu juga bererti kami berdusta tentang Allah, kerana kami berkata bahawa Allah sudah membangkitkan Kristus daripada kematian. Jika memang benar orang mati tidak dibangkitkan, maka Allah tidak membangkitkan Kristus daripada kematian. Jika orang mati tidak dibangkitkan, maka Kristus pun tidak dibangkitkan. Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka kepercayaan kamu itu khayalan belaka dan kamu masih dikuasai dosa. Hal itu juga bererti orang yang percaya kepada Kristus dan yang sudah mati, semuanya tidak mempunyai harapan. Jika harapan kita kepada Kristus terbatas kepada hidup kita di dunia ini sahaja, maka kitalah yang paling malang antara semua orang di dunia ini! Tetapi sebenarnya Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Itulah jaminan bahawa mereka yang sudah mati akan dibangkitkan juga. Hal itu demikian kerana sebagaimana kematian datang ke dunia melalui satu orang, begitu juga kebangkitan daripada kematian diberikan melalui satu orang. Sebagaimana semua orang mati kerana tergolong satu dengan Adam, begitu juga semua orang akan dihidupkan semula kerana tergolong satu dengan Kristus. Masing-masing akan dihidupkan semula menurut gilirannya: mula-mula Kristus; kemudian mereka yang menjadi milik-Nya akan dihidupkan semula ketika Kristus datang lagi. Kemudian tibalah akhir zaman. Pada waktu itu Kristus akan menaklukkan semua pemerintah, penguasa dan pemimpin, lalu Kristus akan menyerahkan kekuasaan-Nya sebagai raja kepada Allah, Bapa kita. Kristus harus terus memerintah sehingga Allah menaklukkan semua musuh Kristus di bawah kekuasaan Kristus. Musuh yang terakhir yang akan ditaklukkan ialah kematian. Di dalam Alkitab tertulis, “Allah sudah menaklukkan segala sesuatu di bawah kekuasaan-Nya.” Jelaslah bahawa kata “segala sesuatu” itu tidak termasuk Allah sendiri, yang menaklukkan segala sesuatu di bawah kekuasaan Kristus. Tetapi setelah segala sesuatu ditaklukkan di bawah pemerintahan Kristus, maka Dia sendiri sebagai Anak Allah akan meletakkan diri-Nya di bawah kekuasaan Allah, yang menyerahkan segala-galanya kepada-Nya. Demikianlah pada akhirnya Allah sendiri akan memerintah semuanya. Bagaimana halnya dengan mereka yang dibaptis untuk orang mati? Apakah yang diharapkan oleh mereka? Jika memang benar orang mati tidak akan dihidupkan semula, mengapa mereka mahu dibaptis untuk orang mati? Jika tidak ada kebangkitan daripada kematian, mengapa kami mahu menghadapi bahaya setiap saat? Saudara-saudaraku, setiap hari aku menghadapi maut! Aku berkata demikian kerana aku bangga akan kamu, dan kerana kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Tuhan kita. Dari segi kemanusiaan, apa gunanya berjuang seolah-olah melawan binatang buas di kota Efesus ini? Jika memang orang mati tidak dihidupkan semula, maka lebih baik kita hidup seperti pepatah ini, “Marilah kita makan minum dan bersuka-suka, kerana esok kita akan mati.” Janganlah kamu tertipu! “Persahabatan yang buruk merosakkan akhlak baik.” Hendaklah kamu insaf dan jangan berdosa lagi. Kamu seharusnya malu, kerana beberapa orang antara kamu masih belum mengenal Allah. Mungkin orang bertanya, “Bagaimanakah orang mati dihidupkan semula? Tubuh apakah yang akan dimiliki mereka?” Kamu sungguh bodoh! Apabila kamu menanam benih di tanah, benih itu tidak akan tumbuh kecuali benih itu mati dahulu. Yang kamu tanam di tanah itu benih semata-mata - mungkin benih gandum ataupun benih lain - bukan seluruh pokok yang akan tumbuh kelak. Allah memberikan benih itu bentuk seperti yang dikehendaki-Nya sendiri. Setiap benih diberikan bentuk yang sendiri-sendiri. Tubuh makhluk hidup tidak semuanya sama; tubuh manusia, haiwan, burung, dan ikan semuanya berbeza. Demikian juga dengan benda-benda yang di langit dan benda-benda yang di bumi. Keindahan benda-benda yang di langit berbeza dengan keindahan benda-benda yang di bumi. Keindahan matahari lain daripada keindahan bulan. Bintang-bintang pun mempunyai keindahannya sendiri. Sebenarnya bintang-bintang pun mempunyai keindahan yang berlainan. Demikianlah halnya kelak dengan orang mati yang dihidupkan semula. Pada masa tubuh itu dikuburkan, tubuh itu fana; pada masa tubuh itu dibangkitkan, tubuh itu hidup selama-lamanya. Pada masa tubuh itu dikuburkan, keadaannya buruk dan lemah; pada waktu tubuh itu dibangkitkan, tubuh itu cantik dan kuat. Pada masa dikuburkan, tubuh itu tubuh jasmani; pada masa dibangkitkan, tubuh itu tubuh rohani. Jika ada tubuh jasmani, maka ada tubuh rohani juga. Di dalam Alkitab tertulis, “Adam, manusia pertama itu diciptakan sebagai makhluk hidup,” tetapi Adam yang terakhir itu Roh yang memberikan hidup. Yang jasmani datang lebih dahulu, kemudian datanglah yang rohani. Adam yang pertama dijadikan daripada tanah di bumi, tetapi Adam yang kedua berasal dari syurga. Orang yang tergolong orang dunia adalah seperti Adam yang dijadikan daripada tanah. Tetapi orang yang tergolong orang syurga adalah seperti Dia yang datang dari syurga. Sebagaimana kita sekarang seperti orang yang dijadikan daripada tanah, maka kelak kita akan menjadi seperti Dia yang dari syurga itu. Saudara-saudaraku, inilah maksudku: Tubuh yang dijadikan daripada daging dan darah, tidak dapat masuk ke Dunia Baru Allah; tubuh yang fana tidak dapat menjadi abadi. [51-52] Ketahuilah rahsia ini: Tidak semua daripada kita akan mati. Tetapi ketika trompet dibunyikan untuk kali terakhir, dengan tiba-tiba dan dalam sekejap mata kita semua akan diubah. Hal itu berlaku, kerana ketika trompet dibunyikan, orang mati akan dibangkitkan dengan tubuh yang abadi, dan kita semua akan diubah. *** Tubuh yang fana harus diganti dengan tubuh yang abadi. Tubuh yang akan mati harus diganti dengan tubuh yang tidak dapat mati. Apabila tubuh yang fana sudah diganti dengan tubuh yang abadi, dan tubuh yang akan mati sudah diganti dengan tubuh yang tidak dapat mati, maka berlakulah apa yang tertulis di dalam Alkitab, “Kematian sudah dilenyapkan, dan kemenangan sudah tercapai!” “Hai maut, di manakah kemenanganmu? Hai maut, di manakah sengatmu?” Sengat maut itu dosa, dan dosa mendapat kuasa daripada Taurat. Tetapi kita bersyukur kepada Allah yang memberikan kemenangan kepada kita melalui Yesus Kristus Tuhan kita! Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, hendaklah kamu teguh dan kukuh. Hendaklah kamu rajin bekerja untuk Tuhan, kerana kamu tahu bahawa semua yang kamu lakukan untuk Tuhan, tidak sia-sia. Sekarang aku hendak membincangkan wang yang hendak kamu kumpulkan untuk membantu umat Allah di Yudea. Kamu harus melakukan apa yang aku beritahukan kepada kumpulan-kumpulan jemaah di Galatia. Pada tiap-tiap hari Ahad, setiap orang daripada kamu haruslah menyimpan sedikit wang sesuai dengan pendapatannya. Simpanlah wang itu sehingga aku datang, supaya pada waktu itu tidak payah lagi mengumpulkannya. Setelah aku datang, aku akan memberikan surat pengenalan kepada beberapa orang yang kamu setujui. Aku akan mengutus mereka untuk membawa wang derma kamu ke Yerusalem. Jika ada manfaatnya aku ikut serta, maka aku akan pergi bersama-sama mereka. Aku akan melawat kamu setelah aku melalui Makedonia, kerana aku bermaksud akan lalu di situ. Barangkali aku akan tinggal dengan kamu untuk beberapa lama, mungkin sepanjang musim sejuk. Setelah itu kamu boleh membantu aku meneruskan perjalanan ke tempat berikutnya. Aku tidak mahu melawat kamu untuk masa yang singkat sahaja. Jika diperkenankan Tuhan, aku ingin tinggal agak lama dengan kamu. Sementara itu aku akan tinggal di sini di Efesus, sehingga hari Pentakosta. Di sini aku mempunyai banyak peluang untuk melakukan kerja yang bermanfaat, meskipun banyak juga orang yang menentang aku. Jika Timotius datang, sambutlah dia dengan baik, kerana dia pun seperti aku yang bekerja untuk Tuhan. Janganlah sesiapa pun memandang rendah kepadanya, tetapi bantulah dia meneruskan perjalanannya untuk kembali kepadaku dengan sejahtera, kerana aku menantikan kedatangannya bersama dengan saudara-saudara yang lain. Sekarang tentang saudara kita, Apolos. Sudah beberapa kali aku menganjurkan dia melawat kamu bersama dengan saudara-saudara yang lain. Tetapi dia tidak yakin bahawa dia harus pergi sekarang. Jika ada peluang kelak, tentu dia akan datang. Hendaklah kamu waspada dan teguh dalam hidup kamu sebagai orang Kristian. Hendaklah kamu tabah hati dan sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan. Lakukanlah semua kerja kamu dengan kasih. Tentu kamu mengenal Stefanus dan keluarganya; merekalah yang mula-mula menjadi orang Kristian di negeri Akhaya. Dengan sepenuh hati mereka melayani umat Allah. Aku menganjurkan kamu supaya menurut pimpinan orang seperti itu dan setiap orang yang bekerjasama, dan melayani jemaah dengan mereka. Aku bergembira dengan kedatangan Stefanus, Fortunatus, dan Akhaikus. Ketibaan mereka itu seolah-olah ketibaan kamu sendiri, kerana aku rindu akan kamu. Mereka sungguh menggembirakan aku sebagaimana mereka sudah menggembirakan kamu. Orang seperti itu harus dihargai. Kumpulan-kumpulan jemaah di Asia menyampaikan salam mereka kepada kamu. Akwila dan Priska serta jemaah yang berkumpul di rumah mereka pun mengirim salam Kristian yang mesra. Semua saudara di sini menyampaikan salam mereka. Bersalam-salamanlah dengan mesra sebagai saudara-saudara Kristian. Aku sendiri yang menulis salam ini: Salam daripada Paulus. Terkutuklah orang yang tidak mengasihi Tuhan! Maranatha - Ya Tuhan kami, datanglah! Semoga Tuhan Yesus memberkati kamu. Kasihku menyertai kamu semua yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Surat ini daripada Paulus yang dilantik sebagai rasul Yesus Kristus menurut kehendak Allah, dan daripada saudara kita Timotius. Surat ini ditujukan kepada jemaah Allah di Korintus, dan kepada semua umat Allah di seluruh Akhaya. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. Marilah kita bersyukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus. Dia Bapa yang berbelas kasihan dan Dia Allah yang sentiasa menolong kita. Dia menolong kami semasa kami mengalami kesusahan, supaya dengan pertolongan yang kami terima daripada Allah, kami pun dapat menolong semua orang yang mengalami kesusahan. Penderitaan yang dialami oleh Kristus, kami alami juga. Melalui Kristus juga, kami ditolong oleh Allah. Jika kami menderita, hal itu untuk pertolongan dan penyelamatan kamu. Jika kami ditolong oleh Allah, kamu juga mendapat pertolongan sehingga kamu tabah hati dan sabar dalam menghadapi kesusahan yang seperti kami alami. Oleh itu kami selalu yakin akan kamu. Kami tahu bahawa sebagaimana kamu mengalami penderitaan yang kami alami, kamu juga mendapat pertolongan seperti kami. Saudara-saudaraku, kami mahu kamu mengetahui kesusahan yang kami alami di wilayah Asia. Penderitaan yang kami tanggung itu sedemikian berat sehingga kami kehilangan harapan untuk hidup. Kami berasa seolah-olah sudah dijatuhi hukuman mati. Tetapi sebenarnya perkara itu berlaku, supaya kami tidak bergantung kepada diri sendiri, melainkan kepada Allah yang membangkitkan orang mati. Dia sudah menyelamatkan kami daripada bahaya kematian yang besar itu, dan Dia akan menyelamatkan kami. Kepada Dialah kami berharap, kerana Dia akan menyelamatkan kami lagi. Dengan bantuan doa kamu, kami yakin bahawa Allah akan memberkati kami sebagai jawapan kepada doa-doa kamu untuk kami. Lalu banyak orang akan bersyukur kepada Allah kerana kami. Kami merasa bangga kerana hati nurani kami meyakinkan kami bahawa hidup kami di dunia ini, terutama sekali hubungan kami dengan kamu, dikuasai oleh keikhlasan dan ketulusan yang dikurniakan oleh Allah. Kami melakukannya bukan dengan kebijaksanaan manusia, tetapi dengan kebolehan yang diberikan oleh Allah. [13-14] Kami menulis kepada kamu hanya tentang perkara yang dapat kamu baca dan fahami. Aku berharap kamu akan betul-betul memahami kami kelak, walaupun sekarang kamu kurang memahami kami. Dengan demikian pada hari Tuhan Yesus datang kelak, kamu akan bangga dengan kami, seperti kami pun akan bangga dengan kamu. *** Aku begitu yakin akan semua itu, sehingga pada mulanya aku bercadang hendak melawat kamu, supaya kamu boleh menerima berkat dua kali ganda. Aku bercadang hendak melawat kamu dalam perjalananku ke Makedonia dan juga dalam perjalanan kembali supaya kamu dapat membantu aku meneruskan perjalanan ke Yudea. Tetapi aku mengubah rancanganku. Adakah hal itu bererti bahawa pendirianku tidak tetap? Semasa aku mencadangkan sesuatu, adakah aku mementingkan diri sendiri sahaja, kerana sebentar berkata “Ya” dan sebentar “Tidak”? Demi Allah yang dapat dipercayai, janjiku kepada kamu bukanlah “Ya” dan “Tidak.” Hal itu demikian kerana Yesus Kristus, Anak Allah yang diisytiharkan kepada kamu oleh Silas, Timotius dan aku sendiri bukanlah “Ya” dan “Tidak.” Sebaliknya Dia itu jawapan “Ya” daripada Allah, kerana melalui Dia, Allah sudah mengatakan “Ya” kepada semua janji-Nya. Itulah sebabnya melalui Yesus Kristus, kata “Amin” kita ucapkan untuk memuliakan Allah. Allah sendirilah yang menjadikan kami dan kamu teguh bersatu dengan Kristus. Dia juga sudah memilih kita khas untuk diri-Nya sendiri. Untuk mengesahkan kita sebagai milik Allah, Allah mengurniai kita Roh Allah di dalam hati kita. Roh itu jaminan bahawa Allah akan mengurniakan semua yang sudah dijanjikan-Nya kepada kita. Allah saksiku; Dia tahu akan isi hatiku! Sebenarnya aku membatalkan lawatan ke Korintus, kerana aku tidak mahu menyedihkan hati kamu. Kami tidak mahu memaksa kamu tentang apa yang harus kamu percayai, kerana kamu sungguh-sungguh percaya kepada Kristus. Kami hanya bekerjasama dengan kamu, supaya kamu semakin berbahagia. Oleh itu aku mengambil keputusan untuk tidak melawat kamu lagi supaya tidak menyedihkan kamu. Jika aku menyedihkan kamu, siapa pula yang dapat menggembirakan aku? Tentunya orang yang sudah aku sedihkan. Itulah sebabnya aku menulis surat itu kepada kamu. Dengan demikian apabila aku melawat kamu, aku tidak disedihkan oleh kamu yang seharusnya menggembirakan aku. Kerana aku yakin bahawa apabila aku gembira, kamu semua pun gembira. Aku menulis kepada kamu dengan hati yang sedih dan berat, dan dengan mencucurkan air mata. Aku tidak bermaksud hendak menjadikan kamu sedih, tetapi hendak menyedarkan kamu bahawa aku sangat mengasihi kamu. Jika seseorang sudah menyedihkan orang lain, dia melakukannya bukan terhadap aku, tetapi terhadap kamu semua atau setidak-tidaknya beberapa orang daripada kamu. (Aku berkata demikian kerana aku tidak mahu bersikap terlalu keras terhadap orang itu.) Cukuplah sudah hukuman yang sudah dijatuhkan kepada orang itu oleh kebanyakan daripada kamu. Sekarang kamu harus mengampuni dia dan menggalakkan dia, supaya dia tidak terlalu sedih hati sehingga putus asa. Oleh itu aku meminta supaya kamu meyakinkan dia bahawa kamu benar-benar mengasihi dia. Aku menulis surat itu kepada kamu kerana aku hendak menguji kamu, sama ada kamu sentiasa sedia mentaati aku. Apabila kamu mengampunkan kesalahan seseorang, maka aku pun mengampuni dia. Hal itu demikian kerana pada waktu aku mengampuni dia - jika memang ada yang perlu diampunkan - aku mengampuninya di hadapan Kristus untuk kebaikan kamu. Aku berbuat demikian supaya Iblis tidak berpeluang untuk menguasai kita, kerana kita mengetahui rancangannya. Ketika aku tiba di Troas untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang Kristus, aku mendapati Tuhan sudah membuka jalan untuk menyampaikan Berita Baik di situ. Tetapi aku gelisah kerana aku tidak dapat menjumpai saudara kita Titus. Oleh itu aku mengucapkan selamat tinggal kepada orang di situ, lalu pergi ke Makedonia. Tetapi syukur kepada Allah! Kerana kami hidup bersatu dengan Kristus, kami sentiasa dipimpin oleh Allah untuk menyertai perarakan kemenangan Kristus. Allah menggunakan kami agar berita tentang Kristus tersebar seperti bau yang harum semerbak ke merata tempat. Kami seperti bau kemenyan yang harum, yang dipersembahkan oleh Kristus kepada Allah. Semerbak baunya merebak kepada orang yang sedang diselamatkan dan kepada orang yang sedang menuju kepada kebinasaan. Bagi orang yang sedang menuju kepada kebinasaan, perkhabaran daripada Allah seperti bau kematian yang membunuh. Tetapi bagi orang yang sedang diselamatkan, perkhabaran itu seperti bau harum yang membawa kehidupan. Siapakah yang layak untuk menjalankan tugas itu? Kami bukan seperti kebanyakan orang lain yang memperlakukan Berita Baik daripada Allah, seperti barang niaga yang murah. Tetapi kerana Allah sudah mengutus kami, kami melakukan tugas itu dengan ketulusan di sisi-Nya, sebagai hamba Kristus. Adakah hal ini kedengarannya seolah-olah kami membanggakan diri lagi? Adakah kami, seperti orang lain, memerlukan surat perakuan untuk kamu, ataupun daripada kamu? Tidak, kami tidak memerlukan surat perakuan. Kamu sendirilah surat perakuan kami, yang tertulis di dalam hati kami dan yang boleh diketahui serta dibaca oleh semua orang. Jelaslah bahawa kamu seperti surat yang ditulis oleh Kristus dan dikirim melalui kami. Surat ini tidak ditulis dengan dakwat, tetapi dengan Roh Allah yang hidup. Surat itu tidak ditulis pada batu tulis, tetapi pada hati manusia. Kami berkata demikian kerana keyakinan kami kepada Allah melalui Kristus. Kami tidak mempunyai suatu alasan pun untuk mendakwa bahawa kami sanggup melakukan kerja itu, tetapi keupayaan itu datangnya daripada Allah. Dialah yang menyebabkan kami sanggup mengabdikan diri kepada perjanjian yang baru. Perjanjian itu tidak terdiri daripada hukum yang tertulis, tetapi daripada Roh Allah. Hukum yang tertulis itu membawa kematian, tetapi Roh Allah memberikan hidup. Taurat itu diukir pada batu tulis dan kemuliaan Allah kelihatan pada masa Taurat itu diberikan. Walaupun cahaya kemuliaan Allah pada wajah Musa mula pudar, cahaya itu masih begitu gemilang sehingga orang Israel tidak dapat memandang muka Musa. Jika Taurat yang membawa kematian itu diberikan dengan kemuliaan seperti itu, tentu lebih gemilang lagi kemuliaan Allah pada waktu perjanjian yang diberikan oleh Roh Allah dimulakan. Jika Taurat yang membawa hukuman kepada manusia sangat gemilang, maka lebih gemilang lagi perjanjian yang membolehkan manusia berbaik semula dengan Allah. Boleh dikatakan bahawa dengan adanya kemuliaan yang sangat gemilang sekarang ini, kemuliaan yang gemilang pada masa lalu itu sudah tiada. Jika sesuatu yang sementara mempunyai kemuliaan, maka sesuatu yang kekal mempunyai kemuliaan yang lebih gemilang lagi. Kerana kami mempunyai harapan seperti itu, kami dapat berkata-kata dengan keyakinan. Kami tidak seperti Musa yang harus menutupi muka dengan selubung, supaya orang Israel tidak dapat melihat cahaya pada mukanya pudar dan lenyap. Fikiran mereka sudah tertutup. Sampai hari ini pun fikiran mereka masih berselubung pada masa mereka membaca kitab-kitab tentang perjanjian yang lama itu. Selubung ini hanya dapat tersingkap apabila orang bersatu dengan Kristus. Sekarang pun apabila mereka membaca Taurat Musa, fikiran mereka masih berselubung. Tetapi selubung itu dapat ditanggalkan, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Musa menanggalkan selubung muka, pada masa dia menghadap Tuhan.” Tuhan yang dimaksudkan di sini ialah Roh. Sesiapa mempunyai Roh Tuhan, orang itu bebas. Sekarang muka kita tidak berselubung dan kita memantulkan kemuliaan Tuhan. Kemuliaan itu berasal daripada Tuhan, dan Tuhan itu Roh yang mengubah kita semua. Kita semakin menjadi seperti Dia dan semakin memiliki kemuliaan-Nya. Kami tahu bahawa kerana belas kasihan Allah, Dia sudah mengurniai kami tugas ini. Oleh itu kami tidak patah semangat. Kami tidak menggunakan cara gelap yang memalukan; kami tidak berusaha untuk menipu orang ataupun memutarbalikkan firman Allah. Allah saksi kami bahawa kami mengisytiharkan ajaran benar daripada Berita Baik secara terang-terang. Dengan perbuatan itu, kami berharap semua orang akan menilai kami dengan baik dalam hati mereka. Jika Berita Baik yang kami khabarkan itu sukar difahami, maka hanya mereka yang sedang menuju kepada kebinasaan tidak memahaminya. Mereka tidak mahu percaya kepada berita yang kami khabarkan, kerana Iblis yang menguasai dunia ini menjadikan fikiran mereka tertutup. Mereka tidak dapat melihat cahaya yang menyinari mereka. Cahaya itu daripada Berita Baik tentang kemuliaan Kristus, yang merupakan gambaran Allah. Kami tidak menyampaikan berita tentang diri kami sendiri. Kami mengisytiharkan Yesus Kristus itu Tuhan, dan kami ini hamba kamu kerana Yesus. Allah yang berfirman, “Daripada kegelapan, cahaya akan bersinar.” Allah itu juga yang menyebabkan cahaya-Nya bersinar di dalam hati kami, sehingga kita dapat memahami kemuliaan Allah yang bersinar pada wajah Kristus. Tetapi kami yang memiliki harta rohaniah ini, seperti bekas yang dibuat daripada tanah. Dengan demikian nyatalah bahawa kekuasaan tertinggi dimiliki oleh Allah, bukan kami. Kami sering kali dianiaya, tetapi kami tidak menyerah kalah. Kadangkala kami kebingungan, tetapi tidak pernah putus harapan. Banyak orang memusuhi kami, tetapi Allah tidak pernah meninggalkan kami. Meskipun kami sering dianiaya, kami tidak binasa. Kami selalu menghadapi ancaman hukuman mati seperti yang dialami oleh Yesus, supaya kehidupan-Nya pun nyata pada tubuh kami. Sepanjang hidup kami, kami sentiasa diancam oleh kematian kerana Yesus, supaya kehidupan Yesus pun nyata pada tubuh kami yang fana. Hal ini bererti bahawa kami sentiasa menghadapi ancaman kematian, tetapi kamu mendapat hidup. Di dalam Alkitab tertulis, “Aku berkata-kata kerana aku percaya kepada Allah.” Dengan kepercayaan seperti itu, kami pun berkata-kata kerana kami percaya. Kami tahu bahawa Allah yang sudah membangkitkan Tuhan Yesus daripada kematian, akan membangkitkan kami juga dengan Yesus, dan membawa kamu serta kami ke hadirat Yesus. Semua ini untuk kebaikan kamu. Kerana semakin banyak orang mengalami rahmat Allah, semakin banyak pula doa kesyukuran yang disampaikan kepada Allah. Dengan demikian Allah dimuliakan. Itulah sebabnya kami tidak tawar hati. Meskipun tubuh kami ini menjadi reput, tetapi batin kami dibaharui setiap hari. Kesusahan yang kami alami ini hanya untuk sementara dan tidak seberapa banyak, tetapi akan mendatangkan kemuliaan yang luar biasa dan kekal. Kemuliaan itu jauh lebih besar jika dibandingkan dengan kesusahan itu. Hal itu demikian kerana kami menumpukan perhatian kepada apa yang tidak kelihatan, dan bukan kepada apa yang kelihatan. Apa yang kelihatan hanya tahan sementara, tetapi apa yang tidak kelihatan itu kekal selama-lamanya. Kami berkata demikian kerana kami tahu bahawa apabila khemah - iaitu tubuh yang kita diami di dunia ini - dirobohkan, Allah akan menyediakan tempat tinggal di syurga bagi kita. Tempat tinggal itu dibuat oleh Allah sendiri, dan tahan selama-lamanya. Dalam keadaan yang sekarang ini, kita mengeluh kerana sangat rindu untuk tinggal di khemah yang baru, yang dari syurga. Kita ingin dipakaikan tubuh yang baru itu, supaya kita tidak telanjang. Selama kita tinggal di dalam khemah di dunia ini, kita mengeluh kerana beban kita berat. Bukannya kita ingin meninggalkan tubuh kita yang di dunia ini, tetapi kita ingin dipakaikan tubuh yang dari syurga. Dengan demikian tubuh kita yang fana akan diubah oleh tubuh yang abadi. Allah sudah mempersiapkan kita untuk perubahan itu, dan Dia mengurniai kita Roh-Nya sebagai jaminan bagi segala sesuatu yang disediakan-Nya untuk kita. Oleh itu kami sentiasa tabah hati. Kami tahu bahawa selama kami tinggal di dalam tubuh ini, kami jauh dari tempat tinggal yang akan kami diami bersama-sama Tuhan. Hidup kami berdasarkan kepercayaan kepada Kristus, dan bukan berdasarkan apa yang dapat dilihat. Itulah sebabnya kami tabah hati. Kami lebih suka meninggalkan tubuh ini, supaya dapat tinggal bersama-sama Tuhan. Oleh itu kami ingin menyenangkan hati Tuhan, baik selama kami di tubuh ini di sini, ataupun di sana. Hal itu demikian kerana kita semua harus menghadap Kristus, yang akan menghakimi kita semua. Setiap orang akan mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatannya di dunia ini - perbuatan baik ataupun jahat. Kami mengetahui apa ertinya takut akan Tuhan; itulah sebabnya kami berusaha meyakinkan orang lain. Allah mengenal kami dengan sepenuhnya, dan aku juga berharap kamu mengenal kami dengan baik. Kami tidak mahu membanggakan diri di hadapan kamu. Sebaliknya kami hanya mahu memberikan alasan yang baik, supaya kamu boleh bangga dengan kami. Dengan demikian kamu dapat menjawab orang yang mementingkan rupa orang dan bukan sifat mereka. Jika kami nampaknya gila, hal itu untuk kepentingan Allah. Jika kami nampaknya waras, hal itu untuk kepentingan kamu. Kami dikuasai oleh kasih Kristus; kami sedar bahawa satu orang, iaitu Yesus Kristus sudah mati untuk semua orang. Hal ini bererti bahawa semua orang juga sudah mati secara rohani. Kristus mati untuk semua orang, supaya orang yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri, melainkan untuk Dia yang sudah mati dan dibangkitkan untuk kebaikan mereka. Oleh itu, kami tidak lagi menilai seseorang menurut penilaian manusia. Dahulu kami memang pernah menilai Kristus menurut penilaian manusia, tetapi sekarang tidak lagi. Apabila seseorang bersatu dengan Kristus, orang itu menjadi manusia baru. Yang lama sudah lenyap dan yang baru bermula. Semua itu dilakukan oleh Allah. Melalui Kristus, Allah sudah mengubah kita daripada musuh menjadi sahabat-Nya. Dia juga menugaskan kita supaya menjadikan orang lain sahabat-Nya juga. Inilah yang kami isytiharkan: Melalui Kristus, Allah menjadikan semua orang sahabat-Nya. Dengan rela hati Allah mengampunkan dosa mereka. Dia sudah menugaskan kami untuk memberitakan hal itu. Demikianlah kami berkata-kata bagi pihak Kristus, seolah-olah Allah sendiri memohon kepada kamu melalui kami. Kami menggesa kamu bagi pihak Kristus, supaya kamu membolehkan Allah mengubah kamu daripada musuh menjadi sahabat-Nya. Kristus tidak berdosa, tetapi demi kebaikan kita, Allah meletakkan dosa kita pada Dia. Dengan demikian kita berbaik semula dengan Allah, apabila kita bersatu dengan Kristus. Kami bekerja bersama-sama Allah. Oleh itu kami menggesa kamu supaya tidak mensia-siakan rahmat Allah yang sudah kamu terima. Di dalam Alkitab, Allah berfirman, “Pada masa yang diperkenankan, Aku sudah mendengarkan engkau, dan pada hari penyelamatan, Aku sudah menolong engkau.” Ketahuilah bahawa sekaranglah masa yang diperkenankan Allah, dan sekaranglah hari kamu diselamatkan! Kami tidak mahu seorang pun mencela kerja kami. Oleh itu kami berusaha supaya orang tidak mempunyai alasan untuk mencela kami. Sebaliknya, dalam segala hal kami menunjukkan bahawa kami hamba Allah, yang dengan sabar menanggung segala macam kesusahan. Kami telah disesah, dipenjarakan, dan diserang oleh orang ramai; kami bekerja keras, kurang tidur, dan kurang makan. [6-7] Dengan berlaku tulus, dengan menggunakan pengetahuan tentang Berita Baik, dengan bersabar, dengan kebaikan hati, dengan pertolongan Roh Allah, dengan kasih yang ikhlas, dengan memberitakan khabar daripada Allah, dan dengan kuasa Allah, kami menunjukkan bahawa kami ini hamba Allah. Kami berpegang pada cara hidup yang menurut kehendak Allah, sebagai senjata untuk menyerang mahupun untuk membela diri. *** Kami dihormati tetapi juga dihina; kami dipuji tetapi juga diumpat. Kami dianggap sebagai pembohong, walaupun kami jujur. Kami dianggap tidak terkenal, tetapi kami dikenal semua orang. Kami disangka mati, tetapi ternyata kami masih hidup. Meskipun kami dianiaya, kami tidak mati. Walaupun kami menanggung sengsara, kami sentiasa bersukacita. Kami nampaknya miskin, tetapi kami sudah mengayakan kehidupan rohani banyak orang. Nampaknya kami tidak memiliki apa-apa, tetapi sebenarnya kami memiliki segala-galanya. Sahabat-sahabatku di Korintus, kami sudah berterus-terang kepada kamu. Kami sudah mengutarakan segala isi hati kami. Kami tidak menahan diri daripada mengasihi kamu; kamulah yang menahan diri daripada mengasihi kami. Sekarang aku berkata-kata seperti kepada anak-anakku sendiri. Tunjukkanlah kasih kamu kepada kami. Bukalah hati kamu untuk kami! Janganlah cuba bekerjasama dengan orang yang tidak percaya kepada Kristus, kerana hal itu tidak sesuai. Kebaikan dan kejahatan tidak dapat bekerjasama. Cahaya dan kegelapan tidak dapat bersama-sama. Kristus tidak dapat bersetuju dengan Iblis. Orang Kristian tidak mempunyai hal yang sama dengan orang bukan Kristian. Tempat kediaman Allah tidak ada hubungannya dengan berhala. Kita ini tempat kediaman Allah yang hidup. Allah sendiri berfirman, “Aku akan tinggal bersama-sama mereka, dan hidup antara mereka; Aku akan menjadi Allah mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku. Oleh itu, tinggalkanlah orang yang tidak mengenal Allah, dan asingkan diri daripada mereka. Janganlah berhubungan dengan sesuatu pun yang najis, maka Aku akan menerima kamu. Aku akan menjadi Bapa kamu, dan kamu akan menjadi anak-anak-Ku lelaki dan perempuan, demikianlah firman Tuhan Yang Maha Kuasa.” Sahabat-sahabat yang aku kasihi, Allah menjanjikan semua itu kepada kita. Oleh itu kita harus menyucikan diri daripada segala yang menajiskan jiwa dan raga kita. Hendaklah kita takut akan Allah, supaya kita dapat mengamalkan hidup yang khas untuk Dia dengan sepenuhnya. Sambutlah kami di hati kamu. Kami tidak bersalah terhadap sesiapa pun, atau merosakkan iman orang, ataupun merugikan orang lain. Aku berkata demikian bukannya untuk menyalahkan kamu, kerana aku pernah berkata bahawa kami sangat mengasihi kamu dan bersedia sehidup semati. Aku mempunyai keyakinan penuh terhadap kamu dan aku bangga sekali dengan kamu. Meskipun kami mengalami banyak kesukaran, aku tetap bersemangat dan penuh kegembiraan. Apabila kami tiba di Makedonia, kami tidak sempat melepaskan lelah. Di mana-mana sahaja kami menemui kesukaran: pertengkaran dengan orang lain, dan kecemasan dalam hati. Tetapi syukurlah, kerana Allah yang sentiasa menggalakkan orang yang lemah semangat, telah membesarkan hati kami dengan kedatangan Titus. Kami terhibur bukan sahaja kerana kedatangannya, tetapi juga kerana laporannya bahawa kamu telah menggalakkan dia. Titus memberitahu kami bahawa kamu ingin berjumpa dengan aku, bahawa kamu menyesali perbuatan kamu dan bahawa sekarang kamu bersedia membela aku. Hal itu menjadikan aku lebih bersukacita lagi. Meskipun suratku telah menyedihkan hati kamu, aku tidak menyesal menulisnya. Memang aku agak menyesal ketika kamu bersedih hati kerana suratku itu, meskipun kesedihan itu hanya untuk sementara. Tetapi sekarang aku bersukacita - bukan kerana aku telah menyedihkan hati kamu, tetapi kerana kesedihan itu sudah mengubah kelakuan kamu. Kesedihan itu sejalan dengan kehendak Allah. Oleh itu kami tidak merugikan kamu, kerana kesedihan seperti itu menghasilkan perubahan hati yang mendatangkan penyelamatan. Hal itu tidak perlu disesalkan. Sebaliknya, kesedihan yang sejalan dengan kehendak manusia mengakibatkan kematian. Lihatlah hasil daripada kesedihan kamu yang sejalan dengan kehendak Allah: Kamu betul-betul berusaha untuk membuktikan bahawa kamu tidak bersalah. Kamu marah kepada apa yang sudah berlaku dan kamu takut akan apa yang mungkin berlaku. Kamu rindu akan aku, kamu sangat ingin membela aku, dan rela menghukum yang bersalah. Dalam semua hal itu kamu sudah menunjukkan bahawa kamu tidak bersalah. Oleh itu, meskipun aku menulis surat itu, aku menulisnya bukan kerana orang yang bersalah itu, ataupun orang yang menderita kerana kesalahan itu. Aku menulis surat itu supaya di sisi Allah kamu menyedari betapa besarnya perhatian kamu terhadap kami. Itulah sebabnya kami digalakkan. Selain daripada digalakkan, kami juga digembirakan oleh kegembiraan Titus. Dia memberitahu kami bahawa kamu telah menggembirakan hatinya. Dahulu aku membangga-banggakan kamu kepadanya. Syukurlah, kamu tidak mengecewakan aku. Apa yang kami katakan kepada kamu sentiasa benar. Demikian juga apa yang kami bangga-banggakan kepada Titus tentang kamu pun benar. Titus semakin mengasihi kamu, apabila dia teringat bagaimana kamu semua sedia mentaati arahannya, dan menyambut dia dengan hormat dan rendah hati. Aku sungguh bahagia kerana aku mempunyai keyakinan penuh kepada kamu. Saudara-saudaraku, kami hendak kamu tahu bahawa Allah sangat baik kepada jemaah di Makedonia. Mereka sudah diuji dengan kesusahan yang berat, tetapi mereka sentiasa bersukacita. Mereka sangat miskin, tetapi mereka sangat murah hati. Aku dapat memberikan kesaksian bahawa mereka memberi menurut kemampuan mereka, bahkan lebih daripadanya. Dengan kehendak mereka sendiri, mereka meminta dan merayu kepada kami supaya dibenarkan membantu umat Allah di Yudea. Pemberian mereka itu melebihi apa yang kami harapkan! Mula-mula mereka menyerahkan diri kepada Tuhan, kemudian kepada kami juga, sesuai dengan kehendak Allah. Oleh itu kami menggesa Titus yang memulakan usaha mengumpulkan wang derma di kalangan kamu, supaya dia meneruskan usaha itu dan menyelesaikannya. Kamu unggul dalam semuanya: dalam kepercayaan kamu kepada Kristus, usaha kamu untuk mengkhabarkan Berita Baik, pengetahuan kamu tentang yang benar, usaha kamu untuk menolong, dan kasih kamu kepada kami. Oleh itu, kami juga ingin kamu unggul dalam usaha kamu yang baik ini. Apa yang aku katakan itu bukanlah suatu perintah. Tetapi dengan menunjukkan betapa giatnya jemaah di Makedonia menolong orang lain, aku berharap kasih kamu yang sejati pun akan nyata. Kamu tahu bahawa kita sangat dikasihi oleh Yesus Kristus Tuhan kita. Meskipun Dia kaya, Dia menjadikan diri-Nya miskin untuk kebaikan kamu, supaya dengan kemiskinan-Nya itu, kamu menjadi kaya. Menurut pendapatku, lebih baik kamu selesaikan apa yang kamu mulakan pada tahun lalu. Kamulah yang pertama kali merancangkan dan memulakan usaha itu. Teruskanlah dan selesaikanlah usaha itu. Semoga kamu sangat berminat menyelesaikannya sebagaimana kamu sangat berminat mencadangkannya dahulu. Berilah derma menurut kemampuan kamu. Jika kamu sangat berminat memberi derma, Allah akan menerima pemberian kamu berdasarkan apa yang kamu miliki, bukan apa yang tidak kamu miliki. [13-14] Aku tidak berniat meringankan beban orang lain dengan memberatkan beban kamu. Pada masa ini kamu berkecukupan, maka sepatutnya kamu membantu mereka yang berkekurangan. Begitu juga apabila kamu berkekurangan dan mereka berkecukupan, mereka akan membantu kamu. Dengan demikian kedua-dua belah pihak mendapat layanan yang sama. *** Di dalam Alkitab tertulis, “Orang yang mengumpulkan banyak makanan, tidak berkelebihan, dan orang yang mengumpulkan sedikit makanan, tidak berkekurangan.” Kami bersyukur kepada Allah yang sudah menyebabkan Titus sangat ingin menolong kamu, seperti kami juga! Bukan sahaja dia rela memenuhi permintaan kami, tetapi dia juga sangat ingin menolong kamu sehingga dengan kemahuannya sendiri dia membuat keputusan untuk pergi kepada kamu. Bersama dengan dia kami mengutus seorang saudara seiman yang sangat dihormati oleh jemaah di pelbagai tempat kerana pekerjaannya mengkhabarkan Berita Baik. Lagi pula dia sudah dipilih dan dilantik oleh jemaah di wilayah Makedonia untuk menyertai kami dalam perjalanan kami. Dia akan menolong kami mengurus wang derma yang kami kumpulkan untuk memuliakan Tuhan, dan untuk menunjukkan bahawa kami ingin menolong. Kami sangat berhati-hati mengurus wang derma yang besar jumlahnya itu, supaya tidak sesiapa pun dapat mencela kami. Kami bertujuan melakukan apa yang benar bukan sahaja di sisi Tuhan, tetapi juga di hadapan manusia. Bersama dengan Titus dan saudara itu, kami juga mengutus seorang saudara seiman yang lain. Kami sudah menguji dia berkali-kali dan ternyata dia sentiasa ingin menolong. Sekarang dia lebih lagi ingin menolong kamu, kerana dia mempunyai keyakinan terhadap kamu. Titus itu rakanku dan bekerja bersama-sama aku untuk menolong kamu. Kedua-dua orang saudara yang pergi bersama-sama dia mewakili jemaah di sini, dan kerja mereka mendatangkan kemuliaan bagi Kristus. Tunjukkanlah kasih kamu kepada mereka, supaya jemaah yang mengutus mereka akan mengetahui hal itu. Dengan demikian terbuktilah bahawa apa yang kami banggakan tentang kamu itu benar. Sebenarnya tidak perlu lagi aku menulis kepada kamu tentang derma yang sedang dikirim kepada umat Allah di Yudea. Aku tahu bahawa kamu suka menolong, dan aku sudah membanggakan kamu kepada orang di Makedonia. Aku berkata kepada mereka, “Saudara seiman di Akhaya telah bersedia menolong sejak tahun lalu.” Semangat kamu sudah mengobarkan semangat kebanyakan daripada mereka. Sekarang aku mengutus Titus dan dua orang saudara seiman itu, supaya apa yang telah kami bangga-banggakan tentang kamu bukanlah cakap angin belaka. Oleh itu, hendaklah kamu siap menolong, kerana aku sudah berkata bahawa kamu bersedia menolong. Apabila aku datang bersama-sama beberapa orang Kristian dari Makedonia, aku tidak ingin mereka mendapati kamu belum menyediakan wang derma itu. Jika hal itu berlaku, alangkah malunya kami kerana kami begitu yakin akan kamu. Kamu sendiri pun akan malu. Oleh itu, aku fikir perlu juga menggesa saudara-saudara itu supaya pergi kepada kamu lebih dahulu daripada aku untuk mengurus derma yang kamu janjikan itu. Dengan demikian derma itu telah tersedia apabila aku tiba. Hal itu menunjukkan bahawa derma itu kamu berikan dengan rela hati dan bukan kerana terpaksa. Ingatlah! Orang yang menanam sedikit benih, akan mendapat tuaian yang sedikit. Tetapi orang yang menanam banyak benih, akan mendapat tuaian yang banyak juga. Masing-masing harus memberi sebanyak yang telah ditentukannya. Orang harus memberi dengan rela dan sukacita, kerana Allah mengasihi orang yang memberi dengan senang hati. Allah berkuasa memberkati kamu dengan berlimpah-limpah, sehingga kamu mempunyai apa yang kamu perlukan. Bahkan kamu akan mempunyai lebih daripada cukup untuk mengamalkan perbuatan baik. Di dalam Alkitab tertulis, “Dia bermurah hati kepada orang miskin, kebaikan hatinya kekal selama-lamanya.” Allah menyediakan benih untuk ditabur dan makanan untuk dimakan. Dia juga akan membekali kamu benih yang dapat kamu tanam, dan akan menyebabkan tanaman kamu tumbuh. Dengan demikian kamu semakin murah hati. Allah akan menjadikan kamu berkecukupan supaya kamu sentiasa dapat bermurah hati. Dengan demikian banyak orang akan bersyukur kepada Allah kerana derma yang kamu kirim melalui kami. Hal itu demikian, kerana perbuatan baik yang kamu lakukan itu bukan sahaja akan mencukupi keperluan umat Allah, tetapi juga menyebabkan banyak orang bersyukur kepada Allah. Dengan perbuatan baik yang kamu tunjukkan itu, banyak orang Kristian di Yudea akan memuliakan Allah kerana kesetiaan dan ketaatan kamu kepada Berita Baik tentang Kristus. Mereka juga akan memuji Allah kerana dengan murah hati kamu berkongsi milik dengan mereka dan semua orang lain. Mereka akan berdoa untuk kamu dengan penuh kasih sayang, kerana Allah sangat mengasihi kamu. Marilah kita bersyukur kepada Allah bagi pemberian-Nya yang tidak terhingga. Aku, Paulus memohon kepada kamu. Orang berkata bahawa aku ini lemah lembut apabila berhadapan dengan kamu, tetapi keras apabila jauh daripada kamu. Dengan kelembutan dan kebaikan hati Kristus, aku memohon supaya kamu tidak memaksa aku bersikap keras terhadap kamu apabila aku datang kelak. Aku tahu bahawa aku boleh bersikap keras terhadap orang yang mengatakan bahawa aku bekerja dengan tujuan duniawi. Memang benar kami ini hidup di dalam dunia, tetapi perjuangan kami tidak berdasarkan tujuan duniawi. Senjata yang kami gunakan dalam perjuangan, bukannya senjata dunia ini, melainkan senjata yang diberikan oleh Allah. Dengan senjata itu kami boleh menghancurkan pertahanan musuh; kami menghapuskan perdebatan dan mengatasi setiap alasan yang diajukan oleh orang sombong untuk menentang pengetahuan tentang Allah. Kami menawan fikiran orang supaya taat kepada Kristus. Setelah kamu membuktikan kesetiaan kamu, kami siap menghukum sesiapa pun yang tidak setia. Kamu melihat hal-hal secara zahir sahaja. Jika sesiapa mengaku dirinya milik Kristus, hendaklah dia berfikir lagi dan sedar bahawa kami juga milik Kristus seperti dia. Aku tidak malu walaupun aku terlalu membanggakan kekuasaan yang sudah diberikan oleh Tuhan kepada kami, kerana kekuasaan itu diberikan untuk membina kamu, bukannya untuk meruntuhkan kamu. Aku tidak mahu kamu berfikir bahawa aku menakutkan kamu dengan surat-suratku. Ada yang berkata, “Surat-surat Paulus itu keras dan tegas, tetapi apabila dia bersama-sama kita, dia lemah perangainya dan kata-katanya tidak bererti apa-apa!” Biarlah orang seperti itu sedar bahawa apabila kami bersama-sama kamu, kami akan bertindak seperti apa yang kami tulis dalam surat-surat kami. Memang kami tidak berani menyamakan atau membandingkan diri dengan orang yang memuji diri mereka sendiri. Alangkah bodohnya mereka! Mereka membuat penilaian sendiri, dan menilai diri mereka dengan penilaian itu. Kami juga berbangga, tetapi tidak di luar batas yang ditentukan. Kami di dalam batas-batas kawasan pekerjaan yang sudah ditentukan oleh Allah bagi kami, dan kamu termasuk di dalam kawasan itu. Kamu termasuk di dalam kawasan yang sudah ditentukan oleh Allah bagi kami. Oleh itu, kami tidak di luar batas kawasan pekerjaan kami ketika mengunjungi kamu dan membawa Berita Baik tentang Kristus. Dengan demikian kami tidak berbangga dengan kerja orang lain yang di luar batas yang ditentukan oleh Allah bagi kami. Sebaliknya kami berharap agar kamu semakin percaya kepada Kristus, sehingga kami dapat meluaskan kerja kami di kalangan kamu, di dalam batas yang ditentukan oleh Allah. Kemudian barulah kami dapat mengkhabarkan Berita Baik di negeri-negeri lain. Dengan demikian kami tidak mendapat pujian bagi kerja yang sudah dilakukan di kawasan pelayanan orang lain. Di dalam Alkitab tertulis, “Sesiapa mahu berbangga, hendaklah dia berbangga dengan apa yang sudah dilakukan oleh Tuhan.” Hal itu demikian kerana orang yang terpuji adalah orang yang dipuji oleh Tuhan, bukan orang yang memuji diri sendiri. Benarkanlah aku bersikap agak bodoh sedikit. Boleh, bukan? Aku mengambil berat tentang kamu, seperti Allah pun mengambil berat tentang kamu. Kamu seperti anak dara yang suci yang sudah aku janjikan untuk dikahwinkan dengan seorang sahaja, iaitu Kristus. Aku khuatir fikiran kamu akan dirosakkan sehingga kamu tidak lagi setia kepada Kristus. Hal itu berlaku kepada Hawa yang ditipu oleh kelicikan ular. Aku lihat betapa relanya kamu menyambut sesiapa sahaja yang datang kepada kamu dan mengkhabarkan berita tentang Yesus yang lain, bukan Yesus yang kami perkenalkan itu. Kamu juga menyambut roh dan berita baik yang sama sekali berlainan dengan Roh Allah dan Berita Baik yang kamu terima daripada kami. Aku tahu bahawa aku tidak lebih rendah daripada orang yang kamu anggap sebagai “rasul” yang istimewa itu! Mungkin aku kurang pandai berkata-kata, tetapi pengetahuanku tentang Berita Baik itu dalam. Hal itu sudah kami buktikan kepada kamu pada setiap masa dan dalam segala hal. Semasa aku mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada kamu, aku tidak meminta bayaran apa-apa pun. Aku merendahkan diri supaya kamu ditinggikan. Adakah hal itu suatu kesalahan? Pada masa aku melakukan pelayanan di kalangan kamu, aku dibiayai oleh jemaah lain. Boleh dikatakan aku ini seperti merompak jemaah itu supaya dapat menolong kamu. Pada masa itu aku tidak pernah menyusahkan kamu meskipun aku memerlukan bantuan wang. Segala keperluanku disediakan oleh saudara-saudara yang datang dari Makedonia. Baik dahulu mahupun pada masa yang akan datang, aku tidak akan membebani kamu! Demi ajaran Kristus yang benar dan yang ada padaku, aku berjanji bahawa tidak seorang pun di seluruh negeri Akhaya dapat menghapuskan kebanggaanku. Adakah aku berkata demikian kerana aku tidak mengasihi kamu? Allah tahu bahawa aku mengasihi kamu! Apa yang aku lakukan sekarang akan aku lakukan terus-menerus supaya “rasul-rasul” yang lain itu tidak mempunyai alasan untuk berbangga dan berkata bahawa mereka bekerja seperti kami. Mereka rasul palsu. Mereka berdusta tentang kerja mereka dan mereka menyamar seperti rasul Kristus. Hal itu tidak menghairankan! Iblis pun dapat menyamar seperti malaikat yang gilang-gemilang. Oleh itu, tidaklah menghairankan jika hamba-hamba Iblis menyamar seperti hamba yang melakukan kehendak Allah. Akhirnya mereka akan menerima balasan yang setimpal dengan semua perbuatan mereka. Biarlah aku ulangi hal ini sekali lagi: Janganlah sesiapa pun menganggap aku bodoh. Tetapi jika kamu tetap menganggap aku ini bodoh, benarkanlah aku yang bodoh ini berbangga sedikit. Aku tidak mengikut perintah Tuhan apabila aku berbangga seperti ini; aku bersikap seperti orang bodoh. Tetapi kerana banyak orang berbangga dengan tujuan duniawi, aku pun mahu berbangga. Kamu menganggap diri kamu bijak. Oleh itu, kamu bersabar terhadap orang bodoh! Kamu membiarkan mereka memperhamba kamu atau merugikan kamu atau memerangkap kamu atau menghina kamu ataupun menampar kamu. Aku malu mengaku bahawa kami tidak berani berbuat demikian. Jika orang berani membanggakan sesuatu, aku pun berani. (Aku ini bercakap seperti orang bodoh.) Adakah mereka orang Ibrani? Aku pun orang Ibrani. Adakah mereka orang Israel? Aku pun orang Israel. Adakah mereka keturunan Abraham? Aku pun keturunan Abraham. Adakah mereka hamba Kristus? Mungkin kedengarannya aku ini gila, tetapi aku ini hamba yang lebih baik daripada mereka. Aku bekerja lebih keras, aku lebih sering dipenjarakan, aku lebih sering disesah dan aku kerap kali menghadapi maut. Lima kali aku disesah orang Yahudi dengan pukulan cambuk tiga puluh sembilan kali. Tiga kali aku disesah orang Roma, dan pernah direjam satu kali. Tiga kali aku mengalami nahas kapal karam dan satu kali aku terapung-apung di laut selama dua puluh empat jam. Aku sering berpergian dan dalam perjalanan, aku pernah menghadapi bahaya banjir dan perompak, bahaya daripada orang Yahudi dan bukan Yahudi, bahaya di dalam bandar mahupun di gurun, bahaya di laut, dan bahaya daripada orang yang berpura-pura menjadi pengikut Kristus. Aku bekerja mati-matian, kerap kali tidak makan, tidak minum dan tidak tidur, lapar, kesejukan kerana kurang pakaian dan tidak mempunyai tempat tinggal. Di samping kesusahan yang lain, setiap hari aku mengkhuatirkan keadaan jemaah di semua tempat. Apabila seseorang lemah, aku berasa lemah juga. Apabila seseorang berdosa, aku juga bersedih hati. Jika aku mesti berbangga, aku akan berbangga dengan hal-hal yang menunjukkan kelemahanku. Allah, Bapa Tuhan Yesus tahu bahawa aku tidak berdusta. Terpujilah nama-Nya selama-lamanya. Ketika aku di Damsyik, gabenor yang dilantik oleh Raja Aretas memerintahkan askar-askarnya menjaga pintu kota untuk menangkap aku. Tetapi dengan sebuah keranjang aku dihulurkan ke bawah melalui suatu lubang pada tembok kota. Demikianlah aku menyelamatkan diri daripadanya. Aku harus berbangga meskipun hal itu tidak berfaedah. Tetapi sekarang aku mahu bercakap tentang penglihatan dan wahyu yang aku terima daripada Tuhan. Aku kenal akan seorang Kristian yang empat belas tahun yang lalu diangkat ke syurga yang tertinggi. (Aku tidak tahu sama ada hal ini benar-benar berlaku atau hanya suatu penglihatan - Allah sahaja yang tahu.) Aku berkata sekali lagi, aku tahu bahawa orang itu diangkat ke Firdaus. (Aku tidak tahu sama ada hal ini benar-benar berlaku atau hanya suatu penglihatan - Allah sahaja yang tahu.) Di situ dia mendengar perkara-perkara yang tidak boleh dan tidak dapat diungkapkan. Aku hendak membanggakan orang itu, bukan diriku sendiri. Aku akan membanggakan perkara-perkara yang menunjukkan kelemahanku sahaja. Jika aku hendak berbangga, aku tidak melakukan sesuatu yang bodoh, kerana aku mengatakan yang benar. Aku tidak mahu orang memandang tinggi terhadap aku kerana penglihatan itu, tetapi hanya kerana melihat perbuatanku dan mendengar kata-kataku. Tetapi supaya aku tidak terlalu sombong kerana penglihatan-penglihatan yang luar biasa itu, aku diberikan sejenis penyakit yang sangat menyakitkan. Penyakit itu alat Iblis untuk memukul aku supaya aku tidak terlalu sombong. Tiga kali aku berdoa kepada Tuhan supaya menghilangkan penyakit itu. Tetapi Tuhan menjawab, “Aku mengasihi kamu dan hal itu sudah cukup bagimu, kerana kuasa-Ku nyata sekali pada masa kamu lemah.” Oleh itu aku lebih suka membanggakan kelemahanku, supaya merasakan kuasa Kristus yang melindungi aku. Aku bersukacita ketika mengalami kelemahan, hinaan, kesukaran, penganiayaan, dan kesusahan, kerana Kristus. Aku bersukacita, kerana ketika aku lemah, pada masa itulah aku mendapat kekuatan daripada Kristus. Kamu sudah memaksa aku bersikap seperti orang bodoh. Kamulah yang seharusnya memuji aku. Meskipun aku ini bukan sesiapa tetapi aku tidak lebih rendah daripada “rasul-rasul” kamu yang istimewa itu! Melalui aku, Allah melakukan banyak mukjizat dan hal-hal lain yang luar biasa, sementara aku menjalankan tugasku dengan penuh kesabaran untuk membuktikan bahawa aku seorang rasul. Dalam hal apakah kamu kurang diperhatikan apabila dibandingkan dengan jemaah lain? Hanya dalam hal ini: Aku tidak meminta kamu membiayai aku. Maafkanlah aku kerana kesalahan itu! Inilah kali ketiga aku siap melawat kamu. Aku tidak mahu membebani kamu, kerana kamulah yang aku inginkan, bukan wang kamu. Anak-anak tidak perlu menyara ibu bapa. Sebaliknya, ibu bapa yang harus menyara anak-anak. Aku rela menghabiskan segala-galanya, bahkan aku rela mengorbankan diri untuk menolong kamu. Patutkah kamu kurang mengasihi aku, kerana aku sangat mengasihi kamu? Tentu kamu bersetuju bahawa aku tidak pernah membebani kamu. Namun ada yang berkata bahawa aku ini licik dan memperdaya kamu dengan tipu muslihat. Mana mungkin? Pernahkah aku mencari keuntungan daripada kamu melalui utusan-utusan yang aku kirim kepada kamu? Aku mengutus Titus kepada kamu dan aku menyuruh saudara Kristian yang lain menyertai dia. Adakah Titus mengambil keuntungan daripada kamu? Tidakkah dia dan aku bekerja dengan maksud yang sama, dan bertindak dengan cara yang sama? Janganlah kamu menyangka bahawa selama ini kami cuba membela diri. Allah tahu bahawa semua yang kami katakan menurut kehendak Kristus, dan segala yang kami lakukan itu semata-mata untuk membina kehidupan kamu. Aku khuatir apabila aku melawat kamu kelak, aku akan mendapati kamu berlainan daripada apa yang aku harapkan. Kamu pun akan mendapati aku berlainan daripada apa yang kamu harapkan. Aku khuatir aku akan mendapati kamu berkelahi, iri hati, lekas marah, mementingkan diri sendiri, saling menghina dan memfitnah, sombong dan suka mengacau. Aku khuatir apabila aku datang kelak, Allah akan memalukan aku di hadapan kamu. Aku akan menangis kerana banyak antara kamu yang berdosa dahulu, tidak bertaubat daripada perbuatan yang cabul, lucah, dan tidak senonoh. Inilah kali ketiga aku akan datang melawat kamu. Di dalam Alkitab tertulis, “Setiap tuduhan harus didukung oleh kesaksian dua atau tiga orang saksi.” Ketika aku melawat kamu pada kali kedua, aku sudah memperingatkan mereka yang telah berbuat dosa dan semua orang yang lain. Sekarang sementara aku jauh daripada kamu, aku memperingatkan kamu sekali lagi. Apabila aku datang kelak, tidak seorang pun akan terlepas daripada hukuman. Kamu akan mendapat segala bukti yang kamu inginkan bahawa Kristus benar-benar berfirman melalui aku. Apabila Dia bertindak terhadap kamu, Dia tidak lemah; sebaliknya Dia menunjukkan kuasa-Nya di kalangan kamu. Meskipun Kristus lemah pada masa Dia disalibkan, tetapi sekarang Dia hidup dengan kuasa Allah. Kami pun lemah dalam hidup kami yang bersatu dengan Kristus. Tetapi apabila kami menghadapi kamu, kami akan mendapat kuasa Allah kerana kami bersatu dengan Kristus. Ujilah diri kamu sendiri sama ada kamu betul-betul hidup berdasarkan kepercayaan kepada Kristus. Tentu kamu tahu bahawa Kristus Yesus hidup dalam diri kamu, kecuali kamu tidak lagi percaya kepada-Nya. Aku harap kamu tahu bahawa kami telah diuji dan kami benar-benar rasul yang sejati. Kami berdoa kepada Allah semoga Dia menolong kamu supaya tidak berbuat salah. Yang penting adalah kamu melakukan apa yang dikehendaki oleh Allah, dan bukan supaya nampaknya kami ini berjaya. Tidak mengapalah jika kami nampaknya gagal dalam tugas kami. Kami tidak dapat melakukan hal-hal yang bertentangan dengan yang benar, kami hanya dapat melakukan yang benar. Kami bergembira apabila kami lemah, tetapi kamu kuat. Kami berdoa supaya kamu menjadi sempurna. Itulah sebabnya aku menulis surat ini sementara aku masih jauh daripada kamu. Apabila aku datang kelak, aku tidak perlu bertindak keras terhadap kamu dengan menggunakan kekuasaan yang diberikan oleh Tuhan kepadaku. Kekuasaan itu diberikan untuk membina kamu, bukan untuk meruntuhkan kamu. Akhirnya, saudara-saudaraku, bersukacitalah! Berusahalah untuk menjadi sempurna; terimalah nasihatku. Hendaklah kamu sehati dan hidup rukun. Allah yang mengasihi kita dan mengurniai kita kedamaian akan menyertai kamu. Bersalamanlah dengan mesra sebagai saudara-saudara seiman. Jemaah Allah di sini mengirim salam kepada kamu. Tuhan Yesus Kristus memberkati kamu, Allah mengasihi kamu, dan Roh Allah menyertai kamu semua. Aku, Paulus, menyampaikan salam kepada jemaah di negeri Galatia. Aku dilantik menjadi rasul oleh Yesus Kristus dan Allah Bapa kita yang telah membangkitkan Yesus daripada kematian. Aku menjadi rasul bukan dengan perantaraan manusia ataupun kerana dilantik oleh manusia. Semua saudara Kristian di sini turut menyampaikan salam kepada jemaah di negeri Galatia. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. Untuk menyelamatkan kita daripada zaman yang jahat ini, Kristus telah menyerahkan diri-Nya sebagai korban bagi dosa-dosa kita. Dia melakukannya untuk mentaati kehendak Allah Bapa kita. Terpujilah Allah selama-lamanya! Amin. Aku hairan terhadap tingkah laku kamu. Allah sudah memanggil kamu kerana rahmat Kristus. Tetapi dalam masa yang demikian singkat, kamu telah meninggalkan Dia lalu mengikut berita baik lain yang bukan daripada Allah. Sebenarnya tidak ada berita baik lain. Tetapi aku berkata demikian kerana ada beberapa orang yang mengelirukan kamu dan cuba memutarbalikkan Berita Baik tentang Kristus. Jika kami, ataupun malaikat dari syurga, mengkhabarkan berita baik yang berlainan daripada Berita Baik yang telah kami khabarkan kepada kamu, biarlah orang itu dihukum oleh Allah! Kami telah mengatakannya dahulu, dan sekarang aku mengatakannya sekali lagi: Orang yang mengkhabarkan berita baik yang berlainan daripada Berita Baik yang telah kamu terima daripada kami, biarlah orang itu dihukum Allah! Dengan berkata demikian, adakah aku mengharapkan sokongan manusia? Tentu tidak! Aku hanya menghendaki Allah mengatakan bahawa apa yang aku lakukan itu benar. Adakah aku berusaha untuk mengambil hati orang? Jika aku masih berbuat demikian, aku bukanlah hamba Kristus. Saudara-saudaraku, kamu harus tahu bahawa Berita Baik yang aku khabarkan itu tidak berasal daripada manusia. Aku tidak menerima Berita itu daripada manusia. Tiada seorang pun mengajarkannya kepadaku. Yesus Kristus sendirilah yang menyatakan Berita Baik itu kepadaku. Tentu kamu telah mendengar tentang kehidupanku dahulu sebagai penganut agama Yahudi. Kamu mengetahui betapa kejamnya aku menganiaya jemaah Allah, dan dengan segala upaya aku berusaha untuk membinasakan mereka. Aku lebih maju daripada kebanyakan orang Yahudi yang sebaya dengan aku dalam hal mengamalkan agama Yahudi. Aku sangat taat kepada adat istiadat nenek moyang kita. Tetapi oleh sebab rahmat-Nya, Allah memilih aku sebelum aku dilahirkan dan memanggil aku untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Allah menunjukkan Anak-Nya kepadaku supaya aku dapat mengkhabarkan Berita Baik tentang Anak-Nya kepada orang bukan Yahudi. Pada masa itu aku tidak minta nasihat daripada sesiapa pun. Aku tidak pergi ke Yerusalem untuk berjumpa dengan mereka yang telah menjadi rasul terlebih dahulu daripadaku. Sebaliknya aku segera pergi ke negeri Arab dan kemudian kembali ke Damsyik. Hanya selepas tiga tahun barulah aku pergi ke Yerusalem untuk melawat Petrus dan tinggal dengan dia selama dua minggu. Aku tidak berjumpa dengan rasul-rasul lain, kecuali Yakobus, saudara Tuhan. Apa yang aku tulis ini benar. Allah tahu bahawa aku tidak berdusta. Kemudian aku pergi ke kawasan-kawasan di Siria dan Kilikia. Pada masa itu anggota jemaah Kristian di negeri Yudea tidak begitu mengenal aku. Mereka hanya mendengar orang berkata, “Orang yang dahulu menganiaya kami, sekarang mengkhabarkan kepercayaan yang dahulu mahu dimusnahkannya.” Demikianlah mereka memuji Allah kerana aku. Empat belas tahun kemudian, aku kembali ke Yerusalem bersama dengan Barnabas, dan Titus turut menyertai kami. Aku pergi ke Yerusalem kerana Allah menyatakan kehendak-Nya bahawa aku harus pergi. Dalam satu perjumpaan khas dengan para pemimpin Kristian di situ, aku menjelaskan Berita Baik yang aku khabarkan kepada orang bukan Yahudi. Aku tidak mahu usahaku, baik yang dahulu mahupun yang sekarang menjadi sia-sia. Sahabatku Titus, meskipun dia seorang Yunani, tidak dipaksa supaya bersunat, walaupun ada orang yang menginginkan hal itu. Mereka itu orang yang menyeludup ke dalam kumpulan kita dan berpura-pura menjadi saudara. Mereka mengintip kita untuk mengetahui kebebasan yang kita alami kerana bersatu dengan Kristus Yesus. Mereka mahu kita diperhamba semula. Tetapi kami sama sekali tidak bersetuju dengan tuntutan mereka, kerana kami hendak menjaga kemurnian Berita Baik itu untuk kamu. Mereka yang dianggap sebagai pemimpin Kristian, tidak menganjurkan apa-apa yang baru. Aku berkata demikian kerana aku tidak memandang kepada kedudukan mereka, kerana Allah pun tidak memandang kepada rupa orang. Sebaliknya mereka mengaku bahawa Allah telah menugaskan aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi, sebagaimana Allah telah menugaskan Petrus mengkhabarkan Berita Baik kepada orang Yahudi. Allah menjadikan aku rasul kepada orang bukan Yahudi, sebagaimana Allah menjadikan Petrus rasul kepada orang Yahudi. Yakobus, Petrus, dan Yohanes, yang nampaknya menjadi pemimpin Kristian, mengaku bahawa Allah telah memberi aku tugas yang khas itu. Oleh itu mereka berjabat tangan dengan Barnabas dan aku sebagai tanda bahawa kami ini rakan sekerja. Lalu mereka dan kami bersetuju bahawa Barnabas dan aku akan bekerja di kalangan orang bukan Yahudi, sedangkan mereka di kalangan orang Yahudi. Hanya satu permintaan mereka iaitu supaya kami sentiasa memperhatikan orang miskin di kalangan mereka. Perkara itu memang ingin aku lakukan. Ketika Petrus datang ke Antiokhia, aku menentang dia di hadapan umum, kerana apa yang dilakukannya salah. Pada mulanya Petrus makan dengan saudara-saudara bukan Yahudi. Tetapi setelah beberapa orang yang diutus oleh Yakobus tiba, Petrus menjauhkan diri daripada saudara bukan Yahudi dan tidak mahu duduk makan dengan mereka. Petrus takut akan orang yang berpendapat bahawa orang bukan Yahudi yang percaya kepada Kristus pun harus disunat. Saudara Yahudi yang lain pula bersikap munafik seperti Petrus. Bahkan Barnabas pun terpengaruh untuk bersikap seperti mereka. Ketika aku melihat sikap mereka tidak sesuai dengan ajaran Berita Baik yang benar itu, aku berkata kepada Petrus di hadapan semua orang di situ, “Kamu orang Yahudi, tetapi kamu hidup seperti orang bukan Yahudi. Mengapa kamu sekarang mahu memaksa orang bukan Yahudi hidup seperti orang Yahudi?” Memang benar kami ini dilahirkan sebagai orang Yahudi, dan bukan “orang bukan Yahudi yang berdosa”. Meskipun demikian kami tahu bahawa orang berbaik semula dengan Allah kerana percaya kepada Yesus Kristus, dan bukan kerana mengikut Taurat. Kami pun percaya kepada Yesus Kristus, supaya kami berbaik semula dengan Allah melalui iman kami, bukan kerana kami mengikut Taurat. Dengan mengikut Taurat, tiada seorang pun dapat berbaik semula dengan Allah. Dalam usaha kami untuk berbaik semula dengan Allah melalui hidup bersatu dengan Kristus, ternyata kami masih orang berdosa juga seperti orang bukan Yahudi. Adakah hal ini bererti bahawa Kristus yang menyebabkan kami berdosa? Tentu tidak! Jika aku mula membina semula sistem Taurat yang telah aku runtuhkan, maka aku menunjukkan bahawa aku sudah melanggar hukum. Terhadap Taurat, aku ini seperti sudah mati. Aku telah dimatikan oleh Taurat itu sendiri, supaya aku dapat hidup untuk Allah. Aku sudah disalibkan bersama-sama Kristus. Yang hidup sekarang ini bukanlah aku, tetapi Kristus yang hidup dalam diriku. Hidup yang aku hayati sekarang ini adalah hidup dengan iman kepada Anak Allah yang mengasihi aku dan yang telah mengorbankan diri-Nya untuk aku. Aku tidak menolak rahmat Allah. Jika hubungan orang dengan Allah menjadi baik semula kerana mengikut Taurat, hal itu bererti kematian Kristus sia-sia sahaja! Orang Galatia, kamu sungguh bodoh! Siapakah telah memukau kamu? Kematian Kristus pada kayu salib sudah aku jelaskan dengan seterang-terangnya kepada kamu! Beritahulah aku satu hal ini: Adakah kamu menerima Roh Allah oleh sebab kamu mengikut Taurat, atau kerana kamu mendengar Berita Baik, lalu mempercayainya? Mengapa kamu menjadi begitu bodoh? Setelah kamu memulakan hidup baru dengan Roh Allah, adakah kamu mahu menamatkannya dengan kekuatan sendiri? Adakah semua yang sudah kamu alami tidak bererti apa-apa? Tentunya pengalaman itu mempunyai erti! Allah mengurniakan Roh-Nya kepada kamu dan melakukan mukjizat-mukjizat antara kamu. Adakah Allah melakukan hal ini kerana kamu mengikut Taurat, atau kerana kamu mendengar Berita Baik lalu mempercayainya? Apa yang telah berlaku kepada Abraham sangatlah mustahak. Di dalam Alkitab tertulis seperti ini, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.” Demikianlah kamu harus sedar bahawa orang yang percaya kepada Allah ialah orang yang benar-benar keturunan Abraham. Alkitab telah memberitahu terlebih dahulu bahawa Allah memungkinkan orang bukan Yahudi berbaik semula dengan Allah, jika mereka percaya kepada-Nya. Di dalam Alkitab tertulis bahawa Berita Baik itu diberitahu kepada Abraham sebelum perkara itu berlaku, “Melalui engkau, Allah akan memberkati semua umat manusia di atas bumi.” Abraham percaya lalu dia diberkati. Demikianlah Allah memberkati semua orang yang percaya kepada-Nya, seperti Dia memberkati Abraham. Mereka yang bergantung kepada Taurat, hidup di bawah kutukan. Di dalam Alkitab tertulis, “Orang yang tidak melakukan semua yang tertulis di dalam kitab Taurat, dikutuk oleh Allah!” Sekarang nyatalah bahawa tidak seorang pun dapat berbaik semula dengan Allah kerana mengikut Taurat. Hal ini tertulis di dalam Alkitab, “Hanya orang yang percaya kepada Allah sehingga hubungannya dengan Allah menjadi baik semula, akan hidup.” Tetapi Taurat tidak berdasarkan iman. Di dalam Alkitab tertulis, “Orang yang melakukan semua hukum Taurat akan hidup kerana Taurat itu.” Tetapi Kristus telah membebaskan kita daripada kutukan yang didatangkan oleh Taurat. Dia melakukan hal ini dengan membiarkan diri-Nya terkutuk kerana kita. Di dalam Alkitab tertulis, “Terkutuklah orang yang mati digantung pada pokok.” Kristus berbuat demikian supaya berkat yang dijanjikan oleh Allah kepada Abraham, juga boleh diberikan kepada orang bukan Yahudi. Dengan demikian kita yang percaya kepada Allah, dapat menerima Roh yang dijanjikan oleh Allah. Saudara-saudaraku, biarlah aku gunakan contoh daripada pengalaman sehari-hari. Apabila dua orang mengikat janji, lalu menandatangani perjanjian itu, tidak seorang pun dapat membatalkannya ataupun menambahkan apa-apa. Allah telah membuat janji-janji-Nya kepada Abraham dan kepada seorang keturunan Abraham. Di dalam Alkitab tidak tertulis, “dan kepada keturunanmu,” yang bererti banyak orang. Yang tertulis adalah, “dan kepada seorang keturunanmu,” yang bererti seorang sahaja, iaitu Kristus. Inilah yang aku maksudkan: Allah telah membuat satu perjanjian dengan Abraham, dan Allah berjanji hendak memenuhinya. Taurat yang diberikan 430 tahun kemudian tidak dapat memansuhkan perjanjian itu ataupun membatalkan janji Allah. Jika pemberian Allah diberi berdasarkan Taurat, maka pemberian itu tidak diberi berdasarkan janji Allah. Tetapi kerana Allah telah berjanji kepada Abraham, maka Allah memberikan pemberian itu kepadanya. Jika demikian, apakah tujuan Taurat? Taurat diberikan untuk menunjukkan pelanggaran manusia. Taurat itu terus berlaku sehingga kedatangan seorang keturunan Abraham, yang disebut dalam janji Allah kepada Abraham. Taurat disampaikan oleh malaikat-malaikat dengan perantaraan seorang manusia. Seorang perantara diperlukan apabila ada dua pihak. Tetapi Allah tidak memerlukan perantara, kerana Dia sendiri bertindak. Adakah hal ini bererti bahawa Taurat berlawanan dengan janji-janji Allah? Tentu tidak! Jika manusia sudah menerima hukum agama yang dapat memberikan hidup, maka manusia dapat berbaik semula dengan Allah, melalui ketaatan kepada hukum agama itu. Tetapi di dalam Alkitab tertulis bahawa semua umat manusia dikuasai oleh dosa. Oleh itu pemberian yang dijanjikan berdasarkan kepercayaan kepada Yesus Kristus, diberikan kepada mereka yang percaya. Sebelum adanya kepercayaan kepada Kristus, Taurat menawan kita seperti orang tawanan, sehingga iman itu dinyatakan. Dengan demikian Taurat itu menjadi seperti pengawas kita sehingga Kristus datang untuk memungkinkan kita berbaik semula dengan Allah, kerana kita percaya kepada Kristus. Sekarang, kerana sudah tiba masanya manusia dapat percaya kepada Kristus, Taurat tidak perlu mengawasi kita. Kerana kamu percaya kepada Kristus Yesus, maka kamu menjadi anak-anak Allah dan bersatu dengan Kristus Yesus. Kamu semua telah dibaptis dan disatukan dengan Kristus. Oleh itu, sekarang kamu sudah menerima sifat-sifat Kristus sendiri. Dalam hal ini tidak ada lagi perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi, antara abdi dengan orang bebas, antara lelaki dengan perempuan. Kamu semuanya menjadi satu kerana Kristus Yesus. Jika kamu milik Kristus, maka kamu keturunan Abraham dan akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah. Tetapi perlu aku lanjutkan: Selama seorang ahli waris masih kanak-kanak, dia tidak berbeza dengan seorang abdi, meskipun sebenarnya anak itu memiliki segala-galanya. Semasa ahli waris itu masih di bawah umur, beberapa orang wali akan menjaga dia dan mewakili dia dalam segala urusannya, sehingga dia mencapai umur yang sudah ditetapkan oleh bapanya. Demikian juga dengan kita: selama kita masih belum dewasa, kita pun diperhamba oleh roh-roh yang menguasai dunia ini. Tetapi pada saat yang tepat, Allah mengutus Anak-Nya sendiri ke dunia. Anak-Nya itu dilahirkan oleh seorang wanita dan hidup di bawah Taurat. Dia diutus untuk membebaskan orang yang hidup di bawah Taurat, supaya kita boleh menjadi anak-anak Allah. Kerana kamu anak-anak Allah, Allah menyuruh Roh Anak-Nya masuk ke dalam hati kita. Roh itulah yang menyebabkan kita berseru, “Bapa, ya Bapaku.” Dengan demikian kamu bukan lagi abdi, tetapi anak. Kerana kamu anak-Nya, Allah akan mengurniai kamu segala yang telah disediakan untuk anak-anak-Nya. Dahulu kamu tidak mengenal Allah. Oleh itu kamu menjadi abdi kuasa-kuasa yang kamu anggap sebagai tuhan, tetapi sebenarnya sama sekali bukan Tuhan. Tetapi sekarang kamu mengenal Allah, atau, lebih tepat lagi, Allah mengenal kamu. Mengapa kamu mahu kembali kepada roh-roh yang menguasai dunia ini? Roh-roh itu lemah dan tidak berguna. Mengapa kamu mahu diperhamba oleh roh-roh itu lagi? Kamu merayakan hari, bulan, musim, dan tahun tertentu. Aku khuatir akan kamu. Mungkinkah jerih payahku bagi kamu sia-sia sahaja? Saudara-saudaraku, aku memohon supaya kamu menjadi seperti aku, kerana aku pun sudah menjadi seperti kamu. Kamu tidak pernah bersalah terhadap aku. Masih ingatkah kamu, apa sebabnya aku mengkhabarkan Berita Baik kepada kamu pada kali pertama? Sebabnya adalah kerana aku jatuh sakit. Tetapi pada masa itu kamu tidak menghina ataupun menolak aku, meskipun penyakitku merupakan ujian berat bagi kamu. Sebaliknya, kamu menyambut aku seperti kamu menyambut malaikat Allah. Kamu menyambut aku seperti kamu menyambut Kristus Yesus. Pada waktu itu kamu sangat bersukacita dan aku tahu bahawa kamu rela berbuat apa sahaja, bahkan mencungkil mata untuk diberikan kepadaku. Tetapi apa yang telah berlaku sekarang? Adakah sekarang kamu menganggap aku sebagai musuh kerana aku memberitahu kamu apa yang benar itu? Semua orang lain itu berusaha dengan sungguh-sungguh supaya kamu memihak kepada mereka, tetapi tujuan mereka tidak baik. Mereka berniat memisahkan kamu daripada aku supaya kamu menumpukan perhatian kepada mereka sahaja. Memang baik menumpukan perhatian kepada hal-hal yang baik, asalkan jangan hanya semasa aku bersama-sama kamu. Anak-anak yang aku kasihi! Kerana kamu, sekali lagi aku menderita. Aku menderita seperti seorang ibu yang menderita pada masa melahirkan anak. Aku akan terus menderita sehingga kamu memiliki sifat-sifat Kristus. Aku ingin sekali bersama-sama kamu sekarang, supaya aku boleh meluahkan isi hati dengan nada yang lebih lembut. Aku tidak tahu akan berbuat apa lagi dengan kamu. Kepada kamu yang mahu diperhamba oleh Taurat, biarlah aku bertanya: Tidakkah kamu faham akan apa yang dikatakan oleh Taurat Musa? Di dalam Taurat tertulis bahawa Abraham mempunyai dua orang anak lelaki. Yang seorang dilahirkan oleh abdi wanita dan yang seorang lagi oleh wanita bebas. Anak Abraham daripada abdi wanita, dikandung dan dilahirkan seperti anak-anak lain. Tetapi anak Abraham daripada wanita bebas itu, lahir kerana dijanjikan oleh Allah. Peristiwa itu dapat digunakan sebagai kiasan. Kedua-dua orang wanita itu ibarat dua perjanjian. Hagar melambangkan perjanjian yang dibuat di Gunung Sinai, dan anak-anaknya dilahirkan sebagai abdi. Jika orang bercakap tentang Hagar, mereka bercakap tentang Gunung Sinai, di negeri Arab. Hagar juga melambangkan kota Yerusalem dengan semua penduduknya yang sekarang ini sudah menjadi abdi. Tetapi Yerusalem yang di syurga itu bebas. Yerusalem itu seperti ibu kita. Di dalam Alkitab tertulis, “Berbahagialah kamu, hai wanita mandul! Bersorak-sorailah dan bersukacitalah, hai kamu yang tidak pernah merasakan sakit bersalin! Wanita yang ditinggalkan suaminya akan mendapat lebih banyak anak daripada wanita yang hidup dengan suaminya.” Saudara-saudaraku, kamu anak-anak Allah yang dilahirkan kerana janji-Nya; sama seperti Ishak. Pada masa itu, anak yang dilahirkan oleh Hagar menganiaya anak yang dilahirkan kerana janji yang dibuat oleh Roh Allah. Demikian juga sekarang. Tetapi apakah yang tertulis di dalam Alkitab? Di situ tertulis, “Usirlah abdi wanita itu dengan anak lelakinya, kerana anak daripada abdi wanita itu tidak akan mewarisi harta bapanya bersama-sama anak lelaki daripada wanita bebas itu.” Demikianlah, saudara-saudaraku, kita ini bukannya anak daripada abdi wanita, melainkan anak daripada wanita bebas. Kita sekarang bebas, kerana Kristus telah membebaskan kita! Oleh itu pertahankanlah kebebasan kamu dan jangan biarkan diri kamu diperhamba lagi. Dengarlah! Aku, Paulus, berkata kepada kamu: Jika kamu membenarkan orang menyunat kamu, hal ini bererti bahawa apa yang dilakukan oleh Kristus untuk kamu tidak bermakna apa-apa. Sekali lagi aku memberikan peringatan kepada orang yang membiarkan dirinya disunat, bahawa dia wajib mentaati segenap Taurat itu! Jika kamu berusaha untuk berbaik semula dengan Allah melalui ketaatan kepada Taurat, kamu telah memutuskan hubungan dengan Kristus. Dengan demikian kamu hidup di luar naungan rahmat Allah. Tetapi bagi kami, kami berharap bahawa dengan pertolongan Roh Allah dan berdasarkan kepercayaan kami kepada Kristus, Allah memungkinkan kami berbaik semula dengan Dia. Kerana pada masa kita bersatu dengan Kristus Yesus, bersunat atau tidak bersunat tidaklah menjadi soal. Yang penting hanyalah kepercayaan kepada Kristus, dan hal itu nyata dalam kasih kita kepada orang lain. Dahulu kamu berjuang dengan baik. Siapakah yang menyebabkan kamu berhenti mentaati ajaran Tuhan? Siapakah yang sudah memujuk kamu? Tentu bukan Allah, yang telah memanggil kamu. Seperti kata orang, “Ragi yang sedikit boleh menjadikan seluruh adunan naik.” Meskipun demikian aku masih yakin bahawa kamu tidak akan mengikut pendirian lain, kerana kita semua sudah bersatu dengan Tuhan. Aku pun yakin bahawa orang yang mengacau fikiran kamu pasti akan dihukum oleh Allah. Tetapi tentang aku, saudara-saudaraku, jika aku mengajarkan bahawa orang perlu bersunat, mengapa aku masih dimusuhi? Jika aku masih berbuat demikian, maka perkhabaranku tentang salib Kristus tidak seharusnya menimbulkan persoalan. Aku berharap supaya semua orang yang mengacau fikiran kamu memisahkan diri daripada jemaah Kristian. Saudara-saudaraku, kamu sudah dipanggil untuk menjadi orang bebas. Tetapi janganlah jadikan kebebasan itu alasan untuk membiarkan diri dikuasai oleh hawa nafsu. Sebaliknya, kamu harus saling mengasihi dan saling menolong, kerana segenap Taurat tersimpul dalam satu perintah ini: “Kasihilah sesamamu manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” Tetapi jika kamu berlaku seperti binatang, saling mencedera dan menyakiti, berwaspadalah. Jika tidak, kamu akan membinasakan satu sama lain. Inilah maksudku: Biarlah Roh Allah memimpin hidup kamu dan janganlah hidup menurut keinginan tabiat manusia. Hal itu demikian, kerana keinginan manusia bertentangan dengan keinginan Roh Allah, dan keinginan Roh Allah bertentangan dengan keinginan manusia. Kedua-duanya saling bermusuhan sehingga kamu tidak dapat melakukan apa yang kamu inginkan. Tetapi jika Roh Allah memimpin kamu, kamu tidak dikuasai oleh Taurat. Keinginan tabiat manusia nyata dalam semua perbuatan cabul, lucah, dan tidak senonoh; dalam penyembahan berhala dan penggunaan ilmu sihir. Orang bermusuhan dan berkelahi; mereka cemburu, lekas marah, dan mementingkan diri sendiri. Mereka berpecah dan berpihak-pihak, mereka iri hati, suka mabuk, berpesta liar, dan sebagainya. Aku memperingatkan kamu sekarang sebagaimana aku telah memperingatkan kamu dahulu: Orang yang melakukan perbuatan-perbuatan itu tidak akan menikmati Pemerintahan Allah. Sebaliknya, inilah hasilnya jika orang dipimpin oleh Roh Allah: Mereka saling mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, setia, rendah hati, dan dapat mengawal diri. Tidak ada hukum yang melarang perkara-perkara seperti itu. Demikianlah, orang yang menjadi milik Kristus Yesus sudah mematikan tabiat manusia dengan segala nafsu dan keinginannya. Roh Allah telah memberikan hidup baru kepada kita; oleh itu Dia juga harus menguasai hidup kita. Kita tidak boleh menjadi sombong atau saling menyakiti hati, ataupun iri hati terhadap satu sama lain. Saudara-saudaraku, jika seseorang didapati melakukan sesuatu yang salah, hendaklah kamu yang hidup menurut pimpinan Roh Allah, membimbing orang itu kembali kepada jalan benar. Tetapi kamu harus melakukannya dengan lemah lembut. Berwaspadalah, supaya kamu sendiri tidak tergoda untuk berbuat hal yang sama. Hendaklah kamu saling menolong memikul beban. Dengan cara demikian kamu akan mentaati perintah Kristus. Jika seseorang menyangka dirinya penting, padahal tidak, orang itu menipu dirinya sendiri. Tiap-tiap orang harus memeriksa kelakuannya sendiri, sama ada baik atau tidak. Jika baik, dia boleh berbangga dengan hal itu. Tetapi dia tidak perlu membandingkan apa yang dilakukannya dengan apa yang dilakukan orang lain, kerana tiap-tiap orang harus memikul tanggungjawab masing-masing. Orang yang sedang menerima ajaran Kristus, harus memberi gurunya bahagian sepatutnya daripada semua yang baik yang dimilikinya. Janganlah tipu diri sendiri. Tidak seorang pun dapat memperbodohkan Allah. Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya. Jika seorang menanam menurut tabiat manusianya, dia akan menuai kematian. Tetapi jika dia menanam menurut pimpinan Roh Allah, dia akan menuai hidup sejati dan kekal daripada Roh Allah. Oleh itu, janganlah kita jemu melakukan perkara-perkara baik. Jika kita tidak berhenti-henti berbuat demikian, kelak kita akan menuai hasilnya. Oleh itu, selama kita berpeluang, kita patut berbuat baik kepada semua orang, terutama sekali kepada saudara-saudara kita yang seiman. Perhatikanlah bahagian ini yang aku tulis sendiri dengan huruf yang besar-besar! Mereka yang berusaha untuk memaksa kamu bersunat adalah orang yang mahu membanggakan diri tentang hal-hal zahir. Tetapi mereka berbuat demikian supaya mereka tidak dianiaya oleh orang Yahudi oleh sebab salib Kristus. Tetapi mereka yang membiarkan diri disunat, juga tidak mentaati Taurat. Mereka mahu kamu disunat supaya mereka boleh membanggakan diri bahawa kamu mentaati upacara penyunatan itu. Tetapi aku hanya mahu membanggakan Tuhan kita Yesus Kristus yang sudah mati pada kayu salib. Oleh sebab Kristus sudah mati pada kayu salib, dunia ini tidak bererti apa-apa lagi bagiku. Aku seolah-olah sudah mati terhadap dunia ini. Sama ada orang bersunat atau tidak, hal ini tidak menjadi soal. Yang penting adalah menjadi manusia baru. Bagi mereka yang hidup dengan pendirian itu, dan juga bagi semua umat Allah, aku berdoa agar Allah mengurniai mereka kesejahteraan dan rahmat-Nya. Akhirnya, janganlah seorang pun susahkan aku lagi, kerana bekas-bekas luka pada tubuhku membuktikan bahawa aku hamba Yesus. Semoga Tuhan kita Yesus Kristus memberkati kamu semua. Amin. Surat ini daripada Paulus, yang menjadi rasul Kristus Yesus kerana kehendak Allah. Surat ini ditujukan kepada umat Allah di Efesus yang setia dalam hidup yang bersatu dengan Kristus Yesus. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. Marilah kita bersyukur kepada Allah dan Bapa Tuhan kita Yesus Kristus! Kerana kita hidup bersatu dengan Kristus, Allah sudah memberkati kita dengan segala berkat rohani dari syurga. Sebelum dunia ini diciptakan, Allah telah memilih kita untuk menjadi umat-Nya melalui hidup bersatu dengan Kristus, supaya kita menjadi suci dan tidak bercela di hadirat-Nya. Kerana kasih-Nya, Allah telah membuat keputusan untuk menjadikan kita anak-anak-Nya melalui Yesus Kristus. Itulah keinginan dan kehendak Allah. Marilah kita memuji Allah bagi rahmat-Nya yang mulia, yang dikurniakan-Nya kepada kita melalui Anak yang dikasihi-Nya! Hal itu demikian, kerana dengan kematian Kristus kita dibebaskan; maknanya Allah sudah mengampunkan dosa kita. Alangkah mulianya rahmat Allah, yang sudah dikurniakan-Nya kepada kita dengan berlimpah-limpah! Dengan segala kebijaksanaan dan pengertian, Allah telah melaksanakan tujuan-Nya. Dia memberitahu kita rancangan-Nya yang dirahsiakan, tetapi yang sudah ditentukan-Nya akan disempurnakan melalui Kristus. Rancangan itu akan disempurnakan oleh Allah pada masa yang ditentukan-Nya. Rancangan itu adalah untuk menyatukan segala sesuatu yang telah diciptakan, baik yang di syurga mahupun yang di bumi, dengan Kristus sebagai kepala. Allah melakukan semuanya menurut rancangan dan keputusan-Nya sendiri. Dari mula-mula lagi Dia telah memilih kita, kerana Dia mahu supaya kita menjadi umat-Nya oleh sebab hidup bersatu dengan Kristus. Marilah kita, yang pertama sekali berharap kepada Kristus, memuji kemuliaan Allah! Kamu juga menjadi umat Allah, ketika kamu mendengar berita tentang ajaran benar, iaitu Berita Baik yang membawa penyelamatan kepada kamu. Kamu percaya kepada Kristus, dan untuk menunjukkan bahawa kamu milik Allah, Allah mengurniai kamu Roh-Nya yang telah dijanjikan-Nya itu. Roh itu jaminan bahawa kita akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah kepada umat-Nya. Hal itu meyakinkan kita bahawa Allah akan membebaskan umat-Nya dengan sepenuhnya. Marilah kita memuji kemuliaan-Nya! Oleh itu, sejak aku mendengar berita bahawa kamu percaya kepada Tuhan Yesus, dan bahawa kamu mengasihi semua umat Allah, aku tidak berhenti-henti bersyukur kepada Allah untuk kamu. Aku mengingat kamu apabila aku berdoa. Aku memohon supaya Allah Tuhan kita Yesus Kristus, Bapa yang mulia, mengurniai kamu Roh-Nya. Roh Allah akan menjadikan kamu bijaksana dan akan menunjukkan Allah kepada kamu sehingga kamu mengenal Dia. Aku memohon agar Allah menjadikan fikiran kamu terbuka untuk memahami ajaran-Nya. Dengan demikian kamu mengetahui apa yang dapat kamu harapkan daripada Allah yang memanggil kamu. Betapa indah dan berlimpah-limpahnya berkat yang dijanjikan oleh Allah kepada umat-Nya, serta betapa besar kuasa-Nya yang menolong kita, orang yang percaya kepada Kristus. Kuasa itu seperti kuasa yang digunakan oleh Allah ketika Dia membangkitkan Kristus daripada kematian, lalu memberi Dia tempat duduk di sebelah kanan-Nya di syurga. Di situ Kristus berkuasa atas semua pemerintah, penguasa, pemimpin, dan raja. Kristus jauh lebih berkuasa daripada sesiapa pun, baik yang hidup pada zaman ini mahupun pada zaman yang akan datang. Allah menaklukkan semuanya ke bawah kekuasaan Kristus, dan memberikan Kristus kepada jemaah sebagai penguasa segala sesuatu. Jemaah itu tubuh Kristus, dan kesempurnaan Kristus, dan Kristus menyempurnakan segala sesuatu di mana-mana sahaja. Dahulu kamu mati secara rohani, kerana kamu tidak taat kepada perintah Allah dan kamu berdosa. Pada masa itu hidup kamu mengikut cara hidup yang jahat daripada orang di dunia ini. Kamu mentaati penguasa roh-roh jahat di angkasa, iaitu roh yang sekarang menguasai orang yang tidak taat kepada Allah. Sebenarnya dahulu kita semua seperti mereka. Kita hidup mengikut tabiat manusia dan melakukan segala sesuatu yang dikehendaki tubuh dan fikiran kita. Seperti orang lain, kita pun kena kemurkaan Allah. Tetapi Allah sangat berbelas kasihan dan Dia sangat mengasihi kita, sehingga sementara kita mati secara rohani kerana pelanggaran kita, Dia menghidupkan kita semula bersama-sama Kristus. Kamu sudah diselamatkan oleh rahmat Allah. Kerana kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Allah menghidupkan kita semula bersama-sama Dia supaya kita memerintah dengan Kristus di syurga. Allah melakukan hal itu supaya pada zaman yang akan datang, semua orang akan mengetahui rahmat-Nya yang tidak terhingga itu. Dia menunjukkan kasih-Nya kepada kita melalui Kristus Yesus. [8-9] Hal itu demikian, kerana dengan rahmat Allah, kamu diselamatkan oleh sebab kamu percaya kepada Yesus. Penyelamatan itu bukan hasil usaha kamu sendiri, melainkan kurnia Allah. Oleh itu kamu tidak mempunyai alasan untuk bercakap besar tentang hal itu. *** Kita ciptaan Allah dan kerana kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Allah telah menjadikan kita untuk mengamalkan perbuatan baik, yang sudah disediakan-Nya untuk kita lakukan. Hai kamu yang bukan orang Yahudi! Ingatlah akan keadaan kamu dahulu. Kamu disebut ‘orang yang tidak bersunat’ oleh orang Yahudi yang menyebut diri mereka ‘orang yang bersunat’ (iaitu tanda yang dilakukan oleh manusia pada tubuh mereka). Pada masa itu kamu tidak mengenal Kristus. Kamu orang asing, yang tidak termasuk umat pilihan Allah. Kamu tidak mempunyai bahagian dalam perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan umat-Nya berdasarkan janji-janji-Nya kepada mereka. Kamu hidup di dunia ini tanpa harapan dan tanpa Allah. Tetapi sekarang, kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus Yesus, kamu yang dahulunya jauh daripada Allah, telah didekatkan kepada Allah oleh kematian Kristus. Hal itu demikian kerana Kristus sendiri telah membawa kedamaian untuk kita dengan menjadikan orang Yahudi dan orang bukan Yahudi satu umat. Dengan kematian-Nya di kayu salib Kristus telah merobohkan tembok permusuhan yang memisahkan mereka. Kristus memansuhkan semua perintah dan peraturan dalam Taurat, supaya daripada dua kaum itu, Dia boleh menjadikan mereka satu umat yang baru, yang hidup bersatu dengan Dia. Dengan cara itu Kristus mendatangkan kedamaian. Dengan kematian-Nya di kayu salib, Kristus telah melenyapkan permusuhan mereka. Dengan salib itu Dia mempersatukan dua kaum itu dan memimpin mereka kembali kepada Allah. Demikianlah Kristus datang dan mengisytiharkan Berita Baik tentang kedamaian itu kepada semua orang: baik kepada orang bukan Yahudi yang dahulu jauh daripada Allah, mahupun kepada orang Yahudi yang dekat dengan Allah. Melalui Kristus, kita semua - orang Yahudi mahupun bukan Yahudi - dapat datang ke hadirat Bapa dengan pertolongan Roh Allah yang satu. Oleh itu, kamu orang bukan Yahudi bukan lagi orang asing ataupun pendatang. Sekarang kamu warga umat Allah dan anggota keluarga Allah. Kamu pun dibina di atas asas yang diletakkan oleh para rasul dan nabi, dengan Kristus Yesus sebagai batu asasnya. Dialah yang menjadikan seluruh bangunan itu tersusun rapi dan meluaskannya sehingga menjadi Rumah Allah yang dikhaskan untuk Tuhan. Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu juga dibina bersama-sama semua orang lain menjadi sebuah tempat kediaman Allah; di situ Roh Allah tinggal. Itulah sebabnya aku, Paulus, dipenjarakan kerana Kristus Yesus untuk kepentingan kamu orang bukan Yahudi. Tentu kamu sudah mendengar berita bahawa Allah, kerana rahmat-Nya telah memberi aku tugas ini untuk kepentingan kamu. Allah menyatakan rancangan-Nya yang dirahsiakan dan memberitahukannya kepadaku. (Hal itu sudah aku tulis dengan singkat. Jika kamu membacanya, kamu akan memahami pengertianku tentang rahsia Kristus.) Pada masa yang lampau manusia tidak diberitahukan rahsia itu, tetapi sekarang Roh Allah telah menyatakannya kepada para rasul dan nabi yang mengabdikan diri kepada Allah. Inilah rahsia itu: Melalui Berita Baik itu orang bukan Yahudi turut menerima berkat Allah bersama-sama orang Yahudi. Orang bukan Yahudi menjadi anggota daripada tubuh yang sama, dan menerima apa yang dijanjikan oleh Allah melalui Kristus Yesus. Allah merahmati aku dan melalui kuasa-Nya yang bekerja dalam diriku, aku ditugaskan untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. Akulah yang paling hina antara umat Allah, namun Allah mengurniai aku tugas istimewa untuk mengisytiharkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi. Berita Baik itu tentang berkat-berkat yang tidak terhingga daripada Kristus. Aku juga harus menjadikan semua orang tahu bagaimana Allah melaksanakan rancangan-Nya yang dirahsiakan itu. Allah, Pencipta semesta alam ini merahsiakan rancangan-Nya sejak dahulu, supaya sekarang melalui jemaah, semua yang memerintah dan yang berkuasa di angkasa dapat mengetahui pelbagai ragam kebijaksanaan Allah. Melalui Kristus Yesus Tuhan kita, Allah melakukan hal itu seperti yang dirancang-Nya sejak permulaan. Kerana kita percaya kepada Kristus dan hidup bersatu dengan Dia, kita berani datang ke hadirat Allah dengan penuh keyakinan. Oleh itu, janganlah tawar hati oleh sebab aku mengalami penderitaan kerana kamu. Semuanya untuk kebaikan kamu. Itulah sebabnya aku bertelut di hadapan Bapa. Dialah yang menyebabkan setiap kaum di dunia dan di syurga menerima sifatnya yang khas. Aku berdoa kepada Allah supaya daripada berkat-Nya yang berlimpah-limpah di syurga, Dia menguatkan batin kamu dengan Roh-Nya. Semoga Kristus tinggal di dalam hati kamu, kerana kamu percaya kepada-Nya. Aku berdoa supaya semua perbuatan kamu berakarkan dan berdasarkan kasih. Dengan demikian kamu bersama-sama umat Allah, dapat sungguh-sungguh memahami betapa luas dan panjangnya serta betapa tinggi dan dalamnya kasih Kristus, yang dengan akal manusia tidak dapat difahami sedalam-dalamnya. Semoga kamu mengenal kasih Kristus, sehingga kamu memperolehi sifat Allah. [20-21] Dengan kuasa Allah yang bekerja dalam diri kita, Allah dapat melakukan perkara yang jauh lebih banyak daripada yang kita minta atau fikirkan. Hendaklah Allah dimuliakan selama-lamanya di kalangan jemaah, melalui Kristus Yesus! Terpujilah Allah! Amin. Itulah sebabnya aku - orang yang dipenjarakan kerana mengabdikan diri kepada Tuhan - menggesa kamu supaya hidup sesuai dengan cara hidup yang ditetapkan oleh Allah ketika Dia memanggil kamu. Hendaklah kamu sentiasa rendah hati, lemah lembut, dan sabar. Tunjukkanlah kasihmu dengan saling membantu. Berusahalah sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya kesatuan yang diberikan oleh Roh Allah tetap terpelihara. Hanya ada satu tubuh dan satu Roh, begitu juga kamu dipanggil oleh Allah untuk satu harapan. Hanya ada satu Tuhan, satu iman, satu baptisan, dan satu Allah, Bapa semua orang. Dialah Tuhan semua orang, yang bekerja melalui semua orang, dan tinggal di dalam semua orang. Setiap orang daripada kita menerima suatu kurnia menurut apa yang diberikan oleh Kristus. Di dalam Alkitab tertulis, “Ketika Dia naik ke tempat yang tertinggi, Dia membawa banyak tawanan; Dia memberikan kurnia kepada manusia.” Inilah yang dimaksudkan dengan “Dia naik”: Mula-mula Dia turun ke tempat yang serendah-rendahnya di bumi ini. Dia yang turun itu juga naik ke tempat yang jauh lebih tinggi daripada segala langit, sehingga alam semesta dipenuhi dengan kehadiran-Nya. Dialah yang “memberikan kurnia kepada manusia”. Beberapa orang dilantik-Nya menjadi rasul, yang lain menjadi nabi, yang lain lagi menjadi pembawa Berita Baik, dan yang lain pula menjadi guru dan pemelihara jemaah. Hal itu dilakukan-Nya supaya umat Allah dapat melakukan pelayanan yang sepatutnya dilakukan oleh pengikut Kristus, sehingga tubuh Kristus dikuatkan. Dengan demikian kita menjadi satu oleh iman yang sama dan pengertian yang sama tentang Anak Allah. Kita akan menjadi matang dan sempurna seperti Kristus. Barulah kita tidak menjadi anak-anak lagi, yang diumbang-ambingkan dan ditiup ke sana sini oleh angin ajaran orang licik. Mereka menyesatkan orang dengan tipu muslihat. Sebaliknya, kita harus mengatakan perkara-perkara benar dengan hati yang penuh kasih, sehingga kita menjadi matang dalam segala hal dan menjadi seperti Kristus, iaitu kepala jemaah. Di bawah pimpinan-Nya, semua anggota tubuh yang berlainan itu tersusun rapi, dan seluruh tubuh itu dihubungkan oleh sendi-sendi yang sudah tersedia. Oleh itu, apabila setiap anggota bekerja dengan sepatutnya, seluruh tubuh itu akan membesar dan menjadi kuat, kerana kasih. Oleh itu, demi nama Tuhan aku memberikan amaran ini: Janganlah kamu hidup seperti orang yang tidak mengenal Allah, yang berfikiran sia-sia. Mereka tidak dapat memahami apa-apa. Mereka tidak mengenal kehidupan yang diberikan oleh Allah, kerana mereka jahil dan degil. Mereka tidak mempunyai perasaan malu lagi. Mereka menuruti segala hawa nafsu dan terus-menerus melakukan segala perkara yang tidak senonoh. Bukan itu yang kamu pelajari tentang Kristus! Kamu tentu sudah diberitahukan tentang Dia. Sebagai pengikut-Nya kamu telah menerima ajaran benar tentang Yesus. Oleh itu, buanglah cara hidup yang lama, yang menyebabkan kamu berkelakuan seperti dahulu. Cara hidup itu membinasakan kamu, kerana kamu dikuasai keinginan yang menyesatkan. Hati dan fikiran kamu haruslah dibaharui seluruhnya. Hendaklah kamu hidup seperti manusia baru, yang diciptakan menurut rupa Allah. Dengan demikian orang dapat melihat bahawa kamu mengamalkan hidup yang menyenangkan hati Allah dan yang suci. Oleh itu, kamu tidak boleh berdusta lagi! Kamu harus mengatakan yang benar kepada saudara-saudara seiman, kerana kita semua anggota tubuh Kristus. Jika kamu marah, janganlah biarkan kemarahan itu menyebabkan kamu berdosa. Janganlah marah sepanjang hari. Janganlah berikan peluang kepada Iblis. Orang yang biasa mencuri mesti berhenti mencuri. Mereka harus mula bekerja untuk mencari nafkah dengan jujur sehingga dapat menolong orang miskin. Janganlah gunakan kata-kata kotor dalam percakapan kamu. Gunakanlah kata-kata yang membina dan memberikan pertolongan, supaya apa yang kamu katakan mendatangkan kebaikan kepada mereka yang mendengarnya. Janganlah sedihkan Roh Allah. Jika kamu memiliki Roh Allah, hal itu menunjukkan bahawa kamu milik Allah. Roh itu jaminan bahawa Hari Pembebasan akan tiba bagi kamu. Janganlah berdengki, geram, dan marah. Jangan lagi bertengkar dan memfitnah orang. Jangan lagi benci sesiapa pun. Sebaliknya, hendaklah kamu baik hati, saling berbelas kasihan, dan saling mengampuni sebagaimana Allah telah mengampuni kamu melalui Kristus. Kerana kamu anak-anak Allah yang dikasihi-Nya, kamu mesti berusaha mengikut teladan-Nya. Hidup kamu harus dijiwai oleh kasih, sebagaimana Kristus mengasihi kita. Dia mengorbankan nyawa-Nya bagi kita, sebagai suatu persembahan yang harum dan korban yang menyenangkan hati Allah. Kerana kamu umat Allah, tidak sepatutnya perbuatan yang cabul atau tidak senonoh, ataupun ketamakan berlaku antara kamu, supaya orang tidak mempunyai alasan untuk mengumpat kamu. Kamu juga tidak patut menggunakan kata-kata yang lucah, cabul, atau tidak senonoh. Sebaliknya kamu harus bersyukur kepada Allah. Kamu tentu tahu bahawa orang yang melakukan perbuatan cabul, atau yang tidak senonoh, ataupun yang tamak (kerana ketamakan seperti penyembahan berhala), tidak akan menikmati Pemerintahan Kristus dan Allah. Janganlah biarkan sesiapa pun menipu kamu dengan kata-kata dusta, kerana hal-hal inilah yang menimbulkan kemurkaan Allah terhadap mereka yang tidak taat kepada-Nya. Oleh itu janganlah sekali-kali berhubungan dengan orang semacam itu. Dahulu kamu hidup dalam kegelapan, tetapi sekarang kamu telah menjadi umat Tuhan, maka kamu hidup dalam cahaya. Itulah sebabnya kamu mesti hidup seperti orang yang hidup dalam cahaya, kerana cahaya itulah yang menyebabkan orang melakukan segala sesuatu yang baik, adil, dan tulus. Berusahalah untuk melakukan apa yang menyenangkan hati Tuhan. Janganlah lakukan perbuatan tidak berguna, yang biasa dilakukan oleh orang yang hidup dalam kegelapan. Sebaliknya, kamu harus mendedahkan perkara-perkara itu. ( Sebenarnya hal-hal yang dilakukan mereka dengan diam-diam amat memalukan untuk dipercakapkan.) Segala sesuatu akan kelihatan dengan jelas, apabila disinari cahaya, kerana segala sesuatu yang dapat dilihat dengan jelas, adalah cahaya. Itulah sebabnya dikatakan, “Bangunlah, hai kamu yang tidur, dan bangkitlah daripada kematian! Kristus akan menyinari kamu.” Oleh itu, perhatikanlah cara hidup kamu dengan baik. Janganlah hidup seperti orang bodoh, tetapi hiduplah seperti orang bijak. Setiap kali kamu berpeluang melakukan apa yang baik, gunakanlah peluang itu, kerana masa ini masa yang jahat. Janganlah bertindak bodoh, tetapi berusahalah untuk mengetahui apa yang dikehendaki Tuhan bagi kamu. Janganlah kamu menjadi mabuk oleh wain, kerana hal itu akan merosakkan hidup kamu. Tetapi hendaklah kamu dikuasai oleh Roh Allah. Gunakanlah kata-kata daripada mazmur, nyanyian puji-pujian, dan lagu rohani dalam percakapan kamu. Nyanyikanlah puji-pujian dan mazmur kepada Tuhan dengan hati yang gembira. Hendaklah kamu sentiasa bersyukur kepada Allah Bapa bagi segala sesuatu, demi nama Yesus Kristus Tuhan kita. Untuk menghormati Kristus, hendaklah kamu taat kepada satu sama lain. Hai isteri, taatlah kepada suami seperti kamu taat kepada Tuhan, kerana suami ialah ketua kepada isteri, sebagaimana Kristus ialah ketua kepada jemaah. Kristuslah Penyelamat jemaah, iaitu tubuh-Nya. Oleh itu isteri harus taat dalam segala hal kepada suami, sebagaimana jemaah taat kepada Kristus. Hai suami, kasihilah isteri kamu, sebagaimana Kristus mengasihi jemaah, dan mengorbankan nyawa-Nya untuk jemaah. Kristus berbuat demikian untuk membersihkan jemaah dengan air dan dengan firman-Nya, supaya Dia dapat menyerahkan jemaah kepada Allah. Dengan demikian Kristus memiliki jemaah yang penuh dengan kecemerlangan, yang murni, dan yang tidak bercacat cela sedikit pun. Suami harus mengasihi isteri seperti mengasihi tubuh sendiri. Orang yang mengasihi isteri bererti mengasihi diri sendiri. ( Tidak seorang pun pernah membenci tubuhnya sendiri. Sebaliknya, dia memelihara dan menjaganya, seperti Kristus juga memelihara dan menjaga jemaah, kerana kita anggota tubuh Kristus.) Di dalam Alkitab tertulis, “Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya untuk bersatu dengan isterinya, dan kedua-duanya akan menjadi satu.” Ayat itu mengandungi erti yang dalam. Menurut pengertianku, ayat itu berkaitan dengan hubungan antara Kristus dan jemaah. Tetapi ayat itu juga berkaitan dengan kamu: Setiap suami harus mengasihi isterinya seperti dia mengasihi dirinya sendiri, dan setiap isteri harus menghormati suaminya. Hai anak-anak, sebagai pengikut Kristus, kamu harus taat kepada ibu bapa, kerana hal itulah yang seharusnya kamu lakukan. [2-3] “Hormatilah ibu bapamu” adalah perintah pertama daripada Allah yang disertai janji: “supaya kamu hidup bahagia dan berumur panjang di bumi.” *** Hai bapa-bapa, janganlah perlakukan anak-anak kamu sedemikian rupa sehingga mereka menjadi marah. Sebaliknya, didiklah mereka dengan ajaran dan nasihat Tuhan. Hai abdi, hormatilah tuan kamu dan taatilah mereka dengan sepenuhnya. Lakukanlah semuanya dengan hati yang ikhlas, seperti kamu melakukan apa yang diperintahkan oleh Kristus. Janganlah berbuat demikian hanya pada masa kamu diawasi, untuk mendapat pujian mereka. Tetapi sebagai abdi Kristus, kamu harus melakukan kehendak Allah dengan sepenuh hati. Lakukanlah kerja kamu sebagai abdi dengan hati yang gembira, seolah-olah kamu bekerja untuk Tuhan, dan bukan hanya untuk manusia. Ketahuilah bahawa setiap orang, baik abdi ataupun orang bebas, akan menerima pahala daripada Tuhan bagi semua perbuatan baik yang dilakukannya. Hai pemilik abdi, perlakukanlah abdi kamu dengan sepatutnya. Jangan lagi gunakan ancaman. Ketahuilah bahawa kamu dan abdi kamu dimiliki oleh satu tuan, iaitu Tuhan yang di syurga, yang menghakimi semua orang dengan adil. Akhirnya, binalah kekuatan kamu dengan menerima kekuatan daripada kuasa Tuhan, kerana kamu hidup bersatu dengan Dia. Pakailah seluruh perlengkapan senjata daripada Allah, supaya kamu dapat mempertahankan diri daripada muslihat Iblis yang jahat. Hal itu demikian kerana kita tidak berjuang melawan manusia, tetapi melawan segala kuasa jahat di angkasa, iaitu roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah zaman yang gelap ini. Oleh itu, sekarang, pakailah seluruh perlengkapan senjata daripada Allah, supaya pada hari yang jahat kamu dapat mempertahankan diri daripada serangan musuh. Dengan demikian setelah kamu berjuang sampai akhir, kamu tidak akan berganjak sedikit pun. Oleh itu, kamu harus bersiap sedia! Gunakanlah ajaran benar tentang Allah sebagai tali pinggang dan ketulusan sebagai perisai dada. Hendaklah kesediaan untuk mengisytiharkan Berita Baik yang membawa kesejahteraan menjadi seperti kasutmu. Hendaklah kamu sentiasa gunakan kepercayaan kamu kepada Allah sebagai perisai di tangan. Dengannya kamu dapat memadamkan semua anak panah berapi daripada Si Jahat. Terimalah penyelamatan daripada Allah sebagai topi besi, dan firman Allah sebagai pedang daripada Roh Allah. Lakukanlah semuanya sambil berdoa untuk meminta pertolongan daripada Allah. Berdoalah sentiasa, sebagaimana Roh Allah memimpin kamu. Oleh itu, bersiap sedialah dan janganlah menyerah. Berdoalah sentiasa untuk semua umat Allah. Berdoalah untukku juga, supaya Allah memberitahu aku apa yang harus aku katakan, ketika menyampaikan perkhabaran. Berdoalah supaya dengan berani aku dapat memberitahukan rahsia Berita Baik itu. Kerana Berita Baik itulah, aku menjadi seorang duta, walaupun aku sekarang dipenjarakan. Berdoalah supaya aku berani berkata-kata tentang Berita Baik itu, sebagaimana yang harus aku lakukan. Tikhikus, saudara yang kita kasihi dan hamba yang setia dalam pekerjaan Tuhan, akan memberitahu kamu segala sesuatu tentang aku, supaya kamu mengetahui keadaanku. Itulah sebabnya aku mengutus dia kepada kamu untuk memberitahu kamu keadaan kami semua, supaya kamu berbesar hati. Semoga Allah Bapa dan Tuhan Yesus Kristus menolong semua orang Kristian hidup rukun, saling mengasihi, dan tetap percaya kepada Kristus. Semoga Allah memberkati semua orang yang mengasihi Tuhan kita Yesus Kristus dengan kasih yang tidak kunjung padam. Surat daripada Paulus dan Timotius, hamba-hamba Kristus Yesus, dan surat ini ditujukan kepada umat Allah di Filipi yang bersatu dengan Kristus, termasuk para pemimpin dan penolong jemaah. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. Setiap kali aku teringat akan kamu, aku bersyukur kepada Allah. Setiap kali aku berdoa untuk kamu, aku berdoa dengan sukacita. Aku bersukacita kerana kamu telah menolong aku sehingga dapat mengkhabarkan Berita Baik itu, sejak hari pertama sehingga sekarang. Aku yakin bahawa Allah, yang sudah memulakan pekerjaan yang baik pada diri kamu, akan meneruskannya sehingga selesai pada Hari Kristus Yesus datang kembali. Aku sentiasa mengingati kamu dengan sukacita. Memang aku patut mempunyai perasaan seperti itu terhadap kamu, kerana kamu semua sudah memberikan kerjasama dalam menjalankan tugas khas yang diberikan oleh Allah kepadaku. Kamu melakukannya baik sekarang semasa aku dipenjarakan, mahupun dahulu sewaktu aku bebas membela dan mempertahankan Berita Baik itu. Allah tahu bahawa apa yang aku katakan ini benar. Aku mengasihi kamu dengan kasih yang berasal daripada Kristus Yesus. Aku berdoa supaya kasih kamu kepada Allah dan sesama manusia terus bertambah, sehingga kamu tahu akan apa yang benar dan dapat membuat pertimbangan yang sempurna. Dengan demikian kamu dapat memilih apa yang terbaik, sehingga pada Hari Kristus datang kembali kamu bebas daripada segala celaan dan tuduhan. Hidup kamu akan penuh dengan perbuatan yang benar-benar baik, kerana Yesus Kristus sahaja yang dapat menyebabkan kamu berbuat demikian. Oleh itu Allah akan dimuliakan dan dipuji. Saudara-saudaraku, aku mahu kamu tahu bahawa semua perkara yang berlaku kepadaku sesungguhnya menyebabkan lebih banyak orang mendengar Berita Baik itu. Akibatnya, semua pengawal istana dan orang di sini tahu bahawa aku dipenjarakan kerana aku hamba Kristus. Oleh sebab aku dipenjarakan, kebanyakan orang Kristian di kota ini mempunyai keyakinan yang lebih teguh kepada Tuhan. Mereka semakin berani mengkhabarkan berita itu tanpa berasa takut. Memang beberapa orang antara mereka mengkhabarkan Kristus kerana iri hati terhadap aku serta suka bertengkar. Tetapi yang lain mengisytiharkan Kristus dengan maksud yang baik. Mereka melakukan hal itu kerana mengasihi Allah dan aku. Mereka tahu bahawa Allah telah melantik aku untuk mempertahankan Berita Baik itu. Orang lain mengkhabarkan Kristus dengan maksud yang tidak baik. Mereka melakukannya untuk kepentingan diri sendiri, kerana menyangka hal itu akan lebih menyusahkan aku sementara aku di dalam penjara. Tetapi tidak mengapa! Aku tetap bergembira, asal sahaja Kristus diberitakan dengan segala cara, baik dengan maksud yang baik ataupun yang salah. Aku akan terus bersukacita, kerana aku tahu bahawa dengan doa kamu dan dengan pertolongan daripada Roh Yesus Kristus, aku akan dibebaskan. Aku berharap dengan sepenuh hati supaya jangan sekali-kali aku gagal dalam tugasku. Tetapi pada setiap masa, terutama sekali sekarang, aku dapat berkata-kata dengan berani, sehingga dengan segenap jiwa raga, aku akan menyebabkan orang memuliakan Kristus, sama ada aku hidup ataupun mati. Bagiku, hidup itu mengabdi kepada Kristus, dan kematian lebih berfaedah. Tetapi jika dengan hidup di dunia ini, aku dapat melakukan lebih banyak pekerjaan yang berguna, aku tidak pasti yang mana akan aku pilih. Amatlah susah membuat pilihan. Aku sangat ingin meninggalkan dunia ini untuk pergi tinggal dengan Kristus, kerana hal itu lebih baik. Tetapi bagi kepentingan kamu, lebih mustahak aku hidup. Aku yakin akan hal itu. Oleh itu aku tahu bahawa aku akan terus hidup untuk menolong kamu, supaya iman kamu semakin teguh dan kamu semakin bersukacita dalam kepercayaan kepada Kristus. Dengan demikian apabila aku bersama-sama kamu lagi, kamu akan mempunyai lebih banyak alasan untuk berbangga dengan aku, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus. Oleh itu penting bagi kamu untuk hidup sesuai dengan apa yang dituntut oleh Berita Baik tentang Kristus. Dengan demikian sama ada aku dapat berjumpa dengan kamu atau tidak, aku akan mendapat berita bahawa kamu berdiri teguh dan berjuang dengan satu tujuan dan satu keinginan, untuk iman yang berdasarkan Berita Baik itu. Janganlah takut akan orang yang menganiaya kamu; tabahkanlah hati. Hal itu akan membuktikan bahawa mereka akan kalah dan kamu akan menang, kerana Allah sendiri yang memberikan kemenangan itu kepada kamu. Semua itu berlaku kerana kamu sudah diberikan oleh Allah anugerah untuk mengabdikan diri kepada Kristus, bukan sahaja dengan percaya kepada-Nya, tetapi juga dengan menderita bagi-Nya. Sekarang kamu boleh menyertai aku dalam perjuanganku, perjuangan yang pernah kamu lihat aku lakukan dahulu. Sekarang kamu juga mendengar bahawa aku masih tetap berjuang. Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu dikuatkan. Kerana Kristus mengasihi kamu, kamu dihiburkan. Kamu dipimpin oleh Roh Allah, dan kamu saling mengasihi serta saling berbelas kasihan. Aku berharap saudara semua dapat benar-benar menyenangkan hatiku dengan hidup seia sekata, saling mengasihi dengan kasih yang sama dan mempunyai fikiran serta tujuan yang sama. Janganlah lakukan sesuatu bagi kepentingan diri sendiri, atau kerana hendak menyombongkan diri. Sebaliknya dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri sendiri. Utamakan kepentingan orang lain, jangan hanya kepentingan diri sendiri. Sikap kamu hendaklah seperti sikap Kristus Yesus: Sebenarnya Dia ilahi, tetapi Dia tidak menganggap keadaan-Nya yang ilahi harus dipertahankan-Nya. Sebaliknya, Dia rela melepaskan segala-galanya, lalu menjadi seperti seorang hamba. Dia datang sebagai manusia, dan hidup seperti manusia. Dia merendahkan diri dan hidup dengan taat kepada Allah sehingga mati - iaitu mati di atas salib. Itulah sebabnya Allah meninggikan Dia setinggi-tingginya, dan mengurniai Dia kedudukan yang lebih tinggi daripada semua kedudukan yang lain. Oleh itu, untuk menghormati Yesus, semua makhluk di syurga, dan di bumi, dan di bawah bumi akan sujud menyembah Dia. Mereka semua akan mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan; dengan demikian Allah Bapa dimuliakan. Oleh itu, saudara-saudaraku yang tercinta, sebagaimana kamu sentiasa taat kepadaku ketika aku bersama-sama kamu, lebih mustahak lagi kamu taat kepadaku sekarang ini ketika kita berjauhan. Allah sudah menyelamatkan kamu, oleh itu kamu harus terus berusaha untuk menyempurnakan kesejahteraan kamu. Lakukanlah hal itu dengan penuh hormat kepada Allah, kerana Allah sentiasa bekerja di kalangan kamu untuk membuat kamu mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya. Lakukanlah segala sesuatu tanpa bersungut-sungut atau bertengkar. [15-16] Dengan demikian kamu menunjukkan ketulusan dan kemurnian sebagai anak-anak Allah yang tidak bercela, yang hidup di kalangan orang jahat dan berdosa. Ketika kamu menyampaikan berita yang memberikan hidup yang sejati, kamu harus bersinar antara mereka seperti bintang menerangi langit. Jika kamu berbuat demikian, aku mempunyai alasan untuk berbangga dengan kamu pada Hari Kristus datang kembali. Hal itu membuktikan bahawa segala usaha dan jerih payahku tidak sia-sia. *** Mungkin aku akan dibunuh dan darahku menjadi seperti persembahan yang dicurahkan di atas korban yang kamu persembahkan kepada Allah, sebagai tanda bahawa kamu percaya kepada-Nya. Jika demikian, aku bersyukur dan bersukacita dengan kamu semua. Begitu juga kamu harus bersukacita kerana apa yang akan berlaku dan turut bergembira denganku. Aku berharap bahawa dengan pertolongan Tuhan Yesus, aku dapat segera mengutus Timotius kepada kamu, supaya berita tentang kamu boleh menenteramkan hatiku. Timotius satu-satunya orang yang sehati denganku, dan dia benar-benar mengambil berat tentang kamu. Semua orang lain sibuk mengurus kepentingan sendiri dan bukan kepentingan Yesus Kristus. Kamu sendiri tahu bahawa Timotius sudah membuktikan betapa baik keperibadiannya. Aku dan Timotius sama seperti bapa dengan anak, yang sudah bekerja bersama-sama untuk menyebarkan Berita Baik. Oleh itu aku bercadang mengutus dia kepada kamu, sebaik sahaja aku mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku. Aku berharap bahawa dengan pertolongan Tuhan, aku sendiri akan dapat mengunjungi kamu tidak lama lagi. Aku merasa perlu menyuruh Epafroditus, yang kamu utus untuk menolong aku, kembali kepada kamu. Dia sudah bekerja dan berjuang dengan aku untuk mempertahankan Berita Baik. Dia sangat ingin berjumpa dengan kamu semua, dan dia susah hati kerana kamu sudah mendengar bahawa dia sakit. Memang benar dia sakit dan hampir meninggal. Tetapi Allah mengasihani dia, dan bukan dia sahaja tetapi aku juga, supaya aku tidak bertambah sedih. Itulah sebabnya aku semakin ingin menyuruh dia kembali kepada kamu, supaya kamu bergembira semula apabila berjumpa dengan dia, dan kesedihanku pun akan hilang. Oleh itu sambutlah dia dengan penuh kegembiraan sebagai seorang saudara seiman. Hormatilah semua orang yang seperti dia, kerana dia sudah mempertaruhkan nyawa dan hampir meninggal untuk kepentingan pekerjaan Kristus. Dia berbuat demikian untuk memberi aku pertolongan yang tidak dapat kamu berikan. Akhirnya, saudara-saudaraku, semoga kamu bersukacita kerana telah hidup bersatu dengan Tuhan. Aku tidak berkeberatan mengulangi apa yang telah aku tulis dahulu, kerana hal itu baik untuk keselamatan kamu. Berhati-hatilah dengan mereka yang melakukan perbuatan jahat. Mereka itu ibarat anjing. Mereka mendesak bahawa orang harus disunat. Tetapi kitalah orang yang sudah menerima sunat yang benar, bukan mereka. Kita menyembah Allah dengan pertolongan Roh-Nya dan kita bersukacita kerana hidup bersatu dengan Kristus. Kita tidak bergantung kepada upacara yang lahiriah. Sebenarnya aku boleh bergantung kepada upacara-upacara itu. Jika sesiapa menyangka dia boleh bergantung kepada upacara yang lahiriah, aku mempunyai alasan yang lebih banyak. Aku disunat ketika berumur lapan hari. Aku dilahirkan sebagai orang Israel daripada suku Benyamin. Oleh itu aku orang Ibrani sejati. Dalam hal mentaati hukum agama Yahudi, aku tergolong orang Farisi. Aku sangat bersemangat melakukan apa yang aku anggap sebagai kehendak Allah, sehingga aku menganiaya orang yang percaya kepada Kristus. Jika orang boleh kembali kepada Allah dengan mentaati perintah Taurat, maka aku sudah melakukan semua perintah itu. Tetapi kerana apa yang sudah dilakukan oleh Kristus bagiku, semua yang dahulu aku anggap sebagai menguntungkan, kini merugikan. Bukan sahaja hal-hal itu aku anggap merugikan, tetapi semua hal lain yang biasa aku lakukan, sekarang aku anggap merugikan. Dengan demikian aku akan mendapat apa yang jauh lebih menguntungkan, iaitu mengenal Kristus Yesus sebagai Tuhanku. Kerana Kristus, aku telah meninggalkan segala perkara yang biasa aku lakukan. Aku menganggap semua itu sebagai sampah sahaja, supaya aku boleh mendapat Kristus dan bersatu dengan Dia. Hubungan baik dengan Allah tidak aku peroleh dengan jalan taat kepada Taurat. Tetapi sekarang aku mempunyai hubungan baik dengan Allah, kerana aku percaya kepada Kristus. Hubungan baik itu datang daripada Allah dan berdasarkan kepercayaan kepada Kristus. Inilah satu-satunya keinginanku: mengenal Kristus dan mengalami kuasa yang membangkitkan Dia daripada kematian, turut menderita dengan Dia, dan menjadi seperti Dia dalam hal kematian-Nya. Aku berharap Allah akan menghidupkan aku semula daripada kematian. Aku tidak berkata bahawa aku sudah berjaya melakukan semua yang harus aku lakukan, ataupun sudah menjadi sempurna. Tetapi aku terus berusaha dengan sungguh-sungguh untuk memenangi hadiah yang disediakan oleh Kristus Yesus. Itulah tujuan Kristus Yesus menjadikan aku milik-Nya. Saudara-saudaraku, sebenarnya aku tidak menganggap bahawa aku sudah berjaya memenangi hadiah itu. Tetapi satu perkara aku lakukan. Aku melupakan apa yang di belakang dan berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang di hadapan. Itulah sebabnya aku berlari terus ke arah tujuanku untuk memenangi hadiah itu. Hadiah itu hidup sejati dan kekal yang merupakan panggilan Allah kepadaku melalui Kristus Yesus. Kita semua yang sudah matang dalam kehidupan sebagai orang yang percaya kepada Kristus, harus bersikap demikian. Tetapi jika ada antara kamu yang berpendapat lain, Allah akan menjelaskan hal itu kepada kamu. Bagaimanapun kita perlu memperhatikan hal ini: Kita harus tetap hidup menurut peraturan yang telah kita taati sehingga sekarang. Saudara-saudaraku, ikutlah teladanku. Kami sudah memberikan teladan yang baik kepada kamu. Oleh itu perhatikanlah orang yang mengikut teladan kami itu. Apa yang akan aku beritahukan kepada kamu, sudah banyak kali aku katakan kepada kamu dahulu, dan sekarang aku mengulanginya lagi dengan tangisan. Banyak orang dengan kehidupan mereka sudah merosakkan erti kematian Kristus di kayu salib. Hidup orang seperti itu akan berakhir dengan kehancuran, kerana mereka bertuhankan keinginan tubuh mereka sendiri. Mereka membanggakan hal-hal yang seharusnya memalukan. Mereka hanya memikirkan perkara-perkara duniawi. Tetapi kewarganegaraan kita di syurga. Dengan penuh harapan kita menanti-nantikan kedatangan Penyelamat kita, Tuhan Yesus Kristus dari syurga. Dia akan mengubah tubuh kita yang lemah dan fana ini, menjadi seperti tubuh-Nya sendiri yang mulia itu. Dia dapat melakukan hal itu kerana Dia memiliki kuasa untuk menaklukkan segala sesuatu. Oleh itu, saudara-saudaraku, demikianlah hendaknya kamu berdiri teguh dalam hidup yang bersatu dengan Tuhan. Aku sangat mengasihi dan sangat merindukan kamu! Kamu sungguh menggembirakan aku dan menyebabkan aku berasa bangga! Euodia dan Sintikhe, aku memohon supaya kamu berdua sehati sebagai saudara seiman yang mentaati Tuhan. Rakanku yang setia, aku ingin kamu menolong kedua-dua orang wanita itu. Mereka sudah bekerja keras bersama-sama aku untuk mengkhabarkan Berita Baik, sama seperti Klemen dan semua orang lain yang bekerja bersama dengan aku. Nama mereka tertulis di dalam kitab Allah yang mengandungi nama orang yang memiliki hidup sejati. Semoga kamu sentiasa bersukacita kerana hidup bersatu dengan Tuhan. Sekali lagi aku berkata: bersukacitalah! Hendaklah kamu bertolak ansur. Tuhan akan datang segera. Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Allah apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Allah, hendaklah kamu selalu mengucap syukur. Kesejahteraan daripada Allah yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus. Akhirnya, saudara-saudaraku, hendaklah kamu menumpukan fikiran hanya kepada perkara-perkara yang baik dan yang patut dipuji, iaitu perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang murni, yang elok dan yang terhormat. Lakukanlah apa yang telah kamu pelajari dan terima daripadaku, baik kata-kata mahupun perbuatanku. Allah yang mengurniai kita kesejahteraan akan menyertai kamu. Dalam hidupku yang bersatu dengan Tuhan, aku bersukacita kerana setelah sedemikian lama, sekali lagi kamu berpeluang mengambil berat terhadap diriku. Aku tidak bermaksud bahawa kamu sudah melupakan aku, tetapi kamu tidak berpeluang untuk menunjukkan bahawa kamu mengambil berat terhadap diriku. Aku berkata seperti itu bukan kerana aku berkekurangan; aku sudah belajar berpuas hati walaupun aku hanya memiliki sedikit. Aku sudah mengalami hidup serba kekurangan dan juga lebih daripada kecukupan. Aku mengetahui rahsianya untuk menghadapi berbagai-bagai keadaan. Aku berpuas hati baik ketika kenyang ataupun lapar, baik ketika hidup mewah ataupun berkekurangan. Dengan kuasa yang diberikan oleh Kristus, aku berdaya menghadapi segala macam keadaan. Tetapi kamu sudah menolong aku dalam kesusahanku; perbuatan kamu itu baik. Kamu yang tinggal di Filipi benar-benar tahu bahawa ketika aku meninggalkan Makedonia, pada waktu aku mula mengkhabarkan Berita Baik di situ, kamulah satu-satunya jemaah yang menolong aku. Hanya kamu yang mengalami untung rugi bersama-sama aku. Semasa aku di Tesalonika dan memerlukan bantuan, lebih daripada sekali kamu mengirim bantuan kepadaku. Aku tidak ingin menerima pemberian sahaja, tetapi aku ingin melihat keuntungan dimasukkan ke dalam akaun kamu. Aku mengaku sudah menerima segala yang kamu berikan, yang lebih daripada cukup itu! Aku sudah menerima semua pemberian kamu yang dibawa oleh Epafroditus, dan sekarang aku mempunyai segala yang aku perlukan. Pemberian kamu seperti persembahan yang harum dan Allah berkenan menerima korban itu. Allahku dengan kekayaan-Nya yang berlimpah-limpah, akan memenuhi segala keperluan kamu melalui Kristus Yesus. Terpujilah Allah dan Bapa kita selama-lamanya! Amin. Sampaikan salamku kepada semua umat Allah yang menjadi milik Kristus Yesus. Terimalah salam daripada saudara-saudara seiman yang bersama-sama aku. Semua umat Allah di sini mengirim salam kepada kamu, terutama mereka yang dari istana Kaisar. Semoga Tuhan Yesus Kristus memberkati kamu semua. Surat ini daripada Paulus, yang dengan kehendak Allah menjadi rasul Kristus Yesus, dan daripada saudara kita Timotius. Surat ini ditujukan kepada umat Allah di Kolose, yang setia bersatu dengan Kristus. Semoga Allah Bapa kita mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. Kami sentiasa bersyukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, apabila kami berdoa untuk kamu. Hal itu demikian kerana kami telah mendapat berita tentang kepercayaan kamu kepada Kristus Yesus, dan tentang kasih kamu bagi semua umat Allah. Apabila Berita Baik, perkhabaran yang benar itu disampaikan kepada kamu dahulu, kamu mendengar tentang harapan yang diberikan oleh Berita Baik itu. Kerana kamu berharap akan apa yang disediakan oleh Allah untuk kamu di syurga, kamu percaya kepada Kristus dan mengasihi umat Allah. Berita Baik itu terus-menerus membawa berkat untuk manusia dan Berita Baik itu tersebar ke seluruh dunia, seperti yang berlaku di kalangan kamu sejak hari pertama kamu mendengar berita tentang rahmat Allah dan benar-benar menghayatinya. Kamu mendengar hal itu daripada Epafras, rakan sekerja yang kami kasihi. Dia bekerja untuk Kristus bagi pihak kami dan dia dapat dipercayai. Dia memberitahu kami bahawa dengan kuasa Roh Allah kamu dapat saling mengasihi. Itulah sebabnya kami selalu berdoa bagi kamu, sejak kami mendengar berita tentang kamu. Kami berdoa kepada Allah supaya Roh Allah memberikan kebijaksanaan dan pengertian kepada kamu, sehingga boleh mengetahui kehendak Allah dengan sempurna. Dengan demikian kamu dapat hidup menurut kehendak Tuhan, dan sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. Cara hidup itu akan menghasilkan pelbagai perbuatan yang baik, dan pengetahuan kamu tentang Allah akan bertambah juga. [11-12] Semoga kamu dikuatkan oleh Allah dengan kuasa-Nya yang mulia, sehingga dapat menanggung derita dengan sabar. Dengan sukacita bersyukurlah kepada Bapa, yang telah menjadikan kamu layak menerima apa yang disediakan oleh Allah untuk umat-Nya dalam pemerintahan yang penuh dengan cahaya daripada Allah. *** Allah sudah menyelamatkan kita daripada kuasa kegelapan, dan memindahkan kita ke bawah pemerintahan Anak-Nya yang dikasihi-Nya. Melalui Anak-Nya, Allah membebaskan kita dan mengampunkan dosa kita. Kristus serupa dengan Allah, tetapi Kristus dapat dilihat, sedangkan Allah tidak. Kristus itu Anak sulung yang lebih utama daripada segala sesuatu yang diciptakan. Hal itu demikian kerana melalui Dialah Allah menciptakan segala sesuatu di syurga dan di atas bumi, segala sesuatu yang kelihatan dan yang tidak kelihatan, termasuk juga roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah. Allah menciptakan alam semesta melalui Kristus dan untuk Kristus. Kristus sudah ada, sebelum segala sesuatu ada. Kerana Dia juga, segala sesuatu mempunyai tempat yang bersesuaian. Kristuslah kepala jemaah, iaitu tubuh-Nya. Dialah sumber kehidupan jemaah itu. Dialah Anak sulung Allah; Allah membangkitkan Dia daripada kematian, supaya Kristus sahaja yang menjadi terutama daripada segala sesuatu. Allah sendiri yang menentukan bahawa keperibadian Allah juga terdapat dengan sepenuhnya dalam diri Anak. Melalui Anak juga, Allah mengambil keputusan untuk membawa segala sesuatu, baik yang di bumi mahupun yang di syurga, kembali kepada-Nya. Allah melakukan hal itu melalui kematian Anak-Nya di kayu salib. Dahulu kamu jauh daripada Allah, dan memusuhi Dia, kerana perbuatan dan fikiran kamu jahat. Tetapi sekarang, dengan kematian Anak-Nya, Allah telah menjadikan kamu sahabat-sahabat-Nya, sehingga kamu dapat dibawa menghadap Dia dalam keadaan yang suci, murni, dan tidak bercela. Tetapi kamu harus tetap percaya kepada Berita Baik itu dan dengan kepercayaan itu kamu dapat berdiri teguh. Janganlah lepaskan harapan yang kamu terima ketika mendengar Berita Baik daripada Allah. Itulah Berita Baik yang telah diisytiharkan kepada semua orang di dunia. Kerana Berita Baik itu, aku, Paulus menjadi hamba untuk mengisytiharkannya. Sekarang aku bersukacita kerana boleh mengalami penderitaan untuk kepentingan kamu. Dengan penderitaan jasmani, aku melengkapi apa yang masih harus diderita oleh Kristus bagi pihak jemaah, iaitu tubuh-Nya. Aku dijadikan penolong jemaah oleh Allah untuk kepentingan kamu. Aku diberikan tugas untuk menyampaikan keseluruhan perkhabaran Allah, yang dirahsiakan oleh Allah kepada semua orang selama berabad-abad yang lalu, tetapi sekarang dinyatakan kepada umat-Nya. Allah merancang untuk menyatakan rahsia-Nya kepada umat-Nya; rahsia yang agung dan mulia untuk umat manusia. Inilah rahsia itu: Kristus tinggal dalam diri kamu, dan hal ini bererti bahawa kamu akan ikut menikmati kemuliaan Allah. Oleh itu kami mengisytiharkan Kristus kepada semua orang. Dengan segala kebijaksanaan kami memberikan amaran dan ajaran kepada mereka, supaya setiap orang dapat dibawa ke hadirat Allah sebagai orang yang matang dalam hal-hal rohani, kerana sudah bersatu dengan Kristus. Untuk mencapai tujuan itu aku bekerja keras dengan segala kekuatan yang diberikan oleh Kristus, dan kekuatan itu nyata dalam apa yang aku lakukan. Aku ingin kamu tahu bahawa aku bekerja keras untuk kamu dan untuk mereka yang di Laodikia, serta untuk semua orang lain yang belum mengenal aku. Aku berbuat demikian supaya kamu dan mereka berteguh hati, dan juga bersatu kerana saling mengasihi. Dengan demikian kamu dan mereka sungguh-sungguh meyakini dan mengerti serta mengenal rahsia Allah, iaitu Kristus sendiri. Kristuslah yang menyingkap segala kebijaksanaan dan pengetahuan Allah yang diibaratkan sebagai harta tersembunyi. Aku memberitahu kamu hal ini supaya tidak disesatkan oleh hujah yang menarik dan kedengarannya betul. Meskipun aku tidak bersama-sama kamu, anggaplah aku hadir di kalangan kamu. Aku gembira melihat kamu sehati dan percaya kepada Kristus dengan teguh. Kamu sudah menerima Kristus Yesus sebagai Tuhan. Oleh itu hendaklah kamu hidup bersatu dengan Dia. Hendaklah kamu berakar umbi dalam Dia. Binalah hidup kamu, dengan Kristus sebagai asasnya. Hendaklah kamu semakin percaya kepada Kristus, seperti yang sudah diajarkan kepada kamu. Hendaklah hati kamu penuh kesyukuran. Berwaspadalah supaya tidak seorang pun memperhamba kamu dengan falsafah manusia, yang tidak berguna dan menyesatkan. Ajaran itu bukan daripada Kristus, melainkan ajaran manusia yang diturunkan dari generasi ke generasi, dan ajaran daripada roh-roh yang menguasai alam semesta. Seluruh keperibadian Allah juga terdapat dalam diri Kristus, pada waktu Dia hidup di bumi sebagai manusia. Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu juga diberikan hidup sejati. Semua roh yang berkuasa dan yang memerintah berada di bawah kekuasaan Kristus. Kerana bersatu dengan Kristus, kamu sudah disunat, bukan dengan sunat yang dilakukan oleh manusia, tetapi dengan sunat yang dilakukan oleh Kristus, yang membebaskan kamu daripada kuasa keinginan yang berdosa. Hal itu demikian kerana pada waktu kamu dibaptis, kamu dikubur bersama-sama Kristus. Dengan baptisan itu juga kamu dihidupkan kembali bersama-sama Kristus, kerana kamu percaya kepada kuasa Allah yang telah membangkitkan Kristus daripada kematian. Dahulu kamu sudah mati secara rohani kerana kamu berdosa, dan juga kerana kamu bukan orang Yahudi dan tidak mengenal Taurat Musa. Tetapi sekarang Allah telah menghidupkan kamu bersama-sama Kristus. Allah telah mengampunkan semua dosa kita. Dia telah membatalkan surat hutang kita yang mengancam kita dengan syarat-syarat berat. Dia menghapuskan semuanya dengan menyalibkan surat hutang itu di kayu salib. Di kayu salib itu Kristus membebaskan diri daripada kuasa roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah. Dia menjadikan mereka tontonan umum apabila Dia menggiring mereka sebagai tawanan dalam perarakan kemenangan-Nya. Oleh itu janganlah biarkan orang membuat peraturan tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang hari-hari perayaan agama, atau perayaan bulan baru, ataupun tentang hari Sabat. Semua peraturan itu cuma bayangan daripada hal-hal yang akan datang, tetapi kenyataan daripada hal-hal itu ialah Kristus! Janganlah biarkan diri kamu ditipu oleh sesiapa yang pura-pura rendah hati dan yang menyembah malaikat. Orang seperti itu sombong kerana fikiran duniawi, dan mereka bangga kerana melihat penglihatan tertentu. Dia tidak lagi bergantung kepada Kristus yang menjadi kepala kepada jemaah, iaitu tubuh-Nya. Di bawah pimpinan Kristus seluruh tubuh itu dipelihara, dan juga disatukan oleh sendi dan urat, serta membesar menurut kehendak Allah. Kamu sudah mati bersama-sama Kristus, dan sudah dibebaskan daripada roh-roh yang menguasai alam semesta. Tetapi mengapakah kamu hidup seperti orang yang masih dikuasai dunia ini? Mengapakah kamu menurut peraturan seperti berikut, “Jangan jamah ini,” “Jangan kecap itu,” “Jangan sentuh itu”? Semua itu tidak berguna lagi, sebaik sahaja dipatuhi. Semua itu hanya peraturan dan ajaran manusia. Memang peraturan-peraturan itu kelihatannya bijaksana, dengan desakan supaya orang menyembah malaikat, menyeksa diri, dan berpura-pura merendahkan diri. Tetapi semua peraturan itu tidak berguna untuk mengendalikan nafsu manusia. Kamu sudah dihidupkan semula bersama-sama Kristus. Oleh itu kamu harus mengingini perkara-perkara yang di syurga, di tempat Kristus duduk di atas takhta di sebelah kanan Allah. Hendaklah kamu memusatkan fikiran kepada perkara-perkara yang di syurga, bukan kepada perkara-perkara yang di bumi. Hal itu demikian kerana kamu sudah mati, dan hidup kamu tersembunyi dengan Kristus di dalam Allah. Hanya Kristus yang dapat menyebabkan hidup kamu betul-betul bererti, dan apabila Dia menampakkan diri lagi di bumi, kamu juga akan bersama-sama Dia dan menikmati kemuliaan-Nya! Oleh itu, matikanlah keinginan duniawi yang menguasai diri kamu, seperti perbuatan cabul, perkara yang tidak senonoh, hawa nafsu, keinginan yang jahat, dan ketamakan (kerana ketamakan itu serupa dengan penyembahan berhala). Perkara-perkara semacam itu membangkitkan kemurkaan Allah terhadap orang yang tidak menurut perintah-Nya. Dahulu kamu sendiri pun hidup menuruti keinginan-keinginan demikian, pada masa kamu dikuasai olehnya. Tetapi sekarang kamu tidak boleh berbuat hal-hal ini lagi: marah, mengamuk, dan mempunyai perasaan benci terhadap orang lain. Janganlah caci maki orang ataupun guna kata-kata lucah. Janganlah saling mendustai, kerana kamu sudah membuang hidup yang lama dengan semua sifatnya. Sekarang kamu menjadi manusia baru yang sentiasa dibaharui oleh Penciptanya iaitu Allah, supaya menjadi seperti Dia. Dengan demikian kamu dapat mengenal Allah dengan sempurna. Dengan demikian lenyaplah perbezaan antara orang bukan Yahudi dengan orang Yahudi, orang bersunat dengan orang yang tidak bersunat, orang asing dengan orang biadab, abdi dengan orang bebas. Kristuslah segala-galanya dan Dia bersatu dengan mereka semua. Kamu umat Allah. Allah mengasihi kamu dan memilih kamu supaya menjadi milik-Nya sendiri. Oleh itu, kamu harus berbelas kasihan, baik hati, rendah hati, lemah lembut, dan bersabar. Hendaklah kamu saling bersabar dan saling mengampuni apabila ada yang menaruh dendam terhadap orang lain. Kamu harus saling mengampuni sebagaimana Tuhan sudah mengampuni kamu. Di samping melakukan semua itu, kamu harus saling mengasihi, kerana kasih menyatupadukan kamu dengan sempurna. Hendaklah kedamaian yang diberikan oleh Kristus menolong kamu membuat keputusan tentang apa yang harus dilakukan, kerana Allah telah memanggil kamu supaya menjadi anggota satu tubuh, sehingga kamu dapat mengalami kedamaian itu. Bersyukurlah! Hendaklah ajaran Kristus yang penuh berkat meresap di hati kamu. Hendaklah kamu saling mengajar dan menasihati dengan segala kebijaksanaan. Nyanyikanlah mazmur, nyanyian pujian, dan lagu rohani. Bernyanyilah untuk Allah dengan perasaan syukur di dalam hati. Segala sesuatu yang kamu lakukan atau katakan, haruslah dilakukan demi nama Tuhan Yesus, sambil bersyukur kepada Allah Bapa bagi apa yang dilakukan oleh Tuhan Yesus untuk kamu. Hai isteri, taatlah kepada suami, kerana demikianlah seharusnya kelakuan kamu sebagai orang Kristian. Hai suami, kasihilah isteri dan janganlah berlaku kasar terhadap mereka. Anak-anak, sebagai orang Kristian kamu wajib mentaati ibu bapa kamu, kerana hal itulah yang menyenangkan hati Allah. Hai ibu bapa, janganlah sakiti hati anak-anak supaya mereka tidak menjadi tawar hati. Hai abdi, dalam segala hal taatlah kepada tuan yang di dunia ini. Janganlah berbuat demikian hanya pada masa kamu diawasi, kerana ingin mendapat pujian. Taatilah mereka dengan ikhlas, kerana kamu menghormati Tuhan. Lakukanlah semua tugas dengan sepenuh hati, seolah-olah kamu melakukannya untuk Tuhan dan bukan untuk manusia. Ingatlah, kamu akan menerima pahala daripada Tuhan, yang telah disediakan Tuhan untuk umat-Nya. Hal itu demikian kerana tuan yang kamu layani sebenarnya Kristus. Sesiapa yang berbuat salah akan dihukum setimpal dengan kesalahannya, kerana Allah mengadili setiap orang dengan tidak berat sebelah. Hai kamu yang menjadi tuan kepada abdi, perlakukanlah abdi dengan baik dan adil. Ingatlah bahawa kamu juga mempunyai Tuan di syurga. Hendaklah kamu berdoa dengan tekun dan berwaspada, sambil bersyukur kepada Allah. Berdoalah juga bagi kami, supaya Allah memberi kami peluang baik untuk mengisytiharkan berita tentang rahsia Kristus. Kerana hal itulah, sekarang aku dipenjarakan. Berdoalah supaya aku dapat menyampaikan berita itu dengan sejelas-jelasnya, kerana hal itulah yang mesti aku lakukan. Hendaklah kamu bijaksana dalam hubungan dengan orang yang tidak percaya kepada Kristus, dan gunakan setiap peluang dengan sebaik-baiknya. Hendaklah percakapan kamu menyeronokkan dan menarik. Hendaklah kamu tahu memberikan jawapan kepada setiap orang dengan sepatutnya. Tikhikus, saudara yang kita kasihi akan memberitahu kamu segala berita tentang aku. Dia seorang pekerja yang setia dan dia bekerja untuk Tuhan bersama-sama kami. Itulah sebabnya aku mengutus dia kepada kamu, supaya dia boleh menggembirakan kamu dengan memberitahukan keadaan kami semua. Tikhikus akan disertai oleh Onesimus, seorang daripada kalangan kamu. Onesimus seorang yang setia dan kami mengasihinya. Mereka berdua akan memberitahu kamu segala sesuatu yang berlaku di sini. Aristarkhus yang ada di penjara bersama-samaku, mengirim salam kepada kamu. Demikian juga Markus, saudara sepupu Barnabas. (Kamu sudah diberitahu untuk menyambut Markus apabila dia datang.) Yesus, yang dipanggil Yustus, mengirim salam juga. Hanya mereka bertiga daripada orang Yahudi, yang sudah percaya kepada Yesus dan yang bekerja bersama-sama aku untuk mewujudkan Pemerintahan Allah. Mereka sangat menolong aku. Salam daripada Epafras, seorang lagi daripada kalangan kamu. Dia hamba Kristus Yesus, dan dia sentiasa berdoa dengan tekun bagi kamu. Dia memohon kepada Allah supaya iman kamu teguh, dan kamu betul-betul matang, serta taat kepada kehendak Allah dengan sepenuhnya. Aku sendiri dapat memberikan kesaksian betapa kerasnya dia bekerja untuk kamu dan untuk orang di Laodikia dan Hierapolis. Lukas, doktor yang kita kasihi dan Demas mengirim salam kepada kamu. Sampaikanlah salam kami kepada saudara-saudara di Laodikia, dan kepada Nimfa, serta jemaah yang beribadat di rumahnya. Setelah surat ini dibacakan kepada kamu, pastikanlah bahawa surat ini juga dibacakan kepada jemaah di Laodikia. Kamu juga harus membaca surat yang akan dikirim dari Laodikia. Katakanlah kepada Arkhipus, “Selesaikanlah tugas yang diberikan kepadamu untuk melakukan kerja bagi Tuhan.” Dengan tangan sendiri aku menulis kata-kata ini: Salam daripada Paulus. Janganlah lupa bahawa aku masih di dalam penjara! Semoga Allah memberkati kamu. Surat ini daripada Paulus, Silas, dan Timotius. Surat ini ditujukan kepada jemaah di Tesalonika, yang menjadi milik Allah Bapa dan Tuhan Yesus Kristus. Semoga Allah mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. Kami sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu semua. Setiap kali kami berdoa kepada Allah, kami sentiasa mendoakan kamu. Apabila kami berdoa kepada Allah dan Bapa kita, kami mengingat bagaimana perbuatan kamu menunjukkan kepercayaan kamu kepada Kristus, bagaimana kamu mengasihi orang lain sehingga bekerja untuk membantu mereka, dan bagaimana kamu berharap dengan teguh kepada Tuhan kita Yesus Kristus. Saudara-saudaraku, kami tahu bahawa Allah mengasihi kamu dan sudah memilih kamu menjadi milik-Nya sendiri. Hal itu demikian, kerana kami mengisytiharkan Berita Baik kepada kamu, bukan dengan kata-kata sahaja, tetapi juga dengan kuasa, dengan Roh Allah dan dengan keyakinan bahawa Berita Baik itu benar. Kamu mengetahui cara hidup kami ketika kami bersama-sama kamu dan semua itu untuk kebaikan kamu. Kamu mengikut teladan kami dan teladan Tuhan. Meskipun kamu menanggung banyak penderitaan, kamu menyambut perkhabaran itu dengan kegembiraan yang datang daripada Roh Allah. Oleh itu kamu menjadi teladan kepada semua orang Kristian di Makedonia dan Akhaya. Berita tentang Tuhan tersebar sampai ke Makedonia dan Akhaya, kerana kamu. Orang di mana-mana sahaja juga mendengar berita tentang kepercayaan kamu kepada Allah. Oleh itu kami tidak perlu berkata apa-apa lagi. Semua orang berkata bahawa kamu menyambut kami dengan baik ketika melawat kamu dahulu. Mereka berkata bahawa kamu tidak mahu menyembah berhala lagi, tetapi datang kepada satu-satunya Allah yang hidup untuk mentaati dan menyembah Dia. Mereka juga berkata bahawa kamu menantikan kedatangan Anak Allah dari syurga, iaitu Yesus yang sudah dibangkitkan oleh Allah daripada kematian. Yesuslah yang menyelamatkan kita daripada kemurkaan Allah yang akan datang. Saudara-saudaraku, kamu sendiri tahu bahawa lawatan kami kepada kamu tidak sia-sia. Kamu tahu bahawa kami dianiaya dan dihina di Filipi, sebelum kami datang kepada kamu di Tesalonika. Meskipun kami mengalami tentangan, Allah kita mengurniai kami keberanian untuk memberitahu kamu Berita Baik yang datang daripada-Nya. Rayuan kami kepada kamu tidak berdasarkan kesilapan ataupun maksud yang tidak murni. Kami juga tidak cuba memperdaya sesiapa pun. Sebaliknya kami sentiasa berkata-kata sebagaimana yang dikehendaki Allah, kerana kami dianggap layak oleh Allah untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. Kami tidak berusaha untuk menyenangkan hati orang, tetapi kami berusaha untuk menyenangkan hati Allah yang menguji hati kami. Kamu tahu bahawa kami tidak datang kepada kamu dengan kata-kata yang mengangkat, ataupun dengan maksud untuk mengambil untung daripada kamu. Allah saksi kami! Kami tidak berusaha untuk mendapat pujian daripada sesiapa pun, baik daripada kamu mahupun daripada orang lain. Sebenarnya sebagai rasul Kristus kami boleh menuntut sesuatu daripada kamu. Tetapi apabila kami bersama-sama kamu, kami bersikap lemah lembut seperti seorang ibu yang menjaga anak-anaknya. Kerana kami mengasihi kamu, kami bersedia mati bagi kamu di samping memberitahu kamu Berita Baik daripada Allah. Kami sangat mengasihi kamu! Saudara-saudaraku, tentu kamu ingat bagaimana kami bertungkus lumus! Kami bekerja siang malam supaya kami tidak menjadi beban kepada kamu semasa kami mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. Kamulah saksi kami, demikian juga Allah. Kelakuan kami suci, benar, dan tidak bercela terhadap kamu yang percaya kepada Kristus. Kamu tahu bahawa kami memperlakukan setiap orang daripada kamu seperti seorang bapa memperlakukan anak-anaknya. Kami menasihati kamu, kami menggalakkan kamu, dan kami menggesa kamu supaya hidup sedemikian rupa sehingga menyenangkan hati Allah. Dialah yang memanggil kamu untuk menikmati Dunia Baru Allah dan kemuliaan-Nya. Kami mempunyai alasan lain yang menyebabkan kami sentiasa bersyukur kepada Allah. Ketika kami menyampaikan perkhabaran Allah kepada kamu, kamu mendengar dan menyambutnya bukan sebagai perkhabaran daripada manusia, tetapi sebagai perkhabaran daripada Allah. Memang perkhabaran itu daripada Allah! Allah bekerja dalam diri kamu yang percaya kepada Kristus. Saudara-saudaraku, kamu sudah mengalami perkara yang juga dialami oleh jemaah Allah di Yudea, yang menjadi milik Kristus Yesus. Kamu mengalami penganiayaan daripada orang sebangsa kamu sendiri, seperti jemaah di Yudea yang mengalami penganiayaan daripada orang Yahudi. Orang Yahudi sudah membunuh Tuhan Yesus dan nabi-nabi, serta menganiaya kami juga. Mereka memusuhi semua orang dan mereka menyebabkan Allah sangat murka! Bahkan mereka berusaha menghalangi kami mengisytiharkan perkhabaran Allah kepada orang bukan Yahudi, dan sebenarnya perkhabaran itu dapat menyelamatkan mereka. Demikianlah orang Yahudi terus-menerus menambah dosa sampai hadnya. Sekarang kemurkaan Allah menimpa mereka! Tetapi saudara-saudara seiman, sejak kami terpisah daripada kamu untuk sementara waktu - jauh di mata tetapi dekat di hati - kami sangat merindui kamu. Kami berusaha seboleh-bolehnya supaya dapat berjumpa lagi dengan kamu! Kami berniat melawat kamu lagi. Aku sendiri telah berusaha melawat kamu semula sekali dua, tetapi Iblis menghalangi kami. Sesungguhnya kamulah harapan dan kegembiraan kami. Pada waktu Tuhan kita Yesus datang kelak, dan kita menghadap-Nya, maka kamulah yang akan menyebabkan kami dapat berbangga dengan kejayaan kami. Sesungguhnya kamulah kebanggaan dan kegembiraan kami! Akhirnya kerinduan kami tidak tertahan lagi. Oleh itu kami membuat keputusan untuk tinggal sendirian di Atena, sementara kami mengutus Timotius, saudara kita. Dia hamba Allah yang bekerja bersama-sama kami untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang Kristus. Kami mengutus dia untuk menggalakkan kamu dan meneguhkan kepercayaan kamu kepada Kristus. Dengan demikian tidak seorang pun daripada kamu meninggalkan Kristus kerana penganiayaan itu. Kamu sendiri tahu bahawa penganiayaan itu sebahagian daripada kehendak Allah bagi kita. Semasa kami bersama-sama kamu, kami telah memberitahu kamu terlebih dahulu bahawa kita akan dianiaya. Sekarang kamu sendiri tahu bahawa hal itu benar-benar berlaku. Itulah sebabnya aku mengutus Timotius, kerana aku ingin sekali mengetahui hal kepercayaan kamu kepada Kristus. Aku khuatir kalau-kalau Iblis sudah menggoda kamu sehingga segala usaha kami sia-sia. Sekarang Timotius sudah kembali, dan dia membawa khabar baik bahawa kamu masih percaya kepada Kristus dan bahawa kamu saling mengasihi. Dia memberitahu kami bahawa kamu sentiasa gembira apabila mengenang kami dan kamu ingin berjumpa dengan kami seperti kami pun ingin berjumpa dengan kamu. Itulah sebabnya, saudara-saudara seiman, dalam segala kesusahan dan penderitaan kami, kami terhibur oleh berita tentang kamu. Kepercayaan kamu kepada Kristus menggalakkan kami, kerana sekarang kami berasa sungguh-sungguh hidup, jika kamu tetap teguh bersatu dengan Tuhan. Sekarang kami sangat bersyukur kepada Allah kerana kamu. Kami bersyukur kepada Allah bagi kegembiraan yang kami alami di hadirat-Nya kerana kamu. Siang malam kami memohon kepada-Nya dengan sepenuh hati, supaya kami sendiri boleh berjumpa dengan kamu, dan melengkapkan apa yang masih kamu perlukan untuk percaya kepada Kristus. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan kita Yesus, membuka jalan bagi kami untuk berjumpa dengan kamu! Semoga Tuhan menyebabkan kamu semakin saling mengasihi dan semakin mengasihi semua orang, sehingga kasih kamu kepada orang lain seperti kasih kami kepada kamu. Dengan cara ini Tuhan akan menguatkan hati kamu, sehingga kamu akan menjadi suci dan tidak bercela di hadirat Allah Bapa kita, pada waktu Tuhan kita Yesus datang dengan semua orang yang menjadi milik-Nya. Akhirnya, saudara-saudaraku, kami telah memberikan teladan kepada kamu tentang cara hidup yang menyenangkan hati Allah. Aku tahu bahawa memang demikianlah cara kamu hidup. Tetapi sekarang demi nama Tuhan Yesus, kami meminta dan menggesa kamu supaya berbuat lebih daripada hal itu. Aku berkata demikian kerana kamu mengetahui petunjuk-petunjuk yang telah kami berikan kepada kamu dengan kuasa Tuhan Yesus. Inilah kehendak Allah bagi kamu: Hendaklah kamu mengamalkan hidup yang suci, dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang cabul. Setiap orang lelaki antara kamu harus tahu bagaimana hidup bersama-sama isterinya dengan cara yang menyenangkan hati Allah dan manusia, serta tidak mengikut hawa nafsu, seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal Allah. Dalam hal seperti ini, janganlah seorang pun berbuat salah terhadap saudaranya, ataupun memperdayakan dia. Kami telah memberitahu kamu hal ini dahulu dan telah memberikan amaran yang keras kepada kamu bahawa Tuhan akan menghukum orang yang melakukan kesalahan seperti itu. Allah tidak memanggil kita supaya hidup cabul, tetapi supaya kita hidup dengan cara yang menyenangkan hati Allah. Oleh itu, orang yang menolak ajaran ini, bukannya menolak manusia, tetapi menolak Allah yang mengurniai kamu Roh-Nya yang suci. Tidak perlu kami menulis tentang bagaimana kamu harus mengasihi saudara-saudara seiman. Kamu sendiri telah diajar oleh Allah bagaimana kamu harus saling mengasihi. Kamu sudah menunjukkan hal ini kepada semua saudara seiman di seluruh Makedonia. Oleh itu, saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya lebih saling mengasihi. Berusahalah hidup dengan tenang; janganlah campuri hal orang lain dan carilah nafkah sendiri, sebagaimana kami katakan kepada kamu dahulu. Dengan cara ini kamu akan dihormati oleh mereka yang tidak percaya kepada Kristus. Kamu pun tidak perlu bergantung kepada sesiapa pun bagi keperluan kamu. Saudara-saudaraku, kami ingin kamu mengetahui yang sebenarnya tentang mereka yang sudah meninggal dunia, supaya kamu tidak bersedih hati seperti orang yang tidak mempunyai harapan. Kita percaya bahawa Yesus sudah mati dan hidup semula. Demikian juga kita percaya bahawa mereka yang percaya kepada Yesus dan sudah meninggal dunia akan dihidupkan semula oleh Allah supaya hidup bersama-sama Yesus. Yang kami beritahukan kepada kamu ini ajaran Tuhan: Pada hari Tuhan datang kelak, kita yang masih hidup tidak akan mendahului mereka yang sudah meninggal dunia. Pada masa itu malaikat agung akan berseru dengan suara yang kuat dan trompet Allah dibunyikan, lalu Tuhan sendiri akan turun dari syurga. Mereka yang percaya kepada Kristus dan sudah meninggal dunia akan dihidupkan terlebih dahulu. Kemudian kita yang masih hidup pada waktu itu akan diangkat bersama-sama mereka ke awan untuk berjumpa dengan Tuhan di angkasa. Lalu kita akan bersama-sama Tuhan selama-lamanya. Oleh itu, hendaklah kamu saling membesarkan hati dengan kata-kata ini. Saudara-saudara seiman, kami tidak perlu menulis tentang masa dan waktu, apabila perkara-perkara ini akan berlaku. Hal itu demikian kerana kamu sendiri tahu dengan jelas bahawa Hari kedatangan Tuhan akan tiba seperti pencuri datang pada malam hari. Apabila orang berkata, “Semuanya aman dan tenteram,” pada waktu itulah mereka akan ditimpa kebinasaan dengan tiba-tiba dan tidak seorang pun dapat melepaskan diri. Hal itu akan berlaku dengan tiba-tiba seperti rasa sakit yang dialami seorang wanita semasa hendak melahirkan anak. Tetapi kamu, saudara-saudara seiman, kamu tidak hidup dalam kegelapan. Hari itu tidak seharusnya mengejutkan kamu seperti kedatangan seorang pencuri. Kamu semuanya orang yang hidup dalam cahaya, orang yang tergolong pada siang yang terang. Kita bukan orang yang hidup dalam kegelapan, atau yang tergolong pada malam yang gelap. Oleh itu kita tidak seharusnya tidur seperti orang lain. Kita harus berjaga-jaga dan berwaspada. Orang tidur pada malam hari; orang pun mabuk pada malam hari. Tetapi kita ini orang yang tergolong pada siang yang terang. Oleh itu kita harus berwaspada. Kita mesti percaya kepada Tuhan dan mengasihi orang lain, maka hal itu seperti melindungi diri dengan perisai dada. Dengan yakin kita berharap akan diselamatkan, dan hal ini seperti melindungi kepala dengan topi besi. Allah memilih kita bukannya untuk mengalami kemurkaan-Nya, tetapi untuk diselamatkan melalui Tuhan kita Yesus Kristus. Yesus mati untuk kita supaya kita boleh hidup bersama-sama Dia pada waktu Dia datang kelak, baik kita masih hidup ataupun telah mati pada waktu itu. Oleh itu, hendaklah kamu saling menggalakkan dan saling menguatkan, seperti yang kamu lakukan sekarang ini. Saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya menghormati mereka yang bekerja di kalangan kamu. Mereka memimpin dan menasihati kamu dalam kehidupan kamu sebagai orang Kristian. Perlakukanlah mereka dengan penuh hormat dan kasihilah mereka, kerana semuanya yang dilakukan oleh mereka. Hendaklah kamu hidup rukun. Saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya memberikan amaran kepada orang yang malas bekerja, menabahkan hati orang yang takut, menolong orang yang perlu ditolong, dan bersabar terhadap semua orang. Janganlah seorang pun membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi kamu harus sentiasa berusaha untuk saling berbuat baik dan menolong semua orang. Hendaklah kamu sentiasa bersukacita, dan berdoalah sentiasa. Hendaklah kamu bersyukur dalam segala keadaan, kerana hal inilah yang dikehendaki oleh Allah daripada kamu sebagai orang yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Janganlah halang Roh Allah. Janganlah hina perkhabaran-perkhabaran yang diberikan oleh Roh Allah. Pertimbangkan semuanya; ikutlah apa yang baik, dan jauhilah segala macam kejahatan. Semoga Allah yang mengurniai kita kesejahteraan, menjadikan kamu sungguh-sungguh hidup khas untuk Allah. Semoga Allah menjaga roh, jiwa, dan tubuh kamu, sehingga tidak bercacat cela pada masa Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali. Allah yang memanggil kamu akan melakukan hal itu, kerana Dia setia. Doakanlah kami, saudara-saudara seiman. Bersalamanlah dengan mesra sebagai saudara Kristian. Dengan kuasa Tuhan, aku menggesa kamu supaya membacakan surat ini kepada semua saudara seiman. Semoga Tuhan kita Yesus Kristus memberkati kamu semua. Surat ini daripada Paulus, Silas, dan Timotius, serta ditujukan kepada jemaah di Tesalonika, yang menjadi umat Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. Saudara-saudaraku, kami harus sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu. Memang sepatutnya kami berbuat demikian, kerana kamu semakin percaya kepada Yesus dan kamu semakin mengasihi satu sama lain. Itulah sebabnya kami membanggakan kamu antara jemaah Allah di tempat lain. Dengan bangga kami menceritakan bagaimana kamu tetap percaya kepada Kristus semasa mengalami penganiayaan dan penderitaan. Di sini nyata betapa adilnya penghakiman Allah: Allah akan menjadikan kamu layak untuk menikmati Dunia Baru Allah, yang baginya kamu telah mengalami penderitaan. Allah akan melakukan apa yang adil. Dia akan mendatangkan penderitaan kepada orang yang membuat kamu menderita. Dia pun akan memberikan kelegaan kepada kamu yang menanggung penderitaan dan juga kepada kami. Allah akan melakukan hal ini apabila Tuhan Yesus turun dari syurga dan menampakkan diri dengan malaikat-malaikat-Nya yang perkasa, dan dengan api yang bernyala-nyala. Dia datang untuk menghukum orang yang tidak mahu mengakui Allah dan orang yang tidak mahu mentaati Berita Baik tentang Yesus Tuhan kita. Mereka akan menerima hukuman kebinasaan selama-lamanya; mereka akan terpisah daripada hadirat Tuhan dan kekuasaan-Nya yang mulia. Semua itu akan berlaku, apabila Tuhan datang pada Hari itu kelak untuk menerima kemuliaan daripada semua umat-Nya dan penghormatan daripada semua orang yang percaya kepada-Nya. Kamu pun akan bersama-sama umat Allah itu, kerana kamu percaya kepada perkhabaran yang kami sampaikan. Itulah sebabnya kami sentiasa mendoakan kamu. Kami berdoa supaya Allah menjadikan kamu layak untuk hidup menurut kehendak-Nya; untuk hal itulah Dia telah memanggil kamu. Semoga Allah dengan kekuasaan-Nya memenuhi segala keinginan kamu untuk berbuat baik, dan menyempurnakan segala usaha yang kamu lakukan, kerana percaya kepada Kristus. Dengan demikian Yesus Tuhan kita akan kamu muliakan dan kamu pun akan dimuliakan oleh-Nya. Semuanya akan berlaku kerana rahmat Allah kita dan rahmat Tuhan Yesus Kristus. Tentang kedatangan Tuhan kita Yesus Kristus dan tentang hal kita dikumpulkan bersama-sama Dia kelak, aku menggesa kamu, saudara-saudaraku supaya hal-hal ini tidak berlaku. Janganlah kamu gelisah, dan janganlah fikiran kamu cepat dikelirukan kerana orang berkata bahawa hari kedatangan Tuhan sudah tiba. Mungkin ada yang berpendapat bahawa kami mengatakan demikian semasa bernubuat atau mengajar atau menulisnya di dalam surat. Janganlah biarkan orang menipu kamu, kerana hari itu hanya akan tiba, apabila banyak orang memberontak terhadap Allah, dan Manusia Jahat yang ditetapkan masuk ke neraka, menampilkan diri. Dia akan melawan semua yang disebut tuhan. Dia menganggap dirinya lebih berkuasa daripada semua yang disembah oleh manusia. Bahkan dia akan masuk ke Rumah Allah dan duduk di situ serta mengisytiharkan dirinya sebagai Allah. Ingatlah bahawa aku pernah memberitahu kamu semua itu semasa aku bersama-sama kamu. Namun kamu tahu bahawa ada sesuatu yang menghalang perkara itu daripada berlaku sekarang ini. Manusia Jahat itu akan menampilkan diri pada masa yang ditentukan oleh Allah. Kekuasaan yang melakukan kejahatan sudah mula bertindak secara rahsia. Tetapi perkara yang akan berlaku itu tidak akan terjadi, selagi yang menahannya tidak disingkirkan. Kemudian Manusia Jahat itu akan kelihatan, tetapi apabila Tuhan Yesus datang, Dia akan membunuh Manusia Jahat itu dengan nafas dari mulut-Nya, dan membinasakannya dengan kegemilangan hadirat-Nya. Manusia Jahat itu akan datang dengan kuasa Iblis. Dia akan melakukan segala macam mukjizat dan keajaiban yang menyesatkan orang. Dia akan menggunakan segala tipu muslihat jahat untuk menyesatkan semua orang yang akan binasa. Mereka akan binasa kerana tidak mahu menerima atau menghargai berita benar daripada Allah yang dapat menyelamatkan mereka. Itulah sebabnya Allah mengirim kuasa yang menyesatkan kepada mereka sehingga mereka percaya kepada apa yang tidak benar. Akibatnya, semua orang yang tidak percaya kepada berita benar daripada Allah, tetapi menyukai dosa akan dihukum. Kami mesti sentiasa bersyukur kepada Allah bagi kamu, saudara-saudara yang dikasihi Tuhan. Hal itu demikian kerana Allah telah memilih kamu antara orang yang terdahulu sekali diselamatkan-Nya. Dengan kuasa Roh-Nya dan dengan kepercayaan kamu kepada berita benar daripada Allah, Allah telah menjadikan kamu umat-Nya yang suci. Allah memanggil kamu melalui Berita Baik yang kami khabarkan kepada kamu. Dia memanggil kamu supaya ikut memiliki kemuliaan Tuhan kita Yesus Kristus. Oleh itu, saudara-saudaraku, kamu harus tetap percaya dan berpegang kepada ajaran-ajaran yang telah kami sampaikan, baik secara lisan mahupun bertulis. [16-17] Allah Bapa kita mengasihi kita, dan kerana rahmat-Nya Dia menyebabkan kita sentiasa tabah mengharapkan yang baik. Semoga Dia dan Tuhan kita Yesus Kristus sendiri menggalakkan kamu dan menguatkan kamu untuk melakukan dan mengatakan yang baik. Akhirnya, saudara-saudaraku, berdoalah untuk kami, supaya perkhabaran Tuhan boleh terus tersebar dengan cepat dan diterima dengan baik, sebagaimana halnya antara kamu dahulu. Berdoalah juga supaya Allah menyelamatkan kami daripada orang yang kejam dan jahat, kerana tidak semua orang percaya kepada perkhabaran itu. Tetapi Tuhan kita setia. Dia akan menguatkan kamu dan menyelamatkan kamu daripada Si Jahat. Tuhanlah yang menyebabkan kami mempercayai kamu, dan kami yakin bahawa kamu sedang melakukan dan akan terus melakukan apa yang kami beritahu kamu. Semoga Tuhan memimpin kamu untuk lebih memahami kasih Allah dan ketabahan yang diberikan oleh Kristus. Saudara-saudaraku, demi nama Tuhan Yesus Kristus, kami memerintah kamu supaya menjauhkan diri daripada semua saudara yang hidup bermalas-malas, dan yang tidak mengikut ajaran yang kami berikan. Kamu sendiri tahu bahawa kamu harus melakukan apa yang telah kami lakukan. Semasa kami bersama-sama kamu, kami tidak bermalas-malas. Kami membayar semua makanan yang kami makan. Kami bekerja dengan tidak mengenal lelah, supaya kami tidak menjadi beban kepada sesiapa pun di kalangan kamu. Kami berbuat demikian bukan kerana kami tidak berhak menuntut pertolongan kamu, tetapi supaya kami menjadi teladan kepada kamu. Semasa kami bersama-sama kamu, kami memberikan peraturan berikut, “Orang yang tidak mahu bekerja, tidak boleh makan.” Kami berkata demikian kerana kami mendengar bahawa ada beberapa orang di kalangan kamu yang bermalas-malas. Mereka tidak melakukan sesuatu pun kecuali mencampuri urusan orang lain. Demi nama Tuhan Yesus Kristus kami memerintah dan memperingatkan orang seperti itu, bahawa mereka mesti hidup dengan sepatutnya dan mencari nafkah sendiri. Tetapi kamu, saudara-saudara seiman, janganlah jemu berbuat baik. Mungkin ada orang yang tidak mahu mengikut apa yang kami katakan di dalam surat ini. Jika demikian, perhatikanlah mereka dan jangan bergaul dengan mereka agar mereka malu. Tetapi janganlah anggap mereka sebagai musuh. Sebaliknya, nasihatilah mereka sebagai saudara. Semoga Tuhan, sumber kesejahteraan kita, sentiasa mengurniai kamu kesejahteraan dalam segala hal. Tuhan menyertai kamu semua. Dengan tanganku sendiri aku menulis kata-kata ini: Salam daripada Paulus. Demikianlah caraku menandatangani semua suratku dan beginilah aku menulisnya. Semoga Tuhan kita Yesus Kristus memberkati kamu semua. Surat ini daripada Paulus yang menjadi rasul Kristus Yesus dengan perintah Allah, Penyelamat kita dan Kristus Yesus, harapan kita. Aku menulis surat ini kepada Timotius, yang dalam iman kita kepada Kristus, bagaikan anakku sendiri. Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Tuhan kita mengurniai engkau berkat, rahmat dan kesejahteraan. Aku ingin engkau tinggal di Efesus sebagaimana aku tekankan pada waktu aku pergi ke Makedonia. Beberapa orang di Efesus sedang menyebarkan ajaran sesat, dan engkau mesti menyuruh mereka berhenti mengajarkannya. Suruhlah mereka berhenti mengajarkan dongeng dan senarai nenek moyang yang sangat panjang. Semua itu hanya menimbulkan pertengkaran dan tidak berguna bagi rancangan Allah yang dapat diketahui melalui kepercayaan kepada-Nya. Perintah ini bertujuan menjadikan kita saling mengasihi dengan kasih yang berasal daripada hati yang murni, hati nurani yang suci, dan kepercayaan yang sungguh-sungguh kepada Tuhan. Beberapa orang sudah menyimpang daripada hal-hal itu, lalu tersesat dalam perbincangan yang sia-sia. Mereka ingin menjadi guru Taurat, tetapi mereka tidak memahami kata-kata mereka sendiri ataupun hal-hal yang dikemukakan mereka dengan penuh keyakinan. Kita tahu bahawa Taurat baik, jika digunakan dengan betul. Perlu diingat bahawa hukum diadakan bukan untuk orang baik, tetapi untuk orang jahat dan pelanggar hukum, orang yang tidak mengenal Allah dan orang berdosa, orang yang tidak salih dan yang duniawi, orang yang membunuh ayah atau ibu, pembunuh, orang yang cabul dan yang memburit, pedagang abdi, pembohong, saksi palsu, dan sesiapa sahaja yang membuat perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran yang benar. Ajaran itu terdapat di dalam Berita Baik yang dipercayakan kepadaku untuk diisytiharkan. Berita Baik yang mulia itu diberikan oleh Allah yang patut dipuji. Aku bersyukur kepada Kristus Yesus Tuhan kita, yang sudah memberi aku kekuatan untuk menjalankan pekerjaanku. Aku berterima kasih kepada-Nya, kerana Dia menganggap aku layak, dan telah melantik aku untuk melakukan tugas itu, meskipun dahulu aku mengkufuri, menganiaya dan menghina Dia. Tetapi Allah mengasihani aku, kerana pada waktu itu aku tidak percaya kepada Kristus, sehingga aku tidak tahu apa yang aku lakukan. Tetapi Tuhan kita melimpahkan rahmat-Nya kepadaku. Dia membolehkan aku percaya kepada-Nya dan mengasihi orang lain, kerana hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Pernyataan ini sungguh benar dan harus diterima serta dipercayai sepenuhnya: Kristus Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan orang berdosa. Akulah yang paling jahat, tetapi justeru kerana itulah Allah mengasihani aku, supaya Kristus Yesus dapat menunjukkan kesabaran dengan sepenuhnya terhadap aku, orang yang paling berdosa. Hal ini menjadi contoh untuk semua orang yang kelak akan percaya kepada-Nya dan mendapat hidup sejati dan kekal. Hendaklah Allah, Raja yang kekal, yang hidup selama-lamanya, yang tidak kelihatan, dan yang esa, dihormati serta dimuliakan selama-lamanya! Amin. Timotius, anakku, arahan ini aku berikan kepadamu, sesuai dengan nubuat tentang dirimu yang disampaikan dahulu. Gunakanlah kata-kata nubuat itu sebagai senjatamu dalam perjuangan yang baik itu. Hendaklah imanmu menjadi pegangan hidup dan hendaklah engkau mempunyai hati nurani yang suci. Ada orang yang tidak mempedulikan hati nurani, sehingga iman mereka hancur. Himeneus dan Aleksander tergolong kepada orang yang sedemikian. Aku telah menghukum kedua-duanya dengan menyerahkan mereka kepada kuasa Iblis, untuk mengajar mereka berhenti mengkufuri Allah. Pertama sekali aku menggesa supaya doa permohonan dan ucapan syukur disampaikan kepada Allah untuk semua orang, untuk raja-raja dan semua penguasa. Berdoalah kepada Allah supaya kita boleh hidup dengan aman dan tenteram. Kita harus menghormati Allah, dan berlaku sopan terhadap orang lain. Hal ini baik dan menyenangkan hati Allah, Penyelamat kita. Dia mahu semua orang diselamatkan serta mengetahui ajaran benar tentang penyelamatan, kerana hanya ada satu Allah dan hanya ada satu yang dapat memimpin manusia kepada Allah, iaitu Kristus Yesus yang datang ke bumi sebagai manusia. Dia telah menyerahkan diri-Nya untuk menyelamatkan manusia daripada dosa. Hal ini membuktikan bahawa pada waktu yang tepat, Allah menghendaki semua orang diselamatkan. Itulah sebabnya aku diutus sebagai rasul dan guru kepada orang bukan Yahudi untuk memberitakan perkhabaran tentang iman yang benar. Aku tidak berdusta. Aku mengatakan yang benar! Aku mahu orang lelaki berdoa di mana-mana sahaja dengan hati yang suci, tanpa kemarahan ataupun pertengkaran. Aku juga mahu kaum wanita menghias diri dengan sederhana dan mengenakan pakaian yang senonoh. Jangan dandani diri dengan potongan rambut yang bukan-bukan, atau perhiasan emas atau mutiara, atau pakaian yang mahal-mahal. Sebaliknya, wanita harus menghias diri dengan perbuatan baik yang sepatutnya dilakukan oleh wanita yang mengabdikan diri kepada Allah. Wanita harus belajar dengan berdiam diri dan dengan rendah hati. Aku tidak membenarkan wanita mengajar ataupun memerintahi lelaki; wanita mesti berdiam diri. Hal ini demikian kerana Adam yang diciptakan dahulu, kemudian barulah Hawa. Lagi pula bukan Adam yang ditipu, tetapi wanita yang tertipu, sehingga melanggar perintah Allah. Meskipun demikian wanita akan diselamatkan dengan melahirkan anak, jika dengan rendah hati mereka tetap beriman, mengasihi orang lain, dan hidup suci. Sungguh benar kata-kata ini, “Seseorang yang ingin menjadi pemimpin jemaah, dia menginginkan pekerjaan yang sangat baik.” Seorang pemimpin jemaah haruslah orang yang tidak bercela. Dia mesti mempunyai seorang isteri sahaja, bijaksana, tahu mengawal diri, dan tertib kelakuannya. Dia mesti suka menyambut orang ke rumahnya, dapat mengajar orang, dan bukan seorang pemabuk yang suka berkelahi. Sebaliknya, dia mesti lemah-lembut dan suka akan kedamaian. Dia tidak boleh tamak akan wang. Dia mesti tahu mengurus rumah tangganya dengan baik dan mendidik anak-anaknya agar menurut perintahnya serta menghormati dia. Jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia dapat mengurus jemaah Allah? Pemimpin jemaah seharusnya bukan orang yang baru sahaja menjadi Kristian, kerana nanti dia menjadi sombong lalu terkutuk seperti Iblis dahulu. Dia mestilah seorang yang dihormati oleh orang di luar jemaah, supaya dia tidak dipermalukan lalu jatuh ke dalam perangkap Iblis. Penolong jemaah mestilah juga orang yang baik sifatnya dan tulus. Mereka tidak boleh minum terlalu banyak wain atau tamak akan wang. Dengan hati nurani yang murni, mereka mesti berpegang kepada ajaran iman Kristian yang sudah dinyatakan oleh Allah. Mereka harus diuji dahulu dan jika terbukti mereka tidak bercela, barulah mereka boleh membantu. Isteri mereka pun mestilah orang yang baik sifatnya. Mereka tidak boleh mengumpat; mereka haruslah tahu mengawal diri dan jujur dalam segala perkara. Seorang penolong jemaah mesti mempunyai seorang isteri sahaja. Dia mesti tahu mendidik anak-anaknya dan mengurus rumah tangganya dengan baik. Pembantu jemaah yang menjalankan tugas dengan baik akan dihormati, dan mereka dapat bercakap dengan kewibawaan tentang kepercayaan mereka kepada Kristus Yesus. Semasa aku menulis surat ini kepadamu, aku berharap dapat segera pergi melawat engkau. Tetapi jika aku terlambat, surat ini akan memberitahu engkau bagaimana kita harus hidup sebagai orang Kristian. Kita anggota keluarga Allah, iaitu jemaah Allah yang hidup. Jemaah inilah tiang dan penunjang ajaran yang benar tentang Allah. Tidak seorang pun dapat menafikan betapa mulianya rahsia kepercayaan kita: Kristus Yesus menampakkan diri dengan rupa manusia, dan dinyatakan benar oleh Roh Allah, serta dilihat oleh para malaikat. Dia diisytiharkan antara bangsa-bangsa, dan Dia dipercayai di seluruh dunia, dan telah diangkat ke syurga. Roh Allah dengan jelas mengatakan bahawa pada akhir zaman beberapa orang akan menyangkal Kristus. Mereka akan taat kepada roh yang menyesatkan dan kepada ajaran roh jahat. Ajaran itu disampaikan oleh orang munafik dan pendusta yang tidak mempedulikan suara hati mereka. Mereka mengajar orang supaya tidak berkahwin dan tidak memakan makanan tertentu. Tetapi Allah menciptakan makanan untuk dimakan, dan kita sebagai orang Kristian yang mengenal ajaran yang benar harus menerima semua makanan dengan mengucap syukur kepada-Nya. Segala sesuatu yang sudah diciptakan oleh Allah itu baik. Tiada satu pun yang harus ditolak. Terimalah segala-galanya dengan mengucap syukur kepada-Nya, kerana firman Allah dan doa yang diucapkan menjadikan makanan itu suci. Jika engkau memberikan semua petunjuk ini kepada saudara-saudara seiman, engkau akan menjadi hamba Kristus Yesus yang baik. Teguhkanlah hidup kerohanianmu dengan ajaran iman Kristian dan ajaran benar yang telah engkau ikuti. Jauhkanlah dirimu daripada cerita-cerita tahayul yang jahat dan sia-sia. Latihlah dirimu untuk kehidupan yang beribadat. Latihan jasmani ada faedahnya, tetapi latihan rohani sangat berfaedah dalam segala hal, kerana latihan rohani memberikan faedah kepada hidup kita baik sekarang mahupun pada masa yang akan datang. Kata-kata ini sungguh benar dan harus benar-benar diterima serta dipercayai. Kita berjuang dan bekerja keras, kerana kita berharap sepenuhnya kepada Allah yang hidup, Penyelamat semua orang, terutama sekali orang yang percaya kepada-Nya. Ajarkanlah semua itu dan suruhlah mereka mentaatinya. Jangan biarkan sesiapa pun menghina engkau kerana engkau muda. Sebaliknya, hendaklah engkau menjadi teladan bagi semua orang yang percaya kepada Kristus dengan percakapanmu, kelakuanmu, kasihmu untuk orang lain, imanmu kepada Kristus dan cara hidupmu yang suci. Sementara itu sehingga aku datang kelak, gunakanlah masamu dengan membaca Alkitab kepada jemaah, dan berkhutbah serta mengajar. Janganlah abaikan pemberian yang dikurniakan oleh Allah kepadamu pada masa nabi-nabi menyampaikan perkhabaran Allah tentang dirimu, dan para pemimpin jemaah memberkatimu dengan meletakkan tangan pada kepalamu. Lakukanlah semuanya tanpa mengenal lelah, supaya kemajuanmu dilihat oleh semua orang. Berhati-hatilah dengan dirimu sendiri dan ajaranmu. Jika engkau selalu melakukannya, engkau akan menyelamatkan baik dirimu sendiri mahupun orang yang mendengar engkau. Janganlah marahi orang yang lebih tua daripadamu, tetapi hendaklah engkau bercakap kepadanya seolah-olah dia bapamu. Perlakukanlah orang muda seperti saudaramu, dan wanita tua seperti ibu. Dengan hati yang tulus, hendaklah engkau memperlakukan wanita muda seperti adik. Hormatilah balu yang benar-benar hidup seorang diri. Tetapi jika seorang balu mempunyai anak cucu, mereka inilah yang harus terlebih dahulu menjalankan kewajipan agama terhadap kaum keluarga sendiri. Dengan cara itu mereka membalas budi ibu bapa, nenek, dan datuk. Perbuatan ini menyenangkan hati Allah. Seorang balu yang benar-benar seorang diri, tanpa seseorang yang dapat memeliharanya, hanya berharap kepada Allah. Siang malam dia berdoa kepada Allah meminta pertolongan-Nya. Tetapi seorang balu yang hidup berfoya-foya, dia ini sudah pun mati meskipun dia masih hidup. Sampaikanlah petunjuk-petunjuk ini kepada mereka, supaya jangan sesiapa pun dapat mencela mereka. Jika seseorang tidak memelihara sanak saudaranya, apa lagi anggota keluarganya sendiri, dia menyangkal Kristus. Dia lebih jahat daripada orang yang tidak beriman. Seorang balu yang memenuhi syarat-syarat berikut ini boleh digolongkan ke dalam senarai balu: umurnya harus lebih daripada enam puluh tahun, hanya berkahwin sekali, dan terkenal kerana perbuatannya yang baik, misalnya membesarkan anak-anaknya dengan baik, menyambut orang ke dalam rumahnya, melayani orang seiman, menolong orang susah, dan sentiasa melakukan apa yang baik. Jangan golongkan balu muda ke dalam senarai itu. Jika perasaan berahi mereka timbul, mereka ingin berkahwin lagi. Dengan demikian mereka meninggalkan Kristus, lalu bersalah kerana memungkiri janji mereka kepada Kristus. Selain daripada itu mereka suka membuang masa dengan keluar masuk rumah orang. Tetapi yang lebih buruk lagi, mereka mengumpat dan turut campur urusan orang lain serta mempercakapkan perkara-perkara yang tidak seharusnya dikatakan. Oleh itu aku mahu supaya balu muda berkahwin lagi, mempunyai anak dan mengurus rumah tangga, agar musuh kita tidak berpeluang menjahatkan nama kita. Hal itu demikian kerana ada balu yang sudah meninggalkan Kristus lalu mengikut Iblis. Tetapi jika seorang wanita Kristian mempunyai anggota keluarga yang sudah menjadi balu, hendaklah dia memelihara mereka dan tidak membebani jemaah dengan tugas itu. Dengan demikian jemaah dapat menolong balu yang sama sekali tidak mempunyai sanak keluarga. Pemimpin jemaah yang menjalankan tugas dengan baik sebagai pemimpin, layak menerima bayaran dua kali ganda, terutama sekali mereka yang rajin berkhutbah dan mengajar. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Janganlah berangus mulut lembu yang sedang mengirik biji-bijian,” dan juga, “Orang yang bekerja layak menerima upah.” Janganlah percaya tuduhan terhadap seorang pemimpin jemaah, kecuali tuduhan itu diperkuat oleh dua atau tiga orang saksi. Orang yang berbuat dosa harus ditegur di hadapan jemaah, supaya yang lain menjadi takut. Di hadapan Allah, Kristus Yesus, dan malaikat-malaikat yang suci, aku mengarahkan engkau mentaati perintah-perintah ini tanpa prasangka terhadap sesiapa pun dan tidak berat sebelah. Janganlah tergesa-gesa letakkan tangan pada seseorang untuk melantik dia sebagai hamba Tuhan. Jika orang lain berdosa, janganlah terikut-ikut. Jagalah supaya dirimu tetap murni. Jangan minum air sahaja, tetapi minumlah sedikit wain untuk menolong pencernaanmu, kerana engkau sering sakit. Dosa beberapa orang sudah nyata sebelum diadili, tetapi dosa beberapa orang lain akan ketahuan kemudian. Demikian juga perbuatan baik mudah dilihat dan yang tidak kelihatan pun tidak akan tetap tersembunyi. Orang Kristian yang menjadi abdi mesti menghormati tuan mereka, supaya orang tidak dapat memburukkan nama Allah ataupun ajaran kita. Abdi Kristian yang menjadi milik orang Kristian, tidak boleh menghina tuan mereka, kerana mereka saudara seiman. Sebaliknya, abdi harus melayani tuan mereka dengan lebih baik, kerana orang yang menikmati pelayanan itu saudara seiman yang dikasihi. Engkau harus mengajarkan perkara-perkara ini kepada jemaah dan menggalakkan mereka melakukannya. Sesiapa mengajarkan ajaran yang bertentangan dengan ajaran benar daripada Tuhan kita Yesus Kristus dan ajaran agama kita, dia sombong dan tidak tahu apa-apa! Keinginannya tidak wajar. Dia suka berdebat dan bertengkar tentang istilah sehingga mengakibatkan kecemburuan, perselisihan, penghinaan, kecurigaan, dan pertengkaran yang tidak habis-habis dengan semua orang yang tidak tahu berfikir dan tidak mengenal apa yang benar. Mereka menyangka dapat menjadi kaya kerana beragama. Agama memang menyebabkan orang menjadi kaya, jika orang puas dengan apa yang dimiliki. Adakah kita membawa sesuatu ke dalam dunia ini? Tidak! Dapatkah kita membawa sesuatu ke luar dunia ini? Tidak! Oleh itu, cukuplah jika kita mempunyai pakaian dan makanan. Orang yang ingin menjadi kaya tergoda dan terjerat oleh bermacam-macam keinginan yang sia-sia dan mencelakakan. Keinginan seperti itu menjatuhkan dan membinasakan orang. Sikap mencintai wang menimbulkan segala macam kejahatan. Ada orang yang mengejar wang, sehingga menyangkal Kristus dan akhirnya menderita serta berdukacita. Tetapi engkau, hai orang yang melakukan kehendak Allah, jauhkanlah dirimu daripada segala perkara itu. Berusahalah supaya sentiasa melakukan kehendak Allah, hidup beribadat, sentiasa percaya kepada Kristus, mengasihi saudara seiman, tabah menghadapi penderitaan, dan bersikap lemah-lembut. Berjuanglah sungguh-sungguh untuk hidup sebagai orang Kristian yang setia, supaya engkau merebut hadiah hidup sejati dan kekal, kerana untuk hidup itulah Allah memanggil engkau apabila engkau mengaku percaya kepada Kristus di hadapan banyak orang. Di hadapan Allah yang memberikan nyawa kepada semua makhluk, dan juga di hadapan Kristus Yesus yang memberikan kesaksian yang benar kepada Pontius Pilatus, aku menggesa engkau: Taatilah semua perintah itu dengan saksama supaya orang tidak dapat mencelamu, sehingga pada hari Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali. Kedatangan-Nya akan ditentukan pada waktu yang tepat oleh Allah sendiri. Dialah Penguasa Satu-satunya, Raja Yang Terutama dan Tuhan Yang Agung. Dialah satu-satunya yang hidup selama-lamanya. Dia hidup dalam cahaya yang tidak dapat didekati oleh sesiapa pun. Tiada seorang pun pernah melihat Dia atau dapat melihat-Nya. Hendaklah Dia selalu dihormati dan berkuasa selama-lamanya! Amin. Nasihatilah orang yang kaya dengan harta dunia, supaya jangan sombong dan jangan bergantung kepada barang-barang yang tidak tetap, seperti kekayaan. Berharaplah kepada Allah yang mengurniai kita segala sesuatu dengan berlimpah-limpah untuk dinikmati. Nasihatilah mereka supaya berbuat baik, supaya rajin berbuat kebajikan, murah hati, dan suka memberi. Dengan jalan ini mereka mengumpulkan harta yang akan menjadi asas yang kukuh untuk masa depan. Dengan demikian mereka akan mendapat hidup kekal iaitu hidup sejati. Timotius, jagalah baik-baik apa yang telah dipercayakan kepadamu. Jauhkanlah dirimu daripada percakapan yang tidak berguna dan perdebatan yang sia-sia tentang hal-hal yang disebut orang sebagai “Pengetahuan”. Ada orang yang mengaku memiliki pengetahuan itu, tetapi akibatnya mereka menyimpang daripada ajaran Kristian. Semoga Allah memberkati kamu semua. Surat ini daripada Paulus yang menjadi rasul Kristus Yesus kerana kehendak Allah, dan yang diutus untuk mengisytiharkan hidup yang dijanjikan oleh Allah. Hidup itu kita terima kerana bersatu dengan Kristus Yesus. Aku menulis surat ini untuk Timotius, anakku yang aku kasihi. Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Tuhan kita mengurniai engkau berkat, rahmat, dan kesejahteraan. Aku bersyukur kepada Allah yang aku sembah dengan hati nurani yang murni, seperti yang dilakukan nenek moyangku dahulu. Semasa berdoa, aku bersyukur kepada Allah setiap kali aku teringat akan engkau, baik siang mahupun malam. Aku ingat akan tangisanmu dan aku ingin sekali berjumpa dengan engkau supaya aku benar-benar gembira. Aku teringat akan imanmu yang sungguh-sungguh itu, seperti iman nenekmu Lois dan ibumu Eunike. Aku yakin bahawa engkau pun memiliki iman itu. Itulah sebabnya aku mengingatkan engkau supaya sentiasa menggunakan pemberian yang dikurniakan oleh Allah kepadamu pada waktu aku meletakkan tanganku pada kepalamu. Roh yang diberikan oleh Allah kepada kita tidak menjadikan kita penakut, sebaliknya Roh Allah melengkapi kita dengan kuasa, kasih, dan kekuatan untuk mengawal diri. Oleh itu, janganlah malu memberikan kesaksian tentang Tuhan kita dan juga janganlah malu akan aku, yang dipenjarakan kerana Kristus. Sebaliknya, hendaklah engkau dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah, turut menderita untuk Berita Baik itu. Allah menyelamatkan dan memanggil kita menjadi umat-Nya sendiri, bukan kerana apa yang sudah kita lakukan, tetapi kerana tujuan-Nya dan rahmat-Nya sendiri. Dia memberikan kita rahmat-Nya melalui Kristus Yesus sebelum dunia ini diciptakan. Tetapi sekarang rahmat-Nya telah dinyatakan kepada kita dengan kedatangan Penyelamat kita, Kristus Yesus. Yesus sudah mengalahkan kuasa kematian dan membawa hidup yang kekal melalui Berita Baik itu. Allah sudah melantik aku menjadi rasul dan guru untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. Itulah sebabnya aku menderita semua ini. Tetapi aku tetap yakin, kerana aku mengenal siapa yang aku percayai. Aku yakin bahawa Dia berkuasa menjaga apa yang telah dipercayakan-Nya kepadaku sehingga Hari Kiamat. Ikutilah ajaran benar yang telah aku ajarkan kepadamu. Hendaklah engkau tetap berpegang kepada iman dan kasih yang menjadi milik kita kerana bersatu dengan Kristus Yesus. Dengan kuasa Roh Allah yang hidup di dalam kita, jagalah Berita Baik yang telah dipercayakan kepadamu, seperti engkau menjaga harta yang berharga. Engkau tahu bahawa semua orang di wilayah Asia telah meninggalkan aku, termasuk Figelus dan Hermogenes. Semoga Tuhan mengasihani keluarga Onesiforus, kerana Onesiforus sering menggembirakan hatiku. Meskipun aku dipenjarakan, dia tidak malu dengan keadaanku. Setibanya di Roma, dia mula mencari aku sehingga bertemu dengan aku. Semoga Tuhan mengasihani dia pada Hari Kiamat. Engkau pun tahu bahawa dia sangat menolong aku di Efesus. Timotius, anakku! Kuatkanlah dirimu dengan rahmat-Nya yang menjadi milik kita, kerana kita bersatu dengan Kristus Yesus. Ajaran yang engkau dengar ketika aku mengisytiharkannya di hadapan banyak saksi, hendaklah engkau percayakan kepada orang yang boleh dipercayai dan yang dapat mengajar orang lain. Engkau juga harus turut menderita sebagai askar Kristus Yesus yang setia. Seorang askar yang sedang bertugas ingin menyenangkan hati komandannya. Dia tidak membabitkan diri dengan urusan orang awam. Seorang olahragawan tidak akan memenangi hadiah kecuali dia mentaati peraturan. Peladang yang bekerja keras patut mendapat bahagian pertama daripada hasil tuaian. Renungkanlah apa yang aku katakan ini, kerana Tuhan akan membolehkan engkau memahami semuanya. Ingatlah akan hal ini: Menurut Berita Baik yang aku isytiharkan, Yesus Kristus telah dibangkitkan daripada kematian dan Dia keturunan Daud. Oleh sebab aku mengisytiharkan Berita Baik itu, aku menderita, bahkan aku dirantai seperti seorang penjahat. Tetapi firman Allah tidak dapat dirantai. Itulah sebabnya aku bertabah hati menanggung semuanya demi kepentingan umat yang telah dipilih oleh Allah, supaya mereka juga mendapat penyelamatan yang diberikan melalui Kristus Yesus dan yang disertai kemuliaan yang kekal. Sungguh benar kenyataan ini: “Jika kita mati bersama-sama Dia, kita juga akan hidup bersama-sama Dia. Jika kita tetap bertabah, kita juga akan memerintah bersama-sama Dia. Jika kita menyangkal Dia, Dia juga akan menyangkal kita. Jika kita tidak setia, Dia tetap setia, kerana Dia tidak dapat bertentangan dengan diri-Nya sendiri.” Nasihatilah ahli jemaahmu dan ingatkan mereka di hadapan Allah, supaya jangan bertengkar tentang istilah. Perkara itu tidak ada gunanya, malahan merosakkan iman orang yang mendengarnya. Berusahalah sebaik-baiknya untuk mendapat pujian daripada Allah, seperti seorang pekerja yang tidak malu dengan pekerjaannya. Hendaklah engkau mengajar ajaran benar daripada Allah dengan betul. Jauhkanlah dirimu daripada percakapan yang sia-sia dan menghina Allah. Percakapan seperti itu hanya membuat orang semakin jauh daripada Allah. Ajaran mereka itu seperti luka yang mengudis dan tidak dapat sembuh. Dua orang daripada mereka ialah Himeneus dan Filitus. Mereka telah menyimpang daripada ajaran yang benar, dan sekarang merosakkan iman sesetengah orang yang percaya kepada Kristus. Mereka berkata bahawa kebangkitan daripada kematian sudah berlaku. Tetapi asas kukuh yang sudah diletakkan oleh Allah tidak dapat digoncangkan. Di atasnya tertulis kata-kata ini: “Tuhan mengenal orang milik-Nya,” dan “Sesiapa yang berkata bahawa dia milik Tuhan, mesti berhenti melakukan perbuatan yang salah.” Di dalam rumah yang besar ada bermacam-macam pinggan mangkuk. Ada yang dibuat daripada perak dan emas, ada juga yang dibuat daripada kayu dan tanah. Ada yang digunakan untuk keperluan istimewa, ada juga yang digunakan untuk keperluan biasa. Sesiapa yang membersihkan diri daripada segala ajaran sesat, akan digunakan untuk tujuan yang mulia. Dia telah mengabdikan diri kepada Tuannya dan berguna bagi-Nya. Dia sedia digunakan untuk semua pekerjaan yang baik. Jauhkanlah diri daripada nafsu orang muda. Berusahalah untuk hidup menurut kehendak Allah, setia kepada-Nya, mengasihi saudara seiman, dan hidup damai dengan mereka. Lakukanlah semua perkara itu bersama-sama mereka yang meminta pertolongan Tuhan dengan hati yang tulus. Jauhkan diri daripada perdebatan yang sia-sia dan tidak berguna. Engkau tahu bahawa semua itu hanya menimbulkan pertengkaran. Hamba Tuhan tidak sepatutnya bertengkar. Dia mesti ramah dengan semua orang dan dapat mengajar orang dengan baik dan sabar. Dia mesti menasihati lawannya dengan lemah lembut. Mudah-mudahan Allah memberi mereka peluang untuk bertaubat daripada dosa dan untuk mengenal ajaran yang benar. Lalu mereka akan insaf dan terlepas daripada perangkap Iblis yang telah menawan dan memaksa mereka mengikut kehendaknya. Ingatlah hal ini! Pada hari-hari terakhir akan timbul banyak kesusahan. Manusia akan mementingkan diri sendiri, tamak dan serakah, sombong dan bongkak. Mereka akan menghina dan melawan ibu bapa, tidak tahu berterima kasih dan tidak mahu mengenal Allah. Mereka tidak mengasihi sesama manusia, tidak berbelas kasihan, suka mengumpat, suka akan keganasan; mereka kejam dan benci akan kebaikan. Mereka suka berkhianat, tidak berfikir panjang dan sombong. Mereka lebih menyukai kesenangan dunia daripada mengasihi Allah. Pada lahirnya mereka menjalankan kewajipan agama kita, tetapi mereka tidak menurut ajarannya. Jauhkanlah dirimu daripada mereka. Beberapa orang daripada mereka pergi ke rumah orang, lalu menguasai wanita yang tidak berpendirian dan dibebani perasaan berdosa serta dipengaruhi segala macam keinginan. Wanita-wanita itu selalu ingin belajar tetapi tidak dapat mengetahui ajaran yang benar itu. Sebagaimana Yanes dan Yambres melawan Musa dahulu, demikianlah juga semua orang ini menentang ajaran Allah. Fikiran mereka rosak dan iman mereka hancur. Tetapi mereka tidak akan berjaya, kerana semua orang akan tahu tentang kebodohan mereka, seperti yang dialami oleh Yanes dan Yambres dahulu. Tetapi engkau telah mengikut ajaranku, kelakuanku, dan tujuan hidupku. Engkau telah memperhatikan bagaimana aku sungguh percaya kepada Kristus dan sabar menanggung penderitaan; bagaimana aku mengasihi saudara seiman dan bertabah hati. Engkau melihat bagaimana aku menanggung penganiayaan dan penderitaan. Engkau tahu akan segala yang berlaku kepadaku di Antiokhia, Ikonium, dan Listra. Aku telah dianiaya dengan kejam, tetapi aku diselamatkan oleh Tuhan daripada semuanya. Semua orang yang mahu hidup beribadat dan bersatu dengan Kristus akan dianiaya. Orang jahat dan penipu akan menjadi semakin jahat. Mereka menipu orang lain, padahal mereka sendiri juga tertipu. Tetapi Timotius, hendaklah engkau tetap berpegang kepada ajaran benar yang sudah diajarkan kepadamu dan yang engkau percayai dengan sepenuhnya. Engkau mengetahui siapa guru-gurumu dahulu, dan sejak kecil lagi engkau telah mengenal Alkitab. Alkitab itu boleh memberi engkau kebijaksanaan untuk mendapat penyelamatan melalui iman kepada Kristus Yesus. Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan membetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Allah. Dengan Alkitab, orang yang mengabdikan diri kepada Allah dapat dilengkapi dengan sempurna untuk melakukan segala macam pekerjaan yang baik. Kristus Yesus akan datang lagi untuk menghakimi orang yang hidup dan yang mati. Dia akan datang untuk memerintah sebagai Raja. Oleh itu, di hadapan Allah dan Kristus Yesus, dengan sepenuh hati aku menggesa engkau supaya mengkhabarkan berita daripada Allah dan sentiasa bertekun untuk mengisytiharkannya, baik masanya tepat atau tidak. Hendaklah engkau meyakinkan orang, menunjukkan kesalahan mereka dan memberikan galakan kepada mereka. Ajarlah orang dengan segala kesabaran. Akan tiba masanya apabila orang tidak mahu mendengar ajaran yang benar. Mereka akan menuruti keinginan sendiri dan mengumpulkan banyak guru yang mahu mengajar perkara-perkara yang ingin didengar oleh mereka. Mereka akan menutup telinga terhadap apa yang benar, tetapi menumpukan perhatian kepada cerita dongeng. Dalam keadaan apa pun, engkau mesti tahu mengawal diri. Tabahlah dalam penderitaan, laksanakan tugas mengisytiharkan Berita Baik, dan jalankanlah kewajipanmu sebagai hamba Allah dengan sebaik-baiknya. Tentang diriku, sudah tiba masanya aku akan mati sebagai korban kepada Allah. Tidak lama lagi aku meninggalkan dunia ini. Aku sudah berusaha dengan sebaik-baiknya dalam perlumbaan dan aku sudah sampai di garis akhir. Aku tetap setia kepada Kristus sampai akhir. Sekarang hadiah kemenangan menantikan aku. Pada Hari Kiamat, Tuhan, Hakim yang adil akan menyerahkan hadiah itu kepadaku, kerana aku telah hidup menurut kehendak-Nya. Bukan aku sahaja yang akan menerimanya, tetapi juga semua orang yang menantikan kedatangan-Nya dengan penuh kerinduan. Berusahalah untuk datang kepadaku secepat mungkin. Demas sudah meninggalkan aku kerana mencintai dunia ini. Dia sudah pergi ke Tesalonika. Kreskes pun sudah pergi ke Galatia dan Titus ke Dalmatia. Hanya Lukas bersama-sama aku di sini. Jemputlah Markus dan bawalah dia bersama denganmu, kerana dia dapat menolong aku dalam pekerjaanku. Aku sudah menyuruh Tikhikus pergi ke Efesus. Apabila engkau datang, bawalah baju panas yang aku tinggalkan di Troas di rumah Karpus. Bawalah gulungan-gulungan naskhah itu juga, terutamanya gulungan naskhah yang dibuat daripada kulit. Aleksander, tukang besi itu sudah melakukan perkara-perkara yang jahat terhadapku. Tuhan akan membalas dia menurut perbuatannya. Engkau sendiri harus berhati-hati dengannya, kerana dia sangat menentang perkhabaran kita. Tidak seorang pun mendampingi aku ketika aku membela diriku kali pertama; semuanya meninggalkan aku. Semoga Allah tidak menyalahkan mereka dalam hal ini! Tetapi Tuhan menyertai aku. Dia memberi aku kekuatan, sehingga aku dapat mengisytiharkan seluruh Berita Baik itu supaya didengar oleh semua orang bukan Yahudi. Aku pun diselamatkan daripada hukuman mati. Tuhan juga akan menyelamatkan aku daripada segala kejahatan. Dia akan membawa aku dengan selamat ke dalam Kerajaan-Nya di syurga. Hendaklah Dia dimuliakan selama-lamanya! Amin. Aku mengirim salam kepada Priskila dan Akwila dan kepada keluarga Onesiforus. Erastus tinggal di Korintus, tetapi Trofimus aku tinggalkan di Miletus kerana dia sakit. Berusahalah dengan sebaik-baiknya untuk datang sebelum musim sejuk. Ebulus, Pudes, Linus, dan Klaudia mengirim salam kepadamu; demikian juga semua saudara seiman yang lain. Semoga Tuhan menyertai engkau. Semoga Allah memberkati kamu semua. Aku, Paulus menulis surat ini sebagai hamba Allah dan rasul Yesus Kristus. Aku dipilih dan diutus untuk meneguhkan iman umat pilihan Allah. Aku juga harus memimpin mereka supaya mengenal ajaran benar yang diajarkan oleh agama kita. Ajaran itu berdasarkan harapan kita untuk menerima hidup sejati dan kekal. Allah yang tidak berdusta, telah menjanjikan hidup itu sebelum permulaan zaman. Pada waktu yang tepat, Allah menyatakan janji itu dalam perkhabaran-Nya. Perkhabaran tersebut diamanahkan kepadaku dan aku mengisytiharkannya dengan perintah Allah Penyelamat kita. Titus, dalam iman kita kepada Kristus, engkau bagaikan anakku sendiri. Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Penyelamat kita mengurniai engkau berkat dan kesejahteraan. Aku meninggalkan engkau di Kreta supaya engkau dapat menyelesaikan semua perkara yang masih perlu dilakukan, dan melantik pemimpin jemaah di setiap kota. Ingatlah akan petunjuk-petunjukku ini: Seorang pemimpin jemaah haruslah orang yang tidak bercela; dia mesti mempunyai seorang isteri sahaja; anak-anaknya mesti percaya kepada Kristus, berkelakuan baik, dan bersifat taat. Hal itu demikian kerana seorang pemimpin jemaah bertugas mengurus pekerjaan Allah. Oleh itu dia haruslah tidak bercela. Dia tidak boleh sombong ataupun cepat marah, atau pemabuk, atau suka berkelahi, ataupun tamak akan wang. Dia mesti suka menyambut orang ke rumah dan menyukai apa yang baik. Dia harus tahu mengawal diri, jujur, suci, dan berdisiplin. Dia mesti berpegang teguh pada perkhabaran yang dapat dipercaya dan yang sesuai dengan asas kepercayaan. Dengan demikian dia dapat menggalakkan orang lain dengan ajaran yang benar, dan juga menunjukkan kesalahan orang yang menentang ajaran itu. Dia harus berbuat demikian, kerana banyak orang yang memberontak dan menipu orang lain dengan cakap karut mereka, terutama sekali orang yang dahulunya beragama Yahudi. Mereka harus dihentikan menyebar ajaran sesat itu, kerana mereka merosakkan iman banyak keluarga. Perbuatan mereka itu hanya bertujuan untuk mencari wang dan hal itu sungguh memalukan. Seorang nabi dari Kreta pun pernah berkata, “Orang Kreta selalu berdusta. Mereka seperti binatang buas yang rakus dan malas.” Apa yang dikatakannya itu memang benar. Itulah sebabnya dengan tegas kamu mesti menegur orang yang mengajarkan ajaran sesat, supaya mereka tetap berpegang teguh pada ajaran yang benar, dan tidak lagi mengendahkan dongeng-dongeng orang Yahudi ataupun peraturan daripada orang yang tidak mahu menerima ajaran benar itu. Bagi orang yang suci, semuanya suci. Tetapi bagi orang yang fikiran mereka dicemari dosa dan tidak percaya kepada apa yang benar, tiada sesuatu pun yang suci, kerana fikiran dan hati nurani mereka sudah tercemar! Mereka mengaku mengenal Allah, tetapi perbuatan mereka tidak membuktikannya. Mereka terkutuk dan tidak taat kepada Allah; mereka tidak dapat melakukan apa yang baik. Tetapi engkau, Titus, harus mengajarkan apa yang sesuai dengan asas kepercayaan yang benar. Nasihatilah orang lelaki yang tua supaya bijaksana, bersifat baik, dan tahu mengawal diri. Mereka juga harus sentiasa percaya kepada Kristus, mengasihi saudara seiman, dan tabah menghadapi penderitaan. Demikian juga, nasihatilah wanita yang tua supaya kelakuan mereka sesuai dengan kelakuan wanita yang mengabdikan diri kepada Allah. Mereka tidak boleh mengumpat atau menjadi kaki botol. Mereka mesti mengajarkan apa yang baik. Dengan demikian wanita yang tua dapat mendidik wanita yang muda supaya mengasihi suami dan anak-anak, tahu mengawal diri, suci dan menjadi suri rumah yang baik, serta taat kepada suami. Dengan demikian tidak ada orang yang dapat mencela perkhabaran daripada Allah. Begitu juga, gesalah orang muda supaya mengawal diri. Hendaklah engkau menjadi teladan kelakuan yang baik dalam segala perkara. Hendaklah engkau jujur dan bersungguh-sungguh, apabila engkau mengajar. Gunakanlah kata-kata bijak yang tidak dapat dicela orang, supaya musuhmu malu kerana tidak dapat mengecam kita. Abdi harus menurut perintah tuan mereka dan menyenangkan hati mereka dalam segala hal. Abdi tidak boleh membantah ataupun mencuri. Sebaliknya abdi mesti sentiasa bersikap baik dan setia, supaya dengan perbuatan mereka itu orang memuji ajaran tentang Allah, Penyelamat kita. Hal itu demikian, kerana Allah sudah menunjukkan rahmat-Nya untuk menyelamatkan umat manusia. Rahmat-Nya mengajar kita supaya hidup salih dan tidak mengejar hal-hal keduniaan. Di dalam dunia ini kita harus hidup dengan mengawal diri, jujur, dan menghormati Allah. Sekarang kita sedang menantikan Hari yang kita harap-harapkan itu, apabila keagungan Allah Maha Besar dan Yesus Kristus Penyelamat kita akan kelihatan. Dia sudah mengorbankan nyawa untuk membebaskan kita daripada segala kejahatan, menyucikan kita, dan menjadikan kita milik-Nya sahaja, serta menjadikan kita rajin berbuat baik. Ajarkanlah semua perkara itu, dan dengan penuh wibawa hendaklah engkau menggalakkan dan menegur para pendengarmu. Janganlah biarkan seorang pun memandang rendah kepadamu. Ingatkan anggota jemaahmu supaya taat kepada pemerintah dan penguasa, patuh kepada mereka dan bersedia melakukan segala perkara yang baik. Beritahu jemaahmu supaya tidak mengumpat ataupun bertengkar dengan sesiapa pun, tetapi bersikap ramah tamah dan lemah lembut kepada semua orang. Kita harus bersikap demikian, kerana dahulu kita juga bodoh, tidak taat, dan sesat. Kita diperhamba oleh berbagai-bagai nafsu dan keinginan. Hidup kita dipenuhi dengan perasaan dengki dan cemburu, dan kita saling membenci. Tetapi Allah, Penyelamat kita menunjukkan kasih dan kebaikan hati-Nya kepada kita. Dia menyelamatkan kita, bukan kerana perbuatan baik kita, tetapi kerana belas kasihan-Nya. Allah menyelamatkan kita melalui Roh-Nya, yang mengurniai kita kelahiran baru dan hidup baru dengan membasuh kita. Allah melimpahkan Roh-Nya kepada kita melalui Yesus Kristus, Penyelamat kita, supaya oleh rahmat-Nya, kita berbaik semula dengan Allah, dan kita menerima hidup sejati dan kekal yang kita harap-harapkan. Kata-kata itu sungguh benar. Aku mahu engkau memberikan perhatian kepada perkara-perkara tersebut, supaya orang yang percaya kepada Allah sungguh-sungguh berusaha untuk melakukan perbuatan yang baik dan berguna bagi semua orang. Tetapi jauhkanlah diri daripada perdebatan yang sia-sia, senarai nenek moyang, pertengkaran, dan perkelahian tentang Taurat. Semua itu sia-sia dan tidak berguna. Berikanlah amaran kepada orang yang menyebabkan perpecahan dalam jemaah. Nasihatilah orang itu sekurang-kurangnya dua kali, setelah itu jauhilah dia. Engkau tahu bahawa orang seperti itu jahat dan dosa-dosanya membuktikan dia bersalah. Apabila aku mengutus Artemas atau Tikhikus kepadamu, berusahalah seboleh-bolehnya untuk datang kepadaku di Nikopolis, kerana aku telah mengambil keputusan akan tinggal di sana pada musim sejuk. Berusahalah seboleh-bolehnya untuk menolong Zenas, peguam itu dan Apolos, supaya mereka dapat memulakan perjalanan. Pastikanlah mereka tidak kekurangan apa-apa. Hendaklah jemaah kita mengamalkan perbuatan baik supaya dapat membantu orang yang memerlukan pertolongan. Dengan demikian hidup mereka berguna. Semua saudara yang bersama-sama aku mengirim salam kepadamu. Sampaikanlah salam kami kepada sahabat-sahabat kita yang seiman. Semoga Allah memberkati kamu semua. Surat ini daripada Paulus, yang dipenjarakan kerana mengabdikan diri kepada Kristus Yesus, dan daripada saudara kita Timotius. Surat ini ditujukan kepada Filemon, sahabat dan rakan kami, dan kepada jemaah yang berkumpul di rumahmu, serta kepada saudara kita Apfia, dan rakan seperjuangan kita Arkhipus. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. Saudaraku Filemon, setiap kali aku berdoa, aku menyebut namamu dan bersyukur kepada Allahku. Aku berbuat demikian kerana aku diberitahukan bahawa kamu mengasihi semua umat Allah, dan sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan Yesus. Aku berdoa semoga persaudaraan kita sebagai orang yang percaya kepada Kristus, akan mendatangkan pengertian yang lebih mendalam tentang setiap berkat yang kita miliki kerana hidup bersatu dengan Kristus. Saudaraku Filemon, kasihmu bagi umat Allah sudah menggembirakan dan menggalakkan aku! Kamu menggembirakan hati semua umat Allah. Itulah sebabnya sebagai saudara yang seiman, aku sebenarnya dapat memerintah kamu melakukan apa yang harus dilakukan. Tetapi kerana aku mengasihi kamu, aku hanya mengajukan permintaan. Aku berbuat demikian, meskipun aku ini duta Kristus Yesus, dan sekarang aku dipenjarakan kerana Dia. Aku mengajukan suatu permintaan bagi pihak Onesimus, yang aku anggap seperti anak sendiri, kerana dia juga percaya kepada Kristus. Semasa di penjara, aku menjadi seperti bapa kepadanya. Dahulu dia tidak berguna bagimu, tetapi sekarang dia berguna bukan sahaja bagimu, tetapi bagiku juga. Aku menghantar dia kembali kepadamu, dia yang sangat aku kasihi. Sebenarnya aku ingin dia tetap di sini bersama-sama aku untuk membantu aku bagi pihakmu, selama aku dipenjarakan kerana mengisytiharkan Berita Baik. Tetapi aku tidak mahu memaksa kamu menolong aku. Aku lebih suka jika kamu melakukannya dengan rela hati. Oleh itu aku tidak mahu melakukan apa-apa kecuali kamu bersetuju. Mungkin Onesimus berpisah daripada kamu untuk sementara, supaya kamu boleh mendapatnya kembali untuk seterusnya. Sekarang dia bukan sahaja abdi, tetapi lebih daripada itu. Dia saudara Kristian yang dikasihi. Dia sangat bererti bagiku, dan dia lebih bererti lagi bagimu, baik sebagai abdi mahupun sebagai sesama saudara yang percaya kepada Tuhan! Oleh itu, jika kamu menganggap aku sebagai rakan sekerja, sambutlah dia kembali seperti kamu menyambut aku. Jika dia sudah bersalah atau berhutang kepadamu, biarlah aku yang menanggungnya. Lihatlah, kata-kata berikut aku tulis sendiri: Aku, Paulus akan melunasi semuanya. (Aku tidak perlu mengingatkan kamu bahawa kamu berhutang kepadaku kehidupanmu sebagai orang Kristian.) Oleh itu, demi Tuhan tolonglah aku dan gembirakanlah hatiku sebagai sesama saudara yang percaya kepada Kristus. Semasa menulis surat ini, aku yakin bahawa kamu akan mengabulkan permintaanku. Sebenarnya aku tahu bahawa kamu akan melakukan hal yang lebih daripada permintaanku. Sementara itu, tolong sediakan bilik untukku di rumahmu, kerana aku berharap Allah akan mengabulkan doa kamu semua dan membolehkan aku kembali kepada kamu. Epafras, yang dipenjarakan bersama-sama aku kerana Kristus Yesus, mengirim salam kepada kamu. Terimalah juga salam rakan-rakan sekerjaku: Markus, Aristarkhus, Demas, dan Lukas. Aku berdoa semoga Tuhan Yesus Kristus memberkati kamu semua. Pada masa lampau, banyak kali Allah berfirman kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi dengan berbagai-bagai cara. Tetapi pada zaman akhir ini Dia telah berfirman kepada kita melalui Anak-Nya. Melalui Anak-Nya inilah Allah menciptakan alam semesta. Allah sudah menetapkan bahawa Anak-Nya inilah yang berhak memiliki segala sesuatu pada akhirnya. Dia memancarkan kemuliaan Allah yang gilang-gemilang dan Dia perwujudan Allah sendiri. Dia memelihara keutuhan alam semesta ini dengan firman-Nya yang berkuasa. Setelah Dia memungkinkan manusia dibebaskan daripada dosa, Dia duduk di syurga di sebelah kanan Allah, Penguasa Yang Tertinggi. Anak itu mendapat kedudukan yang jauh lebih tinggi daripada malaikat, dan nama yang diberikan oleh Allah kepada-Nya pun jauh lebih terhormat daripada nama-nama malaikat. Tidak pernah Allah berfirman kepada mana-mana malaikat-Nya, “Engkaulah Anak-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.” Tidak pernah Allah berfirman tentang malaikat yang mana pun begini, “Aku akan menjadi Bapa-Nya, dan Dia akan menjadi Anak-Ku.” Tetapi pada masa Allah mengutus Anak-Nya yang sulung ke dunia ini, Dia berfirman, “Semua malaikat Allah wajib menyembah Anak itu.” Tentang malaikat-malaikat, Allah berfirman demikian, “Allah menjadikan malaikat-malaikat-Nya angin, dan hamba-hamba-Nya nyala api.” Tetapi tentang Anak itu, Allah berfirman, “Takhta-Mu, ya Allah, akan kekal selama-lamanya! Engkau memerintah umat-Mu dengan keadilan. Engkau suka akan keadilan, dan benci akan kecurangan; itulah sebabnya Allah, Allah-Mu, memilih Engkau dan memberi Engkau kehormatan yang mendatangkan kegembiraan yang jauh lebih besar daripada yang diberikan-Nya kepada sahabat-sahabat-Mu.” Allah juga berfirman, “Engkau, ya Tuhan, pada mulanya menjadikan bumi, dan dengan tangan-Mu sendiri Engkau menjadikan langit. Semua itu akan lenyap, dan menjadi usang seperti pakaian; tetapi Engkau tidak akan berubah. Alam semesta Engkau lipat seperti jubah, dan akan Engkau ganti seperti pakaian. Tetapi Engkau tidak akan berubah, dan hidup-Mu tidak akan berakhir.” Allah tidak pernah berfirman kepada malaikat-Nya yang mana pun begini, “Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga musuh-musuh-Mu Aku jadikan alas kaki-Mu.” Jika demikian, apakah sebenarnya malaikat-malaikat itu? Mereka roh yang berbakti kepada Allah, dan yang disuruh oleh-Nya untuk menolong orang yang akan menerima penyelamatan. Itulah sebabnya kita harus lebih bersungguh-sungguh berpegang kepada ajaran-ajaran yang sudah kita dengar, supaya kita tidak meninggalkan kepercayaan kita. Perkhabaran yang disampaikan oleh para malaikat kepada nenek moyang kita sudah terbukti benar, dan orang yang tidak menurutinya atau mentaatinya sudah menerima hukuman yang setimpal. Oleh itu, bagaimanakah kita boleh selamat, jika kita tidak mempedulikan penyelamatan yang agung itu? Tuhan sendirilah yang pertama sekali mengisytiharkan penyelamatan itu, dan orang yang mendengarnya sudah membuktikan kebenarannya kepada kita. Di samping itu, Allah juga menguatkan kesaksian mereka dengan melakukan pelbagai mukjizat dan keajaiban. Dia juga membahagi-bahagikan pemberian Roh Allah menurut kehendak-Nya sendiri. Allah tidak melantik malaikat menjadi penguasa dunia baru yang akan datang - iaitu dunia yang sedang kita percakapkan sekarang. Sebaliknya, seperti yang tertulis pada suatu bahagian Alkitab, “Ya Allah, apakah manusia itu, sehingga Engkau mahu mengingat mereka? Manusia hanya manusia, tetapi Engkau memperhatikan mereka? Untuk seketika Engkau menjadikan manusia lebih rendah daripada malaikat; Engkau mengurniai manusia kemuliaan dan kehormatan, serta menjadikan manusia penguasa atas segala sesuatu.” Ayat itu mengatakan bahawa Allah menjadikan manusia “penguasa atas segala sesuatu”; hal itu bererti tiada suatu pun yang tidak dikuasai oleh manusia. Tetapi sekarang kita tidak melihat manusia berkuasa atas segala sesuatu. Tetapi kita sudah melihat Yesus berkuasa! Untuk seketika, Dia dijadikan sedikit lebih rendah daripada malaikat, supaya dengan rahmat Allah, Dia dapat mati untuk semua orang. Sekarang kita melihat Dia dikurniai kemuliaan dan kehormatan kerana Dia sudah menderita sampai mati. Memang sudah sepatutnya Allah, yang menciptakan dan memeliharakan segala sesuatu, menjadikan Yesus, penyelamat yang sempurna melalui penderitaan. Dengan demikian Allah dapat membawa banyak orang ikut menikmati kemuliaan Yesus, kerana Yesus itu pemimpin yang membawa orang kepada penyelamatan. Yesus menyucikan manusia daripada dosa mereka. Dia dan mereka yang disucikan-Nya mempunyai satu Bapa. Itulah sebabnya Yesus tidak malu mengakui mereka sebagai saudara-saudara-Nya. Yesus berkata kepada Allah, “Aku akan memberitahu saudara-saudara-Ku tentang Engkau; Aku akan memuji Engkau apabila jemaah beribadat.” Yesus juga berkata, “Aku akan berharap kepada Allah.” Yesus berkata juga, “Inilah Aku bersama-sama anak-anak yang telah diberikan oleh Allah kepada-Ku.” Oleh sebab mereka yang disebut anak-anak adalah manusia yang terdiri daripada darah dan daging, maka Yesus sendiri menjadi seperti mereka dan hidup dalam keadaan manusia. Dia berbuat demikian, supaya dengan kematian-Nya Dia dapat memusnahkan Iblis yang menguasai kematian. Dengan cara itu Dia membebaskan mereka yang seumur hidup diperhamba, kerana takut akan kematian. Nyatalah bahawa bukan malaikat yang ditolong-Nya, tetapi Dia menolong keturunan Abraham. Hal ini bererti Dia harus menjadi seperti saudara-saudara-Nya dalam segala hal. Dengan demikian Dia dapat menjadi Imam Agung yang setia dan berbelas kasihan. Dengan pelayanan-Nya itu dosa manusia dapat diampunkan. Oleh itu, sekarang Dia dapat menolong mereka yang kena cubaan, kerana Dia sendiri pernah dicubai dan menderita. Saudara-saudara Kristian yang dipanggil oleh Allah! Cuba fikirkan sedalam-dalamnya hal ini: Yesus diutus oleh Allah untuk menjadi Imam Agung bagi kepercayaan yang kita anut. Yesus setia kepada Allah yang sudah memilih Dia untuk tugas itu, sebagaimana Musa pun setia melakukan tugasnya di rumah Allah. Orang yang membina sebuah rumah mendapat kehormatan yang lebih besar daripada rumah itu sendiri. Demikian juga Yesus layak mendapat kemuliaan yang jauh lebih besar daripada Musa. Memang tiap-tiap rumah dibina oleh seseorang, tetapi Allah yang membina segala sesuatu. Musa setia sebagai hamba di dalam rumah Allah. Dia berucap tentang hal-hal yang akan difirmankan oleh Allah pada masa hadapan. Tetapi Kristus setia sebagai Anak yang bertanggungjawab terhadap rumah Allah. Kitalah rumah Allah, sekiranya kita tetap bersemangat dan tetap yakin untuk mendapat apa yang kita harapkan. Oleh itu, seperti kata Roh Allah, “Jika pada hari ini kamu mendengar suara Allah, janganlah berkeras kepala seperti nenek moyang kamu yang memberontak terhadap Allah, ketika mereka menguji Dia di padang gurun. ‘Di sana nenek moyang kamu menguji Aku dan mencubai Aku,’ firman Allah, ‘meskipun mereka telah melihat apa yang Aku lakukan selama empat puluh tahun.’ Itulah sebabnya Aku murka terhadap mereka dan berfirman, ‘Mereka sentiasa menderhaka, dan tidak mahu mentaati perintah-Ku.’ Aku murka dan bersumpah, ‘Mereka tidak akan masuk ke negeri itu untuk mendapat rehat bersama-sama Aku!’ ” Saudara-saudaraku, berhati-hatilah supaya tidak seorang pun di kalangan kamu yang hatinya begitu jahat dan tidak percaya sehingga meninggalkan Allah yang hidup. Oleh itu, supaya tidak seorang pun di kalangan kamu ditipu oleh dosa lalu menjadi keras kepala, setiap hari kamu mesti saling menasihati selama kita masih hidup dalam zaman yang disebut “Hari Ini” di dalam Alkitab. Kita semua rakan seperjuangan Kristus, sekiranya sampai akhir kita memegang teguh keyakinan yang kita miliki pada mulanya. Inilah yang tertulis di dalam Alkitab, “Jika pada hari ini kamu mendengar suara Allah, janganlah berkeras kepala seperti nenek moyang kamu, ketika mereka memberontak terhadap Allah.” Siapakah orang yang mendengar suara Allah lalu memberontak terhadap-Nya? Mereka semua yang dipimpin oleh Musa keluar dari Mesir. Terhadap siapakah Allah murka selama empat puluh tahun? Terhadap mereka yang berdosa, yang jatuh mati di padang gurun. Ketika Allah bersumpah, “Mereka tidak akan masuk ke negeri itu untuk mendapat rehat bersama-sama Aku” - siapakah yang dimaksudkan oleh-Nya? Mereka yang memberontak terhadap Allah. Sekarang kita faham bahawa mereka tidak dapat masuk ke negeri itu, kerana mereka tidak mahu percaya kepada Allah. Tetapi sekarang Allah memberikan janji itu kepada kita bahawa kita boleh mendapat rehat yang difirmankan-Nya. Oleh itu biarlah kita berwaspada supaya tidak seorang pun di kalangan kamu gagal mendapat rehat itu. Hal itu demikian, kerana seperti mereka, kita sudah mendengar Berita Baik itu. Mereka mendengar perkhabaran itu, tetapi berita itu tidak berguna bagi mereka, kerana ketika mereka mendengarnya, mereka tidak percaya kepada janji Allah itu. Tetapi kita yang percaya kepada Allah, menerima rehat yang dijanjikan oleh Allah. Hal itu sesuai dengan yang difirmankan-Nya, “Aku murka dan bersumpah, ‘Mereka tidak akan masuk ke negeri itu untuk mendapat rehat bersama-sama Aku!’ ” Allah berfirman demikian meskipun kerja-Nya telah selesai sejak Dia menciptakan dunia ini. Tentang hari ketujuh, ada tertulis di dalam Alkitab, “Pada hari ketujuh Allah berehat daripada semua kerja-Nya.” Hal itu dikatakan sekali lagi, “Mereka tidak akan masuk ke negeri itu untuk mendapat rehat bersama-sama Aku.” Mereka yang lebih dahulu mendengar Berita Baik itu, tidak mendapat rehat itu kerana mereka tidak percaya. Jika demikian, ada orang lain yang boleh mendapat rehat itu. Hal ini nyata kerana Allah telah menentukan suatu hari yang lain, yang disebut “Hari Ini.” Allah berfirman tentang hal ini bertahun-tahun kemudian melalui Daud, dalam ayat yang telah dikutip tadi, “Jika pada hari ini kamu mendengar suara Allah, janganlah berkeras kepala.” Sekiranya Yosua sudah memberi mereka rehat yang dijanjikan oleh Allah, tentu Allah tidak akan berfirman lagi tentang suatu hari yang lain. Oleh itu masih ada lagi rehat bagi umat Allah, seperti Allah berehat pada hari yang ketujuh itu. Hal itu demikian kerana sesiapa mendapat rehat yang dijanjikan oleh Allah, akan berehat juga daripada kerjanya sebagaimana Allah berehat daripada kerja-Nya. Oleh itu, marilah kita berusaha sebaik-baiknya untuk mendapat rehat yang dijanjikan oleh Allah. Janganlah seorang pun daripada kita gagal seperti mereka dahulu, kerana tidak percaya kepada Allah. Firman Allah itu hidup dan berkuasa, lebih tajam daripada pedang bermata dua. Firman itu menusuk sampai ke batas antara jiwa dan roh, sampai ke batas antara sendi-sendi dan tulang sumsum. Firman Allah menghakimi fikiran dan niat hati manusia. Tiada sesuatu pun dapat disembunyikan daripada Allah. Segala sesuatu di alam semesta terbuka dan terdedah di sisi Allah. Kita semua harus memberikan pertanggungjawapan tentang hidup kita kepada Allah. Oleh itu, hendaklah kita berpegang teguh kepada pengakuan iman kita, kerana kita mempunyai Imam Agung yang besar, yang sudah masuk ke hadirat Allah. Dia Yesus, Anak Allah. Imam Agung kita ini bukanlah imam yang tidak dapat bersimpati terhadap segala kelemahan kita. Sebaliknya, kita mempunyai Imam Agung yang pernah dicubai dalam segala hal seperti kita sendiri, tetapi Dia tidak berbuat dosa! Oleh itu, marilah kita dengan penuh keberanian menghadap takhta Allah, kerana di situ rahmat-Nya melimpah. Di situ kita akan menerima belas kasihan-Nya dan mengalami kasih-Nya, pada masa kita memerlukan pertolongan. Tiap-tiap imam agung dipilih daripada kalangan umat, dan dilantik untuk mengabdikan diri kepada Allah sebagai wakil mereka. Tugasnya mempersembahkan pemberian dan korban untuk pengampunan dosa. Oleh sebab dia sendiri lemah dalam banyak perkara, dia dapat berlaku lemah lembut terhadap orang yang sesat kerana tidak tahu apa-apa. Oleh sebab dia sendiri lemah, dia mesti mempersembahkan korban bukan sahaja untuk dosa umat, tetapi juga untuk dosanya sendiri. Tiada seorang pun mempermuliakan dirinya sendiri dengan menjadi imam agung. Hanya dengan panggilan Allah, seseorang dapat menjadi imam agung, seperti yang berlaku kepada Harun. Demikian juga, Kristus tidak mempermuliakan diri-Nya sendiri dengan menjadi Imam Agung. Sebaliknya Allah berfirman kepada-Nya, “Engkaulah Anak-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.” Dalam ayat lain Allah berfirman juga, “Engkau akan menjadi Imam selama-lamanya, seperti Imam Melkisedek.” Semasa Yesus hidup di bumi ini, Dia berdoa dan memohon dengan seruan dan tangisan kepada Allah yang berkuasa menyelamatkan Dia daripada kematian. Oleh sebab Yesus merendahkan diri dan taat kepada Allah, Allah mendengarkan permintaan-Nya. Tetapi meskipun Yesus Anak Allah, Dia belajar menjadi taat melalui penderitaan-Nya. Oleh itu, sesudah Dia menjadi penyelamat yang sempurna, Dia menjadi sumber penyelamatan yang kekal bagi semua orang yang taat kepada-Nya. Allah pun mengisytiharkan Dia menjadi Imam Agung seperti Imam Melkisedek. Masih banyak lagi yang perlu kami katakan tentang hal ini, tetapi susah kami hendak menerangkannya kerana kamu lambat sekali mengerti. Sebenarnya sudah waktunya bagi kamu untuk menjadi guru, tetapi sehingga sekarang kamu masih perlu menerima ajaran asas tentang perkhabaran Allah. Kamu masih belum dapat menerima makanan keras, tetapi masih minum susu sahaja. Sesiapa yang minum susu sebagai makanan utama masih kanak-kanak; dia tidak faham akan apa yang benar dan apa yang salah. Sebaliknya, makanan keras untuk orang dewasa, yang sudah terlatih untuk membezakan yang baik daripada yang jahat. Oleh itu, marilah kita menuju kepada kedewasaan kehidupan Kristian, dan jangan hanya perhatikan ajaran asas tentang Kristus. Janganlah kita ulangi ajaran asas tentang hal berhenti melakukan yang sia-sia dan tentang kepercayaan kepada Allah, atau ajaran asas tentang baptisan dan tentang hal meletakkan tangan pada orang, atau tentang kebangkitan orang mati dan hukuman yang kekal. Marilah kita menjadi orang Kristian yang dewasa! Jika diizinkan Allah, hal inilah yang akan kita lakukan! Hal itu demikian, kerana orang yang tidak mahu percaya kepada Kristus lagi, tidak dapat dipimpin kembali supaya bertaubat. Mereka pernah berada dalam terang Allah; mereka pernah menikmati pemberian Allah, dan menerima Roh Allah yang menjadi bahagian mereka. Melalui pengalaman, mereka tahu bahawa firman Allah baik, dan mereka telah merasai kuasa daripada kurnia Allah pada zaman yang akan datang. Tetapi sesudah itu mereka tidak mahu percaya kepada Kristus lagi! Tidak mungkin mereka dipimpin kembali supaya bertaubat, kerana mereka menyalibkan Anak Allah lagi dan mempermalukan Dia di hadapan umum. Allah memberkati tanah yang menghisap air hujan yang sering turun ke atasnya, lalu tanah itu menghasilkan tanam-tanaman yang berguna bagi orang yang menanamnya. Tetapi jika tanah itu mengeluarkan duri dan lalang, maka tanah itu tidak berguna. Tanah itu akan dikutuk oleh Allah dan dimusnahkan oleh api. Tetapi, saudara-saudara yang tercinta, meskipun kami berkata demikian, kami yakin akan kamu. Kami tahu bahawa kamu mempunyai berkat-berkat yang lebih baik, yang termasuk dalam penyelamatan kamu. Allah bukannya tidak adil. Dia tidak melupakan apa yang sudah kamu lakukan bagi-Nya, ataupun kasih yang kamu tunjukkan kepada-Nya dengan menolong sesama saudara Kristian, baik dahulu mahupun sekarang. Kami ingin sekali supaya setiap orang di kalangan kamu terus bergiat sehingga akhir, supaya segala perkara yang kamu harap-harapkan itu boleh kamu terima. Kami tidak mahu kamu menjadi malas. Hiduplah seperti mereka yang menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah, kerana percaya kepada-Nya dan bersabar. Ketika Allah berjanji kepada Abraham, Dia bersumpah bahawa Dia akan melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya. Kerana tidak ada sesiapa pun yang lebih tinggi daripada Allah, Dia bersumpah demi nama-Nya sendiri. Allah berfirman, “Aku berjanji akan memberkati engkau dan memberikan keturunan yang banyak kepadamu.” Abraham bersabar. Oleh itu dia menerima apa yang dijanjikan oleh Allah. Ketika seseorang bersumpah, dia menggunakan nama orang lain yang lebih tinggi kedudukannya daripada dia. Lalu sumpah itu menyelesaikan segala perselisihan. Allah hendak meyakinkan orang yang akan menerima apa yang dijanjikan-Nya, bahawa Dia tidak sekali-kali akan mengubah maksud-Nya. Itulah sebabnya Dia menambah sumpah pada janji-Nya itu. Dua perkara itu tidak dapat berubah, iaitu janji-Nya dan sumpah-Nya. Allah tidak dapat berdusta tentangnya. Oleh itu, kita yang sudah pergi kepada-Nya untuk mendapat perlindungan, sangat digalakkan supaya berpegang teguh kepada harapan yang ada di hadapan kita. Harapan kita itu seperti sauh yang menjadi pegangan hidup yang kuat dan aman. Harapan itu menembusi tirai Bilik Maha Suci di Rumah Tuhan di syurga. Yesus telah masuk ke situ lebih dahulu daripada kita, dan Dia menjadi Imam Agung yang kekal seperti Imam Melkisedek. Imam Melkisedek ialah raja Salem dan imam Allah Yang Maha Tinggi. Ketika Abraham balik dari peperangan mengalahkan empat orang raja, Melkisedek menjumpainya dan memberkatinya. Lalu Abraham memberi Melkisedek sepersepuluh daripada segala apa yang dirampasnya. (Pertama sekali nama Melkisedek bermakna “Raja Keadilan.” Oleh sebab dia raja Salem, namanya juga bermakna “Raja Kesejahteraan.”) Tidak ada catatan tentang ibu bapa Melkisedek ataupun nenek moyangnya. Tidak ada catatan tentang kelahirannya ataupun kematiannya. Dia seperti Anak Allah; dia menjadi imam selama-lamanya. Lihatlah betapa tingginya kedudukan Melkisedek. Abraham, bapa bangsa kita, memberi dia sepersepuluh daripada segala yang didapatinya daripada peperangan itu. Menurut hukum Taurat, imam-imam keturunan suku Lewi harus memungut sepersepuluh daripada pendapatan umat Israel, iaitu saudara-saudara mereka sendiri, walaupun mereka juga keturunan Abraham. Melkisedek bukan keturunan suku Lewi, tetapi dia menerima sepersepuluh daripada apa yang sudah diterima oleh Abraham, dan memberkati yang telah menerima janji Allah. Tidak dapat diragukan lagi bahawa orang yang diberkati lebih rendah kedudukannya daripada orang yang memberkati. Imam-imam yang memungut sepersepuluh bahagian itu manusia biasa yang tentu akan mati. Tetapi menurut Alkitab, Melkisedek yang menerima sepersepuluh bahagian itu tetap hidup. Boleh dikatakan bahawa ketika Abraham membayar sepersepuluh bahagian itu, Lewi juga membayarnya (walaupun keturunannya memungut sepersepuluh bahagian daripada umat Israel.) Pada masa Melkisedek berjumpa dengan Abraham, Lewi belum lahir tetapi boleh dikatakan sudah ada di dalam tubuh Abraham nenek moyangnya. Imam-imam keturunan Lewi merupakan asas hukum Taurat, yang diberikan kepada umat Israel. Jika apa yang dilakukan imam-imam suku Lewi dahulu itu sempurna, maka tidak perlu ada imam lain seperti Imam Melkisedek, yang bukan keturunan Imam Harun. Apabila ada perubahan dalam keimaman, hukum Taurat pun mesti berubah. Yang dimaksudkan di sini adalah Tuhan kita. Dia daripada suku lain, dan belum pernah seorang pun daripada suku-Nya bertugas sebagai imam. Semua orang tahu bahawa Tuhan kita berasal daripada suku Yehuda; dan Musa tidak pernah menyebut suku itu ketika dia berucap tentang imam-imam. Hal yang dibincangkan itu menjadi lebih jelas sekarang: Seorang imam lain sudah datang, imam seperti Melkisedek. Dia dilantik menjadi imam, tidak menurut hukum atau peraturan manusia, tetapi berdasarkan hidupnya yang berkuasa dan tidak berkesudahan. Di dalam Alkitab tertulis, “Engkau akan menjadi imam selama-lamanya, seperti Imam Melkisedek.” Oleh itu peraturan yang lama telah dibatalkan, kerana lemah dan tidak berguna. Taurat Musa tidak dapat menyempurnakan sesuatu pun. Sekarang kita diberikan suatu harapan yang lebih baik, dan dengannya kita dapat mendekati Allah. Tambahan pula, semua itu disertai sumpah daripada Allah. Apabila imam-imam lain dilantik, tidak ada sumpah seperti itu. Tetapi Yesus diangkat menjadi imam dengan sumpah, ketika Allah berfirman kepada-Nya, “Tuhan sudah bersumpah, dan tidak akan mengubah fikiran, ‘Engkau akan menjadi imam selama-lamanya.’ ” Dengan sumpah itu, Yesus menjadi jaminan suatu perjanjian yang lebih baik. Ada satu hal lagi: imam-imam lain itu banyak bilangannya kerana mereka mati dan tidak dapat meneruskan tugas. Tetapi Yesus hidup selama-lamanya dan tugas-Nya sebagai imam tidak beralih kepada orang lain. Oleh itu, baik sekarang ataupun selamanya, Dia dapat menyelamatkan orang yang datang kepada Allah melalui-Nya, kerana Dia hidup selama-lamanya untuk memohon kepada Allah bagi mereka. Dengan demikian, Yesuslah Imam Agung yang kita perlukan. Dia suci; pada-Nya tidak terdapat kesalahan ataupun dosa. Dia dipisahkan daripada orang berdosa, dan dinaikkan ke tempat yang lebih tinggi daripada langit. Dia tidak seperti imam-imam agung lain, yang setiap hari harus mempersembahkan korban, pertama sekali untuk dosa sendiri dan kemudian untuk dosa umat. Yesus mempersembahkan korban sekali sahaja untuk selama-lamanya, ketika Dia mempersembahkan diri-Nya sendiri sebagai korban. Taurat Musa melantik manusia yang tidak sempurna menjadi imam agung. Tetapi janji Allah yang disertai sumpah dan yang datang kemudian daripada Taurat telah menjadikan Anak, Penyelamat yang sempurna selama-lamanya. Inilah perkara penting daripada apa yang kami katakan: Kita mempunyai Imam Agung seperti itu; Dia duduk di sebelah kanan takhta Allah Yang Maha Besar di syurga. Dia bertugas sebagai Imam Agung di Bilik Maha Suci, di dalam Khemah Tuhan yang sejati dan yang didirikan oleh Tuhan, bukan oleh manusia. Tiap-tiap Imam Agung dilantik untuk mempersembahkan persembahan dan korban binatang kepada Allah; demikian juga Imam Agung kita mesti mempunyai sesuatu untuk dipersembahkan. Andaikata Dia di bumi ini, Dia tidak akan menjadi imam, kerana sudah ada imam yang mempersembahkan korban menurut Taurat orang Yahudi. Tugas yang dilakukan mereka sebagai imam, sebenarnya hanya suatu gambaran dan bayangan daripada apa yang di syurga. Demikian juga halnya dengan Musa dahulu. Ketika dia hendak mendirikan Khemah Tuhan, Allah berfirman kepadanya, “Ingatlah, engkau harus membuat segala-galanya menurut contoh yang ditunjukkan kepadamu di atas gunung itu.” Tetapi sekarang Yesus diberikan tugas imam yang jauh lebih mulia daripada yang dijalankan imam-imam itu, kerana perjanjian yang diadakan-Nya antara Allah dengan manusia adalah lebih baik. Perjanjian itu berdasarkan janji tentang perkara-perkara yang lebih baik. Andaikata tidak ada kekurangan pada perjanjian pertama, maka tidak perlu diadakan perjanjian kedua. Tetapi Allah mendapati kesalahan umat-Nya, ketika Dia mencela mereka, “Masanya akan tiba, firman Tuhan, apabila Aku akan mengadakan perjanjian baru dengan umat Israel, dan dengan umat Yehuda. Perjanjian itu tidak seperti perjanjian yang Aku buat dengan nenek moyang mereka, pada masa Aku membimbing mereka keluar dari negeri Mesir. Mereka tidak setia kepada perjanjian yang Aku buat dengan mereka, itulah sebabnya Aku tidak mempedulikan mereka. Tetapi sekarang, inilah perjanjian yang akan Aku buat dengan umat Israel pada masa akan datang, firman Tuhan: Aku akan menanamkan hukum-Ku di dalam fikiran mereka, dan menuliskannya di dalam hati mereka. Aku akan menjadi Allah mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku. Tidak seorang pun perlu mengajar sesama wargakota, atau memberitahu sesama suku, ‘Kenallah akan Tuhan.’ Mereka semua akan mengenal Aku, daripada yang terkecil sehingga yang terbesar. Aku akan mengampunkan kesalahan mereka, dan tidak mengingat lagi dosa mereka.” Oleh sebab Allah berfirman tentang perjanjian baru, Dia menjadikan perjanjian pertama itu lama. Apa sahaja yang menjadi lama dan usang, akan segera lenyap. Perjanjian pertama mengandungi peraturan ibadat, dan mempunyai tempat ibadat buatan manusia. Khemah yang didirikan di bahagian paling depan, dinamakan Bilik Suci. Di situ terdapat sebuah kaki pelita dan sebuah meja dengan roti yang dipersembahkan kepada Allah. Di belakang tirai kedua, terdapat bahagian khemah yang dinamakan Bilik Maha Suci. Di situ terdapat mazbah emas yang digunakan untuk membakar kemenyan dan juga terdapat Tabut Perjanjian yang seluruhnya disalut dengan emas. Di dalam Tabut itu terdapat balang emas berisi manna, tongkat Harun yang telah bertunas, dan dua buah batu tulis yang bertuliskan sepuluh hukum Allah. Di atas Tabut itu terdapat dua kerub iaitu makhluk bersayap yang melambangkan hadirat Allah. Sayap kerub ini terbentang di atas penutup Tabut, tempat dosa diampunkan. Tetapi sekarang bukanlah masanya untuk menerangkan semuanya dengan terperinci. Demikianlah semua itu diatur. Setiap hari imam-imam masuk ke dalam bahagian depan khemah itu untuk menjalankan tugas mereka. Hanya Imam Agung yang masuk ke bahagian paling dalam daripada khemah itu, dan hal itupun dilakukannya hanya sekali setahun. Dia membawa darah yang dipersembahkannya kepada Allah bagi dirinya sendiri dan bagi dosa yang dilakukan oleh umat dengan tidak disedari. Dengan aturan tersebut, Roh Allah mengajar kita dengan jelas, bahawa selama bahagian depan khemah itu masih berdiri, jalan masuk ke dalam Bilik Maha Suci itu masih belum terbuka. Hal ini melambangkan zaman sekarang. Maknanya, semua persembahan dan korban binatang yang dipersembahkan kepada Allah tidak dapat menyempurnakan hati nurani orang yang membawa persembahan. Semua itu hanya berkenaan dengan makanan, minuman, dan berbagai-bagai upacara penyucian. Semua itu hanya peraturan lahir yang berlaku sehingga masanya Allah mengadakan pembaharuan. Tetapi Kristus sudah datang sebagai Imam Agung daripada perkara-perkara baik, yang sudah ada di sini. Khemah tempat Dia menjalankan tugas sebagai Imam Agung, adalah lebih penting dan lebih sempurna. Khemah itu tidak dibuat oleh manusia, ertinya bukan sebahagian daripada dunia yang diciptakan ini. Ketika Kristus memasuki Bilik Maha Suci sekali sahaja untuk selama-lamanya, Dia tidak membawa darah kambing dan darah lembu jantan untuk dipersembahkan. Tetapi Dia membawa darah-Nya sendiri, dan dengan demikian Dia membebaskan kita selama-lamanya. Darah kambing dan darah lembu jantan, serta abu daripada korban anak lembu, dipercikkan ke atas orang yang najis menurut peraturan agama. Perbuatan itu menyucikan mereka daripada semua yang menajiskan mereka. Jika orang dapat disucikan dengan cara itu, darah Kristus lebih berkuasa pula! Melalui Roh yang kekal, Kristus mempersembahkan diri-Nya sendiri kepada Allah sebagai korban yang sempurna. Darah-Nya akan menyucikan hati nurani kita daripada upacara agama yang sia-sia, supaya kita boleh mengabdikan diri kepada Allah yang hidup. Itulah sebabnya Kristus menjadi Pengantara bagi suatu perjanjian baru, supaya orang yang sudah dipanggil oleh Allah boleh menerima berkat kekal yang sudah dijanjikan oleh Allah. Hal itu dapat berlaku kerana Kristus telah mati untuk membebaskan orang daripada kesalahan yang dilakukan mereka pada masa perjanjian pertama masih berlaku. Jika ada surat wasiat, haruslah dibuktikan bahawa orang yang membuat surat wasiat itu sudah meninggal. Surat wasiat tidak bererti apa-apa selagi orang yang membuatnya masih hidup. Surat itu berlaku hanya setelah orang itu meninggal. Itulah sebabnya perjanjian pertama pun harus disahkan dengan darah. Mula-mula Musa menyampaikan semua perintah dalam Taurat kepada umat Israel. Setelah itu dia mengambil darah lembu jantan dan darah kambing, lalu mencampurnya dengan air, kemudian memercikkannya pada kitab Taurat dan pada seluruh umat, dengan menggunakan setangkai rumput hisop dan bulu domba berwarna merah. Musa berkata, “Inilah darah yang mengesahkan perjanjian daripada Allah yang harus kamu taati.” Dengan cara yang sama, Musa juga memercikkan darah itu pada Khemah Tuhan dan pada semua alat untuk ibadat. Sebenarnya, menurut Taurat, hampir segala sesuatu disucikan dengan darah. Demikian juga dosa hanya dapat diampunkan jika ada penumpahan darah. Hal-hal yang melambangkan perkara-perkara di syurga, perlu disucikan dengan cara tersebut. Tetapi perkara-perkara di syurga itu memerlukan korban yang jauh lebih baik. Kristus tidak masuk ke Bilik Suci buatan manusia, yang hanya melambangkan Bilik Suci sebenarnya. Tetapi Kristus masuk ke syurga; di sana Dia sekarang menghadap hadirat Allah sebagai wakil kita. Setiap tahun Imam Agung Yahudi masuk ke dalam Bilik Maha Suci dengan membawa darah seekor binatang. Tetapi Kristus tidak masuk untuk mempersembahkan diri-Nya berulang kali; kerana jika demikian, Dia harus menderita berulang kali sejak dunia ini dijadikan. Sebaliknya, sekarang pada zaman akhir ini Dia menunjukkan diri satu kali sahaja untuk selama-lamanya, bagi menghapuskan dosa dengan mengorbankan diri-Nya sendiri. Semua orang mesti mati satu kali, dan setelah itu dihakimi oleh Allah. Demikian juga Kristus dipersembahkan sebagai korban satu kali sahaja untuk menghapuskan dosa banyak orang. Dia akan menunjukkan diri sekali lagi, bukan untuk menyelesaikan masalah dosa, tetapi untuk menyelamatkan orang yang menantikan Dia. Taurat orang Yahudi bukanlah gambaran lengkap dan sempurna tentang perkara-perkara yang sebenarnya, tetapi hanya bayangan daripada perkara-perkara baik yang akan datang. Tahun demi tahun korban yang sama dipersembahkan. Bagaimanakah Taurat, melalui korban-korban ini dapat menyempurnakan orang yang datang menyembah Allah? Jika orang yang menyembah Allah benar-benar telah disucikan daripada dosa, mereka tidak akan berasa bersalah lagi, dan korban tidak perlu dipersembahkan lagi. Tetapi nyatanya, korban-korban yang dipersembahkan tahun demi tahun itu mengingatkan orang akan dosa mereka. Darah lembu jantan dan darah kambing tidak dapat menghapuskan dosa. Itulah sebabnya pada masa Kristus hampir datang ke dunia, Dia berkata kepada Allah, “Engkau tidak menghendaki korban dan persembahan, tetapi Engkau sudah menyediakan tubuh bagi-Ku. Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu, ataupun korban untuk menghapuskan dosa. Lalu Aku berkata, ‘Inilah Aku, ya Allah, Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu, seperti yang tertulis di dalam kitab Taurat tentang diri-Ku.’ ” Mula-mula Kristus berkata, “Engkau tidak menghendaki korban dan persembahan; Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu, dan korban untuk menghapuskan dosa.” Dia berkata demikian meskipun segala korban itu dipersembahkan menurut Taurat. Setelah itu Dia berkata, “Inilah Aku, ya Allah. Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu.” Oleh itu, Allah meniadakan segala korban yang lama itu, lalu menggantikannya dengan korban Kristus. Yesus Kristus melakukan kehendak Allah, dan mempersembahkan diri-Nya sendiri sebagai korban. Hal itu dilakukan-Nya satu kali sahaja untuk selama-lamanya. Dengan persembahan itu, kita semua dibersihkan daripada dosa. Setiap imam Yahudi menjalankan tugas tiap-tiap hari dan berulang kali mempersembahkan korban yang sama. Tetapi korban-korban itu sama sekali tidak dapat menghapuskan dosa. Sebaliknya, Kristus mempersembahkan hanya satu korban untuk pengampunan dosa, dan korban itu berlaku untuk selama-lamanya. Setelah itu Dia duduk di sebelah kanan Allah. Sekarang Dia menantikan masanya Allah menjadikan musuh-musuh-Nya sebagai alas kaki-Nya. Demikianlah dengan satu korban, untuk selama-lamanya Dia menyempurnakan orang yang sudah disucikan daripada dosa. Roh Allah juga memberikan kesaksian kepada kita. Roh Allah berkata, “Inilah perjanjian yang akan Aku buat dengan mereka pada masa akan datang, firman Tuhan, Aku akan menanamkan hukum-Ku di dalam hati mereka, dan menuliskannya di dalam fikiran mereka.” Dia juga berkata, “Aku akan melupakan segala dosa dan kejahatan mereka.” Oleh itu, apabila segala dosa dan kejahatan itu sudah diampunkan, persembahan korban untuk pengampunan dosa tidak diperlukan lagi. Oleh itu, saudara-saudara-ku, dengan kematian Yesus kita mempunyai kebebasan penuh untuk masuk ke Bilik Maha Suci. Yesus sudah membuka satu jalan baru bagi kita, jalan yang memberikan kehidupan. Jalan itu melalui tirai, iaitu tubuh Yesus sendiri. Sekarang kita mempunyai imam agung, yang bertanggungjawab terhadap rumah Allah. Oleh itu, marilah kita hampiri Allah dengan hati yang tulus dan iman yang teguh, dengan hati yang sudah disucikan daripada perasaan bersalah, dan dengan tubuh yang sudah dibersihkan oleh air bersih. Hendaklah kita berpegang teguh kepada harapan yang kita akui, kerana Allah dapat dipercayai dan Dia akan menepati janji-Nya. Hendaklah kita perhatikan satu sama lain, supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik. Janganlah kita hentikan kebiasaan berkumpul bersama-sama, seperti yang dilakukan oleh beberapa orang saudara. Sebaliknya lebih-lebih lagi kita harus menggalakkan satu sama lain, kerana kita tahu bahawa tidak lama lagi Tuhan akan datang. Tidak ada lagi korban yang dapat menghapuskan dosa, jika kita dengan sengaja terus berdosa, setelah ajaran benar tentang Berita Baik sudah disampaikan kepada kita. Satu-satunya yang masih tinggal bagi kita adalah dengan takut menantikan pengadilan Allah dan api dahsyat yang akan membinasakan orang yang melawan Allah. Seseorang yang tidak mentaati Taurat Musa dihukum mati tanpa kasihan, jika dengan kesaksian dua atau tiga orang saksi, dia terbukti bersalah. Lebih berat lagi hukuman yang harus dijatuhkan kepada seseorang yang menginjak-injak Anak Allah, yang menganggap hina darah perjanjian Allah yang sudah menyucikan dia daripada dosa, dan yang menista Roh Allah yang mengasihinya! Hal itu demikian kerana kita mengenal Dia yang berfirman, “Aku akan membalas dendam! Aku akan menghukum!” Dia juga berfirman, “Tuhan akan menghakimi umat-Nya.” Alangkah ngerinya jika jatuh ke tangan Allah yang hidup! Ingatlah keadaan kamu pada masa lampau. Pada masa itu, setelah cahaya Allah menyinari kamu, sering kali kamu menderita, namun kamu tetap berjuang dengan gigih. Ada kalanya kamu dihina dan dianiaya di hadapan umum. Ada kalanya juga kamu rela menderita bersama-sama mereka yang diperlakukan demikian. Kamu ikut merasakan penderitaan orang yang dipenjarakan. Apabila segala milik kamu dirampas, kamu menanggungnya dengan gembira, kerana kamu tahu bahawa kamu masih mempunyai sesuatu yang lebih baik dan yang akan tahan selama-lamanya. Oleh itu, janganlah putus harapan, kerana besar balasannya jika kamu tetap berharap. Kamu perlu bersabar supaya dapat melakukan kehendak Allah, dan dengan demikian menerima apa yang dijanjikan-Nya. Hal ini demikian, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Hanya sebentar lagi, lalu Dia yang akan datang itu akan segera tiba; Dia tidak akan berlambat. Umat-Ku yang melakukan kehendak-Ku akan percaya kepada-Ku dan hidup; tetapi jika ada antara mereka yang tidak lagi percaya kepada-Ku, Aku tidak berkenan kepadanya.” Kita ini bukanlah umat yang tidak lagi percaya kepada Allah, dan bukan umat yang sesat. Sebaliknya, kita beriman dan diselamatkan. Beriman bererti yakin sungguh-sungguh akan perkara-perkara yang diharapkan, dan mempunyai kepastian akan perkara-perkara yang tidak dapat kita lihat. Kerana beriman, nenek moyang kita diperkenankan oleh Allah. Kerana beriman, kita mengerti bahawa alam ini diciptakan oleh firman Allah, maka apa yang dapat dilihat dijadikan daripada apa yang tidak dapat dilihat. Kerana beriman, Habel mempersembahkan korban yang lebih baik daripada korban yang dipersembahkan oleh Kain kepada Allah. Dengan imannya itu, Habel diterima oleh Allah sebagai orang yang baik, oleh sebab Allah menerima persembahannya. Kerana imannya itu, Habel masih berkata-kata sampai sekarang, meskipun dia sudah meninggal. Kerana beriman, Henokh tidak mati. Sebaliknya dia diangkat dan dibawa kepada Allah. Tidak seorang pun dapat menjumpainya, kerana dia sudah diangkat oleh Allah. Di dalam Alkitab tertulis, bahawa sebelum Henokh diangkat, dia menyenangkan hati Allah. Tanpa iman, tidak seorang pun dapat menyenangkan hati Allah. Orang yang datang kepada Allah mesti percaya bahawa Allah wujud, dan bahawa Allah menganugerahi orang yang mencari-Nya. Kerana beriman, Nuh mendengarkan amaran Allah tentang perkara-perkara pada masa depan, yang belum dilihat olehnya. Nuh taat kepada Allah, lalu membina sebuah bahtera yang kemudian menyelamatkan dia dan keluarganya. Dengan demikian dunia dihukum, dan kerana imannya Nuh dinyatakan oleh Allah sebagai orang yang baik. Kerana beriman, Abraham mentaati Allah ketika Allah memanggilnya dan menyuruhnya pergi ke negeri yang dijanjikan oleh Allah kepadanya. Abraham meninggalkan negerinya tanpa mengetahui ke mana dia akan pergi. Kerana beriman, Abraham tinggal sebagai orang asing di negeri yang dijanjikan oleh Allah kepadanya. Dia tinggal di khemah dengan Ishak dan Yakub, yang menerima janji yang sama daripada Allah. Hal itu demikian kerana Abraham sedang menantikan kota yang kekal, kota yang dirancang dan dibina oleh Allah. Kerana beriman, Abraham dapat menjadi bapa, meskipun dia sudah sangat tua dan Sara pun mandul. Abraham yakin bahawa Allah akan menepati janji-Nya. Meskipun Abraham pada masa itu sudah mati pucuk, tetapi dia mendapat keturunan sebanyak bintang di langit dan pasir di pantai. Semua orang ini beriman sampai mati. Mereka tidak menerima perkara-perkara yang dijanjikan oleh Allah, tetapi dari jauh mereka nampak dan menyambutnya. Mereka mengaku dengan terang-terang bahawa mereka hanyalah orang asing dan pengembara di bumi ini. Orang yang berkata demikian menunjukkan dengan jelas bahawa mereka sedang mencari negeri yang akan menjadi tanah air mereka. Mereka tidak selalu memikirkan negeri yang sudah ditinggalkan. Jika mereka selalu memikirkannya, mereka berpeluang kembali ke negeri itu. Sebaliknya, mereka merindukan sebuah negeri yang lebih baik, iaitu negeri yang di syurga. Itulah sebabnya Allah tidak malu apabila mereka menyebut Dia sebagai Allah mereka, kerana Allah sudah menyediakan sebuah kota untuk mereka. Kerana beriman, Abraham mempersembahkan anaknya, Ishak, sebagai korban, ketika Allah menguji Abraham. Allah memberikan janji-Nya kepada Abraham, namun Abraham bersedia mempersembahkan anaknya yang tunggal sebagai korban. Allah sudah berfirman kepadanya, “Melalui Ishak engkau akan beroleh keturunan yang Aku janjikan.” Abraham yakin bahawa Allah berkuasa membangkitkan Ishak daripada kematian. Oleh itu boleh dikatakan, Abraham sudah menerima Ishak kembali daripada kematian. Kerana beriman, Ishak menjanjikan berkat untuk masa depan bagi Yakub dan Esau. Kerana beriman, Yakub memberkati setiap anak Yusuf sebelum Yakub meninggal. Yakub bersandar pada kepala tongkatnya dan menyembah Allah. Kerana beriman, Yusuf ketika hampir meninggal berkata tentang keluarnya orang Israel dari Mesir. Dia juga berpesan tentang apa yang harus dilakukan dengan jenazahnya. Kerana beriman, ibu bapa Musa menyembunyikan dia selama tiga bulan setelah dia lahir. Mereka melihat bahawa Musa bayi yang comel, dan mereka tidak takut menentang titah raja. Kerana beriman, Musa sesudah menjadi dewasa, tidak mahu disebut anak puteri raja Mesir. Musa lebih suka menderita bersama-sama umat Allah daripada menikmati kesenangan hidup berdosa untuk sementara waktu. Musa berpendapat bahawa jauh lebih berharga menanggung hinaan bagi Penyelamat yang diutus oleh Allah daripada mendapat segala harta negeri Mesir, kerana Musa mengharapkan pahala pada masa yang akan datang. Kerana beriman, Musa meninggalkan Mesir tanpa berasa takut akan kemurkaan raja. Musa tidak mahu berpatah balik, kerana seolah-olah dia sudah nampak Allah yang tidak kelihatan itu. Kerana beriman, Musa memulakan Paska dan memberikan perintah supaya darah dipercikkan pada pintu, agar Malaikat Maut tidak membunuh anak laki-laki sulung orang Israel. Kerana beriman, orang Israel dapat menyeberang Laut Merah, seolah-olah mereka berjalan di atas tanah yang kering. Ketika orang Mesir cuba menyeberang, mereka mati lemas di dalam laut itu. Kerana beriman, orang Israel menyebabkan tembok-tembok Yerikho roboh setelah mereka mengelilinginya selama tujuh hari. Kerana beriman, Rahab, wanita pelacur itu, tidak turut terbunuh bersama-sama orang yang melawan Allah, kerana dia menyambut pengintip-pengintip Israel dengan ramah. Perlukah aku meneruskannya? Masa tidak cukup bagiku untuk bertutur tentang Gideon, Barak, Simson, Yefta, Daud, Samuel, dan nabi-nabi. Kerana beriman, mereka mengalahkan negeri-negeri. Mereka melakukan apa yang benar. Oleh itu mereka menerima apa yang dijanjikan oleh Allah. Mereka menutup mulut singa, memadamkan api yang dahsyat, dan menyelamatkan diri daripada tikaman pedang. Mereka lemah, tetapi menjadi kuat; mereka perkasa dalam peperangan dan mengalahkan pasukan-pasukan bangsa asing. Kerana beriman, kaum wanita mendapat kembali sanak keluarga yang sudah dibangkitkan daripada kematian. Ada pula yang rela diseksa sampai mati, dan menolak untuk dibebaskan, kerana ingin dihidupkan kembali bagi kehidupan yang lebih baik. Ada yang diolok-olok dan dicambuk. Ada juga yang dirantai dan dipenjarakan. Ada yang direjam sehingga mati, ada yang dipotong menjadi dua dengan gergaji, dan ada pula yang dibunuh dengan pedang. Mereka mengembara dengan berpakaian kulit domba atau kambing. Mereka miskin, dianiaya, dan diseksa. Dunia ini bukan tempat yang layak bagi mereka. Mereka mengembara seperti pelarian di padang gurun dan di bukit-bukit. Mereka tinggal di dalam gua dan lubang-lubang di tanah. Alangkah besarnya kejayaan yang dicapai oleh semua orang itu kerana iman mereka! Namun mereka tidak menerima apa yang dijanjikan oleh Allah, kerana Allah mempunyai rancangan yang lebih baik bagi kita. Dia merancang bahawa hanya bersama-sama kita, mereka akan menjadi sempurna. Sedangkan bagi kita, di sekeliling kita ada banyak saksi. Oleh itu, marilah kita buang segala halangan yang menghalang kita dan dosa yang berpaut pada kita. Marilah kita tempuh perlumbaan di hadapan kita dengan tekun. Hendaklah pandangan kita tertumpu kepada Yesus, kerana iman kita bergantung kepada-Nya dari permulaan sehingga akhir. Yesus tidak putus asa, walaupun Dia harus mati pada kayu salib. Sebaliknya, kerana kegembiraan yang menantikan-Nya, Yesus tidak peduli bahawa mati pada kayu salib adalah suatu hal yang memalukan. Sekarang Dia duduk di sebelah kanan takhta Allah. Fikirkanlah betapa beratnya penderitaan yang dialami oleh Yesus, kerana orang berdosa sangat membenci Dia! Oleh itu janganlah berkecil hati dan putus asa. Dalam perjuangan kamu melawan dosa, kamu belum pernah melawan sehingga dibunuh. Janganlah lupa akan nasihat Allah, yang diberikan kepada kamu sebagai anak-anak-Nya: “Hai anak-Ku, perhatikan baik-baik apabila Tuhan menunjukkan kesalahanmu, dan janganlah kecil hati apabila Dia menghukum kamu. Tuhan menunjukkan kesalahan setiap orang yang dikasihi-Nya, dan menghukum setiap orang yang diakui-Nya sebagai anak.” Hendaklah penderitaan yang kamu tanggung dianggap sebagai hukuman daripada seorang bapa. Penderitaan kamu membuktikan bahawa Allah memperlakukan kamu sebagai anak-anak-Nya. Pernahkah seorang anak tidak dihukum oleh bapanya? Jika kamu tidak dihukum seperti semua anak-Nya yang lain, hal ini bererti kamu bukan anak sah, tetapi anak haram. Di dunia ini kita mempunyai bapa. Mereka menghukum kita, dan kita menghormati mereka. Oleh itu, kita harus menerima hukuman yang dikenakan oleh Bapa kita yang di syurga, supaya kita hidup. Bapa kita yang di dunia menghukum kita hanya untuk masa pendek ketika kita masih anak-anak, menurut apa yang dirasakan baik oleh mereka. Tetapi Allah menghukum kita untuk kebaikan kita sendiri, supaya kita dapat menjadi suci seperti Dia. Pada masa kita dihukum, hukuman itu membuat kita susah hati, bukannya senang hati. Tetapi kemudian, orang yang dihukum untuk menunjukkan kesalahan mereka, akan hidup menurut kehendak Allah dan mengalami kesejahteraan. Oleh itu, kuatkanlah tangan yang lemah dan lutut yang gementar! Berjalanlah sentiasa pada jalan yang lurus, supaya kaki yang tempang itu tidak terkilir, tetapi menjadi sembuh. Berusahalah untuk hidup rukun dengan semua orang. Berusahalah untuk hidup suci, khas bagi Tuhan, kerana tidak seorang pun akan melihat Tuhan jika tidak hidup seperti itu. Pastikanlah supaya tidak ada orang meninggalkan Allah yang merahmati kita. Janganlah sesiapa pun menjadi seperti tanaman pahit, yang menimbulkan pelbagai kesusahan dan mencemari orang dengan bisanya. Janganlah sesiapa pun lakukan perbuatan cabul atau tidak hargai perkara rohani seperti yang dilakukan oleh Esau. Dia menjual haknya sebagai anak sulung, hanya untuk mendapat semangkuk makanan. Kamu tahu bahawa kemudian Esau ingin mendapat berkat daripada bapanya, tetapi dia ditolak. Meskipun dengan tangisan dia cuba mencari jalan untuk memperbaiki apa yang sudah dilakukannya, dia tidak dapat berbuat demikian. Kamu tidak datang untuk menghadapi sesuatu seperti yang dihadapi oleh umat Israel. Mereka datang kepada sesuatu yang dapat disentuh iaitu Gunung Sinai dengan apinya yang bernyala-nyala; mereka datang kepada kegelapan, kekelaman, angin ribut, bunyi trompet, dan suara Allah yang berfirman. Apabila umat Israel mendengar suara itu, mereka dengan sungguh-sungguh berkata bahawa mereka tidak mahu mendengar suara itu lagi. Mereka berkata demikian kerana mereka tidak tahan mendengar perintah yang mengatakan, “Baik manusia ataupun binatang yang menyentuh gunung ini, harus direjam sampai mati.” Apa yang dilihat oleh umat Israel sedemikian dahsyat sehingga Musa berkata, “Aku takut dan gementar.” Sebaliknya, kamu telah datang ke Bukit Sion dan ke kota Allah yang hidup, iaitu Yerusalem yang di syurga dengan beribu-ribu malaikatnya. Kamu telah datang ke perhimpunan yang meriah, perhimpunan anak-anak sulung Allah, yang nama mereka terdaftar di syurga. Kamu sudah datang kepada Allah yang menghakimi semua orang, dan kepada roh-roh orang baik yang sudah disempurnakan. Kamu sudah datang kepada Yesus, Pengantara yang mengadakan perjanjian baru itu, dan kepada darah percikan yang menjanjikan perkara-perkara yang jauh lebih baik daripada yang dijanjikan oleh darah Habel. Oleh itu, pastikanlah supaya kamu dengarkan Dia yang berfirman itu. Mereka yang tidak mahu mendengarkan Dia yang datang ke bumi dan menyampaikan berita daripada Allah, tidak dapat menyelamatkan diri. Jika kita meninggalkan Dia yang berfirman dari syurga, pastilah kita tidak akan dapat menyelamatkan diri. Pada masa itu, suara-Nya menggoncangkan bumi. Tetapi sekarang Dia telah berjanji, “Sekali lagi bumi akan Aku goncangkan, dan bukan bumi sahaja tetapi langit juga.” Kata-kata “sekali lagi” menunjukkan bahawa seluruh alam yang diciptakan akan digoncangkan dan disingkirkan, supaya apa yang tidak dapat digoncangkan akan tertinggal. Oleh itu, hendaklah kita bersyukur, kerana kita menerima suatu kerajaan yang tidak dapat digoncangkan. Hendaklah kita bersyukur dan menyembah Allah dengan hormat dan takut, menurut cara yang diperkenankan oleh-Nya, kerana Allah kita seperti api yang memusnahkan. Sebagai saudara-saudara Kristian, hendaklah kita sentiasa saling mengasihi. Janganlah segan menyambut orang yang belum kamu kenal ke rumah. Pernah orang berbuat demikian dan menyambut malaikat tanpa menyedarinya. Ingatlah akan orang yang di dalam penjara, seolah-olah kamu juga di dalam penjara bersama-sama mereka. Ingatlah akan orang yang menderita, seolah-olah kamu juga menderita seperti mereka. Perkahwinan harus dihormati oleh semua orang. Suami isteri harus setia kepada satu sama lain. Allah akan menghakimi orang yang melakukan perbuatan cabul dan orang yang berzina. Janganlah hidup kamu dikuasai oleh cinta akan wang. Hendaklah kamu puas hati dengan apa yang kamu miliki. Allah sudah berfirman, “Aku tidak akan membiarkan kamu; Aku tidak akan meninggalkan kamu.” Oleh itu, dengan penuh keyakinan kita berkata, “Tuhan Penolongku, aku tidak akan takut. Apakah yang dapat dilakukan orang terhadap aku?” Janganlah lupa akan pemimpin-pemimpin kamu yang dahulu menyampaikan perkhabaran Allah kepada kamu. Ingatlah bagaimana mereka hidup dan mati, dan contohilah iman mereka. Yesus Kristus tetap sama, baik dahulu, sekarang, dan selama-lamanya. Janganlah biarkan segala macam ajaran ganjil menyesatkan kamu. Hati kita harus dikuatkan oleh rahmat Allah, bukan oleh ketaatan kepada peraturan tentang makanan. Orang yang mentaati peraturan itu tidak mendapat faedah daripadanya. Imam-imam yang bertugas di Khemah Tuhan tidak berhak untuk mendapat bahagian daripada korban di atas mazbah kita. Imam Agung Yahudi membawa darah binatang ke dalam Bilik Maha Suci untuk mempersembahkannya sebagai korban untuk mengampunkan dosa, tetapi bangkai binatang itu dibakar di luar perkhemahan. Itulah sebabnya Yesus juga mati di luar pintu gerbang kota, untuk menyucikan umat-Nya daripada dosa dengan darah-Nya sendiri. Oleh itu, marilah kita pergi kepada-Nya di luar perkhemahan dan tanggung hinaan bersama-sama Dia. Hal itu demikian, kerana di bumi tidak ada kota yang kekal untuk kita; kita mencari kota yang akan datang. Oleh itu, marilah kita sentiasa persembahkan puji-pujian sebagai korban kepada Allah melalui Yesus. Kata-kata pujian itu persembahan kita, apabila kita mengaku Dia sebagai Tuhan kita. Jangan lupa berbuat baik dan saling menolong, kerana perkara itu seperti korban yang menyenangkan hati Allah. Taatilah pemimpin kamu dan turutlah perintah mereka. Tanpa mengenal lelah mereka memperhatikan kamu, kerana mereka harus bertanggungjawab kepada Allah bagi pelayanan mereka. Jika kamu taat kepada mereka, mereka dapat bekerja dengan sukacita. Jika tidak, mereka akan bekerja dengan dukacita, dan hal ini tidak berfaedah bagi kamu. Teruslah berdoa untuk kami. Kami yakin bahawa hati nurani kami murni, kerana kami selalu ingin melakukan perkara yang benar. Khasnya aku memohon supaya kamu berdoa agar Allah segera menghantar aku kembali kepada kamu. Allah sudah membangkitkan Tuhan kita Yesus daripada kematian. Oleh sebab kematian-Nya itu, Dia sekarang menjadi Gembala Agung kita, domba-domba-Nya. Kematian-Nya juga mengesahkan perjanjian kekal yang dibuat oleh Allah dengan kita. Semoga Allah sumber kesejahteraan itu melengkapi kamu dengan segala perkara baik yang kamu perlukan untuk melakukan kehendak-Nya. Semoga dengan perantaraan Yesus Kristus, Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya dalam hidup kita. Hendaklah Kristus dimuliakan selama-lamanya! Amin. Aku memohon supaya kamu mendengarkan nasihat-nasihat yang menggalakkan dengan sabar, kerana suratku ini tidak terlalu panjang. Aku hendak memberitahu kamu bahawa saudara kita Timotius sudah dibebaskan dari penjara. Jika dia segera ke sini, aku akan melawat kamu bersama-sama dia. Sampaikanlah salam kami kepada semua pemimpin kamu dan semua umat Allah. Terimalah salam daripada saudara-saudara di Italia. Semoga Allah memberkati kamu semua. Saudara-saudaraku sesama umat Allah, yang tercerai-cerai di seluruh dunia. Salam daripadaku, Yakobus, hamba Allah dan hamba Tuhan Yesus Kristus. Saudara-saudaraku! Anggaplah diri kamu berbahagia apabila mengalami bermacam-macam cubaan, kerana kamu tahu bahawa semasa kamu mengalami cubaan, dan masih tetap percaya kepada Kristus, kamu sudah membuktikan bahawa kamu tabah menanggung penderitaan. Pastikan supaya ketabahan kamu untuk menanggung penderitaan itu berterusan, sehingga kamu menjadi benar-benar sempurna dan tidak kekurangan sesuatu pun. Jika ada sesiapa antara kamu kurang bijaksana, hendaklah dia berdoa kepada Allah supaya Allah memberikan kebijaksanaan kepadanya; kerana Allah memberikan dengan murah hati dan dengan sukacita kepada setiap orang. Tetapi apabila kamu berdoa, kamu mesti percaya. Kamu tidak boleh ragu-ragu, kerana orang yang ragu-ragu seperti ombak di laut yang diumbang-ambingkan angin. [7-8] Orang seperti itu tidak tetap pendiriannya dan teragak-agak dalam semua perbuatannya. Oleh itu dia juga tidak dapat mengharapkan apa-apa daripada Tuhan. *** Orang Kristian yang miskin haruslah gembira apabila Allah meninggikan mereka. Orang Kristian yang kaya haruslah gembira apabila Allah merendahkan mereka, kerana orang kaya akan lenyap seperti bunga rumput. Ketika matahari naik, panas teriknya melayukan tanaman sehingga bunganya gugur dan hilanglah keindahannya. Demikianlah orang kaya akan jatuh miskin semasa mengusahakan perniagaan mereka. Berbahagialah orang yang tabah semasa mengalami cubaan. Apabila mereka berjaya mengatasi cubaan itu, mereka akan menerima pahala berupa kehidupan yang sudah dijanjikan oleh Allah kepada orang yang mengasihi-Nya. Jika seseorang tergoda semasa mengalami cubaan seperti itu, dia tidak boleh berkata, “Godaan ini datangnya daripada Allah.” Hal ini demikian kerana Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan, dan Allah sendiri tidak menggoda orang. Seseorang tergoda apabila dia dipikat dan diperangkap oleh keinginannya sendiri yang jahat. Apabila dia menuruti keinginannya yang jahat itu, maka lahirlah dosa; dan dosa yang berterusan akan mengakibatkan kematian. Janganlah kamu tertipu, saudara-saudara yang aku kasihi! Setiap pemberian yang baik dan sempurna datangnya dari syurga dan diturunkan oleh Allah, Pencipta semua cahaya di langit. Dia Allah yang tidak berubah, dan Dia tidak menyebabkan kegelapan apa pun. Dengan kehendak-Nya sendiri Dia menjadikan kita melalui firman-Nya yang benar. Itulah sebabnya kita mendapat kedudukan yang utama antara semua makhluk ciptaan-Nya. Saudara-saudara yang aku kasihi! Kamu tahu bahawa setiap orang haruslah cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata, dan lambat naik marah. Orang yang marah tidak dapat melakukan perkara baik, yang menyenangkan hati Allah. Oleh itu, buanglah segala kebiasaan buruk dan kelakuan yang jahat. Berserahlah kepada Allah dan terimalah firman yang ditanam-Nya di dalam hati kamu, kerana firman itu dapat menyelamatkan kamu. Janganlah tipu diri sendiri dengan hanya mendengarkan firman-Nya. Sebaliknya, lakukanlah apa yang difirmankan-Nya. Seseorang yang mendengar firman Allah tetapi tidak melakukannya, adalah seperti seorang yang melihat dirinya sendiri di depan cermin. Dia menatap dirinya baik-baik, lalu pergi dan langsung lupa akan rupanya. Berita Baik itu hukum Allah yang sempurna dan dapat membebaskan manusia. Seseorang yang mendalami hukum itu dan melakukannya, akan diberkati Allah dalam segala perkara yang dilakukannya, kerana dia tidak hanya mendengar lalu melupakannya. Adakah sesiapa menganggap dirinya beribadat? Jika dia tidak mengendalikan lidahnya, maka ibadatnya sia-sia dan dia menipu dirinya sendiri. Menurut Allah Bapa, inilah ibadat yang murni dan sejati: Menolong anak yatim piatu dan balu yang mengalami penderitaan, serta menjaga diri supaya tidak dicemari kejahatan di dunia ini. Saudara-saudaraku! Sebagai orang yang percaya kepada Tuhan Yesus Kristus, Tuhan kita yang mulia, janganlah beza-bezakan orang berdasarkan hal-hal yang lahir. Andaikan dua orang datang ke pertemuan kamu, yang seorang kaya dan berpakaian indah serta memakai cincin emas; yang seorang lagi miskin dan memakai pakaian buruk. Dengan hormat kamu menyambut orang kaya itu dan berkata kepadanya, “Silakan duduk di tempat yang terbaik ini.” Tetapi kamu berkata kepada orang miskin itu, “Berdirilah di sana, atau duduk di lantai dekat kakiku.” Dengan perbuatan itu, kamu membeza-bezakan orang di kalangan kamu dan kamu menilai orang berdasarkan fikiran yang jahat. Ketahuilah, saudara-saudara yang aku kasihi! Allah sudah memilih orang miskin di dunia ini menjadi orang yang kaya dalam iman. Mereka akan menikmati Pemerintahan Allah seperti yang sudah dijanjikan-Nya kepada mereka yang mengasihi Dia. Tetapi kamu menghina orang miskin, padahal orang kayalah yang menindas kamu dan yang menyeret kamu ke hadapan hakim. Merekalah yang menghina nama yang terhormat, yang kamu terima daripada Tuhan. Kamu melakukan apa yang benar jika kamu mengamalkan hukum Pemerintahan Allah yang tertulis di dalam Alkitab, “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” Tetapi jika kamu memperlakukan orang berdasarkan hal-hal yang lahir, kamu berdosa, dan menurut Taurat, kamu telah melanggar hukum. Sesiapa yang melanggar salah satu perintah Taurat, melanggar seluruh Taurat. Hal ini demikian, kerana Allah yang berfirman, “Janganlah berzina,” juga berfirman, “Janganlah membunuh.” Oleh itu, meskipun kamu tidak berzina, tetapi jika kamu membunuh, kamu telah melanggar hukum. Bercakaplah dan bertindaklah sebagai orang yang akan diadili oleh Allah menurut hukum yang membebaskan manusia. Hal itu demikian kerana pada masa Allah menghakimi manusia, Dia tidak akan mengasihani orang yang tidak berbelas kasihan. Tetapi orang yang berbelas kasihan tidak akan dihukum oleh Allah. Saudara-saudaraku! Tidak ada gunanya seorang Kristian berkata, “Saya beriman,” jika perbuatannya tidak membuktikan imannya. Iman semacam itu tidak dapat menyelamatkan dia. Andaikan seorang saudara lelaki atau saudara perempuan memerlukan pakaian dan tidak mempunyai cukup makanan. Tidak ada gunanya kamu berkata kepadanya, “Allah memberkati kamu! Pakailah baju panas dan makanlah dengan secukupnya!” - jika kamu tidak memberikan keperluan sehari-hari kepadanya. Demikian jugalah dengan iman. Jika iman tidak dinyatakan dengan perbuatan, iman itu sia-sia! Mungkin ada yang berkata, “Ada orang yang mempunyai iman, dan ada pula yang mengamalkan perbuatan baik.” Aku akan menjawab, “Tunjukkanlah seorang yang mempunyai iman tetapi tidak mengamalkan perbuatan baik, lalu dengan perbuatanku yang baik, aku akan menunjukkan bahawa aku beriman.” Kamu percaya bahawa Allah hanya satu. Bagus! Roh-roh jahat pun percaya akan hal itu dan gementar kerana takut. Alangkah bodohnya kamu! Adakah perlu dibuktikan bahawa iman tanpa perbuatan baik itu sia-sia? Mengapakah Allah berkenan kepada nenek moyang kita Abraham? Allah berkenan kepada Abraham kerana perbuatan Abraham, iaitu mempersembahkan Ishak, anaknya di atas mazbah, sebagai persembahan kepada Allah. Kamu tidak nampakkah bahawa Abraham menunjukkan imannya dengan perbuatannya? Oleh itu, iman Abraham menjadi sempurna. Perkara itu sesuai dengan ayat Alkitab, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana imannya Allah menerima dia sebagai orang yang melakukan kehendak Allah.” Itulah sebabnya Abraham disebut sahabat Allah. Jelaslah sekarang bahawa Allah berkenan kepada seseorang kerana perbuatan orang itu, dan bukan hanya kerana imannya. Demikian juga halnya dengan Rahab, wanita pelacur itu. Allah berkenan kepada Rahab kerana perbuatannya. Rahab menyambut pengintip-pengintip Israel dan menolong mereka melarikan diri melalui jalan lain. Oleh itu, sebagaimana tubuh tanpa roh adalah tubuh yang mati, demikian juga iman tanpa perbuatan adalah iman yang sia-sia! Saudara-saudaraku! Sepatutnya beberapa orang sahaja antara kamu berusaha untuk menjadi guru. Kamu tahu bahawa kita yang menjadi guru akan diadili dengan lebih keras daripada orang lain. Kita semua sering membuat kesalahan. Jika seseorang tidak pernah membuat kesalahan dengan kata-katanya, dia orang yang sempurna. Dia dapat menguasai seluruh dirinya. Kita memasang kekang pada mulut kuda supaya kuda menuruti kehendak kita. Dengan kekang kita dapat mengendalikan kuda. Demikian juga halnya dengan kapal, meskipun besar dan digerakkan oleh angin yang sangat kencang, namun kapal dikendalikan oleh kemudi yang sangat kecil. Kapal bergerak ke arah yang dikehendaki jurumudi. Demikian juga dengan lidah kita, meskipun kecil, tetapi dapat menyombongkan perkara-perkara yang besar. Bayangkan betapa luasnya hutan yang dapat dibakar oleh api yang sangat kecil! Lidah seperti api. Pada diri kita, lidah seperti dunia yang dikuasai kejahatan, dan menyebarkan kejahatan ke seluruh diri kita. Lidah menghanguskan seluruh hidup kita dengan api yang berasal dari neraka. Manusia dapat menjinakkan dan memang sudah menjinakkan semua makhluk lain - binatang buas, burung, binatang menjalar, dan ikan. Tetapi tidak seorang pun dapat menjinakkan lidah manusia. Lidah itu jahat dan tidak dapat dikuasai, serta penuh dengan racun yang mematikan. Kita menggunakan lidah untuk mengucapkan syukur kepada Tuhan dan Bapa kita, tetapi juga untuk mengutuk sesama manusia, yang sudah diciptakan menurut rupa Allah. Ucapan syukur dan kata-kata kutukan keluar dari mulut yang sama. Saudara-saudaraku, perkara ini tidak seharusnya berlaku! Tidak ada mata air yang mengeluarkan air tawar dan air pahit dari sumber yang sama. Saudara-saudaraku, pokok ara tidak dapat menghasilkan buah zaitun, dan pokok anggur tidak dapat menghasilkan buah ara. Mata air yang masin, juga tidak dapat mengeluarkan air tawar. Adakah antara kamu seorang yang bijak dan pandai? Dia harus membuktikannya dengan kelakuannya yang baik, dan melalui kebajikan yang diamalkannya dengan kerendahan hati dan kebijaksanaan. Tetapi jika kamu sangat iri hati dan mementingkan diri sendiri, janganlah berdosa terhadap berita benar daripada Allah, dengan bercakap besar tentang kebijaksanaan kamu. Kebijaksanaan semacam itu tidak datang dari syurga, tetapi berasal dari dunia, daripada tabiat manusia yang berdosa dan daripada roh jahat! Apabila orang iri hati dan mementingkan diri sendiri, maka akan berlakulah kekacauan dan segala macam kejahatan. Tetapi orang yang mempunyai kebijaksanaan yang datang dari syurga, pertama sekali murni, suka akan kedamaian, lemah lembut, dan ramah tamah. Mereka berbelas kasihan dan mengamalkan segala macam perbuatan baik. Mereka tidak berat sebelah ataupun munafik. Kebaikan adalah hasil daripada benih kedamaian yang ditanam oleh orang yang suka akan kedamaian. Dari manakah datangnya semua perkelahian dan pertengkaran yang berlaku antara kamu? Semua itu berasal daripada keghairahan untuk kesenangan hidup, yang sentiasa bertentangan dalam diri kamu. Kamu mengingini sesuatu, tetapi tidak mendapatnya, maka kamu mahu membunuh. Kamu sangat menghendaki sesuatu, tetapi tidak dapat memperolehnya, maka kamu bertengkar dan berkelahi. Kamu tidak mendapat apa yang kamu ingini, kerana kamu tidak memintanya daripada Allah. Apabila kamu memintanya, kamu tidak mendapatnya, kerana tujuan kamu jahat. Apa yang kamu minta itu untuk kesenangan diri sendiri. Kamu orang yang tidak setia! Kamu tahu bahawa orang yang bersahabat dengan dunia menjadi musuh Allah. Oleh itu, sesiapa yang mahu bersahabat dengan dunia, menjadi musuh Allah. Janganlah anggap ringan ayat Alkitab ini, “Roh yang penuh dengan keinginan keras, ditempatkan oleh Allah dalam diri kita.” Meskipun demikian, rahmat yang diberikan oleh Allah lebih kuat. Itulah sebabnya di dalam Alkitab tertulis, “Allah menentang orang sombong, tetapi Dia merahmati orang yang rendah hati.” Oleh itu, taatlah kepada Allah. Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripada kamu. Hampirilah Allah, dan Allah pun akan menghampiri kamu. Basuhlah tangan kamu, hai kamu yang berdosa! Sucikanlah hati kamu, hai kamu yang munafik! Hendaklah kamu menyesal, menangis, dan meratap! Hendaklah ketawa kamu menjadi tangisan dan kegembiraan kamu menjadi kedukaan! Hendaklah kamu merendahkan diri di hadapan Tuhan, maka Dia akan meninggikan kamu. Saudara-saudaraku, janganlah saling mengecam. Sesiapa mengecam atau menghakimi saudara seiman, orang itu mengecam dan menghakimi Taurat. Jika dia menghakimi Taurat, maka dia tidak lagi mentaati Taurat, tetapi menghakiminya. Hanya Allah yang berhak membuat hukum dan menghakimi manusia. Hanya Dialah yang dapat menyelamatkan ataupun membinasakan orang. Tetapi siapakah kamu sehingga mahu menghakimi sesama manusia? Sekarang dengarlah nasihatku, hai kamu yang berkata, “Hari ini atau esok kami akan berangkat ke suatu negeri dan tinggal di sana selama setahun untuk berniaga dan mencari wang.” Tetapi apa yang akan berlaku dengan kehidupan kamu esok, kamu tidak tahu! Kamu seperti kepulan asap, yang kelihatan sebentar sahaja lalu lenyap. Kamu seharusnya berkata begini, “Jika diperkenankan Tuhan, kami akan hidup dan melakukan ini atau itu.” Tetapi sekarang kamu sombong dan bercakap besar. Bercakap besar seperti itu salah. Oleh itu, seseorang yang tidak melakukan apa yang baik dan yang harus dilakukan, orang itu berdosa. Dengarlah nasihatku, hai orang kaya! Hendaklah kamu menangis dan meratap, kerana kesengsaraan akan menimpa kamu! Kekayaan kamu akan lenyap dan pakaian kamu akan dimakan gegat. Emas dan perak kamu akan berkarat; karatnya akan menjadi saksi untuk menuduh kamu dan akan membakar habis badan kamu seperti api. Kamu telah menimbun harta di dunia ini yang segera akan berakhir. Kamu tidak membayar upah orang yang bekerja di ladang kamu. Dengarkanlah sungutan mereka! Orang yang menuai hasil ladang kamu berseru minta tolong dan seruan mereka sudah sampai ke telinga Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa. Hidup kamu di dunia ini penuh dengan kemewahan dan kesenangan. Kamu seolah-olah menggemukkan diri untuk hari penyembelihan. Kamu menghukum dan membunuh orang yang tidak bersalah, dan mereka tidak melawan kamu. Oleh itu, saudara-saudaraku, bersabarlah sehingga Tuhan datang. Lihatlah betapa sabarnya seorang peladang menunggu tanahnya mengeluarkan hasil yang berharga. Dengan sabar dia menunggu hujan musim luruh dan hujan musim bunga. Kamu juga mesti bersabar. Teguhkanlah hati kamu, kerana hari kedatangan Tuhan sudah dekat. Saudara-saudaraku, janganlah saling bersungut-sungut, supaya kamu tidak dihakimi oleh Allah. Hakim sudah dekat dan segera datang. Saudara-saudaraku, ingatlah akan nabi-nabi yang bersabda demi nama Tuhan. Contohilah kesabaran dan ketabahan mereka pada masa menanggung penderitaan. Kami menyebut mereka berbahagia kerana mereka tabah menanggung penderitaan. Kamu telah mendengar kisah tentang kesabaran Ayub, dan kamu tahu bagaimana Tuhan memberkati dia pada akhirnya. Hal itu berlaku kerana Tuhan berbelas kasihan dan baik hati. Saudara-saudaraku, hal ini penting sekali: janganlah bersumpah apabila membuat janji. Janganlah bersumpah demi langit atau bumi, ataupun apa sahaja. Katakanlah “Ya” apabila maksudmu ya, dan “Tidak” apabila maksudmu tidak. Dengan demikian kamu tidak akan dihukum oleh Allah. Adakah sesiapa antara kamu sedang mengalami kesusahan? Hendaklah dia berdoa. Adakah sesiapa yang bersukacita? Hendaklah dia menyanyikan lagu pujian kepada Allah. Adakah sesiapa yang sakit? Hendaklah dia memanggil pemimpin-pemimpin jemaah, supaya mereka berdoa baginya dan menyapukan minyak zaitun padanya demi nama Tuhan. Doa yang diucapkan dengan iman, akan menyembuhkan orang sakit itu. Tuhan akan memulihkan kesihatannya dan dosa yang sudah dilakukannya akan diampunkan. Oleh itu, hendaklah kamu saling mengakui kesalahan dan berdoa bagi satu sama lain, supaya kamu disembuhkan. Doa orang yang melakukan kehendak Allah mempunyai kuasa yang besar. Elia pun orang biasa seperti kita. Dia berdoa dengan tekun supaya hujan tidak turun, dan hujan pun tidak turun selama tiga tahun setengah. Kemudian dia berdoa lagi, lalu langit mencurahkan hujan dan tanah mengeluarkan hasilnya. Saudara-saudaraku, jika seorang antara kamu sesat, lalu yang lain memimpin dia kembali kepada Allah, ingatlah ayat ini: Sesiapa memimpin seorang berdosa berbalik dari jalan yang salah, orang itu menyelamatkan jiwa orang berdosa itu daripada kematian dan menyebabkan banyak dosa diampunkan. Surat ini daripada Petrus, rasul Yesus Kristus dan ditujukan kepada umat pilihan Allah, yang tinggal sebagai orang pelarian yang tercerai-cerai di seluruh daerah Pontus, Galatia, Kapadokia, Asia, dan Bitinia. Kamu dipilih sesuai dengan rancangan Allah Bapa, dan dijadikan umat-Nya yang suci oleh Roh Allah, supaya kamu taat kepada Yesus Kristus dan disucikan oleh darah-Nya. Semoga Allah mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan dengan berlimpah-limpah. Marilah kita bersyukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus! Kerana Dia sangat mengasihani kita, Dia mengurniai kita hidup yang baru, dengan membangkitkan Yesus Kristus daripada kematian. Hal ini memberikan harapan yang kukuh kepada kita. Oleh itu, kita berharap untuk memiliki berkat-berkat yang disediakan oleh Allah bagi umat-Nya. Berkat-berkat itu disimpan-Nya di syurga, supaya tidak dapat rosak, reput, ataupun musnah. Berkat-berkat itu untuk kamu kerana kamu percaya kepada Allah. Oleh itu kamu dipelihara oleh kuasa Allah supaya kamu menerima penyelamatan yang siap dinyatakan pada akhir zaman. Oleh itu hendaklah kamu bersukacita, meskipun sekarang mungkin kamu harus berdukacita untuk sementara waktu kerana mengalami berbagai-bagai cubaan. Semuanya bertujuan untuk membuktikan sama ada kamu sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan atau tidak. Emas yang dapat rosak pun diuji dengan api. Oleh itu, iman kamu yang lebih berharga daripada emas pun harus diuji, supaya menjadi teguh. Dengan demikian, apabila Yesus Kristus datang kembali, kamu akan menerima pujian, kemuliaan, dan penghormatan daripada Allah. Kamu mengasihi Dia meskipun kamu belum pernah melihat Dia. Kamu percaya kepada-Nya meskipun sekarang kamu tidak melihat Dia. Oleh itu, kegembiraan yang kamu alami itu sungguh besar, mulia, dan tidak terkata. Hal itu demikian kerana kamu menerima penyelamatan jiwa kamu, iaitu tujuan kepercayaan kamu kepada Kristus. Penyelamatan inilah yang dikaji dan diselidiki oleh para nabi, dan mereka bernubuat tentang anugerah yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu. Roh Kristus ada pada diri para nabi, dan Roh itu bernubuat tentang penderitaan yang harus ditanggung oleh Kristus, dan tentang kemuliaan-Nya yang akan menyusul. Para nabi berusaha mengetahui masa dan bagaimana hal itu akan berlaku. Allah memberitahu nabi-nabi itu bahawa apa yang dilakukan mereka bukanlah untuk kepentingan mereka sendiri, tetapi untuk kepentingan kamu. Perkara-perkara yang disampaikan oleh nabi-nabi itu, sekarang telah kamu dengar daripada mereka yang menyampaikan Berita Baik itu. Mereka mengisytiharkannya kepada kamu dengan kuasa Roh Allah yang dikirim dari syurga. Bahkan malaikat-malaikat pun ingin memahami semua perkara itu. Oleh itu, hendaklah kamu bersiap sedia. Berwaspadalah dan berharaplah dengan sepenuhnya akan berkat yang diberikan kepada kamu apabila Yesus Kristus datang kembali. Taatlah kepada Allah, dan jangan hidup menurut keinginan kamu yang dahulu, ketika kamu masih belum mengenal Allah. Sebaliknya, hendaklah kamu suci dalam segala sesuatu yang kamu lakukan, sebagaimana Allah yang memanggil kamu itu suci. Di dalam Alkitab tertulis, “Hendaklah kamu suci, kerana Aku suci.” Kamu memanggil Allah itu Bapa, apabila kamu berdoa kepada-Nya. Dia Allah yang menghakimi manusia menurut perbuatan masing-masing dan Dia tidak berat sebelah. Oleh itu hendaklah kamu menghormati Dia selama kamu hidup di dunia. Kamu mengetahui apa yang telah dibayarkan untuk membebaskan kamu daripada kehidupan sia-sia yang kamu warisi daripada nenek moyang kamu. Bayarannya bukanlah sesuatu yang dapat dimusnahkan seperti perak atau emas, tetapi korban yang sangat berharga, iaitu Kristus sendiri, yang menjadi seperti domba yang tidak bercacat cela. Dia dipilih oleh Allah sebelum dunia ini diciptakan. Oleh itu menjelang akhir zaman ini, Dia datang untuk menyelamatkan kamu. Melalui Dialah kamu percaya kepada Allah, yang sudah membangkitkan Dia daripada kematian dan memuliakan-Nya. Oleh itu, sekarang kamu percaya kepada Allah dan berharap kepada-Nya dengan sepenuhnya. Kerana kamu mentaati ajaran benar daripada Allah, kamu menjadi suci dan kamu mengasihi sesama saudara seiman dengan ikhlas. Oleh itu, hendaklah kamu saling mengasihi dengan sepenuh hati. Melalui firman Allah yang hidup dan kekal, kamu sudah dilahirkan kembali, bukan oleh manusia, tetapi oleh Bapa yang kekal. Di dalam Alkitab tertulis, “Umat manusia bagaikan rumput, dan segala kemuliaan mereka seperti bunga rumput. Rumput layu, bunga pun gugur; tetapi firman Tuhan kekal selama-lamanya.” Firman itu Berita Baik yang diisytiharkan kepada kamu. Oleh itu, buanglah segala kejahatan daripada diri kamu. Janganlah berdusta lagi dan janganlah berpura-pura. Janganlah iri hati dan janganlah fitnah orang. Hendaklah kamu menjadi seperti bayi yang baru lahir, yang sentiasa haus akan susu rohani yang murni. Dengan meminumnya kamu akan membesar dan diselamatkan. Di dalam Alkitab tertulis, “Kamu sendiri sudah mengalami kebaikan Tuhan.” Datanglah kepada Tuhan. Dia bagaikan batu yang hidup, batu yang dibuang oleh manusia kerana dianggap tidak berguna, tetapi yang dipilih oleh Allah kerana dianggap berharga. Hendaklah kamu datang kepada-Nya sebagai batu-batu yang hidup. Biarlah kamu digunakan untuk membina rumah Allah yang rohani. Dengan demikian kamu menjadi imam yang hidup khas untuk Allah dan yang mempersembahkan korban rohani yang berkenan kepada Allah, melalui Yesus Kristus. Hal itu demikian kerana di dalam Alkitab tertulis, “Aku telah memilih suatu batu berharga, yang Aku tempatkan di Sion sebagai batu asas; dan sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak akan dikecewakan.” Batu ini sangat berharga bagi kamu yang percaya. Tetapi bagi orang yang tidak percaya, “Batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama.” Di dalam Alkitab juga tertulis ayat ini, “Inilah batu yang akan menyebabkan orang tersandung, batu yang akan menyebabkan mereka jatuh.” Mereka tersandung kerana mereka tidak percaya kepada firman itu. Demikianlah kehendak Allah bagi mereka. Tetapi kamu bangsa yang terpilih, imam-imam yang mengabdikan diri kepada Raja, bangsa yang suci, umat Allah sendiri. Allah memilih kamu untuk mengisytiharkan perbuatan-Nya yang luar biasa. Allah sudah memanggil kamu keluar daripada kegelapan supaya masuk ke dalam cahaya-Nya yang gemilang. Dahulu kamu bukan umat Allah, tetapi sekarang kamu umat Allah. Dahulu kamu tidak mengenal rahmat Allah, tetapi sekarang kamu sudah menerima rahmat-Nya. Sahabat-sahabatku, kamu seperti orang asing dan orang pelarian di dunia ini! Oleh itu, aku menggesa kamu supaya tidak menuruti hawa nafsu manusia, yang sentiasa berlawanan dengan jiwa. Kelakuan kamu antara orang yang tidak mengenal Allah, hendaklah begitu baik sehingga apabila mereka menuduh kamu sebagai orang jahat, mereka terpaksa mengakui perbuatan kamu yang baik, dan memuji Allah pada hari Allah datang untuk menghukum orang. Demi Tuhan, hendaklah kamu taat kepada pemerintah, baik kepada Kaisar yang menjadi penguasa yang terutama, mahupun kepada gabenor yang dilantik oleh Kaisar untuk menghukum orang jahat, dan untuk memuji orang yang berbuat baik. Allah mahu kamu melakukan perbuatan baik supaya orang yang bercakap bodoh tidak berpeluang memfitnah kamu. Hiduplah sebagai orang bebas, tetapi jangan gunakan kebebasan kamu untuk menutupi kejahatan, melainkan hiduplah sebagai abdi Allah. Hormatilah semua orang, kasihilah sesama saudara seiman, takutlah akan Allah, dan hormatilah Kaisar. Hamba, taatlah kepada tuan kamu, dan hormati mereka dengan sepenuhnya, bukan sahaja mereka yang baik hati dan bertimbang rasa, tetapi juga mereka yang kejam. Allah akan memberkati kamu, jika kamu dengan tabah menanggung perlakuan yang tidak adil kerana kamu tahu akan kehendak Allah. Apakah keistimewaannya, jika kamu menanggung hukuman yang memang harus kamu tanggung kerana bersalah? Tetapi jika kamu tabah menanggung penderitaan apabila dihukum kerana melakukan yang benar, Allah akan memberkati kamu. Untuk hal inilah Allah memanggil kamu, kerana Kristus sendiri sudah menanggung penderitaan untuk kamu, dan memberi kamu satu teladan, supaya kamu mengikut jejak-Nya. Dia tidak pernah berdosa dan sesiapa pun tidak pernah mendengar Dia berdusta. Apabila Dia dicerca, Dia tidak membalas dengan cercaan. Pada waktu Dia menanggung penderitaan, Dia tidak mengancam orang, tetapi Dia mempercayakan diri kepada Allah, Hakim yang adil itu. Kristus sendiri memikul dosa kita pada tubuh-Nya di kayu salib, supaya kita bebas daripada kuasa dosa, lalu hidup menurut kehendak Allah. Luka-luka Kristuslah yang menyembuhkan kamu. Dahulu kamu seperti domba yang sesat, tetapi sekarang kamu telah dibawa pulang untuk mengikut Gembala dan Pemelihara jiwa kamu. Demikian juga kamu, isteri-isteri harus taat kepada suami, supaya jika ada antara suami kamu yang tidak percaya kepada firman Allah, kelakuan kamu akan menyebabkan mereka menjadi percaya. Kamu tidak perlu mengatakan apa-apa kepada mereka, kerana mereka boleh melihat kelakuan kamu yang murni dan penuh hormat. Janganlah kecantikan kamu bergantung kepada hiasan rambut, barang kemas, ataupun pakaian yang mahal-mahal. Sebaliknya, hendaklah kecantikan kamu terdiri daripada batin yang murni, budi pekerti yang lembut, dan tenang. Itulah kecantikan abadi yang sangat berharga di sisi Allah. Pada zaman dahulu, wanita salih yang mempercayakan diri kepada Allah mempercantik diri dengan ketaatan kepada suami mereka. Sara pun demikian juga; dia taat kepada Abraham dan menyebut dia tuannya. Kamu sekarang anak-anak Sara, jika kamu melakukan perkara yang baik dan tidak takut akan apa pun. Demikian juga kamu, suami-suami harus hidup dengan isteri kamu dengan penuh pengertian, dan sedar bahawa mereka itu kaum yang lebih lemah. Perlakukanlah mereka dengan hormat, kerana mereka bersama-sama kamu, akan menerima anugerah hidup sejati dan kekal daripada Allah. Berbuatlah demikian supaya tiada sesuatu pun menghalangi doa kamu. Inilah kesimpulannya: Hendaklah kamu semua seia sekata dan seperasaan. Hendaklah kamu saling mengasihi seperti orang yang bersaudara, dan hendaklah kamu saling berbelas kasihan dan bersikap rendah hati. Janganlah balas kejahatan dengan kejahatan, atau cercaan dengan cercaan; sebaliknya balaslah kejahatan dengan berkat daripada Allah. Kamu harus berbuat demikian kerana Allah menjanjikan berkat, ketika Dia memanggil kamu. Di dalam Alkitab tertulis, “Sesiapa yang hendak menikmati hidup dan yang ingin mengalami masa yang baik, tidak boleh memfitnah orang dan tidak boleh berdusta. Dia tidak boleh melakukan kejahatan lagi, tetapi berbuat baik; dia harus berusaha dengan sungguh-sungguh untuk mendapat perdamaian. Berbuatlah demikian, kerana Tuhan sentiasa memperhatikan orang yang melakukan kehendak-Nya, Dia sentiasa mendengarkan doa mereka; tetapi Tuhan menentang orang yang melakukan kejahatan.” Siapakah akan menyusahkan kamu jika kamu ingin sekali berbuat baik? Tetapi meskipun kamu harus menanggung penderitaan kerana melakukan perkara yang baik, kamu berbahagia! Janganlah takut akan sesiapa pun dan janganlah khuatir. Tetapi dengan tulus hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hidup kamu. Hendaklah kamu sentiasa bersedia memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kamu menjelaskan harapan yang kamu miliki. Tetapi lakukanlah hal itu dengan lemah lembut dan hormat. Hendaklah hati nurani kamu murni, supaya apabila kamu difitnah kerana hidup dengan baik sebagai pengikut Kristus, orang yang memfitnah kamu itu akan menjadi malu. Lebih baik menanggung penderitaan kerana berbuat baik, jika hal itu memang kehendak Allah, daripada menanggung penderitaan kerana berbuat jahat. Hal itu demikian kerana Kristus sendiri mati sekali sahaja dan untuk selama-lamanya, supaya dosa kita diampunkan. Dia tidak bersalah tetapi mati untuk orang yang bersalah, supaya Dia boleh memimpin kamu kepada Allah. Dia dibunuh dalam keadaan jasmani, tetapi dihidupkan semula dalam keadaan rohani. Dalam keadaan roh Dia pergi mengisytiharkan berita daripada Allah kepada roh-roh yang dipenjarakan, iaitu roh-roh orang yang tidak taat kepada Allah ketika Allah menantikan mereka dengan sabar pada masa Nuh membina bahteranya. Hanya lapan orang di bahtera itu, dan mereka diselamatkan oleh air bah itu. Air bah itu melambangkan baptisan yang sekarang ini menyelamatkan kamu. Baptisan ini bukanlah pembasuhan kotoran daripada tubuh, tetapi janji kamu kepada Allah daripada hati nurani yang baik. Baptisan ini menyelamatkan kamu kerana Yesus Kristus sudah bangkit daripada kematian, dan sudah naik ke syurga. Sekarang Dia di sebelah kanan Allah dan memerintah semua malaikat, penguasa, dan pemerintah di langit. Kerana Kristus sudah menanggung penderitaan secara jasmani, kamu juga mesti menguatkan diri dengan pendirian seperti itu. Hal ini demikian kerana sesiapa yang menanggung penderitaan secara jasmani, tidak lagi berbuat dosa. Oleh itu, selama kamu hidup di dunia ini, kamu mesti dikuasai oleh kehendak Allah dan bukan oleh keinginan manusia. Pada masa lampau, kamu sudah cukup lama melakukan apa yang suka dilakukan oleh orang yang tidak mengenal Allah. Hidup kamu tidak senonoh. Kamu menuruti hawa nafsu, bersifat pemabuk, berpesta liar, minum minuman keras dengan berlebih-lebihan, dan menyembah berhala yang menjijikkan. Sekarang orang yang tidak mengenal Allah hairan apabila kamu tidak mengikut cara hidup mereka yang jahat itu. Itulah sebabnya mereka menghina kamu. Tetapi mereka harus mempertanggungjawabkan hidup mereka kepada Allah yang siap menghakimi orang hidup dan orang mati. Itulah sebabnya Berita Baik sudah diisytiharkan juga kepada orang mati, supaya mereka yang telah diadili dalam keadaan jasmani - seperti halnya semua orang akan diadili - dapat hidup secara rohani menurut kehendak Allah. Tidak lama lagi segala sesuatu akan berakhir. Oleh itu, kamu harus mengawal diri dan berwaspada, supaya kamu dapat berdoa. Inilah perkara yang terpenting: Kamu harus saling mengasihi dengan sepenuh hati, kerana jika kamu saling mengasihi, kamu juga bersedia untuk saling mengampuni. Hendaklah kamu saling menyambut saudara seiman di rumah tanpa bersungut-sungut. Setiap orang daripada kamu sudah menerima kurnia yang berlainan daripada Allah. Oleh itu sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Allah, kamu mesti menggunakan kurnia-kurnia itu untuk kepentingan semua orang. Sesiapa yang menyampaikan perkhabaran, harus menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Sesiapa yang memberikan pertolongan kepada orang lain, harus melakukannya dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah, supaya dalam segala hal Allah dimuliakan melalui Yesus Kristus. Kristuslah yang memiliki kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin. Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Kamu sekarang menanggung penderitaan yang berat kerana kamu sedang diuji. Janganlah hairan dan janganlah anggap perkara itu luar biasa. Sebaliknya, bersyukurlah kerana kamu turut menanggung penderitaan bersama-sama Kristus. Dengan demikian kamu akan bersukacita, apabila kemuliaan Kristus dinyatakan kelak. Berbahagialah kamu jika kamu dihina kerana kamu pengikut Kristus. Hal ini bererti bahawa Roh yang mulia, iaitu Roh Allah ada pada kamu. Janganlah seorang pun antara kamu menanggung penderitaan kerana dia pembunuh, atau pencuri, atau penjahat, atau kerana dia mencampuri urusan orang lain. Tetapi jika kamu menanggung penderitaan oleh sebab kamu orang Kristian, janganlah malu kerananya. Bersyukurlah kepada Allah, kerana kamu pengikut Kristus. Tibalah saatnya Allah mengadili dunia. Mula-mula Dia akan mengadili umat-Nya sendiri. Jika kita yang mula-mula diadili, betapa dahsyatnya kesudahan orang yang tidak percaya kepada Berita Baik daripada Allah! Di dalam Alkitab tertulis, “Jika orang baik pun susah diselamatkan, apa yang akan berlaku kepada orang berdosa yang tidak mengenal Allah?” Oleh itu, orang yang menanggung penderitaan kerana hal itu kehendak Allah, harus berbuat baik dan berserah kepada Pencipta mereka, yang sentiasa menepati janji-Nya. Aku meminta perhatian pemimpin-pemimpin jemaah di kalangan kamu. Aku juga pemimpin jemaah dan aku sudah menyaksikan penderitaan Kristus. Aku akan turut dimuliakan apabila kemuliaan Kristus dinyatakan kepada manusia. Aku menggesa kamu supaya kamu menjaga jemaah yang diberikan oleh Allah kepada kamu, seperti gembala menjaga kawanan domba. Jagalah jemaah dengan senang hati sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Janganlah lakukan tugas itu dengan berat hati. Jangan lakukan pekerjaan kamu hanya untuk mendapat upah, tetapi lakukannya kerana kamu sungguh-sungguh ingin melakukannya. Janganlah bertindak sebagai penguasa terhadap orang yang dipercayakan kepada kamu, tetapi jadilah teladan kepada mereka. Apabila Gembala Agung itu datang kelak, kamu akan menerima mahkota yang mulia dan kekal. Demikian juga kamu, orang muda, hendaklah kamu taat kepada orang yang lebih tua. Hendaklah kamu semua merendahkan diri dan saling melayani, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Allah menentang orang yang sombong, tetapi Dia merahmati orang yang rendah hati.” Oleh itu, rendahkanlah diri kamu ke bawah tangan Allah yang berkuasa, supaya Dia meninggikan kamu pada masa yang ditetapkan-Nya. Serahkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Allah, kerana Dia mengambil berat tentang kamu. Berjaga-jagalah dan berwaspadalah, kerana Iblis, musuh kamu merayau-rayau seperti singa yang mengaum sambil mencari mangsa. Teguhkanlah iman dan lawanlah Iblis, kerana kamu tahu bahawa saudara-saudara sesama Kristian lainnya di seluruh dunia, juga mengalami penderitaan yang sama. Tetapi setelah kamu menanggung penderitaan untuk sementara waktu, Allah sendiri akan menyempurnakan kamu. Dia akan menegakkan, menguatkan, dan mengukuhkan kamu, kerana Dia Allah yang sangat baik hati dan yang sudah memanggil kamu untuk turut menikmati kemuliaan-Nya yang kekal, kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus. Dialah yang berkuasa selama-lamanya! Amin. Suratku yang ringkas ini aku tulis kepada kamu dengan pertolongan Silas, yang aku anggap sebagai seorang saudara Kristian yang setia. Aku ingin menggalakkan kamu dan memberikan kesaksianku bahawa apa yang aku tulis ini berkenaan dengan rahmat Allah untuk kamu. Hendaklah kamu sentiasa bersandar kepada rahmat-Nya. Jemaah di Babel yang juga dipilih oleh Allah, mengirim salam kepada kamu, demikian juga anakku Markus. Bersalam-salamanlah dengan penuh kasih sayang. Semoga Allah mengurniakan kesejahteraan kepada kamu semua yang menjadi milik Kristus. Surat ini daripada Simon Petrus, hamba dan rasul Yesus Kristus. Surat ini ditujukan kepada mereka yang percaya kepada Kristus seperti kami juga. Yesus Kristus, iaitu Allah dan Penyelamat kita memungkinkan kita percaya kepada-Nya, kerana Dia melakukan yang adil. Semoga Allah mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan yang berlimpah-limpah, kerana kamu mengenal Allah dan Yesus, Tuhan kita. Dengan kuasa-Nya sendiri, Allah sudah mengurniai kita segala sesuatu yang diperlukan untuk hidup salih. Dia melakukan hal ini melalui apa yang kita ketahui tentang Allah yang telah memanggil kita untuk menikmati kemuliaan dan kebaikan-Nya sendiri. Dengan cara ini Dia telah mengurniai kita berkat-berkat yang sangat baik dan berharga yang dijanjikan-Nya. Dengan berkat-berkat itu kamu terlepas daripada keinginan jahat yang membinasakan, yang terdapat di dunia ini, dan kamu menerima sifat Allah sendiri. Oleh itu, berusahalah sebaik-baiknya supaya kamu tetap percaya kepada Kristus, mengamalkan hidup yang baik, dan juga mengetahui kehendak Allah. Di samping itu kamu harus dapat mengawal diri, bertabah hati ketika menghadapi segala sesuatu, dan kamu juga mesti hidup salih. Hendaklah kamu menyayangi saudara seiman dan mengasihi semua orang. Semua itu sifat yang kamu perlukan, dan jika kamu memilikinya dengan berlimpah-limpah, hidup kamu akan bermakna dan berguna serta lebih mengenal Yesus Kristus Tuhan kita dengan baik. Tetapi sesiapa yang tidak mempunyai sifat-sifat baik itu, pandangannya picik. Dia tidak dapat melihat dan dia lupa bahawa dosa-dosanya yang lampau sudah dihapuskan. Oleh itu, saudara-saudaraku, berusahalah lebih keras lagi supaya panggilan Allah dan pilihan-Nya atas diri kamu itu menjadi suatu pengalaman yang kekal. Jika kamu berbuat demikian, kamu tidak akan membuang iman. Dengan cara ini, kamu akan diberikan hak sepenuhnya untuk menikmati Pemerintahan kekal daripada Tuhan dan Penyelamat kita Yesus Kristus. Oleh itu, aku akan sentiasa mengingatkan kamu tentang perkara-perkara ini, meskipun kamu sudah mengetahuinya dan sungguh-sungguh percaya kepada ajaran Allah yang sudah kamu terima itu. Selama aku masih hidup, aku wajib mengingatkan kamu tentang perkara-perkara itu. Aku tahu bahawa tidak lama lagi aku akan meninggalkan dunia ini, kerana Tuhan kita Yesus Kristus telah memberitahu aku dengan jelas. Oleh itu aku akan berusaha sebaik-baiknya supaya setelah aku meninggal pun, kamu sentiasa ingat akan perkara-perkara ini. Semasa kami memberitahu kamu tentang Tuhan kita Yesus Kristus yang akan datang dengan penuh kuasa, kami tidak bergantung kepada dongeng yang direka-reka manusia. Dengan mata kepala sendiri kami melihat kemuliaan Kristus. Kami di sana ketika Dia dihormati dan dimuliakan oleh Allah Bapa. Pada waktu itu terdengar suara daripada Yang Maha Mulia berfirman kepada-Nya, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku!” Kami sendiri mendengar suara itu datang dari syurga ketika kami bersama-sama Dia di atas gunung yang suci itu. Oleh itu kami lebih yakin lagi akan perkhabaran yang diisytiharkan oleh nabi-nabi. Sebaiknya kamu perhatikan perkhabaran itu, kerana perkhabaran itu seperti pelita yang bersinar di tempat gelap sehingga fajar menyingsing, dan cahaya bintang fajar bersinar di dalam hati kamu. Tetapi hal terutama inilah yang harus kamu ingat: Tidak seorang pun dapat mentafsirkan nubuat di dalam Alkitab menurut pendapat sendiri. Hal itu demikian kerana tidak ada nubuat yang disampaikan oleh para nabi, berasal daripada kehendak manusia. Tetapi Roh Allah menguasai orang semasa mereka menyampaikan perkhabaran yang datang daripada Allah. Pada masa lampau, nabi-nabi palsu muncul di kalangan umat Allah. Demikian juga guru-guru palsu akan muncul di kalangan kamu. Mereka akan menyebarkan ajaran yang tidak benar dan yang membinasakan. Mereka akan menyangkal Yesus Kristus, Penguasa yang sudah menyelamatkan mereka. Dengan demikian mereka mendatangkan kebinasaan yang akan menimpa diri mereka dengan tiba-tiba. Meskipun demikian, banyak orang akan mengikut cara hidup guru-guru palsu yang melakukan perbuatan cabul. Perbuatan mereka itu menyebabkan orang menghina Jalan Benar kepada Allah. Guru-guru palsu ini tamak; mereka mencari keuntungan dengan jalan menceritakan cerita-cerita rekaan mereka sendiri kepada kamu. Sejak dahulu Allah telah menjatuhkan hukuman kepada mereka, dan kebinasaan yang telah ditetapkan-Nya menunggu-nunggu mereka. Malaikat-malaikat berdosa pun tidak terlepas daripada hukuman Allah. Dia membuang mereka ke dalam neraka. Di situ mereka dirantai di tempat yang gelap sehingga Hari Pengadilan. Dunia zaman dahulu pun tidak terlepas daripada hukuman Allah. Dia mendatangkan air bah kepada orang derhaka zaman itu. Hanya Nuh dan tujuh orang lain yang diselamatkan-Nya, kerana Nuh mengisytiharkan cara hidup yang dikehendaki Allah. Allah menghukum kota Sodom dan Gomora; Dia memusnahkannya dengan api, supaya menjadi contoh tentang apa yang akan berlaku terhadap orang derhaka. Tetapi Allah menyelamatkan Lot, seorang baik yang bersusah hati kerana perbuatan cabul orang jahat di situ. Lot yang baik itu hidup di kalangan mereka, dan hari demi hari batinnya terseksa kerana melihat dan mendengar perbuatan mereka yang jahat itu. Demikianlah Tuhan tahu akan cara menyelamatkan orang salih daripada cubaan. Tuhan juga tahu akan cara menahan orang jahat supaya dihukum pada Hari Pengadilan, terutamanya mereka yang menuruti keinginan hawa nafsu yang kotor, dan mereka yang menghina kekuasaan Allah. Guru-guru palsu ini tidak tahu malu dan sombong. Mereka tidak menghormati makhluk-makhluk mulia di syurga; sebaliknya mereka menghina semua makhluk itu. Sedangkan malaikat-malaikat yang jauh lebih kuat dan berkuasa daripada guru-guru palsu itu, tidak menuduh makhluk-makhluk itu di hadirat Tuhan dengan kata-kata hinaan. Tetapi guru-guru palsu itu seperti binatang buas yang lahir untuk ditangkap dan dibunuh; mereka bertindak menurut naluri sahaja. Dengan kata-kata hinaan mereka menyerang perkara-perkara yang tidak difahami. Mereka akan dibinasakan seperti binatang buas. Mereka akan menderita kesengsaraan, kerana menyebabkan orang lain menderita kesengsaraan. Bagi mereka, kesenangan bererti berfoya-foya pada siang hari untuk memuaskan hawa nafsu. Semasa mereka makan bersama-sama kamu, kelakuan mereka amat memalukan. Mereka berasa seronok kerana dapat menipu kamu. Mereka suka memandang wanita dengan perasaan berahi, dan nafsu mereka untuk berdosa tidak dapat dipuaskan. Orang yang lemah iman diperangkap oleh mereka. Hati mereka dikuasai ketamakan. Mereka dikutuk Allah! Mereka telah meninggalkan jalan yang lurus, lalu sesat. Mereka mengambil jalan yang diikuti oleh Bileam anak Beor dahulu. Bileam ingin sekali mendapat wang daripada perbuatannya yang jahat. Bileam mendapat teguran kerana dosanya itu. Keldainya bercakap dengan suara manusia dan menghentikan Bileam daripada perbuatannya yang bodoh. Guru-guru palsu itu seperti mata air yang kering dan seperti awan yang ditiup oleh ribut. Allah sudah menyediakan suatu tempat yang sangat gelap untuk mereka. Mereka membuat kenyataan yang sombong dan bodoh, serta menggunakan nafsu cabul untuk menjerumuskan orang yang baru sahaja terlepas daripada kalangan orang yang hidup sesat. Guru-guru palsu itu menjanjikan kebebasan kepada mereka, sedangkan guru-guru palsu itu diperhamba oleh kebiasaan yang membinasakan. Hal itu demikian, kerana seseorang yang dikalahkan, menjadi hamba kepada yang mengalahkannya. Orang yang mengenal Tuhan dan Penyelamat kita Yesus Kristus, sudah terlepas daripada kuasa dunia yang mencemarkan manusia. Tetapi jika kemudian mereka ditawan semula dan dikalahkan oleh kuasa-kuasa tersebut, keadaan mereka menjadi lebih buruk daripada sebelum mengenal Kristus. Lebih baik orang seperti itu tidak pernah mengenal cara hidup yang dikehendaki oleh Allah, daripada mereka mengenalnya lalu tidak mahu mentaati perintah yang diberikan oleh Allah. Apa yang berlaku kepada mereka membuktikan bahawa peribahasa ini benar, “Anjing akan makan semula apa yang sudah dimuntahkannya,” dan “Babi yang sudah dimandikan, akan bergulingan semula di lumpur.” Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Inilah suratku yang kedua kepada kamu. Di dalam kedua-dua pucuk surat ini, aku berusaha untuk membangkitkan fikiran yang murni dengan mengingatkan kamu tentang perkara-perkara ini. Aku mahu kamu ingat akan kata-kata yang diucapkan oleh nabi-nabi Allah pada zaman dahulu, dan ingat akan perintah daripada Tuhan dan Penyelamat yang disampaikan oleh rasul-rasul kepada kamu. Mula-mula kamu harus mengerti bahawa pada akhir zaman akan muncul beberapa orang yang kehidupan mereka dikuasai oleh hawa nafsu. Mereka akan memperolok-olokkan kamu dengan berkata, “Bukankah Tuhan berjanji akan datang? Di manakah Dia? Ibu bapa kita sudah meninggal, tetapi segala-galanya masih sama sahaja seperti sejak kejadian alam!” Mereka sengaja tidak mahu mengakui bahawa dahulu Allah menciptakan langit dan bumi dengan firman-Nya. Bumi dijadikan daripada air dan dengan air. Dengan air juga, iaitu air bah, dunia zaman dahulu itu dibinasakan. Tetapi langit dan bumi sekarang ini, dipelihara oleh firman Allah itu juga, untuk dimusnahkan dengan api kelak. Langit dan bumi masih dipelihara sehingga hari orang derhaka dihukum dan dibinasakan. Tetapi janganlah lupa akan satu perkara ini, hai sahabat-sahabat yang aku kasihi! Di sisi Tuhan, satu hari tidak ada bezanya dengan seribu tahun. Bagi-Nya, kedua-duanya sama sahaja. Tuhan tidak berlambat untuk melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya, meskipun beberapa orang berfikir demikian. Sebaliknya, Dia sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin sesiapa pun binasa. Dia mahu semua orang bertaubat daripada dosa. Tetapi Hari kedatangan Tuhan akan tiba seperti pencuri. Pada Hari itu, langit akan lenyap dengan bunyi gemuruh, benda-benda di langit akan terbakar dan musnah, dan bumi dengan segala yang ada di dalamnya akan lenyap. Semua itu akan dibinasakan dengan cara yang demikian. Oleh itu, bagaimanakah seharusnya kamu hidup? Kamu harus sentiasa hidup suci dan khas untuk Allah, sementara kamu menantikan Hari apabila Allah mengadili dunia. Hendaklah kamu berusaha sebaik-baiknya untuk mempercepat kedatangan Hari itu. Pada Hari itu langit akan terbakar dan musnah, dan benda-benda di langit akan lebur kerana bahangnya. Tetapi kita menantikan apa yang sudah dijanjikan oleh Allah, iaitu langit baru dan bumi baru. Di situ terdapat keadilan. Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, sementara kamu menantikan Hari itu, berusahalah sebaik-baiknya supaya kamu hidup suci dan tidak bercela di sisi Allah. Anggaplah kesabaran Tuhan kita sebagai peluang yang diberikan-Nya kepada kamu supaya diselamatkan. Paulus, saudara yang kita kasihi, juga menulis demikian kepada kamu dengan menggunakan kebijaksanaan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Dalam semua suratnya, Paulus selalu menulis tentang perkara-perkara itu. Memang ada beberapa hal dalam suratnya yang sukar difahami. Lalu orang yang tidak tahu apa-apa dan yang lemah iman, telah menyalahtafsirkan hal-hal itu. Mereka juga menyalahtafsirkan bahagian-bahagian lain daripada Alkitab. Perbuatan itu mengakibatkan kebinasaan diri mereka sendiri. Tetapi kamu, saudara-saudara yang aku kasihi, telah mengetahui hal ini. Oleh itu, berwaspadalah supaya kamu tidak disesatkan oleh kesilapan orang jahat, lalu jatuh dari tempat berpijak yang kukuh. Hendaklah kamu semakin menghayati kasih Yesus Kristus, Tuhan dan Penyelamat kita, dan hendaklah kamu juga semakin mengenal Dia. Marilah kita memuji dan memuliakan Kristus, sekarang dan selama-lamanya! Amin. Kami menulis surat kepada kamu tentang Firman yang memberikan hidup, iaitu Firman yang telah ada sejak permulaan. Kami sudah mendengarnya, dan kami sudah melihatnya dengan mata kepala sendiri. Kami sudah melihatnya dan kami sudah menyentuhnya dengan tangan. Ketika hidup sejati dan kekal itu dinyatakan, kami melihatnya. Itulah sebabnya kami memberikan kesaksian tentangnya. Kami memberitahu kamu tentang hidup sejati dan kekal, yang bersama-sama Bapa, dan yang sudah ditunjukkan kepada kami. Kami pun memberitahu kamu apa yang sudah kami lihat dan dengar, supaya kamu bersama-sama kami turut menghayati hidup bersatu dengan Bapa dan dengan Anak-Nya Yesus Kristus. Kami menulis hal ini supaya kita benar-benar gembira. Inilah berita yang telah kami dengar daripada Anak-Nya dan yang kami isytiharkan kepada kamu: Allah itu cahaya, dan pada-Nya tidak ada kegelapan sama sekali. Jika kita berkata bahawa kita hidup bersatu dengan Dia, padahal kita hidup dalam kegelapan, maka kita berdusta baik dengan kata-kata mahupun dengan perbuatan. Tetapi jika kita hidup dalam cahaya, sebagaimana Allah ada dalam cahaya, maka kita hidup rukun dan darah Yesus, Anak-Nya, membersihkan kita daripada segala dosa. Jika kita berkata bahawa kita tidak berdosa, kita menipu diri sendiri, dan Allah tidak ada di dalam hati. Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan melakukan apa yang adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan membersihkan kita daripada segala perbuatan yang salah. Tetapi jika kita berkata bahawa kita tidak berdosa, kita menjadikan Allah pendusta, dan firman-Nya tidak kita simpan di dalam hati. Anak-anakku, aku menulis surat ini kepada kamu, supaya kamu tidak berdosa. Tetapi jika seseorang berdosa, kita mempunyai seorang pembela, iaitu Yesus Kristus yang adil. Dia akan memohon bagi kita di hadapan Bapa. Melalui Kristuslah dosa kita diampunkan, dan bukannya dosa kita sahaja, tetapi juga dosa semua orang. Jika kita taat kepada perintah Allah, itulah tandanya kita mengenal Dia. Jika seseorang berkata, “Aku mengenal Allah,” tetapi tidak taat kepada perintah-Nya, orang seperti itu pendusta. Allah tidak ada di dalam hatinya. Tetapi sesiapa taat kepada firman-Nya, orang itu mengasihi Allah dengan sempurna. Itulah tandanya kita hidup bersatu dengan Allah. Sesiapa berkata bahawa dia hidup bersatu dengan Allah, orang itu harus hidup mengikut jejak Kristus. Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Perintah yang aku tulis ini bukanlah suatu perintah yang baru. Perintah ini perintah lama, yang telah kamu terima sejak kamu percaya kepada Kristus. Perintah lama ini berita daripada Allah yang sudah kamu dengar. Walaupun demikian, perintah yang aku tulis ini baru juga, kerana kebenarannya nyata pada diri Kristus dan juga pada diri kamu. Hal ini demikian kerana kegelapan hampir berlalu, dan cahaya yang sejati mula bersinar. Sesiapa berkata bahawa dia hidup dalam cahaya tetapi membenci saudaranya, orang itu masih hidup dalam kegelapan sehingga saat ini. Sesiapa yang mengasihi saudaranya, hidup dalam cahaya sehingga tiada suatu pun pada dirinya yang akan menyebabkan orang lain berdosa. Tetapi sesiapa membenci saudaranya, orang itu hidup dalam kegelapan. Dia berjalan dalam kegelapan, dan tidak tahu ke mana dia pergi, kerana kegelapan itu sudah membutakan dia. Anak-anakku, aku menulis kepada kamu, kerana dosa kamu sudah diampunkan demi Kristus. Bapa-bapa, aku menulis kepada kamu, kerana kamu kenal akan Dia yang telah ada sejak permulaan. Aku menulis kepada kamu, orang muda, kerana kamu sudah mengalahkan Iblis. Anak-anakku, aku menulis kepada kamu kerana kamu kenal akan Allah Bapa. Aku menulis kepada kamu, bapa-bapa, kerana kamu kenal akan Dia yang telah ada sejak permulaan. Aku menulis kepada kamu, orang muda, kerana kamu teguh hati. Kamu menyimpan firman Allah di dalam hati, dan kamu sudah mengalahkan Iblis. Janganlah kasihi dunia ini, atau segala sesuatu di dunia ini. Jika kamu mengasihi dunia ini, kamu tidak mengasihi Allah Bapa. Segala sesuatu di dunia ini, iaitu yang diingini oleh keinginan hati orang berdosa, dan yang dilihat lalu dikehendaki, serta yang dibangga-banggakan, semuanya tidak berasal daripada Bapa, tetapi dari dunia. Dunia dan segala sesuatu di dunia yang diingini oleh manusia tidak kekal. Tetapi orang yang melakukan kehendak Allah, akan hidup selama-lamanya. Anak-anakku, akhir zaman sudah dekat! Kamu diberitahu bahawa Musuh Kristus akan datang. Sekarang banyak orang yang memusuhi Kristus telah muncul. Oleh itu kita tahu bahawa akhir zaman sudah dekat. Musuh-musuh Kristus itu sebenarnya tidak termasuk dalam golongan kita, itulah sebabnya mereka meninggalkan kita. Jika mereka termasuk dalam golongan kita, tentu mereka tetap bersama-sama kita. Tetapi mereka meninggalkan kita, supaya nyata bahawa tidak seorang pun antara mereka yang benar-benar termasuk dalam golongan kita. Tetapi kamu sudah menerima Roh Allah yang dicurahkan oleh Kristus. Itulah sebabnya kamu semua mengenal ajaran yang benar. Aku menulis kepada kamu, bukan kerana kamu tidak mengenal ajaran yang benar; tetapi justeru kerana kamu mengenalnya. Kamu juga tahu bahawa tidak ada dusta dalam ajaran yang benar itu. Sesiapa berkata bahawa Yesus bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, orang itu pendusta. Orang seperti itu Musuh Kristus; orang itu tidak mengakui Bapa mahupun Anak. Sesiapa yang tidak mengakui Anak, juga tidak mengakui Bapa. Sesiapa yang menyambut Anak, menyambut Bapa juga. Oleh itu, perkhabaran yang kamu dengar sejak kamu mula-mula percaya kepada Kristus harus kamu simpan di dalam hati. Jika kamu berpegang kepada perkhabaran itu, kamu akan sentiasa hidup bersatu dengan Anak dan dengan Bapa. Inilah yang dijanjikan oleh Kristus sendiri kepada kita: hidup sejati dan kekal. Aku menulis surat ini kepada kamu tentang mereka yang berusaha untuk menipu kamu. Tetapi bagi kamu, Kristus telah mencurahkan Roh-Nya kepada kamu. Selama Roh-Nya ada pada kamu, kamu tidak memerlukan sesiapa pun untuk mengajar kamu. Hal ini demikian kerana Roh-Nya mengajar kamu tentang segala sesuatu, dan apa yang diajarkan-Nya itu benar, bukan palsu. Oleh itu, taatlah kepada ajaran Roh-Nya, dan tetaplah hidup bersatu dengan Kristus. Oleh itu, anak-anakku, tetaplah hidup bersatu dengan Kristus, supaya pada waktu Dia datang, kita dapat menghadap Dia dengan penuh keberanian. Kita tidak perlu bersembunyi kerana malu. Kamu tahu bahawa Kristus melakukan kehendak Allah. Oleh itu kamu harus tahu bahawa setiap orang yang melakukan kehendak Allah ialah anak Allah. Ketahuilah bahawa Allah Bapa sangat mengasihi kita! Dia amat mengasihi kita, sehingga kita diakui sebagai anak-anak Allah dan memang kita anak-anak Allah. Itulah sebabnya dunia ini tidak mengenal kita, kerana dunia ini tidak mengenal Allah. Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Kita sekarang anak-anak Allah, tetapi keadaan kita kelak belum jelas. Tetapi kita tahu bahawa apabila Kristus datang, kita akan menjadi seperti Dia, kerana kita akan melihat Dia dalam keadaan-Nya yang sebenarnya. Setiap orang yang mempunyai harapan ini kepada Kristus, menjaga dirinya supaya suci, sebagaimana Kristus pun suci. Sesiapa yang berbuat dosa, melanggar hukum Allah, kerana dosa itu pelanggaran terhadap hukum Allah. Kamu tahu bahawa Kristus datang untuk menghapuskan dosa manusia, dan bahawa pada diri-Nya tidak ada dosa. Oleh itu, setiap orang yang hidup bersatu dengan Kristus, tidak terus-menerus berbuat dosa. Sesiapa yang terus-menerus berbuat dosa, tidak pernah melihat Kristus ataupun mengenal Dia. Anak-anakku, janganlah biarkan sesiapa pun menipu kamu. Sesiapa melakukan kehendak Allah, dia anak Allah, seperti Kristus. Sesiapa terus-menerus berbuat dosa, dia anak Iblis, kerana Iblis berdosa sejak permulaan. Justeru untuk hal inilah Anak Allah datang bagi memusnahkan pekerjaan Iblis. Sesiapa yang menjadi anak Allah, tidak terus-menerus berbuat dosa kerana sifat Allah sendiri ada padanya. Kerana Allah itu Bapanya, dia tidak dapat terus-menerus berbuat dosa. Inilah perbezaan antara anak Allah dengan anak Iblis: Sesiapa tidak melakukan kehendak Allah, atau tidak mengasihi saudaranya, dia bukanlah anak Allah. Inilah perkhabaran yang kamu dengar sejak permulaan: Kita harus saling mengasihi. Janganlah kita seperti Kain. Dia menjadi anak Iblis dan membunuh adiknya sendiri. Mengapakah Kain membunuh adiknya? Kerana perbuatan yang dilakukannya salah, tetapi perbuatan yang dilakukan adiknya benar. Oleh itu, saudara-saudaraku, janganlah hairan jika orang di dunia ini membenci kamu. Kita tahu bahawa kita hidup dan sudah meninggalkan kematian, kerana kita mengasihi saudara-saudara kita. Sesiapa yang tidak mengasihi saudaranya, masih dikuasai kematian. Sesiapa membenci saudaranya, dia pembunuh. Kamu tahu bahawa seorang pembunuh tidak mempunyai hidup sejati dan kekal. Dengan jalan ini kita mengetahui cara mengasihi orang lain: Kristus sudah menyerahkan hidup-Nya untuk kita. Oleh itu kita harus menyerahkan hidup kita untuk saudara-saudara kita! Jika seorang kaya melihat saudaranya yang miskin memerlukan pertolongan, tetapi tidak mahu menolong saudaranya itu, bagaimanakah dia dapat berkata bahawa dia mengasihi Allah? Anak-anakku! Janganlah kita mengasihi hanya dengan kata-kata belaka. Kita harus saling mengasihi dengan kasih yang sejati, yang dibuktikan dengan perbuatan. Demikianlah caranya kita tahu bahawa kita tergolong sebagai anak-anak Allah yang benar, dan hati kita tenang di hadapan Allah. Jika hati nurani kita menyalahkan kita, maka kita tahu bahawa Allah lebih besar daripada hati nurani kita, dan bahawa Dia mengetahui semuanya. Oleh itu, sahabat-sahabat yang aku kasihi, jika hati nurani kita tidak menyalahkan kita, kita dapat menghadap Allah dengan penuh keberanian. Kita menerima apa yang kita minta daripada-Nya, kerana kita taat kepada perintah-Nya dan kita melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. Inilah perintah-Nya: Kita harus percaya kepada Anak-Nya, Yesus Kristus, dan kita harus saling mengasihi, seperti yang diperintahkan Kristus kepada kita. Sesiapa yang taat kepada perintah Allah, hidup bersatu dengan Allah, dan Allah hidup bersatu dengan dia. Kita tahu bahawa Allah hidup bersatu dengan kita, kerana Dia telah mengurniai kita Roh-Nya. Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Janganlah percaya kepada semua orang yang mengaku bahawa mereka mempunyai Roh Allah, tetapi ujilah mereka untuk mengetahui sama ada roh yang ada pada mereka itu berasal daripada Allah atau tidak. Hendaklah kamu berbuat demikian kerana banyak nabi palsu telah pergi ke serata tempat. Inilah caranya kamu boleh mengetahui sama ada roh itu Roh Allah atau tidak: Sesiapa mengakui Yesus Kristus datang ke dunia sebagai manusia, orang itu mempunyai Roh yang datang daripada Allah. Tetapi sesiapa menafikan hal ini tentang Yesus, orang itu tidak mempunyai Roh Allah. Orang itu mempunyai roh daripada Musuh Kristus. Kamu sudah mendengar bahawa roh itu akan datang, dan sekarang roh itu sudah di dunia ini. Tetapi anak-anakku, kamu milik Allah. Kamu sudah mengalahkan nabi-nabi palsu itu, kerana Roh yang ada pada kamu lebih berkuasa daripada roh yang ada pada orang milik dunia ini. Nabi-nabi palsu itu berkata-kata tentang perkara-perkara dunia, dan orang dunia ini mendengar kata-kata mereka, kerana mereka milik dunia ini. Tetapi kita milik Allah. Sesiapa yang mengenal Allah, mendengar kata-kata kita. Sesiapa yang bukan milik Allah, tidak mahu mendengar kata-kata kita. Itulah caranya kita dapat membezakan Roh yang memberikan ajaran benar, dengan roh yang menyesatkan orang. Sahabat-sahabat yang aku kasihi, marilah kita saling mengasihi kerana kasih berasal daripada Allah. Sesiapa yang saling mengasihi, mengenal Allah dan dia anak Allah. Sesiapa yang tidak mengasihi orang lain, tidak mengenal Allah kerana Allah itu kasih. Inilah cara Allah menunjukkan kasih-Nya kepada kita: Dia mengutus Anak-Nya yang tunggal ke dalam dunia supaya melalui Anak-Nya kita beroleh hidup sejati dan kekal. Inilah kasih: Bukannya kita telah mengasihi Allah, tetapi Allah mengasihi kita dan mengutus Anak-Nya supaya melalui Dia dosa kita diampunkan. Sahabat-sahabat yang aku kasihi, jika Allah sangat mengasihi kita, kita pun harus saling mengasihi. Tidak seorang pun pernah melihat Allah. Jika kita saling mengasihi, Allah hidup bersatu dengan kita, dan kasih-Nya disempurnakan dalam diri kita. Kerana Allah telah mengurniai kita Roh-Nya, kita tahu bahawa kita hidup bersatu dengan Allah dan Allah hidup bersatu dengan kita. Kami sendiri telah melihat Anak Allah dan memberitahu orang lain bahawa Bapa mengutus Anak-Nya untuk menjadi Penyelamat dunia ini. Allah hidup bersatu dengan orang yang mengakui Yesus itu Anak Allah, dan mereka hidup bersatu dengan Allah. Kita sendiri tahu dan benar-benar yakin bahawa Allah mengasihi kita. Allah itu kasih. Sesiapa yang sentiasa mengasihi orang lain, hidup bersatu dengan Allah, dan Allah hidup bersatu dengan dia. Kasih disempurnakan dalam diri kita, supaya kita beroleh keberanian pada Hari Kiamat kelak. Kita tentu akan mempunyai keberanian, kerana hidup kita di dunia ini seperti hidup Kristus. Orang yang menikmati kasih Allah tidak mengenal perasaan takut, kerana kasih yang sempurna melenyapkan segala perasaan takut. Oleh itu, orang yang belum menikmati kasih Allah dengan sempurna, akan takut menghadapi hukuman pada Hari Kiamat. Kita mengasihi orang lain, kerana Allah mengasihi kita terlebih dahulu. Jika seseorang berkata, “Aku mengasihi Allah,” tetapi dia membenci saudaranya, orang itu pendusta. Jika seseorang tidak mengasihi saudaranya yang dilihatnya, tidak mungkin dia dapat mengasihi Allah yang tidak dilihatnya. Inilah perintah yang diberikan oleh Kristus kepada kita: Sesiapa yang mengasihi Allah mesti mengasihi saudaranya juga. Sesiapa percaya bahawa Kristus Penyelamat yang diutus oleh Allah, orang itu anak Allah. Sesiapa yang mengasihi seorang bapa, mengasihi anak bapa itu juga. Inilah caranya kita tahu bahawa kita mengasihi anak-anak Allah: Kita mengasihi Allah dan kita mentaati perintah-Nya. Apabila kita mentaati perintah Allah, maka kita mengasihi Allah. Perintah-Nya pun tidak terlalu susah bagi kita, kerana setiap anak Allah dapat mengalahkan dunia ini. Kita mengalahkan dunia ini dengan iman kita. Siapakah dapat mengalahkan dunia ini? Hanya orang yang percaya bahawa Yesus Anak Allah. Yesus Kristuslah yang datang ke dunia dengan air baptisan-Nya dan dengan darah kematian-Nya. Dia datang bukan dengan air sahaja, tetapi dengan air dan darah. Roh Allah sendiri memberikan kesaksian bahawa hal itu benar, kerana Roh tidak pernah berdusta. Ada tiga saksi: Roh Allah, air dan darah; dan ketiga-tiganya memberikan kesaksian yang sama. Kita percaya kepada kesaksian manusia; tetapi kesaksian Allah lebih kuat lagi. Itulah kesaksian yang diberikan oleh Allah tentang Anak-Nya. Oleh itu, sesiapa yang percaya kepada Anak Allah, mempunyai kesaksian itu di dalam hatinya. Tetapi sesiapa yang tidak percaya kepada Allah, menjadikan Allah pendusta, kerana orang itu tidak percaya kepada apa yang difirmankan Allah tentang Anak-Nya. Inilah kesaksian itu: Allah sudah memberi kita hidup sejati dan kekal, dan hidup itu berasal daripada Anak-Nya. Sesiapa yang mempunyai Anak Allah, mempunyai hidup itu; dan sesiapa yang tidak mempunyai Anak Allah, tidak mempunyai hidup itu. Aku menulis surat ini kepada kamu yang percaya kepada Anak Allah, supaya kamu tahu bahawa kamu sudah mempunyai hidup sejati dan kekal. Kita berani menghadap Allah, kerana kita yakin bahawa Dia mengabulkan doa kita, jika kita memohon apa sahaja yang sesuai dengan kehendak-Nya. Kita tahu bahawa Dia mendengarkan kita bila-bila masa kita memohon kepada-Nya. Oleh itu kita pun tahu bahawa Dia memberi kita apa yang kita minta daripada-Nya. Jika kamu melihat seorang saudara seiman melakukan dosa yang tidak mengakibatkan orang itu kehilangan hidup sejati dan kekal, hendaklah kamu berdoa kepada Allah supaya memberi dia hidup itu. Hal ini berkenaan dengan orang yang dosa mereka tidak mengakibatkan mereka kehilangan hidup itu. Tetapi ada dosa yang mengakibatkan orang kehilangan hidup itu. Aku tidak berkata bahawa kamu harus berdoa kepada Allah tentang hal itu. Semua perbuatan salah itu dosa, tetapi ada dosa yang tidak mengakibatkan orang kehilangan hidup sejati dan kekal. Kita tahu bahawa tidak seorang pun daripada anak-anak Allah terus-menerus berbuat dosa, kerana Anak Allah melindunginya dan Iblis tidak dapat berbuat apa-apa terhadapnya. Kita tahu bahawa kita milik Allah, meskipun seluruh dunia ini di bawah kuasa Iblis. Kita tahu bahawa Anak Allah sudah datang dan sudah memberi kita pengertian, supaya kita mengenal Allah yang benar. Kita hidup bersatu dengan Allah yang benar kerana kita hidup bersatu dengan Anak-Nya Yesus Kristus. Inilah Allah yang benar, dan inilah hidup sejati dan kekal. Anak-anakku, jauhkanlah diri kamu daripada berhala! Kepada puan yang dipilih oleh Allah dan kepada anak-anak puan. Surat ini daripada saya, pemimpin jemaah yang benar-benar mengasihi puan dan anak-anak puan. Bukan hanya saya seorang yang mengasihi puan dan anak-anak puan, tetapi juga semua orang yang mengenal Allah, kerana Allah ada di dalam hati kita dan menyertai kita selama-lamanya. Semoga Allah Bapa dan Yesus Kristus, Anak Bapa itu mengurniai kita berkat, rahmat, dan kesejahteraan. Semoga kita memiliki semua itu dengan hati yang tulus dan dengan kasih. Saya sangat gembira kerana mengetahui beberapa orang antara anak-anak puan hidup menurut ajaran Allah, seperti yang diperintahkan oleh Allah Bapa kepada kita. Oleh itu, puan, saya meminta supaya kita saling mengasihi. Saya tidak mengemukakan satu perintah baru; perintah ini telah diberikan sejak kita percaya kepada Kristus. Mengasihi satu sama lain bererti hidup menurut perintah Allah. Inilah perintah yang telah puan dan anak-anak puan dengar sejak permulaan: Puan dan anak-anak puan harus saling mengasihi. Banyak penipu telah pergi ke seluruh dunia. Mereka tidak mengakui Yesus Kristus datang ke dunia sebagai manusia. Orang semacam itu penipu dan Musuh Kristus. Oleh itu, berwaspadalah supaya tidak kehilangan apa yang telah kami usahakan untuk puan dan anak-anak puan. Berusahalah supaya puan dan anak-anak puan menerima pahala sepenuhnya daripada Allah. Sesiapa yang tidak berpegang kepada ajaran Kristus tetapi melampaui ajaran itu, tidak mempunyai Allah. Sesiapa yang berpegang kepada ajaran itu, mempunyai Allah Bapa dan Anak. Oleh itu, jika sesiapa datang dan memberitakan ajaran yang tidak diajarkan oleh Kristus, janganlah sambut dia ke dalam rumah puan dan anak-anak puan. Janganlah berkata kepadanya, “Salam sejahtera.” Hal ini demikian, kerana sesiapa yang memberikan salam kepada orang semacam itu, menjadi subahat dalam perbuatannya yang jahat. Banyak lagi yang hendak saya katakan, tetapi lebih baik tidak melalui surat. Saya berharap dapat melawat puan dan anak-anak puan, dan bercakap dengan puan sendiri, supaya kita benar-benar gembira. Anak-anak daripada saudara perempuan puan yang juga dipilih oleh Allah, mengirim salam kepada puan. Gayus, sahabat yang aku kasihi! Aku, pemimpin jemaah yang sangat mengasihimu, berdoa semoga semuanya baik dengan kamu, dan semoga kamu sihat, seperti jiwamu pun sihat. Aku sangat bersukacita ketika beberapa orang saudara Kristian tiba dan memberitahu aku betapa setianya kamu kepada Allah yang benar. Kamu memang sentiasa hidup menurut ajaran Allah. Tidak ada yang lebih menggembirakan aku daripada mendengar bahawa anak-anakku hidup menurut ajaran Allah. Sahabat yang aku kasihi! Kamu sungguh setia dalam kerja yang kamu lakukan untuk saudara-saudara Kristian, bahkan untuk orang Kristian yang belum kamu kenal. Mereka memberitahu jemaah di sini tentang kasihmu. Tolonglah mereka supaya dapat meneruskan perjalanan dengan cara yang menyenangkan hati Allah. Kamu harus berbuat demikian kerana dalam tugas untuk memberitakan Kristus, mereka berangkat tanpa menerima bantuan apa-apa pun daripada orang yang tidak mengenal Allah. Oleh itu, kita orang Kristian, mesti menolong orang seperti itu, supaya kita dapat menjadi rakan sekerja dalam usaha mereka untuk memberitakan ajaran Allah. Aku sudah menulis sepucuk surat yang pendek kepada jemaah, tetapi Diotrefes yang ingin menjadi pemimpin jemaah, tidak mahu menurut kata-kataku. Apabila aku datang kelak, aku akan mendedahkan segala sesuatu yang telah dilakukannya, iaitu hal-hal jahat dan dusta yang dikatakannya tentang kami. Tetapi semua itu belum lagi cukup baginya. Dia tidak mahu menerima saudara-saudara Kristian semasa mereka datang. Bahkan dia menghalangi orang yang mahu menyambut saudara-saudara itu, dan dia berusaha untuk menghalau mereka keluar daripada jemaah! Sahabat yang aku kasihi, janganlah tiru apa yang buruk, tetapi tirulah apa yang baik. Sesiapa berbuat baik, dia milik Allah. Sesiapa berbuat jahat, dia belum mengenal Allah. Setiap orang memuji Demetrius, bahkan Allah pun memuji dia. Kami juga memuji dia, dan kamu tahu bahawa apa yang kami katakan itu benar. Banyak lagi yang hendak aku katakan kepadamu, tetapi lebih baik tidak melalui surat. Aku berharap dapat segera berjumpa denganmu, lalu kita dapat berbincang. Semoga Tuhan memberkati kamu. Semua sahabatmu di sini mengirim salam. Sampaikan salamku kepada semua sahabat di sana seorang demi seorang. Surat ini daripada Yudas, hamba Yesus Kristus dan saudara Yakobus. Surat ini ditujukan kepada mereka yang telah dipanggil dan dikasihi oleh Allah Bapa, serta dilindungi oleh Yesus Kristus. Semoga Allah memberikan berkat, kesejahteraan, dan rahmat dengan berlimpah-limpah kepada kamu. Saudara-saudara yang aku kasihi! Aku telah berusaha sebaik-baiknya untuk menulis surat kepada kamu tentang penyelamatan yang kita alami bersama. Tetapi hatiku tergerak untuk menggalakkan kamu melalui surat ini, supaya kamu terus berjuang untuk iman yang telah diberikan oleh Allah sekali sahaja kepada umat-Nya untuk selama-lamanya. Beberapa orang derhaka sudah menyeludup ke kalangan kita tanpa kita sedari. Mereka memutarbalikkan berita tentang kasih Allah kita, untuk membenarkan perbuatan mereka yang cabul. Mereka juga tidak mengakui Yesus Kristus, Penguasa satu-satunya dan Tuhan kita. Sejak dahulu Alkitab telah menuliskan hukuman yang akan dialami mereka. Meskipun kamu mengetahui semua perkara itu, aku hendak mengingatkan kamu bagaimana Tuhan menyelamatkan umat Israel dari negeri Mesir. Tetapi kemudian Dia membinasakan mereka yang tidak percaya. Ingatlah akan malaikat-malaikat yang melampaui batas kekuasaan yang telah diberikan oleh Allah, sehingga meninggalkan tempat kediaman mereka. Allah membelenggu malaikat-malaikat itu dengan rantai abadi, di tempat yang gelap di bawah bumi. Allah menahan mereka di situ sehingga Hari Kiamat apabila mereka akan dihukum. Penduduk kota Sodom, Gomora, dan bandar-bandar di sekitarnya berbuat seperti malaikat-malaikat tersebut. Orang di situ melakukan perbuatan cabul dan lucah. Kota-kota itu dan penduduknya dimusnahkan oleh api yang kekal. Hukuman itu dijadikan amaran bagi semua orang. Demikian juga semua orang derhaka itu berkhayal, dan khayalan itu menyebabkan mereka berdosa terhadap tubuh sendiri. Mereka menghina kuasa Allah dan mencaci makhluk-makhluk mulia di syurga. Ketua malaikat, Mikhael, tidak pernah berbuat demikian. Semasa dia bertengkar dengan Iblis tentang siapa yang akan mendapat jenazah Musa, Mikhael tidak berani mengutuk Iblis dengan kata-kata hinaan. Mikhael hanya berkata, “Tuhan menengking kamu!” Tetapi semua orang derhaka itu menghina perkara-perkara yang sama sekali tidak dimengerti oleh mereka. Mereka mengetahui beberapa hal, tetapi seperti binatang yang tidak berakal, mereka mengetahuinya dengan naluri dan hal itulah yang membinasakan mereka. Alangkah malangnya mereka! Mereka telah mengikut jalan yang ditempuh oleh Kain. Untuk mendapat wang, mereka telah membabitkan diri dengan kesesatan, seperti yang dilakukan oleh Bileam. Mereka dibinasakan kerana memberontak seperti Korah. Kehadiran mereka mencemarkan perjumpaan makan bersama dengan saudara-saudara seiman, kerana mereka makan dengan rakus dan hanya mementingkan diri sendiri. Mereka seperti awan yang ditiup angin, tetapi tidak membawa hujan. Mereka juga seperti pokok yang tidak menghasilkan buah walaupun pada musim buah. Mereka seperti pokok yang sudah dicabut dengan akarnya dan mati sama sekali. Mereka seperti ombak ganas di laut, yang membuihkan perbuatan memalukan. Mereka seperti bintang mengembara, yang tempatnya telah disediakan oleh Allah dalam kegelapan yang paling dahsyat untuk selama-lamanya. Henokh, keturunan ketujuh daripada Adam, dahulu pernah bernubuat tentang mereka. Dia berkata, “Lihatlah! Tuhan akan datang dengan beribu-ribu malaikat-Nya yang suci. Dia akan mengadili semua orang. Dia akan menghukum orang derhaka kerana perbuatan derhaka mereka dan kerana semua kata hinaan yang diucapkan mereka terhadap-Nya!” Semua orang itu sentiasa bersungut-sungut dan menyalahkan orang lain. Mereka menuruti nafsu jahat. Mereka memuji-muji diri sendiri dan mengangkat-angkat orang lain untuk mendapat keuntungan. Tetapi saudara-saudaraku, ingatlah akan apa yang dikatakan dahulu oleh rasul-rasul Tuhan kita Yesus Kristus. Mereka berkata kepada kamu, “Apabila akhir zaman tiba, orang akan tampil dan memperolok-olokkan kamu. Mereka orang yang mengikuti keinginan berdosa.” Merekalah orang yang memecah-belah jemaah. Mereka tidak dipimpin oleh Roh Allah, tetapi dikuasai oleh keinginan sendiri. Tetapi kamu, saudara-saudaraku, teruslah bina hidup yang berdasarkan kepercayaan kepada Kristus. Iman kamu sangat suci. Berdoalah dengan pimpinan Roh Allah. Hendaklah kamu hidup di bawah naungan kasih Allah sementara menantikan rahmat Tuhan kita Yesus Kristus, yang akan menganugerahi kamu hidup sejati dan kekal. Tunjukkanlah belas kasihan kepada orang yang kurang keyakinan. Tariklah orang keluar dari dalam api dan selamatkanlah mereka. Hendaklah kamu menunjukkan belas kasihan kepada orang lain, tetapi berhati-hatilah supaya kamu tidak dicemari oleh keinginan mereka yang menyebabkan orang berdosa. Allah, yang dapat menjaga kamu supaya tetap beriman, dan yang dapat membawa kamu ke hadirat-Nya yang mulia dengan sukacita dan tanpa cela, Dialah satu-satunya Allah, Penyelamat kita melalui Yesus Kristus Tuhan kita. Dialah Allah yang mulia, agung, berkuasa, dan berwibawa sejak dahulu kala sehingga sekarang dan selama-lamanya! Amin. Kitab ini mengandungi peristiwa-peristiwa yang dinyatakan oleh Yesus Kristus. Allah memberitahukannya kepada Kristus, dan Kristus menunjukkan apa yang segera harus berlaku itu kepada hamba-hamba Allah. Kristus mengutus malaikat-Nya untuk memberitahu Yohanes, hamba-Nya semua peristiwa itu. Yohanes menceritakan segala yang telah dilihatnya itu. Inilah laporannya tentang perkhabaran daripada Allah dan hal-hal yang dinyatakan oleh Yesus Kristus. Berbahagialah orang yang membaca kitab ini kepada jemaah. Berbahagialah mereka yang mendengarkan perkhabaran nubuat ini serta taat kepada apa yang tertulis di dalam kitab ini, kerana tidak lama lagi semuanya ini akan berlaku. Daripada Yohanes kepada jemaah di tujuh buah tempat di daerah Asia: Terimalah berkat dan kesejahteraan daripada Allah, iaitu Dia yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang, serta daripada tujuh roh yang di hadapan takhta-Nya, dan daripada Yesus Kristus, saksi yang setia. Dialah yang pertama sekali dibangkitkan daripada kematian dan Dialah pemerintah raja-raja dunia. Yesus mengasihi kita, dan dengan kematian-Nya Dia membebaskan kita daripada dosa-dosa kita. Kristus menjadikan kita imam yang memerintah bersama-sama Dia dan yang mengabdikan diri kepada Allah, Bapa-Nya. Marilah kita muliakan keagungan dan kekuasaan Yesus Kristus yang kekal itu. Amin! Lihatlah, Dia datang dengan awan! Semua orang akan melihat Dia, termasuk juga mereka yang sudah membunuh Dia. Semua bangsa di bumi akan meratap kerana Dia. Ya, tentu! Amin! “Akulah yang pertama dan yang terakhir,” firman Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa, yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang. Aku Yohanes, saudara kamu, juga mengalami penderitaan yang dialami oleh setiap pengikut Yesus. Kita menantikan Pemerintahan-Nya dan harus menanggung penderitaan dengan tabah hati. Aku dibuang ke pulau Patmos kerana mengisytiharkan firman Allah dan hal-hal yang dinyatakan oleh Yesus. Pada hari Tuhan, Roh Allah menguasai aku, lalu aku mendengar suara yang kuat dan jelas, seperti bunyi trompet, berkata-kata di belakangku. Suara itu berkata, “Tuliskanlah apa yang engkau lihat dan kirimlah kitab ini kepada jemaah di tujuh buah kota berikut: Efesus, Smirna, Pergamus, Tiatira, Sardis, Filadelfia, dan Laodikia.” Aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang berkata-kata kepadaku. Lalu aku nampak tujuh buah kaki pelita daripada emas. Di tengah-tengah kaki pelita itu ada sesusuk tubuh yang kelihatan seperti manusia. Dia memakai jubah yang panjangnya sampai ke kaki dan dada-Nya dililiti seutas pengikat daripada emas. Rambut-Nya sangat putih, seputih kapas, dan mata-Nya bernyala-nyala seperti api. Kaki-Nya bersinar seperti gangsa yang sudah dibersihkan dan digosok, dan suara-Nya seperti deruman air terjun yang besar. Tangan kanan-Nya memegang tujuh buah bintang, dan dari mulut-Nya keluar sebilah pedang tajam yang bermata dua. Muka-Nya terang seperti matahari pada waktu tengah hari. Ketika aku melihat-Nya, aku meniarapkan diri di hadapan-Nya seperti orang mati. Dia meletakkan tangan kanan-Nya padaku lalu berfirman, “Janganlah takut! Akulah yang awal dan yang penghujung. Akulah Dia yang hidup! Aku sudah mati, tetapi lihatlah, Aku hidup selama-lamanya. Aku berkuasa atas kematian dan atas dunia orang mati. Oleh itu, tulislah perkara-perkara yang engkau lihat, iaitu perkara-perkara yang ada sekarang ini, dan perkara-perkara yang akan berlaku kelak. Inilah makna yang dilambangkan oleh tujuh buah bintang yang engkau lihat di tangan kanan-Ku dan oleh tujuh buah kaki pelita daripada emas itu. Tujuh buah bintang itu melambangkan para malaikat daripada jemaah di tujuh buah tempat itu, dan tujuh buah kaki pelita itu melambangkan jemaah di tujuh buah tempat itu.” “Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Efesus: Inilah perkhabaran daripada Dia yang memegang tujuh buah bintang pada tangan kanan-Nya dan yang berjalan di antara tujuh buah kaki pelita daripada emas. Aku mengetahui apa yang telah kamu lakukan; Aku tahu bahawa kamu bekerja keras dan tabah menanggung penderitaan. Aku tahu bahawa kamu tidak tahan lagi dengan orang jahat. Kamu sudah menguji orang yang mengaku diri mereka rasul padahal bukan, dan kamu sudah mendapati mereka pendusta. Kamu tabah menanggung penderitaan; kamu sudah menderita kerana Aku, dan kamu tidak putus asa. Tetapi Aku mencela kamu tentang hal ini: Kamu tidak mengasihi Aku lagi seperti ketika kamu mula-mula percaya kepada-Ku. Ingatlah betapa dalamnya kamu sudah jatuh ke dalam dosa. Bertaubatlah daripada dosa kamu dan lakukanlah apa yang kamu lakukan ketika kamu mula-mula percaya kepada-Ku. Jika tidak, Aku akan datang kepada kamu dan menyingkirkan kaki pelita kamu dari tempatnya. Tetapi ada sesuatu yang baik pada kamu: Kamu membenci perbuatan pengikut Nikolaus, yang juga Aku benci. Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah! Mereka yang menang akan Aku benarkan makan buah dari pokok yang memberikan hidup, yang tumbuh di Taman Allah.” “Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Smirna: Inilah perkhabaran daripada Dia yang awal dan yang penghujung, yang sudah mati dan hidup semula. Aku mengetahui kesusahan kamu; Aku tahu bahawa kamu miskin - tetapi sebenarnya kamu kaya! Aku mengetahui fitnah yang dilemparkan kepada kamu oleh orang yang mengaku diri mereka Yahudi padahal bukan. Mereka dikuasai oleh Iblis! Janganlah takut akan penderitaan yang tidak lama lagi akan kamu alami. Ketahuilah! Iblis akan menguji kamu. Dia akan memasukkan beberapa orang daripada kamu ke dalam penjara. Kamu akan mengalami penderitaan selama sepuluh hari. Hendaklah kamu setia kepada-Ku sampai mati, dan Aku akan mengurniai kamu hidup sejati dan kekal sebagai hadiah kemenangan. Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah! Mereka yang menang tidak akan mengalami derita kematian kedua.” “Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Pergamus: Inilah perkhabaran daripada Dia yang memiliki sebilah pedang tajam bermata dua. Aku mengetahui tempat kamu tinggal; di situlah Iblis bertakhta. Kamu setia kepada-Ku. Kamu bahkan tidak menafikan kepercayaan kamu kepada-Ku, semasa Antipas, saksi-Ku yang setia itu dibunuh di tempat Iblis tinggal. Tetapi Aku mencela kamu tentang hal ini: Beberapa orang antara kamu mengikut ajaran Bileam. Dahulu Bileam mengajar Balak menjerumuskan umat Israel ke dalam dosa, dengan memujuk mereka makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, dan dengan melakukan perbuatan cabul. Demikian juga ada beberapa orang antara kamu yang mengikut ajaran Nikolaus. Oleh itu, bertaubatlah daripada dosa kamu! Jika tidak, Aku akan segera datang kepada kamu dan melawan semua orang itu dengan pedang yang keluar dari mulut-Ku. Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah! Mereka yang menang akan Aku kurniai manna yang tersembunyi. Aku juga akan mengurniai setiap orang daripada mereka seketul batu putih. Batu itu ditulisi nama baru, yang tidak diketahui oleh sesiapa pun, kecuali orang yang menerimanya.” “Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Tiatira: Inilah perkhabaran daripada Anak Allah, yang mata-Nya bernyala-nyala seperti api, dan kaki-Nya bersinar seperti gangsa yang digosok. Aku mengetahui semua yang sudah kamu lakukan. Aku tahu bahawa kamu saling mengasihi, kamu setia, kamu saling menolong, dan kamu tabah menanggung penderitaan. Aku tahu bahawa kamu sekarang melakukan lebih banyak kerja berbanding dahulu semasa kamu mula-mula percaya kepada-Ku. Tetapi Aku mencela kamu tentang hal ini: Kamu membenarkan Izebel, perempuan yang mengaku dirinya pesuruh Allah mengajar umat-Ku. Dengan ajarannya, dia menyesatkan hamba-hamba-Ku sehingga mereka melakukan perbuatan cabul dan makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala. Aku sudah memberikan peluang kepadanya untuk bertaubat daripada dosa, tetapi dia tidak mahu berhenti melakukan perbuatan cabul. Oleh itu, Aku akan menghukum dia dengan penyakit dan mereka yang berzina dengan dia akan mengalami penderitaan yang dahsyat. Aku akan melakukan semua itu sekarang juga, kecuali mereka bertaubat daripada perbuatan keji yang dilakukan bersama-sama dia. Aku juga akan membunuh pengikut-pengikutnya, lalu semua jemaah akan tahu bahawa Akulah Dia yang menyelami fikiran dan hati manusia. Aku akan membalas kamu menurut perbuatan masing-masing. Tetapi kamu yang lain yang tinggal di Tiatira tidak mengikut ajaran jahat itu. Kamu tidak mempelajari ilmu daripada Iblis. Aku berkata kepada kamu bahawa Aku tidak akan membebani kamu dengan kewajipan lain. Tetapi kamu harus terus berpegang kepada apa yang kamu miliki, sehingga Aku datang kelak. [26-28] Mereka yang menang, dan terus-menerus melakukan kehendak-Ku sehingga akhir, akan Aku kurniai kekuasaan seperti yang Aku terima daripada Bapa-Ku. Mereka akan menerima kekuasaan daripada-Ku untuk memerintah bangsa-bangsa dengan tangan besi dan untuk menghancurkan mereka seperti periuk tanah. Mereka juga akan menerima bintang fajar daripada-Ku. *** *** Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!” “Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Sardis: Inilah perkhabaran daripada Dia yang mempunyai tujuh Roh Allah dan tujuh buah bintang itu. Aku mengetahui apa yang kamu lakukan. Kamu dikatakan hidup, padahal kamu mati! Oleh itu, bangunlah dan perkuatlah apa yang masih ada pada kamu sebelum semuanya mati sama sekali. Hal itu demikian kerana Aku dapati apa yang kamu lakukan masih belum sempurna di sisi Allah-Ku. Ingatlah kembali apa yang telah diajarkan kepada kamu dan apa yang telah kamu dengar. Taatilah semuanya dan bertaubatlah daripada dosa kamu. Jika kamu tidak bangun, Aku akan datang kepada kamu seperti pencuri dan kamu tidak akan mengetahui saatnya Aku datang. Tetapi ada beberapa orang antara kamu di Sardis yang menjaga pakaian mereka supaya tetap bersih. Mereka akan berjalan bersama-sama Aku dengan berpakaian putih, kerana mereka layak berbuat demikian. Mereka yang menang akan dikenakan pakaian putih seperti itu dan Aku tidak akan menghapuskan nama mereka dari Kitab Orang Hidup. Di hadapan Bapa-Ku dan malaikat-malaikat-Nya Aku akan mengaku bahawa mereka milik-Ku. Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!” “Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Filadelfia: Inilah perkhabaran daripada Dia yang suci dan setia. Dia memegang kunci yang dimiliki Daud; apabila Dia membuka pintu, tidak seorang pun dapat menutupnya, dan apabila Dia menutupnya, tidak seorang pun dapat membukanya. Aku mengetahui apa yang kamu lakukan. Aku tahu bahawa kamu tidak seberapa kuat, tetapi kamu telah mengikut ajaran-Ku dan setia kepada-Ku. Aku telah membuka sebuah pintu bagi kamu, yang tidak dapat ditutup oleh sesiapa pun. Ketahuilah! Orang yang berpihak kepada Iblis, pendusta-pendusta yang mengaku diri mereka orang Yahudi padahal bukan, akan Aku bawa kepada kamu untuk bersujud di hadapan kamu. Mereka semua akan tahu bahawa Aku mengasihi kamu. Kerana kamu menurut perintah-Ku supaya tabah ketika menanggung penderitaan, Aku pun akan menyelamatkan kamu daripada masa kesusahan yang akan menimpa seluruh dunia untuk menguji semua orang di bumi. Aku akan segera datang! Jagalah baik-baik apa yang kamu miliki, supaya tidak seorang pun merampas hadiah kemenangan kamu. Sesiapa yang menang akan Aku jadikan seperti tiang di rumah Allah-Ku dan dia tidak akan meninggalkan tempat itu lagi. Pada dirinya akan Aku tulis nama Allah-Ku dan nama kota Allah-Ku, iaitu Yerusalem baru yang akan turun dari syurga, daripada Allah-Ku. Pada dirinya juga akan Aku tulis nama-Ku yang baru. Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!” “Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Laodikia: Inilah perkhabaran daripada Dia yang disebut Amin, saksi yang setia dan benar, sumber segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah. Aku mengetahui apa yang kamu lakukan. Aku tahu bahawa kamu tidak sejuk dan tidak panas juga. Alangkah baiknya jika kamu salah satu daripadanya. Tetapi kerana kamu suam-suam kuku, Aku akan meludahkan kamu. Kamu berkata, ‘Kami kaya dan serba cukup; kami tidak kekurangan sesuatu pun.’ Tetapi kamu tidak tahu bahawa kamu sangat melarat dan keadaan kamu sangat menyedihkan! Kamu miskin, telanjang, dan buta. Oleh itu Aku menasihati kamu: Belilah emas daripada Aku, belilah emas tulen supaya kamu menjadi kaya. Belilah pakaian putih juga supaya kamu berpakaian dan menutupi keadaan kamu yang telanjang serta memalukan itu. Belilah ubat juga untuk mata kamu supaya boleh melihat. Aku menegur dan menghukum orang yang Aku kasihi. Oleh itu kamu harus bersungguh-sungguh, dan juga bertaubat daripada dosa. Dengarlah! Aku berdiri di depan pintu dan mengetuk. Jika seseorang mendengar suara-Ku dan membuka pintu, Aku akan masuk ke dalam rumahnya lalu makan bersama-sama dia dan dia makan bersama-sama Aku. Mereka yang menang akan Aku benarkan duduk di takhta-Ku, sebagaimana Aku sendiri sudah menang dan sekarang duduk bersama-sama Bapa-Ku di takhta-Nya. Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!” Sesudah itu aku nampak suatu penglihatan lagi. Aku melihat sebuah pintu terbuka di syurga. Suara seperti bunyi trompet, yang pernah bercakap kepadaku berkata, “Marilah naik ke sini. Aku akan menunjukkan apa yang harus berlaku selepas ini.” Dengan segera Roh Allah menguasai aku. Aku melihat sebuah takhta di syurga dan seseorang duduk di atas takhta itu. Mukanya bersinar seperti batu jasper dan batu sardis. Takhta itu dikelilingi oleh pelangi yang bersinar seperti zamrud. Di lingkaran yang mengelilingi takhta itu terdapat dua puluh empat buah takhta lain. Di situ duduk dua puluh empat orang pemimpin yang berpakaian putih dan memakai mahkota emas. Takhta ini memancarkan pancaran kilat dan aku mendengar gemuruh bunyi guruh. Di hadapan takhta itu terdapat tujuh buah suluh yang bernyala; itulah ketujuh-tujuh Roh Allah. Di hadapan takhta itu terdapat sesuatu yang kelihatan seperti lautan kaca, hening seperti kristal. Di sekeliling takhta itu terdapat empat makhluk, satu makhluk pada setiap sisi takhta. Makhluk itu diliputi mata pada bahagian depan dan belakang. Makhluk yang pertama rupanya seperti singa, yang kedua rupanya seperti lembu jantan, yang ketiga mempunyai muka seperti muka manusia, dan yang keempat rupanya seperti burung helang yang sedang terbang. Setiap makhluk itu mempunyai enam buah sayap. Keempat-empat makhluk itu diliputi mata, bahkan bahagian bawah sayap. Siang malam makhluk-makhluk itu tidak henti-hentinya menyanyi, “Suci, suci, sucilah Tuhan, Allah Maha Kuasa, yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang.” Keempat-empat makhluk itu menyanyikan lagu-lagu kemuliaan, penghormatan, dan kesyukuran kepada Dia yang duduk di atas takhta itu, iaitu Dia yang hidup selama-lamanya. Ketika makhluk-makhluk ini menyanyi, dua puluh empat orang pemimpin itu bersujud di hadapan Dia yang duduk di atas takhta itu dan menyembah Dia yang hidup selama-lamanya. Mereka meletakkan mahkota mereka di hadapan takhta itu dan berkata, “Ya Tuhan dan Allah kami! Engkau sahaja yang layak menerima kemuliaan, penghormatan, dan kekuasaan, kerana Engkaulah yang menciptakan segala sesuatu, dan dengan kehendak-Mu juga segala sesuatu itu wujud dan hidup.” Aku melihat sebuah gulungan naskhah di tangan kanan Dia yang duduk di atas takhta itu. Gulungan naskhah itu penuh dengan tulisan pada kedua-dua belah sisinya dan dimeterai dengan tujuh buah meterai. Lalu aku melihat satu malaikat perkasa bertanya dengan suara yang lantang, “Siapakah yang layak memecahkan meterai-meterai ini serta membuka gulungan naskhah ini?” Tetapi tidak seorang pun di syurga, atau di bumi, ataupun di bawah bumi, yang dapat membuka gulungan naskhah itu dan membaca kandungannya. Aku menangis tersedu-sedu, kerana tidak seorang pun layak membuka gulungan naskhah itu dan membaca kandungannya. Lalu salah seorang pemimpin itu berkata kepadaku, “Jangan menangis! Lihatlah! Singa daripada suku Yehuda, keturunan agung daripada Daud, sudah menang. Dia dapat memecahkan tujuh buah meterai itu dan membuka gulungan naskhah itu.” Kemudian aku nampak seekor Anak Domba berdiri di tengah-tengah takhta itu, dikelilingi oleh empat makhluk dan semua pemimpin itu. Anak Domba itu nampaknya sudah disembelih. Anak Domba itu mempunyai tujuh buah tanduk dan tujuh biji mata, iaitu tujuh Roh Allah yang telah diutus ke seluruh dunia. Anak Domba itu pergi mengambil gulungan naskhah itu dari tangan kanan Dia yang duduk di atas takhta. Sementara Anak Domba itu berbuat demikian, empat makhluk itu dan dua puluh empat orang pemimpin itu bersujud di hadapan Anak Domba. Masing-masing memegang sebuah kecapi dan sebuah mangkuk emas berisi kemenyan, iaitu doa-doa umat Allah. Mereka menyanyikan sebuah lagu baru, “Engkau layak mengambil gulungan naskhah itu dan memecahkan meterai-meterainya, kerana Engkau telah dibunuh dan dengan kematian-Mu, manusia daripada semua suku, bahasa, negara, dan bangsa telah Engkau beli untuk Allah. Engkau sudah menjadikan mereka imam yang mengabdi kepada Allah kita, dan memerintah di dunia.” Lalu aku melihat lagi. Aku mendengar suara malaikat yang beribu-ribu dan berjuta-juta bilangannya! Mereka berdiri mengelilingi takhta, keempat-empat makhluk, dan para pemimpin itu. Mereka menyanyi dengan suara yang lantang, “Anak Domba yang sudah dibunuh itu layak menerima kekuasaan, kekayaan, kebijaksanaan, kekuatan, penghormatan, kemuliaan, dan pujian.” Lalu aku mendengar semua makhluk di syurga, di bumi, di bawah bumi, dan semua makhluk di dalam laut - pendeknya semua makhluk di alam semesta ini - menyanyi, “Kepada Dia yang duduk di atas takhta, dan kepada Anak Domba itu, kami persembahkan pujian dan penghormatan, kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya!” Keempat-empat makhluk itu menjawab, “Amin!” Para pemimpin itu pun bersujud serta menyembah Allah dan Anak Domba itu. Kemudian aku melihat Anak Domba itu memecahkan meterai pertama daripada tujuh buah meterai itu. Lalu aku mendengar salah satu daripada empat makhluk itu berkata dengan suara yang mengguntur, “Mari!” Aku melihat, lalu nampak seekor kuda putih. Penunggangnya memegang sebuah busur dan dia diberikan sebuah mahkota. Dia mara sebagai seorang penakluk yang menang. Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai kedua, dan aku mendengar makhluk kedua berkata, “Mari!” Seekor kuda merah keluar. Penunggangnya diberikan kuasa untuk mendatangkan peperangan di bumi, sehingga manusia saling membunuh. Dia diberikan sebilah pedang yang besar. Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai ketiga, dan aku mendengar makhluk ketiga berkata, “Mari!” Aku melihat, lalu nampak seekor kuda hitam. Penunggangnya memegang sebuah dacing di tangan. Aku mendengar sesuatu yang kedengaran seperti suara dari tengah-tengah empat makhluk itu, berkata, “Satu kilogram gandum seharga upah sehari dan tiga kilogram barli seharga upah sehari juga. Tetapi jangan rosakkan pokok zaitun dan ladang anggur!” Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai keempat dan aku mendengar makhluk keempat berkata, “Mari!” Aku melihat, lalu nampak seekor kuda kuning pucat. Penunggangnya bernama Maut, dan Alam Maut mengikutinya dekat di belakang. Mereka diberikan kuasa untuk membunuh seperempat penduduk bumi dengan peperangan, kebuluran, wabak, dan binatang buas. Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai kelima. Di bawah mazbah aku nampak roh-roh orang yang mati terbunuh. Mereka dibunuh kerana mengisytiharkan firman Allah dengan setia melalui kesaksian mereka. Mereka berseru dengan suara lantang, “Ya Tuhan Yang Maha Kuasa, yang suci dan setia! Berapa lama lagi sebelum Engkau menghakimi penduduk bumi dan menghukum mereka kerana telah membunuh kami?” Setiap orang daripada mereka diberikan sehelai jubah putih. Lalu mereka disuruh berehat lebih lama lagi, sehingga cukup bilangan rakan seperjuangan dan saudara seiman yang akan dibunuh seperti mereka. Kemudian aku melihat Anak Domba itu memecahkan meterai keenam. Lalu berlakulah gempa bumi yang dahsyat. Matahari menjadi hitam seperti kain hitam yang kasar, dan bulan menjadi merah seperti darah. Bintang-bintang jatuh dari langit ke bumi, seperti buah ara yang belum matang gugur dari pokok semasa digoncang oleh angin keras. Langit menghilang seperti gulungan naskhah yang digulung, dan semua gunung serta pulau beralih tempat. Lalu raja-raja dunia, para penguasa, dan panglima, orang kaya dan orang berkuasa serta semua orang lain, baik abdi mahupun orang bebas, menyembunyikan diri di dalam gua-gua dan di celah-celah batu di gunung. Mereka berseru kepada gunung-gunung dan batu-batu itu, “Timpalah kami dan sembunyikanlah kami daripada pandangan Dia yang duduk di atas takhta dan daripada kemurkaan Anak Domba itu! Hari yang dahsyat sudah tiba; Allah dan Anak Domba akan menghukum kami dan tidak seorang pun akan terselamat.” Setelah itu, aku nampak empat malaikat berdiri di empat penjuru bumi, dan menahan keempat-empat angin di bumi supaya tidak bertiup di darat, di laut, ataupun pada pokok-pokok. Lalu aku nampak malaikat lain muncul dari sebelah timur, dengan membawa meterai yang digunakan oleh Allah yang hidup. Dengan suara lantang malaikat itu memanggil keempat-empat malaikat yang sudah diberikan kuasa oleh Allah untuk merosakkan darat dan laut. Malaikat itu berkata, “Janganlah rosakkan darat, atau laut, ataupun pokok-pokok, sehingga kami telah memeterai dahi hamba-hamba Allah kita.” Aku diberitahu bahawa 144,000 orang ditandai dengan meterai Allah pada dahi mereka. Mereka berasal daripada dua belas suku Israel; [5-8] dua belas ribu orang daripada setiap suku, iaitu suku Yehuda, Ruben, Gad, Asyer, Naftali, Manasye, Simeon, Lewi, Isakhar, Zebulon, Yusuf, dan Benyamin. *** *** *** Setelah itu aku melihat lagi, lalu nampak lautan manusia yang luar biasa banyaknya. Tidak seorang pun dapat mengira mereka! Mereka daripada setiap bangsa, suku, negara, dan bahasa. Dengan berpakaian jubah putih dan dengan memegang daun palma di tangan, mereka berbaris-baris berdiri di hadapan takhta dan Anak Domba itu. Mereka berseru dengan suara kuat, “Kita telah diselamatkan oleh Allah kita, yang duduk di atas takhta, dan oleh Anak Domba itu!” Semua malaikat berdiri di sekeliling takhta, para pemimpin, dan keempat-empat makhluk itu. Lalu mereka semua bersujud di hadapan takhta dan menyembah Allah. Mereka berkata, “Amin! Pujian, kemuliaan, kebijaksanaan, kesyukuran, penghormatan, kekuasaan, dan kemegahan bagi Allah kita selama-lamanya! Amin.” Salah seorang pemimpin itu bertanya kepadaku, “Siapakah mereka yang berjubah putih itu, dan dari manakah mereka datang?” “Saya tidak tahu, tetapi tuan tahu,” jawabku. Dia berkata kepadaku, “Merekalah orang yang berjaya melalui masa penganiayaan yang dahsyat itu. Mereka telah membasuh dan menjadikan jubah mereka putih dengan darah Anak Domba itu. Itulah sebabnya mereka berdiri di hadapan takhta Allah, dan beribadat kepada-Nya siang malam di dalam rumah Allah. Dia yang duduk di atas takhta akan melindungi mereka dengan hadirat-Nya. Mereka tidak akan lapar ataupun dahaga lagi; matahari ataupun panas terik tidak akan membakar mereka lagi. Hal itu demikian kerana Anak Domba yang di tengah-tengah takhta itu akan menggembalakan mereka, dan Dia akan memimpin mereka ke sumber air yang memberikan hidup. Allah akan menyapu air mata mereka.” Ketika Anak Domba itu memecahkan meterai ketujuh, syurga menjadi senyap selama kira-kira setengah jam. Kemudian aku melihat tujuh malaikat berdiri di hadapan Allah, dan mereka diberikan tujuh buah trompet. Satu malaikat lain yang membawa sebuah perbaraan emas, datang dan berdiri di hadapan mazbah. Dia diberikan banyak kemenyan untuk ditambahkan pada doa-doa semua umat Allah, dan untuk dipersembahkan di atas mazbah emas yang terletak di hadapan takhta. Doa umat Allah bersama-sama asap kemenyan yang terbakar itu mengepul naik dari tangan malaikat yang berdiri di hadapan Allah. Kemudian malaikat itu mengambil perbaraan itu, dan mengisinya dengan bara api yang diambil dari mazbah, lalu melemparkannya ke atas bumi. Lalu guruh bergemuruh, kilat sabung-menyabung, dan gempa bumi berlaku. Kemudian tujuh malaikat yang memegang tujuh buah trompet itu bersedia untuk meniup trompet. Malaikat pertama meniup trompetnya, lalu hujan batu dan api bercampur darah, turun dengan derasnya ke atas bumi. Api membakar sepertiga daripada bumi dan memusnahkan semua pokok dan tumbuh-tumbuhan di situ. Kemudian malaikat kedua meniup trompetnya dan sesuatu yang kelihatannya seperti gunung besar yang bernyala-nyala, dilempar ke dalam laut. Sepertiga daripada lautan berubah menjadi darah; sepertiga daripada semua makhluk di laut mati dan sepertiga daripada kapal-kapal musnah. Kemudian malaikat ketiga meniup trompetnya dan sebuah bintang besar, yang bernyala-nyala seperti suluh, jatuh dari langit dan menimpa sepertiga daripada semua sungai dan mata air di bumi. (Nama bintang itu “Pahit”.) Sepertiga daripada air menjadi pahit, dan banyak orang mati kerana minum air yang sudah menjadi pahit. Kemudian malaikat keempat meniup trompetnya. Matahari, bulan, dan bintang terpukul, sehingga tidak dapat bersinar sepertiga daripada waktunya. Matahari tidak bersinar selama sepertiga daripada siang hari; bulan dan bintang tidak bersinar selama sepertiga daripada malam hari. Kemudian aku melihat dan mendengar seekor burung helang yang terbang tinggi di angkasa, berseru, “Sungguh malang! Sungguh malang! Sungguh malang semua orang yang hidup di bumi apabila terdengar bunyi trompet yang akan ditiup oleh tiga malaikat lain.” Kemudian malaikat kelima meniup trompetnya, dan aku nampak sebuah bintang jatuh dari langit ke atas bumi. Bintang itu diberikan kunci jurang maut. Bintang itu membuka jurang maut, lalu asap keluar dari dalamnya seperti asap dari relau yang besar. Matahari dan angkasa menjadi gelap kerana asap dari jurang itu. Lalu dari dalam asap keluarlah belalang-belalang yang turun ke atas bumi. Belalang-belalang itu diberikan kekuatan yang dimiliki kala jengking. Belalang-belalang itu dilarang merosak rumput, atau pokok, ataupun tanaman lain. Hanya orang yang tidak bertandakan meterai Allah pada dahi mereka boleh diserang. Belalang-belalang itu tidak dibenarkan membunuh mereka, tetapi hanya menyeksa mereka selama lima bulan. Kesakitan yang disebabkan seksaan belalang-belalang itu seperti kesakitan yang disebabkan sengat kala jengking. Selama lima bulan itu mereka berusaha untuk mati, tetapi tidak dapat; mereka ingin mati, tetapi maut menjauhkan diri daripada mereka. Belalang-belalang itu kelihatan seperti kuda yang siap untuk berperang. Pada kepala belalang ada sesuatu yang nampaknya seperti mahkota emas, dan muka belalang seperti muka manusia. Rambut belalang seperti rambut wanita dan gigi belalang seperti gigi singa. Dada belalang ditutupi dengan sesuatu yang seperti perisai dada. Bunyi sayap kawanan belalang itu seperti bunyi kereta-kereta kuda yang sedang mara ke medan peperangan. Belalang-belalang itu mempunyai ekor dan sengat seperti kala jengking. Dengan ekor itulah belalang berkuasa menyakiti manusia selama lima bulan. Kawanan belalang diperintah oleh raja, iaitu malaikat yang bertanggungjawab atas jurang maut. Dalam bahasa Ibrani namanya Abadon, dan dalam bahasa Yunani namanya Apolion (yang bermakna “Perosak”). Bencana pertama sudah lalu. Setelah itu dua lagi bencana akan datang. Kemudian malaikat keenam meniup trompetnya dan aku mendengar suara yang datang dari keempat-empat sudut mazbah emas di hadapan Allah. Suara itu berkata kepada malaikat keenam, “Lepaskanlah keempat-empat malaikat yang terikat di Sungai Efrat itu!” Keempat-empat malaikat itu pun dilepaskan. Mereka telah dipersiapkan khas bagi jam, hari, bulan, dan tahun itu, untuk membunuh sepertiga daripada umat manusia. Aku diberitahukan bahawa pasukan berkuda itu berjumlah 200 juta. Dalam penglihatan, aku nampak banyak kuda dengan para penunggang kuda. Mereka memakai perisai dada berwarna merah seperti api, biru seperti batu nilam, dan kuning seperti belerang. Kepala kuda seperti kepala singa dan dari mulut kuda keluar api, asap, dan belerang. Sepertiga daripada umat manusia terbunuh oleh tiga malapetaka itu: api, asap, dan belerang yang keluar dari mulut kuda. Kekuatan kuda terdapat pada mulut dan juga pada ekor. Ekor kuda seperti ular berkepala, dan kuda menggunakan ekor untuk menyeksa manusia. Umat manusia yang selebihnya, yang tidak terbunuh oleh malapetaka itu, tidak meninggalkan berhala yang dibuat oleh mereka. Mereka tidak berhenti menyembah roh jahat dan berhala yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, batu, dan kayu. Berhala-berhala itu tidak dapat melihat, mendengar, ataupun berjalan. Mereka juga tidak berhenti melakukan pembunuhan, mengamalkan ilmu sihir, melakukan perbuatan cabul, dan mencuri. Kemudian aku melihat satu lagi malaikat perkasa turun dari syurga. Dia diselubungi awan dan kepalanya dikelilingi pelangi. Mukanya bersinar seperti matahari, dan kakinya seperti tiang api. Tangannya memegang sebuah gulungan naskhah kecil yang terbuka. Dia meletakkan kaki kanannya di laut, dan kaki kirinya di darat. Lalu dia berseru dengan suara yang kuat seperti raungan kawanan singa. Setelah dia berseru, tujuh guruh menjawab dengan suara gemuruh. Sebaik sahaja tujuh guruh itu berkata-kata, aku hendak menulis apa yang dikatakan. Tetapi aku mendengar suara dari syurga berkata, “Rahsiakanlah apa yang dikatakan oleh tujuh guruh itu; jangan tulis hal itu!” Kemudian malaikat yang aku lihat berdiri di laut dan di darat mengangkat tangan kanannya ke langit. Dia bersumpah demi Allah yang hidup selama-lamanya, yang menciptakan langit, bumi, dan laut, serta segala sesuatu di dalam semuanya itu. Malaikat itu berkata, “Masanya tidak akan ditunda lagi! Tetapi apabila malaikat ketujuh meniup trompetnya, Allah akan menyelesaikan rancangan-Nya yang dirahsiakan itu, seperti yang telah diberitakan kepada hamba-hamba-Nya, para nabi.” Kemudian suara yang aku dengar dari syurga itu, berkata kepadaku lagi, “Pergilah ambil gulungan naskhah terbuka itu, yang dipegang oleh malaikat yang berdiri di laut dan di darat.” Aku pergi kepada malaikat itu dan meminta dia memberikan gulungan naskhah kecil itu kepadaku. Dia berkata, “Ambillah dan makanlah ini. Gulungan naskhah ini akan menjadi masam di dalam perutmu, tetapi manis seperti madu di mulutmu.” Aku mengambil gulungan naskhah kecil itu dari tangannya lalu memakannya. Di mulutku gulungan naskhah itu rasanya manis seperti madu, tetapi setelah aku menelannya, gulungan itu menjadi masam di dalam perut. Lalu aku diberitahu, “Sekali lagi engkau mesti mengisytiharkan perkhabaran Allah tentang pelbagai negara, bangsa, bahasa, dan raja.” Kemudian aku diberikan sebatang tongkat yang kelihatannya seperti kayu pengukur. Lalu aku diperintahkan, “Pergilah ukur Rumah Allah dan mazbah. Kiralah orang yang beribadat di Rumah Allah. Tetapi janganlah ukur halaman yang di sebelah luar, kerana bahagian itu sudah diserahkan kepada orang yang tidak mengenal Allah. Mereka akan menginjak-injak kota suci itu selama empat puluh dua bulan. Aku akan mengutus dua orang saksi-Ku yang mengenakan pakaian berkabung. Mereka akan mengisytiharkan perkhabaran Allah selama 1,260 hari.” Kedua-dua orang saksi itu adalah dua batang pokok zaitun dan dua buah kaki pelita yang berdiri di hadapan Tuhan alam semesta. Jika sesiapa cuba mencederakan mereka, api keluar dari mulut mereka dan membinasakan musuh. Dengan demikian sesiapa sahaja yang cuba mencederakan mereka akan terbunuh. Mereka mempunyai kuasa untuk menutup langit supaya hujan tidak turun selama mereka mengisytiharkan perkhabaran Allah. Mereka juga berkuasa atas mata air untuk mengubah air menjadi darah; mereka juga berkuasa menimpakan segala macam malapetaka ke atas bumi, bila-bila masa mereka menghendakinya. Apabila mereka selesai mengisytiharkan perkhabaran, binatang yang keluar dari jurang maut akan melawan mereka, lalu mengalahkan dan membunuh mereka. Mayat mereka akan terlantar di jalan raya kota besar, tempat Tuhan mereka disalibkan. Kota itu diberikan nama kiasan Sodom atau Mesir. Orang dari semua negara, suku, bahasa, dan bangsa akan melihat mayat mereka selama tiga hari setengah, dan tidak mengizinkan mayat-mayat itu dikubur. Penduduk bumi akan bersukacita kerana kematian dua orang saksi ini. Mereka akan merayakannya dan saling mengirim hadiah, kerana kedua-dua orang nabi itu telah mendatangkan banyak kesusahan kepada umat manusia. Setelah tiga hari setengah, nafas daripada Allah yang memberikan hidup, memasuki mereka. Mereka pun bangkit, sehingga semua orang yang melihat mereka sangat ketakutan. Kemudian dua orang nabi itu mendengar suara lantang dari syurga berkata kepada mereka, “Marilah naik ke sini!” Di depan mata musuh mereka, kedua-dua orang nabi itu naik ke syurga dengan awan. Tepat pada masa itu berlakulah gempa bumi yang dahsyat. Satu persepuluh kota itu musnah dan tujuh ribu orang terbunuh kerana gempa itu. Orang yang selebihnya ketakutan, lalu mereka memuji keagungan Allah di syurga. Bencana kedua sudah lalu. Tetapi lihatlah! Bencana ketiga akan segera datang. Kemudian malaikat ketujuh meniup trompetnya dan suara-suara lantang di syurga berkata, “Allah, Tuhan kita dan Penyelamat yang diutus-Nya mempunyai kuasa untuk memerintah dunia. Dia akan memerintah selama-lamanya!” Lalu dua puluh empat orang pemimpin yang duduk di atas takhta mereka di hadapan Allah, bersujud dan menyembah Allah. Mereka berkata, “Ya Tuhan, Allah Maha Kuasa, yang ada dan yang sudah ada! Kami bersyukur kepada-Mu kerana Engkau telah menggunakan kuasa-Mu yang besar, dan mula memerintah! Orang yang tidak mengenal Engkau meradang, kerana telah tiba masanya Engkau meluahkan kemurkaan-Mu, dan masanya Engkau mengadili orang mati. Inilah masanya Engkau menghadiahi hamba-hamba-Mu para nabi itu, dan juga umat-Mu, semua orang yang hormat dan takut akan Engkau, baik orang besar mahupun orang biasa. Inilah masanya Engkau membinasakan mereka yang memusnahkan bumi!” Rumah Allah di syurga terbuka dan Tabut Perjanjian kelihatan di situ. Kemudian kilat sabung-menyabung, guruh menggelegar dan bergemuruh, bumi bergoncang dan hujan batu turun dengan lebat. Kemudian terlihat di langit sesuatu yang ajaib dan luar biasa: Seorang wanita berpakaian matahari dan kakinya beralaskan bulan. Dia memakai sebuah mahkota yang terdiri daripada dua belas bintang, pada kepalanya. Dia sedang mengandung dan masa bersalin sudah tiba. Oleh itu, dia berteriak kerana kesakitan. Lalu sesuatu yang ajaib kelihatan pula di langit: Seekor naga merah yang besar sekali mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk. Setiap kepala memakai sebuah mahkota. Dengan ekornya naga itu menyeret sepertiga daripada bintang-bintang di langit dan melemparkannya ke bumi. Naga itu berdiri di hadapan wanita yang sedang bersalin, kerana hendak memakan anaknya, sebaik sahaja bayi itu lahir. Kemudian wanita itu melahirkan seorang anak lelaki yang akan memerintah dan menguasai semua bangsa dengan tangan besi. Tetapi anak itu direnggut daripada wanita itu dan dibawa kepada Allah yang duduk di atas takhta. Wanita itu lari ke padang gurun, ke tempat yang telah disediakan oleh Allah baginya. Di situ dia akan dipelihara selama 1,260 hari. Kemudian peperangan berlaku di syurga. Mikhael dengan malaikat-malaikatnya berperang melawan naga itu. Naga itu, yang dibantu oleh malaikat-malaikatnya melawan Mikhael. Tetapi naga itu dikalahkan. Naga itu dan malaikat-malaikatnya tidak dibenarkan tinggal di syurga lagi. Naga besar itu dibuang dari syurga. Itulah ular tua yang bernama Iblis atau Syaitan, yang menipu seluruh dunia. Dia dibuang ke bumi dengan semua malaikatnya. Kemudian aku mendengar suara lantang di syurga berkata, “Sekaranglah masanya Allah menyelamatkan umat-Nya dan menunjukkan kuasa-Nya sebagai Raja! Sekarang Penyelamat yang diutus-Nya itu menunjukkan kekuasaan-Nya, kerana yang menuduh saudara-saudara kita di hadapan Allah siang dan malam, sudah dibuang dari syurga. Saudara-saudara kita telah mengalahkan dia dengan darah Anak Domba dan dengan berita daripada Allah yang diisytiharkan mereka. Mereka tidak cuba menyelamatkan diri, tetapi rela mengorbankan nyawa. Oleh itu, bersukacitalah, hai syurga dan semua yang tinggal di syurga! Tetapi malanglah bumi dan laut, kerana Iblis telah turun kepadamu. Dia sangat marah, kerana tahu bahawa masanya tinggal sedikit.” Ketika naga itu menyedari dirinya sudah dibuang ke bumi, naga itu mula mengejar wanita yang telah melahirkan anak lelaki itu. Tetapi wanita itu diberikan sepasang sayap burung helang yang besar, supaya dia dapat terbang ke tempatnya di padang gurun. Di situ dia akan dipelihara selama tiga tahun setengah, supaya terhindar daripada serangan naga itu. Kemudian, dari mulutnya naga itu menyemburkan air seperti aliran sungai ke arah wanita itu, untuk menghanyutkan dia. Tetapi bumi menolong wanita itu. Bumi membuka mulut dan menelan air yang keluar dari mulut naga. Naga itu sangat marah terhadap wanita itu, sehingga memerangi semua keturunan lain daripada wanita itu. Mereka itu semua orang yang taat kepada perintah Allah dan setia kepada ajaran yang dinyatakan oleh Yesus. Lalu naga itu berdiri di pantai. Kemudian aku melihat seekor binatang keluar dari dalam laut. Binatang itu mempunyai sepuluh tanduk dan tujuh kepala. Pada setiap tanduk ada sebuah mahkota dan pada setiap kepala tertulis satu nama yang mengkufuri Allah. Binatang yang aku lihat itu kelihatan seperti harimau bintang, kakinya seperti kaki beruang dan mulutnya seperti mulut singa. Naga itu memberi binatang itu kekuatannya sendiri, takhtanya, dan kekuasaannya yang besar. Salah satu kepala binatang itu mempunyai parut daripada luka yang parah sekali, tetapi luka itu sudah sembuh. Semua penduduk dunia kehairanan dan mengikut binatang itu. Semua orang menyembah naga itu kerana naga itu sudah memberikan kekuasaannya kepada binatang itu. Mereka juga menyembah binatang itu sambil berkata, “Siapakah seperti binatang ini? Siapakah dapat melawannya?” Binatang itu dibenarkan mengkufuri Allah dan dibenarkan memerintah selama empat puluh dua bulan. Binatang itu mula mengkufuri Allah, nama Allah, tempat kediaman Allah, dan semua yang tinggal di syurga. Binatang itu dibenarkan melawan umat Allah serta mengalahkan mereka. Binatang itu diberikan kekuasaan atas setiap suku, negara, bahasa, dan bangsa. Semua orang yang hidup di bumi akan menyembah binatang itu, kecuali orang yang nama mereka terdaftar di dalam Kitab Orang Hidup. Nama-nama itu ditulis sebelum dunia ini diciptakan, dan kitab itu dimiliki oleh Anak Domba yang sudah disembelih. “Oleh itu, jika kamu bertelinga, dengarlah! Sesiapa yang harus ditawan, pasti akan ditawan; sesiapa yang harus dibunuh dengan pedang, pasti akan dibunuh dengan pedang. Itulah sebabnya umat Allah mesti tabah hati dan setia kepada Kristus.” Lalu aku nampak seekor binatang lain keluar dari dalam bumi. Binatang itu mempunyai dua tanduk seperti tanduk anak domba, dan suaranya seperti suara naga. Binatang ini menggunakan kekuasaan besar binatang pertama itu di depan matanya. Semua penduduk dunia dipaksa untuk menyembah binatang pertama, yang luka parahnya sudah sembuh. Binatang kedua ini melakukan mukjizat-mukjizat yang hebat. Di hadapan semua orang, api diturunkannya dari langit ke bumi. Binatang kedua ini diizinkan oleh Allah untuk melakukan mukjizat-mukjizat di hadapan binatang pertama. Dengan mukjizat-mukjizat itu, binatang kedua ini menipu semua orang yang hidup di bumi dan menyuruh mereka membuat sebuah patung untuk menghormati binatang pertama yang sudah dilukai oleh pedang, tetapi tetap hidup. Binatang kedua ini dibolehkan memberikan nyawa kepada patung itu, sehingga patung itu dapat berkata-kata dan membunuh semua orang yang tidak mahu menyembahnya. Binatang kedua ini memaksa semua orang: orang biasa dan orang besar, orang kaya dan orang miskin, abdi dan orang bebas, supaya menerima tanda pada tangan kanan atau dahi mereka. Tidak seorang pun dapat membeli ataupun menjual sesuatu, kecuali dia mempunyai tanda itu, iaitu nama binatang itu sendiri atau nombor yang melambangkan nama itu. Hal ini memerlukan kebijaksanaan. Sesiapa yang bijak dapat memahami erti nombor binatang itu, kerana nombor itu melambangkan nama seorang manusia. Nombor itu 666. Kemudian aku melihat dan nampak Anak Domba berdiri di atas Bukit Sion. Bersama-sama-Nya berdiri 144,000 orang yang pada dahi mereka tertulis nama-Nya dan nama Bapa-Nya. Lalu aku mendengar suara dari langit, seperti deruman air terjun dan seperti gemuruh guruh. Bunyi itu seperti muzik daripada para pemain kecapi yang memainkan kecapi. Di hadapan takhta, empat makhluk hidup itu, dan pemimpin-pemimpin itu, berdirilah 144,000 orang itu. Mereka menyanyikan satu nyanyian baru, yang tidak dapat dinyanyikan orang lain. Mereka sahajalah yang telah diselamatkan oleh Allah. Mereka tidak bersetubuh dengan wanita. Oleh itu mereka murni seperti anak dara. Mereka mengikuti Anak Domba ke mana sahaja Dia pergi. Antara umat manusia, merekalah yang telah diselamatkan oleh Allah. Mereka milik Allah dan Anak Domba itu, kerana mereka seperti bahagian pertama daripada tuaian, yang dipersembahkan kepada Allah. Mereka tidak pernah berbohong; mereka tidak bercela. Kemudian aku nampak satu lagi malaikat terbang tinggi di angkasa. Dia membawa berita baik yang kekal untuk diisytiharkan kepada manusia di bumi, iaitu kepada semua bangsa, suku, bahasa, dan negara. Malaikat itu berseru, “Hormatilah Allah dan pujilah kebesaran-Nya! Tibalah masanya Allah menghakimi manusia. Sembahlah Dia yang menjadikan langit, bumi, laut, dan semua mata air!” Setelah malaikat pertama pergi, datanglah malaikat kedua yang berkata, “Kota Babel sudah jatuh! Kota besar itu sudah jatuh! Perbuatan cabul kota Babel merosakkan semua bangsa, seperti wain yang memabukkan mereka.” Setelah kedua-dua malaikat itu pergi, datanglah malaikat ketiga yang berseru, “Sesiapa yang menyembah binatang itu dan patungnya, serta menerima tanda binatang itu pada dahi atau tangan, akan minum wain yang melambangkan kemurkaan Allah. Wain yang pekat itu dituang ke dalam cawan kemurkaan-Nya! Semua orang itu akan diseksa di dalam api dan belerang di hadapan malaikat-malaikat suci dan Anak Domba. Asap api yang menyeksa mereka akan mengepul terus-menerus untuk selama-lamanya. Mereka yang menyembah binatang itu dan patungnya, serta mereka yang mempunyai tanda nama binatang itu, akan terus-menerus terseksa siang dan malam.” Itulah sebabnya umat Allah yang taat kepada perintah-Nya dan setia kepada Yesus mesti tabah hati. Kemudian aku mendengar suara dari syurga berkata, “Tuliskanlah hal ini: Mulai sekarang, berbahagialah orang yang mati semasa mengabdi kepada Tuhan dengan setia!” “Benar!” jawab Roh Allah. “Mereka tidak berjerih payah lagi, kerana perbuatan baik mereka akan menyertai mereka.” Kemudian aku memandang dan nampak awan putih. Di atas awan itu duduklah sesusuk tubuh yang kelihatannya seperti manusia. Kepala-Nya bermahkota emas dan tangan-Nya memegang sebilah sabit yang tajam. Kemudian satu lagi malaikat keluar dari Rumah Allah. Dia berseru dengan suara kuat kepada Dia yang duduk di atas awan itu, “Gunakan sabit-Mu dan mulakan kerja menuai, kerana musim menuai sudah tiba! Tuaian di bumi sudah masak dan sudah tiba masanya untuk dituai!” Lalu Dia yang duduk di atas awan itu mengayunkan sabit-Nya ke bumi, dan tuaian di bumi dikumpulkan. Kemudian aku nampak satu lagi malaikat keluar dari Rumah Allah di syurga. Dia juga memegang sebilah sabit yang tajam. Setelah itu, satu lagi malaikat yang berkuasa atas api, keluar dari mazbah. Dia berseru dengan suara kuat kepada malaikat yang memegang sebilah sabit tajam itu, “Gunakanlah sabitmu dan sabit buah anggur di ladang anggur di atas bumi, kerana buah anggur sudah masak!” Oleh itu malaikat itu mengayunkan sabitnya ke bumi dan menyabit buah anggur dari batangnya, lalu melempar buah anggur ke dalam alat pemeras anggur, iaitu kemurkaan Allah. Buah anggur diperas di luar kota, dan dari alat pemeras anggur itu mengalirlah darah seperti air bah, sejauh tiga ratus kilometer dan sedalam kira-kira dua meter. Kemudian aku nampak di langit sesuatu yang ajaib, luar biasa, dan menghairankan. Ada tujuh malaikat yang bertugas mendatangkan tujuh bencana terakhir ke atas bumi. Dengan ketujuh-tujuh bencana itu hukuman Allah akan berakhir. Kemudian aku nampak sesuatu yang kelihatannya seperti lautan kaca bercampur api. Aku juga melihat semua orang yang telah mengalahkan binatang itu dan patungnya, serta mengalahkan orang yang namanya dilambangkan oleh nombor. Semua orang itu berdiri di tepi lautan kaca sambil memegang kecapi yang diberikan oleh Allah. Mereka menyanyikan nyanyian Musa, hamba Allah, dan nyanyian Anak Domba, “Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa, perbuatan-Mu sungguh agung dan menakjubkan! Raja semua bangsa, alangkah adil dan benar tindakan-Mu! Siapakah yang tidak takut kepada-Mu, ya Tuhan? Siapakah yang tidak mahu mengisytiharkan keagungan-Mu? Hanya Engkau yang suci. Semua bangsa akan datang menyembah Engkau, kerana tindakan-Mu yang adil dilihat oleh semua orang.” Setelah itu aku melihat Rumah Tuhan di syurga terbuka dan Khemah Tuhan ada di dalamnya. Tujuh malaikat yang bertugas mendatangkan tujuh bencana ke atas bumi, keluar dari Rumah Tuhan. Mereka mengenakan pakaian daripada kain linen yang bersih dan berkilauan. Dada mereka dililiti pengikat daripada emas. Kemudian salah satu daripada empat makhluk itu memberi tujuh malaikat itu tujuh buah mangkuk emas yang penuh dengan kemurkaan Allah, iaitu Allah yang hidup selama-lamanya. Rumah Allah dipenuhi oleh asap daripada kemuliaan dan kekuasaan Allah. Tidak seorang pun dapat masuk ke dalam Rumah Allah sehingga tujuh bencana yang didatangkan oleh tujuh malaikat itu berakhir. Kemudian aku mendengar suara lantang dari Rumah Allah berkata kepada tujuh malaikat itu, “Pergilah dan tuanglah isi tujuh mangkuk kemurkaan Allah itu ke atas bumi!” Malaikat pertama pergi dan menuang isi mangkuknya ke atas bumi. Lalu timbullah kudis yang teruk dan menyakitkan pada semua orang yang mempunyai tanda binatang itu, serta pada orang yang menyembah patungnya. Kemudian malaikat kedua menuang isi mangkuknya ke laut. Lalu air laut berubah menjadi seperti darah orang mati dan matilah semua makhluk yang hidup di dalam laut. Kemudian malaikat ketiga menuang isi mangkuknya ke dalam sungai dan mata air, lalu air berubah menjadi darah. Aku mendengar malaikat yang berkuasa atas air berkata, “Hukuman yang Engkau jatuhkan itu adil, ya Yang Maha Suci, Allah yang ada dan yang sudah ada! Mereka telah menumpahkan darah umat Allah dan darah para nabi. Sekarang Engkau memberi mereka minum darah. Hukuman itu setimpal dengan perbuatan mereka!” Kemudian aku mendengar suara dari mazbah berkata, “Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa! Hukuman-Mu itu benar dan adil!” Kemudian malaikat keempat menuang isi mangkuknya ke atas matahari, lalu matahari dibenarkan menghanguskan manusia dengan panasnya yang terik. Manusia dihanguskan oleh panas yang terik itu dan mereka mengutuki Allah, yang berkuasa atas semua malapetaka tersebut. Tetapi mereka tidak mahu bertaubat daripada dosa dan tidak mahu memuji keagungan Allah. Kemudian malaikat kelima menuang isi mangkuknya ke takhta binatang itu. Lalu seluruh kerajaan binatang itu menjadi gelap dan manusia menggigit lidah kerana kesakitan. Mereka mengutuki Allah di syurga kerana kesakitan dan kudis mereka. Tetapi mereka tidak bertaubat daripada perbuatan jahat mereka. Kemudian malaikat keenam menuang isi mangkuknya ke dalam Sungai Efrat yang besar. Sungai itu menjadi kering sehingga raja-raja dari timur dapat melaluinya. Kemudian aku melihat tiga roh jahat yang kelihatan seperti katak. Roh-roh itu keluar dari mulut naga, dari mulut binatang itu, dan dari mulut nabi palsu. Roh-roh itu roh jahat yang melakukan mukjizat-mukjizat. Ketiga-tiga roh itu pergi kepada semua raja di seluruh dunia, dan mengumpulkan mereka untuk berperang pada hari Allah Yang Maha Kuasa menjatuhkan hukuman. “Dengarlah! Aku datang seperti pencuri! Berbahagialah orang yang berjaga-jaga dan siap berpakaian, sehingga mereka tidak berjalan dalam keadaan telanjang dan dipermalukan di hadapan umum!” Kemudian roh-roh itu mengumpulkan semua raja itu di suatu tempat yang dalam bahasa Ibrani dinamakan Harmagedon. Kemudian malaikat ketujuh menuang isi mangkuknya ke udara. Lalu terdengarlah dari takhta di Rumah Allah, suara kuat berkata, “Sudah selesai!” Kemudian kilat sabung-menyabung, guruh berderam-derum dan gempa bumi yang dahsyat berlaku. Belum pernah gempa bumi semacam itu berlaku sejak manusia dijadikan. Inilah gempa bumi yang paling dahsyat! Kota besar itu terbelah menjadi tiga bahagian, dan kota-kota semua negeri di bumi juga musnah. Allah tidak lupa akan Babel yang besar itu. Dia memaksa Babel minum dari mangkuk-Nya yang berisi wain kemurkaan Allah yang menyala-nyala. Semua pulau lenyap, dan semua gunung pun tiada lagi. Hujan batu yang dahsyat turun dari langit dan menimpa manusia. Berat setiap batu hampir lima puluh kilogram. Oleh itu manusia mengutuki Allah kerana malapetaka hujan batu yang dahsyat itu. Kemudian salah satu daripada tujuh malaikat yang memegang tujuh buah mangkuk itu datang kepadaku dan berkata, “Marilah, kepadamu akan aku tunjukkan bagaimana pelacur yang termasyhur itu dihukum. Pelacur itu kota besar yang dibina dekat sungai-sungai. Raja-raja dunia melakukan perbuatan cabul dengan pelacur itu, dan penduduk dunia menjadi seperti orang mabuk ketika pelacur itu melakukan perbuatan cabul dengan mereka.” Lalu Roh Allah menguasai aku dan malaikat itu membawa aku ke padang gurun. Di situ aku melihat seorang wanita duduk di atas seekor binatang berwarna merah, yang seluruh badannya ditulisi dengan nama-nama yang mengkufuri Allah. Binatang itu mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk. Wanita itu berpakaian ungu dan merah tua, serta memakai perhiasan emas, permata, dan mutiara. Tangannya memegang sebuah cawan emas yang penuh dengan perkara-perkara cabul dan keji, hasil daripada perbuatannya yang cabul. Pada dahinya tertulis suatu nama yang mempunyai makna rahsia. Nama itu “Babel yang besar, ibu kepada semua pelacur dan orang yang melakukan perbuatan cabul di dunia ini.” Lalu aku nampak wanita itu mabuk kerana minum darah umat Allah dan darah orang yang dibunuh kerana setia kepada Yesus. Aku sangat hairan ketika nampak wanita itu. Tetapi malaikat itu berkata kepadaku, “Mengapakah engkau hairan? Aku akan memberitahu engkau rahsia tentang wanita itu dan binatang yang ditungganginya, iaitu binatang yang mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk. Binatang itu dahulu pernah hidup, tetapi sekarang tidak hidup lagi. Tidak lama lagi binatang itu akan keluar dari jurang maut dan akan menuju kepada kebinasaan. Penduduk bumi yang nama mereka tidak terdaftar di dalam Kitab Orang Hidup sebelum dunia diciptakan, akan hairan apabila mereka melihat binatang itu. Binatang itu dahulu pernah hidup; sekarang binatang itu tidak hidup lagi, tetapi akan muncul semula. Hal ini memerlukan kebijaksanaan dan pengertian. Tujuh kepala itu melambangkan tujuh buah bukit, tempat wanita itu duduk. Tujuh kepala itu juga melambangkan tujuh orang raja. Lima orang antara mereka sudah meninggal, yang seorang masih memerintah, dan yang seorang lagi belum datang. Apabila dia datang, dia akan memerintah sebentar sahaja. Binatang yang dahulu pernah hidup, tetapi sekarang tidak hidup lagi, melambangkan raja kelapan. Dia salah satu daripada tujuh orang raja itu juga dan sedang menuju kepada kebinasaan. Sepuluh tanduk yang engkau lihat itu melambangkan sepuluh orang raja yang belum mula memerintah. Tetapi mereka akan diberikan kuasa untuk memerintah sebagai raja bersama-sama binatang itu selama sejam. Sepuluh orang raja itu semuanya mempunyai tujuan yang sama dan mereka menyerahkan kekuatan dan kekuasaan mereka kepada binatang itu. Mereka akan berperang melawan Anak Domba. Tetapi Anak Domba itu dengan para pengikut-Nya yang setia, yang telah dipanggil dan dipilih oleh-Nya akan mengalahkan mereka. Dialah Tuhan Yang Agung dan Raja Yang Terutama.” Malaikat itu berkata pula kepadaku, “Sungai-sungai yang engkau lihat itu, tempat pelacur itu duduk, melambangkan pelbagai negara, rakyat, bangsa, dan bahasa. Sepuluh tanduk yang engkau lihat itu, dan binatang itu akan membenci pelacur itu. Mereka akan merampas segala sesuatu yang dimiliki pelacur itu dan mereka akan menelanjangi dia. Mereka akan makan dagingnya dan membinasakan dia dengan api. Hal itu demikian kerana Allah telah menggerakkan hati mereka untuk melaksanakan rancangan-Nya. Allah menyebabkan mereka bersetuju untuk menyerahkan kekuasaan mereka kepada binatang itu, supaya binatang itu memerintah sehingga apa yang difirmankan oleh Allah berlaku. Wanita yang engkau lihat itu kota besar yang rajanya memerintah raja-raja di bumi.” Setelah itu aku melihat satu lagi malaikat turun dari syurga. Dia mempunyai kuasa besar, dan cahaya yang mengelilinginya menerangi seluruh bumi. Dia berseru dengan suara lantang, “Babel sudah jatuh! Babel yang agung sudah jatuh! Sekarang syaitan-syaitan dan roh-roh jahat tinggal di Babel. Segala macam burung yang najis dan dibenci orang tinggal di situ. Semua bangsa sudah minum wainnya, iaitu perbuatannya yang cabul. Raja-raja dunia melakukan perbuatan cabul dengannya, dan saudagar-saudagar di bumi menjadi kaya oleh nafsunya yang tidak terkendali itu.” Kemudian aku mendengar suara lain dari syurga berkata, “Keluarlah, hai umat-Ku! Keluarlah dari Babel! Janganlah berbuat dosa seperti penduduk kota itu; janganlah ikut menanggung hukumannya, kerana dosanya bertimbun-timbun sampai ke langit, dan Allah tidak lupa akan kejahatannya. Perlakukanlah Babel sebagaimana Babel telah memperlakukan kamu; balaslah Babel dua kali ganda bagi semua perbuatannya. Isilah cawannya dengan minuman yang dua kali lebih keras daripada minuman yang disediakannya untuk kamu. Berilah Babel penderitaan dan kesedihan sebanyak kemuliaan dan kemewahan yang diberikannya kepada dirinya sendiri, kerana Babel sentiasa berkata kepada dirinya sendiri, ‘Aku ratu yang memerintah! Aku bukan balu, aku tidak akan mengalami kesedihan!’ Itulah sebabnya dalam sehari semua malapetaka ini akan menimpanya: penyakit, kesedihan, dan kebuluran. Babel akan dihanguskan oleh api, kerana Tuhan Allah yang menghakiminya itu berkuasa.” Raja-raja dunia yang ikut melakukan perbuatan cabul dan lucah dengannya, akan menangisi dan meratapi kota itu apabila mereka melihat asap api yang menghanguskannya. Mereka berdiri dari jauh, kerana mereka takut terkena penderitaannya. Mereka berkata, “Alangkah malangnya kota Babel yang agung dan perkasa itu! Dalam satu jam sahaja Babel telah dihukum!” Para saudagar di bumi menangis dan berkabung kerananya, oleh sebab tidak seorang pun membeli barang dagangan mereka lagi. Tidak seorang pun membeli emas, perak, permata, ataupun mutiara mereka; tidak seorang pun membeli kain linen, kain ungu, kain sutera, dan kain merah tua; tidak seorang pun membeli segala macam kayu yang jarang didapati, pelbagai benda yang dibuat daripada gading, kayu yang mahal, gangsa, besi, dan marmar; tidak seorang pun membeli kayu manis, rempah-rempah, setanggi, mur, dan kemenyan; tidak seorang pun membeli wain dan minyak, tepung dan gandum, lembu dan domba, kuda dan pedati, abdi dan tawanan perang sekalipun. Para saudagar berkata kepadanya, “Segala yang ingin engkau miliki sudah lenyap, dan semua kekayaan serta keindahanmu sudah hilang. Engkau tidak akan mendapati semua itu lagi!” Para saudagar yang menjadi kaya kerana berniaga di kota itu akan berdiri dari jauh, kerana mereka takut terkena penderitaannya. Mereka akan menangis dan berkabung, serta berkata, “Alangkah malangnya kota yang agung itu! Biasanya Babel berpakaian kain linen, kain ungu, dan kain merah tua; biasanya Babel memakai perhiasan emas, permata, dan mutiara! Tetapi dalam satu jam sahaja, Babel telah kehilangan segala kekayaannya!” Semua nakhoda, penumpang, dan anak kapal, serta semua orang yang mempunyai mata pencarian di laut, berdiri dari jauh. Mereka berteriak apabila melihat asap api yang membakar kota itu. Mereka berseru, “Belum pernah ada kota seperti kota yang agung ini!” Mereka menghamburkan abu ke atas kepala sebagai tanda berkabung. Lalu mereka menangis dan berseru, “Alangkah malangnya kota yang agung itu! Di situlah semua orang yang mempunyai kapal-kapal di laut menjadi kaya kerana kekayaan kota itu! Tetapi dalam satu jam sahaja, Babel telah kehilangan segala-galanya!” Bersukacitalah, hai syurga, kerana kemusnahan kota itu! Bersukacitalah, hai umat Allah, rasul-rasul, dan nabi-nabi, kerana Allah telah menghukum Babel bagi apa yang sudah dilakukannya terhadap kamu! Kemudian satu malaikat perkasa mengangkat sebuah batu sebesar batu kisaran yang besar, lalu membuangnya ke dalam laut seraya berkata, “Demikianlah kota Babel yang agung itu akan dihempaskan dengan kuat, dan tidak akan dijumpai lagi. Suara penyanyi dan bunyi muzik daripada pemain kecapi, pemain seruling dan trompet tidak akan terdengar lagi di kota Babel! Semua tukangmu yang mahir tidak dapat dijumpai lagi dan bunyi batu kisaran pun tidak akan terdengar lagi! Cahaya pelita tidak akan terlihat lagi di Babel dan keriuhan pesta perkahwinan tidak akan terdengar lagi. Saudagar-saudagarmu ialah orang yang terkemuka di seluruh dunia, dan dengan ilmu sihir engkau menipu semua orang di dunia!” Babel dihukum kerana darah nabi-nabi dan darah umat Allah didapati di dalam kota itu - singkatnya darah semua orang yang sudah dibunuh di atas bumi. Setelah itu aku mendengar sesuatu seperti suara sekumpulan orang ramai di syurga yang berseru, “Pujilah Allah! Allah kita Allah yang menyelamatkan! Dia Allah yang mulia dan berkuasa! Penghakiman-Nya benar dan adil! Dia telah menjatuhkan hukuman kepada pelacur termasyhur itu, yang menyesatkan dunia dengan perbuatan cabulnya. Allah sudah menghukum dia kerana dia membunuh hamba-hamba Allah.” Sekali lagi mereka berseru, “Pujilah Allah! Asap api yang menghanguskan kota agung itu mengepul terus-menerus untuk selama-lamanya!” Dua puluh empat orang pemimpin dan empat makhluk itu bersujud dan menyembah Allah yang duduk di atas takhta. Mereka berkata, “Amin! Pujilah Allah!” Lalu terdengar dari takhta itu suara yang berkata, “Pujilah Allah, hai semua hamba-Nya dan semua orang yang takut akan Dia - baik orang besar mahupun orang biasa!” Kemudian aku mendengar sesuatu seperti suara sekumpulan orang ramai, seperti deruman air terjun, dan seperti gemuruh guruh. Aku mendengar mereka berkata, “Pujilah Allah, kerana Tuhan, Allah kita Yang Maha Kuasa itu Raja! Marilah kita bersukacita dan bergembira! Marilah kita memuji keagungan-Nya, kerana masa perkahwinan Anak Domba sudah tiba dan pengantin perempuan-Nya sudah siap untuk perkahwinan itu. Pengantin perempuan itu telah diberikan pakaian linen yang bersih dan berkilauan untuk dikenakan.” (Pakaian linen itu perbuatan baik yang dilakukan oleh umat Allah.) Kemudian malaikat itu berkata kepadaku, “Tuliskan ini: Berbahagialah orang yang telah dijemput ke majlis perkahwinan Anak Domba itu.” Malaikat itu berkata lagi, “Inilah firman yang benar daripada Allah.” Aku bersujud hendak menyembah dia, tetapi dia berkata kepadaku, “Jangan! Jangan sembah aku, sembahlah Allah! Aku pun hamba seperti engkau dan semua saudaramu, dan seperti semua orang yang berpegang teguh pada ajaran benar yang dinyatakan oleh Yesus.” Ajaran benar yang dinyatakan Yesus itulah yang mengilhami nabi-nabi. Kemudian aku nampak syurga terbuka dan aku melihat seekor kuda putih. Penunggangnya bernama Yang Setia dan Yang Benar. Dia menghakimi dengan adil dan berperang untuk keadilan. Mata-Nya menyala seperti api dan Dia memakai banyak mahkota pada kepala-Nya. Pada diri-Nya tertulis satu nama yang hanya diketahui oleh-Nya. Jubah yang dipakai-Nya berlumuran darah. Nama-Nya “Firman Allah.” Tentera syurga mengikuti Dia dengan menunggang kuda putih dan mengenakan pakaian linen putih yang bersih. Dari mulut-Nya keluar sebilah pedang yang tajam, dan dengan pedang itu Dia akan mengalahkan bangsa-bangsa. Dia akan memerintah mereka dengan tangan besi. Dia akan memeras anggur di dalam alat pemeras anggur, iaitu kemurkaan yang menyala-nyala daripada Allah Yang Maha Kuasa. Pada jubah-Nya dan paha-Nya tertulis nama ini: “Raja Yang Terutama dan Tuhan Yang Agung.” Kemudian aku nampak satu malaikat berdiri di atas matahari. Dengan suara kuat dia berseru kepada semua burung yang terbang di angkasa, “Marilah berkumpul untuk menghadiri jamuan besar yang disediakan oleh Allah. Marilah makan daging raja, daging panglima dan askar, daging kuda dan penunggang kuda, daging semua orang, baik abdi mahupun orang bebas, orang besar mahupun orang biasa!” Kemudian aku nampak binatang itu dan raja-raja di bumi dengan tentera mereka berkumpul untuk melawan Dia yang menunggang kuda putih dengan tentera-Nya. Tetapi binatang itu ditawan bersama-sama nabi palsu yang telah melakukan mukjizat di hadapannya. (Dengan mukjizat itulah binatang itu menipu orang yang mempunyai tanda binatang itu, dan orang yang menyembah patung binatang itu.) Binatang itu dan nabi palsu itu dibuang hidup-hidup ke dalam lautan api yang bernyala-nyala dengan belerang. Tentera mereka dibunuh dengan pedang yang keluar dari mulut penunggang kuda putih itu. Lalu semua burung datang dan memakan daging mereka dengan lahap. Kemudian aku nampak satu malaikat turun dari syurga. Dia memegang kunci jurang maut dan seutas rantai besar. Dia menangkap naga itu, ular tua itu iaitu Iblis atau Syaitan, dan merantainya selama seribu tahun. Malaikat itu membuang naga itu ke dalam jurang maut, lalu mengunci jurang itu dan memeteraikannya, supaya naga itu tidak dapat menipu bangsa-bangsa lagi, sehingga masa seribu tahun itu berlalu. Selepas itu naga itu mesti dilepaskan untuk masa yang singkat. Kemudian aku nampak takhta-takhta dan orang yang duduk di atas takhta-takhta itu diberikan kuasa untuk menghakimi. Aku juga melihat roh-roh orang yang sudah dipancung kerana memberitakan ajaran benar yang dinyatakan oleh Yesus, dan kerana menyampaikan firman Allah. Mereka tidak menyembah binatang itu ataupun patungnya. Mereka tidak menerima tanda binatang itu pada dahi ataupun pada tangan. Mereka hidup semula dan memerintah sebagai raja bersama-sama Kristus selama seribu tahun. (Tetapi orang mati lainnya tidak hidup semula sehingga masa seribu tahun itu berlalu.) Inilah tahap pertama orang mati dibangkitkan. Berbahagialah mereka yang dibangkitkan pada tahap pertama itu; mereka milik Allah. Kematian tahap kedua tidak berkuasa atas mereka. Mereka akan menjadi imam Allah dan imam Kristus. Mereka akan memerintah bersama-sama Dia selama seribu tahun. Selepas masa seribu tahun itu berlalu, Iblis akan dilepaskan dari penjara, dan dia akan pergi menipu bangsa-bangsa yang tersebar di seluruh dunia, iaitu Gog dan Magog. Iblis akan mengumpulkan mereka semua untuk berperang, dan mereka sebanyak pasir di pantai. Mereka berpecah-pecah ke seluruh dunia, lalu mengepung perkhemahan umat Allah dan kota yang dikasihi-Nya. Tetapi api turun dari langit dan memusnahkan bangsa-bangsa itu. Kemudian Iblis yang telah menipu mereka itu dibuang ke dalam lautan api dan belerang. Di situlah tempat binatang itu dan nabi palsu itu telah dibuang dahulu. Mereka semua akan diseksa siang dan malam untuk selama-lamanya. Kemudian aku nampak sebuah takhta besar berwarna putih dan Dia yang duduk di atasnya. Langit dan bumi lari dari hadirat-Nya, sehingga tidak kelihatan lagi. Aku nampak orang yang sudah mati, baik orang besar mahupun orang biasa, semuanya berdiri di hadapan takhta itu. Lalu kitab-kitab pun dibuka dan sebuah kitab lain juga dibuka iaitu Kitab Orang Hidup. Orang yang sudah mati dihakimi menurut perbuatan mereka seperti yang tertulis di dalam kitab-kitab itu. Lalu laut menyerahkan orang mati yang ada di dalamnya. Maut dan alam maut pun menyerahkan orang mati yang di situ. Semua orang mati diadili menurut perbuatan masing-masing. Kemudian maut dan alam maut dibuang ke dalam lautan api. (Lautan api ini kematian tahap kedua.) Sesiapa yang namanya tidak tertulis di dalam Kitab Orang Hidup dibuang ke dalam lautan api. Kemudian aku nampak langit baru dan bumi baru. Langit pertama dan bumi pertama tidak ada lagi, dan laut pun lenyap. Aku nampak kota suci itu, Yerusalem baru turun dari syurga daripada Allah. Kota itu sudah disiapkan seperti pengantin perempuan yang telah berhias untuk menemui suaminya. Aku mendengar suara lantang berseru dari takhta itu, “Sekarang Allah tinggal bersama-sama manusia! Dia akan hidup bersama-sama mereka dan mereka akan menjadi umat-Nya. Allah sendiri akan tinggal bersama-sama mereka dan menjadi Allah mereka. Dia akan menyapu air mata mereka. Kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan. Perkara-perkara lama sudah lenyap.” Kemudian Dia yang duduk di atas takhta itu berkata, “Sekarang Aku menjadikan semuanya baru!” Dia juga berkata kepadaku, “Tuliskanlah ini, kerana kata-kata ini benar dan dapat dipercayai.” Dia berkata, “Sudah selesai! Akulah yang pertama dan yang terakhir, Akulah Tuhan dari permulaan sampai penghabisan. Orang yang dahaga akan Aku berikan air minum dengan percuma dari sumber air yang memberikan hidup. Sesiapa yang menang akan menerima hak ini daripada-Ku: Aku akan menjadi Allahnya, dan dia akan menjadi anak-Ku. Tetapi pengecut, pengkhianat, orang yang melakukan perbuatan cabul, pembunuh, orang yang lucah, orang yang mengamalkan ilmu ghaib, penyembah berhala, dan semua pendusta, akan dibuang ke dalam lautan api dan belerang yang bernyala-nyala, iaitu kematian tahap kedua.” Satu daripada tujuh malaikat yang mempunyai tujuh buah mangkuk yang penuh dengan tujuh bencana terakhir itu datang kepadaku dan berkata, “Marilah, aku akan menunjukkan Pengantin Perempuan kepadamu, iaitu isteri Anak Domba.” Roh Allah menguasai aku, dan malaikat itu membawa aku ke puncak gunung yang sangat tinggi. Dia menunjukkan Yerusalem kepadaku, kota suci itu yang turun dari syurga daripada Allah, dengan semarak kemuliaan Allah. Kota itu berkilauan seperti batu permata, seperti batu jasper yang hening seperti kristal. Kota itu bertembok tinggi besar, dengan dua belas buah pintu gerbang, dan dijaga oleh dua belas malaikat. Pada pintu-pintu gerbang itu tertulis nama dua belas suku Israel. Pada setiap sisi terdapat tiga buah pintu gerbang: tiga di sebelah timur, tiga di sebelah selatan, tiga di sebelah utara, dan tiga di sebelah barat. Tembok kota itu dibina di atas dua belas buah batu asas. Pada setiap batu asas tertulis nama dua belas orang rasul Anak Domba itu. Malaikat yang berkata-kata kepadaku mempunyai sebatang pengukur daripada emas, untuk mengukur kota itu, pintu-pintu gerbangnya, dan temboknya. Kota itu berbentuk empat persegi, panjang dan lebarnya sama. Malaikat itu mengukur kota itu dengan tongkat pengukurnya: panjangnya 2,400 kilometer; lebar dan tingginya sama dengan panjangnya. Malaikat itu juga mengukur tembok kota: tingginya enam puluh meter menurut ukuran yang biasa diguna oleh manusia. Tembok kota itu dibuat daripada batu jasper, sedangkan kota itu sendiri dibuat daripada emas tulen, hening seperti kaca. Batu-batu asas tembok kota itu dihiasi berbagai-bagai batu permata. Batu asas yang pertama batu jasper, yang kedua batu nilam, yang ketiga batu akik, yang keempat batu zamrud, yang kelima batu oniks, yang keenam batu sardis, yang ketujuh batu kuarza kuning, yang kelapan batu beril, yang kesembilan batu topaz, yang kesepuluh batu kalsedoni, yang kesebelas batu firus, dan yang kedua belas batu kecubung. Dua belas buah pintu gerbang itu dua belas mutiara: tiap-tiap pintu gerbang dibuat daripada satu mutiara. Jalan raya kota itu dibuat daripada emas tulen, hening seperti kaca. Aku tidak nampak rumah ibadat di kota itu, kerana rumah ibadat itu Tuhan Allah Yang Maha Kuasa dan Anak Domba. Kota itu tidak memerlukan matahari ataupun bulan untuk menyinarinya, kerana kemuliaan Allah meneranginya, dan Anak Domba itu lampunya. Bangsa-bangsa di dunia akan hidup dalam cahayanya, dan raja-raja dunia pun akan membawa kekayaan mereka ke dalam kota itu. Pintu gerbang kota itu akan terbuka sepanjang hari; pintu gerbang kota tidak akan ditutup kerana tidak ada malam di situ. Kebesaran dan kekayaan bangsa-bangsa akan dibawa ke dalam kota itu. Tetapi segala sesuatu yang najis tidak akan masuk ke kota itu, demikian juga orang yang melakukan perkara-perkara memalukan, dan orang yang berdusta. Hanya orang yang nama mereka tertulis di dalam Kitab Orang Hidup, yang dimiliki oleh Anak Domba akan masuk ke kota itu. Malaikat itu juga menunjukkan sungai kepadaku; air sungai itu memberikan hidup. Sungai itu berkilauan seperti kristal dan mengalir dari takhta Allah dan Anak Domba ke tengah-tengah jalan raya di kota itu. Pada kedua-dua tepi sungai itu terdapat sebatang pokok sumber kehidupan, yang berbuah dua belas kali setahun, iaitu sekali sebulan. Daunnya digunakan untuk menyembuhkan bangsa-bangsa. Di dalam kota itu tidak terdapat sesuatu pun yang kena kutuk Allah. Takhta Allah dan Anak Domba akan ada di dalam kota itu dan hamba-hamba-Nya akan menyembah Dia. Mereka akan melihat wajah-Nya, dan nama-Nya akan ditulis pada dahi mereka. Malam tiada lagi; lampu dan cahaya matahari pun tidak diperlukan, kerana Tuhan Allah sendiri akan menerangi mereka. Mereka akan memerintah sebagai raja selama-lamanya. Kemudian malaikat itu berkata kepadaku, “Kata-kata ini benar dan dapat dipercayai. Tuhan Allah yang memberikan Roh-Nya kepada nabi-nabi, telah mengutus malaikat-Nya kepada hamba-hamba-Nya untuk menunjukkan apa yang mesti segera berlaku.” “Dengarlah!” kata Yesus. “Aku akan segera datang! Berbahagialah orang yang mentaati kata-kata nubuat di dalam kitab ini!” Aku, Yohanes sudah mendengar dan melihat segala perkara ini. Setelah aku mendengar dan melihatnya, aku bersujud di hadapan malaikat yang menunjukkan segala perkara itu kepadaku. Aku hendak menyembah dia, tetapi dia berkata kepadaku, “Janganlah sembah aku, kerana aku pun hamba seperti engkau dan seperti saudara-saudaramu para nabi itu, dan seperti semua orang yang mentaati kata-kata di dalam kitab ini. Sembahlah Allah!” Dia berkata lagi, “Janganlah rahsiakan kata-kata nubuat di dalam kitab ini, kerana sudah hampir masanya apabila semua perkara ini akan berlaku. Orang yang jahat akan terus berbuat jahat; orang yang mencemarkan diri akan terus mencemarkan diri; orang yang melakukan kehendak Allah mesti terus melakukannya, dan orang yang mengabdikan diri kepada Allah mesti terus mengabdikan diri.” “Dengarlah!” kata Yesus. “Aku akan segera datang! Aku akan membawa ganjaran untuk tiap-tiap orang menurut perbuatannya. Akulah yang pertama dan yang terakhir, yang awal dan yang penghujung; Akulah Tuhan dari permulaan sampai penghabisan.” Berbahagialah orang yang mencuci jubah mereka sehingga bersih. Mereka berhak makan buah pokok sumber kehidupan dan masuk ke dalam kota melalui pintu gerbang. Tetapi orang yang melakukan perbuatan cabul, orang yang mengamalkan ilmu ghaib, orang yang lucah, pembunuh, orang yang menyembah berhala, dan orang yang berdusta baik dengan kata-kata mahupun dengan perbuatan, tidak dibenarkan masuk ke dalam kota. “Aku, Yesus, telah mengutus malaikat-Ku supaya mengisytiharkan perkara-perkara ini kepada jemaah. Aku keturunan Daud; Aku bintang timur yang terang itu.” Roh Allah dan Pengantin Perempuan berkata, “Marilah!” Tiap-tiap orang yang mendengarnya juga mesti berkata, “Marilah!” Marilah, sesiapa yang dahaga! Terimalah pemberian air yang memberikan hidup, hai kamu yang menginginkannya! Aku, Yohanes, dengan sungguh-sungguh memperingatkan setiap orang yang mendengar kata-kata nubuat kitab ini: Jika seseorang menambahkan apa sahaja pada nubuat ini, Allah juga akan menambahkan hukumannya dengan malapetaka yang digambarkan di dalam kitab ini. Jika seseorang mengurangkan kata-kata nubuat di dalam kitab ini, Allah juga akan mengambil balik hak orang itu untuk makan buah pokok sumber kehidupan dan haknya untuk tinggal di kota suci itu, seperti yang digambarkan di dalam kitab ini. Dia yang memberikan semua kesaksian ini berkata, “Betul, Aku akan segera datang!” Amin! Datanglah, ya Tuhan Yesus! Semoga Tuhan Yesus memberkati setiap orang.